Ali Imran Ayat 27: Masih lagi tentang bukti-bukti kekuasaan Allah. Kalau sebelum ini tentang urusan manusia, sekarang tentang kuasa Allah dalam mengurus alam ini.
تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشآءُ بِغَيرِ حِسابٍ
SAHIH INTERNATIONAL
You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”
MALAY
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.
تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang,
Allah ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang. Kerana itu tempat di dalam dunia ini yang malamnya lebih panjang dari siangnya.
Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’. Kerana kalau masuk, kalimah yang digunakan adalah دخل. Kalimah دخل untuk masuk yang biasa macam masuk ke dalam bilik dan sebagainya. Tapi apabila تولِجُ digunakan, ia bermaksud masuk secara mendalam dan melalui ruang sempit. Ia menggambarkan perbuatan memasukkan ke dalam sesuatu yang sempit, padat, rapat, atau tersembunyi. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.
Ia juga melibatkan proses penyusupan, penggabungan, atau percampuran secara perlahan dan mendalam. Kerana itu proses pertukaran siang dan malam bukannya berlaku tiba-tiba tapi mengambil masa. Tidaklah kita bawa kereta di waktu petang dan tiba-tiba gelap malam terus!
Begitulah berkuasanya Allah yang Dia sahaja yang boleh menukar siang ke malam dan malam ke siang. Dan Dia boleh memanjangkan siang dan kadang memanjangkan malam. Jadi kalau kita berharap sesuatu, maka mintalah kepada Allah. Kalau siang dan malam pun Dia kawal, apatah pula masalah kita yang kecil sahaja pada Allah. Tapi bukanlah Allah terus ubah. Seperti juga siang dan malam, kita kena tunggu masanya untuk tiba. Kalau kita di waktu malam, jangan pula kita berharap Allah cepatkan siang untuk kita pula. Kena tunggulah dengan sabar sehingga siang sampai.
وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ
dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.
Allah ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang. Kerana itu kita boleh lihat ada tempat dalam dunia ini yang siangnya lebih panjang dari malam. Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah ﷻ yang mengaturkannya.
Sebagaimana Allah ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah. Inilah kitaran kuasa manusia yang menang kemudian kalah dan seterusnya. Allah berfirman di dalam Ali Imran:140 tentang peperangan yang ada kalah dan menang,
وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ
Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.
Perhatikan sejarah Kerajaan Mamluk (Kesultanan Mamluk) yang berasal daripada golongan hamba tentera. Kata “Mamluk” (مَمْلُوك) dalam bahasa Arab sendiri bermaksud “yang dimiliki” atau “hamba sahaya”. Khalifah-khalifah Abbasiyyah dan kemudiannya Dinasti Ayyubiyah (ditubuhkan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi) membeli kanak-kanak lelaki dari Asia Tengah (seperti suku Turki Kipchak) dan kawasan Kaukasus. Mereka dibawa ke Mesir, diislamkan, dan dilatih secara ketat di kem-kem tentera (Thaghar) dalam ilmu peperangan, menunggang kuda, dan kepimpinan.
Meskipun bermula sebagai hamba, mereka bangkit menjadi salah satu kuasa tentera Islam terkuat dalam sejarah yang memerintah Mesir, Syam (Syria/Palestin), dan Hijaz dari tahun 1250 hingga 1517 Masihi. Selepas kelemahan dalaman dan keengganan menyesuaikan tentera dengan senjata api moden (meriam/senapang), tentera Mamluk tewas kepada Sultan Selim I dari Kerajaan Uthmaniyyah (Ottoman) dalam Peperangan Marj Dabiq dan Ridaniyya. Mesir dan Syam secara rasmi menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah.
Surah ini tentang Bani Israil terutama sekali golongan Kristian. Mereka telah mengalami kitaran ini dengan jelas. Mereka mempunyai “hari” mereka di bawah Nabi Daud AS dan Sulaiman AS. Mereka ketika itu memiliki kerajaan yang hebat dan kemuliaan yang tinggi. Kemudian datang “malam” mereka. Mereka di dalam buangan, mendapat penghinaan, terpaksa mengembara untuk mencari tempat tinggal yang lain. Al-Qur’an berulang kali mengingatkan mereka tentang kitaran ini untuk merendahkan ego mereka dan untuk menghalang mereka daripada menganggap bahawa kerajaan milik mereka sejak lahir. Malam itu datang untuk mereka kerana mereka telah melanggar syariat dan wahyu Allah. Hari itu boleh kembali jika mereka percaya dan menerima Nabi Muhammad, tetapi mereka menolak baginda, jadi malam mereka dilanjutkan.
Balaghah: Di dalam ayat تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ Allah mengulang kalimah تولِجُ. Sedangkan boleh sahaja digunakan sebegini: تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَالنَّهارَ فِي اللَّيلِ. Pengulangan kalimah تولِجُ memberi maksud yang urusan pertukaran siang dan malam ini bukannya berlaku sekali akan tetapi ia berlaku berterusan setiap hari.
Dan pertukaran siang dan malam ini mengingatkan kita apa? Yang setiap hari terus berjalan, umur kita semakin meningkat dan kita semakin menghampiri mati sebenarnya. Rasulullah bersabda,
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
”Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan, iaitu kematian.”
Sunan al-Tirmizi: No. Hadis 2307, Sunan al-Nasa’i: No. Hadis 1824, Sunan Ibn Majah: No. Hadis 4258. Hadis ini bertaraf Sahih atau Hasan Sahih
Ia sepatutnya mengingatkan kita yang masa kita di dunia ini terhad sahaja sebenarnya. Apa yang kita sedang lakukan? Adakah kita sedang menyimpan saham untuk akhirat atau kita bersuka-suka sahaja di dunia ini? Jangan kita buang masa kita dengan perkara yang tidak berfaedah.
Allah boleh sahaja gunakan contoh-contoh yang lain, tapi Allah menggunakan siang dan malam. Apakah hikmahnya yang kita boleh fikirkan? Hikmahnya adalah siang dan malam ini setiap hari kita nampak ia berlaku. Jadi setiap hari kita diingatkan dengan kuasa Allah ini. Dan ia sentiasa mengingatkan kita kepada peralihan dari alam dunia ke alam akhirat sepertimana peralihan dari siang ke malam dan malam ke siang silih berganti.
Kita telah jelaskan kalimah تولِجُ memberi isyarat yang perubahan itu berlaku bukan tiba-tiba tapi mengambil masa, sedikit demi sedikit. Ia mengajar kita yang perubahan dalam hidup bukanlah tiba-tiba tapi mengambil masa. Kerajaan jatuh bukannya tiba-tiba tapi mengambil masa (bermula dengan kesilapan pemerintah, menyebabkan rakyat tidak puas hati, gerakan menjatuhkan kerajaan bermula). Perubahan dalam masyarakat juga mengambil masa, bukannya dalam sehari. Dalam kita hendak mendidik masyarakat mengenal wahyu, ia bukanlah sehari dua tapi makan masa bertahun-tahun. Jadi ia mengajar kita yang kalau kita sedang berusaha ke arah kebaikan, jangan berharap perubahan yang cepat, kena sabar. Dan kita kena perhatikan tanda-tanda takut-takut kita sedang menuju kehancuran. Jangan seperti kerajaan yang tidak hiraukan denyut nadi rakyat, sampaikan mereka tidak puas hati dan buat rancangan senyap-senyap.
وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ
Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,
Allah ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ﷻ boleh keluarkan anak ayam, dari benih yang mati, menjadi pokok yang tumbuh besar; dan banyak lagi contoh yang kita boleh lihat dalam alam ini. Allah sahaja yang mampu melakukannya.
Ini juga imbalan kepada iman manusia. Kita telah belajar bagaimana negeri Mekah itu asalnya mati tauhid dan akidah, tapi lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid. Kerana kalau iman dan tauhid tidak ada, sebenarnya orang itu sudah mati sebenarnya. Mati sebelum mati.
Begitulah para sahabat dulu mereka itu mati hati mereka kerana menyembah berhala. Tapi Allah telah berikan iman kepada mereka dan hati mereka jadi hidup. Maka begitulah ramai orang yang asalnya kafir, tapi mereka jumpa Islam dan menerima Islam dengan rela dan mereka dapat rasa betapa hati mereka telah berubah. Allah berfirman tentang hal ini di dalam An’am:122
أَوَمَن كَانَ مَيتًا فَأَحيَينَـٰهُ وَجَعَلنَا لَهُ ۥ نُورًا
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi
Ada orang yang lahir dari ibubapa yang kafir, akan tetapi mereka menjadi orang yang beriman. Sebagai contoh Abu Jahal penentang Nabi ada seorang anak yang bernama Ikrimah. Beliau memeluk Islam selepas Pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah) pada tahun 8 Hijrah. Walaupun pada awalnya beliau melarikan diri kerana takut dibunuh, isterinya, Umm Hakim binti al-Harith (yang telah memeluk Islam lebih awal), telah memohon jaminan keselamatan daripada Nabi SAW untuk Ikrimah. Nabi SAW memaafkannya, dan Ikrimah kembali lalu menyatakan keislamannya di hadapan Baginda. Selepas memeluk Islam, Ikrimah menjadi seorang pejuang Islam yang sangat berani bagi menebus kesalahannya yang lalu. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam Peperangan Yarmuk semasa zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA.
Frasa ini juga mengingatkan kita kepada kebangkitan semula di Hari Akhirat. Kita telah mati dan akan dihidupkan kembali untuk diadili segala perbuatan dan amalan kita semasa di dunia.
Ia juga memberi semangat kepada kita dan menghalang kita dari putus asa. Kadangkala nasib dan situasi kita sudah teruk sangat; mungkin perkahwinan yang sudah ‘mati’, perniagaan yang sudah jatuh bangkrap, masyarakat yang jauh dari adab susila…. semua yang kita pandang macam sudah ‘mati’. Tapi Allah beri harapan kerana Allah boleh sahaja ubah sesuatu dari ‘mati’ kepada ‘hidup’ kembali. Lihatlah kisah Maryam yang tidak keruan seperti disebut di dalam Maryam:23,
قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا
dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
Kelahiran anaknya Nabi Isa yang tidak disangka-sangka telah menyebabkan beliau rasa sangat malu; takut dia untuk menghadapi kaumnya dan memang kaumnya mengutuknya dan menuduhnya perempuan sundal….Akan tetapi Allah berikan mukjizat kepada Nabi Isa untuk bangun dan bercakap walaupun baru beberapa jam sahaja lahir! Dan baginda menjadi contoh dan panduan bagi ramai manusia zaman berzaman! Maka jangan berputus asa! Teruskan hidup! Percayalah kepada Allah, serahlah kepada Allah.
وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ
dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.
Allah ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada yang hidup. Iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati. Ia juga bermaksud, daripada makhluk yang hidup seperti ayam, Allah keluarkan telur ayam yang mati.
Ada juga yang berpendapat, ia bukan hanya merujuk kepada material sahaja, tapi kepada yang hidup dan mati hatinya. Jadi maksud ayat ini adalah Allah ﷻ boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin; kerana orang yang benar-benar beriman adalah berasal dari hatinya yang mah kepada kebenaran. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.
Allah ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah ﷻ yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.
Contoh yang kita selalu baca di dalam kisah Al-Qur’an adalah Nabi Ibrahim yang lahir daripada ayah yang buat berhala; dan dari Nabi Nuh yang beriman mengeluarkan pula anaknya yang kafir itu. Ini semua adalah di dalam kuasa Allah, perancangan Allah.
Peringatan kepada kita adalah menjaga hati kita. Hati yang sudah hidup dengan iman, boleh sahaja mati apabila tidak dijaga. Iman boleh naik dan ia juga boleh turun. Kerana itu kita telah baca doa ٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ di dalam Ayat 8,
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami”
Dan bukan kita hanya berharap dengan doa sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan usaha untuk meningkatkan iman kita. Teruskan belajar agama supaya iman kita terus mantap dan tidak goyah lagi.
Balaghah: Di dalam ayat وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ terdapat satu corak yang menarik. Ia dinamakan Chiasmus. Chiasmus ialah sejenis gaya bahasaretorik di mana struktur ayat atau susunan kata diterbalikkan dalam bahagian kedua untuk membentuk corak yang simetri (corak A-B-B-A).
Di dalam ayat ini, ia menggambarkan hidup dan mati ini adalah satu kitaran yang berterusan. Hidup datang dari yang mati, kemudian ia mati dan dari kematiannya itu keluar sesuatu yang hidup pula; dan kitaran ini berterusan, bukan? Ia ada persamaan dengan Ayat 26 sebelum ini: تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشآءُ. Kerajaan juga mengalami kitaran juga. Tidak ada kerajaan yang kekal selamanya; ia pasti akan jatuh dan diganti dengan kerajaan yang baru.
وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.
Rezeki semua dari Allah. Maka kalau kita berharap rezeki kita bertambah, maka mintalah kepada Allah. Frasa ini mengingatkan kembali kepada kita siapakah yang sebenarnya memberi rezeki kepada kita; bukannya ibu bapa, majikan, kerajaan atau sesiapa sahaja, tapi Allah.
Allah ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya. Ini seperti disebut di dalam Hadis Qudsi daripada Abu Dharr Al-Ghifari, yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Hadis No. 2577) serta menjadi Hadis Ke-24 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi.
يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَاطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya dari orang yang pertama hingga orang yang terakhir di antara kamu, sama ada manusia mahupun jin, berkumpul di satu padang yang luas lalu mereka memohon kepada-Ku, kemudian Aku berikan kepada setiap seorang daripada mereka apa yang dimintanya, hal itu sedikit pun tidak mengurangkan apa yang ada di sisi-Ku, melainkan seperti berkurangnya air laut apabila dimasukkan sebatang jarum ke dalamnya.”
Maksud perkataan حِسابٍ boleh membawa maksud perhitungan, tanggungjawab, had/batas, atau sangkaan/dugaan. Berdasarkan pengertian ini, frasa ‘memberi rezeki tanpa hisab’ mengandungi beberapa ikhtibar:
1. Hak Mutlak Allah: Allah memberi atau menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa ada sesiapa yang berhak mempertanyakan keputusan-Nya.
2. Kekayaan Allah yang Maha Luas: Allah memberi tanpa berkira atau mengira jumlahnya kerana Dia Maha Kaya.
3. Rezeki dari Sumber Tidak Disangka: Allah mengurniakan rezeki kepada seseorang dari arah yang tidak pernah diduga. Kadang kita tidak minta pun Allah sudah beri. Maka bersyukurlah kepada Allah sentiasa.
4. Jumlah yang Melimpah-Ruah: Rezeki yang diberikan amat banyak sehingga penerimanya sendiri tidak mampu menghitungnya.
5. Memberi Tanpa Mengira Amalan: Rezeki dikurniakan sebagai rahmat-Nya tanpa tertumpu semata-mata pada pengiraan perincian amalan seseorang.
Maksud Allah memberi tanpa mengira amalan itu adalah Allah boleh sahaja beri rezeki yang banyak kepada orang kafir, orang zalim, orang jahat. Kalaulah rezeki itu hanya diberikan kepada orang baik sahaja, maka orang Islam sahajalah yang dapat makan! Tapi orang kafir pun Allah beri. Jadi kita tidak perlu hendak hasad dengki kalau orang lain dapat rezeki banyak. Jangan persoalkan (Kenapa dia kaya? Dia bukan orang baik pun! Solat pun tidak!). Kerana rezeki di dunia ini bukannya balasan bagi amalan dan iman. Sesiapa sahaja Allah boleh beri. Ia bukanlah balasan tapi ia sebenarnya ujian. Ia ujian bagi orang yang dapat rezeki kurang, dan ia juga ujian bagi orang yang dapat banyak. Pemahaman akan hal ini akan mengelakkan kita dari ada hasad kepada orang yang kaya.
Maka ayat ini mengajar kepada kita untuk bergantung kepada Allah. Bab rezeki ini memang manusia memang takut habis. Sampai ada yang murung, malah ada yang sampai bunuh diri kalau kena buang kerja atau perniagaannya melingkup! Tapi kalau orang yang beriman dan sedar rezeki dari Allah, maka dia akan tenang-tenang sahaja.
Kenapa mereka tenang? Kerana mereka tahu Allah ada dan rezeki itu dari Allah. Kalau belum habis lagi sumber rezeki dia, maka ia pasti akan sampai kepadanya. Dan mereka bukan risau, tapi mereka semakin rapat dengan Allah kerana mereka berharap rezeki itu dari Allah. Jadi putus rezeki seketika bukan menjauhkannya dari Allah malah merapatkannya lagi kepada Allah!
Rezeki yang Allah berikan bukan di dunia sahaja akan tetapi di akhirat. Sesiapa yang masuk syurga akan diberikan dengan rezeki tanpa usaha, tapi kerja, tanpa ibadah. Rezeki itu pun akan berterusan dan tidak akan membosankan kita kerana ia jadi semakin baik dan semakin baik sampai bila-bila! Allah berfirman di dalam Baqarah:212 menggunakan frasa yang sama, بِغَيْرِ حِسَابٍ
وَالَّذِيْنَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَاللّٰهُ يَرْزُقُ مَنْ يَّشَاۤءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira
Maka ini mengingatkan kita tentang rezeki di akhirat. Rezeki di dunia ini kita perlu juga, tapi janganlah ia kita lebihkan dari mencari kepentingan rezeki di akhirat (syurga). Kerana dunia ini datang dan pergi, ia sementara sahaja. Tapi yang kekal abadi adalah di akhirat kelak.
Balaghah: Kalimah مَن تَشاءُ ini adalah pengulangan dari kalimat yang sama di dalam Ayat 26: تُؤتِي المُلكَ مَن تَشآءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشآءُ. Jadi ia mengaitkan antara Ayat 26 dan Ayat 27 ini. Cuma di dalam Ayat 27 ini terdapat penambahan kalimat بِغَيرِ حِسابٍ. Ini kerana di dalam Ayat 26, Allah menyebut tentang pemberian kuasa pemerintahan (al-mulk), kemuliaan, dan kehinaan. Di dunia, kuasa politik, empayar, dan takhta kerajaan manusia sentiasa terhad dan ada hitungannya. Ia mempunyai tarikh luput, boleh ditarik balik, dan tertakluk kepada sebab-akibat. Oleh itu, kalimah بِغَيرِ حِسابٍ (tanpa had) tidak diletakkan pada ayat kekuasaan. Apabila menyentuh tentang rezeki, Allah menutupnya dengan بِغَيرِ حِسابٍ untuk menunjukkan bahawa khazanah rezeki Allah di alam semesta ini sama ada rezeki material mahupun rezeki maknawi (seperti hidayah dan ilmu), adalah melimpah-limpah tanpa had, tidak luput, dan tidak dapat dikira oleh akal manusia.
Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.
Maka kita akan bersyukur apabila Allah ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ﷻ cabut nikmat itu. Kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.
Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Ini kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan. Sebagai contoh ada disebut di dalam hadis, diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah bersabda kepada Mu’adh bin Jabal:
أَلَا أُعَلِّمُكَ دُعَاءً تَدْعُو بِهِ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ دَيْنًا لَأَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ؟ قُلْ يَا مُعَاذُ:اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَرَحِيمَهُمَا، تُعْطِيهِمَا مَنْ تَشَاءُ وَتَمْنَعُ مِنْهُمَا مَنْ تَشَاءُ، ارْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِينِي بِهَا عَنْ رَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ
Mahukah aku ajarkan kepadamu suatu doa yang jika engkau membacanya, sekiranya engkau mempunyai hutang sebesar gunung Uhud, nescaya Allah akan melunaskannya bagimu? Katakanlah wahai Mu’adh:(Wahai Allah, Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wahai Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat serta Maha Penyayang bagi kedua-duanya, Engkau memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan menghalangnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Rahmatilah aku dengan rahmat-Mu yang dengannya mencukupkan aku daripada memerlukan rahmat selain daripada-Mu).”
Nota: Hadis ini direkodkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir, no. 558 dan al-Mu’jam al-Kabir, jilid 20, no. 323). Sanad (rantaian perawi) asal hadis ini dalam kitab al-Tabarani sebenarnya mempunyai sedikit kelemahan pada perawinya (dhaif). Bagaimanapun, status hadis ini dinaikkan kepada Hasan atas faktor berikut adanya Jalur Penguat (Mutaba’at & Syawahid). Hadis dengan teks yang hampir serupa turut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Tokoh ulama hadis zaman moden, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, telah meneliti jalur-jalur riwayat ini dan mengkategorikannya sebagai Hasan di dalam kitabnya, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (no. 1821).
Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Namun pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ﷻ lah sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 5 Oktober 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



