Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 8 – 11 (Menyesal tidak bersedekah)

Munafiqoon Ayat 8: Ini adalah sambungan daripada kata-kata kempen (hasutan) Abdullah bin Ubay kepada pengikutnya dalam kalangan munafiqin.

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They say, “If we return to al-Madīnah, the more honored [for power] will surely expel therefrom the more humble.” And to Allāh belongs [all] honor, and to His Messenger, and to the believers, but the hypocrites do not know.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

 

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ

Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah,

Sebelum ini Abdullah bin Ubay telah kempen kepada para pengikutnya, jangan lagi beri pertolongan kepada golongan Muhajirin. Sekarang dia sambung lagi, apabila mereka sampai di Madinah nanti, ada perkara yang mereka perlu lakukan. Apakah rancangannya itu?

 

لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ

benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya”.

Dia kata: ‘golongan yang mulia’ akan menghalau ‘golongan yang lemah’. Yang dimaksudkan adalah: orang-orang Madinah akan menghalau golongan Muhajirin. Dia kata mereka yang lebih mulia daripada golongan ‘pendatang’ itu (Muhajirin) kerana dia rasa mereka yang selama ini memberi bantuan kepada golongan muhajirin itu. 

Dia sedang kempen kepada pengikutnya secara khusus dan golongan Ansar secara umum, supaya jangan dibantu lagi golongan Muhajirin dan nanti mereka akan buat perancangan untuk menghalau golongan pendatang itu keluar dari Madinah. Ini kerana mereka menganggap golongan Muhajirin itu lemah, rendah dan hina berbanding dengan mereka.

Akan tetapi bukankah Rasulullah ﷺ juga termasuk Muhajirin? Maka, sebenarnya mereka merendahkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ! Disebabkan perkara inilah yang menyebabkan Zaid bin al-Arqam رضي الله عنه telah melaporkan kata-katanya itu kepada Rasulullah ﷺ; kerana Abdullah telah menghina baginda!

Golongan munafik yang berasal dari Madinah ini memang membenci golongan Muhajirin. Ini kerana di dalam Surah Mujaadilah sebelum ini, golongan Muhajirin itu yang lebih banyak dipuji oleh Allah ‎ﷻ.

Selain itu harta fai pula diberikan kepada golongan Muhajirin, maka tentulah mereka marah sungguh kepada golongan Muhajirin. Mereka berasa golongan Muhajirin itu menyusahkan mereka sahaja dan mereka tidak mendapat untung pun jika menolong golongan Muhajirin itu selama ini.

Maka, ini adalah sifat nifak ke 12: Mereka merasakan diri mereka lebih baik dan memandang rendah terhadap orang lain.

 

وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ

Padahal kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, 

Golongan munafik mengatakan golongan mereka yang lebih mulia daripada golongan Muhajirin itu. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang kemuliaan sebenarnya milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah punca kemuliaan.

Rasulullah ﷺ pula mulia kerana kedudukannya sebagai Utusan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ menganugerahkan kemuliaan kepada golongan mukmin kerana iman mereka.

Maka, orang munafik tidak ada bahagian dalam kemuliaan itu kerana mereka tidak beriman. Mereka sebenarnya yang ada masalah, bukannya golongan Muhajirin itu.

 

وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

Namun begitu orang munafik tidak tahu perkara ini kerana mereka jauh daripada wahyu dan jauh daripada agama. Cara mereka melihat ‘kemuliaan’ itu hanya dari sudut keduniaan sahaja. Oleh kerana itu mereka telah tersalah sangka.

Dalam ayat 7 sebelum ini, digunakan kalimah لَا يَفْقَهُونَ (tidak memahami) akan tetapi dalam ayat ini digunakan kalimah  لَا يَعْلَمُونَ (tidak mengetahui); maka, apakah bezanya? Dalam ayat 7 itu, ia tentang khazanah Allah ‎ﷻ, iaitu pemberi rezeki. Jika tidak faham tentang hal ini, maka ia menjadi satu salah faham yang besar. Akan tetapi, untuk bab kedudukan, sesiapa sahaja boleh mendapatnya atau tidak kedudukan itu. Cuma mereka tidak tahu sahaja, iaitu tidak tahu yang mereka tidak ada kedudukan. Mereka sangka mereka mulia, sedangkan tidak.

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


AJAKAN BERIMAN DAN MENDERMA

Munafiqoon  Ayat 9: Ayat 7 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita yang penyakit nifak boleh dirawat dengan zikrullah dan infak. Ini adalah bertepatan dengan tema utama surah ini iaitu tentang infak. Allah ‎ﷻ juga memberi peringatan tentang bahaya harta dan anak-anak.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, let not your wealth and your children divert you from the remembrance of Allāh. And whoever does that – then those are the losers.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Walaupun disebutkan ayat ini kepada orang-orang beriman, maka ia juga termasuk golongan munafik juga. Ini adalah kerana mereka juga mengaku yang mereka beriman, bukan?

Maka apabila kalimat ‘wahai orang-orang beriman’ digunakan dalam Al-Qur’an, kenalah dilihat konteks penggunaannya. Dalam ayat ini, ia digunakan secara umum. Diberikan kepada golongan munafik dan juga orang yang benar-benar beriman.

Jikakalau kamu mengaku beriman, maka hendaklah mendengar nasihat daripada Allah ‎ﷻ ini. Jelas di sini ia juga termasuk ayat yang ditujukan kepada kita. Oleh itu, kenalah dengar baik-baik dan sematkan dalam hati kita pelajaran ini.

 

لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ

janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah.

Di dalam Surah Jumaah kita telah diberitahu bahawa Solat Jumaat itu tujuannya adalah untuk mengingati Allah ‎ﷻ dan telah disebut dua perkara yang menghalang manusia iaitu تِجٰرَةً (perniagaan) dan لَهوًا (hiburan). Sekarang dalam surah ini disebut pula tentang harta dan anak-anak.

Jangan jadikan dua perkara itu sebagai penghalang untuk mengingati Allah ‎ﷻ. Maksudnya kita telah lakukan kesalahan yang disebut dalam ayat ini jikalau kita lebih memikirkan tentang harta dan juga anak-anak daripada kita mengingati Allah ‎ﷻ. Sememangnya dua perkara ini memang akan menjadi fokus kita seharian, menyibukkan kita setiap hari dan kerana itulah ia adalah perang dalaman diri kita. 

Sebelum ini kita telah lihat sifat-sifat golongan munafik. Sebenarnya masalah besar mereka adalah tentang harta dan juga anak-anak. Atau dalam ertikata lain: dunia. Mereka melebihkan dunia daripada akhirat. Maka kita sebagai mukmin sejati hendaklah berhati-hati tentang dunia ini supaya jangan kita mengabaikan agama pula. Namun disebut dua perkara utama daripada keduniaan ini iaitu harta dan anak pinak.

‘Zikrullah’ di dalam ayat ini juga bermaksud ‘agama’ yang merangkumi keseluruhan agama itu. Jangan jadikan harta dan anak-anak memesongkan kita daripada agama. Jangan terlalu sibukkan diri dengan harta dan anak-anak sampai lupa agama. Terdapat mufassirin yang mengkhususkan zikrullah itu merujuk kepada solat lima waktu; ada yang kata zakat dan haji; ada juga yang kata ia merujuk kepada Al-Qur’an; Hasan al Basri رحمه الله memberikan pendapat bahawa ia merujuk kepada segala jenis ibadah dan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

Ada kemungkinan kita tidak pernah meninggalkan solat lima waktu namun sebenarnya dalam solat itu, kita sedang mengingati tentang harta dan juga ahli keluarga kita lebih daripada kita ingat kepada Allah ‎ﷻ. Memang perbuatan kita dalam keadaan menunaikan solat akan tetapi kita tidak fokus kepada Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Tidakkah begitu? Ini kena tanya diri sendiri. 

Kita tidak nafikan yang perkara ini memang susah untuk dijaga kerana apabila kita semakin dewasa dan sudah mempunyai keluarga sendiri, kerjaya sendiri, dan dalam masa yang sama anak kita sedang membesar (tentulah memerlukan perhatian kita juga), dan kita pula dalam kedudukan yang bertanggungjawab untuk membesarkan mereka. Selain itu, kita mungkin juga sudah mempunyai syarikat sendiri dan semestinya bertanggungjawab untuk pekerja bawahan kita pula, maka banyak sangat perkara yang kita perlu fikirkan.

Ini juga termasuk perkara hal keduniaan yang lain seperti seperti memikirkan gaji bulanan kepada pekerja, bayaran sekolah untuk anak-anak, makan pakai mereka, mahu pergi bercuti di mana tahun itu, bagaimana hendak beli kereta, bila hendak beli kereta besar lagi, dan memang macam-macam perkara yang bermain dalam fikiran kita, bukan? 

Perkara-perkara seperti jual beli, anak-anak, perniagaan dan hiburan itu senang untuk diingati kerana ia sentiasa berada di hadapan mata kita. Akan tetapi Allah‎ ﷻ tidak ada di hadapan kita maka kita kena lebih berusaha untuk mengingati Allah ‎ﷻ dan inilah ujian yang kita kena hadapi. 

Sememangnya harta adalah perkara paling senang untuk melekakan serta menyibukkan diri kita. Sebab itulah bagi orang kaya, dugaan untuk mereka amat tinggi kerana mereka mudah terpesong disebabkan harta yang banyak dan ‘langkah’ mereka pun banyak. Banyak nikmat keduniaan yang mereka mampu lakukan sehingga boleh membuatkan mereka lupakan tanggungjawab agama. Bila harta dan duit banyak, mulalah sibuk hendak beli itu dan ini, pergi ke sana dan sini. Malah yang lebih malang lagi, jika ada duit banyak, maka maksiat pun semakin senang untuk dilakukan. Bagi yang miskin, semua perkara itu agak terbatas untuk mereka.

Selain daripada itu, sememangnya keluarga kita adalah satu perkara yang boleh menyebabkan kita terlupa dengan kerja-kerja kita di dalam agama kerana mereka rapat sangat dengan kita dan sudah tentu kita ingin meluangkan masa dengan mereka, bukan? Maka, janganlah biarkan mereka melekakan kita.

Bukanlah kita kata kita kena tinggalkan harta dan anak-anak pula… jangan salah faham. Malangnya terdapat kumpulan agama yang menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk memastikan ahli-ahli di dalam jama’ah mereka meninggalkan keluarga-keluarga mereka supaya mereka hanya meluangkan masa di dalam jama’ah sahaja. Mereka kata jikalau meluangkan masa dengan jama’ah, maka Allah‎ ﷻ yang akan menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu risau tentang penjagaan anak-anak itu. Pendapat sebegini tidak boleh diterima.

Memang kita tidak boleh menjadikan anak-anak sebagai pemesong kita daripada Allah ‎ﷻ, tetapi kita kena ingat yang kita juga ada keluarga dan kita ada tanggungjawab kepada mereka. Tidak boleh sesekali melupakan tanggungjawab penting seperti memberikan ilmu agama kepada mereka, sediakan makan pakai mereka, luangkan masa berkualiti dengan mereka dan sebagainya. Ini juga penting kerana jikalau kita tidak ada, siapakah yang akan berikan ilmu itu dan keperluan hidup kepada mereka? 

Tidakkah kita tahu bahawa masalah terbesar di dalam masyarakat kita adalah keluarga yang tidak terjaga? Berapa ramai ibu bapa yang tahu ‘buat anak’ sahaja, tetapi tidak pandai menjaga anaknya dan dibiarkan berpeleseran? Mereka dibiarkan tanpa didikan terutamanya didikan agama. Jangan lupa yang mereka itu juga adalah tanggungjawab kita yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Oleh sebab itu, jangan abaikan tanggungjawab kita seperti yang dilakukan oleh segelintir mereka ini. Kita marah kepada ibubapa sebegitu dan kita kasihan melihat anak-anak mereka terbiar tanpa penjagaan dan didikan. Maka, bagaimana pula jikalau seseorang yang kononnya di dalam jama’ah agama tetapi meninggalkan keluarganya begitu sahaja tanpa dijaga? Bukankah sama sahaja golongan itu dengan golongan yang membiarkan keluarga mereka tanpa didikan? 

Bagaimana kita boleh hendak berdakwah kepada orang lain tetapi keluarga kita sendiri terbiar dalam kejahilan? Orang pun tidak teringin untuk mengikuti cara hidup kita jika keluarga kita pun tunggang langgang. Dakwah yang kita cuba sampaikan pun tidak akan masuk ke dalam hati mereka jika kita sendiri tidak terurus.

Maka, kita mesti pandai mencari jalan tengah di antara kerja-kerja dakwah dan agama dan juga meluangkan masa dengan keluarga kita. Agama Islam adalah agama wasatiyah yang seimbang antara dunia dan akhirat. Ini memerlukan usaha daripada kita kerana tidak ada satu formula yang tepat untuk melakukannya. Kitalah yang kena fikirkan sendiri kerana keluarga kita dan keluarga orang lain tidak sama. Kena bawa berbincang dengan keluarga sendiri. Kena perhatikan lama-lama dan fikirkan dalam-dalam dan ini bukanlah perkara mudah. Oleh sebab itu, dapatkanlah ilmu, luangkan masa untuk belajar teknik terbaik untuk menguruskan keluarga agar dapat diseimbangkan dengan secara menyeluruh.

Kadangkala ramai ibu bapa yang mementingkan kebendaan dan juga keperluan anak-anaknya dari segi fizikal sahaja. Sampai mereka sanggup untuk meluangkan masa untuk bekerja dengan lama untuk memberikan keperluan fizikal keluarganya itu. Mereka hanya melambakkan kemudahan dan kesenangan fizikal kepada keluarga mereka. Maka mereka bekerja dan bekerja siang dan malam.

Namun malangnya mereka tidak pula meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak mereka sehinggakan anak-anak mereka rasa terbiar kerana tidak cukup perhatian. Kemudian anak-anak mereka mula menjadi liar kerana tiada didikan agama secukupnya sehingga terjejas akhlak dan nilai-nilai murni yang sepatutnya diterapkan ke dalam diri mereka sejak kecil. Mereka memerlukan perhatian dan masa kita, bukanlah hanya duit dan hartabenda semata-mata. Jika kita biarkan mereka tanpa didikan dan kasih sayang secukupnya, lama kelamaan mereka akan memberontak dan boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik nanti.

Maka, semua ibu bapa kena faham yang mereka perlu meluangkan masa dengan anak-anak supaya anak-anak tahu bagaimana hendak menjadi manusia yang baik dan tidak berperangai seperti syaitan atau binatang. 

Kita telah banyak belajar sifat-sifat munafik dalam ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat ini pula Allah ‎ﷻ sebut tentang zikrullah. Ada kaitan antara keduanya, iaitu ubat bagi penyakit nifaq adalah dengan zikrullah. Kena sentiasa ingat Allah ‎ﷻ, maka sifat nifaq akan berkurangan dan semoga hilang apabila semakin kita ingat Allah ‎ﷻ sentiasa.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Jika harta dan anak pinak menyebabkan kita lupa kepada Allah ‎ﷻ dan lupa kepada agama, maka itulah kerugian yang amat besar kerana harta dan anak pinak tidak dapat dibawa ke akhirat, namun amalan agama boleh dibawa ke akhirat.

Begitu juga, jika kita lupakan tanggungjawab kita kepada keluarga, maka kita juga yang rugi. Apabila ibu bapa tiada di rumah kerana terlalu sibuk bekerja, maka anak-anak itu tiada peluang untuk beramah mesra dan bertanya tentang perkara agama kepada bapanya. Tentu anak-anak tidak tahu tentang hal agama kerana mereka amat memerlukan bimbingan daripada ibubapanya.

Malangnya, kebanyakan ibubapa pun tidak mahir tentang agama dan tidak dapat menjawab persoalan anak-anaknya. Maka, anak-anak itu berkemungkinan akan berkomunikasi serta meminta tunjuk ajar daripada orang lain dan mungkin orang-orang itu mengajarkan perkara yang salah kepada anak-anak mereka. Maka, akhirnya anak itu menjadi seorang yang sesat. Salah siapa? 

Jangan lupa bahawa anak-anak itu merupakan ‘saham’ kita di akhirat. Jika kita didik mereka menjadi anak yang soleh, maka kita akan mendapat doa daripada mereka (doa anak yang soleh). Malah amalan mereka yang soleh pun akan mengalirkan pahala buat kita walaupun kita sudah mati. Bukankah ini sesuatu yang bagus? Maka, kenapa abaikan pengetahuan agama untuk mereka?


Munafiqoon Ayat 10: Apa yang boleh menyelamatkan diri daripada sifat nifaq? Sekarang disebut ubat kedua untuk penyakit nifaq. Salah satunya adalah dengan menginfak harta pada jalan Allah ‎ﷻ. Maka ini adalah ayat targhib (ajakan) kepada infak. Ini senang untuk diingati: “Ubat kepada nifaq adalah infak”.

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And spend [in the way of Allāh] from what We have provided you before death approaches one of you and he says, “My Lord, if only You would delay me for a brief term so I would give charity and be among the righteous.”

(MELAYU)

Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”

 

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم

Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini ubat untuk penyakit nifaq adalah infak. Lihatlah ia berasal daripada kata dasar yang sama iaitu ن ف ق, maka senang untuk ingat. Orang yang ada sifat nifaq – kena infak. 

Katadasar ن ف ق itu bermaksud ‘mengeluarkan’, juga bermaksud ‘keluar dari lubang’. Maka infak bermaksud mengeluarkan duit/harta/belanja dan nifaq pula bermaksud perbuatan keluar dari satu lubang sedangkan ada lubang yang lain. Ini adalah kerana mereka kata mereka beriman, tetapi mereka tidak beriman sebenarnya. Kita sangka mereka masuk dan keluar dari satu lubang, tetapi rupanya mereka keluar dari lubang yang lain. 

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak kata beri infak daripada ‘rezeki engkau’ tetapi daripada ‘rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan’. Maknanya, kamu ada rezeki itu bukannya kerana usaha kamu sahaja tetapi kerana ia adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ tidak beri kepada kamu, kamu pun tidak ada rezeki itu.

Apakah ‘rezeki’ yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini? Bukankah kita telah belajar tentang harta dan juga anak-anak? Maka dari sini kita kena lihat konteks ayat di mana kita bukan hanya kena infakkan harta sahaja, tetapi anak-anak kita juga kita kena ‘infak’ kepada Jalan Allah ‎ﷻ. Ini bermaksud mereka juga perlu mempelajari agama Allah ‎ﷻ dan perlu berkorban di atas Jalan Allah ‎ﷻ bagi menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Maka, jangan halang anak-anak kita jikalau mereka hendak belajar agama dan jangan paksa mereka untuk menjadi doktor dan peguam, sahaja. Kita kena sematkan semangat dakwah ke dalam diri mereka. Kita hendaklah menggalakkan mereka untuk berminat kepada agama dan belajar agama supaya nanti mereka boleh korbankan diri mereka untuk agama. Bila kita benarkan mereka korbankan diri mereka, maka itulah infak kita kepada agama dan kepada Allah ‎ﷻ.

Bukanlah tidak boleh menjadi doktor dan peguam tetapi perlu diingatkan kepada mereka, walau mereka kerja apa sekalipun, mereka tetap kena sedar bahawa mereka itu kena berkhidmat juga kepada agama. Jika mereka menjadi doktor, maka berjuang sebagai doktor; jika mereka peguam, maka berjuang atas kedudukan sebagai peguam.

Namun ramai yang bertanya: bagaimanakah cara agar anak mereka minat belajar agama? Ini kerana mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk anak mereka belajar dan mengamalkan agama, tetapi anak-anak mereka tidak berminat.

Jawapannya: ibubapa hendaklah menunjukkan minat terlebih dahulu. Ibu bapa yang kena belajar agama dahulu dan mewujudkan suasana pembelajaran agama dalam rumah. Sebagai contoh, jika mereka mahu anak-anak hafal Al-Qur’an, ibubapa itu yang kena hafal terlebih dahulu.

Maka apabila Allah ﷻ suruh kita keluarkan harta pada Jalan Allah, maka ini memberi isyarat bahawa kita kenalah ada harta dan ada pendapatan kerana jika kita miskin, maka kita tidak ada apa-apa untuk diberikan kepada agama. Maka jangan bergantung pendapatan dengan agama, jangan jual agama. Jangan juga suruh isteri yang bekerja kerana hendak pergi ‘dakwah’ kononnya. Orang lelaki kenalah tahu tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Maka kita kena ada kerja. Cuma kita kenalah tahu bahawa bukanlah kita mencari harta sahaja dan simpan untuk diri kita, tetapi harta itu ada bahagiannya untuk agama. Kenalah pandai mencari titik keseimbangan antara dunia dan akhirat. Inilah yang kita tekankan berkali-kali.

Selain itu, lagi satu kita kena ingat, infak itu bukan hanya keluarkan duit dan harta sahaja, tetapi kena keluarkan ilmu, masa, idea, dan apa-apa saja yang kita boleh beri untuk agama. Sebagai contoh, bukan semua orang boleh mengajar agama, taetpi ada orang yang boleh tolong binakan madrasah, masakkan untuk anak-anak yang belajar dan macam-macam lagi. Cuma kena cari sahaja apakah perkara yang kita boleh sumbangkan. 

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ

sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu;

Semua ini perlu dilakukan sebelum terlambat, iaitu sebelum Malaikat Maut datang menjemput kita. Jika tidak, apabila mati barulah mereka menyesal dan sedar bahawa kesalahan yang mereka telah lakukan maka mereka meminta kepada Allah ﷻ supaya ditangguhkan masa sedikit lagi untuk mereka.

Ayat ini menceritakan tentang keadaan orang yang di ambang kematian. Ingatlah yang mati boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka kita jangan tangguh-tangguh sehinggalah maut datang dan waktu itu sudah terlambat. Sekiranya suka tangguh, itu tandanya sudah terkena Talbis Iblis (belitan Iblis) iaitu kena penyakit taswif (tangguh-tangguh). Ia berasal daripada kalimah سَوفَ yang bermaksud ‘akan’. Iaitu nanti akan buat itu dan ini, tetapi akhirnya tidak buat-buat pun.

 

فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ

lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat,

Maka mereka mengadu kepada Allah ﷻ untuk beri mereka sedikit masa lagi. Bukan mereka minta banyak pun tetapi sedikit sahaja masa tangguh itu supaya mereka hendak buat amal kebaikan.

Namun apakah amal kebaikan yang mereka pilih untuk perbanyakkan?

 

فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ

yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”

Lihat bagaimana mereka berharap supaya mereka dapat pulang semula ke dunia kerana mereka dengan sedekah. Dulu semasa di dunia mereka tidak banyak sedekah, dan mereka rasa rugi kerana mereka tidak nampak yang pahala sedekah itu amat banyak. 

Disebut di sini secara khusus tentang sedekah kerana:

1. Perkara yang melalaikan manusia adalah harta mereka. Maka diberikan penekanan tentang sedekah yang melibatkan harta.

2. Sewaktu kematian datang, seseorang itu tidak boleh buat amal kebaikan lagi kerana badan sudah lemah. Akan tetapi mungkin dia ada harta, dan dia nampak sedekah adalah amal yang dia boleh lakukan.

Akan tetapi kita kena tahu bahawa sedekah yang diberikan apabila hendak mati tidaklah bernilai sangat, kalau dibandingkan dengan sedekah semasa kita masih mahu dan memerlukan harta itu. Lihatlah hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga roh sampai di kerongkongmu, maka kamu baru berkata, “Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan.”
(HR Bukhari no. 2748) Status: Hadith Sahih

Pahala Sedekah yang Paling Besar

 

3. Satu lagi pendapat mengatakan kata-kata ini disebut oleh orang yang hampir mati dan dia sedar ada kewajipan yang tidak dilangsaikan lagi seperti membayar zakat dan mengerjakan Haji (kerana dia mampu tetapi tidak melakukannya). Oleh kerana itu dia berharap yang dia diberikan masa untuk melangsaikannya.

Kita tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal ibadat lagi dan juga untuk bersedekah maka hendaklah kita bersedekah semasa kita masih hidup. Ini kerana memang tidak ada harapan lagi untuk pulang ke dunia seperti firman Allah ﷻ:

{حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ}

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. (Al-Mu’minun: 99-100)

 

 

Ayat-ayat seperti ini memberi isyarat kepada kita betapa banyaknya pahala sedekah. Maka jangan kita lepas peluang semasa hidup ini. 


Munafiqoon Ayat 11: Adakah doa mereka itu dimakbulkan? Tentu tidak.

وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفسًا إِذا جاءَ أَجَلُها ۚ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But never will Allāh delay a soul when its time has come. And Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

 

وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفسًا إِذا جاءَ أَجَلُها

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya.

Apabila keputusan kematian telah Allah ﷻ tetapkan, Allah ﷻ tidak akan beri tangguh lagi. Maka mereka yang telah menjadikan dunia penghalang kepada persediaan mereka menghadapi akhirat akan rasa kerugian yang amat besar.

Abu Isa At-Turmirzi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Aun, telah menceritakan kepada kami Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak ibnu Muzahim, daripada Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa barang siapa yang mempunyai harta yang cukup untuk menghantarkannya sampai ke tempat suci guna menunaikan ibadah haji, atau mempunyai harta yang telah wajib dizakati, lalu dia tidak mengerjakannya, nescaya dia akan meminta untuk dikembalikan hidup ke dunia lagi di saat menjelang kematiannya. Maka ada seorang lelaki yang memotong, “Hai Ibnu Abbas, bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya orang yang meminta untuk dikembalikan ke dunia itu hanyalah orang-orang kafir. ” Maka Ibnu Abbas menjawab, “Aku akan membacakan kepadamu hal yang menerangkannya dari Kitabullah,” iaitu firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata, ” Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh.” (Al-Munafiqun: 9-10) sampai dengan firman-Nya: Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun: 11) Lelaki itu bertanya, “Berapakah jumlah harta yang wajib dizakati?” Ibnu Abbas menjawab, “Apabila telah mencapai jumlah dua ratus (dirham) dan selebihnya.” Lelaki itu bertanya, “Lalu apakah yang mewajibkan seseorang harus menunaikan ibadah haji?” Ibnu Abbas menjawab, “Bila telah mempunyai bekal dan kenderaan.”

Kemudian Imam Turmuzi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, daripada As-Sauri, darpadai Yahya ibnu Abu Hayyah alias Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak, daripada Ibnu Abbas, daripada Nabi ﷺ dengan sanad yang semisal. Kemudian Imam Turmuzi mengatakan bahwa hadith ini telah diriwayatkan pula oleh Sufyan ibnu Uyaynah dan lain-lainnya daripada Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak, daripada Ibnu Abbas dan dikategorikan termasuk perkataan Ibnu Abbas; dan riwayat inilah yang paling sahih. Abu Janab Al-Kalabi dinilai dhaif.

 

 

وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu segala-galanya yang telah dilakukan oleh makhluk-Nya. Maka Allah ﷻ akan beri balasan yang setimpal di atas segala perbuatan dan amalan makhluk semasa di dunia.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Munafiqoon ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah at-Taghabun.

Kemaskini: 15 Januari 2022

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 5 – 7 (Munafik vs. Muhajirin)

GOLONGAN MUNAFIK ENGGAN BERTAUBAT

Munafiqoon Ayat 5: Golongan munafik menolak untuk bertaubat.

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا يَستَغفِر لَكُم رَسولُ اللَّهِ لَوَّوا رُءوسَهُم وَرَأَيتَهُم يَصُدّونَ وَهُم مُّستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Come, the Messenger of Allāh will ask forgiveness for you,” they turn their heads aside and you see them evading while they are arrogant.

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, mereka membuang muka mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.

 

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا يَستَغفِر لَكُم رَسولُ اللَّهِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, 

Memang dosa daripada perbuatan golongan munafik itu amat berat, sebagai contoh mereka telah meninggalkan Perang Uhud. Apabila perang hampir bermula, sebanyak 300 orang golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay telah meninggalkan medan peperangan. Walaupun mereka amat diperlukan waktu itu, mereka senang sahaja tinggalkan orang Muslim yang lain.

Ternyata amat teruk sekali perbuatan mereka itu tetapi mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali kepada agama Islam. Seperti yang disebut dalam ayat ini. Mereka masih lagi diajak untuk bertaubat dan bersama-sama dengan golongan mukmin, seperti yang disebut dalam ayat ini.

Mereka telah diberikan dengan tawaran, kalau mereka bergabung dengan puak Muslim yang lain, Nabi Muhammad ﷺ akan meminta ampun bagi pihak mereka. Yang dulu itu boleh dilupakan, asalkan mereka mahu masuk ke dalam golongan orang mukmin. Ini adalah cadangan yang diberikan kepada mereka oleh para sahabat yang mukmin.

Dalam kes Abdulllah bin Ubay, setelah peristiwa dia menimbulkan kekecohan hendak menghalau golongan Muhajireen dari Madinah, dia telah disarankan untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Rasulullah ﷺ. Nanti Rasulullah ﷺ akan berdoa kepada Allah ﷻ untuk minta keampunan bagi pihaknya. Namun, adakah dia bersetuju?

 

لَوَّوا رُءوسَهُم

mereka membuang muka mereka

Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu yang mereka itu tetap tidak mahu berubah. Kalimah لَوَّوا berasal daripada katadasar ل و ي yang bermaksud berpusing, memutarbalikkan, bengkok, berbalah. Maksudnya mereka menolak ajakan itu dengan memusingkan muka mereka. Mereka juihkan muka dan mulut mereka. Mereka memandang rendah sahaja tawaran itu. Mereka berlagak. 

Abdullah bin Ubay menolak untuk meminta kemaafan daripada Rasulullah ﷺ. Memang perangainya begitu seperti disebut dalam peristiwa yang lain, seperti yang dinaqalkan di bawah.

 

Muhammad ibnu Ishaq telah mengatakan di dalam kitab As-Sirah-nya, bahawa ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah sekembalinya daripada Perang Uhud. Sedangkan Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, menurut keterangan yang kuperolehi daripada Ibnu Syihab Az-Zuhri, merupakan seorang yang mempunyai kedudukan dalam kalangan kaumnya. Setiap orang mengakui kedudukannya yang terhormat; dia dihormati dalam kalangan kaumnya.

Apabila Nabi ﷺ duduk dalam khutbahnya di hari Jumaat, maka Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul berdiri, lalu mengatakan, “Hai manusia, ini adalah utusan Allah berada di antara kalian, Allah telah memuliakan kalian dengan melaluinya dan menjadikan kalian berjaya kerananya. Untuk itu maka tolonglah dia, dukunglah dia, dan tunduk patuhlah kalian kepadanya.” Setelah itu dia duduk kembali.

Ketika dia melakukan apa yang dilakukannya dalam Perang Uhud, yakni dia kembali ke Madinah dengan sepertiga pasukan, lalu pasukan kaum muslim kembali, maka berdirilah dia dan melakukan kebiasaan yang sebelumnya. Maka kaum muslim memegangi bajunya dari semua sisinya, dan mereka mengatakan, “Duduklah hai musuh Allah, kamu tidak patut melakukan hal ini setelah apa yang engkau lakukan dalam Perang Uhud.” Lalu dia keluar dengan melangkahi leher banyak orang seraya berkata, “Demi Allah, seakan-akan aku mengatakan ucapan yang tidak patut, padahal aku berdiri untuk memperkuat urusannya.”

Di dekat pintu masjid dia bersua dengan sejumlah orang Ansar. Mereka mengatakan, “Celakalah kamu, mengapa kamu ini?” Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul menjawab, “Aku berdiri untuk mendukung urusannya, lalu sejumlah orang sahabatnya menarikku dan bersikap kasar terhadapku, seakan-akan aku mengatakan hal yang tidak patut, padahal sebenarnya aku bermaksud untuk mendukungnya.”
Mereka berkata, “Celakalah kamu ini, sekarang kembalilah kamu kepada Rasulullah ﷺ, baginda akan memohonkan ampunan bagimu.” Ibnu Salul menjawab, “Demi Allah, aku tidak ingin dia memohonkan ampunan bagiku.”
(Tafsir Ibnu Katsir)

 

وَرَأَيتَهُم يَصُدّونَ

dan kamu lihat mereka menahan 

Allah ﷻ beritahu yang mereka akan menahan diri mereka daripada kembali kepada Islam. Mereka sendiri yang tidak mahu menerima iman. Mereka sendiri yang buat pilihan yang salah.

Bukan sahaja mereka menahan diri mereka, tetapi mereka juga menahan orang-orang lain juga. Ini menunjukkan kesan kekufuran mereka itu bukan pada diri mereka sahaja tetapi ia memberi kesan kepada orang lain juga. Ada orang yang lemah iman mudah terpengaruh dengan mereka kerana mereka pandai bercakap dan mereka berperawakan menari, maka mereka senang menarik hati orang lain untuk ikut bersama mereka.

 

وَهُم مُّستَكبِرونَ

sedang mereka menyombongkan diri.

Mereka itu sombong, berasa tinggi diri daripada menerima kebenaran. Ini bukan sombong kerana kaya, segak atau sebab lain, tetapi kerana rasa mereka lebih tinggi daripada kebenaran yang disampaikan. Kerana itu mereka rasa mereka lebih baik daripada kebenaran. Kerana itu mereka tidak terima kebenaran yang disampaikan.

Allah ﷻ menggunakan kalimah dalam bentuk isim di dalam ayat ini untuk menunjukkan bahawa mereka itu sentiasa sombong dan ia telah menjadi sifat mereka. Bukan waktu itu sahaja mereka jadi sombong, tetapi sepanjang masa.

Ini adalah sifat nifak ke 9 dalam perenggan makro ini: Mereka berpaling dan sombong daripada nasihat. لَوَّوْا رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ

Diberitakan bahawa Abdullah bin Ubay telah mati tidak beberapa lama setelah pulang ke Madinah.


Munafiqoon Ayat 6: Akan tetapi, kalau pun Rasulullah ﷺ mintakan ampun bagi pihak mereka, adakah akan diterima?

سَواءٌ عَلَيهِم أَستَغفَرتَ لَهُم أَم لَم تَستَغفِر لَهُم لَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is all the same for them whether you ask forgiveness for them or do not ask forgiveness for them; never will Allāh forgive them. Indeed, Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MELAYU)

Sama sahaja bagi mereka, engkau mintakan ampunan atau tidak engkau mintakan ampunan bagi mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

سَواءٌ عَلَيهِم أَستَغفَرتَ لَهُم أَم لَم تَستَغفِر لَهُم لَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم

Sama saja bagi mereka, kamu mintakan ampunan atau tidak kamu mintakan ampunan bagi mereka, Allah tidak akan ampunkan mereka

Ayat ini menjadi hujah bahawa orang munafik ini amat berat sekali dosa mereka. Ini kerana sekiranya Rasulullah ﷺ meminta ampun bagi pihak mereka pun, Allah ﷻ tidak akan ampunkan. Sedangkan doa Nabi ﷺ itu selalunya makbul, bukan? Rasulullah ﷺ tentu akan minta pengampunan bagi mereka kerana pada zahirnya mereka itu umat Islam tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu baginda bahawa Allah ﷻ tidak akan ampunkan mereka. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada iman. Orang yang tidak beriman, tidak diterima taubat dan amal ibadat mereka.

Ini dijelaskan lagi di dalam ayat yang lain kerana 3 tahun selepas ayat ini, Allah ﷻ telah turunkan ayat lain yang lebih keras lagi tentang mereka dalam Tawbah: 80

 

استَغفِر لَهُم أَو لا تَستَغفِر لَهُم إِن تَستَغفِر لَهُم سَبعينَ مَرَّةً فَلَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

 

​Kemudian ditambah lagi dalam ayat ke 84 pula:

وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِنهُم ماتَ أَبَدًا وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ ۖ إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَماتوا وَهُم فاسِقونَ

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

 

Maknanya, solatkan jenazah puak munafik itu pun Allah ﷻ tidak benarkan Rasulullah ﷺ melakukannya. Maka amat berat sekali kemarahan Allah ﷻ terhadap mereka!

 

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Berat sekali ketetapan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka itu telah teruk sampaikan Allah ﷻ telah buat keputusan untuk tidak memberikan petunjuk lagi kepada mereka. Kalau mereka sendiri yang menolak ajakan kepada iman, maka tidaklah Allah ﷻ terhegeh-hegeh memerlukan mereka, bukan?

Ini adalah sifat nifak ke 10 dalam perenggan makro ini: Mereka berperangai fasik, suka berbuat perkara dosa dan keji. إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Kenapa Allah ﷻ marah sangat kepada mereka? Akan disebut dalam ayat seterusnya.


GOLONGAN MUNAFIK BENCI KEPADA GOLONGAN BERIMAN

Munafiqoon Ayat 7: Allah ﷻ memberitahu bahawa golongan munafik itu benci kepada golongan beriman. Ayat ini adalah jenis ayat syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). 

هُمُ الَّذينَ يَقولونَ لا تُنفِقوا عَلىٰ مَن عِندَ رَسولِ اللَّهِ حَتّىٰ يَنفَضّوا ۗ وَلِلَّهِ خَزائِنُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are the ones who say, “Do not spend on those who are with the Messenger of Allah until they disband.” And to Allah belongs the depositories of the heavens and the earth, but the hypocrites do not understand.

(MELAYU)

Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah)”. Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

 

هُمُ الَّذينَ يَقولونَ لا تُنفِقوا عَلىٰ مَن عِندَ رَسولِ اللَّهِ

Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah

Allah ﷻ ulang kata-kata Abdullah bin Ubay kepada puak Ansar dan seperti yang telah disampaikan oleh Zaid bin al-Arqam رضي الله عنه kepada Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ membenarkan apa yang disampaikan olehnya.

Seperti yang kita telah sebutkan di dalam pengenalan surah ini, Abdullah bin Ubay tidak suka dengan golongan Muhajirin yang datang ke Madinah itu. Pada dia, golongan muhajirin itu adalah pendatang yang menyusahkan mereka sahaja. Tambahan pula muhajirin itu banyak dibantu oleh orang-orang Ansar pula. Maka dia melihat itu telah merugikan mereka dari segi harta benda.

Abdullah bin Ubay menggunakan isu ini dengan mengatakan golongan muhajirin itu telah mengganggu ekonomi mereka dan menyusahkan mereka kerana kena dibantu. Sampaikan ada kalangan Ansar yang membahagikan hartanya menjadi dua dan satu diberikan kepada golongan muhajirin.

Sekarang dia sedang berkempen mengajak orang-orang Ansar untuk tidak beri bantuan lagi kepada orang-orang Muhajirin itu sehinggalah mereka meninggalkan Madinah. 

حَتّىٰ يَنفَضّوا

sehingga mereka bubar 

Sebelum ini kita telah belajar bagaimana orang-orang Ansar itu melebihkan orang-orang Muhajirin yang memerlukan pertolongan tetapi Abdullah bin Ubay mahu pertolongan itu dihentikan supaya menyebabkan orang-orang Muhajirin itu kena pergi keluar dari Madinah. Padanya, kalau mereka tidak menerima bantuan lagi, tentu mereka keluar, bukan?

Dia berhujah, golongan muhajirin itu duduk di Madinah kerana mendapat bantuan sahaja. Kalau mereka hentikan bantuan itu, tentulah muhajirin itu akan tinggalkan Madinah dan penduduk asal Madinah tidaklah perlu lagi menanggung mereka.

 

Yunus ibnu Bukair telah meriwayatkan daripada Ibnu Ishaq, bahawa telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Yahya ibnu Hibban dan Abdullah ibnu Abu Bakar dan Asim ibnu Umar ibnu Qatadah dalam kisah Banil Mustaliq, bahawa ketika Rasulullah ﷺ berada di tempat Banil Mustaliq, Jahjah ibnu Sa’id Al-Gifari seorang pekerja Umar ibnul Khattab berkelahi dengan Sinan ibnu Yazid, kerana berebutkan air.

Ibnu Ishaq mengatakan: telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Yahya ibnu Hibban, bahawa keduanya merebutkan air dari suatu mata air, lalu keduanya berkelahi. Akhirnya Sinan berkata, “Hai orang-orang Ansar,” sedangkan Al-Jahjah berkata, “Hai orang-orang Muhajir.” Saat itu Zaid ibnu Arqam dan segolongan kaum Ansar berada bersama Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul.

Ketika Abdullah ibnu Ubay mendengar hal tersebut, maka dia memberikan komentarnya, “Sesungguhnya mereka telah berani mengadakan pemberontakan di negeri kita. Demi Allah, perumpamaan kita dan serpihan orang-orang Quraisy ini (yakni Muhajirin) sama dengan peribahasa yang mengatakan ‘gemukkanlah anjingmu, maka ia akan memakanmu’. Demi Allah, sungguh jika kita kembali ke Madinah, orang-orang yang kuat benar-benar akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya.” Kemudian dia menghadap kepada orang-orang yang ada di dekatnya dalam kalangan kaumnya, lalu berkata kepada mereka, “Inilah akibat daripada perbuatan kalian, kalian telah mengizinkan mereka menempati negeri kalian, dan kalian telah merelakan harta kalian berbahagi dengan mereka. Ingatlah, demi Allah, sekiranya kalian menghindari mereka, nescaya mereka akan berpindah daripada kalian menuju ke negeri lain.”

Kemudian perkataan Abdullah ibnu Ubay itu terdengar oleh Zaid ibnu Arqam رضي الله عنه., maka beliau melaporkannya kepada Rasulullah ﷺ yang pada saat itu Zaid ibnu Arqam masih berusia remaja. Ketika beliau sampai kepada Rasulullah ﷺ, di sisi baginda terdapat Umar ibnul Khattab رضي الله عنه., lalu beliaummenceritakan kepada baginda apa yang telah dikatakan oleh Abdullah ibnu Ubay tadi. Maka Umar رضي الله عنه berkata, “Wahai Rasulullah, perintahkanlah kepada Abbad ibnu Bisyar agar memenggal kepala Ibnu Salul.” Rasulullah ﷺ menjawab: Hai Umar, bagaimanakah jawapanmu apabila orang-orang mengatakan bahawa Muhammad telah membunuh temannya sendiri. Tidak, tetapi serukanlah, hai Umar, kepada orang-orang untuk segera berangkat (pulang).

Ketika hal itu sampai kepada Abdullah ibnu Ubay, maka dia mendatangi Rasulullah ﷺ dan meminta maaf kepadanya serta bersumpah bahawa dia tidak mengatakannya, yakni tidak mengatakan seperti apa yang dilaporkan oleh Zaid ibnu Arqam. Sedangkan Abdullah ibnu Ubay adalah seorang lelaki yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kalangan kaumnya, maka mereka mengatakan, “Wahai Rasulullah, barangkali anak remaja ini (yakni Zaid ibnu Arqam) hanya berilusi dan masih belum dapat menangkap pembicaraan yang dikatakan oleh seorang yang telah dewasa.” Tetapi Rasulullah ﷺ pergi di tengah hari, iaitu di saat yang pada kebiasaannya baginda tidak pernah memerintahkan untuk berangkat. Lalu Usaid ibnu Hudair رضي الله عنه datang menjumpai baginda dan mengucapkan salam penghormatan kenabian kepadanya. Kemudian Usaid berkata, “Demi Allah, engkau memerintahkan berangkat di saat yang tidak disukai dan yang belum pernah engkau lakukan sebelumnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tidakkah engkau mendengar apa yang telah dikatakan oleh temanmu Ibnu Ubay. Dia mengira bahawa apabila aku sampai di Madinah, maka orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya.
Usaid ibnu Hudair رضي الله عنه berkata, “Wahai Rasulullah, engkaulah orang yang kuat dan dia adalah orang yang hina (kalah).” Kemudian Usaid berkata pula, “Wahai Rasulullah, kasihanilah dia. Demi Allah, sesungguhnya ketika Allah mendatangkan engkau, sesungguhnya kami benar-benar telah menguntai manikam untuk memahkotainya (menjadi pemimpin kami). Dan sesungguhnya dia memandang bahawa engkau telah merebut kerajaan itu daripada tangannya.” Kemudian Rasulullah ﷺ membawa pasukan kaum Muslim berjalan hingga petang hari dan dilanjutkan pada malam harinya hingga pada pagi hari dan matahari meninggi hingga panasnya mulai terasa. Setelah itu baginda memerintahkan kepada pasukan kaum Muslim untuk turun istirehat, untuk mengalihkan perhatian mereka daripada topik pembicaraan yang sedang menghangat dalam kalangan mereka. Maka begitu orang-orang menyentuh tanah, mereka langsung tidur kerana kepenatan, dan di tempat itulah diturunkan surah Al-Munafiqoon.
(Tafsir fi Zhilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Alquran))

 

Memang terjadinya pertelingkahan antara golongan Muhajirin dan Ansar dan ini merupakan perkara biasa sahaja. Namun syaitan telah membisikkan permusuhan antara mereka dan mulalah keluar kata-kata yang tidak enak antara sesama mereka. Sampaikan Abdullah bin Ubay mengatakan orang orang Mekah itu adalah ‘anjing-anjing Madinah’ iaitu anjing-anjing kurap yang memerlukan pertolongan dan makanan daripada orang-orang Madinah. 

Ini mengajar kita yang walaupun orang telah beriman seperti orang-orang Ansar itu, tetapi masih ada lagi sifat-sifat ‘kekitaan’ yang membandingkan diri antara satu puak dengan puak-puak yang lain. Ini tidak salah kerana memang Allah ﷻ telah menjadikan kita berbangsa-bangsa dan bersuku-suku. Tidak salah untuk menjaga suku kita dan berbangga dengan suku kita.

Akan tetapi yang bahayanya jikalau semangat ‘kekitaan’ ini bertukar menjadi permusuhan kalau ditinggikan sangat atau taksub sangat. Ini boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja jikalau kita tidak berhati-hati dan jika kita bodoh tidak berfikir di mana kita senang terikut emosi dan termakan dengan hasutan syaitan. 

Kita kenalah sedar yang asal kelahiran kita di dalam satu-satu bangsa seperti Melayu tidak akan berubah sampai bila-bila; tetapi janganlah itu dijadikan sebagai penyebab untuk memusuhi orang lain ataupun bangsa lain seperti bangsa Cina ataupun India kerana jikalau kita buat begitu, maka ini adalah perbuatan yang amatlah bodoh sekali. 

Tidak salah untuk kita berbangga dengan golongan kita seperti orang Ansar yang berbangga dengan kedudukan mereka sebagai pembantu kepada para sahabat dan mereka menggelarkan diri mereka sebagai Ansar (golongan pembantu) tetapi tidaklah itu boleh dijadikan sebagai sesuatu untuk mengutuk ataupun merendahkan orang lain yang bukan Ansar. 

Perbuatan begini kenalah berhati-hati kerana syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk menyebabkan perkelahian antara satu golongan dan golongan yang lain dan selalunya akan ada orang yang otaknya letak di lutut dan mula berfikir perkara yang bukan-bukan kerana mereka itu memang orang yang bodoh. Kita yang pandai ini janganlah termakan dengan kata-kata mereka dan biarlah mereka meroyan sendiri. 

Oleh itu, ini adalah sifat nifak ke 11: Mereka giat menghasut dan menyebar propaganda negatif. هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا

 

وَلِلَّهِ خَزائِنُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, 

Ini adalah jawapan kepada syikayah yang disebut di awal ayat ini. Abdullah bin Ubay kempen supaya hentikan bantuan kepada Muhajirin. Apa yang telah Allah ﷻ jawab?  

Allah ﷻ ingatkan kepada mereka yang mereka itu bukanlah memberi pertolongan harta daripada hak mereka tetapi apa-apa sahaja yang mereka ada itu adalah khazanah daripada Allah ﷻ juga. Allah ﷻ yang berikan kepada mereka pada mulanya, maka janganlah berlagak sangat seperti harta itu kepunyaan mereka sendiri. Kena ingat Siapa yang berikan kepada mereka.

 

وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَفقَهونَ

akan tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

Hujah yang Allah ﷻ berikan itu amat jelas sekali tetapi oleh kerana orang-orang munafik itu ada masalah dengan hati mereka sampaikan intelek mereka pun terganggu, maka mereka tidak dapat memahami perkara ini. Maka hati mereka terus menjadi busuk dan benci kepada golongan mukmin. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Ringkasan Surah

Tarikh: 16 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 2 – 4 (Munafik paranoia)

Munafiqoon Ayat 2: Orang munafik itu sebenarnya tidak beriman

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have taken their oaths as a cover, so they averted [people] from the way of Allah. Indeed, it was evil that they were doing.

(MELAYU)

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

 

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai,

Mereka menjadikan kalimah Syahadah yang mereka lafazkan itu sebagai ‘perisai’ untuk menyelindungi iman mereka yang tidak ada. Ini adalah sebagai perumpamaan kerana perisai dalam peperangan itu adalah untuk berselindung di belakangnya supaya selamat.

Kenapa mereka selindungkan kekafiran mereka? Kerana jika mereka zahirkan, maka mereka akan ada masalah dalam kalangan sahabat yang mukmin. Sebab itulah mereka beriya-iya mengatakan mereka beriman sedangkan sebenarnya mereka tidak.

Sumpah mereka itu mungkin kata-kata mereka setelah mereka ditangkap atau dikesan melakukan kesalahan munafik. Itulah maksudnya dijadikan ‘perisai’, iaitu untuk menyelamatkan diri mereka.

Maka ini adalah sifat kedua orang munafik yang disebut dalam perenggan ini iaitu menjadikan syahadah dan sumpah mereka seperti topeng. Ia hanya untuk menutup sikap dusta mereka. اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً

Sumpah munafik hanyalah sebagai topeng

Atau pun ayat ini boleh merujuk kepada sumpah Abdullah bin Ubay yang mengatakan beliau adalah Muslim dan beriman. Sumpah ini dikeluarkannya ketika rahsianya terbongkar apabila Zaid bin Arqam رضي الله عنه telah mendengar kata-katanya ketika pulang daripada Perang Bani Mustaliq. Rasulullah ﷺ telah bertanya kepadanya, adakah dia cakap seperti yang dikatakan oleh Zaid رضي الله عنه, maka Abdullah bin Ubay bersumpah yang dia tidak cakap begitu dan mengatakan bahawa benar Rasulullah ﷺ adalah seorang Rasul.

Golongan Munafik buat begitu supaya dapat menyelamatkan diri mereka daripada tangan orang-orang Islam yang lain. Mereka mahu dilihat sebagai orang Islam kerana jikalau mereka diterima sebagai orang Islam, maka tidak bolehlah darah mereka ditumpahkan oleh orang Islam yang lain. Mereka tidak mahu dilihat sebagai musuh Islam dan mereka tahu hidup mereka akan susah nanti.

Tujuan mereka bersumpah itu adalah hanya untuk menyelamatkan nyawa mereka sahaja sebenarnya. Mereka mahu menyelamatkan diri mereka daripada dibunuh oleh orang Islam. Oleh kerana itu mereka kena mengaku mereka beriman walaupun sebenarnya batin mereka tidak beriman pun.

Hasilnya mereka berjaya menipu orang mukmin kerana tidak dapat dikesan penipuan mereka itu. Memang perkara kemunafikan itu adalah dalam hati dan kita tidak dapat nampak sama ada orang itu munafik atau tidak, kerana kita tidak tahu isi hati manusia.

Allah‎ ﷻ sahaja yang pasti tahu siapakah golongan munafik itu dan Allah ‎ﷻ sekarang beritahu sifat-sifat orang munafik dalam surah ini. Ini supaya kita dapat kenali mereka daripada tanda-tanda mereka. Kita kena tahu siapakah mereka ini supaya kita dan keluarga kita tidak menjadi seperti mereka dan juga supaya kita dapat mengelak daripada mereka dan tidak termakan dengan hasutan mereka.

Siapakah yang termasuk dalam golongan munafik itu? Maka untuk tahu kita kena lihat bagaimana proses menjadi munafik itu. Proses untuk menjadi orang munafik ini berperingkat yang dimulai dengan iman yang lemah.

Iman yang lemah ini terjadi kerana amalan ibadat yang kurang dan juga tidak berada bersama-sama bercampur gaul dengan orang-orang beriman. Iaitu mereka jauh daripada majlis ilmu dan tidak meningkatkan pemahaman agama mereka. Kerana itu iman mereka lemah kerana mereka sendiri tidak faham agama.

Ini boleh rujuk kepada perbincangan ini di dalam Surah Juma’ah di mana telah disebut cara-cara untuk meningkatkan iman. Salah satunya dengan menghadiri perjumpaan hari Jumaat dan mendengar khutbah. Kena selalu hadiri majlis ilmu. Kena hidupkan suasana ilmu dalam kehidupan kita.

Ulama’ ada membincangkan tentang sifat-sifat munafik dan ini boleh dibaca di tempat yang lain sampai ada yang menyenaraikan sehingga 28 sifat orang Munafik. Kita kena lihat sifat-sifat itu dan periksa dengan diri kita sama ada kita ada sifat-sifat itu. Takut kita sahaja perasan kita orang mukmin tetapi sebenarnya tidak.

Dari segi pembahagiannya, kita boleh bahagikan semua sifat-sifat itu dengan cara ‘sedar’ dan ‘tidak sedar’.

Ada orang yang memang sedar dia munafik kerana dia memang tidak percaya dengan agama Islam tetapi cuba masuk ke dalam kumpulan orang-orang Islam untuk mendapatkan rahsia orang-orang Islam. Atau mereka terpaksa mengaku mereka beragama Islam kerana hendak menyelamatkan diri mereka. Ini adalah munafik jenis zaman Rasulullah ﷺ di mana mereka itu memang orang-orang kafir sebenarnya.

Kalau zaman sekarang, ini adalah seperti mata-mata (spy) yang sengaja menyamar sebagai orang Islam untuk mendapatkan maklumat orang Islam. Kerana itu kita kena berhati-hati apabila kita bercakap kerana kita tidak tahu kita bercakap dengan siapa. Entah-entah mereka itu sengaja mahu “provoke” kita kerana hendak dapatkan maklumat daripada kita. Atau pun hendak menaikkan amarah kita dan bila kita mengamuk, maka mereka akan tuduh kita sebagai puak ekstremis.

Demikian itu adalah munafik jenis sedar iaitu mereka yang  memang sedar mereka tidak beragama Islam. Kita mungkin tidak melakukan perkara itu tetapi yang bahaya pada kita adalah kemunafikan yang ‘tidak disedari’. Iaitu kita ini adalah munafik tetapi kita tidak sedar yang kita sebenarnya munafik.

Sifat-sifat ini ada disebut di dalam Al-Qur’an dan juga hadith. Antaranya, seperti orang-orang yang solat tetapi mereka datang solat dengan malas dan juga jenis orang yang mengeluarkan duit infaq tetapi mereka keluarkan duit itu dengan terpaksa dan mereka tidak suka langsung. Mereka memang tahu yang mereka itu beragama Islam dan mereka amalkan sedikit sebanyak agama Islam. Namun sebenarnya iman mereka adalah lemah sekali dan mereka mungkin sudah termasuk dalam golongan ‘munafik tanpa sedar’.

Kita sebut tadi ada dua jenis munafik iaitu jenis ‘munafik yang sedar’ dan ‘munafik yang tidak sedar’. Akan tetapi di dalam Al-Qur’an tidak dibahagikan kepada dua bahagian kerana Allah ‎ﷻ hanya sebut ‘golongan munafik’ sahaja. Pada Allah ‎ﷻ, ada satu jenis sahaja.

Perkara ini amat menakutkan kerana ia diletakkan di bawah satu tajuk yang sama sahaja. Maknanya balasan kepada kedua-dua golongan ini sama sahaja. Apabila disebut azab yang akan dikenakan kepada golongan munafik jenis pertama (sedar), maka azab yang sama juga akan dikenakan kepada munafik jenis kedua (yang tidak sedar).

Di dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebenarnya menyebut hukuman yang lebih berat lagi kepada orang munafik kalau dibandingkan dengan orang musyrik. Ini kerana mereka itu seperti ‘api dalam sekam’, atau ‘gunting dalam lipatan’. Mereka menampakkan diri mereka sebagai beriman, tetapi tidak sebenarnya. Perbuatan ini telah mengelabui mata orang mukmin sejati dan membuatkan mereka itu bahaya kepada golongan mukmin.

Sebagai contoh, kita pun tahu yang doa Nabi ﷺ itu amat hebat dan Allah ‎ﷻ selalunya memakbulkan doa Nabi ﷺ. Akan tetapi nanti kita akan belajar dalam surah ini walaupun  Nabi ﷺ meminta ampun bagi pihak mereka sebanyak tujuh puluh kali pun Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan mereka.

Maka amat bahaya kalau diri kita ini termasuk dalam golongan munafik. Munafik yang jenis bawah sedar itu tidak sangka pun yang mereka itu munafik kerana mereka sangka mereka Muslim apabila mereka telah mengucap dua kalimah syahadah. Memang mereka telah mengucap, namun dalam masa yang sama, mereka ada sifat nifak.

Apabila hati mereka ada sifat-sifat nifak, maka perbuatan mereka pun menjadi buruk seperti kita telah belajar bagaimana mereka inilah orang-orang yang menghina Rasulullah ﷺ dan mengatakan isteri baginda iaitu Aisyah رضي الله عنها telah berzina dan banyak lagi kata-kata buruk mereka.

Kita kena berhati-hati dengan sifat nifaq ini takut-takut kita ada sifat itu. Jangan kita sangka kita tidak ada sifat itu, atau kita terselamat daripada sifat itu. Hasan al-Basri رحمه الله pernah meriwayatkan,

 

مَا خَافَهُ إِلاَّ مُؤْمِنٌ ، وَلاَ أَمَنَهُ إلِاَّ مُنَافِقٌ

Orang yang khuatir terjatuh pada kemunafikan, itulah orang mukmin. Yang selalu merasa aman daripada kemunafikan, itulah senyata-nyata munafik

(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam 2/491; Fathul Bari lil Ibni Rajab 1/178)

 

 

Maka jelas di sini ada perkara penting yang kita kena tahu tentang sifat-sifat ini di mana orang yang beriman kena sentiasa ada perasaan takut jikalau mereka ada sifat-sifat ini. Mereka yang berasa tidak ada sifat nifak ini, itulah mereka yang munafik. Oleh itu, kita kena belajar sifat-sifat munafik ini dan bandingkan dengan diri kita.

Kita kena bandingkan sifat itu dengan diri kita dan bukannya bandingkan sifat itu dengan orang lain dan kemudian bermudah-mudah pula mengatakan seseorang individu itu munafik. Jangan kita tunding jari pada orang lain pula dan kata dialah munafik. Ini amat bahaya sekali dan selalu digunakan oleh manusia yang jahil. Sikit-sikit mereka akan tuduh orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai munafik.

Memang mereka itu jahil bila berkata begitu kerana kita kena sedar bahawa sifat munafik ini adalah antara perkara ghaib kerana ia adalah tentang isi hati manusia dan Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu siapakah mereka. Maka kita tidak boleh pandai-pandai menuduh seseorang itu munafik sedangkan Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu siapa yang munafik itu.

Yang paling kuat kita boleh kata: “Orang itu ada sifat-sifat munafik.” Ini tidaklah menuduh dia munafik lagi kerana baru kata dia ada sifat-sifat munafik dan dia masih ada kesempatan untuk mengubah sifatnya itu lagi.

Nabi Muhammad ﷺ pun sebenarnya tidak tahu siapakah golongan munafik dalam kalangan baginda. Yang baginda diberitahu hanyalah sebanyak sembilan orang sahaja kerana mereka itu telah melakukan percubaan untuk membunuh baginda pada malam hari secara rahsia sewaktu Ekspedisi Perang Tabuk. Allah ‎ﷻ telah mewahyukan kepada baginda siapakah golongan munafik yang akan kekal sebagai munafik sampai mati. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ memberitahu rahsia ini kepada Huzaifah Ibnu Yaman رضي الله عنه tetapi baginda telah mewasiatkan beliau untuk tidak memberitahu sesiapa pun nama-nama mereka.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه tahu bahawa Huzaifah رضي الله عنه ada senarai nama-nama orang munafik itu, maka beliau telah pergi ke Huzaifah رضي الله عنه dan bertanya adakah nama beliau tersenarai di dalam senarai itu. Sedangkan pada waktu itu beliausudah pun dijanjikan sebagai ahli syurga. Lihatlah jikalau Umar رضي الله عنه sendiri pun risau sama ada beliau ada sifat-sifat munafik, maka siapakah kita yang rasa aman daripada sifat itu?

Ini juga menunjukkan yang Saidina Umar رضي الله عنه tidak membezakan antara ‘munafik sedar’ dan ‘munafik bawah sedar’ kerana pada beliau ia adalah sama sahaja kerana beliau tahu beliau bukan sengaja mahu menipu keimanannya, bukan?

 

فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ

lalu mereka menghalangi dari jalan Allah.

Kalimah صَدّ boleh digunakan dalam bentuk لَازِم (kesan kepada diri sendiri) atau مُتَعَدِّي (kesan kepada orang lain).

Bila dalam bentuk لَازِم, ia bermakna sifat buruk mereka itu telah menghalang mereka dari jalan Allah ‎ﷻ, iaitu telah menghalang mereka daripada beriman dengan yang sebenarnya.

Bila ia dalam bentuk مُتَعَدِّي, ia bermaksud golongan munafik itu bukan sahaja tidak beriman sempurna tetapi mereka juga cuba merosakkan iman orang lain. Mereka mahu menghalang orang lain daripada beriman. Mereka akan menghasut orang lain dengan fahaman dan kekeliruan mereka kerana mereka suka jika ramai yang tidak beriman supaya senang untuk mereka meneruskan kerja jahat mereka.

 

إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Mereka itu sebenarnya merosakkan agama Islam dari dalam. Segala usaha yang dilakukan oleh golongan munafik untuk menjatuhkan Islam dari dalam adalah amat buruk.

Mereka akan dibalas di akhirat kelak atas usaha mereka itu. Kita telah sebut sebelum ini yang balasan kepada mereka itu amatlah buruk.


Munafiqoon Ayat 3:

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they believed, and then they disbelieved; so their hearts were sealed over, and they do not understand.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir

Iman mereka ada naik dan turun dan kemudian mati terus iman mereka. Ini kerana mereka tidak menjaga iman mereka dan apabila ia turun, mereka tidak menaikkannya semula.

Iman turun dan naik memang perkara biasa, tetapi tidaklah boleh lama sangat turunnya. Kita kalau iman sudah turun, kena naikkan semula dengan ilmu dan amal ibadat. Jangan biarkan ia terus menurun kerana ia akan menjadikan orang itu munafik terus.

Ataupun ‘iman’ mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud mereka menunjukkan mereka beriman secara zahir sahaja, kerana kita susah untuk katakan mereka itu beriman disebabkan orang-orang munafik itu tidak pernah beriman. Asalnya mereka menzahirkan iman mereka, tetapi kemudian mereka menunjukkan kekufuran mereka secara zahir pula.

Maka bahaya kalau iman lemah sedangkan para sahabat amat mementingkan supaya iman mereka tinggi dan apabila mereka tahu iman itu boleh turun dan naik, mereka amat risau. Ini seperti apa yang kisah seorang sahabat yang bernama Hanzalah رضي الله عنه. Abu Bakr رضي الله عنه dan juga Hanzalah رضي الله عنه takut jikalau mereka termasuk dalam golongan munafik. Ini kerana mereka juga rasa iman mereka kadangkala naik dan ada masanya turun juga. Maka mereka takut mereka termasuk golongan munafik dan mereka mengadu kepada Rasulullah ﷺ.

Lihat bagaimana Nabi Muhammad ﷺ menjawab persoalan mereka itu.

 

عَنْ حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِىِّ قَالَ – وَكَانَ مِنْ كُتَّابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ – لَقِيَنِى أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا. فَانْطَلَقْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَمَا ذَاكَ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ نَكُونُ عِنْدَكَ تُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ نَسِينَا كَثِيرًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِى وَفِى الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِى طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Daripada Hanzhalah Al Usayyidiy رضي الله عنه -beliau adalah di antara jurutulis Rasulullah ﷺ-, beliau berkata, “Abu Bakar رضي الله عنه pernah menemuiku, lalu beliau berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzhalah?” Aku menjawab, “Hanzhalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sampai-sampai kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakar رضي الله عنه pun menjawab, “Kami pun begitu.”

Kemudian aku dan Abu Bakar رضي الله عنه pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami tersibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.”

Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian mahu berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidurmu dan di jalan. Namun Hanzhalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sampai tiga kali.

(HR. Muslim No. 2750)

 

Ayat ini bukanlah berkenaan iman turun dan naik yang biasa saja berlaku kepada manusia, tetapi ayat ini Allah‎ ﷻ tentang orang yang meninggalkan imannya terus seperti ada orang yang tidak salat kerana mereka ada masalah dalam kehidupan mereka. Mereka seolah-olah terus tinggalkan agama, walaupun nama mereka dalam IC masih Muslim lagi.

Ia juga bermaksud orang yang masuk Islam mengucapkan Syahadah tetapi selepas dia mengetahui tentang Islam, dia tidak sanggup untuk mengikuti segala ajaran di dalamnya. Maka dia tidak mengamalkan ajaran Islam seperti yang sepatutnya tetapi mereka tetap menggunakan nama Islam.

Ramai sahaja manusia yang bernama Muslim dan lahir dalam keluarga Muslim tetapi mereka tidak kisah pun tetang agama dan mereka menjalani kehidupan mereka sesuka hati mereka tanpa berlandaskan ajaran agama Islam. Malangnya mereka ini jenis orang senang-senang beri pendapat mereka tentang agama, seolah-olah mereka itu benar tetapi ia bukanlah berdasarkan kepada dalil.

 

فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم

lalu hati mereka dikunci mati;

Oleh kerana mereka tidak menjaga iman mereka yang telah turun dan tidak menaikkan semula, maka Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka daripada menerima iman. Ini amat bahaya sekali. Maknanya mereka telah menjadi kufur.

Kita telah belajar sebelum ini yang pembersihan perlu dilakukan pada peringkat intelek dan juga pada peringkat hati. Orang-orang munafik ini mereka sebenarnya ada masalah dengan hati mereka dan kerana itulah hati mereka telah tertutup.

Bila hati mereka telah tertutup daripada iman, maka intelek mereka pun akan ada masalah. Maka mereka akan memperkatakan tentang agama dengan kehendak nafsu mereka sahaja. Kerana itulah kita banyak baca dan dengar banyak pendapat yang karut marut di media sosial dan di internet.

 

فَهُم لا يَفقَهونَ

maka mereka tidak dapat mengerti.

Apabila hati mereka telah tertutup maka mereka tidak akan dapat memahami agama ini walaupun kita cuba dengan pelbagai cara pun untuk menceritakan kepada mereka dan memberikan mereka berbagai-bagai dalil. Segala usaha boleh dilakukan tetapi mereka tidak akan faham dan ini bermakna intelek mereka juga sudah tertutup.

Ini kerana Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Ini adalah sifat ke 3 daripada 12 sifat nifak:

3. Tidak cerdik dalam hal-hal agama. Jika mengaji pun bukan niat untuk mendalami agama hanya untuk mengisi masa dan tunjuk muka dalam masyarakat. فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ


JANGAN TERTIPU DENGAN PENAMPILAN

Munafiqoon Ayat 4: Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa yang nampak indah itu bukan semuanya baik.

۞ وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم ۖ وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم ۖ كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم ۚ هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you see them, their forms please you, and if they speak, you listen to their speech. [They are] as if they were pieces of wood propped up¹ – they think that every shout is against them. They are the enemy, so beware of them. May Allāh destroy them; how are they deluded?

  • i.e., bodies with empty minds and empty hearts.

(MELAYU)

Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?

 

وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم

Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. 

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang jisim (fizikal) mereka, iaitu penampilan luaran mereka. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada roh lagi kerana mereka itu hanya dihitung pada badan sahaja. Badan ada, tetapi roh keislaman tidak ada, maka mereka itu tidak bernilai lagi.

Walaupun kita nampak mereka itu ramai (kerana waktu itu orang Muslim sudah ramai yang masuk Islam), tetapi mereka itu hanya pada bilangan sahaja dan tidak ada roh Islam dalam diri mereka. Mungkin kalau kita lihat fizikal mereka, kita kagum kerana mereka nampak ramai.

Satu lagi maksud, memang perawakan mereka itu menarik perhatian. Abdullah ibn Abbas رضی اللہ عنھما ada mengatakan yang Abdullah bin Ubay itu memang seorang yang tegap tubuhnya, segak dan pandai bercakap. Begitulah juga rakan-rakan munafiknya. Maka sekiranya orang melihat cara mereka bercakap dan bergerak, memang mereka tidak sangka yang mereka itu orang yang jahat.

Maka ini adalah sifat nifaq ke 4 yang disebut dalam ayat ini:

Sifat ke 4. Penampilan mereka nampak hebat. Mungkin mereka ini juga berserban dan berjubah. وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ

 

وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم

Dan jika mereka berkata, kamu mendengar perkataan mereka. 

Apabila mereka bercakap, maka kita kena dengar kerana Nabi Muhammad ﷺ beritahu untuk mendengar kata-kata mereka. Ini kerana kita pun tidak tahu sama ada mereka itu munafik ataupun tidak. Maka kita beri perhatian kepada kata-kata mereka.

Atau, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang apabila orang-orang munafik itu bercakap, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat mendengar kata-kata mereka kerana mereka itu pandai dan petah bercakap.

Begitulah zaman sekarang, ada sahaja yang pandai bercakap tetapi apa yang mereka katakan itu tidak benar belaka. Namun begitu, oleh kerana kepetahan mereka, maka, ramai yang terpengaruh dengan kata-kata mereka itu. Ini pun amat bahaya, maka kena berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada hadith Nabi ‎ﷺ yang mengatakan kata-kata itu pun sihir kerana ramai yang terpesona dengan kata-kata manusia. Rasulullah ‎ﷺ pernah bersabda:

 

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما
أنه قدم رجلان من المشرق فخطبا فعجب الناس لبيانهما فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن من البيان لسحرا أو إن بعض البيان لسحر

Daripada Abdullah bin Umar رضي الله عنهما bahawa dua orang daripada penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang takjub dengan penjelasannya, lantas Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandungi sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandungi sihir.”

(Sahih Bukhari No. 5325)

 

 

Oleh itu, ini adalah sifat nifaq ke 5 dalam surah ini: Bicara mereka menarik perhatian. Mereka memang pandai goreng, menyebut hadith tanpa megira palsu atau sahih. وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ

 

كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ

Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. 

Mereka itu kelihatan seperti pokok kayu yang kuat, tetapi sebenarnya ia nampak tegak hanya kerana bersandarkan kepada sesuatu sahaja; ini memberi isyarat bahawa mereka itu bersandar kepada kekuatan umat Islam sahaja. Mereka sendiri tidak ada kekuatan dalaman mereka.

Allah ‎ﷻ memberikan isyarat bahawa mereka itu kelihatan sahaja sebagai pokok kayu tetapi bahagian dalamnya kosong kerana roh mereka kosong.

Apabila digunakan perumpamaan kayu untuk mereka, ini memberi isyarat yang  mereka itu tidak ada gunanya kerana kayu itu hanya berguna kalau ia dibentuk menjadi dinding, pintu atau tiang. Kalau setakat sebatang kayu sahaja, ia tidak berguna.

Ini adalah sifat keenam nifak dalam ayat ini: 6. Tiada manfaat kepada masyarakat. Tiada faedah yang mereka bawa, dan jika mereka tiada lagi baik. كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ

 

يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم

Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka.

Mereka juga bersifat paranoia, di mana apabila ada teguran tentang sifat-sifat orang munafik dan juga orang yang lemah iman, maka mereka akan terasa yang kata-kata itu ditujukan kepada mereka kerana mereka pun sudah tahu yang iman mereka lemah.

Memanglah kita selalu dengar tentang khutbah ataupun ceramah tentang sifat-sifat yang buruk dan kita kena dengar dan bandingkan dengan diri kita dan jangan rasa ia ditujukan kepada orang lain sahaja. Namun dalam masa yang sama, jangan kita rasa yang orang yang sedang bercakap itu menyebut tentang diri kita secara individu, kerana orang yang bercakap itu hanya bercakap secara umum sahaja dan bukannya hendak menyerang kita.

Akan tetapi orang munafik akan rasa orang itu bercakap tentang dia. Maka orang munafik itu memang sudah rasa bersalah dan kalau ada orang cakap secara umum pun mereka rasa yang orang itu bercakap tentang mereka dan inilah sifat paranoia. Mereka akan marah dengan orang itu. Mereka mungkin pergi kepada orang itu dan kata: “Kenapa cakap tentang aku?”

Atau ayat ini bermaksud panggilan atau seruan untuk jihad di mana apabila umat Islam dipanggil untuk berjihad, mereka rasa berat dan mereka rasa itu sebagai mudharat untuk mereka.

Ayat ini juga boleh bermakna yang mereka takut dengan musibah dan ujian. Yakni manakala terjadi suatu peristiwa atau suatu kejadian atau hal yang menakutkan, maka mereka berkeyakinan bahawa hal itu akan menimpa diri mereka, hal ini disebabkan hati mereka yang pengecut lagi penakut. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah‎ ﷻ:

{أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنْظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَى عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُمْ بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ أُولَئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا}

Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati; dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedangkan mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Al-Ahzab: 19)

 

Maka, ini adalah sifat ketujuh nifaq dalam ayat perenggan ini: 7. Buruk sangka, paranoid. يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِم

 

هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم

Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; 

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa mereka itu adalah musuh kita dan kita kenalah berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu adalah musuh dalaman. Mereka akan menyebabkan orang lain pun lemah iman kerana terikut-ikut dengan cara hidup dan pandangan mereka yang salah.

Inilah sifat nifaq kelapan (8): Merekalah musuh umat Islam yang sebenar. هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ

 

قٰتَلَهُمُ اللَّهُ

semoga Allah membinasakan mereka. 

Semoga Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka kerana keburukan yang mereka bawa.

Atau kalimah ini juga boleh bermaksud Allah ‎ﷻ memang telah memusnahkan mereka di mana perasaan tidak tenang dan paranoia itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka (sebagai azab bagi mereka). Allah ‎ﷻ bagi hati mereka tidak tenang, Allah ‎ﷻ bagi hati mereka sentiasa sakit sahaja. Ada sahaja yang tidak kena pada diri mereka.

 

أَنّىٰ يُؤفَكونَ

Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?

Amat menghairankan sekali bagaimana mereka itu boleh terpesong daripada ajaran agama Tauhid ini. Sedangkan mereka duduk di Madinah dan berada bersama-sama dengan Nabi Muhammad ﷺ sendiri, dalam kalangan para sahabat yang hebat-hebat.

Begitu juga dengan umat Islam zaman sekarang, bagaimana lagi mereka boleh menjadi munafik sedangkan mereka duduk dalam kalangan orang Islam. Adakah mereka tidak mengambil perhatian kepada pembelajaran agama, sampai mereka jadi begitu? Sampai iman mereka lemah sangat?

Siapakah atau apakah yang menyebabkan mereka menjadi munafik? Tidak diberitahu dalam ayat ini, jadi mungkin syaitan yang menjadi kawan mereka, kawan-kawan mereka yang mereka ikut, pemimpin mereka yang menjadi idola mereka, cinta kepada dunia, terlalu cinta kepada keluarga, atau apa-apa sahaja. Maka ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh menyesatkan dan menjadikan kita sebagai munafik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Disember 2021

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 1 (Munafiq Sedar dan Bawah Sedar)

Pengenalan:

Surah ini seperti namanya, tentulah berkenaan golongan munafik dan tentu ada banyak menceritakan tentang sifat-sifat mereka. Maka surah ini amat penting supaya kita periksa dengan diri sendiri kerana ditakuti kita pula ada sifat-sifat nifaq ini.

Surah ini menyambung topik tentang Bani Israil sebelum ini di mana di dalam agama mereka, ada orang yang mengaku beriman tetapi tidak beriman sebenarnya. Itulah golongan munafik namanya, iaitu mereka yang luarannya nampak beriman tetapi dalamannya menyembunyikan kekufuran mereka. Surah ini adalah kesinambungan daripada perbincangan yang telah diadakan dalam Surah Jumu’ah sebelum ini. Begitulah senarionya di mana dalam golongan mereka terdapat golongan munafik, maka, dalam masyarakat Islam pun ada golongan munafik juga. 

Latar belakang surah ini: Ada seorang sahabat yang muda yang terdengar perbincangan golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay yang mengatakan hendak menghalau orang-orang Muhajirin dari Madinah kerana mereka rasa golongan Muhajirin itu telah menyusahkan mereka. Kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Madinah daripada satu peperangan iaitu peperangan dengan Bani Mustalaq.

Sedikit kisah tentang perang ini: Peperangan itu terjadi dalam tahun 5 Hijrah (atau 6 Hijrah) iaitu selepas Peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut, umat Islam telah mengalami kekalahan yang agak teruk dan puak-puak sekitar Madinah ada yang merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk menyerang Madinah dan merompak harta penduduk Madinah. Mereka bukanlah memusuhi agama Islam tetapi mereka hendakkan harta sahaja kerana itu antara cara mereka mendapat kekayaan pada zaman itu. Yang telah membuat perancangan untuk menyerang Madinah adalah Bani Mustalaq.

Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat berita tentang rancangan mereka itu dan baginda telah mengumpul pasukan tentera untuk menyerang Bani Mustalaq sebelum mereka sempat menyerang. Kemenangan mudah telah diraih oleh pasukan Islam.

Bani Mustalaq telah kalah dan kaum mereka dijadikan tawanan dan harta mereka dirampas. Dianggarkan seramai 200 orang telah dijadikan tawanan dan antaranya adalah Juwayriyya binti al-Harith, anak ketua Bani Mustalaq itu. Asalnya beliau telah jatuh ke tangan seorang sahabat bernama Thabit ibn Qays. Beliau tidak mahu menjadi hamba dan telah menawarkan untuk membebaskan dirinya dengan tebusan. Beliau telah pergi berjumpa Rasulullah ﷺ untuk menguruskan perkara itu. Rasulullah ﷺ kemudian telah bersetuju untuk membayar tebusan itu dan menawarkan untuk mengahwininya, dan Juwayriyya bersetuju.

Selepas perkahwinan itu, para sahabat berfikir, takkan bapa mertua Nabi ﷺ menjadi tawanan mereka pula? Lalu, mereka membuat keputusan untuk membebaskan tawanan mereka beramai-ramai. Maka ini adalah rahmah perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Juwayriyya رضي الله عنها. Selepas mereka dibebaskan, maka seluruh kaum itu masuk Islam beramai-ramai kerana mereka rasa terharu dengan perbuatan umat Islam itu dan kerana puteri mereka telah berkahwin dengan Rasulullah ﷺ. Oleh sebab itu, ketua mereka Harith itu pun masuk Islam juga.

Antara yang pergi peperangan Bani Mustalaq itu adalah ketua Munafik, Abdullah ibn Ubay. Ini kerana dia tahu yang peperangan ini mudah sahaja, maka kerana itu dia ikut serta. Kalau perang yang susah, dia tidak mahu ikut. Memang kalau perang yang mudah untuk dimenangi dan ada kemungkinan dapat harta rampasan perang, orang munafik tidak ada masalah untuk ikut serta. Bila perang susah barulah mereka akan mengelak untuk ikut sekali.

Dalam perjalanan pulang, mereka berhenti di sebuah telaga (nama telaga itu adalah Muraisi’ dan kerana itu nama perang ini juga digelar Perang Muraisi’ kerana peperangan terjadi berdekatan telaga itu) dengan keadaan berasak-asak. Salah seorang lelaki Muhajirun telah terlanggar seorang lelaki Khazraj (beliau adalah pembantu Umar). Maka terjadilah tendang menendang. Maka lelaki itu marah dan mula memanggil ahli kumpulannya dalam kalangan Ansar. Manakala lelaki Muhajirun telah memanggil ahli kumpulannya pula dalam kalangan Muhajirun.

Maka keadaan telah menjadi tegang dan ejek mengejek serta kata mengata telah timbul. Nampak sudah ada perbezaan yang ditimbulkan antara Muhajirun dan Ansar. Sudah tidak nampak penyatuan Muslim lagi pada waktu itu. Padahal mereka baru sahaja memerangi pihak musuh bersama-sama.

Sebenarnya keadaan ini biasa sahaja terjadi. Di dalam keadaan semua pihak dalam kepenatan ditambah pula kepanasan di padang pasir itu, maka mudah sahaja berlaku silap faham dan mudah pula tercetus kemarahan yang tidak terkawal. Selalunya yang berkelahi hanyalah berlaku di antara dua individu sahaja, namun menjadi lebih teruk pula apabila orang di sekeliling pun masuk campur tangan juga.

Tidaklah salah jika berasa bangga dengan keturunan, bangsa dan negara. Namun jika ia digunakan untuk pergaduhan dan pemecahbelahan, ini adalah salah sama sekali. Begitulah yang telah terjadi. Nama ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’ adalah nama yang mulia kerana muhajirin adalah mereka yang sanggup berkorban untuk agama dengan meninggalkan tempat asal. Manakala Ansar pula adalah golongan yang sanggup membantu muhajirin yang datang ke tempat mereka. Kedua-duanya telah dipuji dalam Al-Qur’an pun.

Maka, pengorbanan kedua-dua kumpulan ini amat besar sehinggakan Allah ‎ﷻ sendiri memberikan gelaran ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’ kepada mereka. Namun begitu, apabila ia digunakan sebagai alat pemecahbelah (engkau Muhajirin, aku Ansar), untuk membezakan satu golongan dengan golongan yang lain, maka itu sudah menjadi teruk. Maka jangan layan perasaan sebegini. Apabila Rasulullah ﷺ tahu tentang kejadian ini maka baginda telah marah mereka dan ini disebut dalam Sahih Bukhari (4525):

جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال
كنا في غزاة قال سفيان مرة في جيش فكسع رجل من المهاجرين رجلا من الأنصار فقال الأنصاري يا للأنصار وقال المهاجري يا للمهاجرين فسمع ذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال ما بال دعوى الجاهلية قالوا يا رسول الله كسع رجل من المهاجرين رجلا من الأنصار فقال دعوها فإنها منتنة

Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما berkata; Suatu ketika dalam satu peperangan -sekali waktu Sufyan mengatakan; Dalam suatu perkumpulan pasukan- tiba-tiba seorang laki-laki dalam kalangan Muhajirin mendorong seseorang daripada Ansar, maka sang Ansar pun menyeru, “Wahai orang-orang Ansar.” Dan sang Muhajir pun berkata, “Wahai orang-orang Muhajirin.” Rasulullah ﷺ pun mendengar hal itu, maka baginda bersabda, “Kenapa panggilan-panggilan Jahiliyyah itu masih saja kalian lestarikan?” Para sahabat pun berkata, “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dalam kalangan Muhajirin mendorong seorang daripada Ansar.” Akhirnya baginda bersabda, “Tinggalkanlah, kerana hal itu adalah sesuatu yang busuk.”

 

Arahan daripada Rasulullah ﷺ telah menghentikan perkelahian mereka itu. Ini kerana mereka amat menghormati dan menyanjungi baginda. Kalaulah Rasulullah ﷺ tidak masuk campur pada waktu itu, tentunya keadaan itu akan melarat dan akan memecahkan mereka dengan lebih teruk lagi.

Itu mereka, bagaimana pula dengan kita? Kalau kita pun tidak berhati-hati dengan perasaan ini, maka kita pun boleh menjadi begitu juga. Sebagai contoh, kita ada ustaz yang kita suka dan kita ambil ilmu daripadanya. Namun kalau ada kumpulan lain yang ada ustaz mereka dan pendapat yang berlainan daripada pendapat ustaz kita, maka apa yang selalunya terjadi?

Mereka yang jahil akan membesar-besarkan perbezaan pendapat itu. Yang ustaz mereka selalunya tidak ada masalah pun kerana khilaf pendapat biasa sahaja dalam dunia ilmu. Akan tetapi pelajar-pelajar yang otak tidak berapa lengkap itu pula yang suka membesar-besarkan perkara ini. Inilah kalau orang yang jiwanya lemah dan akalnya kurang – suka mencari perbezaan pendapat sahaja.

Malangnya kita lihat dalam kumpulan sunnah pun ada masalah ini. Ada kumpulan itu dan kumpulan ini. Maka kononnya telah belajar sunnah, tetapi bila tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami ayat-ayat Al-Qur’an, maka terus menerus jugalah dalam keadaan jahil. Tiada makna belajar Sunnah jika tetap berakhlak seperti mereka yang jahil pula.

Dalam dunia Islam pun memang kita boleh lihat perpecahan yang amat banyak. Ada Muslim mazhab ini dan itu, bangsa ini dan itu, fahaman ini dan itu, negara ini dan itu, puak ini dan itu…. dan banyak lagi. Semuanya pula merasakan golongan mereka yang benar. Maka sampai bilalah umat Islam dapat bersatu kalau perpecahan yang menjadi tema pertalian antara kita? Inilah masalahnya apabila kita lihat orang lain sahaja, otak kita berfikir: “Apakah yang membezakan aku dan dia?”. Sebaliknya kita patut fikir: “Apakah yang sama antara aku dengan dia?” Jika perbezaan yang dicari, maka kita akan berpecah; namun jika kita mencari titik persamaan, maka kita akan bersatu.

Apabila dunia Islam berpecah belah, maka kita dikalahkan oleh musuh Islam di mana-mana sahaja. Agama kita nampak lemah, dakwah kita tidak berkesan, penganut agama kita ditindas di merata dunia kerana agama lain tidak pandang tinggi kepada kita.

Baik, kembali kepada kisah dalam surah ini. Siapakah yang sedang memerhatikan kejadian di telaga itu? Abdullah ibn Ubay telah melihat perkara ini dan mengambil peluang ini untuk menimbulkan semangat kebencian kepada puak Muhajirun. Dia memang tidak sukakan Rasulullah ﷺ dan Muhajirun kerana sebelum mereka datang ke Madinah, dia sepatutnya yang menjadi ketua Madinah. Maka kebenciannya masih ada lagi kerana berasakan bahawa peluangnya telah dirampas.

Maka dia nampak ini adalah peluang untuknya mengambilalih kuasa. Dia telah memanggil puak Ansar dan berpidato dengan mereka tetapi pidatonya ini telah didengari oleh seorang sahabat yang masih kecil pada waktu itu.

 

عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ عَمِّي فَسَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أُبَيٍّ ابْنَ سَلُولَ يَقُولُ لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا وَقَالَ أَيْضًا لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِعَمِّي فَذَكَرَ عَمِّي لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ وَأَصْحَابِهِ فَحَلَفُوا مَا قَالُوا فَصَدَّقَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَذَّبَنِي فَأَصَابَنِي هَمٌّ لَمْ يُصِبْنِي مِثْلُهُ قَطُّ فَجَلَسْتُ فِي بَيْتِي فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ إِلَى قَوْلِهِ هُمْ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ إِلَى قَوْلِهِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ } فَأَرْسَلَ إِلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَرَأَهَا عَلَيَّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ صَدَّقَكَ

Daripada Zaid bin Arqom –رضي الله عنه- ia berkata: Aku pernah berjalan bersama pakcikku. Kemudian aku mendengar Abdullah bin Ubay bin Salul berkata: “Janganlah kalian berinfak kepada orang-orang yang ada di sisi Rasulullah hingga mereka pergi (meninggalkan beliau)”. Ia juga berkata: “Kalau kita kembali ke Madinah, orang-orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang hina”. Aku pun menyampaikan hal itu kepada pakcikku. Kemudian pakcikku menyampaikan kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ pun mengutuskan seseorang kepada Abdullah bin Ubay dan rakan-rakannya. Mereka bersumpah tidak berkata demikian. Kemudian Rasulullah ﷺ membenarkan mereka dan mendustakan aku. Aku pun merasa sangat sedih dengan kesedihan yang tidak pernah aku rasakan sebelumnya. Aku pun duduk di rumahku. Kemudian Allah عزَّوجل menurunkan firman-Nya (daripada permulaan surah al-Munafiqoon hingga):

يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ…

Mereka berkata: Jika kami kembali ke Madinah orang-orang yang mulia akan mengeluarkan orang-orang yang hina…(Q.S al-Munafiqun ayat 8)

Kemudian Rasulullah ﷺ mengirimkan utusan kepadaku (agar aku menemui baginda, pent) kemudian baginda membacakan ayat-ayat itu kepadaku. Baginda pun bersabda: Sesungguhnya Allah telah membenarkan engkau.

(Sahih Muslim Jilid 4. Hadith No 2378)

 

 

Abdullah bin Ubay menghasut puak Ansar dengan mengatakan masalah itu terjadi sebab mereka (Ansar) telah membantu golongan Muhajirun itu. Sekarang mereka (Muhajirun) telah melampau. Maka dia menghasut untuk jangan lagi bantu puak Muhajirun itu supaya nanti mereka akan keluar sendiri dari Madinah. Ini akan dijelaskan lagi dalam surah ini nanti.

Kata-kata Abdullah ini amat bahaya. Waktu itu sudah kecoh isu ini dalam kalangan para sahabat. Saidina Umar رضي الله عنه sudah meminta untuk memenggal leher Abdullah bin Ubay tetapi ditahan oleh Rasulullah ﷺ. Anak Abdullah bin Ubay sendiri (namanya juga Abdullah) sudah menawarkan diri untuk membunuh bapanya kalau Rasulullah ﷺ hendak memberi arahan bunuh kerana beliau tidak mahu orang lain yang membunuh bapanya kerana nanti dia tidak tahan melihat pembunuh bapanya bebas. Walaupun bapanya seorang munafik, namun anaknya ini seorang mukmin sejati dan akan menjalankan perintah Rasulullah ﷺ tanpa berbelah bahagi.

Keadaan kemudiannya sudah menjadi kecoh. Walaupun perkelahian asal telah berhenti, namun gossip dalam kalangan mereka masih berjalan lagi. Untuk meredakan perkara ini, Rasulullah ﷺ telah mengarahkan rombongon mereka untuk terus berangkat. Ini lain daripada kebiasaan kerana selalunya baginda akan beri masa untuk pasukan berehat. Dengan terus bergerak, semoga percakapan-percakapan itu akan segera reda.

Daripada kisah ini juga kita dapat lihat bagaimana sikap taat, sanjung dan sayangnya para sahabat kepada Rasulullah ﷺ melebihi orang lain. Zaid al-Arqam رضي الله عنه itu daripada puak Khazraj dan Abdullah bin Ubay adalah ketua puak Khazraj. Beliau sayangkan Abdullah bin Ubay namun apabila Abdullah mengatakan sesuatu yang menghina Rasulullah ﷺ, maka beliau tidak boleh terima dan terus melaporkan hal itu. Begitu juga dengan anaknya sendiri (Abdullah bin Abdullah) yang tentunya sayangkan ayahnya, akan tetapi bila ayahnya buat salah menghina Rasulullah ﷺ, beliau sanggup membunuh ayahnya.

Selain daripada itu, tema surah ini adalah tentang infak harta. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang harta kita akan bernilai kalau diinfakkan di jalan Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu dalam masyarakat kita kena ada golongan yang kuat infak harta. Ini adalah kerana jihad dan menyebarkan agama memerlukan infak. 

Surah Munafiqoon ini juga adalah surah ketujuh daripada rentetan surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam kumpulan surah-surah yang dinamakan musabbihat. Sebelum ini Surah Jumu’ah tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqoon – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


​GOLONGAN MUNAFIK TIDAK BERIMAN

Munafiqoon Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro sahaja. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menyenaraikan dua belas sifat nifaq.

إِذا جاءَكَ المُنٰفِقونَ قالوا نَشهَدُ إِنَّكَ لَرَسولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّكَ لَرَسولُهُ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Munāfiqūn: The Hypocrites.

When the hypocrites come to you, [O Muḥammad], they say, “We testify that you are the Messenger of Allāh.” And Allāh knows that you are His Messenger, and Allāh testifies that the hypocrites are liars.

(MELAYU)

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: “Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”. Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.

إِذا جاءَكَ المُنٰفِقونَ

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, 

Bahasa yang digunakan di permulaan ayat ini menunjukkan bahawa ia bukanlah hendak mengatakan mereka telah datang kepada Nabi ‎ﷺ tetapi ia merujuk bila-bila masa sahaja mereka datang kepada Baginda. Maknanya, bukan sekali sahaja ia berlaku, tetapi banyak kali. 

Ini adalah kerana golongan munafik itu ada perancangan mereka dan salah satu yang mereka kena lakukan adalah menunjukkan yang seolah-olah mereka itu rapat dengan baginda Rasulullah ﷺ. Ini supaya mereka nampak seolah-olah mereka ini orang penting.

Maka mereka akan tetap datang kepada baginda dari masa ke semasa. Mereka mahukan orang lain lihat yang mereka selalu ada dengan Nabi ﷺ dan kadang-kadang ada perbincangan penting dengan baginda. Padahal tidak ada benda penting pun yang dibincangkan. Antaranya mereka hendak kata yang memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah. Tetapi, buat apa hendak beritahu hal itu?

قالوا نَشهَدُ إِنَّكَ لَرَسولُ اللَّهِ

mereka telah berkata: “Kami bersaksi, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”.

Lihat bagaimana kalimah yang digunakan oleh mereka itu mengandungi banyak elemen penekanan dan mereka lakukan ini kerana mereka hendak menunjukkan dan beria-iya kononnya yang mereka itu benar-benar beriman dengan baginda. Mereka nampaknya bercakap dengan nada berlebih-lebihan dalam hal ini. Ini kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk sahaja sebenarnya.

Kita pun tahu jikalau ada orang yang beriya-iya memberitahu tentang sesuatu maka kita pun boleh dapat kesan bahawa ada ‘udang di sebalik batu’. Agaknya kenapa mereka beriya-iya hendak memberitahu benda yang memang orang sudah tahu? Kenapa perlu kena cakap pula?

وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّكَ لَرَسولُهُ

Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya engkau benar-benar Rasul-Nya;

Allah ‎ﷻ menjawab kata-kata mereka itu dengan mengatakan yang memang Rasulullah ﷺ itu seorang Rasul dan mereka tidak perlu cakap pun kerana memang itu adalah kebenaran.

Sengaja mahu cakap itu kenapa pula?

وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ

dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.

Kemudian Allah ‎ﷻ memberitahu apa yang ada dalam hati mereka. Sebenarnya mereka itu menipu. Mereka telah bersaksi dan sekarang Allah ‎ﷻ pun bersaksi juga yang mereka sebenarnya penipu. Namun saksi manakah yang benar? Tentulah Allah ‎ﷻ.

Namun bukanlah mereka menipu bahawa Rasulullah ﷺ seorang rasul; tetapi bahagian persaksian mereka itu yang mereka tipu. Ini bermakna Allah ‎ﷻ‎ sedang membuka pekung yang ada di dalam dada mereka itu; iaitu mulut mereka sahaja mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul tetapi hati mereka tidak beriman pun. Mereka sebenarnya benci dengan baginda.

Ini mengajar kita yang jikalau kita perlu menyatakan keimanan kita kepada orang lain, maka ada masalah dengan iman kita. Sepertimana juga ibadah kita dengan Allah ‎ﷻ itu adalah antara kita dan Allah ‎ﷻ dan tidak perlu diberitahu kepada sesiapa pun maka begitulah juga iman kita, kita tidak perlu beritahu kepada orang yang kita beriman. Sengaja ingin tekankan yang kita beriman, bermaksud tidak beriman sangatlah.

Seperti telah disebut, perenggan ini menyenaraikan 12 sifat nifaq. Ayat ini menyebut sifat mereka yang pertama: Menipu. إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Disember 2021

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Jumuah Ayat 9 – 11 (Adab Solat Jumaat)

Jumuah Ayat 9: Ayat 9 – 11 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Ia memberitahu yang Hari Jumaat orang Islam bukanlah seperti Hari Sabtu Kaum Yahudi.

Ia juga mengajar kita untuk menjaga keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Kita kena hargai wahyu yang Allah ﷻ berikan. Jangan jadi seperti Yahudi yang buat tidak kisah sahaja dengan Taurat yang telah dianugerahkan kepada mereka. Mereka hanya setakat jaga lafaz sahaja (seperti kebanyakan orang kita juga). Maka untuk selamat dunia dan akhirat, kita kena hidupkan suasana mengajar dan belajar. 

Bagaimanakah cara untuk kita mencapai kejayaan? Dari segi individu kita boleh baca Al-Qur’an dan menambahkan ilmu pengetahuan kita tetapi dari segi kolektif, Allah ﷻ telah menjanjikan satu hari di mana semua umat Islam (lelaki) berkumpul ramai-ramai. Perjumpaan ini tidak perlu diiklankan dan tidak perlu diajak orang datang kerana semuanya memang Allah ﷻ sudah ajak.

Itulah hebatnya waktu itu kerana Solat Jumaat ini dihadiri oleh semua lapisan masyarakat: Iaitu daripada golongan yang pandai dan yang tidak, daripada golongan yang warak dan tidak, golongan yang muda dan yang tua; semuanya akan datang kerana semua sudah tahu yang ia adalah wajib. Sekiranya mereka tidak datang, mereka akan malu sendiri.

Ramai akan datang sehingga penuh masjid setiap Jumaat walaupun mereka itu waktu lain mungkin tidak solat di masjid (malah ada yang tidak solat kecuali Solat Jumaat sahaja). Maknanya setiap Hari Jumaat itu ada satu perjumpaan umat Islam. Kalau kita perhatikan, tidak ada agama lain yang ada perjumpaan seperti ini. Kalau ugama Kristian ada perjumpaan Hari Ahad, tetapi perjumpaan itu tidak sama dengan perjumpaan umat Islam Hari Jumaat kerana tidak semua masyarakat mereka pergi ke gereja Hari Ahad itu. 

Walaupun Khutbah Jumaat yang diberikan mungkin tidak menarik, tetapi manusia akan tetap datang juga minggu depannya. Begitulah umat Islam masih lagi menjaga Solat Jumaat. 

Ini adalah satu masalah yang kita kena cakap juga: Khutbah Jumaat itu hendaklah dinaiktaraf supaya menjadi lebih menarik. Kita sudah ada satu medan untuk memberi pengajaran kepada umat Islam yang datang dari semua tempat. Kalau kita mahu mengajak mereka datang ceramah pun belum tentu mereka akan datang. Akan tetapi bila mereka sudah datang pada setiap Jumaat, pihak masjid hendaklah mengambil peluang keemasan ini untuk memberi pengajaran yang utama dan menyentuh masyarakat.

Malangnya, kita perhatikan dari dulu sampai sekarang, teks khutbah ini tidak menarik langsung. Ia sangat membosankan sampaikan kalau hendak tidur, waktu itulah waktu paling sedap untuk tidur kerana khatib itu memang baca sahaja teks itu tanpa semangat, tanpa pengajaran, tanpa kata-kata yang menarik.

Topik yang disampaikan amatlah membosankan. Tidak menyentuh kehendak masyarakat, tidak menaikkan semangat kepada mereka, tidak menarik perhatian mereka kepada pelajaran agama. Amatlah ruginya waktu itu tidak digunakan sepenuhnya.

Allah ﷻ sudah menyediakan satu masa untuk memberikan pelajaran kepada manusia pada Hari Jumaat. Ini peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada guru agama kerana ulama’ kena sampaikan ilmu yang dia ada. Masyarakat kena dengar pada waktu itu. Ini memberi isyarat yang suasana ilmu perlu diwujudkan.

Manakala pelajar pula kena hargai masa belajar kerana jikalau dia tidak hargai masa belajar itu maka dia tidak akan mendapat ilmu untuk dia sendiri ajar kepada ahli keluarganyaa. Kita kena faham yang semua umat Islam kena ada ilmu agama sekurang-kurangnya ilmu asas.

Ilmu agama ini bukanlah untuk para ulama’ dan ustaz sahaja, tetapi untuk semua orang. Seorang ketua keluarga kena sampaikan ilmu itu kepada ahli keluarga di bawahnya. Kalau dia sendiri tidak tahu, maka susahlah kalau begitu. Kerana itulah masyarakat Islam kita terus lemah kerana ilmu yang mereka patut dapat tidak disampaikan kepada mereka. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when [the adhān] is called for the prayer on the day of Jumu‘ah [Friday], then proceed to the remembrance of Allāh and leave trade. That is better for you, if you only knew.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman, 

Sekarang Allah ﷻ hendak mengajar orang Islam bagaimana hendak memanfaatkan masa untuk belajar ilmu agama. Maka orang beriman kena perhatikan perkara ini kerana ilmu amat penting. Kalau setakat beriman, tetapi tidak ada ilmu, boleh hanyut dan membuat perkara yang salah pula.

إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ

apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat,

Sebagai umat Islam lelaki, diwajibkan untuk berhenti untuk Solat Jumaat setiap minggu. Tidak ada alasan untuk tidak pergi jikalau dia boleh pergi. Ia hanya sebahagian daripada Hari Jumaat itu sahaja dan tidaklah seperti agama Yahudi yang kena bercuti sepanjang hari menahan diripada dari bekerja untuk menumpukan kepada ibadah.

Maka sudah ada keringanan yang diberikan kepada umat Islam dalam perkara ini.

Kalimah نودى dalam ayat ini bermaksud panggilan dalam bentuk azan. Dalam ayat ini, hanya disebut secara ringkas sahaja. Tidak disebut bagaimana cara azan itu dikumandangkan, tidak disebut bagaimana perjalanan Solat Jumaat itu perlu dilakukan. Semua itu terdapat dalam Sunnah Nabi Muhammad ﷺ.

Ini mengajar kita bahawa agama ini tidak lengkap tanpa Hadith dan Sunnah daripada baginda. Maka kalau ada yang kata cukuplah agama ini dengan berlandaskan Al-Qur’an sahaja (seperti yang dikatakan oleh golongan Anti-Hadith dan Qur’aniyyun/Quranist), maka itu adalah kata-kata yang amat bodoh sekali.

Sedikit pengetahuan tentang Hari Jumaat ini:

1. Jumaat berasal daripada kalimah ج م ع yang bermaksud ‘kumpul’. Nama ‘Jumaat’ mula digunakan setelah Islam bangkit dengan Nabi Muhammad ﷺ. Terma ini baru digunakan oleh Nabi Muhammad ﷺ sebagai wahyu daripada Allah ﷻ. Sebelum itu, tiada hari Jumaat tetapi yang digunakan adalah hari ‘Arabah’. Ada yang mengatakan ia ditukar oleh tok nenek Rasulullah ﷺ iaitu Ka’b ibn Lu’ayy lebih 500 tahun sebelum Rasulullah ﷺ dilahirkan.

2. Sebelum Islam, hari utama dalam agama telah ada pada Ahli Kitab. Yahudi ada Hari Sabtu sebagai hari ibadah khusus untuk mereka kerana hari itulah Bani Israil diselamatkan daripada perhambaan Firaun.

Manakala puak Nasrani pula menjadikan hari Ahad sebagai hari agama mereka. Ini tidak ada diajar oleh Nabi Isa عليه السلام dan juga dalam Injil pun, tetapi mereka memandai-mandai reka sendiri kerana mereka hendak membezakan daripada Yahudi. Mereka mengambil hari Ahad ini sebagai hari agama kerana mereka kata apabila Nabi Isa عليه السلام wafat, baginda telah hidup semula pada hari Ahad dan diangkat ke langit.

Apabila Islam kembali naik, maka Allah ﷻ telah memilih hari Jumaat sebagai hari utama bagi agama Islam. Sebenarnya memang kepada Ahli Kitab pun sepatutnya mereka memuliakan Hari Jumaat, tetapi mereka yang telah mengubahnya. Ini kerana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad

Riwayat al-Bukhari (836)

3. Perhimpunan solat berjemaah pada hari Jumaat telah diwajibkan kepada Rasulullah ﷺ ketika di Mekah lagi. Namun ia tidak dapat diamalkan kerana umat Islam lemah pada waktu itu dan tidak dapat mengadakan solat berjemaah. Apabila sudah ada umat Islam di Madinah yang sudah mahu beriman, maka Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan mereka untuk mengadakan Solat Jumaat di Madinah.

Maka Mus’ab bin Umair yang menjadi ketua umat Islam yang awal di Madinah telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama dengan 12 orang makmum. Waktu itu Rasulullah ﷺ belum berhijrah lagi.

4. Solat Jumaat adalah antara perkara pertama yang Nabi Muhammad ﷺ jalankan ketika baginda sampai di Madinah. Baginda telah sampai di Quba’ pada hari Isnin dan pada hari Jumaat, baginda telah bergerak ke Madinah. Dalam perjalanan ke Madinah, ketika sampai di perkampungan Bani Salim, telah masuk waktu Solat Jumaat dan baginda telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama di situ.

5. Waktu Solat Jumaat ini dari dulu lagi adalah sama dengan waktu Zuhur.

6. Walaupun Solat Jumaat dilakukan sama waktu dengan Solat Zuhur, tetapi jumlah rakaatnya adalah dua. Ini adalah kerana adanya Khutbah dan dua rakaat itu diganti dengan Khutbah.

7. Azan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ adalah satu azan yang dilaungkan apabila khatib telah menaiki mimbar. Ini diteruskan pada zaman Abu Bakr dan Umar رضی اللہ عنھما. Akan tetapi pada zaman pemerintahan Saidina Uthman رضي الله عنه, dan masyarakat Islam telah berkembang, beliau telah menambah satu azan lagi untuk mengingatkan waktu Solat Jumaat sudah dekat (waktu itu belum masuk waktu Zuhur lagi) dan azan ini dilaungkan di Madinah berdekatan rumahnya iaitu di Pasar az-Zaura’.

عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ. قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Daripada as-Saib bin Yazid, dia berkata, “Dahulu pada zaman Nabi ﷺ, Abu Bakar dan ‘Umar رضی اللہ عنھما, azan pada hari Jumaat pertama kalinya adalah ketika imam sudah duduk di atas mimbar. Tatkala ‘Utsmân رضي الله عنه (menjadi khalifah, Pen.) orang-orang bertambah banyak, beliau رضي الله عنه menambah azan ketiga di Zaura”. Abu Abdillah (Imam al-Bukhâri رحمه الله) berkata, “Az-Zaura’ adalah nama satu tempat di pasar Madinah”.

(Sahih Bukhari, no. 870)

8. Hari Jumaat ini memang hari yang sudah mulia semenjak dulu lagi sebelum diwajibkan solat Jumaat padanya. Pada hari Jumaat semua makhluk telah sempurna diciptakan, dan sesungguhnya hari Jumaat itu merupakan hari keenam dari tahun yang Allah ﷻ menciptakan padanya langit dan bumi.

Pada hari Jumaat Allah ﷻ menciptakan Adam, pada hari Jumaat Adam عليه السلام dimasukkan ke dalam syurga, pada hari Jumaat Adam عليه السلام dikeluarkan dari syurga, dan pada hari Jumaat pula hari kiamat terjadi.

Di dalam hari Jumaat terdapat suatu saat yang tiada seorang hamba pun yang beriman dapat menjumpainya, sedangkan dia dalam keadaan memohon kebaikan kepada Allah ﷻ di dalamnya, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkan apa yang dimintanya.

 

Waktu Mustajab Untuk Berdoa Di Hari Jumaat

 

 

فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ

maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah

Maka apabila azan waktu Jumaat sudah dikumandangkan, maka kena terus pergi ke masjid. سعى boleh bermaksud bersegera atau ia bermaksud fokus. Dalam ayat ini ia bermaksud fokus seperti seseorang yang apabila dia bersegera kepada sesuatu, dia sedang fokus kepada tujuannya itu. Bukanlah bermaksud bersegera seperti berlari pula pergi ke masjid untuk Solat Jumaat kerana kita dilarang daripada berlari untuk solat.

‘Mengingati Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud ‘sembahyang dan mendengar khutbah’ iaitu mengingati Allah ﷻ semasa di dalam solat dan kemudian mengingati Allah ﷻ di dalam mendengar khutbah. Inilah pakej Solat Jumaat (solat dan khutbah sekali).

Dari segi feqah, sekiranya tidak sempat mendengar khutbah, solat Jumaat itu tetap sah kerana ia bukanlah rukun solat Jumaat. Namun begitu ini tidaklah bermakna khutbah ini tidak penting untuk didengari. Maka jangan diremehkan perkara ini. Dalam hadith diberitahu bahawa malaikat tidak tulis kedatangan selepas khutbah bermula:

Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

إذا كان يومُ الجمعةِ كان على كلِّ بابٍ من أبوابِ المسجدِ الملائكة يكتبون الأولَ فالأولَ، فإذا جلس الإمامُ طوَوُا الصحفَ وجاؤوا يستمعون الذكرَ.

“Apabila hari Jumaat tiba maka akan ada para malaikat di setiap pintu-pintu masjid. Mereka akan mencatat setiap orang yang datang bermula dengan yang pertama, lalu berikutnya dan berikutnya. Hingga ketika Imam telah naik di mimbarnya para malaikat pun menutup catatan-catatannya, lalu mereka ikut mendengarkan khutbah.”

(HR. Bukhari 3211)

Apabila dikatakan ذِكرِ اللَّهِ (mengingati Allah ﷻ) itu bermaksud ‘khutbah’, maka kandungan khutbah itu hendaklah mengandungi peringatan tentang Allah ﷻ, memuji Allah ﷻ, berdoa kepada Allah ﷻ, mengingatkan kepada syariat Allah ﷻ, dan seumpamanya.

Maka semasa kita di dalam perjalanan ke masjid dan selepas itu hendaklah kita banyak melakukan zikir. Hendaklah kita ingat bahawa Allah ﷻ hanya mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita sudah tahu.

Oleh itu, hendaklah para lelaki Muslim bersegera untuk pergi mengerjakan Jumaat kerana Allah ﷻ bukan suruh tiap-tiap hari berkumpul seperti itu, tetapi hanya seminggu sekali sahaja. Bayangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang Yahudi dan Kristian dahulu yang ibadat mereka lebih berat lagi.

Kita disuruh bersegera untuk ‘mengingat kepada Allah ﷻ’ dan bukannya disuruh untuk ‘dengar khutbah’ ataupun berjumpa umat Islam yang lain, tetapi kita hendaklah tahu bahawa semua itu membawa kepada memberi ingat kepada Allah ﷻ.

Apabila ayat ini mengatakan ‘bersegeralah’, bukanlah bermaksud kena berlari-lari dalam keadaan tergesa-gesa ke masjid. Maksudnya bila sudah dengar azan, maka kena bersiap dengan segera. Namun begitu janganlah tergocoh-gocoh kerana bukan ini yang dikehendaki. Kita kena datangi solat jemaah dengan tenang. Seperti disebut dalam sebuah hadith:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.

(Sahih Bukhari (908))

Dan memang sudah ada larangan tergopoh-gopoh menuju solat.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ سَمِعَ جَلَبَةَ رِجَالٍ فَلَمَّا صَلَّى قَالَ مَا شَأْنُكُمْ قَالُوا اسْتَعْجَلْنَا إِلَى الصَّلَاةِ قَالَ فَلَا تَفْعَلُوا إِذَا أَتَيْتُمْ الصَّلَاةَ فَعَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Daripada Abdullah bin Abu Qatadah daripada bapanya beliau berkata, “Ketika kami solat bersama Nabi ﷺ, baginda mendengar suara kecoh orang-orang. Maka setelah selesai, baginda bertanya: Apa yang terjadi pada kalian?” Mereka menjawab, “Kami tergesa-gesa menuju solat.” Rasulullah ﷺ menegur mereka, “Janganlah kalian lakukan hal itu. Apabila kalian mendatangi solat maka hendaklah berjalan dengan tenang, dan rakaat yang kalian dapatkan solatlah dan rakaat yang terlewat sempurnakanlah”

(Sahih Bukhari No: 599)

 

وَذَرُوا البَيعَ

dan tinggalkanlah jual beli.

Waktu itu tinggalkanlah segala urusan terutama sekali perniagaan dan jual beli. Disebut ‘berjual’ di dalam ayat ini kerana inilah perkara yang paling kuat menarik perhatian manusia kerana ia ada keuntungan di dalamnya. Ini kerana pada waktu jual itu orang suka sangat dan susah hendak meninggalkannya untuk beribadah. Akan tetapi Allah ﷻ sudah beri arahan kena tinggalkan. 

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘jual’ sahaja (tidaklah Allah ﷻ kata tinggalkan perniagaan) kerana dalam urusan perniagaan, jual lah yang paling untung dan susah penjual untuk tinggalkan. Kalau setakat beli sahaja, tidak untung lagi. Kalau jual tidak ada, beli pun tidak ada. Maka Allah ﷻ sebut ‘jual’ sahaja.

Perbuatan inilah yang susah untuk ditinggalkan sebenarnya. Oleh kerana itu sekiranya sedang berniaga dan tiba-tiba ada orang datang hendak membeli, maka pada ketika itulah yang amat susah untuk ditinggalkan. Kalau azan sudah berkumandang pun, ada yang sanggup teruskan perniagaan kerana duit sudah datang dan dia berharap pembelian itu berlaku. 

Maka tinggalkan ‘jualan’ dan bukannya tinggalkan ‘perniagaan’ kerana di dalam perniagaan itu ada jualan dan itulah yang susah untuk ditinggalkan. Bayangkan kalau kita hendak tutup kedai untuk pergi solat Jumaat dan tiba-tiba ada orang datang dan nampak seperti hendak membeli barang yang banyak tentu kita susah hati umtuk menutup kedai kita, bukan? Maka orang yang beriman sebenar, akan sanggup untuk tinggalkan.

Walaupun disebut jual (dan beli) di dalam ayat ini, ulama’ berpendapat yang ia juga bermaksud segala aktiviti lain yang menghalang daripada Solat Jumaat. Maka perbuatan seperti makan minum, bersenda gurau, malah belajar pun hendaklah dihentikan kerana ini adalah masa untuk Solat Jumaat dan Khutbah.

Hari Jumaat ini juga sebagai peringatan kepada kita kepada ‘hari perhimpunan’ Mahsyar kerana waktu itulah semua manusia akan berhimpun. Oleh itu, hari Jumaat ini adalah sebagai latihan kepada kita untuk ingat kepada Hari Mahsyar. Begitu juga perhimpunan Haji itu lebih besar peringatannya daripada Hari Jumaat kerana lebih ramai orang yang datang berkumpul dan lebih memberi kesan.

Namun begitu, Haji itu dikerjakan hanyalah setahun sekali sahaja dan bukan semua boleh merasai pengalaman itu. Akan tetapi kita tiap-tiap minggu ada diberi peringatan tentang Mahsyar ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana puak Yahudi itu lari daripada mati dan tidak mahu memikirkan tentang mati; tetapi untuk umat Islam kita diberikan dengan hari Jumaat di mana setiap minggu kita diingatkan dengan mati. Namun kalau tidak tahu perkara ini, maka setiap kali pergi itu tidak terkesan pun. Maka amatlah malang. 

Walaupun ayat ini menyebut meninggalkan ‘berjual beli’ tetapi bukanlah tinggalkan itu sahaja. Ini kerana ramai orang yang tidak berniaga, maka mereka pun kena tinggalkan apa sahaja urusan mereka yang lain. Disebut ‘berjual beli’ kerana Hari Jumaat ramai yang ambil peluang untuk berniaga kerana ramai orang.

Apabila azan Jumaat telah dikumandangkan, maka segala urusan selain daripadanya diharamkan. Kena tinggalkan semua sekali. Ini menambahkan hujah kewajipan Solat Jumaat sampaikan perkara yang harus seperti perniagaan dan pekerjaan lain pun sampai diharamkan.

Dalam hal ini, kewajipan menunaikan solat Jumaat, ianya di fardhukan ke atas kaum lelaki sahaja. Oleh itu timbul permasalahan berkenaan dengan jual beli oleh kaum wanita yang tidak diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan solat Jumaat. Justeru kami datangkan beberapa pendapat ulama berkenaan dengan hal ini.

Di dalam kitab al-Mu’tamad menyatakan terdapat 8 syarat wajib solat jumaat di antaranya ialah lelaki. Dr Muhammad Zuhaili menyebut diwajibkan solat Jumaat ke atas lelaki sahaja dan tidak diwajibkan ke atas perempuan kerana mereka disibukkan untuk menjaga anak dan menguruskan rumahtangga. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/495)

Dalam hukum menjual beli setelah azan kedua berkumandang Dr. Wahbah Zuhaili menyebut, diharamkan melakukan jual beli dan kewajipan untuk bersegera ke masjid dikenakan khusus bagi mereka yang diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat (golongan lelaki yang cukup syarat wajib). Adapun selain daripada itu seperti golongan wanita, kanak-kanak dan musafir tidak termasuk di dalam perintah wajib menunaikan solat Jumaat. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa adillatuhu, 2/1284)

Dalil kewajipan Solat Jumaat diwajibkan kepada lelaki dan tidak diwajibkan kepada wanita adalah adalah sabda Nabi ﷺ :

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Jumaat itu wajib bagi setiap Muslim dengan berjama’ah, kecuali empat (golongan), iaitu; hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit.

(Riwayat Abu Dawud, no. 1069. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak, no. 1062). Disahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani.

Meninggalkan Solat Jumaat sehingga tiga kali sampai boleh menyebabkan Allah ﷻ kunci mati hati orang yang wajib menghadirinya. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

“Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah ﷻ akan mengunci hatinya.” 

(Hadith riwayat al-Tirmidzi (500)). Beliau menyatakan hadith ini hadith hasan.

Maka kita kena hormati hari Jumaat ini dan jadikan hari ini hari yang istimewa bagi kita di mana kita pagi-pagi kena banyak baca Al-Qur’an dan kita kena pergi awal ke masjid dan kita kena pakai pakaian yang indah-indah dan cantik sebagai menghormati hari ini. Kita juga kena Mandi Wajib pada hari ini dan berkemas semampu kita.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Segala nasihat daripada Allah ﷻ ini adalah untuk kebaikan kita, bukannya untuk menyusahkan kita. Mungkin kita nampak macam menyusahkan, namun tidaklah menyusahkan sebenarnya. Kita sahaja yang mungkin tidak nampak lagi kepentingannya. Kita sekarang sebut secara ilmu sahaja, tetapi nanti di akhirat kelak kita akan nampak kebaikan yang besar yang kita telah lakukan.

Banyak sekali kelebihan yang akan diberikan oleh Allah ﷻ berkenaan Solat Jumaat ini. Antaranya hadith riwayat Imam Ahmad, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Hibban.

عَنْ أَوْسِ بْنِ أَوْسٍ الثَّقَفِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “مَنْ غَسَّل وَاغْتَسَلَ يَوْمَ
الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، وَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خطوة أجر سنة، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا”.
Daripada Aus ibnu Aus As-Saqafi yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Barang siapa yang mencuci dan mandi pada hari Jumaat dan berpagi hari, dan berangkat dengan segera serta jalan kaki tidak berkenderaan, dan mendekati imam, dan mendengarkan serta tidak melakukan hal yang lagha (melenyapkan pahala Jumaat), maka baginya untuk tiap langkahnya pahala satu tahun puasa dan qiyamnya.
(Sunan Abi Dawud 345). Darjatnya sahih.

 

Telah diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.

(Riwayat Bukhari (881) dan Muslim (850))


 

Jumuah Ayat 10:

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the prayer has been concluded, disperse within the land and seek from the bounty of Allāh, and remember Allāh often that you may succeed.

(MELAYU)

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

 

 

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi;

Bukanlah kita kena terus duduk di masjid pada hari Jumaat itu. Selepas selesai Solat Jumaat, maka boleh keluar dan sambung perniagaan, sambung buat kerja atau pulang ke rumah kepada keluarga.

Ini pun sudah satu nikmat kepada umat Islam. Ini kerana bagi Ahli Kitab dahulu, mereka tidak dibenarkan kerja langsung pada hari itu. Memasak pun tidak boleh. Sebaliknya bagi umat Nabi Muhammad ﷺ, kita disuruh pergi ke masjid pada waktu solat sahaja. Dilarang untuk berniaga dan bekerja pada waktu solat itu sahaja, bukannya sepanjang hari.

Ayat ini bukanlah mewajibkan keluar dari masjid. Ini bukannya ayat arahan, walaupun sekali baca nampak begitu. Ia tidak menjadi ayat suruhan kerana sebelum ini telah disuruh pergi ke masjid. Maka apabila kemudian disuruh bertebaran, maka ia sebenarnya ayat membenarkan keluar dari masjid setelah selesai solat. Namun kalau sudah pencen dan hendak terus duduk beribadat di masjid, tidaklah menjadi halangan.

 

 

وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ

dan carilah kurnia Allah

Maka boleh terus sambung bekerja selepas selesai solat Jumaat. Sebenarnya Hari Jumaat ini, kebanyakan manusia sudah memulakan ‘hari minggu’ mereka. Otak kebanyakan orang pun sudah mula ingat kepada cuti. Namun daripada ayat ini, kita dapat isyarat bahawa itu bukan sifat orang Islam kerana orang Islam diingatkan untuk sambung kerja. Itu kepada orang yang kerja, kalau pencen tentulah lain pula hal dia. 

Malah Ibn Kathir رحمه الله mengatakan golongan salaf berpendapat bahawa daripada ayat ini, memberi indikasi bahawa pekerjaan selepas Solat Jumaat diberkati. Ada kelebihan di dalam pekerjaan itu.

Diingatkan sekali lagi, walaupun ayat ini seperti arahan untuk bertebaran mencari rezeki, tetapi ia bukanlah ayat arahan. Ini kerana sebelum itu telah diberikan larangan, maka apabila ada arahan selepas larangan, maka ia membawa maksud ‘harus’. Bukanlah semua ayat arahan dalam Al-Qur’an itu membawa kepada maksud ‘wajib’. 

Janganlah pula ada salah faham dengan ayat ini sehinggakan memaksa orang pergi bekerja selepas Solat Jumaat pula. Maka kalau ada orang yang sudah pencen hendak duduk di masjid meneruskan ibadat baca Al-Qur’an atau apa-apa ibadat lagi, janganlah dihalau mereka itu.

 

 

وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Dalam kamu mencari rezeki itu pun kamu hendaklah ingat Allah ﷻ banyak-banyak. Jangan ingat dunia sahaja tetapi hendaklah ingat Allah ﷻ sekali.

Maka dalam masjid kena ada suasana zikir tetapi luar masjid pun kena ingat Allah ﷻ. Tidaklah kita sebagai umat Islam hanya ingat kepada Allah ﷻ semasa ibadat sahaja. Dalam segenap kehidupan kita, kita kena ingat Allah ﷻ. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, apabila kita ingat kepada Allah ﷻ, kita akan takut untuk melakukan dosa. 


 

Jumuah Ayat 11: Sekarang kita masuk kepada ayat peringatan kepada pelajar ilmu. 

Latar belakang ayat ini: Ini adalah kejadian semasa di Madinah dan waktu itu umat Islam sudah agak ramai dan ada berjenis-jenis golongan pula yang telah masuk Islam. Ada yang imannya kuat dan ada yang iman baru lagi berputik. Ketika ini Rasulullah ﷺ sedang memberikan khutbah Jumaat kepada mereka. 

Waktu itu tiba-tiba datanglah rombongan perniagaan seperti Expo (atau para mujahidin yang baru pulang). Banyak barang-barang dagangan yang dibawa oleh mereka. Jarang datang perniagaan seperti expo itu ke Madinah maka tentulah ia menarik minat umat Islam pada waktu itu. Pada waktu itu sedang Khutbah Jumaat dan kedatangan peniaga itu telah menarik perhatian mereka yang berada di masjid. 

Boleh dikatakan bahawa mereka yang berminat kepada perkara begini ada dua jenis:

1. Iaitu yang pertama adalah golongan peniaga kerana ia memang kehidupan mereka, dan
2. Ada juga orang yang tidak ada kerja dan suka untuk lihat-lihat sahaja. Ini macam orang kita yang suka ‘window shopping’.

Maka kedua-dua golongan itu ditegur dalam ayat ini.

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا ۚ قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But [on one occasion] when they saw a transaction or a diversion, [O Muḥammad], they rushed to it and left you standing. Say, “What is with Allāh is better than diversion and than a transaction, and Allāh is the best of providers.”

(MELAYU)

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”, dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

 

 

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya

Ada pendapat lain yang mengatakan kejadian ini terjadi ‘selepas’ Solat Jumaat di mana Nabi Muhammad ﷺ sedang memberikan khutbah Jumaat dan pada waktu itu khutbah Jumaat adalah sunat sahaja dan dilakukan selepas solat sebelum ia kemudiannya ditukar dilakukan sebelum solat. 

Kalau sekarang kita boleh bayangkan khutbah Solat Eid dilakukan selepas solat, bukan? Selepas kejadian ini, semenjak hari itu, Khutbah Jumaat telah diawalkan sebelum solat.

Semasa baginda sedang memberikan khutbah itu maka ada rombongan Mujahidin yang baru pulang berperang dengan harta rampasan dan selalunya itu seperti menjadi pesta kerana banyak barang-barang yang mereka bawa balik dan barang yang dulunya mahal boleh menjadi murah dan ia adalah sesuatu yang amat menarik perhatian manusia. Ada juga yang mengatakan ia adalah rombongan perniagaan seorang sahabat yang bernama Dihyah (waktu itu beliau belum Muslim).

Apabila rombongan perniagaan itu telah sampai dan gendang telah dibunyikan, maka para sahabat yang berada di dalam masjid semasa baginda sedang memberikan khutbah telah meninggalkan baginda. Riwayat mengatakan hanya 12 orang sahaja yang tinggal.

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan hadith yang sama di dalam kitab sahih masing-masing.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَدِمَتْ عيرٌ إِلَى الْمَدِينَةِ، فَابْتَدَرَهَا أصحابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى لَمْ يَبْقَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ تَتَابَعْتُمْ حَتَّى لَمْ يَبْقَ مِنْكُمْ أَحَدٌ، لَسَالَ بِكُمُ الْوَادِي نَارًا” وَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا} وَقَالَ: كَانَ فِي الِاثْنَيْ عَشَرَ الَّذِينَ ثَبَتُوا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Daripada Jabir ibnu Abdullah yang mengatakan bahawa ketika Rasulullah ﷺ  sedang berkhutbah Jumaat, datanglah iringan kafilah ke Madinah. Maka para sahabat bergegas menuju kepadanya, sehingga tiada yang tertinggal bersama Rasulullah ﷺ selain daripada dua belas orang lelaki. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-­Nya, seandainya kalian semua terpengaruh hingga tiada seorang pun daripada kalian yang tersisa, nescaya lembah ini akan mengalirkan api membakar kalian semua. Lalu turunlah ayat berikut, iaitu firman-Nya: Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). (Al-Jumu’ah: 11) Jabir ibnu Abdullah melanjutkan, bahawa di antara dua belas orang yang tetap mendengarkan khutbah Rasulullah ﷺ adalah Abu Bakar dan Umar رضی اللہ عنھما.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah تِجٰرَةً  dan juga لَهوًا. Maka di dalam ayat ini diberi isyarat bahawa ada golongan yang berminat dengan perniagaan itu kerana mereka itu juga peniaga, dan ada juga yang hanya berminat dengan perkara lain yang melekakan. Kita telah sebut tadi tentang hal ini, manusia terbahagi kepada dua: yang berniaga dan yang hendak melihat-lihat sahaja.

Allah ﷻ bukan sahaja kata mereka ‘pergi’ ke tempat perniagaan itu tetapi mereka انفَضّوا iaitu berpecah seperti berpecahnya kaca. Apabila pecah sesuatu kaca itu, selalunya tidak dapat dibaiki lagi yang memberi isyarat bahawa mereka berpecah daripada perhimpunan khutbah Jumaat itu dan tidak dapat membaikinya lagi. Kesannya telah terjadi dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Golongan Syiah telah menggunakan insiden ini sebagai satu hujah untuk mengutuk para sahabat. Mereka kata lihatlah para sahabat yang sanggup meninggalkan Rasulullah ﷺ berdiri berseorangan semasa memberikan khutbah.

Syiah memang sesat dan bencikan para sahabat dan mereka sentiasa mencari peluang untuk memburuk-burukkan insan mulia seperti para sahabat itu. Namun bagaimana cara untuk menjawab hujah jahat mereka ini? Kerana tidak tahu jawablah yang menyebabkan ramai orang jahil dalam kalangan manusia yang termakan dengan diayah Syiah dan sampai masuk agama Syiah pula. Asalnya kerana jahil sahaja.

Ini jawapan balas kita:

1. Kejadian ini terjadi sekali sahaja dan ia terjadi di awal kedatangan Islam di Madinah. Waktu itu latihan ketahanan jiwa kepada umat Islam masih baru lagi.

2. Musyrikin Mekah telah mengadakan sekatan perniagaan kepada Madinah menyebabkan harga barang melambung tinggi. Atau, waktu itu barangan sangat sedikit di Madinah waktu itu. Apabila ada rombongan perniagaan datang, maka mereka tergesa-gesa hendak membeli sebelum barangan itu habis terjual. Mereka hendak mengambil peluang sahaja.

3. Waktu itu, solat jemaah sudah habis. Para sahabat tidak tahu yang khutbah adalah sebahagian daripada Solat Jumaat.

Maka jangan lihat insiden ini sahaja untuk menjatuhkan kedudukan para sahabat yang mulia itu. Kalau kita lihat pengorbanan mereka yang lain, maka insiden ini boleh dimaafkan lagi. Akan tetapi kita sekarang kenalah ambil peringatan supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

Sebagaimana insiden ini tidak boleh dijadikan hujah untuk memburukkan para sahabat, kita juga boleh belajar bagaimana mereka itu juga manusia dan ada salah dan silapnya. Mereka itu tidak maksum maka kalau kita pun ada salah silap kita, maka kita tahulah yang kita juga manusia.

Yang kita patut lihat adalah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ mendidik mereka daripada manusia biasa, menjadi manusia yang ‘luar biasa’ hebatnya. Apabila ada kelemahan para sahabat, maka Allah ﷻ telah memberi teguran dan latihan kepada mereka. Inilah sebabnya Surah Jumuah ini diturunkan. Ayat akhir ini adalah penyebab ayat-ayat di awal surah ini.

Oleh kerana mereka telah membuat kesilapan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka ayat-ayat awal itu adalah pemberi peringatan kepada mereka untuk berhati-hati dan memandang tinggi Solat Jumaat ini. Malah bukan surah ini sahaja, tetapi ada banyak hadith-hadith tentang ajaran Nabi ﷺ berkenaan Solat Jumaat ini.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

وَتَرَكوكَ قائِمًا

dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Oleh kerana rombongan perniagaan itu amat menarik perhatian mereka, maka para sahabat ketika itu telah pergi meninggalkan baginda keseorangan memberi khutbah dan ini adalah sifat pelajar yang tidak menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru. 

Ini adalah satu perbuatan yang amat biadab. Bayangkan Rasulullah ﷺ sedang memberikan khutbah baginda, tetapi ramai-ramai bangun meninggalkan baginda? Kalau buat kepada orang lain pun sudah kurang ajar, apatah lagi kalau perkara itu dilakukan terhadap Rasulullah ﷺ? 

Bayangkan di dalam satu ceramah, jikalau seorang dua bangun dan pergi meninggalkan ceramah itu, tidaklah mengapa lagi; tetapi jikalau ramai orang pergi, tidakkah itu mengganggu penceramah dan juga orang-orang yang hendak mendengar ceramah? Mereka tentu akan terkesan dengan keluarnya orang secara beramai-ramai, bukan? Bagaimanakah pula perasaan penceramah itu? Tidakkah dia terasa hati dengan perbuatan orang ramai itu?

Kita telah belajar bagaimana perhimpunan pada hari Jumaat dengan mendengar khutbah Jumaat itu amat penting di dalam usaha membentuk masyarakat Islam. Bayangkan mereka ini meninggalkan Rasulullah ﷺ yang sedang memberi khutbah pada hari Jumaat itu. Maka mereka telah ditegur kerana sikap mereka itu dan kesalahan mereka itu menjadi pengajaran buat kita sampai ke hari Kiamat.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa Khatib membaca khutbah dalam keadaan berdiri.

 

قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ

Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”,

Allah ﷻ suruh beritahu bahawa apa yang Allah ﷻ ada itu lebih baik daripada hiburan dan perniagaan. Yang dimaksudkan adalah balasan pahala di akhirat nanti. Tidak boleh dibandingkan lagi kerana jauh sekali bandingannya. Permainan dan perniagaan itu hanya di dunia sahaja dan tidak kekal, namun balasan daripada Allah ﷻ itu kekal abadi.

Balaghah: kita boleh lihat bagaimana pada awal ayat ini, telah disebut ‘perniagaan’ dahulu dan sekarang disebut ‘hiburan’ dahulu. Kenapa?

Ini kerana rombongan perniagaan yang datang itu memang menarik perhatian ramai orang, tetapi yang menghalang manusia untuk ingat kepada Allah ﷻ lebih banyaknya adalah hiburan. Oleh kerana ia adalah yang paling banyak melalaikan manusia daripada mengingat Allah ﷻ, maka ia disebut di awal (takdim) dalam potongan ayat ini.

Oleh itu, di awal ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang perkara yang spesifik: iaitu rombongan perniagaan yang datang tetapi sekarang Allah ﷻ sudah menyebut tentang masalah yang umum yang melekakan manusia iaitu hiburan. Memang susunan ayat-ayat dan kalimah dalam Al-Qur’an itu ada maknanya dan ia tepat sekali dan bukan susunan kosong sahaja. 

 

وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

Allah ﷻ menegur mereka yang mementingkan rezeki di dunia ini tetapi ada rezeki yang lebih penting daripada Allah ﷻ iaitu penyucian jiwa dengan Al-Qur’an, hikmah dan juga agama ini. Maka jangan lebihkan rezeki di dunia ini sahaja, tetapi kena lebihkan rezeki pemberian rahmah daripada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Munafiqun.

Tarikh: 21 Mei 2024

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an