Sedekah fatihah dan bacaan Qur’an

BACAAN AL-FATIHAH UNTUK KEDUA ORANG TUA (dan orang lain)

Oleh: Syaikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan

Membacakan surat Al-Fatihah untuk kedua orang tua yang telah meninggal atau yang lain merupakan perbuatan bid’ah karena tidak ada dasarnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Tidak ada dalil bahwasanya Al-Fatihah boleh dibacakan untuk orang yang meninggal atau arwah mereka, baik itu orang tuanya atau orang lain.

Sebaliknya, yang disyariatkan adalah mendo’akan bagi kedua orang tua dalam shalat dan sesudahnya, memohonkan ampunan dan maghfirah bagi keduanya dan sejenisnya yang termasuk doa yang bisa bermanfaat bagi yang sudah meninggal.
[Nur ‘Alad Darbi, Juz III, I’dad Fayis Musa Abu Syaikhah]

HUKUM MENGHADIAHKAN/ MENGIRIM PAHALA BACAAN AL QURAN MENURUT MAZHAB AL SYAFI’E

Oleh: Nasiruddin Abdul Aziz N.A.A
Firman Allah ta’ala :
وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى
“Dan bahawasannya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya” [ An-Najm : 39].

Ayat ini mengandungi pengertian : “Dan tidaklah seseorang yang berbuat itu dibalas melainkan dari perbuatannya itu sendiri”.

Hadith Abu Hurairah radhiyallaahu ’anhu bahawasannya Rasulullah shallallaahu ’alaihi wasallam bersabda :
إذا مات الإنسان انقطع عنه عمله إلا من ثلاثة إلا من صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
”Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali atas tiga hal : sedekah jaariyah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya” [HR. Muslim no. 1631].

An-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata:
وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعي أنه لا يصل ثوابها إلى الميت…….. ودليل الشافعي وموافقيه قول اللهِ تعالى : وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى. وقول النبي صلى الله عليه وسلم : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
”Adapun bacaan Al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka yang masyhur dalam mazhab Syafi’i adalah bahawa perbuatan tersebut TIDAK AKAN SAMPAI pahalanya kepada mayat yang dikirimi…… Adapun dalil Imam Syafi’e dan para pengikutnya adalah firman Allah (yang ertinya) : ”Dan tidaklah seseorang itu memperoleh balasan kecuali dari yang ia usahakan” ( An-Najm : 39); dan juga sabda Nabi shallallaahu ’alaihi wasallam (yang ertinya) : ”Apabila anak Adam telah meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali atas tiga hal : sedekah jaariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya” [Syarh Sahih Muslim oleh An-Nawawi 1/90].

Al-Haithami dalam Al-Fatawaa Al-Kubra Al-Fiqhiyyah telah berkata :
الميت لا يقرأ عليه مبني على ما أطلقه المقدمون من أن القراءة لا تصله أي الميت لأن ثوابها للقارء. والثواب المرتب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل. قال اللهِ تعالى : وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى.
“Mayat, tidak boleh dibacakan apapun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama’ mutaqaddimiin (terdahulu); bahawa bacaan (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak sampai kepadanya. Sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak boleh dipindahkan dari ’aamil (orang yang mengamalkan) perbuatan tersebut, berdasarkan firman Allah ta’ala (yang ertinya) :”Dan tidaklah seseorang itu memperoleh balasan kecuali dari yang ia usahakan” (An-Najm : 39) [Al-Fatawaa Al-Kubraa Al-Fiqhiyyah oleh Al-Haithami 2/9].

Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya ketika menafsirkan Surat An-Najm ayat 39 berkata :
أي كما لا يحمل عليه وزر غيره, كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه, ومن هذه الاَية الكريمة استنبط الشافعي رحمه الله ومن اتبعه, أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى, لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء, ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة رضي الله عنهم, ولو كان خيراً لسبقونا إليه, وباب القربات يقتصر فيه على النصوص ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والاَراء
”Yakni sebagaimana dosa seseorang tidak dapat menimpa kepada orang lain. Demikian juga manusia tidak memperoleh pahala melainkan dari hasil amalnya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini (ayat 39 An-Najm), Imam Asy-Syafi’e dan ulama-ulama lain yang mengikutinya mengambil kesimpulan bahawa bacaan yang pahalanya dikirimkan kepada mayat adalah tidak dapat sampai, kerana bukan dari hasil usahanya sendiri. Oleh itu, Rasulullah shallallaahu ’alaihi wasallam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk mengamalkannya (pengiriman pahala bacaan), dan tidak pernah memberikan bimbingan, baik dengan nash mahupun dengan isyarat. Dan tidak ada seorang sahabat pun yang pernah mengamalkan perbuatan tersebut. Kalaupun amalan seperti itu memang baik, tentu mereka lebih dahulu mengerjakannya, padahal amalan pendekatan diri kepada Allah tersebut hanya terbatas pada nash-nash (yang ada dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah) dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas dan pendapat-pendapat” [Tafsir Al-Qur’aanil-’Aziim li-Bni Kathiir].

Wallahu a’lam.

 

Ada sampai kepada kita beberapa hujah puak yang mengatakan amalan membaca Fatihah ini dianjurkan oleh golongan salaf. Kita serta di sini dan jawapan kepadanya.

Hujah:1

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلىٰ الله عليه وسلم يقول : «إذا مات أحدُكم فلا تحبسوه، وأَسْرِعوا به إلى قبره، وليُقْرَأْ عند رأسه بفاتحة الكتاب، وعند رجليه بخاتمة سـورة البقرة في قبره» .
Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu meninggal dunia, janganlah kamu menahannya (dari segera dikebumikan), percepatkanlah pengebumiannya, dan bacakanlah di bahagian kepalanya Surah Al-Fatihah, serta di bahagian kakinya penghujung Surah Al-Baqarah dalam kuburnya.” [Diriwayatkan oleh At-Tabarani dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, dengan sanad yang hasan sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari]

Jawapan:

Al-Imam Al-Subki rahimahullah menjelaskan:

وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.

“Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn ‘Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan Al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah Al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah atsar yang Syadz (ganjil) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat.” (Takmilah Syarah Al-Muhazzab oleh Tajuddin As-Subki, 10/429 – dinukil dari Kitab Hukum Al-Qira’ah ‘Ala Al-Amwat oleh Muhammad bin Ahmad ‘Abdus Salam dengan Tahqiq Mahmud Mahdi Al-Istambuli)

Seorang ulama Mesir, Asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad ‘Abdus Salam melalui tulisannya, beliau menyatakan:

أما ما يروى عن ابن عمر أنه أوصى بقراءة الفاتحة وخواتيم البقرة على قبره، فهو أثر شاذ لم يصح سنده، ولم يوافقه عليه أحد من الصحابة، وكذلك ما يروى من قراءة الفاتحة والصمدية والمعوذتين وألهاكم والكافرون وإهدائها لأهل المقابر فباطل لمخالفتها لأقوال النبي صلى الله عليه وآله وسلم وأفعال أصحابه.

“Adapun apa yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma yang menceritakan bahawa beliau (Ibnu ‘Umar) pernah berwasiat, sekiranya beliau telah meninggal dunia, supaya dibacakan Surah Al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah di atas kuburnya. (Bahawasanya) Atsar tersebut adalah Syazd (ganjil), sanadnya tidak sahih. Dan tidak seorang pun di antara para sahabat yang menyepakatinya.

Demikian juga dengan riwayat-riwayat tentang membaca Surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas, At-Takatsur, Al-Kafiruun, dan menghadiahkannya kepada ahli kubur adalah palsu. Ini adalah kerana ianya bertentangan dengan perkataan-perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan perbuatan para sahabatnya.” (Hukum Al-Qira’ah ‘ala Al-Amwat dengan Tahqiq Mahmud Mahdi Al-Istambuli, m/s. 25)

 

Hujah 2:

وعن أم عفيف النهدية رضي الله عنها أنَّها قالت: “بايعَنا رسولُ الله صلى الله عليه وآله وسلم حِينَ بَايَعَ النِّسَاءَ؛ فَأَخَذَ عَلَيْهِنَّ أَن لَا تُحَدِّثْنَ الرَّجُل إلا مَحْرَمًا، وأَمَرَنَا أن نقرأ على مَيِّتِنا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ”
Daripada Ummu ‘Afif Al-Nahdiyyah r.a., beliau berkata:
“Rasulullah ﷺ membai’at kami (kaum wanita) sebagaimana baginda membai’at para wanita yang lain. Baginda mengambil janji agar kami tidak bercakap dengan lelaki kecuali yang mahram, dan baginda memerintahkan kami supaya membaca Surah Al-Fatihah ke atas jenazah kami.”
[Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam “Al-Mu’jam Al-Kabir”, Ibn Mandah, dan Abu Nu’aim dalam “Ma’rifat Al-Sahabah”]

Jawapan:

Hadis ini adalah dhaif.

أمرنا رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ أن نقرأَ على الجنازةِ بفاتحةِ الكتابِ

الراوي : أم شريك | المحدث : ابن حجر العسقلاني | المصدر : التلخيص الحبير | الصفحة أو الرقم : 2/675 | خلاصة حكم المحدث : في إسناده ضعف يسير

Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 3 – 7 (Golongan-golongan manusia)

Sifat Rahmah Allah Taala:

Seterusnya kita bincangkan tafsir bagi ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ.

Lafaz الرَّحْمَٰنِ bermaksud ‘Maha Pemurah’ dan ia bermaksud Allah itu Maha Pemurah yang bersangatan yang meliputi seluruh alam. Allah memberi nikmat dan keperluan kehidupan kepada semua makhluk-Nya. Tidak kira sama ada makhluk itu Muslim atau tidak, beriman atau tidak, Allah berikan nikmat.

Lafaz الرَّحِيمِ pula bermaksud ‘Maha Mengasihani’ yang hanya khusus untuk akhirat sahaja. Di akhirat nanti, Allah hanya bersifat belas kepada hamba-Nya yang taat sahaja. Ia tidak diberikan kepada mereka yang tidak beriman.

Setiap hari kita diingatkan dengan dua sifat ini. Jangan kita terleka dengan sifat rahman Allah ini dan sangka yang ia adalah sifat rahim dan sangka kita sudah selamat. Maksudnya, jangan kita sangka yang orang yang kaya raya itu tandanya Allah sayangkannya melebihi daripada orang lain. Walaupun diberikan segala kesenangan kepada seorang manusia itu, tidaklah ia menjadi tanda yang Allah redha dan sayang kepadanya.

Untuk lebih memahami apakah perbezaan antara dua sifat ini, ulama’ telah membanding dua sifat ini dengan sifat kasih sayang ibubapa. Kedua-dua ibu dan bapa sayang kepada anak mereka tetapi kasih sayang mereka adalah berlainan. Seorang ayah, walaupun dia sayang kepada anaknya, tetapi dia boleh/sanggup melihat anaknya susah. Kerana dia tahu yang kesusahan itu adalah demi kebaikan masa depan anaknya itu.

Akan etapi kasih seorang ibu tidak begitu. Dia terlalu sayangkan anaknya sampai dia tidak sanggup melihat anaknya menderita langsung. Sebagai contoh, kalau seorang ayah tahu yang anaknya susah di sekolah, dia biarkan sahaja. Sebaliknya bagi ibu itu, kalau boleh tidak mahu anaknya terus kesusahan di sekolahnya. Kedua-dua sifat ini kena ada dalam pentarbiahan seorang anak.

Kalau hanya ada kasih ayah sahaja, anak itu tentu akan susah dalam hidupnya di kemudian hari. Kalau ada kasih ibu sahaja, anak itu tentu menjadi terlalu manja dan mungkin tidak dapat berjaya dalam hidupnya kerana dia tidak belajar erti susah dalam hidupnya. Begitulah perumpamaan sifat Rahman Allah. Allah sanggup melihat hamba-Nya menderita dalam kehidupan dunia. Sebab itulah walaupun hamba-Nya itu amat disayangi-Nya, dia masih hidup susah di dunia ini.

Lihatlah kisah Nabi kita Muhammad, dari kecil sehingga dewasa hidupnya dalam kesusahan. Akan tetapi apabila di akhirat kelak sifat Rahim Allah seperti sifat sayang keibuan. Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang beriman mendapat sedikitpun kesusahan, oleh itu akan dimasukkan hamba itu ke dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Allah yang Memiliki Hari Pembalasan:

Seterusnya, tafsir ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Maksudnya, Allah sahaja yang memiliki Hari Pembalasan. Kalimah ٱلدِّينِ dalam ayat ini bermaksud ‘Pembalasan’. Seperti yang kita sudah terangkan, lafaz ٱلدِّينِ ada 4 makna di dalam Al-Qur’an. Dan dalam ayat ini, ia bermaksud ‘Pembalasan’.

Allah mengingatkan kita tentang Hari Pembalasan dalam ayat ini. Sedangkan orang yang tidak percaya Allah pun percaya yang dia akan mati. Adakah sesiapa yang percaya dia akan hidup kekal? Tentu tidak. Ini adalah jawapan kepada mereka yang kononnya hanya percaya kepada benda yang mereka boleh nampak sahaja. Ingatkan mereka yang mereka akan mati juga akhirnya. Tanya mereka: Agaknya nanti bagaimana keadaan mereka selepas mereka mati nanti. Adakah mereka benar-benar yakin yang mereka akan selamat?

Kononnya mereka tidak percaya wujudnya Tuhan kerana mereka tidak nampak Tuhan. Tetapi akal pun kita tidak nampak, bukan? Adakah itu bermakna yang akal itu tidak ada? Maka walaupun kita tidak nampak akhirat, namun mati itu pasti dan pembalasan selepas itu lagi pasti. Pada hari itu, Allah akan membalas apa sahaja yang manusia telah lakukan semasa di dunia dulu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk.

Hanya Sembah dan Doa kepada Allah Sahaja:

Selepas kita kenal Allah dalam tiga ayat yang pertama ini, kita pun hendaklah Sembah Allah sahaja dan Doa kepada Allah sahaja. Inilah yang terdapat dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ. Ayat ini kita telah tafsirkan sebelum ini.

Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus:

Ayat seterusnya adalah اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Kita minta pimpinan kepada Allah dan pimpinan yang kita mahukan adalah kepada jalan yang lurus. Akan tetapi apakah jenis hidayah yang kita harapkan daripada Allah?

Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Al-Qur’an.

– tunjuk jalan, dan
– pimpin.

Namun, apakah bezanya antara kedua perkataan itu? Nampak seperti sama sahaja. Dari segi bahasa Arab, kalau ada huruf jar seperti إلى selepas sesuatu kalimah itu, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada huruf jar, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Apakah bezanya?

Kalau ‘tunjuk’, ia hanya sekadar tunjuk/beritahu jalan sahaja. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan kerana destinasi tujuan kita tidak biasa pergi, kita minta seseorang beritahu kita bagaimana cara dan jalan ke tempat itu. Dia pun ajar kita bagaimana hendak ke sana. Ikut jalan apa, tanda apa kena lihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin sesat, bukan?

Namun kalau ‘pimpin’, maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang dituju. Dia masuk sekali dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi kita. Inilah yang kita lebih suka, bukan? Maka, dalam Surah Al-Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’. Inilah yang kita harapkan daripada Allah. Kita minta Allah pandu kita sepanjang perjalanan.

Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman? Sebab kita bukan minta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tetapi kita mahukan Allah pimpin kita sampai ke syurga. Ulama’ tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayah itu sentiasa menjaga anaknya itu, kalau nampak hampir rebah sahaja, ayahnya sudah pegang dan selamatkan dirikan.

Kita akan mendapat hidayah kalau dalam hati kita ada inabah. Maksudnya adalah ‘condong kepada kebenaran’. Orang yang ada inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk kenal Allah dan kenal agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.

1. Sifat inabah adalah permulaan hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Maknanya dia mahu mengenali dan mendekati Allah.

2. Peringkat kedua, selepas di mula belajar, dia akan mula hidup dengan ikut syariat.

3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Kalau dia duduk diam belajar, tidak menjadi apa-apa. Akan tetapi kalau mula dakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu sama ada dalam bentuk dalaman atau pun luaran. Kalau dalam bentuk dalaman, dia akan mula rasa malas dan sebagainya.

Kalau luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk melihat hamba itu ada kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi pun teruk diuji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman. Paling kurang kita akan dituduh sebagai ‘wahabi’.

4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka dia hendaklah memohon keteguhan hati daripada Allah.

Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’. Iaitu hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Selepas ini, tidak kira apa sahaja dugaan dan cubaan, dia akan tetap di atas iman. Inilah tahap yang kita mahu dan harap kita dapat capai.

Kedudukan yang tinggi ini, kita kena minta kepada Allah. Inilah yang kita minta kepada Allah dalam Surah Al-Fatihah ini. Allah tidak akan menghampakan harapan hamba-Nya yang meminta kepada-Nya.

Saidina Umar pernah berkata: kalau seseorang itu Allah telah beri taufik kepadanya untuk berdoa, maknanya Allah sudah hendak berikan apa yang dia minta itu. Kerana kalau Allah tidak mahu beri, Allah tidak campakkan pun perasaan untuk meminta.

Segalanya kita kena minta kepada Allah. Oleh itu, eloklah guna tempat dan masa yang doa senang dimakbulkan. Dan lebih molek lagi kalau kita berdoa dengan lafaz doa yang Nabi sendiri ajar. Kalau belum tahu, bolehlah guna doa dengan bahasa kita sendiri.

Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Al-Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Robtul Qalbi yang telah disebutkan. Kita akan diberikan dengan apa yang kita doakan. Kalau yang kita minta adalah Robtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Kalau kita tidak minta, Allah tidak berikan.

Namun bukankah kita melafazkan doa yang sama? Maka tentu kita sudah mendapat Robtul Qalbi itu kerana kita setiap hari doa, bukan? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, tetapi permintaan mereka tidak sama.

Sebagai analogi, seorang anak kecil yang meminta duit, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Anak kecil itu, mungkin menginginkan beberapa sen sahaja tetapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit. Mereka kedua-dua ‘minta duit’, tetapi harapan mereka berbeza.

Maka yang diminta itu pun tahu apakah maksud yang meminta. Dan tentu Allah lebih tahu apa yang dalam hati kita.

Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ia adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat sehari-hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ia bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.

Jalan Orang-orang Yang Telah Diberi Nikmat:

Ayat seterusnya adalah ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ  yang bermaksud jalan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah. Ada empat golongan yang dimaksudkan, seperti yang Allah sebut dalam Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat ini, disebut empat golongan itu:

1 Para Nabi. Kita tidak ada ikhtiar untuk menjadi Nabi. Yang kita boleh jadi adalah ‘pengikut-pengikut Nabi’. Yang tiga lagi boleh untuk kita usahakan untuk mencapainya.

2. Siddiqeen. Pengikut setia para Nabi.

3. Syuhada. Golongan pejuang.

4. Orang-orang yang Soleh. Iaitu mereka yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi.

Golongan-golongan yang Derhaka:

Kalimat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ – Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat. Ada 4 golongan ini yang dimaksudkan dalam Al-Qur’an.

Kalimat المَغضوبِ عَلَيهِم – Yang dimurkai adalah golongan Yahudi dan musyrikin. Ini adalah dua golongan yang amat susah untuk diperbetulkan kerana mereka degil sungguh. Mereka bukannya tidak tahu, tetapi degil dan degil itu tiada ubatnya melainkan dia sendiri yang sedar.

Kalimat الضّالّينَ  – Golongan yang sesat. Yang dimaksudkan adalah Nasara dan munafiqin. Ini adalah jenis golongan yang kufur jahil. Mereka tidak ada ilmu dan kerana itu senang ditipu.

Semua empat golongan ini dihuraikan dalam Al-Qur’an dengan panjang lebar di dalam banyak surah. Kita kena tahu ciri-ciri mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka.  Takut-takut kita ada perangai mereka. Sebagai contoh, takut kita mengutuk bangsa Yahudi tetapi tidak perasan kita pun ada perangai mereka.

Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan bangsa Yahudi.

Surah Ali Imran pula banyak menyentuh kesesatan Nasara.

Surah An-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan munafikin.

Surah Al-Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan munafik.

Kemudian Surah Al-An’am dan Al-A’raf pula adalah tentang golongan musyrikin. Iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tetapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik (menduakan Allah atau salah satu sifat-sifat Allah).

Itulah semua surah-surah awal dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat  غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Kita kena belajar dan periksa diri kita takut-takut ada sifat-sifat mereka ada dalam diri kita.

Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tetapi ada dua jenis kesesatan.

Yang dimurkai itu bukan kerana dia jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan dia belajar tetapi dia degil. Telah sampai maklumat yang benar dan dia pun sudah faham tetapi dia degil untuk terima. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut dalam hadith. Mereka tahu kebenaran tetapi menolaknya.

Sampai sekarang mereka belajar isi Al-Qur’an tetapi tujuannya hanyalah untuk menentang Islam. Dan begitulah juga Musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Al-Qur’an kerana ia dalam bahasa mereka tetapi mereka tolak juga.

Golongan Sesat الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Sepertimana golongan sufi dan tarekat yang kononnya mahu mendapat agama melalui cara pintas. Mereka tidak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bid’ah mereka. Mereka mencari Tuhan dan hendak merapatkan diri dengan Tuhan tetapi dengan cara yang salah.

Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadith. Allah sudah ajar ciri-ciri Tuhan dan cara untuk mendekatkan diri dengan cara yang benar tetapi mereka mahu menggunakan cara sendiri – akhirnya mereka sesat.

Akan tetapi mereka ini lebih baik sedikit daripada golongan yang pertama. Sebab mereka mungkin boleh boleh diajak belajar dan bila mereka sudah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita hanya perlu mengajak mereka belajar sahaja dahulu.

Di akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tetapi golongan  Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal.

Tentang sikap mereka terhadap Islam ini, Allah sebut dalam Maidah: 82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun seperti itu juga. Mereka akan menentang jalan sunnah. Memang susah sangat untuk mereka terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka.

Syirik ini memang susah keluar daripada manusia apabila sudah masuk. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa supaya kita diselamatkan daripada fahaman dan daripada melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita sudah belajar, kita kena doa diselamatkan kerana kita bukan kebal.

Ketika zaman Nabi pernah para sahabat berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri masuk Islam.

Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka menjadi sesat itu sebab malas belajar sahaja. Kita kena heret mereka datang belajar. Maknanya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, maka jangan malas belajar.

Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tetapi belajar kitab Injil. Iaitu kitab yang salah. Macam orang kita yang belajar juga, tetapi kitab yang salah mengakibatkan salah faham dalam agama. Macam-macam dan berjenis-jenis kitab mereka telah buka dan belajar, tetapi Tafsir Al-Qur’an dan Syarah Hadith mereka tidak sentuh lagi pun.

Soalan: kenapa tidak disebut munafiqin dalam golongan-golongan ini? Mereka juga dikira sebagai lembut sedikit kerana mereka boleh terima sedikit sebanyak agama Islam. Macam munafik zaman Nabi, mereka duduk dengan Nabi dan sahabat, bergaul bersama mereka, siap solat belakang Nabi.

Zahirnya mereka nampak seperti menerima Islam tetapi batinnya tidak Islam. Masih ada yang tidak cuci lagi dalam diri mereka. Akan tetapi, kerana mereka sanggup duduk dengan Rasulullah dan para sahabat yang mukmin, mereka lama kelamaan boleh terima juga terima Islam. Ini kerana mereka terus duduk bersama Nabi, terus dengar Al-Qur’an, maka lama-lama mereka masuk Islam juga akhirnya.

Sebab itu tidak disebut nama mereka satu persatu kerana mereka ada yang sudah berubah dan Allah tidak mahu memalukan mereka. Kalau dahulu mereka munafik, maka itu adalah dahulu dan Allah boleh ampunkan.

Allahu a’lam. Tammat sudah Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah ini. Boleh sambung baca tafsir yang ijmali tentang surah ini lagi di sini.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 1 – 2 (Pengenalan nama Al-Fatihah)

Pengenalan:

Walaupun Surah Al-Fatihah ini pendek sahaja, namun ia mewakili seluruh makna Al-Qur’an 30 juzuk (ringkasan). Sebab itu solat sah sekiranya dengan hanya membaca Surah Al-Fatihah sahaja dalam setiap rakaat. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami maksud Surah Al-Fatihah kerana dengan memahaminya, seolah-olah kita memahami ringkasan seluruh Al-Qur’an.

Kalau sesiapa baru masuk Islam, Surah Al-Fatihah adalah surah pertama yang mesti diajar kepada mereka supaya mereka dapat memahami kesimpulan Al-Qur’an. Dan tentunya supaya mereka boleh terus solat.

Semasa kita di dalam solat, kalau kita dapat faham maksud Surah Al-Fatihah, ia akan memberi kesan yang mantap dan mendalam dalam solat kita. Inilah salah satu cara untuk membolehkan kita khusyuk dalam solat. Kita boleh menjadi khusyuk kalau kita memahami apa kita lafazkan. Dan kita diingatkan tentang keseluruhan agama Islam dan ajaran Al-Qur’an di dalam solat kita itu.

Nama Surah Al-Fatihah

Ada banyak nama yang digunakan untuk Surah Al-Fatihah selain daripada ‘Al-Fatihah’ itu sendiri. Perkataan ‘Fatihah’ itu maksudnya ‘pembukaan’. Ia bermaksud ‘Pembukaan’ kepada Al-Qur’an. Ia juga memberi isyarat ‘penutup’. Maka ia adalah amat indah sekali, kerana ada maksud buka dan maksud tutup – dan itu maksudnya lengkap kerana ada buka dan ada tutup.

Sepertimana Surah Yusuf yang ada pembukaan dan penutupan di dalam awal surah itu. Kerana itulah ia adalah ahsanul qasas – sebaik-baik kisah. Nanti kita akan belajar bagaimana daripada mimpi yang ringkas di awal surah itu, sudah ada rumusan keseluruhan kisah baginda. Maka ia adalah kisah yang indah. Begitu juga dalam lafaz ‘Al-Fatihah’, sudah ada isyarat kepada penutup.

Seperti yang kita sebut, Surah Al-Fatihah ini ada banyak nama. Daripada banyak nama-nama Surah Al-Fatihah itu, kita akan bahaskan dua sahaja daripada nama-nama tersebut. Ia adalah dua nama Surah Al-Fatihah yang paling terkenal: Ummul Qur’an dan Taklimul Mas’alah.

1. Ummul Qur’an

Ia bermaksud ‘Induk Al-Qur’an’ atau ‘Ibu Al-Qur’an’. Oleh kerana Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, apabila kita sudah belajar makna Surah Al-Fatihah, maka kita telah telah belajar ringkasan seluruh Al-Qur’an.

Ini menunjukkan betapa pentingnya Surah Al-Fatihah ini. Perkara-perkara penting dalam keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu ada dalam Surah Al-Fatihah. Iaitu, semuanya telah disebut dalam Al-Fatihah dalam bentuk isyarat. Ia akan jelas kepada mereka yang belajar.

Untuk mula memahaminya, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Al-Qur’an:

1. Tauhid
2. Risalah (kerasulan)
3. Akhirat
4. Ahkam (hukum dan undang-undang)
5. Keadaan orang yang taat
6. Keadaan orang yang derhaka

Apabila dikatakan Surah Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, maka keenam-enam perkara itu mesti ada dalam Surah Al-Fatihah.

1. Tentang Tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

2. Tentang Akhirat disentuh dalam ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

3. Tentang Risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepada-Nya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.

4. Tentang Ahkam, iaitu tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. Oleh itu, ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang Risalah.

5. Keadaan mereka yang taat dan diberi nikmat disentuh dalam potongan ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada Risalah (Kerasulan). Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat kerana mereka telah taat.

6. Tentang keadaan orang yang derhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Di atas adalah cara pembahagian yang pertama. Iaitu Al-Qur’an 30 juzuk dibahagikan kepada enam bahagian. Ada lagi cara pembahagian yang kedua.

Sebelum pergi lebih jauh, kita kena tahu bahawa semua ajaran kitab-kitab Samawi (langit) seperti Taurat dan Injil, ada dimasukkan dalam Al-Qur’an. Dihimpunkan semuanya sekali dalam Al-Qur’an.

Tetapi oleh kerana persamaan dalam semua ajaran Nabi-Nabi adalah dalam hal akidah, maka yang disebut hanyalah tentang akidah sahaja. Tentang syariat, tidak disebut kerana syariat Nabi-Nabi terdahulu telah dimansuhkan/tidak diamalkan lagi, maka tidak perlu disebut lagi. Selain daripada Hukum Aqidah, Hukum Akal juga dimasukkan kerana boleh digunakan sampai ke Hari Kiamat.

Oleh kerana kita umat Nabi Muhammad tahu perkara ini, maka kitalah nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak untuk menyatakan persamaan yang ada dalam segala kitab-kitab itu. Kitalah nanti yang akan menjadi saksi kepada para Nabi-Nabi yang terdahulu yang mereka telah menyampaikan risalah mereka.

Bagaimana kita tahu? Kerana ia ada disebut dalam Al-Qur’an. Bagaimana kita tahu? Kerana kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan kita boleh sampaikan dan kita boleh menjadi saksi. Namun kalau kita tidak belajar, bagaimana kita boleh menjadi saksi?

Baik, setelah dikumpulkan semua ajaran Kitab-kitab Samawi itu dalam Al-Qur’an, Al-Qur’an itu boleh dibahagikan pula kepada 4 bahagian dari sudut Tauhid atau dari sudut ketuhanan. Pembahagian ini hanya berkenaan tauhid atau tentang Allah sahaja kerana tujuan utama kita belajar wahyu adalah untuk kenal Allah. Ini penting kerana untuk taat kepada Allah, kita kenalah kenal Dia dulu.

Keempat-empat bahagian itu boleh dikatakan telah dibahagikan sama rata dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh kenal pembahagian itu kerana semua bahagian itu dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.

Ada empat surah yang dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.

– al-Fatihah
– al-An’am
– al-Kahf
– Saba’

Kalau kita lihat secara kasar, kita akan nampak bagaimana pembahagian itu adalah sama rata. Setiap bahagian itu mewakili sifat-sifat khas Allah yang perlu diketahui oleh hamba. Tiga bahagian tentang kehidupan di dunia, dan satu bahagian tentang kehidupan di akhirat.

Kita akan lihat bagaimana Al-Qur’an 30 juzuk itu dibahagikan kepada empat bahagian dan bagaimana dalam Surah Al-Fatihah juga akan ada pembahagian sebegitu. Ini adalah kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an yang mewakili keseluruhan Al-Qur’an.

Mari kita lihat Pembahagian tersebut di dalam Al-Qur’an 30 juzuk dahulu:

A. Bahagian Pertama adalah daripada Surah Al-Fatihah sampai kepada Surah Maidah.

Dalam bahagian ini, Allah banyak menceritakan tentang sifat Khaliqiah-Nya (Penciptaan-Nya). Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia sahaja yang berkuasa dan Maha mencipta. Tiada lagi Dzat lain yang boleh mencipta. Oleh itu, hanya Allah sahaja yang layak kita minta pertolongan di dunia dan di akhirat. Sebab yang lain Allah tidak ada kuasa mencipta.

Itulah penekanan dalam bahagian pertama ini. Selain dari itu, memang ada perkara-perkara yang lain tetapi penekanan keseluruhan adalah Sifat Khaaliq Allah.

‘Mencipta’ itu bermaksud menjadikan sesuatu daripada ‘tidak ada’ kepada ada. Ini berbeza dengan menjadikan sesuatu daripada benda yang sudah ada. Sebagai contoh, kita mencipta kereta daripada  besi yang dijadikan oleh Allah. Dalam bahasa Arab digunakan perkataan ‘menyusun’ sahaja.

B. Bahagian Kedua adalah daripada Surah al-An’am sampai Surah al-Isra’ – kita boleh lihat bagaimana Surah al-An’am juga dimulakan dengan lafaz ‘alhamdulillah’ – Bahagian kedua ini menekankan sifat Rububiyyah Allah. Iaitu Sifat Allah yang Maha Memelihara ciptaan-Nya.

Allahlah sahaja yang menjaga makhluk-Nya daripada permulaan sehingga sampai ke tahap kesempurnaan. Dan kemudian Dia terus menjaga makhluk-Nya tanpa membiarkan mereka begitu sahaja. Tujuan bahagian ini adalah supaya kita tahu dan ingat yang Allahlah sahaja yang memelihara alam ini.

Selepas Dia cipta, Dia tidak biarkan begitu sahaja. Oleh itu, hanya kepada-Nya sahaja yang kita patut sembah dan tidak ada pujaan yang lain.

C. Bahagian Ketiga bermula daripada Surah al-Kahf sampai Surah al-Ahzab. Bahagian ini menekankan sifat Allah al-malikul wa tasarruf (memiliki dan mengurus sekalian hamba). Allah tidak berkongsi urusan pengurusan alam ini dengan sesiapa pun.

Hanya Allah sahaja yang mengurus alam ini dan Allah tidak memberikan tugas pengurusan ini kepada entiti yang lain. Maka, hanya Allah sahaja yang layak disembah kerana tidak ada yang mempunyai sifat yang sama.

Itulah tiga sifat tauhid yang pertama. Ketiga-tiga sifat ini ada hubungan dengan kehidupan di dunia.

D. Bahagian Keempat bermula daripada Surah Saba’ sampai ke hujung Al-Qur’an. Bahagian ini hendak menekankan yang Dialah sahaja Dzat yang memiliki kuasa syafaat pada Hari Pembalasan. Tidak ada kuasa lain yang boleh memberi syafaat melainkan dengan izin-Nya sahaja. Maka, kenalah minta syafaat kepada-Nya sahaja, jangan minta kepada yang lain.

Inilah satu Sifat yang berkaitan dengan kehidupan di akhirat. Ia mengingatkan kita bahawa sekiranya hubungan kita baik dengan Allah semasa di dunia, kita akan mendapat kehidupan yang baik di akhirat kelak.

Dan oleh kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an,  ringkasan kepada seluruh Al-Qur’an, maka keempat-empat elemen ini ada dalam Surah Al-Fatihah. Mari kita lihat bagaimana:

A. Dalam Al-Fatihah, ayat pertama الْحَمْدُ لِلَّهِ mewakili bahagian pertama. Maksudnya Allahlah sahaja yang berhak dipuji. Perkataan الله dalam ayat ini membawa maksud ‘Pencipta’. Bagaimana pula?

Ini kerana ia dinisbahkan kepada pemahaman orang Arab Mekah. Apabila disebut nama الله, orang Mekah terus ingat kepada sifat Pencipta Allah. Ini adalah makruf kepada mereka (mereka memang sudah tahu). Mereka sudah tahu yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Tidak dipertikaikan fakta ini pada mereka.

Maksud ‘mencipta’ adalah bermaksud mengadakan sesuatu yang tidak ada langsung kepada menjadi ada. Ini khas kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh buat.

B. Bahagian kedua diwakili oleh ayat رَبِّ الْعَالَمِين. Rabb bermaksud ‘Tuhan yang mencipta dan memelihara’. Allahlah yang memelihara selepas Dia mencipta. Allah tidak membiarkan ciptaan-Nya itu begitu sahaja.

C. Bahagian ketiga diwakili oleh ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. Ia mewakili sifat Allah yang memiliki, mengurus dan mentadbir. Allahlah sahaja yang menguruskan segala hajat dan keperluan hamba. Allah mengurus alam ini dengan sifat rahmah-Nya. Segala urusan apa pun, diurus oleh Allah, sama ada kecil atau besar.

D. Bahagian keempat diwakili oleh ayat مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ. Ayat ini tentang akhirat dan Allah dalam bahagian ini yang hanya Dia yang berkuasa penuh di Hari Kiamat nanti. Tidak ada boleh berkuasa atau memberi syafaat tanpa keizinan Allah. Waktu itu semua berharap syafaat dan syafaat itu hanya boleh diberikan oleh Allah.

Tiga ayat Al-Fatihah ini adalah induk kepada keseluruhan Al-Qur’an. Ia merangkumi empat bahagian daripada Al-Qur’an seperti yang telah kita sebutkan. Apabila kita sudah faham, maka setiap kali kita membaca ayat-ayat daripada Surah Al-Fatihah ini, kita akan teringat kepada Allah dan sifat Tauhid-Nya itu.

Kita akan teringat kepada bahagian-bahagian tauhid dalam Al-Qur’an yang diwakili itu. Itulah kepuasan seorang hamba. Seorang hamba sepatutnya selalu hendak belajar tentang Allah. Itulah ilmu yang sentiasa dirindui dan dia akan mahu belajar lagi dan lagi.

Mana pula Basmalah? Basmallah tidak terkecuali. Dalam Basmalah, ada rumusan tiga ayat selepasnya, yang mewakili empat bahagian Tauhid Allah. Tetapi, disebut dua sifat dan dihazafkan dua lagi sifat kerana sudah diketahui. Ini adalah salah satu daripada kaedah bahasa Arab. Menggunakan konsep ringkasan. Bagaimana?

– sebut الله tapi hazafkan رَبِّ الْعَالَمِينَ.
– sebut الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ tetapi hazafkan مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ.

Selain daripada itu, ulama’ tafsir ada juga taqdirkan (menjelaskan maksud) sebelum huruf ب dengan lafaz ‘aku mulai’ atau ‘aku baca’ kerana tidak boleh dalam bahasa Arab mula perkataan dengan huruf jar. Maknanya, tidaklah basmalah itu hanya ‘Dengan nama Allah’ sahaja, tetapi ia berbunyi: “Aku mulai dengan Nama Allah”. Ini adalah mengikut munasabah mereka (Yang mereka fikirkan sesuai). Maksudnya, ia adalah pendapat dan ijtihad mereka.

Selain itu, ada satu lagi cara di mana taqdir itu dinisbahkan kepada ayat Al-Qur’an. Ini lebih baik kerana kita ambil daripada pemahaman dalam ayat Al-Qur’an sendiri. Seperti yang kita telah belajar, dalam Al-Fatihah, ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ merupakan kesimpulan Surah Al-Fatihah. Maksudnya kita meminta taufik dan hidayah daripada Allah.

Maka taqdir yang digunakan: “Dengan nama Allah, aku minta bantuan supaya memberi taufik dan hidayah kepadaku.”

Surah-surah Hamim Tujuh dan Intipati Al-Qur’an

Setiap sesuatu ada intipatinya dan intipati bagi Al-Qur’an itu adalah ‘Ha mim Tujuh”. Ini merujuk kepada tujuh surah yang berturutan dalam Al-Qur’an yang semuanya dimulai dengan lafaz haa mim.

Dakwa dalam Surah-surah Hamim Tujuh adalah: ‘mengesakan Allah dalam doa’. Ia mengajar kita untuk memohon dan merayu hanya pada Allah dan tidak berdoa kepada selain-Nya.

Sebelum Surah-surah Hamim Tujuh itu, ada Surah az-Zumar (Surah ke 39). Surah az-Zumar ini seolah-olah sembah pembuka kepada Surah-surah Hamim Tujuh. Dakwa dalam Surah az-Zumar pula adalah ‘tauhid dalam ibadah’. Ia mengingatkan kita bahawa ibadah hanya boleh dilakukan kepada Allah.

Dan setelah kita melakukan ibadat, barulah kita berhak untuk merayu dan berdoa kepada Allah. Oleh itu, susunan dalam Al-Qur’an adalah Zumar (ibadat) dan kemudian Surah-surah Hamim Tujuh (doa).

Cantuman daripada dua perkara inilah khulasah (kesimpulan) kepada keseluruhan Al-Qur’an. Apakah khulasah itu? – Ibadah dan doa *hanya* kepada Allah. Kita akan belajar dengan panjang lebar nanti apabila kita masuk kepada pentafsiran surah-surah tersebut.

Dan wakil kepada khulasah Al-Qur’an ini adalah ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ yang juga adalah Dakwa bagi Surah Al-Fatihah. Apabila perkataan إِيَّاكَ diletakkan di permulaan ayat, ia menunjukkan elemen ‘khusus’ atau ‘eksklusif’. Maksudnya *hanya* Allah sahaja.

Kalau letak di belakang (na’budu iyyaka), ia menjadi tidak eksklusif lagi kerana dari segi bahasa, ia boleh bermakna yang kita mungkin boleh sembah yang lain juga. Namun bila ia diletakkan di hadapan, ada makna eksklusif di situ. Maksud eksklusif itu adalah menafikan yang lain. Ia membawa maksud tauhid dari sudut balaghah.

Hanya Allah sahaja yang layak kerana hanya Allah ada sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Oleh itu, hanya lakukan ibadat kepada Allah sahaja. Itu adalah dalam hal agama, dan dalam hal dunia (muamalat), kita akan taat (ubudiah) kepada peraturan yang Allah tetapkan. Begitulah cara untuk hidup sebagai hamba yang taat.

Yang berkait rapat dengan ibadah adalah *doa*. Doa adalah ‘otak ibadah’. Ia adalah amat penting dalam ibadah jadi jangan lupa untuk berdoa. Dan daripada mafhum ayat Al-Qur’an, doa selepas melakukan ibadat tidak ditolak. Allah telah berfirman dalam Al-Qur’an Sharh:7:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

Amal soleh yang lain yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘berdoa’. Begitu juga, kita dalam lihat bagaimana Nabi Musa telah berdoa selepas baginda membantu anak-anak Nabi Syuaib. Ini mengajar kita untuk berdoa selepas melakukan kebaikan sama ada dalam bentuk ibadat ataupun kebaikan dalam bentuk yang lain.

Kalimat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ – dihuraikan dalam Surah az-Zumar. Ia menerangkan maksud ‘Tauhid fil ibaadah’ – Tauhid dalam Ibadah. Dakwa Surah Zumar terdapat pada ayat ke 3 surah itu.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ إِنَّ اللهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ كاذِبٌ كَفّارٌ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

Lafaz الدّينُ dalam ayat di atas bermaksud ‘ibadah’. Dalam Qur’an الدّينُ ada 4 makna:

A. Ibadat
B. Doa
C. Pembalasan. Pembalasan hari kiamat. Macam مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ.
D. Agama. Pegangan dan cara hidup. Kena ada dua-dua elemen barulah dipanggil deen.

Kalimat  إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ – dihuraikan dalam Surah Hamim Tujuh. Tauhid fi dua. Dakwa ketujuh tujuh surah ini terletak dalam ayat 14 Surah Ghafir.

Maka ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ dan إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ itu adalah mewakili tugas manusia untuk sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Sebelum ini kita sudah belajar bagaimana tiga ayat sebelumnya mewakili empat bahagian tauhid. Setelah kenal Allah, maka hendaklah ibadat dan doa kepada Allah sahaja.

Saidina Abu Bakr pernah menyatakan yang rahsia Al-Qur’an terletak dalam Surah Al-Fatihah. Dan rahsia Surah Al-Fatihah itu terletak dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ini.

Demikianlah huraian kenapa Surah Al-Fatihah dikenali sebagai Ummul Qur’an.

2. Nama kedua bagi Surah Al-Fatihah yang akan kita bentangkan adalah Taklimul mas’alah (mengajarkan cara meminta). Dalam Surah Al-Fatihah ini Allah mengajar kita cara meminta/berdoa kepada-Nya.

Allah ajar cara berdoa kepada-Nya supaya hamba tidak berdoa dengan cara lain. Kerana akal kita yang lemah tidak akan dapat mencapai cara untuk mengetahuinya sendiri. Seperimana kita orang kampung, tentu tidak tahu bahasa istana, bukan? Maka, daripada kita berdoa kepada-Nya tidak tentu hala, Allah ajar bagaimanakah cara untuk berdoa kepada-Nya dengan cara yang benar.

Maknanya ayat-ayat dalam Al-Qur’an ini adalah suruhan Allah kepada kita membaca sebagaimana yang diajar-Nya. Kita kena ‘taqdir’ (tambah) lafaz sebelum ayat-ayat dalam dalam Fatihah.

Quulu sebelum baca Basmalah
Quulu sebelum baca tiga ayat pertama
Quulu sebelum ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Quulu sebelum ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ hingga akhir surah.

Quulu bermaksud: “katakanlah”. Maknanya Allah suruh kita melafazkan ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah itu.

Allah mengajar kita untuk memuji-Nya sebelum berdoa kepad-Nya. Inilah maksud ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ayat-ayat seterusnya. Allah suruh kita puji Dia terlebih dahulu sebelum terus meminta apa yang kita hendak daripada Allah.

Dan pujian yang pertama adalah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Selalunya diterjemahkan ‘segala puji kepada Allah’. Bagaimana timbul tambahan ‘segala puji’ itu? Ini adalah kerana ada penerangan dari segi bahasa.

Apabila ada ال di hadapan حمد itu,  dalam kaedah bahasa Arab, ia menjadikan satu bentuk “isim makrifah” atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai “definite article” di mana kalimah الْحَمْدُ itu menjadi ‘the praise’. Satu bentuk kata nama yang spesifik.

Maka, kalau diterjemah secara ‘direct transliteration’ kepada Bahasa Melayu – ia menjadi “pujian itu kepada Allah”. Namun begitu, terjemahan begini tidak berapa kemas dan tidak tepat, kerana ia tidak merangkumi maksud “definite article” yakni maksudnya itu belum spesifik atau khas lagi. Kena tambah perkataan lain untuk merangkumkan maknanya mengikut lafaz asalnya dalam Bahasa Arab.

Maka, terjemahan yg lebih tepat ada dua:

1. Segala puji itu bagi Allah, atau,

2. Pujian itu hanya tertentu bagi Allah sahaja.

Akan tetapi mungkin ada persoalan, takkan ‘segala’ puji bagi Allah sahaja, sedangkan kita pun ada puji yang lain. Kita pun ada puji orang lain yang baik-baik juga, bukan?

Oleh itu, ulama’ akan tafsir begini: walaupun kita puji selain Allah, segala puji itu pergi juga kepada Allah. Kerana kalau orang itu baik pun, Allah juga yang menjadikannya baik, bukan? Kalau cantik orang itu, kerana Allah yang menjadikannya cantik, bukan? Maknanya, panjang juga untuk kita menjelaskannya.

Satu cara lagi adalah kita menisbahkan pujian dalam الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ itu kepada sebab Al-Qur’an diturunkan. Al-Qur’an mula sekali diturunkan kepada Arab Mekah. Kita kena tahu yang orang Arab Mekah memang sudah sekian lama menggunakan lafaz الْحَمْدُ sebelum Islam lagi. Mereka tujukan pujian itu kepada ilah-ilah mereka.

Allah beritahu yang apa mereka lakukan itu amat salah. Kalimah الْحَمْدُ hanya layak ditujukan kepada Allah sahaja. Yang mereka beri pujian الْحَمْدُ kepada ilah-ilah mereka itu, sepatutnya hanya untuk Allah sahaja. Iaitu pujian yang ‘khusus’. Bukan ‘semua’ pujian, tetapi ‘pujian khusus’ yang layak diberikan kepada ilah sahaja.

Kita juga kena faham maksud lafaz رَبِّ. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan yang mencipta’ sahaja. Sebab Arab Mekah sudah terima yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Ia juga ada membawa maksud ‘memelihara’. Allah beritahu yang Dia sahaja yang memelihara. Sebagaimana Allah memelihara kita semenjak bayi lagi. Bayi itu dapat apa yang dia perlukan padahal kita tidak tahu pun apa bayi itu cakap. Walaupun nampak daripada zahir emak ayah yang pelihara, namun sebenarnya semuanya Allah yang pelihara.

Lafaz رَبِّ juga bermaksud yang membawa kepada tahap kesempurnaan sedikit demi sedikit. Inilah yang dinamakan ‘tarbiah’. Seperti kita ditarbiyah semenjak kecil sampai dewasa,  membesar sedikit demi sedikit. Tidaklah lahir sahaja terus dewasa.

Ada dua syarat untuk tarbiah menjadi sempurna dan layak dipanggil sebagai ‘tarbiah’:

1. Yang melakukan tarbiah itu dapat menyelamatkan daripada bahaya dan gangguan. Sepertimana kita bercucuk tanam, kita memasang pagar untuk memelihara tanaman itu untuk melindungi daripada perkara-perkara yang boleh membahayakan pokok itu.

2. Memasukkan benda yang perlu untuk kebaikan perkara yang ditarbiah itu. Seperti pokok yang kita tanam itu, kita kena meletakkan baja untuk bagi ia hidup lebih subur. Inilah yang dinamakan pengisian.

Oleh itu, tarbiah rohani manusia pun kena ada kedua-duanya. Kena bebaskan daripada perkara yang boleh merosakkan rohani manusia itu. Dan kena beri pengisian rohani.  Iaitu diisi dengan ilmu dan didikan.

Kita selalunya menjaga jasmani dengan makan makanan yang baik, menjaga kebersihan dan sebagainya. Akan tetapi yang lebih penting daripada jasmani adalah roh kita. Kerana rohlah yang menyebabkan jasmani kita bernilai. Kalau roh sudah tidak ada pada jasad, orang itu dianggap mati dan manusia lain akan menanam jasad itu dalam tanah.

Namun kita kena ingat yang roh kita ini pun ada rohnya juga. ‘Roh kepada roh’ kita adalah Al-Qur’an. Allah telah mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah ‘roh’ dalam ayat-ayat Al-Qur’an juga. Sebagaimana roh manusia yang menyebabkan jasmaninya bernilai, begitu juga roh Al-Qur’an inilah yang menyebabkan roh manusia bernilai. Kalau tidak ada Al-Qur’an dalam roh manusia itu, maka roh manusia itu tidak bernilai, layak masuk neraka sahaja. Oleh itulah jelaslah betapa pentingnya Al-Qur’an ini dan kerana itulah Allah turunkan Al-Qur’an ini kepada kita.

Lafaz seterusnya adalah lafaz الْعَالَمِينَ. Banyak pendapat telah diberikan oleh ulama’ tentang maksud lafaz ini. Kita bentangkan tiga daripadanya yang masyhur:

1. Ia diambil daripada perkataan علم yang bermaksud ‘alamat’ dari segi bahasa. Kerana semua makhluk adalah ‘alamat’ kepada Qudrat Allah. Dengan kita melihat kepada alamat itu, kita boleh melihat hebatnya Qudrat Allah dalam mencipta. Setiap kejadian alam ini mengingatkan kita kepada Allah.

2. Alam dalam bentuk yang jamak. علم adalah mufrad/singular dan الْعَالَمِينَ adalah dalam bentuk jamak/plural. Iaitu ia merujuk kepada semua yang dicipta dalam alam ini. Dan alam yang paling penting adalah manusia dan jin. Kerana dua makhluk inilah yang dipertanggungjawabkan dengan syariat.

Dan kerana semua yang lain yang dicipta adalah untuk manusia dan jin. Bumi langit dan lain-lainnya adalah dicipta untuk manusia dan jin.  Dunia ini adalah tempat untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian di dunia telah selesai dan Kiamat sudah berlaku, alam ini semuanya akan hancur berkecai dan tidak berguna lagi.

3. Akhir sekali, ada yang mentafsir maksud الْعَالَمِينَ sebagai ‘segala kaum’ di dunia ini. Allah telah memilih Nabi yang diutuskan untuk setiap kaum – setiap kaum ada nabinya masing-masing. Tetapi Nabi Muhammad diutuskan untuk segala kaum. Dan Al-Qur’an itu diturunkan bersama dengan Nabi Muhammad. Maka Al- Qur’an ini untuk segala kaum. Al-Qur’an ini sesuai untuk semua kaum. Dan sesuai untuk digunakan untuk semua zaman.

Itulah antara tiga tafsir bagi lafaz الْعَالَمِينَ. Telah selesai tafsir ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir Surah al-Falaq Ayat 3 – 5 (Bahaya hasad)

Ayat 3: Ayat 3 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada kejahatan malam.

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From the mischief of Darkness as it overspreads;

(MALAY)

Dan daripada bahaya kegelapan apabila ia masuk;

 

Perkara kedua yang kita perlukan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ adalah ‘Kegelapan Malam’. غَاسِقٍ lebih tepat lagi, adalah ‘awal malam’. Iaitu apabila hari menjadi semakin gelap.

Atau ia boleh bermaksud ‘kegelapan bulan’ dan bulan memang datang pada waktu malam. Maka secara umumnya, ia bermaksud waktu malam.

Dalam ayat ini, kita diajar untuk meminta perlindungan daripada keburukan malam. Ini kerana, pada waktu malam banyak perkara tersembunyi daripada pancaindera kita. Kita tidak tahu apa yang berlaku di hadapan mahupun di belakang kita. Kita tidak tahu apa yang boleh mengganggu kita. Kalau waktu siang, kita masih boleh lagi nampak dan boleh cuba mempertahankan diri kita. Tetapi, apabila malam, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana suasana yang gelap. Maka, kita berdoa dan berharap Allah ‎ﷻ selamatkan kita pada waktu malam.

Pada waktu malam, pelbagai perkara boleh terjadi. Seperti yang kita tahu, jenayah banyak berlaku pada waktu malam. Ini kerana penjenayah berasa lebih selesa melakukan kerja sebab orang susah nampak atau kesan. Binatang berbisa juga banyak keluar pada waktu malam. Masalahnya, kita tidak nampak binatang tersebut pada waktu malam dan ramai yang terkena sengatan binatang berbisa pada waktu malam.

Oleh itu, malam amat berbeza dengan siang. Hendak berjalan juga bahaya kerana banyak kita tidak nampak. Namun mana mungkin kita langsung tidak akan keluar, bukan? Maka, jangan takut dengan malam tetapi mintalah Allah ‎ﷻ melindungi kita. Namun, jika kita terpaksa dan perlu untuk melakukan aktiviti pada waktu malam kerana Nabi ﷺ melarang kita melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu malam.

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ ، وَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا ، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا ،  وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada di kala senja hari, maka tahanlah anak-anak kalian, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.”

(HR. Bukhari, no. 3280, Muslim, no. 2012)

 

Perkataan وَقَبَ pula bermaksud apabila sesuatu telah tetap di mana malam sudah betul-betul gelap hingga tidak nampak langsung.

Kalimah وَقَبَ juga ada kaitan dengan bulan. Kalau bulan mengambang, air laut akan naik/pasang, bukan? Kerana ada daya tarikan bulan kepada air laut itu. Selain itu, bukankah di dalam badan kita juga ada air? Ada kajian sosiologi yang melaporkan bagaimana kejadian jenayah meningkat semasa bulan mengambang.

Seolah-olah keadaan manusia menjadi lain pada waktu bulan mengambang. Dalam bahasa Inggeris, bulan adalah ‘lunar’. Manakala orang yang gila tidak tentu arah, digelar ‘lunatic’. Mungkin itu ada kaitan dengan bulan dan malam serta bagaimana timbulnya keburukan pada waktu itu. Allahu a’lam.


Ayat 4: Ayat 4 ini adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada kejahatan sihir.

 

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From the mischief of those who practise Secret Arts;

(MALAY)

Dan daripada kejahatan yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan

Kalimah النَّفَّاثَاتِ bermaksud yang menghembus dan jenis hembusan daripada mulut yang ada air liur sedikit – bukan hembus kosong sahaja. Ia adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bersangatan. Maksudnya, yang menghembus itu, menghembus dengan banyak dan berkali-kali.

Perkataan ini dalam bentuk muannas (feminin) sebab hendak menekankan mubalaghah pada perkataan itu. Ini kerana ia dalam bentuk jamak dan nafs memang dalam bentuk muannas. Maksudnya, kita minta perlindungan daripada semua yang menghembus. Namun, ini bukanlah hembus yang biasa, tetapi hembusan yang dibuat dengan niat yang buruk – untuk melakukan sihir. Ada cara-cara yang dilakukan oleh ahli sihir untuk menjalankan sihir mereka dan salah satunya adalah dengan hembusan.

Kalimah الْعُقَدِ bermaksud ‘simpulan ikatan’. Ahli sihir ada yang mengikat pada tali dan menghembus pada tali itu dengan tujuan melakukan sihir. Seperti yang telah ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam hadith yang telah disampaikan sebelum ini. Oleh itu, perkataan النَّفَّاثَاتِ  merujuk kepada ahli sihir. Ini adalah kerana, mereka membaca jampi dan kemudian menghembus pada simpulan.

Dari segi bahasa nahu, kenapa ada ال pada perkataan النَّفَّاثَاتِ? Kita tahu apabila digunakan ال, ia adalah untuk menunjukkan sesuatu yang khusus. Kenapakah begitu? Kerana النَّفَّاثَاتِ sudah pasti ada keburukan dalamnya, kalau tidak ada niat jahat dia tidak akan lakukan sihir itu.

Namun begitu, ‘malam’ dan ‘hasad’ (yang kita juga disuruh berlindung daripadanya dalam surah ini) tidak semestinya ada niat jahat dan tidaklah semestinya ada usaha untuk melakukan keburukan. Memang ada kemungkinan ada keburukan dalam malam dan hasad, tetapi tidak semestinya ia pasti ada.


Ayat 5: Apakah sebab keburukan yang disebutkan sebelum ini? Salah satu sebabnya adalah kerana hasad dengki kerana hasad dengki juga yang menyebabkan orang melakukan sihir kepada orang lain. Maka ayat 5 ini adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada kejahatan hasad dengki.

 

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And from the mischief of the envious one as he practises envy.

(MALAY)

Dan daripada kejahatan yang dengki apabila ia dengki.

Kalimah حَسَدَ bermaksud ‘dengki’. Ia adalah perasaan benci yang timbul dalam hati kerana Allah ‎ﷻ sudah beri sesuatu kebaikan kepada seseorang yang lain. Ia boleh jadi apa-apa sahaja. Ada orang dapat kereta baru, anak, kejayaan dan sebagainya. Yang membenci ini adalah jenis orang yang tidak suka orang lain mendapat kebaikan.

Dalam masa yang sama, dia ingin kebaikan itu ditarik daripada orang yang mendapat kebaikan itu. Perasaan itu timbul dalam hati dan kemudian dikeluarkan melalui kata-kata, fitnah, atau apa-apa sahaja untuk merosakkan imej seseorang dan sebagainya. Maksudnya, dia bukan simpan sahaja perasaan itu, namun dia zahirkan perasaan itu ke dunia nyata. Ada yang dia sekadar simpan di dalam hati sahaja. Ini tidak membahayakan orang lain (memakan dirinya sendiri sahaja).

Akan tetapi, yang menjadi bahaya adalah apabila dia bertindak. Perbuatan itu pula perbuatan yang boleh merosakkan seseorang. Contohnya, kalau ada rakan sekerja dia dinaikkan pangkat, orang yang hasad itu ada membuat fitnah yang tidak benar terhadap rakannya itu, sehingga pangkatnya rakannya itu boleh ditarik balik.

Banyak sangat perasaan hasad dalam masyarakat kita. Ia timbul kerana tidak redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada orang lain. Ini adalah kerana mereka jauh daripada agama dan wahyu. Dia tidak belajar bagaimana hendak redha dan menyucikan hatinya daripada sifat-sifat buruk. Malangnya, ada sahaja rasa tidak puas hati dalam hati manusia sampai boleh menyebabkan kerosakan yang banyak. Kerosakan di dalam keluarga, masyarakat dan juga negara.

Kita minta diselamatkan daripada perbuatan orang yang hasad itu. Iaitu, apabila dia mempunyai perasaan hasad itu. Sekiranya timbul hasad sahaja, sudah ada bahaya juga sebenarnya. Kerana ayat ini berkata: ‘apabila’ إِذَا dia berhasad, bukan ‘jika’ إن dia berhasad. Ini kerana sedikit sebanyak, sudah ada keburukan yang boleh terjadi. Jikalau dia tidak melakukan sesuatu yang fizikal sekali pun, dia boleh mencederakan juga orang lain. Seperti apa yang terjadi daripada panahan ‘al-ain’ (evil eye).

‘Ain (pandangan mata jahat) merupakan satu perkara yang agak asing dalam masyarakat kita walaupun sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting untuk diketahui kerana besarnya mudarat yang boleh tertimpa ke atas seseorang melalui ‘ain. Sebagai contoh, kita takut orang dengki dengan anak kita kalau orang nampak.

Katakanlah kita mendapat anak yang comel, ada orang yang dengki melihat anak itu. Berpunca daripada perasaan dengki itu, boleh menyebabkan anak itu jatuh sakit. Itulah sebabnya, tidak digalakkan memasukkan gambar anak-anak kecil kita di dalam media sosial seperti Facebook contohnya, kerana kita tidak tahu apakah perasaan mereka yang melihat gambar-gambar itu.

‘Evil eye’ atau dalam bahasa Arab dipanggil al-Ain ini memang telah pernah terjadi di zaman Nabi ﷺ dan ada disentuh dalam Al-Qur’an juga. Iaitu dalam ayat [Qalam:51]

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ

Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Qur’an sambil berkata: “Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila”.

Terdapat banyak hadith Nabi ﷺ yang menyebut mengenai ‘ain dan ini membuktikan kebenarannya dan kewujudannya. Ia mungkin kedengaran agak janggal bagaimana pandangan mata itu boleh merosakkan, memudaratkan atau menyebabkan seseorang itu sakit. Namun sebagai seorang yang beriman kepada Allah ‎ﷻ dan perkara ghaib, kita wajib menerima perkara ini walaupun ia sukar diterima akal logik dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan ‘ain supaya tidak menimpa kita dan ‘ain kita tidak pula menimpa orang lain.

Nabi ﷺ bersabda:
العين حق، ولو كان شيء سابق القدر سبقته العين
“Ain itu benar-benar ada! Andaikan jika ada satu perkara yang boleh mendahului qadar (ketetapan Allah), maka ‘ainlah yang boleh mendahuluinya”. ”
(HR. Muslim no. 2188)

Pada hadith lain juga dijelaskan bahwa Rasulullah ﷺ menyuruh seorang pelayan wanita di rumah Ummu Salamah رضي الله عنها yang terkena penyakit ain untuk diruqyah.

أنَّ النَّبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ رَأَى في بَيْتِها جارِيَةً في وَجْهِها سَفْعَةٌ، فقالَ: اسْتَرْقُوا لَها؛ فإنَّ بها النَّظْرَةَ
Nabi ﷺ melihat di dalam rumah Ummu Salamah رضي الله عنها seorang pelayan wanita yang pada wajahnya berwarna pucat kekuning-kuningan, maka baginda bersabda, “Carikan ruqyah untuknya kerana sesungguhnya dia telah terkena penyakit ain”.
(HR Bukhari & Muslim)

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ أَنَّهُ قَالَرَأَى عَامِرُ بْنُ رَبِيعَةَ سَهْلَ بْنَ حُنَيْفٍ يَغْتَسِلُ فَقَالَ مَا رَأَيْتُ كَالْيَوْمِ وَلَا جِلْدَ مُخْبَأَةٍ فَلُبِطَ سَهْلٌ فَأُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامِرًا فَتَغَيَّظَ عَلَيْهِ وَقَالَ عَلَامَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ أَلَّا بَرَّكْتَ اغْتَسِلْ لَهُ فَغَسَلَ عَامِرٌ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَمِرْفَقَيْهِ وَرُكْبَتَيْهِ وَأَطْرَافَ رِجْلَيْهِ وَدَاخِلَةَ إِزَارِهِ فِي قَدَحٍ ثُمَّ صُبَّ عَلَيْهِ فَرَاحَ مَعَ النَّاسِ

Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia berkata bahwa Amir bin Robi’ah melihat Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu berkatalah Amir : ‘Aku tidak pernah melihat (pemandangan) seperti hari ini, dan tidak pernah kulihat kulit yang sebagus ini” Maka terpelantinglah Sahl. Kemudian Rasululloh ﷺ mendatangi Amir. Dengan marah baginda berkata :”Atas dasar apa kalian mahu membunuh saudaranya? Mengapa engkau tidak memohonkan keberkahan (kepada yang kau lihat)? Mandilah untuknya! Maka Amir mandi dengan menggunakan suatu wadah air, dia mencuci wajahnya, dua tangan, kedua siku, kedua lutut, hujung-hujung kakinya, dan bahagian dalam sarungnya. Kemudian air bekas mandinya itu dituangkan kepada Sahl, lantas dia sedar dan berlalulah bersama manusia.

(HR Malik dalam Al-Muwaththo 2/938, Ibnu Majah 3509, disahihkan oleh Ibnu Hibban 1424. Sanadnya sahih, para perawinya terpercaya, lihat Zadul Ma’ad tahqiq Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qodir al-Arnauth 4/150 cetakan tahun 1424 H)

Tulisan yang bagus berkenaan al-ain ini boleh dibaca di sini.

Sama seperti juga dengan keburukan lain yang kita tidak nampak, orang yang hasad kepada kita akan melakukan sesuatu tanpa kita sedar. Maka, kita minta perlindungan kepada Allah‎ ﷻ.

Kalau kita lihat, ayat مِن شَرِّ مَا خَلَقَ juga  sudah merangkumi segala bentuk kejahatan. Ketiga-tiga perkara selepas itu boleh diletakkan di bawahnya. Namun kenapa Allah ‎ sebut satu persatu perkara-perkara itu? Kerana ia adalah pengkhususan daripada kejahatan. Ada banyak kejahatan, tetapi yang ketiga-tiga ini yang paling bahaya. Maka, Allah ‎ suruh kita minta perlindungan yang khusus kepada ketiga-tiganya.

Ada hasad yang dibenarkan iaitu dalam perkara sedekah dan amalan ilmu. Maksudnya, bukanlah semua hasad tidak dibenarkan.

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang Al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah ) sepanjang malam dan siang.

(Sahih Bukhari (7529) dan Muslim (815))

Ini adalah dua jenis hasad yang dibenarkan dan digalakkan. Iaitu apabila kita lihat ada yang melakukan kebaikan, kita hendak mengikuti seperti mereka juga. Bukannya kita harap semua kebaikan itu ditarik daripada mereka, tetapi sebaliknya kita hendak jadi seperti mereka juga.

Ada jenis hasad yang tidak suka melihat orang lain menjadi baik. Mereka hendak orang lain terus melakukan kesalahan. Apa kita perlu lakukan? Terus lakukan apa yang kita perlu lakukan sahaja. Abaikan dan jangan hiraukan mereka. Ini disebut oleh Allah‎ ﷻ dalam surah Baqarah:109

وَدَّ كَثيرٌ مِن أَهلِ الكِتابِ لَو يَرُدّونَكُم مِن بَعدِ إيمانِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِن عِندِ أَنفُسِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

Mereka jenis itu tidak suka kalau kita jadi baik. Kerana kalau kita jadi baik, akan menyusahkan mereka untuk melakukan kejahatan pula. Bukan Ahli Kitab sahaja begitu, orang Islam juga ada yang begitu.

Sebagai contoh, kalau dulu kita nakal juga, bersama kawan-kawan kita lakukan perkara tidak elok. Namun, lama kelamaan, Allah ‎ﷻ memberi taufik kepada kita, maka kita tinggalkan perkara buruk itu. Bila jadi begitu, kawan-kawan yang bersama lakukan onar itu, tentu tidak suka kerana sudah tidak boleh berkawan dengan kita dan tidak boleh lakukan perkara nakal lagi.

Musuh Islam juga tidak suka kalau kita beriman dengan Islam. Mereka akan cuba membawa kita semula kepada keburukan. Mereka lakukan dengan berbagai-bagai cara. Antaranya, mereka akan sebarkan hiburan-hiburan yang melalaikan kepada anak-anak kita. Itu semua adalah konspirasi jahat mereka.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ ajar dalam ayat ini supaya jangan takut dengan konspirasi mereka. Seperti yang diajar dalam ayat Baqarah tadi, serahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan kita. Kita cuma perlu lakukan apa yang kita perlu lakukan, iaitu berbuat amal kebaikan. Abaikan dan jangan hiraukan mereka.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Risalah ke 4 Usul Daurah Tafsir: Perbahasan tentang ilah

Muqaddimah

Amat penting sekali kena faham betul-betul tentang ilah ini. Kalau faham, akan mudah faham tafsir Quran. Bila kita tahlil pun, akan rasa lain kerana ia akan memberikan kesan ke dalam hati kerana kita sudah faham maksud ilah itu. Apabila kita lafaz la ilaha illallah, kita sebut dengan kefahaman yang jitu. Waktu itu, kita akan rasa bergantung sungguh kepada Allah.

Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Tapi siapakah ‘Tuhan’? Ramai dalam kalangan orang Islam tak faham pun apakah maksud ilah itu, tapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Masyarakat kita memang ramai yang tak faham ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita. tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Mereka kongsi status ilah itu dengan Allah. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Adakah selain Allah yang memiliki sifat Tuhan? Ada yang kata ada dan itu yang kita nak bersihkan.

Ringkasan Tajuk-tajuk dalam masalah ilah. Semuanya diambil dari Quran:
1. Kepentingan untuk tahu masalah ilah ini. Ianya amat penting untuk kita kenal Allah.

2. Kitab-kitab yang diturunkan dahulu berkenaan perkara ini. Bukan Qur’an sahaja yang sebut tentang tauhid kepada ilah. Semua kitab dari langit membicarakan perkara ini. Rukun iman pun ada menyebut tentang percaya kepada kitab-kitab. Kita kena terima yang semua Nabi membawa akidah yang sama yang kena disampaikan kepada umat mereka.

3. Terdapat 4 syubhat (kekeliruan) ilah ini yang difahami oleh Musyrikin Mekah. Begitu juga ianya adalah kekeliruan masyarakat Islam sekarang. Kerana mereka keliru, sebab itulah mereka amal perkara syirik. Tak perasan yang sama sahaja akidah mereka dengan Musyrikin Mekah. Mereka sangka mereka tidak sama dengan akidah Musyrikin Mekah, tapi apabila dikaji, serupa sahaja. Tapi kerana tak belajar tafsir Qur’an, mereka tetap berada atas kesesatan itu. Oleh itu, kena belajar akidah musyrikin Mekah supaya kita tidak buat perkara yang sama dan ada fahaman salah yang sama macam mereka. Penting untuk belajar, kerana kesesatan ini bukan sahaja dari segi amalan, tapi perkara dalam hati. Perkara dalam hati ini, orang lain tak tahu, jadi kita sendiri kena periksa samada benar atau salah. Kalau kita salah dalam ibadat solat contohnya, bolehlah orang nampak dan tegur kita, tapi kalau dalam hati?

4. Perbahasan syirik di segi ilmu dan qudrat. Ini banyak salah faham dalam masyarakat. Ada yang sangka, mereka yang telah mati, dapat tahu lagi apa terjadi dalam kehidupan dunia. Dan ada juga yang sangka, orang sudah mati ada qudrat untuk beri pertolongan kepada yang hidup. Ini semua adalah salah faham tentang akidah.

5. Perbahasan syirik di segi tasarruf. Inilah jenis-jenis syirik yang banyak merosakkan akidah manusia. Kita akan tunjukkan bagaimana kedua-duanya milik Allah sahaja.

6. Tauhid di dalam adat, ibadat ubudiyyah dan uluhiyah.

Syarah:

1. Seluruh Nabi akan menyampaikan ajaran mengesakan Tuhan. Inilah yang pertama sekali akan disampaikan oleh para Rasul kepada umat mereka. Ianya adalah satu ilmu yang amat penting sekali, yang kalau salah faham dalam ilmu ini, maka tidak bergunanya amalan dan fahaman agama yang lain. Dalil: Anbiya’:25:

وَما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رَسولٍ إِلّا نوحي إِلَيهِ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدونِ

Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku”.

2. Kitab-kitab yang lain dari langit juga menyampaikan hal ilah sebagai ajaran utama. Terlebih sekali Qur’an. Kitab selain Qur’an telah diubah, jadi mana kita tahu yang kitab-kitab itu memperkatakan tentang ilah juga? Kita tahu kerana ianya telah diberitahu dalam Qur’an. Allah dah sebut dah yang kitab-kitab itu juga memperkatakan tentang ilah. Bukannya perlu kita baca Taurat dan Injil pula untuk pastikan. Cukup dengan kita percaya sahaja apa Allah sebut dalam Quran. Mana-mana tulisan kitab-kitab itu yang berlawanan dengan Qur’an, maksudnya ianya telah ditukar. Kisah-kisah ini banyak disebut dalam Quran: Isra:2

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 1

3. Kesamaran tentang mafhum ilah:

Ini adalah tentang kesamaran kepada umat zaman sekarang tentang masalah ilah. Orang Arab tak keliru, sebab itu mereka lawan Nabi. Orang kita sahaja yang keliru sampai terjerumus dalam syirik walaupun mereka mengucap syahadah setiap hari. Kerana mereka tak faham apa yang mereka ucapkan. Ini kerana pada sangkaan mereka, syirik Arab Mekah itu berlainan dengan iktikad mereka. Sedangkan setelah dikaji, syirik masyarakat kita yang tidak ada ilmu tentang ilah itu sama sahaja dengan Musyrikin Mekah.

Sebab terjadinya akidah bathil itu adalah kerana tiada panduan dan pengajian tentang akidah ini melalui kitab muktabar dan guru yang muktabar. Kitab paling muktabar adalah Qur’an dan guru yang muktabar adalah guru yang belajar talaqqi secara bersanad. Bahaya kalau baca sendiri ilmu tentang akidah kerana takut keliru. Kerana dengan sanadlah yang menjaga kesahihan ilmu. Kerana kita dapat kepastian yang pengajaran itu tidak putus sampai kepada Nabi. Masyarakat Islam kita rosak kerana tiada panduan dan ajaran agama yang sahih. Sampaikan mereka tak tahu apakah persamaan akidah mereka dan Musyrikin Mekah.

Begitulah penyakit yang berleluasa dalam masyarakat kita adalah mabuk ‘cinta dunia’ dan mabuk ‘jahil agama’. Sebab itulah, walaupun kita ramai tapi diratah orang kafir.

Sebelum kita berbincang apakah kesamaran-kesamaran itu, ada perkara yang kita kena tahu dahulu supaya kita boleh faham perbincangan seterusnya nanti. Seperti yang kita sudah tahu, Allah menguji sekalian hambaNya. Dan dunia ini dijadikan Darul Ibtila’ – Medan ujian. Bukanlah dunia ini ‘medan kebahagiaan’ tapi ianya adalah tempat ujian sahaja. Akhirat nanti adalah Darul Jaza’ – Tempat Pembalasan. Oleh itu, bukanlah dunia ini tempat bersuka-ria tapi ianya adalah tempat untuk beribadat dan mengisi bekal untuk akhirat.

Jadi jangan putus asa dengan medan ujian semasa kita di dunia ini. Ingatlah yang ianya bukan tempat yang kekal pun. Susah dan senang yang kita alami sepanjang kehidupan kita dari lahir sampailah kita mati, semua itu adalah sebahagian dari ujian sahaja. Biasanya, dalam ujian, macam-macam yang akan kena dengan kita. Dan kadang kala kita akan buat kesalahan semasa dalam ujian itu. Allah dengan kebijaksanaanNya yang sempurna telah menjadikan medan ujian di dunia berjalan mengikut sunnahNya – mengikut caraNya. Cara yang Allah sendiri yang adakan. Sebagai contoh, kalau kita tanam benih padi, nanti kita dapat beras. Tidaklah keluar tumbuhan yang lain pula, kerana itu akan mengelirukan kita nanti.

Sunnah Allah ke atas sekalian hamba pula terbahagian kepada dua:

1. Ma fauqal asbab – di atas lingkungan asbab
2. Ma tahtal asbab  – di bawah lingkungan asbab

Menyeru dan memanggil seseorang, boleh jadi harus dan boleh juga jadi haram. Kalau ianya sesuatu yang normal dan boleh diterima akal, seperti kalau panggil orang di luar negara, tapi pakai telefon, itu adalah harus.

Tapi kalau seru Nabi, malaikat dan jin, itu di luar asbab. Kita kena tahu yang seru selain Allah, yang di luar asbab, tidak dibenarkan. Kalau seru Allah, hanya itu sahaja yang dibenarkan. Malangnya ramai orang sekarang seru dan panggil Nabi dan wali. Siapa suruh? Quran, Nabi dan hadis tak suruh pun. Ada bukti dan dalilkah dari amalan mereka itu? Tentu tidak ada. Ini adalah kerana ada orang memandai buat sahaja. Jangan kita terlibat buat sama dengan mereka. Walau betapa ramai pun orang yang buat.

Apakah hukumnya? Kalau mereka seru dan mereka iktikad yang Nabi mendengar seruan mereka dan boleh datang pula ke majlis mereka, sudah jatuh kafir mereka. Tapi kalau mereka menyeru dalam bentuk madah dan sastera, ulama’ berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang kata salah kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam akidah. Ada yang kata, kalau orang itu sedar dan tahu apa yang dia buat, cuma dalam bentuk madah sahaja, dibolehkan. Tetapi, elok ditinggalkan sahaja perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan.

Setengah dari perkara-perkara ma tahtal asbab (yang dibawah asbab) diperlihatkan oleh Allah kepada seluruh hambaNya. Iaitu melalui hukum takwini – hukum kun fayakun. Sebagai contoh, kalau tanam padi, hasilnya akan tumbuh padi. Ianya adalah hukum yang diberikan sama rata dan bukan hukum syariah. Orang kafir atau muslim tertakluk kepada hukum alam yang sama ini. Oleh itu, tidak boleh jadikan hukum takwini untuk menyatakan murka atau redha Allah kerana Allah berikan sama kepada semua. Iaitu kalau seseorang itu dapat banyak kebaikan, tidaklah itu bermakna yang Allah suka kepada orang itu.

SunnahNya dari jenis ma fauqal asbab (yang diatas asbab) diperlihatkan kepada hamba-hambaNya melalui hukum tasyri’ie (hukum syariat). Hukum inilah yang boleh menyebabkan manusia masuk samada syurga atau neraka. Ianya adalah neraca kepada amalan kita. Ada suruhan dan larangan di dalam hukum ini. Hukum terdapat dalam kitab wahyuNya yang mesti diikuti oleh manusia.

Kedua-dua jenis hukum ini dari Allah belaka. Allah yang menentukan kedudukannya. Allah menuntut hambaNya mengikut hukum tasyri’ie ini yang sifatnya tidak berubah dan dilakukan dalam hukum takwini yang sifatnya sentiasa berubah. Sebagai contoh, kita kena puasa tidak kira di dalam musim sejuk atau musim panas. Kerana musim boleh bertukar tapi hukum tidak bertukar. Itulah maksudnya hukum takwini bertukar-tukar tapi hukum tasyri’ie tidak. Itu semua adalah dalam rangka Allah menguji hambaNya.

Dalam solat pula, kita kena buat juga solat lima waktu sehari semalam dalam apa keadaan pun. Cara solat pun dari dulu sampai sekarang sama sahaja. Allah menguji hambaNya dengan hukum takwini dengan keadaan hambaNya itu. Sebagai contoh, kadang-kadang cuaca panas sangat, kadang sejuk sangat, tapi solat tetap kena solat juga. Tidaklah kalau sejuk sangat, dah tak perlu solat. Tentulah tidak begitu, bukan? Begitu juga, keadaan dalam diri kita pun berubah-ubah dari masa ke semasa. Kadang-kadang hati kita seronok, kadang kita lapang, kadang sibuk, kadang sedih dan sebagainya, tapi masih tetap kena solat juga. Itu semua adalah dugaan dari Allah dan ujian kita semasa di dunia.

Kalau kita terkesan dengan hukum takwini sampai meninggalkan hukum tasyri’ie, Allah mengatakan yang mereka itu golongan celaka dan kufur. Nauzubillahi min zaalik.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 2

Tetapi malangnya, ramai yang tidak tahu tentang apakah maksud ilah ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tentangnya. Ramai yang sangka mereka telah tahu agama, tapi sebenarnya mungkin tidak lagi. Oleh kerana tidak belajar, maka ada keraguan dan kesamaran tentang tauhid dan lebih-lebih lagi tentang maksud ilah. Di sini kita hendak membincangkan apakah kesamaran manusia tentang ilah :

i. Ramai yang sangka, syirik itu terjadi hanya apabila menduakan Allah. Iaitu kalau kata: “ada tuhan selain Allah”, baru dikira telah melakukan syirik. Sebagai contoh, mereka sangka, syirik itu adalah apabila meletakkan sifat sempurna yang seperti Allah pada entiti lain. Mereka kata kalau ada yang kata ada tuhan lain yang ada sifat sempurna macam Allah, barulah dikatakan syirik. Sebagai contoh, kalau kata ada lagi entiti lain yang buat alam ini.

Oleh itu, pada mereka, kalau seru para wali, Nabi dan malaikat, tidak mengapa dalam sangkaan mereka dan tidaklah lagi termasuk dalam perkara syirik.

Jawapan: Ini adalah satu fahaman yang salah. Dan mereka sangka begitu kerana tidak belajar. Dan kerana mereka tidak faham akidah Musyrikin Mekah. Mereka buat sangkaan sahaja tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah. Mereka sangka Musyrikin Mekah anggap ada entiti yang sama macam Allah. Padahal tidak begitu. Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah sebagai Tuhan dan mereka tidak pernah menyamakan sembahan-sembahan mereka sebagai mempunyai kedudukan yang sama macam Allah.

Jadi, Musyrikin Mekah pun sangka mereka tak salah bila seru jin, Nabi, wali dan malaikat sebab mereka tak kata pun yang Nabi, wali dan malaikat itu bersifat sempurna seperti Allah. Mereka kata mereka minta ‘syafaat’ sahaja dengan Nabi, wali dan malaikat itu. Mereka kata, itu semua sekadar menyokong doa mereka sahaja, dan mereka masih meminta doa kepada Allah. Iaitu supaya doa mereka mudah diterima.

Atau, mereka kata, seruan itu untuk ambil ‘berkat’ sahaja. Mereka kata kalau begini, tidak syirik. Mereka pun beri perumpamaan, seperti memakai orang tengah untuk masuk istana raja. Mereka kata, kenalah pakai orang tengah sebab tak faham bahasa istana dan tak faham selok belok istana dan tidak layak untuk bercakap dengan raja dan masuk istana. Mereka sangka hujah mereka itu munasabah sebab para wali, Nabi dan malaikat itu sudah dekat dengan Allah. Mereka sangka entiti-entiti itu akan merayu bagi pihak mereka kepada Allah. Kerana itu, macam-macam permintaan yang disampaikan melalui mereka.

Mereka kata tak syirik apa yang mereka lakukan itu sebab keempat-empat entiti itu (Nabi, wali, malaikat dan jin) hanya makhluk yang hampir dengan Allah dan tidaklah mereka itu dianggap sebagai sama kedudukan dengan Allah. Tujuan mereka menyeru jin, wali, Nabi dan malaikat itu hanyalah untuk menjadi rapat dengan mereka, bukannya menyembah mereka seperti menyembah Allah. Semuanya hanya untuk jadi ‘broker’ antara mereka dan Allah. Sebenarnya, apa yang mereka lakukan itulah yang dinamakan ‘tawasul’. Dan selain dari jadi perantara, mereka juga dijadikan sebagai tempat minta berkat. Itulah dua perkara syirik yang mereka lakukan (sebagai perantara dan sebagai pemberi berkat). Inilah juga yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan Allah dengan jelas mengatakan mereka itu ‘musyrik’. Lalu kalau akidah kita sama sahaja dengan mereka, apakah kita tidak musyrik?

Mereka sebenarnya telah melakukan perkara syirik tapi mereka tetap kata ini tidak syirik. Ketahuilah yang mereka itu salah dan janganlah kita pun terikut-ikut dengan mereka. Itulah sebenarnya syirik Arab Mekah dan kenapa mereka dipanggil ‘musyrikin’ oleh Allah. Mereka pun faham macam itu juga dulu. Cuma beza orang Melayu, kita tak terima jin sebagai tempat tawasul. Cuma Arab Mekah sahaja yang kata Allah telah menikah dengan jin dan keluar malaikat sebagai anak. Kecuali para bomoh yang dengan jelas memanggil-manggil jin. Itu pun ramai lagi yang pergi kepada bomoh.

Ketahuilah, ada dua jenis tawasul yang salah.
A. Seru Allah tapi guna berkat selain Allah. Sebagai contoh, ada yang berdoa begini: “Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad, kabulkanlah permintaan kami ini”. Ini adalah cara doa bidaah yang berdosa. Iaitu mereka seru Allah, tapi ambil berkat Nabi dan wali.
B. Seru makhluk lain untuk bawa doa kepada Allah. Ini syirik dan kufur. Ini adalah jenis tawasul yang syirik.

Jangan kita salah sangka dengan Tawasul, kerana ada tawasul yang dibenarkan. Bukanlah kita kata semua tawasul tidak boleh. Tawasul itu ada, tapi amalkanlah tawasul yang dibenarkan sahaja. Tawasul yang elok adalah menggunakan amal soleh. Iaitu setelah melakukan amal soleh, kita terus berdoa kepada Allah. Sebagai contoh, selepas solat, kita berdoa; atau selepas membaca ayat Quran, kita terus berdoa.

Satu lagi tawasul yang dibenarkan dan digalakkan adalah dengan menggunakan asma’ Allah. Sebagai contoh, kita berdoa begini: “ya Razzaq, kurnialah kami rezeki yang banyak”. Ini juga dibolehkan. Jadi, kita sebagai seorang muslim, kena tahu nak bezakan manakah tawasul yang dibenarkan dan manakah yang tidak. Dan untuk tahu, kena belajar.

Oleh itu, seperti yang kita telah sebut, masyarakat Islam kita sangka, syirik itu hanya apabila menyamakan kedudukan entiti selain Allah pada kedudukan yang sama macam Allah, barulah dikira sebagai syirik. Mereka telah tersilap faham. Mereka mungkin juga telah tersilap dalam menggunakan dalil yang disebut dalam Quran, bagaimana orang kafir telah samakan kedudukan Allah dengan sembahan mereka. Ini seperti yang disebut dalam An’am:1

 ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka kata kalau samakan semua sifat Allah, barulah syirik. Ini adalah salah faham yang biasa terjadi. Sebenarnya, tidak perlu menyamakan semua sifat Allah kepada makhluk sudah dikira syirik. Kerana kalau satu sudut pun kita dah samakan dengan Allah, itu sudah syirik. Ini kita akan sebut selepas ini bagaimana kalau kita kata makhluk mempunyai pengetahuan ghaib pun, sudah dikira sebagai syirik. Itu dinamakan Shirk fil ilmi (Syirik dalam Ilmu).

Lagi satu dalil yang mungkin disalahfahami oleh mereka yang tidak faham tentang ilah ini ada dalam Syu’ara:98

إِذْ نُسَوِّيكُم بِرَبِّ الْعَالَمِينَ

“Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam;

Mereka yang diazab dalam ayat ini adalah kerana mereka menyamakan sembahan lain dengan Allah.
‘Kamu’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi, wali dan malaikat. Bukanlah penyamaan itu dalam segenap sudut seperti yang ada disangkakan oleh sebahagian umat Islam. Kalau samakan satu pun sifat khas Allah dengan makhluk pun sudah salah akidah.

Kebanyakan umat Islam yang salah akidahnya, menyamakan ibadat kepada Allah dalam bentuk ibadat ‘seru’. Kita kena tahu yang ‘seru’ adalah satu bentuk ibadat. Itulah yang banyak dilakukan oleh mereka yang jahil. Mereka seru: “Ya Nabi'”, “ya wali”, “ya sheikh Qadir Jailani” dan macam-macam lagi seruan-seruan mereka. Seru juga adalah doa sebenarnya dan sebab itu ianya hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja kerana doa hanya kepada Allah. Maka kalau menyamakan Allah dalam bentuk apa sahaja, itu sudah syirik.

Mungkin ada yang kata: takkan kita sama macam Musyrikin Mekah sedangkan Musyrikin Mekah itu sembah patung berhala sedangkan kita tak pernah buat begitu. Kita kena faham bahawa patung berhala mereka itu bukanlah ‘tuhan’ tapi kiblat tawajuh sahaja. Maksudnya, berhala, patung dan sebagainya itu, adalah tempat mereka fokuskan wajah atau fikiran mereka sahaja. Mereka tahu yang patung itu bukannya tuhan. Mereka tahu yang patung itu tidak boleh buat apa-apa pun. Yang mereka seru adalah roh yang dimaksudkan oleh hati mereka. Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang Hindu, samada patung mereka yang di kuil dan di rumah itu, adakah tuhan mereka, tentu mereka akan jawap tidak. Mereka yang buat patung itu, takkan patung itu pula jadi tuhan mereka. Mereka akan kata yang patung itu adalah tempat fokus fikiran mereka sahaja. Yang mereka sembah adalah dewa Siva, Vishnu dan sebagainya.

Jadi orang Musyrikin Mekah pun tidaklah menganggap yang patung itu adalah tuhan mereka tapi yang mereka maksudkan adalah roh sembahan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat. Dalam masa yang sama, mereka sendiri tahu yang roh-roh itu tidak ada kuasa mencipta dan memperkenankan apa-apa. Cuma mereka minta sampaikan kepada Allah sahaja.

Oleh itu, tidaklah perlu ada patung kalau nak jadi syirik. Kalau kita pun ada menyeru roh wali dan Nabi, atau malaikat, tanpa ada patung pun, itu sudah menjadi syirik.

Oleh itu, Musyrikin Mekah tidaklah percaya yang roh-roh yang mereka sembah itu ada sifat sempurna macam Allah dari segi Dzat dan sifat. Tapi mereka cuma memuja sebagai tempat minta ‘syafaat’ dan ‘tawasul’ sahaja. Pada mereka roh-roh itu menjadi penyebab untuk hampir kepada Allah. Dan mereka tahu roh-roh itu tidak ada kuasa apa pun.

ii. Kesamaran yang seterusnya yang masyarakat kita ada kepada akidah musyrikin Mekah adalah kita sangka mereka percaya kepada benda yang tidak bernyawa. Kita sangka mereka percaya patung berhala yang mereka sembah itu ada kuasa. Dan kita sangka kita lain dengan mereka kerana kita percaya kepada roh, bukan barang yang tidak bernyawa. Inilah sangkaan orang yang jahil.

Jawapan: Arab Mekah berfahaman yang orang yang soleh sebelum mereka telah banyak beribadat, buat baik, tolong orang lain dan sebagainya, dan kerana itu mereka telah dapat kedudukan yang hampir kepada Allah. Lalu Allah memberi mereka kuasa ketuhanan sebagai ‘anugerah’. Masa mereka hidup lagi mereka sudah dipanggil ahlullah (ahli Allah). Dan mereka sangka, bila bila mati Allah beri tugasan khas kepada mereka. Dan kerana salah sebeginilah, orang Mekah zaman Jahiliah akan puja kubur tertentu. Kubur orang tertentu sahaja. Bukan semua kubur orang Mekah yang dipuja. Macam jugalah orang kita, pilih kubur-kubur ‘keramat’

Salah faham ini kerana samakan hal dunia dengan hal di akhirat. Macam kalau seseorang berjasa kepada negara, dia akan diberi pingat oleh kerajaan, bukan? Begitulah lebih kurang sangkaan Musyrikin Mekah terhadap orang-orang yang soleh dari kalangan mereka – orang-orang soleh itu akan mendapat anugerah kuasa dari Allah. Bukan dapat semua kuasa penuh pun, tapi sebahagian sahaja. Kuasa itu tertakluk kepada bahagian-bahagian tertentu dan tempat-tempat tertentu sahaja. Kuasa keseluruhan masih ada pada Allah. Inilah khayalan dalam fahaman mereka. Oleh kerana pada sangkaan mereka orang-orang soleh itu ada kuasa, Musyrikin Mekah rasa mereka itu berhak dipuja. Sebab mereka hampir dengan Allah, sebab mereka dikatakan telah mendapat ‘pakaian kemuliaan’. Iaitu pakaian kemuliaan dan ketuhanan. Mereka sangka Allah anugerah kerana kedudukan wali-wali dan Nabi itu.

Mereka bukanlah sembah patung sebab sangka patung itu ada kuasa. Sebab tak muhasabah kalau begitu kerana mereka pun tahu yang patung itu tidak ada kuasa. Orang berakal tidak akan buat begitu. Dan mereka tidak bodoh begitu. Mereka pun belajar dan habis belajar dari universiti juga. Tapi manusia yang sudah pandai itu, buat juga perkara-perkara yang pelik. Tapi mereka beri hujah, yang mereka bukan sembah batu dan kayu tapi kayu dan batu itu adalah kiblat tawajuh sahaja. Untuk memusatkan fikiran mereka sahaja. Batu dan kayu atau apa sahaja itu dijadikan sebagai wakil sahaja. Wakil kepada roh-roh seperti roh Buddha, roh Nabi Isa dan sebagainya.Kadang-kadang dijadikan dalam bentuk gambar. Mereka agak-agak sahaja rupa individu itu kerana mana ada sesiapa yang tahu rupa asal mereka pun. Semua itu dijadikan sebagai gambaran orang yang telah mati itu.

Sebenarnya yang mereka seru adalah roh wali itu. Macam orang zaman sekarang pun ada buat begitu juga. Ada juga yang memuja dan menyeru kubur kerana sangka tok wali akan suka dengan sembahan mereka itu dan akan beri syafaat sebagai balasan. Nama berhala itu pun diambil dari nama orang terdahulu yang soleh, seperti Manat, Uzza dan sebagainya.

Dalam Quran, lafaz ‘Syai’an’ dan ‘min dunillah’ adalah lafaz umum yang merujuk kepada apa-apa sahaja yang disembah selain Allah, seperti patung, gambar, roh dan berhala atau apa-apa sahaja. Macam orang kita juga, sangka ada kelebihan pada batu, kayu dan sebagainya. Ramai yang sangka begitu dari kalangan orang Melayu pun, mengaku beragama Islam, mengaku amal tauhid. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada masalah tauhid.

iii. Ini adalah hujah ketiga yang diberikan oleh mereka yang jahil. Mereka kata, sekiranya seruan kepada roh-roh orang mati itu syirik, maka panggilan sesama hidup juga adalah syirik. Hujah mereka, kalau minta sembuh dengan roh mati itu syirik, maka minta ubat kepada doktor pun syirik juga. Inilah hujah bathil mereka yang sebenarnya datang dari syaitan. Syaitan telah memberi hujah itu kepada mereka. Ketahuilah yang syaitan boleh tipu mereka yang jahil sahaja. Payah syaitan nak tipu orang yang mahir dengan agama.

Jawapan: Permintaan kepada mereka yang hidup seperti minta ubat dari doktor itu adalah perkara di bawah asbab. Kerana mereka masih hidup lagi dan boleh menolong kita kerana dalam kemampuan mereka. Mereka pun boleh dengar permintaan kita.

Tapi kalau permintaan itu permintaan di luar dari asbab, seperti minta kepada orang mati yang tidak mendengar permintaan kita, itu adalah syirik. Kalau seru sesama yang hidup, ianya masih dalam asbab. Maka boleh minta kepada mereka yang dalam lingkungan asbab. Itu harus dan dibenarkan. Sebagai contoh, minta ubat dari doktor, makan ubat akar kayu dan sebagainya. Dalam Qur’an, banyak Allah berikan contoh minta bantuan dalam asbab. Macam dalam surah al-Kahf, Dzulqarnain ada minta tolong kepada orang di sekeliling kawasan itu untuk buat benteng untuk berlinding dari Yakjuj Makjuj. Allah juga ada suruh kita jadi pembantu kepada Nabi. Nabi Isa pun ada minta tolong kepada hawariyyun. Kesimpulannya, bantu membantu dan permintaan pertolongan kepada yang hidup dibenarkan.

Ketahuilah, seruan syirik adalah seruan luar lingkungan asbab. Iaitu permintaan kepada roh wali, Nabi dan malaikat atau sesiapa sahaja yang tidak dapat mendengar permintaan kita itu.

iv. Ada yang salah anggap dengan perkara mukjizat dan karamah. Mereka sangka yang mukjizat Nabi dan keramah wali itu adalah kerana usaha mereka. Mereka sangka, para Nabi dan wali itu boleh buat mukjizat dan karamah itu bila-bila masa sahaja. Macam Nabi Musa, mereka sangka yang baginda boleh guna tongkat baginda bila-bila masa dan baginda boleh tukarkan tongkat itu jadi ular, keluarkan air dan batu dan belah lautan. Maka mereka sangka, kalau mereka boleh buat begitu, bolehlah minta kepada mereka, kerana mereka ada kelebihan-kelebihan luar biasa yang boleh membantu mereka yang meminta.

Jawapan: Segala mukjizat dan karomah sebenarnya dari kudrat Allah. Bukan ikhtiar dari Nabi dan wali. Allah sahaja yang tentukan. Mukjizat dan karamah tidak berlaku melainkan dengan perlakuan Allah. Bukan dari kehendak Nabi dan wali. Hanya apabila Allah suruh Musa lemparkan tongkat baginda, barulah tongkat itu menjadi ular. Kalau baginda saja-saja lempar dengan niat menjadikan tongkat itu sebagai ular, tidak akan terjadi.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 3

4. Perbahasan syirik tentang ilmu yang biasa berlaku dalam masyarakat kita.

Ketahuilah, apabila satu-satu sifat itu milik khas Allah, maka selain Allah tidak boleh memilikinya. Kalau kita kata ada juga yang memilikinya, itu adalah syirik. Mari kita bincangkan perkara yang selalu disyirikkan oleh masyarakat kita. Yang pertama sekali adalah tentang ‘ilmu’. Kita kena bezakan antara ilmu kita dan ilmu Allah. Tentunya ia tidak sama.

i. Allahlah sahaja yang memiliki ‘ilmu dzaati’. Kita pun ada juga ilmu, bukan? Dan Allah pun ada ilmu juga. Tapi ilmu yang pada Allah ada adalah ‘ilmu dzaati’ dan ilmu yang kita ada adalah ‘ilmu ato’ie’ iaitu ilmu yang Allah beri kepada kita dan Allah boleh tarik bila-bila masa. Hari ini mungkin kita tahu dan esok boleh lupa kalau Allah tarik ilmu itu dari kita. Kerana ilmu itu bukan ada pada kita pun.

ii. Selain dari itu, ilmu yang ada pada Allah adalah sempurna dan ilmu yang ada pada kita terhad sahaja. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Maka tidak sama ilmu kita dan ilmu Allah. Sebab itu pada Allah kita letak lafaz ‘Maha Mengetahui’ untuk membezakan antara ilmu kita dan ilmu Allah.

iii. Allah juga memiliki ‘ilmu kulli’ – mengetahui segalanya, dulu dan akan datang dan menyeluruh. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah. Kita hanya ada ‘ilmu juz’ie’ – kita tahu bahagian-bahagian tertentu sahaja.

iv. Allah memiliki ‘ilmu dzaati sudoor’ – mengetahui rahsia hati hamba. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati kita. Selain Allah, tidak ada sesiapa yang tahu. Sebab itu hal ikhlas dalam hati manusia, malaikat pun tak tahu. Mereka hanya boleh tulis yang zahir sahaja. Sebab itu ada amalan manusia yang Allah buang di akhirat kelak. Dan apabila malaikat lihat apa yang Allah lakukan, malaikat akan kata yang dia sendiri nampak manusia buat amalan itu. Allah akan tanya adakah malaikat tahu apakah manusia ikhlas dalam melakukannya? Malaikat pun mengaku yang dia tidak tahu. Jadi kalau kita kata ada tok wali yang tahu apa dalam hati kita, itu sudah syirik. Ini banyak terjadi dalam masyarakat kita, kerana ada yang takut dengan guru mereka kerana mereka rasa guru-guru mereka tahu apakah yang ada dalam hati mereka. Sampai ada yang takut nak bersalam tangan dengan ulama kerana takut ulama itu tahu apa yang ada dalam hati kita. Ini karut.

v. Allah tahu ilmu ghaib langit dan bumi. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kita tidak tahu ilmu ghaib. Yang tahu ilmu ghaib hanyalah para rasul dan Nabi sahaja, dan itu pun hanya apa yang Allah berikan sahaja, bukan semua Allah berikan.

vi. Hanya Allah tahu bila berlakunya kiamat. Tidak ada sesiapa yang tahu bilakah akan terjadinya kiamat itu. Ianya boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

vii. Hanya Allah sahaja yang tahu tentang lima perkara yang Allah sebut dalam ayat Luqman:34

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

– tentang bila berlaku kiamat
– bila hujan akan turun
– kandungan dalam rahim ibu
– apa yang akan dilakukan manusia esok hari
– di manakah kita akan mati.

Lima perkara ini khas untuk Allah sahaja yang tahu. Kalau kita kata ada makhluk yang tahu, itu adalah syirik.

5. Syirik pada tasarruf – mengurus dan mentadbir dengan segala ikhtiar dan bebas dari segala asbab. Kita bezakan kerana makhluk pun ada mengurus juga tapi tidak bebas dari asbab. Yang bebas dari asbab adalah hanya pada Allah sahaja. Pentadbiran kita walaupun ada, tapi terhad sahaja.

Allah sebut satu persatu perkara-perkara yang Allah sahaja yang boleh urus dan tadbir. Kalau kita kata ada makhluk yang bebas mentadbir dalam perkara-perkara di bawah, itu adalah syirik fi tasarruf kerana 11 perkara ini khusus bagi Allah sahaja.

i. Tasarruf kulli – mentadbir semua sekali

ii. Tasaruf samawi – mentadbir di udara dan angkasa hingga ke atas

iii. Tasarruf jawi – mentadbir segala apa yang berada di udara

iv. Tasarruf Ardh – mentadbir bumi dan dasar bumi

v. Tasarruf Ma tahta sara – mentadbir yang di bawah bumi, bukan permukaan

vi. Mentadbir soal dukacita dan gembira. Allah sahaja yang boleh menggembirakan dan menyebabkan seseorang itu sedih.

vii. Tasarruf al mawti wal hayat – mengurus hal kematian dan menghidupkan. Walaupun malaikat yang mematikan, tapi atas arahan Allah.

viii. Tasarruf Ba’da rizqi  wa qadarihi  – mentadbir melapangkan dan menyempitkan rezeki

ix. Tasarruf Soal zuriat. Allah sahaja yang boleh menentukan samada boleh melahirkan anak atau tidak

x. Tasarruf Soal hujan turun dan menyebarkan hujan itu kepada bumi.

xi. Tasarruf Soal kemuliaan dan kehinaan. Allah lah sahaja yang memuliakan sesiapa dan menghina sesiapa pun.

Tasarruf semua ini disebut dalam Qur’an yang akan jumpa apabila kita belajar tafsir nanti.

Tasarruf terbahagi kepada dua: tasarruf takwini dan tasarruf tasyri’ie.

Soal kejadian alam yang jenis ma fauqal asbab itu hanya pada Allah sahaja. Kalau ma tahta asbab, makhluk pun ada yang uruskan juga.

Tasarruf tasyri’ie – Mengurus dalam memberi hukum dan menarik balik hukum itu. Hanya Allah sahaja yang layak buat hukum. Jadi halal haram atau sunat hanya Allah sahaja yang tentukan. Ini bahaya kerana kadang-kadang kita memandai-mandai mengharamkan perkara yang Allah tak haramkan. Dalam masyarakat kita, ada yang haramkan perkara yang halal tanpa sedar. Sebagai contoh, mereka mengharamkan memakan makanan yang halal. Ada puak yang kata keturunan mereka tak boleh makan sesuatu. Ini adalah perkara yang salah yang mengambil kerja Tuhan dalam mengharamkan makanan. Kalau doktor yang kata tak boleh, itu adalah sebab tahta asbab – ada alasan yang doktor berikan, mungkin dia alah dengan sesuatu makanan itu dan sebagainya. Tapi ramai yang syirik sebab mengharamkan tanpa sebab.

Mempercayai ada kuasa lain boleh buat hukum adalah syirik. Yahudi dan Nasara banyak buat sebab mereka banyak mengharamkan yang halal.

Kalau ulama yang mengharamkan sesuatu, mereka beritahu perkara itu dari dalil yang sahih. Ulama yang benar hanya menyampaikan dan memberitahukan mana yang haram dari Allah sahaja. Nak kata sesuatu itu haram, kena ada dalil yang sah.

Ada yang meletakkan kuasa tasarruf kepada mereka yang telah mati. Ini adalah perkara luar asbab. Sebagai contoh, ada umat Islam yang mendakwa para wali ada kuasa mengurus semasa hidup dan selepas mati. Maka mereka memohon pertolongan kepada wali. Mereka berdoa kepada kubur wali untuk menyelesaikan masalah mereka dan menyempurnakan hajat mereka. Mereka kata wali itu ada keramat semasa hidup dan boleh mentadbir semasa mati pun. Ini kufur kepada Allah.

Semua ini terjadi dalam masyarakat kita kerana tidak ada ilmu Qur’an dan sunnah. Fahaman ini akan memasukkan mereka ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka. Itulah kebinasaan yang abadi.

6. Tauhid di dalam ibadat dan ubudiyyah.

Ibadat adalah perkara dan amalan khusus yang Allah syariatkan kepada hamba untuk dilakukan hanya kepadaNya.

Amalan di luar amalan ibadat dinamakan ubudiyyah. Maknanya, bukan amalan ibadat sahaja kita jadi hamba Allah. Luar solat pun kita masih jadi hamba Allah. Kita semua hidup dalam peraturan halal dan haram. Sebagai contoh, kalau luar waktu ibadat pun kita kena tutup aurat dan sebagainya.

Kita semua adalah hamba Allah dan kena ikut apa yang Allah tetapkan dalam segala segi kehidupan. Semua ada undang-undang yang kita kena ikuti. Kita kena hinakan diri kita kepada Allah. Dan kemuncak penghinaan diri adalah dalam ibadat kita. Itulah kemuncak penghinaan diri kepada Allah. Seperti yang kita lakukan dalam solat, terlebih sekali dalam sujud. Sewaktu sujud, kita memuliakan Allah semulia-mulianya kerana sudahlah kita letakkan kepala kita yang mulia di tanah, tapi kita naikkan punggung kita lebih tinggi dari kepala kita. Kita lakukan semua itu kerana kita hinakan diri kita dan muliakan Allah.

Kita ibadat kepada Allah kerana kita percaya Allah yang disembah itu ada kuasa ghaib. Kerana kita tahu yang Allah mampu memberi faedah dan mudharat kepada kita. Jadi, kalau kita buat ibadat kepada selain dari Allah, bagaimana? Tentulah itu kufur dan syirik kepada Allah.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 4

Sekian Usul Daurah Tafsir. Allahu a’lam. Sambung kepada Daurah Tafsir Surah Fatihah