Tafsir Surah Baqarah Ayat 232 – 236 (Hukum Cerai Mati)

Ayat 232: Ini pula khitab (titah) kepada wali pula. Ini kerana ada kalanya mungkin pasangan itu sudah molek mahu bersama kembali, tetapi datang pula masalah daripada wali.

Ini boleh terjadi kerana mungkin suami isteri (yang dahulu sudah bercerai) mahu berkahwin kembali tetapi dihalang oleh wali sebab apabila hendak berkahwin semula memerlukan kebenaran wali. Mungkin mereka tidak suka kalau pasangan itu kembali bernikah. Jadi Allah‎ ﷻ menegur mereka dalam ayat ini.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ ۗ ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۗ ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And when you divorce women and they have fulfilled their term, do not prevent them from remarrying their [former] husbands if they agree among themselves on an acceptable basis. That is instructed to whoever of you believes in Allah and the Last Day. That is better for you and purer, and Allah knows and you know not.

MALAY

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka

Ini apabila sudah habis tempoh iddah iaitu kalau masih cuma dua kali cerai sahaja. Ini kerana kalau sudah tiga kali bercerai, kalau sudah habis iddah pun tidak boleh kahwin kembali. Apabila sudah habis iddah, tidak boleh rujuk, tetapi boleh kahwin semula melalui proses nikah seperti mula-mula kahwin dahulu.

 

فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ

maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka,

Jangan kamu wahai wali, menghalang mereka untuk berkahwin semula apabila mereka telah bersetuju dengan cara yang baik.

Kepada orang-orang lain yang bukan wali kepada wanita itu juga janganlah menghasut isteri itu untuk tidak berkahwin semula dengan bekas suaminya. Kadang-kadang dalam hal perkahwinan ini, banyak pihak yang terlibat, yang memberi nasihat yang tidak sepatutnya. Mereka sepatutnya memberi nasihat yang baik, tetapi selalunya mereka ikut perasaan sahaja.

 

إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ

apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik

Pasangan itu mungkin telah sedar kesilapan mereka yang lalu dan mereka sekarang hendak bersatu semula dan hendak mengikut undang-undang Islam.

 

ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau mereka hendak kahwin semula, apa yang patut kita sebagai wali atau ahli keluarga perlu lakukan? – senyap sahaja.

Jika akidah betul, maka akan mudah untuk mengikut hukum Tuhan. Itu sebabnya diulang kata: kalau kamu takut kepada Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat. Itu isyarat kepada akidah.

 

ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ

Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci.

‘Lebih baik untuk kamu’ itu maksudnya kamu bebas daripada orang menuduh kamu benci sebab kalau kamu halang, orang akan kata macam-macam tentang kamu.

Ia lebih suci bagi mereka berdua sebab kalau ditahan juga mereka daripada berkahwin semula, mungkin mereka akan buat benda tidak elok – mereka mungkin berjumpa sesama mereka, naik kenderaan sekali dan boleh jadi macam-macam.

Paling kita takut kalau terjadinya zina. Orang kampung kalau nampak mereka bersama pun mungkin tidak menegur kerana sangka mereka sudah berkahwin. Nanti wali itu juga yang malu kalau jadi sampai begitu.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya. 

Kamu sangka dengan kamu halang mereka berkahwin semula itu adalah baik; tetapi Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang tidak semestinya begitu. Allah ‎ﷻ lebih tahu apakah yang baik untuk kamu dan mereka.


 

Ayat 233: Ini pula kalau suami isteri sudah bercerai dan ada anak. Selepas kedua-duanya bercerai, mungkin salah seorang sudah berkahwin lain atau dua-dua sudah kahwin lain.

Selalu kalau sudah bercerai, biasanya tidak mahu pun tengok pun muka isteri atau suami. Ini adat kebiasaan yang terjadi. Malangnya, ada kes anak yang menjadi mangsa. Anak itu bukan tahu apa-apa, mereka hendakkan susu sahaja. Maka Islam jaga kepentingan anak.

۞ وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ ۗ فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما ۗ وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Mothers may breastfeed their children two complete years for whoever wishes to complete the nursing [period]. Upon the father is the mothers’ provision and their clothing according to what is acceptable. No person is charged with more than his capacity. No mother should be harmed through her child, and no father through his child. And upon the [father’s] heir is [a duty] like that [of the father]. And if they both desire weaning through mutual consent from both of them and consultation, there is no blame upon either of them. And if you wish to have your children nursed by a substitute, there is no blame upon you as long as you give payment according to what is acceptable. And fear Allah and know that Allah is Seeing of what you do.

MALAY

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

 

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap

Ibu-ibulah yang boleh menyusukan anak mereka. Maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah, ibu-ibu digalakkan menyusukan anak-anak mereka walaupun sudah bercerai.

Tempoh terbaik adalah selama dua tahun cukup tetapi tidaklah wajib sampai dua tahun.

 

لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ

bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; 

Kalau boleh, selama dua tahun, tetapi kalau kurang pun boleh.

 

وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ

dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Oleh kerana ibu disuruh menyusukan anak itu, maka bapa hendaklah menyediakan rezeki untuk ibu. Bukan makanan sahaja, tetapi dengan minuman sekali.

‘Makruf’ itu maksudnya nenepati syariat dan yang bersesuaian dengan masyarakat. Yang diterima oleh masyarakat setempat. Maknanya, beri yang sesuai, jangan beri makanan dan pakaian yang buruk. Allah ‎ﷻ tidak berikan butiran kerana perkara ini boleh dinilai sendiri.

 

لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. 

Berapa banyak bayaran dan keperluan tidak ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ia ikut kepada kemampuan. Kepada ibu itu pula, kenalah berpada-pada menetapkan bayaran. Jangan minta bayaran banyak sangat atas alasan dia kena susukan anak itu. Sedangkan itu pun anak dia juga.

 

لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها

Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, 

Jangan susahkan ibu itu dalam hal susuan ini. Antaranya, suami itu jangan lari daripada tanggungjawab dia. Dalam hal ini, mahkamah kena tolong. Kena pastikan yang lelaki itu bertanggungjawab dan kalau dia hendak lari, kena ada tindakan terhadap mereka.

 

وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ

dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Begitu juga, jangan susahkan bapa itu. Antaranya, jangan tuntut lebih daripada yang sepatutnya. Kalau tidak ada persetujuan antara keduanya, maka mahkamah kena buat keputusan apakah yang patut.

Kita banyak sebut tentang mahkamah terlibat dalam hal antara suami isteri yang bercerai ini. Sebenarnya, kalau sama-sama faham agama dan guna akal yang waras dan hati yang suci, tidak perlu bawa ke mahkamah pun.

 

وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ

dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut

Jangan juga waris disusahkan kerana kadang-kadang waris terlibat dalam hal ini. Contohnya, kalau bapa bayi itu sudah mati. Dalam kes sebegitu, waris suami kenalah tanggung, jangan buat tidak tahu sahaja.

Yang penting, tidak boleh biarkan bayi itu dalam kesusahan. Seorang anak hendaklah dibesarkan dengan baik. Fikirkanlah juga masa depan anak itu.

 

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما

jika keduanya mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah

Ini pula jikalau tidak boleh teruskan penyusuan itu. Mungkin ibu itu kena pergi ke tempat yang jauh daripada bapa itu atau sebagainya. Persetujuan boleh dicapai untuk menamatkan penyusuan – dalam Bahasa Melayu dipanggil Sapih.

Kedua-duanya kena rela dengan keputusan itu. Maka kenalah ada perbincangan antara mereka dengan apa hendak dibuat, jangan buat keputusan sebelah pihak sahaja.

Yang penting, jangan anak itu yang menjadi mangsa. Seperti yang kita tahu, susu ibu memang makanan terbaik untuk bayi itu. Maka, mungkin untuk membuat keputusan, kena periksa dan tanya dengan doktor. Setelah dilakukan semua ini, baru tidak berdosa dan tidak melanggar ayat ini.

 

وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم

Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu

Penyusu lain pun boleh. Iaitu beri anak itu menyusu dengan orang lain. Ini nanti akan berkait pula dengan hukum Ibu Susuan pula jadi kena sedar hal ini.

 

إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ

apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Dibenarkan untuk disusukan dengan orang lain, asal sanggup memberi upah kepada penyusu itu. Maknanya, bukan percuma sahaja, kenalah diberi upah kepada ibu susuan itu. Kena tengok pada keadaan bayi itu dan kemampuan masing-masing dalam segala hal.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah ‎ﷻ menekankan kepentingan taqwa sekali lagi dalam ayat ini. Segala perkara yang telah disebut ini akan mudah dilakukan dan dicapai jikalau semuanya ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Perceraian mungkin tidak dapat dielakkan. Namun apa yang terjadi selepas itu, buatlah dengan cara yang baik.

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa yang kita lakukan dan keputusan yang kita buat. Allah ‎ﷻ tahu niat hati kita dan usaha kita untuk menepati kehendak-Nya.


 

Ayat 234: Kita masih lagi dalam perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah tentang masalah perceraian antara suami isteri.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا ۖ فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And those who are taken in death among you and leave wives behind – they, [the wives, shall] wait four months and ten [days]. And when they have fulfilled their term, then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable manner. And Allah is [fully] Acquainted with what you do.

MALAY

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

 

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri

Kali ini tentang iddah jikalau kematian suami pula. Biasanya dipanggil ‘cerai mati’ dalam bahasa kita dan isteri yang kematian suami itu dipanggil ‘balu’.

 

يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا

hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. 

Iddah kepada isteri yang kematian suami adalah lebih lama daripada iddah yang biasa (tiga kali suci). Hikmahnya adalah, jangkamasa itu bukan sahaja hendak tengok sama ada ada kandungan dalam perut isteri itu, tetapi kerana hendak menjaga perasaan kaum kerabat suami yang baru mati itu.

Kalau bekas isteri itu terus sahaja berkahwin lain, tentu kaum keluarga suami akan sedih kerana sudahlah hilang ahli keluarga mereka, ini hilang lagi seorang. Kalau isteri itu kahwin lain, tentu dia akan bersama dan sibuk dengan keluarga baru. Itulah hikmah iddah itu lebih lama lagi.

 

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ

Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik

Apabila sudah cukup empat bulan sepuluh hari itu, benarkanlah isteri itu untuk berkahwin lain atau hendak duduk di tempat lain. Wali tidak boleh sekat kalau perempuan itu hendak berkahwin lain atau berpindah.

Empat bulan adalah tempoh biasa yang seorang wanita boleh tahan tanpa suami. Tentera Islam pun kalau berperang lama, paling lama hanyalah selama empat bulan sahaja. Saidina Umar pernah رضي الله عنه perasan adanya perangai yang tidak elok di kalangan isteri-isteri yang ditinggalkan lama oleh suami yang pergi berperang.

Maka Umar رضي الله عنه bertanyakan anaknya Habsah, berapa lama seorang isteri boleh tahan tanpa suaminya. Habsah telah beri isyarat dengan empat jarinya, maksudnya empat bulan. Maka Umar رضي الله عنه telah mengeluarkan arahan supaya suami yang menjadi tentera hanya boleh keluar paling lama empat bulan.

Bila cukup tempoh, kena ganti dengan tentera yang lain kecuali kalau isteri izinkan. Maka kena tanya dahulu kepada isteri kalau boleh lagi lama berpergian.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah رضي الله عنه maha tahu apakah keperluan manusia maka sebab itulah Allah رضي الله عنه telah memberi hukum-hukum yang kita telah nyatakan selama ini.


 

Ayat 235: Dalam masa iddah, bukan sahaja kahwin, pertunangan pun tidak boleh. Yang boleh ada, hanya sindiran.

وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا ۚ وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

There is no blame upon you for that to which you [indirectly] allude concerning a proposal to women or for what you conceal within yourselves. Allah knows that you will have them in mind. But do not promise them secretly except for saying a proper saying. And do not determine to undertake a marriage contract until the decreed period reaches its end. And know that Allah knows what is within yourselves, so beware of Him. And know that Allah is Forgiving and Forbearing.

MALAY

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

 

وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah lelaki yang mahu memperisterikan janda. Tidak salah kalau gunakan kata sindiran atau kiasan untuk ajak berkahwin dengan tujuan untuk meminang wanita itu.

Dalam kitab disebut contoh begini : “ramai orang minat dengan kamu”; iaitu dia tidak kata dia yang minat, tetapi dia berkias dengan kata orang lain yang minat.

 

أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم

atau tentang kamu menyimpan dalam hati kamu

Atau sekadar niat sahaja dalam hati. Ini dibenarkan. Allah ‎ﷻ hendak kata tidak salah kalau kamu ada perasaan begitu. Cinta bukan boleh dipaksa-paksa dan ditolak-tolak.

 

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ

Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka,

Allah ‎ﷻ tahu yang lelaki akan sentiasa teringat kepada wanita  yang dia suka dan Allah ‎ﷻ tahu yang suatu hari nanti lelaki itu akan sebut juga kepada mereka. Sebab kalau sudah minat, akan disebut juga sebab takut orang lain kebas. Cuma lafaz jelas tidak boleh digunakan semasa janda itu dalam iddah.

 

وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا

akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit,

Jangan buat janji dengan janda itu secara senyap tanpa diketahui wali. Jangan kata hendak berkahwin dengan mereka kerana takut kalau kita beritahu kita hendak kahwin dengan mereka, maka ada kemungkinan mereka akan mempercepatkan iddah mereka.

Ini kerana mereka hendak berkahwin dengan kita, maka mereka boleh kata iddah mereka telah habis sedangkan belum lagi. Allah ‎ﷻ menghalang perkara ini daripada berlaku.

 

إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا

selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.

Yang boleh digunakan adalah hanyalah perkataan yang dalam bentuk kiasan sahaja. Sebagai contoh, kita kata: “semoga Allah berikan jodoh yang baik untuk awak nanti.” Jangan kata lebih daripada itu kerana takut mereka letak harapan kita akan berkahwin dengan mereka.

Kata-kata sindiran ini hanya boleh yang bukan dalam talaq raj’i kerana kalau talaq raj’i, mereka itu masih lagi isteri kepada suami dia sebab belum habis iddah. Mereka masih lagi tinggal dengan suami mereka lagi, jadi memang tidak boleh hendak bagi sindiran pun. Tambahan pula mereka masih lagi isteri orang. Jadi jangan buat pasal pula.

 

وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ

Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah

Jangan tetapkan dengan bersungguh-sungguh.

 

حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ

sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. 

Kena tunggu iddah sudah habis barulah buat penetapan. Barulah hantar rombongan meminang. Jangan kelam kabut dan buat tidak senonoh.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, 

Berwaspadalah. Jangan sampai buat dosa. Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati kita semua. Hendak buat apa-apa pun, jangan sampai melanggar hukum yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Maksud Allah ‎ﷻ itu bersifat حَليمٌ adalah Allah itu tidak gopoh hendak menghukum hamba-Nya yang bersalah dan berdosa. Allah ‎ﷻ beri peluang untuk hamba itu bertaubat.


 

Ayat 236: Ini pula adalah keadaan jikalau seorang isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan sebelum ditetapkan mahr berapa banyak yang akan dibayar.

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

There is no blame upon you if you divorce women you have not touched nor specified for them an obligation. But give them [a gift of] compensation – the wealthy according to his capability and the poor according to his capability – a provision according to what is acceptable, a duty upon the doers of good.

MALAY

Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

 

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ

Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka

Tidaklah salah kalau seorang suami menceraikan isterinya sebelum mereka melakukan hubungan kelamin. Mungkin perkahwinan itu perkahwinan yang dirancang oleh keluarga masing-masing dan apabila seorang lelaki melihat isterinya itu, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan itu; atau apa-apa sahaja sebab.

 

أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً

dan (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.

Perkataan أَو (selalunya bermaksud: atau) dalam ayat ini dibaca dengan makna و (dan). Maknanya, isteri itu tidak disetubuhi DAN tidak ditetapkan kadar mahr untuknya. Kena ada kedua-dua syarat itu.

Maksudnya mahr tidak diberikan atau tidak ditetapkan pun kadar mahr dalam akad nikah. Maknanya, kalau akad nikah itu tidak sebut berapa banyak yang akan diberi, akad itu sah.

Hukum: Bayaran mahr adalah ‘wajib’, namun tidaklah ‘rukun’. Nikah itu sah tetapi hendaklah kemudiannya diberikan juga mahr itu. Selagi mahr tidak diberikan, seorang isteri boleh menahan farajnya daripada suaminya.

 

وَمَتِّعوهُنَّ

hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka

Mut’ah berasal daripada kalimah al-Mata’ (المتاع). Ia bermaksud sesuatu yang menyeronokkan dan dapat dimanfaati. Sementara mut’ah dalam bab ini ialah harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab penceraian atau dipisahkan.

Berikanlah hadiah kerana dia akan menjaga nama baik lelaki itu dan juga untuk menjaga hati dia. Ini bukanlah mahr tetapi pemberian saguhati kepada wanita itu.

Kiranya sebagai penghibur hati dia. Tidaklah sia-sia sahaja dia melalui proses perkahwinan itu tetapi tidak mendapat apa-apa kerana tentu dia malu juga kerana satu kampung sudah tahu dia akan berkahwin tetapi tiba-tiba kena cerai pula.

 

عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ

atas suami yang senang menurut ukuran kemampuannya; 

Tidak ditetapkan berapakah kadar pemberian hadiah itu. Ikut kedudukan suami itu sama ada kaya atau miskin. Maksudnya, sekadar mana yang mampu. Kalau kaya, berilah banyak dan hadiah yang bernilai – mungkin sebiji kereta.

 

وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ

dan atas suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya,

Kalau orang miskin, berilah apa sahaja yang dia mampu beri tetapi hendaklah beri sesuatu yang bernilai yang dapat menyentuh hati bekas isterinya itu.

 

مَتٰعًا بِالمَعروفِ

sebagai pemberian saguhati menurut yang patut,

Berikanlah mengikut apa yang selayaknya. Janganlah pula bekas isteri itu minta hadiah yang tidak bukan-bukan.

 

حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan bagi mereka yang ada hati yang baik.

Mut’ah wajib diberikan kepada perempuan yang berkeadaan berikut:

    1. Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
    2. Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa aqad nikah. Ini seperti dalam ayat ini.
    3. Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalan aqad nikah.

Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam aqad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya (belum bermalam pun lagi).

Ini berdasarkan ayat 236 ini kerana kalimah لَّا جُنَاحَ juga bermaksud tidak berdosa kalau tidak bayar mahr.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s