Tafsir Surah Taghabun Ayat 1 – 5 (Kesempurnaan kejadian manusia)

Pengenalan: 

Surah ini mengajar kita yang apabila kita telah merasa kemanisan iman, bagaimanakah perasaan kita. Kalau sebelum ini kita telah belajar Surah Munafiqoon tentang orang munafik yang tidak ada iman, maka sekarang disebut apabila seseorang itu ada iman maka apakah nikmat yang dia dapat rasa.

Bahagian pertama surah ini adalah daripada ayat 1 sampai ayat 13. Allah ﷻ menyebut tentang dalil-dalil tauhid. Walaupun surah ini adalah Surah Madaniyyah, tetapi Allah ﷻ kembali memperingatkan umat Islam tentang Tauhid sepertimana yang selalu ada dalam Surah Makiyyah.

Bahagian kedua daripada ayat 14 hingga akhir yang banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah (menangani hubungan dengan makhluk). 

Surah Taghabun ini juga adalah surah kelapan dalam rentetan surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini Surah Munafiqun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


Taghabun Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada dua perenggan makro. Ayat 1 – 13 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu aqidah Musyrikin Arab yang tidak percaya kepada kerasulan dan hari akhirat.

Dalam 1 – 4 ini, Allah ﷻ memulakan dengan menyebut tentang kekuasaan-Nya yang tidak ada bandingan

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمدُ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Taghābun: Deprivation, another name for the Day of Judgement. See next footnote.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh.¹ To Him belongs dominion, and to Him belongs [all] praise, and He is over all things competent.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi;

Sekali lagi Allah ﷻ memperingatkan tentang tasbih di dalam ayat ini. Allah ﷻ mengingatkan kita bahawa segala yang ada di langit dan di bumi sedang bertasbih kepada Allah ﷻ, lalu bagaimana dengan tasbih kamu, wahai manusia?

Apabila disebut tentang tasbih, ia memperingatkan tentang tauhid kepada Allah ﷻ kerana tasbih adalah kalimah tauhid iaitu menidakkan dan membersihkan Allah ﷻ daripada hal-hal  yang tidak patut dinisbahkan kepada-Nya. Maka kena faham maksud tasbih seperti yang telah selalu disebut dalam penulisan di sini.

 

لَهُ المُلكُ

hanya Allahlah yang mempunyai semua kerajaan

Apabila kalimah له ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud eksklusif. Maknanya, kerajaan yang sebenar adalah milik Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ sahaja yang berkuasa penuh dalam alam ini. Kerajaan dunia ini bukanlah kerajaan sebenar dan sesiapa yang berkuasa itu adalah di atas keizinan Allah ﷻ sahaja.

Apabila Allah ﷻ yang beri kuasa kerajaan kepada manusia, maka Allah ﷻ juga yang boleh mengambilnya semula. Manusia berebut dan berperang kerana hendak mendapat kerajaan dunia. Namun Allah ﷻ ingatkan yang itu adalah dunia sahaja. Kerajaan yang sebenarnya adalah milik Allah ﷻ.

Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini dan kemudian biarkan sahaja ia berjalan sendiri. Allah ﷻ yang memiliki kerajaan alam ini bermaksud Allah ﷻ yang mentadbirnya. Allah ﷻ tadbir sendiri dan tidaklah Allah ﷻ serahkan kerajaan ini kepada sesiapa pun.

Allah ﷻ tidak melantik sesiapa untuk mentadbir alam ini bersama-Nya. Maka kalau ada fahaman yang mengatakan ada Nabi jaga kawasan itu dan ini, ada wali yang dilantik Allah ﷻ untuk mentadbir mana-mana tempat, itu adalah fahaman syirik.

Ini penting kerana ada fahaman sebegini dalam masyarakat Islam pun. Mereka diajar oleh guru sesat seperti guru tarekat yang mengatakan wali ini dan itu mentadbir kutub utara atau selatan, kawasan ini dan itu, ada yang menjaga masa, ada yang menjaga hutan dan macam-macam lagi perkara karut yang mereka ajar anak murid mereka. Datang dari mana pun kita tidak tahu melainkan ia adalah ilmu khayalan yang diajar oleh syaitan.

 

وَلَهُ الحَمدُ

dan bagi-Nya sahaja semua pujian

Segala pujian adalah milik-Nya. Allah ﷻlah yang sebenarnya layak dipuji. Segala kelebihan yang makhluk ada adalah kerana pemberian Allah ﷻ, maka semua pujian kembali kepada-Nya.

‘Pujian yang khas’ iaitu puji-pujian yang diberikan kepada ilah adalah milik-Nya sahaja kerana tidak ada ilah selain dari-Nya. Perkara telah disentuh secara panjang lebar dalam Surah Fatihah.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ mengingatkan yang Dia yang Maha Berkuasa menentukan apa-apa sahaja. Banyak sekali peringatan ini diberikan dalam Al-Qur’an. Maka kita kenalah sedar perkara ini. Apa-apa sahaja yang berlaku adalah dalam ketentuan-Nya. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ mahu terjadi akan terjadi dan perkara yang tidak mendapat izin Allah ﷻ tidak akan terjadi.

Maka kenalah kita belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Jangan persoalkan apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita.


Taghabun Ayat 2:

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ ۚ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who created you, and among you is the disbeliever, and among you is the believer. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Dialah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم

Dialah yang menciptakan kamu

Allah ﷻ hendak memberitahu yang sama ada orang itu beriman ataupun tidak, Allah ﷻ juga yang menjadikan mereka. Allah ﷻ ingatkan manusia siapakah yang menjadikan mereka.

Allah ﷻ telah ciptakan manusia atas sebaik-baik kejadian, iaitu atas fitrah yang kenal mana baik dan mana buruk; tetapi ada juga manusia yang memilih jalan keburukan dan kekufuran.

 

فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ

maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin.

Walaupun Allah ﷻ yang menjadikan semua makhluk, tetapi ada manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini adalah hakikat yang tidak dapat ditolak.

Dalam ayat ini, kita dapat tahu yang kumpulan besar manusia ada dua sahaja: kafir dan mukmin. Bukannya berdasarkan keturunan, warna kulit, bangsa dan apa-apa sahaja. Kalau kita berlainan bangsa tetapi beriman, kita dianggap bersaudara.

Inilah yang sepatutnya kita terima. Malangnya kita sudah dipecah-pecahkan mengikut negara dan bangsa. Oleh kerana itu kita lemah dan senang diperbudakkan oleh musuh Islam.

Kufur itu ada banyak jenis. Dalam bahagian pertama, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini. Namun begitu ada yang tidak percaya kebenaran ini. Mereka tidak menerima Allah ﷻ sebagai Tuhan. Atau, ada yang tidak menerima langsung kewujudan Tuhan seperti fahaman sesat golongan Atheist. Mereka cuba mengatakan yang alam yang sebegini hebat, terjadi sendiri tanpa ada yang menjadikannya. Fahaman begini amat karut sekali.

Huruf ف di dalam ayat ini, menunjukkan sesuatu yang berlaku selepas sesuatu. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ ingatkan yang Dia telah mencipta kita dan asal penciptaan itu, semuanya beriman. Cuma selepas itu baru manusia terbahagi kepada kafir dan mukmin.

Memang manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini menunjukkan yang memang Allah ﷻ berikan kebebasan kepada manusia untuk memilih sama ada mahu beriman atau tidak. Allah ﷻ tidak memaksa iman ke atas manusia. Ramai yang susah untuk menerima perkara ini. Mereka kata kalau Allah ﷻ berkuasa, kenapa tidak jadikan semuanya beriman sahaja?

Banyak ayat Al-Qur’an yang menjawab perkara ini. Allah ﷻ beritahu yang Dia mampu sahaja untuk menjadikan semua makhluk taat. Lihatlah Allah ﷻ sudah jadikan para malaikat dan semuanya taat kepada Allah ﷻ. Namun untuk manusia, Allah ﷻ berikan kebebasan untuk memilih. Kalau benar pilihannya, maka balasannya adalah syurga yang kekal abadi.

Manusia yang menggunakan inteleknya akan sedar bahawa Tuhan itu wujud dan kajian yang lebih mendalam akan menyakinkannya bahawa Tuhan itu nama-Nya Allah. Dia akan mencari-cari apakah yang Allah ﷻ kehendaki daripadanya dan dia akan taat kepada kehendak Allah ﷻ itu. Maka mereka inilah yang selamat kerana telah membuat keputusan yang tepat.

Kemudian ada kufur jenis lain. Iaitu mereka menerima wujudnya Tuhan tetapi mereka menolak untuk menerima Allah ﷻ; kemudian ada yang terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, tetapi fahamannya tidak seperti yang sepatutnya disebut di dalam wahyu. Maka ada berjenis-jenis tahap kekufuran.

Disebut mereka yang kufur dulu kerana memang orang kafir yang lebih ramai daripada orang yang beriman. Memang itu adalah salah satu daripada balaghah Al-Qur’an. Allah ﷻ dahulukan sebut yang banyak dahulu. Maka tidaklah menghairankan jikalau kebanyakan manusia dalam dunia ini tidak beriman dengan iman yang sebenar. Janganlah berasa canggung kalau amalan dan fahaman kita berlainan daripada kebanyakan manusia yang lain.

Memang sudah begitu dan tidak perlu dihairankan. Ada yang hairan apabila kita sebut banyak amalan salah manusia. Maka ada yang tidak setuju dan berkata: “Kalau begitu, ramailah ahli neraka?!!” Sememangnya telah disebut daripada hadith sahih, terdapat 999/1,000 manusia masuk neraka, maka memang tidak menghairankan.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Semua yang dilakukan oleh makhluk sedang diperhatikan oleh Allah ﷻ. Tidak ada yang tersembunyi daripada pemerhatian Allah ﷻ. Setiap perbuatan kita direkod oleh Allah ﷻ.

Maka Allah ﷻ akan balas manusia berdasarkan daripada perbuatan mereka yang Allah ﷻ lihat. Kalau amalan baik akan dibalas dengan pahala dan kalau amalan itu buruk, ia akan dibalas dengan dosa. Banyak pahala akan masuk syurga dan banyak dosa akan dimasukkan ke dalam neraka.


Taghabun Ayat 3:

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens and earth in truth and formed you and perfected your forms; and to Him is the [final] destination.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan haq. Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Dia telah menciptakan langit dan bumi dengan haq.

Allah ﷻ bukan sahaja mencipta manusia dan jin, tetapi alam ini juga dicipta oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita dengan kekuasaan-Nya.

Tujuan Allah ﷻ mencipta alam ini adalah untuk menzahirkan al-haq, iaitu kebenaran. Untuk menzahirkan dalil dan hujah kepada kita yang alam ini ada Penciptanya. Tidak mungkin ia terjadi sendiri dengan begitu indah sekali. Maka kita sudah pasti ada Tuhan yang menjadikannya. Tugas kita di dunia ini adalah untuk mencari siapakah Tuhan itu. Orang mukmin telah menerima yang Pencipta yang Maha Agong itu adalah Allah ﷻ.

Maknanya, alam ini tidaklah dijadikan sia-sia sahaja tetapi bersebab. Kejadian kita pun bersebab juga. Tidaklah Allah ﷻ sengaja main-main dengan menjadikan alam ini. Begitu juga kita tidak dijadikan untuk hidup kemudian mati begitu sahaja. Kalau kita yang lagi hebat dalam alam ini, takkanlah Allah ﷻ jadikan main-main sedangkan alam pun tidak dijadikan untuk main-main.

Maka kita kena kena tahu tujuan hidup kita di atas muka bumi ini. Jangan kita hidup begitu sahaja tanpa memenuhi kehendak kita dijadikan. Hendaklah kita mencari tujuan hidup kita (sebagai hamba Allah ﷻ) dan menjalani kehidupan kita seperti yang sepatutnya.

Ia juga menjadi dalil yang Allah ﷻ boleh hancurkan alam ini dan menjadikan alam akhirat yang baru. Ini kerana kalau Allah ﷻ boleh jadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada, apakah yang menghalang Allah ﷻ daripada menghancurkannya dan menjadikan alam yang baru? Tidak ada yang menghalang. Maka jangan ditolak kejadian Kiamat dan kebangkitan semula kerana memang Allah ﷻ boleh lakukan.

 

وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم

Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu

Allah ﷻ sahaja yang mampu membentuk rupa kita. Kerana itulah salah satu daripada nama Allah ﷻ adalah al-Musawwiru. Hebatnya Allah ﷻ, kita ini berbilion bilangan, tetapi rupa tidak ada yang sama.

Tadi Allah ﷻ sebut Dia menjadikan alam dan sekarang disebut penciptaan kita (manusia) pula. Allah ﷻ bukan sahaja menjadikan kita tetapi Allah ﷻ telah mencipta kita dalam sebaik-baik bentuk. Memang Allah ﷻ telah menjadikan kita dalam rupa paras yang indah. Kalau tidak percaya, cubalah bandingkan rupa kita dengan rupa beruk.

Memang kadangkala kita tidak cantik kalau dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi yang kita kena bandingkan adalah dengan makhluk lain. Kalau dibandingkan dengan makhluk lain, memang kitalah yang terhebat.

Bukan sahaja Allah ﷻ telah berikan kita akal dan intelek, tetapi Allah ﷻ lengkapi kita dengan fizikal yang sempurna. Bayangkan kalau kita ada akal manusia, tetapi Allah ﷻ jadikan kita dalam bentuk ikan? Bagaimana kita hendak berfungsi sebagai khalifah Allah ﷻ kalau begitu? Kerana kita akan hidup dalam air sahaja dan kita tidak ada tangan dan kaki untuk berfungsi di atas darat. Maka hargailah pemberian fizikal sempurna yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita ini.

Oleh itu, rupa kita berapa tinggi, warna kulit dan sebagainya telah ditentukan sebaiknya oleh Allah ﷻ. Maka kita kena redha dengan apa yang kita ada. Kalau kita tidak redha, maka itu bermaksud kita tidak redha dengan kurniaan Allah ﷻ. Maknanya kita tidak suka dengan apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita.

Ada juga yang mengatakan bukan fizikal sahaja yang dibentuk tetapi roh kita telah dibentuk oleh Allah ﷻ. Oleh kerana itu ada orang yang pandai bercakap, ada yang pandai matematik dan ada yang pandai begitu dan begini. Kepandaian itu bukan bergantung kepada fizikal kita tetapi roh dalaman kita. 

 

وَإِلَيهِ المَصيرُ

dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).

Allah ﷻ telah mencipta, menjadikan kita dalam sebaik-baik bentuk. Namun Allah ﷻ ingatkan kembali yang Allah ﷻ hanya hidupkan kita sementara sahaja di dunia ini. Kita bukan untuk tinggal selama-lamanya di dunia. Kita akan mati dan dunia ini akan hancur dan akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa sahaja yang kita lakukan selama kita di dunia ini.

Maka manusia yang sedar perkara ini akan berhati-hati dalam apa sahaja yang dilakukannya kerana dia tahu yang dia akan disoal di akhirat kelak. Maka dia akan takut untuk buat dosa dan amalkan fahaman yang salah.

Dia sedar yang dia akan dipertanggungjawabkan dengan penciptaan dirinya yang hebat, di mana dia telah diberikan dengan akal dan fitrah kejadian yang baik dan dia akan disoal apakah yang dia telah gunakan keduanya semasa dia hidup di dunia. Apa lagi alasan kalau Allah ﷻ telah berikan yang terbaik buat kita?


Taghabun Ayat 4: Ayat sebelum ini tentang qudrat Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ sebut tentang ilmu-Nya pula. 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He knows what is within the heavens and earth and knows what you conceal and what you declare. And Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi

Segala yang ada, segala yang terjadi dalam alam ini, dalam pengetahuan Allah ﷻ. Tidak ada yang tersembunyi daripada-Nya. Mana mungkin Dia tidak tahu tentang semua itu sedangkan segala yang terjadi itu adalah dengan izin-Nya. Tidak akan berlaku apa pun melainkan dalam urusan-Nya.

 

وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ

dan Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan.

Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan secara zahir dan secara rahsia. Ada perkara yang manusia buat terang-terangan tetapi ada banyak lagi perkara yang manusia lakukan secara sembunyi. Manusia lain tidak nampak tetapi Allah ﷻ ingatkan yang Allah ﷻ tahu apa sahaja yang manusia itu lakukan.

Bukan sahaja Allah ﷻ tahu apa yang terjadi, tetapi apa yang belum terjadi pun Allah ﷻ sudah tahu. Ini adalah kerana ilmu Allah ﷻ luas. Ilmu kita setakat tahu apa yang telah terjadi sahaja, sedangkan ilmu Allah ﷻ tahu apa yang akan terjadi juga. Allah ﷻ tahu apa yang kita katakan, dan Allah ﷻ tahu apa yang kita ‘belum’ katakan; iaitu segala perkara dalam hati kita. Segala fikiran kita, segala perasaan kita adalah dalam ilmu Allah ﷻ jua.

Segala apa yang manusia lakukan di dalam alam ini adalah pemberian daripada Allah ﷻ juga kerana idea-idea dan ilham yang kita dapat itu adalah daripada Allah ﷻ dan ia tidak terjadi secara sendiri. 

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah ﷻ tahu apakah niat kita semasa melakukan perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, adakah solat yang kita lakukan itu adalah ikhlas ataupun kerana hanya untuk menunjuk kepada orang sahaja (tunjuk dia orang beriman, contohnya). Sebagaimana orang munafik, mereka solat kerana hendak menunjuk kepada orang sahaja. Kalau orang tidak lihat, mereka tidak solat pun.

Maka niat adalah perkara yang amat penting. Dalam mahkamah dunia pun hakim akan cuba untuk melihat niat pelaku kesalahan. Sebagai contoh, apabila ada pembunuhan, mahkamah akan cuba untuk menentukan sama ada orang yang membunuh itu ada niat untuk membunuh ataupun tidak. Mereka akan cuba lihat adakah motif perlakuan itu, adakah perkelahian antara yang dibunuh dan dibunuh.

Semua itu dilakukan untuk menentukan niat pelaku pembunuhan itu. Akan tetapi hakim cuma boleh mengagak sahaja berdasarkan bukti-bukti yang ada. Namun tentulah tidak tepat kerana hakim tidak boleh membaca hati manusia. Maka siapakah yang tahu hati manusia dan mengetahui niat seseorang itu? Tentulah Allah ﷻ yang Maha Mengetahui. Maka Allah ﷻlah yang layak untuk menentukan hukum kepada manusia kerana Allah ﷻ tahu apakah niat perlakuan itu.

Oleh itu, ketahuilah yang Allah ﷻ tahu apa yang disimpan dalam hati kita. Bukan sahaja Allah ﷻ tahu apa yang kita rahsiakan dalam hati kita, tetapi dalam ‘lipatan hati’ kita pun Allah ﷻ tahu. Lipatan hati adalah lintasan hati yang tidak dibentuk menjadi niat pun lagi, cuma masih lintasan sahaja. Kita pun tidak sempat fikir dalam otak lagi, namun Allah ﷻ sudah tahu.

Termasuk Allah ﷻ tahu perkara yang di bawah sedar kita (sub-concious). Otak kita pun tidak dapat mengawal perkara bawah sedar itu tetapi Allah ﷻ yang kawal. Sebagai contoh, otak kita juga yang mengawal pergerakan nafas, perjalanan darah, perut dan sebagainya dalam tubuh kita. Kita tidak boleh kawal kerana ia di bawah minda sedar kita, tetapi Allah ﷻ boleh kawal.


Taghabun Ayat 5: Ayat takhwif duniawi (penakutan dengan azab dunia). Sekarang Allah ﷻ sebut tentang umat-umat terdahulu yang telah menolak kebenaran wahyu.

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there not come to you the news of those who disbelieved before? So they tasted the bad consequence of their affair, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

Apakah belum datang kepadamu (hai orang-orang kafir) berita orang-orang kafir terdahulu. Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk dari perbuatan mereka dan mereka memperoleh azab yang pedih.

 

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ

Apakah belum datang kepadamu berita orang-orang kafir terdahulu.

Allah ﷻ mengingatkan tentang kisah orang-orang yang ingkar di zaman dahulu. Kisah-kisah itu masyhur dan Allah ﷻ cuma ingatkan sahaja. Kisah-kisah kaum terdahulu seperti Kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi itu sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran bagi kita semua.

 

فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم

Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk daripada perbuatan mereka

Kaum yang sebelum ini dikenakan dengan azab dunia dan berterusan menerima azab itu kerana kedegilan mereka menerima ajaran tauhid dan ajaran agama daripada Nabi mereka. Maka ambillah pengajaran daripada mereka. Janganlah tolak tauhid dan suruhan agama. Allah ﷻ boleh musnahkan manusia pada bila-bila masa sahaja.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka memperoleh azab yang pedih.

Mereka mendapat azab di akhirat juga yang tidak akan berkurangan. Kalau kita sakit di dunia, lama kelamaan kita akan rasa biasa dengan sakit itu dan sakit itu akan rasa berkurangan. Sebaliknya ia tidak akan berlaku di akhirat. Penghuni neraka tidak akan rasa azab itu berkurangan. Maknanya azab itu akan berada pada tahap kesakitan yang tinggi sentiasa.

Walaupun Allah ﷻ telah mengenakan hukuman kepada mereka di dunia, tetapi hukuman di dunia itu tidak lengkap kerana mereka tidak dikenakan dengan hukuman yang penuh, maka hukuman yang penuh adalah di akhirat kelak.

Cuma Allah ﷻ jadikan hukuman azab di dunia sebagai pengajaran kepada manusia yang lain. Apabila manusia ditakutkan dengan hukuman di akhirat, ada yang buat tidak kisah kerana mereka tidak nampak kesan hukuman di akhirat lagi. Akan tetapi apabila mereka lihat yang di dunia pun Allah ﷻ sudah pernah kenakan azab kepada pelaku dosa, maka ini akan menakutkan mereka dan menghalang mereka daripada melakukan dosa yang sama.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Januari 2022

Ringkasan Surah Taghabun


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Taghabun Ayat 1 – 5 (Kesempurnaan kejadian manusia)”

  1. Alhamdullilah sangat bermenafaat mudah utk difahami dapat membantu saya utk mentaddabur Semuga saya akan istiqomah dgn program ini TK

    Like

  2. Alhamdulillah..sy masih baru lagi dalam mentadabur al Quran.Ada istilah2 yang baru saya tahu. Penerangan amat jelas dan mudah untuk difahami. Terbaik. Semoga saya terus istiqamah.

    Like

Leave a reply to Latifah Jabbar Cancel reply