Tafsir Surah Yaasin Ayat 58 – 59 (Balasan kepada Orang Berdosa)

Yaasin Ayat 58: Sebelum ini telah disebut nikmat-nikmat di dalam bentuk jasmani (fizikal). Sekarang diberikan pula nikmat rohani dan ini lebih hebat lagi.

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] “Peace,” a word from a Merciful Lord.

(MELAYU)

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

 

سَلٰمٌ

“Salam”, 

Tengah sibuk dengan melayan segala kenikmatan itu, tiba-tiba Tuhan akan memberi Salam. Kalimah سَلٰمٌ terambil daripada akar kata سَلِمَ yang maknanya berkisar pada keselamatan dan keterhindaran daripada segala yang tercela.

Maknanya Allah ‎ﷻ datang dan beri salam kepada penghuni syurga itu. Bila dengar ucapan salam daripada Allah ‎ﷻ itu, kepala penghuni syurga akan terangkat naik melihat wajah Allah ‎ﷻ, sampai lupa segala kenikmatan yang dia baru dapat, semua lupa terpaku melihat keindahan wajah Allah ‎ﷻ tidak tahu berapa lama – sehari, seminggu, setahun, seribu tahun atau sejuta tahun, kita tidak tahu. Sebab seronok sangat tengok Allah ‎ﷻ. Waktu itu sampai tinggal semua nikmat yang lain. Sehingga Allah ‎ﷻ menutup hijab barulah ahli syurga itu tersedar kembali.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بَيْنَا أَهْلُ الْجَنَّةِ فِي نَعِيمِهِمْ، إِذْ سطع لهم نور، فرفعوا رؤوسهم، فَإِذَا الرَّبُّ تَعَالَى قَدْ أَشْرَفَ عَلَيْهِمْ مِنْ فَوْقِهِمْ، فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ. فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {سَلامٌ قَوْلا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ} . قَالَ: “فَيَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَيَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، فَلَا يَلْتَفِتُونَ إِلَى شَيْءٍ مِنَ النَّعِيمِ مَا دَامُوا يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، حَتَّى يَحْتَجِبَ عَنْهُمْ، وَيَبْقَى نُورُهُ وَبِرْكَتُهُ عليهم وفي ديارهم”
Daripada Jabir ibnu Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda, bahawa ketika ahli syurga sedang bergelimang di dalam kenikmatannya, tiba-tiba muncullah cahaya pada mereka, lalu mereka mengangkat kepalanya memandang ke arah cahaya itu, dan ternyata Tuhan Yang Maha Agung menengok mereka dari atas mereka, lalu berfirman, “Selamat kepada kalian semua, hai penduduk syurga.” Yang demikian itulah yang dimaksudkan oleh firman-Nya: (Kepada mereka dikatakan), “Salam, ” sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang. (Yaasin: 58) Maka Allah memandang kepada mereka, dan mereka memandang kepada-Nya. Mereka tidak mengalihkan pandangannya kepada sesuatu pun selama mereka memandang kepada Allah kerana nikmatnya yang tidak terperi, hingga Allah menutup diri daripada mereka dengan hijab-Nya dan yang tertinggal adalah cahaya dan berkah-Nya yang melimpah atas mereka di rumah-rumah mereka. (Hadith Riwayat Ibn Hibban, dalam Sahih Ibn Hibban, hadith no. 7402 (edisi al-Ihsan), dalam bab kelebihan ahli syurga)

Maka berniatlah setiap hari untuk berjumpa dengan Allah ‎ﷻ. Tidaklah lengkap sekiranya seorang hamba yang berdoa meminta untuk memasuki syurga namun tidak pernah meminta untuk berjumpa Allah ‎ﷻ yang telah menjadikannya. Nikmat melihat Allah ‎ﷻ adalah sebuah nikmat terbesar dapat dicapai oleh seorang hamba.

Kalimah salam ini bukan sahaja didapati daripada Allah ‎ﷻ akan tetapi ia adalah ucapan sesama ahli syurga seperti disebut di dalam Yunus:` 10

دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ
Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau daripada segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوٰجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ (٢٣) سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡ‌ۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ (٢٤)
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh daripada ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (23) (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (24)

Akan tetapi perhatikan kalimah salam ini adalah سَلٰمٌ dan bukanlah seperti  yang kita biasa gunakan sekarang iaitu السلام عليكم. Ini adalah kerana dalam kalimah السلام itu ada mengandungi doa supaya diberikan keselamatan kepada yang diberikan salam itu. Akan tetapi penghuni syurga sudah selamat jadi tidak perlu didoakan begitu lagi.

Tentunya ucapan salam daripada Allah ‎ﷻ lebih hebat. Namun kita sebenarnya tidak tahu bagaimanakah cara salam itu diberikan kerana kalimah سَلٰمٌ di dalam bentuk nakirah. Kalau السلام adalah dalam bentuk makrifah, maka ia adalah sesuatu yang dikenali atau spesifik. Jadi kalimah سَلٰمٌ daripada Allah ‎ﷻ itu adalah di dalam bentuk yang misteri dan kita hanya dapat tahu kalau kita dapat memasuki syurga nanti, aameen. Yang jelas adalah jika Allah ‎ﷻ yang telah mengucapkan sesuatu, maka itu adalah ketetapan-Nya yang pasti terlaksana. Ketika itu tidak satu pun yang dapat membatalkan atau menghalangi-Nya. Jika demikian, penghuni syurga akan merasakan kedamaian dan kesejahteraan abadi dan agung kerana kedamaian dan kesejahteraan itu telah merupakan ucapan yang bersumber daripada Tuhan Yang Maha Kekal lagi Maha Agung.

 

قَوْلًا مِّنْ رَّبٍّ رَّحِيمٍ

Perkataan yang mulia daripada Tuhan pencipta pemelihara yang amat sayang

Tanwin pada kalimah سَلٰمٌ tadi dan sekarang kalimah itu datang daripada رَبٍّ memberi maklumat yang ia adalah sesuatu yang agung. Itulah kalimah yang mulia daripada Allah yang Maha Mulia untuk makhluk yang memasuki syurga. Ini maknanya, Allah ‎ﷻ juga bertempat, bukan? Kerana bukankah Allah ‎ﷻ datang ke dalam syurga? Bukankah syurga itu adalah satu tempat? Maka kenapakah ada yang menolak Allah ‎ﷻ boleh bertempat?

Masuk syurga dengan rahmat

Kalimah رَحِيمٍ di dalam ayat ini mengingatkan yang ahli syurga itu hanya dapat masuk ke dalam syurga hanya kerana rahmat Allah ‎ﷻ sahaja, bukannya kerana amalan mereka kerana amalan manusia tidak cukup tambang untuk bayar tiket ke syurga. Akan tetapi dengan rahmat Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ memasukkan juga kerana hamba itu telah berusaha. Perhatikan hadith yang terkenal ini,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim No. 5042)

Adakah hadith ini mengajar kita untuk tidak beramal? Jadi kena jelaskan sedikit takut yang salah faham pula. Memang amalan kita tidak layak memasukkan kita ke dalam syurga tetapi amalan juga memasukkan kita ke dalam syurga juga. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam A’raf: 43

وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Begitu juga di dalam Baqarah: 25

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Tentu tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim No. 8)

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.

2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung lagi dengan ihsan kepada manusia.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Malah bukan itu sahaja, kita kena ingat yang untuk membuat amal soleh pun memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ juga. Hanya dengan rahmat Allah ﷻ barulah seseorang itu dapat mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam erti kata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah ﷻ dan amal soleh untuk masuk syurga.

Rahmat Allah ﷻ bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah ﷻ, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat riya’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah ﷻ. Oleh itu janganlah berbesar diri atau angkuh seandainya tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan amal soleh. Kedudukan dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah ﷻ. Oleh itu hendaklah mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah ﷻ berhak untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja.

Jikalau Allah ‎ﷻ mahu, Dia boleh masukkan sesiapa sahaja yang Dia mahu ke dalam syurga. Ini adalah hak Allah ‎ﷻ. Perumpamaannya begini: ada seorang pekerja yang rajin dan baik dan disayangi oleh tuannya. Tuannya menawar pekerjanya itu untuk membeli sebidang tanahnya dengan harga yang sedikit. Kalau diikutkan gaji pekerja itu tidak akan mampu untuk membeli tanah namun dek kerana rahmat kasih sayang daripada tuannya itu, tuan itu jual juga tanah itu dengan harga yang murah tidak masuk akal. Maknanya ia bukanlah harga sebenarnya tanah itu.

Begitulah penjelasan Allah ‎ﷻ tentang Syurga di dalam surah ini. Ada banyak lagi ayat-ayat tentang syurga dan segala nikmatnya yang disebut di dalam surah-surah yang lain. Akan tetapi di dalam surah ini sudah habith di sini kerana Allah ‎ﷻ telah sebut nikmat yang paling besar di dalam syurga iaitu bertemu dengan-Nya dan mendapat ucapan salam daripada-Nya. Mahu sambung apa lagi dan apa lagi yang lebih hebat? Tentu tidak ada, maka Allah ‎ﷻ tamatkan kisah nikmat itu di sini sahaja.

Nota: kita sudah kongsikan tafsir ayat ini yang mengandungi pengajaran yang amat penting. Akan tetapi ada juga pak lebai yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini dengan berbagai cara untuk memakbulkan doa. Ada yang membaca ayat ini dengan bilangan Tertentu. Yang paling popular adalah membacanya sebanyak 7 kali atau 11 kali atau 313 kali (sering dikaitkan dengan bilangan ahli Badar) atau 1000 kali atau 16 kali (ada yang menyebut 16 kali apabila membaca Yasin sebagai penarik rezeki) setelah solat fardhu atau solat sunat seperti solat Hajat. Dahulukala saya pun terlibat apabila sampai kepada ayat ini, dibaca 3 kali (saya pun tidak tahu kenapa). Ada yang semasa mengulang ayat itu, hati dan niat difokuskan kepada hajat yang ingin dipohon. Kadang-kadang, mereka akan berhenti sebentar selepas mengulang ayat itu untuk berdoa secara khusus sebelum meneruskan bacaan Surah Yasin atau berzikir. Ada juga amalan yang menggabungkan ayat ini dengan “Ayat 7 Salam” lain yang terdapat dalam Al-Quran (iaitu ayat-ayat yang mengandungi perkataan “Salam” di dalamnya).

Ketahuilah bahawa cara-cara ini semua adalah rekaan dan termasuk dalam perkara bid’ah. Kita telah pelajari tafsir ayat ini dan ia tidak ada kena mengena dengan pemakbulan doa. Ia hanya diajar oleh pak lebai yang tidak tahu tafsir Al-Qur’an jadi pada mereka, ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya dijadikan sebagai azimat sahaja.


 

BALASAN KEPADA GOLONGAN KAFIR

Yaasin Ayat 59: Takhwif ukhrawi. Ia adalah ayat penakutan daripada Allah ‎ﷻ kepada orang orang yang ingkar, tentang apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Allah ‎ﷻ akan berjumpa dengan penghuni Syurga dan memberi salam kepada mereka. Sekarang kita beralih pula kepada nasib penghuni Neraka.

وَامتٰزُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then He will say], “But stand apart today, you criminals.1

  • i.e., remove yourself from the ranks of the believers to be distinguished from them.

(MELAYU)

Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.

 

وَامْتٰزُوا الْيَوْمَ

Berpisahlah kamu hari ini;

Iaitu berpisah daripada golongan orang yang beriman. Ini adalah tayangan tentang kejadian pada hari akhirat nanti. Yang berkata itu sama ada Allah ‎ﷻ atau malaikat. Namun tidaklah semestinya mereka bergerak ke tempat yang lain dengan kaki mereka. Boleh sahaja Allah ‎ﷻ terus pisahkan mereka. Seperti Allah ‎ﷻ tidak perlu pun untuk berkata ‘kun’ barulah sesuatu itu terjadi. Allah ‎ﷻ sebut di sini untuk memberitahu bahawa mereka akan dipisahkan.

Perkataan امْتَازُوا diambil daripada kata dasar ‘imtiyaz’ yang bermaksud memisahkan sesuatu daripada benda yang banyak. Contohnya kita mencari sekam dalam beras dan memisahkan antara beras yang elok dengan beras yang tidak elok. Ia daripada kata dasar م ز ي yang bermaksud mengesan; membezakan; diskriminasi; memisahkan; asingkan sesuatu; membezakan antara sesuatu. Daripada kalimah ini kita selalu gunakan istilah mumayyiz مُمَيِّز yang merujuk kepada kanak-kanak yang telah mencapai tahap kemampuan untuk membezakan perkara baik dan buruk, atau memahami arahan dan larangan dengan akalnya.

Sekarang disebut pengasingan antara orang baik dan orang buruk. Keadaan waktu itu tentulah dalam keadaan huru hara kerana makhluk terlalu ramai, bermula daripada yang mula-mula diciptakan dan yang terakhir sekali dicipta akan ada lagi. Allah ‎ﷻ pisahkan kerana semua keluar sekali. Allah ‎ﷻ beri perumpamaan keadaan itu di dalam Qamar: 7

يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ كَأَنَّهُم جَرادٌ مُّنتَشِرٌ
mereka keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

Dalam dunia, manusia bercampur-campur menjalani kehidupan sehari-hari. Kalau kita lihat semua orang, kita tidak dapat pastikan sama ada mereka beriman atau tidak. Begitulah manusia, berjenis-jenis perangai dan akidah mereka. Ada antara mereka yang beriman sungguh dan ada antara mereka yang ada masalah pada akidah mereka. Ada yang berhati baik dan ada yang berhati busuk. Namun begitu mereka dapat duduk sekali. Disebabkan ia adalah perbuatan hati, maka kita tidak dapat memastikan dengan hanya memandang mereka kerana kita tidak dapat membaca apa yang dalam hati manusia, bukan? Maka ayat ini menceritakan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka di akhirat kelak. Di dunia, mungkin mereka duduk sekali bercampur gaul dengan kita, tetapi di akhirat nanti kita akan terpisah (semoga kita dalam golongan yang baik). Begitulah Allah ‎ﷻ akan memuliakan sebahagian dan menghina sebahagian lain seperti disebut di dalam Waqiah: 3

خافِضَةٌ رّافِعَةٌ
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).

Ayat ini mengajar kita keutamaan dalam hidup ini. Adakah kita mengejar kedudukan tinggi di dunia, atau di akhirat? Kalau tujuan kita hendak hebat di dunia sehingga disanjung orang, maka itu adalah pilihan yang bodoh. Sebaliknya kita kena berusaha untuk meninggikan kedudukan kita di akhirat kelak. Dunia ini tidak ada apa sebenarnya. Kalau orang sanjung hari ini, entah esok dia pijak-pijak kita. Sanjungan manusia tidak ada nilai, jadi kenapa dikejar?

Sekali lagi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْيَوْمَ (hari ini). Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ini untuk mengajak kita membayangkan keadaan di Mahsyar nanti. Kita semua beramai-ramai akan berada di sana. Kita tidak pasti bagaimana nasib kita. Bayangkan dalam ramai-ramai itu, kita antara orang yang disuruh untuk memisahkan diri kita daripada orang yang beriman, bagaimana? Alangkah ruginya waktu itu. Tidak ada penyesalan yang lebih besar daripada penyesalan pada waktu itu.

Perumpamaan di dunia adalah seperti suasana dalam kelas di sekolah. Ada budak-budak yang nakal tidak mahu mendengar kata, cikgu suruh dia berdiri di hujung bilik atau duduk luar kelas supaya tidak menganggu pelajar lain dan sebagai hukuman. Ini kerana cikgu tu menyampah untuk tengok muka budak nakal itu. Atau bayangkan dalam anak-anak yang ramai, ada anak yang emak ayah itu menyesal lahirkan dia dulu. Jadi bila ada pun, emak ayah tidak ingin bercakap pun dengannya, sedangkan boleh pula mesra dengan anak lain yang mendengar kata. Maka begitulah nanti Allah ‎ﷻ hina orang-orang yang berdosa, dipisahkan daripada kelompok orang beriman dan Allah ‎ﷻ tidak bercakap dengan orang yang berdosa itu. Ini sebagaimana firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 174

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Allah ‎ﷻ tambah lagi di dalam Ali Imran: 77

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ

wahai orang yang banyak berdosa,

Sekarang disebut kenapa mereka dipisahkan. Mereka dipisahkan daripada orang baik kerana mereka orang yang berdosa banyak. Jadi perbuatan mereka itu yang menyebabkan mereka dihina sebegitu. Mereka itu semasa hidup di dunia dulu mengikut hawa nafsu sahaja dan tidak mahu ikut wahyu.

Perhatikan Allah ‎ﷻ tidak sebut الكافِرون tetapi الْمُجْرِمُونَ. Ini adalah kerana ia bukan hanya ditujukan tentang orang kafir sahaja. Ia boleh sahaja terjadi kepada orang yang Muslim yang banyak dosa. Semoga kita diselamatkan daripada situasi ini. Maknanya kita pun belum tentu selamat lagi walaupun kita Muslim. Orang Islam apabila di Mahsyar itu akan duduk sekali beramai-ramai. Yang kafir tidak masuk mahkamah pun. Mereka terus masuk neraka tidak keluar-keluar lagi. Jadi yang dipisahkan hanya orang beriman, iaitu orang-orang tidak melakukan syirik tetapi mereka ada dosa. Sama ada dosa kecil atau besar. Maknanya Tauhid dia sudah betul. Oleh kerana tauhidnya baik, maka dia akan dimasukkan dalam kumpulan orang Islam dulu. Namun kemudian mereka akan dipisahkan. Kerana orang-orang Islam akan terbahagi kepada tiga golongan:

    1. Muqarrabin, yang rapat dengan Allah ‎ﷻ.
    2. Mukmin (yang menerima buku amalan pada tangan kanan)
    3. Muslim yang berdosa banyak.

Yang golongan ketiga yang banyak dosa itu akan dimasukkan ke dalam neraka terlebih dahulu untuk dibersihkan dosa-dosa mereka dengan dikenakan dengan azab entah berapa ribu tahun. Ketiga-tiga jenis ini akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ. Memang ada syafaat di akhirat kelak, maka kita kena tahu apakah jenis-jenis syafaat itu. Ini penting kerana surah ini berkenaan dengan syafaat, bukan?

Pertama, semua makhluk akan mendapat syafaat daripada Rasulullah ﷺ (Syafaat Uzma) supaya perbicaraan dipercepatkan. Ini adalah kerana sudah lama sungguh masa menunggu di Mahsyar sampaikan kelam kabut manusia pergi dari satu Nabi ke satu Nabi meminta para Nabi itu berdoa supaya dipercepatkan perbicaraan. Maka akhirnya akan sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ yang akan berdoa supaya perbicaraan dipercepatkan.

Kemudian, yang berdosa pun akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ  jikalau dosanya tidak banyak. Tuhan akan beri kebenaran kepada Nabi ﷺ untuk memberi syafaat itu sebelum mereka masuk neraka. Jadi mereka ini akan diselamatkan daripada memasuki neraka dengan syafaat.

Yang ketiga, sekiranya dosanya banyak, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dulu untuk menerima azab. Setelah sekian lama, Nabi Muhammad ﷺ akan dibenarkan untuk mengeluarkan mereka. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama akan berada dalam neraka. Mungkin beratus tahun, mungkin beribu atau berjuta tahun. Maka janganlah kita sangka kita sebagai orang Islam akan tinggal sekejap sahaja dalam neraka. Takutlah kepada neraka itu. Kita sepatutnya tidak mahu lihat, dengar, waima cium bau neraka sedikit pun. Kita mahu terus masuk ke dalam syurga.

Ada satu lagi golongan yang disebut di dalam Surah al-A’raf. Ini adalah golongan yang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka (pada permulaan). Ini telah diterangkan dalam surah al-A’raf. Ringkasnya, akhir sekali mereka akan dimasukkan ke dalam syurga juga.

Namun yang kita mahu ingatkan adalah, orang Muslim yang mempunyai banyak dosa, akan masuk neraka dulu. Yang masuk neraka akan dapat dua kali syafaat. Iaitu mula-mula akan diberikan kepada yang sedikit dosanya. Kemudian syafaat diberikan kepada mereka yang banyak dosa. Maka kita mestilah memasang azam tidak mahu walaupun sesaat masuk neraka. Jangan biarkan diri kita masuk neraka.

Dalam masa yang sama, kita minta juga untuk memasuki syurga Tuhan. Minta betul-betul dengan Dia. Jangan kita putus harap dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kita rasa kita tidak layak untuk masuk dalam syurga. Itu pun adalah satu pemahaman yang salah. Ingatlah yang walaupun kita banyak dosa, tetapi Allah ‎ﷻ boleh mengampuni dosa sesiapa sahaja yang minta ampun kepada-Nya.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang Allah ‎ﷻ akan membahagikan orang Islam yang banyak dosa dan mengasingkan daripada orang mukmin yang tiada dosa (mungkin mereka ada juga dosa, tetapi mereka telah minta ampun semasa di dunia lagi). Mereka yang banyak dosa itu dipanggil الْمُجْرِمُونَ. Akan dikira amalannya, amanahnya sama ada dia jaga atau tidak, hutangnya dan segalanya, mungkin 30 ribu tahun kena masuk neraka, sebagai contoh. Kita pun tidak tahu perkiraan Allah ‎ﷻ bagaimana. Nabi Muhammad ﷺ akan sujud di Arasy dan minta syafaat untuk kali kedua. Orang itu sudah menjadi arang kerana telah dibakar dalam neraka. Macam nampak sudah mati, tetapi tidak mati lagi. Apabila dia sampai ke syurga, ahli syurga akan menyiram ahli neraka itu dengan air dari syurga. Barulah boleh tumbuh semula badannya. Akan tetapi sudah hitam mukanya. Oleh kerana mereka telah pernah masuk dalam neraka, mereka ini digelar sebagai Golongan Jahannamiyyun. Selepas masuk syurga, dia akan isytihar dirinya lepas dari neraka pada orang ramai dengan rasa bangga. Dia berbangga kerana dia telah berjaya melepasi neraka.

Selepas itu dalam masa yang lama lagi barulah ada lagi saki baki umat Islam yang mempunyai saki baki iman sebesar zarah yang akan dikeluarkan dari neraka. Ini kerana Nabi ﷺ akan memohon syafaat daripada Allah ‎ﷻ lagi untuk mengeluarkan mereka.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan peringatan kepada kita. Allah ‎ﷻ telah memberi berbagai-bagai peringatan kepada kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ terus memasukkan kita ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ tidak zalim kerana walaupun Allah ‎ﷻ beri azab, tetapi Allah ‎ﷻ telah beri peringatan dengan banyak sekali. Dia telah memberikan Rasul, Kitab Al-Qur’an dan guru-guru untuk mengajar kepada kita tentang agama.

Dalam masa yang sama, kita telah diberikan dengan akal dan pancaindera untuk kenal agama. Maka gunakanlah kelebihan itu dengan baik. Oleh kerana kita telah diberikan dengan berbagai alat itu, maka jikalau kita termasuk dalam golongan orang yang berdosa nanti, bukanlah salah Allah ‎ﷻ. Ia adalah salah kita sendiri yang tidak mengambil peringatan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 56 – 57 (Contoh nikmat dalam syurga)

Yaasin Ayat 56: Nikmat di dalam syurga tidak sempurna jika dinikmati berseorangan sahaja.

هُم وَأَزوٰجُهُم في ظِلٰلٍ عَلَى الأَرآئِكِ مُتَّكِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They and their spouses –in shade, reclining on adorned couches.

(MELAYU)

Mereka dan pasangan-pasangan mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.

 

هُمْ وَأَزْوٰجُهُمْ

Mereka dan pasangan-pasangan mereka;

Tentulah tidak akan gembira kalau kita menikmati kenikmatan syurga berseorangan sahaja. Maka, di syurga nanti, ahli syurga akan diberikan dengan pasangan. Ramai yang kata ‘dan isteri-isteri mereka’, tetapi sebenarnya tidak. Perempuan ada pasangan dan lelaki ada pasangan masing-masing. Manakala pasangan itu tidaklah semestinya isteri sahaja. Takkan lelaki sahaja dapat pasangan? Cuma di dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang apa yang diberikan kepada lelaki. Mereka akan mempunyai pelayan daripada bidadari selain isteri. Cuma apabila digunakan kalimah أَزْوٰجُ di dalam ayat ini, ia bukan hanya merujuk kepada bidadari sahaja kerana kalau bidadari digunakan istilah حُورٍ seperti di dalam Dukhan: 54

كَذَٰلِكَ ۖ وَزَوَّجْنَاهُم بِحُورٍ عِينٍ
“Demikianlah! Dan Kami kahwinkan mereka dengan hurun ‘ain (bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli).”

Jadi kalimah أَزْوٰجُ  bermaksud pasangan daripada jenis manusia dan daripada jenis bidadari juga. Cuma untuk perempuan tidaklah ada disebut mereka akan dapat bidadara pula. Yang disebut adalah lelaki yang ada ramai pasangan. Mungkin kerana wanita tidak memerlukan atau teringin pun kepada pasangan yang ramai kerana keinginan mereka berbeza daripada lelaki. Yang pasti lelaki akan mendapat pasangan daripada jenis isteri (manusia) dan daripada jenis bidadari (makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ).

Namun kita jangan tidak tahu yang isteri kita itu lebih cantik daripada bidadari kerana mereka akan dicantikkan sesuai dengan kedudukan di syurga. Bukanlah mereka itu rupa sama seperti di dunia ini. Kita lelaki pun tidak sama juga kerana akan dinaiktaraf. Mana mungkin bidadari lebih cantik daripada isteri sedangkan bidadari tidak pernah beribadat dan tidak pernah diuji? Oleh itu, isteri kitalah yang paling cantik (kalau dia pun dapat memasuki syurga). Sebab dia ada buat ibadat dan diuji semasa di dunia.  Bidadari pula dijadikan secara langsung (bidadari bukan jenis malaikat). Isteri akan menjadi ketua kepada semua bidadari. Kalau isteri kurang pahala, dan jika suami sudah masuk syurga, suami boleh menarik isteri masuk syurga juga. Dalam kes sebegini, penghuni syurga boleh beri syafaat. Bermakna, syafaat itu boleh diberi apabila sudah berada di sana, bukan semasa berada di dunia.

Isteri kita itu akan dibersihkan daripada segala sifat-sifat yang tidak molek seperti pemarah, cemburu, perengus, dengki dan sebagainya. Kerana sifat-sifat itu bukanlah sifat yang menyenangkan dan syurga adalah tempat untuk relaks dan bukan masa untuk melayan kerenah isteri lagi sebagaimana di dunia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 25 tentang hal ini,

وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ
dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang disucikan

Memang di dalam syurga tidak ada perasaan yang tidak menyenangkan. Dendam, iri hati, kesal dan sebagainya akan dihilangkan daripada diri penghuni syurga kerana emosi-emosi sebegitu menyebabkan sesak dada dan jiwa. Ini sebagaimana firman Allah ‎ﷻ di dalam A’raf: 43

وَنَزَعۡنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنۡ غِلٍّ
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka

Bagaimana pula seandainya lelaki atau perempuan ahli syurga itu tidak pernah menikah semasa hidup di dunia? Kalau dulu semasa di dunia tidak ada pasangan suami atau isteri, mereka tetap akan dipasangkan dengan pasangan dari dunia. Kerana ramai yang tidak ada pasangan juga, bukan? Jangan risau tentang hal ini. Boleh berkenalan di syurga nanti.

Bagaimana pula kalau seorang isteri itu menikah lebih daripada satu? Kalau seorang lelaki, dia boleh bersama dengan kesemua isterinya. Akan tetapi bagaimana dengan seorang isteri? Kalau semua suaminya masuk syurga, siapakah pasangannya di syurga. Persoalan ini memang menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’ kerana memang para isteri prihatin tentang hal ini.

Ada sebuah hadith daripada Riwayat Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath dan Al-Mu’jam Al-Kabir): Diriwayatkan daripada Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bahawa beliau berkata:

الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا
“Ada wanita dalam kalangan kami berkahwin dua, tiga, dan empat kali (maksudnya, dia berkahwin semula setelah suaminya meninggal atau bercerai). Kemudian dia (wanita itu) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga, dan (para suaminya) juga masuk bersamanya. Siapakah (dalam kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya dia (isteri itu) diberi pilihan, maka dia akan memilih yang paling baik akhlaknya.'”

Sekiranya hadith ini sahih, maka sudah selesai isu ini. Akan tetapi penting untuk diketahui bahawa status hadith ini telah dibincangkan oleh para ulama hadith.

    • Imam al-Thabarani sendiri menyatakan bahawa tidak ada yang meriwayatkan hadith ini daripada Hisyam bin Hassan kecuali Sulaiman bin Abi Karimah, dan ‘Amr bin Hasyim bersendirian dalam meriwayatkannya.
    • Imam al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id menyatakan bahawa salah seorang perawi dalam sanad hadith ini, Sulaiman bin Abi Karimah, dinilai dhaif (lemah) oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy.
    • Imam Ibn al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah menilai hadith ini sebagai tidak sahih.
    • Imam al-Iraqi juga mendhaifkan sanad hadith ini.

Pandangan Lain mengenai Wanita yang Berkahwin Lebih daripada Satu Suami di Syurga:

Walaupun hadith Ummu Salamah ini lemah dari segi sanad, isu ini tetap menjadi perbahasan dalam kalangan ulama. Terdapat beberapa pandangan lain, yang disokong oleh dalil yang lebih kuat atau berdasarkan ijtihad:

1. Isteri akan bersama suaminya yang terakhir di dunia. Ini adalah pandangan yang lebih banyak diterima oleh ulama, berdasarkan hadith daripada Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (yang juga diriwayatkan oleh Ath-Thabarani) dan riwayat daripada Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kepada isterinya, serta qiyas dengan konsep bahawa isteri adalah milik suaminya di akhirat. (Hadith ini juga ada perbahasan tentang sanadnya, namun lebih kuat daripada hadith Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bagi sesetengah ulama).

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا
“Wanita mana pun yang ditinggal mati suaminya, kemudian si wanita menikah lagi sesudahnya, maka dia menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir (di dunia).”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ath-Thabarani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab-kitabnya seperti Al-Mu’jam Al-Awsath dan Al-Mu’jam Al-Kabir.

Perbincangan Mengenai Sanad dan Kekuatan Hadith Ini:

1. Kedudukan Sanad:

    • Syaikh Al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih dalam As-Silsilah Ash-Shahihah (No. 1281). Beliau menganggapnya kuat dengan adanya beberapa jalan periwayatan (syawahid) yang saling menguatkan, walaupun ada kelemahan pada satu-satu sanad.
    • Namun, perlu diingat bahawa tidak semua ulama menyepakati penilaian kesahihan yang sama. Beberapa ulama lain mungkin memiliki pandangan berbeza tentang kekuatan sanadnya.

2. Kisah Terkait yang Menguatkan: Kisah yang sering dikaitkan dengan hadith ini adalah antara Ummu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (isteri Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Selepas kewafatan Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meminang Ummu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Ummu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menolak pinangan Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan alasan beliau mendengar hadith ini daripada Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri. Dia berkata: “Aku mendengar Abu Darda’ (suamiku yang telah meninggal) berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Seorang wanita bagi suaminya yang terakhir.’ Dan aku tidak ingin pengganti bagi Abu Darda’.” (Ini adalah riwayat yang disebutkan dalam beberapa kitab seperti At-Tadzkirah oleh Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ dan juga oleh Ath-Thabarani رَحِمَهُ اللَّهُ).

    • Kisah ini, walaupun bukan hadith marfu’ secara langsung (iaitu ucapan Nabi ﷺ), namun ia adalah atsar sahabi (perbuatan sahabat) yang menunjukkan pemahaman mereka terhadap masalah ini dan menguatkan pandangan bahawa wanita itu akan bersama suaminya yang terakhir.

2. Wanita tersebut diberikan pilihan untuk memilih suami yang dia kehendaki di syurga. Ini adalah pandangan yang terkandung dalam hadith Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا di atas, walaupun sanadnya dhaif. Namun, konsep pilihan di syurga ini selari dengan keumuman ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa penghuni syurga akan mendapatkan apa sahaja yang mereka inginkan (seperti Surah Az-Zukhruf: 71 dan An-Nahl: 31).

Kesimpulan:

Hadis Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang pilihan suami di syurga adalah hadith dhaif (lemah) dari segi sanad. Oleh itu, ia tidak dapat dijadikan dalil yang kukuh secara sendirian. Namun, persoalan ini masih dibahaskan oleh ulama dengan pelbagai pandangan. Pandangan yang paling masyhur adalah wanita itu akan bersama suaminya yang terakhir di dunia, namun konsep pilihan juga ada disebutkan dalam beberapa riwayat lain dan selari dengan sifat umum kenikmatan di syurga.

 

فِي ظِلٰلٍ

dalam teduhan;

Bagaimana keadaan di syurga itu? Keadaan di syurga amat aman dan nyaman kerana ada teduhan. Akan ada sebatang pohon di hadapan istana penghuni syurga. Ia akan menjadi teduhan kepada penduduk dalam syurga. Pokok itu amat besar sampaikan jarak perjalanan dengan kuda yang paling pantas, dari perdu pokok itu sampai ke hujung dahan pokok itu akan mengambil masa selama 80 tahun baru sampai!

 

عَلَى الْأَرَآئِكِ

atas singgahsana-singgahsana

Di mana pula mereka duduk? Kalimah الْأَرَائِكِ ini adalah sebuah perabot yang boleh dikatakan yang berbentuk antara sebuah katil selesa dan kerusi malas untuk bermalas-malasan. Juga ada yang diterjemahkan sebagai pelamin atau dipan ataupun singgahsana. Amat selesa sekali bersandar di atasnya. Bersandar santai, bersenang lenang, berehat-rehat sahaja tiada masalah, tiada kerja langsung untuk difikirkan. Dia waktu itu duduk bersandar menikmati segala macam nikmat sambil melihat segala kerajaan yang dia ada. Dengan segala keindahan taman, pelayan-pelayannya dan apa-apa sahaja yang kita tidak dapat bayangkan.

Satu lagi isyarat di sini adalah mereka berada di tempat berehat, dengan pasangannya, tetapi mereka tentulah tidak tidur. Memang ahli syurga tidak tidur kerana mereka tidak penat dan kalau tidur, maka akan rugi kerana ketika tidur tidak dapat menikmati segala nikmat yang ada. Maka kalau tidak tidur dan dengan pasangan, buat apa lagi? Ini orang yang sudah berkahwin akan dapat agaklah. Boleh faham-faham sendiri ya.

Memang tidak mungkin dapat tercapai dek akal kita sekarang kerana tentunya keadaan di syurga nanti amat berbeza sekali di mana ia akan menjadi teramat baik. Cuma Allah ‎ﷻ ceritakan sedikit dan bandingkan dengan nikmat di dunia supaya kita dapat bayangkan serba sedikit apa yang ahli syurga akan dapat nanti. Kerana kalau tidak dapat dibayangkan langsung, tidaklah jadi motivasi untuk ke syurga, bukan? Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ beri nikmat makan di dunia untuk kita bayangkan nikmat makan di syurga; nikmat air di dunia, dibandingkan dengan nikmat air di syurga; nikmat pasangan di dunia sebagai nikmat pasangan di akhirat; dan sebagainya lagi.

 

مُتَّكِئُونَ

bertelekan;

Kedudukan berehat atau bersandar atau berbaring santai atau bertelekan. Maknanya duduk dalam keadaan seronok dan dalam keadaan rileks. Jenis antara duduk dan baring (duduk tidak, baring pun tidak).

Di dalam Rahman: 54 Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi apakah material pelamin itu dibuat. Ia menunjukkan betapa hebatnya singgahsana itu membuktikan keselesaan yang akan diberikan kepada ahli syurga.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ فُرُشٍ بَطائِنُها مِن إِستَبرَقٍ
Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – daripada sutera tebal yang bersulam

Sebab memang tidak ada kerja lagi di syurga. Mereka dipakaikan baju sutera kerana orang yang memakai sutera tidak akan buat kerja. Malah bahan untuk perabot pun boleh dipakaikan sutera sebab bukan perlu jaga. Jangan kata tidak perlu kerja lagi, ibadah pun tidak ada. Tiada lagi dahaga sampai bila-bila. Tidak lapar, tidak sakit, tidak tua, malah tidak perlu pun pergi ke tandas! Makan memang banyak tetapi tidak perlu ‘membuang’ di tandas, cuma keluar sebagai bau peluh yang wangi sahaja. Mereka duduk untuk menikmati hidup sahaja. Kerjanya memang duduk rileks sahaja. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Taha: 118-119

 فَقُلۡنَا يَـٰٓـٴَـادَمُ إِنَّ هَـٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوۡجِكَ فَلَا يُخۡرِجَنَّكُمَا مِنَ ٱلۡجَنَّةِ فَتَشۡقَىٰٓ (١١٧) إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيہَا وَلَا تَعۡرَىٰ (١١٨) وَأَنَّكَ لَا تَظۡمَؤُاْ فِيہَا وَلَا تَضۡحَىٰ (١١٩)
Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (118) Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas matahari. (119)

Sedangkan ahli neraka pula akan terasa lapar dan dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Bila mereka minta untuk makan dan minum, seribu tahun baru diberi. Itu pun diberi air mendidih, apabila didekatkan sahaja air itu ke muka, terbias ke bibir disebabkan oleh panasnya air itu.

Badan ahli syurga juga akan dinaiktaraf untuk mampu menerima nikmat. Kerana hebat sangat nikmat dalam syurga itu, kalau dengan badan kita yang biasa ini, tidak mampu untuk menerimanya. Oleh itu hendak masuk syurga pun akan dinaiktaraf supaya tidak terkejut melihat segala nikmat yang bermacam-macam. Ini kerana nanti di dalam syurga itu, mereka akan makan dengan selera seribu orang lelaki dan bidadari pun ramai, maka memanglah kena kuat tubuh badan itu. Kekuatan seks adalah kekuatan seratus orang lelaki dunia. Kalau tidak, tidak mampu untuk mengalami segala nikmat-nikmat itu.


 

Yaasin Ayat 57:

لَهُم فيها فٰكِهَةٌ وَلَهُم ما يَدَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them therein is fruit, and for them is whatever they request [or wish]

(MELAYU)

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.

 

لَهُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ

Bagi mereka di dalam syurga itu, berbagai-bagai jenis buah-buahan;

Kalau kita di dunia pun, sambil kita duduk berehat-rehat, kita akan ada makanan ringan untuk kita makan sambil berehat. Di syurga pun begitu juga. Berbagai-bagai jenis buahan yang mudah untuk dipetik. Kita tidak perlu bangun ke dapur malah tidak perlu untuk petik pun kerana buah itu akan datang kepada kita. Allah ‎ﷻ sebut di dalam Rahman: 54

وَجَنَى الجَنَّتَينِ دانٍ
dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) 

Petik satu, terus keluar buah baru daripada tangkai yang sama. Buah-buahan itu pula tidak ada musim, maka tidak perlu tunggu musim baru boleh makan buah itu kerana sentiasa sahaja ada buah. Bermacam-macam jenis buah-buahan termasuk yang tidak ada di dunia dan tentunya buah-buahan itu berganda-ganda lebih sedap daripada buah-buahan di dunia ini. Tentang buah-buahan ini Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat-ayat yang lain seperti Waqiah: 28-33

فِى سِدۡرٍ مَّخۡضُودٍ (٢٨) وَطَلۡحٍ مَّنضُودٍ (٢٩) وَظِلٍّ مَّمۡدُودٍ (٣٠) وَمَآءٍ مَّسۡكُوبٍ (٣١) وَفَـٰكِهَةٍ كَثِيرَةٍ (٣٢) لَّا مَقۡطُوعَةٍ وَلَا مَمۡنُوعَةٍ (٣٣)
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (28)
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (29) Dan naungan yang tetap terbentang, (30) Dan air yang sentiasa mengalir, (31) Serta buah-buahan yang banyak, (32) Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (33)

Bukanlah buah-buahan itu sahaja yang mereka akan dapat. Ia adalah sebagai pembuka kata sahaja. Ada banyak lagi yang mereka akan dapat. Namun digunakan contoh buah, kerana itu yang manusia kenal, dan itu yang manusia suka semasa di dunia ini.

Akan tetapi sekejap, kenapa kalimah فٰكِهَةٌ ini lebih kurang dengan kalimah فَٰكِهُونَ (jamak kepada فَاكِهٌ) di dalam ayat 55 sebelum ini? Kalimah فَاكِهٌ bermaksud gembira dan kalimah فٰكِهَةٌ pula bermaksud buah. Memang ada kaitan dari segi bahasa dan etimologi kerana orang Arab ini suka makan buah, kalau dapat buah mereka akan gembira. Jadi mereka kaitkan dua istilah ini jadi kalau lihat dari segi bahasa, ia menjadi lebih kurang sahaja.

Oleh itu, kalimah فٰكِهَةٌ di sini mungkin bukan sahaja merujuk kepada buah-buahan, akan tetapi merujuk kepada apa-apa sahaja yang disukai. Maka bukanlah buah-buahan sahaja yang akan diberikan kepada ahli syurga tetapi segala macam jenis makanan yang kita tidak mampu bayangkan.

 

وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

Dan bagi mereka, apa sahaja yang mereka mahu;

Memang kita tidak akan dapat bayangkan nikmat di dalam syurga, maka Allah ‎ﷻ beritahu apa sahaja yang ahlinya hendak, dia akan dapat. Berjuta keinginan manusia yang tidak tertunai semasa hidup di dunia. Kerana tidak cukup wang dan sebagainya. Ataupun ada wang, tetapi adalah kesukaran atau halangan yang lain. Semua keinginan itu, penghuni Syurga akan dapat. Yang dia pernah lihat di dunia, semua dia akan dapat.

Juga apa sahaja yang mereka minta tetapi perhatikan kalimah yang digunakan adalah يَدَّعُونَ yang boleh juga bermaksud minta atau seru. Di sini Allah ‎ﷻ tidak gunakan kalimah يسئلون (meminta). Kerana kalimah يسئلون bermaksud meminta dan Allah ‎ﷻ tidak mahu susahkan ahli syurga itu minta baru dapat. Jadi digunakan kalimah يَدَّعُونَ yang bermaksud mereka terlintas sahaja sudah dapat, tidak perlu hendak minta-minta.

Mungkin ada benda yang dia tidak tahu pun kewujudan sesuatu benda, sebab dia tidak pernah berjumpa. Macam orang dulu-dulu hanya pernah guna TV hitam putih. Dulu mereka tidak tahu akan ada TV warna. Jadi kalau dia nampak TV warna, tentu dia pun hendak juga, bukan? Maka di syurga, akan ditunjukkan segala jenis kemewahan yang dia tidak tahu, dan dia akan minta, itu pun akan dapat. Dalilnya seperti disebut di dalam hadith yang sahih, tentang lelaki yang paling akhir masuk syurga. Hadith ini panjang dan ini adalah sebahagian daripadanya,

فَإِذَا دَخَلَهَا قَالَ اللَّهُ لَهُ تَمَنَّهْ ‏.‏ فَيَسْأَلُ رَبَّهُ وَيَتَمَنَّى حَتَّى إِنَّ اللَّهَ لَيُذَكِّرُهُ مِنْ كَذَا وَكَذَا حَتَّى إِذَا انْقَطَعَتْ بِهِ الأَمَانِيُّ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ذَلِكَ لَكَ وَمِثْلُهُ مَعَهُ
Kemudian apabila dia memasukinya, Allah berfirman kepadanya, “Mintalah”. Maka dia meminta kepada Tuhannya dan berangan-angan itu dan ini sehingga Allah mengingatkannya akan begini dan begini sehingga apabila hajatnya telah habis, Allah Ta’ala berfirman, “Itu untukmu dan yang serupa dengannya.”

(Sahih Muslim No. 182)

Maknanya di dalam hadith ini, Allah ‎ﷻ memberi cadangan kepada lelaki itu apa yang dia boleh minta. Kemudian diberikan apa yang telah diminta dan tambahan lagi dengan perkara-perkara yang lain yang kita pun tidak dapat hendak bayangkan. Ada mufassir yang kata, kita tidak perlu sebut pun apa yang kita hendak. Terdetik sahaja dalam hati kita hendakkan sesuatu, ia akan datang kepada kita.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mengubah rupa kita kalau kita hendak. Mungkin semasa di dunia, kita ada keinginan supaya rupa kita seperti orang lain. Maka, di syurga kita boleh berubah menjadi apa sahaja yang kita kehendaki. Apabila kita tukar sahaja, semua penghuni syurga yang di bawah takluk kita akan ikut tukar sekali.

Dalam dunia, ada perkara yang tidak boleh buat atau guna, seperti minum arak, pakai emas dan sutera untuk lelaki, namun semua akan dapat buat dalam syurga nanti. Mereka akan dibalas kerana dulu semasa di dunia, mereka tahan diri mereka daripada melakukan dan memakainya kerana mereka tahu yang hukumnya haram.

Di syurga nanti ada empat jenis sungai, termasuk sungai susu, madu dan arak. Malah air sungai di syurga boleh lalu dalam rumah ikut sebagaimana kita kehendaki. Inginkan ia mengalir ke atas, ke bawah, pusing keliling rumah dan sebagainya kerana aliran sungai itu juga di dalam taklukan kita. Kita boleh minum air-air itu bila-bila masa dan sudah tentunya rasanya lebih baik daripada rasanya di dunia. Ini kerana apa-apa sahaja nikmat di dunia ini adalah sebagai bayangan sahaja kepada nikmat di dalam syurga. Emas dunia adalah ciplak emas syurga, sutera dunia adalah ciplak sutera syurga, susu, madu, arak dan macam-macam lagi.

Kadangkala kita dapat juga soalan: ‘Ustaz boleh tak kami nak ini dan itu?’ Tidak kira apa sahaja keinginan mereka itu, akan diberikan kepada mereka. Kalau mereka di syurga nanti dan ada benda yang mereka teringin, ia akan diberikan. Walaupun kalau difikirkan, mereka tidak perlukan pun. Sebagai contoh disebut di dalam hadith tentang seorang ahli syurga yang hendak bercucuk tanam. Perlu apa lagi kerana makanan sudah banyak? Namun jikalau itu yang dia mahukan, maka itu pun akan dibenarkan kepadanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَيْسَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ، قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ، فَيَقُولُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ menceritakan: “Sesungguhnya seorang laki-laki penduduk syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk menanam (bercucuk tanam). Maka Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah apa yang kamu inginkan sudah ada padamu?’ Dia menjawab: ‘Benar (sudah ada), tetapi aku suka untuk menanam.’ Baginda bersabda: ‘Maka dia menanam (benih), lalu dalam sekelip mata tanaman itu tumbuh, menjadi sempurna, dan siap untuk dituai. Hasilnya menjadi seperti gunung-gunung.’ Maka Allah berfirman: ‘Ambillah (hasil itu), wahai anak Adam, sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang dapat mengenyangkanmu (memuaskan keinginanmu).’ “
(Sahih Bukhari No. 2348)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 54 – 55 (Balasan di Syurga)

Yaasin Ayat 54: Walaupun semua akan dihadapkan dengan tanpa rela, akan tetapi janganlah takut kerana tidak akan kezaliman pada waktu itu.

فَاليَومَ لا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا وَلا تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today [i.e., the Day of Judgement] no soul will be wronged at all, and you will not be recompensed except for what you used to do.

(MELAYU)

Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan.

 

فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا

Maka pada hari itu, tidak akan dizalimi sesiapa pun, sedikit pun.

Apabila dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ, maka rekod amalan kita akan diperiksa dan Allah ‎ﷻ akan mengadili dengan adil sekali. Allah ‎ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim terhadap hamba-Nya. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu segala perbuatan kita dan Dia akan balas hanya dengan perbuatan kita sahaja. Sebelum ini telah disebut di dalam ayat 12 bahawa semua perbuatan kita akan ditulis.

إِنَّا نَحۡنُ نُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَڪۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَـٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَىۡءٍ أَحۡصَيۡنَـٰهُ فِىٓ إِمَامٍ۬ مُّبِينٍ۬
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. (12)

Semua akan dibentangkan sampai akan mengejutkan orang-orang yang berdosa seperti disebut di dalam Kahf: 49

وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorang pun.

Kita telah sebut sebelum ini bahawa ada pendapat yang mengatakan tiada azab kubur. Salah satu alasan mereka adalah tidak patut ahli kubur itu dikenakan dengan azab, kerana mahkamah pengadilan belum ditegakkan lagi, sedangkan ia akan berlaku setelah Kiamat nanti. Sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak perlu tegakkan mahkamah pun, kerana semua perbuatan manusia Allah ‎ﷻ sudah tahu, malah ditulis oleh para malaikat pun. Cuma Allah ‎ﷻ tegakkan mahkamah untuk menzahirkan keadilan-Nya sahaja bagi memberi peluang kepada orang berdosa mempertahankan dosanya itu. Akan tetapi kita pun tahu bahawa mereka tidak akan ada hujah pun nanti di akhirat kelak.

Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَالْيَوْمَ, Allah ‎ﷻ hendak suruh kita membayangkan suasana pada hari itu. Di mana kita semua akan beratur di Mahsyar dan kita akan dibentangkan dengan kitab amalan kita. Allah ‎ﷻ hendak menitipkan sebuah perasaan ke dalam hati kita bahawa hari itu adalah dekat. Maka bayangkan seolah-olah kita seperti telah ada di sana agar kita mempunyai perasaan gerun. Barulah kita seterusnya dapat menjaga agama kita. Salah satu latihan adalah dengan melihat mereka yang mengerjakan Haji di Padang Arafah. Tentang dekatnya hari itu, Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Anbiya: 1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

 

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kamu tidak akan dibalas melainkan apa yang kamu lakukan sahaja;

Kita akan dibalas dengan perbuatan yang kita buat sahaja. Bermakna, kalau amalan itu orang lain yang buat, kita tidak dapat pahala daripada amalan itu. Ini bermakna, kita tidak boleh sedekah pahala amalan kepada orang lain. Kecuali jikalau seseorang itu mengajar dan anak muridnya membuat amalan yang baik itu, barulah yang mengajar itu pun akan mendapat pahala juga.

Pahala itu pula sama dengan pahala dengan orang yang melakukannya, tidak dikurangkan sedikit pun. Kerana itu tidak ada orang yang ada pahala lebih besar daripada Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ selain daripada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana beliaulah yang mula-mula masuk Islam dan ramai sahabat yang telah beliau berjaya islamkan. Setiap amalan baik orang Islam, Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ akan mendapat sahamnya.

Yang mengajar ilmu salah pula, dia akan mendapat dosa setiap kali anak muridnya itu melakukan kesalahan yang diajarnya itu. Kita mohon berlindung daripada mengajar yang salah kepada orang lain. Maka berhati-hatilah dalam mengajar. Jangan kita mengajar sesuatu yang tiada dalil daripada sumber Al-Qur’an dan Hadith. Ini selari dengan hadith yang selalu disalahertikan oleh pengamal bid’ah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Ternyata semua amalan perbuatan kita akan direkodkan. Maka kalau kita buat, kita akan dapat balasan sama ada baik atau buruk. Tidak akan kita diberi dosa kalau sesuatu perbuatan itu kita tidak buat. Kalau di mahkamah dunia, berapa orang yang telah dituduh dan dijatuhi hukuman atas kesalahan yang dia tidak buat? Ini kerana mahkamah dunia dan para hakim tidak ada ilmu pengetahuan seperti Allah ‎ﷻ. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan hujah daripada para peguam dan bukti yang ada sahaja. Malah bukti itu boleh direka-reka oleh orang yang jahat! Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi sesiapa pun dengan memberi dosa dan mengazab orang yang tidak bersalah.

Ini semua adalah kejadian sebelum manusia dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Sebelum keputusan dibuat, rekod amalan akan dibentang dan diperiksa. Maka segala amalan akan keluar, segala saksi akan dipanggil dan keadilan akan dijalankan. Mahkamah Allah akan menimbang semua perkara dan selepas itu barulah dibuat keputusan sama ada layak memasuki ke dalam neraka atau ke dalam syurga. Setelah keputusan dibuat, tidak ada sesiapa pun yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak adil! Kalau di dunia ini, semua keputusan mahkamah akan ada sahaja yang kata tidak adil. Namun tidak pernah ditulis di dalam mana-mana ayat Al-Qur’an atau hadis yang mengatakan ada makhluk yang mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ. Yang ada adalah penyesalan daripada manusia adalah seperti disebut di dalam Mulk: 10

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

Sebenarnya kita sudah tahu pun keadilan Allah ‎ﷻ di mana sudah pasti Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan melakukan kezaliman. Maka kenapa Allah ‎ﷻ perlu sebut? Peringatan ini hanyalah seperti seorang bapa yang memberitahu anaknya, “Ingat ya, ini ayah tau…”. Allah ‎ﷻ banyak mengingatkan tentang sifat adil-Nya dan membalas segala perbuatan kita supaya memberi motivasi kepada kita untuk beramal dengan amal kebaikan dan meninggalkan dosa. Kalau syarikat kita bekerja, belum tentu syarikat akan bayar gaji kita sepenuhnya. Akan tetapi kita tetap bekerja kerana kita mengharapkan gaji bulanan, bukan? Namun sekarang Allah ‎ﷻ akan membalas segalanya, kecil atau besar kebaikan yang kita lakukan, kenapa kita tidak ambil peluang? Kenapa kita masih lagi membuang masa dengan perkara lagha yang tidak memberi pahala? Setiap hari adakah perlu periksa FB, Insta dan X? Adakah dapat pahala kalau main game, menonton drama dan filem Korea? Bandingkan dengan janji pahala oleh Allah ‎ﷻ dengan membaca Al-Qur’an,

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ: الم كِفْ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ.”
“Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu dilipatgandakan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan: ‘Alif Lam Mim’ itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 2910) Imam At-Tirmidzi berkata setelah meriwayatkan hadith ini: “Hadith ini Hasan Sahih Gharib.”


 

BALASAN KEPADA MUKMIN

Yaasin Ayat 55: Ayat Tabshir (berita gembira di akhirat). Sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut balasan kepada hamba-Nya maka sekarang disebut satu jenis balasan iaitu tentang balasan nikmat syurga. Sebelum ini telah disebutkan tentang mereka yang tidak menerima dakwah daripada Nabi ﷺ. Kemudian disebutkan pula tentang mereka yang menerima hidayah. Ayat ini menceritakan tentang kenikmatan yang akan diperolehi oleh mereka yang menerima hidayah itu.

إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed the companions of Paradise, that Day, will be amused in [joyful] occupation –

(MELAYU)

Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).

 

إِنَّ أَصْحَٰبَ الْجَنَّةِ

Sesungguhnya penghuni-penghuni syurga.

Mereka ini adalah pemilik-pemilik kekal geran syurga. Mereka yang layak akan dimasukkan ke dalam الْجَنَّةِ yang dari segi bahasa bermaksud taman yang lebat sampai tidak nampak tanahnya. Ini kerana perkataan الْجَنَّةِ dalam bahasa Arab mempunyai akar kata جَنَّ (janna), yang bermaksud “menutupi”, “menyembunyikan”, atau “tidak terlihat”. Di dalam bahasa kita dipanggil ‘syurga’. Kalimah ‘syurga’ daripada bahasa Sanskrit suarga atau sawarga yang bermaksud tempat balasan bagi perbuatan yang baik. Akhirnya kita menggunakannya menjadi ‘syurga’.

Penghuni syurga akan diberikan dengan segala hak istimewa yang diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak mengatakan ‘Ahli Syurga’ dalam ayat ini tetapi أَصْحَٰبَ الْجَنَّةِ. Digunakan istilah ini kerana الصحابي bermaksud لازم. Maksud لازم adalah sentiasa ada bersama dan tidak berpisah. Kerana itulah kawan baik kita disebut sahabat kerana sentiasa ada bersama kita. Ini hendak menunjukkan rapatnya mereka dengan syurga nanti dan mereka tidak akan keluar dari syurga itu selama-lama seperti disebut di dalam Kahf: 3

مٰكِثينَ فيهِ أَبَدًا
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.

Cuma ada pengecualian istilah ‘sahabat’ bagi para sahabat Nabi. Mereka tidak disyaratkan sentiasa bersama Nabi ﷺ kerana ramai sahaja para sahabat yang berjumpa Nabi ﷺ dan kemudian mereka pulang kembali ke kampung mereka tidak berjumpa pun lagi dengan baginda. Syarat untuk menjadi sahabat Rasulullah ﷺ adalah:

    • Bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ (sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti melihat atau mendengarnya).
    • Beriman kepada baginda sebagai Nabi dan Rasul.
    • Meninggal dunia dalam keadaan Islam.

Sebuah lagi pendapat ada mengatakan digunakan istilah أَصْحَٰبَ adalah kerana ahli syurga bukan hidup berseorangan di syurga kerana mereka akan ada banyak sahabat-sahabat yang akan bersama mereka. Ini adalah salah satu ciri nikmat di dalam syurga kerana kalau hidup sendirian, ia bukanlah satu nikmat kerana kita adalah makhluk sosial.

Apa lagi penerangan tentang syurga? Kita boleh dapat maklumat daripada hadith-hadith Nabi yang banyak tentang hal ini. Antaranya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا إِذَا كُنَّا عِنْدَكَ رَقَّتْ قُلُوبُنَا وَزَهِدْنَا فِي الدُّنْيَا وَكُنَّا مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ فَآنَسْنَا أَهَالِينَا وَشَمَمْنَا أَوْلَادَنَا أَنْكَرْنَا أَنْفُسَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَكُونُونَ إِذَا خَرَجْتُمْ مِنْ عِنْدِي كُنْتُمْ عَلَى حَالِكُمْ ذَلِكَ لَزَارَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ فِي بُيُوتِكُمْ وَلَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَجَاءَ اللَّهُ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ كَيْ يُذْنِبُوا فَيَغْفِرَ لَهُمْ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِمَّ خُلِقَ الْخَلْقُ قَالَ مِنْ الْمَاءِ قُلْنَا الْجَنَّةُ مَا بِنَاؤُهَا قَالَ لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الْأَذْفَرُ وَحَصْبَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ دَخَلَهَا يَنْعَمُ لَا يَبْأَسُ وَيَخْلُدُ لَا يَمُوتُ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ ثُمَّ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Kami berkata: Wahai Rasulullah, kenapa kami bila berada di dekat engkau, hati kami melunak, kami zuhud di dunia dan kami termasuk ahli akhirat, tetapi bila kami bergegas meninggalkan engkau lalu kami bergaul dengan keluarga kami, mencium anak-anak kami, kami mengingkari diri kami sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda: “Andai kalian bila pergi meninggalkanku berada dalam keadaan kalian seperti itu, nescaya para malaikat mengunjungi kalian di rumah-rumah kalian dan seandainya kalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah menciptakan makhluk baru agar mereka berbuat dosa lalu Allah akan mengampuni mereka.” Berkata Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Aku berkata: Wahai Rasulullah, daripada apa makhluk diciptakan? Rasulullah ﷺ menjawab: “Daripada air.” Kami bertanya: Syurga, apa bangunannya? Baginda menjawab: Bata daripada perak dan bata daripada emas, simennya minyak kasturi yang harum, tanahnya mutiara dan permata, debunya za’faran, barangsiapa memasukinya, dia bersenang-senang dengan tidak jemu, kekal, tidak mati, baju mereka tidak usang, kemudian mereka tidak lenyap.” Setelah itu baginda bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak; imam yang adil, orang puasa saat berbuka dan doa orang yang terzalimi, doanya diangkat di atas awan dan pintu-pintu langit dibukakan, Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: Demi keperkasaan-Ku, aku akan menolongmu meski setelah selang berapa lama.”
(Jami’ Tirmidzi No. 2449 dengan sanad yang sahih)

Walaupun begitu, hadith-hadith itu sebagai bayangan sahaja kepada kita kerana di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam sebuah Hadith Qudsi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَمِنْ بَلْهَ مَا قَدْ أَطْلَعَكُمْ اللَّهُ عَلَيْهِ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ } قَالَ وَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَقْرَؤُهَا مِنْ قُرَّاتِ أَعْيُنٍ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman; “Aku persiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas pada hati manusia.” Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Barangsiapa di antara kalian yang benaknya telah di perlihatkan, maka bacalah, jika kalian mahu: “Seorang pun tidak akan mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” Sajdah: 17.
(Sahih Bukhari No. 4319)

Syarah: perhatikan susunan hadith ini. Allah ﷻ sebut mata – telinga – hati. Kenapa ikut susunan ini? Kerana mata itu hanya dapat melihat di hadapan sahaja, maka ia terhad. Akan tetapi telinga dapat mendengar dari semua arah, maka ia lebih lagi daripada mata. Namun hati itu dapat membayangkan lebih lagi walaupun benda yang tidak pernah dilihat atau didengari. Allah ﷻ beritahu kita di sini, jangankan mata yang terhad dan telinga yang lebih luas itu tidak pernah lihat dan dengar keadaan di dalam syurga, hati yang lebih luas itu pun tidak akan dapat membayangkan syurga yang amat hebat itu.

 

الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَٰكِهُونَ

pada hari itu dalam kesibukan, lagi sangat gembira;

Mereka akan sibuk menikmati segala bentuk nikmat yang ada dalam syurga itu sampaikan tidak mahu melayan orang lain. Sepertimana zaman sekarang, sibuk sangat sampai kalau ada orang telefon pun tidak mahu angkat. Orang panggil pun tidak mahu jawab. Itulah maksud perkataan شُغُلٍ itu. Untuk lebih senang faham, bayangkan kanak-kanak sekarang yang bermain video game. Mereka akan tekun bermain video game sampaikan mereka tidak hiraukan keadaan sekeliling. Kadangkala emak panggil makan pun dia buat tidak kisah sahaja. Oleh kerana dek terlalu sibuk menikmati nikmat yang ada itu, ahli syurga yang di dalam شُغُلٍ itu tidak terkesan pun dengan penderitaan orang lain yang masuk ke dalam neraka. Mungkin yang masuk ahli keluarga mereka atau kenalan mereka, tetapi mereka tidak terkesan pun.

Kita di dunia pun sekali sekala sibuk juga, bukan? Dengan kerja hariannya, mengemas rumah dan segala macam hal. Namun adakah kesibukan kita itu menyenangkan? Tentu jarang menyenangkan, bukan? Adakah memenatkan? Tentu sekali! Maka sibuk di dunia tidaklah bagus, namun sibuk di syurga nanti adalah sesuatu yang sangat menyenangkan. Malah orang yang شُغُلٍ itu tidak terkesan dengan kebosanan langsung. Kerana kalau dalam dunia, orang yang tidak sibuk tiada kerja pun bosan juga, bukan? Sekiranya banyak kerja, lagilah bosan! Namun bagi ahli syurga yang di dalam شُغُلٍ itu menikmati syurga itu sendiri sudah menjadi aktiviti yang memenuhkan masa mereka sampai tidak sempat pun untuk merasa bosan walaupun sedikit.

Kenapa mereka sibuk? Kerana nikmat dalam syurga itu tidak berhenti-henti; akan ada sahaja benda baru yang lebih menarik daripada yang sebelumnya. Lagi hebat dan lebih hebat. Kalau di dunia ini, lama-kelamaan akan datang rasa bosan juga walaupun perkara yang kita lakukan itu perkara yang kita sangat minat, atau sekalipun memakan makanan yang paling digemari kerana ia adalah benda yang sama. Namun tidak akan ada bosan dengan nikmat di dalam syurga kerana ia bertambah baik dan bertambah hebat. Ini kita dapat tahu daripada Baqarah: 25

كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian daripada sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya)

Malah badan kita sedikitpun tidak berasa penat atau lelah untuk melakukan segala perkara itu. Kalau kita berjalan-jalan pergi melancong ke tempat peranginan serta berbelanja sakan pun penat juga, bukan? Akan tetapi badan tidak penat di syurga nanti. Makan pun tidak kenyang-kenyang maka asyik makan dan makan dan makan sahaja. Kenyang itu tidak bagus sebenarnya kerana ia menghadkan makanan yang kita boleh makan. Kerana itu Allah ﷻ menjadikan ahli syurga tidak kenyang-kenyang supaya  boleh makan dan makan lagi.

Kalimah فَٰكِهُونَ adalah jamak bagi kalimah فَاكِهٌ. Ia merujuk kepada kegembiraan yang di dalam hati dan juga dengan persekitaran. Ada orang yang walaupun suasana sekitarnya tidak seberapa, namun dia gembira; ada orang lain pula walaupun duduk di rumah yang indah dan mewah, tetapi hati tidak senang. Sebaliknya apabila digunakan kalimah فَاكِهٌ, persekitaran luar hebat, dalam hati pun ada taman. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada percakapan yang menyenangkan, senda gurau bersama-sama ahli syurga yang lain. Kerana ia menunjukkan memang hati sedang gembira sangat.

Macam kita juga kadang-kadang perlu menenangkan dan merehatkan ‘healing’ diri kita, akan pergi melancong atau berjalan-jalan keluar dari tempat tinggal kita. Memang dibenarkan dalam Islam pun (asalkan bukan ke negara orang kafir kerana itu adalah haram). Pada waktu itu kita suka dan sibuk bergembira, bukan? Akan tetapi apabila kita bercuti hanyalah beberapa hari sahaja, bukan? Allah ﷻ hendak beritahu, kenikmatan di syurga nanti adalah selama-lamanya. Sentiasa sahaja dalam seronok. Seperti bercuti selama-lamanya.

Begitulah ahli syurga nanti – sibuk menikmati segala pemberian Allah ﷻ dalam syurga. Dalam dunia, kita tidak digalakkan sibuk dengan hal-hal keduniaan sangat sampai melupakan hal agama. Kita kena pandai membahagikan masa supaya banyak masa kita untuk akhirat juga. Ada benda-benda yang lagha yang kita kena korbankan (tinggalkanlah benda-benda lagha itu). Di syurga nanti, kita akan dibalas atas pengorbanan kita itu. Apabila kita tinggalkan perkara yang membuang masa di dunia ini, Allah ﷻ akan membalasnya kepada kita nanti. Kita waktu itu tidak ada kerja, tidak ada ibadah, tidak ada perkara yang merunsingkan kita lagi.

Apabila sibuk dengan nikmat yang hebat dan berbagai, penghuni syurga itu tidak akan ingat anak isteri, ibu dan ayah yang mungkin ditakdirkan masuk neraka. Akan dibuang ingatan kepada mereka. Kerana kalau ingat, dia tidak akan bergembira. Ini tidak patut kerana syurga adalah tempat untuk menerima kegembiraan dan kalau ada teringat perkara yang menyedihkan, itu tidak patut.

Selain itu, akan dibuang juga daripada mereka perasaan dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Ini kerana kalau ada perasaan sebegitu, memang akan mengganggu nikmat, bukan?

Perkataan فَاكِهُونَ itu menerangkan tentang seseorang yang suka sangat sampai nampak pada wajahnya. Dia sibuk di dalam kesenangannya itu. Kerana sudah tidak ada tanggungjawab lagi kepadanya melainkan untuk menikmati syurga sahaja. Tidak ada ibadat lagi di sana. Tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan, hendak mencari duit, dan sebagainya.

Pernah tak kita pergi ke pasaraya untuk membeli keperluan kita? Bila kita sudah membeli barang, ada banyak lagi kita teringin beli tetapi duit tidak cukup. Maka setiap manusia berjuta kehendak dan keinginan yang belum Tuhan tunaikan. Mahu pergi jalan-jalan dan bermacam-macam lagi cita-cita kita. Rumah yang cantik juga hendak dimiliki tetapi tidak mampu. Semua itu belum ditunaikan. Bila masuk syurga, Allah ﷻ akan berikan apa sahaja yang kita inginkan sebelum ini, dan sibuk dia sebab nak itu dan ini. Macam kita dapat hadiah diberi kebenaran untuk mengambil apa sahaja dalam pasaraya. Tentu kelam kabut tidak menang tangan capai itu dan ini.

Ini juga adalah salah satu dalil untuk mengatakan memang syurga itu ada. Kerana kenapa Allah ﷻ jadikan manusia tetapi tidak memberikan segala keinginan mereka? Sentiasa tidak puas sahaja selama di dunia? Ini adalah kerana Allah ﷻ akan memuaskan hati mereka di syurga nanti.

Bagaimana dengan pakaian mereka? Orang lelaki tidak boleh memasuki syurga jikalau tidak diberi persalinan 70 lapis kain sutera. Di dunia dia tidak boleh pakai sebab lelaki haram memakai sutera. Kain sutera di syurga itu, tebal di dalam, nipis di luar. Sutera yang di dunia adalah cuma salinan daripada sutera yang di syurga. Diberi mahkota, gelang, loket dan wangi-wangian. Kemudian, dia akan dimandikan oleh malaikat. Barulah dimasukkan ke dalam syurga. Begitulah antara nikmat yang akan diberikan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 51 – 53 (Kebangkitan Semula)

Yaasin Ayat 51: Ayat 51 – 68 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang Kiamat, Syurga dan Neraka. Ini adalah bahagian ketiga dalam Surah Yaasin ini. Bahagian pertama membincangkan tentang Risalah. Bahagian kedua membincangkan tentang Tauhid. Sekarang bahagian ketiga membincangkan tentang Hari Akhirat.

Sebelum ini telah disebut tentang Tiupan Sangkakala pertama, ini adalah tiupan kedua.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَإِذا هُم مِّنَ الأَجداثِ إِلىٰ رَبِّهِم يَنسِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Horn will be blown;1 and at once from the graves to their Lord they will hasten.

  • For the second time, signaling the Resurrection.

(MELAYU)

Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.

 

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiupkan pada sangkakala;

Kalimah الصُّورِ diterjemahkan sebagai sangkakala atau trompet atau serunai. Dari segi bahasa, ia merujuk kepada sejenis alat tiupan, biasanya diperbuat daripada tanduk haiwan atau logam, yang menghasilkan bunyi yang kuat apabila ditiup. Namun yang dimaksudkan di dalam ayat ini tentulah bukan trompet yang dimainkan oleh ahli muzik itu.

Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda ﷺ yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ “‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏”‏
“Telah datang seorang Badwi kepada Nabi ﷺ, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 2430)

Yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiupan sangkakala yang kedua. Tiupan pertama telah disebut dalam ayat 49. Malaikat Israfil akan dihidupkan semula untuk meniupkan sangkakala sekali lagi. Sangkakala ditiupkan kali pertama untuk mematikan semua makhluk. Tiupan Sangkakala yang kedua ini ditiup untuk menghidupkan semula makhluk. Ini disebut dalam bahagian kedua daripada ayat Zumar: 68.

ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ
Kemudian ditiupkan sangkakala kedua, maka tiba-tiba mereka bangun berdiri menunggu perbicaraan.

Kita tidak tahu dengan pasti berapa lamakah jarak antara tiupan yang pertama dan kedua, kerana hadith tentangnya juga tidak berapa jelas,

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ‏”‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Lalu (selepas itu) Allah menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”
(Riwayat Bukhari No. 4651 dan Muslim No. 2955)

Syarah: Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sebab Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. Maksudnya, Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ enggan untuk menegaskan atau memastikan apakah empat puluh hari, empat puluh bulan, atau empat puluh tahun. Akan tetapi yang pasti adalah bahawa jaraknya empat puluh. Dikatakan juga bahwa jarak dua tiupan ini adalah di antara perkara yang tidak diketahui kecuali Allah ‎ﷻ. Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan,

ومعناه امتنعت من تبيينه لأني لا أعلمه فلا أخوض فيه بالرأي
“Maksudnya, aku tidak boleh menjelaskan, kerana aku tidak mengetahuinya. Maka aku tidak berbicara tentang hal itu hanya berdasarkan pendapat.” (Lihat Fathul Baari, 11: 370)

Perkataan نُفِخَ (ditiupkan) itu dalampast tense’, walaupun ia belum terjadi lagi. Ini adalah sebagai isyarat hendak mengatakan bahawa kejadian pasti akan berlaku.

Ada pendapat yang mengatakan tiupan Sangkakala itu ada 3 kali:

Tiupan pertama, disebut dengan nafkhotul faza’, iaitu tiupan yang menyebabkan terperanjat, kepanikan, atau terkejutnya seluruh makhluk. Tiupan ini juga menyebabkan perubahan dan rosaknya peraturan alam dunia. Tiupan pertama ini ditunjukkan oleh firman Allah ‎ﷻ,

وَيَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ
Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan mereka semua datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri.” (Naml: 87)

Tiupan kedua, disebut dengan nafkhotu ash-sha’qi, iaitu tiupan yang menyebabkan kematian seluruh makhluk.

Tiupan ketiga, disebut dengan nafkhotul ba’tsi wan nusyuur, iaitu tiupan dibangkitkannya seluruh makhluk.

Ada pun pendapat yang lebih kuat adalah seperti yang banyak kita fahami iaitu,

Tiupan Pertama: mematikan semua makhluk

Tiupan Kedua: menghidupkan semua makhluk

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dalam sebuah hadith yang panjang di dalamnya diceritakan,

… ثُمَّ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ، فَلَا يَسْمَعُهُ أَحَدٌ إِلَّا أَصْغَى لِيتًا وَرَفَعَ لِيتًا، قَالَ: وَأَوَّلُ مَنْ يَسْمَعُهُ رَجُلٌ يَلُوطُ حَوْضَ إِبِلِهِ، قَالَ: فَيَصْعَقُ، وَيَصْعَقُ النَّاسُ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللهُ – أَوْ قَالَ يُنْزِلُ اللهُ – مَطَرًا كَأَنَّهُ الطَّلُّ أَوِ الظِّلُّ – نُعْمَانُ الشَّاكُّ – فَتَنْبُتُ مِنْهُ أَجْسَادُ النَّاسِ، ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ أُخْرَى، فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ …
“ … Kemudian ditiuplah sangkakala. Tidak ada seorang pun yang mendengarnya kecuali dia memasang pendengarannya dan menjulurkan lehernya. Baginda bersabda, ‘Maka orang yang pertama kali mendengarnya adalah seseorang yang memperbaiki telaga untuk untanya.’ Baginda berkata, ‘Dia pun mati, dan orang-orang pun mati.’ Kemudian Allah mengirim –atau baginda berkata, ’Menurunkan’- hujan gerimis atau naungan –Nu’man (salah seorang perawi) ragu-ragu- yang daripadanya Allah menumbuhkan (membangkitkan) jasad-jasad manusia. Kemudian ditiuplah sangkakala yang kedua, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (putusannya masing-masing) …”
(Sahih Muslim No. 2940)

 

فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ

Maka tiap-tiap mereka keluar dari kubur masing-masing;

Iaitu kubur di Alam Barzakh. Kalau tidak ada kubur pun, mereka tetap akan dibangkitkan. Kalimah هُمْ (mereka) dalam ayat ini merujuk kepada mereka yang ingkar kepada dakwah para termasuk Nabi Muhammad ﷺ.

Perkataan الْأَجْدَاثِ adalah ‘kubur’ tetapi ia bukan kubur yang biasa. Ia adalah kubur yang terlalu lama, sampai orang tidak tahu wujudnya kubur itu. Orang yang lalu lalang di kawasan itu pun tidak tahu yang ia adalah kubur kerana ia sudah terlalu lama sampai tidak ada kesan kubur lagi. Maknanya orang tidak kisah tentang kubur itu kerana tidak ada kesan kubur pun padanya. Ini adalah kerana orang-orang yang sombong yang menyangka bahawa mereka adalah orang yang penting dan ada kedudukan dalam masyarakat dan mereka itu istimewa. Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu di sini bahawa mereka akan dilupakan terus. Kubur mereka pun orang tidak kenang pun. Tidak ada sesiapa yang ingat dan hormat pun kepada mereka. Selalunya kalau kubur orang-orang yang penting akan dijaga rapi, tetapi tidak berlaku kepada kubur mereka. Mereka sangka mereka penting, tetapi sebenarnya mereka akan jadi orang yang tidak dikenang orang pun. Oleh itu perkataan الْأَجْدَاثِ digunakan untuk menghina mereka.

Dikatakan semuanya akan bangun seperti cendawan tumbuh masa pagi. Semua malaikat, jin dan manusia akan bangkit tiba-tiba. Berapa ramai? Bayangkan bangun serentak semua makhluk yang dicipta semenjak  permulaan alam hingga ke sebelum waktu hampir terjadinya kiamat. Semuanya akan bangun dalam suasana gelap kerana tidak ada matahari lagi waktu itu. Mereka semua akan bergerak untuk ke Mahsyar (padang). Apabila sudah berada di situ, barulah Allah ‎ﷻ jadikan matahari. Mahsyar (tidak perlu disebut Padang Mahsyar kerana mahsyar itu sendiri sudah bermaksud ‘padang’) adalah sebuah tempat di mana matahari terletak hanya sebatu tinggi jaraknya daripada kepala kita. Ini kita dapat tahu melalui riwayat Al-Miqdad bin Al-Aswad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya: Rasulullah ﷺ bersabda:

تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُونَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيلٍ – قَالَ سُلَيْمٌ: لاَ أَدْرِي مَا يَعْنِي بِالْمِيلِ أَمَسَافَةَ الأَرْضِ أَمِ الْمِيلَ الَّذِي تُكْحَلُ بِهِ الْعَيْنُ – فَيَكُونُ النَّاسُ عَلَى قَدْرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ الْعَرَقُ إِلَى كَعْبَيْهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى حَقْوَيْهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ إِلْجَامًا – وَأَشَارَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِيَدِهِ إِلَى فِيهِ
“Pada hari Kiamat, matahari akan didekatkan kepada makhluk (manusia) hingga jaraknya sekitar satu mil. (perawi berkata: “Aku tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan mil, apakah jarak bumi ataukah alat untuk bercelak mata.”) Maka, manusia akan tenggelam dalam keringat mereka sesuai dengan kadar amal perbuatan mereka. Ada di antara mereka yang keringatnya sampai mata kaki, ada yang sampai lutut, ada yang sampai pinggang, dan ada pula yang keringatnya menenggelamkan mulutnya.” (Sambil Nabi ﷺ mengisyaratkan tangannya ke mulut baginda).

Maka kita sebenarnya akan bergerak dari tempat bangkit yang tiada matahari ke tempat yang ada matahari. Atau, dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Malaikat arahkan semua bergerak macam polis nanti.

 

إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Mereka akan bergerak dengan cepat kepada Pencipta mereka.

Perkataan يَنْسِلُونَ bermaksud ‘bergerak dengan cepat’. Ia merujuk kepada keadaan seseorang yang bergerak turun dari atas bukit. Orang sebegini akan bergerak dengan cepat dan mereka tidak ada pilihan lain selain bergerak ke hadapan. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka yang kelam kabut kerana diarahkan oleh para malaikat. Semua tidak berani jalan lenggang kangkung.

Perhatikan susunan dalam frasa ini. Susunan yang normal adalah يَنْسِلُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمْ. Akan tetapi apabila diawalkan kalimah إِلَىٰ di dalam frasa ini, ia membawa maksud eksklusif. Maknanya *hanya* kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka akan mengadap, tidak ada yang lain. Tidak ada kawan, tidak ada ibubapa, tidak ada peguam. Semua akan sendirian mengadap Allah ‎ﷻ dan tidak ada sesiapa yang akan membantu mereka. Ia amat menakutkan sekali. Ini kerana kalaulah kita kena mengadap polis, siapa yang kita akan bawa? Tentunya peguam kita atau sekurang-kurangnya kawan yang dapat beri sokongan kepada kita, bukan? Kalau mengadap berseorangan, ia lebih menakutkan. Namun begitulah Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita yang kita nanti akan dipertanggungjawabkan dengan tindakan kita dan tidak ada sesiapa yang boleh menolong dan menyelamatkan kita, kecuali amal kebaikan dan iman yang tulus murni sahaja.

Mereka tentunya sudah tahu apa yang mereka akan terima – azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Tentunya mereka tidak mahu bergerak ke hadapan. Akan tetapi mereka tidak ada pilihan lain. Oleh itu, kalimah يَنْسِلُونَ ertinya berjalan dengan cepat, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Ma’arij: 43:

يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ الأجْدَاثِ سِرَاعًا كَأَنَّهُمْ إِلَى نُصُبٍ يُوفِضُونَ
(iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia).

Orang yang beriman, akan keluar daripada anggota wudhu’nya cahaya yang menyuluh sepanjang perjalanan mereka. Golongan munafik pula tidak ada cahaya dan mereka akan sibuk meminta-minta lampu. “Tunggu! tunggu!”, mereka akan laungkan kepada orang beriman. Orang kafir memang akan terus berada dalam kegelapan.

Mereka yang muqarrabin (dekat dengan Allah ‎ﷻ) akan dibawa ke Mahsyar dengan menaiki kenderaan seumpama jet eksekutif. Dibawa ke Mahsyar dengan segala kesenangan. Akan dibawa berseorangan sahaja. Tidak bawa orang lain walaupun ruang kosong dalam kenderaan itu banyak lagi. Lepas itu ada yang akan naik kenderaan yang kurang sedikit kualitinya dan seterusnya semakin kurang kualiti. Kualiti kenderaan ini akan mengikut tingkatan amal dan iman mereka. Namun yang pentingnya, mereka masih naik kenderaan. Akhir sekali, akan ada yang pergi dengan berjalan kaki. Ada pula yang merangkak. Ada yang dengan lutut. Ada yang menyulur macam ular. Ada yang berjalan dengan muka mereka! Semua itu bergantung kepada amalan manusia itu semasa di dunia.

Semua sekali apabila sampai di Mahsyar, akan duduk berlutut di hadapan Tuhan. Dalam keadaan tunduk tidak berani untuk mengangkat muka. Ini ada diceritakan dalam Sajdah: 12

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صالِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.

Waktu itulah baru mereka hendak membuat amalan baik. Mereka berjanji kalau dapat balik ke dunia, mereka mahu membuat amalan lebih baik daripada Nabi sendiri beramal. Mereka memang beriman benar namun iman mereka sia-sia sahaja waktu itu. Iman tidak dikira apabila sudah mati. Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat seterusnya:

وَلَو شِئنا لَآتَينا كُلَّ نَفسٍ هُداها وَلٰكِن حَقَّ القَولُ مِنّي لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ
Dan kalau Kami menghendaki nescaya Kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk, akan tetapi telah tetaplah perkataan dari pada-Ku: “Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama”.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia boleh sahaja beri hidayat kepada semua manusia, semua manusia dan jin beriman belaka, tetapi sudah tetap keputusan-Nya untuk memenuhkan neraka dengan manusia dan jin. Maksudnya memang akan ada sahaja yang akan masuk neraka. Mereka tidak dibenarkan pulang, maka kenalah mereka merasakan azab yang mereka dulu ejek-ejek. Rasalah azab kerana mereka tidak kisah hal ugama pun masa di dunia dulu.


 

Yaasin Ayat 52: Apa kata mereka semasa mereka dikeluarkan dari kubur itu?

قالوا يٰوَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَّرقَدِنا ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “O woe to us! Who has raised us up from our sleeping place?” [The reply will be], “This is what the Most Merciful had promised, and the messengers told the truth.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”. Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

 

قالوا يٰوَيلَنا

Mereka berkata: alangkah celakanya kami;

Yang berkata adalah orang-orang kafir atau musyrikin yang ingkar kepada dakwah. Ini semasa mereka dikeluarkan dari kubur dan dikerah untuk bergerak ke Mahsyar. Mereka menyesali keadaan diri mereka sungguh waktu itu. Mereka sudah tahu yang mereka akan celaka. Mereka sudah tahu yang nasib mereka akan malang. Dulu mereka tidak sangka Kiamat dan akhirat itu akan terjadi dan mereka tidak buat persediaan. Nah! Sekarang mereka sudah nampak janji-janji itu sedang zahir benar-benar berlaku di hadapan mata mereka, maka tentulah mereka sudah takut.

 

مَن بَعَثَنا مِن مَّرقَدِنا

Siapakah yang mengejutkan kami dari tempat tidur kami!?;

Kata مَرْقَدِ diambil daripada kata dasar ر ق د yang menjadi الرُّقاد yang bermaksud ‘tidur-tidur ayam’. Tidur jenis yang tidak lena, tetapi ia adalah tidur yang sedap. Kalau orang gerakkan kita daripada tidur sebegitu, kita akan marah. Kerana tengah sedap tidur, ada orang kejutkan pula. Dikejutkan pula dengan cara keras, tentulah marah. Daripada الرُّقاد itu menjadi kalimah مَرْقَدِ yang bermaksud ‘tempat tidur’. Di sini ia bermaksud kubur mereka itu digelar sebagai tempat tidur oleh mereka.

Kenapa mereka kata begini? Kerana mereka rasa dulu semasa mereka dalam kubur, ia bagaikan sedang tidur sahaja. Mereka lupa bahawa mereka dulu berada di alam barzakh. Mereka memang dikenakan azab di dalam kubur, tetapi mereka sahaja tidak ingat. Macam kita bangun tidurlah juga, bukannya ingat malam tadi mimpi apa. Tidur berjam-jam tetapi kita rasa sekejap sahaja, bukan? Jadi ayat ini tidaklah menidakkan azab dalam kubur. Jangan kita sangka yang mereka tidur sahaja selama dalam kubur itu kerana azab kubur adalah benar. Memang ada golongan tertentu yang menolak adanya azab kubur dan kita katakan mereka itu terkeliru kerana azab kubur memang ada. Antara dalil yang ada adalah firman Allah ‎ﷻ di dalam Ghafir:45-46

وَحَاقَ بِـَٔالِ فِرۡعَوۡنَ سُوٓءُ ٱلۡعَذَابِ (٤٥) ٱلنَّارُ يُعۡرَضُونَ عَلَيۡہَا غُدُوًّا وَعَشِيًّ۬اۖ وَيَوۡمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدۡخِلُوٓاْ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ أَشَدَّ ٱلۡعَذَابِ (٤٦)
dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya, (45) Mereka didedahkan kepada bahang api Neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api Neraka yang seberat-beratnya! (46)

Rasulullah ﷺ telah mengajar kita untuk berlindung daripada azab kubur. Kalau azab itu tidak ada, kenapa pula baginda ajar untuk berlindung darinya?  Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْعُو: “اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ”
“Adalah Rasulullah ﷺ biasa berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, dan daripada azab neraka Jahannam, dan daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada keburukan fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.'”

Sahih Muslim (No. 588); Sahih Bukhari (No. 1377), dengan sedikit perbezaan lafaz, namun intinya sama.

Di dalam hadith yang lain, pernah Rasulullah ﷺ menceritakan tentang azab kubur kepada para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ. Hadith ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: “إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، ثُمَّ قَالَ: بَلَى، كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ”.
“Nabi ﷺ melewati satu dinding (atau kebun) daripada kebun-kebun di Madinah atau Mekah, lalu baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur mereka. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya kedua orang ini sedang diazab, dan keduanya tidak diazab kerana dosa besar (pada pandangan mereka).’ Kemudian baginda bersabda: ‘Bahkan (ini dosa besar), salah seorang daripada mereka tidak bersuci (membersihkan diri) daripada air kencingnya, dan yang seorang lagi suka mengadu domba (namimah)’.”
(Sahih Bukhari No. 216 dan Muslim No. 292)

Namun begitu, oleh kerana azab yang mereka akan alami selepas itu amat teruk, ia akan membuatkan mereka rasa azab yang mereka terima dalam kubur itu bagaikan sedang tidur sahaja. Kerana itulah mereka sudah mengeluh. Mereka tahu yang mereka akan dikenakan azab yang lebih dahsyat daripada apa yang mereka terima dalam kubur. Ini kerana azab di dalam kubur itu hanya muqaddimah kepada azab di akhirat. Dalam Rum:55-56 ada disebut tentang perkara ini:

وَيَوۡمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُقۡسِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ مَا لَبِثُواْ غَيۡرَ سَاعَةٍ۬‌ۚ كَذَٲلِكَ كَانُواْ يُؤۡفَكُونَ (٥٥) وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ لَقَدۡ لَبِثۡتُمۡ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡبَعۡثِ‌ۖ فَهَـٰذَا يَوۡمُ ٱلۡبَعۡثِ وَلَـٰكِنَّڪُمۡ كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٥٦)
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya daripada memperkatakan yang benar). (55) Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal menurut yang terkandung dalam Kitab Allah sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya). (56)

Maka begitulah nanti mereka akan kebingungan dan dalam ketakutan apabila mereka dikejutkan daripada tidur mereka yang lama di dalam kubur. Akan tetapi ini bukanlah kali pertama mereka digerak, bukan? Bukankah telah datang para Rasul kepada manusia yang telah menggerakkan mereka seperti disebut di dalam ayat 6 dahulu?

لِتُنذِرَ قَومًا مّا أُنذِرَ آباؤُهُم فَهُم غٰفِلونَ
Agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapa-bapa mereka belum pernah diberi peringatan, kerana itu mereka lalai.

Oleh kerana tidak mengambil endah peringatan itu, maka sekarang mereka jadi takut kerana mereka tahu selepas ini mereka akan kena lebih teruk lagi. Mereka marah dan bertanya-tanya siapakah yang gerak mereka untuk menghadapi suasana yang lebih teruk lagi daripada ‘tidur’ mereka dalam alam kubur itu.

 

هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ

inilah dia hari yang dijanjikan oleh Tuhan Rahman;

Siapakah yang berkata sebegini? Tidak dapat dipastikan akan tetapi ulama’ berpendapat ia sama ada oleh golongan penentang itu sendiri, atau rakan-rakan mereka atau para malaikat. Kalau malaikat yang berkata, maka kalimat ini dikatakan kepada mereka sebagai menambah azab mereka untuk menambah penyesalan kepada mereka. Inilah hari pembicaraan di Mahsyar. Dulu sudah diberitahu kepada kamu semasa kamu di dunia dulu. Dulu kamu tidak percaya, bukan? Nah, sekarang ia sudah ada di depan mata kamu.

Atau ia boleh dikatakan oleh para penentang itu sendiri sebagai penyesalan mereka. Sekali lagi kalimah الرَّحْمَٰنُ digunakan untuk merujuk kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya mereka kenal Allah ‎ﷻ yang digelar dengan nama lain sebagai الرَّحْمَٰنُ kerana telah banyak diingatkan kepada mereka semasa mereka hidup. Maknanya mereka sudah dengar ancaman yang diberikan kepada mereka, cuma dahulu mereka tidak percaya. Maka sekarang  mereka menyesal sangat. Rupanya betul apa yang telah diberitahu kepada kita dahulu!

Mungkin juga mereka menyebut nama الرَّحْمَٰنُ kerana mengharap Allah ‎ﷻ bersifat raheem kepada mereka dengan menyebut sifat-Nya itu. Sedangkan semasa mereka hidup dahulu mereka tidak mengakui nama itu seperti disebut di dalam Furqan: 60

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اسجُدوا لِلرَّحمٰنِ قالوا وَمَا الرَّحمٰنُ أَنَسجُدُ لِما تَأمُرُنا وَزادَهُم نُفورًا ۩
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Sujudlah kamu sekalian kepada yang Maha Penyayang”, mereka menjawab: “Siapakah yang Maha Penyayang itu? Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami(bersujud kepada-Nya)?”, dan (perintah sujud itu) menambah mereka jauh (daripada iman).

Banyak kali sifat الرَّحْمَٰنُ disebut dalam Surah Yaasin ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita tentang segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ yang Maha Pemurah itu. Allah ‎ﷻ mahu kenangkan dengan jasa-Nya – maka taatlah kepada Allah ‎ﷻ. Salah satu jasa yang rahmat adalah memberi ingat kepada kita tentang ancaman-ancaman hari Kiamat dan Akhirat nanti. Oleh kerana Allah ‎ﷻ itu bersifat rahman, maka Dia telah beritahu kepada makhluk sejak hidup di dunia lagi tentang azab di Akhirat.

Maka Allah ‎ﷻ tidaklah sebutkan satu persatu siapa yang bercakap (malaikatkah yang bercakap, atau manusia itu bercakap) kerana Allah ‎ﷻ menggunakan kaedah ‘iijaaz‘ – iaitu memendekkan ayat Al-Qur’an tetapi dengan memberi makna yang tinggi. Ini kita akan dapat tahu apabila kita belajar tafsir. Memang kalau kita baca novel zaman sekarang, ia akan tulis: “Ahmad berkata:” atau “Guru berkata:” dan memang ini mudah, tetapi penulisan akan menjadi panjang. Dengan menggunakan kaedah ini, kita boleh memahami bahawa siapa yang berkata tidak penting, tetapi yang penting adalah pengajarannya.

 

وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ

Maka benarlah kata Rasul;

Memang Rasul dan para pendakwah sebelum ini telah memberitahu bahawa Hari Kebangkitan ini pasti akan berlaku dan ia merupakan keadaan yang amat menakutkan. Cuba bayangkan keadaan masa itu. Bayangkan kita sedang memandu di lebuhraya, tiba-tiba seluruh polis dan JPJ dengan kenderaan dipasang semua lampu. Semua mereka beratur di tepi jalan. Agak-agaknya kita akan pandu laju? Bayangkan pula lagi keadaan alam akhirat nanti, dengan malaikat berpusing di atas kita semua sekali. Memang keadaan amat mengerikan pada waktu itu. Waktu itu kita akan nampak rupa sebenar para malaikat termasuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dikatakan sayapnya sahaja 600 bilangannya serta malaikat-malaikat yang lain. Semuanya kita akan nampak. Syaitan dan jin pun kita nampak. Tidak takut lagikah waktu itu?

Tuhan akan keluarkan sifat Jamal (keras) Dia. Sampaikan semua Nabi-Nabi pun dalam ketakutan juga. Adakah kita berani untuk bercakap pada masa itu? Tidak akan ada sesiapa yang berani. Kita semua akan senyap duduk dalam ketakutan. Waktu itulah baru mereka mengaku bahawa apa yang telah disampaikan oleh Nabi, Rasul dan pendakwah itu adalah benar. Dahulu mereka menolak dan tidak menerima kata-kata para Rasul dan pendakwah, tetapi sekarang mereka mengiyakannya.


 

Yaasin Ayat 53:

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً فَإِذا هُم جَميعٌ لَّدَينا مُحضَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It will not be but one blast, and at once they are all brought present before Us.

(MELAYU)

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

 

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وٰحِدَةً

Sesungguhnya tempikan sangkakala itu tidak lain hanya sekali pekikan sahaja;

Sekali laung sahaja, bukan macam Cina jual suratkhabar: pet, pet, pet. Sekali lagi perkataan صَيْحَةً وٰحِدَةً digunakan dalam ayat ini untuk menunjukkan begitu mudahnya Allah ‎ﷻ hendak mengambil nyawa makhluk dan kemudian menghidupkan semua makhluk sekali lagi. Kalimat صَيْحَةً وٰحِدَةً ini bukanlah tiupan yang lain pula akan tetapi pengulangan sahaja untuk menekankan mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk mengejutkan semua makhluk. Tidak perlu pun Allah ‎ﷻ susah-susah buat proses yang berbagai-bagai. Dengan sekali tempik sahaja, semua akan dihidupkan semula dan mereka semua akan bergerak ke tempat yang Allah ‎ﷻ arahkan (Mahsyar).

 

فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

maka tiba-tiba mereka kesemua sekali ke sisi Kami akan dihadapkan.

Semua sekali makhluk akan dibawa mengadap Allah ‎ﷻ di Mahsyar. Semua akan taat walaupun mereka itu semuanya degil semasa di dunia dahulu. Semua pergi dengan segera dengan sekali tempik sahaja daripada Allah صَيْحَةً وٰحِدَةً. Bandingkan dengan kita yang tempik anak kita untuk bangun tidur pun belum tentu sekali tempik mereka akan bangun. Entah berkali-kali kita kena jerit baru mereka bangun.

Semua akan bergerak ke Mahsyar untuk menunggu perbicaraan. Perhatikan kalimah yang digunakan adalah جَمِيعٌ yang memberi isyarat bahawa semua akan bergerak serentak sekaligus, bukannya ikut kelompok-kelompok yang berpecah-pecah.

Manakala kalimah yang digunakan adalah لَدَيْنَا dan bukannya عِندَنا seperti yang selalu digunakan. Kedua-dua boleh diterjemahkan ‘di sisi Kami’. Akan tetapi apabila لَدَيْنَا yang digunakan, ia memberi isyarat yang kejadian itu adalah sesuatu yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita kerana ia di luar jangkaan kita.

Kalimah yang digunakan adalah مُحْضَرُونَ iaitu di dalam bentuk pasif. Ia bermaksud semua akan dihadapkan, dihadhirkan bukan dengan sukarela. Kerana kalau kita ada buat salah, takkan kita hendak serah diri kepada polis, bukan? Waktu itu kita semua akan dibicarakan. Apa sahaja perbuatan kita di dunia ini nanti akan dikira. Seperti juga pengiraan akauntan yang menjaga keluar masuk wang syarikat, kita semua akan dikeluarkan dengan segala rekod segala perbuatan kita selama di dunia.

Malah, pengiraan di mahkamah Allah ‎ﷻ lebih ketat lagi. Kalau kita dapat mendalami pemahaman bahawa apa sahaja perbuatan kita di dunia akan diambil kira, maka kita akan lebih berhati-hati dalam segala amalan kita. Ingatlah tentang kisah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan anak penjual susu. Begitulah seorang yang beriman, walaupun manusia tidak nampak, mereka sedar bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan segala perbuatan kita.

Tidaklah dapat dibayangkan dek akal kita yang cetek ini tentang kejadian di Mahsyar itu kelak. Kita hanya dapat agak-agak sahaja, itu pun sudah menyesakkan fikiran dan dada kita. Ia sudah tentu satu keadaan yang mengerikan jikalau kita adalah orang yang banyak dosa. Maka moleklah kalau kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ setiap hari: ‘Ya Allah, Engkau akan memanggil kami untuk menghadap-Mu di Mahsyar nanti. Semoga kami dijauhkan daripada kemurkaan-Mu pada hari itu’.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Bab berkenaan Hajat

Bagaimana kalau kita ada hajat untuk minta kepada Allah? Di dalam Kitab Hadis Jami’ Tirdmizi, telah disebutkan bab mengajarkan umat Islam bagaimana untuk memohon kepada Allah.

Hadis dari Abdullah bin Abi Aufa RA:

Teks Arab: حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلاَنَ قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ قَالَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ، وَلْيُسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ لْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ لْيُثْنِ عَلَى اللَّهِ، وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ لْيَقُلْ: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.”

Terjemahan: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar menemui kami lalu bersabda: ‘Barangsiapa yang memiliki keperluan kepada Allah atau kepada salah seorang dari anak Adam (manusia), maka hendaklah dia berwuduk dengan sempurna, kemudian solat dua rakaat. Setelah itu, hendaklah dia memuji Allah, berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia)

سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (Maha Suci Allah, Tuhan Arasy yang agung)

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. (Ya Allah, aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, dan ketetapan-ketetapan keampunan-Mu, serta keuntungan dari setiap kebaikan, dan keselamatan dari setiap dosa. Janganlah Engkau biarkan bagiku satu dosa pun melainkan Engkau mengampuninya, dan janganlah Engkau biarkan satu kesusahan pun melainkan Engkau melonggarkannya, dan janganlah Engkau biarkan satu hajat pun yang Engkau redhai melainkan Engkau tunaikannya, wahai Tuhan yang Maha Pengasih di antara para pengasih.)'”

Nombor Hadis: Hadis ini terdapat dalam Sunan At-Tirmizi, Kitab Solat (باب ما جاء في صلاة الحاجة), Hadis No. 479.

Status Hadis Ini

Mengenai derajat hadis ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama hadis:

  • Imam At-Tirmizi sendiri setelah meriwayatkan hadis ini menyatakan: “هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ” (Ini adalah hadis gharib – hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja pada satu tingkatan sanad). Beliau juga menambah: “وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ، وَلَيْسَ هَذَا بِصَحِيحٍ.” (Dalam sebahagian naskhah, hadis ini tidak sahih).
  • Sebahagian ulama, seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Ibnu Al-Jauzi, dan lain-lain, cenderung menganggap hadis ini dhaif (lemah), terutamanya kerana terdapat perawi bernama Abu Ishaq As-Sabi’i yang mukhtalit (bercampur hafalannya di akhir hayat) dan syi’i (syiah) yang mungkin mempengaruhi riwayatnya.
  • Namun, sebahagian ulama lain, seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani, menyatakan bahawa ia boleh digunakan (hasan li ghairihi) jika ada sokongan dari riwayat lain, terutamanya untuk fadhail a’mal (keutamaan amal ibadah), walaupun tidak sampai ke taraf sahih.
  • Syaikh Al-Albani dalam Dha’if Sunan At-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai dhaif jiddan (sangat lemah).

 

Kesimpulan

Hadis tentang solat hajat yang paling sering dirujuk dalam Jami’ At-Tirmizi adalah hadis dari Abdullah bin Abi Aufa RA ini. Walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai kesahihannya (kebanyakan cenderung mendhaifkan), amalan solat sunat dua rakaat untuk memohon hajat kepada Allah adalah disepakati keharusannya secara umum.

Konsep memohon kepada Allah melalui solat dan doa adalah inti dari ajaran Islam, sebagaimana firman Allah: “Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat” (Baqarah:45). Jika seseorang ingin menunaikan solat hajat, lebih baik berpegang pada konsep solat sunat mutlak dua rakaat dengan doa yang umum, daripada terlalu bergantung pada hadis yang diragui kesahihannya.

Dan tidak perlulah sampai buat berjemaah kerana ia bid’ah. Dan lebih teruk apabila orang kita buat Solat Hajat Perdana. Ini sudah bertambah teruk bid’ahnya. Dan lebih memalukan dan menampakkan kejahilan, adalah buat di tempat tertentu. Contohnya ada yang hendak buat jambatan, solat di tempat buat jambatan itu; ada musibah di selekoh jalanraya, buat solat hajat berjemaah di situ pula. Seolah-olah hendak ajar Allah, ha di sinilah tempat yang kami berhajat diselamatkan itu. Saya tulis juga tentang kritikan terhadap Solat Hajat Berjemaah ini di tempat yang lain.

Tidak pernah disebut oleh Nabi atau para sahabat tentang solat yang dinamakan solat Hajat. Di dalam Jami’ Tirdmizi juga ianya tidak dinamakan sebagai ‘Solat Hajat’. Cuma masyarakat Islam sebelah sini yang suka memberikan nama kepada ibadah-ibadah mereka. Di dalam Jami Tirdmizi ini baginda Nabi hanya menyebut supaya dilakukan solat dua rakaat tanpa memberikan nama ‘Solat Hajat’ kepada solat itu.

Solat ini dilakukan secara bersendirian. Tidak pernah di dalam sirah Nabi menceritakan bahawa baginda pernah melakukan solat Hajat berjemaah seperti yang banyak dilakukan oleh umat Islam di Malaysia ini. Orang kita berlebihan sangat, anak hendak peperiksaan pun buat solat hajat berjemaah. Sedangkan Nabi dan para sahabat hendak berperang pun tidak buat.

Sekian, terima kasih, Allahu a’lam.