Tafsir Surah al-Bayyinah Ayat 1 – 3 (Bayyinah itu wahyu dan Rasululllah)

Muqaddimah:

Kita sudah belajar Surah Al-‘Alaq – ia menceritakan bagaimana wahyu Al-Qur’an itu diturunkan. Dan Surah Al-‘Alaq itu adalah surah pertama yang diturunkan. Kemudian kita juga sudah belajar Surah Al-Qadr – ia menerangkan bilakah ianya mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr dalam Bulan Ramadhan.

Dalam dua surah itu, kita sudah diperkenalkan dengan Al-Qur’an dan sejarah Al-Qur’an. Sekarang kita akan belajar Surah Al-Bayyinah – ia akan menerangkan apakah pati ajaran dalam Al-Qur’an itu dan apakah kesannya kepada masyarakat waktu itu dan sepanjang zaman?

Ia juga mengandungi ajaran agama yang amat penting sekali dan diterangkan dengan ringkas sahaja dalam ayat ini. Walaupun ayat ini pendek, tetapi ia mempunyai nilai ajaran yang amat tinggi dan salah satu dari surah yang susah untuk ditafsirkan.

Surah ini juga akan menjelaskan kepada kita bagaimana orang yang degil tidak akan terima ajaran Al-Qur’an walau bagaimana pun. Ini adalah kerana hati mereka telah tertutup. Semoga kita dan ahli keluarga kita tidak termasuk dalam golongan itu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita yang Rasulullah dan Al-Qur’an adalah hujah dan bukti (bayyinah) daripada Allah.

لَم يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَٱلمُشرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأتِيَہُمُ ٱلبَيِّنَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Bayyinah: Clear Evidence.

Those who disbelieved among the People of the Scripture and the polytheists were not to be parted [from misbelief]¹ until there came to them clear evidence –

  • i.e., from their erroneous beliefs and superstitions.

(MALAY)

Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,

 

Ayat ini dengan jelas memberitahu kita bahawa Musyrikin Mekah dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara) tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi tidak sampai kebenaran kepada mereka. Begitulah juga dengan orang kita sekarang, amat susah untuk meninggalkan amalan dan fahaman yang telah lama dipegang dari tok nenek lagi, melainkan mereka dapat bukti yang nyata.

Kalimah مُنفَكّينَ itu dari katadasar ف ك ك yang bermaksud mengasingkan, melepaskan, membebaskan, mematahkan, terkehel. Oleh itu, ada beberapa makna dari kalimah مُنفَكّينَ itu:

1 – Membebaskan diri dari sesuatu.

2 – Berhenti dari melakukan sesuatu yang biasa dilakukan.

Dua golongan itu (Ahli Kitab dan Musyrikin) dikatakan akan berhenti apabila mendapat bukti yang nyata. Tapi apakah yang mereka akan berhenti dari lakukan? Untuk menjawabnya, kita kena tengok bilakah surah ini diturunkan?

Ulama khilaf tentang bilakah surah ini diturunkan. Yang peliknya, pendapat jumhur mengatakan ianya diturunkan di Makkah  dan ada pendapat lain kata ia diturunkan di Madinah pula. Ada riwayat dari ibn Abbas yang kata ianya adalah surah Makkiyah dan ada pula riwayat yang sama darinya tapi mengatakan ianya Madaniyyah.

Akan tetapi ada riwayat dari Aisyah r.a yang mengatakan ianya adalah Makkiyah. Ada pendapat yang kuat juga yang mengatakan ianya adalah Madaniyyah kerana terdapat kisah tentang Ahli Kitab yang selalunya memberi isyarat yang ianya Madaniyyah. Tetapi kita boleh jawab hujah ini dengan mengatakan ianya diturunkan di hujung-hujung periode Makkiyah di mana telah ada interaksi dengan Ahli Kitab. Allahu a’lam.

Oleh kerana perbincangan yang banyak tentang surah inilah yang menyebabkan ini adalah surah yang dikatakan paling susah ditafsir. Agaknya kenapa susah sangat? Kerana kalau terjemah biasa sahaja tidak susah sangat, bukan? Ianya senang sahaja kalau diterjemah, tapi apabila hendak ditafsir dan dicari maknanya itu yang susah.

Dari apa yang kita terjemah sebentar tadi, mereka (Musyrikin dan Ahli Kitab) tidak akan meninggalkan kekafiran sehinggalah sampai wahyu yang benar kepada mereka. Akan tetapi, kalimah حَتَّىٰ (sehingga) itu agak keliru sedikit. Kerana kalau kita cuba fahamkan ayat itu, bila mereka sudah dapat wahyu yang jelas, mereka sepatutnya berhentilah dari syirik dan kekufuran mereka, bukan?

Akan tetapi dari sejarah, kita tahu yang golongan Ahli Kitab dan Musyrikin itu tetap juga dalam kekafiran mereka, walaupun telah sampai dalil yang benar, bukan? Inilah yang menyebabkan para mufassir keliru. Seolah-olah ayat ini tidak kena dengan kenyataan. Oleh itu, kenapa ayat ini disusun sebegini? Inilah yang kita perlu perhalusi.

A. Satu pendapat yang diberikan, sebenarnya Allah hendak menceritakan hujah (sebenarnya alasan) mereka (Musyrikin dan Ahli Kitab) itu tentang Islam. Mereka kononnya kata, mereka tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi mereka tidak mendapat hujah bukti yang jelas nyata.

Dalil tentang pendapat ini ada dalam ayat-ayat lain:

Sebagai contoh, dalam Ali Imran:183 (peristiwa puak Yahudi meminta mukjizat dari Rasulullah);

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ ۗ قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالَّذِي قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

(Iaitu) orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang rasul, sebelum dia mendatangkan kepada kami korban yang dimakan api”. Katakanlah: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa orang rasul sebelumku membawa keterangan-keterangan yang nyata dan membawa apa yang kamu sebutkan, maka mengapa kamu membunuh mereka jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

Dari ayat ini, mereka memberi alasan kenapa mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad. Mereka kata kerana mereka tidak mendapat dalil/hujah yang nyata. Mereka mahukan sesuatu yang mereka boleh nampak dengan mata kepala mereka sendiri, baru mereka nak percaya kepada Rasulullah. Tapi seperti yang kita telah belajar dalam ayat itu, itu hanyalah alasan mereka sahaja.

Musyrikin Mekah juga telah memberitahu alasan mereka pula dalam Isra’:90-93

وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا.  أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا.  أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا.

أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

Begitulah antara alasan-alasan mereka hendak menolak dakwah tauhid dari Nabi Muhammad. Dan ada lagi bukti-bukti lain yang mereka minta dari Nabi Muhammad. Tapi semua itu hanyalah alasan sahaja.

Jadi, mengikut pendapat ini, ayat pertama dari Surah Bayyinah ini bukanlah hendak menceritakan apa yang berlaku, tapi hendak menceritakan alasan orang-orang kafir itu.

 

B. Pendapat kedua pula mengatakan ayat pertama ini merujuk kepada orang-orang kafir (Musyrikin dan Ahli Kitab) yang tetap tidak akan beriman WALAUPUN SAMPAI dalil yang jelas nyata kepada mereka.

Hujah ini merujuk kepada kalimah مِنْ dalam ayat ini. Ia bermaksud ‘sebahagian’ dari mereka, yang tidak akan beriman langsung. Maknanya, ada yang beriman dan ada yang tidak mahu beriman. Oleh itu, ayat ini bukan bercakap tentang semua orang kafir itu, tapi kebanyakan (من) dari mereka yang tetap memegang pegangan lama mereka, tidak juga mahu beriman.

Ini adalah kerana mereka telah lama lakukan kekufuran dan kesyirikan mereka. Dan kalau manusia sudah tetap dalam amalan mereka, memerlukan sesuatu yang kuat untuk mengubah pandangan mereka. Kadang-kadang hujah/dalil yang sampai kepada seorang tidak cukup untuk orang lain.

Dan ada yang menerima dalil-dalil yang telah disampaikan kepada mereka. Sebab itu kita lihat dalam sejarah ada dari kalangan orang kafir yang sanggup mengubah pandangan dan pegangan mereka yang lama, setelah datangnya Nabi Muhammad yang membawa wahyu. Bukan sahaja dari kalangan orang Arab tapi di mana-mana negara sahaja.

Apabila para sahabat dan pendakwah Muslim datang kepada mereka dengan bawa Al-Qur’an ini kepada negara mereka, mereka sanggup tinggalkan agama mereka yang lama mereka pegang dan tidak pandang lagi fahaman lama mereka itu. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali negara yang telah meninggalkan agama lama mereka; sebagai contoh, negara kita sendiri, dulunya mengamalkan agama Hindu tapi tidak ada orang Melayu yang mengamalkan lagi agama Hindu, bukan?

Jadi, pendapat ini mengatakan tentang mereka yang tetap tidak mahu beriman walaupun telah sampai bayyinah kepada mereka.

 

C. Pendapat yang ketiga adalah berlawanan dengan pendapat kedua di atas. Pendapat ketiga ini mengatakan Musyrikin dan Ahli Kitab tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman lama mereka yang kufur, sehinggalah sampai bayyinah kepada mereka. Maknanya ada yang mahu mengubah pendirian setelah sampai dalil bukti yang jelas (bayyinah).

Pendapat kedua mengatakan ayat 1 menceritakan tentang mereka yang tetap tidak mahu beriman, tapi pendapat ketiga ini mengatakan ayat 1 menceritakan tentang mereka yang mahu mengubah pendapat mereka dan telah beriman. Mereka sanggup beriman setelah sampai bayyinah kepada mereka.

Memang susah untuk meninggalkan fahaman keagamaan yang telah sebati dalam diri melainkan ada bukti yang jelas nyata dan menusuk ke dalam hati. Dan ini kita telah lihat dalam sejarah. Kerana itu kita boleh lihat bagaimana ada dari kalangan Ahli Kitab yang telah meninggalkan agama lama mereka untuk masuk ke dalam Islam.

Ini adalah kerana mereka telah nampak bagaimana Al-Qur’an itu adalah wahyu yang benar dari Allah. Kita telah belajar dalam Surah Al-Qadr sebelum ini tentang penurunan Al-Qur’an. Dan sekarang kita belajar bagaimana hebatnya Qur’an itu – dapat mengubah fahaman manusia yang telah lama mereka pegang. Kerana ianya adalah bayyinah yang jelas nyata.

 

D. Sekarang kita lihat pula pendapat yang keempat. Pendapat yang keempat mengatakan bahawa Ahli Kitab tidak akan mengkhianati (meninggalkan) Kitab mereka sehinggalah datangnya bayyinah. Apakah maksudnya?

Sebelum datangnya Nabi Muhammad, Ahli Kitab telah berperang dengan puak Musyrikin. Dan mereka telah kalah kerana kekuatan pada pihak Musyrikin. Tapi mereka telah mengatakan bahawa dalam Kitab mereka, telah menceritakan tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman dan bila Nabi itu datang, baginda akan membantu mereka mengalahkan puak Musyrikin itu.

Maknanya, mereka memang telah menunggu-nunggu kedatangan Rasul Akhir Zaman itu kerana ianya telah ada pun dalam Kitab mereka. Akan tetapi, apabila benar-benar Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, mereka tidak menerima pula baginda sebagai Rasul.

Maknanya, mereka telah mengkhianati Kitab mereka sendiri. Dan bilakah mereka mengkhianatinya? Apabila datang bayyinah itu. Sebelum itu mereka tidak khianat lagi. Ini kita boleh lihat dalam Baqarah:89

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِن قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُم مَّا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ ۚ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Dan setelah datang kepada mereka Al Qur’an dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka lalu ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu.

Sekian pengenalan kepada empat pendapat tentang maksud ayat 1.

 

Sekarang kita kaji pula kalimat الَّذينَ كَفَروا (orang-orang yang kafir). Orang yang kafir adalah mereka yang menolak kebenaran. Selalunya adalah benda yang hendak ditolak, bukan? Tapi ayat ini mengatakan mereka sendiri telah kafir sebelum sampai kebenaran wahyu Al-Qur’an pun lagi. Kenapa?

Ini adalah kerana manusia itu sebelum datangnya wahyu, memang berada dalam kegelapan kufur. Dan hanya apabila datangnya Rasul, barulah mengeluarkan mereka dari lembah kegelapan. Lihat Baqarah:257

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ

Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman).

Setiap tamadun ada kebaikan dan keburukan mereka. Macam Musyrikin Mekah pun ada juga kebaikan sifat mereka, bukanlah semuanya teruk. Secara umumnya, kita boleh bahagikan manusia kepada 4 jenis sebelum wahyu datang kepada mereka:

1 – Ada manusia yang baik dalaman mereka dan baik juga luaran mereka; ada manusia seperti Abu Bakr as-Siddeeq yang mempunyai sifat ini sebelum wahyu turun pun.

2 – Ada manusia yang baik dalaman mereka tapi kerana mereka dipengaruhi oleh masyarakat yang teruk, maka yang nampak adalah keburukan mereka; contoh mereka yang sebegini adalah seperti Hamza bin Abdul Mu’tallib (bapa saudara Nabi).

Beliau sebenarnya baik, tapi tak nampak baik kerana masyarakat waktu itu mengamalkan syirik dan beliau terikut-ikut dengan amalan dan fahaman mereka. Dan apabila datang Islam dan beliau pun sudah Muslim, baru jelas nampak kebaikan beliau.

3 – Ada manusia yang buruk dalaman mereka tapi masyarakat memandang mereka sebagai orang yang baik dan hebat; ini adalah orang seperti Abu Jahal. Masyarakat Arab Mekah memandang tinggi kepada beliau.

Mereka sayang kepada Abu Jahal, sampai mereka gelar beliau dengan gelaran Abul Hakam (Bapa Bijaksana), sebab dia memang seorang yang pandai dan ditambah pula dengan sifat berani dan pemurah. Kita telah terangkan tentang dia dalam Surah al-‘Alaq.

4 – Dan ada pula yang buruk dalaman dan buruk luaran mereka seperti Abu Lahab. Ini banyak disebut dalam Surah al-Masad nanti.

Mereka semua ini hidup dalam satu masyarakat. Dan dari segi luaran, mereka mungkin nampak sama sahaja. Tapi apabila bayyinah datang kepada mereka, ianya begitu kuat sampaikan boleh menzahirkan sifat dalaman mereka dan memecahkan mereka kepada kumpulan masing-masing.

Waktu itu baru nampak siapa baik dan siapa yang tidak. Mereka yang nampak macam baik seperti Abu Jahal, baru terserlah keburukan dia. Itulah kehebatan wahyu yang dapat mengeluarkan sifat sebenar mereka. Ini kita boleh lihat dalam Anfal:8:

لِيُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ

agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik)

 

Juga disebut dalam Anfal:42

 لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ ۗ

agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata (pula).

Allah telah menurunkan wahyu dan memperjalankan proses-proses untuk membezakan manakah yang benar dan manakah yang batil.

Kenapa penting dibahagikan mereka itu, dijelaskan mereka duduk dalam golongan mana? Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak boleh mereka duduk sekali, duduk dalam aman damai? Lihatlah bagaimana keadaan di Mekah waktu itu, semua sekali bercampur tidak ada perang, tidak ada caci maki.

Memang mereka duduk dengan aman, semua boleh amalkan apa yang mereka hendak amalkan, tapi Allah tidak mahu begitu. Allah nak jelaskan mana yang benar. Allah tidak suka kalau amalan syirik berterusan. Sebab itu Allah buka kebenaran supaya nampak jelas mana yang benar dan tidak.

Memang tauhid tidak boleh duduk sama dengan syirik. Allah nak musnahkan fahaman yang bathil. Allah berfirman dalam Anfal:37:

لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dari yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.

Allah akan kumpul mereka dalam satu kumpulan, walaupun mereka ada banyak jenis. Memang kalau kita perhatikan, jenis kekufuran itu banyak jenis, tapi Allah kata segala yang kufur itu satu jenis sahaja, iaitu mereka tidak beriman yang benar.

Begitulah yang akan terjadi apabila bayyinah itu datang – ia akan membahagikan manusia yang dulunya duduk dalam satu masyarakat kepada dua bahagian. Yang menerima bayyinah itu tidak redha lagi duduk dengan mereka yang buat syirik. Seperti yang disebut dalam Mumtahanah:4

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Mereka yang beriman akan memisahkan diri mereka dari mereka yang mengamalkan syirik. Ini telah berlaku zaman berzaman. Itulah yang dimaksudkan dengan kalimah مُنفَكّينَ dalam ayat 1 ini. Mereka yang beriman akan meninggalkan fahaman yang salah dan syirik. Kerana itu kita tidak redha dengan amalan syirik masyarakat kita sekarang walaupun mereka mengaku beragama Islam.

Begitulah juga maksud dari kalimah البَيِّنَةُ ini yang datang dari katadasar ب ي ن yang bermaksud memisahkan, memutuskan, meninggalkan, menjelaskan. Apabila ia datang, maka manusia akan berpecah menjadi dua puak – puak yang benar dan puak yang bathil. Akan jelas nanti antara kufur dan iman.


 

Ayat 2: Kita telah banyak kali sebut tentang البَيِّنَةُ itu. Tapi apakah البَيِّنَةُ itu? Ayat ini menjelaskan bagi kita dan ada dua perkara yang disebutkan dalam ayat ini yang merangkumi البَيِّنَةُ itu.

رَسُولٌ مِّنَ ٱللَّهِ يَتلُواْ صُحُفًا مُّطَهَّرَةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A Messenger from Allāh, reciting purified¹ scriptures

  • i.e., containing no falsehood.

(MALAY)

(iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (Al Qur’an),

 

رَسُولٌ مِّنَ ٱللَّهِ

(iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad)

Yang pertama disebut, البَيِّنَةُ itu adalah Nabi Muhammad SAW. Dan apa yang baginda akan lakukan? Baginda akan membacakan البَيِّنَةُ yang kedua, iaitu Kitab Suci Al-Qur’an. Oleh itu البَيِّنَةُ adalah dua perkara, dan dua-dua perkara ini kena ada untuk mencukupkan البَيِّنَةُ itu:

1 – Wahyu Al-Qur’an; ia menceritakan agama dalam bentuk teori.

2 – Rasulullah SAW. Baginda mempraktikkan agama itu sebagai contoh untuk kita mengikuti teori yang telah disebut dalam wahyu. Kerana apa-apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu kalau tidak dijalankan, tidak diamalkan, ianya tidak bermakna. Dan kita tidak tahu untuk mengamalkannya kalau tidak ada contoh dari Rasulullah.

Jadi ini menyentuh tentang perkara yang amat penting sekali – kita kena amalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an. Dan kena amalkan seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah. Dan untuk itu, kita kena belajar apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an dan Sunnah Nabi. Kalau tidak tahu, bagaimana kita nak amalkan?

Tapi inilah masalah kebanyakan golongan Muslim, mulut asyik mengatakan yang Islam itu baik, tapi kalau lihat perangai orang Islam sendiri, buat malu sahaja. Ini adalah kerana kebanyakan dari orang Islam sendiri tidak mengamalkan Islam itu sendiri. Mereka tidak tahu pun apa yang patut diamalkan kerana mereka tidak kenal wahyu dan kerana itu tidak beramal dengan wahyu.

Kalau begitu jadinya, bagaimana kita hendak dakwah agama Islam ini kepada orang lain? Memang susah sekali. Oleh itu, sebagai seorang pendakwah, kenalah kita ada ilmu yang cukup dan akhlak kena dijaga supaya mempunyai akhlak islamiah.

Dan inilah kekurangan kita dan kerana itu susah nak dakwah kepada orang kalau perangai kita sendiri pun teruk juga. Kalau cakap berdegar-degar, tapi perangai teruk, orang bukan Islam nak masuk Islam pun tak mahu. Orang kita setakat cakap sahaja pandai, tapi tidak berguna. Ramai yang tidak mempelajari apa yang dikatakan oleh Rasulullah.

Sebab itu kita lihat digabungkan dua perkara ini dalam ayat ini. Bukan Al-Qur’an sahaja yang kita kena pegang, tapi amalan dan akhlak Rasulullah juga. Dan memang Nabi Muhammad itu akhlaknya paling baik. Itulah yang sepatutnya yang kita kena pelajari dan cuba terapkan dalam kehidupan kita.

Dan agama Islam ini bukan hanya boleh diambil terus dari Al-Qur’an tapi kena lihat bagaimana Nabi Muhammad amalkan. Dan siapa yang tahu apa yang Nabi amalkan? Tentulah para sahabat baginda. Oleh itu, ambilan agama kita adalah dari mereka. Jangan jadi seperti golongan Anti-Hadis atau yang menggelar diri mereka Quranist, yang hanya mahu ambil agama terus dari Al-Qur’an sahaja.

Nampak macam bagus, tapi tentu tidak boleh. Kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu bukannya boleh difahami dengan sempurna tanpa dipraktikkan oleh Rasulullah. Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an disebut tentang solat. Tapi kalau bukan Nabi yang tunjukkan cara solat, bagaimana kita boleh tahu bagaimana cara solat itu?

 

يَتلُواْ صُحُفًا مُّطَهَّرَةً

yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan,

Kalimah يَتلو dari katadasar ت ل و yang bermaksud: ikut, berjalan di belakang, baca, membacakan. Selalunya digunakan dalam penggunaan maksud ‘membaca’ kerana kalau kita baca pun, mata kita akan ikut apa yang tertulis pada kertas, bukan? Kita mungkin biasa dengar ’tilawah Al-Qur’an’, bukan?

Jadi, kalau kita lihat terjemahan ayat ini, kita boleh katakan yang Nabi Muhammad ‘membacakan’ ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Tapi, kalau kita lihat sejarah, pendapat yang banyak mengatakan yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca (walaupun ada pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad boleh membaca selepas mendapat wahyu). Oleh itu, bagaimana pula dikatakan yang baginda membacakan ayat-ayat Al-Qur’an itu? Kenapa kalimah يَتلو yang digunakan?

Inilah yang hebatnya. Walaupun Nabi Muhammad tidak boleh membaca, tapi seperti yang kita telah pernah beritahu di tempat yang lain, Al-Qur’an asalnya di Lauh Mahfuz. Kemudian dituliskan oleh para malaikat dan kemudian diturunkan ke Baitul Izzah. Dari situ, Jibril bawa turun dengan izin Allah bacakan sedikit demi sedikit kepada Nabi selama lebih kurang 22 tahun.

Jadi, walaupun ianya dibacakan kepada Nabi, tapi ia asalnya adalah dari sesuatu yang sudah siap tertulis. Dan walaupun ianya dibacakan kepada baginda, tapi apabila ianya disampaikan kepada baginda, baginda rasa macam ianya tertulis dalam hati baginda.

Kalau kita ambil dari pemahaman ini, maka baginda membaca dari Al-Qur’an yang ‘tertulis’ dalam hatinya. Ini adalah kerana Allah telah berjanji untuk memastikan baginda akan ingat apa yang telah disampaikan kepada baginda, seperti yang disebut dalam Qiyamah:16-19

لاَ تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ – إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْءَانَهُ – فَإِذَا قَرَأْنَـهُ فَاتَّبِعْ قُرْءَانَهُ – ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Qur’an kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya.

 

Tafsir kalimah صُحُفًا مُطَهَّرَةً: Baginda membacakan suhuf-suhuf yang suci bersih dari kebathilan. Seperti firman-Nya dalam Abasa:13-16:

فِي صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ مَرْفُوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ بِأَيْدِي سَفَرَةٍ كِرامٍ بَرَرَةٍ

di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (malaikat), yang mulia lagi berbakti.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa di dalam lembaran-lembaran yang disucikan itu terdapat kitab-kitab dari Allah yang berharga, adil, lagi lurus; tiada suatu kesalahan pun di dalamnya kerana ia dari sisi Allah Swt.

Jadi sifat Al-Qur’an itu memang suci dan hati baginda juga telah disucikan: pertama kali semasa baginda kanak-kanak dan sekali lagi sebelum perjalanan Isra’ Mi’raj baginda.


 

Ayat 3:

فيها كُتُبٌ قَيِّمَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within which are correct writings [i.e., rulings and laws].

(MALAY)

di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus.

 

Maksud kalimah كُتُبٌ: boleh merujuk kepada penulisan pada kitab, kerana buku-buku dipanggil ‘kitab’ dalam Bahasa Arab.

Ia juga boleh digunakan untuk bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah kerana kalimah كُتُبٌ juga digunakan untuk merujuk kepada ‘undang-undang’ dalam Bahasa Arab, iaitu sesuatu yang wajib ditaati, diikuti. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Baqarah:183

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

diwajibkan atas kamu berpuasa

Juga dalam Baqarah:216

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ

Diwajibkan atas kamu berperang,

Juga dalam Baqarah:178

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ

diwajibkan atas kamu qishaash

Dalam ketiga-tiga ayat ini, digunakan kalimah كُتِبَ yang memberi isyarat bahawa ada undang-undang yang telah ditetapkan kepada kita dalam ayat-ayat itu: tentang puasa, tentang perang dan tentang Qisas.

Memang dalam wahyu itu ada hukum, tapi apabila dikatakan فيها كُتُبٌ, maksudnya memang ‘di dalamnya’ ada hukum, tapi bukanlah semua wahyu Al-Qur’an itu hanya mengandungi hukum sahaja, tapi ada benda lain lagi. Ini penting untuk difahami kerana orang Islam ramai yang sangka agama ini hanya tentang ‘boleh buat dan tidak boleh buat’ (do’s and don’ts) sahaja, tapi tidak begitu sebenarnya. Kerana ada banyak lagi perkara lain.

Apakah maksud kalimah قَيِّمَةٌ: ia bermaksud tegak, teguh, berdiri lurus. Ia juga bermaksud, kalau ada sesuatu yang bengkok, ia dapat menegakkannya. Dan memang hukum dari Allah adalah tegak dan lurus, dan hebatnya lagi, ia juga membetulkan mana-mana yang rosak dalam masyarakat.

Begitulah hebatnya ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu, mengandungi surah-surah yang tinggi nilainya, tidak kira berapa panjang atau pendek pun surah itu. Walaupun ada surah-surah yang pendek tapi ianya tinggi kerana ada kelebihannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 3 – 5 (Kelebihan Lailatul Qadr)

Ayat 3: Kali ketiga Allah ulang kalimah لَيلَةُ القَدرِ. Allah menerangkan rahsia Lailatul Qadr.

لَيلَةُ ٱلقَدرِ خَيرٌ مِّن أَلفِ شَہرٍ

Sahih International
The Night of Decree is better than a thousand months.

Malay
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

 

Allah memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak. Kalau kita melakukan ibadat pada malam itu, ianya ‘lebih’ dari amalan ibadat yang kalau kita buat selama 83 tahun. Iaitu sepanjang hidupnya, kerana kalau kita hidup panjang pun, dalam 80 tahun sahaja, malah ada yang lebih rendah lagi dari umur itu.

Maka, ini adalah pemberian nikmat yang amat tinggi dari Allah. Bayangkan kebaikan yang kita boleh dapat kalau kita beramal pada malam itu – kita dapat pahala amalan sepanjang hidup, tapi buat pada satu malam sahaja. Alangkah besarnya rahmat yang Allah beri kepada kita.

Pemberian ini diberikan kepada umat Nabi Muhammad kerana baginda risau umatnya tidak dapat menyamai amalan umat-umat yang terdahulu. Umat terdahulu umur mereka panjang-panjang belaka. Maka, Allah telah memberikan Lailatul Qadr kepada kita, umat akhir zaman. Maknanya, walaupun umur kita pendek, tapi pahala kita boleh jadi lagi banyak dari umat-umat terdahulu. Ini adalah salah satu nikmat besar dari Allah.

Adapun asbabun nuzul atau sebab-sebab turunnya surah tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi, yang bersumber dari Mujahid bahawa Rasulullah saw pernah menyebut-nyebut bani Israil yang berjuang fiisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan Surah al-Qadr 1-3 yang menegaskan bahawa satu malam laitatul qadr lebih baik daripada perjuangan bani Israil selama seribu bulan itu.

Sementara di dalam riwayat lain oleh Ibnu Jarir, yang bersumber dari Mujahid bahawa di kalangan bani Israil terdapat seorang laki-laki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qadr 1-3) yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan seorang laki-laki dari bani Israel tersebut.

Usia umat Nabi Muhammad SAW memang lebih pendek dari umat terdahulu. Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah merenungi hal itu. Nabi SAW pun bersedih, kerana mustahil umatnya dapat menandingi amal ibadah umat-umat terdahulu. Maka Allah telah beri kelebihan ini kepada umat baginda.

Tafsir خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ – Kalau dibuat kiraan, أَلفِ شَهرٍ (seribu bulan) itu lebih kurang 83 tahun jangkanya. Akan tetapi Allah juga menggunakan kalimah خَيرٌ (lebih baik) dalam ayat ini. Ini bermakna, ia lebih baik lagi, atau ia juga boleh bermakna, bukan setakat seribu bulan sahaja, tapi selama-lamanya, kerana apabila dikatakan ‘seribu’, itu bermaksud ‘selama-lamanya’ dalam Bahasa Arab. Iaitu ianya dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) yang boleh membawa maksud ‘infiniti’.


 

Ayat 4: Sekarang diberikan penerangan tambahan tentang Lailatul Qadr itu. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu kita yang malam ini turunnya perintah dan syariat Allah yang membawa kesejahteraan.

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ

Sahih International
The angels and the Spirit descend therein by permission of their Lord for every matter.

Malay
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

 

Kalimah تَنَزَّلُ bermaksud turun. Tapi ada perbincangan balaghah sedikit tentang wazan yang digunakan pada تَنَزَّلُ. Seperti yang kita tahu, setiap perkataan yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah tepat. Bukan sahaja kalimah yang digunakan adalah tepat, tapi cara ejaan pun tepat juga.

Sekarang lihat kalimah تَنَزَّلُ yang digunakan dalam ayat ini. Sebenarnya ejaan ini adalah ringkasan dari kalimah yang penuh – تَتَنَزَّلُ (tatanazzalu – ada tambahan ت di awalnya). Dalam Bahasa Arab pun ada juga ejaan ringkasan, macam kita gunakan ejaan ‘math’ untuk mathematic, ‘demo’ untuk demonstration dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab, ini dipanggil ‘hazf’. Tapi ada sebab kalau sesuatu huruf itu dihazafkan.

Secara asasnya, kalau huruf lagi banyak, maka menunjukkan lebih banyak lagi dari segi kuantiti atau selalu. Jadi, dalam ayat ini, digunakan kalimah تَنَزَّلُ tapi sekarang lihat Fussilat:30 pula. Dalam ayat Fussilat itu, digunakan kalimah yang hampir sama, tapi ejaan berlainan – تَتَنَزَّلُ.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka

Digunakan kalimah تَتَنَزَّلُ dalam Surah Fussilat itu kerana ayat itu memperkatakan tentang malaikat yang turun apabila adanya kematian manusia yang mukmin. Kalau dari segi bilangan, tentu kejadian itu lagi banyak dari bilangan malaikat yang turun pada Malam Qadr, kerana Malam Qadr berlaku sekali setahun sahaja sedangkan kematian berlaku hampir setiap masa.

Ini adalah satu mukjizat, kerana Al-Qur’an menggunakan ejaan yang tepat. Bayangkan kalaulah Al-Qur’an ini rekaan dari Nabi Muhammad, bagaimana baginda boleh sampaikan perkara ini? Tentu tidak boleh kerana ketepatan dari segi bahasa itu amat tepat sekali. Dan apabila kita faham perkara ini, maka keindahan ayat ini akan dilihat sebagai mukjizat dan akan menambahkan iman kita kepada Al-Qur’an.

Bayangkan begitu tepat sekali apa yang baginda sampaikan, tapi ingat kembali yang Nabi sebut sahaja ayat-ayat ini secara lisan, bukannya baca dari kitab pun. Dan kita telah sebutkan bagaimana kalau sesuatu itu disampaikan secara lisan, tentu susah untuk memastikan ketepatan sesuatu perkara itu. Tapi apa yang baginda sampaikan itu tepat sekali sampaikan satu huruf pun tidak salah. Maka, ini sebagai dalil bukti lagi bahawa tidak mungkin Al-Qur’an itu dari Nabi Muhammad sendiri, tapi ianya pasti dari Allah.

 

Tafsir kalimah وَالرّوحُ: Telah ijmak ulama’ bahawa ‘الرّوحُ’ yang disebut dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril. Seperti yang pernah disebut di dalam Risalah Tauhid, kalimah الرّوحُ itu mempunyai banyak makna dan makna yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Jibril. Kenapa disebut namanya secara spesifik, sedangkan dia juga adalah malaikat? Kenapa tak sebut sahaja para malaikat turun pada malam itu dan tentunya termasuk sekali dengan Jibrail?

Nama Jibril disebut khusus kerana pangkatnya yang tinggi. Jibrillah yang menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dan menurunkan wahyu kepada para Rasul yang lain, dan berbagai lagi tugas penting yang dilakukan oleh Jibril. Kerana kedudukannya itu, namanya disebut secara khusus.

Ini biasa kita pakai dalam bahasa biasa kita pun. Sebagai contoh kita kata: “Ramai orang pergi majlis itu termasuk Perdana Menteri” Tapi bukankah Perdana Menteri itu orang juga, bukan? Tapi disebut khusus tentang kedatangan dia kerana dia orang yang penting.

Memang selalu Jibril (الرّوحُ) disebut cara begitu dalam Al-Qur’an di mana kalimah الرّوحُ disebut selepas kalimah المَلائِكَةُ disebut. Tapi susunannya tidak sama – kadang-kadang disebut المَلائِكَةُ dulu, dan kadang-kadang disebut الرّوحُ dulu. Selalunya kalimah المَلائِكَةُ yang disebut dahulu seperti dalam Ma’arij:4

تَعرُجُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ

Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari

Ini adalah kebiasaan penggunaan susunan ini. Cuma sekali sahaja susunan itu ditukar, iaitu dalam Naba’:38 disebut ruh dulu baru malaikat.

يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا

Pada hari, ketika ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf,

Apabila diteliti, beza susunan itu adalah kerana pergerakan yang berbeza. Kalau Allah menyebut tentang malaikat, selalunya berkenaan mereka bergerak (turun naik dan sebagainya). Tapi apabila disebut tentang Jibril, selalunya baginda disebut dalam keadaan tidak bergerak atau sedang melakukan kerja yang khusus, contohnya dalam Takweer:20

عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ

di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,

Oleh itu, kalau kita perhatikan, dalam ayat Naba’:38 itu, ianya tentang para malaikat yang duduk berdiri dalam saf-saf tidak bergerak. Dan kerana itulah agaknya Jibril disebut dahulu sebelum para malaikat yang lain disebut secara umum. Sedangkan dalam ayat al-Qadr ini, ada pergerakan para malaikat, maka kalimah المَلائِكَةُ disebut dahulu, barulah disebut kalimah الرّوحُ. Inilah antara keindahan bahasa Al-Qur’an yang diteliti oleh para ulama.

Oleh itu, tahulah kita bahawa Jibril turun setiap tahun ke bumi, walaupun sudah tidak ada Rasul untuk diberikan dengan wahyu. Ini adalah kerana kepentingan dan kehebatan Malam Qadr itu. Jibril mengulangi sunnahnya setiap tahun.

 

Tafsir kalimat بِإِذنِ رَبِّهِم – Dengan izin Tuhan mereka. Kenapa kena sebut mereka turun dengan izin Allah pula? Ini adalah kerana para malaikat sebenarnya memang teringin untuk turun ke dunia untuk bertemu dengan umat manusia yang melakukan ibadah. Ini adalah kerana mereka suka sangat nak berjumpa dengan mereka yang beruntung itu.

Dan kerana itu mereka telah memohon kepada Allah dan Allah telah ‘memberi izin’ kepada mereka. Kerana para malaikat tidak boleh turun ikut suka mereka, kalau ada izin dari Allah baru mereka boleh turun. Malaikat-malaikat itu teringin untuk turun memberi salam kepada umat yang sedang melakukan ibadah. Itulah sebabnya ayat ini disambung dengan perkataan سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ.

 

Tafsir kalimat مِن كُلِّ أَمرٍ – dari setiap urusan. Apakah maksudnya? Kalimah مِن selalu diterjemahkan ‘dari’ tapi ianya juga boleh bermaksud ‘kerana’. Oleh itu, para malaikat itu turun kerana hendak menjalankan arahan Allah. Ini kita boleh lihat juga dalam Dukhan:3-5.

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ ❊ فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ

sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan ❊ Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.

Kerana membawa segala perkara: maksudnya, Allah telah menetapkan apa yang akan terjadi untuk tahun itu. Maka, malaikat-malaikat itu menjalankan tugas yang Allah berikan kepada mereka untuk tahun itu. Contohnya, siapakah yang akan mati, lahir, dapat anak, dapat rezeki, dapat kahwin dan sebagainya.

Para malaikat itu turun kerana menjalankan perintah Allah. Soalan: kenapa kena sebut Allah yang suruh dan beri arahan kepada mereka? Ini penting kerana banyaklah manusia yang melakukan syirik dengan mengatakan mereka boleh meminta tolong kepada malaikat dalam urusan keduniaan dan keagamaan mereka.

Ini dilakukan oleh banyak orang, sama ada kafir atau orang yang mengaku Islam pun. Itu adalah salah kerana dalam ayat ini, Allah menekankan bahawa malaikat tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan dengan suruhan dan izin Allah. Kalau Allah tidak suruh mereka lakukan apa-apa tugas, mereka tidak akan melakukannya. Jadi kalau kita minta terus kepada malaikat, sudah pasti yang para malaikat itu tidak dapat tolong sedikit pun.


 

Ayat 5:

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجرِ

Sahih International
Peace it is until the emergence of dawn.

Malay
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

 

Malam itu adalah malam yang aman dari syaitan. Oleh itu, ini tidak ada kejahatan langsung. Kalau malam lain, ada juga sejahtera, tapi ada juga bercampur dengan keganasan dan keburukan. Tapi Allah beritahu pada Malam Qadr ini ianya sejahtera sampai ke waktu Fajar.

Ia juga bermakna, para malaikat memberi salam dari terbenam matahari waktu Maghrib hari itu hingga ke terbit fajar, diberikan kepada orang Islam yang melakukan ibadat di masjid. Maknanya kena beramal di masjid tapi ada juga yang kata para malaikat itu pergi ke setiap mukmin yang beramal sama ada mereka ke masjid atau tidak.

Bayangkan begitu jauh sekali perjalanan mereka untuk memberi salam sejahtera kepada orang mukmin. Maka alangkah tingginya kemuliaan yang Allah berikan kepada orang mukmin.

 

Khulasah Surah dari mula hingga akhir:

Surah ini bermula dengan penceritaan turunnya Al-Qur’an, kemudian diteruskan dengan turunnya para malaikat dan turunnya juga kesejahteraan sehingga ke waktu Fajar (kerana sejahtera juga diturunkan oleh Allah). Oleh itu, tiga benda sekali telah disentuh (Al-Qur’an, malaikat & sejahtera).

Yang menarik, ada juga disebut Fajr dalam ayat ini. Maka ulama telah mengaitkan ayat ini dengan bacaan Al-Qur’an. Kalau ditanya bilakah masa terbaik untuk baca Al-Qur’an, maka dalam ayat ini, diberi isyarat yang Al-Qur’an itu paling molek dibaca pada waktu fajar. Ini dikuatkan lagi dengan dalil dalam ayat Israa’:78

إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا

Sesungguhnya bacaan Al-Qur’an waktu subuh itu disaksikan

Jumhur ulama mengatakan yang surah ini diturunkan di Makkah. Kita sudah membaca bagaimana Allah menceritakan kelebihan beribadah pada Lailatul Qadr. Jadi, kenapa ayat-ayat menceritakan kelebihan ibadah itu disampaikan kepada puak (Musyrikin Mekah) yang tidak percaya kepada tauhid dan ibadah hanya kepada Allah? Bagaimana pula begitu? Seolah-olah mereka tidak mendapat manfaat pula dari ayat ini kerana mereka pun tidak beribadat, bukan? Mereka tak kisah pun, tak ambil tahu pun, tak buat apa pun.

Jawapannya: Ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Dalam Surah Al-‘Alaq, diceritakan bagaimana Rasulullah diserang oleh Abu Jahal. Akhir sekali dalam surah itu, Allah beritahu jangan kisah kepada perbuatan Abu Jahal itu.

Nabi disuruh untuk terus berdakwah dan jangan hiraukan tentangan dari penentang. Dalam berdakwah, kadang-kadang kita rasa macam kita ini jurujual, bukan? Kalau penjual, dia akan sebutkan kelebihan barang jualannya itu dengan harapan pembeli akan terkesan untuk membeli. Dalam keadaan begitu, pembeli berada dalam kedudukan yang tinggi, kerana mereka yang sedang diajak, dan mereka yang diperlukan oleh penjual kerana pembeli itu yang ada duit.

Begitulah yang dirasai oleh Rasulullah – baginda berharap sangat supaya umat baginda mahu dengar dakwah baginda dan beriman kerana baginda risaukan sangat tentang keselamatan mereka. Baginda beriya-iya benar mengajar dan rasa susah hati apabila mereka tidak mahu beriman.

Allah tak terima macam itu. Allah nak beritahu yang baginda yang sebenarnya yang berada di atas, bukan mereka yang didakwah itu. Baginda tidak perlu sangat beriya-iya, terhegeh-hegeh untuk mengharap umatnya beriman. Allah nak beritahu, kalau mereka yang tak terima, mereka yang rugi. Kerana kelebihan yang Allah berikan adalah amat banyak, seperti yang disebut dalam Surah al-Qadr ini. Kalau mereka yang tidak mahu terima, mereka yang rugi, bukannya Rasulullah.

Kitab Al-Qur’an ini yang di hadapan kita ini adalah sangat mulia, diturunkan pula pada malam yang mulia – menunjukkan ketinggian dan kemuliaan Al-Qur’an itu. Kalau mereka tidak mahu terima Al-Qur’an ini, maka jangan risau tentang mereka, mereka yang rugi. Ketahuilah, mereka yang memerlukan Al-Qur’an dan kalau mereka tidak terima, mereka yang rugi, bukannya Nabi Muhammad.

Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk sedar tentang kelebihan Lailatul Qadr ini di tahun-tahun mendatang. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk terus beramal dan meningkatkan amalan kita pada malam itu. Sekurang-kurangnya kita dapat istiqamah untuk solat berjemaah di masjid pada malam itu. Kerana sesiapa yang Solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah pada malam itu, dikira boleh dapat Lailatul Qadr. Kalau dapat tambah dengan amalan lain, seperti Solat Terawih dan Qiyamullail, tentulah lagi baik.

Semoga Allah beri kepada kita kecintaan kepada Al-Qur’an ini dan beri kekuatan dan taufik kepada kita untuk mengamalkannya. Di akhir Surah Al-‘Alaq, Allah suruh kita mendekatkan diri denganNya. Dan dalam Surah Al-Qadr ini, kita dapat tahu bahawa kita dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Kedua-dua Surah Al-‘Alaq dan Al-Qadr menekankan tentang Al-Qur’an. Dan Surah Al-Qadr ini memberitahu kita yang membaca Al-Qur’an di malam hari dan di waktu subuh adalah antara amalan yang paling baik. Maka kita kena ambil perhatian tentang perkara ini dan cuba amalkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Bayyinah.

Kemaskini: 6 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Alaq Ayat 12 – 19

Ayat 12:

أَو أَمَرَ بِالتَّقوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or enjoins righteousness?

(MALAY)

atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)?

 

Seperti juga dalam ayat sebelum ini, individu yang dimaksudkan dalam ayat ini tidak pasti oleh ulama’ sama ada Nabi Muhammad atau Abu Jahal.

A. “Apa pandangan kamu kalau Nabi Muhammad itu benar-benar mengajak kepada ketaqwaan? Tidakkah engkau lihat bagaimana memang Nabi Muhammad itu mengajak kepada taqwa?”

Apabila disambung dari ayat ini, kita nampak bahawa tidak cukup dengan seseorang itu dapat hidayah sahaja, tapi dia kena sampaikan petunjuk kepada orang lain dan mengajak mereka kepada taqwa juga. Maka ini menunjukkan kepentingan dakwah.

B. Kalau merujuk kepada Abu Jahal, maka kita disuruh membayangkan jikalau dia menerima dakwah dan dia sendiri mengajak orang lain kepada taqwa. Tentulah dia akan menjadi seorang yang hebat. Kerana dia sendiri ada potensi yang tinggi. Tapi malangnya dia telah menolak untuk menerima kebenaran dan telah merendahkan dirinya serendah-rendahnya.


 

Ayat 13:

أَرَأَيتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you seen if he denies and turns away –

(MALAY)

Bagaimana pendapatmu jika orang itu mendustakan dan berpaling?

 

Sekarang jelas ayat ini memperkatakan tentang Abu Jahal pula. Sekarang menceritakan tentang sifatnya yang mendustakan Nabi dan berpaling dari Nabi Muhammad pula.

Tidakkah engkau lihat apakah yang telah dilakukannya itu? Dia ada peluang untuk mendapat kebaikan yang amat banyak kalau dia mahu beriman dengan Nabi Muhammad, tapi dia lepaskan peluang keemasan itu.


 

Ayat 14:

أَلَم يَعلَم بِأَنَّ اللَّهَ يَرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Does he not know that Allāh sees?

(MALAY)

Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?

 

Allah memperkatakan tentang kebodohan Abu Jahal itu dan mereka yang bersifat seperti dia. Dia sangka yang dia sedang mengganggu Nabi Muhammad sahaja, tapi dia tidak sedar bahawa Allah sedang memerhatikan setiap perbuatannya itu.

Sebenarnya Musyrikin Mekah kenal Allah sebagai Tuhan. Walaupun mereka itu melakukan syirik dengan menyembah berhala dan sembahan-sembahan yang lain, tapi mereka juga kenal Allah sebagai ‘Tuhan Utama’. Pada mereka, berhala dan sembahan-sembahan itu adalah ilah-ilah selain Allah sahaja. Tapi tidaklah ilah-ilah itu dapat menandingi Allah.

Jadi mereka kenal Allah, dan tahu bahawa Allah itulah yang menjadikan mereka dan alam ini. Begitu jugalah dengan Abu Jahal – sepatutnya dia pun kenal juga Allah. Tapi kerana dia teruk sangat, sangat benci kepada Nabi Muhammad dan kebenaran yang dibawa oleh baginda, dia sampai lupa kepada Allah dan lupa bahawa Allah sedang memerhatikan.

Apabila digunakan kalimat أَلَم يَعلَم (tidakkah mereka tahu?), itu menunjukkan mereka sepatutnya tahu, kerana itulah digunakan soalan dalam ayat ini dalam bentuk retorik.

Jadi, kita kena faham beza antara orang yang ‘tahu’ dan orang yang ‘engkar sombong’. Dalam permulaan surah ini, telah disebut tentang baca dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Ini penting kerana dengan ilmu pengetahuanlah yang boleh menyebabkan seseorang itu rendah diri dan sedar siapakah diri mereka. Sebab itu kita lihat resmi padi – semakin berisi semakin tunduk padi itu. Mereka yang kenal Allahlah yang takut dengan Allah, seperti yang disebut dalam Fatir:28

إِنَّما يَخشَى اللَّهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.

Jelas bahawa mereka yang ada ilmu akan sedar tentang diri mereka akan tunduk kepada Allah. Menolak ilmu akan menyebabkan kesombongan. Kalau kita merendahkan diri di hadapan Allah, Allah akan meningkatkan darjat kita; dan kalau kita sombong dan menentang kebenaran, Allah akan merendahkan kita serendah-rendahnya.

Jadi secara ringkasnya, dua perkara telah disentuh setakat ini:

1- Kepentingan ada ilmu

2- Orang jenis apa yang menolak ilmu itu.

Selepas ini nanti akan disentuh:

3- Apabila kamu tidak menerima dan mendapatkan ilmu pengetahuan, kamu akan menjadi orang yang jahil; dan bila jahil, apa yang kamu akan lakukan?

Ayat-ayat selepas ini akan menceritakan bagaimana sifat Abu Jahal (bapa kejahilan) dan mereka yang sepertinya. Ulama’ telah mengatakan bahawa ayat-ayat selepas ini memperkatakan tentang Abu Jahal dan sikapnya.

Sebelum kita teruskan, menarik untuk kita lihat gelaran yang diberikan kepada Abu Jahal itu. Abu Jahal bermaksud ‘Bapa kebodohon’. Ini adalah gelaran kepada dia kerana nama dia yang asal adalah lain (Amr). Dia diberi dengan gelaran yang menghinakan itu walaupun pada asalnya, masyarakat beliau menggelar beliau dengan gelaran: Abul Hakam (seorang yang bijaksana) kerana dia memang seorang yang ada kepandaian dan seorang yang dipandang tinggi dalam masyarakat Arab.

Akan tetapi, kerana dia menolak kebenaran, dia digelar dengan gelaran Abu Jahal dan gelaran itu kekal sampai ke kiamat nanti. Orang tak kenal pun dengan namanya yang sebenar dan gelarannya yang asal. Begitulah Allah hinakan dia kerana dia telah menolak Nabi Muhammad. Kita pun tidak tahu dia ada keturunan atau tidak, kerana kalau ada anak beranak pun, mereka sudah tidak mengaku keturunan dia agaknya.

Memang dia seorang yang pandai dalam ilmu dunia, tapi kalau jahil ilmu akhirat, itu tidak bermakna langsung. Maknanya, kalau tahu segala ilmu dalam dunia, tapi tak tahu tentang ilmu agama dan tidak terima ilmu agama itu, mereka itu masih dikira sebagai dungu.

Maka, kalau orang kita masuk universiti, jadi doktor, dapat PHD, jadi professor, tapi kalau ilmu agama tidak ada, tidak ada gunanya. Setakat orang kenal dan sanjung di dunia sahaja, tapi di akhirat nanti dia akan ada masalah. Kerana kalau dia jahil, syaitan akan ambil peluang itu untuk menjerumuskan dia ke lembah kehinaan. Ini adalah kerana, seseorang yang jahil dan tidak tahu tentang kesan perbuatannya, dia sanggup buat perkara – perkara yang buruk. Sebagaimana Abu Jahal yang sanggup untuk menyakiti Nabi Muhammad dan sanggup untuk suruh orang lain menyakiti baginda.

Begitulah juga seorang yang jahil tentang agama, mereka tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah dan mereka buat ikut suka diri mereka sahaja; dan mereka akan terima sahaja ajaran salah kerana mereka tidak ada neraca untuk menilai kebenaran. Kerana itulah kita boleh lihat, ramai orang bijak pandai dari kalangan orang Islam pun, tapi mereka tidak mendalami ilmu agama, mereka akan buat perkara syirik dan perkara bidaah. Ini adalah kerana mereka ada ilmu dunia, tapi mereka tidak ada ilmu agama. Maka mereka senang ditipu oleh syaitan.


 

Ayat 15: Sekarang kita masuk ke fasa ke 4 surah ini. Ayat 15 – 18 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita akibat buruk kepada penderhaka.

كَلَّا لَٮِٕن لَّم يَنتَهِ لَنَسفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! If he does not desist, We will surely drag him by the forelock¹ –

  • It may also mean “slap him” or “blacken his face at the forelock.”

(MALAY)

Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya,

 

Kalimah كَلّا – janganlah dia buat begitu. Bahaya kalau dia teruskan. Allah beri ancamanNya dalam ayat itu.

Kalau kita belajar sirah, kita telah tahu bagaimana Abu Jahal telah memberi amaran kepada Nabi supaya jangan solat lagi di Kaabah, jangan itu dan ini – dia kata, kalau baginda buat juga, baginda akan disakiti. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah hendak memberi semangat kepada baginda, jangan takut kepada amaran Abu Jahal itu.

Sepatutnya manusia kena sedar bahawa Allah sedang memerhatikan segala perbuatan mereka. Kerana kalau sedar yang kita sedang diperhatikan, tentu kita tidak berani buat salah. Bayangkan kalau kita tahu ayah kita sedang memerhatikan kita dengan CCTV, atau kita sedang buat kerja dan kita tahu yang majikan kita sedang memerhatikan dari jauh, tentu kita tidak berani buat salah, bukan?

Tapi, orang seperti Abu Jahal itu teruk sangat sampai mereka tidak memikirkan tentang perkara itu langsung. Kerana dia degil sangat. Maka Allah beri amaran keras dalam ayat ini: kalau tidak berhenti dari melakukan kejahatan itu, Allah akan tangkap ubun-ubun mereka. Huruf ل dalam لَئِن itu adalah sebagai penekanan (Allah PASTI akan buat).

Kalimah النّاصِيَةِ adalah bahagian kepala yang di atas dahi (ubun-ubun). Selalunya binatang dipegang ubun-ubunnya oleh tuan mereka untuk menangkap mereka. Allah beritahu yang kalau tidak berhenti juga, Allah akan buat buat begitu. Dan Allah bukan nak tangkap sahaja, tapi Allah akan matikan dia dan masukkan terus dia ke dalam neraka.

Allah gunakan kalimah النّاصِيَةِ kerana dalam tradisi Arab, النّاصِيَةِ adalah tempat kemuliaan seseorang. Sebab itu orang ada pakai lambang di ubun-ubun mereka. Orang pakai serban dan sebagainya kerana hendak menjaga kemuliaan kepala. Ia juga adalah bahagian yang kita leta dan sentuhkan ke bumi apabila melakukan sujud. Ini adalah kerana ia adalah bahagian badan yang mulia dan kita hinakan diri kita di hadapan Allah. Dan akhir surah ini juga akan ada Ayat Sajdah, bukan? Kita letak bahagian kepala kita yang mulia kerana Allah yang paling mulia.

Ia juga adalah tempat akal dan pengetahuan. Kalau kajian otak pun akan dapati bahawa di situlah letakkan minda tempat akal berfikir. Di bahagian itulah tempat manusia berfikir dan kemudian bahagian otak lain yang gerakkan tubuh untuk bertindak. Jadi bahagian ubun-ubunlah kiranya yang paling bersalah kalau degil, bukan?

Dan kita telah sebutkan bagaimana Abu Jahal menolak untuk menerima ilmu agama dari Nabi Muhammad sendiri. Maknanya, dia bukan tolak dan hina manusia biasa, tapi dia hina seorang Nabi lagi Rasul! Maka kerana itu, Allah akan tangkap dia di ubun-ubunnya itu dan akan seret dia ke neraka. Memang orang yang menentang dan tidak mengendahkan kebenaran akan diseret atas muka mereka seperti yang disebut dalam Mulk:22

أَفَمَن يَمشي مُكِبًّا عَلىٰ وَجهِهِ أَهدىٰ أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?


 

Ayat 16: Ini adalah badal (penjelasan ayat sebelum ini).

نَاصِيَةٍ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A lying, sinning forelock.

(MALAY)

(iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.

 

Ubun-ubun itu dikatakan sebagai كاذِبَةٍ (yang mendustakan). Apakah yang ia dustakan?

Yang ia dustakan adalah Al-Qur’an. Orang itu tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi dia tetap juga menolaknya. Penolakannya itu kerana sombong dan kerana degil tidak mahu mengubah cara hidup mereka. Oleh itu mereka akan keluarkan berbagai-bagai pendapat untuk menolak Al-Qur’an itu. Padahal dalam hatinya, dia tahu yang Al-Qur’an itu benar dari Allah. Ini kita telah sebutkan sebelum ini.

Maknanya, Allah membuka dan memberitahu apa yang ada dalam hati Abu Jahal itu – dia sebenarnya tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi dia sengaja menolak kerana sombong sahaja. Dia tidak mahu puaknya kalah dengan puak Nabi Muhammad sahaja, seperti yang kita telah jelaskan sebelum ini (bagaimana Abu Jahal dan dua orang lagi senyap-senyap mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad).

Ayat ini diturunkan di Mekah dan dengan jelas sekali mengatakan yang Abu Jahal itu seorang yang penipu. Ini adalah satu pukulan yang berat kepadanya. Dan dalam tradisi bangsa Arab, ini adalah satu benda yang berat. Ianya sesuatu yang amat memalukan kalau dipanggil sebagai seorang penipu.

Allah juga mengatakan yang ubun-ubunnya itu خاطِئَةٍ – membuat sentiasa buat kesilapan. Ianya dari خ ط أ yang bermaksud melakukan kesilapan tanpa mengetahui kesan dari kesilapan itu. Begitulah yang telah dilakukan oleh Abu Jahal – dia telah melakukan perbuatan yang amat buruk kepada Nabi Muhammad, dan dia tidak sedar beratnya kesalahannya itu – dia akan diseksa selama-lamanya.

Dia sangka kerana dia ada kedudukan dalam masyarakat dan kaya, dia boleh buat apa sahaja dia hendak? Macam orang kitalah juga, ramai yang buat amalan bidaah dan sangka tidak ada apa sangat kesalahan mereka itu. Tapi kesannya besar.


 

Ayat 17: Ini adalah cabaran dari Allah: kalau tak percaya juga, buatlah apa kau mahu dan panggillah sesiapa yang boleh tolong kamu.

فَليَدعُ نادِيَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then let him call his associates;

(MALAY)

Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya),

 

Abu Jahal seorang yang ada kedudukan dan dipandang tinggi. Oleh itu dia rasa dia hebat kerana dia rasa ada orang yang sentiasa akan sokong dia. Maka Allah cabar dia: panggillah juak-juak kamu itu untuk tolong kamu.

Kalimah نادِيَهُ bermaksud tempat awam yang ramai orang yang mendengar. Ini adalah kerana نادِيَهُ dari ن د و yang bermaksud ‘panggilan’, ‘seruan’. Oleh itu نادِيَهُ adalah tempat awam di mana ramai orang akan mendengar kalau kita buat pengumuman. Kiranya tempat lepak orang ramai, tempat berkumpul orang ramai.

Oleh itu, Allah cabar Abu Jahal, pergilah ke tempat orang ramai yang sokong kamu itu, minta tolong mereka untuk serang dan sakiti Nabi Muhammad. Ingat bahawa cabaran ini dari Allah. Jangan mereka sangka cabaran itu dari Rasulullah sahaja. Mereka mungkin nampak baginda itu seorang diri sahaja, lemah dan tidak ada kekuatan. Tapi kena fikirkanlah siapakah yang akan membantu baginda?


 

Ayat 18: Selepas Allah beri cabaran itu, Allah beri peringatan.

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will call the angels of Hell.¹

  • Those who push the wicked into the Fire.

(MALAY)

kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

 

Kalimah الزَّبانِيَةَ dari katadasar ز ب ن yang boleh dikatakan sebagai pengawal keselamatan. Oleh itu الزَّبانِيَةَ boleh bermaksud pengawal yang ramai. Mereka mengawal dengan menggunakan kekuatan. Sebagai contoh, warden dalam penjara.

Allah nak beritahu, panggillah sesiapa sahaja yang kamu boleh panggil, tapi Allah boleh sahaja panggil malaikat-malaikat pengawal. Agak-agak, siapa yang lebih kuat dan ada kuasa? Mereka yang manusia atau malaikat yang gagah perkasa itu?

Ini umpama macam budak gangster sekolah nak lawan SWAT team. Gangster sekolah itu perasan sudah hebat sangat sampai boleh buli budak lagi bawah dari dia. Tapi bagaimana kalau dia kena tenung oleh orang yang lagi besar? Menikus juga dia nanti.

Dan memang dalam sirah, ada disebut kisah bagaimana Abu Jahal nak hempap batu atas baginda, tapi Abu Jahal dihalang.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Wadih, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Abu Ishaq, dari Al-Walid ibnul Aizar, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Abu Jahal pernah mengatakan bahawa sesungguhnya jika Muhammad kembali ke maqam Ibrahim untuk melakukan salat, aku benar-benar akan membunuhnya. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. (Al-‘Alaq: 1) Sampai dengan firman-Nya: nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil Malaikat Zabaniyah. (Al-‘Alaq: 15-18) Maka Nabi Saw datang dan melakukan salatnya. Lalu dikatakan kepada Abu Jahal, “Mengapa engkau mengurungkan niatmu dan tidak melakukannya?” Abu Jahal menjawab, “Sesungguhnya ada bala tentera yang banyak sekali yang menghalang-halangi antara aku dengan dia.”

 

Juga hadis riwayat Bukhari ini:

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ مَعْمَر، عَنْ عَبْدِ الْكَرِيمِ الجَزَري، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه. فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ”

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Abdul Karim Al-Jazari, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad sedang salat di dekat Ka’bah, aku benar-benar akan menginjak lehernya.” Maka ancaman itu sampai kepada Nabi Saw., lalu beliau Saw. bersabda: Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).


 

Ayat 19: Ayat 19 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita supaya menjauhi taghut dan kena dekatkan diri kepada Tuhan.

كَلّا لا تُطِعهُ وَاسجُد وَاقتَرِب ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Do not obey him. But prostrate and draw near [to Allāh].

(MALAY)

sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).

 

Kalimah كَلّا bermaksud: jangan, jangan hiraukan dan takut kepada orang-orang macam Abu Jahal itu. Jangan hiraukan mereka. Mereka tidak ada kekuatan.

Kalimat لا تُطِعهُ bermaksud – Jangan ikut dia, jangan takut dan taat kepada dia. تُطِعهُ dari ط و ع yang bermaksud ‘taat’, ‘ikut’.

Kalimat وَاسجُد – dan sujudlah. Jangan taat kepada Abu Jahal itu, sebaliknya sujudlah kepada Allah. Sujudlah kepada Allah semasa di dunia, supaya di akhirat nanti tidak jadi seperti Abu Jahal yang dipaksa untuk sujud atas ubun-ubun dan mukanya. Dalam ayat ini, Allah tak sebut sujud kepada Dia, tapi kita tahu sujud kepada Allah, kerana sujud hanya kepada Allah sahaja.

Kalimat وَاقتَرِب – dan rapatkan diri kamu. Rapatkan diri kepada Allah. Tapi bagaimana untuk merapatkan diri kepada Allah? Dalam ayat 5, telah diberitahu bagaimana Allah mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu. Kalau Allah tak ajar kita bagaimana cara untuk merapatkan diri kepada Allah, tentu kita tidak akan dapat tahu.

Banyak kisah kita belajar dalam tamadun lain bagaimana manusia cuba untuk mencari kebenaran tapi Allah tidak beri kebenaran kepada mereka. Maka mereka sembah matahari, bulan, pokok dan macam-macam lagi. Macam orang Arab sebelum Islam – mereka tidak ada kitab dan sudah jauh dari ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, maka mereka reka amalan-amalan mereka sendiri. Maka itulah sebabnya banyak amalan salah di kalangan mereka.

Antaranya mereka akan tawaf telanjang dan bertepuk-tepuk tangan di Kaabah. Mereka sangka itulah cara yang baik. Begitulah kebanyakan manusia, mereka sangka mereka buat sesuatu yang baik, sama ada mereka orang kafir atau tidak, padahal mereka buat perkara yang salah kerana mereka tidak tahu.

Begitulah juga dengan kebanyakan orang Islam kita pun, mereka reka amalan-amalan baru yang tidak ada dalam agama kerana tidak ada ilmu. Kalau kita tanya kenapa mereka buat amalan itu, bolehlah kalau hendak tengok hujah-hujah bodoh dari seorang manusia. Sampai hujah murtabak pun boleh keluar.

Jadi, sebelum disebut tentang mendekatkan diri kepada Allah, telah disebut tentang sujud. Jadi, salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan melakukan banyak sujud. Rasulullah Saw. telah bersabda:

«أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ»

Tempat yang paling dekat bagi seorang hamba kepada Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah berdoa (padanya).

Jadi, awal surah ini mengandungi arahan (اقرَأ bacalah) dan hujung surah ini juga mempunyai arahan (اقتَرِب dekatlah). Kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat dengan Solat – kerana arahan membaca itu adalah membaca Al-Qur’an – dan kita disuruh untuk baca Al-Qur’an dalam solat; dan sujud juga kita lakukan dalam solat, bukan? Maka jaga solat dan banyakkan solat.

Dan kedudukan pun amat tepat sekali. Arahan awal adalah baca Al-Qur’an dan kita baca Al-Qur’an di awal solat semasa dalam qiyam. Dan arahan akhir adalah sujud dan kita sujud di akhir solat, bukan? Hebat sekali!

Di awal surah, Allah suruh kita mendapatkan ilmu dengan membaca Al-Qur’an. Dan di akhir surah, Allah suruh merapatkan diri kita dengan Allah. Ini pun ada kaitan juga – kerana untuk rapatkan diri dengan Allah, memerlukan ilmu. Iaitu ilmu tentang Allah.

Kalau kita tidak ada ilmu, itulah jadi berbagai cara yang salah. Lihatlah golongan tarekat yang jahil itu. Mereka tidak ada ilmu, maka mereka telah reka berbagai-bagai cara yang kononnya mereka kata untuk merapatkan diri dengan Allah. Memang akan jauh lari dari kebenaran kalau tidak ada ilmu. Memang senang syaitan hendak menipu kalau tidak dimulakan pembelajaran agama dengan ikut wahyu.

Dalam hadis terdahulu telah disebutkan pula bahawa Rasulullah Saw. melakukan sujud tilawah pada surat Insyiqaq dan Al-‘Alaq. Maka sunat untuk kita sujud kalau kita ayat ini, sama ada dalam solat atau pun luar solat. Maka boleh terus sujud selepas ini.

Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah al-‘Alaq ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Qadr.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1 – 2 (Kehebatan Al-Qur’an)

Pengenalan:

Surah ini memberitahu kehebatan Al-Qur’an kepada kita. Al-Qur’an itu amat hebat, sampaikan malam turunnya pun sudah hebat. Malam itu hebat kerana malam itulah turunnya Al-Qur’an dan inilah tajuk perbincangan surah ini.

Malam Qadr (Lailatul Qadr) itu adalah untuk memperingati turunnya wahyu. Macam kita buat perayaan kerana mengingatkan peristiwa kejadian yang telah berlaku pada hari itu. Seperti kita sambut Hari Kemerdekaan kerana mengingatkan kita merdeka dari penjajah dan itu adalah peristiwa yang penting. Maka, tentulah penurunan Al-Quran itu lebih penting lagi kerana ianya adalah penurunan wahyu Allah.

 

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya, Surah al-Alaq.

1 – Surah ‘Alaq menceritakan bagaimana ayat Al-Qur’an mula diturunkan kepada Nabi Muhammad (kisah di Gua Hira’) sedangkan surah ini menceritakan bilakah Al-Qur’an secara keseluruhan mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr.

2 – Surah al-‘Alaq menyebut Allahlah yang mengajar manusia dengan maklumat yang mereka tidak akan dapat tahu tanpa Allah yang memberitahu: [al-‘Alaq:5] عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.); Dalam Surah Al-Qadr, Allah bertanya: وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ (Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?).

Ini menunjukkan bahawa kita tidak akan tahu tentang Lailatul Qadr itu tanpa Allah mengajarkannya kepada kita. Ilmu kita bergantung kepada Allah. Kita jahil agama tanpa ilmu yang Allah berikan.

3 – Ayat terakhir Surah al-‘Alaq adalah: وَاسجُد وَاقتَرِب (dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)) [Alaq 96:19]; dalam Surah Al-Qadr kita akan diberitahu bahawa waktu yang paling baik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah pada Malam Qadr.

4 – Dalam Surah al-‘Alaq, Allah suruh kita baca (اقرَأ); dalam Surah Al-Qadr kita akan diberitahu apa yang hendak dibaca. Kita akan diberitahu bahawa yang disuruh baca adalah Al-Quran yang diturunkan pada Malam Qadr itu.

 

Bilakah Malam Qadr?

Apabila membicarakan tentang Lailatul Qadr, satu persoalan yang tidak dapat dielakkan adalah, bilakah Malam itu? Ini adalah satu perkara yang banyak diperbincangkan, malah ada lebih dari 40 pendapat ulama’.

Kita hampir pasti yang ianya adalah salah satu dari 5 malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadhan (malam 21, 23, 25, 27, atau malam ke 29). Ada pendapat yang mengatakan, kerana hanya ada 5 ayat dalam surah ini, maka ada kaitan antara malam yang 5 itu dengan 5 ayat yang ada dalam surah ini. Pendapat yang paling banyak adalah malam ke 27. Ibn Abbas pernah menjelaskan bagaimana Malam Qadr itu adalah pada malam ke 27.

Allahu a’lam. Allah lebih tahu bilakah malam itu sebenarnya. Kita dan ulama’ hanya dapat mengagak sahaja dan tidak dapat pastikan. Pendapat yang selamat adalah ianya jatuh pada salah satu dari malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir seperti yang telah disebut tadi.

Ia juga menjadi rahsia kerana Allah mahu kita terus membanyakkan amalan ibadat pada malam-malam itu. Sengaja tidak diberitahu kerana kalau tahu dengan spesifik malam yang mana, maka umat hanya beribadah pada malam itu pula. Maka dengan tidak tahu, maka kita tercari-cari dan buat ibadat dalam semua malam-malam itu dengan harapan terkena salah satunya dengan Malam Qadr.

Sepatutnya kita ambil peluang untuk meningkatkan amal kita pada malam-malam itu. Malangnya, waktu itulah yang umat sudah berkurang buat amal kerana ianya adalah malam-malam akhir Ramadhan. Ramai yang sudah penat buat amal dari awal bulan; dan waktu itu sudah sibuk nak membeli belah dan bersedia untuk beraya. Amat malang sekali. Sepatutnya kita kena simpan tenaga kita supaya dapat tahan sampai ke hujung Ramadhan.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu yang diturunkan Al-Qur’an pada malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

إِنَّآ أَنزَلنَـٰهُ فِى لَيلَةِ ٱلقَدرِ

Sahih International
Indeed, We sent the Qur’an down during the Night of Decree.

Malay
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Qadar,

 

Dalam Surah sebelum ini, iaitu Surah Al-‘Alaq, Allah menceritakan bagaimanakah Al-Quran itu diturunkan pertama kalinya. Kali ini, Allah menceritakan tentang ‘bilakah‘ Al-Quran diturunkan. Dalam ayat ini, disebut bahawa ianya diturunkan pertama kali pada لَيلَةِ القَدرِ (Malam Qadr).

Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ untuk diriNya dalam ayat ini. Ramai juga yang keliru tentang kenapa Allah gunakan kalimah ‘Kami’ ini. Sampai ada yang kata, ini adalah dalil menunjukkan bahawa Tuhan itu banyak (seperti fahaman Kristian – triniti – tiga dalam satu). Ini amat keliru sekali dan kena dijelaskan kerana orang Islam pun tidak tahu perkara ini dan apabila diberi hujah karut seperti di atas oleh orang Kristian, pening jadinya mereka.

Apabila Allah menggunakan kata-ganti ‘Kami’, ini tidaklah mengatakan bahawa Tuhan itu banyak. Dalam Bahasa Arab, ini adalah ‘Royal We’ yang menunjukkan keagungan Allah. Allah akan menggunakan perkataan ‘Kami’ ini, apabila dalam ayat-ayat yang menunjukkan rahmat Allah: seperti menurunkan hujan. Dan ini biasa sahaja dalam Bahasa Arab.

Buktinya, Musyrikin Mekah yang percaya kepada ilah yang banyak pun tidak keliru mengatakan dalam Al-Qur’an ada cakap ilah banyak, kerana mereka faham bahasa Arab. Tidak pernah kita dengar mana-mana hadis yang menyebut mereka menggunakan hujah ini semasa menolak Nabi Muhammad. Orang kita sahaja yang tidak tahu.

Kalau kita lihat dengan teliti, penggunaan dhomir (kata-ganti) dalam Al-Qur’an tentang Allah:

        • أنا – Aku
        • نحن – Kami
        • أنت – Kamu
        • هو – Dia

Dalam penggunaan dhomir ini, hanya satu sahaja dalam bentuk jamak (Kami). Selain dari itu, semuanya menggunakan dhomir mufrad (singular). Kalau benarlah Tuhan itu banyak seperti yang didakwa oleh puak kafir, tentulah semua penggunaan itu menggunakan bentuk jamak, bukan? Contohnya Allah gunakan kalimah أنتم (kamu – jamak) atau هم (mereka) dalam Al-Qur’an. Tapi memang tidak ada. Oleh itu, hujah yang mengatakan Tuhan itu satu sahaja:

1 – Semua penggunaan dhomir adalah mufrad.

2 – Kalimah نحن (Kami) memang digunakan dalam bahasa Arab dan tamadun sebelum Arab (dan sampai sekarang) untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Sebagai contoh, seorang raja akan membahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’ juga – (“kami maafkan mereka”), (“kami telah membuat keputusan”) dan sebagainya.

Walaupun raja itu seorang sahaja, tapi sebagai menunjukkan kekuasaannya dalam negeri itu, dia bahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’. Ini biasa dan sampai sekarang pun digunakan juga.

Oleh itu, Allah gunakan kalimah dhomir نحن apabila Dia menurunkan rahmat seperti menurunkan hujan, makanan dan segala nikmat lain. Itu semua adalah perbuatan yang besar-besar. Oleh itu, penggunaan نحن adalah penggunaan dalam bentuk rasmi.

3 – Allah ada juga menggunakan dhomir ‘Aku’. Iaitu pada dua tempat – apabila Allah sangat marah atau apabila Allah sangat belas kasihan kepada hambaNya. Jadi, penggunaan ‘Aku’ adalah penggunaan tidak rasmi sedangkan penggunaan نحن adalah penggunaan yang rasmi dan yang selalu digunakan.

4 – Apabila kalimah dhomir نحن digunakan, kalau kita perhati betul-betul, pasti akan ada kalimah Allah atau Rabb bersamanya (sebelum atau selepas kalimah نحن). Ini menunjukkan bahawa Allah itu memang Esa. Jadi, mereka yang menggunakan hujah kalimah نحن untuk mengatakan Tuhan itu banyak, mereka tidak baca Al-Qur’an dengan teliti.

Atau, memang tidak tahu bahasa Arab langsung. Atau, tidak belajar langsung bab Tauhid sampaikan senang sahaja digoyang-goyang oleh hujah yang lemah dari orang lain.

Sekian penerangan penggunaan kalimah ‘Kami’ di dalam Al-Qur’an yang merujuk kepada Allah.

Satu lagi persoalan yang timbul tentang Lailalul Qadr adalah: adakah malam itu memang telah diberkati atau ianya diberkati selepas Al-Quran diturunkan pada malamnya? Walaupun ada pendapat yang berbeza, tapi kita pilih pendapat yang mengatakan ianya memang malam yang sudah berkat dari asal dan apabila Al-Quran diturunkan pada malamnya, menambahkan lagi keberkatannya. Dalil bagi hujah ini terdapat dalam Dukhan:3,

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ

sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi

Allah menggunakan ganti nama ‘ه’ dalam أَنزَلناهُ yang merujuk kepada Al-Quran kerana semua orang sudah tahu. (Walaupun agama Sesat Syiah mengatakan yang dimaksudkan adalah Imam Mahdi). Allah tidak kata ‘Al-Qur’an pun dalam ayat ini. Allah tidak perlu beritahu apakah yang diturunkan pada malam itu kerana ianya adalah maklumat universal yang semua orang sudah tahu. Ini adalah kerana ia sudah ada dalam hati iaitu telah diilhamkan oleh Allah, sampai tak perlu cakap pun. Maksudnya, orang kafir atau orang Islam pun sudah tahu sepatutnya (dalam hatinya).

Kalimah إِنّا أَنزَلناهُ (sesungguhnya Kami menurunkannya): Allah menekankan dalam ayat ini (dan juga dalam ayat Dukhan itu) yang Allahlah (dengan menggunakan kata-ganti: Kami) yang menurunkan Al-Qur’an. Ianya bukan dari kata-kata Jibril walaupun Jibril yang menyampaikannya secara lisan kepada Nabi Muhammad. Ini adalah kerana Jibrail hanya sebagai penyampai sahaja.

Kalimah أَنزَل (Dia menurunkan): kalau kita lihat dalam terjemahan biasa, hanya dikatakan ‘menurunkan’ sahaja. Akan tetapi kadang-kadang digunakan kalimah yang berbeza iaitu نزّل yang juga diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’ juga. Oleh itu, tentu ada perbezaan antara keduanya kerana wazan (bentuk susunan dan ejaan) yang digunakan adalah berbeza.

Kalimah أَنزَل – dari wazan أفعل bermaksud menurunkan sesuatu SEKALI SAHAJA.
Kalimah نزّل – dari wazan فعّل bermaksud menurunkan sesuatu banyak kali – sedikit demi sedikit.

Oleh kerana itu, selalu dalam Al-Qur’an, apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, digunakan kalimah نزّل, dan kalau kitab-kitab sebelum Al-Qur’an seperti Taurat dan Injil, kalimah yang digunakan adalah أَنزَل. Kenapa ada perbezaan itu? Kalau kalimah yang digunakan berbeza, tentu ada perbezaan.

Sebagai contoh, kalau kita lihat dalam Ali Imran:3, Allah berfirman:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ

Dia menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,

Dari ayat Ali Imran di atas, kita boleh lihat dengan jelas, apabila menyebut penurunan Al-Qur’an, Allah gunakan kalimah نَزَّلَ dan apabila menyebut tentang penurunan Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ yang digunakan. Jadi, memang ada perbezaan. Ini adalah kerana Taurat dan Injil itu diturunkan dengan lengkap sekali gus, dan Al-Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit, selama lebih kurang 23 tahun.

Tapi dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah menggunakan perkataan أَنزَلَ pula. Kenapa digunakan kalimah yang lain pula? Ini adalah kerana dalam ayat ini, ianya menceritakan bagaimana penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah) dengan cara ‘sekaligus’ iaitu lengkap. Kerana itulah digunakan kalimah أَنزَلَ dalam ayat ini.

Ini bermakna, berkenaan Al-Qur’an, ada dua cara penurunan: pertama, penurunan sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Langit Dunia (Langit Pertama). Dan kemudian dari situlah penurunan jenis kedua iaitu diturunkan Al-Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun (lebih kurang).

Dalam masa yang agak lama itu, ayat-ayat Al-Qur’an diturunkan mengikut keperluan dan ikut masa yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang Maha Tahu kenapa dan bila ia patut diturunkan. Begitulah, banyak yang kita boleh tahu dari penggunaan bahasa Al-Qur’an. Oleh kerana itulah, pengetahuan tentang Bahasa Arab penting untuk memahami Al-Qur’an.

Memang ada yang komen, kenapa tak turunkan Al-Qur’an itu semua sekali? Allah lebih mengetahui, tapi setakat yang kita boleh fikirkan, kalaulah Al-Qur’an itu diberikan sekali harung, ianya akan menyebabkan para sahabat waktu itu terbeban dengan maklumat yang terlalu banyak pada satu masa. Oleh itu, ada kelebihan apabila ianya diturunkan sedikit demi sedikit.

Para sahabat dapat memahami Al-Qur’an sedikit demi sedikit dan dapat masuk dalam hati. Ini akan menyebabkan kita lebih faham. Dan begitu jugalah dengan kita yang mempelajari Al-Qur’an ini – memerlukan masa untuk belajar Al-Qur’an. Kena belajar satu persatu, perlahan-lahan. Kerana kalau belajar sekali harung, akan lupa akhirnya kerana tidak dapat penumpuan.

 

Maksud Qadr:

Kalimat لَيلَةِ القَدرِ – kita tahu yang لَيلَةِ itu bermaksud ‘malam’, tapi apakah maksud القَدرِ itu? Ada yang menterjemahkannya dengan ‘Malam Kuasa’. Tapi tak berapa nak faham, bukan? Ulama’ tafsir cuba menjelaskan dengan beberapa pendapat yang kita cuba senaraikan di bawah:

1. Digunakan kalimah القَدرِ itu dalam maksud ‘kadar’. Allah menentukan bahagian (kadar) apa yang manusia akan dapat pada tahun itu. Kalau dalam negara kita, apabila kerajaan buat belanjawan 5 tahun, setiap tahun akan dikeluarkan pula kadar pemberian kewangan kepada kementerian yang patut dapat.

Begitu jugalah dengan القَدرِ Allah Taala ini: القَدرِ (kadar) keseluruhan telah ditetapkan di Lauh Mahfuz, tapi setiap tahun akan dibentangkan kepada para malaikat untuk menjalankan kadar untuk tahun itu sahaja. Jadi ini adalah penentuan apakah yang akan terjadi pada tahun itu, siapa yang akan hidup, siapa akan mati, rezeki apa yang makhluk akan terima dan sebagainya.

Malaikat tidak tahu penentuan Allah di Lauh Mahfuz, maka mereka hanya tahu apa yang terjadi setahun itu sahaja. Mereka diberitahu pada malam itu kerana merekalah yang akan menjalankan tugas perancangan Allah pada tahun itu.

2. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘kemuliaan’. Dan kerana itu Lailatul Qadr boleh juga dikatakan sebagai ‘Malam Kemuliaan’.

3. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘penghargaan’. Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada malam itu kepada Allah, dan taat kepada Allah, Allah akan hargai dan berikan kelebihan amalan mereka itu melebihi 1,000 bulan. Umur umat Nabi Muhammad pendek sahaja, maka Allah beri kelebihan dengan pahala berganda.

4. القَدرِ juga boleh bermaksud penahanan, tertahan, tersekat; sebagai contoh, Allah tahan rezeki seseorang. Ini kita boleh lihat digunakan dalam Al-Qur’an seperti dalam  Fajr:16 وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ (Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya).

Digunakan قدر dengan maksud ini kerana apabila sesuatu itu tertahan, tersekat kerana banyak sangat. Kerana pada Malam Qadr, memang amat banyak sekali para malaikat yang turun ke bumi dan kerana itu keadaan menjadi tersekat.

Jadi, ada banyak sekali maksud القَدرِ itu dan semuanya boleh digunakan untuk menjelaskan maksud لَيلَةِ القَدرِ itu, dan tidak hanya satu makna sahaja. Kalau kita bataskan maksudnya kepada ‘Malam Kuasa’, maka akan kuranglah maknanya untuk pemahaman kita.


 

Ayat 2:

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا لَيلَةُ ٱلقَدرِ

Sahih International
And what can make you know what is the Night of Decree?

Malay
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

 

Mari kita lihat apakah tafsir kalimah وَما أَدراكَ – apakah makna ما dalam ayat ini? Salah satu guna ‘ما’ adalah maa at-ta’ajjub (untuk menyatakan kejutan dan kagum dengan sesuatu). Maksudnya begini: alangkah hebatnya Malam Qadr itu! “Tahukah kamu kelebihan malam yang hebat itu?” Dengan menggunakan kalimah ini, kita dengan sendiri dapat tahu bahawa malam itu adalah amat penting dan hebat sekali.

Kalau kita perhatikan, kalimah أَدرى adalah dalam kata-kerja lepas (past tense). Dan ada dalam ayat-ayat lain di mana Allah menggunakan penggunaan present tense seperti dalam Abasa:3 وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ (Bagaimanakah kamu boleh tahu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya). Kalau kita lihat perbezaan penggunaan kalimah ini, kita akan perasan, apabila Allah gunakan dalam bentuk past tense, Allah akan berikan jawapannya selepas itu.

Tapi kalau Allah gunakan dalam present tense, Allah tidak beritahu maklumatnya selepas itu. Sebagaimana contoh dalam Abasa:3 itu, Allah tidak beritahu apakah yang ada dalam hati lelaki buta yang bertanya kepada Nabi itu. Tapi oleh kerana dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah gunakan dalam past tense, maka Allah beritahu tentang apakah malam itu (dalam ayat selepasnya). Ada maklumat yang Allah akan beritahu, tapi Allah tidaklah beritahu bilakah malam itu. Tapi adalah maklumat Allah beritahu.

Apabila Allah bertanya tentang sesuatu, tentunya kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Ini kita boleh lihat dalam surah-surah yang lain di mana Allah bertanya soalan yang sama.

Dan satu lagi, apabila digunakan kalimah ما أَدراكَ dalam surah-surah yang lain, tidak diulang lagi soalan itu. Tapi dalam surah ini, Allah sebut sekali lagi soalan itu dalam ayat selepas ini, menunjukkan kelebihan Malam Qadr itu.

Kadang-kadang Allah akan gunakan pengulangan sesetengah perkataan sebagai penekanan. Dan dalam ayat ini, Allah mengulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ kali kedua dalam ayat ini sebagai penekanan kepentingan malam itu. Ada juga Allah melakukan perkara yang sama dalam surah-surah yang lain. Tapi dalam surah ini, Allah ulang lagi untuk kali ketiga dalam ayat ketiga. Ini menunjukkan lebih penting lagi Lailatul Qadr itu, Maka kita kena beri perhatian lebih sedikit lagi dari biasa.

Seperti yang kita telah sebut dalam pengenalan, kita tidak tahu bilakah Lailatul Qadr itu. Ada kelebihan kalau kita tak tahu.

Pertamanya, kalau kita tahu, kita akan hanya beribadat pada malam itu sahaja dan malas nak beribadat pada malam lain pula.

Keduanya, kalau kita tahu, tapi kita tidak beribadat pada malam itu, ia sudah boleh dikira sebagai satu kesalahan kepada kita. Macam pernah Nabi suruh Saidina Ali gerakkan orang Badwi waktu solat sudah masuk. Saidina Ali hairan kenapa Nabi tak gerak sendiri, kerana Nabi memang suka buat kebaikan.

Saidina Ali tanya baginda, dan Nabi jawab, kalau orang itu tak nak bangun kalau baginda yang gerak, orang itu akan berdosa besar kerana tidak mengikut perintah Nabi. Tapi kalau orang itu tidak dengar kata Ali, tidaklah seberat kalau tidak ikut arahan Nabi.

Jadi, kalau kita tahu bilakah Malam Qadr itu dengan tepat, tapi kita tidak ambil peluang itu dengan tidak meningkatkan amal ibadat pada malam itu, maka itu adalah satu perkara yang teruk. Jadi, lebih baik kita tidak tahu.

Tentang perkara ini (bilakah Malam Qadr), pernah Nabi hendak beritahu bilakah akan terjadinya malam itu. Tapi semasa baginda keluar hendak beritahu, ada orang bertengkar, maka dilupakan tentang berita itu kepada Nabi. Oleh itu, kita tidak akan dapat tahu bilakah malam itu akan berlaku.

Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, beliau bersabda: “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak boleh lagi diketahui kapannya; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain: tujuh, sembilan dan lima)” Riwayat Bukhari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini:5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Alaq Ayat 8 – 11 (Kisah Abu Jahal yang ada potensi)

Ayat 8: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang rasa diri mereka cukup dan tidak hiraukan tentang ‘undang-undang moral’. Bagaimana cara untuk sedarkan mereka?

Untuk sedarkan mereka, kita kena ingatkan mereka yang mereka akan bertemu Tuhan juga. Dan nanti di akhirat, Allah ‎ﷻ akan nilai manusia dengan neraca Al-Qur’an inilah (sama ada hidup kita ikut Al-Qur’an atau tidak). Dan kalau begitu, bagaimana nasib kita sekiranya tidak tahu tentang Al-Qur’an dan tidak amalkan ajaran dalam Al-Qur’an, agaknya bagaimana kita nanti, selamat atau tidak?

إِنَّ إِلىٰ رَبِّكَ الرُّجعىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, to your Lord is the return.

(MALAY)

Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

Hanya mereka yang yakin dengan sebenarnya yang mereka akan kembali bertemu dan mengadap Allah ‎ﷻ untuk dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka, yang akan menahan seseorang daripada terus melakukan dosa-dosa dan kesalahan moral.

Begitulah manusia, ada jenis yang perlukan undang-undang dunia, dengan hukuman yang mereka takuti, baru mereka jadi baik. Kepada orang yang sebegitu, kena ingatkan mereka dengan neraka.

Tetapi, memang ada orang yang tinggi moralnya, iaitu mereka orang yang baik. Orang yang jenis macam itu, tujuan mereka adalah hendak gembirakan Allah‎ ﷻ. Tujuan mereka yang tinggi adalah untuk mencari dan mendapatkan redha Allah ‎ﷻ.

Jadi, ada jenis yang takut kepada hukuman, dan ada yang mahu mencari keredhaan Allah‎ ﷻ. Dan kedua-dua jenis golongan ini disentuh dalam satu ayat ini. Kepada mereka yang takut kepada hukuman, beritahu kepada mereka yang mereka akan kembali bertemu Allah ‎ﷻ dan kalau mereka buat jahat, akan dimasukkan ke dalam neraka.

Dan kepada mereka yang berfikiran tinggi dan mencari redha Allah ‎ﷻ, mereka akan takut bertemu dengan Allah ‎ﷻ dalam keadaan berdosa dan mengecewakan Dia. Bayangkan kita malu dengan ibu kita, kalau dia tahu benda salah yang kita buat, bukan? Memanglah ibu itu tidak sampai hati hendak pukul (atau mungkin kita sudah dewasa, takkan hendak pukul), tetapi kita akan malu dengan ibu kita, bukan?

Begitulah perumpamaan bagaimana kita sepatutnya malu dengan Allah ‎ﷻ. Kerana ibu kita tidak tahu segala apa yang kita lakukan, tetapi sekarang, bayangkan Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita setiap masa. Kalau kita dapat fahami perkara ini, kita akan menjaga segala perbuatan kita.


Ayat 9: Sekarang kita masuk ke dalam fasa ke 3 surah ini. Ayat 9 – 14 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu kita sifat-sifat kepemimpinan yang derhaka.

Ini adalah ayat zajrun; Allah ‎ﷻ memberi contoh mereka yang melawan Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ menceritakan seorang individu yang menentang Nabi ﷺ‎, padahal asalnya dia sayang akan Nabi ﷺ. Memang masyarakat Mekah sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, sampai mereka panggil baginda dengan gelaran ‘al-amin’ (yang dipercayai).

Akan tetapi, apabila baginda mula bacakan wahyu kepada mereka dan bawa ajaran tauhid, mereka lawan baginda habis-habisan. Dan pemuka mereka adalah individu yang akan disebut selepas ini. Siapakah dia?

Fasa ini memperkatakan tentang Abu Jahal sebagai contoh seorang yang menentang Nabi Muhammad ﷺ, sebagai seorang yang kuat menentang kebenaran. Abu Jahal adalah seorang yang penting untuk diketahui sifatnya. Memang banyak penentang Nabi Muhammad ﷺ, tetapi Abu Jahal ini lain sedikit. Dua lagi orang yang kuat menentang adalah Abu Lahab dan Waleed ibn al Mugheera. Walaupun dua orang lagi itu adalah penentang yang kuat juga, tetapi Abu Jahal lain sedikit daripada mereka.

Abu Jahal lebih disenangi dan dipandang tinggi oleh Musyrikin Mekah waktu itu. Kedudukannya juga paling tinggi kalau dibandingkan dengan orang lain yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Abu Lahab seorang yang pengecut yang tidak menyertai Perang Badr untuk menentang Muslim di Madinah kerana dia memang takut mati. Kisah beliau nanti kita akan belajar dalam Surah Lahab. Sedangkan Abu Jahal sanggup berperang dengan baginda di medan peperangan. Dan akhirnya dia mati dibunuh di Medan Badr.

Waktu dia hampir dibunuh pun, dia minta Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه yang membunuhnya supaya tetak lehernya tinggi sedikit kerana dia hendak orang tahu yang dia lebih tinggi lagi daripada orang lain. Hendak mati pun dia masih mahu dipandang tinggi lagi.

Jadi daripada ini kita tahu yang dia adalah seseorang yang memandang dirinya tinggi dan sombong bongkak. Dalam masa yang sama, dia seorang yang pemurah, tidak seperti Abu Lahab yang bakhil. Abu Jahal sanggup mengeluarkan wangnya untuk menentang dalam usaha hendak menjatuhkan agama Islam.

Waleed ibn al Mugheerah pula boleh dikatakan berada di pertengahan. Dia seorang yang pandai melakukan strategi. Dia cuba untuk memujuk Nabi Muhammad ﷺ untuk meninggalkan agama Islam atau sekurang-kurangnya menerima juga amalan musyrikin. Ini dibincangkan dalam [Qalam:9-15] dan [Mudaththir: 11-29].

Jadi, Abu Jahal disebut dalam surah ini kerana kedudukannya dalam masyarakat dan kuatnya dia menentang Rasulullah ﷺ. Dan memang kedudukannya itu tinggi dalam masyarakat sampaikan pernah Nabi ﷺ berdoa berkenaan Abu Jahal:

“Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua orang yang lebih Engkau cintai; Umar bin Khattab atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal)”.

Ini menunjukkan Nabi Muhammad ﷺ nampak ada kelebihan pada Abu Jahal dan kalaulah dia masuk Islam, dia akan bawa kebaikan kepada agama Islam. Kerana kalau dia masuk Islam, ramai akan mengikutinya. Begitu juga dengan Saidina Umar رضي الله عنه yang juga mempunyai banyak kelebihan.

Antara mereka berdua itu, Umar bin al Khattab yang menjadi Muslim dan beliau banyak membantu mengembangkan agama Islam dan menjadi orang yang penting sehinggakan beliau menjadi salah seorang khalifah yang mengembangkan ajaran Islam ke seluruh dunia. Kalaulah Abu Jahal juga masuk Islam, berkemungkinan beliau juga akan jadi begitu. Tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu kenapa yang dipilih adalah Umar.

Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Surah at-Teen]: لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ. Maknanya, sudah ada potensi yang baik dalam diri manusia kalau mereka mahu mengambil jalan untuk memperbaiki diri mereka. Begitulah juga dengan Abu Jahal – dia ada potensi untuk menjadi orang yang hebat kerana dia ada kekuatan, kemuliaan, semangat, kedudukan dan lain-lain lagi sampaikan beliau dipandang tinggi dalam masyarakat Arab waktu itu.

Malangnya, dia tidak mahu menggunakan potensi itu dan kerana itu dia diturunkan serendah-rendahnya: ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ. Dia gunakan segala kelebihannya itu untuk menentang Islam dan kerana itu dia akan mendapat seksa di akhirat kelak.

Sebenarnya Abu Jahal suka kepada Nabi Muhammad ﷺ dan suka juga mendengar bacaan ayat suci Al-Qur’an. Dia telah mencuri-curi dengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ pada malam hari. Ini dapat dipelajari daripada Sirah. Dipendekkan kisah, ada tiga orang Musyrikin Mekah (waktu itu) Akhnas bin Shuraiq, Abu Jahl and Abu Sufyan bin Harb yang datang senyap-senyap ke rumah Nabi Muhammad ﷺ pada malam hari. Rasulullah ﷺ akan membaca ayat-ayat Al-Qur’an dalam Solat Tahajjud / Qiyam al Layl.

Ketiga-tiga mereka yang disebut itu telah mencuri dengar bacaan Al-Qur’an baginda. Mereka bukan pergi sekali tetapi duduk dalam senyap sahaja. Apabila mereka hendak balik, mereka terserempak sesama mereka. Terkejutlah mereka dan mereka berjanji untuk tidak pergi lagi selepas itu.

Tetapi malam esoknya, mereka jumpa lagi orang-orang yang sama. Akhirnya mereka berjanji sesama mereka untuk tidak datang lagi kerana kalau orang lain tahu, malulah mereka (mereka larang orang lain daripada dengar Al-Qur’an tetapi mereka pula pergi dengar Al-Qur’an).

Setelah sekian lama, Akhnas bin Shuraiq tanya kepada Abu Sufyan, “Ceritakan padaku wahai Abu Hanzhalah, apa yang kamu rasakan saat kamu mendengarnya dari Muhammad ﷺ?”, tanyanya. Abu Sufyan menjawab, “Wahai Abu Tsa’labah, demi Allah‎ ﷻ, aku telah mendengar sesuatu yang aku tahu maknanya. Dan aku juga mendengar sesuatu yang aku tidak tahu maknanya”. Akhnas menyampuk, “Dan aku, demi Allah ‎ﷻ, juga merasakan hal yang sama”!

Merasa mendapat kesan yang sama daripada Abu Sufyan, Akhnas meneruskan langkahnya ke kediaman Abu Jahal. “Wahai Abul Hakam, apa yang kamu rasakan saat mendengar daripada Muhammad ﷺ?”, tanyanya. Abu Jahal menjawab, “Apa yang aku dengar?” Dengan gaya diplomatis dan rasa sombong yang tinggi dia berkata, “Kita telah bersaing dengan keturunan Abdul Manaf (keturunan Nabi Muhammad) dalam kemuliaan. Mereka memberi makan orang, kita pun memberi makan orang. Mereka menolong orang, kita juga menolong orang, mereka memberi kita juga memberi, sampai kita kalah seperti halnya tadi malam. Seolah kita adalah kuda yang tergadaikan”.

Akhnas berkata, “Aku aku tidak perlu basa-basimu. Sekarang jelas, telah datang seorang Nabi daripada bangsa kita, yang telah diberikan wahyu kepadanya. Bila kita akan menyambut kesempatan yang emas ini?”. Dengan sombongnya Abu Jahal berkata, “Demi Allah ‎ﷻ kita tidak akan mengimaninya dan membenarkannya!”

Daripada kisah di atas, kita dapat tahu yang dia tidak boleh terima hanya kerana degil sahaja. Dia tidak mahu puaknya kalah dengan puak Nabi Muhammad ﷺ (kerana puak dia tidak ada Nabi). Dan kita telah beritahu yang dia juga ada kelebihan sama macam Umar al Khattab, tetapi musnah kerana kesombongan dan angkuh sahaja. Itulah juga perkara yang menyebabkan Iblis musnah.

Kedua-dua Umar dan Abu Jahal mempunyai semangat puak yang tinggi (asabiah). Sifat asabiah masih lagi boleh dibuang jika sanggup terima kebenaran. Akan tetapi Abu Jahal mempunyai ego yang terlalu tinggi sampaikan dia tidak mahu tunduk kepada kebenaran langsung. Oleh kerana sakit hati Abu Jahal terhadap Nabi Muhammad ﷺ, beliau telah cuba beberapa kali untuk menyakitkan baginda secara fizikal.

Kisah 1:

Di dalam Sahih Al Bukhari telah disampaikan satu kisah yang menyedihkan hati:

233 – حَدَّثَنَا عَبْدَانُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبِي عَنْ شُعْبَةَ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ قَالَ ح و حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ عُثْمَانَ قَالَ حَدَّثَنَا شُرَيْحُ بْنُ مَسْلَمَةَ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ يُوسُفَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قَالَ حَدَّثَنِي عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي عِنْدَ الْبَيْتِ وَأَبُو جَهْلٍ وَأَصْحَابٌ لَهُ جُلُوسٌ إِذْ قَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْض أَيُّكُمْ يَجِيءُ بِسَلَى جَزُورِ بَنِي فُلَانٍ فَيَضَعُهُ عَلَى ظَهْرِ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ فَانْبَعَثَ أَشْقَى الْقَوْمِ فَجَاءَ بِهِ فَنَظَرَ حَتَّى سَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ عَلَى ظَهْرِهِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ وَأَنَا أَنْظُرُ لَا أُغْنِي شَيْئًا لَوْ كَانَ لِي مَنَعَةٌ قَالَ فَجَعَلُوا يَضْحَكُونَ وَيُحِيلُ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ لَا يَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى جَاءَتْهُ فَاطِمَةُ فَطَرَحَتْ عَنْ ظَهْرِهِ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ إِذْ دَعَا عَلَيْهِمْ قَالَ وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّ الدَّعْوَةَ فِي ذَلِكَ الْبَلَدِ مُسْتَجَابَةٌ ثُمَّ سَمَّى اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ وَعَلَيْكَ بِعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ وَعَدَّ السَّابِعَ فَلَمْ يَحْفَظْ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ رَأَيْتُ الَّذِينَ عَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْعَى فِي الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ

233. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdan berkata, telah mengabarkan kepadaku Bapakku dari Syu’bah dari Abu Ishaq dari ‘Amru bin Maimun dari ‘Abdullah berkata, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang sujud, beliau mengucapkan. (dalam jalur lain disebutkan) Dan telah menceritakan kepadaku Ahmad bin ‘Utsman berkata, telah menceritakan kepada kami Syuraih bin Maslamah berkata, telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Yusuf dari bapanya dari Abu Ishaq berkata, telah menceritakan kepadaku ‘Amru bin Maimun bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud menceritakan kepadanya, bahawa sesungguhnya pernah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam salat dekat Baitillah sementara Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk di situ. Tiba-tiba sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain, ‘Siapa dari kalian yang akan mendatangkan tembuni unta bani fulan, dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sujud?‘ Maka bangkitlah orang yang paling malang diantara mereka. Setelah diambilnya tembuni itu, dia menunggu Nabi SAW sujud. maka ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sujud, dia meletakkan tembuni itu di atas belakang baginda iaitu diantara dua belikatnya. Aku melihat semua itu tapi tidak mampu berbuat apa-apa. Kalaulah aku mempunyai kekuatan masa itu, kata Abdullah. “mereka pun tertawa-tawa sambil tunjuk menunjuk sesama yang lain. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terus dalam keadaan sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah kepadanya. Setelah Fatimah membersihkan tembuni itu dari belakang baginda, barulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kepalanya seraya berdo’a (selepas sembahyang): “Ya Allah, balaslah balasan kepada orang-orang Quraisy ini.” Sebanyak tiga kali. Doa Nabi itu terasa berat oleh mereka. ‘Abdullah bin Mas’ud meneruskan, “Sebab mereka mereka berpendapat doa di negeri Mekah itu mustajab. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut satu persatu nama-nama mereka yang terlibat itu: “Ya Allah, balaslah Abu Jahal, balaslah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Al Walid bin ‘Utbah, Umayyah bin Khalaf dan ‘Uqbah bin Abu Mu’aith.” Dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebut nama yang ke tujuh tapi kami lupa.” ‘Abdullah bin Mas’ud berkata, “Demi Tuhan yang nyawaku berada di tanganNya, sesungguhnya aku telah melihat orang-orang yang disebut Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut, mati bergelimpangan di dalam perigi buta di Badr.”

Yang bertanya siapakah yang sanggup cari isi perut unta itu adalah Abu Jahal.

Kisah ke 2:

ابْنِ عَبَّاسٍ: قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه. فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ”

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Abdul Karim Al-Jazari, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad solat dekat Ka’bah, aku benar-benar akan menginjak lehernya.” Maka ancaman itu sampai kepada Nabi SAW., lalu baginda SAW. bersabda: Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).

Dalam hadis yang lain:

Imam Ahmad dan Imam Turmuzi serta Imam Nasai dan Ibnu Jarir telah meriwayatkannya, yang hadis berikut berdasarkan lafaz yang ada pada Ibnu Jarir, melalui jalur Daud ibnu Abu Hindun, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa dahulu Rasulullah Saw. sering melakukan salat dekat maqam Ibrahim. Maka lewatlah kepadanya Abu Jahal ibnu Hisyam, lalu berkata, “Hai Muhammad, dengan apakah engkau mengancamku? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah penduduk lembah ini yang paling banyak pendukungnya.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil Malaikat Zabaniyah. (Al-‘Alaq: 17-18)

Ibnu Abbas mengatakan bahawa seandainya Abu Jahal memanggil golongannya (para pendukungnya), nescaya saat itu juga malaikat azab akan mengambilnya. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini kalau tidak hasan, sahih.

Jadi, begitulah buruknya sifat Abu Jahal itu dan ayat 9-10 surah ini berkenaan apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal.

أَرَأَيتَ الَّذي يَنهىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you seen the one who forbids

(MALAY)

Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang,

Yang dimaksudkan adalah menghalang Nabi dari solat di Kaabah. Apakah agaknya nasib seorang yang sanggup dan berani nak menahan Nabi Muhammad dari melakukan solat berdekatan Kaabah itu?

Orang yang dimaksudkan di sini adalah Abu Jahal. Dia berani buat begitu kepada Nabi Muhammad kerana dia tidak takut. Kerana dia tahu kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat waktu itu. Dan dia juga tidak takut kerana dia tidak percaya yang dia akan dikembalikan ke akhirat dan berjumpa dengan Allah.


Ayat 10: Sambungan ayat sebelum ini:

عَبدًا إِذا صَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A servant when he prays?

(MALAY)

seorang hamba ketika mengerjakan shalat,

Individu عَبدًا (hamba) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Rasulullah. Allah memberi gelaran عَبدًا kepada baginda sebagai satu kemuliaan kerana baginda adalah contoh seorang hamba yang terbaik sekali. Kalau nak tahu bagaimana sepatutnya sifat seorang hamba kepada Tuhannya, maka tengok bagaimana cara Nabi Muhammad dalam kehidupan baginda.

Tapi untuk tahu, kenalah belajar Sirah, belajar Hadis dan Sunnah. Kalau tak belajar, macam mana nak tahu? Jangan kata taqwa dan taat kepada agama, kalau tafsir Al-Qur’an dan Sunnah tidak dipelajari.

Kejadian yang dimaksudkan adalah apabila Nabi Muhammad solat berdekatan Kaabah dan baginda diganggu oleh Abu Jahal. Kisahnya telah disebut di atas tadi.


Ayat 11:

أَرَأَيتَ إِن كانَ عَلَى الهُدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you seen if he is upon guidance

(MALAY)

bagaimana pendapatmu jika orang itu berada di atas kebenaran,

Kalimah أَرَأَيتَ itu dari ر أ ي yang bermaksud ‘melihat’ dari segi bahasa. Tapi bukan melihat biasa sahaja, tapi melihat dengan faham sekali. Sebab itu kadang-kadang kalau kita sampaikan sesuatu perkara kepada orang lain, dia kadang-kadang jawab: “baik, aku dah nampak dah”.

Kalimah كان (adalah dia) dalam dalam كانَ عَلَى الهُدىٰ tidak dijelaskan. Siapakah yang dimaksudkan? Jadi ia boleh merujuk sama ada kepada Nabi Muhammad atau kepada Abu Jahal kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang Abu Jahal.

A. Kalau merujuk kepada Nabi Muhammad: – “tidakkah kamu tengok, kalau sekiranya Nabi Muhammad yang dihalang oleh Abu Jahal itu, berada atas hidayah?” Kalau benar-benar baginda berada di atas hidayah, bagaimana nasib mereka yang menentang baginda seperti Abu Jahal dan yang lain-lain?

B. Kalau ia merujuk kepada Abu Jahal: – “tidakkah kamu tengok, kalau sekiranya Abu Jahal itu berada di atas hidayah?” Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, Abu Jahal itu ada potensi yang tinggi. Tapi dia tidak mahu beriman.

Tapi Allah suruh bayangkan kalau Abu Jahal itu beriman, tentulah itu baik bagi dia. Kalaulah dia dapat menerima petunjuk, tentu dia sudah jadi seorang yang baik dan hebat dalam sejarah Islam (kerana dia ada potensi). Nabi pun sudah doa supaya dia dimasukkan ke dalam Islam sebab Nabi pun sudah nampak ada kelebihan pada dia.

Apabila digunakan kalimat عَلَى الهُدىٰ = maksudnya orang itu kena berubah sendiri. Dia sendiri yang mahu duduk di atas petunjuk, bukannya diletakkan oleh orang lain. Oleh itu kena ada keinginan dalam diri sendiri untuk berubah. Kalau nak harapkan orang lain bagi hujah kepada dia, tapi dia sendiri tidak mahu, tidak akan berubah orang itu. Kerana kena ada keinginan untuk mencari kebenaran dan menerima kebenaran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir