Tafsir Surah Baqarah Ayat 209 – 211 (Ancaman daripada Allah ‎ﷻ)

Baqarah Ayat 209: Ini adalah ayat Zajrun (teguran).

فَإِن زَلَلتُم مِّن بَعدِ ما جاءَتكُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sahih International

But if you deviate after clear proofs have come to you, then know that Allah is Exalted in Might and Wise.

Malay

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

فَإِنْ زَلَلْتُمْ

Sekiranya kamu tergelincir juga;

Iaitu ada juga yang melakukan kesalahan atau tersilap buat. Ini adalah kerana kadang-kadang manusia terikut dengan dorongan nafsu dan syaitan. Allah ‎ﷻ gunakan kalimah tergelincir kerana orang yang menjadi sesat itu bukannya kerana sengaja hendak sesat, akan tetapi tergelincir kerana tidak berhati-hati. Pedoman daripada Al-Qur’an dan Sunnah telah diberikan, tetapi mungkin tidak diendahkan; atau mungkin tahu tetapi tertipu juga dengan syaitan laknatullah itu. Kalau sudah masuk Islam, tetapi tidak mengamalkan Islam dengan sepenuhnya. Maka ini adalah ancaman kepada mereka. Alangkah takutnya kita membaca ayat ini! Entahkan kita selamat entahkan tidak.

Tergelincir di dunia daripada pedoman bermaksud tergelincir di atas Titian Sirat. Titian Sirat merupakan titian yang akan dilalui oleh seluruh umat manusia setelah dibangkitkan dari kubur. Titian ini terbentang di atas neraka jahanam dan merupakan jalan yang sangat sulit dan berbahaya untuk dilalui. Sifat-sifat Titian Sirat:

* Lebih tajam daripada pedang: Titian Sirat digambarkan lebih tajam daripada pedang, sehingga sangat sulit untuk dilalui.
* Lebih halus daripada rambut: Selain tajam, Titian Sirat juga digambarkan lebih halus daripada rambut, sehingga semakin sulit untuk diseberangi.
* Licin dan menggelincirkan: Permukaan Titian Sirat sangat licin, sehingga orang yang berjalan di atasnya mudah tergelincir dan jatuh ke dalam neraka.
* Terdapat pengait dan cakar: Di sepanjang Titian Sirat terdapat pengait dan cakar yang siap untuk menangkap dan menjatuhkan orang-orang yang berdosa.
* Gelap dan menakutkan: Titian Sirat berada di tempat yang gelap dan menakutkan, sehingga menambah rasa takut dan kesulitan bagi orang yang melaluinya. Orang Mukmin akan diberikan cahaya, tetapi orang munafik akan ditarik cahaya daripada mereka dan kerana itu mereka tergelincir.

 

مِّنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ

setelah datang kepada kamu dalil-dalil bukti yang jelas nyata;

Tergelincir yang dimaksudkan itu bukanlah sebab kita tidak tahu, tetapi setelah diberitahu dengan segala dalil bukti itu adalah daripada Allah ‎ﷻ dan Sunnah Nabi. Manakala sifat dalil bukti itu adalah ٱلبَيِّنَـٰتُ (jelas nyata). Jadi tidak ada alasan untuk kata tidak tahu. Yang  mana tidak tahu adalah kerana buat tidak endah dan tidak belajar sahaja.

Akan tetapi, kalau sudah tahu pun, ada juga yang tergelincir. Yang sepatutnya, kalau kita tersilap dalam sesuatu perbuatan, maka cepat-cepat kita istighfar dan minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Jangan tangguh-tangguh lagi dan kembali ke jalan yang benar. Namun ada orang yang sudah tahu tetapi mereka buat tidak tahu. Ada orang yang setelah diberikan segala dalil dan bukti daripada wahyu, tetap juga degil hendak mengamalkan ajaran tok nenek, tok guru mereka.

 

فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Gagah Perkara dan Maha Bijaksana;

Ini adalah ancaman. Kalau degil juga, maka ambil tahulah apakah kesannya. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia Maha Gagah – maksudnya Dia boleh hendak masukkan kita ke dalam neraka dengan segala azabnya. Allah ‎ﷻ boleh sahaja terus beri azab kepada kita dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya kerana Dia Maha Gagah dan tidak boleh dikalahkan. Kalau kita tergelincir maka hendaklah kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha Gagah Perkasa dan Dia boleh azab kita bila-bila masa sahaja, tidak payah tunggu masuk neraka pun.

Maksud Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana – terpulang kepada Dia hendak memasukkan kita ke dalam neraka atau tidak. Keputusan ada pada Allah ‎ﷻ. Antaranya Allah ‎ﷻ tidak terus azab kita tetapi beri tangguh kepada kita. Kita patut bersyukur Allah ‎ﷻ tidak azab terus kita di atas kesalahan kita kerana Dia memberi peluang kepada kita untuk bertaubat. Allah ‎ﷻ mungkin tidak hukum kita pada hari ini di atas kebijaksanaan-Nya tetapi ketahuilah bahawa Dia boleh hukum kita pada waktu yang lain. Jadi jangan kita salah faham dengan dua sifat ini. Allah ‎ﷻ tidak hukum kita sekarang sebab Dia ada sifat Hakim. Namun kena ingat yang Allah ‎ﷻ juga ada sifat Aziz, dan Dia boleh hukum kita bila-bila masa sahaja. Maka jangan kita berasa selamat.


 

MENUNGGU HARI KIAMAT BARU HENDAK BERUBAH

Baqarah Ayat 210: Ayat ini adalah ayat takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Allah ‎ﷻ tambah ancaman yang telah diberikan di dalam ayat sebelum ini. Ia adalah tentang azab yang mungkin diberikan kepada mereka yang degil untuk menerima Islam dan mengamalkannya 100%. Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini, di mana kita disuruh berpegang dengan agama 100%.

هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ وَالمَلائِكَةُ وَقُضِيَ الأَمرُ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

SAHIH INTERNATIONAL
Do they await but that Allah should come to them in covers of clouds and the angels [as well] and the matter is [then] decided? And to Allah [all] matters are returned.

MALAY
(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

 

هَل يَنظُرونَ

Tidaklah yang mereka tunggu

Kalimah هَل asalnya bermaksud istifham (soalan) ‘adakah’ akan tetapi apabila ia disertakan dengan kalimah إِلّا maka ia bermaksud ‘tidaklah’. Atau, ia juga boleh digunakan dalam bentuk ‘adakah’ menjadi ‘adakah yang mereka nanti sehingga Allah ‎ﷻ datang?’ Mereka hendak tunggu Allah ‎ﷻ datang baru mereka hendak bertaubat dan taatkah?

Kalimah يَنظُرونَ daripada kata dasar ن ظ ر yang bermaksud ‘melihat. Kalau menunggu ia adalah يَنتظُرونَ. Namun memang ada kaitan يَنظُرونَ dan يَنتظُرونَ kerana orang yang menunggu atau menanti-nanti itu akan melihat-lihat apa yang akan terjadi atau apa yang akan datang. Di sini Allah ‎ﷻ mengutuk golongan yang tidak menerima kebenaran, sama ada kafir, munafik atau yang Muslim tetapi tidak mengamalkan agama Islam dengan sepenuhnya. Maksud perkataan ‘menunggu’ itu adalah mereka tidak mengamalkan agama Allah ‎ﷻ dengan sepenuhnya dan kalau begitu, yang mereka tunggu adalah azab Allah ‎ﷻ. Apa lagi yang mereka tunggu? Apa lagi yang menghalang mereka daripada mengamalkan Islam sepenuhnya?

Ini adalah sifat orang Munafik. Dia tahu yang sebagai seorang Muslim, kenalah amalkan agama Islam dengan sepenuhnya seperti yang disebut dalam ayat 208. Akan tetapi mereka menangguh juga lagi. Mereka kata: “Takpelah aku muda lagi”; bila nak kahwin, apabila keluarga suruh bersanding, mereka buat juga dan dalam hati kata: “Waktu ini sahaja aku buat syirik sebab nak jaga hati keluarga, nanti selepas dah duduk rumah sendiri bolehlah aku amalkan Islam sepenuhnya”. Kalau waktu kerja atau berniaga, mereka sibuk sampai tidak menjaga solat – mereka kata bila sudah tidak sibuk nanti mereka akan jaga solat – dan macam-macam lagi alasan mereka apabila menangguh itu. Semua itu buat sedap hati sahaja.

Ramai Muslim hanya muslim dari segi nama sahaja. Sekali-sekala ada diamalkan ajaran Islam ketika adat-adat tertentu. Semasa lahir, ketika nikah dan apabila sudah mati. Namun setakat itulah sahaja. Sepanjang hidupnya tidaklah diamalkan ajaran Islam ini dengan yang sepatutnya. Mereka tidak luangkan masa untuk mempelajari apa yang mereka perlu lakukan. Ada yang mandi junub pun tidak tahu walaupun telah tua bangka!

 

إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ

melainkan kedatangan Allah kepada mereka dalam naungan-naungan awan-awan,

Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa masa yang mereka tunggu untuk mengamalkan Islam sepenuhnya itu tidak akan datang, yang akan datang adalah azab Allah‎ ﷻ. Tidaklah yang mereka tunggu melainkan azab Allah ‎ﷻ sahaja yang akan sampai kepada mereka.

Kalimah يَأتِيَهُمُ اللَّهُ menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’ kerana teksnya menyebut Allah ‎ﷻ yang datang. Maka menjadi perbincangan pula terutama jikalau diambil pendapat yang Allah ‎ﷻ tidak bertempat, tidak dikuasai oleh ruang dan sebagainya. Ditakuti ada pula yang bayangkan bagaimana rupa Allah ‎ﷻ dan cara Allah ‎ﷻ datang. Maka di dalam banyak terjemahan ditambah kalimah ‘azab’ atau ‘seksa’ supaya menjadi ‘datanglah azab Allah’. Ini adalah kaedah takwil iaitu menambah mudhaf untuk memberi maksud yang dianggap sebagai maksud yang sebenarnya. Ini seperti contoh di dalam ayat Yusuf: 82

وَاسأَلِ القَريَةَ الَّتي كُنّا فيها
Dan tanyalah negeri yang kami berada di situ,

Tentulah pertanyaan itu bukanlah kepada negeri itu kerana negeri itu tidak dapat jawab, maka yang dimaksudkan adalah وَاسأَل أَهلَ القَريَةَ yang ditambahkan kalimah أَهلَ (ahli) untuk memberi maksud yang sesuai.

Ya memang Allah‎ ﷻ ‘datang’ itu dengan membawa azab. Jadi mengikut pendapat ini, bukanlah Allah ‎ﷻ datang tetapi Allah ‎ﷻ ‘datangkan’ azab itu. Akan tetapi di sini kita kekalkan terjemahan ayat ini mengikut matan yang asal. Tambahan pula, bukan di sini sahaja disebut Allah ‎ﷻ datang tetapi perhatikan contoh lain seperti di dalam Fajr: 22

وَجاءَ رَبُّكَ وَالمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

Maka sesetengah para ulama’ salaf tidak menafsirkan panjang lebar atau mentakwil tentang hal ini dan menyerahkan sahaja maksudnya kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya apabila Allah ‎ﷻ kata Dia datang, maka Dia datanglah, tetapi cara bagaimana itu yang kita tidak tahu.

Azab Allah ‎ﷻ itu mungkin boleh datang dalam bentuk di bawah awan yang gelap. Pernah terjadi di zaman dahulu telah berlaku kemarau yang panjang dan apabila datang awan yang gelap, mereka kegembiraan kerana mereka sangkakan yang hujan akan turun. Padahal yang sebaliknya adalah awan yang gelap itu adalah azab daripada Allah ‎ﷻ yang akan datang kerana di dalam awan yang mendung itu ada api yang membakar. Maka ada yang mengatakan Allah ‎ﷻ menggunakan istilah awan di sini sebagai memberitahu kita yang ia datang ketika orang zalim itu menyangkanya sebagai rahmat akan tetapi sebenarnya ia adalah azab! Kerana ramai suka dengan kedatangan awan kerana bawa hujan rahmat, bukan? Namun bagaimana kalau azab yang datang? Allah ‎ﷻ memang mendatangkan azab ketika orang kafir dan lalai leka itu sedang bersenang-senang, sedang menunggu azab. Ini adalah supaya azab itu lebih terasa kerana mereka tidak bersedia. Ini seperti yang telah pernah dikenakan kepada Kaum Aad seperti disebut dalam Ahqaf: 24

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ
Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Kalimat يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ (kedatangan Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan) adalah di dalam bentuk mutasyabihaat. Bagaimana Allah ‎ﷻ boleh datang kepada orang kafir pula? Kenapa ada awan? Bagaimana pula bentuk awan itu? Situasi ini kita tidak terjangkau dengan fikiran dan imaginasi kita. Maka kita tidak boleh hendak terjemahkan dan tafsirkan. Sudahlah begitu, digunakan di sini kalimah في yang selalunya digunakan dengan maksud ‘dalam’. Adakah Allah ‎ﷻ di dalam awan itu pula? Cuma di dalam bahasa Arab, kalimah في boleh juga digunakan dengan maksud على (dalam) dan مع (bersama). Jadi di dalam ayat ini في digunakan dengan maksud مع jadi ia bermaksud Allah ‎ﷻ datang bersama awan, bukannya di dalam awan. Akan tetapi ayat ini telah sejenis ayat mutashabihat, maka kita tidak tahu maksudnya dengan sepenuhnya.

 

وَالمَلائِكَةُ

dengan malaikat

Boleh juga terjadi azab itu dibawa oleh malaikat dalam bentuk tempikan dan gegaran daripada malaikat. Ini biasa juga terjadi seperti yang terjadi kepada umat-umat yang terdahulu. Malaikat disebut kerana para malaikat yang membawa azab itu seperti disebut di dalam Furqan: 25

وَيَومَ تَشَقَّقُ السَّماءُ بِالغَمٰمِ وَنُزِّلَ المَلٰئِكَةُ تَنزيلًا
Dan (ingatlah) hari (ketika) langit pecah belah mengeluarkan awan dan diturunkan malaikat bergelombang-gelombang.

Di dalam Naba’: 38 juga ada disebut para malaikat berbaris bersaf-saf di Mahsyar nanti,

يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا ۖ لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَقالَ صَوابًا
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta dia berkata benar.

Jadi ayat ini mungkin juga merujuk kepada hari Kiamat dan perjalanan peristiwa-peristiwa di hari Kiamat yang pada masa itu manusia dan jin akan dapat melihat para malaikat yang selama ini tidak kelihatan bagi kita. Waktu itu sudah berjalannya hari akhirat, maka apa-apa penyesalan sudah tidak berguna lagi.

 

وَقُضِيَ الأَمرُ

dan diputuskanlah keputusan

Ketika azab itu datang, maka telah terputus keputusan dan selesailah segala keputusan. Maknanya mereka akan dimatikan dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah maksud ‘selesai’. Mereka yang ‘selesai’. Kalau waktu itu baru tersedar yang mereka selama ini telah tidak mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya, maka ia telah terlambat!

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

dan hanya kepada Allah jua dikembalikan segala urusan.

Allah‎ ﷻlah yang berhak menentukan segala keputusan yang dikenakan kepada manusia. Allah ‎ﷻ yang menentukan sama ada hendak mengenakan azab kepada kita atau tidak. Semuanya di tangan Dia. Apabila kalimah إِلَى ditaqdimkan, maka ia bermaksud eksklusif, maknanya hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan segala keputusan.

Jangan sangka perkara ini tidak boleh terjadi kepada kita. Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengenakan azab kepada kita semasa kita di dunia lagi, atau Allah ‎ﷻ boleh tangguh azab itu di akhirat kelak. Kalau Allah ‎ﷻ tangguhkan, itu adalah kerana Allah ‎ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat.

Habis Ruku’ 25 daripada 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 211: Sekarang Allah ‎ﷻ memberi contoh apa yang terjadi kepada umat yang dahulu iaitu Bani Israil. Ini kepada mereka yang ragu dengan ancaman Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ  hendak beritahu yang azab telah pernah diberikan kepada manusia. Sebelum umat Nabi Muhammad ﷺ dibangkitkan, Bani Israillah umat Islam pada zaman mereka. Namun mereka tidak mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, lalu mereka telah diazab. Maka ayat ini adalah sebagai peringatan untuk kita, sebenarnya. Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kita sebagai umat Islam yang menggantikan mereka, supaya jangan jadi seperti mereka.

سَل بَني إِسرٰئيلَ كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL
Ask the Children of Israel how many a sign of evidence We have given them. And whoever exchanges the favor of Allah [for disbelief] after it has come to him – then indeed, Allah is severe in penalty.

MALAY
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadanya, maka (hendaklah dia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

 

سَل بَني إِسرٰئيلَ

Tanyalah kepada Bani Israil,

Allah‎ ﷻ beri contoh perkara yang sudah berlaku, iaitu kepada Bani Israil. Mereka masih lagi berdegil tidak mahu menggunakan sepenuhnya wahyu yang telah diberikan kepada mereka. Kita telah banyak belajar dalam surah Baqarah bagaimana mereka pilih-pilih mana hendak diterima dan mana mereka hendak tolak. Maka ingatlah bahawa perkara yang sama juga boleh terjadi kepada kita. Ada juga masyarakat kita yang tidak menerima semua ayat Al-Qur’an. Mana yang tidak kena dengan jiwa dan nafsu mereka, mereka tolak.

Allah ‎ﷻ suruh tanya kepada Bani Israil itu, kerana mereka ada dalam kalangan umat Islam di Madinah waktu itu. Tanya apa?

 

كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ

berapa banyak dari tanda-tanda yang telah Kami berikan kepada mereka 

Allah ‎ﷻ suruh tanya kepada puak Bani Israil itu berapa banyak tanda yang telah diberikan kepada mereka. Malah tanda-tanda itu sifatnya adalah بَيِّنَةٍ iaitu jelas nyata. Mereka telah dapat melihat banyak mukjizat-mukjizat, tanda-tanda dan Kalam Allah ‎ﷻ yang diberikan kepada mereka berupa kitab Taurat dan Kitab Injil. Mereka telah melihat berbagai-bagai tanda dan mukjizat kepada kebenaran seperti terbelahnya laut, air keluar daripada batu, makan Manna dan Salwa yang turun dari langit, awan yang melindungi mereka dan bermacam-macam lagi, namun mereka masih degil untuk taat sepenuhnya. Memang bukan mereka lihat sendiri akan tetapi mereka tahu kerana telah sampai kisah-kisah turun temurun tentang apa yang telah terjadi kepada tok nenek mereka dahulu. Kita pun telah banyak baca tentang kisah-kisah itu di awal surah ini.

 

وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ

dan sesiapa menukar nikmat Allah sesudah nikmat itu sampai kepadanya, 

Bani Israil itu telah menukar nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Sesiapa yang menukar nikmat agama yang diberikan dengan menderhaka kepada Allah ‎ﷻ, mereka akan menerima azab yang keras. ‘Menderhaka’ itu bermaksud tidak bersyukur dengan nikmat hidayah yang telah diberikan setelah nikmat itu sampai kepada mereka, maka ingatlah yang Allah ‎ﷻ amat keras azabnya.

Mereka telah diberikan dengan Kitab Taurat akan tetapi mereka tidak endahkan wahyu-Nya dan masih lagi mementingkan perkara yang lain. ‘Nikmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini antara lain adalah wahyu. Wahyu sudah ada tetapi ramai yang masih hendak mengamalkan pendapat selain daripada wahyu. Antaranya mereka menggunakan pendapat pendeta mereka yang bercanggah dengan Kalam Allah ‎ﷻ. Atau mereka rujuk kitab karangan manusia tanpa memeriksa sama ada pendapat penulis kitab itu bersesuaian dengan wahyu atau tidak. Malangnya, begitulah yang terjadi dalam kalangan masyarakat Islam kita sekarang. Ramai yang tidak menggunakan Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi sebaliknya ‘tukar’ hidayah dengan ambil pendapat tok guru, kitab karangan manusia, dan hawa nafsu mereka. Selain daripada itu ada banyak nikmat yang telah diberikan kepada mereka seperti ramainya Nabi dalam kalangan mereka.

 

فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

maka sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

Ketahuilah bahawa akibat daripada kedegilan adalah azab Allah ‎ﷻ yang amat berat. Memang tidak sanggup hendak tanggung. Maka kita kena berhati-hati semoga kita terselamat daripada azab Allah ‎ﷻ itu. Kita jangan sangka perkara ini tidak boleh berlaku kepada kita. Jikalau kita tidak mementingkan wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita, dan kita tukar dengan pendapat yang lain, maka azab yang sama boleh dikenakan kepada kita.

‘Tukar’ itu bukan sahaja bermaksud kita tidak percaya kepada wahyu itu tetapi ia juga terjadi kalau kita lebih ‘mementingkan’ perkara-perkara lain dalam agama kita – umpamanya mementingkan pendapat daripada guru atau kitab. Atau kita lebih mementingkan dunia kita – harta, kedudukan, keluarga dan bermacam-macam lagi tanpa rujuk kepada Al-Qur’an sebagai panduan hidup kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 208 (Masuk Islam keseluruhannya)

PERINGATAN TENTANG SYAITAN

Baqarah Ayat 208: Ayat 208 – 213 adalah suruhan untuk masuk Islam secara keseluruhan dan jangan ikut jejak langkah syaitan. Ada tujuh dorongan atau dipanggil targhib yang perlu diberikan kepada manusia. Kita telah sebutkan empat golongan sebelum ini:

1. Yang mementingkan dunia sahaja.
2. Yang mahukan kebaikan dunia dan juga akhirat dan minta diselamatkan dari neraka. Ini adalah golongan yang selamat.
3. Yang bukan sahaja tidak mahu kepada akhirat tetapi mereka juga merosakkan orang lain. Ini golongan yang celaka.
4. Mereka yang sanggup menjual diri mereka supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat. Ini adalah golongan yang terbaik.

Dorongan yang pertama perlu diberikan kepada golongan yang pertama, iaitu orang-orang munafik. Orang-orang munafik yang sebegitu hendaklah diajak mereka untuk pergi berjihad. Semoga dengan berjihad itu, sifat munafik mereka akan hilang. Dengan adanya hukum Jihad, segala resam-resam yang buruk tidak akan ada lagi di dalam masyarakat. Amalan bid’ah dan khurafat tidak akan ada lagi kerana, apabila jihad disyari’atkan, semua umat Islam akan berjihad untuk Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kerana cinta kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul akan timbul apabila adanya Jihad. Setelah itu, mereka akan terus berada dalam iman. Ajak juga mereka untuk infak kepada jalan Allah ‎ﷻ kerana jihad dan infak boleh menghilangkan sifat munafik dalam diri manusia.

Kepada golongan yang kedua dan keempat, iaitu mereka yang sanggup untuk memberikan segalanya untuk agama, maka dibukakan kepada mereka tentang jihad. Beritahu mereka bahawa jihad adalah ‘jalan singkat’ untuk ke syurga dan untuk menjalankan jihad, infak perlu dijalankan.

Ayat Al-Qur’an telah banyak menyebut tentang targhib Jihad dan Infak. Sekarang dorongan atau targhib yang ketiga di dalam ayat ini. Bila telah timbul perasaan cinta kepada Allah ‎ﷻ, maka hati mereka tidak akan mahu kepada benda-benda yang tidak diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul. Mereka akan sanggup untuk melakukan ketaatan kepada segala arahan Allah ‎ﷻ dan Rasul termasuklah melakukan jihad.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Sahih International

O you who have believed, enter into Islam completely [and perfectly] and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.

 

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman,

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Atau yang mengaku beriman. Maka hendaklah kita ikut apa yang disuruh dalam ayat ini kalau kita orang beriman. Apabila ada panggilan sebegini, ia memberi isyarat ada perkara penting yang kita perlu beri perhatian kerana akan ada suruhan dan juga larangan yang kita kena ikut.

 

ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Masuklah kamu ke dalam Islam semua sekali;

Kena terima semua perkara tentang agama. Ada seorang sahabat yang asalnya seorang Yahudi telah berjumpa dengan Nabi ﷺ. Dia kata dia tahu bahawa hari yang mulia di dalam Islam adalah hari Jumaat. Dia memang tidak ada masalah menghormati hari Jumaat itu. Akan tetapi dia masih lagi mahu menghormati hari Sabtu kerana itu adalah kebiasaan yang dilakukannya semasa dalam Yahudi. Imam as-Syakani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pada mana-mana golongan pun (kafir atau musyrik, ahlul kitab atau golongan munafik) sebenarnya di dalam lubuk hati mereka tetap ada iman kepada Allah ﷻ. Cuma mereka tidak mahu masuk sepenuhnya ke dalam agama Islam.

Selain daripada dia, ada lagi sahabat-sahabat yang lain juga yang mahu mencampurkan amalan agama Islam dan juga amalan-amalan lain yang mereka telah biasa lakukan. Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini kalau mereka mahu kepada agama Islam, mereka kena masuk sepenuhnya ke dalam agama Islam dan jangan ikut pengaruh syaitan.

Kepada kita sekarang, kenalah terima semua sekali perkara tentang Sunnah, jangan ada tolak mana-mana ayat Al-Qur’an, mana-mana Sunnah. Kena terima Islam semua sekali, jangan campur adukkan antara yang haq dan yang batil. Antara contoh mencampur adukkan adalah seperti dalam amalan tahnik (belah mulut) – memasukkan manisan ke dalam mulut bayi yang baru lahir. Tahnik itu adalah sunnah, namun telah dicampuradukkan dengan menggunakan cincin emas dan cincin perak yang dimasukkan ke dalam mulut bayi itu. Kononnya, bayi itu akan menjadi kaya nanti. Ada juga yang menggunakan garam supaya mulut bayi itu menjadi masin dan boleh menjadi guru. Begitulah, bermacam-macam perkara manusia tambah. Jangan jadi seperti orang Yahudi seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ
Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Perhatikan ancaman Allah ﷻ di dalam ayat Baqarah di atas. Apabila sudah terima agama dengan lengkap dan penuh, maka tinggalkan mana-mana amalan salah, syirik, bid’ah dan khurafat yang pernah dilakukan dahulu. Sebelum hendak membuat apa-apa, kenalah periksa dengan nas agama. Ingatlah bahawa agama ini telah lengkap, jadi tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Dek kerana ramai yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah, maka mereka rasa tidak salah kalau mereka mengamalkan amalan tambahan dalam agama. Ini adalah salah dan perbuatan yang berdosa. Jangan pilih-pilih mana bahagian agama yang kita hendak gunakan sahaja. Mestilah amalkan semua sekali maka kenalah belajar kesemua sekali. Langkah pertama hendaklah dimulakan dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kenalah mengamalkan agama dalam keseluruhan kehidupan kita. Sama ada dalam bentuk ibadat (hubungan dengan Allah ‎ﷻ) dan adat (hubungan dengan makhluk). Jangan hanya mengamalkan hukum agama dalam ibadat dengan Allah ‎ﷻ, tetapi untuk kehidupan seharian, kita tidak pula amalkan hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Ketahuilah bahawa agama Islam ini adalah lengkap dan meliputi segenap kehidupan kita. Oleh kerana tidak faham perkara inilah, ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi dalam perniagaan mereka, mereka menipu manusia yang lain.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh masuk kepada السلم (kedamaian) dan bukannya ke dalam الإسلام kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat kepada kita, jikalau masuk Islam, kesannya akan mendapat damai. Orang yang telah masuk Islam daripada agama kafir dan fahaman yang salah, mereka sebenarnya telah berdamai dengan Islam dan dengan Allah ﷻ.

Maka setelah mereka masuk Islam, kenalah terima semua syariat agama. Tidak boleh pilih-pilih mana yang suka sahaja. Begitu juga ada orang kita, bab bila boleh dapat harta pusaka, kelam kabut mereka hendak bahagian mereka. Bab mereka kena beri bantuan nafkah kepada tanggungan, tidak pula mereka sibuk. Ini antara contoh gunakan syariat agama mana yang menguntungkan diri sahaja. Maka kena belajar apa kehendak Allah ﷻ dengan mengetahui keseluruhan isi kandung Al-Qur’an dan belajar tentang hadith-hadith Nabi supaya kita tahu bagaimana kehendak agama ini.

Ini mengajar kita jangan lagi amalkan adat-adat yang bercanggah dengan syariat agama Islam. Memang kita ada adat resam turun temurun yang kita terima daripada tok nenek kita. Mana yang tidak sesuai itu bolehlah ditinggalkan. Sebagai contoh adat Minangkabau yang mewariskan harta pusaka kepada anak-anak perempuan sahaja. Ini jelas bercanggah dengan hukum pusaka dalam Islam. Kenapa lagi hendak berpegang kepadanya? Kalau berpegang lagi, maknanya tidaklah masuk Islam secara كَافَّةً.

Memang tidak dinafikan kita belum lagi mengamalkan Islam 100% di negara ini. Contohnya undang-undang negara kita tidak mengamalkan undang-undang Islam. Ini adalah kelemahan kita sebagai manusia yang tidak mampu taat sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Akan tetapi ini bukan alasannya. Kita tetap kena ada niat dan usaha untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Kerana itu kita kena beri didikan kepada masyarakat Islam dan beritahu juga kepada orang kafir tentang kelebihan undang-undang Islam ini. Janganlah kita terima dengan rela sahaja perkara yang menyalahi ketetapan dalam Islam hanya kerana kita rasa ia susah untuk diamalkan.

Satu lagi tafsir bagi kalimah كَافَّةً ini adalah sebagai seruan kepada orang kafir, ahli kitab dan golongan musyrik. Sudah-sudahlah dengan agama dan fahaman mengarut itu. Masuklah ke dalam Islam kalian semua sekali. Bersatulah di dalam agama Islam yang suci dan selamat ini. Kalian akan selamat dunia dan lebih penting lagi di akhirat kalau kalian masuk Islam.

 

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌

dan jangan kamu ikuti jejak-jejak langkah syaitan;

Jangan ikut bisikan syaitan kerana ada yang tergelincir daripada akidah yang benar kerana termakan dengan bisikan syaitan. Ini kerana keinginan mereka untuk mencampur aduk amalan seperti yang ramai manusia lakukan itu adalah berpunca daripada bisikan syaitan. Syaitan mahu kita memasukkan amalan yang bukan daripada agama Islam.

Keduanya, ada yang meninggalkan sunnah dan melakukan bid’ah kerana bisikan syaitan juga. Syaitan akan membisikkan bahawa perkara-perkara yang salah itu boleh dibuat. Mereka beralasan dengan kata-kata: “Takkan guru itu nak masuk neraka?”. “Takkan buat amalan itu tak dapat pahala?”. Dan bermacam-macam lagi bisikan-bisikan mereka untuk menyesatkan manusia. Mereka juga akan bisikkan: “Takkan Selawat Syifa’ boleh jadi kufur pula”. Ketahuilah bahawa Selawat Syifa’ itu boleh jatuh kufur kerana ia adalah selawat yang mengandungi unsur syirik di dalamnya. Mereka sangka dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan penyakit. Akan tetapi ketahuilah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak boleh menyembuhkan sesiapa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyembuhkan. Oleh itu, bila dikatakan Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan sakit, maka itu sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kita sepatutnya meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ semata-mata!

Selain itu, tidak boleh bertawassul dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ. Jangan bersandar kepada Nabi Muhammad ﷺ. Cukuplah bersandar sahaja kepada ayat Al-Qur’an dan zikir kepada Allah ‎ﷻ. Lebih teruk kalau istighasah kepada Nabi atau kepada wali yang telah mati. Ini termasuk perbuatan syirik yang pasti tidak boleh dipertahankan amalan ini kerana hujah yang berlawan dengan ayat-ayat Al-Qur’an.

Amat bahaya sekali jejak langkah syaitan itu. Ingatlah bahawa syaitan itu licik sekali dalam menipu kita. Dia tidak suruh kita tinggalkan Islam semua sekali. Dia cuma suruh tinggalkan sedikit-sedikit sahaja. Hasilnya, kita tidak memenuhi semua sekali arahan agama. Akhirnya, sedikit demi sedikit syaitan akan mengajak kita tinggalkan Islam keseluruhannya. Mula-mula dia akan suruh tinggalkan sedikit sahaja. Seterusnya kita kenalah belajar kitab Talbis Iblis (belitan iblis) untuk tahu apakah senjata yang iblis gunakan untuk menipu manusia.

Kalimat خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ (jejak langkah syaitan) memberitahu kita yang bisikan dan penipuan syaitan itu berperingkat dan amat halus sekali sampaikan kita tidak perasan kita sedang ditipu. Sedar-sedar entah sudah menjadi kafir! Maka jangan ambil enteng dengan penipuan mereka. Kena belajar bagaimana cara mereka menipu. Kerana itulah Allah ﷻ tidak berfirman وَلَا تَتَّبِعُوا ٱلشَّيطَـٰنِ‌ akan tetapi Allah ﷻ tambah kalimah خُطُوٰتِ. Ini kerana cara penipuan syaitan itu berperingkat, amat licik sekali. Kalau tidak boleh begini, mereka akan hasutkan yang begitu pula.  Berikut adalah tingkatan cara syaitan menipu manusia, bermula yang paling ringan hingga yang paling berbahaya:

 

1. Kufur dan Syirik (Kesesatan Terbesar)

Tujuan utama syaitan adalah supaya manusia menjadi orang kafir atau kalau masuk Islam pun mereka ajak membuat syirik. Allah ﷻ beritahu penipuan syaitan ini di dalam Hashr: 16

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

Ini adalah kerana dosa syirik adalah dosa paling besar dan tidak akan keluar dari neraka selama-lamanya. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ di dalam Nisa: 48,

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.


 

2. Bid’ah (Mengada-adakan sesuatu dalam Agama)

Jika seseorang tidak berjaya diajak membuat perkara syirik, maka syaitan akan membuatnya melakukan bid’ah (perbuatan baru dalam agama yang tidak memiliki dasar daripada Al-Qur’an dan Sunnah). Ini pun hebat juga kerana ramai umat Islam tidak sedar yang perbuatan syirik itu berdosa. Paling menakutkan mereka kekal di dalam amalan bid’ah itu kerana orang yang melakukan bid’ah sering merasa benar dan tidak mahu bertaubat, sehingga lebih sulit kembali ke jalan yang benar.

Rasulullah ﷺ setiap memulai khutbah biasanya baginda mengucapkan,

أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad ﷺ. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan”
(Sahih Muslim No. 867)

Amat jelas sebenarnya bab bid’ah ini dilarang akan tetapi syaitan sudah menipu manusia sampaikan orang yang hendak beribadat dan hendak taat kepada Allah ‎ﷻ pun tertipu dengan hal bid’ah ini. Mereka mempertahankan perbuatan bid’ah mereka dengan mengatakan ini baik dan itu baik. Sedangkan baik itu hanya sangkaan mereka sahaja. Mungkin mereka tidak pernah dengar kisah Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا melarang orang berselawat ketika bersin seperti yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ:

عَنْ نَافِعٍ، أَنَّ رَجُلاً، عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ابْنُ عُمَرَ وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Daripada Nafi’, bahawa seorang lelaki bersin berhampiran dengan Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, lalu lelaki itu membaca: Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah ﷺ. Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: Aku juga membaca ‘Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah ﷺ’ akan tetapi bukan begini Rasulullah ﷺ mengajar kami. Baginda mengajar kami menyebut: Alhamdulillah, ‘ala kulli haal (segala puji bagi Allah atas setiap keadaan).

(Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Adab, hadith no: 2738, hasan)

Perhatikan umat dulu pun sudah memandai-mandai tambahan ajaran agama, dan telah pernah ditegur oleh golongan sahabat. Namun malangnya tidak ada golongan sahabat lagi yang ada untuk menegur puak-puak bid’ah ini, maka kerana itu mereka selamba sahaja melakukan bid’ah.


 

3. Dosa Besar (Maksiat yang Berat)

Jika manusia tidak boleh disesatkan melalui syirik atau bid’ah, syaitan akan menggoda dengan dosa-dosa besar, seperti zina, riba, membunuh, derhaka kepada orang tua, sihir, dan minum khamar (mabuk-mabukan). Ini memang akan menjadi ajakan syaitan kerana dosa besar akan melemahkan iman dan menjauhkan seseorang itu daripada Allah ‎ﷻ. Ia akan menyebabkan hati manusia itu gelap seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Mutaffifin: 14

كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

Apabila dosa besar pun sudah dilanggar, maka mudahlah syaitan menghasut mereka untuk membuat dosa-dosa yang lain. Ini adalah kerana sifat malu yang ada di dalam hati fitrah manusia pun sudah dihapuskan. Ketahuilah hanya kerana sifat malu lah yang menghalang manusia daripada berbuat dosa, terutama dosa besar. Kalau itu sudah tidak ada, habislah seperti sabda Rasulullah ﷺ tentang sifat malu,

عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِي الْبَدْرِي رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.[رواه البخاري ]
Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara ungkapan yang dikenal manusia daripada ucapan kenabian terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.”
(Sahih Bukhari No. 3483)

Apabila mula melakukan dosa dan tidak bertaubat malah tiada rasa bersalah pun, lalu ia akan berterusan melakukan dosa kerana perlakuan dosa akan menyebabkan Allah ‎ﷻ menahan hidayah daripada sampai kepada mereka. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ yang tidak memberi hidayah kepada kaum fasik antaranya seperti disebut di dalam Tawbah: 80

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Melakukan dosa besar akan menyebabkan “domino effect” yang akan berlarutan kepada dosa-dosa yang lain. Kerana itu Allah ‎ﷻ melarang daripada mendekati langsung perbuatan dosa besar seperti dosa zina yang disebut di dalam Isra’: 32

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ
Dan janganlah kamu mendekati zina


 

4. Dosa Kecil yang Dianggap Remeh

Jika syaitan tidak berjaya menghasut manusia melakukan dosa besar, syaitan akan membuat manusia terjerumus ke dalam dosa kecil yang sering dilakukan dan dianggap remeh. Ramai yang tidak tahu bahawa dosa kecil yang dilakukan terus-menerus tanpa bertaubat akan menjadi dosa besar dan ia adalah penyebab kehancuran.

Daripada Sahl bin Sa’ad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ فَإِنَّمَا مَثَلُ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ كَقَوْمٍ نَزَلُوا فِي بَطْنِ وَادٍ، فَجَاءَ ذَا بِعُودٍ، وَجَاءَ ذَا بِعُودٍ حَتَّى أَنْضَجُوا خُبْزَتَهُمْ، وَإِنَّ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ مَتَى يُؤْخَذْ بِهَا صَاحِبُهَا تُهْلِكْهُ.
“Berhati-hatilah dengan dosa-dosa yang dianggap remeh, kerana permisalan dosa-dosa yang dianggap remeh ibarat suatu kafilah safar yang bermalam di sebuah lembah, setiap orang mengumpulkan sebuah kayu bakar hingga mereka dapat memasak roti mereka. Sesungguhnya dosa-dosa yang dianggap remeh itu dapat membinasakan pelakunya jika ia dihisab”
(HR Ahmad [22808] dan disahihkan Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Silsilah Shahihah nombor 389).


 

5. Sibuk dengan Perkara Mubah (Hal yang Tidak Berpahala dan Tidak Berdosa)

Jika manusia tidak boleh diajak bermaksiat, syaitan akan menyibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak bernilai pahala agar mereka lupa beribadah. Contoh: terlalu sibuk dengan hobi, permainan, media sosial, atau urusan duniawi hingga lalai daripada solat dan zikir. Begitulah yang kita perhatikan masyarakat kita sekarang yang gemar membuang masa dengan perkara-perkara lagha. Apabila kita tegur, mereka melenting dengan mengatakan yang ia tidak berdosa. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah melarang manusia daripada melakukan perkara lagha seperti disebut di dalam Mukminoon: 3. Di sini Allah ‎ﷻ beritahu sifat orang mukmin tidak melakukan benda lagha:

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ
dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,


 

6. Sibuk dengan Amal yang Kurang Utama

Jika seseorang rajin beribadah, syaitan akan membisikkan untuk dia memilih ibadah yang kurang utama sehingga kehilangan kesempatan untuk meraih pahala lebih besar. Contoh: sibuk berdoa panjang tetapi melewatkan solat wajib, banyak bersedekah tetapi mengabaikan hak keluarga. Jadi sebagai seorang mukmin kena pandai bezakan antara amal mana yang lebih utama dan lebih banyak pahala. Kalau berniaga pun, mesti kita akan cari perniagaan yang lebih untung, bukan? Seorang mukmin mestilah bersikap bijak. Biar buat sedikit, tetapi pahalanya banyak!


 

7. Memasukkan Rasa Was-was dan Riya’

Jika seseorang kuat beribadah, syaitan akan cuba merosaknya dengan was-was, riya’ , atau ujub (merasa bangga dengan ibadahnya sendiri). Contoh: merasa lebih baik daripada orang lain, ingin dipuji kerana kebaikan, atau selalu ragu dalam beribadah. Kalau di Malaysia ini, ramai yang ada penyakit was-was ini atau OCD. Ini kerana tidak ada ilmu sahaja. Ditambah pula dengan ustaz-ustaz nusantara yang suka reka syarat dan hukum tambahan yang menyusahkan. Mereka ini pula yang banyak di media sosial, ramai pengikutnya. Jadi ramai yang terkesan dengan hukum-hukum baru dan tambahan ini. Sampaikan menyusahkan diri sahaja.

Sedangkan di dalam hal agama, Rasulullah ﷺ cuba untuk memudahkan untuk umatnya. Baginda tidak mahu memberatkan umat baginda. Sebagai contoh lihat hadith riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.
(Riwayat Bukhari No. 887)

Satu lagi contoh adalah apabila baginda tidak mahu terus mengimamkan Solat Terawih kerana bimbang nanti menjadi wajib dan menyusahkan umat pula. Ini kita boleh rujuk sebuah hadith riwayat Umm Al-Mu’minin A’isyah رضي الله عنها bahawa beliau berkata :

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Sesungguhnya Rasulullah ﷺ pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah ﷺ sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku daripada keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.
(Riwayat Al-Bukhari No. 1129)

Maknanya baginda membawa agama yang mudah untuk diamalkan dan bukannya yang menyusahkan umat. Yang menyusahkan itu adalah golongan yang buat berlebihan sampai menyusahkan diri seperti golongan tarekat dan ahli bid’ah. Di dalam hadith sahih riwayat Abdillah bin Mas’ud رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
“Musnahlah golongan yang melampau”.
(Riwayat Muslim No. 2670)

Satu lagi hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”.
(Riwayat Bukhari No. 39)

Daripada A’isyah رضي الله عنها beliau berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ
“Apabila Rasulullah ﷺ disuruh memilih di antara dua perkara, nescaya Baginda ﷺ akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana ia tidak berdosa. Adapun jika ia adalah berdosa, maka Baginda ﷺ adalah orang yang paling utama meninggalkannya”.
(Riwayat Muslim No. 2327)

Malang sekali apabila ramai orang yang tidak faham hal ini sampai hendak menyusahkan diri. Ini salah dan dilakukan oleh mereka yang tidak faham agama. Perkara ini sudah terjadi di zaman Rasulullah ﷺ sendiri apabila ada sahabat yang sangka amalan Nabi Muhammad ﷺ itu kurang. Maka mereka telah ditegur oleh baginda dan ini menjadi pengajaran buat kita,

عَنْ أَنَسٍ قَالَ جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا، فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ، قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي»
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata, “Ada tiga orang yang datang ke rumah isteri-isteri Nabi ﷺ untuk bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Saat mereka diberitahu, maka sepertinya mereka menganggapnya sedikit, lalu mereka berkata, “Bagaimanakah keadaan kami dibanding Nabi ﷺ yang telah diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang.” Salah seorang daripada mereka berkata, “Adapun saya, maka saya akan solat malam selama-lamanya.” Yang lain berkata, “Saya akan berpuasa selama-lamanya dan tidak akan berbuka.” Sedangkan yang lain lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selama-lamanya.” Maka datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka dan bersabda, “Kalian yang berkata begini dan begitu. Ketahuilah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepada-Nya. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku menikahi wanita. Barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, syaitan tidak akan pernah berhenti menipu manusia. Jika satu cara gagal, dia akan beralih ke cara lain hingga berhasil menjauhkan manusia dari jalan Allah. Oleh kerana itu, seorang Muslim harus selalu berlindung kepada Allah ‎ﷻ, meningkatkan ilmu agama, memperbanyak zikir, dan merapati orang-orang soleh agar tidak mudah tergoda oleh syaitan.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kalian yang jelas nyata.

Mereka adalah musuh yang nyata bagi kita. Selagi kita tidak masuk neraka bersama mereka, mereka tidak akan berpuas hati. Musuh adalah mereka yang suka kalau kita dapat musibah dan tidak suka kalau kita dapat kelebihan. Mereka adalah ‘musuh yang nyata’ kerana mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak Adam. Mereka tidak sorok-sorok permusuhan mereka dengan kita. Kalau manusia, ada musuh kita yang bersembunyi dan kita tidak tahu pun dia hendak menjatuhkan kita. Akan tetapi iblis syaitan jelas mengatakan mereka akan menyesatkan manusia. Mereka pasti menggunakan berbagai-bagai cara untuk menyesatkan manusia, antaranya telah disebut di dalam Baqarah: 169

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Allah ‎ﷻ telah beritahu juga rancangan mereka terhadap kita seperti disebut dalam A’raf: 16-17

قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم
kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka.

Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangan kita? Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam. Manusia pertama pun iblis sudah cuba sesatkan. Jangan lupa iblis berjaya sesatkan melalui makanan iaitu memakan buah/pokok yang terlarang. Begitulah syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.

Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Melalui kenyataan ini seolah-olah nampak hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat daripada mereka? Dengan izin Allah ‎ﷻ, tentu sahaja boleh. Kita mestilah belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Harus diingatkan janganlah kita anggap mereka kuat kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang tipu daya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’: 76

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Heavenly Order

Tafsir Surah Muzzammil Ayat 20 (Tahajjud adalah Sunat)

Ayat 20: Ayat 20 ini adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Ia menyampaikan keringanan hukum asal Tahajjud.

Surah ini menarik kerana ada menyebut tentang jihad sedangkan surah ini adalah Surah Makkiah. Sedangkan semasa di Mekah, para sahabat tidak dibenarkan jihad perang dengan Musyrikin Mekah lagi (kerana mereka waktu itu lemah). Kerana ada sebut tentang jihad, maka sebab itu ada yang mengatakan ayat ini adalah Ayat Madaniyyah.

Oleh itu, bahagian awal memang diturunkan di Mekah, tetapi ayat ini diturunkan di Madinah. Kalau kita lihat pun ayat ini, ianya amat panjang, iaitu antara ciri-ciri Surah-surah Madaniyah. Sedangkan ayat-ayat yang lain, pendek-pendek sahaja. Ini menguatkan lagi hujah yang mengatakan yang ini adalah Surah Madaniah. Allahu a’lam.

۞ إِنَّ رَبَّكَ يَعلَمُ أَنَّكَ تَقومُ أَدنىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيلِ وَنِصفَهُ وَثُلُثَهُ وَطائِفَةٌ مِنَ الَّذينَ مَعَكَ ۚ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ ۚ عَلِمَ أَن لَن تُحصوهُ فَتابَ عَلَيكُم ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنَ القُرآنِ ۚ عَلِمَ أَن سَيَكونُ مِنكُم مَرضىٰ ۙ وَآخَرونَ يَضرِبونَ فِي الأَرضِ يَبتَغونَ مِن فَضلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرونَ يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنهُ ۚ وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ وَأَقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sahih International

Indeed, your Lord knows, [O Muhammad], that you stand [in prayer] almost two thirds of the night or half of it or a third of it, and [so do] a group of those with you. And Allah determines [the extent of] the night and the day. He has known that you [Muslims] will not be able to do it and has turned to you in forgiveness, so recite what is easy [for you] of the Qur’an. He has known that there will be among you those who are ill and others traveling throughout the land seeking [something] of the bounty of Allah and others fighting for the cause of Allah . So recite what is easy from it and establish prayer and give zakah and loan Allah a goodly loan. And whatever good you put forward for yourselves – you will find it with Allah . It is better and greater in reward. And seek forgiveness of Allah . Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Qur’an (dalam sembahyang). Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Qur’an; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيْلِ

Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya engkau bangun selama kurang dari dua pertiga malam,

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah telah memberi arahan supaya Solat Malam itu dilakukan sepanjang malam, kecuali sedikit sahaja. Kemudian dikurangkan menjadi separuh malam. Tapi Allah nak beritahu yang Dia tahu yang manusia tidak mampu untuk melakukan sedemikian. Selama dua pertiga pun manusia tak mampu.

 

وَنِصْفَهُ

Atau selama satu perduanya,

Selama separuh dari malam pun manusia tak mampu juga.

 

وَثُلُثَهُ

Atau selama satu pertiganya;

Selama satu pertiga pun manusia sudah susah nak buat. Manusia tidak dapat mengekalkan solat malam dengan kadar yang lama. Sekejap boleh lama dan sekejap sedikit sahaja. Ini adalah kerana lemahnya manusia.

 

وَطَائِفَةٌ مِّنَ الَّذِينَ مَعَكَ

dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu

Ada juga sahabat yang melakukan juga solat malam. Asalnya, Solat Malam itu hanya kepada Nabi Muhammad sahaja, tapi para sahabat juga mahu melakukan amalan itu, mereka juga melakukannya bersama dengan Nabi.

Ini menunjukkan betapa para sahabat amat suka melakukan amal kebaikan. Ada waktu yang sahabat itu bangun bersama Nabi dan ada waktu lain, sahabat yang lain pula. Tidak tetap kerana tidak semua mampu untuk berterusan

Nabi Muhammad pernah melakukan solat malam berjemaah dengan para sahabat. Apabila mereka nampak Nabi solat, mereka ikut di belakang baginda. Nabi tidak menghalang mereka kalau mereka buat begitu. Tapi Nabi sendiri tidak mengajak mereka dari mulanya.

Begitu juga dengan Solat Tarawih yang telah dilakukan bersama dengan Nabi. Nabi tak ajak sahabat solat bersama baginda, tapi apabila mereka nampak Nabi solat, mereka telah mengikuti baginda.

 

وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.

Semuanya Allah yang tentukan segalanya. Allah yang menentukan berapa lama malam dan berada lama siang. Ada tempat yang siang panjang dan ada tempat yang malam pula panjang. Allah yang tentukan. Jadi, kalau malam yang panjang, separuh dari malam itu tentulah lebih panjang kalau dibandingkan dengan tempat yang malamnya pendek.

 

عَلِمَ أَن لَّن تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ

Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia memberi taubat kepada kamu;

Allah tahu yang manusia tidak dapat nak kira berapa lama masa itu kerana ada masanya panjang dan ada masanya pendek. Tambahan pula zaman Nabi dan sahabat, tidak ada jam. Dan kalau zaman sekarang pun, kalau sedang khusyuk dalam solat, tidak dapat nak agak berapa lama masa berlalu.

Soalan: Kalau Allah sudah tahu yang kita tidak mampu untuk melakukan seperti yang diarahkan di awal surah ini, kenapa Allah tak terus sahaja bagi keringanan awal-awal lagi? Kenapa nak suruh buat yang berat, tapi kemudian ringankan?

Jawapan: Kerana Allah nak beritahu bahawa keringanan yang diberikan itu adalah rahmat dari Dia. Allah juga nak beritahu bahawa sebenarnya yang patut kita lakukan adalah lebih lagi, tapi dari rahmatNya, Dia beri keringanan.

Kalau Allah suruh kita balas segala nikmat yang Allah berikan itu dengan sama nilainya, kita tidak akan sanggup untuk melakukannya. Nikmat Allah itu terlalu banyak untuk kita balas. Kalau solat sepanjang malam pun tidak mampu nak balas nikmat Allah. Malah kalau solat sepanjang waktu (siang dan malam) pun tidak mampu nak balas. Kita hanya boleh buat sedikit sahaja, sebenarnya.

 

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Qur’an

Para sahabat jadi penat, maka Allah meringankan hukum qiyamullail kepada sahabat. Maka mereka disuruh untuk bacalah mana-mana ayat Al-Qur’an yang mereka mampu. Jadi kalau kita tak boleh solat lama dalam qiyamullail, maka buatlah mana yang mampu. Kalau sikit pun boleh. Kalau boleh dua rakaat, dua rakaatlah. Bacalah mana yang boleh dari Al-Qur’an dalam solat itu. Kalau tahu Qulhuwallah, maka baca surah itulah sahaja.

Tapi untuk dapat bangun malam ini, kenalah tidur awal. Kalau masih lagi tidur lambat, akan jadi susah nak bangun malam.

Ayat ini menganjurkan kita baca Al-Qur’an. Bukan dalam solat sahaja. Al-Qur’an kena sentiasa ada dengan kita. Macam zaman sekarang, amat senang. Semua sudah pakai Smart Phone yang boleh muatkan Al-Qur’an. Boleh baca di mana-mana. Kita banyak masa terluang sebenarnya. Waktu tunggu orang, waktu rehat dan sebagainya. Tapi yang terbaik adalah kalau dapat hafal Al-Qur’an supaya boleh terus baca di mana-mana tanpa buka phone pun.

Ayat ini juga sebagai dalil bahawa Solat Malam itu adalah sunat sahaja, bukannya wajib. Asalnya, ianya adalah wajib dan para sahabat telah melakukannya selama 12 bulan bersama dengan Nabi.

 

عَلِمَ أَن سَيَكُونُ مِنكُم مَّرْضَىٰ

Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit;

Allah tahu ada kalangan manusia yang uzur. Bila uzur, sudah tidak larat untuk mengerjakan Solat Malam. Kerana itulah Solat Malam itu tidak diwajibkan.

 

وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ اللَّهِ

dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah;

Allah juga tahu yang ada kalangan manusia yang sibuk dengan urusan mencari rezeki kehidupan dalam dunia ini. Untuk kelangsungan hidup dan untuk menyara kehidupan keluarga juga. Jadi, mungkin tidak sempat untuk melakukan Solat Malam lama-lama.

Dari ayat ini, mengajar kita juga bahawa mencari rezeki juga adalah ibadat. Sampaikan Sayidina Umar pernah berkata, selain daripada mati semasa jihad fisabilillah, beliau ingin kalau dia dimatikan semasa beliau sedang mencari rezeki.

 

وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya).

Surah ini adalah Makkiah dan belum ada perintah jihad lagi. Maka, ayat ini adalah isyarat kepada masa hadapan yang akan berlaku. Ayat ini adalah salah satu ayat bukti kenabian Nabi Muhammad. Kerana ianya menceritakan tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan.

 

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ

Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membaca darinya;

Bacalah apa yang mampu dalam solat itu. Kalau boleh baca ayat-ayat Qul sahaja, bacalah itu sahaja. Asalkan bangun solat malam. Akan tetapi, ia tetap sunat dan bukan wajib. Ayat ini memansukh kewajipan solat malam dalam ayat ayat awal.

Atau, ia membolehkan mengurangkan waktu dalam solat malam itu. Kerana ayat awal kata kena separuh malam. Jadi kita boleh solat sekejap sahaja. Dua rakaat pun baik.

Tapi walaupun sudah tidak diwajibkan, sahabat masih lagi banyak melakukan solat malam. Kita pun kenalah mengambil peluang ini. Malangnya zaman ini ada banyak gangguan sangat. Dengan televisyen, main Smart Phone dan macam-macam lagi. Jadi ramai yang tidur pun lewat dan kerana itu susah nak bangun malam. Ini semua kita kena lawan.

Masalah kedua yang menyebabkan orang kita tak solat adalah kerana solat-solat malam itu telah disusahkan kerana telah diajar sampai jadi susah oleh ustaz-ustaz di Nusantara ini. Mereka beri susunan pula nak kena buat: kena solat taubat dulu, kemudian solat hajat, kemudian itu dan kemudian ini. Padahal, semua itu tidak ada langsung. Solat malam itu mudah sahaja. Solat terus dua rakaat.

Selain daripada susunan yang menyusahkan itu, masyarakat kita diajar ‘lafaz niat’ yang menyusahkan. Sampaikan orang yang jahil bahasa Arab tidak tahu nak baca niat macam mana, maka mereka tinggalkan sahaja solat sunat. Padahal, Nabi tidak pernah ajar lafaz niat dan susun niat yang khusus. Ustaz-ustaz itu nanti kena jawab kenapa mereka mengajar sesuatu yang Nabi tidak pernah ajar dan bagaimana mereka telah menyusahkan masyarakat.

Bukan itu sahaja, malah masyarakat kita ditipu dengan ajaran-ajaran ‘tambahan’ dalam cara menjalankan solat sunat malam itu. Kena buat itu dan ini, baca ayat itu dan ini dan sebagainya. Ditambah pula dengan ajaran doa-doa tertentu dalam solat dan selepas solat. Kalau tak percaya, bacalah buku-buku yang ada di pasaran sekarang yang mengajar tentang solat-solat sunat itu. Macam-macam perkara yang buku-buku itu ajar yang tidak ada dalam hadis pun.

Semua itu menyusahkan masyarakat Islam. Sampaikan masyarakat kita rasa macam payah sangat solat sunat itu sampaikan mereka tinggalkan terus solat malam. Padahal, ianya mudah sahaja dilakukan.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat;

Ayat ini pula tentang kefardhuan Solat Fardhu dan membayar zakat. Pastikan kita buat yang fardhu. Jangan buat yang sunat, tapi culas dalam amalan ibadat yang fardhu. Ada orang yang mungkin sibuk nak solat malam, tapi sampaikan tertinggal solat subuh pula.

Ada yang kata ayat ini adalah dalil yang zakat telah diwajibkan di Mekah lagi. Cuma pelaksanaan perincian hanya diberikan di Madinah. Oleh kerana perincian belum diberikan lagi, maka sahabat mungkin tak buat lagi. Sahabat tak tanya kalau tak perlu. Kalau Allah tak beritahu lagi, mereka tak sibuk-sibuk nak tanya Nabi.

Atau, ada pendapat yang mengatakan zakat di Zaman Mekah itu kena beri semua sekali lebihan harta. Cuma pakai yang perlu sahaja dan selebihnya diberikan sebagai zakat. Cuma di Madinah sahaja baru ada pembahagian seperti yang ada sekarang. Allahu a’lam.

 

وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا

dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang cantik

Kalimat قَرْضًا حَسَنًا ialah apabila beri pinjaman kepada seseorang, tapi tidak menetapkan bila nak bayar balik. Kita beri pinjam kepada orang, dan kita kata kepadanya: kalau ada duit, bayar, kalau tiada, tidak mengapa.

Inilah pemberi pinjam yang paling baik. Kerana kita mengharapkan balasan dari Allah sahaja. Ini kepada mereka yang banyak duit, yang kalau dia beri dan orang yang pinjam itu tidak bayar balik pun, tidak luak hartanya. Kalau duit cukup-cukup sahaja, jangan buat macam ni pula.

Bagaimana pula pinjaman yang baik kalau dengan Allah? Kalau kita infak pada jalan Allah, kita tidak boleh tetapkan bila balasan dari Allah. Allahlah yang akan menentukan bila Dia nak balas. Allah pasti akan balas. Maka inilah pinjaman yang ikhlas dari hati yang suci. Iaitu berharap hanya pembalasan dari Allah sahaja.

Kenapa digunakan perumpamaan pinjaman dalam ayat ini? Kita pinjamkan sesuatu kepada Allah yang bukan kita punya pun. Masa dan harta itu dari Allah juga. Ayat ini menyebabkan kita sedar tentang kedaifan kita dan besarnya rahmat Allah. Kalimat Qardhun Hasan beberapa kali disebut dalam Al-Qur’an, antaranya dalam Hadid:11 dan penerangan tentangnya telah diberikan.

Bayangkan Allah suruh kita buat sesuatu dengan modal yang Dia sendiri yang beri, tapi Allah akan beri balasan dengan apa yang kita lakukan itu. Kalau tak buat juga lagi, tidak tahulah macam mana nak kata lagi.

 

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّهِ

Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah,

Harta yang kita infakkan itu bukan harta kita sebenarnya. Harta yang kita kumpul dan simpan, dalam bank dan di mana-mana, itu adalah harta waris kita sahaja. Bila kita mati nanti, ia akan jadi milik mereka sahaja. Maknanya harta itu tidak kekal dengan dan tidak boleh dibawa mati. Oleh itu, kalau kita hendak harta kita kekal dengan kita, maka infakkanlah harta itu pada jalan Allah. Harta itu akan menunggu kita di akhirat kelak.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu yang apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, sama ada solat malam, infak pada jalan Allah dan segala kebaikan yang kita lakukan, Allah pasti akan balas. Kita tidak nampak pahala kita semasa di dunia, tapi nanti bila kita di akhirat kelak, kita akan dapati ia sedang menunggu kita. Allah simpan pahala itu buat kita, di SisiNya. Maka jangan risau buat amalan banyak-banyak.

 

هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا

ia adalah balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.

Mana lagi bagus, harta kita atau harta waris kita? Tentulah harta kita sendiri. Oleh itu, infaklah kerana apabila kita infak, harta itu pasti akan menjadi harta kita di akhirat kelak. Jangan simpan banyak harta untuk anak-anak sahaja, kerana belum tentu mereka akan sedekah bagi pihak kita; belum tentu mereka ingat untuk mendoakan kebaikan untuk kita. Maka, kitalah yang kena simpan bekal untuk akhirat.

Mungkin kita tidak nampak sekarang balasan itu semasa di dunia. Tapi percayalah pada janji-janji Allah. Ketahuilah bahawa syurga itu mahal, kena keluarkan modal untuk memasukinya.

Ayat ini juga mengajar kita, kalau kita tak boleh dan tak larat nak bangun solat malam, maka infakkanlah harta pada jalan Allah. Ia adalah antara amalan besar yang dapat menyelamatkan kita di akhirat kelak.

 

وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kenapa nak kena minta ampun? Sedangkan ayat sebelumnya menyebut tentang ibadah-ibadah yang dilakukan. Kenapa selepas buat ibadat, masih kena minta ampun juga?

Kerana mungkin ada kekurangan kita dalam melakukan ibadat itu. Kerana apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, kita sepatutnya boleh buat lebih baik lagi.

Dan mungkin dalam ibadat yang kita lakukan, ada kesalahan yang kita lakukan. Antaranya kita rasa bangga dengan amalan kita itu dan itu juga adalah satu kesalahan. Ini adalah kerana keikhlasan kita telah lari.

Maka ini adalah penjelasan tentang satu masalah hati yang ada pada kebanyakan manusia. Ia adalah salah satu dari Talbis Iblis (Penipuan Iblis). Yang kalau kita tidak berhati-hati, kita akan menjadi mainan syaitan sahaja. Yang dimaksudkan adalah salah satu dari al-Ghurur iaitu al-Ujbu (atau ujub).

Ujub adalah salah satu cara syaitan menipu manusia. Dia akan bisikkan kepada manusia supaya memandang hebat amal ibadatnya. Syaitan akan bisikkan betapa hebatnya kita, betapa banyaknya pahala kita. Maka orang yang tertipu dengan bisikan syaitan itu akan nampak hebat sungguh amalan ibadat dan amal kebaikan yang dia telah lakukan.

Ujub adalah perasan diri hebat tanpa menisbahkan kehebatan itu kepada Allah. Kita kena ingat yang kebaikan yang kita lakukan adalah kerana Allah yang dorong kita. Kita tidak hebat langsung. Maka untuk selamat dari ujub ini, maka kita kena pandang amalan kita kecil dan sedikit sahaja. Memang kalau dibandingkan amal ibadat kita dengan segala nikmat yang Allah telah berikan, tidak layak dibandingkan kerana nikmat Allah jauh lagi banyak.

Maka ubat untuk lari dari ujub adalah Allah ajar kita untuk istighfar selepas melakukan ibadat. Kerana dengan istighfar, akan mengajar diri kita untuk melihat kekurangan dalam amal ibadat kita. Jangan rasa bangga dengan ibadat, malah kena ada rasa kurang dalam ibadat kita itu. Kerana itu kita kena istighfar.

Ayat ini juga menekankan betapa pentingnya kita berharap supaya dosa-dosa kita diampunkan. Kerana kalau pahala kita banyak tapi ada dosa, masih kena masuk neraka juga dulu.

Alhamdulillah, tamat sudah tafsir Surah Muzzammil ini. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Muddaththir

Kemaskini: 14 September 2019


Rujukan:

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 4] (Bukan Jalan Orang yang Sesat)

وَلَا الضَّالِّينَ

Dan bukan jalan orang yang sesat;

Mungkin ada yang kata dalam Al-Qur’an banyak ayat-ayat yang mengatakan Allah ﷻ yang menyesatkan manusia. Kenapakah begitu? Adakah Allah ﷻ yang bersalah kerana Dia yang menyesatkan manusia?

Allah ﷻ menyesatkan orang yang sesat itu kerana mereka sendiri yang menjauhkan diri daripada kebenaran. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 26

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ
dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

Mereka sendiri yang fasik (keluar daripada ketaatan) dan kerana itulah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menyesatkan mereka. Tidaklah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menjadikan mereka sesat dari mula lagi.

Contoh orang yang sesat yang dimaksudkan oleh ayat dalam Surah Al-Fatihah ini adalah penganut Kristian atau Nasara. Mereka ini dijadikan contoh supaya senang kita tahu sifat mereka dan senang untuk kita bandingkan diri kita sendiri.

Ini adalah dalilnya daripada ayat Surah Maidah, sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya:

قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيراً وَضَلُّوا عَنْ سَواءِ السَّبِيلِ

mereka telah sesat sebelum (kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (Al-Maidah: 77)

Juga telah sahih daripada Nabi ﷺ bahawa baginda bersabda:

الْيَهُوْدُ مَغْضُوْبٌ عَلَيْهِمْ وَالنَّصَارَى ضَالُّوْنَ
“Yahudi itu dimurkai dan kaum Nasara adalah orang-orang yang sesat”.
(HR. Tirmidzi daripada ‘Adi bin Hatim رضي الله عنه, disahihkan Al-Albani رحمه الله dalam Shahih Al-Jami’ no 8202)

Mereka percaya Allah ﷻ itu adalah Tuhan, Nabi Isa عليه السلام itu Rasul, Kitab Injil daripada Tuhan. Namun kerana silap faham tentang Tuhan akhirnya mereka puja Nabi Isa عليه السلام. Mereka percaya Nabi Isa عليه السلام adalah ‘anak Tuhan’.

    1. Tujuan mereka sudah salah kerana mereka bukannya menyembah Allah ﷻ tetapi menyembah triniti.
    2. Jalan mereka juga sesat. Sebagai contoh, mereka reka jalan kerahiban.
    3. Mereka bukan sahaja sesat, tetapi mereka juga mengajak orang lain sesat bersama dengan mereka.

Fahaman mereka memang jauh daripada kebenaran. Bayangkan sekarang ini ajaran agama mereka diambil daripada rekaan seorang lelaki yang bernama Paul yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa عليه السلام. Asalnya dia menentang ajaran Nasrani tetapi tiba-tiba dia mendapat wahyu daripada Nabi Isa عليه السلام (setelah baginda tiada).

Agama Kristian sekarang ini adalah ajaran yang karut yang bukan berdasarkan ajaran yang benar yang diajar oleh Nabi Isa عليه السلام dan ada di dalam Injil (yang sebenar). Ia adalah ajaran rekaan manusia dan telah bertukar-tukar mengikut zaman kerana ia diubah dan digubah oleh agamawan mereka.

Bayangkan penulis Bible itu (ia sebenarnya bukanlah Injil) tidak dikenali siapa mereka. Lalu bagaimana boleh dipercayai apa yang disampaikan di dalamnya? Bandingkan dengan ilmu periwayat Hadith dalam agama Islam di mana kita kenal mereka secara mendalam. Pengkaji Bible yang beragama Kristian sendiri sudah banyak yang mengatakan Bible itu bukannya kata-kata daripada Tuhan.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Sekarang kita bandingkan pula dengan fahaman dan akidah Nasrani ini. Ada ramai yang percaya Allah ﷻ itu Tuhan, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, Al-Qur’an daripada Allah ﷻ, malangnya ada silap faham tentang Allah ﷻ, Nabi dan Al-Qur’an sampaikan ramai yang minta tolong kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ramai yang seru baginda dan memuja baginda sedangkan itu dilarang.

Maka kita kena tahu bagaimanakah sifat golongan Kristian ini supaya kita dapat mengelakkan diri kita daripada mengikut cara-cara mereka. Kerana takut kalau kita sangka kita ini sudah di atas jalan yang lurus, tetapi rupanya perangai dan amalan kita sama sahaja dengan golongan yang sesat. Maka kita kena belajar bagaimana cara hidup dan fahaman agama mereka supaya kita dapat menjauhi sifat mereka.

Kalau kita periksa betul-betul, kita akan dapat lihat bahawa masyarakat Islam kita pun ada persamaan dengan cara beragama mereka. Ini kerana tidak belajar dan hanya mengikut sahaja fahaman orang lain. Maka tidak patut betul kalau kita doa supaya kita dijauhkan daripada cara orang yang sesat, namun kita mengamalkan pula cara mereka. Maknanya mereka yang sebegitu tidak faham apa yang mereka sebut dalam Surah Al-Fatihah ini. Mereka hanya baca sahaja tanpa faham.

Ramai orang Islam yang hanya nampak dunia sahaja dan mereka nampak ada kelebihan jika mengikut cara hidup Yahudi dan Kristian itu. Malangnya cara hidup mereka itu banyak dapat diikuti di dalam media massa sekarang. Dan ia digambarkan seperti amat menarik sampaikan ramai yang tertarik kepada cara hidup dan fahaman mereka. Ini adalah kerana media massa memang pandai bermain dengan psikologi manusia dan dapat menarik minda manusia yang lemah.

Contoh Bandingan

Mungkin ramai yang berasa berat untuk mengatakan yang ‘dimurkai dan sesat’ itu adalah ‘Yahudi dan Kristian’. Kerana ramai yang rasa susah untuk dakwah kalau terus mengatakan mereka itu sesat. Ini adalah cara berfikir yang salah. Kita tidak perlu takut untuk mengatakan yang mereka itu dua golongan yang memang sudah sesat. Kerana dalil kuat mengatakan memang itulah dua golongan yang dimurkai dan sesat itu.

Walaupun ia memang keras, namun itulah kebenaran. Dan penting untuk kita kata mereka itu sesat kerana itulah permulaan untuk mereka menerima kebenaran. Kerana kalau mereka tidak tahu yang mereka sesat, maka tidaklah ada keperluan untuk mereka masuk Islam, bukan? Maka jangan takut untuk mengatakan kebenaran walaupun ia adalah pahit.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita sekarang. Memang tidak boleh kita kata pada muka mereka: “Awak sesat”. Akan tetapi dalam masa yang sama, hendaklah kita sampaikan kepada mereka yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah dan kena diperbaiki. Cuma kena digunakan kata-kata yang sesuai dan boleh diterima oleh mereka. Jangan gunakan kata-kata yang keras dan menghina.

Kepentingan Ilmu

Orang-orang Nasrani tidak memiliki ilmu agama dan kerana itulah mereka ditimpakan dengan kesesatan. Tatkala mereka hendak menuju kepada sesuatu, mereka tidak memperoleh petunjuk kepada jalannya. Hal itu adalah kerana mereka tidak menempuhnya melalui jalan yang sebenarnya, iaitu jalan kebenaran.

Maka kita jangan lupa tentang kepentingan ilmu agama. Apabila kita hendak beribadat kepada Allah ﷻ dan menjadi hamba-Nya yang baik, maka kenalah berdasarkan ilmu. Setakat niat yang baik, tetapi tidak berdasarkan ilmu yang benar, maka ia tidak diterima.

Untuk golongan Yahudi, masalah mereka adalah ‘niat’; masalah dengan golongan Nasara ini pula adalah ‘ilmu’. Ini kerana mereka tidak mementingkan ilmu. Atau, mereka mendapat ilmu dengan jalan yang salah.

Untuk faham agama memerlukan pembelajaran dan kerana itu kita memerlukan orang yang pandai (otak geliga) yang belajar agama dan kemudian belajar agama. Malangnya, selalu yang dihantar belajar agama adalah mereka yang tidak layak menjadi peguam atau jurutera sahaja. Kalau ibubapa ada ramai anak, mereka akan pilih: anak yang pandai belajar akademik untuk menjadi golongan professional, sedangkan anak yang agak lembab dihantar ke madrasah.

Maka kerana itulah kualiti pembelajaran agama kita lemah. Ada para ustaz yang mengajar ajaran yang salah dan beri nasihat yang salah kepada anak murid. Ini adalah mereka sendiri tidak dapat menggarapi maksud sebenar agama. Akal mereka memang asalnya lemah dan kerana itu mereka tidak faham-faham ilmu agama yang mereka belajar.

Maka percambahan ilmu ini amat penting. Umat Islam kena tingkatkan pembelajaran agama. Ilmu agama bukan untuk orang yang khusus belajar agama sahaja. Orang awam pun boleh belajar sekarang. Alhamdulillah kita ada para asatizah yang pandai dan hebat mengajar sunnah di negara ini. Mereka itulah yang menyampaikan ajara yang benar kepada masyarakat walaupun mereka ditohmah dan dihalang sampaikan tidak mendapat tauliah di sesetengah negeri.

Peluang untuk belajar agama amat luas. Malangnya di negara kita ini, pembelajaran agama masih baru lagi. Ramai yang hanya sekadar ikut-ikut sahaja, tetapi malas untuk belajar. Ramai yang sangka pembelajaran agama ini terhad kepada orang-orang tertentu sahaja (golongan ustaz dan pelajar agama sahaja). Maka kerana itu banyak salah faham dan amalan salah dalam agama. Tetapi kita boleh lihat ia semakin baik dari dahulu. Penggunaan media pun semakin membuka peluang kepada masyarakat untuk belajar agama tanpa perlu pergi ke kelas pengajian yang formal secara fizikal. Kebanyakan pengajian agama boleh didapati secara langsung atas talian tanpa perlu meninggalkan rumah kediaman pun.

Untuk menjadi hamba yang baik dan sempurna, kemudian beribadah dengan cara yang terbaik, memerlukan ilmu. Kalau tidak ada ilmu, maka ada perkara yang salah yang kita lakukan kerana jahil. Maka, kalau kita tidak kisah dengan ilmu, itu bermakna kita pun tidak ada keinginan untuk menjadi hamba baik dan beribadah dengan cara yang baik kepada Allah ﷻ.

Kita sekarang hidup di zaman yang amat mudah untuk mendapatkan ilmu agama. Boleh dikatakan ia terletak di hujung jari sahaja. Tinggal hendak belajar dan luangkan masa sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.

Namun begitu, mungkin ramai yang tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh para ustaz sekarang di media atau di masjid dan surau kerana mereka sendiri tidak layak untuk mengajar atau tidak menarik. Ini adalah kerana lemah ilmu cara penyampaian agama sampai membosankan; atau ada yang mengajar ajaran yang salah yang menyebabkan orang awam pun susah hendak terima. Sebagai contoh, ada yang mengajar kisah-kisah para wali yang karut marut seperti boleh terbang dan sebagainya.

Kerana kepentingan ilmu agama, maka orang awam kena banyak berkawan dan rapat dengan orang berilmu. Kerana mereka boleh mengajar dan memberi nasihat kepada kita. Maka kena cari mereka ini dan berdamping dengan mereka.

Malangnya orang kita ramai yang hanya mementingkan ilmu keduniaan sahaja. Ramai ibubapa yang berikan segala ilmu pengetahuan akademik kerana mereka mahu anak mereka menjadi orang yang mempunyai pekerjaan yang hebat dan bergaji mahal. Dapatlah nanti mereka menumpang kesenangan anak itu.

Tidak ramai yang mahu menghantar anak-anak mereka ke madrasah pengajian agama kerana takut anak mereka tidak dapat makan atau tidak dapat gaji tinggi dan tidak dapat tanggung mereka apabila tua nanti. Ini adalah fahaman yang amat merugikan. Amat rugi sekali kalau mementingkan ilmu keduniaan sahaja kerana ilmu dunia hanya berguna di dunia sahaja namun ilmu agama boleh dibawa sampai ke akhirat.

Kita sebagai manusia beriman wajin kena yakin yang rezeki ini Allah ﷻ yang berikan. Janganla hanya mementingkan pengetahuan akademik sahaja kepada anak, tetapi kenalah prihatin kepada pengetahuan agama anak. Berapa ramai yang menyesal apabila anak sudah dewasa tetapi tidak hiraukan mereka lagi atau menjadi manusia yang tidak faham agama dan hanya pentingkan dunia sahaja.

Mereka berharap anak mereka yang menjadi professional itu akan menjaga mereka di hari tua nanti. Namun ada anak yang tidak mengaku anak mereka lagi kepada ibubapa mereka. Salah siapa? Bukankah salah mereka kerana tidak berikan pendidikan agama kepada anak mereka dari awal lagi? Apabila anak tidak ada pengetahuan agama, mereka tidak nampak kepentingan untuk berbuat bakti kepada ibubapa mereka. Ini kerana mereka hanya nampak dunia sahaja.

Jangan jadi orang yang hanya mementingkan ilmu dunia sahaja dan meninggalkan ilmu akhirat. Ini telah ditegur Allah ﷻ dalam Najm: 30

ذٰلِكَ مَبلَغُهُم مِّنَ العِلمِ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اهتَدىٰ
(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir daripada pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Sumber ilmu agama yang paling penting adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Maka kena belajar dua perkara ini dahulu. Kena mahirkan diri dengan dua sumber ini kerana kedua-duanya adalah wahyu daripada Allah ﷻ. Maka kita bukan sahaja kena tahu baca Al-Qur’an dan hadih sahaja, tetapi kena belajar tafsirnya sekali supaya kita dapat menggunakan maklumat dan ajaran di dalamnya. Oleh kerana itu kita pentingkan sangat tafsir Al-Qur’an dan sunnah ini.

Amat menyedihkan sekali kerana kita lihat sekarang ini dua ilmu ini tidak banyak dipelajari oleh masyarakat awam negara ini. Jangan kata orang awam, kelas pengajian agama pun tidak mementingkannya. Mereka banyak mementingkan pembelajaran kitab karangan manusia. Akibatnya Al-Qur’an dan hadith itu seolah-olah menjadi sesuatu yang amat asing sekali.

Ramai belajar pelbagai macam kitab dan ilmu agama, tetapi tidak disandarkan kepada pengetahuan kepada tafsir Al-Qur’an dan sunnah. Disebabkan tidak ada dasar dua ilmu inilah, maka timbulnya terlalu banyak fahaman yang pelik dalam masyarakat kita.

Satu lagi ilmu yang kita kena ada adalah Sirah Nabi. Kita hendaklah menjadikan baginda sebagai contoh dan model kita. Dan kalau kita nak jadikan baginda sebagai model, maka kenalah kita tahu bagaimana sikap baginda dan sejarah hidup baginda. Kita kena tahu bagaimana baginda melayan isteri-isteri baginda, sahabat dan musuh baginda; kita kena tahu bagaimana cara dakwah baginda; kita kena tahu kesusahan yang baginda alami; dan macam-macam lagi tentang baginda.

Satu perkara lagi yang penting adalah mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Jangan belajar sahaja tetapi tidak diamalkan. Manusia boleh dibahagikan kepada tiga dalam perkara ini:

1. Yang tahu ilmu dan mengamalkannya. Inilah mereka yang mendapat nikmat daripada Allah ﷻ.
2. Tahu ilmu tetapi tidak mengikutnya. Ini adalah contoh golongan Yahudi.
3. Tidak berilmu dan tidak mahu belajar. Ini adalah contoh golongan Kristian.

Golongan yang tidak ada ilmu tetapi tidak mahu belajar adalah seperti golongan tasawuf dan tarekat sekarang. Mereka belajar malangnya belajar benda yang salah. Maka mereka buat perkara yang sesat. Niat mereka memang baik (kita tidak nafikan) tetapi mereka tidak belajar dengan cara yang benar. Maka itulah golongan yang pergi ke kuburan dan minta tolong kepada ahli kubur.

Memang kena belajar dan terus belajar. Ada orang yang bodoh sampai kata kalau tahu banyak pun masalah, lebih elok kalau tidak tahu banyak sangat. Dari mana mereka dapat fahaman sesat ini kita tidak tahu. Teringat saya simpulan bahasa yang popular: ‘Ignorance is a Bliss’. Mana mungkin ini fahaman yang benar kerana semakin banyak kita tahu, semakin kita selamat kerana ilmu itu dapat menyelamatkan kita.

Kita jangan sangka yang kejahilan boleh menjadi alasan di akhirat kelak. Ibnu Qayyim رحمه الله telah mengingatkan yang Allah ﷻ telah memberikan pancaindera kepada kita. Maka kita akan dipersoalkan nanti kalau kita jahil. Ini kerana kita mampu untuk mencari dan mendapat ilmu, tetapi kita sengaja tidak mahu belajar. Kalau sudah belajar, tetapi ada benda yang tidak tahu, maka ini bolehlah dijadikan alasan. Akan tetapi kalau tidak belajar langsung, apakah alasan kita? Kita buat apa selama hidup 50 tahun sampai tidak tahu apa-apa tentang agama?

Apabila manusia tidak ada ilmu, maka senanglah syaitan memperdaya kita. Syaitan akan tipu sehingga memasukkan manusia itu ke dalam neraka. Syaitan akan bermati-matian menghalang manusia daripada berilmu. Maka mereka akan bagi manusia malas untuk belajar agama. Kerana itulah kita lihat ramai yang mengikut jejak langkah syaitan kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka tidak tahu jalan yang lurus dan kerana itu mereka ikut jalan syaitan.

Kalau tidak ada ilmu asas dan hanya belajar begitu-begitu sahaja baca di internet, maka senang tertipu dengan ilmu yang salah dan ini adalah amat bahaya. Ramai yang sesat dengan cara begini. Kerana ada banyak sangat maklumat salah dalam internet sekarang. Maka ilmu asas mestilah dipelajari dengan guru dengan cara berdepan. Bukanlah tidak boleh baca langsung maklumat pada internet, tetapi kena ada ilmu asas dahulu.

Dan bila tidak ada ilmu, maka ramai yang mengikut jalan ekstrem atau ghuluw di dalam agama. Mereka tidak mahu manakah had yang patut dijaga. Kerana itu ada yang taksub dengan guru mereka, buat amalan bid’ah dalam agama dan macam-macam lagi.

Bagaimana hendak buat ibadah kalau kita tidak ada ilmu? Apabila beribadah tanpa ilmulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan kita yang membuat amalan bid’ah tanpa mereka sedari bahawa amalan tersebut adalah bid’ah.

Ilmu ada terdiri daripada fardhu ain dan fardhu kifayah. Sekurang-kurangnya kena ada ilmu fardhu ain. Dan yang pertama sekali adalah ilmu tauhid. Bagaimana hendak kenal Allah ﷻ kalau tidak tahu tentang Allah ﷻ? Maka ini kena dipelajari dan ini hanya dapat difahami dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kalau kita ada ilmu, maka ibadah kita pun akan lebih berkualiti. Dan kita akan mendapat lebih manfaat daripada ibadah kita itu. Sebagai contoh, kalau kita ada ilmu tentang solat, maka solat kita lebih bermakna dan kita akan dapat lebih banyak pahala dalam solat kita.

Syarat untuk mendapatkan ilmu adalah dengan niat yang benar. Iaitu niat belajar kerana hendak menjadi hamba Allah ﷻ yang terbaik, hendak melakukan ibadah kepada Allah ﷻ dengan cara yang baik. Maka niat mendapatkan ilmu ini kena ikhlas. Bukannya kerana hendak berbangga dan hendak berdebat dengan orang lain. Maka kalau ada soalan: “Ustaz, bagaimana  nak patahkan hujah dia?”, ini adalah ciri-ciri orang yang belajar kerana hendak berdebat.

Keduanya, kena amalkan ilmu yang kita telah ada itu. Jangan sekadar belajar sahaja tetapi tidak mahu mengamalkannya. Jangan jadi seperti orang Yahudi yang ada ilmu tetapi tidak amalkan. Memang niat mereka memang tidak mahu amalkan. Akan tetapi kadangkala ada dalam kalangan kita yang berilmu, tetapi tidak mampu lagi untuk amalkan. Ini biasa sahaja dan tidaklah sama dengan golongan Yahudi itu. Dalam keadaan begini, kena usaha dan minta taufik daripada Allah ﷻ. Mungkin iman pada waktu itu masih lemah lagi. Maka kena tingkatkan iman sahaja.

Contoh kedua ‘orang yang sesat’ adalah golongan Munafik. Mereka ini dulu sembahyang di belakang Nabi ﷺ tetapi masih tidak mahu terima Islam sepenuhnya. Mereka itu terdiri daripada golongan Ansar. Tidak ada yang munafik daripada golongan Muhajirin. Dan tidak ada golongan munafik semasa di Mekah (boleh dibincangkan lagi). Kerana mereka yang masuk Islam di Mekah itu adalah benar-benar ikhlas.

Akan tetapi apabila Islam berkembang di Madinah, ada golongan Ansar yang masuk Islam kerana terpaksa sebab satu kampung atau satu puak mereka sudah masuk Islam.  Mereka terpaksa menjaga kepentingan mereka dalam masyarakat. Mereka terpaksa masuk Islam dan dalam hati mereka tidak ikhlas. Contoh mereka yang sebegini adalah ahli politik yang banyak tolong orang semasa menjadi pemimpin sahaja.

Namun selepas tamat tempoh menjadi pemimpin, sudah tiada pangkat, mereka sudah tidak mahu menolong orang lagi. Rupanya mereka tolong orang semasa menjadi pemimpin itu adalah sebab kepentingan – mereka hendak meraih undi dan supaya mereka dikatakan sebagai pemurah. Mereka yang seperti itu mempunyai sifat munafik. Mereka buat kebaikan itu bukan kerana Allah ﷻ.

Ringkasan

Penerangan tentang orang Kristian ini ada disebut secara panjang lebar dalam Surah Ali Imran dan Surah Maryam.

Manakala pnerangan tentang orang Munafik ada di dalam Surah an-Nisa dan Baqarah: 8-20 serta banyak lagi dalam surah-surah yang lain.

Walau bagaimanapun, keempat-empat surah itu mengandungi empat perkara penting dalam Al-Qur’an: Tauhid – Risalah – Infaq (sedekah) – Jihad. Selain itu tentang hukum hakam dan kisah-kisah.

Secara ringkasnya, apabila wahyu Allah ﷻ iaitu Al-Qur’an dibaca kepada manusia, manusia akan terbahagi kepada lima puak:

    1. Yang beriman
    2. Yahudi
    3. Musyrikin
    4. Kristian/Nasara
    5. Munafik.

Selain daripada mereka yang beriman, empat golongan yang lain itu akan masuk neraka. Manusia yang kafir pun terbahagi kepada empat golongan itu juga.

‘Orang-orang yang sesat’ (ٱلضَّآلِّينَ), kurang sedikit salah mereka. Walaupun mereka masih salah, tetapi salah mereka itu kurang kalau dibandingkan dengan orang-orang yang dimurkai. Untuk membayangkannya, kita ambil contoh dua orang anak yang telah diberikan arahan oleh ayahnya untuk tidak memakan makanan yang disediakan. Kerana ayahnya hendak keluar sebentar.

Ada anak yang besar, dan ada adiknya yang lebih muda. Apabila ayahnya pulang, didapati makanan itu telah habis dimakan. Tentulah kemarahan ayahnya tidak sama kepada dua anak itu. Ayahnya lebih marah kepada anaknya yang besar daripada anak yang kecil. Kerana anak yang kecil itu hanya mengikut sahaja tetapi anak yang besar itu sepatutnya lebih mengetahui.

Begitulah kita tahu bahawa Yahudi itu tahu kebenaran tetapi mereka sombong untuk mengikutinya. Namun orang Nasrani itu dalam kebingungan dan tidak tahu apa-apa. Itu bukanlah alasan untuk melarikan diri daripada kesalahan, tetapi kalau dibandingkan dengan kesalahan orang yang sepatutnya tahu kebenaran, maka kuranglah sedikit salahnya. Allahu a’lam.

Penutup: 

Maka kita kena kenal sifat-sifat dua golongan yang dimurkai dan sesat ini supaya kita dapat menjauhkan diri daripada sifat mereka. Kerana ternyata ia adalah jalan yang bahaya untuk diikuti. Kita kena elakkan diri dari dua jalan ini. Amat bahaya kalau kita tidak kenal dua jalan ini kerana takut-takut kita termasuk dalam golongan mereka.

Maka kita jangan dekatkan diri dengan cara hidup mereka. Jangan rapat dengan golongan Yahudi dan Kristian ini sampai kita ikut cara hidup mereka pula. Inilah yang dinamakan wala’ wal bara’. Kalau sesuatu itu tidak baik, maka kena tinggalkan dan jauhkan diri daripada mereka.

Kita pun tahu bagaimana mereka menggunakan cara-cara yang kotor dan jahat untuk mengawal dunia. Mereka sudah tidak menghiraukan agama dan akhlak, maka kerana itu mereka tidak kisah pun apa yang mereka buat, asalkan mereka dapat apa yang mereka hendak.

Begitulah kita kalau ada dalam kalangan kita yang mahukan dunia, di mana mereka rasa kalau ikut cara hidup dua golongan Yahudi dan Kristian ini, maka hidup mereka akan senang di dunia. Akan tetapi kalau setiap hari kita baca ayat Surah Al-Fatihah ini (dan tentunya kena faham maksudnya), maka kita diingatkan supaya menjauhkan diri daripada cara hidup mereka.

Kita hidup di zaman globalisasi  yang dikawal oleh media. Kita rasa tertekan untuk ikut apa yang dilakukan oleh masyarakat yang ramai. Malangnya media dikawal oleh Yahudi dan Kristian. Maka masyarakat Islam kita pun terkesan dengan budaya dunia. Antaranya seks dinampakkan sebagai mudah sahaja dan tidak salah kalau ada perhubungan sejenis tanpa pernikahan. Budaya inilah yang sedang masuk ke dalam media kita dan kita termakan dengan suasana itu.

Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang. Nabi ﷺ sudah bagi amaran:

«لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ» قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ»
“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(Riwayat Muslim 2669)

Maka, hadith ini memberitahu kita yang umat secara keseluruhan akan ikut dua golongan itu. Maka, kita kenalah cuba memastikan kita dan ahli keluarga kita tidak termasuk dalam golongan itu.

Golongan itu tidak suka kalau kita mengamalkan Islam. Kerana itu kalau duduk di negara yang jahat, mereka mahu cara hidup kita pun ikut cara hidup mereka. Mereka boleh ambil kewarganegaraan kalau tidak ikut cara hidup mereka. Maknanya tidak ada kebebasan untuk mengamalkan cara hidup sendiri.

Namun kita kena ingat yang kita tidak boleh ambil agama lain. Kalau tempat tinggal kita itu menghalang kita untuk mengamalkan agama dengan bebas, atau memaksa kita ikut agama mereka, maka kita mesti tinggalkan tempat itu. Kita wajib berhijrah pada waktu itu.

Antaranya, mereka akan paksa kita berpakaian seperti pakaian cara mereka. Sampaikan ada yang mengharamkan pemakaian purdah, pakai tudung dan sebagainya. Maka ini tidak boleh diikuti. Pakaian kita pun kenalah menunjukkan yang kita adalah orang Islam.

Jadi, kita kena pegang pengajaran di dalam Surah Al-Fatihah ini. Jangan kita termakan dengan budaya orang Yahudi dan Kristian. Kerana kita ada agama kita sendiri. Kita ada budaya kita sendiri. Pegangan kita adalah pegangan Islam. Dan kita pun sudah tahu yang fahaman dan akidah mereka salah. Maka tentulah cara hidup mereka pun salah juga. Tidak boleh diikuti cara mereka itu.

Jangan kerana takut ekonomi kita jatuh, atau kita tidak dapat makan, tidak dapat kerja, sampaikan kita sanggup menggadai agama kita. Maka kena ada prinsip: mana yang boleh kita ikut mereka dan mana yang kita tidak boleh ikut. Kalau hal keduniaan dan tidak membahayakan agama, maka bolehlah kalau mahu ikut.

Kita hormat agama selain Islam tetapi tidaklah sampai berlembut dengan mereka sampai kita kata agama mereka pun benar juga. Ini adalah fahaman liberal yang semakin diterima dalam masyarakat Muslim kita. Mereka kata: semua agama sama sahaja.

Mana boleh semua agama sama. Jangan kita campur agama mereka ke dalam agama kita. Kerana kita kena pegang yang agama mereka adalah agama yang sesat. Ini kerana ada yang hendak berlembut dalam dakwah, maka mereka berlembut dengan orang Yahudi dan Kristian. Kerana mereka takut kalau ‘keras’ dengan mereka, mereka akan tolak kita.

Konon ada yang kata kita ini semua ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka ada yang mahu mencari persamaan antara ketiga-tiga agama ini. Kita kena sedar yang Yahudi dan Kristian tidak ada pada zaman Nabi Ibrahim عليه السلام. Itu semua adalah agama rekaan selepas wafatnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Yahudi dan Kristian telah mengubah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام begitu jauh sekali sampai tidak ada persamaan lagi.

Mereka sahaja mengaku Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai Rasul mereka, tetapi mereka tidak mengikut ajaran baginda pun. Mereka telah merosakkan agama tauhid dan bukan untuk mereka sahaja, tetapi kepada seluruh manusia. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ dalam Surah Al-Fatihah ini supaya selamat daripada kesesatan mereka.

Penyakit hati yang bahaya adalah penyakit niat dan penyakit ilmu.

Yahudi ada penyakit niat, dan
Kristian ada penyakit ilmu.

Kena baiki dahulu dua penyakit ini, maka penyakit yang lain akan mudah untuk dibersihkan.

Allahu a’lam. Sambung ke Ringkasan Daurah Surah Fatihah

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 3] (Bukan jalan orang yang dimurkai)

DiYcQITUwAAzwjO

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai;

Selepas kita meminta hidayah daripada Allah ﷻ dan memberitahu apakah kedudukan yang kita mahu (seperti orang yang Allah ﷻ telah beri nikmat), maka sekarang ditambah pula dengan golongan yang kita tidak mahu dikaitkan dengan kita. Kita tidak mahu masuk ke dalam golongan ini iaitu golongan orang yang dimurkai.

Siapakah mereka itu? Tentu Allah ﷻ beritahu siapakah mereka itu. Daripada hadith, kita dapat tahu bahawa golongan yang dimurkai adalah golongan Yahudi. Ia juga disebut dalam Al-Qur’an. Maka kita kena lihat apakah dalil bagi menjelaskan lagi siapakah yang dimurkai itu.

Empat golongan sesat tafsir Quran
Sifat-sifat empat golongan yang dimurkai atau sesat dijelaskan dengan lebih lanjut dalam surah-surah selepas al-Fatihah

Antara tafsir ayat ini, ada dalam ayat al-Maidah: 82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَداوَةً لِلَّذينَ آمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَوَدَّةً لِلَّذينَ آمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصارىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Siapakah golongan Yahudi itu? Kita kena ingat yang mereka itu percaya Allah ﷻ itu adalah Tuhan yang sebenarnya, Nabi Musa عليه السلام itu adalah seorang Rasul mereka dan Kitab Taurat itu daripada Allah ﷻ. Itu mereka tahu, tetapi masalahnya ulama’ mereka hanya belajar sikit-sikit sahaja ajaran Taurat itu dan selebihnya mereka tinggal.

Yang mereka banyak gunakan adalah kitab yang ditulis oleh ulama’-ulama’ mereka – yang dinamakan Talmud dan juga kitab-kitab lain. 

Dan begitu juga, umat mereka percaya Allah ﷻ adalah Tuhan, Nabi Musa عليه السلام adalah Rasul dan Kitab Taurat datang daripada Allah ﷻ tetapi tidak menggunakannya semua sekali. Sebaliknya mereka hanya menggunakan ajaran tok guru mereka sahaja. Seperti juga orang kita, percaya Allah ﷻ itu Tuhan, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul dan Al-Qur’an itu adalah wahyu untuk kita amalkan, tetapi akhirnya tidak amalkan juga.

Memang orang Islam sayang kepada Al-Qur’an, tetapi cuma terpakai ketika hendak kahwin, masa mati, masa majlis tertentu dan sebagainya. Itulah cara Yahudi yang dibuat juga oleh orang-orang kita. Kita selalu kutuk orang Yahudi, tetapi sebenarnya, tanpa disedari, kita ada banyak sifat-sifat Yahudi dalam diri kita. Inilah yang kita hendak sampaikan sekarang.

Penerangan sifat orang Yahudi ini ada dalam ayat yang panjang iaitu Baqarah: 40-141. Keseluruhan ayat-ayat itu adalah menceritakan kepada kita sifat-sifat pendita Yahudi dan sifat-sifat orang Yahudi iaitu pengikut-pengikut mereka.

Ada lagi ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an di merata tempat untuk pengajaran bagi kita supaya kita kenal sifat-sifat mereka dan kaji. Yang pentingnya adalah kita kena periksa sama ada sifat itu ada persamaan dengan kita. Kerana kalau kita ada sifat-sifat itu, maka kita termasuk dalam golongan mereka juga. Iaitu golongan ‘yang dimurkai‘.

Tentu kita tidak mahu dimurkai, bukan? Maka kenalah kita belajar sifat-sifat mereka supaya kita dapat elak.

Ini memang sesuatu yang agak keras untuk disampaikan, tetapi kita hendaklah buka minda kita untuk keselamatan kita juga. Kita memang kena belajar tentang mereka sebab memang ada tokoh agama kita yang bersifat seperti pendita-pendita Yahudi itu. Mereka tahu Allah ﷻ itu Tuhan, Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul dan Al-Qur’an daripada Allah ﷻ tetapi mereka tidak mengambil ajaran dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Mereka hanya menggunakan kitab-kitab tulisan manusia sahaja.

Siapakah Yahudi itu? Mereka adalah keturunan Bani Israil dan siapakah mereka? Bani Israil itu adalah anak cucu Nabi Ya’kub عليه السلام. Nama ‘Israil’ itu sendiri adalah gelaran kepada Nabi Ya’kub عليه السلام. Baginda mempunyai dua isteri. 10 anak daripada satu isteri dan dua lagi daripada isteri yang muda. Daripada isteri muda itulah lahirnya Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin. Kisah mereka ada banyak disebut dalam Surah Yusuf.

Bukan sahaja pendita Yahudi itu yang bersalah tetapi penganut agama Yahudi itu juga bersalah. Penganut Yahudi itu tidak mahu belajar Taurat tetapi mereka hanya terima ajaran daripada pendita-pendita mereka dan kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’ mereka yang kononnya adalah agama. Mak jika kita pun seperti itu juga, yang hanya mengikut kata-kata ustaz-ustaz tanpa belajar Al-Qur’an, maka kita pun sama sahaja seperti mereka juga.

Kalimat وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا bermaksud: dan orang-orang yang buat syirik; Yang pertama kita kenal adalah Musyrikin Mekah. Akan tetapi kita jangan lupa bahawa orang Islam yang membuat syirik juga boleh dipanggil ‘musyrikin’. Yang jelas nampak syirik adalah mereka yang sembah patung dan berhala seperti Musyrikin Mekah itu. Walaupun orang Islam tidak sembah patung dan berhala dengan jelas, mereka juga ada mengamalkan amalan syirik. Maka, mereka juga musyrikin sebenarnya.

Daripada ayat Surah Maidah ini, kita dapat tahu yang paling dekat dengan orang Islam adalah orang Kristian, bukan Yahudi dan musyrikin. Ini kerana tok guru mereka, seperti paderi, ulama’-ulama’ mereka dan rahib-rahib yang bertapa di bukit, tidak sombong. Mereka masih boleh terima kebenaran.

Oleh itu, tafsir bagi ‘orang-orang yang dimurkai’ adalah Yahudi dan juga Musyrikin. Jikalau kita ada membuat syirik, maka kita termasuk dalam golongan yang dimurkai juga. Contoh yang paling mudah kita lihat orang buat sekarang adalah bersanding dalam perkahwinan.

Hadir majlis itu pun sudah syirik kerana kita bersekongkol dengan orang buat syirik. Adat bersanding itu asalnya adalah amalan agama Hindu sebagai pemujaan kepada Dewa Sri Rama dan Sita Devi. Ia adalah peringatan kepada majlis perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi. Kalau dilihat patung sembahan Hindu berkenaan mereka, memang boleh dilihat ia dalam keadaan bersanding. Malah dalam sesetengah gambar, mereka ada pengapit lagi. Adat Melayu kita pula mengikut sahaja perbuatan mereka tanpa memahami dengan jelas asal usul adat daripada Hindu itu.

Ada juga yang mengatakan bahawa maksud ayat ini bukanlah Allah ﷻ sahaja yang murka kepada mereka. Memang Allah ﷻ murka kepada mereka, tetapi dari segi bahasa, tidak ada perkataan ‘Allah’ dalam ayat ini. Ia sebenarnya adalah ‘orang-orang yang dimurkai’.

Tidak disebut siapakah yang murka itu. Maka, bukan hanya Allah ﷻ sahaja yang murka dengan mereka, tetapi termasuk juga para malaikat, orang-orang beriman, daripada golongan terdahulu dan kemudian, semuanya murka kepada mereka. Allah ﷻ terlalu murka kepada mereka, sampai Allah ﷻ tidak mahu mengaitkan nama-Nya dengan mereka.

Apakah yang menyebabkan mereka itu dimurkai? Apakah yang menyebabkan mereka itu disebut dalam Surah Al-Fatihah ini sampaikan ayat ini diulang-ulang sehingga ke Hari Kiamat? Memang Allah ﷻ murka kepada mereka seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 90.

فَبَآؤُواْ بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

 

Kita kena tahu apakah kesalahan mereka supaya kita dapat elak, bukan? Yang paling besar adalah kerana mereka itu tahu kebenaran, tetapi mereka tetap tolak kebenaran itu. Kerana mereka bukannya tidak kenal Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul dan Al-Qur’an itu wahyu daripada Allah ﷻ, tetapi mereka tetap tolak juga.

Ada orang yang tahu kebenaran, tahu mana salah dan benar, tetapi kerana lemah, kurangnya iman, mereka telah melakukan kesalahan. Namun apa yang dilakukan oleh Yahudi ini lebih teruk lagi. Kerana mereka itu amat sombong dengan Allah ﷻ. Mereka rasa mereka itu hebat sangat sampaikan mereka sangka yang mereka tidak akan diazab oleh Allah ﷻ. Mereka sangka mereka boleh lawan Allah ﷻ. Mereka sangka Allah  ﷻ tidak mengazab mereka kerana kononnya mereka itu adalah ‘kesayangan Allah’ (The Chosen Ones).

Ini adalah kerana niat mereka ada salah. Mereka tahu kebenaran tetapi niat mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Niat mereka memang jahat dan hendak menentang kebenaran. Mereka memang sengaja mahu menolak kebenaran.

Namun begitu, bukanlah semua Yahudi itu dimurkai kerana ada dalam kalangan mereka itu orang yang baik dan beriman. Dalam ayat-ayat Al-Qur’an ada disebut tentang mereka, tetapi Allah ﷻ hanya sebut secara umum sahaja. Maksudnya tidaklah semua dan setiap orang daripada mereka itu dimurkai. Hanya mereka yang memang menentang kebenaran itulah sahaja yang termasuk dalam golongan yang dimurkai itu.

Yahudi dan Nasrani itu memang rapat dengan Muslim semenjak dari dulu lagi. Kerana para Nabi dan Rasul mereka pun adalah Rasul dan Nabi kita. Dan Tuhan kita pun sama juga iaitu Allah ﷻ. Maka tentulah ada persamaan dan kaitan yang rapat antara ketiga-tiga agama ini (Abrahamic Religion). Dan sampai sekarang pun kita masih rapat dengan mereka. Maksudnya kita selalu berurusan dengan mereka. Ada juga persamaan antara mereka dan kita dan kerana itu selalu sahaja ada dialog antara agama dilakukan.

Kerana rapatnya mereka dengan kita, maka banyak kali Allah ﷻ mengingatkan kita tentang mereka supaya kita jangan terpedaya dengan mereka, kerana kita senang sahaja tertipu dengan mereka. Maka jangan kita terpedaya dengan cara kehidupan mereka dan cara fahaman agama mereka kerana itu akan menyebabkan kita pun dimurkai dan menjadi sesat seperti mereka.

Penggunaan bahasa yang tepat: 

Kenapa Allah ﷻ menggunakan kalimah غير (bukan) dan bukan لا (tidak) dalam ayat ini? Kerana kalau gunakan kalimah لا, ia tidak berapa kuat kalau dibandingkan dengan غير. Kerana kalau لا sahaja, ia tidak memberi penekanan pada kalimah sebelumnya.

Kalimah لا hanya kata penyambung. Kalau kita gunakan contoh ayat begini: “Orang berilmu datang, لا (tidak) orang bodoh”. Maka ini tidak kuat kerana ia hanyalah kata penyambung sahaja.

Namun apabila digunakan غير, ia adalah satu adjektif, memberikan penjelasan. Oleh itu kalau kita gunakan ayat yang sama: “Orang berilmu datang, غير (bukannya) orang bodoh”, maka ia memberitahu bahawa orang berilmu itu TIDAKLAH orang yang bodoh.

Maknanya, golongan yang dimurkai dan sesat ini bukanlah golongan yang diberi nikmat oleh Allah ﷻ.

Dalam ayat ini, ada dua bahagian: satu tentang golongan yang dimurkai dan satu lagi golongan yang sesat. Allah ﷻ menggunakan kalimah لا (dalam وَلَا ٱلضَّآلِّينَ) walaupun dari segi susunan bahasa, ia tidaklah mengubah makna terjemahan.

Namun apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah لا, ia bermaksud ada sesuatu yang Allah ﷻ hendak sampaikan: Apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah لا untuk memisahkan antara golongan yang dimurkai dan sesat, ini memberi maksud bahawa dua golongan ini bukan golongan yang sama, tetapi ia adalah dua kumpulan yang berbeza.

Kedua-duanya ada elemen salah satu di dalamnya (ada yang dimurkai dalam golongan yang sesat dan yang sesat pun ada dimurkai). Namun tetap ada perbezaan antara dua kumpulan itu. Ia bukanlah kumpulan yang sama.

Apakah maksud dimurkai?

Ada banyak makna ‘dimurkai’ itu tetapi apakah maksud yang paling penting? Yang penting adalah kerana mereka itu bukannya tidak tahu kebenaran, namun mereka tetap menolak juga kebenaran itu. Mereka menolak kebenaran kerana sifat degil yang ada dalam diri mereka.

Maka ini adalah masalah bagi orang berilmu di mana dia tahu kebenaran tetapi tidak mengikut kebenaran itu. Maka kalau kita begitu juga, maka kita pun termasuk dalam golongan yang ‘dimurkai’ seperti golongan Yahudi ini.

Oleh itu amat bahaya sekali bagi golongan ulama’ dan ustaz yang tahu mana yang benar dan salah, tetapi tidak sampaikan kebenaran itu, sorok kebenaran itu daripada masyarakat. Mereka itu dimurkai oleh semua makhluk.

Allahu a’lam. Kita lihat pula apakah maksud golongan yang ‘sesat’ pula. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo