Pengenalan:
Para sahabat telah meminta kisah yang indah daripada Rasulullah ﷺ maka Allah ﷻ turunkan Surah Yusuf ini. Semua orang rasanya sudah tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini serba sedikit akan tetapi marilah kita belajar apa yang Allah ﷻ sendiri hendak kita tahu melalui kisah baginda. Penting kita belajar kisah baginda daripada Al-Qur’an kerana banyak berlegar di dalam masyarakat Muslim sekarang kisah-kisah yang diambil daripada sumber Israiliyyat yang kita kena murnikan. Surah ini adalah surah yang sangat menarik untuk diajar kepada manusia; oleh itu sangat elok kalau mengajar tafsir, mulakan dengan surah ini supaya dapat menarik perhatikan orang awam yang umumnya suka kepada kisah-kisah. Barulah mereka tahu betapa menariknya belajar tafsir Al-Qur’an.
Surah Yusuf ini sebenarnya adalah lipatan sejarah dan kita banyak boleh belajar melalui sejarah. Akan tetapi cara penceritaan Allah ﷻ membuatkan apabila kita membacanya, ia tidaklah seperti membaca buku sejarah yang membosankan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidaklah terlalu pendek sampai kita tidak faham langsung kisahnya dan tidaklah terlalu panjang sampai membosankan. Ia pula disampaikan oleh Allah ﷻ dalam bentuk kisah dan manusia memang suka membaca kisah. Malah yang lebih penting, ia bukan hanya menceritakan sejarah dalam bentuk kisah akan tetapi mengandungi banyak pengajaran yang kita boleh ambil dan amalkan.
Yang menariknya, surah ini dari awal hingga akhirnya adalah kisah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Tidak disebut kisah baginda di surah-surah yang lain dan kalau ada pun hanya disebut nama baginda di dalam Surah An’am dan Ghafir. Ini berlainan dengan surah-surah lain kerana dalam surah lain, ada bercampur-campur banyak kisah. Sebagai contoh, kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ banyak dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah diperuntukkan keseluruhan sebuah surah khas untuk kisahnya semata. Namun Surah Yusuf ini tidak putus dari awal hingga akhir adalah kisah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semata-mata secara keseluruhannya. Ini adalah sesuatu yang hebat.
Apakah kaitan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Nabi Muhammad ﷺ? Mereka berkongsi moyang iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kisahnya kedua paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Ramai keturunan baginda yang menjadi pemimpin dan imam kepada manusia. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sewaktu memperkenalkan diri baginda kepada dua orang banduan mengatakan baginda ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam ayat 38 nanti,
وَاتَّبَعْتُ مِلَّةَ آبَائِي إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ ۚ مَا كَانَ لَنَا أَن نُّشْرِكَ بِاللَّهِ مِن شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ اللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ
“Dan aku mengikuti agama (millah) bapa-bapaku, iaitu Ibrahim, Ishaq, dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kami (para nabi) mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”
Nabi Muhammad ﷺ pun mengikut juga millah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Nahl:123
ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama (millah) Ibrahim yang lurus, dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keturunan Bani Israil. Seperti yang kita tahu, mereka telah diberikan dengan ramai para Nabi dan Rasul silih berganti. Mati sahaja seorang Nabi akan diganti dengan Nabi yang lain dan malah kadang pada satu masa ada lebih daripada seorang Nabi (contohnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Akan tetapi sejarah mereka ini boleh dikatakan bermula selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi pemimpin besar. Iaitu setelah mereka dibawa ke Mesir dan mendapat kedudukan yang tinggi.
Biodata Ringkas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
1. Nama Lengkap dan Gelaran
-
- Nama: Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.
- Gelaran: Shiddiq (Yang Benar/Jujur), kerana keteguhan dan kejujuran baginda dalam menghadapi berbagai ujian. Baginda juga terkenal dengan sebutan “Yusuf As-Siddiq”.
- Keturunan: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah keturunan Nabi-nabi mulia (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub). Baginda adalah cucu Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan cicit Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
2. Keluarga
-
- Ayah: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang juga dikenal sebagai Israil. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat mencintai Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melebihi anak-anaknya yang lain.
- Ibu: Rachel (Rahil), isteri Nabi Ya’qub. Beliau meninggal dunia ketika melahirkan Bunyamin. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai 3 orang isteri semua sekali.
- Saudara: Memiliki sebelas saudara laki-laki, sepuluh di antaranya daripada ibu yang berbeza (abang tiri) dan seorang saudara kandung bernama Bunyamin. Saudara-saudara tirinya iri dengan kasih sayang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
3. Kenabian dan Karakteristik
-
- Kenabian: Diangkat sebagai nabi dan rasul oleh Allah ﷻ.
- Akhlak dan Sifat: Terkenal dengan kecantikan parasnya yang luar biasa, sehingga sering disebut sebagai “separuh ketampanan”. Baginda juga memiliki sifat kesabaran yang tinggi, ketabahan, kejujuran, kesucian diri, dan kecerdasan yang luar biasa, terutama dalam menafsirkan mimpi.
- Mukjizat: Kemampuan menafsirkan mimpi adalah mukjizat khusus yang dianugerahkan Allah ﷻ kepada baginda.
Memang ada banyak kisah para Rasul disebut di dalam Al-Qur’an. Selalunya ia menceritakan tentang kepayahan para Rasul itu menyampaikan dakwah tauhid dan penentangan kaum mereka. Ia menjadi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang juga berhadapan dengan kaum mereka yang menentang. Akan tetapi lain sedikit dengan kisah yang terdapat di dalam Surah Yusuf ini. Ia menceritakan suka duka kehidupan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semenjak kecil sampailah baginda dewasa. Maka ia menjadi tasliah bagi kita yang diuji dengan berbagai ujian dan musibah. Jadi bandingkanlah adakah ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini sama susah dengan yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Kalau tidak, maka ketahuilah yang ada orang lain yang menghadapi ujian yang lebih besar daripada kita. Ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita tidaklah setara mana maknanya.
Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita boleh lihat bagaimana sabarnya baginda menghadapi ujian daripada Allah ﷻ itu dan tidak ada satu pun ayat yang menyebut baginda mengeluh. Bukan baginda sahaja yang menerima ujian akan tetapi bapanya juga. Maka ada kisah bapa juga di dalam surah ini.
Secara ringkasnya, ada 4 perkara yang Allah ﷻ hendak beritahu dalam surah ini. Oleh itu, surah ini mempunyai empat Dakwa:
- Hanya Allah ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib. Para Nabi pun tidak tahu. Maka ini adalah akidah yang kita kena pegang sentiasa. Jangan kita kata yang para Nabi pun tahu tentang perkara ghaib juga. Ini kita belajar dalam kisah-kisah para Nabi dalam surah ini.
- Allah ﷻ berkuasa penuh di atas segala-galanya, bukan Nabi – sama ada semasa mereka hidup ataupun mati. Kuasa tasarruf (mengurus) hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Terdapat kisah bermacam ikhtiar yang dibuat oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka yang lain dalam kisah ini tetapi apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah ﷻ sahaja.
- Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Ia diturunkan di Mekah. Ia memberitahu yang orang Mekah yang menentang Rasulullah ﷺ akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Walaupun pada peringkat permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namun akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Oleh itu Rasulullah ﷺ tidak perlu bimbang sangat dengan layanan Musyrikin Mekah itu – baginda akan menang akhirnya.
- Semua Nabi apabila dipilih menjadi Nabi tidak boleh hidup bebas tetapi mereka akan diuji dengan tugasan mereka. Mereka tidak boleh hidup seperti orang lain lagi kerana mereka itu mempunyai tugas yang amat besar. Mereka mesti menjalankan tugas mereka menyampaikan dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan diuji. Begitu juga dengan umat yang mengaku mengikuti Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Nabi untuk berdakwah, maka, mereka juga akan diuji. Namun sebagaimana Allah ﷻ selamatkan para Nabi, begitu juga Allah ﷻ akan selamatkan mereka yang menyambung tugas para Rasul itu.
Ada satu lagi asbabun nuzul surah ini: ada orang Yahudi yang bertanyakan soalan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu “Kenapakah Bani Israil ada di Mesir dan kenapa mereka keluar dari Mesir?” Sebenarnya, mereka sengaja bertanyakan soalan untuk merendahkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sangka Nabi Muhammad tentu tidak tahu hal itu. Maka Allah ﷻ jawab soalan kenapa Bani Israil ada di Mesir dengan Surah Yusuf ini; dan tentang kenapa mereka meninggalkan Mesir, itu dijawab di dalam Surah Taha yang banyak menceritakan tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah bukti kenabian baginda kerana tentulah baginda mendapat maklumat itu daripada Allah ﷻ yang sama seperti di dalam Kitab Taurat mereka; malah ada perkara yang mereka sendiri tidak tahu.
Surah ini Surah Makkiyyah yang bermaksud ia diturunkan sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Ia tidak ada nama lain selain Surah Yusuf dan dikenali begitu sejak zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi. Ia diturunkan selepas kematian isteri baginda, Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun kematian mereka dinamakan Tahun Kesedihan. Malah ia bersesuaian pula dengan nama Yusuf yang berasal daripada أ س ف yang bermaksud ‘sedih’. Oleh kerana kesedihan yang amat sangat pada Nabi Muhammad ﷺ, maka, Allah ﷻ menghiburkan baginda dengan menurunkan surah ini. Tambahan pula ketika itu pemuka Musyrikin Mekah telah menguatkan serangan terhadap baginda dan para sahabat kerana dua tonggak Nabi telah tiada.
Allah ﷻ menceritakan 15 keadaan yang berbeza dalam kisah ini dan kita akan kupaskan satu persatu nanti. Dalam Surah Hud sebelum ini, Dakwa kedua surah itu adalah hanya Allah ﷻ yang mengetahui perkara ghaib dan kuasa tasarruf Allah ﷻ meliputi segalanya. Surah Yusuf ini pula menceritakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membuktikan perkara itu. Allah ﷻ memberikan contoh bagaimana dua sifat itu hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Apabila diyakini kedua sifat Allah ﷻ itu, maka barulah kita dapat terima dan yakin bahawa hanya Dia lah sahaja yang layak disembah.
Surah Hud menunjukkan bahawa tiada seorang pun walaupun seorang alim yang mengetahui perkara ghaib dan mempunyai kuasa tasarruf. Surah Yusuf ini pula membawakan kisah tentang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mempunyai kedua-dua sifat tadi walaupun baginda seorang Rasul dan berketurunan Nabi.
Orang Melayu pun memang suka dengan Surah Yusuf ini kerana kononnya kalau dibacakan kepada seorang wanita yang sedang hamil, maka anak yang lahir itu akan kacak macam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga katanya. Kita katakan ini tidaklah benar kerana kalau emak dan ayahnya tidak seberapa rupanya, tidaklah anak itu tiba-tiba menjadi kacak pula. Ada pula yang ajar kalau dibacakan oleh seorang lelaki yang sedang merindui seorang wanita, maka kononnya dengan berkat surah ini, wanita itu pun akan ikut merinduinya pula. Ini juga ajaran yang karut marut dan dilakukan oleh mereka yang jahil sangat tentang ilmu wahyu. Allah ﷻ suruh kita pelajari dan fahami panduan di dalam Al-Qur’an, bukannya digunakan sebagai azimat untuk mendapatkan sesuatu.
Kita telah sebutkan kaitan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seorang lagi Nabi yang paling banyak disebut adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah baginda ada banyak kaitan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan ada kalau tidak ada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah cicit atau keturunan daripada saudara laki-laki Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika dihitung daripada silsilah, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada pada generasi ke-4 atau ke-5 setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Meskipun sulit untuk memberikan angka pasti jarak mereka dalam tahun kerana perbezaan metodologi perhitungan dan tidak adanya data yang tepat dalam sumber-sumber utama (Al-Qur’an dan Hadith) mengenai jarak waktu spesifik antara nabi, perkiraan yang umum diterima jarak masa antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa berkisar عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ antara 400 hingga 500 tahun.
Walaupun jarak masa yang lama antara keduanya, namun ketika zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada disebut lagi nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan ini mengaitkan mereka dari segi sejarah. Perhatikan ayat Ghafir:34
وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّنٰتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِّمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا
“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila dia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya;
Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang Lelaki Mukmin di istana Firaun. Beliau mengingatkan mereka bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukannya asing kerana perkara yang sama telah diberitahu oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah menjadi seorang yang berkedudukan besar di istana Mesir dan kisah baginda tentu ada tertulis di dalam sejarah mereka. Jadi apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditolak dengan keras oleh Firaun dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan, Lelaki Mukmin itu mengingatkan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jangan buat tidak tahu, katanya.
Ada banyak persamaan dan perbezaan silang antara kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:
Perbandingan Secara Umum
1. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula di luar Mesir (Kan’an) dan berakhir di Mesir; kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula bermula di Mesir dan akhirnya ke luar Mesir.
2. Bani Israil di Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk ke dalam Mesir dengan restu raja; sedangkan Bani Israil lari dari Mesir dengan kemarahan raja (Firaun)
3. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disanjung kerana dianggap sebagai penyelamat kepada negeri Mesir sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai pengkhianat Mesir.
4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya menjadi sebahagian dari kerajaan Mesir sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai penentang kerajaan.
5. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula sebagai penggembala dan berakhir sebagai orang istana; Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula sebagai orang istana dan kemudian menjadi penggembala (setelah baginda lari ke Madyan setelah peristiwa kematian seorang bangsa Qibti).
Perbandingan Hubungan Ibu Bapa
1. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula dengan bapanya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermula dengan ibunya.
2. Bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risaukan ancaman dalaman terhadap anaknya (adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ takut melepaskan anaknya; Ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risaukan ancaman luaran (tentera Firaun yang hendak membunuh anaknya) dan beliau juga takut melepaskan anaknya itu.
3. Apabila melihat ancaman terhadap anaknya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan belaian emosi dan spiritual kepada anaknya; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memberikan belaian fizikal kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kedua-dua ini sangat diperlukan oleh seorang anak. Ketika anak itu kecil seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, belaian fizikal lebih penting. Ketika anak sudah meningkat dewasa dan boleh berfikir, belaian emosi dan spiritual hendaklah diberikan kepada anak.
4. Ibu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut langsung; bapa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula tidak disebut langsung. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberikan fokus yang berbeza dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
5. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya melepaskan anaknya pergi setelah didesak oleh anak-anaknya yang lain; ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melepaskan anaknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah menerima wahyu (ilham) daripada ﷻ.
6. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan alasan yang logik supaya ayah mereka melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berpergian dengan mereka; ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melepaskan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke sungai walaupun kalau ikut logik, itu tidak patut berlaku.
7. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ asalnya tidak mahu melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana risau, kemudian takut; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh jangan takut, jangan risau. Ada perbezaan susunan antara risau dan takut di sini.
8. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ditemui, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersuara merayu kepada Allah ﷻ, meminta bantuan Allah ﷻ; sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut beliau mengeluarkan suara berdoa. Ini kerana beliau telah diberikan ilham akan keselamatan anaknya itu. Sedangkan beliau bukan seorang Nabi. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang seorang Nabi pula yang tidak diberikan wahyu berkenaan anaknya itu. Jadi pemberian wahyu atau ilham ini adalah kehendak Allah ﷻ. Orang biasa boleh mendapat ilham, seorang Nabi pun mungkin Allah ﷻ tidak maklumkan apa yang terjadi dan kerana itu kita katakan ilmu ghaib milik Allah ﷻ; seorang Nabi pun tidak ada ilmu wahyu.
9. Tentang mata pula. Oleh kerana terlalu banyak menangis, mata Nabi Ya’qub dibutakan oleh Allah ﷻ. Sedangkan mata ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditenangkan, sejuk sahaja.
10. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada pilihan lain melainkan hanya bersabar sahaja. Sebaliknya ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sesuatu yang beliau boleh lakukan dan kerana itu beliau arahkan anak perempuannya untuk mengikut pergerakan bakul hanyut di sungai yang membawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mungkin kita boleh berhujah: ‘Ish takkan Nabi Ya’qub tak boleh paksa anak-anaknya beritahu perkara sebenar?’ Kita tidak ada dalam situasi itu, jadi kita tidak tahu apa yang baginda boleh buat dan tidak boleh buat. Berbagai alasan anak-anaknya boleh beri kalau baginda tetap paksa juga. Sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu yang sepatutnya ada alasan untuk menolak permintaan emaknya itu (‘Mak suruh saya ikut adik? Saya nak ikut macam mana mak? Itu tentera Firaun kot!’) namun tidak pun disebut beliau berkata apa-apa. Antara orang yang saya mahu berjumpa kalau saya dapat masuk syurga (aameen) adalah kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Bagaimanalah boleh berani sangat? Dan bagaimana boleh pandai sangat sampai boleh pula membawa pulang adiknya itu ke rumah nanti?
11. Kedua-dua ibu dan bapa ini terus berharap kepada Allah ﷻ. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berharap akan berjumpa anaknya walaupun tidak mendapat wahyu tentang hal itu. Ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula terus berharap dan beliau mendapat ilham daripada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita hanya terus percaya kepada Allah ﷻ sahaja walaupun kita tidak ada maklumat tentang sesuatu hal.
12. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merahsiakan mimpinya kepada adik beradiknya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ harus diberitahu kerana baginda mungkin tidak faham perangai saudara-saudaranya itu. Sebaliknha kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu suruh berahsia oleh emaknya itu. Emaknya suruh ikut sahaja dan kakak itu sudah tahu apa yang perlu dibuat. Beliau ikut hanyutan adiknya itu tetapi beliau ikut dengan ekor matanya sahaja kerana tidak mahu tentera Firaun perasan.
13. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberi wahyu daripada Allah ﷻ (ketika baginda di dalam telaga) bahawa baginda dan keluarganya akan kembali bertemu. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ibunya yang diberi ilham daripada Allah ﷻ.
14. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibawa ke istana kerana dijemput oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila baginda telah menjadi menteri. Sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibawa ke istana juga kerana anaknya akan tetapi datang sebagai ibu susu. Kedua-duanya dapat masuk istana walaupun dalam situasi yang berbeza.
15. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi nasihat kepada anak-anak dengan cara terperinci apabila mereka hendak kembali ke Mesir (masuk ikut pintu berlainan supaya orang ramai tidak perasan). Akan tetapi arahan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anaknya ringkas sahaja (ikut adik kamu) dan beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Teringat pepatah Arab أَشِرْ عَلَى الْعَاقِلِ وَلَا تَأْمُرْهُ (Berilah isyarat kepada orang yang berakal, dan janganlah kamu memerintahnya). Maknanya bila beri arahan kepada orang yang pandai, kita tidak perlu pun bagi arahan terperinci, mereka sendiri sudah boleh fikirkan.
Perbandingan antara Adik-beradik
1. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari rumah untuk mengeluarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar rumah untuk mengembalikan adiknya ke rumah.
2. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak meninggalkan baginda walaupun bakul yang membawa baginda itu hanyut ke istana Firaun. Kakaknya itu menunggu di luar menunggu peluang.
3. Maka adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyebab kepada perpisahan dengan bapanya sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyebab pertemuan kembali dengan emaknya.
4. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memungkiri amanah bapanya supaya menjaga adik mereka. Sebaliknya kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunaikan amanah emaknya. Seriously, mana nak dapat kakak macam ini?
5. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ begitu kreatif dalam memberi alasan kenapa adik mereka hilang. Kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun kreatif juga apabila menawarkan emaknya sebagai ibu susuan kepada isteri Firaun.
6. Apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi hujah tidak membenarkan abang-abangnya membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar, mereka berhujah balik. Sedangkan kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi arahan untuk ikut adiknya, beliau langsung tidak memberi hujah atau alasan sebaliknya ikut dengan taat.
7. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila membuat rancangan mereka itu, mereka langsung tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Rancangan mereka untuk membuang adik mereka itu berakhir dengan mereka sendiri akan mengadap baginda. Firaun pun tidak tahu bahawa bayi yang mereka bawa masuk ke istana itulah nanti yang akan menghancurkan kerajaannya.
8. Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar dengan terperinci apa yang perlu dibuat apabila kembali ke kota Mesir. Sedangkan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu beri arahan terperinci ketika memberi arahan kepadanya.
9. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih ingat tentang kesalahan yang dilakukan oleh abang-abangnya itu. Walaupun akhirnya baginda memaafkan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya ada kenangan yang indah tentang adik beradik baginda. Baginda memuji abangnya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika memohon Allah ﷻ mengangkat abangnya itu sebagai seorang Nabi juga.
Perbandingan Perjalanan Kehidupan
1. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diletakkan di dalam telaga dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilemparkan ke dalam sungai. Dua-dua dimasukkan ke dalam air.
2. Dari telaga itu, ada orang yang akan mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda yang pergi dihanyutkan ke istana Firaun.
3. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya pergi ke istana kerana dinaikkan pangkat dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya ke istana juga untuk berdakwah kepada Firaun.
4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diambil oleh seorang yang penting dalam kerajaan (Al-Aziz) dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun diambil oleh seorang yang penting dalam kerajaan (isteri Firaun).
5. Al-Aziz mengarahkan isterinya untuk mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Firaun merayu Firaun untuk mengambil Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Al-Aziz boleh memberi arahan kerana dia ketua keluarga.
6. Dalam dua-dua kisah ini ada dua protagonis: isteri Al-Aziz dan Firaun. Kedua-dua mereka diberikan pilihan oleh pasangan mereka iaitu sama ada ambil sebagai orang suruhan atau diambil sebagai anak angkat. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda diambil sebagai orang suruhan di rumah Al-Aziz dan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda diambil sebagai anak angkat.
7. Kedua-dua penjaga Nabi ini sayang kepada mereka. Akan tetapi ada perbezaan di antara cara sayang mereka. Sayangnya isteri Al-Aziz itu jenis sayang yang merosakkan. Bayangkan dia sampai hendak berselingkuh dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan sayang Firaun kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana sayang itu telah ditanam oleh Allah ﷻ ke dalam dadanya.
8. Oleh kerana sayang isteri Al-Aziz itu tidak dibalas oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka baginda telah diancam dengan penjara. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diancam dengan penjara walaupun Firaun sayang kepadanya.
9. Jadi kedua-dua musuh atau antagonis adalah mereka yang sayang kepada dua Nabi itu.
10. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membesar tanpa diberikan dengan pembelajaran spiritual. Ini kerana setelah baginda dikeluarkan dari rumah bapanya, baginda telah berpindah merata dan tidak mendapat ilmu agama kerana baginda membesar selepas itu di penempatan orang kafir. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula walaupun duduk di istana Firaun akan tetapi baginda mendapat didikan daripada ibunya dari sudut agama dan boleh dikatakan juga isteri Firaun juga seorang yang spiritual. Maka baginda mendapat juga didikan spiritual.
Pemuda yang Diuji (Perbandingan Ujian kepada mereka)
1. Kedua-dua mereka telah diberi dengan sifat muhsin. Maka ini menyebabkan mereka boleh menghadapi ujian berat yang Allah ﷻ berikan. Allah ﷻ menyebut kedua-dua mereka diberikan dengan kebijaksanaan dan ilmu. Kedua-dua Nabi duduk di rumah pemerintah (Al-Aziz dan Firaun maka mereka mendapat ilmu keduniaan kerana tentu terbiasa dengan perbincangan pemerintahan negara.
2. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan elok rupa paras dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan kekuatan luar biasa.
3. Keelokan rupa paras Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi punca kepada ujiannya; kekuatan luar biasa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang menjadi punca kepada ujian baginya.
4. Dalam kedua-dua Surah Yusuf dan Surah Qasas (tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), setelah disebut tentang kelebihan mereka, terus disebut tentang ujian.
5. Ujian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di dalam rumah dan ia terjadi secara rahsia; ujian yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di pasar iaitu di khalayak ramai.
6. Ujian yang diterima Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah daripada orang yang lebih tinggi kedudukannya (isteri Al-Aziz) sedangkan ujian kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang daripada orang yang lebih rendah kedudukannya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ orang istana tetapi ujian datang daripada seorang Bani Israil yang dipandang hina oleh bangsa Qibti. Ini mengajar kita yang orang yang rendah kedudukan pun boleh menyebabkan ujian kepada kita.
7. Kedua-dua ujian itu dikenakan dengan panggilan untuk bersegera. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh segera datang oleh isteri Al-Aziz dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digesa supaya cepat datang untuk menyelamatkan lelaki daripada bangsa Bani Israil itu.
8. Ujian yang dikenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ujian zina dan ujian kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ujian bunuh. Menariknya dua ujian ini disebut di dalam Surah Isra’ dan Surah Furqan kerana ia biasa dilakukan oleh manusia.
9. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon doa perlindungan sebelum kejadian ujian itu dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon pengampunan daripada Allah ﷻ selepas kejadian.
10. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabda orang yang zalim tidak akan berjaya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabda yang baginda telah menzalimi diri baginda.
11. Tentang kesetiaan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mahu melakukan dosa yang baginda diuji itu kerana mengenangkan kesetiaan kepada Al-Aziz yang telah berlaku baik kepadanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula berikrar tidak akan menolong orang yang bersalah hanya kerana menjaga kesetiaan kepada bangsanya.
12. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda lari menjauhi orang yang mengujinya sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berlari ke arah orang yang mengujinya.
13. Apabila isteri Al-Aziz menyuruh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang segera, baginda Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mentafsir ajaran itu sebagai sesuatu yang tidak baik (walaupun baginda sudah biasa menerima arahan daripada wanita itu, tetapi kali ini suruhan itu lain pula). Mungkin kerana kelebihan baginda boleh mentafsir mimpi, maka baginda peka terhadap hal ini. Sebaliknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula apabila diminta supaya datang segera untuk menyelamatkan lelaki Bani Israil itu, baginda terus sahaja membantu tanpa menyelidiki situasi dan mentafsir keadaan pada ketika itu. Maka baginda telah melakukan kesalahan dengan tidak sengaja.
14. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setia kepada tuannya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula setia kepada bangsanya Bani Israil. Jadi walaupun baginda tinggal di istana tetapi baginda selalu ke pasar untuk membantu kaumnya.
15. Antagonis Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (isteri Al-Aziz) memberi persaksian palsu kepada suaminya dengan niat yang jahat untuk menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, orang yang ditolongnya semalam juga memberi persaksian tetapi kali ini persaksian itu benar. Memang benar baginda telah membunuh seorang lelaki Qibti dengan tidak sengaja; akan tetapi persaksian lelaki daripada Bani Israil itu juga dengan niat yang tidak baik iaitu untuk menyelamatkan dirinya.
16. Antagonis Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil kesempatan dengan kedudukannya yang tinggi untuk menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; lelaki Bani Israil itu pula menggunakan kedudukannya yang rendah untuk menyalahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi ini mengajar kita gangguan boleh datang dari mana-mana sahaja. Jangan sangka orang yang lemah tidak boleh menyebabkan diri kita susah.
17. Di dalam ujian yang dikenakan kepada dua Nabi itu, bukti yang digunakan adalah bukti fizikal iaitu baju yang koyak di belakang. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ia adalah persaksian oral. Bukti fizikal dan saksi oral ini memang digunakan di mahkamah pun.
18. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kesucian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keputusan yang baginda tidak bersalah telah diisytiharkan secara rahsia sahaja. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, keputusan yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersalah telah diisytiharkan secara secara umum.
19. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selamat daripada tidak melakukan zina kerana baginda hormat kepada tuannya. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlibat dengan ujian baginda kerana ada rasa marah dengan pemerintahan Mesir (Kerajaan Firaun) maka kerana itu apabila baginda nampak sahaja seorang lelaki Bani Israil seperti dizalimi, baginda telah datang membantu tanpa memeriksa dengan lanjut.
20. Setelah kejadian itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk merahsiakan kejadian itu. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda sendiri yang merahsiakannya.
21. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukti telah membersihkan nama baginda. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, persaksian telah menunjukkan baginda bersalah.
22. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, pembunuhan karakter (character assassination) telah dilakukan terhadap baginda oleh isteri Al-Aziz. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia telah dilakukan oleh seorang pengacau daripada Bani Israil.
23. Ada dua kejadian yang menyusahkan kepada dua-dua Nabi ini. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kali pertama dengan isteri Al-Aziz dan keduanya dengan para isteri menteri. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kali pertama apabila kejadian bunuh itu dan kali kedua esoknya ketika Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi lagi ke pasar dan lelaki Bani Israil itu buat hal lagi.
24. Kedua-dua kejadian yang kedua itu terjadi di khalayak ramai, bukan rahsia lagi.
25. Al-Aziz tidak berbuat apa pun untuk menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun dia adalah orang kerajaan. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda diselamatkan oleh seorang orang kerajaan yang memberitahu baginda supaya lari kerana Firaun sudah keluar arahan untuk menangkap Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
26. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan wanita elit yang menyebabkan baginda dipenjarakan. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan lelaki elit yang hendak memasukkan baginda dipenjarakan.
27. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kekaguman yang toksik yang telah menyebabkan baginda dipenjarakan. Tertarik sangat dengan baginda namun dek kerana baginda tidak layan, mereka mengadakan komplot memasukkan baginda ke dalam penjara. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kebencian yang toksik kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyebabkan baginda dituduh sebagai penjenayah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang disayangi oleh Firaun dan baginda tinggal di istana dan mendapat layanan sebagai orang istana kerana baginda adalah anak angkat Firaun. Namun begitu semua pegawai istana tidak suka sebenarnya kerana mereka tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukannya bangsa Qibti tetapi mereka pula kena layan dia sebagai orang bangsawan sedangkan bagi mereka, Bani Israil adalah kaum hamba sahaja.
28. Rencana golongan wanita elit terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah dibayangkan oleh Al-Aziz (sebelum ia terjadi) apabila dia kata puak wanita memang suka merencana sesuatu yang buruk. Akan tetapi keputusan untuk menangkap Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dibayangkan oleh sesiapa sehinggalah diberitahu oleh seorang lelaki daripada kerajaan.
29. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ didapati tidak bersalah akan tetapi tetap dipenjarakan. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga didapati bersalah tetapi baginda dapat melepaskan diri baginda.
Tahun-tahun di Perantauan Dalam Buangan
1. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam buangan penjara dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam perantauan di padang pasir (baginda lari ke Madyan).
2. Di dalam penjara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu dua orang banduan dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula bertemu dua orang wanita.
3. Dua lelaki dalam penjara itu berjumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk meminta bantuan baginda sedangkan dua wanita itu berjumpa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membantu baginda.
4. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membantu mereka mentafsir mimpi mereka menggunakan kelebihan baginda. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membantu dua wanita itu mendapatkan air telaga dengan menggunakan kelebihan baginda pula iaitu kekuatan.
5. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meluangkan masa dengan dua banduan itu dalam rangka menolong mereka, baginda mengambil peluang itu untuk berdakwah kepada mereka. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berdakwah dengan dua wanita itu. Selesai sahaja kerja, baginda meninggalkan mereka. Ini boleh difahami kerana baginda tidak mahu menimbulkan fitnah. Ini mendidik kita dalam berdakwah jangan timbulkan fitnah. Jangan gunakan alasan berdakwah bagi lelaki dan wanita duduk bersama di dalam keadaan yang mencurigakan.
6. Setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mentafsir mimpi dua banduan itu, baginda kemudiannya meminta tolong kepada mereka berdua untuk menyampaikan hal baginda kepada orang yang berkuasa. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus meninggalkan dua orang wanita itu dan tidak minta tolong apa-apa kepada mereka walaupun baginda juga memerlukan bantuan juga kira-kiranya.
7. Walaupun dua banduan itu telah berjanji untuk sebut kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada orang lain kalau dapat keluar, akhirnya mereka tidak sebut pun. Sedangkan bagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, walaupun baginda tidak minta kisah baginda disebut, dua orang wanita itu telah menyampaikan hal baginda kepada bapa mereka.
8. Setelah sekian lama tidak hiraukan hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, salah seorang daripada banduan itu akhirnya telah menyebut hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada raja. Namun memakan masa bertahun jugalah. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, salah seorang daripada dua wanita itu telah datang kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah beberapa jam sahaja daripada perjumpaan mereka.
9. Lelaki yang asalnya banduan di dalam penjara dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu akhirnya datang mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi dia datang itu kerana dia hendakkan sesuatu, bukannya kerana hendak menolong Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun. Ini kerana apabila raja memerlukan orang yang boleh tafsir mimpinya, lelaki itu nampak peluang dia boleh mendapat imbuhan dengan menggunakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan wanita yang datang mencari Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan kerana hendakkan sesuatu.
10. Jadi lelaki itu dengan tanpa perasaan malu datang mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah melupakan hal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertahun lamanya. Datang itu buat biasa sahaja seolah-olah kenalan lama. Sedangkan wanita yang datang kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu datang dengan perasaan malu-malu walaupun sebenarnya dia hendak membantu baginda.
11. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta tolong untuk mengeluarkan baginda dari penjara. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajak untuk bekerja di kediaman wanita itu dan bapanya.
12. Semasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersembang dengan dua orang banduan di dalam penjara itu, yang baginda ceritakan kepada mereka adalah tentang betapa banyak nikmat yang baginda dapat. Sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semasa berjumpa dengan bapa dua orang wanita itu baginda banyak bercerita tentang nasib buruknya dan ujian yang baginda hadapi. Mengajar kita tidak salah kalau kita menceritakan tentang masalah kita kepada orang yang sesuai.
13. Raja Mesir memerlukan bantuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan memanggil baginda ke istana. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memerlukan bantuan dan baginda dipanggil ke rumah bapa dua wanita itu.
14. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda bertemu dua banduan lelaki tetapi kemudiannya kisah bersambung dengan seorang lelaki sahaja. Dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda asalnya bertemu dua wanita dan kemudiannya kisah kemudian bersambung dengan seorang wanita sahaja.
Penutup Kisah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipanggil ke Istana dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengadap Firaun
1. Kedua-dua raja dan Firaun mendapat mimpi. Raja Nabi Yusuf bermimpi lembu gemuk dan kurus itu dan Firaun mimpi ada lelaki yang akan menghancurkan kerajaannya. Jadi dua-dua kisah ada melibatkan mimpi.
2. Kedua-dua mimpi pemimpin itu tentang nasib negara Mesir.
3. Raja Nabi Yusuf bermimpi dan dia tidak tahu maksud mimpinya. Sedangkan Firaun tahu apa maksud mimpinya.
4. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada tentang 7 tahun yang baik yang perlu digunakan untuk menghadapi zaman kemarau yang lagi 7 tahun. Akan tetapi dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Mesir telah dikenakan dengan 9 ujian dan tujuan ujian itu adalah untuk memberi peringatan kepada Firaun untuk berubah supaya kerajaan Mesir terus selamat.
5. Nama kedua-dua Nabi itu disebut di istana. Nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut oleh bekas banduan itu sebagai penyelamat kepada negara Mesir. Nama Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga disebut di istana Firaun oleh seorang Lelaki Mukmin, juga baginda disebut sebagai penyelamat kepada kerajaan Mesir.
6. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhajat untuk berjumpa raja untuk membersihkan namanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berhajat berjumpa Firaun tetapi diarahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukannya.
7. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahu pihak raja bertanya kepada golongan wanita elit tentang apa yang telah berlaku. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ditanya oleh Firaun akan kisah silam baginda (kes membunuh seorang lelaki).
8. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula mengaku memang baginda ada membunuh lelaki Qibti dengan tidak sengaja. Namun kenapa baginda tidak menyerah diri ketika itu? Kerana baginda tahu yang baginda tidak akan mendapat pengadilan yang adil.
9. Raja Nabi Yusuf telah mengambil baginda sebagai orang kepercayaan dalam kerajaan Mesir setelah dikeluarkan dari penjara. Sebaliknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diancam akan dimasukkan ke dalam penjara oleh Firaun.
10. Penafsiran mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyelamatkan Mesir daripada musibah dan meneruskan kegemilangan Mesir. Sedangkan bencana yang dikenakan kepada Mesir (kerana menolak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) akhirnya telah menghancurkan kegemilangan Mesir.
11. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditawarkan menjadi penasihat peribadi kepada raja tetapi baginda meminta dijadikan Menteri Kewangan. Tidak salah apa yang baginda lakukan ini kerana baginda sedar yang bagindalah yang paling sesuai. Baginda bermula dari penjara tetapi kemudian menjadi orang penting dalam kerajaan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula berasal dari istana tetapi telah ditawarkan untuk bekerja di rumah dua orang wanita itu.
12. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dilantik kerana kejujuran baginda dan kepandaian baginda mentakwil mimpi dan perkataan manusia. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ditawarkan kerja kerana kejujuran baginda dan kekuatan tubuh baginda. Ini mengajar kita bahawa pekerjaan kita bergantung kepada kepandaian dan kemampuan kita. Yang penting mesti ada kejujuran.
13. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz menjadi pengajaran tentang apa yang tidak boleh berlaku antara lelaki dan wanita (zina). Sedangkan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita tentang urusan perkahwinan yang patut berlaku di antara lelaki dan wanita. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah dipinang oleh bapa wanita itu.
14. Di dalam kedua-dua kisah ini ada disebut شَيۡخًا كَبِيرً dan شَيْخٌ كَبِيرٌ. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saudara baginda menggunakan bapa mereka untuk mendapat simpati daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan dua wanita itu menyebut bapa mereka yang شَيۡخًا كَبِيرً kerana menjelaskan kenapa mereka yang kena ambil air dari telaga.
15. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bersatu semula dengan adiknya Bunyamin sebelum pertemuan dengan saudaranya yang lain dan baginda membuka rahsia bahawa baginda adalah Yusuf. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah bersatu semula dengan abangnya Harun sebelum bertemu dan berkonfrontasi dengan Firaun. Malah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang minta abangnya itu diangkat menjadi Nabi juga.
16. Cuma dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda yang menjadi penaung kepada adiknya Bunyamin. Sedangkan dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi pembantu kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (kerana baginda kata baginda ada masalah dengan pertuturan).
17. Nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diterima oleh raja sedangkan nasihat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditolak Firaun.
18. Nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk meneruskan kegemilangan Mesir. Nasihat daripada Nabi pula untuk meneruskan kewujudan Mesir. Kerana ia ditolak, maka kerajaan Mesir telah hancur.
19. Tugas Bunyamin tidak disebut dan beliau senyap sahaja. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak banyak disebut kata-katanya di dalam Al-Qur’an.
20. Raja Nabi Yusuf mengisytiharkan supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ didekatkan kepada dirinya sendiri. Sebaliknya Firaun pula berkata biar dia sendiri yang membunuh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
21. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan konfrontasi dengan saudaranya, baginda yang menjadi hakim. Maknanya seorang Nabi yang menjadi hakim. Sedangkan di dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Firaun yang menjadi hakim. Maknanya seorang Nabi yang dituduh. Ini mengajar kita yang kadang-kadang orang yang baik bukanlah di dalam kedudukan yang ada kuasa.
22. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan abang-abangnya tentang apa yang mereka pernah lakukan di masa dahulu. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Firaun pula yang mengingatkan baginda tentang kejadian pembunuhan dahulu.
23. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bani Israil yang menjadi antagonis (saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bani Israil yang dizalimi.
24. Kedua-dua kisah ada sebut sajdah. Saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah mengetahui hal sebenar dan rasa bersalah, mereka telah sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, ahli-ahli sihir telah sujud dan beriman setelah melihat mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
25. Di akhir kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kita telusuri bagaimana bermulanya penempatan Bani Israil di Mesir. Mereka dapat duduk di situ kerana kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi setelah beberapa generasi, Bani Israil telah dijadikan sebagai golongan hamba di Mesir. Kerana itu di permulaan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka adalah golongan yang hina di Mesir. Di hujung kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula mereka telah berpindah keluar dari Mesir dan mendapat penempatan baru pula di Jurusalem.
26. Bani Israil masuk ke Mesir kerana waktu itu mencari makanan sedangkan mereka keluar dari Mesir kerana mencari makanan dan keluar daripada perhambaan.
27. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada mulanya dikhianati oleh saudaranya sendiri dan akhirnya dizalimi oleh orang Mesir. Dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda mulanya dizalimi oleh orang Mesir tetapi akhirnya dikhianati oleh bangsanya sendiri.
28. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penyebab Bani Israil masuk Mesir dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penyebab Bani Israil keluar dari Mesir.
29. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah memaafkan abang-abangnya dan akhirnya tinggal dengan mereka. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula akhirnya tidak mahu ada kena mengena dengan Bani Israil dan memisahkan diri daripada mereka.
30. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berakhir dengan ketenangan sedangkan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Firaun berakhir dengan tragedi.
31. Kedua-dua antagonis dalam kisah ini mabuk dengan kuasa. Isteri Al-Aziz mabuk dengan kuasa dan menyalahgunakan kuasa itu dan Firaun pun mabuk dengan kuasa dan menyalahgunakan kuasa.
32. Orang yang bersalah dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bertaubat. Orang yang bersalah dalam kes Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Firaun) tidak sempat bertaubat. Taubatnya ketika hampir mati tidak diterima.
I. Soalan Kuiz (Jawapan Ringkas)
Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.
- Mengapakah Surah Yusuf diturunkan sebagai tindak balas kepada permintaan para sahabat Rasulullah ﷺ?
- Apakah kepentingan utama mempelajari kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada Al-Qur’an berbanding sumber lain?
- Apakah keistimewaan Surah Yusuf berbanding surah-surah lain dalam Al-Qur’an dari segi penceritaannya?
- Apakah gelaran yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengapa?
- Apakah mukjizat khusus yang dianugerahkan oleh Allah ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
- Bagaimanakah Surah Yusuf berfungsi sebagai “tasliah” (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam?
- Sebutkan dua daripada empat “dakwah” utama yang ingin disampaikan oleh Allah ﷻ melalui Surah Yusuf.
- Apakah “asbabun nuzul” (sebab turun) lain bagi Surah Yusuf yang berkaitan dengan soalan orang Yahudi?
- Mengapakah Surah Yusuf disebut sebagai “Surah Makkiyyah”?
- Nyatakan satu persamaan dan satu perbezaan umum antara kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Glosari Istilah Utama
- Tafsir: Penjelasan atau interpretasi terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk memahami makna dan pengajaran di dalamnya.
- Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi dalam Islam, anak kepada Nabi Ya’qub. Tanda “عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ” adalah singkatan untuk “alaihis salam” (kesejahteraan ke atasnya).
- Israiliyyat: Kisah-kisah yang berasal dari sumber-sumber Yahudi dan Kristian, yang kadang-kadang diserap ke dalam tafsir Islam tetapi perlu ditapis dan diteliti kesahihannya agar tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Hadis.
- Millah: Agama, cara hidup, atau tradisi keagamaan. Dalam konteks ini, merujuk kepada agama Tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan diteruskan oleh para Nabi selepasnya.
- Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub (Israيl), merujuk kepada golongan Yahudi.
- Shiddiq: Gelaran bagi seseorang yang sangat benar, jujur, dan berpegang teguh pada kebenaran.
- Mukjizat: Peristiwa luar biasa yang dilakukan oleh Nabi atau Rasul dengan izin Allah ﷻ sebagai bukti kebenaran kenabian mereka.
- Tasliah: Penghibur atau pujukan, sesuatu yang meringankan kesedihan atau kegelisahan.
- Dakwa: Maksud atau tujuan utama yang ingin disampaikan.
- Kuasa tasarruf: Kekuasaan penuh untuk mengurus, mengendalikan, dan mengatur segala sesuatu.
- Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa-peristiwa yang melatarbelakangi penurunan ayat atau surah tertentu dalam Al-Quran.
- Surah Makkiyyah: Surah-surah dalam Al-Qur’an yang diturunkan di Makkah sebelum Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah.
- Tahun Kesedihan: Tahun dalam sejarah Islam ketika isteri Nabi Muhammad ﷺ, Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Talib, meninggal dunia, menyebabkan kesedihan yang mendalam bagi baginda.
- أ س ف (asaf): Akar kata Arab yang bermaksud ‘sedih’ atau ‘berdukacita’, yang dikaitkan dengan nama Nabi Yusuf dalam penulisan ini.
- Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi yang paling banyak disebut dalam Al-Quran, memimpin Bani Israil keluar dari Mesir.
- Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Salah seorang Nabi penting dalam Islam, digelar bapa para Nabi dan Hanif.
- Al-Aziz: Gelaran bagi seorang pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf setelah baginda dijual, juga dikenali sebagai Perdana Menteri atau ketua istana.
- Firaun: Gelaran bagi raja Mesir kuno yang disebutkan dalam Al-Qur’an, khususnya yang menindas Bani Israil di zaman Nabi Musa.
- Muhsin: Orang yang melakukan kebaikan, yang berbuat ihsan.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang pertama
Kemaskini: 31 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike