Tafsir Surah an-Nisa Ayat 171 – 172 (Ghuluw dalam agama)

Ayat 171: Nasihat kepada Ahli Kitab, terutama sekali puak Nasara/Yahudi dan juga kepada kita juga. Kita kena ambil perhatian tentang ayat ini dan jangan sangka Allah ‎ﷻ hanya menegur mereka sahaja. Apa sahaja teguran kepada golongan sebelum kita adalah teguran kepada kita juga.

يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم وَلا تَقولوا عَلَى اللهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ إِنَّمَا المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ رَسولُ اللهِ وَكَلِمَتُهُ أَلقٰها إِلىٰ مَريَمَ وَروحٌ مِّنهُ ۖ فَئآمِنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ ۖ وَلا تَقولوا ثَلٰثَةٌ ۚ انتَهوا خَيرًا لَّكُم ۚ إِنَّمَا اللهُ إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ سُبحٰنَهُ أَن يَكونَ لَهُ وَلَدٌ ۘ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O People of the Scripture, do not commit excess in your religion¹ or say about Allāh except the truth. The Messiah, Jesus, the son of Mary, was but a messenger of Allāh and His word which He directed to Mary and a soul [created at a command] from Him. So believe in Allāh and His messengers. And do not say, “Three”; desist – it is better for you. Indeed, Allāh is but one God. Exalted is He above having a son. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

  • Such as attributing divine qualities to certain creations of Allāh or revering them excessively.

MALAY

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).

 

يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, 

Walaupun ayat ini khitab kepada Ahli Kitab, tetapi kita kenalah mengambil perhatian juga. Ini kerana kalau sesuatu ayat itu ditujukan kepada Ahlul Kitab, kita kenalah mendengarnya juga supaya kita jangan berbuat salah seperti mereka. Kesalahan-kesalahan mereka telah menyebabkan kehancuran dan kesesatan mereka sendiri. Dan kalau kita tidak mengambil perhatian, kemungkinan besar kita pun akan menjadi seperti mereka juga.

Puak Nasara telah mengangkat Nabi Isa عليه السلام melebihi dari kedudukan baginda sebagai seorang Rasul. Mereka telah mengatakan yang baginda adalah tuhan dan mereka memuja dan menyeru baginda seolah-olah baginda adalah tuhan.

Selain dari itu juga, mereka mengatakan terdapat di kalangan mereka yang tidak melakukan dosa langsung, sehingga boleh mengampunkan dosa pengikut-pengikut mereka. Inilah yang berlaku di gereja-gereja mereka sekarang. Perkara ini memang melampau dan berlebih-lebihan di dalam agama. Mereka bukan sahaja terlalu meninggikan kedudukan Nabi Isa عليه السلام, malah ulama-ulama mereka pun mereka tinggikan juga.

Allah ‎ﷻ sebut perangai mereka:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. (At-Taubah: 31), hingga akhir ayat.

Ayat ini dengan jelas melarang ghuluw di dalam agama. Ghuluw maksudnya melampaui batas, berlebihan daripada yang sepatutnya. Sepatutnya di dalam hal agama, kita mesti mengikut wahyu, tidak boleh berlebih-lebihan.

Golongan Yahudi juga telah melampaui batas di dalam agama mereka. Berkenaan Nabi Isa عليه السلام, mereka sanggup mengatakan baginda adalah seorang penipu dan malah mengatakan baginda anak haram dan menuduh Sayyidah Maryam sebagai penzina!

Malangnya, kita juga boleh melihat bagaimana terdapat ramai dari kalangan masyarakat Islam kita yang berlebih-lebihan di dalam agama. Mereka turut mengangkat kedudukan Nabi Muhammad ﷺ terlalu tinggi sehingga kadang-kadang setaraf dengan Allah ‎ﷻ! Mereka berkata yang Nabi ﷺ boleh memberikan pelbagai kelebihan dan syafaat, maka ramai yang menyeru Nabi ﷺ.

Dan yang amat menyedihkan, perbuatan ini dibuat di tempat terbuka, sehinggakan seluruh stadium menyeru-nyeru nama baginda! Inilah yang diajar oleh golongan Habib yang entah datang dari mana. Tetapi oleh kerana mereka tampil penuh sopan dalam pakaian kearaban, pandai menyanyi, pandai menari, pandai berzikir, fasih berbahasa Arab, maka berbondong-bondong masyarakat kita yang jahil mengikuti mereka.

Nabi Muhammad ﷺ telah berpesan:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم قَالَ: زَعَمَ الزُّهْرِي، عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُتْبة بْنِ مَسْعُودٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنْ عُمَرَ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسلم قال: “لَا تُطْرُوني كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ”.

Imam Ahmad رحم الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim yang mengatakan bahwa Az-Zuhri menduga dari Ubaidillah ibnu Ab­dullah ibnu Atabah ibnu Mas’ud, dari Ibnu Abbas, dari Umar, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Janganlah kalian menyanjung-nyanjung diriku sebagaimana orang-orang Nasrani menyanjung-nyanjung Isa عليه السلام putera Maryam. Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang hamba, maka katakan­lah, “Hamba dan utusan Allah ‎ﷻ.”

Golongan tarekat pun tidak kurang juga ramainya di Malaysia. Mereka diajar oleh guru-guru mereka yang sesat dengan fahaman-fahaman dan amalan-amalan yang berlebihan. Maka, ramailah yang telah jatuh sesat. Mereka membuat amalan yang bid’ah dan malah ada yang syirik. Semuanya hanyalah kerana tidak belajar agama, tidak belajar tafsir Qur’an dan Hadis Rasulullah ﷺ.

Ajaran sufi juga telah dicedok dari ajaran Kristian sebenarnya. Mereka meniru konsep kerahiban yang dilakukan oleh puak sesat Kristian dan memasukkan amalan itu ke dalam Islam. Ini kita ketahui dari Hadid:27

وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها ما كَتَبنٰها عَلَيهِم إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها ۖ فَئآتَينَا الَّذينَ ءآمَنوا مِنهُم أَجرَهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.

Mereka itu adalah orang yang baik, mahukan agama dan mahu masuk syurga juga, tetapi malangnya mereka telah tertipu. Mereka disuruh untuk membuat amal ibadat yang bid’ah terlalu banyak, sampai tidak ada masa untuk belajar langsung. Bila tidak belajar langsung, maka mereka terus berada di dalam kejahilan. Ini kerana mereka tidak mempelajari bahawa amalan mereka itu salah. Mereka perasan sahaja yang amalan mereka itu baik, tetapi tidak sebenarnya.

Walau bagaimanapun, janganlah pula kita membuat  ibadah yang kurang dari sepatutnya. Sebagai contoh, ada yang memilih satu perkara dari ibadah dan dia tumpukan kepada itu sahaja. Contohnya, ada yang membuat ibadah solat sahaja dan tidak membuat ibadah yang lain. Ini pun salah juga. Maka kita kenalah berada di tengah-tengah: jangan ghuluw dan jangan pula membuat yang kurang dari sepatutnya.

Antara fahaman bahaya di dalam masyarakat Islam adalah sangkaan yang manusia tidak memerlukan hadis serta tidak memerlukan ulama’. Mereka berkata, sudah cukup dengan hanya membaca Qur’an sahaja. Mereka sangkakan Qur’an itu boleh difahami dengan hanya membacanya sahaja tanpa perlu berguru. Ini juga ghuluw di dalam fahaman dan amat berbahaya.

Mana mungkin manusia boleh memahami Qur’an tanpa melalui proses pembelajaran dari guru? Kalau Qur’an ini sahaja sudah cukup, tentu Allah ‎ﷻ memberikan wahyu sahaja dan tidak perlu kepada para Rasul untuk mengajar kita. Kita telah mengetahui yang Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja menaikkan para Nabi dan Rasul dari zaman berzaman untuk menyampaikan ajaran kepada manusia.

Dalam masa yang sama, ada pula golongan lain yang ghuluw juga: mereka mengambil sahaja semua pendapat yang datangnya dari para ustaz dan ‘ulama’ tanpa mereka selidiki sama ada pendapat itu datang dari wahyu ataupun hanyalah dari nafsu mereka semata-mata.

 

وَلا تَقولوا عَلَى اللهِ إِلَّا الحَقَّ

dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; 

Kita kenalah bercakap dan membuat perkara agama yang tsabit dari wahyu sahaja, sama ada dari ayat Qur’an atau Hadis yang sahih. Dalil inilah juga yang digunakan oleh golongan salaf kepada khalaf dalam melarang mereka berbuat perkara bid’ah dalam agama. Maka amalkan amalan yang terdapat dari nas sahaja, janganlah ditambah pula.

Jangan berkata sesuatu amalan bid’ah itu baik, Allah ‎ﷻ suka, Nabi ﷺ pun suka, sedangkan tidak pernah ada dalil yang mengatakan sedemikian. Kalau berkata begitu, maknanya telah mengatakan tentang Allah ‎ﷻ di dalam perkara yang tidak haq. Ini adalah bertentangan terus dengan ayat ini.

Maka kenalah kita belajar apa yang terjadi kepada umat Islam terdahulu (Yahudi dan Nasrani). Ini kerana mereka membenarkan bid’ah, maka agama mereka telah ditukar sampaikan tidak nampak Islamnya lagi. Adakah kita ingin membenarkan agama kita pula menjadi seperti agama mereka? Maka, janganlah kita membuka pintu bida’h ini kerana ia amatlah berbahaya sekali.

 

إِنَّمَا المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ رَسولُ اللهِ

sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah

Kedudukan Nabi Isa عليه السلام adalah punca kepada titik salah faham golongan Ahli Kitab. Puak Yahudi menuduh baginda adalah anak  haram manakal puak Nasara pula mengangkat baginda menjadi anak tuhan dan salah satu dari tuhan. Kedua-dua itu adalah fahaman yang salah. Kedua-dua itu adalah ghuluw  di dalam beragama.

Jadi, ayat ini dengan tegas dan jelas, mengatakan yang baginda adalah Rasulullah, seorang yang mulia dan bukanlah anak haram.

 

وَكَلِمَتُهُ

dan Kalimah Allah

Ulama berbeza pendapat tentang apakah maksud ‘kalimah’ Allah ‎ﷻ ini?

1. ‘Kalimat’ maksudnya baginda dijadikan dengan kalimat Kun Fayakun Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak menjadikan baginda melalui proses normal kejadian manusia (dari percampuran air mani dan telur ibu kemudian membesar di dalam rahim selama 9 bulan).

Ia menjadi hujah bahawa Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut proses alam kerana proses alam ini pun adalah dariNya juga. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ telah sebutkan di dalam ayat yang lain:

{إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ}

Sesungguhnya misal penciptaan Isa di sisi Allah adalah seperti penciptaan Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudi­an Allah berfirman kepadanya, “Jadilah!” (seorang manusia). Maka jadilah dia. (Ali Imran: 59)

Ini juga adalah dalil yang Nabi Isa عليه السلام bukannya Tuhan (atau Anak Tuhan).  Baginda adalah makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ jua, tidak lebih dari itu. Cuma kejadian baginda sahaja lain dari orang lain.

2. Pendapat kedua mengatakan kalimah yang dimaksudkan adalah berita gembira yang telah diberikan kepada Maryam tentang kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu. Ini seperti yang telah disebut dalam Ali Imran:45.

إِذ قالَتِ المَلائِكَةُ يا مَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ

(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: “Hai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih Isa putera Maryam,

3. Satu lagi pendapat mengatakan ‘kalimah’ yang dimaksudkan adalah ‘ayah‘ (tanda, mufrad kepada ayat). Iaitu tanda kepada Allah ‎ﷻ. Dalil hujah ini terdapat di dalam ayat Tahreem:12

وَصَدَّقَت بِكَلِمٰتِ رَبِّها

dan dia (Maryam) membenarkan kalimat Rabbnya

 

أَلقٰها إِلىٰ مَريَمَ

yang telah disampaikanNya kepada Maryam,

Dari segi bahasa, roh itu dicampakkan ke dalam tubuh Maryam. Kejadian kelahiran Nabi Isa عليه السلام adalah berlainan dari kejadian makhluk yang biasa.

Atau, yang dicampakkan itu adalah kalimah Kun dari Allah ‎ﷻ kepada Maryam.

 

وَروحٌ مِّنهُ

dan roh daripadaNya. 

Roh Nabi Isa عليه السلام pun datangnya dari Allah ‎ﷻ. Maksudnya nyawa baginda pun dari Allah ‎ﷻ. Kalau nyawa baginda pun Tuhan yang beri, tidak mungkin baginda pula tuhan.

Jangan pula ada yang berkata: ini menunjukkan kelebihan Nabi Isa عليه السلام pula kerana ‘Roh Allah ‎ﷻ’. Kita kenalah ingat yang semua roh adalah dari Allah ‎ﷻ, termasuk roh kita juga. Allah ‎ﷻ tekankan di dalam ayat ini yang roh Nabi Isa عليه السلام pun dari Dia juga, bukannya dari yang lain.

Dan apabila ditambah ‘Roh Allah ‎ﷻ’ dalam menyebut tentang Nabi Isa عليه السلام, maka, ia memberi penghormatan kepada baginda. Ini sebagaimana Kaabah digelar Baitullah sebagai penghormatan kepada Kaabah.

Ini penting kerana orang Kristian mungkin menggunakan ayat ini untuk mengatakan yang Nabi Isa عليه السلام adalah sebahagian dari Allah ‎ﷻ pula dan mungkin mereka akan mengatakan yang ini adalah dalil bagi konsep Triniti mereka.

Ini boleh dijawab dengan ayat yang lain. Kalimah مِّنْهُ tidak membawa maksud ‘sebahagian dariNya’. Kalau kita lihat ayat Jathiya:13 pun digunakan kalimah ini.

وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

dan apa yang ada di bumi, daripadaNya;

Maka, kalau kita mengatakan kalimah مِّنْهُ itu bermaksud ‘sebahagian dari Allah ‎ﷻ’, maka seluruh alam ini pun sebahagian dari Allah ‎ﷻ juga, dan ini tidak benar sama sekali.

 

فَئآمِنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, 

Berimanlah dengan apa yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui RasulNya. Janganlah  ditokok tambah seperti yang telah banyak yang dilakukan oleh para agamawan.

Kita mestilah beriman dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Ini memerlukan pembelajaran, bukan hanya sekadar menerimanya sahaja. Kenalah masuk kelas dan belajar tafsir dan belajar hadis dahulu. Ini memerlukan saham masa yang banyak juga kerana ilmu mengambil masa untuk difahami.

 

وَلا تَقولوا ثَلٰثَةٌ

dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”.

Inilah konsep Triniti yang dipegang sekarang oleh penganut Kristian. Mereka mengatakan tuhan itu ‘tiga dalam satu’ – iaitu Tuhan Bapa, Nabi Isa عليه السلام dan Maryam. Mereka berkata yang gabungan ketiga-tiga entiti ini menjadi Tuhan.

 

انتَهوا خَيرًا لَّكُم

Berhentilah, itu lebih baik bagi kamu.

Janganlah pegang lagi fahaman yang sesat itu. Tiada dalil langsung pemahaman itu termasuklah di dalam Bible mereka. Sehingga sekarang, mereka masih tidak boleh menunjukkan bukti akidah Triniti mereka itu di dalam Qur’an. Ia hanyalah rekaan ulama-ulama mereka sahaja.

 

 إِنَّمَا اللهُ إِلٰهٌ وٰحِدٌ

Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, 

Inilah ajaran tauhid yang semua makhluk mesti pegang kemas sampai mati. Allah ‎ﷻ itu esa, tidak ada anak dan tidak diperanakkan. Tidak ada ilah selain Dia.

Mesti belajar konsep ilah dahulu baru boleh memahami apakah maksud ayat ini. Malangnya ramai orang Islam pun tidak faham tentang perkara ini. Ramai yang pandai menyebut sahaja Kalimah Tauhid tetapi tidak memahami apakah itu Tauhid.

 

سُبحٰنَهُ أَن يَكونَ لَهُ وَلَدٌ ۘ

Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. 

Allah ‎ﷻ suci dari sifat memerlukan anak. Hanya makhluk yang lemah sahaja yang memerlukan anak, tetapi Allah ‎ﷻ tidak lemah sama sekali. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pengganti, dan Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pembantu atau peneman di kala sunyi.

Jadi, kalau ada yang berkata yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah Anak Allah ‎ﷻ, maka itu adalah fahaman yang sesat.

 

لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Kepunyaan Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Kenapa Allah ‎ﷻ memerlukan anak sedangkan semua alam ini adalah kepunyaanNya? Semua yang selain dariNya dan semua makhluk adalah milikNya belaka. Dia tidak memerlukan pertolongan dan tidak memerlukan bantuan sokongan dari sesiapa pun.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah menjadi pengurus

Cukuplah kita bergantung dengan Allah ‎ﷻ sahaja untuk menguruskan kehidupan, kehendak dan keperluan kita. Kita tidak memerlukan entiti yang lain.

Terdapat manusia yang menyembah dan melakukan ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ kerana mereka merasakan yang mereka memerlukan bantuan dan pertolongan dari entiti-entiti itu, tetapi di sini Allah ‎ﷻ ingin memberitahu: tidak perlu. Kita hanya perlu terus berharap kepadaNya sahaja di dalam setiap perkara.

Habis Ruku’ ke 23 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 172: Semasa Nabi Muhammad ﷺ berada di Madinah, terdapat puak Nasara dari Najran yang datang untuk bertemu dengan Nabi ﷺ untuk berbincang tentang Tuhan. Mereka tidak dapat menerima apabila orang Islam berkata yang Nabi Isa عليه السلام itu hanyalah seorang hamba tuhan dan bukannya Anak Tuhan seperti mereka sangkakan sebelum ini.

Ini adalah kerana mereka memandang tinggi kedudukan Nabi Isa  عليه السلام sehinggakan terdapat orang Kristian yang menganggap baginda bukan Anak Tuhan, malah sebahagian dari Tuhan ataupun Tuhan sendiri. Mereka beriktikad yang baginda mempunyai martabat yang sangat tinggi dan bukan manusia.

لَّن يَستَنكِفَ المَسيحُ أَن يَكونَ عَبدًا لِّلهِ وَلَا المَلىٰئِكَةُ المُقَرَّبونَ ۚ وَمَن يَستَنكِف عَن عِبادَتِهِ وَيَستَكبِر فَسَيَحشُرُهُم إِلَيهِ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never would the Messiah disdain to be a servant of Allāh, nor would the angels near [to Him]. And whoever disdains His worship and is arrogant – He will gather them to Himself all together.

MALAY

(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.

 

لَّن يَستَنكِفَ المَسيحُ أَن يَكونَ عَبدًا لِّلهِ

(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah,

Mereka menganggap Nabi Isa عليه السلام itu bukanlah hamba biasa sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ memberitahu yang Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak bersalah. Baginda sendiri tidak malu atau sombong untuk mengaku dirinya sebagai hamba Allah ‎ﷻ. Malah baginda sendiri menyembah Allah ‎ﷻ.

Ayat ini menggunakan lafaz لَن menunjukkan yang Nabi Isa عليه السلام ‘tidak akan’ sombong daripada mengaku sebagai hamba Allah ‎ﷻ.

Lafaz يَستَنكِفَ dari kata dasar ن ك ف. Kata إستنكف bermaksud jenis malu untuk melakukan sesuatu perkara yang dirasakan tidak layak atau sesuai untuk dilakukan oleh seseorang. Contohnya, kalau seseorang berjawatan tinggi seperti presiden akan berasa malu untuk melakukan kerja bawahan seperti melakukan kerja-kerja mencuci.

Di dalam ayat ini ditunjukkan yang Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai perasaan tersebut kerana baginda memang mengaku yang baginda adalah hamba Allah ‎ﷻ. Tidak pernah terdapat di dalam mana-mana sumber sahih mengatakan yang baginda pernah mengaku sebagai tuhan atau anak tuhan. Dalam Bible mereka juga tidak ada lafaz yang mengatakan baginda adalah anak tuhan.

 

وَلَا المَلىٰئِكَةُ المُقَرَّبونَ

demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah).

Malaikat yang rapat dengan Allah ‎ﷻ pun tidak malu untuk mengaku sebagai hamba Allah ‎ﷻ. Ini termasuklah Malaikat Jibrail عليه السلام yang memang mengaku sebagai hamba Allah ‎ﷻ; sedangan puak Nasara yang sesat mengatakan yang Jibrail (“Holy Ghost” — Roh Suci) adalah salah satu dari elemen triniti itu.

Begitu juga, Musyrikin Mekah telah menjadikan malaikat-malaikat sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ dan kerana itu mereka memuja dan bertawasul dengan para malaikat itu. Ini juga adalah satu perbuatan yang syirik. Sedangkan malaikat-malaikat itu semua adalah hamba Allah ‎ﷻ dan mereka tidak pernah mengaku selain darinya.

Memang tidak ada masalah untuk mengaku sebagai hamba, kerana ia adalah kedudukan yang mulia. Dan sememangnya kita semua adalah hamba Allah ‎ﷻ, tidak lebih dari itu. Selagi namanya makhluk, semuanya adalah hamba kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَمَن يَستَنكِف عَن عِبادَتِهِ وَيَستَكبِر فَسَيَحشُرُهُم إِلَيهِ جَميعًا

Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada memperhambakan diri kepada Allah, serta dia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.

Sesiapa yang enggan mengaku sebagai hamba Allah ‎ﷻ dan masih ingin menyeru selain kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan menghimpunkan semuanya sekali  dan mereka akan dipersoalkan nanti.

Dan kalau ada yang sombong daripada menerima ajaran dari Allah ‎ﷻ, mereka akan dikumpulkan sebagaimana binatang dikumpulkan. Tiada lagi peluang untuk mereka melepaskan diri. Sama ada mereka menerima Allah ‎ﷻ ataupun tidak ketika di dunia, Allah ‎ﷻ ingin memberitahu yang semuanya akan menghadapNya juga nanti.

Sombong juga adalah sifat yang amat buruk. Ingatlah, kerana sifat sombong yang ada di dalam diri Iblislah yang menyebabkan dia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam  عليه السلام walaupun setelah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ.

Siapalah kita yang hendak sombong? Kita tidak ada apa-apa pun. Semua yang kita ada adalah dari pemberian Allah ‎ﷻ. Tidak layak sedikit pun untuk kita sombong dengan manusia mahupun makhluk lain, apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ. Maka janganlah malu untuk mengaku sebagai hamba Allah ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Baqarah Ayat 218 – 220 (Kelebihan menjaga anak yatim)

Ayat 218: Ini adalah ayat Tabshir. Dugaan untuk mengikuti agama ini adalah amat tinggi maka Allah ‎ﷻ berikan berita baik pada mereka yang sudah membuat keputusan untuk menjalankannya. Iaitu mereka akan diberikan dengan rahmat Allah ‎ﷻ.

Semua kita mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Namun siapakah yang layak untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ? Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini. Mari kita baca.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who have believed and those who have emigrated and fought in the cause of Allah – those expect the mercy of Allah . And Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang sanggup beriman dan berusaha untuk memperbaiki iman mereka sehingga iman mereka sempurna.

Bagaimana hendak meningkatkan iman kita? Dengan meningkatkan ilmu kita. Ini kerana dengan ada kefahaman, barulah kita dapat meningkatkan iman.

 

وَالَّذينَ هاجَروا

dan orang-orang yang berhijrah

‘Hijrah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘Hijrah Tubuh Badan’ dan juga ‘Hijrah Amal’. Janganlah kita sangka yang lafaz ‘hijrah’ di dalam ayat ini hanya merujuk kepada Hijrah pada zaman Nabi ﷺ dari Mekah ke Madinah sahaja. Kalau begitu tidak ada peluanglah kita untuk mengamalkan ayat ini di dalam kehidupan kita.

Hijrah dari Mekah ke Madinah itu memang hijrah yang terbesar tetapi kita yang hidup selepas zaman itu masih juga boleh melakukan hijrah. Iaitu hijrah ke arah kebaikan.

‘Hijrah tubuh badan’ yang dimaksudkan adalah kita berpindah dari tempat yang tidak baik kepada tempat yang lebih baik daripada segi agama. Supaya kita tidak duduk lagi bersama orang orang yang lalai dan leka dengan agama mereka. Ia juga bermaksud tidak bermastautin dalam perkampungan kafir harbi tetapi duduk dalam perkampungan orang Islam.

Saya teringat bagaimana Syeikh Albani رحمه الله selalu sahaja menasihati sesiapa sahaja orang Islam yang duduk di negara orang kafir untuk berpindah ke negara Islam untuk menjaga agama mereka. Beliau selalu mendapat panggilan telefon daripada orang Islam seluruh dunia untuk bertanyakan tentang hukum agama dan setiap kali ada panggilan daripada orang Islam dari negara kafir, beliau akan menasihati mereka tentang perkara ini. Beliau ajak mereka berpindahlah ke negara Islam.

‘Hijrah amal’ adalah kita ubah cara kehidupan kita daripada yang buruk kepada yang baik. Contohnya kalau dulu kita berniaga cara riba, sekarang kita ubah kepada cara perniagaan yang Sunnah. Kalau dahulu kita malas sembahyang atau lambat menunaikan salat, maka sekarang hendaklah kita bersemangat dan bersegera untuk mengerjakan salat dan memperbaiki salat kita. Kalau kita sekarang bekerja di tempat yang ada syubhat, maka kita tukar pekerjaan kita dengan pekerjaan yang lebih selamat daripada segi agama.

 

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

serta berjuang pada jalan Allah

Semasa hidup, dia berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ dengan menyampaikan wahyu kepada orang lain. Allah ‎ﷻ telah menetapkan kepada kita untuk usaha dakwah kepada umat manusia dan kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah itu.

Ada perbezaan antara jihad fillah dan jihad fisabilillah. Jihad fillah adalah apabila kita berusaha untuk buat perkara yang Allah ‎ﷻ suka dengan apa yang kita kita usahakan dalam kehidupan kita. Ini pun kena kita lakukan setiap dan ini adalah misi peribadi kita.

Sedangkan jihad Fisabilillah adalah lebih khusus iaitu usaha untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Inilah misi kita sebagai umat Islam. Jadi, ada misi peribadi kita kepada Allah, ‎ﷻ dan ada misi kolektif kita bersama dengan umat Islam yang lain.

Maka, jangan kita mencetekkan maksud jihad itu. Ada Muslim yang tidak faham kerana tidak belajar dengan betul tentang maksud jihad. Ada orang kafir yang menyalahkan umat Islam atas maksud jihad itu. Orang Islam yang jahil dan orang kafir yang salah sangka kepada Islam, mengatakan yang ‘jihad’ itu bermaksud ‘perang’. Padahal itu adalah maksud yang cetek.

‘Jihad’ dari segi bahasa maksudnya ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Lebih-lebih lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kalau usaha dakwah itu memerlukan perang, barulah ia digunakan. Bukanlah kita terus memerangi orang kafir sebelum kita dakwah kepada mereka. Masalah sekarang, sudahkah kita dakwah kepada mereka?

 

أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah

Mereka yang bersifat seperti yang disebut di ataslah yang ada harapan untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Maknanya dalam ayat ini ada perintah daripada Allah ‎ﷻ untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat-Nya. Bukan dengan berharap sahaja tetapi kena ada usaha.

Kita memang amat memerlukan rahmat Allah ‎ﷻ sebab hanya dengan rahmat Allah‎ ﷻ sahaja kita buat boleh masuk ke dalam syurga, bukan dengan amalan kita. Ini kita tahu daripada hadith yang sahih daripada Nabi ﷺ. Amalan kita daripada segi ibadat dan perbuatan baik itu akan dapat meninggikan darjat kita di dalam syurga sahaja tetapi untuk memasukinya, memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Nabi ﷺ bersabda:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ مُحَمَّدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَحَدٍ يُدْخِلُهُ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ فَقِيلَ وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي رَبِّي بِرَحْمَةٍ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid daripada  Ayub dari Muhammad daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.” (Hadith Muslim 5037)

 

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ Maha Mengampuni segala dosa kita asalkan kita mahu meminta ampun kepada-Nya. Dari rahmat Allah ‎ﷻ itu, kalau Dia telah mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengazab kita dalam neraka.


 

Ayat 219: Ayat 219 – 242 adalah hukum berkaitan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Kita akan belajar hak anak yatim, larangan minum arak dan judi, hukum sumpah, hukum talaq, rujuk dan iddah, haidh, larangan bersetubuh ketika haid, larangan nikah dengan orang kafir, hukum hubungan suami isteri, hukum fasakh dan khulu’, hukum wanita hamil, hukum menyusukan anak. Status persamaan dan beza lelaki dan wanita.

Ada lima perkara agama yang memberi kesan kepada kita sama ada baik ataupun buruk. Ia boleh jadi baik, dan boleh jadi buruk. Perkara-perkara ini memberi kekeliruan pada manusia. Oleh kerana kekeliruan itu menyebabkan manusia tidak dapat keluar daripada kesesatan menuju kepada kebenaran. Ini kerana perkara-perkara yang akan disebut selepas ini boleh memberi dua hala iaitu boleh membawa kepada kebaikan dan boleh kepada keburukan. Jadi kita kena dapatkan maklumat yang sahih.

Salah satu daripadanya adalah tentang arak dan judi. Arak itu dari satu sudut memang ada faedah sebab itu manusia ada yang minum arak kerana mereka nampak kebaikan padanya. Kalau kita tanya mereka kenapa mereka minum arak, mereka akan jawab dengan memberikan berbagai-bagai faedah pada arak itu. Dengan sebab itu mereka tidak boleh meninggalkannya walaupun mereka memang tahu ada keburukan padanya kerana mereka nampak ada faedah kepada mereka.

Begitu jugalah dengan judi yang ada juga kepentingan di dalamnya. Antaranya boleh buat duit.

Oleh kerana ada potensi dua hala ini (boleh juga jadi kebaikan atau keburukan), maka seseorang itu mestilah memikirkan dengan mendalam mengenainya. Jangan nampak yang baik kepada mereka sahaja. Kerana hanya apabila mereka memikirkan dalam-dalam, baru mereka akan nampak bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Manusia yang mempunyai akal yang waras, apabila nampak banyak keburukan daripada kebaikan, maka mereka akan meninggalkannya. Bagi kita yang tidak pernah minum arak dan berjudi ini mungkin tidak ada masalah tetapi ada orang yang telah bergelumang lama dengan perkara-perkara ini. Jadi tidak boleh ajak mereka kepada kebenaran dan meninggalkannya dengan cara yang keras. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana caranya bercakap dengan mereka di dalam Al-Qur’an.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you about wine and gambling. Say, “In them is great sin and [yet, some] benefit for people. But their sin is greater than their benefit.” And they ask you what they should spend. Say, “The excess [beyond needs].” Thus Allah makes clear to you the verses [of revelation] that you might give thought.

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang hukum arak dan judi kerana ia telah menjadi perkara yang sebati di dalam kehidupan masyarakat Arab pada waktu itu sebelum Islam. Mereka ingin tahu apakah pandangan Islam tentang dua perkara itu.

 

قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ

Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar 

Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk memberitahu kepada mereka bahawa pada arak dan judi itu ada dosa besar. Pada sisi Allah ‎ﷻ, berdosa besar kalau minum arak dan main judi dan terlibat dengannya. Maksud terlibat, contohnya walaupun kita tidak minum tetapi kalau kita jual, ia adalah dosa besar juga.

 

Kalau kita menggunakan akal kita yang waras, kita akan nampak bagaimana buruknya arak dan judi itu. Ia membazir duit, merosakkan kesihatan, merosakkan akal, memecah belahkan keluarga dan masyarakat, membuang masa dan macam-macam lagi keburukan yang ada padanya.

 

وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ

dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia

Dalam masa yang sama, ia juga ada faedah kepada sesetengah orang. Ini tidak dinafikan. Bukan kepada semua orang, tetapi hanya kepada sesetengah orang sahaja. Iaitu ia boleh beri ketenangan, sumber rezeki, antioksidan (contoh seperti di dalam “red wine” – wain merah) dan lain-lain lagi.

Kalau judi pula, ada orang yang boleh jadi kaya raya kerana judi. Ada pemain Poker yang menjadi jutawan dan hidup senang lenang kerana beriman Poker sahaja.

Namun jangan pula kita sengaja hendak mula minum sebab kita kata ada manfaat. Jangan gunakan ayat ini sebagai dalil pula untuk minum arak selepas ini. Kena baca ayat ini sampai habis.

 

وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما

tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Walaupun ada kebaikan, namun Allah ‎ﷻ tekankan bahawa dosa arak dan judi itu lebih besar daripada faedah yang ada padanya. Oleh kerana itu dua perkara itu mesti ditinggalkan. Jangan buat lagi.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ membandingkan antara ‘dosa’ dan ‘faedah’ – bukannya ‘keburukan’ dan ‘faedah’. Maknanya, bukanlah kita boleh buat senarai apakah kebaikan dan keburukan arak dan judi itu. Takut nanti ada yang hendak juga minum arak maka dia senaraikan kebaikan yang lebih banyak pula. Ini tidak boleh.

Kalau ada lebih faedah pun tidak berguna kerana Allah ‎ﷻ telah meletakkan hukum-Nya iaitu arak dan judi itu adalah dosa besar. Tidak boleh kita nak gunakan akal kita lagi untuk mencari jalan untuk memikirkan apakah kebaikan pada arak itu.

 

وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?

Masalah kedua yang mereka tanya adalah kadar yang mereka perlu infakkan. Ini pun ada dua hala juga. Memang mereka tahu mereka kena infak dan mereka hendak infak pun, tetapi berapa banyak? Kerana kalau infak sampai habis, sudah kena minta sedekah pula selepas itu kerana duit dia semua sudah habis. Kalau tidak infak langsung, Allah ‎ﷻ murka kepada kita.

 

قُلِ العَفوَ

Katakanlah: “yang berlebih daripada keperluan

Allah ‎ﷻ kata mudah sahaja, iaitu lebih daripada hajat kamu. Iaitu lebih daripada keperluan kita dalam kehidupan kita. Kita lihat kepada keperluan kita dan bila sudah cukup, maka yang selebihnya kita infak untuk beri kepada orang lain pula.

Ini adalah hukum yang biasa dan asas. Nanti akan ada penambahan lagi tentang perkara ini di dalam ayat dan surah-surah yang lain kerana ada kelebihan lain yang akan diberikan kepada mereka yang infak supaya mereka infak lebih banyak lagi. Oleh itu, ayat yang kita sedang baca ini adalah hukum biasa di mana kita akan beri yang lebih daripada keperluan kita. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru akan dapat pemahaman yang menyeluruh.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu berfikir:

Allah ‎ﷻ mengajar kita semua hukum-hukum ini di dalam Al-Qur’an ini supaya kita boleh menjalani kehidupan kita dengan sempurna. Allah ‎ﷻ suruh kita menggunakan akal kita (yang dipandu wahyu) dalam kehidupan kita. Akal yang waras adalah akal yang tidak terikat dengan emosi.


 

Ayat 220:

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

To this world and the Hereafter. And they ask you about orphans. Say, “Improvement for them is best. And if you mix your affairs with theirs – they are your brothers. And Allah knows the corrupter from the amender. And if Allah had willed, He could have put you in difficulty. Indeed, Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mengenai di dunia dan di akhirat 

Ayat ini adalah sambungan terus daripada ayat yang sebelumnya. Allah ‎ﷻ menerangkan seluruh ayat-ayatnya tentang arak, judi dan infak kepada kita semoga kita boleh memikirkan keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat. Apakah kerugian kalau kita terlibat dengan arak dan keuntungan jikalau kita infak harta kita.

Semua ini kena difikirkan secara mendalam. Jangan ikut perasaan dan nafsu kita sahaja. Hidup kita bukan di dunia sahaja, tetapi kita semua akhirnya akan menuju kepada akhirat. Jangan kita untung di dunia tetapi rugi di akhirat nanti – itu adalah rugi yang serugi-ruginya.

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk memikirkan tentang akhirat. Memang kita sudah selalu memikirkan tentang dunia. Sebagai contoh, apabila dapat gaji sahaja, kita sudah fikirkan di manakah wang gaji itu akan dibelanjakan, berapa hendak beli makanan dan bayar tempat tinggal, hutang yang kita kena bayar, pakaian yang kita hendak beli, pelaburan yang kita boleh laburkan duit itu dan sebagainya. Itu memang selalu kita fikir.

Namun bagaimana pula dengan akhirat? Adakah dalam perkiraan penggunaan wang kita itu, kita memikirkan kepada siapakah yang kita boleh tolong? Adakah kita beri infak kepada mereka yang menjalankan kerja dakwah dan sebagainya? Itu semua adalah saham akhirat kita. Ia tidak akan merugikan kita.

Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia akan pulangkan balik setiap sen yang kita infakkan itu dengan berlebihan berganda-ganda lagi. Itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan sekali dan tidak ada lagi pelaburan yang lebih untung daripada itu. Kalau kita simpan duit di rumah atau di bank, ia boleh hilang – tetapi kalau kita simpan dengan Allah ‎ﷻ, ia tidak akan hilang dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Sudahlah tidak hilang, ia akan dilipat gandakan berkali-kali ganda.

 

وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ

dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai anak-anak yatim. 

Masalah ketiga adalah tentang anak yatim. Iaitu tentang masalah dalam urusan memelihara mereka. Islam memang menggalakkan umatnya menjaga anak yatim. Ini disebut dalam banyak ayat Al-Qur’an dan juga hadith-hadith sahih.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ

“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. (Riwayat Muslim, (2983))

 

wp-1581740672107.jpg

Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ عَالَ ثَلَاثَةً مِنْ الْأَيْتَامِ كَانَ كَمَنْ قَامَ لَيْلَهُ وَصَامَ نَهَارَهُ وَغَدَا وَرَاحَ شَاهِرًا سَيْفَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَكُنْتُ أَنَا وَهُوَ فِي الْجَنَّةِ أَخَوَيْنِ كَهَاتَيْنِ أُخْتَانِ وَأَلْصَقَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةَ وَالْوُسْطَى

Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengurus tiga anak yatim maka dia ibarat orang yang melakukan qiyamul lail pada malam harinya, berpuasa pada siang harinya, berangkat pagi dan petang hari dengan pedang terhunus di jalan Allah ‎ﷻ, aku dan dia berada di syurga seperti dua saudara sebagaimana dua ini yang bersaudara.” Dan baginda menempelkan dua jarinya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadith Ibnu Majah no 3670)

Imam At-Tirmizi رحمه الله meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda :

مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah ‎ﷻ akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.”  (Riwayat al-Tirmizi, no. 1917)

Hadith-hadith ini menunjukkan akan ketentuan Allah ‎ﷻ memberikan pahala dan ganjaran kepada mereka yang secara ikhlas memelihara anak yatim. Baginda Nabi Muhammad ﷺ malah menerangkan bahawa si penjaga akan bersama-sama bagaikan saudara dengan baginda di syurga kelak, inilah antara ganjaran yang terbesar yang diinginkan umat Islam semuanya.

Jadi, memang ada kelebihan menjaga anak yatim. Para sahabat sudah tahu. Namun dalam masa yang sama, kita dilarang daripada memakan harta anak yatim. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat yang lain:

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). (An-Nisa’: 10)

wp-1581746043230.jpg

Jadi, sahabat takut kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang mereka pelihara kerana sifat mereka yang amat menjaga hukum. Mereka tidak berani hendak melanggar larangan Allah ‎ﷻ. Jadi, mereka sudah mula rasa susah kalau mereka pelihara anak yatim.

Dalam satu sudut, mereka tahu ada banyak ganjaran dan kebaikan kalau menjaga anak yatim, namun dalam masa yang sama juga, mereka takut kalau mereka membuat dosa kalau termakan harta anak yatim itu. Sampaikan ada antara mereka yang buat dua dapur – satu untuk ahli keluarga mereka dan satu lagi untuk anak-anak yatim itu. Dan mereka tidak makan bersama, kerana takut termakan daripada bahagian anak-anak yatim itu. Itu sudah menyusahkan mereka.

Itulah yang dikatakan ada dua hala itu (ada pro dan kontra). Bukannya para sahabat tidak mahu menjaga anak yatim, tetapi mereka takut juga kalau-kalau mereka buat salah. Maka Allah ‎ﷻ membuat undang-undang untuk menguruskan perkara ini.

 

قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ

Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”

 

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau tujuan mereka untuk kebaikan anak-anak yatim itu, kesannya adalah baik. ‘Islah’ itu maksudnya tujuan untuk melakukan kebaikan. Kalau mereka berniat membantu dan menjaga anak yatim itu untuk kebaikan, ia adalah amat bagus sekali.

Kalau anak-anak yatim itu ada harta dan mereka gunakan sebagai pelaburan yang menguntungkan, itu juga adalah kebaikan. Iaitu cari perniagaan atau pelaburan yang ‘berkemungkinan’ menguntungkan. Kita memang tahu yang keuntungan tidak dapat dipastikan, tetapi kita boleh agak manakah pelaburan yang selamat.

Maka jangan labur dalam saham Bursa pula sebab itu ada kemungkinan akan rugi wang mereka. Dan jangan juga melabur dalam skim Ponzi dan juga MLM. Kena nilai dengan akal yang waras. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat lain:

Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa. (Al-Isra’: 34)

Penjaga boleh ambil harta anak yatim itu dan laburkan di tempat yang bermanfaat. Sebagai contoh, boleh beli rumah dan sewakan dan lain-lain perniagaan yang selamat. Sebab kalau tidak dilaburkan pun, harta itu akan berkurangan sebab kena bayar zakat tiap-tiap tahun – lama-lama harta itu akan susut.

Jadi memang elok kalau harta itu disuburkan dengan pelaburan supaya bertambah. Supaya apabila anak yatim itu sudah cukup umur, harta itu boleh diberikan kepadanya dan ia telah bertambah. Bolehlah dia gunakan untuk kegunaannya melangsungkan kehidupannya. Tidaklah dia kesusahan nanti apabila dia sudah dewasa.

Semua ini memerlukan hati yang ikhlas dan keinginan kepada kebaikan anak itu. Kalau tidak ada, susah hendak buat begini. Jadi niat daripada asal kenalah benar dan suci ikhlas. Kalau tidak memang susah kerana menjaga anak yatim dan hartanya sekali memang memerlukan usaha yang banyak dan lama.

Jadi, kalau kita kena luangkan masa untuk menjaga harta anak yatim itu, maka sudah tentu kita tidak ada masa untuk buat kerja lain. Maka dalam keadaan itu, kita boleh ambil gaji atau upah daripada wang itu sekadar yang patut. Kena jujur dalam perkara ini. Kena ingat yang semua ini akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ.

Kalau kita memelihara anak yatim dan mereka ada harta, kita boleh ambil sedikit harta mereka kerana kita menjaga mereka. Tetapi jikalau kita orang kaya dan tidak memerlukan harta anak yatim itu, maka kita tidak perlu memakannya atau mengambilnya. Maka dalam keadaan begitu, kita simpan sahaja dan seeloknya dilaburkan ke tempat yang menguntungkan.

Jagalah anak yatim itu dan beri pendidikan agama kepada mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh. Allah ‎ﷻ akan membalas segala susah payah kita itu. Memang menjaga anak-anak yatim bukan mudah kerana kita kena berhati-hati supaya kita tidak termakan harta mereka dengan cara salah atau terbuat kezaliman kepada mereka.

Jadi jikalau kita lakukan semua itu untuk kebaikan anak itu maka insyaallah, Allah ‎ﷻ akan bantu kita untuk menjadikan kebaikan di dalamnya. Ganjaran yang dijanjikan amat-amat tinggi.

 

وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم

dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu

Jikalau makanan kita bercampur aduk dengan makanan mereka maka anggaplah mereka itu adik beradik kita bukan orang lain. Janganlah sampai tidak makan bersama kerana takut termakan makanan mereka. Makan sekali, jangan takut. Tidak perlu sampai kena buat dua dapur yang berbeza.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ

dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaikinya.

Allah ‎ﷻ tahu isi hati dan niat mereka yang menjaga anak-anak yatim sama ada mereka mahukan kebaikan untuk anak yatim itu ataupun tidak. Maka kena ingat yang semua perbuatan kita akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ dan ia akan bergantung kepada niat kita semasa melakukannya.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم

Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu

Kalaulah Allah ‎ﷻ mahu, Allah ‎ﷻ boleh menyusahkan kita yang menjaga anak yatim itu, iaitu kita tetap juga kena menjaga anak yatim itu dalam kesusahan dan kepayahan. Sampai tidak boleh langsung makan harta anak yatim itu, kena makan asing, kena buat dapur berbeza dan sebagainya.

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu di mana Allah ‎ﷻ telah memberikan kemudahan di dalam urusan menjaga mereka. Supaya kita boleh dapat pahala dan kelebihan menjaga anak yatim, tetapi tidaklah menyusahkan kita sangat.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ boleh balas segala dosa dan kesalahan kita sama ada di dunia atau di akhirat. Maka takutlah kepada azab Allah ‎ﷻ kalau kita salahguna harta anak-anak yatim itu atau berlaku zalim terhadap mereka.

Kalau kita bersalah dalam hal menjaga harta anak yatim itu dan Allah ‎ﷻ tidak balas semasa di dunia, itu adalah kerana atas hikmah kebijaksanaan Allah ‎ﷻ, yang antaranya Allah ‎ﷻ mahu memberi peluang kita untuk memperbaiki keadaan itu dan bertaubat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 16 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Baqarah Ayat 188 – 189 (Jangan beri rasuah)

Ayat 188: Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa adalah jenis ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan.

Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan dari usaha sendiri, maka janganlah cara untuk mendapatkannya adalah dengan cara yang salah. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta.

Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam? Jadi pembahagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati.

Ayat 188 ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, di mana usaha mencari harta itu adalah dari kita sendiri. Ia juga ada peraturan yang Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tidak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa namun ia memang ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, di manakah kita perlu mengamalkannya?

Kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan dalam usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia kerana senang untuk jaga taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Tetapi apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.

Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih daripada itu. Masuk bulan Syawal sahaja, kita sudah macam orang tidak bertaqwa.

Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ia hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tetapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain.

Memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Sama ada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta kena halal. Sama ada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan.

Ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti salat dan puasa. Tetapi dalam kehidupan mereka, susah mereka hendak jaga daripada melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada manusia, bukan ‘ibadat’ sahaja kena buat, tetapi ‘adat’, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِّن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not consume one another’s wealth unjustly or send it [in bribery] to the rulers in order that [they might aid] you [to] consume a portion of the wealth of the people in sin, while you know [it is unlawful].

 

Malay

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِٱلبَـٰطِلِ

Dan jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu dengan cara batil;

Iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat. Jangan buat benda lain semasa di pejabat termasuk melihat video agama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.

Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syari’at. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang batil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama’ sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak.

Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru hendak periksa sama ada ia adalah sah mengikut syari’at Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau sudah boleh buat duit, tetapi ulama’ kata ia tidak sah, bagaimana? Adakah mereka hendak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?

Apabila kita makan daripada sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita.

Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tetapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang kena sihir dan sebagainya.

Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita di atas balasan Allah ‎ﷻ kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ia adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.

Batil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syari’at. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum fiqah. Sebab itu ulama’ meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum fiqah dalam perniagaan dahulu. Jangan buat dahulu baru hendak belajar. Kena belajar siap-siap.

Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya. Yang tidak dengan cara yang halal. Oleh itu, jangan dapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.

Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tidak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayangkan harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga.

Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Ini kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah ‎ﷻ gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain macam kita hormati harta kita juga.

Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Tuanpunya kereta tidak boleh buat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang batil.

Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Itu pun termasuk juga dalam perkara batil.

Orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka. Iaitu golongan-golongan profesional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati.

 

وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ

dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;

Kedua, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim supaya hakim meluluskan dalam mahkamah yang harta itu milik dia. Mungkin dia telah ambil geran tanah orang lain dan ubah nama. Untuk merampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya.

Mereka boleh buat sampai mangsa tidak boleh buat apa. Walaupun dalam mahkamah, mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tetapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal.

Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja.

Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Ummu Salamah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“أَلَا إِنَّمَا أَنَا بَشَر، وَإِنَّمَا يَأْتِينِي الْخِصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنْ نَارٍ، فَلْيَحْملْهَا، أَوْ ليذَرْها”

Ingatlah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebahagian dari kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Barang siapa yang telah kuputuskan buatnya menyangkut masalah hak seorang muslim, pada hakikatnya hal itu hanyalah merupakan sepotong api neraka; kerana itu, hendaklah seseorang menyanggahnya atau meninggalkannya.

Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ianya tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil.

Perkataan دلو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ianya meletakkan makanan dalam timba, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh tangkap binatang itu.

Maksud pepatah itu adalah menggunakan wang untuk menarik pemerintah kepada kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada businessman yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.

Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam dari orang lain, tapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Oleh itu bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada pinjam duit itu.

 

لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ

untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;

Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga.

Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’.

Apabila kita makan dari harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Maka hal makanan kenalah dijaga betul.

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tidak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tetapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang menjadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Sama ada mereka tahu ia salah dalam hukum agama atau dari segi moral.

Tetapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tidak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja. Atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah ‎ﷻ cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.

Habis Ruku’ 23 dari 40 surah ini


 

Ayat 189: Ayat 189 – 207 membincangkan tentang Jihad, Infak dan Haji. Ayat 189 ini ada sangkut paut dengan puasa juga kerana melibatkan anak bulan.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Sahih International

They ask you, [O Muhammad], about the new moons. Say, “They are measurements of time for the people and for Hajj.” And it is not righteousness to enter houses from the back, but righteousness is [in] one who fears Allah. And enter houses from their doors. And fear Allah that you may succeed.

 

Malay

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ

Mereka bertanya kamu tentang anak bulan; 

Ahillah bermaksud 12 anak bulan dan kalau Hilal hanya satu bulan saja. Apabila Anak Bulan sudah kelihatan, itu menandakan sudah masuk bulan yang baru. Apabila ayat tentang bulan Ramadhan dikeluarkan sebelum ini, soalan yang ditanya oleh para sahabat رضي الله عنهم adalah tentang anak bulan.

Kerana puasa Ramadhan itu dijalankan selama sebulan dan telah disebutkan dalam ayat yang lalu bahawa apabila nampak anak bulan, maka mulakan puasa. Maka mereka bertanyalah tentang anak bulan itu.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini: Orang Arab Mekah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ kenapa bulan tidak sembah matahari kerana bulan kecil dan matahari itu besar? Bulan itu sudahlah kecil apabila ia keluar di langit, kemudian lama-lama semakin mengecil lagi. Mereka sengaja sahaja bertanya. Benda yang tidak perlu diketahui pun tetapi mereka bertanya juga.

Soalan mereka itu tidak dijawab dengan tepat oleh Allah ‎ﷻ dalam potongan ayat seterusnya kerana itu bukanlah soalan yang cerdik. Allah ‎ﷻ hanya jawab apa yang penting sahaja. Ini juga mengajar kepada kita bahawa jika ada soalan yang tidak patut maka hendaklah kita jawab dengan kebijaksanaan. Kerana adalah menjadi perkara biasa, kadang-kadang yang bertanya itu jahil dan tidak tahu cara bertanya atau tanya benda yang tidak perlu.

Kita hendaklah memberi jawapan yang menguntungkan kepada orang jahil yang bertanya itu. Sebab itu kalau di negara yang maju syariat, kalau bertanya kepada mufti, kena ajukan soalan dalam tulisan supaya jelas apakah yang hendak ditanya. Dan jawapan akan diberikan oleh lebih daripada seorang mufti dan dalam bentuk tulisan juga supaya jelas apakah jawapannya.

 

قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Katakanlah: anak bulan itu untuk penentuan masa kepada manusia dan mencari bulan haji;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Anak Bulan ini memberi faedah kepada manusia untuk menentukan waktu yang boleh mereka gunakan dalam kehidupan mereka seharian. Macam kita sekarang ada kalender. Dengan Anak Bulan, maka senanglah untuk mereka membuat perkiraan ataupun membuat perjanjian untuk berjumpa dan sebagainya.

Contohnya mereka kata mereka akan datang hari ketiga selepas Anak Bulan Muharram keluar. Ini adalah kegunaan dalam kehidupan mereka yang tidak melibatkan ibadat. Macam kita gantung kalendar di dinding, Allah ‎ﷻ gantung bulan di langit untuk manusia menentukan masa. Boleh digunakan untuk menentukan masa untuk berniaga, bermusafir dan sebagainya.

Selain daripada kegunaan harian, Anak Bulan ini juga terlibat dengan perkara ibadat di mana ia digunakan untuk menentukan bilakah musim Haji. Begitu juga ketetapan bulan Ramadhan dikira dengan datangnya anak bulan. Dalam banyak-banyak masa untuk kita jaga, Allah ‎ﷻ menyebut satu yang penting – bulan Haji. Kita mungkin sangka Allah ‎ﷻ hendak sebut tentang bulan puasa, sebab baru habis tentang bulan puasa sebelum ini, tetapi Allah ‎ﷻ sebut tentang Ibadah Haji pula.

Allah ‎ﷻ sebut Haji kerana ada sebab. Waktu itu Islam masih awal lagi di Madinah. Mekah masih di tangan Musyrikin Mekah. Sahabat tertanya-tanya bagaimana mereka hendak pergi mengerjakan Haji kerana Musyrikin Mekah tidak akan membenarkan mereka. Tambahan pula Kaabah waktu itu dipenuhi dengan berhala lagi, maka takkan hendak tawaf keliling Kaabah yang penuh dengan berhala pula.

Sebenarnya Allah‎ ﷻ sedang memberi isyarat bahawa mereka perlu memfokuskan usaha mereka untuk buat Haji. Untuk melakukan ibadah Haji, mereka perlu membersihkan Kaabah daripada berhala. Untuk membersihkan Kaabah itu, bermaksud mereka perlu mengambil alih Mekah. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengisyaratkan kepada para sahabat رضي الله عنهم untuk bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah.

Itulah misi yang telah diletakkan oleh Allah ‎ﷻ. Setiap kali mereka melihat kepada bulan, mereka akan teringat tugas mereka untuk membersihkan Kaabah kerana bulan mengingatkan kepada Haji seperti yang disebut dalam ayat ini, dan Haji mengingatkan tugas mereka untuk mengambil alih Mekah dan Kaabah.

 

وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا

dan bukanlah kebaikan itu dengan cara kamu masuk rumah-rumah kamu mengikut pintu belakang;

Ini adalah adat Arab Jahiliyyah dahulu, iaitu apabila mereka selesai menunaikan Haji, mereka akan masuk ke dalam rumah mereka melalui pintu belakang. Itu adalah rekaan amalan mereka sahaja. Ini kerana bila jahil ilmu wahyu, memang akan direka amalan yang pelik-pelik.

Orang kita pula, bila hendak pergi Haji, kena laungkan azan masa orang yang hendak pergi Haji itu turun tangga. Itu adalah rekaan syariat kerana tidak ada sunnah dari Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Sama sahaja orang kita macam Musyrikin Mekah yang sama-sama jahil wahyu. Mereka reka syariat, kita pun hendak reka syariat juga, tidak mahu kalah.

Oleh itu, dalam ayat ini terdapat teguran kepada orang Arab Mekah yang reka amalan sendiri. Apabila mereka keluar mengerjakan Haji, mereka akan keluar dari pintu depan rumah. Tetapi apabila mereka pulang dari mengerjakan Haji, mereka akan buat pintu baru dari belakang kerana mereka kata semasa mereka keluar untuk mengerjakan Haji, mereka waktu itu masih berdosa dan pintu itu adalah ‘pintu dosa’.

Apabila sudah selesai Haji, mereka tidak boleh masuk ikut pintu itu lagi kerana mereka sudah suci daripada dosa. Maka kena masuk pintu lain dari belakang. Bukan mereka masuk dari pintu dapur pun, tetapi mereka akan tebuk pintu baru. Sudah jadi satu kerja pula hendak tebuk pintu rumah yang baru.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa itu bukanlah syariat agama malahan ia adalah sesuatu yang menyusahkan diri sendiri sahaja. Ini juga sepatutnya sudah mengajar kita bahawa bid’ah dalam ibadat tidak dibenarkan. Bukan boleh dapat pahala pun kalau melakukan bid’ah, malahan akan mendapat dosa dan kemurkaan dari Allah ‎ﷻ.

Tadi tentang orang Arab Mekah, dan orang Madinah sebelum mereka masuk Islam, mereka pun ada mengamalkan perkara khurafat juga. Mereka pun menganggap Kaabah adalah sesuatu yang mulia kerana orang Arab memang pergi mengerjakan haji ke Kaabah kerana ada saki baki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita tahu orang Madinah pernah pergi mengerjakan Haji kerana di situlah mereka telah berjumpa Nabi Muhammad ﷺ buat pertama kali. Tetapi sudah ada adat-adat tambahan dalam agama mereka. Contohnya, apabila mereka telah memulakan perjalanan mengerjakan Haji ke Mekah, mereka tidak boleh pulang ke rumah langsung sehinggalah mereka habis mengerjakan ibadat itu.

Tetapi katakanlah mereka terpaksa juga patah balik kerana mereka tertinggal sesuatu yang penting, maka mereka akan masuk ke rumah ikut pintu belakang atau ikut tingkap. Sebab mereka kata ia adalah petanda buruk kalau masuk rumah ikut pintu hadapan. Ini ambil dari mana, mereka tidak dapat kenalpasti kerana agama telah bercampur baur dengan fahaman yang lain. Mereka sudah tidak pasti ia datang dari mana.

Tetapi mereka ikut juga sebab sudah lama amalkan. Macam orang kita jugalah, tidak tahu sesuatu amalan tambahan itu datang dari mana, tetapi mereka amalkan juga sebab sudah diamalkan dari datuk nenek dahulu. Mereka tidak bertanya pun sama ada ia betul atau tidak. Mereka sudah tidak fikir pun sama ada ia adalah kepercayaan karut atau tidak.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa perbuatan mereka itu bukanlah kebaikan. Kebaikan telah disenaraikan dalam ayat 177 sebelum ini dalam Ayatul Birr.

Ini terjadi kerana agama telah bercampur baur dengan amalan rekaan. Adat-adat lama telah bercampur dengan agama. Kita boleh tengok dalam amalan masyarakat kita juga. Kalau kenduri kahwin, kita sudah tidak tahu itu adalah majlis orang Islam, atau Hindu atau Kristian kerana sudah bercampur semua sekali. Kalau kubur pun kita tengok sudah jadi kubur Hindu pula sekarang.

Rekaan lain, kalau pergi Umrah atau Haji, buat Salat Hajat berjama’ah dan Majlis Doa Selamat di rumah supaya perjalanan selamat pergi dan selamat kembali. Itu semua adalah perbuatan mencipta syariat sendiri. Tidak pernah disuruh dan diamalkan oleh ulama’ salafussoleh.

 

وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ

Akan tetapi kebajikan itu adalah bagi sesiapa yang bertaqwa;

Iaitu yang mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Iaitu mengikut betul-betul. Maka, hendaklah belajar supaya kita tahu manakah yang betul.

 

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا

Dan masuklah dari pintu-pintu masuk biasa;

Ini adalah kata-kata pepatah Arab yang bermaksud buat perkara dengan cara yang betul. Apabila dikatakan masuk ikut pintu biasa, maknanya kena buat dengan cara yang betul. Maksudnya selepas ini, kena buat amalan ibadah sebagaimana yang diajar oleh Nabi. Ikutlah cara yang betul.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Jangan memandai hendak buat benda baru. Kalau ada amalan yang kita sudah biasa buat, kenalah periksa balik sama ada ia ada dalam Islam atau tidak. Antaranya, kita sudah selalu sangat buat Majlis Tahlil untuk menyedekahkan pahala kepada orang yang sudah mati. Soalan yang kita kena tanya, adakah itu ada dalam Islam atau tidak? Jawapannya, tidak ada.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.

Masih lagi disebut tentang taqwa. Banyak ayat-ayat dari Surah Baqarah ini yang menyebut tentang taqwa. Jadi harap kita sudah semakin faham tentang apakah maksud taqwa itu.

Orang yang bertaqwalah yang sebenar-benar mendapat kejayaan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 3 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan