Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 32 (Jangan dekati Zina)

PERINTAH 7) JANGAN BERZINA

Isra’ Ayat 32: Jangan dekati zina. Ia disebut selepas larangan membunuh anak-anak terutama sekali anak perempuan. Ini adalah kerana antara faktor yang mendorong para bapa membunuh anak perempuan mereka adalah kerana takut nanti anak-anak perempuan mereka diperkosa atau berzina. Sekarang Allah ﷻ memerintahkan semua anggota masyarakat agar menghindari penyebab ke arah itu.

Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ mengaitkan penzinaan dengan zina juga. Beliau menulis bahawa dalam penzinaan terdapat pembunuhan dalam beberapa segi:

    1. Pertama pada penempatan sebab kehidupan (sperma) bukan pada tempatnya yang sah. Ini biasa disusuli dengan keinginan untuk menggugurkan yakni membunuh janin yang dikandung.
    2. Kalau anak itu dilahirkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan begitu saja tanpa ada yang memelihara dan mendidiknya, dan ini merupakan salah satu bentuk pembunuhan juga.
    3. Penzinaan juga merupakan pembunuhan terhadap masyarakat yang merajalela di tengah-tengahnya keburukan ini, kerana di sini menjadi tidak jelas atau bercampur baur keturunan seseorang serta menjadi hilang kepercayaan dan kehormatan kepada anak zina, sehingga hubungan antara masyarakat jadi lemah yang akhirnya membawa kepada kematian umat.
    4. Di sisi lain penzinaan juga membunuh masyarakat dari segi kemudahan melampiaskan nafsu sehingga kehidupan rumah tangga menjadi sangat rapuh bahkan tidak diperlukan lagi. Keluarga menjadi sangat rapuh padahal ia merupakan wadah yang terbaik untuk mendidik dan mempersiapkan generasi muda memikul tanggungjawabnya.

Demikian lebih kurang tulis Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ, ketika menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not approach unlawful sexual intercourse.¹ Indeed, it is ever an immorality and is evil as a way.

  • i.e., avoid all situations that might possibly lead to it.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

 

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ

Dan janganlah kamu mendekati zina;

Dua dosa besar yang banyak disebut dalam Al-Qur’an adalah zina dan pembunuhan. Kadang-kadang Allah ﷻ sebut zina dulu dan kadang-kadang Allah ﷻ sebut pembunuhan dulu. Allah ﷻ sebut dua dosa ini kerana dua-duanya adalah dosa berat. Ini adalah kerana dua-dua termasuk di dalam Maqasid Syariah Dalam Tabir Urus

      1. Menjaga Agama
      2. Menjaga Nyawa
      3. Menjaga Akal
      4. Menjaga Keturunan
      5. Menjaga Harta

Kalau bunuh termasuk dalam maqasid Menjaga Nyawa dan Zina termasuk di dalam maqasid Menjaga Keturunan. Dua perkara ini ada kaitannya. Kadang-kadang kerana penzinaan yang telah terlanjur, menyebabkan malu di salah satu pihak, menyebabkan mereka akan berusaha untuk menutupnya. Mungkin sampai kepada membunuh pasangan zinanya itu. Atau, setelah lahirnya anak zina hasil daripada perbuatan terkutuk itu dan kerana hendak menutup kes, bayi yang baru lahir itu dilemparkan ke hutan atau ke semak begitu sahaja!

Sebelum ini Allah ﷻ telah sebut tentang pembunuhan anak dan sekarang disebut tentang zina pula kerana ia juga berat seperti bunuh – kerana ia membunuh hati. Ini bukanlah bunuh secara fizikal tetapi bunuh secara spiritual.

Allah ﷻ kata jangan ‘hampiri zina’. Allah ﷻ tidak kata jangan ‘hampiri bunuh’ kerana zina lebih senang terjadi kalau didekati. Memang bahaya kerana kalau tidak dijaga daripada terlibat, boleh menyebabkan zina. Kadang-kadang lelaki dan perempuan itu hanya ingin duduk bersembang sahaja. Namun lama-lama boleh melarat kepada perkara yang lain. Kalau dalam masyarakat kita, kes senang-senang bunuh orang jaranglah berlaku (walaupun kita nampak ia semakin banyak terjadi) seperti di negara seperti Amerika itu yang kalau berjalan seorang diri pun bahaya di malam hari kerana boleh dirompak dan dibunuh begitu sahaja. Akan tetapi kes zina ini senang sangat terjadi dan memang telah banyak terjadi setiap hari walau dalam rumah kediaman sendiri. Maka ini adalah perkara yang sangat penting untuk kita perhatikan dan jaga kerana ia sangat senang berlaku, dalam segala peringkat umur tidak kira yang muda mahupun tua.

Malangnya ia amat susah dijaga. Tambahan pula suasana masyarakat yang tidak ambil kisah pun percampuran lelaki dan wanita duduk bersama-sama bersembang (ikhtilat). Kadang-kadang yang duduk berdua itu guna alasan hendak beri dakwah kononnya, tetapi lama-lama jadi benda lain pula. Tiba-tiba sudah termengandung! Maka kena berhati-hati dengan perkara ini. Kalau mahu berdakwah kepada wanita, biar wanita juga yang dakwah kepada dia.

Maka pintu ke arah zina itu kena ditutup supaya jangan terlanjur. Konsep ini dinamakan سد ذرائع Sadd al-zara’ie yang bermaksud menghalang jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan jenayah, dosa dan maksiat. Memang, siapa yang berada di sekeliling satu jurang, dia dikhuatirkan terjerumus ke dalamnya. Adapun pelanggaran yang tidak memiliki rangsangan yang kuat, maka biasanya larangan langsung tertuju kepada perbuatan itu, bukan larangan mendekatinya.

Kita ingatkan perkara ini kerana ramai yang sudah tertipu dengan perkara ini kerana ia amat mudah melarat, maka Allah ﷻ berfirman: jangan dekati langsung. Allah ﷻ kenal sifat kita dan kerana itu Allah ﷻ telah beri jalan keluar untuk menahan perkara itu daripada melarat. Kita mungkin sangka zina itu hanya terjadi setelah berlakunya seks, akan tetapi sebelum itu berlaku, telah berlaku zina-zina yang lain sebenarnya. Ini seperti penjelasan Rasulullah ﷺ. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melalui hadith ini baru kita tahu yang ‘zina’ itu bukanlah apabila sudah mengadakan seks sahaja kerana ada banyak lagi jenis zina seperti zina mata, zina mulut, zina tangan, kaki dan sebagainya. Akan tetapi yang ada hukuman hudud dalam Islam adalah Zina Seksual sahaja dan kerana itu ramai sangka itu sahaja zina dan yang lain tidak. Alangkah ceteknya ilmu mereka.

Sebenarnya banyak lagi jenis zina dan semua ini kena dijaga kerana kalau salah satu terjadi, boleh membawa kepada zina seksual. Terutama sekali zina mata, kerana ia membawa ke tempat yang bahaya. Seperti orang selalu kata: dari mata turun ke hati. Maka kita kena jaga segala perkara itu.

Kena ambil langkah yang sepatutnya. Jangan kita tertipu kononnya kita boleh tahan diri kita kalau ada pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sebagai lelaki dan wanita, hendaklah belajar menjaga pandangan mata. Kita sendiri pun sudah baca dan lihat perkara sebegini yang mulanya macam biasa sahaja, kawan biasa sahaja, tetapi lama kelamaan sudah jadi benda lain. Masalah ini terjadi kerana bermula dengan tidak menjaga sosial/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimana kita menahan diri kita? Bayangkan, apabila kita melihat wanita lain, kita kena ingat yang dia itu adik dan anak orang. Kemudian bayangkan pula kalau orang ganggu anak dan adik kita, bagaimana? Tentu kita marah dan kita tidak redha, bukan? Maka janganlah kita ganggu atau cuba-cuba hendak berbaik dan rapat dengan ajnabi atau ajnabiah.

Mungkin kadang-kadang kita rasa macam kita boleh tahan daripada terjadinya zina (“kami kawan sahaja ….), maka ingat kembali tentang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semasa di syurga dan larangan mendekati pokok larangan. Bagaimana arahan Allah ﷻ kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah Allah ﷻ berfirman ‘jangan dekati’ pokok itu?

Allah ﷻ beri arahan begitu kerana Dia tahu yang kalau dekati sahaja pokok itu, akan ada masalah. Ringkasnya, Allah ﷻ beritahu yang ada benda yang bahaya kalau dekati sahaja pun. Ini adalah kerana daya tarikannya tinggi betul. Maka percayalah dengan nasihat dan arahan Allah ﷻ ini.

Seringkala kita dengar dalam adat orang Islam, dijaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, kerana memang ulama’ sudah lama memang dijaga perkara ini. Mereka tidak benarkan lelaki dan perempuan duduk bersama dan duduk dalam kawasan yang dekat. Ke mana anak pergi akan ditanya, apa yang mereka baca, apa yang mereka lakukan, sentiasa diperiksa dan diperhatikan. Maka ayat ini difahami oleh mereka yang faham dan tajam akalnya. Melalui ayat ini sahaja, ulama’ telah buat jalan penyelesaian – jangan bergaul rapat antara lelaki dan wanita. Di dalam hadith-hadith pun sudah ada pengajaran tentang pergaulan lelaki dan wanita,

Terdapat riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.
(Riwayat Muslim No. 1341)

Di dalam riwayat yang lain, mungkin ramai tahu hadith ini, daripada Saidina Abdullah Ibn Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.
(Riwayat Al-Tirmidzi No. 2165)

Ketahuilah pada lelaki itu ada syahwat kehendak kepada persetubuhan. Begitu juga wanita pun ada keinginan ini juga. Apabila duduk rapat sahaja, terus ada perasaan itu. Ia lebih tinggi apabila tidak ada orang lain di situ. Syaitan akan mengambil peluang untuk mengapi-apikan nafsu ini sampai ke tahap segala sifat malu hilang asalkan dapat melampiaskan kehendak itu. Waktu akal budi sudah tidak kuat lagi, yang kuat adalah nafsu syahwat itu.

Namun kita tahu ada yang kata, apa masalah kalau berjumpa, berdating, pergi ke rumah dan sebagainya? Mereka kata, bagaimana hendak kenal hati budi bakal isteri/suami kalau tidak berjumpa dan bergaul begitu? Nanti sudah kahwin nanti baru hendak kenal kah?

Kita katakan, memang susah hendak kenal pun lelaki dan perempuan. Adakah anda rasa dengan duduk-duduk dengan kekasih itu anda akan kenal mereka? Tentu tidak kerana kalau kita dating pun, bukan kita boleh kenal mereka pun kerana mereka tidak akan tunjuk diri mereka yang sebenar. Kita pun sudah selalu dengar kisah bagaimana lelaki/perempuan itu berbeza perangainya sebelum dan selepas kahwin.

Sekiranya ada yang kata mereka kenal pasangan kekasih mereka pun, nanti lihatlah bila sudah kahwin. Sebenarnya sudah kahwin baru tahu perangai sebenar. Maka alasan hendak kenal bakal isteri atau suami sebelum menikah itu tidak boleh dipakai.

Kita menyokong usaha kerajaan dan pihak berkuasa yang mencegah khalwat. Khalwat ialah apabila berdua-duaan sahaja antara laki-laki dengan perempuan dan ini sudah termasuk mendekati zina. Oleh kerana itu, Islam mengharamkan khalwat.

Ini adalah antara usaha yang diambil oleh pihak berkuasa untuk memenuhi ‘jangan dekati zina’ ini. Akan tetapi, daripada cara pengurusannya mungkin boleh diperbaiki. Janganlah dua orang itu sudah siap selesai jimak baru diketuk pintu. Halangnya mereka dari mula lagi masuk ke dalam bilik hotel.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Allah ﷻ suruh kita berjaga-jaga sungguh kerana perbuatan zina itu amat buruk sekali dari dulu lagi. Maknanya bukan zaman sekarang ia buruk, tetapi dari dulu lagi ia sudah buruk. Maka ada dua sebab yang disebut di sini kenapa diharamkan zina.

1. Ia adalah فَـٰحِشَةً iaitu satu perbuatan yang memalukan, tidak sopan. Apabila sifat malu telah hilang daripada manusia, maka iman pun telah hilang kerana malu adalah sebahagian daripada iman. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Iman memiliki lebih daripada enam puluh cabang, dan malu adalah bahagian daripada iman”.
(Sahih Bukhari No. 8)

Rosaklah masyarakat jikalau sifat malu telah hilang daripada diri mereka. Kerana itu kita kena teruskan mengutuk perbuatan-perbuatan keji supaya manusia kekal malu untuk melakukannya. Kalau telah berlaku proses normalisasi dalam kalangan masyarakat seperti pergaulan yang bebas lelaki dan wanita, homseksual, sumbang mahram dan sebagainya, maka apa lagi yang ada harapan bagi kita? Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِي الْبَدْرِي رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.[رواه البخاري ]
Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara ungkapan yang dikenal manusia daripada ucapan kenabian terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.”
(Sahih Bukhari No. 3483)


Makna hadith ini, perbuatan malu tertahan daripada melakukan kesalahan kerana sifat malu yang masih ada dalam diri manusia. Akan tetapi kalau malu itu sudah hilang, apa lagi yang boleh menghalang mereka?

Perbuatan zina memang berleluasa dari dulu sampai sekarang. Lalu bagaimana kita hendak mengawal diri kita daripada melakukannya? Tahukah anda yang pernah seorang sahabat minta kebenaran kepada Rasulullah ﷺ untuk berzina? Mari kita lihat bagaimana Nabi ﷺ menasihati sahabat itu. Mungkin kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا. فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ، وَقَالُوا: مًهْ مَهْ. فَقَالَ: “ادْنُهْ”. فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا فَقَالَ اجْلِسْ”. فَجَلَسَ، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ؟ ” قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ”. قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ” قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ” قَالَ: فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ” قَالَ: فَلَمْ يَكُنْ بَعْدَ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ
Daripada Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa pernah ada seorang pemuda datang kepada Nabi ﷺ lalu pemuda itu bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berbuat zina.” Maka kaum yang hadir memusatkan pandangan mereka ke arah pemuda itu dan mengherdiknya seraya berkata, “Diam kamu, diam kamu!” Rasulullah ﷺ bersabda, “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka pemuda itu mendekati Rasulullah ﷺ dalam jaraknya yang cukup dekat, lalu Rasulullah ﷺ bersabda, “Duduklah!” Pemuda itu duduk, dan Nabi ﷺ bertanya kepadanya, “Apakah kamu suka perbuatan zina dilakukan terhadap ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tentu tidak suka hal tersebut di lakukan terhadap ibu-ibu mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, semoga diriku menjadi tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang-orang pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap anak-anak perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal tersebut dilakukan terhadap saudara perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah)mu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila perbuatan itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah) mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu)mu? Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu) mereka.” Kemudian Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dada pemuda itu seraya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosanya dan bersihkanlah hatinya serta peliharalah farjinya. Maka sejak saat itu pemuda tersebut tidak lagi menoleh kepada perbuatan zina barang sedikit pun.
(Musnad Ahmad No. 21185)

Lihatlah bagaimana berhemahnya dan bijaknya cara Rasulullah ﷺ menangani perkara itu. Apabila Nabi Muhammad ﷺ suruh dia sendiri bayangkan kalau ahli keluarga dia sendiri yang berzina, barulah dia sedar. Selama hari ini dia lupa yang wanita yang dia hendak berzina itu adalah anak orang, adik orang, kakak orang lain.

2. Sebab kedua zina dilarang sungguh adalah kerana ia adalah سَآءَ سَبِيلاً (jalan yang buruk). Kerana ia adalah jalan yang membawa ke neraka! Ia juga adalah jalan kepada perkara yang lebih buruk lagi. Antara yang terpenting ialah:

o Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang penzina perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki itu tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur. Anak itu hidup melarat dan dia sendiri akan mudah terjerumus ke lembah kehinaan. Maka kitaran itu berterusan lagi.

o Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga kadang-kadang kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” Ini kerana manusia berkelahi kerana perempuan, sampai berbunuh kerana perempuan, negara dijajah pun boleh jadi asalnya kerana perempuan.

o Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah ﷻ sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 31 (Jangan bunuh anak kerana takut miskin)

PERINTAH: 6) MENGHARGAI ANAK-ANAK

Isra’ Ayat 31: Ini adalah suruhan supaya jangan zalim. Ia adalah perkara ketiga dalam ‘Amalan Tiga Serangkai’ (1. Jangan syirik – 2. buat benda baik – 3. jangan zalim). Sebelum ini disebut yang rezeki itu Allah ﷻ yang tentukan. Sekarang disebut satu kesalahan yang selalu dilakukan oleh Arab Jahiliyah yang berkenaan dengan kerisauan tentang rezeki.

وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَكُم خَشيَةَ إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُهُم وَإِيَّاكُم إِنَّ قَتلَهُم ڪَانَ خِطـًٔا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not kill your children for fear of poverty. We provide for them and for you. Indeed, their killing is ever a great sin.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

 

وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَكُم خَشيَةَ إِملَـٰقٍ

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.

Allah ﷻ menegur perbuatan sesetengah golongan Arab Jahiliyah dahulu yang membunuh anak-anak mereka (terutama sekali anak perempuan) kerana takut anak-anak itu akan menyebabkan mereka miskin pula. Larangan itu diberikan dalam bentuk jamak (لَا تَقتُلُوٓاْ) mungkin kerana mengenangkan ia sesuatu amalan yang meluas dilakukan oleh mereka. Atau, ia adalah tanggungjawab kolektif (semua kena ambil peranan melarang perkara itu berleluasa). Kerana ia adalah perbuatan jenayah yang amat-amat buruk.

Kenapa mereka lakukan? Mereka takut mulut-mulut anak itu akan menyebabkan mereka susah kena beri makan. Mereka dengan fikiran yang pendek, buat keputusan untuk bunuh sahaja anak-anak itu sebelum menyusahkan mereka. Terutama sekali anak perempuan kerana pada mereka, anak perempuan tidak bermanfaat untuk membantu mendapatkan rezeki.

Pada mereka, anak perempuan ini ditanggung mereka, dan bila dewasa nanti diberi kepada keluarga lain sahaja apabila berkahwin. Maka tidak berbaloi dan tidak dapat memulangkan hasil kepada mereka. Ini lain dengan anak-anak lelaki yang boleh membantu menjaga kebun, bekerja dan sebagainya. Bila anak-anak itu berkahwin, anak lelaki itu akan bawa isterinya yang boleh membantu di dapur di rumah. Maka semakin bertambah tenaga kerja jadinya.

Maka di sini Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan bunuh anak-anak kerana takut kekayaan akan rosak atau hilang. Ini kerana memang ada yang bunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Mereka takut mereka jatuh miskin kalau anak-anak mereka ramai dan mereka tidak cukup wang untuk tanggung anak-anak itu.

Ayat ini ditujukan kepada semua manusia kerana ia tidak dihadkan kepada orang Islam sahaja. Ramai yang berkira-kira dalam menguruskan kehidupan mereka sampaikan kalau isteri mengandung, mereka sudah risau. Walaupun tidaklah mereka bunuh anak-anak perempuan mereka, tetapi sebagaimana Arab Jahiliyah takut rezeki mereka berkurang, dan kena menanggung anak perempuan yang tidak berbaloi, zaman sekarang pun masih ada lagi yang berfikiran begitu. Ramai yang rasa bala kalau dapat anak perempuan sebaliknya rasa berbangga kalau dapat anak lelaki.

Akan tetapi jangan lihat kepada bunuh anak seperti itu sahaja. Kerana kita mungkin tidak terfikir pun untuk bunuh anak. ‘Bunuh anak’ boleh jadi sama ada dalam bentuk jasmani atau rohani. Bentuk jasmani itu adalah dengan mengambil nyawa mereka. Yang pasti, kalau bunuh anak sendiri setelah anak itu lahir. Namun ini juga termasuk kalau guna pil perancang keluarga. Ada yang tidak mahu anak sampai buat perancangan keluarga (makan pil atau pakai kondom).

Maka ayat ini dijadikan dalil kepada ulama’ yang berpegang haram untuk merancang keluarga (tanzim al-usrah) tanpa sebab yang munasabah – iaitu sebab takut miskin sahaja. Kalau memang doktor nasihatkan atas sebab kesihatan, maka bolehlah kalau hendak rancang keluarga.

Akan tetapi ada juga yang berpendapat menjarakkan anak itu tidak salah. Kaedah ini dinamakan Tanzim al-Nasal yang merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:

      1. Iktikad bahawa jika Allah ﷻ ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
      2. Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
      3.  Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Ini berdalilkan athar daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah ﷺ sedangkan al-Qur’an sedang turun.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 5209)

Ertinya, tiada larangan daripada Al-Qur’an tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya Al-Qur’an akan menyatakan larangan. Maka ini adalah pendapat yang lebih mesra untuk kita di zaman ini yang mungkin hendak menjarakkan anak. Ia boleh asalkan tidaklah sampai terus menghilangkan keupayaan mengandung di masa hadapan.

Ada juga ulama’ yang mengatakan menghalang persenyawaan bayi di dalam rahim itu boleh, tetapi makruh. Akan tetapi tidak ada yang membolehkan untuk menggugurkan anak setelah terjadi persenyawaan. Ini kerana ia sama dengan membunuh juga. Iaitu telah ada nyawa di dalam janin itu. Cuma ulama’ tidak sepakat, berapakah umur janin itu. Pendapat yang masyhur mengatakan umur itu 120 hari. Namun ada penyelidikan yang mengatakan lagi awal pun sudah ada nyawa pada janin itu. Allahu a’lam.

Membunuh anak itu juga boleh jadi dalam bentuk rohani. ‘Bunuh rohani’ itu adalah dengan tidak ajar agama kepada anak-anak kita. Agama tidak diajar tetapi hanya diajar perkara lain sahaja (akademik). Mereka bukannya tidak hantar anak belajar, tetapi mereka tidak hantar untuk belajar agama. Mereka tetap hantar anak mereka untuk belajar supaya dapat sijil dan dapat bekerja dan menyara hidup mereka.

Contohnya, hantar anak ke sekolah Inggeris kerana rasa di sekolah itu anak itu akan pandai dan senang dapat kerja. Walaupun di sekolah jenis itu tidak ada Matapelajaran Agama. Itulah pembunuhan rohani namanya kalau tidak hantar anak untuk belajar agama. Mereka tidak hantar ke pengajian begitu kerana takut miskin, takut anak tidak dapat kerja dan jatuh miskin.

Ia boleh jadi sampaikan anak itu tidak kenal agama langsung. Mereka rasa kalau anak-anak mereka belajar agama sahaja (pergi ke sekolah madrasah atau sekolah tahfiz), anak-anak itu tidak dapat kerja dan jadi miskin.

 

نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم

Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu.

Allah ﷻ ingatkan supaya jangan takut anak-anak itu tidak ada rezeki kerana Dia yang akan memberi rezeki kepada mereka, bukannya kita. Setiap orang sudah ditetapkan rezeki buat mereka. Kerja beri rezeki adalah kerja Allah ﷻ, maka kenapa kamu sibuk rasa kamu yang beri rezeki kepada anak-anak itu? Kemudian kamu pula rasa yang kamu tidak mampu memberi rezeki maka kamu bunuh mereka. Memanglah kamu tidak boleh beri rezeki kerana rezeki bukannya di tangan kamu tetapi di tangan Allah ﷻ!

Kemudian Allah ﷻ tambah yang bukan anak-anak itu sahaja yang diberi rezeki oleh-Nya, tetapi kamu sebagai ibubapa sekali pun. Kamu sibuk-sibuk fikirkan rezeki anak sedangkan kamu dapat rezeki pun daripada Allah ﷻ juga, bukan? Kalau kamu boleh hidup dengan rezeki yang Allah ﷻ beri, takkan anak-anak kamu tidak boleh hidup pula?

Maka Al-Quran memberikan ajaran budi buat seluruh manusia dalam segala zaman. Jangan membunuh anak kerana takut miskin. Kesukaran hidup dapat diatasi, baik secara sendiri-sendiri, atau secara bersama. Antara cara Allah ﷻ sampaikan rezeki kepada orang miskin adalah dengan institusi zakat. Islam menyediakan satu pintu dalam harta orang kaya, yang wajib dikeluarkannya untuk membantu orang miskin. Itulah kehebatan zakat. Penguasa ditugaskan untuk mengambil harta itu dari tangan si kaya dan diberikan kepada si miskin.

Sepatutnya di dalam masyarakat Islam tidak boleh ada orang yang melarat. Ibnu Hazmi رَحِمَهُ اللَّهُ mujtahid Andalusia yang terkenal itu berkata: “Kalau di dalam sebuah kampung terdapat orang yang mati kelaparan, maka seisi kampung itu dikenakan hukuman diyat.” Maka kerana itu sangat banyak anjuran di dalam Al-Qur’an tentang memberi sedekah selain daripada zakat. Kalau zakat itu adalah sedekah wajib, tetapi Allah ﷻ juga menjanjikan ganjaran besar bagi orang yang melakukan sedekah sunat.

Kerana itulah ayat 31 ini adalah tentang larangan membunuh anak kerana miskin, tetapi bermula ayat 26 sehingga ayat 30 sebelum ini dianjurkan manusia untuk membantu manusia yang lain, jangan membazir supaya ada duit untuk bantu orang lain. Allah ﷻ juga mengajar kita tentang rezeki dan tentang infaq. Maka setelah ada semua itu, setelah masyarakat Islam faham tentang hal ini, sepatutnya tidak ada keraguan tentang rezeki anak-anak. Begitulah kalau anjuran di dalam Al-Qur’an yang mulia ini diamalkan oleh sesuatu masyarakat.

Balaghah: Kenapa di dalam ayat ini, disebut tentang rezeki anak itu, kemudian baru disebut rezeki ayahnya? Dari segi balaghah, khitab dalam ayat ini ditujukan kepada orang yang mampu, yakni Allah ﷻlah yang memberi rezeki anak-anak itu dan juga rezeki ibubapa. Lain halnya dengan apa yang disebutkan di dalam surat Al-An’am, khitab-nya ditujukan kepada orang miskin. Allah ﷻ telah berfirman di dalam An’am: 151

وَلَا تَقْتُلُوْٓا اَوْلَادَكُمْ مِّنْ اِمْلَاقٍۗ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَاِيَّاهُمْ ۚ
Dan janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepada kalian dan kepada mereka.

Perhatikan di dalam ayat An’am ini, yang disebut adalah rezeki kepada ibubapa, kemudian baru disebut kepada anak-anak itu. Maka ada keterbalikan dari segi susunan ayat. Ayatnya lebih kurang sahaja, tetapi kalau diperhatikan ada keterbalikan. Kenapa? Ada keindahan dan ketepatan susunan kalimat yang digunakan dalam ayat ini. Dalam ayat ini juga Allah ﷻ sebut pemberian rezeki itu diberikan kepada anak dahulu kerana ibubapa risau anaknya (kalau lahir) tidak dapat makan. Maka Allah ﷻ beritahu yang Dia akan beri rezeki kepada anak itu.

Ini berbeza dengan ayat Al-An’am: 151 di mana disebut rezeki kepada ibubapa dahulu kerana mereka takut mereka yang tidak dapat makan (bukan anak itu). Mereka takut rezeki mereka berkurang kalau dapat anak (tambahan satu mulut pula yang hendak diberi makan).

Satu lagi perbezaan: An’am: 151 menyebut tentang orang yang miskin. Maka Allah ﷻ beritahu yang mereka akan diberi rezeki yang kemudian akan disalurkan kepada anak. Akan tetapi dalam Isra’: 31 tentang orang yang belum lagi miskin, tetapi ‘takut’ jadi miskin خَشيَةَ إِملَـٰقٍ kerana anak itu nanti bila lahir. Maka Allah ﷻ beritahu jangan takut kerana anak itu nanti akan datang dengan rezekinya sekali. Kerana itu Allah ﷻ sebut rezeki itu diberikan kepada anak-anak itu dahulu

Ada satu lagi pengajaran yang kita boleh ambil apabila Allah ﷻ susun sebegini. Rezeki bagi anak-anak itu diberikan kepada penjaganya. Tujuan rezeki itu asalnya adalah untuk anak-anak itu, tetapi tentulah bapanya yang mendapat gaji di pejabatnya. Ini seperti orang kita kata ‘rezeki anak’. Sama juga dengan golongan yang kaya, mereka itu kaya supaya mereka menyalurkan harta dan bantuan kepada orang-orang yang lemah dan miskin. Bukannya harta itu mereka bolot sendiri, tetapi ingatlah yang ada bahagian orang lain di dalam rezeki yang Allah ﷻ berikan kepadanya itu. Ini kita boleh faham daripada hadith ini,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Celaka kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari No. 1411)

Syarah: Di dalam hadith ini, kita dapat tahu yang Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ rasa orang yang di atas itu lebih hebat dan lebih tinggi kedudukan daripada orang yang lemah, yang miskin dan dilindungi. Rasulullah ﷺ menempelak beliau dan memberitahu yang kedudukan dan rezeki yang mereka dapat itu kerana untuk diberikan kepada orang yang di bawah mereka.

Di dalam hadith yang lain perkara ini diulang maksudnya,

أَبَا الدَّرْدَاءِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ابْغُونِي الضُّعَفَاءَ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
[Abu Ad Darda` رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ berkata: “Carikan orang-orang lemah untukku, sesungguhnya kalian diberi rezeki dan diberi kemenangan kerana orang-orang lemah kalian.”
Sunan Nasa’i (2227) disahihkan oleh Darussalam

Ayat ini mengingatkan kita yang Allah ﷻlah yang menguruskan rezeki kepada hamba-Nya. Manusia memang tidak akan mampu untuk memberi rezeki kepada semua orang. Oleh itu bagi para pemimpin yang risaukan rezeki rakyatnya, sampai mereka buat perancangan untuk merancang keluarga, menghadkan anak, mencatu makanan dan sebagainya, mereka itu sebenarnya tidak kenal Allah ﷻ. Mereka sangka mereka boleh menguruskan rezeki manusia, namun sebenarnya tidak. Ini seperti Thanos (filem Avenger) yang risaukan sumber makanan penduduk alam, maka dia membuat keputusan untuk mematikan separuh daripada makhluk di dalam alam.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang pemberi rezeki kita adalah Allah ﷻ. Oleh itu kenalah taat kepada Allah ﷻ. Jangan mengharap rezeki daripada Allah ﷻ, tetapi arahan-Nya kita abaikan pula. Macam kita dapat makan daripada ayah kita, takkan dengan ayah kita kita kurang ajar pula, bukan? Kalau Allah ﷻ yang beri rezeki kepada kita dan kita hendakkan kepada rezeki itu, adakah tidak patut kita taat kepada segala arahan-Nya? Pelik bukan, kalau kita tidak taat. Sebagai contoh, ada orang yang kerana takut sangat perniagaan dia terganggu, sanggup terus bekerja walaupun sudah masuk waktu solat.

 

إِنَّ قَتلَهُم كانَ خِطئًا كَبيرًا

Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Pembunuhan anak-anak sama ada dengan cara jasmani atau rohani adalah satu dosa besar. Kalimah خِطئًا daripada katadasar خ ط ا yang bermaksud melakukan kesalahan, kesilapan, kejahatan. Ini adalah kerana dosa ini melibatkan akidah kepercayaan manusia, bukan hanya perbuatan membunuh itu sahaja. Ini kerana mereka anggap diri mereka yang memberikan rezeki kepada anak itu. Sedangkan yang memberi rezeki itu adalah Allah ﷻ.

Ia tidak sama dengan الخطأ al-khata’. Ini adalah kerana الخطأ adalah kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja sedangkan الخطء al-khith adalah kesalahan yang dilakukan dengan sengaja. Penegasan bahawa pembunuhan adalah dosa sengaja ditekankan kerana ketika itu sebagian anggota masyarakat Jahiliah menduganya baik dan benar.

Di dalam hadith juga disebut ia termasuk dosa besar.

وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ – رضي الله عنه – قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَيُّ اَلذَّنْبِ أَعْظَمُ? قَالَ: – أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا, وَهُوَ خَلَقَكَ. قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ? قَالَ: ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَأْكُلَ مَعَكَ. قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ? قَالَ: ثُمَّ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ, ‘Dosa apakah yang paling besar?’ Baginda menjawab, ‘Engkau menjadikan sekutu bagi Allah, padahal Dialah yang menciptakanmu.’ Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab, ‘Engkau membunuh anakmu kerana takut ia akan makan bersamamu.’ Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda bersabda, ‘Engkau berzina dengan isteri tetanggamu.’”
(Muttafaqun ‘alaih)
(HR. Bukhari, no. 6001 dan Muslim, no. 86)

Lihatlah dosa membunuh anak kerana takut anak itu akan menjatuhkan ekonomi keluarga diletakkan selepas dosa syirik. Malah ia disebut sebelum dosa berzina dengan isteri jiran. Maka ia adalah dosa yang amat besar.

Satu lagi sebab ia adalah dosa besar adalah kerana bersangka buruk dengan Allah ﷻ. Iaitu sangka Allah ﷻ tidak berikan rezeki kepada anak itu. Kalau kita bersangka buruk dengan manusia pun sudah teruk, apatah lagi kalau bersangka buruk dengan Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 29 – 30 (Jangan infak berlebihan)

PERINTAH: 5) BERBELANJA DENGAN SEDERHANA

Isra’ Ayat 29: Allah ﷻ ajar kita supaya dalam memberi, jangan memberi berlebihan sehingga habis, sehingga menyusahkan diri kita pula. Maka hendaklah berpada-pada.

وَلَا تَجعَل يَدَكَ مَغلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبسُطهَا كُلَّ ٱلبَسطِ فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not make your hand [as] chained to your neck¹ or extend it completely¹ and [thereby] become blamed and insolvent.

  • i.e., refusing to spend.
  • i.e., being extravagant.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

 

وَلا تَجعَل يَدَكَ مَغلولَةً إِلىٰ عُنُقِكَ

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu

Ini adalah Pepatah Arab. Maksud ‘tangan di leher’ adalah ‘tangan terikat’ dengan tidak memberi infak atau tolong orang lain. Iaitu susah sangat hendak keluarkan duit. Mereka rasa susah sangat hendak keluarkan duit sebagai bantuan sampaikan terasa seolah dicekik kalau kena keluarkan juga duit itu. Mereka yang dimaksudkan adalah orang kedekut sangat untuk keluarkan duit. Kita memang digalakkan untuk berjimat cermat tetapi janganlah teruk sangat. Janganlah jadi Haji Bakhil pula.

Walaupun ayat ini khitab kepada Rasulullah ﷺ, akan tetapi ia ditujukan kepada kita umat baginda. Kerana apabila ia ditujukan kepada pemimpin, maka ia termasuklah kepada orang bawahannya sekali.

Kenapa manusia menjadi kedekut untuk infak? Kerana mereka takut harta mereka berkurangan. Mereka tidak nampak bahawa apa sahaja yang mereka infak ke arah kebaikan akan diganti oleh Allah ﷻ. Kerana itu Allah ﷻ menyebut apabila infak itu seumpama memberi pinjam di dalam Baqarah: 245. Apabila ‘beri pinjam’, isyaratnya adalah ia akan dipulangkan kembali kepada orang itu.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

 

وَلا تَبسُطها كُلَّ البَسطِ

dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya

Namun begitu dalam masa yang sama jangan pula ‘mendepangkan’ tangan kita yang bermaksud memberi terlalu banyak kerana kita berangan-angan mahu menjadi seperti Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Janganlah kita beri kepada orang lain sampai tidak ada bahagian yang tinggal untuk diri kita dan ahli keluarga kita.

Janganlah kita baca kisah Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampai kita rasa itulah sahaja kayu ukur yang ada dalam kalangan para sahabat. Memang Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beri seluruh hartanya untuk Islam. Namun kena ingat yang bukanlah semua sahabat mengeluarkan infak sampai 100% harta mereka. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tahap imannya tidak mungkin dicapai oleh kita. Para sahabat yang lain pun ada juga mengeluarkan infak tetapi mereka tidaklah keluarkan semuanya sekali. Maka jangan kita bantu melebihi kemampuan kita.

Malangnya kadang-kadang kita selalu diwar-warkan kisah infak Sayidina Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampaikan seolah-olah itulah sahaja tanda aras iman seseorang. Sampaikan kita semua rasa apa yang kita berikan itu tidak mencukupi. Sedangkan siapakah kita dan siapakah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Iman kita adakah sama dengan iman Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Yang kita patut beri adalah jikalau ada lebihan daripada keperluan hidup kita seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 219

وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ
dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu).

Maka beri ikut kemampuan kita. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan juga Rasulullah ﷺ. Seperti yang kita tahu, baginda akan beri segalanya kepada orang lain. Baginda sanggup menahan kelaparan sampaikan pernah mengikat batu pada perut baginda untuk mengurangkan rasa lapar (batu itu menyebabkan rasa seolah-olah ada makanan pada perut). Kalau ada yang memang mampu jadi begini, maka silakan. Contoh cara infak Nabi ﷺ seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عُقْبَةَ قَالَ صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ فَقَالَ ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ
Daripada [‘Uqbah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Aku pernah solat ‘Asar di belakang Nabi ﷺ di kota Madinah. Setelah salam, tiba-tiba baginda berdiri dengan tergesa-gesa sambil melangkahi leher-leher orang banyak menuju sebahagian kamar isteri-isterinya. Orang-orang pun merasa hairan dengan ketergesa-gesaan baginda. Setelah itu baginda keluar kembali menemui orang banyak, dan baginda lihat orang-orang merasa hairan. Maka baginda pun bersabda: “Aku teringat dengan sejongkong emas yang ada pada kami. Aku khuatir itu dapat menggangguku, maka aku perintahkan untuk dibahagi-bahagikan.”
(Sahih Bukhari No. 804)

Maka kalau kita memang mampu bersedekah dan tidak takut langsung dengan kemiskian seperti baginda ini, maka silakanlah lakukannya dan ayat ini tidaklah menghalang anda. Kerana kita pun tahu ada para sahabat yang sanggup memberikan segala milik mereka kepada manusia yang memerlukan. Mereka tidak mengeluh nasib mereka dan tidak menyesal di kemudian hari. Akan tetapi jikalau anda memaksa diri anda untuk berikan terlalu banyak dan kemudian nanti menyesal apabila duit tidak cukup, maka janganlah lakukannya.

 

فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا

kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.

Menjadi tercela kalau bakhil dan berat untuk membantu. Dia telah diperhambakan oleh hartanya itu. Malah tercela di mata manusia. Kerana orang yang memerlukan bantuan itu tahu yang diminta itu ada kelapangan untuk membantu, tetapi tidak mahu kerana kedekut. Maka orang akan mencela mereka kerana bakhil adalah perbuatan yang tercela dan memalukan.

Namun begitu kalau beri tanpa memikirkan diri sendiri cukup atau tidak, nanti akan menyesal pula. Kalimah مَحسورًا daripada katadasar ح س ر yang digunakan untuk haiwan yang telah berjalan jauh dan keletihan sampai tidak boleh bergerak lagi. Janganlah kita beri melebihi daripada kemampuan kita sampaikan kita pun lelah tidak dapat menguruskan kehidupan kita dan keluarga. Janganlah kita beri sampai kita jadi bangkrap tidak berduit langsung, sampai kita pun kena meminta kepada orang lain pula. Kalau itu terjadi, maka kita akan kecewa dan menyesal kerana telah tersalah beri. Ini semua adalah makna-makna yang boleh ditafsirkan/diterjemahkan daripada kalimah مَحسورًا ini kerana ia mengandungi banyak makna.

Maka kita kenalah cari jalan pertengahan antara dua ekstrem itu (tahan tangan dan beri terlalu banyak). Ini penting kerana takut nanti kita akan tercela dan menyesal. Kita kenalah menjadi seorang Muslim yang bijak dalam berbelanja dan dalam memberi. Kita kenalah pandai menguruskan ekonomi diri sendiri. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا عَالَ مَنْ اقْتَصَدَ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak akan menjadi faqir orang yang berhemat.”
(Musnad Ahmad (26,363))

Maknanya kita kena pandai urus ekonomi kita sendiri. Kena pandai kira keperluan hidup kita dan berapa yang kita mampu keluarkan. Jangan lupa yang kita ada tanggungjawab kepada diri dan keluarga yang di bawah tanggungan kita juga. Kita juga memerlukan makanan esok hari. Allah ‎ﷻ telah ajar juga di dalam Furqan: 67 tentang hal ini,

وَالَّذينَ إِذا أَنفَقوا لَم يُسرِفوا وَلَم يَقتُروا وَكانَ بَينَ ذٰلِكَ قَوامًا
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Namun janganlah gunakan alasan ini untuk tidak mahu infak kepada orang lain. Jangan lupa kelebihan infak yang selalu disebut dalam Al-Qur’an dan dalam hadith. Antaranya di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui jalur Mu’awiyah ibnu Abu Mazrad, dari Sa’id ibnu Yasar, dari Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”
Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain¬nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”
(Sahih Bukhari (1442))

Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hadith berikut ini daripada Qutaibah, daripada Ismail ibnu Ja’far, daripada Al-Ala, daripada ayahnya, daripada Abu Hurairah secara marfu’ iaitu:

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin¬fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim (4689))

Allah ‎ﷻ sebut dua keadaan di dalam ayat ini: مَلُومًا dan مَّحسُورًا. Kalau seseorang itu bakhil, maka dia adalah مَلُومًا. Orang lain akan mencelanya. Kalau seseorang itu terlalu banyak memberi sampai dia sendiri kehabisan harta, maka dia adalah مَّحسُورًا – menyesal, bangkrap, keletihan.


 

Isra’ Ayat 30: Sebelum ini telah disebut tentang infak dan larangan bakhil. Antara sebab manusia bakhil takut hendak infak dan membantu adalah kerana takut jatuh ke dalam kemiskinan. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu supaya jangan takut kerana yang beri rezeki adalah Dia. Ini juga adalah ayat Dalil Aqli. Allah ﷻ yang melapangkan rezeki kita, maka hendaklah kita sembah dan seru kepada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang kelapangan rezeki itu adalah salah satu daripada ujian, sebenarnya.

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ ٱلرِّزقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقدِرُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord extends provision for whom He wills and restricts [it]. Indeed He is ever, concerning His servants, Acquainted and Seeing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ

Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa Dialah yang membantu manusia lain dan bukannya kita dengan memberi bantuan kewangan. Kita mungkin rasa dengan kita membantu seseorang itu, masalah kewangan dia selesai tetapi tidak semestinya kerana semuanya bergantung kepada Allah ﷻ.

Kalau kita beri banyak mana pun, tidak semestinya masalah dia selesai kalau Allah ﷻ tidak izinkan. Akan tetapi mungkin kalau kita beri sedikit pun, kalau Allah ﷻ berkati pemberian itu, dapat pula menyelesaikan masalah dia.

Di sini juga Allah ﷻ mengingatkan yang memberi rezeki itu adalah Allah ﷻ. Bukannya dengan menahan tangan kita daripada memberi itu akan menjanjikan harta kita tidak berkurang dan kita kenal kaya. Yang mengkayakan kita adalah Allah ﷻ. Bukanlah dengan memberi infak semestinya akan menjadikan kita kaya.

وَيَقدِرُ

dan menyempitkannya; 

kedudukan kewangan seseorang makhluk itu. Kalau ada pun cukup-cukup makan sahaja, tetapi selalunya tidak cukup sentiasa. Semuanya dalam tangan Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang tentukan. Ini adalah ujian baginya.

Pengembangan dan penyempitan ini boleh bertukar. Ada orang yang asalnya senang dan kaya raya tetapi kemudian jatuh papa; ada yang asalnya miskin memanjang tetapi kemudian Allah ﷻ luaskan rezekinya. Mungkin pada satu masa kita yang infak dan beri pertolongan kepada orang, dan entah pada waktu yang lain orang itu pula infak kepada kita balik.

Di sini juga Allah ﷻ memberi peringatan bahawa yang menyempitkan rezeki adalah Allah ﷻ, bukannya dengan memberi infak. Kita beri atau tidak, ia tidak memberi janji yang kita akan kaya atau miskin.

Maka siapa yang dilapangkan rezekinya dan siapa yang disempitkan rezekinya? Ini adalah ketentuan Allah ﷻ. Allah ﷻ Maha Bijaksana dan tahu siapa yang patut dapat dan siapa yang patut dikurangkan. Semua ini adalah ujian. Kita sebagai manusia tidak dapat memastikan yang kita pasti kaya atau kita pasti miskin.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Allah ﷻ Maha Tahu dengan segala hamba-hamba-Nya. Allah ﷻ tahu dan melihat kesusahan yang kita alami. Allah ﷻ tahu dan melihat apa yang kita lakukan – sama ada kita memberi atau menahan pemberian kita. Allah ﷻ tahu berapa banyak yang patut diberikan kepada hamba-Nya.

Allah ﷻ juga tahu siapakah yang layak dapat rezeki atau tidak. Kerana Allah ﷻ tahu ada sesetengah hamba yang kalau dia dapat harta yang banyak, akan merosakkannya; dan ada yang kalau terus di dalam kemiskinan, akan merosakkannya. Di dalam sebuah hadith disebutkan seperti berikut:

“أتاني جبريل فقال يا محمد ربك يقرأ عليك السلام ويقول إن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالغنى ولو أفقرته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالفقر ولو أغنيته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالسقم ولو أصححته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالصحة ولو أسقمته لكفر
Malaikat Jibril datang kepadaku, lalu berkata, ‘Wahai Muhammad, Tuhanmu mengucapkan salam kepadamu, dan dia berfirman, ‘Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kekayaan, dan kalau Aku jadikan dia miskin maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kemiskinan, dan kalau Aku jadikan dia kaya maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sakit, dan kalau Aku jadikan dia sihat maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sihat, dan apabila Aku jadikan dia sakit maka dia kufur. “

Akan tetapi hadith ini tidak sahih.

HR. Ibn Abi Duniya dalam al-Auliya’ no. 1, Abu Nua’im dalam Hilyatul Auliya’ 8/318, at-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsath no. 609, al-Baghawi dalam Syarahus Sunnah 5/23, , al- hakim al-Tirmidzi dalam Nawadhir al-Usul 1/429 daripada Anas bin Malik ra.
Abu Nua’im menilai hadith ini dhaif.

Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal Mutanahiyah 1/44 menilai hadith ini tidak sahih
As-Safarini al-Hambali dalam Syarah Kitab Syihab no. 620 menilai hadith ini dhaif.
Ibnu Rejab dalam Jami’ al-Ulum wal Hikam 2/333 menilai hadith ini dhaif.
Syeikh al-Arnauth dalam Takhrij Syarahus Sunnah no. 1249, menilai sanad hadith ini dhaif.
Menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir 12/279, sanad hadith ini dhaif jiddan.

Oleh itu Allah ﷻ beri ikut keadaan dan keperluan seseorang itu. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana itulah yang sesuai untuk agama kita. Adakalanya kekayaan itu pada sebahagian manusia merupakan suatu istidraj baginya (pembinasaan secara beransur-ansur), dan adakalanya kemiskinan itu merupakan suatu hukuman daripada Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ melindungi kita daripada kedua keadaan tersebut.

Sekian Ruku’ 3 dari 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 26 – 28 (Adab-adab dalam infak)

PERINTAH:
3) INFAK
4) JANGAN MEMBAZIR

Isra’ Ayat 26: Sekarang masuk perkara kedua dalam berbuat baik. Selepas disebut tentang ibubapa, siapa lagi yang kita mesti berbuat baik?

وَءَاتِ ذَا ٱلقُربَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلمِسكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّر تَبذِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give the relative his right, and [also] the poor and the traveler, and do not spend wastefully.1

  • i.e., on that which is unlawful or in disobedience to Allāh.

(MELAYU)

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

 

وَءَاتِ ذَا ٱلقُربَىٰ حَقَّهُ ۥ

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, 

Sekarang masuk kepada orang lain selain ibu bapa kita. Allah ﷻ beritahu yang kalau dengan ibu bapa kita, kita boleh berbuat baik walaupun ia susah, maka kalau dengan ahli keluarga kita yang lain itu akan lebih mudah.

Di samping berbakti, berkhidmat dan menanamkan kasih-sayang dan cinta dan rahmat kepada kedua orang tua, hendaklah pula berikan kepada kaum keluarga yang karib itu akan haknya kerana mereka berhak ditolong. Mereka berhak dibantu. Kaum kerabat, atau keluarga terdekat itu adalah bertali darah dengan kamu. Kamu hidup di tengah-tengah keluarga. Saudara-saudaramu sendiri, yang seibu sebapa, atau yang seibu saja atau yang sebapa saja. Nenek daripada pihak ibu, nenek daripada pihak ayah dan lain-lain. Anak-anak daripada saudara laki-laki, anak-anak daripada saudara perempuan, dan lain-lain.

Kepada ahli keluarga yang lain walaupun kita ada tanggungjawab terhadap mereka tetapi tanggungjawab itu tidaklah setinggi tanggungjawab kita terhadap ibu bapa. Berikan hak kepada mereka yang paling rapat dengan kamu dari segi kekeluargaan. Setiap orang akan mendapat hak mereka masing-masing sama ada adik beradik, nenek dan sebagainya.

Hak itu boleh jadi dari segi harta atau hubungan baik dengan mereka. Iaitu haq silaturrahim dengan mereka. Kena jaga hubungan baik dengan mereka. Paling kurang adalah melayan mereka dengan baik. Kalau mereka dalam kesusahan, maka bantulah mereka semampu kita. Dalam ahli keluarga kita ada yang senang, ada yang susah kerana rezeki tidak sama. Maka bantulah di mana yang kita boleh bantu. Ini kita tidak ceritakan dengan terperinci kerana sendiri boleh tahu sebenarnya. Ia boleh jadi bantuan material atau bukan material. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah ءَاتِ dan ia bukan bermaksud pemberian harta sahaja. Sebagai contoh, di dalam Baqarah: 269, Allah ﷻ sebut menggunakan kalimah yang sama (يُؤتِي dan يُؤتَ dan أوتِيَ adalah bentuk yang lain daripada ءَاتِ) untuk pemberian hikmah.

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Jumhur ulama menilai perintah di sini sebagai anjuran, bukan perintah wajib. Hanya Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ yang menilainya sebagai perintah wajib selagi mampu terhadap keluarga dekat.

 

وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ

kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan

Selain ahli keluarga, kita kena berikan hak kepada orang miskin dan kepada orang yang bermusafir. Bagi musafir itu syaratnya adalah mereka yang terputus bekalan ketika di dalam perjalanan. Adakala mereka itu bukanlah miskin, akan tetapi terputus bekalan di dalam perjalanan dan mereka tidak ada cara untuk mendapatkan harta mereka yang mungkin jauh daripada mereka.

Hak mereka adalah mereka mendapat bantuan daripada kita semasa mereka susah. Maka kita kena perhatikan siapa yang memerlukan bantuan. Kerana itu kita kena bergaul dengan masyarakat supaya kita tahu apa masalah yang mereka hadapi. Kita juga akan senang kenal dengan orang luar jikalau kita sudah biasa dengan orang kampung kita. Apabila kita nampak orang luar, maka kita bolehlah perhatikan sama ada mereka itu di dalam kesusahan atau tidak. Mungkin bertanya kepada mereka sendiri sebagai mengalu-alukan kedatangan mereka ke tempat kita.

 

وَلا تُبَذِّر تَبذيرًا

 dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

Ayat ini bermaksud jangan membazir dalam perbelanjaan. Kalimah تُبَذِّر daripada katadasar ب ذ ر yang bermaksud ‘menabur benih’. Diberi perumpamaan orang yang ada benih dan menaburkan kesemua tempat. Lihatlah apa yang dilakukan oleh petani yang menabur benih, bukankah dia akan taburkan begitu sahaja benih itu?

Maka sekarang bayangkan kalau orang yang membazir, seperti dia membuang-buang dan menabur benih sahaja. Iaitu beli barang yang tidak perlu. Maka di dalam kita memberi itu, berilah dengan bijaksana. Fikir sedikit supaya yang diberi itu boleh gunakan barang pemberian kita. Sebagai contoh, kalau peniaga jualan tidak habis, janganlah beri barang makanan yang sudah hendak basi kepada orang lain. Sampaikan penerima pula menjadi susah menjadi tukang buang bagi pihak anda.

Membazir bermaksud pengeluaran yang bukan haq. Apakah kaitannya jangan membazir dengan hak ahli keluarga kita yang rapat? Ia bersangkutan kerana ahli keluarga kita itu lebih berhak kepada wang itu berbanding dengan orang lain dan lebih-lebih lagi kalau kita membazir wang itu dengan mengeluarkannya tanpa kepentingan. Lebih-lebih lagi kalau pemberian itu ke arah perbuatan dosa. Contohnya bagi duit kepada ahli keluarga untuk mereka berhibur seperti menonton konsert. Atau pemberian yang melebihi keperluan mereka, sampaikan mereka akan buang pula nanti.

Mungkin kita kata kita tidak ada wang lagi untuk tolong ahli keluarga kita yang susah; tetapi kena periksa semula ke manakah wang itu pergi kerana entah-entah kita bazirkan sahaja. Maka Allah ﷻ ingatkan, jangan membazir kerana kalau sudah bazirkan duit ke tempat lain, memang lah tiada lagi wang untuk diberi kepada ahli kerabat, bukan?

Kalimah تُبَذِّر adalah jenis perbelanjaan yang memang tidak diperlukan tetapi dilakukan kerana membazir sahaja. Ini berbeza jenis beli barang keperluan yang memang diperlukan dalam kehidupan tetapi beli jenis yang mahal yang tidak diperlukan; sebagai contoh beli baju yang berharga beribu ringgit. Ini adalah israf (berlebih-lebihan). Tentang israf disebut di dalam A’raf: 31

وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ
dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Israf adalah beli barang yang memang diperlukan, seperti baju kita memang perlukan pun, tetapi bila beli baju yang jenis mahal dan tidak patut (kena nilai sendirilah), maka itulah israf. Bazir pula jenis beli benda yang tidak perlu.

Kita kena mengajar anak-anak kita supaya jangan membazir. Kalau ada makanan yang jatuh, suruh mereka kutip, basuh dan makan. Jangan membazir. Maka kalau memasak, ajar isteri dan anak-anak perempuan kita untuk memasak dikira cukup-cukup untuk orang yang akan makan. Kerana kalau masak berlebihan, nanti dibuang begitu sahaja dan ini juga membazir!

Ini masalah dan dugaan kalau manusia diberikan dengan wang yang banyak. Ia boleh jadi sampai mereka rasa agama tidak penting dan berada di bawah mereka (tidak penting). Mereka rasa hebat sangat wang mereka sampaikan ada yang sangka orang-orang yang berkecimpung dalam agama memerlukan sedekah dari mereka.

Kerana itu ada orang yang sekali sekala akan panggil ustaz untuk datang ke rumah mereka untuk beri tazkirah dan kemudian mereka akan berikan sampul yang berisi dengan duit untuk ustaz-ustaz itu. Kerana dalam kepala mereka, golongan agama ini di bawah mereka dan memerlukan pertolongan mereka yang kaya.

Mereka rasa, dengan mereka buat tazkirah sebegitu dan mereka beri wang, mereka sudah selamat dan berbakti kepada agama. Sedangkan mereka sendiri tidak beramal dengan amalan yang sebenar.


 

Isra’ Ayat 27: Ini adalah ancaman kepada orang-orang yang membazir.

إِنَّ ٱلمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخوٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the wasteful are brothers of the devils, and ever has Satan been to his Lord ungrateful.

(MELAYU)

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.

 

إِنَّ ٱلمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخوٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan

Kalimah إِخوٰنَ adalah jamak bagi أخ akh yang biasa diterjemahkan ‘saudara’. Kata ini pada mulanya bererti ‘persamaan’ dan ‘keserasian’. Dari sini persamaan dalam asal usul keturunan mengakibatkan persaudaraan, baik asal usul jauh, lebih-lebih yang dekat. Persaudaraan syaitan dengan pemboros adalah persamaan sifat-sifatnya, serta keserasian antara keduanya. Mereka berdua sama melakukan hal-hal yang batil, tidak pada tempatnya.

Persaudaraan itu difahami oleh Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ dalam erti kebersamaan dan ketidakberpisahan syaitan dengan pemboros. Ini kerana saudara biasanya selalu bersama saudaranya dan enggan berpisah dengannya. Kerana itu ada penambahan كَانُوٓاْ di dalam ayat ini yang memberi isyarat mereka persaudaraan mereka itu terjadi lama dan berlangsung sehingga kita. Mereka sudah lama berkawan.

Kenapa agaknya orang-orang yang membazir itu dikaitkan dengan syaitan? Agak berat sungguh ancaman Allah ﷻ kali ini sampaikan menjadikan adik beradik dengan syaitan! Ini adalah kerana Syaitan berusaha untuk mengadakan permusuhan sesama manusia dan salah satu cara yang dilakukannya adalah dengan arak dan perjudian.

Biasanya kawan yang karib, saudara mara atau teman setia itu besar pengaruhnya kepada orang yang ditemaninya. Orang yang telah berkawan dengan syaitan sudah kehilangan pedoman dan tujuan hidup. Sebab dia telah dibawa sesat oleh kawannya itu, sehingga meninggalkan taat kepada Allah ﷻ dan menggantinya dengan maksiat. Allah ﷻ telah beri sebut mereka ini di dalam Fussilat: 25

وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم مّا بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم
Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka;

Satu lagi cara yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan manusia adalah apabila orang-orang yang kaya itu menunjuk-nunjuk kekayaan mereka yang menyebabkan orang yang tidak ada harta akan terasa hati. Apabila itu terjadi maka terdapatlah kasta di dalam masyarakat. Bila itu terjadi, masyarakat sudah tidak harmoni lagi dan boleh jadi kacau bilau.

Kenapa Allah ﷻ sebut tentang membazir selepas ayat sebelumnya menyebut tentang memberi kepada ahli keluarga, orang miskin dan musafir yang terputus bekalannya? Allah ﷻ hendak mengingatkan dalam memberi pun jangan sampai membazir, atau memberi berlebihan daripada yang sepatutnya (yang mereka tidak perlukan). Atau memberi terlebih sangat sampaikan menyusahkan dan menyempitkan diri kita pula.

 

وَكَانَ ٱلشَّيطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Semua kita tahu bahawa syaitan itu kufur ingkar terhadap Allah ﷻ. Maka janganlah kita terikut-ikut dengan bisikan dan ajakan syaitan. Syaitan itu memang akan sentiasa berusaha untuk merosakkan masyarakat dengan apa cara sekali pun. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk mengajak manusia ingkar dengan Allah ﷻ juga sepertinya. Maka Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 169

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Maka ini merupakan peringatan keras kepada para pemboros yang menjadi teman syaitan itu, bahawa persaudaraan dan kebersamaan mereka dengan syaitan dapat membawa kepada kekufuran. Betapa tidak, bukankah teman saling pengaruh mempengaruhi, atau teman seringkali meniru dan meneladani temannya. Ternyata ini adalah satu perkara yang amat berat.

Kufur juga boleh bermaksud kufur nikmat (bukanlah kufur keluar daripada Islam). Iaitu tidak berterima kasih dengan pemberian daripada Allah ﷻ. Teranglah, kalau seseorang telah membuang-buang harta kepada yang tidak berfaedah, bermakna pengaruh syaitan telah masuk ke dalam dirinya. Oleh kerana sifat syaitan itu ialah tidak mengenal terima kasih, menolak dan melupakan nikmat, oleh kerana dia telah menjadi sahabat setia orang yang bersangkutan itu, maka sifat dan perangai syaitan itulah yang telah memasuki dan mempengaruhi peribadinya, sehingga segala tindak-tanduk hidupnya pun tidak lagi mengenal terimakasih. Begitu banyaknya rezeki dan nikmat yang dilimpahkan Allah ﷻ kepada dirinya, lalu dibuang-buangnya saja dengan tidak semena-mena.


 

Isra’ Ayat 28: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang memberikan pertolongan kepada saudara mara. Akan tetapi bagaimana pula kalau kita tidak dapat membantu mereka pada masa itu? Bab ini pun Allah ﷻ ajar juga.

Kita masih lagi dalam bab Amalan Tiga Serangkai – berbuat baik.

وَإِمَّا تُعرِضَنَّ عَنہُمُ ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you [must] turn away from them [i.e., the needy] awaiting mercy from your Lord which you expect,¹ then speak to them a gentle word.

  • i.e., if you have not the means to give them at present.

(MELAYU)

Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

 

وَإِمّا تُعرِضَنَّ عَنهُمُ

Dan jika kamu berpaling daripada mereka

Berpaling itu maksudnya tidak memberi bantuan kepada yang meminta. Ini kerana untuk memberi sesuatu kepada orang lain, maka anda harus menghadapnya, sedangkan bila tidak memberinya – dengan alasan apapun – maka anda tidak mengarahkan wajah kepadanya, tetapi anda menyampingkannya yakni memberi sisi samping anda.

Kadang-kadang kita memang tidak boleh membantu ahli keluarga kita yang datang kepada kita untuk meminta tolong, walaupun kita bukan jenis orang yang membazir. Kerana memang kita sedang tidak ada duit untuk diberikan kepada mereka waktu itu.

 

ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا

untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, 

Kita tidak dapat tolong mereka itu bukan kerana kita tidak mahu tolong tetapi kerana waktu mereka datang minta tolong kepada kita, kita pun sebenarnya sedang mengharapkan rahmat daripada Allah ﷻ untuk membantu diri kita sendiri. Kiranya memang tengah sesak waktu itu. Untuk diri sendiri pun mungkin tengah tidak cukup atau cukup-cukup makan sahaja.

Dalam keadaan begini bagaimanakah yang kita perlu lakukan dan bagaimana kita kena layan mereka?

 

فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا

maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Namun dalam kita menolak itu, kita kena bercakap baik kepada mereka dengan menjelaskan kenapa kita tidak boleh tolong mereka pada waktu itu. Gunakan perkataan yang mereka mudah terima, yang lembut, yang menyenangkan.

Menurut kitab-kitab tafsir, ayat ini turun berkenaan Nabi Muhammad ﷺ di waktu pada satu ketika baginda membiarkan orang meminta tolong kepada baginda pulang dengan tangan kosong. Baginda dan umat Islam waktu itu menjauh, lari daripada orang yang meminta kerana malu tidak dapat membantu dan memberi. Maka sekarang Allah ﷻ mengajar, kalau tidak boleh bantu, apa yang patut mereka sebut. Maka sejak itu kalau terjadi demikian baginda tidak melepaskan orang itu pergi melainkan dengan ucapannya:

يَرزُقنَا اللهُ وَإيَّاكُم مِن فَضلِهِ
“Diberi rezeki Allah kiranya kami dan kamu daripada kurnia-Nya.”

Lihatlah bagaimana adab yang diajar oleh agama Islam dalam hal ini. Hendak menolak daripada memberi pertolongan pun diajar. Supaya orang yang meminta itu tidak terasa hati, tidak jatuh air muka mereka. Muka yang jernih saja pun sudah sama dengan pemberian derma. Hati orang yang susah, meskipun maksudnya tidak berhasil, akan lega juga melihat orang tempatnya meminta itu tidak bermuka kerut menghadapinya. Melainkan membayangkan kesedihan hati, kerana tidak dapat memberi di saat itu.

Ini kerana selalunya yang datang meminta bantuan kita entah berapa kali dia berfikir dan berlatih apa yang hendak dia cakapkan kepada kita. Ini kerana dia pun malu juga air mukanya kerana sampai datang meminta pertolongan. Ini bagi orang yang ada maruah diri yang tinggi. Maka kalau mereka telah kuatkan hati mereka untuk minta tolong kepada kita, dan kita tolak dengan cara yang menyakitkan hati, tentulah ia memberi kesan kepada perasaan mereka pula.

Pertamanya, kenalah minta maaf kepada mereka kerana tidak boleh beri waktu itu. Jangan kita tolak mereka dan marah pula kepada mereka kerana minta tolong kepada kita sedangkan kita pun susah juga. Kadang-kadang ada orang yang marah pula kepada orang yang minta kepada kita, bukan? (“Kau tak nampakkah aku pun susah juga ni?! Asyik minta-minta sahaja engkau ini!”).

Keduanya, beritahu dengan baik kenapa kamu tidak boleh beri pertolongan kepada mereka. Katakan yang kamu juga sedang mencari rezeki daripada Allah ﷻ dan apabila sudah dapat nanti, kamu akan hubungi mereka kembali. Ini kerana ulama tafsir mengatakan, kalimat قَولًا مَيسورًا mengandungi makna harapan dan janji. Iaitu janji untuk bantu dan janji untuk hubungi mereka balik. Maka ini bukan untuk tolak sahaja, tetapi ada janji untuk tolong bila kita boleh tolong.

Kenapa sampai begini Allah ﷻ ajar kita berbahasa dengan orang yang datang meminta bantuan kita? Ini kerana syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan dalam kalangan manusia. Salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati. Kalau kita silap cakap sahaja, boleh tersimpan dalam hati orang lain dan boleh menyebabkan permusuhan.

Maka Al-Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa: 5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat Nisa: 9. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam ayat Nisa: 63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’: 23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’: 23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam ayat ini. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’: 28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha: 44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha: 44 ini arahan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 24 – 25 (Mendoakan ibubapa)

Isra’ Ayat 24: Masih lagi tentang ibubapa. Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini.

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lower to them the wing of humility out of mercy and say, “My Lord, have mercy upon them as they brought me up [when I was] small.”

(MELAYU)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

 

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana rahmah

Secara literal, ayat ini bermaksud ‘merendahkan sayap’ kita. Ini kerana جَنَاحَ bermaksud sayap burung. Seekor burung merendahkan sayapnya ketika ia hendak mendekat dan bercumbu dengan betinanya. Begitu juga ketika ia melindungi anak-anaknya. Sayapnya terus dikembangkan dengan merendah dan merangkul, serta tidak beranjak meninggalkan tempat dalam keadaan demikian sampai berlalunya bahaya. Dari sini ungkapan itu difahami dalam erti kerendahan hati, hubungan harmonis serta perlindungan dan ketabahan.

Maka ia adalah kiasan untuk kita merendahkan diri kita di hadapan ibubapa kita. Inilah sifat tawadhu’. Memang burung-burung ada keupayaan untuk terbang, tetapi apabila ia merendahkan sayapnya bermaksud ia merendahkan dirinya kerana walaupun ia boleh terbang, tetapi ia pilih untuk tidak terbang. Pengajarannya walaupun anak itu sudah dewasa, sudah berpangkat tinggi, sudah belajar ke sana sini, tetap dia kena rendahkan dirinya di hadapan ibubapanya.

Merendahkan sayap juga ada disebut di dalam ayat Hijr: 88

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ
Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.

Akan tetapi ayat Isra’: 24 dan Hijr: 88 tidak sama kerana pada Isra’: 24 ini adalah tambahan جَنَاحَ ٱلذُّلِّ yang bermaksud kerendahan. Dalam konteks keadaan burung, binatang itu juga mengembangkan sayapnya pada saat ia takut untuk menunjukkan ketundukannya kepada ancaman. Nah, di sini sang anak diminta untuk merendahkan diri kepada orang tuanya terdorong oleh penghormatan dan rasa takut melakukan hal-hal yang tidak sesuai dengan kedudukan ibu bapanya. Adapun pada ayat al-Hijr kerana ia ditujukan kepada Nabi ﷺ terhadap umatnya, maka tentu saja kerendahan dan rasa takut itu tidak diperlukan.

Kalimah مِنَ ٱلرَّحمَةِ ditambah untuk menegaskan yang perlakuan ini bukanlah lakonan semata-mata, atau malu orang lihat, takut dicela; akan tetapi kerana ikhlas sedar yang dirinya itu memang sepatutnya menghormati dan menghargai ibubapanya itu. Ini mengajar kita bahwa apa yang kita lakukan adalah satu perbuatan rahmah, kasih sayang kepada ibubapa kita.

Ini adalah perumpamaan yang diberikan kepada anak-anak yang memang ada kuasa untuk menang dengan ibubapa mereka. Mungkin ibubapa mereka itu sudah lemah tubuh mereka dan makan pula hasil daripada pencarian si anak itu. Maka kalau anak itu mahu meninggikan dirinya, buat keputusan yang berlawanan dengan ibubapanya, dia boleh kerana dia yang berkuasa sekarang. Akan tetapi mereka memilih untuk tidak menang.

Ini tidak sama dengan orang yang memang lemah, tetapi ia bermakna seseorang yang memang dalam keadaan yang boleh menang tetapi dia memilih untuk merendahkan dirinya. Semasa kita kecil atau ditanggung oleh ibubapa kita, memanglah kita merendahkan diri kita, bukan? Namun bukan begitu maksud ayat ini. Maksud ayat ini tentang mereka yang ada kelebihan atas ibubapa mereka, tetapi mereka tetap merendahkan diri mereka.

Ini kerana seseorang anak itu apabila dia telah besar dan mungkin dia telah kaya dan ibubapanya sekarang sudah tua dan miskin pula dan mungkin makan hasil daripada pendapatan anaknya, duduk pula di rumah anaknya itu, maka tentunya si anak itu berada pada kedudukan yang lebih tinggi daripada ayahnya dalam hal dunia.

Akan tetapi walaupun mereka ada kedudukan seperti itu, mereka tetap kena merendahkan diri mereka di hadapan ibubapa mereka. Maka walaupun kamu ada ‘sayap’ tetapi kamu berlakonlah yang kamu tidak ada sayap itu apabila kamu berada di hadapan ibubapa kamu.

Di dalam ayat ini disebut ‘Rahmah’. Kita buat begitu kepada ibubapa kita kerana ada sifat ‘Rahmah’ terhadap mereka disebabkan mereka dulu telah menjaga kita di waktu kita kecil dan kita telah pernah menyusahkan mereka, kencing berak sana sini, sakit demam menyusahkan mereka sampai tidak cukup tidur namun mereka tetap sayangkan kita. Mereka tetap sayangkan kita walau apa pun yang kita buat terutama sekali ibu kita. Seorang ayah boleh menghalau anaknya dari rumah tetapi seorang ibu tidak akan sanggup untuk melakukannya.

Satu lagi maksud, kalau kamu mahukan rahmah daripada Allah ‎ﷻ, maka kamu kena bersifat Rahim kepada mereka. Kita memang berharap rahmat daripada Allah ﷻ, maka memang kena jaga sikap kita dengan ibubapa.

 

وَقُل رَّبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, rahmatilah mereka keduanya, disebabkan mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Kalau sebelum ini adalah perlakuan dan khidmat kita kepada ibubapa semasa mereka hidup. Sekarang disebut apa yang kita boleh lakukan walaupun mereka telah tiada, iaitu mendoakan mereka. Kalau khidmat kita, apalah sangat yang kita mampu buat untuk mereka, bukan? Kita hanya mampu buat setakat yang mampu dilakukan oleh seorang manusia. Maka sekarang kita minta dan serahkan urusan ibubapa kita kepada Allah ﷻ yang Maha Agung yang dapat memberikan segala-galanya kepada ibubapa kita itu.

Apakah terjemahan كَما رَبَّياني صَغيرًا? Adakah ‘sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’? Ini seperti terjemahan sesetengah kitab yang kita baca. Kalau begitu, pembalasan kepada ibubapa itu setakat sama dengan apa yang mereka telah berikan, mendidik kita dahulu. Maka ini tidaklah banyak dari segi kuantiti dan kualiti kerana mereka hanya manusia sahaja.

Maka terjemahan yang lebih baik bagi ayat كَما رَبَّياني صَغيرًا adalah ‘disebabkan mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil’. Maka limpahan rahmat yang kita mohonkan itu kita serahkan kepada kemurahan Allah ﷻ dan ini dapat melimpah jauh lebih banyak dan besar daripada apa yang mereka limpahkan kepada kita. Adalah sangat wajar dan terpuji jika kita bermohon agar keduanya memperoleh lebih banyak daripada yang kita peroleh, serta membalas budi melebihi budi mereka. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka seperti yang kita telah bincangkan di dalam ayat sebelum ini?

Maka kita hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ supaya menyayangi ibubapa kita seperti ibubapa kita itu menyayangi dan mentarbiyah diri kita dan mendidik kita sewaktu kita kecil dahulu. Di sini disebut minta diberikan rahmat kepada mereka. Antara terkandung di dalam maksud rahmat itu adalah mengampuni segala dosa mereka. Tarbiyah itu maksudnya menjaga dan mendidik. Ini penting kerana ibubapa kita telah menjaga kita sewaktu kecil dulu dan memastikan kita membesar dengan baik. Inilah antara tanda seorang yang soleh, iaitu yang mendoakan kebaikan untuk ibubapanya.

Di sini Allah ﷻ mengingatkan kita jerih payah ibubapa kita membesarkan kita. Mereka memberi makan dan pakai, menjaga kita dari bahaya, memandikan dan membersihkan kita, melayan kerenah kita, mendidik kita dan macam-macam lagi. Itu semua bukan senang. Sebagai contoh Allah ﷻ berfirman di dalam Ahqaf: 15

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا ۖ حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا ۖ وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا ۚ حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي ۖ إِنّي تُبتُ إِلَيكَ وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Di dalam ayat Ahqaf ini Allah ﷻ memberi contoh payahnya ibu itu mengandung, melahirkan dan membesarkan anak itu. Walaupun ayat ini mengandungi sebutan tentang ibu, tetapi ayah juga tidaklah terkecuali. Agaknya kenapa ayat Al-Qur’an hanya menyebut tentang ibu dan tidak menyebut tentang ayah? Apa ayahnya tidak berjasa kepada anak itu dan tidak membesarkan anak itu sekali dengan ibunya? Tentu sekali, bukan? Namun kenapa Allah ﷻ tidak sebut di dalam Al-Qur’an tentang susah payah ayah? Ayah tidak susahkah menjaga dan membesarkan anak?

Kerana jasa ayah itu anak itu sendiri boleh nampak. Apabila dia sudah besar sedikit dia akan nampak bagaimana ayah itu yang bekerja, beli makanan, bawa mereka jalan-jalan dan beli barang itu dan ini. Jasa emak waktu itu sudah tidak kelihatan sangat kerana ibu selalunya di rumah sahaja. Anak tidak nampak ibunya yang mengandungkannya, yang sakit melahirkannya, yang susah menyusukannya, yang lebih banyak berjaga malam berbanding ayahnya. Ini kerana waktu itu dia kecil sangat dan tidak nampak perkara itu atau tidak ingat langsung. Maka jasa ayah tidak perlu disebut kerana anak itu sendiri tahu. Akan tetapi kerana jasa emak yang lebih besar tidak kelihatan kepada anak itu, maka Allah ﷻ ingatkan kepada anak itu di dalam Al-Qur’an.

Akan tetapi ayat-ayat di atas tidak membezakan antara ibu dan bapa. Memang pada dasarnya ibu hendaknya didahulukan atas ayah, tetapi ini tidaklah selalu demikian. Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ menulis bahawa Imam Syafi‘i رَحِمَهُ اللَّهُ pada dasarnya menyamakan keduanya, sehingga bila ada salah satu yang hendak didahulukan, maka sang anak hendaknya mencari faktor-faktor penguat mendahulukan salah satunya. Bukan automatik terus lebihkan ibu sahaja, tetapi mestilah dilihat pada keadaan. Kerana itu pula walaupun ada hadith yang mengisyaratkan perbandingan hak ibu dengan bapa sebagai tiga dibanding satu, namun penerapannya pun harus setelah memperhatikan faktor-faktor semasa. Kena lihat ‘ketupat’ (kedudukan, waktu dan tempat).

Ayat Ahqaf: 15 ini juga mengandungi doa yang boleh juga dibaca oleh seorang anak. Maka jangan kita lupakan mendoakan ibubapa kita ini. Rasulullah ﷺ telah mengingatkan bahawa doa kita ini sampai kepada mereka dan bermanfaat kepada mereka. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah (yang berterusan digunakan), ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Riwayat Muslim (1631))

Hadith ini ada memberi isyarat bagaimana menjadi anak yang soleh. Tanda anak yang soleh itu adalah mereka mendoakan ibubapa mereka. Lihat potongan وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ (dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya). Kalau buat buat tidak tahu sahaja, tidaklah mereka itu dikira anak yang soleh.

Doa ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Tidak perlu tunggu pergi ziarah kubur mereka baru hendak berdoa. Maka ini mengajar kita yang kita boleh membantu ibubapa kita walaupun mereka telah meninggalkan alam ini.

Ini juga mengajar para ibubapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama. Kena ajar mereka tentang kepentingan faham Al-Qur’an, hadith dan adab-adab Islam. Kalau tidak diajar, bagaimana mereka hendak tahu tentang doa-doa sebegini dan menjaga ibubapa di kala usia tua? Kalau pendidikan akademik sahaja diberikan dan diabaikan pendidikan agama, ya mereka mungkin berjaya dalam hidup dengan dapat pekerjaan yang baik, tetapi adakah anak-anak itu akan tahu cara berkhidmat kepada ibubapa mereka?

Semasa mereka hidup juga kita boleh mendoakan mereka dengan doa, terlebih-lebih lagi jikalau mereka telah tiada. Akan tetapi ini bagi ibubapa yang Muslim. Kalau ibubapa yang non-Muslim, seorang anak tidak boleh mendoakan mereka. Kalau semasa hidup, ya boleh mendoakan bagi pihak mereka; akan tetapi apabila mereka telah mati, tidak boleh lagi mendoakan mereka. Ini berdasarkan ayat Mumtahanah: 4

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ
Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Ini kerana bapa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mati sebagai musyrik dan baginda telah ditegur kerana mendoakan ibubapanya seperti disebut di dalam Tawbah: 114

وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ
Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya.

Mungkin bagi anak-anak yang sayang ibubapanya akan bersedih kerana tidak dapat membantu ibubapanya yang kafir atau musyrik. Akan tetapi larangan Allah ‎ﷻ ini adalah kerana Dia tidak suka kita melakukan perkara yang sia-sia. Doa itu sia-sia kerana Allah ﷻ tidak akan mengampunkan dosa musyrik seperti disebut di dalam Nisa’: 116

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Apabila mereka telah mati, maka tiada lagi harapan bagi mereka. Selagi mereka masih hidup, seorang anak masih lagi mendoakan kebaikan bagi ibubapanya walaupun mereka kafir. Iaitu mendoakan supaya diberi hidayah kepada mereka.

Namun itu adalah untuk ibubapa yang kafir/musyrikk. Bagi kita yang ibubapanya Muslim, jangan abaikan membaca doa ini. Cuma kalau kita perhatikan, doa ini ada ta’liq (syarat). Lihat ayat كَما رَبَّياني صَغيرًا (sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil). Maknanya syarat untuk para ibubapa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah ﷻ ini adalah jika mereka menyayangi anaknya itu. Kalau mereka buat tidak endah, zalim, malah ada yang liwat anak mereka, ibubapa itu tidak dapatlah rahmat daripada Allah ﷻ. Maka ini mengajar ibubapa untuk berhati-hati dalam mendidik anak mereka. Kalau anak-anak itu berdoa pun dengan doa ini, kalau ibubapa itu tidak berlaku baik dan adil dengan anak-anak mereka, mereka pun tidak mendapat rahmat daripada Allah ﷻ.

Betapapun, doa dan bakti yang diajarkan agama ini, bukan saja merupakan pendidikan kepada anak/manusia untuk pandai mensyukuri nikmat dan mengakui jasa orang lain apalagi ibubapa, tetapi juga bertujuan mengukuhkan hubungan harmonis antara keluarga yang dapat mengukuhkan sendi-sendi kehidupan masyarakat dan umat manusia. Inilah prinsip asas negara Islam yang menjaga hubungan di dalam masyarakat yang dimulai dengan orang yang paling dekat iaitu ibubapa kita, kemudian keluarga, kemudian jiran.


 

Isra’ Ayat 25: Masih lagi tentang ibubapa. Segala perkara yang telah disebut sebelum ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang ikhlas hatinya. Maka Allah ﷻ tekankan yang Dia tahu apakah yang di dalam hati kita, ikhlas atau tidak.

Oleh kerana penekanan tentang tindakan seorang anak terhadap ibubapa itu sangat tinggi, sampaikan boleh mencemaskan seorang anak. Bagaimana kalau niatnya baik, tetapi praktikalnya tidak sebegitu. Contohnya dia berniat baik hendak menggembirakan hati ibubapanya, namun alih-alih mereka terasa hati pula. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu yang apa yang dikira adalah apa yang di dalam hati (niat anak itu).

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُم إِن تَكُونُواْ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلأَوّٰبِينَ غَفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord is most knowing of what is within yourselves. If you should be righteous [in intention] – then indeed He is ever, to the often returning [to Him], Forgiving.¹

  • For those who intend righteousness, hastening to repent from sins and errors committed through human weakness, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) promises forgiveness.

(MELAYU)

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

 

رَبُّكُم أَعلَمُ بِما في نُفوسِكُم

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu;

Kadang-kadang pergaulan antara anak dan ibubapa tidak sama. Ada ibu bapa yang mudah untuk dibawa berbincang dan ada yang susah. Tambahan pula sekarang masing-masing duduk di dalam rumah yang sama, makan minum bersama. Maka kadangkala mungkin terlepas cakap, terkeluar kata-kata yang menunjukkan kemarahan, mungkin kerana ketika penat dan sebagainya Adakah anak itu sudah celaka?

Sekarang Allah ﷻ beritahu yang Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita semasa berhadapan dengan mereka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lalui dan Dia tahu yang kadangkala kita terpaksa hadapi perangai ibu bapa kita. Kalau kamu bersikap baik maka Allah ﷻ juga tahu. Kalau hati kamu baik maka kamu akan selamat. Maknanya Allah ﷻ melihat kepada niat kita. Adakah waktu itu kita memang hendak menyakiti hati ibubapa kita atau tidak? Maknanya adalah timbang tara, Allah ﷻ akan buat kira juga apa yang di dalam hati kita.

Allah ﷻ tahu sama ada kita ikhlas atau tidak. Maka ayat ini mengajar kita untuk mengikhlaskan hati kita. Akan ada manusia yang buat baik kerana hendakkan dunia sahaja. Ada yang berbuat baik dengan ibubapa kerana hendak tunjuk pada orang sahaja. Akan tetapi kalau di belakang orang dan di dalam hatinya, dia bencikan ibubapanya. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang bermain dalam hati kita.

 

إِن تَكُونُواْ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلأَوّٰبِينَ غَفُورًا

jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Kalau kita tersalah cakap, tersalah sikap sampaikan ibubapa terasa hati, mintalah maaf kepada mereka, semoga Allah ﷻ ampunkan kesalahan kita. Sebelum ini telah disebut Allah ﷻ akan buat kira apa niat kita.

Kalimah ‘awwaba’ bermaksud ‘kembali dari perjalanan yang jauh’. ‘Awwaab’ adalah orang yang telah berada di dalam dosa yang panjang dan kemudian dia sedar bahawa dia telah buat salah. Bila dia sudah sedar, maka dia pun bertaubat. Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Maka kalimah أَوّٰبِينَ adalah orang sentiasa kembali kepada Allah ﷻ pada setiap masa. Mereka itu sentiasa bertaubat. Akan tetapi kadang-kadang apabila telah berada dalam perjalanan yang jauh, ada yang rasa macam mahu berpatah balik itu malas. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang telah jauh tetapi sanggup untuk kembali kepada-Nya, kepada mereka itu Allah ﷻ bersifat Maha Pengampun.

Oleh itu kadang-kadang kita telah lama tidak mengendahkan ibu bapa kita dan telah sampai satu ketika yang kita rasa tidak ada peluang untuk kita berbuat baik kepada mereka lagi. Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu bahawa masih ada lagi peluang itu. Yang penting adalah orang itu sanggup untuk berpatah balik dan sanggup melakukan usaha ke arah itu dan Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang Dia Maha Pengampun. Maknanya, Allah ﷻ masih sanggup ampunkan mereka.

Maka, kalau sudah lama tidak bercakap baik dengan ibubapa, maka ambillah peluang ini; kalau sudah lama tidak pulang ke kampung, pulanglah segera; kalau sudah lama tidak telefon, maka telefonlah tanya khabar mereka; kalau dulu anda pernah marah dan maki mereka, maka jumpalah mereka dan berlututlah depan mereka meminta maaf – tidak selamat hidup anda kalau anda tidak minta maaf.

Selalu lah tanya mereka: “Emak… ayah… ada tak apa-apa yang emak dan ayah tidak puas hati dengan saya? Ada tak saya pernah sakitkan hati emak dan ayah?” Kita tanya kerana kita cuba hendak pastikan mereka redha dengan kita. Kerana kalau mereka ada tidak redha, kita yang bermasalah besar nanti. Mungkin mereka tidak beritahu kepada kita biasanya, tetapi kalau kita tanya begini, mungkin mereka akan cakap.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)