Risalah ke 3 Usul Daurah Tafsir: Mabahisut Tauhid

Mabahisut Tauhid – Perbahasan Tauhid

Ini adalah Risalah ke 3 dalam Kuliah Daurah Tafsir yang disampaikan oleh Maulana Hadi. Risalah 1 dan Risalah 2 telah disampaikan.

Perbahasan tentang Tauhid ini meliputi empat jenis derajat/peringkat Tauhid. Perbahasan ini diambil dari Kitab Hujjatullah al-Balighah karangan Syah Waliyullah al-Dihlawi (1702-1762).

Perbahasan tentang Tauhid ini diambil dari Quran kerana Quran sudah bahas banyak tentang tauhid.

Tauhid terbahagi kepada 4 derajat/peringkat:
1. Tauhid wujubil wujood – Allah yang Maha Esa wajib ada. Selain Allah, ‘mungkin’ sahaja ada wujud, tidak semestinya ada wujud. Itu semua ikut kehendak Allah samada hendak menjadikan makhluk atau tidak. Musyrikin Mekah pun terima perkara ini. Mereka kenal Allah dan tahu bahawa Allah itu adalah Tuhan.
2. Tauhid fil khaliqiyah – Hanya Allah sahaja yang ada kuasa mencipta. Agama lain pun terima ada satu Tuhan sahaja yang mencipta. Walaupun mereka tidak menggunakan nama Allah, tapi mereka akan kata: ‘Tuhan yang satu’. Seperti juga tauhid peringkat pertama, tauhid fil khaliqiyah ini juga diterima oleh Musyrikin Mekah. Jadi, apabila ayat-ayat dalam Quran memberitahu kepada mereka bahawa Allah Maha Mencipta, itu bukanlah kerana hendak memberitahu mereka, tapi hendak mengingatkan sahaja, kerana memang mereka sudah terima pun.
3. Tauhid fi tasarruf – Disinilah yang ada perbezaan yang banyak antara manusia. Tauhid ini bermaksud: Hanya Allah sahaja yang mentadbir dan mengurus. Ada yang terima dan ramai yang tidak terima. Kerana salah faham di sini, akan memberi kesan kepada tauhid yang keempat. Kesalahan itu adalah kerana ada yang anggap Allah ada berkongsi mengurus alam ini dengan makhluk.
4. Tauhid uluhiyah wal ubudiyyah – iaitu hanya Allah sahaja yang layak disembah dan diibadati. Inilah beza antara orang Islam dan tidak. Ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.

Seorang muslim yang sempurna kena terima keempat-empat bahagian tauhid di atas. Tidak boleh tinggal satu pun.

Seterusnya perbincangan diteruskan dengan kepentingan mengetahui ahwal Arab Jahiliyah. Iaitu mengetahui apakah fahaman dan amalan mereka. Mereka itu digelar Musyrikin Mekah. Untuk faham Qur’an, kita kena tahu tentang mereka dan kenapa mereka digelar ‘musyrikin’. Kerana Qur’an mula diturunkan kepada mereka. Mereka itu mengaku ikut Nabi Ibrahim tapi mereka rosak akidah dan amalan. Allah angkat Nabi Muhammad untuk betulkan akidah mereka.

Kita kena tahu bahawa musyrikin Mekah itu ada fahaman beragama. Bukannya mereka macam orang asli yang tiada agama langsung. Tapi fahaman agama mereka salah. Tapi mereka ingat mereka yang betul dan yang ikut ajaran Nabi Muhammad itu adalah golongan yang murtad pula.

Ini amat penting untuk kita kena ketahui. Kerana perkara syirik adalah amat bahaya. Kalau buat satu sahaja perkara syirik, sudah tidak ada harapan masuk syurga. Agama kita kalau kita bayangkan sebagai belon, kita masukkan udara ke dalamnya. Tapi dengan satu jarum sahaja, akan pecahlah belon itu.

Dan kita kena terima semua sekali ajaran bawaan Nabi dan tak tolak satu pun. Samada kita sudah tahu atau tidak. Kena ada niat untuk ikut segala ajaran Nabi, walaupun kita belum tahu lagi, sebab kita tak belajar.

Tauhid 1 dan 2 tidak ada banyak permasalahan di situ. Kerana kebanyakan manusia boleh menerimanya dan oleh itu tidak dibincangkan di sini. Cuma akan dibincangkan tauhid yang ke 3 dan 4.

Ada golongan Muktazilah yang dikira golongan sesat tapi tidak kafir. Sebab itu ada karangan mereka dalam feqah yang dikaji juga. Kerana boleh diterima hujah mereka di segi feqah. Cuma masalah mereka dalam hal tauhid. Mereka berbeza dengan ahli sunnah kerana ahli sunnah mementingkan nas daripada menggunakan akal. Sedangkan Muktazilah mengutamakan akal daripada menggunakan nas sunnah.

Pengarang Muktazilah banyak terdapat dalam kajian tafsir. Sebagai contoh, ulama bernama Zamakhshari ada menulis kitab tafsir dan semasa menulisnya, beliau adalah seorang yang berfahaman Muktazilah. Walaupun beliau seorang Muktazilah, tetapi kitab beliau dikaji kerana sudut bahasanya tinggi. Jadi diambil dari sudut bahasa.

Apakah masalah dengan akidah golongan ini? Golongan Muktazilah berpendapat yang Allah memberi setiap hamba kuasa mencipta. Tapi kuasa mencipta itu tertakluk kepada asbab dan alat yang Allah berikan kepada hamba. Sedangkan kepada ahli sunnah, kita percaya yang Allah tidaklah memberikan hambaNya kuasa mencipta tetapi makhluk mempunya kuasa ikhtiar dan usaha sahaja. Ahli Sunnah beriktikad yang terjadinya sesuatu itu adalah dari ciptaan Allah dan bukan dari ciptaan makhluk. Walaupun begitu, Muktazilah tidak dikira kafir kerana mereka masih lagi percaya yang apa yang hamba itu cipta masih lagi ‘ma fauqal asbab’ – di atas sebab (hukum adat). Tapi mereka dikira sesat kerana mereka kata hamba boleh mencipta.

Boleh dengar kuliah audio di sini: Mabahisut Tauhid 1

Perbincangan Tauhid Peringkat ke 3: Tauhid fi tasarruf.

Ianya membataskan kuasa mentadbir dan mengurus langit dan bumi dan apa sahaja makhluk di antara keduanya kepada Allah jua. Hanya Allah sahaja yang mentadbir alam ini.

Dalilnya ada pada ayat Yunus:3

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مَا مِن شَفِيعٍ إِلَّا مِن بَعْدِ إِذْنِهِ

Dia mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya.

Juga dalam ayat Rad:2

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

Juga dalam Sajdah:5

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepadaNya pada suatu masa yang banyak bilangan tahunnya seribu tahun menurut hitungan masa kamu yang biasa.

Tauhid ke 4: Tauhid Uluhiyah wal Ubudiyyah.

Tidak berhak dipuja dan disembah selain Allah. Sebab kuasa mengurus dan mentadbir adalah haqNya sahaja, maka Dialah sahaja yang berhak dipuja dan disembah.

Dalil dalam surah Muhammad:19

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Penerimaan kepada keempat-empat darjat tauhid itu adalah syarat untuk seseorang itu selamat dalam tauhid. Kena terima semua sekali. Kalau kurang salah satu, seseorang itu masih dikira dalam syirik. Tidak selamat di akhirat selama-lamanya. Musyrikin Mekah pun terima derajat Tauhid 1 dan 2 dan ada juga yang terima sebahagian dari Tauhid derajat ke 3. Iaitu mereka terima yang perkara-perkara besar diuruskan oleh Allah. Mereka cuma tawasul kepada ilah yang lain pada perkara-perkara yang kecil-kecil sahaja. Walaupun mereka terima setakat itu, tapi ingatlah yang kita masih panggil mereka kafir. Malangnya, masyarakat Melayu pun ada fahaman salah seperti Musyrikin Mekah ini. Oleh itu, kita kena ajak mereka datang belajar.

Musyrikin Mekah beriktikad yang perkara remeh temeh diuruskan oleh entiti selain Allah. Mereka anggap ada ‘wakil Allah’ yang menguruskan perkara-perkara yang kecil-kecil. Sebagai perumpamaan, pengurusan di kampung tak perlulah sampai minta kepada Perdana Menteri pula. Maknanya, mereka samakan pemerintahan di dunia dengan kerajaan Allah Taala. Sedangkan Allah tak serupa dengan makhluk. Dalam segenap hal, kita kena minta kepada Allah. Sebagaimana Nabi ajar, kalau tali kasut putus pun minta kepada Allah. Memang kita selalu minta tolong kepada manusia, tapi sebelum minta kepada makhluk, kena minta kepada Allah dahulu. Kesimpulannya, kecil mahupun besar kena minta kepada Allah.

Kita kena ingat yang tidak akan masuk syurga mereka yang mengamalkan syirik. Syirik adalah salah satu sebab boleh jadi kafir. Kita katakan ‘salah satu’ kerana bukan itu sahaja yang boleh menyebabkan kufur.

Kerana pentingnya perkara tauhid dan syirik ini, 80% dari Qur’an memperkatakan tentang tauhid. Telah jelas yang Musyrikin Mekah telah mengamalkan syirik. Oleh itu, untuk memperbaiki akidah mereka, Allah utuskan Nabi Muhammad kepada mereka dengan membawakan Quran. Maka, untuk memperbaiki akidah kita, kita kena rujuk kepada Quran.

Oleh itu, sangat penting untuk pelajar tafsir Qur’an yang belajar akidah untuk mengetahui tentang Arab Mekah dan ahwal Jahiliyah – dari sudut akidah. Kerana kalau tak tahu, kita tak faham dengan kemas tentang akidah. Seumpama kalau kita hendak menyembuhkan penyakit, kita kena tahu apakah penyakit itu – ini dipanggil ‘diagnosis’. Kalau Qur’an itu dikira sebagai ubat, maka akidah Arab Jahiliyah itu adalah penyakitnya. Oleh itu kita kena tahu apakah fahaman dan amalan mereka yang salah. Yang buruk kita tinggalkan dan yang baik kita teruskan. Seperti kata Umar r.a:

انما تنقض عرى الاسلام عروة عروة اذا نشأ في الاسلام من لا يعرف الجاهلية
Sesungguhnya akan putus rantai Islam satu demi satu, sekiranya lahir dari kalangan umat Islam yang tidak mengenali siapa itu jahiliyyah.

Kenapa Saidina Umar menggunakan perkataan ‘rantai’? Kerana rantai adalah gabungan untaian cincin-cincin kecil yang menjadi rantai, sebagai isyarat kaitan yang menghubungkan kita dengan golongan terdahulu. Daripada kita, sampai kepada golongan salaf dan sampai kepada Nabi. Kalau kita tak tahu apakah maksud ‘jahiliyah’, maka akan putus hubungan dengan mereka. Takut kita akan melakukan amalan yang tak sama dengan Nabi. Takut kita sendiri ada faham dan beramal yang sama fahaman dan amalan Arab jahiliyah tapi kita sendiri tak tahu.

Keempat-empat tauhid ini mestilah berdasarkan dari dalil-dalil yang qat’ie, tidak boleh kurang dari itu. Dari dalil yang begitu kukuh yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dalil yang qat’ie tidak sama dengan dalil zhonni –  ianya dalil juga, tapi tidak sekuat qat’ie. Dalil qat’ie adalah ayat Quran dan dalil zhonni adalah seperti hadis dan kata-kata manusia. Oleh itu, kalau ada dalil zhonni yang nampak tidak sama dengan dalil qat’ie, ianya hanya boleh diterima setelah ditakwil dengan takwil yang bersesuaian. Maknanya, kena takwil dulu baru boleh pakai. Itu pun kalau ada, bukan kita nak kata ada dalil zhonni yang berlawanan dengan qat’ie. Kaedah kedua adalah dengan ‘menjamak’ (sync) kedua-dua dalil itu – memakai kedua-dua dalil itu tapi diselarikan.

Sebagai contoh, mungkin ada dalil dari hadis yang tidak sama dengan dalil Quran. Itu pun kalau ada hadis sahih yang tidak sama dengan Quran (sebenarnya tidak ada, tapi katakanlah kalau ada).

Kalau dalil dari hadis itu memang sudah dhaif, sudah boleh tolak siap-siap. Kalau tak bercanggah, boleh pakai dua kaedah yang disebut di atas (takwil atau menjamak) – kalau ianya sahih.

Boleh dengar audio kuliah di sini: Mabahisut Tauhid 2

Berkenaan Arab Jahiliyah.

Ahwal Arab Jahiliyah boleh dibahagi kepada dua bahagian – amalan mereka yang sama dengan Quran dan yang berlawanan dengan Quran.

1. Terdapat amalan-amalan mereka yang sama dengan syariat Islam. Mungkin ada yang terkejut dengan kenyataan ini tapi itu dari mereka yang tidak tahu kerana tidak belajar sahaja. Memang ada amalan mereka yang sama dengan agama Islam dan Quran mengekalkan mana yang benar. Ini dibagikan kepada dua pula – dari segi akidah dan keduanya, dari segi akhlak:

A. Dari segi akidah:

i. Musyrikin Mekah adalah golongan beragama. Mereka bukanlah golongan atheist yang tidak percaya kepada Tuhan. Oleh kerana ini adalah bagus, maka Allah kekalkan sifat beragama mereka itu. Dalil yang mengatakan mereka itu ada agama, adalah seperti Allah firman dalam Qur’an Kaafiruun:6

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang sebenarnya Musyrikin Mekah itu ada ‘agama’. Maknanya mereka bukan golongan yang tidak percaya adanya Tuhan. Malah, mereka memang kenal Allah. Cuma cara mereka salah dan kerana itulah mereka digelar Musyrikin Mekah.

Allah juga sebut dalam Sad:7

مَا سَمِعْنَا بِهَٰذَا فِي الْمِلَّةِ الْآخِرَةِ إِنْ هَٰذَا إِلَّا اخْتِلَاقٌ

“Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata”.

‘Agama Terakhir’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah agama puak Quraish Mekah. Apabila Nabi Muhammad beritahu mereka tentang tauhid, mereka kata ianya lain dengan apa yang mereka faham dalam agama. Ayat ini juga sebagai dalil memberitahu kita yang Arab Jahiliyah itu ada agama.

Dalam hadis juga kita tahu dari kisah Abu Talib yang orang-orang Arab itu ada agama. Kerana sampai ke akhir dia kata dia berpegang dengan ‘agama Abdul Muthalib’. Iaitu pegangan agama kafir Quraish sebagaimana yang dipegang dan diamalkan oleh datuk Nabi Muhammad. Dari sejarah, kita tahu yang walaupun dia sayang sangat kepada Nabi, tapi kerana malu dengan masyarakat Quraish, dia tidak terima Islam dan tidak mahu mengucap syahadah. Maka, dia telah mati dalam kufur. Hanya kerana malu dikutuk oleh masyarakatnya. Maka malu yang salah telah menyebabkan dia masuk neraka.

Maknanya, dari dalil-dalil ini, kita tahu yang Arab Mekah pun ada agama. Tapi agama mereka salah kerana pada mereka, bukan Allah sahaja yang ilah, tapi ada banyak lagi selain Allah. Ini kita akan bincangkan dengan panjang lebar nanti.

ii. Mereka mendakwa yang mereka di atas agama Nabi Ibrahim. Mereka mengaku yang mereka beragama Hanif iaitu sama macam yang dipegang oleh Nabi Ibrahim. Hanif adalah gelaran kepada mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim. Dan perkataan Hanif itu berulang kali dilafazkan dalam Quran. Nabi kata Islam juga Hanif, tetapi yang tidak syirik.

Maknanya, mereka itu asalnya mengamalkan ajaran dari Nabi Ibrahim. Yang kita tahu banyaknya berhala itu, semuanya datang kemudian. Itu semua kerana ikut pengaruh agama Nasara. Ada yang melihat bagaimana agama lain diamalkan dan mereka ikut sahaja. Tapi asalnya mereka ikut agama yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim tapi kemudian telah bercampur aduk dengan amalan-amalan yang salah.

iii. Musyrikin Mekah bukan golongan Dahriyyah. Dahriyyah adalah golongan yang tidak mempercayai adanya Tuhan.

iv. Musyrikin Mekah, dan begitu juga Yahudi dan Nasara, menerima tauhid darjat 1 dan 2. Mereka menerima yang Allah itu wujud dan Allah sahaja yang berkuasa mencipta. Mereka tahu yang Allahlah yang menjadikan langit bumi dan segalanya. Ini tidak perlu diperbetulkan kerana ianya memang kebenaran.

v. Arab Jahiliah juga menerima sebahagian dari Tauhid ke 3 – Allah yang mengurus. Dikatakan ‘sebahagian’, kerana mereka menerima Allahlah yang mengurus segala ‘perkara-perkara yang besar’. Tidak ada kuasa lain yang berkuasa mengurus perkara-perkara itu. Allah sebut dalam Quran. Apakah ‘perkara-perkara’ besar itu? Allah ada sebut dalam Quran:

a. Mengurus matahari dan bulan.
b. Perubahan malam dan siang.
c. Menurunkan hujan, menghidupkan bumi dan menumbuhkan tumbuhan.
d. Menghidupkan dan mematikan.
e. Menguasai pendengaran, penglihatan dan hati.

Malang sekali, ada golongan Islam zaman sekarang ini, yang perkara-perkara yang musyrikin Mekah terima ini pun ada yang tak terima. Mereka lagi teruk dari Musyrikin Jahiliah. Mereka dakwa Nabi Muhammad yang mengurus alam. Itulah golongan Brehlawi yang ada di India. Mereka itu mengaku Islam tapi mereka golongan yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad yang memperjalankan matahari dan bulan. Janganlah sampai akidah mereka sampai ke negara kita ini. Jadi, kena sampaikan ajaran yang benar kepada masyarakat kita.

vi. Tiada yang ada kuasa memiliki langit dan bumi dan makhluk di atasnya melainkan Allah sahaja.

vii. Tiada kuasa mencipta serta memelihara langit melainkan Allah.

viii. Tiada yang berkuasa melepaskan makhluk dari musibah di lautan melainkan Allah sahaja. Kalau di lautan, mereka bergantung sungguh kepada Allah. Pada mereka, Allah sahaja yang boleh menyelamatkan.

ix. Tiada yang berkuasa melepaskan musibah yang dikenakan kepada makhluk di daratan melainkan Allah.

x. Tiada yang berkuasa melepaskan diri dari tangkapan dan cengkaman melainkan Allah. Sesiapa yang dihalang dan disekat oleh makhluk lain, mereka tahu Allah sahaja yang boleh melepaskan mereka. Dalam hal ini, mereka tak seru selain Allah. Mereka akan doa terus kepada Allah.

xi. Tiada yang berkuasa bebas membuat ikhtiar dan bebas mentadbir sekalian alam melainkan Allah.

xii. Tiada yang boleh mengembalikan ketetapan – samada mengubah ketetapan, atau menghalang keputusan melainkan Allah sahaja. Iaitu mereka percaya, kalau Allah dah buat satu ketetapan, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

Maka, di atas adalah persamaan dari segi akidah antara Arab Jahiliah dan Islam.

B. Dari segi amalan dan akhlak

Ada amalan dan akhlak mereka yang betul dan dikekalkan dalam agama Islam.

i. Arab Jahiliah mengerjakan solat. Ada antara mereka yang mengerjakan solat, sekali pun ramai yang tidak solat. Jadi, sebab itu kalau ada orang kita yang solat, belum tentu mereka beriman lagi.

Arab Jahiliah mengerjakan solat dengan cara mereka. Wudhuk pun mereka lakukan iaitu mereka akan bersuci sebelum mengadap Allah, sebelum melakukan ibadat. Sebagai contoh, Abu Dzar, telah bersolat sebelum bertemu Nabi dan masuk Islam. Jadi, solat itu adalah satu bentuk ibadat yang memang telah ada diamalkan oleh Arab Jahiliah. Tentulah tidak sama 100% seperti yang kita lakukan sekarang. Lalu bagaimana mereka solat? Yang dapat dikesan adalah mereka akan sujud – nasara dan majusi pun sujud juga. Dan ada beberapa ucapan dalam bentuk zikir kepada Allah.

Mereka juga berkiblatkan Kaabah. Kemudian, apabila mereka masuk Islam, solat mereka lebih sempurna.

Maknanya, di sini kita boleh terima bahawa Musyrikin Mekah juga solat dalam bermunajat kepada Allah.

ii. Musyrikin Mekah juga berpuasa. Dalam hadis sahih Bukhari, ada diberitahu oleh Aisyah bahawa Arab Jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Nabi Muhammad juga biasa berpuasa pada Hari Asyura.

iii. Arab Jahiliah juga beriktikaf di masjid. Saidina Umar pernah tanya Nabi selepas dia masuk Islam tentang nazarnya. Dia kata semasa Jahiliah, dia pernah bernazar untuk iktikaf di MasjidilHaram. Dia tanya, perlukah dia teruskan nazar itu? Nabi suruh beliau tunaikan nazarnya itu. Maknanya, iktikaf dan nazar itu tsabit ada dalam amalan orang Arab Jahiliah.

iv. Musyrikin Mekah mengerjakan Umrah dan Haji.

v. Musyrikin Mekah mengeluarkan zakat dan mengeluarkan wang untuk kebaikan (khairat).

vi. Mereka juga bernazar kepada Allah.

vii. Mereka mandi junub

viii. Mereka berkhatan.

ix. Mereka memandikan mayat, mengkafankan jenazah dan mengebumikan dalam kubur.

x. Menyembelih binatang di halqum. Mereka tidak menjerut tengkuk binatang, tidak membelah perut dan menggunakan cara lain untuk memakan binatang. Mereka akan sembelih macam orang Islam sekarang sembelih.

xi. Mereka mengamalkan aqiqah sebagai tanda kesyukuran kelahiran anak mereka.

xii. Mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama Abdullah. Sebagai contoh, nama ayah Nabi, nama sebenar Abu Bakr dan ramai lagi.

xiii. Mereka memahami mahram – siapa yang tidak boleh dikahwini. Termasuk tidak boleh kahwin saudara susuan.

xiv. Mereka mengamalkan khitbah dan mahr dalam urusan perkahwinan.

xv. Mereka memahami talaq. Mereka tahu ada Talaq yang boleh dirujuk dan talaq yang tidak boleh dirujuk.

xvi. Mereka bersumpah dengan nama Allah untuk menguatkan kata-kata mereka.

xvii. Mereka memahami haramnya zina, mencuri, menyamun.

xiii. Mereka tahu yang mengumpat itu berdosa. Dan mereka akan bertaubat kepada Allah kalau mereka berdosa.

Maka lihatlah, bagaimana ada persamaan amalan dan akhlak mereka dengan Islam. Tapi tidaklah dengan mereka buat begitu, mereka telah selamat. Kerana Allah panggil mereka Musyrikin. Kita pun panggil mereka Musyrikin Mekah. Maka, kalau kita pun buat amalan sebegini, tapi dalam masa yang sama, masih lagi mengamalkan fahaman dan amalan syirik, kita pun dikira ‘musyrikin’ juga.

Audio kuliah boleh didengari di sini: Mabahisut Tauhid 3
Perbezaan fahaman Musyrikin Mekah dengan Islam

Sebelum ini kita telah syarah bagaimana ada persamaan antara akidah dan amalan Musyrikin Mekah dengan Islam. Kalau ada keserupamaan, kenapa mereka tolak juga Nabi Muhammad? Padahal, mereka itu orang yang menghormati Kaabah. Mereka tahu halal dan haram. Sebagai contoh, apabila mereka hendak membina semula Kaabah yang telah dirosakkan oleh banjir pun, mereka tak berani pakai duit haram. Mereka hanya kumpulkan duit mereka yang halal. Maknanya mereka tahu hal halal haram. Tapi, kenapa mereka lawan juga Nabi?

A. Perbezaan fahaman tentang tauhid ilah

Baginda ditentang kerana fahaman berbeza tentang tuntutan tauhid pada lafaz tentang ilah dan perkara berkenaan ilah. Mereka faham yang ilah itu adalah sebagai tempat tumpangan hati, penyempurna hajat. Kalau perkara besar, mereka minta kepada Allah. Tapi perkara yang kecil-kecil, mereka mengadu kepada ‘wakil Allah’. Semua itu dipanggil ‘ilah’ dalam bahasa Arab. Iaitu, Allah adalah ilah, dan ‘wakil Allah’ pun ilah juga. Mereka rasa lega hati kerana ada tempat bergantung. Mereka faham maksud ilah kerana itu adalah bahasa mereka. Orang kita sahaja yang ramai tak faham. Mereka pandai mengucap tapi tak faham apa yang mereka ucapkan. Pandai mengucap sahaja, pandai zikir sahaja, tapi buat syirik; Maka Nabi telah mentauhidkan ilah dan kerana itu baginda ditentang habis habisan oleh mereka.

Musyrikin Mekah kata, bukan Allah sahaja yang ilah tapi yang lain pun boleh jadi ilah. Mereka tak boleh terima ada satu ilah sahaja. Allah ulang kata mereka dalam Sad:5

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَٰهًا وَاحِدًا إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

“Patutkah ia sanggup menjadikan iilah-ilah yang berbilang itu jadi Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang pelik!”

Mereka tidak dapat terima apabila Nabi kata ilah hanya Allah sahaja, dan yang lain tidak. Pada mereka, itu adalah amat pelik sekali.

Kalau kita rasa ada makhluk yang ada sifat sama dengan Allah, itu sudah syirik. Dari 99 asma Allah itu, kalau ada satu sahaja yang sama dengan Allah, dah kufur dah. Oleh itu, ingatlah yang sifat ilah hanya ada pada Allah.

B. Mereka percaya yang sebahagian dari manusia ada yang muqarrab (rapat dengan Allah), sampai boleh jadi wali, dan apabila jadi wali, Allah telah beri kepada mereka beberapa ‘anugerah’. Itu semua adalah ajaran dari bisikan syaitan. Syaitan yang ajar fahaman itu kepada mereka. Apa sahaja fahaman yang lawan Quran tentunya dari syaitan. Kerana mereka tidak fikirkan sendiri dan tidak ada dalil dari mana-mana ajaran, kerana Musyrikin Mekah tidak ada kitab rujukan. Jadi, apakah kepercayaan mereka tentang wali-wali itu?

1. Mereka percaya yang wali-wali itu ada kuasa mengurus yang Allah beri kepada mereka kerana kedudukan mereka yang rapat denganNya. Dengan kuasa itu, mereka boleh beri manfaat atau mudharat kepada orang lain. Kuasa mengurus itu pun bukannya mereka kata dia ada sendiri tapi Allah yang beri. Semasa wali itu hidup, Allah beri keramat kepadanya dan apabila mati, Allah beri kuasa lain. Itu semua kerana Allah sayang sangat kepada wali itu, faham mereka.

Dan bukan penuh pun kuasa itu, tapi dalam ‘lingkungan’ tertentu:
– Dalam kawasan tertentu. Contohnya hanya di Jerteh sahaja.
– Urusan tertentu sahaja. Wali itu berkuasa dalam hal untuk memajukan kedai, wali lain dalam urusan untuk mendapatkan anak dan sebagainya.
– Waktu tertentu sahaja. Ada yang boleh waktu pagi sahaja. Sebagai contoh, untuk boleh jadi Tukang Karut Wayang Kulit, kena bertapa dari malam sampai ke pagi, dan pada pagi hari, baru akan diberi anugerah oleh seorang wali.

Memang ada fahaman sesat sebegini dalam masyarakat Melayu kita. Antaranya ajaran Martabat Tujuh dan tarekat-tarekat yang lain. Mereka tak ajar secara terbuka macam ajaran agama Islam yang benar. Inilah tanda ajaran yang sesat. Mereka pun tak sebarkan kepada semua orang untuk masuk belajar kerana mereka kena pilih golongan-golongan yang mereka agak boleh tipu. Iaitu golongan yang lemah akal dan tidak ada pengetahuan agama.

2. Mereka percaya yang wali-wali itu ada apa yang dinamakan ‘Syafaat Qahriyah’. Maksud Syafaat adalah seperti ‘sokongan’. Yang boleh menyebabkan seseorang melakukan sesuatu atau selamat dari sesuatu kerana adanya sokongan itu. Sebagai contoh, katakanlah seorang warga asing dikenakan hukuman gantung di negara kita. Tapi negara asal warga asing itu kata jangan jatuhkan hukuman gantung itu. Kalau kita jalankan juga hukuman itu, mereka akan melakukan sesuatu tindakan ke atas negara kita. Kita pula bergantung dengan negara itu, mungkin dari segi ekonomi. Maka, kerana sokongan dari kerajaan itu, kerajaan kita tangguhkan hukuman gantung itu atau ganti kepada hukuman lain yang lebih ringan. Ini adalah satu contoh syafaat.

Tapi contoh negara besar yang beri tekanan kepada negara kecil tidak akan berlaku dalam kerajaan Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh desak Allah. Mereka yang bertawasul dengan tok wali itu pun tidaklah kata yang wali-wali itu boleh desak Allah. Maka syafaat yang mereka maksudkan adalah ‘syafaat qahriyyah mahabbah’. Iaitu Allah akan selamatkan seseorang itu kerana sayangkan tok wali itu.

Bagaimanakah fahaman manusia dengan masalah ‘Syafaat’ ini. Katakanlah satu orang banyak buat  salah dengan Allah semasa di dunia. Tapi dulu dia baik dengan tok wali. Dia selalu sembelih binatang jamu di kubur tok wali, bertapa di kubur tok wali, dengan harapan kalau di akhirat nanti Tok Wali itu akan pujuk Allah bagi pihaknya.

Fahaman inilah yang masuk ke dalam masyarakat. Fahaman ini ada dalam agama lain seperti Nasara. Mereka kata Allah sayang sangat kepada wali itu sampai boleh pujuk Allah. Mereka sangka Allah malu nak azab mereka yang rapat dengan tok wali itu. Maka mereka sampai menangis di kubur tok wali dan mengharapkan pertolongan wali itu. Kadang-kadang ada suara yang keluar dari kubur yang memberi arahan suruh sembelih kambing, contohnya. Suara itu sebenarnya adalah suara jin, tapi mereka sangka itu adalah suara tok wali.

Ini adalah syirik fi tasarruf wa tadbir. Iaitu mereka kata tok wali itu ada terlibat juga dalam urusan hukuman Allah taala. Banyak ayat Quran sebut tentang syafaat qahriyyah ini kerana ianya banyak digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. Syaitan tahu yang manusia senang tertipu dengan perkara ini. Maka Allah tegaskan dengan berbagai cara dalam Qur’an yang tidak ada syafaat qahriyyah di akhirat nanti.

3. Salah faham ketiga, mereka sangka wali itu tahu perkara ghaib. Sampai ada orang kita yang takut bercakap dengan orang alim. Kerana mereka sangka orang alim itu boleh baca hati mereka dan tahu apa yang mereka nak lakukan.

Dan mereka sangka, apabila wali itu dah mati, mereka masih boleh dengar seruan mereka yang hidup. Ini adalah syirik fil ilmi (syirik tentang ilmu).  Pada mereka, kalau dah jadi seorang wali, tentu akan tahu ilmu ghaib. Sedangkan Nabi sendiri tidak tahu ilmu ghaib, apatah lagi seorang wali. Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Oleh kerana mereka rasa tok wali tahu perkara ghaib, maka mereka minta pertolongan kepada tok wali. Salah faham berkenaan wali ini juga berangkat kepada salah faham tentang Nabi dan malaikat juga.

Itulah kekeliruan manusia tentang wali, Nabi dan malaikat yang mereka jadikan sebagai ilah mereka. Kita hendaklah yakin yang tidak ada ilah melainkan Allah sahaja. Syafaat, perkara ghaib, seru, penyelesai masalah hanya ada pada Allah. Lebih-lebih lagi pada perkara ma fauqal asbab – di luar lingkungan asbab. Maksudnya kalau kita minta tolong seseorang dalam hal keduniaan seperti tolong angkat barang, itu masih dalam lingkungan asbab orang itu. Tapi kalau kita minta dia menyelesaikan masalah kita dengan Allah, itu bukan dalam lingkungan asbab makhluk.

Timbul satu persoalan: Musyrikin Mekah itu duduk di Mekah yang suci, dekat pula dengan Kaabah, laku bagaimana mereka boleh tersesat? Mereka sesat kerana mereka samakan kerajaan dunia dengan kerajaan Allah taala. Kalau dalam kerajaan dunia, memang bukan semua Perdana Menteri buat kerja, tapi diberikan urusan yang kecil-kecil kepada orang bawahan dia. Tapi tidaklah sama kerajaan makhluk dengan kerajaan Allah taala. Mereka pun tidak belajar agama. Itulah sebabnya kerosakan kepada agama mereka. Begitu juga, akidah masyarakat kita rosak kerana tidak belajar agama.

Soalan seterusnya: Kenapa mereka boleh dapat fahaman begitu? Kerana mereka lihat dalam cerita ghaib pun, mereka ada dengar yang Allah ada suruh malaikat buat kerja. Maka, mereka sangka malaikat-malaikat itulah ‘wakil Tuhan’ macam Perdana Menteri wakilkan penghulu untuk jaga kampung dia. Mereka dengar-dengar sahaja maklumat ini dan kerana tidak belajar, maka mereka telah salah faham. Mereka sangka yang malaikat-malaikat itu menjalankan tugas dengan bebas dan dengan ikhtiar mereka.

Kita pun tahu juga yang Allah berikan tugas kepada para malaikat, tapi tidaklah kita faham seperti yang mereka faham. Kita faham yang malaikat buat semua yang ditugaskan kepada mereka itu atas perintah Allah. Malaikat tidak akan berani buat selain dari yang disuruhkan. Inilah bahaya kalau tak belajar dengan betul. Begitulah orang Mekah yang tidak ada kitab dan tidak ada sumber yang kukuh dan sahih. Mereka dengar-dengar sahaja dan buat andaian sendiri.

Yang kedua menyebabkan mereka boleh keliru itu adalah kerana mereka dengar yang para Nabi dan wali-wali, doa mereka cepat dimakbulkan. Jadi, kerana mereka dengar yang Nabi dan wali cepat dimakbulkan doa mereka, maka mereka memandang tinggi kedudukan mereka dan mereka telah memohon pertolongan kepada Nabi dan wali walaupun mereka telah mati.

Mereka sahaja yang pandai melantik para wali itu. Tidak ada sesiapa yang sepatutnya mengaku sebagai wali. Wali pun tidak tahu dia wali. Selalunya yang kata seseorang itu wali, adalah dari lantikan manusia sahaja. Senang sahaja mereka kata seseorang itu ‘wali’. Allah pun tidak tunjuk perlantikan wali kepada orangramai. Lainlah dengan para sahabat, itu semua orang kenal kerana Allah telah lantik mereka sebagai sahabat Nabi. Tapi siapa boleh kenal wali Allah?

Ketahuilah yang Allah iktiraf seorang wali itu di sisiNya, tanpa diketahui oleh manusia lain. Kerana sangkaan tentang wali yang salahlah yang telah menyebabkan keliru habis masyarakat kita. Sampaikan ada orang tak sembahyang pun mereka kata orang itu wali. Itu semua adalah kerana kejahilan yang merebak dalam masyarakat kita. Nauzubillah!

Sambung ke Risalah ke 4

Tafsir Surah Maarij Ayat 41 – 44 (Allah boleh ganti kita ini)

Ayat 41:

عَلىٰ أَن نُبَدِّلَ خَيرًا مِّنهُم وَما نَحنُ بِمَسبوقينَ

Sahih International

To replace them with better than them; and We are not to be outdone.

Malay

(Membinasakan mereka, serta) menggantikan mereka dengan makhluk-makhluk yang lebih baik dari mereka; dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.

 

Mudah sahaja untuk Allah menciptakan makhlukNya. Allah cipta segalanya dengan rekabentuk yang amat indah sekali. Begitu hebat sekali kejadian yang Allah telah jadikan. Bukanlah kejadian alam ini dengan ‘tidak sengaja’. Sesiapa sahaja yang mengkaji alam ini akan terpesona dengan keindahan dan kehebatan alam ciptaan Allah ini.

Lagi mudah kalau nak menjadikan dan menghidupkan makhlukNya semula. Kalau Allah hidupkan dari tidak ada kepada ada, tentulah Allah boleh hendak menjadikan semula.

Satu maksud ‘lebih baik’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Allah akan menjadikan kejadian di syurga yang lebih baik dari kehidupan di dunia. Di syurga, tidak ada yang cacat, tidak ada yang gila walaupun seseorang itu gila di dunia dulu. Kehidupan amat indah sekali sampaikan tidak ada keluar najis pun. Tubuh badan kita tidak sama lagi kerana badan kita sudah dinaiktaraf.

Ayat ini boleh juga bermakna Allah boleh ganti kita dengan umat yang baru kalau kita durhaka. Allah boleh jadikan kaum yang taat denganNya. Umat itu lebih baik dari kita. Lihatlah bagaimana Allah telah gantikan jin dengan kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Ayat ini juga bermakna, Allah boleh sahaja ganti puak Musyrikin Mekah itu dengan puak yang lain, yang lebih baik dari mereka. Kalau mereka tidak mahu dengan Nabi Muhammad, Allah akan berikan peluang menjadi umat pertama Nabi Muhammad kepada orang lain.

Dan Allah pun sebenarnya telah pun mengganti mereka. Kerana mereka tidak mahu beriman, Allah ganti dengan puak Ansar di Madinah. Lihatlah bagaimana Allah ganti penduduk Mekah dengan puak Ansar yang lebih baik lagi dari mereka. Merekalah yang mendapat penghormatan zaman berzaman hingga ke Kiamat nanti dikenali sebagai puak Ansar – yang menolong Nabi Muhammad dan agama Islam.

Dan ini mengingatkan kita: kalau kita orang Melayu ini tidak jaga agama Islam ini, Allah gantikan dengan kaum lain yang akan menjaganya dan mengembangnya. Kalau sekarang kita perhatikan, memang di Eropah dan di Barat pula yang semakin berkembang penganut agama Islam. Ini kerana mereka buat kerja dakwah di merata tempat.


 

Ayat 42: Kalau semua nasihat telah diberikan tapi masih berdegil lagi.

فَذَرهُم يَخوضوا وَيَلعَبوا حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي يوعَدونَ

Sahih International

So leave them to converse vainly and amuse themselves until they meet their Day which they are promised –

Malay

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)! –

 

فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya),

Kalau para penentang masih menentang kebenaran wahyu, maka Allah suruh biarkan mereka dalam keadaan mereka. Biarkan apa sahaja yang mereka nak kata. Kalau kita dakwah tapi orang tak dengar, biarkan mereka. Bukan kita yang boleh beri taufik. Tugas kita hanyalah menyampaikan sahaja. Biarkan mereka bermain-main dan bergembira dengan kehidupan dunia mereka.

 

حَتَّىٰ يُلٰقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ

sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka

Keputusan dari Allah untuk mereka menerima azab telah ditentukan. Bukannya mereka tidak diberitahu, tapi telah berkali-kali disampaikan kepada mereka. Mereka akan rasakan bencana dari kesesatan mereka. Maka biarkan mereka, nanti mereka sendiri akan menerima balasan kerana penolakan mereka.

Maksudnya, Nabi Muhammad dan para sahabat tidak perlu nak lawan dan berperang dengan mereka. Kerana umat Islam waktu itu masih lemah. Maka serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah.


 

Ayat 43:

يَومَ يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ سِراعًا كَأَنَّهُم إِلىٰ نُصُبٍ يوفِضونَ

Sahih International

The Day they will emerge from the graves rapidly as if they were, toward an erected idol, hastening.

Malay

Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),

 

يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ الْأَجْدَاثِ سِرَاعًا

Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur

Mereka akan keluar dengan segera dari kubur mereka menuju ke Padang Mahsyar. Tidak boleh nak lengah-lengah macam kita bangun tidur setiap pagi. Di akhirat nanti, tidak ada kuasa untuk kita buat ikut suka kita. Apabila disuruh gerak, kita semua akan bergerak. Tidak ada bantahan lagi dari kita.

Lagi satu, kebangkitan di akhirat adalah amat cepat. Terus bangun sahaja dari kubur. Tidaklah seperti kejadian di dunia yang ambil masa 9 bulan dalam perut itu, kemudian bertahun-tahun baru jadi dewasa. Nanti apabila kita dibangkitkan kelak, kita akan terus jadi dewasa.

 

كَأَنَّهُمْ إِلَىٰ نُصُبٍ يُوفِضُونَ

dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala,

Mereka akan bangkit dari kubur untuk pergi ke Mahsyar untuk dihisab dengan cepat. Dan cepatnya mereka itu seperti mereka berkejaran untuk menyentuh berhala mereka.

Di akhirat nanti apabila dibangkitkan, tidak boleh nak lengah, melawan atau tidak mahu ikut perintah. Mereka akan bangun dengan cepat. Sama ada mahu atau tidak, mereka akan bergegas.

Bayangkan seperti anak penyu bergegas ke laut tanpa suruhan sesiapa pun. Walaupun mereka baru lahir, tapi mereka tahu ke mana hendak dituju. Begitulah kita nanti. Waktu itu badan kita bukan dalam kawalan kita lagi. Iradah (kuasa dan kehendak) sudah ditarik. Kita tahu dan sedar apa  yang terjadi waktu itu tapi tidak boleh buat apa lagi.

Mereka akan berkejaran macam dulu mereka bersegera menuju ke berhala mereka. Kerana mereka hendak menjadi orang pertama yang sentuh berhala mereka. Kalimah نُصُبٍ bermaksud ‘altar batu’, tempat mereka sembelih binatang sembahan mereka kepada berhala dulu. Jadi نُصُبٍ adalah bermakna berhala yang besar dan duduk tetap. Dulu, mereka ada berhala yang boleh diangkat-angkat dan ada berhala jenis tidak boleh digerakkan lagi kerana ianya sangat besar dan berat.

Kita sekarang tidak ada berhala. Tapi kita ada tempat tujuan hidup kita seharian. Lihatlah bagaimana kita berlari-lari untuk kejar bas atau komuter untuk pergi kerja. Kerana ramai dari kita yang sibuk dengan kerja sahaja. Kalau pasal kerja, kita berlari-lari kelam kabut dan bersegera, tapi untuk agama, kita tidak begitu.

Kita semua akan bergerak ke arah Mahsyar dengan berbagai cara. Ada yang jalan, merangkak dan sebagainya.


 

Ayat 44:

خٰشِعَةً أَبصارُهُم تَرهَقُهُم ذِلَّةٌ ۚ ذٰلِكَ اليَومُ الَّذي كانوا يوعَدونَ

Sahih International

Their eyes humbled, humiliation will cover them. That is the Day which they had been promised.

Malay

Sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan; itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka.

 

خٰشِعَةً أَبْصَارُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ

Sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan;

Kedudukan mereka amat berbeza dengan semasa mereka di dunia. Dulu mereka sombong dengan kedudukan mereka. Sampaikan mereka tidak hiraukan agama. Tapi sekarang, mereka telah menjadi hina. Pandangan mereka tunduk dan mereka terasa amat terhina.

 

ذَٰلِكَ الْيَوْمُ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ

itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua itu telah diberitahu dan dijanjikan kepada mereka. Tapi mereka tidak mahu dengar. Akibatnya mereka menjadi amat malang sekali.

Allahu a’lam. Lompat ke surah seterusnya – Surah Nuh

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Risalah ke 2 Usul Daurah Tafsir: Fawaid Tafsir

Pengenalan:

Fawaid adalah faedah-faedah yang kita dapat dari belajar tafsir ini. Ianya adalah perkara perkara yang kena tahu. Perkara-perkara ini tidak dapat diketahui kalau setakat tahu bahasa Arab sahaja. Kerana Qur’an ada bahasanya yang tersendiri. Untuk tahu, kena tahu Usul Tafsir kerana perkara-perkara itu tidak ada dalam bahasa Arab yang biasa.


1. Lafaz Qosamun. قسم

Qosamun bermaksud ‘Sumpah’. Banyak sumpah yang ada dalam Qur’an. Sumpah ada banyak jenis dan ada yang digunakan oleh manusia dengan tujuan untuk menguatkan dakwaan kita. Lebih-lebih lagi kalau ada yang tidak percaya dengan apa yang kita katakan, maka seseorang itu akan menggunakan sumpah. Nabi sendiri pun ada bersumpah.

Allah pun bersumpah juga supaya masuk kekuatan dalam hati manusia. Supaya manusia terima sungguh apa yang Allah sampaikan dalam Quran. Selepas Allah bersumpah dalam mana-mana ayat Quran, maknanya ada yang Allah nak tekankan dalam ayat itu. Bukan semua ayat Allah akan bersumpah.

Dari segi hukum, bersumpah hukumnya harus. Sumpah itu harus tapi Imam Syafie tidak galakkan. Walaupun harus, tapi ada kala berdosa dan boleh menyebabkan murtad, kalau tak kena cara.

Ada banyak jenis yang akan kita terangkan. Sumpah kita dan sumpah dari Allah tidak sama. Allah ada cara Dia. Ada empat jenis sumpah:

A. Sumpah yang menyebabkan kufur
Ianya akan berlaku apabila salah lafaz beserta salah iktikad. Kerana ada sumpah yang dilafazkan beserta dengan iktikad yang salah. Iaitu apabila seseorang beriktikad/percaya dalam hati bahawa dzat yang digunakan sebagai lafaz sumpah itu (uqsamu bihi), iaitu selain Allah, juga ada memiliki sifat Tuhan.

Sebagai contoh, ada yang kata “demi wali”, “demi malaikat”, “demi Nabi”. Sebagai contoh, ada yang bersumpah menggunakan satu entiti yang pada sangkaannya, entiti itu juga ada ilmu ghaib, atau ada sifat-sifat Tuhan yang lain. Ini hukumnya kufur dan sesiapa yang buat begini, gugur Islamnya.

Masalah ini terjadi apabila orang jahil tidak belajar. Jahil agama adalah bahaya kerana tidak ada dalil atau kisah yang orang jahil ada masuk syurga. Jadi amat bahaya kalau tak tahu agama. Cuma jahil ini pun ada jenis, kalau ‘jahil amal’ (salah buat amalan ibadat), masih ada harapan masuk syurga setelah masuk dalam neraka sekian lama.

Yang tidak ada harapan adalah kalau ‘jahil akidah’. Mereka tunggu masa sahaja untuk buat salah dalam akidah. Ini adalah kerana mereka amat senang untuk ditipu oleh syaitan. Dan kalau buat kesalahan dalam hal akidah, akan masuk neraka dan kekal di dalamnya.

Ada yang sampai bersumpah menggunakan orang dalam kubur. Contohnya ada yang kata: “kalau aku menipu dalam sumpah aku ini, niscaya tok wali ini akan menghilangkan tuah aku”. Mereka pergi ke kuburan wali yang mereka anggap ada keramat dan mereka bersumpah di situ.

Negara lain banyak buat, mungkin jarang kita nampak di sini, jadi mungkin sukar untuk kita bayangkan. Jangan sampai jadi sampai di sini. Mereka itu ada masjid dan madrasah, tapi mereka itu sesat dan kafir sebenarnya. Bukanlah kalau golongan itu belajar Qur’an dan hadis, sudah pasti akidah mereka sudah benar – belum tentu lagi. Kena periksa dulu.

Antara cara nak kenal mereka yang rosak akidah adalah mereka ini amat rapat dengan kubur. Itulah amalan masyarakat jahiliyah zaman Nabi. Musyrikin Mekah sembah dan puja kubur pada zaman Jahiliah. Apabila antara mereka masuk Islam, mereka tinggalkan amalan itu.

Nabi sampai larang sahabat dari ziarah kubur pada waktu itu untuk menghalang mereka dari melakukan perkara-perkara syirik yang berkaitan dengan kubur. Hanya apabila sahabat sudah lama jadi muslim dan sudah faham agama, baru Nabi benarkan mereka berziarah ke kubur kerana ziarah kubur boleh ingatkan kita kepada mati. Seperti sabda Nabi:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِ، أَلآ فَزُوْرُوْهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ اْلآخِرَةَ، وَلاَ تَقُوْلُوْا هُجْرًا.

Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.
Status Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadraknya, hadis no: 1342MS (Kitab al-Janaiz, Bab dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur…). Sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz

Maka kalau kita perlu bersumpah, bersumpahlah dengan nama Allah sahaja. Jangan pandai-pandai sumpah dengan perkara lain. Tapi seeloknya janganlah bersumpah. Sebab ianya antara perkara yang boleh jadi harus dan boleh jadi murtad. Oleh itu, ianya adalah perkara yang amat bahaya sekali. Maka tinggalkan kerana orang yang pandai tidak buat perkara begini kerana tidak berbaloi kerana takut tersalah cakap.

B. Sumpah untuk menguatkan fakta dan dakwaan.

Ada yang lafaz perkataan sumpah tapi itu sebagai ‘saksi’ sahaja. Macam kita bawa saksi untuk menguatkan kata kita dalam mahkamah. Allah juga guna sumpah sebagai saksi. Dan sebagai dalil supaya hamba terima sungguh-sungguh apa yang diperkatakan sebagai lafaz tahkik. Lafaz selepas itu adalah penting dan kena beri perhatian lah.

Oleh itu, semua sumpah dalam Quran yang bukan dengan nama Allah, ianya sebagai syaahid/saksi. Sebagai contoh Allah menggunakan ‘masa’ sebagai saksi dalam Surah al-Asr – “Demi masa”. Dalam ayat itu, Allah bersaksi dengan masa yang Dia jadikan masa itu. Walaupun surah ini pendek sahaja tapi ada perkara yang amat penting yang hendak disampaikan, jadi Allah gunakan sumpah dalam surah ini.

Allah bersumpah dengan DiriNya pada 6 tempat, dalam surah Yaasin, Maryam, an-Nisa, at-Taghabun, al-Maarij dan al-Hijr. Sebagai contoh, dalam surah al-Maarij ayat 40, Allah berfirman

فَلَا أُقْسِمُ بِرَبِّ الْمَشَارِقِ وَالْمَغَارِبِ إِنَّا لَقَادِرُونَ

Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai (seluruh alam, meliputi) tempat-tempat terbit (matahari dan bulan bintang) dan tempat-tempat tenggelamnya, – sesungguhnya Kami berkuasa –

Ada juga yang Allah bersumpah dengan makhlukNya.

Ada kala Allah bersumpah atas kebenaran Tauhid, seperti yang Allah gunakan dalam ayat Saffat: 4

إِنَّ إِلَٰهَكُمْ لَوَاحِدٌ

sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu –

Ada yang Allah bersumpah dengan kebenaran Quran. Waqiah:75-77.

فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ

Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran, –

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ

Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, –

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),

Ada yang Allah bersumpah dengan kebenaran Rasulullah seperti yang Allah lakukan dalam surah Yaasin ayat 3:

إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,

Allah juga ada bersumpah atas kebenaran balasan akhirat;

Allah juga ada bersumpah atas janji baik;

Allah juga bersumpah menggunakan ancaman azab seperti yang digunakan dalam surah adh-Dzariat dan al-Mursalat.

Allah juga ada bersumpah dengan keadaan dan sifat manusia seperti yang Allah gunakan dalam Balad:3

وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

Jadi kita semua kena tahu tentang perkara sumpah kerana ini dalam agama. Oleh itu, kena tahu selok belok sumpah.

C. Sumpah yang berbentuk doa rahmat. Ini yang seperti Allah gunakan dalam Hijr:72.

لَعَمرُكَ إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ
Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.

Dalam ayat ini, ada doa selamat untuk Nabi.

D. Sumpah yang berbentuk doa laknat

Ini seperti yang terdapat dalam syair karangan Hasan Tsabit. Beliau adalah penyair Nabi. Kata-katanya tajam dan melahirkan ketakutan dalam hati orang kafir. Waktu itu adalah semasa Pembukaan Mekah. Hasan buat syair dalam bentuk doa laknat kepada musuh Islam. Negara kita tak biasa buat begini.


2. Amalan ‘tiga serangkai’.

‘Amalan tiga serangkai’ ini dilakukan bagi tujuan menolak bala dan azab. Apabila berlaku bencana, Allah ajar amalan tiga serangkai ini untuk meredakan kemarahanNya. Kalau tidak, Allah akan teruskan dengan menurunkan azab itu.

Contohnya, katakanlah ada wabak penyakit dalam negara kita. Kalau kita buat usaha sendiri nak hilangkan wabak, kadang-kadang habis duit sahaja kerana masalah itu tidak selesai. Ini adalah kerana manusia tak nampak cara yang diajar dalam Qur’an. Maka mereka akan reka cara nak selesaikan. Padahal Allah dah ajar dah cara macam mana nak selesaikan. Iaitu gunakan amalan tiga serangkai ini.

Kita boleh jumpa amalan tiga serangkai ini dimana adanya ayat takhwif ukhrawi dan takhwif duniawi. Apabila ada ayat-ayat sebegitu, akan didatangkan amalan penyelamat. Ianya diingatkan kepada manusia semoga ianya boleh menjadikan mereka insaf.

Apakah amalan ‘tiga serangkai’ itu?

A. Pastikan jangan ada syirik. Iaitu dengan memperbetulkan akidah. Buang amalan syirik macam jumpa bomoh dan sebagainya. Sebenarnya, disebabkan oleh amalan syirik itulah yang menyebabkan turunnya bala. Allah marah kerana seru selain Dia. Oleh itu, kena tinggalkan amalan tawasul yang diharamkan.

Kena tinggalkan guru agama yang tidak ajar dari Qur’an dan sunnah kerana kalau tidak ajar dari Quran dan Sunnah, memang akan ada kesalahan yang akan diajar dalam ajaran mereka. Jangan lagi ikut amalan yang mereka ajar. Jangan biar mereka bebas buat agama sendiri. Kenapa kita nak belajar dari orang yang jahil?

B. Jangan berbuat zalim sesama manusia. Bila kita zalim, Allah akan murka. Maka kena tinggalkan kezaliman itu. Kena taubat dan berhenti dari meneruskan kezaliman itu. Bala itu dikenakan kerana orang kena zalim itu ada yang berdoa. Maka Allah beri balasan kerana doa orang yang dizalimi adalah makbul.

Jadi, jangan zalim kepada orang lain, sedangkan Allah dah ajar kita supaya jangan buat sesuatu yang menyebabkan orang lain susah dengan apa yang kita lakukan. Kerana tidak mahu susahkan orang, Nabi sampai tak beri sahabat susahkan diri bangun untuk sambut baginda. Padahal dia dah Nabi dah. Jadi, kalau kita pun ada buat begitu kepada orang besar-besar dari kalangan kita, tidak patutlah.

C. Seterusnya kena diikuti dengan berbuat baik. Buang yang buruk dan buat kebaikan kepada manusia. Iaitu kena tukar dari buat zalim kepada berbuat kebaikan pula.

Apabila ketiganya dilakukan, bala boleh berhenti dengan izin Allah. Ingatlah yang ini Allah ajar sendiri kepada hambaNya, jadi kita kena ikut. Maka kita kena lariskan dalam masyarakat.

Contoh-contoh ayat amalan tiga serangkai ini adalah:

Nahl:90

۞ إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدلِ وَالإِحسانِ وَإيتاءِ ذِي القُربىٰ وَيَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغيِ ۚ يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

لا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ فَتَقعُدَ مَذمومًا مَخذولًا

۞ وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا ۚ إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما فَلا تَقُل لَهُما أُفٍّ وَلا تَنهَرهُما وَقُل لَهُما قَولًا كَريمًا

Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah).

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

رَبُّكُم أَعلَمُ بِما في نُفوسِكُم ۚ إِن تَكونوا صالِحينَ فَإِنَّهُ كانَ لِلأَوّابينَ غَفورًا

وَآتِ ذَا القُربىٰ حَقَّهُ وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ وَلا تُبَذِّر تَبذيرًا

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.

وَلا تَقتُلوا أَولادَكُم خَشيَةَ إِملاقٍ ۖ نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم ۚ إِنَّ قَتلَهُم كانَ خِطئًا كَبيرًا
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

وَلا تَقرَبُوا الزِّنا ۖ إِنَّهُ كانَ فاحِشَةً وَساءَ سَبيلًا
Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

وَلا تَقتُلُوا النَّفسَ الَّتي حَرَّمَ اللَّهُ إِلّا بِالحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظلومًا فَقَد جَعَلنا لِوَلِيِّهِ سُلطانًا فَلا يُسرِف فِي القَتلِ ۖ إِنَّهُ كانَ مَنصورًا
Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.

وَلا تَقرَبوا مالَ اليَتيمِ إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ حَتّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوفوا بِالعَهدِ ۖ إِنَّ العَهدَ كانَ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya.
وَأَوفُوا الكَيلَ إِذا كِلتُم وَزِنوا بِالقِسطاسِ المُستَقيمِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا
Dan sempurnakanlah takaran apabila kamu menakar, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Juga boleh rujuk: Mukminoon:1-9, Nisa:25-26


3. Tiga cara yang Allah datangkan untuk kita islahkan (baiki) pihak lawan.

‘Pihak lawan’ itu maksudnya mereka yang lawan agama dan Qur’an. Atau mereka yang tertipu dalam agama dan tolak agama. Allah beri jalan bagaimana menghadapi mereka dalam Quran.

Ayat-ayat sebegini memberi kesedaran kepada mereka supaya mereka berhenti. Kita kena gunakan cara ini. Kita yang kena bawa dan heret mereka kepada kebenaran. Takkan nak tunggu mereka pula yang datang dan dapatkan nasihat kepada kita kerana mereka memang tidak akan datang. Kerana orang yang buat salah selalunya tidak akan mencari kebenaran.

Oleh itu, bacakan ayat-ayat Quran kepada mereka supaya mereka boleh dapat kesedaran. Kalau mereka tidak mahu terima, kita tidak boleh buat apa, tapi sekurang-kurangnya kita yang sampaikan ini boleh dapat kebenaran itu.

Apakah tiga cara itu?

A. Allah jelaskan betapa sangat sedikitnya harga dunia ini dari segi nilai dan betapa sekejap sahaja kehidupan di dunia ini. Allah tahu yang mereka yang tidak kenal agama adalah kerana mereka telah ditewaskan oleh penyakit cinta dunia. Jadi kena perbetulkan balik fahaman dan pandangan mereka dengan beritahu mereka yang dunia ini hanya sedikit sahaja dan sebentar sahaja.

Beritahu dia supaya dia memikirkan betapa dia telah salah dengan bersungguh sangat pada benda yang sedikit dan sementara sahaja nikmatnya. Tapi kita kena faham, Allah tak suruh tolak dunia terus. Tapi kena berjaga-jaga dengan keindahan dunia supaya jangan terpedaya. Guna boleh, tapi jangan sampai terpedaya sampai lupa akhirat.

Yang selalu manusia kejar adalah: wanita (atau lelaki), harta benda dan pangkat. Senangnya digunakan lafaz ‘tiga ta’ untuk senang ingat: wanita, harta, tahta. Dan kerana mereka terlalu sibuk dengan dunia, sampai mereka tak hirau pun untuk belajar tafsir Qur’an dan agama. Mereka buang masa sahaja dengan kehidupan mereka di dunia.

Agaknya, bagaimana dia nak jawap di hadapan Allah nanti kalau mereka tidak tahu hal agama? Hal dunia tahu belaka sampai pergi ke universiti, tapi hal yang lebih penting, dia tak tahu.

Begitulah Firaun jadi sesat kerana dunia. Padahal dia kenal Musa itu adalah seorang Nabi. Akan tetapi, kerana tidak mahu kehilangan dunia, dia tolak Nabi Musa dan Nabi Harun. Jadi kalau kita yang bukan raja pun boleh terpedaya, maka lebih teruk lagi dari Firaun lah maknanya. Sebab kita tidak dapat apa pun dari dunia ini, dapat ala kadar sahaja tapi tak ikut Nabi kita. Memang tidak patut langsung, tak malu langsung.

B. Beritahu kepada mereka yang cinta dunia boleh membawa kepada bala di dunia. Selalunya, nikmat dunia akan makan diri kita akhirnya. Dunia tidak pernah setia kepada mereka yang memujanya. Kita ikut dunia walau ke tahap mana pun, dunia tak tolong kita pun di akhirat nanti. Dunia akan tinggalkan kita begitu sahaja. Dunia akan tendang kita tanpa rasa belas kasihan pun. Sebagai contoh, lihat Kahf:32-34

وَاضرِب لَهُم مَثَلًا رَجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنابٍ وَحَفَفناهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا

Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang laki-laki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon korma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.

كِلتَا الجَنَّتَينِ آتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِنهُ شَيئًا ۚ وَفَجَّرنا خِلالَهُما نَهَرًا

Kedua buah kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu,

وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصاحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَنا أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”

‘Guna’ dan ‘cinta’ tidaklah sama. Kerana kadang-kadang kita memang gunakan dunia, tapi tidaklah kita cinta kepada dunia. Dalam Quran, lafaz yang digunakan adalah hubb. Ini lain kalau kita cinta kepada wanita kerana kalau cinta wanita atau wanita cinta lelaki, itu dipanggil ishq.

Tapi Qur’an guna hubb untuk cinta dunia. Bahasa kita sama sahaja kalau cinta manusia atau cinta dunia – cinta. Oleh itu tidaklah semua cinta itu salah. Cuma kalau hubb, hanya untuk Allah sahaja. Dunia kita boleh kasih, tapi tidak boleh hubb. Kerana hubb hanya kepada Allah, dan apabila hubb hanya kepada Allah, dunia boleh diketepikan dengan begitu sahaja.

Sebagai contoh, kalau dengar azan, boleh tinggalkan segala benda lain yang sedang dilakukan. Ini contoh untuk senang nak faham.

Kalau hubb kepada selain Allah, Allah beri amaran dengan beri bala kepada kita semasa di dunia lagi. Allah beri peringatan kepada kita, dan kalau kita kena bala atau musibah, kena nilai balik apakah prioriti kita.

C. Mereka kena sedar yang dengan cinta dunia dan lupa kepada akhirat, akan menyebabkan azab kekal abadi di akhirat. Jangan hanya sedap di dunia tapi dibalas dengan azab seksa di akhirat kelak.

Semoga yang membaca ayat-ayat ini akan memikirkan dan mahu mencari kebenaran.


4. Asbabun Nuzul.

Maksud ‘Asbabun Nuzul’ adalah ‘Sebab turun ayat Qur’an’. Ada peristiwa sebagai sebab sesuatu ayat itu turun. Ini pun penting untuk tahu, tapi sebenarnya yang tahu banyak Asbabun Nuzul akan payah dan jadi pening. Ulama telah buat kajian dan telah buat rumusan untuk memudahkan kita. Sesuatu ayat Quran itu diturunkan untuk menjelaskan keadaan yang samar atau menyelesaikan sesuatu masalah yang memerlukan wahyu ayat Qur’an.

Kita kena faham yang Allah turunkan Qur’an dalam dua keadaan. Pertama, Qur’an diturunkan terus tanpa ada peristiwa yang berkenaan dengannya. Dan kebanyakan ayat Quran adalah jenis ini. Oleh itu, banyak ayat turun tanpa Asbabun Nuzul. Tak sampai 10% pun ayat Qur’an yang ada Asbabun Nuzul. Memang tidak ada kajian menyeluruh tentang bilangan asbabun nuzul yang ada, jadi ini adalah agakan sahaja. Yang pasti, lagi banyak ayat tidak ada asbabun nuzul dari yang ada.

Kedua, ada ayat Quran yang diturunkan selepas terjadi sesuatu peristiwa. Ada dua jenis pula dalam jenis sebegini. Ada cerita yang penting, dan ada yang tidak penting kerana tidak ada hubungan rapat antara peristiwa dan ayat itu. Jadi ada yang perlu tahu dan ada yang tidak perlu tahu. Jadi, tidak patutlah kalau setiap kali kita beri hujah ayat Quran, ada yang tanya: “apakah asbabun nuzul ayat ini?”. Kerana kalau tidak tahu asbabun nuzul, tidak boleh tafsir ayat itukah? Jadi, ada banyak kata-kata begini datang dari orang yang jahil, tapi konon pandai.

Oleh itu, ada ayat yang kalau kita tak tahu Asbabun Nuzul ayat itu, kita tak faham maksud ayat itu. Sebagai contoh, surah al-Fil. Allah nak ajar dalam surah ini, apabila hina syiar agama, Allah akan hukum dengan Qudrat Dia. Allah bawa mari burung sahaja untuk hancurkan tentera bergajah itu. Jadi surah ini diturunkan untuk kita yakin dengan Qudrat Allah.

Jadi, kalau kita tak tahu kisah gajah itu, kita tidak tahu apakah kisah yang dimaksudkan dalam surah itu. Itulah kisah Tentera Bergajah yang semua orang tahu; Contoh lain adalah Surah al-Masad, iaitu ayat yang berkenaan Abu Lahab. Kena tahu siapakah Abu Lahab itu dan apakah perangainya, baru faham surah itu.

Kita kena tahu apakah kisah disebalik ayat itu kerana mungkin ada ayat yang isyarat kepada orang beriman dan ada ayat yang diisyaratkan kepada orang munafik. Kadang-kadang kita tidak tahu siapa yang dimaksudkan dalam ayat itu tapi disebut secara umum sahaja.

Tapi kena tahu apakah kisah atau peristiwa tersebut. Sebagai contoh, kita kena tahu kisah Perang Uhud untuk tahu maksud Surah Ali Imran atau Perang Ahzab untuk tahu Surah Ahzab. Kalau tak tahu, tak boleh nak terjemah ayat Qur’an itu.

Kedua, ada juga Asbabun Nuzul yang tidak terikat dengan ayat-ayat Qur’an. Memang ayat itu ada Asbabun Nuzul, tapi kisah itu tidak terikat dengan ayat itu. Maknanya, kita tidak perlu mengetahui Asbabun Nuzul untuk tafsir ayat itu. Ulama tafsir akan beritahu bahawa ayat itu tidak tertakluk kepada kisah itu dan maksud ayat itu diambil dari lafaz umum ayat itu sahaja.

Sebagai contoh, ada ayat yang turun lebih dari sekali. Kalau ayat itu turun lebih dari sekali, lalu Asbabun Nuzul manakah yang terpakai? Oleh itu, jangan terikat sangat dengan Asbabun Nuzul. Jadi tidak wajib tahu tentang asbabun Nuzul ini. Memang banyak kisah yang disebut dalam kitab tafsir. Tapi tidak penting kisah yang dimasukkan.

Contohnya kitab ibn Kathir banyak mengandungi asbabun nuzul tapi kalau kitab asal, ianya tidak ditahkik lagi. Jadi, mungkin ada kesalahan dalam kisah itu. Tapi kerana masukkan banyak sangat kisah, sampai jadi membosankan kerana memasukkan perkara yang tidak perlu – buat tebal kitab sahaja. Sampai jadi pening kepala mereka yang membacanya, kerana banyak sangat sampai tidak tahu mana satu kisah yang benar.

Sedangkan perkara itu tidak perlu tahu. Sampai maksud asal ayat tidak tahu. Benda yang penting pula tidak tahu. Ramai yang asyik tanya asbabun Nuzul. Sedangkan orang yang belajar talaqqi tidak sibuk pun dengan asbabun Nuzul ayat.

Kita kena ingat yang pengajaran ayat Qur’an diambil dari lafaznya yang umum. Tidak terikat dengan sebab turunnya ayat itu. Kalau ada pun asbabun nuzul, itu adalah ‘tafsiran kedua’ sahaja. Yang pertamanya adalah dari lafaz umum ayat itu.

Satu lagi hujah untuk memperkuatkan hujah yang mengatakan Asbabun Nuzul tidak perlu untuk faham setiap ayat, ada ayat yang sebut kejadian selepas Nabi wafat. Sebagai contoh, apabila perbalahan antara Ali dan Muawiyah, maka apakah ayat yang boleh digunakan untuk menyelesaikan perbalahan itu? Maka ianya ada dalam surah al-Hujurat – iaitu ayat yang memperkatakan apa yang perlu dilakukan apabila dua puak mukmin berbalah.

Sahabat kata ayat itu turun merujuk kepada Saidina Ali dan Muawiyah yang berbalah. Tapi tidaklah dipanggil kisah itu sebagai Asbabun Nuzul kerana kisah itu berlaku selepas ayat itu diturunkan. Oleh itu, hujah yang mengatakan sesuatu ayat itu kena tahu Asbabun Nuzul ayat itu tidaklah benar. Kerana ada dakwaan yang kata setiap ayat kena ada asbabun Nuzul.

Pendapat ini telah ditentang habis-habisan oleh ulama tafsir yang muktabar. Jadi, jangan kita tertipu dengan hujah yang kata untuk faham sesuatu ayat, kena tahu asbabun nuzul ayat itu.

Begitu juga, ada ayat yang turun dan hukumnya datang kemudian. Sebagai contoh, ada ayat tentang zakat dan solat Hari Raya tapi ayat itu turunnya di Mekah – belum diamalkan lagi. Atau surah al-Qamar yang sebut orang kafir yang akan kalah. Ini dipanggil ‘misykat‘, bukan Asbabun Nuzul.

Kena periksa juga Asbabun Nuzul itu. Kerana ianya adalah jenis ‘riwayat’. Apabila ianya riwayat, kesahihannya perlu dipastikan dan jangan terus terima sahaja. Kalau kita dengar sesuatu Asbabun Nuzul, jangan terus cerita kepada orang. Kerana takut nanti kita akan salah faham dengan maksud yang hendak disampaikan dalam ayat itu.

Kalau ada dalam kitab yang sahih, barulah kita boleh terima. Ramai yang terlepas pandang perkara ini. Mereka terus terima dan terus beritahu kepada orang lain. Sahabat sahaja yang tahu Asbabun Nuzul dengan jelas kerana mereka ada masa ayat itu turun. Maka kena rujuk apa kata mereka. Oleh itu, kita kena terima dari hadis yang telah ditahkik.

Tidak semua hadis yang menceritakan Asbabun Nuzul boleh dipercayai. Kena ikut undang-undang hadis juga. Kena pakai yang sahih sahaja. Sebagai contoh, hadis-hadis dalam Tafsir Ibn Kathir pun telah ditahkik lagi oleh seorang ulama bernama Ahmad Syakir sedangkan Ibn Kathir telah tahkik hadis-hadis yang dibawanya dalam kitab tafsirnya. Tapi ada juga yang terlepas. Maka, kita kena berhati-hati.

Kesimpulannya, tidak semua ayat terikat dengan Asbabun Nuzul. Kebanyakan ayat Qur’an tidak terikat dengan Asbabun Nuzul pun. Kalau kita terima pendapat yang mengatakan semua ayat ada Asbabun Nuzul, itu akan memayahkan kita dalam memahami ayat-ayat Quran.


5. Lafaz ‘al-Kitab’.

Ada berbagai maksud ‘al-Kitab’, bukan satu sahaja. Ada beberapa keadaan dengan melihat kedudukan lafaz al-Kitab itu

Kalau perkataan ‘al-Kitab’ itu terletak pada awal surah, ia memberi tiga maksud:
A. Ia mungkin memberi erti al-Qur’an seluruhnya. Macam dalam awal surah Baqarah. Dalam ayat ke 2 surah Baqarah:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

B. Mungkin ia merujuk kepada Surah itu sahaja, bukan keseluruhan Qur’an yang dimaksudkan. Macam yang digunakan dalam surah Yunus, Yusuf dan ash-Syuara.

Yunus:1

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ

Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

Yusuf:1

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.

Syu’ara:2

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ

Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.

C. Ia juga boleh Bermaksud Dakwa atau maksud penting surah itu iaitu ayat terpenting dalam surah itu. Contohnya pada Ghafir:2

تَنزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

Lafaz ‘Al-Kitab’ dalam ayat itu bermaksud ‘tauhid dalam berdoa’, iaitu Dakwa kepada surah Ghafir.

Situasi kedua adalah Jika lafaz ‘Al-Kitab’ duduk di tengah-tengah surah. Disebut pula bersamanya perkataan ‘ahlul Kitab’, maka perkataan ‘Al-Kitab’ dalam ayat itu bermaksud kitab-kitab terdahulu sebelum Qur’an seperti Taurat dan Injil. Contohnya dalam al-An’am:157.

أَوْ تَقُولُوا لَوْ أَنَّا أُنزِلَ عَلَيْنَا الْكِتَابُ لَكُنَّا أَهْدَىٰ مِنْهُمْ َ

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka”.

Lafaz ‘al-Kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah Qur’an.

Ketiganya, kalau lafaz Al-Kitab itu terdapat kalimah tambahan kepada lafaz ‘al-Kitab’, seperti musaddiqun dan sebagainya yang menyebut sifat al-Kitab itu, maka Al-Kitab yang dimaksudkan adalah Al-Quran.


6. Perbezaan antara Al-Kitab dan Al-Quran.

Iaitu apabila kedua-dua perkataan ini digunakan dalam ayat yang sama. Apakah maksudnya?

Jika keduanya terdapat di awal surah, seperti yang terdapat pada surah al-Hijr, maka kitab adalah kitab terdahulu dan Qur’an adalah Qur’an. Maksudnya dalam surah ini terdapat juga kandungan dari kitab-kitab terdahulu. Dan lafaz Qur’an bermaksud ada kandungan yang hanya ada dalam Qur’an dan tidak ada dalam kitab-kitab terdahulu.

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَقُرْآنٍ مُّبِينٍ

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan. Hijr:1

Maksudnya ada isi dari kitab-kitab terdahulu ada dalam surah ini juga.


7. Perbezaan lafaz ‘hakim’ dan ‘mubin’ sebagai sifat bagi Quran.

Kalau mengikut terjemahan biasa, ‘Hakim’ bermaksud ‘bijaksana’ dan ‘Mubin’ bermaksud ‘jelas nyata’.

Kalau permulaan surah dimulai dengan lafaz Al-Kitab sebagai sifat hakim, bermakna di dalamnya terdapat segala dalil aqli dan tiada dalil naqli. Seperti surah Yunus ayat 1:

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ

Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

Bermaksud dalam surah ini akan diberikan dalil aqli dan tiada dalil naqli.

Jika dimulai pula surah dengan Al-Kitab bersifat Al-Mubin, bermakna di dalamnya akan diberikan segala dalil naqli. Tiada dalil aqli di dalamnya. Seperti surah Yusuf ayat 1:

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.

Ini bermakud yang dalam surah Yusuf ini akan diberikan dengan segala dalil naqli dan tidak ada dalil aqli.

Tetapi, ada kesamaran yang ada dalam kaedah ini kerana tidak jelas. Kadang-kadang mungkin nampak kaedah ini tidak terpakai dalam sesetengah ayat. Contohnya ayat dalam Yunus:71

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ نُوحٍ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكُم مَّقَامِي وَتَذْكِيرِي بِآيَاتِ اللَّهِ فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْتُ فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً ثُمَّ اقْضُوا إِلَيَّ وَلَا تُنظِرُونِ

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.

Kalau bentuk cerita, selalunya ia merujuk kepada dalil naqli. Lalu bagaimana ianya dikatakan surah Yunus hanya memberi dalil aqli pula.

Begitu juga dengan surah Syu’ara. Surah ini dimulai dengan lafaz المُبينِ.

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ

Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.

Jadi sepatutnya surah ini akan memberikan dalil naqli sahaja. Tapi banyak diberikan ayat-ayat yang menyuruh kita berfikir kerana ada ayat أَوَلَمْ يَرَوْاٍ (tidakkah mereka melihat?) dan ini adalah satu cara berfikir dan berfikir itu adalah dalil aqli. Jadi kena ada penjelasan kenapa nampak seperti ada percanggahan dari segi kaedah.

Kita kena lihat balik ayat-ayat itu dengan teliti. Kisah Nabi Nuh dalam surah Yunus itu bukanlah dalam bentuk ‘dalil naqli’ tapi sebenarnya ia adalah ayat ‘takhwif duniawi’ – menakutkan dengan ancaman azab di dunia lagi. Jadi ianya tidak bercanggah dengan kaedah yang telah disebutkan tadi. Ayat itu juga bukanlah ‘ayat dalil’ kerana kalau ianya dalil, nescaya sebelumnya disebut ayat Dakwa.

Ayat dalam surah Syu’ara juga adalah ayat ‘takhwif duniawi’. Dan ada sedikit isyarat dalil aqli tetapi ianya bukan maksud asal ayat itu. Maksud asal ayat itu adalah takhwif duniawi.


8. Lafaz ‘الرُّوحُ’ dalam Quran.

Berbagai makna yang boleh diberi kepada lafaz الرُّوحُ dalam Quran. Bukan satu macam yang orang kita faham sahaja.

A. Bermakna ‘jiwa’ iaitu roh bagi jasad. Ianya adalah asal bagi semua yang bernyawa. Contoh ayat adalah al-Isra:85

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

Roh dalam ayat ini adalah roh manusia dan tidak ada terjemahan lain.

B. Kadang kala ia bermakna Jibrail. Kenapa boleh bermaksud Jibrail pula? Ada ulama kata kerana tugas utama Jibrail adalah bawa wahyu dan wahyu itu adalah untuk roh manusia dan kerana itu gelaran الرُّوحُ diberikan kepada Jibrail. Contoh digunakan maksud ini adalah dalam ayat Qadr:4

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

C. Kadang kala ia bermaksud ‘wahyu’. Ini seperti yang digunakan dalam ayat Shura:52:

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ روحًا مِن أَمرِنا

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh


9. Lafaz sighah fi’il madhi (past tense).

Sighah maksudnya ‘bentuk’. Oleh itu, sighah fi’il madhi bermaksud: Bentuk kata kerja lepas. Contohnya, telah makan, telah pergi dan sebagainya. Ini ada dalam ilmu bahasa Arab tapi tak cukup tahu bahasa Arab sahaja, kena tambah dengan tahu ilmu ma’ani.

Dalam Quran, ada lafaz fi’il madhi yang digunakan kepada sesuatu yang belum berlaku lagi, tapi baru nak berlaku. Ini dipanggil fi’il syuru’. Ini kena tahu, kerana kalau tidak, akan salah terjemah. Jadi, dengan fi’il syuru’, kita kena terjemah dengan begini: “mulai sekarang ini”. Ianya fi’il syuru’ tapi sighahnya dalam bentuk fi’il madhi. Contoh ayat kita boleh rujuk dalam al-An’am: 119

وَما لَكُم أَلّا تَأكُلوا مِمّا ذُكِرَ اسمُ اللَّهِ عَلَيهِ وَقَد فَصَّلَ لَكُم ما حَرَّمَ عَلَيكُم إِلّا مَا اضطُرِرتُم إِلَيهِ ۗ وَإِنَّ كَثيرًا لَيُضِلّونَ بِأَهوائِهِم بِغَيرِ عِلمٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِالمُعتَدينَ
Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.

Surah ini adalah surah Makkiah, jadi pemberitahun halal haram belum habis lagi diberitahu, banyak yang diberitahu di Madinah nanti. Tapi dalam dalam ayat ini, Allah berfirman: وَقَد فَصَّلَ لَكُم (padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu). Allah kata Dia telah beritahu tapi pada hakikatnya, belum semua sekali diberitahu lagi.

Jadi, kalau digunakan perkataan ini sebagai fi’il madhi, akan susah nak terjemah. Banyak sangat takwil yang kena dilakukan dan bukan mudah nak jawap. Nak selesai masalah ini, kita kena pakai fi’il syuru’ dalam ayat ini – iaitu Allah ‘mula’ hendak memberitahu segala perkara halal haram kepada kamu, bermula dari surah al-An’am – baru mudah nak faham kalau begitu. Maksudnya, Allah nak mula beritahu hukum kepada manusia.

Begitu juga dalam Surah Nur ayat 1, dimana Allah berfirman:

سورَةٌ أَنزَلناها
Ini ialah satu surah yang Kami turunkan,

Kalau kita pakai perkataan أَنزَلنا sebagai fi’il madhi, akan ada masalah terjemahan, kerana ia seperti Allah telah menurunkan semua surah Nur itu. Tapi ianya pada ayat pertama sahaja, masih pada kepala surah. Jadi, kena terjemah guna fi’il syuru’ – “ini suatu surah yang Kami mulai untuk menurunkannya”.


10. Lafaz sighah fi’il amri

fi’il amri adalah kata suruh, arah, perintah. Biasanya ianya memberi makna katakerja yang mengarahkan orang yang disuruh, supaya orang itu melakukan apa yang kita suruh – seperti kita kata: “sila bangun”. Itu adalah satu contoh arahan. Orang itu sedang duduk dan kita suruh bangun – untuk melakukan perbuatan yang baru. Maknanya, sekarang orang itu tidak bangun lagi. Ini asal makna dan penggunaan kepada fi’il amri, bukan amrun ijaadi

Tapi kadang-kadang, fi’il amar ini memberi maksud ibqa‘ – mengekalkan perbuatan yang dibuat. Kalau kita suruh seseorang untuk duduk dan dia memang sedang duduk waktu arahan itu diberikan kepadanya. Ianya adalah arahan juga, tapi ianya kepada perbuatan yang dia memang sedang buat, dan kita suruh dia ‘teruskan’ perbuatan itu. Perintah ini bermaksud perintah untuk ‘mengekalkan’. Contoh, Ankabut:45

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu

Ini adalah perintah kepada Nabi supaya baca ayat Qur’an. Bukan hanya baca sahaja, tapi bacakan juga kepada orang lain dan kena minta orang yang mendengar untuk ikut sekali. Bukan baca sahaja macam orang kita baca tilawah al-Qur’an sekarang.

Jadi, Allah perintah Nabi, tapi persoalannya, bukankah Nabi sudah lama bacakan ayat Qur’an itu dan sudah lama ajak umatnya ikut baginda? Sedangkan surah al-Ankabut ini duduk di tengah-tengah Qur’an. Jadi, ayat ini mengandungi fi’il amar ibqa’ie – teruskan baca dan ajak orang kepada beriman, bukan untuk suruh buat perkara yang baru.

Sama juga kalau ayat-ayat yang Allah suruh orang-orang beriman untuk beriman. Bukankah mereka sudah beriman? Maknanya, terus beriman sampai kepada kemuncak iman, iaitu sampai ke tahap yaqin.


11. Lafaz ‘Ma Mubham’. Iaitu lafaz ما yang tidak jelas maknanya, melainkan dijelaskan maksudnya. Lafaz ‘ما’ dalam Qur’an datang dalam berbagai maksud, bukan satu makna sahaja. Lalu bagaimana cara untuk kita tahu yang mana satu yang dimaksudkan dalam ayat Qur’an itu?

Tentu ada sistem yang mudah untuk digunakan kerana Allah telah berjanji untuk memudahkan Qur’an untuk kita memahaminya. Kalau Allah telah mudahkan, tentu ada sistem untuk memudahkan kita memahaminya.

A. Ada ما yang bermaksud perbahasan Tauhid (akidah). Maka apabila terjemah, kena jelaskan yang ianya bermaksud ‘akidah’. Contohnya dalam ayat Fussilat:14

فَإِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ كَافِرُونَ

sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang kamu diutus membawanya!”

Perkataan ما dalam ayat ini perlu dijelaskan membawa maksud ‘akidah tauhid’. Jadi tafsir ayat ini adalah: “sesungguhnya kami kufur dengan akidah tauhid yang kamu diutus untuk membawanya!”

B. Kadang-kadang yang dimaksud dengan ما adalah amalan dan akidah syirik yang diamalkan oleh manusia. Ini seperti yang Allah firmankan dalam Ghafir:82

فَما أَغنىٰ عَنهُم ما كانوا يَكسِبونَ
Dalam pada itu, apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikitpun.

Ayat ini bermaksud, amalan-amalan syirik yang mereka lakukan semasa di dunia tidak boleh membantu mereka di akhirat nanti. Itulah amalan-amalan salah seperti amalan seru tok wali, Nabi dan malaikat itu, langsung tidak dapat menolong mereka sedikit pun. Malah, mereka telah melakukan syirik. Kita kena faham bahawa ‘Syirik’ itu bukannya tinggalkan langsung amalan ibadat, tapi buat amal ibadat yang benar tapi campur sekali dengan amalan syirik.

Oleh itu, perkataan ما dalam ayat ini bermaksud ‘amalan syirik’.

C. Kadang-kadang lafaz ما dalam Qur’an bermaksud ‘kisah-kisah dusta’, dongeng dan hikayat palsu yang direka oleh guru-guru ajaran sesat. Guru sesat memang mahu anak murid yang tak belajar supaya senang ditipu. Kerana mereka tidak ada ilmu, maka apa sahaja yang diberitahu oleh guru mereka akan diterima sahaja oleh anak murid.

Kononnya mereka kata mereka belajar ilmu ‘hakikat’. Sedangkan agama Islam bukannya pada ‘hakikat’ sahaja kerana dalam mempelajari agama, kena tahu semua sekali – tidak ada jalan pintas. Tapi orang tarekat kononnya, ada jalan pintas dalam agama. Itu semua penipuan belaka.

Jadi jangan tertipu dengan cerita-cerita dari guru sesat yang dibawa bukan dari Qur’an dan sunnah. Tidak kira datang dari mana pun. Tidak kira betapa besar pun serban dia. Banyak dalam zaman sekarang yang menipu atas nama agama. Kita ketepikan sahaja mereka itu.

Buang masa sahaja untuk melayan mereka. Jadi, ada ما yang membawa maksud kisah-kisah dongeng itu. Ini seperti yang Allah gunakan dalam Ghafir:83

فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرِحوا بِما عِندَهُم مِنَ العِلمِ وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu.

Perkataan ما dalam ayat ini, merujuk kepada ajaran-ajaran sesat, kisah-kisah palsu yang mereka anggap ianya ilmu. Anggapan mereka sahaja yang sangka ianya ilmu, padahal ianya tidak pun. Oleh itu, kita kena tahu juga ajaran-ajaran dan hujah-hujah mereka supaya kita boleh tahu mana yang benar dan mana yang salah.

Takut kalau kita tidak tahu, kita terima sahaja dan ini akan menjerumuskan kita ke dalam neraka. Ramai yang dah tertipu dan masih tertipu. Allah telah berikan kaedah kepada kita untuk mengenalinya, asalkan kita mahu nak belajar.

D. Kadang-kadang lafaz ما bermaksud ‘pujaan yang bathil’ atau ‘sumpahan yang bathil’. Iaitu apa-apa yang dipuja selain Allah – seperti wali, malaikat, Nabi. Iaitu yang dijadikan perantara kepada Allah mengikut fahaman mereka yang salah. Musyrikin Mekah dulu akan menyeru perantara-perantara itu dalam hajat, pujaan, nasyid mereka. Seperti yang Allah gunakan dalam Ghafir:42

تَدعونَني لِأَكفُرَ بِاللهِ وَأُشرِكَ بِهِ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ وَأَنا أَدعوكُم إِلَى العَزيزِ الغَفّارِ
“Kamu mengajakku supaya aku kufur dengan Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun?

Mereka mengajak melakukan sesuatu yang tidak ada ilmu (dalil) yang mengatakan boleh buat amalan itu. Yang melakukannya amalan itu hanya ikut-ikut sahaja walaupun yang mengajarnya tidak beri dalil sahih pun. Oleh itu, lafaz ما dalam ayat itu merujuk kepada pujaan bathil mereka itu.


12. Lafaz ثُمَّ. Dalam bahasa Arab, ia bermaksud ‘kemudian’. Tapi dalam Qur’an, ia ada beberapa makna, mengikut keadaan. Walaupun kebanyakan maksud yang digunakan adalah ‘kemudian’, iaitu makna biasanya.

A. Bermaksud berlaku terkemudian. “Saya pergi ke kedai, kemudian saya… ” Iaitu perkara yang berlaku selepas kita sebut ثُمَّ. Tidak berlaku sekali gus, tapi perlahan-lahan. Kerana kalau berlaku terus, digunakan huruf ف. Kalau ثُمَّ, ia akan berlaku beransur-ansur, perlahan-perlahan.

B. Bermakna sesuatu yang jauh dari penerimaan akal fikiran. Perkara itu tidak mungkin berlaku pada akal. Ini yang seperti Allah gunakan dalam al-An’am:1

الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُماتِ وَالنّورَ ۖ ثُمَّ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم يَعدِلونَ
Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Sepatutnya, kalau Allah yang menjadikan segalanya, sepatutnya Dia sahaja yang dipuja. Tapi orang kafir masih menyimpang tidak menyeru hanya Allah taala sahaja. Mereka puja juga selain Allah. Mereka puja Allah dan entiti lain. Mereka menyamakan Allah dengan makhluk lain dari segi pemujaan. Jadi ثُمَّ itu bermaksud sesuatu yang jauh dari akal yang waras. Ini memang tidak patut diterima akal dan tidak patut dilakukan.

C. Digunakan untuk memberitahu perbezaan antara dua perkara. Perbezaan yang begitu ketara sampaikan tidak ada langsung persamaan. Ini seperti yang Allah gunakan dalam Baqarah:29

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّاهُنَّ سَبعَ سَماواتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ciptaan pertama adalah alam bahagian bawah (bumi) dan kemudian penciptaan bahagian atas, iaitu langit. Bumi dan langit adalah dua alam yang amat berbeza. Jadi lafaz ثُمَّ dalam ayat ini adalah untuk menunjukkan perbezaan antara dua perkara. Jadi, tidak digunakan dalam ayat ini dengan makna yang asal.

D. Tidak memberi maknanya yang hakiki, sebaliknya perkara yang berlaku itu adalah sebaliknya. Sepatutnya, kejadian yang berlaku adalah selepas ثُمَّ, tapi ada yang berlaku, perkara yang terletak selepas ثُمَّ yang berlaku dulu. Ini seperti yang Allah gunakan dalam A’raf:11

وَلَقَد خَلَقناكُم ثُمَّ صَوَّرناكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّاجِدينَ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak cucu Nabi Adam. Kalau mengikut terjemahan biasa, Allah sebut bila anak cucu Nabi Adam dijadikan, kemudian malaikat disuruh sujud pula. Sedangkan Nabi Adam yang malaikat disuruh sujud kepadanya, bukan kita.

Jadi, dari segi bahasa, tak kena dari sudut susunan kejadian, bukan? Maknanya, yang mula terjadi adalah Nabi Adam dicipta, kemudian malaikat disuruh sujud kepada baginda, kemudian barulah anak cucunya dijadikan.


13. Lafaz بَعدَ. Iaitu bermaksud ‘selepas’. Iaitu sesuatu yang berlaku kemudian. Tapi cuba lihat pada ayat Naaziat:30

وَالأَرضَ بَعدَ ذٰلِكَ دَحاها
Dan bumi sesudah itu dihamparkannya

Yang kita tahu, bumi dijadikan dahulu sebelum dijadikan langit. Tapi dalam ayat ini seperti Allah mengatakan bumi dihamparkan selepas dijadikan langit. Tapi ada keterbalikan dalam ayat ini. Cuma dalam surah ini sahaja yang ada kekeliruan – kalau tak belajar, akan keliru dan akan ada pula yang ambil maksud dari ayat ini dengan kata bumi yang dijadikan selepas langit pula.

Seolah-olah bumi dicipta selepas langit pula. Sedangkan banyak ayat-ayat lain mengatakan yang bumi yang diciptakan dahulu. Jadi, dalam ayat ini sahaja, penggunaan بَعدَ yang lain dari biasa, bukan dengan makna yang asal.

Jadi, kenapa Allah gunakan dengan cara begini pula? Dalam ayat ini, Allah nak beritahu Qudrat Dia. Kedua-dua langit dan bumi, Dia juga yang cipta. Bukanlah tujuan Allah dalam ayat ini untuk memberitahu susunan kejadian.


14. Lafaz إِنَّما.

Ada dua makna lafaz ini digunakan dalam Qur’an – satu membawa maknanya yang asal dan satu lagi membawa makna tahkik yang biasa, seperti إنّ.

Makna asalnya – dibatasi sesuatu kata selepas perkataan إِنَّما, yang khusus kepadanya – seolah-olah إِنَّما ini ما إِلَّا – ‘tidak ada yang lain’. Ulama bahasa menerangkan lafaz إِنَّما bermaksud – ‘sesungguhnya hanya’. Itu adalah makna asalnya.

Dengan kata lain ia menafikan perkara yang lain. Sebagai contoh, “hanya Zainal sahaja yang datang, lain tidak datang”. Ini memang ada dalam lughah Arab, dan ini adalah penggunaan إِنَّما yang biasa dalam Qur’an.

Tapi, kalau kita hanya guna hanya maksud ‘ما إِلَّا’, ini tidak betul. Sebagai contoh dalam ayat 173 surah Baqarah,

إِنَّما حَرَّمَ عَلَيكُمُ المَيتَةَ وَالدَّمَ وَلَحمَ الخِنزيرِ وَما أُهِلَّ بِهِ لِغَيرِ اللَّهِ
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah

Kalau kita terjemah sebagai maksud asal, ini jadi seperti Allah memberitahu kita yang hanya perkara-perkara dalam ayat ini sahaja yang haram dimakan dan selain darinya, halal. Tapi tentulah tidak begitu, kerana banyak lagi benda-benda yang haram yang Allah sebut dalam ayat lain dan dalam sunnah. Jadi, tidak boleh pakai makna asal dalam ayat ini.

Ayat ini sebenarnya hendak memberitahu bahawa inilah asas kepada makanan yang haram. Ada lagi yang diberitahu tentang makanan-makanan lain yang haram dalam hadis. Dan ayat ini untuk memberitahu makanan haram yang dikatakan ‘halal’ oleh masyarakat Arab masa itu. Jadi, Allah nak beri penekanan kepada mereka bahawa apa yang mereka katakan halal itu sebenarnya adalah haram.

Oleh itu, ulama tafsir yang mahir dalam bidang nahu mengatakan, perkataan إِنَّما juga bermaksud tahkik yang biasa – iaitu penegasan yang biasa. Malah dikatakan yang ianya memberi penekanan yang lebih lagi dari kalimah إنّ. Itu membawa maksud ‘sesungguhnya’. Ini adalah penekanan dalam bahasa. Tapi tidak menidakkan yang lain.


15. Lafaz إذ.

Lafaz ini selalunya dalam bentuk dzarfiah (ruang) – ruang masa dan tempat. Jumlah yang datang selepasnya akan jadi mudaf ilaih iaitu menyandar kepada perkataan selepasnya. Oleh itu, banyak cara untuk menterjemahkannya. Kena ada ‘taqdir’ yang dimaksudkan. Ulama memasukkan taqdir أذكر  kepadanya – ‘ingatlah’ sebelum perkataan إذ itu. Ini adalah perkara biasa memasukkan sesuatu taqdir dalam menyampaikan maksud.

Sesetengah ulama tafsir lain, berpendapat lafaz إذ ini tidak terkait dengan dzarfiah. أذكر itu bermaksud قد yang bermaksud ‘Sesungguhnya’. Sebagai contoh, lihat ayat Baqarah:30 – ada ulama yang tafsir kalimah إذ dalam ayat itu dengan أذكر. Tapi ada juga ulama lain yang kata dalam ayat itu itu sendiri sudah ada mudaf ilaih nya sendiri. Jadi ada beberapa penafsiran dalam ayat ini.

Ulama lain ada juga memberikan maksud-maksud yang lain. Ini menunjukkan bahawa ada beberapa pendapat yang diberikan oleh ulama.


16. Lafaz َكَذَٰلِكَ

Lafaz ini bermaksud ‘seperti demikian’. Ianya adalah kalimah tashbih – kalimah bandingan. Tapi bandingkan dengan apa? Kalau banding, mesti banding A dengan B. Kena ada mushabbab dan mushabbab bihi. Sebagai contoh, kita kata Zaid berani macam singa. Zaid adalah mushabbab dan singa adalah mushabbab bihi.

Huruf ك pada َكَذَٰلِكَ adalah huruf tashbih. Tapi bukan hanya makna tashbih sahaja ianya dipakai. Kadang kala َكَذَٰلِكَ bermaksud ta’liliyah – perkataan yang menggunakan huruf ل. Maksudnya ‘kerana’ dan ia menjadi لذلك. Kenapa jadi begitu? Kerana dalam bahasa Arab, apabila ل ditukar kepada ك, maknanya jadi lebih tinggi lagi, lebih indah lagi. Ini seperti yang digunakan dalam Ghafir:6

وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّهُمْ أَصْحَابُ النَّارِ

Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka.

Ada juga ك yang membawa maksud كمل – ‘kesempurnaan’. Jadi kena terjemah begini: “kesempurnaan inilah”. Ini digunakan jikalau tidak ada perkara yang hendak dibandingkan. Kalau tidak diterjemahkan begitu, akan susah nak faham ayat itu. Begitulah kajian dari ahli bahasa. Contohnya kita boleh lihat dalam 2:143

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil,

Kalau kita faham lafaz َكَذَٰلِكَ dalam ayat ini sebagai ‘perbandingan’ sahaja, kita tidak jumpa perbandingan yang dimaksudkan. Kalau kita gunakan maksud َكَذَٰلِكَ sebagai maksud kesempurnaan, maka ia jadi mudah. Oleh itu, terjemah ayat di atas adalah: “Kesempurnaan itulah, kami jadikan kamu umat yang terbaik”.


17. Hazaf

Iaitu tidak menyebut tentang perkara atau benda yang telah diketahui. Kalau sebut juga, akan jadi panjang dan itu akan merendahkan nilai bahasa. Dengan tidak sebut perkataan itu, lagi elok.

Jadi kena ada taqdir/muqaddar dalam ayat itu. Iaitu menjelaskan apakah perkara yang telah dihazafkan. Macam kita sebut ‘terima kasih’ sahaja sudah cukup dan orang lain pun sudah faham. Sebagai contoh, tidak perlu sebut penuh ‘saya ucapkan terima kasih kepada tuan’. Kalau sebut panjang dan lengkap pula yang jadi pelik, bukan?

Lihat contoh pada ayat An’am:13

وَلَهُ مَا سَكَنَ فِي اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Dan bagi Allah jualah apa yang berhenti gerak pada waktu malam dan siang;

Yang berhenti gerak dalam ayat di atas adalah pada waktu malam sahaja. Ia akan bertebaran di siang hari. Tentu yang duduk diam di malam hari akan beraktiviti di siang hari. Tapi ini tidak disebut kalimah نشر kerana memang dah faham dah. Tak perlu nak tulis panjang-panjang.


18. Kajian kalimah قُلْ

Yang bermaksud ‘katakanlah’ dalam bentuk sighah amar (kata suruhan) yang selalu berada di permulaan ayat Qur’an dan di bahagian-bahagian lain. Kenapa ianya diletakkan sebegitu?

Lafaz قُلْ dan apakah yang disebut selepasnya itu adalah mungkin jawapan bagi soalan. Allah suruh Nabi jawap soalan orang Mekah.  Allah ringkaskan dengan terus bagi jawapan, tanpa disebut apakah soalan itu. Bila Allah bagi jawapan, maknanya ada soalan yang bermain di dalam fikiran manusia yang baca Qur’an.

Soalan itu cuma dalam fikiran sahaja dan mungkin tidak dinyatakan. Allah ringkaskan dengan terus beri jawapan. Kalau masukkan juga, jadi panjanglah pula Qur’an. Jadi, soalan itu muqaddar (perlu ditambah dan dijelaskan dalam tafsir).

Soalan apakah itu? Soalan yang mereka kurang faham itu pula adalah tentang ketuhanan. Ini adalah kerana mereka sudah ada fahaman yang salah dan syirik. Keduanya, soalan itu sendiri tidak penting sampai tidak perlu disebut. Yang penting adalah jawapan. Allah terus beri jawapan kepada mereka.

Dan apabila mereka baca jawapan dari Allah itu, mereka akan tahu yang jawapan itu adalah kepada kemusykilan yang mereka ada dalam hati dan fikiran mereka. Soalan itu masih ada dalam kepala manusia sampai sekarang kerana ramai yang ada fahaman yang syirik dalam kepala mereka.

Begitulah Allah ajar Nabi dan juga kita bagaimana nak jawap persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran mereka itu. Soalan-soalan jenis ini banyak dalam Surah An’am dan Saba’ kerana kedua-dua surah itu ditujukan kepada puak musyrikin dan mereka yang ada fahaman musyrik. Sebagai contoh, lihat ayat An’am:14

قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلَا يُطْعَمُ قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ‘ “

Soalan yang ada dalam fikiran Musyrikin Mekah adalah: “kenapa kamu tidak menyeru seperti kami? Kami seru Allah juga tapi dalam masa yang sama, kami seru juga kepada yang lain”.

Maka jawapan dalam ayat ini diberikan kepada mereka. Iaitu kenapa nak seru dan doa kepada selain dari Allah sedangkan Allah sahaja yang mencipta langit dan bumi dan hanya dia sahaja yang memberi rezeki kepada makhluk. Tidak ada yang lain boleh buat macam itu. Jadi kenapa nak seru kepada selain Allah pula?


19. Permulaan surah dalam Qur’an.

Telah ijmak ulama yang bilangan surah Qur’an adalah sebanyak 114 surah. Susunan yang terdapat dalam Qur’an sekarang adalah susunan yang diambil dari Nabi sendiri.

Kalau kita peka, kita boleh lihat bagaimana permulaan surah-surah itu ada persamaan dan perbezaan. Kita boleh kumpulkan persamaan-persamaan itu dan jadikan sebagai satu pembahagian. Oleh itu, dari situ kita dapat lihat bagaimana Allah bahagikan Qur’an 30 juzuk ini dengan 10 cara.

A. Permulaan surah dengan lafaz pujian. Ada beberapa jenis pula:

i. Pujian dalam bentuk الحمد. Ada lima surah yang dimulai dengan الحمد. Surah al-Fatihah, al-An’am, al-Kahf, Saba dan al-Fathir.

Sebagai contoh, Surah al-Kahf bermula dengan ayat:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا

Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Qur’an, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).

ii. Dengan lafaz pujian juga tapi dengan lafaz تبرك tabaraka yang bermaksud ‘Maha berkat Allah’. Ada dua surah yang bermula dengan lafaz ini: surah al-Furqan dan al-Mulk. Surah al-Fil bermula dengan ayat:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

iii. Dengan lafaz pujian tasbih. Ianya bermaksud menyucikan dari cacat cela. Juga dari kekurangan dan keaiban. Ada beberapa jenis dalam Qur’an:

a. Dengan cara masdar – surah al-Isra’.
b. Dengan sighah fi’il madhi, 3 surah – surah al-Hadid, al-Hashr dan al-Saf.
c. Dengan sighah fi’il mudhari’, 2 surah – Surah Jumaat dan at-Taghabun.
d. Dengan sighah tamrin – surah al-A’la –

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), –

B. Dimulai dengan huruf muqatta’ah atau tahajji. Itulah huruf-huruf berasingan seperti الم dalam surah al-Baqarah. Terdapat 29 surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah. 78 huruf digunakan kalau dikira semua sekali, bilangan yang sama dengan bilangan cabang iman. Dari 78 huruf itu, kalau dibuang huruf yang berulang, hanya 14 huruf sahaja yang digunakan.

C. Permulaan surah dengan seruan. Terdapat 10 surah yang dimulai dengan seruan. Terbahagi kepada 3 jenis:

i. Seruan kepada seluruh manusia. Ini terdapat dalam surah an-Nisa dan al-Hijr

ii. Seruan kepada orang mukmin. Ini terdapat dalam surah al-Maidah, al-Hujurat dan al-Mumtahanah

iii. Seruan kepada Nabi. Ada yang menggunakan Lafaz ‘Nabi’ dan ada yang menggunakan lafaz lain yang bermaksud Nabi.

a. Yang guna perkataan Nabi: al-Ahzab, at-Talaq dan at-Tahrim

b. Yang guna lafaz selain Nabi tapi bermaksud Nabi: ini terdapat dalam surah al-Muzammil dan al-Muddaththir

D. Permulaan surah dengan jumlah khabariah. Ada 23 surah sebegini: الأنفل، براءة/التوبة، النحل، الأنبياء، المؤمنون، النور، الزمر، محمد، الفتح، القمر، الرحمن، المجادلة، الحاقة، المعارج، نوح، القيامة، البلد، عبس، القدر، البينة، القارعة، التكاثر، الكوثر.

E. Permulaan surah dengan sumpahan. Ada 15 surah sebegini, contohnya as-Saffat, al-Asr. Sebagai contoh, surah al-Asr bermula dengan ayat:

وَالْعَصْرِ

Demi Masa!

F. Permulaan dengan syarat. Ada 7 surah yang dimulai dengan cara ini. Dimulai dengan lafaz إذا.

G. Dimulai dengan sighah amrin – kata suruh yang dimulai dengan lafaz قل. Ada 6 surah, antaranya Surah Jin.

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Qur’an yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

H. Permulaan dengan doa laknat. Ada 3 surah yang dimulakan dengan cara begini. Itulah surah yang dimulai dengan lafaz وَيْل. Surah aj-Jathiya, surah al-Mutaffifin dan adh-Dhariyat.

I. Permulaan dengan istifham – bentuk soalan. Ada 6 surah yang sebegini.

J. Permulaan dengan jumlah ta’lil. Hanya ada pada surah Quraish.

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ

Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah)


20. Ayat-ayat mutashabihah. Iaitu ayat yang tak jelas maknanya. Sebenarnya semua ayat tentang sifat Allah tak jelas tapi ada yang lebih ketara.

Golongan salafussoleh (para sahabat, tabein dan tabi’ tabein termasuk Imam-imam mazhab), apabila mentafsir ayat-ayat mutashabihah, mereka akan terjemah secara zahir sahaja tanpa takwil.

Mereka tak cakap panjang tentang maksud ayat-ayat itu. Kerana ayat itu tidak jelas dan Nabi pun tak jelaskan, maka mereka tinggalkan perbincangan panjang tentangnya. Kerana kalau ianya penting, tentu Nabi akan jelaskan. Maka kita pun tak perlu jelaskan. Kerana sifat Allah tak sama dengan makhluk.

Ada pun golongan mutaakhirin, ada yang mentakwil ayat-ayat mutashabihah. Ada yang ikut golongan salafussoleh juga dan ada yang tidak. Ada yang ahli sunnah dan ada yang tidak. Maka ada yang kata boleh takwil untuk ayat-ayat mutashabihah. Iaitu mereka ambil ayat-ayat muhkam untuk hurai ayat-ayat mutashabihah. Yang selamat adalah ikut golongan salafussoleh.

Allahu a’lam. Semoga bermanfaat. Sambung ke Risalah ke 3

Kemaskini: 16 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafsir Surah Qiyamah Ayat 30 – 40 (Bukti Akhirat itu ada)

Qiyamah Ayat 30:

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ

Sahih International

To your Lord, that Day, will be the procession.

Malay

(Maka) kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan).

 

Kita semua akan dipandu kepada Tuhan. Seperti Allah telah gunakan dalam Zumar:71

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan,

Selepas mati, roh akan diangkat ke langit. Malaikat akan mengiringi roh itu ke langit. Ini kita ketahui dari hadis-hadis yang ada. Ada proses-proses yang panjang yang akan terjadi. Ada roh yang wangi dan ada roh yang busuk. Kemudian semua akan dipandu untuk dibawa kepada Allah.

Rujuk juga al-An’am: 61, 62

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلَاهُمُ الْحَقِّ أَلَا لَهُ الْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

Oleh itu, sebelum kita bertemu dengan Allah, maka bersihkanlah diri kita dari syirik dan dosa. Kerana kita tentunya tidak mahu bertemu dengan Allah dalam keadaan kita bawa banyak dosa yang akan dipersoalkan kepada kita nanti.

Balaghah: Frasa ini menggunakan kaedah Taqdim wa Ta’khir. Ayat ini merupakan salah satu klimaks penurunan ayat yang sangat menggerunkan, menggambarkan suasana saat kematian (sakaratul maut) dan pengusungan jenazah manusia menuju ke alam barzakh. Ayat ini menggunakan aplikasi taqdim wa ta’khir yang sangat dahsyat bagi memberikan impak psikologi dan gambaran visual yang jelas tentang nasib setiap nyawa.

Jika mengikut susunan tatabahasa Arab yang biasa, ayat ini sepatutnya berstruktur begini: الْمَسَاقُ إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ. Maksud Susunan Normal: “Tempat digiringnya manusia pada hari itu adalah kepada Tuhanmu.” (Satu maklumat biasa tentang destinasi akhir ruh).

Dalam ayat sebenar, Allah telah mendahulukan destinasi (Jar wa Majrur) iaitu {إِلَىٰ رَبِّكَ} ke barisan paling hadapan, manakala subjek utamanya {الْمَسَاقُ} digeser ke hujung ayat. Dengan meletakkan lafaz {إِلَىٰ رَبِّكَ} (Kepada Tuhanmu) di depan, maknanya dikunci menjadi: “HANYA kepada Tuhanmu sahajalah — dan mutlak tidak ada destinasi atau pelarian lain — arah digiringnya nyawa dan jasad manusia pada hari itu.” Ketika manusia hidup di dunia, mereka boleh berjalan atau memandu ke mana sahaja mereka mahu (ke pejabat, ke pusat hiburan, ke rumah mewah). Namun, apabila saat kematian tiba, segala kebebasan memilih itu ditarik balik secara paksa. Laluan mereka dikunci kepada satu jalan sahaja iaitu menghadap Allah.

Perkataan {الْمَسَاقُ} berasal daripada kata dasar yang bermaksud menghalau, menggiring, atau memandu kenderaan/binatang ternakan dari belakang secara paksa. Teknik taqdim dalam ayat ini menggambarkan suasana panik ketika itu: Ruh dipaksa keluar oleh malaikat maut, dan jasad digiring oleh orang hidup ke kuburan. Di hadapan mereka, satu-satunya perkara yang menanti dan tidak boleh dielakkan lagi ialah Allah (إِلَىٰ رَبِّكَ). Mereka sekarang diberitahu yang mereka tidak ada tempat lain untuk pergi. Maka kena fikirlah dari sekarang apa yang mereka hendak pilih.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.


 

Qiyamah Ayat 31: Ayat 31 – 35 adalah Perenggan Makro Keenam. Allah tanya soalan: Apakah kamu akan mati dengan kamu tidak bersolat dan infak? Ini adalah sifat-sifat orang yang kufur engkar kepada ayat-ayat Allah.

فَلَا صَدَّقَ وَلَا صَلَّىٰ

Sahih International

And the disbeliever had not believed, nor had he prayed.

Malay

(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan menyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!

 

Inilah sifat-sifat orang kafir. Ini adalah gambaran luaran dan dalaman mereka. Mereka tidak membenarkan kebenaran wahyu. Apabila ada yang datang kepada mereka bawa ajaran tauhid, mereka tidak menerima ia sebagai benar.

Kepercayaan kepada kebenaran adalah amalan dalam hati dan mengerjakan solat adalah amalan badan/fizikal. Kedua-duanya kena ada. Janganlah kita beramal tapi akidah kita ada masalah. Dan janganlah kita sangka yang iman kita telah kuat kalau amalan ibadat kita seperti solat terjaga. Kalau sentiasa solat pun belum tentu selamat lagi. Kena pastikan yang iman kita sempurna (tanpa syirik).

Oleh kerana surah ini adalah tentang Kiamat dan ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiamat, kebenaran yang tidak diakui oleh orang kufur yang dimaksudkan itu adalah membenarkan adanya Hari Kiamat. Dia tidak percaya adanya akhirat.


 

Qiyamah Ayat 32:

وَلَٰكِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ

Sahih International

But [instead], he denied and turned away.

Malay

Akan tetapi dia mendustakan, dan berpaling ingkar!

 

Ini sambungan lagi sifat orang kufur. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan kebenaran dan tidak mengerjakan solat, tapi mereka mendustakan kebenaran dan mereka berpaling. Maka tidaklah ada kebaikan untuk diri orang yang bersifat sebegini.

Ada yang mengatakan yang mereka berpaling itu adalah itu adalah berpaling dari mengerjakan solat kerana ayat sebelum ini adalah ayat tentang solat. Amat ramai manusia yang tidak solat sekarang ini. Ada kalangan orang kita pun biasa sahaja kalau tak solat pun. Mereka culas di dalam mengerjakan solat. Mereka macam rasa tidak ada apa-apa kalau tak solat. Dalam keluarga kita pun kadang-kadang ada orang yang tak solat.

Jadi, kita kena ambil perhatian dengan mereka yang sebegini. Jangan terus biarkan mereka begitu. Kadang-kadang kita pun ada masalah juga – kita lihat orang yang tidak solat, tapi kita buat tak kisah sahaja. Berat mulut kita nak tegur – antaranya kerana kita tak mahu berselisih dengan orang itu kerana kadang-kadang mereka itu ahli keluarga kita, kawan-kawan rapat kita dan kadang-kadang orang yang kita tak berapa kenal untuk tegur mereka.

Memang hendak menegur orang itu amat susah. Tapi, kita kena cari jalan untuk tegur mereka. Pertamanya, kena tunjuk akhlak yang baik.


 

Qiyamah Ayat 33: Bagaimana keadaannya semasa di dunia dulu?

ثُمَّ ذَهَبَ إِلَىٰ أَهْلِهِ يَتَمَطَّىٰ

Sahih International

And then he went to his people, swaggering [in pride].

Malay

Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.

 

Kalimah يَتَمَطَّىٰ dari katadasar م ط و yang bermaksud berjalan dengan berlagak. Maksudnya, dia pergi berjumpa keluarganya dan bergaul dengan mereka, dalam keadaan gembira, jiwanya dalam keadaan jahat, menyombong dan malas. Tidak ada kerunsingan langsung dalam dirinya dan tiada amal yang baik darinya. Dia tak kisah pun sama ada dia ada buat dosa atau tidak.

Dia rileks sahaja, happy sahaja. Rasa macam sudah cukup amalan, sudah cukup apa yang mereka perlu – rumah ada, kereta ada, anak beranak ada. Padahal kita setiap hari tentu melakukan dosa – dosa mata, dosa cakap dan sebagainya. Tapi dia tidak runsing pun dan kalau tidak kisah, tentulah dia tidak meminta ampun.

Kita tidak kisah kalau kita balik dengan keadaan gembira, tambahan lagi kalau bertemu dengan keluarga kita, tapi janganlah gembira sangat sampai tidak teringat mati. Dan jangan gembira sangat sampai tidak memikirkan apakah dosa-dosa kita.

Orang mukmin akan sentiasa memikirkan bilakah mereka akan mati dan apakah persediaan mereka kepadanya. Kerana mereka sedar yang mereka boleh pergi bila-bila masa sahaja.

Ayat ini seperti yang Allah sebutkan juga dalam Mutaffifin:31

وَإِذَا انقَلَبُوا إِلَىٰ أَهْلِهِمُ انقَلَبُوا فَكِهِينَ

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira;

 

Juga Allah sebutkan lagi keadaan ini dalam Insyiqaq:13-15

إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا

Sebenarnya dia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya

إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَّن يَحُورَ

Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)!

بَلَىٰ إِنَّ رَبَّهُ كَانَ بِهِ بَصِيرًا

(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan dia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!

Buatlah apa sahaja perkara yang baik dalam kehidupan kita, tapi janganlah lupa tentang kematian. Bersedialah untuk menghadapi kematian. Antara perkara yang kita patut lakukan untuk menghadapi mati adalah dengan menyediakan wasiat, supaya kalau kita tiba-tiba mati, keluarga dan orang yang berurusan dengan hal kita akan tahu apa nak buat dengan harta-harta kita. Kerana mati itu boleh datang tiba-tiba sahaja.

Fikir-fikirkanlah selalu tentang persediaan kita ke syurga. Jangan nak sibukkan dengan hal dunia sahaja – rumah nak cat apa, kereta nak tambah setiap tahun dan sebagainya. Buatlah persedian. Anak kita janganlah nak ajar piano, jadi ahli sukan dan sebagainya sahaja, tapi jadikanlah mereka sebagai aset kita di akhirat nanti.

Berilah ajaran agama yang lengkap kepada mereka supaya mereka boleh menyalurkan pahala kepada kita nanti. Yang lain boleh diajar, tapi yang lebih penting adalah pengetahuan agama.


 

Qiyamah Ayat 34:

أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ

Sahih International

Woe to you, and woe!

Malay

(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!

 

Ini adalah ugutan dan janji buruk yang pasti kepada orang kafir dan sombong dalam perjalanan kehidupannya. Macam kita kata kepada orang yang sudah buat kesalahan: “ha bagus, bagus, buat lagi, buat lagi…”. Tapi kita kata begitu dengan nada yang menghina dan mengejek.

Ini adalah kerana perkara yang mereka tolak itu sekarang semakin dekat kepada mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.

Kalau dengan apa yang mereka lakukan itu, neraka adalah layak sangat untuk mereka. Bahasa yang sama digunakan oleh Allah dalam Dukhan:49

ذُقْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ

(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

Dalam ayat ini, Allah suruh mereka rasa makanan dalam neraka itu dengan nada mengejek.

Dan Allah juga berkata dalam Mursalat:46

كُلُوا وَتَمَتَّعُوا قَلِيلًا إِنَّكُم مُّجْرِمُونَ

Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (wahai orang-orang yang ingkar derhaka) sementara waktu hidup, (kemudian kamu akan menghadapi bahaya), kerana sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa.

Dan Allah berkata dalam Zumar:15

فَاعْبُدُوا مَا شِئْتُم مِّن دُونِهِ قُلْ إِنَّ الْخَاسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

Begitu juga Allah sebut dalam Fussilat:40

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا أَفَمَن يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.


 

Qiyamah Ayat 35:

ثُمَّ أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ

Sahih International

Then woe to you, and woe!

Malay

Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.

 

Allah beri penekanan sampaikan disebut dua kali. Jadi setiap ayat ada disebut dua kali, maknanya, sampai empat kali Allah sebut. Begitulah beratnya ugutan terhadap mereka.

Ataupun yang kali kedua ini disebut selepas orang yang engkar itu sudah mati. Ayat pertama semasa hendak mati dan ayat kedua apabila mereka sudah mati.


 

Qiyamah Ayat 36: Ayat 36 – 40 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir surah ini. Allah suruh tanyalah hatimu sendiri, percayalah adanya Akhirat.

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى

Sahih International

Does man think that he will be left neglected?

Malay

Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?

 

Adakah mereka sangka mereka diciptakan sia-sia sahaja – dijadikan dan tidak dibangkitkan semula? Dan adakah mereka menyangka mereka tidak akan diperintahkan dan ditegah dari melakukan sesuatu semasa di dunia? Adakah mereka sangka mereka boleh apa-apa sahaja ikut suka hati mereka? Adakah mereka sangka mereka tidak ada tanggungjawab?

Macam sekarang, manusia di dunia ini tak suka kalau ada larangan dari buat apa-apa. Mereka sangka, mereka ada akal, tentulah mereka boleh buat apa yang mereka fikirkan sesuai. Biar mereka fikir sendiri apa yang patut mereka buat. Kalau itu dibenarkan, maka mereka hanya akan ikut nafsu mereka sahaja.

Golongan yang kafir hairan dengan agama Islam kerana agama mereka mudah sahaja. Bayangkan, agama Kristian itu senang sahaja, terima sahaja Nabi Isa sebagai penyelamat mereka, kira sudah boleh masuk syurga terus. Kalau kita lihat kehidupan mereka, seperti tidak ada larangan apa-apa pun, nak makan dan minum apa sahaja, boleh. Tidak buat amalan agama pun tidak mengapa. Sedangkan kalau mereka bandingkan agama mereka dengan kita, tengok solat lima waktu pun sudah nampak susah pada mereka. Begitukah cara untuk masuk syurga?

Ingatlah, kita hidup dalam dunia ini terikat dengan apa yang Allah telah tetapkan hukum untuk kita. Ada benda yang kita boleh buat dan ada benda yang tidak boleh kita lakukan. Allah yang jadikan alam ini dan kerana itu, Allah layak untuk menentukan undang-undang untuk kita. Walaupun Allah menjadikan alam ini memang untuk kita, tapi tidaklah kita boleh buat macam percuma sahaja.

Sebagai contoh, kalau kita ada harta seperti rumah, dan ada orang yang masuk ke rumah kita, tentulah dia tertakluk dengan apa yang kita suka dan tidak. Tidaklah boleh tetamu itu buat seperti rumah dia sendiri (walaupun kita cakap: buatlah macam rumah sendiri). Begitulah juga dengan alam yang Allah telah berikan kepada kita ini. Allah memang benarkan kita hidup dalam alam ini, tapi tidaklah tanpa perlu mengikuti undang-undangNya. Kalau tak suka, boleh cari alam lain untuk hidup.

Adakah manusia sangka mereka tidak akan dibangkitkan semula? Adakah mereka sangka apabila mereka mati, habis begitu sahaja? Tidak, mereka akan dibangkitkan dan akan diadili atas perbuatan mereka.


 

Qiyamah Ayat 37: Ayat ini sebagai satu lagi hujah mengatakan adanya hari kiamat, Allah ingatkan kembali dengan kejadian asal manusia.

أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِّن مَّنِيٍّ يُمْنَىٰ

Sahih International

Had he not been a sperm from semen emitted?

Malay

Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?

 

Adakah manusia lupa kejadian mereka yang hina dulu? Tidak ada nilai langsung kita pada waktu itu. Kalau mani itu tertumpah ke tanah, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu. Orang pun kalau jumpa, geli nak pegang atau tersentuh. Jadi, amat hina kita dulu semasa asal kejadian kita – tapi apabila mereka sudah besar, mereka sudah lupa kejadian asal mereka.

Kalau mereka dulunya, Allah boleh jadikan dari tidak hidup kepada hidup, tentulah Allah boleh menghidupkannya semula. Allah boleh ulang balik untuk menjadikan mereka, kerana Allahlah yang menjadikan mereka pada asalnya.


 

Qiyamah Ayat 38:

ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّىٰ

Sahih International

Then he was a clinging clot, and [ Allah ] created [his form] and proportioned [him]

Malay

Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?

 

Allah menceritakan bagaimana Dia menjadikan manusia daripada tidak ada kepada ada. Begitu hebat sekali kejadian manusia. Akhirnya Allah telah jadikan kita dalam keadaan sempurna.

Kebanyakan dari manusia bersifat sempurna dan jarang sekali ada orang yang cacat. Peratus orang yang cacat kalau dibandingkan dengan yang sempurna kaki dan tangan adalah amat sedikit. Allah jadikan mereka ada yang cacat adalah supaya kita rasa bersyukur kerana kita dijadikan sempurna. Apabila lihat orang yang cacat, maka timbullah rasa syukur kerana kita dijadikan sempurna.

Bayangkan, kalau semua orang sempurna sahaja, tidak ada cacat, tentu sukar manusia nak membandingkan nikmat kesempurnaan mereka itu. Dengan adanya malam, barulah manusia boleh kenal siang, bukan? Mereka yang cacat itu pula akan mendapat pahala percuma kalau mereka redha dengan keadaan mereka itu.


 

Qiyamah Ayat 39:

فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Sahih International

And made of him two mates, the male and the female.

Malay

Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.

 

Allah menjadikan kita dari setitik mani itu kepada lelaki atau perempuan. Maknanya jantina kita pun Allah yang tentukan. Kadang-kadang kita hendak anak lelaki, tapi dapat anak perempuan, bukan? Boleh kita tentukan walaupun kita hendak sangat anak lelaki? Tentu tidak boleh kerana keputusan jadi lelaki atau perempuan itu hak Allah.

Allah hendak ingatkan: “Kamu telah dijadikan dalam proses yang lama, dalam keadaan sempurna kejadiannya, adakah kamu sangka kamu dijadikan begitu sahaja?” Tentu tidak.


 

Qiyamah Ayat 40: Setelah Allah berikan segala dalil itu, Allah akhiri surah ini dengan satu persoalan sebagai dalil adanya Hari Kebangkitan

أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَن يُحْيِيَ الْمَوْتَىٰ

Sahih International

Is not that [Creator] Able to give life to the dead?

Malay

Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu – tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!

 

Adakah Allah yang telah menjadikan manusia itu tidak mampu menghidupkan semula makhluk yang telah diciptakan dari tidak ada kepada ada? Tentulah Allah mampu nak hidupkan balik manusia. Kalau sudah pertama kali Dia yang buat, tentu senang sahaja untuk Dia jadikan makhluk itu untuk kali kedua. Oleh itu, ketahulah wahai manusia, Kiamat itu pasti ada dan tidak ada bantahan kepadanya.

 

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Qiyamah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Insan.

Kemaskini: 26 Mei 2026


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Maulana Hadi

Taimiyyah Zubair al-Huda Institute

Nouman Ali Khan Bayyinah Institute

Risalah 1 Daurah Tafsir: Muqaddimah Tafsir

Kepentingan belajar dan faham tafsir Qur’an:

Ini adalah kerana Allah suruh sampaikan Qur’an. Walaupun Qur’an ini senang sampai kepada manusia – hampir di mana-mana sahaja kita boleh dapat Kitab al-Qur’an ini, Allah tetap suruh sampaikan juga kepada manusia.

Maka, kalau kita kena sampaikan kepada manusia lain, kita sendiri kenalah tahu tafsir Qur’an itu sendiri. Kalau tidak, bagaimana kita nak sampaikan?

Paling dekat yang kita kena sampaikan adalah ahli keluarga kita sendiri. Jangan biarkan mereka dalam kejahilan wahyu.

Nabi telah bersabda bahawa manusia yang paling baik adalah yang belajar Qur’an dan menyampaikannya. Ini adalah satu perkara yang amat penting juga. Terdapat perbezaan antara orang yang tabligh (menyampaikan) kepada orang lain, dengan orang yang hanya dengar sahaja, tapi tidak sampaikan kepada orang lain – Iaitu dia dah belajar, tapi dia simpan sendiri.

Dalam nas yang sampai kepada kita, Allah telah beri jaminan untuk menjaga iman mereka yang tabligh kepada orang lain. Jadi, ini adalah satu kelebihan yang amat penting sekali. Maknanya, kalau setakat tahu sahaja, belum tentu iman kita terpelihara.

Ilmu faham Qur’an ini adalah ilmu yang paling utama dalam dunia. Tidak ada lagi ilmu lain yang lebih penting. Kerana tidak ada kitab lain lagi yang lebih mulia lagi dari Qur’an.

Dan tidak ada ilmu lain lagi yang lebih penting dari Ilmu Aqidah – Dan Qur’an banyak mengandungi ilmu aqidah, jadi untuk memperkemaskan akidah kita, kenalah kita belajar Tafsir Qur’an.

Definisi Qur’an:
Katakanlah kita ditanya, apakah maksud ‘Qur’an’?, bagaimana kita nak jawap kepada orang yang bertanya itu? Jawap: Qur’an adalah satu kitab yang diturunkan dari Allah kepada Nabi Muhammad.

Dan Qur’an ini diturunkan untuk insan semuanya, bukan kepada Nabi Muhammad sahaja. Wajib untuk kita mempelajarinya, dan tidak dapat masuk syurga kalau tak faham Qur’an. Oleh itu, bagaimanakah nasib mereka yang tidak menghiraukan Qur’an?

Tujuan faham Qur’an adalah untuk betulkan akidah dan amalan kita. Kalau tak belajar, tidak lengkap akidah kita dan tidak benar amalan kita.

Maka, kalau tidak belajar, akan ada banyak salah faham dan salah amal ibadat kita kerana kita tidak belajar dan kalau begitu, tempat tujuan kita adalah neraka.

Alangkah malangnya, selepas banyak melakukan amal ibadat, tapi satu pun tidak dikira. Kita sangka kita dapat masuk ke syurga, kerana kita banyak amal, tapi rupanya masuk ke neraka. Ini amat malang sekali.

Apakah itu ‘Tafsir Qur’an’?:
Maksud ‘Tafsir’ dari segi bahasa adalah ‘menyelak’. Iaitu menyelak Qur’an sampai jelas.

Kita belajar tafsir untuk tahu apakah kehendak Allah ke atas kita.

Ianya tidak boleh dipelajari dengan sendiri, faham sendiri dan agak-agak sahaja. Ianya memerlukan pembelajaran, sampaikan sahabat pun kena belajar dengan Nabi kerana ada yang rumit dan mereka tak faham. Sedangkan mereka itu bangsa Arab dan tentunya dah mahir dengan bahasa Arab, tapi mereka juga kena belajar dengan Nabi.

Bukan semua tafsir itu bagus. Ada tafsir yang dipuji dan ada tafsir yang dikeji. Bagaimana pula begitu? Ketahuilah, kalau kita bercakap tentang Qur’an tanpa belajar, kita akan tanggung dosa. Kerana kita telah memperkatakan tentang Qur’an dalam perkara yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu pula kerana kita tidak belajar. Maka kalau nak sampaikan kepada orang lain, kita kenalah belajar dahulu.

Amat ramai yang ikut akal sendiri dalam memahami maksud ayat-ayat Qur’an. Apabila kita dengar pemahaman merekaan yang sebegini, kita amat sedih sekali dan kita akan tahu yang mereka itu tidak belajar sebenarnya. Ingatlah, kita hanya boleh bercakap tentang ayat-ayat yang kita telah belajar.

Kalau kita bercakap tentang ayat yang kita tidak belajar, tapi secara kebetulan ianya benar (mungkin lepas itu kita periksa dalam kitab, atau kita tanya ustaz), kita masih tetap  juga berdosa. Kerana waktu kita bercakap tentang ayat itu, kita hanya agak-agak sahaja, tanpa kita pasti kebenarannya.

Darjat dalam tafsir:
Ada beberapa jenis tafsir yang kita kena tahu. Kerana tidak sama derajat antara tafsir-tafsir yang ada.

1. Tafsir Qur’an dengan Qur’an. Iaitu menggunakan ayat Qur’an sendiri untuk menafsir ayat Qur’an yang lain. Kerana ada ayat yang ringkas sahaja dalam menyebut sesuatu perkara dalam satu ayat dan ianya dijelaskan dengan lebih mendalam dalam ayat lain.

Itulah sebabnya kena belajar 30 juzuk baru boleh dapat faham secara keseluruhan. Kerana kalau kita hanya tahu sebahagian ayat sahaja, kita tidak dapat tahu keseluruhan makna yang hendak disampaikan oleh Allah.

Terdapat tafsir Qur’an dengan Qur’an dalam ayat yang sama. Maknanya tak jauh kita nak cari makna atau penjelasan satu-satu ayat itu. Tak banyak jenis ayat sebegini dalam Qur’an. Sebagai contoh, kita lihat ayat Baqarah:187

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.

Asalnya ayat ini hanya,

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ

Tetapi ada sahabat yang tidak tahu apakah maksud ‘benang’ putih dan benang hitam itu. Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan putih di bawah bantal mereka. Dan mereka akan melihat benang-benang itu sampai jelas kepada mereka warna antara hitam dan putih itu, baru mereka berhenti makan.

Kerana mereka sangka maksudnya memang literal benang putih dan benang hitam. Akhirnya diturunkan tambahan kepada ayat itu dimana ditambah perkataan مِنَ الْفَجْرِ. Supaya jelas bahawa yang dimaksudkan adalah fajar.

Oleh itu, perkataan الْفَجْرِ itu adalah tafsir kepada الْخَيْطُ (benang). Dahulunya ayat itu hanya setakat sebut benang sahaja. Tapi kemudian diberikan penjelasan bahawa ‘benang’ yang dimaksudkan adalah dari ‘fajar’. Jadi ini adalah contoh bagaimana ayat Qur’an ditafsirkan dengan ayat Qur’an di dalam ayat yang sama.

Ada juga tafsir Qur’an dengan Qur’an tapi ayat penafsiran itu duduk dalam surah yang lain. Jenis sebegini lebih banyak dari jenis yang sebelumnya. Tapi kita kena tahu dimanakah kita boleh berjumpa dengan ayat penafsiran itu. Sebab itu kena belajar habis 30 juzuk ayat-ayat Qur’an ini secara keseluruhan supaya kita boleh faham.

Contohnya ayat ini adalah bagaimana diceritakan Nabi Adam telah terima kalimat dari Allah. Ini disebut dalam Baqarah:37

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya;

Nabi Adam telah melakukan kesalahan memakan pohon larangan dan baginda telah bertaubat tapi Allah tak terima taubat baginda dan Hawa. Berbagai cara telah digunakan oleh mereka berdua tetapi Allah tidak memakbulkan taubat mereka. Sehinggalah Allah ajar sendiri kalimat taubat itu sendiri. Kalimat taubat itu ada dalam surah lain iaitu dalam A’raf:23.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Kalau tak belajar keseluruhan Qur’an, boleh jadi kita ada sangkaan lain kepada apakah maksud ‘kalimat’ itu.

2. Tafsir Qur’an dengan Sunnah. Pertamanya, kita kena sedar bahawa ‘Hadis’ dan ‘sunnah’ tidak sama. Sebab hadis ada banyak jenis – ada yang sahih, yang dhaif dan yang palsu pun ada. Kalau dikatakan sesuatu itu ‘sunnah’, semestinya hadis yang sahih. Hadis yang mansukh tidak dikira sunnah kerana tidak diamalkan lagi.

Sebagai contoh, ada hadis yang Nabi pernah bersabda yang makan makanan yang dimasak dengan api akan membatalkan wuduk. Memang ianya ada dalam hadis yang sahih, tetapi itu adalah hukum semasa awal Islam dan hukum itu tidak dipakai lagi kerana ada hadis lain yang menunjukkan amalan Nabi tidak begitu.

Kita memahami maksud sesuatu ayat itu mengikut apakah yang dijelaskan oleh Nabi. Ini adalah kerana ianya tugas Nabi untuk menjelaskan mana-mana ayat yang tak jelas. Kalau baginda tidak jelaskan, tentu kita tidak akan dapat tahu. Bagaimana cara Nabi jelaskan? Baginda jelaskan dalam bentuk amalan.

Dengan cara itu, kita dapat tahu bagaimanakah cara untuk mengamalkan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, ayat Qur’an banyak menyuruh kita mengerjakan solat. Tapi kalau Nabi tidak ajar kita bagaimana mengerjakan solat, kita tidak akan tahu bagaimana caranya mengamalkan sesuatu yang Allah suruh kita lakukan dalam Qur’an.

3. Tafsir dengan perkataan sahabat. Kata-kata para sahabat boleh dipercayai sebab mereka belajar sendiri dengan Nabi. Dan mereka jujur dalam tafsir dan tidak dipertikaikan. Imam Hakim kata tafsir dengan sahabat Nabi itu adalah sesuatu yang kukuh dan teguh dan diterima pakai sebagai hujah oleh Bukhari dan muslim

4. Tafsir dengan kata-kata tabein. Kerana mereka adalah anak murid kepada sahabat Nabi.

Tapi tafsir dengan kata-kata tabein ini ada syarat. Bukan semua kata-kata tabein boleh dijadikan hujah dalam tafsir. Kalau mereka semua sepakat atas tafsir mana-mana ayat, maka itu adalah hujah. Tapi kalau mereka berselisih pendapat, tidak lagi boleh dipakai hujah itu untuk menghujah kata-kata tabein yang lain yang tidak sama. Dan tak boleh digunakan untuk lawan dengan hujah orang selepasnya pula (yang bukan tabein).

Kalau jadi begitu, kena cari dalil sokongan untuk menguatkan hujah mereka. Antaranya, kena tengok pada lughah Qur’an dan lughah hadis. Iaitu melihat kebiasaan maksud yang digunakan dalam Qur’an dan hadis. Kalau tidak ada, maka kena pakai keumuman bahasa Arab yang biasa digunakan dan difahami. Kena buka kamus bahasa Arab. Ataupun melihat kepada pendapat sahabat yang mirip kepada pendapat tabein itu.

Walaupun begitu, sikit sangat yang ada perselisihan antara tabein.

Maka, kalau tafsir menggunakan pendapat ulama sahaja, ianya adalah lemah. Kisah Israiliyat pun tidak boleh digunakan dan tidak perlu digunakan sebagai hujah dalam tafsir. Buat punah sahaja. Tafsir Israiliyat ini diambil dari kitab atau pendapat ulama Yahudi.

Ini Tidak perlu dan tidak sangkut paut dengan kita. Malangnya, banyak sekali digunakan atau dimasukkan dalam kitab tafsir termasuk dalam Tafsir Jalalain sekalipun. Tapi hanya kita ketahui perkata ini kalau kita belajar. Takut kita hanya terima sahaja tanpa usul periksa.

Itulah empat jenis tafsir yang digunakan untuk kita memahami maksud Qur’an. Oleh itu, Kalau selain dari yang empat derajat tafsir ini, ia dipanggil ‘takwil’, bukan tafsir.

Apakah Maksud Takwil?:
Takwil bermaksud huraian makna kedua. Ianya bukan datang dari Nabi, sahabat atau tabein. Ianya memalingkan makna dari lafaz asal kepada makna baru. Dari makna yang zahir kepada makna lain tapi bersesuaian dengan lafaz itu. Bersesuaian juga dengan ayat sebelum dan ayat selepasnya. Juga tidak bercanggah dengan ayat lain dan sunnah.

Untuk mendapat kemahiran ini, bukannya mudah, kerana ianya berhajat kepada 15 ilmu alat. Kerana ianya adalah perkara yang amat rumit. Maka kita kena terima pendapat ulama tafsir yang dikenali. Kita tak layak nak takwil ayat Qur’an. Kena cari takwil yang muktabar. Takwil begini tidak ditegah untuk para ulama, bukan untuk kita. Kerana mereka ada ilmu untuk mentafsir Qur’an.

Sebagai contoh, Ayat Maidah:6, ada dikatakan yang wuduk akan terbatal kalau ‘sentuh’.

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا فَامسَحوا بِوُجوهِكُم وَأَيديكُم مِنهُ

dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.

Makna asal perkataan لامَستُمُ adalah ‘sentuh’. Abdullah Abbas kata maknanya bukanlah sentuh yang biasa tapi ‘bersetubuh’ – bersentuh-sentuhan. Pertukaran makna itu adalah takwil. Ibn Mas’ud pula kata memang ianya bermaksud ‘sentuh’ sahaja. Beliau juga sahabat.

Oleh itu, dua-dua boleh pakai. Imam Syafie dalam qaul qadimnya, kalau sentuh bersyahwat maka akan batal wuduk. Jadi kalau sentuh tiada syahwat, tidaklah batal. Inilah yang dipakai kalau pergi umrah haji. Supaya memudahkan mereka yang sedang dalam keadaan orang ramai itu supaya tidaklah selalu terbatal wuduk dan susah payah pula untuk ambil wuduk.

Ilmu yang perlu ada untuk boleh tafsir sendiri ayat Qur’an dan boleh takwil ayat Qur’an:
1. Lughah – seseorang yang boleh takwil itu kenalah mahir bahasa Arab. Tahu bahasa Arab dengan sempurna. Dah tahap hafal kamus dah.
2. Kaedah bahasa Arab. Tahu nahu bahasa Arab dengan mahir.
3. Tasrif – perubahan kalimah. Dalam bahasa Inggeris dipanggil tense.
4. Kajian asal kalimah. Tahu katadasar asal sesuatu ayat dalam Qur’an itu.
5. Ilmu Maani – satu-satu perkataan ada banyak makna, jadi ulama takwil kena mahir ilmu ini.
6. Ilmu Bayan – Dan ada kalanya, banyak perkataan, tapi satu makna sahaja.
7. Ilmu badi’ – indah makna dari sebutan. Macam ada surah yang berakhir dengan ‘ya’ sahaja. Ini selalu digunakan dalam Qur’an.
8. Qiraat. Cara baca Qur’an yang berbeza-beza
9. Usuluddin – ilmu tentang akidah.
10. Usul Fiqh – kaedah mengeluarkan hukum fekah. Dari sinilah timbul beza mazhab. Kerana usul feqah yang berbeza. Kalau tak boleh buat usul sendiri, kena ikut mazhab. Macam di Malaysia senangnya pakai mazhab Syafie.
11. Asbabun Nuzul. Tahu sebab turun sesuatu ayat. Kita akan jelas tentang sesuatu ayat itu kalau kita tahu apakah peristiwa turunnya ayat itu. Bukan semua memberi kesan kepada tafsir, sedikit sahaja.
12. Nasikh mansukh. Ada ayat Qur’an yang baca sahaja tapi hukum tidak dipakai lagi. Imam Suyuthi kata ada 20 ayat yang telah dimansuhkan. Ada pula ulama yang kata 5 ayat sahaja.
13. Feqah. Kena tahu hukum lengkap dari sunnah. Apabila jumpa ayat hukum, kena tahu hukum yang lengkap. Kerana ayat Qur’an hanya sebut ringkas sahaja dan penjelasan ada dalam hadis Nabi dan fatwa mazhab.
14. Beberapa hadis yang disebut khas oleh Nabi yang menjelaskan makna sesuatu ayat yang samar maknanya. Kerana kalau Nabi tidak beritahu, kita tidak akan tahu.
15. Ilmu wahbiyyun. Kemahiran. Allah akan beri kemahiran ini apabila sudah faham keseluruhan 14 ilmu sebelum ini. Ini adalah anugerah dari Allah.

Apakah Maksud Surah:

Surah Qur’an. Kenapa dipanggil ‘surah’? Satu kedudukan dari darjat ketinggian. Surah ini adalah seumpama tingkap. Orang yang membaca surah-surah ini, dia bertukar kedudukan dari satu derajat ke derajat yang tinggi.

Atau, ada yang kata, surah adalah bermaksud ‘himpunan’ dan ‘lingkungan’. Segalanya berhimpun kerana surah itu bermaksud benteng bagi satu kota. Melingkungi segala binaan di dalamnya. Kerana itu, kita lihat dalam satu-satu surah, ada banyak perkara yang dibincangkan, bukan satu-satu perkara sahaja.

Ada kata nama asalnya adalah su’rah, kemudian dibuangkan hamzah. Kalau su’rah bermaksud ‘potongan’. Lebihan bagi sesuatu.

Dalam syariat ia bermaksud himpunan ayat-ayat Qur’an dari beberapa ayat yang ada permulaan dan ada penutup. Ada yang panjang dan ada yang pendek. Semua ada permulaan dan ada penutup. Paling sikit tiga ayat.

Ada jenis Surah Makkiah dan Madaniyyah. Iaitu dikelaskan mengikut bila turun surah itu. Makkiah adalah ayat yang turun sebelum hijrah. Bukan dikira ‘tempat’ turunnya kerana ada surah yang diturunkan di luar Madinah, tapi kerana ianya diturunkan sebelum Hijrah, ia masih dikira sebagai Surah Makkiah.

Apakah pula maksud ‘Ayat’? Asal kata ayat adalah ayayatun kemudian ditukar kepada aayatun. Kemudian tukar ayat. Kerana Arab tak suka sebutan yang payah – mereka akan mudahkan sebutan sesuatu perkataan itu. Kalau nak sebut ayayatun, payah. Maksud ayat dari segi bahasa adalah alamah atau alamat dalam bahasa melayu. Maksudnya adalah ‘tanda’.

Dalam Qur’an ada lima jenis ilmu.
1. Ilmu tentang sifat Allah. Kita hanya disuruh tahu sifat Allah sahaja, tidak sampai nak kena tahu Dzat Allah.
2. Ilmu Ahkam Allah. Inilah yang dinamakan Syariat. Ianya adalah cara untuk taat kepada Allah. Ianya merangkumi hubungan dengan Allah dan cara hubungan dengan hamba Allah yang lain.
3. Ilmu Muqaasamah – soal jawap dengan orang yang kenal Allah kerana ada orang yang kenal wahyu dan orang yang tidak kenal wahyu. Soal jawap itu ada supaya seseorang itu terima wahyu. Allah ajar kita bagaimana memperkenalkan Dia kepada hamba yang lain yang masih tak kenal, atau ada silap faham tentang Allah. Ini ilmu perbincangan dan soal jawap. Supaya dia terima kebenaran. Kerana peluang semasa di dunia sahaja. Dengan belajar Qur’an kita sedia untuk berdakwah.

Ada empat jenis orang yang sesat yang disebut dalam Qur’an :
A. Yahudi dan yang sejenis dengannya
B. Nasara dan yang sejenis dengannya
C. Musyrikin dan yang sejenis dengannya
D. munafikin dan yang sejenis dengannya

Nama mungkin macam-macam, tapi perangai salah satu dari yang empat jenis itu sama sahaja. Dalam masyarakat kita, ada semua jenis ini. Munafik mudah sikit untuk didakwah kerana mereka boleh duduk sekali dengan orang Islam. Oleh itu, kita kena periksa diri kita supaya tidak masuk dalam keempat empat jenis ini.

4. Peringatan kepada peristiwa yang boleh berlaku di dunia ini lagi kalau kita derhaka kepada Allah. Kita belajar bagaimana Allah telah azab mereka yang menentang dan bagaimana Allah membantu mereka yang menolong agama Allah. Kerana manusia mudah terkesan dengan kejadian di dunia.

5. Ilmu tentang peringatan peristiwa semasa nak mati dan selepas mati. Kepada yang beriman dan yang sesat.

Kita belajar lima perkara ini untuk mendapat tiga perkara:

1. Memurnikan jiwa manusia. Dari kotor jadi bersih. Untuk layak masuk syurga. Kalau tak suci, kena cuci dalam neraka pula dan kita tentunya tidak mahu dimasukkan ke dalam neraka walau sekejap pun. Sekarang ini kita hanya ada Qur’an sahaja untuk menjadi panduan kita. Kerana Nabi dan sahabat dan tiada. Tapi Qur’an masih ada lagi. Jadi, tiada alasan untuk kata kita tidak mendapat hidayah kerana hidayah itu sudah terpampang di depan mata kita.

2. Membasmi faham yang salah. Fahaman salah yang dalam otak dan hati kita. Kalau rosak, tidak ada ubat. Boleh kekal dalam neraka. Tidak sama dengan rosak amalan dengan rosak akidah. Kerana kalau rosak amalan, boleh lagi cuci dalam neraka. Tapi kalau rosak akidah, akan kekal selama-lamanya dalam neraka.

Dan pegangan salah ini tidak nampak di luar kecuali tuan badan sahaja yang tahu. Bukan ada orang yang akan periksa dan tanya kita pun. Kalau amalan, boleh lagi orang nampak dan tegur kesalahan kita dalam amalan. Tapi kalau akidah, kita kena periksa dengan belajar tafsir Qur’an dan periksa samada ada fahaman kita yang salah.

3. Menolak resam dan budaya yang salah. Merangkumi ‘ibadat’ dan ‘adat’. Tidak ada dua budaya untuk kita melainkan budaya Islam sahaja.

Ketiga-tiga perkara ini akan bawa kepada dua perkara yang besar:

1. Menyempurnakan keyakinan tentang Allah. Kalau tak belajar tafsir Qur’an, mungkin kita tahu dan yakin terhadap Allah, tapi tidak sempurna. Kita nak kena tahu setakat yang Allah beritahu dalam Qur’an 30 juzuk ini dan tidak boleh kurang dari itu.

Dan kita juga kena tahu tentang Akhirat. 1/4 Qur’an adalah tentang akhirat supaya kita tahu benar-benar tentang akhirat. Ianya diberitahu dengan banyak sebab ianya adalah perkara yang amat penting.

2. Mengenalpasti kepatuhan dan ketundukan kita dalam syariat Islam menepati jejak langkah Nabi Muhammad SAW. Tidak ada cara lain, mesti dengan Qur’an. Semua orang boleh ikut.

Dua perkara ini terkandung dalam kalimah syahadah kita.
A – Tidak boleh berlaku apa saja kepada makhluk dan semua yang berlaku baik atau buruk datangnya daripada Allah.
B – Allah tidak menerima mana-mana cara hidup untuk diberi pembalasan bahagia di syurga melainkan cara hidup yang pernah dihayati oleh Nabi Muhammad SAW. Allah cela cara hidup dalam ibadat dan adat selain dari Nabi.

Untuk sambungan Muqaddimah Daurah ini, dan untuk memudahkan kita faham maksud ayat-ayat Qur’an dalam tafsir, maka sila rujuk kepada 16 Istilah Tafsir.

Allahu a’lam. Sambung ke perbincangan Fawaid Tafsir

Kemaskini: 12 Oktober 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi