Pengenalan Tafsir Balaghi (Ilmu Ma’ani) Taqdim wa Ta’khir (Part 2)

B. Taqdim dan Ta’khir lafaz bukan pada Amil

Ada berbagai sebab kenapa Allah mendahulukan sesetengah kalimah di depan kalimah yang lain. Maksudnya tersirat dan tidak kelihatan dengan jelas tapi dibahaskan di dalam Ilmu Balaghah.

1. Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Dalam ayat ini, berlakunya struktur taqdim wa ta’khir yang sangat halus dari sudut penyusunan subjek makhluk, di mana Allah SWT mendahulukan sebutan golongan “Jin” kemudian baru diikuti dengan golongan “Manusia”. Mengapa Jin Didahulukan? Secara logiknya, manusia sering menganggap diri mereka sebagai makhluk paling utama di bumi, maka sepatutnya manusialah yang disebut dahulu. Namun, ulama tafsir dan pakar balaghah Al-Qur’an menggariskan beberapa kepentingan kritikal mengapa lafaz الْجِنَّ didahulukan:

Kepentingan pertama adalah untuk menggambarkan realiti sejarah penciptaan makhluk. Jin adalah makhluk mukalaf (yang diberi tanggungjawab syariat) yang diciptakan jauh lebih awal sebelum Nabi Adam A.S (manusia pertama) dijadikan. Hakikat ini disahkan oleh Allah dalam Surah Al-Hijr, ayat 27:

وَالجآنَّ خَلَقنٰهُ مِن قَبلُ
Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam)

Tujuan utama ayat ini diturunkan adalah untuk menegaskan matlamat asal penciptaan iaitu ibadah. Sifat asal bangsa jin (berdasarkan tabi’at penciptaan mereka daripada api) adalah lebih cenderung kepada sifat sombong, degil, membangkang, liar, dan sukar tunduk kepada aturan (seperti watak iblis). Manusia pula diciptakan daripada tanah yang sifat dasarnya lebih tenang, lembut, dan mudah dibentuk. Oleh itu, mendahulukan jin di sini bertindak sebagai teguran dan amaran yang lebih keras kepada makhluk yang paling liat untuk beribadah: “Wahai golongan jin yang bersikap liar dan sombong, sedarlah bahawa tujuan asal kamu dicampakkan ke dunia ini tidak lain dan tidak bukan adalah HANYA untuk tunduk beribadah kepada-Ku!”

Masyarakat Arab Jahiliyyah (dan sebahagian masyarakat moden hari ini) mempunyai tabiat syirik yang sangat parah, iaitu meminta perlindungan, mengagungkan, dan menyembah jin apabila mereka melalui tempat-tempat yang keras atau hutan belantara.Dengan mendahulukan lafaz الْجِنَّ dalam formula ibadah {إِلَّا لِيَعْبُدُونِ}, Allah mematahkan doktrin syirik tersebut: “Bagaimana kamu (manusia) boleh menyembah, takut, atau meminta pertolongan daripada jin, sedangkan bangsa jin itu sendiri diletakkan di barisan hadapan sebagai hamba yang DIWÀJIBKAN tunduk menyembah Aku?” Struktur ini merendahkan ego jin dan sekaligus menyedarkan manusia bahawa jin juga hanyalah makhluk kerdil yang memikul beban kewajipan yang sama di sisi Allah.

 

2. Baqarah:255

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ
Dia tidak ditimpa oleh mengantuk dan tidak pula tidur

Di sini, Allah SWT mendahulukan perkataan {سِنَةٌ} (mengantuk) terlebih dahulu sebelum perkataan {نَوْمٌ} (tidur). Dari sudut ilmu Balaghah dan susunan bahasa Al-Qur’an, pendahuluan (taqdim) ini mempunyai rahsia logik, fasa biologi, dan penegasan akidah yang tersangat agung.

Mengikut Urutan Realiti Fizikal (Al-Tartib al-Wujudi), secara semula jadi atau biologi, tidur tidak akan berlaku secara tiba-tiba melainkan ia bermula dengan fasa mengantuk terlebih dahulu. {سِنَةٌ} ialah rasa mengantuk, layu mata, atau pening kepala di peringkat awal yang belum menghilangkan kesedaran akal sepenuhnya. Sedangkan {نَوْمٌ} pula ialah fasa tidur yang lena, di mana pancaindera dan kesedaran akal manusia terputus sepenuhnya daripada alam nyata. Al-Quran mendahulukan mengantuk mengikut kronologi fasa yang dilalui oleh makhluk. Struktur ini membina logik berfikir yang sangat tersusun dalam minda pembaca.

Mengikut Kaedah Penafian yang Lebih Kuat (Nafi al-Adna wal-A’la). Dalam retorik sastera Arab, apabila kita mahu menafikan sesuatu sifat kelemahan daripada entiti yang Maha Agung, kita mesti menafikan kelemahan yang paling kecil dahulu, barulah diikuti dengan kelemahan yang besar. Rasa mengantuk (سِنَةٌ) adalah tanda kepenatan yang sangat kecil, manakala tidur (نَوْمٌ) adalah fasa kelemahan yang besar di mana makhluk hilang kawalan diri. Jika Allah sekadar berfirman: “Dia tidak ditimpa tidur,” maka dari segi logik bahasa, orang akan mula membuat spekulasi: “Kalau Allah tidak tidur, adakah Allah mengalami rasa mengantuk atau letih yang sikit?” Oleh itu, Allah memotong terus keraguan itu di peringkat akar umbi: “Mengantuk yang sekecil-kecil rasa mengantuk pun tidak mampu menguasai Allah, apatah lagi tidur yang sifatnya lebih berat!”

Ia Mengandungi Jaminan Keamanan Alam Semesta yang Berterusan. Ayat Kursi bercerita tentang Allah yang memegang, mengawal, dan mentadbir langit dan bumi (وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ). Bayangkan jika seorang pengawal keselamatan atau pemandu bas tersengguk mengantuk selama 2 saat sahaja, kemalangan yang dahsyat boleh berlaku walaupun dia belum betul-betul lena di atas katil. Dengan mendahulukan penafian kata ‘Mengantuk’, Allah memberikan jaminan keamanan mutlak kepada makhluk-Nya: “Tuhan yang menjaga kamu semua ini tidak pernah tersengguk walau satu milisaat pun. Sistem alam semesta ini tidak akan pernah terlepas daripada radar kawalan-Nya, kerana rasa mengantuk yang paling nipis pun tidak wujud pada sifat-Nya.”

 

3. Ankabut:38 

وَعادًا وَثَمودَ وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم
Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka

Dalam ayat ini, Allah mendahulukan sebutan Kaum Aad terlebih dahulu sebelum Kaum Tsamud. Pendahuluan (taqdim) ini mempunyai kepentingan yang sangat besar dari sudut sejarah, geografi masyarakat Arab, dan juga keadilan hukum alam.

Sebab yang paling utama dan paling jelas adalah mengikut urutan masa (kronologi) kewujudan dan kemusnahan kedua-dua kaum ini di atas muka bumi.

Kaum Aad: Adalah umat Nabi Hud A.S. Mereka hidup dalam fasa sejarah yang lebih awal, iaitu generasi pengganti beberapa abad selepas peristiwa Banjir Besar Nabi Nuh A.S.

Kaum Tsamud: Adalah umat Nabi Saleh A.S. Mereka adalah generasi terkemudian yang muncul setelah kaum Aad musnah ditimpa azab angin taufan.

Mendahulukan Aad sebelum Tsamud adalah susunan sastera Al-Qur’an yang patuh kepada garis masa sejarah manusia (tartib sejarah) supaya pembaca dapat menelusuri kisah ini secara tersusun.

Dari sudut sejarah bangsa Arab purba (Arab Ba’idah), kaum Tsamud sebenarnya adalah pecahan atau keturunan terkemudian daripada sisa-sisa kaum Aad yang terselamat daripada azab. Tsamud sendiri belajar teknologi membina bangunan dan memahat gunung-ganang daripada kegagalan dan kehebatan seni bina kaum Aad terdahulu. Malah, Nabi Saleh A.S pernah mengingatkan kaum Tsamud tentang status mereka sebagai “generasi pengganti” kaum Aad dalam A’raf:74

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا ۖ فَاذكُروا ءآلاءَ اللَّهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu melampau melakukan kerosakan di muka bumi”.

Oleh kerana Aad bertindak sebagai “ibu” atau “senior” kepada tamadun Tsamud, adalah sangat tepat dari sudut balaghah untuk menyebut kaum Aad terlebih dahulu.

Dalam timbangan balaghah, apabila Al-Qur’an mahu memberikan amaran kepada kaum musyrikin Makkah (atau manusia amnya), Al-Qur’an akan menyusun contoh daripada yang paling besar/dahsyat kepada yang seterusnya. Kaum Aad dikenali sebagai kaum yang memiliki susuk tubuh paling besar, paling sasa, dan tamadun struktur tiang tinggi (Iram) yang tidak pernah dicipta tandingannya di mana-mana negara pada waktu itu. Kezaliman dan kesombongan mereka juga sangat ekstrem sehingga mereka mencabar: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Kaum Tsamud juga hebat, tetapi kehebatan mereka lebih khusus kepada seni memahat istana di gunung-ganang batu (tempat tinggal mereka adalah Madain Saleh). Dengan mendahulukan Aad, Allah memberikan impak amaran yang sangat berat: “Kaum Aad yang tersangat gergasi dan kuat itu pun dengan mudah Kami musnahkan, apatah lagi kaum Tsamud, dan apatah lagi kamu wahai kaum Quraisy yang jauh lebih kerdil!”

Nota: Arab Ba’idah (العرب البائدة) secara harfiahnya bermaksud “Kaum Arab yang telah lenyap”, “punah”, atau “binasa”. Dalam ilmu sejarah dan genealogi (salasilah) bangsa Arab, mereka diletakkan sebagai kelompok Arab paling purba yang pernah mendiami Semenanjung Tanah Arab, namun seluruh keturunan, tamadun, dan bahasa asal mereka telah lenyap sepenuhnya daripada muka bumi sebelum kedatangan Islam.

 

4. Nur:44 dan Anbiya’:33 

يُقَلِّبُ اللهُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ
Allah mempergantikan malam dan siang

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ
Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan

Allah mendahulukan sebutan Malam {اللَّيْلَ} terlebih dahulu sebelum Siang {وَالنَّهَارَ} di dalam banyak ayat Al-Qur’an. Susunan taqdim (pendahuluan) ini bukan sahaja konsisten di dalam banyak ayat Al-Qur’an yang lain, malah ia mempunyai rahsia sains penciptaan, aspek psikologi manusia, dan sistem kalendar yang sangat penting.

Dari sudut sains astronomi dan kronologi penciptaan, malam (kegelapan) adalah keadaan asal alam semesta sebelum wujudnya bintang, matahari, dan cahaya. Ketika Allah mula menciptakan ruang angkasa, alam semesta ini berada dalam kegelapan yang pekat. Cahaya (siang) hanya wujud kemudian setelah Allah menciptakan sumber cahaya seperti bintang dan matahari. Allah berfirman di dalam An’am:1

وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ
dan menjadikan gelap dan terang

Lihatlah Allah sebut Dia mencipta kegelapan dahulu sebelum terang. Maka, mendahulukan malam di dalam bahasa Al-Qur’an adalah mengikut urutan kewujudan yang sebenar di mana gelap wujud lebih awal daripada terang.

Dalam sistem kosmologi Islam dan budaya masyarakat Arab, waktu bertukar dan hari baru bermula apabila masuknya waktu malam (waktu Maghrib), bukannya pada waktu pagi atau tengah malam (jam 12.00 malam seperti kalendar Masihi yang datang setelah diciptakan jam). Sebagai contoh, apabila anak bulan kelihatan pada petang hari terakhir bulan Syaaban, saat azan Maghrib berkumandang, umat Islam sudah dikira masuk ke tarikh 1 Ramadan. Kita mula menunaikan solat Tarawih pada malam tersebut sebelum kita berpuasa pada siang harinya. Oleh kerana malam adalah “pintu masuk” kepada hari yang baru, susunan taqdim ini sangat bertepatan dengan sistem praktikal ibadah umat Islam.

Di dalam Anbiya’:33 disebut juga penciptaan matahari dahulu sebelum matahari. Pendahuluan (taqdim) ini menyimpan rahsia sains astronomi yang sangat tepat, selain daripada menjaga keserasian struktur bahasa Al-Qur’an.

Rahsia pertama adalah disebabkan oleh seni penyusunan perkataan yang harmoni di dalam ilmu Balaghah, yang dipanggil sebagai Al-Laff wal-Nasyr (اللف والنشر) — iaitu menyusun sekelompok perkataan, kemudian mendatangkan kelompok pasangan seterusnya mengikut urutan yang sama. Mari kita perhatikan urutan di dalam ayat tersebut:

a. Malam disebut dahulu, pasangannya di hujung ialah Bulan
b. Siang disebut kemudian, pasangannya di tengah ialah Matahari.

Eh, sekejap! Kenapa susunannya bersilang? Di sinilah letaknya mukjizat sains yang sangat luar biasa:

Matahari ialah sebuah bintang yang menghasilkan cahayanya sendiri melalui tindak balas nuklear di dalamnya. Dalam istilah Al-Qur’an, matahari dipanggil sebagai Dhiya’ (cahaya yang membakar/sumber asal) atau Siraj (pelita).

Bulan pula adalah sebuah satelit semula jadi yang tidak mempunyai cahayanya sendiri. Bulan kelihatan terang pada waktu malam semata-mata kerana ia memantulkan kembali cahaya yang diterimanya daripada matahari. Di dalam Al-Qur’an, cahaya bulan dipanggil sebagai Nur (pantulan cahaya yang sejuk). Dari sudut sains fizikal dan urutan kepentingan:

  • Matahari adalah “pencetus asal” kepada kewujudan siang. Tanpa matahari, tiada siang di bumi.
  • Matahari juga adalah “pencetus asal” kepada terangnya bulan. Tanpa cahaya matahari, bulan akan kekal gelap gelita dan tidak akan kelihatan di langit malam.

Oleh itu, mendahulukan matahari sebelum bulan adalah satu kemutlakan sains: Sesuatu yang menjadi SUMBER ASAL (Matahari) wajib didahulukan daripada sesuatu yang hanya MENERIMA PANTULAN (Bulan).

Di dalam sistem suria kita, matahari adalah paksi utama. Jisim matahari merangkumi sekitar 99.8% daripada seluruh jisim sistem suria. Disebabkan saiz dan kuasa gravitinya yang tersangat besar itulah, bumi dan bulan terikat untuk berputar mengelilinginya. Mendahulukan matahari di dalam ayat ini adalah bentuk taqdim berdasarkan darjat, fungsi, dan skala kebesaran objek di ruang angkasa (Al-Asyraf wal-Akbar).

Dan ia juga mungkin kerana matahari dicipta dahulu sebelum bulan.

 

5. Hashr:1

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an, Allah menyebut sifatNya العَزيزُ sebelum disebut الحَكيمُ. Lebih banyak disebut susunan sebegini. Di dalam ayat ini (dan banyak ayat lain), Allah mendahulukan Al-‘Aziz sebelum Al-Hakim atas beberapa rahsia sastera (balaghah), teologi, dan konteks surah yang sangat mendalam:

Di dunia ini, apabila seorang manusia (seperti raja, presiden, atau tentera) memiliki kuasa yang tersangat besar dan perkasa (‘Aziz), mereka cenderung untuk menjadi zalim, melampaui batas, dan bertindak mengikut hawa nafsu. Kuasa sering kali merosakkan manusia.

Sebaliknya, ada orang yang sangat bijaksana (Hakim), mempunyai idea yang hebat dan adil, tetapi dia lemah dan tidak mempunyai kuasa atau pengaruh untuk melaksanakan kebijaksanaannya itu.

Allah mendahulukan Al-‘Aziz kemudian diiringi dengan Al-Hakim untuk membina satu konsep ketuhanan yang sempurna: Allah Maha Perkasa {العَزِيزُ}, memiliki kuasa mutlak untuk menghancurkan sesiapa sahaja atau melakukan apa sahaja yang Dikehendaki-Nya. Namun, keperkasaan Allah itu tidak pernah diiringi dengan kezaliman. Mengapa? Kerana Dia juga Maha Bijaksana {الحَكِيمُ}. Setiap tindakan, hukuman, dan ketetapan-Nya sentiasa diletakkan pada tempat yang betul dan penuh dengan hikmah. Mendahulukan Al-‘Aziz adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya yang mendominasi, manakala meletakkan Al-Hakim di belakangnya adalah sebagai “pengawal” yang menunjukkan bahawa kuasa tersebut digunapakai dengan penuh keadilan.

 

6. Hajj:40

إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزيزٌ
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa,

Dari segi hakikat bahasa dan makna, kedua-dua perkataan ini mempunyai perbezaan fungsi yang sangat halus:

{القُوَّةُ} (Kuasa/Kekuatan): Merujuk kepada kemampuan dalaman (internal power) yang ada pada zat. Ia adalah sifat asas. Seseorang mesti mempunyai kekuatan fizikal atau keupayaan terlebih dahulu dalam dirinya.

{العِزَّةُ} (Keperkasaan/Kemenangan): Merujuk kepada status mengatasi dan menundukkan musuh (external dominance) hasil daripada kekuatan tersebut. Orang yang ‘Aziz ialah orang yang kebal, tidak boleh dikalahkan, dan sentiasa menang di medan luar.

Dalam kaedah sastera yang logik, punca/sumber kekuatan (Qawiy) wajib disebut terlebih dahulu sebelum kita menceritakan kesan kemenangan atau keperkasaannya (Aziz) di luar. Tanpa kekuatan {قَوِيٌّ}, tidak akan wujud keperkasaan yang boleh mengalahkan musuh {عَزِيزٌ}.

 

7. Nisa’:69

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّٰلِحينَ
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh.

Di dalam ayat ini, Allah menyusun empat golongan tersebut mengikut urutan hierarki darjat, kesempurnaan iman, dan peranan mereka di sisi agama (Al-Tartib Al-A’la fal-A’la). Disebut kedudukan para Nabi dahulu dan kemudian semakin menurun martabatnya.

Para Nabi disebut pertama sekali kerana para Nabi dan Rasul adalah kemuncak tertinggi dalam carta kemuliaan manusia. Mereka adalah manusia pilihan yang menerima wahyu secara langsung daripada Allah untuk memimpin alam semesta. Mereka adalah sumber asal petunjuk, maksum (terpelihara daripada dosa), dan menjadi paksi kepada tiga golongan yang seterusnya.

As-Siddiqin ialah mereka yang mencapai darjat Siddiq (seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A) iaitu orang yang memiliki tahap pembenaran, kejujuran, dan keimanan yang tersangat teguh dan mutlak kepada para Nabi tanpa ada sebarang keraguan sedikit pun. Mereka disebut selepas Nabi kerana dari sudut kedudukan spiritual, tiada lagi darjat manusia biasa yang lebih tinggi melainkan darjat orang yang paling setia membenarkan kata-kata Nabi. Apabila Nabi membawa wahyu, golongan Siddiqin inilah yang berada di barisan paling hadapan untuk menyerap, mengamalkan, dan mempertahankan ajaran tersebut dengan seluruh jiwa dan raga mereka.

Asy-Syuhada’ ialah golongan yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan kalimah Allah (mati syahid), atau mereka yang menjadi saksi kebenaran agama ini dengan darah mereka. Mereka disebut selepas Siddiqin kerana hubungan antara kedua-duanya amat rapat: Golongan Siddiqin berjuang menggunakan kekukuhan ilmu, keyakinan, dan hujah akidah (jihad lisan/minda), manakala golongan Syuhada’ menterjemahkan keyakinan tersebut ke fasa praktikal yang paling ekstrem, iaitu mengorbankan nyawa dan jasad mereka di medan perang fizikal. Sifat Siddiq (iman yang jujur) mesti wujud terlebih dahulu di dalam hati seseorang sebelum dia mampu melangkah berani untuk menjemput syahid.

As-Salihin ialah orang-orang saleh, iaitu orang awam yang beriman secara konsisten, menjaga hak-hak Allah (ibadah), dan menjaga hak sesama manusia dengan melakukan kebaikan serta menjauhi maksiat. Mereka diletakkan di tempat terakhir kerana sifat saleh adalah tapak asas bagi semua golongan di atas. Seorang Nabi pasti saleh, seorang siddiq pasti saleh, dan seorang syahid juga pasti saleh. Darjat Salihin diletakkan di penghujung susunan sebagai payung besar yang paling luas, yang memberikan peluang dan ruang kepada manusia biasa seperti kita untuk turut serta menyelitkan diri masuk ke dalam kumpulan elit ahli syurga ini melalui amalan soleh seharian.

 

8. Ahzab:7 

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۖ وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari engkau (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

Di dalam susunan ayat ini, Allah menyebut Nabi Muhammad SAW terlebih dahulu (melalui kata ganti nama {وَمِنْكَ}).

Allah meletakkan Nabi Muhammad di barisan paling hadapan adalah berdasarkan darjat kemuliaan, keutamaan, dan kepemimpinan baginda (Taqdim al-Syarf) mengatasi seluruh Nabi dan Rasul yang lain. Walaupun dari sudut garis masa duniawi, Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling terakhir diutus (Khatamun Nabiyyin), namun dari sudut kedudukan di sisi Allah, baginda adalah ketua dan penghulu bagi sekalian utusan (Sayyidul Anbiya’ wal-Mursalin). Mendahulukan yang paling mulia sebelum yang lain adalah kaedah sastera untuk menarik perhatian utama pembaca kepada figura yang paling agung dalam perjanjian tersebut.

Dalam ilmu balaghah, apabila seseorang itu sedang diajak berbual secara berhadapan (Mukhathab), adalah menjadi satu adab dan kelaziman bahasa untuk menyebut namanya atau merujuk kepadanya terlebih dahulu sebagai bentuk memuliakan tetamu / teman berdialog, sebelum beralih menceritakan tentang orang ketiga yang tiada di situ (Ghaib seperti Nabi Nuh, Ibrahim, dan seterusnya).

Dan perhatikan pula susunan para Nabi yang datang selepas itu. Susunan para Nabi itu mengikut kepada garis masa kronologi sejarah (Al-Tartib Al-Zamani).

 

9. Shura:11; Ghafir:20; Insan:2; Taha:46

وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ
dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

قالَ لا تَخافا ۖ إِنَّني مَعَكُما أَسمَعُ وَأَرىٰ
Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.

Di dalam semua ayat ini, Allah mendahulukan menyebut pendengaran sebelum menyebut penglihatan. (Penglihatan) diulang di dalam Al-Qur’an sebanyak puluhan kali. Menariknya, hampir dalam kesemua ayat tersebut (sekitar 99% daripadanya), Allah secara konsisten mendahulukan pendengaran sebelum penglihatan. Para ulama tafsir, pakar bahasa (Balaghah), dan juga para saintis moden telah menemui rahsia yang tersangat agung di sebalik susunan taqdim yang konsisten ini. Ia merangkumi aspek biologi, fungsi spiritual, dan kelebihan fizikal:

A. Rahsia Sains Embriologi (Fasa Bayi di Dalam Rahim). Sebab pertama yang paling menakjubkan adalah dari sudut kronologi perkembangan janin. Sains moden hari ini mengesahkan bahawa deria pendengaran adalah deria terawal yang berfungsi dengan sempurna pada tubuh seorang bayi, jauh sebelum deria penglihatan.

Di dalam rahim: Telinga bayi sudah mula terbentuk dan boleh meresap bunyi-bunyi dari luar (seperti degupan jantung ibu atau bacaan Al-Qur’an) seawal usia kandungan 20 hingga 24 minggu. Mata bayi pula ketika itu masih tertutup rapat dan belum berfungsi.

Selepas dilahirkan: Sebaik sahaja bayi keluar ke dunia, dia sudah boleh mendengar dengan jelas (sebab itu ada yang azan pada telinganya). Manakala deria penglihatannya pula masih sangat kabur, otot matanya belum matang, dan dia hanya mula boleh melihat objek dengan jelas dan fokus selepas beberapa minggu atau bulan.

Oleh itu mendahulukan pendengaran adalah ketepatan sains embriologi yang dipahat oleh Al-Qur’an 1400 tahun sebelum teknologi perubatan menemuinya.

B. Kelebihan Fizikal dan Fungsi Alat (Sains Fizik). Deria pendengaran mempunyai keupayaan fizikal yang jauh lebih luas dan fleksibel berbanding deria penglihatan di alam nyata:

Sifat 360 Darjah: Anda boleh mendengar bunyi dari mana-mana arah (depan, belakang, atas, bawah, kiri, kanan) tanpa perlu memalingkan kepala. Manakala mata pula hanya boleh melihat objek yang berada di hadapan sudut pandangan sahaja.

Fungsi Waktu Malam / Gelap: Apabila lampu dipadamkan atau malam menjadi gelap gelita, deria penglihatan manusia automatik menjadi “lumpuh” dan tidak berfungsi. Namun, deria pendengaran tetap berfungsi 100% dalam kegelapan.

Ketika Tidur: Apabila manusia tidur, matanya akan tertutup rapat dan terputus daripada dunia luar. Tetapi telinganya tetap berjaga! Telinga adalah satu-satunya deria yang menjadi “pintu gerbang” untuk mengejutkan manusia daripada tidur (seperti bunyi penggera/alarm atau jeritan).

C. Kepentingan Utama dalam Penerimaan Iman dan Wahyu. Dari sudut spiritual dan pembinaan tamadun manusia, pendengaran adalah alat komunikasi paling kritikal untuk menerima hidayah.

Cara Wahyu Diturunkan: Para Nabi menerima wahyu daripada malaikat Jibril A.S melalui kaedah suara (pendengaran), bukannya dengan melihat teks bertulis. Umat Nabi pula beriman apabila mereka mendengar ayat-ayat Allah dibacakan.

Asas Ilmu Pengetahuan: Seorang kanak-kanak belajar bercakap, memahami bahasa, dan menyerap nilai moral bermula dengan apa yang dia dengar di sekelilingnya. Jika seorang manusia dilahirkan pekak, dia secara automatik akan menjadi bisu (kerana tiada bank data suara yang didengar untuk ditiru), walaupun matanya celik.

Oleh sebab itu, dalam neraca Al-Qur’an, orang yang paling rugi bukanlah orang yang buta matanya, tetapi orang yang “pekak” telinga hatinya daripada mendengar kebenaran, sehinggakan ahli neraka menyesal dalam Mulk:10 dengan mendahulukan kata dengar:

لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Kalaulah kami dahulu MENDENGAR atau memahami (nasihat), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.”

 

10. Furqan:73

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا
Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang pekak dan buta.

Perhatikan pekak disebut dahulu sebelum buta. Di dalam ayat ini Allah sedang memuji sifat-sifat hamba-Nya yang bertakwa iaitu golongan Ibadurrahman. Di dalam tradisi Al-Qur’an dan budaya manusia, perbuatan “memberi peringatan” atau dakwah selalunya dilakukan melalui lisan (suara dan bacaan). Apabila ayat-ayat Allah dibacakan, ia melibatkan gelombang bunyi yang perlu disambut oleh telinga. Oleh itu, apabila subjek utamanya adalah bacaan peringatan (suara), maka deria yang paling awal dan paling utama bertindak balas adalah pendengaran. Adalah sangat tepat dari sudut logik bahasa untuk menafikan sifat pekak {صُمًّا} terlebih dahulu sebelum menafikan sifat buta {عُمْيَانًا}.

Sama seperti yang kita bincangkan sebelum ini, telinga adalah organ paling kritikal untuk membina iman dan mendapat ilmu pengetahuan. Seseorang boleh mendapat hidayah Islam hanya dengan semata-mata mendengar orang membaca Al-Qur’an (seperti kisah masuk Islamnya Saidina Umar Al-Khattab R.A). Jika telinga seseorang sudah “pekak” dan dikunci rapat daripada mahu mendengar nasihat, maka hidayah tidak akan dapat masuk ke dalam hatinya, dan secara automatik matanya juga akan menjadi “buta” daripada melihat kebaikan. Pintu pertama (pendengaran) mesti diselamatkan dahulu.

Oleh itu pendengaran lebih mulia dari penglihatan kerana tiada Nabi yang diutus dalam keadaan pekak, namun ada Nabi yang mengalami buta seperti Nabi Ya’qub.

 

11. Baqarah:173; Nisa’:100

إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

وَكانَ اللَهُ غَفورًا رَّحيمًا
Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Gandingan غَفُورٌ رَّحِيمٌ paling banyak digunakan di dalam Al-Qur’an. Hampir di dalam semua tempat, Allah secara konsisten mendahulukan Al-Ghafur sebelum Ar-Rahim. Dari sudut sains bahasa (Balaghah), psikologi hamba, dan usul akidah, susunan taqdim ini mempunyai rahsia didikan jiwa yang tersangat agung:

Dalam kaedah penyucian jiwa (Tazkiyatun Nafs) dan logik akal, sebelum kita mahu meletakkan sesuatu yang indah ke dalam satu bekas, kita mestilah membersihkan bekas tersebut daripada segala kotoran terlebih dahulu. Al-Ghafur (Keampunan) berfungsi sebagai proses pembersihan (Takhliyah). Ia memadamkan dosa, mencuci noda, dan menghilangkan kotoran maksiat daripada diri seorang hamba. Ar-Rahim (Kasih Sayang/Rahmat) pula berfungsi sebagai proses penghiasan atau pemberian nikmat (Tahliyah). Selepas dosa diampunkan, barulah Allah mencurahkan rahmat, pahala, dan kasih sayang-Nya yang melimpah-limpah ke dalam hati hamba tersebut. Jika seorang hamba belum diampunkan dosanya (belum bersih), dia belum layak untuk menerima limpahan kasih sayang mutlak (rahmat) daripada Allah. Oleh itu, pintu keampunan {الْغَفُورُ} wajib dibuka dan dilalui terlebih dahulu sebelum hamba itu mengecap kemanisan rahmat {الرَّحِيمُ}.

Apabila seorang hamba melakukan kesilapan atau dosa, emosi utama yang sedang mencengkam jiwanya adalah rasa takut, bersalah, dan bimbang akan azab Allah. Dalam keadaan cemas itu, perkara pertama yang paling didambakan oleh hamba tersebut adalah: “Adakah dosaku ini dimaafkan?” Dia mahu dilepaskan daripada hukuman terlebih dahulu. Dia belum terfikir tentang hadiah atau ganjaran; cukuplah sekadar dirinya tidak diseksa. Mendahulukan Al-Ghafur bertindak sebagai ubat penenang segera bagi psikologi hamba: “Tenanglah, Aku Maha Pengampun {الْغَفُورُ} untuk memadamkan ketakutanmu, malah lebih daripada itu, Aku juga Maha Penyayang {الرَّحِيمُ} untuk merawat dan memuliakanmu semula.”

Di dalam kaedah usul fiqh dan balaghah, terdapat satu prinsip yang berbunyi: “دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ” (Menolak kemudaratan adalah didahulukan daripada mengambil kemaslahatan (kebaikan)).” Mendapatkan keampunan Allah (Al-Ghafur) adalah proses menolak kemudaratan (iaitu terselamat daripada api neraka). Mendapatkan kasih sayang Allah (Ar-Rahim) adalah proses mengambil kemaslahatan (iaitu dimasukkan ke dalam syurga). Maka, menyelamatkan manusia daripada azab neraka adalah satu keutamaan yang lebih mendesak untuk disebut dahulu, berbanding menceritakan tentang nikmat-nikmat yang bakal diterima kemudian.

Akan tetapi ada ketika Al-Qur’an mengubah susunan ini seperti di dalam Saba’:2

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ وَما يَخرُجُ مِنها وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ وَما يَعرُجُ فيها ۚ وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ
Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dialah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Kenapa dalam ayat ini Ar-Rahim disebut dahulu? Kerana konteks ayat tersebut sedang menceritakan tentang nikmat hujan yang turun dari langit dan tumbuh-tumbuhan yang keluar dari bumi. Kesemua itu adalah simbol rahmat duniawi yang sedang dinikmati oleh manusia pada waktu itu juga, maka Ar-Rahim didahulukan mengikut kesesuaian topik suasana. Allah menyebut yang umum dahulu iaitu rahmat itu diberikan kepada seluruh makhlukNya akan tetapi keampunan diberikan kepada yang terpilih sahaja.

 

12. Baqarah:125

أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
“Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”

Ini adalah susunan ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja.

I’tikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ (masjid yang diadakan solat Jumaat padanya) sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada i’tikaf. Tetapi lagi kurang daripada sujud. Ia adalah sebahagian dari solat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak perlu di masjid atau surau.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat (tidak ada rukuk sunat) jadi bilangan sujud itu lebih banyak lagi.

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum. Tawaf adalah khusus bagi orang yang berada di MasjidilHaram, kemudian i’tikaf yang boleh dilakukan di masjid dan kemudian solat yang boleh dilakukan oleh semua orang.

 

13. Ali Imran:43

يٰمَريَمُ اقنُتي لِرَبِّكِ وَاسجُدي وَاركَعي مَعَ الرّٰكِعينَ
“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.

Ini adalah keterbalikan dari Baqarah:125. Sekarang susunan ibadah adalah dari umum kepada khusus atau dari banyak kepada lebih sedikit. Susunan itu adalah Qunut, Sujud dan Rukuk.

Dari sudut susunan balaghah, Allah mendahulukan Qunut di tempat pertama sebelum ibadah fizikal (sujud dan ruku’) atas faktor Urutan Fasa Ibadah Solat (Al-Tartib Al-Af’ali). Sebelum seseorang itu boleh ruku’ atau sujud, dia mestilah berada dalam posisi berdiri (Qiyam) terlebih dahulu. Fasa berdiri inilah tempat berlakunya qunut (ketaatan, bacaan yang lama, dan kekhusyukan hati). Al-Quran menyusun perkataan ini mengikut pergerakan tubuh badan manusia yang bermula dari atas (berdiri) sebelum turun ke bawah. Qunut juga melambangkan kesediaan jiwa, niat, dan ketundukan hati. Sujud dan ruku’ pula adalah terjemahan fizikal bagi ketundukan hati tersebut. Jadi Qunut adalah ibadah yang umum.

Kemudian disebut Sujud pula kerana ia lebih banyak di dalam Solat kerana setiap rakaat ada dua kali sujud. Kalau ikut turutan solat, memanglah kita akan rukuk dahulu, akan tetapi ini bukanlah susunan tertib solat. Sujud juga diletakkan di tempat pertama selepas perintah taat (Qunut) kerana sujud adalah kemuncak tertinggi kedekatan seorang hamba dengan Penciptanya. Nabi Muhammad bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah doa (di dalam sujud tersebut).

Sahih Muslim (No. Hadis: 482)

Kemudian barulah disebut Rukuk kerana setiap rakaat hanya ada satu rukuk sahaja. Rukuk juga sebuah ibadah yang agung, namun darjat ketundukan fizikal dan spiritualnya berada satu takat di bawah sujud. Oleh itu, Allah mendahulukan sujud kerana ia adalah bentuk pengabdian yang paling dicintai-Nya, paling mulia, dan paling tinggi fadilatnya.

 

14. Taghabun:2

فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ
maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin.

Kenapa Allah sebut dahulu kafir sebelum beriman? Bagi kita, mungkin timbul persoalan: Bukankah iman itu perkara yang mulia? Kenapa orang kafir pula yang disebut dahulu? Para ulama tafsir dan pakar Balaghah (retorik bahasa al-Quran) telah menggariskan beberapa rahsia yang sangat hebat di sebalik susunan ini:

Dari sudut realiti sejarah manusia dari zaman Nabi Adam A.S sehinggalah ke hari kiamat, jumlah manusia yang memilih untuk ingkar, kufur, atau lalai (kafir) adalah jauh lebih ramai (majoriti) berbanding jumlah orang yang benar-benar beriman dan bersyukur (minoriti). Al-Quran banyak merakamkan hakikat ini, antaranya dalam Yusuf:103

وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman walaupun kamu sangat menginginkannya.”

Dalam kaedah penyusunan bahasa (Balaghah), didahulukan kelompok yang paling ramai dan dominan secara kuantiti di alam nyata (iaitu kufur) sebelum menyebut kelompok yang sedikit (iaitu iman).

Dari sudut perkembangan tauhid dan ujian hidup, setiap manusia lahir ke dunia ini dalam keadaan suci bersih atas paksi fitrah tauhid. Namun, sebaik sahaja manusia itu baligh dan diberikan akal untuk berfikir, fasa pertama yang dihadapi oleh jiwanya adalah “kegelapan” kebebasan nafsu dan godaan syaitan (simbolik kepada kekufuran/kelalaian). Proses beriman pula memerlukan usaha, mujahadah, hujah, dan kesedaran untuk menyerap cahaya petunjuk ke dalam diri. Dalam konteks ayat ini, kafir disebut dahulu kerana ia mewakili “keadaan awal” keduniaan manusia yang sering kali tewas dengan tuntutan material, sebelum sebahagian daripada mereka berjaya mendaki ke fasa iman yang memerlukan usaha penyucian jiwa.

Akhir sekali, ini adalah rahsia sastera Al-Qur’an yang sangat indah. Sesuatu yang mulia adakalanya sengaja diletakkan di bahagian akhir sebagai penutup (kemuncak) untuk memberikan kesan penghormatan yang tinggi (Makam at-Tasyriq). Bayangkan sebuah majlis anugerah: pemenang tempat pertama atau tetamu kehormat yang paling utama selalunya akan dipanggil dan diumumkan di bahagian paling akhir majlis sebagai kemuncak acara. Oleh itu, Allah menyebut kata Kafir dahulu, lalu menutup gandingan tersebut dengan kata Mu’min (Beriman). Peletakan kalimah beriman di hujung struktur ayat bertindak sebagai “pencuci mulut” atau penutup yang manis, sekali gus menyambungkan sifat iman itu terus dengan nama Allah di hujung ayat: “…dan di antara kamu ada yang beriman, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” Orang beriman mendapat keistimewaan diletakkan bersebelahan dengan perhatian khusus daripada Allah.

 

15. Fatir:32

ثُمَّ أَورَثنَا الكِتٰبَ الَّذينَ اصطَفَينا مِن عِبادِنا ۖ فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ وَمِنهُم مُّقتَصِدٌ وَمِنهُم سابِقٌ بِالخَيرٰتِ بِإِذنِ اللهِ
Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.

Susunan tiga golongan ini sangat unik. Allah mendahulukan golongan yang paling lemah imannya, diikuti golongan pertengahan, dan diakhiri dengan golongan yang paling cemerlang.

1. Mereka yang berpegang kepada fahaman Tauhid tapi mereka ada juga buat dosa dan kerana itu dimasukkan ke dalam neraka dahulu. Hanya selepas dosa mereka dicuci barulah mereka dimasukkan ke dalam syurga. Mereka ini orang Islam yang beriman dengan al-Quran, tetapi amalan perbuatannya masih compang-camping. Mereka melakukan ibadah wajib, namun pada masa yang sama masih kerap tewas dengan dosa-dosa kecil atau besar serta mengabaikan perkara sunat. (Kebaikan < Kejahatan).

2. Yang kedua adalah Golongan Pertengahan iaitu mereka hanya buat amal wajib sahaja. Mereka ini orang Islam yang berada di zon selamat. Mereka menjaga semua perkara wajib dan meninggalkan perkara haram, tetapi mereka jarang melakukan perkara-perkara sunat dan adakalanya masih melakukan perkara yang makruh. (Kebaikan = Kejahatan).

3. Ini adalah Golongan  yang terbaik kerana mereka beramal dengan buat lebih lagi dari yang wajib. Mereka juga banyak melakukan amal yang sunat untuk menambah pahala mereka. Mereka ini golongan elit iman. Mereka bukan sahaja melunaskan yang wajib, malah berebut-rebut mengejar amalan sunat, menjauhi perkara makruh, dan sentiasa menggunakan baki usia mereka untuk memberi manfaat kepada agama dan manusia. (Kebaikan >> Kejahatan).

 

16: Maidah:38

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya

Di dalam bab mencuri, disebut lelaki dahulu sebab yang mahukan kepada harta selalunya adalah lelaki kerana mereka yang menanggung kehidupan keluarga mereka. Mereka yang paling berhajat kepada harta dan ada ketikanya, kalau tidak jumpa cara halal, mereka akan menggunakan cara haram. Oleh itu, lebih ramai lelaki yang mencuri kalau dibandingkan dengan wanita.

Satu lagi sebab, lelaki itu telah diberikan dengan kudrat untuk mencari rezeki dengan cara yang halal, maka apabila dia mencuri maka itu adalah suatu perkara yang berat.

 

17. Nur:2

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ
Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan

Kalau dalam bab mencuri, didahulukan kaum lelaki tapi di dalam bab zina, didahulukan menyebut penzina dari kalangan perempuan kerana angkara merekalah yang lebih banyak menyebabkan penzinaan. Kalau lelaki hendak berzina dan mencari perempuan itu agak payah sedikit jika dibandingkan dengan perempuan yang hendak berzina. Ini kerana mudah sahaja baginya untuk mencari lelaki. Maka, merekalah yang lebih banyak menyebabkan zina terjadi.

Sebab kedua adalah penekanan terhadap perempuan dalam hal ini. Selalunya Al-Qur’an hanya khitab kepada lelaki sahaja dan wanita termasuk di dalam khitab tersebut. Tetapi apabila disebut wanita sekali, ini memberikan penekanan. Maknanya, tanggungjawab wanita juga besar di dalam hal ini dan tidak boleh mereka lepas tangan dalam hal zina ini. Kalau zina terjadi, mereka pun layak dipersalahkan.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya


 

Kemaskini: 27 Mei 2026

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment