Tafsir Surah Talaq Ayat 4 – 6 (Hukum nikahi wanita zina yang hamil)

Talaq Ayat 4: Allah ‎ﷻ memberikan hukum iddah kepada wanita yang tertentu:

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ ۚ وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who no longer expect menstruation among your women – if you doubt, then their period is three months, and [also for] those who have not menstruated. And for those who are pregnant, their term is until they give birth.¹ And whoever fears Allāh – He will make for him of his matter ease.

  • The ruling concerning pregnancy applies also in the case of the husband’s death.

(MELAYU)

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

 

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu

Kalimah يَئِسنَ dari katadasar ي أ س yang bermaksud putus asa, terdesak, putus asa. Dalam ayat ini ia bermaksud wanita yang tidak ada harapan untuk datang haid lagi. Atau, putus asa dari mendapat anak lagi. Kerana wanita yang putus haidh, memang tidak boleh dapat anak lagi, bukan?

Jika ada wanita yang diceraikan tetapi dia tidak ada haid lagi (kerana sudah menopause) ataupun haidnya tidak teratur, maka tentu susah untuk dikira kitaran haid yang biasa (tiga kali suci). Maka Allah ‎ﷻ sekarang memberikan jalan keluar untuk mengira masa iddah mereka.

Ada sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Kuraib dan Abus Sa’id, keduanya mengatakan bahawa: telah menceritakan kepada kami Ibnu Idris, telah menceritakan kepadaku Mutarrif, dari Amr ibnu Salim yang mengatakan bahawa Ubay ibnu Ka’b رضي الله عنه pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ,

“Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya ada beberapa macam wanita yang tidak disebutkan iddahnya di dalam Kitabullah, iaitu perempuan yang belum baligh, perempuan yang telah lanjut usia, dan perempuan yang sedang hamil. Amr ibnu Salim melanjutkan, bahawa lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka iddah mereka adalah tiga bulan, dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. (At-Talaq: 4)

إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ

jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan;

Iddah sepatutnya dikira berdasarkan kepada kitaran haidh. Akan tetapi bagi mereka yang tidak ada haidh lagi (atau tidak pernah ada haidh) maka mereka di dalam keraguan tentang pengiraan iddah mereka. Maka dijawab di dalam ayat ini yang pengiraan iddah untuk mereka adalah selama 3 bulan iaitu 90 hari. Dan kena kira ikut bulan Qamariah (bulan Islam orang panggil). Maka tidak dikira dari kitaran haid lagi, tapi terus kira ikut hari. Ini lebih mudah untuk mereka yang haid mereka tidak teratur. 

Yang jadi masalah kalau selepas dicerai, baru haidnya tidak teratur. Sebagai contoh, dua bulan pertama dia datang haid tetapi selepas itu haidnya tidak datang pula. Maka ijtihad Saidina Umar رضي الله عنه, wanita itu kena tunggu selama 9 bulan untuk memastikan yang dia mengandung atau tidak. Selepas 9 bulan itu, kena tunggu lagi tiga bulan dan selepas itu barulah dia boleh menikah dengan orang lain.

 

وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ

dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. 

Pengiraan 90 hari ini juga untuk mereka yang tidak ada haid dari dahulu lagi. Kerana ada wanita yang dilahirkan tidak ada haid. Ini jarang berlaku tetapi ada juga yang sebegitu.

Atau, mereka menikah sebelum haid mereka datang lagi. Ini menjadi dalil bahawa wanita itu boleh dikahwini walaupun mereka belum lagi datang haid. Bukan sahaja mereka boleh dikahwini, tetapi jimak dengan mereka juga dibenarkan.

 

وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.

Dan jikalau seorang perempuan itu diceraikan semasa mengandung, maka masa iddah mereka adalah apabila mereka melahirkan anak. Jadi kelahiran anak itu adalah penentu habisnya masa iddah di mana tidak kira sama ada masa itu sehari ataupun 8 bulan. Jadi bagi mereka, ia boleh jadi panjang atau boleh jadi pendek. 

Imam Bukhari telah meriwayatkan hadith ini di dalam kitab sahihnya, juga Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah melalui berbagai jalur dari Subai’ah Al-Aslamiyah. Seperti yang dikatakan oleh Muslim ibnul Hajjaj, bahawa telah menceritakan kepadaku Abut Tahir, telah menceritakan kepadaku Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Yazid, dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Ubaidillah ibnu Abdullah ibnu Atabah, bahawa ayahnya pernah berkirim surat kepada Umar ibnu Abdullah ibnul Arqam Az-Zuhri yang memerintahkan kepadanya agar menemui Subai’ah bintil Haris Al-Aslamiyyah dan menanyakan kepadanya mengenai hadith yang dialaminya dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ kepadanya saat dia meminta fatwa kepadanya.

Maka Umar ibnu Abdullah membalas suratnya yang isinya memberitakan bahawa Subai’ah telah menceritakan kepadanya bahawa dahulu dia menjadi isteri Sa’d ibnu Khaulah, beliau adalah salah seorang yang ikut dalam Perang Badar, Lalu Sa’d meninggal dunia di masa Haji Wada’, sedangkan dia dalam keadaan mengandung. Tidak lama kemudian sepeninggal suaminya, dia melahirkan kandungannya. Setelah habis masa nifasnya, dia merias dirinya dan siap untuk dipinang, lalu Abus Sanabil ibnu Ba’kak masuk menemuinya dan bertanya kepadanya, “Kulihat engkau sekarang telah merias dirimu, rupanya engkau ingin menikah lagi. Demi Allah, sesungguhnya engkau tidak boleh menikah sebelum menjalani masa iddahmu, iaitu empat bulan sepuluh hari.”

Subai’ah melanjutkan kisahnya, bahawa setelah dia mendengar perkataan Abus Sanabil itu, maka pada petang harinya dia mengemasi pakaiannya dan datang menghadap kepada Rasulullah ﷺ, lalu menanyakan kepadanya tentang hal tersebut. Maka Rasulullah ﷺ memberikan fatwa kepadanya bahawa dia telah halal sejak melahirkan kandungannya, dan menganjurkan kepadanya untuk kahwin jika dia menghendakinya. Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Imam Bukhari meriwayatkannya secara ringkas. Kemudian Imam Bukhari sesudah meriwayatkan hadith yang pertama mengetengahkan hadith ini pada tafsir ayat ini.

Ayat ini juga menjadi perbahasan juga berkenaan wanita yang mengandung kerana anak luar nikah. Dia tidak ada suami, maka bolehlah dia dikahwini pada waktu dia sedang mengandung?

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama’. Dalam mazhab al-Syafi’iy pernikahan itu sah:

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda ﷺ bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafi’iy yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” Rujuk Kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (29/338)

Dalil dalam mazhab as-Syafi’iy ialah berdasarkan firman Allah ‎ﷻ:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya). Nisa:24

Dalam ayat di atas, wanita hamil di luar nikah termasuk kategori wanita yang halal dinikahi kerana tidak termasuk wanita-wanita yang haram dinikahi. Selain itu, tidak ditemukan dalil yang melarang menikahi wanita hamil di luar nikah.

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Maksudnya: Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal. Riwayat Ibn Majah (2015)

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana hamil anak luar nikah.

Terdapat riwayat seorang lelaki yang memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab رضي الله عنه bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar رضي الله عنه menyebat kedua-duanya. Umar رضي الله عنه bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar رضي الله عنه tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242)

Akan tetapi, ulama’ seperti Ibn Taimiyyah رحمه الله berpendapat yang nikah dengan wanita yang hamil kerana zina tidak sah. Ini adalah kerana ada hadith yang mengatakan:

لاَ تُوطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعَ وَلاَ غَيْرُ ذَاتِ حَمْلٍ حَتَّى تَحِيضَ حَيْضَةً

Wanita hamil tidaklah disetubuhi hingga dia melahirkan dan wanita yang tidak hamil istibro’nya (membuktikan kosongnya rahim) sampai satu kali haid.” Riwayat Abu Daud no. 2157. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih.

Syarah: hadith ini mewajibkan seorang lelaki memastikan yang wanita yang akan dinikahinya itu kosong rahimnya. Maka kalau sudah diketahui dia sedang hamil, maka pernikahan itu terlarang.

Nota: Hadith ini membicarakan tentang hamba yang sebelumnya disetubuhi tuannya yang pertama, maka tuan yang kedua tidak boleh menyetubuhinya sampai melakukan istibro’ iaitu menunggu sampai satu kali haid atau sampai dia melahirkan anaknya jika dia hamil. Jadi jangan difahami bahawa hadith ini membicarakan larangan untuk menyetubuhi isteri yang sedang hamil.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

Sekali lagi disebut tentang taqwa di dalam ayat ini di mana Allah ‎ﷻ memberitahu yang apa-apa hal pun kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan memudahkan penyelesaian masalah dan urusan mereka. Maka kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ.


 

Talaq Ayat 5:

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the command of Allāh, which He has sent down to you; and whoever fears Allāh – He will remove for him his misdeeds and make great for him his reward.

(MELAYU)

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.

 

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu,

Kena ikutlah hukum Allah ‎ﷻ yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kita kena sedar yang kita ini hamba dan kena taat kepada arahan Tuan. Dan kita kena sedar yang segala penetapan hukum dari Allah ‎ﷻ ini ada hikmahnya. Kalau kita dapat terima ini, maka akan mudah bagi kita untuk menerima dengan rela segala hukum yang Allah telah tetapkan. Orang yang berat hati dengan hukum dari Allah ‎ﷻ adalah kerana mereka tidak faham bagusnya hukum-hukum itu untuk mereka.

Maka sebagai suami yang telah menceraikan isterinya, dan isteri yang telah diceraikan oleh suaminya, hendaklah taat kepada hukum-hukum yang telah disebut sebelum ini dan dalam ayat-ayat lain.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ

dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ berfirman tentang taqwa. Kalau taqwa kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan menghapuskan dosa orang itu. Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan semua dosa tidak kira banyaknya. Dan khususnya ayat ini tentang perhubungan antara suami isteri. Maka kerana mereka rapat dan hidup berdekatan, maka tentulah ada salah silap sesama mereka. Maka Allah ‎ﷻ boleh ampunkan kesalahan mereka itu.

Masalah suami itu kadang-kadang boleh berbaik dengan semua orang tetapi kalau dengan isteri, tidak pula begitu. Kerana itu kita ada dengar orang yang baik di luar tetapi garang dengan isterinya sendiri. Kadangkala golongan isteri pun begitu juga. Mereka lebihkan orang lain daripada suami mereka sendiri.

 

وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

dan akan menghebatkan pahala baginya.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa orang yang bertaqwa itu, malahan Allah ‎ﷻ akan bagi pahala yang berganda-ganda. Ayat sebelum ini disebut kebaikan taqwa untuk kebaikan di dunia dan sekarang dah mula sebut kebaikan di akhirat pula. Maknanya taqwa dapat kebaikan dunia dan akhirat.

Telah disebut beberapa kelebihan taqwa setakat ini. Kalau kita ringkaskan:

1. Akan diberi jalan keluar dari masalah dan kesusahan
2. Akan diberi rezeki dan keperluan dari sumber yang tidak disangka-sangka
3. Allah akan mudahkan urusan
4. Dosa akan dihapuskan
5. Pahala yang hebat akan diberikan


 

Talaq Ayat 6:

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ ۖ وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ ۖ وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lodge them¹ [in a section] of where you dwell out of your means and do not harm them in order to oppress them.² And if they should be pregnant, then spend on them until they give birth. And if they breastfeed for you, then give them their payment and confer among yourselves in the acceptable way; but if you are in discord, then there may breastfeed for him [i.e., the father] another woman.³

  • During their waiting period (referring to wives whose divorce has been pronounced).
  • So that they would be forced to leave or to ransom themselves.
  • See 2:233.

(MELAYU)

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu

Ini pengulangan tentang jangan keluarkan isteri yang telah dilafazkan talaq itu dari rumah. Mereka masih lagi isteri yang sah. Maka kena benarkan mereka tinggal di tempat biasa mereka tinggal. Iaitu tempat tinggal yang sama dengan suaminya. Maknanya duduk tinggal bersama.

Kalimah وُجدِكُم daripada katadasar و ج د yang bermaksud menjumpai sesuatu yang hilang; sesuatu yang didapati. Maksudnya ikut kemampuan suami yang dia boleh dapat.

Maknanya ikut kemampuan, jangan paksa diri beri lebih dari kemampuan diri; dan jangan beri kurang. Mungkin mampu beri lebih baik, tapi sengaja beri tempat tinggal yang buruk. Ayat ini menunjukkan yang Allah memberi hak wanita itu.

Begitulah Islam yang sangat menjaga kepentingan dan hak wanita. Allah sebut kerana selalunya kalau suami sudah ceraikan, tentu selalunya sebab sudah benci. Bila sudah benci, tentu susah nak yang terbaik sebab sayang sudah tidak ada. Allah ajar, walaupun sudah tidak sayang, tetap kena beri yang sepatutnya.

Beberapa hukum yang telah dibincangkan oleh ulama’ tentang perkara ini:

1. Bagi isteri yang ditalaq dan talaq itu jenis boleh dirujuk, maka isteri itu layak mendapat nafkah dan tempat tinggal dalam masa iddah.

2. Bagi isteri yang ditalaq semasa mengandung, maka suami mesti memberikan tempat tinggal dan nafkah sehinggalah bayi itu dilahirkan. Ini tidak kira sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak.

3. Ada khilaf jikalau isteri yang ditalaq tanpa rujuk itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah. Ini jika tidak mengandung. Ada tiga pendapat dalam hal ini:

a. Pendapat yang pertama mengatakan isteri itu berhak kepada tempat tinggal dan juga nafkah. Ini adalah pendapat Saidina Umar, ‘Abdullah bin Mas’ud, ‘Ali bin Husain (Imam Zain al-‘Abidin), Qadi Shuraih and Ibrahim Nakha’i. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanafi.

b. Golongan ulama’ kedua berpendapat bahawa para isteri itu berhak kepada tempat tinggal tetapi tidak berhak kepada nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Sa’id bin al-Musayyab, Suleman bin Yasar, ‘Ata`, Sha`bi, Auza’i, Laith and Abu ‘Ubaid, dan juga Imam Shafi’ i y dan Imam Malik.

c. Golongan ulama’ ketiga berpendapat yang para isteri yang tidak boleh dirujuk itu tidak layak kepada tempat tinggal dan nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Hasan Basri, Hammad Ibn Laila, ‘Amr bin Dinar, Ta’us, Ishaq bin Rahawaih and Abu Thaw.

Hujah kumpulan ini menggunakan dalil hadith riwayat Fatimah bint Qais. رضي الله عنها. Tetapi hadith ini ditolak oleh golongan pertama. Saidina Umar رضي الله عنه menolak pendapat Fatimah bint Qais رضي الله عنها itu. Pendapat Umar رضي الله عنه itu dikeluarkan semasa para sahabat masih ada lagi dan tiada yang menentang beliau.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan keluarga bekas suami Fatimah رضي الله عنها tidak membenarkan tempat tinggal kepada beliau kerana masalah yang ada pada Fatimah رضي الله عنها itu sendiri. Ini adalah kerana mulutnya yang jahat. Allahu a’lam.

Jadi isteri yang telah ditalaq tapi masih belum lagi habis iddahnya hendaklah diberi tinggal bersama dengan suami. Akan tetapi bagaimana dengan auratnya? Kalau talaq itu talaq raj’i (yang boleh dirujuk) maka isteri itu tidak perlu menjaga auratnya. Akan tetapi kalau talaq bain (tidak boleh dirujuk) sama bain sughra (masih boleh menikah semula) atau bain kubra (tidak boleh menikah langsung sampai bila-bila) maka hendaklah menjaga auratnya. Maka tempat tinggal itu mestilah tempat tinggal yang boleh isteri itu menjaga auratnya. ​

 

وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ

dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka

Jangan sakiti mereka semasa dalam menghabiskan iddah itu. Jangan seksa mereka dan gunakan kata-kata yang menyakitkan hati mereka. Kena kawal kata-kata dan jangan pakai lepas sahaja kata-kata dari mulut. Jangan bagi hati mereka sempit dan semput kerana kata-kata suami.

Antaranya perbuatan jahat yang suami biasa lakukan adalah layan isterinya dengan teruk sampaikan isterinya sendiri hendak keluar dari rumah kerana tidak tahan. Dia buat begitu supaya dia boleh kata: “Eh bukan aku halau dia…dia yang nak keluar sendiri la…” Contohnya suami beri rumah, tapi buat pula peraturan: jangan buka kipas. Atau bawa saudara mara yang lain nak beri isteri tak selesa sampai dia keluar sendiri. Atau beri rumah tapi tak beri makan secukupnya. Janganlah buat begitu kerana Allah ‎ﷻ tahu apa yang terjadi walaupun orang lain tidak tahu.

As-Sauri telah meriwayatkan dari Mansur, dari Abud Duha sehubungan dengan makna firman-Nya: dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka. (At-Talaq: 6) Misalnya si suami menceraikan isterinya; dan apabila iddahnya tinggal dua hari, lalu dia merujukinya. Ini juga adalah perbuatan buruk yang menyeksa isterinya itu.

Maka kena jaga tingkahlaku kita dan perkataan kita. Ini memang memerlukan hati yang baik dan emosi yang terkawal. Kalau tidak pandai hendak jaga hati dan hendak ikut emosi sahaja, maka kata-kata kesat yang akan keluar dari mulut suami atau isteri itu.

Kena sedar yang kata-kata ini boleh menyebabkan sakit hati sampai ke mati. Kesakitan tubuh badan selalunya akan hilang sesudah sekian lama. Tetapi sakit hati disebabkan oleh kata-kata yang dilafazkan akan disimpan dalam hati.

وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, 

Ini adalah dalil bahawa suami yang telah melafazkan talaq kepada isterinya tetap kena menanggung isterinya itu semasa hamil. Ini kerana wanita itu masih lagi isterinya dan anak dalam perut itu adalah anaknya. Maka kenalah tanggung. Seperti yang kita tahu, iddah bagi wanita mengandung itu adalah setelah dia melahirkan. Maka masa dia mengandung boleh sampai jadi 9 bulan.

Maka ini juga menunjukkan yang Allah sayang kepada anak yang di dalam kandungan ibunya itu. Kerana makanan yang diberi kepada ibu itu tentunya akan pergi juga kepada anak itu, bukan?

Ulama’ menggunakan dalil ini untuk mengatakan bahawa isteri yang telah ditalaq itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah sehinggalah dia bersalin. Dan ini sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak. Ini adalah ijmak di kalangan ulama’.

فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ

kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya,

Bukan sahaja kena tanggung semasa dalam hamil. Apabila bekas isteri itu sudah melahirkan anak pun masih ada lagi tanggungjawab lelaki itu. Lihatlah bahasa yang digunakan لكم (untuk kamu); ini kerana isteri itu melahirkan untuk suaminya itu. Oleh kerana itu bekas suami masih kena beri upah kepada ibu kepada anaknya itu (bekas isteri dia) walaupun sudah bercerai.

Bekas suami tetap kena bayar upah penyusuan itu kerana anak yang disusui itu adalah anak  lelaki itu. Dan memang bapa kena tanggung anaknya sendiri. Bukannya atas tanggungan ibu. Maka kerana ibu itu susukan, maka kena bayar upah. Kerana kalau tidak, kena cari ibu susu yang lain dan kena bayar upah juga.

Kerana menyusu itu bukanlah kerja senang ya. Ia akan menyebabkan seorang ibu itu jadi lemah. Kerana anak itu akan ambil zat-zat dari badan ibu itu. Kerana itulah kalau wanita menyusu anak, mereka boleh kalau tidak mahu puasa dan kena bayar fidyah sahaja.

Ini juga mengajar kita yang susu itu adalah milik bekas isteri itu. Susu ibu ini kalau kita hendak beli di kedai pun tidak ada. Sebab itu dia berhak mendapat upah apabila menyusukan anaknya sendiri. Kerana walaupun itu anaknya, tetapi tanggungannya nafkah anak itu di atas bapanya. Kerana dalam hukum, anak itu adalah anak suaminya. Maka para suami jangan lari daripada tanggungjawab.

Oleh kerana itu, walaupun itu adalah anaknya sendiri, tetapi ibu itu tidak wajib menyusukan anaknya. Maka kalau dia diminta oleh bekas suaminya untuk menyusui anaknya dan dia pun setuju, maka dia perlu dibayar.

وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ

dan musyawarahkanlah di antara kamu dengan baik;

I’timar adalah berbincang baik-baik. Berbincang seperti orang yang ada tamadun dan ada akal (akal yang sihat, bukan tidak cukup). Berbincanglah tentang urusan susuan, urusan anak siapa yang hendak jaga dan sebagainya. Perbincangan memang akan jadi susah kalau ada orang yang tidak pakai otak tetapi pakai emosi sahaja. Maka kena ada kawalan emosi antara lelaki dan bekas isterinya itu. Jangan hendak ada maki hamun pula.

Berbincanglah dengan baik supaya tidak ada pihak yang menanggung kerugian. Cari “win-win solution”. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Al-Baqarah melalui firman-Nya:

{لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ}

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya. (Al-Baqarah: 233)

Antara perkara yang perlu dibincangkan adalah berapa bayaran upah penyusuan itu kerana agama tidak menetapkan bayaran secara tetap maka kena dibincangkan apakah bayaran yang sesuai dan diterima oleh kedua-dua pihak. Agama hanya menyebut ma’ruf sahaja. Iaitu yang diterima pakai di dalam masyarakat. Maka kena tengok apakah upah yang sesuai.

Tapi bayaran ini kalau wanita itu diceraikan. Jangan pula nanti ada isteri minta bayaran penyusuan susu anak walaupun masih berkahwin. Ini kerana memang sudah menjadi tanggungjawab bagi ibu menyusukan anaknya (Rujuk Baqarah:233) dan tidak ada upah bagi tanggungjawab itu.

وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

Kalau tidak berjaya mencapai kata putus daripada perbincangan itu (antara suami dan bekas isteri), maka bolehlah bagi orang lain yang susukan. Ini dinamakan ‘ibu susuan’ dan biasa diamalkan pada zaman dahulu di Tanah Arab. Ayahnya yang kena fikirkan kerana itu adalah hak ayah dia, jadi dia yang kena selesaikan masalah ini.

Ibunya adalah insan yang paling baik untuk menyusukan anak itu. Tetapi kalau tidak dapat mencapai persetujuan maka bolehlah diberikan kepada orang lain untuk menyusukan anak itu. Mungkin kerana ibunya tidak mahu atau minta bayaran yang terlalu banyak. Ini menunjukkan yang ibu ada hak untuk tidak mahu menyusukan anaknya sendiri. Mahkamah pun tidak boleh paksa dia untuk susukan anaknya.

Akan tetapi, di sini ada sedikit unsur celaan terhadap wanita yang tidak mahu menyusukan anak sendiri. Kalau kamu tidak mahu susukan anak sendiri, ada wanita lain yang boleh susukan. Atau, kita boleh katakan sebagai teguran dari Allah: kenapa pula kamu tidak mahu susukan anak kamu sendiri? Jadi ibu itu berdosa jikalau dia tidak ada alasan yang munasabah. Kalau dia sakit contohnya, maka ini dimaafkan. Akan tetapi kalau sengaja tidak mahu, maka dia berdosa. Akan tetapi dia tetap tidak boleh dipaksa untuk menyusukan, walaupun oleh mahkamah sendiri.

Apabila beri kepada ibu susuan lain, kena juga bayar upah kepada ibu susuan itu. Bayaran upah itu kenalah dikeluarkan oleh bapa budak itu. Akan tetapi jikalau tidak dijumpai wanita yang boleh menyusukan anak itu, maka ulama’ mengatakan kewajipan itu jatuh balik kepada ibunya kembali.

Daripada bahasa yang digunakan dalam ayat ini, mengandungi teguran kepada suami dan bekas isteri itu. Kenapalah benda kecil untuk menyusukan anak pun tidak boleh mencapai kata putus? Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, kalau kamu tidak mahu susukan anak itu, ada orang lain yang boleh susukanlah. Bukan kamu seorang sahaja yang boleh susukan. Sepatutnya kamu sebagai ibu dan bapa patut uruskan perkara kecil begini dan jadi manusia yang baik, tetapi kalau kamu tidak ambil peluang, maka kena diberikan kepada orang lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Jun 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s