Tafsir Surah an-Nisa’ Ayat 144 – 147 (Tidak boleh berkawan dengan orang kafir)

Ayat 144: Dalam rangka untuk selamat dari akidah rosak, kita diajar supaya jangan bergaul rapat dengan orang kafir melainkan untuk keperluan sahaja dan ini pun ada batasannya.

Ini adalah kerana sifat mereka boleh membahayakan kita dan bimbang kita akan terpikat dengan cara hidup dan fahaman mereka. Kita kena sedar yang kita pun lemah sebenarnya, mungkin senang terpengaruh, jadi haruslah berjaga-jaga. Bukanlah kita menghina mereka, dan langsung tidak berkawan dengan mereka. Cuma mereka bukanlah kawan rapat kita.

Memang kita kena bergaul dengan mereka, kerana dalam masa yang sama, kita kena fikirkan bagaimana untuk masukkan mereka ke dalam Islam. Jangan lupakan tanggungjawab dakwah kita. Kalau langsung tidak bergaul dengan mereka, bagaimana untuk berdakwah kepada mereka, bukan?

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۚ أَتُريدونَ أَن تَجعَلوا ِلِلَّهِ عَلَيكُم سُلطٰنًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take the disbelievers as allies instead of the believers. Do you wish to give Allāh against yourselves a clear case?

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. 

Jangan jadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat. Jangan tinggalkan orang mukmin dan menjadi rapat dengan orang kafir pula. Sebaliknya, kita harus menjadikan orang mukmin itu sebagai teman rapat. Perkataan ‘wali’ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘teman rapat’ yang sanggup memberi perlindungan. Jadi ini memang kawan yang sanggup berkorban untuk kita, orang yang kita beritahu rahsia kita kepadanya, dia tahu hampir segalanya pasal kita.

Mungkin ada yang kurang selesa dengan ayat ini. Maka kena baca ayat ini dalam konteks waktu ayat ini turun. Waktu itu umat Islam sedang berperang dengan orang kafir. Maka kerana itu tidak boleh rapat dengan mereka kerana mereka adalah musuh umat Islam waktu itu.

Maka kerana itu, jangan baca ayat ini sampai menyangka tidak boleh berkawan dengan orang kafir. Penting kita tetap berkawan dengan mereka kerana kita kena dakwah kepada mereka. Kalau kita tidak berkawan dengan mereka, bagaimana pula kita hendak berdakwah kepada mereka?

Dan kena lihat yang sekarang pun adalah zaman global dan sudah ada persefahaman antara agama. Ada di kalangan bukan Islam yang tidak memusuhi Islam pun. Mereka menerima Islam sebagai satu agama, cuma mereka belum masuk Islam sahaja lagi. Dan apabila sudah ada persefahaman aman damai antara kita dan mereka, persoalannya sekarang adalah: adakah kita sudah berdakwah kepada mereka?

Maka mengikut fahaman ini, ada yang mengatakan ayat ini adalah tentang orang kafir yang melawan Islam, bukannya semua orang kafir. Maka nampak seperti ada dua pendapat di sini:

  1. Tidak boleh berkawan langsung dengan orang kafir.
  2. Tidak boleh berkawan dengan orang kafir yang menentang Islam sahaja.

Untuk menggabungkan dua pendapat ini, maka boleh difahamkan begini: boleh berkawan dengan orang kafir, tetapi janganlah mereka itu yang dijadikan sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah mereka yang kita dapat berlindung dengan mereka, tempat kita meminta tolong, tempat kita mengadu dan tempat kita menceritakan segala rahsia kita.

Itu adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan kita dan persahabatan seperti itu hanya layak diberikan kepada orang mukmin sahaja, bukannya orang kafir. Kerana kita memang kena pandai memilih kawan. Kita hendak mencari kawan yang dapat membimbing kita, mendidik kita dan mengingatkan kita kalau kita buat salah dalam agama. Dan tentunya yang boleh buat begitu adalah kawan yang Muslim, bukan?

Maka kena rapat dengan orang mukmin. Akan tetapi, kalau kawan biasa dengan orang bukan Islam, boleh sahaja. Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكافِرِينَ أَوْلِياءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kalian akan diri-Nya. (Ali Imran: 28)

 

أَتُريدونَ أَن تَجعَلوا ِلِلَّهِ عَلَيكُم سُلطٰنًا مُّبينًا

Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?

Adakah kamu ingin memberikan alasan yang kukuh bagi Allah ‎ﷻ untuk menghukum kamu? Kalau berkawan rapat dengan orang kafir, Allah ‎ﷻ akan mempunyai alasan yang kukuh untuk mengazab kita. Kerana orang mukmin sebenar tidak akan bersikap begitu. Kerana orang yang mukmin yang sebenar akan bersikap anti kepada orang kafir dan kekufuran mereka.

Oleh kerana itu kita tidak patut terlalu rapat dengan orang kafir kerana takut bala yang akan dikenakan kepada orang kafir semasa di dunia akan kena kepada kita pula kalau kita rapat dengan mereka. Takut kita terkena serpihan dari azab itu pula.

Orang Mukmin sepatutnya kasih dan sayang kepada orang Mukmin yang lain; mereka tidak suka kepada orang yang mengamalkan syirik. Maka dalam segenap hal, kita cuba untuk menghapuskan kesyirikan dari kalangan kita. Maka kalau kita berkawan dengan orang bukan Islam, carilah peluang untuk berdakwah kepada mereka. Kadangkala, mereka itu boleh sahaja masuk Islam, tetapi tidak ada orang yang mengajak mereka sahaja.


 

Ayat 145: Ini adalah natijah kepada orang munafik. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, tetapi di manakah mereka akan duduk? Allah ‎ﷻ menceritakan tentang perkara ini kerana hendak menakutkan manusia tentang bahayanya sifat munafik ini. Semoga dengan penakutan ini akan mengubah sikap mereka.

إِنَّ المُنٰفِقينَ فِي الدَّركِ الأَسفَلِ مِنَ النّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُم نَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the hypocrites will be in the lowest depths of the Fire – and never will you find for them a helper –

MALAY

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

 

إِنَّ المُنٰفِقينَ فِي الدَّركِ الأَسفَلِ مِنَ النّارِ

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. 

Apabila dikatakan mereka duduk di tempat yang paling bawah dalam neraka, itu bermaksud mereka duduk di tempat yang paling dekat dengan bara api. Itu adalah tempat yang paling buruk sekali di dalam neraka. Sudahlah neraka itu di tempat yang buruk, ditempatkan pula di tempat terburuk dari tempat yang paling buruk.

Kenapa sampai begitu teruk sekali kedudukan golongan munafik? Ia adalah kerana mereka mempersendakan agama. Mereka sepatutnya sudah mengenali Islam kerana sudah lama duduk dan berkawan dengan orang Islam, tetapi mereka tetap tidak beriman. Mereka pun sudah tahu serba sedikit tentang Islam, tetapi mereka telah menolak untuk menerima Islam sepenuhnya. Maka mereka lebih teruk dari orang yang tidak tahu langsung tentang Islam.

 

وَلَن تَجِدَ لَهُم نَصيرًا

Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Kalau mereka sudah duduk di tempat paling rendah dalam neraka, tidak ada sesiapa yang boleh menolong mereka lagi waktu itu. Maka, hendaklah kita membantu mereka semasa hidup di dunia ini lagi. Iaitu dengan memperkenalkan mereka dengan agama Islam yang sebenar. Kadangkala mereka tidak menerima Islam dengan sepenuhnya kerana mereka mempunyai salah faham tentang agama.


 

Ayat 146: Ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah berita-berita gembira yang akan diberikan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syarat sebagai orang mukmin.

إِلَّا الَّذينَ تابوا وَأَصلَحوا وَاعتَصَموا بِاللهِ وَأَخلَصوا دينَهُم ِللهِ فَأُولٰئِكَ مَعَ المُؤمِنينَ ۖ وَسَوفَ يُؤتِ اللهُ المُؤمِنينَ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who repent, correct themselves, hold fast to Allāh, and are sincere in their religion for Allāh, for those will be with the believers. And Allāh is going to give the believers a great reward.

MALAY

Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

 

إِلَّا الَّذينَ تابوا

Kecuali orang-orang yang bertaubat

Yang selamat adalah mereka yang bertaubat dari sifat-sifat munafik mereka. Mereka telah menyesal dengan apa yang mereka lakukan. Ayat sebelum ini amat menakutkan apabila Allah ‎ﷻ memberitahu yang orang munafik akan duduk di tempat yang paling rendah di dalam neraka. Maka semoga dengan pembacaan itu akan menyebabkan mereka bertaubat.

Perasaan taubat ini haruslah datang dari dalaman hati seseorang sebab kalau lafaz istighfar itu hanyalah luaran sahaja. Ada orang pandai menyebutnya sahaja, tetapi sebenarnya mereka bukannya bertaubat sangat pun. Orang yang ikhlas, selepas mereka menyesal, mereka akan tinggalkan segala kesalahan dahulu dan berazam untuk tidak membuatnya lagi. Inilah tiga syarat taubat.

Dan kalau kesalahan itu berkenaan dengan makhluk lain, haruslah meminta maaf dan melakukan pembaikan.

Dan kalau kesalahan itu berkenaan dengan hudud, hukum itu hendaklah dijalankan.

Jadi untuk menyesal, haruslah tahu yang dia sudah bersalah. Kalau tidak rasa bersalah, bagaimana hendak bertaubat? Inilah bahayanya orang yang membuat amalan bidaah, kerana mereka tidak merasa mereka ada berbuat salah. Mereka menyangka mereka sedang melakukan perkara yang baik. Maka kerana itulah mereka tidak akan bertaubat dari kesalahan melakukan amalan bidaah itu. Inilah perangkap yang paling teruk.

 

وَأَصلَحوا

dan memperbaiki amalan mereka

Dan selepas mereka bertaubat, mereka hendak menukar kehidupan mereka ke arah kebaikan. Kalau dahulu mereka jahil, mereka sudah mula mempelajari agama. Mereka akan memurnikan akidah dan amalan mereka. Mereka akan berusaha untuk membetulkan balik mana yang salah.

Mereka akan kembali kepada apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Kalau dahulu mereka melakukan amalan bidaah, maka mereka hendaklah mula melakukan amalan yang mengikut sunnah. Kalau dahulu ada fahaman syirik, maka mereka akan meninggalkan fahaman tersebut.

 

وَاعتَصَموا بِاللهِ

dan mereka pula berpegang teguh dengan Allah, 

Dan mereka berpegang dengan Allah ‎ﷻ terus. Maksudnya mereka berpegang dengan ‘tali Allah ‎ﷻ’. Dan tali Allah ‎ﷻ itu adalah Qur’an. Maka kerana itu kita selalu berpesan di sini, kalau tidak belajar tafsir Qur’an, maka manusia akan jauh dari Qur’an dan jauh dari Allah ‎ﷻ . Sebab itulah kita amat menekankan agar masyarakat kita mempelajari tafsir Qur’an.

Apabila manusia telah berpegang teguh dengan Qur’an, mereka sudah tidak teragak-agak lagi dengan agama, tidak muzabzab lagi. Maknanya, iman mereka tidak tergugat lagi.

 

وَأَخلَصوا دينَهُم ِللهِ

serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, 

Dan mereka akan membuat amalan yang ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka membuat amalan ibadat hanya kerana Allah ‎ﷻ, bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, bukan kerana mengharapkan pujian atau sebagainya.

Ini tentu susah untuk dicapai, maka bagaimana cara yang kita boleh lakukan? Cara yang boleh kita lakukan adalah dengan membaca Qur’an dan fikirkan apa yang Allah ‎ﷻ ingin sampaikan kepada kita. Maknanya, kita harus menjadikan Qur’an sebagai cermin diri kita. Apabila kita membaca Qur’an, itu adalah masa perbualan antara kita dengan Allah ‎ﷻ.

Kerana itu waktu solat yang paling sesuai adalah waktu solat malam ketika orang lain tidur. In sha Allah, ia boleh menyebabkan hati kita semakin ikhlas dalam melakukan ibadat kita. Sambil kita membaca Qur’an dalam solat, kita bertadabbur makna ayat-ayat itu dan ia akan memberi kesan mendalam kepada diri kita.

 

فَأُولٰئِكَ مَعَ المُؤمِنينَ

maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman

Selepas memenuhi empat syarat itu, barulah boleh dikira sebagai mukmin sebenar. Baru boleh duduk dengan orang mukmin lain di dalam syurga. Asalnya datang dari tahu mana yang salah dan ada keinginan untuk membetulkan kesalahan itu.

Masalahnya ramai yang tidak tahu yang mereka ada berbuat salah kerana itu, mereka terus melakukan kesalahan dalam kehidupan mereka. Inilah yang kita kena ubah dalam kehidupan kita: hendaklah kita sentiasa menilai segala perbuatan kita sama ada ia benar ataupun tidak.

 

وَسَوفَ يُؤتِ اللهُ المُؤمِنينَ أَجرًا عَظيمًا

dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

Pahala yang besar itu akan membawa kepada syurga. Itulah tempat orang mukmin yang sebenarnya. Itulah tempat yang kita patut hajatkan dan kita kenalah berusaha ke arahnya.

Balaghah: ada hazf pada ya mahzoofah (ya asli) dalam ayat ini. Lihat pada kalimah يُؤتِ dalam ayat ini. Katadasarnya adalah أ ت ي yang ada ي padanya. Tetapi apabila Allah ‎ﷻ tulis dalam ayat ini, ia menjadi يُؤتِ iaitu يnya dihazafkan.

Dalam ilmu balaghah, apabila hazf ya, ia bermaksud dawam (berterusan). Ini adalah kerana ganjaran kepada mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini berterusan, tidak berhenti-henti.

Ini tidak sama seperti yang digunakan dalam ayat al-Layl:18 dimana kalimah yang digunakan adalah يُؤتي dimana ya mahzoofahnya dikekalkan.

الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّىٰ

Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya,

Ini adalah kerana dalam ayat dari Surah al-Layl itu, يُؤتي yang dimaksudkan adalah pemberian harta (sedekah). Tentulah orang yang memberi sedekah itu hanya boleh memberi apabila dia mempunyai harta sahaja, tidaklah berterusan.

Begitu juga, boleh bezakan dengan Ali Imran:26

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ

Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Lihat kalimah yang digunakan dalam ayat Ali Imran ini adalah تُؤْتِي. Allah ‎ﷻ memberikan kekuasaan kepada manusia itu sementara sahaja. Maka janganlah berlagak kerana Allah ‎ﷻ boleh saja menarik balik kekuasaan itu pada bila-bila masa. Tidaklah kekuasaan itu berterusan, sekurang-kurangnya, apabila orang itu telah mati, dia pun sudah tidak ada kuasa lagi.

Contoh seterusnya boleh lihat ayat Baqarah:247

وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Kalimah يُؤْتِي dalam ayat Baqarah ini juga ada ya di dalamnya kerana pemberian kuasa itu hanya semasa hidup di dunia. Mungkin orang yang ada kuasa itu mati atau ditarik balik semasa hidupnya.

Tapi, tidaklah semua kalimah yang dibuang ya mahzoofah itu bermaksud berkekalan kerana ada yang dibuang kerana nahu seperti di dalam Maidah:20

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَآتَاكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعَالَمِينَ

Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.

Memang huruf ي telah dibuang pada kalimah يُؤْتِ tapi kerana ini adalah kerana ia dalam bentuk majzoom. Jadi kenalah bezakan di antara penggunaan kalimah-kalimah ini dan ini memerlukan pengetahuan tentang bahasa Arab.


 

Ayat 147: Ini adalah ayat takhwif duniawi dan zajrun bagi munafiqeen.

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What would Allāh do with [i.e., gain from] your punishment if you are grateful and believe? And ever is Allāh Appreciative and Knowing.

MALAY

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

 

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur serta kamu beriman?

Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab kita kalau kita sudah bersyukur dan beriman kepadaNya. Kenapa Allah ‎ﷻ hendak mengazab kita lagi, bukan? Allah ‎ﷻ tidak menganiaya kita kerana tidak ada keperluan bagi Allah  ‎ﷻ untuk menyeksa kita. Jadi jangan bimbang.

Bersyukur bukanlah bermakna hanya dengan mengucapkan alhamdulillah sahaja. Ia bermaksud menerima segala nikmat Allah ‎ﷻ dan membalasnya dengan menjalankan segala suruhanNya. Ringkasnya terdapat tiga perkara yang mesti ada:

1. Sedar siapakah yang telah memberikan kita segala nikmat itu (Allah ‎ﷻ).
2. Kerana pemberian Allah ‎ﷻ itu, maka kita sayang dan cinta kepadaNya. Kita akan taat kepadaNya.
3. Kita akan menggunakan segala nikmatNya itu untuk kebaikan dan bukan untuk keburukan.

 

وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا

Dan Allah sangat menghargai, lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ sangat menghargai ketaatan hambaNya. Perkara baik yang kita buat itu sedikit sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ membalas dengan berlipat kali ganda. Allah ‎ﷻ akan membalas segala amal baik hambaNya dengan berkali-kali ganda, padahal benda yang kita buat itu memang kita kena buat pun kerana kita adalah hambaNya.

Tapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui sama ada hamba itu ikhlas ataupun tidak di dalam melakukan amal ibadat. Maka kenalah belajar untuk mengikhlaskan hati kita supaya ibadat kita ikhlas hanya kerana Allah ‎ﷻ sahaja.

TAMAT JUZ 5.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 141 – 143 (Solat dengan malas)

Nisa’ Ayat 141: Ini adalah sifat keempat golongan munafik. Mereka menunggu-nunggu untuk melihat apa yang akan berlaku kepada umat Islam. Pada waktu itu mereka tinggal bersama umat Islam yang lain jadi mereka kelihatan seperti orang Islam pada luarannya. Tetapi dalaman diri mereka adalah kufur. Sifat kekafiran mereka itu tidak jelas, sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pun tidak mengetahui yang mereka itu munafik.

Umat Islam sekarang pun ada yang seperti ini. Kita haruslah memahami bahawa ayat-ayat tentang munafik adalah untuk mereka. Mereka mestilah belajar Qur’an dan kalau mereka perasan ada alamat munafik dalam diri mereka, maka mereka mestilah terus menukar sifat mereka itu.

Oleh itu, mereka mesti mempelajari Qur’an kerana kalau tidak, mereka tidak akan tahu apakah kesilapan mereka. Hanya dengan mempelajari Qur’anlah yang akan membuka minda mereka dan menjelaskan apakah kesalahan mereka.

Lebih-lebih lagi, perkara pertama yang mereka lakukan adalah memisahkan diri mereka daripada berkawan rapat dengan orang kafir. Berkawan biasa sahaja boleh, tetapi janganlah berkawan rapat.

الَّذينَ يَتَرَبَّصونَ بِكُم فَإِن كانَ لَكُم فَتحٌ مِّنَ اللهِ قالوا أَلَم نَكُن مَّعَكُم وَإِن كانَ لِلكٰفِرينَ نَصيبٌ قالوا أَلَم نَستَحوِذ عَلَيكُم وَنَمنَعكُم مِّنَ المُؤمِنينَ ۚ فَاللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ وَلَن يَجعَلَ اللهُ لِلكٰفِرينَ عَلَى المُؤمِنينَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who wait [and watch] you. Then if you gain a victory from Allāh, they say, “Were we not with you?” But if the disbelievers have a success, they say [to them], “Did we not gain the advantage over you, but we protected you from the believers?” Allāh will judge between [all of] you on the Day of Resurrection, and never will Allāh give the disbelievers over the believers a way [to overcome them].¹

  • In the Hereafter, but possibly in this world as well.

MALAY

(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): “Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

 

الَّذينَ يَتَرَبَّصونَ بِكُم

Mereka orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu;

1. Mereka sebenarnya menunggu-nunggu musibah yang akan menimpa umat Islam.

2. Atau mereka menunggu apa yang akan terjadi kerana mereka hendak mengambil peluang, berdasarkan apa yang terjadi kepada umat Islam. Kalau ada kebaikan pada mereka, mereka akan mengaku mereka orang Islam. Kalau orang Islam kalah, mereka akan menarik diri dan bergabung dengan orang kafir pula.

3. Juga bermaksud mereka menunggu di belakang kerana mereka jenis yang tidak mahu pergi berjihad dan kerana itu mereka tinggal di belakang sahaja. Kalau umat Islam menang, mereka mengakulah yang mereka pun umat Islam juga.

 

فَإِن كانَ لَكُم فَتحٌ مِّنَ اللهِ قالوا أَلَم نَكُن مَّعَكُم

maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah, berkatalah mereka: “Bukankah kami bersama-sama kamu?

Kalau umat Islam mendapat kemenangan dalam peperangan, waktu itu mereka pun mengaku sebagai Muslim dan mereka akan meminta bahagian dari harta ghanimah.

Ini amatlah memalukan sekali kerana mereka tidak berbuat apa-apa pun, tetapi ingin meminta bahagian pula. Jadi, kalau kita tidak menyumbang apa-apa dalam sesuatu perkara, dan terdapat keuntungan dalam perkara itu, janganlah pula membuat muka tidak malu untuk meminta bahagian kita. Jangan berperangai seperti orang munafik.

 

وَإِن كانَ لِلكٰفِرينَ نَصيبٌ قالوا أَلَم نَستَحوِذ عَلَيكُم

Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian, berkatalah mereka: “Bukankah kami turut membantu kamu,

Dan kalau puak kafir pula yang menang, mereka akan pergi kepada orang kafir itu. Mereka mengingatkan orang kafir tersebut yang mereka telah membantu dengan melakukan helah untuk mencapai kemenangan bagi puak kafir itu.

Kalimah نَستَحوِذ dari katadasar ح و ذ yang bermaksud ‘ada kelebihan ke atas seseorang’. Jadi نَستَحوِذ bermaksud puak munafik itu telah melakukan sesuatu supaya puak kafir menang ke atas puak Muslim.

Ini seperti yang terjadi semasa kekalahan pada Perang Uhud. Selepas puak kufar menang, mereka telah pergi kepada puak kufar itu.

Lihatlah penggunaan lafaz dalam ayat ini. Apabila disebut tentang kemenangan puak Islam, digunakan lafaz فَتحٌ dan apabila disebut kemenangan puak kafir, digunakan lafaz نَصيبٌ yang bermaksud ‘sebahagian’. Ini adalah kerana lafaz فَتحٌ adalah kemenangan yang penuh dan apabila orang kafir menang, mereka tidak menang dengan sepenuhnya. Mereka mungkin nampak seperti memperolehi kemenangan di dunia, tetapi mereka tidak akan menang di akhirat kelak.

 

وَنَمنَعكُم مِّنَ المُؤمِنينَ

dan mempertahankan kamu dari orang-orang mukmin?

Orang munafik berkata mereka telah mempertahankan orang kafir dari serangan orang mukmin. Oleh kerana itu, mereka menginginkan bahagian dari orang kafir itu juga. Kerana itulah kita katakan yang mereka menunggu sahaja untuk melihat manakah puak yang menang. Mereka akan tuntut dari pihak yang menang kerana mereka mahukan habuan dunia sahaja.

Inilah sifat munafik. Mereka tengok siapa yang menang dan pergi kepada mereka yang menang. Mereka tidak tetap pendirian dalam dunia ini.

Malangnya ada juga dari kalangan orang kita yang sebegini. Kalau satu pihak menang, mereka sokong tetapi kalau satu pihak lagi yang menang, mereka pergi kepada pihak yang lagi satu itu pula. Mereka tidak mempunyai prinsip, hanya keuntungan sahaja yang mereka pentingkan. Ini selalu kita lihat di dalam percaturan politik.

 

فَاللهُ يَحكُمُ بَينَكُم يَومَ القِيٰمَةِ

Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; 

Allah ‎ﷻ akan buat keputusan yang manakah pihak yang benar di akhirat kelak. Keputusan yang akan dibuat itu adalah keputusan secara ‘amali’ (praktikal). Maksudnya, di akhirat nanti akan nampak jelas bahawa mereka sudah salah dan tidak dapat mengelak lagi.

Ini tidaklah bermaksud yang di sana nanti baru mereka dibuktikan salah. Di dunia ini lagi mereka sudah salah, tetapi di akhirat nanti keputusan itu dibuat secara amali. Sekarang di dunia, mereka nampak seolah-olah masih selamat lagi, tetapi tidak di akhirat nanti. Di dunia ini lagi mereka telah salah dari segi teori, tetapi mungkin belum nampak dengan jelas lagi.

Maka, biarkanlah Allah ‎ﷻ sahaja yang menghukum mereka kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui siapakah mereka. Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam yang lain tidak mengetahui siapakah mereka kerana mereka menyembunyikan sifat mereka yang sebenar. Oleh kerana sifat mereka tersembunyi, maka mereka selamat dari ancaman umat Islam semasa di dunia. Tetapi mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.

 

وَلَن يَجعَلَ اللهُ لِلكٰفِرينَ عَلَى المُؤمِنينَ سَبيلًا

dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ tidak akan memenangkan orang kafir ke atas orang mukmin walaupun satu detik. Cuma jika terjadi kekalahan, itu adalah kerana terdapat kesilapan dalam perbuatan orang mukmin itu sendiri yang akan menyebabkan Allah ‎ﷻ menahan pertolonganNya kepada orang mukmin. Sebagai contoh, kalau tidak mentaati  panglima perang, maka Allah ‎ﷻ akan menarik diri daripada memberikan bantuanNya.

Oleh itu, kalau orang Mukmin menjaga syarat-syarat yang telah ditetapkan, mereka akan pasti menang. Syarat-syarat itu telah dibincangkan dalam Surah Ali Imran.

Maka, jika orang Islam mengalami kekalahan sekali sekala, orang Islam itu tidaklah akan kalah secara keseluruhannya. Orang kafir tidak akan dapat mengalahkan umat Islam secara keseluruhannya. Allah  ‎ﷻ pasti akan menolong orang Mukmin seperti firmanNya dalam ayat yang lain:

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَياةِ الدُّنْيا

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia. (Al-Mumin: 51)

Habis Ruku’ ke 20 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Nisa’ Ayat 142: Ini adalah sifat kelima dan keenam golongan munafik. Mereka hendak menipu Rasulullah ﷺ atau pemimpin Islam. Dan mereka kalau berdiri dalam solat mereka lakukan tanpa semangat.

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the hypocrites [think to] deceive Allāh, but He is deceiving them. And when they stand for prayer, they stand lazily, showing [themselves to] the people and not remembering Allāh except a little,

MALAY

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

 

إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ

Sesungguhnya orang-orang munafik itu memperdaya Allah

Ini seperti yang Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam ayat yang lain:

{يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا}

Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman. (Al-Baqarah: 9)

Mereka kononnya hendak memperdayakan Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak mempercayai Allah ‎ﷻ. Mereka ‘cuba’ untuk menipu, tetapi sudah tentu mereka tidak sesekali boleh menipu Allah ‎ﷻ. Kalau mereka mempercayai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benar percaya, tentu mereka sedar yang Allah ‎ﷻ tidak boleh ditipu kerana Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia. Tetapi, kerana mereka ini jenis ‘Kafir Jahil’, mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini.

Nanti di akhirat mereka akan cuba berdalih dengan Allah ‎ﷻ dengan mengatakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Sebagaimana yang disebutkan oleh firmanNya:

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ جَمِيعاً فَيَحْلِفُونَ لَهُ كَما يَحْلِفُونَ لَكُمْ

(Ingatlah) hari (ketika) mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu mereka bersumpah kepada-Nya (bahawa mereka bukan orang musyrik) sebagaimana mereka bersumpah kepada kalian. (Al-Mujadilah: 18),

 

وَهُوَ خٰدِعُهُم

dan Allah pula yang membalas tipu daya mereka

Allah ‎ﷻ yang akan memperdayakan mereka. Mereka tertipu kerana mereka tidak belajar bersungguh-sungguh tentang agama kerana itu mereka jahil terutama tentang akidah.

Allah ‎ﷻ membiarkan mereka berbuat apa yang mereka inginkan, sehinggakan mereka menyangka yang mereka telah berjaya menipu semua orang, dan menipu Allah ‎ﷻ tetapi sebenarnya mereka yang tertipu. Itulah maknanya, Allah ‎ﷻ memperdayakan mereka.

 

وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ

Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas.

Ini adalah sifat keenam mereka. Amalan agama pun tidak dibuat dengan cara tawajuh (fokus) oleh mereka. Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana mereka berdiri untuk solat dengan cara yang sangat malas. Bukannya mereka tidak solat, tapi dalam keadaan malas sahaja.

Habis, kenapa orang munafik itu solat juga, kalau mereka bukannya hendak solat? Mereka terpaksa solat kerana zaman Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, semua orang Islam solat di masjid. Jadi kalau mereka tidak solat, memang nampaklah kemunafikan mereka itu.

Maka, kalau kita pun solat dengan malas, kita pun mempunyai sifat mereka juga. Maka kenalah periksa perasaan kita semasa kita hendak memulakan solat itu: adakah kita rasa berat sahaja atau kita gembira untuk solat? Kalau ada perasaan malas, maka ada sifat munafik dalam diri kita.

Lainlah kalau malas dan lemah itu kerana penat atau kerana sakit, maka kita fahamlah kalau solat itu lemah sahaja. Tetapi kalau tiada alasan, maka kita mungkin mempunyai masalah dengan hati dan ini amatlah bahaya.

Maka kita kenalah mempelajari cara untuk menjadikan solat itu sesuatu yang nikmat bagi diri kita. Kita haruslah sedar yang kita sedang mengadap Allah ‎ﷻ dan dapat bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ dan itu adalah satu nikmat yang amat besar. Perasaan ini hanya dapat diterapkan ke dalam hati kita hanya jika kita mempunyai ilmu.

Kalau setakat kita mempelajari perbuatan fizikal dalam solat, itu tidak belum dapat mencapai tahap kemanisan solat. Untuk mendapat kemanisan solat, kita kenalah mempelajari dan mendalami falsafah di dalam solat. Harus belajar kepentingan solat.

 

يُراءونَ النّاسَ

Mereka hanya memperlihatkan kepada manusia

Memang mereka solat tetapi hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain sahaja. Mereka ingin menunjukkan yang mereka pun solat juga. Mereka melakukannya supaya orang tidak menuduh mereka kafir.

Termasuk dalam perkara ini adalah orang yang solat bagaikan melepaskan batuk di tangga sahaja. Mereka cepat-cepat menghabiskan solat mereka, tanpa cuba untuk khusyuk. Mereka buat yang wajib sahaja, tidak baca pun surah-surah sama ada panjang ataupun pendek.

Oleh kerana itu, mereka tidak dapat mengambil manfaat dari solat itu. Mereka cuma melakukan perbuatan solat yang fizikal sahaja, dilakukan dengan cepat-cepat supaya mereka boleh meneruskan kehidupan mereka yang lain. Seolah-olah solat itu adalah ‘beban’ yang perlu dilepaskan dengan segera. Sampai mereka rasa ‘gembira’ dan ‘lega’ apabila sudah habis solat. Cuba fikir balik: Adakah anda mempunyai perasaan sebegini?

Ketahuilah yang itu bukanlah cara orang mukmin solat. Orang Mukmin faham akan kepentingan solat. Mereka menunggu-nunggu waktu solat yang seterusnya supaya mereka boleh bertemu dengan Allah ‎ﷻ lagi dan mengadu kepadaNya. Mereka akan menuju solat dengan segera tanpa melengah-lengahkan solat itu kerana mereka mementingkan Allah ‎ﷻ dari perkara-perkara yang lain.

Riak adalah masalah hati yang bahaya. Bukan dalam solat sahaja kita dilarang dari menunjuk-nunjuk, tapi dalam segala amal ibadat. ‘Riak’ itu maksudnya menunjuk-nunjuk kepada orang lain, supaya mereka mendapat pujian dari mereka. Sedangkan sepatutnya kita mengharapkan pujian dari Allah ‎ﷻ, bukannya dari manusia.

Kalau orang yang solat kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, mungkin mereka akan mendapat apa yang mereka inginkan itu. Mungkin mereka solat dengan lama dan kerana itu mereka akan mendapat pujian dari orang. Tetapi mereka tidak akan mendapat bahagian dari akhirat. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“مَنْ سَمَّع سَمَّع اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ رَاءَى رَاءَى اللَّهُ بِهِ”

Barang siapa yang ingin terkenal, maka Allah membuatnya terkenal dengan apa yang diharapkannya. Dan barang siapa yang riya’, maka Allah ﷻ menjadikannya terkenal dengan apa yang dipamerkannya.

Sahih Bukhari (6499)

Dalam hadis ada disebut bagaimana sikap orang munafik terhadap solat berjemaah. Mereka selalu meninggalkan solat yang tidak kelihatan di mata umum, seperti solat Isya’ di hari yang gelap, dan solat Subuh di saat pagi masih gelap. Di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ صَلَاةٌ أَثْقَلَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ مِنْ الْفَجْرِ وَالْعِشَاءِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ الْمُؤَذِّنَ فَيُقِيمَ ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا يَؤُمُّ النَّاسَ ثُمَّ آخُذَ شُعَلًا مِنْ نَارٍ فَأُحَرِّقَ عَلَى مَنْ لَا يَخْرُجُ إِلَى الصَّلَاةِ بَعْدُ

Dari [Abu Hurairah] dia berkata, “Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang-orang Munafik kecuali solat Subuh dan ‘Isya. Seandainya mereka mengetahui (kebaikan) yang ada pada keduanya tentulah mereka akan mendatanginya walau harus dengan merangkak. Sungguh, aku berkeinginan untuk memerintahkan seorang mu’adzin sehingga solat ditegakkan dan aku perintahkan seseorang untuk memimpin orang-orang solat, lalu aku menyalakan api dan membakar (rumah-rumah) orang yang tidak keluar untuk solat berjama’ah (tanpa alasan yang benar).”

Sahih Bukhari (617)

 

وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا

dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali 

Mereka tidak mengingati Allah ‎ﷻ pun dalam solat mereka melainkan sedikit sahaja. Ini adalah kerana mereka solat itu tidak lain melainkan hanya ingin menunjuk sahaja.

Bagaimana kita hendak tahu yang kita ikhlas atau tidak ketika dalam solat kita? Bandingkan solat kita kalau sendirian dan kalau di hadapan orang lain. Kalau di hadapan orang lain lagi bagus kita solat, maka kita ada masalah. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“مَنْ أحْسَنَ الصَّلَاةَ حَيْثُ يَرَاهُ النَّاسُ، وَأَسَاءَهَا حَيْثُ يَخْلُو، فَتِلْكَ اسْتِهَانَةٌ، اسْتَهَانَ بِهَا رَبَّهُ عز وجل” 

Barang siapa yang melakukan solatnya dengan baik kerana dilihat oleh manusia dan melakukannya dengan jelek bila sendirian, maka hal itu merupakan penghinaan yang dia tujukan kepada Tuhannya Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung.

Selepas ini cuba tengok solat kita. Katakanlah kita sedang solat sendirian. Tiba-tiba ada orang masuk ke bilik kita yang kita sedang solat. Adakah kita tiba-tiba memperbaiki solat kita? Mungkin kita solat lama sedikit dari yang kita biasa buat; atau kita mula baca surah-surah yang panjang-panjang; atau kita baca surah itu dengan bacaan yang merdu padahal selalunya kita baca biasa-biasa sahaja.

Kalau ada sikap seperti di atas, maka ketahuilah yang kita ada sifat munafik dalam diri kita kerana kita sudah riya’ di dalam solat kita.


 

Nisa’ Ayat 143: Ini adalah sifat ketujuh golongan Munafik. Akidah mereka di dalam keraguan. Mereka tidak yakin dengan Allah ﷺ.

مُذَبذَبينَ بَينَ ذٰلِكَ لا إِلىٰ هٰؤُلاءِ وَلا إِلىٰ هٰؤُلاءِ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wavering between them, [belonging] neither to these [i.e., the believers] nor to those [i.e., the disbelievers]. And whoever Allāh leaves astray – never will you find for him a way.

MALAY

Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

 

مُذَبذَبينَ بَينَ ذٰلِكَ

Mereka berkeadaan “muzabzab” antara (iman dan kufur) itu;

Mereka duduk di antara mukmin dan separuh terima dan tidak terima sepenuhnya. Ini dinamakan ‘muzabzab’ – sekejap ke sana dan sekejap ke sini pula. Mereka tidaklah menjadi kafir terus. Kalau dilihatkan dari luaran, mereka memang nampak seperti Muslim, tetapi dalaman mereka, Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Mereka menjadi begitu adalah kerana ada perkara tentang Islam yang mereka terima dan ada yang mereka tidak dapat terima. Kerana ada yang mereka dapat terimalah yang menyebabkan mereka masih boleh duduk di kalangan masyarakat Islam. Kalau mereka langsung tidak dapat menerima keseluruhan Islam itu, tentunya mereka tidak duduk dengan orang Islam.

Tetapi, hati mereka seolah-olah ‘tergantung-gantung’ – muzabzab. Tidak mengambil semua dan tidak menolak kesemuanya sekali pula. Banyak orang di kalangan masyarakat kita yang seperti ini, bukan? Mereka menggunakan sebahagian agama yang mereka inginkan sahaja, dan ada bahagian yang mereka tidak suka atau berasakan tidak suka untuk buat, maka mereka akan buat tidak tahu sahaja.

Ini terjadi kerana mereka tidak mempelajari agama dengan benar. Maka ada perkara yang mereka was-was kerana mereka menggunakan akal mereka sahaja. Sedangkan kalau mereka belajar dengan guru yang benar, maka mereka akan nampak kebenaran agama itu dengan jelas. Tidaklah mereka menjadi keliru dan boleh menerima dengan senang hati.

 

لا إِلىٰ هٰؤُلاءِ وَلا إِلىٰ هٰؤُلاءِ

mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman).

Mereka tidak terus mengikuti kumpulan ini dan tidak kepada kumpulan itu. Mereka tidak tetap antara keduanya. Ini kerana mereka hendakkan keuntungan dan mereka hendak melihat manakah pihak yang memberi keuntungan kepada mereka.

Kalau pihak Islam yang menang, mereka pergi kepada Islam; kalau orang kafir yang menang, mereka pergi kepada orang kafir pula. Seperti yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

كُلَّما أَضاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قامُوا

Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinarnya; dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. (Al-Baqarah: 20)

Maknanya, apabila ada kepentingan dalam Islam, mereka akan pergi kepada Islam.

Ini adalah salah, kerana orang Islam sepatutnya tetap duduk dalam Islam dan duduk di bahagian orang Islam.

 

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ سَبيلًا

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

Kalau Allah ‎ﷻ sudah mentakdirkan mereka memasuki neraka, tidak ada sesiapa yang boleh berbuat apa-apa lagi untuk menolong mereka. Maka, kita kenalah hanya berharap dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menetapkan kita di atas jalan keimanan kerana kalau Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk kita tidak menjadi orang beriman, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita lagi. Nauzubillahi min dzaalik!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 7 Ogos 2023

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 137 – 140 (Golongan Murtad)

Ayat 137: Ini pula tentang kafir murtad. Selalunya yang menjadi murtad itu adalah kerana mereka bergaul rapat dengan orang kafir. Orang kafir memang kita boleh berurusan muamalah dengan mereka, tetapi tidaklah sampai berkawan rapat.

Maka jangan sampai kita berkawan rapat dengan mereka sampai berminat dengan cara hidup mereka. Kita kenalah berpada-pada apabila berkawan dengan mereka.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ازدادوا كُفرًا لَّم يَكُنِ اللَهُ لِيَغفِرَ لَهُم وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed then disbelieved, then believed then disbelieved, and then increased in disbelief – never will Allāh forgive them, nor will He guide them to a way.

 

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi,

Berkali-kali dikatakan orang itu kufur. Sekejap kufur dan sekejap beriman kembali. Mereka itu sebenarnya menjadi kufur sebab bergaul dengan orang kafir dan tertarik dengan cara hidup orang kafir dan fahaman mereka. Apabila duduk bergaul lama sangat dengan mereka, akan timbul minat di dalam hati terhadap cara hidup mereka.

Kalau tidak bergaul sangat dengan orang kafir, tidak akan jadi begitu. Orang yang yang berkawan rapat sangat dengan orang kafir akan merasakan baik sahaja cara dan perbuatan orang kafir itu. Dan ini adalah amat bahaya, kerana apabila redha sahaja dengan cara kufur, itu sudah kufur sebenarnya. Ketahuilah bahawa dengan mengiyakan kekufuran adalah perbuatan kufur.

Apabila dia mulai belajar agama sedikit, dia kembali mengetahui bahawa salah cara-cara dan amalan orang kufur itu, maka dia kembali memeluk Islam.

Kemudian dia kembali berminat dengan cara kufur apabila bergaul kembali dengan orang kafir. Itulah disebut berkali-kali Islam dan kufur dalam ayat ini, kerana ada perubahan di dalam diri manusia yang Allah  ‎ﷻ sedang sebut ini.

Tetapi yang bahayanya, kekufuran kali kedua ini lebih kuat lagi dari kekufuran kali pertama itu kerana kekufurannya akan melebihi dari kekufuran yang asal.

 

ثُمَّ ازدادوا كُفرًا

kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, 

Sampai pada satu tahap, dia lebih berminat cara kufur dibandingkan dengan cara Islam. Apabila sudah sampai ke tahap begitu, dia tidak akan kembali lagi kepada Islam. Dia ini adalah jenis yang sekejap hendak rapat kepada agama dan kemudian tidak pula. Dia membuat pilihan mengikut musim.

Ayat ini boleh juga dikatakan tentang ‘golongan munafik‘. Memang mereka banyak disebutkan dalam Surah an-Nisa’ ini. Golongan munafik itu hanya melihat kepada keuntungan sahaja. Kalau mereka nampak untung memasuki Islam, maka mereka akan masuk.

Sebagai contoh selepas Perang Badr, mereka nampak Islam kuat dan mereka pun masuk Islam. Tetapi apabila Muslim kalah dalam Perang Uhud, mereka kembali kufur semula. Jadi, mereka itu sekejap beriman, sekejap kufur. Itu maknanya mereka bermain-main dengan agama. Mereka hanya melihat keuntungan dalam dunia sahaja.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu adalah golongan Yahudi. Ini adalah kerana mereka dahulu beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, kemudian menjadi kufur kerana menyembah patung anak sapi. Kemudian mereka telah bertaubat dan kembali beriman. Kemudian golongan itu tidak mahu mempercayai dengan kenabian Nabi Isa عليه السلام dan akhir sekali apabila mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, mereka telah menambah kekufuran mereka.

 

لَّم يَكُنِ اللهُ لِيَغفِرَ لَهُم

Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka,

Orang yang sebegini, Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan lagi mereka. Ini adalah kerana mereka main-main dengan agama. Tidak ada pengampunan kepada mereka selepas mereka mati kerana mereka berterusan di dalam kekufuran sampai mereka mati. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak mahu menerima pengampunan mereka, tetapi kalau mereka sendiri yang tidak meminta keampunan di hujung hayat mereka, maka Allah ‎ﷻ tidak akan mengampuni mereka.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ hanya mengambil kira apakah iman kita semasa kita mati. Kalau sepanjang hidup kita mengamalkan Islam, tetapi di penghujung hayat kita pergi kepada kekufuran, maka itu bermakna kita mati kufur.

Ini adalah amat menakutkan sekali, kerana kita tidak tahu hujung hayat kita bagaimana nanti. Sekarang memang kita rasa kita beriman, tetapi bagaimana di hujung hayat kita nanti? Adakah kita tahu? Tentulah tidak.

Maka, moleknya kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menetapkan iman kita supaya kita mati dalam iman. Hendaklah juga kita menjaga iman kita supaya ia tetap teguh dan kuat. Dan caranya adalah dengan meningkatkan pengetahuan agama kita.

 

وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

dan Dia tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

Tiada jalan dibuka lagi kepada mereka yang telah murtad itu untuk ke syurga. Ini adalah kerana mereka tidak layak untuk memasuki syurga. Maka sekarang lihatlah bahayanya bercampur gaul rapat dengan orang kafir.


 

Ayat 138: Seperti yang telah kita ketahui, perangai yang disebut dalam ayat sebelum ini adalah tentang golongan munafik. Ini dikuatkan lagi di dalam ayat ini. Maknanya, pada luaran mereka kelihatan seperti orang Islam, bercakap tentang Islam, mengaku seorang Muslim dan nama pun nama Muslim, tetapi hakikatnya mereka adalah kafir.

Sekarang Allah menyebut apakah natijah (kesan) kepada orang munafik kalau mereka terus kekal di dalam munafik.

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Give tidings to the hypocrites that there is for them a painful punishment –

 

MALAY

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

 

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik:

Allah ‎ﷻ mengejek mereka dengan berkata berikan ‘berita gembira’ kepada mereka, tetapi ia bukanlah ‘berita gembira’, tetapi berita yang amat buruk sekali. Semua manusia akan tertunggu-tunggu berita baik diberikan kepada mereka. Tapi apakah berita yang akan diterima oleh orang munafik?

 

بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Mereka hanya akan menerima berita yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka akhirnya. Itulah ‘berita gembira’ yang dimaksudkan. Tentulah ia bukan berita gembira, bukan? Itulah pengakhiran kepada golongan munafik itu. Semoga kita diselamatkan dari sifat ini dan pengakhiran ini. Aameen.

Tanda sifat munafik munafiqin
Di Madinah, ramai mengikuti agama Islam dalam masyarakat majmuk sehinggakan secara tidak sedar sifat-sifat munafik ada di kalangan mereka. Allah ‎ﷻ telah menyatakan sifat-sifat tersebut.

 

Ayat 139: Kenapa mereka sekejap kufur, sekejap beriman? Seperti yang telah disebutkan sebelum ini,  kerana mereka mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka. Jadi Allah ‎ﷻ menerangkan sifat-sifat munafik di dalam ayat ini.

Pertamanya, mereka menjadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat atau pemimpin.

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۚ أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who take disbelievers as allies instead of the believers. Do they seek with them honor [through power]? But indeed, honor belongs to Allāh entirely.¹

  • Being the source of all power and honor, Allāh grants them to whom He wills.

 

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

 

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.

Mereka berminat untuk berkawan dengan orang kafir. Hati mereka telah cenderung kepada orang kafir itu dan lama kelamaan dengan cara kehidupan orang kafir. Mereka duduk pula dalam kawasan penempatan orang kafir sampai tidak mahu berhijrah ke kawasan orang Islam. Ini kerana mereka selesa di situ dan cara kehidupan di situ.

 

 أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ

Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu,

Kenapa jadi begitu? Mereka jadi begitu kerana mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dengan berkawan dengan orang kafir kerana mungkin banyak perkara yang mereka boleh dapat dari orang kafir itu.

Seperti kita telah belajar dalam ayat-ayat yang lain, orang-orang kafir itu selalunya kaya raya dan berkuasa kerana mereka memang melebihkan kehidupan dunia sahaja, tanpa melihat kepada akhirat. Jadi kerana usaha mereka untuk dunia sahaja, maka tentulah mereka  mendapat banyak habuan keduniaan.

Oleh kerana mereka kaya, maka orang-orang munafik itu pun sangat rapat dan bertempeklah dengan orang-orang kafir itu kerana ada kebaikan yang boleh didapati daripada mereka. Ini kerana orang munafik pun memang mementingkan habuan keduniaan sahaja.

 

فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. 

Allah ‎ﷻ menempelak mereka yang mencari kemulian dan kekuatan dari orang kafir itu. Adakah patut mereka hendak mendapatkan kemulian dari orang kafir yang sememangnya tidak mempunyai kemuliaan langsung? Sedangkan kemuliaan dan kehebatan itu milik Allah ‎ﷻ semuanya sekali. Orang munafik telah tersalah tempat untuk mencari kemuliaan.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan kemuliaan dan kekuatan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik dari sesiapa yang dikehendakiNya. Jadi kalau ingin mendapatkan kemuliaan, kenalah hanya meminta dari Allah ‎ﷻ sahaja, mengharap dari Allah ‎ﷻ sahaja. Kemuliaan dari Allah ‎ﷻlah yang lebih baik dari apa yang kita dapat dari orang-orang kafir itu. Allah berfirman dalam Fathir:10

مَن كانَ يُريدُ العِزَّةَ فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا ۚ
 
Sesiapa yang mahukan kemuliaan, bagi Allah jualah segala kemuliaan. 
 

Dan Allah ‎ﷻjuga berfirman dalam Munafiqun:8

وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلكِنَّ الْمُنافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.


 

Ayat 140: Allah ‎ﷻ telah melarang kita bergaul rapat dengan orang kafir. Terutama kalau mereka berkata tidak baik tentang agama Islam.

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها فَلا تَقعُدوا مَعَهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it has already come down to you in the Book [i.e., the Qur’ān] that when you hear the verses of Allāh [recited], they are denied [by them] and ridiculed; so do not sit with them until they enter into another conversation. Indeed, you would then be like them.¹ Indeed, Allāh will gather the hypocrites and disbelievers in Hell all together –

  • In this world, by participation in their blasphemy, and in the next, where you will share their punishment.

 

MALAY

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

 

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللَّهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها

Dan sesungguhnya telah diturunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek

Yang dimaksudkan telah diturunkan dalam kitab adalah dalam surah An’am ayat 68. Surah An’am telah diturunkan di Mekah. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berkata yang perkara ini telah diberitahu sebelum ini.

Termasuk dalam perkara ini adalah mendengar seseorang yang menafsir ayat Qur’an dengan akalnya sendiri. Ramai yang membaca ayat Qur’an tetapi memandai-mandai sahaja menafsir mengikut akal logiknya dan tidak melihat penilaian dan tafsiran dari ulama terdahulu. Maknanya mereka tidak mengikuti disiplin tafsir.

 

فَلا تَقعُدوا مَعَهُم

maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka

Maka jangan duduk bersama mereka ketika mereka bercakap sambil mengutuk Qur’an atau agama Islam. Contohnya, mereka mungkin berkata Hukum Hudud tidak betul. Mereka berkata begitu kerana mereka tidak belajar dan mereka hanya menggunakan akal sahaja. Malangnya, kalau kita pun duduk bersama mereka dan berkata ‘ya’ juga. Ini kerana ada yang jahil dan tidak belajar, dan apabila orang kafir berkata begitu, mereka pun termakan juga dengan hujah orang kafir itu.

Bagaimana pula kalau kita bersama dalam majlis bidaah? Katakanlah ada majlis bersanding, majlis Mawlid Nabi, majlis kenduri Doa Selamat, dan sebagainya? Hukum yang sama juga terpakai dalam hal ini.

Ini adalah kerana semasa mereka melakukan amal-amal bidaah mereka itu, mereka sedang mengingkari dan memperlekehkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ yang melarang melakukan perkara syirik dan bidaah. Kita pun tidak boleh duduk bersama mereka di dalam majlis tersebut.

Ini memang susah untuk dilakukan kerana kita  mementingkan pandangan masyarakat kepada kita. Kita akan berasa segan kalau kita dikatakan anti-sosial, tidak menghormati keluarga, ataupun dituduh memecah belahkan masyarakat dan sebagainya. Maka terdapat juga golongan Sunnah yang pergi ke majlis-majlis bidaah. Tapi kalau kita yang sudah mengetahui yang majlis itu salah, maka kenapa kita masih ingin duduk di dalamnya lagi?

Inilah masalahnya kalau takutkan orang yang jahil. Kenapa mesti takutkan mereka? Amat bahaya kalau ada perasaan takut ini. Ayat ini memberitahu kita bahawa kalau kita duduk dalam majlis yang sama, ia bermaksud kita pun sama seperti mereka juga.

Suruhan meninggalkan mereka juga termasuk menonton atau membaca sumber dari media massa. Pada zaman sekarang, banyak rancangan dan penulisan di buku dan Internet yang menghina Islam. Kita kenalah mempunyai sikap yang sama. Kalau terdapat rancangan atau penulisan yang menghina Islam, kita haruslah terus meninggalkannya.

Amatlah bahaya apa yang dilihat dan dibaca itu. Apa yang kita lihat dan baca sebenarnya akan berada lama di dalam otak kita. Kita sahaja menyangkakan ia tidak memberi kesan tetapi sebenarnya kesannya akan keluar lama-kelamaan nanti. Nanti ia akan mempengaruhi pemikiran kita kalau kita sudah melihat atau membaca pandangan-pandangan yang sebegitu.

 

حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ

sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain;

Maka, jangan lagi duduk dengan mereka kecuali mereka mengubah topik kepada perkara yang lain. Mungkin mereka menukar topik kepada pekerjaan, kehidupan keluarga mereka dan benda-benda yang lain. Tidak patut kalau kita terus duduk bersama mereka semasa mereka mengutuk Allah ‎ﷻ dan agama kita. Bayangkan kalau ramai-ramai bersembang tentang ibu kita dan mengutuk ibu kita, tidak mungkin kita akan terus duduk situ lagi. Apatah lagi  kalau mereka mengutuk agama kita, bukan?

Maka begitu juga dengan ahli bidaah di negara kita. Bila mereka tidak membuat amalan bidaah lagi, boleh sahaja duduk-duduk dengan mereka, berbincang minum kopi dan sebagainya kerana mereka masih lagi kawan, kenalan dan keluarga kita. Cuma kita tidak mahu bersekongkol dengan mereka semasa mereka melakukan perkara yang salah.

Kita kenalah menunjukkan kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu dengan tidak menyertainya. Tapi tidaklah kita terus memboikot mereka sampai bila-bila. Mana boleh kita memboikot mereka, sedangkan kita masih lagi bertanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka?

Ada satu lagi pendapat yang mengatakan, tidak boleh langsung duduk dengan mereka walaupun mereka itu telah berhenti dari menghina Qur’an. Ini adalah kerana mereka itu akan memberi teladan yang buruk untuk kita. Hanya kalau ada keperluan barulah boleh duduk bersama mereka. Kalau tidak ada keperluan, maka jauhkan diri dari mereka. Selamatkan diri kita dari mereka kerana bimbang kita terikut-ikut dengan mereka pula nanti kalau duduk bersama mereka.

Contoh keperluan itu adalah seperti apabila kita datang ke masjid kerana hendak menunaikan solat berjemaah. Mungkin pada waktu itu mereka sedang melakukan perkara bidaah. Kita boleh duduk di situ kerana ada keperluan kerana ingin solat berjemaah. Tidaklah boleh meninggalkan mereka kerana ada kewajipan solat berjemaah untuk lelaki.

 

إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم

kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. 

Ini yang bahaya kalau kita terus duduk bersama mereka pada waktu mereka menghina agama. Kalau masih duduk juga, kita dikira sama sahaja dengan mereka.

Kalau sudah biasa mendengar mereka mengutuk tentang Islam, kemungkinan kita sudah berasa biasa dan kita pun menjadi lali dan tidak menghormati agama sendiri pula. Begitulah manusia, kalau benda yang pelik pun lama-lama kalau sudah biasa dilihat dan mendengarnya, akan menjadi kebiasaan pula. Kerana itulah kita lihat ramai yang sampai sudah mula berani untuk mempersoalkan agama.

Akhirnya kita mungkin akan menjadi seperti mereka juga. Bahayanya, kita mungkin akan dikenakan azab sekali dengan mereka nanti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah berkata kita ‘sama’ seperti mereka. Apabila mereka dikenakan azab, maka kita pun terpalit sekali dengan azab tersebut.

Ayat ini juga mengajar kita dalam mencari kawan sebenarnya. Sepatutnya kita mencari kawan yang boleh memberi perangsang untuk mengerjakan amalan yang soleh, bukannya yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Sedikit sebanyak, kita terkesan juga dengan kawan-kawan kita. Mula-mula mungkin kita tidak mengikuti apa yang mereka lakukan, tetapi lama kelamaan kita akan terikut-ikut juga. Maka, dari awal lagi kenalah berhati-hati dalam memilih kawan.

 

إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

Allah ‎ﷻ akan menggabungkan sekali orang munafik dan kafir di neraka. Kalau kita pun duduk-duduk bersama mereka, maka kita pun akan masuk dengan mereka sekali.

Ayat ini mengajar kita, kalau ketika mereka sedang mengutuk agama Islam, itu bukanlah masa yang sesuai untuk berdakwah  atau memperbetulkan mereka. Sudah pasti mereka akan menolaknya kalau kita berdakwah kepada mereka pada ketika itu. Oleh sebab itu kenalah tinggalkan mereka dan cari masa yang sesuai untuk berdakwah kepada mereka kemudian nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ghafir Ayat 4 – 7 (Doa Malaikat Pemikul Arasy)

Ayat 4Kita telah diberitahu dengan Sifat-sifat Allah dalam ayat yang sebelum ini. Sepatutnya, selepas kita tahu Sifat-sifat Allah sebegitu, sepatutnya kita taat kepada Dia sahajalah, bukan? Tapi kenapa dalam alam ini, dari dulu sampai sekarang, ramai yang tidak taat? Allah jawap dalam ayat ini.  

ما يُجٰدِلُ في ءآيٰتِ اللهِ إِلَّا الَّذينَ كَفَروا فَلا يَغرُركَ تَقَلُّبُهُم فِي البِلٰدِ

Sahih International

No one disputes concerning the signs of Allah except those who disbelieve, so be not deceived by their [uninhibited] movement throughout the land.

Malay

Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.

 

مَا يُجٰدِلُ فِي ءآيٰتِ اللهِ

Tidak ada manusia yang membantah tentang ayat-ayat Allah.

Ayat-ayat Allah adalah dalil-dalil yang dikeluarkan oleh Allah. Tak kira mana-mana ayat pun. ‘Ayat-ayat Allah’ itu luas. Bukan hanya ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Alam yang luas ini juga termasuk dalam ‘ayat-ayat Allah’.

Bagaimanakah cara mereka berdebat tentang ayat-ayat Allah itu? Sebagai contoh, ada yang buat kajian tentang kesilapan-kesilapan yang ada dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka kata contoh-contoh saintifik yang diberikan oleh Al-Qur’an itu salah; kalau ayat yang menceritakan tentang alam, mereka berdebat mengatakan yang alam ini dijadikan dengan cara sendiri, tidak ada Tuhan yang menjadikannya. Mereka pun beri dalil-dalil saintifik yang tidak boleh dipastikan.

Kenapa yang menentang ayat-ayat Al-Qur’an, berdebat tentangnya? Iaitu apabila mereka tidak mahu mengikutinya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang Islam pun. Mereka mengaku sahaja beragama Islam tapi mereka tidak menjadikan Al-Qur’an itu sebagai pedoman. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka menolaknya kerana ianya tidak sama dengan apa yang diajar oleh guru-guru mereka.

 

إِلَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

melainkan orang kafir sahaja.

Orang yang kafir sahaja yang membantah dan berdebat tentang ayat Allah. Sudah biasa kita dengar orang melawan ayat Al-Qur’an kalau didakwahkan kepadanya. Termasuk orang Islam pun. Mereka akan kata: “betul dah ayat yang kau baca itu, tetapi….” Itu maknanya mereka menolak ayat Allah. “Tapi….” itu adalah cara menolak yang digunakan oleh masyarakat kita dengan paling lembut sekali.

Tetapi bagaimana pula orang Islam boleh jadi kafir sedangkan mereka itu Muslim? Kekeliruan itu timbul kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ itu hanya merujuk kepada orang bukan Islam. Ianya akan lebih jelas kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ dengan maksud ‘engkar’.

Oleh itu, orang Islam pun boleh jadi engkar dengan ayat-ayat Al-Qur’an juga. Kita pun tahu bagaimana ada manusia yang nampak sahaja pada zahirnya Islam, tapi pada hakikatnya mereka tidak Islam. Allah sahaja yang tahu sama ada mereka kufur atau tidak, tapi tanda-tandanya kita boleh lihat.

Apabila mereka cakap begitu, sebenarnya mereka menolak ayat Al-Qur’an. Cuma mereka tidak terus berkata yang mereka menolak ayat-ayat itu. Mereka berdolak dalih dalam kata-kata mereka. Jadi, kalau kita dengan mereka, kita kena tukar cara dakwah kita. Takut mereka akan jadi semakin kufur lagi kalau apabila kita memberi penerangan dari Al-Qur’an kerana takut mereka melawan lagi. Kerana, sesiapa yang lawan ayat Al-Qur’an, maka mereka akan kufur. Kita kasihan kepada mereka.

Orang Islam dan yang beriman akan terus percaya dan terima ayat-ayat Al-Qur’an. Walaupun mungkin mereka tidak faham lagi ajaran dari ayat-ayat itu. Tapi mereka terus terima ianya sebagai kebenaran. Cuma mereka kena belajar untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat itu dan apakah yang perlu kita lakukan. Allah telah sebut dalam Ahzab:36 –

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا مُبينًا

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Orang Islam tidak ada pilihan lain lagi selain dari terima apa sahaja arahan dari Allah dan Rasulullah.

Oleh itu, yang menentang ayat-ayat Allah adalah orang yang kafir degil. Mereka sengaja menutup kebenaran walaupun mereka sudah tahu manakah yang benar. Itulah mereka yang menolak cara berdoa yang tidak ada dalil. Tidak ada dalil pun mereka nak buat juga. Merekalah jenis yang menggunakan tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, walaupun cara-cara itu tidak pernah diajar oleh Nabi.

 

فَلَا يَغْرُرْكَ

Maka jangan kamu berasa tertipu

Seperti yang telah disebut sebelum ini, ramai dari kalangan hamba yang tidak taat kepada Allah. Kenapa? Kerana mereka terpedaya dengan kehidupan dunia sekarang.

Maka, orang Mukmin jangan terpedaya dengan dunia. Jangan terikut-ikut dengan mereka yang terpedaya itu. Jangan kita tertipu dengan mereka, dengan kata-kata mereka, dengan kesenangan yang mereka ada. Selalunya yang menentang ayat-ayat Al-Qur’an itu akan memberikan hujah-hujah yang boleh menyebabkan kita keliru. Kerana mereka selalunya orang-orang terpelajar, saintis dan sebagainya, yang selalunya pandai berkata-kata dan menggunakan fakta-fakta sains untuk menyokong dakwaan mereka.

Tapi Allah mengingatkan kita dalam ayat ini supaya kita jangan tertipu. Mereka sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan, seperti firman Allah dalam Hajj:3

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجادِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطانٍ مَريدٍ

Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan dia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Sebagai contoh, mereka hanya memperkatakan perkara luaran sahaja tanpa melihat apakah yang ada di sebalik ayat-ayat Al-Qur’an dan tanda-tanda dalam alam itu.

Atau ada yang mengejek ayat Al-Qur’an dengan mengambil satu ayat dan membandingkan dengan ayat lain dan mengatakan ayat-ayat itu tidak sama dan berlawanan. Mereka berkata begitu kerana mereka jahil dengan Al-Qur’an. Mereka hanya melihat dengan akal yang cetek sahaja.

 

تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلَادِ

dengan kamu melihat bebasnya mereka berulang-alik atas muka bumi.

Kadang-kadang kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan kelebihan yang ada pada mereka yang menolak ayat-ayat Allah itu. Contohnya, kita boleh lihat bagaimana orang-orang yang kafir itu bebas bergerak ke sana dan ke sini. Kenderaan mereka pun lebih mewah. Macam tiada masalah apa-apa.

Walaupun mereka engkar kepada Allah, tapi Allah bebaskan mereka di dunia. Biasanya orang yang engkar ni, Allah beri rezeki yang banyak. Semakin mereka engkar, semakin mereka diberi rezeki. Allah beri mereka kemewahan dan kesenangan dalam dunia sebab Allah nak azab mereka nanti dalam neraka.

Sepertimana Musyrikin Mekah yang kaya raya itu menentang ayat-ayat Al-Qur’an dan Nabi Muhammad, dan mereka diikut oleh mereka yang terpesona dan terpedaya dengan kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada. Mereka itu boleh mengembara merata-rata tempat di dunia kerana mereka kaya.

Jangan kita terpedaya dan tertipu dengan kemewahan yang ada pada mereka itu. Itu hanyalah kesenangan sementara sahaja. Itu bukanlah neraca kejayaan atau benarnya mereka. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Ali Imran:196-197

لا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذينَ كَفَروا فِي البِلادِ

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan sementara yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Ayat ini juga memberitahu supaya jangan hairan dengan perbuatan orang kafir itu. Nabi ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah berulang alik sesama mereka, menjalankan mesyuarat bagaimana hendak menjatuhkan baginda dan dakwah baginda.

Baginda juga ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah ada berjumpa dengan puak Yahudi di Yathrib (nama lama untuk Madinah) untuk mendapatkan nasihat dari mereka bagaimana hendak mengalahkan hujah baginda. Allah nak beritahu Nabi dalam ayat ini, supaya jangan hairan dan takut dengan perancangan mereka.

Ayat ini juga mengajar kita supaya jangan hairan dan terkesan dengan kisah-kisah bagaimana musuh-musuh Islam hendak menjatuhkan Islam. Banyak kisah-kisah kita dengar dari conspiracy theory bagaimana mereka merancang bermacam-macam cara. Allah suruh Nabi jangan risau, begitu juga kita. Cuma buat kerja kita, jalankan ibadat kita, teruskan dakwah tentang wahyu ini kepada manusia. Allah akan menjaga kita dari rancangan mereka.


 

Ayat 5: Allah memberi contoh, kedegilan umat-umat yang terdahulu. Nak beritahu kepada Nabi dan pembawa ajaran tauhid, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menolak Dakwa Tauhid, tapi umat-umat sebelum itu lagi. Allah memberi contoh pada zaman Nabi Nuh a.s. Kaumnya dulu pun menentang ayat-ayat Allah. 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجٰدَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

Sahih International

The people of Noah denied before them and the [disbelieving] factions after them, and every nation intended [a plot] for their messenger to seize him, and they disputed by [using] falsehood to [attempt to] invalidate thereby the truth. So I seized them, and how [terrible] was My penalty.

Malay

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!

 

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ

Telah berdusta orang-orang sebelum mereka.

Maknanya bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula berdusta dan menentang ayat Allah. Dulu lagi sudah ramai yang mendustakan ayat-ayat Allah.

Begitu juga, kalau ada yang menentang ayat-ayat Allah zaman sekarang, tidak menghairankan kerana dari dulu lagi sudah ada orang yang menentang. Perkara yang sama sahaja yang berulang zaman berzaman. Maka tidak perlu pelik kalau ajaran dakwah ini sentiasa sahaja ada penentangnya.

 

قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ

dari kalangan Kaum Nabi Nuh dan puak-puak selepas kaum Nabi Nuh.

Allah beri contoh apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh. Itulah mula penentangan kepada tauhid dalam sejarah Islam. Dan selepas mereka dimatikan semuanya dan selepas itu hanya tinggal mereka yang beriman sahaja, lama kelamaan lahir lagi golongan yang menentang tauhid. Seperti kaum Aad, Tsamud, Luth dan Madyan dan sebagainya.

Allah hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad dan pendakwah-pendakwah sekarang bahawa bukanlah sekarang baru manusia menentang ayat-ayat Allah tapi dari dahulu lagi.

 

وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ

Kuat azam setiap umat kepada rasul-rasul mereka

Mereka mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rasul-rasul mereka.

 

لِيَأْخُذُوهُ

untuk tangkap rasul

Kaum-kaum yang menentang ayat-ayat Allah telah merancang untuk menangkap rasul-rasul itu supaya mereka tidak dapat meneruskan dakwah mereka. Ada juga yang telah berjaya membunuh rasul-rasul mereka.

Mengikut satu riwayat, sebanyak lebih kurang 70 ribu nabi-nabi telah dibunuh. Kalau pendakwah, lagi ramai telah dibunuh. Pada mereka yang jahat itu, kalau nak berhujah susah sangat, maka elok bunuh sahaja, habis cerita.

Musyrikin Mekah juga hendak menangkap dan membunuh Nabi Muhammad. Mereka telah membuat perancangan dengan semua puak di tanah Arab. Mereka lakukan begitu supaya Bani Hashim tidak dapat mengambil tindakan balas kerana ramai sangat puak yang bersekongkol membunuh Nabi. Mereka tidak berani nak buat sendirian kerana takut kalau satu puak sahaja yang bunuh Nabi, maka puak Bani Hashim akan serang balas. Tetapi rancangan mereka telah digagalkan oleh Allah.

Zaman sekarang, pembunuhan ulama-ulama yang menegur kesalahan yang dilakukan manusia masih lagi berlaku dan akan terus berlaku.

 

وَجٰدَلُوا بِالْبَاطِلِ

Dan mereka berhujah dengan menggunakan hujah yang batil.

Musyrikin Mekah menggunakan propaganda yang berbagai-bagai untuk menjatuhkan dakwah Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi penipu, ahli sihir, penyair, belajar dari orang lain dan macam-macam lagi.

Begitulah dalam masyarakat kita banyak sekali hujah-hujah batil. Iaitu hujah yang dikeluarkan tanpa dalil yang sah. Hujah menggunakan akal semata-mata. Itu adalah hujah-hujah palsu sahaja. Perkataan seperti: “Takkanlah begitu…”. “Saya rasa…”. Dan macam-macam hujah lagi dikeluarkan mereka. Mereka menggunakan logik akal untuk mereka perkara baru dalam agama – agak-agaknya ini boleh kah?

Ini juga mengajar kita bagaimana berhujah dengan orang-orang yang menentang Islam. Mereka akan menggunakan hujah-hujah batil. Mereka akan mereka-reka fakta. Maka kita kena periksa apa yang mereka kata. Mereka sanggup untuk mengeluarkan fakta yang tidak benar, hanya untuk memenangi hujah itu.

Begitu juga dengan orang-orang ahli bidaah. Apabila kita berhujah dengan mereka, ada yang menggunakan fakta yang tidak benar. Mereka kata ada dalam kitab sekian-sekian ulama itu kata bidaah itu elok dan sebagainya. Sebagai contoh, pernah ada dalam internet bagaimana ahli bidaah ada mengatakan yang Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan dalam kitabnya yang menyambut Maulid Nabi adalah baik. Tapi apabila diperiksa sendiri kitab itu, tidaklah kata-kata beliau begitu tapi sebaliknya.

 

لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ

kerana dengan hujah batil itu, mereka nak memesong kebenaran

Mereka yang menentang kebenaran hendak memesong kebenaran dengan menggunakan hujah batil. Hujah bathil adalah hujah yang tidak ada asas dari nas yang sahih.

Beginilah yang banyak terjadi dalam zaman sekarang. Ramai yang mengamalkan bidaah dalam amalan mereka. Mereka memberi hujah mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah ‘bidaah hasanah.’ Iaitu mereka kata ianya adalah bidaah yang baik. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya, semua bidaah adalah sesat.

Berbagai-bagai hujah yang mereka ketengahkan dan hujah-hujah itu tidak datang dari nas, dan kalau datang dari nas, mereka pesongkan maksudnya dari maksud asal. Mereka akan tafsir nas-nas itu ikut fahaman mereka sendiri sedangkan itu bukanlah fahaman salafussoleh. Sedangkan kita kena pakai fahaman nas-nas itu dengan fahaman salafussoleh kerana mereka yang lebih kenal agama dari kita.

 

فَأَخَذْتُهُمْ

maka Allah azab mereka.

Mereka diazab kerana melawan Rasul dengan hujah akal. Allah tidak akan biarkan mereka begitu sahaja. Kalau menentang ayat-ayat Allah, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang teruk.

 

فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ

Alangkah dahsyatnya azab

Alangkah berat azab Allah itu. Tidak terperi beratnya. Maka kena baca balik apakah kisah kaum-kaum terdahulu yang telah dimusnahkan kerana menentang kebenaran, menentang wahyu dan menentang tauhid.


 

Ayat 6:

وَكَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم أَصحٰبُ النّارِ

Sahih International

And thus has the word of your Lord come into effect upon those who disbelieved that they are companions of the Fire.

Malay

Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka.

 

وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan kerana itu, sudah tetap keputusan Tuhan kamu kepada orang-orang yang engkar, kafir itu

Perkataan كَذَٰلِكَ dalam ayat ini, bermaksud ‘kerana itu’. Kerana degil dan membantah itulah yang tsabit mereka kena masuk neraka. Telah tetap keputusan Allah ke atas mereka yang tidak menerima ayat-ayat Allah itu. Tidak akan berubah ketetapan Allah itu.

Ada dalam hadis, bagaimana 999 dari 1,000 orang manusia akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

أَنَّهُمْ أَصْحٰبُ النَّارِ

Sesungguhnya mereka itu adalah pemilik geran neraka yang sebenar.

Mungkin ada orang Islam yang akan masuk neraka, iaitu mereka yang mempunyai banyak dosa. Tapi mereka bukan ‘ashab neraka’ ataupun pemegang geran kekal neraka. Mereka dikenali sebagai golongan Jahannamiyyun – orang yang pernah tinggal dalam neraka. Dosa mereka sahaja yang banyak yang menyebabkan mereka akan masuk neraka untuk dicuci dosa mereka.

Jadi kalau ibu bapa tak solat macam mana? Macam mana kita nak buat untuk tolong mereka? Doa sahaja boleh kita lakukan. Tidak ada Solat Iring, tolong qada solat mereka atau sebagainya. Perbuatan kirim pahala tidak sampai pahala itu kepada mereka. Tidak dapat tolong mereka di akhirat kelak.

Kalau dia minum arak, macam mana pula? Doa juga. Sama juga kalau dia berzina atau dosa-dosa lain. Doa sahaja yang boleh tolong. Kecuali kalau dia berbuat syirik. Kalau dia melakukan syirik, kita pun tidak boleh berdoa untuknya. Malah, salah untuk kita berdoa untuk mereka.

Contohnya kalau mereka melakukan majlis tepung tawar semasa kenduri kahwin. Itu adalah perbuatan syirik. Maka jangan buat perkara itu. Pulut kuning pemujaan yang dibuat oleh orang kita semasa kenduri kahwin itu adalah haram untuk dimakan. Lagi haram lagi dari makan babi.

Bertaubatlah kalau kita pernah melakukan perkara itu dulu. Jangan degil dengan kebenaran yang Allah telah tunjukkan. Tolonglah beritahu kepada mereka yang melakukannya. Kalau kita boleh basmi satu perkara bidaah sahaja, pahalanya adalah jihad seratus kali mati.

Macam-macam perkara syirik yang masyarakat kita lakukan. Contohnya, ada satu majlis selepas mengandung, iaitu majlis ‘golek perut’. Gunanya adalah untuk tahu anak yang akan dilahirkan adalah anak lelaki atau anak perempuan. Ini adalah syirik, kerana Allah sahaja yang tahu apakah anak yang akan lahir. Kalau pakai scan di hospital pun, mereka boleh agak-agak sahaja, tapi tidak semestinya tepat.

Selepas bersalin, jangan kita mengamalkan pantang-pantang. Ada istilah Melayu yang mengatakan perempuan selepas bersalin itu ‘dalam pantang’. Itu dalam syirik kepada Allah. Kita kata mereka tak boleh makan sesetengah makanan. Contohnya, perempuan Melayu yang baru bersalin tak boleh makan ayam.

Padahal, orang Cina pula digalakkan untuk makan ayam. Berpantang adalah perbuatan syirik kepada Allah kerana kita mengharamkan benda yang halal dimakan. Kalau doktor beritahu tidak boleh makan, tidak mengapa. Kerana mereka telah melakukan kajian tentang buruk baiknya sesuatu makanan itu. Tapi kalau ikut kata orang lain, tidak boleh. Orang yang tak layak, kita tak boleh nak ikut.

Contoh lagi satu, budak bersunat tak boleh makan telur dan sebagainya. Kalau dimakan jadi bentan. Tak boleh nak beritahu dan larang kepada anak kita untuk makan. Tidak semestinya anak kita akan mewarisi alergi kita itu. Satu lagi contoh di Kelantan, semua keturunan Wan tidak boleh makan ikan kacang (barracuda).

Dan kalau belajar silat pula, tak boleh makan sesuatu makanan tertentu. Kerana  mereka nak ilmu mereka menjadi. Ini pun syirik juga. Sudahlah amalkan amalan yang salah dan panggil jin. Jadi bertimpa-timpa kesalahan yang mereka lakukan.

Jadi ingatlah, kalau nak larang makan sesuatu benda, kena dapatkan pengesahan dari doktor. Dan kena dapat dari doktor yang pakar tentang sesuatu perkara itu. Kerana mereka berdasarkan kepada ilmu sains yang berdasarkan kajian.

Sekiranya kita ada syak wasangka tentang ayat Al-Qur’an, maka hendaklah tanya kepada ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an. Jadi kena tanya kepada ahli yang mengetahui.

Majlis tahnik (belah mulut) pun ada syirik juga. Tahnik memang sunnah dari Nabi. Nabi ambil buah kurma, Nabi gigit dengan giginya, dan masukkan dalam mulut bayi dan sentuh di lelangit. Biarkan budak itu hisap manisan. Itu yang sunnah. Menggunakan air zam-zam adalah sunat kalau ada. Ada masanya Nabi tidak menggunakan air zam-zam sebab kalau di Madinah, tiada air zam-zam. Boleh juga gunakan apa sahaja buah yang manis.

Yang tak boleh nak tambah dalam perbuatan ini adalah menggunakan cincin. Masyarakat kita menambah penggunaan cincin emas atau perak dalam majlis tahnik ini. Kalau perempuan, mereka kata kalau guna cincin emas, besar nanti akan jadi kaya. Fahaman itu adalah fahaman syirik.

Untuk yang lelaki, sebab lelaki tak boleh pakai emas, mereka bertahnik dengan cincin perak. Kemudian, ada pula yang pakai garam. Untuk menjadikan masin mulut supaya besar nanti boleh jadi tok guru. Dan ada pula yang guna gula batu untuk maniskan mulut. Ini adalah fahaman yang syirik kepada Allah dalam upacara ibadat. Sebab tahnik itu ibadat tapi dicampurkan dengan perkara yang salah. Maka nasihatlah kepada mereka yang tidak tahu.

Yang kita patut buat adalah sembelih akikah. Sembelihlah kambing atau biri-biri. Dua ekor kalau lelaki dan seekor kalau perempuan. Nabi pernah buat aqiqah untuk Saidina Husain seekor untuknya dan seekor untuk Saidina Hassan.

Ghafir ayat 7 doa para malaikat

Ayat 7: Ini adalah tentang orang yang sanggup menerima tauhid dalam setiap keadaan. Ini sebenarnya bukanlah mudah kerana tentu ada ujian dan tentangan dari manusia. Menjadi ‘orang pelik’ kerana tegar di jalan sunnah dalam masyarakat yang mengamalkan budaya tok nenek memang mencabar.

Mereka yang menerima ujian itu adalah mereka yang menjalankan kerja menyampaikan wahyu Allah kepada manusia yang lain. Kalau duduk senyap tak buat kerja, memang tidak akan kena ganggu, kena keji dan sebagainya. Tapi, kalau buat seperti yang sepatutnya, memang akan kena ujian.

Kepada mereka yang berjaya melepasi ujian itu, mereka akan dapat doa malaikat. Allah memberi doa para malaikat ini sebagai penawar hati dan penyejuk hati kepada penyebar tauhid. Maknanya, tidak mengapalah kalau menerima ujian itu, kerana mendapat doa dari para malaikat itu.

Malaikat itu mendoakan kepada manusia yang beriman sempurna kerana apabila Allah sayang kepada hambaNya, maka malaikat pun kena sayang juga kepada hamba itu. Ini adalah doa malaikat untuk orang-orang mukmin:

الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ ءآمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَّحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

Those [angels] who carry the Throne and those around it exalt [ Allah ] with praise of their Lord and believe in Him and ask forgiveness for those who have believed, [saying], “Our Lord, You have encompassed all things in mercy and knowledge, so forgive those who have repented and followed Your way and protect them from the punishment of Hellfire.

Malay

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

 

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ

Malaikat-malaikat yang memikul Arasy

Arasy Allah adalah ciptaan yang paling hebat dan paling besar. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah hakikat Arash itu kecuali Allah taala. Yang kita dapat tahu daripada ayat ini, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Mereka dikenali sebagai Hamalatul Arsh. Ada lapan malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arasy itu. Dalam al-Haqqah:17, Allah berfirman,

وَالمَلَكُ عَلىٰ أَرجائِها ۚ وَيَحمِلُ عَرشَ رَبِّكَ فَوقَهُم يَومَئِذٍ ثَمانِيَةٌ

Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.

Dalam ayat ini, disebut bagaimana pada Hari Mahsyar, ada lapan malaikat yang memikul Arasy itu. Arasy itu adalah ciptaan Allah yang paling dekat dengan Allah. Jadi, malaikat-malaikat yang memikulnya tentulah malaikat-malaikat yang hebat-hebat kerana diberikan dengan kelebihan itu. Dan tentunya mereka dengan Allah.

 

وَمَنْ حَوْلَهُ

Dan malaikat-malaikat yang di sekeliling Arasy

Allah memperkatakan bukan sahaja tentang malaikat-malaikat yang memikul Arasy tapi malaikat-malaikat yang di sekeliling Arasy itu. Ada malaikat-malaikat yang berada berdekatan dengan Arasy.

Jadi, ini semua adalah malaikat-malaikat yang terpilih. Apakah yang mereka lakukan?

 

يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

mereka senantiasa bertasbih memuji Tuhan mereka

Mereka berterusan bertasbih dan membersihkan Allah dari kata-kata makhluk yang tidak patut tentang Allah. Maknanya, mereka pun berfahaman tauhid juga. Kerana mereka menidakkan segala fahaman-fahaman syirik yang dikatakan oleh makhluk yang musyrik. Mereka terus-menerus mengatakan yang Allah tidak begitu. Allah tidak seperti yang disyirikkan oleh makhlukNya.

 

وَيُؤْمِنُونَ بِهِ

dan mereka itu beriman dengan Allah Taala

Mereka beriman benar-benar dengan Allah. Mereka juga mengamalkan tauhid. Jadi, kalau makhlukNya yang lain tidak beriman, ada Allah kisah? Tidak langsung. Kerana Allah tidak memerlukan keimanan manusia. Tidak berkurang kehebatan Allah kalau manusia dan jin tidak beriman. Terdapat malaikat-malaikat yang bertugas dan beribadat dan beriman kepada Allah dengan tidak ada rasa lemah dan bosan.

Kalau kita pun mengamalkan tauhid, kita pun akan termasuk dalam kalangan mereka.

 

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan sentiasa meminta ampun bagi orang-orang yang beriman

Inilah kelebihan mereka yang beriman sempurna kepada Allah. Malaikat-malaikat itu meminta ampun bagi pihak mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu adalah malaikat-malaikat yang rapat dengan Allah dan mereka meminta ampun untuk pihak orang yang beriman! Alangkah hebatnya kedudukan mereka yang beriman.

Apakah kata-kata mereka?

 

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا

Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, rahmatMu dan ilmuMu meliputi segala sesuatu”

Tidak ada yang di luar dari rahmat dan ilmu Allah. Apakah maksud ini? Sebagai contoh, kerana rahmat Allahlah orang yang kufur dapat makan, dapat harta, boleh buat macam-macam. Kalau tidak kerana rahmat Allah, mereka tidak akan dapat apa-apa dari dunia ini. Allah maha berkuasa untuk melakukan sesuatu apa pun, sampaikan kalau Allah mahu memberikan RahmatNya kepada sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh halang.

Tidak ada apa yang di luar dari ilmu Allah. Tidak ada apa-apa perkara pun yang Allah tidak tahu. Malaikat mengaku yang hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya. Allah sahaja yang tahu siapakah yang layak mendapat rahmat atau tidak, kerana ilmu Allah itu luas. Mereka mengaku mereka tidak tahu sebagaimana Allah.

 

فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا

“Maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat”

Mereka memohon kepada Allah supaya memberi ampun kepada mereka yang bertaubat. Walaupun Allah Maha Tahu apakah perbuatan dan kesalahan manusia, malaikat-malaikat itu masih lagi meminta ampun untuk pihak mereka yang bertaubat.

Taubat apakah yang dimaksudkan? Oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam doa, maka taubat yang dimaksudkan adalah taubat dari melakukan kesalahan dalam berdoa – sebelum itu mungkin mereka tidak terus berdoa kepada Allah, tapi menggunakan perantaraan dalam berdoa.

Mereka sudah tahu bahawa itu adalah salah, setelah mempelajari wahyu Allah, baru mereka tahu dan mereka telah bertaubat dari kesilapan itu. Kalau tidak belajar wahyu, bagaimanalah agaknya manusia nak tahu bahawa salah kalau mengamalkan tawasul dalam doa?

 

وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ

“Dan orang-orang yang mengikuti jalanMu”

Setelah mereka bertaubat, mereka menerima tauhid dan mempunyai fahaman tauhid. Mereka sudah mula ikut jalan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah sebagaimana yang disampaikan di dalam wahyuNya.

Ini juga memerlukan pembelajaran tafsir dan sunnah untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang perlu ditinggalkan. Maka, mereka telah mula belajar dan mengamalkan syariat seperti yang sepatutnya.

 

وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

“Dan jauhilah mereka dari azab neraka jahanam”

Mereka juga berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan orang-orang mukmin itu dari neraka. Oleh kerana malaikat-malaikat itu adalah malaikat yang rapat dengan Allah, maka tentunya doa mereka makbul.

Sebenarnya Allah hendak beritahu bahawa mereka yang ikut jalan tauhid adalah selamat. Doa malaikat sebagai isyarat sahaja. Kalau para malaikat itu tidak berdoa untuk mereka pun, mereka akan selamat.

Kenapa agaknya para malaikat itu mendoakan untuk orang yang beriman itu? Apakah yang mereka akan dapat? Tidak ada apa. Tapi mereka ikhlas berdoa kepada mereka yang beriman, bertaubat, ikut jalan Allah. Ini juga menunjukkan kelebihan mereka yang melakukan ketiga-tiga perkara itu. Apabila manusia dan jin melakukan ketiga-tiga perkara itu, makhluk-makhluk lain pun sayang kepada mereka. Iman yang ada dalam hati adalah penaut kasih antara makhluk.

Ini juga mengajar kita supaya mendoakan juga kepada orang-orang lain yang beriman. Kerana tautan kasih antara yang beriman itu memang telah ada.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 135 – 136 (Adil walau kena hukum keluarga)

Ayat 135: Ini adalah penjelasan tambahan kepada hukum dalam ayat ke 105 (Hukum ke 11) iaitu cara mengadili. Dalam memberi pengadilan, pemimpin atau hakim tidak boleh menganiayai sesiapa. Tapi bagaimana kalau ada orang yang bersangkut paut dengan kita, atau dia miskin atau pun kaya? Kadang-kadang perkara sebegitu menyebabkan kita tidak menjalankan hukum dengan tepat dan adil.

Oleh itu, jangan hanya kerana dia kaya, kita menghukuminya secara berlebihan atau mengurangkan hukuman dari yang sepatutnya; atau kerana dia miskin, kita melepaskannya pula. Semua itu tidak boleh dilakukan. Hukum tetap harus dijalankan seperti yang sepatutnya.

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا قَوّٰمينَ بِالقِسطِ شُهَداءَ ِللهِ وَلَو عَلىٰ أَنفُسِكُم أَوِ الوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ ۚ إِن يَكُن غَنِيًّا أَو فَقيرًا فَاللَهُ أَولىٰ بِهِما ۖ فَلا تَتَّبِعُوا الهَوىٰ أَن تَعدِلوا ۚ وَإِن تَلووا أَو تُعرِضوا فَإِنَّ اللَهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be persistently standing firm in justice, witnesses for Allāh, even if it be against yourselves or parents and relatives. Whether one is rich or poor, Allāh is more worthy of both.1 So follow not [personal] inclination, lest you not be just. And if you distort [your testimony] or refuse [to give it], then indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • i.e., more knowledgeable of their best interests. Therefore, adhere to what He has enjoined upon you and testify honestly.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih penting dari keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا قَوّٰمينَ بِالقِسطِ

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan,

Kita semua mestilah menjadi pendukung keadilan. Lafaz قَوّامينَ ini di dalam bentuk isim mubalaghah. Maknanya, kita hendaklah betul-betul menjaga perkara ini. Jangan sesekali kita tidak berlaku adil.

Maka, ini bermaksud bukan sahaja kita kena berlaku adil, tapi kita hendaklah berusaha untuk memastikan keadilan ditegakkan. Sebagai contoh, kita hendaklah memilih pemimpin yang boleh menegakkan keadilan. Kita mungkin bukanlah pihak yang dapat membuat keputusan di dalam perundangan negara tetapi kita hendaklah memainkan peranan di mana yang boleh bagi memastikan keadilan tertegak.

Oleh itu, tugas untuk menegakkan keadilan itu bukanlah tugas pihak kerajaan yang berkuasa sahaja, tetapi kita sebagai rakyat pun harus memainkan peranan kita di dalam bahagian yang boleh dilakukan. Tentulah kerajaan ada kelebihan mereka kerana kekuasaan berada di tangan mereka.

Tugas menegakkan keadilan ini amatlah penting sehinggakan para Nabi dan Rasul pun diutuskan untuk menegakkan keadilan. Mereka bukan hanya tekankan tentang amal ibadat sahaja tapi keadilan di dalam masyarakat juga diajar agar ditegakkan oleh manusia. Dalilnya dalam Hadid:25

 لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat melaksanakan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal…

 

Besi disebut kerana kadangkala ada yang menentang keadilan maka kekerasan perlu digunakan terhadap mereka. Ada jenis manusia yang tidak mahu mendengar nasihat dan bahasa yang mereka fahami hanyalah kekerasan dan peperangan.

Kalau kita dapat menegakkan keadilan di atas muka bumi ini, maka kita bukan sahaja senang di akhirat, tapi akan senang juga di dunia. Inilah salah satu tafsir kepada ayat dari Rahman:46

وَلِمَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ جَنَّتانِ

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga.

‘Dua syurga’ yang dimaksudkan adalah syurga dunia dan juga syurga akhirat. Maksudnya di dunia lagi kita sudah dapat merasai ‘syurga’. Ini tidak mustahil kerana Nabi Muhammad ﷺ telah pernah menjadikan Madinah sebagai satu contoh negara yang adil dan aman. Dan begitu juga diteruskan oleh para sahabat baginda yang menjadi khalifah.

 

شُهَداءَ لِلَّهِ

lagi menjadi saksi kerana Allah, 

Kita harus menjadi saksi dalam keputusan kerana Allah . Kita haruslah menjadi saksi yang benar. Jangan kita menipu dalam penyaksian kita kerana apa-apa sebab pun. Amat besar sekali dosa orang yang menjadi saksi palsu.

Keadilan hanya dapat ditegakkan jikalau manusia takut kepada Allah ‎. Kalau setakat takutkan kerajaan, pasti ada sahaja cara untuk mengelakkan diri daripada  ditangkap dan dipenjara.

Tetapi jika takutkan Allah ‎ yang disematkan di dalam hati, maka tentu kita sedar yang kita tidak boleh lari dari Allah . Jadi takut kepada Allah  yang perlu diajar kepada manusia.

 

وَلَو عَلىٰ أَنفُسِكُم أَوِ الوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ

sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. 

Sekarang Allah ﷻ sebutkan perkara-perkara yang boleh menghalang keadilan dari ditegakkan. Ada yang kerana sayang dan ada pula kerana benci. Sekarang kita sebut penghalang kerana sayang dahulu. Dan penghalang dalam bentuk benci pula disebut dalam Maidah:2.

Kita kena berlaku adil, walaupun keputusan itu boleh membahayakan diri kita sendiri. Jangan takut kalau kehidupan kita boleh terganggu atau kerja kita terhalang dan sebagainya. Kadang-kadang kita tidak membuat keputusan yang adil kerana diri kita terperangkap juga. Maka janganlah kerana perkara itu menyebabkan kita menjadi saksi palsu pula.

Atau jangan kita menjadi saksi palsu kepada kaum kerabat yang dekat. Walaupun kepada ibubapa kita sekali pun. Kena adil dalam keadaan apa sahaja. Kadang-kadang apabila orang yang diadili itu ada kena mengena dengan kita, kita berlembut hati pula dan tidak menjalankan pengadilan dengan yang sepatutnya.

Tapi Allah berkata: Kita kena berlaku adil, dan terus menjadi saksi yang benar, walaupun penyaksian kita itu akan membahayakan diri kita — mungkin dikenakan hukuman yang berat ataupun dipenjarakan. Kita tegakkan keadilan bukan kerana mereka, tapi kerana Allah .

 

إِن يَكُن غَنِيًّا أَو فَقيرًا

walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin

Walaupun yang terlibat itu orang kaya, janganlah ada perbezaan dalam penghakiman. Ini kerana ada yang menyuruh orang kaya membayar lebih lagi sebab kita merasakan yang dia mampu.

Atau ada yang memutuskan yang orang kaya itu tidak perlu membayar langsung kerana kita mahukan sesuatu daripadanya. Kita tidak jalankan penghukuman kerana  merasakan yang dia boleh membalas dengan memberikan kita duit sebagai habuan. Kemungkinan juga akan menjadi rasuah. Janganlah berbuat begitu.

Atau, ada yang berlembut hati dengan orang miskin kerana tahu dia hidup susah. Islam tidak membenarkan kita kasihan kepada orang miskin sampai tidak dapat berlaku adil. Memang kita patut mengasihani  mereka, tetapi tidak di dalam menjalankan hukum.

 

فَاللَّهُ أَولىٰ بِهِما

kerana Allah lebih penting dari keduanya.

Kena berlaku adil di dalam penghakiman dan persaksian, kerana hukum Allah ﷻ perlu dijaga lebih dari menjaga orang kaya atau orang miskin. Hukum Allah ﷻ lebih utama daripada dua golongan itu.

Atau, perkataan ‘awla’ itu boleh bermaksud Allah lah yang akan menjaga mereka. Kita mungkin berlembut dengan mereka kerana kita kasihankan mereka dan hendak menjaga mereka. Tetapi Allah  memberitahu yang Dia yang akan menjaga mereka, maka tidak perlulah kita bersusah payah atau mengambil tanggungjawab itu. Kita jalankan sahaja keadilan dan kedudukan mereka akan dijaga oleh Allah . Hendaklah kita serahkan sahaja kepada Allah . Allah  lebih mengetahui.

 

فَلا تَتَّبِعُوا الهَوىٰ أَن تَعدِلوا

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu sehingga kamu menyeleweng dari keadilan. 

Kalau tidak mengikuti syariat agama, sebenarnya hawa nafsu yang diikuti. Oleh kerana itu janganlah tidak berlaku adil. Jangan ikutkan hawa nafsu sampai berlaku zalim. Apabila tidak menegakkan keadilan, itu adalah satu kezaliman sebenarnya.

Jangan kerana kita tidak sukakan seseorang atau sesuatu kaum itu menyebabkan kita tidak dapat berlaku adil. Ini seperti yang Allah  sebut di dalam Maidah ayat 8. Ada satu hadis tentang seorang sahabat:

Abdullah ibnu Rawwahah رضي الله عنه telah diutus oleh Nabi ﷺ untuk melakukan penaksiran terhadap buah-buahan dan hasil tanaman milik orang-orang Yahudi Khaibar. Ketika itu mereka hendak memberi rasuah kepadanya dengan tujuan agar beliau bersikap lunak terhadap mereka, tetapi Abdullah ibnu Rawwahah رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, sesungguhnya aku datang kepada kalian dari makhluk yang paling aku cintai, dan sesungguhnya kalian ini lebih aku benci daripada kera dan babi yang sama bilangan dengan kalian. Walaupun begitu, cintaku kepadanya, dan kebencianku terhadap kalian, tidak akan menyebabkan aku tidak berlaku adil terhadap kalian.” Mereka mengatakan, “Dengan keadilan inilah, langit dan bumi tetap tegak.”

 

وَإِن تَلووا أَو تُعرِضوا فَإِنَّ اللَّهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Lafaz تَلووا bermaksud putar belit dalam membuat penghakiman. Jadi ini adalah larangan memutar belitkan hukum dan undang-undang sampai tidak berlaku adil.

Atau enggan untuk membuat keputusan sedangkan kita kena buat keputusan itu; atau enggan untuk menjadi saksi dalam penghakiman sedangkan kita sudah dipanggil dan kesaksian kita penting untuk hendak menegakkan keadilan. Kalau kita tidak tampil untuk menjadi saksi, keadilan tidak dapat dijalankan pula.

Ingatlah, Allah mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Manusia lain mungkin tidak tahu kerana pengetahuan mereka tidak menyeluruh, tetapi Allah Maha Mengetahui. Maka, janganlah kita takutkan manusia, tapi takutlah kepada Allah ﷻ yang Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan.


 

Ayat 136: Sekarang hingga ke hujung surah ini akan membincangkan tentang perkara-perkara iman pula. Kita telah mempelajari tentang hukum dan undang-undang yang telah Allah  senaraikan. Sekarang berkenaan akidah pula.

Ayat ini mengenai orang kafir. Kita tahu yang kafir terdiri daripada beberapa jenis. Jadi ini bukanlah kafir biasa, tapi tentang kafir munafik  kerana itu Allah mulakan ayat ini ditujukan kepada ‘orang-orang beriman’ iaitu merujuk kepada orang munafik yang mengaku beriman. Ia adalah ayat Zajrun kepada mereka.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا آمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ ۚ وَمَن يَكفُر بِاللهِ وَمَلٰئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَاليَومِ الآخِرِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, believe¹ in Allāh and His Messenger and the Book that He sent down upon His Messenger and the Scripture which He sent down before. And whoever disbelieves in Allāh, His angels, His books, His messengers, and the Last Day has certainly gone far astray.

  • i.e., renew, confirm and adhere to your belief.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا آمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. 

Ayat ini adalah ringkasan kepada agama. Ada tiga tafsir kepada ayat ini. Kita telah sebutkan pendapat pertama iaitu ia ditujukan kepada golongan munafik. Selain dari mereka, ada lagi pendapat lain:

1. Ia ditujukan kepada mereka yang telah beriman kepada kitab dahulu, iaitu Ahli Kitab. Sekarang mereka kena beriman dengan Qur’an juga. Tidak cukup kalau beriman dengan kitab dahulu sahaja.

2. Bagi mereka yang telah mengaku beriman dengan lisan, maka kenalah beriman dengan hati juga. Iman itu bukan setakat dengan lidah sahaja, tetapi harus ditunjukkan dengan perbuatan. Maka haruslah belajar bagaimana iman yang perlu dianuti oleh orang Islam.

3. Kepada orang Islam yang telah beriman, tapi tidak lengkap iman mereka, kenalah beriman dengan sempurna. Jangan buat ala kadar sahaja tentang agama Islam ini. Kena beriman sampai dapat menjalankan segala hukum dan meninggalkan segala larangan dari Allah . Harus tunjukkan iman seiring dengan amalan. Kalau sememangnya telah beriman, maka ayat ini adalah suruhan untuk meneruskan iman itu.

Ketahuilah bahawa iman itu bertambah dan berkurang. Kita haruslah berusaha untuk meningkatkan iman kita. Jangan hanya selesa dengan iman di takuk yang lama sahaja. Mestilah berusaha lagi dan lagi untuk meningkatkan tahap keimanan kita. Tapi bagaimana cara untuk meningkatkan iman? Iman itu hanya dapat ditingkatkan dengan ilmu.

Beriman dengan Allah  bermaksud beriman dengan semua Rukun Iman dan perkara-perkara yang lain, iaitu bukan Rukun Iman yang lima itu sahaja. Kenalah belajar untuk mengetahui manakah yang perlu diimani.

Dalam ayat ini disebut tiga perkara yang perlu dipercayai:

Beriman dengan Rasulullah ﷺ, maksudnya percaya bahawa apa yang baginda ﷺ bawakan adalah benar dan kita mengikuti apa yang diajar oleh baginda ﷺ.

Percaya kepada Qur’an bermaksud percaya kepada segala apa yang disampaikan dalam Qur’an itu.

Percaya kepada kitab-kitab yang lain bermaksud percaya yang Allah ﷻ ada menurunkan kitab-kitab yang lain sebelum Qur’an.

Mereka yang beriman sebegini sahaja yang dapat melakukan keadilan. Sebelum ini kita telah mempelajari ayat suruhan untuk berlaku adil. Kalau tidak beriman,  tentu tidak akan dapat berlaku adil kerana kalau tidak kisah tentang agama, maka pasti mereka tidak kisah pun tentang keadilan.

Nota: Lihatlah dalam ayat ini ditukar lafaz نَزَّلَ untuk Qur’an (وَالكِتابِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ) kepada lafaz أَنزَلَ untuk kitab-kitab sebelum itu (وَالكِتابِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ) kerana jenis penurunannya tidak sama. Ini kerana Qur’an diturunkan secara beransur-ansur manakala kitab-kitab lain diturunkan secara sekaligus.

 

وَمَن يَكفُر بِاللهِ وَمَلٰئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَاليَومِ الآخِرِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

Dan sesiapa yang kufur engkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Kalau tidak dapat beriman sepenuhnya dengan semua yang telah disebut ini, maka orang itu telah dikira sebagai sesat. Walaupun dia menolak satu sahaja dari semua perkara itu.

Mungkin kita bertanya: Kenapa perlu diulang perkara ini sedangkan kita sudah beriman dengan Allah , malaikat, semua kitab, dengan semua Rasul dan Hari Akhirat? Allah mengulanginya lagi dan memberikan penekanan kerana ada orang yang menyebutnya dengan mulut sahaja tetapi tidak diyakini dengan sepenuhnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 10 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani