Tafsir Surah Talaq Ayat 6 – 8 (Bayar susu ibu)

Ayat 6:

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ ۖ وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ ۖ وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lodge them¹ [in a section] of where you dwell out of your means and do not harm them in order to oppress them.² And if they should be pregnant, then spend on them until they give birth. And if they breastfeed for you, then give them their payment and confer among yourselves in the acceptable way; but if you are in discord, then there may breastfeed for him [i.e., the father] another woman.³

  • During their waiting period (referring to wives whose divorce has been pronounced).
  • So that they would be forced to leave or to ransom themselves.
  • See 2:233.

(MELAYU)

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu

Jangan keluarkan isteri yang telah dilafazkan talaq itu. Mereka masih lagi isteri yang sah. Maka kena benarkan mereka tinggal di tempat biasa mereka tinggal. Iaitu tempat tinggal yang sama dengan suaminya. Maknanya duduk tinggal bersama. 

Beberapa hukum yang telah dibincangkan oleh ulama tentang perkara ini:

1. Bagi isteri yang ditalaq dan talaq itu jenis boleh dirujuk, maka isteri itu layak dapat nafkah dan tempat tinggal dalam masa iddah.

2. Bagi isteri yang ditalaq semasa mengandung, maka suami mesti memberikan tempat tinggal dan nafkah sehinggalah bayi itu dilahirkan. Ini tidak kira samada talaq itu boleh dirujuk atau tidak.

3. Ada khilaf jikalau isteri yang ditalaq tanpa rujuk itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah. Ini jika tidak mengandung. Ada tiga pendapat dalam hal ini:

a. Pendapat yang pertama mengadakan isteri itu berhak kepada tempat tinggal dan juga nafkah. Ini adalah pendapat Saidina Umar, ‘Abdullah bin Mas’ud, ‘Ali bin Husain (Imam Zain al-‘Abidin), Qadi Shuraih and Ibrahim Nakha’i. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanafi.

b. Golongan ulama kedua berpendapat bahawa para isteri itu berhak kepada tempat tinggal tetapi tidak berhak kepada nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Sa’id bin al-Musayyab, Suleman bin Yasar, ‘Ata`, Sha`bi, Auza’i, Laith and Abu ‘Ubaid, dan juga Imam Shafe’ i dan Imam Malik.

c. Golongan ulama ketiga berpendapat yang para isteri yang tidak boleh dirujuk itu tidak layak kepada tempat tinggal dan nafkah. Pendapa ini dipegang oleh Hasan Basri, Hammad Ibn Laila, ‘Amr bin Dinar, Ta’us, Ishaq bin Rahawaih and Abu Thaw.

Hujah kumpulan ini menggunakan dalil hadis riwayat Fatimah bint Qais. Tapi hadis ini ditolak oleh golongan pertama. Saidina Umar menolak pendapat Fatimah bint Qais itu. Pendapat Umar itu dikeluarkan semasa para sahabat masih ada lagi dan tiada yang menentang beliau.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan keluar bekas suami Fatimah tidak membenarkan tempat tinggal kepada Fatimah kerana masalah yang ada pada Fatimah itu sendiri. Ini adalah kerana mulutnya yang jahat.

وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ

dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka

Jangan sakiti mereka semasa dalam menghabiskan iddah itu. Jangan seksa mereka dan gunakan kata-kata yang menyakitkan hati mereka. Kena kawal kata-kata dan pakai lepas sahaja kata-kata dari mulut. 

Antaranya perbuatan jahat yang suami lakukan adalah layan isterinya dengan teruk sampaikan isterinya sendiri nak keluar dari rumah kerana tak tahan. Dia buat begitu supaya dia boleh kata: “eh bukan aku halau dia…dia yang nak keluar sendiri la…”

As-Sauri telah meriwayatkan dari Mansur, dari Abud Duha sehubungan dengan makna firman-Nya: dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka. (Ath-Thalaq: 6) Misalnya si suami menceraikan isterinya; dan apabila iddahnya tinggal dua hari, lalu dia merujukinya.

Ini memang memerlukan hati yang baik dan emosi yang terkawal. Kalau tak pandai nak jaga hati dan nak ikut emosi sahaja, maka kata-kata huduh yang akan keluar dari mulut suami atau isteri itu.

Kena sedar yang kata-kata ini boleh menyebabkan sakit hati sampai ke mati. Kesakitan tubuh badan selalunya akan hilang. Tapi sakit hati disebabkan oleh kata-kata yang dilafazkan akan disimpan dalam hati.

وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, 

Ini adalah dalil bahawa suami yang telah melafazkan talaq kepada isterinya tetap kena menanggung isterinya itu semasa hamil. Ini kerana wanita itu masih lagi isterinya dan anak dalam perut itu adalah anaknya. Maka kenalah tanggung. 

Ulama menggunakan dalil ini untuk mengatakan bahawa isteri yang telah ditalaq itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah sehinggalah dia bersalin. Dan ini samada talaq itu boleh dirujuk atau tidak. Ini adalah ijmak.

فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ

kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya,

Bukan sahaja kena tanggung semasa dalam hamil. Apabila sudah lahirkan anak pun masih ada lagi tanggungjawab lelaki itu. Bekas suami masih kena beri upah kepada ibu kepada anaknya itu walaupun sudah bercerai.

Bekas suami tetap kena bayar upah penyusuan itu kerana anak yang disusui itu adalah anak  lelaki itu. Dan memang bapa kena tanggung anaknya sendiri.

Ini juga mengajar kita yang susu itu adalah milik bekas isteri itu. Sebab itu dia berhak mendapat upah apabila menyusukan anaknya sendiri. Kerana walaupun itu anaknya, tetapi tanggungannya di atas bapanya.

Oleh kerana itu, walaupun itu adalah anaknya sendiri, tapi dia tidak wajib menyusukan anaknya. Maka kalau dia diminta oleh bekas suaminya untuk menyusui anaknya dan dia pun setuju, maka dia perlu dibayar.

وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ

dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik;

I’timar adalah berbincang baik-baik. Berbincang seperti orang yang ada tamadun dan ada akal. Perbincangan memang akan jadi susah kalau ada orang yang tak pakai otak tapi pakai emosi sahaja. Maka kena ada kawalan emosi antara lelaki dan bekas isterinya itu. Jangan nak ada maki hamun pula.

Berbincanglah dengan baik supaya tidak ada pihak yang menanggung kerugian. Cari win-win solution. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Al-Baqarah melalui firman-Nya:

{لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ}

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya. (Al-Baqarah: 233)

Antara perkara yang perlu dibincangkan adalah berapa bayaran upah penyusuan itu. Kerana agama tidak menetapkan bayaran secara tetap maka kena dibincangkan apakah bayaran yang sesuai dan diterima oleh kedua-dua pihak.

وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

Kalau tak berjaya mencapai kata putus daripada perbincangan itu, maka bolehlah bagi orang lain yang susukan. Ini dinamakan ‘ibu susuan’ dan biasa diamalkan pada zaman dahulu di Tanah Arab.

Ibunya adalah insan yang paling baik untuk menyusukan anak itu. Tapi kalau tidak dapat mencapai persetujuan maka bolehlah diberikan kepada orang lain untuk menyusui anak itu. Mungkin kerana ibunya tidak mahu atau minta bayaran yang terlalu banyak.

Apabila beri kepada ibu susuan lain, kena juga bayar upah. Bayaran upah itu kenalah dikeluarkan oleh bapa budak itu. 

Akan tetapi jikalau tidak dijumpai wanita yang boleh menyusukan anak itu, maka ulama mengatakan kewajipan itu jatuh balik kepada ibunya kembali.

Dari bahasa yang digunakan dalam ayat ini, mengandungi teguran kepada suami dan bekas isteri itu. Kenapalah benda kecil untuk menyusukan anak pun tidak boleh mencapai kata putus? Allah nak beritahu dalam ayat ini, kalau kamu tak mahu nak susui anak itu, ada orang lain yang boleh susukan lah. Bukan kamu seorang sahaja yang boleh susui.


Ayat 7:

لِيُنفِق ذو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيهِ رِزقُهُ فَليُنفِق مِمّا ءآتٰهُ اللَّهُ ۚ لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا ما ءآتٰها ۚ سَيَجعَلُ اللَّهُ بَعدَ عُسرٍ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let a man of wealth spend from his wealth, and he whose provision is restricted – let him spend from what Allāh has given him. Allāh does not charge a soul except [according to] what He has given it. Allāh will bring about, after hardship, ease [i.e., relief].

(MELAYU)

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

لِيُنفِق ذو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.

Memang tidak ditetapkan jumlah bayaran yang perlu diberikan kepada isteri itu untuk menyusui anaknya. Allah tidak tetapkan supaya tidak menyusahkan bekas suami. Maka pembayaran itu kena ikut kemampuan para suami. 

Kalau Allah tetapkan jumlah bayaran tertentu, maka tentulah itu akan menyusahkan orang yang tidak berkemampuan.

وَمَن قُدِرَ عَلَيهِ رِزقُهُ فَليُنفِق مِمّا ءآتٰهُ اللَّهُ

Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. 

Maka suami yang tidak berkemampuan kerana miskin, maka dia kena beri bayaran itu sesuai dengan apa yang dia mampu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا}
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya: (Al-Baqarah: 286)

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا ما ءآتٰها

Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya.

Allah tidak membebani para suami lebih dari rezeki yang Dia beri. Kalau ada sedikit sahaja harta maka kena beri sedikit sahaja. 

سَيَجعَلُ اللَّهُ بَعدَ عُسرٍ يُسرًا

Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

Allah akan mudahkan urusan kepada mereka yang bertaqwa. Asalkan percaya kepada Allah dan serahkan urusan kepada Allah. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا}

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (Al-Insyirah: 5-6)

Dalam Islam, cerai bukanlah masalah besar. Boleh sahaja ianya berlaku dan tidak perlu malu. Maka kenalah kita pandang biasa sahaja perkara ini dan janganlah malukan golongan janda itu. Nabi pun banyak menikahi janda.

Dan jangan pandang serong kepada mereka yang bercerai. Kalau pasangan yang bercerai itu bukanlah mereka orang yang jahat. Kita tidak tahu hal sebenar yang terjadi antara mereka sampai mereka bercerai. Mereka pun tidak berniat nak bercerai semasa mereka menikah dahulu. Sahabat pun banyak cerai. Takkan kita nak kata mereka itu golongan yang teruk pula. 

Pandangan serong masyarakat yang jahil telah menyebabkan masalah dalam masyarakat. Ia jadi ke tahap bahaya apabila sampai ada yang malu bercerai kerana takut apa orang kata.

Mereka terpaksa terus kekal di dalam perkahwinan itu walaupun sudah tidak ada rasa sayang atau dalam pernikahan yang tidak sihat. Entah suami itu jenis pemukul isteri tapi isteri itu malu nak melaporkan kod pihak berwajib kerana takut bercerai dan malu dipandang masyarakat.  

Maka jangan susahkan pasangan yang hendak bercerai. Mereka bercerai pun kerana mereka dah terpaksa melakukannya. Ini nasihat kepada jabatan agama juga. Banyak kita telah dengar mereka telah melambatkan proses perceraian pasangan.

Tapi dalam masa yang sama, jangan mudahkan cerai pula. Kena dipersoalkan juga apakah sebabnya mereka nak bercerai. Kerana mungkin ada masalah kecil sahaja yang boleh diselesaikan kalau jumpa orangnya. Kadangkala yang berkahwin itu tidak dilengkapi dengan ilmu perkahwinan yang sepatutnya. Maka kena beri nasihat.

Masalah dalam perkahwinan dapat dielak dengan diberikan pengetahuan yang patut. Kena diperiksa juga bakal pasangan sebelum mereka berkahwin. Kena kenal sedikit sebanyak tentang bakal pasangan. Jangan dah kahwin baru nak kenal. Kerana kadangkala ada perkara yang pasangan tidak suka. Kalau dah kahwin baru tahu maka akan menyusahkan sahaja.

Maka elok tanya kepada orang yang kenal. Tanya bagaimanakah sifat bakal pasangan itu. Bapa atau ahli keluarga yang lain kena jalankan tugas dengan bertanya kepada orang kampung atau kawan-kawan bakal pasangan. Jangan nanti dah kahwin baru kelam kabut nak cerai. 

Oleh itu, jangan ekstrem dalam dua hal ini. Jangan halang nak cerai dan jangan mudahkan sangat. Kena cari pertengahan antara keduanya. 

Sekian Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 8: Sekarang Allah memberi amaran kepada manusia yang tidak mahu taat kepada arahan Allah dan RasulNya.

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ عَتَت عَن أَمرِ رَبِّها وَرُسُلِهِ فَحاسَبنٰها حِسابًا شَديدًا وَعَذَّبنٰها عَذابًا نُّكرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city was insolent toward the command of its Lord and His messengers, so We took it to severe account and punished it with a terrible punishment.

(MELAYU)

Dan berapalah banyaknya (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasul-Nya, maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan.

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ عَتَت عَن أَمرِ رَبِّها وَرُسُلِهِ

Dan berapalah banyaknya (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasul-Nya,

Kalimah عَتَت adakah derhaka kerana sombong. Mereka tahu kebenaran tapi mereka pilih untuk tidak taat kerana sombong degil sahaja. 

فَحاسَبنٰها حِسابًا شَديدًا

maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, 

Kalimah حساب bermaksud ‘kira’ dan kalau dalam zaman moden ini kita boleh katakan ianya adalah ‘audit’.

Kepada mereka yang sombong untuk terima kebenaran telah dikenakan dengan audit yang keras. Maksudnya semua perkara akan dikira dengan ketat. Kalau kita kena audit sekarang pun kita tak suka, bukan? Kerana kalau diperhatikan dengan terperinci, mesti akan ada masalah akan dijumpai. 

وَعَذَّبنٰها عَذابًا نُّكرًا

dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan.

Dan selepas itu Allah kenakan mereka dengan azab semasa di dunia lagi.

Apabila digunakan kalimah نكر bermaksud azab yang dikenakan itu adalah azab yang tak tahu macam mana. Tak pernah dikenakan kepada orang sebelum mereka. Azab yang amat menakutkan. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 19 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s