Tafsir Surah Yunus Ayat 41 – 44 (Ada yang datang kelas bukan hendak belajar)

Yunus Ayat 41: Allah ‎ﷻ ajar apa yang perlu dikatakan kepada mereka yang tetap menolak setalah diberikan dengan dakwah Al-Qur’an.

وَإِن كَذَّبوكَ فَقُل لّي عَمَلي وَلَكُم عَمَلُكُم ۖ أَنتُم بَريئونَ مِمّا أَعمَلُ وَأَناْ بَريءٌ مِّمّا تَعمَلونَ

Sahih International

And if they deny you, [O Muhammad], then say, “For me are my deeds, and for you are your deeds. You are disassociated from what I do, and I am disassociated from what you do.”

Malay

Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: “Bagiku amalku, dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan”.

 

وَإِن كَذَّبُوكَ

Dan jika mereka mendustakanmu,

Sekiranta para penentang wahyu dan tauhid itu masih lagi menolak, setelah sekian lama diberikan dakwah dan penerangan yang jelas, katakan kepada mereka:

 

فَقُل لِّي عَمَلِي

maka katakanlah: “Bagiku amalku,

Ini adalah jawapan akhir. Katakan kepada mereka: “Aku akan terus melakukan amalanku yang berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah. Aku akan bertanggungjawab kepada amalan yang aku lakukan sendiri.” Maknanya, kita akan yang mengamalkan amalan yang benar, tidak kira apa kata-kata mereka.

Apa yang lebih penting, kita akan mendapat balasan kebaikan daripada amalan yang soleh dan sunnah itu. Untuk mendapat pahala, kena amalkan sendiri. Tidaklah boleh berharap pahala sedekah daripada oranglain setelah kita mati. Ini jelas disebut dalam Najm: 39

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Untuk mendapat pahala atas amalan itu, ia mestilah amal yang soleh, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Tinggalkan amalan yang bid’ah. Sekiranya tidak pasti sama ada sesuatu amalan itu soleh atau tidak, maka tinggalkan dahulu sehingga mendapat dalil tentang amalan itu.

 

وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ

dan bagi kamu pula amal kamu.

Terpulang kepada kamu untuk melakukan amalan syirik dan amalan bid’ah kamu. Kamu nanti yang akan bertanggungjawab dengan amalan yang kamu lakukan, bukan kami. Kamu akan menerima kesan daripada amalan-amalan kamu semasa di dunia. Kami telah sampaikan ajakan dakwah, tetapi kamu masih tidak mahu terima kerana degil.

Ayat ini mengajar kita yang apa-apa sahaja yang kita lakukan, kita akan mendapat kesan dan balasannya. Kalau kita berbuat baik, ya orang yang menerima kebaikan itu pun dapat kebaikan itu, tetapi kita pun dapat kesannya dan akan mendapat pahala; begitu juga kalau kita zalim kepada orang, ya orang itu mungkin terseksa tetapi kita pun akan dikenakan kesannya dan mendapat dosa. Apa-apa pun, kita tetap menerima kesannya sama ada di dunia dan pasti di akhirat nanti.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut amalan kita. Kita juga tidak boleh menghalang orang untuk beramal ikut cara yang dia hendak buat. Kadangkala kita sudah terangkan sesuatu amalan itu bid’ah dan patut ditinggalkan, tetapi mereka tetap juga mahu melakukannya. Maka kita berhenti setakat itu sahaja kerana kita hanya boleh tegur sahaja, tidak semestinya tunggu mereka terima.

 

أَنتُم بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ

Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan,

Perkataan بَرِيئُونَ berasal daripada katadasar ب ر أ yang bermaksud ‘berlepas diri’, ‘tidak bertanggungjawab’, ‘tidak kena mengena’. Maknanya, mereka tidak bertanggungjawab dengan amalan yang kita lakukan. Mereka tidak ada kena mengena. Mereka tidak mahu ikut.

Maknanya mereka tidak ada saham dalam pahala yang kita dapat. Tidak kisahlah sama ada kerana satu bangsa, dalam keluarga yang sama, atau apa-apa sahaja. Sendiri amal, sendiri akan dapat pahalanya.

 

وَأَناْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

dan aku berlepas diri akan apa yang kamu kerjakan”.

Kita juga tidak bertanggungjawab dengan amalan mereka. Mereka yang menanggung sendiri hasil daripada amalan mereka. Kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai. Memang tidak boleh sertai majlis yang ada elemen syirik dan bid’ah. Kita kena tinggalkan, jangan hirau apa yang orang kata. Kalau ada juga yang tanya, jawab: “Maaf, aku tak sertai majlis bid’ah” dan kemudian terus pergi, jangan tunggu jawapan dia.

Mereka sendiri yang akan menanggung dosa itu kerana manusia lain tidak menanggung dosa orang lain. Sendiri buat, sendiri tanggung seperti disebut di dalam Fatir: 18

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ

Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.

Oleh kerana ia adalah perkara penting, disebut sekali lagi di dalam Fussilat: 46

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Malah terdapat satu lagi ayat yang kita semua tahu iaitu Kaafiroon: 6

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

Begitu juga disebut dalam Baqarah: 139

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu, dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

Maka ayat-ayat ini menceritakan tentang kesan daripada amalan. Kita mestilah mengingatkanmereka yang kalau mereka buat amalan salah mereka itu, mereka akan mendapat bahaya. Walau bagaimanapun bukanlah bermakna ayat-ayat ini memberi lampu hijau kepada orang lain untuk membuat apa yang mereka hendak buat. Ada orang sangka begitu. Mereka kata tidak perlu ganggu dan dakwah kepada orang lain kerana bagi mereka fahaman mereka dan bagi kita fahaman kita, masing-masing beramallah, kubur pun masing-masing…. Maaf ya, ini adalah tafsiran salah. Ayat-ayat ini sebenarnya adalah ancaman kepada mereka yang tidak mahu beramal dengan kebenaran.

Maka sekiranya mereka tetap tidak mahu beramal, maka kita hendaklah berlepas diri daripada mereka. Namun adakah ini bermakna kita terus berlepas diri kepada mereka yang menolak agama? Kalau begitu, tidak perlu dakwah lagi kepada mereka. Mereka tidak mahu sahaja terima, atau mereka lain pegangan dengan kita, kita terus katakan: “hidup kau, hidup kau, hidup aku, hidup aku, tak campur”. Tidaklah begitu. Kita katakan seperti dalam ayat ini kepada orang tertentu sahaja. Iaitu kepada mereka yang berterusan menolak walaupun telah banyak kali kita dakwah kepada mereka. Seboleh-bolehnya kita teruskan dakwah kepada mereka selagi boleh.

Kita juga katakan ayat ini kepada mereka yang hanya mahu berdebat dengan kita sahaja. Mereka hanya suka melawan sahaja. Kepada mereka sebegini, barulah kita katakan sebegini kepada mereka. Ini kerana perbuatan bertegang leher dengan mereka sehingga berlarutan lamanya hanyalah membuang masa sahaja lebih-lebih lagi kalau kita sudah nampak mereka bukannya mahukan kebenaran. Kadangkala kita boleh mengagak orang itu boleh terima atau tidak. Kalau nampak seperti memang jenis degil teruk sangat, maka biarkan mereka dengan amalan dan fahaman karut mereka.


 

Yunus Ayat 42: Ayat Zajrun (teguran). Ini adalah tentang orang-orang yang tidak akan mendapat hidayah. Kerana apa agaknya mereka jadi begitu?

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعونَ إِلَيكَ ۚ أَفَأَنتَ تُسمِعُ الصُّمَّ وَلَو كانوا لا يَعقِلونَ

Sahih International

And among them are those who listen to you. But can you cause the deaf to hear, although they will not use reason?

Malay

Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikit pun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka itu, ada yang datang untuk dengar-dengar kamu sahaja

Memang ada yang datang untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka hanya datang untuk ‘dengar-dengar’ sahaja ajaran Nabi ﷺ. Tentulah yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an kerana itulah apa yang selalu dibacakan oleh baginda. Mereka dengar, tetapi kemudian tidak beriman. Tidak semestinya mereka yang dengar itu akan beriman.

Mereka dengar secara zahir sahaja. Bukannya dengar kerana hendakkan kepada kebenaran. Begitulah juga dengan kebanyakan masyarakat kita. Mungkin mereka ada dengar tentang kelas tafsir, maka mereka datang untuk ‘dengar-dengar’ sahaja. Mereka datang bukannya kerana hendak mendapat ilmu atau untuk mendapat kebenaran.

Mereka bukannya datang untuk belajar tetapi mereka lebih kepada hendak siasat sama ada apa yang diajar itu betul ataupun tidak. Kononnya, mereka lebih tahu tentang agama. Kalau begini perangai mereka, mereka tidak akan beroleh kebenaran. Sebagai contoh, golongan penyembah kubur pun membaca Al-Qur’an setiap hari, namun tidak mendapat hidayah kerana mereka tetap hanya mahu mendengar dan mempercayai kata-kata daripada mulut sheikh mereka sahaja. Bukannya mereka benar-benar mahu mencari kebenaran daripada Al-Qur’an pun.

Perkataan يَسْتَمِعُونَ berasal daripada katadasar س م ع yang bermaksud ‘mendengar betul-betul’. Bagaikan serius sahaja mendengar kata-kata seseorang tetapi sebenarnya mereka berlakon sahaja.

 

أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ

Adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar,

Allah ‎ﷻ ibaratkan mereka sebagai ‘orang yang pekak’. Mereka itu bukanlah betul-betul pekak ‘Pekak’ di sini adalah mereka mendengar dengan telinga mereka, tetapi bukan mendengar betul-betul. Bukan mereka mendengar kerana hendak mencari kebenaran. Mereka nampak sahaja macam mendengar, tetapi tidak.

Walaupun kita kata apapun kepada mereka mereka tidak akan mendengar dan mengambil pengajaran kerana telinga mereka telah tertutup (secara maknawi). Ini adalah kerana niat mereka sendiri bukannya hendak mencari kebenaran. Mereka datang mendengar supaya nanti mereka boleh beritahu kepada orang lain bahawa mereka sudah dengar ajaran Sunnah itu, tetapi ia tidak ada apa-apa, kata mereka. Teruk sekali mereka itu seperti Allah ‎ﷻ sebut dalam Isra’: 46

وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي آذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرآنِ وَحدَهُ وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

Ayat-ayat ini adalah sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Baginda menyalahkan diri baginda apabila umatnya tidak mahu beriman. Baginda takut cara dakwah baginda yang silap. Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang ia bukan salah baginda kerana baginda tidak boleh pun paksa mereka dengar. Baginda hanya boleh sampaikan. Begitu jugalah dengan kita yang menjalankan dakwah ini. Kita tidak boleh paksa manusia, kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk mendapat hidayah, hendaklah berikantelinga kita dahulu untuk mendengar apa yang disampaikan oleh manusia yang mengajak kepada kebenaran. Jangan terus tolak, tetapi dengar dahulu. Allah ﷻ telah tegur mereka yang tidak mendengar dalam Anfal: 21-23

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم ۖ وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُّعرِضونَ

Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu).

Lihatlah berat sekali perumpamaan yang Allah ﷻ berikan kepada orang yang tidak mahu mendengar kebenaran. Allah ﷻ sifatkan mereka seperti binatang! Allah ﷻ beritahu yang jikalau mereka ada ikhlas di dalam hati mereka untuk mencari kebenaran, pasti Allah ﷻ beri mereka dengar dan faham (bukan dengar sahaja).

 

وَلَوْ كَانُوا لَا يَعْقِلُونَ

Sedangkan mereka orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal.

Mereka sendiri tidak mahu menggunakan akal mereka untuk mencari kebenaran. Mereka ada otak, tetapi tiada akal. Atau, ada akal tetapi tidak mahu menggunakannya. Mereka ini adalah seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah:171

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Dan bandingan orang-orang ingkar (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara pekikan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; mereka tidak menggunakan akal mereka.

Lihatlah bagaimana mereka diibaratkan oleh Allah ﷻ seperti binatang sahaja. Boleh mendengar, tetapi tidak faham apa kita katakan.


 

Yunus Ayat 43: Kalau tadi tentang pendengaran, sekarang disebut tentang penglihatan pula.

وَمِنهُم مَن يَنظُرُ إِلَيكَ ۚ أَفَأَنتَ تَهدِي العُميَ وَلَو كانوا لا يُبصِرونَ

Sahih International

And among them are those who look at you. But can you guide the blind although they will not [attempt to] see?

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya seperti orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).

 

وَمِنْهُم مَّن يَنظُرُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada engkau

Ada juga golongan Musyrikin Mekah itu yang datang duduk bertemu dengan Nabi ﷺ. Mereka mendengar sendiri dakwah yang diberikan oleh baginda. Ataupun kalau mereka tidak bertemu dengan Nabi ﷺ, mereka ada melihat Nabi ﷺ dari kejauhan bagaimana Nabi ﷺ menyampaikan dakwah. Maknanya mereka tahu sendiri bagaimana akhlak baginda tetapi mereka tidak juga mahu beriman.

Kebanyakan manusia ada yang langsung tidak mahu datang ke kelas agama atau kelas tafsir Al-Qur’an tetapi ada juga yang datang menghadiri. Namun begeitu mereka datang itu hanya untuk ‘tengok-tengok’ sahaja. Mungkin mereka hendak melihat suasana kelas dan hendak mengetahui sama ada ramai atau tidak yang datang ke kelas.

Mungkin ada yang diajak kenalan atau ahli keluarga yang telah datang dan mereka hendak ‘tengok-tengok’ sama ada kawan dia belajar ‘ilmu sesat’ pula. Maknanya, mereka datang bukan dengan kehendak hati sendiri. Ataupun selepas datang sekali dua, mereka tidak datang lagi.

Orang yang sebegini berkemungkinan besar tidak akan beriman kerana mereka datang hanya untuk tengok-tengok sahaja, bukan kerana memang niat mereka hendak belajar. Walau bagaimanapun, ada juga yang datang sekali dan terus minat untuk datang lagi. Ini kerana apa yang mereka nampak itu adalah kebenaran yang mereka cari-cari selama ini. Ia semuanya bergantung kepada hati mereka.

Dalam ayat ini disebut mereka melihat Nabi ﷺ. Bagaimanakah cara mereka melihat Nabi ﷺ? Cara manusia melihat orang lain pun berbeza-beza. Ada yang kita lihat dengan perasaan suka dan ada yang kita lihat orang dengan perasaan benci. Perasaan benci itu boleh kelihatan pada air muka kita.

Maka, mereka yang melihat Nabi ﷺ itu tidaklah semestinya melihat dengan rupa yang suka. Kemungkinan besar mereka melihat dengan rupa yang benci. Sebagaimana puak bid’ah yang melihat ahli Sunnah sekarang. Mereka lihat kita dengan perasaan benci sahaja kerana tidak bersetuju dalam banyak perkara.

 

أَفَأَنتَ تَهْدِي الْعُمْيَ

Adakah engkau boleh menunjuk jalan kepada orang yang buta?

Kalau ada orang yang buta bertanyakan jalan kepada kita dan kita tunjuk jalan itu dengan tangan kita, bolehkah orang buta itu nampak? Tentu tidak boleh.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ sifatkan mereka yang telah bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ dan telah melihat bagaimana akhlak baginda tetapi masih lagi tidak beriman, diibaratkan seperti mereka yang buta. Bukanlah mata mereka betul-betul buta, tetapi hati mereka yang buta seperti yang disebut dalam Hajj: 46

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Oleh itu, tidakkah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala mereka yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Mereka ada telinga dan mereka ada mata tetapi mereka tidak menggunakan kedua-duanya untuk menerima hidayah. Allah ‎ﷻ telah beri kepada manusia fakulti-fakulti deria untuk mendapatkan hidayah. Namun mereka sendiri yang tidak menggunakannya.

Maknanya, hidayah sudah sampai kepada mereka, tetapi mereka sahaja tidak mahu terima. Oleh itu jangan salahkan Allah ‎ﷻ jikalau tidak mendapat hidayah kerana hidayah telah sampai pun, tetapi mereka yang tidak menerimanya. Ini perlu disebut kerana ada orang yang menyalahkan Qada’ dan Qadar kerana tidak mendapat hidayah.

Mereka kata mereka tidak beriman sebab Allah ‎ﷻ sudah takdirkan mereka tidak beriman. Mereka salahkan Allah ‎ﷻ pula, sedangkan mereka yang bersalah. Itu adalah pendapat yang salah kerana kita telah ada penglihatan dan dakwah telah diberikan kepada kita, tetapi yang tidak beriman itu adalah kerana mereka menolak hidayah itu.

Hidayah itu akan diberikan kepada mereka yang MAHUKAN hidayah. Iaitu mereka yang dalam hati mereka mahu mencari kebenaran. Tidak kira sama ada mereka itu asalnya orang Islam ataupun tidak. Mereka yang lahir dalam agama bukan Islam tetapi memeluk Islam adalah kerana dalam hati mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran.

 

وَلَوْ كَانُوا لَا يُبْصِرُونَ

kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat.

Hidayah yang di depan mata mereka pun mereka tidak mahu lihat jika memang mereka tidak mahu kepada kebenaran. Untuk jenis seperti ini, susah kita hendak tolong sebab mereka sendiri tidak mahu ditolong. Allah ‎ﷻ tidak bersalah kalau masukkan mereka ke dalam neraka.


 

Yunus Ayat 44: Adakah Allah ‎ﷻ zalim kerana memasukkan orang-orang yang degil itu ke dalam neraka?

إِنَّ اللَّهَ لا يَظلِمُ النّاسَ شَيئًا وَلٰكِنَّ النّاسَ أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Sahih International

Indeed, Allah does not wrong the people at all, but it is the people who are wronging themselves.

Malay

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا

Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun,

Tidaklah Allah ‎ﷻ menzalimi manusia dengan tidak memberi hidayah kepada manusia. Allah ‎ﷻ sentiasa memberi hidayah, tetapi sama ada manusia terima atau tidak, sahaja. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan mana yang manusia hendak ambil.

Allah ‎ﷻ tidak memaksa manusia dan jin untuk beriman. Hal ini berbeza sekali dengan malaikat yang semuanya hanya taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak ada pilihan untuk tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Namun sekiranya manusia memilih hendak menjadi sesat, Allah ‎ﷻ akan biarkan mereka membuat pilihan sendiri selama mereka di dunia. Namun di akhirat kelak, mereka akan dikenakan azab. Itu adalah janji Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak mengenakan azab yang tidak sepatutnya ke atas hamba-Nya. Jikalau azab dikenakan, itu kerana ia memang layak dikenakan ke atas mereka. Ini pasti kerana Allah ‎ﷻ telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya, maksudnya Allah ‎ﷻ tidak pernah, dan tidak akan zalim selama-lamanya. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ‏ “‏ إِنِّي حَرَّمْتُ عَلَى نَفْسِي الظُّلْمَ وَعَلَى عِبَادِي فَلاَ تَظَالَمُوا

Abu Dharr melaporkan Rasulullah (ﷺ) mengatakan bahawa dia melaporkannya daripada Tuhannya, Yang Maha Agung dan Maha Suci:
“Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan hamba-hamba-Ku, maka janganlah kamu melakukan kezaliman.”

(Sahih Muslim (2577))

 

وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

akan tetapi manusia jualah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allah ‎ﷻ tidak menzalimi makhluk-Nya. Namun makhluk-Nya yang tidak menerima hidayah yang telah disampaikanlah yang menzalimi diri mereka. Oleh kerana dengan tidak menerima hidayah itu, mereka akan hidup dalam dosa dan apabila mati nanti, mereka akan diazab. Itulah yang dinamakan zalim kepada diri sendiri. Merekalah yang mesti menanggung sendiri seperti disebut dalam Isra’:17

مَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۚ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang menanggung tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Lihat kalimah يَظْلِمُونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang menjadi isyarat bahawa manusia selalu dan sentiasa menzalimi diri sendiri.

Lagi satu, susunan ayat ini juga mengandungi isyarat. Dalam kaedah bahasa Arab, sepatutnya susunannya adalah يَظْلِمُونَ أَنفُسَهُمْ akan tetapi Allah ‎ﷻ ubah susunannya menjadi أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ dengan didahulukan kalimah أَنفُسَهُمْ. Ini tidak salah, tetapi tidak biasa digunakan sebegini. Ia disusun sebegini kerana hendak menekankan أَنفُسَهُمْ (diri-diri mereka) itu. Iaitu Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang manusia sebenarnya apabila berlaku zalim, mereka sebenarnya menzalimi diri mereka, bukannya orang lain. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana mereka sangka yang dizalimi itu adalah orang lain.

Ya itu pun benar. Namun di akhirat kelak orang yang dizalimi itu akan mendapat pengadilan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka boleh menuntut hak mereka daripada orang yang menzalimi mereka. Maka yang menerima kesan buruk akhirnya adalah orang yang menzalimi itu.

Allah ‎ﷻ banyak mengingatkan tentang kezaliman umat-umat terdahulu yang menolak dakwah daripada Rasul mereka. Allah ‎ﷻ juga sebut mereka telah menzalimi diri mereka dengan menolak kebenaran itu. Semua itu menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak menjadi seperti mereka. Contohnya Allah ‎ﷻ sebut dalam Tawbah: 70

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبراهيمَ وَأَصحابِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكاتِ ۚ أَتَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ ۖ فَما كانَ اللَّهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Kalau lambat mengambil hidayah itu pun sudah zalim. Bukan hanya menolak sahaja. Ini kerana kalau tidak ambil dengan segera pun sudah salah. Ditakuti Allah ‎ﷻ tutup hati sampai bila-bila. Dalam banyak ayat Allah ‎ﷻ sebut suruh kita bersegera. Maka jangan tangguhkan, apabila sampai hidayah pada kita, terus ambil sahaja. Allah ‎ﷻ sebut dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi,

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya 

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Sambutan Mawlid Nabi adalah bidaah dholalah

MENILAI SAMBUTAN MAULID

======================
Abu Bakar RA memerintah selama 2 tahun, dan tidak pernah beliau merayakan Maulid sedangkan beliau adalah Ash-Shiddiq umat ini, dan yang menemani Rasulullah SAW di Gua Thur.
======================
Umar RA memerintah selama 10 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah al-Faruq dan panduan umat ini.
======================
Uthman RA memerintah selama 13 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah suami kepada 2 puteri Rasulullah SAW, orang melakukan hijrah sebanyak 2 kali, dan yang paling tebal malunya dikalangan umat ini.
======================
Ali RA telah memerintah selama 4 tahun, dan tidak juga beliau merayakan Maulid, sedangkan beliau adalah sepupu Rasulullah SAW dan suami kepada ketua wanita syurga (puteri Rasulullah SAW).
======================
Al-Hasan RA telah memerintah selama 6 bulan, dan tidak juga merayakan Maulid sedangkan beliau ialah cucu Rasulullah SAW dan ketua pemuda ahli syurga.
======================
Selama pemerintahan Muawiyah RA, beliau juga tidak pernah merayakan Maulid sedangkan beliau adalah “raja” yang terbaik dari kalangan “raja-raja Islam”.
======================
Kemudian datanglah Kerajaan Umayyah yang di dalamnya terdapat Umar bin Abdul Aziz, serta Kerajaan Abbasiyyah yang di dalamnya terdapat Harun al-Rashid, dan mereka semua turut tidak merayakan Maulid.
======================
Mereka, sekalian ulama’ Islam, para pencinta Rasulullah SAW yang sebenar, tidak pernah merayakan Maulid Rasulullah sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, sedangkan merekalah golongan yang paling berilmu dan memahami agama dan kitab Allah. Bagaimana tidak, merekalah golongan Hamalatul Qur’an dan perawi kepada atsar?
======================
Kami berkata, “Sekiranya (sesuatu amalan itu adalah) baik, maka nescaya golongan ini telah mendahului kami (dalam melakukannya)”.
======================
Dan kami ingin mengungkapkan juga kata-kata Imam Malik, “Sesuatu yang tidak menjadi amalan agama pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, maka sehingga hari ini ia juga bukan merupakan amalan agama”.
======================
Telah diketahui juga, bahawa tidaklah Rasulullah SAW itu berpindah ke alam kedua (kematian) melainkan Allah telah menyempurnakan agama ini untuknya, dan ini adalah nikmat Allah yang sangat besar buat kamu.
======================
Baginda Rasulullah SAW telah memperingatkan kepada kita dalam sunnahnya agar menjauhi segala perkara baru dalam agama, atau melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda mahupun para sahabat.
======================
Ketahuilah olehmu – semoga Allah merahmati kamu – sesungguhnya sepanjang 3 kurun terbaik umat ini, mereka sama sekali tidak mengenali apa itu perayaan Maulid, dan dengan itu ketahuilah bahawa ia adalah satu perbuatan bid’ah. Ia direka cipta semasa era Kerajaan Fatimiyyah (di Mesir) semasa dipimpin oleh al-Mu’iz li dinillah (penolong agama Allah), sedangkan sebenarnya dia adalah al-Mudhil li dinillah (penghina agama Allah).

Kerajaan Fatimiyyah ini adalah kerajaan Syiah. Maka, sambutan Mawlid adalah ‘Sunnah Syiah’.
======================
Semasa dia memimpin, dia memimpin dengan menampilkan segala ciri kafir bawwah (yang mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam) dan kefasikan yang jelas. Dia menghalalkan arak dan segala kemaluan (melalui nikah pelacuran – mut’ah), sepertimana juga dia telah mengisytiharkan bahawa dia keluar daripada mengikut golongan salaf, mencaci dan mengkafirkan sahabat, serta seluruh tokoh-tokoh Islam. Si celaka inilah yang juga merupakan orang pertama yang merayakan Maulid. Dia telah mencipta 6 Maulid: Maulid Nabi, Maulid Fatimah, Maulid Ali, Maulid Hasan, Maulid Husain, dan Maulid untuk dirinya sendiri.
=====================
Kemudian, datanglah golongan jahil dari kalangan umat Islam yang meneruskan tradisi rekaan golongan Fatimiyyah ini secara buta tuli. Ketahuilah, tidak terdapat sebarang dalil agama yang menyokong golongan penyambut Maulid ini. Apa yang ada hanyalah nas-nas yang mereka salah fahami, atau atsar yang tidak sahih. Jika ada yang sahih, maka di situ sebenarnya tiada apa yang menyokong mereka. Ini
adalah kesilapan besar sebahagian orang Islam semasa yang berlawanan dengan fatwa ulama’-ulama’ besar yang telah pun memutuskan bahawa sambutan Maulid ini adalah bid’ah.
=====================
Kami ingin bertanya kepada golongan penyambut Maulid ini dengan 3 pertanyaan, dan kami benar-benar berharap agar mereka menjawapnya:
=====================
1) Merayakan Maulid ini adalah satu ketaatan kepada Allah atau maksiat kepadaNya?
=====================
Sudah tentu mereka akan berkata “Ketaatan”. Jika mereka mengatakan ia adalah maksiat, maka dengan mudah semuanya selesai.
=====================
2) Baik, jika kamu mengatakan “Ia adalah ketaatan dan kamu akan mendapat pahala dengannya”, maka adakah Rasulullah SAW sendiri mengetahuinya atau tidak?
=====================
Jika kamu berkata “Tidak”, maka sungguh kamu adalah golongan celaka kerana mendakwa Nabi teragung sebagai jahil, dan ini adalah kesesatan yang nyata.
=====================
Jika kamu berkata “Baginda mengetahuinya”, maka ketika itu kami ingin berpindah ke soalan yang ketiga iaitu:
=====================
3) Jika kamu mengatakan “Ia adalah amalan ketaatan yang diketahui oleh Rasulullah SAW”, maka adakah baginda pernah menyampaikannya kepada umatnya?
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda tidak menyampaikannya”, maka ini adakah puncak kejelekan kerana dengannya datang bersama tuduhan “Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu daripada risalah Allah”, sedangkan Allah telah berfirman, {Wahai Rasul (Muhammad SAW), sampaikan segala yang Allah turunkan kepadamu dalam risalah. Jika kamu tidak menyampaikannya, siapa lagi yang akan menyampaikan risalahNya?}”.
=====================
Jika kamu mengatakan “Baginda telah menyampaikannya”, maka kami katakan, “Bawakan dalil. Dimana contoh daripada salaf yang mereka melakukannya? Adakah semua dalil daripada sahabat, tabi’in dan at-ba’ tabi’in sepanjang kurun-kurun yang mulia ini telah hilang? Dan tiada siapa yang meneruskan tradisi ini daripada mereka kecuali para najis-najis Fatimiyyah?
=====================
Jika ia sedemikian rupa, maka kami dengan yakin mengatakan ia adalah bid’ah yang direka. Ini bahkan turut disertakan bersama pelbagai kemungkaran besar dan kecil yang berlaku di dalamnya dengan sangkaan merayakan Maulid? Semoga Allah memberi pertolonganNya kepada umat ini.

Bacaan Tambahan.

Tafsir Surah Yunus Ayat 37 – 40 (Cabaran buat surah seperti Al-Qur’an)

CABARAN DARI AL-QUR’AN

Yunus Ayat 37: Sebelum ini telah disebut manusia yang berpegang kepada sangkaan sahaja. Perbuatan ini berbahaya kerana ada kemungkinan tidak benar. Maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang Al-Qur’an iaitu sumber utama hukum bagi kita. Golongan agamawan atau orang awam sekali pun, tetap wajib kena faham Al-Qur’an.

وَما كانَ هٰذَا القُرءآنُ أَن يُفتَرىٰ مِن دونِ اللَّهِ وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَتَفصيلَ الكِتٰبِ لا رَيبَ فيهِ مِن رَّبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

And it was not [possible] for this Qur’an to be produced by other than Allah , but [it is] a confirmation of what was before it and a detailed explanation of the [former] Scripture, about which there is no doubt, from the Lord of the worlds.

Malay

Dan bukanlah Al-Qur’an ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

 

وَمَا كَانَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan bukanlah Al-Qur’an ini

Allah ﷻ sekarang fokus kepada Al-Qur’an pula. Allah ﷻ sedang memberitahu kepada kita tentang Al-Qur’an kerana ia amat penting untuk keluar daripada fahaman kesyirikan. Terlalu banyak ilmu yang disampaikan di dalamnya. Amat rugi apabila orang kita buat tidak endah sahaja tentang ilmu tafsir Al-Qur’an. Sudah semakin banyak kelas pengajian tafsir dan tadabbur sekarang, Alhamdulillah. Namun masih ramai lagi yang tidak menyertainya. Semoga Allah ﷻ buka pintu hati mereka dan kita.

 

أَن يُفْتَرَىٰ مِن دُونِ اللَّهِ

sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain daripada Allah;

Al-Qur’an itu tidak mungkin boleh direka oleh makhluk. Tidak boleh dibuat oleh makhluk yang lemah akalnya. Ia pasti hanya daripada Allah ﷻ. Jika ia bukan daripada Allah ﷻ, tentulah ada banyak kekeliruan dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini. Tentulah ada kesalahan di mana-mana.

Akan tetapi kita yang belajar Al-Qur’an ini, tidak pernah ditemui lagi bahagian manakah yang salah dalam Al-Qur’an ini. Sememangnya kita tidak akan menemuinya kerana ia adalah daripada Allah ﷻ. Ia adalah Kalam Allah ﷻ.

 

وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

Al-Qur’an membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya,

Sebelum Al-Qur’an diturunkan, telah ada kitab-kitab terdahulu daripada Kalam Allah ﷻ iaitu kitab samawiyah seperti Taurat, Injil dan Zabur. Sama sahaja perkara berkenaan akidah dan tauhid yang terkandung dalam kitab dulu dan Al-Qur’an. Al-Qur’an membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab tersebut.

 

وَتَفْصِيلَ الْكِتٰبِ

dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum dalam kitab terdahulu;

Banyak topik-topik yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan Al-Qur’an memperjelaskannya lagi. Ini kerana kitab-kitab itu telah banyak yang diubah dan ajaran Nabi yang terdahulu telah banyak ditukar. Maka Al-Qur’an datang memperbetulkan ajaran agama.

Lagi satu maksud, ia memperjelaskan tentang hukum-hukum agama yang penting. Perincian mestilah didapati daripada pembelajaran Hadith, akan tetapi perkara utama telah disentuh di dalam Al-Qur’an.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu

Tidak ada mana-mana ayat yang bercanggah antara satu sama lain. Semuanya bertepatan dan saling menyokong serta menguatkan maklumat yang diberikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain. Maklumat yang ada dalam Al-Qur’an tidak mungkin diketahui oleh makhluk. Ada perkara yang telah lama diberitahu oleh Al-Qur’an berzaman dahulu dan hanya baru berjaya diterokai pada abad moden ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam masa 23 tahun. Walaupun diturunkan dalam masa yang lama, tetap tidak ada kekeliruan dalam Al-Qur’an. Sama sahaja topik dan hukum yang diberikan dari mula sampai habis. Tidak ada pertukaran hukum daripada satu ayat ke ayat yang lain.

Cuba bandingkan dengan kita yang menulis sebuah esei dan kita mengambil masa seminggu, tentulah akan ada banyak perubahan yang kita lakukan kerana sekejap kita berfikir begini, kemudian sekejap kita akan berfikir lain pula. Sebaliknya dengan Al-Qur’an, walaupun Al-Qur’an itu diturunkan dalam masa 23 tahun sedikit demi sedikit, tidak ada percanggahan atau pertukaran informasi yang diberikan kerana ia adalah daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak keliru dan berubah fikiran sebagaimana kita makhluk yang lemah ini.

Maka jangan sesekali berasa ragu dengan ajaran yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Adakah anda ada ragu dengan Al-Qur’an? Apakah tanda anda tidak meraguinya? Kalau tidak ada ragu, maka anda sepatutnya menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pedoman hidup anda setiap hari untuk setiap sudut dari pagi sehingga ke malam hari. Kalau anda tidak hiraukan, apakah maksudnya? Tepuk dada dan tanyalah iman anda.

 

مِن رَّبِّ الْعٰلَمِينَ

datangnya daripada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Al-Qur’an itu datangnya daripada Allah ﷻ, bukan daripada makhluk. Allah ﷻ yang telah menjadikan kita dan Dia yang Maha Berkuasa. Dia tahu apa yang kita perlukan maka dianugerahkan kepada kita Al-Qur’an yang hebat ini. Maka, jangan kita ambil sambil lewa sahaja Al-Qur’an ini. Ia adalah panduan hidup kita yang diberikan oleh yang menjadikan kita.

Sekiranya kita ada menerima sepucuk surat yang diposkan kepada kita, tidaklah begitu penting untuk kita tidak baca pun. Namun Al-Qur’an ini telah diberikan khas kepada kita, daripada Allah ﷻ, maka kita kena baca dengan teliti. Kalau kita buat tidak hirau sahaja tentangnya, maka ia menunjukkan ada masalah iman di dalam hati kita.


 

Yunus Ayat 38: Ayat Syikayah (Allah ﷻ sebut semula kata-kata golongan kafir).

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِسورَةٍ مِّثلِهِ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Or do they say [about the Prophet], “He invented it?” Say, “Then bring forth a surah like it and call upon [for assistance] whomever you can besides Allah , if you should be truthful.”

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an”.

Antara hujah Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an adalah dengan mengatakan yang Al-Qur’an itu bukannya daripada Allah ﷻ tetapi daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Mereka kata Nabi ﷺ reka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak ada hujah untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka terpaksa beri berbagai-bagai hujah untuk merendahkan martabat Al-Qur’an dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Antaranya mereka tuduh yang Al-Qur’an itu rekaan baginda sahaja.

Kalau difikirkan dengan akal yang sihat, hujah ini langsung tidak boleh diterima. Mana mungkin baginda boleh mendapat maklumat tentang:

1. Cerita umat dahulu dan Nabi mereka
2. Tentang masa hadapan yang belum berlaku
3. Tentang perkara ghaib yang baginda sendiri tidak nampak?

 

قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu,

Ini adalah jawapan balas dan cabaran yang Allah ﷻ berikan kepada mereka yang tidak percaya bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ dan kata Nabi Muhammad ﷺ menghasilkan sendiri Al-Qur’an itu. Jika mereka kata yang manusia boleh hasilkan Al-Qur’an, sepertimana mereka menuduh Nabi Muhammad ﷺ mengadakan sendiri Al-Qur’an itu, maka cubalah mereka buat sendiri sebuah surah yang sama dengan Al-Qur’an. Tidak perlu banyak, buat sebuah surah sahaja.

Tentulah kalau ikut logik akal, mereka pun boleh buat juga, kerana kalau Nabi Muhammad ﷺ itu orang Arab, mereka pun orang Arab juga. Nabi Muhammad ﷺ pula bukan penyair, tetapi mereka terdiri daripada ramai penyair yang pandai dan terkenal. Sudah tentulah lebih baik lagi surah yang mereka boleh buat. Hah! Maka, silalah hasilkan sebuah surah yang sama hebat juga.

Maka cubalah kamu buat kalau boleh. Namun syaratnya بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ surah yang mereka reka itu mestilah mempunyai ciri-ciri Al-Qur’an juga. Mereka boleh buat surah yang pendek tetapi mestilah sedap dibaca, tidak jemu walau dibaca berulang kali dan mestilah juga ada pengajaran di dalamnya. Bukanlah seperti puisi yang hanya sedap didengari tetapi tidak ada pengajaran yang bermakna.

 

وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ

dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu mampu panggil, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu),

Kemudian jika mereka berasa mereka tidak boleh buat berseorangan sahaja surah seperti Al-Qur’an itu, maka mereka boleh ajak sesiapa sahaja yang mereka boleh ajak untuk menjadi pasukan komiti mereka untuk mencipta surah yang sama seperti yang ada di dalam Al-Qur’an. Ajak sahaja tok syeikh kamu, penyair-penyair kamu, ahli fikir kamu dan sesiapa sahaja.

Kalau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ boleh buat Al-Qur’an itu seorang diri, maka tentulah kalau mereka ramai, mereka boleh buat Al-Qur’an yang lebih baik daripada apa yang Nabi Muhammad ﷺ buat. Hah! Maka buatlah sebuah surah yang sama juga.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Kalau kamu rasa kamu betul, maka buatlah sebuah surah yang sama seperti yang ada dalam Al-Qur’an itu. Jangan cakap-cakap sahaja, tetapi tunjuklah yang manusia pun boleh buat ayat-ayat Al-Qur’an.

Cabaran ini Allah ﷻ ulang di dalam Baqarah: 23

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Dalam Surah Baqarah ini, Allah ﷻ cabar untuk dibawakan مِّن مِّثْلِهِ (yang seperti Al-Qur’an). Sebab Baqarah adalah Surah Madaniah (surah sebelum Hijrah), maka sudah dikurangkan cabaran itu. Sedangkan dalam surah Yunus (surah selepas Hijrah) yang diturunkan di Mekah ini, cabarannya adalah dibawakan sebuah surah yang benar-benar sama dan setanding serta mempunyai ciri-ciri seperti Al-Qur’an.

Akan tetapi setelah sekian lama cabaran itu diberikan seperti di dalam Surah Baqarah dan mereka yang menolak masih tidak mampu untuk menghasilkan sebuah surah yang sebanding, maka Allah ﷻ merendahkan cabaran dengan mencabar kitab yang ‘seperti’ Al-Qur’an sahaja, tidak sama sangat pun tidak mengapa. Ini kita dapat tahu kerana ada penambahan harf من di dalamnya. Namun itu pun mereka tidak mampu buat.

Mereka dimalukan dengan penurunan cabaran itu. Ini seolah-olah Allah ﷻ berkata: “Kalau kamu tak boleh buat banyak ni, buatlah sikit lagi.” Sementara ayat yang dalam Surah Yunus pun sebenarnya sudah dimudahkan lagi cabarannya kerana dalam Hud: 13, cabarannya adalah 10 buah surah:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Adakah mereka boleh buat? Tentu tidak, seperti yang disebut dalam Baqarah: 24

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Allah ﷻ beritahu sekali lagi dalam Isra’: 88

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

Tidak mungkin makhluk boleh menghasilkan ayat-ayat Al-Qur’an yang lain selain daripada yang dihasilkan oleh Allah ﷻ. Walaupun seluruh generasi manusia dan seluruh generasi jin bersatu padu untuk membuatnya.

Allah ﷻ mencairkan lagi cabaran-Nya dalam Thur: 34 di mana Allah ﷻ mengatakan kalau mereka tidak boleh buat sebuah Al-Qur’an, atau sepuluh buah surah, atau hanya sebuah surah pun, maka sekurang-kurangnya bawalah sepatah perkataan yang agak-agak serupa seperti Al-Qur’an.

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُوا صَادِقِينَ

(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata seperti Al-Qur’an itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.

Al-Qur’an itu adalah satu mukjizat daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Macam-macam sifat yang terdapat pada Al-Qur’an itu yang melayakkannya dipanggil mukjizat. Salah satu mukjizat Al-Qur’an yang kita belajar di sini adalah, Al-Qur’an itu tidak boleh ditiru. Tidak boleh dibuat oleh makhluk pun, walau hanya satu ayat yang sama seperti sifat Al-Qur’an yang dibuat oleh Allah ﷻ.

Oleh itu, cabaran ini amat hebat sebenarnya kerana ia mematahkan hujah lawan. Kita lawan hujah mereka dengan hujah yang lain, bukannya kita maki dan caci mereka. Dikatakan ramai juga yang cuba untuk mencipta tulisan yang seperti Al-Qur’an namun sampai sekarang kita tidak dengar mana-mana daripada mereka yang berani untuk mengeluarkan surah ciptaan mereka kepada umum. Tentu mereka takut untuk dikritik kerana pasti apa sahaja yang mereka cipta itu tidak akan sama dengan Al-Qur’an.


 

Yunus Ayat 39: Kenapakah manusia menolak Al-Qur’an?

بَل كَذَّبوا بِما لَم يُحيطوا بِعِلمِهِ وَلَمّا يَأتِهِم تَأويلُهُ ۚ كَذٰلِكَ كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمينَ

Sahih International

Rather, they have denied that which they encompass not in knowledge and whose interpretation has not yet come to them. Thus did those before them deny. Then observe how was the end of the wrongdoers.

Malay

Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Qur’an yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).

 

بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ

Bahkan mereka mendustakan Al-Qur’an kerana fahaman mereka tidak dapat meliputinya dengan ilmu pengetahuan mereka,

Mereka tidak tahu langsung tentang Al-Qur’an tetapi mereka sudah tolak awal-awal lagi. Cepat sangat mereka menolak tanpa benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Manusia memang memusuhi apa yang mereka tidak ketahui. Kalau mereka tahu, mereka akan jatuh cinta. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, “Tak kenal maka tak cinta”.

Orang-orang kafir ramai yang menolak agama Islam dan menolak Al-Qur’an tanpa mereka sendiri pernah membaca Al-Qur’an itu. Sampai ada yang benci sangat sampai hendak buat kempen membakar Al-Qur’an. Padahal jikalau ditanya kepada mereka, adakah pernah mereka membaca Al-Qur’an dan mempelajari Al-Qur’an, mereka akan kata tidak pernah lagi.

Macam orang kita juga yang ramai amat jahil tentang Al-Qur’an. Memang mereka kenal apakah Al-Qur’an itu. Mereka tahu membaca Al-Qur’an itu memang bagus. Mereka pun mungkin setiap hari membaca Al-Qur’an tetapi mereka tidak belajar tafsir, maka mereka sebenarnya tidak ada ilmu pun tentang Al-Qur’an. Kemudian apabila diberitahu apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu, mereka kehairanan. Mereka tidak sangka yang pegangan mereka selama hari ini amat berlainan dengan apa yang ada di dalam Al-Qur’an!

Mereka kata tidak sama seperti apa yang mereka faham tentang agama. Mereka kata mereka tidak pernah dengar ajaran seperti itu. Sudah sememangnya mereka tidak pernah dengar sebab mereka tidak pernah belajar. Yang mereka belajar adalah dengan guru-guru yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an.

Apabila mereka tidak biasa dengar, maka mereka tolak. Mereka kata kita tafsir salah pula. Padahal mereka tidak pernah belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an. Sebab itu mereka bungkam apabila kita tanya semula: “Kalau aku tafsir ini salah, jadi apa tafsir yang sebenarnya?” Mereka terus menolak mentah-mentah kerana mereka tidak pernah dengar.

 

وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ

dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya.

Kalimah تَأْوِيلُ bermaksud ‘interpretasi’. Ia juga bermaksud ‘penjelasan’. Perkataan تَأْوِيلُ berasal daripada katadasar أ و ل (awal, asal) iaitu bermaksud ‘balik ke asal’. Oleh itu, perkataan تَأْوِيلُ bermaksud ‘pulang kepada maksud yang asal’. Maka ia bermaksud tafsiran kepada Al-Qur’an.

Ia juga bermaksud ‘apabila sesuatu itu terjadi seperti yang dikatakan’. Ia adalah natijah di mana dikatakan kalau menentang, akan dikenakan dengan azab. Namun ia belum datang lagi, bukan? Al-Qur’an banyak menyebut tentang perkara yang akan terjadi. Apabila ia benar-benar terjadi, itu adalah تَأْوِيلُ kepada ayat itu. Ini bermaksud, mereka telah menolak Al-Qur’an itu sebelum perkara yang Al-Qur’an kata akan terjadi belum terjadi.

Maknanya, mereka terburu-buru menolak. Menolak kerana perkara yang disebut di dalamnya belum berlaku lagi. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah selalu bertanya kepada Nabi, bilakah Hari Kiamat. Nabi ﷺ akan menjawab yang baginda tidak tahu, kerana memang baginda tidak tahu. Disebabkan Nabi ﷺ jawab begitu, mereka jadikan itu sebagai alasan untuk tidak beriman. Sedangkan kejadian itu memang belum berlaku lagi, bukan?

Mereka juga tidak nampak lagi kejayaan Nabi Muhammad ﷺ dan Islam seperti yang dijanjikan oleh Al-Qur’an. Maka mereka tidak mahu beriman, kerana apa yang disebut dalam Al-Qur’an belum benar-benar berlaku di hadapan mata mereka lagi

Musyrikin Mekah juga selalu mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan azab kepada mereka. Walau bagaimanapun azab tidak terus diturunkan kepada mereka maka mereka makin besar kepala dan terus tetap tidak mahu beriman. Maknanya, mereka tidak beriman kerana mereka tidak dikenakan azab.

Sementara orang kita pula tidak beriman dengan Al-Qur’an kerana mereka tidak tahu takwil Al-Qur’an itu. Mereka memang sudah belajar agama tetapi mereka belum benar-benar faham lagi tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak tadabbur Al-Qur’an itu. Untuk tadabbur, pertamanya kena belajar tafsir Al-Qur’an terlebih dahulu. Allah ﷻ telah mengutuk golongan kafir dan munafik yang tidak tadabbur Al-Qur’an di dalam Nisa’: 82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ

Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

‘Tadabbur’ adalah membaca ayat Al-Qur’an dan memikirkan maknanya, mengambil pengajaran daripadanya. Bukan hanya baca sahaja dan tahu terjemahan sahaja kerana kalau baca terjemah sahaja, tidak akan nampak keindahan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau orang kafir dan munafik pun dikutuk kerana tidak tadabbur Al-Qur’an, maka sama jugalah kalau orang Islam pun tidak tadabbur.

Kalau tidak belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an, sudah tentu pengetahuan agama seorang Muslim itu tidak kemas. Tidak kira sama ada mereka telah belajar di Mesir atau mana-mana tempat pun. Mereka yang belum habis belajar tafsir sepatutnya tidak patut lagi mengajar kerana mereka akan ajar ajaran yang salah disebabkan mereka sendiri pun belum beres lagi agama mereka. Akan tetapi begitulah sikap manusia. Mereka malas untuk tadabbur Al-Qur’an kerana kalau buat, mereka terpaksa meninggalkan kehendak nafsu mereka yang ternyata mereka tidak mahu tinggalkan. Hati mereka ini telah tertutup seperti Allah ﷻ sebut dalam Muhammad: 24

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها

Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Kita terpaksa sebut di sini kerana banyak alasan puak bid’ah yang berbunyi: “Ustaz itu dan ini telah belajar di Mesir, tentulah dia tahu”. Ingatlah bahawa ‘belajar di Mesir’ bukanlah dalil yang mengatakan seseorang itu sudah pandai, sudah pasti berada di jalan yang benar. Yang benar adalah mereka yang boleh memberi dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, tidak kiralah sama ada dia belajar di Malaysia, Pakistan, India atau Madinah sekalipun.

Maka janganlah terburu-buru menolak dalil yang diberikan daripada Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Sekiranya ada tafsir ayat Al-Qur’an yang tidak sama dengan fahaman agama kita, maka janganlah terus menolaknya. Fikirkan dahulu dan berdoalah kepada Allah ﷻ untuk memberikan pemahaman kepada kita.

 

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan

Sebelum Musyrikin Mekah lagi, telah ada kaum-kaum yang menolak agama Allah ﷻ, yang telah menolak Nabi-Nabi mereka. Yang mereka dustakan adalah wahyu dan umat Nabi Muhammad ﷺ pula mendustakan Al-Qur’an.

Sebelum golongan musyrik dan bid’ah zaman sekarang menentang ajakan dakwah sunnah, telah ramai lagi golongan yang menolak sebelum mereka semenjak zaman berzaman lagi. Bukan mereka sahaja yang menolak, malah ramai lagi. Terlalu ramai sebenarnya. Ini adalah perkara biasa dan kita tidak perlu hairan. Ramai yang menentang malah menghalang manusia lain mendekati wahyu. Antaranya mereka akan membuat kacau dan buat bising seperti disebut dalam Fussilat: 26

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمِينَ

Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu

Mereka yang menolak ajaran wahyu dan juga para Nabi mereka, telah berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka. Inilah yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu seperti Aad, Tsamud, Firaun dan banyak lagi yang disebut dalam Al-Qur’an (juga banyak lagi yang tidak disebut) sebagai contoh dan pengajaran buat kita semua.


 

ALLAH ﷻ YANG SEBENARNYA MEMBERI HIDAYAH

Yunus Ayat 40: Ayat Tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para pendakwah

وَمِنهُم مَّن يُؤمِنُ بِهِ وَمِنهُم مَّن لّا يُؤمِنُ بِهِ ۚ وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِالمُفسِدينَ

Sahih International

And of them are those who believe in it, and of them are those who do not believe in it. And your Lord is most knowing of the corrupters

Malay

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

وَمِنْهُم مَّن يُؤْمِنُ بِهِ

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an,

Dalam banyak-banyak penduduk Mekah yang musyrik itu, ada juga antara mereka yang akan beriman dengan Islam. Tidaklah sia-sia usaha dakwah yang Nabi ﷺ dan sahabat lakukan. Allah ﷻ menghiburkan hati Nabi ﷺ supaya tidaklah baginda bersedih sangat. Allah ﷻ sebut di dalam Luqman: 23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah ﷻ memujuk hati Nabi ﷺ kerana hati baginda amat prihatin terhadap umat baginda. Baginda sedih sangat, malah terlebih sedih kalau mereka menolak kebenaran seperti disebut dalam Kahf: 6. Perasaan itu membahayakan baginda.

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Begitu juga dalam masyarakat kita, akan ada orang yang beriman dengan ajaran Sunnah ini apabila disampaikan kepada mereka. Memang sekarang nampak tidak ramai, namun sebenarnya mereka ada di mana-mana. Kadang-kadang mereka yang mengamalkan tauhid yang sebenar itu mendiamkan diri sahaja dan kadang-kadang ada yang duduk di tempat-tempat terpencil.

Mereka tidak ramai dan kerana itu mereka tidak menampakkan diri. Mereka tidak berani hendak menampilkan diri kerana mereka adalah puak minoriti jika dibandingkan dengan puak-puak syirik dan bid’ah yang ramai sekarang. Mereka takut kalau dituduh dan ditohmah oleh masyarakat setempat. Inilah dugaan menjadi orang yang ‘benar’ di dalam masyarakat yang ‘tidak benar’.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana ada yang terburu-buru menolak ayat-ayat Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Ayat ini pula menyebut ada antara mereka yang akan beriman akhirnya. Mula-mula memang mereka menolak, akan tetapi tidak semestinya sampai bila-bila. Lihatlah bagaimana penentang Nabi Muhammad ﷺ di awal Islam yang menentang tetapi memeluk Islam akhirnya. Sebagai contoh, Abu Sufyan, Umar al Khattab dan Khalid al Walid رضی اللہ عنھم dan ramai lagi.

Maknanya, kadangkala terdapat orang yang menolak dakwah sunnah pada awalnya itu tidaklah semuanya sampai bila-bila akan terus menolak. Apabila sampai masanya, in sha Allah, dia akan terima. Yang penting tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada mereka dengan sejelas mungkin.

 

وَمِنْهُم مَّن لَّا يُؤْمِنُ بِهِ

dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya;

Akan tetapi ada juga yang tidak akan beriman sampai bila-bila. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana bukan di bawah kuasa kita untuk memberi hidayah, tetapi Allah ﷻ. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Namun manusia yang menolak itu kerana salah satu daripada dua sebab sahaja: sama ada jahil atau degil. Mereka itu tidak akan beriman sampai bila-bila seperti disebut dalam Baqarah: 6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

 

وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِالْمُفْسِدِينَ

dan Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Allah ﷻ lebih mengetahui keadaan diri mereka. Allah ﷻ beritahu Dia tahu apa yang mereka lakukan kerana Dia akan membalas penolakan mereka kepada Al-Qur’an dan kebenaran lain. Jangan sangka yang mereka akan selamat dunia dan akhirat. Mereka mungkin ramai dan lebih berpengaruh di dunia, namun di akhirat kelak mereka akan menerima balasannya.

Habis Ruku’ 4 dari 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 32 – 36 (Tiada percanggahan dalam Al-Qur’an)

Yunus Ayat 32:

فَذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الحَقُّ ۖ فَماذا بَعدَ الحَقِّ إِلَّا الضَّلالُ ۖ فَأَنّىٰ تُصرَفونَ

Sahih International

For that is Allah , your Lord, the Truth. And what can be beyond truth except error? So how are you averted?

Malay

Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?

 

فَذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ

Maka yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya;

Yang boleh buat semua yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻlah Tuhan yang satu, yang bermaksud Dia lah satu-satunya Tuhan yang sebenar-benarnya dan tidak ada ilah yang lain. Di sini ditekankan sifat Rabb Allah iaitu Dia yang mencipta kita, mentadbir dan mengurus kita dan alam ini.

Sepatutnya apabila mereka sudah terima yang Allah ﷻlah yang memberi rezeki kepada mereka, yang menguasai pendengaran dan penglihatan mereka dan sebagainya, maka sembahlah Allah ﷻ sahaja. Kenapa kamu ragu-ragu lagi dengan Allah ﷻ? Kenapa tidak sembah dan berdoa kepada-Nya sahaja? Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

 

فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ

sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka yang lain daripada itu sesat belaka.

Tuhan yang satu hanyalah Allah ﷻ dan jika kita tidak menyembah hanya kepada Allah ﷻ sahaja, maka kita akan jatuh ke dalam kesesatan yang nyata. Jika ada penyembahan kepada selain Allah ﷻ, atau meminta kepada selain Allah ﷻ, itu sudah nyata adalah kesesatan yang nyata.

Yang dimaksudkan الحَقُّ adalah sesuatu yang tetap, tidak berubah-rubah seperti Allah ﷻ itu, Muhammad ﷺ itu Rasul, syurga itu ada dan sebagainya. Lawannya adalah bathil yang berubah-rubah dan tidak tetap. Oleh kerana الحَقُّ itu tetap, maka kita boleh berpegang dengannya sampai bila-bila kerana kita tahu yang ia tidak akan berubah.

Daripada ayat ini kita tahu hanya ada dua kemungkinan sahaja, kebenaran atau kesesatan. Tidak ada antara duanya terutama sekali di dalam perkara pokok. Contohnya hanya Allah ﷻ sahaja ilah yang boleh disembah dan dianggap sebagai Tuhan. Cuma di dalam perkara furu’ sahaja dibolehkan adanya perbezaan pendapat dan telah terbuka ruang untuk berijtihad. Ini kita biarkan kepada para ulama’ yang mampu berijtihad.

 

فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Oleh itu, bagaimana kamu boleh dipesongkan daripada kebenaran?

Sungguh hairan sekali bagaimana mereka yang tahu tentang Allah ﷻ, namun masih lagi boleh dipesongkan. Penjelasan tentang tauhid dan syirik ini sudah jelas di dalam Al-Qur’an, kenapa masih lagi boleh terpesong? Kalau tidak tahu dan tidak faham, itu hanya kerana degil sahaja lah, bukan kerana apa. Bayangkan, Musyrikin Mekah yang telah didakwah oleh Nabi Muhammad ﷺ, pendakwah yang terbaik pun mereka tetap tolak juga.

Kepada kita yang beriman ini, selepas membaca ayat ini, maka berdoalah supaya Allah ﷻ tidak memesongkan hati kita daripada iman.


 

Yunus Ayat 33: Tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ.

كَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ فَسَقوا أَنَّهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Thus the word of your Lord has come into effect upon those who defiantly disobeyed – that they will not believe.

Malay

(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman.

 

كَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu,

Kalimah كَذَٰلِكَ merujuk kepada apa yang terjadi kepada Musyrikin Mekah – mereka itu tahu siapa Allah ﷻ, tetapi mereka tidak menyembah-Nya sahaja.

Kalimah ketetapan Allah ﷻ bermaksud mereka itu tidak akan beriman. Maka janganlah Nabi Muhammad ﷺ bersedih hati kerana memang mereka telah ditetapkan akan kufur dengan kebenaran. Siapakah mereka itu?

 

عَلَى الَّذِينَ فَسَقُوا

terhadap orang-orang yang fasik

Orang-orang yang fasik adalah mereka yang tidak kisah batasan dalam agama. Fasik maksudnya keluar daripada ketaatan dan fasik yang terbesar adalah kufur. Mereka melanggar sahaja segala hukum kerana mereka mengikut hawa nafsu mereka. Kepada jenis mereka ini kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Walaupun kita berikan dalil kepada mereka, mereka tetap tidak akan beriman kerana Allah ﷻ telah tetapkan hati mereka terpesong.

Kenapakah mereka jadi begitu? Kerana mereka asalnya tidak takut kepada Allah ﷻ. Apabila tidak ada rasa takut kepada Allah ﷻ, maka mereka akan menjadi fasik. Mereka juga menolak kebenaran yang sampai kepada mereka. Setelah berkali-kali mereka menolak, barulah Allah ﷻ akan beri ketetapan mereka tidak akan beriman.

 

أَنَّهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

bahawasanya mereka tidak akan beriman.

Itulah orang-orang yang tahu kebenaran tetapi masih menolaknya. Rasulullah ﷺ sudah beri pelbagai dalil daripada Al-Qur’an dan hujah, namun mereka masih menolak. Begitu jugalah umat sekarang yang menolak kebenaran. Setelah diberi dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, mereka masih mahu menggunakan pendapat guru mereka. Oleh kerana itu, Allah ﷻ akan menutup hati mereka daripada beriman. Malang sekali ramai orang sebegini dalam masyarakat kita.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk berdakwah kepada mereka. Walaupun ramai yang sebegini namun adalah tugas kita untuk menyampaikan ajaran ini kepada mereka yang memerlukan.


 

SOALAN 2: SIAPAKAH YANG MENCIPTA?

Yunus Ayat 34: Soalan seterusnya daripada Allah ﷻ yang menjadi zajrun kepada mereka.

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَبدَأُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۚ قُلِ اللَّهُ يَبدَأُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who begins creation and then repeats it?” Say, ” Allah begins creation and then repeats it, so how are you deluded?”

Malay

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Dia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

 

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَبدَأُ الخَلقَ

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian

Asal ayat ini memang ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk sampaikan, tetapi sekarang ditujukan kepada kita pula yang mengaji Al-Qur’an ini. Kita pun boleh tanya kepada mereka yang melakukan syirik kepada Allah ﷻ dengan soalan ini:

Adakah sesiapa yang selain Allah ﷻ yang boleh memulakan penciptaan? Iaitu mencipta perkara yang tidak pernah ada lagi. Sebagaimana Allah ﷻ menjadikan alam ini tanpa ada contoh alam lain sebelum adanya alam ini. Adakah sesiapa yang mampu buat begitu selain Allah ﷻ?

Tentu tidak ada. Memang kita ada mencipta, tetapi tidak sama penciptaan kita dengan penciptaan Allah ﷻ. Segala penciptaan manusia bukanlah boleh dikatakan ‘memulakan penciptaan’. Ini kerana kita tiru sahaja apa yang telah ada. Bukan seperti kita, kalau kita merekacipta sebuah kereta, ia mengikut penciptaan alat pengangkutan yang telah ada. Begitu juga, apabila kita menghasilkan kereta itu, kita memerlukan besi yang Allah ﷻ ciptakan, getah yang Allah ﷻ ciptakan dan macam-macam lagi. Maknanya, bukanlah kita cipta dengan sendiri, tetapi kita menggunakan ciptaan Allah ﷻ.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian dia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)?

Adakah ada tuhan selain Allah ﷻ yang boleh memulakan kembali proses kejadian itu? Iaitu apabila makhluk itu mati, Allah ﷻ boleh menjadikan semula makhluk itu. Adakah selain Allah ﷻ yang boleh buat begitu? Tentu tidak. Allah ﷻ sahaja yang boleh memulakan kembali kehidupan selepas kiamat nanti.

 

قُلِ اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ

“Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat penciptaan yang mula-mula sekali. Kita tidak mampu mencipta sebagaimana Allah ﷻ cipta.

Dalam ayat sebelum ini Musyrikin Mekah itu jawab sendiri. Namun kali ini Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang jawab kerana ada perkara yang mereka tidak terima. Mereka terima yang Allah ﷻ yang menjadikan, tetapi mereka tidak mahu terima yang Allah ﷻ akan menghidupkan kembali makhluk yang telah lama mati.

 

ثُمَّ يُعِيدُهُ

kemudian Dia mengembalikannya semula;

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Tidaklah susah untuk Allah ﷻ menjadikan semula penciptaan kerana Dia juga yang menjadikan penciptaan itu pada pertama kali. Sekiranya Allah ﷻ boleh mencipta untuk kali pertama, tentulah Allah ﷻ juga boleh menjadikannya semula. Tentulah lebih mudah bagi Allah ﷻ kalau kita fikirkan.

Kalau dalam ayat 31 sebelum ini telah disebut yang mereka pasti akan jawab Allah ﷻlah yang beri rezeki dan sebagainya (فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ). Akan tetapi soalan di sini tidak disebut jawapan mereka. Ini kerana Musyrikin Mekah itu iktiraf yang Allah ﷻ yang menciptakan, beri rezeki dan sebagainya, tetapi mereka tidak boleh terima tentang kehidupan semula. Malah mereka berhujah dengan Nabi ﷺ tentangnya seperti disebut dalam Yaasin: 78 dan dijawab di dalam ayat selepasnya.

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

 

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

Kalau hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mencipta dan menjadikan semula, kenapa sembah selain daripada Allah ﷻ? Kenapa ada yang beramal ibadat kepada selain Allah ﷻ? Kenapalah kamu rela dipesongkan daripada kebenaran?

Agama lain walaupun mereka tidak kenal nama ‘Allah’, tetapi mereka tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan alam ini dan segala makhluk. Cuma nama Allah ﷻ sahaja mereka tidak tahu. Tanyalah kepada agama-agama lain kalau tidak percaya.

Oleh kerana itu, kenapa mereka tidak hanya sembah Tuhan yang menjadikan alam ini? Apakah kehebatan entiti-entiti yang lain sampaikan mereka hendak sembah juga? Itu adalah kerja yang bodoh.


 

SOALAN 3: SIAPAKAH YANG MEMBERI HIDAYAH?

Yunus Ayat 35: Pertanyaan ketiga. Allah ﷻ sekarang suruh manusia terus berfikir.

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَهدي إِلَى الحَقِّ ۚ قُلِ اللَّهُ يَهدي لِلحَقِّ ۗ أَفَمَن يَهدي إِلَى الحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ أَمَّن لّا يَهِدّي إِلّا أَن يُهدىٰ ۖ فَما لَكُم كَيفَ تَحكُمونَ

Sahih International

Say, “Are there of your ‘partners’ any who guides to the truth?” Say, ” Allah guides to the truth. So is He who guides to the truth more worthy to be followed or he who guides not unless he is guided? Then what is with you – how do you judge?”

Malay

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak dituruti, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?”

 

قُل هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَهدي إِلَى الحَقِّ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang boleh memberi petunjuk kepada kebenaran?

Kalimah يَهْدِي dari segi bahasa literal adalah ‘menggerakkan/membawa sesuatu dari satu tempat ke tempat yang lain’. Maknanya, ada melibatkan pergerakan kerana tidak ada apa yang bergerak sendiri. Setiap benda perlu dibawa oleh sesuatu. Ini adalah pimpinan takwini, bukan syar’i. Contohnya menunjuk jalan ke arah tempat air. Allah ﷻ tanya kepada mereka: Adakah ilah yang kamu sembah boleh menunjukkan jalan? Tentu tidak sebab sekiranya berhala itu dibuat daripada batu, bukanlah ia boleh bercakap pun.

Oleh itu, hidayah adalah arahan tentang apakah yang perlu dilakukan. Allah ﷻlah yang telah memberi arahan kepada setiap kejadian. Bagaimana makhluk itu hidup dan menjalankan kehidupannya, semuanya adalah arahan Allah ﷻ. Bayi yang kecil pun sudah tahu bagaimana menyusu susu ibunya. Semua makhluk termasuklah kepada atom yang amat kecil itu pun tertakluk kepada arahan dan kehendak Allah ﷻ. Semua perlakuan makhluk telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ yang boleh menggerakkan apa-apa sahaja.

‘Hidayah’ dalam maksud agama pula adalah membawa seseorang daripada kesesatan kepada iman. Kemudian, membawa kepada iman itu adalah dengan memberi panduan agama tentang bagaimana menjalani kehidupan kita dalam dunia ini. Adakah entiti lain yang dapat memberi arahan dan panduan tentang kebenaran?

Berkenaan hidayah ini, terdapat 5 cara manusia boleh mendapatkannya:

    1. Fitrah. Kita memang telah dibekalkan dengan pengetahuan tentang Allah ﷻ.
    2. Pendengaran dan penglihatan bagi orang yang menggunakannya untuk mencari kebenaran
    3. Akal. Sekiranya manusia menggunakan akal dengan saksama, maka mereka akan mencapai kebenaran yang dibawa oleh wahyu. Ini seperti yang disebut dalam Mulk: 10 وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ (Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.)
    4. Ilmu. Ini boleh didapati dengan usaha untuk belajar wahyu.
    5. Taufiq. Ini hanya datang daripada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ sahajalah yang boleh menarik manusia ke arah kebenaran.

 

قُلِ اللَّهُ يَهْدِي لِلْحَقِّ

“Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran;

Sekali lagi Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ jawab kerana mereka tidak akan jawab. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah kerana ilmu Allah ﷻ yang lengkap. Kita tidak ada pengetahuan sepenuhnya. Apa sahaja yang kita tahu, ia diberi oleh Allah ﷻ. Jika kita tidak tahu tanpa pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ, bagaimana kita hendak memberi petunjuk?

Mari kita buat perumpamaan sebagai contoh. Katakan kita ada membeli sebuah alat elektrik seterika berjenama Philips contohnya, tentu kita akan rujuk kepada manual khas yang didatangkan bersama dengan seterika tersebut. Tentulah kita akan menggunakan manual daripada syarikat Philips itu, bukan? Kalau kita menggunakan manual lain daripada jenama Panasonic sudah tentu arahan di dalam manual itu tidak terpakai untuk seterika kita dan boleh mengakibatkan seterika kita itu menjadi rosak. Bukankah itu suatu kerja yang bodoh?

Begitulah perumpamaan hidayah daripada Allah ﷻ. Allah ﷻyang menjadikan kita, maka Dialah yang tahu apa yang kita perlukan. Kenapa mahu menggunakan pedoman daripada yang selain Allah ﷻ? Begitulah Allah ﷻ yang memberi petunjuk kepada kita seperti jawapan Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun dalam Taha: 49-50

قالَ فَمَن رَبُّكُما يا موسىٰ

Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

قالَ رَبُّنَا الَّذي أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.

Maka, dalam hal hidayah agama, hendaklah kita mengambil panduan daripada Al-Qur’an dan sunnah, bukan daripada selain itu. Bukan juga diambil daripada kitab tulisan manusia, bukan juga dengan kata-kata ulama’ yang bertentangan daripada Al-Qur’an dan hadith.

Bukan juga kata-kata ustaz yang berdasarkan pendapatnya sahaja atau dia ambil daripada sumber yang lain daripada Al-Qur’an dan hadith. Kita hanya mengikut ulama’ dan ustaz yang memberi pengajaran kepada anak muridnya yang berdasarkan kepada panduan daripada Allah ﷻ. Panduan itu pula adalah daripada Al-Qur’an dan daripada Hadith yang sahih. Lihatlah ayat Isra’: 9

إِنَّ هٰذَا القُرآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus

Allah ﷻ sahaja yang boleh membuka hati manusia untuk menerima hidayah. Namun kita sebagai manusia hendaklah berusaha untuk mendapatkannya. Kemudian kita sampaikan kepada orang lain dan kita hanya boleh sampaikan sahaja. Sama ada orang yang disampaikan itu beriman atau tidak, terpulang kepada Allah ﷻ. Tugas kita adalah menyampaikan dakwah tentang tauhid ini kepada manusia berkali-kali kerana kita mahu menjadi orang yang terbaik seperti sabda Rasulullah ﷺ tentang hal ini:

Daripada Uthman bin Affan رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.

(Riwayat al-Bukhari (5027))

Sekiranya yang diajak itu tidak mahu terima, pahala telah pasti kita dapat (walaupun mereka tidak terima). Mungkin kalau sekali sahaja kita beritahu, dia tidak dapat terima lagi, maka kita kena ulang. Akan tetapi kita tidak ada upaya untuk membuka hatinya untuk menerima hidayah itu. Allah ﷻ akan balas pahala kepada kita atas usaha dakwah kita itu, bukan atas kejayaan berapa ramai orang yang mengikut ajakan kita.

 

أَفَمَن يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ

maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut,

Tentulah yang boleh memberi hidayah itu patut diikuti. Iaitu hendaklah kita ikut panduan yang diberikan oleh Allah ﷻ.

 

أَمَّن لَّا يَهِدِّي إِلَّا أَن يُهْدَىٰ

ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk?

Takkan ada yang mendapat petunjuk sendiri melainkan diberikan dengan petunjuk. Maka hendaklah berusaha untuk mengikut orang yang sudah mendapat petunjuk. Takkan kita mahu mengikut orang yang tidak terpimpin lagi? Antaranya jangan kita ikut kebanyakan ustaz-ustaz di Malaysia ini. Mereka sendiri masih memerlukan hidayah. Mereka itu majoriti masih belum benar-benar belajar memahami tafsir Al-Qur’an, ilmu hadith masih cetek, oleh itu ilmu tentang akidah pun mereka belum benar-benar jelas dan mahir.

Mereka sendiri belum beres akan perkara asas tentang agama. Mereka pun memerlukan hidayah lagi kerana mereka sendiri belum belajar lagi tafsir Al-Qur’an dan hadith. Lalu bagaimana orang sebegini boleh kita jadikan panduan? Malangnya orang-orang beginilah yang menjadi ikutan masyarakat kita. Ramai yang sebegini menjadi terkenal sehingga ada yang taksub dengan mereka.

Sepatutnya pelajar mereka bertanya kepada mereka: “Ustaz dah belajar habis ke tafsir Qur’an 30 juzuk? Ustaz sudah belajarkah kitab-kitab hadith?” Kalau belum lagi, atau mereka kata ‘ambil sikit-sikit’, maka tahulah kita bahawa mereka itu adalah ustaz yang jahil tentang agama, dan mereka belum layak lagi mengajar manusia. Kalau mereka ajar juga, kemungkinn besar hanya membawa kepada kesesatan.

 

فَمَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Maka kenapakah kamu begini? Bagaimana kamu mengambil keputusan?

Kenapakah masih ramai yang belajar agama dengan ustaz yang jahil? Bagaimana kamu wahai manusia membuat keputusan dalam memilih guru? Tafsir Al-Qur’an tidak pernah belajar, ilmu hadtih jugak tidak mahir, akibatnya mereka banyak mengajar bid’ah kepada manusia kerana mereka sendiri tidak faham tentang bid’ah. Manusia yang belajar dengan mereka pun memang sudah jahil, maka mereka percaya dan hanya mendengar dan mengikut sahaja ajaran ustaz-ustaz yang jahil itu juga. Kadangkala apa yang diajar itu hanyalah amalan rekaan semata dan mengikut akal logik serta hawa nafsu sahaja.

Akibatnya, berterusanlah masyarakat kita berada di dalam keadaan jahiliyyah. Oleh sebab itulah, apabila dibawakan ajaran sunnah kepada manusia, mereka kuat menentang, kerana mereka tidak pernah dengar ajaran yang benar sebelum itu. Lebih malang lagi yang membawa ajaran sunnah itu pula yang dtuduh sebagai ajaran yang salah dan sesat kerana berbeza dengan apa yang disampaikan oleh guru dan ustaz mereka.


 

Yunus Ayat 36: Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa ramai manusia yang sesat.

وَما يَتَّبِعُ أَكثَرُهُم إِلّا ظَنًّا ۚ إِنَّ الظَّنَّ لا يُغني مِنَ الحَقِّ شَيئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ

Sahih International

And most of them follow not except assumption. Indeed, assumption avails not against the truth at all. Indeed, Allah is Knowing of what they do.

Malay

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

 

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sangkaan sahaja,

Puak pengamal syirik dan bid’ah hanya menggunakan sangkaan akal mereka sahaja. Sebagai contoh, mereka agak-agak sahaja yang mereka yang sudah mati boleh mendengar kata-kata kita. Itulah sebabnya mereka meminta tolong kepada orang mati kerana sangkaan salah mereka ini.

Adakah fahaman mereka itu berdasarkan dalil? Tidak ada. Tidak ada dalil mengatakan yang telah mati memberitahu yang mereka ada mendengar kata-kata manusia yang masih hidup. Tidak juga daripada ayat-ayat Al-Qur’an dan tidak juga daripada hadith Nabi. Padahal Al-Qur’an sendiri menyatakan bahawa mereka yang telah mati tidak dapat mendengar seperti yang disebut dalam Fatir: 22.

وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَّن فِي القُبورِ

dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar

Kebanyakan amalan yang mereka lakukan dan fahaman mereka adalah kerana mengikut apa yang dilakukan oleh orang terdahulu sahaja. Mereka agak-agak sahaja bahawa apa yang dikatakan oleh guru-guru agama dan orang-orang terdahulu itu betul belaka. Itu adalah satu contoh sahaja, banyak lagi contoh-contoh amalan dan fahaman manusia yang berdasarkan kepada sangkaan semata-mata.

Mereka yang tidak berasa salah mengamalkan bid’ah itu adalah kerana mereka tidak tahu yang mereka sedang melanggar ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kitalah yang kena dakwah kepada mereka.

Lagi satu hujah yang selalu digunakan mereka, adalah ikhlas. Mereka yakin bahawa sekiranya mereka ikhlas dalam mengerjakan amalan bid’ah mereka itu, maka Allah ﷻ akan terima. Sungguh lemah hujah sebegini. Kadangkala, mereka sudah tahu bahawa amalan mereka itu tidak pernah dibuat dan diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi mereka sangka Allah ﷻ tetap akan menerima amalan mereka itu disebabkan mereka benar-benar ikhlas mengerjakannya.

Kita tidak tahu dari manakah asalnya ajaran ini. Jika ikhlas sahajalah yang menjadi syarat untuk diterima sesuatu amalan itu, maka amalan orang kafir yang ikhlas juga boleh diterima. Sebagai contoh, paderi Kristian itu ikhlas dalam menjaga agama mereka dengan amalan mereka. Mereka sanggup tidak berkahwin dan tinggal dalam gereja sahaja kerana mereka percaya apa yang mereka buat itu betul dan tentunya mereka ikhlas.

Namun tentulah amalan mereka ditolak kerana amalan itu bukanlah daripada ajaran Allah ﷻ. Bukan dengan cara yang Allah ﷻ kehendaki. Maka, jika amalan kita pun bukan daripada ajaran agama Islam, adakah kita sangka yang ia akan diterima? Tentu tidak.

Janganlah pula kita sangka kerana kita bergelar orang Islam sahaja, maka Allah ﷻ akan terima. Itu sudah mengatakan yang Allah ﷻ tidak adil di mana amalan salah orang kafir, Dia tidak terima, sebaliknya amalan salah kita, Dia kena terima pula, sebab kita orang Islam. Ingatlah bahawa Allah ﷻ Maha Adil.

 

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran sedikit pun.

Tidak ada nilainya sangkaan-sangkaan mereka itu. Lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan kebenaran. Bayangkan dalam mahkamah dunia pun tidak bernilai sangkaan seseorang. Katakanlah kita dipanggil menjadi saksi kepada seseorang yang dituduh membunuh, kita pun berkata: “Saya yakin sungguh dia orang baik, dan saya agak tentu dia tak bunuh orang itu”. Adakah hakim akan terima hujah sangkaan itu? Tentu tidak, kerana tidak bernilai langsung sangkaan dan agak-agak begitu. Samalah juga dalam hal agama.

Maka jangan berpegang dengan sangkaan semata-mata. Mestilah mendapatkan dalil daripada sesuatu fahaman atau amalan dalam agama. Kalau kita ditanya di hadapan Allah ﷻ nanti dari mana kita dapat sesuatu amalan yang kita buat itu, adakah kita sangka yang kita akan selamat dengan mengatakan yang ia adalah daripada sangkaan kita? Adakah kita sanggup untuk menjawab: “Takkanlah orang dulu-dulu nak masuk neraka?”.

Rasulullah ﷺ telah memberi nasihat tentang hal ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه. Nabi Muhammad ﷺ bersabda;

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ
“Jauhilah kamu daripada prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).”

(Mutafaqun alaihi)

Masyarakat kita terlalu bergantung kepada kata-kata manusia. Halal dan haram itu mereka tentukan dengan kata-kata orang sahaja seperti ulama’ atau asatizah. Namun kita sebagai manusia sebenarnya memerlukan dalil. Mereka berhujah mengatakan sebagai orang awam, hanya cukup bergantung kepada kata-kata ulama’. Pertama, ulama’ di mata orang awam ini adalah orang yang ‘naik mimbar’ sahaja. Maksudnya mungkin dia bukan orang alim pun, tetapi sebab dia pandai bercakap dan diberitahu tugas baca khutbah Jumaat, maka dia terus dianggap ulama’.

Keduanya, walaupun benar ia adalah kata-kata ulama’, akan tetapi ia perlu juga dilandaskan dengan dalil. Ulama’ itu sendiri kenalah memberikan dalil. Mungkin dalam masa yang singkat, ya ulama’ itu beritahu halal atau haram sahaja. Namun kemudian tugas kita yang prihatin dengan agama, kenalah periksa dan mendapatkan dalil. Teringat saya akan kata-kata arwah Tok Guru Nik Aziz رحمه الله yang lebih kurang begini: ‘Binatang seperti lembu kambing sahaja yang tidak perlukan dalil kerana mereka tidak ada kemampuan untuk memahami dalil’.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Kita tidak boleh menipu Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Allah ﷻ tahu manakah amalan syirik dan manakah amalan bid’ah yang kita lakukan. Takkan kita mahu menggunakan hujah yang Allah ﷻ pasti akan terima amalan bid’ah dan syirik yang ikhlas?

Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang mereka lakukan kerana hendak memberitahu yang Dia akan balas kesalahan dan kesesatan mereka itu. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Bersedialah untuk menerima balasannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemasini: 8 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Senarai Amalan Bidaah Masyarakat Malaysia

Assalamualaikum,

Persoalan bidaah adalah satu perkara yang amat sensitif di negara ini. Ini adalah kerana ramai yang salah faham dengan maksud ‘bidaah’. Dan ramai pula golongan ustaz di negara ini yang membenarkan ‘bidaah Hasanah’, tanpa memahami apakah maksud ‘bidaah Hasanah’ itu sendiri.

Tujuan post ini bukanlah untuk membicarakan tentang konsep bidaah itu tapi menyenaraikan apakah amalan bidaah di negara ini. Ramai yang bertanya kalau bidaah itu salah, maka apakah amalan bidaah yang masyarakat kita buat? Maka, kita cuba senaraikan di post ini, amalan bidaah yang kita tahu setakat ini. In sha Allah kita akan tambah dari masa ke semasa, kerana amalan bidaah ini pun memang akan bertambah dari masa ke semasa.

Semoga membaca dengan hati yang terbuka.

1. Lafaz usolli dalam solat semasa memulakan solat. Samada secara jahar (kuat) atau sir (senyap) semasa mengangkat takbir.
2. Baca doa lepas iqamah
3. Salam keliling selepas solat jemaah
4. Menyanyikan Kitab Barzanji (bukannya berzanji, tapi Barzanji)
5. Maulid Nabi
6. Solat hajat
7. Talqin
8. Majlis doa selamat.
9. Majlis tahlil.
10. Baca selawat nak makan ubat.
11. Sapu muka lepas solat. Ada yang tambah lagi dengan doa masa sapu kepala dan muka.
12. Tunggu kubur selepas ada kematian
13. Nak mula bawa jenazah, baca Fatihah selangkah, kemudian baca lagi sampai tiga kali.
14. Kenduri arwah.
15. Kenduri nak pergi haji, umrah
16. Hadiah Fatihah selepas dengar ada orang mati.
17. Bayar orang untuk ganti solat si-mati. Ada juga dinamakan Solat Hadiah.
18. Bayar upah kepada orang yang solat jenazah.
19. Kenduri bubur Asyura Bulan Muharram
20. Nisfu syaaban
21. Baca sadaqallahul azim selepas baca Quran
22. Bersanding
23. Amalan ‘batal wuduk’ selepas nikah
24. Pakai benda lain selain benda manis dalam tahnik. Contohnya, garam, gula, cincin emas, cincin perak.
25. Sembelih baca selawat
26. Tawasul pada Nabi, wali dan malaikat
27. Sedekah/hadiah Fatihah kepada Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi.
28. Marhaban.
29. Potong jambul sahaja kepada bayi yang baru lahir. Sepatutnya kena cukur habis.
30. Qasidah
31. Angkat tangan doa semasa doa khutbah Jumaat
32. Gantung ayat Quran di rumah, pejabat dan sebagainya.
33. Azan sebelum keluar rumah kepada mereka yang nak pergi haji
34. Collection kenduri kahwin.
35. Doa khusus awal dan akhir tahun.
36. Berdoa berjemaah selepas solat jemaah
37. Zikir berjemaah selepas solat jemaah.
38. Zikir/wirid dengan suara kuat selepas solat
39. Membaca selawat rekaan manusia selain daripada hadis yang sahih. Iaitu jikalau ia mengandungi elemen syirik. Sebagai contoh, Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah.
40. Bernazar selain daripada amal ibadat. Contohnya, bernazar untuk puasa boleh, sebab puasa adalah salah satu ibadat. Tapi bernazar untuk cukur kepala tidak, kerana cukur kepala bukan ibadat. Cukur kepala adalah khusus kepada Tahallul haji dan umrah sahaja.
41. Mengkhususkan baca Yaasin malam Jumaat
42. Lafaz niat puasa: nawaitu sawma ghadin…
43. Korek lubang dubur kononnya nak betul-betul bersih dari najis.
44. Peluk atau salam orang baru balik dari Mekah untuk dapat ‘berkat’.
45. Zikir ‘Allah’ sahaja. Nabi tak zikir lafaz ‘Allah’ sahaja, tapi ada lagi lafaz lain yang disebut. Contoh: Alhamdulillah, Allahu akbar dan sebagainya.
46. Melawat kubur hari raya.
47. Baca Yaasin di kubur atau ayat-ayat lain.
48. Amalan Bismillah 5,6,7,8,9
49. Beri salam pada kubur tertentu.
50. Tulis nama pada batu nesan.
51. Pacak pokok di kubur, tabur bunga, daun dan apa-apa sahaja.
52. Siram air pada kubur
53. Binaan pada kubur
54. Membaca selawat ketika bersalam
55. Memulakan sesuatu majlis dengan membaca Fatihah
56. Doa selepas solat Jenazah
57. Zikir Alih Hujan.
58. Baca selawat sebelum azan. Sepatutnya selawat dibaca selepas azan, bukan sebelumnya.
59. Amalan membaca dan menggantung Ayat Seribu Dinar
60. Baca Yaasin dan ditiupkan pada air. Selalunya diletakkan banyak botol masa baca Yaasin dilakukan di masjid dan surau-surau. Siap buka tutup botol itu kerana takut bacaan Yaasin itu ‘tidak masuk’. Mereka bawa balik rumah dan bagi anak bini minum.
61. Membaca doa khusus dalam wuduk. Ada doa semasa berkumur, basuh muka, basuh tangan dan sebagainya. Ini tidak ada dalil dari perbuatan Nabi dan sahabat.
62. Telangkup tangan semasa membaca doa semasa sampai kepada bahagian minta ditolakkan bala.
63. Membaca Yaasin kepada mereka yang nazak dan orang yang sudah mati.
64. Menggunakan tasbih dalam berzikir. Seeloknya pakai jari sahaja.
65. Berdoa kepada Rasulullah apabila sampai ke Madinah, supaya dapat melawat kubur baginda. Ini adalah syririk kerana berdoa kepada selain Allah.
66. Baca al-Mulk berjemaah selepas solat di masjid.
67. Selawat diantara solat tarawih.
68. Mandikan kereta baru dengan air solat hajat atau air yang dibaca ayat Al Quran.
69. Bacaan Yaasin 7 mubin
70. Imsak 10 sebelum azan Subuh
71. Puasa Khas Rejab, Syaaban Dan Puasa Tiga Bulan Berturut-turut

Allahu a’lam. Semoga bermanfaat. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan senarai ini. Jikalau tidak bersetuju, harap boleh bawakan dalil yang ianya adalah amalan dari Nabi atau Nabi pernah ajar.

Mungkin ramai yang agaknya terkejut dengan list ini. Mungkin ramai yang kata itu semua adalah bidaah Hasanah, tak salah buat. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak faham apakah maksud ‘Bidaah Hasanah’ itu. Sedikit bacaan untuk mereka yang berkata begitu: http://www.ilmusunnah.com/abdullah-bin-masoud-membantah-bidah-hasanah/

Terlalu ramai yang jahil tentang maksud Bidaah Hasanah ini. Maka harap mereka melakukan sedikit pembacaan supaya mereka tahu.

Dalil-dalil dari Qur’an dan Sunnah tentang bahayanya bidaah. Harap dapat luangkan masa membacanya.

Senarai selawat karut yang lain: https://www.nahimunkar.org/daftar-sholawat-sholawat-bidah-tersebar-masyarakat-isinya-kebanyakan-mengandung-makna-kesyirikan-datang-hadits-hadits-dhoif-lemah/

Cara untuk mengenali mana bidaah dan mana tidak, boleh baca di sini: kaedah_kaedah_dalam_memahami_bid

Kemaskini: 25 November 2025