Tafsir Surah Tahreem Ayat 1 – 3 (Nabi nak jaga hati isterinya)

Pengenalan: 

Surah ini boleh dikatakan sebagai kembar Surah Talaq sebelum ini. Dalam Surah Talaq kita telah belajar bagaimana apabila cinta sudah tidak ada antara suami dan isteri maka mereka boleh bercerai. Dan sekarang kita akan belajar bahawa di waktu yang lain pula ada orang yang terlalu sayang kepada isteri maka dia sampai boleh mengganggu agama. Ini pun tidak bagus. Maka Allah beri nasihat kepada kita.

Isi utama surah ini sama dengan Surah Hadid kerana ada tentang infak dan juga jihad. Surah Hadid adalah pembuka kepada Surah-surah Musabbihaat dan Surah Tahrim ini adalah penutupnya. Ada 10 surah berangkai semua sekali. Dan kerana ia sebagai penutup maka ia kembali membincangkan kedua-dua topik infak dan jihad yang penting dalam Surah-surah Musabbihaat ini. 

Di antara dua-dua surah ini ada surah yang sebut tentang jihad dan ada surah yang sebut tentang infak sahaja. Infak disebut dalam ayat ke 8 dan jihad disebut dalam ayat ke 9 dalam surah ini. 

Dalam surah ini Allah menegur Nabi Muhammad supaya jangan mencari dan mengejar keredhaan manusia dan menepikan keredhaan Allah. Maka ia mengajar kita supaya jangan utamakan redha manusia dibandingkan dengan keredhaan Allah. 

Jadi setiap masa di dalam hidup kita hendaklah kita mencari redha Allh dan jika kita tidak perhatikan perkara ini, maka kita boleh tersasar dari apa yang sepatutnya kita lakukan. 

Kerana itulah ramai yang tidak mampu nak amalkan agama Islam dengan benar kerana takut pandangan masyarakat. Takut ada yang terasa dan takut digelar sebagai Wahabi pun ada. Maka ingatlah jangan takut kepada golongan yang jahil. Kerana kalau mereka menuduh seseorang itu sebagai Wahabi, maka itu sudah menjadi tanda kejahilan mereka. Maka tak perlu layan dan risau. Biarkan sahaja mereka.

Walaupun ayat ini ditujukan kepada Nabi tetapi ianya ada pengajaran buat kita dimana Allah mengajar jikalau hidup kita ini ada perjuangan untuk menegakkan agama, maka perkara-perkara lain perlulah diletak sebagai nombor 2. Mesti utamakan perjuangan menegakkan agama Islam. 

Ada kisah tentang Nabi Muhammad dan para isteri baginda dalam surah ini. Seperti yang kita tahu, Nabi ada isteri yang ramai tetapi ada isterinya yang dia lebih kasih kalau dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain. Ini biasa sahaja dan bukanlah satu kekurangan pada diri baginda. Baginda boleh beri nafkah yang sama banyak kepada semua isteri baginda dan menggilir hari dengan mereka, tetapi kecintaan baginda tidak boleh sama. Kerana perasaan cinta tidak dapat dikawal. 

Maka kalau ada di kalangan kita yang beristeri lebih dari satu, maka memang akan ada salah seorang yang kita lebih sayang lebih dari yang lain. Maka ini adalah normal.

Yang kedua berkenaan kesukaan baginda dimana salah satunya baginda suka makan madu. Dan ada kisah berkenaan isteri baginda Zainab bint Jahshy dimana beliau seorang yang rapat dengan baginda dari segi kekeluargaan kerana baginda adalah sepupu kepada Rasulullah.

Zainab pandai melihat apa yang Nabi suka dan dia dapat kesan yang Nabi suka madu maka dia pun cari madu untuk diberikan kepada Baginda. Zainab cari madu yang paling bagus untuk dijamukan kepada baginda. 

Nabi kebiasaannya akan melawat setiap isterinya setiap hari (selepas waktu Asar) walaupun bukanlah menjadi kewajipan ke atas baginda. Semua akan dilawati tetapi tidakkah baginda bermalam dengan mereka semua tetapi hanya melawat sahaja. Dan baginda selalu pergi rumah Zainab untuk makan madu dan perkara ini telah diketahui oleh Aisyah dan juga Hafsah. Kerana apabila baginda di sana, baginda akan lama di sana.

Dikalangan isteri Nabi boleh dikatakan terbahagi kepada dua ‘kumpulan’ iaitu satu kumpulan mengikut Aisyah dan satu kumpulan mengikut Zainab. Jadi macam dua kem pula. Dan Hafsah rapat dengan Aisyah maka mereka tahu yang Nabi selalu makan madu di rumah Zainab. Mereka jadi agak cemburu kerana baginda lama di rumah Zainab maka mereka telah buat satu rancangan. 

Mereka buat rancangan yang kalau baginda pergi rumah mereka dari rumah Zainab, mereka akan kata yang mulut baginda berbau busuk. Tujuannya supaya baginda rasa bersalah dan tidak lagi pergi untuk makan madu yang disediakan oleh Zainab di rumahnya. Mereka merancang untuk kata yang bau mulut baginda seperti bau pokok Magafir. Selain dari A’isyah dan Habshah, ada juga riwayat yang mengatakan dua isteri lagi yang terlibat adalah Sawdah dan Safiyyah. 

Imam Bukhari mengatakan bahwa magafir mirip dengan getah yang terdapat pada batang kayu, getah ini rasanya manis. Bila dikatakan agfarar ramsu ertinya batang kayu itu mengeluarkan getahnya. Bentuk tunggalnya ialah magfur, ada juga yang mengatakan magafir. Hal yang sama telah dikatakan oleh Al-Jauhari, bahawa adakalanya getah yang dimaksud berasal dari pohon aysr, sammam, salam, dan talh. Al-Jauhari mengatakan bahawa ar-rimsi adalah sejenis semak yang sering dimakan oleh ternak unta. Al-Jauhari mengatakan bahawa ‘urfut adalah nama sebuah pohon dari jenis pohon ‘udah yang biasa mengeluarkan getah putih yang disebut magfur.

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Siti Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah Saw. adalah seorang yang merasa sangat tidak enak (tidak suka) bila dari dirinya tercium bau yang tidak enak. Yang dimaksud dengan bau yang tidak enak ialah bau yang busuk. Kerana itulah apabila mereka mengatakan, “Engkau telah makan magafir” mengingat bau magafir tidak enak. Dan ketika Nabi Saw. menjawab, “Tidak, aku hanya minum madu.” Mereka (isteri-isteri beliau) menjawab, “Barangkali lebahnya mengisap getah pohon ‘urfut,” yang getahnya menghasilkan magafir. Kerana itulah maka baunya terasa di madu yang diminumnya.

Oleh kerana Rasulullah memang tidak suka bau busuk dan setelah mereka berkata begitu, maka baginda bersumpah untuk tidak pergi ke rumah Zainab untuk makan madu lagi. Baginda beritahu hal ini kepada Hafsah dan pesan supaya jangan beritahu sesiapa pun tentang sumpah baginda itu.

Walaupun Nabi suruh rahsiakan tetapi Hafsah tetap juga memberitahu tentang sumpah baginda itu kepada Aisyah kerana rancangan mereka sudah berjaya.  

Kemudian Allah telah memberitahu kepada Nabi tentang pembocoran rahsia dari Hafsah kepada Aisyah itu.

Kenapa disebut kisah ini dengan agak panjang lebar? Ini kerana madu adalah makanan yang halal tetapi baginda bersumpah untuk tidak memakannya kerana baunya yang baginda sangka busuk. Sepatutnya Rasulullah kena periksa dulu dakwaan isterinya itu kerana baru sekali sahaja dia cakap begitu.

Satu lagi insiden dalam surah ini adalah baginda telah memberitahu satu rahsia kepada salah seorang isterinya dan isteri itu telah berkongsi rahsia itu dengan isteri yang lain. Ini kita akan jelaskan nanti di dalam tafsir ayat seterusnya. 


Ayat 1:

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Taḥreem: Prohibition.

O Prophet, why do you prohibit [yourself from] what Allāh has made lawful for you, seeking the approval of your wives? And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Asbabun nuzul ayat ini berkenaan Nabi Muhammad sendiri dimana baginda telah meluangkan masa dengan salah seorang isterinya (Zainab) dan selepas itu baginda telah pergi ke rumah isterinya yang lain.

Di rumah isterinya yang pertama itu baginda telah makan madu dan apabila sampai ke rumah isterinya yang satu lagi, isteri itu tidak suka baginda meluangkan masa lama dengan isteri yang sebelum itu.

Maka dia kata bahawa ada bau tidak enak pada baginda dan kerana sayang kepada isterinya itu maka baginda telah bersumpah untuk tidak makan madu itu lagi. 

Disebutkan bahwa telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Musa, telah menceritakan kepadaku Hisyam ibnu Yusuf, dari Ibnu Juraij, dari Ata, dari Ubaid ibnu Umair, dari Aisyah yang mengatakan bahawa dahulu Nabi Saw. suka minum madu (putih) di rumah Zainab binti Jahsy, lalu tinggal bersamanya di rumahnya. Maka aku (Aisyah) dan Hafsah sepakat untuk melakukan suatu tindakan, bahawa kepada sesiapa pun di antara kami berdua beliau Saw. masuk, maka hendaklah dia mengatakan kepadanya, “Engkau telah makan magafir (madu putih yang rasanya enak, tetapi baunya tidak enak), kerana sesungguhnya aku mencium bau magafir darimu.” Maka Nabi Saw. bersabda:

“لَا وَلَكِنِّي كُنْتُ أَشْرَبُ عَسَلًا عِنْدَ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحش، فَلَنْ أَعُودَ لَهُ، وَقَدْ حَلَفْتُ لَا تُخْبِرِي بِذَلِكَ أَحَدًا”، {تَبْتَغِي مَرْضَاةَ أَزْوَاجِكَ}

Tidak, tetapi aku baru saja meminum madu biasa di rumah Zainab binti Jahsy, maka aku tidak akan meminumnya lagi; dan sesungguhnya aku telah bersumpah untuk itu, maka janganlah engkau ceritakan hal ini kepada siapa pun. Maka Allah menurunkan firman-Nya: kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu. (At-Tahrim: 1)

Demikianlah menurut riwayat Imam Bukhari dalam tafsir ayat ini dengan lafaz sebagaimana yang tersebut di atas.

Satu lagi asbabun nuzul ayat ini yang juga dibincangkan adalah berkenaan Mariyah Qibtiyyah, seorang hamba kepada Nabi Muhammad. Beliau telah melahir salah seorang anak baginda, iaitu Ibrahim.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abdur Rahim Al-Burfi, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Gassan, telah menceritakan kepadaku Zaid ibnu Aslam, bahawa Rasulullah Saw. menggauli ibu Ibrahim di rumah salah seorang isteri beliau Saw. Maka isteri beliau Saw. berkata, “Hai Rasulullah, teganya engkau melakukan itu di rumahku dan di atas ranjangku.” Maka Nabi Saw. mengharamkan ibu Ibrahim itu atas dirinya. Lalu isteri beliau Saw. bertanya, “Hai Rasulullah, mengapa engkau haramkan atas dirimu hal yang halal bagimu?” Dan Nabi Saw. bersumpah kepada isterinya itu bahawa dia tidak akan menggauli budak perempuannya itu lagi. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya atas dirimu? (At-Tahrim: 1)

لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ

mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; 

Baginda bukannya mengharamkan makan madu itu kepada semua umat tetapi cuma kepada diri baginda sendiri sahaja. Tapi ini pun telah ditegur oleh Allah.

Perkara ini penting untuk diperbaiki kerana jika tidak, maka  mungkin akan ada masalah kerana segala perbuatan Nabi menjadi sunnah kepada para sahabat dan umat Islam. Takut nanti ada yang ikut secara detail apa yang  baginda lakukan sampai ada yang cuba menggelincirkan dirinya di tempat yang baginda pernah tergelincir. Maka takut ada yang haramkan makan madu kepada diri mereka pula. Sedangkan madu itu halal. 

Hak untuk mengharamkan sesuatu makanan adalah hak Allah. Nabi Muhammad sendiri pun tidak boleh mengharamkan makanan kalau tidak kerana wahyu dari Allah. Tapi dalam kes ini, Nabi tidak mengharamkan kepada semua tapi baginda sahaja yang bersumpah untuk tidak makan untuk dirinya sendiri. Tapi kerana Nabi bukanlah orang biasa, maka itu pun tidak dibenarkan.

Ini penting kerana ia sudah pernah terjadi kepada bangsa Yahudi apabila Nabi Yaakob tidak makan daging unta kerana tidak suka (atau atas sebab kesihatan) maka umat baginda (Yahudi) telah mengharamkan daging unta itu padahal baginda tidak suka makan sahaja, bukan haramkan kepada umat baginda.

Jadi para Nabi kena berhati-hati dengan perlakuan mereka kerana kadang-kadang ia boleh disalah anggap oleh manusia. Kerana manusia terlalu sayang kepada  Nabi mereka dan mereka akan  cuba ikut segala perbuatan  para Nabi walaupun kadang-kadang ia bukanlah berkenaan syariat. 

Kisah Nabi Muhammad ini sebenarnya kecil sahaja dan dalam kehidupan seharian manusia ada benda yang lebih besar lagi yang berlaku dan tidak dimasukkan di dalam Qur’an pun. Akan tetapi oleh kerana Nabi Muhammad ini membawa tugas yang besar, maka titah baginda dan perbuatan baginda ini dijadikan sebagai tauladan dan mengajarkan kepada kita bahawa untuk kita mencapai cita-cita kita yang penting di dalam agama, maka keluarga kita hendaklah dalam keadaan baik dan harmoni. 

Jadi kita kena ingat tujuan utama kita di atas muka bumi ini adalah untuk menegakkan agama Allah supaya kita boleh masuk ke dalam syurga. Dalam masa yang sama, kita juga ada keluarga dan kita mahu keluarga itu baik dan dalam keadaan harmoni. Tetapi itu bukanlah tujuan asal kerana tujuan asal kita adalah agama dan kita kena gunakan keluarga kita untuk mencapai tujuan agama kita. Maka jangan lebihkan keluarga atas perjuangan. 

Jadi di dalam ayat ini Allah menegur Nabi Muhammad kerana telah mengharamkan untuk dirinya apa yang Allah telah halalkan iaitu madu.

تَبتَغي مَرضاتَ أَزوٰجِكَ

kerana kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu?

Allah menegur Nabi Muhammad: adakah baginda mengharamkan madu itu kerana hendak mencari redha isterinya? Baginda bukannya tidak suka madu itu tapi hanya kerana nak puaskan hari isterinya sahaja.

Perbuatan Nabi itu adalah kerana hendak mencari redha isterinya yang tidak suka dengan madu itu (kerana baginda luangkan masa memakannya). Kadang-kadang isteri ini bukan fikir halal dan haram tetapi mereka mahu apa yang mereka hendak sahaja tanpa memikirkan kesannya terhadap jangka panjang. Maka jangan terkesan sangat dengan kehendak mereka. Kena nilaikan balik apa yang mereka kata. Bukanlah perlu ikut semua kehendak mereka. 

Kalau nak tegur Nabi kerana mengharamkan sesuatu sudah cukup dengan potongan awal ayat ini. Tapi kenapa nak sebut tentang sebab kejadian pengharaman itu?

Ini adalah kerana Allah hendak menegur para isteri baginda yang menyebabkan kejadian ini berlaku. Mereka sebagai isteri Nabi patutnya janganlah melakukan perkara yang sampai terjadi pengharaman ini. Kerana mereka buat rancangan kononnya madu itu bau busuklah yang sampai menyebabkan baginda mengharamkannya.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Apabila Nabi Muhammad ditegur sebegini maka baginda amat takut tetapi Allah beritahu yang Allah maha pengampun dan Maha mengasihani. Ini memberi isyarat yang Allah ampunkan kesilapan Nabi. Kerana bersumpah tidak mahu makan sesuatu makanan kerana hendak menggembirakan hati itu tidaklah berdosa, cuma tidak sesuai bagi kedudukan Nabi sahaja. Jadi Allah boleh ampunkan.

Walaupun di dalam ayat ini ada teguran tetapi sebenarnya ia ada juga pujian kepada baginda. Ini adalah kerana baginda hendak menjaga hati isterinya maka baginda sampai sanggup untuk meninggalkan sesuatu yang baginda suka. Maksudnya baginda sanggup berkorban kerana isteri.

Bayangkan kalau isteri kita tidak suka kita makan makanan yang kita suka makan, tentulah kita sukar untuk meninggalkannya, bukan? Tapi lihatlah baginda sanggup tinggalkan.


Ayat 2:

قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم ۚ وَاللَّهُ مَولٰكُم ۖ وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has already ordained for you [Muslims] the dissolution of your oaths.¹ And Allāh is your protector, and He is the Knowing, the Wise.

  • By means of a kaffārah (expiation). This is required when one is unable to fulfill an oath or when one has taken an oath which would not be pleasing to Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā). See 5:89.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

قَد فَرَضَ اللَّهُ لَكُم تَحِلَّةَ أَيمٰنِكُم

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu

Kalimah تحلة dari ح ل ل yang bermaksud ‘merungkai ikatan tali’. Maksudnya Allah telah mewajibkan kepada baginda untuk melepaskan sumpah baginda itu. Jangan terus haramkan madu itu ke atas baginda.

Dan selalunya kalau untuk merungkai sumpah kena bayar kifarah (seperti yang diajar dalam Maidah:89) tetapi dalam hal ini tidak perlu kerana ianya adalah arahan daripada Allah.

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan baginda telah membayar kifarah juga iaitu dengan memerdekakan hamba.

Jadi ini juga adalah tanda cinta Allah kepada semua manusia yang jikalau mereka bersumpah yang tidak kena cara, mereka kena batalkan. Tidaklah mereka kena teruskan juga kerana terpaksa. Allah beri jalan keluar untuk melepaskan diri.

Allah telah berikan syariat yang siap sempurna maka kita kenalah ikut. Maka jangan kita suka-suka nak haramkan perkara yang Allah telah halalkan. 

Walaupun asal surah ini adalah ditujukan kepada Nabi Muhammad tetapi dhomir ayat ini adalah kepada umum; bermaksud pengajaran ayat ini kepada semua orang dimana kita dinasihatkan supaya jangan berjanji atas sesuatu perkara yang menyusahkan diri kita hanya kerana hendak memuaskan hati orang lain.

Kerana jikalau kita berjanji ataupun bersumpah untuk buat tetapi kita tidak mampu untuk melakukannya maka tidakkah  itu akan menyusahkan diri kita?

وَاللَّهُ مَولٰكُم

dan Allah adalah Pelindungmu

Allah pasti menjadi pelindung kita jika kita beriman kepadaNya. Allah tahu apa yang baik untuk kita, maka kalau Allah sudah halalkan sesuatu perkara, ianya baik untuk kita.

Apabila kita terima Allah sebagai pelindung kita, maka kita mesti terima syariat dari Allah. Mana yang Allah halalkan, maka gunakanlah; mana yang Allah haramkan, maka tinggalkanlah.

وَهُوَ العَليمُ الحَكيمُ

dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah mengetahui segala perkara. Dan hukum yang Allah SWT berikan kepada kita adalah atas kebijaksanaanNya.

Maknanya hukum dalam syariat itu adalah untuk kebaikan kita. Allah haramkan yang buruk untuk kita dan halalkan yang baik untuk kita. Semua hukum adalah berdasarkan kebijaksanaan Allah, maka kita kena yakin dengan hukum Allah. Kita mestilah percaya yang tentu ada kebaikan dalam syariat Allah.


Ayat 3: Ini adalah kisah kedua pula dan ada bersangkutan dengan kisah pertama.

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ ۖ فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا ۖ قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when the Prophet confided to one of his wives a statement; and when she informed [another] of it and Allāh showed it to him, he made known part of it and ignored a part. And when he informed her about it, she said, “Who told you this?” He said, “I was informed by the Knowing, the Acquainted.”

(MELAYU)

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa.

Ini adalah kisah bagaimana Nabi memberitahu sesuatu rahsia kepada salah seorang isterinya dan kemudian isteri itu telah memberitahu kepada isteri yang lain. Maknanya, dia telah membocorkan rahsia. 

فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ

Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah)

Bayangkan Nabi Muhammad telah menerima cakap Hafsah itu yang madu itu berbau busuk tetapi Hafsah sendiri tidak pegang kata Nabi Muhammad yang menghalangnya untuk membocorkan rahsia itu kepada sesiapa pun. 

Seperti yang kita telah sebut, salah satu kisah yang dikatakan sebagai asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Mariyah Qibtiyyah. Kisahnya begini:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, dari Az-Zuhri, dari Ubaidillah ibnu Abdullah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahwa dia pernah bertanya kepada Umar ibnul Khattab, “Siapakah kedua wanita itu?” Umar ibnul Khattab menjawab, “Keduanya adalah Aisyah dan Hafsah.” Permulaan kisahnya ialah berkenaan dengan ibu Ibrahim (yaitu Mariyah Al-Qibtiyyah). Nabi Saw. menggaulinya di rumah Hafsah di hari gilirannya, maka Hafsah mengetahuinya, lalu berkata, “Hai Nabi Allah, sesungguhnya engkau telah melakukan terhadapku suatu perbuatan yang belum pernah engkau lakukan terhadap seorang pun dari isteri-isterimu. Engkau melakukannya di hari giliranku dan di atas peraduanku.” Maka Nabi Saw. menjawab: Puaskah engkau bila aku mengharamkannya atas diriku dan aku tidak akan mendekatinya lagi? Hafsah menjawab, “Baiklah.” Maka Nabi pun mengharamkan dirinya untuk menggauli Mariyah, Nabi Saw. bersabda, “Tetapi jangan kamu ceritakan hal ini kepada siapa pun.” Hafsah tidak tahan, akhirnya dia menceritakan kisah itu kepada Aisyah. Maka Allah Swt. menampakkan (memberitahukan) hal itu kepada Nabi Saw., dan Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? (At-Tahrim, 1) hingga beberapa ayat sesudahnya. Maka telah sampai kepada kamu suatu berita yang menyebutkan bahawa Rasulullah Saw. membayar kifarat sumpahnya dan kembali menggauli budak perempuannya itu.

وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ

dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad

Kemudian Allah telah memberitahu kepada baginda bahawa rahsia itu sudah terbongkar. Kerana ada pengajaran yang Allah hendak sampaikan kepada kita. 

عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ

lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebagian yang lain (kepada Hafsah). 

Kemudian Nabi Muhammad telah memberi isyarat kepada isterinya itu yang baginda sudah tahu apa yang telah berlaku tetapi tidaklah baginda menceritakan semuanya sekali. Baginda hanya cakap dengan cara isyarat sahaja dan tidaklah menceritakan semuanya.

Nabi cuma cakap: “bocor juga rahsia”. Nabi tidak cakap pun siapa yang membocorkan rahsia kepada siapa kerana bukan itu yang penting. Nabi cuma hendak menegur sahaja kerana kesalahan isterinya itu.

فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا

Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?”

Sepatutnya jikalau kita telah membocorkan sesuatu rahsia dan telah diketahui oleh pemberi maklumat itu maka sepatutnya kita kenalah minta maaf tetapi sebaliknya isteri ini mahu tahu pula siapa yang memberitahu rahsia itu.

Nampaknya isteri itu hendak menyalahkan orang yang membocor rahsia itu  pula. Ini macam orang kita akan tanya balik: “siapa yang cakap?”, “siapa dah bocorkan rahsia ini?”

قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Maka Nabi Muhammad telah marah dan memberitahu bahawa maklumat itu disampaikan oleh Allah, bukan oleh orang lain. Maka tidak perlu nak salahkan sesiapa pula. 

Kisah yang terjadi ini sebenarnya adalah perlakuan antara suami dan isteri dan ini perkara biasa sahaja sebenarnya tetapi kita kena ingat kembali bahawa Nabi Muhammad dan juga para isteri baginda menjadi contoh kepada manusia maka kerana itu Allah menceritakan apa yang terjadi sebagai pengajaran untuk kita. 

Nabi adalah manusia yang penting dan baginda ada misi yang perlu dijalankan. Kalau rahsia dibocorkan kepada orang lain, maka tentulah ini akan membahayakan misi itu. Sekarang memanglah pembocoran rahsia itu perkara kecil sahaja. Tapi perkara kecil ini pun Allah sudah tegur kerana nak mengingatkan jangan sampai terjadi kebocoran rahsia yang besar pula.

Maka ini mengajar kepada para isteri yang menjadi isteri kepada pemimpin masyarakat dan mereka yang ada tugas penting. Mereka ada tanggungjawap menyimpan rahsia suami mereka. Mereka bukan orang biasa lagi dah kerana pun ada tugas untuk masyarakat. Jangan senang-senang nak cerita apa yang terjadi di rumah kepada orang lain pula. Kenalah pandai simpan rahsia. Kerana kita tidak tahu mana rahsia yang bahaya dibocorkan atau tidak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s