Tafsir Surah al-Aadiyat Ayat 1 – 5 (Serangan kuda berani mati)

Pengenalan:

Dalam Surah Zalzalah sebelum ini, telah disebut bagaimana bumi akan bergoncang dengan kuat (gempa) dan ia akan mengeluarkan segala kisah yang ia telah simpan selama hari ini, iaitu ia akan mengadu tentang perbuatan manusia selama manusia hidup di atasnya zaman berzaman.

Sekarang Surah Al-Adiyaat berpatah balik ke belakang sebelum kejadian gempa bumi itu dan menjelaskan kenapakah bumi marah sangat? Apakah yang telah manusia lakukan selama ini?

Kerakusan manusia, kesan perlakuan mereka, sikap tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi perbuatan buruk manusia telah menyebabkan bumi marah. Akhirnya bumi bergegar dengan kuat dan akhirnya akan hancur, melemparkan apa yang di dalam perutnya selama hari ini.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, manusia akan tanya: ما لَها (kenapa jadi begini?) – Zalzalah:3 – maka bumi akan menceritakan satu persatu apa yang manusia dan jin telah lakukan di atasnya. Iaitu segala dosa-dosa dan perkara buruk yang manusia lakukan. Surah ini akan menerangkan apakah kesalahan yang manusia telah lakukan.

Surah ini juga akan menerangkan bagaimana manusia itu amat teruk sekali – Allah telah berikan segala-galanya, tapi mereka tidak mensyukuri nikmat itu, asyik tidak puas hati sahaja dengan apa yang mereka ada.

Surah al-Aadiyat ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

بسم ا الرحمن الرحيم


 

Aadiyaat Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama. Dalam perenggan ini, Allah memberitahu yang Dia telah tundukkan makhluk lain untuk kegunaan manusia. Namun ada manusia yang enggan tunduk kepada Allah.

Allah mula menceritakan tentang kuda dan bagaimana kuda itu sanggup buat kerja untuk tuan dia. Kuda itu sanggup berlari laju mengikut arahan tuannya, sampai keluar suara letih yang boleh kedengaran.

وَٱلعَـٰدِيَـٰتِ ضَبحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Aadiyāt: The Racers.
By the racers, panting,¹
i.e., the horses of those fighting for Allāh’s cause as they race to attack the enemy.

(MALAY)

Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah,

 

Allah memulakan surah ini dengan Sumpah [kita tahu dari hurf waaw (“waَو sebagai isyarat yang ini adalah satu sumpah) Jadi ini adalah salah satu dari surah-surah yang dimulakan dengan sumpah. Kita telah banyak menyebut tentang konsep sumpah dalam Al-Qur’an dan kita cuma ulangkan secara ringkas sahaja di sini:

Objek yang dijadikan sebagai sumpah itu dipanggil muqsam bihi – dalam ayat ini, objek/muqsam bihi itu adalah kuda perang itu.

Apabila ada muqsam bihi, kena ada muqsam alaihi – subjek kepada sumpah itu. Dalam Al-Qur’an, muqsam bihi itu ada kena mengena dengan muqsam alaihi itu – kedua-duanya berkait. Kerana Allah tentu memilih muqsam bihi yang sesuai dan bersebab kenapa Allah gunakan objek itu sebagai sumpah. Tujuannya adalah untuk menyediakan pembaca Al-Qur’an kepada subjek yang akan disebut.

Ini adalah pendapat yang kuat walaupun ada yang kata muqsam bihi dan muqsam alaihi itu tidak berkaitan. Nanti kita akan jelaskan apakah kaitan antara muqsam bihi dan muqsam alaihi dalam surah ini. Ianya sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Secara asasnya, memang banyak digunakan kalimah sumpah dalam Al-Qur’an. Dua sebab utama digunakan sumpah adalah:

1.   apabila yang berkata itu serius; menekankan apa yang akan disampaikan.

2. untuk menarik perhatian pendengar, terutama kepada pendengar yang dirasakan tidak percaya atau tidak mahu dengar. Jadi kena tarik perhatian mereka. Oleh itu, dimulakan kata-kata dengan berkata sesuatu yang pendengar itu suka.

Dalam kes ini, Musyrikin Mekah tidak mahu dakwah dari Nabi, maka Allah gunakan qosam/sumpah untuk menarik perhatian mereka.

Oleh itu, 5 ayat pertama dari surah ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat Arab untuk mendengar apa yang hendak dikatakan – oleh itu digunakan kisah yang boleh menarik perhatian mereka. Antaranya, tentang kenderaan kegemaran mereka, tentang perang, pertarungan dan sebagainya. Allah gunakan perkara yang mereka suka dan penting bagi mereka.

Ini dilakukan untuk mendapatkan perhatian mereka. Kita kena ingat yang mereka tinggal di padang pasir, mereka pula jenis orang yang gasar, senang berperang, mereka suka berkelahi dan senang nak bergaduh, bukan? Seperti juga kita, mereka juga ada alat hiburan mereka, tapi tentulah lain daripada kita. Kerana mereka tidak ada filem dan game untuk mengisi masa lapang mereka.

Antara yang mereka gunakan sebagai penghibur mereka adalah puisi-puisi. Begitu jugalah kalau kita zaman sekarang, ada artis yang menyanyi mendendangkan puisi-puisi dalam bentuk nyanyian. Pada zaman dulu, mereka ada penyair-penyair yang membacakan dan melantunkan bacaan puisi dan syair mereka. Mereka akan bacakan dan dalam usaha untuk menarik perhatian pendengar mereka, mereka kena bercerita tentang perkara yang orang nak dengar, bukan?

Dan salah satu perkara yang mereka amat suka adalah peperangan – ini umpama action movies dalam filem zaman sekarang. Dan mereka memang suka dengar kisah berkenaan perkara ini. Selain dari itu, mereka juga suka kenderaan macam kita zaman sekarang suka kereta. Tapi pada zaman dulu kudalah yang mereka suka. Dan kisah kuda dan peperanganlah yang Allah gunakan untuk Allah menarik perhatian mereka.

Jadi, kalau kita lihat ayat pertama ini, Allah sedang mula menceritakan tentang situasi peperangan di mana kuda digunakan dalam kisah itu. Kisah ini akan menjadi semakin menarik dari ayat ke ayat. Ianya bermula dengan sebut tentang kuda sahaja.  

Kalimat َواْلَعاِديَاِت َضْبًحا ini adalah sumpah pertama. Kalimah اْلَعاِديَاِت diambil dari katadasar ع د و yang antara lain bermaksud permusuhan. Ianya memberi isyarat bagaimana seseorang sedang menyerang seseorang di dalam pertempuran kerana permusuhan antara mereka. Mereka fokus dalam serangan mereka, tidak lihat kiri dan kanan lagi tapi memandang ke hadapan kerana mereka sedang menyerang.

Kepada orang Arab yang mendengar kalimat ini, ianya seperti mendengar pembukaan kepada kisah perang dan ianya sudah menarik perhatian. Kerana ianya adalah permulaan kepada serangan dalam perang.

Kalimah اْلَعاِديَاِت yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kuda perang betina. Kuda perang betina lebih disukai oleh orang Arab waktu itu kerana kuda betina lebih laju dan lebih tangkas. Jadi, ianya macam kereta sport yang amat suka digunakan oleh orang-orang kaya sekarang; dan ianya adalah dalam bentuk jam’u qilla; maksudnya bilangan yang ramai tapi kurang dari sepuluh. Jadi ini adalah satu pasukan penyerang yang kecil yang dapat bergerak laju dan dapat menyerang dengan cepat. Macam pasukan gerila sekarang.

Mufassir juga mengatakan, kalimah اْلَعاِديَاِت juga memberi isyarat dari segi bahasa yang ianya memang dimaksudkan untuk melakukan apa yang sepatutnya ia lakukan – maknanya memang kuda-kuda itu dilatih untuk digunakan dalam peperangan. Ini adalah kerana ianya dalam bentuk isim fa’il.

Ini macam kereta sport yang memang telah dicipta untuk dibawa dengan laju di lebuhraya, bukan untuk disimpan di dalam garaj sahaja. Jadi اْلَعاِديَاِت itu akan digunakan untuk memenuhi potensinya (perang).

Kalimah ضَبحًا bermaksud helaan bunyi nafas. Ianya digunakan dalam ayat ini dalam bentuk adjektif untuk menerangkan bagaimana kuda-kuda itu berbunyi semasa melepaskan nafas mereka dengan laju kerana mereka sedang berlari dengan laju. Kalau kita biasa tengok filem, kalau tayang kuda-kuda sedang berlari dengan laju, kita dapat bayangkan bagaimana bunyi kuda-kuda itu, bukan?

Jadi, orang Arab yang sedang membaca dan mendengar ayat ini, mereka sedang membayangkan kuda-kuda itu sedang berlari dengan laju, fokus dengan bunyi nafas kuda-dua itu yang sedang bernafas dengan laju dan mengeluarkan bunyi kuda yang kita dapat bayangkan itu.

Kalimah ضَبحًا ini juga memberi isyarat bahawa kuda-kuda itu sedang bergerak dan mereka sedang fokus dan tidak berehat pun. Kerana tujuan mereka di depan dan mereka tidak akan berhenti selagi mereka belum menyelesaikan tugas mereka.

Yang menariknya lagi, pakar bahasa Arab mengatakan, kalimah ضَبحًا ini asalnya tidak digunakan untuk kuda, tapi untuk serigala. Ia digunakan untuk kuda sebagai tambahan sahaja. Ini adalah kerana sifat serigala dalam menyerang itu amat ganas dan laju. Jadi, apabila digunakan juga kalimah ضَبحًا kepada kuda, maka kita kena bayangkan bagaimana kuda-kuda itu menyerang musuh mereka sama seperti serigala menyerang mangsa mereka.

Rasanya kita mungkin boleh bayangkan bagaimana serigala menyerang kerana kita sudah biasa tengok dalam TV, bukan? Satu sifat serigala adalah, mereka akan serang mangsa mereka yang bilangan kurang dari mereka, lebih lemah dari mereka. Mereka akan serang dengan ganas dan kalahkan terus mangsa mereka dengan segera dan kerana itu mereka akan memilih mangsa yang lebih lemah dari mereka.

Jadi sekarang bayangkan pasukan berkuda yang disebut dalam ayat ini pun begitu juga. Bayangkan bagaimana satu pasukan berkuda yang bergerak dengan laju yang lebih kuat dari mangsa mereka dan mereka akan memusnahkan pasukan lawan mereka dengan mudah.


 

Aadiyaat Ayat 2: Dalam ayat 1, pasukan berkuda itu dalam perjalanan ke tempat serangan. Sekarang disebut mereka itu memecut dengan laju sehingga terbit percikan api dari kaki kuda-kuda itu.

فَٱلمُورِيَـٰتِ قَدحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the producers of sparks [when] striking¹

  • Their hoofs while galloping over rocky terrain.

(MALAY)

dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),

 

Hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sumpah sebelumnya. Kalau hurf و yang digunakan, ianya tidak sama kerana ianya mungkin membawa sumpah yang baru yang tidak berkaitan dengan ayat sebelumnya.

Kalau kita bandingkan dengan qosam dalam Surah Mursalaat – kita akan dapat lihat bagaimana ada qosam yang bersambung dan ada yang baru. Tapi dalam semua qosam surah ini dari ayat 1 – 5, semua qosamnya bersambung, menunjukkan ianya adalah satu kisah sahaja.

Lagi satu contoh, kita boleh lihat qosam dalam Surah at-Teen dimulakan dengan huruf و menunjukkan bahawa setiap ayat tidak bersambung terus, memberi isyarat yang ianya tidak berterusan tapi kisah atau perkara yang berlainan. Jadi, dalam Surah at-Teen itu, ada tiga sumpah yang berbeza, tapi dalam Surah Aadiyat ini, ianya satu sumpah yang panjang.

Kalimah المورِياتِ juga adalah dalam bentuk ism fa’il (pelaku). Ia juga adalah dalam bentuk jamak muannas (feminine), kerana ianya adalah kuda yang telah disebut dalam ayat pertama. Sekarang disebut bagaimana kuda-kuda itu berlari sampai menyebabkan api keluar dari percikan kaki kuda-kuda itu.

Kalimah المورِياتِ dari katadasar و ر ي yang bermaksud perbuatan yang menyebabkan api keluar. Ada banyak jenis kalimah yang digunakan dalam bahasa Arab dan juga Al-Qur’an untuk mengeluarkan api. Sampaikan ada lebih kurang 10 kalimah digunakan dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh, dalam Yaasin:80 disebut satu cara.

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذا أَنتُم مِنهُ توقِدونَ

Tuhan yang menjadikan untukmu api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) dari kayu itu

Tapi dalam ayat Yaasin:80, kalimah yang digunakan adalah lain dari kalimah yang digunakan dalam Surah Aadiyat ini. Katadasar و ر ي juga digunakan dalam kalimah تورونَ dalam ayat Waqi’ah:71

أَفَرَأَيتُمُ النّارَ الَّتي تورونَ

Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu).

Oleh itu, kita boleh tahu dari ayat yang digunakan di atas, و ر ي bermaksud mengeluarkan api dengan menggosok dua benda antara satu sama lain (sama ada batu, kayu, benda kering dan sebagainya) sampai boleh memercikkan api dari perbuatan itu.

Oleh itu, dalam ayat Aadiyat ini, Allah hendak menceritakan lagi tentang kuda-kuda itu. Pergerakan kuda itu telah menyebabkan percikan api. Ini adalah kerana pada kaki kuda-kuda itu ada ladam dari besi dan apabila ladam itu memijak batu di bumi dengan kuat, maka ia akan menyebabkan percikan api. Jadi macam kaki mereka mengeluarkan api di belakang mereka – ianya satu pemandangan yang amat hebat sekali! Ia menambahkan kehebatan ayat ini.

Kalimah قَدحًا bermaksud pukulan yang amat kuat. Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.

Allah sudah sebut dua perkara, jadi mari kita bayangkan sebentar suasana yang telah disebut itu: ada pasukan berkuda yang kurang dari 10, sedang bergerak dengan laju di padang pasir yang luas, bunyi nafas kuda boleh kedengaran.

Mereka tidak berhenti pun untuk berehat, mereka sedang fokus dalam pergerakan mereka, mereka sedang memecut dengan laju sampaikan hentakan kaki kuda-kuda itu sangat kuat sampaikan menyebabkan percikan api pada bumi. Mereka tidak takut kerana mereka tahu yang mereka akan menyerang mangsa yang lebih lemah dari mereka, maka mereka amat yakin.


 

Aadiyaat Ayat 3: Kuda-kuda itu sanggup menyerang pada waktu subuh atas arahan tuannya,  padahal itu adalah waktu tidur.

فَٱلمُغِيرَٲتِ صُبحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the chargers at dawn,¹

  • While the enemy is unaware.

(MALAY)

dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

 

Seperti yang kita telah sebut tadi, hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sebelumnya. Jadi ini adalah sebahagian dari sumpah/qosam yang panjang.

Kalimah المُغيراتِ dari katadasar غ ي ر yang bermaksud ‘serangan’. Kalau dalam dua ayat sebelum ini, ianya tentang perjalanan mereka ke tempat tujuan mereka. Dan sekarang mereka telah sampai. Ianya bermaksud serangan yang kuat, dan jenis serangan dari atas. Sekarang mereka yang menyerang itu berada tinggi di atas kuda, di atas dari mangsa mereka.

Kalimah المُغير adalah dalam bentuk ism faa’il, pembuat yang melakukan sesuatu. Apabila menggunakan format ism faa’il, ia memberi isyarat yang mereka itu telah dikenali dengan sifat itu. Maknanya, mereka sudah biasa buat.

Kalimah صُبحًا (waktu subuh) ini pula adalah dalam bentuk maf’ul fiihi. Maknanya, mereka menyerang waktu subuh, tapi kenapa serang masa subuh? Ini menghairankan kerana kalau nak serang hendap, selalunya dilakukan pada malam hari, atau pada waktu gelap. Tapi mereka serang waktu subuh pula, iaitu pada waktu orang sudah mula bangun dan sudah bersedia kalau untuk mempertahankan diri.

Mereka serang masa subuh kerana mereka hendak mangsa serangan mereka itu tahu yang mereka datang. Waktu mereka dalam perjalanan itu mereka boleh dilihat dari jauh kerana debu-debu yang berterbangan sebagai tanda mereka datang.

Walaupun kedatangan mereka dapat diketahui awal, tapi mereka tidak kisah kerana mereka tidak takut. Kerana mereka tahu mereka lebih kuat dan mereka yakin akan dapat mengalahkan musuh. Sedangkan kalau serang hendap selalunya serang waktu gelap. Ini kerana memang mereka tidak kisah, seperti pepatah: ‘Just like the wolf doesn’t fear to hunt his prey in the open.’

Kita kena faham kisah dalam ayat-ayat ini. Kisah ini adalah tentang kumpulan bandit yang menyerang puak yang lemah. Memang ada mufasir yang kata ini adalah tentang para sahabat yang menyerang musuh mereka dalam jihad. Akan tetapi kita pegang kepada pendapat yang kata pendapat ini tidak kuat.

Pertama, kerana ini adalah Surah Makkiyah dan para sahabat waktu itu tidak dibenarkan berperang lagi.

Keduanya, kita boleh lihat setakat yang kita sudah baca, subjek surah ini bukan tentang orang Muslim, tapi tentang orang bukan Muslim. Kerana orang Muslim tidak menyerang orang yang lemah sebegitu. Mereka yang berpendapat kata ayat ini adalah tentang orang Muslim adalah kerana pada fahaman mereka, kalau Allah gunakan sesuatu sebagai sumpah, tentu ianya tentang yang baik.

Jadi, pada mereka, tentunya yang diceritakan ini tentang orang Muslim, kalau tidak, tentulah Allah tidak akan menggunakan kisah mereka sebagai sumpah. Akan tetapi hujah yang menolak mengatakan, tidak semestinya perkara yang baik sahaja yang dijadikan sebagai sumpah.


 

Aadiyaat Ayat 4:  Kuat sangat menyerang, sampai kuda-kuda itu menyebabkan debu berterbangan.

فَأَثَرنَ بِهِۦ نَقعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Stirring up thereby [clouds of] dust,

(MALAY)

maka ia menerbangkan debu,

 

Sebelum ini, kalimat yang digunakan adalah dalam bentuk fa’il (kata nama) dan sekarang kalimat yang digunakan dalam bentuk fi’il (kata kerja) pula, menunjukkan bahawa apa yang mereka sedang lakukan telah meningkat.

Kalimah فَأَثَرنَ (Huruf ن dalam ayat ini dinamakan nun an-niswa – هنّ jamak untuk muannas) – merujuk kepada kuda-kuda betina sebelum ini. Ia dari kata أثار yang bermaksud ‘menaikkan’. Tapi menaikkan apa?

Kalimah نَقعًا bermaksud – debu tanah. Tapi ada 3 kalimah yang digunakan dalam Al-Qur’an untuk debu:

– Naq’a
– Ghabara
– Habaa
[al manthoorah]

Tapi نَقعًا khusus digunakan dalam bahasa Arab apabila sesuatu bergerak dengan laju sampai menyebabkan tinggal kesan debu yang naik ke udara. Macam kereta, kuda dan sebagainya yang bergerak di padang pasir. Apabila sudah bergerak dan sudah lepas, masih nampak habuk-habuk itu di udara.

Kalimah بِهِ (dengannya). Apakah ‘nya’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ia mungkin merujuk kepada:

– merujuk kepada tempat. Oleh itu, serangan itu kuat sekali sampaikan tempat itu naik debu-debunya. Sampaikan pandangan pun jadi samar kerana dihalang oleh debu-debu itu.

– merujuk kepada debu itu sendiri. Ini menakjubkan kerana waktu subuh, tanah masih basah lagi dan selalunya bila tanah lembab, habuk susah nak naik, bukan? Tapi ayat ini hendak memberitahu, walaupun tanah masih lembab, tapi debu masih naik juga lagi kerana hebat sekali serangan itu.

– boleh juga merujuk kepada hentakan kaki kuda-kuda itu yang menyebabkan debu-debu naik ke udara.

– Ini adalah pendapat yang lain sikit dari yang lain. Abu Ubaydah berpendapat kalimah نَقعًا bermaksud menaikkan suara. Ini pun tidaklah lari jauh, kerana apabila debu-debu berterbangan, maka mereka semua kena jerit supaya suara mereka didengar.


 

Aadiyaat Ayat 5: Ini adalah ayat sumpah terakhir dalam surah ini. Akan berakhir kisah tentang kuda-kuda itu. Bayangkan, sanggup kuda itu masuk ke tengah musuh menghadapi senjata lawan. Padahal waktu itu kalau masuk, boleh menyebabkan kematian tapi kuda itu buat juga kerana kuda itu taat kepada tuannya.

فَوَسَطنَ بِهِۦ جَمعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Arriving thereby in the center¹ collectively,

  • i.e., penetrating into the enemy ranks during a surprise attack.

(MALAY)

dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

 

Kalimah وَسَطنَ dari kalimah و س ط (tengah), jadi kalimah فَوَسَطنَ bermaksud pasukan yang menyerang itu menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang. Dalam kisah ini, pasukan berkuda yang telah disebut dari ayat pertama lagi itu, telah masuk menyerbu ke tengah-tengah pihak yang diserang.

Kalimah بِهِ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mungkin merujuk kepada debu yang berterbangan. Oleh itu, mereka ambil peluang dari pandangan samar kerana debu itu untuk masuk terus ke dalam tengah pihak lawan. Mereka bukan serang dari tepi lagi seperti biasa, tapi terus masuk ke dalam. Ini adalah tindakan yang bahaya dan berani. Kenapa?

1 – Secara logik, tentu yang diserang sudah nampak kedatangan pihak berkuda itu kerana mereka datang dengan debu yang berterbangan (boleh dikesan dari jauh). Jadi ini telah memberi peluang kepada pihak yang diserang itu untuk bersedia dengan pedang, lembing dan sebagainya. Oleh itu, bahaya kalau serang dengan terus masuk ke tengah.

Selalunya dalam perang macam ini, tidaklah masuk terus ke tengah – kerana kena hati-hati. Kalau serang dari tepi, mereka jaga bahagian depan sahaja, tapi apabila sudah masuk ke tengah, mereka kena kepung pula dan kena kawal depan, tepi dan belakang sekali. Walaupun tindakan mereka itu bahaya, tapi ayat ini kata mereka masuk semua sekali ke tengah-tengah.

2 – Dari ayat ini, kita dapat ambil maklumat bahawa mereka semua masuk sekali, tidak ada yang tinggal di belakang. Kalau peperangan biasa, selalunya satu pihak akan serang sikit-sikit dan ada yang menunggu di belakang sebagai pasukan bantuan. Akan tetapi seperti yang disebut di permulaan awal surah ini, bilangan mereka pun sikit, jadi tidak sesuai juga kalau mereka berpecah kepada dua kumpulan pula.

Dan ini dikuatkan dengan kalimah جَمعًا yang bermaksud ‘semua sekali’. Tidak ada pasukan yang tinggal di belakang untuk mengawal atau sebagai pasukan bantuan. ‘Semua sekali’ itu boleh juga bermaksud pasukan yang menyerang dan diserang dua-dua berperang sesama sendiri.

3 – Tindakan mereka itu bahaya kerana debu akan berterbangan dan keadaan akan jadi samar, tidak nampak sangat. Tapi mereka masuk juga.

Sudah habis lima ayat ini untuk ambil perhatian mereka yang membaca dan mendengar. Kita katakan ini adalah ayat-ayat sebagai menarik perhatian sahaja, kerana tidak ada ajaran agama lagi pun, hanya menceritakan sahaja. Oleh itu, apa yang hendak disampaikan?

Yang hendak disampaikan adalah ayat-ayat selepas ini. Memang perkara penting disampaikan selepas ayat-ayat sumpah/qosam. Selepas minat pembaca/pendengar telah ditarik, mereka hendak mendengar apa yang hendak diceritakan, barulah Allah sambung ayat-ayat pengajaran di dalam ayat-ayat seterusnya.

Bagaimana dengan anda, anda sudah berminat untuk mendengar apa yang Allah akan sampaikan seterusnya?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Zalzalah Ayat 3 – 5 (Bumi bagi laporan)

Ayat 3: Apabila kejadian gempa bumi yang amat kuat itu, ini adalah kata-kata manusia yang terkejut sangat dengan kejadian itu:

وَقَالَ ٱلإِنسَـٰنُ مَا لَهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man says,¹ “What is with it?” –

  • In terror and amazement.

(MALAY)

dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini)?”,

 

Waktu itu manusia yang ramai-ramai akan jadi terkejut sangat-sangat, sampaikan dia terlupa segala peringatan yang telah diberikan oleh pendakwah tentang hari yang sedang terjadi itu. Mereka akan tertanya-tanya apakah yang sedang terjadi kepada bumi itu, sedangkan mereka sudah sepatutnya tahu pun yang itu adalah Hari Kiamat yang telah dijanjikan dan diperingatkan kepada mereka.

Walaupun telah diingatkan berkali-kali, tapi manusia tetap akan terlupa dan itulah sifat الإِنسانُ. Kalimah manusia itu diambil dari kalimah nasiya yang bermaksud pelupa. Dan kalimah الإِنسانُ itu dari katadasar أ ن س yang bererti “jinak” ertinya, manusia selalu menyesuaikan diri (adaptasi) dengan keadaan yang baru di sekitarnya. Dia sudah biasa dengan keadaan di dunia ini, maka kalau ada perkara yang mengejutkan, mereka akan terkejut.

Mereka terlupa langsung apa yang mereka telah diingatkan tentang Hari Kiamat dan bagaimana bumi akan hancur segalanya. Memang manusia sebenarnya sudah tahu pun kerana sudah diberitahu berkali-kali semasa di dunia, tapi memang manusia memang jenis pelupa. Mereka lupa kerana terkejut sangat. Kerana memang kalau kita terkejut sangat, kadang-kadang kita lupa juga.

Allah menggunakan kalimah الإِنسانُ dalam ayat ini. Kalimah الإِنسانُ berbeza dengan kalimah النّاسُ yang juga bermaksud ‘manusia’ dan digunakan dalam ayat 6 nanti. Ini adalah kerana النّاسُ itu dalam sighah (bentuk) jamak dan الإِنسانُ dalam bentuk mufrad. Ini memberi isyarat yang mereka nanti akan berseorangan, bersendirian walaupun ramai orang lain waktu itu.

Waktu itu memang ramai sekali manusia kerana semua makhluk akan dibangkitkan sekali, tapi insan itu akan rasa seorang diri sahaja. Mereka kena hadapi masalah mereka bersendirian, tidak boleh berharap kepada orang lain; tidak boleh menyorok dalam jemaah yang ramai. Mereka tidak ketinggalan.

Dalam ayat yang lain, ada disebut lagi perkataan mereka selain dari dalam ayat ini. Sila lihat dalam Yaasin:52

قالوا يا وَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَرقَدِنا

“Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”.

Ini adalah kerana mereka terkejut sangat dengan kekecohan yang terjadi pada hari itu dan mereka rasa mati mereka di dalam kubur lagi bagus dan selesa kalau dibandingkan dengan keadaan Hari Kiamat itu. Dan waktu itu orang yang beriman akan berkata:

ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ

Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

Ini bermakna, ada dari kalangan manusia yang sedar dan ingat apakah hakikat hari itu. Mereka ingat bahawa kebangkitan semula itu memang telah diberitahu dalam wahyu, jadi mereka tidak terkejut.

Maka dalam ayat 3 Surah Zalzalah ini, yang kehairanan dan berkata [kenapa dengan dunia itu] adalah orang-orang kafir. Kerana orang beriman tidak berkata begitu. Orang yang beriman sedar apa yang sedang berlaku.


 

Ayat 4: Ayat 4 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Ia memberitahu kita bahawa bumi menjadi saksi atas amal manusia.

يَومَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخبارَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, it will report its news

(MALAY)

pada hari itu bumi menceritakan beritanya,

 

Kalimah يَومَئِذٍ merujuk kepada hari kiamat itu.

Kalimah تُحَدِّثُ berasal daripada katadasar ح د ث yang bermaksud memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara. حدث bermaksud perkara baru yang terjadi yang tidak ada sebelum itu. Oleh itu, حَدَّث (tambahan syaddah pada huruf د) bermaksud memberitahu perkara baru yang orang yang diberitahu itu tidak tahu.

Atau, ia juga boleh bermaksud memberitahu perkara yang orang yang diberitahu itu sudah lupa. Jadi bila dia dengar, macam dia pertama kali dengar.

Atau, ia juga boleh bermaksud, memberitahu sesuatu maklumat itu dengan penuh kepada pendengar kerana pendengar itu tidak ada maklumat penuh sebelum itu. Mungkin dia tahu tapi dia tidak dapat maklumat lengkap, jadi kita bagi maklumat penuh kepadanya.

Nanti akan ada maklumat yang akan diberitahu oleh bumi nanti. Yang terlupa tentangnya akan diberitahu dan yang tidak ada maklumat penuh akan tahu dengan penuh waktu itu. Bumi akan beritahu segala apa yang telah dilakukan oleh manusia. Dan maklumat itu amat mengejutkan manusia, kerana mereka seolah-olah baru pertama kali dengar perkara itu.

Bumi akan memberitahu أَخبارَها – (beritanya). Kalimah أَخبارَ dari katadasar  خ ب ر (berita). Tapi ada kata lain yang juga digunakan untuk ‘berita’, iaitu نَّبَإِ seperti yang digunakan dalam Surah an-Naba’. Kenapa ada perbezaan penggunaan kalimah?

Mari kita lihat bezanya. Kalimah نَّبَإِ bermaksud berita tentang sesuatu perkara yang kalau tidak diberitahu, orang yang diberitahu itu tidak akan dapat tahu. Ianya adalah berita baru dan tidak dapat diketahui melainkan diberitahu. Ianya adalah perkara yang tidak dapat dicapai langsung secara normal. Kerana itulah kalimah ‘Nabi’ diambil dari نَّبَإِ kerana mereka menyampaikan maklumat perkara ghaib yang manusia memang tidak akan dapat ketahui dengan cara sendiri.

Antaranya, berita tentang Hari Kiamat dan tentang kejadian di akhirat. Manusia biasa memang tidak akan dapat ketahui perkara ini kerana ianya adalah perkara ghaib. Kalimah نَّبَإِ juga boleh jadi maklumat tentang perkara yang sudah lepas, perkara yang sedang terjadi dan perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Sedangkan, خبر adalah untuk berita atau maklumat yang boleh didapati sendiri. Atau sesuatu yang boleh dijangkakan kerana tidaklah pelik sangat. Sebagai manusia biasa, ada maklumat-maklumat yang kalau kita tahu, tidaklah hairan sangat kerana ianya adalah normal sahaja.

Sebagai contoh, gempa bumi seperti yang disebut dalam ayat ini, kita pun boleh bayangkan, kerana ianya biasa terjadi, kita biasa dengar atau baca, sebab itu tidak digunakan kalimah نَّبَإِ dalam ayat ini.

Lagi satu, خبر hanya boleh digunakan untuk maklumat atau berita yang lepas dan masa sekarang – tidak ada berita atau maklumat tentang perkara yang akan terjadi di masa hadapan. Kalau berita yang diberitahu itu adalah tentang masa hadapan, maka ianya adalah salah satu dari نَّبَإِ.

Oleh kerana itulah, kalimah خبر amat sesuai digunakan dalam ayat ini. Begitulah tepatnya penggunaan kalimah di dalam Al-Qur’an. Kita boleh kaji dan apabila kita kaji, kita akan nampak bagaimana tepat penggunaannya.

Oleh itu, kalimat تُحَدِّثُ أَخبارَها (menceritakan beritanya) adalah untuk berita yang telah berlaku di masa lepas dan digunakan kalimah تُحَدِّثُ kerana walaupun ianya adalah berita lepas, tapi kerana ianya tidak disangka, maka mereka yang mendengarnya seperti terkejut kerana mereka tidak sangka. Juga kerana mereka memang telah terlupa apa yang mereka telah lakukan dulu.

Ulama’ membincangkan bagaimanakah pula bumi boleh memberitahu tentang sejarah lepas? Ibn Mas’ud mengatakan yang memang bumi akan bercakap kerana ia akan mendapat suara. Sekarang memanglah bumi tidak berkata-kata, tapi ia akan diberikan kebolehan berkata-kata waktu itu. Bumi akan berkata sendiri kepada manusia dan/atau kepada Allah.

Waktu itu bumi akan mengadu kepada Allah tentang apa yang dilakukan oleh manusia dan jin dari mula mereka duduk di bumi sampailah ke hari itu. Ini adalah pendapat Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Dan ini tidak mustahil kerana Allah boleh sahaja jadikan bumi boleh bercakap sepertimana Allah juga yang memberikan kebolehan manusia untuk berkata-kata.

Kita pun sudah belajar bagaimana ada benda yang kita tidak sangka akan berkata-kata, tapi bercakap juga seperti tangan, kaki dan kulit. Nabi pernah bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ -وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ وَأَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ النَّسَائِيُّ، وَاللَّفْظُ لَهُ: حَدَّثَنَا سُوَيد بْنُ نَصْرٍ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ الْمُبَارَكِ-عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي أَيُّوبَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي سُلَيْمَانَ، عَنْ سَعِيدٍ المقْبُرِي، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا} قَالَ: “أَتَدْرُونَ مَا أَخْبَارُهَا؟ “. قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “فَإِنَّ أَخْبَارَهَا أَنَّ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ وَأَمَةٍ بِمَا عَمِل عَلَى ظَهْرِهَا، أَنْ تَقُولَ: عَمِلَ كَذَا وَكَذَا، يَوْمَ كَذَا وَكَذَا، فَهَذِهِ أَخْبَارُهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak; dan Imam Turmuzi mengatakan juga Abdur Rahman An-Nasai, sedangkan lafaz hadis berikut menurut apa yang ada padanya, bahawa telah menceritakan kepada kami Suwaid ibnu Nasi”, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnul Mubarak, dari Sa’id ibnu Abu Ayyub, dari Yahya ibnu Abu Sulaiman, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: pada hari itu bumi menceritakan beritanya. (Az-Zalzalah: 4) Lalu Rasulullah Saw. bersabda, “Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan ‘dengan beritanya’?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya berita bumi ialah bila ia mengemukakan persaksian terhadap setiap hamba laki-laki dan perempuan tentang apa yang telah dikerjakannya di atas permukaannya. Bumi mengatakan bahawa Fulan telah mengerjakan anu dan anu di hari anu. Demikianlah yang dimaksudkan ‘dengan beritanya’. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan, sahih, garib.


 

Ayat 5:

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوحىٰ لَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because your Lord has inspired [i.e., commanded] it.

(MALAY)

kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

 

Kalimah أَوحىٰ selalunya diterjemahkan sebagai ‘wahyu’. Dari segi bahasa, ia dari katadasar و ح  ي yang bermaksud: memberi isyarat kepada seseorang secara rahsia, supaya orang lain tidak tahu. Oleh itu, dari segi bahasa, ia boleh digunakan dalam Al-Qur’an bukan untuk wahyu sahaja. Sebagai contoh, lihat dalam Maryam:11

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

Maka dia (Nabi Zakariya) keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu dia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih di waktu pagi dan petang.

Ayat ini memberitahu bagaimana Nabi Zakariya keluar dari tempat sembahyangnya dan menyuruh pengikut baginda untuk bertasbih pagi dan petang. Tapi kalau kita lihat dari kisah sebelum ayat ini, baginda tidak boleh berkata-kata selama tiga hari tiga malam. Oleh itu, bagaimanakah baginda menyampaikan arahan itu kepada mereka?

Dalam ayat ini, digunakan kalimah فَأَوحىٰ yang seperti juga digunakan dalam ayat 5 Zalzalah ini. Dalam kisah Nabi Zakariya itu, baginda memberi isyarat tangan kepada mereka. Dengan isyarat itu, mereka tahu apa yang mereka kena lakukan.

Sekarang lihat contoh lagi di dalam Qasas:7

أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

Dalam ayat ini, Allah telah ‘mewahyukan’ kepada ibu Nabi Musa a.s. Tapi ibu baginda bukanlah seorang Nabi, jadi tidaklah seperti yang Allah wahyukan kepada para Nabi. Jadi, maksud أَوحَينا di dalam ayat ini adalah: ‘Kami ilhamkan’ – maksudnya, Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa.

Bukan sahaja Allah menggunakan أَوحىٰ, tapi syaitan pun menggunakan kaedah yang sama: Sila lihat dalam Al-An’am:121

وَإِنَّ الشَّياطينَ لَيوحونَ إِلىٰ أَولِيائِهِم لِيُجادِلوكُم

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu;

Maksud لَيوحونَ adalah syaitan itu akan membisikkan, memberi isyarat dan memberi maklumat kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Sama-sama tahu apa yang hendak dilakukan.

Baik, setelah membincangkan dengan panjang lebar tentang maksud ‘wahi’ dalam ayat Zalzalah ini, kita cuma hendak memberitahu bahawa Allah telah memberi isyarat kepada bumi untuk keluarkan khabar seperti yang telah disebut.

Kalau kita lihat kepada kalimat رَبَّكَ أَوحىٰ لَها (Tuhanmu memberi ilham kepada bumi). Allah tidak kata “Aku beri ilham kepada bumi” kerana Allah menjauhkan DiriNya dari arahan itu kerana hendak menunjukkan kemurkaan Allah kepada apa yang telah dilakukan oleh kebanyakan dari manusia. Kerana kebanyakan manusia melakukan dosa-dosa yang banyak.

Satu lagi dari dari segi bahasa: lihat pada kalimah أَوحىٰ لَها (diilhamkan untuknya). Dari segi bahasa, yang sepatutnya digunakan adalah أَوحىٰ إليها (diilhamkan kepadanya). Hurf jar إلى adalah hurf jar yang selalu digunakan kalau berkenaan dengan wahi, seperti digunakan dalam أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ (Kami ilhamkan kepada ibu Musa). Ini adalah kerana ilham itu adalah satu arahan selalunya. Oleh itu, kalimat أَوحىٰ لَها sebenarnya agak pelik dan kita perlu kaji dan lihat keindahan dan kehebatan kenapa digunakan kalimat itu dalam bentuk itu.

Hurf jar ل selalunya digunakan apabila Allah memberi keizinan. Oleh itu, Allah gabungkan dua perkara dalam ayat أَوحىٰ لَها. Allah beri ‘arahan’ dan dalam masa yang sama, Allah beri ‘izin’. Allah gunakan konsep hazf (menghilangkan) dalam ayat ini. Memang sesuatu yang menarik yang digunakan dalam Al-Qur’an. Kalau arahan dari Allah kita faham, tapi kenapa Allah beri keizinan pula?

Ini adalah kerana bumi itu memang hendak meluahkan apa yang ada dalam hatinya tentang entah berapa lama manusia telah berbuat kerosakan di atas muka bumi ini. Maka Allah berikan keizinan kepada bumi untuk meluahkan perasaannya yang telah dipendam sekian lama.

Sekarang selagi belum Kiamat, bumi hanya dapat tengok sahaja apa yang sedang dilakukan manusia dan tidak dapat berkata apa-apa kerana Allah tidak beri kebolehan bercakap lagi kepada bumi. Bumi terpaksa bersabar dengan perbuatan makhluk di atasnya. Tapi nanti akan sampai masa apabila bumi dibenarkan untuk menyampaikan apa yang telah berlaku di atasnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

 

Tafsir Surah al-Bayyinah Ayat 6 – 8 (Nikmat Allah redha)

Ayat 6: Ayat 6 – 7 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah memberitahu yang Rasul dan Kitab terakhir ini sahaja yang merupakan sumber sahih yang dapat menyelamatkan manusia. Maka kepada mereka yang degil, diberikan ayat takhwif ukhrawi ini.

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَٱلمُشرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُم شَرُّ ٱلبَرِيَّةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they who disbelieved among the People of the Scripture and the polytheists will be in the fire of Hell, abiding eternally therein. Those are the worst of creatures.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَٱلمُشرِكِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik

Sekarang ayat ini balik semula kepada subjek asal yang disebut di permulaan surah ini iaitu Ahli Kitab dan Musyrikin. Allah memberitahu dalam ayat ini, mereka yang tetap tidak mahu meninggalkan fahaman sesat mereka, tidak mahu menerima bayyinah yang sampai kepada mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, dan mereka akan kekal di dalamnya.

 

فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ‌ۚ

(akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. 

Kalimat جَهَنَّمَ berasal dari Parsi dan ia asalnya adalah jahnaam = ruang seksaan (tempat manusia diseksa) – torture chamber. Memang dalam Al-Qur’an ada kalimah-kalimah yang bukan berasal dari Bahasa Arab, tapi dimasukkan daripada bahasa lain.

Allah menekankan yang mereka akan خالِدينَ فيها (kekal di dalamnya) di mana mereka akan berterusan berada di dalam Neraka Jahannam. Tidak ada peluang langsung untuk keluar sampai bila-bila. Dan mereka tidak akan mati-mati, maka memang akan kekal terus di sana. Kalau kena duduk di penjara dunia pun, akhir sekali bolehlah mati atau keluar juga dari penjara itu akhirnya, tapi di neraka nanti, kalau mereka yang kekal di sana, memang kekal yang sebenar-benar kekal.

 

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُم شَرُّ ٱلبَرِيَّةِ

Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

Mereka itu bersifat شَرُّ البَرِيَّةِ. Kalimah البَرِيَّةِ dari katadasar ب ر أ yang bermaksud sesuatu yang dibawa dari tiada kepada ada, termasuk kita sebagai manusia. Jadi ia lebih kurang maksud ‘makhluk’.

Kalimah شَرُّ pula bermaksud yang paling teruk. Oleh itu, mereka yang berperangai menolak bayyinah setelah sampai kepada mereka adalah makhluk yang paling teruk! Telah sampai bayyinah kepada mereka, tapi mereka tolak! Oleh kerana itu, mereka layak masuk dalam neraka.

Maka kalau orang kita pun yang masih menolak ajaran dari wahyu setelah sampai kepada mereka, maka itu pun amat teruk juga. Tidak kiralah kalau dia mengaku sebagai Muslim. Kerana menolak kebenaran wahyu adalah seburuk-buruk perkara yang boleh dilakukan oleh manusia.


 

Ayat 7: Ayat tabshir (berita gembira). Lawan kepada mereka yang paling teruk seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُم خَيرُ ٱلبَرِيَّةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, they who have believed and done righteous deeds – those are the best of creatures.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh,

Kalimah إِنَّ bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ianya adalah kalimah penekanan untuk menyatakan sesuatu yang penting. Allah hendak menghilangkan apa-apa keraguan manusia tentang perkara yang hendak disebut itu. Kadang-kadang kita boleh lihat Allah guna dan kadangkala tidak pula digunakan kalimah إِنَّ ini. Ini kerana ianya bergantung kepada pendengar waktu itu.

Kalau ada yang tidak yakin, maka akan digunakan penekanan إِنَّ ini sebagai penekanan. Jadi kita tahu yang ayat ini ditujukan kepada mereka yang tidak yakin. Kita boleh tahu siapa yang ditujukan ayat itu kalau kita tahu balaghah. Oleh itu, Allah hendak menekankan yang apa yang akan disebut ini pasti berlaku, jangan kamu teragak-agak lagi.

Kalimah آمَنوا bermaksud mereka yang ‘beriman sempurna’. ‘Beriman sempurna’ maksudnya mereka beriman dengan akidah tauhid dan tidak melakukan syirik. Bukan sahaja mereka percaya dengan apa yang perlu dipercayai (dalam Rukun Iman), tapi dia juga tidak melakukan syirik atau ada fahaman syirik.

Ini penting kerana ada yang beriman tapi tidak sempurna. Ada yang dalam masa yang sama mengamalkan syirik. Sebagai contoh ada percaya Allah itu ada, tapi dalam masa yang sama, ada juga dia pergi minta tolong kepada bomoh dan sebagainya.

Ini adalah kerana ramai yang jahil tentang bab tauhid dan syirik. Mereka tidak dapat bezakan mana tauhid dan mana syirik. Maka untuk membezakan mana syirik dan mana tauhid, kena belajar apa yang dimaksudkan dengan tauhid dan syirik, takut-takut ada amalan yang syirik kita lakukan. Dan yang utama kena dilakukan adalah belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana apa tauhid dan apa syirik banyak disebut dalam Al-Qur’an.

Kalimah وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ (dan mereka melakukan amal yang soleh). Kalau iman itu adalah amalan dalaman, ia kena ditunjukkan dengan amalan luaran sekali. Itulah amal-amal yang soleh. Jangan setakat kata beriman sahaja, tapi amal soleh tak buat.

Dan kena tahu juga apakah yang dimaksudkan dengan ‘amalan soleh’ itu – ianya adalah amalan yang sunnah, yang ada contoh dengan dalil yang sahih dari amalan Nabi dan para sahabat. Amalan yang bukan amalan yang soleh adalah amalan bida’ah dan banyak dari kalangan masyarakat kita melakukannya kerana tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘bidaah’ itu.

Secara ringkasnya, ia adalah amal ibadat yang tidak ada contoh dari Nabi dan para sahabat. Tapi ini adalah penerangan ringkas sahaja, untuk mengetahui lebih mendalam kena belajar hadith. Ia agak halus dan kerana itu ramai yang susah benar hendak faham. Maka banyak belajar dan berbincang.

 

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُم خَيرُ ٱلبَرِيَّةِ

mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

Mereka yang dapat mengamalkan semua ini Allah kata mereka itu adalah خَيرُ البَرِيَّةِ iaitu sebaik-baik yang dijadikan, sebaik-baik makhluk. Maka kita kenalah berusaha untuk menjadi خَيرُ البَرِيَّةِ ini. Jangan kita jadi شَرُّ البَرِيَّةِ seperti yang disebut dalam ayat sebelum ni.

Abu Hurairah dan segolongan ulama’ menyimpulkan dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman dari kalangan manusia lebih utama daripada para malaikat, kerana firman-Nya yang mengatakan: {أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ}. Maka manusia sebenarnya boleh jadi lebih mulia dari malaikat.


 

Ayat 8: Apakah yang akan didapati oleh خَيرُ البَرِيَّةِ itu? Ayat 8 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Ia memberitahu yang orang yang takut Allah sahaja yang akan bahagia dengan keimanan.

جَزَآؤُهُم عِندَ رَبِّہِم جَنَّـٰتُ عَدنٍ تَجرِى مِن تَحتِہَا ٱلأَنہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنہُم وَرَضُواْ عَنهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَن خَشِىَ رَبَّهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their reward with Allāh will be gardens of perpetual residence beneath which rivers flow, wherein they will abide forever, Allāh being pleased with them and they with Him. That is for whoever has feared his Lord.

(MALAY)

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.

 

جَزَآؤُهُم عِندَ رَبِّہِم

Balasan mereka di sisi Tuhan mereka

Allah akan tetap balas dan yang pasti, Allah akan balas di akhirat kelak. Allah mungkin balas semasa mereka di dunia, tapi itu tidak dengan sempurna. Pembalasan yang sempurna adalah di akhirat kelak. Dan balasan itu dari sisi Allah.

Apabila dikatakan balasan itu dari sisi Allah, ini bermakna mereka yang beriman, tidak berharap upah di dunia, tapi mereka mengharap bayaran di akhirat kelak. Mereka tidak berharap balasan dari manusia sama ada dalam bentuk upah atau pujian, tapi mereka hanya berharap balasan dari Allah sahaja. Mereka bukan nak bahagian dari dunia, tapi di akhirat.

Dan mereka percaya yang balasan akan diberikan di akhirat, walaupun mereka tidak nampak lagi balasan itu – inilah tawakal yang dimaksudkan. Iaitu percaya sungguh-sungguh dan serahkan kepada Allah untuk balas kepada kita ikut macam mana Dia nak balas. Kita percaya yang balasan dari Allah itu tentu hebat.

Dan balasan atau hadiah itu bergantung kepada pemberinya. Kalau orang kaya beri tentu lebih banyak dari orang biasa. Dan Raja tentu beri lebih hebat lagi. Bagaimana pula kalau Allah yang beri? Tentu terlebih-lebih hebat.

 

جَنَّـٰتُ عَدنٍ تَجرِى مِن تَحتِہَا ٱلأَنہَـٰرُ

ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai;

Mereka akan mendapat جَنّاتُ عَدنٍ (Taman Adnin) sebagai balasan di atas segala perbuatan dan amalan mereka semasa di dunia. Dan kemudian Allah jelaskan sedikit tentang جَنّاتُ عَدنٍ itu. Allah berikan sedikit gambaran bagaimana keadaan di syurga itu – تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ – di bawahnya mengalir sungai-sungai. Kenapa agaknya selalu kita dengar penerangan sifat syurga begini?

Ini adalah kerana kalau kita pergi ke mana-mana negara pun, kita akan lihat tempat yang mahal, tempat yang manusia suka duduk adalah di tempat yang ada air, sama ada mata air, air pancut, tasik, laut, sungai dan sebagainya. Kerana manusia memang suka dengan air dan taman. Kerana itulah manusia pergi ke taman permainan, air terjun, kawasan sungai untuk berkelah. Dan kalau orang kaya, mereka ada taman di rumah mereka dan ada air di rumah mereka, sama ada kolam, air pancut dan sebagainya. Memang sudah sifat manusia begitu.

Tambahan pula kalau manusia itu sudah semakin tua, mereka akan suka duduk di tempat yang tenang, di dalam taman, dengan pemandangan yang cantik. Lebih menarik kalau ada kolam atau air terjun. Ini adalah benda biasa dan semua manusia ada perasaan begini tidak kira mereka itu bangsa apa, kedudukan mereka dalam dunia dan sebagainya.

Kalau golongan muda, mungkin mereka tidak terasa lagi kerana orang muda suka benda lain – tapi bila sudah tua nanti, baru mereka akan terasa. Jadi, Allah menyebut tentang sifat taman dan sifat air ini sebagai menarik minat manusia dan sebagai motivasi untuk mereka kejar.

 

خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Mereka akan kekal di dalam syurga itu sampai bila-bila. Sesiapa yang masuk syurga akan kekal di dalamnya, tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila. Tapi, kalau kita perhatikan dalam ayat 6 sebelum ini, apabila dikatakan tentang mereka yang dimasukkan ke dalam neraka, kalimah أَبَدًا tidak ada pula. Kenapa ada perbezaan sebegitu?

Ini menyebabkan perbincangan yang panjang di kalangan ulama’. Ada ulama’ yang mengatakan dari ayat ini, menunjukkan yang kehidupan di syurga itu kekal abadi, tapi tidak sama dengan kehidupan di neraka. Maknanya, neraka itu tidak kekal sebenarnya. Yang duduk di neraka akhirnya akan keluar dari neraka (tapi masa yang amat-amat lama).

Antara yang berpendapat begini adalah Ibn Taymiyyah dan ini adalah pendapat yang lain dari jumhur. Jumhur (majoriti) ulama berpendapat mereka yang dimasukkan ke dalam neraka, ada yang akan kekal di dalamnya kerana ada disebut dalam ayat-ayat yang lain seperti Ahzab:65

خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong.

Kenapa ada perbezaan kalimah yang digunakan kalau begitu? Ulama’ berhujah yang ianya bergantung kepada surah itu. Kalau surah itu lebih banyak disebut tentang syurga, maka syurga akan dilebihkan dan ditambah dengan kalimah أَبَدًا. Dan kalau ianya sama banyak disebut dalam surah itu, kedua-dua syurga dan neraka akan ada kalimah أَبَدًا.

Oleh itu, dalam surah ini, kerana lebih banyak penerangan diberikan tentang ahli syurga, maka kalimah أَبَدًا diletakkan pada ayat yang menceritakan tentang syurga. Allahu a’lam.

Oleh itu, ahli syurga akan kekal abadi di dalam syurga itu. Dan ini juga adalah satu lagi kelebihan yang diberikan kepada mereka. Kerana kita sebagai manusia pun, amat suka kalau ada tempat tinggal yang tetap. Kita kalau boleh hendak ada rumah sendiri, bukan nak menumpang rumah orang, bukan nak menyewa sampai mati.

Cita-cita kebanyakan manusia adalah untuk ada rumah sendiri – mereka akan rasa senang hati kalau dapat duduk di rumah sendiri. Kerana kalau kita duduk di tempat yang mewah pun, tapi kalau kita rasa yang kita tidak kekal di situ, akan kurang rasa hebatnya tempat itu.

Begitulah kalau kita duduk di hotel paling mahal sekali pun – dalam hati kita, kita tahu yang kita kena tinggalkan hotel itu akhirnya. Kerana itulah Allah berikan motivasi tambahan kepada kita, Dia akan berikan ahli syurga itu kehidupan yang kekal di syurga. Bayangkan, tidak ada bil elektrik atau air yang kena dibayar, rumah tidak perlu diperbaiki, rumah pun cantik dan indah, besar sebesar-besarnya, siap ada dengan pembantu lagi dan macam-macam lagi nikmat di dalamnya. Inilah cita-cita kita yang paling penting sekali!

Ini memang tidak sama dengan rumah kita semasa di dunia. Kalau ada rumah besar pun, lagi pening kepala nak jaga. Apa sahaja kesenangan dan kekayaan yang kita dapat di dunia ini, ada sahaja masalah di dalamnya, ada sahaja kekurangan. Kalau banyak duit pun kena jaga, bukan? Kalau rumah besar pun, susah nak jaga bukan? Masalah ini tidak ada di syurga nanti dan ini semua adalah motivasi untuk kita. Maka kena kejarlah, jangan baca sahaja.

 

رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنہُم وَرَضُواْ عَنهُ‌ۚ

Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya.

Kemudian Allah sambung dengan nikmat tambahan pula. Nikmat ini adalah lebih besar kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang disebut sebelum ini: رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم – Allah redha dengan mereka. Kalimah ارضي bermaksud puas yang sempurna, tidak ada komen langsung. Ini adalah satu nikmat yang amat besar dan ianya termasuk nikmat rohani.

Nikmat jasmani adalah duduk di syurga dengan segala kenikmatan badaniah, tapi nikmat rohani yang nikmat yang dirasa oleh hati kita. Dan yang paling hebat adalah Allah redha dengan kita. Selalunya kita buat kerja dengan susah payah dan kalau majikan kita redha dan suka dengan kerja kita, bukankah kita suka? Bagaimana pula kalau ibubapa kita redha kita sebagai anak mereka? Kita pun amat suka kerana ibubapa kita puas hati dengan kita.

Dan sekarang, bayangkan kalau Allah, yang menjadikan kita, yang telah memberi segalanya kepada kita, yang kita paling cintai, dan Dia pula redha dengan kita, tidakkah itu amat besar sekali?

Kalimat وَرَضوا عَنهُ (dan mereka pun redha denganNya) pula bermaksud mereka redha dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka. Bayangkan anak-anak kita pun tak redha sepenuhnya dengan kita, kerana akan ada sahaja kekurangan kalau dinamakan manusia. Tapi nanti kita akan redha sepenuhnya dengan Allah.

 

ذَٲلِكَ لِمَن خَشِىَ رَبَّهُ

Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.

Siapa yang akan mendapat semua ini? ذٰلِكَ لِمَن خَشِيَ رَبَّهُ – itu semua untuk dia yang takut kepada Tuhannya. Kata dasar خ ش ى adalah takut kepada sesuatu yang lebih besar, lebih kuat dari kita. Dalam ayat ini ia bermaksud takut kepada Allah. Syurga dan segala nikmat yang telah disebut di atas adalah untuk mereka yang takut kepada Allah, lebih dari dia takut kepada selainNya.

Kita memang kadang-kadang ada juga takut kepada makhluk, tapi tidak boleh takut lebih dari kita takut kepada Allah. Jangan takut kepada makhluk sampai tidak jalankan arahan Allah.

Tidak sama takut kepada Allah dengan takut kepada makhluk. Kalau takut dengan orang lain, kita akan lari dari mereka; tapi bila takut dengan Allah, akan mendekatkan diri lagi kepada Allah, bukan menjauhkan. Itulah beza takut kepada makhluk dengan takut kepada Allah.

 

Penutup:

Surah ini bermula dengan menyentuh tentang manusia yang berbeza-beza dalam hati mereka dan perbezaan itu akan lebih ketara dengan adanya bayyinah. Bayyinah adalah pembahagi manusia kepada dua puak: yang beriman dan tidak beriman. Maknanya, dengan wahyu itu dapat membahagikan manusia kepada dua bahagian.

Apabila menerima dan percaya kepada bayyinah itu, manusia sanggup berpisah dari fahaman dan amalan tok nenek yang mereka telah lama pegang, sampai mereka sanggup masuk ke dalam agama Islam dengan sepenuhnya. Ini adalah kerana mereka tidak takut kepada manusia, tapi mereka lebih takut kepada Allah.

Memang bukan senang nak tinggalkan fahaman lama dan fahaman turun temurun kerana kadang-kadang amalan dan fahaman itu telah dipegang turun temurun. Akan tetapi mereka tetap juga kena tinggalkan kerana fahaman dan amalan-amalan itu salah.

Maka masyarakat kita kalau dapat terima wahyu ini, belajar dengan baik, tentu mereka akan dapat meninggalkan fahaman dan amalan syirik dan bidaah yang masih lagi menebal di kalangan masyarakat kita. Malangnya kerana celik tafsir Al-Qur’an belum lagi banyak berlaku dalam masyarakat, maka ajaran tauhid yang ikut kehendak Allah dan Al-Qur’an amat asing bagi mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Zalzalah.

Kemaskini: 10 Oktober 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Zalzalah Ayat 1 – 2 (Bumi merekod perbuatan kita)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan tentang kejadian pada Hari Kiamat. Ianya tentang kejadian selepas tiupan Sangkakala Kedua.

Di dalam Surah Bayyinah sebelum ini, ada disebut dua jenis manusia: شَرُّ البَرِيَّةِ dan خَيرُ البَرِيَّةِ. Di dalam surah ini akan disebut bagaimana cara mereka akan dibahagikan.

Puak yang tidak dapat menerima adanya Hari Kiamat itu, kalau disenaraikan, ada 3 perkara yang menyebabkan mereka tidak dapat terima. Keraguan-keraguan itu adalah:

1 – Mereka hairan, bagaimanakah dunia ini boleh hancur dan berakhir setelah ianya wujud sekian lama? Dunia ini nampak hebat dan kukuh sahaja, bagaimana boleh hancur?

2 – Bagaimana mungkin segala apa yang kita lakukan di dunia ini akan dapat ditulis dan direkodkan dengan terperinci sekali? Bagaimana mungkin terjadi begitu?

3 – Kalau pun pengadilan akan dijalankan, dan segala perbuatan kita akan disenaraikan, tentu akan ada pemberi syafaat (Nabi, wali atau malaikat) yang akan tolong beri syafaat kepada mereka. Dan mereka itu dapat beri syafaat kerana mereka itu rapat dengan Allah.

Inilah fahaman puak syirik di dunia ini; mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja dan nanti mereka akan berlindung di sebalik seseorang yang rapat dengan Allah untuk menyelamatkan mereka dari kemurkaan Allah. Untuk mendapatkan pertolongan/syafaat ini, mereka akan memuja-muja pemberi syafaat itu.

Sangkaan mereka begini: katakanlah di pejabat, ada majikan. Dalam masa yang sama, majikan itu ada anak saudaranya yang dia sayang yang bekerja sekali di pejabat itu. Orang yang tak buat kerja akan layan dan tatang anak saudara itu, kerana pada mereka, kalau mereka dimarahi, anak saudara itu akan beri perlindungan (syafaat) kepada mereka. Oleh itu, mereka akan puji anak saudara itu, berkawan rapat dengan dia, ikut cakap dia dan sebagainya.

Inilah salah faham yang amat ketara di kalangan orang kafir, termasuk orang Islam yang tidak ada pegangan agama yang benar. Mereka sangka kedudukan rapat seseorang dengan Allah akan memberi kelebihan kepada mereka. Oleh kerana itu, ramai dari kalangan orang jahil dari kalangan masyarakat Islam kita yang ada upah orang untuk berdoa bagi pihak mereka. Kerana mereka sangka doa orang itu lebih mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah kalau dibandingkan dengan mereka yang ada banyak dosa.

Maka ramailah tok imam, guru agama (yang juga jahil agama) yang menjalankan kerja doa untuk orang lain ini. Sebenarnya ini sama sahaja dengan penganut Kristian yang meminta paderi mereka untuk mengampunkan dosa mereka dan orang Hindu yang meminta sami mereka mendoakan untuk mereka. Takkan agama Islam sama dengan agama yang kafir pula, bukan?

Oleh kerana salah faham tentang perkara ini, maka ramailah yang melakukan syirik kerana mereka akan puja, sembah dan beribadat kepada individu yang disangka boleh memberi syafaat kepada mereka. Mereka itu jahil kerana mereka tidak tahu bahawa Allah boleh sahaja mengampunkan dosa manusia asalkan bukan dosa syirik (kerana dosa syirik tidak ada ampunnya kecuali kalau pelakunya bertaubat sebelum meninggal).

Jadi, ada tiga kekeliruan di kalangan manusia tentang Hari Kiamat dan surah ini akan menjelaskan dan menghancurkan ketiga-tiga salah faham itu. Walaupun surah ini pendek sahaja, tapi ada banyak pengajaran di dalamnya, dan kita akan cuba untuk mentafsir surah ini supaya memberi kefahaman kepada kita semua, in sha Allah.

Surah Zalzalah ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia


 

Ayah 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menceritakan bagaimana manusia takut tidak keruan semasa Kiamat. Ayat pertama dari surah ini memberitahu kita bagaimana keadaan dunia ini apabila Hari Kiamat tiba. Ini hendak menakutkan kita supaya kita beringat.

إِذا زُلزِلَتِ الأَرضُ زِلزالَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Az-Zalzalah: The Earthquake.

When the earth is shaken with its [final] earthquake

(MALAY)

Apabila bumi digoncangkan dengan segoncang-goncangnya,

 

Kita boleh lihat bagaimana kalimah زلزل – Zalzala diulangi sebanyak dua kali dalam ayat ini. Katadasar diambil dari ز ل ز ل yang bermaksud bergerak, gempa. Selalu katadasar Bahasa Arab adalah tiga huruf tapi kali ini kita berjumpa dengan katadasar yang ada empat huruf.

Zal-la (زلل) dalam bahasa Arab bermaksud ‘tergelincir’. Sebagai contoh, seseorang yang berjalan dan tiba-tiba tergelincir. Dan apabila kalimah زلل diulang, ia menjadi زلزل, jadi ia bermaksud ‘berkali-kali tergelincir’. Memang kalimah Zalzala bermaksud gempa bumi tapi dari segi bahasa, ia bermaksud terjatuh dan tergelincir kerana tidak stabil.

Oleh itu, apabila Allah berfirman: إِذا زُلزِلَتِ الأَرضُ, ia bermaksud yang bumi waktu itu sedang bergegar dengan kuat sekali, menjadi tidak stabil untuk manusia dan apa-apa sahaja yang di atasnya. Ini akan terjadi pada Hari Kiamat nanti. Waktu itu sudah tak boleh nak berdiri dengan betul lagi kerana bumi bergegar dengan kuat sangat.

Allah juga telah berfirman di dalam Hajj:1

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).

Dan kesannya kepada mereka dalam ayat seterusnya:

وَتَرَى النّاسَ سُكارىٰ وَما هُم بِسُكارىٰ

dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk sama sekali.

Mereka jadi begitu kerana goncangan yang amat kuat, sampaikan mereka tidak dapat berdiri stabil dan mereka akan jadi bergoyang-goyang seperti dalam keadaan mabuk tapi mereka tidak mabuk sebenarnya. Fikiran manusia waktu itu akan jadi bercelaru sangat.

Permulaan Surah Zalzalah ini menceritakan tentang permulaan kepada pengakhiran dunia ini. Di penghujung Surah Bayyinah sebelum ini, telah disebut tentang destinasi akhir manusia, ada yang masuk neraka dan ada yang masuk syurga. Tapi itu adalah destinasi akhir, dan perjalanan itu dimulakan dengan Hari Kiamat yang disebut dalam surah ini.

Apabila Allah gunakan kalimah إِذا (apabila) dalam Al-Qur’an, ianya untuk mengingatkan manusia tentang sesuatu yang pasti akan berlaku tanpa syak lagi, tapi manusia selalu lupa tentang perkara itu. Kalau sesuatu perkara berlaku di masa lampau, kalimah (إِذ) digunakan, sedangkan kalimah (إِذا) digunakan untuk perkara di masa hadapan. Apabila Allah menggunakan kalimah إِذا, ia hendak menegaskan yang ianya pasti akan berlaku kerana ia bermaksud ‘apabila’.

Sebagai contoh, kadang-kadang kita kata kepada seseorang: “kalau aku telefon kau minggu depan, kau dengar cakap aku nanti…”. Ayat ini bermaksud kebarangkalian sahaja. Tapi kalau kita kata begini: “apabila aku telefon kau minggu depan, kau dengar cakap aku nanti..”, ini sudah memberi isyarat kepastian, bukan? Begitulah yang digunakan dalam ayat ini. Goncangan bumi yang hebat itu pasti akan berlaku.

Dari segi bahasa, kalimah زُلزِلَتِ adalah dalam bentuk pasif (mabni ala majhool), iaitu tidak diberitahu siapa yang menggoncang bumi tapi ianya memang pasti digoncang. Cuma tidak diberitahu siapakah yang menggoncang. Tentulah sudah pasti Allahlah yang menggoncang bumi itu, tapi Allah tidak sebut dalam ayat ini. Apabila sesuatu itu digunakan dalam bentuk pasif, salah satu indikasi yang kita dapat ambil adalah, perkara itu mudah sahaja untuk dilakukan.

Sebagai contoh, kalau sesuatu permintaan diberikan, dan orang yang diminta itu jawab: “jangan takut, ia pasti siap”, ia memberi isyarat yang ianya senang sahaja dan tidak perlu diberi maklumat tambahan pun lagi.

Kalau kita jawab: “saya akan lakukannya”, ia memberi isyarat yang perbuatan itu memerlukan usaha juga. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah زُلزِلَتِ dalam bentuk pasif dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang senang sahaja bagi Allah untuk menggoncang bumi ini nanti.

Dari segi bahasa juga, kalimah زُلزِلَتِ bermaksud gegaran yang kuat, berterusan dan berulang-ulang. Ini adalah kerana tambahan pada kalimah زِلزالَها (goncangannya) dalam ayat ini. Ia adalah tambahan sebagai penguat yang dinamakan maf’ul mutlaq.  Sebagai contoh, kalimah ضرب bermaksud ‘pukul’, tapi apabila ada tambahan ضرباً, ia bermaksud ‘pukul dengan pukulan’, bermaksud pukul dengan kuat dan berulang-ulang. Ini dinamakan maf’ul mutlaq, iaitu mengulang perkataan untuk memberi isyarat kepada pengulangan dan perkara yang dilakukan itu adalah berat, betul-betul buat.

Oleh itu, ini bermaksud gempa bumi atau goncangan bumi yang hebat sekali dan ianya lebih dari gempa bumi yang pernah terjadi di bumi ini. Kerana bumi kita pun selalu juga ada gempa bumi, tapi tidaklah sama dengan gempa bumi yang disebut dalam ayat ini.

Oleh itu, bayangkan betapa teruknya keadaan pada Hari Kiamat itu; kalau gempa bumi yang biasa terjadi pun kita sudah rasa teruk, banyak orang mati dan infrastruktur banyak rosak, tapi Allah tambah dengan mengatakan yang ianya amat teruk sekali.

Akan tetapi, kalau maf’ul mutlaq, kalimah زلزالاً (zilzaalan), sudah cukup. Tapi kenapa Allah gunakan kalimah زِلزالَها (gegaran-nya)? Kenapa ada tambah dhomir ‘nya’ dalam kalimah itu? Penambahan dhomir ‘ha’ (هَا) di hujung kalimah زِلزالَها merujuk kepada bumi – bumi yang tempat kita tinggal dan rasa senang duduk di atasnya. Dan penambahan ‘ha’ (هَا) ini memberikan maksud tambahan kepada ayat ini.

Ianya bermaksud gegaran ini khusus untuk bumi ini sahaja, dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Tidak terbayang oleh manusia mana-mana pun yang bumi akan terjadi sebegini. Tidak pernah terjadi begini dalam sejarah dan tidak akan terjadi lagi.

Dan ia juga bermaksud, gegaran itu terjadi kepada seluruh bumi, bukan sesetengah tempat sahaja. Kerana kalau gempa bumi yang selalu terjadi sekarang, ia hanya dirasai di tempat-tempat tertentu sahaja, bukan? Tempat yang lain tak rasa pun. Tapi apabila gegaran yang disebutkan dalam ayat ini, kejadian ini akan terkesan kepada seluruh bumi.

Dhomir ‘ha’ (هَا) juga boleh bermaksud ‘janji’ bumi. Iaitu janji bumi yang telah diberikan kepada Allah pada permulaan kejadiannya. Iaitu ia akan menjalankan tugasnya apabila telah sampai waktunya. Iaitu waktu akhir kehidupan di dunia. Iaitu apabila sampai masa, bumi akan bergegar dengan gegaran yang amat kuat.

Inilah tugas terakhir bumi yang kena dijalankannya, untuk persediaan kepada Hari Kiamat. Ia cuma menunggu masa sahaja untuk menjalankan tugas terakhirnya ini. Apabila Allah beri isyarat sahaja, ia akan terus menjalankannya. Memang bumi telah ditakdirkan akan berlaku begitu. Sebagaimana perjalanan akhir kita akan sampai ke destinasi, begitulah perjalanan akhir bagi bumi.

Bagaimanakah gegaran itu? Ia akan bergegar, kemudian berhenti dan bergegar balik, berulang-ulang kali. Ini adalah sama macam kalimah وَسواسِ yang sama dengan format kalimah زلزل (ada pengulangan huruf). Kalau dalam kalimah وَسواسِ itu, ia bermaksud syaitan akan ganggu dan bisik pada manusia dan kemudian ia akan pergi, kemudian ia akan datang balik. Maka gegaran yang akan terjadi itu akan ada gegaran kuat, berhenti dan kemudian gegaran kuat balik.

Kalimat pengulangan ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an, seperti dalam Waqi’ah:4

إِذا رُجَّتِ الأَرضُ رَجًّا

apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya,

dan juga dalam Naazi’aat: 6

يَومَ تَرجُفُ الرّاجِفَةُ

pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam,


 

Ayat 2: Apa lagi yang akan dilakukan oleh bumi?

وَأَخرَجَتِ الأَرضُ أَثقالَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth discharges its burdens

(MALAY)

dan bumi mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya,

Kalimah أَخرَجَ = mengeluarkan sesuatu. Juga digunakan digunakan dalam Al-Qur’an untuk bermaksud membuang seseorang dari sesuatu tempat, sebagai contoh, buang dari daerah atau negeri.

Kalimah أَثقالَها = beban-bebannya. Kalimah ini akan diulang lagi dalam ayat ini dalam bentuk yang lain pula nanti (ayat 7). Ianya dari katadasar yang sama, tapi dalam wazan yang berbeza. Katadasar yang dimaksudkan adalah ث ق ل yang bermaksud sesuatu yang berada di dalam sesuatu – menjadikan bekas itu berat.

Sebagai contoh, ia boleh bermaksud katil, perkakas, kerusi, meja, dan segala apa yang ada dalam rumah. Segala perkara itu menjadikan rumah berat. Kerana itu, kalimah ثَقِيل bermaksud ‘berat’. Dalam kata lain, rumah itu menanggung segala perkara-perkara yang ada di dalamnya. Segala perkara yang ada di dalam rumah itu adalah ثِقِل.

Lagi satu makna yang kita boleh ambil dari makna ثِقِل ini: apabila kita bermusafir, kita ada bawa baju, beg dan segala macam benda lagi bukan? Segala benda yang kita bawa itu adalah ثِقِل. Kerana ianya juga adalah beban. Dan apabila kita sampai sahaja ke destinasi kita, kita akan letakkan ke bawah dengan lega, bukan?

Begitulah juga dengan bumi ini, sekarang ia sedang menanggung kita di atasnya sebagai beban. Dan nanti apabila sudah sampai masanya yang ditentukan oleh Allah, Allah akan beri isyarat dan bumi akan melepaskan kita semua sebagaimana seorang musafir melepaskan barang yang dibawanya dalam perjalanan.

Bumi juga akan jadi lega kerana ia sedang menunggu-nunggu sahaja bilakah ia boleh melepaskan kita semua. Ini sama seperti ayat Inshiqaq:4 yang kita telah belajar sebelum ini:

وَأَلقَت ما فيها وَتَخَلَّت

dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong

Jadi, pada kejadian Hari Kiamat nanti, kita semua akan dikeluarkan, termasuk dengan segala makhluk atas bumi, termasuk emas, perak, minyak, permata berlian dan sebagainya, semua akan dikeluarkan oleh bumi. Waktu itu manusia akan nampak semua itu, tapi kerana keadaan waktu itu yang amat mengejutkan, segala perkara yang dikejar-kejar oleh manusia semasa mereka hidup dulu, tidak dikisahkan langsung. Segala emas permata akan terkeluar sekali, minyak merata-rata, tapi waktu itu manusia sudah tak kisah dengan semua itu.

Semasa hidup di dunia sahaja manusia korek bumi untuk cari semua itu, tapi sekarang bila semua sudah keluar, tidak ada siapa yang hairan dan kisah pun dengan segala benda itu. Waktu itu baru mereka sedar tentang tidak ada nilainya segala benda yang kejar-kejarkan itu semasa di dunia.

قَالَ مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنَا وَاصِلُ بْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيل، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيرة قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تَقيء الْأَرْضُ أَفْلَاذَ كَبِدِهَا أَمْثَالَ الْأُسْطُوَانِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، فَيَجِيءُ الْقَاتِلُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قَتَلْتُ، وَيَجِيءُ الْقَاطِعُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قَطَعتُ رَحِمِي، وَيَجِيءُ السَّارِقُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قُطِعت يَدِي، ثُمَّ يَدَعُونه فَلَا يَأْخُذُونَ مِنْهُ شَيْئًا”

Imam Muslim di dalam kitab sahihnya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Wasil ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, dari ayahnya, dari Abu Hazim, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Bumi mengeluarkan semua isi perutnya seperti piring-piring emas dan perak. Maka datanglah pembunuh, lalu dia mengatakan, “Kerana inilah aku membunuh.” Dan datanglah orang yang memutuskan persaudaraan, lalu dia berkata, “Kerana inilah aku memutuskan hubungan persaudaraan.” Dan datanglah pencuri, lalu berkata, “Kerana inilah tanganku terpotong.” Kemudian mereka membiarkannya dan tidak mengambil sesuatu pun darinya.

Satu lagi pendapat lain pula, mengatakan bahawa أَثقالَ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah laporan dari bumi; bumi ini adalah seperti pengambil rekod tentang apa sahaja yang kita sedang lakukan di dunia ini sekarang. Dan apabila sampai masanya, bumi akan mengeluarkan laporan satu persatu apa yang manusia sudah buat.

Oleh itu, dari pemahaman pendapat ini, bumi adalah salah satu dari pencatat perbuatan manusia; kerana kita sudah tahu tentang pencatat perbuatan kita, iaitu para malaikat yang sentiasa bersama dengan kita. Selain dari itu, kita pun sudah tahu dari ayat-ayat yang lain, tubuh badan kita juga merekod apa yang kita lakukan dan tubuh badan kita akan menjadi saksi atas kita nanti.

Kali ini kita dapat satu lagi maklumat, bumi juga mencatat dan merekod segala perbuatan kita di semua tempat di dunia ini, sama ada secara umum atau secara peribadi tanpa dilihat oleh manusia lain. Sudah berapa lama bumi ini hidup dan merekod segala perbuatan manusia, baik dan buruk, sampaikan ia penuh dan sendat. Dan apabila sudah penuh, ia akan gembira dan lega untuk melepaskan segala maklumat itu.

Ada satu lagi pendapat, kalimah أَثقالَ yang dimaksudkan adalah merujuk khusus kepada manusia dan jin sebagaimana yang disebut dalam dalam Rahman:31

سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ

Kami akan memperhatikan sepenuhnya kepadamu hai manusia dan jin

Kita telah belajar bahawa ثقل bermaksud ‘beban’, jadi dua beban (الثَّقَلانِ) yang dimaksudkan dalam ayat Rahman:31 ini adalah manusia dan jin kerana Surah ar-Rahman memang banyak merujuk kepada dua jenis makhluk ini. Oleh itu, kitalah beban sebenar di atas bumi ini, bukan gunung dan benda lain. Oleh itu, mengikut pendapat ini, ayat ini mengatakan manusia dan jin yang akan dilepaskan dan dikeluarkan dari bumi itu.

Di dalam pengenalan surah ini, kita telah sebut bagaimana ada 3 keraguan yang ada dalam hati mereka yang tidak dapat menerima agama ini. Yang pertama adalah: bagaimana bumi dan dunia yang telah lama ada ini akan dihancurkan, sedangkan ia nampak kukuh.

Jadi Allah beritahu dalam dua ayat pertama ini yang bumi akan dihancurkan dengan gegaran yang amat kuat. Ia tidak mustahil sama sekali dan mudah sahaja untuk Allah lakukan. Manusia mana-mana pun tahu bagaimana gegaran atau gempa bumi, maka mereka dapat bayangkan sedikit sebanyak apa yang akan terjadi. Jadi, keraguan 1 sudah dijawab.

Keraguan 2: bagaimana mungkin segala perbuatan kita sepanjang kita hidup di dunia ini akan direkod? Mampukah Tuhan buat macam itu? Ini juga dijawab dalam ayat ini.

Pertamanya, dalam ayat-ayat yang lain juga, telah disebut bagaimana segala perbuatan kita akan direkod oleh malaikat dan juga oleh tubuh kita sendiri seperti yang disebut dalam Fussilat:20

حَتّىٰ إِذا ما جاءوها شَهِدَ عَلَيهِم سَمعُهُم وَأَبصارُهُم وَجُلودُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan.

Dan dalam Surah Zalzalah ini juga, kita dapat tahu bagaimana bumi ini juga akan merekod segala perbuatan kita. Bumi ini juga akan menjadi saksi. Oleh itu, berhati-hatilah dengan segala perbuatan kita. Sedarlah wahai manusia yang bumi ini sedang menyaksikan segala keburukan yang kita sedang lakukan sekarang dan ia akan menyenaraikannya satu persatu nanti. Tidak malukah kita apabila segala perbuatan kita akan disebut satu persatu?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Oktober 2010


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Bayyinah Ayat 4 – 5 (Takut kepada Allah)

Ayat 4: Dalam ayat sebelum telah diberitahu bagaimana Musyrikin Mekah dan Ahli Kitab tidak akan meninggalkan fahaman agama mereka yang salah, sehinggalah sampai kepada mereka bukti yang nyata dalam bentuk Al-Qur’an dan Rasulullah. Akan tetapi setelah sampai juga bayyinah itu, masih ada juga yang tidak terima.

Ayat 4 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu yang pembuktian ini menyebabkan ada yang beriman ada yang ingkar. Ini adalah kerana ada yang degil dan menolak kebenaran yang telah nyata itu. Memang kedegilan tidak ada batasan.

وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعدِ مَا جَآءَتہُمُ ٱلبَيِّنَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor did those who were given the Scripture become divided¹ until after there had come to them clear evidence.

  • Into sects and denominations.

(MALAY)

Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

 

Kalau diperhatikan, hanya Ahli Kitab sahaja yang disebut dalam ayat ini, sedangkan dalam Ayat 1 sebelum ini, golongan Musyrikin pun disebut juga. Tapi kenapa hanya disebut Ahli Kitab sahaja dalam ayat ini? Tentu ada sebabnya dan kita akan cuba untuk menjelaskan.

Jadi ayat ini khusus memperkatakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Kitab berkenaan bayyinah itu. Kita kena ingat kembali bahawa mereka itu telah ada kitab sebelum Al-Qur’an sampai pun. Mereka telah berpecah jauh dari ajaran kitab dan Rasul mereka setelah Rasul mereka tiada.

Maka, sepatutnya apabila datang Nabi Akhir Zaman (Nabi Muhammad), sepatutnya Nabi itu menjadi Rasul mereka dan mendekatkan kembali mereka kepada kebenaran. Mereka itu waktu itu telah berpecah kerana perbezaan pendapat antara mereka dalam agama. Sepatutnya dengan datangnya Nabi Muhammad membawakan wahyu Al-Qur’an, sepatutnya itu adalah peluang untuk mereka kembali bersatu.

Tapi apa yang mereka buat? Mereka berpecah setelah Rasulullah sampai kepada mereka. Mereka tidak terima baginda hanya kerana degil sahaja. Dalam ramai-ramai antara mereka, sedikit sahaja yang beriman. Kebanyakan dari mereka tidak menerima ajaran tauhid yang benar itu.

Jadi, ayat 4 ini tidak sama seperti dalam ayat 1; ayat 1 sebelum ini tentang mereka yang enggan berpindah dari kegelapan dan pergi ke cahaya iman. Tetapi dalam ayat ini, ia menyentuh mereka yang sepatutnya telah berada dalam kecerahan agama kerana mereka itu Ahli Kitab dan Ahli Kitab sudah ada kitab panduan. Sepatutnya mereka terima cahaya kebenaran itu, tapi mereka pergi kepada kegelapan pula dengan menolak Rasul Akhir Zaman.

Oleh itu, ada perbezaan ayat ini dengan ayat 1 sebelum ini. Ayat 1 itu adalah sifat-sifat orang kafir termasuk Ahli Kitab dan Musyrikin yang sedang berada dalam kegelapan syirik. Ayat ini pula tentang Ahli Kitab yang sepatutnya sudah ada ilmu wahyu, tapi mereka tetap juga tidak mahu beriman.

Ada perbincangan balaghah sedikit dalam ayat ini. Kalau kita perasan, kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah  أُوتُوا الْكِتَابَ – (yang telah diberikan dengan kitab wahyu). Ianya dalam bentuk mabni alal majhul (bentuk pasif, kerana tidak diberitahu siapakah yang telah memberi Kitab kepada mereka). Kalimat ini selalu kita baca dalam Al-Qur’an.

Ia merujuk kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara) kerana mereka telah diberikan dengan Kitab Wahyu (Taurat dan Injil). Akan tetapi, ada lagi kalimat yang lebih kurang sama juga digunakan untuk merujuk kepada mereka – آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ (mereka yang telah Kami telah berikan Kitab). Ini juga merujuk kepada Ahli Kitab. Tapi kenapa penggunaan yang berbeza?

Dari segi balaghah, apabila Allah gunakan kalimat أُوتُوا الْكِتَابَ, ia selalunya bermakna mereka sedang disebut dalam konteks yang negatif – ada perkara yang tidak baik yang mereka lakukan dan Allah sedang murka dengan mereka, seperti yang digunakan dalam ayat ini. Allah memberi isyarat kemurkaan kepada mereka, sampaikan Allah tidak beritahu yang Dialah yang memberikan Kitab Wahyu kepada mereka, walaupun pada hakikatnya, memang Allahlah yang memberikan kepada mereka. Tapi Allah tidak mahu dikaitkan dengan mereka.

Dan apabila Allah menggunakan kalimat آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ, selalunya ia digunakan dalam bentuk positif, ada perbuatan mereka yang baik dan ada perkara baik yang akan disebut tentang mereka. Oleh kerana dalam konteks positif, maka Allah mengingatkan yang Dialah yang memberikan Kitab kepada mereka. Allah meletakkan NamaNya kalau dalam bentuk positif dan menjauhkan DiriNya kalau ianya dalam bentuk negatif.

Ini adalah salah satu dari ketepatan penggunaan istilah dan bahasa dalam Al-Qur’an, menunjukkan kehebatan Al-Qur’an itu. Tidak mungkin ianya dari Nabi Muhammad, seorang manusia. Tentu ianya dari Allah, Tuhan sekalian alam.

Kembali kepada ayat ini, Allah menegur perbuatan salah mereka yang berpecah belah ke dalam perbezaan antara mereka. Mereka sepatutnya sudah berada dalam cahaya keimanan tapi mereka telah masuk ke dalam kegelapan dosa. Sepatutnya wahyu menyatukan mereka, tapi apabila mereka tolak, mereka telah masuk ke dalam kegelapan. Dan ini amat bahaya.

Ianya sebagai pengajaran buat kita, setelah kita menerima wahyu Al-Qur’an ini, maka kenalah kita berpegang dengannya dan jangan berpecah belah. Malangnya, itulah yang terjadi dalam kalangan kita kerana kejahilan tentang wahyu. Allah tentang beri peringatan tentang bahaya ini dalam Baqarah:213

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.

Malangnya, inilah keadaan sekarang dalam masyarakat kita. Manusia berilmu agama telah mempergunakan agama itu untuk kepentingan mereka. Kerana mereka tahu bahawa ianya ada kuasa dalam masyarakat, boleh memberi kedudukan kepada mereka, boleh buat duit dan harta, dapat penghormatan dari orang kebanyakan dan macam-macam lagi. Mereka orang-orang yang ada ilmu agama, tapi mereka telah mengambil kesempatan atas ilmu mereka itu.

Oleh itu, ketahuilah bahawa kalau ada ilmu agama, tidak semestinya selamat lagi. Kalau orang biasa buat kesalahan begitu pun kita akan marah, tapi kalau orang agama sendiri yang buat begitu, ianya amat huduh sekali. Kerana mahukan kedudukan itulah yang menyebabkan kedengkian sesama ahli agama. Kalau ada orang yang beri pendapat yang lain sikit dari mereka, mereka akan menentang atau memperlekeh orang itu. Kerana mereka tidak mahu merendahkan diri mereka, mereka akan rendahkan orang lain.

Jangan kita sangka ini tidak berlaku kerana orang itu bawa perawakan ‘agama’, nama ustaz ataupun ulama’, tuan syeikh itu dan ini. Kerana ada kemungkinan, mereka kalau kita lihat dari segi luaran nampak baik, tapi kita tidak tahu apa yang dalam hati mereka. Sebab itu bila ada orang yang nampak lagi pandai dari mereka, mereka mula marah dan mereka akan cari kesalahan dan burukkan orang itu.

Mereka sanggup buat begitu kerana mereka nampak orang lain sebagai saingan mereka maka mereka hendak jatuhkan orang. Amat buruk dan hina sekali perbuatan mereka itu. Inilah masalah dan dugaan bagi orang orang berilmu.

Ini sama sahaja dengan perbuatan Rabai Yahudi semasa zaman Nabi Isa a.s. Mereka rasa terancam dengan kedatangan Nabi Isa yang tentulah lebih pandai dari mereka. Mereka sudah nampak yang pengaruh mereka akan hilang, tambahan pula mereka selama ini telah menyalahgunakan agama untuk meninggikan kedudukan mereka.

Sebelum itu mereka yang di kedudukan tinggi dan mereka tidak dapat terima apabila Nabi Isa a.s. memperbetulkan kesalahan mereka, maka mereka burukkan baginda. Nabi Isa a.s. telah zahirkan apakah salah mereka. Baginda beritahu yang apa yang diajar oleh Rabai-rabai itu bukanlah ajaran dari Kitab Taurat.

Maka mereka telah buat perancangan untuk bunuh baginda untuk tutup mulut baginda. Ini semua kerana mereka nak jaga ego dan status mereka sahaja. Tembelang mereka telah pecah maka mereka rasa mereka kena selamatkan diri mereka.

Oleh itu, ayat ini tentang mereka yang ada ilmu agama. Kerana itulah yang disebut dalam ayat ini adalah ‘mereka yang telah diberikan Kitab’, kerana mereka adalah orang yang sepatutnya ada ilmu pengetahuan agama. Mereka sudah ada kitab wahyu tapi mereka tidak mengikuti ajaran di dalamnya, dan ini adalah lebih teruk lagi dari golongan Musyrikin yang tidak ada ilmu langsung.

Malangnya, elemen ini sudah lama ada dalam agama Islam pun. Ramai dari kalangan orang agama yang kerja mereka asyik nak menyalahkan orang lain sahaja. Mereka bukannya nak cari kebenaran, tapi nak busukkan nama orang lain sahaja. Allah tahu apa yang ada dalam hati mereka, dan perkara ini disebut dalam banyak ayat termasuk dalam Shura:14

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم

Dan mereka (ahli kitab) tidak berpecah belah, kecuali setelah datang pada mereka ilmu pengetahuan, kerana kedengkian di antara mereka.

Allah beritahu yang perpecahan yang berlaku itu adalah kerana mereka dengki sesama sendiri. Kedengkian itu telah terus menyesatkan mereka, kerana mereka tidak ikhlas dalam mengamalkan agama – ada benda yang mereka mahu capai dalam mengekalkan kedudukan mereka itu. Semoga kita yang sudah ada sedikit sebanyak ilmu ini tidak jadi begitu. Semoga Allah selamatkan hati kita dari terjerumus ke lembah kehinaan itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu bagaimana Ahli Kitab itu telah berpecah belah setelah mereka dapat wahyu sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan melalui berbagai jalur:

“أَنَّ الْيَهُودَ اخْتَلَفُوا عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَأَنَّ النَّصَارَى اخْتَلَفُوا عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَسَتَفْتَرِقُ هَذِهِ الْأُمَّةُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً”. قَالُوا: مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي”

Sesungguhnya orang-orang Yahudi berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan, dan orang-orang Nasrani berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan umat ini akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu golongan. Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang satu golongan yang selamat itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. bersabda: Iaitu golongan yang mengikuti apa yang dikerjakan olehku dan para sahabatku.

Jadi ayat ini memberitahu kita, Ahli Kitab itu jatuh selepas ilmu sampai kepada mereka. Bukannya mereka tidak ada ilmu. Mereka jadi begitu kerana motif mereka bukan untuk mendapatkan ilmu untuk membaiki diri mereka, dan kerana mereka tidak ikhlas dalam hati mereka. Maka kita juga telah mendapat wahyu dari Allah juga dalam bentuk Al-Qur’an, adakah kita juga mahu jadi seperti mereka?

Tentu kita tidak mahu. Maka kita kena jaga ikhlas hati kita. Keikhlasan itu penting sekali, dan kerana itulah dalam ayat seterusnya Allah sebut tentang ikhlas.


 

Ayat 5: Ayat 5 adalah Perenggan Makro Ketiga. Dengan bukti yang nyata itu, sepatutnya manusia menerima aqidah tauhid dan agama yang benar.

Sebelum ini telah disebut tentang apa yang telah dilakukan oleh Ahli Kitab itu. Mereka telah berpecah belah kerana kedengkian yang ada dalam diri mereka, walaupun mereka ada ilmu agama. Tapi sebenarnya apa yang mereka disuruh? Allah beritahu dalam ayat ini yang dalam kitab mereka pun suruh mereka buat baik juga, sama seperti yang disuruh dalam Al-Qur’an.

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعبُدُواْ ٱللَّهَ مُخلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلقَيِّمَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were not commanded except to worship Allāh, [being] sincere to Him in religion, inclining to truth, and to establish prayer and to give zakāh. And that is the correct religion.

(MALAY)

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.

 

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعبُدُواْ ٱللَّهَ مُخلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, 

Yang pertama sekali, mereka disuruh untuk beribadat kepada Allah. Jangan sembah dan beribadat kepada selain dari Allah. Inilah tauhid yang ditekankan banyak sekali dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Ini sama seperti disebut dalam firmanNya dalam Al-Anbiya’: 25:

وَما أَرْسَلْنا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”

Dalam ayat ini kita diberitahu yang mereka disuruh untuk menjadi مُخلِصينَ – orang-orang yang ikhlas. Maknanya dalam kita beribadat, hendaklah dalam ikhlas. Keikhlasan adalah perkara yang penting dalam agama, kerana hanya dengan ikhlas sahaja dapat menyatukan manusia yang berbagai jenis. Ini yang perlu dicapai tapi  inilah masalah yang besar dalam masyarakat kita. Kerana tidak ikhlas dan kerana ada tujuan lain, itulah yang menyebabkan perpecahan dalam umat.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, bayyinah itu adalah terdiri dari Rasulullah dan juga wahyu dari Allah. Maknanya, perlu taat kepada arahan Rasul dan juga arahan Allah dalam wahyu. Kalau tidak ikhlas, akan susah untuk taat kepada arahan Rasulullah dalam Sunnah. Ini adalah kerana orang yang sombong susah untuk merendahkan diri mereka di hadapan Rasulullah kerana mereka kena turunkan ego mereka yang tinggi, dan mereka tidak mahu.

Sesetengah orang tidak boleh buat begitu. Kerana mereka rasa mereka lebih pandai lagi. Mereka ada masalah untuk taat kepada orang lain. Orang yang ikhlas sahaja yang boleh lakukan perkara ini dan kebanyakan manusia tidak boleh. Kerana itu ramai yang tidak suka ada orang di atas mereka, mereka memberontak secara luaran atau dalaman.

Kerana itulah ada orang yang tidak suka suka bos mereka, tidak suka polis, kerajaan, ulama’, ustaz dan ketua masyarakat mereka. Mereka ini jenis susah nak terima ada orang yang di atas mereka yang memberi arahan kepada mereka. Jangan kita jadi begitu. Kena rendahkan diri kita kerana kita kena ingat, kita bukannya bagus sangat.

Jadi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang menolak apa yang disampaikan oleh Rasulullah walaupun mereka mengaku yang mereka ikut wahyu. Kita pun selalu dengar tentang golongan Anti-Hadis, bukan? Mereka ini bukanlah orang yang ikut bayyinah, kerana bayyinah itu adalah Rasul dan wahyu. Kalau golongan Anti-Hadis itu, mereka telah menolak salah satu dari elemen bayyinah itu.

Mereka ini orang yang amat teruk sekali kerana bila tolak hadis, senanglah mereka nak rosakkan wahyu, dan mereka pandai reka maksud wahyu. Kerana itulah bila kita lihat tafsiran ayat Al-Qur’an oleh pihak mereka, ianya amat mengarut sekali.

Ayat ini memberitahu kita apa yang kita perlu ada dalam hati kita dan amalan kita. Ianya adalah ubat untuk kesalahan yang ada dalam ayat 4 sebelum ini. Ayat ini adalah khulasah kepada keseluruhan agama. Apa yang disampaikan dalam ayat ini adalah jelas.

Pertama yang disebut adalah لِيَعْبُدُوا اللَّهَ(supaya mereka menyembah Allah), (beribadah kepada Allah). Tapi apakah maksudnya? Kita kena faham betul-betul. Apakah sebenarnya maksud ‘ibadah’?

Ibadah bermaksud perbuatan ibadah yang dilakukan oleh manusia dalam hal agama: sebagai contoh, sujud, rukuk dan sebagainya, iaitu perbuatan khusus dalam masa yang khusus. Rasanya semua boleh faham, tapi kita nak tengok dari segi bahasa pula untuk lebih memahaminya.

Dari segi bahasa – kalimah لِيَعْبُدُوا dari ع ب د yang bermaksud ‘hamba’. Lawan kepada عبد adalah ّرب (Tuan). Seperti tuan kepada seorang hamba. Dan dalam kes Allah, Allah adalah Tuhan/Tuan kepada semua hamba. Orang yang melakukan ibadah kepada Allah adalah seorang aabid. Tapi apakah perbezaan antara seorang hamba dan seorang yang melakukan ibadah?

– Status hamba adalah status sepanjang masa, sedangkan orang yang melakukan ibadah, hanya pada waktu tertentu dan sahaja. Jadi itu sahaja sudah tidak sama. Kita bukannya hanya disuruh melakukan ibadah sahaja, tapi kita disuruh untuk menjadi hamba kepada Allah.

Tapi masalahnya, ramai tak faham maksud ‘hamba’. Status seorang hamba adalah setiap masa, tidak tertakluk kepada masa tertentu sahaja. Kita tidak boleh jadi hamba sekejap dan kemudian tidak mahu jadi hamba pula.

Dalam perhambaan kita kepada Allah, Allah adalah Tuan yang sebenar tuan. Kerana Dia bukan seperti tuan yang lain kepada hamba mereka. Allah amat adil walaupun Dia memiliki segalanya. Dia penyabar dan kita memujiNya dan mengenali kehebatanNya. Kerana itu kita rela dan redha menjadi hamba Allah. Sedangkan kalau hamba kepada selain Allah, siapa yang sanggup? Siapa yang sengaja nak jadi hamba kepada orang lain? Tentu tidak ada, bukan? Tapi lain kalau perhambaan kepada Allah.

Kita sanggup dan rela menjadi hamba kepada Allah, tapi tidak kepada manusia lain. Oleh itu, beza Allah sebagai Tuan dan tuan lain, kita sayang kepada Allah dan tidak membenci Allah. Kerana itu kita puji Allah dalam ayat pertama Surah Fatihah berkali-kali setiap hari. Dan kerana kita redha kepada Allah, kita buat ibadat dengan rela.

Ibn Taymiyyah mengatakan ada lima ciri seorang hamba kepada Allah:

1- Kena ada cinta. Kalau ada cinta kepada selain Allah pun, cinta itu kena kurang dari cinta kepada Allah. Maknanya, cinta kita kepada Allah melebihi segalanya.

2- Ketaatan sebagai hamba. Tidak ada ketaatan kalau ketaatan itu bermaksud tidak taat kepada Allah. Dalam apa-apa perkara pun, kita tidak boleh tidak taat kepada Allah.

3- Keikhlasan. Kita kena jadikan semua yang dibuat adalah kerana untuk Allah. Tidak kira apa aspek dalam hidup kita, semuanya untuk Allah. Jadi, kita bukan taat kepada Allah pada waktu solat sahaja. Seluruh kehidupan kita, kita kena serahkan kepada Allah seperti firmanNya dalam Al-An’am:162.

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Maknanya, segala genap kehidupan kita, kita kena serahkan kepada Allah. Oleh itu dalam rangka kita lakukan segalanya dalam servis kepada Allah, kita kena pastikan apa-apa keputusan yang kita pun adalah untuk jadi hamba Allah. Kita kena fikirkan, “kalau aku buat macam ini, adakah Allah redha?”.

4- Kepercayaan sepenuhnya kepada Allah (tawakal). Kita kena yakin yang apa sahaja yang Allah buat dan beri kepada kita adalah untuk kebaikan kita, walaupun kadang-kadang kita tidak nampak kebaikan itu. Kerana itulah, kalau ada kesusahan pun, yakinlah yang ada kebaikan dalam perkara itu.

Sebagai seorang hamba, kita terima sahaja apa yang berlaku terhadap kita dan redha. Kerana kita percaya dan berharap kepada Allah, bukan kepada makhluk; kalau kita percaya dan berharap kepada makhluk, kita akan hampa kerana makhluk tetap akan menghampakan kita.

5- Kena terima peraturan ditetapkan oleh Allah. Dalam apa-apa perhubungan pun, kena ada peraturannya. Begitu juga dengan perhubungan kita dengan Allah – ada peraturannya, tapi peraturan itu ditetapkan oleh Allah. Kalau perhubungan lain, sebagai contoh perhubungan suami isteri, suami isteri boleh duduk berbincang dan buat peraturan masing-masing dan boleh berbincang tentangnya.

Tapi tidak dengan Allah – Allah sahaja yang layak buat peraturan itu. Dan kita tidak ada pilihan lain selain menerima peraturan itu dan kena taat dengan peraturan itu. Jangan kita reka sendiri peraturan itu dan sangka  yang kita hamba yang baik, sedangkan kita tidak tengok pun peraturan yang Allah telah letakkan.

Dalam perkara ini, banyak yang ada masalah salah faham. Mereka sendiri sahaja sangka mereka telah jadi hamba yang baik, tapi tak rujuk pun wahyu bagaimana menjadi hamba yang baik. Jadi, ada banyak perkara yang kita lihat dalam perhambaan kepada Allah.

Kalimat لَهُ الدّينَ adalah dalam bentuk muqaddam (diletakkan di awal dari yang sepatutnya) – memberi isyarat eksklusif – bahawa agama itu hanya untuk Allah sahaja dan hanya Allah (tidak kepada yang lain).  Maksudnya, kita ikut peraturan agama kerana Dia, bukan untuk orang lain, bukan kerana hendak mendapat kedudukan dalam masyarakat, bukan kerana hendak mendapat kuasa, atau lain-lain sebab. Segala apa yang kita lakukan adalah kerana hendak mendapatkan redhaNya.

Ini penting untuk kita jaga kerana ada manusia yang ambil peluang menjadi ahli agama untuk kepentingan diri mereka. Kalau begitu, tentunya mereka sudah tidak ikhlas. Dan kita kena tahu yang syaitan akan kacau hati kita supaya kita tidak jadi ikhlas. Syaitan akan bisikkan perkara-perkara yang buruk dalam hati kita sampaikan nanti ada yang akan berkelahi sesama sendiri. Itu kerana semua ego telah jadi tinggi dan hendak dipenuhkan. Waktu itu kita bukan kerja untuk Allah lagi, tapi atas sebab-sebab yang lain.

Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah banyak berjasa untuk agama, infak sana sini, mengajar sana sini, tulis sana dan sini tentang agama Islam. Tapi kadang-kadang ada orang yang puji, ada yang buat tidak kisah sahaja, malah ada kutuk pun ada. Kita kena tanya diri kita, kalau tiada orang yang menghargai kita, puji apa yang kita lakukan, adakah kita terasa hati? Adakah kita marah kalau orang lain buat tidak kisah sahaja dengan segala jasa kita itu? Adakah kita akan putus asa dan sudah tidak mahu tolong agama lagi?

Kalau kita ada rasa begitu, maka ketahuilah yang kita buat segala kerja dakwah dan membangunkan Islam dalam masyarakat itu bukanlah kerana Allah, tapi kerana hendak mendapat pujian dan sanjungan dari manusia. Maknanya kita mengharap balasan dari manusia, bukan dari Allah.

Kerana itu kita kena jaga niat kita dalam kerja-kerja kita dalam agama. Jangan langsung harapkan pujian atau sanjungan dari manusia. Dan ini adalah masalah yang dihadapi oleh mereka yang mengajar dan berdakwah. Kerana ada sahaja yang tidak menghargai dan mengutuk apa yang kita lakukan. Dan kalau jadi begitu, apa nak buat? Adakah kita nak berhenti dari meneruskan kerja agama kita itu?

Kalau kita senang terasa dengan kutukan manusia, bayangkanlah bagaimana Rasulullah sendiri dikutuk dan dikeji sekian lama oleh mereka yang tidak mahu menerima dakwah baginda.  Bagaimana pun anda teruk kena tuduh dan ditohmah, baginda lagi teruk kena. Sebagaimana kita sendiri tahu, pada peringkat awal dakwah baginda, lagi banyak baginda kena tolak dan kena keji dari mereka yang ikut baginda.

Tapi kita pun tahu yang baginda tidak berhenti dari berdakwah kerana baginda mahukan balasan dan redha dari Allah. Baginda tidak mengharap kedudukan dan pujian manusia. Bandingkan tindakan baginda dan tindakan Iblis – memang Iblis telah beribadat sekian lama, tapi dia mahukan kedudukan yang tinggi dalam agama. Dan apabila Allah muliakan Nabi Adam, menjadikan keturunan Nabi Adam sebagai khalifah di bumi, dia marah sangat.

Ini adalah kerana dia tidak ikhlas dalam ibadatnya. Ada benda yang dia hendak dari Allah. Maka kita kena kenali sifat ini dan jauhkan dari diri kita. Kena belajar ilmu Talbis Iblis supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penipuannya.

Tafsir kalimah حُنَفاءَ – kalimah ini adalah dalam bentuk adjektif – ianya adalah jamak bagi kalimah حنيف;  ianya dari katadasar ح ن ف; ia bermaksud menjauh dari dosa, menjauh dari kesalahan, menjadi seorang yang tegak dan tetap fokus pada jalan yang lurus itu (istiqamah). Perkataan حنيف banyak digunakan dalam Al-Qur’an dan Hadis.

Ianya dikaitkan dengan agama tauhid, kerana itu Nabi Ibrahim selalu disebut sebagai seorang yang حنيف. Yang menghairankan, Musyrikin Mekah pun mengaku mereka ikut agama yang حنيف juga, tapi Allah telah banyak bantah dalam ayat-ayat yang lain. Mereka itu perasan sahaja.

 

وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ

dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; 

Selepas itu, Allah terus menyenaraikan dua ibadat utama yang selalu diulang-ulang dalam Al-Qur’an: وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ (mendirikan solat dan mengeluarkan zakat). Dua ibadat ini selalu disebut sebagai contoh ibadah utama yang perlu dilakukan oleh manusia. Ianya sebagai merangkumi ibadah-ibadah yang lain. Maknanya bukanlah kena buat dua ibadat ini sahaja, ibadat yang lain pun kena buat juga. Tapi dua ibadat ini selalu disebut kerana:

Solah  – mewakili ibadah yang melibatkan perhubungan dengan Allah. Apabila kita melakukan ibadah ini, kita berkait dengan Allah.

Zakah – mewakili ibadah perhubungan dengan manusia yang lain. Ini adalah kerana kita disuruh untuk mengeluarkan zakat dan memberikannya kepada mereka yang memerlukannya. Bukan sahaja kita melakukannya sebagai ibadah ketaatan kepada Allah, tapi ia juga dapat merapatkan hubungan dengan manusia yang lain.

 

وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلقَيِّمَةِ

dan yang demikian itulah agama yang lurus.

Kedua-dua ibadat di atas kena dijaga dengan baik sekali. Dan selepas itu Allah sebut semua itu adalah وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (itulah agama yang tegak, yang lurus). Inilah agama yang benar yang perlu kita anuti dan amalkan. Kita selalu berdoa supaya kita ditempatkan di atas ‘jalan yang lurus’ dan sekarang Allah beritahu apakah jalan yang lurus itu.

Jadi, ayat ini adalah khulasah (summary) agama Islam ini. Ia bermula dengan ikhlas dalam hati dan mengerjakan suruhan dalam agama (iqamah). Kena mulakan dengan bersihkan  diri dari dalam dan yang di luar akan jadi baik juga.

Kedua-dua kena berjalan seiringan – janganlah nak mengaku hati itu bersih kalau amalan agama yang Allah arahkan untuk kita lakukan, tidak kita jalankan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 24 September 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir