Pengenalan:
Para sahabat telah meminta kisah yang indah kepada Rasulullah ﷺ maka Allah ﷻ turunkan Surah Yusuf ini. Yang menariknya, surah ini dari awal hingga akhirnya adalah kisah tentang Nabi Yusuf عليه السلام sahaja. Ini berlainan dengan surah-surah lain kerana kalau dalam surah lain, ada bercampur-campur banyak kisah.
Sebagai contoh, kisah Nabi Musa عليه السلام banyak dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah diperuntukkan keseluruhan satu surah untuk kisahnya. Namun Surah Yusuf ini tidak putus dari awal hingga akhir adalah kisah tentang Nabi Yusuf عليه السلام sahaja. Ini adalah sesuatu yang hebat.
Secara ringkasnya, ada 4 perkara yang Allah ﷻ hendak beritahu dalam surah ini. Oleh itu, surah ini mempunyai empat Dakwa:
- Hanya Allah ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib. Para Nabi pun tidak tahu. Maka ini adalah akidah yang kita kena pegang sentiasa. Jangan kita kata yang para Nabi pun tahu tentang perkara ghaib juga. Ini kita belajar dalam kisah-kisah para Nabi dalam surah ini.
- Allah ﷻ berkuasa penuh di atas segala-galanya, bukan Nabi – sama ada semasa mereka hidup ataupun mati. Kuasa tasarruf (mengurus) hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Terdapat kisah bermacam ikhtiar yang dibuat oleh Nabi Ya’qub, Nabi Yusuf, adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام dan mereka yang lain dalam kisah ini tetapi apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah ﷻ sahaja.
- Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Ia diturunkan di Mekah. Ia memberitahu yang orang Mekah yang menentang Rasulullah ﷺ akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام juga. Walaupun pada peringkat permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf عليه السلام namun akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Oleh itu Rasulullah ﷺ tidak perlu bimbang sangat dengan layanan Musyrikin Mekah itu – baginda akan menang akhirnya.
- Semua Nabi apabila dipilih menjadi Nabi tidak boleh hidup bebas tetapi mereka akan diuji dengan tugas. Mereka tidak boleh hidup seperti orang lain lagi kerana mereka itu mempunyai tugas yang amat besar. Mereka mesti menjalankan tugas mereka menyampaikan dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan diuji. Begitu juga dengan umat yang mengaku mengikuti Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Nabi untuk berdakwah, maka, mereka juga akan diuji. Tetapi sebagaimana Allah ﷻ selamatkan para Nabi, begitu juga Allah ﷻ akan selamatkan mereka yang menyambung tugas para Rasul itu.
Ada satu lagi kisah tentang surah ini: ada orang Yahudi yang bertanyakan soalan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu “Kenapakah Bani Israil ada di Mesir dan kenapa mereka keluar dari Mesir?” Sebenarnya, mereka sengaja bertanyakan soalan untuk merendahkan Nabi Muhammad ﷺ. Maka Allah ﷻ jawab soalan kenapa Bani Israil ada di Mesir dengan Surah Yusuf ini; dan tentang kenapa mereka meninggalkan Mesir, itu dijawab di dalam Surah Taha yang banyak menceritakan tentang Nabi Musa عليه السلام.
Surah ini Surah Makkiyyah. Ia diturunkan selepas kematian isteri baginda, Khadijah رضي الله عنها dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun kematian mereka dinamakan Tahun Kesedihan. Dan kena pula dengan nama Yusuf yang berasal dari أ س ف yang bermaksud ‘sedih’. Oleh kerana kesedihan yang amat sangat pada Nabi Muhammad ﷺ, maka, Allah ﷻ menghiburkan baginda dengan menurunkan surah ini.
Allah ﷻ menjadikan 15 keadaan yang berbeza dalam kisah ini dan kita akan kupaskan satu persatu nanti. Dalam Surah Hud sebelum ini, Dakwa kedua surah itu adalah hanya Allah ﷻ yang mengetahui perkara ghaib dan kuasa tasarruf Allah ﷻ meliputi segalanya. Surah Yusuf ini pula menceritakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام untuk membuktikan perkara itu. Allah ﷻ memberikan contoh bagaimana dua sifat itu hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Apabila diyakini kedua sifat Allah ﷻ itu, maka barulah kita dapat terima dan yakin bahawa hanya Dia lah sahaja yang layak disembah.
Surah Hud menunjukkan bahawa tiada seorang pun walaupun seorang alim yang mengetahui perkara ghaib dan mempunyai kuasa tasarruf. Surah Yusuf ini pula membawakan kisah tentang Nabi Ya’qub عليه السلام yang tidak mempunyai kedua sifat tadi walaupun beliau seorang Rasul dan berketurunan Nabi.
Ayat 1: Walaupun surah ini panjang, namun dari segi Makro, ia boleh dibahagikan kepada 3 Perenggan sahaja. Ayat 1 & 2 adalah Perenggan Makro Pertama di mana Allah ﷻ hendak menceritakan tujuan penurunan Al-Qur’an.
الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Yūsuf: (The Prophet) Joseph.
Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the clear Book.
- See footnote to 2:1.
(MALAY)
Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (dari Allah).
الر
Alif, laam, raa.
Sekali lagi ada Huruf-huruf Muqatta’ah dalam ayat ini. Kita sudah bincangkan dengan panjang lebar dalam surah-surah yang lain tentangnya. Boleh rujuk kepada perbincangan dalam Surah Ghafir.
تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ
Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata
Allah ﷻ memberitahu bahawa Al- ur’an ini adalah jelas nyata. Ia adalah jelas nyata kepada mereka yang mahu belajar sahaja. Kalau kita telah belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan pasti bahawa Al-Qur’an ini jelas dari Allah ﷻ dan bukannya rekaan Rasulullah ﷺ atau selainnya.
Dan apabila digunakan kalimah المُبينِ, bermakna dalam surah ini akan ada dalil naqli sahaja. Iaitu kisah-kisah yang disampaikan oleh Allah ﷻ kepada kita. Kisah yang ada dalam surah ini diambil daripada wahyu dan bukan rekaan dari Rasulullah ﷺ.
Ayat 2:
إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur’ān¹ that you might understand.
- i.e., revealed in the Arabic language.
(MALAY)
Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.
إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا
Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab,
Al-Qur’an dari segi bahasa adalah ‘sesuatu yang banyak dibaca’ dan ini terbukti kerana Al-Qur’an yang ada di tangan kita sekarang ini banyak sekali dibaca malah dihafal oleh sangat ramai orang di seluruh dunia.
Dan Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam bahasa Arab. Jadi kalau kita baca kitab terjemahan, itu bukanlah Al-Qur’an. Kita kena faham terdapat perbezaan di antara ‘terjemahan’ dan Al-Qur’an itu sendiri kerana Al-Qur’an itu hendaklah di dalam bahasa Arab. Terjemahan itu tidak mungkin tepat dan tidak akan ada terjemahan yang tepat kerana itu adalah salah satu pendapat sahaja tentang maksud satu-satu ayat Al-Qur’an kerana ayat Al-Qur’an ada banyak makna dan tidak mungkin dapat diterjemahkan sepenuhnya. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu adalah bahasa yang kaya dan tidak mungkin dapat diterjemahkan dengan sempurna. Cuma kita gunakan kitab terjemahan itu sebagai panduan sahaja.
Apabila dikatakan Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, ini bermakna yang Allah ﷻ menurunkan terus Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maksudnya bukan menggunakan kalimah dari Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an itu sememangnya telah siap diturunkan dalam bahasa Arab dan bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang mengeluarkannya dalam bahasa Arab pula.
Dan ini berbeza dengan hadith. Memang hadith juga adalah wahyu juga tetapi Nabi ﷺ diberikan ilham dan kefahaman kepada baginda dan baginda sendiri yang menggunakan bahasa baginda untuk menjelaskan apa yang baginda faham. Jadi, hadith tidak diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi menggunakan bahasa Nabi Muhammad ﷺ sendiri.
Allah ﷻ menggunakan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Kerana itulah Allah ﷻ menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia.
Dan penurunannya terjadi di bahagian bumi yang paling mulia, serta awal penurunannya (Al-Qur’an) terjadi di dalam bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadan; sehingga sempurnalah kitab Al-Qur’an ini dari pelbagai seginya.
لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
agar kamu memahaminya.
Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa yang kita boleh baca dan faham, supaya kita boleh memikirkan apakah yang disampaikan di dalamnya. Ia adalah untuk kebaikan kita tetapi kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimanakah kebaikan itu boleh diambil?
Ayat 3: Ayat ini sehingga ke ayat 101 adalah Perenggan Makro yang Kedua. Dalam perenggan ini, Allah ﷻ hendak menceritakan Kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan Keluarga Nabi Ya’qub عليه السلام.
Surah ini diturunkan sebagai menjawab soalan dari puak Yahudi. Bagi puak Musyrikin Mekah, setelah tidak ada cara lagi untuk berlawan hujah dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka telah meminta idea dari Yahudi yang berada di Yathrib (nama lama Madinah) bagaimanakah cara hendak mematahkan hujah baginda. Ini kerana mereka tahu yang Yahudi mempunyai kitab wahyu.
Puak Yahudi menyuruh Musyrikin Mekah bertanyakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka kononnya hendak memerangkap Nabi Muhammad ﷺ kerana memang tidak ramai yang mengetahui kisah Nabi Yusuf عليه السلام itu. Kalau ada yang tahu hanyalah mereka yang ada kitab wahyu, dan tidak ada kisah sebegitu dalam sejarah dan tamadun Arab.
Oleh itu, apabila kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini diceritakan dalam Bahasa Arab, ia menjadi satu bukti yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul, kerana tidak pernah ada kisah ini disebut dalam bahasa Arab. Jadi tentunya baginda hanya dapat kisah ini dari wahyu yang disampaikan oleh Allah ﷻ.
نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We relate to you, [O Muḥammad], the best of stories in what We have revealed to you of this Qur’ān although you were, before it, among the unaware.
(MALAY)
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.
نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,
Kalimah القَصَصِ dari katadasar ق ص ص yang bermaksud ‘ikut jejak langkah’. Digunakan untuk merujuk kepada kisah yang diberitahu berkali-kali (kerana macam ulang jejak langkah sebelum itu). Oleh itu, القَصَصِ adalah kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi.
Akan tetapi kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini tidak ada di dalam sejarah bahasa Arab, tetapi ia ada di dalam riwayat Orang Yahudi. Dan mereka memang sukakan kisah ini dan selalu disebut dalam tradisi mereka dan diulang cerita kepada keturunan mereka.
Satu lagi asbabun nuzul surah ini adalah kerana permintaan para sahabat sendiri. Di dalam sebuah hadith disebutkan penyebab turunnya ayat ini yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir رحمه الله.
Disebutkan bahawa telah menceritakan kepadaku Nasr ibnu Abdur Rahman Al-Audi, telah menceritakan kepada kami Hakam Ar-Razi, dari Ayyub, dari Amr (yakni Ibnu Qais Al-Mala-i), dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang menceritakan bahawa para sahabat pernah berkata, “Wahai Rasulullah, ﷺ, alangkah baiknya seandainya engkau menceritakan kisah-kisah kepada kami.” Maka turunlah firman-Nya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik. (Yusuf: 3)
Sekarang sekarang kisah ini disampaikan pula dalam Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dan sekarang kita dapat membacanya dan menjadi kisah yang menakjubkan zaman berzaman.
وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ
dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.
Kalimah الغافِلينَ bermaksud ‘orang yang tidak tahu’. Kalimah ‘ghaflah’ ada dua jenis – dari segi intelektual atau spiritual. Nabi ﷺ dikatakan sebagai ‘ghaflah’ dalam ayat ini. Maksudnya baginda pun tidak tahu kisah ini wujud.
Dan bukan baginda sahaja, kerana digunakan kalimah لَمِنَ الغافِلي (sebahagian dari mereka yang tidak tahu) yang bermaksud masyarakat Arab pun tidak tahu dan baginda adalah salah seorang daripada mereka.
Allah ﷻ katakan ini adalah أَحسَنَ القَصَصِ (kisah terbaik). Tetapi, mungkin kita tidak terasa begitu kerana kisah ini tidak disampaikan dengan menarik. Oleh itu, walaupun Allah ﷻ sebut yang kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah kisah terbaik, namun susah pula untuk orang kita hendak terima yang ini adalah kisah terbaik, bukan?
Lebih-lebih lagi jika ingin menjadikan kisah ini menarik kepada kanak-kanak kerana sekarang sudah ada pelbagai perkara yang lebih menarik perhatian mereka seperti rancangan TV dan kartun serta “games” di hujung jari sahaja. Jadi kisah seperti kisah para Nabi ini tidak menarik perhatian mereka, malangnya. Dan ini berpunca kerana kita tidak pandai bercerita kepada mereka.
Ini adalah kerana selalunya apabila kita ceritakan kepada mereka, tidak ada nilai hiburan untuk mereka menyebabkan mereka berasa bosan. Dan kerana itu, kisah para Nabi ini terpaksa berlawan dengan semua rancangan TV dan semua “games”, bukan? Kita kena sedar yang manusia sifatnya sukakan elemen hiburan. Walaupun sebenarnya hiburan itu tidak tahan lama pun.
Sebagai contoh, kalau kita sudah tengok filem sekali, selalunya sudah tidak mahu hendak tengok lagi, bukan? Akan tetapi bukankah Al-Qur’an ini kita selalu ulang-ulang baca? Tetapi walaupun kita sudah baca beribu kali, kita tidak akan berasa bosan membacanya, bukan? Jadi kita kena pandailah bercerita dengan menggunakan kaedah penceritaan Al-Qur’an. Dan untuk mendapatkannya, kenalah belajar dahulu tafsir Al-Qur’an.
Oleh itu, ada cabaran untuk menjadikan Kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini menarik kerana mungkin ada yang berasa seperti sudah pernah mendengar kisah ini di sekolah rendah, jadi tidak ada kesan hiburan lagi di dalamnya. Oleh itu kita kena tahu apa hujungnya supaya kita tahu apakah kebaikan untuk kita tahu dari kisah ini.
Allah ﷻ berkata kisah ini ada ibrah – pengajaran. Ia adalah dari katadasar yang bermaksud menyeberangi air (sungai atau laut dan sebagainya). Ia digunakan kerana apabila sesuatu kisah itu memberi kesan kepada hati kita, ia sampai mengalirkan air mata kita (air menyeberangi dari mata meleleh ke pipi). Memang ada kisah yang kita tidak dapat tahan dari mengalirkan air mata, bukan?
Dan begitulah nanti dalam kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini kita akan belajar dan kita akan nampak bagaimana kisah ini kena tepat sungguh dengan kita. Memang asalnya menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf, tetapi sebenarnya kita seolah-olah sedang membaca kisah kita kerana ada kaitan rapat dengan diri kita. Dan kerana inilah kisah ini dikatakan sebagai ‘kisah yang hebat’.
Ada banyak karektor yang kita akan berjumpa nanti tetapi nama-nama mereka tidak disebut pun. Nama mereka hanya dibincangkan dalam kitab tafsir sahaja, tetapi Allah ﷻ tidak sebut dalam Al-Qur’an kerana nama mereka tidak penting. Yang penting adalah kisah mereka. Yang hanya disebut adalah nama Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام sahaja.
Ini menunjukkan yang Allah ﷻ hanya berikan maklumat yang penting sahaja. Kita akan belajar bagaimana dalam surah ini Allah ﷻ akan beri kajian tentang manusia dengan cara yang amat hebat sekali. Kalau ada yang dapat menjalankan kajian tentang psikologi manusia dengan menggunakan surah ini, tentu ia akan menjadi amat hebat.
Ayat 4: Nanti kita akan belajar tentang 4 kisah permulaan dan seterusnya kisah-kisah lain. Sekarang dimulakan dengan kisah permulaan. Selalunya, manusia akan ingat kisah yang besar-besar, tetapi lupa kisah-kisah kecil. Allah ﷻ bawakan kepada kita sekarang kisah yang kecil mengenai seorang anak kecil yang bercakap dengan bapanya.
إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Of these stories mention] when Joseph said to his father,¹ “O my father, indeed I have seen [in a dream] eleven stars and the sun and the moon; I saw them prostrating to me.”
- The prophet Jacob (upon whom be peace)
(MALAY)
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.
إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku,
Permulaan kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini bermula dengan mimpi baginda. Mari kita lihat dialog di antara Nabi Yusuf عليه السلام dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عليه السلام.
Baginda menggunakan kalimah يا أَبَتِ (wahai bapaku) dengan ayahnya itu. Ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عليه السلام bercakap dengan nada lembut dan hormatkan ayahnya. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan terhadap ibubapa kita. Cuma lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام lakukan dan bandingkan dengan anak-anak kita sekarang.
Ada anak-anak kita yang kecil, apabila perlukan perhatian kita, bagaimana caranya? Kadang-kadang kita dengar mereka menjerit memanggil kita, bukan? Tetapi lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام yang waktu itu muda juga, tetapi baginda menggunakan bahasa dan budi bicara yang baik.
إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.
Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa baginda telah bermimpi yang sebelas (11) bintang, matahari dan bulan, sujud kepada baginda. Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?
- 11 bintang itu adalah adik beradik baginda.
- Matahari itu adalah ayahnya. Dan ada yang kata matahari itu emak baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan.
- Bulan itu adalah emaknya. Dan kalau ambil pendapat yang mengatakan matahari itu emak, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’qub).
Takwil mimpi Nabi Yusuf عليه السلام ini baru terjadi sesudah selang empat puluh tahun (40) kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh (80) tahun. Ia terjadi ketika Nabi Yusuf عليه السلام mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100:
{وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا}
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”
Mimpi Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah wahyu walaupun baginda belum lagi menjadi Nabi (bakal Nabi). Dan dari mimpi ini, Nabi Ya’qub عليه السلام tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام akan menjadi seorang Nabi.
Mari lihat kalimat لي ساجِدينَ. Dari susunan ini, kita tahu yang susunan ini tidak normal seperti kebiasaan bahasa Arab. Baginda berkata begitu kerana baginda terkejut sangat sampai tersasul baginda berkata-kata. Ini kerana baginda tidak sangka yang bintang, matahari dan bulan itu akan sujud kepadanya.
Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عليه السلام sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Ini kita tahu dari penggunaan kalimah ساجِدينَ yang digunakan. Ini adalah kerana dari segi nahu, bintang, matahari dan bulan itu adalah benda, dan sepatutnya digunakan kalimah muannast (feminin), tetapi Nabi Yusuf عليه السلام menggunakan kalimah ساجِدينَ yang hanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Jadi ini menguatkan pendapat yang mengatakan baginda sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu.
Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Dan untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat.
Ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan?
Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini macam hendak tolak kereta, tetapi menggunakan pen. Apakah kaitan pen dengan perbuatan menolak kereta? Katakanlah ada orang keretanya tersadai, maka, dia meminta bantuan kita untuk menolaknya. Kita pun berlari ke rumah sebab hendak mengambil pen untuk tolak kereta itu. Tidakkah bodoh tindakan itu?
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al Qur’an.