Tafsir Surah Yusuf Ayat 101 (2) (Doa Mati yang Baik)

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ

Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengaku bahawa Allah ‎ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ‎ﷻ tidak pernah meninggalkan baginda. Baginda dipisahkan daripada bapanya, dibuang oleh abang-abangnya. Maknanya baginda tidak ada sesiapa yang melindunginya sejak kecil sehinggalah baginda dewasa. Akan tetapi, baginda sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa bersama. Dan kalau Allah wali baginda semasa di dunia, tentulah baginda lebih memerlukan Allah ﷻ di akhirat kelak.

Kalimah ini banyak digunakan oleh umat Islam. Jadi mari kita bincangkan secara mendalam sedikit. Perkataan “وَلِيٍّ” (waliyy) dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna utama, bergantung kepada konteks penggunaannya. Secara asas, “الولي” berasal daripada akar kata و ل ي yang bermaksud rapat; dekat; ikut; berpaling; jalan belok; menjalankan; berada dalam kuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; tempat tumpuan. Berikut adalah makna-makna utama “وَلِيٍّ” menurut sumber-sumber klasik:

1. Penolong, Pelindung, dan Penjaga. Kalimah “الولي” bermaksud penolong, pelindung, atau penjaga, iaitu seseorang yang dekat dan bertanggungjawab terhadap urusan orang lain. Dalam konteks agama, Allah disebut sebagai “ولي” bagi orang beriman, bermaksud Allah ﷻ adalah pelindung, penolong, dan yang mengurus urusan mereka. Perhatikan Baqarah:257 الله ولي الذين آمنوا (Allah Pelindung orang-orang yang beriman)

2. Orang yang Mengurus atau Mentadbir. Kalimah “الولي” juga bermaksud orang yang mengurus atau mentadbir sesuatu urusan, seperti wali kepada anak yatim, wali dalam pernikahan, atau pemerintah yang mentadbir urusan rakyat.

3. Sahabat, Kekasih, atau Orang yang Rapat. Dalam makna lain, “الولي” juga bermaksud sahabat, kekasih, atau orang yang sangat rapat, lawan kepada “عدو” (musuh). Mereka ini yang selalu membantu kita dan selalu bersama dengan kita.

4. Makna-makna Lain. Kalimah “الولي” boleh juga bermaksud “mereka yang mewarisi” (dalam konteks warisan). Dalam konteks sosial, ia boleh bermaksud jiran, pembantu, atau orang yang membela.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut di sini yang Allah ﷻ adalah wali kepada baginda. Yang selalu bersama baginda, memberi perlindungan kepada baginda. Baginda tidak kata baginda yang sendiri dekat dengan Allah ﷻ, sebaliknya kata Allah ﷻ yang dekat dengan baginda. Ada perbezaan di situ, bukan?

Kemudian, ada satu lagi istilah yang datang daripada kata dasar yang sama, المَولىٰ. Ini seperti digunakan di dalam Anfal:40

وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولىٰكُم ۚ نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ
Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

 

Berikut adalah perbezaan antara Al-Wali (الولي) dan Al-Mawla (المولى):

1. Al-Wali (الولي)

Kalimah ini lebih menekankan aspek kedekatan (proximity) dan kasih sayang. Makna: Pelindung, teman setia, atau penolong yang sangat dekat.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan yang bersifat peribadi dan penuh kasih sayang. Apabila Allah ﷻ disebut sebagai Wali, ia bermakna Allah ﷻ sangat dekat dengan hamba-Nya, menjaga urusan mereka, dan mencintai mereka. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Baqarah:257.

Wali ini adalah sifat seseorang yang mahu membantu; ada keinginan dan potensi untuk membantu. Tapi tidaklah semestinya sekarang. Sebagai contoh, saya mungkin berkawan dengan awak dan ingin membantu awak. Akan tetapi, ketika saya tidur, saya tidaklah sedang bertindak sebagai kawan. Namun, kita tahu yang apabila awak memerlukan saya, saya akan datang kerana kita kawan.

2. Al-Mawla (المولى)

Kalimah ini lebih menekankan aspek autoriti, ketuanan, dan pembelaan. Makna: Tuan, Pemilik, atau Pelindung yang mempunyai kuasa mutlak.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan antara “Tuan dan Hamba” atau “Pemimpin dan Pengikut”. Al-Mawla adalah pihak yang memberikan perlindungan kerana dia mempunyai kuasa dan kekuatan untuk membela. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Anfal:40.

Kalau المولى pula, ia bukan bercakap tentang potensi lagi, tapi memang sedang dilakukan. Kalau contoh kawan rapat, dia sedang membantu kawan dia. Ini lebih dijelaskan lagi di dalam Muhammad:11

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Di dalam Muhammad:11 ini kita diberitahu yang hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى. Sedangkan di dalam Baqarah:257 kita diberitahu yang orang kafir pun ada وَلِيُّ. Perhatikan ayat penuhnya,

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Jadi kita diberitahu yang orang kafir ada وَلِيُّ malah mereka ada banyak wali dan kerana itu digunakan kalimah أَولِياؤُ (jamak bagi وَلِيُّ) tapi mereka tidak ada المولى. Tidak ada yang dapat membantu menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ. Hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى iaitu Allah. Jadi Allah ﷻ adalah وَلِيُّ dan juga مولى bagi kita.

Maksud “وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ” dalam ayat ini ialah Allah ﷻ adalah pelindung, penolong, dan pengurus urusan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Para mufassir menjelaskan bahawa “wali” di sini bermaksud Allah ﷻ yang mengurus, menjaga, dan memberikan kebaikan kepada hamba-Nya dalam segala urusan, termasuk urusan akhirat seperti keselamatan dari azab, kemuliaan, dan penyertaan bersama golongan yang soleh. Imam al-Tabari menyebut: ﴾أنت وليي في دنياي على من عاداني وأرادني بسوء بنصرك، وتغذوني فيها بنعمتك، وتليني في الآخرة بفضلك ورحمتك﴿ Maksudnya: “Engkaulah pelindungku di dunia terhadap sesiapa yang memusuhiku dan menginginkan keburukan padaku dengan pertolongan-Mu, Engkau juga yang memberiku nikmat di dunia, dan Engkau yang mengurusku di akhirat dengan kelebihan dan rahmat-Mu”.

Imam al-Razi pula menyatakan: ﴾أنت الذي تتولى إصلاح جميع مهماتي في الدنيا والآخرة﴿ Maksudnya: “Engkaulah yang mengurus dan memperbaiki semua urusanku di dunia dan di akhirat”. Tafsir al-Baydawi juga menegaskan: ﴾أنت وليي ناصري ومتولي أمري في الدنيا والآخرة أو الذي يتولاني بالنعمة فيهما﴿ Maksudnya: “Engkaulah penolongku dan yang mengurus urusanku di dunia dan akhirat, atau yang melimpahkan nikmat kepadaku pada kedua-duanya”. Justeru, maksud “wali” di akhirat ialah Allah yang akan menjaga, melindungi, memberi rahmat, dan memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam golongan orang-orang yang soleh serta menyempurnakan segala kebaikan untuknya di akhirat, sebagaimana Allah menjadi pelindung dan penolongnya di dunia.

 

تَوَفَّني مُسلِمًا

wafatkanlah aku dalam keadaan Islam

Sekarang baru masuk doa permintaan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum ini baginda buat apa? Baginda memuji-muji Allah ‎ﷻ. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa adalah satu adab yang sangat ditekankan dalam Islam dan mempunyai beberapa kepentingan utama:

1. Mencontohi Sunnah Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ mengajarkan agar seseorang memulakan doa dengan memuji Allah ‎ﷻ dan berselawat ke atas Nabi sebelum menyatakan hajatnya. Dalam hadith sahih, Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ قَالَ: بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ، إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى، فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي، إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، وَصَلِّ عَلَيَّ، ثُمَّ ادْعُهُ. قَالَ: ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّهَا الْمُصَلِّي، ادْعُ تُجَبْ
Daripada Fadhalah bin Ubaid, beliau menceritakan: “Ketika Rasulullah ﷺ sedang duduk, tiba-tiba seorang lelaki masuk lalu menunaikan solat. Kemudian (setelah selesai solat) lelaki itu berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu telah terburu-buru, wahai orang yang solat! Apabila kamu telah solat dan kamu duduk (untuk berdoa), maka pujilah Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya, dan berselawatlah ke atasku, kemudian barulah berdoa kepada-Nya.’ Kemudian, selepas itu seorang lelaki lain pula solat. (Setelah selesai solat), dia pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi ﷺ. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Wahai orang yang solat, berdoalah (sekarang), nescaya doamu akan dikabulkan!'”

Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 3477 (Beliau mengatakan: Hadis ini Hasan Sahih); Sunan Abu Dawud: Hadis No. 1481; Sunan al-Nasa’i: Hadis No. 1284.

2. Lebih Mudah Diterima. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa menjadikan doa lebih mudah diterima. Para ulama menyatakan bahawa memulakan doa dengan pujian dan sanjungan kepada Allah ‎ﷻ adalah lebih dekat untuk dikabulkan kerana ia menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan terhadap keagungan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’raf:55

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri (tadharru’) dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

3. Mengakui Keagungan dan Nikmat Allah ‎ﷻ. Dengan memuji Allah ‎ﷻ, seseorang mengakui segala nikmat, keagungan, dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Ini adalah bentuk pengabdian dan pengakuan bahawa hanya Allah ‎ﷻ yang layak dipuji dan dimohon pertolongan.

4. Mengikuti Adab Para Nabi. Para nabi seperti Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang kita lihat juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan doa mereka dengan pujian kepada Allah ‎ﷻ sebelum menyatakan permintaan mereka.

5. Membuka Pintu Keikhlasan dan Kekhusyukan. Memuji Allah ‎ﷻ sebelum berdoa membantu menanamkan rasa keikhlasan dan kekhusyukan dalam hati, serta mengingatkan diri bahawa segala sesuatu adalah milik Allah ‎ﷻ dan hanya Dia yang berkuasa memberi pertolongan.

6. Menjadi Sebahagian daripada Tauhid dan Pengesaan Allah ‎ﷻ. Memuji Allah ‎ﷻ dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-sifat-Nya yang mulia adalah sebahagian daripada tauhid dan pengesaan Allah ‎ﷻ, sebagaimana firman-Nya di dalam A’raf:180

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu

7. Membuka “Pintu Langit”. Para ulama menjelaskan bahawa pujian kepada Allah ‎ﷻ (seperti membaca Alhamdulillah, Subhanallah, atau Asma’ul Husna) bertindak sebagai “pembuka” kepada pintu rahmat. Sebagaimana kita tidak akan meminta hajat kepada seorang raja sebelum memberikan salam dan penghormatan, begitulah kiasannya dengan Allah yang Maha Raja.

8. Meniru Pola Surah Al-Fatihah. Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdoa yang terbaik melalui Surah Al-Fatihah. Allah ‎ﷻ mengajar kita memuji-Nya dahulu sebelum meminta hidayah. Perhatikan susunannya:

Pujian: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin… (Ayat 1-4).
Ikrar Penghambaan: Iyyaka Na’budu… (Ayat 5).
Permohonan (Doa): Ihdinas Siratal Mustaqim… (Ayat 6).

Sekarang kita lihat kandungan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda telah mendapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid. Ini penting kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung daripada keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti kita masih lagi beriman sempurna.

Maksud Muslim seperti yang kita tahu adalah berserah kepada Allah ‎ﷻ. Nama Muslim dipilih sendiri oleh moyangnya Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Hajj:78

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ
(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berserah diri dan sekarang anaknya pun meneruskan legasi itu seperti disebut di dalam Baqarah:131

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: ‘Berserahlah diri (wahai Ibrahim)!’ Nabi Ibrahim menjawab: ‘Aku berserah diri (menjadi Muslim) kepada Tuhan semesta alam.'”

Dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa supaya anak cucu keturunannya juga jadi Muslim berserah diri seperti disebut di dalam Baqarah:128

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada zuriat keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu;

Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingat sungguh yang segala nikmat yang baginda dapat itu tidak kekal. Akhirnya baginda tetap akan wafat. Entah bila masanya baginda akan wafat, baginda belum tahu lagi, tapi ia pasti. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.

Doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini adalah tentang kematian. Akan tetapi bukanlah baginda minta dimatikan seperti pendapat sesetengah ulama’. Mereka berpendapat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap begitu kerana baginda telah selesai urusan baginda di dunia, jadi baginda minta mati. Tidak begitu sama sekali. Moyang baginda Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melepasi segala ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan ke atas baginda seperti disebut dalam Baqarah:124, tetapi baginda pun tidak minta mati.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah (dan larangan), lalu Nabi Ibrahim memenuhinya (menunaikannya dengan sempurna).

Malah kita pun diajar doa yang lebih kurang sama dalam Ali Imran:193. Tidak pun kita minta mati di dalam doa ini, bukan?

رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti (dalam iman).”

Maksud baginda apabila baginda sudah sampai ajalnya nanti. Doa sebegini boleh. Yang tidak boleh adalah doa minta mati. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ
“Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita (meminta) untuk mati kerana sesuatu kemudaratan (musibah/kesusahan) yang menimpanya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5671 & Muslim, No. 2680)

Sambungan daripada hadith di atas, sekiranya seseorang itu merasa ujian yang dihadapi sudah tidak tertanggung, Rasulullah ﷺ mengajar doa yang menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ:

فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Sekiranya dia terpaksa melakukannya (memohon sesuatu), maka hendaklah dia berdoa: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik bagiku.'”

Kenapa Minta Mati Itu Dilarang? Terdapat hadith lain yang menjelaskan hikmah di sebalik larangan ini. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ، إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ، وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian… kerana jika dia seorang yang baik, semoga dia dapat menambah kebaikannya. Dan jika dia seorang yang buruk (berdosa), semoga dia dapat bertaubat (meminta keredaan Allah).”

(Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 7235)

Kembali kepada doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, hendaklah kita mengikutinya. Yang penting adalah cara kita mati, bukannya panjang atau tidak umur kita. Adakah kita ikut cara doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Kalau kita perhatikan, yang banyaknya berdoa minta dipanjangkan umur sahaja, bukan?

Doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini juga adalah mengikut apa yang telah diwasiatkan oleh leluhur baginda seperti disebut di dalam Baqarah:132

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرٰهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Dan Ibrahim pun mewasiatkan (pesanan berserah diri) itu kepada anak-anaknya, dan demikian juga Yaakub (mewasiatkan kepada anak-anaknya), katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi pilihan untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menjadi orang-orang Islam (Muslimun)’.”

 

وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Kalimah أَلحِق daripada kata dasar ل ح ق yang bermaksud menyertai atau bergabung. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Sebelum ini baginda telah menyebut Allah ‎ﷻ sebagai wali baginya, tapi sekarang baginda menyebut pertalian yang lain. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirat nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga. Ini sejajar dengan apa yang telah dianugerahkan kepada moyangnya Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti yang disebut di dalam Baqarah:130

وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar yang baginda memerlukan teman dan kenalan yang rapat. Namun, baginda juga sedar yang kawan dan keluarga di dunia datang dan pergi. Yang baginda mahukan adalah kawan dan keluarga yang kekal di akhirat kelak. Baginda hidup lama di awal kehidupan baginda di dalam keseorangan, jadi baginda memang berharap sangat dapat ada kawan dan keluarga di akhirat kelak yang berterusan.

Maka kita pun kena berdoa seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kerana takut kita semasa hidup di dunia banyak bergaul dengan orang baik-baik, tetapi takut diri kita sendiri tidak baik. Tengok-tengok dihidupkan balik dengan golongan ahli neraka pula. Tapi jangan berdoa sahaja, kita kenalah belajar apakah amalan dan fahaman orang yang baik-baik itu dan kita kenalah ikut.

Bagaimana kita boleh dimasukkan ke dalam golongan orang yang baik-baik? Dengan berkawan dengan orang baik-baik seperti diajar oleh Rasulullah ﷺ di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ، فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتَ لَهَا؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلاَةٍ وَلاَ صَوْمٍ وَلاَ صَدَقَةٍ، وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قَالَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ، وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hari Kiamat, katanya: ‘Bilakah berlakunya Kiamat?’ Baginda ﷺ bertanya kembali: ‘Apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku tidak menyediakan (amalan sunat) yang banyak, sama ada daripada solat, puasa, mahupun sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas menceritakan: ‘Maka kami (para sahabat) tidak pernah merasa sangat gembira dengan sesuatu perkara sepertimana kegembiraan kami mendengar sabda Nabi ﷺ: Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata lagi: ‘Maka aku mencintai Nabi ﷺ, Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Aku berharap dapat bersama mereka (di akhirat nanti) disebabkan kecintaanku kepada mereka, walaupun amalanku tidaklah menyamai amalan mereka.'”

Sahih al-Bukhari: No. 3688; Sahih Muslim: No. 2639

Maka kita kena pandai memilih kawan dan dengan siapa kita banyak berinteraksi. Ini kerana siapa kawan kita akan mempengaruhi kita. Ia juga boleh mempengaruhi emosi dan mental kita. Tidak ada gunanya terus duduk dengan orang yang toksik kerana mereka itu akan memburukkan kita sahaja. Dalam Islam, hukum tidak berkawan atau menjauhkan diri daripada orang yang “toksik” (dalam bahasa agama disebut sebagai Jalis al-Su’ atau teman yang buruk) adalah diharuskan, malah dalam banyak keadaan, ia menjadi tuntutan (disunnahkan) untuk menjaga agama, mental, dan maruah diri.

Dalam Islam, terdapat konsep Hajr, iaitu memutuskan hubungan atau menjauhkan diri daripada seseorang. Hukum asalnya adalah haram memutuskan silaturahim lebih daripada 3 hari bagi sesama Muslim. Akan tetapi para ulama (seperti Imam Ahmad dan Imam al-Nawawi) menyatakan bahawa jika bergaul dengan seseorang itu mendatangkan mudarat kepada agama (maksiat) atau mudarat kepada dunia (mental/emosi/fizikal), maka dibolehkan menjauhkan diri lebih daripada 3 hari sehingga keadaan menjadi selamat. Kita biarkanlah mereka dengan perangai mereka itu. Memang Rasulullah ﷺ sudah mengajar kita supaya berhati-hati dengan kawan di sekeliling kita,

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ وَكِيرِ الحَدَّادِ، فَصَاحِبُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَكِيرُ الحَدَّادِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Daripada Abu Musa al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Perumpamaan teman duduk (kawan rapat) yang baik dan teman duduk yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi: sama ada dia memberinya kepadamu, atau kamu membelinya daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu mendapat bau wanginya. Manakala tukang besi: sama ada percikan apinya mengenai dan membakar bajumu, atau kamu mendapat bau asapnya yang busuk.”

Sahih al-Bukhari: Hadis No. 5534; Sahih Muslim: Hadis No. 2628.

Nota: Al-Jalis (الجليس): Merujuk kepada orang yang kita selalu duduk bersama (kawan rapat). Ia bukan sekadar kenalan biasa, tetapi orang yang kita pilih untuk menghabiskan masa bersama.

Malah ada doa yang diajar untuk mengelakkan kita daripada kawan yang toksik,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوءِ فِي دَارِ الْمُقَامَةِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada hari yang buruk, daripada malam yang buruk, daripada waktu yang buruk, daripada kawan yang buruk, dan daripada jiran yang buruk di tempat tinggal tetapku.”

Rujukan: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (No. 14227). Status: Hadith ini dinilai Hasan oleh ramai ulama, antaranya Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (No. 1443).

Perhatikan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini mengulang kembali kata-kata tok nenek baginda Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita banyak perhatikan ada persamaan antara kata-kata baginda dengan mereka. Maknanya, baginda menerima ilmu agama daripada leluhur baginda juga. Perhatikan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Syu’ara:77-83

فَإِنَّہُمۡ عَدُوٌّ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧٧) ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠) وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحۡيِينِ (٨١) وَٱلَّذِىٓ أَطۡمَعُ أَن يَغۡفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوۡمَ ٱلدِّينِ (٨٢) رَبِّ هَبۡ لِى حُڪۡمًا وَأَلۡحِقۡنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ (٨٣)
Sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhku, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; (77) Tuhan yang menciptakan daku, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; (78) Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum, (79) Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku; (80) Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku; (81) Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat; (82) Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; (83)

Perhatikan ada elemen yang sama dengan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    • iktiraf jasa Allah ‎ﷻ kepada dirinya
    • iktiraf kedudukan dan ketinggian Allah ‎ﷻ
    • doa minta dikumpulkan dengan orang-orang soleh

Maka, untuk dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh, kita hendaklah tahu siapakah mereka dan kita hendak ikut mereka. Kita diajar untuk tahu apakah ciri-ciri orang soleh ini setiap hari iaitu ketika kita membaca Fatihah:7 صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم (Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka). Siapakah pula orang-orang yang dimaksudkan itu? Ayat ini ditafsirkan dalam Ayat Nisa: 69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Akan tetapi, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang Nabi, kenapa baginda minta yang paling rendah sekali iaitu الصّالِحينَ? Ulama’ mengatakan ini adalah adab baginda dan baginda hendak merendah diri.

Sekian topik yang melibatkan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada keindahan pada Struktur Cincin yang kita telah kenalkan di dalam Ayat 3 dahulu. Perhatikan cermin B dan B’. Di dalam Ayat 4, Nabi Yusuf menceritakan tentang mimpi baginda kepada ayahnya Nabi Ya’qub. Dan di dalam Ayat 100, sekali lagi Nabi Yusuf memperkatakan tentang mimpi itu, tapi kali ini tentang ta’birnya.

Jadi sudah habis tentang mimpi. Selepas ini kita akan lihat bagaimana Allah ‎ﷻ bercakap kepada Nabi Muhammad ﷺ pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 101 (1) (Doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

DOA NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 101: Kita sampai ke ayat terakhir dalam bab cerita Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah ini. Sekarang baginda memuji lagi Allah ‎ﷻ. Segala apa kelebihan yang baginda dapat, baginda pulangkan kepada Allah ‎ﷻ – semua itu daripada Allah ‎ﷻ. Begitulah yang kita dapat belajar daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; bila ada masalah, baginda rujuk kepada Allah ‎ﷻ dan bila senang pun, begitu juga baginda kembalikan kepada Allah ‎ﷻ.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencapai kemuncaknya dalam satu babak yang penuh gilang-gemilang. Bayangkanlah detik itu: setelah bertahun-tahun menempuh pengkhianatan, perhambaan, dan pemenjaraan, baginda kini berada di atas takhta kekuasaan di Mesir. Keluarganya yang telah lama terpisah, ayahandanya yang dikasihi, dan saudara-saudaranya akhirnya bersatu semula dengannya. Semuanya tunduk menghormatinya. Inilah detik kemenangan mutlak, penutup “bahagia selamanya” yang kita semua nantikan. Namun, dalam saat kemenangan mutlak ini, apakah yang terungkap dari bibir Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Jawapannya bukanlah ucapan megah tentang ketabahannya atau perayaan kejayaannya. Sebaliknya, beliau menadah tangan dan memanjatkan doa yang luar biasa mendalam.

رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ وَعَلَّمتَنِى مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌ۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌ۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, You have given me [something] of sovereignty and taught me of the interpretation of dreams. Creator of the heavens and earth, You are my protector in this world and the Hereafter. Cause me to die a Muslim and join me with the righteous.”

(MALAY)

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan

Kalau sebelum ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan ayahnya, kemudian bercakap dengan ahli keluarganya, sekarang kita lihat baginda bercakap dengan Allah ‎ﷻ pula. Sebelum ini baginda bercakap dengan mereka ‘tentang’ Allah ‎ﷻ dan sekarang perhatikan baginda bercakap dengan Allah ‎ﷻ terus pula kerana kalimah رَبِّ di sini. Ini pun ada pengajaran kepada kita. Kita selalunya bercakap tentang Allah ‎ﷻ dalam penulisan, apabila kita berdakwah dan sebagainya. Mungkin anda seorang ustaz, seorang mubaligh yang sentiasa mengingatkan manusia kepada Allah ‎ﷻ, seorang pelajar agama yang hari-hari mengadap ilmu berkenaan Allah ‎ﷻ. Akan tetapi, adakah kita sendiri sentiasa berhubungan dengan Allah ‎ﷻ? Bercakap tentang-Nya sahaja memang bagus, akan tetapi ia tidak cukup lagi. Jangan kerana kita sudah sentiasa bercakap tentang Allah ‎ﷻ, kita lupa untuk berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ. Kita amat memerlukan hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ setiap hari, sepanjang masa. Maka ada masanya kita berdoa, ada masanya kita bermunajat, mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Ini pun kita boleh perhatikan di dalam Surah Fatihah, yang pada mulanya kita bercakap ‘tentang’ Allah ‎ﷻ: 

Sebelum memanjatkan doanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlebih dahulu berbicara kepada keluarganya tentang kebaikan Allah ‎ﷻ di dalam Ayat 100 sebelum ini. Baginda menceritakan bagaimana Allah ‎ﷻ telah merealisasikan mimpinya, mengeluarkannya dari penjara, dan menyatukan mereka semula. Ketika itu baginda bercakap tentang Allah ‎ﷻ. Namun, pada ayat ini, berlaku satu peralihan (iltifat) yang sangat penting. Baginda serta-merta berhenti bercakap kepada manusia dan mula bercakap terus kepada Allah ‎ﷻ. Doanya bermula dengan seruan peribadi: “Rabbi” (Tuhanku).

Pelajaran utamanya jelas: Belajar atau bercakap tentang Allah ﷻ adalah penting, tetapi ia tidak boleh menjadi pengganti kepada perbualan peribadi yang intim dengan Allah ﷻ. Bagi para pelajar, pendakwah, penceramah, atau sesiapa sahaja yang sering mendengar atau menyampaikan ceramah agama, ini adalah satu peringatan yang kuat. Tujuan utama segala ilmu yang kita peroleh adalah untuk membina dan memperdalam hubungan peribadi kita dengan Pencipta, bukan sekadar menjadikannya subjek perbincangan.

Sekarang kita perhatikan satu persatu doa baginda. Kalau di dalam Ayat 100 sebelum ini, Nabi Yusuf bersyukur tentang dihilangkan keburukan dari hidup baginda: إِذ أَخرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجنِ وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ مِنۢ بَعدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيطَـٰنُ بَينِى وَبَينَ إِخوَتِىٓ‌ۚ. Sekarang baginda menyebut tentang kebaikan yang Allah berikan pula. Memang inilah dua perkara penting yang kita selalu doakan, bukan? Kita hendak Allah buang yang negatif dan berikan yang positif. Dan setelah Allah memberikan kedua-duanya, maka kita bersyukur kepada Allah . Jangan kita hanya bersyukur salah satunya sahaja. Selalunya, apabila ditarik oleh perkara yang buruk, Allah ﷻ menggantikannya dengan perkara yang baik.

Sekarang perhatikan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersyukur kerana telah diberi dengan kuasa dalam kerajaan Mesir. Kalimah مِنَ ٱلمُلكِ bermaksud baginda diberi ‘sebahagian’ sahaja kerajaan di dunia ini iaitu Kerajaan Mesir. Namun, masih banyak lagi kerajaan di dunia dan dalam alam ini yang milik Allah . Baginda bersyukur kerana tentunya baginda pun tidak pernah bayangkan yang baginda akan diberi kerajaan sebesar itu.

Apabila ayat ini disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, ia memberi isyarat yang nanti Nabi Muhammad ﷺ pun akan diberikan dengan kerajaan juga. Jadi ayat ini juga memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ akan menang mengatasi musuh baginda yang waktu itu amat kuat menentang baginda di Mekah.

Ada tafsiran yang menyatakan “الملك” di dalam ayat ini merujuk kepada kekuatan, pengaruh, dan kemampuan mentadbir urusan rakyat, bukan semata-mata takhta atau pemerintahan. Dalam tafsir حدائق الروح والريحان, disebut: “الملك عبارة عن الاتساع في الشيء المقدور لمن له السياسة التدبير” (kerajaan bermaksud keluasan dalam perkara yang dikuasai oleh orang yang mempunyai kebijaksanaan dan pentadbiran).

Imam al-Mawardi menyebut salah satu tafsiran “الملك” ialah keperluan manusia (termasuk musuh dan saudara) kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu mereka bergantung kepadanya untuk urusan kehidupan dan makanan, bukan semata-mata kekuasaan politik.

Tafsiran lain menyatakan “الملك” ialah keredhaan dan keikhlasan menerima segala ketentuan Allah ‎ﷻ, termasuk ujian dan nikmat, sebagaimana disebut oleh al-Mawardi: “الرِّضا بالقضاء والقناعة بالعطاء” (redha dengan ketentuan dan puas dengan pemberian).

Ada juga yang menafsirkan “الملك” sebagai kebenaran mimpi yang dialami Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pengiktirafan Allah ‎ﷻ terhadapnya, bukan semata-mata kekuasaan duniawi. Kesimpulannya, walaupun tafsiran utama “الملك” dalam ayat ini ialah kerajaan atau kekuasaan di Mesir, terdapat juga tafsiran lain seperti kekuatan mentadbir, keperluan manusia kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, keredaan terhadap takdir, dan kebenaran mimpi. Semua tafsiran ini menunjukkan keluasan makna “الملك” yang tidak terhad kepada pemerintahan semata-mata.

 

وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’wil perkara yang berlaku.

Baginda bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kepada baginda ilmu mengetahui ta’wil dengan tepat. Maksud تَأويلِ الأَحاديثِ kita telah bincangkan apakah maksudnya di dalam Ayat 6. Bukan sahaja mimpi tetapi baginda boleh mentafsir kejadian dan kata-kata manusia. Perhatikan apabila menyebut tentang mimpi, baginda gunakan kalimah رُءيَـٰىَ yang digunakan di dalam Ayat 100; begitu juga apabila menyebut tentang mimpi raja Mesir, digunakan istilah أَرَىٰ seperti disebut di dalam Ayat 43. Akan tetapi, kalimah yang digunakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini adalah الأَحاديثِ yang bermaksud ia lebih daripada mimpi sahaja.

Apabila ada kalimah مِن di dalam kata-kata baginda itu, ia bermakna baginda mengaku yang baginda diberi sebahagian sahaja ilmu; bukannya baginda tahu semua perkara.

Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyebut dua nikmat yang telah diberikan kepada baginda: Kerajaan & ilmu ta’wil mimpi. Kaitan antara dua perkara itu, sebagaimana dijelaskan para mufassir, adalah bahawa Allah ‎ﷻ menganugerahkan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dua nikmat besar: kekuasaan (kedudukan/kerajaan) dan ilmu (khususnya ilmu menakwil mimpi). Kedua nikmat ini menjadi sebab utama kemuliaan dan keberhasilan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dunia, serta menjadi jalan untuk menegakkan keadilan dan menyebarkan kebaikan. Penting baginda ada kedua-duanya sekali. Kerana kalau Allah ﷻ hanya beri baginda ilmu sahaja, tapi tidak diberikan kuasa, baginda pun tidak boleh menzahirkan ilmu itu supaya ia bermanfaat kepada manusia. Kalau baginda ada kuasa sahaja, baginda pun tidak boleh buat apa-apa kerana baginda tidak ada ilmu.

Jadi, apakah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan dengan dua kelebihan yang Allah ﷻ berikan ini? Baginda membantu manusia, memberi servis kepada mereka! Jadi ini adalah mentaliti yang kita kena ada dalam diri kita. Kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk membantu orang lain adalah satu nikmat yang amat agung. Apa sahaja harta yang kita ada akan hilang daripada kita. Tapi khidmat yang kita berikan kepada manusia, akan kekal sampai bila-bila. Inilah konsep sadaqah yang kita kena faham seperti diajar di dalam Hadith #25 Imam Nawawi (Hadith 40). Sedekah itu bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tapi ia boleh jadi apa-apa sahaja bantuan dan khidmat kepada orang lain. Nabi ﷺ juga ada bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
“Allah akan sentiasa menolong seorang hamba, selagi mana hamba itu menolong saudaranya.”

(Riwayat Sahih Muslim)

 

فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ

Pencipta langit-langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ yang telah memberikan semua itu dan Allah ‎ﷻ boleh sahaja buat begitu kerana Dialah pencipta langit dan bumi. Lihat cara doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Bahagian pertama, baginda menyebut sebahagian daripada nikmat yang Allah ﷻ telah berikan (kerana baginda tidak mampu menyebut segala nikmat daripada Allah ﷻ). Kemudian baginda menyebut Siapakah Allah dan kedudukan Allah ﷻ. Maka di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji kedudukan Allah ﷻ. Ia juga boleh bermaksud sebagai permulaan kepada doa kedua baginda. Yang pertama, baginda mulakan dengan رَبِّ (wahai Tuhanku) dan sekarang baginda mulakan dengan فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ (wahai Pencipta langit-langit dan bumi).

Kalimah فَاطِرَ yang digunakan di sini amat menarik untuk dibincangkan dari segi bahasa. Kalimah فَاطِرَ daripada kata dasar ف ط ر yang bermaksud mencipta daripada tiada; belah; berpecah; retak; pecah; dipecah menjadi kepingan; asal penciptaan; Pencipta; Pemula; pecah; fitrah semula jadi; iman. Menurut para mufassir, termasuk dalam kitab-kitab tafsir klasik, kalimah “فاطر” pada ayat ini bermakna “Pencipta” atau “Yang menciptakan daripada tiada” (خالق). Kalimah “فاطر” berasal daripada makna “membelah” atau “memulai sesuatu dari awal tanpa contoh sebelumnya”. Dalam konteks ayat ini, “فاطر ٱلسَّمَـٰوٰتِ والأرض” bererti Allah ‎ﷻ adalah Pencipta langit dan bumi, yang menciptakan keduanya dari ketiadaan dan tanpa contoh sebelumnya.

Kenapa kalimah فاطر ini memerlukan perbincangan? Kerana pernah Ibnu Abbas berkata, يقول ابن عباس: كنت لا أعلم ما معنى فاطر، إلى أن جاءني يوما أعرابيان يشتكيان إلي في بئر تنازعاها، فقال أحد الأعرابيين: أنا فطرتها (Aku tidak tahu apa makna فاطر sehingga dua orang Arab datang berselisih tentang sebuah sumur, lalu salah satunya berkata: ‘Aku yang memulainya (فطرتها)’), maksudnya: ‘Aku yang memulai menggali sumur itu’.” Dari sini, فاطر bermakna “yang memulai” atau “yang menciptakan”. Jadi, tafsir فاطر dalam Yusuf:101 adalah “Pencipta” atau “Yang memulai penciptaan langit dan bumi dari tiada”.

Akan tetapi, kalimah فاطر sepatutnya berbeza dengan خالق. Kalau Allah maksudkan خالق, tentu Allah boleh sahaja gunakan kalimah خالق, bukan? Jadi tentu kalimah فاطر membawa maksud yang berbeza. Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara “فاطر” (Fāṭir) dan “خالق” (Khāliq):

    • “خالق” bermaksud “pencipta” dalam erti kata “penentu” atau “yang mentakdirkan”. Dalam konteks Allah, ia merujuk kepada ilmu Allah yang meliputi segala sesuatu, iaitu Allah ‎ﷻ mengetahui dan menentukan segala sesuatu sebelum ia wujud. Maka, sifat “khalq” (ciptaan) berkait rapat dengan ilmu Allah ‎ﷻ yang mendahului kewujudan makhluk.

    • “فاطر” pula berasal daripada kata “الفطر” yang bermaksud “membelah” atau “memulai sesuatu daripada tiada”. Dalam tafsiran al-Razi, “فاطر” merujuk kepada “pengadaan” atau “penciptaan secara langsung dan inovatif”, iaitu Allah ‎ﷻ menciptakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya, dan ini menekankan aspek kekuasaan (qudrah) Allah ‎ﷻ dalam mencipta.

Al-Razi menyimpulkan:

    • Sifat “خالق” (pencipta) menekankan aspek ilmu Allah ‎ﷻ dalam menentukan dan mentakdirkan sesuatu.
    • Sifat “فاطر” (pencipta/memulai) menekankan aspek kekuasaan Allah ‎ﷻ dalam mengadakan sesuatu dari tiada atau mencipta secara inovatif tanpa contoh terdahulu.

Ringkasnya, “خالق” lebih kepada penetapan dan takdir (ilmu), manakala “فاطر” lebih kepada permulaan penciptaan dan pengadaan (qudrah/kekuasaan).

Pendapat umum mengatakan فاطر bermaksud yang mencipta dari tidak ada kepada ada. Akan tetapi mungkin istilah yang sesuai bagi hal ini adalah kalimah بَدِيعُ seperti digunakan di dalam Baqarah:117

بَديعُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ
Allah jualah yang menciptakan langit-langit dan bumi

Jadi, خلق itu bermaksud mencipta sesuatu dari sesuatu yang telah ada. Sebagai contoh, kalau kita buat bangunan, ia menggunakan bahan mentah yang telah ada seperti pasir, besi, dan sebagainya. Allah ‎ﷻ mencipta Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada bahan yang telah ada, iaitu tanah. Dan kalau بدع yang digunakan, ia bermaksud bahan pun tidak ada lagi. Inilah konsep كن فيكون (Jadi! Maka jadilah). Jadi فطر di mana? فطر ini kita boleh letakkan di tengah-tengah antara خلق dan بدع. Sesuatu itu terjadi dari bahan yang telah ada, tapi tidak seperti yang kita sangkakan. Contohnya, gusi kita tiba-tiba keluar gigi pula. Macam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita belajar ini, baginda pun tidak sangka baginda akan menjadi Al-Aziz di Mesir. Bayangkan baginda asalnya dibuang ke dalam telaga dan kemudian terperosok dalam penjara. Begitulah dengan kejadian alam langit dan bumi ini. Asalnya tidak ada apa-apa, tetapi Allah ﷻ sebagai فاطر menjadikan alam ini begitu penuh dengan kehebatan yang tidak disangka dari permulaan kejadian itu.

Jadi, kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut hal ini? Kerana baginda menghargai Allah ﷻ yang memberi perhatian kepada baginda. Analoginya begini: bayangkan anda bekerja di syarikat besar yang pekerjanya beribu. Ada kerjanya di ceruk kecil dari syarikat itu, tingkat paling bawah sekali. Tapi CEO syarikat itu prihatin tentang anda, menanya khabar anda, membantu anda dan sebagainya. Apa perasaan anda? Tentu anda rasa sangat dihargai kerana individu yang besar sanggup prihatin tentang anda. Bagaimana dengan Allah ﷻ yang memiliki langit dan bumi, tetapi Allah ﷻ sentiasa memerhatikan anda, prihatin, dan membantu anda memberi segalanya kepada anda. Tentu anda akan lebih hargai, bukan?

Dan bila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meluahkan kata-kata ini? Ketika baginda di atas takhta kerajaan. Baginda sudah dapat berjumpa bapanya, abang-abangnya telah tunduk sekarang, baginda sekarang raja Mesir; tapi baginda tetap ingat Allah ﷻ dan menghargai Allah ﷻ! Bandingkan dengan manusia yang sudah senang dan dapat kedudukan, bukankah mereka sudah lupa Allah ﷻ kerana mereka rasa mereka sudah tinggi dan tidak memerlukan Allah ﷻ lagi? Jadi ini peringatan kepada kita. Tidak kira betapa tingginya anda, jangan lupa Allah ﷻ. Kena sedar kedudukan kita tetap kecil dan halus dan tetap memerlukan Allah ﷻ. Maka kita kena tetap menghargai Allah ﷻ dalam setiap keadaan kita. Segala apa yang kita ada, kedudukan yang kita kecapi, itu semua adalah kerana Allah ﷻ. Kalau bukan Allah ﷻ yang berikan, kita tidak ada apa-apa.

Dan ketika mana baginda bercakap? Ketika di dalam istana dan tentunya di hadapan pembesar-pembesar dan rakyat yang tidak beragama Islam. Tapi apa yang baginda sebut ini adalah tentang Allah Tuhan sekalian alam yang mungkin mereka tidak beriman pun. Akan tetapi, baginda cakap tanpa rasa segan dan malu. Kerana baginda juga sedang berdakwah kepada mereka.

Terdapat beberapa riwayat dan tafsiran yang menunjukkan bahawa sebahagian rakyat Mesir telah menerima dakwah Nabi Yusuf dan masuk Islam semasa baginda memerintah. Dalam tafsir al-Tabrani dinyatakan: “فلطف يوسف بالناس وأقام فيهم العدل وأخذ يدعوهم إلى الإسلام، فأحبه الناس كلهم وآمن كثير منهم” (Nabi Yusuf berlemah-lembut dengan rakyat, menegakkan keadilan, dan menyeru mereka kepada Islam, maka seluruh rakyat menyayanginya dan ramai yang beriman). Tafsir al-Qurtubi juga menyebut: “وجعل يدعوهم إلى الإسلام حتى آمنوا به، وأقام فيهم العدل، فأحبه الرجال والنساء” (Baginda menyeru mereka kepada Islam sehingga mereka beriman kepadanya, dan menegakkan keadilan, lalu lelaki dan wanita menyayanginya). Riwayat lain menyatakan bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajak raja Mesir (Riyan bin al-Walid) kepada Islam dan ada yang mengatakan raja tersebut telah beriman, manakala sebahagian riwayat lain menyebut raja selepasnya menolak dakwah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun, terdapat juga pandangan bahawa tidak semua rakyat Mesir menerima dakwah tersebut dan ada yang kekal dalam agama asal mereka. Sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berjaya mengajak sebahagian rakyat kepada tauhid dan meninggalkan penyembahan berhala, tetapi tidak semua menerima dakwahnya. Kesimpulannya, menurut tafsir dan riwayat yang sahih, ramai rakyat Mesir telah masuk Islam dan beriman kepada Allah ‎ﷻ semasa pemerintahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun tidak semua, kerana ada yang tetap menolak dakwah baginda.

Nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih lagi disebut di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah beratus tahun berlalu seperti dinukilkan di dalam Ghafir:34

وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّنٰتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِّمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ مَن هُوَ مُسرِفٌ مُّرتابٌ
“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila dia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya),

Ini kerana setelah berlalu masa yang lama, penduduk Mesir di bawah pemerintahan Firaun telah kembali kepada agama asal mereka dan Firaun sendiri perasan dan mengaku mereka tuhan. Dan itu kita banyak baca di dalam kisah-kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang banyak terdapat di dalam Al-Qur’an. Tapi apabila ada ahli dari istana sendiri yang menyebut nama Nabi Yusuf itu, ia bermakna mereka juga pernah menerima baginda sebagai Nabi Allah. Maknanya, baginda telah melakukan dakwah baginda dan tidaklah baginda senyap kerana menjaga kedudukan politik baginda. Baginda menggunakan kedudukan baginda sebagai orang penting untuk berdakwah. Bayangkan zaman sekarang ahli politik takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut kedudukan mereka tergugat. Jadi mereka senyapkan sahaja kebenaran. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kita boleh andaikan sebagai ahli politik juga, tentu ada juga musuh baginda di dalam kerajaan. Tapi baginda tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak berdakwah.

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Apakah konteks dan keadaan Nabi Yusuf عليه السلام ketika baginda memanjatkan doa yang terkandung dalam Ayat 101?

2. Apakah yang dimaksudkan dengan peralihan (iltifat) yang berlaku pada permulaan doa Nabi Yusuf, dan apakah pengajaran utamanya?

3. Mengapakah Nabi Yusuf menggunakan kalimah مِنَ ٱلمُلكِ (sebahagian kerajaan), dan apakah yang dimaksudkan dengan tafsiran ini?

4. Selain takhta dan pemerintahan, sebutkan dua tafsiran lain bagi kalimah “الملك” seperti yang dihuraikan oleh para ulama.

5. Apakah maksud تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ dan mengapakah ia dianggap lebih luas daripada sekadar takwil mimpi?

6. Menurut tafsiran, apakah kepentingan Nabi Yusuf dianugerahkan kedua-dua nikmat kerajaan dan ilmu secara serentak?

7. Terangkan perbezaan antara kalimah “خالق” (Khaliq) dan “فاطر” (Fatir) menurut penjelasan Imam Fakhruddin al-Razi.

8. Apakah analogi yang digunakan dalam teks untuk menjelaskan mengapa Nabi Yusuf memuji Allah sebagai فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ?

9. Bagaimanakah kedudukan politik Nabi Yusuf tidak menghalangnya daripada menjalankan dakwah kepada rakyat Mesir?

10. Apakah bukti daripada Al-Qur’an (Surah Ghafir: 34) yang menunjukkan bahawa dakwah Nabi Yusuf mempunyai kesan yang berpanjangan di Mesir?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks Sumber
Iltifat
Satu peralihan gaya bahasa dalam Al-Qur’an, di mana berlaku perubahan dalam kata ganti atau arah percakapan. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada peralihan Nabi Yusuf daripada bercakap tentang Allah kepada bercakap secara langsung kepada Allah.
Rabbi (رَبِّ)
Seruan peribadi yang bermaksud “Tuhanku”, yang menandakan permulaan perbualan yang intim dan langsung dengan Allah.
Min al-Mulk (مِنَ ٱلمُلكِ)
Frasa yang bermaksud “sebahagian kerajaan”. Ia menunjukkan pengakuan Nabi Yusuf bahawa kuasa yang diterimanya di Mesir hanyalah sebahagian kecil daripada kerajaan Allah yang Maha Luas.
Al-Mulk (الملك)
Merujuk kepada kerajaan atau kekuasaan. Tafsirannya melangkaui takhta semata-mata, merangkumi juga kekuatan mentadbir, pengaruh, keperluan manusia kepada seseorang, dan keredaan terhadap ketentuan Allah.
Ta’wil al-Ahadith (تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ)
Ilmu untuk mentafsir sesuatu dengan tepat. Ia tidak terhad kepada takwil mimpi sahaja, tetapi merangkumi kebolehan untuk memahami dan mentafsir kejadian serta kata-kata manusia.
Fatir (فَاطِرَ)
Pencipta. Ia berasal dari kata dasar yang bermaksud “membelah” atau “memulai sesuatu dari tiada”. Ia menekankan aspek kekuasaan Allah dalam mengadakan sesuatu secara inovatif tanpa contoh sebelumnya.
Khaliq (خالق)
Pencipta. Istilah ini lebih menekankan aspek ilmu Allah dalam menentukan dan mentakdirkan sesuatu sebelum ia wujud.
Badi’ (بَدِيعُ)
Pencipta dari tiada langsung, di mana bahan asas untuk ciptaan itu pun belum ada. Konsep ini berkaitan dengan “Kun Fayakun” (Jadi! Maka jadilah).
Dakwah
Kegiatan menyeru atau mengajak manusia kepada ajaran Islam dan mentauhidkan Allah. Nabi Yusuf menggunakan kedudukannya untuk berdakwah kepada raja dan rakyat Mesir.
Sadaqah
Sedekah. Konsepnya tidak terhad kepada wang ringgit, tetapi merangkumi apa sahaja bantuan dan khidmat yang diberikan kepada orang lain untuk kebaikan.
Munajat
Berkomunikasi secara peribadi, mengadu, dan merintih kepada Allah dalam doa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 2 Januari 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 1 (Wahyu daripada Allah ﷻ)

Pengenalan:

Dalil-dalil dalam surah ini dalah jenis tamridperingatan. Ia tidak sama dengan surah-surah yang lain. Surah ini hendak memberitahu bahawa dari segi akidah, ilmu ghaib itu hanya daripada Allah ﷻ sahaja. Kuasa mengurus dan mentadbir (tasarruf) itu daripada Allah ﷻ sahaja. Ia menekankan bahawa tiada siapa pun yang ada ilmu ghaib ini dan kuasa mentadbir ini melainkan Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ bebas berkuasa berbuat apa sahaja tanpa halangan dari mana-mana makhluk. Maka ada dua perkara yang ditekankan dalam surah ini: ilmu dan tasarruf.

Ada 11 dalil yang disebut dalam surah ini iaitu 8 jenis dalil aqli tanbih (peringatan yang perlu diberi perhatian), 2 dalil wahyi dan 1 dalil naqli. Surah ini juga menyentuh tentang Risalah. Allah ﷻ tidak membiarkan kita sendiri tanpa pedoman, tetapi Allah ﷻ telah melantik para Rasul untuk sampaikan risalah-Nya. Maka kena terima dan percaya kepada para Rasul yang diberikan dengan ayat-ayat Allah ﷻ.

Nama surah ini bermaksud ‘guruh’. Daripada nama ini, kita dapat agak yang banyak ancaman akan ada dalam surah ini sebagaimana juga guruh itu berbunyi dengan kuat untuk memberitahu yang hujan akan turun. Surah Ra’d adalah satu-satunya surah yang bermula dengan (المر) di antara 5 surah (الر).

Surah Ra’d merupakan surah Makkiyah yang diturunkan secara keseluruhannya selepas Surah Yusuf pada tahun akhir di Mekah. Ia mengandungi 43 ayat dan 3 Perenggan Makro seperti berikut:

Makro 1 (Ayat 1 – 18): Seruan kepada tauhid dan beriman kepada hari akhirat.
Makro 2 (Ayat 19 – 29) Golongan Ulul Albaab menerima tauhid. Orang-orang yang menolak akidah yang benar memang golongan yang bodoh.
Makro 3 (Ayat 30 – 43) Kesudahannya yang beruntung bagi orang beriman.

Mesej utama Surah Ra’d pula adalah seperti berikut:

    1. Orang yang menerima akidah yang benar adalah golongan Ulul Albab.
    2. Orang yang menolak tauhid adalah golongan yang zalim dan bodoh.
    3. Pertentangan di antara Haq dan Batil. Tauhid dan Syirik. Pertentangan ini akan berterusan hingga akhir zaman. Maka jangan berasa lemah semangat.
    4.  Kesudahan berbeza kepada dua golongan di atas.

Surah Ra’d membawakan banyak Dalil-dalil Aqli Afaqi, iaitu tanda-tanda pada alam ini. Sebab itulah dikatakan orang yang menerima seruan tauhid dan akidah yang benar adalah golongan cerdik dan mereka digelar di sini sebagai Ulul Albab. Allah ﷻ menyebutkan penciptaan-Nya yang boleh diperhatikan manusia seperti:

• Bumi berbumbungkan langit tanpa tiang
• Matahari dan bulan, kejadian siang dan malam
• Janin hidup dalam rahim ibunya
• Buah-buahan, pokok dan tanaman hidup subur
• Hujan, guruh, petir
• Laut dan sungai
• Logam yang melebur dalam api
• Dan terlalu banyak lagi tanda-tanda di alam ini

Surah ini juga banyak membincangkan tentang penyakit akidah kafir Quraisy iaitu termasuk:

I. Menyembah patung berhala walaupun percaya kepada Allah ﷻ Rabbul Alamin.
II. Tidak percaya hari akhirat
III. Menolak Kerasulan Nabi Muhammad ﷺ
IV. Menggangap Ilmu Allah ﷻ terhad. Kononnya tidak mengetahui bisikan yang tersembunyi.
V. Ada niat dan rancangan membunuh Nabi Muhammad ﷺ
VI. Menentang dan menghalang orang mengikuti seruan wahyu

Orang yang menolak tauhid dikatakan bodoh kerana tidak mahu berfikir walaupun telah melihat semua ayat-ayat Allah ﷻ. Malah mereka bertanya lagi kepada Rasul apakah tanda-tanda daripada Tuhan. Mereka menunjukkan lagi kebodohan mereka apabila mereka meminta didatangkan azab. Sudahlah tidak percaya Hari Akhirat malah sanggup pula mereka meminta diazab.

Penentangan Kafir Quraisy sangat keras. Allah ﷻ memberitahu, Nabi-nabi yang terdahulu pun telah menghadapi berbagai bentuk penentangan dan makr. Allah ﷻ telah menurunkan seksaan, bala dan azab kaum yang menentang usaha-usaha nabi-nabi-Nya.

Surah ini juga menceritakan khabar gembira untuk mereka yang menerima seruan tauhid dan melaksanakan perintah Allah ﷻ. Orang-orang yang beriman, beramal soleh, bertaqwa, akan mendapat nikmat dan balasan baik. Ini dapat dilihat nanti dalam Ayat 22 hingga Ayat 24.

Surah ini mempunyai nilai seni bahasa yang tinggi. Ia telah menarik perhatian ahli bahasa. Perumpamaan yang Allah ﷻ gunakan untuk menyampaikan mesej, ada yang secara berpasangan dan ada yang dengan cara berlawanan. Ada yang mencabar pemikiran dan hati sanubari. Dari segi rima bunyi juga, bahagian awalnya surah ini berbunyi “..uun” pada penghujung ayat. Bahagian selepasnya pula berbunyi “…aab.., aar, …aat” dan sebagainya pada setiap penghujung ayat.

Perkaitan surah-surah sebelum dan selepas Surah Ra’d:

Surah Yusuf membentangkan Dalil Tarikhi (dalil sejarah) sementara Surah Ra’d menyuruh manusia berfikir dengan Dalil Aqli Afaqi. Surah Yusuf dan Ra’d mengandungi pengajaran tauhid, risalah dan beriman kepada hari Akhirat. Surah Ibrahim pula lebih menekankan sikap bersyukur dan kufur. Sikap tahu bersyukur boleh membawa seseorang menjadi orang yang beriman.

Surah Ra’d banyak menekankan seruan tauhid: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Sifat Allah ﷻ dan Tauhid Uluhiyyah. Pada permulaan Surah Ar-Ra’d Allah ﷻ menjelaskan DIA-lah Pencipta dan Penguasa langit, bumi dan segala isinya. DIA juga yang mentadbir dan mengatur pergerakan ciptaan-ciptaanNya. Dari sudut Tauhid Rububiyyah Musyrikin Makkah tidak membantah namun mereka tetap mensyirikkan Allah ﷻ dalam menyeru dan berdoa. Ini boleh dilihat dalam ayat 16 nanti. (Katakanlah: “Siapakah Rabb langit dan bumi?” Jawabnya: “Allah”. Katakanlah: “Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu daripada selain Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudaratan bagi diri mereka sendiri”?)

Dalil-dalil yang lain ALLAH ﷻ menyatakan:

Ayat 26: Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.
Ayat 31: Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. ….., sehingga datanglah janji Allah.
Ayat 33:Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tidak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk”.
Ayat 32:maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka. Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!
Ayat 40:sedang Kami-lah yang menghisab amalan mereka.
Ayat 41: Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya), tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya;
Ayat 42: Dan sungguh orang-orang kafir sebelum mereka (kafir Mekah) telah mengadakan tipu daya, tetapi semua tipu daya itu adalah ada dalam kekuasaan Allah….

Dalil yang menunjukkan Tauhid Sifat Allah ﷻ pula ada dibincangkan dalam ayat berikut:

Ayat 6: Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar keras seksa-Nya.
Ayat 8: Allah mengetahui apa yang dikandung oleh perempuan, dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.

Musyrikin Mekah hanya mengagak sahaja sifat-sifat Allah ﷻ dengan sangkaan semata-mata disebabkan mereka ketiadaan wahyu, Mereka percaya sifat mendengar dan ilmu Allah ﷻ itu terbatas. Jika berbisik-bisik secara sulit Allah ﷻ tidakkan tahu. Allah ﷻ membantah sangkaan mereka dalam ayat- ayat berikut:

Ayat 9: Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi.
Ayat 10: Sama saja (bagi Rabb), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) disiang hari.
Ayat 13: Dia-lah Rabb Yang Maha keras seksa-Nya.
Ayat 31: Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.
Ayat 33: Maka apakah Rabb yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya (sama dengan yang tidak demikian sifatnya)?
Ayat 39: Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab (Lauh Mahfuzh).
Ayat 41:dan Dia-lah yang Maha cepat hisab-Nya.

Dalil-dalil yang menerangkan tentang Tauhid Uluhiyyah pula boleh ditemui dalam ayat-ayat berikut:

Ayat 15: Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.
Ayat 16: Katakanlah: “Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu daripada selain Allah, …?
Ayat 21:dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk.
Ayat 30: Katakanlah: “Dialah Rabbku tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain Dia; hanya kepada-Nya aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku bertaubat”.
Ayat 36: Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia. Hanya kepada-Nya aku seru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali”.
Ayat 43: Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan kamu dan antara orang yang mempunyai ilmu Al-Kitab”.


 

Ra’d Ayat 1: Surah ini ada tiga perenggan makro. Daripada ayat 1 sampai ayat 18 adalah tentang seruan kepada Tauhid dan beriman kepada Hari Akhirat.

المر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ ۗ وَالَّذي أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ar-Ra‘d: Thunder.

Alif, Lām, Meem, Rā.¹These are the verses of the Book; and what has been revealed to you from your Lord is the truth, but most of the people do not believe.

  • See footnote to 2:1.

(MALAY)

Alif laam miim raa. Ini adalah ayat-ayat Al Kitab (Al-Qur’an). Dan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar: akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).

 

المر

Alif laam miim raa

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (seandainya baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui. Sekiranya ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Jika Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu perkara apa pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam, miim dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alamar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Ra’d ini (dan banyak surah-surah lain) dan menjadikan ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ

Ini adalah ayat-ayat Al Kitab (Al Qur’an).

Al-Qur’an ini bukanlah kitab yang biasa. Ia merupakan sebuah kitab yang penuh hikmah. Ia menjadi ‘ayat’ (tanda-tanda) kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh melihat Allah ﷻ tetapi kita boleh lihat tanda-tanda-Nya di dalam alam (tanda-tanda yang dilihat) dan di dalam Al-Qur’an ini (tanda-tanda yang dibaca). Semakin banyak kita baca dan cuba mendalami ayat-ayat Al-Qur’an, semakin kita kenal Allah ﷻ dan sayang kepada Allah ﷻ. Tidak kenal maka tidak cinta, bukan?

Oleh itu, janganlah kita pandang ringan kepada Al-Qur’an ini. Hendaklah kita ambil peluang untuk memahami apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an ini dengan belajar tafsir dan tadabbur (bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang). Sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an akan mendapat hikmah. Jika kita memerlukan panduan dalam kehidupan kita maka kita mesti rujuk kepada Al-Qur’an. Panduan itu bukan hanya untuk dunia sahaja, tetapi untuk akhirat.

Adakah Al-Qur’an yang penuh hikmah ini hanya dibaca sahaja tanpa dipelajari isi kandungnya? Tentu tidak, namun malangnya itulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Ada yang hari-hari membaca Al-Qur’an (dan ramai juga yang menghafalnya) tetapi mereka tidak mengambil pelajaran daripada apa yang mereka baca itu kerana mereka tidak faham apa yang dibaca. Kitalah satu-satunya bangsa dalam dunia yang hanya membaca (mengeja) sesuatu tetapi tidak kisah apabila tidak faham apa yang dibaca. Setakat sebut sahaja apa yang dibaca tetapi ‘blur’ tentang maknanya. Masing-masing relaks sahaja dan berpuas hati selepas membaca Al-Qur’an. Malah ada yang bergembira berjaya khatam bacaan Al-Qur’an berkali-kali namun sedikitpun tidak difahami apatah lagi diamalkan apa yang telah dikhatamkan itu.

Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan yang bertentangan dengan ayat-ayat yang mereka sendiri baca. Ini kerana mereka bagaikan burung kakak tua yang menyebut sahaja dengan mulut mereka, tetapi tidak faham apa yang mereka sebutkan. Ada suruhan dan larangan dalam Al-Qur’an itu mereka tidak tahu pun. Bila tidak tahu, maka berkemungkinan besar mereka langgar sahaja larangan yang diberikan Allah ﷻ.

Perkataan تِلْكَ (itulah) adalah kata penunjuk yang bermaksud sesuatu yang ditunjuk itu adalah jauh. Kenapakah begitu? Bukankah Al-Qur’an ini di tangan kita sahaja? Perkataan تِلْكَ dan ذٰلِكَ digunakan dalam Bahasa Arab untuk dua kegunaan: Pertama, untuk memberitahu kepada kita bahawa sesuatu yang ditunjuk itu jauh. Keduanya, untuk memberitahu kepada kita bahawa perkara yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang tinggi dan mulia.

Penggunaan kedua inilah yang digunakan dalam ayat ini. Ini seperti penggunaan ذٰلِكَ di dalam Baqarah: 2 juga,

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Itulah Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Dalam perkataan تِلْكَ ini pun Allah ﷻ sudah isyaratkan tentang kehebatan Al-Qur’an itu. Jangan kita pandang ringan sahaja Al-Qur’an yang di tangan kita kerana ia amat hebat. Belajarlah tafsir dan tadabbur, jangan degil.

Secara ringkasnya, dalam ayat ini Allah ﷻ memperkenalkan kepentingan Al-Qur’an kepada kita. Dalam ayat yang pendek, Allah ﷻ menyebut sifat-sifat Al-Qur’an kepada kita supaya kita tahu dan kita ingat kembali kepentingan Al-Qur’an ini.

 

وَالَّذي أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ

Dan yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar

Allah ﷻ menekankan yang Al-Qur’an itu datangnya daripada-Nya. Maka kita kenalah ambil perhatian kerana ia daripada Tuhan kita, bukannya daripada kerajaan, bukan daripada ibubapa kita, bukan daripada kawan-kawan kita, tetapi daripada Allah ﷻ! Tidak syak lagi yang ia daripada Allah ﷻ. Ini dibuktikan melalui ayat-ayat yang lain.

Al-Qur’an itu bukanlah perkara yang main-main, kerana ia datang membawa al-haq – kebenaran. Oleh itu, kita kena terima yang apa sahaja yang diturunkan kepada kita daripada wahyu itu adalah al-haq – benar.

Namun bagaimanakah sikap masyarakat muslim kita terhadap Al-Qur’an ini? Kalau kita perhatikan mereka rata-ratanya tidak mengendahkan langsung untuk mengetahui apakah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Ramai hanya membaca sahaja tanpa mengetahui apa-apa pun. Maka bagaimana mungkin mereka faham bahawa yang ada di dalam Al-Qur’an ini adalah kebenaran? Kerana jika ia benar, maka tentulah kita berebut-rebut untuk mengetahui kebenaran apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an ini, bukan? Akan tetapi ramai yang tidak tahu langsung.

Satu lagi tafsiran bagi potongan ayat ini, ia merujuk kepada wahyu yang lain. Ini adalah kerana sebelum ini telah disebut تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ (Ini adalah ayat-ayat Al Kitab) yang merujuk kepada Al-Qur’an. Sekarang disebut الَّذي أُنزِلَ إِلَيكَ (yang telah diturunkan kepada engkau) dan di antara dua potongan ayat itu ada harf و (dan) yang memberi indikasi yang ia adalah dua perkara berbeza.

Kesimpulannya wahyu ada dua, satu dalam bentuk Al-Qur’an dan satu lagi dalam bentuk hadith. Hadith juga wahyu tetapi ia disampaikan dalam bentuk lafaz kalimah daripada Rasulullah ﷺ sendiri. Allah ﷻ beri pemahaman dan baginda sampaikan melalui lisan baginda. Dalilnya adalah Najm: 3-4

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ
Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut hawa nafsunya sendiri.

إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يُؤمِنونَ

akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman

Selalu sangat disebut ayat ini, iaitu ramainya yang tidak beriman. Walaupun Al-Qur’an itu jelas daripada Allah ﷻ dan ia mengandungi ajaran kepada kebenaran, namun malangnya ramai yang tidak mahu percaya. Ini adalah kerana ada dalam diri mereka perasaan syak dan kedegilan, dan bimbang untuk meninggalkan kepentingan dunia. Ramai yang menerima Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, tetapi apabila mereka buat tidak tahu dengan maknanya, maka ini bermakna mereka sebenarnya tidak terima pun Al-Qur’an ini.

Makna ayat ini sama dengan makna yang terdapat di dalam firman-Nya dalam ayat berikut:

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya. (Yusuf: 103)

Iaitu kita tidak boleh memaksa orang untuk beriman walaupun kita memang mahu sangat mereka beriman, kerana mungkin mereka itu ahli keluarga kita dan kawan-kawan yang rapat dengan kita. Akan tetapi kita kena terima hakikat bahawa sebahagian besar ataupun majoriti daripada manusia tidak akan beriman walau bagaimana cara pun kita ajak mereka.

Ini kerana kebanyakan manusia bukan kisah pun persediaan kepada Hari Akhirat. Akhirat itu jauh sangat pada mereka, maka mereka hanya pentingkan hal keduniaan sahaja seperti yang Allah ﷻ sebut  dalam Rum: 7

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ
Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) daripada kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Mengapa sampai manusia banyak yang tidak mahu percaya? Sebab mereka tidak mahu memerhatikan alam yang berada di sekitarnya dan tidak mahu sedar di mana kedudukannya sebagai manusia, dalam gabungan dengan alam itu. Sebab itu maka ayat selanjutnya Allah ﷻ memperingatkan manusia tentang Kebesaran Allah ﷻ dan Kekuasaan-Nya di alam ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 September 2023

Ringkasan Surah Ra’d


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 100 Bahagian 2 (Nikmat-nikmat untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ

Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, inilah takwil mimpi baginda dahulu, iaitu semasa baginda masih kecil lagi. Mimpi itu telah disebut di awal surah ini di dalam Ayat 4,

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Di sini memberitahu kepada, ta’bir mimpi mungkin mengambil masa yang lama. Perhatikan di dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, sampai 40 tahun lebih kurang barulah terjadinya apa yang baginda mimpikan. Jadi, kalau kita bermimpi sesuatu akan terjadi, tidaklah terus bermakna ia akan berlaku dengan segera.

Perhatikan kalimah yang sama diulang iaitu يٰأَبَتِ. Ketika kali pertama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut itu adalah ketika baginda masih kecil dan tidak faham apakah maksud mimpinya itu. Dan sekarang kali kedua kita lihat kalimah يٰأَبَتِ diulang, baginda sudah nampak apakah ta’wil yang Allah ‎ﷻ maksudkan. Kisah mimpi itu di awal surah dan sekarang disebut sekali lagi di hujung-hujung surah. Jadi, kisah-kisah lain yang panjang ini adalah antara kisah mimpi itu. Ketika baginda membesar sepanjang masa itu, baginda tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ telah tentukan buat baginda. Ia bagaikan jigsaw puzzle yang belum nampak lagi hasilnya. Ia sepertimana seorang pelukis mencoret-coret atas kanvasnya dan kita pun pelik: apa yang dia hendak buat ini? Hanya apabila puzzle itu telah selesai, lukisan itu telah siap, barulah kita nampak… owh ini yang dia hendak buat…

Allah ‎ﷻlah perancang yang menjadikan semua ini terjadi. Maha Suci Allah! Setiap apa yang terjadi itu adalah susunan dan asbab yang penting di dalam kehidupan; kita sahaja yang tidak tahu. Semuanya adalah cara Allah ‎ﷻ mengajar kita dan telah banyak yang kita belajar daripada surah ini, bukan?

 

جَعَلَها رَبّي حَقًّا

sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. 

Allah ‎ﷻ telah memberikan mimpi itu kepada baginda dan telah menjadikannya benar.

 

Mimpi yang Menjadi Kenyataan Adalah Perjalanan yang Diberi Tujuan

Kisah ini bermula dengan seorang anak lelaki yang berkata kepada bapanya, “Wahai ayahku” (يٰأَبَتِ), ketika menceritakan mimpinya (lihat Ayat 4). Setelah melalui perjalanan hidup yang penuh liku – dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, difitnah, dan dipenjara – baginda akhirnya bertemu semula dengan keluarganya. Pada saat kemuncak ini, baginda mengulangi panggilan yang sama: “Wahai ayahku (يٰأَبَتِ), inilah tafsiran mimpiku dahulu.” Gema panggilan ini menghubungkan titik permulaan dan pengakhiran kisahnya dengan begitu indah.

Namun, ayat seterusnya membawa wawasan yang paling mendalam. Apabila baginda berkata, “Tuhanku telah menjadikannya benar” (قَد جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا‌), baginda bukan sekadar meraikan mimpinya yang menjadi kenyataan. Baginda sedang mengesahkan wawasan kenabian bapanya dari awal lagi. Ingatkah kita apa yang dikatakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas mendengar mimpi itu? Baginda berkata وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ Allah ‎ﷻ akan menyempurnakan nikmat-Nya “ke atasmu DAN ke atas keluarga Ya’qub.” Lihat Ayat 6.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kini melihat gambaran penuh. Kata-katanya “kena tepat” dengan ramalan bapanya. Perkataan حَقًّا bukan sekadar bermaksud “benar,” tetapi juga “tujuan.” Baginda sedar bahawa keseluruhan perjalanannya yang penuh derita, setiap ujian bukanlah peristiwa rawak. Ia adalah proses di mana Allah ‎ﷻ sedang “menjadikan” mimpi itu satu realiti yang penuh tujuan, bukan hanya untuknya, tetapi juga sebagai rahmat untuk seluruh keluarganya, seperti yang telah diramalkan oleh bapanya.

Perjalanan kita menyelami satu ayat ini mengajar kita bahawa walaupun dalam naratif yang paling sering kita dengar, sentiasa ada lapisan hikmah baru yang menanti untuk ditemui. Seperti lautan yang luas, kita mungkin hanya mampu membawa pulang beberapa titisan, tetapi titisan itu sudah cukup untuk menyegarkan jiwa dan memperdalam pemahaman kita.

Ia mengingatkan kita untuk mendekati Al-Qur’an dengan hati yang terbuka, bersedia untuk sentiasa belajar sesuatu yang baru, dan menyedari bahawa setiap penderitaan dalam hidup mungkin adalah sebahagian daripada sebuah perjalanan yang penuh tujuan ilahi. Melihat kepada contoh mulia Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bagaimanakah kita boleh mula memberikan bukan sahaja kasih sayang, tetapi juga ‘takhta penghormatan’ kepada insan-insan penting dalam hidup kita hari ini?

 

وَقد أَحسَنَ بِىٓ إِذ أَخرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجنِ

Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara

Pernahkah anda berada dalam situasi pertemuan semula selepas satu konflik yang panjang dan menyakitkan? Mencari kata-kata yang tepat boleh menjadi sangat sukar. Sering kali, parut luka lama membayangi suasana, menjadikan detik yang sepatutnya gembira menjadi kekok dan tegang. Kisah pertemuan semula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan keluarganya selepas berdekad terpisah adalah satu pengajaran dalam menguruskan emosi, memaafkan, dan menyatakan kesyukuran dengan cara yang paling mendalam dan bijaksana. Mari kita selami wawasan luar biasa melalui ucapan ringkas baginda yang penuh hikmah.

Sekarang baginda memuji-muji Allah ‎ﷻ. Memang baginda menghadapi banyak ujian dan sengsara dalam kehidupan baginda sejak kecil lagi. Namun, lihatlah bagaimana baginda kata Allah ‎ﷻ telah berbuat baik dengan baginda. Kalau orang lain, tentu dua hari tak habis, dia akan cerita segala pengalaman buruk yang telah dialami. Tapi lihatlah dua beranak ini, hanya cerita baik sahaja daripada mereka.

Di sini terserlah ketinggian budi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak sebut pun baginda dikeluarkan dari telaga yang disebabkan oleh abang-abangnya itu. Ini kerana mereka ada di situ dan baginda tidak mahu membuat mereka terasa dan segan. Baginda pun telah kata di dalam Ayat 92: لَا تَثرِيبَ عَلَيكُمُ الْيَومَ (Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu). Maka baginda hanya mengenangkan bagaimana Allah ‎ﷻ mengeluarkan baginda dari penjara (tidak disebut pun kes masuk penjara itu dan berapa lama duduk dalam penjara). Jadi, tidak mahu sedih-sedih tentang kisah di dalam penjara, tetapi sebut dapat keluar dari penjara sahaja. Ini adalah nikmat pertama yang baginda sebut.

Maka ini mengajar kita supaya jangan diulang-ulang kisah lama. Move on sahajalah dan pandanglah ke hadapan. Pepatah Arab ada menyebut: تَجديدُ الذِكرى يُجَدِّدُ الأَلَم (Memperbaharui ingatan (menceritakan semula) akan memperbaharui kesakitan). Jadi buat apa kita menjadikan diri kita sakit semula terkenang kisah lama? Pepatah Arab lain menyebut: القَلبُ الذي لا يَنسَى، هو قلبٌ لَّا يَزَالُ يَنزِف (Hati yang tidak melupakan (kisah sedih), adalah hati yang masih lagi berdarah). Maknanya, ini adalah hati yang tak boleh move on lagi akibat kejadian yang lepas itu. Ini menunjukkan bahawa menceritakan kisah lama bukan sekadar berkongsi maklumat, tetapi petanda emosi yang dia masih terperangkap dalam kejadian tersebut. Maka lupakanlah peristiwa lama dan jangan disebut-sebut lagi. ما زَالَ الجُرحُ في القَلبِ حَيّاً ما دام اللِّسَانُ يَذكُرُهُ (Luka itu akan tetap hidup di dalam hati selagi lidah masih menyebut-nyebutnya).

Dan baginda tidak sebut pun keluar dari penjara baginda terus naik takhta kerajaan Mesir. Ini adalah kerendahan hati di hadapan ibu bapanya. Baginda tidak sebut pun tentang tempat tinggal Baginda sekarang di dalam istana dan Baginda boleh pergi ke mana-mana di Mesir. Kerana betapa tingginya baginda di dalam kehidupan dunia, baginda tetap anak mereka yang baginda patut taat dan hormat. Lagi pun, baginda bukannya memandang kebesaran dan kemewahan dunia. Perhatikan ketika baginda menjadi hamba dan khadam pun, baginda sudah gembira seperti disebut di dalam Ayat 31,

إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌
sungguh tuanku telah memberikan tempat tinggal yang baik bagiku

Perhatikan penggunaan kalimah بِى di sini. Boleh sahaja digunakan kalimah lain seperti أَحسَنَ لى atau أَحسَنَ إلى atau tetapi harf ب memberi isyarat dekat. Kalau digunakan إلى ia memberi isyarat jauh sedangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merasa dekat dengan Allah ‎ﷻ dan kerana itu baginda gunakan kalimah بِى.

 

وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ

dan ketika membawa kamu dari padang pasir, 

Baginda bergembira dengan kedatangan mereka ke Mesir itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah membawa mereka semua keluar dari tanah padang pasir yang tidak ada makanan itu dan sekarang mereka duduk dengan baginda. Jadi mereka tidak perlu risau lagi akan bahaya kebuluran kerana dari saat itu, bab makanan telah selesai. Dahulunya mereka hidup di pedalaman, tapi sekarang mereka telah dibawa ke tempat yang maju (kerana Mesir ketika itu adalah tempat paling maju dan bertamadun). Ini adalah nikmat kedua yang disebut.

Kalimah “ٱلبَدوِ” (al-badu) dalam ayat ini merujuk kepada “padang pasir” atau “daerah pedalaman” yang berlawanan dengan “hadharah” (kota atau daerah perkotaan). Penjelasan para mufassir dan ahli bahasa, Al-badu adalah adalah tanah lapang yang dihuni oleh orang-orang yang memelihara binatang ternak, mereka adalah penduduk padang pasir. Secara asal, al-badu adalah tanah lapang di mana seseorang boleh dilihat dari kejauhan. Ia juga bermaksud tempat yang terbentang luas.

Dalam ucapan baginda, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk menyebut dua nikmat utama yang baru diterimanya: dibebaskan dari penjara dan keluarganya dibawa datang dari kawasan pedalaman. Perhatikan apa yang baginda tidak sebutkan. Tiada langsung ungkitan tentang perigi tempat baginda dibuang, tentang episod perhambaan, atau tentang tuduhan palsu yang membawanya ke penjara.

Pilihan ini menunjukkan kecerdasan emosi yang sangat tinggi. Jika baginda menyebut tentang diselamatkan dari perigi, ia pasti akan mengaibkan saudara-saudaranya di hadapan bapa mereka, Nabi Ya’qub a.s. Jika baginda membangkitkan kisah tuduhan palsu, ia akan membuka semula luka lama yang melibatkan isteri al-Aziz yang telah pun bertaubat. Sebaliknya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk fokus pada kebaikan masa kini, melindungi maruah semua pihak dan memelihara keharmonian pada saat yang paling genting.

Satu frasa yang sangat menonjol ialah apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menganggap kedatangan keluarganya ke Mesir sebagai nikmat yang Allah kurniakan kepada dirinya sendiri. Sedangkan itu adalah nikmat kepada keluarganya, bukan kepada dirinya, bukan? Baginda melihat nikmat kepada keluarga juga adalah nikmat kepada dirinya juga. Al-Qur’an mengajar kita ini. Perhatikan ayat Ahqaf:15 untuk berdoa supaya menghargai nikmat kepada ibubapa juga,

رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku

Ini adalah satu anjakan minda yang radikal. Apa-apa sahaja kebaikan untuk keluarga adalah nikmat untuk kita juga. Dalam kebanyakan keluarga besar, sering wujud persaingan dan hasad dengki. Apabila seorang sepupu mendapat kenaikan pangkat atau membeli rumah baru, yang lain mungkin merasa cemburu. Kerana kita tidak suka orang lain dapat nikmat, walaupun dari kalangan keluarga, bukan? Lihatlah, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu pun dengki dengan adik mereka, bukan? Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita sebaliknya: kebaikan yang diterima oleh ahli keluarga kita adalah sebahagian daripada nikmat Allah ‎ﷻ kepada kita. Rasulullah ﷺ telah sebut tentang perkara ini di dalam sebuah hadith yang masyhur; kita sepatutnya suka orang lain dapat seperti apa yang kita dapat. Daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lebih mendalam lagi, baginda bukan sekadar meraikan satu pertemuan semula. Baginda bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan keluarganya daripada kemiskinan dan bahaya ketika itu, akibat kemarau yang dahsyat, ekonomi telah runtuh, dan keluarganya berada dalam keadaan melarat dan hidup dalam persekitaran yang tidak selamat. Baginda bersyukur kerana Allah ‎ﷻ membawa mereka ke tempat yang aman dan terjamin. Ini mengubah pelajaran ini daripada sekadar semangat kekeluargaan kepada satu pengiktirafan yang mendalam terhadap peranan Allah ‎ﷻ sebagai Pelindung dan Pemberi Rezeki.

 

Perancang Terhebat yang Menisbahkan Rancangannya Kepada Allah

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut dua peristiwa besar: pembebasannya dari penjara dan kedatangan keluarganya ke Mesir. Mari kita bandingkan kedua-duanya:

1. Keluar dari penjara: Ini adalah peristiwa yang langsung tidak berada dalam kawalannya. Ia berlaku semata-mata atas campur tangan ilahi – mimpi raja, ingatan seorang bekas banduan, dan siasatan semula kesnya.

2. Keluarganya datang ke Mesir: Ini pula adalah hasil perancangan yang sangat teliti oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri – meletakkan piala diraja dalam karung saudaranya, tawar-menawar, dan mengatur strategi pertemuan.

Namun, yang mengagumkan, walaupun baginda adalah arkitek di sebalik kedatangan keluarganya, baginda tetap menisbahkan peristiwa itu sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ dengan berkata, “…dan Dia membawa kamu semua…”. Ini menunjukkan kerendahan hati yang mutlak dan kesedaran penuh bahawa sehebat mana pun perancangan kita, ia hanya akan berjaya dengan izin Allah. Ini mengajar kita bahawa sama ada rancangan kita berjaya atau kebaikan datang tanpa kita duga, kesedaran seorang mukmin sejati ialah: “Bukan rancanganku yang berhasil, tetapi Allah ‎ﷻ-lah yang menjayakannya.”

Ada satu lagi kaitan yang amat besar antara keluarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari penjara dan datangnya keluarga baginda ke Mesir. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari penjara dan baginda dijadikan sebagai Menteri Kewangan Mesir, baginda telah dapat menyelamatkan rakyat Mesir yang entah berapa ribu orang itu dan penduduk sekitar dari kebuluran. Dengan kedudukan baginda itu, baginda dapat membawa keluarga baginda ke Mesir yang kemudiannya akan menjadi golongan Bani Israil. Mereka akan hidup membiak di situ dan menjadi sebahagian daripada penduduk yang penting di Mesir. Kemudian setelah sekian lama, bangsa asal Mesir iaitu puak Qibti tidak puas hati dengan golongan pendapat yang jadi kaya dan dapat banyak kuasa itu, maka mereka telah ditindas dan dijadikan sebagai hamba di bawah pemerintahan Firaun. Ini kita tahu dari sejarah, bukan?

Kita tahu bagaimana mereka ditindas dan diseksa seperti binatang, sampai anak-anak lelaki mereka dibunuh dan anak perempuan dijadikan hamba seks sekian lama. Banyak pendapat yang mengatakan mereka dijadikan hamba selama lebih kurang 400 tahun. Ada yang kata lagi pendek seperti 150 tahun dan ada yang kata lagi lama sampai 630 tahun. Tapi lamalah. Tapi daripada penindasan itu siapa yang lahir? Kita pun tahu kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diselamatkan daripada dibunuh dan akhirnya menjadi Nabi paling besar dalam sejarah Bani Israil. Baginda diberikan Kitab Taurat yang menjadi pedoman hidup bagi Bani Israil. Semua ini bertitik tolak dari dua hal ini lah: Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara dan keluarga baginda dimasukkan ke dalam Mesir.

Dan baginda bersyukur atas nikmat keluarga baginda bersama dengan baginda sekarang. Yang baginda tidak rasa setelah sekian lama. Baginda tidak merasa ada adik-beradik, tidak dapat bermanja lama dengan ibu dan bapanya, tidak mendengar nasihat bapanya sudah sekian lama. Ini mengajar kita tentang kepentingan keluarga, bukan? Yang didambakan oleh setiap orang yang kesunyian hidup keseorangan di rantau orang atau anak  yatim piatu. Mereka merasa kehilangan yang tidak dapat digambarkan. Hidup mereka nampak senang sahaja, akan tetapi hati mereka ada satu kekosongan yang tidak dapat dipenuhi. Itulah nikmat keluarga yang selalunya kita pandang rendah sahaja. Kadang kita rasa menyampah dengan ibu dan bapa kita, dengan adik-beradik kita pula. Kita rasa mereka ini menyusahkan kita, menyesakkan kita sahaja dengan perangai mereka. Tapi cuba cakap kepada orang yang tidak ada keluarga, apa kata mereka?

 

مِنۢ بَعدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيطَـٰنُ بَينِى وَبَينَ إِخوَتِىٓ‌

setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. 

Baginda bersyukur kerana mereka sekarang dapat bersama, walaupun syaitan sudah cuba memisahkan antara baginda, bapanya dan adik-beradik baginda. Lihatlah bagaimana sekarang baginda sudah memanggil mereka itu ‘saudara’ baginda. Dahulu tidak begitu.

Kalimah نَزَغَ bermakna “menghasut”, “menggoda”, atau “mengganggu dengan tujuan merosak”. Para ulama tafsir menjelaskan bahawa نَزَغَ di sini bererti perbuatan syaitan yang menimbulkan kerosakan, permusuhan, atau kebencian di antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudara-saudaranya. Beberapa penjelasan daripada kitab tafsir dan kamus:

  • Ibn Athiyah menyebutkan bahawa نَزَغَ adalah perbuatan syaitan di hati atau tangan seseorang, berupa penanaman kemarahan, dendam, atau dorongan untuk melakukan kejahatan, sehingga menyebabkan permusuhan atau kerosakan di antara manusia.
  • Dalam “عمدة الحفاظ”, disebutkan bahawa نَزَغَ bererti “menghasut” atau “merosak”, dan asal katanya adalah masuk ke dalam suatu urusan untuk merosaknya.
  • Tafsir al-Tabari juga menegaskan bahawa نَزَغَ adalah kerosakan, iaitu syaitan merosak hubungan di antara suatu kaum, sehingga mereka saling bermusuhan.
  • Tafsir al-Mizan menyebutkan: نَزَغَ adalah masuk ke dalam suatu urusan untuk merosaknya, dan sering kali berupa dorongan atau godaan yang menimbulkan kemarahan atau permusuhan.

Jadi, maksud نَزَغَ di sini merujuk kepada perbuatan syaitan yang menimbulkan permusuhan, kerosakan, atau kebencian di antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudara-saudaranya, sehingga terjadi konflik di antara mereka. Dengan menggunakan kalimah نَزَغَ ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan hubungan abang-abangnya itu sebenarnya harmonis sahaja dengan baginda, sehinggalah syaitan datang menghasut mereka. Maknanya baginda menyalahkan syaitan dan bukan abang-abangnya itu. Baginda ingat nasihat ayahnya supaya jangan cerita tentang mimpi baginda ketika baginda kecil itu kerana ia akan menyebabkan syaitan mengambil peluang. Ini kita lihat di dalam Ayat 5 awal-awal dahulu: إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ (Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia)

Walaupun abang-abang baginda telah membuat banyak kesalahan terhadap dirinya, baginda tidak mencela abang-abang baginda. Baginda tidak sentuh pun tentang telaga yang mereka tinggalkan baginda di dalamnya. Ini kerana mereka yang meninggalkan baginda di situ, maka baginda tidak mahu mengenangkan perkara itu. Oleh itu, baginda hanya menyebut tentang penjara sahaja yang tidak ada kena-mengena dengan mereka. Baginda tidak sebut pun kesalahan abang-abangnya itu; sebaliknya, baginda menyalahkannya syaitan kerana telah menghasut abang-abangnya itu.

Ayat ini mengajar kita bahawa gangguan kepada perhubungan saudara mara adalah kerana hasutan syaitan. Sekarang kita lihat banyak saudara mara bertelagah atau tidak bertegur sapa. Ada macam-macam sebab yang menyebabkan ia tercetus, tapi yang menyebabkan ia berterusan adalah syaitan. Kerana syaitan akan menggunakan peluang cetusan yang terjadi itu untuk memanaskan lagi isu tersebut. Hasilnya syaitan menang apabila ahli keluarga sesama sendiri tidak bertegur sapa kerana mereka telah memutuskan silaturrahim. Sedangkan ada banyak ayat Al-Qur’an dan hadis yang mengajar umat Islam menjaga silaturahim. Namun, semua ini orang kita buat tidak kisah dan buang ke tepi sahaja.

Maka, kalau kita boleh faham perkara ini, kita akan berhati-hati untuk terus mendengar hasutan syaitan itu. Allah ‎ﷻ telah ajar kita bagaimana hendak menangani hasutan syaitan ini di dalam A’raf:200-202

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ نَزۡغٌ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٢٠٠) إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّہُمۡ طَـٰٓٮِٕفٌ مِّنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ تَذَڪَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ (٢٠١) وَإِخۡوٰنُهُمۡ يَمُدُّونَہُمۡ فِى ٱلۡغَىِّ ثُمَّ لَا يُقۡصِرُونَ (٢٠٢)
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (200) Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (201) Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu). (202) 

Ringkasan dari ayat ini, kena perasan bila syaitan cuba menghasut kita dan ketika itu mintalah perlindungan dari Allah. Jadi kena ingat Allah selalu, kena sedar yang Allah tidak suka kita mendengar hasutan syaitan dan tidak suka kita memutuskan silaturahim.

Kepentingan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut “بَينِى” (antara aku) sebelum “وَبَينَ إِخوَتِى” (dan antara saudara-saudaraku) dalam ayat ini untuk menunjukkan akhlak mulia dan kelembutan hati baginda dalam menghadapi peristiwa masa lalu bersama saudara-saudaranya. Dengan menyebut “antara aku dan saudara-saudaraku”, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui bahawa konflik itu melibatkan kedua-dua pihak, bukan hanya satu pihak yang bersalah. Ini adalah cara yang sangat halus untuk meredakan perasaan dan mengelakkan permusuhan berpanjangan. Susunan ini mengajar umat Islam agar tidak menuding jari atau menyalahkan orang lain secara langsung dalam konflik, sebaliknya, mengakui peranan syaitan dan berusaha untuk memaafkan serta memperbaiki hubungan.

Sekarang perhatikan susunan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut satu per satu nikmat yang baginda telah terima daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita kena kembali susunan ujian musibah yang diterima oleh baginda, susunannya begini:

1. Kezaliman abang-abangnya ke atas dirinya
2. Perpisahan daripada bapanya
3. Azab di dalam penjara

Akan tetapi, apabila baginda bercerita tentang pengalaman hidup baginda itu yang baginda ceritakan sebagai nikmat, baginda menyusun terbalik pula. Baginda mula dengan penjara dahulu.

1. Baginda memulakan nikmat yang dikeluarkan dari penjara. أَخرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجنِ. Baginda tidak sebut pun bagaimana baginda dimasukkan ke dalam penjara dan kesusahan yang baginda alami di dalamnya. Baginda sebut positif sahaja bagaimana baginda dikeluarkan. Perhatikan baginda tidak sebut pun ‘penjara’ di dalam telaga kerana baginda telah sebut yang baginda tidak akan mencerca mereka seperti disebut di dalam Ayat 92 لَا تَثرِيبَ عَلَيكُمُ الْيَومَ (Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu). Baginda simpan sahaja kisah itu kerana tidak mahu abang-abangnya rasa malu.

2. Baginda menyebut tentang nikmat disatukan kembali dengan bapanya (وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ) tapi tidak sebut pun kenapa mereka dipisahkan dahulu. Dengan nikmat, mereka dibawa ke Mesir untuk bertemu dengan baginda, maka mereka telah dikeluarkan dari tempat yang makanannya kurang dan hidupnya susah.

3. Patutnya baginda sebut kisah abang-abangnya telah membuang baginda ke dalam telaga itu. Tapi sebaliknya, apa yang baginda sebut? مِنۢ بَعدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيطَـٰنُ بَينِى وَبَينَ إِخوَتِىٓ‌. Baginda tidak menyalahkan abang-abangnya itu, sebaliknya menyalahkan syaitan! Seolah-olah baginda hendak memberitahu yang kalau buat kerana syaitan, tidaklah abang-abangnya itu melakukan sedemikian.

Begitulah adab seorang Nabi yang amat jauh daripada kita. Kalau kita, satu kampung kita akan cerita berulang-ulang tentang kepayahan yang dialami. Kalau bab nikmat, tak sebut pula bagaimana entah berapa banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Begitulah Allah ‎ﷻ sebut tentang kebanyakan manusia di dalam Aadiyat:6

إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ
sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

 

إِنَّ رَبِّى لَطِيفٌ لِّمَا يَشَآءُ‌

Sesungguhnya Tuhanku Maha Halus terhadap apa yang Dia kehendaki.

Maksudnya rancangan Allah ‎ﷻ amat halus, segalanya Dia yang uruskan, sama ada besar atau kecil, sampaikan kita tidak tahu apa yang Dia buat dan bagaimana perkara itu boleh terjadi dan apakah hikmah di sebaliknya.

Mari kita bincangkan sedikit tentang kalimah لَطِيفٌ yang hebat ini. Kalimah “لَطِيفٌ” (Latif) adalah salah satu nama dan sifat Allah yang agung dalam Al-Qur’an. Kalimah لَطِيفٌ daripada ل ط ف yang mengandungi makna lembut, halus atau kecil. Pakar bahasa mengatakan ia bermaksud Allah ‎ﷻ melimpahkan kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya secara tersembunyi dan tertutup, tanpa diketahui oleh mereka; serta Allah ‎ﷻ menciptakan untuk mereka asbab-asbab yang mereka tidak duga.

Oleh itu, secara bahasa, “لطف” bermakna kelembutan, kebaikan, kehalusan, dan sesuatu yang sangat kecil atau halus sehingga sulit ditangkap oleh pancaindera manusia. Dalam konteks sifat Allah, makna “Latif” memiliki beberapa penjelasan penting:

Θ Allah Maha Lembut dan Maha Halus dalam Perlakuan kepada Hamba-Nya
Allah ‎ﷻ bersikap lembut, penuh kasih sayang, dan memperlakukan hamba-Nya dengan penuh kebaikan, baik kepada orang beriman mahupun yang bermaksiat. Allah ‎ﷻ sangat lembut kepada hamba-Nya, penuh kasih, baik kepada orang baik mahupun jahat, tidak membinasakan mereka kerana dosa, lembut dalam perhitungan amal, dan dalam mendatangkan manfaat serta menolak bencana).

Θ Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu yang Halus dan Tersembunyi Kalimah “اللَّطِيف” juga bermakna Allah mengetahui segala sesuatu yang sangat halus, kecil, dan tersembunyi, baik dalam ciptaan-Nya mahupun dalam urusan hamba-Nya. Oleh itu, Al-Latif adalah yang menggabungkan kelembutan dalam perbuatan dan pengetahuan tentang hal-hal yang sangat terperinci serta mampu menyampaikannya kepada yang berhak.

Θ Allah Maha Memberi Rezeki dan Kebaikan dengan Cara yang Tidak Terduga
Allah ‎ﷻ memberikan rezeki, kebaikan, dan pertolongan kepada hamba-Nya dari arah yang tidak mereka sangka, dengan cara yang sangat halus dan penuh hikmah. Dia lembut dalam memberi rezeki: pertama, memberi dari yang baik-baik; kedua, tidak sekaligus agar tidak dibuang-buang.

Θ Allah Maha Lembut dalam Penciptaan Makhluk yang Halus dan Kecil
Allah ‎ﷻ menciptakan makhluk yang sangat kecil dan halus, seperti mikroorganisma, serangga kecil, dan tumbuhan halus, yang tidak mudah dilihat oleh mata manusia.

Θ Allah Maha Lembut dalam Hidayah dan Perlindungan
Allah ‎ﷻ memberikan hidayah, perlindungan, dan pertolongan kepada hamba-Nya dengan cara yang sangat halus, kadang tidak disedari oleh manusia. Dia lembut kepada hamba-Nya dalam urusan batin dan lahir, mendatangkan kebaikan dari arah yang tidak disedari.

Θ Allah Maha Lembut dalam Pengampunan dan Penutupan Aib
Allah ‎ﷻ menutupi aib hamba-Nya, mengampuni dosa, dan tidak mempermalukan mereka di dunia mahupun akhirat. Latif adalah yang menampakkan kebaikan, menutupi keburukan, mengampuni kesalahan, memberi lebih daripada cukup, dan membebani sesuai kemampuan.

Sifat لَطِيفٌ layak bagi Allah ‎ﷻ kerana Dia yang mengetahui selok belok rahsiaNya yang halus. Kerana itu Allah ‎ﷻ boleh rancang segala-galanya. Perhatikan perjalanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ satu per satu, yang satu perkara membawa kepada perkara yang lain. Cantik sahaja Allah ‎ﷻ atur yang manusia memang tidak boleh mengaturnya. Kemudian Allah ‎ﷻ menyampaikannya kepada hamba dengan cara lemah lembut dan bukan dengan kekerasan.

Penggunaan nama ini dalam konteks ayat yang kita sedang bincangkan ini sangat erat kaitannya dengan perjalanan hidup Nabi Yusuf dan bagaimana Allah ﷻ mengatur segala urusannya dengan penuh kelembutan, hikmah, dan cara-cara yang tidak disedari oleh manusia. Penjelasan kaitannya:

  1. Lembut dan Halus dalam Menyampaikan Kebaikan. Allah ﷻ menunjukkan sifat-Nya yang “Latif” kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan cara-cara yang sangat halus dan penuh hikmah, seperti menyelamatkannya daripada niat jahat saudara-saudaranya, mengeluarkannya dari sumur, membawanya ke Mesir, menyelamatkannya dari fitnah isteri Al-Aziz, hingga akhirnya diangkat menjadi penguasa di Mesir. Semua peristiwa ini terjadi dengan cara yang tidak terduga dan penuh kelembutan, sehingga Yusuf sendiri mengakui: ﴾إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِّمَا يَشَاءُ﴿.
  2. Para mufassir menjelaskan bahawa “Latif” bererti Allah menyampaikan kebaikan kepada hamba-Nya dengan cara yang sangat halus, kadang tidak disedari oleh manusia. Dalam kisah Nabi Yusuf, segala kesulitan yang dialaminya menjadi jalan menuju kemuliaan dan kebahagiaan, yang hanya boleh terjadi kerana kelembutan dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ.
  3. Nama “Latif” juga bermakna Allah Maha Mengetahui segala hal yang tersembunyi dan Maha Bijaksana dalam mengatur urusan hamba-Nya. Dalam ayat ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegaskan bahawa segala yang terjadi padanya adalah hasil daripada pengetahuan dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ yang sangat halus dan mendalam.
  4. Kisah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah contoh nyata bagaimana Allah “Latif” dalam mengatur takdir: dari mimpi masa kecil, dijauhkan dari keluarga, difitnah, dipenjara, hingga akhirnya dipertemukan kembali dengan keluarganya dalam keadaan mulia. Semua ini adalah bentuk “luthf” (kelembutan) Allah yang luar biasa

Begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakhiri bahagian ucapannya dengan berkata, Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut (Latif) tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya. Nama Allah, “Al-Latif,” membawa makna yang sangat mendalam. Ia menggambarkan satu paradoks yang mustahil wujud pada makhluk: Allah adalah Maha Perkasa (Al-Qawiyy) dan pada masa yang sama Maha Halus (Al-Latif). Di dunia ini, semakin berkuasa sesuatu, seperti bom, semakin kurang ketepatannya. Sebagai contoh, anda hendak ambil sesuatu yang halus daripada batu macam kerja-kerja arkeologi. Takkan anda hendak gunakan bom pula, bukan? Anda kena buat kerja dengan amat halus sekali. Atau anda bayangkan seorang ahli bina badan yang besar dan suruh dia memasukkan benang dalam jarum. Mesti tak boleh punya! Anda tidak boleh menjadi sangat berkuasa dan sangat halus serentak. Tetapi Allah boleh.

Untuk memahami konsep ini, bayangkan ada sebiji benih sawi yang sangat rapuh terperangkap jauh di dalam sebongkah batu yang padu. Anda diberi tugasan untuk mengeluarkan benih itu tanpa sebarang kerosakan. Walaupun anda mempunyai alat yang paling berkuasa, ia pasti akan memusnahkan benih itu. Di sinilah sifat “Al-Latif” Allah terserlah: Allah ‎ﷻ mampu mencapai sasaran yang paling halus dan tersembunyi dengan kuasa-Nya yang mutlak, tanpa menyebabkan sebarang kerosakan sampingan.

Nabi Yusuf melihat seluruh hidupnya sebagai manifestasi rancangan Allah yang “Latif”. Baginda faham bahawa pembebasannya dari penjara bukan hanya untuk dirinya, tetapi sebahagian daripada rancangan Allah yang lebih besar dan halus untuk menyelamatkan Mesir. Pemahaman tentang bagaimana Allah ‎ﷻ merancang masa lalunya memberinya keyakinan tentang masa depan. Baginda sedar bahawa kedatangan keluarganya ke Mesir pastinya permulaan kepada satu lagi rancangan Allah ‎ﷻ yang agung dan halus, walaupun baginda belum tahu apakah ia, yang kemudiannya membawa kepada keturunan Bani Israil dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Selalunya لَطِيفٌ ini selalu diterjemahkan sebagai ‘yang lembut’; akan tetapi kalau kita gunakan ‘yang halus’ lebih sesuai. Memang ada sedikit elemen lembut di dalam kalimah لَطِيفٌ akan tetapi lebih banyak kepada ‘halus’. Iaitu Allah ‎ﷻ buat kerja dengan sangat halus sampai kita tidak perasan. Apabila Orang Melayu kita faham dengan ‘lembut’, maka ramailah yang salah faham dan salah guna. Ramai yang meratib ya Latif, ya Latif kerana kononnya hendak melembutkan hati, sama ada hati sendiri atau hati orang lain. Ada yang sampai hembus ubun anak-anak, hembus muka suami ketika tidur kerana hendak melembutkan mereka. Padahal itu adalah cara menggunakan Asmaul Husna yang salah. Tapi begitulah Orang Melayu jauh daripada ilmu agama dan hanya ikut sahaja ajaran daripada ahli agama yang juga kurang ilmu agama. Nama لَطِيفٌ bukanlah untuk dizikirkan, akan tetapi untuk difahami sebenarnya. Dan itulah yang kita sedang lakukan sekarang.

 

إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَكِيمُ

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Segala perancangan Allah ‎ﷻ amat cantik kerana Dia yang Maha Bijaksana. Kita selalunya tidak nampak hikmah di sebalik perancangan Allah ‎ﷻ itu. Apabila kita sudah terima yang Allah ‎ﷻ itu Maha Bijaksana, maka kita kenalah terima apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah, sedang dan akan lakukan. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya dan Dia yang merancang segala yang terjadi.

Apabila kita tidak faham tentang sifat Allah ini, maka kita akan mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ. Kita sibuk tanya kenapa Allah ‎ﷻ tak buat itu dan ini? Macamlah kita pandai sangat, lebih pandai merancang daripada Allah ‎ﷻ. Tapi apabila kita faham Allah ٱلعَلِيمُ ٱلحَكِيمُ maka kita tidak akan mempersoalkan Dia lagi. Kerana kita tahu yang Allah Maha Mengetahui dan Bijaksana di dalam merancang. Siapa kita untuk mempersoalkan perancangan Allah ‎ﷻ? Sedar diri sikit.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sekadar cerita tentang penderitaan dan kemenangan. Ia adalah panduan tentang keagungan peribadi, kerendahan hati yang mendalam, dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap perancangan Allah ‎ﷻ. Ucapan ringkasnya mengandungi pelajaran sepanjang hayat tentang cara memandang masa lalu dengan redha dan masa depan dengan harapan.

Persoalan untuk kita renungkan: Bagaimanakah kita boleh mula menerapkan kebijaksanaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dalam hubungan kita dengan keluarga dan dalam cara kita melihat kembali ujian-ujian dalam hidup kita sendiri?

Berikut adalah pengajaran ringkas yang boleh diambil:

Kehidupan adalah Perjalanan yang Bertujuan – Segala ujian pahit yang dilalui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dibuang ke perigi, dijual, difitnah, dipenjara) bukanlah peristiwa rawak, tetapi merupakan susunan Allah untuk menjadikan mimpi dan tujuan hidupnya suatu kenyataan.

Fokus kepada Kebaikan, Bukan Luka Lama – Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya menyebut nikmat dikeluarkan dari penjara dan tidak mengungkit kisah dibuang ke dalam perigi. Ini bertujuan untuk menjaga maruah saudara-saudaranya dan mengelakkan mereka merasa malu atau segan. 

Kecerdasan Emosi yang Tinggi – Dalam berkomunikasi, pilihlah kata-kata yang fokus pada kebaikan masa kini bagi melindungi harmoni keluarga dan mengelakkan luka lama berdarah kembali.

Kejayaan adalah Milik Allah Semata-mata – Walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang merancang strategi untuk membawa keluarganya ke Mesir, baginda tetap bersifat rendah hati dengan menisbahkan kejayaan itu sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

Menyalahkan Syaitan untuk Berdamai – Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah nazagha untuk menyatakan bahawa konflik dahulu adalah hasutan syaitan, bukannya kesalahan mutlak abang-abangnya. Ini adalah cara halus untuk memperbaiki hubungan tanpa menuding jari.

Memahami Sifat Al-Latif (Maha Halus) – Allah ‎ﷻ merancang segala-galanya dengan sangat halus dan lembut sehingga manusia tidak menyedari bagaimana kesulitan boleh menjadi jalan menuju kemuliaan.

Redha dengan Kebijaksanaan Allah ‎ﷻ – Kita perlu menerima segala ketentuan-Nya tanpa mempersoalkannya kerana Allah ‎ﷻ adalah Al-Alim (Maha Mengetahui) dan Al-Hakim (Maha Bijaksana) dalam setiap perancangan-Nya.

Menghargai Nikmat Keluarga – Kehadiran keluarga adalah nikmat besar yang sering dipandang rendah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menganggap kebaikan yang diterima oleh ahli keluarganya sebagai nikmat kepada dirinya sendiri juga.

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap konteks sumber yang diberikan.

1. Apakah kepentingan pengulangan kalimah يٰأَبَتِ (Wahai ayahku) oleh Nabi Yusuf pada penghujung kisahnya berbanding di awal surah?

2. Menurut tafsiran, apakah maksud yang lebih mendalam bagi perkataan حَقًّا (benar) dalam frasa “Tuhanku telah menjadikannya benar”?

3. Mengapakah Nabi Yusuf memilih untuk menyebut nikmat dibebaskan dari penjara dan bukannya diselamatkan dari perigi semasa pertemuan semula dengan keluarganya?

4. Bagaimanakah Nabi Yusuf menunjukkan bahawa nikmat yang diterima oleh keluarganya juga merupakan nikmat untuk dirinya sendiri?

5. Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah ٱلبَدوِ (al-badu) dan kenapa kedatangan keluarganya dari tempat ini dianggap satu nikmat?

6. Siapakah yang dipersalahkan oleh Nabi Yusuf a.s. atas konflik antara baginda dan saudara-saudaranya, dan apakah tujuan di sebalik tindakan ini?

7. Jelaskan maksud kalimah نَزَغَ (nazagha) berdasarkan penjelasan para ulama tafsir yang disebut dalam teks.

8. Huraikan dua aspek utama makna nama Allah, لَطِيفٌ (Latif), seperti yang dibincangkan dalam sumber.

9. Walaupun Nabi Yusuf a.s. adalah perancang di sebalik kedatangan keluarganya ke Mesir, bagaimanakah baginda menisbahkan kejayaan tersebut sepenuhnya kepada Allah?

10. Apakah kaitan antara sifat Allah ٱلعَلِيمُ (Maha Mengetahui) dan ٱلحَكِيمُ (Maha Bijaksana) dengan penerimaan kita terhadap perancangan-Nya?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi dan Konteks
تَأوِيلُ (Ta’wil)
Ta’bir atau tafsiran mimpi. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada kenyataan mimpi Nabi Yusuf a.s. semasa kecil yang melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan sujud kepadanya, yang kini menjadi realiti.
حَقًّا (Haqqan)
Bermaksud “suatu kenyataan” atau “benar”. Ia juga membawa maksud “tujuan”, menandakan bahawa keseluruhan perjalanan hidup Nabi Yusuf a.s. adalah sebuah proses yang bertujuan, dirancang oleh Allah untuk menjadikan mimpinya satu realiti.
بِى (Bi)
Harf (kata sendi) yang memberi isyarat kedekatan. Penggunaan kalimah “أَحسَنَ بِى” (berbuat baik kepadaku) menunjukkan Nabi Yusuf a.s. merasa sangat dekat dengan Allah, berbanding penggunaan “إلى” yang memberi isyarat jauh.
ٱلبَدوِ (Al-Badu)
Merujuk kepada “padang pasir” atau “daerah pedalaman” yang berlawanan dengan kota (“hadharah”). Ia adalah tanah lapang yang dihuni oleh penternak dan penduduk padang pasir.
نَزَغَ (Nazagha)
Bermaksud “menghasut”, “menggoda”, atau “mengganggu dengan tujuan merosak”. Ia merujuk kepada perbuatan syaitan yang menimbulkan kerosakan, permusuhan, kebencian, atau dendam di antara manusia untuk merosakkan hubungan mereka.
لَطِيفٌ (Latif)
Salah satu nama Allah yang bermakna Maha Halus. Ia merangkumi beberapa makna:
1. Maha Lembut dan Halus dalam Perlakuan: Allah melimpahkan kurnia-Nya secara tersembunyi dan penuh kasih sayang.
2. Maha Mengetahui Perkara Tersembunyi: Allah mengetahui segala sesuatu yang sangat halus dan kecil.
3. Maha Memberi dengan Cara Tidak Terduga: Memberi rezeki dan pertolongan dari arah yang tidak disangka-sangka.  
4. Maha Lembut dalam Hidayah dan Perlindungan: Memberi petunjuk dengan cara yang tidak disedari manusia. Sifat ini menunjukkan Allah mampu mencapai sasaran paling halus dengan kuasa-Nya yang mutlak tanpa kerosakan.
ٱلعَلِيمُ ٱلحَكِيمُ (Al-‘Alim Al-Hakim)
Gabungan dua nama Allah yang bermaksud “Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Ia menegaskan bahawa segala perancangan Allah adalah yang terbaik kerana didasari oleh ilmu-Nya yang mutlak dan kebijaksanaan-Nya yang sempurna.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 100 Bahagian 1 (Sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ )

Yusuf Ayat 100: Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah antara naratif yang paling menyentuh hati dan lengkap dalam Al-Qur’an. Kita mungkin sudah biasa dengan plot utamanya: mimpi, perigi, godaan, penjara, dan akhirnya kekuasaan. Namun, seperti lautan, Al-Qur’an menyimpan kedalaman yang tidak terhingga. Walaupun kita berulang kali menyelaminya, sentiasa ada mutiara hikmah baru yang menanti untuk ditemui.

Tulisan ini cuba mendedahkan beberapa pengajaran yang berwawasan dan mungkin mengejutkan, yang digali daripada perbincangan mendalam tentang satu ayat sahaja (Ayat 100) daripada Surah Yusuf. Ini membuktikan betapa luasnya kebijaksanaan yang terkandung dalam kalam Allah, di mana renungan yang teliti boleh membuka pintu kepada pemahaman yang tidak pernah kita jangkakan. Ia mengingatkan kita tentang satu hakikat yang indah: …pada akhirnya, walaupun setelah menghabiskan seumur hidup merenungi Al-Qur’an, kita akan menyedari bahawa kita hanya mampu membawa pulang beberapa titisan hikmahnya; kita tidak akan sekali-kali dapat memiliki seluruh lautan itu…

وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى ٱلعَرشِ وَخَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًا‌ۖ وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا‌ۖ وَقد أَحسَنَ بِىٓ إِذ أَخرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجنِ وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ مِنۢ بَعدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيطَـٰنُ بَينِى وَبَينَ إِخوَتِىٓ‌ۚ إِنَّ رَبِّى لَطِيفٌ لِّمَا يَشَآءُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَكِيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he raised his parents upon the throne, and they bowed to him in prostration.¹ And he said, “O my father, this is the explanation of my vision of before. My Lord has made it reality. And He was certainly good to me when He took me out of prison and brought you [here] from bedouin life after Satan had induced [estrangement] between me and my brothers. Indeed, my Lord is Subtle in what He wills. Indeed, it is He who is the Knowing, the Wise.

  • That of greeting and respect, which was lawful until the time of Prophet Muḥammad (). Prostration to any person or object other than Allāh was then prohibited conclusively.

(MALAY)

Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ

Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menaikkan ibubapa baginda ke pentas/singgahsana. Ini kalau kita bayangkan baginda berada di atas pentas takhta dan menaikkan ibubapanya ke atas. Kalau dalam mimpi baginda yang disebut di awal surah ini, mereka berdua inilah yang diisyaratkan sebagai matahari dan bulan.

 

Menghormati Ibu Bapa Bukan Sekadar Kasih Sayang, Tetapi Juga Status

Apabila keluarganya tiba di Mesir, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan dua peringkat penghormatan yang sangat teliti kepada kedua ibu bapanya, menangani keperluan emosi mereka yang paling dalam. Kita kena ingat yang ketika usia meningkat, ibu bapa yang dahulunya menjadi pelindung kita seringkali bertukar peranan. Mereka mungkin kehilangan kebebasan, merasa tidak selamat, dan bimbang menjadi tidak relevan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memahami fitrah ini dengan sempurna.

Tindakan pertama baginda adalah “menarik kedua ibu bapanya ke dalam pelindungannya” (ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ) seperti yang telah disebut di dalam Ayat 99. Ini adalah isyarat fizikal, seperti pelukan hangat, yang memberikan kasih sayang dan rasa selamat. Ia adalah cara baginda memberitahu mereka, “Kini, emak dan ayah berada di bawah jagaan saya. Semuanya akan baik-baik saja.” Ia secara langsung meredakan kebimbangan dan rasa tidak selamat yang mungkin mereka rasai.

Tindakan kedua pula adalah “menaikkan mereka ke atas takhta” (وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ). Ini lebih daripada sekadar isyarat kasih sayang. Ia adalah satu tindakan untuk menangani kebimbangan tentang status dan relevansi. Dengan meletakkan mereka di tempat tertinggi, baginda memastikan mereka tidak merasa rendah diri atau terintimidasi oleh kedudukan baginda. Ia adalah tentang memberikan penghormatan dan mengekalkan status mereka sebagai ibu bapa yang mulia. Ini kerana mungkin mereka berasa rendah diri kerana dahulu mereka yang menjaga baginda dan berada di kedudukan atas, tetapi sekarang ia sudah terbalik. Namun, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi isyarat yang mereka masih lagi tinggi di sisi baginda.

Pengajaran ini amat mendalam: apabila menjaga ibu bapa yang semakin tua, tindakan kita bukan sahaja perlu menunjukkan kasih sayang, tetapi juga perlu membuat mereka berasa dihormati, dihargai, dan status mereka sebagai ibu bapa sentiasa terpelihara. Takhta kerajaan adalah sesuatu yang tinggi dan boleh menjadi pemisah di antara manusia, bukan? Jadi apabila baginda menaikkan mereka ke atas pentas takhta, baginda menghilangkan jurang perbezaan itu. Orang lain mungkin kena memandang tinggi kepada baginda, tetapi ibu bapa baginda tidak perlu. Jadi mereka tidak perlu fikir yang mereka sekarang bercakap dengan Al-Aziz Mesir, tetapi bercakap dengan anak mereka sendiri. Baginda tetap anak mereka, tidak kira betapa tinggi pun kedudukan baginda di mata dunia. Begitulah kedudukan dalam dunia ini, tidak ada apa-apa pun kalau dibandingkan dengan pangkat ibu dan bapa yang akan sentiasa tinggi sahaja.

Penghormatan ini menjadi lebih mendalam apabila kita mengkaji simbolisme ‘takhta’ (العَرشِ) itu sendiri. Ia bukan sekadar sofa istimewa atau kerusi kehormat. Takhta adalah pusat kekuasaan. Bayangkan ia seperti “Pejabat Oval” seorang presiden atau “Kerusi Hakim Mahkamah Agung”. Ia adalah simbol pekerjaan, autoriti, dan tempat di mana keputusan-keputusan penting negara dibuat. Dengan meletakkan ibu bapanya di atas takhta miliknya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara simbolik menyampaikan mesej yang amat kuat: “Kedudukan dan pekerjaan saya, setinggi mana pun ia di mata dunia, tidak akan menjadi penghalang antara kita. Emak dan ayah masih mempunyai status tertinggi dalam hidup saya dan dialu-alukan walaupun di pusat kekuasaan saya.”

Ini sangat bertentangan dengan sikap moden di mana kita mungkin cenderung berkata, “Ayah, ini kerja saya, tolong jangan campur tangan,” atau “Ibu, ini kehidupan profesional saya.” Kisah ini mengajar kita untuk merendah diri dan memastikan bahawa kejayaan atau kesibukan kita tidak sekali-kali membuat ibu bapa merasa tersisih. Mereka sentiasa berhak mendapat tempat di “takhta” kita. Ini penting kerana apabila kita sudah bekerjaya dan kita yang menjaga mereka, ibu bapa pula yang bergantung kepada kita, bukan? Mereka duduk di rumah kita, memerlukan duit daripada kita, mereka pun sudah lemah dan tidak larat lagi, ada kemungkinan seorang anak akan berasa tinggi diri dan sudah lupa jasa ibu bapa yang menjaganya dahulu. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan anak supaya jangan meninggi diri seperti disebut di dalam Isra’:24

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Secara literal, ayat ini bermaksud ‘merendahkan sayap’ kita. Ini kerana جَنَاحَ bermaksud sayap burung. Seekor burung merendahkan sayapnya ketika ia hendak mendekat dan bercumbu dengan betinanya. Begitu juga ketika ia melindungi anak-anaknya. Jadi kita boleh lihat sunnah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menaikkan ibubapa baginda ke atas takhta dan memeluk mereka. Inilah جَنَاحَ ٱلذُّلِّ baginda. Bagi kita, dengan cara kita yang kita lakukan untuk menghormati mereka. Mereka mungkin duduk di kampung, pelajaran tidak tinggi, akan tetapi kedudukan mereka sebagai ibu dan bapa kita melayakkan mereka mendapat sanjungan dan penghormatan daripada kita. Bercakaplah dengan rendah diri dengan mereka dan lakukan apa sahaja yang kita mampu untuk menggembirakan mereka. Selalunya ibu bapa ini tidak memerlukan banyak, hanya penghormatan daripada kita.

Ini sangat penting untuk kita ingat kerana ibu bapa kita datang dari era yang berlainan. Mereka merasa asing dengan dunia yang sudah berubah. Maka kitalah yang kena menjadikan mereka selesa. Kita kena bantu mereka di dunia kita yang serba canggih ini. Kita yang kena jaga mereka. Dan ia mungkin menjadi cabaran kerana bukan semua ibu bapa mudah dijaga. Ada yang sudah nyanyuk, ada yang cepat melatah, ada yang cepat terasa hati dan sebagainya. Ini semua adalah cabaran usia mereka dan kita telah diingatkan yang ini bukanlah tugas yang mudah. Tidak ada sesiapa yang kata ia mudah. Tapi ia perlu dilakukan.

Ya kadangkala ibubapa boleh menjengkelkan. Mereka kadang-kadang sudah jadi seperti budak-budak pula kalau kita perhatikan. Namun, ini biasa sahaja kerana Allah ‎ﷻ pun sudah beritahu kita, bukan? Lihat Yaasin:68

وَمَن نُّعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ
Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya, maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

Jikalau ini berlaku kepada anda, kena ingat yang anda dulu pun lagi teruk menjengkelkan. Anda berak kencing sana sini, melalak tak tentu tempat, lari ke sana sini dan sebagainya. Namun, ibu bapa anda bersabar dengan anda, bukan? Mereka tidaklah jual anda kepada orang lain. Jadi sekarang anda pula yang diuji oleh Allah ‎ﷻ untuk melayan kerenah ibu bapa anda pula.

Dan bukan ibubapa sahaja, malah sesiapa sahaja yang di bawah jagaan kita. Mereka itu layak menerima cinta, perlindungan dan hormat daripada kita. Kena ada tiga-tiga baru lengkap. Malangnya, berkemungkinan kita telah tidak memenuhinya. Ada orang yang kita bagi satu atau dua sahaja. Contohnya, anak kita: kita berikan cinta dan perlindungan, tetapi bagaimana dengan penghormatan?

 

وَخَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًا‌

Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.

Ibu bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, adik-beradiknya semua sujud kepada baginda. Ini memerlukan perbincangan yang agak panjang untuk kita kaji. Pendapat yang masyhur, ini adalah sebagai sujud penghormatan dan waktu itu tidak haram lagi, maka boleh dilakukan. Hal ini masih diperbolehkan di dalam syariat mereka, bilamana memberikan salam penghormatan kepada orang besar, yakni boleh bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai kepada syariat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hal ini telah diharamkan, dan hanya dikhususkan kepada Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam. Demikianlah ringkasan daripada apa yang dikatakan oleh Qatadah dan lain-lain. Ini kita akan bincangkan lagi selepas ini dengan pendapat yang lain.

Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa ketika Mu’az رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tiba di negeri Syam, beliau mendapati mereka masih bersujud kepada uskup-uskup (paderi kanan) mereka. Maka Muaz رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun apabila pulang bertemu dengan Rasulullah ﷺ, beliau telah sujud kepada baginda. Ketika Mu’az رضي الله عنه bersujud kepada Rasulullah ﷺ, baginda bertanya, “Apakah yang engkau lakukan ini, hai Mu’az?” Mu’az رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, “Sesungguhnya aku melihat penduduk negeri Syam bersujud kepada uskup-uskup mereka, maka engkau lebih berhak untuk disujudi, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

“لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ، لَأَمَرْتُ الزَّوْجَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظم حَقِّهِ عَلَيْهَا”
Seandainya aku memerintahkan kepada seseorang untuk ber­sujud kepada orang lain, tentu aku akan perintahkan kepada wanita untuk bersujud kepada suaminya, kerana hak suaminya atas dirinya sangatlah besar.

Sunan al-Tirmidzi (1159). Status: Hasan Gharib (Imam al-Tirmidzi). Al-Albani mensahihkannya.

Syarah:

  1. Maksud “Kalaulah” (Lau): Perkataan “Lau” dalam bahasa Arab menunjukkan sesuatu yang tidak berlaku. Maksudnya, Nabi tidak pernah dan tidak akan membenarkan manusia sujud kepada sesama manusia kerana sujud itu hanya milik Allah.
  2. Tujuan Hadith: Ia adalah bentuk mubalaghah (penekanan yang sangat kuat) untuk menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab isteri dalam mentaati suami dalam perkara yang ma’ruf (baik).
  3. Keseimbangan: Dalam hadis lain, Nabi ﷺ juga menekankan bahawa “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” Maka, hak ketaatan ini datang bersama tanggungjawab suami untuk berkasih sayang, memberi perlindungan dan penghormatan kepada isteri.

 

Sujud yang Disalaherti – Bukan Kepada Manusia, Tetapi Kerana Manusia

Di sinilah letaknya satu pencerahan yang mungkin mengubah cara kita memahami adegan ini selamanya. Adegan di mana keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sujud sering disalahfahami sebagai sujud penghormatan kepada baginda. Namun, menurut pandangan yang digemari oleh ulama klasik seperti Imam Razi, tafsiran yang paling meyakinkan ialah sujud itu bukan ditujukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebaliknya, ia adalah sujud kesyukuran yang spontan dan mendalam kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sujud kerana keajaiban luar biasa yang telah Allah ‎ﷻ tunjukkan melalui kehidupan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda adalah fokus kesyukuran mereka, bukan objek sembahan mereka.

Analogi yang mudah untuk memahaminya adalah seperti ibadah kita di Kaabah: kita tidak sujud kepada Kaabah; kita sujud menghadap Kaabah, dan sujud itu adalah untuk Allah semata-mata. Begitulah juga, keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sujud kepada Allah ‎ﷻ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi “kiblat” atau fokus yang menyebabkan mereka melahirkan kesyukuran yang begitu meluap-luap sehingga mereka tersungkur sujud. Pandangan ini juga menyelesaikan dilema teologi yang besar: bagaimana mungkin seorang Nabi yang begitu memuliakan bapanya akan membenarkan bapanya sendiri sujud kepadanya? Jawapannya, baginda tidak membenarkannya, kerana sujud itu sebenarnya adalah untuk Allah ‎ﷻ, bukan kepada baginda. 

Ini kerana manusia sujud kerana ibadah, seperti kita sujud di dalam solat, dan manusia juga ada sujud kerana takjub dengan Allah. Sebagai contoh, disebut di dalam Isra’:107 tentang golongan Ahli Kitab yang pertama kali mendengar ayat Al-Qur’an. Mereka takjub sampai mereka jatuh tersungkur dan sujud kerananya.

إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا
Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,

Ini adalah juga salah satu tafsir tentang sujud para malaikat ke arah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah:34. Para malaikat itu bukanlah sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kerana takjub dengan kehebatan Allah ‎ﷻ menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk sujud

Para malaikat itu sujud ke arah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi bukannya mereka menyembah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi takjub dengan penciptaan Allah.

Sebenarnya Imam Al-Razi dalam Tafsir al-Kabir (atau Mafatih al-Ghaib) memang sangat teliti dalam menyenaraikan pelbagai kemungkinan makna “sujud” dalam ayat tersebut. Beliau membahagikan perbincangan ini kepada beberapa pendapat utama bagi menjawab persoalan bagaimana seorang Nabi (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan saudara-saudaranya boleh bersujud kepada manusia (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Beliau memberi 7 pendapat/kemungkinan mengenainya yang kita senaraikan di bawah:

1. Sujud sebagai penghormatan, bukan ibadah
Imam al-Razi menegaskan bahawa sujud yang dilakukan kepada Yusuf adalah sujud penghormatan (تحية) dan bukan sujud ibadah. Kita telah lihat analogi di atas tentang sujud ke arah Kaabah tapi sebenarnya ia adalah kepada Allah ‎ﷻ. Pendapat ini juga dinyatakan sebagai kebanyakan para mufassir. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas.

Tapi bagaimana dengan Ayat 4 رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ itu? Jadi kita boleh tafsirkan kalimah لي bukan ‘kepadaku’ tapi ‘keranaku’.

2. Sujud kepada Allah ‎ﷻ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya sebagai kiblat
Al-Razi mengutip pendapat bahawa sujud itu sebenarnya ditujukan kepada Allah ‎ﷻ sebagai bentuk syukur, namun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan sebagai kiblat (arah sujud), sebagaimana seseorang salat ke arah Ka’bah. Ini juga diriwayatkan oleh al-Hasan dan Ibn Abbas.

3. Sujud sebagai bentuk kerendahan dan pengakuan keutamaan
Ada juga yang menafsirkan sujud di sini sebagai bentuk kerendahan diri (التذلل) dan pengakuan atas keutamaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan sujud secara fizikal seperti dalam salat, melainkan ia hanya sebagai kiasan sahaja.

Jadi ia seolah-olah sebagai madah, seperti para pujangga berkata ‘bulan sujud kepada matahari’ tetapi tidak terjadi pun. Ia bermaksud tunduk sahaja. Kritikan terhadap pendapat ini adalah kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah خَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًا yang secara literal bermaksud turun dan sujud.

4. Sujud dengan cara membongkok atau rukuk, bukan meletakkan dahi di tanah.
Sebahagian ulama berpendapat sujud di sini adalah membongkok (rukuk) sebagai bentuk penghormatan, bukan sujud dengan meletakkan dahi di tanah. Lagi pun ibu bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di atas pentas, tentu sukar hendak sujud di lantai, bukan?

Pendapat ini sesuai dipegang oleh mereka yang sukar menerima manusia sujud kepada manusia lain. Terutama sekali ibu bapa pula sujud kepada anak! Jadi, kalau dikatakan ia sebagai tunduk hormat sahaja, maka tenanglah sedikit.

Tambahan kepada kritikan ini adalah mungkin juga ibu bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sujud pun. Kerana mereka di atas pentas, bukan? Dan cuba kita perhatikan kembali Ayat 4, إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ (sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku). Boleh didebatkan di sini: Adakah kesemua mereka sujud? Salah satu terjemahan adalah baginda nampak 11 adik-beradik baginda, kemudian baginda nampak juga matahari dan bulan, dan ‘mereka’ sujud. Siapakah mereka di dalam kalimat رَأَيتُهُم itu? Adakah kesemua 13 mereka atau hanya merujuk kepada 11 adik beradik itu sahaja? Mungkin sahaja ibubapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dinaikkan ke atas pentas, dan yang sujud atau tunduk itu adalah hanya adik beradik itu sahaja. Mungkin.

Tapi kenapa kita hendak risau dengan pandangan yang mengatakan memang mereka semua sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah kejadian telah diberitahu di dalam mimpi Nabi Yusuf ketika baginda kecil? Dan Nabi Ya’qub sendiri tahu yang ia adalah mimpi seorang Nabi dan mimpi seorang Nabi itu benar. Ia sudah pasti adalah arahan dari Allah, bukan? Ini sebagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, datuk mereka sendiri, yang bersedia menyembelih anaknya, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana baginda telah melihatnya di dalam mimpi. Apabila arahan dari Allah, maka ia boleh dan mesti dilakukan. Beginilah juga salah satu pandangan terhadap ayat Baqarah:34 yang telah disebut sebelum ini. Iaitu apabila Allah ‎ﷻ suruh sujud, tidak ada masa lagi untuk berfikir ini boleh atau tidak, kerana ia adalah daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

Jadi ini adalah salah satu dari pendapat-pendapat yang banyak yang kita sedang bincangkan. Kita tidak ada keputusan yang kita boleh kata inilah yang paling tepat. Jadi kita sampaikan di sini sebagai maklumat dan perkara yang boleh difikir dan dibincangkan. Begitulah, kerana ini adalah ayat yang banyak diperdebatkan dan dibincangkan, jadi ada banyak pendapat.

5. Sujud sebagai tradisi penghormatan di kalangan bangsa terdahulu
Imam al-Razi menyebutkan bahawa sujud seperti ini adalah tradisi penghormatan dalam kalangan umat terdahulu, khususnya dalam kalangan raja dan orang mulia, dan telah dihapuskan dalam syariat Islam.

Akan tetapi kritikan terhadap pendapat ini adalah, kalau ia biasa dilakukan sebagai penghormatan, kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri tidak sujud kepada ayahnya? Jadi ia agak lemah dan kalau itu sahaja yang berlaku, Allah ‎ﷻ tidak perlu masukkan di dalam ayat ini.

6. Sujud sebagai realisasi mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Sujud yang dilakukan oleh keluarga Yusuf adalah sebagai realisasi dari mimpi yang pernah dilihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di masa kecilnya, sebagaimana disebutkan dalam ayat ﴾وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ﴿. 

Tapi bukankah hanya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang tahu tentang mimpi itu? Perhatikan Ayat 5, يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ (Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu). Jadi sepatutnya mereka tidak tahu. Mungkinkah mereka juga terasa mereka patut sujud? Kalau mereka ada kesedaran ini, bukan di sini sahaja mereka sujud, malahan pada ketika mereka kantoi dulu di dalam Ayat 91, قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ (Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.) Tapi tidak pun disebut mereka sujud, bukan?

Jadi penjelasan di sini adalah, oleh kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang tahu, maka baginda dahulu yang sujud dan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan yang lain-lain pun sujud juga. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin mahu anak-anaknya itu merendahkan ego mereka di hadapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jadi baginda memberi contoh kepada mereka apa yang mereka perlu lakukan (sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).

7. Ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ taat.


Perlu ditambah yang Imam al-Razi menegaskan bahawa dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, sujud kepada selain Allah ‎ﷻ, baik sebagai penghormatan mahupun ibadah, adalah haram. Kita telah sebut sebelum ini yang Nabi ﷺ bersabda: «لو كنت آمرا أحدا أن يسجد لأحد لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها» (Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang sujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya)

 

 

Berikut adalah pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf Ayat 100 berdasarkan sumber yang diberikan:

Menghormati Status Ibu Bapa – Menghormati ibu bapa bukan sekadar memberi kasih sayang, tetapi juga menjaga status dan maruah mereka agar mereka tidak merasa tersisih atau tidak relevan apabila kita sudah berjaya.

Kejayaan Bukan Pemisah – Pangkat atau kedudukan yang tinggi di mata dunia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita merendah diri dan menyantuni ibu bapa.

Sabar Melayan Kerenah Tua – Apabila umur ibu bapa meningkat, mereka mungkin menjadi sensitif atau mudah terasa; kita wajib bersabar dengan mereka sebagaimana mereka bersabar menjaga kita semasa kecil.

Sujud sebagai Tanda Syukur – Perbuatan sujud dalam kisah ini ditafsirkan sebagai bentuk kesyukuran yang mendalam kepada Allah ‎ﷻ atas keajaiban pertemuan semula, di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi “kiblat” atau fokus kesyukuran tersebut.

Kelembutan Aturan Allah (Al-Latif) – Allah Maha Lembut dalam merancang setiap kejadian; segala ujian (perigi dan penjara) sebenarnya adalah jalan yang disusun halus untuk mencapai kebaikan di pengakhirannya.

Waspada Terhadap Hasutan Syaitan – Perpecahan dan permusuhan dalam keluarga seringkali berpunca daripada gangguan syaitan, maka penyatuan semula adalah nikmat besar yang perlu disyukuri.

Mengakui Kebaikan Tuhan – Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan teladan dengan sentiasa menyebut dan mengakui kebaikan serta ihsan Allah yang telah membebaskannya daripada kesusahan.

 

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan jawapan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Huraikan dua peringkat penghormatan yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS kepada kedua ibu bapanya apabila mereka tiba di Mesir.

2. Apakah kepentingan simbolik “takhta” (العَرشِ) dalam tindakan Nabi Yusuf menaikkan ibu bapanya ke atasnya?

3. Terangkan konsep ‘merendahkan sayap kehinaan’ (جَنَاحَ ٱلذُّلِّ) seperti yang disebut dalam Surah Al-Isra’:24 dan kaitannya dengan tindakan Nabi Yusuf.

4. Bagaimanakah Surah Yaasin:68 menerangkan cabaran menjaga ibu bapa yang semakin tua, dan apakah peringatan yang diberikan kepada anak-anak dalam konteks ini?

5. Menurut teks, apakah tiga elemen lengkap yang perlu diberikan kepada sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaan kita?

6. Apakah tafsiran yang masyhur (tradisional) mengenai sujud yang dilakukan oleh keluarga Nabi Yusuf, dan bilakah amalan ini dibenarkan?

7. Berdasarkan hadis Mu’az, apakah hukum sujud kepada manusia dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ dan apakah tujuan utama Nabi ﷺ menyebut perbandingan dengan ketaatan isteri kepada suami?

8. Huraikan tafsiran alternatif yang digemari oleh ulama seperti Imam Razi mengenai sujud keluarga Nabi Yusuf. Kepada siapakah sujud itu sebenarnya ditujukan?

9. Bagaimanakah analogi sujud di Kaabah digunakan untuk menjelaskan tafsiran alternatif mengenai sujud keluarga Nabi Yusuf?

10. Sebutkan dan jelaskan secara ringkas salah satu daripada tujuh pendapat yang disenaraikan oleh Imam al-Razi dalam Tafsir al-Kabir mengenai makna “sujud” dalam ayat ini.

 

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
العَرشِ (Al-‘Arsh)
Secara literal bermaksud ‘takhta’. Disifatkan sebagai pusat kekuasaan, simbol pekerjaan, autoriti, dan tempat keputusan penting dibuat, bukan sekadar kerusi kehormat.
ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ
Frasa Al-Qur’an yang bermaksud “menarik kedua ibu bapanya ke dalam pelindungannya”. Ia merujuk kepada isyarat fizikal yang memberikan kasih sayang dan rasa selamat.
جَنَاحَ ٱلذُّلِّ (Janah al-Zull)
Secara literal bermaksud ‘merendahkan sayap’. Istilah dari Surah Isra’:24 yang menggambarkan tindakan merendahkan diri dengan penuh kasih sayang terhadap ibu bapa, diilhamkan dari seekor burung yang merendahkan sayapnya untuk melindungi anaknya.
Imam al-Razi
Seorang ulama klasik yang terkenal dengan kitab tafsirnya, Tafsir al-Kabir (atau Mafatih al-Ghaib), yang membincangkan secara teliti pelbagai kemungkinan makna “sujud” dalam Surah Yusuf ayat 100.
Kiblat
Arah tuju. Dalam konteks sujud keluarga Nabi Yusuf, baginda dianggap sebagai “kiblat” atau fokus yang menyebabkan mereka bersujud syukur kepada Allah, sama seperti Kaabah menjadi kiblat untuk solat.
Mubalaghah
Istilah bahasa Arab yang merujuk kepada bentuk penekanan yang sangat kuat untuk menyampaikan sesuatu maksud. Digunakan dalam syarahan hadis Mu’az untuk menunjukkan betapa besarnya hak suami ke atas isteri.
Sujud Penghormatan
Sujud yang dilakukan bukan untuk tujuan ibadah tetapi sebagai tanda hormat kepada orang besar. Menurut pendapat masyhur, amalan ini dibenarkan dalam syariat sebelum Nabi Muhammad ﷺ tetapi diharamkan selepas itu.
Sujud Kesyukuran
Sujud yang dilakukan secara spontan dan mendalam kepada Allah SWT sebagai tanda syukur. Ini adalah tafsiran alternatif bagi sujud keluarga Nabi Yusuf, di mana mereka sujud kerana Nabi Yusuf, bukan kepada Nabi Yusuf.
Syariat
Hukum atau peraturan dalam agama. Teks membezakan antara syariat nabi-nabi terdahulu di mana sujud penghormatan mungkin dibenarkan, dengan syariat Nabi Muhammad ﷺ yang mengharamkannya secara mutlak.
Tafsir al-Kabir
Juga dikenali sebagai Mafatih al-Ghaib, ia adalah kitab tafsir agung yang dikarang oleh Imam al-Razi yang menyenaraikan dan membahaskan pelbagai pendapat mengenai tafsiran ayat-ayat Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 25 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)