Tafsir Surah Zalzalah Ayat 1 – 2 (Bumi merekod perbuatan kita)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan tentang kejadian pada Hari Kiamat. Ianya tentang kejadian selepas tiupan Sangkakala Kedua.

Di dalam Surah Bayyinah sebelum ini, ada disebut dua jenis manusia: شَرُّ البَرِيَّةِ dan خَيرُ البَرِيَّةِ. Di dalam surah ini akan disebut bagaimana cara mereka akan dibahagikan.

Puak yang tidak dapat menerima adanya Hari Kiamat itu, kalau disenaraikan, ada 3 perkara yang menyebabkan mereka tidak dapat terima. Keraguan-keraguan itu adalah:

1 – Mereka hairan, bagaimanakah dunia ini boleh hancur dan berakhir setelah ianya wujud sekian lama? Dunia ini nampak hebat dan kukuh sahaja, bagaimana boleh hancur?

2 – Bagaimana mungkin segala apa yang kita lakukan di dunia ini akan dapat ditulis dan direkodkan dengan terperinci sekali? Bagaimana mungkin terjadi begitu?

3 – Kalau pun pengadilan akan dijalankan, dan segala perbuatan kita akan disenaraikan, tentu akan ada pemberi syafaat (Nabi, wali atau malaikat) yang akan tolong beri syafaat kepada mereka. Dan mereka itu dapat beri syafaat kerana mereka itu rapat dengan Allah.

Inilah fahaman puak syirik di dunia ini; mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja dan nanti mereka akan berlindung di sebalik seseorang yang rapat dengan Allah untuk menyelamatkan mereka dari kemurkaan Allah. Untuk mendapatkan pertolongan/syafaat ini, mereka akan memuja-muja pemberi syafaat itu.

Sangkaan mereka begini: katakanlah di pejabat, ada majikan. Dalam masa yang sama, majikan itu ada anak saudaranya yang dia sayang yang bekerja sekali di pejabat itu. Orang yang tak buat kerja akan layan dan tatang anak saudara itu, kerana pada mereka, kalau mereka dimarahi, anak saudara itu akan beri perlindungan (syafaat) kepada mereka. Oleh itu, mereka akan puji anak saudara itu, berkawan rapat dengan dia, ikut cakap dia dan sebagainya.

Inilah salah faham yang amat ketara di kalangan orang kafir, termasuk orang Islam yang tidak ada pegangan agama yang benar. Mereka sangka kedudukan rapat seseorang dengan Allah akan memberi kelebihan kepada mereka. Oleh kerana itu, ramai dari kalangan orang jahil dari kalangan masyarakat Islam kita yang ada upah orang untuk berdoa bagi pihak mereka. Kerana mereka sangka doa orang itu lebih mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah kalau dibandingkan dengan mereka yang ada banyak dosa.

Maka ramailah tok imam, guru agama (yang juga jahil agama) yang menjalankan kerja doa untuk orang lain ini. Sebenarnya ini sama sahaja dengan penganut Kristian yang meminta paderi mereka untuk mengampunkan dosa mereka dan orang Hindu yang meminta sami mereka mendoakan untuk mereka. Takkan agama Islam sama dengan agama yang kafir pula, bukan?

Oleh kerana salah faham tentang perkara ini, maka ramailah yang melakukan syirik kerana mereka akan puja, sembah dan beribadat kepada individu yang disangka boleh memberi syafaat kepada mereka. Mereka itu jahil kerana mereka tidak tahu bahawa Allah boleh sahaja mengampunkan dosa manusia asalkan bukan dosa syirik (kerana dosa syirik tidak ada ampunnya kecuali kalau pelakunya bertaubat sebelum meninggal).

Jadi, ada tiga kekeliruan di kalangan manusia tentang Hari Kiamat dan surah ini akan menjelaskan dan menghancurkan ketiga-tiga salah faham itu. Walaupun surah ini pendek sahaja, tapi ada banyak pengajaran di dalamnya, dan kita akan cuba untuk mentafsir surah ini supaya memberi kefahaman kepada kita semua, in sha Allah.

Surah Zalzalah ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia


 

Ayah 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menceritakan bagaimana manusia takut tidak keruan semasa Kiamat. Ayat pertama dari surah ini memberitahu kita bagaimana keadaan dunia ini apabila Hari Kiamat tiba. Ini hendak menakutkan kita supaya kita beringat.

إِذا زُلزِلَتِ الأَرضُ زِلزالَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Az-Zalzalah: The Earthquake.

When the earth is shaken with its [final] earthquake

(MALAY)

Apabila bumi digoncangkan dengan segoncang-goncangnya,

 

Kita boleh lihat bagaimana kalimah زلزل – Zalzala diulangi sebanyak dua kali dalam ayat ini. Katadasar diambil dari ز ل ز ل yang bermaksud bergerak, gempa. Selalu katadasar Bahasa Arab adalah tiga huruf tapi kali ini kita berjumpa dengan katadasar yang ada empat huruf.

Zal-la (زلل) dalam bahasa Arab bermaksud ‘tergelincir’. Sebagai contoh, seseorang yang berjalan dan tiba-tiba tergelincir. Dan apabila kalimah زلل diulang, ia menjadi زلزل, jadi ia bermaksud ‘berkali-kali tergelincir’. Memang kalimah Zalzala bermaksud gempa bumi tapi dari segi bahasa, ia bermaksud terjatuh dan tergelincir kerana tidak stabil.

Oleh itu, apabila Allah berfirman: إِذا زُلزِلَتِ الأَرضُ, ia bermaksud yang bumi waktu itu sedang bergegar dengan kuat sekali, menjadi tidak stabil untuk manusia dan apa-apa sahaja yang di atasnya. Ini akan terjadi pada Hari Kiamat nanti. Waktu itu sudah tak boleh nak berdiri dengan betul lagi kerana bumi bergegar dengan kuat sangat.

Allah juga telah berfirman di dalam Hajj:1

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).

Dan kesannya kepada mereka dalam ayat seterusnya:

وَتَرَى النّاسَ سُكارىٰ وَما هُم بِسُكارىٰ

dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk sama sekali.

Mereka jadi begitu kerana goncangan yang amat kuat, sampaikan mereka tidak dapat berdiri stabil dan mereka akan jadi bergoyang-goyang seperti dalam keadaan mabuk tapi mereka tidak mabuk sebenarnya. Fikiran manusia waktu itu akan jadi bercelaru sangat.

Permulaan Surah Zalzalah ini menceritakan tentang permulaan kepada pengakhiran dunia ini. Di penghujung Surah Bayyinah sebelum ini, telah disebut tentang destinasi akhir manusia, ada yang masuk neraka dan ada yang masuk syurga. Tapi itu adalah destinasi akhir, dan perjalanan itu dimulakan dengan Hari Kiamat yang disebut dalam surah ini.

Apabila Allah gunakan kalimah إِذا (apabila) dalam Al-Qur’an, ianya untuk mengingatkan manusia tentang sesuatu yang pasti akan berlaku tanpa syak lagi, tapi manusia selalu lupa tentang perkara itu. Kalau sesuatu perkara berlaku di masa lampau, kalimah (إِذ) digunakan, sedangkan kalimah (إِذا) digunakan untuk perkara di masa hadapan. Apabila Allah menggunakan kalimah إِذا, ia hendak menegaskan yang ianya pasti akan berlaku kerana ia bermaksud ‘apabila’.

Sebagai contoh, kadang-kadang kita kata kepada seseorang: “kalau aku telefon kau minggu depan, kau dengar cakap aku nanti…”. Ayat ini bermaksud kebarangkalian sahaja. Tapi kalau kita kata begini: “apabila aku telefon kau minggu depan, kau dengar cakap aku nanti..”, ini sudah memberi isyarat kepastian, bukan? Begitulah yang digunakan dalam ayat ini. Goncangan bumi yang hebat itu pasti akan berlaku.

Dari segi bahasa, kalimah زُلزِلَتِ adalah dalam bentuk pasif (mabni ala majhool), iaitu tidak diberitahu siapa yang menggoncang bumi tapi ianya memang pasti digoncang. Cuma tidak diberitahu siapakah yang menggoncang. Tentulah sudah pasti Allahlah yang menggoncang bumi itu, tapi Allah tidak sebut dalam ayat ini. Apabila sesuatu itu digunakan dalam bentuk pasif, salah satu indikasi yang kita dapat ambil adalah, perkara itu mudah sahaja untuk dilakukan.

Sebagai contoh, kalau sesuatu permintaan diberikan, dan orang yang diminta itu jawab: “jangan takut, ia pasti siap”, ia memberi isyarat yang ianya senang sahaja dan tidak perlu diberi maklumat tambahan pun lagi.

Kalau kita jawab: “saya akan lakukannya”, ia memberi isyarat yang perbuatan itu memerlukan usaha juga. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah زُلزِلَتِ dalam bentuk pasif dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang senang sahaja bagi Allah untuk menggoncang bumi ini nanti.

Dari segi bahasa juga, kalimah زُلزِلَتِ bermaksud gegaran yang kuat, berterusan dan berulang-ulang. Ini adalah kerana tambahan pada kalimah زِلزالَها (goncangannya) dalam ayat ini. Ia adalah tambahan sebagai penguat yang dinamakan maf’ul mutlaq.  Sebagai contoh, kalimah ضرب bermaksud ‘pukul’, tapi apabila ada tambahan ضرباً, ia bermaksud ‘pukul dengan pukulan’, bermaksud pukul dengan kuat dan berulang-ulang. Ini dinamakan maf’ul mutlaq, iaitu mengulang perkataan untuk memberi isyarat kepada pengulangan dan perkara yang dilakukan itu adalah berat, betul-betul buat.

Oleh itu, ini bermaksud gempa bumi atau goncangan bumi yang hebat sekali dan ianya lebih dari gempa bumi yang pernah terjadi di bumi ini. Kerana bumi kita pun selalu juga ada gempa bumi, tapi tidaklah sama dengan gempa bumi yang disebut dalam ayat ini.

Oleh itu, bayangkan betapa teruknya keadaan pada Hari Kiamat itu; kalau gempa bumi yang biasa terjadi pun kita sudah rasa teruk, banyak orang mati dan infrastruktur banyak rosak, tapi Allah tambah dengan mengatakan yang ianya amat teruk sekali.

Akan tetapi, kalau maf’ul mutlaq, kalimah زلزالاً (zilzaalan), sudah cukup. Tapi kenapa Allah gunakan kalimah زِلزالَها (gegaran-nya)? Kenapa ada tambah dhomir ‘nya’ dalam kalimah itu? Penambahan dhomir ‘ha’ (هَا) di hujung kalimah زِلزالَها merujuk kepada bumi – bumi yang tempat kita tinggal dan rasa senang duduk di atasnya. Dan penambahan ‘ha’ (هَا) ini memberikan maksud tambahan kepada ayat ini.

Ianya bermaksud gegaran ini khusus untuk bumi ini sahaja, dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Tidak terbayang oleh manusia mana-mana pun yang bumi akan terjadi sebegini. Tidak pernah terjadi begini dalam sejarah dan tidak akan terjadi lagi.

Dan ia juga bermaksud, gegaran itu terjadi kepada seluruh bumi, bukan sesetengah tempat sahaja. Kerana kalau gempa bumi yang selalu terjadi sekarang, ia hanya dirasai di tempat-tempat tertentu sahaja, bukan? Tempat yang lain tak rasa pun. Tapi apabila gegaran yang disebutkan dalam ayat ini, kejadian ini akan terkesan kepada seluruh bumi.

Dhomir ‘ha’ (هَا) juga boleh bermaksud ‘janji’ bumi. Iaitu janji bumi yang telah diberikan kepada Allah pada permulaan kejadiannya. Iaitu ia akan menjalankan tugasnya apabila telah sampai waktunya. Iaitu waktu akhir kehidupan di dunia. Iaitu apabila sampai masa, bumi akan bergegar dengan gegaran yang amat kuat.

Inilah tugas terakhir bumi yang kena dijalankannya, untuk persediaan kepada Hari Kiamat. Ia cuma menunggu masa sahaja untuk menjalankan tugas terakhirnya ini. Apabila Allah beri isyarat sahaja, ia akan terus menjalankannya. Memang bumi telah ditakdirkan akan berlaku begitu. Sebagaimana perjalanan akhir kita akan sampai ke destinasi, begitulah perjalanan akhir bagi bumi.

Bagaimanakah gegaran itu? Ia akan bergegar, kemudian berhenti dan bergegar balik, berulang-ulang kali. Ini adalah sama macam kalimah وَسواسِ yang sama dengan format kalimah زلزل (ada pengulangan huruf). Kalau dalam kalimah وَسواسِ itu, ia bermaksud syaitan akan ganggu dan bisik pada manusia dan kemudian ia akan pergi, kemudian ia akan datang balik. Maka gegaran yang akan terjadi itu akan ada gegaran kuat, berhenti dan kemudian gegaran kuat balik.

Kalimat pengulangan ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an, seperti dalam Waqi’ah:4

إِذا رُجَّتِ الأَرضُ رَجًّا

apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya,

dan juga dalam Naazi’aat: 6

يَومَ تَرجُفُ الرّاجِفَةُ

pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam,


 

Ayat 2: Apa lagi yang akan dilakukan oleh bumi?

وَأَخرَجَتِ الأَرضُ أَثقالَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth discharges its burdens

(MALAY)

dan bumi mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya,

Kalimah أَخرَجَ = mengeluarkan sesuatu. Juga digunakan digunakan dalam Al-Qur’an untuk bermaksud membuang seseorang dari sesuatu tempat, sebagai contoh, buang dari daerah atau negeri.

Kalimah أَثقالَها = beban-bebannya. Kalimah ini akan diulang lagi dalam ayat ini dalam bentuk yang lain pula nanti (ayat 7). Ianya dari katadasar yang sama, tapi dalam wazan yang berbeza. Katadasar yang dimaksudkan adalah ث ق ل yang bermaksud sesuatu yang berada di dalam sesuatu – menjadikan bekas itu berat.

Sebagai contoh, ia boleh bermaksud katil, perkakas, kerusi, meja, dan segala apa yang ada dalam rumah. Segala perkara itu menjadikan rumah berat. Kerana itu, kalimah ثَقِيل bermaksud ‘berat’. Dalam kata lain, rumah itu menanggung segala perkara-perkara yang ada di dalamnya. Segala perkara yang ada di dalam rumah itu adalah ثِقِل.

Lagi satu makna yang kita boleh ambil dari makna ثِقِل ini: apabila kita bermusafir, kita ada bawa baju, beg dan segala macam benda lagi bukan? Segala benda yang kita bawa itu adalah ثِقِل. Kerana ianya juga adalah beban. Dan apabila kita sampai sahaja ke destinasi kita, kita akan letakkan ke bawah dengan lega, bukan?

Begitulah juga dengan bumi ini, sekarang ia sedang menanggung kita di atasnya sebagai beban. Dan nanti apabila sudah sampai masanya yang ditentukan oleh Allah, Allah akan beri isyarat dan bumi akan melepaskan kita semua sebagaimana seorang musafir melepaskan barang yang dibawanya dalam perjalanan.

Bumi juga akan jadi lega kerana ia sedang menunggu-nunggu sahaja bilakah ia boleh melepaskan kita semua. Ini sama seperti ayat Inshiqaq:4 yang kita telah belajar sebelum ini:

وَأَلقَت ما فيها وَتَخَلَّت

dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong

Jadi, pada kejadian Hari Kiamat nanti, kita semua akan dikeluarkan, termasuk dengan segala makhluk atas bumi, termasuk emas, perak, minyak, permata berlian dan sebagainya, semua akan dikeluarkan oleh bumi. Waktu itu manusia akan nampak semua itu, tapi kerana keadaan waktu itu yang amat mengejutkan, segala perkara yang dikejar-kejar oleh manusia semasa mereka hidup dulu, tidak dikisahkan langsung. Segala emas permata akan terkeluar sekali, minyak merata-rata, tapi waktu itu manusia sudah tak kisah dengan semua itu.

Semasa hidup di dunia sahaja manusia korek bumi untuk cari semua itu, tapi sekarang bila semua sudah keluar, tidak ada siapa yang hairan dan kisah pun dengan segala benda itu. Waktu itu baru mereka sedar tentang tidak ada nilainya segala benda yang kejar-kejarkan itu semasa di dunia.

قَالَ مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنَا وَاصِلُ بْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيل، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيرة قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تَقيء الْأَرْضُ أَفْلَاذَ كَبِدِهَا أَمْثَالَ الْأُسْطُوَانِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، فَيَجِيءُ الْقَاتِلُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قَتَلْتُ، وَيَجِيءُ الْقَاطِعُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قَطَعتُ رَحِمِي، وَيَجِيءُ السَّارِقُ فَيَقُولُ: فِي هَذَا قُطِعت يَدِي، ثُمَّ يَدَعُونه فَلَا يَأْخُذُونَ مِنْهُ شَيْئًا”

Imam Muslim di dalam kitab sahihnya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Wasil ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, dari ayahnya, dari Abu Hazim, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Bumi mengeluarkan semua isi perutnya seperti piring-piring emas dan perak. Maka datanglah pembunuh, lalu dia mengatakan, “Kerana inilah aku membunuh.” Dan datanglah orang yang memutuskan persaudaraan, lalu dia berkata, “Kerana inilah aku memutuskan hubungan persaudaraan.” Dan datanglah pencuri, lalu berkata, “Kerana inilah tanganku terpotong.” Kemudian mereka membiarkannya dan tidak mengambil sesuatu pun darinya.

Satu lagi pendapat lain pula, mengatakan bahawa أَثقالَ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah laporan dari bumi; bumi ini adalah seperti pengambil rekod tentang apa sahaja yang kita sedang lakukan di dunia ini sekarang. Dan apabila sampai masanya, bumi akan mengeluarkan laporan satu persatu apa yang manusia sudah buat.

Oleh itu, dari pemahaman pendapat ini, bumi adalah salah satu dari pencatat perbuatan manusia; kerana kita sudah tahu tentang pencatat perbuatan kita, iaitu para malaikat yang sentiasa bersama dengan kita. Selain dari itu, kita pun sudah tahu dari ayat-ayat yang lain, tubuh badan kita juga merekod apa yang kita lakukan dan tubuh badan kita akan menjadi saksi atas kita nanti.

Kali ini kita dapat satu lagi maklumat, bumi juga mencatat dan merekod segala perbuatan kita di semua tempat di dunia ini, sama ada secara umum atau secara peribadi tanpa dilihat oleh manusia lain. Sudah berapa lama bumi ini hidup dan merekod segala perbuatan manusia, baik dan buruk, sampaikan ia penuh dan sendat. Dan apabila sudah penuh, ia akan gembira dan lega untuk melepaskan segala maklumat itu.

Ada satu lagi pendapat, kalimah أَثقالَ yang dimaksudkan adalah merujuk khusus kepada manusia dan jin sebagaimana yang disebut dalam dalam Rahman:31

سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ

Kami akan memperhatikan sepenuhnya kepadamu hai manusia dan jin

Kita telah belajar bahawa ثقل bermaksud ‘beban’, jadi dua beban (الثَّقَلانِ) yang dimaksudkan dalam ayat Rahman:31 ini adalah manusia dan jin kerana Surah ar-Rahman memang banyak merujuk kepada dua jenis makhluk ini. Oleh itu, kitalah beban sebenar di atas bumi ini, bukan gunung dan benda lain. Oleh itu, mengikut pendapat ini, ayat ini mengatakan manusia dan jin yang akan dilepaskan dan dikeluarkan dari bumi itu.

Di dalam pengenalan surah ini, kita telah sebut bagaimana ada 3 keraguan yang ada dalam hati mereka yang tidak dapat menerima agama ini. Yang pertama adalah: bagaimana bumi dan dunia yang telah lama ada ini akan dihancurkan, sedangkan ia nampak kukuh.

Jadi Allah beritahu dalam dua ayat pertama ini yang bumi akan dihancurkan dengan gegaran yang amat kuat. Ia tidak mustahil sama sekali dan mudah sahaja untuk Allah lakukan. Manusia mana-mana pun tahu bagaimana gegaran atau gempa bumi, maka mereka dapat bayangkan sedikit sebanyak apa yang akan terjadi. Jadi, keraguan 1 sudah dijawab.

Keraguan 2: bagaimana mungkin segala perbuatan kita sepanjang kita hidup di dunia ini akan direkod? Mampukah Tuhan buat macam itu? Ini juga dijawab dalam ayat ini.

Pertamanya, dalam ayat-ayat yang lain juga, telah disebut bagaimana segala perbuatan kita akan direkod oleh malaikat dan juga oleh tubuh kita sendiri seperti yang disebut dalam Fussilat:20

حَتّىٰ إِذا ما جاءوها شَهِدَ عَلَيهِم سَمعُهُم وَأَبصارُهُم وَجُلودُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan.

Dan dalam Surah Zalzalah ini juga, kita dapat tahu bagaimana bumi ini juga akan merekod segala perbuatan kita. Bumi ini juga akan menjadi saksi. Oleh itu, berhati-hatilah dengan segala perbuatan kita. Sedarlah wahai manusia yang bumi ini sedang menyaksikan segala keburukan yang kita sedang lakukan sekarang dan ia akan menyenaraikannya satu persatu nanti. Tidak malukah kita apabila segala perbuatan kita akan disebut satu persatu?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Oktober 2010


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Zalzalah Ayat 1 – 2 (Bumi merekod perbuatan kita)”

  1. Masya Allah, rasa takut bila baca celik tafsir ayat ini. Terima kasih kerana berkongsi ilmu, alhamdullilah

    Like

Leave a comment