Tafsir Surah al-Alaq Ayat 4 – 7 (Undang-undang moral)

Ayat 4:

الَّذي عَلَّمَ بِالقَلَمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who taught by the pen –

(MALAY)

Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,

Allah ‎ﷻ menyebut tentang القَلَمِ (pen) dalam ayat ini. القَلَمِ adalah makhluk pertama yang dicipta seperti dalam satu Hadis Qudsi:

إن أول ما حلق الله القلم, قل له: أكتب! قل: رب وماذا أكتب؟ قل: أكتب مقادير كل شيء حتى تقوم الساعة

“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah al-qalam (pena), lalu Allah berfirman, ‘Tulislah!’ Ia bertanya, ‘Wahai Rabb-ku apa yang harus aku tulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah takdir segala sesuatu sampai terjadinya Kiamat.’”

(Shahih, riwayat Abu Dawud (no. 4700), dalam Shahiih Abu Dawud (no. 3933), Tirmidzi (no. 2155, 3319), Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah (no. 102), al-Ajurry dalam ­asy-Syari’ah (no.180), Ahmad (V/317), dari Shahabat ‘Ubadah bin ash-Shamit radhiyallahu ‘anhu)

Surah ini juga berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Allah ‎ﷻ sebut kalimah اقرَأ (bacalah) dua kali dan kalimah عَلَّمَ (mengajar) dua kali juga. Ini sebagai isyarat kepada kepentingan ilmu. Dan seperti yang kita sudah tahu, semua ilmu pengetahuan yang disampaikan dari generasi ke generasi kebanyakannya disebabkan oleh penulisan manusia yang awal dan menyampaikannya kepada generasi selepasnya.

Begitulah cara ilmu disampaikan kepada kita. Kerana dengan cara penulisan ilmu itu dapat berkembang. Kalau ilmu itu hanya disampaikan melalui lisan sahaja, lama kelamaan ia akan hilang begitu sahaja. Maka kena hormat cara penyampaian ilmu ini. Kita juga boleh amalkan dengan sampaikan ilmu agama ini dengan tulisan.

Dan untuk menulis ilmu yang dapat disampaikan kepada manusia selepas kita, memerlukan القَلَمِ dan kerana itulah Allah ‎ﷻ sebut القَلَمِ dalam ayat ini – sebagai satu isyarat kepada kepentingan menulis ilmu yang telah dipelajari atau telah didapati.

Dengan menulis ilmu itu, ia dapat dibaca oleh orang lain dan dapat memberi manfaat yang besar kepada orang-orang selepas kita. Cara kita beri ilmu kepada orang lain adalah dengan menulis ilmu itu. Maknanya, bukan kita sahaja yang dapat ilmu, tetapi dapat disebarkan kepada orang lain juga.

Allah ‎ﷻ juga menyebut kepentingan القَلَمِ di dalam ayat [al-Qalam:1].

ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,

Ini menunjukkan lagi kepentingan القَلَمِ itu. Bukan sahaja manusia menulis dengan القَلَمِ, tetapi para malaikat juga menulis dengan القَلَمِ juga. Tetapi tentulah kita tidak dapat tahu bagaimana pena mereka.

Berkali-kali Allah ‎ﷻ mengajar manusia rahsia yang ada pada tulisan. Kerana dengan tulisanlah, manusia tidak seperti makhluk yang lain. Kita menjadi mulia kerana boleh menulis. Dan penulisan memberi kesan kepada kita. Kita mendapat ilmu dan emosi kita boleh tersentuh dengan penulisan yang kita baca. Sebab itu kadang kadang dengan baca pun kita boleh menangis, boleh marah dan macam-macam lagi.

Padahal kalau difikirkan kembali, itu adalah tulisan sahaja. Tetapi hati kita boleh tersentuh kerana penulisan itu memberi kesan kepada kita. Dan dengan tulisanlah boleh merubah jiwa manusia. Kerana itu kadang-kadang tulisan lebih hebat daripada percakapan. Kita mungkin beri nasihat kepada seseorang tetapi dia tidak dengar; tetapi bila kita tulis dan kita beri kepada dia, baru dia boleh berubah.

Nabi ﷺ pernah menyebut tentang kepentingan mendapatkan ilmu:

مَْن سَلَكَ طَرِْيقًا َيلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا ِإلىَ اْلجَنَّةِ

Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga (HR Muslim)

Dan bagaimana lagi kita boleh mendapat ilmu, melainkan dengan cara membaca dan menulis? Dan ilmu yang paling penting untuk dipelajari adalah ilmu Al-Qur’an, sepertimana sabda Nabi Muhammad ﷺ:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Orang terbaik diantara kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.”

Oleh itu, mempelajari Al-Qur’an adalah sunnah Rasulullah ﷺ , sesuatu yang kita kena terus lakukan. Dan mengajar Al-Qur’an bukan sahaja sunnah Rasulullah ﷺ, malah sunnah Allah ‎ﷻ juga. Lihat [Rahman:2]

عَلَّمَ القُرآنَ

Yang telah mengajarkan al Qur’an

Oleh itu, bayangkanlah kepentingan mengajar Al-Qur’an ini. Kerana kita bukan sahaja ikut sunnah Rasulullah ﷺ, tetapi kita ikut Allah ‎ﷻ juga.

Apabila digunakan kalimah القَلَمِ, ia bermaksud penulisan. Seperti yang kita tahu, penyampaian Al-Qur’an di zaman Nabi ﷺ adalah dalam bentuk lisan asalnya. Ini bermaksud Allah ‎ﷻ sudah beri isyarat yang Al-Qur’an akan ditulis dan dijadikan sebagai kitab dan sekarang kita pun menggunakan Al-Qur’an dalam bentuk mushaf. Dan kita sedang menyampaikan ajaran tafsir dengan cara penulisan juga.


Ayat 5:

عَلَّمَ ٱلإِنسَـٰنَ مَا لَم يَعلَم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Taught man that which he knew not.

(MALAY)

Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ayat ini ada persamaan dengan Ayat [Baqarah:239]

فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

maka sebutlah Allah (shalatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui

Ini adalah berkenaan ilmu wahyu yang manusia tidak akan dapat tahu kalau mereka memikirkannya sendiri. Walau pandai mana pun ahli falsafah itu, dia tidak akan capai ke tahap ilmu wahyu. Ilmu wahyu ini kena Allah ‎ﷻ sendiri yang sampaikan, melalui para Rasul.

Dan dengan ilmu wahyu ini, telah mengangkat satu bangsa yang rendah ke tahap yang tertinggi. Selepas Nabi Muhammad ﷺ mengubah bangsa Arab, bangsa itu telah menjadi umat yang bijak dan pandai. Waktu itu bangsa Eropah masih lagi dalam Zaman Kegelapan. Mereka yang terpaksa datang ke negara orang Islam untuk mendapatkan ilmu daripada orang Islam.

Malangnya, sekarang zaman sudah terbalik, kita pula yang pergi ke negara mereka untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah kerana kita sendiri tidak mendalami agama kita sendiri, sampaikan Allah ‎ﷻ telah balas dengan merendahkan kedudukan orang Islam sendiri. Kalau belajar Sains, matematik atau subjek keduniaan dengan orang Barat (Non-Muslim) masih lagi boleh diterima akal. Tetapi yang sampai sekarang saya tidak boleh terima adalah bagaimana pergi belajar agama Islam dengan Non-Muslim?

Kita ada sesuatu yang hebat (wahyu), tetapi kita tinggalkan. Begitulah Allah ‎ﷻ hinakan kita kerana meninggalkan pengajaran daripada Al-Qur’an. Berapa ramai daripada kalangan anda yang anda kenal belajar tafsir Al-Qur’an? Tentu tidak ramai, bukan? Termasuk yang tidak belajar itu adalah guru-guru agama yang sedang mengajar agama kepada anak-anak kita di surau dan masjid.

Jadi sekarang dalam banyak pameran, kita hanya mampu mencanang betapa tamadun Islam dahulu amat tinggi, keluar daripadanya banyak para pemikir dunia. Tetapi itu dahulu sahaja, sedangkan sekarang nama orang Islam terkebelakang. Oleh itu, jangan kita tinggalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Kita kena kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kita kena fikirkan masa depan dan untuk anak cucu kita. Dan masa depan kita adalah di akhirat sebenarnya, bukan di dunia sahaja. Malangnya, ramai manusia yang fikirkan tentang hidup dunia sahaja. Dan ini bukanlah cara berfikir seorang Muslim.

Kita sudah sampai ke ayat yang 5. Dan jumhur ulama bersetuju bahawa 5 ayat yang pertama ini adalah ayat-ayat yang pertama sekali diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ di Gua Hira’.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan Surah yang paling awal adalah Surah Muddaththir dan ada juga yang kata surah yang paling awal turun adalah Surah al Faatihah. Kedua pendapat ini lemah dan dapat dijelaskan. Surah Muddaththir adalah surah pertama yang diturunkan selepas berhentinya wahyu seketika (fatratil wahyi). Selepas sekian lama Nabi Muhammad ﷺ tidak mendapat wahyu, surah yang pertama turun selepas itu adalah Surah Muddaththir.

Dan Surah Faatihah pula adalah surah pertama yang turun dengan lengkap – ini adalah kerana kebanyakan daripada surah-surah diturunkan bukannya sekali gus penuh (seperti Surah al-‘Alaq ini), tetapi diturunkan sedikit demi sedikit. Jadi yang mula turun adalah 5 ayat yang pertama sahaja, dan dilengkapkan di waktu yang lain. Berlainan dengan Surah Faatihah, yang turun lengkap terus 7 ayat. Harap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua.


Ayat 6: Sekarang kita masuk ke fasa kedua dari surah ini. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia berkenaan orang yang merasa cukup dan kerana itu dia menjadi penderhaka dan keras kepala.

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! [But] indeed, man transgresses

(MALAY)

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

Dalam Surah at-Teen sebelum ini, telah diberitahu kalau manusia melampau arahan Allah‎ ﷻ, maka mereka akan direndahkan serendah-rendahnya. Sekarang Allah ‎ﷻ sentuh lagi perkara itu.

Kalimah كَلّا boleh diterjemahkan sebagai satu kata penekanan untuk mengatakan ‘sudah pasti’ akan apa yang akan disebutkan selepas ini.

Atau ia boleh juga lafaz pengingkaran seolah-olah menjerit kepada mereka yang melawan kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka kena dengar baik-baik. Allah ‎ﷻ marah kerana sepatutnya, selepas Allah ‎ﷻ telah beri segala-galanya kepada manusia, patutnya manusia mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi tidak begitu rupanya.

Kalimah طغىٰ bermaksud perbuatan seseorang yang tahu batas, tetapi dia melampaui batas-batas itu. Oleh itu, mereka memang sengaja melampau. Mereka tidak suka kalau ada kuasa yang menguasai ke atas diri mereka. Mereka tidak mahu menerima yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang perlu ditaati. Mereka hendak hidup bebas melakukan apa sahaja. Mereka tidak senang mahu terima ada satu kuasa yang menentukan apa yang mereka boleh lakukan dan batasan yang telah ditetapkan.

Bagaimanakah yang dikatakan insan telah melampaui batas? Iaitu mereka tidak mendekatkan diri dengan Al-Qur’an. Ini adalah kerana kalau hendak kenal Allah‎ ﷻ, kena rapat dengan Al-Qur’an. Tetapi kalau tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an, macam mana hendak rapat dengan Al-Qur’an? Kalau tidak rapat dengan Al-Qur’an, maka tidak mungkin manusia akan kenal Allah‎ ﷻ. Kerana Nabi Muhammad ﷺ pun kenal Allah ‎ﷻ dengan Al-Qur’an, maka kita umat dia tidak mahu belajarkah?

Maka memang tidak patut kalau manusia tidak mahu mendekatkan diri kepada Allah‎ ﷻ. Dan sesiapa yang jauh daripada kitab Allah ‎ﷻ tidak akan kenal Allah ‎ﷻ seperti yang sepatutnya. Kerana Allah‎ ﷻ kenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an dan ini hanya dapat difahami kalau belajar tafsir. Bukannya dengan berzikir banyak-banyak macam yang dilakukan oleh golongan sufi tarekat itu.

Oleh kerana tidak ada ilmu tentang Allah ‎ﷻ yang menyebabkan mereka melawan. Kalau kita lihat dalam realiti kehidupan pun, yang melawan adalah mereka yang jahil sahaja. Orang bodoh sahaja yang buat kerja-kerja begitu. Ini adalah kerana mereka tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Memang kesannya mereka jenis yang melawan, tetapi asalnya adalah bertitik tolak daripada kejahilan kerana malas belajar.


Ayat 7: Daripada mana datang sifat tughyan (melampau) ini? Asalnya kerana orang itu tidak mendekatkan dirinya dengan Al-Qur’an kerana mereka sudah rasa dia cukup, tidak perlukan Al-Qur’an untuk membimbing mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja, boleh makan dan minum elok sahaja. Mereka hanya nampak keperluan fizikal mereka sahaja.

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because he sees himself self-sufficient.

(MALAY)

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Orang itu jadi begitu kerana mereka sangka dan rasa yang mereka itu serba cukup, tidak perlukan sesiapa. Kehidupan mereka elok-elok sahaja.

Apakah maksudnya? Dalam Surah [Ash-Syams ayat 8], Allah ﷻ beritahu yang Dia telah ilhamkan kepada manusia tentang keburukan dan tentang taqwa: فَأَلهَمَها فُجورَها وَتَقواها. Maksudnya, kalau seseorang itu melakukan kesalahan dan dosa, dia sendiri dapat rasa bahawa dia telah buat salah kerana Allah ‎ﷻ telah beri ilham dalam diri manusia untuk tahu mana benar dan mana salah.

Tetapi kenapa manusia masih tetap melakukan dosa juga walaupun dia tahu yang itu adalah salah? Kerana dia rasa dia tidak akan dihukum. Dia tidak takut kerana dia tidak nampak akan kena hukum. Dia rasa dia akan selamat dan tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantunya. Ini disebut dalam [Layl:8] وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ.

Inilah kesilapan utama manusia. Mereka tidak rasa yang Allah ‎ﷻ itu ada dan akan hukum mereka. Dan mereka tidak nampak yang mereka memerlukan Allah ‎ﷻ dalam kehidupan mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja dalam kehidupan mereka.

Ini kerana mereka cukup makan dan pakai, selamat daripada bahaya. Dan kerana mereka tidak rasa mereka memerlukan sesiapa, maka mereka tidak boleh terima yang mereka kena ikut mana-mana peraturan atau undang-undang.

Tetapi kenapa pula mereka tidak buat sesuka hati dalam dunia? Kerana mereka takut dengan undang-undang dunia. Maka kita kena faham yang ada dua jenis undang-undang sebenarnya:

    • Undang-undang fizikal
    • Undang-undang moral.

Undang-undang fizikal adalah yang kita dapat rasa dalam kehidupan kita setiap hari. Sebagai contoh – graviti akan menarik ke bawah; api akan membakar dan sebagainya. Undang-undang fizikal ini tidak boleh dilupakan kerana bahayanya terus nampak.

Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu laju di atas jalan dan kita melalui selekoh tajam, kita kenalah ikut laluan selekoh itu. Kerana kalau tidak ikut, undang-undang graviti akan menarik kita masuk ke gaung dan kita akan mati, bukan?

Maka mereka yang rasa diri mereka serba cukup itu, mereka tahu untuk menghormati undang-undang fizikal kerana kalau mereka tidak ikut, mereka akan terus kena kesannya. Mereka terus nampak kesan yang membahayakan itu, maka mereka ikut – mereka akan bawa kereta dengan perlahan contohnya.

Undang-undang moral pula lain sikit. Ianya menganjurkan kebaikan seperti menggalakkan kebaikan dan melarang keburukan, tidak berlaku zalim kepada orang lain, tidak menipu dan sebagainya. Ini pun undang-undang juga, tetapi ramai manusia tidak ambil kisah kerana mereka tidak nampak kesannya kepada diri mereka kalau mereka langgar undang-undang moral ini.

Mereka tidak nampak kesannya terus dikenakan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau mereka berlaku zalim kepada orang, mereka tidaklah terus kena petir, jatuh sakit dan sebagainya, bukan? Sedangkan kalau tidak ikut undang-undang fizikal, mereka akan terus kena (jatuh gaung, contohnya).

Jadi orang yang sebegitu tidak rasa yang mereka akan terkesan kalau mereka langgar undang-undang moral itu walaupun sebenarnya mereka takut dalam hati mereka yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Mereka memang dapat rasa, tetapi mereka agak-agak yang mereka tidak akan kena kesannya. Mereka lupa bahawa Tuhan yang menjadikan undang-undang fizikal itu juga boleh menghukum mereka jika mereka melanggar undang-undang moral itu.

Mereka takut hendak melanggar undang-undang fizikal kerana mereka takut kesannya, tetapi mereka lupa bahawa jika langgar undang-undang moral pun, mereka akan dapat kesannya juga. Kerana yang menjadikan undang-undang fizikal itu jugalah yang menjadikan undang-undang moral. Kalau Allah ‎ﷻ boleh balas kerana melanggar undang-undang fizikal, Allah ‎ﷻ juga boleh balas kalau langgar undang-undang moral.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ sebut dalam [Nisa:10]

إِنَّ الَّذينَ يَأكُلونَ أَموالَ اليَتامىٰ ظُلمًا إِنَّما يَأكُلونَ في بُطونِهِم نارًا ۖ وَسَيَصلَونَ سَعيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

Orang yang memakan harta anak yatim itu mungkin sangka mereka akan selamat kerana dia tidak rasa panas pun dalam perut dia. Tetapi di akhirat nanti, dia akan dikenakan dengan hukuman azab itu (api dalam perutnya). Ini adalah kerana memakan harta anak yatim adalah melanggar undang-undang moral dan mereka pasti dikenakan dengan balasan azab kalau mereka tidak bertaubat sebelum mereka mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Dhuha Ayat 6 – 11 (Apakah nikmat untuk Nabi?)

Ayat 6: Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Ayat 6-8 memberitahu kita bahawa masa depan akan lebih baik dari masa lalu. Sebelum ini Allah ﷻ telah berjanji dan sekarang Allah ﷻ mengingatkan baginda dengan nikmat-nikmat yang Dia telah pernah berikan kepada baginda sendiri.

أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did He not find you an orphan and give [you] refuge?

(MALAY)

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?

Kalimah آوىٰ bermaksud memberikan perlindungan kepada seseorang di dalam waktu bahaya. Juga bermaksud membawa seseorang yang tidak ada rumah ke dalam rumah kita.

Allah ﷻ berkata Dia akan berikan nikmat kepada Nabi ﷺ, sebagaimana Dia telah memberikan perlindungan kepada baginda semasa baginda menjadi yatim piatu. Iaitu baginda diberikan dengan Abu Talib yang memberi perlindungan kepada baginda. Abu Talib amat sayang akan baginda. Malah bukan itu sahaja, semua orang yang menjaga baginda amat sayang kepada baginda.

Mulanya yang menjaga baginda adalah datuknya sendiri iaitu Abdul Mutalib. Abdul Mutalib telah menjaga baginda selepas ibu baginda meninggal dunia. Tetapi tidak lama penjagaan Abdul Mutalib kerana dia mati tidak lama kemudian. Oleh itu, yang mengambil tugas menjaga baginda adalah bapa saudara baginda iaitu Abu Talib, yang sayang akan baginda lebih daripada beliau sayang anak sendiri.

Dan kemudian, Khadijah رضي الله عنها pula yang menjaga baginda selepas perkahwinan mereka dan Khadijah رضي الله عنها juga amat sayang kepada baginda. Bayangkan Saidatina Khadijah رضي الله عنها sanggup habis hartanya kerana suaminya. Selepas Khadijah رضي الله عنها tidak ada, baginda ada sahabat-sahabat yang sentiasa bersama baginda. Semua mereka itu amat sayang akan baginda tanpa berbelah bahagi.

Allah ﷻ menekankan yang Dialah yang memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad ﷺ, walaupun kita tahu Abu Talib dan lain-lain yang mengambil dan menjaganya. Walaupun yang membantu Nabi ﷺ adalah manusia, tetapi sebenarnya Allah ﷻ jualah yang mendorong mereka untuk memberi bantuan kepada baginda. Allah ﷻ juga yang mencampakkan kasih sayang ke dalam hati mereka kepada baginda. Hakikatnya, Allah ﷻ yang memberi perlindungan kepada Nabi ﷺ.

Oleh itu, jika ada manusia yang tolong kita, memang kita akan berterima kasih kepada orang itu. Namun begitu, kita perlu bersyukur kepada Allah ﷻ juga, kerana Allah ﷻ  yang menggerakkan orang itu untuk menolong kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan kaedah soalan. Digunakan cara ini untuk menekankan bahawa yang berkata itu memang layak. Sebagai contoh, kalau kita kata: “Bukan aku dah buat dahulu, bukan? Kamu tidak percayakah?” Apabila kita pernah buat sesuatu perkara itu, tentu kita boleh buat lagi.

Begitulah yang Allah ﷻ lakukan dengan merujuk apa yang Dia telah buat dahulu. Allah ﷻ hendak memberitahu baginda, jangan bersedih –  sepertimana Dia telah memberikan perlindungan kepada baginda dahulu, Dia juga akan memberikan pemberian yang banyak kepada baginda nanti.

Allah ﷻ menyebut bahawa baginda Rasulullah ﷺ dahulu adalah seorang anak yatim. Yatim selalu disebut di dalam Al-Qur’an. Mereka adalah golongan yang lemah kerana tidak ada orang yang menjaga dan memberi perlindungan kepada mereka. Sekiranya orang lain jaga mereka pun, tidak sama dengan ibubapa mereka sendiri.

Oleh itu, Allah ﷻ selalu menekankan kepentingan menjaga dan memelihara anak-anak yatim, jangan buat salah kepada mereka dan sebagainya. Dan kita boleh lihat dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak menggunakan huruf ‘ك’ selepas perkataan ‘آوىٰ’ – kerana sekiranya ada tambahan ‘ك’, ia hanya merujuk kepada Nabi ﷺ sahaja. Maka, makna perlindungan dalam ayat ini adalah luas. Oleh itu, ia juga boleh merujuk kepada anak-anak yatim yang lain.

Nabi ﷺ diingatkan bahawa, sama seperti Allah ﷻ telah memberi perlindungan kepada baginda yang yatim, maka baginda juga perlu untuk memberi perlindungan kepada anak-anak yatim juga. Dan jika baginda disuruh, tentulah kita juga disuruh untuk berbuat begitu.

Kita disuruh untuk memberikan pertolongan kepada anak-anak yatim sebagaimana Allah ﷻ telah memberikan pertolongan kepada Nabi ﷺ dahulu. Banyak ayat dan hadith tentang perkara ini.


Ayat 7: Apa lagi track record Allah ﷻ yang Allah ﷻ  ingatkan?

وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He found you lost and guided [you],

(MALAY)

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

Kalimah ضالًّا secara literalnya bermakna ‘sesat’, tetapi tidak sesuai jika digunakan kalimah ‘sesat’ untuk Nabi Muhammad ﷺ pula. ضالًّا dalam ayat ini tidak sama dengan sesat seperti manusia kafir yang sesat itu. Sebagai Nabi dan begitu juga dengan nabi-nabi lain, mereka tidak pernah melakukan dosa-dosa syirik.

Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menyembah berhala walaupun masyarakat baginda bergelumang dalam penyembahan berhala dan amalan-amalan syirik yang lain. Dan para Nabi itu sudah pun mempunyai nilai-nilai yang mulia walaupun mereka belum lagi menerima wahyu.

Apakah yang dimaksudkan dengan ضالًّا ini ada dijawab dalam Al-Qur’an sendiri dalam [Yusuf:3]وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغافِلينَ (dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui). Ini bermaksud, sebelum baginda diberikan wahyu Al-Qur’an, baginda tidak tahu  tentang iman.

Namun begitu, kita perlu ingat walaupun para Nabi tidak dapat lagi wahyu dan ilmu agama, mereka tetap tidak melakukan syirik dan mereka sudah menjadi manusia yang baik. Mereka dipelihara oleh Allah ﷻ daripada melakukan perkara-perkara yang buruk.

Tetapi mereka memang tidak tahu kebenaran lagi. Maka, pada waktu itu mereka dikatakan sedang ‘mencari-cari’. Iaitu mencari kebenaran dan ini lebih sesuai jika digunakan untuk para Nabi. Memang selama mereka tidak mendapat wahyu, mereka tidak tahu agama. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam [Syura:52].

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ روحًا مِّن أَمرِنا ۚ ما كُنتَ تَدري مَا الكِتٰبُ وَلَا الإيمٰنُ وَلٰكِن جَعَلنٰهُ نورًا نَّهدي بِهِ مَن نَّشاءُ مِن عِبادِنا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهدي إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Qur’an sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Qur’an) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Qur’an: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Qur’an itu ke jalan yang lurus,

Jadi ضالًّا tidak sama dengan ‘sesat’ seperti dalam Surah Fatihah itu (وَلَا الضّالّينَ). Oleh itu, ‘ضالًّا’ dalam ayat ini ialah ‘tidak jumpa jalan wahyu’. Jika kita belajar sirah, kita akan tahu bagaimana Nabi Muhammad ﷺ amat kasihan akan orang musyrik di Mekah yang bergelumang dalam kesyirikan, sehingga baginda habiskan duit untuk beri kepada orang Mekah supaya mereka jadi baik dan tinggalkan perkara yang salah.

Tetapi mereka masih juga tidak jadi baik, masih tetap hendak buat syirik, menyembah berhala. Dan apabila sudah habis duit dan harta baginda, barulah baginda pergi bertahannuts di Gua Hira’. Maknanya, baginda cuba untuk memperbetulkan kaum baginda, tetapi waktu itu baginda gunakan akal dan harta baginda, maka baginda tidak berjaya.

Hanya apabila Allah ﷻ beri wahyu, baru baginda berjaya memperbaiki kaum baginda. Ini juga mengajar kita bahawa apabila hendak beri manusia jadi baik, tetap perlu guna wahyu juga. Kita hendaklah ajar manusia dengan tauhid dahulu, baru berjaya. Oleh itu, wajarlah mengajak manusia belajar tafsir Al-Qur’an.

Tetapi kalimah yang digunakan hanya فَهَدىٰ. Tidak ditambah dengan perkataan ‘ك’ selepasnya (فَهَدىيك). Ini meluaskan lagi maknanya. Hidayah itu tidak terhad kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ia boleh jadi Allah ﷻ memberi hidayah kepada Nabi ﷺ dan melalui Nabi ﷺ, manusia lain pun mendapat hidayah juga daripada Allah ﷻ menerusi baginda.

Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang manusia tidak akan mendapat hidayah tanpa bantuan dari Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ tidak akan dapat mencari kebenaran tanpa Allah ﷻ memberinya hidayah. Begitu juga akal manusia tidak dapat mencapai haq tanpa mendapat dari Allah ﷻ. Tidak kiralah jika pandai seperti Einstein pun, jika Allah ﷻ tidak beri hidayah, tidak beri wahyu, tidak akan berjaya untuk mencapai iman yang sebenar.

Jadi, Allah ﷻ ingatkan baginda yang hidayah ini adalah satu lagi kebaikan yang Allah ﷻ pernah berikan kepada Nabi Muhammad ﷺ.


Ayat 8: Apa lagi yang telah pernah diberikan kepada baginda?

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He found you poor and made [you] self-sufficient.

(MALAY)

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Kalimah عائِلًا bermaksud miskin. Juga bermaksud seseorang yang tertekan dan terkesan dengan tekanan itu. Memang ada banyak lagi kalimah untuk miskin seperti fakir, miskin dan lain-lain tetapi, Allah ﷻ gunakan kalimah عائِلًا dalam ayat ini.

Kalimah أَغنىٰ bermaksud ‘tidak memerlukan’. Sebab itu juga digunakan untuk membawa maksud kekayaan kerana mereka yang kaya tidak memerlukan bantuan orang lain. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

«قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتاه»

Sesungguhnya beruntunglah orang yang Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah telah menjadikannya menerima seadanya menurut apa yang diberikan oleh-Nya (diberi sifat qana’ah).

Allah ﷻ tidak sebut bagaimana Nabi ﷺ dikayakan dalam ayat ini. Pendapat ulama mengatakan Allah ﷻ memberikan kekayaan kepada baginda dengan memberikan baginda Saidatina Khadijah رضي الله عنها . Khadijah رضي الله عنها itu merupakan seorang yang kaya. Maka, beliau dapat membantu baginda.

Dengan kekayaan yang Allah ﷻ berikan kepada baginda itu juga telah mengayakan orang lain juga. Lihat Allah ﷻ tidak sebut yang Dia mencukupkan bagi RasulNya (tidak ada kalimah ك dalam أَغنىٰ itu). Maka, makna itu boleh digunakan dengan luas.


Ayat 9: Sekarang sampai kepada arahan kepada Nabi ﷺ dan kepada kita semua. Allah ﷻ sudah sebut tiga perkara yang Allah ﷻ berikan kepada baginda. Sekarang Allah ﷻ akan menyebutkan tiga perkara yang baginda perlu lakukan pula.

Ayat 9 – 11 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir. Allah ﷻ menyuruh kita menegakkan keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat disamping menyatakan nikmat Allah ﷻ.

فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So as for the orphan, do not oppress [him].

(MALAY)

Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.

Kalimah تَقهَر bermaksud menguasai orang lain dan kemudian memalukan mereka.  Bukan setakat menguasai sahaja, tetapi termasuk memalukan mereka juga. Allah ﷻ hendak memberitahu dengan tegas dalam ayat ini, tidak boleh buat begitu dengan anak yatim, perlu sentiasa berlembut dengan mereka.

Tentulah Nabi ﷺ tidak akan melakukan perkara ini tetapi peringatan ini adalah kepada kita sebagai umat baginda. Kerana apabila Nabi ﷺ membacakan ayat ini, orang lain pun dengar juga, maka arahan ini terjatuh ke atas mereka yang mendengar juga. Oleh itu, jangan kita sekali kali buat perkara ini.

Perlulah kita ingat bahawa Nabi Muhammad ﷺ dahulu adalah juga seorang anak yatim. Kita juga tahu bagaimana payahnya kehidupan seorang anak yatim itu. Betapa mereka memerlukan bantuan kerana mereka tidak ada bapa lagi sebagai pelindung mereka.

Maka, perlulah cari mereka untuk kita bantu. Malangnya, siapa anak yatim dalam kalangan kita pun kita tidak tahu kerana kita tidak peka tentang perkara ini. Sedangkan banyak hadith tentang kelebihan berbuat baik dengan mereka.


Ayat 10: Perkara kedua yang Nabi ﷺ perlu jaga.

وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for the petitioner,¹ do not repel [him].

  • Anyone who seeks aid or knowledge.

(MALAY)

Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.

Kalimah السّائِلَ bermaksud ‘yang meminta’. Meminta itu boleh jadi bantuan daripada segi harta, pengetahuan ataupun makanan, tempat tinggal dan sebagainya. Maknanya, ia boleh jadi macam-macam. Jangan kita sangka peminta sedekah itu sahaja golongan السّائِلَ.

Kalimah تَنهَر ialah daripada perkataan نهَر iaitu ‘sungai’. Sekiranya kita bayangkan sungai, sungai adalah air yang banyak yang bergerak laju. Apabila kita mengherdik orang yang meminta, ia adalah seperti air sungai yang melimpah menerjah seseorang. Begitulah perasaan orang yang dimarah dan ditengking rasa.

Janganlah buat begitu kepada mereka. Kepada Nabi ﷺ pun Allah ﷻ suruh buat macam tu, apatah lagi kita ini. Bayangkan kalau kita sendiri yang meminta – pada waktu itu kita berharap sangat dengan orang yang kita minta itu, tetapi apabila kita meminta, kena tengking dan kena marah pula, tentulah sedih sekali hati kita. Kita mungkin waktu itu memang tertekan sangat, sehingga terpaksa meminta.

Tentulah kita malu masa hendak meminta itu, tetapi kerana terpaksa, kita lakukan juga. Banyak kali kita fikir sebelum kita meminta, cari jalan lain dahulu tetapi kerana tidak ada jalan lain, kita mintalah juga. Tetapi jika diherdik, apalah perasaan kita.

Oleh itu, janganlah kita buat begitu kepada orang lain. Sekiranya kita boleh bantu, kita bantu. Tetapi jika tidak boleh bantu, jawablah dengan baik, siap minta maaf dengan mereka kerana waktu itu tidak boleh beri pertolongan. Kita katakan, lain kali kalau kita boleh beri, kita beri. Supaya dia pun tidaklah terasa hati sangat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar kita bagaimana melayan mereka yang meminta dan bertanya. Seperti yang kita telah sebut, permintaan itu mungkin meminta duit, atau juga boleh meminta ilmu pengetahuan. Jadi ini adalah peringatan yang kuat.

Kadang-kadang kita yang dalam dakwah ini, mungkin kita sudah ada ilmu sedikit sebanyak, orang pun panggil kita ustaz, tentu akan ada orang yang akan tanya macam-macam. Kadangkala, soalan-soalan yang datang itu pun boleh dikatakan ‘soalan bodoh’ juga. Kita pun tidak terfikir nak bertanya soalan sebegitu.

Tetapi mereka tanya juga dan kadangkala mereka bertanya berkali-kali. Maka, dalam keadaan begitu, janganlah kita herdik mereka, marah mereka kenapa tanya soalan sebegitu, sebaliknya wajarlah kita layan mereka dengan baik. Ini adalah ujian buat kita. Ujian kepada orang berilmu. Bukan semua orang boleh cepat faham dan senang ingat apa yang telah dipelajari. Sekiranya kita mempunyai ilmu, jangan kita pandang lekeh terhadap mereka yang tidak ada ilmu.


Ayat 11: Perkara ketiga yang perlu jaga.

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for the favor of your Lord, report [it].

(MALAY)

Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

Kalimah نِعمَةِ dari katadasar ن ع م yang bermaksud kelembutan, kesenangan, relaks, selesa. Ianya adalah sesuatu yang kita suka.

Allah ﷻ hendak ingatkan yang segala nikmat yang kita ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, sebab itu Allah ﷻ sebut بِنِعمَةِ رَبِّكَ (dengan nikmat Tuhanmu).

Apakah نِعمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Oleh kerana Allah ﷻ tidak sebut dalam ayat ini, maka ia mungkin bermaksud semua nikmat yang Allah ﷻ berikan dalam ayat ini (nikmat petunjuk, perlindungan dan kekayaan).

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberi oleh Allah ﷻ itu adalah pengetahuan, nikmat kenabian dan ajaran Islam itu. Maka hendaklah Nabi ﷺ menyampaikannya kepada orang lain (فَحَدِّث) – iaitu perlu sebut-sebutkan, yang bermaksud, kena sampaikan, kena ajar kepada orang. Ini adalah kerana, dalam surah ini sudah ada disebut tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada baginda.

Tetapi semasa Allah ﷻ menyebut nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada baginda itu, Allah ﷻ tidak suruh Nabi ﷺ ‘menyebut’ tentang nikmat itu. Allah ﷻ tidak gunakan kalimah فَحَدِّثه (sebut tentang nikmat itu), tetapi Allah ﷻ kata فَحَدِّث ‘sebut-sebutkan’ sahaja. Ini boleh bermakna bukan sebut nikmat-nikmat itu, tetapi sebutkan tentang agama Allah ﷻ .

Namun begitu, ada juga yang kata kita sebut-sebutkan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita seperti kesenangan, kekayaan, anak dan lain-lain lagi. Itu sebagai tanda syukur, bukannya kerana berbangga dengan apa yang ada. Kerana kita bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan kita amat menghargainya, kita sebut apa yang kita dapat itu, tetapi bukanlah untuk bermegah, sebaliknya sebagai tanda kesyukuran. Kita puji-puji Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri kita segala nikmat itu.

Kadang-kadang Allah ﷻ menguji kita dengan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Dahulu kita miskin, dahulu kita bodoh, tetapi Allah ﷻ beri rezeki kepada kita dalam bentuk harta atau ilmu. Allah ﷻ ajar kita dan beri ilmu kepada kita sampai kita jadi pandai, mungkin jadi ustaz.

Jadi janganlah kita mengutuk orang yang tidak tahu (belum tahu). Kita dahulu pun tidak tahu juga. Dengan nikmat yang kita ada, diharap jangan jadikan kita sombong. Bersyukurlah dan beradablah kepada orang yang belum lagi sampai ke tahap kita.

Selepas ini adalah Surah Al-Insyirah yang duduk dekat dengan Surah Ad-Dhuha ini. Surah Ad-Dhuha ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ , dan Surah Al-Insyirah nanti adalah tasliah kepada sahabat Nabi ﷺ. Ini adalah kerana sahabat Nabi pun perlu dipujuk kerana mereka juga mendapat kesusahan untuk menjaga dan mengembangkan agama Allah ﷻ ini. Ia juga akan menyambung nikmat-nikmat lain yang diberikan kepada Rasulullah ﷺ.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Al-Sharh.

Kemaskini: 26 Mac 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Alaq Ayat 1 – 3 (Permulaan Turun Wahyu)

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita untuk ingat Allah ‎ﷻ dengan mengenali Nama dan Sifat-sifatNya.

اقرَأ بِاسمِ رَبِّكَ الَّذي خَلَقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Alaq: The Clinging (or Suspended) Substance. The sūrah has also been called Iqra’, meaning “recite” or “read.”

Recite in the name of your Lord who created –

(MALAY)

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,

Ayat ini dimulakan dengan fi’il amar (kata arahan). Ini adalah salah satu surah-surah yang dimulai dengan kata suruhan. Allah ‎ﷻ arahkan kita ‘baca’ dalam surah. Inilah ayat pertama yang Allah ‎ﷻ turunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kita telah sentuh tentang bagaimana cara ianya disampaikan kepada Rasulullah ﷺ.

Perhatikanlah kalimah pertama yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia daripada dalam Al-Qur’an. Dan kenangkan waktu itu bagaimana keadaannya. Ia diberikan kepada golongan manusia yang waktu kebanyakan daripada mereka tidak tahu membaca pun. Mereka digelar golongan ummiy (tidak tahu membaca macam baru keluar dari perut ibu).

Tetapi tidak lama selepas itu, dengan menggunakan Al-Qur’an yang disebarluaskan dalam beberapa tahun selepas itu, masyarakat yang tidak tahu membaca itu menjadi masyarakat yang berilmu tinggi – sampaikan tamadun lain terpaksa datang dan belajar dengan mereka.

Orang barat waktu itu pun berpusu-pusu datang ke negara Islam untuk belajar ilmu. Itulah waktu kegemilangan umat Islam. Ini telah dapat dicapai dengan mukjizat Al-Qur’an. Ianya terbukti hebat kerana boleh mengubah masyarakat itu.

Marilah kita kenang bagaimana Islam berjaya mengubah dunia. Dunia Islamlah yang mula-mula membangunkan universiti moden. Sistem pemberian PHD yang banyak sekali kita dengar sekarang ini, asalnya adalah pemberian ijazah dalam sistem pembelajaran Islam.

Semuanya berasal daripada Al-Qur’an. Dan sarjana-sarjana ilmu Islam telah mengembangkan ilmu Islam dan mengembangkan ilmu-ilmu lain juga seperti matematik, sains, geografi dan lain-lain lagi. Orang Islam mempunyai dominasi ilmu pengetahuan selama seribu tahun sebelum ianya diambil alih oleh pihak Eropah (kerana Muslim sudah meninggal ajaran Al-Qur’an).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Al-Qur’an itu adalah mukjizat. Ia asalnya dikeluarkan dari mulut Rasulullah ﷺ sahaja dan dihafal oleh para sahabat dan disampaikan kepada umat yang kemudian. Ianya menjadi kitab rujukan yang paling utama dan dipelajari zaman berzaman. Ianya menjadi topik perbincangan beribu malah mungkin berjuta buku-buku lain. Ianya boleh dirujuk oleh semua orang yang mahukan ilmu pengetahuan.

Bandingkan dengan kitab-kitab wahyu sebelum Islam seperti Taurat dan Injil. Kitab-kitab itu hanya dipegang oleh pemuka agama mereka dan tidak diberikan secara meluas kepada orang awam. Orang awam tidak dapat lihat dan pegang pun kitab-kitab itu.

Dengan cara itu, senanglah mereka hendak menipu pengikut-pengikut mereka. Kerana pengikut terpaksa percaya kepada pemuka agama itu kerana mereka sendiri tidak dapat pastikan sama ada yang diberitahu oleh ulama’ mereka itu benar atau tidak daripada wahyu.

Sampaikan kepada satu tahap di mana lahirnya kumpulan yang menamakan diri mereka Protestant yang mahu semua orang boleh baca sendiri Injil itu. Dan banyak dalam agama lain lagi di mana ahli agama mereka yang mendominasi agama dan mereka yang di bawah kena ikut sahaja.

Sebagai contoh, kalau dalam agama Hindu, Sami mereka sahaja yang boleh baca kitab suci (kononnya) dan mereka yang dari kasta bawah tidak boleh baca langsung. Kita tidak ada tradisi ini dalam Islam. Semua orang boleh baca sendiri Al-Qur’an itu. Yang tidak membaca itu kerana malas sahaja.

Oleh kerana itu, kalau difikirkan semasa ayat ini diturunkan, ianya adalah perkara baharu bagi masyarakat waktu itu. Kerana agama-agama sebelum itu, masyarakat awam memang tidak dibenarkan baca sendiri kitab suci mereka. Tetapi ayat pertama yang Allah ‎ﷻ turunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah disuruh untuk membaca. Maka Islamlah agama yang mula-mula mengajar umatnya untuk membaca sendiri kitab suci mereka. Kita tidak perlukan ‘orang tengah’ untuk bacakan Al-Qur’an ini. Kita boleh kaji sama-sama.

Yang kita perlukan adalah Nabi Muhammad ﷺ sebagai contoh tauladan kita untuk kita belajar bagaimana cara mengamalkan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Islam bukan agama yang dimonopoli oleh pemuka agama, sampaikan pemuka agama itu boleh menipu dan mengubah agama sesuka hati mereka.

Malangnya, perkara ini telah diubah oleh kebanyakan pemuka agama zaman sekarang. Ramai yang mengajar bagaimana Al-Qur’an itu tidak boleh dipelajari oleh orang awam, ianya hanya layak untuk dipelajari oleh golongan ulama’, ustaz dan sebagainya. Siapa yang kata? Mereka itu memandai sahaja dan hendak terus menjahilkan umat.

Ramai yang mengajar bahawa orang awam hanya belajar baca sahaja, tetapi tidak boleh hendak faham apa yang dalam Al-Qur’an itu. Akhirnya masyarakat kita kembali kepada cara pengajaran agama zaman sebelum Islam kembali – kitab suci hanya layak untuk golongan atasan sahaja. Kemudian apa yang mereka kata, kena ikut sahaja (mereka akan marah anak murid yang berani bertanya: “kau ustaz ke aku ustaz?!… kalau aku bagi dalil pun, kau bukan faham pun….” )

Alangkah malangnya apabila itu yang terjadi sekarang. Islam mengajar kita menjadi pandai, tetapi ada ahli agama yang ajar masyarakat untuk terus membodohkan diri mereka. Mereka yang seperti ini tidak patut mengajar agama kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka sudah jadi macam sami dan paderi agama lain.

Agaknya kalau golongan paderi dan rabbi Yahudi dulu dapat jumpa pemuka agama kita, mereka akan minta autograf. Mereka tentu kagum dengan pemuka agama Islam. Mereka akan kata: “kami dulu hendak tipu masyarakat kami, kami kena sorok kitab wahyu… tetapi kamu lagi hebat. Kitab wahyu depan mata masyarakat pun kamu masih boleh tipu lagi… hebat… “

Mari kita lihat kalimat بِاسمِ رَبِّكَ (Dengan nama Tuhanmu). Ia membawa beberapa makna:

1 – Bacalah Al-Qur’an itu dengan nama Allah‎ ﷻ. Begitulah orang kita selalu baca Al-Qur’an dengan lafaz bismillah ar-Rahman ar-Raheem. Maksudnya kita mula membaca Al-Qur’an ini dengan berkat nama Allah ‎ﷻ.

2 – Bacalah apa yang telah disampaikan oleh Tuhanmu itu, iaitu Al-Qur’an. Dan Nabi Muhammad ﷺ memenuhi suruhan ini sepanjang hidup baginda selepas dilantik menjadi Rasul. Baginda akan baca Al-Qur’an dan bacakan Al-Qur’an itu kepada umat baginda. Baginda telah sampaikan wahyu yang baginda terima.

3 – Bacalah Al-Qur’an itu dengan bantuan Tuhanmu. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri bantuan dan keizinan, kita pun tidak dapat faham dan melaksanakan apa sahaja yang kita perlu buat.

4 – Apabila baca Al-Qur’an, pastikan bahawa mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang dibacakan itu bukanlah daripada kata-kata kita, tetapi daripada kata-kata Allah‎ ﷻ. Dan setiap kali Nabi baca Al-Quran, baginda mengingatkan mereka yang itu adalah ayat daripada Allah‎ ﷻ, bukan daripada kata-kata baginda sendiri. Oleh itu, kalau mereka tolak, mereka sebenarnya bukan menolak baginda, tetapi menolak Allah ‎ﷻ .

Al-Qur’an ini adalah satu mukjizat. Kenangkan kembali proses Al-Qur’an itu sampai kepada kita:

a- Al-Qur’an itu asalnya dalam bentuk Kalam Allah ‎ﷻ dan ditulis di Lawh al Mahfoodh. Jadi kita boleh katakan yang ianya dalam bentuk kitab waktu ini.

b- Kemudian ia kembali menjadi bentuk kalam iaitu apabila disampaikan oleh Jibril yang menyampaikan Al-Qur’an itu dalam bentuk kalam kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kemudian baginda juga menyampaikan dalam bentuk kalam kepada para sahabat baginda.

c- Qur’an akhirnya kembali menjadi dalam bentuk kitab. Iaitu apabila ia ditulis kembali oleh para sahabat dan dijadikan dalam bentuk mushaf. Allah ‎ﷻ sudah tahu yang ia akan jadi mushaf. Allah‎ ﷻ sudah beri isyarat yang wahyu Al-Qur’an akan jadi dalam bentuk kitab/mushaf. Kerana itulah Allah‎ ﷻ dari awal lagi sudah guna kalimah اقرَأ (bacalah). Kerana kalau disuruh ‘baca’, tentulah ianya dalam bentuk tulisan, bukan?

Jadi ini tidak pelik kerana asalnya pun Al-Qur’an itu memang dalam bentuk kitab (di Lawh al Mahfoodh). Tetapi yang hebatnya, ingat kembali yang semasa ia diturunkan, ianya dalam bentuk kalam, bukan dalam bentuk kitab lagi. Dan bentuk ‘kalam’ dan ‘kitab’, tentu tidak sama. Apabila Allah ‎ﷻ sampaikan Al-Qur’an itu dalam bentuk kalam, ia adalah satu mukjizat. Apakah bezanya?

Cara seseorang bercakap tidak sama dengan cara dia menulis. Kalau kita bercakap, berkemungkinan besar, akan ada sahaja kesilapan dalam percakapan kita, bukan? Kerana kita bercakap mungkin kita terlupa, atau tersasul atau menggunakan perkataan yang tidak sesuai.

Tetapi kalau kita menulis, kemungkinan buat kesilapan itu dikurangkan kerana kita ada peluang untuk lihat apa yang kita tulis dan kita boleh baiki penulisan kita sebelum sampaikan kepada orang lain.

Itulah sebabnya, mereka yang menulis buku, mengambil masa yang lama kerana mereka akan pastikan dan baca berkali-kali apa yang mereka tulis itu. Itu pun kadang-kadang mereka akan keluarkan edisi baharu setelah mereka perbaiki penulisan mereka.

Tetapi ini tidak mungkin dapat dilakukan kalau penyampaian itu dalam bentuk kalam/perkataan/suara kerana kita tidak boleh betulkan kembali kata-kata kita, apabila ianya sudah keluar, orang lain sudah dengar. Oleh itu, kita ada peluang sekali sahaja untuk sampaikan dengan betul.

Dan inilah yang hebat dan membuktikan mukjizat Al-Qur’an itu. Orang Arab yang mendengar Al-Qur’an itu buat pertama kali pun memang terkejut habis. Mereka amat hairan bagaimana baginda boleh bercakap suatu perkataan yang hebat, tidak ada kesalahan langsung dan waktu itu baginda bukannya merujuk kepada tulisan pun? Baginda seolah-olah membaca daripada tulisan, tetapi sebenarnya tidak. Ini adalah mukjizat.

Ada juga yang menuduh baginda mendapat penulisan dari tempat lain, tetapi ini mustahil kerana baginda seorang yang buta huruf, bukan? Dan kalau pun baginda dapat daripada mana-mana kitab lain, dari mana baginda dapat kitab itu kerana mereka sentiasa sahaja bersama dengan baginda? Allah ‎ﷻ tutup tohmahan mereka itu dalam [Ankaboot:48]

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتابٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ ۖ إِذًا لَارتابَ المُبطِلونَ

Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

Dan Allah ‎ﷻ ingatkan mereka bagaimana sebelum baginda menjadi Rasul, mereka pun tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu tidak boleh membaca dan menulis. Ini disebut dalam [al-A’raf:158]

فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِماتِهِ وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk

Kalimah الأُمِّيِّ dari katadasar أ م م yang bermaksud ‘ibu’. Oleh itu, mereka yang dikatakan sebagai الأُمِّيِّ bermaksud tidak tahu membaca dan menulis, seperti mereka baru keluar dari perut ibu mereka, tidak tahu apa-apa. Begitu jugalah Nabi Muhammad ﷺ, memang tidak boleh membaca dan menulis kerana masyarakat baginda waktu itu memang kebanyakan daripada mereka tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menunjukkan yang memang benar Nabi Muhammad ﷺ tidaklah mengambil maklumat daripada kitab lain, bukan juga baginda bercakap daripada fikiran baginda. Ini ditegaskan dalam [Najm: 3-4]

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰٱ ❊  إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ

dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

Kalimat الَّذي خَلَقَ: Yang menjadikan (daripada tiada kepada ada). Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, semua yang ada dalam alam ini, Dialah yang menjadikan. Sifat ini adalah sifat yang dikaitkan secara langsung dengan nama Allah‎ ﷻ.

Walaupun Musyrikin Mekah itu mengamalkan ajaran syirik, tetapi mereka sendiri tahu dan terima bahawa Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan yang menjadikan segala sesuatu. Ini adalah Tauhid Rububiyyah. Oleh itu, bukanlah Musyrikin Mekah tidak kenal Allah‎ ﷻ, cuma mereka mensyirikkan Allah ‎ﷻ. Ini kita telah bincangkan dengan panjang lebar dalam Perbahasan Tauhid.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan segala-galanya dalam alam ini, maka Allah ‎ﷻ berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja. Dan kita pun kenalah taat kepada Allah ‎ﷻ kerana Dia itu Tuhan kita, dan kita bergantung segalanya kepadaNya. Oleh itu, kena bacalah Al-Qur’an dengan faham kerana Allah ‎ﷻ yang sampaikan kepada kita dan Allah ‎ﷻ pun sudah suruh kita mempelajari dan mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.

Jadi, Allah ‎ﷻ menekankan Siapakah Rabb itu kerana waktu Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan ajaran Tauhid kepada umatnya di Mekah, baginda telah dibuli dan ditolak oleh Musyrikin Mekah. Mereka berani buat begitu kerana baginda lemah waktu itu, tidak ada penyokong. Baginda tidak ada apa-apa kelebihan dan kekuasaan kerana baginda adalah anak yatim dan yang menentang baginda pula adalah bapa saudara baginda sendiri (Abu Lahab). Oleh itu, baginda juga tidak mendapat sokongan daripada puak baginda kerana bapa saudara baginda sendiri tidak menyokong malah menentang baginda dengan keras sekali.

Oleh kerana kelemahan yang ada pada baginda, maka Allah ‎ﷻ beri sokongan kepada baginda dengan kata-kata dalam ayat ini – Bacalah Al-Qur’an itu dengan Nama Tuhanmu. Itulah kekuatan kata-kata Nabi ﷺ itu, iaitu baginda hanya sampaikan Kalam Allah ﷻ, kerana kalam itu bukan datang daripada baginda.

Jadi, ini mengingatkan kaum baginda bahawa apa yang baginda sampaikan itu bukanlah daripada baginda, tetapi daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Jadi kalau mereka menolak, mereka bukan menolak baginda, tetapi mereka menolak Allah‎ ﷻ – jadi kena fikir-fikirkan apa kesan jika menolak Allah‎ ﷻ. Dan Allah ‎ﷻ ingatkan mereka yang Dia yang menjadikan mereka, jadi jangan buat main-main.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Dia menjadikan. Tetapi tidak disebut menjadikan apa? Tidak ada penjelasan dalam ayat ini. Dan ini adalah satu kehebatan Al-Qur’an. Apabila Allah ‎ﷻ tidak sebut, ini bermaksud mutlaqan = Allah ‎ﷻ jadikan semua sekali secara mutlaq, sampai tidak perlu disebut apa yang Allah ‎ﷻ jadikan. Kerana semua yang ada, Allah ‎ﷻ yang cipta.


Ayat 2:

خَلَقَ ٱلإِنسَـٰنَ مِن عَلَقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Created man from a clinging substance.

(MALAY)

Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia yang menjadikan, tetapi tidak disebut apakah yang Allah ‎ﷻ jadikan. Maknanya, semua yang ada adalah hasil daripada Allah ‎ﷻ yang cipta. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menjurus pula kepada penciptaan manusia sebagai penghormatan kepada kita. Oleh itu, sekarang lebih spesifik. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dialah yang menjadikan kita. Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut kerana memang semua yang ada dalam alam ini termasuk kita, Dia yang jadikan. Tetapi Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam ayat ini.

Dan Allah ‎ﷻ memberi maklumat tambahan tentang penciptaan manusia, iaitu manusia ini dijadikan dari عَلَقٍ. Apakah عَلَقٍ itu?

Kalimah عَلَقٍ dari katadasar ع ل ق yang bermaksud sesuatu yang melekat dan bergantung. Selalu diterjemahkan dalam kitab terjemahan sebagai ‘segumpal darah’. Apabila sains moden semakin maju dan kajian embriologi dijalankan, kita dapat tahu bagaimana proses persenyawaan manusia itu. Dengan menggunakan mikroskop, kita dapat tahu apabila sperma bercantum dengan telur wanita, percampuran itu akan menjadi zygote dan ia akan melekat di dinding rahim.

Apabila zygote itu telah jadi, itu sebagai tanda yang persenyawaan telah terjadi. Tentu sekali perkara ini tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia pada zaman Nabi Muhammad ﷺ kerana untuk mengetahui perkara ini, memerlukan melihat ke dalam perut wanita dan menggunakan mikroskop.

Kalimah عَلَقٍ juga digunakan bermaksud ‘lintah’. Dan ini asalnya menghairankan, sehinggalah apabila kita dapat lihat bagaimana rupa zygote itu.

embryoleech
Memang rupa zygote itu seakan sama dengan ‘lintah’.

Apabila kita lihat rupanya zygote itu, maka fahamlah kita kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah عَلَقٍ itu. Ini adalah mukjizat Al-Qur’an dan kita semakin yakin dengan kebenaran Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an tidak berlawanan dengan sains. Dan semakin maju sains, semakin menunjukkan kebenaran Al-Qur’an itu. Allah ‎ﷻ telah sebut dalam [Fussilat:53]

سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Qur’an adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Semakin sains maju, semakin sains menjelaskan memang Al-Qur’an itu adalah benar. Dan ramai manusia yang masuk ke dalam agama Islam kerana percaya bahawa apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an tidak mungkin datang daripada manusia, tetapi datang daripada Tuhan semesta alam. Ini adalah kerana ia bertepatan dengan sains.

Selalu Allah ‎ﷻ menyebut asal kejadian manusia dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ menyebut bagaimana manusia itu asalnya daripada sperma, daripada tanah, daripada segumpal darah. Apakah tujuan Allah‎ ﷻ menceritakan tentang asal kejadian itu? Ianya untuk membuktikan bahawa:

1 – Allah ‎ﷻ mampu menghidupkan balik manusia. Allah ‎ﷻ yang boleh menjadikan manusia daripada cecair dan daripada tanah, boleh sahaja untuk menjadikan manusia kembali. Semuanya tidak susah untuk Allah‎ ﷻ. Maka kejadian Kiamat dan Hari Kebangkitan tidak perlu kita hairan.

2- Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana walaupun asal manusia itu hina (daripada air mani, daripada tanah dan sebagainya yang tidak ada nilai) tetapi boleh menjadi manusia yang hebat. Memang asalnya manusia itu nampak macam tidak ada nilai, tetapi Allah ‎ﷻ juga telah jadikan kita punya kebolehan untuk melakukan sesuatu yang besar.

Maknanya, kita kena berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk buat benda yang besar dan bernilai. Ini adalah kerana kita dijadikan bukan untuk benda-benda yang rendah dan tidak bernilai.

3 – Allah ‎ﷻ ingatkan manusia dengan kejadian asal kita untuk merendahkan diri manusia. Kenanglah kembali kita dahulu dalam bentuk apa. Kalau air mani itu jatuh kepada kain kita, kita rasa ia kotor dan terus basuh dan buang air mani itu kerana ianya dikira sebagai kotor, bukan? Kalau jatuh ke tanah pun, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu.

Maka, kalau kita ingat kejadian asal kita, tidaklah patut kalau kita hendak jadi sombong. Walau bagaimana tinggi pun kedudukan kita, asal kita semua sama sahaja.


Ayat 3:

اقرَأ وَرَبُّكَ الأَكرَمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Recite, and your Lord is the most Generous –

(MALAY)

Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,

Setelah Allah ‎ﷻ memberi isyarat bagaimana manusia itu asalnya adalah daripada bahan yang rendah dan hina, sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan kita betapa Dia pula adalah Yang Maha Mulia, Yang Maha Pemurah. Sekarang Allah ‎ﷻ bandingkan antara kita dan Dia. Memang amat jauh sekali kerana kita adalah hamba dan Dia adalah Tuhan kita.

Kalimah الأَكرَمُ adalah daripada kalimah ك ر م yang bermaksud ‘yang dihormati kerana kemuliaannya’. Kalau kita yang dijadikan daripada air mani tidak layak mendapat kedudukan ini, tetapi Allah‎ ﷻ memang layak sungguh.

Kalimah الأَكرَمُ juga diterjemahkan sebagai ‘Pemurah’. Kenapa Allah ‎ﷻ dikatakan sebagai ‘pemurah’? Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ memberi dengan tidak diminta. Kita lahir-lahir sahaja, sudah bermacam perkara yang kita dapat daripada Allah ‎ﷻ, walaupun waktu itu kita tidak tahu pun untuk meminta. Bandingkan dengan manusia, kadang-kadang pun memberi juga, tetapi selalunya kalau diminta, baru diberi. Oleh itu, inilah maksud الأَكرَمُ, sebelum manusia minta, Allah ‎ﷻ sudah beri. Segala keperluan hidup kita diberiNya dan itu adalah kerana Allah‎ ﷻ Amat Pemurah.

Kalau kita jadi mulia pun, itu adalah kerana Allah ‎ﷻ yang memuliakan kita dengan meninggikan darjat kita. Bukannya kita mulia kerana kedudukan kita sendiri. Oleh itu, kita jangan jadi sombong. Seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [Israa’:70]

وَلَقَد كَرَّمنا بَني آدَمَ وَحَمَلناهُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلىٰ كَثيرٍ مِمَّن خَلَقنا تَفضيلًا

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.

Maksud ayat ini, Allah ‎ﷻ yang muliakan kita, bukan kita yang jadi mulia dengan sendiri. Maka kalau pun kita disanjung dan dipuji, ia adalah kerana Allah ‎ﷻ yang naikkan kedudukan kita. Dan kerana Allah ‎ﷻ sembunyikan keburukan kita. Kerana kalau orang tahu semua keburukan kita, tidak ada yang akan sanjung kita sedikit pun.

Mari kita lihat kalimah اقرَأ: Ini adalah pengulangan sekali lagi arahan dan suruhan untuk membaca. Allah ‎ﷻ suruh sekali lagi Nabi Muhammad ﷺ untuk membaca Al-Qur’an, sebagai kata-kata semangat. Ini adalah kerana Rasulullah ﷺ akan menerima banyak tentangan dan kata-kata yang mencemuh dan menghina baginda. Maka baginda diingatkan untuk terus membaca Al-Qur’an itu.

Memang tugas yang baginda lakukan itu adalah sukar, tetapi dengan terus membaca Al-Qur’an, baginda akan mendapat semangat. Begitu juga dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, kenalah juga memperbanyakkan bacaan dan tadabbur Al-Qur’an. Kita akan mendapat banyak nasihat dan pujukan yang menenangkan hati kita dengan membaca dan tadabbur Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ mengingatkan baginda bahawa baginda sedang membaca wahyu daripada Allah ‎ﷻ yang bersifat mulia. Dan apabila Allah ‎ﷻ telah memilih baginda untuk menyampaikan wahyu itu kepada manusia, itu bermaksud Allah ‎ﷻ telah memuliakan baginda dengan tugas itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Abasa Ayat 38 – 42 (Dua golongan sahaja)

Ayat 38: Allah ﷻ memberitahu ada dua golongan kelak. Ayat ini hingga ke hujung surah ini adalah Perenggan Makro Ketujuh. Allah ﷻ menceritakan balasan baik dan buruk yang akan diberikan kepada manusia.

وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Some] faces, that Day, will be bright –

(MALAY)

Ada muka pada hari itu berseri-seri,

 

Ini adalah keadaan muka beberapa orang iaitu mukminin. Muka orang-orang beriman pada hari itu akan tersenyum kegembiraan.

Maksud سفِرَةٌ (safarah) adalah ‘dibuka’, ‘ditunjukkan’. Iaitu sesuatu yang tertutup, kemudian dibuka. Maknanya merujuk kepada senyuman orang-orang beriman itu yang ‘dibuka’. Mungkin semasa di dunia kehidupan mereka hidup dalam keadaan yang payah dan senyuman mereka ‘tertutup’.

Tetapi pada hari pembalasan ini senyuman mereka dibuka. Allah ﷻ ‘buka’ kesusahan mereka itu. Tidak ada kesusahan di akhirat untuk mereka, hanya nikmat sahaja.

Tentu kita mahu sekali supaya wajah kita pun bergembira pada hari itu, bukan? Kalau begitu, hendaklah kita menjalani kehidupan kita seperti orang mukmin juga. Barulah dapat kelebihan itu.


 

Ayat 39:

ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Laughing, rejoicing at good news.

(MALAY)

tertawa dan bergembira ria,

 

Kalimah ضاحِكَةٌ bermaksud ketawa yang tidak terkawal, sampai gigi gusi pun nampak, siap berbunyi lagi. Mukminin akan tertawa lagi bersukaria dengan berita gembira yang diberikan kepada mereka yang mereka akan dimasukkan dalam syurga.

Mereka gembira sangat kerana mereka mendapat balasan yang baik. Kegembiraan mereka terserlah pada wajah mereka. Alangkah beruntungnya mereka! Semoga kita termasuk dalam golongan ini hendaknya… aameen.

Kalimah مُستَبشِرَةٌ maksudnya penuh gembira kerana berita gembira yang diberikan kepada seseorang. Kalimat مُستَبشِرَةٌ berasal dari kalimat بشِرَ yang bermaksud ‘kulit’. Oleh itu, kalimat istibshar bermaksud gembira sangat sampai nampak kegembiraan pada kulitnya (terutama kulit muka).


 

Ayat 40: Tadi tentang orang mukmin, sekarang tentang mereka yang kafir dan fasik.

وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [other] faces, that Day, will have upon them dust.

(MALAY)

dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,

 

Kalimah غَبَرَةٌ bermaksud debu yang terbang di angin dan akhirnya melekat pada sesuatu dan susah untuk dibersihkan. Sebagai contoh, kalau melekat pada rambut, wajah dan baju kita, susah untuk dibersihkan.

Oleh itu, ada orang yang muka mereka penuh berdebu, maksudnya isyarat yang muka mereka nampak kotor tidak berseri. Ini kerana mereka telah mendengar berita buruk yang diberikan kepada mereka. Tentunya muka orang yang berdebu tidak menarik langsung. Mereka kesedihan yang amat sangat kerana kesusahan pada hari itu dan ketakutan yang mereka sedang alami.

Digunakan isyarat muka dalam ayat ini kerana kalau hina pada muka adalah penghinaan yang paling besar dalam Bahasa Arab dan Allah ﷻ gunakan cara itu untuk mereka. Supaya Musyrikin Mekah tahu betapa hinanya mereka nanti di akhirat kalau mereka tidak ubah perangai mereka dan masih menentang dakwah tauhid.


 

Ayat 41:

تَرهَقُها قَتَرَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Blackness will cover them.

(MALAY)

dan ditutup lagi oleh kegelapan.

 

Mereka juga akan diliputi pula dengan hitam legam dan gelap gelita. رهَقُ bermaksud sesuatu yang membayangi sesuatu dengan cara kuat. Maknanya kegelapan itu akan menguasai mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.

Sementara قَتَرَةٌ pula bermaksud asap yang di atas kayu yang terbakar. Ianya adalah asap yang hitam. Mereka akan dinaungi dan diselubungi oleh asap hitam itu.


 

Ayat 42: Siapakah mereka yang akan menghadapi nasib malang ini?

أُولٰئِكَ هُمُ الكَفَرَةُ الفَجَرَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the disbelievers, the wicked ones.

(MALAY)

Mereka itulah orang-orang kafir lagi durhaka.

 

Mereka yang kena itu adalah orang yang kufur dan kufur itu pula dengan nyata. الفَجَرَةُ bermaksud ‘terang terangan’. Mereka kufur dengan cara yang ganas. Seperti fajar yang memecah kegelapan malam. Maknanya mereka bukan sahaja berbuat dosa, tetapi buat dengan terang-terangan.

Kerana ada juga orang yang buat dosa, tetapi buat senyap-senyap. Maknanya golongan الفَجَرَةُ itu adalah jenis tidak malu dan tidak takut pun dengan buat dosa. Macam juga puak Habib yang buat Majlis Maulid yang bid’ah itu terang-terangan, menyeru-nyeru Nabi ﷺ terang-terangan, sampai penuh stadium. Mereka terkinja-kinja buat perangai yang tidak elok, memalukan umat Islam. Kalau kita tegur, lagi besar mereka buat. Mereka tidak takut buat perkara bidaah itu kerana mereka tidak sangka yang ianya salah.

Mereka yang dahulunya rasa cukup di dunia ini akan merasa takut dan sedih. Tetapi mereka yang takut kepada Allah ﷻ dan ingat hari akhirat, mereka akan bergembira.

Allahu a’lam. TAMAT SURAH ABASA. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Takweer. 

Kemaskini: 25 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah at-Teen Ayat 5 – 8 (Ubat untuk penyakit)

Teen Ayat 5: Dalam ayat ke 4 sebelum ini, Allah beritahu yang manusia itu dicipta dalam sebaik-baik kejadian. Tapi nanti ada yang akan dijatuhkan.

ثُمَّ رَدَدنَـٰهُ أَسفَلَ سَـٰفِلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We return him to the lowest of the low,¹

  • This can refer to the depths of Hell, to decrepit old age or to immorality.

(MALAY)

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),

 

Ayat ini adalah ayat terpenting surah ini. Kenapa agaknya Allah memperkatakan tentang perkara ini? Dan kenapa Allah kata Dia yang merendahkan orang itu? Allah kata: “Kami kembalikan dia…” Bukankah selalunya Allah tidak meletakkan DiriNya kalau perkara itu dalam bentuk yang negatif? Tapi kali ini nampak lain pula dari kebiasaan.

Sebelum ini Allah telah memberitahu yang Dia telah mencipta manusia dalam sebaik-baik kejadian. Akan tetapi, kerana kejahatan dan kesalahan orang itu sendiri, Allah sendiri yang telah merendahkan orang itu. Walaupun ayat ini dalam bentuk negatif, tapi masih lagi memperkatakan tentang Qudrat Allah yang boleh buat apa sahaja.

Oleh itu, ayat ini tidaklah memperkatakan tentang kesilapan Allah dalam mencipta (kerana Allah sudah cipta manusia dalam sebaik kejadian), tapi mereka yang direndahkan itu adalah kerana mereka yang menjauhkan diri dari Allah. Kesalahan itu di pihak manusia itu, bukan kerana kesilapan Allah.

Apakah maksud أَسفَلَ سافِلينَ? Ada beberapa pendapat yang telah dikeluarkan oleh ulama’:

1 – Ada juga yang mengatakan yang ayat ini hendak memberitahu, apabila manusia sudah tua, dia sudah tidak boleh buat macam apa yang dia boleh buat semasa dia muda. Dulu  kuat, tapi bila sudah tua bangka, sudah lemah tidak boleh buat apa lagi. Termasuk dalam melakukan perkara ibadat.

Memang bila sudah tua nak solat banyak pun sudah tidak larat, nak baca Al-Qur’an, mata pun sudah tak berapa nampak (jadi kena hafal Al-Qur’an dari masa mata masih nampak). Waktu sudah tua, manusia memerlukan orang lain untuk menjaganya. Kadang-kadang, ada yang rasa mereka menyusahkan orang lain pula kerana kena menjaga mereka. Nak kencing dan berak pun ada orang tolong. Sudah jadi macam bayi pula.

 

2 – Tapi pendapat pertama di atas tidaklah berapa tepat kerana kerendahan yang dimaksudkan bukanlah kerendahan dari segi fizikal, tapi dari segi moral. Oleh kerana kerendahan moral mereka itu, mereka telah menjatuhkan diri mereka. Sedangkan Allah sudah mencipta manusia dalam penciptaan yang mulia dan dalam sebaik-baik kejadian.

Manusia itu memang mulia sampaikan malaikat pun disuruh sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Allah telah muliakan manusia sampaikan segala makhluk di muka bumi ini dijadikan untuk kegunaan manusia (binatang, tumbuhan, tanah dan sebagainya). Ini disebut dalam Baqarah:29.

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا

Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu

Manusia yang mulia adalah manusia yang tunduk kepada Allah. Walaupun manusia sudah dijadikan dalam sebaik kejadian, tapi manusia yang tidak menyembah Allah dan kemudian mereka merendahkan dirinya di hadapan perkara yang rendah macam binatang, berhala atau perkara-perkara lain, mereka akan direndahkan serendah-rendahnya.

Mereka yang melakukan perkara itu telah menjadi lebih rendah dari binatang. Bayangkan, binatang hanya menyerang binatang lain kalau mereka lapar atau mereka diserang – tapi manusia sanggup berlaku zalim kepada manusia lain tanpa sebab yang munasabah. Walaupun mereka serba cukup dari segi kehidupan, masih ada lagi yang menyerang pihak lain untuk meluaskan pengaruh mereka dan mendapatkan harta dan tanah orang lain.

Binatang juga tidak rosakkan alam ini, tapi manusia banyak yang rosakkan alam. Itulah sebabnya Allah kata manusia itu boleh jadi lebih teruk dari binatang dalam Al-A’raf:179.

أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

 

3 – Ada juga yang kata kalimat أَسفَلَ سافِلينَ ini hendak menceritakan tentang mereka yang tidak taat yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan digunakan perkataan ثُمَّ yang menunjukkan masa yang lama. Maknanya ada jarak antara manusia yang merendahkan dirinya dan keputusan memasukkan dia ke neraka.

Tidaklah Allah terus memasukkan manusia yang telah merosakkan dirinya itu ke dalam neraka. Jarak masa yang lama itu kerana Allah berikan peluang kepada manusia untuk bertaubat.


 

Teen Ayat 6: Siapakah yang selamat?

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنُونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who believe and do righteous deeds, for they will have a reward uninterrupted.

(MALAY)

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

 

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh;

Mereka yang selamat adalah mereka yang beriman dan beramal soleh. Beriman adalah amal dalaman dan amal soleh adalah amal luaran. Jadi kena ada amalan dalaman dan amalan luaran. Tidak cukup kalau hanya berkata: “aku sudah beriman”. Kena dibuktikan dengan perbuatan.

Sebelum ini kita telah menyebut bagaimana pandangan psikologis terhadap manusia. Mereka kata manusia menjadi jahat apabila mereka tidak menghiraukan undang-undang. Memang tidak ada kebaikan pada orang yang sebegitu. Apabila dia tidak takut kepada undang-undang, perbuatan dia pun akan jadi zalim. Mereka yang sebegitu akan jadi lebih teruk dari binatang seperti yang telah disebut.

Jadi apakah solusi kepada mereka yang sebegitu? Kita kena lihat solusi dalam dua bahagian kerana ada dua masalah:

a. masalah dalaman, dan

b. masalah luaran.

Solusinya adalah:

a. Mereka kena perbaiki iman mereka untuk mengubat penyakit dalaman.

b. Dan kena ikuti iman itu dengan amalan luaran untuk penyakit luaran.

Iman kena diperbaiki kerana ia akan memberi kesan kepada luaran kita. Manusia melakukan sesuatu perkara kerana mahukan pulangan atau takutkan sesuatu. Perasaan itu datangnya dari dalam kita, bukan? Jadi kita melakukan sesuatu kerana ada dorongan dari dalaman.

Oleh itu, kalau kita bersihkan dalaman kita, perbetulkan niat kita, perbuatan kita pun akan jadi baik juga. Jadi ubat untuk penyakit telah diberikan dalam ayat ini. Apabila iman baik, maka amalan pun akan jadi baik juga, in sha Allah.

 

فَلَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنُونٍ

maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putus.

Kalimah أَجرٌ bermaksud bayaran upah yang diberikan kepada seseorang selepas dia buat kerja. Mereka yang telah melakukan amal kebaikan, Allah akan beri upah kepada mereka. Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, amal itu ada yang dalaman dan ada yang luaran.

Maknanya, kita bukan sahaja dibalas dengan amal ibadat kita, tapi kita juga akan dibalas atas ketinggian iman kita. Dan iman manusia tidak sama, ada yang tinggi dan ada yang rendah. Tentunya mereka yang imannya tinggi akan dibalas lebih lagi dari mereka yang imannya rendah, bukan?

Kalimat غَيرُ مَمنونٍ – tanpa diputuskan. Pahala yang diberikan kepada mereka tidak akan diputuskan. Kerana itulah, ada orang yang buat amal sedikit sahaja, tapi balasan kepada mereka adalah sangat banyak. Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, akan terus tinggal di dalam syurga itu dan nikmat kepada mereka tidak akan diputuskan.

Dan kerana kebaikan yang mereka tinggalkan kesannya di dunia, akan mengalirkan pahala kepada mereka walaupun mereka telah mati. Sebagai contoh, mereka derma untuk bina masjid; atau mereka telah ajar ilmu agama kepada orang lain dan ia diamalkan oleh orang itu. Pahala terus mengalir dan mengalir bagi mereka.

Kalimah منن juga bermaksud ‘balasan’. Ini bermaksud, pahala yang Allah berikan nanti, Allah tidak akan meminta balasan dari kita. Kerana segala nikmat yang Allah berikan kepada kita ini bukanlah percuma. Kena dibayar nanti. Dan bayarannya adalah iman dan amal. Kalau taat kepada arahan Allah, maka bayaran itu terlangsai. Tapi kalau tidak, maka kena bayar dengan duduk dalam neraka.

Amalan yang dilakukan tentunya adalah sesuatu yang sukar juga untuk dilakukan. Oleh kerana itu ia memerlukan usaha. Ini telah disebut dalam Balad:11

فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ

Tetapi dia tiada menempuh jalan yang mendaki lagi sukar

Dari ayat dari Surah Balad itu, kita dapat tahu bahawa memang jalan yang perlu ditempuhi adalah jalan yang sukar. Memang agak sukar untuk taat kepada agama. Ia bukan duduk goyang kaki sahaja.

Tapi, kalau kita tidak menempuh jalan yang sukar dalam dunia ini, kita akan menghadapi jalan yang lebih sukar di akhirat kelak. Kalau begitu, pilihlah mana kesusahan yang kita hendak daki – kesusahan di dunia ini yang sementara sahaja (dan tidaklah susah sangat) atau kesusahan di akhirat yang lebih menyakitkan dan lebih lama lagi.


 

Teen Ayat 7: Ayat 7 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir. Allah memberitahu yang akal manusia menerima adanya pembalasan baik atau buruk.

Dalam ayat ini Allah menegur mereka yang menolak kebenaran dan tidak menggunakan akal mereka.

فَما يُكَذِّبُكَ بَعدُ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So what yet causes you to deny the Recompense?¹

  • More literally, “What makes you lie concerning it?”

(MALAY)

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

 

Setelah mereka tahu kebenaran Islam, ramai yang mendustakan agama. Allah tanya, kenapa boleh jadi begitu? Sedangkan telah disebut sebelum ini yang manusia itu dijadikan mulia dan lebih mulia dari makhluk yang lain di dunia ini. Manusia mempunyai potensi yang tinggi – boleh memikirkan perkara-perkara yang kompleks, boleh buat kajian tentang alam dan sains, hidup lebih teratur kalau dibandingkan dengan haiwan dan sebagainya.

Maka tidakkah itu semua menunjukkan yang manusia mempunyai potensi yang tinggi? Maknanya kita ini dijadikan untuk sesuatu yang penting, bukan? Jadi Allah tanya: kenapa ramai manusia tidak memikirkan tentang keperluan dan kehendak rohnya? Kenapa manusia hanya melihat kepada keperluan fizikal sahaja?

Kalau mereka hanya memikirkan tentang fizikal sahaja, maknanya mereka telah tertipu. Apakah yang telah menipu mereka? Allah beri soalan retorik dalam ayat ini – apakah benda yang kuat sangat sampai boleh menyebabkan mereka tertipu dalam hal agama?

Dalam kalimah ini digunakan kalimah يُكَذِّبُ yang diambil dari katadasar ك ذ ب yang bermaksud dusta. Oleh itu, takzeeb yang bermaksud ‘mendustakan’ adalah mengatakan sesuatu itu dusta, padahal dia sendiri tahu yang itu adalah perkara yang benar. Maka, mereka yang mendustakan agama, sebenarnya mereka itu tahu yang agama itu benar, tapi mereka kata agama itu dusta. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali.

Malangnya, ramai yang buat perkara ini. Ada manusia yang sedar bahawa agama Islam itu benar dan memang masuk akal segala arahannya, tapi mereka masih tetap tidak mahu taat kepada Allah. Mereka mengejek ayat-ayat Allah dan hadis Nabi, dalam usaha mereka untuk menyedapkan hati mereka bahawa apa yang diajar oleh agama Islam itu adalah salah, padahal dalam hati mereka, mereka tahu yang apa yang disampaikan itu adalah benar.

Ayat ini juga boleh bermaksud: siapakah yang sanggup untuk mendustakan engkau wahai Muhammad! Kerana dhomir ك dalam يُكَذِّبُكَ (mendustakan engkau) boleh bermaksud Nabi Muhammad. Orang yang sanggup mendustakan baginda, mengatakan baginda berdusta, tentulah seorang teruk sekali. Ini adalah sebagai tamparan yang hebat terhadap Musyrikin Mekah yang sanggup mengatakan Nabi Muhammad berdusta dalam menyampaikan ajaran tauhid.

Nabi Muhammad telah membawa ajaran agama (الدّينِ), tapi ada manusia yang amat malang yang sanggup mengatakan baginda berdusta. Setelah disampaikan kepada mereka agama itu, mereka sanggup mendustakan baginda. Jadi ia amat teruk sekali.


 

Teen Ayat 8: 

أَلَيسَ ٱللَّهُ بِأَحكَمِ ٱلحَـٰكِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is not Allāh the most just of judges?

(MALAY)

Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya?

 

Soalan ini berbentuk retorik, sebagai penekanan kepada kebenaran perkara itu dan ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Al-Qur’an. Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, apabila digunakan dalam bentuk soalan retorik, ianya hendak mengatakan memang itu adalah perkara yang benar.

Ianya juga hendak menyentuh dan menegur mereka yang masih lagi menolak kebenaran agama. Kenapa nak tolak lagi sedangkan Allah itu yang Maha Bijaksana? Bukankah Dia telah menjadikan kamu dalam sebaik-baik kejadian? Tidakkah Dia telah berikan hukum hakam yang amat sesuai bagi kamu? Kenapa masih tidak mahu ikut?

Kalimah حكَمِ bermaksud bijaksana. Jadi kalimah dalam bentuk أَحكَمِ bermaksud yang ‘paling bijaksana’. Juga boleh bermaksud hakim yang paling layak membuat keputusan.

Kalimah الحاكِمينَ pula bermaksud mereka yang bijaksana (dalam bentuk jamak). Oleh itu, ayat ini bermaksud, tidakkah Allah itu yang paling bijaksana antara yang ramai yang bijak? Tidakkah Allah yang paling adil untuk buat keputusan?

Kalau tidak mahu beriman, tidak mahu beramal soleh dan tidak mahu menggunakan akal, adakah salah kalau Allah buat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka? Tentulah tidak salah, kerana Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana dalam buat keputusan. Dia tahu apa yang Dia lakukan.

Disunatkan ketika membaca ayat yang terakhir di dalam surah al-Tin ini. Imam Nawawi menyebut disunatkan apabila membaca (أَلَيْسَ اللَّـهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka sebutlah:

بلى! وأنا على ذلك من الشاهدين

Benar! Dan sesungguhnya aku menyaksikan hal itu (Allah SWT seadil-adil Hakim).

(Lihat al-Azkar li al-Nawawi, 1/119)

Selain itu, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ismail bin Umayyah RA menyatakan, aku mendengar daripada seorang lelaki badawi menyebut bahawa Abu Hurairah RA berkata:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ: وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَقَرَأَ: {أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ} [التين: 8] فَلْيَقُلْ: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Sesiapa yang membaca surah: wa al-Tin wa al-Zaitun kemudian membaca (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ) (al-Tin,8) maka hendaklah ia menyebut (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ) Benar, dan aku menyaksikan hal itu.

Riwayat al-Tirmizi (3347)

Imam Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disunatkan bagi yang membaca al-Qur’an ketika solat atau di luar solat apabila sampai pada ayat Rahmah maka dia meminta kepada Allah SWT akan rahmatnya, atau sekiranya dia baca pada ayat Azab maka mintalah perlindungan daripada-Nya atau apabila sampai pada ayat Tasbih maka hendaklah dia bertasbih iaitu memuji-Nya atau ketika dia sampai kepada ayat yang terdapat padanya perumpamaan maka hendaklah dia memikirnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/390)

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Alaq.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir