Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 – Bukan Jalan Orang yang Sesat

وَلَا الضَّالِّينَ

Dan bukan jalan orang yang sesat;

Mungkin ada yang kata dalam Qur’an banyak ayat-ayat yang mengatakan Allah yang menyesatkan manusia. Kenapa begitu? Adakah Allah yang bersalah kerana Dia yang menyesatkan manusia?

Allah menyesatkan orang yang sesat itu kerana mereka sendiri yang menjauhkan diri dari kebenaran. Ini seperti yang Allah sebut dalam Baqarah:26

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ

dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

Mereka sendiri yang fasik (keluar dari ketaatan) dan kerana itulah Allah buat keputusan untuk menyesatkan mereka. Bukannya Allah buat keputusan untuk jadikan mereka sesat.

Contoh orang yang sesat yang dimaksudkan oleh ayat dalam Fatihah ini adalah penganut Kristian atau Nasara. Mereka ini dijadikan contoh supaya senang kita nak tahu sifat mereka dan senang untuk kita bandingkan diri kita.

Ini dalilnya dari ayat Surah Maidah, sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya:

قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيراً وَضَلُّوا عَنْ سَواءِ السَّبِيلِ

mereka telah sesat sebelum (kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (Al-Maidah: 77)

Dan telah shahih dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda bersabda:

الْيَهُوْدُ مَغْضُوْبٌ عَلَيْهِمْ وَالنَّصَارَى ضَالُّوْنَ
“Yahudi itu dimurkai dan kaum Nashara adalah orang-orang yang sesat”.
(HR. Tirmidzi dari ‘Adi bin Hatim radhiyallahu ‘anhu, dishahihkan Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih Al-Jami’ no 8202)

Mereka percaya Allah itu adalah Tuhan, Nabi Isa Rasul, Kitab Injil dari Tuhan. Tapi silap faham tentang Tuhan sampai mereka puja Nabi Isa. Kerana mereka percaya Nabi Isa adalah ‘anak Tuhan’.

  1. Jadi tujuan mereka sudah salah kerana mereka bukannya menyembah Allah tapi menyembah triniti.
  2. Jalan mereka juga sesat. Sebagai contoh, mereka reka jalan kerahiban.
  3. Mereka bukan sahaja sesat, tapi mereka juga mengajak orang lain sesat bersama dengan mereka.

Fahaman mereka memang jauh dari kebenaran. Bayangkan sekarang ini ajaran agama mereka diambil dari rekaan seorang lelaki yang bernama Paul yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Isa. Asalnya dia menentang ajaran Nasrani tapi tiba-tiba dia mendapat wahyu dari Nabi Isa (setelah baginda tiada)? Jadi ini adalah ajaran yang karut yang bukan berdasarkan ajaran yang benar. Ianya adalah ajaran rekaan manusia dan telah bertukar-tukar mengikut zaman kerana ia diubah dan digubah oleh agamawan mereka.

Bayangkan penulis Bible itu (ia bukanlah Injil) tidak dikenali siapa mereka. Lalu bagaimana boleh dipercayai apa yang disampaikan di dalamnya? Bandingkan dengan ilmu periwayat Hadis dalam agama Islam dimana kita kenal mereka secara mendalam.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Ada ramai yang percaya Allah itu Tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul, Qur’an dari Allah, tapi ada silap faham tentang Allah, Nabi dan Qur’an sampaikan kita minta tolong kepada Nabi Muhammad.

Maka kita kena tahu bagaimanakah sifat golongan Kristian ini supaya kita dapat mengelakkan diri kita dari mengikut cara-cara mereka. Kerana takut kalau kita sangka kita ini sudah di atas jalan yang lurus, tapi rupanya perangai dan amalan kita sama sahala dengan golongan yang sesat. Jadi kita kena belajar bagaimana cara hidup dan agama mereka supaya kita dapat jauhi sifat mereka.

Kalau kita periksa betul-betul, kita akan dapat lihat bahawa masyarakat Islam kita pun ada persamaan dengan cara beragama mereka. Ini kerana tidak belajar dan hanya ikut sahaja apakah fahaman orang lain. Maka tidak patut betul kalau kita doa supaya kita dijauhkan dari cara orang yang sesat, tapi kita amalkan pula cara mereka. Maknanya mereka tak faham apa yang mereka sebut dalam Fatihah ini. Mereka hanya baca sahaja tanpa faham.

Malangnya ramai orang Islam yang hanya nampak dunia sahaja dan mereka nampak ada kelebihan kalau ikut cara hidup Yahudi dan Kristian itu. Malangnya cara hidup mereka itu banyak dapat diikuti di dalam media massa sekarang. Jadi ramai yang tertarik kepada mereka.

Mungkin ramai yang rasa berat untuk mengatakan yang dimurkai dan sesat itu adalah Yahudi dan Kristian. Kerana ramai yang rasa susah nak dakwah kalau terus mengatakan mereka itu sesat. Ini adalah fahaman yang salah. Kita tidak perlu takut untuk mengatakan yang mereka itu dua golongan yang memang dah sesat. Kerana dalil kuat mengatakan memang itulah dua golongan yang dimurkai dan sesat itu.

Walaupun ianya memang keras, tapi itulah kebenaran. Dan penting untuk kita kata mereka itu sesat kerana itulah permulaan untuk mereka menerima kebenaran. Kerana kalau mereka tidak tahu yang mereka sesat, maka tidaklah ada keperluan untuk mereka masuk Islam, bukan? Jadi jangan takut untuk mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit.


Kepentingan Ilmu

Orang-orang Nasrani tidak memiliki ilmu agama. Kerana itu mereka ditimpakan dengan kesesatan. Tatkala mereka hendak menuju kepada sesuatu, mereka tidak memperoleh petunjuk kepada jalannya. Hal itu adalah kerana mereka tidak menempuhnya melalui jalan yang sebenarnya, iaitu jalan kebenaran.

Maka kita jangan lupa tentang kepentingan ilmu agama. Kerana apabila kita hendak beribadat kepada Allah dan menjadi hambaNya yang baik, maka kenalah berdasarkan ilmu. Setakat niat yang baik, tapi tidak berdasarkan ilmu yang benar, maka ia tidak diterima.

Kalau golongan Yahudi, masalah mereka adalah ‘niat’; masalah dengan golongan Nasara ini adalah ‘ilmu’. Ini kerana mereka tidak mementingkan ilmu.

Untuk faham agama memerlukan pembelajaran dan kerana itu kita memerlukan orang yang pandai yang belajar agama dan kemudian belajar agama. Malangnya, selalu yang dihantar belajar agama adalah mereka yang tidak boleh jadi peguam atau engineer. Maka kerana itulah kualiti pembelajaran agama kita lemah. Ada para ustaz yang mengajar ajaran yang salah dan beri nasihat yang salah kepada anak murid. Ini adalah mereka sendiri tidak dapat menggarapi maksud sebenar agama.

Maka percambahan ilmu ini amat penting. Umat Islam kena tingkatkan pembelajaran agama. Malangnya di negara kita ini, pembelajaran agama masih baru lagi. Ramai yang pakai ikut sahaja, tapi malas untuk belajar. Ramai yang sangka pembelajaran agama ini terhad kepada orang-orang tertentu sahaja (golongan ustaz dan pelajar agama sahaja). Maka kerana itu banyak salah faham dan amalan salah dalam agama.

Untuk menjadi hamba yang baik dan sempurna, kemudian beribadah dengan cara yang terbaik, ini memerlukan ilmu. Kalau tidak ada ilmu, maka ada perkara yang salah yang kita lakukan kerana jahil. Maka, kalau kita tidak kisah dengan ilmu, itu bermakna kita pun tidak ada keinginan untuk menjadi hamba baik dan beribadah dengan cara yang baik kepada Allah lah maknanya.

Kita sekarang hidup di zaman yang amat mudah untuk mendapatkan ilmu agama. Boleh dikatakan ianya di hujung jari sahaja. Tinggal hendak belajar dan luangkan masa sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.

Tapi mungkin ramai yang tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh para ustaz sekarang di media atau di masjid dan surau kerana mereka sendiri tidak layak untuk mengajar atau tidak menarik. Ini adalah kerana lemah ilmu cara penyampaian agama sampai membosankan; atau ada yang mengajar ajaran yang salah yang menyebabkan orang awam pun susah nak terima. Sebagai contoh, ada yang mengajar kisah-kisah para wali yang karut marut seperti boleh terbang dan sebagainya.

Kerana kepentingan ilmu agama, maka orang awam kena banyak berkawan dan rapat dengan orang berilmu. Kerana mereka boleh mengajar dan memberi nasihat kepada kita. Maka kena cari mereka ini dan berdamping dengan mereka.

Malangnya orang kita ramai yang hanya mementingkan ilmu keduniaan sahaja. Ramai ibubapa yang berikan segala ilmu pengetahuan akademik kerana mereka mahu anak mereka jadi orang yang bekerja baik dan bergaji mahal. Tak ramai yang mahu menghantar anak-anak mereka ke madrasah pengajian agama kerana takut anak mereka tidak dapat makan atau tidak dapat gaji tinggi dan tidak dapat tanggung mereka apabila tua nanti. Ini adalah fahaman yang rugi sahaja. Amat rugi sekali kalau mementingkan ilmu keduniaan sahaja. Kerana ilmu dunia boleh dipakai di dunia sahaja tapi ilmu agama boleh dibawa sampai ke akhirat.

Kena yakin yang rezeki ini Allah yang berikan. Jangan nak bagi pengetahuan akademik sahaja kepada anak, tapi kenalah prihatin kepada pengetahuan agama anak. Berapa ramai yang menyesal apabila anak sudah dewasa tapi tidak hiraukan mereka lagi atau jadi orang yang jahat dan hanya pentingkan dunia sahaja. Salah siapa? Bukan salah mereka kerana tidak berikan pendidikan agama kepada anak mereka dari awal lagi?

Jangan jadi orang yang hanya mementing ilmu dunia sahaja dan meninggalkan ilmu akhirat. Ini telah ditegur Allah dalam Najm:30

ذٰلِكَ مَبلَغُهُم مِّنَ العِلمِ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اهتَدىٰ

(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Dan sumber ilmu agama yang paling penting adalah Qur’an dan Sunnah. Maka kena belajar dua perkara ini dahulu. Kena mahirkan diri dengan dua sumber ini kerana kedua-duanya adalah wahyu dari Allah. Jadi kita bukan sahaja kena tahu baca Qur’an dan hadis, tapi kena belajar tafsirnya sekali supaya kita dapat menggunakan maklumat dan ajaran di dalamnya. Maka kerana itu kita pentingkan sangat tafsir Qur’an dan sunnah ini.

Tapi kita sedih kerana kita lihat sekarang ini dua ilmu ini tidak banyak dipelajari oleh masyarakat awam negara ini. Ianya seolah-olah sesuatu yang amat asing sekali. Ramai belajar dari segala macam kitab dan ilmu agama, tapi tidak disandar kepada pengetahuan kepada tafsir Qur’an dan sunnah. Kerana tidak ada dasar dua ilmu ini, maka kerana itu banyak fahaman yang pelik dalam masyarakat kita.

Satu lagi ilmu yang kita kena ada adalah Sirah Nabi. Kita hendaklah menjadikan baginda sebagai contoh dan model kita. Dan kalau kita nak jadikan baginda sebagai model, maka kenalah kita tahu bagaimana sikap baginda dan sejarah hidup baginda. Kita kena tahu bagaimana baginda melayan isteri, sahabat dan musuh baginda; kita kena tahu bagaimana cara dakwah baginda; kita kena tahu kesusahan yang baginda alami; dan macam-macam lagi tentang baginda.

Satu perkara lagi yang penting adalah mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Jangan belajar sahaja tapi tak amalkan. Manusia boleh dibahagikan kepada tiga dalam perkara ini:

1. Yang tahu ilmu dan mengamalkannya. Inilah mereka yang dapat nikmat dari Allah.
2. Tahu ilmu tapi tidak mengikutnya. Ini adalah contoh golongan Yahudi.
3. Tidak berilmu dan tidak mahu belajar. Ini adalah contoh dari Kristian.

Golongan yang tidak ada ilmu tapi tidak mahu belajar adalah seperti golongan tasawuf dan tarekat sekarang. Mereka belajar tapi belajar benda yang salah. Maka mereka buat perkara yang sesat. Niat mereka baik tapi mereka tidak belajar dengan cara yang benar. Maka itulah golongan yang pergi ke kuburan dan minta tolong kepada ahli kubur.

Memang kena belajar dan terus belajar. Ada orang yang bodoh sampai kata kalau tahu banyak pun masalah, jadi elok kalau tidak tahu banyak sangat. Dari mana mereka dapat fahaman sesat ini kita tidak tahu. Mana mungkin ini fahaman yang benar kerana semakin banyak kita tahu, semakin kita selamat kerana ilmu itu dapat menyelamatkan kita.

Kita jangan sangka yang kejahilan boleh menjadi alasan di akhirat kelak. Tapi Ibnu Qayyim telah ingatkan yang Allah telah beri pancaindera kepada kita. Maka kita akan dipersoalkan nanti. Kerana kita mampu dapat ilmu, tapi kita sengaja tidak belajar. Kalau sudah belajar, tapi ada benda yang tidak tahu, maka ini bolehlah jadi alasan. Tapi kalau tak belajar langsung, apakah alasan kita?

Apabila manusia tidak ada ilmu, maka senanglah syaitan nak tipu. Dan syaitan akan tipu sampai memasukkan manusia itu ke dalam neraka. Kerana itulah kita tengok ramai yang ikut jejak langkah syaitan kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka tidak tahu jalan yang lurus dan kerana itu mereka ikut jalan syaitan.

Kalau tidak ada ilmu asas dan hanya belajar begitu-begitu sahaja baca di internet sahaja, maka senang tertipu dengan ilmu yang salah dan ini adalah amat bahaya. Ramai yang sesat dengan cara begini. Kerana ada banyak sangat maklumat salah dalam internet sekarang. Jadi ilmu asas kena ada dan dipelajar dengan guru dengan cara berdepan.

Dan bila tidak ada ilmu, maka ramai yang ikut jalan ekstrem atau ghuluw di dalam agama. Mereka tidak mahu manakah had yang patut dilakukan. Kerana itu ada yang taksub dengan guru mereka, buat amalan bidaah dalam agama dan macam-macam lagi.

Bagaimana nak buat ibadah kalau kita tidak ada ilmu? Apabila beribadah tanpa ilmu lah yang menyebabkan ramai di kalangan kita yang buat amal bidaah.

Ilmu ada yang fardhu ain dan fardhu kifayah. Sekurang-kurangnya kena ada fardhu ain. Dan yang pertama sekali adalah ilmu tauhid. Bagaimana nak kenal Allah kalau tidak tahu ilmu tentang Allah? Maka ini kena dipelajari dan ini hanya dapat difahami dengan belajar tafsir Qur’an.

Kalau kita ada ilmu, maka ibadah kita pun akan lebih berkualiti. Dan kita akan mendapat lebih manfaat dari ibadah kita itu. Sebagai contoh, kalau kita ada ilmu tentang solat, maka solat kita lebih bermakna dan kita akan dapat lebih banyak pahala dalam solat kita.

Syarat untuk mendapatkan ilmu adalah dengan niat yang benar. Iaitu kerana hendak menjadi hamba Allah yang terbaik, hendak melakukan ibadah kepada Allah dengan cara yang baik. Maka niat mendapatkan ilmu ini kena ikhlas. Bukannya kerana hendak berbangga dan hendak berdebat dengan orang lain.

Keduanya, kena amalkan ilmu yang kita telah ada itu. Jangan belajar sahaja tapi tak mahu nak amal. Jangan jadi macam orang Yahudi yang ada ilmu tapi tidak amalkan. Mereka memang tidak mahu amalkan. Tapi kadangkala ada kalangan kita yang ada ilmu, tapi tak mampu lagi nak amalkan. Dalam keadaan begini, kena usaha dan minta taufik dari Allah.


Contoh kedua ‘orang yang sesat’ adalah golongan Munafik. Mereka ini dulu sembahyang belakang Nabi tapi masih tidak mahu terima Islam. Mereka itu terdiri dari golongan Ansar. Tidak ada yang munafik dari golongan Muhajirin. Dan tidak ada golongan munafik semasa di Mekah. Kerana mereka yang masuk Islam di Mekah itu adalah benar-benar ikhlas.

Tapi apabila Islam berkembang di Madinah, ada golongan Ansar yang masuk Islam kerana terpaksa sebab satu kampung atau satu puak dah masuk Islam.  Mereka hendak jaga kepentingan. Kepentingan peribadi atau kepentingan bermasyarakat. Tapi dalam hati mereka tidak ikhlas. Contoh mereka yang sebegini adalah ahli politik yang banyak tolong orang semasa menjadi pemimpin.

Tapi lepas jadi pemimpin, sudah tidak ada pangkat, mereka tidak tolong orang dah. Rupanya mereka tolong orang semasa jadi pemimpin itu adalah sebab kepentingan – mereka hendak meraih undi dan supaya mereka dikatakan sebagai pemurah. Mereka yang seperti itu ada sifat munafik. Mereka buat kebaikan itu bukan kerana Allah.

Penerangan tentang orang Kristian ini ada dalam Ali Imran dan Maryam.

Penerangan tentang orang Munafik ada dalam Surah an-Nisa dan Baqarah:8-20.

Walaubagaimanapun, keempat-empat surah itu mengandungi empat perkara penting dalam Qur’an: Tauhid – Risalah – Infaq (sedekah) – Jihad. Selain itu tentang hukum hakam dan kisah-kisah.

Secara ringkasnya, apabila wahyu Allah iaitu Qur’an dibaca kepada manusia, manusia akan terbahagi kepada lima puak:

  1. Yang beriman
  2. Yahudi
  3. Musyrikin
  4. Kristian/Nasara
  5. Munafik.

Selain dari mereka yang beriman, empat golongan yang lain itu akan masuk neraka tak keluar-keluar. Kalau manusia yang kafir pun terbahagi kepada empat golongan itu juga.

‘Orang-orang yang sesat’, kurang sedikit salah mereka. Walaupun mereka masih salah, tapi kurang kalau dibandingkan dengan orang-orang yang dimurkai. Untuk membayangkannya, kita ambil contoh dua orang anak yang telah diberi arahan oleh ayahnya untuk tidak memakan makanan yang disediakan. Kerana ayahnya hendak keluar sebentar.

Ada anak yang besar, dan ada adiknya yang lebih muda. Tapi apabila ayahnya pulang, didapati makanan itu telah habis dimakan. Tentulah kemarahan ayahnya tidak sama kepada dua anak itu. Ayahnya lebih marah kepada anaknya yang besar daripada anak yang kecil. Kerana anak yang kecil itu hanya mengikut sahaja. Tapi anak yang besar itu sepatutnya lebih mengetahui.

Begitulah kita tahu bahawa Yahudi itu tahu kebenaran tapi mereka sombong untuk mengikutinya. Tapi orang Nasrani itu dalam kebingungan dan tidak tahu apa-apa. Itu bukanlah alasan untuk melarikan diri dari kesalahan, tapi kalau dibandingkan dengan kesalahan orang yang sepatutnya tahu kebenaran, ianya adalah kurang sedikit salahnya. Allahu a’lam.


Penutup: 

Maka kita kena kenal sifat-sifat dua golongan yang dimurkai dan sesat ini supaya kita dapat jauhkan diri dari sifat mereka. Kerana ianya adalah jalan yang bahaya untuk diikuti. Kita kena jauhkan diri dari dua jalan ini. Amat bahaya kalau kita tidak kenal dua jalan ini kerana takut-takut kita termasuk dalam golongan mereka.

Maka kita jangan dekatkan diri dengan cara hidup mereka. Jangan rapat dengan golongan Yahudi dan Kristian ini sampai kita ikut cara hidup mereka pula. Inilah yang dinamaka wala’ wal bara’. Kalau sesuatu itu tidak baik, maka kena tinggalkan dan jauhkan diri dari mereka.

Kita pun tahu bagaimana mereka menggunakan cara-cara yang kotor dan jahat untuk mengawal dunia. Mereka sudah tidak hiraukan agama dan akhlak, maka kerana itu mereka tidak kisah pun apa yang mereka buat, asalkan mereka dapat apa yang mereka hendak.

Tapi takut ada di kalangan kita yang mahukan dunia, maka mereka rasa kalau ikut cara hidup dua golongan Yahudi dan Kristian ini, maka hidup mereka akan senang di dunia. Tapi kalau setiap hari kita baca ayat dari Surah Fatihah ini, maka kita diingatkan supaya menjauhkan diri dari cara hidup mereka.

Kita hidup di zaman globalisasi  yang dikawal oleh media. Kita rasa tertekan untuk ikut apa yang dilakukan oleh masyarakat yang ramai. Malangnya media dikawal oleh Yahudi dan Kristian. Jadi masyarakat kita pun terkesan dengan budaya dunia. Antaranya seks dinampakkan sebagai mudah sahaja dan tidak salah kalau ada perhubungan sejenis tanpa pernikahan. Budaya inilah yang sedang masuk ke dalam media kita dan kita termakan dengan suasana itu.

Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang. Nabi dah bagi amaran dah:

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Maka, hadis ini memberitahu kita yang umat secara keseluruhan akan ikut dua golongan itu. Maka, kita kenalah cuba memastikan kita dan ahli keluarga kita tidak termasuk dalam golongan itu.

Golongan itu tidak suka kalau kita mengamalkan islam. Kerana itu kalau duduk di negara yang jahat, mereka mahu cara hidup kita pun ikut cara hidup mereka. Mereka boleh ambil kewarganegaraan kalau tidak ikut cara hidup mereka. Maknanya tidak ada kebebasan nak amalkan cara hidup sendiri. Tapi kita kena ingat yang kita tidak boleh ambil agama lain. Kalau tempat tinggal kita itu menghalang kita untuk mengamalkan agama dengan bebas, atau memaksa kita ikut agama mereka, maka kita kena tinggalkan.

Antaranya, mereka akan paksa kita berpakaian seperti pakaian cara mereka. Sampaikan ada yang mengharamkan pemakaian purdah, pakai tudung dan sebagainya. Maka ini tidak boleh diikuti. Pakaian kita pun kenalah menunjukkan yang kita adalah orang Islam.

Jadi, kita kena pegang dengan pengajaran di dalam Surah Fatihah ini. Jangan kita termakan dengan budaya orang Yahudi dan Kristian. Kerana kita ada agama kita sendiri. Kita ada budaya kita sendiri. Pegangan kita adalah pegangan Islam.

Jangan kerana takut ekonomi kita jatuh, atau kita tidak dapat makan, tidak dapat kerja, sampaikan kita sanggup gadai agama kita. Maka kena ada prinsip: mana yang boleh kita ikut mereka dan mana yang kita tidak boleh ikut. Kalau hal keduniaan dan tidak membahayakan agama, maka bolehlah kalau nak ikut.

Kita hormat ugama selain Islam tapi tidaklah kita sampai berlembut dengan mereka sampai kita kata agama mereka pun benar juga. Jangan kita campur agama mereka ke dalam agama kita. Kerana kita kena pegang yang agama mereka adalah agama yang sesat. Ini kerana ada yang hendak berlembut dalam dakwah, jadi mereka berlembut dengan orang Yahudi dan Kristian. Kerana mereka takut kalau ‘keras’ dengan mereka, mereka akan tolak kita.

Konon ada yang kata kita ini semua ikut ajaran Nabi Ibrahim. Maka ada yang nak cari persamaan antara ketiga-tiga agama ini. Kita kena sedar yang Yahudi dan Kristian tidak ada pada zaman Nabi Ibrahim. Itu semua adalah agama rekaan selepas Nabi Ibrahim. Yahudi dan Kristian telah mengubah ajaran Nabi Ibrahim jauh sekali sampai tidak ada persamaan lagi.

Mereka sahaja mengaku Nabi Ibrahim sebagai Rasul mereka, tapi mereka tidak ikut ajaran baginda pun. Mereka telah merosakkan agama tauhid dan bukan untuk mereka sahaja, tapi kepada seluruh manusia. Maka kita berdoa kepada Allah dalam Surah Fatihah ini supaya selamat dari kesesatan mereka.

Penyakit hati yang bahaya adalah penyakit niat dan penyakit ilmu.
Yahudi ada penyakit niat, dan
Kristian ada penyakit ilmu.
Kena baiki dua penyakit ini, penyakit yang lain akan mudah untuk dibersihkan.

Allahu a’lam. Sambung ke Ringkasan Daurah Surah Fatihah

Kemaskini: 7 Mac 2018


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s