Tafsir Surah Baqarah Ayat 218 (Hijrah dan Jihad)

BALASAN KEPADA MEREKA YANG TAAT

Baqarah Ayat 218: Ini adalah ayat Tabshir (berita gembira). Dugaan untuk mengikuti agama ini adalah amat tinggi maka Allah ‎ﷻ berikan berita baik pada mereka yang sudah membuat keputusan untuk menjalankannya. Iaitu mereka akan diberikan dengan rahmat Allah ‎ﷻ.

Di dalam ayat sebelum ini kita telah bertemu dengan kisah serangan kumpulan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ terhadap Musyrikin Makkah. Mereka telah melakukan kesalahan yang besar maka tentulah mereka takut sangat. Maka Allah ﷻ memujuk mereka di dalam ayat ini. Semua sifat-sifat yang disebut di dalam ayat ini ada pada beliau dan kawan-kawan beliau.

Semua kita mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Namun siapakah yang layak untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ? Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini. Mari kita baca.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who have believed and those who have emigrated and fought in the cause of Allah – those expect the mercy of Allah . And Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang sanggup beriman dan berusaha untuk memperbaiki iman mereka sehingga iman mereka sempurna. Apakah iman sempurna? Itulah iman yang sebenar-benar iman tanpa ada elemen syirik di dalamnya. Ini yang jadi masalah kepada manusia kerana ramai yang ada fahaman syirik yang mungkin tanpa mereka sedari.

Iman ini hendaklah dijaga. Walaupun sudah tidak ada syirik, tetaplah iman itu turun dan naik mengikut keadaan kita. Bagaimana hendak menjaga dan meningkatkan iman kita? Dengan meningkatkan ilmu kita. Ini kerana dengan ada kefahaman, barulah kita dapat meningkatkan iman.

 

وَالَّذينَ هاجَروا

dan orang-orang yang berhijrah

‘Hijrah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘Hijrah Tubuh Badan’ dan juga ‘Hijrah Amal’. Memang yang utama adalah hijrah para sahabat رضي الله عنهم dari Makkah ke Madinah akan tetapi jangan kita hadkan kepada itu sahaja. Kalau sempitkan maksudnya, maka tidak ada peluanglah kita untuk mengamalkan ayat ini di dalam kehidupan kita.

Hijrah dari Makkah ke Madinah itu memang hijrah yang terbesar (kerana ia melibatkan hijrah tempat dan hijrah amal) tetapi kita yang hidup selepas zaman itu masih juga boleh melakukan hijrah. Iaitu hijrah ke arah kebaikan. Ibn Qayyim al-Jauziyah رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut: Hijrah terbahagi kepada dua:

    • Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
    • Hijrah dengan hati kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah ‎ﷻ kepada cinta kepada-Nya. Daripada Ubudiyyah selain-Nya kepada Ubudiyyah Allah ‎ﷻ. (Lihat al-Risalah al-Tabukiyah, hlm. 24-25)

Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. 
(Sahih Bukhari No. 6484)

‘Hijrah tubuh badan’ yang dimaksudkan adalah kita berpindah dari tempat yang tidak baik kepada tempat yang lebih baik dari segi agama. Supaya kita tidak duduk lagi bersama orang orang yang lalai dan leka dengan agama mereka. Ia juga bermaksud tidak bermastautin dalam perkampungan kafir harbi tetapi duduk dalam perkampungan orang Islam.

Saya teringat bagaimana Syeikh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ selalu sahaja menasihati sesiapa sahaja orang Islam yang duduk di negara orang kafir untuk berpindah ke negara Islam untuk menjaga agama mereka. Beliau selalu mendapat panggilan telefon daripada orang Islam seluruh dunia untuk bertanyakan tentang hukum agama dan setiap kali ada panggilan daripada orang Islam dari negara kafir, beliau akan menasihati mereka tentang perkara ini. Beliau ajak mereka berpindahlah ke negara Islam.

Bagi mereka yang sanggup berhijrah kerana mahu menjaga agama Allah ﷻ, mereka akan memperolehi kebaikan. Iaitu selepas mereka dizalimi, sampaikan mereka tidak boleh hendak beramal agama dengan sempurna, maka mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka. Ini kerana tempat asal mereka tidak ada peluang untuk mereka mengamalkan agama Islam.

Berhijrah kerana hendak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sempurna adalah wajib jikalau kita dihalang mengamalkan agama. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Mereka yang sanggup berhijrah kerana agama dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar seperti disebut di dalam Nahl: 41

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.

‘Hijrah amal’ adalah kita ubah cara kehidupan kita daripada yang buruk kepada yang baik. Contohnya kalau dulu kita berniaga cara riba, sekarang kita ubah kepada cara perniagaan yang Sunnah. Kalau dahulu kita malas sembahyang atau lambat menunaikan solat, maka sekarang hendaklah kita bersemangat dan bersegera untuk mengerjakan solat dan memperbaiki solat kita. Kalau kita sekarang bekerja di tempat yang ada syubhat, maka kita tukar pekerjaan kita dengan pekerjaan yang lebih selamat daripada segi agama.

Perhatikan pengulangan kalimah الَّذينَ pada kalimah هاجَروا. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berfirman إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ akan tetapi Allah ‎ﷻ berfirman إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ. Ada sesuatu yang tersirat di sini. Apabila Allah ‎ﷻ mengulang kalimah الَّذينَ, ia hendak menyamakan kedudukan ءآمَنوا dan هاجَروا. Ini kerana kedua-duanya di dalam kedudukan yang sama. Serta perhatikan juga tiada kalimah الَّذينَ pada kalimah جٰهَدوا. Ini bermakna bahawa ia tidaklah sebanding dengan kedudukan هاجَروا kerana ia mengikut sahaja. Jadi orang-orang yang هاجَروا itu lebih hebat daripada orang-orang yang جٰهَدوا. Ini adalah kerana hijrah itu amat sukar untuk dilaksanakan. Mereka yang sanggup melakukannya terpaksa meninggalkan tanah asal tempat lahir mereka, tempat yang mereka membesar dan selesa, meninggalkan harta benda, malah meninggalkan kawan dan keluarga. Ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Kerana ia sukarlah yang menyebabkan ada umat Islam yang telah beriman dengan Rasulullah ﷺ semasa di Makkah namun mereka tidak berhijrah ke Madinah.

 

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

serta berjuang pada jalan Allah

Semasa hidup, dia berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ dengan menyampaikan wahyu kepada orang lain. Salah satu caranya tentang dengan perang menggunakan senjata. Allah ‎ﷻ telah menetapkan kepada kita untuk usaha dakwah kepada umat manusia dan kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah itu.

Ada perbezaan antara jihad fillah dan jihad fisabilillah. Jihad fillah adalah apabila kita berusaha untuk buat perkara yang Allah ‎ﷻ suka dengan apa yang kita usahakan dalam kehidupan kita. Ini pun kena kita lakukan setiap masa dan ini adalah misi peribadi kita. Sedangkan jihad Fi sabilillah adalah lebih khusus iaitu usaha untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Inilah misi kita sebagai umat Islam. Jadi, ada misi peribadi kita kepada Allah, ‎ﷻ dan ada misi kolektif kita bersama dengan umat Islam yang lain.

Oleh itu, janganlah kita mencetekkan maksud jihad itu. Ada Muslim yang tidak faham kerana tidak belajar dengan betul tentang maksud jihad. Ada orang kafir yang menyalahkan umat Islam atas maksud jihad itu. Orang Islam yang jahil dan orang kafir yang salah sangka kepada Islam, mengatakan yang ‘jihad’ itu bermaksud ‘perang’. Padahal itu adalah maksud yang cetek.

‘Jihad’ dari segi bahasa maksudnya ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Lebih-lebih lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kalau usaha dakwah itu memerlukan perang, barulah ia digunakan. Bukanlah kita terus memerangi orang kafir sebelum kita dakwah kepada mereka. Masalah sekarang, sudahkah kita dakwah kepada mereka?

Sepertimana hijrah ada berbagai jenis, maka jihad juga begitu, antaranya:

1. Jihad Melawan Hawa Nafsu (Jihad An-Nafs)

  • Ini adalah jihad terbesar kerana ia melibatkan perjuangan menundukkan keinginan dan hawa nafsu yang boleh membawa kepada dosa. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ankabut: 69 tentang hal ini,

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ
Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

  • Contoh jihad nafsu:
    • Melawan rasa malas dalam beribadah.
    • Menjaga diri daripada godaan maksiat.
    • Mengawal amarah dan emosi negatif.

 

2. Jihad Melawan Syaitan (Jihad Asy-Syaithan)

  • Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia, jadi jihad ini bermaksud melawan bisikan syaitan dan godaan dosa. Usaha ini perlu dijalankan sentiasa sepanjang hidup kita kerana mereka itu musuh kita yang sentiasa hendak menyesatkan kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fatir: 6

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

  • Contoh jihad melawan syaitan:
    • Menjauhi bisikan untuk melakukan maksiat.
    • Tidak mudah putus asa dengan dosa dan bertaubat kepada Allah ‎ﷻ.
    • Menghindari godaan syaitan dalam bentuk riba, zina, dan hasad dengki.

 

3. Jihad Melawan Orang Kafir yang Memusuhi Islam (Jihad Fi Sabilillah)

  • Jihad ini melibatkan usaha mempertahankan agama, tanah air, dan umat Islam daripada serangan musuh. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 190

وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

  • Syarat Jihad Perang:
    • Hanya dilakukan apabila Islam atau umat Islam dizalimi dan diperangi.
    • Tidak boleh menyerang orang yang tidak bersalah (wanita, kanak-kanak, orang tua).
    • Mesti berdasarkan arahan pemerintah Islam yang sah.

 

4. Jihad Melawan Kemungkaran dan Kezaliman (Jihad Al-Munkar)

  • Jihad ini berkaitan dengan usaha mencegah kemungkaran, kezaliman, dan kebatilan dalam masyarakat. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

 مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim No. 70)

  • Contoh jihad melawan kemungkaran:
    • Menegakkan keadilan dalam masyarakat.
    • Menasihati orang yang melakukan kesalahan dengan cara yang baik.
    • Berusaha mengubah sistem yang zalim kepada sistem yang adil.

 

5. Jihad Ilmu dan Dakwah (Jihad Bil-Ilm wa Ad-Dakwah)

  • Jihad ini bermaksud berjuang menyebarkan ilmu dan kebenaran Islam untuk membawa masyarakat ke jalan yang benar. Lihat firman Allah ‎ﷻ di dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

  • Contoh jihad ilmu dan dakwah:
    • Menuntut ilmu agama dan menyebarkannya kepada orang lain.
    • Menggunakan media sosial untuk menyampaikan dakwah yang baik.
    • Mengajar dan mendidik masyarakat supaya memahami Islam dengan betul.

 

6. Jihad dalam Pekerjaan dan Kehidupan Seharian

  • Ini adalah jihad dalam mencari rezeki yang halal dan membangunkan umat Islam. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Jumuah: 10

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah

  • Contoh jihad dalam kehidupan seharian:
    • Bekerja keras dengan cara yang halal untuk menyara keluarga.
    • Berusaha meningkatkan ekonomi umat Islam.
    • Melakukan inovasi dan kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi.

 

أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah

Mereka ini telah beriman dan mereka telah memberikan segala jiwa raga mereka terhadap perjuangan Islam? Kenapa? Kerana mereka mengharap rahmat Allah ‎ﷻ. Perhatikan kalimah rahmat yang digunakan adalah dalam bentuk رحمت dan bukan رحمة seperti yang selalu digunakan. Kalau رحمة ia adalah rahmat dalam bentuk umum yang Allah berikan. Sebab itu banyak ayat yang gunakan begini. Akan tetapi kalau رحمت itu adalah rahmat khas yang diberikan kepada orang yang khas. Macam Baqarah:218 ini ia dijanjikan kepada orang yang beriman, hijrah dan jihad. Perhatikan contoh lain dalam Hud:73 yang diberikan kepada keluarga Nabi Ibrahim.

قالوا أَتَعجَبِينَ مِن أَمرِ اللَّهِ ۖ رَحمَتُ اللَّهِ وَبَرَكٰتُهُ عَلَيكُم أَهلَ البَيتِ ۚ إِنَّهُ حَميدٌ مَّجيدٌ
Para malaikat itu berkata: “Apakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlulbait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah”.

Perhatikan mereka ‘mengharap’ kerana mereka belum pasti yang mereka akan dapat. Mereka tidaklah perasan macam kita yang sangka kita pasti jadi ahli syurga (tanpa buat apa-apa pun kalau dibandingkan dengan para sahabat itu). Hati mereka tetap di dalam kecemasan takut-takut mereka tidak layak mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Memang inilah yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’).

Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah (khauf dan raja’) yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Khauf bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Raja’ bermaksud mengharap kepada rahmat dan keampunan Allah ‎ﷻ serta yakin bahawa Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.

Ayat ini juga mengajar kita yang rahmat itu adalah hak mutlak Allah ‎ﷻ. Dia sahaja yang menentukan siapa yang patut dapat. Tidak ada sesiapa yang boleh kata dengan pasti yang dia akan dapat rahmat Allah ‎ﷻ.

Mereka yang bersifat seperti yang disebut di ataslah yang ada harapan untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Maknanya dalam ayat ini ada perintah daripada Allah ‎ﷻ untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat-Nya. Bukan dengan berharap sahaja tetapi kena ada usaha. Kalau tanpa buat usaha tetapi berharap dapat rahmat, itu adalah kerja gila dan sia-sia.

Kita memang amat memerlukan rahmat Allah ‎ﷻ sebab hanya dengan rahmat Allah‎ ﷻ sahaja kita buat boleh masuk ke dalam syurga, bukan dengan amalan kita. Ini kita tahu daripada hadith yang sahih daripada Nabi ﷺ. Amalan kita dari segi ibadat dan perbuatan baik itu akan dapat meninggikan darjat kita di dalam syurga sahaja tetapi untuk memasukinya, memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَحَدٍ يُدْخِلُهُ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ فَقِيلَ وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي رَبِّي بِرَحْمَةٍ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.”
(Hadith Riwayat Muslim No. 5037)

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ Maha Mengampuni segala dosa kita asalkan kita mahu meminta ampun kepada-Nya. Dengan rahmat Allah ‎ﷻ itu, kalau Dia telah mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengazab kita dalam neraka.

Perhatikan di hujung ayat ini Allah ‎ﷻ menyebut sifat-Nya yang Maha Pengampun. Sedangkan ayat ini tentang orang yang melakukan kebaikan: telah beriman, berhijrah dan berjihad, hanya kerana mengharapkan rahmat Allah ‎ﷻ. Maka sepatutnya ikut logik kita, sifat memberi nikmatlah seperti الرحمن atau الوهاب dan sebagainya. Ini mengajar kita supaya jangan ada sifat ujub (perasan diri hebat). Walaupun telah melakukan kebaikan, mungkin kita juga ada melakukan dosa maka kita masih berharap kepada sifat pengampun Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 September 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Muddaththir Ayat 48 – 56 (Syafaat tidak berguna)

Ayat 48: Ayat tentang Syafaat

فَما تَنفَعُهُم شَفٰعَةُ الشّٰفِعينَ

Sahih International

So there will not benefit them the intercession of [any] intercessors.

Melayu

Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan dari sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.

 

Sebelum ini telah disebutkan tentang penghuni Saqar dan kenapa mereka di masukkan ke dalam Saqar. Ada empat sifat mereka.

1. Tidak solat
2. Tidak beri makan orang miskin
3. Buang masa berbicara dalam agama yang tidak sepatutnya.
4. Tidak percaya kepada Hari Kiamat/akhirat

Dalam ayat ini kita diberitahu yang tidak berguna sebarang syafaat kepada mereka. Syafaat itu hanya berguna kepada mereka yang layak sahaja. Kalau ada yang nak beri syafaat kepada mereka pun, tidak berguna untuk mereka.

Banyak sangat salah faham tentang syafaat dalam masyarakat sekarang. Mereka tidak belajar, maka mereka tidak faham apakah syafaat itu. Mereka mengandai-ngandai maklumat tentang syafaat yang bukan diambil dari Al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih.

Masyarakat kita amat keliru tentang hal syafaat ini. Ada yang sangka keturunan Nabi Muhammad adalah selamat dan boleh beri syafaat. Tapi Abu Lahab pun ahli keluarga Nabi juga, maka adakah dia terselamat dan boleh beri pula syafaat kepada orang lain? Tentu tidak.

Dalam ayat ini disebut الشَّافِعِينَ. Ramai yang diberikan kelebihan memberikan syafaat. Selain daripada Syafaat Kubra yang diberikan kepada Nabi Muhammad, ada lagi pemberi-pemberi syafaat yang lain. Sebagai contoh, mereka yang hafal Al-Qur’an boleh menerima syafaat kepada orang lain. Tapi mereka yang melakukan empat perkara itu tidak layak menerima syafaat itu.

Walaupun ada yang boleh beri syafaat, akan tetapi tidaklah mereka berhak untuk memberi syafaat mereka kepada orang yang mereka kehendaki. Telah banyak kali kita sebutkan tentang syafaat dan dalam ayat ini, ditegaskan sekali lagi bahawa syafaat itu tidak bermanfaat kepada mereka yang tidak layak menerimanya.

Ingatlah bahawa mereka yang disebut dalam ayat ini yang ‘memberi syafaaat’, mereka hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Mereka tidak layak untuk senang-senang beri sahaja syafaat mereka. Mereka hanya boleh beri kepada mereka yang layak sahaja. Ini berdasarkan pemahaman dengan ayat-ayat tentang syafaat yang lain yang kita telah banyak kali sentuh dalam penulisan ini.


 

Ayat 49: Ayat 49 – 56 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir surah ini. Ia memberitahu kita yang bukan semua lelaki boleh menjadi Rasul.

فَما لَهُم عَنِ التَّذكِرَةِ مُعرِضينَ

Sahih International

Then what is [the matter] with them that they are, from the reminder, turning away

Melayu

Maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan?

 

Mereka tidak mahu dengar nasihat. Langsung tak mahu dengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka.

Jangan kata orang kafir, yang mengaku Muslim pun belum tentu mahu dengar. Ingatlah bahawa ayat-ayat Al-Quran ini bukan nak menceritakan orang kafir sahaja, tapi hendak memberi nasihat kepada orang Muslim supaya jangan jadi seperti mereka.

Kita boleh lihat sendiri bagaimana masyarakat kita memang jauh dari Al-Qur’an. Mereka tidak belajar tafsir, lalu bagaimana mereka boleh mendapat peringatan dari Al-Qur’an itu? Kalau mereka buka radio, ada bacaan Al-Qur’an, terus cepat-cepat tukar siaran lain. Kalau kita duduk minum kopi dengan mereka dan kalau kita bercakap tentang Al-Qur’an, mereka lihat kita sudah lain macam, rasa tidak selesa.

Kalau manusia elak dari menerima ajaran Al-Qur’an berkali-kali, Allah akan tutup hati mereka sampai langsung tidak dapat terima hidayah langsung sampai bila-bila. Inilah yang menakutkan kita. Kerana kita takut kalau ahli keluarga dan kawan-kawan kita akan jadi begitu juga.


 

Ayat 50: Allah berikan perumpamaan keadaan mereka.

كَأَنَّهُم حُمُرٌ مُّستَنفِرَةٌ

Sahih International

As if they were alarmed donkeys

Melayu

Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,

 

Allah ibaratkan mereka seperti sekumpulan keldai. Keldai adalah binatang yang dijadikan sebagai isyarat kepada kebodohan.


 

Ayat 51:

فَرَّت مِن قَسوَرَةٍ

Sahih International

Fleeing from a lion?

Malay

Melarikan diri (ketakutan) dari singa!

 

Mereka seumpama sekumpulan keldai yang lari bertempiaran dari singa. Perkataan قَسْوَرَةٍ adalah singa dalam bahasa Arab Habsyah. Selalunya kalau singa dalam bahasa Arab biasa adalah ‘asad’.

Mereka lari bagaikan mereka diburu. Mereka nampak Nabi Muhammad datang sahaja, mereka akan lari jauh-jauh, kerana mereka tidak mahu dengar Nabi dakwah kepada mereka.

Macam orang kita, kalau nampak ustaz datang dari jauh, sudah rasa tidak selesa. Rasa nak pergi tempat lain sahaja kerana malas nak kena tegur. Kalau kita sudah biasa berdakwah kepada orang lain, kita akan perasan muka mereka yang macam tidak suka sahaja kalau kita datang kepada mereka. Kerana kita nak beritahu kepada mereka kepentingan belajar tafsir, tapi mereka tak nampak kepentingan itu. Kita akan nampak bagaimana ‘kelat’ sahaja wajah mereka.


 

Ayat 52:

بَل يُريدُ كُلُّ امرِئٍ مِّنهُم أَن يُؤتىٰ صُحُفًا مُّنَشَّرَةً

Sahih International

Rather, every person among them desires that he would be given scriptures spread about.

Melayu

Bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran suhuf yang terbentang.

 

Mereka tak puas hati Nabi sahaja yang dapat wahyu. Mereka pun hendak dapat wahyu juga. Mereka sangka, kalau Nabi boleh dapat wahyu, kenapa mereka tidak boleh? Ini juga ada disebut dalam An’am:124

وَإِذَا جَاءَتْهُمْ آيَةٌ قَالُوا لَن نُّؤْمِنَ حَتَّىٰ نُؤْتَىٰ مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِندَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.

Mereka nak dapat sendiri wahyu dari Allah sendiri sepertimana yang diberikan kepada Rasul. Atau mereka nak dengar sendiri Allah beri wahyu kepada mereka. Ini alasan mereka untuk tolak wahyu yang disampaikan oleh Allah. Mereka kata kalau mereka sendiri dapat, barulah mereka nak beriman.

Ini tidak patut kerana Allahlah yang berhak memilih siapa yang layak menerima wahyu. Apabila Allah sudah pilih Nabi Muhammad menjadi Nabi, lihatlah bagaimana kehidupan baginda disusun cantik sahaja sampaikan akhlak baginda tidak dapat ditolak oleh sesiapapun. Bukan semua orang boleh terima wahyu, kerana tidak mampu.


 

Ayat 53:

كَلّا ۖ بَل لّا يَخافونَ الآخِرَةَ

Sahih International

No! But they do not fear the Hereafter.

Melayu

Sebenarnya tidak akan! bahkan mereka tidak takut akan hari akhirat.

 

Itulah sebabnya mereka berani nak tolak kebenaran. Mereka tak percaya kepada Hari Akhirat. Mereka tidak terima yang mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka semasa di dunia.

Ada fahaman salah dalam Yahudi yang sangka mereka masuk beberapa hari sahaja dalam neraka. Dalam kalangan orang Islam pun ramai yang macam itu juga. Mereka kata kalau orang Islam masuk neraka, ianya sementara sahaja, dan akan masuk syurga akhirnya.

Ini adalah kata-kata mereka yang tak takut neraka kerana mereka tak tahu keadaan neraka. Mereka sangka neraka itu main-main sahaja? Mereka anggap neraka macam penjara dunia? Mereka sangka mereka duduk berapa lama? Kalau duduk sesaat pun sudah azab yang teramat sangat, dan tiada siapa yang boleh pasti yang mereka akan duduk sesaat sahaja.


 

Ayat 54:

كَلّا إِنَّهُ تَذكِرَةٌ

Sahih International

No! Indeed, the Qur’an is a reminder

Melayu

 

Jangan begitu! Sesungguhnya (Al-Qur’an) itu adalah satu peringatan

Kata كَلَّا bermaksud janganlah buat begitu. Jangan ada fahaman itu. Baik berubah kalau mahu selamat.

Allah berikan Al-Qur’an kepada kita sebagai peringatan kepada kita. Hendaklah kita mempelajarinya. Kenalah belajar tafsir supaya kita boleh faham dan amalkan ajaran dalam Al-Qur’an itu.

Ini kerana Al-Qur’an itu adalah peringatan kepada kita, dan tidaklah Al-Qur’an itu digunakan sebagai hiasan digantung di dinding rumah, bukanlah juga Al-Qur’an itu digunakan sebagai azimat – untuk dibaca dan diamalkan untuk menundukkan orang, sebagai ayat pengasih dan sebagainya. Itu adalah cara menggunakan Al-Qur’an yang salah.


 

Ayat 55:

فَمَن شاءَ ذَكَرَهُ

Sahih International

Then whoever wills will remember it.

Melayu

Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya.

 

Allah tidak terkesan sedikit pun kalau kita tidak beriman, tidak beramal dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Maka, Allah tawarkan kepada sesiapa yang mahu sahaja. Pilihlah di kumpulan mana yang kamu mahu – yang hendak mengambil peringatan atau mereka yang tidak ambil endah sahaja.


 

Ayat 56:

وَما يَذكُرونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ ۚ هُوَ أَهلُ التَّقوىٰ وَأَهلُ المَغفِرَةِ

Sahih International

And they will not remember except that Allah wills. He is worthy of fear and adequate for [granting] forgiveness.

Melayu

Dan tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).

 

Kita kena ingat yang kalau kita buat sesuatu kebaikan, itu adalah kerana Allah yang mendorong kita untuk melakukannya. Ini sama seperti yang Allah sebut dalam Takwir:29.

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Kalau Allah mahu, Dia akan berikan asbab untuk kita senang nak faham agama. Dia kenalkan dengan kawan yang suka belajar, Dia beri kita musibah yang menyebabkan kita mahu belajar, Dia lahirkan kita dalam keluarga yang mahu kepada agama, dan macam-macam lagi. Semuanya dalam urusan Allah.

Allah sebut juga dalam Insan:30

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).

Mereka yang tak mahu hidayah tidak akan menerima hidayah. Kadang-kadang ada hidayah di depan mata kita, tapi kita tidak terima, kita tidak mahu ikut. Allah akan memberi hidayah yang kita boleh terima kalau kita sendiri mahukan hidayah kebenaran dalam hati kita.

 

هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ

Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya,

Allah sahaja yang layak kita bertaqwa kepadaNya. Hanya Allah yang layak ditakuti. Hanya Allah sahaja yang layak kita patuhi segala perintahNya.

 

وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ

dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan

Hanya Allah sahaja yang boleh memberi pengampunan. Tidak ada yang boleh memberikan pengampunan selain Allah. Hanya kepada Allah sahaja yang layak kita minta pengampunan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa minta taubat kepada Allah.

Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah Muddaththir ini. Sambung ke surah seterusnya, al-Qiyama.

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Ta’lim

Nouman Ali Khan

Hijaab Iqbal

Tafsir Surah Muddaththir Ayat 32 – 47 (Neraka Saqar)

Ayat 32: Ayat 32 – 48 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi kesaksian bulan, malam dan pagi.

كَلّا وَالقَمَرِ

Sahih International

No! By the moon

Malay

Sebenarnya! Demi bulan,

 

Allah bersumpah dengan bulan. Huruf ‘و’ bukan sahaja bermaksud ‘dan’, tetapi ia juga digunakan dalam sumpah/qosam. Jadi kena pandai bezakan. Kalau hujung perkataan itu kasrah, maka ia adalah ayat sumpah.

Kenapa Allah bersumpah dengan bulan? Tentu ada sebab kerana Allah tidak saja-saja menggunakan sumpah. Benda yang dijadikan sumpah oleh Allah ada kepentingan. Untuk mengetahuinya, maka kita kena lihat apakah sifat bulan.

Bulan ada cahaya tapi tidak banyak dan tidak menyerlah sangat kerana ianya mengambil cahaya pun dari matahari. Oleh itu, cahaya bulan tidak tidak sama macam cahaya matahari. Cahaya dan sinaran tidak sama.

Kita simpan dahulu dan lihat lagi apakah sumpah Allah dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 33:

وَاللَّيلِ إِذ أَدبَرَ

Sahih International

And [by] the night when it departs

Malay

Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah pula dengan malam. Malam datang dan pergi, seperti juga bulan.

Dalam ayat sebelum ini, Allah bersumpah dengan bulan, sekarang dengan malam pula. Sewaktu bulan ada, ada cahaya sedikit. Tapi kalau malam tidak ada bulan, langsung gelap gelita. Kita lihat pula sumpah Allah yang ketiga.


 

Ayat 34:

وَالصُّبحِ إِذا أَسفَرَ

Sahih International

And [by] the morning when it brightens,

Malay

Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,

 

Malam pergi dengan datangnya subuh.

Semua kejadian alam ini menunjukkan kehebatan Allah kerana Allah yang menguruskannya. Tetapi digunakan ketiga-tiga makhlukNya itu sebagai isyarat kepada ‘cahaya wahyu’:

Bulan: sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi, masih ada lagi wahyu dalam dunia waktu itu, seperti Kitab Taurat dan Injil. Tapi ianya ibarat cahaya bulan sahaja – lemah dan tidak boleh bergantung kepada cahaya bulan itu sahaja.

Malam: isyarat kepada kegelapan syirik apabila kesyirikan berlaku dengan berleluasa.

Subuh: apabila cahaya matahari mula menyinari bumi sepertimana cahaya wahyu bergemerlapan dengan datangnya Nabi Muhammad sebagai Nabi membawa Al-Qur’an.

Ayat ini dan banyak ayat-ayat lain, Allah bersumpah dengan makhlukNya. Allah boleh bersumpah dengan apa sahaja. Ini hak Allah. Allah bersumpah untuk menekankan satu-satu perkara.

Kita pula tidak boleh bersumpah ikut suka kita. Kalau nak sumpah juga, kena gunakan nama Allah. Kalau kita sumpah ‘demi negara’ pun, sudah ada masalah. Maka jangan lagi buat macam itu. Demi bulan, demi bintang, demi Nabi sekalipun tidak boleh.

nota tambahan: ‘Waktu Asfar’ adalah waktu apabila cahaya sudah mula kelihatan. Ianya masih lagi dalam waktu Subuh. Kalau kita lihat di luar, kita sudah kenal itu kambing, itu lembu, itu orang dan sebagainya.

Kepada mazhab Hanafi, Waktu Asfar adalah masuk waktu Solat Subuh. Ini berlainan dengan mazhab-mazhab yang lain yang berpendapat Waktu Subuh masuk lebih awal, iaitu selepas keluar Fajar Sadiq. Antara hujah mazhab Hanafi, ‘Waktu Asfar’ ini ada disebut dalam Al-Qur’an, iaitu di dalam ayat ini. Maka ia waktu yang lebih penting pada mereka.


 

Ayat 35: Ini adalah jawab kepada sumpah Allah dalam ayat sebelum ini.

إِنَّها لَإِحدَى الكُبَرِ

Sahih International

Indeed, the Fire is of the greatest [afflictions]

Malay

Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,

 

‘Sesuatu’ yang dimaksudkan dalam ini adalah neraka. Surah Makkiah banyak menyentuh dan mengajar tentang akidah. Sekarang ayat ini adalah tentang kepercayaan kepada neraka. Allah menceritakan sifat neraka dalam ayat ini. Ianya adalah sesuatu yang amat besar, amat menakutkan.

Kita kenalah tahu hal neraka. Kerana dengan mengetahui apakah neraka, sifatnya dan kepayahan yang tidak terhingga di dalamnya, maka akan menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa. Allah sudah beritahu siap-siap, tentang hukuman yang akan diberikan kalau kita tidak menurut perintahNya.

Jangan jatuh kepada perbincangan golongan falsafah yang kata neraka itu hanyalah sebagai ‘momokan’ untuk menakutkan manusia sahaja. Sampai ada golongan tarekat dan Sufi yang kata: kalau takut kepada neraka adalah syirik kerana mereka kata ianya seperti takut kepada makhluk selain Allah. Pemahaman ini amat jauh dari pemahaman yang ada dari Al-Qur’an dan sunnah. Kerana ingatlah yang Allah dan Nabilah yang menakutkan kita dengan neraka.

Ada juga yang mengatakan bahawa إِنَّهَا bermaksud Al-Qur’an. Kalau yang dimaksudkan Al-Qur’an, ianya juga adalah sesuatu yang amat besar kerana ianya memberi hidayah kepada manusia.


 

Ayat 36:

نَذيرًا لِّلبَشَرِ

Sahih International

As a warning to humanity –

Malay

Yang menjadi amaran bagi umat manusia,

 

Neraka itu adalah salah satu amaran kepada manusia. Allah menceritakan tentang neraka untuk menakutkan manusia. Supaya kita semua beringat jangan buat dosa.

Maka begitu juga dengan para pendakwah, kena beri amaran dan menceritakan keburukan yang akan manusia terima kalau mereka tidak taat kepada Allah. Bukan nak cerita benda sedap sahaja seperti syurga dan rahmat Allah. Neraka pun kena cerita juga. Kerana ada manusia yang terkesan dengan sesuatu yang menakutkan.

Dan kalau إِنَّهَا itu merujuk kepada Al-Qur’an, maka Al-Qur’an itu juga sebagai peringatan kepada manusia juga. Ada banyak sekali ayat-ayat peringatan di dalam Al-Qur’an yang kita kena ambil perhatian.


 

Ayat 37:

لِمَن شاءَ مِنكُم أَن يَتَقَدَّمَ أَو يَتَأَخَّرَ

Sahih International

To whoever wills among you to proceed or stay behind.

Malay

(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).

 

‘Maju’ itu bermaksud mereka yang mahu menerima peringatan dan menerima petunjuk dan melakukan kebaikan dalam kehidupan mereka di dunia. Tapi dalam masa yang sama, ada yang mundur dan berpaling.

Yang menerima akan mendapat untung dan yang menolak akan mendapat kerugian yang besar. Terpulang kepada manusia mana mereka nak ikut. Tapi Allah sudah beri amaran dengan neraka.

Keimanan kepada syurga dan neraka adalah kepercayaan kepada perkara ghaib. Kerana kita tak akan nampak syurga dan neraka semasa di dunia. Inilah latihan membina taqwa dalam diri kita. Kerana walaupun tak nampak, tapi kita percaya juga. Kita percaya kerana ia ada di dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 38:

كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت رَهينَةٌ

Sahih International

Every soul, for what it has earned, will be retained

Malay

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,

Setiap manusia akan disoal tentang apa yang dilakukannya. Kecil atau besar akan ditanya. Lihat ayat Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Manusia akan terkejut kerana melihat segala-gala perbuatan mereka di dunia telah ditulis. Mereka sangka yang besar-besar sahaja yang direkod, tapi rupanya yang mereka anggap kecil pun ditulis dan akan dipersoalkan. Macam kita sekarang, dalam zaman media mudah, senang sahaja apa yang kita nak tulis sampaikan seluruh dunia boleh lihat apa yang ditulisnya.

Perkataan رَهِينَةٌ bermaksud gadai. Kalau kita lihat ada kedai pajak gadai Islam yang bernama ar-Rahnu, bukan? Apabila kita gadai barang kita ke kedai pajak gadai, barang itu akan tertahan di kedai itu sampailah kita boleh tebus barang itu dengan bayaran. Dan bayaran di akhirat nanti adalah dengan amalan ibadat kita dan iman kita. Amal ibadat itu tidak terus diterima, ianya akan diperiksa dahulu. Kerana ada amalan kita yang salah, ada amalan yang tidak ikhlas dan sebagainya. Oleh itu, amalnya tergantung hingga dipersoalkan.


 

Ayat 39:

إِلّا أَصحٰبَ اليَمينِ

Sahih International

Except the companions of the right,

Malay

Kecuali puak Kanan,

 

Golongan ini adalah mereka yang akan menerima Kitab Amal mereka di tangan kanan. Mereka ini akan melalui sesi perbicaraan dengan mudah sahaja. Pengiraan mereka mudah sahaja. Siapa ‘Puak Kanan’ ini ada disebut dalam Surah Waqiah dari ayat 27-40.


 

Ayat 40:

في جَنّٰتٍ يَتَساءَلونَ

Sahih International

[Who will be] in gardens, questioning each other

Malay

(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,

 

Mereka akan bertanya sesama sendiri. Sama ada sesama ahli syurga atau mereka bertanya kepada ahli neraka.


 

Ayat 41:

عَنِ المُجرِمينَ

Sahih International

About the criminals,

Malay

Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,

 

Mereka bertanya sesama ahli syurga tentang orang lain yang dulu di dunia berbuat kesalahan.

Ataupun mereka tanya sendiri kepada orang yang berdosa (ahli Neraka). Allah boleh jadikan mereka boleh bertanya kepada ahli neraka, walaupun mereka duduk di tempat berlainan – satu di syurga dan satu di neraka.

Siapakah orang yang bersalah ini? Adakah orang kafir atau orang Muslim yang jahat? Mufassir mengatakan yang ianya boleh jadi dua-dua sekali. Kerana kita kena faham, tidak semestinya seorang yang mengaku Muslim itu terus masuk syurga. Mereka ada yang dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 42: Inilah soalan yang mereka tanyakan kepada ahli neraka.

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ

Sahih International

[And asking them], “What put you into Saqar?”

 

Malay

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

Ini adalah dalil bagaimana semua akan ditanya tentang perbuatan mereka semasa di dunia. Termasuklah orang kafir sekali. Orang orang kafir pun akan ditanya tentang solat mereka, puasa mereka dan sebagainya. Jangan sangka kerana mereka itu sudah kafir, mereka tidak ditanya tentang amalan-amalan yang mereka sepatutnya lakukan.


 

Ayat 43: Inilah jawapan pertama yang diberikan.

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ

Sahih International

They will say, “We were not of those who prayed,

Malay

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

 

Yang pertama adalah tentang solat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu adalah mereka yang tidak solat. Maka solat adalah perkara yang amat penting. Inilah perkara pertama yang disebut menyebabkan masuk neraka.

Maka kita kena jaga solat kita dan kena tahu ilmu tentang solat. Jaga segala perkara yang berkaitan dengan solat. Jangan ambil mudah dengan solat. Takut cara solat kita lakukan itu tidak betul sampaikan tidak diterima dan tidak dikira melakukan solat lagi.

Ramai orang sibuk dengan hadis-hadis yang menceritakan keburukan kalau meninggalkan solat. Banyak pula hadis-hadis itu dhaif atau palsu. Apakah tidak cukup dengan amaran dari ayat ini? Ini sepatutnya sudah cukup menakutkan kita. Kalau tidak solat, boleh dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 44: Ini adalah sebab kedua kenapa mereka dimasukkan ke dalam neraka.

وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ

Sahih International

Nor did we used to feed the poor.

Malay

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

 

Mereka buat tak kisah kepada orang miskin. Mereka pandang sahaja, tanpa menolong. Mereka tidak tahu dan tidak kenal pun siapa orang miskin dalam masyarakat mereka kerana mereka tidak bercampur gaul melainkan dengan kalangan mereka yang kaya raya.

Solat adalah hubungan dengan Allah dan memberi makanan adalah hubungan dengan manusia. Kedua-duanya kena dijaga. Maka kalau ada masalah salah satu, memang akan akan masalah di akhirat kelak.


 

Ayat 45: Ini adalah sebab ketiga.

وَكُنّا نَخوضُ مَعَ الخائِضينَ

Sahih International

And we used to enter into vain discourse with those who engaged [in it],

Malay

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

 

Perkataan خوض bermaksud ‘memperdalam perbahasan’. Nampak macam perkara baik tapi ia merujuk kepada perkara yang tidak elok. Iaitu berbincang benda yang tak perlu bincang.

Contohnya bincang tentang Dzat Allah. Atau apabila dengar tentang suruhan Allah, bincangkan kebaikan atau tidak suruhan itu. Atau bincang kenapa Allah tak masukkan kita terus dalam syurga. Banyak lagi perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh mereka yang lemah akalnya. Perkara-perkara itu semua buang masa sahaja.

Masalah zaman kita sekarang, kita sekarang banyak ‘mufti’. Mufti Internet, mufti Facebook, Whatsapp dan sebagainya. Banyak yang menulis dan berbahas di media massa supaya orang puji mereka, kononnya mereka banyak ilmu. Berdakwah memang bagus, tapi masalahnya, mereka berkata-kata tanpa ilmu. Lihat A’raf 33.

وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Kalau nak bercakap tentang Islam, kenalah ada pengetahuan asas tentang agama. Kenalah pergi belajar di kuliah dan kelas agama. Janganlah baru membaca sedikit, sudah nak bahas tentang agama dan hukum. Janganlah baca ayat Al-Qur’an dan hadis sendiri-sendiri.

Kena belajar tafsir ayat-ayat Al-Qur’an itu dan syarah hadis-hadis itu. Kerana kalau baca sahaja, kita tidak faham kerana asas tidak ada. Dua perkara yang tidak boleh sembang langsung kalau tidak ada ilmu: tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an.

Orang Melayu kita memang ada baca Al-Qur’an dan hadis. Tapi bila tak biasa pergi majlis ilmu, hanya sekali sekala dengar ceramah di masjid dan surau, mereka sangat keliru tentang agama. Sebagai contoh, mereka baca Nabi pernah pacak pelepah tamar di kubur, mereka pun nak buat begitu juga. Padahal, sahabat pun tak buat begitu walaupun mereka nampak Nabi melakukannya.

Ini kerana mereka tahu itu bukanlah sunnah. Dan tidaklah Nabi buat perkara yang sama kepada kubur yang lain. Memang hadis perbuatan Nabi itu ada, tapi ini perlu dipelajari. Jangan baca hadis sahaja tanpa faham. Tidaklah semua hadis sahih itu menjadi sunnah.

Ilmu dalam mengamalkan sesuatu itu amat penting, kerana Allah telah berfirman dalam Isra’:36

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Ayat ini memberitahu kita yang kita kena ada ilmu untuk beramal. Dalam mazhab Syafie, kalau beramal tanpa ilmu, amalan itu tertolak. Dan ilmu itu bukan taklid, hanya mengikut apa kata ustaz sahaja. Oleh itu, jangan ambil jalan mudah dengan hanya mengikut sahaja. Kita kena tahu apakah dalil dari sesuatu amalan itu, bagaimana Nabi melakukannya. Jangan hanya dengar kata-kata ustaz sahaja.


 

Ayat 46: Ini adalah kesalahan keempat yang dilakukan oleh ahli neraka.

وَكُنّا نُكَذِّبُ بِيَومِ الدّينِ

Sahih International

And we used to deny the Day of Recompense

Malay

“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

 

Perkataan الدِّينِ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘agama’ tapi bermaksud ‘pembalasan’. Ada ustaz yang tak tahu bahasa Arab, mereka terjemahkan ayat ini sebagai ‘Hari Agama’.

Ahli neraka itu kata mereka masuk neraka kerana dulu semasa di dunia, mereka tidak percaya kepada hari pembalasan – Hari Kiamat. Ataupun kalau mereka percaya, mereka menjalani kehidupan mereka macam Hari Kiamat itu tidak akan datang.

Jadi ada empat perkara yang menyebabkan mereka masuk Neraka Saqar:

1. Tidak solat
2. Tidak beri makan orang miskin
3. Berbincang tentang agama, tentang perkara yang tidak perlu dibincang, tanpa ilmu.
4. Tidak percaya kepada Hari Kiamat/akhirat


 

Ayat 47:

حَتّىٰ أَتٰنَا اليَقينُ

Sahih International

Until there came to us the certainty.”

Malay

“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.

 

Perkataan الْيَقِينُ dalam ayat ini adalah ‘kematian’. Seperti yang digunakan dalam Hijr:99

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yang diyakini (kematian).

Ayat dari Surah Hijr ini banyak yang salah faham. Ada golongan yang sesat kata mereka buat ibadat kalau belum sampai tahap yakin sahaja. Apabila kononnya mereka sudah yakin dengan agama (sampai Maqam Yaqin), sudah tak perlu buat ibadat lagi. Padahal Nabi sampai mati pun masih sibuk buat ibadat.

Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an, tapi baca Al-Qur’an dan faham sendiri sahaja. Mereka hanya tahu maksud ‘yakin’ itu, satu sahaja. Mereka tak tahu bahasa Al-Qur’an. Inilah masalah kalau salah belajar.

Kenapa kematian dipanggil sebagai ‘al-yaqin’? Kerana ianya adalah sesuatu yang kita pasti, kita yakin dia akan datang. Semua benda lain kita tidak boleh pastikan, tapi kita yakin yang suatu hari nanti, kita semua akan mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Januari 2020


Rujukan:

  1. Ustaz Adli (Yayasan Ta’lim)
  2. Nouman Ali Khan (Bayyinah Institute)
  3. Hijaab Iqbal (al-Huda Foundation)

Tafsir Surah Muddaththir Ayat 19 – 31 (Mencari ‘pembenaran’)

Ayat 19:

فَقُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ

Sahih International

So may he be destroyed [for] how he deliberated.

Malay

Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?

 

Kalimah فَقُتِلَ ini adalah dalam bentuk doa (Semoga dia binasa). Ini adalah kerana begitu teruk sekali perbuatan Walid al Mughirah itu, sampaikan dia dijanjikan dengan kebinasaan.

Alangkah beraninya berani mengatakan perkara yang tidak benar tentang Al-Qur’an? Sedangkan dia sendiri sudah tahu dan percaya yang ianya bukan kata-kata dari manusia. Begitulah, apabila manusia sudah tahu kebenaran tapi masih lagi mahu menolaknya, azab yang dikenakan kepada mereka amat berat.


 

Ayat 20:

ثُمَّ قُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ

Sahih International

Then may he be destroyed [for] how he deliberated.

Malay

Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?

 

Diulang ayat yang sebelumnya sebagai penekanan kepada keburukan yang dilakukan oleh Walid al Mughirah dan orang-orang yang sebegitu. Jarang Allah mengulang ayat Al-Qur’an, maka ini menunjukkan teruk sangat apa yang dilakukan oleh Walid itu.


 

Ayat 21:

ثُمَّ نَظَرَ

Sahih International

Then he considered [again];

Malay

Kemudian dia merenung dan memikirkan

 

Walid al Mughirah telah melihat Nabi Muhammad membaca Al-Qur’an. Nampak macam dia betul-betul dengar, tapi sebenarnya dia hendak mencari silap. Kalau orang lain tanya dia nanti, bolehlah dia kata yang dia sudah dengar betul-betul ayat-ayat Al-Qur’an itu dibacakan. Jangan dikata dia kritik tanpa dengar dulu.

Ini sama dengan mereka yang datang ke kelas pengajian sunnah untuk mencari kesalahan-kesalahan dalam pengajian itu. Mereka pergi ke kelas pengajian itu supaya bolehlah mereka kata, “aku dah pergi dah kelas mereka, tapi mereka ajar bukannya betul pun…”


 

Ayat 22:

ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ

Sahih International

Then he frowned and scowled;

Malay

Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;

 

Dia melihat dengan muka yang marah. Dan kemudian dia buat muka macam tak suka dengan apa yang dia sudah dengar. Muka tak puas hati. Muka nak kata: “apa benda aku dengar ni?”.


 

Ayat 23:

ثُمَّ أَدبَرَ وَاستَكبَرَ

Sahih International

Then he turned back and was arrogant

Malay

Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,

 

Dan selepas itu dia berpaling, kononnya nak tunjuk bagaimana dia sudah cukup dengar apa yang Nabi bacakan, tapi selepas dia dengar, kononnya tidak ada apa-apa.

Dan dia dikatakan sebagai sombong kerana tidak mahu menerima kebenaran dari Al-Qur’an. Oleh kerana itu, kalau ada kalangan masyarakat kita yang tak terima Al-Qur’an, mereka pun dikira sebagai ‘sombong’.

Lihatlah bagaimana Allah sebut satu-satu apa yang Walid telah lakukan.


 

Ayat 24:

فَقالَ إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ يُؤثَرُ

Sahih International

And said, “This is not but magic imitated [from others].

Malay

Serta dia berkata: ” (Al-Qur’an) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);

 

Selepas Walid pulang dari berjumpa Nabi Muhammad, maka pemuka Quraish berbincang dengannya, apakah yang mereka nak labelkan Nabi Muhammad? Mungkin mereka boleh kata yang baginda itu penipu? Walid kata: tidak boleh, orang tak akan percaya; bagaimana kalau tuduh Muhammad itu gila? Walid kata itu pun tidak boleh, kerana orang tidak akan percaya.

Lihatlah bagaimana mereka berbincang mencari satu tuduhan yang seragam, supaya mereka tolak baginda dengan satu nada. Kalau mereka kejap kata itu dan kejap kata ini, nanti orang ramai tidak terima nanti.

Oleh itu, dia mencadangkan untuk melabelkan Al-Qur’an yang dibaca oleh Nabi Muhammad itu sebagai ‘sihir’. Dan bukan sihir biasa, tapi sihir yang hebat – يُؤْثَرُ – yang meninggalkan kesan. Kalau dengar sahaja, akan terkesan dengan apa yang dibacakan itu, macam kena pukau. Mereka pun telah lihat bagaimana para sahabat waktu itu, yang apabila telah dengar Al-Qur’an dan telah pegang kemas kepada Al-Qur’an itu.

Mereka juga nak kata yang Nabi Muhammad telah pelajari sihir itu dari orang lain.

Kenapa mereka menggunakan hujah ini? Kerana dari zaman dahulu lagi, manusia memang terpesona dengan sihir. Mereka tidak tahu nak jelaskan apakah sihir itu; manusia pun memang sudah takut dengan sihir; mereka juga takjub dengan sihir. Maka, kalau ada sesuatu perkara yang hebat dan tak dapat dijelaskan dengan akal mereka, mereka akan kata itu adalah sihir, kalau dalam bahasa sekarang, dipanggil ‘magik’.

Lihatlah bagaimana mereka telah tersilap dalam memilih hujah itu. Kerana apabila mereka kata yang ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah sihir/magik, maka mereka dalam masa yang sama menyatakan yang Al-Qur’an itu sendiri adalah sesuatu yang hebat, tidak dapat dijelaskan, bukan datang dari manusia dan datang dari kuasa luar selain manusia.


 

Ayat 25:

إِن هٰذا إِلّا قَولُ البَشَرِ

Sahih International

This is not but the word of a human being.”

Malay

“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”

 

Walaupun mereka sudah kata yang Al-Qur’an itu adalah sihir, bermaksud ianya bukan sesuatu yang biasa, tapi mereka masih tidak mengaku juga yang ianya adalah sesuatu yang hebat. Sebab itu mereka kena tambah hujah pertama mereka itu dengan menegaskan yang Al-Qur’an itu adalah hanya kata-kata manusia sahaja, tidak lebih dari itu.

Habislah kisah apakah yang telah dilakukan oleh Walid al Mughirah.

Diriwayatkan bahawa Al-Walid datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sedang membacakan Al-Qur’an, seakan-akan dia simpati terhadap baginda. Lantas berita tersebut sampai kepada Abu Jahal, lalu dia mendatanginya seraya berkata, “Wahai pamanku, sesungguhnya kaummu akan mengumpulkan harta agar diberikan kepadamu.”

Al-Walid merasa hairan dan berkata, “Untuk apa wahai anak saudaraku?!”

Abu Jahal berkata, “Untuk memberimu, kerana engkau mendatangi Muhammad untuk memaparkan apa yang diperolehnya!”

Al-Walid berkata dengan kesal lagi menyombongkan diri, “Demi Allah, kaum Quraisy mengetahui bahawa akulah orang yang paling kaya di antara mereka.”

Di sini Abu Jahal berkata, “Wahai paman, katakanlah mengenai Al-Qur’an kepada kaummu bahawa ia mungkar dan engkau membencinya.”

Al-Walid berkata, “Apa yang akan kukatakan?! Demi Allah, tidak ada di antara kalian lelaki yang lebih mengetahui dan lebih luas wawasannya tentang syair daripadaku, dan demi Allah dia tidak mirip dengan syair sama sekali.”

Demi Allah, perkataan yang diucapkannya adalah sesuatu yang manis, dia memiliki keindahan, dan ada buah di atasnya, sementara di bawahnya lebat. Sungguh, ia amat tinggi dan tiada tara, dia pun akan menghancurkan apa yang di bawahnya.

Maka Abu Jahal berkata dengan untuk membangkitkan dasar-dasar kekufuran di hati Al-Walid yang paling dalam, “Demi Allah, kaummu tidak rela terhadapmu sehingga engkau mengatakan buruk tentangnya.”

Al-Walid berkata, “Biarkan aku berfikir.” Sesudah berfikir keras, berperang melawan jiwa, berfikir dengan bantuan gerombolan setan dalam dirinya, dia berkata, “ini adalah sihir yang membekas.”

Dari riwayat ini, kita dapat tahu apakah yang sebenarnya terjadi. Walid sebenarnya sudah terkesan dengan Al-Qur’an. Dia sudah dapat rasa bahawa Al-Qur’an itu benar dan bukanlah syair. Dia pun memang pandai dan dapat bezakan yang Al-Qur’an bukanlah sesuatu yang biasa, bukan syair dan ia memang hebat.

Akan tetapi dia telah terkesan dengan kata-kata Abu Jahal, pemuka Quraish. Dia seolah-olah terpaksa mencari apakah kesalahan Al-Qur’an. Maknanya, dia sudah tutup hatinya dari kebenaran, sedangkan ia sudah mula masuk sebelum itu. Dia kemudian telah mendengar kembali Al-Qur’an untuk mencari-cari salahnya.

Maka kerana itu kalau kita sudah ada prejudis kepada kebenaran, maka kebenaran tidak akan kelihatan, sebaliknya yang nampak adalah keburukan. Kalau kita hendak mencari buruk pada sesuatu, pada seseorang, memang akan jumpa. Kerana kita sudah ada prejudis.

Maka ini bukanlah orang yang mencari ‘kebenaran’, tapi mencari ‘pembenaran’. Mereka mencari-cari apakah yang boleh dijadikan hujah untuk menguatkan kehendak mereka.

Sebagai contoh, kalau ada orang yang mencari salah pada jalan sunnah, memang mereka akan berjumpa. Kerana hati mereka telah cenderung kepada prejudis: ada yang tidak kena dengan mereka yang dikatakan ‘sunnah’ itu. Kalau beginilah sikap manusia, maka mungkin sampai bila-bila pun mereka tidak akan jumpa kebenaran.


 

Ayat 26: Ayat 26 – 29 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan akibat buruk kepada mereka yang mendustakan Al-Qur’an.

سَأُصليهِ سَقَرَ

Sahih International

I will drive him into Saqar.

Malay

(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.

 

‘Saqar’ adalah salah satu dari nama Neraka. Apabila seseorang itu demam dan berjalan pula di panas terik, kepalanya akan kepanasan – orang kata ‘berasap kepalanya’ – itulah سَقَرَ – jadi, apabila digunakan perkataan سَقَرَ, ianya memberi isyarat bahawa penghuni سَقَرَ nanti kepanasan kepala mereka (menggelegak), mereka akan duduk dalam kepanasan.


 

Ayat 27:

وَما أَدرٰكَ ما سَقَرُ

Sahih International

And what can make you know what is Saqar?

Malay

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?

 

Allah tanya: “macam mana kamu nak tahu apa itu saqar?” Apabila Allah kata begini (kalimah أَدراكَ di dalam bentuk fi’il madhi), maknanya Allah nak beritahu kita dalam ayat seterusnya. Kerana kita tidak akan dapat tahu tentang neraka, melainkan dengan maklumat dari Allah.

Ini adalah kerana neraka itu termasuk hal-hal ghaib dan tidak ada jalan lain melainkan dengan wahyu dari Allah. Kalau Allah tak beritahu, kita tidak akan tahu. Kerana perkara ghaib tidak boleh dicapai dengan aqal, melainkan dengan naqal.


 

Ayat 28:

لا تُبقي وَلا تَذَرُ

Sahih International

It lets nothing remain and leaves nothing [unburned],

Malay

Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)

 

Apabila neraka membakar manusia dan jin, ia akan membakar semua sekali tubuh manusia dan jin, tidak ada yang tinggal.


 

Ayat 29:

لَوّاحَةٌ لِّلبَشَرِ

Sahih International

Blackening the skins.

Malay

Ia terus-menerus membakar kulit manusia!

 

Kenapa sebut kulit pula sedangkan sebelum ini telah disebut semua sekali? Kerana kulitlah yang dibangga-bangga manusia. Ramai yang lihat kepada warna kulit untuk membezakan diri mereka dengan bangsa lain. Maka kulit yang mereka banggakan itu akan dibakar berkali-kali.

Dalam ayat surah yang lain, ada disebut bagaimana kulit itu akan diganti dengan kulit yang baru. Ini adalah kerana kulit itulah yang merasa sakit kerana deria sakit itu berada pada lapisan kulit. Maka untuk bagi sakit ahli neraka, kulit mereka akan dibakar.


 

Ayat 30: Ayat 30 – 31 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan tentang 19 Malaikat Penjaga Neraka.

عَلَيها تِسعَةَ عَشَرَ

Sahih International

Over it are nineteen [angels].

Malay

Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).

 

19 individu yang dimaksudkan adalah para malaikat zabaniah warden penjaga neraka. Tidak disebut dalam ayat ini, tapi disebut dalam ayat yang seterusnya. Mereka menjaga Neraka dan juga menjalankan hukuman kepada penghuni Neraka. Mereka amat cermat, kasar dan amat taat dalam menjalankan tugas mereka. Mereka hanya taat kepada Allah sahaja. Jadi, jangan harap nak dapat pujuk mereka untuk berhenti walau sesaat pun.

Oleh itu, jangan bandingkan mereka dengan manusia. Manusia terhad dari segi kekuatan dan apa yang kita boleh lakukan. Tapi Allah telah memberi kelebihan kepada para malaikat untuk menjalankan tugas mereka. Mereka tidak boleh dikalahkan.

Ada kisah menarik tentang nombor 19 ini yang akan diterangkan dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 31: Ayat ini datang kemudian. Tidaklah diturunkan terus selepas ayat 30 di atas.

وَما جَعَلنا أَصحٰبَ النّارِ إِلّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً ۙ وَما جَعَلنا عِدَّتَهُم إِلّا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا لِيَستَيقِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَيَزدادَ الَّذينَ ءآمَنوا إيمٰنًا ۙ وَلا يَرتابَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالمُؤمِنونَ ۙ وَلِيَقولَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالكٰفِرونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۚ وَما يَعلَمُ جُنودَ رَبِّكَ إِلّا هُوَ ۚ وَما هِيَ إِلّا ذِكرىٰ لِلبَشَرِ

Sahih International

And We have not made the keepers of the Fire except angels. And We have not made their number except as a trial for those who disbelieve – that those who were given the Scripture will be convinced and those who have believed will increase in faith and those who were given the Scripture and the believers will not doubt and that those in whose hearts is hypocrisy and the disbelievers will say, “What does Allah intend by this as an example?” Thus does Allah leave astray whom He wills and guides whom He wills. And none knows the soldiers of your Lord except Him. And mention of the Fire is not but a reminder to humanity.

Malay

Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Qur’an), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.

 

وَمَا جَعَلْنَا أَصْحٰبَ النَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً‌

Dan Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat,

Kenapa Allah beritahu dalam ayat ini yang 19 individu itu adalah malaikat? Kerana hendak memberitahu yang mereka itu bukannya manusia yang boleh dikalahkan.

Asbabun Nuzul ayat ini: apabila Musyrikin Mekah dapat tahu yang hanya ada 19 sahaja penjaga Neraka, mereka kata senanglah mereka nak kalahkan. Ada seorang lelaki yang gagah yang yang bernama Kaldah berkata, biar dia sahaja yang kalahkan 17 malaikat itu, dan orang lain boleh kalahkan yang lagi dua.

Oleh itu, Allah turunkan ayat ini kerana hendak menekankan yang mereka yang menjaga neraka itu bukanlah manusia biasa, tapi mereka itu adalah malaikat. Dan malaikat tidak sama dengan manusia. Jangan mereka nak main-main dengan malaikat. Jangan mereka sangka mereka boleh kalahkan para malaikat itu.

 

وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا

dan Kami tidak menjadikan bilangan itu melainkan sebagai satu ujian kepada orang-orang kafir itu,

Allah sebut nombor 19 itu sebagai ujian sahaja. Bukan ada makna spesifik yang perlu dikaji. Kita kena ingat, Allah berhak untuk memilih bilangan apa pun yang Dia hendak letak. Bukan kita perlu untuk kaji kenapa 19, kenapa 3, kenapa 21 atau apa-apa nombor pun.

Memang hal berkenaan dengan nombor ini memang banyak masalah pada sebahagian manusia. Ada orang yang percaya dengan ilmu nombor. Kalau orang kafir tu, kita fahamlah juga, sebab mereka kafir. Tapi yang mengaku Muslim pun percaya juga. Kalau orang yang tak tahu agama pun, kita faham juga, sebab mereka orang jahil. Tapi, orang-orang yang kononnya pandai pun, tertipu dengan hal nombor juga.

Sebagai contoh, ada Darul Hadis di Kedah yang mengatakan nombor 13 adalah nombor bertuah dalam Islam. Dan hujah yang diberikan adalah hujah akal, hujah kebetulan dan macam-macam lagi hujah yang mengarut. Masalahnya, yang berkata begitu adalah mudir Darul Hadis itu!

Jadi, sebab pertama nombor 19 itu adalah sebagai ujian. Dan banyak yang sudah kalah dengan ujian ini. Ada yang sangka ada kelebihan pula pada nombor ’19’ ini. Mulalah memikirkan ‘kenapa’ 19, apa yang boleh digunakan dengan nombor ini, dan macam-macam lagi fahaman karut.

 

لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ

supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin

Tujuan kedua Allah sebut nombor 19 itu adalah kerana ditujukan kepada Ahli Kitab. Supaya Ahli Kitab itu tahu yang apa yang Nabi Muhammad beritahu itu adalah kebenaran kerana mereka pun tahu dari Kitab mereka yang bilangan penjaga Neraka adalah 19 orang.

Ilmu tentang nombor 19 itu bukan dalam kitab-kitab yang boleh diketahui oleh penganut mereka yang awam, tapi pendita-pendita mereka sahaja. Kerana kita sendiri pun masih tidak mendapati bilangan penjaga Neraka ini 19 dalam kitab-kitab utama mereka. Jadi, mereka tahu yang Nabi Muhammad tidaklah mendapat maklumat ini dari cakap-cakap manusia sahaja, tapi ianya adalah wahyu.

Apabila mereka mendengar tentang nombor 19 ini, sepatutnya ia menarik perhatian mereka kerana mereka memang suka dengan nombor-nombor ini. Antaranya mereka amat prihatin tentang bilangan Pemuda Kahfi seperti yang diceritakan dalam tafsir Surah Kahf.

 

وَيَزْدَادَ الَّذِينَ ءآمَنُوا إِيمٰنًا

dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya;

Sebab ketiga adalah untuk menambah iman orang Muslim yang memang sudah ada iman dalam diri mereka. Yang sudah ada iman, Allah tambah lagi iman mereka. Ini adalah kerana apabila mereka melihat Ahli Kitab pun percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad, itu tentunya menambahkan lagi keimanan mereka.

 

وَلَا يَرْتَابَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ وَالْمُؤْمِنُونَ

dan juga supaya tidak ragu-ragu orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu

Kalau mereka tetap di atas pendirian iman mereka, Ahli Kitab dan orang-orang yang beriman itu akan mendapat lebih iman lagi.

 

وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْكٰفِرُونَ

dan supaya orang-orang yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata:

Orang yang ada penyakit dalam hati mereka merujuk kepada orang-orang Munafik. Tetapi bagaimana pula ada orang munafik di Mekah? Kerana pendapat umum mengatakan yang orang munafik hanya ada di Madinah sahaja. Kerana tidak perlu orang muslim hendak bermuka-muka mengaku beriman di Mekah kerana lebih bahaya kalau mengaku Muslim daripada mengaku kafir. Hanya apabila di Madinah, apabila Islam sudah naik, ada orang yang tidak beriman tapi mengaku Islam.

Dari itu, ada yang mengatakan yang golongan Munafik, bukan sahaja ada di Madinah, tapi di Mekah pun sudah ada.

Ataupun, penyakit hati itu adalah berbentuk umum. Iaitu mereka yang belum cukup iman mereka. Yang baru berjinak-jinak dengan Islam, baru belajar, baru hendak meninggalkan fahaman lama yang karut.

 

مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا

“Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?”

Orang kafir, orang munafik dan orang yang lemah iman akan menggunakan hujah bilangan 19 malaikat ini sebagai ejekan sahaja. Mereka kata ini tentunya satu perkara yang mengarut yang tidak masuk akal.

Dan akan ada yang tertanya-tanya pula, apakah maksud 19 itu? Mereka cuba memikirkan benda yang tidak perlu difikirkan. Biarkan mereka tertanya-tanya apakah maksud nombor 19 itu dan jangan kita campur dengan kekeliruan mereka. Ini memang telah terjadi. Pernahkan anda dengar tentang ‘Kod 19‘?

Ini adalah satu teori yang dibawa oleh seorang lelaki Mesir yang bernama Rashad Khalifa. Dia telah memasukkan ayat-ayat Al-Qur’an ke dalam komputer dan konon hasilnya, terdapat satu kod dalam Al-Qur’an iaitu nombor 19. Jadi, dia mengatakan bahawa bilangan ayat, bilangan huruf, bilangan sebutan Allah dalam Al-Qur’an itu, semuanya ada kena mengena dengan nombor 19.

Nampak macam menarik dan seperti ianya adalah dalil kepada keajaiban matematik Al-Qur’an. Tapi hasil dari perkara ini, Rashad Khalifa telah mengaku sebagai rasul selepas Nabi Muhammad. Dia kata mukjizat Nabi Muhammad adalah Al-Qur’an dan mukjizat dia adalah kod 19 itu. Dengan kod 19 itu juga, dia telah menolak dua ayat Al-Qur’an kerana dua ayat itu tidak kena dengan bilangan 19.

Sekarang kita selalu mendengar golongan anti-hadis, bukan? Tahukah anda yang permulaan mereka itu dari teori Kod 19 ini? Pengikut fahaman Rashad Khalifa ini sekarang ini menggelar diri mereka The Submitter. Sampaikan Syeikh Ahmed Deedat sendiri tertipu dengan apa yang dikatakan oleh Rashad Khalifa ini (tapi selepas itu beliau tahu penipuan di dalamnya dan meninggalkan fahaman itu).

Kita tidaklah mahu memanjangkan perbincangan tentang perkara ini. Tapi perlu juga diketahui serba sedikit supaya kalau kita bertemu dengan hujah golongan ini, atau terbaca artikel tentangnya, tidaklah terpesong nanti. Anda boleh baca tulisan Syeikh Bilal Phillips di sini atau boleh dengar video pendek berkenaannya di sini:

 

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ

Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya

Allah menyesatkan sesiapa yang ada keinginan untuk sesat di dalam hatinya. Ayat ini tidaklah bermakna yang ada orang yang Allah hendak dia jadi sesat pula. Bukanlah Allah hendak menyesatkan sesiapa. Tapi mereka yang tidak condong kepada kebenaran, akan senang tertipu dengan hujah-hujah yang pelik dan nampak lain dari yang lain.

Mereka yang kafir, selalu mencari-cari kesalahan di dalam Islam dan Al-Qur’an, akan menggunakan ayat-ayat sebegini untuk menolak Islam.

 

وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ

dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Mereka yang ada keinginan kepada kebenaran akan menjumpai kebenaran. Allah akan membawa orang itu kepada kebenaran dan hidayah. Ini kerana mereka telah condong kepada kebenaran (dinamakan sifat inabah) dan kerana itu mereka ditarik oleh Allah ke arah kebenaran.

 

وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ

dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja.

Ada banyak lagi bilangan penjara neraka itu. Kerana para Malaikat Zabaniah itu ketua sahaja dan mereka ada malaikat lain bawahan mereka. Macam Malaikat Maut ada satu sahaja, tapi dia ada malaikat bawahannya yang menjalankan kerja mencabut nyawa makhluk (bukanlah dia seorang cabut semua nyawa).

Hanya Allah sahaja yang tahu bilangan malaikat yang amat banyak itu. Dalam hadis ada disebut bagaimana Nabi Muhammad telah melihat banyaknya malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur. Maka akan ada yang ditugaskan juga untuk menjaga neraka dan menjadi algojo menyeksa manusia di dalam neraka.

 

وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

Dan ianya tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.

Yang dimaksudkan ‘ianya’ adalah Neraka. Jadi ayat-ayat di atas adalah sebagai peringatan. Kita kena ambil pengajaran dari ayat-ayat yang telah disampaikan. Jangan pula pakai untuk halau hantu, ayat Pengasih dan sebagainya. Masalah dengan orang kita, kalau ada pelik sikit, mula mereka gunakan ayat-ayat itu sebagai ‘azimat’. Tambah pula kalau ada nombor-nombor seperti ayat ini.

Mereka tak faham pun makna ayat-ayat yang mereka bacakan. Kalau mereka tahu, mereka akan sedar bahawa ayat-ayat itu tidak ada kena mengena dengan niat mereka membaca ayat-ayat itu. Sebagai contoh, ada yang menggunakan ayat لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ (Tawbah:128) sebagai Ayat Pengasih, padahal ianya menceritakan tentang datangnya Nabi Muhammad dan menceritakan sifat-sifat baginda.

Perbuatan masyarakat kita yang menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat ini amat menyedihkan. Sedih kita lihat kejahilan masyarakat kita dalam hal agama ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Januari 2020


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Nouman Ali Khan

Hijaab Iqbal Al-Huda International

Tafsir Surah Muddaththir Ayat 8 – 18 (Tidak mensyukuri nikmat)

Ayat 8: Sekarang Allah memberitahu tentang Hari Akhirat pula. 8 – 10 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu bahawa Tiupan Sangkakala adalah tanda bermulanya Kiamat.

فَإِذا نُقِرَ فِي النّاقورِ

Sahih International

And when the trumpet is blown,

Malay

Apabila ditiup ke dalam sangkakala,

 

Kalimah نُقِرَ bermaksud meniup sesuatu dengan ada bunyi. Ia dari katadasar ن ق ر yang bermaksud memukul, bermain trumpet, bunyi, meniup. Ia merujuk kepada tiupan pada الناقور (Sangkala) pada Hari Kiamat nanti. Maknanya, bukan sahaja Sangkakala itu apabila ditiup mengeluarkan bunyi, tapi malaikat yang meniupnya juga, meniup dengan bunyi sekali. Kalau perkataan نفخ digunakan, ia bermaksud tiupan tanpa bunyi (iaitu yang meniup itu tidak berbunyi, tapi alat itu sahaja yang berbunyi).

Sangkakala itu dikatakan berupa tanduk. Ianya akan ditiup pada Hari Kiamat nanti untuk menandakan Hari Kiamat telah bermula. Nabi pernah bersabda tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا سُوَيْدٌ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ، أَخْبَرَنَا خَالِدٌ أَبُو الْعَلاَءِ، عَنْ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ ‏”‏ ‏.‏ فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ لَهُمْ ‏”‏ قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ ‏.‏ وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم نَحْوَهُ ‏.‏

Abu Sa’eed meriwayatkan:
“Rasul Allah (saw) bersabda: ‘Bagaimana aku boleh merasa nikmat sedangkan penjaga tanduk itu meletakkannya pada bibirnya, telinganya mendengar bilakah dia akan diperintahkan untuk meniup, supaya dia boleh meniup. Dia seolah-olah sangat keras kepada para sahabat Nabi (saw), maka dia berkata kepada mereka: ‘Katakanlah: “Allah adalah cukup bagi kami dan apa yang baik pelindung Dia, dan kepada Allah kita bergantung”

Dalam hadis ini, Nabi suruh kita serah diri bulat-bulat kepada Allah. Sama ada amal kita cukup atau tidak. Redha kita itu akan menyelamatkan kita. Apa-apa yang terjadi, kita terima sahaja. Kita usaha sebaik mungkin dan kemudian serahkan kepada Allah.


 

Ayat 9: Allah menceritakan tentang bagaimana keadaan dan sifat Hari Kiamat itu.

فَذٰلِكَ يَومَئِذٍ يَومٌ عَسيرٌ

Sahih International

That Day will be a difficult day

Malay

Maka hari itu yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –

 

Hari Kiamat nanti adalah hari yang amat-amat sukar. Hari Kiamat itu sendiri amat dahsyat. Ada banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang memberikan gambaran Hari Kiamat itu. Itu pun kita hanya dapat bayangkan sahaja. Itu pun sudah dahsyat, apatah lagi kalau kita terpaksa mengalaminya. Semoga kita sudah mati pada waktu itu.

Kemudian selepas itu kita semua akan dibangkitkan dan kena melalui penantian di Mahsyar. In pula entah berapa lama (ada pendapat mengatakan 50 ribu tahun). Ianya adalah sesuatu yang amat menakutkan kerana kita tidak tahu nasib kita macam mana. Adakah kita akan selamat atau tidak? Oleh kerana keadaan yang payah dan lama sangat, maka pada waktu itu suasana amat gelisah dan kecoh.


 

Ayat 10:

عَلَى الكٰفِرينَ غَيرُ يَسيرٍ

Sahih International

For the disbelievers – not easy.

Malay

Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah

 

Kepada orang-orang kafir, penantian itu sudah termasuk dalam penyeksaan kerana mereka akan sedar kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Segala apa yang diberitahu kepada mereka tapi mereka tolak, sedang berlaku di hadapan mata mereka. Mereka sudah dapat agak ke mana mereka akan pergi iaitu ke neraka.

Ayat ini amat menakutkan, sampai pernah seorang qadi dari Basrah yang bernama Zurarah bin Awfa yang dalam solatnya membaca surah ini dan apabila dia sampai kepada ayat ini, dia menarik nafasnya lalu jatuh mati kerana takutnya dia.

Apabila dikatakan yang Hari itu susah kepada orang kafir, ianya memberi isyarat bahawa ianya adalah hari yang mudah untuk orang-orang beriman. Semoga kita mendapat lindungan di Mahsyar kelak. Walaupun ia memang penantian yang lama, ramai orang bersesak-sesak, tapi ada yang akan mendapat lindungan.

Bagaimana pula boleh jadi begitu? Kalau kita bayangkan keadaan sekarang di stadium bola, ada orang yang duduk dalam bilik berhawa dingin. Walaupun semuanya di stadium menyaksikan perlawanan bolasepak, tapi ada yang duduk di kerusi beramai-ramai dan ada yang duduk dalam bilik berhawa dingin, bukan?


 

Ayat 11: Ayat 11 – 25 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi teguran keras kepada mereka yang engkar dan tidak bersyukur.

ذَرني وَمَن خَلَقتُ وَحيدًا

Sahih International

Leave Me with the one I created alone

Malay

Biarkanlah Aku sahaja membalas orang yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri

 

Biarkan Allah yang akan hadapi mereka yang degil untuk menerima kebenaran itu. Allah akan hadapi mereka sendiri. Allah pujuk Nabi dengan berfirman kepada Nabi, baginda tidak usah risau tentang mereka, serahkan sahaja kepada Allah untuk menangani orang yang sebegitu.

Dalam ayat ini, Allah menempelak mereka dan mengingatkan mereka tentang asal mereka. Mereka itu, seperti semua orang, lahir seorang diri. Tiada harta dan tiada anak. Mereka tidak miliki apa-apa, nak makan sendiri pun tidak boleh. Siapakah yang telah memberi kepada mereka? Tentu Allahlah yang beri segalanya.

Maksud kedua dari ayat ini adalah: Allahlah sahaja yang menjadikan mereka tanpa bantuan sesiapa. Allah menjadikan mereka dalam keadaan bersendirian, tanpa bantuan sesiapa pun. Yang mereka sembah dan puja selain Allah itu, tidak terlibat sedikit pun dalam penciptaan mereka.


 

Ayat 12:

وَجَعَلتُ لَهُ مالًا مَّمدودًا

Sahih International

And to whom I granted extensive wealth

Malay

Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang panjang,

 

Allah telah memberi kepada mereka harta yang melimpah ruah. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang seorang musyrik yang bernama Walid bin Mughirah. Allah telah memberikan kesenangan hidup kepadanya. Dikatakan bahawa pendapatannya setahun adalah sepuluh juta dinar. Dia amat kaya dan terkenal sekali di Tanah Arab.

Dia amat sombong dengan kelebihan yang ada padanya. Dia juga seorang penyair yang pandai. Dia telah mendengar sendiri Al-Qur’an dan kerana kepandaiannya, dia sendiri tahu yang Al-Qur’an itu adalah benar dan tidak mungkin hasil dari manusia. Tapi dia tolak juga Al-Qur’an akhirnya. Kerana dia tak mahu hilang kedudukan dan kekayaan.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Walid al Mughirah, tapi dia mewakili orang-orang yang sebegini. Mereka itu tidak sedar asal kejadian mereka, mereka lupa dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka. Walaupun Allah telah berikan macam-macam, mereka masih menolak dan menentang kebenaran. Ini kerana mereka sombong dengan kekayaan dan kesenangan hidup yang telah diberikan kepada mereka.


 

Ayat 13:

وَبَنينَ شُهودًا

Sahih International

And children present [with him]

Malay

Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.

 

Walid bin Mughirah ada sepuluh atau dua belas anak-anak lelaki yang terkenal. Mereka membantu ayah mereka dalam kehidupannya. Salah seorang yang kita amat kenal adalah sahabat yang terkenal – Khalid al Walid.

Allah menyambung menceritakan kenikmatan yang telah diberikan kepadanya. Setelah diberikan dengan harta yang banyak, dia juga telah diberikan dengan anak-anak. Anak-anaknya sentiasa ada dengan dia. Itulah maksud ‘hadir’. Maknanya, anak itu ada di depan matanya. Sukalah mak ayah kalau macam tu. Iaitu kalau anak tak pergi ke mana.

Memang nikmat besar kalau anak ada sahaja di depan mata. Manusia memang nak berteman. Lebih-lebih lagi anak kerana anak adalah penyejuk mata ibubapa. Memang mereka nak anak mereka duduk depan mata mereka. Tanyalah kepada mana-mana ibubapa yang normal pun. Mereka sanggup bayar anak untuk anak balik kampung. Kalau raya tak balik kampung, bukankah mak ayah kita sudah sedih?

Orang Melayu begitu, begitulah juga bangsa Arab. Orang Arab bina rumah tanpa atap macam kita. Sebab senang nak tambah tingkat atas untuk anak mereka tinggal sekali. Bila begitu, senang anak nak jaga dia bila dia sudah tua nanti. Itulah maksud anak yang hadir sentiasa.

Masalahnya, anak-anak kita ramai yang merantau mencari kerja. Tapi dalam hal Walid al Mughirah, tidak perlu anaknya pergi ke mana-mana mencari rezeki. Hartanya banyak seperti disebutkan dalam ayat sebelum ini, sampai tak perlu anak nak merantau cari harta di tempat lain. Cuma jaga harta ayahnya sahaja.

Dalam ayat ini disebut بَنِينَ (anak lelaki). Ini kerana, orang Arab suka kalau anak lelaki yang banyak. Mereka akan rasa kuat. Ia tidak sama dengan anak perempuan. Secara umumnya, orang Arab waktu itu memang tidak suka anak perempuan kerana ia tidak membantu mereka sangat. Ini telah banyak disentuh dalam ayat-ayat yang lain yang amat banyak.

Maksud perkataan lain untuk syuhuuda dalam ayat ini adalah: anak-anaknya itu tinggi dalam masyarakat sampaikan mereka dipegang sebagai saksi dalam banyak perkara.

Allah ungkit apa yang Dia telah berikan kepada mereka yang menentang agama.


 

Ayat 14:

وَمَهَّدتُ لَهُ تَمهيدًا

Sahih International

And spread [everything] before him, easing [his life].

Malay

Dan Aku siapkan dia dengan segala persiapan.

 

Kalimah وَمَهَّدتُ dan تَمهيدًا itu adalah dari katadasar م ه د yang bermaksud menjadikan sesuatu tempat itu sebagai datar dan mudah, membentangkan (macam bentangkan cadar di katil). Ia memberi isyarat yang Allah upayakan dia dengan berjenis-jenis harta dan perkakas dan barang-barang lain lagi.

Macam-macam dia ada untuk memudahkan hidupnya. Hidupnya senang dan amat-amat selesa. Apa sahaja yang dia hendak, dia boleh dapat.


 

Ayat 15:

ثُمَّ يَطمَعُ أَن أَزيدَ

Sahih International

Then he desires that I should add more.

Malay

Kemudian dia tamak, supaya Aku tambahi lagi;

 

Dia nak macam-macam lagi. Kalimah يَطمَعُ lebih kurang sama dengan bahasa kita ‘tamak’. Dia rasa tak cukup dan tidak bersyukur dengan apa yang ada. Kebanyakan manusia pun macam itulah juga. Sudah ada sejuta, nak 2.6 billion pula. Memang tidak pernah rasa cukup.

Dia bukan sahaja tamak dengan kelebihan dunia, tapi dia juga rasa kalau akhirat itu betul ada, dia nak dapat kelebihan di akhirat juga. Ini memang masalah orang yang hidup senang dalam dunia. Mereka sangka mereka insan istimewa. Oleh kerana itu, mereka rasa kalau Allah beri kesenangan kepada mereka semasa di dunia, maka Allah akan beri kesenangan juga kepada mereka di akhirat.


 

Ayat 16:

كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا

Sahih International

No! Indeed, he has been toward Our verses obstinate.

Malay

Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami

 

Kalimah كَلَّا di dalam ayat ini memberi isyarat yang Allah menidakkan kehendaknya yang mahukan kelebihan lagi. Dia tidak akan diberi dengan kelebihan lagi. Terutama kelebihan selepas kematian nanti.

Ini adalah kerana dia berdegil dengan ayat-ayat Allah. Kedegilan itu dikira sebagai kufur kepada nikmat yang Allah telah berikan. Dia juga kufur dengan kebenaran yang ada dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Padahal dia tahu yang Al-Qur’an itu bukanlah dari kata-kata manusia. Dia seorang yang pandai dan sudah tahu yang Al-Qur’an itu benar. Tapi dia nak tolak juga.

Maka begitu jugalah yang terjadi pada ramai dari kalangan orang kita. Mereka sudah tahu yang Al-Qur’an itu benar dari Allah, tapi mereka buat tidak endah sahaja. Dan kalau kita ingatkan mereka dengan peringatan dari Al-Qur’an, mereka menolak atau buat tidak dengar sahaja.


 

Ayat 17:

سَأُرهِقُهُ صَعودًا

Sahih International

I will cover him with arduous torment.

Malay

Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.

 

Perkataan صَعُودًا ada disebut juga dalam Jin:17. Orang yang menentang ajaran Al-Qur’an akan merasai kepayahan azab yang akan naik dan menaik. Azab yang dikenakan kepadanya itu tidak akan berkurang, malah ia akan bertambah. Dia tidak akan dapat rasa lali dengan azab itu.

Kalau azab di dunia, kadang-kadang kita boleh rasa lali dengan kesusahan itu. Kerana kalau sudah lama kena yang sama, lama kelamaan sudah rasa macam biasa sahaja. Tapi azab hari akhirat itu lebih teruk dari azab yang dikenakan pada hari ini. Azab itu pula tidak ada rehat. Ianya akan lebih sakit dan seksa dari yang sebelumnya. Ma sha Allah!

Ada juga yang mengatakan صَعُودًا bermaksud satu batu dalam neraka jahanam yang besar dan dia akan diheret atas batu itu dengan mukanya. Batu itu pula tinggi dan payah untuk dinaiki.


 

Ayat 18:

إِنَّهُ فَكَّرَ وَقَدَّرَ

Sahih International

Indeed, he thought and deliberated.

Malay

Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Qur’an) –

 

Seperti yang telah disebut dalam awal tafsir surah ini, lelaki yang dimaksudkan dalam surah ini adalah Walid al Mughirah. Dia adalah salah seorang pemuka Musyrikin Mekah dan dia adalah orang yang telah dilantik oleh pemuka-pemuka Musyrikin Mekah yang lain untuk berbincang dengan Nabi Muhammad kerana beliau seorang yang pandai dan dihormati. Mereka suruh dia pergi supaya mungkin dia yang boleh menasihati Nabi Muhammad untuk memberhentikan dakwah baginda.

Beliaulah salah seorang dari dua lelaki yang dimaksudkan oleh Musyrikin Mekah dalam Zukhruf:31. Musyrikin Mekah kata, kenapalah wahyu itu tidak diturunkan kepada Walid al Mughirah, kerana kalau dia yang jadi Nabi, tentulah mereka akan ikut. Tapi bila diturunkan kepada Muhammad yang tidak ada apa, itulah yang mereka susah untuk beriman – itu adalah salah satu dari alasan mereka sebenarnya.

Di bidang hukum pula, al-Walid merupakan salah seorang hakim Arab di masa Jahiliyah dan salah seorang pemimpin Quraisy di Dar an-Nadwah (tempat perkumpulan ketua-ketua bangsa Arab). Semasa mereka memperbaiki Kaabah selepas ianya rosak, Al-Walid berkata pada mereka, “Janganlah kalian memasukkan ke dalam rumah Rabb kalian melainkan harta terbaik kalian. Janganlah kalian memasukkan ke dalam pembangunannya harta dari hasil riba, judi, upah lacur, dan hindarkanlah harta jelek kalian, sesungguhnya Allah tidak menerima kecuali yang baik.”

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata, “Allah Ta’ala menurunkan sebanyak 104 ayat berkenaan Al-Walid bin al-Mughirah.”

Ayat ini memberitahu kita bahawa dia pun berfikir-fikir, apakah yang dia hendak cakap dan berhujah dengan baginda; apakah yang dia boleh tawarkan kepada Nabi supaya baginda meninggalkan dakwah baginda dan sebagainya.

Dia juga berfikir dan merancang apakah dia akan kata tentang Al-Qur’an kalau ada orang tanya kepadanya. Oleh kerana dia seorang penyair, maka mereka mahu Walid dengar Al-Qur’an dan komen pasal Al-Qur’an itu. Mereka hendak beliau kata yang Al-Qur’an itu tidaklah ada apa-apa kelebihan.

Walid memang seorang yang dipandang pandai dan dihormati dalam masyarakatnya. Nanti kita akan lihat dialog beliau bersama dengan Abu Jahal tentang perkara ini. Kita akan lihat dalam dialog itu kenapa dia sanggup tinggalkan Al-Qur’an walaupun dia sudah mulai percaya kepada keindahan dan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an. Dia berpaling dari beriman kerana dia malu dengan pandangan orang-orang Musyrikin Mekah kalau dia beriman.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Walid al Mughirah, tapi tidaklah ianya hanya memperkatakan tentang dia sahaja. Seperti juga asbabun nuzul ayat-ayat yang lain, ianya sebagai contoh. Kalau kita pun bersifat begitu juga, kita pun termasuk dalam orang yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Sebagai contoh, pernah sekali diadakan perjumpaan saintis dunia. Mereka ditanya tentang ketepatan ilmu sains dalam Al-Qur’an. Hampir kesemua mereka bersetuju dengan fakta yang mengatakan yang Al-Qur’an itu bukan tulisan Nabi Muhammad dan ianya dari Tuhan. Tapi ada seorang saintis yang tidak mahu mengaku begitu. Dia masih hendak mencari-cari alasan dari manakah Nabi Muhammad mendapat maklumat baginda.

Ini adalah contoh bagaimana seorang yang sepatutnya tahu kebenaran, tapi masih lagi menolaknya, dan masih mencari jalan untuk menjelaskan perkara itu dengan cara yang tidak sepatutnya.

Lalu bagaimana dengan masyarakat kita yang masih lagi menolak Jalan Sunnah? Setelah diberikan dengan dalil-dalil dari ayat Al-Qur’an dan Sunnah Nabi, mereka masih lagi mencari jalan untuk menolak hujah-hujah itu. Mereka masih lagi beri interpretasi kepada dalil-dalil naqli mengikut hawa nafsu mereka. Mereka masih lagi hendak berhujah yang hadis-hadis Nabi itu tidak menolak amalan-amalan bidaah mereka.

Banyak sekali yang terjadi perkara sebegini sekarang. Apabila kita beri hujah kepada mereka, mereka akan menggunakan akal fikiran mereka untuk membaca nas-nas itu ikut interpretasi mereka sendiri.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 September 2019


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Nouman Ali Khan

Hijaab Iqbal