Tafsir Surah Jathiya Ayat 9 – 13 (Orang Islam pun ada yang tolak Quran)

Ayat 9: Ayat Zajrun kepada mereka yang bukan sahaja berpaling dari Qur’an, malah mengejek-ngejeknya.

وَإِذا عَلِمَ مِن ءآيٰتِنا شَيئًا اتَّخَذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Sahih International

And when he knows anything of Our verses, he takes them in ridicule. Those will have a humiliating punishment.

Malay

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

 

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءآيٰتِنَا شَيْئًا

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami,

Tentunya ramai yang dapat mendengar ayat-ayat Allah ﷻ. Musyrikin Mekah telah banyak mendengar ayat-ayat Qur’an dibacakan oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat.

Bagi orang Islam pula, memang akan selalu jumpa ayat-ayat Qur’an. Namun orang bukan Islam kadang-kadang sahaja akan bertemu dengan ayat-ayat Qur’an. Kemungkinan hanya apabila ada orang Muslim yang post di forum, Facebook dan lain-lain. Sebahagian daripada mereka apabila melihat tidak berkata apa-apa. Namun ada juga yang bersuara apa yang difikirkan oleh mereka seperti katakan sesuatu yang tidak elok tentang ayat-ayat Allah ﷻ .

Nota: potongan ayat ini dan sambungan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

اتَّخَذَهَا هُزُوًا

ia menjadikannya ejek-ejekan;

Ada yang selepas tahu serba sedikit tentang ayat Qur’an mereka telah mengejek ayat-ayat itu. Maksudnya buat main-main menunjukkan mereka tidak pentingkan apa yang disampaikan dalam Qur’an itu.

Dahulu, Musyrikin Mekah telah mengejek-ngejek ayat-ayat Quran apabila dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebagai contoh, apabila Nabi ﷺ membacakan ayat Qur’an tentang neraka dan bagaimana neraka itu dikawal oleh 19 malaikat, mereka gelakkan ayat itu. Mereka kata bagaimana 19 orang malaikat boleh hendak menjaga ramai orang dalam neraka?

Seorang lelaki yang kuat tubuhnya telah berkata: biarlah orang lain menguruskan dua orang dari malaikat itu dan dia sendiri akan menguruskan lagi 17 itu. Lihatlah bagaimana teruknya mereka mengejek-ngejek ayat-ayat Allah ﷻ.

Malahan, dalam masyarakat kita juga ramai sebenarnya yang buat begini. Kalau masyarakat bukan Islam, kita boleh faham, tetapi bagaimana kalau dengan orang Islam sendiri? Kalau kita sudah mula berdakwah kepada manusia dengan menggunakan ayat-ayat Qur’an, kita akan berjumpa dengan mereka yang seperti ini.

Mereka ada yang kata: “Sikit-sikit baca ayat Qur’an. Sikit-sikit hadis. Tiada benda lain lagikah?” Lihatlah bagaimana mereka sanggup kata begitu. Seolah-olah ayat-ayat Qur’an itu tidak ada makna bagi mereka. Maknanya, mereka juga menolak ayat-ayat Qur’an itu tetapi mereka sedar tentang kedudukan ayat Qur’an. Walaupun begitu ada juga ayat-ayat lain yang mereka terima.

Maknanya, bukannya mereka tidak mendengar, cuma tidak mahu terima. Sudahlah tidak mahu terima, malah mereka turut mengejek pula. Sebagai contoh, kadangkala kita bacakan ayat Qur’an sebagai nasihat kepada mereka namun, apabila mendengar ayat-ayat yang macam pelik, mereka buat lawak pula dengan ayat itu.

Mungkin juga kalau kita baca dengan cara yang dia tidak pernah dengar, dia gelakkan cara bacaan kita pula. Bukannya dia hendak memikirkan tentang ayat yang dibaca, sebaliknya mereka buat lawak pula.

Itulah cara yang digunakan oleh manusia untuk menolak orang lain dan melarikan diri dari kebenaran. Mereka akan buat lawak dan jadikan perkara itu sebagai perkara ringan sahaja. Ini kerana apabila mereka jadikan ia sebagai bahan jenaka, mereka boleh menolak kepentingan sesuatu perkara itu.

Ada juga kalangan bukan Islam yang sengaja membaca ayat Qur’an dan mengejek-ngejek ayat-ayat itu. Mereka membaca Qur’an untuk mencari kesalahan-kesalahan yang mereka jumpa. Sebenarnya mereka tidak faham, tetapi masih mahu mengejek. Mereka hendak kata bahawa Muslim ini sangat bodoh sampai boleh percaya kepada Qur’an itu sedangkan bagi mereka tidak ada apa-apa.

Sebagai contoh, ada yang mencari dan senaraikan kesalahan grammar (nahu) yang ada pada Qur’an itu. Mereka kata begitu kerana tidak faham apakah Qur’an itu sendiri dan tidak tahu bahawa nahu Arab yang kena ikut Qur’an.

Apakah yang Allah ﷻ firmankan tentang orang-orang yang sebegini?

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

Ketika di dunia, mereka telah menghina Qur’an. Namun, di Akhirat, nanti mereka yang akan dihinakan dan akan dimalukan di khalayak ramai di Masyhar nanti.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina dina. Dulu mereka di dunia orang yang mulia, tetapi di neraka nanti akan menjadi orang yang hina dina.


 

Ayat 10: Apakah kesudahan mereka? Ini adalah ayat jenis ta’yin – menentukan jenis azab apa yang mereka akan dapat.

مِّن وَرائِهِم جَهَنَّمُ ۖ وَلا يُغني عَنهُم مّا كَسَبوا شَيئًا وَلا مَا اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ أَولِياءَ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

Before them is Hell, and what they had earned will not avail them at all nor what they had taken besides Allah as allies. And they will have a great punishment.

Malay

Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

 

مِّن وَرَائِهِمْ جَهَنَّمُ

Di hadapan mereka ada neraka Jahannam,

Neraka akan menunggu di hadapan mereka. Ini disebabkan mereka menolak ajaran-ajaran dalam Qur’an, mengejek-ngejek dan menghina ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka sangka mereka pandai, tetapi lihatlah apa yang akan terjadi kepada mereka.

Kalimah وراء selalunya digunakan untuk maksud ‘belakang’ dalam bahasa Arab. Namun, ada juga digunakan untuk membawa maksud ‘hadapan’ seperti dalam ayat ini.

Kalau digunakan sebagai ‘belakang’ boleh juga iaitu: mereka yang mengejek wahyu akan diikuti oleh neraka dari belakang yang mengejar mereka.

 

وَلَا يُغْنِي عَنْهُم مَّا كَسَبُوا شَيْئًا

Tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun apa jua yang mereka usahakan;

Amalan-amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan semasa di dunia tidak akan dapat membantu walaupun sedikit.

Selalunya mereka ini ada juga jenis orang yang beramal. Namun amalan itu jenis syirik, bidaah dan bukan amalan dari wahyu tetapi dari bisikan syaitan. Apabila sudah banyak amalan dilakukan, mereka berasa akan selamat dengan pahala amalan  sebegitu dan  sangka syeikh-syeikh akan selamatkan mereka.

Mereka turut menyangka telah mendapat banyak pahala dari amalan yang dibuat, tetapi sebaliknya hanya mendapat dosa. Amalan-amalan itu direka oleh manusia dan bukannya diajar oleh Allah ﷻ dan Nabi ﷺ iaitu amalan yang tidak ikut syariat. Jangan lupa surah ini tentang syariat.

Ada di antaranya, yang mengamalkan amalan salah seperti Hizb Bahar. Mereka sangka telah mengamalkan sesuatu yang bagus dan hebat. Ini kerana yang mengamalkan Hizb  adalah orang-orang besar, terkenal dan nampak hebat dalam kedudukan agama di antaranya guru-guru pondok.

Sebenarnya dalam amalan itu, mereka berlindung dengan tiang Arash. Tidakkah itu satu amalan yang syirik atau adakah mereka tidak faham apakah itu syirik?

Satu lagi amalan salah adalah memasukkan bacaan ayat Qur’an ke dalam air, kismis, minyak dan sebagainya. Ini bukan ajaran dari agama dan adalah rekaan belaka. Mereka yang melakukannya mungkin berniat baik dan sangka itu adalah benar sebab diamalkan oleh banyak orang yang nampak macam ada ilmu agama.

Terdapat juga yang menggunakan cara itu untuk melariskan barang jualan mereka. Memang lucu kalau kita melihat berbagai jenis barangan yang dibacakan ayat Qur’an. Sampaikan ayam juga ada dibacakan Qur’an! Barangan yang asalnya murah, jadi mahal kerana dibacakan ayat-ayat Qur’an.

Ayat ini juga bermaksud, apa-apa sahaja yang dimiliki di dunia, tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Sama ada anak-anak, harta benda yang dibanggakan, kekuatan dan sebagainya, tidak berguna langsung di akhirat kelak.

Ia juga bermakna, perbuatan baik semasa di dunia juga tidak dapat menolong mereka di akhirat kelak. Mungkin mereka orang yang banyak berjasa, banyak menolong orang lain atau mereka ahli sains yang mencipta sesuatu untuk memudahkan manusia keseluruhannya, mungkin sahaja.

Namun, kalau mereka mengamalkan syirik, segala kebaikan yang dibuat di dunia itu tidak bernilai. Allah ﷻ beritahu siap-siap dalam ayat ini.

 

وَلَا مَا اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللهِ أَوْلِيَاءَ

dan tidak juga yang mereka ambil selain Allah, sebagai wali;

‘Wali’ bermaksud mereka yang memberi pertolongan dan perlindungan. Masyarakat kita memang amat suka dengan kisah para wali. Kadang-kadang orang gila juga mereka sangka wali. Mereka kata: “Jaga-jaga dengan orang itu, entah-entah dia wali”.

Oleh kerana terpesona dengan kisah-kisah wali yang kononnya hebat-hebat dalam kitab-kitab kisah dongeng yang selalu ada dalam dunia tarekat, mereka memuja dan bertawasul dengan wali-wali itu. Mereka sangka, wali-wali itu boleh memberi pertolongan di akhirat kelak.

Ini adalah satu kesilapan dalam meletak pengharapan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi pertolongan kepada mereka. Sedangkan ahli keluarga sendiri tidak mahu memberi pertolongan, inikan pula orang lain yang tidak kena mengena dengan kita.

Dalam Dukhan: 41 Allah ﷻ ada menyebut tentang hal ini:

يَوْمَ لَا يُغْنِي مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu),

Oleh itu, tidak bermanfaat kalau mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Namun ramai yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Mereka akan bertawasul kepada wali itu dan wali ini antaranya, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Mereka juga menjadikan para Nabi dan para malaikat sebagai wali mereka.

Malangnya nanti kepada mereka, mereka yang disembah itu tidak akan mengaku penyembahan yang dilakukan kepada mereka. Ini disebut dalam Maryam:82

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka seru itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

Mereka sangka, mereka yang disembah, diseru, diberi salam dan diberi sedekah Fatihah itu akan jadi penolong mereka, tetapi sebaliknya tidak. Memang buang masa sahaja apa yang dilakukan oleh manusia yang buat begitu. Itu adalah kerana kebodohan mereka dan dibodoh-bodohkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Mereka yang ada penyokong di dunia, akan rasa kuat dan rasa boleh buat apa sahaja. Begitu juga dengan mereka yang sangka ada wali yang akan tolong mereka di akhirat kelak kerana sudah buat ‘ibadat’ kepada wali-wali itu.

Mereka buat tawasul kepada wali-wali itu, beri salam, sedekah Fatihah kepada wali-wali itu, sembelih binatang korban di kubur dan macam-macam lagi amalan pelik. Itu semua adalah bentuk-bentuk ibadah yang salah dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan orang-orang dahulu. Ia tidak ada langsung dalam syariat.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

Amat sedih sekali kepada mereka kerana membuang masa, duit dan tenaga membuat amalan-amalan salah, tetapi amalan itu membawa mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 11: Takhwif Ukhrawi

هٰذا هُدًى ۖ وَالَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَهُم عَذابٌ مِّن رِّجزٍ أَليمٌ

Sahih International

This [Qur’an] is guidance. And those who have disbelieved in the verses of their Lord will have a painful punishment of foul nature.

Malay

Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

هَٰذَا هُدًى

Ini ialah petunjuk;

Maksudnya adalah Qur’an ini. Lebih khusus lagi, merujuk kepada ayat pertama sampai ke ayat 10 sebelum ini. Qur’an inilah yang sepatutnya dijadikan sebagai sumber hidayah petunjuk.

Kalau tidak mengambil Qur’an ini sebagai petunjuk, maka manusia tidak akan dapat petunjuk selama-lamanya. Jangan sangka guru boleh memberi petunjuk, begitu juga dengan kitab-kitab yang ditulis oleh manusia. Itu semua boleh belajar, tetapi kena didahulukan dengan pemahaman Qur’an. Barulah dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

Guru-guru sepatutnya mengajar Tafsir Qur’an kepada manusia, bukannya memberi pendapat mereka. Tafsir Qur’an ini kena belajar dahulu sebelum ilmu yang lain.  Selepas itu, belajar hadis pula. Kemudian kalau ada masa, barulah belajar kitab-kitab yang lain.

Namun, kalau belajar perkara-perkara lain sebelum belajar Tafsir Qur’an, mereka berkemungkinan besar akan sesat kerana Qur’anlah yang menjadi kayu ukur untuk menentukan kebenaran ajaran-ajaran lain.

Oleh itu, kita kena sentiasa merujuk Qur’an. Semua orang Islam akan terima bahawa Qur’an itu adalah petunjuk tetapi ramai yang tidak tahu macam mana hendak gunakan petunjuk dalam Qur’an sebab tidak belajar Tafsir. Mereka membaca Qur’an tetapi tidak memahami apa yang dibaca.

Mereka ‘pandai cakap’ sahaja yang Qur’an itu petunjuk. Ramai yang kata: ‘marilah kembali kepada Qur’an’, dan macam-macam lagi laungan tetapi semua itu kosong belaka. Mereka hanya pandai bercakap sahaja dan tidak belajar Tafsir Qur’an. Oleh itu tidak akan tahu apakah yang Allah ﷻ  hendak dengan mereka.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ رَبِّهِمْ

dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka,

Kufur ingkar itu adalah menolak ayat-ayat Qur’an. Apabila dibacakan mereka tidak mahu mendengar dan apabila diajak belajar Tafsir Qur’an, ditolak dengan berbagai-bagai alasan. Kalau tidak mahu belajar maksud yang hendak disampaikan dalam Qur’an, itu sebenarnya sudah dikira engkar. Ini kerana Allah ﷻ  suruh kita belajar, tetapi kita tidak belajar, tidakkah itu sudah engkar?

Apabila mereka tidak tahu tafsir Qur’an, tentunya akan membuat amalan yang berlawanan dengan Qur’an. Syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk menyesatkan mereka dengan membisikkan perkara-perkara yang salah. Ini kerana kalau tidak tahu apa yang disampaikan dalam Qur’an, macam mana mereka boleh tahu manakah yang salah?

Jadi, ada yang termakan dengan bisikan syaitan kerana mereka sangka apa yang dibisikkan oleh syaitan itu adalah benar. Kesannya bukan kecil tetapi amat berat. Apakah yang mereka akan terima?

 

لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

untuk mereka, azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kalimah رِّجْزٍ adalah sesuatu yang menyebabkan kita menggigil ketakutan dan kesakitan. Selalunya bila kita menggigil? Ia akan dialami selepas melihat sesuatu yang teruk seperti binatang dan mayat manusia yang reput dan sebagainya. Jadi, apabila mereka melihat keterukan azab yang diberikan, mereka akan menggigil.

Kalimah رِّجْزٍ juga boleh diterjemahkan sebagai najis.

Itulah azab seksa yang mereka akan terima.


 

Ayat 12: Allah ﷻ menyambung dengan menceritakan lagi tanda-tanda-Nya. Jadi, ini adalah Dalil Aqli.

۞ اللهُ الَّذي سَخَّرَ لَكُمُ البَحرَ لِتَجرِيَ الفُلكُ فيهِ بِأَمرِهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

It is Allah who subjected to you the sea so that ships may sail upon it by His command and that you may seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.

Malay

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.

 

اللهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu,

Kalimah سَخَّرَ bermaksud menguasai sesuatu. Allah ﷻ telah benarkan kita menguasai laut. Tidaklah ini bermaksud kita boleh kawal lautan pula, seperti boleh gerakkan laut itu supaya tenang atau berombak pula, tidak. Itu tentu tidak boleh.

Ini hanya bermaksud yang kita boleh mengambil faedah dari laut iaitu dengan Allah ﷻ  memberi kepada kita ‘ilmu’ tentang laut. Kita diberi dengan ilmu tentang arusnya, cuacanya, cara membuat kapal, berlayar dan sebagainya. Maka dengan ilmu ini, kita boleh mengembara menggunakan laut itu.

Segala perkara dan ilmu itu, Allah ﷻ  juga yang ilhamkan kepada kita. Ini kerana kalau Allah ﷻ  tidak memberi ilham, kita juga tidak berani hendak masuk dalam laut itu.

 

لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ

supaya belayar kapal-kapal padanya dengan perintahNya,

Dengan ilmu laut itu, kita boleh berlayar dengan mengikut undang-undang Allah ﷻ  yang telah ditetapkan iaitu ‘atas kebenaran’ dan izin yang Allah ﷻ berikan. Ia kena mengikut angin, arus dan sebagainya.

Ingatlah bahawa ilmu itu dari Allah ﷻ  sebenarnya. Kita tidak akan pandai mengembara di lautan kalau Allah ﷻ  tidak tanamkan ilmu itu dalam akal manusia.

Kita boleh buat apa-apa sahaja di laut adalah dengan kebenaran-Nya. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan, maka tiada apa yang akan terjadi.

 

وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ

dan supaya kamu mencari dari limpah kurniaNya,

Dengan kita mengembara di lautan itu, kita boleh dapat hasil dari laut. Kita boleh menangkap ikan, mencari harta karun, mutiara, perhiasan dan sebagainya.

Itu menjadi sumber pendapatan yang amat besar bagi sesetengah orang. Selain dari itu, boleh jadikan laut sebagai laluan perniagaan. Barang perniagaan yang berat dan banyak boleh diangkut dengan mudah dan cepat kalau dibandingkan dengan laluan darat.

Oleh kerana itu, walaupun dunia semakin maju dan ada cara pengangkutan yang lebih cepat seperti kapal terbang, penggunaan jalan lautan masih lagi digunakan dengan lebih banyak kerana ia lebih jimat.

 

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Yang paling penting, kita kena bersyukur. Bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah memberi ilmu itu kepada kita dan telah menenangkan laut itu supaya kita boleh mengambil manfaat darinya. Selain itu perlu bersyukur kepada Allah ﷻ kerana menyelamatkan kita dalam pengembaraan di lautan yang luas dan bergelora itu.

Lihatlah bagaimana tujuan laut itu dimudahkan untuk kita adalah supaya kita mengucapkan syukur kepada Allah ﷻ . Sifat suka bersyukur ini, Allah ﷻ suka kerana ada manusia yang bersyukurlah, Allah ﷻ  tidak musnahkan lagi alam ini.

Sebab itu waktu Kiamat nanti, oleh kerana tidak ada lagi manusia yang bersyukur kepada Allah ﷻ , maka Allah ﷻ  akan musnahkan alam ini. Apabila manusia tidak lagi bersyukur kepada Allah ﷻ , maka laut tidak perlu lagi tenang, laut akan bergelora dan akan menghancurkan bumi pula nanti. Subhanallah.

Namun bagaimana hendak menunjukkan kesyukuran kepada Allah ﷻ ? Kesyukuran ditunjukkan dengan mentaati Allah ﷻ dan bukannya mengucap-ngucap alhamdulillah berulang-ulang sahaja.


 

Ayat 13: Sambungan Dalil Aqli

وَسَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ جَميعًا مِّنهُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sahih International

And He has subjected to you whatever is in the heavens and whatever is on the earth – all from Him. Indeed in that are signs for a people who give thought.

Malay

Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

 

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia memudahkan untuk kamu, apa yang ada di langit

Allah ﷻ juga telah memberi ilmu tentang langit, bulan, bintang, awan dan sebagainya kepada manusia. Semua ilmu itu diberi agar kita  dapat gunakan untuk hidup.

Sebagai contoh, kita gunakan ilmu tentang bintang untuk mencari perjalanan di malam hari. Apabila mengkaji tentang awan, kita dapat tahu tentang tempat-tempat yang hujan akan turun. Malah banyak lagi.

Kalimah سَخَّرَ bermaksud ‘menundukkan’. Adalah ini bermaksud Allah ﷻ akan memberi kita kebolehan untuk menundukkan langit? Mungkin lebih dari apa yang Allah ﷻ telah berikan sekarang? Bayangkan, manusia sudah boleh sampai ke bulan dan mungkin tidak lama lagi boleh sampai ke planet lain.

Allahu a’lam. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja kepada kita dan ada isyaratnya dalam ayat ini.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

dan apa yang ada di bumi, daripadaNya;

Semua pemberian itu daripada Allah ﷻ antaranya Allah ﷻ telah menundukkan bumi untuk kita. Allah ﷻ  telah memberi kita ilmu tentang cara mengurus bumi ini dan ajar macam mana hendak gunakan segala sumber yang ada dalam dunia.

Banyak sekali kegunaan segala tumbuhan, binatang, mineral dan macam-macam lagi yang kita telah manfaatkan untuk kehidupan. Kita masih mengkaji lagi bagaimana menggunakan sumber yang Allah ﷻ  telah jadikan itu.

Ingatlah bahawa Allah ﷻ telah jadikan dunia ini untuk kita. Maka tidak salah kalau  mengambil manfaat dari bumi untuk kegunaan kita.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Itu semua adalah dalil bagi kekuasaan Allah ﷻ . Dalil itu diberikan kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil pengajaran hanyalah mereka yang menggunakan akal untuk berfikir.

Ini bagi mereka yang apabila melihat kepada alam ini, sentiasa mengingatkan diri mereka kepada Allah  ﷻ. Bahawa hanya Allah ﷻ lah yang telah menjadikan semua itu dan telah memberikannya kepada kita.

Memang ramai saintis yang mengkaji tentang alam, tetapi mereka tidak mengaitkannya dengan Allah ﷻ . Mereka hanya menggunakan sumber yang ada, tetapi  tidak bersyukur.

Mereka juga tidak langsung berfikir bagaimana alam yang begini hebat itu, boleh terjadi. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri seperti yang disangkakan oleh golongan Atheis yang tidak percaya kepada Tuhan itu?

Mereka sangka sudah pandai tetapi sebenarnya mereka tidak menggunakan fikiran pada tempat yang sepatutnya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s