Tafsir Surah Zumar ayat 1 – 2 (Tauhid dalam ibadat)

PENGENALAN

Surah Zumar ini adalah tentang bagaimanakah cara untuk mempraktikkan tauhid. Apabila kita sudah faham tauhid, maka kita perlu menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ dengan pemahaman tauhid. Janganlah kata faham tauhid, tetapi bila membuat amalan, hanya pakai ambil dari mana-mana sahaja. Kenalah amalan itu ikut sunnah dan kena ada dalil yang sahih.

Surah ini adalah penjelasan kepada ayat إِيّاكَ نَعبُدُ dalam Surah Fatihah. Dalam Fatihah, kita telah berjanji dengan Allah ﷻ yang kita hanya sembah Dia sahaja. Namun, adakah kita amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Mari kita lihat dalam perbincangan surah ini.

Jadi, surah ini adalah amat penting sekali untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita baca setiap hari dalam solat kita. Kalau setiap hari kita baca ayat itu, tetapi kita tidak faham apakah yang dimaksudkan, maka itu adalah salah sama sekali.

Surah ini diturunkan di Mekah dan seperti kebanyakan surah-surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang tauhid. Kadang-kadang kita ada melakukan amalan-amalan ibadat, tetapi sebenarnya kita tidak mengamalkan ajaran tauhid dalam segenap kehidupan kita. Ayat ini mengajar kita bagaimana kita sepatutnya hidup dalam tauhid. 

Dalam surah ini, ada tiga bandingan yang diberikan untuk membezakan antara ahli tauhid dan tidak. Kita kena tengok sama ada kita termasuk dalam golongan tauhid atau tidak.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat ke 2: Ayat itu hendak memberitahu kita – hendaklah ibadat dan seru akan Allah ﷻ sahaja dalam tauhid. Tidak boleh campur aduk dengan sembah dan seru selain Allah ﷻ kerana itu adalah syirik dan amalan tawassul yang dilarang.


 

Ayat 1: Pembukaan surah dan galakan kepada Al-Qur’an. Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi dalil bahawa Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Kitab Al-Qur’an ini dari Allah, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnnya Kitab Al-Qur’an ini,

Permulaan Surah Zumar ini terus mengambil jalan cerita dari surah sebelumnya, Surah Shaad. Di akhir surah itu memperingatkan kepada manusia bahawa Al-Qur’an itu adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sekarang dalam ayat ini, diteruskan dengan memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ﷻ. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini – Surah az-Zumar;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Al-Qur’an ini tidak ada campur aduk dengan kalam yang lain. Dari manakah ia datang?

 

مِنَ اللهِ

adalah daripada Allah,

Bukan daripada Nabi ﷺ, malaikat atau wali-wali, atau dari entiti lain. Hanya daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita, oleh itu Al-Qur’an itu bukanlah dari kata-katanya. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ. Manusia pun bersifat hamba. Begitu juga Malaikat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan daripada orang lain. Oleh itu, jangan kita mempermainkannya dan jangan kita buat tidak endah kepadanya. Kenalah kita belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Sangat sedih, masyarakat kita kalau surat daripada orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Ini kerana nilai surat ini mengikut kedudukan pengirimnya. Kalau pengirimnya orang besar, orang penting, lagi kita pentingkan, bukan?

Namun, dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ‘surat’ Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita tenung dan baca, tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ , Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri sendiri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya.

Dan Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ. Jadi, untuk kenal Allah ﷻ, kenalah kita dapatkan maklumat dari sumber yang sahih, bukannya kita agak-agak sendiri.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ kenalah belajar Al-Qur’an. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ – kononnya mereka panggil ilmu Makrifat. Mereka banyak beramal dengan cara yang bidaah malah dengan cara yang syirik pun ada.

Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ kerana yang mencipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia. Belajarlah Al-Qur’an dan hadis dahulu, supaya kita faham dua sumber agama yang utama, sebelum kita hendak mengambil dari sumber-sumber yang lain.

Kemudian, Allah ﷻ terangkan Sifat-sifat-Nya:

 

الْعَزِيزِ

Aziz: Maha Perkasa.

Kalau kamu hendak melawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dari segala-galanya. Kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita.

Allah ﷻ tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tiada siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidaklah Allah ﷻ seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, lemahlah dia. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan. Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah ﷻ Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah ﷻ?

Disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh membuat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut kepada dia.

Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana pun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua, iaitu:-

 

الْحَكِيمِ

Hakim: Allah Maha Bijaksana,

Allah ﷻ Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar maksud Al-Qur’an. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Al-Qur’an – kalau dia membuka pintu hatinya.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum, Allah ﷻ telah tentukan. Hanya Allah ﷻ  sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Hendak membuat hukum, mestilah satu entiti yang bersifat Al Hakim. Ini kerana Allah ﷻ Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Allah ﷻ sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Walaupun Allah ﷻ bersifat al-Aziz – Maha Gagah Perkasa, jadi Allah ﷻ boleh buat apa sahaja, sebenarnya. Namun, Allah ﷻ tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah yang menentang Nabi ﷺ itu, mereka ramai yang selamat sahaja, tidak terus Allah ﷻ berikan azab kepada mereka walaupun mereka kata macam-macam perkara buruk tentang Nabi ﷺ. Cuma apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud al-Hakim ada dua: [Yang Maha Bijaksana] dan [yang menetapkan hukum].

    1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Oleh itu, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
    2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 2: Ayat ini adalah Dalil Wahyi. Titah khusus kepada penerima, yang pertama sekali adalah Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadat.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat

 

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Qur’an yang mengandungi kebenaran.

Al-Qur’an mengandungi kebenaran. Oleh itu, jika kita hendak mencari kebenaran, ia ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuan yang besar – membawa kebenaran. Kebenaran tentang Allah ﷻ, tentang tauhid dan cara kita mengamalkan kehidupan kita. Bukan perkara main-main yang disebut dalam Al-Qur’an ini.

Ia juga bermaksud semua yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah benar. Tidak ada kesalahan dari awal hingga akhir.

Ayat ini juga menolak kata-kata orang kafir yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah hasil karangan dari Nabi Muhammad ﷺ. Dari dahulu sampai sekarang ada sahaja yang mengatakan sedemikian. Kehebatan yang tertera dalam Al-Qur’an itu sendiri telah menolak kemungkinan yang ia adalah tulisan tangan manusia. Takkan manusia mampu untuk menulis satu kitab yang seperti Al-Qur’an ini – tidak masuk akal. Mereka yang berkata itu adalah kerana degil sahaja untuk menerima yang Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ.

 

فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maka oleh itu, hendaklah kamu puja, sembah Allah Dengan tulus ikhlasnya kepada Allah sahaja.

Maka, setelah kita pasti bahawa Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ, ia pula benar, maka hendaklah kita menyembah-Nya seperti yang telah disuruh oleh-Nya dalam Al-Qur’an itu. Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Ibadat itu ada banyak jenis:

    • Dengan perasaan
    • Dengan anggota zahir
    • Dengan lafaz perkataan
    • Ada yang dilakukan dengan tetap duduk di satu-satu tempat (iktikaf)
    • Ada yang dilakukan dengan menahan (puasa)
    • Ada yang dilakukan dengan meninggalkan sesuatu (seperti Haji)

Apabila perkara-perkara di atas dilakukan untuk selain dari Allah ﷻ, itu adalah syirik dalam ibadah.

Perkara paling penting yang disebut dalam keseluruhan Al-Qur’an adalah tentang mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa. Kena ingat, lafaz ‘deen’ dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya ada dua makna dan untuk mentafsirkan deen, kena sebut dua makna tersebut. Ia boleh membawa maksud [ibadah] dan juga [doa]. Maknanya adalah: mentauhidkan Allah ﷻ dalam segala perbuatan ibadah dan doa kita.

Oleh itu, bukan sahaja dalam ibadat, tetapi dalam berdoa pun, kita hendaklah mentauhidkan Allah ﷻ. Dalilnya seperti di dalam surah al-Fatihah, iaitu pada ayat iyyaka na’budu waiyaaka nastain; iaitu kepada Kamu kami beribadah dan kepada Kamu kami minta bantuan.

Di sini ibadah mempunyai dua tafsiran iaitu ibadah dan juga doa. Hendaklah kamu mentauhidkan ibadah kamu kepada Allah ﷻ semata-mata. Ibadah kita wajib bebas daripada syirik. Hendaklah kita sucikan ibadah dan doa kita daripada syirik. Dalam hadith, Nabi ﷺ pernah berkata bahawa ‘Doa adalah tunjang ibadah’.

Oleh itu, apa sahaja perkataan ‘ibadah’ dalam Al-Qur’an kena tafsirkan dua-dua maksud ibadah ini – doa dan ibadah dan ini adalah dakwa atau maksud surah ini. Maksud surah ini adalah hendaklah mentuluskan ibadah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Semua ayat dalam surah ini adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. SEMATA-MATA HANYA KEPADA ALLAH ﷻ. Tentang ibadah doa akan diceritakan di dalam surah yang lain iaitu dalam Surah Ghafir.

Jadi apabila kita kata solat kena tulus ikhlas, makna sebenar tulus ikhlas itu adalah tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Selain dari tidak melakukan syirik, kita juga dilarang dari buat amalan bidaah dalam solat itu. Oleh itu, dalam amalan ibadat seharian kita, kena ikut apa yang diajar agama melalui Al-Qur’an dan Sunnah.

Kita disuruh untuk mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikhlas’?

Kita dikatakan ikhlas jikalau kita buat sesuatu ibadat itu atas kehendak sendiri tanpa perlu ada orang suruh. Kita buat ibadat itu kerana Allah ﷻ semata-mata, bukan kerana orang lain suruh. Bukan kerana kita mengharapkan bayaran dari orang lain atau bukan kerana kita buat ibadat itu kerana kita malu kepada orang lain yang tengok kita. Itulah makna ikhlas yang kita selalu faham.

Kalau buat juga, itu adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Ini bahaya kerana itu maksudnya buat ibadat, tetapi terkesan dengan orang. Contoh kalau dia solat sendiri, solat dia biasa sahaja, tetapi kalau ada orang yang tengok, solat dia lebih baik. Maknanya, dia terkesan dengan orang, dia hendak menunjuk solat dia bagus. Dia mengharap dipuji atau dia takut dia dikeji kalau dia buat sambil lewa sahaja. Kalau suka dipuji, ini digelar: sum’ah. Ini boleh menyebabkan amal ibadatnya tidak diterima oleh Allah ﷻ.

Namun, adakah itu sahaja maksud ‘ikhlas’? Adakah sama ikhlas kita dengan ikhlas agama lain? Mari kita bincangkan.

Ikhlas yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah ikhlas dalam hati tetapi bagaimana pula dengan ikhlas dalam perbuatan? Satu lagi konsep ikhlas adalah: melakukan sesuatu ibadat mengikut cara yang Allah ﷻ mahukan, iaitu melalui apa yang Dia ajar melalui Al-Qur’an dan Hadith.

Kita ambil contoh penyembelihan binatang. Ia adalah satu ibadat. Contohnya, kita sembelih binatang korban pada perayaan Hari Raya Haji. Namun, ada juga golongan masyarakat kita yang sembelih binatang atas suruhan tok bomoh sebab hendak memberi makan kepada jin. Ini kerana bomoh itu kata, kalau hendak sihat dari gangguan jin hantu, kena sembelih seekor kambing, contohnya.

Sembelihan itu, walaupun dibaca Bismillah semasa menyembelihnya, haram dimakan dagingnya. Ia lebih haram daripada makan daging babi kerana ia tidak ikhlas. Sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak memberi makan kepada jin, dan kerana atas suruhan bomoh.

Satu lagi contoh adalah puasa. Bukan agama Islam sahaja yang ada ibadat berpuasa, tetapi agama lain juga ada ibadat puasa. Cuma cara agama lain berpuasa berbeza daripada cara yang disyariatkan dalam Islam. Persoalannya, adakah ibadah puasa mereka diterima? Tentu tidak, kerana ikhlas mereka itu tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama.

Selain itu, iktikaf juga adalah satu bentuk ibadat. Agama lain pun ada iktikaf juga di rumah ibadat mereka – di gereja, sinagog, kuil dan sebagainya. Adakah semua iktikaf itu  diterima oleh Allah ﷻ? Tidak sekali-kali. Hanya iktikaf yang mengikut cara yang Allah  ﷻ  syariatkan sahaja akan diterima. Begitu juga dengan ibadat-ibadat di atas tadi. Walau bagaimana ikhlas pun mereka buat ibadat mereka, tetapi kalau mereka buat tanpa mengikut syariat Islam, maka ibadat itu tidak diterima.

Kita juga selalu sebut yang Nabi ﷺ itu adalah contoh tauladan yang patut diikuti. Amal ibadat yang kita buat mesti ikut sunnah Nabi ﷺ, baru boleh ia dipanggil ‘amal soleh’. Kalau ibadat selain dari itu, tidak diterima. Jangan buat sesuatu amal ibadat kalau tiada dalil. Perbuatan yang ikhlas bukanlah satu dalil yang boleh dipakai kerana ada juga yang beri hujah: “kalau kita buat ikhlas, tentu Allah ﷻ akan terima.” Ini tidak benar, kerana Allah ﷻ bukan sahaja menetapkan kita buat kerana kita ikhlas dalam hati, tetapi kita kena ikhlas dalam perbuatan juga.

Contoh: Katakanlah kita iktikaf di masjid. Orang Kristian turut iktikaf juga, tetapi di gereja. Orang Hindu pula iktikaf di kuil dia. Agaknya ikhlas tidak perbuatan mereka itu? Tentulah mereka ikhlas melakukan ibadat mereka itu. Kalau tidak ikhlas, tentu mereka tidak akan buat. Bukan ada sesiapa upah mereka untuk buat ibadat mereka itu. Tiada siapa yang bayar.

Macam kita juga, kalau iktikaf, tidak ada siapa yang bayar. Bayangkan paderi tu, rela mereka tidak kahwin sampai bila-bila, sampai tiada zuriat dan tiada rumah, hanya tinggal di gereja itu sahaja. Kalau kita bandingkan dengan imam kita yang tinggal berdekatan masjid, mereka boleh lagi kahwin. Boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Jadi kalau hendak dibandingkan tahap ikhlas, mungkin orang kafir itu lebih ikhlas daripada kita.

Sami Buddha itu pula, sanggup pakai kain dua lapis itu sahaja, jalan pula tidak pakai kasut pun. Duduk sampai mati di tempat ibadat mereka. Adakah iktikaf mereka diterima oleh Allah ﷻ ? Tentu sekali tidak diterima ibadat mereka itu sebab ibadat tersebut tidak mengikut sunnah yang dibawa Nabi ﷺ atau tidak ikut undang-undang Islam seperti apa yang Allah ﷻ hendak.

Jadi ‘ikhlas’ itu mesti mengikut sunnah. Mesti ikhlas sepertimana yang Allah ﷻ hendak. Kalau buat ibadat, tetapi tidak ikut seperti yang Nabi ﷺ suruh, maka tidak diterima. Saidina Umar رضي الله عنه pernah berkata yang mafhumnya: “kalau tidak tahu apa perbuatan Arab Jahiliyyah, belum tentu iman seseorang itu betul.” Agaknya agama apa sebenarnya Orang Arab Musyirikin itu?

Memang kita tahu mereka sembah berhala dan ilah-ilah yang lain tetapi mereka juga buat ibadat Haji kerana mereka duduk dekat dengan Kaabah. Sahabat pernah kata yang pada zaman Jahiliah, mereka wukuf juga di Muzdalifah pada musim Haji. Mereka lakukan itu pun pada 9 Zulhijah juga. Mereka juga melontar di tiga-tiga Jamrah. Tawaf pun sama sahaja dengan tawaf yang kita lakukan. Cuma mereka buat dalam keadaan bertelanjang. Mereka ada ubah dari ajaran Nabi Ibrahim  عليه السلام yang asal.

Sahabat juga kata mereka ambil wuduk dulu sebelum sembahyang. Maknanya, mereka pun wuduk dan sembahyang juga, cuma mereka sembahyang dua rakaat sahaja. Lain sikit cara sembahyang mereka. Nabi ﷺ pernah melakukan solat waktu pagi iaitu waktu Dhuha. Ini sebelum baginda menjadi Nabi. Sahabat kata mereka dulu sudah buat pun solat sunat Dhuha itu.

Mereka juga dibenarkan untuk tunaikan nazar yang mereka buat semasa zaman Jahiliyyah iaitu pernah Saidina Umar رضي الله عنه bernazar untuk melakukan iktikaf di Masjidil Haram. Maka, apabila dia sudah masuk Islam, dia bertanya kepada Nabi ﷺ adakah dia kena penuhi nazarnya itu? Nabi ﷺ katakan dia kena tunaikan. Maknanya, amalan bernazar itu sendiri sudah ada. Hukum kahwin cerai dulu pun ada juga. Cuma boleh rujuk walaupun selepas tiga kali cerai.

Jadi terdapat persamaan antara ibadat mereka dan kita. Jadi apa ugama mereka? Dalam Al-Qur’an, apabila ditanyakan kepada mereka, siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka akan jawab: Allah ﷻ! Mereka juga tahu siapa yang beri rezeki iaitu Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.

Dan rasul mereka adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام  tetapi mereka dipanggil kaum Musyrik sebab mereka juga sembah berhala. Mereka mempunyai ilah selain dari Allah ﷻ. Untuk memahami perkara ini, kita kena faham apakah akidah mereka sampai mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Selain dari itu, lafaz فَاعْبُدِ juga menyuruh kita untuk ‘menghambakan’ diri hanya kepada Allah ﷻ. Selalunya disebut ‘ubudiyyah’. Kehidupan kita mestilah untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan kita buat ibadat tidak tinggal kepada Allah ﷻ, tetapi dalam perkara lain kita tidak ikut – sebagai contoh, berbuat zalim kepada orang lain, bercakap baik kepada orang lain dan sebagainya.

Perkataan الدِّينَ itu juga bermaksud ‘cara hidup’. Allah ﷻ telah memberi banyak suruhan dalam Al-Qur’an dan melalui ajaran Nabi-Nya Muhammad ﷺ. Pengajaran itu bukan hanya dalam ibadat seperti Solat, Puasa dan Haji sahaja, tetapi dalam segenap kehidupan kita. Adakah kita hanya ikut suruhan Allah ﷻ dalam ibadat khusus sahaja namun, tidak mengikut Allah ﷻ dalam perkara lain?

Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi mereka tidak ada masalah untuk memakan harta riba.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Kahfi Ayat 94 – 97 (Kisah Ya’juj Ma’juj)

Kahf Ayat 94: Apa kata mereka kepada Dzul-Qarnain?

قَالُواْ يَـٰذَا ٱلقَرنَينِ إِنَّ يَأجُوجَ وَمَأجُوجَ مُفسِدُونَ فِى ٱلأَرضِ فَهَل نَجعَلُ لَكَ خَرجًا عَلَىٰٓ أَن تَجعَلَ بَينَنَا وَبَينَهُم سَدًّ۬ا

Sahih International

They said, “O Dhul-Qarnayn, indeed Gog and Magog are [great] corrupters in the land. So may we assign for you an expenditure that you might make between us and them a barrier?”

Malay

Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

 

قَالُواْ يَـٰذَا ٱلقَرنَينِ إِنَّ يَأجُوجَ وَمَأجُوجَ مُفسِدُونَ فِى ٱلأَرضِ

Mereka berkata: Wahai Dzul-Qarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj berbuat kerosakan di muka bumi;

Ya’juj Ma’juj itu adalah keturunan manusia juga iaitu daripada keturunan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana semua manusia daripada keturunan baginda berdasarkan kepada ayat Saffat: 77

وَجَعَلنا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الباقينَ
Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.

Penduduk di situ menceritakan kadang-kadang Ya’juj dan Ma’juj akan datang mengambil makanan mereka dan merosakkan tanaman mereka. Sebelum ini telah disebut kedudukan mereka بَينَ السَّدَّينِ iaitu dua gunung yang menjadi penghalang mereka daripada Ya’juj Ma’juj. Akan tetapi oleh kerana masih ada bukaan, maka Ya’juj dan Ma’juj masih boleh masuk dan mengganggu kaum itu.

Maka kaum itu mengadu kepada DzulQarnain dan berharap beliau dapat menolong mereka mengawal golongan Ya’juj dan Ma’juj itu. Mereka lihat bahawa DzulQarnain berkemampuan untuk membantu mereka.

Sekarang kita cuba bahaskan siapakah Ya’juj dan Ma’juj ini. Sebenarnya, ia banyak dibahaskan oleh para ulama’ dalam Asyrat Al-sa’ah (tanda-tanda Kiamat) dan juga hadith fitan (ujian akhir zaman). Justeru, amat penting umat Islam memahami akan perihal Ya’juj dan Ma’juj yang sebenarnya. Semoga dengan pencerahan ini akan memberikan sebuah kefahaman yang jelas.

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam? Ajam bermaksud ‘bukan Arab’ maknanya nama itu diambil daripada luar dunia Arab.

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya daripada Bahasa Arab daripada perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau daripada perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Namun sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang bererti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi daripada kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang ertinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal daripada kata “maaja” (مَاجَ) yang bererti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal daripada maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal daripada mu’juj, iaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap daripada akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang Arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog. Sebab kalau perasan, kalau Ya’juj dan Ma’juj diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, kita akan lihat Gog dan Magog digunakan.

Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: Ya’juj dan Ma’juj termasuk daripada keturunan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Sahihain.

Ada beberapa hadith yang menyebut tentang mereka yang memberi sedikit gambaran kepada kita. Antaranya, hadith daripada Abi Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى يَا آَدَمُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ فَيَقُولُ أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ قَالَ وَمَا بَعْثُ النَّارِ قَالَ مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَمِئَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللهِ شَدِيدٌ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ قَالَ أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلٌ وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفٌ…
Allah berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.”
Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda ﷺ menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya daripada setiap orang daripada kamu, maka daripada Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang…”
(Riwayat Bukhari (3348))

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya’juj dan Ma’juj akan masuk ke neraka bersama dengan Ya’juj dan Ma’juj. Selain itu, hadith tersebut juga memberi gambaran kepada kita bahawa betapa ramainya bilangan Ya’juj dan Ma’juj ini serta sedikitnya daripada golongan orang yang beriman masuk ke dalam neraka. Hal ini boleh difahami melalui sebuah hadith Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

ذَلِكَ يَوْمٌ يُنَادِي اللَّهُ فِيهِ آدَمَ فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ فَيَقُولُ: يَا آدَمُ ابْعَثْ بَعْثَ النَّارِ، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ فَيَقُولُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُ مِائَةٍ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ إِلَى النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ ” فَيَئِسَ القَوْمُ، حَتَّى مَا أَبَدَوْا بِضَاحِكَةٍ، فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي بِأَصْحَابِهِ قَالَ: «اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَمَعَ خَلِيقَتَيْنِ مَا كَانَتَا مَعَ شَيْءٍ إِلَّا كَثَّرَتَاهُ، يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَمَنْ مَاتَ مِنْ بَنِي آدَمَ وَبَنِي إِبْلِيسَ» قَالَ: فَسُرِّيَ عَنِ القَوْمِ بَعْضُ الَّذِي يَجِدُونَ، فَقَالَ: اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ فِي النَّاسِ إِلَّا كَالشَّامَةِ فِي جَنْبِ البَعِيرِ أَوْ كَالرَّقْمَةِ فِي ذِرَاعِ الدَّابَّةِ
“Itu adalah hari di mana Allah berfirman kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Wahai Adam, utuslah utusan-utusan ke neraka.” Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya: “Wahai Rabb, apakah itu utusan neraka?.” Allah menjawab: “Daripada setiap seribu, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang ke neraka dan satu sahaja yang akan ke syurga.” Semua yang berada di situ merasa berputus asa sehingga tidak ada yang tertawa lagi.
Apabila Rasulullah ﷺ melihat keadaan para sahabat, Rasulullah ﷺ bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu tidak termasuk di dalam ciptaan Allah yang jumlahnya jauh lebih besar dibandingkan dengan yang lain, Ya’juj dan Ma’juj serta orang yang mati daripada keturunan Adam dan juga keturunan iblis.”
Imran berkata: Mereka pun bergembira dengan sebahagian hal yang mereka temukan. Baginda ﷺ bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah kamu berada di tengah-tengah manusia melainkan seperti tahi lalat di sebelah unta atau seperti tanda di lengan binatang ternakan.”
(Riwayat Tirmidzi (3169))
Imam Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan sahih

Kemunculan Ya’juj dan Ma’juj adalah salah satu dari tanda dekatnya Kiamat. Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ dengan sanadnya merekodkan bahawa Huzaifah bin Asid al-Ghiffary bercerita:

اطَّلَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا وَنَحْنُ نَتَذَاكَرُ، فَقَالَ: «مَا تَذَاكَرُونَ؟» قَالُوا: نَذْكُرُ السَّاعَةَ، قَالَ: ” إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ
Suatu hari Rasulullah ﷺ datang kepada kami dalam keadaan kami sedang berbincang-bincang. Lantas baginda bertanya: “Apakah yang kamu bincangkan?” Mereka mengatakan: “Kami membincangkan tentang Hari Kiamat”. Nabi ﷺ bersabda: “Ia tidak akan berlaku melainkan sebelumnya kamu melihat 10 tanda.” Lalu Nabi ﷺ menyebutkan tandanya – “Asap, Dajjal, Binatang melata, keluar matahari dari arah terbenamnya (barat), turunnya Isa bin Maryam , Ya’juj dan Ma’juj, serta tiga gempa iaitu di timur, barat dan kepulauan Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari Yaman sehingga menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka.”
(Riwayat Muslim (2901))

 

فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

Maka bolehkah kami nak beri kamu upah bayaran untuk menjadikan antara kami dan mereka itu satu dinding;

Mereka berniat untuk mengumpulkan harta dalam kalangan mereka untuk diberikan kepada DzulQarnain untuk membina sebuah tembok besar bagi memisahkan antara mereka dan Ya’juj Ma’juj. Maknanya mereka hendak bayar upah atau ufti tahunan kepada DzulQarnain di atas khidmatnya itu.

Kalimah خَرْجًا daripada katadasar خ ر ج yang bermaksud ‘keluar’. Maka ia bermaksud belanja yang dikeluarkan untuk diberikan kepada orang lain. Ini adalah pelik kerana rakyat hendak bayar kepada raja yang kaya.

Banyaklah pendapat yang dikeluarkan untuk menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan tempat itu, dan siapakah Ya’juj dan Ma’juj itu. Antaranya mengatakan mereka itu datang dari negara China dan tembok yang dimaksudkan adalah Tembok Besar China. Itu adalah tidak benar berdasarkan daripada kajian sejarah. Maka ini adalah di kawasan lain. Terdapat banyak kajian dan eksplorasi telah dijalankan tetapi tidak dapat dipastikan tempatnya.


 

Kahf Ayat 95: Adakah Dzul-Qarnain menerima upah mereka itu? Tentulah tidak. Raja menyambut penyerahan penaklukan mereka dengan satu kebijaksanaan tertinggi, kebijaksanaan sambil mendidik.

قالَ ما مَكَّنّي فيهِ رَبّي خَيرٌ فَأَعينوني بِقُوَّةٍ أَجعَل بَينَكُم وَبَينَهُم رَدمًا

Sahih International

He said, “That in which my Lord has established me is better [than what you offer], but assist me with strength; I will make between you and them a dam.

Malay

Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

 

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ

Dzul-Qarnain berkata: Apa yang dianugerahkan kepadaku oleh Tuhanku lebih baik (daripada upah itu);

DzulQarnain tidak memerlukan upah mereka dan beliau tidak akan ambil. Beliau akan bantu mereka dengan percuma. Ini adalah kerana apa yang beliau dapat dari segi kekayaan dan kekuasaan daripada Allah ‎ﷻ adalah lebih lagi daripada apa yang mereka boleh beri.

Tambahan pula beliau adalah seorang raja yang memiliki kerajaan yang baik, maka tentunya beliau yang akan menguruskan khidmat kepada mereka. Ini adalah seperti kerajaan yang membina jalan dan sebagainya, yang tidak akan mahu mengambil duit daripada rakyat pula sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka. Maka di sini DzulQarnain beritahu, tidak perlu diberi upah kepadanya. Beliau akan buat secara percuma.

Atau, maksud Dzul-Qarnain di sini adalah lebih baik mereka tunduk di bawah kerajaan beliau berbanding mereka bayar upah itu. Apabila berada di bawah kerajaannya itu, beliau akan menjaga mereka. Itu adalah lebih baik berbanding mereka bagi upah kemudian menguruskan sendiri hal mereka. Tentu mereka tidak mampu.

 

فَأَعينوني بِقُوَّةٍ

Maka kamu tolonglah aku dengan kekuatan;

DzulQarnain pun meminta tolong juga walaupun beliau seorang raja. Ini kerana penduduk tempat itu ada kemahiran juga, cuma mereka tidak tahu cara untuk membina tembok itu sahaja. DzulQarnain pula datang dengan tenteranya sahaja. Tidak ada bahan mentah dan pembina-pembina yang datang bersamanya. Maka sama-samalah mereka bergabung tenaga untuk kebaikan bersama.

Ini mengajar kita yang DzulQarnain ini juga memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Bukanlah beliau mempunyai kelebihan luarbiasa melebihi manusia yang lain. Maka tidak patut kalau memujanya, tidak patut untuk menyerunya sebagai ilah seperti yang dilakukan oleh puak musyrik.

Penduduk tempat itu boleh membantu dengan memberi tenaga buruh dan alat perkakas binaan kerana kemungkinan besar DzulQarnain datang dengan tentera sahaja. Juga supaya mereka pun buat juga kerja, tidaklah hanya duduk dan melihat sahaja. Dengan sambutan yang demikian nampaklah bahawa “Yang Empunya Dua Tanduk” membawa rakyat itu bekerjasama dan menanamkan dalam diri mereka rasa tanggungjawab, sehingga jangan sampai merasa bahawa kalau ufti telah dibayar tiap tahun, kewajipan menjaga negeri tidak ada lagi pada mereka, cukup pada balatentara beliau sahaja.

Ayat ini memberikan kepada kita suatu “ilmu politik” pemerintahan tertinggi, iaitu sesuatu kekuasaan tidaklah akan dapat terus tegak sekiranya rakyat yang telah mengakui tunduk dan takluk tidak dibawa ikut serta bertanggungjawab, terlibat di dalam pengurusan negara.

 

أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

Dengannya aku akan jadikan antara kamu dan mereka, satu tembok.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan رَدْمًا bukan sahaja bermaksud ‘dinding’. Ini kerana yang kaum ini minta adalah سَدًّا tetapi yang Dzul-Qarnain akan bina adalah رَدْمًا. Ia lebih hebat dan lebih baik dan berkesan berbanding سَدًّا. Ini bermakna kerajaan Dzul-Qarnain adalah kerajaan yang baik kerana memberikan benda yang lebih baik daripada yang diminta.

Ada pendapat yang mengatakan ia adalah dua lapis tembok yang ada pasir di antaranya. Dengan adanya pasir itu, tembok itu dapat menghadapi gegaran gempa bumi.

Sementara ada pula pendapat yang mengatakan, apabila digunakan kalimah رَدْمًا, ia bermaksud bukan tepi sahaja yang ditutup, tetapi bahagian atas sekali. Pendapat ini mengatakan, kerana itulah puak Ya’juj Ma’juj ini tidak dapat dikesan kerana mereka dilindungi oleh dinding dari arah tepi dan atas sekali.


 

Kahf Ayat 96:

ءَاتُونِى زُبَرَ ٱلحَدِيدِ‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَينَ ٱلصَّدَفَينِ قَالَ ٱنفُخُواْ‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُ ۥ نَارًا قَالَ ءَاتُونِىٓ أُفرِغ عَلَيهِ قِطرًا

Sahih International

Bring me sheets of iron” – until, when he had leveled [them] between the two mountain walls, he said, “Blow [with bellows],” until when he had made it [like] fire, he said, “Bring me, that I may pour over it molten copper.”

Malay

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila dia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.

 

آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ

Datangkan kepadaku kepingan-kepingan besi;

DzulQarnain meminta bantuan penduduk tempat itu untuk membawa bahan mentah untuk dijadikan tembok. Melalui ayat ini, kita dapat tahu bahawa struktur asas binaan dinding itu adalah daripada besi.

 

حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ

sehinggalah terkumpul besi itu dengan ketinggian sama dengan puncak dua gunung itu;

Kepingan besi itu dikumpulkan dan diikat sampai sama tinggi dengan puncak gunung. Kalimah الصَّدَفَيْنِ bermaksud dua gunung yang mengadap satu sama lain. Ia daripada katadasar ص د ف yang bermaksud berpaling; mengelak ke tepi; menghalang; mencegah; penghalang; melarang; sekatan; pencegahan; gangguan; had; larangan; semak; sisi curam gunung.

Daripada apa yang kita baca ini kita dapat tahu yang besar betul binaan itu. Apakah teknologi yang mereka gunakan? Kita selalu sangka bangsa dahulu itu primitif dan kita lebih hebat daripada mereka. Akan tetapi melalui binaan yang kita dapat lihat hari ini seperti piramid dan binaan DzulQarnain ini, kita boleh tahu yang mereka sebenarnya lebih hebat daripada kita.

 

قَالَ انْفُخُوا

Dzul-Qarnain berkata: “tiuplah/bakarlah besi itu”;

Kemudian beliau mengarahkan agar besi-besi itu dibakar untuk meleburkannya. Api besar itu ditiup menggunakan alat tiupan supaya nyalaan itu menyala membakar besi itu. Maknanya pada zaman itu sudah ada cara untuk mengeluarkan api dengan besar dan kuat. Bukanlah beliau memiliki kuasa sakti untuk membina dinding itu sendiri tetapi beliau juga adalah manusia biasa yang memerlukan pertolongan orang lain.

 

حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُ ۥ نَارًا

sehingga kepingan itu jadi macam api,

Api itu membakar besi itu sampai merah menyala seperti api.

 

قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا

Dzul-Qarnain berkata: Datangkan kepadaku tembaga cair supaya aku tuangkan ke struktur besi itu;

Struktur asas dinding itu adalah dari besi dan Dzul-Qarnain telah melepanya dengan tembaga cair. Bahan mentah untuk buat dinding itu datang dari penduduk di situ, tapi ilmu pembinaan itu dari Dzul-Qarnain. Mereka mungkin kaum yang primitif, jadi mereka tidak tahu bagaimana hendak buat tembok itu.

Dengan adanya tembaga meliputi besi itu, maka tidak akan berkaratlah dinding itu. Dan dinding itu licin supaya golongan Ya’juj Ma’juj tidak boleh panjat dinding tembok itu. Tambahan pula salah satu cara yang ditempuh dewasa ini untuk menguatkan besi adalah mencampurkannya dengan kadar tertentu dari tembaga. Dengan demikian petunjuk yang diberikan Allah kepada Dzul-Qarnain itu dan diabadikan dalam kitab suci Al-Qur’an ini merupakan salah satu hakikat yang mendahului penemuan ilmiah sekian abad lamanya.


 

Kahf Ayat 97: Apabila telah dibina dinding itu.

فَمَا ٱسطَـٰعُوٓاْ أَن يَظهَرُوهُ وَمَا ٱستَطَـٰعُواْ لَهُ ۥ نَقبًا

Sahih International

So Gog and Magog were unable to pass over it, nor were they able [to effect] in it any penetration.

Malay

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

 

فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ

Maka mereka tidak dapat memanjat dinding tembok itu; 

Oleh kerana kuat dan licinnya binaan tembok itu, kaum Ya’juj dan Ma’juj tidak dapat memanjatnya. Sudahlah tinggi, licin pula. Kalimah ظهر bermaksud ‘belakang’ iaitu tidak boleh memanjat belakang binaan itu.

 

وَمَا ٱستَطَـٰعُواْ لَهُ ۥ نَقبًا

dan tidak dapat mereka menebuknya;

Mereka tidak dapat menebuk dinding itu kerana telah dilepa dengan tembaga yang kuat. Dalam hadith Nabi ﷺ, semenjak dibina dinding itu sehinggalah sekarang, Ya’juj Ma’juj asyik cuba menebuk dinding itu. Mereka rajin benar dalam kerja mereka itu. Apabila petang, mereka tinggalkan apa yang mereka telah buat itu untuk disambung esok kerana sudah lewat dan mereka pun penat. Pada malam harinya para malaikat menutup kembali pecahan yang mereka buat itu. Esoknya mereka sambung semula. Semasa zaman Nabi ﷺ, mereka sudah nampak bukaan sebesar duit syiling. Namun akhirnya telah ditutup semula.

Ini akan berlaku sehinggalah akhir zaman, apabila dinding itu ditakdirkan akan pecah. Iaitu apabila ada antara kaum Ya’juj dan Ma’juj itu yang kata: “In sha Allah, esok akan pecah dinding ini”. Maka, disebabkan oleh kalimat ‘in sha Allah’ mereka itu, Allah ‎ﷻ akan bantu mereka untuk melubangi dinding tembok itu. Sekali lagi timbul hal in sha Allah ini.

Maka mereka akan keluar berduyun-duyun dari gunung-gunung dengan banyak sekali dan cepat sekali. Ia akan terjadi pada zaman sesudah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan semula. Mereka akan bunuh dan makan manusia selain daripada tanaman-tanaman. Sesungguhnya manusia tidak boleh berurusan dengan mereka. Langsung tidak boleh dibawa berunding dengan mereka untuk berdamai.

Kemunculan mereka ini memang amat menakutkan. Kita tidak tahu adakah kita akan selamat daripada mereka atau tidak. Diriwayatkan daripada Zainab binti Jahsy رضي الله عنها, beliau berkata:

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ اليَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ» وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ: أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الخَبَثُ»
“Nabi ﷺ bangun tidur dan baginda mengucapkan: “Laa ilaaha illallah, celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang semakin hampir, ketika ini benteng penghalang Ya’juj dan Ma’juj telah terbuka seperti ini.” Nabi ﷺ melingkarkan jari telunjuk dan ibu jarinya. Aku (Zainab) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan dibinasakan sementara di tengah-tengah kami ada orang-orang soleh?” Baginda menjawab: “Ya, bila kemaksiatan telah bermaharajalela (menyebar).”
(Sahih Bukhari, no. 6602, Sahih Muslim, no. 5129, Sunan At-Tirmidzi, no. 2113, hasan sahih, Sunan Ibnu Majah, no. 3943, Musnad Ahmad, no. 26146)

Balaghah: Hazf wa zikru: jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini terjadi di mana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Al-Qur’an. Ini seumpama penggunaan ‘shorthand’. Ada hazaf daripada fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Akan tetapi, kalau dibuang huruf ‘n’ dan perkataan makan itu menjadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Namun begitu tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu. Bahasa kita tidak sekaya bahasa Arab.

Ada dua kalimah dalam ayat ini yang lebih kurang sama tetapi ada kelainan sikit. Mulanya kalimah اسْطَاعُوا dan kemudian اسْتَطَاعُوا. Wazannya sama, dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu pun sama juga (membawa maksud ‘mampu’). Akan tetapi kenapa lain dalam teks Arabnya?

Satu اسْطَاعُوا digunakan untuk aktiviti ‘memanjat’ tembok itu dan satu lagi اسْتَطَاعُوا digunakan untuk ‘menebuk’ tembok itu. Dari segi bahasa, sepatutnya lafaz اسْتَطَاعُوا adalah dalam wazan yang lengkap. Namun ada hazaf huruf ت dalam lafaz اسْطَاعُوا yang menunjukkan elemen pengurangan.

Oleh kerana kurangnya dalam lafaz اسْطَاعُوا dalam menyebut tentang memanjat, bermaksud lebih senang memanjat daripada menebuk dinding itu. Ini adalah kerana dinding itu amat keras dan kalau dibandingkan menebuk dengan memanjat, lebih senang memanjat. Memang kedua-duanya memang susah, namun lebih susah lagi kalau menebuk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 26 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 205 – 207 (Jual diri untuk agama)

Baqarah Ayat 205:

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ

Sahih International

And when he goes away, he strives throughout the land to cause corruption therein and destroy crops and animals. And Allah does not like corruption.

 

Malay

Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

 

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها

Dan apabila dia berpaling dia terus berusaha di muka bumi untuk berbuat kerosakan padanya;

1. Iaitu apabila dia pergi dari majlis tempat dia bercakap dan mempersonakan manusia itu. Mereka itu memang pandai berkata-kata jadi mereka buat kerosakan dengan tohmahan dan propaganda sesat mereka.

2. Ada juga yang menafsirkan ayat ini sebagai bermaksud apabila dia berkuasa. Dia pandai berkata-kata sehingga dia dapat memerintah. Kemudian tatkala menjadi pemerintah dia hanyalah pandai bercakap sahaja, kerja tidak buat pun. Kemajuan tidak dicapai, masyarakat menjadi rosak. Yang berkuasa sibuk menjaga kuasanya dan yang tidak berkuasa sibuk hendak mendapatkan kuasa. Mereka menggunakan segala taktik untuk meruntuhkan kerajaan supaya mereka dapat mengambilalih pemerintahan

Kalimah سَعىٰ bermaksud berlari-lari anak yang memberi isyarat yang mereka memang berusaha. Mereka bukan berusaha dalam kebaikan tetapi untuk keburukan kerana yang dicarinya adalah kepentingan dirinya sahaja. Kerosakanlah yang akan terjadi.

1. Iaitu bermaksud kerosakan pada agama, iaitu melakukan syirik. Keluar sahaja dari majlis Nabi ﷺ, terus berbuat syirik. Dia melakukan perkara yang melanggar syariat dan berbuat dosa. Hukum-hukum Allah ‎ﷻ hanya dipakai apabila dapat menguntungkan dirinya sahaja, mana yang dia boleh terima dan mana yang dia tidak suka, dia akan tinggalkan.

2. Atau ia boleh juga bermaksud, apabila mereka dapat kuasa, mereka akan berbuat kerosakan di mukabumi.

Kita telah bincangkan kerosakan yang dilakukan oleh golongan munafik ini di dalam ayat Baqarah: 11

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوٓا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

 

وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ

dan dia membinasakan tanaman;

1. Oleh kerana orang itu hanya mementingkan diri sendiri, dia sudah tidak memikirkan kepentingan rakyat. Maka tanaman akan punah ranah dan tidak subur. Tanaman adalah isyarat kepada kemakmuran. Negeri itu sudah tidak makmur lagi kalau mereka memerintah.

2. Iaitu bermaksud ‘berzina’. Mereka jenis yang suka berzina. Apabila berzina maka akan lahir anak-anak luar nikah yang tidak mendapat penjagaan yang sempurna kerana bapa sudah tidak mengaku itu anaknya.

3. Orang-orang munafik zaman Nabi ﷺ sungguh jahat sampaikan mereka merosakkan tanaman pada sahabat yang beriman.

4. Tafsir lain mengatakan mereka mengganggu isteri para sahabat lain.

Bagaimanakah perbuatan golongan munafik boleh menyebabkan kesan kepada tanam-tanaman? Kerana perbuatan dosa akan menyebabkan Allah ‎ﷻ menahan rezeki daripada turun ke bumi. Banyak ayat-ayat dan hadith tentang perkara ini, antaranya Rum: 41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Perhatikan juga hadith daripada Thauban رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ
Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.
(Riwayat Ibn Majah No. 4022 dan Ahmad No. 22438)

Begitulah ada hubungan dosa dengan alam. Jangan sangka dosa kita ini akan ditanggung di akhirat sahaja, akan tetapi di dunia lagi kita akan dibalas. Kita sahaja yang tidak sedar. Antara balasan itu adalah:

1. Hilangnya Keberkahan. Keberkahan adalah anugerah Allah ‎ﷻ yang membuat sesuatu menjadi lebih bermanfaat. Dosa dapat menghapus keberkahan dari hasil bumi, meskipun usaha telah dilakukan dengan maksima.

2. Kerosakan Ekosistem. Perbuatan manusia yang berdosa, seperti merosak sumber air, mengeksploitasi sumber daya alam secara berlebihan, dan mengabaikan tanggung jawab terhadap bumi, dapat menyebabkan tanaman sulit tumbuh atau kemarau.

3. Kurangnya Hujan. Ramai ulama’ menjelaskan bahawa maksiat dan dosa dapat menjadi sebab tertahannya hujan, yang berpengaruh langsung pada pertumbuhan tanaman.

Tujuan Allah ‎ﷻ berikan musibah ini kepada manusia adalah untuk mereka beringat dan membaiki diri. Ini seperti disebut di dalam Sajdah: 21

وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

 

وَالنَّسْلَ

dan (merosakkan) binatang ternak;

1. Apabila mereka mementingkan dunia dan mereka merosakkan flora dan fauna negara, maka binatang ternak pun sudah tidak hidup dengan sihat lagi. Rakyat sibuk hendak mendengar apa yang mereka kata sampai tidak menjaga binatang ternak mereka lagi. Hutan-hutan dan tanaman ditebas dan digondolkan sampai makanan untuk binatang sudah tidak ada lagi. Hutan sudah gondol, maka mudah erosi berlaku. Akibatnya tanah runtuh sering terjadi. Banjir pun selalu sahaja berlaku.

2. Orang Munafik zaman Nabi ﷺ yang merosakkan binatang ternak orang beriman.

Dalam dunia sekarang, kita boleh lihat bagaimana begitu ramai manusia yang melakukan apa sahaja demi mencapai keuntungan. Antaranya, pengeluar makanan menghasilkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Mereka telah mengubah komposisi makanan itu (Genetically Modified Food – GMO) yang boleh membahayakan kesihatan. Walaupun mereka sedar kesan buruk GMO terhadap kesihatan manusia namun mereka tidak mempedulikannya dan tetap melakukannya asalkan ia boleh mendatangkan keuntungan yang banyak kepada mereka.

Lalu bagaimana untuk kita kembali mendapat kesuburan tanaman dan ternakan? Allah ‎ﷻ suruh kita bertaubat dan bertaqwa seperti disebut di dalam A’raf: 96

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Juga perhatikan ayat Nuh: 10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Dan Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan;

Kenapa kita tidak boleh buat kerosakan? Jawapannya mudah sahaja: Kerana Allah ‎ﷻ tidak suka! Berapa banyak manusia yang di depan kita, nampak baik sahaja. Kalau bercakap, mereka bercakap baik-baik sahaja, akan tetapi di belakang kita, macam-macam dosa yang mereka buat. Allah ‎ﷻ amat tidak suka orang yang sebegini. Mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.


 

Baqarah Ayat 206: Ini adalah sambungan kepada sifat orang-orang Munafik itu. Ada orang bagi nasihat kepada mereka tetapi lihatlah bagaimana balasan mereka.

وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ

Sahih International

And when it is said to him, “Fear Allah,” pride in the sin takes hold of him. Sufficient for him is Hellfire, and how wretched is the resting place.

 

Malay

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُ

Dan apabila dikatakan kepadanya;

Iaitu apabila orang yang teruk perangainya itu dinasihati oleh sahabat-sahabat yang lain;  apabila ada orang yang berani untuk menegurnya. Kebanyakannya takut hendak tegur sebab sudah tahu bahawa dia adalah seorang yang ganas. Namun para sahabat itu orang pandai, maka mereka menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Kita beri sahaja nasihat, mereka terima atau tidak, itu antara mereka dengan Allah ‎ﷻ.

 

اتَّقِ اللَّهَ

“Takutlah kamu kepada Allah.”

Inilah nasihat daripada para sahabat – mengingatkan mereka kepada Allah ‎ﷻ, takutlah kepada Allah ‎ﷻ, taqwalah kepada Allah‎ ﷻ, jangan buat kerosakan lagi. Kena belajar agama dan amalkan apa yang Allah ‎ﷻsuruh buat. Jangan langgar lagi hukum Allah ‎ﷻ, jangan buat pasal lagi.

 

أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ

Kesombongannya mendorong dia meneruskan buat dosa;

Apabila dinasihati, dia terus sombong, tidak mahu terima. Dia pula marah kita bila kita nasihat dia. Begitulah sifat orang-orang munafik, tidak boleh ditegur. Sama sahaja dengan kebanyakan orang Melayu kita. Lagi kita tegur, lagi dia menentang dan lagi dia buat kerosakan. Dia mempunyai sifat sombong sampai menyebabkan dosa. Dia sombong tidak mahu terima Allah ‎ﷻ sampaikan dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa. Dia lawan kata-kata orang yang beriman dan dia buat perkara-perkara yang berdosa. Sombong kerana dia sangka dia sempurna, tidak ada kesalahan, sebaliknya orang yang menegur itu yang salah.

Ini adalah satu masalah yang amat besar dalam kalangan kita. Iaitu berat atau payah hendak terima nasihat. Kalau ada orang yang nasihat kepada kita, kita pula marah orang itu balik. Ada yang kata: “Apa kau kisah, kubur kan lain-lain?”, atau ada yang kata: “Jangan sibuk hal aku lah, tengok diri kau sahaja…” dan seumpamanya. Sombong kerana mereka itu belajar di pondok, universiti, anak tok guru, belajar tarekat, anak tok imam, tok siak, sudah pernah pergi Haji, Umrah dua tiga kali, ada ustaz yang dia belajar juga, sudah pernah khatam Qur’an (masa dia budak kecil sebelum sunat), dan isilah apa-apa sahaja kata-kata bongkak mereka itu dan perasan mereka sudah hebat sangat. Orang yang menegur itu pula kena marah balik; “Siapa kau? Kau ustaz, ulama’? Kau pandai sangat? Kau ni belajar dengan ustaz Wahabi lah ni! Kau bagus sangat?!” dan isilah lagi dengan tuduhan-tuduhan mereka. Seolah-olah mereka itu sempurna sangat sampai tidak ada kesalahan. Apa sempurnanya sedangkan Rasulullah ﷺpun ditegur oleh Allah ‎ﷻ, takkan mereka tidak boleh ditegur? Allah ‎ﷻ menegur Nabi ﷺ di dalam Ahzab: 1

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللهَ
Hai Nabi, bertaqwalah kepada Allah

Ini adalah sifat yang amat buruk sekali dan ia adalah sifat orang Munafik. Kita diajar untuk senang menerima nasihat kerana dengan nasihat itulah yang dapat memperbaiki keadaan diri kita. Bayangkan kalau tidak ada orang yang nasihat kepada kita, tentulah kita akan terus melakukan kesalahan dan terus di dalam kesesatan, bukan? Kalau orang lain nasihat kita, maka terima sahajalah. Kerana walaupun ia keluar dari mulut orang itu (tidak kiralah siapa dia) tetapi ia sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang gerakkan orang itu untuk menegur kita. Kenapa perlu sombong sangat? Terimalah nasihat walaupun datang daripada seorang budak hingusan.

Orang yang degil itu kalau kita nasihat, mereka akan buat lagi banyak dosa dan kesesatan. Sebagai contoh bila kita tegur jangan buat qasidah, selawat ramai-ramai, mereka semakin buat secara besar-besaran. Digunakan stadium, dijemput para habib yang entah dari mana asalnya, dihias pentas dengan gah sekali bak konsert rock, digunakan duit rakyat macam duit sendiri. Bila kita tegur, dipusingnya teguran kita kata kita tidak sayang Nabi, tidak benarkan selawat.

 

فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ

cukuplah Neraka Jahannam

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kelakuan dan perbuatan berdosa mereka itu. Kerana sifat mereka yang sombong tidak terima nasihat itu, maka mereka terus melakukan kesalahan dan akan menuju kepada neraka. Cukup sahaja neraka itu kerana tidak ada lagi balasan yang lebih teruk dari neraka itu.

 

وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

dan ia adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Tidak ada tempat yang lagi buruk dari neraka. Mereka akan tinggal di sana selama-lamanya kalau kesalahan yang mereka lakukan adalah kesalahan syirik. Mereka jadi begitu kerana mereka sudah jadi sombong sampai tidak mahu menerima nasihat lagi. Itulah balasan yang akan diberikan kepada mereka. Atau kepada kita, kalau kita melakukan perkara yang sama.

Kalimah sebenarnya adalah buaian, tempat bayi didodoikan. Ia tempat yang paling selesa, sampai sudah dewasa pun kita rasa selesa kalau tidur di dalam ‘hammock’, bukan? Ia adalah perlian daripada Allah ‎ﷻ, sebagaimana warden penjara cakap kepada bantuan baru, “Silakan masuk ke bilik lima bintang, tuan….”. Juga neraka itu ada sifat buaian juga di mana ia sempit dan pergerakan terbatas di dalam buaian.

Allah ‎ﷻ menekankan neraka ada tempat yang paling buruk kerana tidak ada tempat lain yang lebih buruk. Ia menegur fahaman sesetengah orang kita yang pandang ringan sahaja dengan neraka. Mereka sangka ia macam penjara di dunia sahaja agaknya. Berbulu sahaja telinga dengar soalan: “Tapi orang Islam akan masuk syurga juga selepas masuk neraka kan ustaz?” Ewah, tanya macam neraka tidak ada apa-apa sahaja. Agaknya boleh bersabar dalam neraka asalkan akhirnya masuk syurga. Perasan sungguh akan masuk syurga. Entah-entah kekal dalam neraka!


 

Baqarah Ayat 207: Ini adalah golongan ke-empat, iaitu mereka yang beriman. Setelah Allah ‎ﷻ cerita golongan yang bodoh, Allah ‎ﷻ cerita pula golongan yang pandai.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Sahih International

And of the people is he who sells himself, seeking means to the approval of Allah. And Allah is kind to [His] servants.

 

Malay

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.

 

وَمِنَ النَّاسِ

Dan di antara manusia,

Golongan ke-empat ini sanggup menjual dirinya untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ yang sebenar.

 

مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ

yang menjual dirinya kerana hendak mencari redha Allah;

Mereka telah menjual diri mereka iaitu perniagaan dengan Allah ‎ﷻ. Di dalam Tawbah: 111 Allah ‎ﷻ beritahu yang memang Dia telah beli jiwa mereka ini,

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

Menjual diri itu maksudnya berkorban malah sampai sanggup berkorban diri dalam jihad fisabilillah. Memang ayat-ayat yang kita sedang baca ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad.

Kalimah مَرْضَاتِ اللَّهِ bermaksud hendak menggembirakan Allah ‎ﷻ. Mereka ini menjual diri mereka hanya kerana hendak mendapat redha Allah ‎ﷻ. Redha Allah ‎ﷻ adalah segala-galanya. Mendapat redha Allah ‎ﷻ bermaksud akan mendapat syurga. Menjual diri kepada Allah ‎ﷻ ini tidaklah akan tercapai dan terbukti kalau orang tidak berani mengorbankan harta benda dan kalau perlu jiwanya untuk itu, kalau keadaan menghendaki.

Mereka ini paling takut dengan Allah ‎ﷻ. Maka kalau di hadapan kekuasaan yang zalim pun mereka berani mengangkat mulut menyanggah kezaliman itu walaupun apa yang akan menimpa dirinya. Sebab bertambah banyak dia menderita bertambah pulalah dekatnya kepada Allah ‎ﷻ dan bertambah dia mencapai redha-Nya.

Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan menjual kerana manusia faham istilah jual beli. Apabila jual, tentu ada pembelinya dan harganya. Siapakah pembeli dan harga yang dibalas? Pembeli adalah Allah ‎ﷻ dan bila Allah ‎ﷻ yang beli, Allah ‎ﷻ boleh beri segala-galanya. Allah ‎ﷻ boleh balas dengan beri pembalasan yang paling hebat sekali iaitu syurga yang nikmatnya kekal abadi sampai bila-bila.

Orang sebegini bukan setakat mengamalkan ibadah peribadi sahaja akan tetapi lebih daripada itu. Solat, puasa, zakat, haji dan amal soleh yang lain bukanlah semata-mata amalan yang beku. Solat berjemaah beramai-ramai di waktu subuh dan amalan yang lain, bukanlah tujuan, tetapi jalan untuk menuju dan membuat jiwa lebih besar sehingga sanggup memikul tugas hidup berbuat baik dan berbuat yang mulia. Jiwa bertambah besar dan besar lagi, tidak tersangkut dan terikat oleh perkara-perkara remeh, sehingga hidup yang hanya sebentar singgah di dunia ini hendak meninggalkan bekas yang lama, beratus kali lipat daripada umur yang dilalui. Sehingga walaupun jasmani telah mati, namun dia tetap hidup dari abad ke abad. Kemudian setelah dia meninggal dunia, pastilah dia berhak duduk menjadi tetangga Allah ‎ﷻ, bersama Nabi-nabi, Rasul-rasul dan Shiddiqin serta Syuhada dan Soliheen.

Mereka ini orang yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar dan bukan hanya melihat sahaja kesalahan manusia.

رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”
(Sahih Muslim No. 70)

Maka mereka itu berani menegur walaupun kepada pemimpin yang berkuasa. Sabda Nabi ﷺ:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا : لِمَنْ؟ قَالَ: اللَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ
Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: ‘Kepada siapa?’ Baginda bersabda: ‘Kepada Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasa’i (7/156)

Dikatakan asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah seorang sahabat yang namanya Suhayb ar-Rumi, رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kerana beliau berasal dari Rom. Beliau adalah antara yang paling awal masuk Islam. Beliau datang ke Mekah dalam keadaan miskin tetapi menjadi kaya raya dengan usaha perniagaan. Beliau juga seorang yang pandai memanah. Semasa beliau hendak berhijrah ke Madinah, orang Musyrikin hendak menghalangnya. Beliau mengeluarkan semua anak panahnya dan berkata yang beliau boleh memanah mereka, tidak ada yang lebih pandai daripadanya memanah. Tidak pernah panahannya yang tidak mengena. Jadi akan ramai yang mati kena panahannya dan kalau sudah habis anak panahnya beliau akan menggunakan pedangnya dengan bersungguh-sungguh. Maka, katanya sebelum beliau sendiri terbunuh, akan ramai yang menjadi arwah. Itulah keberanian sahabat. Musyrikin Mekah tidak mahu beliau meninggalkan mereka kerana beliau telah menjadi kaya. Maka Suhayb رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah menawarkan mereka untuk mengambil hartanya yang disimpan di sekian-sekian tempat. Beliau beritahu kepada Musyrikin Mekah, daripada mereka membuang masa dengannya dan mungkin mati, baiklah mereka pergi cari hartanya yang banyak itu dan ambillah harta itu dan tinggalkan sahaja beliau hendak hijrah ke Madinah. Kerana itu, orang Musyrikin Mekah membiarkan sahaja beliau. Sebab yang mereka hendak adalah harta sebenarnya. Memang mereka memperolehi harta Suhayb رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang banyak itu. Apabila beliau sampai ke Madinah, Nabi ﷺ telah memberi pujian dan tahniah kepada beliau kerana beliau telah jual dunia untuk membeli akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda ربح البيع أبا يحيى ربح البيع أبا يحيى (beruntung sekali peniagaan engkau Abu Yahya (kunyah Suhayb), beruntung sekali peniagaan engkau Abu Yahya. Dan telah diturunkan ayat ini berkenaan beliau.

Akan tetapi ada lagi riwayat lain mengatakan ayat ini diturunkan tentang sahabat yang lain. Jadi asbanun nuzul bukanlah tepat dan kerana ada yang sahih, ada yang tidak tepat, ada yang beri pendapat lain. Maka kita tidak bergantung sangat dengan asbabun nuzul ayat sebagaimana sangkaan sesetengah orang. Asbabun nuzul ini sebagai tambahan sahaja kerana kita boleh gunakan sahaja maksud ayat tanpa disandarkan kepada mana-mana kisah. Sebab itu tidak semua ayat di dalam penulisan ini ada asbabun nuzul kerana ia tidak perlu dalam setiap ayat.

 

وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan Allah taala Amat pengasih akan hamba-hambaNya.

Kata رَءُوفٌ itu bermaksud Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita lalui. Dia tahu bagaimana kita dicemuh dan ditohmah dalam mengamalkan agama sunnah ini. Dia tahu kepayahan yang sahabat lalui dan juga kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 202 – 204 (Sifat golongan Munafik)

Baqarah Ayat 202:

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Sahih International

Those will have a share of what they have earned, and Allah is swift in account.

Malay
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

 

أُولَٰئِكَ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini;

Iaitu mereka yang meminta kebaikan dunia dan akhirat. Iaitu mereka yang minta kefahaman isi kandung Al-Qur’an dan hadith. Sebab ada juga yang belajar, tetapi tidak faham-faham. Kadang-kadang ada yang belajar dalam kelas yang sama, tetapi mendapat kefahaman yang berlainan. Ini kerana kefahaman itu Allah ‎ﷻ yang beri, bukan daripada guru atau daripada kepandaian kita sendiri.

Maka hendaklah kita selalu berdoa: Rabbi zidni ilma, supaya Allah ‎ﷻ memberikan kefahaman agama kepada kita. Ada yang memang sudah hendakkan kebaikan dalam agama, tetapi sesat juga. Macam kumpulan Arqam dulu, perempuan mereka sudah elok memakai purdah, mereka juga selalu berdakwah, sistem ekonomi mereka sudah hebat, namun ibadat mereka tidak diterima kerana syirik kepada Allah ‎ﷻ. Abuya sudah mati pun, mereka berbuat syirik lagi kerana mereka kata Abuya boleh datang menolong mereka lagi dan sebagainya.

Syarat diterima ibadat dan amalan adalah, ibadat itu mesti daripada ajaran Nabi ﷺ. Mesti mendapatkan amalan itu daripada hadith yang sahih. Hadith yang dhaif pun sudah tidak boleh diterima. Apatah lagi kalau amalan itu diambil daripada pendapat guru sahaja? Lagilah tidak boleh diterima. Itu adalah usul feqah. Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan banyak amalan bid’ah dibuat. Antaranya, mereka raup muka selepas solat, amalan bacaan talqin dan tahlil dan sebagainya. Semuanya kerana mengikut kata tok guru-tok guru mereka. Padahal Nabi ﷺ tidak ajar umat Islam buat sebegitu. Padahal dalam dua kalimah syahadah kita, kita kata kita hendak ikut Nabi Muhammad ﷺ. Namun, malang sekali ada yang mereka-reka agama.

Ini semua kerana tidak mahu belajar. Dalam Al-Qur’an dikatakan bahawa neraka Jahannam itu adalah untuk orang-orang yang sombong. Sombong yang bagaimana? Sombong tidak mahu belajar agama. Apabila tidak belajar, maka mereka tidak tahu tentang agama. Apabila tidak tahu, maka mereka akan membuat kesalahan dan kesilapan yang banyak.

 

لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا

bagi mereka ada bahagian besar daripada apa yang mereka usahakan;

Kalimah نَصِيبٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘bahagian’. Ia daripada kata dasar: ن ص ب yang bermaksud menetapkan, menaikkan, berhati-hati, usaha, segera. Dalam bahasa Melayu pun sudah dimasukkan kalimah ini.

Mereka yang minta dunia dan akhirat sekali, Allah ‎ﷻ boleh beri kepada mereka. Inilah pengharapan yang boleh kita hendak harapkan. Jika ada mengamalkan perkara bid’ah, jangan berangan-angan atau berharap boleh dapat pahala. Namun terlalu ramai masyarakat kita yang berangan-angan yang amalan yang mereka buat itu tentulah Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran kerana kononnya mereka buat dengan ikhlas. Mereka tidak faham tentang maksud ‘ikhlas’ itu. Tidak semestinya cukup dengan kita ikhlas sahaja. Amalan yang ikhlas itu mestilah amalan yang Nabi ﷺ pernah buat juga.

Ada juga pendapat yang mengatakan, orang yang minta dunia sahaja pun dapat. Ini kerana mereka hendakkan sangat dunia dan mereka telah berusaha keras untuknya, maka Allah ‎ﷻ beri. Akan tetapi ia sebagai istidraj sahaja iaitu ia akan menjauhkan mereka lagi daripada agama, bukannya mendekatkan. Ini kerana semakin mereka dapat keduniaan, semakin mereka akan lalai.

Bukan sahaja untuk dapat keduniaan kita kena usaha, tetapi untuk dapat akhirat pun begitu juga. Jangan kita minta tetapi tidak ada usaha langsung. Jadi kenalah belajar, tadabbur Al-Qur’an, berdakwah dan teruskan belajar. Untuk dapat kebaikan di dunia pun begitu juga. Sebagai contoh antara kebaikan dunia adalah isteri yang soleh. Maka ini pun kena usaha untuk cari dan memilih di antara ramai-ramai para wanita di luar sana. Kena cari yang boleh dibimbing dan dididik.

 

وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan Allah amat cepat hisab-Nya;

Apabila Allah ‎ﷻ sebut hisab-Nya amat cepat, ia mempunyai sekurang-kurangnya tiga makna,

1. Hisab Allah ‎ﷻ sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan berlengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’: 1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah ‎ﷻ boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Akan tetapi jikalau kita membuat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah ‎ﷻ terus berikan balasan-Nya secara tunai. Sebagai contoh, apabila kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah ‎ﷻ beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah ‎ﷻ buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi daripada satu Rasul ke Rasul yang lain untuk memohon agar Allah ‎ﷻ mempercepatkan hisab. Apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah ‎ﷻ lakukan audit yang sebegini? Kerana Allah ‎ﷻ tidak perlu buat siasatan dan tanya apa yang hamba-Nya buat kerana segalanya di dalam pengetahuan Allah ‎ﷻ. Berbeza dengan mahkamah dunia sekarang sangatlah lama sebab macam-macam perlu dibuat. Pernah Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah ﷻ mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhluk-Nya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah ‎ﷻ mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

Kita akan bergerak dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Yang beriman akan mendapat kenderaan yang istimewa. Kemudian ada juga yang dapat kenderaan, tetapi bergantung kepada tahapnya. Akhir sekali ada yang jalan dengan muka. Bagaimana hendak bayangkan berjalan dengan muka? Tidak menjadi masalah, kerana sekarang di dunia pun kita boleh lihat ular pun Allah ‎ﷻ beri jalan dengan badan dia. Apabila sampai, semua makhluk duduk bersaf-saf dalam keadaan bertelanjang bulat. Tidak berani bertegur sapa antara satu sama lain. Semua duduk dalam keadaan senyap, hanya dengar bunyi tapak kaki para malaikat sahaja. Semua senyap menanti perbicaraan. Oleh itu, kita hendaklah berlindung diri daripada azab menunggu yang lama. Ini kerana ada yang mendapat tempat perlindungan yang istimewa.

Semua makhluk bicara berseorangan dengan Tuhan. Hanya kita dan Allah ‎ﷻ. Setiap makhluk akan baca amalan mereka sendiri. Malaikat Raqib Atid akan duduk di kiri kanan kita. Ada yang Allah ‎ﷻ akan suruh malaikat campak buku amalan orang itu. Raqib akan kata dia sebagai saksi mengatakan orang itu buat amalan itu. Akan tetapi Allah ‎ﷻ kata Raqib tidak tahu apakah isi hati orang itu semasa melakukan amalan ibadat itu.

Malaikat tidak tahu bahawa semasa melakukan ibadat itu, orang itu tidak ikhlas. Sedangkan malaikat pun tidak tahu isi hati kita, bagaimana pula kita boleh kata ada guru yang tahu isi hati manusia? Itu adalah faham yang sesat. Mereka kata guru itu boleh dapat ‘ilham’. Itu adalah syirik kerana yang tahu isihati manusia, hanyalah Allah ‎ﷻ. Kalau kita sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ, ingatlah bahawa amal ibadat kita tidak diterima.

Waktu itu mulut tidak dapat berkata-kata, tetapi tubuh badan kita pula berkata-kata sebagai saksi ke atas kita. Kaki, tangan, mata dan sebagainya. Kemudian kita disuruh baca sendiri amalan kita. Kalau Tuhan tanya sahaja, ‘Kenapa?’, itu sudah menjadi petanda kena masuk neraka! Maka, janganlah kita buat amal ibadah yang bukan daripada sumber yang sah kerana kita tidak akan dapat hendak jawab kepada Allah ‎ﷻ kalau kita melakukan bid’ah.

Yang kita mahukan adalah hisab yang mudah seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ { فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ إِلَى قَوْلِهِ يَسِيرًا } قَالَ ذَلِكِ الْعَرْضُ
Daripada Aisyah رضي الله عنها, dia berkata; saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa yang diperdebatkan hisabnya, dia binasa.” Maka saya katakan; wahai Rasulullah, bukankah Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya daripada sebelah kanannya, –hingga ayat-maka akan dihisab dengan hisab yang mudah?.” (Al-Insyiqaq ayat 7-8), Baginda bersabda: Yang dimaksudkan ayat itu hanyalah saat catatan amal diperlihatkan.
(Jami’ Tirmidzi No. 3260) Status: Sahih (Darussalam)

Syarah: maknanya kitab amalan mereka disebut sahaja, tidak ditanya dan dipersoalkan. Ini seperti kita berada di imigresen luar negara. Dia lihat pasport dan muka kita, dicopnya sahaja. Akan tetapi kalau dia mula tanya kita, disuruh pula masuk ke bilik lain, maka itu sudah ada masalah besar.


 

SAMBUNGAN TENTANG MANASIK HAJI

Baqarah Ayat 203: Ini adalah kisah di Mina semasa buat Haji.

۞ وَاذكُرُوا اللَّهَ في أَيّامٍ مَّعدُودٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثمَ عَلَيهِ ۚ لِمَنِ اتَّقىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And remember Allah during [specific] numbered days. Then whoever hastens [his departure] in two days – there is no sin upon him; and whoever delays [until the third] – there is no sin upon him – for him who fears Allah. And fear Allah and know that unto Him you will be gathered.

 

Malay

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka dia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka dia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

 

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعدُودٰتٍ‌

Dan ingatlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditentukan bilangannya;

Sekali lagi Allah ‎ﷻ sebut tentang zikir kepada Allah ‎ﷻ. Kalimat أَيَّامٍ مَّعدُودٰتٍ adalah hari-hari tertentu iaitu pada 11, 12 & 13 Dzulhijjah – dinamakan juga Hari-hari Tasyrik. Pada waktu ini, para hujjaj sedang berada di Mina. Aktiviti utama ibadah Haji di sini adalah berqurban dan melontar di Jamrah.

Kenapa Allah‎ ﷻ suruh ingat kepada Dia pada waktu itu? Kerana waktu itu masing-masing sedang sibuk melihat orang lain. Bermacam-macam jenis manusia ada di situ. Orang-orang yang tidak biasa kita lihat dan tentunya akan  menarik perhatian kita dan boleh mengganggu fokus kita di dalam ibadah Haji. Sebab itu Allah ‎ﷻ suruh ingat kepada-Nya. Dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Kenalah buat perkara-perkara yang mengingatkan kepada Allah ‎ﷻ – baca Al-Qur’an, zikir dan sebagainya.

Hari-hari Tasyrik dinamakan demikian kerana berasal daripada kata “tasyrik” (تَشْرِيق), yang memiliki beberapa makna dalam bahasa Arab, seperti:

    1. Mengeringkan daging di bawah sinar matahari: Pada zaman dahulu, masyarakat Arab menyembelih haiwan qurban di dalam hari-hari tasyrik (11, 12, dan 13 Dzulhijjah) dan mengeringkan dagingnya di bawah sinar matahari untuk diawetkan. Tentunya mereka tidak ada peti ais dan ini adalah cara yang dilakukan supaya daging tahan lama. Proses ini disebut tasyrik al-lahm (تَشْرِيقُ اللَّحْمِ). Oleh kerana itu, hari-hari tersebut dikaitkan dengan kegiatan ini.
    2. Cahaya matahari atau waktu pagi: Kata tasyrik juga bererti “menjemur” atau “menyebarkan sesuatu di bawah cahaya matahari”. Kerana kegiatan ibadah qurban berlangsung di pagi hari hingga siang, nama ini menjadi relevan.
    3. Istilah syar’i: Dalam konteks agama Islam, hari tasyrik adalah tiga hari setelah Idul Adha, iaitu 11, 12, dan 13 Dzulhijjah. Hari-hari ini dikhususkan untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ, memperbanyak takbir, dan dilarang berpuasa, sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad ﷺ:

أيام التشريق أيام أكل وشرب وذكر لله
Hari-hari tasyriq ialah hari makan dan juga minum serta berzikir kepada Allah
(Sahih Muslim No. 1141)

Jadi, nama hari tasyrik merujuk pada kombinasi antara tradisi masyarakat Arab pra-Islam, kondisi budaya ketika itu, dan maknanya dalam ibadah qurban yang dikaitkan dengan syariat Islam. Bagi umat Islam ia termasuk sebagai Hari Raya juga dan kerana itu tidak boleh berpuasa pada hari-hari ini. Sabda Baginda ﷺ:

لا تَصُومُوا هَذِهِ الأَيَّامَ فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Jangan kalian melaksanakan ibadah puasa pada hari-hari ini (iaitu hari-hari Tasyriq) kerana ia hari makan dan minum
(Musnad Ahmad No. 821)

 

فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ

Maka sesiapa yang hendak balik segera dalam dua hari itu dia tidak berdosa;

Iaitu bergerak awal dari Mina. Selepas melontar Jamrah Aqabah, dia hendak balik awal. Ia dibenarkan untuk dilakukan oleh Allah ‎ﷻ, dan tidak berdosa, maka jangan marah kepada mereka yang hendak balik awal. Ia disebut di sini kerana golongan Jahiliyah zaman dahulu ada kata kena duduk di Mina sehingga 13 DzulHijjah dan siapa yang pulang awal itu berdosa. Maka Allah ‎ﷻ perbetulkan fahaman mereka itu.

Bergerak awal dari Mina disebut dengan istilah “Nafar Awal” (نَفَر أَوَّل). Ini adalah salah satu pilihan bagi jemaah haji dalam menyelesaikan rangkaian mabit (bermalam) di Mina pada hari-hari tasyrik (11, 12, dan 13 Dzulhijjah). Syaratnya jemaah haji yang memilih Nafar Awal meninggalkan Mina pada tarikh 12 Dzulhijjah setelah melempar jumrah di siang hari dan dia mesti keluar sebelum maghrib. Kena pastikan seluruh lemparan jumrah (Ula, Wusta, dan Aqabah) telah selesai dilakukan pada hari ke-11 dan ke-12 Dzulhijjah.

 

وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Dan sesiapa yang hendak melewatkan, juga tidak berdosa.

Kalau hendak tinggal lama juga, tidak ada masalah juga. Ini pun golongan jahiliyah berbeza pendapat. Ada yang kata kena balik awal dan kalau duduk lama sampai 13 DzulHijjah pula yang berdosa. Maka Allah ‎ﷻ perbetulkan fahaman salah itu.

Dalam istilahnya tinggal tiga hari di Mina itu dinamakan Nafar Thani. Ia bagi jemaah haji yang memilih untuk tetap tinggal di Mina hingga tanggal 13 Dzulhijjah. Mereka menyelesaikan lemparan jumrah pada hari itu sebelum meninggalkan Mina.

 

لِمَنِ اتَّقَىٰ

bagi orang yang bertaqwa kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh-Nya. Maknanya, sesiapa yang hendak keluar awal, hendaklah menjaga taqwa mereka. Ibadah bukan dikira lama atau pendek, tetapi tingkatan taqwa di dalamnya. Jangan mereka keluar awal kerana mereka bosan, kerana hendak buat pula perkara-perkara yang lagha, kerana berkelahi dengan para jemaah yang lain atau apa-apa sebab yang tidak elok. Tidak salah kalau hendak pulang awal kerana mungkin ada urusan. Ia tidak salah kerana rukun-rukun yang penting telah diselesaikan. Bagi yang melewatkan, jangan pula tinggal lama kerana riya’ hendak tunjuk hebat.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah

Taqwalah kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan. Ayat ini disampaikan di hujung-hujung pengajaran tentang Haji dalam surah Baqarah ini. Ini mengingatkan kita bahawa kita kena terus menjaga taqwa kita kepada Allah ‎ﷻ, walaupun telah selesai menunaikan ibadah Haji. Janganlah masa buat ibadat sahaja kita sedar dan taqwa, tetapi di luar ibadat, tinggalkan taqwa pula.

 

وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan yakinlah bahawasanya kamu akan dihimpunkan untuk bertemu dengan-Nya;

Ingatlah bahawa, dalam kita meninggalkan Arafah itu, kita semua akan dikembalikan juga kepada perkumpulan sebegitu juga nanti di Mahsyar. Kita semua akan dihimpunkan untuk ditanya, adakah kita gunakan harta yang telah Allah ‎ﷻ beri kepada kita untuk pergi Haji? Ini kerana ada sahaja yang memiliki harta dan kemampuan, tetapi tidak pergi Haji lagi. Sibuk pergi ke tempat-tempat lain dahulu. Ada pula yang kata tiada wang, tetapi mereka sebenarnya memiliki tanah, tetapi tidak mahu hendak jual tanah untuk buat belanja pergi menunaikan Haji. Ada yang harta banyak, tetapi dibahagikan awal-awal lagi kepada anak-anak kerana takut anak tidak ada harta apabila mereka sudah mati nanti. Selalunya, apabila sudah diberi tanah kepada anak-anak, mereka sudah tiada duit untuk pergi Haji. Sedangkan anak-anak nanti bukannya hendak derma untuk ibu bapanya nanti. Janganlah begitu, biarlah anak-anak cari harta mereka sendiri. Kerana nanti di hadapan Allah ‎ﷻ, kita tidak boleh jawab kenapa kita tidak tunaikan Haji nanti.

Perkataan حَشَرُ tidak sama dengan perkataan جمع yang juga digunakan untuk bermaksud dikumpulkan. Kalimah حَشَرُ digunakan dalam bahasa Arab untuk mengumpulkan binatang, seperti penggembala lembu mengumpulkan lembu belaannya. Ini memberi isyarat kepada kita yang kita nanti akan dikumpulkan oleh Allah ‎ﷻ sebagaimana seorang penggembala mengumpulkan binatang ternakannya.

Allah ‎ﷻ sentiasa mengingatkan tentang Hari Akhirat disebabkan manusia tidak bertaqwa kerana tidak yakin adanya Hari Pembalasan. Kalaulah manusia yakin, manusia tidak berani membuat dosa. Percaya kepada hari kiamat memotivasi seseorang untuk memperbanyak amal soleh kerana menyedari bahawa segala perbuatan akan diperhitungkan di akhirat.


 

ORANG YANG MENYEBARKAN KEMUNGKARAN

Baqarah Ayat 204: Ada empat golongan yang Allah ‎ﷻ hendak sebut yang dimulai dengan ayat ke-200. Ayat 200 itu adalah tentang golongan manusia yang celaka kerana hanya nampak kepentingan dunia sahaja dan tidak hiraukan pun tentang akhirat.

Golongan yang kedua telah disebut dalam ayat yang seterusnya iaitu ayat ke 201 di mana mereka yang beruntung akan berdoa supaya mereka diberikan kebaikan dunia dan juga akhirat sekali dan supaya diselamatkan dari neraka. Lihatlah bagaimana mereka bukan hanya minta ‘dunia’ sahaja tetapi ‘kebaikan dunia’. Malah mereka tidak lupa meminta kebaikan di akhirat. Begitulah orang yang beriman, cara meminta doa kepada Allah ‎ﷻ pun mereka pandai.

Golongan yang ketiga adalah mereka yang bukan sahaja tidak mahu kepada agama untuk diri mereka tetapi mereka usahakan supaya orang lain pun cintakan dunia. Bukan dunia itu untuk mereka pun tetapi untuk orang lain. Inilah orang yang paling celaka sekali kerana bukan sahaja mereka rugi tetapi merugikan orang lain sekali.

Sepatutnya kita kena menjadi golongan yang ke-empat iaitu jenis manusia yang sanggup mengorbankan dunia untuk agama Islam.

Atau, mungkin kita boleh terima hanya ada dua golongan sahaja sebenarnya. Yang berdoa minta dunia itu ditambah lagi sifat mereka di dalam ayat 204 – 206. Manakala orang yang mahukan akhirat ditambah lagi sifat mereka di dalam ayat seterusnya.

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيُشهِدُ اللَّهَ عَلىٰ ما في قَلبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الخِصامِ

Sahih International

And of the people is he whose speech pleases you in worldly life, and he calls Allah to witness as to what is in his heart, yet he is the fiercest of opponents.

 

Malay

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا

Dan ada di antara manusia itu yang mempersonakan engkau kerana percakapannya dalam kehidupan di dunia;

Ini adalah golongan ketiga. Sekarang kita akan belajar sifat orang-orang munafik. Asbanun Nuzul ayat ini adalah tentang Akhnas ibn Shurayq. Namun begitu bukanlah dia sahaja kerana ayat ini bersifat umum. Lihatlah apa yang mereka lakukan. Perkataan mereka tentang dunia sampai boleh memikat manusia kepada sukakan dunia hingga boleh lupa kepada akhirat. Begitu hebatnya kata-kata mereka sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pun boleh terkesan dengan kata-kata mereka itu.

Kenapa sebut tentang dunia di sini? Kerana orang munafik ini hanya mementingkan dunia sahaja. Juga bermaksud kata-kata tentang dunia punyalah hebat, akan tetapi kalau tentang akhirat, tidak laku. Cakap mereka manis belaka tetapi hatinya busuk. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Munafiqoon: 4 tentang hal ini,

وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم ۖ وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka.

Oleh itu kita kenalah berhati-hati dengan sesetengah kata-kata manusia. Jangan kita terpesona dengan kata-kata mereka. Mereka bercerita tentang dunia macam dunia itu ada di depan dan mudah sahaja hendak dapat. Mereka memang pandai berkata-kata dan pandai berhujah. Begitulah juga sifat orang munafik kerana orang munafik zaman Nabi ﷺ dahulu yang pandai memuji-muji Nabi Muhammad ﷺ ‎dan begitulah juga mereka yang sifat-sifat munafik zaman sekarang. Rasulullah ‎ﷺ pernah bersabda:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما
أنه قدم رجلان من المشرق فخطبا فعجب الناس لبيانهما فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن من البيان لسحرا أو إن بعض البيان لسحر
Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa dua orang daripada penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang takjub dengan penjelasannya, lantas Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandungi sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandungi sihir.”
(Sahih Bukhari No. 5325)

 

وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ

dan dia bersaksi kepada Allah atas apa yang ada dalam hatinya;

Dia akan kata bahawa apa yang dia cakapkan itu adalah benar belaka. Malah sanggup bersumpah dengan menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Dia menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai saksi yang dia ikhlas dalam apa dikatakannya. Dia buat begitu supaya orang yang mendengar di depannya itu tidak syak kepadanya. Dia mahukan orang percaya dengan kata-katanya tentang dunia sampai dia sanggup menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Allah menyebut tentang hal ini di dalam Munafiqoon: 2

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Ayat ini mengajar kita yang sedang belajar tafsir Al-Qur’an ini untuk menjaga hati dan perbuatan kita. Jangan kita cakap perkara kebaikan di mulut kita, tetapi perbuatan kita lain pula. Jangan kita jadi macam orang dalam ayat ini.

Ia juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada manusia yang pandai berkata-kata sampai kita boleh jadi terpesona. Boleh dengar tetapi jangan terus percaya. Kita kena perhatikan apakah tindak tanduknya kerana hanya sekadar bercakap sahaja, semua orang boleh; tetapi kena lihat apakah amalan dan perbuatannya dalam kehidupan juga. Kalau berlainan daripada apa yang dia kata, tahulah kita yang dia hanya pandai bercakap sahaja.

 

وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

padahal dia sebenarnya adalah paling kuat sekali menentang;

Iaitu paling kuat melawan Nabi ﷺ. Kalau bercakap hal dunia dan agama dia memang hebat tetapi sebenarnya dia adalah orang yang paling kuat menentang kehidupan di akhirat dan paling kuat menentang agama. Orang munafik seperti yang telah disebut amat pandai dalam bercakap, dan mereka sampai menggunakan nama Allah ‎ﷻ dalam sumpah mereka. Atau mereka itu bawa perawakan ahli agama dan pandai beri ceramah, akan tetapi ia membawa kepada keduniaan sahaja. Mereka menggunakan agama dan kepandaian cakap mereka untuk memenuhkan kantung harta mereka. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka itu sokong agama dan beriman, namun sebenarnya tidak. Mereka sebenarnya menentang dan merosakkan agama.

Akan tetapi kita manusia tidak dapat tahu apa isi hati mereka kerana kita tidak boleh baca hati manusia. Kerana itu di sini Allah ‎ﷻ beritahu apa yang di dalam hati mereka. Ini sebagaimana Allah ‎ﷻ bongkar isi hati orang munafik di dalam Munafiqoon: 1

إِذا جاءَكَ المُنٰفِقونَ قالوا نَشهَدُ إِنَّكَ لَرَسولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّكَ لَرَسولُهُ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: “Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”. Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.

Perkataan أَلَدُّ itu lebih berat lagi daripada perkataan عَدُوٌّ yang selalu digunakan kepada Syaitan. Mereka yang berperangai begini, akan mereka-reka perkataan mereka tidak berdasarkan dalil, asalkan mereka boleh menang dan orang lain percaya kepada kata-kata mereka. Mereka tidak kisah apakah yang benar.

Lafaz الْخَصِمُ bermaksud ‘berdebat’ dan ini dibenci oleh Allah‎ ﷻ seperti sabda Nabi ﷺ dalam Sahih Bukhari, riwayat Aisyah رضي الله عنها:

 عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Dari Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan; Rasulullah  ﷺ bersabda: “Manusia yang paling dibenci Allah ‎adalah yang keras kepala dan suka membantah.”
(Hadith Sahih Bukhari No. 6651)

Bukan itu sahaja, mereka ini apabila berkelahi, berdebat, berbeza pendapat, akan menggunakan kekerasan, perangai yang buruk kerana mereka hendak menjatuhkan musuh lawan debat mereka. Mereka sampaikan sanggup menipu dan berbagai-bagai lagi perkara buruk yang mereka lakukan kalau berlainan pegangan dengan mereka. Ini seperti disebut di dalam hadith,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
“Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka dia disebut munafik tulen. Jika dia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai dia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim.”
(Sahih Muslim)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 200 – 201 (Minta kebaikan dunia dan akhirat)

MINTALAH KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT SEKALI

Baqarah Ayat 200: Masih lagi tentang hukum Haji. Ini adalah teguran Allah ‎ﷻ tentang cara berdoa.

فَإِذا قَضَيتُم مَّنَـٰسِكَڪُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم ءَابَآءَڪُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ

Sahih International

And when you have completed your rites, remember Allah like your [previous] remembrance of your fathers or with [much] greater remembrance. And among the people is he who says, “Our Lord, give us in this world,” and he will have in the Hereafter no share.

 

Malay

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

 

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَّنَـٰسِكَڪُم

Maka apabila kalian telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kalian;

Apabila sudah melontar, sudah cukur dan sudah tawaf. Iaitu selesai sudah segala ibadat Haji dan segala rukun-rukun Haji. Sekarang para hujjaj berhari raya di Mina tiga hari tiga malam.

 

فَاذْكُرُوا اللَّهَ

maka sentiasalah ingat akan Allah;

Sepatutnya selepas sudah selesai kerja Haji, maka kita sangka sepatutnya yang disuruh adalah bersyukurlah, kerana sudah selesai segala kewajipan dan boleh balik ke kampung halaman semula. Namun sebaliknya yang disuruh adalah berzikir. Ini kerana zikir ini amat penting, maka selalu Allah ‎ﷻ ingatkan di dalam Al-Qur’an. Di sini pun Allah ‎ﷻ sudah tiga kali sebut tentang zikir di dalam kumpulan ayat-ayat ini. Ini kerana ibadah tidak berakhir dengan zikir sahaja. Selepas ibadah, tetap kena zikir lagi seperti Allah ‎ﷻ sebut tentang solat di dalam Nisa’: 103

فَإِذا قَضَيتُمُ الصَّلوٰةَ فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

Perhatikan selepas solat pun kena zikir lagi kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana ibadah zikir itu bukan sahaja bermaksud lafaz dengan mulut sahaja, namun ia lebih lagi daripada itu. Ada empat jenis zikir, iaitu dengan lidah melalui ucapan, dengan anggota tubuh melalui perbuatan, dengan fikiran melalui perenungan yang menghantar kepada pengetahuan, serta dengan hati melalui kesedaran akan kebesaran-Nya yang menghasilkan emosi keagamaan dan keyakinan yang benar. Jadi kalau kita faham zikir itu sebagai meratib sahaja, maka amatlah malang kerana pemahaman tentang zikir yang cetek sangat.

Dalam ibadah kena zikir, luar ibadah pun kena zikir juga. Antaranya dengan perbuatan tubuh kita iaitu dengan melakukan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Walaupun kita buat kerja-kerja dunia, namun jangan lupa kepada Allah ‎ﷻ. Kerana itu Allah ‎ﷻ berfirman قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم iaitu bermaksud di dalam segala keadaan. Kekurangan kita adalah sangka zikir ini pada masa tertentu dan pada tempat tertentu sahaja. Ini adalah pemahaman yang cetek. Perhatikan setelah habis Solat Jumaat pun Allah ‎ﷻ suruh kita banyak ingat kepada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Jumuah: 10

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Maknanya, Allah ‎ﷻ benarkan kita bekerja mencari rezeki, akan tetapi di dalam kerja seharian kita pun tetap kena ingat Allah ‎ﷻ dan bukan sedikit tetapi banyak-banyak.

 

كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَڪُم

sepertimana kalian dahulu menyebut-nyebut tok nenek kalian;

Musyrikin Mekah apabila Haji sudah hendak habis, mereka memuji keturunan mereka. Mereka siap buat majlis besar-besaran di mana mereka akan membacakan puisi. Mereka memperingati tentang keturunan mereka yang pahlawan yang berani, gagah, dermawan dan sebagainya. Ini kerana kesukaan mengisi masa lapang mereka pada waktu itu adalah bercerita tentang orang-orang yang sudah berlalu.

Ini tidak elok dilakukan kerana akan menyebabkan ada yang berasa hati sampaikan selepas mengerjakan ibadah Haji, terjadi perpecahan umat, sedangkan sepatutnya ibadah Haji itu untuk mengeratkan umat Islam sedunia. Tambahan pula ia adalah perbuatan yang membuang masa di tempat yang mulia.

Kita orang Melayu ada juga buat perangai membanggakan puak-puak kita. Selalunya berkenaan politik dan keturunan dulu-dulu. Sudah bercerita tentang politik pula di sana. Kita pun suka juga bersembang. Tentang bermacam-macam hal kehidupan, tentang filem, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang orang itu dan ini. Kalau kita pun buat begitu juga, kita tidak mengikuti ayat ini. Maka Allah ‎ﷻ suruh kita ingat tentang Allah ‎ﷻ bukannya ingat tentang benda-benda itu. Kena tinggalkan tentang dunia dan ingat kepada Allah ‎ﷻ.

 

أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا

bahkan lebih lagi ingat (kepada Allah);

Kenalah kita ingat kepada Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada yang lain. Kalimah  أَشَدَّ bermaksud lebih teguh, lebih mantap, lebih banyak. Kenapa hendak disebut-sebut sangat tentang kehebatan dan jasa tok nenek itu? Sedangkan Allah ‎ﷻ lebih banyak jasa-Nya. Kalimah أَوْ di sini bukannya bermaksud ‘atau’ kerana kalau begitu, seolah-olah ia pilihan sahaja. Kalimah أَوْ di sini bermaksud ‘dan’ dan ‘bahkan’. Iaitu kena ingat Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada ingat kepada tok nenek. Jangan sibukkan diri dengan pencapaian tok nenek tetapi sibuklah diri dengan Allah ‎ﷻ.

 

فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

Maka ada di antara manusia (semasa buat haji) yang berdoa:

Peluang apabila berada di Tanah Haram adalah untuk berdoa kerana ia merupakan salah satu tempat yang makbul doa. Apatah lagi waktu itu kita sedang melakukan ibadah yang besar. Seperti yang kita selalu diingatkan, doa amat molek dilakukan selepas melakukan ibadah. Akan tetapi ada orang yang hanya mementingkan dunia sahaja maka mereka tidak mengambil manfaat untuk berdoa dengan doa yang baik. Perhatikan cara doa mereka:

 

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dalam dunia ini;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang pergi mengerjakan Haji adalah untuk keduniaan sahaja. Mereka hanya mahukan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya minta ‘dunia’, bukan ‘kebaikan’ di dunia pun. Mereka tidak kisah pun apa yang mereka dapat itu baik untuk agama atau pun tidak, asalkan dapat sahaja. Zaman Jahiliyyah dahulu, antaranya mereka minta tahun itu kesuburan tanah, hujan, anak dan sebagainya. Zaman sekarang pun ramai yang seperti itu juga. Mereka minta projek kerajaan, rezeki yang banyak, kejayaan dalam perniagaan, anak, pasangan dan bermacam-macam hal keduniaan lagi.

Allah ‎ﷻ menegur ramai yang berdoa begini. Sampai mereka buat sembahyang hajat di Mekah semata-mata hendakkan hal dunia. Ada yang pergi Umrah, sebab hendak kahwin, siap pergi dengan pasangannya yang mereka belum kahwin lagi. Atau ramai yang berdoa di sana kerana hendakkan projek kerajaan. Tidaklah salah kita minta hal dunia, tetapi kita kena banyakkan lagi minta hal akhirat. Dalam ayat ini, mereka minta hal dunia sahaja. Nanti kita akan bandingkan dengan doa orang yang pandai.

Memang Allah ‎ﷻ suruh kita berdoa dalam semua perkara. Sampaikan kalau tali kasut terputus pun, ada hadith Nabi ﷺ kata hendaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Namun begitu kita berdoa kenalah ada kepentingan akhirat melebihi dunia. Kena lebihkan tentang akhirat. Jangan lebihkan tentang dunia sahaja. Kepentingan kita sepatutnya tentang akhirat.

wp-1579436196434.jpg

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ

maka tidak ada bagi orang itu, bahagian di akhirat, apa-apa balasan baik pun;

Mereka tidak diberikan dengan kelebihan di akhirat kerana mereka hanya mahukan hal dunia sahaja. Maknanya mereka tidak mendapat syurga. Jadi jangan sangka orang yang pergi Haji itu pasti dapat masuk syurga kerana belum tentu lagi. Kena tengok apa niatnya semasa pergi Haji itu. Jangan katakan orang pergi buat Haji, yang syahid, yang mengajar agama dan dermawan pun dimasukkan ke dalam neraka (malah mereka yang paling awal masuk) seperti disebut di dalam hadith yang amat menakutkan yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

ويقول عليه الصلاة والسلام: (إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ، رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ. قَالَ: كَذَبْتَ. وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ: جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ، وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ، وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ، وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ: هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ، ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّار)ِ. رواه مسلم (1905) .
Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang yang pertama kali diputuskan pada hari kiamat adalah seorang laki-laki yang mati syahid di jalan Allah. Lalu dia didatangkan, kemudian Allah memperlihatkan kepadanya nikmat-Nya, maka dia pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang tersebut berkata, ‘Aku telah berperang di jalan-Mu sampai aku mati syahid.’ Lalu Allah berkata, ‘Engkau dusta! Sebaliknya engkau melakukan itu supaya disebut sebagai seorang pemberani dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), sampai dia pun dilemparkan di neraka.
Kemudian ada orang yang belajar agama dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur’an. Lalu orang itu didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya dan orang itu pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu menjawab, ‘Aku telah belajar agama, mengajarkannya dan aku telah membaca Al-Qur’an.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Sebaliknya engkau belajar agama supaya disebut orang alim dan engkau membaca Al-Qur’an supaya disebut sebagai qari’ dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah) sampai dia pun dilemparkan di neraka.’
Kemudian ada seorang laki-laki yang diberikan kelapangan oleh Allah (kaya) dan menganugerahinya segala macam harta. Lalu dia pun didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya itu dan orang itu pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu mengatakan, ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun sebagai peluang untuk berinfak melainkan aku berinfak di situ semata-mata kerana-Mu.’ Allah berkata, ‘Kau bohong! Sebaliknya kau melakukan seperti itu supaya disebut dermawan dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Maka orang itu diperintahkan untuk dibawa, lalu dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), kemudian dia dilemparkan di neraka.”

(Sahih Muslim No. 1905)

Kenapa Allah ‎ﷻ mengutuk mereka yang hanya minta dunia sahaja? Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Akan tetapi ia adalah dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja.

Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat bermain permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?


 

Baqarah Ayat 201: Allah ‎ﷻ tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Sahih International

But among them is he who says, “Our Lord, give us in this world [that which is] good and in the Hereafter [that which is] good and protect us from the punishment of the Fire.”

 

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

 

وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ

Dan ada di antara mereka yang berdoa:

Ini adalah cara berdoa yang betul. Doa ini pun kita selalu sangat baca. Sekarang kita kena faham apakah maksud doa ini supaya kita lebih khusyuk semasa menyebutnya.

 

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;

Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tetapi ‘kebaikan di dunia’. Sebelum ini telah disebut orang yang bodoh itu hanya sebut رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا. Ada beza antara keduanya kerana orang yang pandai dalam berdoa sebut حَسَنَةً di dalam dunia.

Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Ada berbagai pendapat tentang apakah maksud حَسَنَةً itu. Hasanah di sini yang paling utama adalah: Al-Qur’an dan Hadith. Iaitu ilmu kefahaman Al-Qur’an dan Hadith. Kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ia bermula dari situ. Dengan memahami Al-Qur’an dan Hadith, kita akan faham agama keseluruhannya. Akan tetapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka sangka mereka meminta harta dan kesenangan dunia. Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadith. Kerana ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tetapi mereka salah faham tentang makna doa ini.

Ada lagi tafsir lain bagi maksud حَسَنَةً ini: Ia adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati. Ini seperti hadith riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Ia bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Al-Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga. Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan. Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infak duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.

Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada. Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak. Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu. Sebelum mereka mendapat yang ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka. Namun kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama daripada bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.

Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.

Ada yang memberi maksud yang luas lagi seperti kesihatan dan lain-lain. Asalkan ia membawa kepada kebaikan akhirat. Contohnya kesihatan kerana dengan kesihatan, dapat melakukan ibadah dengan banyak. Atau kenderaan kerana dengan kenderaan ia boleh membawa untuk belajar ilmu dan mengajar. Jadi kita boleh panjangkan kepada segala perkara yang walaupun ia tentang keduniaan, tetapi sebenarnya ia membawa kepada akhirat. Jadi kalau kita pandai, kita akan dapatkan hal dunia yang ada kebaikan untuk akhirat juga.

Ada orang yang salah faham dengan doa ini dengan mengatakan Allah ‎ﷻ suruh cari dunia dahulu. Ini adalah tersilap kerana Allah ‎ﷻ bukan suruh minta dunia, tetapi ‘kebaikan’ di dunia. Kita juga telah sebutkan yang kebaikan itu yang membawa kepada kebaikan di akhirat. Jadi kesimpulannya, ia ke arah akhirat juga.

 

وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً

dan kebaikan di akhirat;

Kita minta kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga. Kena minta dimasukkan ke dalam syurga. Bukan setakat itu sahaja tetapi segala perkara yang berkenaan akhirat yang bermula dengan kematian. Dalam kubur lagi kita minta dipermudahkan.

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِنَا الطَّيْرُ وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فِي الْأَرْضِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَاهُنَا وَقَالَ وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ قَالَ هَنَّادٌ قَالَ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ رَبِّيَ اللَّهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ دِينِيَ الْإِسْلَامُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ قَالَ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولَانِ وَمَا يُدْرِيكَ فَيَقُولُ قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ { يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا } الْآيَةُ ثُمَّ اتَّفَقَا قَالَ فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ قَدْ صَدَقَ عَبْدِي فَأَفْرِشُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا قَالَ وَيُفْتَحُ لَهُ فِيهَا مَدَّ بَصَرِهِ قَالَ وَإِنَّ الْكَافِرَ فَذَكَرَ مَوْتَهُ قَالَ وَتُعَادُ رُوحُهُ فِي جَسَدِهِ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ كَذَبَ فَأَفْرِشُوهُ مِنْ النَّارِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ النَّارِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى النَّارِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ حَرِّهَا وَسَمُومِهَا قَالَ وَيُضَيَّقُ عَلَيْهِ قَبْرُهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ فِيهِ أَضْلَاعُهُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ قَالَ ثُمَّ يُقَيَّضُ لَهُ أَعْمَى أَبْكَمُ مَعَهُ مِرْزَبَّةٌ مِنْ حَدِيدٍ لَوْ ضُرِبَ بِهَا جَبَلٌ لَصَارَ تُرَابًا قَالَ فَيَضْرِبُهُ بِهَا ضَرْبَةً يَسْمَعُهَا مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ فَيَصِيرُ تُرَابًا قَالَ ثُمَّ تُعَادُ فِيهِ
Daripada Al Bara bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, “Kami bersama Rasulullah ﷺ keluar untuk melihat jenazah seorang lelaki Ansar, kami pun tiba di perkuburan. Ketika lubang lahad telah dibuat, Rasulullah ﷺ duduk, lalu kami ikut duduk di sisinya. Kami diam, seakan-akan di atas kepala kami ada burung. Saat itu baginda memegang sebatang kayu yang ditancapkan ke dalam tanah, baginda lalu mengangkat kepalanya dan bersabda:
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada seksa kubur.” Baginda ucapkan kalimat itu hingga dua atau tiga kali. Demikianlah tambahan dalam hadith Jarir.
Baginda menyambung: “Sungguh, mayat itu akan dapat mendengar bunyi tapak selipar mereka ketika berpaling pulang; iaitu ketika ditanyakan kepadanya, ‘Wahai orang yang ditanya ini,
Siapa Rabbmu?
 Apa agamamu?
 Dan siapa Nabimu?’
-Hannad menyebutkan; Baginda bersabda: – “lalu ada dua malaikat mendatanginya kemudian mendudukkannya. Malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” dia menjawab, “Rabbku adalah Allah.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa agamamu?” dia menjawab, “Agamaku adalah Islam.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki ini yang diutus kepada kamu semua?” Dia menjawab, “Dia adalah Rasulullah ﷺ.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa (cara yang kamu lakukan sehingga) kamu ketahui (cara untuk menjawab soalan tadi)?” Dia menjawab,
“Aku membaca Kitabullah, aku beriman (mempelajari) dengannya dan membenarkannya (menyebarkannya).”
Dalam hadith Jarir menambahkan, “Maka inilah makna firman Allah:
“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman…” hingga akhir ayat Ibrahim: 27
Kemudian kedua perawi sepakat pada lafaz, “Baginda bersabda: “Kemudian ada suara dari langit yang menyeru, “Benarlah apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, hamparkanlah permaidani untuknya di syurga, bukakan untuknya pintu-pintu syurga dan berikan kepadanya pakaian syurga.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya wewangian syurga, lalu kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.” Baginda melanjutkan:
“Jika yang meninggal adalah orang kafir, maka rohnya akan dikembalikan kepada jasadnya. Saat itu datanglah dua malaikat seraya mendudukkannya. Kedua malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Hah, hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki yang diutus kepada kalian ini? ‘ Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.”
Setelah itu terdengar suara dari langit: “Dia telah berdusta. Berilahd ia hamparan permaidani dari neraka, berikan pakaian dari neraka, dan bukakanlah pintu-pintu neraka untuknya.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya panas dan baunya neraka. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulangnya saling berhimpitan.” Dalam hadith Jarir ditambahkan,
“Baginda bersabda: “Lalu dia dibelenggu dalam keadaan buta dan bisu. Dan baginya disediakan sebuah pemukul daripada besi, sekiranya pemukul itu dipukulkan pada sebuah gunung nescaya akan menjadi debu.” Baginda melanjutkan:
“Lelaki kafir itu kemudian dipukul dengan pemukul tersebut hingga suaranya dapat didengar oleh semua makhluk; dari hujung timur hingga hujung barat -kecuali jin dan manusia- hingga menjadi debu.” Baginda meneruskan ceritanya: “Setelah itu, rohnya dikembalikan lagi.”
(HR Abu Daud Kitab as Sunnah fil Mas-alati fil Qabri wa ‘Azabil Qabri)

Semoga kita diberikan nikmat melihat syurga tempat kita walaupun di dalam kubur.

Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari No. 1379 dan Muslim No. 2866)

Juga supaya dimasukkan ke dalam golongan yang masuk ke syurga tanpa hisab seperti disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Tujuh puluh ribu daripada umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah, tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakal pada Rabbnya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 5752 dan Muslim No. 220)

Alam akhirat itu lebih penting daripada dunia. Sebenarnya kita kena lebihkan minta tentang akhirat melebihi tentang dunia. Perhatikan doa ini, bukannya kita minta ‘dunia’ tetapi ‘kebaikan di dunia’. Sebenarnya hal dunia ini Allah ‎ﷻ telah sediakan untuk kita, jadi tidak perlu teruk-teruk sangatlah mencarinya. Yang kita kena cari dan lebih banyak usaha adalah tentang akhirat. Perhatikan Qasas: 77

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu untuk negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi

Ayat ini sebenarnya Allah ‎ﷻ suruh kejar akhirat, bukannya kejar dunia. Jadi secara ringkasnya, ia jadi begini وَابتَغِ الدّارَ الآخِرَةَ (Carilah negeri akhirat itu). Akan tetapi gunakanlah dunia فيما ءآتٰكَ اللهُ (dengan apa yang Allah telah berikan). Maknanya dunia ini Allah ‎ﷻ telah siap berikan kepada kita, rezeki semua sudah ditentukan. Namun kenapa Allah ‎ﷻ kata وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا (dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi)? Seolah-olah tekankan dunia pula. Allah ‎ﷻ sebut begini kerana ada orang yang terlalu lebihkan akhirat, sampai mereka terlupa langsung tentang dunia, makan pakai mereka, anak isteri mereka. Jadi Allah ‎ﷻ kena ingatkan kepada mereka: dalam kamu mencari akhirat itu, sesekali tengoklah dunia juga. Maknanya akhirat lebih penting lagi. Yang kita pula terbalik. Sebagai contoh ada emak nasihat kepada anak dia, “kau ni kerja-kerja juga, tapi janganlah lupa solat!”. Nasihat ini nampak bagus, bukan? Namun perhatikan ayatnya – dia sebenarnya suruh jadikan akhirat itu sebagai sampingan sahaja, bukannya yang utama.

Ada juga yang salah dengan berkata: dunia dan akhirat kena seimbang. Mana boleh seimbang kerana Allah ‎ﷻ sendiri kata yang akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Takkan sama duit 10 ringgit dan sejuta! Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’la: 17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

 

وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

dan selamatkanlah kami daripada azab api Neraka;

Kenapa kita minta diselamatkan daripada api neraka sedangkan kita sudah minta dimasukkan ke dalam syurga? Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tetapi mereka kena masuk neraka terlebih dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka. Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan daripada api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun. Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.

Nabi ﷺ tidak pernah lupa untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Namun begitu janganlah kita sangka hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tetapi doalah selepas itu. Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja. Dalil inilah doa yang selalu dibaca oleh Rasulullah ﷺ,

حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُمَّ { رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ }
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Nabi ﷺ selalu berdoa; “RABBANAA AATINA FID DUNYA HASANATAN WA FIL AKHIRATI HASANAH WAQIAN ADZABAN NAAR (Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka).”
(Sahih Bukhari No. 4160)

Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Inilah sahaja doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain. Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Walau bagaimanapun kalau kita mahu doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ, inilah doa yang baginda baca. Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf. Tidak perlu buka buka-buku zikir yang agensi bagi sampai berjenis-jenis doa yang hendak dibaca.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah