Hadis 29: Pintu-pintu kebaikan
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي عَنِ النَّارِ. قَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ وَتَصُومُ رَمَضَانَ وَتَحُجُّ الْبَيْتَ. ثُمَّ قَالَ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ. ثُمَّ تَلاَ { تَتَجَافَى جُنُوْبُهُمْ عَنِ المَضَاجِعِ } حَتَّى إِذَا بَلَغَ { يَعْمَلُوْنَ } ثُمَّ قَالَ أَلاَ أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذِرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ. ثُمَّ قَالَ أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمَلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ قُلْتُ بَلَى يَا رَسُوْلَ اللَّهِ. قَالَ فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا. فَقُلْتُ يَا نَبِىَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ فَقَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِى النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ قاَلَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ.
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ : حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيْحٌ
Dari Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah! Beritahukanlah kepadaku amal perbuatan yang dapat memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku dari neraka.’ Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sungguh, engkau bertanya tentang perkara yang besar, tetapi sesungguhnya hal itu adalah mudah bagi orang yang Allah mudahkan atasnya: Engkau beribadah kepada Allah dan jangan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan salat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan pergi haji ke Baitullah.’ Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Mahukah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai, sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api, dan salatnya seseorang di pertengahan malam.’ Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca firman Allah, ‘Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya’, sampai pada firman Allah ‘yang mereka kerjakan.’ (Sajdah: 16-17). Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Mahukah engkau aku jelaskan tentang pokok segala perkara, tiang-tiangnya, dan puncaknya?’ Aku katakan, ‘Mahu, wahai Rasulullah!’ Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Pokok segala perkara adalah Islam, tiang-tiangnya adalah salat, dan puncaknya adalah jihad.’ Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Mahukah kujelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga itu semua?’ Aku menjawab, ‘Mahu, wahai Rasulullah!’ Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab lalu memegang lidah baginda dan bersabda, ‘Jagalah ini (lisan)!’ Kutanyakan, ‘Wahai Nabi Allah, apakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?’ Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Semoga ibumu kehilanganmu! (kalimat ini maksudnya adalah untuk memperhatikan ucapan selanjutnya). Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka.’”
[Riwayat Tirmidzi (no. 2616) dan dia mengatakan hadits ini Hasan].
Perbincangan tentang Sanad hadith
Imam Nawawi menukilkan hadis ini melalui jalur Imam al-Tirmidzi. Ibn Rajab al-Hamdali, rahimahullah, mengkritik hadis ini. Walaupun hadis ini At-Tirmidhi kata Hassan Sahih. Antara alasan Ibn Rajab mengkritik hadis ini adalah kerana sanadnya.
Para ulama’ ada dua cara menentukan kesahihan hadis. Ataupun ada dua mazhab. Mazhab yang pertama, mereka menilai hadis dengan hadis itu sendiri. Maksudnya, kekuatan hadis itu, dia dinilai secara bersendiri. Kalau hadis itu lemah, hadis itu dikira lemah. Melainkan, ada sanad lain yang lebih kuat daripada dia. Tapi, kalau banyak hadis yang lemah, walaupun ada banyak sanad, semuanya tetap dikira lemah.
Sebahagian ulama’ pula, mereka menilai sahih itu ertinya berkemungkinan besar ataupun ihtimal kabir hadis itu benar. Kalau banyak hadis dhaif, tapi riwayat dia banyak. Maka, mereka menganggap ia menjadi sahih. Disebabkan ada banyak jalan menjadikannya sahih.
Mengenali Perawi
Muadz bin Jabal adalah seorang sahabat Nabi di kalangan Ansar. Namanya Muadz bin Jabal bin Amr bin Aus bin Aib. Dia diberi gelaran Abu Abdurrahman. Dia ada dua anak lelaki, satu bernama Abdul Rahman, dan satu lagi tidak ditulis siapa namanya. Muadz menyaksikan dan terlibat di dalam Perjanjian Aqabah. Maknanya beliau masuk Islam awal sebelum Nabi berhijrah ke Madinah lagi. Apabila Muhajirin berhijrah ke Madinah, Muadz telah dipersaudarakan dengan Abdullah ibn Mas’ud. Dua-dua mereka muda ketika itu. Dua-dua mereka ketika tu umur belasan tahun dekat-dekat dua puluh kerana ketika Mu’az ikut perang Badar, Mu’az umurnya dua puluh tahun. Jadi, ketika Nabi Hijrah, lapan belas, tujuh belas tahun. Abdullah bin Mas’ud juga masih muda pada ketika itu. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, mereka berdua menjadi rujukan utama. Muadz bin Jabal diutuskan ke Yaman untuk menyebarkan ilmu. Abdullah bin Mas’ud dihantar ke Kufah oleh Saidina Umar untuk menjadi guru di sana.
Dan Muadz antara orang yang bagus bacaan Al-Qur’an. Sebab itu dijadikan sebagai imam di kampungnya. Sebenarnya Muadz datang ke Masjid Nabawi untuk solat berjemaah dengan Nabi SAW. Kemudian balik ke kampung dia dan dia solat sekali lagi dengan orang kampung dia. Bersungguhnya dia dan Nabi benarkan. Jadi, dalam kes dia, salat pertama itu wajib bagi dia dan yang kedua, sunat. Tapi, bagi makmum di belakang dia, salat mereka wajib. Tapi, Muadz baca surah yang panjang dalam sampai orang yang duduk di belakang dia keberatan. Mereka ada yang pergi mengadu ke Nabi SAW. Jadi baginda telah menegur Muadz dan ini ada disebut di dalam hadis yang masyhur,
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: كَانَ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ، فَصَلَّى الْعِشَاءَ، فَقَرَأَ بِالْبَقَرَةِ، فَانْصَرَفَ الرَّجُلُ، فَصَلَّى، فَقَالَ لَهُ مُعَاذٌ: مَا صَلَّيْتَ يَا فُلَانُ؟ قَالَ: بَلَى، قَالَ: أَنْتَ مُنَافِقٌ، وَاللَّهِ لَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا أَصْحَابُ نَوَاضِحَ نَعْمَلُ بِالنَّهَارِ، وَإِنَّ مُعَاذًا صَلَّى مَعَكَ، ثُمَّ رَجَعَ فَقَرَأَ بِالْبَقَرَةِ، فَفَعَلَ ذَلِكَ، فَأَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى مُعَاذٍ، فَقَالَ: «يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ؟ اقْرَأْ بِكَذَا، وَاقْرَأْ بِكَذَا»
Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, beliau berkata: “Muadz bin Jabal R.A. dahulu solat bersama Nabi SAW (sebagai makmum), kemudian dia pulang dan mengimami kaumnya. Pada suatu malam, dia mengimami solat Isyak lalu membaca surah Al-Baqarah. Maka seorang lelaki keluar (dari jemaah) dan solat bersendirian. Muadz berkata kepadanya: ‘Adakah kamu solat wahai si fulan?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya’. Muadz berkata: ‘Kamu munafik! Demi Allah, aku benar-benar akan menemui Rasulullah SAW.’ Lalu lelaki itu menemui Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami adalah golongan yang bekerja menggunakan unta (mengangkut air) pada siang hari, dan sesungguhnya Muadz solat bersama engkau, kemudian dia pulang dan membaca surah Al-Baqarah.’ Maka Nabi SAW menghadap kepada Muadz dan bersabda: ‘Wahai Muadz, adakah kamu mahu menjadi penyebar fitnah (penyusah)? Bacalah surah ini dan bacalah surah itu (yang lebih ringan)!'”
Sahih al-Bukhari: No. 701; Sahih Muslim: No. 465.
Satu lagi gelaran bagi beliau adalah Rasulu Rasulillah yang bermakna beliau adalah utusan kepada utusan Allah (Rasulullah). Dia adalah orang yang menyampaikan apa yang disampaikan oleh utusan Allah. Ini kerana ketika baginda menghantar Muadz ke Yaman, baginda memberi gelaran itu,
فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ، وَقَالَ: «الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ لِمَا يُرْضِي رَسُولَ اللَّهِ
Maka Rasulullah SAW menepuk dadanya (Muaz) sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq (petunjuk) kepada Utusan Rasulullah (Rasulu Rasulillah) dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah
Sunan Abu Daud: Hadis No. 3592; Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 1327.
Diceritakan bahawa Muadz bin Jabal R.A. adalah seorang yang sangat dermawan sehingga beliau sering berhutang untuk membantu orang lain atau untuk keperluan dakwah. Sehinggalah menjelang kewafatan Rasulullah SAW, beban hutang Muadz telah menjadi terlalu besar dan melebihi aset yang beliau miliki. Kisah ini diriwayatkan dalam kitab Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi dan kitab-kitab sirah yang lain.
“Muadz bin Jabal meminjam harta yang banyak daripada orang-orang Yahudi untuk tujuan perniagaan atau keperluan lain, lalu beliau tidak mampu melunaskannya. Pemilik-pemilik hutang tersebut datang menuntut hak mereka daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW kemudiannya meminta mereka memberi tempoh kepada Muadz, namun mereka enggan. Lalu Rasulullah SAW mengambil harta Muadz bin Jabal (semua asetnya) untuk melunaskan hutangnya, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk membayar semua hutangnya…”
Rasulullah SAW tidak membiarkan Muadz berada dalam kesusahan. Baginda mengambil semua harta yang dimiliki oleh Muadz untuk dibahagikan kepada pemiutang. Dan baginda meminta pemiutang menerima apa adanya aset yang ada dan melepaskan baki hutang yang tidak dapat dilunaskan. Namun ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Akhirnya dilaporkan bahawa Rasulullah SAW membantu melunaskan baki tersebut atau memastikan pemiutang redha dengan keadaan tersebut. Kalau seseorang itu sampai dilangsaikan hutangnya oleh Rasulullah, ini menunjukkan kepentingan orang itu. Kerana bukan semua baginda buat begitu.
Selain itu, Muadz juga diberi gelaran Sayyidul Ulama’ (Ketua Ulama’). Rasulullah SAW memberikan gambaran tentang bagaimana kedudukan Muadz bin Jabal pada hari kiamat nanti di hadapan seluruh ulama dari umat ini:
«مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ أَمَامَ الْعُلَمَاءِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِرَتْوَةٍ»
“Muadz bin Jabal berada di depan para ulama pada hari kiamat sejauh satu lemparan batu (atau satu langkah di hadapan).”
(Riwayat al-Tabarani dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’)
Muadz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu dikenal sebagai orang yang paling tahu tentang Halal dan Haram. Rasulullah SAW bersabda:
أَرْحَمُ أُمَّتِي بِأُمَّتِي أَبُو بَكْرٍ، وَأَشَدُّهُمْ فِي أَمْرِ اللَّهِ عُمَرُ، وَأَصْدَقُهُمْ حَيَاءً عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ، وَأَقْرَأُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، وَأَفْرَضُهُمْ زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ، وَأَعْلَمُهُمْ بِالْحَلَالِ وَالْحَرَامِ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَمِينًا، وَإِنَّ أَمِينَ هَذِهِ الْأُمَّةِ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ
“Umatku yang paling penyayang kepada umatku adalah Abu Bakar, yang paling tegas dalam menjalankan perintah Allah adalah Umar, yang paling pemalu adalah Uthman bin Affan, yang paling ahli membaca Al-Qur’an adalah Ubay bin Ka’ab, yang paling alim tentang ilmu waris (faraidh) adalah Zaid bin Tsabit, dan yang paling mengetahui tentang halal dan haram adalah Muadz bin Jabal. Ketahuilah, setiap umat memiliki orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”
Sunan al-Tirmidzi: Kitab Al-Manaqib, Bab Manaqib Muadz bin Jabal, Zaid bin Tsabit, dan Ubay bin Ka’ab (Hadis No. 3790 dan 3791); Sunan Ibnu Majah: Kitab Al-Muqaddimah, Bab Fadhl (Kelebihan) Abu Bakar al-Siddiq (Hadis No. 154); Sunan al-Nasa’i dalam Al-Sunan al-Kubra: Kitab Al-Manaqib (Hadis No. 8231). Hadis ini dinilai Sahih oleh banyak ulama, termasuk Syekh al-Albani dalam Shahih al-Jami’.
Inilah alasan mengapa beliau diutus ke Yaman untuk menjadi guru dan hakim, kerana pemahamannya yang sangat mendalam mengenai hukum syariat secara umum. Kita pun tahu hadis masyhur tentang ketika Rasulullah melantik beliau itu,
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ قَالَ
«إِنَّكَ تَأْتِي قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ، فَادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ»
Daripada Ibnu Abbas R.A., bahawasanya Rasulullah SAW ketika mengutus Muadz ke Yaman, baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum daripada Ahli Kitab. Maka serulah mereka kepada penyaksian (syahadah) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaati perkara itu, maka beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mentaatinya, maka beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan zakat yang diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka.”
Sahih Bukhari (No. 1496) dan Sahih Muslim (No. 19)
Dan ada hadis lain yang menyebut Rasulullah bertanya beliau bagaimana nanti beliau akan berhukum,
قَالَ: كَيْفَ تَقْضِي إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟ قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللَّهِ. قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي كِتَابِ اللَّهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا فِي كِتَابِ اللَّهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي وَلَا آلُو
“Bagaimana engkau akan berhukum?” Muadz menjawab: “Dengan Kitab Allah.” Nabi bertanya: “Jika tidak ada?” Muadz: “Dengan Sunnah Rasulullah.” Nabi bertanya lagi: “Jika tiada dalam keduanya?” Muadz menjawab: “Aku akan berijtihad dengan pemikiranku dan aku tidak akan berlebih-lebihan.”
Sunan Abu Daud: Hadis No. 3592; Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 1327. Status: Diterima oleh ulama sebagai asas Usul Fiqh (Masyhur).
Agak menyedihkan kalau kita mengenangkan peristiwa itu seperti yang dinukil di dalam hadis,
لَمَّا بَعَثَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ خَرَجَ مَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوصِيهِ، وَمُعَاذٌ رَاكِبٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي تَحْتَ رَاحِلَتِهِ، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَ: «يَا مُعَاذُ، إِنَّكَ عَسَى أَنْ لَا تَلْقَانِي بَعْدَ عَامِي هَذَا، وَأَوْ لَعَلَّكَ أَنْ تَمُرَّ بِمَسْجِدِي هَذَا وَقَبْرِي»
“Apabila Rasulullah SAW mengutus Muadz ke Yaman, Baginda keluar bersamanya untuk memberikan pesanan. Muadz sedang berada di atas tunggangannya, manakala Rasulullah SAW berjalan kaki di samping tunggangan tersebut. Setelah selesai memberi pesanan, Baginda bersabda: ‘Wahai Muadz, sesungguhnya mungkin engkau tidak akan menjumpaiku lagi selepas tahun ini. Dan mungkin juga engkau akan melewati masjidku ini dan kuburku.'”
Musnad Ahmad: Hadis No. 22053 (Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanadnya Hasan).
Mendengar kata-kata itu, Muadz bin Jabal menangis dengan tersedu-sedu (fayabka Mu’adz khasyfatan lifiraqi Rasulillah) kerana sedih akan berpisah dengan kekasihnya, Rasulullah SAW. Nabi SAW kemudian memalingkan wajahnya ke arah Madinah dan bersabda untuk menenangkan Muadz serta umatnya: “Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku adalah orang-orang yang bertakwa, sesiapa pun mereka dan di mana pun mereka berada.”
Isyarat Nabi SAW itu benar-benar berlaku. Muadz bin Jabal tetap berada di Yaman menjalankan tugas dakwah sehinggalah berita kewafatan Rasulullah SAW sampai kepadanya. Beliau hanya kembali ke Madinah pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, di mana ketika itu beliau benar-benar hanya dapat “melewati masjid dan kubur” Rasulullah seperti yang diramalkan.
Jadi Mu’az bin Jabal ini sangat alim orangnya. Cuma beliau meninggal di usia muda pada tahun 18 Hijriah (sekitar tahun 639 Masihi). Beliau wafat dalam usia sekitar 33 hingga 38 tahun (terdapat perbezaan pendapat ulama mengenai umur tepatnya). Beliau wafat disebabkan oleh Wabak Amwas (Tha’un Amwas), iaitu wabak penyakit menular (plague) yang melanda negeri Syam (Palestin, Syria, Jordan) pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Beliau menghembuskan nafas terakhir di wilayah Ghor al-Urdun (Lembah Jordan). Makam beliau kini terletak di sebuah bandar kecil bernama Al-Shuna al-Shamaliyya di Jordan dan menjadi salah satu tapak sejarah yang diziarahi. Sebelum wafat, beliau dilantik oleh Umar bin al-Khattab sebagai gabenor (amir) di Syam menggantikan Abu Ubaidah bin al-Jarrah yang juga wafat disebabkan wabak yang sama.
Pengorbanan beliau tidak sia-sia. Kerana keteguhan Muadz meninggalkan Madinah, Yaman menjadi salah satu kubu kuat Islam yang paling awal. Penduduk Yaman memeluk Islam dengan kefahaman yang mendalam (bukan sekadar ikut-ikutan) kerana bimbingan Muadz yang pakar dalam hukum-hakam. Sehingga kini, keturunan penduduk Yaman terkenal dengan kelembutan hati dan kekuatan iman, sebahagian besarnya adalah hasil “benih” yang ditanam oleh Muadz bin Jabal.
Ada ulama’ menyorot dan mengambil pengajaran dari peristiwa Rasulullah menghantar Mu’az bin Jabal itu. Beliau meninggalkan Rasulullah, manusia yang paling mulia. Beliau meninggalkan Masjid Nabawi, masjid yang kedua termulia selepas MasjidilHaram. Beliau meninggalkan Madinah, bandar yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Beliau meninggalkan keluarga. Beliau meninggalkan teman yang terbaik iaitu para sahabat Nabi SAW. Beliau meninggalkan tempat yang di mana kalau dia meninggal akan mendapat syafaat iaitu Perkuburan Baqi’. Beliau juga meninggalkan satu gunung yang gunung itu mencintai umat Islam dan umat Islam mencintainya iaitu gunung Uhud. Semua itu beliau tinggalkan untuk apa? Untuk menjalankan dakwah kepada Tauhid ke Yaman. Ulama’ mengatakan ini adalah dalil tentang keagungan Dakwah Tauhid. Kerana ia sangat pentinglah maka Mu’az sanggup meninggalkan semua perkara yang beliau sayangi itu.
Dan pengajaran kedua, yang Nabi hantar itu ialah Mu’az bin Jabal, seorang yang alim. Mengajar bahawa yang sepatutnya berdakwah dan mengajar agama adalah orang yang ada ilmu. Tidaklah seperti yang berlaku pada setengah-setengah kelompok yang mengetengahkan pendakwahnya ialah orang-orang yang jahil. Mereka keluar berdakwah ikut kumpulan yang besar selama 3 hari, 7 hari, 40 hari dan sebagainya. Semangat mereka memang sudah ada tapi malangnya yang berdakwah itu ialah orang yang jahil agama dan jahil tentang Tauhid. Dan apabila diajak belajar, mereka tidak mahu, setakat pakai sahaja apa yang ada pada mereka.
Maka ini mengajar kita bahawa yang dihantar untuk berdakwah mestilah orang alim. Kalau dakwah itu diasaskan dengan kejahilan, dakwah itu adalah dakwah fasid, dakwah yang gagal. Dakwah jenis ini tidak bawa manusia kepada hakikat Islam yang sebenar.
Syarah Hadis
Kata Muadz: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي عَنِ النَّارِ (Wahai Rasulullah! Beritahukanlah kepadaku amal perbuatan yang dapat memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku dari neraka)
Pengajaran yang pertama, para sahabat mengetahui bahawa hanya Rasulullah SAW yang mengetahui amalan yang terbaik untuk masuk ke syurga dan menjauh dari neraka. Maka kerana itu mereka bertanya kepada Rasulullah dan tidak buat pandai sendiri.
Yang kedua, persoalan masuk syurga dan menjauh dari neraka ini adalah persoalan yang diutamakan oleh para sahabat. Sebab itulah mereka bertanya kepada Rasulullah. Maka ia juga sepatutnya menjadi persoalan yang selalu kita timbang-timbangkan dalam kehidupan kita. Kena tanya: “Aku ni ikut jalan ke syurga atau neraka? Amalan aku ini amalan ahli syurga atau neraka?” Jadi ini menjadi bantahan kepada kelompok seperti golongan Sufi yang menyimpang. Ada dari kalangan mereka yang mengatakan kita ini tak boleh beramal kerana hendak masuk syurga dan kerana hendak jauhkan diri daripada neraka. Mereka kata siapa yang beramal syurga, maka dia tidak ikhlas. Mereka kata lagi yang ikhlas itu sepatutnya yang beramal hanya kerana hendak mencari redha Allah.
Ketahuilah yang itu ialah ucapan yang tidak benar. Ia adalah pemahaman yang tidak sahih walaupun ramai yang mengulang-ngulang perkara ini termasuk di meja penceramah. Memang tidak dinafikan, mencari redha Allah itu adalah peringkat ikhlas yang tertinggi sekali, kita tidak nafikan. Akan tetapi ia tidak boleh menafikan orang yang beramal kerana hendak masuk syurga dan kerana takutkan. Terlalu banyak dalil di dalam Al-Qur’an dan hadis tentang galakan untuk masuk syurga dan takutkan neraka. Kalau ia tidak bagus, takkan ada banyak di dalam nas?
Persoalan tentang ‘bagaimana boleh masuk syurga dan selamat dari neraka’ adalah perbincangan yang penting dan besar. Jadi jangan kita mengatakan bahawa ia adalah perbuatan yang sia-sia. Ada satu hadith perbincangan Nabi Muhammad dengan seorang sahabat,
عَنْ بَعْضِ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِرَجُلٍ: «كَيْفَ تَقُولُ فِي الصَّلَاةِ؟» قَالَ: أَتَشَهَّدُ، ثُمَّ أَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ، أَمَا إِنِّي لَا أُحْسِنُ دَنْدَنَتَكَ وَلَا دَنْدَنَةَ مُعَاذٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «حَوْلَهَا نُدَنْدِنُ»
Daripada sebahagian sahabat Nabi SAW (dalam riwayat lain disebut Muadz ada bersama), Nabi SAW bertanya kepada seorang lelaki: “Apa yang kamu baca di dalam solatmu (ketika berdoa)?” Lelaki itu menjawab: “Aku bertasyahud, kemudian aku berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon Syurga-Mu dan aku berlindung kepada-Mu daripada api Neraka.’ Namun, demi Allah, aku tidak pandai ‘dandanah’ (ucapan lirik/doa yang panjang lebar dan puitis) seperti mu wahai Rasulullah, mahupun dandanah Muadz.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Di sekitar itulah (Syurga dan Neraka) kami juga ber-dandanah (berpusing-pusing dalam doa kami).”
Sunan Abu Daud: Hadis No. 792; Sunan Ibnu Majah: Hadis No. 910 & 3847. Status: Hadis ini Sahih (Disahihkan oleh Syeikh al-Albani).
Jadi, nampak tak? Nabi pun doa untuk minta syurga. Begitu juga dengan para sahabat. Mereka mendambakan syurga Allah dan sanggup melakukan segalanya! Perhatikan kisah seorang sahabat,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: فَانْطَلَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ حَتَّى سَبَقُوا الْمُشْرِكِينَ إِلَى بَدْرٍ، وَجَاءَ الْمُشْرِكُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا يُقَدِّمَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ إِلَى شَيْءٍ حَتَّى أَكُونَ أَنَا دُونَهُ»، فَدَنَا الْمُشْرِكُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قُومُوا إِلَى جَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ»، قَالَ: يَقُولُ عُمَيْرُ بْنُ الْحُمَامِ الْأَنْصَارِيُّ: يَا رَسُولُ اللهِ، جَنَّةٌ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، قَالَ: بَخٍ بَخٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا يَحْمِلُكَ عَلَى قَوْلِكَ بَخٍ بَخٍ؟» قَالَ: لَا وَاللهِ يَا رَسُولُ اللهِ، إِلَّا رَجَاءَةَ أَنْ أَكُونَ مِنْ أَهْلِهَا، قَالَ: «فَإِنَّكَ مِنْ أَهْلِهَا»، فَأَخْرَجَ تَمَرَاتٍ مِنْ قَرْنِهِ فَجَعَلَ يَأْكُلُ مِنْهُنَّ، ثُمَّ قَالَ: لَئِنْ أَنَا حَيِيتُ حَتَّى آكُلَ تَمَرَاتِي هَذِهِ إِنَّهَا لَحَيَاةٌ طَوِيلَةٌ، فَرَمَى بِمَا كَانَ مَعَهُ مِنَ التَّمْرِ، ثُمَّ قَاتَلَهُمْ حَتَّى قُتِلَ.
Daripada Anas bin Malik R.A., beliau berkata: “Rasulullah SAW dan para sahabatnya berangkat sehingga mereka mendahului kaum musyrikin sampai ke (perigi) Badar. Apabila kaum musyrikin tiba, Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah ada seorang pun di antara kamu yang maju melakukan sesuatu (serangan) sehinggalah aku berada di hadapannya (memberi arahan).’ Kemudian kaum musyrikin mula mendekat, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Bangkitlah kamu menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi!’ Umair bin al-Humam al-Anshari bertanya: ‘Wahai Rasulullah, syurga yang luasnya seluas langit dan bumi?’ Baginda menjawab: ‘Ya.’ Umair berkata: ‘Bakhin, bakhin!’ Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah yang mendorongmu berkata bakhin, bakhin?’ Beliau menjawab: ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, melainkan aku berharap agar aku menjadi penghuninya.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau termasuk penghuninya.’ Lalu beliau (Umair) mengeluarkan beberapa biji kurma dari bekas panahnya dan mula memakannya. Namun tidak lama kemudian beliau berkata: ‘Sekiranya aku hidup sehingga aku habis memakan kurma-kurma ini, sesungguhnya ia adalah satu kehidupan yang terlalu lama!’ Lalu dia membuang kurma yang masih ada bersamanya, kemudian dia terjun berperang melawan mereka (musuh) sehingga dia terbunuh (syahid).”
Sahih Muslim: Hadis No. 1901
Jadi Umair bin al-Humam sangat teruja dengan syurga dan tidak sabar-sabar hendak masuk ke dalam syurga. Takkan kita hendak kata beliau tak ikhlas? Maka jangan kita ada sangkaan sebegitu lagi. Ini kerana sangat banyak dalil yang mengatakan memang orang Islam ini, perbincangan mereka tidak lari dari cara untuk masuk ke dalam syurga, dan menjauhkan dari neraka.
Dan kena faham bahawa dalam hadis yang kita sedang bincangkan ini, yang bertanya tentang syurga dan neraka itu adalah seorang antara sahabat yang paling alim, Mu’az bin Jabal. Takkan kita hendak kata kita lagi alim daripada beliau? Takkan kita hendak kata kita lagi ikhlas dari Mu’az?
Yang lebih teruk daripada itu lagi, ada sebahagian sufi yang menyimpang sungguh pemahaman mereka, sampai mereka ada sebut “tak kisahlah Allah Ta’ala meletakkan kami ke dalam neraka asalkan Allah Ta’ala redha”. Wah, mereka kata inilah kemuncak keikhlasan. Tapi sebenarnya kita katakan yang ini satu kebodohan, bukan satu keikhlasan! Ini adalah kata-kata orang yang jahil tentang sifat Allah SWT yang Maha Adil, Maha Rahmah. Adakah mungkin Allah SWT dikira redha dengan seseorang yang Dia masukkan ke dalam neraka? Kalau Allah masukkan ke dalam neraka, itu tanda Allah tidak redha! Kalau Allah redha dengan seseorang, tentulah Dia akan masukkan ke dalam syurga. Tidakkah mereka pernah jumpa hadis seperti,
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَفِي قَلْبِهِ وَزْنُ شَعِيرَةٍ مِنْ خَيْرٍ، وَيَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَفِي قَلْبِهِ وَزْنُ بُرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ، وَيَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَفِي قَلْبِهِ وَزْنُ ذَرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ»
Daripada Anas R.A., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Akan keluar dari neraka sesiapa yang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ (Tiada Tuhan melainkan Allah) sedangkan di dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat biji barli. Dan akan keluar dari neraka sesiapa yang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ sedangkan di dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat biji gandum. Dan akan keluar dari neraka sesiapa yang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ sedangkan di dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat zarah (biji sawi/debu halus).”
Sahih al-Bukhari: (Hadis No. 44); Sahih Muslim: (Hadis No. 193).
Perhatikan soalan Muadz kembali. Soalan beliau: أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ (beritahu aku amalan apa). Maknanya, hendak masuk ke dalam syurga memerlukan amal. Amalan menjadi penentu manusia di syurga ataupun neraka. Menunjukkan bahawa, masuk syurga dan neraka ini bukan benda yang tidak tentu. Ia bukan undian: Orang ini masuk, orang ini tak masuk, ia bukan begitu. Masuk syurga bukan berdasarkan nasib. Tetapi yang menentukan orang masuk syurga ataupun tidak, amalan manusia. Sebab itu Allah berfirman di dalam Zukhruf:72,
وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
“Dan itulah syurga yang diberikan kepada kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.”
Di dalam ayat ini Allah beritahu kita, hidup di dunia ini, semua benda dikira. Sama ada kamu masuk syurga ataupun kamu masuk neraka, itu disebabkan oleh amalan kamu. Bukan nasib kamu baik, bukan nasib kamu tak baik. Ertinya, kalau kamu nak syurga, kamu kena berusaha untuk dapatkan syurga. Bukannya goyang kaki dan berharap masuk syurga begitu sahaja.
Begitu juga kalau kamu nak jauh daripada neraka, kamu kena usaha untuk jauhkan diri dari neraka. Ia mesti berkenaan dengan amalan. Di dalam masa yang sama, memang ada hadis yang Nabi SAW sebut, tiada sesiapa yang masuk syurga melainkan rahmat Allah.
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Dari [Jabir] dia berkata: Aku mendengar Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat dari Allah.”
Riwayat Muslim (5042)
Hadis ini masyhur dan rasanya semua orang tahu. Tapi bagaimana dengan hadis dan ayat Al-Qur’an yang kata kita kena beramal? Bagaimana nak gabungkan dua hadith ini yang nampak bercanggahan? Para ulama’ menyebutkan yang amalan kita menentukan kita di mana, tetapi amalan kita tidak memadai untuk memasukkan kita ke dalam syurga; kerana kalau ditimbang hidup kita sebagai manusia, apa yang kita buat dalam hidup kita 24 jam? Apa yang kita bagi kepada Allah, apa yang kita buat untuk diri kita sendiri, mengesahkan yang kita buat untuk diri kita sendiri lebih banyak daripada apa yang dia bagi untuk Allah. Jadi, kalau kita kira menggunakan perkiraan matematik, tak ada siapa boleh masuk syurga. Setiap nafas kita, berapa banyak nafas kita guna untuk bersyukur? Berapa banyak nafas kita guna untuk mengingat Allah? Dan berapa banyak nafas kita yang kita guna untuk diri kita sendiri? Untuk kita makan, untuk kita bercakap, untuk kita buat urusan dunia?
Bezanya sangat banyak. Jadi, amalan semata-mata tak boleh memasukkan kamu ke dalam syurga. Ia mesti dengan rahmat Allah SWT. Dan, di antara rahmat Allah kepada hamba yang Allah berikan kepada mereka, adalah taufiq untuk melakukan amalan yang baik dan boleh memasukkan ke dalam syurga. Itu pun Allah beri! Jadi, di samping kita minta syurga Allah SWT, kita juga minta rahmat daripada Allah. Kita sangat memerlukan belas kasihan, ihsan daripada Allah SWT. Itu sahaja yang akan menyelamatkan kita. Dan kerana itu banyak kita baca doa-doa Nabi, doa-doa para sahabat, mereka meminta rahmat. Sebagai contoh,
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, hanya rahmat-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau menyerahkan aku kepada diriku sendiri sekelip mata pun. Perbaikilah bagiku urusanku semuanya, tiada Tuhan melainkan Engkau.”
(Sunan Abu Daud)
Di dalam Kahf:10 juga kita belajar para Pemuda Kahf juga memohon rahmat dari Allah,
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta bimbingan yang betul bagi urusan kami.”
Untuk orang yang mati pun kita mendoakan rahmat untuk dia,
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia. Permuliakanlah kedatangannya (di alam barzakh), lapangkanlah tempat masuknya (kubur), cucilah dia dengan air, salji, dan air yang sejuk. Bersihkanlah dia daripada segala dosa sebagaimana Engkau membersihkan baju putih daripada kekotoran. Gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya (di dunia), keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah dia daripada azab kubur serta azab neraka.”
Sahih Muslim. Nombor Hadis: 963.
Kita juga diajar apabila ada orang bersin, dia akan ucap Alhamdulillah dan kita ucap يَرْحَمُكَ اللهُ (Mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada engkau). Orang mati, kita kata رَحِمَهُ اللَّهُ (Mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada dia). Ini penting kerana di sebalik amalan kita, rahmat Allahlah yang memasukkan manusia ke dalam syurga. Kerana kalau kira amalan kita, tak cukup tambang untuk masukkan kita ke dalam syurga kerana tiket untuk masuk ke dalamnya sangatlah mahal. Tetapi atas rahmat Allah SWT, dengan amalan yang sedikit ini, Allah boleh masukkan orang yang Allah kehendaki ke syurga Allah. Dan juga Allah ampunkan dosa-dosa mereka. Jadi jangan lupa minta rahmat dari Allah kerana kita amat memerlukannya.
Rasulullah bersabda: لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ (Sungguh, engkau bertanya tentang perkara yang besar)
Ini adalah jawapan Rasulullah dari soalan Muadz itu. Jawapan baginda ini sekali lagi adalah teguran kepada orang yang memperlekehkan soalan tentang masuk syurga dan jauhkan dari neraka. Jawapan Rasulullah ini memberi penekanan kepada kita bahawa itu memang persoalan yang sangat besar, bukan soalan main-main.
Rasulullah sambung: وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ (sesungguhnya hal itu adalah mudah bagi orang yang Allah mudahkan atasnya)
Walaupun ia perkara yang besar, akan tetapi benda yang besar ini Allah Ta’ala boleh mudahkan. Tapi bukan untuk semua, ia bagi sesiapa yang Allah Ta’ala hendak mudahkan baginya.
Apakah maksud dimudahkan ini? Maksudnya Allah mudahkan bagi orang itu untuk mengamalkannya. Ini adalah kesimpulan daripada firman Allah di dalam Layl:5-7
فَأَمَّا مَنۡ أَعۡطَىٰ وَٱتَّقَىٰ (٥) وَصَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡيُسۡرَىٰ (٧)
Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya); (5) Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, (6) Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). (7)
Ayat ini memberi kita syarat bagi mendapat kemudahan yang Allah janjikan (فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلۡيُسۡرَىٰ)
1. أَعۡطَىٰ (memberikan). Ulama’ membincangkan beri apa? Ada yang mengkhususkan memberi harta. Tapi ada juga yang meletakkan maksud umum, iaitu beri apa sahaja yang dia ada ke arah kebaikan. Bagi yang ada duit, dia infak duit; bagi yang ada tenaga, dia bantu orang; bagi orang yang ada ilmu, dia ajar orang; bagi orang yang kepakaran, digunakan kepakarannya untuk bantu orang dan bantu dakwah.
2. ٱتَّقَىٰ (bertaqwa) yang antara lain bermaksud menyelamatkan diri dari bahaya dan dari kesan bahaya itu. Iaitu menyelamatkan diri dari melakukan dosa kerana dosa itu akan memasukkan diri ke dalam api neraka jahannam. Kerana takut masuk dalam api neraka, maka kita menjaga diri kita dari melakukan dosa.
3. صَدَّقَ بِٱلۡحُسۡنَىٰ (mengakui dengan yakin akan perkara yang baik) ialah membenarkan adanya syurga. Iaitu menerima bahawa orang yang berbuat amal kebaikan, amalan itu akan menyampaikan dia ke syurga.
Kita memang berharap semoga Allah mudahkan bagi kita urusan agama ini. Maka kerana itu ada doa yang Nabi ajar kepada Sayyidina Ali bin Abi Thalib,
اللَّهُمَّ أَعِنِّي وَلَا تُعِنْ عَلَيَّ، وَانْصُرْنِي وَلَا تَنْصُرْ عَلَيَّ، وَامْكُرْ لِي وَلَا تَمْكُرْ عَلَيَّ، وَاهْدِنِي وَيَسِّرِ الهُدَى لِي، وَانْصُرْنِي عَلَى مَنْ بَغَى عَلَيَّ
“Ya Allah, bantulah aku dan janganlah Engkau bantu (musuh) untuk mengalahkanku; menangkanlah aku dan janganlah Engkau menangkan (musuh) atasku; rencanakanlah bagiku dan janganlah Engkau merancang (keburukan) atasku; berilah aku petunjuk dan mudahkanlah petunjuk itu bagiku; serta tolonglah aku menghadapi orang yang menzalimiku.”
Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 3551; Al-Adab al-Mufrad (Imam al-Bukhari): Hadis No. 645. Hadis ini dinilai Shahih (Silsilah al-Ahadith al-Shahihah No. 3020).
Yang penting kita kena beramal. Kita telah kongsikan tentang keperluan rahmat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Mungkin kita risau adakah Allah akan berikan rahmat kepada kita atau tidak. Nabi ajar, beramallah sahaja. Ada orang yang Allah permudahkan.
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ ﷺ فِي جَنَازَةٍ فَأَخَدَ شَيْئًا فَجَعَلَ يَنْكُتُ بِهِ الأَرْضَ فَقَالَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ وَمَقْعَدُهُ مِنَ الْجَنَّةِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ عَلَى كِتَابِنَا وَنَدَعُ الْعَمَلَ. قَالَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ أَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاءِ فَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ. ثُمَّ قَرَأَ فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى
Daripada Ali bin Abi Thalib R.A, beliau berkata: “Suatu ketika Nabi ﷺ sedang menghadiri satu jenazah (di perkuburan Baqi’), lalu baginda mengambil sesuatu dan mula menggores-gores ke tanah dengan benda tersebut, kemudian baginda bersabda: ‘Tidak ada seorang pun di antara kamu melainkan telah ditulis tempat tinggalnya di neraka dan tempat tinggalnya di syurga.’ Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, kalau begitu, tidakkah lebih baik kita berserah sahaja kepada ketentuan takdir kita dan meninggalkan amal usaha?’ Baginda ﷺ menjawab: ‘Beramallah (berusahalah), kerana setiap orang akan dimudahkan (oleh Allah) untuk mencapai apa yang dia diciptakan untuknya. Adapun orang-orang yang tergolong dalam golongan yang bahagia (ahli syurga), maka dia akan dimudahkan untuk melakukan amalan ahli syurga. Manakala orang-orang yang tergolong dalam golongan yang celaka (ahli neraka), maka dia akan dimudahkan untuk melakukan amalan ahli neraka.’ Kemudian Baginda ﷺ membaca ayat Al-Qur’an (Surah Al-Layl: 5-7): ‘Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa, serta membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami akan memudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan).’
Sahih Bukhari: No. 1362; Sahih Muslim: No. 2647; Sunan al-Tirmidzi: No. 2136; Sunan Abu Daud: No. 4694.
Amalan tak mudah kepada semua orang. Ada orang yang kena bersungguh-sungguh supaya ia jadi mudah. Sebagai contoh, puasa tak mudah kepada semua orang. Kalau setakat puasa Ramadhan, mungkin senang tapi kalau nak puasa sunat, kadang-kadang susah. Ramai orang susah nak buat kerana tak tahan tengok orang lain makan. Tetapi bagi orang yang dia latih diri dia bersungguh-sungguh, dia mendapati bahawa puasa itu cukup mudah bagi dia. Ini adalah salah satu dari nikmat Allah beri. Allah permudahkan untuk dia berpuasa sunat walaupun orang sekeliling dia makan.
Begitu juga, bersedekah itu susah kerana kita memikirkan banyak benda kita hendak pakai duit kita. Kita memikirkan apa yang kita tinggal di belakang, nak beli itu dan ini. Tetapi, bagi orang yang Allah permudahkan kepadanya sedekah, dia akan lihat macam mana Allah ganti balik kepada dia segala apa yang dia sedekahkan. Maka itu akan memudahkan dia untuk melazimi sedekah, ringan sahaja tangan dia untuk bersedekah kerana dia tahu harta dia tidak akan berkurang pun.
Begitu juga untuk bangun malam untuk salat, ramai orang rasa susah sangat hendak buat kerana nikmat tidur itu besar bagi dia. Ada orang yang tak kisah orang buat apa pada dia pun, asalkan jangan kacau dia tidur. Benda lain semua dia boleh tahan, tapi kalau ada orang ganggu dia tidur, dia tak boleh tahan. Tapi, bagi orang yang Allah permudahkan kepada dia untuk bangun solat malam, itu rahmat yang cukup besar dari Allah.
Begitulah kadang-kadang, Allah permudahkan untuk kita buat beberapa kebaikan. Kita ada duit dan kita lalu jumpa susah, senang sahaja kita sedekah kepada orang susah itu. Itu Allah permudahkan. Kita tengah tidur waktu malam, Allah sedarkan kita pada waktu malam. Itu nikmat Allah kepada kita. Kalau tak boleh, tak larat nak solat pun, paling kurang kita bangun, kita doa di pertengahan malam. Rasulullah telah beritahu kita,
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ، مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
“Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala turun setiap malam ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang terakhir, lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan perkenankan baginya. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon keampunan daripada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.'”
Sahih al-Bukhari: No. 1145, 6321, dan 7494; Sahih Muslim: No. 758.
Dan banyaklah kesusahan yang kadang-kadang bila diuji, itu sebenarnya rahmat. Mungkin kita sahaja tak nampak. Sebenarnya ujian itu memudahkan orang untuk menuju kebaikan. Sebagai contoh kita ada kereta dan kita gunakan kereta itu untuk pergi masjid tiap-tiap hari. Tapi bila tiba-tiba kita tiada kereta, kita terpaksa jalan kaki pergi masjid, baru kita rasa jauh juga masjid rupanya. Itu kadang-kadang mungkin kita susah, tetapi di sebalik kesusahan itu, Allah mempermudahkan kita untuk dapat pahala lebih kepada kita kerana jalan kaki ke masjid.
Jadi, di sebalik kehidupan kita, Allah telah banyak mempermudahkan untuk kita melakukan kebaikan, dan itu adalah tanda rahmat. Begitu juga apabila Allah menyusahkan kita untuk melakukan dosa, itu juga rahmat dari Allah. Mungkin kita sudah merancang untuk buat dosa, tetapi kita dapati jalan untuk buat dosa itu cukup berliku. Itu tanda orang itu Allah sayang. Itu tanda orang itu أَهْلِ السَّعَادَةِ seperti yang disebut di dalam hadis di atas. Kerana dalam Allah mempermudahkan dia kepada jalan yang mudah, Allah susahkan dia untuk masuk jalan yang susah. Dia nak buat dosa, tapi jalan dosa tu susah sangat. Sebagai contoh dia nak tipu orang, tapi baru sahaja dia mula nak tipu, orang sudah tahu dia nak tipu kerana memang dia tidak ada bakat untuk menipu kerana dia tak pernah buat. Tapi itu sebenarnya rahmat Allah kepada dia. Allah menyusahkan jalan dia untuk terus menipu.
Jadi kita kena doa supaya Allah mudahkan urusan agama kita. Kerana itulah juga ada doa Saidina Umar yang berbunyi,
اللَّهُمَّ يَسِّرْنِي لِلْيُسْرَى وَجَنِّبْنِي الْعُسْرَى
“Ya Allah, mudahkanlah aku untuk mencapai kemudahan (kebahagiaan), dan jauhkanlah aku daripada kesukaran.”
Kita pun selalu baca doa Nabi Musa seperti yang disebut di dalam Taha:25-28
قَالَ رَبِّ ٱشۡرَحۡ لِى صَدۡرِى (٢٥) وَيَسِّرۡ لِىٓ أَمۡرِى (٢٦) وَٱحۡلُلۡ عُقۡدَةً۬ مِّن لِّسَانِى (٢٧) يَفۡقَهُواْ قَوۡلِى (٢٨)
Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (25) Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; (26) Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (27) Supaya mereka faham perkataanku; (28)
Jawapan Nabi: تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ وَتَصُومُ رَمَضَانَ وَتَحُجُّ الْبَيْتَ (Engkau beribadah kepada Allah dan jangan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan salat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan pergi haji ke Baitullah)
Sekarang Rasulullah mengajar apakah amalan yang boleh memasukkan seorang Muslim ke dalam syurga dan menjauhkannya dari neraka. Rupa-rupanya, amalan masuk ke syurga itu ialah Rukun Islam yang lima. Jadi ini adalah dalil bahawa amalan yang paling penting sekali untuk orang hendak masuk syurga amalkan ialah buat yang fardhu. Memang nanti kita akan jumpa tentang amalan sunat, akan tetapi yang pertama sekali mesti lepas yang fardhu dahulu baru cerita yang sunat. Mungkin kerana kita sudah setiap hari buat perkara-perkara ini sampai kita rasa ia biasa sahaja; sedangkan ia adalah perkara yang Allah paling suka dari hambaNya, seperti disebut di dalam satu Hadis Qudsi,
وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ
“…dan tidak ada perkara yang dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang lebih Aku cintai melainkan perkara-perkara yang telah Aku fardhukan (wajibkan) ke atasnya.”
Sahih Bukhari. No. Hadis: 6502
Ini dalil bahawa untuk masuk syurga, mula-mula jaga yang fardhu dulu. Jangan jadi orang yang sibuk jalankan bantuan sana sini, bagi makan kepada orang, sedekah sana-sini, puasa sunat, banyak solat fardunya; akan tetapi malangnya dia tak jaga Puasa Ramadan, tak jaga betul-betul solat yang wajib. Jangan jadi orang yang kuat dakwah sana sini, tolong ramai orang, tapi emak dia sendiri di kampung, dia abaikan. Maksudnya dia mengabaikan yang fardhu. Jangan kita jadi begitu kerana kalau hendak masuk syurga, nombor satu kena jaga yang fardhu dahulu.
Sebenarnya kita boleh masuk syurga kalau hanya menjaga amalan-amalan yang fardhu. Ini berdasarkan kepada hadis yang masyhur,
عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ، ثَائِرَ الرَّأْسِ، نَسْمَعُ دَوِيَّ صَوْتِهِ وَلَا نَفْقَهُ مَا يَقُولُ، حَتَّى دَنَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنِ الْإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ»، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهُنَّ؟ قَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ»، وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَصِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ»، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهُ؟ قَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ»، وَذَكَرَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الزَّكَاةَ، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: «لَا، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ»، فَأَدْبَرَ الرَّجُلُ وَهُوَ يَقُولُ: وَاللَّهِ لَا أَزِيدُ عَلَى هَذَا وَلَا أَنْقُصُ مِنْهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ
Daripada Talhah bin Ubaidillah R.A., beliau berkata:
“Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW daripada penduduk Najd dalam keadaan rambutnya kusut-masai. Kami mendengar gema suaranya tetapi kami tidak memahami apa yang dikatakannya, sehinggalah dia mendekat kepada Rasulullah SAW. Rupa-rupanya dia sedang bertanya tentang Islam. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘(Kewajipanmu ialah) solat lima waktu sehari semalam.’ Lelaki itu bertanya: ‘Adakah ada kewajipan solat lain ke atasku?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, kecuali jika kamu ingin melakukan solat sunat.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Dan puasa di bulan Ramadhan.’ Lelaki itu bertanya: ‘Adakah ada kewajipan puasa lain ke atasku?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, kecuali jika kamu ingin melakukan puasa sunat.’ Lalu Rasulullah SAW menyebutkan pula kepadanya tentang zakat.
Lelaki itu bertanya: ‘Adakah ada kewajipan zakat lain ke atasku?’
Baginda menjawab: ‘Tidak, kecuali jika kamu ingin melakukan sedekah sunat.’ Maka lelaki itu pun berpaling pergi (beredar) sambil berkata: ‘Demi Allah, aku tidak akan menambah lebih daripada ini dan tidak akan mengurangkannya sedikit pun!’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Dia akan berjaya (masuk syurga) jika dia benar-benar jujur (memegang kata-katanya).’”
Sahih Bukhari: No. Hadis 46; Sahih Muslim: No. Hadis 11. Sunan al-Nasa’i: No. Hadis 2089.
Jika yang fardhu sudah menjamin syurga, kenapa kita perlu bersusah-payah melakukan yang sunat? Para ulama menjelaskan hikmahnya melalui tiga sudut pandang utama:
1. Sebagai Penampal Kekurangan Amalan Fardhu
Inilah alasan yang paling teknikal. Hakikatnya, jarang sekali kita dapat melakukan amalan fardhu dengan sempurna. Mungkin solat kita tidak khusyuk, atau puasa kita dicemari dengan kata-kata yang sia-sia.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ؟ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ»
Daripada Abu Hurairah R.A. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, jika solatnya baik maka dia telah berjaya dan beruntung, dan jika solatnya rosak maka dia telah kecewa dan rugi, sekiranya ada kekurangan pada solat fardhunya, Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Lihatlah adakah hamba-Ku mempunyai amalan sunat yang boleh menyempurnakan kekurangan pada solat fardhunya?’ kemudian baki amalannya yang lain juga akan diperlakukan sedemikian (mengikut cara yang sama).”
Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 413 (Beliau menyatakan hadis ini Hasan); Sunan Abu Daud: Hadis No. 864; Sunan al-Nasa’i: Hadis No. 465; Sunan Ibnu Majah: Hadis No. 1425.
Ibaratkan amalan sunat adalah “paku tambahan” atau “simen penampal” bagi bangunan fardhu yang ada retak di sana sini.
2. Benteng Perlindungan bagi Amalan Fardhu
Amalan sunat berfungsi sebagai pagar. Orang yang biasa melakukan perkara sunat, jika dia berasa malas, dia mungkin akan meninggalkan yang sunat, tetapi dia tetap akan menjaga yang fardhu. Namun, orang yang hanya buat yang fardhu, jika datang rasa malas atau godaan syaitan, dia berisiko besar untuk meninggalkan terus perkara yang fardhu itu kerana dia tidak mempunyai “benteng” di luarnya.
Ibaratkan amalan sunat adalah seperti baju luar. Jika kita ditimpa kotoran, ia terkena baju luar dahulu, bukan terus ke kulit (amalan fardhu).
3. Jalan Mendapatkan Cinta Khusus Allah (V.I.P)
Dalam Hadis Qudsi yang kita bincangkan tadi, Allah menyebut bahawa hamba-Nya sentiasa mendekatkan diri dengan perkara sunat sehingga Allah mencintainya. Buat yang fardhu menjadikan kita hamba yang selamat (masuk syurga). Buat yang sunat menjadikan kita kekasih Allah (Wali Allah). Ini kerana syurga itu bertingkat-tingkat. Orang yang buat fardhu sahaja mungkin berada di tingkat bawah, manakala orang yang menambah amalan sunat akan berada di tingkat yang lebih tinggi dan lebih dekat dengan kedudukan para Nabi dan sahabat seperti Muadz bin Jabal.
Lelaki Najd tadi dikatakan berjaya kerana dia jujur (sidiq). Namun, bagi kita yang tidak pasti sejauh mana kualiti “jujur” kita dalam amalan fardhu, amalan sunat adalah insurans terbaik untuk memastikan akaun akhirat kita sentiasa mencukupi.
Perincian tentang 5 amalan Rukun ini kita tidak bincangkan di sinilah sebab telah banyak dibincangkan di tempat lain. Ia adalah perkara yang utama kena ada, kita boleh katakan sebagai pra-syarat untuk masuk syurga. Kalau yang ini tak lepas, jangan harap nak dapat masuk syurga.
Amalan Sunnat: أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ (Mahukah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai)
Kemudian barulah Nabi masuk pula menyebut amalan yang sunat yang seterusnya patut kita orang Islam beri tumpuan. Dalam istilah yang kita mungkin dengar adalah Nawafil atau Tatawwu’. Iaitu ibadah sunat dan sebagai bonus tambahan. Ini untuk buat lagi dan untuk mendekatkan diri dengan Allah seperti firman Allah di dalam Waqiah:7-12
وَكُنتُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا ثَلَـٰثَةً۬ (٧) فَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ (٨) وَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ (٩) وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ (١٠) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلۡمُقَرَّبُونَ (١١) فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ (١٢)
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya); (7) Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? (8) Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu? (9) Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); (10) Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (11) (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (12)
Jadi kalau hendak mendapatkan kedudukan Muqarraboon, tidak boleh tidak, kenalah tambah amalan fardhu dengan amalan sunat pula. Tidak berpada dengan amalan fardhu sahaja untuk mendekatkan diri dengan Allah.
Pertamanya di sini Nabi beritahu bahawa الصَّوْمُ جُنَّةٌ (Puasa adalah perisai). Di dalam hadis lain ada disebut,
الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
“Puasa itu adalah perisai. Maka (oleh itu) janganlah dia (orang yang berpuasa) bercakap kotor dan janganlah dia berbuat jahat (bertindak jahil). Sekiranya ada seseorang yang mengajaknya berkelahi atau mencacinya, maka hendaklah dia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’ (sebanyak dua kali).”
Sahih al-Bukhari: No. 1894; Sahih Muslim: No. 1151.
Tapi perisai daripada apa? Kata ulama’ ia adalah perisai daripada azab neraka. Ini berdasarkan hadis,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Daripada Abu Said al-Khudri R.A. beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”
Sahih al-Bukhari: Hadis No. 2840; Sahih Muslim: Hadis No. 1153.
Puasa itu menjadi perisai kita daripada memasuki neraka. Sebagaimana perisai yang dipakai ketika berperang. Perisai ini tujuannya apabila mara bahaya datang. Apabila benda yang mengancam nyawa kita datang, ia menghalang kejahatan itu daripada menyentuh kita. Perisai ini berguna bagi orang yang terdedah kepada kebaikan dan juga kejahatan. Dan dunia ini adalah tempat yang di dalamnya berlegar-legar kebaikan dan kejahatan. Jadi dunia ini ibarat medan perang, ada kawan dan juga lawan. Berapa banyak tombak dan anak panah yang datang hendak menikam manusia di dunia ini. Dan tombak itu adalah ibarat benda-benda yang Allah haramkan. Berapa banyak benda yang menyerang kita, datang daripada macam-macam sudut. Maka puasa itu menjadi perisai kepada kita. Perisai di dunia dan perisai di akhirat. Di dunia, ia menjadi perisai daripada dosa. Di akhirat, ia menjadi perisai daripada neraka.
Yang kedua, perisai maksudnya sebagai benteng daripada dikuasai oleh nafsu syahwat. Ini berdasarkan hadis,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada kami: “Wahai sekalian pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai kemampuan (ba’ah), maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan, dan sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai (penghalang nafsu) baginya.”
Sahih al-Bukhari: Hadis No. 5066; Sahih Muslim: Hadis No. 1400.
Kemampuan yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kemampuan untuk bagi nafkah. Ada tiga benda yang sebagai suami kena beri sebagai nafkah kepada isterinya,
-
- Mahar (Mas Kahwin): Kemampuan untuk menyediakan mahar yang dipersetujui.
- Nafkah: Kemampuan menyediakan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian untuk isteri selepas berkahwin.
- Keperluan Majlis: Persediaan yang mencukupi untuk memulakan hidup berkeluarga.
Kalau dia berkemampuan untuk menyediakan ketiga-tiga perkara di atas, maka dia patut menikah. Dan bagi yang tidak mampu lagi memberi nafkah, maka Nabi nasihatkan untuk berpuasa. Makna “Wija'” (Perisai/Pengekang): Secara bahasa, wija’ merujuk kepada proses mematikan saraf syahwat pada haiwan. Nabi SAW menggunakan istilah ini secara kiasan untuk menunjukkan bahawa puasa dapat mengecilkan saluran syaitan dalam darah dan melemahkan keinginan syahwat yang berlebihan.
Ini kerana puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi melatih jiwa untuk berkata “tidak” pada perkara yang halal (makan dan minum), maka secara automatik ia melatih jiwa untuk lebih kuat berkata “tidak” pada perkara yang haram.
Dari segi kesihatan, berpuasa memang sangat bagus dan kerana itulah Allah berikan puasa kepada kita sebulan dalam setahun sekurang-kurangnya. Ini kerana apabila sistem penghadaman kita dapat berehat dari memproses makanan, badan kita akan lebih tenang. Sebab itu orang sekarang cakap pasal intermittent fasting. Apabila badan kita tidak lagi menggunakan glukos, ia akan membakar lemak dalam badan. Lepas itu kita akan lebih fokus kerana akan hilang brain fog. Jadi boleh tambah satu lagi benteng iaitu benteng dari penyakit.
Yang kedua: وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ (sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api)
Nabi kata sedekah itu mematikan, menghapuskan dosa sebagaimana menghapuskan air mematikan api. Sebelum ini disebut tentang puasa sebagai perisai. Tapi kalau ada satu perisai, boleh pertahan bahagian depan sahaja dan mungkin serangan datang dari belakang pula. Atau serangan itu terlalu kuat sampaikan satu perisai sahaja tidak cukup. Maka kena ada tambahan lagi kepada perisai itu. Kerana kita kadang-kadang dalam hendak menjaga diri dari melakukan dosa, kadang-kadang tergelincir juga. Jadi di sini Rasulullah ajar peranan sedekah yang kita boleh lakukan.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: جَاءَتْنِي مِسْكِينَةٌ تَحْمِلُ ابْنَتَيْنِ لَهَا، فَأَطْعَمْتُهَا ثَلَاثَ تَمَرَاتٍ، فَأَعْطَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا تَمْرَةً، وَرَفَعَتْ إِلَى فِيهَا تَمْرَةً لِتَأْكُلَهَا، فَاسْتَطْعَمَتْهَا ابْنَتَاهَا، فَشَقَّتِ التَّمْرَةَ الَّتِي كَانَتْ تُرِيدُ أَنْ تَأْكُلَهَا بَيْنَهُمَا، فَأَعْجَبَنِي شَأْنُهَا، فَذَكَرْتُ الَّذِي صَنَعَتْ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْجَبَ لَهَا بِهَا الْجَنَّةَ، أَوْ أَعْتَقَهَا بِهَا مِنَ النَّارِ
Daripada Aisyah R.A. beliau berkata: Telah datang kepadaku seorang wanita miskin yang sedang menggendong dua anak perempuannya, lalu aku memberinya tiga biji kurma, kemudian dia memberikan setiap seorang anaknya sebiji kurma dan dia mengangkat sebiji lagi kurma ke mulutnya untuk dimakan, tiba-tiba kedua-dua anaknya itu meminta lagi kurma yang ingin dimakannya itu, lalu wanita itu membahagi dua kurma yang pada asalnya ingin dimakannya untuk diberikan kepada kedua-dua anaknya, perbuatannya itu sangat mengagumkanku lalu aku ceritakan apa yang dilakukannya kepada Rasulullah SAW, maka Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan baginya syurga disebabkan perbuatannya itu, atau Allah telah memerdekakannya daripada api neraka disebabkan perbuatannya itu.”
Sahih Muslim: No. Hadis 2630.
Hadis ini juga mengajar kita yang kalau kita sedekah kepada anak keluarga pun dapat menghapuskan dosa kita. Kerana itu sedekah itu ada tingkatan dia yang patutnya kita dahulukan keluarga kita dahulu seperti disebut di dalam satu hadis,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” تَصَدَّقُوا ” . فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ” . قَالَ عِنْدِي آخَرُ . قَالَ ” أَنْتَ أَبْصَرُ ”
Dari [Abu Hurairah], dia berkata; Nabi صلى الله عليه وسلم memerintahkan untuk bersedekah. Kemudian seorang laki-laki berkata; wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar. Kemudian baginda bersabda: “Sedekahkan kepada dirimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada anakmu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada isterimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada pembantumu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Engkau lebih tahu.”
Sunan Nasa’i (2535) Hasan menurut Darussalam
Dan sedekah ini lagi afdhal masa lagi susah untuk kita berikan. Ia juga lagi afdhal ketika kita tengah kedekut. Maksudnya kita pun masih mahu kepada harta itu. Ini seperti disebut oleh Rasulullah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا؟ فَقَالَ: أَمَا وَأَبِيكَ لَتُنَبَّأَنَّهُ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْبَقَاءَ وَلاَ تُمْهِلَ حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling tinggi ganjarannya?” Rasulullah menjawab: “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata: “Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.”
(Sahih Muslim No: 1032)
Yang Ketiga: وَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ (dan salatnya seseorang di pertengahan malam)
Ini adalah amalan yang paling power sekali. Rasulullah pernah bersabda,
أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ
“Sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat di tengah malam.”
Sahih Muslim: No. 1163; Sunan al-Tirmidzi: No. 438;Sunan an-Nasa’i: No. 1614.
Sebagai orang yang menjaga Sunnah, dia kena jaga Qiamul Layl. Ada banyak hadis tentang perkara ini, antaranya,
عَنْ بِلَالٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ، فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَنْهَاةٌ لِلإِثْمِ
Daripada Bilal R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu sekalian melakukan solat malam, kerana sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, ia adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, ia adalah penghapus bagi dosa-dosa, dan ia adalah pencegah daripada melakukan perbuatan dosa.”
Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 3549; Al-Mustadrak (Imam al-Hakim): Beliau menyatakan hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim.
Kemudian Rasulullah membacakan ayat Sajdah:16-17
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ يَدۡعُونَ رَبَّہُمۡ خَوۡفً۬ا وَطَمَعً۬ا وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (١٦) فَلَا تَعۡلَمُ نَفۡسٌ۬ مَّآ أُخۡفِىَ لَهُم مِّن قُرَّةِ
أَعۡيُنٍ۬ جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (١٧)
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. (16) Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (17)
Solat Malam ini sebenarnya juga adalah amalan orang soleh sebelum kita, iaitu Bani Israil. Allah berfirman di dalam Ali Imran:113
لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
Maka malulah kita kalau ahli kitab salat malam tapi orang yang ikut sunnah tak salat malam. Mungkin kita rasa berat untuk melazimi solat malam. Maka bagi kita, mulanya kena paksalah diri kita. Ini seperti Thabit al-Bunani
“Aku membebani (memaksa) diriku untuk solat malam selama 20 tahun, dan kemudian aku menikmati kemanisannya selama 20 tahun (berikutnya).”
Maknanya dia paksa diri dia untuk solat malam. Kemudian Allah Ta’ala memberi dia kemanisan dalam mendirikannya.
Rasulullah memberitahu: رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ (Pokok segala perkara adalah Islam)
Maksud رَأْسُ الأَمْرِ adalah kepala suatu urusan. Ini adalah tingkatan amalan sunat yang lagi tinggi. Rasulullah beritahu yang kita yang رَأْسُ الأَمْرِ ialah Islam. Maksudnya, kalau kita ini tak Islam, tak ada faedah semua benda kita cerita tadi. Maksudnya semua yang kita cerita tadi, salat, zakat, puasa, haji, puasa sunat, sedekah, qiyamullail, tak ada faedah jika tidak Islam.
Solat itu Tiang: وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ (tiang-tiangnya adalah salat)
Telah banyak sekali kita sebut tentang kepentingan solat. Kerana itulah ketika Rasulullah hampir wafat, apa pesan Nabi? Bukan ummati-ummati, tapi Nabi pesan tentang solat,
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ آخِرُ كَلَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ، وَاتَّقُوا اللَّهَ فِيمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ
Daripada Ali bin Abi Thalib R.A. beliau berkata: Kata-kata terakhir Rasulullah SAW (sebelum wafat) adalah: “Peliharalah solat, peliharalah solat! Dan bertaqwalah kepada Allah pada apa-apa yang menjadi milik tangan kananmu (hamba sahaya/orang di bawah tanggungjawabmu).”
Sunan Abu Daud: Hadis No. 5156; Musnad Ahmad: Hadis No. 585; Sunan Ibnu Majah: Hadis No. 2697. Status: Shahih.
Jihad: وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ (dan puncaknya adalah jihad)
Di dalam Bahasa Arab ذِرْوَةُ سَنَامِهِ ini maksudnya bahagian belakang unta yang paling tinggi. Tapi di sini kita terjemahkan sebagai puncak. Puncaknya adalah Jihad. Maksudnya puncak segala amal Islam ini ialah Jihad fi sabilillah. Tidak ada amalan yang lebih besar daripada Jihad.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diampunkan bagi orang yang mati syahid semua dosanya kecuali hutang.”
Sahih Muslim: Hadis No. 1886.
Hebatnya balasan yang Allah berikan kepada orang yang mati syahid di medan jihad sampaikan mereka berharap semoga mereka dihidupkan semula supaya mereka boleh berjihad dan mati syahid lagi,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا أَحَدٌ يَدْخُلُ الجَنَّةَ يُحِبُّ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى الدُّنْيَا، وَلَهُ مَا عَلَى الأَرْضِ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا الشَّهِيدُ، يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ إِلَى الدُّنْيَا، فَيُقْتَلَ عَشْرَ مَرَّاتٍ لِمَا يَرَى مِنَ الكَرَامَةِ
Daripada Anas bin Malik R.A., daripada Nabi SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun yang telah masuk ke dalam syurga yang ingin kembali semula ke dunia meskipun dia diberikan segala apa yang ada di atas bumi ini, kecuali orang yang mati syahid. Dia bercita-cita untuk kembali ke dunia kemudian dibunuh (syahid) sebanyak sepuluh kali lagi kerana dia melihat besarnya kemuliaan (yang diberikan oleh Allah kepadanya).”
Sahih al-Bukhari: Hadis No. 2817; Sahih Muslim: Hadis No. 1877.
Kita wajib berniat untuk berjihad walaupun zaman sekarang sedang tidak ada jihad. Tapi kita tetap kena simpan niat itu yang kalau tidak, kita ada sifat munafik.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
Daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (di jalan Allah) dan tidak pernah pula terdetik di dalam hatinya untuk berperang (berniat untuk jihad), maka dia mati di atas satu cabang daripada sifat kemunafikan.”
Sahih Muslim: Hadis No. 1910; Sunan Abu Daud: Hadis No. 2502; Sunan al-Nasa’i: Hadis No. 3097.
Dan jihad yang dimaksudkan di sini ialah jihad qital, iaitu jihad perang. Jangan pula kita pusing kepada jihad ekonomi, atau jihad-jihad yang lain kerana yang dimaksudkan di sini ialah jihad peperangan. Ya betul, jihad itu ada banyak jenis dia seperti yang telah diklasifikasikan oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yang agung, Zad al-Ma’ad. Beliau membahagikan jihad kepada empat kategori besar, yang kemudiannya dipecahkan menjadi 13 martabat secara tersusun:
Kategori 1: Jihad al-Nafs (Jihad Melawan Nafsu) – 4 Martabat
Ini adalah jihad yang paling asas dan dianggap sebagai “Jihad Akbar” (Jihad Besar) dalam pembentukan diri:
1. Jihad mempelajari petunjuk (ilmu): Berusaha keras mempelajari agama yang benar.
2. Jihad mengamalkan ilmu: Memaksa diri melakukan apa yang telah dipelajari.
3. Jihad menyebarkan ilmu (dakwah): Mengajarkan ilmu kepada orang lain agar hidayah tersebar.
4. Jihad bersabar: Tabah menghadapi ujian dan tentangan dalam jalan dakwah dan amalan.
Kategori 2: Jihad al-Shaitan (Jihad Melawan Syaitan) – 2 Martabat.
Syaitan menyerang manusia melalui dua pintu utama: syubhat dan syahwat dan kita kena melawannya.
5. Jihad menolak syubhat: Melawan keraguan dan was-was dalam akidah dan keyakinan.
6. Jihad menolak syahwat: Melawan keinginan hawa nafsu dan bisikan untuk melakukan maksiat.
Kategori 3: Jihad al-Kuffar wa al-Munafiqin (Jihad Melawan Kafir Harbi & Munafik) – 4 Martabat
Jihad ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan kemampuan:
7. Jihad dengan hati: Membenci kemungkaran dan kekufuran dalam diam (tahap paling lemah).
8. Jihad dengan lisan: Menegur, berhujah, dan menyampaikan kebenaran secara lisan.
9. Jihad dengan harta: Menyumbangkan kekayaan untuk kelangsungan agama Allah.
10. Jihad dengan jiwa (nyawa): Berperang secara fizikal di medan jihad yang sah (fardhu kifayah/fardhu ain mengikut keadaan).
Nota: Kebiasaannya, jihad melawan kafir harbi lebih kepada tangan/nyawa, manakala melawan munafik lebih kepada hujah/lisan.
Kategori 4: Jihad Arbab al-Zulm wa al-Bida’ (Jihad Melawan Kezaliman & Bid’ah) – 3 Martabat
Ini merujuk kepada usaha membetulkan masyarakat dan pemerintah yang menyimpang (Amar Ma’ruf Nahi Mungkar):
11. Jihad dengan tangan: Jika mempunyai kuasa dan tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar.
12. Jihad dengan lisan: Menasihati dengan hikmah.
13. Jihad dengan hati: Jika tidak mampu dengan tangan mahupun lisan .
Kemudian Rasulullah tanya Muadz: أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمَلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ (Mahukah kujelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga itu semua?)
Jaga Lisan: فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا (Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu memegang lidah baginda dan bersabda, ‘Jagalah ini (lisan)!
Rasulullah sambung: mahukah kalian aku beritahu kamu kepada perkara yang mengawal semua perkara tersebut? Maksudnya, kamu sudah buat semua tadi yang disebut. Nabi kata, tapi ada satu benda yang kena jaga supaya semua amalan-amalan baik yang kau buat tadi, tak hilang. Iaitu jagalah lisan/lidah/mulut. Maka kata Mu’az, Ya Rasulullah, Ya Nabi Allah. Dia kata, apakah kita akan dihukum dengan atas apa yang kita cakap?
Mu’az kemudian berkata: وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ (apakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?) Ini kerana masa tu Mu’az sangkakan ucapan ini benda yang biasa, benda ringan sahaja. Reaksi Nabi dari pertanyaan Mu’az ini agak pelik kalau kita terjemahkan ke dalam bahasa kita: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ yang kalau kita terjemahkan secara literal ia menjadi: Semoga ibumu kehilanganmu. Sekali baca macam doa pula akan tetapi ekspresi ini bukanlah doa. Jadi kena lihat kepada konteks sesuatu bahasa itu, baru kita boleh faham. Jangan terus terjemah secara literal terus. Jadi maksud ungkapan ini digunakan sebagai ungkapan teguran, kehairanan, atau untuk menarik perhatian. Seolah-olah Rasulullah berkata, “Hai, rugilah kau ni … perkara macam ini, takkan tak tahu?” Apa kena mengena dengan emak pula? Ia seolah-olah hendak kata: “Mak kau rugi, kau tak tahu benda ni.” Dalam ungkapan bahasa Melayu, ia boleh kita tukar kepada “Kasihan ibumu…”, “Apalah kamu ini…”, “Takkanlah itu pun kamu tak tahu?”, “Mak kau rugi, sebab kau tak tahu benda ni….”
Rasulullah menjelaskan: وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِى النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ قاَلَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ (Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka). Ada manusia yang dimasukkan ke dalam neraka kerana ucapan yang kufur. Ada ucapan yang menyebabkan amalan terhapus Ada yang menyebabkan berdosa, ada menyebabkan kamu terpaksa menanggung dosa orang lain.
Contoh ucapan-ucapan yang kufur adalah seperti: “Kalaulah aku buat macam ni, aku kafir!” Dan ada juga ucapan yang merosakkan akidah seperti, “nasib baiklah ada anjing ni, kalau tidak habis masuk pencuri.” Kita sangkakan yang ucapan itu biasa sahaja, akan tetapi lihat Baqarah:22
فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ
maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui
Ibnu Mas’ud (dan juga Ibnu Abbas dalam riwayat yang serupa) menjelaskan bahawa Andad ialah perbuatan menyekutukan Allah dalam ucapan dan pergantungan hati. Beliau memberikan contoh kata-kata yang biasa diucapkan masyarakat:
- “Kalau bukan sebab anjing itu, pencuri sudah masuk ke rumah kita.”
- “Kalau bukan sebab itik di rumah ini, pencuri sudah datang.”
- “Kalau bukan kerana si fulan, nescaya perkara ini tidak akan berlaku.”
Beliau menegaskan bahawa meletakkan “sebab” (seperti anjing penjaga atau bantuan manusia) setaraf dengan kekuasaan Allah dalam hati adalah termasuk dalam perbuatan membina Andada (tandingan) bagi Allah. Walaupun secara zahirnya manusia itu membantu, hakikatnya Allah yang menggerakkan dan mentakdirkan keselamatan tersebut.
Ataupun ada orang yang bersumpah dengan selain Allah—termasuklah bersumpah demi Kaabah, demi Nabi, demi ibu bapa, atau demi nyawa seseorang—adalah haram dan termasuk dalam kategori syirik kecil. Dalam Islam, sumpah adalah satu bentuk pengagungan. Oleh kerana pengagungan yang mutlak hanya hak milik Allah, maka sumpah tidak boleh dilakukan melainkan dengan nama Allah atau sifat-sifat-Nya sahaja. Rasulullah SAW bersabda dengan sangat tegas mengenai perkara ini:
«مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ»
“Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau telah syirik.”
(Riwayat al-Tirmidzi, No. 1535. Beliau menyatakan hadis ini Hasan).
Begitulah kalau kita tidak berhati-hati dengan ucapan kita, kerana ucapan itu boleh membinasakan dan menyebabkan kita masuk neraka. Cuma kita sahaja kadang-kadang tak sedar. Ada satu kisah seorang lelaki yang dia kata dekat kawan dia, yang Allah Ta’ala tak akan ampunkan dosa kawannya itu.
عَنْ جُنْدُبٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَدَّثَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ: «وَاللهِ لَا يَغْفِرُ اللهُ لِفُلَانٍ»، وَإِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: «مَنْ ذَا الَّذِي يَتَأَلَّى عَلَيَّ أَنْ لَا أَغْفِرَ لِفُلَانٍ، فَإِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِفُلَانٍ، وَأَحْبَطْتُ عَمَلَكَ»
Daripada Jundub R.A. bahawa Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang berkata: “Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si fulan itu.” Lalu Allah Ta’ala berfirman: “Siapakah yang berani bersumpah atas nama-Ku (mendahului-Ku) bahawa Aku tidak akan mengampunkan si fulan? Sesungguhnya Aku telah mengampunkan si fulan itu, dan Aku telah menghapuskan amalanmu (lelaki yang bersumpah tadi).”
Sahih Muslim: No. Hadis 2621.
Jadi hadis ini amat menakutkan. Dalam riwayat lain yang menceritakan latar belakang kisah ini, disebutkan bahawa terdapat dua orang lelaki dari kalangan Bani Israil yang bersahabat. Seorang rajin beribadah (ahli ibadah) dan seorang lagi sering melakukan dosa. Setiap kali si ahli ibadah melihat kawannya berdosa, dia akan berkata: “Berhentilah!” Sehinggalah suatu hari, dia melihat kawannya melakukan dosa yang dianggapnya besar, lalu dia berkata: “Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkanmu!” Oleh kerana kata-kata yang sombong itu, Allah memutuskan untuk mengampunkan si pendosa (mungkin kerana dia bertaubat atau kerana rahmat-Nya) dan membatalkan segala pahala ibadah lelaki yang sombong itu.
Abu Hurairah R.A. (perawi hadis ini) berkata tentang lelaki ini: “Dia telah mengucapkan satu kalimat yang menghancurkan dunia dan akhiratnya.”
Ini kerana memberi keampunan atau azab adalah hak mutlak Allah. Manusia tidak berhak “menutup” pintu taubat bagi orang lain. Hadis ini juga tentang sumpah dengan nama Allah dan kalau kita salah gunakan sumpah dengan nama Allah dengan cara yang salah pun akan membinasakan kita. Maka jagalah lidah kita dan ucapan kita ini jangan pakai cakap lepas sahaja. Ada satu lagi hadis yang menakutkan dalam hal ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ، مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا، يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ»
Dalam riwayat al-Tirmidzi, disebut tempoh 70 tahun:
«إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا»
Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba itu benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang tidak dipastikan kebenarannya (atau dianggap remeh), yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam neraka yang jarak kedalamannya lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.”
Sahih al-Bukhari: No. 6477; Sahih Muslim: No. 2988.
Manakala dalam riwayat al-Tirmidzi:
“…dia terjatuh ke dalam neraka selama tujuh puluh tahun.”
Sunan al-Tirmidzi: No. 2314
Ulama menjelaskan beberapa kategori kalimat yang boleh menyebabkan hukuman ini:
- Menghina Agama atau Allah: Kata-kata yang mengandungi unsur mempersendakan hukum Allah atau takdir-Nya (seperti kes lelaki yang kata “Allah takkan ampunkan kau” yang kita bincang tadi).
- Fitnah dan Adu Domba: Kata-kata yang menyebabkan perpecahan besar atau pertumpahan darah.
- Tuduhan Jahat (Qazaf): Menuduh orang baik melakukan zina tanpa bukti.
- Kalam yang Dianggap Remeh: Perkara yang kita anggap “gurauan” atau “sembang kosong” tetapi sebenarnya mengandungi dosa besar atau kemurkaan Allah.
Rasulullah pernah bersabda,
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ، مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا، يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
“Sesungguhnya seorang hamba itu benar-benar berbicara dengan satu perkataan yang dia tidak berfikir (tentang kesannya), maka disebabkan perkataan itu dia tergelincir ke dalam neraka yang jaraknya lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.”
Sahih al-Bukhari: No. 6477; Sahih Muslim: No. 2988.
Huraian Penting:
- “Mā yatabayyanu fīhā” (ما يتبين فيها): Maksudnya dia tidak memikirkan sama ada kata-katanya itu benar atau bohong, baik atau buruk, serta apakah kesannya kepada orang lain. Dia hanya “lepaskan” sahaja tanpa peduli.
- Bahaya Kata-kata: Walaupun perkataan itu nampak kecil atau sekadar gurauan, jika ia mengandungi kemurkaan Allah (seperti fitnah, penghinaan agama, atau menuduh orang tanpa bukti), ia cukup untuk menjerumuskan seseorang ke neraka.
- Jarak Timur dan Barat: Ini adalah perumpamaan betapa dalamnya azab dan jauhnya dia daripada rahmat Allah disebabkan satu kata yang dianggap remeh.
Antara banyak kesalahan yang dilakukan manusia dengan mulut dia adalah bercerita buruk tentang hal orang. Iaitu menceritakan aib orang lain. Bukankah Allah telah berfirman di dalam Hujurat:12
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
“…dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu benci memakannya…”
Ini mungkin agaknya dosa yang paling banyak dilakukan oleh umat Islam. Ghibah. Ini memang susah untuk kita kawal. Kadang tidak perasan pun yang kita lakukan itu adalah satu dosa kerana ia selalu sangat kita lakukan dan kita rasa ia ‘harmless’, bukan? Lagi pun kita kata: benda betul, apa salahnya? Sedangkan Rasulullah telah bersabda tentang hal ini,
قِيلَ: مَا الْغِيبَةُ؟ قَالَ: «ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ» قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: «إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ»
Nabi ﷺ ditanya: “Apakah itu ghibah?” Baginda menjawab: “Engkau menyebut tentang saudaramu perkara yang dia benci.” Lalu ditanya lagi: “Bagaimana jika apa yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku?” Baginda menjawab: “Jika apa yang kamu katakan itu benar, maka engkau telah mengumpatnya (ghibah). Jika apa yang kamu katakan itu tidak benar, maka engkau telah memfitnahnya (buhtan).”
Sahih Muslim, No. 2589
Jadi kerana itu Nabi ajar supaya berhati-hati dengan lidah ini kerana dengan lidah ini boleh membinasakan kita. Kadangkala sesuatu maklumat atau keaiban seseorang datang kepada kita dengan cara yang halal. Contohnya seorang isteri datang mengadu kepada kita bertanyakan nasihat kita tentang suaminya. Ia halal kerana datang maklumat kerana hendak mendapatkan nasihat. Tapi kalau kita pula pergi cerita kepada orang lain, itu sudah haram.
Kadang-kadang kita dapat tahu tentang keburukan seseorang, kesalahan seseorang. Kita sekarang ada tiga pilihan. Yang pertama dan terbaik, anda pergi nasihat dia sendiri. Kalau rasa tak mampu, maka pilihan kedua adalah anda beritahu kepada seseorang yang anda rasa boleh pergi nasihat dia. Kalau ini pun tak boleh buat, maka kena simpan sendirilah perkara itu. Kerana aib peribadi dia, kita tidak boleh sebarkan. Itu antara dia dengan Allah. Rasulullah bersabda di dalam satu hadis,
…وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ…
“…Dan sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat…”
Sahih Muslim: No. 2699; Sahih al-Bukhari: No. 2442 .
Tapi bila kita boleh cerita keburukan orang? Kadang-kadang kita terlepas pandang bab ini kerana selalu cerita larangan sahaja.
Kalau urusan itu antara kita dengan orang lain, kita tak boleh ceritakan keburukan orang itu terutama sekali tentang peribadi orang itu. Ini dikira membuka aib dia, dan ini dilarang keras oleh agama. Sebagaimana kita tak mahu orang buka aib kita, sebegitu juga, kita tak boleh buka aib orang lain. Melainkan aib itu tersebar dan semua orang tahulah. Contohnya semua orang tahu dia ini memang kalau janji pukul 7:00, pukul 7:30 baru dia sampai. Tujuh orang nama Ahmad dan kalau ada orang tanya, Ahmad yang mana satu? Ahmad yang 7:30 tulah! Itu bukan kita nak kutuk dia kerana semua orang tahu itu perangai dia.
Tapi, kalau dosa yang orang buat antara dia dengan Allah, dia bersembunyi, kita ternampak dia buat dosa itu, kita tutup lebih baik.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ»
Daripada Abu Hurairah R.A., daripada Nabi SAW bersabda: “…Dan sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)
Sahih Muslim: No. Hadis 2699.
Jadi itu adalah janji Nabi SAW. Jadi, kita kena ingat perkara ini. Apa yang kita buat di dunia sebenarnya bukan di dunia sahaja. Tapi di belakangnya ada di akhirat. Bila kita tutup aib orang, kelemahan orang, dan sebagainya sebenarnya salah satu daripada aib kita Allah tutup daripada dibuka di dunia dan juga di akhirat. Jadi, bila kita buat baik kepada orang lain, kita buat baik itu sebenarnya untuk diri kita sendiri. Allah berfirman di dalam Fussilat:46
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.”
Jadi, sebelum ini kita mungkin fikir kita buat baik untuk orang, tapi sebenarnya untuk kita.
Anara dosa lidah juga adalah takabbur. Itulah kadang-kadang kita tak sedar yang percakapan kita mungkin termasuk jadi takabbur. Ini apabila kita selalu suka menceritakan kelebihan kita kepada orang lain. Tanpa kita sedar, itu boleh jadi takabbur. Ada orang dia memang jenis suka cerita apa dia buat dan telah capai. Pantang orang cerita sikit, dia nak interframe hal ini. Kalau orang cerita bab masak, dia pun katalah dia pun pandai masak. Orang cerita bab baju, dia pun cakaplah dia beli baju di sana dan sini. Orang cerita bab belajar, dia pun bagitahulah dia belajar tinggi. Orang cerita bab mengajar anak-anak, dialah pun kata dia pandai anak-anak juga. Pantang ada bab, dia mesti masuk. Ada orang jenis macam itu. Tapi kita ini, bila sudah belajar hadis dan agama sikit, kita kurangkanlah bab-bab begini.
Kita bukan tak boleh cerita kelebihan dari kita sendiri, tapi kita kena nilai. Jangan asyik nak naikkan nama kita sahaja tapi sekali sekala kita ceritalah juga tentang kebodohan kita juga. Jadi, bila orang dengar begitu, orang pun tahu yang tujuan dia cerita semua itu bukan nak kata dia pandai tapi saja hendak cerita. Tidak mengapa kalau sekali-sekala hendak cerita, cuma yang tak bolehnya, cerita sebab nak riak, takabbur, rasa diri hebat sangat. Asyik cerita dia, dia yang paling tinggi. Ini di antara dosa lisan.
Manusia kadang-kadang dia tak sedar yang benda yang dia sebut kepada orang lain, benda itu orang tak mahu tahu pun. Sebenarnya orang lain tak mahu tahu pun pencapaian dia. Takut dia cerita kerana nak suruh orang puja dan pandang dia berbeza. Sebahagian orang, dia saja cerita dan bukan hendak menaikkan diri dia. Jadi bukan kita tak boleh cerita langsung kelebihan. Sekali-sekala, kita ceritalah pengalaman kita. Kalau kita dapat rahmat Allah, tidak salah kalau kita memuji Allah kerana beri rahmat itu kepada kita.
Satu lagi dosa lidah adalah apabila kita menyakitkan hati orang. Rasulullah telah bersabda,
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) adalah orang yang mana orang-orang Islam yang lain selamat daripada (gangguan/kejahatan) lidahnya dan tangannya.”
Sahih al-Bukhari: Nombor Hadis: 10.
Aib yang boleh dibuka
Jadi, itu berkaitan dengan menutup aib orang. Tetapi, ada aib yang tak boleh tutup. Pertamanya aib yang tak boleh tutup ialah apabila aib itu melibatkan kezaliman kepada orang lain. Sama ada zalim itu kecil ataupun zalim itu besar. Kerana kalau kita tutup aib itu, ia akan menjadikan orang lain juga akan dizalimi. Pada ketika itu, dengan kadarnya, kita boleh buka aib orang. Sebagai contoh, kita nampak orang kena rompak dan kita kenal perompak itu. Mungkin kita tak mahu buka rahsia dia sebab kita tak mahu bagi dia malu. Ini tak boleh kerana ini melibatkan orang lain. Kezaliman dia memberi kesan kepada orang lain. Maka mesti kita ceritakan dengan dedahkan identiti perompak itu.
Ataupun, kita tahu seseorang ini kalau berhutang, mesti dia tak bayar punya. Kemudian kita tahu dia jumpa kawan kita nak minta hutang. Kita boleh beritahu kawan yang lagi seorang itu yang kita tahu, dia susah nak bayar hutang. Kita bukanlah kata jangan bagi, tapi kalau nak bagi juga, kena anggaplah seolah-olah duit itu takkan dapat balik. Tidak salah pemberitahuan kita itu sebab apabila kita bercakap, kita menyelamatkan orang daripada dia dizalimi.
Kemudian apabila seseorang bercakap satu urusan agama yang menyesatkan manusia, kata-kata dia tak boleh disembunyikan. Sama ada sikit ataupun banyak, kita kena jelaskan kesalahan yang telah dilakukan oleh orang itu. Sama ada sekali sahaja dia buat ataupun berkali-kali. Dalam kes ini tak boleh sembunyikan. Kita boleh sebut: “Kata-kata sifulan dalam bahagian ini adalah salah.” Kalau tak mahu sebut nama dia pun tak apalah. Mungkin kita memikirkan ada faedah dakwah dari dia dan sebagainya, maka kita tak mahu sebut nama dia. Tapi, kalau kita nak sebut nama, ini pun tidak salah kerana para ulama’ buat perkara ini.
Mungkin ada orang kata: kenapa tak bagi nasihat dekat dia sahaja supaya dia boleh perbetulkan kesalahannya itu? Ini bukan satu yang bagus kerana di dalam dia kena perbetulkan kesalahannya, kita pun kena perbetulkan, sebab kita kena tunjuk pendirian kita. Kerana kalau kita tidak perbetulkan, ditakuti orang sangka kata-kata itu benar sebahagian dari agama.
Itu kalau orang cakap perkara yang salah sekali-sekala. Kalau orang itu kerap sangat salah, maknanya dia bukan tersilap. Sebagai contoh dia kerap sangat cakap benda yang merepek tentang agama, semua tafsiran-tafsiran agama dia meleset. Ini menunjukkan yang dia tidak ada disiplin dalam ilmu. Dia tidak mengkaji kitab asal, tak lihat perkataan ulama’ hadis dan ulama’ tafsir. Dia tak ambil tahu taraf hadis dalam menyampaikan satu benda. Segala maklumat yang sampai dekat dia, dia sebarkan dekat orang lain tanpa periksa. Dalam kes ini, dia boleh disebut sebagai seorang yang mempunyai sifat-sifat salah itu.
Para ulama’ berbeza pandangan bagaimana cara menyebut kesalahan orang itu. Ada ulama’ yang gunakan perkataan yang lembut. Hadha munkarul hadis. Contohnya ada yang menggunakan istilah “Hadha munkarul hadis” (هَذَا مُنْكَرُ الْحَدِيثِ) yang bermakna Ini adalah hadis yang munkar”. Maknanya orang ini dituduh sebagai pendusta dan hadis riwayat orang itu tidak boleh diterima. Ada ulama’ yang keras dan menggunakan istilah “Hadha kadhab” (هَذَا كَذَّابٌ) yang bermaksud “Ini (perawi tersebut) adalah seorang pendusta.” Maknanya terus tempek kata dia penipu. Ada ulama’ seperti Ibn Hibban yang menggunakan istilah yang lebih keras lagi. Ada yang dia label “Ilaihi muntaha kadhab” (إِلَيْهِ مُنْتَهَى الْكَذَّابِ) yang secara literal bermaksud: “Kepada dialah penghujung (puncak) kedustaan.” Maknanya dia dituduh sebagai kepala penipu! Ada ulama’ lagi keras. Imam Malik ada kata tentang seseorang, “Dajjalu minad Dajjajilah” (دَجَّالٌ مِنَ الدَّجَاجِلَةِ) yang bermaksud “Dia adalah seorang pendusta di antara kelompok para pendusta.”
Gelaran-gelaran ini diberi kepada siapa? Bukan orang yang buat silap sekali. Macam kitalah juga kadang-kadang tersilap, bukan niat kita. Tetapi kalau orang yang memang mulut dia suka tipu, ataupun dia memang tak berhati-hati mana khabar betul, khabar salah, kita akan beritahu hal dia kepada orang lain supaya agama ini selamat. Kita akan kata, Haa.. Haa.. Zaa.. Haa.. Tibulilail. Haa.. Ini pengumpul kayu api waktu malam. Kita boleh kata dia “pengumpul kayu api waktu malam” (Hathib al-Lail) sebagai tamsil (perumpamaan) yang sangat masyhur dalam Islam, yang digunakan oleh para ulama untuk menggambarkan orang yang suka menyebarkan berita atau hadis tanpa diselidik terlebih dahulu. Kalau kumpul kayu api waktu malam, dia tak nampak kayukah, ularkah, semua dia kumpul. Ini ramai asatizah di meja penceramah termasuk dalam hal ini.
Adakah itu dikira penghinaan kepada batang tubuh orang yang dilabel itu? Tidak. Kerana mungkin ibadat dia lagi bagus daripada ibadat kita. Mungkin dia lebih dekat dengan Allah daripada kita. Mungkin dia ini lebih tinggi kedudukan dia daripada kita. Mungkin dia akan masuk syurga lebih dahulu daripada kita. Mungkin juga kita akan sama-sama dengan dia dapat rahmat Allah. Mungkin. Tetapi, kita beritahu tentang dia bukan sebab kita, bukan sebab dia. Sebab kesan yang tinggal kepada orang-orang lain. Tapi ingat, bila mengkritik, batasan kena jagalah. Jangan melampau sangat.
Kemaskini: 3 Mac 2026
Rujukan:
Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)
































