Tafsir Surah Balad Ayat 1 – 4 (Manusia memang hidup susah dalam ujian)

Pengenalan:

Surah ini diturunkan di Mekah. Ia diturunkan pada Peringkat Ke-3 Kenabian. Sekitar Tahun 6 – 10 Kenabian.

Bahaya cinta dunia (hubbud dunya) telah disebut dalam Surah al-Fajr. Musyrikin Mekah itu terhalang dari menerima ajakan tauhid Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka terhijab dari kebenaran dek kerana mereka lihat Nabi Muhammad ﷺ itu miskin, maka mereka tidak rela nak turun darjat kerana hendak jaga kedudukan mereka.

Mereka rasa kalau mereka ikut Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan jadi hina, jadi miskin dan mereka tidak sanggup. Maka mereka mati kufur seperti juga Abu Talib yang sedar kebenaran Islam, tetapi tidak sanggup nak masuk Islam kerana segan dengan masyarakat Quraisy waktu itu. Dia malu kalau orang kata dia tukar agama nenek moyang.

Sebegitu juga Raja Rom waktu itu yang tahu Islam itu benar, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasulullah, tetapi dia tidak sanggup nak jatuh pangkat dari jadi Raja Rom dan masuk Islam. Dia juga mati kufur dan kisah beliau ada disebut dalam Sahih Bukhari.

Begitulah kalau tidak ada sifat sanggup berkorban, tidak akan masuk syurga. Syurga itu mahal dan memerlukan pengorbanan. Ramai yang tidak sanggup berkorban jadi ada yang degil untuk terima kebenaran Islam kerana hendak jaga kedudukan mereka dalam dunia. Seolah-olah nilai tauhid itu lebih rendah dari kedudukan mereka. Mereka lebihkan dunia lagi dari mendapat tauhid.

Antara sifat cinta dunia adalah tidak infak kepada agama. Dalam surah ini pula, Allah ﷻ sebut walaupun manusia tidak infak untuk agama, mereka tetap akan infak untuk perkara yang sia-sia juga. Bukan sahaja infak ke tempat yang salah tidak mendapat pahala, malah ia boleh dapat dosa pula.

Allah ﷻ tegur mereka kerana  mereka kedekut untuk infak pada agama, tetapi dapat beri pula untuk benda yang lain. Mereka akan mendapat kerugian dan dosa sahaja kerana infak itu sepatutnya kena pada tempat yang betul, dan kena ikhlas untuk Allah ﷻ, barulah boleh dapat pahala.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang dunia ini adalah tempat ujian. Dalam kehidupan memang ada kepayahan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).

Ayat 1 ini adalah sumpah Allah ﷻ yang pertama.

لا أُقسِمُ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

I swear by this city, Makkah –

Malay

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

 

Dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan negeri Mekah. Perkataan لا selalunya bermaksud ‘tidak’. Tetapi apabila diletakkan sebelum satu sumpah seperti dalam ayat ini, ianya hendak menekankan (tahkik) sumpah itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan لا itu adalah untuk menidakkan fahaman salah Musyrikin Mekah dalam beragama. Ada ketikanya, bila Allah ﷻ bersumpah, Dia tidak terus guna perkataan ‘uqsimu’, tetapi Dia akan mulakan dengan perkataan ‘la’ seperti dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain. Penggunaan ‘la’ ini tidaklah sama dengan penggunaan biasa. Ianya kerana Allah ﷻ hendak menidakkan pemahaman orang kafir. Allah ﷻ hendak beritahu yang benar dan menolak fahaman salah mereka. Dengan menggunakan perkataan ‘la’, Allah ﷻ hendak menarik perhatian pembaca kepada ayat Al-Qur’an ini.

Perkataan البَلَدِ (negeri) dalam ayat ini bermaksud Negeri Mekah. Al-Qur’an tidak sebut ‘Mekah’ dalam ayat ini. Tetapi apabila ada alif lam sebelum perkataan ‘balad’ itu, ia bermaksud negeri yang sudah dikenali, dan dalam konteks ini, ulama’ tafsir sepakat bahawa negeri yang dimaksudkan adalah Mekah.

Allah ﷻ cintakan Mekah dan kerana itulah Allah ﷻ bersumpah dengan Negeri Mekah. Baitillah (Rumah Allah ﷻ) berada di Mekah iaitu Ka’bah. Ianya adalah tempat yang amat istimewa. Ianya adalah tempat dibangkitkan Rasul dan Nabi yang terakhir dan di situlah juga diturunkan Al-Qur’an yang Agung.

Mekah adalah satu negeri yang orang yang duduk di dalamnya susah kerana hendak mempertahankan agamanya. Ini adalah sebagai ujian dari Allah ﷻ. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail عليهما السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Ini hendak mengajar kita, bukan mudah untuk menegakkan dan mengamalkan agama.

Maka, agama itu kena ada usaha, bukan goyang kaki untuk mengamalkan agama. Bila pergi ke Mekah, kita akan ingat tentang kesusahan yang dialami oleh para Nabi عليهم السلام dan sahabat kita. Bayangkan 13 tahun Nabi ﷺ jaja kalimah tauhid kepada kaumnya dan baginda ditolak dengan teruk sekali sampaikan baginda terpaksa meninggalkan negeri Mekah yang baginda amat cintai.

Dalam surah sebelum ini, Allah ﷻ berkata tentang nafsu yang tenang. Dan bukankah apabila kita berada di Mekah, jiwa kita akan tenang? Ini adalah kerana Mekah adalah tempat yang paling tenang dalam dunia. Apabila kita pergi ke Mekah, seperti kita pulang ke tempat asal kita. Tanyalah kepada mereka yang telah pergi ke sana. Mereka yang telah pergi, akan teringin lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Mereka sentiasa rindu kepada Mekah.

Begitu juga, panggilan ‘jiwa yang tenang’ itu adalah ucapan kepada orang mukmin semasa mereka memakai pakaian ihram apabila menjalankan Umrah atau Haji. Ianya juga adalah pakaian yang sama kita pakai apabila kita mati nanti (kafan). Ini semua mengingatkan kita kepada mati dan kita amat berharap semoga kita mendapat ucapan yang baik dari malaikat semasa nyawa kita dicabut. Semoga kita dimatikan dalam keadaan tenang. Aameen.

Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan sesuatu, Allah ﷻ menaikkan martabat sesuatu yang digunakan sebagai sumpah itu. Dan memang Mekah adalah tempat yang penuh berkah. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberkati negeri Mekah itu. Allah ﷻ telah makbulkan doa baginda.

Dan kerana itu sampai sekarang, Mekah adalah tempat yang aman dan tidak ada orang yang kebuluran di Mekah. Makanan akan sentiasa sahaja ada di Mekah, dan semua orang boleh dapat makanan walaupun mereka tidak ada wang kerana akan ada sahaja orang yang memberi makan kepada orang lain.

Allah ﷻ boleh bersumpah dengan apa sahaja kerana semua yang ada adalah makhlukNya. Tetapi manusia tidak boleh bersumpah dengan selain Allah ﷻ. Tidak boleh kalau kita pula nak bersumpah dengan negeri Mekah walaupun ada dalam ayat ini. Hanya Allah ﷻ sahaja boleh buat, tetapi kita tak boleh buat.


 

Ayat 2: Ayat ini adalah penerangan kepada sumpah yang pertama.

وَأَنتَ حِلٌّ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

And you, [O Muhammad], are free of restriction in this city –

Malay

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini,

 

Ayat ini menekankan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tinggal di negeri Mekah ini. Baginda bermukim di sana. Ayat pertama Allah ﷻ bersumpah dengan ‘ketua segala negeri’ (Mekah) dan ayat kedua ini, Allah ﷻ bersumpah dengan ‘penghulu segala Nabi’ (Nabi Muhammad ﷺ).

Ada beberapa tafsir tentang apakah yang hendak ditekankan oleh Allah ﷻ dalam ayat ke-2 ini. Perbezaan pendapat ini adalah kerana perbezaan pentafsiran kalimah حِلٌّ dalam ayat ini.

Pendapat 1: Jika kita mengambil maksud perkataan حِلٌّ  sebagai ‘halal’, ia bermaksud: Engkau wahai Muhammad akan menjadi ‘halal’ di negeri ini. Maknanya Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa ada perancangan untuk membunuh baginda (menghalalkan darah baginda).

Walaupun orang Arab memandang haram untuk membunuh kehidupan di Tanah Mekah, sampai binatang pun mereka tak buru di situ, tetapi mereka akan melupakan pegangan mereka nanti untuk membunuh baginda – mereka meng’halal’kan darah Rasulullah ﷺ.

Begitulah betapa mereka tidak sukakan Nabi ﷺ. Padahal dulunya mereka sayang dan sangat percaya kepada Nabi ﷺ. Tetapi apabila Nabi ﷺ membawa akidah tauhid yang berlawanan dengan pemahaman mereka, mereka sanggup nak buruk baginda.

 

Pendapat 2: Allah ﷻ menghalalkan kepada Nabi ﷺ untuk menghukum orang kafir pada satu waktu di Mekah. Walaupun tempat itu adalah suci, tidak boleh menumpahkan darah, tetapi akan dibenarkan kepada Nabi Muhammad ﷺ – tetapi hanya pada satu waktu – iaitu semasa Pembukaan Mekah.

Ayat ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ pasti akan dapat masuk ke dalam Mekah dengan cara aman. Memang baginda akan dihalau dari negeri Mekah ini, namun akhirnya baginda akan masuk dengan cara aman akhirnya. Iaitu semasa Nabi ﷺ menakluk Mekah dan mengambil alih Ka’bah dari Musyrikin Mekah.

Surah ini adalah Surah Makkiyah, diturunkan di waktu umat Islam sedang lemah. Jadi ini bermakna, Allah ﷻ menceritakan satu kejadian di masa depan, iaitu akan sampai satu masa nanti apabila Islam akan dapat berkuasa di Mekah. Memang ada hadis yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ hanya dibenarkan buat perkara itu satu waktu sahaja. Dan selepas itu tidak boleh lagi.

٣٩٥٧ – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ شُرَحْبِيلَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ الْعَدَوِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِعَمْرِو بْنِ سَعِيدٍ وَهُوَ يَبْعَثُ الْبُعُوثَ إِلَى مَكَّةَ ائْذَنْ لِي أَيُّهَا الْأَمِيرُ أُحَدِّثْكَ قَوْلًا قَامَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَدَ يَوْمَ الْفَتْحِ سَمِعَتْهُ أُذُنَايَ وَوَعَاهُ قَلْبِي وَأَبْصَرَتْهُ عَيْنَايَ حِينَ تَكَلَّمَ بِهِ إِنَّهُ حَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنْ مَكَّةَ حَرَّمَهَا اللَّهُ وَلَمْ يُحَرِّمْهَا النَّاسُ لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْفِكَ بِهَا دَمًا وَلَا يَعْضِدَ بِهَا شَجَرًا فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ لِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا فَقُولُوا لَهُ إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ وَإِنَّمَا أَذِنَ لِي فِيهَا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ وَقَدْ عَادَتْ حُرْمَتُهَا الْيَوْمَ كَحُرْمَتِهَا بِالْأَمْسِ وَلْيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَقِيلَ لِأَبِي شُرَيْحٍ مَاذَا قَالَ لَكَ عَمْرٌو قَالَ قَالَ أَنَا أَعْلَمُ بِذَلِكَ مِنْكَ يَا أَبَا شُرَيْحٍ إِنَّ الْحَرَمَ لَا يُعِيذُ عَاصِيًا وَلَا فَارًّا بِدَمٍ وَلَا فَارًّا بِخَرْبَةٍ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْخَرْبَةُ الْبَلِيَّةُ

3957. Telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Syurahbil telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Al Maqburi dari Abu Syuraikh Al’Adawi, dia berkata kepada Amru bin Said yang ketika itu dia mengirim beberapa utusan ke Makkah; “Wahai Amir, izinkanlah aku mengajakmu bicara suatu hal yang akan diucapkan Rasulullah ﷺ esok pada penaklukan Makkah, yang kudengar dengan kedua telingaku dan diperhatikan oleh hatiku serta dilihat oleh kedua mataku ketika baginda mengucapkannya. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah lantas bersabda: “Sesungguhnya Makkah telah Allah sucikan dan manusia tidak mensucikannya sebelumnya, tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk menumpahkan darah di sana, tidak pula menebang pohon, kalaulah seorang berkilah bahawa Rasulullah pernah memberi keringanan untuk perang, katakan padanya: ‘Allah mengizinkan khusus untuk Rasul-Nya dan tidak mengizinkan untuk kalian, dan Allah pun mengizinkannya hanya beberapa saat ketika siang, dan kesuciannya telah kembali hari ini sebagaimana kesucian kelmarin, hendaklah yang menyaksikan menyampaikan yang tidak hadir.” Ditanyakan kepada Abu Syuraikh; “Apa yang Amru ucapkan kepadamu? Jawabnya; “Aku lebih tahu terhadapnya wahai Abu Syuraikh, sesungguhnya Tanah Haram tidak akan melindungi pelaku kemaksiatan dan tidak pula manusia yang lari menumpahkan darah dan tidak pula yang lari melakukan penghancuran-penghancuran.” Kata Abu Abdullah, makna Kharibah adalah bencana (kehancuran). [ Sahih Bukhari no. 3957]

 

Pendapat 3: حِلٌّ bermaksud ‘bermukim’. Iaitu apabila sampai ke sesuatu tempat untuk tinggal berterusan, kita berhenti dan memasang segala peralatan kita di situ. Ia bermaksud tinggal berterusan di sesuatu tempat. Dan memang Nabi ﷺ membesar dan kebanyakan dari usia baginda adalah di Mekah.

Ini juga bermaksud, walaupun Nabi Muhammad ﷺ akan dihalau daripada Mekah, tetapi baginda akan datang semula ke Mekah. Allah ﷻ memberi isyarat ini kepada Nabi ﷺ dan memberi jaminan kepada Nabi ﷺ bahawa baginda akan menguasai Mekah.

 

Pendapat 4: Allah ﷻ memuliakan Mekah dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya. Kerana apabila kita bercakap tentang Mekah, kita tentu teringat yang ianya adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad ﷺ. Sudahlah ianya tempat yang mulia, dimuliakan lagi dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya.


 

Ayat 3: Ini adalah satu lagi sumpah.

وَوالِدٍ وَما وَلَدَ

Sahih International

And [by] the father and that which was born [of him],

Malay

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

 

Ada beberapa pendapat tentang maksud ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini:

1. Pendapat yang kuat mengatakan ‘bapa’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Ibrahim dan zuriatnya Nabi Ismail عليهما السلام dan kemudian termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Pendapat ini lebih kuat kerana dalam ayat sebelum ini, disebut tentang negeri Mekah dan Mekah itu kuat kaitannya dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام.

Dan kepada bangsa Arab, apabila dikatakan ‘walid’, mereka akan teringat ‘datuk’ mereka iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan mereka juga mengaku bahawa apa yang mereka lakukan adalah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun banyak yang sudah diubah dari ajaran baginda, namun mereka masih mengaku mereka mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام. Pendapat ini kata begini kerana ayat pertama memperkatakan tentang Mekah dan Nabi Ismail عليه السلام adalah lelaki pertama di Mekah.

Oleh itu, ayat ini menempelak Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Mengapakah mereka mahu menentang baginda sampai mahu membunuh baginda, padahal Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang sama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sendiri? Mereka kata mereka mengikut agama Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi apa yang mereka amalkan adalah jauh dari apa yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام.

 

2. Ada juga pendapat lain yang tidak kurang kuatnya, yang mengatakan ‘bapa’ dalam ayat ini adalah Nabi Adam عليه السلام dan anak yang dimaksudkan adalah anak cucunya.

Ini bermakna, apabila Allah ﷻ bersumpah begini, menunjukkan kemuliaan anak Adam. Dan memang begitupun. Kita ini memang mulia, dan ada disebut dalam ayat-ayat yang lain yang mengatakan demikian. Kita lebih mulia dari jin, tetapi dalam Al-Qur’an disebutkan ada manusia yang memuja jin. Padahal mereka itu rendah dari kita.

Apabila yang rendah dipuja, naik tocanglah mereka. Kerana tidak faham dengan perkara inilah yang menyebabkan ramai yang takut dengan jin/hantu sedangkan mereka tidak boleh buat apa pun kepada kita. Disebabkan kerana kita takut itulah yang menyebabkan mereka boleh kacau kita. Kerana kita beri ‘kunci’ kepada mereka untuk menguasai kita.

 

3. Ianya merujuk kepada semua bapa dan semua anak. Sama ada manusia atau pun binatang. Kerana ianya adalah sesuatu yang menakjubkan, bagaimana keturunan berlangsung dari seorang bapa kepada anaknya, dan anaknya pula nanti menjadi bapa pula kepada anaknya sendiri. Kejadian ini silih berganti sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Allah ﷻ sebut tentang anak kerana untuk melahirkan anak itu, ibu dan bapa akan susah. Nak lahirkan susah, nak jaga dan besarkan anak itu pun susah juga. Dan jadi anak pun susah juga kerana nak membesar dari kecil akan susah – nak mula-mula belajar jalan pun susah juga.

Allah ﷻ hendak mengajar yang Allah ﷻ sengaja ciptakan manusia hidup dalam susah, supaya dia boleh jadi biasa bersusah payah untuk taat kepada Allah ﷻ. Bukanlah manusia itu ditakdirkan hidup senang sentiasa. Memang manusia akan sentiasa mengalami kesusahan. Dalam hidup hendak cari makan pun susah juga, bukan senang.

Dan Allah ﷻ uji manusia dengan kesusahan untuk menegakkan agama Allah ﷻ dan mengamalkan agama Allah ﷻ. Tetapi susah semasa di dunia sahaja, nanti akan senang di akhirat. Kalau tidak susah untuk agama, mereka akan susah selepas mereka mati nanti – semasa dicabut nyawa pun susah, akan susah di barzakh, di Mahsyar dan di akhirat kelak kerana akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

4. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Ibnu Atiyyah, dari Syarik, dari Khasif, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: dan demi bapak dan anaknya. (Al-Balad: 3) Al-walid kata ertinya orang yang beranak, dan wama walad ertinya orang yang mandul tidak dapat beranak.

Jadi ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, tidak dapat dipastikan dengan pasti siapakah ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini kerana tidak ada ال dalam perkataan والِدٍ dan وَلَدَ yang digunakan. Ianya dalam isim nakirah, oleh itu, ianya adalah dalam bentuk yang umum yang membuka kepada beberapa tafsiran.


 

Ayat 4: Allah ﷻ telah bersumpah dengan Negeri Mekah, Nabi Muhammad ﷺ, bapa dan anak. Jadi apakah sumpah ini hendak cerita? Sebab sumpah-sumpah itu adalah kerana hendak menceritakan sesuatu yang penting. 

Maka, kenapakah sumpah itu diutarakan? Apakah jawaabul qasm kepada qasm (sumpah) sebelum ini? Sumpah digunakan untuk menekankan kepada perkara yang penting. Maka, apakah perkara penting yang Allah ﷻ hendak tekankan?

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ

Sahih International

We have certainly created man into hardship.

Malay

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

 

Jangan kita faham dari pembacaan ayat ini yang Allah ﷻ itu zalim, sampai hendak jadikan kita hidup dalam susah pula. Allah ﷻ senang sahaja hendak jadikan manusia – kun fayakun, dan Allah ﷻ boleh jadikan kita semuanya hidup dalam kesenangan. Dan Allah ﷻ pernah buat kerana Allah ﷻ sudah pernah pun letakkan Nabi Adam عليه السلام dalam syurga. Allah ﷻ boleh juga jadikan seluruh anak cucu Adam عليه السلام tinggal dalam syurga pun. Tetapi Allah ﷻ tidak hendak jadikan begitu. Kerana Allah ﷻ jadikan dunia ini sebagai tempat ujian untuk kita.

Akan tetapi Allah ﷻ takdirkan menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan kesulitan dan risaukan tentang sesuatu. Dari bayi, dan berterusan sepanjang hidupnya. Di mana sahaja mereka berada, walau siapa pun mereka. Tentu ada kesusahan yang akan dialaminya. Lain orang lain perkara yang dia risaukan.

Semua manusia akan ada kerisauan yang sentiasa difikirkannya. Ada yang berat dan ada yang ringan. Ada perkara yang merisaukan orang lain tetapi tidak merisaukan kita dan begitu juga sebaliknya – perkara yang sama namun kerisauan yang berbeza.

Contohnya, orang miskin risaukan pasal makanan. Orang kaya mungkin tidak risau pasal makanan sebab mereka senang hendak dapat makanan, tetapi mereka risaukan pasal kesihatan pula kalau tidak jaga makanan – sebab mereka sudah ada darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sedangkan orang yang miskin boleh makan apa sahaja yang mereka hendak makan.

Kenapa Allah ﷻ beri kesusahan kepada manusia? Semua itu adalah sebagai ujian kepada manusia. Allah ﷻ beri ujian kesusahan kepada makhlukNya, supaya makhluk itu sedar yang tidak ada manusia yang selamat dari kesusahan. Selagi hidup di dunia, mereka akan berhadapan dengan kesusahan hidup di dunia.

Dunia ini adalah pentas ujian. Hidup yang tidak ada kesusahan dan untuk menerima nikmat, hanya di syurga. Selagi tinggal di dunia, akan kena uji. Sebab dunia adalah tempat manusia diuji. Oleh itu, kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga. Untuk dapat syurga, kena susah sikit di dunia. Kena susah sikit untuk dapat tempat di dalam syurga.

Oleh itu, kita kena sabar dengan kesusahan di dunia ini. Jangan lari dari kesusahan sampai kita melakukan dosa. Tidaklah kalau kita lari dari syariat Allah ﷻ akan memudahkan kita pun. Ada orang yang kerana hendakkan kesenangan, mereka sanggup buat dosa dengan menipu dan menindas manusia lain. Mereka lari dari kesusahan yang kecil di dunia untuk mendapat kesusahan yang lebih besar di akhirat kelak.

Padahal, kalau kita mengikut suruhan Allah ﷻ, lagi mudah dan akan lagi mendekatkan kita dengan Allah ﷻ. Sedangkan Allah telah letakkan jalan yang banyak untuk ke syurga. Orang kaya dengan cara mereka dan orang miskin dengan cara mereka. Beramallah dengan apa yang kita mampu. Mungkin ada orang yang suka membersihkan jalan untuk orang ramai. Dan itulah punca dia dapat masuk syurga.

Semua kita tahu kisah seorang penzina Bani Israil yang masuk syurga kerana memberi air minum kepada anjing. Kita tidak tahu dengan amalan kita yang mana yang membolehkan kita masuk syurga. Allah ﷻ akan memberi balasan yang banyak waktu kita paling ikhlas beramal. Kadang-kadang amal kita itu sedikit, tetapi kerana ikhlasnya tinggi, ianya bernilai amat berharga kepada Allah ﷻ.

Ayat ini juga hendak memberitahu yang bukan Nabi ﷺ sahaja yang mengalami masalah, tetapi orang lain juga struggle dalam dunia ini. Semua orang ada masalah masing-masing. Jadi, ayat ini untuk menenangkan Nabi ﷺ yang sedang bersusah payah dalam perjuangan baginda. Baginda dicemuh, disakiti, ditohmah dan sebagainya dalam usaha baginda menyampaikan Islam ini kepada masyarakat Arab. Allah ﷻ pujuk Nabi ﷺ dengan ayat-ayat sebegini.

Begitu jugalah kita, apabila membaca ayat ini, akan memberi kelegaan kepada kita. Kalau kita dalam kesusahan dan kepayahan menghadapi kehidupan di dunia ini, terubat sedikit apabila kita baca ayat ini. Kerana apabila kita tahu orang lain pun ada juga kesusahan mereka, kesusahan yang kita hadapi ini pun rasa dapat tertanggung.

Surah ini menceritakan bahawa ada pilihan kepada manusia – sama ada mengambil jalan menuju kepada Allah ﷻ atau jalan yang menjauh dari Allah ﷻ. Jalan mana pun yang mereka pilih, kedua-duanya ada struggle masing-masing. Akan tetapi yang satu membawa kepada Allah ﷻ dan satu lagi menjauh dari Allah ﷻ. Oleh itu, manusia kena pandai pilih. Dan jangan risau dengan struggle yang perlu dihadapi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Jin Ayat 23 – 28 (Tentang Ilmu Ghaib)

Ayat 23: Apakah tugas Rasulullah? Dan ayat ini juga mengandungi takhwif ukhrawi.

إِلّا بَلٰغًا مِّنَ اللهِ وَرِسٰلٰتِهِ ۚ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ لَهُ نارَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

Sahih International

But [I have for you] only notification from Allah, and His messages.” And whoever disobeys Allah and His Messenger – then indeed, for him is the fire of Hell; they will abide therein forever.

Malay

“hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

 

إِلَّا بَلٰغًا مِّنَ اللهِ وَرِسٰلٰتِهِ

“hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya

Ada dua makna yang boleh diambil dari ayat ini. Kedua-duanya bergantung kepada ayat yang berbeza.

1. Dalam ayat ke 21, Nabi disuruh memberitahu yang baginda tidak boleh beri mudharat dan petunjuk. Ayat ini menyambung ayat itu dengan mengatakan yang Nabi hanya boleh sampaikan wahyu sahaja. Kalau mereka menolak, baginda tidak boleh kenakan mudharat kepada mereka.

2. Dalam ayat ke 22, Nabi disuruh memberitahu yang baginda tidak akan selamat dan lepas dan dari Allah. Dan ayat ke 23 ini menyambung ayat itu dengan memberitahu yang baginda hanya boleh lepas bila sudah sampaikan wahyu yang telah ditugaskan kepada baginda untuk disampaikan. Itu adalah tugas Nabi dan baginda kena penuhi. Ini disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَما بَلَّغْتَ رِسالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. (Al-Maidah: 67)

Begitu juga mereka yang beriman dan ada ilmu, mereka kena sampaikan ilmu yang mereka ada. Oleh itu, kita yang ada ilmu pun kena sampaikan apa yang kita tahu.

Dan kita juga kena tahu yang Nabi Muhammad telah memenuhi kewajipan baginda menyampaikan ajaran Allah kepada manusia dan juga jin.

 

وَمَن يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ

dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan RasulNya,

Iaitu sesiapa yang tidak mengikut arahan dari Allah yang disampaikan melalui RasulNya, Nabi Muhammad. Apa yang akan terjadi kepada mereka?

 

فَإِنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خٰلِدِينَ فِيهَا أَبَدًا

maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

Inilah balasan yang paling teruk sekali. Terus tinggal sampai bila-bila dalam neraka. Tidak dapat nak dibayangkan bagaimanakah keadaannya. Semoga kita diselamatkan terus dari neraka – kita tidak mahu dengar, lihat dan hidu baru neraka sedikit pun.

Tidak semua dosa yang dilakukan manusia menyebabkan mereka tinggal terus dalam neraka selama-lamanya. Dosa yang dimaksudkan adalah dosa syirik.


 

Ayat 24: Sampai bilakah mereka yang menentang itu akan menentang?

حَتّىٰ إِذا رَأَوا ما يوعَدونَ فَسَيَعلَمونَ مَن أَضعَفُ ناصِرًا وَأَقَلُّ عَدَدًا

Sahih International

[The disbelievers continue] until, when they see that which they are promised, then they will know who is weaker in helpers and less in number.

Malay

Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

 

حَتَّىٰ إِذَا رَأَوْا مَا يُوعَدُونَ

Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka,

Mereka itu adalah musyrikin dari manusia dan jin. Ada dari mereka yang tidak akan berubah cara hidup mereka. Walaupun kebenaran telah ditunjukkan kepada mereka, tapi mereka akan tetap tidak mahu menerima agama Islam dan mereka akan tetap menentang kebenaran.

Ianya akan berterusan sehingga mereka nampak azab yang memang telah dijanjikan pun kepada mereka. Azab itu sama ada diberikan di dunia atau Allah akan beri tangguh sampai ke akhirat nanti. Kalau mereka nampak malaikat maut yang datang kepada mereka pun, mereka sudah mula berhenti dari buat syirik.

 

فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ أَضْعَفُ نَاصِرًا

maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolong-penolongnya,

Waktu itu barulah mereka akan tahu nanti siapakah yang akan mendapat penolong yang kuat – adakah mereka yang musyrik, atau ahli tauhid? Tentulah yang menyembah selain Allah akan berada dalam keadaan yang lemah. Tidak ada apa dan sesiapa pun yang boleh membantu mereka.

Begitulah berbezanya antara mereka dan orang yang beriman dengan tauhid. Semasa di dunia dahulu, Musyrikin Mekah berlagak dengan kekuatan dan jumlah mereka yang ramai. Tapi keadaan akan jadi terbalik di akhirat kelak.

 

وَأَقَلُّ عَدَدًا

dan sedikit jumlah bilangannya.

Nanti mereka akan tahu siapakah yang dapat penolong yang ramai. Semasa Rasulullah di Mekah, baginda keseorangan dan kurang pengikut. Tapi keadaan akan bertukar nanti. Allah tentunya akan membantu Nabi Muhammad.


 

Ayat 25: Nabi tidak tahu bilakah azab yang dijanjikan itu akan berlaku. Ini adalah kerana Nabi Muhammad tidak tahu perkara ghaib. Ini adalah tauhid tentang ilmu. Hanya Allah sahaja mengetahui perkara ghaib.

قُل إِن أَدري أَقَريبٌ مّا توعَدونَ أَم يَجعَلُ لَهُ رَبّي أَمَدًا

Sahih International

Say, “I do not know if what you are promised is near or if my Lord will grant for it a [long] period.”

Malay

(Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.

 

قُلْ إِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ مَّا تُوعَدُونَ

katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat,

Ayat ini mungkin sebagai jawapan dari soalan golongan musyrik. Mereka mungkin tanya: “bilakah akan datangnya azab yang kau janjikan itu?”. Maka kerana itu Allah suruh Nabi jawab begini.

Perkataan إِنْ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘jika’ tetapi ‘tidak’. Kena belajar bahasa Arab untuk faham. Kalau setakat tahu sedikit-sedikit sahaja, tentu akan kata yang perkataan إِنْ itu adalah ‘jika’.

Nabi selalu ditanya bilakah terjadinya Kiamat. Sama ada oleh golongan Musyrikin atau dari golongan Muslim sendiri – lebih-lebih mereka yang baru masuk Islam dan tidak tahu apakah perkara yang boleh ditanya dan tidak. Dalam ayat ini, baginda disuruh untuk memberitahu yang baginda sendiri pun tidak tahu bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku. Begitu juga Nabi tidak tahu bilakah azab yang dijanjikan kepada Musyrikin Mekah akan berlaku.

Ini menunjukkan yang Nabi Muhammad tidak tahu tentang perkara ghaib. Ilmu ghaib hanya dimiliki oleh Allah sahaja. Maka janganlah kita percaya kalau ada sesiapa yang mengatakan mereka tahu bilakah Hari Kiamat itu. Atau kalau mereka kata mereka ada pengetahuan tentang ilmu-ilmu ghaib. Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain telah menidakkan sesiapa pun untuk mengetahui perkara ghaib.

Ingatlah juga bahawa kita tak perlu tahu bilakah kiamat itu. Yang penting apakah persiapan kita? Itulah jawapan Nabi apabila ada sahabat yang bertanya:

حَدَّثَنِي أَبُو الرَّبِيعِ الْعَتَكِيُّ، حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، – يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ – حَدَّثَنَا ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ ‏”‏ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ ‏.‏

Anas b. Malik melaporkan bahawa seseorang datang kepada Rasulullah (ﷺ) dan berkata kepada Rasulullah saw:
Bilakah akan Kiamat? Baginda (nabi) berkata: Apa persediaan kamu untuk Kiamat? Beliau menjawab: Cinta Allah dan Rasul-Nya (adalah persediaan yang saya sediakan). Baginda (nabi) berkata: engkau akan bersama-sama dengan yang engkau suka.
Anas berkata: Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami sesudah memeluk Islam daripada kata-kata Rasulullah: engkau akan bersama-sama dengan yang engkau sukai. Dan Anas berkata. Saya cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dan saya berharap bahawa saya akan bersama-sama dengan mereka walaupun saya tidak beramal seperti mereka.

Yang penting adalah kita bersedia untuk Kiamat itu. Kerana ianya pasti datang, jadi kenalah bersedia walau apa pun.

Dalam hadis ini, disebut tentang ‘cinta kepada Allah dan RasulNya’. Janganlah pula kita salah anggap cinta kepada Rasul itu dengan menyanyi Qasidah dan ber’ya hanana’ memekik-mekik pula. Ini adalah amalan golongan yang sesat.

Cinta kepada Allah dan Rasul itu ditunjuk dengan mempelajari kalam-kalam Allah dan Rasul dan mengamalkannya dalam kehidupan kita. Ini penting untuk difahami kerana ramai sangat yang salah faham. Mereka sangka yang cinta mereka kepada Nabi itu ditunjuk dengan mereka memuja-muja baginda. Padahal, bukanlah begitu yang dikehendaki oleh Allah dan Nabi sendiri. Yang penting adalah belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Hadis Nabi (Sunnah).

 

أَمْ يَجْعَلُ لَهُ رَبِّي أَمَدًا

atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.

Allah punya hak mutlak dalam mengadakan Kiamat. Bila-bila sahaja Dia boleh adakan dan kalau Allah nak lewatkan, itu terpulang kepada Allah. Nabi tidak tahu bilakah Kiamat akan berlaku, sampaikan kalau cuaca mendung sahaja, Nabi sudah takut kerana takut Kiamat atau azab diturunkan.

Masalahnya, Nabi takut tapi kita tak takut pula. Sampaikan ada yang berhujah, selagi disebut nama Allah dalam dunia, takkan kiamat. Itu adalah hujah yang tidak tepat. Kita macam lupa pula bahawa Allah boleh buat apa-apa sahaja mengikut kehendakNya. Tidak semestinya Allah kena tunggu sampai tidak ada lagi yang menyebut NamaNya dalam dunia. Ingatlah bahawa Kiamat itu adalah hak mutlak Allah. Kita sampai tidak boleh berkata yang berdasarkan firasat kita, Kiamat itu lambat lagi.

Kita tidak disuruh cari bilakah Kiamat. Jangan percaya kalau ada yang kata Kiamat sudah dekat. Yang penting, kita paling perlu bersedia buat masa ini adalah ‘kiamat’ diri kita. Itu yang dinamakan ‘Kiamat Kecil’. Kerana yang pasti kita semua akan mengalami kematian yang akan berlaku tidak lama lagi. Apa yang kita siapkan untuk menghadapinya?

Yang banyak tanya kepada Nabi pun adalah orang orang Badwi. Iaitu golongan Arab yang tinggal di pedalaman. Dan mereka itu adalah umat Islam yang baru, jadi banyak soalan dari mereka. Sahabat yang besar tak tanya pun. Kerana mereka tahu yang perkara itu tidak patut ditanya.


 

Ayat 26: Siapakah yang tahu perkara ghaib?

عٰلِمُ الغَيبِ فَلا يُظهِرُ عَلىٰ غَيبِهِ أَحَدًا

Sahih International

[He is] Knower of the unseen, and He does not disclose His [knowledge of the] unseen to anyone

Malay

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –

 

عٰلِمُ الْغَيْبِ

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,

Inilah sifat Allah yang ramai tidak perasan. Hanya Allah sahaja yang tahu hal-hal ghaib. Kalau kita kata ada sesiapa yang tahu ilmu ghaib, itu sudah memberikan satu sifat Allah kepada makhluk. Dan ini adalah syirik. Sebagai contoh, penganut Syiah mengatakan yang Imam-Imam mereka tahu perkara ghaib. Maka kalau mereka jenis yang ada iktikad begitu, mereka itu adalah musyrik.

 

فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا

maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –

Allah tidak berikan ilmu ghaib itu kepada sesiapa pun dari makhluk. Ayat ini menolak langsung kemungkinan sesiapa pun yang mendapat ilmu itu.


 

Ayat 27: Pengecualian tentang pengetahuan ilmu ghaib.

إِلّا مَنِ ارتَضىٰ مِن رَّسولٍ فَإِنَّهُ يَسلُكُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ رَصَدًا

Sahih International

Except whom He has approved of messengers, and indeed, He sends before each messenger and behind him observers

Malay

“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

 

إِلَّا مَنِ ارْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ

“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya

Hanya para Rasul sahaja yang diberikan sedikit pengetahuan tentang ilmu ghaib. Bukanlah orang biasa yang akan mendapat kelebihan ini tetapi kepada para Rasul sahaja. Jadi, kalau ada tok guru yang kata mereka ada ilmu ghaib, itu adalah pembohongan yang besar.

Ada nafi dan ithbat dalam ayat ini dan ayat sebelumnya. Macam nafi dan ithbat yang ada dalam kalimah la ilaaha illa Allah – Allah menolak kemungkinan ada Tuhan (nafi) dan kemudian Allah tekankan yang hanya Allah sahaja yang Tuhan (ithbat). Ini adalah pernyataan yang paling kuat dalam bahasa Arab iaitu digunakan penafian dahulu sebelum ada ithbat.

Maka, begitu juga dengan pengetahuan tentang ilmu ghaib. Allah menolak kemungkinan ilmu ghaib diketahui oleh sesiapa pun (nafi) dan kemudian Allah kata hanya para Rasul sahaja yang diberikan dengan pengetahuan itu (ithbat). Ini penting kerana ada yang berhujah ada kemungkinan Allah beri kepada mereka yang dikehendaki dan kononnya menggunakan ayat dari ayat Kursi:

وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Ada yang berhujah dengan menggunakan ayat ini – kalau Allah nak beri pengetahuan ghaib itu kepada sesiapa, Allah boleh sahaja berikan. Jadi mereka kata guru tarekat mereka antara orang yang mendapat ilmu ghaib itu. Tapi, hujah itu ditolak kerana ayat dari Surah Jin ini menafikan ada makhluk lain yang diberikan dengan pengetahuan ghaib melainkan para Rasul sahaja. Memang ada yang diberi dengan pengetahuan ilmu ghaib, tetapi hanya para rasul sahaja.

Hujah ini dikuatkan lagi dengan ayat Naml:65

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

Nabi Muhammad juga disuruh isytihar dalam An’am:50

قُل لَّا أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

Juga dalam A’raf:188

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Oleh itu, hanya dibukakan ilmu ghaib kepada para Rasul sahaja dan bukannya sentiasa dibukakan kepada mereka. Hanya pada waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, dalam awal surah ini lagi telah diberitahu bagaimana Nabi Muhammad tidak tahu pun yang ada beberapa jin yang mendengar bacaannya. Maknanya, bukanlah sentiasa Nabi Muhammad tahu perkara ghaib. Ini pun ada yang salah faham. Ada yang sangka Nabi sentiasa tahu perkara ghaib, tapi sebenarnya tidak.

Oleh itu, ringkasan kepada ilmu ghaib adalah:

1. Berita ghaib yang para Rasul tahu itu adalah kerana ianya ‘diberitahu’ kepada mereka. Bukanlah mereka tahu sendiri tapi diberitahu dari masa ke semasa. Hanya apabila perlu sahaja.

2. Tidak semua perkara ghaib diberitahu kepada para Rasul. Hanya perkara yang mereka perlu tahu sahaja.

3. Ilmu Allah tiada had. Pengetahuan makhluk termasuk para Rasul adalah terhad.

4. Ada rahsia yang diberitahu kepada Nabi yang tidak diberikan kepada kita. Sebagai contoh, Nabi pernah nampak syurga. Apa yang Nabi beritahu kepada kita adalah perkara yang kita patut tahu sahaja. Maknanya, ada perkara yang tidak diberitahukan kepada kita kerana yang tidak diberitahu kepada kita, tidak perlu kita cari. Jangan kita jadi seperti golongan yang mencari-cari ‘ilmu rahsia’ sampaikan mereka boleh jatuh ke lembah kesesatan dan kesyirikan.

Rasul itu termasuk juga dari kalangan para malaikat.

 

فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengatasinya

Pengetahuan ghaib ada yang diberikan kepada para Rasul dan ianya dikhususkan kepada para Rasul sahaja kerana mereka itu dijaga dengan malaikat yang mengawal. Maka maklumat yang sampai kepada mereka itu terpelihara. Tidak ada kemungkinan yang mereka mendapat maklumat yang salah dari syaitan. Dan untuk memastikan wahyu yang disampaikan kepada Rasul itu tidak dicampuri dengan maklumat dari luar, maka ada pengawal dari kalangan malaikat yang memastikan ada perlindungan.

Kalau maklumat yang sampai kepada para Rasul, kita boleh pasti yang ianya dari Allah sahaja. Bandingkan, kalau tok guru dan tok syeikh kata boleh nampak perkara ghaib, apakah jaminan yang apa yang mereka nampak itu bukan gangguan dari syaitan? Kerana tidak ada jaminan dari Allah yang mereka itu terpelihara dengan bantuan malaikat yang menjaga mereka.

Oleh itu, hanya para Rasul sahaja yang boleh kata mereka dapat ilmu dengan cara ghaib. Kalau ada manusia lain pun yang boleh mengaku begitu, maka tentu akan bercanggah ajaran agama, sebab nanti ada pula yang mengaku mereka juga mendapat maklumat agama selain para Rasul. Takkan Rasul ajar satu perkara dan kita kena terima ajaran dari manusia lain pula? Siapa yang betul kalau semua boleh nampak benda ghaib?

Tiada ada sesiapa yang ada hak untuk kata mereka dapat maklumat dengan cara ghaib. Oleh itu, Allah tutup ruang keraguan dari hati kita dengan menolak kemungkinan ada ilmu yang diberi kepada selain para Rasul.

Maka, tolaklah pendapat dan ajaran dari guru-guru tarekat dan syeikh-syeikh mereka yang kata mereka mendapat ilham itu dan ini, berjumpa dengan malaikat, berjumpa dengan Nabi dan sebagainya. Itu adalah bohong belaka. Orang-orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sahaja yang senang ditipu.


 

Ayat 28: Kenapa disampaikan perkara ghaib kepada para Rasul?

لِيَعلَمَ أَن قَد أَبلَغوا رِسٰلٰتِ رَبِّهِم وَأَحاطَ بِما لَدَيهِم وَأَحصىٰ كُلَّ شَيءٍ عَدَدًا

Sahih International

That he may know that they have conveyed the messages of their Lord; and He has encompassed whatever is with them and has enumerated all things in number.

Malay

“(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya – (dengan jagaan mereka) – Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); padahal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.

 

لِّيَعْلَمَ أَن قَدْ أَبْلَغُوا رِسٰلٰتِ رَبِّهِمْ

supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka,

Allah menggunakan perkataan لِّيَعْلَمَ (supaya Dia mengetahui) – sedangkan memang Allah telah sedia mengetahui. Jadi, Allah sebut ‘supaya Dia tahu’ kerana Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia tahu dengan sebenar-benar tahu. Maknanya, Allah beri pengetahuan ilmu ghaib itu adalah kerana Allah nak memastikan yang para rasul telah menyampaikan risalahNya. Dan para pelindung dari kalangan malaikat itu akan memastikan yang Nabi tidak tersilap dalam menyampaikan.

Atau bermaksud, Allah berikan pelindung itu supaya pasti RasulNya menerima wahyu yang benar tanpa bercampur dari anasir luar.

Itu adalah kalau kita kata لِّيَعْلَمَ itu dhomir kepada Allah. Ulama’ khilaf tentang siapakah dhomir yang dimaksudkan kepada perkataan لِّيَعْلَمَ ini. Selain daripada Allah, ada mufassir yang kata, yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad.

Kalau begitu, maksud ayat itu adalah ‘supaya Nabi tahu yang apa yang dibawa oleh para Rasul sebelum baginda dahulu adalah benar’. Iaitu apabila diberitahu yang para Rasul dilindungi oleh malaikat di depan dan belakang, maka yakinlah Nabi Muhammad bahawa para Rasul sebelum baginda telah menerima dan telah menyampaikan ajaran yang benar’.

Juga supaya Nabi Muhammad pasti yang apa sahaja maklumat wahyu yang sampai kepada baginda, ianya benar-benar dari Allah. Maka tidaklah baginda risau dan bertanya: benarkah ini dari Allah?

Oleh itu, dua tujuan para Rasul diberikan dengan pengetahuan ghaib :

1. Untuk menjalankan tugas mereka. Contohnya Allah beritahu Nabi Muhammad tentang apa yang berlaku dengan Nabi-Nabi terdahulu. Kalau Allah tidak beritahu, Nabi Muhammad tidak akan tahu kerana ianya adalah ilmu ghaib (telah berlaku dahulu). Dengan maklumat sebegitu, dapat membantu Nabi menjalankan tugas baginda sebagai pembawa Risalah.

2. Sebagai mukjizat kepada para Rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Sebagai contoh, Nabi Isa telah diberitahu apakah yang berlaku di rumah umatnya; Nabi Muhammad diberitahu dengan kejadian-kejadian masa hadapan, dan apabila ianya benar-benar terjadi, maka nyatalah kepada kita yang Nabi Muhammad itu bukanlah manusia biasa, tetapi baginda juga adalah utusan Allah.

Tapi ingatlah bahawa bukan semua pengetahuan ghaib diberikan kepada rasul, hanya yang perlu sahaja. Oleh itu, jangan kita kata yang ‘Nabi tahu perkara ghaib’. Kita cuma katakan, ‘Nabi disampaikan dengan ilmu ghaib’, sahaja.

 

وَأَحَاطَ بِمَا لَدَيْهِمْ

padahal Dia meliputi segala keadaan yang ada pada mereka,

Tidak ada benda terlepas dari ilmu Allah. Allah tahu dan ada kuasa Allah atas segalanya. Maka para malaikat atau para Nabi tidak boleh menyampaikan perkara yang tidak ada dalam wahyu. Allah sentiasa memerhati.

 

وَأَحْصَىٰ كُلَّ شَيْءٍ عَدَدًا

serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.

Allah tahu dengan terperinci. Sebagai contoh, Allah tahu setiap daun yang jatuh ke tanah. Allah juga tahu dari setiap perbuatan makhlukNya. Oleh kerana Dia Maha Tahu perbuatan makhlukNYa, maka Dia akan membalas segala perbuatan makhlukNya sama ada dengan kebaikan atau keburukan. Allah juga tahu setiap perbuatan RasulNya dan Dia telah memastikan yang RasulNya menyampaikan sebagaimana yang dikehendaki.

Allah juga uruskan semuanya dengan terperinci. Sebagai contoh, setiap ayat dan huruf dalam Al-Qur’an diturunkan adalah seperti yang dikehendaki oleh Allah. Oleh itu, jangan kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an ini. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang terdapat ayat-ayat yang ditambah tanpa sengaja dalam Al-Qur’an ini atau ada ayat-ayat yang tertinggal. Ingatlah bahawa Al-Qur’an ini adalah selengkap-lengkapnya.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya – Surah Muzzammil

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Adli Yayasan Ta’lim

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Jin Ayat 14 – 22 (Istidraj)

Ayat 14:

وَأَنّا مِنَّا المُسلِمونَ وَمِنَّا القٰسِطونَ ۖ فَمَن أَسلَمَ فَأُولٰئِكَ تَحَرَّوا رَشَدًا

Sahih International

And among us are Muslims [in submission to Allah ], and among us are the unjust. And whoever has become Muslim – those have sought out the right course.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,

 

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ

`Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang beragama Islam,

‘Muslimin’ bermaksud mereka menyerahkan dirinya kepada Allah, mengikut perintah Allah. Tidak semestinya mereka itu beriman dengan Nabi Muhammad lagi kerana sebelum itu Nabi Muhammad pun mereka tidak kenal. Maknanya, agama-agama wahyu sebelum itu iaitu agama Yahudi dan Nasrani kerana mereka juga asalnya adalah agama Islam sehinggalah ajaran itu telah diubah.

Atau, ia bermaksud selepas dakwah mereka tentang Al-Qur’an dan Nabi Muhammad, ada yang menerimanya dan ada yang tidak.

 

وَمِنَّا الْقَٰسِطُونَ

dan ada pula dari kalangan kami yang menyimpang

Mereka telah menyimpang dari jalan yang benar dan telah melampau terhadap kebenaran. Mereka adalah golongan yang melampaui batasan hak dan menyimpang darinya, yakni durhaka. Lafaz al-qasit berbeza dengan lafaz al-muqsit, kerana al-muqsit ertinya adil. Mereka telah berlaku zalim kepada diri mereka kerana tidak serahkan diri kepada Allah.

 

فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

maka sesiapa yang menurut Islam, maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari jalan yang benar,

Kalimah تَحَرَّوْا dari katadasar ح ر ي yang bermaksud matlamat, mencari, pilih, mencadangkan. Dalam ayat ini ia bermaksud mencari pilihan yang paling baik di dalam bermacam-macam pilihan, dan kemudian menggunakan pilihan itu. Golongan yang pertama adalah mereka yang telah memilih Islam dan mengamalkan ajaran Islam.

Kalau kita memilih makanan, tentu kita akan ambil yang terbaik, bukan? Ada yang sampai tengok apakah kandungan dalam makanan itu. Itulah yang dinamakan تَحَرَّوْا . Jadi kenapa dalam hal agama, kebanyakan manusia tidak buat macam itu? Kenapa pakai ambil sahaja tanpa melihat sama ada sesuatu amalan atau fahaman itu ada dalil atau tidak?

Mereka yang mahukan hidayah dan berusaha mencari, Allah akan berikan kebenaran kepadanya. Oleh itu, kita kena simpan dalam hati kita keinginan untuk mendapatkan hidayah. Ini dinamakan sifat inabah. Kita kena selalu berdoa kepada Allah untuk memberikan hidayah kepada kita. Kalau kita ada niat begitu, Allah akan pimpin kita kena kebenaran.


 

Ayat 15: Apakah kesan kepada mereka yang memilih jalan yang menyimpang dari kebenaran?

وَأَمَّا القٰسِطونَ فَكانوا لِجَهَنَّمَ حَطَبًا

Sahih International

But as for the unjust, they will be, for Hell, firewood.’

Malay

`Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. ‘

 

Neraka dinyalakan dengan menggunakan mereka sebagai bahan bakar – sama ada mereka dari golongan jin atau manusia. Maknanya mereka bukan sahaja terbakar tapi mereka akan ‘membakar’ juga. Mereka juga akan mengeluarkan haba. Kerana itulah apabila masuk sahaja penghuni neraka yang baru, neraka dan ahli neraka yang sudah ada di dalamnya akan marah kerana kemasukan pendatang baru itu akan menyebabkan neraka jadi lagi panas.

Ayat ini adalah untuk menakutkan mereka. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat kelak. Malah, mereka akan jadi bahan api neraka! Kepanasan neraka itu akan bertambah dengan adanya mereka.

Mungkin ada yang bertanya soalan kurang cerdik: “kalau jin itu dijadikan dari api, kenapa mereka sakit kalau terkena api?” Kalau begitu, manusia pun patutnya tidak sakit kalau kena tampar dengan tangan dan juga dibaling dengan bikar tanah liat kerana tangan dan bikar itu dijadikan dari tanah.


 

Ayat 16: Telah habis kata-kata jin itu dan sekarang Allah yang berfirman. Ayat 16 – 19 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi ancaman kepada Musyrikin Mekah.

وَأَلَّوِ استَقٰموا عَلَى الطَّريقَةِ لَأَسقَينٰهُم مّاءً غَدَقًا

Sahih International

And [ Allah revealed] that if they had remained straight on the way, We would have given them abundant provision

Malay

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

 

وَأَلَّوِ اسْتَقٰمُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ

“Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka itu istiqamah di atas satu jalan,

Perkataan yang digunakan adalah الطَّرِيقَةِ – jalan. Ini bukan bermaksud ‘tarekat’ golongan Sufi. Ini kita kena cakap, sebab golongan Sufi Tarekat ni, mereka memang suka pusing-pusing ayat Al-Qur’an. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hanya ambil mana-mana ayat yang macam kena dengan jalan mereka, dan mereka tafsirkan ayat itu dengan cara yang salah. Takut mereka kata tareqat itu ajaran yang benar kerana memang dalam Al-Qur’an. Memang ada dalam Al-Qur’an, tapi bukanlah bermaksud ajaran mereka itu.

Kalimah الطَّرِيقَةِ dalam ayat ini boleh bermaksud ‘jalan yang dibawa oleh Nabi’. Ada kebaikan yang diberikan kepada mereka kalau mereka tetap berada di atas jalan yang benar itu. Maka mereka kenalah ikut.

 

لَأَسْقَيْنٰهُم مَّاءً غَدَقًا

sudah tentu Kami akan memberikan mereka minum air yang banyak.

Kalau mereka ikut jalan yang benar, maka mereka akan diberikan dapat meminum air yang banyak. Kalimah غَدَقًا ertinya ‘banyak’, makna yang dimaksudkan ialah memberinya rezeki yang banyak lagi berlimpah.

Ini adalah isyarat kepada rahmat yang banyak dan kehidupan, kerana kehidupan memerlukan air. Kehidupan mereka boleh menjadi mudah. Ini seperti firman Allah dalam Maidah: 66

وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِم مِّن رَّبِّهِمْ لَأَكَلُوا مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِم مِّنْهُمْ أُمَّةٌ مُّقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ

Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Qur’an), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.

 

Dan juga dalam A’raf: 96

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Ini kita boleh lihat telah terjadi kepada para sahabat. Lihatlah bagaimana para sahabat mendapat nikmat dunia apabila mereka bersabar dan teguh dalam Islam. Mereka telah ramai yang menjadi kaya raya. Dan memang Islam suatu waktu dulu memang berada di ambang kejayaan dan kekayaan.

Abu Hurairah sebagai contoh, asalnya seorang yang hidup teramat susah, tetapi dia telah menjadi kaya dan telah berkahwin dengan seorang wanita yang kaya. Sampaikan beliau telah menjadi gabenor. Ini adalah kerana, semasa beliau hidup dengan Nabi, beliau telah berkorban masa dan tenaga untuk belajar agama. Beliau telah menjadi terkenal dan mengajar agama pula kepada umat Islam. Beliau telah istiqamah atas agama, dan dengan itu, Allah telah beri balasan keduniaan yang baik kepada beliau.

‘Air’ itu juga adalah isyarat kepada ‘ilmu agama’. Mereka yang tetap atas jalan agama, akan diberikan pengetahuan agama yang bertambah-tambah. Oleh itu, kalau kita tidak jadi kaya dan senang di dunia, kita kena lihat bagaimana ilmu agama kita telah berlipat kali ganda dari dahulu. Mungkin Allah tidak beri dengan kekayaan harta, tapi Allah beri dengan kekayaan ilmu.


 

Ayat 17: Takhwif ukhrawi. Apakah tujuan nikmat itu? Dan apakah balasan kalau gagal dalam ujian?

لِّنَفتِنَهُم فيهِ ۚ وَمَن يُعرِض عَن ذِكرِ رَبِّهِ يَسلُكهُ عَذابًا صَعَدًا

Sahih International

So We might test them therein. And whoever turns away from the remembrance of his Lord He will put into arduous punishment.

Malay

“(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, maka Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

 

لِّنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

“untuk Kami menguji mereka mengenainya

1. Tujuan diberikan rezeki itu adalah untuk menguji mereka dan kemudian beri bala kepada mereka. Mereka diuji dengan harta untuk lihat sama ada mereka terus dalam Islam atau tidak. Ada yang terpedaya dengan kekayaan dan nikmat yang telah diberikan kepada mereka sampai mereka boleh jadi menyimpang dari ajaran Islam. Maknanya, mereka gagal dengan ujian itu.

Sedangkan orang mukmin tidak kisah sama ada Allah beri nikmat atau tidak. Pada mereka, sama sahaja kalau Allah beri nikmat atau tidak. Mereka terima sahaja apa yang Allah beri kepada mereka. Mereka tahu yang ianya adalah ujian. Mereka tahu bahawa kehidupan yang susah itu adalah ujian, kehidupan yang senang juga adalah ujian.

Tidak salah untuk ada harta dan hidup dalam kesenangan. Jangan sampai ada yang buang harta mereka kerana kononnya mereka nak ‘zuhud’. Jangan kita salah faham dengan maksud zuhud. Zuhud bukannya tidak ada harta tapi tidak meletakkan hatinya pada harta itu. Kalau hartanya hilang, dia tidak kisah pun. Kerana dia sedar yang itu hanya barang dunia sahaja. Dia letakkan harta itu di tangan, bukan di hati.

Sebagai contoh, walaupun Saidina Umar telah menjadi seorang Khalifah, tapi beliau masih kuat melakukan ibadat dan beliau masih lagi melakukan tugas-tugas yang kita rasa sepatutnya diserahkan kepada hamba sahaja. Sebagai contoh, beliau masih lagi menguruskan untanya sendiri walaupun sudah menjadi Khalifah.

Oleh itu, jangan kita tertipu dengan dunia. Ingatlah bahawa dunia ini adalah ujian kepada kita. Banyak yang keliru, sebab ada yang sangka, kalau mereka beribadah banyak, akan lebih banyak rezeki mereka. Kalau mereka tengok orang yang susah, mereka ada yang kata: “Itulah kamu, tinggal solat dan ibadat, tengok Allah dah tak beri rezeki kepada kau.”

Itu adalah pandangan yang salah. Kita buat ibadat bukan kerana kita nak dapat rezeki. Jangan pula kita buat amal ibadat kerana hendak Allah sayang kita, dan beri kesenangan kepada kita.

2. Ini adalah pendapat yang kedua. Kalau pendapat pertama tadi, perkataan الطَّرِيقَةِ ditafsirkan sebagai jalan agama yang benar. Tetapi pendapat kedua pula memegang perkataan الطَّرِيقَةِ sebagai bermaksud ‘jalan kesesatan’. Kalau mereka berterusan berada di atas jalan kesesatan, Allah akan beri juga rezeki mencurah-curah kepada mereka tetapi sebagai istidraj (nikmat yang diberi kepada manusia yang menjauhkannya dari jalan Allah). Seperti yang Allah firmankan dalam An’am:44

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Semakin mereka sesat, semakin Allah beri rezeki kepada mereka. Supaya mereka lebih dekat kepada azab.

Oleh itu, kalau kita lihat ada orang yang hidup kaya dan mewah, tapi mereka melakukan maksiat, maka ketahuilah yang mereka itu telah diberikan istidraj oleh Allah. Malangnya, ramai yang terpedaya dengan nikmat yang mereka dapati. Mereka sangka Allah sayang kepada mereka. Seperti yang Allah firman dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ

Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.

نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).

Ada orang kafir atau orang yang zalim yang masih juga melakukan kebaikan kepada manusia lain. Kepada mereka yang seperti ini, Allah akan bayar terus kebaikan mereka semasa di dunia lagi. Macam orang kafir yang baik, dibayar pulangan mereka dalam dunia. Sebab itu kalau kita lihat orang kafir yang rajin berderma, mereka akan dapat balik harta berlipat ganda. Mereka dibalas semasa mereka di dunia lagi supaya tiada lagi balasan yang mereka boleh tuntut di akhirat.

Tetapi kepada orang mukmin pula, ada balasan yang Allah simpan untuk dibalas di akhirat. Dan balasan di akhirat lebih istimewa lagi tentunya. Dan kalau mereka dapat nikmat, dan dengan ini mereka bersyukur, pahala syukur itu disimpan lagi.

 

وَمَن يُعْرِضْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِ

dan sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya,

Ada yang mengatakan perkataan ذِكْرِ رَبِّهِ bermaksud Al-Qur’an. Iaitu mereka bukan sahaja berpaling dari mengingati Tuhan tapi mereka juga berpaling dari pengajaran Al-Qur’an. Iaitu tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau nak pakai Al-Qur’an, tiada cara lain lagi dari mempelajari tafsir Al-Qur’an.

Atau ia juga bermaksud mereka yang tahu apakah kebenaran (kerana telah disampaikan kepada mereka), tapi mereka tetap berpaling. Iaitu mereka yang belajar Al-Qur’an tapi selepas itu melupakan dan meninggalkannya.

Atau dia belajar tapi dia tidak amalkan apa yang disuruh dalam Al-Qur’an itu. Ini peringatan berat kepada kita yang belajar tafsir Al-Qur’an ini. Adakah kita telah mengamalkan apa yang kita tahu?

 

يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا

Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

Azab itu adalah azab yang tinggi dan makin menaik. Intensiti semakin tinggi dari masa ke semasa. Kerana perkataan صَعَدًا berasal dari katadasar ص ع د yang bermaksud mendaki naik. Maknanya, azab itu tidak akan berkurangan langsung. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa صَعَدًا adalah nama sebuah gunung di dalam neraka Jahanam.


 

Ayat 18: Ayat penting tentang masjid Allah. Ini adalah khulasah dari ayat-ayat yang telah disebut sebelum ini bermula dari Surah al-Mulk lagi. Iaitu tidak boleh seru selain dari Allah.

وَأَنَّ المَسٰجِدَ ِلِلهِ فَلا تَدعوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

Sahih International

And [He revealed] that the masjids are for Allah, so do not invoke with Allah anyone.

Malay

“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

 

وَأَنَّ الْمَسٰجِدَ ِلِلهِ

Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk Allah semata-mata;

Masjid itu dijadikan untuk menyembah Allah sahaja. Oleh itu, jangan langsung ada sembah dan seru yang lain. Bukanlah ayat ini bermaksud di dalam masjid sahaja tidak boleh seru selain Allah. Di luar masjid pun tidak boleh juga. Tapi kalau seru selain Allah di masjid, lebih teruk lagi.

Ada yang mengatakan yang ‘masjid’ dalam ayat ini bermaksud ‘dunia’ ini kerana seluruh dunia ini boleh dijadikan tempat solat. Maka di mana-mana pun tidak boleh sembah dan seru selain Allah. Ini bertepatan dengan hadis Nabi. Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَجُعِلَتْ لِىَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا ، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِى أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ

Seluruh bumi dijadikan sebagai tempat solat dan untuk bersuci. Siapa saja dari umatku yang mendapati waktu solat, maka solatlah di tempat tersebut” (HR. Bukhari no. 438 dan Muslim no. 521).

Masjid adalah tempat menyembah dan menyeru Allah dan perkara yang berkaitan dengannya. Sebab itulah ada larangan berjual beli dalam kawasan masjid. Dan jangan buat pengumuman cari barang hilang. Seperti satu hadis Nabi:

١٢٤٢ – حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ الْخَلَّالُ حَدَّثَنَا عَارِمٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ خُصَيْفَةَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ ثَوْبَانَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَنْشُدُ فِيهِ ضَالَّةً فَقُولُوا لَا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْكَ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ كَرِهُوا الْبَيْعَ وَالشِّرَاءَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُوَ قَوْلُ أَحْمَدَ وَإِسْحَقَ وَقَدْ رَخَّصَ فِيهِ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي الْبَيْعِ وَالشِّرَاءِ فِي الْمَسْجِدِ
1242. Telah menceritakan kepada kami Al Hasan bin Ali Al Khallal, telah menceritakan kepada kami ‘Arim telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Muhammad, telah mengabarkan kepada kami Yazid bin Khushaifah dari Muhammad bin Abdurrahman bin Tsauban dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kalian melihat orang menjual atau membeli di dalam masjid, maka katakanlah; Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada barang daganganmu. Jika kalian melihat orang yang mengumumkan sesuatu yang hilang di dalamnya maka katakanlah; Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu.” Abu Isa berkata; Hadits Abu Hurairah adalah hadits hasan gharib dan menjadi pedoman amal menurut sebahagian ulama, mereka memakruhkan menjual dan membeli di dalam masjid, ini adalah pendapat Ahmad dan Ishaq namun sebahagian ulama membolehkan menjual dan membeli di dalam masjid.

‘Masjid’ juga boleh bermaksud ‘anggota sujud’. Kita hanya boleh sujud kepada Allah sahaja. Ini bermaksud, waktu melakukan ibadat, hanya ibadat kepada Allah sahaja. Allah yang jadikan anggota sujud kita, takkan kita gunakan anggota itu untuk sujud dan sembah kepada orang lain pula?

 

فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

“maka janganlah kamu seru sesiapa pun bersama-sama Allah.

Dulu, Yahudi dan Nasrani menyeru Allah dan juga selain Allah dalam rumah ibadat mereka. Begitu juga dengan Musyrikin Mekah – mereka sembah Allah dan sembah berhala di Kaabah. Mereka telah melakukan kesalahan yang besar iaitu kesalahan syirik.

Tapi bukan mereka sahaja yang telah melakukan kesalahan sebegitu. Orang kita pula seru tok nenek dan syeikh dalam masjid juga. Selain dari itu, mereka juga menyeru Nabi Muhammad. Itu pun salah juga. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang syirik.

Dan zaman sekarang, puak-puak Habib telah dipanggil untuk melagukan qasidah sampai ke dalam masjid. Sudahlah mereka melalaikan manusia di stadium-stadium dan tempat ibadat mereka, sekarang sampai bergendang di masjid pula sekarang. Malang sekali masyarakat ramai yang tidak nampak kesesatan yang dibawa oleh mereka.

Ayat ini adalah ayat tauhid. Ia mengajar kita untuk seru hanya kepada Allah sahaja kerana Allah sahaja yang boleh sambut seru kita. Kalau seru kepada Nabi Muhammad dan Nabi-nabi lain pun tidak boleh. Memang kita digalakkan selawat, tapi buat dengan cara yang sesuai. Bukanlah dengan selawat-selawat rekaan.

Selawat dengan kuat dan beramai-ramai pun tidak sesuai kerana bukan begitu cara yang dianjurkan. Malangnya sampai ada yang zikir melompat menari dan sebagainya. Sampaikan ke dalam masjid pun manusia masih buat lagi perkara ini dan ini adalah amat-amat menghampakan untuk dilihat.

Pada hari ayat ini diturunkan, tidak ada masjid diketahui waktu itu melainkan Masjidil Haram sahaja. Kerana ayat ini diturunkan di Mekah. Sedangkan perkataan masaajid adalah dalam bentuk jamak. Masjid-masjid lain seperti Masjidil Aqsa tidak diketahui waktu itu. Walaupun begitu, bukanlah ayat ini hanya untuk Masjidil Haram sahaja tapi semua masjid di mana-mana.

Jin-jin meminta untuk solat bersama Nabi maka turun ayat ini. Kemudian Nabi memberitahu mereka untuk solat dan jangan campur dengan manusia.

Al-A’masy mengatakan bahawa jin berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah kami untuk ikut salat bersamamu di masjidmu ini.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah. (Al-Jin: 18) Maka Nabi Saw. bersabda kepada mereka, “Salatlah kalian, tetapi jangan bercampur dengan manusia.”

Maknanya, tidak ada percampuran antara manusia dan jin langsung. Tidaklah mereka sampai duduk satu saf dengan manusia pula. Mereka boleh solat tapi dengan cara mereka. Maka kalau ada yang kata ada manusia yang berkawan dengan jin, itu ada masalah. Kalau berkawan dengan jin, maksudnya orang itu ada mengamalkan amalan yang menyebabkan jin melekat kepadanya.


 

Ayat 19: Zajrun kepada penentang Nabi dalam dakwah.

وَأَنَّهُ لَمّا قامَ عَبدُ اللهِ يَدعوهُ كادوا يَكونونَ عَلَيهِ لِبَدًا

Sahih International

And that when the Servant of Allah stood up supplicating Him, they almost became about him a compacted mass.”

Malay

“Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.

 

وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللهِ يَدْعُوهُ

“Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah berdiri menyeru kepadaNya,

‘Hamba Allah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Waktu itu Nabi Muhammad sedang membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

 

كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا

mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.

Kalimah لِبَدًا adalah merujuk kepada ‘kumpulan manusia yang menindih satu sama lain’. Mereka bertindih-tindih kerana nak melihat apa yang berlaku. Katakan ada satu pertunjukan yang amat menarik perhatian manusia, maka mereka akan berkerumun sampai menindih satu sama lain.

Ada beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dalam ayat ini:

1. Hampir jin-jin itu memanjat Nabi kerana kesungguhan untuk mendengar apa yang dibaca oleh baginda. Mereka dekat sungguh dengan baginda pada waktu itu. Tapi Nabi tak tahu pun mereka ada. Mereka berkerumun sampai bertindihan sesama sendiri. Mereka ajak jin-jin lain untuk mendengar sekali. Ini kerana mereka bersungguh mahu mendengar bacaan Nabi.

2. Pendapat kedua mengatakan yang ayat ini bermaksud jin-jin itu menceritakan balik bagaimana mereka nampak para sahabat yang taat dan mengerumuni Nabi dalam mendengar ajaran dari Nabi. Jin takjub dengan ketaatan para sahabat kepada baginda. Memang selalunya apabila Nabi bercakap, baginda akan dikerumuni kerana ramai yang mahu mendengar.

3. Pendapat ketiga mengatakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: manusia dan jin berkerumun untuk menyekat Nabi dari berdakwah. Bukannya kerumun kerana hendak mendengar tetapi kerana hendak menghalang. Iaitu ketika baginda bangun untuk berdakwah. Mereka tidak mahu Nabi terus membaca ayat Al-Qur’an dan mereka cepat-cepat menghalang Nabi. Dan pendapat ini disokong dengan ayat seterusnya.

Keadaan yang sama juga ada disebut dalam ayat Maarij: 36-37

فَمَالِ الَّذِينَ كَفَرُوا قِبَلَكَ مُهْطِعِينَ

Maka apakah yang menyebabkan orang-orang kafir, yang menentangmu (wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisimu –

عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ عِزِينَ

berpuak-puak di sebelah kanan dan di sebelah kirimu.


 

Ayat 20: Apakah tindakbalas dari Nabi? Nabi juga mengajar tauhid dalam ayat ini. Hanya doa kepada Allah sahaja dalam segala hal dan melakukan syirik. Ayat 20 – 28 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Ia mengandungi Risalah Kerasulan Nabi Muhammad.

قُل إِنَّما أَدعو رَبّي وَلا أُشرِكُ بِهِ أَحَدًا

Sahih International

Say, [O Muhammad], “I only invoke my Lord and do not associate with Him anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”.

 

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah menyeru kepada Tuhanku semata-mata,

Inilah yang dimaksudkan yang ayat ini menyokong pendapat ketiga dalam ayat sebelum ini. Iaitu yang mengerumun baginda yang membaca ayat Al-Qur’an itu adalah kerana hendak menghalang baginda dari membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

Apabila mereka melakukan begitu, baginda disuruh untuk memberitahu yang baginda hanya mengajak kepada Allah sahaja. Baginda mengajak kepada kebaikan, bukan kerana hendak mengambil kuasa atau harta mereka. Baginda langsung tidak mengancam mereka.

 

وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا

dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”.

Baginda juga mengajak kepada ajaran Tauhid. Itulah ajaran yang amat penting sekali yang perlu dipelajari dan diikuti oleh manusia. Dan itulah ajaran yang akan menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Jangan sekali-kali melakukan syirik. Tapi untuk kenal syirik, kenalah belajar. Ramai yang tidak tahu syirik kerana mereka tidak belajar wahyu. Kerana itu mereka tidak tahu yang mereka telah ditipu oleh syaitan yang mengajar syirik dalam amalan.

Antara salah faham syirik yang manusia pegang adalah syirik dalam berkat. Ini telah mula disebut dalam Surah Al-Mulk dan disambung dalam surah ini kerana kepentingannya. Kerana ada manusia yang sangka Allah ada beri kuasa berkat kepada makhluk, maka ramailah manusia jahil yang berdoa kepada selain Allah untuk mendapatkan berkat mereka. Ini adalah syirik.

Maka, kenapa mereka hendak menghalang baginda sedangkan baginda mengajak kepada kebaikan dan keselamatan?


 

Ayat 21: 

قُل إِنّي لا أَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا رَشَدًا

Sahih International

Say, “Indeed, I do not possess for you [the power of] harm or right direction.”

Malay

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudharat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

 

قُلْ إِنِّي لَا أَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku tidak memiliki kuasa mendatangkan sebarang mudharat kepadamu

Nabi Muhammad disuruh untuk memberitahu mereka. Kalau mereka tidak ikut baginda, baginda tidak boleh memberi mudharat pun kepada mereka. Kerana baginda tidak ada kuasa untuk beri mudharat kepada sesiapa pun.

 

وَلَا رَشَدًا

dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang petunjuk bagi kamu.

Baginda juga tidak boleh memberi hidayah kepada mereka atau memaksa mereka ikut baginda. Nabi hanya boleh tunjuk jalan sahaja. Baginda juga hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja. Begitu juga kita dalam berdakwah. Kita tidak boleh beri manusia terima hidayah. Allah sahaja yang ada kuasa itu.

Dalam ayat ini, Allah hendak  memberitahu yang Nabi Muhammad sendiri tidak ada kuasa memberi mudharat dan manfaat. Baginda sendiri bergantung kepada Allah.


 

Ayat 22: 

قُل إِنّي لَن يُجيرَني مِنَ اللهِ أَحَدٌ وَلَن أَجِدَ مِن دونِهِ مُلتَحَدًا

Sahih International

Say, “Indeed, there will never protect me from Allah anyone [if I should disobey], nor will I find in other than Him a refuge.

Malay

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

 

قُلْ إِنِّي لَن يُجِيرَنِي مِنَ اللهِ أَحَدٌ

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun dari Allah

Kalimah يُجِيرَنِي dari katadasar ج و ر yang bermaksud ‘diberi perlindungan’. Perkataan ‘jiran’ juga dari katadasar yang sama – mereka yang tinggal di sebelah kita dan boleh memberi bantuan dan perlindungan kepada kita.

Nabi sendiri pun tidak dapat melindungi dirinya dari Allah kalau baginda engkar kepada arahan Allah. Kalau diri baginda sendiri pun tidak dapat selamatkan, apatah lagi kalau baginda nak lindungi orang lain? Maka, kalau kita minta pertolongan kepada Nabi pun tidak patut sangat kerana kita minta kepada seseorang yang tidak dapat menyelamatkan kita.

 

وَلَنْ أَجِدَ مِن دُونِهِ مُلْتَحَدًا

dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

Perkataan مُلْتَحَدًا dari katadasar ل ح د yang bermaksud ‘perlindungan’. Perkataan ‘liang lahad’ juga dari katadasar yang sama kerana lahad itu memberi perlindungan kepada jenazah di dalamnya.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang tidak ada tempat lari dari Allah kalau kita buat salah. Bukanlah ayat ini hendak mengatakan Nabi telah buat salah sampai tidak ada tempat lari dariNya. Nabi Muhammad memberitahu yang kalau baginda tidak melakukan tugasnya untuk menyampaikan ajaran tauhid, baginda pun tidak akan selamat dari azab Allah. Ini akan dijelaskan lagi dalam ayat selepas ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Usul Tafsir – 16 Istilah Tafsir

Usul Tafsir

Pengenalan:

Belajar tafsir adalah satu kewajipan kepada diri kita. Bagaimana seseorang boleh mengaku yang dia itu seorang Islam dan tahu tentang agama sedangkan rujukan utama dalam Islam tidak dipelajari? Kerana masyarakat kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an lah yang menyebabkan banyak masalah sekarang. Kerana mereka tidak ada ilmu asas tentang agama.

Apabila sudah belajar tafsir, kita akan tahu perkara yang dulu kita tak tahu. Bila belajar, baru tau ada banyak yang kita tak buat lagi perkara agama. Bayangkan berapa ramai yang tak tahu lagi.

Yang kita dah mula tahu itu pula, ada dua keadaan

1. Ada sebahagian dari yang kita belajar itu, yang kita boleh buat. Mungkin dulu ada yang dah dibuat dah. Atau ada yang baru tahu, tapi rasanya kita boleh buat. Perkara-perkara itu termasuk perkara yang fardhu dan ada yang sunat.

Selepas kita tahu itu, kita minta taufik kepada Allah supaya mana yang kita boleh buat, Allah beri taufik supaya kita boleh buat dengan sempurna dan makbul (diterima). Kerana bukan tentu kita buat dengan sempurna lagi. Contohnya solat kita bukan tentu khusyuk lagi. Berapa ramai yang solat tapi tiba-tiba dah habis dah solat kita tapi fikiran kita entah ke mana masa kita solat tadi. Maka, jangan rasa cukup dengan amal yang kita sedang dan telah lakukan. Lebih elok kalau kita rasa tak cukup sahaja dengan amalan kita itu, supaya kita boleh memperbaikinya.

Akhir sekali, kena doa supaya Allah beri kita dapat istiqamah dengan amalan kita itu.

Dalam Agama, kena ada ikhtiar. Kena sedar keperluan kepada agama dan kemudian kena ikhtiar untuk mendapatkannya. Diikuti dengan doa kepada allah. Kalau keturunan Nabi pun kena usaha juga, apatah lagi kita. Tidak ada sesiapa yang dapat percuma sahaja agama ini, walau keturunan mana pun kita. Jadi, kalau kita anak tok imam, jangan ingat dah selamat. Setiap orang kena berusaha dalam agama.

2. Dari apa yang kita sudah tahu selepas belajar, ada sebahagian yang tak mampu buat lagi. Dan mungkin banyak yang tak mampu buat. Tahulah kita betapa cuainya kita dengan arahan Allah selepas kita belajar tafsir. Itu kalau kita dah tahu, bagaimana dengan mereka yang tak tahu langsung?

Dalam perkara ini, kita kena minta taufiq terus kepada Allah supaya Dia beri kita boleh melakukan mana yang tak mampu buat. Yang tak tahu langsung, memang sudah tak minta langsung. Mereka itu, tunggu mati sahaja. Dia ingat dia dah cukup, jadi dia tidak berdoa kepada Allah. Tapi layakkah dia di depan Allah nanti, dia kata ‘tak tahu ya Allah’? Padahal dia duduk di bumi Allah. Apa alasan dia untuk kata ‘tidak tahu’, sedangkan Allah dah bagi sampai 30 juz sebagai panduan hidup? Allah bagi maklumat yang amat banyak supaya tidak ada alasan lagi untuk kita mengatakan ‘tidak tahu’. Allah beri maklumat yang banyak dan lengkap supaya kita tahu dengan detail. Ingatlah bahawa mereka yang tidak taat kepadaNya, Allah tak rela nikmat yang dipakai dalam dunia. Akan ditanya nanti nikmat yang kita pakai. Ini dalil dari Al-Qur’an.

Dan kalau kita tahu yang kita tak mampu buat, minta ampun terus atas ketidaksanggupan kita itu. Minta taufik satu hal, kena minta ampun terus kerana kita tak dapat buat lagi.

Pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini amatlah penting sekali. Para sahabat tidak akan lepaskan anak mereka belajar ilmu lain sebelum khatam Tafsir Al-Qur’an. Mereka juga khatam baca Al-Qur’an dengan tadabbur empat kali sebulan – mereka bukan baca kosong tapi mereka baca dengan faham sekali. Dan mereka akan sentiasa muzakarah Al-Qur’an di masjid dan rumah mereka. Pada waktu malam, mereka baca apakah arahan Allah dan pada siang harinya, mereka akan sempurnakan apa-apa tuntutan yang mereka baca malam tadi. Mereka juga akan ajar juga kepada sesiapa yang datang ke Madinah kerana Madinah waktu itu adalah pusat ilmu.

Itu membawa kepada satu lagi perkara penting yang kita ingat. Kita belajar bukan untuk kita sahaja tapi untuk semua manusia. Kita kena azam untuk sampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia lain. Maknanya, ada tuntutan untuk belajar dan ada tuntutan untuk sampaikan. Jangan tunggu dah habis belajar baru sebar. Mana yang tahu, terus sebarkan.

 

Surah-surah Penting

Semua surah kita kena belajar, tapi ada 10 surah yang kena faham kemas dan perlu diberikan penekanan:
1. Fatihah
2. Baqarah
3. Zumar
4. 7 surah yang dimulai dengan ‘ha mim’

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Pengenalan kepada 16 Istilah

Untuk kita lebih memahami Ilmu Tafsir Al-Qur’an, kita hendaklah mahir tentang istilah-istilah kepada surah-surah dalam Al-Qur’an. Tidak semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an membawa penekanan yang sama. Kefahaman pelajar bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah-istilah ini.

Setiap surah dalam Al-Qur’an akan termasuk di bawah ketegori salah satu istilah ini. Setiap surah akan ada sekurang-kurangnya satu. Ada surah yang ada lebih dari satu istilah, sebagai contoh, Surah Baqarah ada ksemua 16 istilah.

Istilah-istilah ini adalah hasil dari rujukan 50 kitab tafsir dalam 4 bahasa. Ianya adalah kelebihan yang Allah berikan kepada ulama yang telah menyusun istilah-istilah ini. Nama beliau adalah Maulana Husain Ali al-Wani.

 

1. Dakwa / Maksud Asal bagi sesuatu Surah. دعوى أو مقصود

Pokok perbahasan surah itu. Apa yang Allah hendak sampaikan. Ianya adalah ‘Maksud’ surah itu diturunkan. Ianya paling penting yang kita kena tahu dahulu. Ini adalah kerana kita kena faham maksud ayat itu. Oleh itu, semasa kita baca ayat-ayat yang lain, jangan lari dari Dakwa itu. Kita kena kaitkan ayat-ayat yang ada dalam surah itu dengan Dakwa Surah itu.

Dakwa Surah juga dienal sebagai ‘tajuk perbahasan’ dan ‘kajian’ sesuatu surah itu.

Untuk menerangkan Dakwa itu, Allah dibawakan ‘dalil-dalil’ dalam ayat lain. Oleh itu, ayat-ayat lain yang datang selepas Dakwa Surah itu adalah sebagai penyempurnaan kepada Dakwa Surah itu.

Tidaklah sama Dakwa Surah dalam surah-surah dalam Al-Qur’an ini. Kebanyakan surah hanya ada satu Dakwa sahaja. Tapi ada surah-surah iaitu ‘hamim tujuh’, hanya ada satu Dakwa untuk ketujuh-tujuh surah. Ada surah yang ada lebih dari satu Dakwa. Sebagai contoh, ada tiga ayat Dakwa dalam Surah Baqarah.

Selain dari Dakwa utama, Ada surah yang ada tanwirul dakwa, iaitu ‘Dakwa tambahan’. Ini selalunya disampaikan dalam bentuk soalan dan jawapan.

Dakwa umpama biji untuk satu pokok. Semua bahagian lain pokok itu seperti akar, dahan, batang dan sebagainya tentu ada hubungan dengan biji itu. Kerana semua berasal dari biji itu. Oleh itu, semua ayat ada hubungan dengan Dakwa surah itu.

Ada tiga bahagian perbincangan di dalam Dakwa Surah:
A. Tauhid. Allah nak kita kenal Dia. Kalau baca Al-Qur’an tapi tak kenal Allah, tak kena kalau begitu. Oleh kerana itu, kebanyakan surah dalam Al-Qur’an adalah tentang Allah.
B. Risalah – kerasulan. Cara untuk dapat keredhaan Allah adalah dengan mengikut Rasul. Hanya dengan cara ini sahaja. Selain dari cara ini ditolak dan akan menyebabkan kemurkaan Allah.
– Sedikit sahaja Dakwa tentang risalah. Hal Risalah banyak diuraikan dalam hadis. Ini juga penting kerana Hadis adalah Wahyu Kedua.
C. Akhirat. Allah nak kita buat persiapan untuk jumpa Dia. Dan Allah hanya berjumpa dengan hambaNya dalam syurga. Iaitu kita dapat berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita. Kita belajar ayat-ayat Dakwa tentang Akhirat kerana kita kena yakin bahawa ada satu alam selepas mati. Itulah alam yang akan kekal.
– Ayat-ayat tentang Akhirat lebih banyak dari ayat-ayat tentang Risalah. 1/4 dari Al-Qur’an menceritakan tentang Akhirat. Dan kebanyakan ayat tentang Akhirat ini duduknya di hujung Al-Qur’an.

Ketiga-tiga perkara ini adalah kesimpulan agama Islam. Percakapan tentang agama berlegar dalam tiga perkara ini. Kena ada tiga-tiga perkara ini, barulah lengkap agama.

Ketiga-tiga perkataan ini pula dibahagikan kepada dua maf’ul.
A. Kena tahu lawan kepadanya. Sebagaimana kita nak kenal putih, kita kena tahu apakah itu hitam.
Oleh itu, untuk kita tahu tauhid, kena tahu tentang syirik. Oleh kerana tidak faham perkara ini, banyak kalangan orang Islam yang belajar tauhid, tapi lintang pukang agama mereka sebab tidak tahu tentang syirik. Maknanya, walaupun mereka dah belajar, tapi mereka gagal juga.

Lihatlah kepada Syahadah kita. Perkataan La ilaaha itu maksudnya ‘tolak syirik’. Jadi kena tolak syirik dahulu sebelum kita dapat faham Tauhid. Kalau tak kemas perkara ini, boleh menyebabkan amalan ibadat semuanya ditolak. Maka sia-sialah amal ibadat kita yang dibuat bertahun-tahun lamanya. Ini penting sekali kerana syarat amalan diterima adalah pembuat ibadat itu mesti seorang Muslim, bukan? Kalau ada masalah akidah, maka tidak sempurna keislaman seseorang, dan mereka yang tidak sempurna Islamnya, tidak diterima amal ibadatnya.

Dan inilah perkara inilah yang paling dikacau oleh syaitan terhadap hamba. Hal tauhid lah yang mereka akan terkam dahulu. Kerana masalah Tauhid sahaja, amalan semua kosong dan tidak dinilai langsung oleh Allah. Perumpamaan Akidah ini adalah ibarat belon. Nak tiup belon, pastikan tidak ada lubang langsung pada belon itu. Kalau ada lubang tidak ditampung, akan ada masalah untuk kita tiup belon dan kumpul udara dalam belon itu. Udara itu adalah ibarat amal ibadat kita. Dan untuk pecahkan belon, cukup dengan satu lubang sahaja, tidak perlu banyak. Maknanya, buat satu syirik sahaja, dah rosak semua akidah kita dan amal ibadat kita semuanya hancur.

Dan untuk menerangkan Tauhid, Allah terangkan semua lubang-lubang syirik dalam Al-Qur’an ini. Ketahuilah bahawa Al-Qur’an ini mengandungi 80% hal tauhid. 20% sahaja hal-hal lain. Maka kena belajar semua ayat Al-Qur’an kerana takut ada tertinggal. Seperti yang kita kata, untuk memecahkan belon, cukup dengan hanya satu jarum sahaja. Oleh itu, kena baca dan kena faham Al-Qur’an dulu sebelum kita buat amal ibadat. Sebab itulah para sahabat tidak benarkan anak mereka belajar ilmu lain sebelum belajar ilmu Tafsir Al-Qur’an.

Malangnya, ramai yang tak faham kepentingan belajar Tafsir Al-Qur’an dan kepentingan belajar Tauhid. Ramai yang tak jelas sebab tak belajar. Padahal bukan susah nak faham. Tapi ramai yang tak mahu belajar juga. Mungkin mereka tak belajar kerana apabila mereka belajar Usuluddin, mungkin tidak banyak diterangkan tentang Syirik. Mungkin ini adalah kerana ulama yang menyusun usuluddin itu sudah menganggap mereka yang belajar Usuluddin itu sudah belajar Tafsir Al-Qur’an, jadi sepatutnya sudah tahu apakah maksud Syirik. Tapi malangnya, kalangan pelajar di Malaysia, mereka tidak belajar Tafsir Al-Qur’an langsung, tapi terus masuk belajar Usuluddin, itulah sebabnya mereka tak mahir tentang syirik.

Syirik ini pula hal dalaman. Iaitu ianya perkara dalam hati kita. Tak nampak di luar, jadi susah untuk dikesan. Oleh itu, tuan badan kena belajar sendiri. Sebab itu semua kena belajar Tafsir Al-Qur’an. Supaya kita boleh suluh hati kita supaya selamat daripada melakukan syirik. Kerana jarang ada orang nak tanya kepada kita samada kita syirik atau tidak, bukan? Kalau perkara amalan seperti solat, mungkin mereka nampak kita buat dengan cara yang salah, bolehlah kalau nak tegur. Tapi kalau perkara dalam hati, siapa yang nak mula tegur kita?

B. Berkenaan Risalah, iaitu risalah Kenabian. Oleh itu, kita kena tahu apakah perbuatan dan amalan Nabi – sunnah. Lawan kepada Sunnah adalah bidaah iaitu perkara yang Nabi dan sahabat tak buat. Jadi kena pastikan apakah amalan agama yang kita lakukan itu adalah sunnah atau tidak.

Tentang perkara feqah, terdapat perselisihan antara ulama-ulama mazhab dan kita kena tahu bahawa kebanyakan perkara yang disampaikan oleh ulama mazhab adalah sunnah kerana di belakang mereka adalah rujukan kepada para sahabat. Maka apa yang mereka bawa itu tidak dikira bidaah. Perselisihan pendapat tidak ada masalah kecuali kalau ada bidaah.

Risalah banyak disebut dalam hadis. Oleh kerana itu, selain Al-Qur’an, kena juga belajar hadis.

Permasalahan bidaah ini banyak diperbincangkan di Malaysia dan sampai menyebabkan perbalahan antara ahli-ahli agama dan juga orang-orang awam di negara ini. Sebenarnya yang marah tentang bidaah ini adalah kerana mereka sendiri amalan bidaah. Cara untuk selesai masalah mereka ini adalah dengan mereka sendiri datang belajar. Kerana yang jadi keliru tentang maksud bidaah ini adalah kerana mereka tidak belajar. Atau mereka mungkin belajar, tapi hanya sedikit. Dan memang jiwa manusia tidak suka ditegur.

Kita bukan berdebat dengan puak-puak yang mengamalkan bidaah itu kerana nak menang. Kita kesian kepada mereka kerana mengamalkan benda yang salah. Tapi apabila kita tegur, mereka lagi nak lawan kita balik. Ada ulama yang memberi perumpamaan mereka yang mengamalkan bidaah itu adalah seumpama budak kecil yang main dengan pisau cukur. Tentulah ianya adalah bahaya. Kita tak mahu dia terluka, tapi bagaimana kita nak ambil pisau cukur itu dari dia? Kalau kita berkeras rebut dari dia, dia akan pegang kemas lagi dan akan melukakan dirinya. Lalu bagaimana? Caranya adalah dengan tunjuk benda lain yang lebih menarik kepada budak itu, contohnya, buah limau. Kerana nak ambil buah limau itu, dia akan tinggalkan pisau itu. Maka dengan orang yang amal bidaah, berikan dia ilmu sunnah yang benar dan insha Allah, dia aka tinggalkan amalan bidaah dia itu. Kerana amalan sunnah jauh lebih molek dari amalan bidaah.

C. Maf’um Akhirat. Apabila roh sudah ditarik, dan sudah mula dipertontonkan apa yang hamba itu akan dapati dari nasibnya – baik atau buruk, itu sudah dikira sebagai permulaan akhirat dah. Itulah permulaannya, sampai kepada abadi yang tiada hujung.

Apa yang dialami oleh mereka yang hampir itu dinamakan ‘nazak’. Saat itu, taubat dah tidak bernilai lagi dan amalan tidak dikira lagi. Padahal roh ada dalam tubuhnya lagi. Oleh itu, semua amal kebaikan kena buat sebelum itu. Banyakkan amalan selama mana nyawa tak sampai ke halqum.

Lawannya adalah dunia. Kerana bahayanya dunia kepada manusia, Allah huraikan juga tentang dunia dalam Al-Qur’an. Allah Maha tahu tentang dunia lebih dari kita, jadi Dia beritahu kepada kita supaya kita tahu hakikat sebenar dunia itu. Supaya kita berwaspada dan dapat elak tipudaya dunia.

 

2. Dalil. دليل  

Setiap Dakwa mesti ada dalil. Dalil adalah suatu bukti yang dikemukakan bagi mensabitkan Dakwa. Biasanya Allah mendatangkan berbagai-bagai dalil dalam Al-Qur’an dengan tujuan untuk mensabitkan Dakwa Surah. Biasanya, di mana sahaja ada Dakwa, di situ akan ada dalilnya. Dan kebiasaannya, Dalil akan datang menyelusuri Dakwa.

Memanglah setiap ayat dalam Al-Qur’an itu sebenarnya adalah dalil, tapi terma ‘dalil’ yang dimaksudkan ini adalah Dalil kepada Dakwa Surah.

Pemahaman dalil yang mantap akan memberikan seseorang itu kefahaman yang tinggi terhadap Dakwa Surah itu.

Dalil terbahagi kepada tiga jenis: Aqli, Naqli dan Wahyi.

A. Dalil Aqli – عقلي

Dalil Aqli ialah sejenis dalil yang dapat diterima oleh setiap yang berakal (tidak gila) atau boleh diterima oleh setiap yang memiliki naluri fitrah yang Allah berikan kepada semua manusia. Allah berikan naluri fitrah ini sama-rata – setiap orang akan dapat, tidak kira kalau lahir dalam keluarga muslim atau kafir. Lahir-lahir sahaja, sudah ada.

Oleh itu sekiranya manusia tidak dikuasai oleh hawa nafsu jahat atau suasana sekeliling yang buruk yang merosakkannya (contohnya ajaran agama yang kafir dan sesat), nescaya dengan akal dan fitrah yang sedia ada, mereka dapat memahami setiap tuntutan dalil dan seterusnya penerimaan dalil akan membawa kepada penerimaan Dakwa. Dengan kata lain, dalil itu didatangkan bagi tujuan mengajak manusia kepada penerimaan Dakwa. Maknanya, mereka kalau baca dalil aqli dari Al-Qur’an ini, mereka sepatutnya boleh terima.

Dalil Aqli ini terbahagi pula kepada tiga jenis:

a. Dalil Aqli Anfusi – دليل عقلي انفسي

Ianya adalah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t  tentang Qudrat dan IradahNya didalam mencipta sesuatu yang ada pada diri manusia itu sendiri. Melalui dalil aqli anfusi, seseorang yang berakal dapat memahami betapa sempurnanya ciptaan Allah s.w.t, sekaligus mengajak manusia itu mengakui dan menerima bahawa Allah s.w.t jualah Dzat yang wajib disembah dan ditaati. Kalau ada dzat lain yang boleh buat macam itu, kena tunjuk bukti. Kalau tidak ada yang lain, maka hanya sembah dan taat kepada Allah sahaja.

b. Dalil Aqli Afaqi – دليل عقلي آفاقي

Ianya adalah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t tentang Qudrat dan IradahNya di dalam mencipta sesuatu yang ada di luar diri manusia itu yakni daripada segenap ufuk pada alam semesta. Iaitu pada kejadian alam.

Dalil aqli afaqi dibahagi kepada tiga:

◼ علوي

– ‘ilwi – atas langit hingga ‘arasy ilahi. Langit, awan, Arash dan lain-lain.

◼ سفلي

–  sifli –  permukaan bumi, segala lautan dan daratan termasuk malaikat, jin dan sebagainya.

◼ جوّي

– jawwi – tengah-tengah – penciptaan makhluk yang di udara, seperti burung dan sebagainya (bawah pada langit yang pertama).

Maknanya, berbagai-bagai bentuk Allah beri hujah kepada kita.

c. Dalil aqli i’tirafi (دليل عقلي اعترافي) 

Ianya adalah sejenis dalil yang memang diakui (iktiraf) oleh pihak lawan (yakni musyrikin Mekah semasa di Mekah dan Yahudi semasa di Madinah – mereka-mereka inilah penentang permulaan), dalil yang menjelaskan betapa Qudratnya Allah s.w.t didalam mencipta perkara-perkara yang besar ( الامور العظام).

Musuh-musuh Islam itu sebenarnya dah terima dah perkara-perkara yang besar. Musyrikin Mekah, walaupun mereka menolak Nabi Muhammad, tapi mereka terima yang Allah lah yang menjadikan alam ini, bumi, langit dan sebagainya. Jadi apabila pihak lawan telah menerima perkara-perkara besar, seterusnya mereka diajak untuk menerima bahawa Allah s.w.t jualah yang mengurus perkara-perkara besar dan seperti itulah Allah mengurus perkara-perkara kecil ( الامور الحقيرة ). Inilah perkara yang ramai silap faham. Ini adalah kerana mereka memahami perkara-perkara kecil (الامور الحقيرة) diurus oleh wakil-wakil Allah s.w.t. Mereka rasa perkara remeh temeh, Allah beri wakil untuk selesaikan, seperti roh wali, roh Nabi dan malaikat.

Biasanya dalil-dalil i’tirafi ini berbentuk soalan dan jawapan. Sebagai contoh, ada ayat yang Allah berfirman, sekiranya engkau tanya mereka siapakah yang menjadikan langit dan bumi…. hingga akhir ayat.

B. Dalil Naqli – نقلي

– ialah sejenis dalil berbentuk nukilan daripada kisah-kisah atau hikayat atau nukilan berbentuk perkataan. Perkataan makhluk, jin, malaikat dan perkataan haiwan juga. Semua itu adalah Dalil Naqli. Nak beritahu bahawa bukan Nabi sahaja berfahaman seperti tauhid tapi semua sekali. Orang Mekah sahaja yang tidak mahu terima kerana mereka jahil. Sama juga dengan mereka yang tidak belajar, maka mereka jadi sesat.

Dalil Naqli ini menjadi bahan bukti kedua selepas dalil aqli. Dalil ini adalah jenis yang boleh dilihat dan boleh didengar. Ianya didapati dari riwayat dan ayat-ayat Al-Qur’an. Terbahagi pula kepada 7 jenis:

a. Dalil Naqli Kutubi – نقلي كتبي – Allah zahirkan dalil-dalil dari kitab-kitab terdahulu. Allah hendak memberitahu bahawa kitab-kitab kalamullah yang sebelum Al-Qur’an juga memperkatakan tentang tauhid juga. Bukannya Nabi Muhammad sahaya yang berkata tentang Tauhid; kadang-kadang nama Kitab disebut dan kadang-kadang hanya disebut secara umum sahaja.
b. Dalil Naqli Anbiya’i Mufassal – نقلي أنبيائي مفصّل – Daripada para Nabi, apabila disebut nama Nabi-nabi secara spesifik. Allah hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang selepasnya yang bukan Nabi Muhammad sahaja yang memperkatakan tentang Tauhid tapi Nabi-nabi terdahulu pun begitu juga.
c. Dalil Naqli Anbiya’i Mujmal – نقلي أنبيائي مجمل – mujmal bermaksud ‘ringkas’. Ini apabila disebut ‘nabi’ sahaja tanpa disebut nama.
d. Dalil Naqli Ahlu Kitab – نقلي اهل الكتاب – dari kata-kata Ahlu Kitab, apabila disebut berkenaan pengikut Nabi-Nabi yang ada kitab seperti Kitab Taurat, Injil dan Zabur. Orang Mekah pun hormat kepada Ahlu Kitab juga kerana mereka sudah ada kitab dan ilmu tentang agama. Allah memberi dalil bagaimana Ahlu Kitab terdahulu pun terima Tauhid juga, jadi kenapa tidak mereka? Ia juga digunakan sebagai dalil bagi Ahli Kitab zaman Nabi dan juga zaman-zaman seterusnya. Kalau Ahli Kitab dulu boleh terima tauhid, kenapa tidak mereka?
e. Dalil Naqli Jinni – نقلي جنى – dalil yang menyebut amalan, kata atau perlakuan jin. Ini adalah kerana jin pun ada yang menerima tauhid, selepas mereka belajar. Kalau jin boleh terima, kenapa manusia tidak boleh menerimanya? Jin yang menerima Tauhid tidak bergaul dengan manusia. Tidak ada hubungan antara jin dan manusia sebenarnya, keduanya menjalani kehidupan yang berlainan. Sedangkan sahabat Nabi pun tidak ada berhubungan dengan golongan jin, kenapa kita pula nak berkawan dengan jin? Nabi Muhammad memang sekat para sahabat dari berhubungan dengan jin. Manusia yang berhubungan dengan jin itu adalah mereka yang ada mengamalkan syirik sebenarnya dan ada akidah syirik.
f. Dalil Naqli Malaki – نقلي ملكى – Dalil yang menyebut tentang iman para malaikat. Kerana mereka juga menerima tauhid
g. Dalil Naqli Hayawani – نقلي حيوانى – Dalil-dalil tentang ketaatan binatang. Ini kerana binatang pun terima tauhid. Ada disebut dalam Al-Qur’an bagaimana ada burung dan semut yang berpegang dengan tauhid. Kalau binatang pun terima tauhid, kalau kita tidak terima tauhid, kita lebih teruk dari binatanglah maknanya.

Bahaya kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an selain dari sumber yang sunnah, kerana boleh terpakai dalil-dalil dari Kisah Israiliyat. Ini kerena puak Ahli Kitab itu ada yang mereka telah putar belit kitab mereka.

C. Dalil Wahyi- دليل وحي

Ianya adalah Dalil untuk Dakwa. Semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an sudah dikira ‘wahyu’ dah. Tapi Dalil Wahyi yang dimaksudkan dalam pemahaman kita ini adalah ‘titah khas’ yang ditujukan kepada Nabi untuk disampaikan kepada manusia tentang tuntutan mentauhidkan Allah. Semua ayat-ayat lain adalah wahyu yang perlu disampaikan kepada umat, tapi ada ayat-ayat yang mempunyai titah yang khas. Ianya disebut dengan lafaz yang khusus supaya baginda sampaikan tuntutan tauhid dalam ibadat atau adat.

Ia menghilangkan salah anggap manusia (pihak lawan), kerana ada yang kata yang Nabi memandai reka sahaja suruh beritahu sesuatu perkara. Dulu orang tohmah kepada Nabi, sekarang manusia kata kepada kita pula yang menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an ini. Termasuk orang kafir yang tidak menerima Nabi Muhammad. Maka, kepada mereka, kita katakan, kita kena sampaikan kerana sudah ada arahan khusus dari Allah untuk sampaikan ajaran itu kepada manusia, maka itulah sebabnya kita kena sampaikan. Begitu jugalah, golongan bidaah kata ajaran sunnah yang kita bawa ini hanya rekaan kita sahaja, tidak ada dalam Al-Qur’an. Jadi, kita beritahu kepada mereka, kita sampaikan kepada mereka kerana ianya adalah arahan dari Allah untuk kita sampaikan. Kalau kita tak sampaikan, kita yang salah. Walaupun apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham.

Orang Mekah tak kisah kalau Nabi Muhammad pegang fahaman dia. Cuma mereka marah apabila baginda ajak orang lain. Oleh itu, Allah turunkan ayat kepada Nabi beritahu yang maklumat tauhid itu kena disampaikan atas arahan khusus kepada manusia. Kita yang sedang sampaikan ajaran tauhid dari Qur’an ini adalah kerana dalil wahyu itulah. Kerana sebagaimana Nabi diarahkan untuk menyampaikan ajaran Tauhid, begitu jugalah kita pun kena sampaikan.

Biasanya senang dikenali apabila ada perkataan قل (katakanlah) di dalam ayat itu
atau perkataan: ‘aku telah diperintahkan oleh Tuhanku’, atau perkataan: ‘telah diwahyukan kepadaku’. Atau ayat-ayat lain yang semakna dengannya.

Kita kena ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Kalau selain daripada itu, ada masalah. Ajaran syirik dan bidaah adalah dari syaitan. Maka, kita kena sampaikan kepada manusia. Kalau mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka. Samada mereka terima atau tidak, kita kena sampaikan juga. Biasalah kalau ubat itu, ada yang pahit dan susah untuk diterima, tapi kita kena tegas dalam menyampaikan.
3. Takhwif Ukhrawi – تخويف أخرو

Takhwif ukhrawi azab neraka

Ancaman Akhirat. Ianya adalah ayat-ayat ancaman supaya gerun dengan keadaan dan kejadian akhirat. Itulah ancaman seksa. Manusia memang kena diberi rasa takut atau warning. Macam juga speed-trap di jalanraya kita, kalau tidak ada, manusia tidak takut. Memang manusia dah jenis macam itu dan Allah memang kenal dengan makhluk yang dijadikanNya. Oleh itu, diberikan ayat-ayat sebegitu supaya kita takut dan beringat. Sepatutnya, apabila kita baca ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan akhirat, kita dah takut dah. Sepatutnya kita lebih takut kepada akhirat lebih dari takut kepada manusia.

Akhirat itu bermula dari sakaratul mawt seorang makhluk sampai ke dalam neraka. Itulah permulaan akhirat bagi orang itu.

Ayat takhwif (ancaman) didatangkan oleh Allah s.w.t supaya pihak lawan yang masih enggan menerima da’wa itu akan merasa takut serta bimbang terhadap masa depan mereka, lalu melalui takhwif ukhrowi ini akan mendorong mereka mengakui serta menerima Dakwa yang terdapat dalam Al-Qur’an. Ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah mukjizat, ianya membuka hati manusia untuk mendengar dan membuka hati mereka. Kadang-kadang ada yang tidak mahu terima, tapi setelah dibacakan ayat-ayat takhwf ukhrawi ini, ada yang lembut hati mereka. Al-Qur’an itu pandai pujuk manusia.

Contoh Takhwif Ukhrawi adalah,

وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَى جَهَنَّمَ وِرْدًا

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga. (Maryam:86)

4. Takhwif duniawi – تخويف دنيوي

surah taha ayat 124-takhwif duniawi

Ancaman di Dunia. Ianya adalah ugutan atau ancaman dengan keadaan yang akan berlaku di dunia. Ayat-ayat sebegini memberitahu kita yang kalau kita tolak agama, dalam dunia lagi dah boleh kena azab. Ketahuilah yang ancaman seksa itu boleh dikenakan semasa kita hidup di dunia lagi. Tak payah tunggu di akhirat lagi dah kena di dunia. Kesusahan yang dikenakan oleh Allah tidak akan mampu diselamatkan oleh sesiapa pun. Dalam Bahasa Arab, sebagai contoh, dinamakan ايام الله ayyaamullah (Hari-hari Allah) di mana Allah menceritakan bagaimana kaum-kaum yang terdahulu telah diberikan dengan azab mereka di dunia lagi seperti kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya.

Contoh lain Takhwif Duniawi adalah

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;  (Maryam:98)

Takhwif duniawi kalah perang

5. Tabshir Ukhrawi – تبشير أخروي

surga-selamanya tabshir ukhrawi-baqarah ayat 82

Khabar Gembira tentang Akhirat. Ianya adalah ayat-ayat tentang berita gembira dengan keadaan di akhirat bagi yang menerima Dakwa. Mereka yang menerima Dakwa dan tuntutan wahyu dijanjikan akan diberikan dengan nikmat akhirat yang tidak terhingga. Kadang-kadang mereka terpaksa bercanggah dengan kebanyakan manusia. Kalau jadi begitu, maka abaikanlah apa kesusahan kita di dunia ini kerana kita akan dibalas dengan kesusahan kita itu. Ayat-ayat sebegini memberi semangat kepada kita yang menerima Dakwa itu.

Contoh tabshir ukhrawi adalah ayat

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). (Kahf:107)

6. Tabshir Duniawi – تبشير دنيوي

Tabshir duniawi surah nuh 10-12 fadhilat istighfar
Contoh tabshir atau khabar gembira semasa di dunia.

Khabar Gembira dalam Kehidupan Dunia. Ianya adalah ayat-ayat tentang berita gembira tentang perkara yang boleh diterima semasa di dunia lagi kepada mereka yang menerima Dakwa.

Ianya menceritakan tentang kepuasan hidup yang akan dimiliki oleh orang yang menerima Dakwa, seperti yang diberikan kepada para Nabi. Ianya dikenali sebagai hayyatan thoyyibah. Ianya adalah kepuasan yang tidak dapat dirasai oleh orang kafir. Kalau sesuatu perkara itu orang kafir pun boleh dapat, maka itu bukanlah tabshir duniawi yang dimaksudkan. Ia bukanlah kekayaan kerana ramai orang kaya tapi ada yang bunuh diri mereka. Tabshir Duniawi ini adalah kepuasan hidup yang diberikan kepada mereka yang menerima Dakwa dari dalam Al-Qur’an. Lihatlah bagaimana Nabi-nabi miskin belaka tetapi mereka puas dengan kehidupan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi sengaja tolak kekayaan dari hidup baginda walaupun baginda boleh dapat perkara itu. Jadi takkan Nabi tak dapat tabshir ini? Nabi bersyukur kerana Nabi dah dapat kepuasan. Kepuasan hidup Nabi adalah menderita kerana Allah. Inilah kenikmatan sebenar.

Ini bukanlah menyuruh kita menolak nikmat zahir. Tapi ianya memberitahu kita bahawa bukan nikmat zahir sahaja yang kita mahu. Nikmat zahir itu pun tidak ada harga pun sebenarnya. Lihatlah bagaimana, apabila para isteri Nabi teringin lebih sikit dari kenikmatan dunia, Nabi dengar sahaja, terus baginda terasa. Mereka boleh dapat semua itu, tapi kalau mereka hendakkan kenikmatan dunia, mereka tak layak duduk dengan Nabi. Nabi sedih kerana mereka tak faham sedangkan mereka duduk dengan baginda. Pada baginda, kalau isteri-isteri yang duduk dengan baginda pun tidak faham, orang lain macam mana lagi? Oleh kerana baginda amat terkesan dengan peristiwa itu, Nabi tak bercakap dengan mereka selama sebulan. Waktu itu, Saidina Umar terus pergi berjumpa Nabi untuk bertanyakan samada baginda telah menceraikan isteri-isteri baginda kerana dia takut kalau Nabi ceraikan anaknya Habsah kerana anaknya adalah salah seorang isteri Nabi. Waktu itulah dia melihat keadaan rumah Nabi. Beliau sedih dengan keadaan itu dan telah menyuruh baginda berdoa supaya diberikan lebih lagi dari hal dunia. Nabi kata: kamu tak faham lagi? Apa yang mereka dapat di akhirat lebih baik lagi. Ini mengajar kita, semakin kita menderita, semakin tinggi di akhirat.

Sedikit sahaja disebut tabshir dunia dalam Al-Qur’an kalau dibanding dengan tabshir ukhrawi. Kerana segala kenikmatan dunia ini akan kena tinggal pun akhirnya. Oleh kerana ianya tidak kekal, maka cukuplah disebut sedikit sahaja.

Contoh lain tabshir duniawi adalah ayat

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (an-Nasr:1)

 

7. Shikayah atau shakwa – شكاية

Ianya adalah ayat rungutan Allah tentang sikap degil manusia. Tujuan Shikayah adalah supaya hamba tahu yang Allah tak suka dengan apa yang mereka sedang lakukan dan mereka kena tukar cara. Kalau Allah tak suka sampai merungut, itu ada masalah, maka kena ubah cara hidup.

Allah hendak manusia masuk syurga, diajar cara-caranya, tapi tak mahu juga. Allah nukilkan dalam Al-Qur’an ini, perkataan-perkataan hambaNya yang degil. Ianya adalah jenis ayat, apabila Allah menceritakan tentang kata-kata mereka yang tak munasabah. Seumpamanya seperti Allah nak kata: Tengoklah betapa teruknya mereka ini …. tengoklah kata-kata mereka….

Atau, kata-kata mereka yang mencabar Nabi dan menghina Nabi. Memang kedudukan kebanyakan Nabi-Nabi adalah rendah dalam dunia, sampai ada yang mencabar dan menghina Nabi atau pembawa Dakwa. Nabi dah molek dah ajar manusia bagaimana cara nak masuk dalam syurga, tapi mereka tolak dan hina para Nabi. Ada yang kata nabi nak kaya, nak kerajaan dan macam-macam lagi. Atau kata-kata mereka yang mencabar kemampuan Nabi. Maknanya, bukan pendakwah sahaja yang dihina, tapi para Nabi juga dihina. Sebagaimana Nabi bersabar, kita pun kena bersabar juga. Tujuan mereka menghina begitu adalah kerana nak tundukkan pembawa Dakwa dan menghalang mereka dari menyampaikan dakwah. Kalau berhenti, berjayalah mereka dan sukalah syaitan kalau jadi macam begitu. Jadi, kita yang menyampaikan wahyu ini, jangan berhenti. Kerana perbuatan dan perkataan mereka itu akan terus berlaku. Mereka mengeluarkan perkataan dari bisikan syaitan. Tapi Allah cerita kepada kita supaya kita jangan berhenti menyampaikan ayat-ayat Allah. Kerana kalau kita teruskan, ada kemungkinan orang yang melawan itu akan lembut hati dan mahu menerima wahyu Ilahi. Kadang-kadang, apa yang mereka kata itu, sekejap sahaja. Kalau kita terus sampaikan, syaitan pun akan tinggalkan mereka.

Cara untuk kenal ayat-ayat sebegini adalah apabila ada kata قال atau قالوا. Allah nukilkan kata-kata mereka yang Dia tidak suka. Contoh ayat Shikayah adalah:

وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami. (al-isra’: 90)

 

8. Zajrun – زجر

Ini adalah jenis ayat-ayat teguran. Ada dua jenis: kepada yang mengikut Al-Qur’an dan juga kepada yang melawan.

A: Dikira sebagai ‘teguran membina’ atau nasihat yang berguna, jikalau ianya diberikan kepada Nabi dan umat Islam yang beriman. Kerana manusia perlu memperbaiki diri mereka walaupun mereka tidak buat salah.

B: Kalau kepada yang melawan, ianya adalah ‘teguran keras’ dan ‘kiasan pedas’. Kerana tuntutan mereka yang tidak munasabah dan sikap mereka yang salah.

Kedua-dua jenis teguran itu adalah untuk memperbaiki sifat manusia. Termasuk teguran yang membina pun. Ini susah sikit nak faham. Sebagai contoh dalam tawbah:41, Allah berfirman

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Dalam ayat ini, suruhan Allah adalah untuk semua sekali umat Islam waktu itu pergi untuk berjihad. Allah telah pesan untuk kosongkan Madinah untuk berperang di Tabuk. Tabuk itu adalah tempat yang jauh, waktu itu adalah musim panas dan musuh yang hendak dihadapi adalah ramai. Ditambah pula yang hasil kurma waktu itu sedang elok dah sudah boleh dikutip. Itu semua adalah dugaan-dugaan berat untuk pergi berperang. Ramai yang sudah tidak mahu pergi berperang dan ada beberapa munafik datang jumpa Nabi untuk beri alasan palsu. Tapi Nabi beri izin kepada mereka untuk tidak ikut berperang. Kerana Nabi beri izin itulah yang Allah tegur. Inilah yang dinamakan ‘teguran membina’. Ini terdapat dalam ayat Tawbah:43, dimana Allah telah tegur dan maafkan Nabi.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ

Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi tak bagi izin. Kalau baginda tidak benarkan, tentulah akan dapat tahu siapakah yang beriman dan siapa yang munafik, kerana yang munafik tentu tidak akan pergi berperang. Tapi, disebabkan Nabi telah beri izin kepada mereka untuk tidak berperang, maka tidaklah jelas siapakah yang munafik dan siapa yang tidak. Kerana munafik yang tidak pergi berperang itu boleh kata yang Nabi telah benarkan mereka untuk tidak pergi.

Dengan ayat ini, mengajar kita bahawa kalau Khalifah sudah beri perintah untuk berjihad, yang tidak pergi adalah munafik. Kerana ayat itu walaupun asalnya untuk Nabi, tapi ianya kepada kita juga. Ini adalah kaedah pengecaman yang kita boleh gunakan untuk menentukan siapakah kalangan munafik di kalangan kita. Iaitu mereka itu tidak pergi berperang dan mereka tidak keluar infak.

Kadangkala Nabi ditegur kerana khilaful awla – perkara yang kurang baik dari yang lebih baik – menyalahi yang terbaik. Bukanlah Nabi telah buat satu kesalahan tetapi ianya adalah kesilapan sahaja yang tidak dipersalahkan kepada Nabi. Oleh itu, kena berhati-hati dalam menghurai ayat sebegini, kerana takut kita kata sesuatu kata yang tak sesuai terhadap Nabi. Jangan kita kata sesuatu yang sampai boleh merendahkan kedudukan Nabi. Boleh rosak akidah kalau merendahkan Nabi Muhammad. Kerana tidaklah sama teguran kepada Nabi dan orang mukmin dan teguran kepada puak penentang. Teguran Allah kepada orang mukmin tidak berat.

Contoh ayat Zajrun untuk penentang pula adalah seperti yang disebut dalam Ghafir:83

فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرِحوا بِما عِندَهُم مِنَ العِلمِ

Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka;

Mereka lebih berbangga dengan ilmu sesat yang mereka ada. Padahal itu adalah ilmu khayalan yang bukan datang dari wahyu tapi dari nafsu mereka. Macam kita zaman sekarang, kita bawa dalil yang sahih, tapi mereka kata mereka ada hujah juga, tapi dari kata tok guru-tok guru salah mereka. Mereka berbangga dengan ilmu salah mereka pula. Ayat ini kena sangat kepada pengamal bidaah di negara ini. Jadi, jangan kita malu alah dengan dalil yang mereka bawakan – kita kena periksa dalil mereka itu, datang dari mana, sah atau tidak.

 

9. Tasliah atau tasalli – تسلية / تسلّى

Ini adalah ayat-ayat pujukan atau penghibur hati kepada penyebar Dakwa – merangkumi Nabi dan semua umat yang menyebar tauhid – termasuk pengikut Nabi. Apabila kita berdakwah menyampaikan ajaran agama, akan ada yang kata buruk terhadap kita. Bukan senang nak dakwah – walaupun kita benar, tidaklah semua orang akan terima. Ramai yang belajar benda selain dari Al-Qur’an dan Sunnah, maka mereka ikut nafsu mereka. Marah betul mereka apabila kita kata apa yang mereka faham dan amalkan itu salah. Mereka bukan sahaja tidak terima, tapi ada yang menentang dan kata buruk terhadap kita. Tambahan pula mereka sudah lama amal ikut bisikan syaitan, syaitan dah banyak tanam saham dengan mereka, maka tidak mudah syaitan nak lepaskan mereka ikut Sunnah.

Apabila itu berlaku, hati ini akan kecewa sungguh. Kepada mereka yang menerima dugaan itu, ada ayat-ayat yang Allah turunkan kepada Nabi dan penyebar dakwa sebagai penghibur dan pujukan hati – supaya mereka mendapat ketabahan. Jangan mudah kecewa. Allah memberitahu kita untuk menelan apa yang kena kepada kita, nanti akan dibalas dengan baik di akhirat kelak. Susah sekejap sahaja di dunia, bukan lama. Diberikan ayat-ayat sebegitu supaya mereka mendapat ketenangan dalam menyebar dakwah. Bukan hanya kita sahaja yang kena, tapi Nabi pun menderita kerana kata-kata umat baginda. Apabila kita memperjuangkan perkara yang sama, maka kita pun akan terima juga. Ayat-ayat yang menghiburkan hati Nabi, ia juga akan menghiburkan hati kita yang mendapat tentangan dalam usaha dakwah kita.

Ada tiga jenis ayat-ayat Tasliah:
a. al balwa iza ‘ammat, khaffat. لبلوى اذا عمّت خفّت
‘Penderitaan itu apabila ia telah jadi umum, ianya dirasa ringan’. Musibah itu jika ianya umum, iaitu apabila kita tahu yang orang ramai lain pun terkena juga, maka yang kita yang menerimanya juga akan rasa ringan. Kita rasa ringan sebab tak rasa kita sahaja yang kena, tapi ramai juga yang lain kena – kita tidak berseorangan yang kena. Adalah kurang sedikit rasa kesusahan itu. Contoh, kalau kita sakit perut, kita akan rasa kurang rasa sakit itu kalau kita tahu yang ramai lagi yang sakit perut. Sebagai contoh, ayat Fathir: 25

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.
(Melayu)

Dalam ayat ini, Nabi dan penyebar Dakwa diberitahu yang bukan mereka sahaja yang kena tolak dalam usaha dakwah mereka, tapi orang-orang terdahulu sebelum mereka pun kena juga. Maka, itu mengurangkan sedikit keresahan dan sakit hati yang dialami oleh Nabi. Kalau mereka boleh sabar, takkan kita tidak boleh sabar?

 

b. Tarqul qaliili lil kathir. ترك القليل للكثير.

‘Meninggalkan yang sedikit demi untuk mendapat yang lebih banyak’. Meninggalkan yang sedikit untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar nilainya dan lebih banyak. Perumpamaan, kita tinggalkan projek yang kecil dan pulangan yang sedikit, asalkan kita boleh dapat projek yang berjuta-juta harganya – kita tak kisah pun kalau orang lain berebut nak dapatkan projek yang kecil-kecil itu.

Seperti yang kita tahu, Allah tak limpahkan kelebihan keduniaan kepada pendakwah seperti yang diberikan kepada mereka yang menentang dakwah. Kadang-kadang kita lihat orang yang kafir dan yang menentang Islam, kehidupan dunia mereka nampak sangat mewah. Sedangkan kita lihat penyeru Dakwa seperti Nabi kita sendiri, seperti tidak ada apa-apa dalam dunia ini, mereka hidup dengan serba kedaifan. Tapi dalam masa yang sama mereka kena dakwah kepada mereka-mereka yang kaya dan yang berkedudukan tinggi dalam dunia. Semua ini mencabar Nabi dan penyeru Dakwa sedikit sebanyak.

Tapi Allah beritahu bahawa dunia ini kecil sahaja, dan akhirnya semuanya akan ditinggalkan. Allah memujuk: Tahanlah sekejap kesengsaraan yang dialami semasa di dunia ini. Ianya tidak ada apa-apa pada hakikatnya. Hasil dari kesabaran itu, mereka akan dapat kelebihan di akhirat yang lagi besar. Dengan membaca ayat-ayat itu, menjadi ringan untuk menghadapi segala kesusahan yang kita alami di dunia.

Contoh ayat sebegini adalah seperti ayat Ali Imran:196-197

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh bebasnya orang-orang yang kafir bergerak di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Kelebihan keduniaan yang mereka dapat itu sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Nabi akan dapat di akhirat nanti. Berapa sangatlah kelebihan mereka dapat itu, kalau makan banyak, berapa sangat yang mereka boleh makan? Maka, biarkanlah mereka apa sahaja mereka nak kata. Dan Nabi dan mereka yang beiman akan dapat kelebihan yang berkali-kali ganda. Kita pun sebagai pendakwah, akan tentunya berjumpa dengan mereka yang harta dan kemewahan berjuta-juta, tapi janganlah kita terpesona dengan kelebihan yang mereka ada itu.

c. Tarqul mubalaati bil mukhaaliifin biada’i syukri ترك المبالاة بالمخالفين بأداء الشكر على نعم المنعم
‘Tidak peduli pada penentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran’. Tidak mempedulikan sikap segala mereka yang menentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran ke atas nikmat kepada Allah, sebesar-besar pemberi nikmat. Nikmat-nikmat itu dalam bentuk rohani yang tidak ternilai sekali. Kalau kita memikirkan sangat apa yang orang kata terhadap kita, kata kita sesat, wahabi dan sebagainya, akan sesak fikiran dan nafas kita – buang masa sahaja, baik kita solat dan buat amalan ibadat yang lain. Memang syaitan mahu kita buang masa dan susah hati memikirkan perkara itu. Oleh itu, tumpukan fokus kita kepada buat amal ibadat. Itu lebih baik dari kita memikirkan apa yang mereka katakan itu. Mereka sibuk cari dosa, kita sibukkan diri kita dengan cari pahala.

Allah mengajar kita supaya jangan layan apa kata mereka yang menentang, tapi banyakkan bersyukur kepada Allah. Jangan hirau dengan cakap para penentang. Takkan kita nak marah kepada pekerja sampah yang tidak ada kedudukan? Macam kita yang sudah tahu tauhid ini, takkan nak lawan dengan mereka yang tidak ada nikmat iman? Syaitan sampaikan kata-kata mereka kepada kita kerana syaitan nak kita berhenti dakwah. Kenanglah bagaimana Allah dah bagi Al-Qur’an, bagi wahyu, bagi Nabi kepada kita, dan itu sudah sebesar-besar nikmat dah.

Dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, hati kita akan jadi tenang. Fikirkan yang positif. Kenangkan juga nikmat iman yang Allah dah berikan kepada kita. Sibukkan hati kita dengan ibadat kepada Allah. Ucapkan syukur kepada Allah sentiasa. Jangan serabutkan fikiran dengan perkara-perkara yang tidak penting. Ingatlah bahawa kesusahan yang kita alami ini akan mendapat balasan baik di akhirat. Kita kena Tawajuh (hadapkan wajah) kepada Allah. Lihatlah bagaimana Nabi tenang dan damai walaupun baginda dikelilingi dengan musuh yang ramai, kerana baginda telah diberikan dengan ayat-ayat tasliah macam ini.

Contoh ayat tasliah jenis ini: Taha:130

فَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ

Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).

Apabila kita hadapkan hati kita kepada Allah, Dia akan berikan ketenangan kepada kita. Inilah ubat untuk mengubat hati kita dari terganggu dengan apa yang mereka lakukan dan katakan terhadap kita.

 

10. Umur Muslihah – أمور مصلحة

‘Amalan-amalan yang memberi kesan kepada Islah diri’. Ianya adalah ayat-ayat yang mengajar amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah (memperbaiki) diri.

Apabila kita terima Allah dan kenal Allah, maka kita akan berkeinginan untuk mendekatkan diri dengan Allah dan cara untuk menghampirkan diri kepadaNya adalah dengan cara ibadat yang Nabi ajar berdasarkan dari Al-Qur’an dan Sunnah.

Bukan setiap manusia yang terima Islam itu sudah sempurna agama mereka. Maka kena ada usaha untuk memperbaiki diri. Nak dapat hasil, kena luang masa. Dan untuk mendapatkan ilmu, ianya berhajat kepada tempoh dan melalui proses.

Dalam kita berdakwah, kita mesti akan bertemu penentang yang ramai. Walaupun ianya berat, tapi kita kena sampaikan juga Dakwa kepada mereka. Dan untuk menyampaikan dakwah, kita sendiri kena hidup dalam sistem yang baik yang boleh menjadi tauladan kepada orang lain. Jangan orang lihat cara hidup kita yang buruk sampai mereka tidak selera nak dengar dakwah kita. Ini termasuklah perkara yang nampak macam kecil seperti menjaga kebersihan dan sebagainya. Apabila hidup kita elok, barulah senang nak sampaikan dakwah. Baru orang pandang baik kepada kita. Tidaklah sama sahaja kita dengan orang yang berperangai buruk. Kadang-kadang perangai buruk kita menjadikan orang susah terima Islam kerana mereka mengaitkan perangai kita dengan agama Islam itu sendiri. Untuk mendapatkan kehidupan yang baik, kita memerlukan kepada ayat-ayat jenis umur munazimah yang akan diterangkan selepas ini.

Ada kaitan yang amat rapat antara ayat-ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Ayat-ayat umur munazimah adalah untuk menyusun hidup kita jadi baik dan harmoni, bertimbang rasa dan supaya menjadi baik. Untuk mengamalkan ayat-ayat Umur Munazimah, kena ada amalan khusus yang Allah beri untuk menyusun kita. Itulah umur muslihah. Bila umur muslihah betul, barulah umur munazimah menjadi. Maknanya, kena mulakan dengan Umur Muslihah dahulu.

Ayat Umur Muslihah adalah ayat-ayat tentang ibadat khas seperti solat. Allah mendidik kita untuk jadi molek dengan solat kerana solat adalah Umur Muslihah yang terbaik. Contoh ayat-ayat Umur Muslihah adalah seperti firman Allah dalam 2:238

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Peliharalah kamu segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (Asar atau Subuh) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Ayat ini diletakkan diantara ayat-ayat tentang kehidupan berkeluarga. Tiba-tiba sahaja masuk tentang solat. Kalau dikira ikut susunan, macam tidak kena. Macam silap cetak pula. Dan memang golongan Syiah ada kata yang inilah kesilapan golongan sunni dalam menulis semula Qur’an – mereka gunakan ini sebagai dalil yang puak sunnah reka Al-Qur’an.

Solat yang baik adalah solat yang menjaga khusyuk dan dengan berjemaah di masjid. Merekalah yang boleh dibentuk menjadi masyarakat yang baik, yang boleh ikut hukum-hukum Umur Munazimah yang Allah berikan. Begitulah, ayat Umur Muslihah ini dimasukkan di antara ayat-ayat muamalah dan mu’asharah. Kalau tak belajar, tak nampak kaitan antara ayat-ayat itu.

Kaitan yang lain adalah apabila kita buat baik di satu bahagian, ianya akan merangsang kebaikan di bahagian yang lain. Kerana ianya menjadi satu dorongan kepada yang satu lagi. Itu sebab diselangi antara ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah.

Dari kebaikan yang ada itu, ‘adat’ atau Umur Munazimah akan jadi elok dan teratur. Umur Muslihah jadi ‘ibadat’ dan Umur Munazimah jadi ‘adat’. Ada empat jenis ‘adat’ dalam kehidupan:
1. Mu’asharah – adat dengan keluarga kita.
2. Muamalah – hubungan sesama masyarakat. Iaitu hubungan satu keluarga dengan keluarga yang lain. Semua ada kerja masing-masing yang perlu dijalankan. Kita sentiasa memerlukan sesuatu dari orang lain. Ianya memerlukan pertukaran keperluan yang baik antara satu sama lain.
3. Siasatul madaniah – Keluarga yang lebih besar adalah masyarakat. Masyarakat yang baik kena ada pemimpin. Jadi ayat-ayat jenis ini mengajar sistem pentadbiran.
4. Akhlak dan budi pekerti – Ini merangkumi semua perhubungan antara manusia dan manusia dan juga antara manusia dan haiwan juga.

Semua ‘adat’ ini akan jadi baik kalau ‘ibadat’ kita baik. Kalau kita buat dosa dalam ibadat, dosa itu akan mengheret kita kepada melakukan dosa dalam perkara kehidupan kita. Kerana dosa itu akan meransang kita untuk buat dosa lain. Kita kena bertaubat atas dosa-dosa yang kita buat dalam ibadat kita. Sebab itu kita diajar untuk melakukan taubat dalam solat. Kalau bertaubat, perasaan untuk buat dosa lain akan jadi lemah. Ini adalah cara yang amat mantap dan penting untuk dilakukan.

Kalau kita buat pahala, akan melahirkan dalam hati satu dorongan baru untuk berusaha untuk buat kebaikan lain. Mula-mula solat fardhu, kemudian kita akan berasa nak solat sunat pula. Amalan baik akan mendapat taufik dari Allah.

 

11. Umur Munazimah – أمور منظمة

Ayat-ayat ini mengajar cara hidup bermasyarakat Islam kepada mereka yang telah menerima Dakwa. Ini adalah kesinambungan dari umur muslihah. Oleh itu, kena ada umur muslihah dahulu. Kerana itu di celah-celah ayat umur munazimah, akan ada ayat-ayat umur muslihah.

Ianya adalah ayat-ayat tentang kaedah hidup bermasyarakat termasuk nikah kahwin, jual beli, cara memiliki harta, cara membelanjakan harta, pembahagian harta pusaka dan undang-undang jenayah (apabila berlaku keterlanjuran) serta cara-cara  “muhakamah” (mengadili) dan lain-lain lagi. Dari awal kita hidup, sampailah kita mati, semuanya telah disentuh. Tidak perlu panduan cara hidup dari budaya lain. Takut kalau tambah dari cara lain, boleh punah dan rosak kehidupan kita. Apa yang ada dalam Al-Qur’an dan Sunnah sudah cukup untuk kita menjalani kehidupan kita dari mula hidup sampai kita mati. Banyak orang belajar perkara lain sampai ke universiti, tapi agama dia tak belajar lagi. Kalau dia belajar, dia akan tahu bahawa agama Islam adalah agama yang syumul. Untuk kita tahu yang agama Islam ini hebat, kenalah dia belajar dahulu. Kalau belajar sikit sahaja, ala kadar sahaja, tentulah tak nampak. Kita kena seru umat Islam semua sekali menerima dan belajar agama Islam. Supaya kita boleh jadi contoh kepada mereka yang tidak tahu, terutama sekali mereka yang belum masuk Islam. Kita ada cara hidup yang sempurna, maka tunjuk dan ajak kepada mereka. Tidak perlu tunjuk pun, mereka lihat pun mereka dah terkesan nak ikut. Sebagai contoh, peperangan yang berlaku dalam Islam adalah untuk membebaskan masyarakat kafir yang tertindas dengan pemimpin mereka. Raja mereka mungkin tidak mahu masuk Islam dan sebab itu terjadi peperangan – tapi masyarakat itu sendiri, mereka memang nak masuk Islam.

Ingatlah bahawa kita tidak dapat menjalankan tugas dakwah kalau kehidupan kita sendiri kucar kacir. Susah hendak menjalankan kerja dakwah kalau kehidupan kita sendiri tidak boleh dicontohi. Ini adalah masalah besar yang dihadapi oleh kita sekarang. Lihatlah bagaimana kita hidup berpuak-puak dan berpecah belah.

Belajarlah bagaimana Al-Qur’an ini boleh menyusun hidup kita. Semua sudah disentuh dalam Al-Qur’an asalkan kita mahu belajar. Allah yang menjadikan kita, maka tentulah Allah tahu bagaimana cara yang terbaik untuk kita. Allah tak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan.

Contoh ayat-ayat Umur Munazimah adalah seperti ayat tentang mu’asyaroh dalam 2:226

لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ 
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan.

Juga ayat tentang mua’malah dalam 2:282

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكتُبوهُ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu

Diingatkan kembali, Umur Munazimah tidak akan sempurna kalau Umur Muslihah tidak sempurna. Kena baikkan hubungan dengan Allah dahulu, untuk mendapat hubungan yang baik dengan makhluk.

 

12. Idmaj – ادماج atau Jumlah Muqaddar

Perkataan yang tidak ada dalam Al-Qur’an tapi mesti ditakdirkan ada bagi melahirkan makna sesuatu ayat. Ada perkataan dalam Al-Qur’an yang tidak disebut, tapi sebenarnya ada. Ini adalah kerana ianya sudah dihazafkan (dihilangkan). Ianya adalah suatu jumlah yang tiada disebut di dalam Al-Qur’an, tetapi mesti di’taqdir’kan bagi melahirkan makna sebenar sesuatu ayat, atau dinamakan di dalam istilah lughah (bahasa) Arab, “jumlah muqaddaroh”.

Sebagai contoh dalam bahasa Melayu: Perkataan ‘terima kasih’ sebenarnya telah dihazafkan, sepatutnya panjang lagi (aku ucapkan terima kasih kepada kamu) tapi kita sebut ‘terima kasih’ sahaja. Ini berkaitan dengan ilmu balaghah. Ini membawa kita kepada belajar nahu Arab.

Contoh ayat Idmaj adalah 2:17

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api;

Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ dalam ayat ini? Kita telah belajar bahawa mereka yang dimaksudkan adalah golongan ‘kafir degil’ iaitu golongan Musyrikin Mekah. Dan ‘orang yang menyalakan api’ itu adalah Nabi Muhammad SAW.

Jadi kalau maklumat ini tidak disampaikan di dalam tafsir, pembaca Qur’an tidak akan dapat memahaminya ayat ini.

 

13. Idkhal ilahi – ادخال الهى

Ianya bermaksud: ‘pencelahan Tuhan’. Antara ayat yang ada hubungan antara satu sama lain. Tujuannya supaya ada penekanan khas kepada ayat tersebut. Ia menunjukkan yang ada benda penting Allah nak beritahu. Dalam ayat yang panjang, tiba-tiba ada ayat yang nampak macam tak kena dengan rentetan ayat-ayat yang lain, tapi sebenarnya Allah letak di situ sebagai penekanan.

Kadang-kadang ianya dimasukkan kerana Allah nak beri jawapan kepada soalan muqaddarah iaitu jawapan kepada pihak lawan. Macam ada soalan yang akan timbul dari mereka setelah diberitahu sesuatu perkara dalam Al-Qur’an. Soalan itu memang tidak ada dalam ayat-ayat Al-Qur’an, tapi sebenarnya ada. Ada dalam fikiran manusia. Maka, untuk tutup terus hujah mereka, Allah beri jawapan terus. Ini untuk memastikan fakta yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu mantap.

Contoh ayat idkhal ilahi ada terdapat dalam Ghafir:25

فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ آمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم

Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”,

Ayat idkhal Ilahi ini diletakkan di hujung ayat yang sama:

وَما كَيدُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja.

Dalam ayat ini, apabila dibaca perancangan Firaun itu, mungkin timbul dalam akal fikiran pembaca Qur’an: adakah rancangan itu berjaya? Maka Allah jawap dalam ayat ini sendiri: rancangan mereka itu tidak berjaya.

Contoh lagi satu adalah dalam ayat 14- 15 dari Surah Luqman, dimana Allah masukkan Idkhal Ilahari dalam nasihat Luqman kepada anaknya. Ayat 14 dan 15 itu berlainan dari rentetan nasihat Luqman kepada anaknya. Ayat itu hendak menceritakan kepentingan tauhid kepada Allah.

 

14. I’aadahاعادة

Ianya bermaksud ‘pengulangan semula’. Diulang kalimah yang telah disebut sebelumnya supaya hukum dalam ayat sebelumnya boleh difahami dengan lebih mudah.

Atau kalimah itu akan mendekatkan semula hukum yang akhir dengan kandungan-kandungan yang panjang sebelumnya. Contoh terdapat dalam Waqiah:83 dimana ada pengulangan perkataan فَلَوْلَا .

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

Diulang perkataan فَلَوْلَا dalam ayat 86. Inilah yang dipanggil I’aadah.

فَلَوْلَا إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ

Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), –

Dalam rentetan ayat-ayat ini, Allah menceritakan tentang keadaan orang yang hampir mati. Tiada ada sesiapa yang boleh menahan roh untuk keluar dari jasad. Walau bagaimana berkuasa pun seseorang itu, dia tidak akan dapat menahan roh dari keluar. Sekuat mana pun seseorang itu, dia kena mengalah satu hari dimana kematian akan datang dan dia terpaksa akur kepada qudrat Allah. Allah cabar mereka yang ada kuasa, kenapa mereka mengalah waktu itu? – Kalau betul kamu berkuasa, maka tahanlah roh itu dari keluar -. Waktu itu semua tahu yang tidak ada sesiapapun yang boleh sekat. Kalau kamu mengalah waktu itu, kamu patut mengalah kepada hukum Allah yang lain dan percaya bahawa ada kehidupan selepas mati. Ayat ini diberikan kepada mereka kerana mereka tak percaya ada akhirat.

Allah nak beritahu yang akhirat dan pembalasan itu ada. Dalilnya adalah, apabila Dia nak ambil nyawa sesiapa, tidak ada sesiapa yang boleh sekat. Diberikan penekanan kepada mereka dengan dibawakan ayat-ayat dalam kaedah ini.

 

15. Khatmul qalbi – ختم القلب

‘Kunci mati mata hati’. Ayat yang menceritakan bagaimana Allah akan ‘kunci mati mata hati’.

Ianya adalah ayat-ayat yang didatangkan sebagai keputusan terakhir kepada penentang Dakwa. Setelah diberi peluang berkali-kali bagi mereka untuk menerima dakwah. Setelah didatangkan kepadanya akal, pancaindera dan telah dibawakan pembawa Dakwa, dari kalangan Nabi dan pengikutnya. Semua bawa dalil dan bukti serta contoh tauladan dan nasihat berguna. Semua itu dibawa supaya mereka menerima dakwa. Tapi mereka masih berdegil. Maka Allah, pada satu waktu akan menarik balik peluang untuk mereka mengikut hikmahNya dan taqdirNya. Setelah peluang itu tidak ada lagi, akan dikunci mati hati mereka. Waktu itu tidak ada jalan yang boleh menyampaikan mereka kepada haq. Penarikan peluang itulah yang dinamakan Khatmul Qalbi. Ini adalah tahap keempat. Maknanya, sebelum terjadi perkara ini, ada tiga peringkat lain sebelum itu. Maka kena beringat-ingat takut kita pun terkena juga. Peringkat-peringat itu adalah:

1. Syak atau was-was terhadap ugama. Tolak tidak, terima pun tidak. Ini pun sudah dikira sesat kerana kita sepatutnya kena terima kebenaran. Mereka ada syak terhadap Qur’an dan agama. Oleh kerana syak, maka mereka tunggu dan lihat apa yang terjadi, tanpa buat apa-apa. Itulah mereka yang kalau kita ajak mereka belajar, mereka tak mahu nak ikut.

2. Berada di atas kesesatan (dolalah). Iaitu apabila dia terima yang salah. Setelah ajaran yang betul dibacakan, mereka masih tidak terima. Ini terjadi kalau masalah dalam peringkat 1 tidak diselesaikan dan diperbaiki.

3. Sentiasa mujadalah (membantah dan melawan). Melawan kebenaran setelah dibacakan kebenaran kepadanya. Peringkat 1 dan 2, mereka duduk diam sahaja, tidak membantah. Tapi dalam peringat 3 ini, mereka mula bantah.

4. Kunci mati mata hati. Sampai bila-bila dia tidak akan terima Islam.

Orang yang Allah telah tutup hatinya dari menerima hidayah, tidak akan terima hidayah sampai bila-bila. Walaupun segala hujah diberikan kepadanya, walaupun semua orang telah berdakwah kepadanya, walau datang pendakwah yang paling baik pun, tidak akan mengubah dirinya. Kerana Allah telah buat keputusan yang orang itu adalah ahli neraka. Allah telah tarik peluang untuk beriman dari dirinya.

Tapi kita kena ingat yang mengunci mati hati manusia bukan kerja kita. Kita pun tak boleh kata seseorang itu telah dikunci mati hatinya. Kita jangan ambil kerja Tuhan pula dengan mengatakan seseorang itu tidak ada harapan lagi untuk terima iman. Kita kena dakwah Islam kepada semua orang.

Kita baca ayat ini untuk kita sendiri beringat, bukannya nak hukum orang lain. Dan supaya kita dapat ingatkan kepada orang lain. Sebab ramai yang tak tahu langsung perkara ini.

Tiga perkara berkenaan Khatmul Qalbi ini disebut dalam Al-Qur’an.

1. Apakah makna Khatmul Qalbi itu. Supaya manusia tahu apakah ia. Selepas kita sudah tahu apakah ia, maka kita kena doa kepada Allah supaya kita dijauhkan darinya.
2. Cara ianya berlaku dan kenapa berlaku.
3. Siapa yang melakukan Khatmul qalbi itu. Tentulah yang hanya boleh melakukannya adalah Allah. Hanya Allah yang menentukan siapa yang akan dikunci mati hati mereka. Ianya dilakukan mengikut ‘hikmah ilahiah’. Allah sahaja yang tahu kenapa hati mereka dikunci mati.

Apabila kita mati dalam keadaan itu, ianya adalah Su’ul khatimah dan ianya adalah perkara yang amat malang. Maka kita kena minta berlindung darinya.

Contoh: A’raf: 179

لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ayat ini menceritakan apakah Khatmul Qalbi. Iaitu mereka yang ada mata, telinga dan hati tapi kebenaran tidak akan masuk. Sesiapa datang dakwah kepada mereka pun mereka tidak akan terima.

Bagaimana pula cara ianya berlaku? Allah sebut dalam Mutaffifin:14

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Allah telah menutup hati mereka sampaikan mereka tak boleh nak nampak kebenaran. Kerana mereka telah menentang agama Allah. Mereka bukan sahaja tidak beriman, malah mereka menentang. Mereka cari kesalahan-kesalahan dalam agama, mereka halang orang lain dari beriman, mereka tulis blog menentang ajaran agama dan sebagainya. Setiap kali mereka melakukan penentangan itu, semakin tinggi kebarangkalian mereka akan ditutup hati.

Siapakah yang melakukan Khatmul qalbi itu? Allah lah yang melakukannya. Seperti Allah sebut dalam Baqarah: 7

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

 

16. Rabtul qalbi – ربط القلب

‘Peneguhan Hati’. Ianya adalah lawan kepada Khatmul qalbi. Ianya adalah peneguhan hati atau keyakinan yang sejati. Maksudnya, seseorang itu diberikan iman yang sempurna yang membawa kepada kejayaan. Ianya akan diberikan kepada hamba yang berusaha.

Iman yang tidak sempurna akan sentiasa melanggar hukum Allah. Iman mereka ada, tapi tidak sempurna. Menyebabkan dia akan diazab beberapa lama di neraka. Mereka yang iman sempurna tidak akan masuk neraka langsung.

Ianya adalah Ayat-ayat yang menceritakan tentang hati Pembawa Dakwa. Iaitu mereka yang belajar dan menerima Al-Qur’an. Mereka Istiqamah dalam pendirian mereka. Mereka akan menegakkan hukum dalam segala ujian. Mereka tetap teguh walaupun mereka diuji dengan berbagai-bagai ujian. Hati mereka sampai ke peringkat sukar kembali kepada kesesatan. Mereka takkan sesat dah kerana mereka telah memiliki Rabtul qalbi. Kalau orang lain, ada lagi kemungkinan boleh jatuh ke lembah kesesatan.

Ini pun tahap iman yang keempat. Ada tahap tahap lain sebelumnya. Inilah tahap yang kita mahu. Semua tahap-tahap itu disebut dalam Al-Qur’an.

1. Sifat inabah. Ada keinginan kepada kebenaran, mereka mencari-cari kebenaran, ingin belajar dan sebagainya. Walaupun tak buat lagi, tapi ianya adalah permulaan kepada hidayah. Mereka sanggup dengar dahulu apa yang hendak diberitahu dalam agama. Mereka mahu kepada kebenaran. Mereka hendak mencari kebenaran.

2. Selepas mereka menerima hidayah, mereka mula duduk di atas jalan hidayah. Sudah menerima kebenaran. Mereka sudah masuk Islam dan sudah mula tahu tentang hukum-hukum agama yang mereka perlu pelajar dari taat. Mereka sudah mula ikut sedikit demi sedikit.

3. Istiqomah dan tetap atas jalan agama. Setelah diduga dengan berbagai ujian ditentang oleh pihak yang menghalang, tapi mereka masih tetap di atas jalan hidayah. Kerana itu Allah akan angkat lagi kedudukan manusia itu kerana mereka dapat melepasi ujian yang Allah berikan. Mereka sabar dengan ujian dan tidak meninggalkan agama. Kenalah kita ingat yang ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita dan menambah pahala kita sebenarnya.

4. Kalau dia dapat melepasi tiga peringakat itu, maka dia akan diteguhkan hatinya di atas aqidah tauhid. Setelah melalui berbagai-bagai dugaan dan tentangan tapi dia masih tetap tidak gugur dan tidak terkesan dengan mana-mana dugaan. Maka, mereka akan tetap terus beriman dan akan mati dalam Husnul Khotimah.

Nabi dan para sahabat telah sampai ke tahap keempat ini. Sebab itu mereka boleh dijadikan sebagai contoh tauladan. Selain dari mereka, tidak boleh lagi dijadikan contoh kerana belum tentu mereka itu telah selamat. Kerana kita tak tahu mereka tahap mana. Macam Nabi dan para sahabat, telah diberitahu oleh Allah yang mereka telah sampai ke tahap keempat. Semua sahabat dikira sebagai ‘adil’. Merekalah neraca syariat yang kita kena ikut.

Contoh yang diberikan: Kahfi:14

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Semua pemuda Kahfi itu telah mendapat Robtul Qalbi. Mereka sanggup berdiri menegakkan hujah berdepan dengan raja yang zalim. Maka Allah telah berikan Robtul Qalbi kepada mereka. Mereka telah dilindungi dalam gua untuk menjaga akidah mereka. Para wali, seperti Pemuda Kahfi ini, ada sifat ini. Oleh kerana mereka telah dijadikan sebagai contoh, maka kita kena jadikan mereka sebagai contoh. Iaitu kita kena cakap tentang kebenaran walaupun kita berdepan dengan orang yang bahaya, yang boleh memudharatkan kita. Oleh itu, kita boleh mendapat Robtul Qalbi ini kalau kita sampaikan kepada mereka yang melawan.

Allahu a’lam. Sambung ke Risalah ke 2: Fawaid Tafsir


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafsir Surah Jin Ayat 8 – 13 (Ada jin Islam)

Pengenalan:

1. Janganlah kita membesarkan jin. Sedangkan kedudukan mereka itu lebih rendah dari kita sebenarnya. Jangan kita ada sangkaan dalam hati kita yang mereka ada kuasa lebih. Dalam satu hadis riwayat Abi Dawud:

كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَعَثَرَتْ دَابَّتُهُ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ . فَقَالَ لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولَ بِقُوَّتِى وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Ketika aku dibonceng Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba-tiba unta beliau tergelincir. Serta merta aku berkata, “Celakalah syaitan.” Maka beliau bersabda, “Jangan kamu katakan, ‘celakalah syaitan,’ sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan dengan sombongnya syaitan akan berkata; ‘Itu terjadi kerana kekuatanku’. Akan tetapi, ucapkanlah ‘Bismillah’ sebab jika engkau mengucapkan basmalah syaitan akan mengecil hingga sebesar lalat. “(HR. Abu Dawud)

Malangnya, orang kita takut dengan jin dan rasa jin boleh buat sesuatu kepada mereka. Maka, itulah sebabnya jin itu lagi mengganas.

2. Jangan juga kita terpesona dengan ada golongan yang boleh scan dan nampak jin. Contohnya mereka boleh kata ada dua tiga ekor dalam badan seseorang. Siap boleh sebut nama jin itu. Ataupun siap ada yang boleh bercakap dengan jin itu.

Itu bukan satu kelebihan sebenarnya. Itu adalah satu kekurangan. Kalau kita atau anak-anak kita boleh nampak jin, itu menandakan ada masalah di mana-mana dan kena belajar lagi tentang jin. Sebagai contoh, kalau mereka yang ada beramal dengan wirid-wirid khas, salah satu masalah yang mereka akan hadapi adalah mereka boleh nampak dan diganggu oleh jin. Kerana amalan mereka itu sebenarnya adalah sihir dan mereka memanggil jin sebenarnya untuk datang dan rapat dengan mereka.

Maka, tinggalkanlah amalan-amalan yang tidak tsabit dari Nabi. Termasuklah amalan-amalan yang ustaz beri, yang ayah kita beri, kawan-kawan kita beri. Termasuklah kalau amalan itu membaca potongan ayat-ayat Al-Qur’an pun. Bukan begitu cara amalan yang diajar oleh Nabi dan Islam. Selalunya kalau ada yang kena gangguan jin, kita akan tanya dia dulu tentang amalan dia satu persatu.

3. Tidak ada kelebihan kalau boleh nampak jin sebenarnya. Sampaikan Imam Syafie telah berfatwa bahawa mereka yang nampak jin tidak boleh dijadikan saksi. Kerana mereka nampak benda yang tidak sepatutnya mereka nampak. Apa yang mereka nampak sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Jadi mereka itu pun sudah tidak boleh dipercayai lagi. Takut mereka memberi persaksian yang salah. Mereka tidak diterima sebagai saksi sama ada sebagai saksi di mahkamah atau saksi nampak anak bulan.


 

Ayat 8: Ini adalah kisah yang disampaikan sendiri oleh jin, diulang semula oleh Allah dalam Surah Jin ini, bagaimana mereka dulu boleh naik ke langit tapi tidak boleh lagi selepas Nabi diangkat menjadi Rasul.

وَأَنّا لَمَسنَا السَّماءَ فَوَجَدنٰها مُلِئَت حَرَسًا شَديدًا وَشُهُبًا

Sahih International

And we have sought [to reach] the heaven but found it filled with powerful guards and burning flames.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

 

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ

Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit,

Perkataan لَمَسْنَا dari katadasar ل م س yang bermaksud ‘sentuh dengan tangan’ atau ‘mencari-cari sesuatu dengan tangan’. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud mereka mencari-cari maklumat di langit.

Dulunya, jin-jin itu boleh naik ke langit dan mendengar berita dari langit (dari perbuatan malaikat) dan kemudian mereka akan menyampaikan berita dari langit itu kepada ahli nujum (dipanggil: kaahin). Memang ada berita yang benar yang mereka sampaikan, tapi mereka akan tambah dengan beratus penipuan. Tetapi masalahnya apabila ada satu sahaja berita yang benar, maka manusia terus terima pembohongan-pembohongan jin itu sebagai benar belaka. Ini adalah kerana manusia jahil senang ditipu.

 

فَوَجَدْنٰهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا

lalu kami dapati langit itu dipenuhi dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

Kalimah حَرَسًا bermaksud ‘pengawal’. Mereka itu adalah para malaikat yang ditugaskan untuk menjaga Al-Qur’an. Supaya jin-jin itu tidak dapat dekat dengan Al-Qur’an walau sedikit pun. Dan supaya mereka menjaga langit dari dicuri maklumat oleh jin-jin.

Apabila jin-jin naik sahaja ke langit, mereka terus nampak malaikat yang menjaga langit itu kerana mereka dijadikan dari api dan malaikat dijadikan dari cahaya. Kerana mereka dijadikan dari bahan yang hampir sama, jadi mereka boleh melihat malaikat. Allahu a’lam, kerana kita tidak tahu setakat mana hal ini.

Al-Qur’an dijaga supaya tidaklah ada jin yang dengar Al-Qur’an dulu sebelum Nabi Muhammad mendengarnya dahulu. Kalau jin yang dengar dahulu, nanti mereka boleh buat penipuan pula dengan Al-Qur’an itu. Maka Allah jaga langit dari mereka. Dan selepas Al-Qur’an tidak lagi diturunkan, langit tetap dijaga supaya jin tidak dapat curi maklumat langit.

Jadi, memang tidak pernah ada sesiapa yang mendengar Al-Qur’an sebelum Nabi Muhammad. Oleh itu, tidaklah benar hujah yang kononnya ada yang kata ada syair Arab yang bunyi macam Al-Qur’an. Mereka seperti hendak mengatakan yang Nabi Muhammad cedok Al-Qur’an ini dari syair-syair itu. Hujah ini malangnya datang dari kalangan masyarakat kita.

Padahal, tidak pernah diberikan hujah ini oleh Musyrikin Mekah sendiri. Arab Mekah sendiri pun terpesona dengan Al-Qur’an. Tiba-tiba zaman sekarang timbul kisah mengarut macam ini. Kalaulah ada syair Arab yang bunyi macam Al-Qur’an, Abu Lahab dan Abu Jahal sudah lama pakai hujah itu, tapi kita tidak pernah dengar pun mereka mengatakan sedemikian. Jadi, tidak tahu dari sumber mana mereka dapat hujah karut itu.

Ayat ini amat penting kerana salah satu tohmahan Musyrikin Mekah, mereka kata Nabi mendapat ayat-ayat Al-Qur’an itu dari jin. Mereka nak kata bahawa jinlah yang mengajar Nabi Muhammad. Ini ditolak dengan ayat ini. Kerana jin-jin itu sendiri sudah tidak dapat lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita dari langit. Lalu mana mungkin mereka boleh kata yang jin yang memberikan ayat-ayat Al-Qur’an itu kepada Nabi?

Perkara itu tidak akan terjadi. Allah sebut dalam Syua’ra:210-212

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ

Dan Al-Qur’an itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.

وَمَا يَنبَغِي لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ

Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.

Tidak ada campuran atau gangguan pada ayat Al-Quran kerana Allah sudah berjanji yang Dia sendiri akan menjaga Al-Qur’an itu seperti yang Allah firmankan dalam Hijr:9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Bukan hanya malaikat yang menanti mereka tetapi ada api yang terbakar. Api itu akan mengejar mereka kalau mereka mendekati langit. Lihat ayat Mulk:5.

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Dalam ayat ini, jelas diterangkan bagaimana salah satu tujuan dijadikan bintang-bintang itu adalah sebagai perejam kepada jin syaitan.


 

Ayat 9: Jin menceritakan dulu bagaimana cara mereka mencuri berita dari langit.

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقٰعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَّصَدًا

Sahih International

And we used to sit therein in positions for hearing, but whoever listens now will find a burning flame lying in wait for him.

Malay

Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

 

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقٰعِدَ لِلسَّمْعِ

Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat di langit untuk mendengar;

Dahulunya, mereka dapat naik sampai ke langit, iaitu langit dunia sahaja. Mereka akan bertimpa-timpa atas satu sama lain supaya dapat mencapai kedudukan tinggi di langit.

Mereka akan duduk di tempat yang rendah sedikit supaya mereka boleh mendengar-dengar perbualan malaikat sesama malaikat. Tempat itu malaikat tak nampak. Dari tempat-tempat itu, dapatlah mereka mendengar sedikit perbualan malaikat.

Bukan semua mereka dengar pun. Dengan modal yang sedikit itu itulah mereka menipu manusia. Mereka akan sampaikan kepada kawan-kawan mereka dari kalangan ahli nujum.

 

فَمَن يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا

maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu.

Api itu dalam bentuk tahi bintang atau meteor yang akan dilemparkan kepada jin-jin yang cuba mendengar itu dan ianya akan mengejar syaitan. Ini berlaku apabila wahyu mula diturunkan kepada Nabi Muhammad. Api itu macam heat seeking missile – ianya akan ikut jin sampai dapat tembak, jadi jin-jin itu tidak boleh elak.

Dulu sebelum Nabi Muhammad mendapat wahyu, memang ada tahi bintang tapi ianya melintas sahaja. Tapi apabila wahyu sudah diturunkan, ianya akan mengejar jin yang naik ke langit. Ianya jadi paling banyak semasa Nabi Muhammad baru dinaikkan menjadi Rasul. Kalau zaman sekarang, masih ada lagi sekali sekala kerana itu adalah tanda yang ada jin yang masih lagi cuba naik ke langit. Mereka adalah makhluk yang bodoh, jadi walaupun mereka tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka, mereka masih nak cuba-cuba juga.

Oleh itu, tahi bintang yang jatuh ke bumi itu adalah bekas rejaman jin. Jadi jangan pergi cari ‘batu petir’, sebab itu adalah bekas azab dari Allah. Sepertimana juga Nabi larang duduk di tempat azab Allah diturunkan. Apabila Nabi lalu di kawasan bekas Tentera Bergajah Abrahah dilontar dengan azab batu dengan Burung Abaabil, baginda akan bergerak dengan laju.

Contoh Batu Petir

Oleh itu, jin-jin tidak boleh elak rejaman api itu kepada mereka. Apabila mereka naik sahaja, mereka akan kena tembak. Mereka tak boleh melarikan diri pun. Maka jangan salah sangka dengan tahi bintang itu. Macam orang kita, ada yang wishing upon the stars – nampak tahu bintang jatuh, mereka buat wish, kononnya makbul – ini adalah salah sama sekali!

Memang dari dulu lagi manusia ada pemikiran yang salah tentang tahi bintang itu. Ada satu hadis berkenaan perkara ini:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا في نفر من أصحابه قال عبد الرزاق من الأنصار فرمي بنجم فاستنار فقال صلى الله عليه وسلم ” ما كنتم تقولون إذا كان مثل هذا فى الجاهلية ؟ ” قالوا كنا نقول يولد عظيم أو يموت عظيم .قلت للزهري أكان يرمى بها في الجاهلية ؟ قال نعم ولقد غلظت حين بعث النبي صلى الله عليه وسلم قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” فإنها لا يرمى بهـا لموت أحد ولا لحياته ولكن ربنا تبارك وتعالى إذا قضى أمرا سبح حملة العرش ثم سبح أهل السماء الذين يلونهم حتى يبلغ التسبيح السماء الدنيا ثم يستخبر أهل السماء الذين يلون حملة العرش فيقول الذين يلون حملة العرش لحملة العرش ماذا قال ربكم ؟ فيخبرونهم ويخبر أهل كل سماء سماء حتى ينتهي الخبر إلى هذه السماء وتخطف الجن السمع فيرمون فما جاءوا به على وجهه فهو حق ولكنهم يفرقون فيه ويزيدون “

Pada suatu hari, ketika duduk bersama Nabi Muhammad SAW dengan beberapa sahabat, berjaya ibn Razzak, daripada kaum Ansar, tiba-tiba mereka melihat tahi bintang jatuh, kemudian Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang kalian katakan kalau jadi begini pada masa Jahiliyah? Mereka menjawab: “Kami dahulu kata bahawa ianya merupakan tanda lahir orang yang besar atau matinya seorang besar.

Perawi bertanya: adakah tahi bintang jatuh pada zaman jahiliyah? Zuhri kata: ya. Tetapi ianya makin banyak apabila diutuskan Nabi SAW.

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya tidaklah dilemparkan tahi bintang itu kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, akan tetapi apabila Allah taala yang Maha Berkat dan Maha Tinggi memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arsy (para malaikat) pada bertasbih, kemudian bertasbihlah penduduk langit yang di bawah pemikul Arash itu, hingga sampai tasbih itu pada langit dunia kemudian penduduk langit bertanya kepada yang di bawah pemikul Arash dan mereka pun bertanya kepada pemikul Arash – Apa kata Tuhanmu?

Pemikul Arash menceritakan kepada mereka dan penghuni langit beritahu kepada yang di bawahnya sehingga berhenti khabar itu kepada langit ini. Jin akan cuba mendengar dan mereka akan dilemparkan. Apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran tetapi mereka memecah-mecahkan di dalamnya dan menambah-nambah” (Riwayat Muslim)

Kalau kita lihat tilikan yang dilakukan oleh Nostradamus, memang ada yang betulnya. Tapi lihatlah bagaimana dia telah memecah-mecahkan dan menambah-nambah. Dia tidak cakap terus terang apakah sebenarnya akan terjadi. Jadi, ini mungkin kerana dia telah mendapat maklumat dari jin yang telah mendengar percakapan malaikat.

Tapi itu zaman dahulu, sekarang mereka tak dapat naik lagi. Dulu sahaja yang mereka boleh dengar. Selepas Nabi dinaikkan menjadi Rasul, mereka tidak boleh lagi untuk naik ke langit. Ada juga yang mencuba dan dapat juga maklumat sedikit sebanyak. Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tilik nasib sekarang, itu adalah penipu sahaja.

Jin sekarang tak dapat maklumat apa lagi. Maklumat yang mereka dapat dulu pun bukan ada guna pun, mereka tak dapat buat apa-apa sebab bukan boleh tukar pun. Apa yang ditetapkan akan terjadi, akan tetap terjadi. Tidak ada sesiapa yang boleh menolak qadar Allah.

Kalau zaman sekarang, kadang-kadang kita keliru macam mana seseorang bomoh itu tahu apa yang kita lakukan sebelum itu. Ini tidak perlu pelik, kerana setiap orang ada qarin (jin) bersamanya. Qarin itu tahu apa yang kita telah lakukan kerana qarin itu sentiasa ada bersama kita. Bomoh itu boleh tahu apa yang kita lakukan kerana jin belaan bomoh itu telah tanya kepada qarin seseorang itu. Qarin itulah yang memberitahu bahawa lelaki itu makan apa, apa dia buat semalam dan sebagainya. Setiap manusia diberikan dengan qarin, termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dan qarin itu akan membisikkan perkara yang tidak baik kepada manusia.

٤١٦٠ – حَدَّثَنَا زِيَادُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْبَكَّائِيُّ حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ قَالُوا وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَيْسَ يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

4160. Telah menceritakan kepada kami Ziyad bin Abdullah Al Bakka`i telah menceritakan kepada kami Manshur dari Salim dari Ayahnya dari Abdullah ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian melainkan telah disertakan untuknya satu qarin (pendamping) dari jin.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana denganmu?” Beliau menjawab: “Demikian pula denganku, namun Allah menolongku atasnya sehingga ia masuk Islam dan tidak menyuruhku selain terhadap kebenaran.” Musnad Ahmad.

Kembali kepada pembicaraan ayat dari Surah Jin ini: Sebab mereka tak boleh naik ke langitlah yang menyebabkan mereka mencari serata dunia kenapa mereka tidak boleh naik lagi. Mereka amat terkejut apabila mereka tak dapat naik. Maka mereka telah melaporkan perkara itu kepada iblis. Iblis suruh mereka ambil tanah dari setiap tempat supaya dia hidu. Selepas dia hidu semua tanah itu, dia kata orang yang mereka cari itu ada di kawasan Tihamah (kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab. Mekah di dalam kawasan ini). Itulah sebabnya dia mengutuskan tujuh jin ke sana. Dan jin-jin itulah yang mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi dalam surah ini.

Selepas mereka dengar Nabi Muhammad baca Al-Qur’an, barulah mereka tahu kebenaran. Selepas itu, ada jin yang beriman dan ada yang tidak beriman.


 

Ayat 10:

وَأَنّا لا نَدري أَشَرٌّ أُريدَ بِمَن فِي الأَرضِ أَم أَرادَ بِهِم رَبُّهُم رَشَدًا

Sahih International

And we do not know [therefore] whether evil is intended for those on earth or whether their Lord intends for them a right course.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah hendak ditimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka.

 

وَأَنّا لا نَدري أَشَرٌّ أُريدَ بِمَن فِي الأَرضِ

`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah bala bencana hendak ditimpakan kepada penduduk bumi,

Mereka tidak tahu apakah sebabnya mereka tidak boleh lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita langit. Adakah keburukan hendak ditimpakan kepada penduduk bumi?

 

أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا

atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan petunjuk kepada mereka.

Ataukah kebaikan yang dikehendaki oleh Allah kepada penduduk dunia? Jin-jin tidak tahu kerana memang mereka tidak tahu perkara ghaib. Ini juga adalah penekanan kepada kita, jin tidak tahu perkara ghaib.

Ada mufassir mengatakan: inilah dua perkara yang menyebabkan langit ditahan dari jin. Iaitu sama ada Allah nak kenakan azab kepada sesuatu tempat dan jikalau Allah hendak menaikkan seorang Rasul. Jin-jin sudah tahu yang hanya ada salah satu sahaja dari kemungkinan ini. Maka kerana langit telah ditutup, mereka tahulah ia adalah salah satu dari perkara ini.

Allah tahan maklumat dari sampai kepada jin kerana kalau mereka tahu tempat manakah azab akan turun, nanti mereka beritahu pula kepada kawan-kawan mereka di dunia. Dan kalau mereka tahu ada Rasul yang akan dilantik, maka nanti mereka akan mengganggu wahyu yang disampaikan kepada Rasul itu.

Maka kerana langit telah ditutup dari mereka, maka jin nak tahu, antara dua perkara ini, mana satukah yang sedang berlaku? Maka kerana itu mereka berkeliaran di serata bumi untuk melihat kejadian di bumi, dan waktu itulah mereka mendengar bacaan ayat suci Al-Qur’an dari Nabi Muhammad.

Lihatlah, apabila kebaikan, disandarkan kepada Allah {أَرَادَ بِهِمْ}. Tetapi, apabila bala bencana disebut, ianya hanya dalam bentuk majhul (tidak disebut siapakah yang akan memberikan azab itu) dalam kalimat أَشَرٌّ أُريدَ kerana kalimah أُريدَ itu dalam bentuk majhul, maksudnya tidak disebut siapakah yang memberikan bala itu {أُرِيدَ}. Ini adalah adab mereka kepada Allah. Walaupun pada hakikatnya, baik dan buruk pun datang dari Allah juga. Tapi tidak dinisbahkan perkara yang buruk kepada Allah.

Begitu jugalah adab kita dengan Allah. Kerana itu dalam ceramah, selalunya di hujung ceramah penceramah akan kata: “yang baik dari Allah dan yang buruk dari kelemahan saya.”

Sekali lagi kita ingatkan yang ayat ini menunjukkan yang jin tidak tahu apakah maksud kejadian itu. Mereka tidak tahu perkara ghaib.

Tafsir ke 2: Atau pun ayat ini bermaksud, jin-jin sudah tak boleh tahu tentang berita buruk atau tidak apabila mereka sudah tidak dapat naik ke langit. Dulu boleh lagi kerana dulu mereka dapat tahu kalau-kalau ada azab yang akan diturunkan kepada manusia, dan kalau mereka dapat tahu, mereka boleh beritahu kepada kawan-kawan mereka dari manusia (tukang nujum atau kaahin).

Ini tandanya yang jin tidak tahu perkara ghaib. Yang mereka tahu dulu sebab mereka dulu curi dengar percakapan malaikat. Ingatlah bahawa mereka tak boleh baca hati kita. Bacalah kisah bagaimana jin-jin yang jadi jadi kuli kepada Nabi Sulaiman (untuk bina BaitulMaqdis) tidak tahu pun yang baginda sudah mati. Kalau mereka tahu, tidaklah mereka terus buat kerja atas arahan Nabi Sulaiman. Ini disebut dalam Saba:14

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.


 

Ayat 11: Sekarang jin-jin itu memberitahu tentang diri mereka. Ayat ini masih tentang percakapan sesama jin lagi.

وَأَنّا مِنَّا الصّٰلِحونَ وَمِنّا دونَ ذٰلِكَ ۖ كُنّا طَرائِقَ قِدَدًا

Sahih International

And among us are the righteous, and among us are [others] not so; we were [of] divided ways.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.

 

وَأَنَّا مِنَّا الصّٰلِحُونَ

Dan bahawa sesungguhnya ada dari kalangan kita, ada golongan yang soleh,

1. Iaitu, ada yang telah menjadi soleh dan beriman selepas mendengar ayat-ayat Al-Qur’an itu. Memang mereka dulu telah buat perkara yang salah dahulu, tapi sekarang, tidak lagi.

2. Atau, mereka merujuk kepada kalangan mereka yang memang telah beriman dengan Nabi-nabi dan kitab-kitab terdahulu. Maknanya, ada kalangan mereka yang beriman dengan agama yang lurus sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Memang ada, tapi tidaklah ramai. Yang lebih banyaknya adalah mereka yang tidak beriman.

Secara umumnya, golongan jin boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

      1. Muslim
      2. Muslim tapi fasiq
      3. Kafir

 

وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ

dan ada di antara kita yang lain dari itu;

Mereka cuma kata: ‘lain dari itu’. Mereka tidak cakap yang mereka yang dimaksudkan itu adalah kafir, musyrik, fasik dan sebagainya. Maknanya, mereka bercakap dengan nada yang baik dan bahasa yang molek. Mereka tidak bercakap dengan kasar.

Kerana mereka masih hendak berdakwah kepada kaum mereka, maka mereka tidak mahu menyakitkan hati para pendengar. Kita kena ingat yang mereka sedang berdakwah kepada bangsa mereka sekarang. Kerana kalau mereka kata yang tidak beriman itu ‘kafir’, ‘musyrik’, mungkin mereka akan marah tidak mahu mendengar dakwah lagi.

Maka ini juga mengajar kita cara berdakwah kepada orang lain. Janganlah kita kata orang lain ‘kafir’, ‘munafik’, ‘mubtadi’ (pengamal bidaah)’ dan sebagainya. Cakaplah dengan bahasa yang molek dan baik.

 

كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

adalah kita masing-masing menurut jalan yang berlainan.

Perkataan قِدَدًا dari segi bermaksud ‘koyak’. Dalam ayat ini, ia bermaksud agama, perangai dan pendapat mereka berbeza-beza. Macam-macam jenis, macam kita juga. Cuma jalan-jalan mereka lagi banyak dari kita sebab mereka bilangan mereka lebih ramai dari manusia.

Maka ini adalah dakwah dari jin yang telah mendengar Al-Qur’an dari Nabi. Mereka kata kepada kawan-kawan mereka yang mereka itu ada yang baik dan ada yang tidak. Maka sekarang sudah ada wahyu dan agama yang benar, marilah ikut ramai-ramai.


 

Ayat 12:

وَأَنّا ظَنَنّا أَن لَّن نُّعجِزَ اللهَ فِي الأَرضِ وَلَن نُّعجِزَهُ هَرَبًا

Sahih International

And we have become certain that we will never cause failure to Allah upon earth, nor can we escape Him by flight.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekali pun).

 

وَأَنَّا ظَنَنَّا أَن لَّن نُّعْجِزَ اللهَ فِي الْأَرْضِ

Dan bahawa sesungguhnya kita yakin, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melemahkan Allah di bumi,

Mereka tahu mereka tidak boleh melawan Qadar Allah. Kita pun kena tahu sepertimana yang mereka katakan ini – itu sebab ianya diulang oleh Allah dalam ayat ini. Kita memang tidak dapat lari dari qadar Allah. Banyak sangat perkara yang di luar kawalan kita. Sel badan kita pun tak taat dengan kita – kita tak boleh pun nak suruh ianya jangan jadi tua, sebagai contoh. Apatah lagi benda lain. Jin pun sudah tahu hal.

Malangnya, ramai yang tidak sedar tentang perkara ini. Kalau terjadi sesuatu perkara yang mereka tidak suka, mereka menyalahkan takdir. Padahal sepatutnya mereka tahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kita sebagai hamba, kena belajar untuk redha dengan apa yang terjadi. Kena sedarlah yang diri kita ini adalah hamba sahaja.

Tidak ada yang dapat halang kehendak Allah. Kalau Allah hendak menjatuhkan azab kepada kita, ianya pasti akan terjadi. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang. Kalau ada orang soleh kalangan kita pun, tidak selamat. Inilah salah faham puak tarekat yang kata bala tidak turun sebab mereka kata ‘ada wali’ yang tinggal di kawasan itu. Kalau Allah nak turunkan musibah, Allah boleh turunkan sahaja.

Ayat ini juga bermaksud mereka mengatakan yang mereka tidak dapat menghalang Allah untuk menyampaikan agamaNya di dunia. Kita pun kena tahu yang Allah akan menegakkan agamaNya. Macam mana pun usaha keras iblis hendak menjatuhkan Islam, Islam tetap akan tertegak. Walau bagaimana usaha orang kafir hendak memburukkan Islam, semakin ramai orang yang masuk Islam.

 

وَلَن نُّعْجِزَهُ هَرَبًا

dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya dengan cara terbang.

Kalau lari di dunia tidak boleh, nak lari ke langit pun tidak boleh. Kalau Allah nak beri azab kepada mereka, mereka tidak dapat lari ke mana-mana termasuk ke langit. Sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Seperti yang disebut dalam Rahman:33

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

Disebut tentang terbang, kerana ada jin yang boleh terbang.

Maknanya, golongan jin itu juga kenal Allah. Mereka sudah tahu yang mereka tidak akan dapat lepas dari azab Allah kalau Allah kehendaki. Maka sekarang sudah ada wahyu yang baru, maka kenalah beriman sama-sama.


 

Ayat 13: Jin beriman dengan wahyu Al-Qur’an.

وَأَنّا لَمّا سَمِعنَا الهُدىٰ ءآمَنّا بِهِ ۖ فَمَن يُؤمِن بِرَبِّهِ فَلا يَخافُ بَخسًا وَلا رَهَقًا

Sahih International

And when we heard the guidance, we believed in it. And whoever believes in his Lord will not fear deprivation or burden.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Qur’an), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

 

وَأَنَّا لَمَّا سَمِعْنَا الْهُدَىٰ

Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran),

Iaitu apabila mereka mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Mereka dengar itu pun tidak sengaja. Tapi Allah telah takdirkan mereka dapat mendengar Al-Qur’an dan kenal Al-Qur’an.

 

آمَنَّا بِهِ

kami beriman kepadanya

Lihatlah mereka selepas dengar Al-Qur’an, terus beriman. Mereka berbangga kerana terus beriman selepas dengar Al-Qur’an. Ini adalah perkara yang amat elok sampaikan Allah masukkan kata-kata mereka dalam Al-Qur’an.

Lalu bagaimana dengan orang-orang kita sudah mendengar, malah membaca Al-Qur’an, tapi tidak beriman-iman lagi? Maksudnya tidak beriman dengan sempurna. Masih banyak lagi yang tolak apa yang ada dalam Al-Qur’an. Ini buat malu dengan jin sahaja.

Ramai yang masih tidak beriman sempurna adalah kerana mereka dengar tapi tak faham. Tak faham kerana tak belajar. Tak belajar kerana tidak mementingkan agama. Bila ada orang ajak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak mahu nak ikut.

 

فَمَن يُؤْمِن بِرَبِّهِ فَلَا يَخَافُ بَخْسًا

kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian

Tidak akan dikurangkan kebaikan yang mereka patut dapat. Tak bimbang yang Allah akan beri kurang dari yang sepatutnya. Mereka yakin yang mereka akan dapat pahala sebanyak mana yang mereka layak dapat. Allah tidak akan berlaku zalim dengan beri kurang dari yang sepatutnya. Malah Allah akan beri lebih lagi.

Ini berbeza kita dengan di dunia. Kadang-kadang kita kerja lebih, tapi majikan beri tidak setimpal. Allah tidak akan merugikan kita.

 

وَلَا رَهَقًا

dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

Mereka yakin yang mereka tidak akan dihukum kalau bukan salah mereka. Tidak bimbang takut tanggung dosa orang lain. Tidak bimbang kalau-kalau Allah salah hukum mereka. Tidaklah kita kena tanggung dosa orang lain. Tidaklah benar ajaran Kristian yang mengatakan kita semua berdosa kerana menanggung ‘dosa warisan’.

Dalam ayat ini, menunjukkan sangka baik mereka kepada Allah. Kita pun kena macam itu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Adli Yayasan Ta’lim

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an