Tafsir Surah Ali Imran Ayat 1 – 2 (Asas Akidah)

WAHYU SEBAGAI SUMBER HIDAYAH

Ali Imran Ayat 1:

الم

Pembukaan yang sama dengan Surah Baqarah. Ini menjadi satu lagi isyarat bahawa ada kaitan yang rapat antara dua surah ini.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu apapun. Maknanya kita ini sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia merupakan kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Sebab itulah apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan Bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun, tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu per satu. Maka, perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya kerana ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah ketika itu yang kononnya mahir bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah, sekarang gunakanlah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu tu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang mengetahui) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan Bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.


 

Ali Imran Ayat 2: Selepas menyebut huruf Muqatta’ah tadi, sekarang Allah ﷻ memulakan ayat baru. Para ulama tafsir dan balaghah mengategorikan ayat ini sebagai Isti’naf Bayani, iaitu ayat baharu yang berfungsi untuk menjawab satu persoalan tersembunyi (muqaddar) yang timbul secara automatik di dalam minda pendengar selepas membaca ayat pertama tadi. Apabila telinga mendengar “Alif Lam Mim” yang penuh keagungan dan misteri itu, minda pembaca secara tidak sedar akan tertanya-tanya: “Siapakah yang menurunkan huruf-huruf yang agung ini? Dan siapakah pemilik kalam yang penuh mukjizat ini?” Nah, sekarang Allah ﷻ berikan jawapannya.

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of existence.

MALAY
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.

 

اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Kalimah ini berbunyi اللَّهُ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ dan bukannya kalimah Tahlil yang kita biasa gunakan iaitu لآ إِلٰهَ إِلّا اللَّهُ. Allah ﷻ gunakan sebagai dhomir (kata ganti nama) kerana Nama Allah telah disebut di awal. Jadi هُوَ itu adalah dhomir sahaja, bukannya nama Allah. Bukannya boleh dijadikan zikir Hu, Hu, Hu, seperti yang diamalkan oleh golongan karut sekarang ini. Beza nama dengan dhomir pun tidak boleh dibezakan, kah?

Frasa ni adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah ﷻ menegaskan yang tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat kita minta doa. Di sini terus ada tempelak kepada golongan Kristian yang menuhankan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ jelaskan yang ilah itu hanya Allah sahaja.

Dan ayat ini bukanlah kali pertama kita dengar. Kita sebenarnya telah selalu baca iaitu di permulaan Ayat Kursi, bukan? Jadi ada kesinambungan daripada Surah Baqarah yang diteruskan di dalam Surah Ali Imran ini.

Kalimah ini seringkali disebut oleh orang kita. Namun, begitu ramai yang tidak tahu maksud ‘ilah’. Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Akan tetapi: Siapakah ‘Tuhan’ itu? Ramai dalam kalangan orang Islam tidak faham pun apakah maksud ilah itu, tetapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi ﷺ kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Akidah yang Haq adalah tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ﷻ semata-mata.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ﷻ; iaitu kepada roh Nabi, wali, malaikat dan jin. Mereka berkongsi status ilah itu dengan Allah ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah. Namun, malang sekali, dek kerana tidak faham, umat Islam sekarang pun melanggar apa yang Nabi ﷺ telah murnikan.

Panjang perbincangan tentang maksud ilah dan bagaimana kekeliruan umat Islam sendiri menyebabkan Tauhid mereka tidak kemas. Ini kita telah terangkan di dalam Usul Tafsir.

Dalam konteks akidah Islam, perkataan “Ilah” (إله) bukan sekadar bermaksud “Tuhan yang mencipta”, tetapi bermaksud “Sesuatu yang dipuja, ditaati, dicintai, dan ditakuti secara mutlak melebihi segalanya”. Oleh itu, ia bukan terpakai untuk ‘tuhan’ sahaja. Apabila seorang Muslim meletakkan sesuatu perkara pada kedudukan mutlak tersebut, dia telah menjadikan perkara itu sebagai “ilah” selain Allah, sehinggakan boleh merosakkan atau menggugurkan kalimah tauhid (La ilaha illallah) di dalam dirinya.

Al-Qur’an dan realiti kehidupan manusia menunjukkan beberapa contoh “ilah” moden dan klasik yang sering disembah secara tidak sedar:

1. Hawa Nafsu dan Keinginan Diri (Al-Hawa)

Ini adalah “ilah” yang paling dekat dengan manusia dan paling banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila seseorang menjadikan kehendak nafsu sebagai undang-undang tertinggi dalam hidupnya (melebihi perintah Allah ‎ﷻ), maka dia telah mempertuhankan nafsunya.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia tahu sesuatu perkara itu haram secara mutlak (seperti menghalalkan zina, menghalalkan arak, atau menolak hukum syariat secara terang-terangan), tetapi dia tetap menghalalkannya demi memuaskan nafsu diri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? 

2. Ideologi, Sistem, dan Undang-Undang Manusia yang Mengatasi Syariat

Menjadikan pemikiran manusia, ideologi barat/timur (seperti sekularisme tegar, komunisme, atau liberalisme yang melampau), atau sistem perundangan ciptaan manusia sebagai sesuatu yang lebih suci, lebih benar, dan lebih wajib ditaati daripada hukum Allah.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang menyakini bahawa undang-undang Allah sudah lapuk, tidak adil, atau dia secara sedar memberikan hak Hakimiyyah (kuasa mutlak menentukan halal dan haram) kepada manusia, lalu menolak autoriti Allah ‎ﷻ sebagai Pembuat Syariat.

3. Harta, Wang, dan Kebendaan (Al-Mal)

Ini dinamakan sebagai penyembahan materialistik. Bukanlah bermaksud seseorang itu sujud melutut di hadapan duit, tetapi seluruh hidup, cinta, takut, dan harapnya diserahkan kepada harta.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila dia sanggup melakukan apa sahaja demi wang, termasuk menggadaikan akidah (cth: murtad demi harta), menggunakan sihir/syirik demi melariskan perniagaan, atau menyakini bahawa wanglah yang memberi rezeki dan menghidupkannya, bukan Allah ‎ﷻ.

Sindiran Nabi ﷺ:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ
Celakalah penyembah dinar (wang emas), penyembah dirham (wang perak), dan penyembah khamisah (pakaian mewah/baldu). Jika dia diberi (harta dunia), dia merasa reda (gembira), namun jika tidak diberi, dia merasa marah (benci)

(Sahih Al-Bukhari No. 2887)

4. Pemimpin, Guru, atau Tokoh Agama yang Diikuti Secara Buta Tuli

Menjadikan manusia (sama ada ketua parti, pemimpin negara, malah guru agama sekalipun) sebagai entiti yang “maksum” (tidak boleh salah) sehinggakan kata-kata mereka ditaati walaupun jelas melanggar perintah Allah ‎ﷻ.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Apabila seseorang itu tahu guru atau pemimpinnya menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, tetapi dia tetap mengikutinya dengan reda dan yakin.

Dalil Al-Qur’an: Kisah Ahli Kitab yang mempertuhankan paderi mereka di dalam Tawbah:31

اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah

Nabi ﷺ menjelaskan ayat ini bermaksud: Mereka mengikut paderi yang mengubah hukum halal/haram Allah.

5. Kuasa Ghaib Selain Allah ‎ﷻ (Sihir, Dukun, dan Khurafat)

Bergantung harap, takut, dan meminta pertolongan kepada makhluk halus, jin, syaitan, azimat, atau kubur keramat untuk mendapatkan perlindungan atau keuntungan.

Bagaimana ia menggugurkan tauhid: Ini adalah syirik jali (nyata). Seseorang itu gugur tauhidnya apabila dia percaya bomoh atau jin tersebut mempunyai kuasa mutlak memberi manfaat dan mudarat secara berasingan daripada kehendak Allah ‎ﷻ.

Apabila kita faham maksud ilah, barulah kita menyembah Allah ‎ﷻ dengan sempurna. Kerana menyembah Allah ‎ﷻ bukan sahaja dari segi perbuatan, tetapi ia mesti dilakukan dengan memenuhi syarat-syaratnya. Kena ada 4 perkara:

1. Cinta (Mahabbah) – Penggerak Utama

Sembah Allah ‎ﷻ dengan rasa cinta bermaksud kita melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya bukan kerana terpaksa, bukan sekadar menggugurkan taklif (kewajipan), dan bukan seperti seorang hamba yang takutkan sebatan tuannya. Kalau sembah Allah ‎ﷻ tanpa rasa cinta, itu bukan ikhlas namanya.

Hakikatnya kita beribadah kerana kita rindu, sayang, dan bersyukur atas segala nikmat-Nya. Apabila ada cinta, ibadah yang berat (seperti bangun tahajjud di waktu sejuk) akan terasa ringan dan manis. Orang yang ada cinta kepada Allah, akan suka untuk buat ibadat dengan banyak.

Kata Ulama: “Sesiapa yang menyembah Allah dengan cinta sahaja tanpa rasa takut, dia boleh menjadi zindiq (bebas melanggar hukum kerana merasa Allah tersangat mencintainya).”

2. Agung (Ta’zim) – Melahirkan Rasa Hormat dan Khusyuk

Ta’zim bermaksud membesarkan dan mengagungkan kehebatan, kemuliaan, serta kekuasaan Allah SWT di dalam hati. Rasa agung ini lahir apabila kita sedar betapa kerdilnya diri kita manusia yang penuh dosa, berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pentadbir Semesta Alam. Rasa ta’zim inilah yang melahirkan sifat khusyuk dalam solat, ketertiban dalam membaca Al-Qur’an, dan rasa gerun untuk meremehkan syariat-Nya.

3. Takut (Khauf) – Benteng daripada Maksiat

Sembah Allah dengan rasa takut bermaksud kita bimbang akan kemurkaan Allah, azab seksa neraka, dan takut sekiranya pengakhiran hidup kita mati dalam keadaan yang buruk (su’ul khatimah).

Takut kepada Allah tidak sama seperti takut kepada harimau (yang membuatkan kita lari menjauhinya). Takut kepada Allah membuatkan kita lari lurus menuju kepada-Nya untuk berlindung. Rasa takut ini berfungsi sebagai “brek” yang menghalang kita daripada melayan nafsu untuk melakukan maksiat ketika bersendirian.

4. Harap (Raja’) – Penawar Putus Asa

Raja’ bermaksud hati yang sentiasa bergantung harap, bersangka baik (husnuzon), dan mendambakan rahmat, keampunan, serta ganjaran syurga daripada Allah. Kita tidak boleh ada rasa yakin yang ibadat kita diterima.

Hakikatnya: Selepas kita penat melakukan ibadah, kita tidak boleh sombong dengan amalan tersebut. Sebaliknya, kita meletakkan harapan yang tinggi agar Allah menerima amalan kita yang serba kekurangan itu. Sifat ini sangat penting sebagai “sayap pengimbang” agar seseorang itu tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun dia merasakan dosanya teramat banyak.

Inilah keseimbangan yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’). Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ. Boleh gila jadinya kerana ada takut sahaja.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun. Seseorang yang tidak ada rasa takut tidak akan memperbaiki amal ibadat dia kerana sangka Allah terus terima.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:

“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Daripada 4 sifat ini, 2 kena ada sebelum sembah, dan 2 kena ada selepas sembah Allah. Sebelum sembah Allah, kita kena ada Cinta dan Ta’zim. Barulah kita rasa kita kena sembah Allah dan melakukan ibadat kepadaNya. Selepas kita melakukan ibadat, kena ada pula Takut dan Harap. Takut Allah tidak terima ibadah yang baru dilakukan dan di dalam masa yang sama, berharap sangat Allah terima.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah ‎ﷻ terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah dan hanya Dia sahaja yang layak disembah. Bukan sahaja Dia layak disembah, tapi apa sahaja yang Dia sampaikan di dalam bentuk wahyu, perlu diikuti. Kerana ini bukannya makhluk tetapi Allah yang mempunyai sifat-sifat yang agung! Jadi jangan buat tidak endah!

Di dalam ayat ini, Allah sebut dua Sifat. Dua nama Allah yang agung ini, iaitu Al-Hayyu (الحَيُّ) dan Al-Qayyum (القَيُّومُ), disebut bersama-sama dalam beberapa tempat di dalam Al-Qur’an (seperti dalam Ayat Kursi). Kombinasi dua nama ini disifatkan oleh para ulama (seperti Imam Ibnu al-Qayyim) sebagai pusat atau paksi kepada seluruh nama-nama Allah yang lain.

 

Al-Hayyu (الحَيُّ) – Yang Maha Hidup

Nama ini bermaksud Allah mempunyai kehidupan yang mutlak, sempurna, kekal abadi, dan tidak didahului oleh ketiadaan serta tidak akan diakhiri oleh kematian.

Sifat Kesempurnaan: Kehidupan Allah bersih daripada segala sifat kekurangan makhluk. Allah tidak mengantuk, tidak letih, tidak sakit, dan tidak tidur (seperti yang disebut dalam Ayat Kursi).

Punca Kehidupan: Hidup-Nya adalah dengan zat-Nya sendiri, bukan kerana ada pihak lain yang menghidupkan-Nya. Malah, Dialah yang memberi pinjaman nyawa dan kehidupan kepada seluruh makhluk.

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Hayyu menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Zat (Sifat Dzatiyyah), seperti Ilmu (Maha Mengetahui), Sama’ (Maha Mendengar), dan Basar (Maha Melihat). Sesuatu yang tidak hidup, mustahil boleh mendengar, melihat, atau mengetahui.

Oleh kerana itu, hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Semua makhluk akan mati semuanya. Nanti kita akan belajar tentang Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها. Mereka berdua telah pun wafat walaupun dipuja oleh penganut Kristian. Begitu juga dengan manusia lain dan mana-mana makhluk pun tidak akan kekal. Maka tidak patut mana-mana makhluk dipuja.

Dan ini menyentuh terus akidah Nasara yang percaya Anak Tuhan (Nasi Isa) mati selama tiga hari sebelum dihidupkan balik. Maka Allah tekankan di dalam ayat ini yang Tuhan tak mati-mati. Jadi tuhan jenis apa yang mati pula? Itu bukanlah Tuhan tetapi makhluk!

 

Al-Qayyum (القَيُّومُ) – Yang Maha Berdiri Sendiri & Mentadbir

Nama ini berasal daripada kata dasar Al-Qiyam (berdiri/tegak). Ia mengandungi dua makna yang sangat besar:

Pertama: Allah Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan apa-apa atau sesiapa pun. Allah tidak memerlukan ruang, tidak memerlukan bantuan malaikat, dan tidak memerlukan ibadah daripada makhluk-Nya untuk mengekalkan kehebatan-Nya. Sebagai contoh, Allah cipta langit tapi Allah tidak memerlukan langit.

Kedua: Allah ialah Pentadbir, Penjaga, dan Pengurus mutlak bagi seluruh alam semesta. Setiap detik, zarah di langit dan di bumi boleh terus wujud dan berfungsi hanya kerana Allah yang sedang “menegak” dan menguruskannya. Jika Allah berhenti mentadbir sekedip mata sekalipun, seluruh alam ini akan hancur runtuh. Kitalah yang memerlukan Allah, bukan?

Kaitan dengan Nama Lain: Nama Al-Qayyum menjadi asas kepada semua nama Allah yang berkaitan dengan Sifat Perbuatan (Sifat Fi’liyyah), seperti Al-Khaliq (Maha Pencipta), Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki), Al-Muhyi (Maha Menghidupkan), dan Al-Mumit (Maha Mematikan).

Allah ‎ﷻlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhluk-Nya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها tidak dapat menguruskan alam ini. Begitu juga, para wali dan para Nabi tidak menguruskan alam ini. Maka untuk apa sembah mereka?

Dua nama dan sifat Allah ini sendiri sudah hebat. Tapi apabila digabungkan, ia memberi makna tambahan. Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa gabungan dua nama ini menghimpunkan seluruh sifat-sifat Allah tanpa ada yang tertinggal.

    • Al-Hayyu merangkumi semua Sifat Zat yang menunjukkan kesempurnaan diri Allah.
    • Al-Qayyum merangkumi semua Sifat Perbuatan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah ke atas makhluk.

Apabila kita menyebut Al-Hayyu Al-Qayyum, kita sedang menyeru Tuhan yang Sentiasa Hidup (Mendengar doa kita pada bila-bila masa tanpa mati) dan pada masa yang sama Mempunyai Kuasa Mutlak untuk mengubah dan mentadbir urusan hidup kita (Maha Mengurus). Maka ia mengajar kepada kita untuk bergantung hanya kepada Allah. Berdoalah hanya kepada Allah sahaja, jangan kepada selainNya. Sesiapa yang bergantung dan menyandarkan harapan kepada Allah, dia akan kuat dan dia akan selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Furqan:58 

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati

Kalau bergantung kepada manusia, manusia akan mati akhirnya. Tapi Allah takkan mati-mati. Maka kerana itu berdoalah kepada Allah sahaja, tidak perlu istighasah kepada selain Allah. Banyak sangat polemik tentang istighasah ini sekarang, hanya kerana tidak faham tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak belajar, maka kefahaman Tauhid menjadi longgar.

Banyak hadis sahih mengisyaratkan bahawa gabungan nama Al-Hayyu al-Qayyum inilah Ismullah al-A’zam (Nama Allah yang Paling Agung). Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan memanggil dua nama ini, nescaya doanya tidak akan ditolak dan permintaannya akan ditunaikan. Sifat inilah yang sering dibaca oleh Nabi ketika baginda berada dalam kesusahan yang amat berat:

«يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ»
(Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri Mentadbir, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan).

Ini adalah salah satu pendapat. Ada lagi pendapat lain apakah yang dimaksudkan dengan Ismullah al-A’zam itu.

Balaghah: Disebutkan nama yang Maha Agung dan Mulia (iaitu Allah); bertujuan untuk mendidik rasa gerun dan hormat (di dalam hati) apabila mendengarnya, kemudian ia disusuli pula dengan frasa لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ (Tiada Tuhan melainkan Dia). Frasa ini berfungsi sebagai ayat selingan (Jumlah Mu’taridhah) atau penerang keadaan (Jumlah Haliyyah); sebagai bantahan/sanggahan terhadap kaum musyrikin, dan (ditujukan) khusus buat kaum Nasrani (Kristian).”

Dan ia (nama Allah) disusuli pula dengan dua sifat (iaitu الحَيُّ – Yang Maha Hidup, dan القَيّومُ – Yang Maha Berdiri Sendiri/Mengurus makhluk-Nya); bertujuan untuk menolak sebarang kekeliruan terhadap Dzat yang dinamakan dengan nama ini, serta sebagai isyarat kepada punca keesaan-Nya dalam ketuhanan. (Ia juga menunjukkan) bahawa selain daripada-Nya tidak layak langsung untuk memiliki sifat ketuhanan tersebut; kerana selain-Nya itu sama ada tidak hidup (mati/tiada nyawa) atau tidak قَيّومُ (lemah/bergantung kepada yang lain).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Dorar.net

Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Dengar dan Taat) Part 2

وَرُسُلِهِ

dan Rasul-rasul-Nya.

Iman kepada rasul-rasul Allah adalah rukun iman yang keempat dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih laki-laki tertentu (tiada Nabi dan Rasul dalam kalangan wanita) dalam kalangan manusia (pendapat yang kuat mengatakan tidak ada Nabi dalam kalangan jin), mengutus mereka dengan wahyu, dan memerintahkan mereka untuk menyampaikan petunjuk kepada umat manusia.

Beriman kepada rasul-rasul Allah mencakupi beberapa perkara penting:

1. Semua Rasul adalah Manusia yang Dipilih Allah ‎ﷻ: Para rasul adalah manusia biasa, bukan makhluk ilahi atau anak Tuhan. Mereka makan, minum, menikah, tidur, merasa sakit, dan meninggal dunia seperti manusia lainnya. Namun, mereka istimewa kerana dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menerima wahyu dan menjadi perantara antara Allah ‎ﷻ dan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf:110

قُل إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ مِّثلُكُم يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُم إِلَـٰهٌ وٰحِدٌ
“Katakanlah (Muhammad), ‘Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa’.”

2. Jumlah Mereka Banyak, dan Percaya kepada yang Disebutkan Namanya: Allah ‎ﷻ telah mengutus ramai rasul ke seluruh umat di setiap zaman. Bilangan mereka kita tidak tahu dengan pasti. Kalau ada bilangan-bilangan yang disebut, itu tidak ada dalil padanya. Al-Qur’an menyebutkan nama 25 nabi dan rasul, dan kita wajib menyakini keberadaan dan kenabian/kerasulan mereka semua. Meskipun hanya 25 orang yang disebutkan, kita menyakini bahawa ada ramai rasul lain yang tidak disebutkan dalam Al-Qur’an.

3. Mereka Diutus dengan Kebenaran dan Mukjizat: Para rasul diutus dengan membawa kebenaran (tauhid dan ajaran ilahi) serta didukung oleh mukjizat-mukjizat yang luar biasa untuk membuktikan kerasulan mereka. Mukjizat adalah kejadian di luar kebiasaan yang tidak dapat ditiru oleh manusia, seperti mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tongkatnya, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang mati, dan Al-Qur’an sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ.

4. Mereka Menyampaikan Risalah dengan Amanah: Para rasul adalah orang-orang yang sangat jujur (siddiq), terpercaya (amanah), menyampaikan (tabligh) seluruh wahyu tanpa menyembunyikan atau mengubahnya, dan cerdas (fathanah). Mereka telah menyampaikan risalah yang diperintahkan Allah ‎ﷻ secara sempurna kepada umat mereka.

5. Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul Terakhir dan Universal: Nabi Muhammad ﷺ adalah penutup para Nabi dan Rasul (Khatamun Nabiyyin). Tidak akan ada nabi atau rasul lagi setelah baginda. Risalah baginda (Islam) adalah universal, untuk seluruh umat manusia hingga Hari Kiamat, membatalkan dan menyempurnakan syariat-syariat sebelumnya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ahzab:40

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ
Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi (khataman-nabiyyin).

5. Wajib Mentaati dan Mengikuti Rasulullah ﷺ: Iman kepada rasul-rasul, khususnya Nabi Muhammad ﷺ, menuntut ketaatan penuh kepada ajaran dan sunnah baginda. Mengikuti sunnah Nabi adalah bentuk ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’:80

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
“Barangsiapa mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.”

Pentingnya Iman kepada Rasul-rasul Allah:

  • Penyampai Petunjuk Ilahi: Para Rasul adalah satu-satunya jalan bagi manusia untuk menerima petunjuk langsung daripada Allah ‎ﷻ mengenai tujuan hidup, cara beribadah yang benar, dan hukum-hukum-Nya. Tanpa mereka, manusia akan tersesat.
  • Contoh Terbaik: Para Rasul adalah teladan hidup yang sempurna dalam segala aspek: akhlak, ibadah, muamalah, kepemimpinan, dan kesabaran.
  • Membangun Dasar Tauhid: Semua Rasul menyeru kepada tauhid (pengesaan Allah ‎ﷻ), mengikis segala bentuk syirik, sehingga menguatkan asas akidah.
  • Tanda Keadilan dan Rahmat Allah ‎ﷻ: Pengutusan Rasul menunjukkan keadilan Allah ‎ﷻ yang tidak akan menghukum suatu kaum sebelum diutusnya seorang pemberi peringatan, serta rahmat-Nya yang tidak membiarkan manusia tanpa bimbingan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’:15

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga. Akan tetapi kita belajar akidah dengan sempurna iaitu kena luangkan masa untuk tahu tuntutan kepada kita dalam setiap Rukun Iman ini. Ini kerana ramai yang buat fahaman sendiri dan kemudian ajar kepada orang yang jahil; orang yang jahil pun ikutlah pula fahaman sesat dan salah itu.

 

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Balaghah: Terdapat iltifat di dalam frasa ini. Kalau sebelum ini Allah bercakap ‘tentang’ orang-orang beriman, sekarang beralih kepada kata-kata orang beriman pula. Maknanya Allah bagi kita menyebut pendirian kita yang berlawanan dengan pendirian umat-umat sebelum kita yang tidak beriman kepada semua Rasul.

Maksud ayat ini adalah semua Rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi عَلَيْهِمُ السَّلَامُ itu adalah utusan Allah ‎ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut sepenuhnya syari’at baginda. Tentang tidak membezakan antara Rasul ini telah disebut di dalam Baqarah:136 sebelum ini. Ringkasnya, semua para Nabi itu kita terima sebagai Nabi, kita tidak tolak mana-mana Nabi. Kalau tolak satu Nabi sahaja bermakna menolak semua sekali Nabi dan akan jadi kafir. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi seperti Yahudi yang menolak Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan jangan jadi seperti Nasara yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.

Akan tetapi tidaklah salah kalau kita melebihkan sesetengah Nabi daripada para Nabi yang lain kerana kedudukan para Nabi itu tidak sama. Antaranya, Nabi yang paling utama dan tertinggi adalah Nabi Muhammad ﷺ. Kalau kita tidak belajar tafsir dengan betul, nampak macam ada percanggahan: tidak boleh bezakan, tapi kita pun kata ada sesetengah Nabi lebih mulia dari Nabi yang lain. Ini seperti disebut di dalam Baqarah:253 dahulu,

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.

Jadi Ayat 285 ini tentang تفرق sedangkan Ayat 253 itu tentang تفضل. Para ulama tafsir menyimpulkan perbezaannya dengan formula mudah ini:

    • Kita DILARANG membezakan (Tafriq) dalam hal mempercayai dan menghormati kenabian mereka. Sesiapa yang menolak satu sahaja Nabi, dia telah kufur kepada seluruh Nabi.
    • Kita WAJIB mempercayai adanya kelebihan (Tafdhil) yang Allah berikan kepada sebahagian Nabi ke atas yang lain, kerana itu adalah ketetapan wahyu.
    • Larangan bermegah-megah: Larangan membezakan juga terpakai jika matlamat kita membandingkan para Nabi adalah untuk merendah-rendahkan Nabi yang lain. Contohnya, memuji Nabi Muhammad dengan niat menghina Nabi Musa. Itu haram. Tetapi jika memuji atas dasar menyatakan kebenaran dan kelebihan yang Allah beri, itu adalah tuntutan akidah.

Jadi, tiada percanggahan sebenarnya antara dua ayat ini. Kita beriman kepada semua Nabi secara sama rata (Al-Baqarah: 285), tetapi kita mengakui darjat dan kelebihan mereka di sisi Allah adalah berbeza-beza (Al-Baqarah: 253).

Kemudian Nabi yang kita kena ikut adalah Nabi Muhammad. Kita kena ikut syariat dan segala apa yang baginda ajarkan kepada kita. Oleh itu, kita hendaklah ada hubungan dengan hadith. Mesti mempelajari hadith-hadith Nabi. Ini pun ada masalah di kalangan masyarakat kita. Sudahlah tidak mahir dengan ilmu Tafsir Al-Qur’an, hadis pun ramai gagal. Ada yang hanya terjemahkan sahaja hadis tanpa mempelajarinya, maka keluarlah fahaman yang pelik-pelik.

Jadi ayat ini telah menyebut senarai Rukun Iman yang wajib kita percayai dan perhatikan. Perhatikan juga hadith yang dinamakan Hadith Jibril tentang Rukun Iman ini. Kita berikan bahagian iman sahaja, kerana hadith ini asalnya panjang.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِيْمَانِ قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
(Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata): “Khabarkan aku tentang Iman”. Lalu baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk”

(Riwayat Muslim No. 8)

Cuma kalau mata anda pantas, mungkin anda akan perasan di dalam hadith ini dan silibus kita menyebut Rukun Iman itu ada 6 akan tetapi di dalam ayat ini hanya menyebut 4 sahaja. Tidak disebut di dalam ayat beriman kepada Hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar. Ini kerana Ayat 285 ini lebih fokus pada prinsip-prinsip dasar tauhid (keesaan Allah ‎ﷻ) dan risalah (kenabian dan kitab suci). Rukun Iman itu saling terkait satu sama lain. Ketika seseorang beriman kepada 4 rukun yang disebutkan dalam ayat ini, maka secara tersirat dia juga beriman kepada hari akhir dan qada/qadar:

  • Iman kepada Allah ‎ﷻ termasuk keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kehadiran hari akhir (hari perhitungan, balasan syurga dan neraka) adalah kesan yang logik daripada keadilan dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ. Tanpa hari akhir, tujuan penciptaan manusia dan adanya perintah serta larangan menjadi tidak sempurna. Oleh kerana itu, iman kepada Allah ‎ﷻ secara automatik tersirat di dalamnya iman kepada hari akhir.

  • Iman kepada Kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya: Semua kitab suci dan rasul Allah, tanpa terkecuali, menyampaikan berita tentang hari kebangkitan, hari perhitungan, syurga, dan neraka. Jadi, ketika seseorang beriman kepada kitab dan rasul, dia pasti beriman kepada apa yang mereka sampaikan, termasuk hari akhir.

  • Kaitan dengan Qada/Qadar: Keyakinan kepada Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, dan Maha Bijaksana (yang termaktub dalam iman kepada Allah ‎ﷻ) secara automatik mencakupi keyakinan bahawa segala sesuatu terjadi atas kehendak dan ketetapan-Nya. Oleh kerana itu, iman kepada qada dan qadar adalah bahagian yang sudah termasuk daripada iman kepada Allah ‎ﷻ itu sendiri.

 

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

dan mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Ibn Ashur mengatakan kalimah سَمِعنا bukan bermaksud hanya mendengar sahaja, tetapi ia bermaksud penerimaan, pemahaman dan ketaatan sekali. Ini sama seperti bahasa kita juga, bukan? Bila kita kata: “Anak aku bukannya dengar cakap aku…” Maksud ‘dengar’ dalam ayat ini adalah taat, bukan? Kerana memang budak itu secara fizikal mendengar apa kita cakap, tapi masalahnya dia tidak akur sahaja.

Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat dan tidak ikut, juga langsung tidak berguna. Di dalam hal ini manusia terbahagi kepada tiga:

1. Ada yang tidak dengar dan tidak taat. Ini adalah contoh orang kafir.
2. Ada yang dengar tetapi tidak taat. Ini adalah contoh orang munafik.
3. Ada yang dengar dan taat, inilah contoh orang Mukmin.

Maka kita kena tanya, kita termasuk golongan yang mana? Berapa ramaikah dalam kalangan kita sudah tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak melakukannya? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Tapi frasa سَمِعنا وَأَطَعنا ini sebenarnya tidak lengkap. Kami dengar apa dan taat kepada Siapa? Ia tidak disebut, bukan. Al-Razi objek tuju itu tidak disebut, bermakna tidak ada lain yang patut didengar dan ditaati, melainkan arahan Allah.

Perhatikan Allah ‎ﷻ suruh kita dengar dahulu, kemudian baru taat. Maka kena tahu syariat Allah, apa yang Allah ‎ﷻ mahukan daripada kita. Maka mestilah belajar tentang agama terutama sekali mesti ambil tahu wahyu Allah daripada Al-Qur’an dan hadith. Kalau kita kata kita taat, sudahkah kita tahu apa yang kita kena taat dahulu? Pelik bukan, kata taat tetapi tidak tahu apa yang perlu ditaati.

Maknanya, ‘dengar’ itu kenalah dengan ‘faham’. Kita yang menjadi umat Nabi Muhammad ﷺ hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan. Memang ilmu agama ini kita kena tadah telinga untuk menerimanya. Kena luangkan masa dan fokus belajar, barulah ilmu akan masuk. Tidaklah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kena dengar dan terima dengan hati. Jangan jadi seperti orang munafik seperti disebut di dalam Anfal:21-22

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ قَالُواْ سَمِعنَا وَهُم لَا يَسمَعُونَ (٢١) ۞ إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلبُكمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعقِلُونَ (٢٢)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). (21) Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya). (22)

Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang disebut di dalam Baqarah: 171 yang tidak mahu mendengar, degil untuk menerima nasihat dan dakwah. Allah ﷻ tempelak mereka sebagai orang yang pekak, bisu dan buta!

وَمَثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا كَمَثَلِ الَّذِيْ يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ اِلَّا دُعَاۤءً وَّنِدَاۤءً ۗ صُمٌّ ۢ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُوْنَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Maka kalau kita tidak taat setelah mendengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu. Lihat Baqarah:93

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا ۚ قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji kalian lalu Kami angkat bukit Thur (di atas)mu (seraya Kami berfirman): “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!” Mereka menjawab: “Kami dengar tetapi kami tidak taat.”

 

Asbabun Nuzul Ayat 285 Surah Al-Baqarah

Seperti yang telah dibahas sebelumnya, Ayat 284 Surah Al-Baqarah telah menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana ketika ayat 284 turun, para sahabat memahami bahawa mereka akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ di atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik niat baik mahupun niat buruk, bahkan bisikan hati yang tidak disengaja. Mereka merasa sangat berat dan tidak mampu mengendalikan fikiran serta bisikan hati sepenuhnya. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata:

“Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak mampu kami pikul. Kami telah dibebani dengan solat, puasa, jihad, dan sedekah. Sekarang turun ayat ini (ayat 284), dan kami tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya. Kami akan dihisab atas apa yang ada dalam hati kami.”

Mereka merasakan kesulitan yang luar biasa kerana hal-hal dalam hati seringkali tidak mampu dikendalikan sepenuhnya oleh manusia. Melihat kegelisahan para sahabat, Nabi Muhammad ﷺ menenangkan mereka dan memerintahkan mereka untuk tetap beriman dan taat. Baginda bersabda: “Apakah kalian ingin berkata seperti dua umat sebelum kalian (Yahudi dan Nasrani) yang berkata: ‘Kami dengar dan kami tidak taat’? Katakanlah: ‘Kami dengar dan kami taat, kami memohon ampunan-Mu ya Tuhan kami dan kepada-Mu tempat kembali’.” Maknanya Allah ‎ﷻ telah  berfirman, maka hendaklah mereka ikut, walaupun mereka rasa berat. Setelah Rasulullah ﷺ berkata begitu, maka mereka pun redha dan mengucapkan سَمِعنا وَأَطَعنا (kami dengar dan kami taat). Ketika para sahabat mengucapkan kalimat tersebut dengan penuh kepatuhan dan keimanan, kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286.

Oleh itu ayat 285 ini datang sebagai penegasan keimanan dan kepasrahan yang diminta oleh Nabi ﷺ dari para sahabat. Ini menunjukkan sikap seorang mukmin yang sejati: mendengar perintah Allah ‎ﷻ, mempercayainya sepenuh hati, dan melaksanakannya dengan ketaatan, sambil senantiasa memohon ampunan dan menyedari bahawa hanya kepada Allah ‎ﷻ tempat kembali. Ayat ini adalah bentuk pujian Allah ‎ﷻ kepada Rasul-Nya dan orang-orang beriman atas ketaatan dan keyakinan mereka. Kemudian, datanglah ayat 286 sebagai pelengkap, yang memberikan keringanan langsung atas kekhuatiran mereka yang akan kita bincangkan selepas ini.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita mestilah mendengar سمع wahyu Allah ‎ﷻ – maknanya mestilah belajar, bukan dengar kosong sahaja. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ‎ﷻ ini. Hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga.

Ingatlah yang golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Jika susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Ateis yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

 

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunan-Mu wahai Tuhan kami,

Fi’il bagi doa ini telah dihilangkan iaitu نسئل (kami meminta). Jadi walaupun tidak disebut ‘aku memohon’, atau ‘aku meminta’, ia tetap adalah satu doa dan pengharapan dari orang mukmin. Di sini mengajar kita yang semakin tinggi iman dan ketaatan seseorang, semakin banyak dia akan minta ampun kerana dia sedar ada banyak kekurangan pada dirinya. Kita kena banyak minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita banyak dosa. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam pasti berbuat kesalahan (dosa), dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 2499, Ibnu Majah No. 4251)
Status: Sahih (Al-Albani)

Kita pun sudah pernah dengar hadis yang Nabi Muhammad sendiri istighfar seratus kali dalam sehari. Kalau baginda yang tiada dosa pun begitu, kita apatah lagi? Dari Al-Agharr bin Yasar Al-Muzani radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ”
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari seratus kali.”

Sahih Muslim: (No. Hadis 2702)

Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena meminta ampun lagi? Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ‎ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah membangunkan Ka’bah pun baginda minta ampun lagi kepada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah:127

وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Inilah satu lagi ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam solat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada solat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan bermacam-macam lagi kekurangan yang ada. Perhatikan juga setelah Nabi Muhammad ﷺ berjaya menakluk Mekah dan Ka’bah setelah sekian lama ia menjadi pusat syirik, dan setelah baginda mengembangkan agama Islam setelah berdakwah selama 21 tahun, apa yang Allah ‎ﷻ suruh baginda buat di dalam Nasr:3?

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Sekali lagi perhatikan di dalam Muzzammil:20. Setelah orang mukmin melakukan Solat Tahajjud dengan berjaga malam, apa yang mereka disuruh lakukan? Bukankah mereka disuruh lagi istighfar?

وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik. Kita kena ingat yang hidup kita di dunia ini, walau bagaimana sedap pun, ia hanya sementara sahaja. Jadi jangan kita lebihkan dunia ini atas akhirat.

Balaghah: Apabila kalimah إِلَيكَ ditaqdimkan seperti di dalam ayat ini, ia memberi isyarat eksklusif. Maknanya kita ini semua hanya dikembalikan kepada Allah, tidak ada langsung kena mengadap selain dari Allah.

Makanya kita kena selalu beringat bagaimanalah keadaan kita jikalau kita kena mengadap Allah nanti. Adakah kita lebihkan dunia atau akhirat? Manakah yang lebih penting? Banyak sekali peringatan daripada Rasulullah ﷺ tentang hal ini seperti hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

“Rasulullah ﷺ tidur di atas tikar kasar, lalu tikar itu membekas di tubuh baginda. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, bolehkah kami buatkan alas tidur yang lebih lembut untukmu?” Maka baginda bersabda:
“مَا لِي وَلِلدُّنْيَا؟ إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ قَالَ تَحْتَ شَجَرَةٍ، ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا”
“Ada apa denganku dan dunia? Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan dunia adalah seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah pohon, lalu dia pergi meninggalkannya.”

(Hadith Riwayat At-Tirmidzi No. 2377)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 September 2026

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Rukun Iman) Part 1

RUKUN-RUKUN IMAN

Baqarah Ayat 285: Dalam hadith ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ‎ﷻ. Dalilnya adalah hadith,

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: لَمَّا أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْتُهِيَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِيَ فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ، إِلَيْهَا يَنْتَهِي مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا، وَيُقْبَضُ مِنْ تَحْتِهَا… فَأُعْطِيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثًا: أُعْطِيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ، وَأُعْطِيَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Ketika Rasulullah ﷺ diperjalankan (Isra’), baginda sampai ke Sidratul Muntaha, dan ia (Sidratul Muntaha) berada di langit ketujuh. Kepadanya berhenti segala sesuatu yang diturunkan dari atasnya, dan kepadanya pula diambil apa yang dinaikkan dari bawahnya… Lalu Rasulullah ﷺ diberikan tiga perkara: Baginda diberikan solat lima waktu, baginda diberikan penutup (ayat-ayat terakhir) Surah Al-Baqarah, dan diampuni bagi umatnya yang tidak menyekutukan Allah sedikit pun.”

(Sahih Muslim No. 163)

Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ‎ﷻ. Ayat ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira). Ia adalah  tentang golongan yang Allah ‎ﷻ beri janji kebaikan kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana? Beriman dengan apa yang Allah ﷻ sebut nanti di dalam ayat ini.

Dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286, memiliki kelebihan dan keutamaan yang sangat besar dalam Islam. Ayat-ayat ini dikenal sebagai “Penutup Al-Baqarah” (Khawatim Al-Baqarah) dan banyak disebutkan dalam hadith-hadith. Antaranya, diriwayatkan daripada Abu Mas’ud Al-Badri (Uqbah bin Amr Al-Anshari) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah pada suatu malam, nescaya keduanya akan mencukupinya.”

(Sahih Bukhari No. 5009 dan Muslim No. 808)

Penjelasan: Kalimah كَفَتَاهُ (mencukupinya) dalam hadis ini memiliki beberapa penafsiran dalam kalangan ulama, di antaranya:

    • Mencukupi daripada segala keburukan: Melindungi daripada gangguan syaitan, jin, manusia, musibah, dan segala hal yang tidak disukai pada malam itu.
    • Mencukupi daripada ibadah malam: Seolah-olah sudah cukup baginya daripada keperluan untuk solat malam (qiyamul lail) pada malam itu, kerana pahala membaca dua ayat ini sudah sangat besar.
    • Mencukupi daripada godaan: Melindungi daripada godaan nafsu atau dosa.

Maka hadith ini mendorong umat Islam untuk mengamalkan pembacaan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah ini secara rutin setiap malam untuk mendapatkan keutamaan dan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi kenalah faham dahulu maksud dan tafsir ayat ini. Jangan jadi Melayu sangat yang setakat ‘baca’ kosong sahaja tanpa tahu dan ambil pengajaran daripada ayat ini.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِمآ أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِۦ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

 

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, 

Allah ‎ﷻ menyebut tentang kepentingan iman di sini. Di awal surah ini Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang iman dan sekarang di hujung surah ini Allah ‎ﷻ mengulang tentangnya kembali. Di tengah-tengah surah ini telah banyak kita pelajari tentang hukum hakam tetapi semua itu tidak bermakna jikalau tidak ada iman. Secara umum, definisi iman yang disepakati oleh majoriti ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah:

“Pengakuan dengan hati (تَصْدِيْقٌ بِالْقَلْبِ), ucapan dengan lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), dan pembuktian dengan anggota badan (عَمَلٌ بِالْأَرْكَانِ).”

Kalau setakat percaya sahaja tetapi tidak diikuti, tidaklah dikira iman itu. Kalau setakat percaya sahaja, Abu Talib bapa saudara Nabi Muhammad ﷺ pun percaya dengan apa yang dibawa oleh baginda, akan tetapi Abu Talib tidak beriman sepenuhnya.

Yang pertama sekali disebut di dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri beriman (ءآمَنَ الرَّسولُ) kepada wahyu yang diturunkan kepadanya (بِما أُنزِلَ إِلَيهِ). Apakah wahyu itu? Tentulah Al-Qur’an yang menjadi kitab baginda dan untuk umat baginda. Maka ini mengajar kita untuk berpegang dengan Al-Qur’an. Bukan setakat terima sahaja tetapi hendaklah difahami dan diikuti. Bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang Melayu buat, tetapi hendaklah diamalkan.

Allah ‎ﷻ menekankan di sini bahawa Al-Qur’an itu مِن رَّبِّهِ (Daripada Tuhannya). Maka jangan main-main dengan Al-Qur’an kerana ia datang dari Tuhan kita. Sekiranya menerima surat daripada kekasih pun kita baca berkali-kali, takkan ‘surat’ daripada Allah ‎ﷻ kita tidak baca? Maka kerana ia penting, bukan hanya boleh dibaca sahaja, tetapi hendaklah difahami juga. Kerana kalau baca tanpa faham, adakah itu dikira ‘baca’? Tentu tidak.

Wahyu itu pula أُنزِلَ (diturunkan). Kalau diturunkan, maka tentulah ia dari atas, bukan? Kenapakah ia diturunkan dari atas? Kerana Allah ‎ﷻ itu di atas, di langit! Maka ini adalah antara dalil daripada banyak-banyak dalil yang ada di dalam Al-Qur’an tentang keberadaan Allah ‎ﷻ di langit. Maka tidak perlu untuk dipanjangkan hal ini dan tidak perlu dibahaskan panjang lebar sebenarnya kerana ia sudah sangat jelas.

Di sini disebut الرَّسولُ sahaja yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak disebut nama baginda akan tetapi disebut pangkat baginda. Nabi ﷺ kenalah percaya terlebih dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain. Bagindalah orang pertama yang beriman dengan Al-Qur’an. Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ pada waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat ketika itu sampaikan ramai yang menuduh baginda gila. Baginda pun begitu terkejut pada mulanya. Ingat kembali peristiwa bagaimana takutnya baginda sehingga menggigil kesejukan ketika pertama kali menerima wahyu. Tiba sahaja di rumah baginda perlu diselimutkan dan ditenangkan oleh isteri tercinta baginda, Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

Akan tetapi keimanan baginda telah dipelihara oleh Allah ‎ﷻ. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Kerana itu kalimah ءآمَنَ itu di dalam bentuk fi’il madhi kerana ia memberi isyarat telah tetap dan teguh iman baginda. Sekiranya baginda tidak yakin, tentulah baginda tidak sanggup menyampaikan agama ini kepada umat. Tentu tidaklah baginda akan sudi menderita, berkorban, diusir dengan kasar dari Thaif, berhijrah ke Madinah meninggalkan kampungnya Mekah, berkali-kali memimpin sendiri peperangan melawan musuh, nyaris dibunuh di Mekah, nyaris dibunuh Yahudi Bani Nadhir di Madinah, nyaris termakan racun perempuan di Khaibar. Sampai ketika wafatnya, sesaat pun tidak pernah kendur keyakinannya bahawa memang baginda adalah Rasulullah.

 

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang mukmin yang sempurna iman, mereka beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Ini kerana mereka percaya kepada bagindalah yang menyebabkan mereka sanggup berkorban bersama baginda, sanggup menghadapi tentangan dan seksaan ketika di Mekah, meninggalkan Mekah menuju ke Madinah, berperang bersama baginda dan ramai yang wafat kerana agama Islam ini. Semuanya kerana iman di dalam dada yang menyebabkan mereka sanggup melakukan segalanya.

Maka kerana mereka itu golongan yang terpilih di sisi Allah ‎ﷻ, maka kita pun kena ikut iman seperti iman mereka. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal‘, iaitu menerima belaka wahyu yang disampaikan. Jadi kita kena belajar apakah pegangan mereka dan apakah ibadah mereka supaya kita tidak reka fahaman sendiri pula. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Tawbah:100 akan dalil kita kena ikut para sahabat itu,

وَالسّٰبِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسٰنٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ وَأَعَدَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”

Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, (المُؤمِنونَ) ‘Orang Mukmin’. Tidaklah Allah ‎ﷻ khususkan kepada para sahabat Rasulullah ﷺ sahaja. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita ini adalah orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

Perhatikan juga susunan ayat ini: ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ dan bukannya ءآمَنَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ. Maknanya Allah ﷻ pisahkan iman Nabi Muhammad ﷺ dan orang mukmin yang lain. Kerana walaupun sama-sama beriman, akan tetapi tahap keimanan tidaklah sama. Takkan iman kita sama dengan para sahabat dan tidaklah iman para sahabat setaraf iman Rasulullah ﷺ pula. Yang perasan iman melambung tinggi adalah golongan sufi tarekat dan habaib sahaja. Ada yang sampai kata iman para wali itu lebih tinggi lagi dari iman para Nabi!

Iman para Rasul adalah hasil daripada wahyu yang mereka dapat secara langsung daripada Allah ﷻ. Mereka menerima ilmu dan petunjuk secara langsung, tanpa keraguan sedikit pun. Keyakinan mereka kepada Allah,ﷻ  hari akhir, malaikat, kitab, dan takdir adalah mutlak dan sempurna, tidak pernah goyang oleh keraguan sedikit pun. Mereka melihat bukti-bukti kebesaran Allah ﷻ secara langsung (seperti Nabi Muhammad ﷺ yang melihat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam bentuk asal, atau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berbicara langsung dengan Allah ﷻ). Tapi iman manusia biasa tidaklah sampai begitu. Ada juga goyang sedikit sebanyak. Akan tetapi Allah puji apabila menggunakan kalimah ءآمَنَ seperti di permulaan ayat ini.

Satu lagi maksud potongan المُؤمِنونَ ini adalah orang yang beriman itu beriman dengan apa yang Nabi Muhammad ﷺ beriman. Takkan kita yang kena ikut Nabi ﷺ ini berlainan pula dengan iman baginda. Maka kena tahulah iman baginda macam mana. Dalam hal akidah dan amalan, mesti ada contoh daripada Nabi ﷺ dan diikuti oleh para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang belajar terus daripada baginda. Ini sangatlah logik dan sangatlah mudah untuk diterima. Kenapa hendak dicari fahaman dan akidah yang lain pula? Kerana itu kita kena berhati-hati kerana amat banyak fahaman mengarut yang ada berlegar di kalangan masyarakat kita, dari dulu sampailah sekarang.

 

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ

semuanya beriman kepada Allah, 

Kalimah كُلٌّ bermaksud semua yang telah disebut sebelum ini iaitu Rasulullah ﷺ dan orang beriman itu beriman dengan apa yang patut diimani. Sebelum ini telah disebut Iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu Rukun Iman yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun begini – Allah ‎ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada Rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Ringkasan kepada Percaya kepada Allah ‎ﷻ mencakupi beberapa aspek penting:

  1. Iman kepada Rububiyah Allah: Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Pencipta, Pemilik, Pengatur, dan Pemberi Rezeki bagi seluruh alam semesta. Tidak ada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan, pengaturan, mahupun penguasaan. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, yang memberi manfaat dan mudarat.
  2. Iman kepada Uluhiyah Allah: Ini adalah keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Dzat yang berhak disembah dan diibadahi. Tidak ada Tuhan selain Dia yang patut ditaati segala perintah dan larangan-Nya, serta dicintai melebihi segalanya. Bentuk-bentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, tawakal, nazar, dan qurban hanya boleh dipersembahkan kepada-Nya semata. Bab Tauhid Uluhiyyah ini yang manusia termasuklah umat Islam sendiri pun ada masalah kerana kurang faham. Ramai yang melakukan ibadah kepada selain Allah. Sebagai contoh utama, doa sepatutnya diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja (kerana doa adalah ibadah), akan tetapi ramai yang berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ juga. Ramai pula yang mengajar boleh istighasah kepada selain Allah ﷻ sekarang. Itulah yang terjadi apabila ajaran wahyu tidak disampaikan kepada masyarakat.
  3. Iman kepada Nama-nama dan Sifat-sifat Allah (Asmaul Husna wa Sifatul Ulya): Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ memiliki nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna, yang telah Dia sebutkan sendiri dalam Al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya ﷺ dalam hadith-hadith sahih. Kita wajib menyakini nama dan sifat tersebut sesuai dengan apa yang ada tanpa mengubah makna, menolaknya, mempersamakannya dengan makhluk, atau mempertanyakan bagaimana (kaifiyah) sifat tersebut. Contohnya: Ar-Rahman (Maha Pengasih), Al-Qadim (Maha Dahulu), Al-Bashir (Maha Melihat), Al-‘Alim (Maha Mengetahui), dan sebagainya.

Keimanan yang benar kepada Allah ‎ﷻ adalah dasar utama seluruh ajaran Islam. Tanpa keyakinan ini, rukun iman lainnya dan rukun Islam tidak akan memiliki makna atau kekuatan. Ini memberikan arah hidup, ketenangan jiwa, dan motivasi untuk berbuat baik serta menjauhi larangan-Nya, dengan harapan meraih keredhaan dan syurga-Nya. Keyakinan ini juga membebaskan manusia dari perhambaan kepada sesama makhluk atau hawa nafsu, serta mengarahkan seluruh perhambaan hanya kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ

dan Malaikat-malaikat-Nya, 

Iman kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua dalam Islam, setelah iman kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kepercayaan yang wajib diyakini oleh setiap Muslim, dan tanpanya, keimanan seseorang tidak sempurna. Setelah kita telah percaya dan beriman kepada Allah ‎ﷻ, bagaimana pula percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanyalah hamba Allah ‎ﷻ, bukan wakil Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Beriman kepada malaikat bererti menyakini beberapa hal fundamental tentang mereka:

1. Malaikat Itu Ada dan Diciptakan daripada Cahaya: Kita wajib menyakini keberadaan malaikat sebagai makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ. Mereka bukan makhluk khayalan atau personifikasi daripada kekuatan alam. Sebab ada juga yang kata dengan jahilnya yang para malaikat itu tidak ada tetapi hanyalah dalam energi.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ ».
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyala api, dan Adam (manusia) diciptakan daripada apa yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian.”

(Sahih Muslim No. 2996)

2. Malaikat adalah Hamba Allah yang Patuh Sepenuhnya: Malaikat adalah makhluk yang diciptakan khusus untuk beribadah dan mentaati perintah Allah ‎ﷻ tanpa pernah membangkang atau derhaka. Mereka tidak memiliki syahwat seperti manusia dan jin. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Anbiya’:19-20

وَلَهُ ۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۚ وَمَن عِندَهُ ۥ لَا يَستَكبِرُونَ عَن عِبَادَتِهِۦ وَلَا يَستَحسِرُونَ (١٩) يُسَبِّحُونَ ٱلَّيلَ وَٱلنَّهَارَ لَا يَفتُرُونَ (٢٠)
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepada-Nya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. (19) Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti. (20)

Allah ‎ﷻ juga berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

3. Jumlah Mereka Sangat Banyak: Hanya Allah ‎ﷻ yang mengetahui jumlah pasti malaikat. Kita hanya mengetahui bahawa jumlah mereka sangat banyak, jauh melebihi manusia dan jin. Ada yang terus-menerus bertasbih di Arsy, ada yang mengisi langit-langit, dan sebagainya. Di dalam hadith yang panjang tentang Isra’ Mi’raj, Rasulullah ﷺ bersabda (setelah melewati langit keenam dan bertemu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kemudian naik ke langit ketujuh dan bertemu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ):

“…فَرُفِعَ لِيَ الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ، فَقَالَ: هَذَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيْهِمْ.”
“…Kemudian diangkatlah kepadaku Baitul Ma’mur. Lalu aku bertanya kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau menjawab: ‘Ini adalah Baitul Ma’mur. Setiap hari tujuh puluh ribu malaikat solat di dalamnya. Apabila mereka keluar (dari Baitul Ma’mur setelah solat), mereka tidak akan kembali lagi kepadanya hingga hari terakhir mereka (Hari Kiamat/hingga tugas mereka selesai)’.”

(Sahih Bukhari No. 3207 dan Muslim No. 162)

4. Mereka Memiliki Tugas-Tugas Spesifik: Setiap malaikat memiliki tugas yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Beberapa yang dikenali dan tugasnya adalah:

    • Jibril: Menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul.
    • Mikail: Mengatur hujan dan rezeki.
    • Israfil: Meniup sangkakala pada hari kiamat.
    • Malakul Maut: Mencabut nyawa.
    • Raqib dan Atid: Mencatat amal baik dan buruk manusia.
    • Munkar dan Nakir: Menyoal manusia di alam kubur.
    • Malik: Penjaga neraka.
    • Ridwan: Penjaga syurga.
    • Malaikat yang memikul Arasy, malaikat yang bertasbih, malaikat yang melindungi manusia, dan lain-lain.

5. Mereka Memiliki Bentuk dan Kekuatan yang Luar Biasa: Malaikat memiliki sayap, bahkan hingga ratusan sayap, dan memiliki kekuatan yang besar. Namun, mereka juga dapat menjelma menjadi bentuk manusia atas izin Allah ‎ﷻ untuk menjalankan tugas tertentu, seperti Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pernah menampakkan diri di hadapan Nabi ﷺ dalam rupa manusia. Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, mengenai penglihatan Nabi Muhammad ﷺ terhadap Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam wujud aslinya.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ.
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ melihat Jibril memiliki enam ratus sayap.”

(Sahih Bukhari No. 3232 dan Muslim No. 174)

Iman kepada malaikat memiliki kesan yang besar dalam kehidupan seorang Muslim:

  • Meningkatkan Ketaatan: Menyedari bahawa ada malaikat yang selalu mencatat setiap perbuatan dan perkataan akan mendorong seseorang untuk lebih berhati-hati dan taat kepada Allah ‎ﷻ.

  • Merasa Sentiasa Diawasi: Keyakinan akan keberadaan malaikat Raqib dan Atid menumbuhkan rasa muraqabah (merasa diawasi) oleh Allah ‎ﷻ, sehingga terhindar daripada maksiat.

  • Menambah Rasa Syukur: Dengan mengetahui ada malaikat yang mengurus rezeki dan hujan (Mikail), serta tugas-tugas kebaikan lainnya, akan menambah rasa syukur atas nikmat Allah ‎ﷻ.

  • Mengetahui Keagungan Allah ‎ﷻ: Keberadaan malaikat dan ketaatan mutlak mereka menunjukkan keagungan dan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang mampu menciptakan makhluk yang begitu patuh dan sempurna dalam menjalankan perintah-Nya.

 

وَكُتُبِهِ

dan kitab-kitab-Nya, 

Iman kepada kitab-kitab Allah adalah rukun iman yang ketiga dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah menurunkan kitab-kitab suci kepada para Nabi dan Rasul-Nya sebagai petunjuk bagi umat manusia. Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ‎ﷻ tetapi yang mesti kita ikuti adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Beriman kepada kitab-kitab Allah mencakupi beberapa hal penting:

1. Semua Kitab Berasal daripada Allah ‎ﷻ: Kita wajib menyakini bahawa semua kitab suci, baik yang disebutkan namanya mahupun tidak, adalah firman Allah ‎ﷻ yang diwahyukan kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Bukan karangan manusia atau hasil pemikiran para nabi.

2. Percaya kepada Nama-nama Kitab yang Disebutkan: Ada beberapa kitab yang namanya disebutkan secara spesifik dalam Al-Qur’an, dan kita wajib mempercayainya:

    • Taurat: Diturunkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Zabur: Diturunkan kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Injil: Diturunkan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Al-Qur’an: Diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.
    • Kita juga menyakini adanya shuhuf (lembaran-lembaran) yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum Taurat.
    • Dan entah berapa banyak lagi kitab-kitab lain yang diberikan kepada para Nabi yang lain yang kita pun tidak tahu.

3. Membenarkan Kandungan Kitab-kitab Terdahulu (Secara Umum): Kita membenarkan ajaran dasar kitab-kitab terdahulu yang berisi perintah untuk mengesakan Allah ‎ﷻ (tauhid) dan dasar-dasar syariat. Namun, kita juga menyakini bahawa kitab-kitab selain Al-Qur’an telah mengalami perubahan (tahrif), baik penambahan, pengurangan, mahupun perubahan makna oleh tangan-tangan manusia sepanjang sejarah. Oleh kerana itu, kita tidak mengamalkan hukum-hukum spesifik dari kitab-kitab terdahulu yang tidak sesuai atau telah dimansukh oleh syariat Islam.

4. Al-Qur’an adalah Kitab Terakhir, Terlengkap, dan Terpelihara: Al-Qur’an adalah puncak dan penyempurna dari semua kitab suci sebelumnya. Ia adalah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ yang paling agung dan terpelihara keasliannya hingga Hari Kiamat. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

Al-Qur’an berfungsi sebagai hakim atas kitab-kitab sebelumnya.

5. Mengamalkan Isi Al-Qur’an: Iman kepada kitab-kitab Allah ‎ﷻ, khususnya Al-Qur’an, tidak hanya setakat pengakuan lisan atau keyakinan hati, tetapi harus diwujudkan dalam pengamalan isinya. Membaca, memahami, menghafal, mengkaji, dan yang terpenting, menerapkan hukum-hukum serta petunjuknya dalam kehidupan sehari-hari. Inilah yang tidak dilakukan oleh kebanyakan daripada umat Islam sekarang.

Pentingnya Iman kepada Kitab-kitab Allah ‎ﷻ:

  • Mengetahui Bimbingan Ilahi: Kitab-kitab Allah ‎ﷻ adalah petunjuk langsung daripada Sang Pencipta untuk membimbing manusia menuju jalan yang benar dan menyelamatkan mereka dari kesesatan.
  • Memahami Tujuan Hidup: Dengan petunjuk kitab suci, manusia memahami tujuan penciptaan mereka dan bagaimana menjalani hidup sesuai kehendak Allah ‎ﷻ.
  • Memperkuat Iman kepada Allah ‎ﷻ: Keyakinan akan adanya kitab-kitab ini memperkuat iman kepada Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana, Maha Tahu, dan Maha Pengasih yang tidak membiarkan hamba-Nya tanpa petunjuk.
  • Sumber Hukum dan Hikmah: Al-Qur’an khususnya, adalah sumber utama hukum Islam dan mengandung hikmah yang mendalam untuk setiap aspek kehidupan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 18 Julai 2026

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Ali Imran: Pengenalan Surah Ali Imran

Mukadimah:

Dalam ayat terakhir Surah Al-Fatihah, telah disentuh tentang empat golongan yang sesat: Yahudi, Musyrikin, Nasara dan munafik. Kisah Yahudi sudah banyak disebut dalam Surah Baqarah. Kisah Nasara pula banyak disebut dalam surah Ali Imran. Maka sekarang kita akan belajar tentang golongan Nasara (Kristian) pula.

Sebenarnya, Yahudi yang mengawal Nasara dari dahulu sampai sekarang. Kita boleh lihat bagaimana Amerika itu tunduk kepada arahan Zionis Israel, bukan? Yang menyesatkan mereka pun asalnya adalah puak Yahudi. Jadi kisah Yahudi pun ada juga dalam surah ini walaupun surah ini tentang golongan Nasara. Ini adalah kerana mereka ada kaitan yang amat rapat. Dua-dua sifat mereka kita kena belajar.

Kita kena tahu apakah sifat Nasara sebab kita telah minta dijauhkan daripada menjadi seperti mereka (dalam Surah Al-Fatihah وَلَا الضَّالِّينَ). Maka kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh periksa pada diri kita kerana takut kita sendiri atau kenalan dan keluarga kita pula ada sifat seperti mereka.

Surah An-Nisa’ pula selepas surah ini akan menerangkan tentang sifat-sifat munafiqin dan akhirnya, Surah Al-Maidah akan menyebut tentang ketiga-tiga golongan itu. Ia dijelaskan lagi dalam surah Al-Maidah supaya pemahaman mengenai ketiga-tiga golongan itu menjadi semakin jelas kepada kita.

Kemudian Surah Al-An’am pula menceritakan tentang golongan musyrikin. Ini adalah kerana Surah itu turun di Mekah, maka ia menceritakan tentang sifat-sifat Musyrikin Mekah.

Begitulah surah-surah awal ini diberikan kepada kita untuk menjelaskan kesesatan golongan-golongan itu. Semua golongan itu sesat, tetapi ada kelainan antara mereka, iaitu kesesatan mereka berbeza-beza. Dengan mempelajari tafsir surah-surah ini, maka kita akan semakin faham agama kita ini dan beza dengan agama lain. Iaitu kita akan tahu apakah fahaman sesat yang kita kena elak. Ia macam kita belajar memandu: kita belajar apa yang kita buat (cara memandu), tapi dalam masa yang sama, kena belajar apa yang jangan dibuat, apa yang kena elak (jangan masuk jalan sebelah).

Seperti yang kita telah belajar, surah Al-Baqarah ada menyentuh tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infak. Surah Ali Imran ini akan mengulangi semula empat perkara ini dengan cara sedikit berbeza iaitu akan ditambah penjelasan tentang kesamaran-kesamaran yang ada dalam hati manusia.

Surah Al-Baqarah banyak menyentuh tentang taqwa dan perkara yang berkaitan dengan iman. Sedangkan Surah Ali Imran ini nanti, kita akan lihat banyak memperkatakan tentang Rukun Islam pula.

Memang ada banyak persamaan antara Surah Baqarah dan Ali Imran kalau kita perhatikan. Ada topik-topik dari Surah Baqarah yang diulang dan diperjelaskan lagi di dalam Surah Ali Imran. Kerana apabila surah Al-Baqarah memberitahu tentang hukum-hukum, ada perkara yang menyebabkan manusia keliru kerana ada kesamaran. Maka kesamaran-kesamaran itu dijelaskan dalam surah ini. Ada hukum hakam yang hanya disentuh, dan diperjelaskan di dalam Surah Ali Imran.

Surah Ali Imran ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 92 adalah bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang Tauhid dan Risalah.

Ayat 93 – 200 adalah bahagian kedua dan ia mengandungi dalil-dalil Tauhid serta Jihad dan Infak.

Ada juga yang membahagikan:

Ayat 1 – 101 adalah tentang Ahli Kitab

Ayat 102 – 200 adalah tentang Umat Islam

Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah ada disebut doa untuk mengalahkan orang kafir. Oleh itu Mesej Utama surah ini adalah untuk mencapai kemenangan Umat Islam dan ini boleh dicapai dengan:

1. Dakwah kepada Ahli Kitab
2. Mengambil manfaat dari kelebihan yang ada pada Ahli Kitab
3. Menjauhi keburukan yang ada pada Ahli Kitab
4. Kesatuan dan kesepakatan umat Islam disamping mereka diikat dengan pergerakan yang tersusun kukuh

 

Kaitan Dengan Surah Lain: 

1. Di dalam ayat terakhir Surah Baqarah kita telah diajar untuk berdoa فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ (tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir). Oleh kerana untuk mendapatkan kemenangan, kita kena berhadapan dengan orang kafir, maka di dalam Surah Ali Imran ini, kita akan bertemu ayat-ayat tentang Jihad. Di dalam surah ini Allah mengajar umat Islam bagaimana cara mengalahkan mereka, iaitu kena ada kesatuan.
2. Di dalam Surah Fatihah telah disebut tentang golongan الضّالّينَ. Seperti yang telah ditafsirkan di dalam Surah Fatihah, ia merujuk kepada Golongan Nasara (Kristian). Maka akan dijelaskan tentang mereka.
3. Di dalam Surah Baqarah telah disebut tentang Nabi Adam yang lahir tanpa ibu dan bapa. Sekarang di dalam Surah Ali Imran kita belajar tentang Nabi Isa yang lahir tanpa bapa pula.
4. Seperti yang telah disebut, Surah Baqarah banyak sebut tentang golongan Yahudi, sekarang kita belajar tentang golongan Kristian pula.
5. Di permulaan Surah Baqarah disebut tentang kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Qur’an. Di dalam Surah Ali Imran disebut tentang Taurat dan Injil.
6. Di dalam Surah Baqarah telah disebut perang jihad secara umum. Sekarang disebut tentang Perang Uhud secara terperinci.

Itulah antara kesinambungan dari Surah Baqarah. Tentulah ada lagi. Tapi cukuplah setakat ini supaya nampak memang ada persamaan dan sambungan dari Surah Baqarah.

 

Struktur Makro: 

Ayat 1 – 9: Pendahuluan
Ayat 10 – 32: Menyeru Ahli Kitab kepada Islam
Ayat 33 – 63: Kisah Maryam dan Zakariya untuk membatalkan Akidah 3 tuhan
Ayat 64 – 101: Perincian tentang keburukan Ahli Kitab
Ayat 102 – 120: Arahan untuk memperkukuhkan pergerakan ‘sebaik-baik Umat’
Ayat 121 – 189: Kekalahan dalam Perang Uhud & ulasan tentang sifat nifaq
Ayat 190 – 200: Penutup

Surah Al-Baqarah ada kisah lembu di dalamnya. Antaranya, Allah ‎ﷻ melarang manusia daripada memuja lembu dan sebaliknya Allah ‎ﷻ suruh puja Dia sahaja. Puak Yahudi pula selain daripada puja Allah ‎ﷻ, mereka juga ada memuja lembu. Mereka lakukan begitu kerana mereka lihat ada kepelikan pada lembu. Jadi, walaupun bangsa Yahudi itu cerdik-cerdik belaka, ada juga kebodohan mereka dan kerana itu akidah mereka punah. Maka memang tepat apabila surah itu dinamakan dengan Al-Baqarah kerana itu yang mereka puja.

Kalau Yahudi puja baqarah (lembu), puak Nasara pula puja Ali Imran (keluarga Imran). Mereka ini disebut di dalam Ayat 33 nanti:

إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

Asal Usul Nama Surah

Imran adalah bapa kepada Maryam yang melahirkan Nabi Isa. Imran mempunyai seorang isteri yang solehah bernama Hannah binti Faqudh. Manakala Nabi Zakaria AS pula berkahwin dengan adik-beradik perempuan kepada Hannah, yang bernama Isyba’ (atau Eshba / Elizabath dalam tradisi sebahagian kitab tafsir dan ahli kitab). Ini bermakna Imran dan Nabi Zakaria AS adalah biras kerana mengahwini dua beradik (Hannah dan Isyba’). Jadi mereka ini adalah keluarga yang hebat-hebat.

Golongan Nasara telah puja ahli keluarga Imran seperti Maryam رضي الله عنها dan Nabi Isa عليه السلام kerana mereka telah jadi keliru dalam hal agama. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Nasara puja Ali Imran kerana mereka itu ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua yang dipuja, Nasara juga puja Ruhul Qudus, iaitu Jibril عليه السلام.

Golongan Nasara yang asal tidak begitu. Apabila setelah sekian lama barulah golongan ini menjadi sesat. Macam juga dengan agama Islam, asalnya penganutnya betul di atas landasan kebenaran, tetapi lama kelamaan ada ajaran sesat yang dimasukkan. Ini adalah kerana ramai yang jahil kerana tidak belajar wahyu, maka senang ditipu. Mereka itu macam juga penganut Nasara yang tidak belajar agama mereka. Maka kena jelaskan wahyu kepada orang Islam yang sesat dan Nasara kerana mereka itu sesat kerana jahil sahaja. Oleh kerana jahil, maka ada yang reka dan tambah benda baharu dalam agama. Memang kafirnya Nasara kerana jahil. Memang bahaya apabila agama ini ditambah-tambah dengan perkara baru yang bukan datang dari nas wahyu.

Kerana itu kita ingatkan tentang ajaran Sunnah yang menentang bid’ah. Bid’ah akan merosakkan agama. Dan inilah yang terjadi kepada Nasara dan sekarang kepada orang Islam juga. Mereka menambah-nambah dalam agama mereka. Maka kena sampaikan ajaran Sunnah ini kepada manusia dan kalau mereka mahu kepada kebenaran, mereka akan terima ajakan dakwah yang disampaikan. Ini penting supaya jangan menambah-nambah dalam agama.

Jadi lambang pujaan Yahudi dalam Surah Baqarah adalah baqarah (lembu) sementara pujaan golongan Nasara pula adalah Ali Imran (keluarga Imran). Jadi kekeliruan dan kesesatan mereka diperbetulkan dalam surah Ali Imran ini dan memang sudah ramai Kristian yang telah masuk Islam setelah mereka faham Surah Ali Imran ini, ditambah pula kalau mereka dengar dan belajar Surah Maryam.

Ada masalah yang timbul dalam masyarakat kita di mana ramai yang telah masuk agama Kristian kerana mereka jahil dan senang ditipu. Mereka masuk Kristian kerana mereka nampak Kristian ada hujah, agama kasih sayang, nampak macam baik sahaja mereka itu. Penganut mereka pun kaya raya. Kalaulah mereka tahu apakah yang benar dengan mempelajari tafsir surah Ali Imran ini, mereka tidak akan masuk Kristian. Itulah penting umat Islam kena faham tentang agama Islam supaya tidak tertipu. Kadangkala ada orang yang bangkitkan kekeliruan tentang agama Islam, sedangkan kalau faham betul, kita tidak akan tertipu. Di dalam agama Islam tidak ada kekeliruan sebenarnya. Tapi untuk dapat kefahaman ini, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadis yang sahih.

Asbabun Nuzul: Sebelum surah ini turun, ada wakil dari Najran yang datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian itu berlaku pada tahun 9 Hijrah iaitu setelah Mekah ditakluki dan negara Islam telah terbentuk di Madinah. Najran adalah daerah yang ramai penganut Kristian. Mereka dengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan Islam dan mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian sesat dan Nabi Isa bukan Tuhan/Anak Tuhan. Maka mereka datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ. Ada lebih kurang seramai 60 orang datang hendak berjumpa Nabi ﷺ di mana 14 daripadanya adalah pemuka agama mereka. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan mereka ditempatkan di Masjid Nabawi. Umat Islam melayan mereka dengan baik. Walaupun mereka kafir, dan hendak berdebat tentang Islam, namun mereka tetap dilayani dengan baik.

Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa عليه السلام itu hanyalah manusia sahaja dan tidak boleh dipuja. Macam orang kita juga, kalau dikatakan yang tok wali tidak boleh dipuja dan tidak boleh bertawasul dengan mereka, ramailah yang melompat marah. Itu memang sudah tanda orang-orang yang jahil dan keliru.

Apabila mereka hendak berhujah dengan Nabi ﷺ, baginda tunggu sahaja. Maka Allah ‎ﷻ turunkan surah ini. Di akhir surah ini nanti ada ajakan mubahalah dengan mereka. Ini kerana setelah diberikan dengan ayat-ayat dari Surah Ali Imran dan hujah-hujah mantap, mereka tetap juga tidak boleh terima. Ia adalah sumpah laknat antara orang kafir dan mukmin. Dalam mubahalah ini, kita minta Allah ‎ﷻ tunjuk siapa yang benar. Ini dilakukan kalau telah diberitahu juga kebenaran dalam ayat-ayat daripada surah Ali Imran ini, namun mereka masih juga berdegil.

Mubahalah ini adalah syariat antara Islam dan musyrik sahaja. Maka jangan pula ada orang Islam hendak mubahalah dengan orang Islam lain. Pernah puak Syiah mengajak mubahalah tetapi akhirnya mereka yang tidak muncul. Mubahalah ini adalah senjata terakhir kepada mereka yang degil sangat. Hafiz ibn Hajar رحمه الله pernah bermubahalah dengan ajaran tarekat sesat di Mesir. Ibn Hajar رحمه الله sudah kata ajaran itu sesat kufur. Maka, selepas mubahalah itu, laknat Allah ‎ﷻ telah dikenakan kepada golongan sesat. Pengamal tarekat itu mati dalam tempoh masa tidak sampai tiga hari.

Surah Ali Imran ini akan menjawab banyak kesamaran. Apakah kesamaran dalam Surah Baqarah yang akan dijawab dalam Ali Imran?

1. Allah ‎ﷻ menggunakan gelaran kepada Nabi Isa عليه السلام yang boleh menyebabkan kesamaran dan kekeliruan kepada manusia terutama penganut Nasara. Antara yang disebut dalam Kitab-kitab sebelum Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘Anak Allah’ dan ‘Roh Allah’. Maka, keliru habislah penganut Nasara yang tidak belajar wahyu. Ini berlaku terutama bagi mereka yang tidak belajar kitab mereka dengan benar sebab Kalam Allah ‎ﷻ tidak akan menyesatkan manusia.

Begitulah kalau tidak belajar dengan benar, maka memang boleh jadi sesat. Macam juga yang berlalu kepada umat Islam sekarang pun. Mereka baca ayat Al-Qur’an dan mereka dapat kefahaman yang salah sebab tidak belajar. Ini banyak terjadi, kerana mereka baca sendiri atau belajar dengan orang yang salah faham juga.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 7.

2. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلاه memang hebat. Mukjizat baginda termasuk boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta asli, pekak asli. Kesemua itu adalah penyembuhan yang dikira luar biasa (zaman sekarang pun masih tidak boleh buat lagi). Baginda juga boleh membuat seekor burung daripada tanah liat kemudian menghidupkannya. Ini tentulah menakjubkan mereka kerana memang mereka umat yang suka kepada bidang kedoktoran/perubatan.

Daripada segi ilmu, baginda juga boleh mengetahui apa yang disimpan dalam rumah. Oleh itu, apabila Nabi Isa عليه السلام boleh buat benda-benda ajaib dan hebat sebegitu, mereka pandang baginda lain macam kerana kelebihan itu semua adalah sifat Tuhan sahaja. Maka mereka telah memuja baginda sebagai tuhan.

Padahal itu adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام dan mukjizat itu hanya dengan kuasa Allah ﷻ sahaja. Ini adalah kekeliruan yang jelas tentang mukjizat. Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan yang baginda itu adalah benar seorang Nabi dan keajaiban itu bukanlah boleh dibuat sentiasa tetapi hanya terhad kepada waktu itu sahaja.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat 49 hingga ayat 51.

3. Ada kitab tulisan ulama’ mereka yang kata Nabi Isa عليه السلام itu adalah ‘anak Tuhan’ dan mempunyai kuasa. Penganut Nasara memandang tinggi kitab-kitab ulama’ mereka itu. Mereka percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh golongan ulama’ itu. Macam masyarakat kita jugalah, kalau ada dalam kitab, mereka terus anggap macam segalanya adalah benar belaka. Sikit-sikit mereka berhujah dengan kata ada dalam kitab sekian -sekian. Ini kumpulan AADK (Asal Ada Dalam Kitab).

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam surah Ali Imran ini, kalau ada kitab yang ajar akidah yang salah, itu bukan kitab ulama’, tetapi kitab syaitan. Tidak kira siapa yang tulis. Jangan jadi AADK.

Kesamaran ini dijawab dalam Ayat 79.

4. Terdapat juga kekeliruan tentang Maryam رضي الله عنها. Beliau bukanlah Nabi tetapi wali. Beliau mendapat rezeki dalam bentuk makanan kerana sifat ketaqwaannya. Kita akan belajar kisah Maryam رضي الله عنها yang hanya duduk di loteng membuat ibadat sahaja. Tidak ada orang lain yang boleh naik untuk berjumpa dengannya kecuali Nabi Zakaria. Yang bertanggungjawab menjaga beliau adalah Nabi Zakaria عليه السلام sahaja.

Nabi Zakaria  عليه السلام sahaja yang memberinya makan, dan apabila baginda nampak ada makanan lain bersama Maryam رضي الله عنها, baginda amat terkejut. Makanan itu pula adalah makanan yang segar dan buah-buahan yang di luar musim. Apabila ditanya, Maryam رضي الله عنها menjawab yang itu adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah balasan kerana ketaqwaan serta sikapnya yang sentiasa menjaga mata dan mulut daripada maksiat. Maka Allah ‎ﷻ memakbulkan doa beliau dan Allah ‎ﷻ menghantar rezeki kepadanya.

Perkara ini cukup luar biasa dan kerana itulah penganut Nasara memuja Maryam رضي الله عنها. Mereka lihat beliau sebagai bukan manusia biasa.

Kekeliruan ini dijawab dalam Ayat ke 37.

5. Terdapat juga kekeliruan mengenai Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda juga merupakan ahli keluarga Imran dan ada golongan sesat yang memujanya. Ini kerana kelebihan baginda yang mendapat anak dalam usia sangat tua dan isterinya pula yang tidak pernah mengandung dan melahirkan. Maka mereka memuja dan ada yang meminta berkat atas sebab kelebihannya itu. Sama juga seperti orang kita, ada yang tidak dapat anak maka ada guru sesat yang mengajarkan agar meminta berkat daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Sama sahaja akidah mereka ini dengan golongan Nasara.

Allah ‎ﷻ ajar bahawa perkara pelik yang terjadi kepada baginda adalah kurnia daripada Allah ‎ﷻ. Nabi Zakaria عليه السلام sendiri pun terkejut apabila baginda diberikan seorang anak dalam usia yang sangat tua. Maknanya, itu bukanlah kuasa baginda. Kalaulah ia kuasa baginda, takkan baginda terkejut pula. Sebenarnya Nabi Zakaria عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ setelah baginda melihat bagaimana Maryam رضي الله عنها boleh mendapat rezeki daripada Allah ‎ﷻ sedangkan Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Allah ﷻ yang makbulkan baginda, bukannya baginda ada kuasa pun.

Kekeliruan ini dijawab dalam ayat 38.

Kelima-lima syubhat (kesamaran) di atas adalah tentang Tauhid dan Allah ‎ﷻ telah menjawabnya di dalam surah ini.

 

Syubhat tentang Risalah pula ada tiga.

1. Tentang Kiblat. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ‎ﷺ itu benar, kenapa tidak ikut Nabi-nabi lain dalam hal kiblat? Kenapa tidak ikut kiblat yang di BaitulMaqdis? Kenapa berkiblat ke Mekah pula?

Mereka itu jahil atau lupa yang Mekah itu adalah kiblat pada suatu waktu dahulu. Daripada Nabi Adam عليه السلام sehinggalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, Kaabah itulah Kiblat. Cuma bermula Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi-nabi عليهم السلام selepasnya sahaja yang bertukar kiblat ke BaitulMaqdis.

Untuk sementara waktu sahaja zaman Nabi Muhammad ﷺ berkiblatkan ke arah BaitulMaqdis dan selepas itu Kiblat telah bertukar semula ke Kaabah iaitu kembali kepada kiblat asal. Kalau mereka kaji, memang tidak salah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Kaabah adalah kiblat juga. Kalau mereka mengkaji agama mereka sendiri, dalam kitab mereka juga ada diberitahu yang Nabi akhir zaman akan berkiblatkan Kaabah. Jadi kenapa mereka menolaknya? Tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana jahil sahaja.

Kekeliruan ini dijawab oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat 97.

2. Kekalahan dalam Perang Uhud. Mereka mempersoalkan: Bagaimana seorang Nabi boleh kalah? Adakah kerana Allah ‎ﷻ tidak menolong NabiNya? Kekeliruan ini Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat 121 – 152. Panjang lebar Allah ‎ﷻ menjawabnya kerana kekalahan itu mempunyai maksud tersendiri.

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa bukanlah Dia tidak menolong Nabi-Nya. Allah ‎ﷻ telah tolong umat Islam dalam Perang Badr. Pada peringkat awal Perang Uhud itu sebenarnya Allah ‎ﷻ telah tolong dan memang pihak Muslim sudah menang pun. Namun malangnya, oleh kerana arahan Nabi ﷺ yang tidak ditaati oleh segelintir kaum muslimin yang berperang waktu itu, maka Allah ‎ﷻ menghentikan pertolongan itu. Akhirnya baru Allah ‎ﷻ menolong mereka semula. Allah ‎ﷻ hendak mengajar, selain daripada tauhid kepada Allah ‎ﷻ, kita juga kena taat kepada Rasul. Maknanya kita kena ikut hukum.

3. Tentang makan unta. Dalam syariat Bani Israil, mereka berpegang dengan hukum unta tidak boleh dimakan. Namun dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ pula kata unta halal dimakan. Mereka kata halal dan haram ini adalah keputusan Allah ‎ﷻ, bukannya manusia. Mereka tuduh Nabi Muhammad ﷺ ambil kerja Tuhan pula. Maka Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa unta itu sebenarnya halal. Nabi Ya’qub عليه السلام tidak memakan unta kerana dinasihati oleh tabib yang unta tidak sesuai untuk baginda kerana masalah kesihatan baginda. Kerana itulah baginda tidak makan unta. Bukannya unta itu haram kepada semua orang. Anak cucu baginda yang telah tersilap faham sampai mengharamkan kepada umat Bani Israil keseluruhannya.

Oleh kerana mereka yang berbuat begitu, pandai-pandai pantangkan sendiri, maka Allah ‎ﷻ mengharamkan terus kepada mereka. Ini adalah sebagai hukuman kepada mereka untuk menyusahkan mereka. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, hukuman telah berbalik kepada asal.

Ini telah dijelaskan dalam ayat 93.

 

Kelebihan Surah Ali Imran

Surah Ali ‘Imran (bersama-sama dengan Surah Al-Baqarah) dinamakan sebagai Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان), yang merupakan bentuk kata nama berkembar (dua) bagi perkataan Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Dari sudut bahasa Arab, Az-Zahrah atau Al-Zahra’ bermaksud yang bercahaya, yang bersinar, yang cemerlang, atau yang putih bersih.

Penamaan ini thabit (tetap) secara langsung daripada lisan Rasulullah SAW melalui hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ: الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا 
Daripada Abu Umamah Al-Bahili RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Qur’an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Az-Zahraawan (dua surah yang bercahaya/gemilang) iaitu Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran. Kerana sesungguhnya kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah seperti dua kelompok awan, atau dua naungan, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya, kedua-duanya akan mempertahankan (membela) orang yang rajin membaca dan mengamalkannya…”

(Riwayat Muslim, No. 804)

Penjelasan: Di akhirat kelak, cuaca tidaklah sama semasa di dunia. Kalau Mahsyar nanti, sangatlah panas, maka dari hadis ini, ia memberitahu kita yang dua surah ini akan menjadi penaung bagi kita.

Perkataan أَصْحَابِهِمَا (aṣḥābihimā) di dalam hadis ini dari segi bahasa bermaksud “pemilik/sahabat bagi kedua-dua surah tersebut” (iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran). Namun, para ulama hadis (seperti Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim) menjelaskan bahawa gelaran “Sahabat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran” ini bukan sekadar merujuk kepada orang yang membaca harfiahnya sahaja, tetapi mengandungi makna dan kriteria yang khusus.

Dalam bahasa Arab, perkataan صاحب (sahabat) bermaksud sesiapa yang sentiasa mendampingi dan meluangkan masa yang lama dengan sesuatu. Maka, أَصْحَابِهِمَا bermaksud orang yang menjadikan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sebagai wirid harian atau kerap membacanya sehingga kedua-dua surah itu “akrab” dengan hidupnya, bukan sekadar membaca sekali-sekala atau setahun sekali. Ia juga merujuk kepada para penghafal (huffaz) kedua-dua surah ini yang sentiasa menjaga hafalan mereka melalui murajaah (ulangan) di dalam solat mahupun di luar solat, sehinggakan ayat-ayat tersebut melekat kuat di dalam dada mereka.

Dan yang paling utama, seseorang itu tidak dianggap sebagai “sahabat” kepada Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran sekiranya dia menghafal kelancaran lafaznya tetapi melanggar hukum-hakam di dalamnya. Sahabat bagi kedua-dua surah ini adalah mereka yang:

    • Mengambil akidah tauhid yang terkandung di dalamnya.
    • Menjauhi larangan Riba (yang ditegaskan dalam kedua-dua surah).
    • Mengambil pengajaran daripada kisah-kisah kaum terdahulu (Bani Israil, Perang Uhud, dll).
    • Melaksanakan tuntutan syariat yang digariskan.

Nota: Perhatikan di dalam hadis ini disebut ‘baca’. Kalau dari sudut logik, orang yang baca, mestilah dia faham apa yang dia baca, bukan? Kalau setakat sebut sahaja, itu orang tak panggil baca, tapi mengeja. Orang Melayu sahaja agaknya yang faham maksud ‘baca’ itu dengan sebut ayat-ayat Al-Qur’an tapi tidak faham sikit habuk pun apa yang mereka baca.

Kenapa Dinamakan “Zahrah” (Yang Bercahaya)? Para ulama hadis dan ahli tafsir (seperti Imam al-Nawawi dan Al-Qadi ‘Iyad) menjelaskan beberapa hikmah mengapa Surah Ali ‘Imran dan Al-Baqarah mendapat gelaran yang agung ini:

1. Menjadi Cahaya Penunjuk Jalan di Akhirat. Dinamakan Zahrah kerana kedua-dua surah ini akan memberikan cahaya yang terang-benderang kepada pembacanya pada hari kiamat kelak. Di saat manusia berada dalam kegelapan, ketakutan, dan kebingungan di Padang Mahsyar, cahaya daripada surah ini akan datang menaungi dan memandu mereka.

2. Kandungan Hukum-Hakam yang Menerangi Jiwa. Kedua-dua surah ini sarat dengan syariat, hukum-hakam (seperti muamalat, nikah kahwin, jihad), dan hujah-hujah aqidah yang sangat jelas. Kejelasan isi kandungannya menerangi (memberi cahaya) kepada hati dan akal fikiran orang beriman, sekali gus memandu mereka keluar daripada kegelapan syubhat (kekeliruan) dan syahwat.

3. Besarnya Pahala dan Ganjaran. Perkataan Az-Zahrah juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang sangat bernilai, indah, dan megah. Ganjaran bagi orang yang membaca, menghafal, dan mengamalkan Surah Ali ‘Imran serta Al-Baqarah adalah teramat besar di sisi Allah, seumpama memiliki permata yang paling berkilau.

4. Pembela di Hadapan Allah (Syafaat yang Jelas). Sifatnya yang “terang” itu juga digambarkan melalui peranannya di akhirat. Kedua-dua surah ini akan menjelma menjadi hujah yang nyata untuk mempertahankan pembacanya di hadapan Allah SWT, sehingga mereka terselamat daripada azab api neraka.

Dari sudut bahasa Arab, az-zahrah (الزَّهْرَة) juga bermaksud bunga (kata jamaknya ialah al-azhaar / الأَزْهَار). Dalam loghat Arab klasik, sekuntum bunga dipanggil zahrah kerana sifatnya yang berseri, mempunyai warna yang terang, indah dipandang, dan menarik perhatian seolah-olah ia memancarkan cahaya di tengah-tengah kebun yang hijau. Kedua-dua surah ini adalah “bunga-bunga Al-Qur’an” yang paling indah, mekar, dan wangi kerana di dalamnya terkumpul intipati syariat Islam yang paling utama.

Kerana itulah juga gelaran anak perempuan Rasulullah SAW, adalah Fatimah Az-Zahra’. Para sejarawan Islam menyatakan beliau digelar Az-Zahra’ kerana wajahnya yang sangat putih bersih, berseri-seri seperti bunga yang mekar, dan memancarkan cahaya kebaikan serta kemuliaan akhlak.

Jadi, apabila anda membaca Surah Ali ‘Imran, anda boleh membayangkan dua makna ini serentak: Ia adalah surah yang memberikan cahaya (Zahrah) yang menerangi kegelapan akhirat, dan ia juga merupakan bunga (Zahrah) syariat yang paling indah dan harum dalam Al-Qur’an. Keduanya adalah benar dari segi linguistik Arab!

Kerana itulah juga Surah Ali Imran ini ada beberapa nama, walaupun yang terkenal dan yang orang tahu adalah Ali Imran. Berikut adalah nama-nama lain bagi Surah Ali ‘Imran:

1. Az-Zahrah (الزَّهْرَاء). Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, secara bersendirian surah ini dipanggil Az-Zahrah (Yang Bercahaya/Bunga yang berseri). Apabila digabungkan bersama Surah Al-Baqarah, kedua-duanya dipanggil Az-Zahraawan (الزَّهْرَاوَان). Nama ini thabit (sahih) daripada hadis Nabi SAW riwayat Imam Muslim.

2. Al-Aman (الأَمَان). Sebahagian ulama tafsir (seperti yang dinukilkan dalam beberapa kitab tafsir klasik) menggelar surah ini sebagai Al-Aman yang bermaksud “Keamanan” atau “Perlindungan”. Kerana surah ini mengandungi ayat-ayat hujah yang kukuh untuk mempertahankan akidah Islam daripada syubhat (kekeliruan) musuh, sekali gus memberikan rasa aman, ketenangan, dan ketetapan iman di dalam hati orang yang mengamalkannya.

3. Al-Kanz (الْكَنْز). Nama ini bermaksud “Gudang Kekayaan” atau “Harta Karun”. Nama ini bersumberkan daripada athar (kata-kata) sahabat Nabi, antaranya daripada Abdullah bin Mas’ud RA atau Makhul yang menyebut: “Surah Ali ‘Imran adalah Al-Kanz (gudang harta/pahala) bagi orang yang miskin (yang memerlukan pahala) di akhirat kelak.” Ia dinamakan sedemikian kerana saratnya surah ini dengan ilmu tauhid, hukum-hakam yang berharga, dan ganjaran pahala yang melimpah-limpah bagi pembacanya.

4. Al-Ma’niyyah (الْمَعْنِيَّة). Sebahagian ulama menggelarnya Al-Ma’niyyah yang membawa maksud “Yang Dimaksudkan” atau “Yang Diperhatikan”. Kerana surah ini secara khusus diturunkan dengan memberikan perhatian yang sangat besar dalam menjawab, membantah, dan memperincikan perihal Ahli Kitab (khususnya kaum Nasrani/Kristian), serta menjelaskan kedudukan sebenar Nabi Isa AS dan ibunya, Maryam.

5. Surah Tayyibah (سُورَة طَيِّبَة). Ada juga riwayat yang menggelar surah ini dengan nama Tayyibah yang bermaksud “Yang Baik/Suci”. Namun, nama ini kurang masyhur berbanding nama-nama di atas.

 

Selain dari itu, di dalam Surah Ali ‘Imran terdapat rahsia makbulnya doa, iaitu kewujudan Ismullah al-A’zam. Sesiapa yang berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama agung ini, doanya tidak akan ditolak. Rasulullah SAW bersabda:

اسْمُ اللَّهِ الأَعْظَمُ فِي سُورَتَيْنِ: ﴿وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ﴾ [البقرة: 163]، وَفَاتِحَةِ آلِ عِمْرَانَ: الم * اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
“Nama Allah yang Paling Agung (Ismullah al-A’zam) berada di dalam dua surah, iaitu pada ayat: ‘Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani’ (Al-Baqarah: 163) dan pada permulaan Surah Ali ‘Imran: ‘Alif, Lam, Mim. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Kehidupan-Nya Abadi lagi Sentiasa Mengatur makhluk-Nya’ (Ali ‘Imran: 1-2).”

(Riwayat At-Tirmidzi, No. 3478 & Abu Dawud. Dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani)

Dalam kalangan para sahabat Nabi SAW, sesiapa yang berjaya menghafal, memahami hukum, dan mengamalkan Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, mereka akan dipandang tinggi dan dihormati sebagai ketua atau tokoh rujukan masyarakat. Anas bin Malik RA menceritakan status sosial para penghafal dua surah ini:

كَانَ الرَّجُلُ إِذَا قَرَأَ الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، جَدَّ فِينَا – أَيْ: عَظُمَ فِي عُيُونِنَا وَصَارَ ذَا قَدْرٍ عَالٍ
Dahulu, apabila seseorang lelaki (sahabat) telah selesai membaca/menghafal Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, maka dia akan menjadi seorang yang sangat agung (dihormati dan dipandang tinggi) di kedudukan kami.”

(Riwayat Ahmad, No. 12222. Syeikh Syuaib Al-Arnaut menyatakan sanadnya Sahih mengikut syarat Imam Muslim)

Rasulullah SAW menjadikan ayat-ayat terakhir Surah Ali ‘Imran sebagai zikir dan renungan harian baginda, terutamanya apabila terjaga di tengah malam untuk menunaikan solat Tahajjud. Ibnu Abbas RA meriwayatkan suasana malam bersama Nabi SAW:

«…فَاسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ، ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ…»
“…Maka Rasulullah SAW terjaga dari tidur, baginda duduk lalu mengusap sisa tidur pada wajahnya dengan tangan baginda. Kemudian baginda membaca 10 ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 190 hingga 200). Selepas itu baginda bangun menuju ke bekas air, berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri menunaikan solat.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 4569 & Muslim, No. 763)

 

Para ulama tafsir dan ahli sejarah Islam mencapai ijmak (sepakat) bahawa Surah Ali ‘Imran ialah surah Madaniyyah (surah yang diturunkan selepas peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah). Kesepakatan ini bukan sahaja bersandarkan kepada riwayat-riwayat athar yang sahih, tetapi ia disokong kuat oleh bukti dalaman (internal evidence) yang ada pada kandungan, tema, dan peristiwa sejarah yang diceritakan di dalam surah ini.

Ini kerana ia mengandungi kisah Perang Uhud & Perang Badar. Ciri paling ketara bagi surah Madaniyyah adalah perbincangan mengenai jihad fizikal, peperangan, dan strategi ketenteraan umat Islam, kerana perintah perang hanya disyariatkan selepas berhijrah. Hampir separuh daripada Surah Ali ‘Imran (bermula dari ayat 121 sehingga hampir ke penghujung surah) membincangkan secara terperinci tentang Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah. Surah ini juga merakamkan post-mortem Perang Uhud yang menyentuh tentang kesedihan umat Islam, kesilapan pasukan pemanah di bukit, peranan golongan munafik, serta ujian keimanan para sahabat. Malah, surah ini juga menyentuh serba sedikit tentang Perang Badar (tahun ke-2 Hijrah).

Di fasa Mekah (Makkiyyah), fokus dakwah Nabi SAW adalah berhadapan dengan kaum Musyrikin Quraisy yang menyembah berhala. Manakala di fasa Madinah (Madaniyyah), umat Islam mula berinteraksi secara meluas dengan golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Bahagian awal Surah Ali ‘Imran (sekitar ayat 1 hingga 80) diturunkan khusus berkaitan dengan kedatangan rombongan Kristian dari Najran ke Madinah pada tahun ke-9 Hijrah (Tahun Utusan/’Am al-Wufud). Mereka datang berdialog dan berdebat dengan Nabi SAW tentang status ketuhanan Nabi Isa AS. Al-Qur’an menjawab hujah mereka dalam surah ini, termasuklah pensyariatan ayat Mubahalah (ayat 61).

Surah ini juga menyebut tentang Golongan Munafik (orang yang berpura-pura Islam tetapi menyembunyikan kekufuran) dan mereka hanya wujud di Madinah. Di Mekah, umat Islam adalah golongan yang ditindas, jadi tidak ada sebab untuk sesiapa berpura-pura menjadi Muslim. Surah Ali ‘Imran sarat dengan ayat-ayat yang membongkar belang, kata-kata sinis, dan pakatan jahat orang munafik (seperti Abdullah bin Ubai bin Salul) terutamanya sewaktu mereka berpaling tadah dalam Perang Uhud.

Surah-surah Madaniyyah terkenal dengan pengisian undang-undang awam dan kemasyarakatan (Tasyri’). Dalam Surah Ali ‘Imran, Allah SWT menurunkan hukum-hakam penting.

Selain dari itu terdapat kaedah masyhur dalam Ulum Al-Quran yang berbunyi: “Setiap ayat yang bermula dengan panggilan ‘Wahai orang-orang yang beriman’ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) adalah Madaniyyah, manakala ayat yang bermula dengan ‘Wahai manusia’ (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) adalah Makkiyah.” Jika kita semak Surah Ali ‘Imran, panggilan (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) ini disebut sebanyak 7 kali (contohnya dalam ayat tentang larangan riba, kewajipan bertaqwa, dan kesabaran). Kehadiran ungkapan ini mengukuhkan lagi hujah para ulama bahawa surah ini adalah Madaniyyah tulen.

 

Sejarah Turun

Secara umumnya bolehlah dikatakan Surah Ali `Imran diturunkan pada tahun ke-3 Hijrah, selepas Perang Uhud. Ketika itu telah pun nyata kesan dan akibat daripada kesyahidan sekian ramai sahabat di medan Perang Uhud, di mana sudah mula terdapat agak ramai isteri yang menjanda dan anak-anak kecil yang menjadi yatim.Semua itu telah menimbulkan masalah masyarakat yang memerlukan penyelesaian.

Ayat ke-33 hingga ke-70 bagaimanapun dipercayai diturunkan pada tahun ke-9 Hijrah, ketika mana rombongan orang-orang Kristian Najran datang ke Madinah dan terjadi perdebatan di antara mereka dengan Rasulullah, sehingga membawa kepada cabaran Rasulullah terhadap mereka untuk bermubahalah.Tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran Rasulullah itu.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada tafsir ayat

Kemaskini: 7 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


 

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Surah Baqarah Ayat 284 (Jaga Hati)

KEKUASAAN ALLAH ‎ﷻ

Baqarah Ayat 284: Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syari’at Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi bangsa yang memimpin dunia. Ayat 284 ini adalah Dalil Aqli mengajar kita untuk berfikir. 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما فيٓ أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشآءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Sebelum ini telah disebut yang Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang manusia kerjakan. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bukan itu sahaja, malah segala jagad raya ini milik Allah ‎ﷻ belaka.

Balaghah: Allah ‎ﷻ letak harf ل di awal ayat ini (kaedah Taqdim) yang memberi isyarat eksklusif. Maknanya alam ini hanya milik Allah ‎ﷻ sahaja dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi dengan mana-mana makhluk.

Ayat ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada entiti lain yang memiliki alam ini. Allah ‎ﷻ memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah ‎ﷻ juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki dengan kita. Kalau tidak mahu taat kepadaNya, maka carilah alam lain untuk duduk!

Apabila alam ini milik Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang mengelolakannya dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi pengurusan alam ini dengan sesiapa. Fahaman ada makhluk yang berkongsi pengurusan alam ini adalah syirik fi tasarruf (شرك في التصرف). Ia selalunya dipegang oleh golongan sufi tarekat dan orang jahil. Contoh Syirik fi Tasarruf (pentadbiran)

    • Keyakinan bahawa wali fulan dapat menghentikan badai atau mendatangkan hujan atas kehendaknya sendiri.
    • Meminta kesembuhan daripada kuburan orang soleh, dengan keyakinan bahawa orang yang di kubur itu boleh menyembuhkan.
    • Keyakinan bahawa jin penjaga suatu tempat dapat menimpakan bahaya atau memberikan keberuntungan tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.
    • Memakai azimat atau benda pusaka dengan keyakinan bahawa azimat tersebut memiliki kekuatan untuk melindungi atau mendatangkan rezeki.

 

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota, Allah ‎ﷻ tahu.

 

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah‎ ﷻ tetap tahu. Bagaimana Dia boleh tahu? Kerana alam ini milik-Nya; Dia yang buat dan Dia yang uruskan. Maka tentulah Dia ada kemampuan untuk tahu segala-galanya termasuklah apa yang di dalam hati kita. Allah ‎ﷻ telah berfirman juga di dalam Mulk:13

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Di sini Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah ‎ﷻ tahu dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun hendak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah ‎ﷻ sentiasa memerhati.

 

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah ‎ﷻ tahu dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah ‎ﷻ masih akan hisab amalan kita. Maknanya kalau ikut ayat ini, Allah ‎ﷻ ambil kira juga apa yang di dalam hati kita. Jangan kita sangka ibadah itu hanya perbuatan fizikal seperti solat, zakat, puasa sahaja akan tetapi ibadah juga termasuk hal hati. Begitulah definisi Ibadah menurut Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ. Dalam pandangannya,

(المعْبَدَةُ اسْمٌ جَامِعٌ لِكُلِّ مَا يُحِبُّهُ اللَّهُ وَيَرْضَاهُ مِنَ الْأَقْوَالِ وَالْأَعْمَالِ الْبَاطِنَةِ وَالظَّاهِرَةِ)
“Ibadah adalah nama جامع (Jāmi’) bagi segala sesuatu yang dicintai dan diredhai Allah, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang lahir (terlihat) mahupun yang batin (tidak terlihat).”

Iman dan iktikad adalah lingkungan ibadah hati, bukan? Begitu juga kufur dan syirik. Kufur dan syirik itu ada bahagian perbuatannya dan ada bahagian batinnya. Ada orang kita tidak nampak pun dia ada perbuatan yang syirik, tetapi di dalam hatinya ada fahaman syirik yang dia tidak tunjukkan. Sebagai contoh, dia berpandangan ada makhluk yang ada kuasa sama seperti Allah ‎ﷻ. Namun dia tidak sembah sesiapa pun, dia simpan di dalam hatinya sahaja. Akan tetapi walaupun dia tidak sembah sesiapa, dia telah telah fahaman dan sifat musyrik.

Selain itu rendah diri, sabar, qana’ah, pemurah itu datangnya daripada hati juga. Surah ini juga telah banyak menyebut tentang ibadah-ibadah dan hukum hakam dan semua ini menjadi pahala dan sah apabila ia disertai dengan niat yang ikhlas, bukan? Bukankah niat itu di hati?

Ayat ini pada awal mulanya ialah peringatan kepada orang yang akan diminta menjadi saksi (di dalam ayat 283), supaya janganlah mereka menyembunyikan hal-hal yang diketahuinya berkenaan dengan perkara di antara dua orang mengikat janji yang tersebut dalam dua ayat sebelumnya tadi.

Namun maksudnya juga mengandungi peringatan kepada kita sekalian manusia. Kita mempunyai rahsia-rahsia perasaan yang tersembunyi dan juga mempunyai sikap yang nyata. Bermacam-macam yang terasa dalam ingatan kita, yang baik dan yang buruk. Kadang-kadang kita merasa marah, benci, dendam, takabbur, sombong, dengki, inginkan kejatuhan orang lain. Kadang-kadang kerana semangat muda dan nafsu yang sedang bergelora, tergiur hati seorang pemuda melihat seorang gadis cantik atau perempuan lain yang bukan isterinya. Kadang-kadang kelihatan orang lain sedang megah dengan kekayaannya, mempunyai rumah besar indah, kenderaan mahal dan mewah, maka timbul pula keinginan supaya mencapai yang demikian. Akan tetapi di lain waktu kelihatan pula orang baik-baik, budiman, orang yang berkorban untuk kepentingan bersama, lalu timbul pula kerinduan hati kecil hendak meniru hidup yang demikian. Maka ini adalah pertarungan dalam diri setiap manusia antara baik dan buruk.

Ayat ini memang sempat menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Alasan utama di balik ketakutan mereka adalah pemahaman awal bahawa ayat ini mengandungi isyarat yang mereka akan dihisab atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik yang disengaja mahupun yang tidak disengaja, bahkan niat atau bisikan hati yang tidak pernah diwujudkan dalam perbuatan. Beberapa riwayat menceritakan reaksi para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ:

  • Rasa Berat dan Kesulitan: Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ merasa sangat berat dengan ayat ini kerana mereka tahu betapa sulitnya mengendalikan bisikan hati dan fikiran. Mereka khuatir fikiran buruk atau godaan yang terlintas sesaat pun akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ. Ini seolah-olah membebani mereka dengan sesuatu yang di luar kemampuan manusiawi.
  • Datang kepada Nabi ﷺ: Sejumlah sahabat, seperti Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, meriwayatkan bahawa ketika ayat ini turun, mereka merasa sangat ketakutan. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak pernah dibebankan kepada umat-umat sebelum kami. Kami akan dihisab atas apa yang kami lakukan dengan tangan dan lisan kami, tetapi sekarang dengan apa yang ada di hati kami.”
  • Kekhuatiran akan Kegagalan: Mereka khuatir tidak akan mampu memenuhi tuntutan ini dan merasa bahawa mereka akan terus-menerus dalam dosa kerana fikiran-fikiran yang tidak mampu mereka hindari.

Akan tetapi bahagian ayat ini telah dimansukhkan seperti kata Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحْسِبُهُ ابْنَ عُمَرَ { إِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ } قَالَ نَسَخَتْهَا الْآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا
Daripada Marwan Al Ashfar daripada salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang aku kira Ibnu Umar mengenai firman Allah; “Jika kalian menampakkan apa yang ada dalam diri kalian atau menyembunyikannya” (Al Baqarah: 284). Ibnu Umar berkata; Ayat ini telah dinasakh oleh ayat sesudahnya.

(Sahih Bukhari No. 4182)

Bahagian yang menasakhkan daripada ayat 286 adalah: لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya). Maknanya, seseorang itu akan dibalas hanya di atas perbuatannya (dan perkataannya) dan bukanlah daripada lintasan hati.

Dengan turunnya ayat 286, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa ayat 284 tidak dimaksudkan untuk menghisab bisikan atau lintasan hati yang tidak disengaja atau yang tidak diikuti dengan perbuatan. Yang dihisab adalah niat atau tekad yang kuat (azam) untuk melakukan kebaikan atau keburukan, meskipun belum terwujud dalam perbuatan, serta apa yang diungkapkan secara lisan atau perbuatan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
“Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku apa yang dibisikkan oleh hati mereka, selama mereka tidak mengamalkannya atau mengucapkannya.”

(Sahih Bukhari No. 5269 dan Muslim No. 127

Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan Dia tidak membebani hamba-Nya di luar kemampuannya. Jadi, ketakutan para sahabat adalah refleksi daripada keimanan dan ketaqwaan mereka yang tinggi, serta pemahaman awal mereka yang mendalam terhadap setiap firman Allah ‎ﷻ. Namun, rahmat dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ selalu lebih luas, dan Dia memberikan kemudahan bagi hamba-hamba-Nya.

Maka hadith ini sepatutnya memberi ketenangan bagi umat Islam, bahawa Allah Maha Pengampun dan tidak akan memberatkan hamba-Nya dengan apa yang berada di luar kendalian mereka sepenuhnya, iaitu bisikan-bisikan hati yang tidak disengaja. Namun, jika bisikan hati itu berubah menjadi tekad yang kuat (azam) untuk berbuat kebaikan, maka itu sudah dicatat sebagai kebaikan, meskipun belum terlaksana. Sebaliknya, jika menjadi tekad kuat untuk berbuat kejahatan, namun kalau ditinggalkan kerana takut kepada Allah ‎ﷻ, maka dicatat sebagai kebaikan pula. Jika dilaksanakan, barulah dicatat sebagai keburukan. Ini menunjukkan keadilan dan kemurahan Allah ‎ﷻ.

Sesetengah ulama’ pula berpendapat ayat ini tidak dimansukhkan. Allah ‎ﷻ memang kata Dia akan hisab lintasan hati, namun tidaklah akan mengazab manusia. Hisab bukan semestinya akan mengazab. Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan dan potongan ayat selepas ini pun sebut Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan sesiapa yang Dia kehendaki. Ini seperti disebut di dalam hadith,

يُدْنَى الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ فَيَقُولُ: أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ أَيْ رَبِّ، حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ، قَالَ: سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ، فَيُعْطَى كِتَابَ حَسَنَاتِهِ، وَأَمَّا الْكَافِرُونَ وَالْمُنَافِقُونَ فَيَقُولُ الْأَشْهَادُ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ، أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Seorang mukmin akan didatangkan dan didekatkan kepada Rabbnya pada hari kiamat. Lalu Allah menutupinya (daripada pandangan makhluk lain) dan menyuruhnya mengakui dosa-dosanya. Allah berkata: ‘Apakah kamu tahu dosa ini? Apakah kamu tahu dosa itu?’ Orang itu menjawab: ‘Ya, wahai Tuhanku.’ Hingga ketika dia merasa dirinya binasa (kerana dosa-dosa itu), Allah berkata: ‘Aku telah menutupinya atasmu di dunia, dan hari ini Aku mengampuninya untukmu.’ Lalu diberikan kepadanya catatan amal kebaikannya. Adapun orang-orang kafir dan munafik, maka para saksi berkata: ‘Mereka inilah yang berdusta terhadap Rabb mereka.’ Ketahuilah, laknat Allah atas orang-orang yang zalim.”

(Riwayat Bukhari No. 2441 dan Muslim No. 2768)

Membaca tentang hisab Allah ‎ﷻ ini sepatutnya mengingatkan yang kita pun kenalah hisab diri kita. Inilah praktis muhasabah diri yang patut kita buat selalu secara berkala. Praktik muhasabah menanamkan rasa tanggungjawab atas setiap tindakan. Ini membuat seseorang lebih sedar akan kesan daripada perbuatannya, baik di dunia mahupun di akhirat, dan mendorongnya untuk menjadi seorang yang lebih berhati-hati dan bijaksana.

Ia boleh dilakukan sehari sekali, seminggu sekali dan sebagainya. Caranya dilakukan dengan merenung, menulis di jurnal, atau bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Atau sedang terawang-awang hendak tidur itu, fikirkanlah akan perbuatan kita hari itu. Pertanyaan yang boleh diajukan pada diri sendiri antara lain:

    • Apa amal baik yang aku lakukan hari ini, dan apakah niat aku tadi ikhlas?
    • Apa kesalahan atau dosa yang aku lakukan hari ini, baik lisan, hati, mahupun perbuatan?
    • Bagaimana interaksi aku dengan keluarga, tetangga, dan rakan kerja? Apakah aku berlaku adil dan baik?
    • Apakah aku sudah menunaikan kewajipan kepada Allah ‎ﷻ (solat, puasa, zakat, dll.)?

 

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah ‎ﷻ mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Nisa’:48 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dipenuhi dan lengkap rukun-rukun taubat, maka pasti Allah akan ampunkan. Kalimah مَن di dalam مَن يَشاءُ ada juga merujuk bukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja, akan tetapi kepada orang yang berdosa itu. Maknanya kalau orang itu sedar dia telah melakukan kesalahan dan dengan rendah hati dan ikhlas dia bertaubat, maka Allah ‎ﷻ akan ampunkan. Maknanya pengampunan itu kembali kepada diri orang itu sendiri. Maka apabila kita telah melakukan kesalahan dan dosa, jangan menjauh daripada Allah ‎ﷻ, sebaliknya hendaklah kita dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ lagi dan mengharap pengampunan daripada-Nya. Ini seperti disebut di dalam satu Hadith Qudsi,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, Allah ‎ﷻ berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
“Aku (Allah) berada sesuai persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya (dengan ilmu dan pertolongan-Ku) apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam keramaian (bersama orang banyak), Aku akan mengingatinya dalam keramaian yang lebih baik dari mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

(Sahih Bukhari No. 7505 dan Muslim No. 2675)

Lafaz غفرُ daripada segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tetapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah ‎ﷻ akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja.

Apa yang tersirat dalam hati, bermacam-macam dan bertingkat-tingkat. Ada yang dinamai هاجس hajis, iaitu sesuatu yang terlintas dalam fikiran secara spontan dan berakhir seketika, خاطر khathir, yakni yang terlintas sejenak kemudian terhenti; tingkat ketiga adalah apa yang dinamai حديث نفس hadits nafs, yakni bisikan-bisikan hati yang dari saat ke saat muncul dan bergejolak; همّ hamm, adalah kehendak melakukan sesuatu sambil memikirkan cara-cara pencapaiannya, dan عزم ‘azm, yakni kebulatan tekad setelah lengkapnya seluruh proses همّ dan dimulainya langkah awal bagi pelaksanaan. Semua yang sebelum عزم dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kalau Allah ‎ﷻ hendak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ maha adil. Maka jangan pula kita sangka Allah ‎ﷻ beri ampun dan seksa sesuka sahaja. Allah ‎ﷻ ampun dan azab ikut prosedur. Misalnya datang suatu perasaan, baik ataupun buruk; itu belumlah apa-apa tetapi kita diberi akal untuk membuat pertimbangan.

Maka kita pun, dengan adanya akal itu hendaklah mengadakan muhasabah diri pula adakah hendak diperturutkan lintasan hati itu dengan azam? Kalau perasaan jahat yang kita perturutkan, maka sudah menjadi kehendak Allah ‎ﷻlah jika kita mendapat seksa. Di dunia mendapat seksaan batin, di akhirat mendapat seksaan neraka. Akan tetapi sekiranya dapat kita memupuk perasaan yang baik, menjadi azam dan niat untuk melakukan kebaikan itu, maka sudah menjadi kehendak Tuhanlah kita mendapat pahala dan pengampunan daripada-Nya.

Maka kalau setakat lintasan hati sahaja, masih selamat; tetapi kalau sudah ada azam dan niat, maka kita tidak buat lagi pun, Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab seperti disebut kisah pemilik kebun di dalam Qalam:21-27

فَتَنَادَواْ مُصبِحِينَ (٢١) أَنِ ٱغدُواْ عَلَىٰ حَرثِكُم إِن كُنتُم صـٰرِمِينَ (٢٢) فَٱنطَلَقُواْ وَهُم يَتَخـٰفَتُونَ (٢٣) أَن لَّا يَدخُلَنَّهَا ٱليَومَ عَلَيكُم مِّسكِينٌ (٢٤) وَغَدَواْ عَلَىٰ حَردٍ قـٰدِرِينَ (٢٥) فَلَمَّا رَأَوهَا قَالُوٓاْ إِنَّا لَضَآلُّونَ (٢٦) بَل نَحنُ مَحرُومُونَ (٢٧)
Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain. (21)
(Setengahnya berkata): Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya. (22) Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya): (23) Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu. (24) Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin daripada hasil kebun itu. (25) Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita). (26)
(Setelah mereka perhati dengan teliti, mereka berkata: Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (daripada hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri). (27)

Perhatikan para pemilik kebun yang adik beradik itu sudah berniat untuk tidak infak seperti yang biasa dilakukan oleh bapa mereka dahulu. Mereka belum sempat buat lagi, tetapi Allah ‎ﷻ telah menghancurkan kebun mereka itu sebagai balasan kepada niat jahat mereka itu. Maka kena jaga hati supaya jangan berniat untuk berbuat jahat. Perhatikan satu lagi hadith tentang manusia yang sudah ada niat, cuma tidak berjaya sahaja melakukannya. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ.قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
“Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka (saling menyerang), maka yang membunuh dan yang terbunuh (keduanya) di neraka.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, ini adalah si pembunuh, lalu bagaimana dengan si terbunuh?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya dia juga berkeinginan keras untuk membunuh saudaranya.”

(Sahih Bukhari No. 31 dan Muslim No. 2888)

Begitulah, ada perkara yang kita sudah berniat hendak lakukan, tapi kita tidak lakukan. Ada keadaan, ia tidak dikira sebagai dosa dan ada keadaan, sudah dikira sebagai dosa. Perbincangan lanjut boleh dibaca di dalam Hadis #37 Arbain Nawawiyah,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ فِيْمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، قَالَ: إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ: فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ. وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang hadits yang baginda riwayatkan dari Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mencatat (menetapkan) segala kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Barangsiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu tidak mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat mengerjakan kebaikan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus lipat hingga perlipatan yang banyak. Jika dia berniat melakukan keburukan lalu tidak jadi mengerjakannya, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berniat melakukan keburukan lalu mengerjakannya, maka Allah menulis itu sebagai satu keburukan.”

(Sahih Bukhari, no. 6491 dan Muslim, no. 131).

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hamba-Nya. Kita kena terima dan redha sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2026

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah