Tafsir Surah al-Feel. Pengenalan kepada 10 surah terakhir

Pengenalan:

Kita sudah masuk ke dalam tafsir 10 surah-surah terakhir dalam Al-Qur’an. Adalah baik kalau kita memberikan penerangan ringkas tentang surah-surah ini kerana ianya adalah bersangkutan antara satu sama lain.

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, Surah Al-Humazah adalah surah terakhir yang memperkatakan tentang neraka dan 10 surah terakhir adalah tentang perkara lain pula. Ianya banyak berkaitan dengan Rasulullah dan surah-surah ini kena diketahui asbabun nuzulnya untuk memahami ayat-ayatnya. Ini adalah kerana surah-surah ini ada kaitan sejarah yang berkaitan rapat dengan Nabi Muhammad.

Dalam kita memberi nasihat kepada manusia, kadang-kadang kalau kita hanya nasihat sahaja dengan cara umum, tanpa menyebut nama mereka, mereka mungkin rasa yang kita bukan memperkatakan tentang mereka. Mereka akan rasa mereka tidak perlu mengubah diri mereka. Begitu jugalah dengan golongan Quraish yang menerima Al-Qur’an ini pertama-tama kali.

Banyak ayat-ayat telah diberikan kepada mereka, tapi mereka tidak terasa bahawa ayat-ayat itu ditujukan kepada mereka. Maka dalam surah-surah selepas ini, banyak ayat-ayat itu berkenaan dengan mereka sendiri, tepat berkenaan kisah mereka dan perangai mereka. Mereka tidak sedar bahawa ancaman-ancaman yang diberikan sebelum ini tentang neraka dan sebagainya adalah tentang mereka kerana perangai mereka begitu.

Kerana itu mereka menentang dakwah wahyu bertalu-talu. Kita pula sebagai umat yang terkemudian, kenalah lihat sama ada kita sama perangai dengan mereka atau tidak. Kerana kalau sama, maka kita pun akan mengalami nasib yang sama dengan mereka.

Surah al-Humazah adalah surah yang terakhir yang memperkatakan tentang neraka. Dan banyak lagi surah-surah lain yang Allah berikan sebagai ancaman di akhirat (Takhwif Ukhrawi). Kadang-kadang manusia nampak akhirat itu jauh sahaja, atau mereka tidak benar-benar percaya adanya hari akhirat itu – sebagaimana Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula.

Maka dalam surah-surah selepas ini, ada Allah sebut tentang azab di dunia, dimulai dengan Surah al-Feel tentang azab yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah.

Peristiwa bersejarah itu berlaku di Mekah yang asalnya dikenali sebagai Bakkah. Pengasas Kota Mekah ini adalah Nabi Ibrahim a.s. Baginda telah berdoa kepada Allah dan kerana doa baginda itulah, Allah telah menjadikan Kota Mekah itu. Doa baginda itu disebut dalam Surah Baqarah dan Surah Ibrahim. Kita kena tahu doa Nabi Ibrahim itu untuk faham apakah yang terjadi dalam 10 surah ini.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. [Baqarah:126]

Lihatlah dalam doa Nabi Ibrahim a.s. itu. Baginda meminta:

      1.  اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا – ini adalah keamanan
      2. وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ – ini pula adalah kemakmuran

Kita boleh lihat ada kepentingan ‘Keamanan’ dan ‘Kemakmuran’, kerana itulah Nabi Ibrahim berdoa supaya Allah memberikan dua kelebihan ini kepada Mekah.

Mengikut kajian sains politik, masyarakat memerlukan dua perkara untuk kekal di sesuatu tempat itu – kena aman dan kena makmur. Kedua-duanya kena ada. Sebagai contoh, kalau satu negara itu makmur – ada rumah, perniagaan, kekayaan dan sebagainya – tapi ia tidak aman, negara itu tidak akan kekal. Manusia akan meninggalkan negara itu dan cari tempat lain.

Dan kalau tempat itu aman damai, tidak ada pembunuhan beramai-ramai, tapi tidak ada kemakmuran – perniagaan tidak dapat dijalankan, tidak ada sumber asli, tidak ada harta dan sebagainya, pun negara itu tidak akan kekal kerana manusia memerlukan semua itu untuk hidup.

Dari sinilah kita boleh nampak kebijaksanaan Nabi Ibrahim a.s. kerana baginda tahu kepentingan dua perkara ini dan kerana itu baginda minta dua perkara ini kepada Allah Taala.

Tapi baginda juga punya rasa tanggungjawab yang tinggi. Baginda telah dilantik menjadi Imam atas manusia. Dan baginda tahu yang baginda akan ditanya tentang keturunan baginda nanti. Maka baginda mahu negeri yang aman itu dihuni dan dimanfaatkan oleh mereka yang beriman sahaja. Kerana itu doa baginda ada syarat yang baginda letakkan:

مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian.

Akan tetapi, Allah jawab dalam ayat itu juga:

 قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ

Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka

Jadi, dari doa baginda itu, maka Allah makmurkan dan amankan negeri Mekah itu dan menempatkan banyak kebaikan di dalamnya. Dan memang terbukti, Allah beri juga keamanan dan kemakmuran kepada mereka yang melakukan syirik dan dosa juga, walaupun mereka itu keturunan Nabi Ibrahim, walaupun mereka itu duduk tinggal di Mekah.

Sekian penerangan ringkas tentang Mekah dan penduduknya. Sekarang kita sambung dengan penerangan ringkas tentang 10 surah terakhir dalam Al-Qur’an dan kaitan antara surah-surah itu.

 

Surah Al-Feel [105].

Kita akan belajar bagaimana datangnya Tentera Bergajah ke Mekah. Orang Arab jarang / tidak pernah melihat gajah, apatah lagi dalam pasukan tentera. Jadi ini adalah satu kejadian yang besar untuk mereka. Ianya satu peristiwa yang amat bersejarah sampaikan orang Arab menggelar tahun itu dengan nama: Tahun Gajah.

Selama hari itu Mekah adalah negeri yang aman, tapi sekarang sudah sampai tentera yang besar sekali. Keamanan Mekah sedang diganggu gugat. Oleh itu, ada ketakutan dalam diri mereka dengan kedatangan tentera Abrahah itu. Sampaikan semua mereka naik lari ke bukit kecuali beberapa orang sahaja pemimpin yang pergi berunding dengan Abrahah. Kedatangan Abrahah itu adalah untuk memusnahkan Ka’bah di Mekah.

Walaupun keamanan Mekah digugat, tapi Allah tetap memakbulkan doa Nabi Ibrahim a.s. Allah telah meneruskan keamanan Mekah dengan memusnahkan tentera bergajah Abrahah itu. Ini adalah bahagian pertama dari doa Nabi Ibrahim – keamanan. Allah telah kekalkan keamanan di Mekah. Akan tetapi bagaimana dengan permintaan kedua – kemakmuran? Itu dalam surah seterusnya.

 

Surah Quraysh [106]

Seperti yang telah disebut, Nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja berdoa supaya Mekah itu aman, tapi supaya ia juga makmur. Dalam Surah Quraish, Allah telah mengingatkan penduduk Mekah bagaimana Dia telah memberikan mereka dengan nikmat makanan dan mereka dapat berniaga ke tempat lain dan menjadikan negeri mereka makmur hasil dari perniagaan itu.

Perjalanan perniagaan itu penting kerana waktu itu, tidak ada puak lain yang boleh berdagang dengan selamat ke tempat lain kerana mereka akan disamun dan diserang oleh perompak. Tapi penghuni dari Mekah selamat sahaja kerana orang Arab lain tidak berani menyerang Orang Mekah.

Ini adalah kerana mereka dilihat sebagai mulia kerana mereka menjaga Ka’bah yang dipandang tinggi oleh semua masyarakat Arab. Mereka rasa kalau mereka serang penduduk Mekah itu, mereka akan mendapat bala.

Dan semua masyarakat Arab tempat lain pun mereka ada berhala dan mereka akan letak berhala utama mereka di Ka’bah (waktu itu Ka’bah adalah pusat berhala). Mereka akan melawat berhala-berhala mereka di musim Haji. Oleh itu, mereka tidak berani nak ganggu penduduk Mekah kerana mereka takut berhala mereka akan diapa-apakan nanti oleh orang Mekah kalau mereka berbuat onar kepada penduduk Mekah.

Oleh kerana itu, penduduk Mekah bebas untuk berniaga ke merata tempat dan kerana itu negeri mereka jadi makmur. Maka termakbullah doa kedua Nabi Ibrahim a.s.

Oleh itu, mereka disuruh untuk meneruskan legasi tauhid Nabi Ibrahim a.s. فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah) – janganlah sembah ilah-ilah yang lain. Ini memang patut sekali kerana Allah telah berikan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada mereka – الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.) Itulah dua perkara yang Nabi Ibrahim doa, bukan?

Akan tetapi, adakah mereka layak untuk mendapat manfaat dari doa Nabi Ibrahim a.s. itu? Tentu tidak kerana mereka tidak mengamalkan tauhid seperti yang baginda amalkan. Mereka juga tidak percaya kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat. Mereka memang tidak layak. Perangai mereka teruk seperti yang Allah sebutkan dalam surah seterusnya:

 

Surah Al-Ma’un [107]

Surah ini menunjukkan penduduk Mekah itu memang tidak layak mendapat segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu. Allah sebut tentang perangai mereka yang teruk dalam surah ini. Mereka itu nak tolong orang sikit pun tak mahu.

Padahal mereka itu duduk dekat dengan Ka’bah, tempat yang mulia. Ianya telah dibangunkan oleh datuk mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail [Baqarah:127]

Setelah membina Ka’bah itu, Nabi Ibrahim telah berdoa:

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِنهُم يَتلو عَلَيهِم آياتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. [Baqarah:129)

Allah memberi isyarat dalam ayat ini bahawa yang layak menguasai Mekah adalah Rasulullah yang taat kepada Allah, bukannya Quraish waktu itu kerana mereka memang tidak layak seperti yang telah disebut dalam Surah Al-Maun.

Dan kerana Rasulullah adalah yang layak, maka baginda telah diberikan dengan banyak kelebihan seperti yang Allah sebut dalam surah seterusnya, Surah al-Kauthar.

 

Surah Al-Kawthar [108]

Allah memberitahu bahawa telah diberikan banyak kelebihan dan nikmat kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas itu Allah sebut dua perkara:

    1. فَصَلِّ – maka solatlah. Ini adalah tanda pertama syukur kepada Allah atas segala nikmat.
    2. وَانحَر – dan berkorbanlah.

Solat dan korban adalah dua sunnah dari Nabi Ibrahim a.s. Kenang kembali kisah bagaimana Nabi Ibrahim a.s. diperintah oleh Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.

Tapi Quraish tidak melakukan lagi apa yang Nabi Ibrahim bawa. Mereka bukan lagi dari kalangan keluarga Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, malah  mereka sudah jadi musuh pula. Apabila Nabi Muhammad mengembalikan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, sudah ada permusuhan dan pertentangan antara yang beriman dan yang kufur.

Sekarang sudah jelas siapakah yang layak menjaga kesucian Kota Mekah dan Ka’bah. Mereka dari bapa yang sama, tapi tidak satu keluarga lagi. Mereka sudah berbeza pegangan, sedangkan zaman itu kabilah adalah persatuan yang paling kuat sekali.

Memang kabilah (puak) itu penting, tapi kedudukan Islam melebihi segalanya. Kerana itu Nabi disuruh untuk jauhkan dari mereka. Nabi tidak disuruh memanggil mereka ‘kaumku’, tapi panggil mereka ‘wahai orang-orang kafir’. Ini kita akan lihat dalam surah seterusnya nanti.

Apa yang Nabi Muhammad lakukan itu pun adalah sunnah dari Nabi Ibrahim juga seperti yang Allah firmankan dalam ayat:

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبراهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَداوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللَّهِ وَحدَهُ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. [Mumtahinah:4]

 

Surah Al-Kafiroon [109]

Dalam budaya Arab, kewarganegaraan dalam sesuatu qabilah adalah amat penting pada seorang Arab. Itulah identiti mereka, keluarga dan kenalan rapat mereka. Mereka bergantung kepada qabilah mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka apabila perlu.

Tapi dalam surah ini Allah menyuruh Nabi Muhammad meninggalkan kewarganegaraan baginda dengan Qabilah Quraish apabila Allah menurunkan wahyu dalam Surah Al-Kafiroon ini.

Apabila Nabi Muhammad melafazkan kalimah يا أَيُّهَا الكافِرونَ dan bukannya ‘wahai kaumku’, itu adalah pernyataan pemutusan hubungan antara baginda dan mereka. Sekarang Nabi telah mengisytiharkan permusuhan dengan mereka kerana mereka adalah orang kafir dan baginda tidak akan bersama dengan mereka kalau mereka tetap kufur.

Tapi bagaimanakah nasib baginda bila sudah isytihar perang dengan mereka? Allah beri berita gembira dalam surah seterusnya.

 

Surah An-Nasr [110]

Allah memberikan berita baik dalam surah ini yang baginda akan mencapai kejayaan. Ini adalah tentang kejayaan besar bagi Islam kerana surah ini menceritakan tentang kejayaan agama Islam atas agama kufur. Maknanya, Allah berjanji yang agama Islam akan tertegak di bumi ini. Maka ini adalah berita yang amat besar bagi umat Islam.

Kerana berita ini disampaikan di Mekah, tidak seperti keadaan waktu itu, sampaikan susah untuk diterima. Manakan tidak, Islam sedang lemah dan ditindas waktu itu. Memang tidak nampak bagaimana cara Islam akan menang.

Maka sebelum diberikan dengan janji besar itu, Allah berikan tanda-tanda kecil dahulu. Ini sebagai isyarat. Sebagai contoh, kalau kita sudah nampak langit mendung dan air hujan sudah mula turun, kita sudah boleh agak yang hujan lebat akan turun.

Apakah ‘tanda kecil’ itu?

 

Surah Al-Lahab [111]

Apakah masalah besar Rasulullah sewaktu di Mekah? Antara musuh besar baginda adalah Abu Lahab yang sentiasa sahaja mengganggu dakwah baginda dan cuba menjatuhkan kedudukan baginda. Jadi Allah beritahu dalam surah ini yang Dia akan memusnahkan musuh baginda ini, sebagai isyarat kemenangan besar nanti. Allah bukan sahaja akan musnahkan Abu Lahab, tapi dengan isterinya sekali.

Kadang-kadang apabila kita berperang atau bergaduh dengan orang lain, kadang-kadang apabila lama sangat, kita terlupa sebab apa mula berperang ada asalnya. Maka Allah ingatkan dalam surah seterusnya, apakah punca perbezaan dan perbalahan itu asalnya.

 

Surah Al-Ikhlas [112]

Konflik antara golongan beriman itu memang telah lama dan akan berterusan. Jadi Allah ingatkan balik kenapa permusuhan itu terjadi. Ianya adalah pertembungan antara iman dan kufur sebenarnya, bukan sebab lain.

Kita berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s. yang berpaksi kepada tauhid, bergantung kepada Allah sahaja, sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja. Jadi surah ini mengingatkan kita tentang tauhid dan kepentingannya.

 

Surah Al-Falaq [113]

Ajaran tauhid bukan pertama kali diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi-Nabi dulu pun mengajar tauhid kepada umat mereka. Tapi lama kelamaan, ada gangguan dari yang menjauhkan kita dari ajaran yang benar. Gangguan itu ada yang dari dalam dan ada yang dari luar. Zaman berzaman tetap ada gangguan itu.

Allah bukan sahaja memberi kita ajaran tauhid, tapi Allah juga memberi kepada kita, dua penjaga tauhid itu – satu untuk gangguan luaran dan satu lagi dari gangguan dalaman. Allah memberikan Surah al-Falaq untuk menjaga kejahatan dari luaran.

 

Surah an-Naas [114]

Dan kemudian Allah memberi kita Surah an-Naas untuk menjaga diri kita dari kejahatan dalaman.

Semua surah ini berkait rapat dengan Nabi Ibrahim a.s, yang legasinya diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk meneruskan ajaran itu dengan cara yang cantik.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke perbahasan seterusnya.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 4 – 9 (Kisah neraka terakhir)

Ayat 4: Dalam tiga ayat sebelum ini, telah disebut tentang kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman itu. Sekarang bermula dari ayat ini akan disebut apakah balasan yang Allah akan berikan kepada mereka.

Mereka pasti akan dihumban ke dalam neraka. Ayat ini adalah huraian kepada kalimah وَيلٌ. Dalam ayat 1, Allah hanya menyebut celaka mereka tanpa disebutkan apakah balasan kepada mereka. Ayat ini adalah huraian kepada kalimah وَيلٌ iaitu disebut mereka pasti akan dihumban ke dalam neraka.

كَلّا ۖ لَيُنبَذَنَّ فِي الحُطَمَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! He will surely be thrown into the Crusher.¹

  • i.e., Hellfire, which crushes and destroys all that enters it.

(MALAY)

sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

 

Kalimah كَلّا = Tidak sekali-kali. Fahaman mereka itu rosak dan cara hidup mereka itu rosak. Maka jangan diikut sifat mereka itu. Ingatlah yang harta dan kekayaan tidak memberikan hayat yang berkekalan. Kalimah كَلّا ini menidakkan apa yang mereka sangkakan itu. Allah hendak memberitahu yang fahaman mereka itu salah sama sekali dan akan menyebabkan mereka kerugian nanti.

Kalimah الحُطَمَةِ = Dari katadasar ح ط م yang bermaksud ‘patah’. Kalau حطام, digunakan untuk menjelaskan kalau tumbuhan sudah mati dan kering, ianya akan jadi rapuh dan kalau kita pijak atau ramas, ia akan patah dan hancur. Kalimah yang sama digunakan dalam Naml:18

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ قالَت نَملَةٌ يا أَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَساكِنَكُم لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمانُ وَجُنودُهُ وَهُم لا يَشعُرونَ

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak (dihancurkan) oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”;

Oleh itu, الحُطَمَةِ adalah sesuatu yang mematahkan dan menghancurkan tulang dan memakan daging manusia. Ia adalah api yang memakan daging, sehinggalah sampai ke jantung. Oleh itu, الحُطَمَةِ adalah api neraka yang menghancurkan.

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu mematahkan dan menghancurkan perasaan mereka yang dikutuk dan dihina – maka sekarang Allah beritahu, kerana perbuatan mereka itu, diri mereka yang akan dipatah dan dihancurkan oleh api neraka!

Kalimah لَيُنبَذَنَّ dari kalimah ن ب ذ yang bermaksud membuang/membaling sesuatu yang dikira tiada nilai. Huruf ل dan ن syaddah itu adalah sebagai penekanan yang kuat – mereka ‘pasti’, ‘pasti’ akan dibuang.

Kalimah yang sama digunakan untuk menceritakan bagaimana Yahudi membuang perjanjian mereka dengan Allah kerana mereka menganggap ianya tidak bernilai. Ini disebut dalam Baqarah:100

أَوَكُلَّما عاهَدوا عَهدًا نَبَذَهُ فَريقٌ مِنهُم

dan setiap kali mereka mengikat janji, segolongan mereka melemparkannya?

Kalimah طرح juga boleh digunakan untuk menyebut ‘buang’ dalam bahasa Arab. Tapi طرح bermaksud membuang sesuatu dengan tersembunyi – seperti kita buang sampah sarap kita di belakang rumah supaya orang tidak nampak. Allah tidak gunakan طرح tapi Allah gunakan نبذ dalam ayat ini kerana Allah hendak menekankan yang Dia hendak memalukan mereka di khalayak ramai – tidak sembunyi-sembunyi.

Allah lakukan begitu kerana mereka semasa di dunia mengutuk dan menghina orang lain dengan cara terbuka, maka Allah pun akan lakukan perkara yang sama kepada mereka di akhirat kelak! Tapi azab Allah itu amat pedih dan teruk sekali, tidak berbaloi dengan apa yang mereka lakukan.

Mereka sangka mereka kaya maka mereka tidak rasa bersalah buat apa sahaja kepada orang lain yang di bawah mereka, lebih rendah dari mereka – Allah akan balas dengan baling dan buang mereka seperti benda yang tidak bernilai langsung!

Apabila digunakan kalimah فِي dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang  الحُطَمَةِ itu sangat, sangat dalam.


 

Ayat 5: Sangat teruknya الحُطَمَةِ itu, tapi kamu tidak tahu.

وَما أَدراكَ مَا الحُطَمَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Crusher?

(MALAY)

Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?

 

Apakah agaknya cara untuk kamu tahu apakah الحُطَمَةُ itu? Mungkin dari segi bahasa kamu tahu yang maksudnya adalah ‘yang menghancurkan’, tapi hakikatnya, adakah kamu tahu?

Ia juga bermaksud ‘kamu tidak akan tahu’ kerana kalimah ما itu boleh bermaksud penafian (ma nafi). Maksudnya, kita tidak akan tahu kalau Allah sendiri tidak beritahu kita. Kerana hal syurga dan neraka itu adalah perkara ghaib dan kita tidak akan dapat tahu perkara ghaib melainkan Allah yang beritahu kita.

Apabila Allah tanya dalam bentuk وَما أَدراكَ (dalam bentuk past tense), itu bermakna yang Allah akan beritahu kepada kita. Dan ini akan disebut dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 9 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Allah menceritakan tentang azab dahsyat Neraka Hawiyah. Ia tertutup rapat dengan diri dirantai pada palang-palang neraka.

نارُ اللَّهِ الموقَدَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the fire of Allāh, [eternally] fueled,

(MALAY)

(iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan,

 

Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa الحُطَمَةُ yang dikenakan kepada mereka itu adalah نارُ اللَّهِ  (Api Allah). Kalau ianya ‘Api Allah’, tentu ianya tidak boleh dibandingkan dengan api-api lain. Tidak dapat kita bayangkan api itu kalau dibandingkan dengan api yang kita biasa lihat, api yang kita bayangkan, tidak mungkin!

Ini macam Allah gunakan untuk menyebut tentang unta mukjizat Nabi Hud – هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم آيَةً (Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu) – Apabila Allah gunakan kalimah ناقَةُ اللَّهِ, ini bermaksud unta itu tidak sama dengan unta-unta lain. Begitu juga, api makhluk dan Api Allah tentu tidak sama. Ia tidak sama kerana Allah yang buat api ini dan tentu Dia akan jadikan api ini lain dari yang lain – walaupun semua api Allah buat, bukan? Tapi Allah sebutkan namaNya pada api ini menunjukkan yang api ini tidak sama.

Kalimah الموقَدَةُ adalah dalam bentuk ism maf’ool (yang diberi tindakan oleh pembuat – yang kena buat) = الموقَدَةُ bermaksud sesuatu yang dinyalakan. Telah ada isyarat yang Allahlah yang menyalakannya.

Kalimah الموقَدَةُ memberi isyarat bahawa api itu telah dinyalakan dan akan terus bernyala menunggu mangsanya. Selalunya api tidak kekal lama, tapi Allah memberi isyarat yang api itu kekal kerana kalimah الموقَدَةُ yang digunakan.


 

Ayat 7: Api itu akan membakar hati yang hanya mahu kepada harta.

الَّتي تَطَّلِعُ عَلَى الأَفئِدَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which mounts directed at the hearts.¹

  • Covering them and penetrating them.

(MALAY)

yang naik (membakar) sampai ke hati.

 

Kalimah تَطَّلِعُ dari katadasar ط ل ع yang bermaksud antara lain, ‘menaik’. Kalimah تَطَّلِعُ bermaksud memanjat dengan susah, juga digunakan apabila matahari terbit. Allah memberi gambaran tentang api yang telah disebut dalam ayat sebelum ini – api itu akan menaik dari bawah ke atas. Dan ia akan berulang-ulang berlaku (bukan sekali sahaja). Ini adalah kerana ada syaddah pada huruf ط itu.

Kalimah الأَفئِدَةِ dari katadasar ف أ د yang bermaksud hati yang sedang merasa (yang ada perasaan, ada emosi). Segala dosa dan kesalahan yang dilakukan di bahagian awal surah ini seperti هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah kerana hati yang telah rosak. Oleh kerana itu, الحُطَمَةُ yang dalam bentuk api itu akan menghancurkan daging, tulang dan akan memakan tubuh badan si pendosa itu, dan akan menaik sampai ke hati (الأَفئِدَةِ) orang itu.

Kalimah الأَفئِدَةِ memang selalunya diterjemahkan sebagai ‘hati’ tapi asalnya, ia bermaksud seketul daging yang dikelilingi oleh api (memberi isyarat bahawa hati itu sedang beremosi, bukan duduk diam sahaja), dan kalimah ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana memang hati itu sedang didatangi oleh api!

Lihatlah tubuh kita sekarang – Allah beri perlindungan kepada anggota tubuh yang lemah seperti hati dengan penghadang dengan tulang rusuk (seperti otak kita yang lembut itu dikelilingi oleh tulang kepada yang keras). Walaupun begitu, api الحُطَمَةُ itu akan tetap dapat mencari jalan untuk mencapai ke hati orang yang berdosa itu.

Tapi ia tidak akan menghancurkan hati itu. Kerana Allah tidak mahu membunuh orang itu – Allah cuma beri seksa sahaja tapi tidak mematikan orang itu, kerana kalau hatinya hancur, tentu orang itu pun akan mati juga. Dan kita telah sebut sebelum ini, kejadian itu akan berulang-ulang – maka kesakitan itu akan berterusan. Ini seperti yang Allah sebut dalam A’la:13

لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

Begitulah Allah beri isyarat, bahagian yang menyebabkan kekufuran dan dosa itulah yang akan dikenakan dengan seksaan yang teruk dari Allah.


 

Ayat 8:

إِنَّها عَلَيهِم مُؤصَدَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it [i.e., Hellfire] will be closed down upon them

(MALAY)

Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka,

 


Balaghah: kalimah عَلَيهِم itu adalah taqdim (diletakkan awal) memberi isyarat bahawa azab yang dikenakan dalam ayat ini adalah khusus kepada mereka. Kerana kalau susunan yang biasa dalam bahasa Arab, ianya sepatutnya begini: إِنَّها مُؤصَدَةٌ عَلَيهِم.

Ini bermakna Allah beri mereka azab yang khusus kerana mereka itu adalah golongan yang khusus juga. Maksudnya dosa yang mereka lakukan adalah spesifik seperti yang telah disebut dalam ayat 1 – 3.

Kalimah مُؤصَدَةٌ diambil dari katadasr و ص د yang bermaksud tempat tertutup. Oleh itu asal kalimah مُؤصَدَةٌ digunakan untuk tempat di mana binatang dikurung. Ianya adalah tempat yang tinggi supaya binatang itu tidak dapat lari keluar. Begitulah yang dikenakan kepada penghuni neraka nanti. Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka itu. Ini seperti yang disebut juga dalam Hajj:22

كُلَّما أَرادوا أَن يَخرُجوا مِنها مِن غَمٍّ أُعيدوا فيها

Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya.

Kalimah مطبق juga boleh digunakan untuk tempat yang tidak boleh keluar darinya. Tapi Allah tidak gunakan kalimah itu kerana beza kalimah مُؤصَدَةٌ, ia ada pintu, sedangkan kalimah مطبق tidak ada pintu. Kenapa Allah beri pintu pula?

Memang ada pintu tapi pintu itu tinggi di atas mereka dan mereka tidak akan dapat capai ke pintu itu. Ini akan menambah kekecewaan mereka – ada pintu, nampak pintu itu tapi tidak boleh capai. Ianya adalah untuk memberi harapan palsu kepada mereka sahaja. Lain kalau tidak ada pintu langsung – tidak ada harapan langsung. Jadi harapan palsu ini adalah azab emosi kepada mereka. Sudahlah mereka kena azab tubuh, kepada emosi juga mereka dikenakan dengan azab.


 

Ayat 9: Mereka diikat pada tiang yang sangat panjang dalam neraka.

في عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In extended columns.¹

  • Interpreted to be either columns of fire or columns of iron to which are chained the inmates of Hell.

(MALAY)

(sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.

 

Kalimah عَمَدٍ bermaksud ‘tiang-tiang’. Sama ada tiang kayu atau tiang besi. Macam bangunan yang ada tiang seri. Kalau ianya tiang besi, maka ini menambahkan lagi azab kerana besi akan jadi panas kerana terkesan dengan api neraka itu. Dan ahli neraka itu pula duduknya dekat dengan tiang itu.

Ada juga yang berpendapat, mereka itu diikat pada tiang-tiang itu.
Ada juga berpendapat, tiang yang dimaksudkan itu adalah palang yang menahan pintu-pintu neraka itu. Allahu a’lam.

Kalimah مُمَدَّدَةٍ bermaksud tiang-tiang itu dipanjangkan, sepanjang yang boleh dilihat.

 

Penutup:

Oleh itu, mereka yang mengutuk dan menghina orang lain, kerana mereka ada banyak harta dan mereka sangka mereka tidak akan dipersalahkan, dan mereka sangka mereka akan hidup selamanya, mereka itu akan diletakkan di dalam neraka yang ada tiang yang panjang.

Mereka tidak boleh keluar dari tempat itu dan kalau mereka tersentuh tiang-tiang itu, mereka sendiri akan jadi sakit kerana tiang itu panas sangat. Mereka sedang dibakar dengan api yang menghancurkan tubuh mereka sampai ke hati mereka. Mereka nampak pintu neraka itu tapi mereka tidak dapat capai untuk lari keluar. Dan mereka tidak akan mati sampai bila-bila.

Di awal surah ini telah disebut kecelakaan untuk mereka dan bahagian kedua surah ini memberitahu apakah kecelakaan yang akan dikenakan kepada mereka. Ianya amat menakutkan.

Sekian berakhir tafsir surah Qur’an yang menceritakan tentang keadaan di neraka. Selepas ini tidak ada lagi surah yang menceritakan tentang neraka. Ianya amat menakutkan untuk memberi peringatan dan ancaman kepada kita. Hendaklah kita mengambil perhatian kepada segala ayat-ayat tersebut. Semoga Allah selamatkan kita dari neraka ini dan menjadikan kita orang yang baik. Aameen.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Feel.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 2 – 3 (Menambah dan mengira harta)

Ayat 2: Kerja mereka mengumpul harta sahaja. Mereka fokus pada kumpul harta dengan banyak, padahal kalau nak pakai bukan banyak pun. Kalau buat rumah seratus biji pun bukan boleh duduk semua rumah yang dia beli itu. Kalau beli baju banyak pun, bukan boleh pakai semua pun.

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who collects wealth and [continuously] counts it.¹

  • Rather than spending in the way of Allāh.

(MALAY)

yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

 

Ini adalah sifat kedua orang yang layak mendapat وَيلٌ itu. Sebelum ini telah disebut mereka melakukan humazah dan lumazah.

Kaitan ayat ini dengan ayat 1: Orang yang kedekut sedang dikritik dalam ayat ini. Mereka akan mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, dan mereka akan menceritakan kelemahan orang itu, supaya kelemahan dan kesalahan mereka sendiri tidak kelihatan. Allah marah dengan orang sebegini.

Lagi satu, apabila kalimah yang melibatkan همز disebut dalam Al-Qur’an, akan ada kaitan dengan harta. Lihat Qalam:11

هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ

(yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah).

 

Kemudian lihat pula Qalam:14

أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ

(kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak).

Ini adalah sebahagian dari ketepatan penggunaan bahasa yang ada dalam Al-Qur’an di mana konsep yang sama digunakan. (Lalu bagaimana lagi ada orang yang kata Nabi Muhammad sendiri yang menulis Al-Qur’an ini? Tidak mungkin!)

Kalimah جَمَعَ memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan dalam ayat ini menghabiskan seluruh usaha hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta dan kekayaan. Kita dapat tahu dari kalimah جَمَعَ yang dalam bentuk past tense. Maknanya, ia menceritakan tentang kehidupannya yang telah lepas, sebab itu kita boleh katakan yang dia sebelum dia mati, memang dia jenis yang mengumpulkan harta sahaja.

Mereka ini jenis yang sanggup buat macam-macam untuk mengembangkan perniagaan mereka, kekayaan mereka – sebagai contoh, ada yang gunakan pekerja dan bayar gaji murah dan susahkan kehidupan mereka. Sebagai contoh, ada syarikat yang melayan pekerja mereka sebagai hamba, sampaikan mereka tidak dapat lari dari kilang mereka – kena kerja tanpa cuti.

Kalimah عَدَّدَهُ memberitahu kita yang mereka suka untuk mengira-ngira harta mereka, berapa banyak sudah bertambah dan berapa banyak lagi yang mereka hendak.

Juga bermaksud mereka ‘bersedia’ – maksudnya mereka menyediakan harta dan wang mereka sebagai insuran untuk masa depan mereka. Mereka kata kena pandang jauh dan kena bersedia terhadap apa yang jadi di masa hadapan. Ini tidaklah salah sangat, tapi kita orang mukmin kena pandang lagi jauh, bukan setakat usia tua sahaja tapi kena melangkau sampai ke akhirat.

Sebab itu kita kena bersedia dengan amal soleh, tapi mereka yang mengumpul harta untuk masa depan itu sebenarnya hanya pandang pendek sahaja, kerana mereka pandang setakat dunia sahaja. Mereka tidak tahukah yang harta mereka itu mereka hanya boleh pakai setakat mereka mati sahaja? Bagaimana pula selepas mereka mati? Adakah ia dapat membantu mereka? Tentu tidak.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah مالًا (kekayaan). Ianya dalam bentuk mufrad sahaja kerana Allah hendak merendahkan kemewahan itu. Kalau jamak, kalimah اموال yang digunakan, tapi Allah tidak gunakan begitu kerana harta itu tidak banyak pun – tidak kira berapa banyak pun harta itu ada pada kita, ianya tidak boleh dibandingkan dengan harta seluruh alam ini.

Kita mungkin sangka apa yang kita ada itu sudah banyak, tapi kita pun tahu, ada banyak lagi orang yang lebih kaya dan banyak lagi yang bukan harta kita. Kalau bekerja tidak berhenti sampai mati pun, tidak akan dapat semua harta itu. Maka jangan banggalah kalau ada duit banyak, sebab bukan banyak pun.

Kalau ada yang bangga, mereka itu berbangga tak kena tempat. Dan harta yang banyak di dunia itu tidak ada nilai langsung kalau dibandingkan dengan akhirat. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Tawbah:38

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَياةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Tidak berguna langsung harta yang banyak itu kalau ada masalah di akhirat kelak. Seperti yang firmankan dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Mereka sangka duit mereka banyak dan dapat menyelamatkan mereka, tapi tidak sama sekali. Mereka buang masa sahaja di dunia mengumpul harta yang mereka tidak boleh bawa mati pun dan tidak memberi manfaat kepada mereka langsung kalau mereka kufur dengan perintah Allah.

Mereka yang mahukan harta yang banyak itu, kadang-kadang sanggup buat apa sahaja cara untuk dapat harta dengan banyak dan banyak lagi. Mereka tidak kisah kalau mereka menyusahkan manusia lain. Ramai yang zalim kepada orang lain untuk menambah harta mereka.

Antara yang selalu digunakan oleh organisasi yang kaya dan banyak duit adalah mengenakan riba untuk orang lain pakai duit mereka. Ini adalah keburukan yang amat teruk sekali. Ia menyusahkan orang yang tidak ada wang dan menyebabkan rosaknya ekonomi. Bayangkan: kerana ribalah yang menyebabkan susah orang kita hendak hidup dengan senang.

Sebagai contoh, katakanlah ada satu rumah yang asalnya 20 ribu sahaja semasa ianya dibina. Tapi kerana pembeli tidak ada wang modal, maka mereka akan pinjam pada bank. Harga rumah yang 20 ribu itu entah jadi 40 ribu. Kemudian apabila pembeli pertama itu mahu pindah ke rumah yang lebih besar, dia akan jual rumahnya itu dengan untung, bukan? Tentu dia akan jual lebih lagi dari 40 ribu itu, bukan? Jadi mungkin dia akan jual dengan harga 50 ribu kerana tambah untung dia sikit.

Orang yang mahu membeli rumah itu pun kena pinjam bank juga, maka harga rumah itu sekarang dah jadi 100 ribu pula! Padahal asalnya 20 ribu sahaja tapi telah naik jadi berkali ganda kerana riba. Maka susahlah orang kita hendak tinggal di rumah sendiri. Ada yang sampai mati duduk di rumah sewa sahaja kerana tidak mampu untuk beli rumah yang mahal-mahal harganya.

Jadi nampak atau tidak bagaimana keburukan riba ini? Kerana itulah ia ditentang dalam Islam. Islam tidak membenarkan riba dijalankan kerana akan menyebabkan kesusahan kepada masyarakat. Ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana mereka nampak Islam sahaja yang menentang perkara buruk ini. Mereka nampak yang Islam ini memang agama yang menjaga kebajikan manusia dan ianya bukan sahaja mengajar dalam perkara ibadat sahaja, tapi dalam perkara kehidupan sekali – maknanya Islam ini adalah agama yang syumul, yang lengkap. Ianya untuk dunia dan akhirat sekali.

Kerana itu orang mukmin yang sudah tua pun, mereka akan tanam pokok supaya dapat memberi manfaat kepada generasi selepasnya walaupun dia tidak sempat lagi untuk menikmati pokok itu. Kerana orang mukmin akan faham tentang konsep ‘sedekah jariah’ – sedekah yang berterusan yang boleh dimanfaat di akhirat walaupun dia sudah tiada lagi. Inilah keindahan Islam.

Jadi, orang yang dikutuk dalam ayat ini, mereka tidak hiraukan orang lain. Mereka hanya mementingkan harta mereka sahaja. Mereka kumpul harta dan suka untuk mengira berapa banyak sudah bertambah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekayaan lagi dan lagi.

Mereka juga tidak gunakan wang mereka itu untuk kebaikan manusia lain. Kerana mereka akan simpan sahaja (kalau mereka kira-kira itu, ia bermakna yang mereka tidak beri orang lain, tapi simpan sendiri). Mereka rasa yang mereka akan hidup selama-lamanya. Mereka tidak ingat mati pun kerana mereka hidup dengan mewah sekali sampaikan mereka terlupa yang mereka akan akhirnya akan mati. Memang dari segi logik akal pun, mereka tahu mereka akan mati pun, tidak ada yang hidup selamanya, tapi cara mereka itu seolah-olah mereka tidak akan mati pula.

Jangan sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Kita orang Islam ini pun begitulah juga – sudah terikut-ikut dengan cara kafir. Ini kerana kita jauh sekali dari agama dan dari Al-Qur’an. Nama sahaja Muslim, tapi cara hidup jauh dari cara Islam.

Kalimah عَدَّدَ = mereka menyediakan harta mereka itu sebagai insurans persediaan masa hadapan. Mereka tidak yakin dengan qada’ dan qadar Allah, maka mereka nak bersedia dengan harta yang banyak supaya hidup mereka terjamin. Ia juga bermaksud, mereka mengira dengan teliti (jangan ada tertinggal) dan selalu mengira, selalu tengok akaun bank mereka. Kita tahu ada elemen ‘selalu’ ini kerana ada syaddah dalam kalimah عَدَّدَ itu.

Oleh itu, ayat 1 adalah tentang sifat mereka dengan orang lain dan ayat 2 ini adalah mentaliti mereka, apa yang mereka fikirkan. Mereka tidak melakukan yang sepatutnya – tidak bertindak baik dengan orang lain dan memberi bantuan kepada orang lain yang memerlukan.


 

Ayat 3: Apakah mentaliti mereka lagi? Mereka kumpul harta mereka seolah mereka yakin harta itu akan mengekalkan kehidupan mereka. Mereka rasa, kalau tidak ada harta, macam mati dah pada mereka.

يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He thinks that his wealth will make him immortal.

(MALAY)

dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya,

 

Dalam ayat 2, Allah gunakan kalimah مالًا, tidak sebut harta siapa kerana hakikatnya semua yang ada dalam dunia ini adalah milik Allah. Tapi Allah gunakan kalimah مالَهُ (hartanya) dalam ayat ini untuk memberitahu apakah sangkaan mereka – mereka sangka yang harta itu mereka yang punya.

Itu hanya sangkaan mereka sahaja. Mereka sangka, harta dan wang yang mereka kumpul itu (dengan cara salah dan dengan cara yang buruk seperti riba dan cara zalim itu) adalah harta mereka. Mereka sangka kerana mereka yang lakukan segala usaha untuk mendapatkannya, maka tentulah itu harta mereka.

Satu soalan yang kita mahu tanyakan: Kenapa manusia berkejaran untuk mengumpulkan wang dan harta? Berkemungkinan besar, mereka akan jawab, “kerana kami nak pakai harta dan wang itu apabila perlu.” Itu jawapan mereka, tapi adakah benar? Adakah mereka benar-benar pakai wang dan harta mereka itu? Agaknya, mereka pakai semuakah? Mereka boleh makan semuakah harta mereka itu? Tentu tidak.

Kalimah أَخلَدَ = dari kalimah خ ل د yang bermaksud ‘berterusan’. Juga boleh bermaksud ‘kekal’. Kita pun selalu dengar bagaimana kisah Nabi Adam a.s. memakan buah yang selalu disebut ‘Buah Khuldi’ (nama buah itu tidak disebut, kecuali oleh Iblis, jadi tidak sesuai pakai nama Khuldi itu). Jadi, kalimah أَخلَدَ dalam ayat ini mungkin bermaksud ‘jangkamasa panjang’ atau ia boleh bermaksud ‘selama-lamanya’.

Manusia memang ada keinginan untuk mendapatkan rezeki yang berpanjangan. Ramai yang mahu dapat lebih lagi dari apa yang mereka telah ada. Itulah sebabnya ada orang yang buat kerja overtime, buat kerja tambahan, buat kerja hujung minggu, dan sebagainya. Itu semua kerana mereka mahu lebih kerana keperluan kadang-kadang lebih lagi dari apa yang mereka dapat dengan kerja biasa.

Dan ada juga yang mahu lebih kerana hendak simpan wang itu, menabung untuk hari-hari mendatang – takut-takut ada keperluan yang mendesak waktu itu – sakit, kebakaran, kena buang kerja dan sebagainya. Tujuannya adalah supaya kehidupan mereka berterusan dalam kesenangan. Ini kita faham.

Tapi yang tidak patut dilakukan adalah kalau pengejaran kepada harta dan wang itu menyebabkan perkara yang lebih penting terabai – iaitu persediaan kepada akhirat dan juga menjaga hubungan baik dengan masyarakat. Atau dalam ertikata lain, kalau dengan mengejar harta itu menyebabkan meninggalkan taat kepada Allah.

Kita telah sebutkan dalam tafsir Surah al-Asr bagaimana manusia semuanya dalam kerugian kecuali orang yang beriman. Maka mereka yang rugi adalah mereka yang melebihkan dunia dari akhirat. Mereka melebihkan dunia itu kerana mereka meletakkan kelebihan pada harta. Mereka sangka harta mereka itu akan menyebabkan mereka kekal hidup.

Sampaikan mereka kelam kabut tentang perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang bunuh diri kalau saham mereka jatuh merudum. Ini adalah kerana mereka mengaitkan kehidupan dengan harta – oleh itu, apabila harta mereka tergugat, mereka sangka nyawa mereka pun tergugat sekali.

Memang ada manusia yang dalam hati mereka, mereka mahu hidup selama-lamanya. Ini seperti yang Nabi Hud a.s. tegur kepada kaumnya, Kaum Aad dalam Syu’ara:129

وَتَتَّخِذونَ مَصانِعَ لَعَلَّكُم تَخلُدونَ

dan kamu membuat binaan-binaan dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?

Maksudnya mereka tahu mereka akan mati, tapi mereka hendak kekal diingati kalau ada bangunan, patung, atau jalan atas nama mereka. Mereka rasa bila ada monumen ada atas nama mereka, mereka akan kekal selamanya. Ini adalah kerana manusia ada keinginan untuk hidup selamanya.

Ini tidak salah kerana orang mukmin pun mahu hidup selamanya juga, iaitu di syurga. Tapi kalau manusia yang tidak beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka tidak membiakkan keinginan itu dengan cara yang sihat, maka mereka akan melancarkannya pada tempat yang salah. Mereka akan bekerja keras untuk tambah harta dan kekayaan, supaya mereka boleh jadi terkenal dalam sejarah (supaya terus kekal), supaya dapat bina bangunan dan sebagainya (dan namakan bangunan itu dengan nama mereka supaya nama mereka kekal juga) dan cara-cara lain.

Sebab itulah kita dengar bagaimana ada jutawan yang sanggup dermakan harta mereka, asalkan nama mereka diabadikan dalam pelbagai bentuk (nama bangunan, nama jalan, plak di dinding dan sebagainya). Ini kerana mereka ingin nama mereka masih disebut selepas mereka mati pun.

Ayat ini juga boleh bermaksud: mereka sangka harta mereka itu akan kekal. Ada manusia yang sangka mereka tidak perlu risau tentang masa hadapan, sama ada di dunia ini atau di akhirat kelak. Mereka sangka, oleh kerana Tuhan telah mengkayakan mereka semasa mereka di dunia, maka tentulah Tuhan sudah sayang kepada mereka. Oleh itu, kalau sudah sayang semasa di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga di akhirat kelak. Mereka sangka yang mereka akan terus mendapat kesenangan di akhirat kelak juga. Ini juga adalah pandangan yang salah.

Orang Islam pun ada yang berpandangan begitu. Mereka rasa macam duit mereka boleh menyebabkan mereka dapat kedudukan baik di akhirat. Kerana itu ada orang Islam yang menggunakan harta mereka dengan beri sedekah untuk selamat di akhirat kelak. Padahal harta itu mereka dapat dengan cara yang salah.

Memang molek bagi sedekah. Tapi bagi mereka yang sebegini, mereka sangka mereka dapat membeli syurga dengan cara itu. Jadi tidak kisahlah kalau mereka dapat wang mereka itu dengan cara riba, dengan cara tipu orang, dengan cara rasuah atau jual arak, asalkan mereka ada derma kepada madrasah, sekolah anak yatim atau masjid, mereka rasa itu dapat ‘cuci’ dosa mereka dan menempatkan mereka dalam syurga.

Lagi satu maksud ayat ini adalah: mereka amat sayang sekali pada harta mereka itu, sampaikan kalau harta mereka berkurangan, mereka juga akan rasa berkurangan dan akhirnya mati. Jadi mereka tidak akan menginfakkan harta mereka itu kerana ianya seperti memberi nyawa mereka sendiri. Mereka tidak faham yang kalau harta yang mereka infakkan itulah nanti yang akan menjadi harta mereka yang sebenarnya di akhirat kelak yang akan meninggikan kedudukan mereka di syurga nanti.

Ada kesamarataan dalam surah ini. Dalam surah ini disebut 5 kesalahan yang dilakukan oleh manusia dari ayat 1 – 3:

      1. هُمَزَةٍ
      2. لُمَزَةٍ
      3. جَمَعَ مالًا
      4. عَدَّدَهُ
      5. يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

Dan nanti dalam ayat 4 – 9 akan diberi pula 5 penerangan tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka. Maka ada 5 kesalahan dan ada 5 azab.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 1 (Mencari dan menyebut kelemahan orang lain)

Pengenalan

Surah ini berkait rapat dengan Surah Takathur dan juga Surah al-Asr. Dalam Surah Takathur telah disebut tentang sifat manusia secara umum. Kebanyakan dari manusia leka dengan dunia, sampailah mereka mati dan masuk ke dalam kubur, barulah mereka akan sedar dengan realiti dunia ini. Tapi waktu itu mereka sudah terlambat untuk melakukan apa-apa lagi untuk memperbetulkan diri mereka.

Kemudian dalam Surah al-Asr, Allah memberitahu yang mereka yang leka itu, berada dalam kerugian. Oleh itu jangan leka lagi, jangan buang masa tapi hendaklah melakukan perkara yang patut mereka lakukan kalau mereka hendak selamat; dan kemudian telah diberikan dengan empat perkara utama yang manusia kena lakukan.

Allah hendak memberitahu dalam surah ini, orang yang puja dunia akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya. Mereka tidak akan pergi ke mana lagi. Kalau tidak ikut nasihat dalam Surah Takathur dan Surah al-Asr itu, maka tempat akhir mereka adalah dalam neraka.

Dan dalam Surah Humazah ini akan diberitahu tentang neraka itu. Ulama tafsir mengatakan, tidak ada lagi penjelasan yang lebih menakutkan tentang neraka, melainkan surah ini. Ini adalah kerana Allah sebut dalam surah ini tentang “Naarullah” [Api Allah!].

Kerana dalam surah-surah lain, Allah selalunya sebut “Naaru Jahanam” (Api Neraka) atau lain-lain nama yang digunakan. Tetapi apabila Allah mengaitkan api itu dengan DiriNya, ianya memberi isyarat yang api itu dinyalakan sendiri oleh Allah! Api yang kita buat tentunya tidak sama dengan api yang dibuat oleh Allah. Oleh itu, ini adalah sesuatu yang memang dahsyat sungguh! Tidak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya ia!

Allah memberi deskripsi yang berat tentang neraka kerana ini adalah surah terakhir di dalam Al-Qur’an yang menyebut tentang akhirat dan neraka. Surah-surah selepas ini tidak membincangkan tentang akhirat lagi. Oleh itu, apabila yang terakhir, maka Allah berikan peringatan yang paling menakutkan sekali.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Dalam perenggan ini kita belajar: apa guna menghitung-hitung harta jika dilaknat Allah?

Apabila manusia berebut dunia, tentunya akan bermusuh dengan manusia lain kerana dunia memang akan memisahkan manusia. Hanya kalau berebut akhirat barulah ada kasihan belas.

Dalam ayat ini juga Allah akan menjelaskan apakah maksud Humazah dan Lumazah.

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Humazah: The Scorner.

Woe to every scorner and mocker

(MALAY)

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

 

Kalimah وَيلٌ bermaksud ‘kemusnahan’. Asalnya, kalimah ini adalah وَي sahaja (tanpa ل) yang juga bermaksud ‘kemusnahan’ tapi selalunya ditambah dengan ل yang bermaksud ‘untuk’ seperti وَيلَكَ [kemusnahan ‘untuk’ kamu]. Kerana selalu ditambah ل itu, maka kalimah ini terus memakai ل menjadi وَيلٌ terus.

Kalimah ini digunakan apabila seseorang itu sangat marah dan kecewa dengan orang lain. Sebagai contoh, digunakan oleh ibubapa yang kecewa dengan anak mereka. Mereka boleh kata: waylaka, aamin! (kecelakaan kepada kamu! berimanlah!). Dalam masa yang sama, orang yang mengatakan itu adalah sangat-sangat sedih kerana anak mereka telah derhaka. Ini seperti yang Allah firmankan dalam Ahqaf:17

وَالَّذي قالَ لِوالِدَيهِ أُفٍّ لَكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ آمِن إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَساطيرُ الأَوَّلينَ

Dan orang yang berkata kepada dua orang ibu bapaknya: “Cis bagi kamu keduanya, apakah kamu keduanya memperingatkan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan, padahal sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumku? Lalu kedua ibu bapanya itu memohon pertolongan kepada Allah seraya mengatakan: “Celaka kamu, berimanlah! Sesungguhnya janji Allah adalah benar”. Lalu dia berkata: “Ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu belaka”.

Dalam Surah Humazah ini, Allah kecewa dengan kerakusan manusia yang ada harta tapi tidak membelanjakannya untuk kebaikan, untuk jalan Allah dan untuk orang yang memerlukan; tapi mereka hanya menumpukan perhatian dan usaha mereka untuk mendapatkan lebih banyak dan lebih banyak lagi harta mereka.

Jadi untuk mereka itu, Allah janjikan kecelakaan dalam surah ini (satu lagi surah yang dimulai dengan وَيلٌ adalah Surah Mutaffifin). Kedua-duanya tentang orang yang mempunyai perangai yang buruk – korup kerana tamak. وَيلٌ digunakan sebanyak 27 kali di dalam Al-Quran, dan digunakan 10 kali dalam Surah Mursalaat.

Apabila Allah letakkan kalimah لِكُلِّ, ia bermaksud semua mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu akan terkena, jadi jangan sangka akan terlepas. Maka kita kena tahu sifat mereka itu supaya kita dapat mengelakkan diri kita dari melakukannya.

Kalimat هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ adalah dalam wazan فُعَلَ yang bermaksud perbuatan itu selalu dilakukan. Dan kerana kedua-dua kalimat itu bunyi berdekatan sahaja, bermaksud maknanya juga adalah lebih kurang sama sahaja dan boleh ditukarganti antara satu sama lain (kadang-kadang boleh guna هُمَزَةٍ dan kadang-kadang boleh guna لُمَزَةٍ). Perbezaan antara keduanya adalah sikit sahaja dan kerana digunakan bersebelahan dalam ayat yang sama, maka maknanya tentu tidak sama dan kita akan cuba untuk membezakan maksudnya dari segi bahasa.

Ibn Abbas mengatakan هُمَزَ bermaksud ‘belakang badan’ dan لُمَزَ pula ‘depan muka’. Oleh itu, هُمَزَةٍ digunakan apabila seseorang mengumpat orang lain di belakang mereka – ini juga dinamakan ‘ghibah’ dan لُمَزَةٍ pula digunakan apabila mengata berhadapan. Maka mengata berdepan juga adalah salah besar (kadang-kadang ada orang kata: “tak salah ni sebab aku cakap depan-depan, bukan mengutuk!”). Ayat ini memberitahu yang ini pun salah juga.

Oleh itu هُمَزَةٍ adalah berkenaan orang yang suka mengumpat. Dan kita jangan lupa yang apabila dikatakan ‘mengumpat’, kadang-kadang perkara yang dikatakan itu memang betul pun, tapi orang yang dikatakan itu tidak suka kalau dikatakan tentang dia dengan cara itu.

Dan لُمَزَةٍ pula adalah orang yang suka mencela. Dan kadang-kadang perkara itu tidak betul tapi orang yang melakukannya itu berniat nak jatuhkan orang lain.

Malangnya, orang kita memang suka kalau nak bercerita tentang orang lain. Katakanlah ada empat orang kawan makan sekali, dan seorang lagi kawan mereka yang kelima tidak ada kerana dia ada hal. Agaknya apa yang empat orang kawan dia akan bercakap? Kita boleh sudah agak yang mereka berempat itu akan bercakap tentang kawan mereka yang kelima itu. Macam-macam mereka akan katakan tentang dia. Dan katakanlah kalau salah seorang dari mereka berempat itu kena bangun untuk pergi kerja, kita sudah boleh agak yang tiga orang kawan dia yang tinggal itu akan bercakap tentang kawan mereka yang keempat itu pula! Ini adalah هُمَزَةٍ.

Bagaimana pula maksud لُمَزَةٍ dalam kes ini? Kadang-kadang mereka bertiga akan bersama-sama mengutuk kawan mereka yang keempat dengan berdepan, sambil mereka makan! Mereka akan gelakkan dia – ini bukan terjadi dengan musuh, tapi dengan kawan kawan! Masyarakat kita sudah rasa selamba sahaja merendahkan kawan yang di hadapan mereka.

Kalau dengan kawan pun mereka sanggup buat begitu, bayangkan kalau musuh yang mereka tidak suka? Kita sangka perkara itu biasa sahaja, tapi lihatlah bagaimana Allah memberi kecelakaan kepada orang yang jenis begini! Jadi kena periksa balik apa yang kita selalu lakukan. Kalau biasa buat apa yang disebut di atas, maka berhentilah.

Oleh itu, هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ banyak berlaku dalam gossip. Ini terjadi apabila fikiran manusia itu tidak berfikiran tinggi, jadi mereka kena cari hiburan dengan cara lain, dan yang paling mereka suka adalah gossip tentang orang lain – cara orang bercakap, pakai baju dan apa sahaja yang orang lain lakukan.

Dan kerana itulah Allah telah sebut dalam Surah al-Asr sebelum ini, mereka itu adalah jenis orang yang dalam kerugian. Tidak berfaedah langsung apa yang mereka lakukan itu. Orang yang akhlaknya rendah sahaja yang akan mencari kesalahan dan kesilapan orang lain; mereka suka untuk memalukan orang lain. Mungkin kerana mereka sendiri ada banyak kelemahan dan kesilapan, maka mereka cuba menutup kelemahan mereka dengan menekankan dan menyebut-nyebut kelemahan orang lain supaya kelemahan mereka tidak nampak. Mereka hendak meninggikan diri mereka, tapi dengan cara merendahkan dan menjatuhkan orang lain.

Kadang-kadang لُمَزَةٍ dilakukan dengan cara tersembunyi. Sebagai contoh, nampak macam kita puji orang itu, tapi sebenarnya kita kutuk dia dengan menggunakan nada yang berlainan. Sebagai contoh, kita mungkin boleh kata kepada orang lain: “wah, pandai engkau yer?”. Dari segi lafaz, nampak macam puji tapi kita boleh gunakan nada yang sinis dengan memek muka yang berlainan untuk memberi isyarat sebenarnya kita mengutuk dia. Orang yang bercakap dan orang yang mendengar boleh faham apakah yang disampaikan. Tapi kalau kita tegur dia, dia mungkin kata: “eh, bukan aku puji dia ke?”.

Begitu juga, kalau kita menggunakan bahasa yang kesat, bahasa yang huduh kepada orang lain, itu juga adalah لُمَزَةٍ. Ataupun kadang-kadang mentertawakan orang lain di hadapan kita.

Ada juga pendapat lain tentang perbezaan dua kalimat yang kita sedang belajar ini. Dalam Tafsir Ibn Kathir disebut: Al-hammaz dan al-lammaz, itu bezanya: Kalau yang pertama melalui ucapan, sedangkan yang kedua melalui perbuatan. Makna yang dimaksudkan ialah tukang mencela orang lain dan menjatuhkan mereka. Tapi dengan cara yang berbeza.

 

Kalimah وَيلٌ juga boleh bermaksud perasaan menderita – ini adalah kerana mereka yang diperkatakan dengan sedemikian rupa, hati mereka akan menderita kerana mereka diperlakukan dengan sedemikian. Mereka rasa ‘pecah hati’. Akan tetapi, dalam ayat ini, Allah mempertahankan mereka yang sebegitu, kerana Allah menggunakan kalimah وَيلٌ sebagai kutukan kepada golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu.

Allah berjanji akan balas kepada mereka yang melakukan kesalahan itu. Kalau Allah yang mempertahankan, tentulah kita senang hati, bukan? Dan mereka yang dizalimi memang mendapat kelebihan seperti sabda Nabi:

Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda: اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah.” Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan

Dan ingatlah, kalau ianya janji Allah, maka janji Allah itu adalah sesuatu yang patut ditakuti. Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ. Berhati-hatilah dengan percakapan kita.

Kalimah وَيلٌ juga boleh digunakan sebagai membawa maksud apa yang dilakukan oleh هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah perkara yang huduh dan buruk. Allah memberi janji kepada mereka yang melakukannya: bersedialah untuk menerima kehancuran!

Kadang-kadang kita buat lawak dan tidak sangka yang perkara itu adalah perkara yang besar, tapi belajarlah apa yang Allah katakan dalam ayat ini. Allah berfirman dalam Hujurat:11:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ ۚ وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kalimah هُمَزَةٍ juga boleh bermaksud memanggil orang dengan nama yang mereka tidak sukai. Contohnya kita gelar dia: Orang pendek, orang gelap, orang kepala besar dan macam-macam lagi. Ini selalu kita lakukan, bukan? Berhentilah dari melakukannya. Kadang-kadang kita sangka kita buat lawak sahaja. Kadang-kadang kita buat sambil lewa sahaja. Jadi, ia boleh dilakukan dengan cara sengaja atau sambil lewa sahaja

Ia juga boleh bermaksud memalukan atau menghina orang yang duduk di sebelah kita, walaupun dengan pandangan mata. Dan memang kita faham bagaimana kita boleh kutuk atau jatuhkan orang dengan pandangan mata pun, dengan cemek muka.

Dan yang lebih teruk, ia boleh berlaku dalam hal agama – sebagai contoh, ada orang yang mengutuk atau menghina orang lain yang hendak mengamalkan sunnah – simpan janggut, pakai niqab dan sebagainya. Kadang-kadang orang Islam pun cakap macam itu juga. Ini bukan orang kafir pun, orang Islam! Orang Islam jenis apa pun tak tahulah!

Ketahuilah yang ini bukan perkara ringan – orang itu nak buat sunnah tapi ada orang yang jahil yang gelakkan pula. Tapi zaman sekarang, ramai yang jauh dari agama, dan mereka meringankan perkara itu. Kita kena ingat yang mereka kutuk itu kepada orang yang sayang kepada Nabi, jadi mereka nak ikut apa yang Nabi lakukan.

Ayat ini adalah dalam format Jumlah Ismiah. Selalunya, dalam Jumlah Ismiah, ال digunakan, maka sepatutnya secara kebiasaan kalimah yang digunakan adalah الوَيلٌ dan bukan وَيلٌ sahaja. Akan tetapi, seperti yang kita lihat, Allah menggunakan kalimah وَيلٌ dalam bentuk nakirah (bentuk umum) sahaja. Ini bukan sesuatu yang biasa. Kenapa agaknya?

Kalau kalimah الوَيلٌ yang digunakan, jadi ayat 1 ini diterjemahkan begini: Kebinasaan kepada هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu. Dan itulah juga maksud kalau menggunakan وَيلٌ dalam bentuk nakirah. Akan tetapi, dengan menggunakan format nakirah, ianya juga boleh digunakan dalam bentuk harapan atau doa.

Oleh itu, apabila format وَيلٌ digunakan, ia boleh juga bermaksud semoga kecelakaan ke atas mereka atau kecelakaan ke atas mereka. Kedua-dua makna ini boleh jadi, dengan membuang ال dari kalimah وَيلٌ itu. Dengan ada kebarangkalian doa ini, maka ini memberi tekanan kepada mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ, yang mereka mungkin akan dikenakan dengan kecelakaan itu, atau mungkin mereka telah tetap akan kena. Maka, kalau mereka ‘mungkin’ akan kena, maka mereka masih ada harapan lagi untuk mengubah sikap mereka.

Ada juga pendapat yang mengatakan وَيلٌ bermaksud satu bahagian di dalam neraka. Ianya sangat teruk sampaikan neraka sendiri meminta Allah untuk menghancurkan bahagian wail itu. Kerana neraka sendiri tidak tahan! Dan ianya diperuntukkan untuk mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu.

Apabila diletakkan ة (ta marbootah) pada kalimah هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, ia menunjukkan sesuatu yang ‘banyak’. Maksudnya, orang yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, mereka banyak melakukan kutukan dan celaan kepada orang lain, bukan sekali sekala sahaja. Dan kita boleh lihat bagaimana setiap ayat dalam Surah Humazah ini diakhiri dengan ة sebagai keindahan bahasa Al-Qur’an. Sedap sahaja kita baca, dan mudah untuk kita hafal, bukan?

Ia juga sebagai tanda mubalaghah (extreme) – sebagai contoh, kalimah qiyam bermaksud ‘berdiri’ tapi apabila kena berdiri pada jangkamasa yang lama di mahsyar nanti, Allah gunakan kalimah qiyamah setelah ditambah dengan ة. 

Dari segi nahu juga, kita boleh lihat bagaimana kalimah وَيلٌ ini dalam status marfu’. Ini menjadikan ayat ini jumlah ismiyyah. Dan dari segi balaghah, apabila dalam jumlah ismiyyah, ia memberi maksud pengekalan kerana apabila kemusnahan itu diberikan, ianya sampai bila-bila.

Katadasar kalimah هُمَزَةٍ adalah ه م ز yang bermaksud mencucuk seseorang dengan sesuatu yang tajam. Kalimah ini juga digunakan dalam Mu’minoon:97

وَقُل رَبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزاتِ الشَّياطينِ

Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.

Maksudnya, syaitan akan mengganggu manusia dengan bisikan-bisikan mereka, dan diumpamakan sebagai cucukan. Oleh itu, همز adalah gangguan yang menyebabkan orang yang kena gangguan itu tidak suka. Kerana kalau orang cucuk-cucuk kita, kita tidak suka, bukan?

Kalimah لُمَزَةٍ pula dari katadasar ل م ز yang bermaksud berterusan mencari kesalahan pada seseorang dan kemudian membongkar kesalahan itu untuk memalukan orang itu. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali. Kita sebagai manusia memanglah sentiasa ada kekurangan. Dan kalau dicari kekurangan itu, memang akan berjumpa, tidak syak lagi.

Oleh itu, jangan dicari kekurangan orang lain kerana kita pun ada kekurangan juga. Kalau orang cari salah kita pula, bagaimana? Adakah kamu itu malaikat? Maka kita pun tidak suka, akan tetapi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini sanggup mencari dan menyebut-nyebut tentang kelemahan orang lain. Mereka lupa agaknya yang mereka itu pun tidak sempurna.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Asr Ayat 3 (empat perkara yang amat penting)

Asr Ayat 3: Ini adalah sambungan ayat seterusnya dalam Surah al-Asr ini. Namun tahukah anda yang tiga ayat ini sebenarnya adalah satu ayat yang panjang sahaja dari segi bahasa? Memang dalam Al-Qur’an disusun dalam tiga ayat, tetapi sebenarnya dari sudut bahasa, ia adalah satu ayat sahaja.

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَواْ بِٱلحَقِّ وَتَوَاصَواْ بِٱلصَّبرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who have believed and done righteous deeds and advised each other to truth and advised each other to patience.

(MALAY)

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran.

 

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

kecuali orang-orang yang beriman

Kita telah sebut dalam penulisan yang lepas, bagaimana Ibn Taimiyyah رحمه الله mengatakan bahawa dua perkara yang menghalang manusia beriman sempurna ada dua:

1 – Shubuhaat (Keraguan)

2 – Shahawaat (Godaan Nafsu)

Oleh itu, تَواصَوا بِالحَقِّ – (nasihat menasihati kepada kebenaran) ini dapat memusnahkan penghalang keraguan itu. Ini kerana apabila mereka tahu apakah yang haq, mereka tidak ragu lagi untuk memeluk kebenaran dengan penuh yakin.

Manakala تَواصَوا بِالصَّبرِ – (nasihat menasihati kepada kesabaran) ini dapat membunuh penghalang dalam bentuk shahawaat itu. Apabila mereka dapat sabar, mereka akan dapat mengawal nafsu syahwat mereka. Mereka akan sedar bahawa kalau mereka sabar menahan nafsu mereka di dunia, mereka akan selamat di akhirat dan mereka akan dibalas dengan kehidupan di syurga yang nikmatnya lebih besar daripada dunia ini yang mereka susah tinggalkan dahulu. Tahan sekejap sahaja di dunia dengan sabar dan mereka akan dapat memenuhi nafsu syahwat mereka di syurga nanti, selama-lamanya.

Dalam dua ayat sebelum ini, kita telah bincangkan bagaimana masa sudah suntuk dan bagaimana kebanyakan manusia berada dalam kerugian yang besar kerana mereka leka dengan kehidupan mereka. Dalam ayat ini, jalan penyelesaian untuk menyelamatkan diri daripada kerugian yang besar itu diberikan. Maka kena ambil perhatian. Semua manusia rugi, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Mereka yang ada empat kualiti ini sahajalah yang akan selamat.

Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah إِلَّا, ini bermakna ini adalah pengecualian kepada sifat-sifat yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka ini sahajalah yang selamat. Apabila ada pengecualian sebegini, ini bermaksud, majoriti manusia akan berada dalam kerugian dan sedikit sahaja yang tidak rugi. Maka, kalau kita hendak selamat, kita jangan tengok kepada majoriti, tapi kena tengok kepada kebenaran. Jangan kita tengok ramai orang buat sesuatu perkara, kita sudah sangka yang mereka itu sudah selamat.

Memang hakikatnya majoriti manusia adalah dalam kerugian, walaupun kita tidak nampak mereka macam rugi. Nampak macam mereka pula yang seolah-olah bernasib baik, bukan? Ini kerana sekarang dalam dunia, majoriti yang menang dan membuat keputusan, bukan? Sampaikan kita kadang-kadang terpaksa ikut apa yang orang lain buat dan kita kena ikut kerana kita tidak mahu kelihatan pelik.

Begitulah orang Islam rasa semasa dalam dunia ini kerana kita tidak boleh buat ikut suka kita, sampaikan kita kelihatan pelik pada orang lain – kita tidak minum arak, tidak berzina, tidak berparti di disko dan sebagainya. Kadang-kadang ada yang malu dan tidak mahu nampak pelik, maka mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Mereka malu kalau mereka dilihat lain daripada orang lain dan ini juga kerana iman mereka memang lemah.

Namun kita semua kena tahu yang orang ramai kebanyakannya adalah dalam kerugian. Maka ini memberi motivasi kepada kita untuk tidak ikut majoriti – kerana kalau mereka rugi, buat apa kita hendak ikut mereka? Kenapa kita perlu malu untuk jadi asing/pelik, sedangkan begitulah permulaan Islam pun? Ini seperti disebut dalam satu hadith yang popular:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَال َ: قَالَ رَسُولُ اللّهِ قال : بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيباً فَطُوبىَ لِلْغُرَبَاءِ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti semula, maka beruntunglah orang-orang yang terasing” (Riwayat Muslim).

Islam datang waktu manusia hampir kesemuanya dalam kesesatan. Apa yang Nabi ﷺ bawa dan apa yang para sahabat رضي الله عنهم amalkan memang amat asing daripada kebanyakan manusia pada waktu itu. Lama kelamaan Islam telah berkembang dan telah menjadi satu norma dalam kehidupan manusia.

Namun begitu ia akan kembali menjadi asing. Mereka yang mahu kepada agama pula yang nampak asing. Sebagai contoh, kalau ada yang tidak solat berjemaah, itu tidak nampak asing; tetapi mereka yang jaga solat berjemaah pula yang nampak asing; kalau tidak belajar agama nampak normal sekarang, dan kalau belajar agama yang nampak pelik pula pada masyarakat. Begitulah keadaan dunia sekarang.

Kita telah lihat bagaimana dalam ayat 2, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah الإِنسانَ untuk merujuk kepada manusia. Ini kerana kalimah itu merujuk kepada setiap individu dan bukan kepada manusia secara kolektif. Supaya mesej yang hendak disampaikan tepat kepada setiap orang (kerana kalau nasihat diberi secara umum, manusia akan rasa itu bukan nasihat untuk diri dia tapi kepada orang lain). Jadi amat sesuai kalimah yang digunakan adalah الإِنسانَ.

Akan tetapi, apabila Allah ‎ﷻ menyebut tentang pengecualian dalam ayat ini, kalimah yang digunakan tidaklah dalam bentuk individu tetapi dalam bentuk kolektif pula – الّذِينَ آمَنُوا. Kenapa begitu pula? Ini adalah kerana, orang-orang yang mengamalkan kebenaran, mereka memerlukan sokongan daripada orang lain juga. Kena ada ummah kerana dengan ada ummah, akan menguatkan lagi semangat dan iman bersama-sama. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah dalam bentuk jamak dalam ayat ini sebagai isyarat kepada ummah.

Apabila ada kawan-kawan yang lain, maka ini akan lebih memberi semangat. Kita tidak kisah apakah asal mereka, asalkan mereka mahu menegakkan kalimah syahadah bersama-sama kita. Sebab itulah kita boleh lihat, bila kita buat ibadat bersendirian akan berasa lain, bila buat beramai-ramai pula, rasa lain. Ini sama juga kalau kita belajar. Bila belajar ramai-ramai lagi bagus dan lagi semangat. Oleh itu, jangan rendahkan kepentingan beramai-ramai dalam menegakkan iman.

Ada empat perkara yang akan dibincangkan dan yang pertama sekali adalah sifat mereka yang beriman – الَّذينَ آمَنوا. Apakah kesan yang kita akan dapat kalau kita beriman?

Pertama, kita akan rasa tenang. Kita tidak kelam kabut, walaupun kalau kita kehilangan barang kerana kita yakin yang ada perkara yang lebih baik yang menunggu kita di akhirat. Dalam setiap perkara yang berlaku, mereka yang beriman akan melebihkan akhirat daripada dunia. Ini kerana mereka sedar yang dunia ini tidak dapat dibandingkan dengan akhirat yang lebih tinggi lagi. Ini seperti disebut dalam Tawbah:38

فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Kita kalau beriman akan rasa tenang dengan kehidupan kita kerana kita yakin yang segala yang kita ada, termasuk diri kita sendiri adalah hak Allah ‎ﷻ. Oleh itu, apa sahaja yang kita dapat atau kita hilang, kita bersyukur dan terima apa yang terjadi kerana benda yang hilang itu pun bukan kita pun dari mulanya.

Apabila beriman, kita yakin dengan Allah ‎ﷻ, yakin yang apa sahaja yang Dia lakukan untuk kita adalah untuk kebaikan diri kita. Sebab itu kita dianjurkan untuk mengucapkan kalimah istirja’ dalam banyak hal seperti dalam Baqarah:156

الَّذينَ إِذا أَصابَتهُم مُصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ راجِعونَ

orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.

Hati mereka yang beriman akan tenang dengan mengingati Allah ‎ﷻ seperti yang disebut dalam Ra’d:28

الَّذينَ آمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Orang-orang yang sebegitu tidaklah asyik mengejar dunia sahaja. Kita selalu membaca kisah bagaimana ada sahaja orang yang kalau dikira dari keduniaan, mereka amat dhaif, namun hati mereka tenang sahaja; juga kita selalu membaca bagaimana ada manusia yang timpa malang sampai ahli keluarga dia mati, harta semua hilang, tetapi mereka masih beriman, masih serahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Sekian perkara pertama yang kita kena lakukan.

 

وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ

dan mengerjakan amal soleh

Perkara kedua yang kita kena jaga untuk selamat adalah عَمِلُوا الصّالِحاتِ – mereka mengerjakan amal soleh.

Kalimah عمل bermaksud melalukan sesuatu dengan niat. Ini berbeza dengan فعل iaitu perbuatan tanpa niat seperti bernafas, kelip mata dan lain-lain. Apabila dikatakan عمل, ianya adalah perbuatan kita yang boleh dipertanggungjawabkan seperti bercakap, memandu kereta, membeli barang. Semua perbuatan itu kita kena bertanggungjawab jika kita melakukannya. Kalau kita tidak sengaja, kita tidak bersalah, tetapi kalau sengaja, kita kena tanggung apa yang kita lakukan. Sebab itulah kalau kita hilang akal, tidak sedar diri, kita tidak bersalah kalau kita ada melakukan kesilapan (sebagai contoh, membunuh orang lain).

Amal yang dilakukan itu mestilah الصّالِحاتِ. Ia berasal daripada kalimah ص ل ح yang bermaksud memperbetulkan, memperbaiki, baik. Kalimah الصّالِحاتِ dalam ayat ini adalah dalam bentuk adjektif. Iaitu menerangkan yang amal itu mestilah amal yang baik.

Daripada segi bahasa, kalimah الصّالِحاتِ adalah dalam bentuk jam’u qilla – jamak tetapi tidak begitu banyak. Ia bermaksud amal-amal yang minimum sahaja. Jadi, Allah ‎ﷻ meletakkan syarat, sekurang-kurangnya kena buat amal yang wajib. Itu sekurang-kurangnya kena buat dan kalau jaga perkara-perkara itu (seperti solat, zakat dan sebagainya) sudah cukup untuk memasukkan ke dalam syurga.

Perkara-perkara sunat adalah sebagai tambahan, untuk memperbaiki dan menampung amalan wajib yang ada kekurangan. Perkara yang perlu dibuat yang wajib itu, semua Muslim tahu dan tidak boleh kata tidak tahu kerana ia adalah maklumat umum. Sebagai contoh, teruk bagaimana sekalipun seorang Muslim itu, dia tetap tahu yang dia kena lakukan solat.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita, kalau kita hendak menjadi orang yang baik, maka kita kena lakukan amalan yang baik. Ia adalah seperti ubat yang baik, perlu dimakan untuk membaiki keadaan kesihatan diri kita. Jenis ubat yang kalau tidak makan, akan menyebabkan kita sakit semula.

Sekian perkara kedua yang kita kena lakukan.

 

وَتَوَاصَواْ بِٱلحَقِّ

dan nasihat menasihati kepada kebenaran

Perkara ketiga yang kita kena lakukan adalah تَواصَوا بِالحَقِّ – berpesan-pesan dengan kebenaran. Kalimah تواص dari و ص ي yang bermaksud meninggalkan wasiat kepada orang yang kita sayang. Bukankah kita tinggalkan wasiat untuk orang yang kita sayang dengan barang yang bermanfaat untuk mereka? Apabila digunakan dalam bentuk تواص, ia bermaksud memberi arahan atau menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu.

Kalau dalam wasiat, kita beri arahan wasiat itu kerana ia adalah penting dan selalunya dilakukan apabila kita rasa umur kita tidak lama lagi. Biasanya kita rasa masa kita sudah suntuk maka kita akan lakukan wasiat itu dengan segera kerana kita takut kita tidak sempat untuk menyampaikannya.

Kita akan melakukannya kerana kita tahu apa yang kita hendak sampaikan itu adalah penting – tidak boleh tidak disampaikan. Sememangnya kita tidak boleh tangguhkan. Memang kadang-kadang kita segan atau takut hendak beri nasihat kepada orang lain kerana bimbang orang itu tidak dapat terima dan tidak jadi baik dengan kita selepas itu. Jadi mungkin kita tunda-tunda untuk beritahu, sampai kadang-kadang tidak beritahu langsung. Ini tidak bagus. Memang kita kena cari masa yang sesuai untuk beri nasihat, tetapi jangan tangguh lama sampai tidak beritahu.

Kalimah تواص mempunyai isyarat nasihat yang ikhlas, urgensi, kebenaran. Ini tidak sama dengan ‘beri arahan’ kerana tona yang lain yang digunakan. Ia lebih lagi daripada arahan yang biasa. Ini kerana kalau kita beri wasiat, kita selalunya berikan kepada orang yang rapat dengan kita, yang kita sayang, bukan? Kita tahu yang kita berikan sesuatu yang bernilai untuk mereka. Sama ada benda itu adalah harta, atau nasihat yang berguna. Jadi ini memberi isyarat bahawa nasihat yang kita berikan kepada orang lain itu adalah benda yang berharga, bukan benda murah serta ia memberi kebaikan kepada mereka.

Satu lagi implikasi dari kalimah تواص ialah: ia sama-sama dilakukan – dua hala, bukan satu hala. Kalau kita beri nasihat kepada seseorang, kadang-kadang orang yang dinasihati itu pun boleh nasihat kita juga. Kadang-kadang mereka cakap pun dengan cara kasar juga (“Kau pun tak buat… ada hati nak nasihat aku…”) Dalam keadaan begitu, kita terima sahaja walaupun cara dia macam tidak baik kerana kita kena sedar yang nasihat ini adalah dua hala.

Kalau kita boleh nasihat orang, maka kita kena terima yang orang lain pun boleh nasihat kita juga. Sebab itulah dalam kebanyakan terjemahan ayat ini, yang digunakan adalah ‘berpesan-pesan’ – kerana ia bermaksud aku pesan kepada kau, kau pun berpesan kepada aku juga. Jadi kita buka diri kita untuk menerima nasihat daripada orang lain juga. Bila beri nasihat, tunggu orang itu pula beri nasihat kepada kita.

Inilah sebahagian dari Tawwaasiy. Oleh itu kita kena pandai terima nasihat daripada orang juga, bukan bagi nasihat kita sahaja. Kita kena sedar, sudah baik sangatlah kalau ada orang yang nasihat kita. Oleh itu, kita kena terima nasihat orang kepada kita.

Namun kadangkala kalau ada orang nasihat kita, oleh kerana ego, kita susah hendak terima. Kadang-kadang itu kita marah pula orang yang beri nasihat kepada kita. Padahal kita kena berterima kasih kepada dia kerana nasihat kita. Malangnya, orang kita susah hendak terima nasihat orang lain. Ini kena ada anjakan paradigma dalam diri kita (kena redha terima nasihat).

Jadi, dalam surah ini, akan disentuh empat perkara. Apabila ada keempat-empatnya, maka kita akan ada iman yang lebih kuat. Ini adalah kerana amal yang baik asalnya daripada iman yang baik. Amal baik akan meningkatkan iman. Jadi ada kaitan rapat antara kedua-duanya, menguatkan antara satu sama lain. Namun asalnya bermula dari iman.

Kalau kita tidak lakukan amal soleh dan tawwaasiy, itu bermaksud kita tidak ada imanlah sebenarnya. Namun begitu ada yang tidak melakukan amal soleh dan tawwassiy, tetapi mereka mengaku sudah beriman. Ini tidak betul kerana kalau sebut ada iman sahaja, tidak cukup lagi, kerana ada yang buat dosa, tetapi mereka kata hati mereka beriman. Ada yang sangka mereka beriman, tetapi mereka sebenarnya tidak ada iman. Ini seperti yang disebut dalam ayat Hujurat:14:

قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم ۖ وَإِن تُطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِن أَعمالِكُم شَيئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Mereka dikatakan tidak ada iman lagi (baru Islam sahaja) kerana mereka baru masuk Islam dan tidak buat amal lagi. Oleh itu, kena buat amal dahulu baru boleh dikatakan ‘beriman’.

Kalimat تَواصَوا بِالحَقِّ ini banyak definisi yang diberikan oleh ulama’. Kita cuba senaraikan di sini sebahagian darinya:

    1. Dikatakan ia adalah ajakan kepada tauhid, taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul, jauh dari hubb dunya (cinta dunia) dan condong kepada akhirat.
    2. Mengajak manusia kepada melakukan perkara yang memang telah jelas kebenarannya. Kebenaran itu memang layak untuk ditegakkan dan diberitahu kepada manusia.
    3. Mengingatkan manusia dengan Al-Qur’an kerana al-haq yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Maka kena beri pesan dan beri nasihat menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Inilah yang penting sekali.
    4. Al-Haq dengan maksud ‘tauhid’. Jadi kena ingatkan manusia dengan ilmu tauhid.
    5. Al-haq dengan maksud melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

 

وَتَوَاصَواْ بِٱلصَّبرِ

dan nasihat menasihati kepada kesabaran

Sekarang kita masuk kepada perkara keempat dan terakhir iaitu تَواصَوا بِالصَّبرِ – berpesan-pesan dengan kesabaran.

Kita ingatkan sesama manusia supaya sabar dalam taat. Sabar dengan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita semasa kita hidup di dunia ini kerana ujian memang banyak. Kena sabar semasa diuji dengan perkara-perkara shahawaat yang boleh menjerumuskan kita masuk ke dalam dosa. Kena pujuk diri supaya jangan buat dosa itu dan jangan dengar kehendak syahwat.

Allah ‎ﷻ mulakan dengan تَواصَ بِالحَقِّ dahulu kerana itu lebih penting daripada تَواصَ بِالصَّبرِ. Jadi kena tahu kedudukan mana yang lebih penting. Kena mulakan dengan sebut tentang kebenaran dahulu.

Sememangnya bukan senang untuk suruh orang sabar kerana manusia memang tahu mereka kena sabar – kecuali waktu mereka dalam emosi. Kalau seseorang sedang marah dan kita nasihat dia untuk sabar, dia mungkin kata: “Memang aku tahu sabar itu betul, tapi waktu ini bukan waktu untuk sabar….” Ini adalah salah kerana sabar itu kena ada dalam setiap keadaan. Bukannya kita yang pilih waktu bila boleh sabar dan waktu bila boleh marah, bukan? Semoga kita termasuk di dalam golongan orang yang sabar, ameen.

Oleh itu, ada 4 benda yang kita kena buat dan ini selalunya tidaklah dilihat sebagai satu kejayaan oleh kebanyakan manusia, bukan? Ia tidak nampak penting kepada manusia biasa kerana manusia selalu tengok benda keduniaan sahaja.

Oleh itu, surah ini sebenarnya menyuruh kita ubah perspektif kita tentang apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan. Kejayaan bukanlah kekayaan, kekuatan, kekuasaan, tetapi mereka yang dapat menerapkan keempat-empat perkara ini dalam kehidupan.

Akan tetapi malangnya, manusia yang mengaku Muslim pun, yang telah sebut syahadah, tetapi mereka tidak faham pun apa yang mereka lafazkan dalam syahadah itu. Mereka sebut sahaja, tetapi mereka tidak tahu apakah yang mereka kena buat kalau sudah mengaku yang mereka beriman.

Mereka rasa kalau sudah lafazkan syahadah sahaja sudah cukup beriman. Ini macam orang bagi salam kepada kita, kita terus rasa dia Muslim, bukan? Oleh itu, ada yang rasa kalau sudah sebut syahadah sudah cukup. Ini adalah pandangan yang salah.

Manakala salah faham kedua pula, mereka rasa iman sudah cukup, tidak ada kena mengena dengan apa yang kena dilakukan. Lihatlah bagaimana orang Badwi tidak dikatakan beriman lagi kerana mereka memang belum beriman lagi. Mereka sangka mereka sudah beriman, tetapi mereka baru ‘muslim’ sahaja.

Ini adalah kerana iman itu bukan pada lafaz sahaja, tetapi kena diikuti dengan amalan yang kena dilakukan. Jadi kita tahu yang kita kena lakukan sesuatu, tetapi apakah yang kita kena lakukan? Ini adalah perkara yang kompleks, jadi kita hendak kena mudahkannya supaya senang untuk faham sebagai pemahaman asas. Secara ringkasnya, ada tiga perkara yang kena ada:

      1. Iman kena ada dalam hati.
      2. Wahyu pun kena ada dalam hati juga.
      3. Zikir.

Ketiga-tiga perkara ini saling kait mengait. Sebagai contoh, kalau wahyu ada dalam hati, itu akan meningkatkan iman. Zikir yang terbaik sekali adalah Al-Qur’an. Ini dikuatkan lagi dengan ayat dalam Anfal:2

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ

(Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka)

Lihat bagaimana ‘hati’ dan ‘zikir’ disebut dalam ayat ini.

Ayat itu disambung:

وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَاناً

(dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka)

Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana ketiga-tiga perkara (Al-Qur’an, iman dan zikir) ini disebut dalam satu ayat, memberi isyarat yang ketiga-tiganya memang ada kaitan.

Dari apa yang kita baru lihat ini, kalau ingin tahu sama ada, ada iman ataupun tidak, kena tengok sama ada tiga perkara yang disebutkan itu ada pada kita atau tidak. Iman, wahyu dan zikir kena ada sekali. Zikir yang terbaik sekali adalah solat kerana dalam solat juga ada bacaan Al-Qur’an, bukan? Solat memang berkait rapat dengan iman dan kerana itulah apabila qiblah ditukar, ayat Al-Qur’an berkenaan perkara itu mengaitkan iman dan solah. Ini disebut dalam Baqarah:143

وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم

(dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu).

Ulama’ mentafsirkan maksud ‘إيمانَكُم’ dalam ayat ini sebagai ‘iman kamu’. Ini adalah kerana ayat ini tentang solat dan qiblah (maksudnya solat mereka tidak sia-sia walaupun dahulu mereka solat tidak menghadap Kaabah). Allah ‎ﷻ sendiri kaitkan iman dan solat dalam ayat ini.

Oleh itu, tanda seseorang itu ada iman adalah dia mengerjakan solat. Kita pun tahu bahawa dalam solat, ada iman, ada zikir dan ada dibacakan wahyu. Jadi memang hebat sekali solat itu. Maka kenalah kita jaga solat kita. Ramai dari kalangan kita, amat susah untuk menjaga solat fardhu lima waktu, apatah lagi kalau solat-solat sunat.

Salah faham ketiga pula adalah, ada yang berasa kalau sudah ada iman, sudah cukup dan tidak perlukan buat amalan lagi. Ini adalah fahaman golongan murjiah. Fahaman ini amat jauh tersasar sekali, kerana dalam ayat-ayat Al-Qur’an, dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Kalau kita ada iman, sudah tentu kita akan melakukan seperti apa yang disuruh, bukan?

Contohnya, kalau kita percaya api membakar, tentu kita tidak sentuh api itu bukan? Kerana itulah kalau kita sudah percaya benar, tentu kita akan ambil tindakan untuk membuktikan kepercayaan kita itu. Kita kena jelas bahawa perbuatan kita bergantung kepada kepercayaan kita. Kita tidak akan buat sesuatu kalau kita tidak percaya. Jadi jangan katalah diri itu ada iman, tetapi tidak solat. Sesiapa yang mengaku begitu adalah bodoh sama sekali.

Allah ‎ﷻ menegur mereka yang sebegitu dalam Saf:2

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan yang tidak kamu kerjakan?

Seolah-olah Allah ‎ﷻ menegur mereka, “Iman jenis apa ni, tak buat apa yang dicakapkan? Kata beriman, tapi tidak melaksanakan apa yang diimani”. Jadi kita kena tengok amalan kita, adakah kita ikut suruhan Allah ‎ﷻ? Seeloknya sebelum kita tegur dan beri nasihat pada orang lain, kenalah kita tengok pada amalan kita sendiri. Kita tengok diri sendiri terlebih dahulu, adakah amalan perbuatan kita menunjukkan iman dalam hati kita?

Walaupun begitu, kita tahu yang iman itu turun dan naik. Kita kena berusaha untuk meningkatkan iman kita dan tetapkan iman kita supaya tidak turun lagi. Dalam Al-Qur’an pun ada memberi isyarat bahawa ada dua jenis orang beriman. Kalau kita perasan, apabila Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang orang beriman, kadang-kadang Allah ‎ﷻ gunakan kalimah الَّذينَ يُؤمِنونَ dan kadangkala Allah ‎ﷻ gunakan kalimah الْمُؤْمِنُونَ sahaja. Apakah bezanya?

Kalau Allah ‎ﷻ gunakan الَّذينَ يُؤمِنونَ, ia adalah dalam bentuk kata-kerja. Dalam bahasa Arab, kalau ia dalam bentuk katakerja, ia masih berbentuk sementara, tidak tetap lagi. Sedangkan kalau dalam bentuk isim iaitu الْمُؤْمِنُونَ, ia bermaksud yang sudah tetap. Sebab itu kalau Allah ‎ﷻ sebut الْمُؤْمِنُونَ sahaja, itu adalah orang yang telah tetap iman mereka.

Oleh kerana itu, kita akan lihat perbezaan kalau penggunaan ayat dalam Al-Qur’an tentang dua golongan ini. Kalau Allah ‎ﷻ gunakan الْمُؤْمِنُونَ sahaja, tidak ada teguran tentang mereka dan kalau Allah ‎ﷻ gunakan dalam bentuk الَّذينَ يُؤمِنونَ, ada banyak teguran kepada mereka untuk mereka memperbaiki diri mereka.

Kalau Allah ‎ﷻ sebut tentang الْمُؤْمِنُونَ dan sifat mereka, Allah ‎ﷻ akan sebut tentang amalan-amalan mereka. Ini maknanya, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang kalau beriman itu kenalah ada perbuatan dan amalan yang baik, bukan setakat hati sahaja kononnya beriman.

Ini ramai daripada kalangan orang kita – ada yang sering berkata: “Walaupun aku nampak jahat, tapi hati aku baik”, “walaupun aku tak pakai tudung, tapi hati aku beriman”, dan sebagainya. Ini amat memusykilkan sekali dan kita tidak boleh dipersalahkan kalau meragui keimanan mereka kerana memang tidak nampak beriman pun.

Lalu apakah iman itu? Ini adalah perkara yang amat panjang dan perlu kepada pembelajaran yang khusus dan berterusan. Namun untuk memulakan kefahaman dan memudahkan kita faham mengenai iman, ada tiga perkara penting yang kena ada:

    1. Iman kepada Allah ‎ﷻ. Ini dinamakan ‘tauhid’.
    2. Iman kepada mesej yang Allah ‎ﷻ sampaikan (wahyu). Ini dinamakan ‘risalah’. Apabila dikatakan ‘risalah’, ini termasuk kitab dan juga Rasul yang menyampaikan. Untuk lebih faham, sila rujuk Surah Bayyinah di mana sudah diterangkan bahawa maksud  ‘bayyinah’ itu terdiri daripada dua perkara – Wahyu dan Rasul.
    3. Iman kepada akhirat.

Itulah tiga perkara yang penting dan untuk senang ingat, ingat ART (Akhirat, Risalah, Tauhid). Memang ada iman-iman yang lain, tetapi yang tiga ini adalah yang utama sekali. Ketiga-tiganya amat penting dan menjadi perdu kepada iman, sampaikan tidak boleh buang salah satu daripadanya. Kalau ada kekurangan salah satu daripadanya, maka tidak wajar dia dikatakan Muslim lagi. Memang ada orang yang percaya kepada wujudnya Tuhan, tetapi mereka tidak terima adanya hari Akhirat. Atau ada manusia yang tidak percaya Tuhan berkomunikasi dengan Rasul-Nya untuk menyampaikan wahyu.

Oleh kerana ada kekurangan dalam salah satu perkara utama itu, maka orang itu tidak dikira sebagai ada iman, malah tidak boleh dikira sebagai Muslim pun. Ada juga golongan yang kononnya tidak percaya kepada Hadith seperti golongan Anti-Hadith yang ada di negara ini. Fahaman mereka itu tidak lengkap langsung kerana kalau percaya ada Tuhan, bagaimana hendak tahu apa yang Tuhan hendak kita buat kalau kita tidak percaya ada Rasul yang Allah ‎ﷻ sampaikan wahyu kepada mereka?

Ini penting untuk difahami sebab kita tidak akan dapat maklumat itu terus dari Allah ‎ﷻ. Seperti golongan Anti-Hadith itu, agaknya bagaimanalah mereka hendak mengerjakan solat kalau mereka tidak terima Hadith? Adakah mereka akan reka cara solat, sedangkan ayat suruhan solat ada dalam Al-Qur’an. Mungkin ‘ulama’ mereka akan reka cara solat. Mereka tidak mahu terima hadith dari Nabi ﷺ tetapi mereka sanggup terima hujah dari ‘ulama’ mereka? Ini amat sesat dan menyesatkan. Maka, nampak bukan bagaimana pentingnya ketiga-tiga perkara itu kena ada?

Ketiga-tiga perkara tersebut banyak terdapat dalam ayat-ayat Surah Makkiyah. Hanya apabila ketiga-tiga perkara ini sudah kuat, barulah dikira ada iman. Surah-surah Makkiyah adalah tentang pemantapan iman kerana Allah ‎ﷻ hendak pastikan pemantapan iman di awal Islam. Tentang hukum dan amalan itu datangnya kemudian, terutama dalam Surah-surah Madaniyyah.

Malangnya, orang kita tidak faham tentang perkara ini, maka mereka ramai yang sibuk tentang amalan ibadat tetapi tidak mantap iman mereka kerana mereka sangka mereka telah beriman, tanpa faham apakah iman itu sendiri. Maka ramai yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedar. Ini adalah kerana iman mereka tidak sempurna.

Bahaya kalau tidak faham kerana ramai juga yang apabila disebut tentang ‘akidah’, mereka sangka akidah itu hanya tentang Allah ‎ﷻ sahaja. Ini bahaya kerana kadang-kadang iman kita tidak lengkap kerana kita katakan sesuatu yang tidak patut tentang Rasulullah ﷺ. Memang kalau kita cakap sesuatu yang syirik tentang Allah ‎ﷻ, itu sudah merosakkan iman dan tauhid, tetapi ada juga yang menyebabkan rosak iman mereka kerana tidak percaya kepada rasul atau memperkatakan perkara yang tidak patut tentang Rasul.

Begitulah kadang-kadang ada manusia jahil yang kononnya terlalu sayang sangat kepada Nabi ﷺ sampaikan mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya melawan kata-kata Nabi ﷺ sendiri. Nabi ﷺ kata jangan puja baginda, tetapi mereka puja baginda; begitulah ada yang ekstrim sama ada terlalu meninggikan atau merendahkan Rasulullah ﷺ.

Sebagai contoh, mereka tidak kisah dengan amalan sunnah yang Nabi ﷺ buat, sampai ada yang kata simpan janggut ia hanya sunat sahaja (sebagai contoh). Seolah-olah padanya ia tidak penting. Ini adalah satu contoh bagaimana merendahkan suruhan Nabi Muhammad ﷺ padahal kita kena pandang tinggi dan amalkan apa yang baginda cakap.

Kita kena faham dan jaga betul-betul iman kita, kerana kalau tiada iman, amal baik pun tidak dikira. Bagaimana kita boleh periksa sama ada kita ada iman ataupun tidak?

Kita boleh tahu sama ada kita ada iman atau tidak, dengan melihat sama ada kita ada ketenangan atau tidak. Ini kerana kalau tidak ada ketenangan, maknanya kita ada masalah dengan iman. Iaitu kita tidak yakin dengan janji Allah ‎ﷻ kepada kita. Begitulah kalau kita ada masalah, ketahuilah yang itu semua adalah ujian dan tentunya ada kebaikan untuk kita.

Kalau orang yang tidak ada iman, mereka akan gelisah, tidak puas hati, kelam kabut sahaja. Sedangkan kalau orang itu benar-benar beriman, dia akan tenang sahaja walau apa pun yang terjadi. Sebagai contoh, kalau mereka ada kehilangan barang pun mereka tidak kisah kerana mereka yakin yang semua benda adalah hak Allah ‎ﷻ, mereka hanya pinjam pakai sekejap sahaja dan Allah ‎ﷻ boleh tarik bila-bila masa sahaja.

Kita kena sedar yang iman itu adalah harta yang paling berharga sekali. Kita kena bersyukur kalau kita hidup dalam iman. Namun bagaimanakah kalau kita sahaja yang beriman tetapi orang lain yang rapat dengan kita tidak? Maka kita kenalah sampaikan juga kepada orang lain, ajak mereka, ajar mereka, beri nasihat kepada mereka.

Bandingkan, kalau kita ada harta, dan kita bagi harta itu kepada orang lain, tentu akan berkuranglah harta itu, bukan? Namun bagaimana kalau kita ajar orang lain supaya mereka pun beriman juga, adakah berkurang iman kita itu? Oleh itu, ingatlah yang kalau kita beri nasihat kepada orang lain, tidak akan berkurang iman kita, malah akan bertambah pula.

Kalau kita teruskan perumpamaan iman itu dengan harta yang amat berharga, dan anda rasa iman ini berharga sangat, tidakkah kita mahu ahli keluarga dan orang yang rapat dengan kita pun dapat juga? Tentu kita mahu, bukan? Maka teruskan memberi nasihat kepada mereka, supaya mereka pun ada iman juga.

Dari segi bahasa, Allah ‎ﷻ boleh sahaja gunakan kalimah وَتَواصَوا بِالحَقِّ والصَّبرِ, (berpesan-pesan dengan haq dan kesabaran) dan ini benar dari sudut bahasa. Namun Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah وَتَواصَوا sekali lagi kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi kedudukan yang tinggi terhadap kedua-dua perkara itu (haq dan kesabaran). Ini adalah kerana kedua-duanya penting. Kalau Allah ‎ﷻ tidak letak kalimah وَتَواصَوا pada الصَّبرِ, dari segi balaghah, ia adalah kurang penting daripada الحَقِّ.

Apabila Allah ‎ﷻ suruh kita beramal yang baik (وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ), berpesan-pesan dengan al-haq dan berpesan-pesan dengan kesabaran juga sudah termasuk dalam amal yang soleh juga. Maksudnya, kalau tidak disebut pun, ia sudah termasuk, tetapi Allah ‎ﷻ sebut satu persatu kerana amat pentingnya dua perkara itu.

Beberapa perkara yang kita boleh ringkaskan setakat ini:

    1. Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah تَواصَ yang daripada katadasar yang sama digunakan untuk wassiyyah, ia menunjukkan kita prihatin kepada orang yang diberikan dengan wasiat itu dan kerana itu kita berikan nasihat itu kepada mereka.
    2. Kita telah sebutkan bahawa dengan menggunakan kalimah العَصرِ, menunjukkan ada elemen kesuntukan masa, maka hendaklah dilakukan dengan segera, tanpa berlengah lagi kerana takut tidak sempat hendak beritahu kalau lambat.
    3. Apabila digunakan kalimah yang berkenaan dengan wasiat, ini menunjukkan apa yang diberikan itu ada nilai, sebab itu kita wasiatkan. Ini seperti kita mewasiatkan sesuatu harta, mestilah yang ada nilai, bukan?
    4. Apabila ia berkenaan dengan wasiat, ini menunjukkan yang ia lain daripada ikhbar (memberi khabar), i’lam (menyampaikan ilmu) sahaja. Ini kerana kalau wasiat, ada terdapat di dalamnya elemen sayang, kasih kepada orang yang disampaikan wasiat itu. Tidak kiralah sama ada dia ahli keluarga kita, rakan kita, bangsa kita, atau sesama manusia.

Dari segi balaghah, ada kepentingan apabila digunakan huruf ب dalam kalimah بِالحَقِّ itu. Antaranya:

    1. Ia boleh jadi adverb (kata keterangan). Ia bermaksud, apabila kita memberi nasihat itu, kita beri nasihat itu ‘dengan haq’. Maksudnya, bercakap dengan benar, tidak berbahasa pusing-pusing, iaitu tidak tinggalkan apa yang sepatutnya diberikan. Ini kerana kadang-kadang semasa beri nasihat, kita tidak beritahu sepenuhnya kerana takut orang itu tidak dapat terima tetapi kalau kita jujur dan ikhlas, kita akan beritahu semua sekali. Jadi kena ingat perkara ini semasa kita memberi nasihat itu. Maknanya, bukan sahaja kena sampaikan yang benar, cara sampaikan pun dengan benar juga.
    2. Ia boleh bermaksud memberitahu yang ‘haq’ dan yang haq itu ditafsirkan sebagai  Al-Qur’an, tauhid, sunnah. Inilah yang hendaklah diberitahu kepada orang. Maknanya, apa yang kita sampaikan kepada mereka itu bukan datang daripada kita, tetapi daripada wahyu ilahi.
    3. Menasihat ke arah ‘haq’. Kita tahu bagaimana ada orang yang lemah semangat dalam agama. Sebenarnya mereka sudah ada iman dan sudah mula berbuat amal, tetapi mereka harus sentiasa diingatkan dan diberi semangat dari masa ke semasa kerana mereka kadang-kadang lemah semangat. Ingatkan mereka kepentingan untuk meneruskan berbuat baik, kepentingan iman, kepentingan amal dan ingatkan mereka apakah tujuan mereka, iaitu menuju al-haq – kebenaran.

Dan apakah al-haq itu? Ulama’ juga membincangkan perkara ini. Antaranya:

    1. Perkara yang kita sudah tahu dalam hati kita yang ia adalah benar. Oleh itu, apabila kita mengajak manusia, kita sebenarnya mengajak mereka kepada perkara yang mereka sendiri sudah terima sebagai benar.
    2. Perkara yang boleh dibuktikan dengan dalil. Oleh itu, kalau ada orang tidak percaya, kita boleh beri hujah dan dalil yang sahih, kerana ia datang daripada wahyu.
    3. الحَقِّ juga digunakan dalam bahasa Arab untuk membawa maksud kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dijalankan. Sebagai contoh ada disebut dalam Baqarah:241 tentang kewajipan memberi mahr kepada bakal isteri (وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ) Maksudnya, apabila kita memberi nasihat kepada orang, kita ingatkan mereka kepada tanggungjawab mereka. Sebagai contoh kita beri nasihat kepada suami yang tidak menjalankan tugasnya sebagai suami; seorang pemimpin yang tidak menjalankan tugas mereka sebagai pemimpin; sebagai anak; sebagai seorang Muslim dan sebagainya.

Sekarang mari kita bincangkan apakah kaitan وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ dengan آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ sebelum ini?

Kalau kita perhatikan آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ adalah dua perkara yang kita boleh buat bersendirian sahaja. Namun kalau kita lihat pula وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّبرِ, ia adalah perkara yang bukan berasingan tetapi melibatkan orang lain juga. Seperti yang kita sendiri tahu, ada amal yang memberi kesan kepada diri kita sahaja dan ada yang memberi kesan kepada orang lain.

Sebagai contoh, kalau kita mendirikan solat, ia memberi kesan kepada diri kita sendiri; tetapi kalau kita memberi sedekah, ia memberi kesan kepada diri kita DAN juga memberi kesan kepada orang lain juga, bukan?; begitu juga kalau perbuatan buruk seperti menipu, ia memberi kesan kepada diri kita dan juga kepada orang lain;

Oleh itu, kalau kita hanya prihatin kepada diri kita sahaja, ini adalah tidak bagus. Ini kerana kalau seseorang tidak menjalankan tanggungjawab, ia akan melibatkan orang lain juga, bukan diri dia sahaja. Oleh itu, kita kena berpendirian tetap dan cakap yang benar.

Sebagai contoh, kalau ada orang yang dizalimi, kita tidak boleh berdiam diri sahaja dan buat bodoh, buat tidak tahu. Contohnya, katakanlah kita nampak kanak-kanak bermain bola di kawasan yang boleh merosakkan harta orang lain, maka kita kena menasihati mereka supaya jangan bermain di kawasan itu kerana bola mereka boleh terkena kereta orang, rumah orang dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim (yang baik), kita tidak boleh tengok sahaja tanpa melakukan apa-apa atau bercakap apa-apa. Akan tetapi, kita sedar yang memang benda-benda seperti ini memerlukan keberanian. Kadang-kadang memang bahaya kalau kita bercakap dan orang yang diberitahu itu tidak suka. Tambah pula kalau orang yang berbuat zalim itu memang seorang yang zalim dan ada kuasa (menegur kanak-kanak bermain bola tentulah tidak sama dengan menegur pemimpin yang zalim).

Tentu kadang-kadang kita memang sedar yang kita rasa kita kena beritahu sesuatu, tetapi selalu kita fikirkan kesan kepada diri kita. Kerana itulah, selalu orang buat senyap sahaja untuk menjaga kepentingan dan keselamatan diri mereka. Kerana itu jugalah Allah ‎ﷻ sudah sebut di awal lagi – ini kena mula dengan ada iman terlebih dahulu.

Ini kerana orang yang ada iman, dia akan sanggup buat kerja ini dan kalau sudah takut hendak mengingatkan, menasihati, menegur orang lain yang berbuat kesalahan, maka itu tanda iman tidak kuat. Bukan tidak ada, tetapi kurang. Maka kena tingkatkan iman. Untuk lebih memahami perkara ini, lihatlah satu hadith yang popular ini:

عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ. رواه مسلم

Dari Abu Sa’id Al Khudri رضي الله عنه berkata: Saya mendengar Rasulullah ﷺ  bersabda: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim no. 49)

Lihatlah bagaimana Rasulullah ﷺ memberitahu kita, mulanya kita kena cuba ubah kemungkaran itu dengan tangan kita. Kalau tidak mampu, maka berilah teguran dan nasihat dengan lidah. Akhir sekali, kalau itu pun tidak mampu, maka kita tolaklah dengan hati kita, iaitu kita ada rasa tidak redha dengan kemungkaran yang dilakukan. Ini yang tidak menariknya – Rasulullah ﷺ kata itu adalah iman yang paling lemah.

Lihatlah bagaimana Nabi ﷺ tidak berkata itu paling lemah daripada segi perbuatan, tetapi Nabi ﷺ kaitkan dengan ‘iman’. Ini adalah kerana orang yang iman dia betul-betul kuat, dia akan buat dengan tangan dia dan dengan lidah dia. Ini adalah kerana mereka yakin dengan Allah ‎ﷻ dan mereka tidak takut kesan daripada perbuatan mereka itu. Mereka tahu apa yang mereka lakukan, dan mereka tidak boleh melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata mereka dan hanya melihat sahaja.

Kalimah تَواصَ adalah dalam  wazan تفاعل – yang bermaksud ada elemen kerjasama. Sememangnya perbuatan تَواصَ ini dilakukan dalam masyarakat kerana kena ada kerjasama dalam masyarakat, bukan? Oleh itu, تَواصَ itu kena bermula dengan orang yang rapat dengan kita. Ia bermula daripada lingkaran yang kecil dan membesar ke luar lagi.

Selalu sahaja kita berasa itu lebih sukar sebenarnya, kerana kadangkala dengan keluarga kitalah yang berat hendak memberikan nasihat. Ini adalah kerana manusia selalunya sukar hendak menerima nasihat daripada ahli keluarga sendiri. Kerana itulah ramai orang berilmu boleh mengajar orang lain, tetapi anak sendiri dan keluarga sendiri mereka sukar untuk menasihati.

Oleh kerana itu, memberi nasihat kepada orang yang rapat dengan kita amat memerlukan kesabaran. Ini bukanlah memerlukan kesabaran yang biasa tetapi kesabaran yang amat tinggi. Kerana itulah Allah ‎ﷻ tekankan selepas itu dengan nasihat untuk bersabar.

Kalimah الصَّبرِ bukan sahaja menerima apa sahaja yang terkena kepada kita, tetapi ia juga bermaksud  ‘ketabahan’ atau istiqamah. Iaitu apabila susah dalam melakukan sesuatu, kita tetap tabah dan terus melakukannya.

Ia juga termasuk komitmen. Iaitu kena kuat semangat untuk meneruskan. Memang susah untuk beri nasihat, tetapi kita terus sabar dan tabah untuk terus melakukannya. Juga kena ada ketetapan, tidak turun naik, tetapi terus berjalan sahaja.  Walaupun susah, kena beri komitmen yang sama. Dalam erti kata lain, jangan ‘putus angin’.

Kalimat تَواصَ بِالصَّبرِ bukan sahaja mengajak orang ke arah haq (kebenaran) dengan sabar, tetapi juga mengajak orang lain jadi sabar juga. Kita sebagai manusia memang memerlukan nasihat untuk sabar. Maksudnya, kita memang susah hendak bersabar dan kita sendiri memerlukan orang lain menasihatkan kita untuk sabar. Kalau kita bersendirian sahaja, memang susah hendak jaga sabar.

Tidak dinafikan, memang ramai orang yang baik hati, mahu melakukan kebaikan, tetapi sekali sekala kena nasihat kepada mereka supaya kena sabar. Bukannya mereka tidak tahu tentang sabar, tetapi mereka dan kita akan dapat manfaat kalau diberi nasihat untuk jadi sabar. Ini untuk beri peringatan kepada mereka.

Ini adalah kerana syaitan pasti akan kacau mereka yang melakukan kerja atas agama, maka kita kena nasihat mereka yang buat kerja-kerja ini. Kita kena beritahu mereka yang mereka kena sabar dan mereka kena ingat dengan tujuan asal mereka.

Dalam buat ibadat kepada Allah ‎ﷻ juga memerlukan kesabaran. Kadang-kadang kita bersemangat untuk baca Al-Qur’an, solat sunat dan sebagainya, tetapi kadang-kadang akan datang malas itu. Terutama dalam kelas pengajian. Selalu kita perasan, kalau mula kelas pengajian, akan ramai orang yang datang. Namun lama kelamaan, komposisi kelas akan berkurangan dan yang tinggal adalah beberapa kerat sahaja. Entah datang kerana malu atau memang mereka sudah lemah semangat hendak datang ke kelas. Syaitan tidak suka kalau kita jadi orang berilmu, maka syaitan akan bisikkan kemalasan kepada mereka.

Dari segi nahu, semua empat perkara yang perlu dilakukan ini dalam “past tense”. Kenapa begitu? Ini adalah kerana ia tentang orang yang telah melakukan semua perkara itu selama dia hidup, bukan sekerat jalan sahaja. Maknanya, orang itu sudah tiada lagi, tetapi kita boleh kata yang semasa dia hidup dahulu, dia telah beriman, beramal soleh, berpesan kepada haq dan berpesan kepada kesabaran. Ini kerana dia terus melakukannya sehingga ke akhir hayatnya.

Ini tidak sama kalau kita kata seseorang itu ‘sedang’ beriman, beramal soleh, berpesan kepada kebenaran dan kesabara kerana kalau dia ‘sedang’ melakukannya, belum tentu lagi dia akan meneruskan kerana boleh sahaja terjadi ada kemungkinan yang dia tidak meneruskannya. Ini kerana istiqamah adalah satu kelebihan yang tidak semua orang ada.

Ini memberi isyarat kepada kita yang keempat-empat perkara yang telah disebut itu kena buat sampai mati. Maknanya, tidak boleh berhenti pada mana-mana peringkat kehidupan pun, tetapi kena teruskan sampailah mati. Maka ini memerlukan kesabaran yang tinggi.

Keempat-empat perkara ini berkaitan dan kalau ada salah satu yang tidak ada, akan menyebabkan kehancuran kepada seseorang Muslim itu. Sebagai contoh, kalau dia tidak ada sabar, dia tidak boleh hendak menasihatkan orang kepada kebenaran. Ini kerana bukan senang hendak nasihat orang kalau tidak ada kesabaran.

Bagaimana kita tahu yang apa yang kita nasihatkan itu adalah ‘kebenaran’? Salah satunya adalah kalau kita ajak itu, ada yang marah kerana kalau tidak ada orang yang marah, mungkin apa yang kita ajak itu bukanlah تَواصَ بِالحَقِّ. Jarang sekali orang yang terima sahaja kebenaran yang disampaikan kepada mereka kerana kebanyakan manusia adalah dalam keadaan alpa dan jahil daripada agama dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka.

Ini kena faham daripada awal lagi sebelum menjalankan kerja dakwah. Kena sedar yang ini perkara biasa sahaja. Ia seolah-olah, kena marah dengan orang yang dinasihati itu memang datang dengan kerja nasihat ini. Bagaimana kita tahu? Lihatlah kepada para Nabi dan para ulama’. Sudah tentu mereka itu baik, pandai cara dakwah, tetapi apa yang mereka dakwah itu menyebabkan mereka kena serang, kena caci, kena sakiti dan macam-macam lagi.

Dalam Al-Qur’an memang banyak diceritakan tentang penolakan umat mereka sahaja. Mereka kena sabar sangat dengan layanan daripada umat-umat mereka. Namun begitulah sunnatullah kerja dakwah – memang akan berlawanan dan menentang arus masyarakat semasa. Kerana itulah janganlah hairan sangat kalau ditentang dan tidak diterima oleh kebanyakan dari orang. Itu semua adalah dugaan dari Allah ‎ﷻ supaya kita dapat bersabar dan dapat pulangan pahala dari kesabaran itu. Kalau semua orang terima sahaja, maka tidaklah ada pahala sabar, bukan?

Kalau tidak menjalankan تَواصَ (memberi wasiat/nasihat/dakwah) kepada orang lain – itu menunjukkan sebenarnya tidak ada iman dalam diri kita dan kita pun sebenarnya tidak melakukan amal soleh dengan sebenarnya. Ini kerana kalau kita buat amal soleh, baru kita nampak amal yang tidak soleh. Baru nampak banyak amal-amal yang bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat.

Apabila kita sudah biasa buat amal soleh, kita tidak akan senang kalau lihat orang tidak buat amal soleh. Geram sahaja hati kita apabila melihat amalan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat sekarang. Kerana itulah orang yang sudah kenal Sunnah, akan tegur amalan bid’ah masyarakat (dan tentunya menyebabkan mereka marah kepada kita, bukan?). Namun itulah hakikatnya, dan kalau kita tidak kisah dengan amalan salah dan bid’ah orang lain, maka itu tandanya kita pun tidak membuat amal soleh itu sendiri.

Kita hampir ke penamat tafsir surah ini. Surah ini pendek sahaja, tetapi rasanya sekarang anda boleh nampak bagaimana walaupun surah ini pendek sahaja tetapi ia amat banyak sekali pengajaran di dalamnya dan amat susah untuk diamalkan. Usaha untuk memahaminya pun sudah satu kesukaran, apatah lagi untuk mengamalkannya.

Namun kalau kita berusaha untuk menerapkan dalam kehidupan seharian kita, kita akan dapat melihat bagaimana ia dapat mengubah pandangan kita terhadap hidup kita secara keseluruhan. Kena ada niat dahulu untuk mengamalkannya. Jangan terus lihat susah sahaja, tetapi kena ada niat untuk melakukannya dan doa kepada Allah ‎ﷻ untuk beri kekuatan untuk melakukannya.

Surah ini dimulai dengan menyebut masa yang suntuk (العَصرِ – waktu asar memberi isyarat masa yang suntuk), dan diakhiri dengan empat perkara yang perlu dilakukan. Oleh itu, apakah kaitan antara awal surah ini dan akhirnya? Ketahuilah bahawa masa untuk kita buat empat perkara ini tidak lama, sekarang sudah masa “emergency” (kecemasan). Jangan berlengah lagi, maka kita kena buat keempat-empat perkara itu dengan segera. Hendak tunggu apa lagi?

Sangat hebat sekali surah ini, sampaikan pernah Imam Syafi’iy رحمه الله berkata, kalaulah Allah ‎ﷻ turunkan Surah al-Asr ini sahaja, sudah memadai untuk kita jadikan panduan hidup. Kerana hebatnya surah inilah yang menyebabkan para sahabat رضي الله عنهم dan tabein akan membacakan surah ini sesama mereka selepas selesai perjumpaan mereka untuk mengingatkan sesama mereka tentang perkara yang amat-amat penting ini.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Humazah.

Kemaskini: 22 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir