Pengenalan:
Surah ini mengajar kita yang apabila kita telah merasa kemanisan iman, bagaimanakah perasaan kita. Kalau sebelum ini kita telah belajar Surah Munafiqoon tentang orang munafik yang tidak ada iman, maka sekarang disebut apabila seseorang itu ada iman maka apakah nikmat yang dia dapat rasa.
Bahagian pertama surah ini adalah dari ayat 1 sampai ayat 13. Allah menyebut tentang dalil-dalil tauhid. Walaupun surah ini adalah Surah Madaniyyah, tapi Allah kembali memperingatkan umat Islam tentang Tauhid sepertimana yang selalu ada dalam Surah Makiyyah.
Bahagian kedua dari ayat 14 hingga akhir yang banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah (menangani hubungan dengan makhluk).
Surah Taghabun ini juga adalah surah kelapan dalam rentetan surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini Surah Munafiqun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Taghabun Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada dua perenggan makro. Ayat 1 – 13 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu aqidah Musyrikin Arab yang tidak percaya kepada kerasulan dan hari akhirat.
Dalam 1 – 4 ini, Allah memulakan dengan menyebut tentang kekuasaanNya yang tidak ada bandingan
يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمدُ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
At-Taghābun: Deprivation, another name for the Day of Judgement. See next footnote.
Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh.¹ To Him belongs dominion, and to Him belongs [all] praise, and He is over all things competent.
- See footnote to 57:1.
(MELAYU)
Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi;
Sekali lagi Allah memperingatkan tentang tasbih di dalam ayat ini. Allah mengingatkan kita bahawa segala yang ada di langit dan di bumi sedang bertasbih kepada Allah, lalu bagaimana dengan tasbih kamu, wahai manusia?
Apabila disebut tentang tasbih, ia memperingatkan tentang tauhid kepada Allah kerana tasbih adalah kalimah tauhid. Iaitu menidakkan dan membersihkan Allah dari hal-hal yang tidak patut dinisbahkan kepadaNya. Maka kena faham maksud tasbih seperti yang telah selalu disebut dalam penulisan di sini.
لَهُ المُلكُ
hanya Allahlah yang mempunyai semua kerajaan
Apabila kalimah له ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud eksklusif. Maknanya, kerajaan yang sebenar adalah milik Allah sahaja. Allah sahaja yang berkuasa penuh dalam alam ini. Kerajaan dunia ini bukanlah kerajaan sebenar dan sesiapa yang berkuasa itu adalah kerana keizinan Allah sahaja.
Apabila Allah yang beri kuasa kerajaan kepada manusia, maka Allah juga yang boleh mengambilnya balik. Manusia berebut dan berperang kerana hendak mendapat kerajaan dunia. Tapi Allah ingatkan yang itu adalah dunia sahaja. Nanti kerajaan yang sebenarnya adalah milik Allah.
Tidaklah Allah jadikan alam ini dan kemudian biarkan sahaja ia berjalan sendiri. Allah yang memiliki kerajaan alam ini bermaksud Allah yang mentadbirnya. Allah tadbir sendiri dan tidaklah Allah serahkan kerajaan ini kepada sesiapa pun.
Dan Allah tidak melantik sesiapa untuk mentadbir alam ini bersamaNya. Maka kalau ada fahaman yang mengatakan ada Nabi jaga kawasan itu dan ini, ada wali yang dilantik Allah untuk mentadbir mana-mana tempat, itu adalah fahaman syirik.
Ini penting kerana ada fahaman sebegini dalam masyarakat Islam pun. Mereka diajar oleh guru sesat seperti guru tarekat yang mengatakan wali ini dan itu mentadbir kutub utara atau selatan, kawasan ini dan itu, ada yang menjaga masa, ada yang menjaga hutan dan macam-macam lagi perkara karut yang mereka ajar anak murid mereka. Datang dari mana pun kita tidak tahu melainkan ianya adalah ilmu khayalan yang diajar oleh syaitan.
وَلَهُ الحَمدُ
dan bagiNya sahaja semua pujian
Segala pujian adalah milikNya. Allahlah yang sebenarnya layak dipuji. Segala kelebihan yang makhluk ada adalah kerana pemberian Allah, maka semua pujian kembali kepadaNya.
Dan ‘pujian yang khas’ iaitu puji-pujian yang diberikan kepada ilah adalah milikNya sahaja kerana tidak ada ilah selain dariNya. Perkara telah disentuh secara panjang lebar dalam Surah Fatihah.
وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Allah mengingatkan yang Dia yang Maha Berkuasa menentukan apa-apa sahaja. Banyak sekali peringatan ini diberikan dalam Al-Qur’an. Maka kita kenalah sedar perkara ini. Apa-apa sahaja yang berlaku adalah dalam ketentuanNya. Apa-apa sahaja yang Allah mahu terjadi akan terjadi dan perkara yang tidak mendapat izin Allah tidak akan terjadi.
Maka kenalah kita belajar redha dengan ketentuan Allah. Jangan persoalkan apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita.
Taghabun Ayat 2:
هُوَ الَّذي خَلَقَكُم فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ ۚ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It is He who created you, and among you is the disbeliever, and among you is the believer. And Allāh, of what you do, is Seeing.
(MELAYU)
Dialah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
هُوَ الَّذي خَلَقَكُم
Dialah yang menciptakan kamu
Allah hendak memberitahu yang sama ada orang itu beriman ataupun tidak, Allah juga yang menjadikan mereka. Allah ingatkan manusia siapakah yang menjadikan mereka.
Allah telah ciptakan manusia atas sebaik-baik kejadian, iaitu atas fitrah yang kenal mana baik dan mana buruk; tapi ada juga manusia yang memilih jalan keburukan dan kekufuran.
فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ
maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin.
Walaupun Allah yang menjadikan semua makhluk, tapi ada manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini adalah hakikat yang tidak dapat ditolak.
Dalam ayat ini, kita dapat tahu yang kumpulan besar manusia ada dua sahaja: kafir dan mukmin. Bukannya berdasarkan keturunan, warna kulit, bangsa dan apa-apa sahaja. Kalau kita berlainan bangsa tapi beriman, kita dikira bersaudara.
Inilah yang sepatutnya kita terima. Malangnya kita sudah dipecah-pecahkan mengikut negara dan bangsa. Dan kerana itu kita lemah dan senang dibudak-budakkan oleh musuh Islam.
Kufur itu ada banyak jenis. Dalam bahagian pertama, Allah beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini. Tapi ada yang tidak percaya kebenaran ini. Mereka tidak menerima Allah sebagai Tuhan. Atau, ada yang tidak menerima langsung kewujudan Tuhan seperti fahaman sesat golongan Atheist. Mereka cuba mengatakan yang alam yang sebegini hebat, terjadi sendiri tanpa ada yang menjadikannya. Dan ini amat karut sekali.
Huruf ف di dalam ayat ini, menunjukkan sesuatu yang berlaku selepas sesuatu. Dalam ayat sebelum ini, Allah Dia telah mencipta kita dan asal penciptaan itu, semuanya beriman. Cuma selepas itu baru manusia terbahagi kepada kafir dan mukmin.
Memang manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini menunjukkan yang memang Allah berikan kebebasan kepada manusia untuk pilih sama ada nak beriman atau tidak. Allah tidak paksa iman ke atas manusia. Ramai yang susah nak terima perkara ini. Mereka kata kalau Allah berkuasa, kenapa tak jadikan semuanya beriman sahaja?
Banyak ayat Al-Qur’an yang menjawab perkara ini. Allah beritahu yang Dia mampu sahaja nak menjadikan semua makhluk taat. Lihatlah Allah sudah jadikan para malaikat dan semuanya taat kepada Allah. Tapi untuk manusia, Allah beri kebebasan untuk memilih. Kalau benar pilihannya, maka balasannya adalah syurga yang kekal abadi.
Manusia yang menggunakan inteleknya akan sedar bahawa Tuhan itu wujud dan kajian yang lebih mendalam akan menyakinkannya bahawa Tuhan itu namaNya Allah. Dan Dia akan mencari-cari apakah yang Allah kehendaki darinya dan dia akan taat kepada kehendak Allah itu. Maka mereka inilah yang selamat kerana telah membuat keputusan yang tepat.
Kemudian ada kufur jenis lain. Iaitu mereka menerima wujudnya Tuhan tapi mereka menolak untuk menerima Allah; kemudian ada yang terima Allah sebagai Tuhan, tapi fahamannya tidak seperti yang sepatutnya disebut di dalam wahyu. Jadi ada berjenis-jenis tahap kekufuran.
Disebut mereka yang kufur dulu kerana memang orang kafir yang lebih ramai dari orang yang beriman. Memang itu adalah salah satu dari balaghah Al-Qur’an. Allah dulukan sebut yang banyak dahulu. Maka tidaklah menghairankan jikalau kebanyakan manusia dalam dunia ini tidak beriman dengan iman yang sebenar. Maka janganlah rasa canggung kalau amalan dan fahaman kita berlainan dari kebanyakan manusia yang lain.
Memang sudah begitu dan tidak perlu dihairankan. Ada yang hairan apabila kita sebut banyak amalan salah manusia. Maka ada yang tidak setuju dan berkata: “kalau begitu, ramailah ahli neraka?!!” Memang 999/1,000 manusia memang masuk neraka, maka memang tidak menghairankan.
وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Semua yang dilakukan oleh makhluk sedang diperhatikan oleh Allah. Tidak ada yang tersembunyi dari pemerhatian Allah. Setiap perbuatan kita direkod oleh Allah.
Maka Allah akan balas manusia berdasarkan dari perbuatan mereka yang Allah lihat. Kalau amalan baik akan dibalas dengan pahala dan kalau amalan itu buruk, ia akan dibalas dengan dosa. Banyak pahala akan masuk syurga dan banyak dosa akan dimasukkan ke dalam neraka.
Taghabun Ayat 3:
خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He created the heavens and earth in truth and formed you and perfected your forms; and to Him is the [final] destination.
(MELAYU)
Dia menciptakan langit dan bumi dengan haq. Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).
خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ
Dia telah menciptakan langit dan bumi dengan haq.
Allah bukan sahaja mencipta manusia dan jin, tapi alam ini juga dicipta oleh Allah. Allah hendak mengingatkan kita dengan kekuasaanNya.
Tujuan Allah mencipta alam ini adalah untuk menzahirkan al-haq, iaitu kebenaran. Untuk menzahirkan dalil dan hujah kepada kita yang alam ini ada Penciptanya. Takkan ia terjadi sendiri dengan begitu indah sekali. Maka kita sudah pasti ada Tuhan yang menjadikannya. Tugas kita di dunia ini adalah untuk mencari siapakah Tuhan itu. Orang mukmin telah menerima yang Pencipta yang Maha Agong itu adalah Allah.
Maknanya, alam ini tidaklah dijadikan sia-sia sahaja tapi bersebab. Dan kejadian kita pun bersebab juga. Tidaklah Allah sengaja main-main dengan menjadikan alam ini. Dan begitu juga kita tidak dijadikan untuk hidup kemudian mati begitu sahaja. Kalau kita yang lagi hebat dalam alam ini, takkanlah Allah jadikan main-main sedangkan alam pun tidak dijadikan untuk main-main.
Maka kita kena kena tahu tujuan hidup kita di atas muka bumi ini. Jangan kita nak hidup begitu sahaja tanpa memenuhi kehendak kita dijadikan. Hendaklah kita mencari tujuan hidup kita (sebagai hamba Allah) dan menjalani kehidupan kita seperti yang sepatutnya.
Ia juga menjadi dalil yang Allah boleh hancurkan alam ini dan buat alam akhirat yang baru. Kerana kalau Allah boleh jadikan alam ini dari tidak ada kepada ada, apa yang menghalang Allah dari menghancurkannya dan menjadikan alam yang baru? Tidak ada yang menghalang. Maka jangan ditolak kejadian Kiamat dan kebangkitan semula kerana memang Allah boleh lakukan.
وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم
Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu
Allah sahaja yang mampu membentuk rupa kita. Kerana itulah salah satu dari nama Allah adalah al-Musawwiru. Hebatnya Allah, kita ini berbilion bilangan, tapi rupa tidak ada.
Tadi Allah sebut Dia menjadikan alam dan sekarang disebut penciptaan kita (manusia) pula. Allah bukan sahaja menjadikan kita tapi Allah telah mencipta kita dalam sebaik-baik bentuk. Memang Allah telah jadikan kita dalam rupa paras yang indah. Kalau tak percaya, bandingkan rupa kita dan rupa beruk.
Memang kadangkala kita tidak cantik kalau dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi yang kita kena bandingkan adalah dengan makhluk lain. Kalau bandingkan dengan makhluk lain, memang kitalah yang terhebat.
Bukan sahaja Allah telah berikan kita akal dan intelek, tapi Allah lengkapi kita dengan fizikal yang sempurna. Bayangkan kalau kita ada akal manusia, tapi Allah jadikan kita dalam bentuk ikan? Bagaimana kita nak berfungsi sebagai khalifah Allah kalau begitu? Kerana kita akan hidup dalam air sahaja dan kita tidak ada tangan dan kaki untuk berfungsi di atas darat. Maka hargailah pemberian fizikal sempurna yang Allah telah berikan kepada kita ini.
Jadi rupa kita berapa tinggi, warna kulit dan sebagainya ditentukan oleh Allah. Maka kita kena redha dengan apa yang kita ada. Kalau kita tidak redha, maka itu bermaksud kita tidak redha dengan Allah. Maknanya kita tidak suka dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita.
Dan ada juga yang mengatakan bukan fizikal sahaja yang dibentuk tetapi roh kita telah dibentuk oleh Allah. Oleh kerana itu ada orang yang pandai bercakap, ada yang pandai matematik dan ada yang pandai begitu dan begini. Kerana kepandaian itu bukan bergantung kepada fizikal kita tetapi roh dalaman kita.
وَإِلَيهِ المَصيرُ
dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).
Allah telah mencipta, menjadikan kita dalam sebaik-baik bentuk. Tapi Allah ingatkan kembali yang Allah hanya hidupkan kita sementara sahaja di dunia ini. Kita bukan untuk tinggal selama-lamanya di dunia. Kita akan mati dan dunia ini akan hancur dan akhirnya kita akan mengadap Allah dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa sahaja yang kita lakukan selama kita di dunia ini.
Maka manusia yang sedar perkara ini akan berhati-hati dalam apa sahaja yang dilakukannya. Kerana dia tahu yang dia akan disoal di akhirat kelak. Maka dia akan takut untuk buat dosa dan amalkan fahaman yang salah.
Dia sedar yang dia akan dipertanggungjawabkan dengan penciptaan dirinya yang hebat, di mana dia telah diberikan dengan akal dan fitrah kejadian yang baik dan dia akan disoal apakah yang dia telah gunakan keduanya semasa dia hidup di dunia. Apa lagi alasan kalau Allah telah berikan yang terbaik buat kita?
Taghabun Ayat 4: Ayat sebelum ini tentang qudrat Allah taala. Sekarang Allah sebut tentang ilmuNya pula.
يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He knows what is within the heavens and earth and knows what you conceal and what you declare. And Allāh is Knowing of that within the breasts.
(MELAYU)
Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi
Segala yang ada, segala yang terjadi dalam alam ini, dalam pengetahuan Allah. Tidak ada yang tersembunyi dariNya. Mana mungkin Dia tidak tahu tentang semua itu sedangkan segala yang terjadi itu adalah dengan izinNya. Tidak akan berlaku apa pun melainkan dalam urusanNya.
وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ
dan Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan.
Allah tahu apa sahaja yang kita lakukan secara zahir dan secara rahsia. Ada perkara yang manusia buat terang-terangan tapi ada banyak lagi perkara yang manusia lakukan secara sembunyi. Manusia lain tidak nampak tapi Allah nak ingatkan yang Allah tahu apa sahaja yang manusia itu lakukan.
Bukan sahaja Allah tahu apa yang terjadi, tapi apa yang belum terjadi pun Allah sudah tahu. Ini adalah kerana ilmu Allah luas. Ilmu kita setakat tahu apa yang telah terjadi sahaja, sedangkan ilmu Allah tahu apa yang akan terjadi juga. Jadi Allah tahu apa yang kita katakan, dan Allah tahu apa yang kita ‘belum’ katakan; iaitu segala perkara dalam hati kita. Segala fikiran kita, segala perasaan kita adalah dalam ilmu Allah jua.
Segala apa yang manusia lakukan di dalam alam ini adalah pemberian daripada Allah juga kerana idea-idea dan ilham yang kita dapat itu adalah dari Allah dan ia tidak terjadi sendiri.
وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
Allah tahu apakah niat kita semasa melakukan perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, adakah solat yang kita lakukan itu adalah ikhlas ataupun kerana nak tunjuk kepada orang (nak tunjuk dia orang beriman, contohnya). Kalau orang munafik, mereka solat kerana hendak menunjuk kepada orang sahaja. Kalau orang tidak lihat, mereka tidak solat pun.
Maka niat adalah perkara yang amat penting. Dalam mahkamah dunia pun hakim akan cuba untuk melihat niat pelaku kesalahan. Sebagai contoh, apabila ada pembunuhan, mahkamah akan cuba untuk menentukan sama ada orang yang membunuh itu ada niat untuk membunuh atau pun tidak. Maka mereka akan cuba lihat adakah motif perlakuan itu, adakah perkelahian antara yang dibunuh dan dibunuh.
Semua itu dilakukan untuk menentukan niat pelaku pembunuhan itu. Tapi hakim cuma boleh agak sahaja berdasarkan bukti-bukti yang ada. Tapi tentulah tidak tepat kerana hakim tidak boleh baca hati manusia. Maka siapakah yang tahu hati manusia dan mengetahui niat seseorang itu? Tentulah Allah yang Maha Mengetahui. Maka Allahlah yang layak untuk menentukan hukum kepada manusia kerana Allah tahu apakah niat perlakuan itu.
Maka ketahuilah yang Allah tahu apa yang disimpan dalam hati kita. Bukan sahaja Allah tahu apa yang kita rahsiakan dalam hati kita, tapi dalam ‘lipatan hati’ kita pun Allah tahu. Lipatan hati adalah lintasan hati yang tidak dibentuk menjadi niat pun lagi, cuma masih lintasan sahaja. Kita pun tak sempat fikir dalam otak lagi, tapi Allah sudah tahu.
Termasuk Allah tahu perkara yang di bawah sedar kita (sub-concious). Otak kita pun tak dapat nak kawal perkara bawah sedar itu tapi Allah yang kawal. Sebagai contoh, otak kita juga yang kawal pergerakan nafas, perjalanan darah, perut dan sebagainya dalam tubuh kita. Kita tidak boleh kawal kerana ia di bawah minda sedar kita, tapi Allah boleh kawal.
Taghabun Ayat 5: Ayat takhwif duniawi (penakutan dengan azab dunia). Sekarang Allah sebut tentang umat-umat terdahulu yang telah menolak kebenaran wahyu.
أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Has there not come to you the news of those who disbelieved before? So they tasted the bad consequence of their affair, and they will have a painful punishment.
(MELAYU)
Apakah belum datang kepadamu (hai orang-orang kafir) berita orang-orang kafir terdahulu. Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk dari perbuatan mereka dan mereka memperoleh azab yang pedih.
أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ
Apakah belum datang kepadamu berita orang-orang kafir terdahulu.
Allah mengingatkan tentang kisah orang-orang yang engkar di zaman dahulu. Kisah-kisah itu masyhur dan Allah cuma ingatkan sahaja. Kisah-kisah kaum terdahulu seperti Kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi itu sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran bagi kita semua.
فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم
Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk dari perbuatan mereka
Kaum yang sebelum ini dikenakan dengan azab dunia dan berterusan menerima azab itu kerana kedegilan mereka menerima ajaran tauhid dan ajaran agama dari Nabi mereka. Maka ambillah pengajaran dari mereka. Janganlah tolak tauhid dan suruhan agama. Allah boleh musnahkan manusia pada bila-bila masa sahaja.
وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
dan mereka memperoleh azab yang pedih.
Dan mereka mendapat azab di akhirat juga yang tidak akan berkurangan. Kalau kita sakit di dunia, lama kelamaan kita akan rasa biasa dengan sakit itu dan sakit itu akan rasa berkurangan. Tapi ia tidak akan berlaku di akhirat. Penghuni neraka tidak akan rasa azab itu berkurangan. Maknanya azab itu akan berada pada tahap kesakitan yang tinggi sentiasa.
Walaupun Allah telah mengenakan hukuman kepada mereka di dunia, tapi hukuman di dunia itu tidak lengkap. Kerana mereka tidak dikenakan dengan hukuman yang penuh, maka hukuman yang penuh adalah di akhirat kelak.
Cuma Allah jadikan hukuman azab di dunia sebagai pengajaran kepada manusia yang lain. Kerana apabila manusia ditakutkan dengan hukuman di akhirat, ada yang buat tidak kisah kerana mereka tidak nampak kesan hukuman di akhirat lagi. Tapi apabila mereka lihat yang di dunia pun Allah sudah pernah kenakan azab kepada pelaku dosa, maka ini akan menakutkan mereka dan menghalang mereka dari melakukan dosa yang sama.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 27 Januari 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
Alhamdullilah sangat bermenafaat mudah utk difahami dapat membantu saya utk mentaddabur Semuga saya akan istiqomah dgn program ini TK
LikeLike