Tafsir Surah Tawbah Ayat 73 – 74 (Perangi Kafir dan Munafik)

TIDAK MENGENANG BUDI

Tawbah Ayat 73: Ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad. Ayat yang sama juga diulang di dalam Tahreem:9

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ وَاغلُظ عَلَيهِم ۚ وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, fight against the disbelievers and the hypocrites and be harsh upon them. And their refuge is Hell, and wretched is the destination.

(MALAY)

Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah jahannam. Dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ

Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, 

Nabi Muhammad ﷺ diarahkan untuk melawan orang kafir dan munafikin. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa munafik itu juga adalah kufur sebenarnya. Akan tetapi dalam sirah, kita tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah berperang dengan puak munafik kerana mereka pada luarannya nampak sebagai orang Islam sahaja. Maka tidak boleh perangi mereka dengan perang qital (dengan mata pedang). Malah Rasulullah ﷺ pernah melarang para sahabat untuk membunuh golongan munafik,

حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ قَالَ سَمِعَ عَمْرٌو جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُا كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزَاةٍ فَكَسَعَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ يَا لَلْأَنْصَارِ وَقَالَ الْمُهَاجِرِيُّ يَا لَلْمُهَاجِرِينَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ دَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَسَعَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ دَعُوهَا فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ فَسَمِعَهَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ فَقَالَ قَدْ فَعَلُوهَا وَاللَّهِ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ قَالَ عُمَرُ دَعْنِي أَضْرِبُ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ فَقَالَ دَعْهُ لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ
Telah menceritakan kepada kami [Sufyan bin ‘Uyainah] dia berkata; dia mendengar [‘Amru] [Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنهما] berkata; “Kami pernah menyertai Rasulullah ﷺ dalam suatu peperangan. Tiba-tiba seorang sahabat daripada kaum Muhajirin melanggar punggung seorang sahabat daripada kaum Ansar. Lalu sahabat Ansar itu berseru; ‘Hai orang-orang Ansar ke marilah! ‘ Kemudian sahabat Muhajirin itu berseru pula; ‘Hai orang-orang Muhajirin, ke marilah! ‘ Mendengar seruan-seruan seperti itu, Rasulullah ﷺ pun berkata: ‘Mengapa kalian masih menggunakan cara-cara panggilan jahiliah? ‘ Para sahabat berkata; ‘Ya Rasulullah, tadi ada seorang sahabat daripada kaum Muhajirin melanggar punggung seorang sahabat daripada kaum Ansar.’ Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tinggalkanlah panggilan dengan cara-cara jahiliah, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kesan yang buruk.’ Ternyata peristiwa itu didengari oleh Abdullah bin Ubay, seorang tokoh munafik, dan berkata; ‘Mereka benar-benar telah melakukannya? Sungguh apabila kita telah kembali ke Madinah, maka orang-orang yang lebih kuat akan dapat mengusir orang-orang yang lebih lemah di sana.’ Mendengar pernyataan itu, Umar رضي الله عنه berkata; ‘Ya Rasulullah, izinkanlah saya untuk memenggal leher orang munafik ini.’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Biarkan dan lepaskanlah dia! Supaya orang-orang tidak berkata bahawasanya Muhammad membunuh sahabatnya.’
(Sahih Muslim (4682))

Maka yang dimaksudkan dengan ayat ini: Perangi orang kafir yang nyata itu dengan perang dan dengan munafik itu kena diperangi menggunakan lisan (dengan dakwah dan hujah). Patahkan hujah mereka, jangan biarkan mereka bermaharajalela menyesatkan masyarakat Muslim yang lain kerana kalau dibiarkan, mereka akan mempengaruhi orang lain pula.

Di dalam ayat 68, apabila menyebut tentang janji balasan azab, Allah ﷻ sebut golongan Munafik dahulu, kerana mereka lebih teruk jika dibandingkan dengan golongan kafir. Akan tetapi di sini apabila menyebut tentang perang kepada mereka, disebut golongan kafir dahulu. Ini adalah kerana golongan kafir boleh diperangi dengan pedang sedangkan golongan Munafik diperangi dengan cara lisan. Maka ia disusun daripada yang paling keras kepada yang kurang keras.

Begitulah pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Allah ﷻ memerintahkan Rasulullah ﷺ untuk berjihad melawan orang-orang kafir dengan senjata dan orang-orang munafik dengan lisan, serta jangan bersikap lemah lembut terhadap mereka.

 

وَاغلُظ عَلَيهِم

dan bersikap keraslah terhadap mereka. 

Jangan berlembut dengan mereka kerana mereka akan ambil peluang. Bersikap keraslah dengan mereka supaya mereka tahu yang kita tegas dan tidak boleh diambil mudah.

Hal itu merupakan kebalikan daripada apa yang telah diperintahkan-Nya terhadap orang-orang Mukmin. Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi-Nya untuk bersikap lemah lembut kepada orang-orang yang mengikuti baginda, iaitu kaum Mukmin.

Yang menjadi masalah lebih besar adalah untuk berurusan dengan puak munafikin kerana mereka itu pada zahirnya nampak sebagai Muslim. Nabi Muhammad ﷺ seorang yang lemah lembut dengan para Muslim. Maka Allah ﷻ beri arahan kepada baginda sebelum sampai ke Madinah semasa pulang dari Tabuk, jangan berlembut lagi dengan mereka. Allah ﷻ pesan awal-awal sebelum jumpa mereka lagi. Sebelum mereka ada peluang untuk mengadap Nabi ﷺ dan memberikan alasan-alasan mereka.

Di dalam ayat ini disebut kena bersikap keras dengan orang kafir, akan tetapi apabila Nabi Musa عليه السلام diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun, baginda disuruh berlembut dengannya. Kenapa pula begitu? Ini disebut dalam Taha:43-44

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Ini mengajar kita di dalam dakwah, kena berlembut, berkata-kata dengan lunak. Akan tetapi apabila sudah sampai ke tahap berperang, tentulah tidak ada lembut-lembut lagi. Namun begitu kalau sudah lama berdakwah tetapi yang didakwah tetap berdegil maka boleh juga berkeras sedikit kepada mereka seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام di dalam Isra’:102

قالَ لَقَد عَلِمتَ ما أَنزَلَ هٰؤُلاءِ إِلّا رَبُّ السَّماواتِ وَالأَرضِ بَصائِرَ وَإِنّي لَأَظُنُّكَ يا فِرعَونُ مَثبورًا
Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Tuhan Yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Fir’aun, seorang yang akan binasa”.

Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ pun amat berlembut dengan orang yang tidak berilmu seperti Arab Badwi yang mahu membuang air kecil di masjid. Sebaliknya apabila dengan para sahabat yang sudah lama belajar dengan baginda, baginda keras pula dan kadangkala merah muka baginda memarahi mereka. Begitu juga nanti kita akan belajar bagaimana baginda telah memulau sahabat seperti Ka’ab bin Malik رضي الله عنه yang tidak menyertai Perang Tabuk. Maka kena lihat kepada situasi.

Namun begitu kepada orang Munafik, maksud غلظ kepada mereka adalah syariat dikenakan penuh terhadap mereka, bukannya ada diskaun. Semua yang Muslim kena buat, mereka pun kena buat tanpa pengecualian. Bukanlah bercakap kasar dengan mereka atau hina mereka kerana cara ini tidak bersesuaian dengan ajaran dan perbuatan Nabi ﷺ. Lihatlah walaupun semasa dikenakan Hukum Hudud pun baginda tidak benarkan para sahabat mencela,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَهُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا زَنَتْ الْأَمَةُ فَتَبَيَّنَ زِنَاهَا فَلْيَجْلِدْهَا وَلَا يُثَرِّبْ ثُمَّ إِنْ زَنَتْ فَلْيَجْلِدْهَا وَلَا يُثَرِّبْ ثُمَّ إِنْ زَنَتْ الثَّالِثَةَ فَلْيَبِعْهَا وَلَوْ بِحَبْلٍ مِنْ شَعَرٍ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه ] bahawa beliau mendengarnya berkata; Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang budak wanita berzina dan terbukti penzinaannya maka dia dihukum sebat tanpa dicela dan dihinakan. Jika berzina lagi maka dihukum sebat tanpa dicela dan dihinakan dan jika berzina lagi untuk ketiga kalinya maka juallah sekalipun dengan harga senilai sehelai rambut”.
(Sahih Bukhari (2008))

Begitulah sikap Rasulullah ﷺ dengan umat baginda walaupun mereka telah melakukan kesalahan yang besar. Ini seperti disebut dalam Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Maknanya kena bercakap dengan cara yang baik-baik. Boleh tegas tetapi jangan sampai menghina, mencaci, memaki, perli dan sebagainya. Jika dengan cara keras dan makian begitulah kita berdakwah mengajar agama tentulah tidak memberi kesan yang baik kepada manusia. Manusia pun benci dan tidak mahu dengar apa yang kita sampaikan. Mereka akan tinggalkan kita begitu sahaja.

 

وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Tempat mereka ialah jahannam. Dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya.

Bersikap keraslah ke atas mereka sebab balasan mereka adalah neraka jahannam kalau mereka tidak berubah juga. Takkan kita tidak kasihan mereka masuk neraka? Kalimah مَأوىٰ adalah tempat yang sepatutnya kita rasa aman, tetapi Allah ﷻ perli kerana neraka bukanlah tempat yang aman. Oleh kerana tempat mereka adalah neraka maka jangan beri mereka hidup senang sebagai orang kafir di bumi Allah ﷻ ini.

Ingatkan kepada mereka yang mereka akan ke neraka kalau mereka tidak ubah sikap mereka dan neraka itu adalah tempat tinggal yang paling buruk. Malah Allah ﷻ kata tempat itu sebagai مَأوىٰ kerana mereka akan kekal di dalamnya. Ini sepatutnya amat menakutkan mereka kerana kalau setakat masuk sahaja, ada kemungkinan boleh keluar, bukan? Akan tetapi bila dikatakan مَأوىٰ maka ia memberi isyarat yang mereka akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

Begitu juga kalimah المَصيرُ digunakan untuk mengatakan mereka akan kekal kerana المَصيرُ adalah kampung asal. Kadangkala kita merantau ke merata-rata tempat tetapi kampung asal adalah tempat yang kita akan pulang akhirnya. Mereka itu akan pulang dan kekal di ‘kampung asal’ mereka iaitu di neraka.


 

Tawbah Ayat 74: Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa perlu perangi golongan Munafik itu. Allah ﷻ sebutkan kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ وَكَفَروا بَعدَ إِسلٰمِهِم وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا ۚ وَما نَقَموا إِلّا أَن أَغنٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ مِن فَضلِهِ ۚ فَإِن يَتوبوا يَكُ خَيرًا لَّهُم ۖ وَإِن يَتَوَلَّوا يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ عَذابًا أَليمًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ وَما لَهُم فِي الأَرضِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They swear by Allāh that they did not say [anything against the Prophet ()] while they had said the word of disbelief and disbelieved after their [pretense of] Islām and planned that which they were not to attain.¹ And they were not resentful except [for the fact] that Allāh and His Messenger had enriched them of His bounty.² So if they repent, it is better for them; but if they turn away, Allāh will punish them with a painful punishment in this world and the Hereafter. And there will not be for them on earth any protector or helper.

  • i.e., the murder of Prophet Muḥammad ().
  • i.e., for no reason. On the contrary, they should have been grateful.

(MALAY)

Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya, dan mereka tidak mencela (Allah dan Rasul-Nya), kecuali kerana Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka. Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat; dan mereka sekali-kali tidaklah mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi.

 

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا

Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan

Puak munafikin itu sanggup bersumpah dengan nama Allah ﷻ yang mereka tidak kata pun yang mereka ada buat perancangan untuk membunuh Nabi ﷺ. Maka ini adalah sifat golongan Munafik itu iaitu suka bersumpah kerana kalimah يَحلِفونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang membawa maksud mereka selalu melakukannya.

Mereka terpaksa menggunakan sumpah kerana mereka sendiri sedar yang orang susah untuk percaya kepada mereka. Maka mereka terpaksa menguatkan persaksian mereka dengan sumpah. Sedangkan orang Mukmin tidak perlu melakukannya kerana kita sentiasa berkata yang benar. Maka jangan suka bersumpah dalam kata-kata kita kerana itu adalah perbuatan buruk yang menjadi kebiasaan puak Munafik.

Ayat ini merujuk kepada perbincangan rahsia di antara mereka. Apabila ditanya tentangnya, mereka bersumpah mereka tidak melakukannya. Ada juga asbabun nuzul lain yang diriwayat tentang ayat ini.

Pada suatu hari seorang sahabat yang bernama Umair bin Sa’d رضي الله عنه mendengar seorang munafik bernama Jullas bin Suwaid bin Shamit, sedang berbincang-bincang di rumahnya, dengan berkata, “Seandainya laki-laki ini memang benar, tentulah kita ini lebih jelek daripada keldai-keldai!” Yang dimaksudkan dengan laki-laki di sini ialah Rasulullah ﷺ.

Beliau pun segera menemui Jullas seraya berkata, “Demi Allah, hai Jullas! Engkau adalah orang yang paling kucintai, dan yang paling banyak berjasa kepadaku, dan yang paling tidak kusukai akan ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan. Engkau telah melontarkan ucapan, seandainya ucapan itu kusebarkan dan sumbernya daripadamu, nescaya akan menyakitkan hatimu. Tetapi seandainya kubiarkan, tentulah agamaku akan tercemar. Padahal hak agama itu lebih utama ditunaikan. Daripada itu aku akan menyampaikan apa yang kudengar kepada Rasulullah!”

Setelah mendapat laporan daripada Umair رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ mengirimkan orang mencari Jullas. Ketika dihadapkan kepada Rasulullah ﷺ, Jullas mengingkari ucapannya. Bahkan, dia mengangkat sumpah palsu atas nama Allah ﷻ. Maka turunlah ayat ini menyatakan apa yang benar.

 

وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ

Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, 

Allah ﷻ beritahu yang mereka memang telah membuat perancangan jahat itu. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘kalimah kufur’ itu. Kalau zaman sekarang, ‘kalimat kufur’ boleh membawa maksud lain.

Mereka juga selalu mengatakan kalimah-kalimah kufur yang kalau disebut boleh menyebabkan jatuh kufur. Namun Allah ﷻ tidak sebut di sini kerana Allah ﷻ tidak mahu ia masuk ke dalam Al-Qur’an dan dibaca-baca sebagai ibadah pula. Sebagai contoh, mereka selalu mengutuk dan menghina Rasulullah ﷺ adalah perbuatan kufur.

Maka ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan perkataan yang keluar daripada mulut kita. Contohnya kalau kita merendah-rendahkan Hukum Hudud dengan mengatakan ia tidak patut, tidak sesuai di zaman sekarang, ia adalah hukum kuno dan kolot, maka ini adalah kalimah kufur kerana menghina hukum Allah ﷻ. Atau kalau kita hina perbuatan Sunnah yang dilakukan oleh manusia (seperti simpan janggut) kerana ia menghina Rasulullah ﷺ.

 

وَكَفَروا بَعدَ إِسلٰمِهِم

dan telah menjadi kafir sesudah Islam

Mereka telah zahirkan kufur setelah mereka zahirkan Islam. Bukannya mereka menjadi kufur selepas keluar Islam kerana munafik zaman Nabi ﷺ itu memang tidak pernah masuk Islam pun. Oleh itu, bukanlah mereka murtad, namun sebenarnya mereka tidak pernah menjadi Muslim pun kerana untuk menjadi murtad, kena masuk Islam dulu.

Dengan perlakuan mereka yang jelas menentang Islam, mereka sudah zahirkan apakah isi hati mereka yang sebenarnya.

Kita kena faham yang ada dua jenis munafik. Ada munafik yang hanya dia tahu dia munafik – dia zahirkan dia Muslim di mata manusia. Akan tetapi fahamannya kufur kerana dia tidak percaya dengan Islam.

Satu lagi adalah jenis munafik yang tidak tahu. Orang yang munafik itu pun tidak tahu yang dia itu ada sifat munafik. Dia sangka dia sudah seorang Muslim tetapi sebenarnya pada mata Allah ﷻ dia seorang munafik. Inilah jenis munafik yang ditakuti oleh para sahabat seperti Sayyidina Umar رضي الله عنه. Beliau amat risau kalau-kalau beliau ada sifat nifak itu kerana beliau sendiri pun tidak pasti sama ada beliau termasuk orang yang munafik pada mata Allah ﷻ .

Sedangkan Sayyidina Umar رضي الله عنه yang jauh lebih tinggi imannya daripada kita pun dan sudah dijamin syurga pun sentiasa takut bergelar munafik di mata Allah ﷻ, maka apatah lagi kita ini? Kita pun mestilah lebih lagi takut dalam perkara ini kerana perkara ini amat bahaya. Kena jaga hati kita dan periksa sama ada kita ada sifat-sifat munafik. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak sebut sifat-sifat munafik supaya kita boleh periksa diri kita.

Namun kita kena tahulah yang sifat munafik ini adalah rahsia hati. Janganlah kita memandai menuduh sesiapa pun sebagai munafik hanya kerana orang itu ada sifat-sifat munafik pula. Siapa kita untuk tahu orang itu munafik? Maka yang lebih utama adalah kita belajar sifat-sifat itu untuk periksa diri kita, bukannya untuk dijadikan senjata untuk menuduh dan melabel orang lain. Kemudian kita kena tahu jikalau sifat itu ada pada orang lain supaya kita boleh berhati-hati dengan dia.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu siapa munafik melainkan diberitahu dengan wahyu. Kalau ada yang kata dia tahu kemunafikan orang lain, adakah dia lebih hebat daripada Rasulullah ﷺ sendiri? Adakah kamu dapat wahyu juga seperti Rasulullah ﷺ? Malangnya ramai yang menggunakan tuduhan munafik ini sebagai senjata. Kalau ada yang dia tidak suka, maka dia tuduh orang itu munafik. Ini amat salah sekali.

Kita yang sudah belajar ilmu agama ini kena berhati-hati dalam perkara ini. Tambah pula kalau kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an, janganlah kita menuduh orang lain sebagai munafik pula. Kita sepatutnya tahu yang sifat munafik itu adalah rahsia Allah ﷻ. Kalau pun kita nampak orang itu ada sifat-sifat munafik, tentu kita tidak pasti lagi sama ada dia munafik atau tidak. Paling kuat kita boleh kata: dia ada sifat munafik.

 

وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا

dan mengingini sangat apa yang mereka tidak dapat mencapainya, 

Ulama’ memasukkan Asbabun Nuzul ayat ini, iaitu golongan munafik itu hendak membunuh Rasulullah ﷺ. Semasa dalam perjalanan balik dari Tabuk, mereka telah membuat keputusan untuk membunuh Nabi ﷺ. Mereka tahu yang semasa pulang dari Tabuk, mereka akan melalui lembah yang sempit yang hanya boleh dilalui oleh seorang sahaja pada satu-satu masa. Maka mereka nampak itu peluang untuk membunuh Nabi ﷺ waktu itu kerana pengiring Nabi ﷺ akan hanya ada di hadapan dan belakang baginda sahaja.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan:

عَنْ أَبِي الطُّفَيْلِ قَالَ: لَمَّا أَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ من غَزْوَةِ تَبُوكَ، أَمَرَ مُنَادِيًا فَنَادَى: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ الْعَقَبَةَ فَلَا يَأْخُذْهَا أَحَدٌ. فَبَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُودُهُ حُذَيْفَةُ وَيَسُوقُهُ عَمَّارٌ، إِذْ أَقْبَلَ رَهْطٌ مُتَلَثِّمُونَ عَلَى الرَّوَاحِلِ فَغَشَوْا عَمَّارًا وَهُوَ يَسُوقُ بِرَسُولِ اللَّهِ، وَأَقْبَلَ عَمَّارٌ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَضْرِبُ وُجُوهَ الرَّوَاحِلِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحُذَيْفَةَ: “قَدْ، قَدْ” حَتَّى هَبَطَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، [فَلَمَّا هَبَطَ] نَزَلَ وَرَجَعَ عَمَّارٌ، فَقَالَ: “يَا عَمَّارُ، هَلْ عَرَفْتَ الْقَوْمَ؟ ” فَقَالَ: قَدْ عَرَفْتُ عَامَّةَ الرَّوَاحِلِ، وَالْقَوْمُ مُتَلَثِّمُونَ. قَالَ: “هَلْ تَدْرِي مَا أَرَادُوا؟ ” قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “أَرَادُوا أَنْ يُنْفِرُوا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَطْرَحُوهُ”. قَالَ: فَسَارَّ عَمَّارٌ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: نَشَدْتُكَ بِاللَّهِ كَمْ تَعْلَمُ كَانَ أَصْحَابُ الْعَقَبَةِ؟ قَالَ: أَرْبَعَةَ عَشَرَ. فَقَالَ: إِنْ كُنْتَ مِنْهُمْ فَقَدْ كَانُوا خَمْسَةَ عَشَرَ. قَالَ: فَعَذَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُمْ ثَلَاثَةً قَالُوا: وَاللَّهِ مَا سَمِعْنَا مُنَادِيَ رَسُولِ اللَّهِ، وَمَا عَلِمْنَا مَا أَرَادَ الْقَوْمُ. فَقَالَ عَمَّارٌ: أَشْهَدُ أَنَّ الِاثْنَيْ عَشَرَ الْبَاقِينَ حَرْبٌ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ
Daripada Abu Tufail yang menceritakan bahawa ketika Rasulullah ﷺ ketika kembali dari medan Tabuk, baginda memerintahkan kepada juru penyeru untuk menyerukan, “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ akan mengambil jalan ‘Aqabah, maka janganlah ada seseorang yang menempuhnya.” Ketika unta kenderaan Rasulullah ﷺ dituntun oleh Huzaifah رضي الله عنه dan digiring oleh Ammar رضي الله عنه, tiba-tiba datanglah segolongan orang yang mengenderai unta, semuanya memakai cadar. Mereka menutupi Ammar رضي الله عنه yang sedang menggiring unta kenderaan Rasulullah ﷺ. Maka Ammar رضي الله عنه memukul bahagian depan pelana unta mereka, sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda kepada Huzaifah رضي الله عنه, “Hentikanlah, hentikanlah.” Setelah unta kenderaan Rasulullah ﷺ menunduk, maka Rasulullah ﷺ turun daripada unta kenderaannya, dan saat itu Ammar رضي الله عنه telah kembali. Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Ammar, tahukah siapakah kaum itu tadi?” Ammar رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya saya mengenali pelana mereka, tetapi orang-orangnya kami tidak tahu kerana memakai cadar.” Rasulullah ﷺ bertanya. ”Tahukah kamu, apakah yang mereka maksudkan?” Ammar رضي الله عنه menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Mereka bermaksud mengasingkan unta kenderaan Rasulullah ﷺ, lalu menjatuhkannya dari atas unta kenderaannya.” Lalu Ammar رضي الله عنه bertanya kepada salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ. Untuk itu dia berkata, “Aku memohon kepadamu dengan nama Allah. Menurut pengetahuanmu ada berapakah jumlah orang-orang yang di ‘Aqabah itu?” Orang itu menjawab, “Ada empat belas orang lelaki.” Ammar رضي الله عنه berkata, “Jika engkau termasuk seseorang daripada mereka, bererti jumlah mereka ada lima belas orang.” Rasulullah ﷺ mengecualikan tiga orang di antara mereka. Ketiga orang itu berkata, “Demi Allah, kami tidak mendengar juru seru Rasulullah ﷺ, dan kami tidak mengetahui apa yang dikehendaki oleh kaum itu.” Maka Ammar رضي الله عنه berkata, “Saya bersaksi bahawa kedua belas orang itu mengobarkan peperangan terhadap Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan di dunia dan pada hari semua saksi bangkit tegak (yakni hari kiamat).
(Musnad Ahmad (23792))
Sanadnya kuat menurut syarat Imam Muslim

Kedudukan perkara yang sebenar telah diberitahu kepada Rasulullah ﷺ dengan cara wahyu. Nabi ﷺ dapat tahu siapakah mereka yang telah cuba membunuh baginda. Oleh itu Nabi ﷺ telah memanggil mereka bertanyakan perkara itu dan mereka bersumpah mengatakan mereka tidak membuat rancangan untuk membunuh baginda.

Nabi Muhammad ﷺ mendapat berita itu melalui wahyu. Maka baginda tahu siapakah yang membuat perancangan itu. Baginda hanya memberitahu Huzaifah ibn Yaman رضي الله عنه sahaja tentang siapakah orang itu. Huzaifah رضي الله عنه mesti menjaga rahsia itu sampai bila-bila. Kerana itulah maka Huzaifah رضي الله عنه digelar sebagai pemegang rahsia yang tidak boleh diketahui oleh seorang pun, kerana beliau sahaja tahu berkenaan ciri-ciri dan diri orang-orang munafik yang terlibat dalam peristiwa itu. Rasulullah ﷺ telah memberitahukan kepadanya mengenai mereka, tidak kepada selainnya.

Imam Muslim رحمه الله telah meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

“فِي أَصْحَابِي اثْنَا عَشَرَ مُنَافِقًا، لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدُونَ رِيحَهَا حَتَّى يَلِجَ [الْجَمَلُ] فِي سَمِّ الْخِيَاطِ: ثَمَانِيَةٌ تَكْفِيكَهُمُ الدُّبَيْلة: سِرَاجٌ مِنْ نَارٍ يَظْهَرُ بَيْنَ أكتافه حَتَّى يَنْجُمَ مِنْ صُدُورِهِمْ”
Di antara sahabatku terdapat dua belas orang munafik, mereka tidak dapat masuk syurga dan tidak pula dapat mencium baunya hingga unta dapat masuk ke dalam lubang jarum (yakni mustahil mereka masuk syurga). Lapan orang di antaranya telah cukup dibalas dengan Dahilah, iaitu pelita api yang muncul di antara kedua belikat mereka, lalu menembus dada mereka.
(Sahih Muslim (2779))

Maka apa yang mereka telah rancangkan itu tidak mampu mereka capai. Allah ﷻ menggagalkan rancangan mereka. Kemudian mereka telah cuba melemahkan Islam dari dalam pula. Antaranya mereka menuduh A’isyah رضي الله عنها telah berzina. Dengan cara itu mereka hendak menjatuhkan maruah Rasulullah ﷺ dan secara tidak langsung, Islam menjadi lemah.

Itu adalah kisah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Kalau zaman lain seperti sekarang, maka tafsir mestilah disesuaikan dengan zaman. Ada perkara yang diinginkan sangat oleh puak munafik tetapi mereka tidak akan dapat capai. Mungkin mereka mahu menjatuhkan Islam dari dalam juga. Bukankah ada yang melakukan berbagai-bagai kritikan terhadap syariat Islam seperti mengatakan kedudukan wanita yang kononnya ditindas, Hukum Hudud yang mereka lama dianggap kuno, dan sebagainya?

 

وَما نَقَموا إِلّا أَن أَغنٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ مِن فَضلِهِ

dan mereka tidak mencela, kecuali kerana Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka.

Mereka sebenarnya tidak mencela orang Islam dan Rasulullah ﷺ, melainkan kerana Allah ﷻ dan Rasul telah melimpahkan kesenangan kepada mereka. Itu bukan kerana usaha atau kerja mereka tetapi مِن فَضلِهِ iaitu daripada kurnia Allah ﷻ. Mereka cela Islam kerana Allah ﷻ beri kemewahan hidup kepada mereka dan Nabi ﷺ juga telah beri kemudahan kepada mereka. Hidup mereka senang dan kedudukan mereka tinggi. Apa yang mereka minta kepada Nabi ﷺ telah diberi.

Kerana itulah mereka menjadi sombong untuk menerima kebenaran. Mereka itu tidak tahu diuntung kerana sebelumnya ini mereka adalah orang-orang miskin dan papa. Amat menghairankan sekali, mereka boleh pula melecehkan orang yang menjadi penyebab keluarnya mereka daripada kegelapan menuju cahaya dan penyebab kekayaan mereka setelah sebelumnya mereka miskin dan hina.

Namun kemudiannya Allah ﷻ dan Rasul ﷺ telah memberikan mereka harta ghanimah yang menjadikan mereka kaya. Namun mereka memperlecehkan pula baginda. Padahal yang seharusnya mereka lakukan adalah menghormatinya, memuliakannya, dan beriman kepadanya, sehingga terkumpul faktor pendorong kekuatan (beragama) dan keluhuran kemanusiaan. Hanya duit mereka hendak, tetapi taat tidak mahu pula. Maka Allah ﷻ kutuk mereka di dalam ayat ini kerana mereka telah menjadi sombong setelah hidup senang.

 

فَإِن يَتوبوا يَكُ خَيرًا لَّهُم

Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka,

Walaupun telah banyak kesalahan yang mereka telah lakukan, tetapi kalau sekarang ini pun mereka sanggup bertaubat, itu lebih baik bagi mereka. Taubat mereka masih boleh diterima kerana masih ada harapan lagi. Allah ﷻ masih lagi menjemput mereka untuk mengubah perangai mereka itu.

 

وَإِن يَتَوَلَّوا يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ عَذابًا أَليمًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat; 

Namun ingat, sekiranya masih tidak mahu bertaubat juga setelah diberikan peluang, mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih di dunia dan juga di akhirat. Di dunia lagi sudah boleh dikenakan azab dan di akhirat pasti lebih lagi. Di dunia lagi fikiran mereka akan berserabut tidak tenang, rasa dengki, rasa tidak puas hati, semua tidak kena pada mereka. Nanti di Akhirat nanti azab untuk mereka lebih dahsyat.

 

وَما لَهُم فِي الأَرضِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

dan mereka sekali-kali tidaklah mempunyai sebarang pelindung dan tidak (pula) penolong di dunia.

Kalau Allah ‎ﷻ telah tetapkan yang mereka akan dikenakan dengan azab, sama ada di dunia atau di akhirat, tidak akan ada yang dapat menolong. Tidak ada وَلِيٍّ maksudnya tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang azab itu.

Maksud نَصيرٍ pula, bila sudah dikenakan dengan azab itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh membantu untuk menghentikan azab itu atau untuk kurangkan langsung. Kalau di dunia ini tidak ada penolong, di akhirat tentulah juga tidak ada.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Abasa Ayat 7 – 16 (Buang sombong dengan Al-Qur’an)

Ayat 7:

وَما عَلَيكَ أَلّا يَزَّكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not upon you [is any blame] if he will not be purified.¹

  • The Prophet () was responsible only for conveying the message, not for ultimate guidance.

(MALAY)

Padahal tidak ada (celaan) atasmu apabila dia tidak membersihkan diri (beriman).

Allah ﷻ buka apa yang dalam hati mereka, di mana Allah ﷻ beritahu yang mereka memang tidak mahu membersihkan hati mereka pun. Kita dapat faham begini kerana Allah ﷻ letak أَلّا dalam lafaz ini. Bukan Allah ﷻ kata, ‘kalau dia tidak bersihkan diri’, tetapi Allah ﷻ kata ‘apabila dia tidak membersihkan diri’. Itu bukanlah salah Nabi dan Allah ﷻ nyatakan dengan jelas dalam ayat ini.

Dan lagi satu makna yang kita boleh ambil dari ayat ini, bukan tanggungjawab Nabi pun kalau mereka tidak bersihkan hati mereka. Kerana itu adalah tanggungjawab mereka sendiri. Dalam surah lain disebut yang Nabi hanya beri ancaman sahaja, sampaikan sahaja, pemberi peringatan sahaja. Maksudnya, kalau memang mereka tidak mahu terima agama tauhid dan belajar dengan Nabi , itu bukan salah baginda. Kerana tugas baginda hanya menyampaikan sahaja.

Begitu jugalah kita dengan orang yang kita sampaikan dakwah sunnah. Bukan tanggungjawab kita untuk memastikan mereka beriman atau tidak; tanggungjawab kita adalah menyampaikan sahaja, dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan. Kalau mereka tidak terima juga, bukan salah kita, kalau kita sudah sampaikan.


 

Ayat 8:

وَأَمّا مَن جاءَكَ يَسعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who came to you striving [for knowledge]

(MALAY)

Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

Lafaz يَسعىٰ bermaksud seseorang yang berjalan laju, tapi tidak sampai tahap berlari. Macam kita saie di Baitullah, ada tempat berlari-lari anak, bukan?

Ayat ini hendak menjelaskan bagaimana Abdullah Ummi Maktum itu datang dengan bersungguh-sungguh. Dia datang dengan bersemangat sebab dia memang hendak mendapat ilmu dan berbeza dengan pemuka Quraisy yang rasa diri mereka cukup dan tidak memerlukan apa-apa.


Ayat 9:

وَهُوَ يَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

While he fears [Allāh],

(MALAY)

sedang dia takut kepada (Allah),

Abdullah ibn Ummi Maktum takut dengan Allah ﷻ. Dan takut kepada Allah ﷻ adalah penting. Kerana apabila takut kepada Allah ﷻ, maka kita takut untuk buat dosa. Apabila diberitahu yang beliau takut, maknanya dalam masa yang sama, ada yang tidak takut iaitu Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah tidak kisah dengan Allah ﷻ.


Ayat 10:

فَأَنتَ عَنهُ تَلَهّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From him you are distracted.

(MALAY)

maka kamu mengabaikannya.

Lafaz تَلَهّىٰ dari katadasar ل ه و yang bermaksud bergembira, hiburan – sesuatu yang kita buat sampai leka, terlupa kepada perkara yang lebih penting lagi. Begitulah kita dengan hiburan, bukan?

Allah ﷻ hendak beritahu kepada Nabi , yang baginda telah leka dengan perkara yang lain, sampaikan baginda terlupa kepada Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه itu. Nabi telah melebihkan orang lain yang tidaklah lagi penting dari orang buta ini.

Dalam masa yang sama, Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang orang buta ini lebih penting dari pemuka-pemuka Quraisy itu. Allah ﷻ tahu hati orang kafir itu dan hati Abdullah رضي الله عنه itu. Allah ﷻ beritahu Nabi jangan buang masa dengan mereka yang tidak mahu belajar, tidak mahu berubah.

Kalau kita berdakwah dan kita lihat ada harapan yang orang itu mahu kebenaran, maka tidaklah salah kalau kita teruskan. Kerana kita tidak tahu sama ada dia akan terima kebenaran atau tidak. Kerana kita tidak tahu dalam hati manusia.

Akan tetapi dalam kes ini, Allah ﷻ beritahu sendiri kepada baginda, kerana Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka. Oleh itu, jangan salah faham dengan ayat ini – ayat ini bukanlah suruh kita jangan hiraukan dakwah kepada non-muslim. Kita kena tetap terus dakwah kepada mereka.


 

Ayat 11: Ayat ini sehingga ke ayat 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita untuk buang kesombongan hati dan hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.

كَلّا إِنَّها تَذكِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Indeed, they [i.e., these verses] are a reminder;

(MALAY)

Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan,

 

Kalimah كَلّا ini ada banyak pentafsiran tentangnya. Yang pertama, ia mungkin Allah ﷻ sedang menempelak orang kafir. Kerana ia adalah sambungan kepada ayat-ayat sebelum ini. Sebagai teguran berat kepada mereka yang rasa mereka sudah cukup. Maksudnya, Nabi tidak ada masa hendak layan mereka lagi. Lagi elok kalau Nabi layan orang yang ikhlas hendak belajar.

Atau lafaz كَلّا itu sebagai penekanan kepada apa yang hendak disebutkan selepasnya. Allah ﷻ hendak tekankan yang sesungguhnya Al-Qur’an ini adalah peringatan yang amat besar. Maka jangan tidak beri perhatian kepadanya.

Kenapa Al-Qur’an digelar sebagai pemberi peringatan? Bukankah ia bawa benda yang baharu? Sedangkan kalau beri ingat, tentulah kepada perkara yang kita sudah tahu, bukan? Memang begitu kerana sebenarnya Al-Qur’an mengingatkan manusia kembali tentang syahadah kita semasa kita dijadikan dahulu. Ini disebut dalam Al A’raaf Ayat 172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Maknanya, dalam diri kita sebenarnya sudah ada fitrah untuk mendapat peringatan kerana kita sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita dikeluarkan ke dunia lagi. Akan tetapi kita sudah lupa tentangnya. Kerana itulah ada agama-agama yang lain dari Islam, sedangkan Islam adalah agama fitrah.

Agama lain itu terjadi kerana manusia sudah lupa perjanjian dan ikrar mereka sebelum mereka lahir. Oleh itu, wahyu Al-Qur’an mengingatkan kita kembali kepada apa yang kita telah ikrarkan dahulu. Ini bukan peringatan dari manusia tetapi dari Allah ﷻ sendiri. Kalau mereka tidak mahu dengar, bukan salahmu Muhammad !

Atau Allah ﷻ menegur Nabi dengan lafaz كَلّا yang bermaksud ‘jangan begitu’. Maknanya, Nabi tidak boleh begitu terhadap Abdullah Ummi Maktum  رضي الله عنه itu. Al-Qur’an ini adalah untuk semua orang, tidak boleh dibahagi-bahagikan, tidak boleh dikhususkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Oleh itu Allah ﷻ suruh Nabi jangan lebihkan orang kafir itu daripada orang mukmin.


 

Ayat 12:

فَمَن شاءَ ذَكَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So whoever wills may remember it.¹

  • The revelation. Or “Him,” i.e., Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia mengingatinya,

 

Kepada siapa yang mahu, akan mendapat peringatan. Tugasmu hanya menyampaikan.  Sesiapa yang hendak, dia boleh ambil, terpulang kepada mereka. Iaitu mereka yang masih ada lagi cahaya fitrah dalam diri mereka. Yang masih mahu mendengar suara hatinya.

Jadi, adakah kita mahu mendengar suara hati kita dan belajar tafsir Al-Quran ini sampai kita boleh faham? Sepatutnya begitulah sikap kita terhadap Al-Qur’an. Kita kena ada usaha untuk mempelajari dan memahaminya. Kita belajar tafsir, belajar bahasa Arab, belajar bahasa Al-Qur’an, baca berulang-ulang supaya kita lebih faham dan amalkan apa yang kita belajar.

Kerana kalau tidak faham, bagaimana kita hendak amalkan? Akhirnya, kita kena sampaikan kepada orang lain, kerana itulah yang Allah ﷻ suruh kita lakukan. Adakah kita lakukan semua itu? Berapa ramai yang tidak kisah pun mereka tidak faham Al-Qur’an?

Dan berapa ramai yang salah faham dengan pelajaran Tafsir Al-Qur’an ini, sampai ada yang kata kita tidak akan dapat faham, bukan bidang kita, ulama sahaja faham, bahaya kalau belajar dan macam-macam lagi alasan, sampai mereka tidak belajar tafsir langsung? Dan bagaimana pula yang sampai sanggup melarang orang lain dari belajar kerana takut sesat?


 

Ayat 13: Allah ﷻ sambung cerita tentang Al-Qur’an. Kenapa Al-Qur’an itu hebat?

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is recorded] in honored sheets,

(MALAY)

di dalam kitab-kitab yang dimuliakan,

 

Al-Qur’an itu tersimpan di dalam suhuf yang mulia. Lafaz صُحُفٍ bermaksud helaian-helaian. Allah ﷻ memberitahu betapa mulianya Al-Qur’an ini kerana ia terjaga. Dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut tentang Al-Qur’an yang asal, yang disimpan di Lauh ul Mahfuz.

Ianya bukan kitab yang sebarangan, ianya amat tinggi, tetapi malangnya ramai yang buat tidak tahu sahaja. Allah ﷻ hendak beritahu, kalau mereka tidak inginkan, tidak endahkan perkara yang mulia, mereka pun tidak layak kerana mereka itu rendah.

Jadi tidak perlu terdesak sangat hendak hulur kepada mereka. Ianya adalah sesuatu yang mulia sampaikan tidak layak untuk disogok-sogok kepada orang yang tidak mahukannya.


 

Ayat 14:

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted and purified,

(MALAY)

yang ditinggikan lagi disucikan,

 

Al-Qur’an itu bersifat yang tinggi dan suci. Allah ﷻ menekankan bahawa wahyu yang dibawa Nabi adalah tinggi dan suci. Jadi mereka yang tidak mahu mendengarnya adalah di dalam kerugian.

Kalau ia tinggi tidak dapat dicapai dan ianya suci, maksudnya Al-Qur’an itu terjaga dari kekotoran dan penipuan. Tidak boleh sesiapa pun memasukkan perkara yang salah di dalamnya, juga tidak dapat dikurangkan. Maka salahlah fahaman puak Syiah yang mengatakan Al-Qur’an yang ada sekarang ini telah diubah, malah banyak yang dikurangkan. (Mereka kata Al-Qur’an yang sebenar sekarang disimpan oleh Imam Mahdi mereka).

Oleh kerana mulia dan tinggi Al-Qur’an itu, mereka yang mendengar dan belajar tafsir Al-Qur’an ini sepatutnya rasa beruntung. Tidak layak kalau mereka pandang rendah wahyu itu. Tidak patut mereka rasa diri mereka sudah cukup tanpa Al-Qur’an.


 

Ayat 15:

بِأَيدي سَفَرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Carried] by the hands of messenger-angels,

(MALAY)

di tangan para penulis,

 

Lafaz سَفَرَةٍ bermaksud ‘penulis’. Siapakah yang dimaksudkan?

Pendapat jumhur mengatakan ianya adalah para malaikat. Maksudnya, Al-Qur’an itu terpelihara di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauhul Mahfuz.

Begitulah pendapat Ibnu Jarir رحمه الله yang mengatakan bahawa pendapat yang sahih ialah yang mengatakan bahawa safarah adalah para malaikat yang menghubungkan antara Allah ﷻ dengan makhluk-Nya. Dan termasuk ke dalam pengertian ini dikatakan safir, yang ertinya orang yang menghubungkan di antara kedua belah pihak yang bersangkutan untuk tujuan perdamaian dan kebaikan.

Maka, safarah dalam ayat ini bermaksud penghubung antara Allah ﷻ dan makhlukNya. Dalam satu hadis, digunakan kalimah ‘safarah’ ini yang merujuk kepada para malaikat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنَا هِشَامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ زُرَارة بْنِ أَوْفَى، عَنِ سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Hisyam, dari Qatadah, dari Zurarah ibnu Aufa, dari Sa’d ibnu Hisyam, dari ayahnya, dari Aisyah yang mengatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda: Orang yang membaca Al-Qur’an, sedangkan dia pandai membacanya (kelak akan dihimpunkan) bersama-sama dengan para safarah yang mulia lagi berbakti. Adapun orang yang membacanya, sedangkan dia melakukannya dengan berat, baginya dua pahala.

Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada para penulis Rasulullah yang ditugaskan untuk menyalin Al-Qur’an selepas dibacakan oleh Nabi . Rasullullah telah melantik para penulis wahyu Qur’an dari sahabat-sahabat terkemuka, seperti Ali bin Abi Thalib, Muawiyah, ‘Ubai bin K’ab dan Zaid bin Tsabit رضي الله عنهم. Ada lebih kurang 40 orang penulis wahyu yang ditugaskan oleh Rasulullah.

Setiap kali ada ayat turun, baginda akan memerintahkan mereka menulisnya dan menunjukkan tempat ayat tersebut dalam surah, sehingga penulisan pada lembar itu membantu penghafalan di dalam hati.


 

Ayat 16:

كِرامٍ بَرَرَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Noble and dutiful.

(MALAY)

yang mulia lagi berbakti.

 

Malaikat yang menulis dan menjaga Al-Qur’an itu mulia lagi banyak berbakti. Allah ﷻ hendak beritahu kepada kita betapa mulianya Al-Qur’an dan peringatan itu. Oleh kerana kedudukan Al-Qur’an itu, maka para malaikat yang tinggi dan mulia yang menyalin Al-Qur’an itu dan menjaganya.

Dan manusia amat beruntung jika dapat mempelajarinya. Oleh itu, kalau mereka tidak mahu dengar dakwah dari Al-Qur’an, maka bukan salah Nabi . Yang rugi adalah mereka.

Bagaimana Al-Qur’an yang mulia itu mereka tidak hiraukan? Bagaimana masyarakat kita boleh belajar agama tetapi tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an? Kitab berjela-jela mereka belajar, tetapi tafsir Al-Qur’an belum belajar lagi. Ini adalah satu perkara yang amat pelik. Seolah-olah Al-Qur’an ini bukan sumber rujukan utama kepada pelajar agama. Sedangkan para sahabat dahulu tidak benarkan anak-anak mereka belajar sumber lain sebelum habis belajar tafsir Al-Qur’an.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini 25 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Tawbah Ayat 71 – 72 (Sifat orang Mukmin)

BALASAN KEPADA ORANG MUKMIN

Tawbah Ayat 71: Sebelum ini telah disebut tentang maksud hidup orang kafir dan orang munafik. Sekarang dibawakan pula maksud hidup orang beriman pula. Ini adalah ayat tabshir (berita gembira).

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believing men and believing women are allies of one another. They enjoin what is right and forbid what is wrong and establish prayer and give zakāh and obey Allāh and His Messenger. Those – Allāh will have mercy upon them. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi wali (penjaga dan pelindung) bagi sebahagian yang lain.

Orang mukmin menjadi pembantu agama kepada sesetengah mukmin yang lain. Mereka tolong menolong dalam urusan agama. Inilah yang kita kena lakukan. Kena tengoklah apa yang kita boleh bantu sesama kita dalam menegakkan agama ini. Kena jalankan kerja dakwah bersama-sama kerana kerja dakwah ini akan lebih senang dan lebih berjaya kalau kita bekerjasama. Ini seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith sahih, iaitu:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ، يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا ‏”‏‏.‏ وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ‏.‏
Sesungguhnya seorang mukmin bagi orang mukmin lain sama dengan bangunan, sebahagian daripadanya mengikat sebahagian yang lain. Lalu baginda merangkumkan jari-jemari kedua telapak tangannya.
(Sahih Bukhari (481))

Kalimah أَولِياءُ juga adalah lawan kepada permusuhan, iaitu berkasih sayang. Maka umat Islam sepatutnya berkasih sayang sesama sendiri. Maka sebarkan kasih sayang sesama kita. Rasulullah ﷺ bersabda,

مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
“Barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi.”
(Sahih Bukhari No. 328)

 

Begitulah Rasulullah ﷺ mengajarkan kepada umatnya untuk menyayangi siapapun yang ada di muka bumi. Sebagaimana sabda baginda,

ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
“Sayangilah siapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh siapa saja yang ada di langit”
(Jami’ Tirmidzi (1924))
Status: Hasan

Di dalam hadith yang lain,

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوادِهِمْ، وتَراحُمِهِمْ ، وتَعَاطْفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذا اشْتَكَى مِنهُ عُضْقَ تَداعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ والحُمّى
“Perumpamaan sesama kaum mukminin dalam menjaga hubungan kasih sayang dan kebersamaan seperti satu tubuh, jika satu anggota merasakan sakit, maka akan membuat seluruh tubuhnya terjaga dan merasakan demam.”
(Sahih Muslim No. 2586)

Dalam Hujurat:10 juga Allah ﷻ telah menjelaskan hubungan sesama kita,

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik

Ternyata sesama Mukmin adalah bersaudara dan أَولِياءُ sesama sendiri. Kalau dibandingkan dengan kalimat yang digunakan di dalam ayat 67 apabila disebut tentang hubungan golongan munafik sesama mereka, tidak ada kalimah أَولِياءُ langsung (المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ بَعضُهُم مِّن بَعضٍ). Ini kerana antara mereka tidak ada kasih sayang sesama mereka sebenarnya. Masing-masing hendak melepaskan diri sendiri dan mencari keuntungan diri sendiri sahaja. Semuanya hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Hubungan yang berlandaskan keduniaan tidak akan kekal lama kerana itu mereka sebenarnya bermusuhan seperti yang Allah ﷻ sebut tentang golongan Munafik di dalam Hashr: 14

بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Ternyata kasih sesama Mukmin itu akan kekal lama membawa ke syurga kerana ia timbul kerana Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ sendiri yang akan timbulkan perasaan kasih sayang itu seperti disebut  di dalam Maryam: 96

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

Namun malang sekali kerana ini tidak terjadi sekarang, bukan? Ini adalah kerana kita jauh daripada wahyu, tidak beriman seperti yang sepatutnya dan tidak menjaga amal soleh. Maka lihatlah kita bercakaran sesama sendiri dan saling jatuh menjatuhkan sesama Muslim. Sepatutnya kita kena ubah dari sekarang. Pandanglah saudara seIslam kita dengan pandangan rahmah dari sekarang. Jangan dilayan jikalau ada bibit-bibit permusuhan antara kita. Syaitan pasti akan menimbulkan kebencian antara kita, tetapi jangan dilayan perasaan itu.

 

يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ

Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar,

Mereka yang beriman sebenar akan melakukan amar makruf nahi mungkar. Mereka sentiasa melakukannya kerana kalimah يَأمُرونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’. Bukan sahaja mengajak ke arah kebaikan tetapi kalau ada perkara yang tidak betul, mereka akan halang dan larang. Ini juga sentiasa orang Mukmin lakukan kerana kalimah يَنهَونَ di dalam fi’il mudhari’. Ini berlawanan dengan apa yang munafik lakukan – mereka larang membuat makruf dan suruh buat munkar.

Kita kena lakukan amar makruf nahi munkar ini. Ramai yang tahu mana yang salah, tetapi mereka tidak berani hendak tegur orang lain. Tidak tahulah apa masalah mereka yang sebenar, tetapi kena berhentilah daripada tidak buat apa-apa kerana kalau kita diamkan sahaja, orang tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah. Manusia memang memerlukan nasihat daripada orang lain. Ini kerana syaitan memang sudah ‘nasihat’ mereka, maka kita kenalah juga lawan nasihat daripada syaitan itu dengan beri nasihat yang baik pula.

Ini adalah tugas kita sebagai umat Islam (walaupun ramai yang tidak melakukannya) seperti yang Allah ﷻ telah sebut  dalam Ali Imran: 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)

Apa pula masalah jika kita tidak melakukannya? Memang masalah besar kerana ia pernah terjadi kepada umat yang terdahulu seperti Yahudi dan kita pun tahu yang mereka telah dilaknat oleh Allah ﷻ seperti disebut dalam Maidah: 78-79

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ
Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ
Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Kalau manusia melampau maka ada kemungkinan Allah ﷻ akan kenakan dengan azab. Sekiranya azab Allah ﷻ turun, ia boleh sahaja secara menyeluruh sampaikan ia akan mengenai juga kepada kita walaupun kita tidak melakukan dosa. Ini seperti disebut dalam Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Cuma kita faham yang ramai takut menegur orang yang melakukan kesalahan kerana takut dicela dan dicemuh. Namun ini bukanlah sikap yang bagus sebenarnya. Kita sepatutnya kena lebih takut takut dengan Allah ﷻ, bukannya takut dengan manusia. Kalau kita tidak melakukannya, ditakuti kita digantikan dengan golongan lain yang tidak takut tentang hal ini seperti disebut dalam Maidah: 54

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ
Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Ayat ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith di mana Allah ﷻ berjanji melalui lisan Rasulullah ﷺ yang orang yang tidak mencegah kemungkaran akan dikenakan dengan azab sebelum dia mati,

قَالَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ رَجُلٍ يَكُونُ فِي قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا عَلَيْهِ فَلَا يُغَيِّرُوا إِلَّا أَصَابَهُمْ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَمُوتُوا
Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang laki-laki berada pada sebuah kaum yang di dalamnya dilakukan suatu kemaksiatan, sedangkan mereka mampu mengubah kemaksiatan tersebut lalu tidak melakukannya, maka Allah ﷻ akan menimpakan seksa kepada mereka sebelum mereka meninggal.”
(Sunan Abu Dawud (3776))
Status: Hasan

Malah, Rasulullah ﷺ telah bersabda yang jikalau kita tidak melakukan tugas yang besar dan penting ini, azab yang Allah ﷻ kenakan kepada kita tidak diangkat kerana Dia tidak akan memakbulkan doa kita. Ini amat menakutkan sekali!

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Daripada [Hudzaifah bin Al Yaman رضي الله عنه] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, hendaknya kalian beramar ma’ruf dan nahi munkar atau jika tidak nescaya Allah ﷻ akan mengirimkan seksa-Nya dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”
(Sunan Tirmizi (2095))
Status: Hasan

Ya kita faham yang kadangkala kita tidak berada di kedudukan yang kuat untuk mencegah sesuatu kemungkaran itu. Akan tetapi kita tetap kena melakukan sesuatu. Paling kurang kita tidak setuju dengan hati kita (dan ini adalah pada tahap iman paling lemah). Ini seperti disebut dalam hadith yang masyhur,

رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Rasulullah ﷺ, bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”
(Sahih Muslim (70))

Tetapi ingat! Jangan kita hanya pandai menegur sahaja tetapi diri kita sendiri melakukan kemungkaran pula. Ada azab khusus yang disediakan oleh Allah ﷻ terhadap orang-orang yang sebegini,

رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Pada hari qiyamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keldai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; “Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma’ruf dan melarang kami berbuat munkar?”. Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma’ruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun malah aku mengerjakannya”.
(Sahih Bukhari (3027))

 

وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ

dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat 

Mereka sendiri melakukan amal ibadat seperti yang Allah ﷻ suruh. Mereka tidaklah suruh orang lain sahaja yang buat, tetapi mereka sendiri pun banyak melakukan amal ibadat itu. Solat dan zakat diberikan sebagai contoh ibadah yang utama. Kedua-duanya perlulah dilakukan dengan sempurna.

Maknanya, bukanlah kena kerjakan dua ibadah ini sahaja. Cuma diringkaskan dengan diberikan contoh dua amal ibadat yang paling utama – solat dan zakat. Solat adalah wakil kepada amal ibadat perhubungan dengan Allah ﷻ manakala zakat adalah contoh amal ibadat antara manusia.

Kalau kita lihat susunan ayat ini, disebut amar makruf nahi mungkar dahulu baru disebut solat. Bukankah solat itu ibadah yang paling utama? Ya benar tetapi Allah ﷻ sebut tujuan dahulu kemudian disebut caranya. Tujuan kita adalah amar makruf nahi munkar dan caranya adalah dengan solat kerana solat itu mencegah kemungkaran, bukan? Seperti disebut di dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Ayat Ankabut: 45 ini amat menakutkan! Kerana kalau kita solat tetapi masih lagi melakukan kemungkaran, ini bermakna ada masalah dengan solat kita. Entah apa yang kita lakukan di dalam solat kita sampaikan ia tidak memberi kesan yang sepatutnya.

 

وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ

dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. 

Mereka taat suruhan Allah ﷻ dan suruhan Rasulullah. Namun begitu sebelum hendak taat, kenalah tahu apa yang perlu ditaati. Janganlah kita mengaku kita taat, tetapi apa yang perlu ditaati pun tidak tahu. Maka, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah untuk tahu apa yang perlu ditaati. Untuk taat Allah ﷻ, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan untuk taat kepada Rasul, kena belajar hadith.

 

أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ

Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;

Mereka pasti Allah ﷻ akan beri rahmat. Antara rahmat yang Allah ﷻ akan berikan adalah syurga, dengan segala nikmat di dalamnya. Ini kerana kita tidak dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ, bukan? Ini jelas daripada sebuah hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رضي الله عنه] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))

Kesimpulannya ayat ini mengajar kita bagaimana untuk mendapat rahmat Allah ﷻ:

1. Berkasih sayang dan bantu membantu sesama Mukmin

2. Mengajak kepada perkara ma’ruf

3. Mencegah manusia daripada kemungkaran

4. Mendirikan Solat

5. Mengeluarkan Zakat

6. Taat kepada Allah ﷻ

7. Taat kepada Rasul

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ boleh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki kerana Dia lah Tuhan kita. Allah ﷻ juga Maha Bijaksana, maka apa-apa sahaja ketentuan daripada-Nya, adalah molek-molek belaka.


 

Tawbah Ayat 72: Allah menjelaskan apakah maksud ‘rahmat’ yang disebut dalam ayat sebelum ini tadi.

وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised the believing men and believing women gardens beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and pleasant dwellings in gardens of perpetual residence; but approval from Allāh is greater. It is that which is the great attainment.

(MALAY)

Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah kejayaan yang besar.

 

وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ

Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan,

Rahmat Allah ﷻ adalah janji Dia yang pasti akan ditunaikan kepada orang yang sanggup melakukan seperti disebut di dalam ayat sebelum ini. Janji Allah ﷻ tidak sama seperti janji manusia. Kalau janji manusia, belum tentu dia boleh tepati lagi, kerana dia pun mungkin tidak mampu hendak berikan walaupun dia memang hendak beri. Namun kalau Allah ﷻ yang berjanji, pasti akan ditepati.

 

جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai,

Allah ﷻ menjanjikan syurga untuk Mukminin. Ini adalah nikmat jasmani. Disebut ada sungai-sungai di bawah syurga-syurga itu kerana air adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh manusia, terutama bangsa Arab kerana mereka kekurangan air. Malah kawasan penempatan yang ada air adalah penempatan yang paling mahal sekali. Orang kita pun amat suka kalau dapat bercuti dan berkelah atau istilah popular masakini ber’healing’ berdekatan air seperti laut, sungai atau air terjun.

Maka Allah ﷻ menarik perhatian manusia sebagai motivasi dengan mengatakan di syurga itu mengalir sungai-sungai. Di dalam ayat yang lain Allah ﷻ menyebut jenis-jenis sungai yang ada di syurga.  Lihat Muhammad: 15

مَّثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ ۖ فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa yang di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring;

Bayangan sebegini pun sudah cukup hebat tidak terbayang oleh pancaindera kita. Namun apakah maksud sungai itu di bawah? Ia boleh bermaksud sungai di bawah rumah, di bawah pokok-pokok di syurga dan satu lagi yang menarik, ia mungkin di bawah perintah dan kehendak penghuni syurga itu. Ahli syurga dapat mengawal sungai-sungai itu contohnya mengalir ke arah mana, di bawah atau di atas rumah, dan sebagainya. Dalilnya adalah Insan: 6

عَينًا يَشرَبُ بِها عِبادُ اللَّهِ يُفَجِّرونَها تَفجيرًا
(iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.

 

خٰلِدينَ فيها

kekal mereka di dalamnya,

Kalau tinggal di tempat yang baik pun, namun kalau seketika sahaja, tentulah bukan nikmat yang sebenar apabila kita tahu nikmat itu ada had masa. Ini kerana kalau kita tahu yang kita akhirnya akan kena tinggalkan tempat itu, kita tidak dapat menikmatinya dengan sempurna.

Katakanlah kita tinggal di sebuah hotel yang paling mahal di dunia sekalipun, kita sebenarnya tahu dalam hati kita yang kita akan kena tinggalkan bilik hotel itu juga nanti akhirnya. Sebaliknya sesiapa yang masuk syurga nanti, akan kekal di dalamnya, selama-lamanya. Mereka tidak akan keluar darinya sampai bila-bila. Maka legalah mereka yang telah dapat memasukinya. Mereka tidak akan mahu keluar dari syurga itu seperti disebut dalam Kahf: 108

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

Begitulah sifat manusia semenjak azali lagi mahu kekal di sesuatu tempat yang dia suka. Oleh kerana mahu kekal di dalam syurgalah yang menjadi punca Nabi Adam عليه السلام tertipu dengan iblis. Iblis menipu dengan mengatakan kalau baginda mahu kekal di dalam syurga, baginda kena makan buah/pokok larangan (bukanlah namanya Khuldi kerana itu adalah nama yang iblis beri). Namun itu dahulu. Nanti tidak ada pohon larangan di syurga dan penghuni syurga tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila. Tidak akan ada lagi perkara yang menyebabkan ahli syurga dikeluarkan dari syurga.

 

وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ

dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn.

Di dalam syurga itu, penghuni syurga akan mendapat rumah dan istana yang indah-indah belaka. Tiada tandingannya semasa di dunia. Apa-apa tempat tinggal dalam dunia, tidak kira sebesar mana, secanggih mana pun, tentu sekali akan ada sesuatu yang kita tidak puas hati. Akan tetapi dalam syurga nanti, semua kita akan berpuas hati teramat.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِنَّ لِلْمُؤْمِنِ فِي الْجَنَّةِ لَخَيْمَة مِنْ لُؤْلُؤَةٍ وَاحِدَةٍ مُجَوَّفة، طُولُهَا سِتُّونَ مِيلًا فِي السَّمَاءِ، لِلْمُؤْمِنِ فِيهَا أَهْلُونَ يَطُوفُ عَلَيْهِمْ، لَا يَرَى بَعْضُهُمْ بَعْضًا”
Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah khemah untuk orang mukmin yang terbuat daripada sebuah mutiara yang berlubang, panjangnya enam puluh batu, iaitu di langit. Bagi orang mukmin di dalam khemah itu terdapat banyak isteri yang dia berkeliling menggilir mereka, sebahagian daripada mereka tidak melihat sebahagian yang lain.
(Sahih Bukhari (3243) dan Muslim (2838))

Maknanya di dalam syurga nanti tidak ada kerja, tidak ada ibadah lagi yang perlu dilakukan. Ia adalah tempat untuk memuaskan nafsu sahaja. Inilah balasan yang kekal abadi bagi mereka yang sanggup bersusah payah semasa hidup di dunia.

 

وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ

Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; 

Sebelum ini disebut nikmat jasmani. Sekarang disebut nikmat rohani pula. Nikmat rohani yang paling besar adalah redha Allah ﷻ. Redha Allah ﷻ itu lebih besar daripada nikmat jasmani. Maksudnya Allah ﷻ redha kita menjadi hamba-Nya. Sekiranya emak dan ayah kita senang dengan kita menjadi anak mereka, mereka berbangga dengan kita, itu pun kita sudah seronok. Apatah lagi kalau Allah ﷻ yang menjadikan kita pun redha dengan kita, tentulah lebih-lebih lagi kita berbahagia, bukan?

Nikmat rohani ini أَكبَرُ (lebih besar) daripada nikmat jasmani. Berapa ramai orang yang duduk di rumah yang indah, dipenuhi dengan segala kelengkapan mewah sekalipun namun hati mereka tidak tenteram? Manakala berapa ramai yang duduk dalam serba kemiskinan tetapi hati mereka tenang? Mana lagi kita sukai, hati yang tenang atau kekayaan? Tentulah ketenangan. Ini menunjukkan bahawa nikmat rohani itu lebih besar dan lebih terkesan lagi kepada kita.

Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Zaid ibnu Aslam, daripada Ata ibnu Yasar, daripada Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، يَقُولُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَقُولُونَ: لَبَّيْكَ يَا رَبَّنَا وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ فِي يَدِكَ. فَيَقُولُ: هَلْ رَضِيتُمْ؟ فَيَقُولُونَ: وَمَا لَنَا لَا نَرْضَى يَا رَبِّ، وَقَدْ أَعْطَيْتَنَا مَا لَمْ تُعط أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ. فَيَقُولُ: أَلَا أُعْطِيكُمْ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُونَ: يَا رَبِّ، وَأَيُّ شَيْءٍ أَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُ: أُحِلُّ عَلَيْكُمْ رِضْوَانِي فَلَا أَسْخَطُ عَلَيْكُمْ بَعْدَهُ أَبَدًا”
Sesungguhnya Allah ﷻ berfirman kepada penghuni syurga, “Hai para penghuni syurga.” Maka mereka menjawab, “Labbaik, wahai Tuhan kami, kami terima seruan-Mu dengan penuh kebahagiaan, dan semua kebaikan berada di tangan kekuasaan-Mu.” Allah ﷻ berfirman, “Apakah kalian telah puas?” Mereka menjawab, “Mengapa kami tidak puas, wahai Tuhan kami, sedangkan Engkau telah memberi kami segala sesuatu yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun daripada makhluk-Mu?” Allah ﷻ berfirman, “Mahukah Aku berikan kepada kalian yang lebih afdal daripada semuanya itu? ” Mereka menjawab, “Wahai Tuhan kami, adakah sesuatu yang lebih utama daripada semua ini?” Allah ﷻ berfirman. ‘Aku halalkan bagi kalian redha-Ku, maka Aku tidak akan murka lagi kepada kalian sesudahnya untuk selama-lamanya.”
(Sahih Bukhari (6549) dan Muslim (2829))

 

 

ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

itu adalah kejayaan yang agung.

Kejayaan dapat masuk syurga dan mendapat keredhaan Allah ﷻ adalah kejayaan yang amat besar sekali. Lafaz yang digunakan untuk ‘kejayaan’ dalam ayat ini adalah الفَوزُ. Lafaz الفَوزُ bermaksud kejayaan yang didapati setelah terlepas daripada sesuatu yang kita tidak suka.

Kalimah ini amat tepat sekali untuk ayat ini kerana mereka yang masuk syurga sebenarnya telah terlepas daripada memasuki neraka. Kita kena ingat bahawa setiap manusia akan melalui Titian Sirat dan titian ini direntas melalui neraka. Mereka yang menjadi ahli neraka akan ditarik jatuh ke dalam neraka. Namun bagi mereka yang selamat dan dapat masuk ke syurga, mereka telah melihat apa yang mereka telah lalui. Oleh itu, mereka akan lebih berasa bersyukur daripada terus sahaja masuk ke dalam neraka. Nikmat syurga itu menjadi lebih bermakna kerana kita sedar yang kalau tidak masuk ke syurga, tentu kita akan masuk ke dalam neraka!

Habis Ruku’ 9 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 68 – 70 (Ajak munafik masuk Islam)

Tawbah Ayat 68: Janji balasan kepada munafik dan kuffar.

وَعَدَ اللَّهُ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ وَالكُفّارَ نارَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها ۚ هِيَ حَسبُهُم ۚ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ ۖ وَلَهُم عَذابٌ مُّقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised the hypocrite men and hypocrite women and the disbelievers the fire of Hell, wherein they will abide eternally. It is sufficient for them. And Allāh has cursed them, and for them is an enduring punishment.

(MALAY)

Allah mengancam orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab yang kekal.

 

وَعَدَ اللَّهُ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ وَالكُفّارَ نارَ جَهَنَّمَ

Allah menjanjikan orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam,

Allah ﷻ telah berjanji untuk meletakkan golongan munafikin dan kafir ke dalam neraka. Kalau Allah ﷻ sudah janji sebegitu, memang tidak ada harapan lagi, memang itulah tempat mereka.

Lihatlah bagaimana munafik dan kafir diletakkan bersama dalam ayat ini. Ini adalah kerana golongan munafik itu juga kafir, tetapi ‘kafir dalaman’; sedangkan orang kafir itu mereka tunjukkan kafir mereka dengan terang jelas.

Akan tetapi kalau diperhatikan lagi, apabila disebut tentang munafik, disebut lelaki dan perempuan. Namun apabila disebut tentang orang kafir, tiada pula. Maka ini mengajar kita yang munafik dalam kalangan perempuan itu lebih agresif, lebih bahaya. Sebab itu mereka disebut secara khusus dan berasingan. Mereka itu sepatutnya Muslim, tetapi mereka telah menyebabkan kerosakan pada agama lebih teruk kerana mereka menzahirkan diri mereka sebagai Muslim. Contohnya isteri Nabi Luth dan Nabi Nuh عليهماالسلام. Mereka itu isteri Nabi, namun hakikatnya munafik. Mereka telah melakukan kerosakan lebih besar sebenarnya.

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan kekal di dalam neraka itu, tidak akan keluar sampai bila-bila. Jangan sangka yang mereka itu kalau sudah mengaku Muslim, mereka akhirnya akan dapat masuk syurga akhirnya, tidak. Mereka akan kekal di dalamnya. Setakat mulut sahaja mengaku Muslim namun sebaliknya tidak menjalankan tugas sebagai seorang Muslim sejati, maka itu tidak dikira.

 

هِيَ حَسبُهُم

Cukuplah neraka itu bagi mereka, 

Segala kesalahan mereka semasa di dunia, sudah cukuplah mereka dibalas dengan neraka. Itu memang balasan yang layak untuk mereka. Mereka akan dikenakan dengan segala azab di sana. Cukup itu kerana azab itu memang amat teruk, tidak perlu lagi azab yang lain.

Akan tetapi, adakah golongan Munafik ini hanya mendapat azab di Akhirat sahaja? Bagaimana dengan di dunia? Di dunia pun ada juga azab bagi mereka seperti disebut dalam Baqarah:14-15

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

Lihat bagaimana mereka telah memperolok-olokkan agama. Maka Allah ﷻ beri balasan kepada mereka dan disebut di dalam ayat seterusnya,

اللهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

 

وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ

dan Allah melaknat mereka,

Maksud Allah ﷻ laknat adalah mereka tidak ada harapan untuk mendapat taufik. Allah ﷻ menutup peluang hidayah untuk mereka kerana Allah ﷻ hendak memasukkan mereka ke dalam neraka. Maksudnya lagi, Allah ﷻ mengusir mereka dan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya. Apabila tidak ada rahmat, maka tidak ada peluang langsung untuk masuk ke dalam syurga kerana masuk syurga itu hanyalah dengan rahmat Allah ﷻ.

 

وَلَهُم عَذابٌ مُّقيمٌ

dan bagi mereka azab yang kekal.

Sekali lagi, Allah ﷻ ulang yang mereka akan mendapat azab yang kekal. Masuk neraka sekejap pun sudah amat azab, apatah lagi kalau kekal di dalamnya. Maka ini adalah ancaman yang amat berat sekali.


 

NASIB ORANG KAFIR

Tawbah Ayat 69:

كَالَّذينَ مِن قَبلِكُم كانوا أَشَدَّ مِنكُم قُوَّةً وَأَكثَرَ أَموٰلًا وَأَولٰدًا فَاستَمتَعوا بِخَلٰقِهِم فَاستَمتَعتُم بِخَلٰقِكُم كَمَا استَمتَعَ الَّذينَ مِن قَبلِكُم بِخَلٰقِهِم وَخُضتُم كَالَّذي خاضوا ۚ أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[You disbelievers are] like those before you; they were stronger than you in power and more abundant in wealth and children. They enjoyed their portion [of worldly enjoyment], and you have enjoyed your portion as those before you enjoyed their portion, and you have engaged [in vanities] like that in which they engaged. [It is] those whose deeds have become worthless in this world and in the Hereafter, and it is they who are the losers.

(MALAY)

(keadaan kamu hai orang-orang munafik dan musyrikin) adalah seperti keadaan orang-orang sebelum kamu, mereka lebih kuat daripada kamu, dan lebih banyak harta dan anak-anaknya dari kamu. Maka mereka telah menikmati bahagian mereka, dan kamu telah menikmati bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelummu menikmati bahagian mereka, dan kamu mempercakapkan (hal yang bathil) sebagaimana mereka mempercakapkannya. Mereka itu amalannya menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; dan mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

كَالَّذينَ مِن قَبلِكُم

adalah seperti keadaan orang-orang sebelum kamu, 

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: “Kamu orang kafir (termasuk yang munafik), perangai kamu sama macam orang kafir dulu”; ini menunjukkan yang mereka bukan jenis baru, namun sama sahaja dengan orang-orang sebelum mereka. Ada pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah sama seperti Bani Israil, seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Daripada [Abu Sa’id رضي الله عنه] bahawa Nabi besabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksud Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
(Sahih Bukhari (3197))

 

كانوا أَشَدَّ مِنكُم قُوَّةً وَأَكثَرَ أَموٰلًا وَأَولٰدًا

mereka lebih kuat daripada kamu, dan lebih banyak harta dan anak-anaknya dari kamu. 

Cuma bezanya, orang-orang kafir dulu lebih hebat daripada orang-orang kafir zaman sekarang. Sama ada daripada kekuatan tubuh badan, harta dan anak-anak. ‘Anak-anak’ itu juga boleh ditafsirkan sebagai pengikut-pengikut mereka. Mereka itu lagi hebat daripada Musyrikin, orang kafir dan juga puak munafik itu. Di sini Allah ﷻ perli orang kafir dan golongan munafik itu dengan beritahu yang mereka itu sebenarnya tidak ada apa-apa pun. Tidak berbaloi langsung kalau mereka hendak berbangga dengan apa yang mereka ada, kerana ia amat kecil kalau dibandingkan dengan orang sebelum mereka.

Orang sebelum mereka lebih hebat, tetapi mereka juga telah dimusnahkan. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Maka jangan rasa kamu hebat sangat dengan apa yang kamu ada dan kedudukan kamu itu.

Allah ﷻ juga hendak beritahu yang kalau sekarang manusia tergelincir disebabkan kelebihan dunia, maka begitulah juga dengan orang-orang terdahulu. Semuanya gagal dengan ujian kesenangan yang Allah ﷻ telah berikan.

Harta dan anak-anak itu tidaklah bersalah, yang salahnya jika ia disalahgunakan. Kalau kita ada harta, kita boleh infak dan ia menjadi pahala bagi kita. Kalau ramai anak-anak, itu boleh menjadi saham pahala kita yang berterusan apabila kita sudah tiada di dunia lagi. Akan tetapi kalau tidak diambil peluang dengan harta dan anak-anak ini sebagai punca pahala, maka ia akan menjadi punca masuk ke dalam neraka. Malah kalau dengan harta dan anak-anak itulah punca menjadi sesat dan lupakan akhirat, maka itulah yang bahayanya.

 

فَاستَمتَعوا بِخَلٰقِهِم

Maka mereka telah menikmati bahagian mereka, 

Orang-orang kafir yang dulu telah menikmati bahagian yang mereka dapat dari dunia mereka. Mereka bersenang-senang dengan apa yang mereka ada, sama ada daripada kekuatan tubuh badan, harta dan anak pinak. Mereka hanya menikmati kesenangan dunia sahaja tanpa memikirkan tentang agama dan nasib mereka di akhirat kelak. Bagaimana pula dengan kamu?

 

فَاستَمتَعتُم بِخَلٰقِكُم كَمَا استَمتَعَ الَّذينَ مِن قَبلِكُم بِخَلٰقِهِم

dan kamu telah menikmati bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelummu menikmati bahagian mereka,

Kamu (orang kafir dan munafik) pun sedang menikmati juga bahagian yang kamu dapat dari dunia ini. Itu sahaja yang kamu fikirkan dan yang kamu usahakan selama kamu hidup di dunia. Itu sahaja yang kamu kejar dan kamu luangkan masa kamu. Apa yang kamu lakukan itu sama sahaja seperti golongan kafir dulu yang menikmati pemberian daripada Allah ﷻ dengan bahagian yang Allah ﷻ tetapkan.

 

وَخُضتُم كَالَّذي خاضوا

dan kamu mempercakapkan (hal yang bathil) sebagaimana mereka mempercakapkannya.

Kamu bercakap sama macam mereka cakap juga. Iaitu cakap dalam perkara bathil. Kalimah خُضتُم dan خاضوا itu adalah daripada katadasar خ و ض dan ia bermaksud terlibat dalam satu topik, memasuki dalam satu perkara, terjun, mengharungi air, bercakap-cakap tentang perkara sia-sia.

Ia bermaksud apabila sibuk sangat bercakap tentang sesuatu perkara yang tidak patut. Kalau bercakap tentang perkara yang benar, tidak mengapalah juga. Namun pagi petang kamu dan mereka bercakap dalam hal syirik, bid’ah dan kekufuran.

 

أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itu amalannya menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat;

Segala amalan mereka yang kufur itu akan gugur lenyap, tidak ada nilai di akhirat kelak. Ini termasuk amalan yang baik pun. Memang mereka pun ada buat benda baik juga, namun tidak ada nilai kerana mereka kufur. Segala amalan mereka walaupun yang baik, tidak dikira sebagai pahala di akhirat.

Begitulah kalau buat amalan yang syirik dan amalan bid’ah. Tidak ada nilai, malah dapat dosa sahaja. Walaupun ramai yang menyangka yang ia adalah amalan yang baik. Ini seperti disebut dalam Kahf: 103-104

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

Kalau buat amalan yang baik dan ikut sunnah, pun tidak ada nilai kalau iman tidak ada kerana untuk sesuatu amalan yang baik itu diterima, ia mestilah dilakukan oleh mereka yang beriman sempurna. Kalau ada fahaman kufur, ada buat syirik, maka segala amalan tidak ada nilai. Maka jangan kita memandai-mandai buat perkara yang Nabi ﷺ tidak pernah ajar. Lihat Hujurat: 2

يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَرفَعوا أَصوٰتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi,

Kita kena ingat yang suara Nabi ﷺ sampai kepada kita melalui ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda dan hadith-hadith yang disampaikan oleh baginda. Jikalau ada orang yang menegur kita dengan menyebut dalil-dalil daripada ayat Al-Qur’an dan juga daripada hadith, maka hendaklah kita menghormati apa yang disampaikan itu kerana seolah-olah ia adalah ‘suara’ Nabi ﷺ. Jangan kita reka benda baru yang suara Nabi ﷺ tidak pernah ajar kita.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

dan mereka itulah orang-orang yang merugi.

Mereka itu rugi sebab tidak ada peluang kedua untuk memperbetulkan usaha mereka selama mereka di dunia. Mereka tidak mengambil peluang untuk mencari bekal semasa hidup di dunia. Kalau di akhirat baru tahu yang amalan mereka selama ini syirik, bid’ah dan tidak diterima, tidak ada peluang untuk pulang ke dunia dan mengulangi semula amalan yang benar.

Maka kita selama kita masih hidup di dunia ini, kenalah berhati-hati. Jangan hanya buat sahaja amalan yang diajar oleh guru-guru, ustaz-ustaz kita. Takut kalau kita terima sahaja tanpa usul periksa sama ada ia benar atau tidak, buat rugi sahaja. Maaf, kita terpaksa beritahu tentang perkara ini kerana ini adalah kewajipan kita. Kerana kalau kita tidak beritahu, semakin banyak yang terpesong.

Malangnya, masyarakat kita kebanyakannya jahil tentang agama terutama sekali tentang wahyu Allah ﷻ. Maka, kalau diberikan sesuatu amalan itu daripada ‘ustaz’, mereka sangka tentulah ia sudah benar, kerana ustaz yang bagi. Akan tetapi belum tentu lagi. Ustaz pun banyak jenis ustaz. Ada ustaz yang jenis Sunnah dan ada pula ustaz yang mengamalkan bid’ah. Amat ramai sekarang ini golongan ustaz yang sebegitu dan merekalah yang selalunya lebih popular. Janganlah kita berbaik sangka sangat sampai kita menggadaikan agama kita.

Maklumat agama sekarang senang untuk diperolehi. Sudah semakin senang untuk kita hendak belajar dan berhubung dengan guru untuk bertanya pendapat dan berbincang. Hendak mencari bahan rujukan pun sudah terlalu senang kerana maklumat sekarang hanya di hujung jari sahaja. Gunakanlah kelebihan dan kemudahan yang Allah ﷻ berikan ini untuk kebaikan, untuk mendapatkan ilmu. Bukan untuk beramah mesra di Internet dengan perkara lagha dan membuang masa sahaja. Itu pun rugi juga: rugi masa dan rugi pahala. Maka jangan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang merugi.


 

Tawbah Ayat 70: Ayat takhwif duniawi (ancaman azab di dunia).

Selalunya takhwif duniawi ada dalam surah-surah Makkiah kerana surah-surah itu untuk mengajak orang kafir ke dalam Islam. Namun sekarang diulang ayat-ayat yang sebegitu dalam Surah Tawbah yang Madaniah ini kerana hendak mengajak puak munafik ke dalam amalan dan fahaman Islam yang benar. Kerana sesungguhnya mereka belum Muslim lagi. Masalah mereka adalah kerana ilmu yang kurang, maka mereka diberikan dengan ilmu pengetahuan agama.

Ini adalah pengajaran bagi mereka. Di dalam ayat 69 sebelum ini telah disebut orang-orang yang rugi kerana menolak kebenaran. Sekarang Allah ﷻ beri contoh golongan-golongan yang telah rugi di zaman dahulu sebagai pengajaran.

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبرٰهيمَ وَأَصحٰبِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكٰتِ ۚ أَتَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ ۖ فَما كانَ اللَّهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there not reached them the news of those before them – the people of Noah and [the tribes of] ‘Aad and Thamūd and the people of Abraham and the companions [i.e., dwellers] of Madyan and the towns overturned?1 Their messengers came to them with clear proofs. And Allāh would never have wronged them, but they were wronging themselves.

  • i.e., those to which Lot was sent and which earned for themselves Allāh’s punishment. See 11:82-83.

(MALAY)

Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

 

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka,

Tidakkah sampai kepada mereka berita orang-orang sebelum mereka? Iaitu puak-puak yang tidak menerima ajakan dakwah Rasul mereka sehingga mereka telah diberikan dengan azab semasa mereka di dunia lagi? Sepatutnya sudah sampailah.

Kisah-kisah para Nabi dan kaum mereka terdahulu dikatakan sebagai نَبَأُ kerana ia bermaksud berita besar yang penting. Disebabkan ia adalah berita penting, maka setelah kita tahu, hendaklah diambil tindakan, bukan setakat tahu sahaja.

Ada banyak pengajaran daripada kisah para Nabi itu. Seperti kisah Nabi Nuh عليه السلام kita belajar kesungguhan baginda berdakwah sekian lama (950 tahun) tanpa lelah namun tetap ditolak oleh umat baginda. Tentang kaum Aad dan Tsamud juga kita belajar mereka menolak Nabi mereka dan akhirnya mereka dihancurkan.

 

قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبرٰهيمَ

kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim,

Sekarang disenaraikan beberapa contoh kaum yang telah dimusnahkan dahulu sebagai peringatan. Kisah-kisah mereka ini ada banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain. Kaum Nabi Nuh عليه السلام dan azab yang menimpa mereka berupa banjir besar yang mematikan mereka semua sekali, kecuali orang-orang yang beriman kepada Nabi Nuh عليه السلام.

Dengan kaum Aad pula kita telah diingatkan bagaimana mereka dihancurkan dan dibinasakan dengan angin yang membinasakan, kerana mereka telah mendustakan Nabi Hud عليه السلام.

Kaum Tsamud pula, mereka diazab dengan teriakan yang keras, kerana mereka telah mendustakan Nabi mereka (iaitu Nabi Saleh عليه السلام) dan menyembelih untanya yang mukjizat.

Di dalam ayat ini, diberitahu yang Nabi Ibrahim عليه السلام juga ada kaum yang baginda telah diutuskan kepada mereka, akan tetapi kita tidak tahu apakah kaum itu. Kerana tidak ada riwayat nama kaum baginda itu. Cuma disebut ‘kaum Nabi Ibrahim’ di sini. Akan tetapi ada pendapat yang mengatakan Nabi Ibrahim عليه السلام diutus kepada dua kaum yang melakukan kesyirikan dengan cara yang berbeza: Kaum Nabi Ibrahim عليه السلام di Babil (Babylon) menyembah patung-patung makhluk bumi, sedangkan di Harran (Turki) kaumnya menyembah objek di langit seperti bintang, bulan dan matahari. Mereka juga telah dikenakan dengan azab, akan tetapi tidak dapat dipastikan apakah azab mereka.

 

وَأَصحٰبِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكٰتِ

dan penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup?

Penduduk Madyan adalah kaum Nabi Syu’aib عليه السلام. Mereka ditimpa gempa dan ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan.

Kemudian disebut penduduk dan daerah yang diterbalikkan kampung mereka. Maksud المُؤتَفِكاتِ adalah ‘diterbalikkan’, seperti penjual burger membalikkan burger. Siapakah mereka? Itulah kaum Nabi Luth عليه السلام. Negeri mereka telah diangkat ke langit dan diterbalikkan dan dihumban masuk ke dalam tanah.

Kisah mereka ini ada banyak dalam surah yang lain. Semua kisah-kisah ini sebenarnya telah diketahui oleh Musyrikin Mekah. Malah mereka telah melalui kawasan-kawasan yang telah dikenakan azab itu seperti disebut dalam Yusuf:105

وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling daripadanya.

Akan tetapi mereka sahaja yang tidak mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada umat-umat terdahulu. Maka Allah ‎ﷻ berkali-kali ingatkan mereka dengan ancaman azab takhwif duniawi ini. Disebut pula di dalam Taha:128

أَفَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِنَ القُرونِ يَمشونَ في مَساكِنِهِم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ
Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.

 

أَتَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata,

Mereka itu telah didatangi dengan Rasul-rasul mereka yang membawa dalil bukti tentang kebenaran. Bukannya mereka datang dengan tangan kosong. Dalil itu pun terang dan jelas, bukan berbelit-belit sampai susah hendak faham.

Maka begitulah juga dengan umat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka diingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ juga ada bersama mereka, dan baginda datang membawa dalil bukti yang jelas nyata. Bukannya baginda bercakap dalam bahasa asing atau baginda cakap berbelit sampai mereka tidak boleh faham.

Ini mengingatkan kita apabila berdakwah, kena beri dalil yang jelas kepada pendengar dan pelajar. Maka kena pastikan yang dalil itu terang dan mudah difahami. Jangan beri kisah dan hujah yang berbelit-belit. Maka kita kena bercakap dengan mudah dan tepat sahaja. Tidak perlu hendak sorok-sorok ilmu wahyu daripada manusia yang ramai.

Masalahnya, ada guru agama yang tidak berani bercakap perkara yang benar. Kadangkala mereka cakap, tetapi mereka sorok sesuatu di dalam percakapan mereka kerana mereka takut nanti mereka akan ditolak oleh masyarakat. Bila main sorok-sorok, ada yang tidak faham apa yang hendak disampaikan kerana bukanlah semua masyarakat kita pandai-pandai belaka, boleh baca yang ‘tersirat’. Maka ramai yang tidak faham.

Oleh itu cakap terus sahajalah apa yang ada dalam wahyu. Kena beri masyarakat senang faham. Biar mereka faham terus sampai tidak ada alasan kalau mereka tolak. Kalau sudah faham dan kemudian mereka tolak juga, itu memang kerana mereka degil sahaja, bukan kerana tidak faham. Yang penting, kita sudah sampaikan dan kita telah jalankan tanggungjawab kita sebagai pendakwah.

 

فَما كانَ اللَّهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Ini adalah perkara penting yang kita kena ingat. Memang banyak disebut tentang kaum-kaum yang telah dihancurkan, diazab dengan teruk sekali. Mungkin ada yang bila baca (terutama orang kafir), mereka akan kata: “Tuhan jenis apa ini asyik hancurkan makhluk Dia sahaja?” Oleh itu kita kena faham dan yakin bahawa Allah ﷻ tidak sekali-kali menzalimi makhluk-Nya walaupun mereka dihancurkan oleh-Nya.

Allah ﷻ tidak zalim kerana mereka sendiri yang menzalimi diri mereka sendiri kerana peluang yang Allah ﷻ beri adalah sama sahaja kepada semua manusia. Dengan segala yang Allah ﷻ berikan kepada mereka, mereka masih juga tidak mahu terima ajaran tauhid? Memang tidak patut kalau begitu. Oleh kerana itu, memang mereka patut dikenakan azab dan jelaslah Allah ﷻ tidak zalim.

Manusia selalu tidak perasan yang mereka sedang menzalimi diri mereka. Mereka sangka yang dizalimi adalah orang lain apabila mereka melakukan dosa. Mereka tidak nampak yang kesan daripada dosa itu akan menyebabkan mereka sendiri yang susah. Kezaliman mereka itu akan dipertanggungjawabkan nanti di Akhirat. Maka Allah ﷻ hendak ubah paradigma manusia: apa-apa kesalahan yang kamu sedang lakukan, kamu sebenarnya sedang menzalimi diri kamu dan kamu akan mendapat susah kerananya nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Abasa Ayat 1 – 6 (Teguran kepada Nabi)

Pengenalan:

Dalam surah ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa di Akhirat nanti, semua kita akan nafsi, nafsi – sibuk dengan diri sendiri sahaja, sudah tidak sempat hendak tengok orang lain atau tolong orang lain.

Oleh itu, kita kena beringat dari sekarang. Kena fikirkan keselamatan diri sendiri dan bersedia untuk menghadapinya. Jangan berharap ada orang yang akan tolong kita nanti di sana. Waktu itu tidak ada yang bertanya tentang keluarga mereka waktu itu. Kita akan berharap kepada amalan diri kita sahaja dan kita akan bersendirian.

Oleh itu, di dunia ini pun kita biasakan kena duduk bersendirian sekali sekala untuk mengingat perkara ini, sebelum terjadi yang sebenarnya di akhirat nanti. Sebab itu disyariatkan amalan iktikaf di masjid semasa Ramadhan untuk kita ingat tentang perkara ini. Kerana sewaktu iktikaf itu kita akan duduk bersendirian, tanpa ada hubungan dengan ahli keluarga dan kawan-kawan kita. Sudah tidak sibuk hal dunia lagi. Ianya adalah sebagai satu latihan untuk kita.

Di awal surah ini kita akan baca bagaimana Nabi Muhammad telah ditegur oleh Allah ﷻ kerana kesilapan yang baginda telah lakukan. Kita kena jelaskan perkara ini dari awal lagi supaya kita tidak salah anggap kepada Nabi ﷺ pula – nauzubillahi min dzaalik. Jangan sekali-kali kita ada anggapan yang buruk terhadap Nabi ﷺ  kita.

Nabi ditegur kerana tidak menghiraukan panggilan seorang sahabat yang buta. Kita kena faham yang waktu itu, Nabi ﷺ  bukan pilih kasih tapi baginda waktu itu sedang berdakwah kepada pemuka-pemuka Mekah. Yang datang kepada baginda untuk mendapatkan ilmu itu adalah Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه, sepupu Khadijah رضي الله عنها. Dia datang dan dia tidak tahu ada pemuka Mekah bersama dengan baginda kerana beliau itu seorang yang buta.

Apabila dia datang dan bertanya-tanya kepada baginda, seolah-olah beliau mengganggu majlis Nabi ﷺ. Dan waktu itulah Nabi ﷺ berpaling dan bermuka masam kerana sahabat itu datang tidak kena masanya. Dan baginda berfikir waktu itu Abdullah  رضي الله عنه sudah pun beriman dan lain kali boleh datang untuk diajar lagi, cuma waktu itu tidak sesuai kerana baginda sedang berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraisy.

Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur Nabi ﷺ, kerana dalam majlis mana pun, baginda tidak boleh asingkan sesiapa pun, semua kena dibenarkan datang dengar apa yang baginda sampaikan.

Dan inilah salah satu pelajaran yang kita boleh ambil dari surah ini. Kalau kita jadi seorang guru nanti, janganlah kita beza-bezakan antara anak murid kita nanti. Tidak kira apa kedudukan mereka pun. Sebagai contoh, katakanlah ada anak raja hendak belajar, tetapi dia hendak belajar sendiri, tidak mahu bercampur dengan anak orang lain. Ini tidak boleh dan kita tidak boleh layan.

Ini telah pernah terjadi kepada ulama besar kita Imam Bukhari  رحمه الله. Waktu beliau sudah terkenal, ada raja hendak hantar anak dia belajar, tetapi dia mahu dibuatkan satu majlis pembelajaran lain yang tidak bercampur dengan orang lain. Imam Bukhari رحمه الله kata tidak boleh kerana wahyu kena diajar sama rata kepada semua orang.

Kerana jawapan begitu, raja itu marah sampai halau Imam Bukhari رحمه الله dari negaranya. Imam Bukhari رحمه الله tidak kisah untuk keluar kerana banyak negara lain yang sudah minta beliau datang mengajar ke negara mereka. Dalam perjalanan ke negara lain itulah yang beliau mati dalam perjalanan. Maknanya, Imam Bukhari رحمه الله pun pernah dihalau hanya kerana tidak mahu mengajar khusus kepada orang lain.

Jadi, tidak boleh kita hendak bezakan antara orang untuk kita mengajar wahyu Allah ﷻ dan oleh kerana perbuatan Nabi ﷺ berpaling dan bermasam muka itu dari seorang sahabat yang buta, Allah ﷻ telah tegur Nabi ﷺ dalam surah ini. Ini adalah sebagai pengajaran untuk kita.

Terdapat beberapa perhubungan dengan surah sebelum ini. Dalam Surah an-Naaziat, Allah ﷻ telah sebut tentang dua jenis manusia – yang derhaka dan yang takut dengan Allah ﷻ dan kerana itu dia menahan nafsunya. Dan dalam Surah Abasa ini juga akan disebut tentang dua golongan. Kita akan belajar tentang golongan yang tidak kisah tentang agama dan yang kedua adalah mereka yang hendak belajar dan membersihkan dirinya dari kekotoran syirik.

Kembali kepada teguran Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad . Ini adalah satu perkara sensitif tentang Nabi Muhammad , jadi kita kena berhati-hati. Dalam surah yang lain, kita diajar adab dengan Nabi . Pernah ada sahabat yang ditegur kerana cara mereka yang tidak beradab dengan Nabi .

Bayangkan ini bukan orang lain yang tegur tetapi mereka ditegur oleh Allah ﷻ sendiri dan ini dalam Surah al-Hujurat. Maknanya penting sangat menjaga adab dengan Nabi sampaikan Allah ﷻ sendiri yang tegur sahabat dalam Al-Qur’an! Begitulah kedudukan Nabi kita di sisi Allah.

Kita sekarang tidak hidup bersama Nabi jadi adakah pengajaran tentang adab ini penting? Tentu sekali ianya penting! Kita masih juga kena jaga adab kita dengan Nabi walaupun baginda tidak bersama dengan kita. Dan memang ada yang tidak beradab dengan baginda Nabi , sampaikan mereka tidak pandang pentingnya apa yang dilakukan oleh Nabi , apa yang diajar oleh Nabi , apa yang Nabi suruh kita buat dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, mereka tidak hormat hadis, sunnah dan sebagainya. Mereka tidak pegang apa yang disampaikan dalam hadis itu sebagai penting. Mereka baca hadis yang menyebut apa yang Nabi lakukan dan sampaikan itu macam baca novel sahaja. Mereka tidak terkesan dengan apa yang mereka baca.

Dan ini tidak patut kerana Nabi itu Rasul kita dan kita kena ikut apa yang baginda ajar dan lakukan. Segala apa yang baginda lakukan itu adalah perkara yang penting dan kita kena ikut. Kerana Nabi menjadi contoh tauladan kita. Kita kena sanjung Nabi   Muhammad, Rasulullah .

Akan tetapi, dalam masa yang sama pula, ada juga yang hormat terlebih sampai naikkan kedudukan baginda terlalu tinggi sampai ke tahap mensyirikkan Nabi Muhammad dengan Allah ﷻ. Mereka sampai kepada tahap menganggap Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa.

Sebagai contoh, ramai dari kalangan masyarakat kita yang percaya kepada konsep ‘Nur Muhammad’, iaitu mereka kata: perkara pertama yang dijadikan adalah Nur Muhammad dan apa sahaja yang benda dalam alam ini adalah asalnya dari Nur Muhammad itu.

Dan mereka sampai kata Nabi itu bukanlah manusia biasa, tapi baginda adalah ‘Nur’. Dan macam-macam lagi cara bagaimana manusia terlalu mengagungkan baginda sampai kepada tahap syirik. Ini semua adalah kerana jahil dan tidak faham konsep yang sunnah.

Jadi, kita dapat lihat bahawa ada dua ekstrim dalam perkara ini. Kita tidak mahu merendahkan baginda dan dalam masa yang sama, kita tidak mahu terlalu mengangkat kedudukan baginda pula melebihi yang sepatutnya. Oleh itu, kita kena tahu bagaimana hendak mencari jalan yang tengah. Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan belajar dan terus belajar supaya kita dapat faham konsep ini.

Satu perkara yang kita kena ingat sebelum kita teruskan dengan tafsir surah ini, pegangan Ahli Sunnah adalah: setiap Nabi tidak berdosa. Mereka itu adalah ‘maksum’ maksudnya bebas dari melakukan dosa. Setiap Nabi عليه السلام dipelihara oleh Allah ﷻ dari melakukan dosa.

Dan inilah pegangan kita dan jangan lari dari pegangan ini. Jadi, dalam kita belajar bagaimana Allah ﷻ menegur Nabi , kita kena faham bahawa bukanlah Allah ﷻ tegur kerana Nabi berdosa. Baginda hanya tersilap sahaja.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat ini sehingga ke ayat 10. Ia berkenaan Adab Berdakwah.

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

‘Abasa: He Frowned.

He [i.e., the Prophet ()] frowned and turned away

(MALAY)

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

 

‘Dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi . Dan lafaz ‘abasa’ boleh bermaksud berkerut muka, bermasam muka. Dan kemudian baginda berpaling. Kejadian ini merujuk kepada perbuatan Nabi terhadap Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه yang datang kepada baginda.

Baginda waktu itu sedang berdiskusi dan berdakwah kepada pemuka/ketua Quraisy. Jarang baginda dapat berbuat begini kerana selalunya mereka menentang dan mengejek baginda. Jadi bila dapat peluang bercakap dengan mereka, baginda hendak ambil peluang itu dan memberi tumpuan.

Dalam riwayat ada disebut yang baginda waktu itu sedang berdakwah kepada Utbah bin Rabiah, Abu Jahal dan lain-lain. Waktu itu baginda nampak macam mereka memang sedang mendengar apa yang baginda cakap.

Satu masalah yang baginda kena jaga adalah: orang kafir yang berkedudukan tinggi tidak mahu dikaitkan dengan orang yang lemah dan rendah kedudukan dalam masyarakat. Perkara ini bukan berlalu pada zaman Nabi Muhammad sahaja, tetapi zaman Nabi-nabi lain عليهم السلام pun. Jadi keadaan itu sedang berlaku waktu itu dan Nabi  hendak kena jaga sensitiviti itu juga.

Pemuka Quraisy berlagak sampai tidak mahu duduk-duduk dengan orang-orang miskin, jadi kalau mereka nampak Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu, tentu mereka rasa tidak selesa dan akan pergi sahaja dari bercakap dengan Nabi . Nabi tidak mahu itu berlaku. Jadi baginda tidak mahu melayan Abdullah  رضي الله عنه waktu itu. Jadi ada sebab kenapa baginda lakukan apa yang baginda telah lakukan. Jadi kita kena faham konteks dulu.

Dan baginda sentiasa mencari jalan untuk dakwah. Dan baginda nampak ini adalah salah satu cara yang akan menyebabkan Islam akan berkembang dengan cepat. Kerana kalau para pemimpin itu masuk Islam, tentu ramai lagi masyarakat Arab Mekah akan masuk Islam. Jadi baginda tengah dapat peluang maka baginda hendak ambil peluang itu sepenuhnya.

Jadi apabila seorang Muslim yang buta datang, baginda bermasam muka dan tidak mengendahkannya. Baginda merasakan yang orang buta itu mengganggu baginda sedang berdakwah. Tambahan pula dia sudah seorang Muslim. Jadi penekanan baginda waktu itu adalah kepada mereka yang baginda  hendak masukkan dalam Islam.

Tambahan pula mereka adalah pemuka Quraisy. Kalau mereka masuk Islam, maka akan banyaklah nanti yang akan mengikuti mereka. Oleh itu kalau kita lihat dari segi logik, tidak salah apa yang baginda lakukan. Ada strategi yang bermain dalam kepala baginda dan itu adalah untuk kebaikan Islam juga.

Tambahan pula, Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu seorang yang buta, jadi tidak nampak pun Nabi ﷺ bermasam muka dan berpaling. Bukanlah Nabi ﷺ berkata apa-apa. Tentu sekali dia tak perasan pun apa yang Nabi ﷺ lakukan, jadi dia tidaklah terasa dalam hatinya, bukan?

Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur Nabi ﷺ kerana kayu ukur yang diletakkan kepada seorang Nabi ﷺ itu amat tinggi, tidak sama macam orang lain. Kerana itu kalau ada benda kecil pun Allah ﷻ akan tegur perbuatan Nabi ﷺ. Sedangkan perkara itu kalau kita yang buat, tidak salah pun. Dan ia memang tidak salah, tetapi kepada Nabi ﷺ, walaupun tidak salah, Allah ﷻ sudah tegur. Ini adalah kerana kayu ukur kita tidak sama; sebagai contoh, solat malam adalah sunat untuk kita, tetapi wajib untuk baginda.

Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه seorang yang buta, jadi dia tidak nampak wajah dan tindakan Nabi ﷺ waktu itu. Apabila dia menyapa baginda dan baginda tidak layan, dia tidak nampak yang baginda tidak mahu melayannya waktu itu. Jadi dia menegur lagi Nabi ﷺ berulang kali untuk baginda mengajarkannya ilmu Islam. Sebab dia sangka Nabi ﷺ tidak dengar dan dia cakap lagi kuat.

Tambahan pula, kalau buta, dia akan menguatkan lagi suaranya hendak bagi orang lain dengar. Biasanya orang buta akan buat begitu kerana deria mata mereka tiada. Sebenarnya dia datang berjumpa Nabi kerana hendak minta baginda ajar dia. Dan dia panggil baginda berkali-kali pula. Jadi ianya mengganggu Nabi yang sedang berdakwah.

Teguran dari Allah ﷻ ini juga adalah satu lagi hujah mengatakan yang Nabi tidak menulis sendiri Al-Qur’an seperti yang dituduh dari dulu sampai sekarang. Fikirkan, kalau baginda yang tulis sendiri, takkan baginda akan tegur diri baginda sendiri, bukan?

Tetapi baginda amat bersyukur kerana mendapat teguran itu. Kerana selepas itu, setiap kali baginda bertemu dengan Abdullah رضي الله عنه, baginda akan panggil beliau dengan panggilan yang menghormati beliau. Kerana kepada baginda, oleh sebab beliaulah, baginda ditegur dalam Al-Qur’an. Apabila datang Abdullah bin Ummi Maktum رضي الله عنه berkunjung kepadanya, baginda selalu mengatakan, “Selamat datang orang yang menyebabkan Rabbku menegurku kerananya,” lalu baginda menghamparkan kain serbannya sebagai tempat duduk Abdullah bin Ummi Maktum رضي الله عنه.

Mungkin baik kalau kita jelaskan lagi maksud ‘abasa’. Ia lain dengan lafaz kalaha – iaitu rasa terganggu sangat sampai gigit gigi. Lafaz abasa ini adalah rasa terganggu tetapi setakat kerut dahi sahaja, tidak sampai ke muka pun. Maknanya sedikit sangat.

Walaupun sedikit sahaja, tetapi Allah ﷻ tetap tegur baginda kerana baginda dijadikan sebagai contoh dalam banyak perkara. Sebagai Nabi, sebagai suami, sebagai sahabat, sebagai bapa dan sebagainya. Salah satunya sebagai pemimpin kepada orang mukmin. Seorang pemimpin kena sayang kepada pengikut. Dan kalau pemimpin tunjuk rasa tidak suka kepada pengikut, tentu mereka pun tidak suka dan akan menjauhkan diri.

Tetapi Nabi ﷺ mempunyai akhlak yang amat mulia dan baik sekali. Dalam hal Nabi ﷺ, semua para sahabat rasa merekalah yang Nabi ﷺ paling sayang kerana cara baginda melayan mereka. Baginda layan mereka dengan begitu hebat sekali sampaikan semua sahabat terasa dekat dengan baginda. Kita pun tidak mampu buat macam itu. Tetapi kita kena cuba untuk mengikuti akhlak baginda setakat yang kita boleh.

Jadi, walaupun Nabi ﷺ berkerut dahinya, tetapi Abdullah tidak nampak, bukan? Jadi kenapa Nabi ﷺ kena tegur juga? Kerana mungkin ada orang miskin dan lemah yang lain ternampak. Takut-takut nanti mereka akan rasa rupanya Nabi ﷺ melebihkan orang yang ada kedudukan. Jadi Allah ﷻ menjelaskan dalam surah ini, mengatakan yang Allah ﷻ tidak merendahkan mereka.

Allah ﷻ beritahu yang mereka selalu dipandang tinggi oleh Allah ﷻ sampaikan Allah ﷻ mengingatkan baginda untuk menghormati mereka juga. Allah ﷻ suruh baginda berlembut dengan para sahabat, tidak kira kedudukan mereka di dunia. Kalau Nabi ﷺ bersikap keras dengan mereka, tentu mereka akan lari dari baginda dan mereka akan tinggalkan Islam selama-lamanya.

Sampaikan dalam Surah Ali Imran, baginda disuruh bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara-perkara yang penting macam hendak pergi berperang dan sebagainya. Inilah cara kepemimpinan yang tinggi yang Allah ﷻ sendiri ajar kepada baginda.

Walaupun ayat ini adalah teguran kepada Rasulullah ﷺ, tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ- dengan lembut sekali. Allah ﷻ tidak kata “kamu bermasam muka”, “kamu berpaling” tapi Allah ﷻ berfirman: dia, dia… kerana Allah ﷻ tidak cakap tepat dengan Nabi ﷺ. Maknanya itu adalah menegur dalam nada lembut.

Kerana kalau cakap terus kepada seseorang, itu tanda marah benar. Kita dapat tahu perkara ini kalau kita faham susunan Bahasa Arab. Ia adalah satu seni yang dipanggil balaghah. Jadi dari bahasa pun kita dapat ambil pengetahuan yang Allah ﷻ bersifat rahmah kepada Nabi ﷺ.


 

Ayat 2: Kenapa baginda bermasam muka?

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because there came to him the blind man,¹ [interrupting].

  • ‘Abdullāh, the son of Umm Maktūm.

(MALAY)

kerana telah datang seorang buta kepadanya.

 

Lelaki buta yang datang itu adalah Abdullah ibn al-Maktum رضي الله عنه, sepupu kepada Khadijah رضي الله عنها isteri Rasulullah ﷺ. Jadi dia ada kena mengena dengan Nabi ﷺ dari pertalian perkahwinan.

Beliau adalah antara yang terawal masuk Islam. Jadi Abdullah رضي الله عنه ini bukan orang lain dengan Nabi ﷺ. Ada satu hadis yang biasa kita dengar yang menyebut nama beliau:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنْصُورٍ الرَّمَادِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ: قَالَ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عمر: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: “إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا أَذَانَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ”. وَهُوَ الْأَعْمَى الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ: (عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى) وَكَانَ يُؤَذِّنُ مَعَ بِلَالٍ. قَالَ سَالِمٌ: وَكَانَ رَجُلا ضريرَ الْبَصَرِ، فَلَمْ يَكْ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَقُولَ لَهُ النَّاسُ-حِينَ يَنْظُرُونَ إِلَى بُزُوغِ الْفَجْرِ-: أذَّن

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Al-Laits, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Syihab yang mengatakan bahawa Salim ibnu Abdullah telah meriwayatkan dari Abdullah ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda: Sesungguhnya Bilal azan di malam hari, maka makan dan minumlah kamu hingga kamu mendengar seruan azan Ibnu Ummi Maktum. Dia adalah seorang buta yang disebutkan oleh Allah. dalam firman-Nya: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. (‘Abasa: 1-2) Tersebutlah pula bahawa dia menjadi juru azan bersama Bilal. Salim melanjutkan, bahawa Ibnu Ummi Maktum adalah seorang buta, maka dia belum menyerukan suara azannya sebelum orang-orang berkata kepadanya saat mereka melihat cahaya fajar subuh, “Azanlah!”

Allah ﷻ gunakan lafaz جاءَ dalam ayat ini dan bukan أتى, kerana lafaz جاءَ lebih kuat, maknanya dia datang dengan bersungguh-sungguh. Dia berkata: “berilah aku petunjuk”. Atau, “Wahai Rasulullah, ajarilah aku dengan apa yang telah Allah ﷻ ajarkan kepadamu.”


 

Ayat 3:

وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But what would make you perceive, [O Muḥammad], that perhaps he might be purified¹

  • As a result of what he learns from you.

(MALAY)

Bagaimanakah kamu hendak tahu, barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa),

 

Nabi ﷺ ditanya dalam ayat ini: mana kamu tahu, mungkin dia akan dapat ilmu dan beramal dan dapat membersihkan jiwanya dengan perantaraan wahyu itu. Dia hendak jadi orang yang baik, buang yang buruk. Tetapi kamu berpaling darinya pula.

Tetapi, apakah cara untuk baginda dapat tahu? Kerana baginda tidak dapat baca hati manusia. Ayat ini adalah sebagai hujah untuk mempertahan Nabi ﷺ. Maknanya, Allah ﷻ pertahankan Nabi ﷺ untuk mengatakan yang Nabi ﷺ tidak bersalah sebenarnya. Allah ﷻ pertahankan baginda dengan jelaskan kenapa Nabi ﷺ tidak tahu.

Kalau Nabi ﷺ tidak tahu, bagaimana Nabi ﷺ hendak dipersalahkan? Dan bukanlah tugas Nabi ﷺ untuk melihat ke dalam hati manusia. Nabi ﷺ juga manusia dan sebagai manusia, baginda tidak dapat hendak mengagak apakah di dalam hati manusia. Lelaki buta yang datang itu, baginda tidak tahu sama ada dia hendak membersihkan dirinya atau tidak.

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang Abdullah ibn Ummi Maktum رضي  الله عنه itu datang untuk membersihkan jiwanya. Dan dari ayat ini, kita boleh lihat bahawa tujuan kita belajar bukanlah untuk kita tahu sesuatu supaya jadi pandai, lebih dari orang lain, tetapi hujungnya adalah untuk membersihkan hati kita. Itulah tujuan belajar dan kalau lain dari yang ini, amatlah malang sekali.

Kita kena ingatkan diri kita, kita bukan belajar untuk dapatkan ilmu supaya kita jadi pandai, tetapi yang pentingnya untuk bersihkan diri kita. Perbetulkan tujuan kita belajar agama. Kerana mungkin ramai yang belajar untuk jadi pandai sahaja, untuk dapat sijil untuk cari makan dengan mengajar, untuk berdebat dengan orang, untuk merendahkan orang lain, untuk dipuji kerana pandai dan macam-macam lagi. Itu semua adalah tujuan yang salah.

Dalam ayat ini, lafaz يَزَّكّىٰ digunakan. Dalam bahasa Arab, ianya tidak dalam wazan yang lengkap. yang lengkap adalah يَتزَّكّىٰ (yatazakka). Apabila ada pengurangan dari wazan asal, maknanya ada pengurangan dari segi makna untuk menunjukkan yang ianya tidak sempurna.

Maknanya, pembersihan jiwa itu tidaklah sempurna. Dan ini memang benar kerana kalau sekali berjumpa dengan Nabi ﷺ, tidaklah dapat bersihkan hati terus. Memang adalah dapat sedikit tetapi pembersihan jiwa memerlukan usaha dari orang yang hendak membersihkan jiwanya. Tidaklah jumpa Nabi ﷺ boleh terus bersih jiwa. Bukanlah baginda boleh bersihkan hati orang. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja.


 

Ayat 4:

أَو يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or be reminded and the remembrance would benefit him?

(MALAY)

atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?

 

Peringatan yang dimaksudkan adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Abdullah Ummi Maktum  رضي الله عنه  mahu mendapatkan ilmu wahyu dari Nabi ﷺ. Sifat Al-Qur’an sebagai pemberi peringatan kepada manusia disebut dalam ayat ini. Ianya adalah satu peringatan yang kuat dan yang besar sekali.

Oleh itu, jangan pandang ringan pembelajaran wahyu dari Al-Qur’an ini. Abdullah رضي الله عنه datang kerana ingin mendapat pengajaran dari Al-Qur’an dan dari peringatan itu akan memberi manfaat kepada dirinya.

Tetapi yang boleh manfaat itu hanyalah kepada mereka yang mahu mendapat peringatan, yang berusaha. Kerana kalau seseorang itu mahu, memang akan mendapat peringatan. Oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an ini dengan bersungguh-sungguh. Kena berusaha kerana bukanlah ianya senang, tetapi tidaklah ia susah sangat sampai kita tidak boleh untuk memahaminya.

Kadangkala hendak mencari guru mengajar pun sudah susah. Tapi ingatlah yang usaha kita itu pun akan dapat pahala. Lagi susah kita berusaha untuk mendapatkan ilmu, lagi tinggi pahala. Malangnya, ada orang yang guru mengajar di sebelah rumah pun dia tetap tidak datang ke kelas.


 

Ayat 5:

أَمّا مَنِ استَغنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As for he who thinks himself without need,¹

  • i.e., without need of faith or need of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā). Here it is in reference to a certain influential member of the Quraysh whom the Prophet () had hoped to bring to Islām.

(MALAY)

Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,

 

Lafaz استَغنىٰ bermaksud seseorang yang lalai, cuai dan rasa serba cukup tidak perlukan apa-apa bantuan pun. Seumpama seorang yang kaya sangat sampai tidak kisah dengan duit pun.

Kata-kata ini merujuk kepada pemuka-pemuka Quraisy yang merasakan mereka tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantu mereka. Allah ﷻ bandingkan sifat mereka dengan Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه yang memang mahu membersihkan diri dia dan dia telah pergi kepada Nabi ﷺ untuk mendapatkan ilmu wahyu.

Sedangkan pemuka Quraisy itu mereka rasa mereka sudah cukup, semua sudah ada. Tetapi hanya mereka sahaja yang rasa macam itu, padahal mereka memang memerlukan bantuan dalam hal agama.

Orang yang rasa diri sudah cukup itu memang susah untuk diajar. Kalau manusia itu rasa mereka ada kekurangan, tidak semua mereka tahu, maka mereka akan buka telinga untuk dengar pendapat dan ilmu dari orang lain lagi. Begitulah zaman sekarang, banyak ustaz dari lepasan universiti atau pondok atau pesantren yang sudah belajar agama. Tetapi mereka tidak belajar aliran sunnah, maka banyak masalah yang mereka tidak kemas lagi.

Tetapi oleh kerana mereka ada pelajaran agama, mereka tidak dapat terima apabila ada orang yang beritahu perkara lain dari apa yang mereka telah belajar. Mereka rasa mereka sudah pandai, tidak boleh diajar lagi, maka mereka berterusan dalam fahaman agama mereka yang tidak semestinya benar.

Pemuka Quraisy itu memang datang jumpa Nabi ﷺ tetapi bukan hendak belajar, tetapi cuma hendak berdebat. Atau hendak dengar-dengar sahaja dulu. Mereka itu sifatnya sombong untuk menerima kebenaran. Kerana mereka sangka diri mereka sudah besar, sudah pandai. Begitulah juga, sekarang pun ada juga manusia yang suka berdebat, bertanya-tanya bukan hendak belajar, tetapi hendak berdiskusi, isi masa kosong sahaja.

Akan tetapi baginda tidak tahu pun dalam hati mereka. Samalah macam Nabi Musa عليه السلام yang tidak tahu pun dalam hati Firaun, maka baginda terus dakwah sahaja kepada Firaun seperti yang disuruh. Apabila mereka datang, baginda ambil peluang untuk secukup-cukupnya. Tapi kerana baginda tidak tahu apa yang dalam isihati mereka, maka sekarang Allah beritahu kepada baginda kedudukan perkara yang sebenar.


 

Ayat 6:

فَأَنتَ لَهُ تَصَدّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To him you give attention.

(MALAY)

maka kamu melayaninya.

 

Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ: kepada mereka (yang sudah rasa cukup), kamu layan pula. Dan bersungguh-sungguh pula kamu melayannya. Ini adalah kerana lafaz صَدّىٰ bermaksud ‘lantunan’ seperti bola yang dilantun (kita baling dan ia datang balik).

Oleh itu صَدّىٰ bermaksud pergi dan kemudian pergi lagi. Allah ﷻ sebut tentang Nabi ﷺ yang tetap pergi kepada pemuka Quraisy berkali-kali. Ini macam seorang penjual bola yang sentiasa melantun berkali-kali bolanya kerana ingin menjual bola itu kepada seseorang.

Allah ﷻ tidak suka Nabi ﷺ macam itu. Allah ﷻ mahu Nabi ﷺ mengajar kepada mereka yang hendak belajar sahaja. Macam pemuka Quraisy, kalau sudah diberi dakwah, tetapi tidak mahu juga untuk terima dan belajar, jangan lagi dicari-cari mereka. Allah ﷻ sudah beritahu yang mereka itu sombong, rasa mereka serba cukup. Jadi tidak perlu terhegeh-hegeh mencari mereka lagi.

Oleh itu, nampak rendah maruah Nabi ﷺ dan Islam kalau baginda buat begitu. Dalam lafaz صَدّىٰ ini, nampak Nabi  ﷺ sahaja yang pergi mencari dan mengadap mereka, ajak mereka berkali-kali untuk terima agama tauhid, tetapi mereka tidak balas pun. Jadi, nampak terdesak pula.

Allah ﷻ tidak mahu Nabi ﷺ terdesak memerlukan mereka untuk masuk Islam. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ berhenti dari buat begitu. Memang Nabi ﷺ kena dakwah kepada mereka, tetapi kalau mereka tidak mahu, biarkan sahaja. Mereka yang rugi, jangan pula terhegeh-hegeh hendakkan mereka.

Akan tetapi, kita telah sebutkan sebelum ini, sebenarnya Nabi ﷺ hendak sangat mereka beriman supaya semakin ramai yang beriman dengan agama yang benar. Niat baginda memang baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain