Tafsir Surah Baqarah Ayat 46 – 47 (Jasa kepada Yahudi)

Baqarah Ayat 46: Allah ‎ﷻ memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Begitulah Al-Qur’an, mulanya akan diberitahu tentang sesuatu dengan ringkas, kemudian di ayat yang lain akan diterangkan dengan lebih jelas lagi.

Seterusnya dalam ayat ini kita dapat tahu apakah maksud khusyuk. Sekiranya diikutkan pemahaman orang kita, mungkin khusyuk dalam solat itu adalah tidak sedar langsung apa yang terjadi di luar sampai digigit semut pun tidak terasa. Adakah begitu? Maka mari kita lihat definisi yang Allah ﷻ sendiri beri.

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

Sahih International

Who are certain that they will meet their Lord and that they will return to Him.

Malay

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

 

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم

Orang-orang yang percaya dengan yakin bahawa sesungguhnya mereka akan berjumpa Tuhan mereka;

Kalimah يَظُنّونَ berasal daripada kata dasar: ظ ن ن yang bermaksud fikir, sangkaan, agak, percaya, tahu. Maka oleh itu ‘dzan’ dari segi bahasa bermaksud berat fikiran kepada satu jurusan dan belum yakin benar. Ia bukanlah bermaksud ‘yakin’ dari segi bahasa. Sedangkan sepatutnya seorang mukmin kena yakin akan hari akhirat, bukan? Oleh sebab itu, kebanyakan Ulama Tafsir memberi erti يَظُنّونَ dengan “mereka yang sungguh-sungguh percaya.” Bukan menurut ertinya yang asal, iaitu “orang-orang yang berat sangkanya”. Oleh itu, hendaklah dilihat kepada konteks ayat kerana ada kala ظَنَّ bermaksud berat sangka; dan kadangkala ia bermaksud yakin.

Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan dalam tafsirnya:

“Orang Arab kadang-kadang menamai yakin itu dengan ظَنَّ, sebagaimana juga mereka pernah menamai gelap dengan sadafah dan terang dinamainya juga sadafah. Orang yang menyeru meminta tolong mereka namai shaarikh, dan orang tempat memohonkan pertolongan itu kadang-kadang mereka namai shaarikh juga. Dan ada lagi beberapa perumpamaan pemakaian nama-nama yang lain, iaitu menamai sesuatu keadaan dengan lawannya.”

Kalimah مُلاقو daripada kata dasar ل ق ي yang bermaksud berjumpa, bertemu, melihat, bertembung, mengalami, melalui, menerima, bertemu bersemuka, menuju ke arah sesuatu. Yang dimaksudkan adalah bertemu dengan Allah ﷻ.

Orang yang boleh khusyuk di dalam solatnya itu yakin dan sedar akan hakikat kehidupan ini, iaitu mereka akhirnya akan dikembalikan untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Kita kena ingat yang kita tidak kekal dalam dunia ini. Bila-bila masa sahaja kita boleh dimatikan oleh Allah ﷻ. Maka kita kenalah bersedia untuk bertemu dengan Allah ﷻ pada bila-bila masa sahaja. Orang yang yakin bertemu Tuhan, merekalah yang beruntung seperti disebut di dalam Haqqah: 19-20

فَأَمّا مَن أوتِيَ كِتٰبَهُ بِيَمينِهِ فَيَقولُ هاؤُمُ اقرَءوا كِتٰبِيَه
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: “Ambillah, bacalah kitabku (ini)”.

إِنّي ظَنَنتُ أَنّي مُلٰقٍ حِسابِيَه
Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.

Oleh itu untuk menambahkan khusyuk hendaklah kita ingat, sehingga menjadi sebuah keyakinan, bahawasanya kita ini datang ke dunia atas kehendak Tuhan dan akan kembali ke akhirat dan akan bertemu dengan Tuhan. Di hadapan Tuhan akan kita pertanggungjawabkan semua amal dan usaha kita selama di dunia. Oleh hal yang demikian, bermula dari sekarang hendaklah kita latih diri mendekati Tuhan. Kena sudah ada hubungan dengan Tuhan. Jangan tiba-tiba sahaja kita berhadapan dengan Tuhan, padahal ma’rifat (kenal Allah ﷻ) terlebih dahulu tidak ada, dan berhubungan jarang sekali, tentu akan membuat kita bingung, kerana tidak ada persiapan. Begitulah Imam Ghazali رَحِمَهُ اللَّهُ ada mengatakan:

“Bahawa jika kamu berdiri sembahyang hendaklah sebelum kamu takbir kamu ingat seakan-akan itulah sembahyangmu yang terakhir. Mungkin nanti engkau akan mati, sebab itu engkau khusyukkan hatimu menghadap Tuhan”.

 

وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

Dan bahawasanya kepada Allahlah kembalian mereka semua;

Kita kena sentiasa ingat yang kita semua akan kembali bertemu Tuhan. Namun ramai antara kita menjalani kehidupan di dunia ini seolah-olah melupakan hakikat itu. Bagaikan tidak ingat pula untuk mati. Mereka seolah-olah rasa mereka akan hidup selamanya.

Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Mereka sentiasa sedar yang apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja.

Termasuk kalau kita hidup diselubungi oleh berbagai-bagai masalah. Kalau kita jumpa Tuhan nanti, semuanya akan menjadi ringan dan tidak ada apa-apa. Segala masalah itu akan dihilangkan dan kita tidak akan ingat pun lagi kesusahan itu. Mungkin masalah nampak besar semasa di dunia ini, tetapi ia tiada apa-apa di akhirat kelak.

Mereka yang ada sifat khusyuk itu tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik hasil daripada kesabaran dan amalan mereka yang baik.

Maka tahulah kita sekarang inilah sifat khusyuk. Bukannya tidak sedar langsung apa yang terjadi semasa kita sedang solat. Itu biasanya adalah cerita wali-wali yang entahkan benar ataupun tidak. Seandainya begini sifat khusyuk, maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat. Asalkan kita ada pemahaman ini dan sentiasa latih diri kita untuk ingat tentangnya.

Jika hendak dijelaskan lagi sifat khusyuk, kita semua pernah ada sifat khusyuk ini (mungkin bukan dalam solat). Bayangkan seorang anak yang sedang main permainan ‘games’ kegemarannya. Dia terlalu khusyuk bermain sampai makan pun dia tidak ingat. Emaknya pun memanggil-manggilnya mengajak makan. Dia dengar emaknya memanggil tetapi dia lebih khusyuk bermain maka dia jawab: “Tunggu mak, sikit lagi saya nak habis, emak makan dulu”.

Maknanya, dia bukan khusyuk tidak dengar apa yang berlaku di sekelilingnya, tetapi dia tidak endahkan kerana dia lebihkan focus dengan permainan ‘game’ itu. Begitu jugalah kita dengan solat. Bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita. Apa-apa sahaja yang berlaku di luar solat, kita buat tidak endah sahaja.

Jangan pula sangka khusyuk ini langsung tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Ini kerana Rasulullah ﷺ di dalam solat pun sedar sekeliling baginda. Baginda pernah bukakan pintu bagi A’isyah رضي الله عنها, baginda pernah membiarkan dua cucunya yang sedang naik ke belakang baginda ketika sujud. Maknanya baginda sedar keadaan sekeliling baginda.

Bagaimanakah cara untuk mencapai khusyuk? Pertamanya kena faham apa yang kita sebut di dalam solat kita. Ini dipanggil ‘tafhim’. Kalau kita tidak tahu apa yang kita sedang sebut, maka fikiran kita akan mudah sahaja menerawang. Maka kena belajar bahasa Arab sikit dan faham falsafah kenapa kita disebut zikir-zikir di dalam solat itu.

Ini adalah antara formula untuk mencapai khusyuk di dalam solat. Malah ada banyak lagi perkara yang kita perlu perhatikan kerana untuk mendapat khusyuk bukannya perkara senang. Mari kita lihat lagi ayat Al-Qur’an yang menerangkan cara untuk mendapat khusyuk. Ini disebut di dalam Mukminoon: 1-4

قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خٰشِعونَ
(iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

Kemudian selepas itu diberikan formula untuk mendapat khusyuk itu, iaitu dengan meninggalkan perkara yang lagha (buang masa dan tiada faedah).

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ
dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

وَالَّذينَ هُم لِلزَّكوٰةِ فٰعِلونَ
dan orang-orang yang menunaikan zakat,

Zakat juga boleh ditafsirkan sebagai penyucian jiwa. Sekiranya jiwa bersih suci daripada noda dan dosa, maka lebih mudah untuk mendapat khusyuk.

Sekian Ruku’ 5 daripada 40 ruku’ surah ini.


 

JASA-JASA ALLAH ﷻ KEPADA BANI ISRAIL

Baqarah Ayat 47: Allah ‎ﷻ memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Ayat 47 & 48 diberikan kepada Ahli Kitab supaya mereka kenangkan nikmat Allah ﷻ dan takutlah ancaman azab jika mengingkari ayat-ayat Allah ﷻ.

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتيٓ أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor that I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

 

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil,

Allah ﷻ menyeru kepada semua sekali golongan bani Israil. Sekali lagi Allah ﷻ memujuk mereka dengan memanggil mereka dengan gelaran yang dihormati. Begitulah antara cara berdakwah iaitu dengan menggunakan kata panggilan yang molek-molek kepada orang yang kita hendak dakwahkan itu. Mereka sekarang masih ada lagi harapan untuk kembali kepada Islam.

 

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu;

Iaitu diberikan kepada bangsa mereka beribu-ribu Nabi dan rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Tidak pernah diberikan kepada umat lain akan kelebihan ini. Mereka juga diberikan kecerdikan yang luar biasa. Malah mereka juga diberikan dengan rupa paras yang elok serta kekayaan yang berlimpah-ruah.

Sebenarnya ayat ini ditujukan kepada Bani Israil yang hidup di zaman Rasulullah ﷺ. Sedangkan segala nikmat yang akan disebutkan nanti diterima oleh tok nenek mereka. Ini adalah kerana apabila seseorang menerima nikmat daripada Allah ﷻ, anak cucu dia pun akan mendapat bahagian daripada nikmat itu juga. Maka tidak salah apabila Allah ﷻ menyebut hal ini kepada Bani Israil di zaman Rasulullah ﷺ kerana memang mereka pun ada mendapat nikmat itu juga. Paling tidak, mereka berbangga dengan apa yang telah diberikan tok nenek mereka itu.

Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dialah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih, bangsa yang lain daripada bangsa lain.

Allah ﷻ hendak kata yang fahaman itu tidak benar, bukan mereka ada kelebihan sendiri tetapi Allah ﷻ yang pilih sendiri untuk berikan kepada mereka. Bukanlah mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah ﷻ yang pilih. Oleh kerana Allah ﷻ yang pilih, maka Allah ﷻ boleh sahaja mengambil semula kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain.

Allah ﷻ mengulangi semula perkara pertama yang disebutkan sebelum ini dalam ayat 40, sebagai menambahkan galakan kepada puak Yahudi. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jangan lengahkan masa lagi. Jangan berdolak-dalih lagi.

Sebagaimana Bani Israil diingatkan untuk kenang kembali segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka, maka kita juga termasuk di dalam arahan ini. Ini kerana ayat-ayat tentang Bani Israil ini adalah juga pengajaran kepada kita. Maka kalimah اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ itu juga adalah arahan kepada kita juga. Namun bagaimanakah caranya untuk kita mengenang jasa Allah ﷻ? Ada tiga cara iaitu – dengan hati, perkataan dan juga perbuatan.

Dengan hati kenalah ingat yang Allah ﷻ telah memberi banyak rahmat kepada kita. Kena sedar tentang hal ini. Jangan kita terima sahaja segala nikmat tetapi tidak sedar Siapa yang memberikannya kepada kita. Segala apa yang kita ada dan dapat ini adalah daripada-Nya. Dengan perkataan adalah dengan menyebut nikmat-nikmat itu seperti disebut di dalam Dhuha: 11

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

Kita sebutkanlah nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita seperti kesenangan, kekayaan, anak dan lain-lain lagi. Itu sebagai tanda syukur, bukannya kerana berbangga dengan apa yang ada tetapi kerana kita bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan kita amat menghargainya. Kita sebut apa yang kita dapat itu, tetapi bukanlah untuk bermegah, sebaliknya sebagai tanda kesyukuran. Kita memuji-muji Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah berikan kita segala nikmat itu. Sebagai contoh kalau ada orang memuji kita dengan nikmat dan kelebihan kita, pulangkan kembali kepada Allah ﷻ sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Naml: 40

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ ۚ فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Al Kitab: “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Selain itu, bersyukur dengan perbuatan adalah dengan mentaati Allah ﷻ. Janganlah digunakan sahaja nikmat itu, tetapi haruslah bersyukur kepada Allah ﷻ. Syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan melawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini hendaklah dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

 

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

Dan Kami telah berikan kamu kurniaan yang lebih melebihi penduduk alam (pada zamannya);

Allah ﷻ berkata: Aku telah melebihkan kamu melebihi penduduk alam zaman kamu dahulu. Kamu lebih mulia daripada semua golongan dari segi keagamaan dan kekayaan. Oleh kerana kamu pernah menjadi orang yang baik-baik, orang yang hebat-hebat, maka jangan pula hari ini kamu menjadi orang yang ketinggalan.

Perkataan yang Allah ﷻ gunakan dalam ayat adalah bermaksud ‘dahulu’ (past tense). Dahulu memang mereka dilebihkan daripada penduduk alam yang lain. Akan tetapi oleh kerana mereka telah banyak melakukan kesalahan, sampai membunuh nabi-nabi mereka, Allah ﷻ tukarkan kedudukan itu kepada orang Muslim. Mereka pernah dimuliakan melebihi bangsa dan suku yang lain, sebab merekalah penerima waris ajaran nenek-moyang mereka Ibrahim, Ishak dan Ya’kub عليهم السلام tentang percaya kepada Allah ﷻ yang Maha Esa. Selama Tauhid itu mereka pegang teguh, kemuliaan itu tidaklah akan dihilangkan atau dicabut daripada mereka. Maka mereka diberi kemuliaan adalah kerana kemuliaan pendirian. Adapun kalau Tauhidnya telah hilang, dan yang mereka pertahankan telah tinggal kemegahan sahaja dan menyebut-nyebut kebesaran yang lampau, hinalah mereka dan bangsa lain yang menerima dan menjunjung!

Makna ayat ini memang wajib ditafsirkan berdasar pengertian tersebut, mengingat umat sekarang ini (umat Nabi Muhammad ﷺ) lebih utama daripada mereka, kerana berdasarkan firman Allah ﷻ yang khitab kepada umat ini, iaitu disebut di dalam Ali Imran: 110:

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللهِ
Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.

Maknanya jikalau kita menjalankan tugas amar ma’ruf nahi munkar, maka kita adalah umat terbaik. Ini kerana bukanlah semua umat Muhammad ﷺ itu semuanya, ia bersyarat juga. Oleh itu, janganlah kita sangka Bani Israil itu mulia zaman berzaman kerana untuk zaman sekarang mereka sudah jatuh menjadi golongan hina akibat angkara perangai dan sikap mereka sendiri yang sengaja ingkar ajaran Allah ﷻ. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah mereka ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 45 (Minta tolong dengan sabar dan solat)

Baqarah Ayat 45: Ayat ini adalah sebagai penawar bagi kesalahan-kesalahan yang telah disebut di atas tadi. Kenapa mereka boleh jadi sampai begitu? Kerana mereka mengejar keduniaan. Sebelum Nabi Muhammad ﷺ ‎datang, mereka mempunyai ramai anak murid dan ramai orang yang rujuk kepada mereka. Mereka telah mempunyai kedudukan dalam masyarakat.

Namun begitu jika mereka sekarang kena belajar pula dengan Nabi ﷺ, masuk majlis Nabi ﷺ, tentulah mereka pula yang menjadi anak murid dan tidak ada lagi yang akan datang belajar dengan mereka. Mereka sudah tidak menjadi guru yang menjadi tempat rujukan lagi. Mereka tidak boleh terima seandainya itu yang terjadi. Mereka tidak bersedia untuk menjadi anak murid semula kerana mereka sudah biasa dipandang tinggi sebagai seorang yang ada ilmu.

Keadaan sebegini sebenarnya berkait dengan masalah dalam hati dan hendaklah dirawat secepat mungkin masalah hati itu. Sekarang Allah ﷻ ajar bagaimana untuk menghilangkan penyakit hati itu; iaitu dengan meminta pertolongan dengan solat dan sabar. Bersabarlah dengan kata-kata manusia yang mengejek mereka – kalau ada yang mengejek mereka dengan berkata: “Eh, dulu jadi guru, sekarang jadi anak murid pula?”

Mintalah bantuan dengan Allah ‎ﷻ dengan sifat sabar, sebab sabar itu menerima seadanya dalam segala keadaan, apa sahaja kata-kata orang terhadap mereka atau perbuatan orang terhadap kita. Jangan pedulikan kata-kata orang lain yang mengejek dan menghina.

Allah ﷻ suruh mereka sabar dan solat kerana ini adalah penawar kepada penyakit mereka. Penyakit pertama adalah kerana sayang kepada harta dan upah. Keinginan kepada harta itu adalah kerana laparkan kesenangan dalam hidup. Akan tetapi kalau sabar, maka tidaklah mudah untuk menjadi hamba kepada harta kerana mereka tidak perlukan sangat kesenangan hidup sekiranya mereka sabar dengan kesusahan.

Penyakit kedua mereka adalah laparkan kedudukan tinggi di dalam masyarakat. Maka solat adalah penawar yang ampuh kerana solat mengajar diri untuk merendahkan diri di hadapan Allah ﷻ, menyedarkan yang kita ini hanyalah hamba sahaja.

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

Sahih International

And seek help through patience and prayer, and indeed, it is difficult except for the humbly submissive [to Allah ]

Malay

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

Dan hendaklah kamu meminta pertolongan dengan bersabar;

Perkataan اسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Walaupun begitu, semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga ada melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun. Contohnya, kita meminta tolong orang untuk menukar tayar kereta kita yang telah pecah di jalan raya. Takkan kita duduk sahaja dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang menukarkan tayar itu, bukan? Tentulah kita pun perlu melakukannya bersama-sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah ﷻ.

Begitulah kena ada usaha daripada kita juga. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membantu tentera Badr dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Namun tidaklah para sahabat duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.

Pertolongan yang sebenarnya adalah daripada Allah ﷻ. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara kerana pertolongan Allah ﷻ itu mungkin tidak datang dengan serta merta. Kadangkala Allah ﷻ berikan perkara yang kita tidak minta, dengan menukarkannya dengan perkara yang lain. Atau Allah ﷻ tidak bantu kita di dunia, tetapi menangguhkan pemberian-Nya di akhirat kelak. Ini mafhum daripada hadith tentang doa,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1). Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2). Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3). Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah lebih banyak pemberiannya.”
(Musnad Ahmad No. 3497 – Sahih)

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar bagaimana cara berdoa. Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam takdir Allah ﷻ. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela. Kena sabar menunggu keputusan daripada Allah ﷻ.

Kita selalu dengar tentang sabar, tetapi apakah itu sabar? Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: “Sabar ya, sabar ya…” Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhari (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Ini kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Pada awalnya kelas penuh tetapi kemudiannya seorang demi seorang tidak datang kerana mereka sangka sehari dua belajar terus menjadi pandai agaknya.

Ini memang dugaan daripada syaitan yang tidak suka kita belajar. Maka hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak daripada kita. Jangan sangka kita boleh terus pandai kalau baru belajar. Memang belajar memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi.

Hendaklah kita meminta kepada Allah ﷻ untuk memberikan kita kesanggupan untuk belajar kerana pembelajaran selalunya akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Hendak datang kelas dan hendak faham pun memerlukan usaha daripada kita.

Oleh itu, kita hendaklah meminta ilmu dengan Allah ﷻ. Seandainya Allah ﷻ tidak menolong kita dan memberi taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tetapi lama-lama layu. Ini biasa sahaja kita lihat. Ramai yang belajar ‘tidak habis’. Malah amat bahaya kalau kita sekadar mengambil tahu agama ini sedikit-sedikit sahaja. Kita kenalah mendalaminya. Belajarlah sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukan belajar untuk menjadi ustaz.

Satu lagi tafsir sabar di dalam ayat ini adalah sabar daripada menceritakan kepada selain Allah ﷻ tentang masalah yang dihadapi. Jangan hendak cerita sangat masalah kepada manusia, sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ akan membantu kita, bukannya manusia. Apabila kita mengadu kepada Allah ﷻ, lambat laun Allah ﷻ akan bantu kita. Jikalau kita mengadu sangat dengan manusia, maka Allah ﷻ tidak bantu kerana kita sudah meletakkan pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada Allah ﷻ. Maka pilih-pilihlah untuk menceritakan masalah kepada orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Ini adalah amat berat bagi orang yang tidak ada tauhid di dalam hatinya; kerana apabila ada masalah, dia akan sibuk mencari orang untuk mendoakan untuk dirinya. Sepatutnya dia berdoa untuk diri sendiri, sebaliknya sibuk mencari ustaz dan tok guru untuk doakan bagi pihak dia pula.

 

وَالصَّلَوٰةِ

Dan bersembahyang;

Selepas suruh sabar, Allah ﷻ suruh solat kerana ada kaitannya. Di dalam solat, kita bersabar menahan diri daripada melakukan kehendak nafsu kita yang biasa seperti makan dan sebagainya. Oleh sebab itu, solat adalah latihan untuk sabar sementara, semoga akan sabar di luar solat juga.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat. Selepas solat dan lebih baik lagi dalam solat, kita berdoa kepada Allah ﷻ. Terutama sekali dalam sujud kita. Banyakkan berdoa dalam solat. Ia lebih hebat daripada berdoa selepas solat.

Mintalah pertolongan kepada Allah ﷻ dengan amalan solat kerana solat itu adalah amalan di mana kita memberitahu dan mengadu keadaan kita kepada Allah ﷻ. Waktu itu kita boleh luahkan segala perasaan kita kepada Allah ﷻ. Kita minta kepada Allah ﷻ untuk memberikan kekuatan kepada kita. Allah ﷻ tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya. Dia boleh meredakan keadaan buruk yang ada pada diri kita.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada puak ahli Kitab, kalau mereka menghadapi masalah seperti yang disebutkan, maka mengadulah kepada Allah ﷻ dengan sabar dan dengan solat.

 

وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ

Dan sesungguhnya ini adalah perkara yang besar;

Kalimah asalnya bermaksud ‘besar’ akan tetapi di sini ia bermaksud ‘berat’. Ini kerana yang besar selalunya berat dan sukar. Maksudnya, sabar dan solat itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amat payah untuk sabar dalam belajar dan juga menjaga solat. Kalau kita melihat solat itu sebagai satu ibadat biasa sahaja, maka ia akan menjadi susah. Tambahan pula jikalau di dalam keadaan susah seperti sibuk di tempat kerja, sibuk dengan projek, hati gundah gulana dan sebagainya. Ini kerana sifat manusia suka hendak bebas berfikir apa sahaja dan buat apa sahaja. Akan tetapi di dalam solat kedua-dua perkara ini perlu dikekang, bukan?

Namun begitu, jikalau kita tahu bahawa dengan solat itu adalah cara untuk memohon pertolongan kepada Allah ﷻ, dan kita memang memerlukan pertolongan Allah ﷻ dalam semua hal, maka kita akan berasa mudah untuk mendirikan solat. Kita akan tertunggu-tunggu untuk mengadu kepada Allah ﷻ. Termasuk jikalau hati kita tidak tenang dengan segala masalah dan sebagainya, solat sebenarnya adalah tempat untuk mengadu dengan Allah ﷻ. Solat adalah tempat terbaik untuk ‘healing’ sebenarnya. Segala gundah gulana di luar solat akan hilang selepas solat.

Satu pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan sukar itu adalah solat. Ada juga yang berpendapat bahawa meminta pertolongan itu pun sukar juga. Iaitu ada orang yang tidak nampak kepentingan dalam berdoa kepada Allah ﷻ. Mereka tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ﷻ dalam setiap perkara. Maka mereka banyak meminta pertolongan kepada manusia tetapi tidak merayu bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ. Mereka juga akan gunakan segala pemikiran dan usaha untuk menyelesaikan masalah, sampai terlupa yang Allah ﷻ senang sahaja boleh selesaikan masalahnya itu.

Sepatutnya kita sentiasa kena berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah ﷻ. Memang kita kadang-kadang ada meminta tolong kepada orang lain, dan kita juga ada usaha kita juga, bukan? Namun sebelum kita berusaha dan sebelum kita meminta tolong kepada orang lain, kita hendaklah meminta pertolongan kepada Allah ﷻ terlebih dahulu. Inilah adab kita dalam menguruskan hidup kita.

Ada juga pendapat yang mengatakan yang berat itu adalah menahan diri daripada mengadu kepada selain Allah ﷻ. Ini kerana kebanyakan manusia sudah terbiasa apabila ada masalah, sentiasa mengadu kepada manusia yang lain. Maka ada tiga pendapat tentang apakah yang berat itu:

      1. Solat
      2. Sabar
      3. Menahan diri daripada mengadu kepada selain Allah ﷻ.

 

إِلَّا عَلَى الْخٰشِعِينَ

Melainkan kepada orang-orang yang khusyuk

Selain itu, sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Orang yang khusyuk sahaja yang mampu melakukannya. Hanya orang sebegitu yang boleh bersabar dan berdoa selepas solat dengan mudah dan ringan sahaja. Kerana itu kita kadangkala berasa hairan melihat ada orang yang boleh banyak solat, lama berdiri dalam solat. Ini kerana mereka telah mendapat khusyuk di dalam solat. Solat menjadi halwa (kemanisan) buat mereka. Solat sahaja sudah cukup menjadi nikmat bagi diri mereka. Mereka tidak memerlukan ‘healing’ dengan cara pergi melancong, berbelanja atau keseronokan duniawi yang lain.

Kalimah الْخٰشِعِينَ daripada kata dasar: خ ش ع yang bermaksud merendahkan diri, tidak bergerak, merendahkan mata atau suara, menjadi kurus, menjadi kering, menundukkan kepala, takut. Oleh itu, khusyuk ertinya tunduk, rendah hati dan insaf bahawa kita ini adalah hamba Allah ﷻ. Mereka sedar kedudukan Allah ﷻ yang tinggi dan agung maka mereka taat kepada segala arahan-Nya. Mereka akan menekan kehendak nafsu dan membiasakan diri untuk menerima dan merasa tenang menghadapi ketentuan Allah ﷻ serta selalu mengharapkan kesudahan yang baik.

Apakah lagi sifat orang yang khusyuk? Orang yang khusyuk adalah orang yang sentiasa fikirkan akhirat. Dia tahu dan sedar yang dia akan dibalas segala perbuatannya di akhirat nanti. Maka hatinya sentiasa ingat dan fikir tentang akhirat. Hendak buat apa-apa sahaja, dia akan fikirkan tentang kesannya di akhirat. Maka, Allah ﷻ jelaskan siapakah yang ada sifat khusyuk itu di dalam ayat seterusnya.

Orang yang khusyuk itu sedar yang dia sedang bermunajat kepada Allah ﷻ. Tidaklah dia lakukan sahaja perbuatan solat, kemudian tiba-tiba bila dia sedar kembali, sudah salam kerana sepanjang di dalam solat, fikirannya menerawang entah ke mana. Sedangkan solat itu adalah untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut di dalam Taha: 14

فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Khusyuk juga bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah ﷻ. Dia takut memikirkan apakah yang akan dihadapinya kelak di akhirat. Oleh itu, dia akan patuh kepada arahan Allah ﷻ. Apabila dia takut dan patuh, hasilnya dia akan menjadi orang yang khusyuk dalam sembahyang dan juga dalam belajar. Maka ayat ini bukannya membataskan kekhusyukan hanya dalam solat, tetapi merangkumi seluruh kehidupan manusia.

Untuk mencapai khusyuk, kita mestilah menimbulkan rasa takjub terhadap Allah ﷻ. Apabila kita berasa gerun dan takjub dengan Allah ﷻ, maka kita akan mendapat khusyuk dalam solat. Sekiranya kita tidak berasa gerun berhadapan dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berasa biasa sahaja solat itu. Kenapakah khusyuk itu penting dalam solat? Kerana ia adalah latihan untuk kita khusyuk di luar solat. Praktis dahulu khusyuk di dalam solat, dan cuba praktikkan di luar solat pula nanti.

Ulama’ khilaf adakah khusyuk termasuk syarat atau kewajipan di dalam solat. Menurut Muaz bin Jabal, Sufyan al-Thawri dan Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ, solat tanpa khusyuk tidak sah. Akan tetapi majoriti ulama’ termasuk imam mazhab yang empat mengatakan khusyuk bukanlah syarat di dalam solat. Solat tetap sah akan tetapi pahala berkuranganlah tidak mendapat markah penuh kerana pahala solat hanya diberi pada bahagian yang khusyuk sahaja. Dalilnya seperti sabda Rasulullah ﷺ di dalam sebuah hadith,

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلَّا عُشْرُ صَلَاتِهِ تُسْعُهَا ثُمْنُهَا سُبْعُهَا سُدْسُهَا خُمْسُهَا رُبْعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا
Daripada [‘Ammar bin Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya ada seseorang yang benar-benar mengerjakan solat, namun pahala solat yang tercatat baginya hanyalah sepersepuluh (daripada) solatnya, sepersembilan, seperdelapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga, dan seperduanya sahaja.”
(Sunan Abi Dawud (675))
Disahihkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ

Ini kerana khusyuk adalah perkara hati, maka bukan semua yang mampu mencapai tahap khusyuk ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 44 (Jangan lupa nasihat diri sendiri)

Baqarah Ayat 44: Satu lagi sikap buruk Pendeta Yahudi. Maka ini adalah teguran kepada ulama’ mereka.

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

Do you order righteousness of the people and forget yourselves while you recite the Scripture? Then will you not reason?

Malay

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

 

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ

Patutkah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan;

Iaitu Allah ﷻ tegur mereka yang hanya pandai menyuruh orang lain belajar agama. Kalimah الْبِرِّ daripada kata dasar: ب ر ر yang bermaksud baik, lembut, pemurah, benar, kata-kata yang baik.

الْبِرِّ bererti kebajikan dalam segala hal, baik dalam hal keduniaan atau akhirat, mahupun di dalam interaksi. Sesetengah ulama’ menyatakan bahawa الْبِرِّ mencakupi tiga hal; kebajikan dalam beribadah kepada Allah ﷻ, kebajikan dalam melayani keluarga dan kebajikan dalam melakukan interaksi dengan orang lain. Demikianlah pendapat Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ.

Ini adalah ayat teguran kepada puak Yahudi. Sebelum itu kita kena faham perangai mereka. Ada kalangan puak Yahudi yang datang duduk mendengar ajaran agama dalam majlis Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah mereka akan mendengar tentang perkara-perkara baik yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Setelah itu mereka akan pergi menceritakan apa yang mereka dengar kepada pendeta-pendeta mereka. Mereka bertanya adakah benar apa yang diajar oleh Muhammad ﷺ itu? Pendeta mereka pun menjawab, memang benar apa yang Muhammad ﷺ ajar, tidak salah.

Maka, pengikut mereka pun bertanya, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu betul, kenapa tidak ikut baginda sahaja? Pendeta menjawab yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi berbangsa Arab dan mereka adalah bangsa Yahudi maka mereka tidak ikut kerana bukan Nabi mereka.

 

وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ

tetapi kamu lupa diri kamu sendiri;

Mereka suruh orang lain belajar agama, tetapi mereka sendiri tidak belajar. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ. Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ menegur mereka. Mereka suruh orang lain ikut, tetapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka tidak memikirkan keselamatan iman mereka sendiri. Pernah terjadi seorang bapa Yahudi suruh anaknya beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, namun dia sendiri tidak beriman.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرِضَ فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَقَالَ لَهُ أَسْلِمْ فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنْ النَّارِ
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata,: “Ada seorang anak kecil Yahudi yang bekerja membantu Nabi ﷺ menderita sakit. Maka Nabi ﷺ menjenguknya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu bersabda: “Masuklah Islam”. Anak kecil itu memandang kepada bapanya yang berada di dekatnya, lalu bapanya berkata,: “Ta’atilah Abu Al Qasim ﷺ”. Maka anak kecil itu masuk Islam. Kemudian Nabi ﷺ keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anak itu dari neraka”.
(Sahih Bukhari (1268))

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Takut kita termasuk dalam golongan seperti ini. Takut kita berikan nasihat kepada orang lain, tetapi kita sendiri tidak menjaga perbuatan kita. Contohnya, kita hantar anak ke sekolah agama, tetapi kita sendiri jahil agama. Contohnya, seorang ibu tidak memakai tudung tetapi menyuruh anaknya belajar di sekolah agama. Bagaimana pula dengan golongan bapa-bapa yang menghantar isteri mereka belajar agama di masjid, tetapi mereka sendiri tidak menyertainya?

Adakah kita rajin menasihati orang lain tetapi diri sendiri tidak melakukan apa yang kita nasihatkan itu? Ada sebuah hadith yang menakutkan tentang perkara ini,

قَالَ سَمِعْتُهُ يَقُولُ يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ
Dia (Usamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) berkata; “Aku mendengar baginda bersabda: Pada hari kiamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keldai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; “Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma’ruf dan melarang kami berbuat munkar?”. Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma’ruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun malah aku mengerjakannya”.
(Sahih Bukhari (3027))

Atau, kita hanya melakukan perkara yang pada zahirnya nampak Islam, tetapi kita tidak membuat perkara-perkara lain yang disuruh oleh agama. Contohnya, mengambil rasuah. Berapa banyak negara Islam yang rakyatnya yang berpangkat tinggi mengambil rasuah? Kalau hendak cepat berurusan dengan kerajaan di negara Islam, kenalah bagi rasuah sikit, baru jalan kerja itu. Di negara kita ini pun banyak juga terjadi. Maka, kita juga mendapat teguran di dalam ayat ini dan juga di dalam Saf: 2

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Walaupun kita beragama Islam, tetapi malangnya akhlak kita selalunya buruk. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak memandang tinggi kepada agama Islam. Kepada mereka, kalau agama itu baik, tentulah orang yang beragama itu pun menjadi baik juga, bukan? Namun lihatlah sikap umat Islam, kebanyakannya tidak menarik langsung!

Oleh itu, kita kenalah ingat yang kita adalah duta kepada agama Islam. Akan tetapi malangnya kita menjadi duta yang teruk untuk Islam. Kerana akhlak kita yang buruk, orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Realiti ini kita terpaksa terima, walaupun pahit.

Ayat ini bukan bererti bahawa seseorang yang tidak mengerjakan kebajikan yang diperintahkannya secara automatik dikecam Allah ‎ﷻ. Tidak! Mungkin seseorang itu baru dikecam apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan anjurannya. Dia juga boleh dikecam kalau tidak mengingatkan dirinya sendiri tentang perlunya melaksanakan apa yang diperintahkannya itu. Jika dia telah berusaha mengingatkan dirinya, dan ada pula keinginan untuk melaksanakannya, maka tidaklah wajar dia dikecam, walau seandainya dia belum melaksanakan tuntunan-tuntunan yang disampaikannya. Memang, mengerjakan kebajikan tidak semudah mengucapkannya, menghindari larangan pun banyak halangannya. Maka kadangkala kita ingatkan orang lain untuk ingatkan diri kita juga.

Sebab itulah ayat-ayat sebegini menimbulkan was-was dalam kalangan sesetengah manusia. Mereka sedar yang mereka tidak sempurna, ada banyak kekurangan. Maka kerana itu mereka tidak berani menegur orang lain. Mereka takut mereka termasuk di dalam laknat ayat ini. Inilah masalahnya jikalau tidak gunakan akal dan salah faham dengan wahyu. Yang Allah ﷻ suruh adalah menegur manusia, mendidik manusia, dan di dalam masa yang sama, perbaiki diri sendiri. Bukannya senyap terus! Adakah mana-mana ayat suruh kita senyap tidak menegur? Tentu tidak!

Tiada manusia yang sesempurna Rasulullah ﷺ. Takkan kita hendak tunggu kita menjadi wali baru boleh menegur orang lain? Kalau begitu, rosaklah masyarakat! Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita kena tunggu sudah sempurna? Memang kita ada banyak kekurangan, ini sudah pasti. Kita mungkin banyak dosa, tetapi jikalau kita tidak menegur, sudah tambah satu dosa pula lagi (dosa tidak menegur kesilapan masyarakat). Asalnya ada satu dosa sahaja, tetapi kerana menjadi ‘syaitan bisu’ sudah ditambah dosa satu lagi. Maka fikir-fikirkan lah.

Sa’id ibn Jubayr رَحِمَهُ اللَّهُ (seorang tabein yang besar) pernah mengatakan, jikalau seseorang itu menahan dirinya daripada amar ma’ruf nahi munkar kerana dia sangka dirinya seorang pendosa dan tidak layak berdakwah kepada orang lain sehingga dia mensucikan dirinya, maka tidak ada lagi di dunia ini orang yang berdakwah kerana siapa pula yang suci daripada dosa? Hasan Basri رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan inilah yang Syaitan mahu, supaya tidak ada manusia yang menegur dan berdakwah kepada orang lain.

 

وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتٰبَ

sedangkan kamu membaca Kitab;

Allah ‎ﷻ menegur lagi mereka. Huruf وَ di sini adalah dalam bentuk وَاوُ الحَالِ (waw al-haal). Walaupun mereka itu membaca kitab Taurat, tetapi tidak mahu belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka suruh orang lain membuat kebaikan, tetapi lupa tentang diri mereka sedangkan di dalam Taurat sendiri mengandungi kecaman terhadap orang yang pandai menyuruh tanpa mengamalkan. Di dalam kitab itu juga menganjurkan banyak perkara yang baik-baik tryapi tidak mereka ikut. Mereka sebenarnya kaum yang telah diberikan Kitab Taurat, dan memang mereka baca kitab itu, sepatutnya mereka tahu apakah kebenaran.

Akan tetapi mereka telah salah fahaman. Mereka sangka mereka diamanahkan untuk jaga Taurat sahaja. Sedangkan anak murid mereka, mereka suruh pula pergi belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka pun tahu yang Islam itu adalah agama yang benar juga. Cuma mereka sangka, mereka sebagai pendeta yang tidak layak untuk menerima Islam.

Oleh itu, para pendakwah mesti berhati-hati dengan perkara ini. Ini kerana orang Yahudi itu ada kitab Taurat, maknanya mereka sepatutnya tahu apa yang benar, akan tetapi mereka tidak lakukan. Maka kalau kita sebagai umat Islam pun sepatutnya tahu bahawa kita mestilah buat apa yang kita suruh orang lain buat. Terutama sekali kepada guru dan para pendakwah. Oleh kerana mereka ini tahu, maka azab yang dikenakan kepada mereka adalah berat. Rasulullah ﷺ bersabda:

رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رِجَالًا تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ، يَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ، وَيَنْسَوْنَ أَنْفُسَهُمْ، وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا يَعْقِلُونَ
“Aku melihat pada malam aku diperjalankan (isra’), sekumpulan lelaki yang dipotong bibir-bibir mereka dengan gunting dari neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu. Mereka menyuruh orang ramai melakukan kebaikan, tetapi mereka melupakan diri mereka sendiri. Walhal mereka membaca Al-Qur’an. Justeru, mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?’”
(Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (13515 dan 13421))
Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (21/159 dan 21/104) menilai hadith ini adalah sahih, tetapi sanadnya adalah dha‘if disebabkan oleh Ali bin Zaid iaitu Ibn Jud‘an dinilai sebagai perawi yang lemah.

Akan tetapi hadith ini dikuatkan oleh hadith yang lain, seperti yang diriwayatkan daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

أَتَيْتُ عَلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، فَرَأَيْتُ فِيهَا رِجَالًا تُقْطَعُ أَلْسِنَتُهُمْ وِشِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ، مَا هَؤُلَاءِ؟، قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ
“Aku datang ke langit dunia pada malam aku diperjalankan (isra’), lalu aku melihat di dalamnya terdapat sekumpulan lelaki yang dipotong lidah-lidah mereka dan bibir-bibir mereka dengan gunting dari neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu.’”
(Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (4160))
Husain Salim Asad (pentahqiq kitab ini) menilainya sebagai sahih

Begitulah ada dalam kalangan orang-orang agama di negara kita ini. Mereka sepatutnya sudah tahu banyak tentang Islam, tetapi mereka masih tidak belajar tafsir Al-Qur’an lagi. Kalau kita tanya kepada guru-guru itu, adakah elok kalau belajar tafsir, mereka akan kata elok akan tetapi mereka sendiri tidak belajar. Maka, anak-anak murid mereka pun, apabila melihat guru mereka sendiri tidak mementingkan pembelajaran tafsir, mereka pun tidak mahu pergi belajar juga. Oleh itu, ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang bersifat seperti pendeta Yahudi.

Macam kita juga, Allah ‎ﷻ telah takdirkan kita bernasib baik kerana kita ada Al-Qur’an di tangan kita (senang sahaja untuk baca Al-Qur’an). Namun ramai antara kita tidak menggunakan ajaran yang ada dalam Al-Qur’an pun. Padahal, semenjak kecil lagi kita telah diberitahu yang Al-Qur’an ini adalah sumber pedoman kita. Namun sampai ke tua, sampai mati tidak belajar apakah yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Ini amat-amat menyedihkan sekali. Tidak tahulah bagaimana kita hendak jawab di hadapan Allah ﷻ nanti. Selalu sahaja kita baca Al-Qur’an tetapi kita tidak ikut apa yang disampaikan di dalamnya.

Antara sebab kita tidak mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an adalah kerana kita sendiri tidak belajar apakah yang Al-Qur’an suruh kita buat sebab kita tidak belajar tafsir. Padahal, ilmu tafsir Al-Qur’an ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an, bagaimana kita hendak beramal sebagaimana yang disarankan oleh Al-Qur’an?

Ramai yang kata mereka sudah baca terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Namun persoalannya, adakah dengan membaca terjemahan itu sahaja, mereka sudah faham apakah yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat Al-Quran itu? Saya rasa tidak kerana kalau kita baca terjemahan pun, kita tidak faham kerana ia memerlukan penjelasan lebih mendalam daripada orang yang tahu tentang tafsir.

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Tidakkah kamu memikirkan?

Allah ﷻ menegur lagi golongan Yahudi itu: Tidakkah kamu memikirkan betapa teruknya kamu dan betapa jauhnya kamu daripada kebenaran?

Perkataan ‘aqal’ dalam bahasa Arab asalnya adalah daripada perkataan ‘ikat’. Iaitu orang Arab akan mengikat unta mereka supaya tidak lari dengan tali. Manakala tali itu pula ada yang diikat di kepala mereka apabila tidak digunakan. Maka, dari situ datang perkataan ‘aqal’. Ia bermaksud keupayaan mengikat nafsu kita. Orang yang berakal akan berupaya untuk mengawal nafsu mereka. Orang yang tidak menggunakan akal akan mengikut sahaja kehendak nafsunya.

Mereka berfikir tanpa dipengaruhi oleh nafsu. Masalahnya kalau kita tidak dapat mengawal nafsu, tingkah laku kita bukan berdasarkan kepada fikiran yang waras, tetapi hasil daripada ikutan nafsu kita. Orang yang tidak menggunakan akal, adalah mereka yang mengikut nafsu mereka.

Oleh kerana itu, kebolehan menggunakan akal amatlah penting. Jangan sesekali kita tinggalkan akal kita yang Allah ﷻ telah anugerahkan kepada kita. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, kena fikir; apa-apa sahaja yang para agamawan sampaikan pun, kena gunakan akal kita untuk menilai. Jangan terus menerima bulat-bulat begitu sahaja. Allah ﷻ telah berikan akal kepada kita, maka kena gunakan. Jangan jadi seperti pengikut Yahudi yang telah rosak agama mereka dek kerana kesalahan agamawan mereka sendiri. Agama ini bukannya dirosakkan oleh tukang kasut dan tukang besi, tetapi oleh ahli agama itu sendiri. Ini kerana orang tidak mendengar kata-kata tukang kasut dan tukang besi, tetapi daripada ahli agama.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 (Solat Berjemaah wajib)

Baqarah Ayat 43: Ayat ini adalah sebagai rawatan ataupun penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Dalam agama, sekiranya tidak mencintai Allah ‎ﷻ tetapi sebaliknya lebih mencintai dunia, maka kita tidak akan ke mana-mana.

Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Bila sudah ada hubungan rapat, barulah senang untuk menerima segala arahan daripada Allah ﷻ. Jikalau jauh daripada Allah ﷻ, maka akan ada yang sanggup untuk meninggalkan arahan Allah ﷻ. Sebaliknya jikalau rapat dengan Allah ﷻ, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ ingin merawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah ﷻ. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ia adalah arahan daripada ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Sahih International

And establish prayer and give zakah and bow with those who bow [in worship and obedience].

Malay

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Setelah disuruh Bani Israil itu beriman, sekarang disebut tentang perlakuan ibadah pula. Kerana iman itu bukan hanya disebut sahaja akan tetapi hendaklah diikuti dan dibuktikan dengan perbuatan ibadah. Selain itu, hendaklah diperbaiki sifat hubbul jah (cinta kepada kedudukan) yang ada di dalam diri mereka. Mereka perasan mereka tinggi sangat kedudukan di dalam dunia ini. Bagaimanakah caranya untuk menghilangkan rasa itu? Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah ﷻ dengan melakukan solat. Mengakulah diri kita ini adalah hina dina di hadapan Allah ﷻ. Ini dapat menyedarkan kedudukan mereka yang sebenarnya hina sahaja di dunia ini kerana hakikatnya kita semua ini adalah hamba Allah ﷻ sahaja.

Sujud tanda menghinakan diri di hadapan Allah

Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah ﷻ dan menghinakan diri kita. Lihatlah bagaimana kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, malah lebih rendah daripada binatang. Itu adalah isyarat kepada konsep menghinakan diri kita. Maka mestilah bersungguh-sungguh dalam melakukannya. Seandainya tidak faham konsep ini, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah ﷻ itu tinggi.

Disebabkan kepentingan solat itulah, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah ﷻ dengan mendirikan solat. Jika sebelum ini mereka telah pernah mencampur adukkan yang haq dan batil, maka berhentilah daripada berbuat kesalahan itu. Hentikan berbuat benda yang salah dan buatlah benda yang benar, iaitu solat.

Allah ﷻ memberikan arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat kerana ia adalah amalan yang boleh merapatkan hubungan antara hamba dengan Allah ﷻ. Solat adalah ibadah terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah ﷻ. Ini kerana apabila kita sudah bertakbir, kita tidak dibenarkan membuat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah ﷻ. Kita hanya bermunajat kepada Allah ﷻ sahaja pada waktu itu.

Amalan solat tidak sama dengan ibadat Puasa, Haji dan sebagainya – ibadah-ibadah itu masih boleh membuat bermacam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada yang bercakap dalam telefon, masih ada yang mengambil gambar lagi dan tawaf itu masih lagi sah. Akan tetapi tidak dengan solat – hendaklah tawajuh (fokus) kepada Allah ﷻ dari mula sampai habis. Maka kita mestilah perbaiki solat supaya dapat khusyuk di dalamnya kerana ia adalah perhubungan kita dengan Allah ﷻ. Maka, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah ﷻ, tidak ada amalan yang sehebat solat.

Jika dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِيمُوا dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kita mestilah membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, menjaga aurat dan banyak lagi. Untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka mestilah dipelajari ilmu fiqh solat agar menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir  berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Sahih Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun apabila datang bulan puasa, mereka berpuasa. Malang sekali, mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak melakukan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan ibadah puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Kalau orang bertanya kenapa kita kena solat? Maka jawapannya ada di dalam Al-Qur’an iaitu untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha: 114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Maka bukanlah kita solat supaya rezeki kita terjaga seperti yang difahami oleh sesetengah orang. Golongan ini solat kerana takut kalau mereka tidak solat, Allah ﷻ tidak beri rezeki pula kepada mereka. Ini adalah fahaman yang salah sekali. Dek kerana solat hanya untuk mahukan rezekilah yang menyebabkan ramai orang kita menjaga Solat Dhuha. Mereka percaya solat itu dapat menarik rezeki untuk mereka. Maka fikir-fikirkan lah, mereka ini solat kerana Allah ﷻ atau kerana rezeki?

Jelas sekali kita boleh lihat Allah ﷻ selalu memberi peringatan tentang solat termasuk di dalam ayat ini kerana ia adalah amalan yang amat penting dan hendaklah kita mengambil pengajaran di sini dengan menjaganya. Bukan untuk kita sahaja, akan tetapi untuk kita memperingatkannya kepada orang lain juga, terutama sekali kepada keluarga kita, seperti disebut di dalam Taha: 132

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسأَلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعاقِبَةُ لِلتَّقوىٰ
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

dan keluarkanlah zakat;

Ini umumnya adalah titah supaya tidak menzalimi orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Disebut tentang solat tadi adalah hubungan dengan Allah ﷻ iaitu ibadat. Itulah beza di antara ibadat dan adat. Sekarang diajar tentang hubungan dengan manusia pula dan berbuat baik sesama manusia.

Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang akan menyebut zakat setelah menyebut tentang solat. Sebagaimana solat itu penting, begitu jugalah zakat. Akan tetapi masyarakat kita agak culas tentang zakat. Mereka ada yang sangka zakat fitrah sahaja yang kena bayar (RM7 setahun). Sedangkan ada banyak jenis zakat tetapi oleh kerana tidak belajar, mereka tidak tahu bahawa ada banyak zakat yang mereka kena bayar sebenarnya.

Allah ﷻ selalu sebut tentang solat dan zakat kerana inilah yang utama mesti dilakukan. Kalau solat pun culas, apatah lagi perkara yang lain? Akan tetapi ada sahaja orang boleh solat namun susah pula hendak membayar zakat. Ini kerana solat tidak melibatkan wang dan harta yang perlu dikeluarkan. Manusia ramai yang kedekut dan susah hendak beri harta yang mereka telah bersusah payah mencarinya. Maka, mengeluarkan zakat adalah ujian yang hebat untuk manusia. Kerana itulah Allah ﷻ banyak menceritakan kelebihan sedekah dan zakat di dalam Al-Qur’an untuk memberi motivasi kepada kita. Antaranya lihat Tawbah: 103

خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُم
Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda) kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam dahulu dan sekarang termasuk Bani Israil. Oleh sebab itu, kenalah menunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu. Arahan ini terutama sekali kepada Bani Israil kerana merekalah yang memulakan sistem Riba yang menyusahkan manusia dan mengkucar kacirkan sistem kewangan dunia.

Jelas di sini, kenalah infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi bantuan dan mengambil pahala bagi kita. Kita telah mengambil harta daripada Allah ﷻ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Kena sedar bahawa ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ﷻ memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah daripada perasaan kasihan belas kepada orang lain, kerana kita berikan harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayangkan harta kita, tetapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga. Semasa beri zakat itu mestilah dengan perasaan suka dan gembira hendak memberi bantuan kepada yang memerlukan.

Seandainya tiada perasaan belas kasihan terhadap orang lain, maka tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itulah Allah ﷻ telah mensyariatkan amalan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kita kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Apa kena mengena jangan zalim dengan ibadah zakat ini? Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan berbuat zalim atau menyusahkan orang lain. Iaitu jangan disebabkan kita, orang lain mendapat susah pula. Yang terbaik adalah kita susah untuk senangkan orang lain.

Di tengah-tengah pula, kita bersama-sama senang dan paling kurang kita kena lakukan adalah dengan mengeluarkan zakat. Allah ﷻ berikan latihan untuk kita timbulkan perasaan sayang dan kasihan kepada orang lain dengan mengeluarkan zakat.

Selalunya di dalam Al-Qur’an apabila Allah ﷻ suruh melakukan ibadah, Allah ﷻ akan sebut solat dan zakat. Kita pun tahu yang bukan dua ibadah ini sahaja yang wajib kita lakukan. Akan tetapi diringkaskan tentang ibadah dengan menyebut dua ibadah agung ini kerana ia mewakili ibadah-ibadah yang lain. Solat mewakili talian dengan Allah ﷻ manakala zakat mewakili talian dengan makhluk. Solat adalah ibadah badaniyah (badan) sedangkan zakat adalah ibadah maaliyah (harta).

Adakah arahan solat dan zakat ini baru bagi mereka? Sebenarnya tidak. Semenjak dahulu lagi mereka telah diwajibkan dengan dua ibadah ini seperti disebut di dalam Maidah: 12

وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ
dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai.

Maknanya mereka sudah tahu tentang solat dan zakat. Kalau kita tidak nampak mereka melakukannya, ini bermakna mereka telah meninggalkannya. Cuma mungkin cara solat dan cara atau kadar zakat bagi mereka itu tidak sama kerana secara umumnya ada perbezaan antara syariat antara berlainan Nabi. Namun sekarang apabila mereka menjadi umat Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka kena ikut syariat Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Bukankah di atas telah disebut untuk solat? Maka kenapa perlu disebut tentang rukuk pula? Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Ini kerana agama Islam adalah agama yang menganjurkan amalan bermasyarakat. Dalam ibadat mereka pun sebenarnya ada mendirikan solat juga, cuma sebab sudah banyak perubahan daripada agama asal, maka ramai daripada mereka yang sudah tidak solat lagi.

Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana ternyata baginda adalah Rasul mereka juga. Maka sertailah mereka yang rukuk, iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Orang Yahudi itu dengki dengan umat Nabi Muhammad ﷺ maka mereka kenalah solat bersama dengan umat Islam yang lain untuk menghilangkan perasaan itu, iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih daripada kita. Maka ini adalah amalan yang amat baik dilakukan oleh masyarakat kita juga untuk menghilangkan sifat negatif sesama umat Islam. Dengan solat ramai-ramai berjemaah, akan timbul perasaan kasih dan sayang sesama sendiri. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lain supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama sahaja dengan orang lain. Walaupun sudah menjadi seorang khalifah sekalipun, namun tidak meninggi diri kerana masih solat bersama dengan rakyat biasa juga. Seperti khalifah ar Raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh rakyat biasa. Ini adalah kerana mereka menganggapkan diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu daripada merasa diri lebih daripada orang lain.

Allah ﷻ berkata: “hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk”. Ini maksudnya kenalah solat berjemaah dengan orang lain. Ia mengajar kita supaya jangan duduk seorang diri tetapi hendaklah bermasyarakat dan bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali. Ia sesuatu yang perlu dilakukan terlebih dahulu daripada perkara-perkara ibadat yang lain. Kalau tidak boleh bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar menjadi baik. Oleh itu, hendaklah dimulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan mengikut imam. Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin dapat bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan menjadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Masyarakat itu akan senang untuk bermusuhan. Beginilah cara Allah ﷻ mengajar manusia.

Ada juga pendapat yang mengatakan arahan rukuk ini spesifik kepada golongan Yahudi sahaja. Ini kerana di dalam solat Yahudi, tidak ada perbuatan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Maka, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kena amalkan ibadah sepertimana syariat yang diberikan kepada umat Islam.

Secara keseluruhannya mereka sudah kena mengikut syariat Nabi Muhammad ﷺ. Amalan syariat mereka telah mansukh dan tidak perlu diamalkan lagi. Barulah mereka akan selamat kalau mereka berbuat begitu. Kalau kekal duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan menjadi. Syariat dalam dalam Taurat mereka sudah tidak laku dan tidak boleh diamalkan lagi kerana telah dimansukhkan.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang berjemaah itu hendaklah dibuat di masjid. Tidak boleh buat di rumah dengan keluarga masing-masing sahaja. Pendapat yang kuat, ia adalah wajib bagi lelaki yang mampu. Namun malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak-anak dan isteri. Mereka berkata buat macam itu boleh dapat pahala 27 darjat. Padahal, bagi orang lelaki untuk mendapat 27 darjat itu kenalah solat berjemaah di masjid. Namun, bagi para wanita, hendaklah solatnya di rumah sahaja. Untuk orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah ﷻ tidak adil dengan memberikan kelebihan kepada perempuan dalam hal ini? Tidak sama sekali kerana keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan menjaga anak, sekali sekala datang haid dan sebagainya. Maka Allah ﷻ menggantikan kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit. Mereka mendapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Maka ketahuilah yang Allah ﷻ itu Maha Adil. Namun kelebihan itu hanyalah untuk perempuan sahaja. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.

Memang ulama’ mazhab khilaf tentang hukum solat berjemaah bagi lelaki. Di dalam mazhab Syafi’iy ia adalah Fardhu Kifayah dan ada juga pendapat ia adalah Sunat Muakkad. Akan tetapi dalilnya banyak sebagai sandaran bahawa ia wajib termasuk ayat 43 ini. Ia juga disokong dengan ayat-ayat lain dan hadith-hadith. Lihat juga Nisa’: 102

وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka…. (hingga akhir ayat).

Kalau lelaki buta pun tidak diberi keringanan untuk tidak solat berjemaah, bagaimana pula untuk lelaki yang sihat sejahtera?

أَتَى النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى، فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّه ليسَ لي قَائِدٌ يَقُودُنِي إلى المَسْجِدِ، فَسَأَلَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ له، فيُصَلِّيَ في بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ له، فَلَمَّا وَلَّى، دَعَاهُ، فَقالَ: هلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بالصَّلَاةِ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فأجِبْ.
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Seorang lelaki yang buta datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengatakan: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki seorang yang memimpinku ke masjid. Maka Rasulullah ﷺ memberikan rukhsah (keringanan), ketika orang pergi kemudian dipanggilnya lagi dan ditanya: “Apakah kamu mendengar panggilan solat (azan)? Orang itu menjawab: Ya. Maka baginda ﷺ bersabda: “Penuhilah panggilan itu.”
(Sahih Muslim No. 653)

Rasulullah ﷺ juga amat menekankan solat berjemaah bagi lelaki hinggakan hendak membakar rumah orang yang tidak solat berjemaah,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَقَدْ هَـمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ لِيُحْطَبَ ، ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَـهَا، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ، ثُمَّ أُخَـالِفَ إِلَـىٰ رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوْتَـهُمْ. وَالَّذِيْ نَـفْسِـيْ بِيَدِهِ ، لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَـجِدُ عَرْقًا سَمِيْنًا أَوْ مِرْمَـاتَيْـنِ حَسَنَـتَيـْنِ ، لَشَهِدَ الْعِشَاءَ.
Demi (Allah) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sesungguhnya aku berniat menyuruh mengumpulkan kayu bakar, lalu aku menyuruh azan untuk solat. Kemudian kusuruh seorang lelaki mengimami orang-orang. Setelah itu, kudatangi orang-orang yang tidak menghadiri solat jemaah dan kubakar rumah-rumah mereka. Demi (Allah) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai solat seorang di antara mereka tahu bahawa ia akan memperoleh daging gemuk atau (dua kaki haiwan berkuku belah) yang baik, nescaya ia akan mendatangi solat Isyak.”
Muttafaq ‘alaih
(HR. Al-Bukhâri, no. 644; Muslim, no. 651; Abu Dawud, no. 548; An-Nasa-I, II/107; dan Ibnu Majah, no. 791)

Lihat juga hadith ini,

Riwayat daripada Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada Rasulullah ﷺ:
مَنْ سَمِعَ الِنّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ ، فَلَا صَلَاةَ لَهُ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ
Barangsiapa mendengar azan kemudian tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya (solatnya tidak sempurna-pent), kecuali kerana ada uzur.
(HR. Ibnu Mâjah, no. 793; Al-Hakim, I/245 dan al-Baihaqi, III/ 174)
DiSahihkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh adz-Dzahabi. Lihat Irwâ-ul Ghalîl (II/337)

Tidak solat berjemaah adalah sifat munafik seperti Ibnu Mas’ûd رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah berkata:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَىٰ هٰؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَىٰ بِهِنَّ ، فَإِنَّ اللهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى ، وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَىٰ ، وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِـيْ بُيُوْتِكُمْ كَمَا يُصَلِّـيْ هٰذَا الْمُتَخَلِّفُ فِـيْ بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّـةَ نَبِيِّكُمْ ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ … وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُوْمُ النِّفَاقِ.
Barangsiapa ingin bertemu dengan Allah di hari kiamat kelak dalam keadaan Muslim, hendaklah dia menjaga solat lima waktu di mana pun dia diseru kepadanya. Sungguh, Allah telah mensyari’atkan kepada Nabi kalian, sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Solat lima waktu termasuk sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Seandainya kalian solat di rumah kalian sebagaimana orang yang tertinggal ini solat di rumahnya (tidak solat berjemaah di masjid) nescaya kalian akan meninggalkan sunnah Nabi kalian. Seandainya kalian meninggalkan sunnah-sunnah Nabi kalian, nescaya kalian akan sesat… Dan aku melihat (pada zaman) kami (para Sahabat), tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah kecuali seorang munafik, yang telah diketahui kemunafikannya. Dalil keenam: sebagai tanda bukan munafik
(Muslim no. 654; Sunan Abu Daud no. 550; Sunan an-Nasai no.849; dll)

Ada juga pendapat yang mengatakan rukuk di sini membawa maksud khusyuk. Maknanya jangan hanya melakukan perbuatan solat berdiri, rukuk dan sujud sahaja seperti mesin, tetapi hendaklah solat itu dengan khusyu’. Kena sedar yang sedang solat, sedang bercakap-cakap dengan Allah ﷻ, sedang menghambakan diri kepada Allah ﷻ, lupakan dunia buat sementara waktu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 41 – 42 (Jangan jual agama)

Baqarah Ayat 41: Sambungan arahan kepada Bani Israil. Ini ditujukan khusus kepada semua Bani Israil, tidak kira awam atau ahli agama mereka.

وَءآمِنوا بِمآ أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِّمّا مَعَكُم وَلا تَكونوٓا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ

Sahih International

And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me.

Malay

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Qur’an) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

 

وَءآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ

Dan berimanlah dengan apa yang Aku turunkan kepada kamu;

Mereka hendaklah mereka beriman dengan Al-Qur’an sekarang. Bukan kembali kepada Taurat pula. Tidak boleh diperbetulkan semula Taurat itu dan kembali kepadanya kerana syariat Taurat telah mansukh. Mereka mestilah menggunakan Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ini kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah diangkat menjadi Rasul dan Al-Qur’an sudah diturunkan, mereka kenalah beriman sepenuhnya dengan Al-Qur’an.

Di sini Allah ﷻ tidak sebut pun beriman dengan Al-Qur’an tetapi Allah ﷻ sebut: بِمَا أَنْزَلْتُ. Ia hendak mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ sendiri, bukan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sekiranya mereka membenci Nabi Muhammad ﷺ pun (kerana bukan dalam kalangan mereka), namun mereka kena ingat yang Al-Qur’an itu diturunkan dan diberi oleh Allah ﷻ. Mereka tidak ada pilihan untuk menolaknya sama sekali.

Untuk beriman dengan Al-Qur’an, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, kerana Al-Qur’an itu diturunkan melalui baginda. Tidak boleh hendak percaya kepada Al-Qur’an tanpa percaya kepada Nabi ﷺ. Ini penting kerana zaman sekarang, terdapat golongan hanya percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Padahal, tidak mungkin sama sekali boleh kitab oleh percaya Al-Qur’an tanpa percayakan ajaran daripada baginda?

Bagi golongan Yahudi dan Nasrani, mereka berkata mereka percaya kepada Allah ﷻ. Namun begitu, mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah sama sekali kerana untuk percaya kepada Allah ﷻ, kita mesti juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ

yang membenarkan apa yang ada dengan kamu;

Al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Mereka telah ada kitab Taurat di tangan mereka. Al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat itu. Cubalah kamu periksa wahai golongan Yahudi. Terdapat persamaan ajaran di dalam Taurat dan Al-Qur’an. Maka sekarang, mereka mestilah meninggalkan Taurat dan mengambil Al-Qur’an sebagai Kitab pedoman yang baru.

Al-Qur’an itu membenarkan isi tauhid yang ada dalam kitab Taurat dan Injil. Ini kerana memang serupa sahaja apa yang disampaikan berkenaan akidah. Akidah tauhid tidak bertukar semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Sama sahaja yang dibawakan oleh setiap Nabi. Kalau kita biasa lihat ceramah daripada mereka yang mahir dengan ilmu perbandingan agama seperti tokoh ilmuan terkenal, Dr. Zakir Naik حفظه الله, mereka telah membuktikan yang memang ada ajaran tauhid dalam kitab mereka sendiri.

Antara yang yang dibenarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah tahu bahawa akan datang Nabi akhir zaman dan Nabi itu akan datang ke Madinah. Sebab itulah mereka telah siap menunggu di Madinah. Ternyata, mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi yang baru itu. Cuma mereka tidak boleh menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang daripada bangsa Arab.

 

وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

Dan janganlah kamu jadi orang yang pertama-tama ingkar dengannya;

Allah ﷻ berpesan kepada mereka supaya jangan mereka menjadi yang golongan terawal yang ingkar dengan Al-Qur’an. Untuk mengingkari sahaja pun sudah menjadi masalah besar, apatah lagi jikalau menjadi yang terawal pula ingkar. Ini kerana bila mereka ingkar, akibatnya pengikut-pengikut mereka akan menjadi kufur juga. Bila jadi begitu, mereka akan menerima akibat kekufuran mereka dan juga pengikut-pengikut mereka itu. Mereka bukan menanggung dosa diri mereka sahaja, malah dosa pengikut-pengikut mereka sekali.

Orang Yahudi sekarang tidak menerima Islam kerana mereka lihat apa yang tidak diterima oleh puak Yahudi zaman mereka. Mereka lihat orang Yahudi itu duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ tetapi tidak beriman, mereka sangka tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam sampaikan tok nenek mereka dahulu tidak masuk Islam. Maka, ada pendeta Yahudi yang menghalang pengikutnya daripada belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menanggung dosa pengikut-pengikut mereka juga kerana pengikut mereka menolak Islam semenjak zaman berzaman lamanya adalah berpunca daripada mereka.

Kita pula, sebagai contoh, akan menjadi begitu juga jika kita menyekat orang lain daripada belajar tafsir Al-Qur’an. Maka, orang yang tidak belajar tafsir itu akan berdosa kerana mereka tidak tahu tentang agama. Orang yang menyekat mereka juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka yang tidak belajar itu kerana kesalahan menyekat mereka daripada belajar. Memang ada guru agama yang memberitahu anak murid tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an disebabkan bermacam alasan seperti: akan menyebabkan kekeliruan, mereka tidak cukup ilmu untuk faham tafsir, tidak wajib belajar tafsir malah macam-macam lagi alasan. Kalau sepuluh orang yang kita sekat, maka gandaan dosa kepada kita adalah sepuluh juga. Begitu juga orang yang menyebar, akan mendapat pahala orang yang mengikut saranan mereka itu juga. Oleh sebab itu, kita galakkan manusia untuk belajar tafsir.

Kenapakah mereka diingatkan supaya jangan menjadi yang pertama sekali ingkar? Bukankah yang pertama ingkar kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah kaum Quraish? Yang dimaksudkan pertama-tama adalah: janganlah mereka yang berada di hadapan sekali yang ingkar. Mereka sebagai kaum yang telah menerima agama sebelum ini, sepatutnya telah tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah ajaran agama yang benar. Kalau Quraish ingkar, kita boleh faham juga kerana mereka tidak pernah menerima agama dari langit, tidak pernah ada kitab wahyu. Sudah lama Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meninggalkan mereka, maka mereka sudah jauh daripada agama. Akan tetapi bagi Yahudi, mereka sepatutnya masih lagi memegang pegangan agama. Sepatutnya mereka nampak yang ajaran yang Nabi Muhammad ﷺ bawakan ini adalah ajaran yang benar.

Ternyata ini adalah perangai buruk orang Yahudi terutama sekali ahli agama mereka. Mereka ingkar dengan Al-Qur’an dan tidak membenarkan pengikut mereka belajar Al-Qur’an. Oleh itu, seandainya ada guru agama yang berbuat begitu, maka guru agama itu sama sahaja perangainya dengan Pendeta Yahudi. Dia sahaja yang tidak perasan, kerana dia sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan tidak tahu pun yang Al-Qur’an sedang menceritakan tentang dirinya. Namun malangnya kita lihat ada para ustaz di negara ini yang menghalang kepada pembelajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Sedangkan mereka itu sepatutnya tahu yang kita kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Hasilnya pengikut mereka pun ikutlah kata-kata para ustaz itu.

وَلَا تَشْتَرُوا بِئآيَٰتِي

Dan jangan kamu jual ayat-ayat Kami

Golongan Yahudi itu telah menipu pengikut mereka dengan mengajar ajaran yang salah. Kitab Taurat mereka sorok supaya senang mereka menipu pengikut mereka. Dengan ajaran yang salah, mereka ambil pula upah daripada masyarakat mereka.

Maka ini peringatan kepada orang kita juga. Jangan kamu tukar agama dengan menolak ayat Al-Qur’an untuk upah dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’. Ada yang tukar ayat Al-Qur’an dengan habuan kebendaan atau pengaruh. Mereka hanya fikirkan periuk nasi dan perut mereka sahaja.

Mereka takut kedudukan mereka jatuh dan makan minum mereka tergendala dan pengaruh dalam masyarakat akan hilang. Mereka takut masyarakat sudah tidak hormatkan mereka lagi walaupun mereka tahu yang wahyu Nabi ﷺ bawa itu adalah benar.

 

ثَمَنًا قَلِيلًا

(dengan) upah yang sedikit;

Kalimah ثَمَنًا daripada kata dasar: ث م ن yang bermaksud nilai, harga, 1 bahagian daripada 8 (1/8), lapan, lapan belas, lapan puluh. Maknanya, jangan tukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan upah yang sedikit. Ayat ini tidak menyebut apakah harga sedikit yang mereka tukar itu. Namun kita boleh faham bahawa ia adalah upah-upah yang mereka dapat.

Contohnya untuk zaman sekarang, ada yang mengambil upah untuk mengajar ayat-ayat Al-Qur’an. Ada juga ramai yang mengambil upah untuk membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang ambil upah membaca Al-Qur’an di kuburan selepas orang mati. Selain itu ada yang ambil upah menjadi imam Solat Terawih semasa bulan Ramadhan sampai ada kisah berebutkan tempat kerana ada tempat membayar lebih dari tempat lain. Ada pula yang mengambil upah mengajar bacaan tajwid di atas kapal terbang yang tentunya harga amat mahal.

image

Allah ‎ﷻ membuka rahsia orang Yahudi melalui ayat ini. Mereka sebenarnya telah tahu tentang kedatangan dan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka telah sorok kebenaran itu. Mereka takut mereka hilang kedudukan dalam masyarakat. Waktu itu mereka ada kedudukan yang menyebabkan mereka boleh monopoli agama. Apa-apa sahaja yang mereka kata, akan diterima oleh anak murid dan pengikut mereka kerana mereka menjadi sumber rujukan masyarakat. Mereka mendapat upah daripada ilmu yang mereka ada itu. Mereka takut kalau kebenaran diketahui, mereka tidak dipandang masayarakat lagi kerana nanti masyarakat akan tahu bahawa apa yang mereka ajar selama hari ini adalah salah.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa akan ada sahaja manusia yang memakai topeng agama memutar belitkan agama supaya kedudukan mereka terpelihara. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran supaya mereka masih lagi dipandang tinggi oleh masyarakat dan mereka boleh cari makan dengan agama.

Mereka akan hanya menceritakan kepada manusia perkara-perkara yang menyedapkan hati manusia sahaja. Mereka tidak mengingatkan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan masyarakat kerana takut kalau mereka cerita, masyarakat tidak sanggup untuk mendengarnya dan masyarakat tidak datang kepada mereka lagi. Apabila masyarakat sudah tidak mencari mereka, maka mereka akan hilang punca pendapatan.

Contohnya, masyarakat sudah tidak panggil mereka lagi untuk beri kuliah agama, mereka tidak dipanggil lagi untuk membaca doa selamat, masyarakat tidak panggil mereka lagi untuk menjadi ketua bacaan tahlil dalam Majlis Tahlil dan bermacam-macam lagi kerana itu semua adalah punca pendapatan mereka. Tidakkah mereka sedar yang mereka sedang menjual agama sebenarnya?

Mereka menjual itu pula dengan harga yang sedikit. Di sini tidak disebut apa yang mereka dapat. Berapa banyak yang dikira sedikit itu? Tidak kira berapa banyak walaupun harta sepenuh bumi kerana ia tetap sedikit kerana apa sahaja upah yang mereka dapat itu adalah terlalu murah jika dibandingkan dengan nilai agama yang besar. Kita hairan kenapa mereka sanggup buat begitu. Semoga kita diselamatkan daripada orang-orang yang sebegitu. Mereka ini menjadikan agama sebagai komoditi yang boleh dijual beli.

Hasilnya, masyarakat tidak tahu bahawa apa yang mereka faham dan amalkan adalah salah, dan mereka terus bergelumang di dalam kesalahan itu. Mereka sangka mereka sudah benar, sebab guru mereka tidak menegur pun apa yang mereka lakukan itu.

Oleh kerana itu, lebih baik tidak mengambil upah mengajar kerana apabila kita tidak bergantung kepada bayaran anak murid, kita boleh menegur tentang semua perkara. Seandainya mereka tidak mahu panggil untuk mengajar lagi, maka kita pun tidak rugi apa-apa dari segi kewangan. Ingatlah bahawa tujuan kita hendak menyampaikan kebenaran dan mana yang perlu ditegur, kita tegur.

Namun memang kebiasaan manusia, tidak suka ditegur walaupun mereka salah. Hakikatnya, mereka itu manja, hanya mahu dipujuk-pujuk, dipuji-puji sahaja. Bila ditegur sedikit, mulalah hendak menjuihkan mulut mereka itu. Maka tidak tahulah siapa yang boleh menegur mereka, kena tunggu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun agaknya baru hendak mendengar kata. Maka ini adalah sifat kedua Yahudi, iaitu mereka menjual ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Ramai juga guru agama yang membuat kerja ini.

Memang banyak orang yang jual agama ini peroleh keuntungan dari segi kewangan. Selalunya tok guru, tok syeikh, golongan Habib, boleh hidup kaya raya dengan hanya mengajar ajaran salah kepada masyarakat. Memang ramai masyarakat yang bodoh akan salurkan bayaran kepada puak-puak sesat ini. Namun begitu sedarlah, bahawa sebanyak mana pun habuan yang mereka dapat, itu semua adalah terlalu sedikit nilainya. Ini kerana dunia ini tidak ada nilai sebenarnya. Ini seperti banyak disebut di dalam wahyu, antaranya,

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَتْ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ
Daripada [Sahl bin Sa’ad] dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Seandainya dunia itu di sisi Allah sebanding dengan sayap nyamuk tentu Allah tidak mahu memberi orang orang kafir walaupun hanya seteguk air.”
(Jami’ Tirmidzi (2242))
Status: Sahih

Di dalam hadith yang lain,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوقِ دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ ثُمَّ قَالَ أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ فَقَالُوا مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ قَالَ أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ قَالُوا وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لِأَنَّهُ أَسَكُّ فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ فَقَالَ فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ
Daripada [Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], Rasulullah ﷺ melintas masuk ke pasar selepas pergi dari tempat-tempat tinggi sementara orang-orang berada di sisi baginda. Baginda melintasi bangkai anak kambing dengan telinga melekat, baginda mengangkat telinganya lalu bersabda: “Siapa diantara kalian yang mahu membeli ini seharga satu dirham?” Mereka menjawab: Kami tidak mahu memilikinya, untuk apa? Baginda bersabda: “Apa kalian mahu (bangkai) ini milik kalian?” Mereka menjawab: Demi Allah, andai masih hidup pun ada cacatnya kerana telinganya menempel, lalu bagaimana halnya dalam keadaan sudah mati? Baginda bersabda: “Demi Allah, dunia lebih hina bagi Allah melebihi (bangkai) ini bagi kalian.”
(Sahih Muslim (5257))

Ramai yang tertipu dengan dunia ini kerana gemerlapannya dan indahnya pada mata manusia. Maka kerana itulah Al-Qur’an berulang-ulang kali menyebut tentang hakikat dunia ini supaya manusia sedar dan tidak terkejar-kejar akan dunia sampai mengabaikan akhirat. Sebagai contoh Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 77

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa

Ini menimbulkan satu persoalan yang agak besar: bolehkah mengambil upah mengajar Al-Qur’an atau mengajar agama? Ulama’ khilaf tentang hal ini. Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad dan lain-lain رحمهم الله mengatakan boleh. Sedangkan Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan tidak boleh mengambil upah mengajar agama dan menjadikan pengajian sebagai sumber pendapatan. Untuk zaman dahulu, guru agama dibayar daripada wang BaitulMal, maka ini tidak ada masalah. Ini sama seperti guru-guru Kafa, guru yang mengajar di sekolah, universiti dan sebagainya yang ada pendapatan tetap. Namun bagaimana kalau mereka tidak dilantik dan kerja mereka memang hanya mengajar sahaja? Maka ulama’ dalam kalangan mazhab Hanafi pun telah menukar fatwa membolehkan guru agama mengambil upah. Ini kerana mereka kata kerajaan pun sudah tidak mengambil peduli sangat tentang pengajian agama dan guru yang mengajar, maka sebab itu dibolehkan mengambil upah dan tetapkan bayaran. Jikalau bukan mereka mengajar, siapa lagi?

Akan tetapi jikalau kita boleh keluar daripada khilaf dan tidak bergantung kepada bayaran daripada pelajar, ini adalah yang terbaik kerana terdapat banyak ayat dan hadith yang melarang mengambil upah. Ia juga dapat menjaga hati guru itu daripada tidak ikhlas dalam mengajar.

 

وَإِيَّٰيَ فَاتَّقُونِ

Dan hanya kepadaKu sahajalah kamu bertaqwa;

Mereka diajak takut kepada Allah ‎ﷻ. Hendaklah takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan hiraukan kata-kata dan ancaman manusia. Ini penting kerana ada yang takut dengan manusia lain, sampaikan tidak berani untuk menyampaikan ajaran daripada ayat-ayat Al-Qur’an.

Hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ dengan menjaga hukum yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita. Kepada Allah ﷻ sahaja hendaknya kamu takut. ‘Takut’ di sini maksudnya dengan melakukan amalan yang benar. Oleh kerana itu kita mesti ikut Nabi Muhammad ﷺ.

Taqwa adalah takut kepada ‘kesan’ daripada perbuatan kita. Oleh itu, orang yang ada taqwa, mereka akan menjaga perbuatan mereka kerana mereka takut segala perbuatan mereka itu akan dibalas di akhirat nanti. Mereka akan takut untuk membuat amalan dan perbuatan yang salah dan berdosa. Maka, mereka akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam perbuatan mereka. Beginilah yang kita patut lakukan. Perasaan takut itu hendaklah diikuti dengan menjadi orang bertaqwa. Bukannya setakat takut dan menggigil sahaja tetapi tidak berbuat apa-apa. Itu takut orang yang gila sahaja. Ternyata ini adalah jenis takut yang kedua. Ini berbeza dengan takut yang mula-mula telah disampaikan sebelum ini iaitu ارهب.


 

Baqarah Ayat 42: Ini adalah sifat ketiga Pendeta Yahudi. Sifat pertama adalah menyekat pengikut mereka daripada berjumpa dengan Nabi ﷺ. Yang kedua, mereka mengambil peluang dengan menjual agama. Oleh itu, ayat ini adalah peringatan khusus kepada pendeta atau ahli agama Yahudi itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ keluarkan lagi rahsia kejahatan Yahudi. Orang Islam yang berperangai Yahudi pun macam inilah sifat mereka. Segala perkara yang Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an, ada dalam kalangan manusia kerana Al-Qur’an ini adalah panduan sampai Kiamat. Perbuatan ini memang akan berterusan dilakukan oleh orang agama.

Yang pertama kita kena lakukan adalah periksa diri kita dengan sifat-sifat Yahudi itu. Kita periksa sama ada kita ada sifat-sifat itu dan apabila sampaikan kepada orang lain, orang lain itu pun akan periksa dirinya sendiri pula.

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not mix the truth with falsehood or conceal the truth while you know [it].

Malay

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

 

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Jangan kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil;

Ini adalah larangan Allah ﷻ supaya jangan mencampurkan yang benar dengan yang salah. Kalimah تَلْبِسُوا daripada kata dasar: ل ب س yang bermaksud memakai pakaian, menutup tubuh, menutup, sesuatu yang dipakai pada tubuh, keliru, menjadikan sesuatu samar-samar, menyibukkan diri dengan sesuatu, melibatkan diri dengan sesuatu, mencampurkan sesuatu. Di sini Allah ﷻ menegur golongan Yahudi: “Yang mudah-mudah kamu amal, tetapi yang lainnya kamu tukar. Kamu ganti dengan amalan yang kamu reka sendiri – itulah yang batil.”

Kalimah الْبٰطِلِ adalah daripada kata dasar: ب ط ل yang bermaksud palsu, tidak benar, salah, rekaan sahaja, tiada asas, tidak berharga, sia-sia, tidak menguntungkan, tiada kebaikan padanya, tidak diterima, berani dalam peperangan, mengejar sesuatu yang tidak bernilai. Ia adalah lawan kepada الحق. Amalan mereka ada yang diambil daripada Taurat, tetapi ada yang mereka reka sendiri. Maknanya, bukanlah mereka tolak semua sekali Taurat itu.

Allah ﷻ menegur kebiasaan mereka memasukkan kebatilan ke dalam kitab Taurat itu. Ada yang benar mereka sampaikan dan ada juga yang tidak benar kerana ia adalah rekaan mereka sahaja. Inilah yang menjadi sangat bahaya kerana bukan semua yang disampaikan itu tidak benar. Ada juga yang benar tetapi diselitkan dengan perkara batil. Akibatnya, orang yang tidak mahir boleh tertipu kerana mereka tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Amalan rekaan sebegini masih berterusan dilakukan oleh ahli agama termasuklah dalam kalangan kita. Contohnya amalan masyarakat kita dalam upacara tahnik (‘belah mulut’ bayi yang baru lahir). Memasukkan kurma atau buah yang manis ke dalam mulut bayi (ke bahagian langit-langit). Amalan ini asalnya memang sunnah dilakukan. Apa yang Nabi ﷺ ajar adalah menggunakan buah kurma. Namun begitu, orang kita memang amat pandai memvariasikannya pula. Sejak turun temurun orang kita banyak menggunakan makanan atau objek-objek lain kemudian ditambah dengan rekaan kelebihan-kelebihan tertentu (yang mengarut) bagi setiap objek itu. Contohnya digunakan gula batu dengan harapan supaya bayi itu kononnya nanti ‘manis mulut’nya. Mereka kata kalau bayi perempuan, supaya anak itu nanti mudah mendapat suami, manakala kalau anak lelaki, senang untuk dapat kerja. Ini adalah perbuatan yang syirik dan khurafat kerana mereka percaya bahawa akan dapat kelebihan-kelebihan itu sekiranya dibuat begitu. Ada juga yang menggunakan garam bukit supaya mulut budak itu ‘masin’ mulutnya. Diharapkan agar anak itu apabila besar nanti akan menjadi tok guru, tok wali dan sebagainya. Padahal, untuk menjadi guru kenalah belajar Al-Qur’an dan Hadith. Itulah di antara pelbagai amalan yang digunakan oleh masyarakat kita. Ada yang menggunakan asam keping, ada pula yang menggunakan cincin emas, cincin perak dan sebagainya lagi.

Lebih menyedihkan lagi, terdapat juga amalan bacaan rekaan pula ditambah oleh ‘golongan agama’ ini. Mereka terdiri daripada golongan terkenal, disebarkan pula amalan bacaan langkah demi langkah seperti dibaca Surah Fatihah, diikuti ayat kursi, kemudian selawat syifa’ dan kamilah seterusnya 3 Qul dan terakhir ayat 33-37 Surah Ali Imran pula. Begitu panjang sekali bacaan yang perlu dilakukan pula sedangkan jika mengikut amalan Sunnah yang sebenar seperti diajar oleh baginda Nabi ﷺ begitu ringkas dan mudah sahaja. Disebabkan golongan ini amalan sunnah menjadi susah dan punah!

Amalan tahnik sepatutnya mudah dan ringkas sahaja

Inilah yang dinamakan ‘mencampurkan yang benar dengan yang salah’. Melakukan tahnik itu sudah betul, tetapi dicampur pula dengan perbuatan serta amalan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis, iaitu mencampurkan yang benar dengan yang salah. Bila kita tegur, mereka pandai pula kata: “Eh kan tahnik Nabi ada buat?” Ya, benar, memang Nabi ﷺ buat tetapi bukan seperti cara yang kamu buat!

Satu lagi contoh: mengadakan kenduri dengan memberi orang makan di rumah kita adalah perbuatan yang amat digalakkan dalam Islam. Akan tetapi mengadakan upacara bid’ah dalam kenduri arwah seperti bacaan Doa Selamat dan Majlis Tahlil adalah salah sama sekali. Hasilnya kenduri yang diadakan itu dikira mencampur adukkan yang benar dengan yang salah. Ya, memang berdoa itu dianjurkan dalam Islam (haq) akan tetapi tidak ada amalan berdoa beramai-ramai dengan lafaz-lafaz tertentu (batil). Maka amalan itu bid’ah yang campur aduk antara yang haq dan yang batil.

Dalam pengajaran pula, ada yang menyelitkan benda yang salah dalam ajaran mereka. Yang ratanya bukan datangnya daripada agama Islam, tetapi daripada pendapat-pendapat manusia, kitab dan sebagainya. Mereka memang ada menceritakan kebenaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi ada juga yang mereka selitkan yang bukan daripada Islam. Ini pun dipanggil mencampur adukkan haq dan batil. Masyarakat kita ramainya terkeliru dengan perkara sebegini. Ini kerana ustaz yang menyampaikannya kelihatan bukannya suruh melakukan perkara jahat pun, tetapi mereka suruh buat perkara yang nampak baik. Namun dek kerana tidak mahir, mereka keliru menyangkakan ia adalah baik.

Apabila Allah ﷻ kata jangan campur adukkan haq dan bathil, kena tahulah mana yang haq dan mana yang batil. Jangan jadi seperti sebahagian besar daripada masyarakat kita yang langsung tidak dapat membezakannya. Asal ia keluar daripada mulut penceramah, mereka sangka ia adalah kebenaran. Begitulah semenjak dahulu lagi, bukan semua yang keluar daripada mulut ahli agama itu benar; kita sendiri hendaklah bijak menapisnya. Sebagaimana ahli agama Yahudi itu mencampuradukkan yang benar dan salah, begitulah juga dengan ahli-ahli agama kita. Oleh itu, kita mestilah belajar dan berdoa kepada Allah ﷻ supaya tunjukkan yang mana benar kepada kita. Ada sebuah doa yang bagus,

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang daripada kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Maka, bagaimanakah kita boleh tahu sesuatu itu adalah haq? Iaitu dengan memastikan ia datang daripada Allah ﷻ, sama ada daripada Al-Qur’an atau daripada Hadith Nabi yang sahih. Ini kerana Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

 

وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ

dan kamu sembunyikan yang benar

Golongan agamawan Yahudi itu telah menyembunyikan yang haq itu daripada diajar kepada manusia. Mereka sembunyikan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ, bahawa Nabi ﷺ itu benar-benar seorang Nabi lagi Rasul. Mereka tahu sifat-sifat yang ada pada Rasulullah ﷺ itu adalah sifat seorang Rasul tetapi mereka kata baginda adalah Nabi palsu, bukan Nabi yang dijanjikan. Mereka kata dalam kitab mereka disebut tentang Nabi-nabi palsu dan Muhammad ﷺ itu palsu!

Sedangkan mereka tahu apa yang mereka telah sembunyikan, iaitu apabila mengajar Taurat, apabila sampai kepada yang syariat yang payah, mereka tafsir dengan tafsir yang mereka buat sendiri. Mereka tidak mengubah matan teks Taurat itu, tetapi apa yang mereka syarah itu yang mereka reka sendiri. Mereka campur adukkan yang benar dengan yang salah.

Perkara inilah yang terjadi kepada ulama-ulama Su’ (ulama-ulama jahat). Mereka tidak menukar matan Al-Qur’an, tetapi mereka takwil dan tafsir dengan makna yang lain. Sedangkan maknanya bercanggah dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka buat mengikut apa yang mereka kehendaki. Mereka sembunyikan yang benar dan perbuatan ini adalah amat jahat sekali.

Anak murid pula memang takut untuk menegur tok guru. Apa sahaja yang guru beritahu, mereka sangka ia adalah benar belaka, maka mereka akan terima sahaja. Itulah dikatakan yang ulama: العوام كالأنعام (orang awam macam binatang ternak). Maknanya mereka akan ikut sahaja apa yang dikatakan oleh agamawan.

Ternyata perbuatan sebegini amat bahaya sekali kerana kalau guru itu salah, bagaimana? Asalnya kesalahan yang dilakukan oleh guru agama sahaja, tetapi apabila dipanjangkan oleh pengikut yang jahil, maka ia menjadi berleluasa. Sampai sekarang ada masjid yang memberikan amaran kepada ustaz (oleh AJK Masjid) supaya jangan sembang tentang perkara ini dan itu. Contohnya tentang bid’ah, jangan disentuh. Maknanya AJK itu suruh sembunyikan kebenaran. Disuruh ajar perkara-perkara yang tidak menimbulkan kontroversi sahaja. Kalau ajar juga, alamatnya pendeklah masa ustaz itu di masjid itu kerana tidak akan dijemput lagi.

Ini semua adalah bisikan daripada syaitan. Apabila tidak dibenarkan untuk memberitahu yang benar, maka lama kelamaan memang masyarakat akan terus berada di dalam kejahilan. Mereka yang berkata begitu dan ustaz yang mengikut sahaja cakap AJK Masjid itu tidak sedar yang mereka itu sendiri sudah memiliki perangai Yahudi. Ini teruk sekali kerana kita pun tahu yang Yahudi dilaknat Allah ‎ﷻ maka takkan kita pun mahu dilaknat juga?

Hakikatnya amatlah salah sekali sekiranya seorang ahli agama itu menyembunyikan kebenaran kerana ia mengakibatkan manusia melakukan kesalahan yang besar dalam agama. Malah orang yang menyembunyikan kebenaran akan dilaknat oleh Allah ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah: 159

إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّنٰتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّٰهُ لِلنّاسِ فِي الكِتٰبِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّٰعِنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Lagi satu cara menyembunyikan kebenaran adalah dengan tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat di depan mata. Atau apabila ditanya oleh masyarakat: ‘Boleh tak buat begini, ustaz?’ Entah berapa ramai ahli agama kita buat senyap sahaja apabila terdapat kesalahan diamalkan oleh masyarakat. Mereka takut untuk menegur kerana takut dihina, takut hilang punca pendapatan mereka, takut masyarakat memandang serong kepada mereka. Kalau ditanya boleh atau tidak sesuatu amalan itu dibuat (sedangkan ia adalah amalan salah atau bid’ah), berpusing mereka menjawab kerana seolah-olah takut benar untuk mengeluarkan kata-kata: ‘Itu adalah bid’ah, jangan buat!’ Maka mereka mendapat laknat daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat ini.

Dek kerana takut dilaknat Allah ﷻ lah kita sampaikan juga kajian tafsir Al-Qur’an ini. Biarlah manusia marah dan melaknat kita kerana menegur kesalahan yang mereka lakukan, asalkan tidak dilaknat oleh Allah ﷻ. Tidak menjadi kudis pun laknat daripada manusia itu, tidak ada nilai langsung, bagaikan kata-kata omongan budak-budak sahaja kita dengar dan baca. Buat pekak sahajalah kata-kata mereka itu. Janganlah terlalu takut sampai menjadi pondan pula. Yang sebenarnya kita kena takut sangat adalah laknat Allah ﷻ, bukannya manusia. Manusia yang jahil bukan tahu apa-apa maka kitalah yang kena beritahu mereka.

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Mereka tahu yang mereka telah menyembunyikan yang benar; Pendeta Yahudi itu tahu yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Mereka ini bukannya kufur jahil tetapi kufur degil (tahu kebenaran tetapi tidak ikut). Akibatnya, kesalahan mereka ini menjadi semakin besar kerana mereka itu tahu tetapi sembunyikan. Perbuatan ini sama sahaja seperti ustaz-ustaz kita yang tahu mana-mana amalan syirik dan bid’ah yang diamalkan masyarakat kerana mereka telah belajar agama. Akan tetapi mereka sanggup menyembunyikannya. Para ustaz itu tidak menegur pun masyarakat yang membuat kesalahan dalam amalan bid’ah dan syirik itu.

Sebagai contoh, tok guru itu sebenarnya tahu yang sebetulnya tahnik itu menggunakan buah kurma sahaja tetapi dia membiarkan sahaja orang berbuat bermacam-macam lagi perkara tambahan. Kenapa dia tidak menegur mereka? Sebab dia hanya mahukan upah kalau mereka melakukan upacara tahnik itu. Kalau mereka tegur, mereka takut nanti masyarakat sudah tidak memanggil mereka menjadi ketua acara majlis itu lagi. Jelaslah, sekiranya ada tok guru yang melakukan perbuatan sebegini, maknanya mereka tidak ubah sama sahaja seperti Pendeta Yahudi. Mereka mempunyai sifat-sifat Pendeta Yahudi.

Ada juga guru ugama yang apabila mengajar tentang agama, mereka tidak menceritakan sepenuhnya tentang kesalahan-kesalahan masyarakat. Takut nanti ada yang terasa hati. Mereka lebih hendak menjaga hati manusia daripada kehendak Allah ﷻ. Seolah-olah mereka lebih takutkan manusia daripada takut dengan Allah ﷻ?

Ataupun ada yang tidak membacakan dalil-dalil wahyu tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh golongan Ahli Kitab sebab mereka hendak menunjukkan kononnya Islam itu liberal – agama Islam sama sahaja dengan agama lain yang mementingkan kebaikan. Maksudnya, semuanya ‘boleh buat belaka’. Mereka takut kalau dibacakan ayat-ayat itu, takut orang bukan Islam nampak Islam ini hanya hendak menyalahkan orang lain sahaja. Padahal ayat-ayat itu ada dalam Al-Qur’an. Kalau mereka tidak menceritakannya, itu menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Manusia sebegini adalah jenis yang takut dengan orang kafir. Mereka terlebih takut orang lain terasa hati dengan agama Islam pula.

Sebaliknya, ada pula golongan ekstrim yang membenci sangat kepada orang bukan Islam sampai mereka hanya menekankan ayat-ayat memerangi orang kafir sahaja. Mereka tidak baca pula ayat-ayat yang menekankan keamanan dan berbaik dengan orang-orang bukan Islam. Ini adalah akibat daripada perasaan benci terhadap orang bukan Islam.

Dalam Islam, tidak boleh memiliki kedua-dua perasaan itu. Tidak boleh ada perbuatan dan ajaran kita didorong oleh takut dan marah. Kita mesti bersikap jujur dengan Al-Qur’an. Jangan kita sembunyikan ayat-ayat Al-Qur’an. Sekiranya diajar dengan betul, tidak ada apa yang hendak kita takutkan untuk sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an ini. Semua ayat Al-Qur’an adalah berguna dan sangat penting perlu disampaikan kepada seluruh manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 3 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah