Tafsir Surah Jumuah Ayat 4 – 8 (Perangai macam keldai)

Jumuah Ayat 4: Ayat 4 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Perenggan ini mengandungi teguran keras kepada Kaum Yahudi. Mereka itu sombong dengan keturunan dan kelebihan ilmu yang mereka ada. Maka kita kena belajar daripada kesalahan yang mereka lakukan supaya tidak terjatuh ke dalam sifat ini.

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the bounty of Allāh, which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; 

Kurnia yang dimaksudkan ialah pemberian yang dianugerahkan Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ berupa pangkat kenabian yang besar dan apa yang diberikan oleh Allah ﷻ secara khusus kepada umatnya, iaitu diutus-Nya Nabi Muhammad ﷺ kepada mereka.

Ia juga bermaksud kurnia iman yang Allah ﷻ berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan bukannya diberikan kepada kaum-kaum dan puak-puak tertentu sahaja. Maka kalau ada orang yang sangka mereka sahaja yang layak masuk syurga (seperti golongan Yahudi), mereka itu telah salah sama sekali. 

Maka pengetahuan agama Islam ini terbuka untuk semua manusia dan bukan kepada golongan ulama atau golongan-golongan ustaz sahaja, tetapi semua boleh belajar. Dan ini berlainan dengan fahaman agama-agama lain sebelum Islam di mana mereka berpendapat bahawa pengetahuan agama itu hanya kepada ahli-ahli agama sahaja.

Setiap orang Islam sebenarnya kena belajar supaya tahu tafsir Al-Qur’an dan bukan hanya khas untuk golongan ustaz sahaja. Jangan jadi seperti agama Yahudi dan Kristian di mana golongan agama sahaja yang boleh baca kitab Taurat dan Injil dan orang-orang bawahan tidak tahu apa-apa. Jangan kita ‘outsource’ pengetahuan agama ini pada orang tertentu sahaja.

Kita pun kena tahu agama ini secara mendalam. Mungkin tidaklah ke tahap para ustaz dan ulama, tetapi sekurang-kurangnya kita kena tahu perkara asasnya. Syarat untuk kita masuk syurga kenalah ada ilmu sahaja. Jika tiada ilmu, senang sahaja ditipu oleh manusia yang jahat dan senang ditipu oleh syaitan (Talbis Iblis). Tiada ilmu agama, tempatnya di neraka. 

 

وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ﷻ ada banyak pemberian kurnia lagi kepada manusia. Asalkan manusia itu mahu mempelajari agama dan kenal dengan wahyu itu. Ilmu agama ini penting dan kerana itu Khalifah Umar رضي الله عنه selalu memeriksa masjid-masjid supaya ada pengajian tafsir Al-Qur’an yang dijalankan di masjid-masjid itu kerana beliau sedar betapa pentingnya ilmu wahyu ini.

Maka kita pun kena jalankan dan hidupkan suasana ilmu di negara kita. Mulakan dengan keluarga kita dan kemudian dalam masyarakat kita. Jadualkan satu masa berkala di rumah supaya anak beranak boleh belajar agama bersama-sama. Kemudian jadikan pembelajaran agama ini terutama tafsir Al-Qur’an ini di seluruh negara kerana ia adalah perkara yang amat-amat penting. Sebelum belajar perkara-perkara agama yang lain, kena faham tafsir Al-Qur’an dahulu. Tentunya ini sesuatu yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan Islam yang ada kuasa untuk menjalankannya.

Malangnya ada manusia yang jahil mengatakan orang awam tidak layak untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka kata golongan ulama’ sahaja yang boleh faham. Maka kerana itulah manusia ramai yang jahil dan senang ditipu. Ini adalah kerana ilmu asas pun mereka tidak tahu. Janganlah kita jadi begitu.


 

Jumuah Ayat 5: Ini adalah apa yang yang akan berlaku apabila ilmu agama tidak diamalkan dan lebih teruk lagi, kalau tidak dipelajari. 

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا ۚ بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of those who were entrusted with the Torah and then did not take it on¹ is like that of a donkey who carries volumes [of books].² Wretched is the example of the people who deny the signs of Allāh. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

  • i.e., neglected their responsibility towards it by not putting its teachings into practice.
  • But does not benefit from their contents.

(MELAYU)

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya

Ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi. Golongan Yahudi itu telah diberatkan dengan tanggungjawab menanggung Kitab Taurat. Tanggungjawab itu adalah untuk belajar dan menyampaikannya kepada umat manusia.

Kemudian Allah ﷻ beritahu yang mereka tidak menanggungnya walaupun sedikit. Mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka terus menjadi bangsa yang jahil dengan wahyu. Allah ﷻ mengingatkan kisah mereka ini kepada kita supaya kita jangan jadi seperti orang-orang Yahudi itu yang tidak belajar Kitab Taurat dan tidak mengamalkan pun ajaran dalam Taurat walaupun mereka digelar Ahli Kitab. 

Maka begitulah juga orang kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Hanya berbangga kerana digelar orang Muslim, ada Al-Qur’an, umat akhir zaman dan akan masuk syurga. Namun bagaimana hendak masuk syurga kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

Orang kita juga kuat mengutuk orang Yahudi. Dikatakan mereka itu teruklah, tolak Nabi merekalah dan macam-macam lagi. Namun ketahuilah, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita semua ini adalah sama sahaja dengan Yahudi yang tidak belajar Taurat dan tidak menegakkan Taurat itu.

Satu lagi maksud ayat ini: golongan Yahudi itu telah ada Kitab Taurat pada mereka. Mereka sepatutnya tahu dan kenal siapa Nabi Muhammad ﷺ itu kerana berita ini telah disebut dalam Taurat. Sepatutnya merekalah yang berada di hadapan untuk beriman dan membantu baginda kerana mereka telah kenal dan tahu siapa Rasulullah. Namun sebaliknya yang berlaku (mereka menentang baginda). Maka mereka telah tidak menjalankan ajaran dalam Taurat seperti yang sepatutnya.

 

كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا

adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. 

Allah ﷻ beri perumpamaan yang Yahudi itu seperti keldai yang membawa kitab di atas belakangnya tetapi langsung tidak mengambil manfaat pun daripada kitab-kitab itu. Ini adalah kerana keldai itu tidak tahu membaca kitab yang dibawanya di atas belakangnya. Walaupun ada banyak kitab di belakangnya, tetapi keldai itu tidak tahu pun apa yang dalam kitab-kitab itu. Mereka tidak tahu kelebihan apa yang mereka bawa di belakang tubuhnya itu.

Ini adalah ejekan yang amat keras. Kalau kita kata kepada seseorang: “Kamu ini bodoh macam keldai!”, tentu orang itu akan marah, bukan? Tetapi ini adalah kutukan dan ejekan daripada Allah ﷻ! Kalau tidak suka, maka jangan marah kepada kita, tetapi marahlah kepada Allah ﷻ (kalau berani)!

Oleh itu, ini adalah ejekan yang amat pedas kepada mereka yang tidak tahu kitab wahyu. Mereka hanya menjaga lafaz dalam kitab wahyu itu sahaja tetapi tidak faham pengajaran dalamnya. Ini samalah dengan orang kita yang tidak tahu apa-apa pun mengenai Al-Qur’an dan ajaran di dalam Al-Qur’an itu. Kebanyakan orang kita hanya tahu baca Al-Qur’an sahaja (itu pun merangkak). Ini macam Yahudi yang menjaga Kitab Taurat dalam simpanan mereka, tetapi tidak faham isi kandungan di dalamnya. Kalau faham pun tidak, maka jauh lagilah untuk diamalkan. 

Kita kata mereka yang dimaksudkan itu adalah golongan Yahudi, namun sebenarnya teguran kepada kita, mengajak kita jangan jadi seperti mereka yang telah gagal itu. Maka ayat ini boleh diumumkan (termasuk ditujukan kepada kita). 

Ini adalah kerana Bani Israil itu sendiri bukanlah nama yang menunjukkan kepada mereka yang tidak endahkan Taurat itu kerana mereka merupakan bangsa yang memang hebat dan banyak para nabi dalam kalangan mereka. Ramai juga orang-orang yang baik dalam kalangan mereka maka kalau dipanggil seseorang itu daripada bangsa Bani Israil, ia bukanlah sesuatu yang menghina. 

Akan tetapi Allah ﷻ banyak menceritakan tentang hal mereka kerana ramai juga dalam kalangan mereka yang telah melakukan kesilapan dalam agama dan dalam amalan mereka. Maka kita kena belajar tentang kesalahan-kesalahan mereka itu supaya kita tidak melakukan perkara yang sama kerana kalau tidak, kita pun jadi seperti mereka. 

Sebagaimana kebanyakan mereka itu tidak mengamalkan agama yang sebenarnya, maka begitulah juga kebanyakan dalam kalangan orang Islam juga tidak mengamalkan agama dengan sebenarnya. Ini adalah kerana ilmu tentang wahyu Allah ﷻ, sama ada dalam bentuk Al-Qur’an atau hadith, amat jauh daripada pemikiran utama umat Islam sekarang.

Salah satu daripada sifat Bani Israil ini adalah mereka berbangga dengan sejarah mereka, kerana mereka ada ilmu, ada kitab dan ada ramai Nabi dalam kalangan mereka. Namun Allah ﷻ mengingatkan mereka supaya jangan lupa bahawa ada perkara yang memalukan di dalam sejarah mereka.

Maka ini juga pengajaran kepada kita yang jangan sangka semua sejarah kita itu adalah sejarah Islam yang baik-baik sahaja kerana ada juga perkara yang memalukan dan kita kena terima fakta itu. Memang ada sejarah yang membanggakan kita, seperti kejayaan umat terdahulu mengislamkan ramai orang; tetapi dalam masa yang sama, ada juga kehancuran yang dilakukan oleh orang Islam setelah jauh daripada ajaran agama. 

Kalimah أَسفار berasal daripada katadasar س ف ر yang bermaksud menulis, meninggalkan, mengembara. Kalimah أَسفار menjadi maksud buku yang banyak. Kalau perasan, katadasar ini juga digunakan safar (perjalanan) kerana kita sebenarnya apabila sedang membaca buku, kita sedang ‘bermusafir’ di dalam buku itu. Mata kita akan ‘mengembara’ di mukasurat-mukasurat buku itu.

Allah ﷻ menggunakan perumpamaan satu bangsa yang ada banyak buku dan juga banyak ilmu, tetapi mereka tidak manfaatkan ilmu itu. Alangkah ruginya, alangkah malangnya!

 

بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. 

Dalam ayat ini kita diberitahu bagaimana mereka yang ada wahyu daripada Allah ﷻ tetapi tidak mengamalkannya maka mereka itu juga dikira sebagai mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ. 

Kezaliman yang Yahudi lakukan adalah kerana mereka diberikan dengan wahyu tetapi mereka tidak mengamalkannya, sedangkan sepatutnya mereka mengajar wahyu itu ke seluruh umat manusia. Jikalau kita pun ada Al-Qur’an ini tetapi kita tidak mengamalkannya dan tidak menunjukkan contoh yang baik tentangnya, maka kita pun dikira zalim juga.

Memang ejekan daripada Allah ﷻ ini amat pedas sekali kerana mereka disamakan seperti keldai. Namun sebenarnya ia lebih pedas daripada itu lagi. Mereka itu lebih teruk daripada keldai! Ini kerana keldai itu tidak ada otak, maka ia boleh dimaafkan. Akan tetapi manusia ada otak! Ini seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

 

{أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ}

Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf: 179)

 

 

Dan lebih teruk lagi, mereka sepatutnya telah belajar dan patutnya tahu apa yang mereka perlu lakukan. Apabila orang yang tahu tetapi tidak menjalankan apa yang dia sepatutnya tahu, maka itu lebih teruk lagi.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Orang yang zalim adalah orang yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Wahyu itu tinggi dan sepatutnya ditinggikan dengan diikuti ajaran di dalamnya. Namun kalau mendustakan wahyu itu, orang itu dikira sebagai zalim.

Allah ﷻ amat murka kepada orang yang zalim. Apabila Allah ﷻ murka, Allah ﷻ tidak beri hidayah petunjuk kepada orang itu dan orang itu akan dimasukkan ke dalam neraka.


Jumuah Ayat 6: Salah satu kesilapan golongan Yahudi itu adalah kerana mereka perasan mereka itu golongan ‘terpilih’. Mereka sangka mereka itu Kekasih Allah ﷻ. Mereka sangka mereka suci dan tidak akan dimasukkan ke dalam neraka.

Maka Allah ﷻ cabar mereka dalam ayat ini. Kalau benar mereka itu kekasih Allah ﷻ dan akan terus masuk syurga bila mati, maka Allahﷻ  suruh mereka doa supaya cepat mati. 

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O you who are Jews, if you claim that you are allies of Allāh, excluding the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

 

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi

Sekarang disebut golongan Yahudi secara khusus.

Balaghah: Kita boleh lihat dalam ayat ini bagaimana Allah memanggil mereka ‘wahai yang menjadi Yahudi’. Ini adalah kerana mereka sendiri yang reka agama Yahudi itu. Sepatutnya mereka beragama Islam sahaja kerana tidak ada ‘agama Yahudi’ sebenarnya. Oleh kerana mereka telah ubah agama mereka, maka nama agama sendiri pun mereka ubah juga.

Nama Yahudi ini pula datang dari mana? Ia diambil daripada nama anak keempat Nabi Yaakob عليه السلام iaitu Yahuda. Selepas Nabi Sulaiman عليه السلام, kerajaan Bani Israil telah berpecah kepada beberapa puak, mengikut kepada keturunan 12 anak Nabi Yaakob عليه السلام. Kemudian mereka telah diserang dan yang tinggal hanya kerajaan keturunan Yahuda dan keturunan Bunyamin.

Oleh kerana keturunan Yahuda lebih kuat, maka yang tinggal hanyalah nama Yahuda itu sahaja. Mereka telah menamakan agama mereka dengan nama Yahuda itu pula sedangkan itu bukanlah nama asal agama mereka.

 

إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ

jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, 

Golongan Yahudi itu sangka mereka sahaja ‘kekasih Allah ﷻ’ dan orang lain tidak layak menjadi kekasih Allah ﷻ walaupun orang lain itu beramal banyak mana pun.

Begitulah sangkaan mereka terhadap orang lain yang selain mereka. Pada sangkaan mereka, jikalau orang Yahudi buat banyak dosa pun tetap kekasih Allah ﷻ. Ini disebut dalam beberapa ayat Al-Qur’an yang lain: 

 

 

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?” Baqarah:80

 

 

 

Juga disebut dalam ayat yang lain:

 

 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Maidah:18

 

 

Salah faham ini telah juga dimasukkan dalam kitab-kitab tulisan pendeta dan ahli agama mereka, menyebabkan sangkaan salah ini berterusan sampailah ke hari ini.

 

فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

Allah ﷻ cabar mereka: Kalau kamu rasa kamu memang akan masuk syurga walau apapun, maka mintalah mati segera. Kenapa masih mahu tinggal di dunia ini lagi kerana dunia ini banyak sakit, banyak susah dan sebagainya. Maka kalau hendak terus mendapat nikmat di syurga itu, maka eloklah kamu mati sahaja sekarang. Kerana yang menghalang kamu dapat nikmat syurga itu adalah kerana kamu masih hidup di dunia sahaja, bukan?

Makna yang dimaksudkan ialah mereka diminta untuk melakukan sumpah dengan musuh mereka bahawa siapa yang sesat semoga ditimpa oleh laknat Allah ﷻ; apakah diri mereka ataukah musuh mereka. Sebagai­mana telah disebutkan pula dalam pembahasan mubahalah terhadap orang-orang Nasrani dalam Surah Ali Imran melalui firman-Nya:

 

{فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ}

Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan) kamu, maka katakanlah (kepadanya), “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.” (Ali Imran: 61)

 

 

Akan tetapi tidak pun pernah nampak orang Yahudi minta dimatikan cepat. Mereka memang takut mati dan ini telah disebut dalam ayat yang lain: 

 

 

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صادِقينَ

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّالِمينَ

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَياةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan. Baqarah:94-96

 

 

Ayat Surah Baqarah ini telah diturunkan sebelum ada pertembungan peperangan antara Yahudi dan Muslim. Ayat-ayat ini terbukti apabila ada pertembungan itu, mudah sahaja bagi umat Islam mengalahkan mereka kerana mereka itu takut mati, maka walaupun mereka ada banyak kelengkapan, mereka senang menyerah kalah.

Antaranya apabila umat Islam menyerang Khaibar, mereka serah sahaja tempat tinggal mereka itu. Mereka pun tidak berani hendak berlawan dengan tentera Muslim yang berani mati kerana mereka percaya dengan janji syurga oleh Allah ﷻ. Begitu juga apabila terjadi pengepungan Bani Nadhir seperti yang telah disebut dalam Surah Hashr.

Orang Islam memang tidak diajar untuk minta mati cepat. Yang kita semua diajar untuk meminta dimatikan ‘bersama dengan orang-orang yang beriman’. Itulah doa yang sepatutnya kita amalkan. Kita pun tidak pernah mengaku yang kita pasti akan menjadi ahli syurga kerana kita tidak tahu nasib kita di akhirat kelak.

Maka begitulah salah faham golongan Yahudi. Malangnya, salah faham tentang kepastian masuk syurga ini juga ada dalam kalangan orang-orang Islam. Ramai yang sangka kalau mengucap Syahadah sahaja sudah pasti akan masuk ke syurga. Oleh kerana itu mereka tidak bersungguh-sungguh dalam beragama, kerana mereka sangka mereka pasti akan masuk syurga.

Mereka pun menggunakan hadith Nabi yang mengatakan jikalau mengucap syahadah, maka pasti akan masuk syurga. Akan tetapi tidakkah mereka baca dan belajar hadith-hadith yang lain? Tidaklah senang sahaja untuk masuk syurga. Sedangkan sahabat-sahabat yang mendengar hadith itu sendiri daripada Nabi pun tidaklah mereka yakin sangat yang mereka akan masuk syurga. Lalu bagaimana golongan yang lebih rendah daripada golongan sahabat itu boleh yakin pula yang mereka akan masuk syurga? Ada kesilapan dalam fahaman sebenarnya. 


Jumuah Ayat 7:

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they will not wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allāh is Knowing of the wrongdoers.

(MELAYU)

Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Mereka tidak akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri.

Allah ﷻ beritahu yang golongan Yahudi itu tidak akan minta kematian dengan segera selama-lamanya kerana mereka pun tahu yang mereka itu ada buat salah. Mereka juga tahu yang mereka tidak sediakan saham pahala mereka untuk akhirat. 

Oleh kerana mereka sendiri tahu apakah amalan salah yang mereka buat maka mereka juga tahu yang kalau mereka mati, mereka akan ada masalah. Maka kerana itu mereka takut mati. Kata-kata mereka yang mereka pasti akan masuk syurga kerana mereka kekasih Allah ﷻ adalah angan-angan sahaja.

Maka kita janganlah jadi begitu; hendaklah kita bersedia dengan saham akhirat kita terutama sekali yang boleh dilakukan adalah sedekah. Ini kerana sedekah itu adalah saham yang amat banyak untuk akhirat dan juga segala apa yang kita berikan itu akan dikembalikan kepada kita semasa di dunia lagi, kita memang tidak akan rugi apa-apa. Dengan sedekah, kita akan dapat balasan di dunia dan juga balasan di akhirat. Maka memang tidak rugi langsung. 

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Hanya Allah ﷻ tahu siapa yang buat zalim dan kerana itu Dia sahaja yang layak menghukum. Allah ﷻ tahu yang golongan Yahudi itu sebenarnya takut mati.


Jumuah Ayat 8: Allah ﷻ hendak mengingatkan yang walaupun mereka tidak minta mati cepat pun, mereka akan tetap mati juga. 

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم ۖ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, the death from which you flee – indeed, it will meet you. Then you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you about what you used to do.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

 

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang Yahudi yang tidak berpegang dengan Taurat itu ada takut kepada mati dan itu adalah kesan kerana tidak berpegang dengan Taurat. Mereka jadi terlalu cinta kepada dunia.

Menariknya ada sebuah hadith di mana disebut yang umat Islam akan menjadi lemah di akhir zaman sedangkan mereka ramai. Apabila sahabat tanya bagaimanakah cara untuk menyelesaikannya maka Nabi ﷺ kata kena selalu ingat kepada mati dan baca Al-Qur’an. 

 

 

يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت

“Akan hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai, tetapi kamu hanya seperti buih seumpama buih air banjir. Dan Allah akan cabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu, dan Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda Baginda : Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”

(Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)

 

Umat Islam Seperti Buih Di Lautan

 

Di dalam ayat-ayat yang menceritakan tentang Yahudi ini mereka mempunyai kedua-dua masalah: iaitu mereka tidak belajar Taurat dan mereka lari daripada kematian kerana mereka mahu hidup selama-lamanya di atas dunia. Mereka takut mati, tetapi mati pasti akan datang juga kepada mereka. Ini semakna dengan firman Allah ﷻ yang disebutkan di dalam surat An-Nisa, iaitu:

 

{أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ}
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa: 78)

 

​Tidaklah salah untuk kita lari daripada mati. Kita kena menjaga kesihatan kita, tidak melakukan perkara yang membahayakan. Jika nampak sesuatu yang bahaya, kita kena elak. Rasulullah ﷺ pernah lalu di sebelah dinding yang hampir roboh. Baginda berlalu dengan segera takut dihempap. Maka tidak salah kalau kita menjaga diri kita daripada bahaya.

 

ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,

Mereka dan kita kena sedar yang kembalian kita akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ Maha Tahu segala apa yang kita lakukan kerana Dia tahu yang ghaib dan yang nyata. Maka nanti segala perbuatan kita semasa di dunia akan dibentangkan.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Oleh kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya yang kita lakukan, maka nanti Dia akan ceritakan kembali segala rekod perbuatan kita semasa di dunia. Ingatlah yang Allah ﷻ bukan sengaja mengenangkan kita dengan perbuatan kita dahulu tetapi Allah ﷻ mahu membalas perbuatan itu itu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk. Maka kita mahukan balasan yang mana?

 

Habis Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Disember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Jumuah Ayat 1 – 3 (Siapakah goyim?)

Pengenalan:

Di dalam Surah Saff sebelum ini telah diberitahu bahawa tugas Nabi dibangkitkan adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ di atas muka bumi. Dan dalam Surah Jumuah ini akan memberi tahu bagaimana cara ia dapat dijalankan.

Maka kita sebagai umat baginda yang telah ditugaskan untuk meneruskan tugas baginda, kenalah tahu perkara ini dan menjalankan tanggungjawab ini. Kita mestilah mengikut cara yang Allah ﷻ ajar dalam surah ini.

Tema utama surah ini terdapat di dalam ayat kedua tetapi di hujung surah ini akan diberitahu tentang solat Jumaat. Ini menunjukkan kepentingan solat Jumaat ini di dalam menegakkan agama Allah ﷻ. Di sini kita akan dapat belajar nanti.

Surah Jumuah ini juga adalah permulaan kepada rentetan surah-surah berkenaan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini kita sudah belajar rentetan surah-surah berkenaan jihad dan sekarang dibincangkan ‘rakan’ kepada jihad, iaitu infak. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Surah ini juga mengajar dan sentuh tentang pembelajaran ilmu. Tamadun Islam akan berkembang apabila pembelajaran ilmu dijalankan.  Kita boleh lihat masalah salah faham agama dalam masyarakat kita sekarang ini adalah kerana budaya ilmu amat lemah. Semua perkara agama diserahkan kepada para ustaz dan semua hanya percaya bulat-bulat sahaja.

Sampaikan bila para ustaz itu mengajar perkara yang karut pun, terus dipercayai. Namun begitu kita dapat melihat sekarang ilmu semakin mudah untuk didapati, dan kerana itu rakyat semakin celik agama. Ini adalah perkembangan yang amat bagus. Maka kita kena wujudkan suasana ilmu yang lebih hebat lagi.


Jumuah Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang diutuskan Nabi itu adalah untuk membersih jiwa manusia.

يُسَبِّحُ ِللَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ المَلِكِ القُدّوسِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Jumu‘ah: Friday.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh,¹ the Sovereign, the Pure, the Exalted in Might, the Wise.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.

Sekali lagi disebut tentang tasbih di dalam ayat ini di mana diberitahu yang seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi ini bertasbih kepada Allah ﷻ. Ada banyak lagi makhluk yang kita tidak tahu maka kerana itu digunakan kalimah ما (apa sahaja) kerana jikalau kita tahu kalimah ataupun benda yang dimaksudkan maka kalimah الّذي yang digunakan. Oleh kerana kita tidak tahu, kita gunakan kata tunjuk dalam bentuk umum sahaja, iaitu ما.

Sama ada kamu tahu atau pun tidak tahu jenis makhluk Allah ﷻ yang bertasbih itu, ketahuilah yang mereka semua bertasbih kepada Allah ﷻ. Ini adalah sindiran Allah ﷻ kepada manusia – makhluk semua bertasbih kepada Allah ﷻ, kamu pula bagaimana, wahai manusia?

Surah ini juga dimulai dengan tasbih kerana hendak mengingatkan manusia bahawa tujuan melakukan infak dan juga jihad adalah untuk membersih dan menyucikan nama Allah ﷻ di dalam diri manusia. Iaitu tujuan jihad adalah Tauhid dan tasbih adalah kalimah tauhid. Sekiranya tidak faham perkara ini, maka sia-sia sahaja berjihad kerana akan masuk neraka juga akhirnya. 

Permulaan ayat ini juga hendak menolak fahaman Yahudi yang menolak kerasulan Nabi Muhammad ﷺ hanya kerana baginda bukan daripada kaum Bani Israil. Mereka sudah nampak yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah memang betul seorang Nabi, tetapi mereka masih juga menolak. Mereka sangka yang hanya bangsa mereka sahaja yang layak menjadi Nabi kerana mereka itu ‘umat pilihan’.

Allah ﷻ suruh kita bertasbih membersihkan-Nya daripada sifat pilih kasih. Allah ﷻ tidak pilih kasih dalam memberi nikmat kepada manusia. Allah ﷻ beri rahmat-Nya kepada semua makhluk. Allah ﷻ tidak zalim dengan menahan rahmat kepada mana-mana bangsa.

Dalam surah-surah Musabbihat, ada yang menggunakan kalimah tasbih dalam bentuk ‘past tense’, dan ada yang menggunakan dalam bentuk ‘present and continuous tense’ seperti dalam Surah Jumaah ini dan Surah Taghabun. Bentuk ‘past tense’ memberikan indikasi ketetapan manakala bentuk ‘present and continuous tense’ memberi indikasi berterusan.

Ayat ini agak unik kerana ada 4 fawaasil (jamak kepada faasilah). Iaitu nama-nama sifat Allah ﷻ yang selalu disebut di hujung ayat. Selalunya kita biasa lihat di penghujung ayat hanya ada dua faasilah sahaja.

 

المَلِكِ

Raja, 

Allah ﷻ adalah Raja segala raja. Ini adalah pemerintahan Allah ﷻ secara makro (secara keseluruhan).

Apabila ada raja di dalam satu-satu kerajaan maka mereka mahu ditunjukkan ketaatan kepada rajanya itu. Ini sebagaimana pada zaman sekarang setiap pejabat ataupun kedai ada gambar raja. Mereka hendak meletakkan tanda raja itu di segenap tempat. (Saya tidaklah menggalakkan gambar digantung pula). 

Apabila kita terima yang kita ada Raja iaitu Allah ﷻ, maka kita kenalah menunjukkan ketaatan kita kepada Raja itu. Maka kita hendaklah menjadi hamba-Nya, taat kepada-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Apabila seorang Raja itu perlu ditaati, maka tentulah Raja Segala Raja kena ditaati juga. Oleh itu, kalau puak Yahudi masih hendak melawan lagi keputusan Allah ﷻ melantik Rasul dari bangsa Arab, maka mereka tentu akan dikenakan dengan balasan buruk – lagi teruk daripada balasan seorang rakyat yang menentang rajanya.

 

القُدّوسِ

Yang Maha Suci,

Faasilah kedua yang disebut di dalam ayat ini adalah al-Quddus. Quddus dari segi bahasa bermaksud suci daripada bercampur dengan bahan-bahan. Ia bermaksud suci semenjak asal lagi.

Ini adalah berbeza dengan kalimah zakah (yang juga bermaksud suci) kerana ia bermaksud kesucian yang datang kemudian iaitu setelah dibersihkan. Kalau zakah digunakan, ia bermaksud sebelum itu tidak bersih tetapi setelah melakukan sesuatu, maka ia menjadi bersih.

Akan tetapi quds bermaksud suci semenjak asal lagi. Apabila kita melakukan taqdis (penyebutan penyucian), bukanlah kita menyucikan sesuatu tetapi kita menyebut tentang kesucian sesuatu itu. Kita cuma ithbatkan sahaja kesucian yang telah ada.

Kalimah Quddus pula adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan, ekstrem) kerana ada syaddah pada huruf د itu. Maknanya, Allah ﷻ bukan sahaja suci, tetapi Dia menjadi sumber kepada semua kesucian di dalam alam. Apabila kita melakukan taqdis kepada Allah ﷻ, maka kesannya adalah ia akan menyucikan diri kita.

Allah ﷻ suci daripada melakukan kesilapan. Segala perbuatan Allah ﷻ tidak pernah salah. Manusia memang banyak membuat kesilapan dan kesalahan, tetapi Allah ﷻ tidak sama sekali. Maka janganlah Yahudi kata Allah ﷻ salah pilih Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul pula. Itu menghina Allah ﷻ namanya.

Selalu kita dengar tentang ‘tasbih’ dan sekarang ‘taqdis’ pula. Apakah bezanya? Menurut Imam al-Nawawi رحمه الله, beza antara tasbih dengan taqdis ialah,

 

 

وَمَعْنَى سُبُّوحٍ الْمُبَرَّأُ مِنَ النَّقَائِصِ وَالشَّرِيكِ وَكُلِّ مَا لَا يَلِيقُ بِالْإِلاهِيَّةِ ، وَقُدُّوسٌ الْمُطَهَّرُ مِنْ كُلِّ مَا لَا يَلِيقُ بِالْخَالِقِ

“Makna subbuh ialah bersih daripada kekurangan-kekurangan dan syirik-syirik, dan segala yang tidak layak dalam soal ketuhanan. Manakala quddus pula ialah bersih daripada segala perkara yang tidak layak dalam soal penciptaan.” (Syarah Muslim dan ‘Awn al-Ma‘bud).

 

Oleh itu, taqdis adalah mensucikan Allah ﷻ daripada sifat yang serupa dengan makhluk, kemungkinan mempunyai keaiban dalam sifat dan dzat.

Selain itu, terdapat satu pandangan lain dalam mentakrifkan erti quddus.

 

وَقَالَ الْهَرَوِيُّ : قِيلَ : الْقُدُّوسُ الْمُبَارَكُ

 “Al-Harawi berkata: Dikatakan maksud al-Quddus ialah al-Mubarak (keberkatan).”

 

 

العَزيزِ

Yang Maha Perkasa 

Kalimah al Aziz mempunyai dua makna di dalamnya: iaitu hormat dan kuasa. Ia selalu diterjemahkan dengan ‘Maha Perkasa’ atau ‘Maha Kuat’ dan ini tidak berapa tepat lagi kerana kalau begitu, kalimah yang digunakan adalah al-Qawi. 

Dua elemen hormat dan kuasa ini penting kerana ada orang yang dihormati tetapi dia tidak mempunyai kuasa manakala ada orang yang mempunyai kuasa tetapi dia tidak dihormati tetapi al-aziz ada kedua-dua elemen. Maka Allah ﷻ ditaati dan juga dihormati. 

Oleh kerana kedudukan Allah ﷻ sebagai al-Aziz, maka Allah ﷻ boleh membuat apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Sekiranya Allah ﷻ mahu mengazab hamba yang ingkar, Allah ﷻ boleh melaksanakannya bila-bila masa sahaja kerana Dia ada kuasa itu. Tidak ada sesiapa yang boleh halang atau persoalkan sekali pun.

 

الحَكيمِ

Maha Bijaksana.

Allah ﷻ boleh memberi hukuman bila-bila masa sahaja tetapi Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem. Yang mempunyai kebijaksanaan dan juga yang membuat hukum. Segala undang-undang yang Allah ﷻ berikan kepada kita adalah atas kebijaksaan-Nya, maka ia amat sesuai kepada kita. Tidak rugi kalau kita ikut dan taat kepada segala hukum yang Allah ﷻ telah buat itu. 

Disebabkan kebijaksanaan Allah ﷻ ini, maka Allah ﷻ tidak terus menghukum kita dengan azab walaupun hamba itu telah melakukan kesalahan walaupun besar. Ini kerana Allah ﷻ bijaksana dan memberi tangguh kepada hamba itu untuk memperbetulkan dirinya. Oleh kerana sifat inilah kita ada peluang untuk menjadi ahli syurga. Kalaulah kita buat salah sahaja terus diazab, maka tidaklah ada manusia di atas muka bumi ini (kerana semuanya akan mati).

Sekian penerangan ringkas tentang sifat-sifat Allah ﷻ itu. Maka jelas di sini ayat pertama ini adalah ayat yang memperkenalkan Allah ﷻ.


Jumuah Ayat 2: Sekarang Allah ﷻ memberitahu tugas kenabian di mana kemudiannya ia menjadi tugas ulama’ setelah baginda tiada. 

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who has sent among the unlettered [Arabs] a Messenger from themselves reciting to them His verses and purifying them and teaching them the Book [i.e., the Qur’ān] and wisdom [i.e., the sunnah] – although they were before in clear error –

(MELAYU)

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

 

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul dalam kalangan mereka

Di dalam surah-surah musabbihat sebelum ini Allah ﷻ telah memulakan surah-surah itu dengan menegur manusia, tetapi tidak di dalam surah ini. Di dalam surah ini, selepas Allah ﷻ menyebut tentang Diri-Nya dan memuji Diri-Nya, Allah ﷻ juga menyebut tentang Rasulullah ﷺ.

Allah ﷻ beritahu dengan jelas sekali dalam ayat ini yang Dialah yang memilih Nabi Muhammad ﷺ, Dialah yang membangkitkan baginda dalam kalangan bangsa Arab. Bukanlah baginda itu bangkit dan hidup sendiri menjadi Nabi. Baginda merupakan pilihan Allah ﷻ. Maka Yahudi atau sesiapa sahaja janganlah hendak mempersoalkan keputusan Allah ﷻ pula dalam pelantikan itu. Tidak selamat kalau mempersoalkan keputusan Allah ﷻ!

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menyebut yang Rasulullah itu adalah seorang ‘ummiy’ kerana kaumnya juga ummiy. Kalimah الأُمِّيّينَ ini berasal daripada kalimah أ م م yang bermaksud ‘ibu’ (umm). Oleh itu, kalimah ummiy bermaksud seseorang yang tidak tahu membaca sebagaimana dia baru sahaja keluar daripada perut ibu. Kerana seseorang yang keluar daripada perut ibunya, tentu tidak tahu apa-apa, bukan? 

Memang sudah terkenal yang orang-orang Arab ini kebanyakan mereka adalah buta huruf kalau dibandingkan dengan golongan ahli kitab. Ini kerana mereka tidak ada kitab dalam sejarah mereka. Oleh sebab itulah mereka sering dipandang rendah oleh golongan Ahli Kitab. Mereka menggelar golongan yang tidak tahu kitab itu sebagai goyim dan dalam Bible telah ditulis sebagai gentiles. Ia merujuk kepada mereka yang bukan dalam kalangan Bani Israil. 

Mereka memang memandang rendah golongan yang mereka panggil goyim ini seolah-olah goyim ini sub-human (bawah daripada manusia). Pada mereka, goyim ini kotor, tidak beragama, tidak bertamadun dan dibenci sangat-sangat. Pada mereka goyim tidak boleh dijadikan teman dalam musafir dan kalau sedang kelemasan dalam air, tidak boleh dibantu! Bagi mereka, Messiah akan turun dan membunuh semua goyim. Begitulah teruknya layanan dan pandangan mereka terhadap orang yang bukan Bani Israil (ini adalah kita).

Surah ini nanti ada menyentuh tentang golongan Ahli Kitab dan salah satu daripada penolakan mereka kepada Rasulullah ﷺ adalah kerana baginda seorang ummiy dan mereka rasa itu adalah sesuatu yang memalukan. Akan tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ia adalah satu penghormatan kepada baginda dan Allah ﷻ menjanjikan perkara ini dalam bentuk ayat Al-Qur’an. Nanti kita akan jelaskan.

Kalimah ummiy ini ada juga disebut di tempat-tempat yang lain seperti:
Ali Imran:20
Baqarah:78
Ali Imran:75

Pendapat yang popular dalam kalangan ilmuan Islam adalah Rasulullah ﷺ juga seorang ummiy. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan baginda asalnya ummiy namun kemudian telah diberikan kebolehan membaca oleh Allah ﷻ. Namun begitu, walaupun baginda seorang ummiy, baginda berjaya membangkitkan umat yang berilmu dalam kalangan bangsa Arab itu yang menguasai ilmu dunia pada satu masa.

Satu lagi pendapat bagi maksud ‘ummiy’ adalah merujuk kepada ummul qura’ (ibu bandar) iaitu Mekah. Penduduk Mekah adalah penjaga Kaabah maka mereka dengan bangga menggelarkan diri mereka ummiy bermaksud penduduk Mekah  yang menjaga Kaabah.

Allah ﷻ telah bangkitkan Nabi Muhammad ﷺ dalam kalangan bangsa yang ummiy. Apakah tujuan atau tugas baginda dibangkitkan? Sekarang disenaraikan satu persatu.

 

يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ

yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,

Tadi Allah ﷻ sebut yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca namun sekarang Allah ﷻ sebut yang baginda ‘membacakan’ ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia pula. Maka ini merupakan satu mukjizat kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda boleh membacakan Al-Qur’an kepada manusia walaupun asalnya baginda tidak boleh membaca.

Maksud ‘bacakan’ ayat-ayat Al-Qur’an itu kepada manusia adalah tanpa menambah dan tanpa mengurangkan apa sahaja yang sampai dalam bentuk wahyu. Apa sahaja ayat Al-Qur’an yang baginda dapat daripada Allah ﷻ, baginda kena sampaikan. Baginda tidak tambah dan tidaklah baginda boleh membuang mana-mana ayat Al-Qur’an walaupun ia berat bagi baginda. 

Kita juga kena faham bahawa ‘membacakan’ dan ‘bercakap’ tidak sama kerana jikalau kita bacakan sesuatu kepada orang, maka orang itu akan tahu yang kita sedang membacakan tulisan orang lain kepada mereka. Ini adalah kerana bahasa yang digunakan adalah lain antara ‘baca’ dan ‘cakap’. Memang kita dapat bezakan orang yang bercakap dan orang yang membaca. Kalau kita baca kisah daripada buku kepada anak kita, tentu anak kita tahu kerana bahasa kita bercakap dan baca adalah berlainan sama sekali. 

Apabila Rasulullah ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada umat baginda, mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang baginda bacakan itu bukan daripada kata-kata baginda kerana gaya bahasa dan kata-kata baginda itu lain daripada percakapan baginda.

Mereka amat tahu kerana mereka memang telah mengenali baginda yang telah lama tinggal bersama dengan mereka selama 40 tahun. Maka apabila mereka kata Nabi Muhammad ﷺ reka ayat-ayat Al-Qur’an itu, itu adalah tuduhan yang melampau sebenarnya.

Oleh sebab itu tugas pertama Nabi yang disebut di dalam ayat ini adalah untuk membacakan ayat-ayat Allah kepada manusia. Tujuannya adalah untuk mengajak manusia beriman kepada Allah . Maksud ’tilawah’ adalah baca dalam rangka untuk mengajak orang ataupun berdakwah.

Oleh sebab itu dalam dakwah kita, kita kena bacakan Al-Qur’an kepada manusia kerana Al-Qur’an ini ada mukjizat dan dapat membuka hati manusia. Kita tidak tahu mana satu ayat yang akan menyebabkan mereka terkesan, maka kita kena bacakan banyak ayat kepada mereka. Bacakan sebanyak mungkin ayat Al-Qur’an kepada mereka. Ada orang tersentuh dengan ayat ini, ada yang tersentuh dengan ayat itu.

Ini mengajar kita yang Al-Qur’an perlu dibacakan dan diajar kepada manusia. Kena bagi manusia faham tentang Al-Qur’an kerana ia daripada Allah . Ia adalah dakwah pertama kepada manusia. Ia juga adalah ilmu utama kepada manusia. Maka sebagai umat Islam hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an ini, jangan ditinggalkan, jangan disisihkan. Jangan buat tidak tahu dan jangan ambil sambil lewa sahaja.

 

وَيُزَكّيهِم

dan mensucikan mereka

Dengan membaca dan memahami ayat-ayat Al-Qur’an itu, dapat membersihkan pemahaman kita tentang dunia dan alam ini; tentang apa yang kita patut lakukan dan apa yang kita tidak patut lakukan. Ia memerlukan pembelajaran yang berterusan iaitu dengan belajar tafsir di mana kita kena memahami satu persatu ayat-ayat yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini dan mengetahui apakah kehendak Allah .

Antara maksud membersihkan itu adalah kebersihan fizikal. Baginda mengajar umat baginda membersihkan diri dan menjaga kebersihan. Tamadun mereka ketika itu adalah bangsa yang kotor, tidak tahu tentang kebersihan, tentang kuman dan sebagainya. Bukan di Tanah Arab sahaja tetapi di kebanyakan tempat di dunia. Akan tetapi Islam sudah mengajar perkara ini. Ini adalah majunya agama Islam.

Yang paling penting adalah membersihkan manusia daripada fahaman syirik. Ini adalah paling penting kerana mereka yang jauh daripada wahyu akan senang terpengaruh dengan fahaman-fahaman syirik. Fahaman mereka hanya boleh dibersihkan dengan belajar tafsir dengan cara yang benar. Ini kerana perkara utama yang diajar dalam Al-Qur’an adalah tauhid dan larangan syirik. Diperjelaskan apakah syirik itu satu persatu. Maka kalau tidak belajar tafsir, memang tidak akan tahu perkara ini.

Itu adalah pada peringkat intelektual di mana kita sudah tahu, tetapi satu peringkat lagi kita hendaklah membersihkan pemahaman kita dari segi rohani. Ini adalah satu perkara yang hebat sekali sampaikan kadangkala ada manusia yang menangis apabila membaca ayat-ayat Al-Qur’an kerana kerana mereka terkesan dengan apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Hati mereka tersentuh dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Itu terjadi kepada mereka yang mengisi kekosongan dalam diri mereka dengan Al-Qur’an seperti yang sepatutnya. Kita kena rapat dengan Al-Qur’an dan selalu baca Al-Qur’an dan tadabbur (mendalami maksud) Al-Qur’an. Hidup kita kena seharian dengan Al-Qur’an. Namun jikalau otak dan jiwa kita diisi dengan benda lain seperti filem, sukan, permainan, politik, keluarga dan benda-benda lain sahaja, maka mereka tidak terkesan langsung dengan Al-Qur’an. Kalau kita bacakan kepada mereka yang sebegitu, mereka tidak tersentuh sangat pun. Walau bagaimanapun kita kena cubalah juga. 

Apabila manusia tidak dekat dengan Al-Qur’an maka yang mahu pengalaman kerohanian akan melakukan perkara-perkara lain seperti zikir yang direka-reka dan juga nyanyi-nyanyian seperti nasyid dan Qasidah. Ketahuilah yang itu semua telah lari daripada kehendak Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini adalah amalan yang paling tinggi.

Mereka yang mencari-cari perkara sebegitu adalah kerana mereka belum mengisi diri mereka dengan pemahaman Al-Qur’an. Sekiranya mereka sudah dekat dengan Al-Qur’an maka mereka akan tahu kedudukan perkara lain yang rendah kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an yang tidak ada tandingnya. 

Oleh hal yang demikian tugas Nabi yang kedua adalah untuk membersihkan umat manusia daripada fahaman-fahaman syirik dan fahaman-fahaman yang salah tentang agama. 

 

وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ

dan mengajarkan mereka al-Kitab 

‘Ajar kitab’ itu bermaksud mengajar tentang hukum hakam iaitu tentang perkara yang boleh buat dan yang tidak boleh buat. Contohnya, makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan dan sebagainya. Apabila manusia sudah terima Al-Qur’an dan terima tauhid, maka teruskan dengan mengajar hukum kepada mereka.

Dalam kitab wahyu juga mengajar tentang perhubungan sesama masyarakat, pergaulan di dalam keluarga, nikah dan cerai dan lain-lain lagi. Maka ini semua kenalah dipelajari untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia kerana kita sebagai manusia memerlukan peraturan dan undang-undang untuk mengawal keluarga, masyarakat dan negara. 

Tanpa peraturan hidup di dunia ini, maka manusia akan jadi kacau bilau dan mengganggu kehidupan. Kalau kehidupan terganggu, maka susahlah untuk hidup dengan tenang dan memikirkan agama. Kerja-kerja dakwah tidak dapat dijalankan dengan baik.

Maka telah disebut tiga perkara utama: Tilawah – Tazkiyah – Ta’lim. Nabi mesti menjalankan tiga-tiga perkara ini. Kita pula sebagai penyambung tugas Nabi juga kena jalankan tiga-tiga perkara ini.

Akan tetapi untuk dapat menerima hukum-hukum yang Allah berikan ini maka manusia itu perlu membersihkan inteleknya dan juga rohaninya dengan menggunakan Al-Qur’an dahulu. Hanya selepas itu berlaku barulah mereka boleh taat kepada hukum Allah ini. Kalau tidak, ia tidak akan terjadi kerana mereka tidak melalui proses tazkiyah lagi. 

Kerana itu ramai yang tidak kisah pun dengan hukum hakam Allah ﷻ kerana perkara utama mereka tidak terima lagi. Mereka tidak terima Al-Qur’an dan kepentingan taat kepada arahan Al-Qur’an itu, maka tentulah mereka tidak kisah pun dengan hukum hakam dalam Al-Qur’an ini. 

Maka kita kena sampaikan Al-Qur’an kepada manusia kerana Al-Qur’an ini ada mukjizat. Tentulah nasihat daripada akal kita tidak laku dengan manusia. Kita tidak boleh berhujah dan mengubah perangai manusia sebagaimana yang boleh dilakukan oleh Al-Qur’an. Al-Qur’an boleh mengubah manusia yang lalai menjadi insan yang baik.

Ini sebagaimana yang terjadi kepada sahabat Nabi yang terkenal iaitu Umar رضي الله عنه yang merupakan seorang gangster sebelum itu. Beliau sampai hendak membunuh Nabi ﷺ tetapi apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepadanya, beliau telah berubah. Begitu juga puak Aus dan Khazraj di Yathrib: mereka telah beratus tahun berperang; tetapi apabila disampaikan Al-Qur’an kepada mereka dan mereka terima, mereka telah bersatu dan menjadi penyokong kuat agama Islam sampailah Islam tertegak di Madinah.

 

وَالحِكمَةَ

dan al-Hikmah

Setelah ketiga-tiga perkara di atas itu telah dijalankan, barulah seseorang itu mendapat ‘hikmah’; dan apakah hikmah itu?

Ia bermaksud ilmu yang bermanfaat dan beramal dengannya. Oleh itu jikalau kita sudah ada ilmu tentang benda yang betul tetapi kita tidak beramal dengannya, maka itu bukannya hikmah. Oleh itu jikalau seseorang yang tahu hukum sesuatu perkara dalam agama tetapi dia tidak mengamalkan dalam kehidupannya, maka dia tidak ada hikmah. 

Macam seorang yang tahu api itu membakar tetapi dia pegang juga. Tentulah orang itu tidak ada hikmahnya. Maka samalah juga kalau sudah tahu solat itu wajib, tetapi tidak mengerjakannya. Tentulah tidak ada hikmah.

Ada juga pendapat yang bermaksud ‘hikmah’ itu adalah ‘sunnah’ iaitu bagaimana Nabi Muhammad ﷺ mempraktikkan ajaran-ajaran di dalam Al-Qur’an. Ini kerana kalau kita baca sendiri Al-Qur’an, tentu kita tidak tahu bagaimana untuk aplikasi ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ini kerana disebut secara ringkas sahaja di dalam Al-Qur’an. Maka kenalah Nabi Muhammad ﷺ menunjukkannya kepada kita. Inilah yang terdapat dalam Sunnah. 

Ada juga yang menafsirkan maksud al-kitab sebagai unsur-unsur akidah dan al-hikmah adalah cara-cara untuk beramal ibadat. Ini pun boleh juga kerana memang ada banyak pemahaman tentang perkara ini. 

Empat sifat Nabi Muhammad ﷺ ini disebut dalam ayat-ayat lain:
Baqarah:129
Baqarah:151
Ali Imran:164

وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Keempat-empat perkara yang disebut ini telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk digunakan untuk mengubah manusia. Itulah sumber yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad ﷺ untuk mengubah penduduk Mekah yang asalnya memang orang yang paling teruk dalam dunia kepada insan yang  mulia yang disebut-sebut sampai ke hari ini.

Dengan formula yang hebat ini maka Islam telah mengubah kaum yang dahulunya memang menunggu untuk mati sahaja untuk dimasukkan ke dalam neraka. Ini kerana kesesatan mereka itu amat jelas dan bukan samar-samar lagi.

Mereka itu dulunya sudah jelas dalam sesat kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan tidak ada Rasul. Akan tetapi apabila mereka diberikan dengan wahyu dan Rasul dan mereka taat kepada keduanya, maka mereka telah selamat daripada neraka. Maka orang kita pun kenalah diselamatkan daripada neraka juga dengan disampaikan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah ini.  

Ini juga menjadi dalil bagi puak Bani Israil. Mereka sendiri melihat bagaimana keadaan bangsa Arab itu dahulu, dan hinanya mereka dalam mengamalkan syirik dan tanpa undang-undang kehidupan. Namun mereka sendiri lihat bagaimana dalam beberapa tahun sahaja selepas menerima dakwah Nabi Muhammad ﷺ, bangsa Arab itu telah bertukar menjadi satu bangsa yang hebat. Takkan mereka tidak nampak di hadapan mata mereka sendiri? Maka mengapa mereka masih menolak lagi?


Jumuah Ayat 3: Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja dibangkitkan untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk orang-orang yang lain juga. Baginda diutuskan kepada semua umat manusia di seluruh dunia. 

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [to] others of them who have not yet joined them. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم

dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka.

Kalau ayat tadi sebut Arab Mekah, sekarang ini menyebut tentang orang-orang yang lain seperti orang Ansar dan kita juga malah seluruh dunia. Maka ayat ini membuka hidayah kepada semua manusia dan ini bertentangan dengan fahaman Bani Israil yang mengatakan yang mereka sahaja yang terselamat, mereka sahaja umat pilihan, mereka sahaja yang layak mendapat kitab wahyu.

Yang belum lagi menyertai penduduk Mekah itu adalah mereka yang belum menerima dakwah agama Islam. Namun dakwah akan tetap sampai kepada mereka dan ramai dalam kalangan mereka akan beriman. Islam itu berkembang dari Mekah dan kemudian dari Madinah. Kemudian ia dikembangkan lagi pada zaman Nabi dan kemudian pada zaman sahabat dan berterusan selepas itu. Akhirnya Islam telah dikenali di seluruh dunia zaman berzaman sampailah ia telah sampai kepada kita. 

Sampai sekarang umat Islam adalah 1/4 daripada penduduk dunia dan dijangka akan bertambah lagi di masa hadapan. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman untuk manusia dan jin sampailah hari Kiamat nanti. Tidak ada Nabi yang lain.

‘Menyertai’ itu bukan sahaja bermaksud menyertai mereka beriman dengan agama Islam semasa di dunia ini sahaja, tetapi juga boleh bermaksud ‘menyertai mereka’ di syurga. Mereka akan masuk dan duduk bersama mereka dalam syurga nanti. Waktu itu kita boleh berkenalan dengan mereka dan tahu apakah dugaan dan perjuangan orang-orang terdahulu sebelum kita.

Inilah salah satu daripada nikmat di syurga nanti kerana kita akan berjumpa dengan semua penghuni syurga dan dapat bersembang dengan mereka. 

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kepada mereka yang enggan untuk beriman, Allah ﷻ akan bersifat al-Aziz dengan mereka. Allah ﷻ akan kenakan azab kepada mereka dan mereka tidak dapat menghalang azab itu.

Akan tetapi Allah ﷻ tidak terus mengenakan azab kepada mereka yang ingkar. Disebabkan atas dasar sifat kebijaksaan-Nya, Allah ﷻ beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sikap dan pegangan mereka. Kalaulah Allah ﷻ tidak beri tangguh, maka tidaklah ada makhluk yang hidup di atas muka bumi ini kerana ada sahaja salah dan silap kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 2 Disember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Saff Ayat 10 – 14 (Jadilah seperti hawariyyun)

Saff Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengajar kita empat syarat untuk mendapat kemenangan.

Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah memberitahu yang Dia akan menegakkan agama-Nya di bumi. Kerana itulah jihad perlu dijalankan untuk menegakkan agama Islam di seluruh dunia supaya dapat mengatasi agama-agama yang lain. 

Sekarang ini memang tidak ada jihad qital (jihad perang) tetapi bagi kita, masih ada lagi jihad iaitu jihad lisan iaitu dakwah. Ini adalah jihad di dalam menyebarkan Al-Qur’an supaya Al-Qur’an ini menjadi resam di seluruh dunia. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, shall I guide you to a transaction that will save you from a painful punishment?

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau kamu rasa kamu beriman, maka hendaklah kamu menjalankan jihad seperti yang disebut dalam ayat ini.

 

هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ

sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan 

Allah ﷻ menarik perhatian manusia terutama pembaca Al-Qur’an dengan menceritakan tentang ‘perniagaan’ yang amat besar dan amat menguntungkan. Manusia memang sukakan perniagaan terutama orang yang berniaga kerana mereka mendapat hasil keuntungan sementara orang yang membeli pula mendapat barang yang mereka perlukan.

Allah ﷻ sebut perniagaan dalam ayat ini kerana perniagaan adalah sumber rezeki paling banyak. Lebih-lebih lagi perniagaan yang Allah ﷻ tawarkan ini adalah perniagaan yang hebat kerana ada untung sahaja dan tiada rugi.

 

تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih?

Perniagaan yang Allah ﷻ tawarkan ini adalah amat besar kerana ia dapat menyelamatkan manusia itu. Selamat itu adalah selamat daripada api neraka.  

Maka, mana lagi manfaat yang kita perlukan kalau dibandingkan dengan selamat daripada azab neraka? Tentu tidak ada kerana itu adalah keselamatan dan kejayaan yang paling besar dan paling kita perlukan.


Saff Ayat 11: Sekarang Allah ﷻ beri pula penjelasan bagi ‘perniagaan’ yang disebut di dalam ayat sebelum ini. 

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is that] you believe in Allāh and His Messenger and strive in the cause of Allāh with your wealth and your lives. That is best for you, if you should know.

(MELAYU)

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah ‘jumlah khabari’ di mana Allah ﷻ memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘perniagaan’ itu. Walaupun ia ayat memberitahu, sebaliknya maksudnya mengandungi arahan: Hendaklah beriman kepada Allah ﷻ dan Rasul dan ini kenalah sentiasa ada.

Kenapa tidak digunakan fi’il amar (kata arahan) sahaja? Hebatnya arahan dalam jumlah khabari ini adalah kerana kalau dalam fi’il amar, boleh jadi tidak sentiasa kena dilakukan. Sebagai contoh, kita suruh seseorang untuk duduk. Memang itu adalah arahan, tetapi tidaklah arahan itu untuk terus duduk sahaja sepanjang masa. Padahal beriman kena sentiasa ada. Tidak boleh sekali pun tidak beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul. 

Maka ini adalah dua syarat pertama untuk mendapat kemenangan: beriman kepada Allah ﷻ dan beriman kepada Rasul.

 

وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ

dan kamu berjihad di jalan Allah 

Bukan sahaja kena beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul, tetapi kena juga berjihad. Jikalau sedang tidak ada jihad, maka hendaklah ada niat untuk berjihad.

Inilah mentaliti yang kita kena ada iaitu apabila sampai masanya yang kita kena berjihad dan menyabung nyawa kita untuk menegakkan agama Islam, maka kita kena serahkan diri kita. Kena simpan niat ini dalam diri kita.

 

بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم

dengan harta dan jiwamu.

Untuk berjihad itu memerlukan modal seperti juga perniagaan memerlukan modal, bukan? Maka modal jihad ini adalah dengan harta dan diri. 

Harta: kena jalankan infak untuk membeli peralatan perang dan bekal perjalanan. Ini adalah kerana peperangan waktu itu bukanlah tentera kerajaan tetapi semua mujahideen kena bawa peralatan dan bekalan perjalanan sendiri. Ia tidak disediakan oleh kerajaan Islam.

Diri: kena sanggup menghadirkan diri untuk berjuang. Jangan bagi duit sahaja, tetapi duduk menyorok di rumah.

Maka ini lagi dua syarat untuk mendapat kejayaan: korban harta dan akhir sekali, korban diri. Inilah ‘modal’ perniagaan untuk mendapat kebaikan daripada Allah ﷻ.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Peperangan adalah sesuatu yang dipandang sebagai buruk oleh kebanyakan daripada kita. Namun sebenarnya ia ada kebaikan di dalamnya, kita sahaja yang tidak tahu dan tidak perasan. Kalaulah kita tahu apakah kebaikan itu, maka tentu kita tidak akan teragak-agak untuk berjihad di jalan Allah ﷻ. Antaranya disebut dalam Baqarah: 216

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

Ingatlah yang arahan jihad perang ini tidak pernah dikeluarkan daripada kerangka agama Islam. Jangan ada fahaman yang mengatakan ia telah dimansukhkan. Ini penting difahami kerana ada golongan Islam yang takut Islam dipandang serong, maka mereka kata Jihad sebenarnya sudah dimansukhkan.

Jihad tetap ada sampai bila-bila cuma perlu difahami dengan benar sahaja iaitu dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an. Ini juga penting kerana kalau tidak, ada sahaja yang berfahaman ekstrem sampai berfahaman kena terus bunuh orang kafir tanpa dakwah kepada mereka dahulu. Inilah terjadi kepada orang bodoh seperti ISIS dan sebagainya.


Saff Ayat 12: Setelah disebut tentang kepentingan jihad dan sekarang Allah ﷻ sebut natijah jikalau orang mukmin menjalankan kewajipan jihad. Ada kelebihan akhirat dan duniawi dan dalam ayat ini Allah ﷻ sebut kelebihan akhirat dahulu kerana ia yang paling penting.

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will forgive for you your sins and admit you to gardens beneath which rivers flow and pleasant dwellings in gardens of perpetual residence. That is the great attainment.

(MELAYU)

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

 

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu

Kalau sanggup beriman dan kemudian menjalankan jihad, natijahnya akan diampunkan segala dosa. Ini adalah amat penting kerana perkara yang paling kita takuti ada dosa-dosa kita kerana apabila kita ada dosa, maka itulah yang menyebabkan kita masuk ke dalam neraka. 

Ini juga ditujukan untuk mereka yang berfahaman tauhid dan tidak pernah membuat syirik. Namun disebabkan oleh ada dosa-dosa yang telah dilakukan, maka ia menyebabkan orang itu masuk neraka dahulu untuk mencuci dosanya.

Walaupun semua dosa telah dihapuskan, maka ini akan menyebabkan tidak perlu untuk masuk ke dalam neraka. Boleh terus masuk ke dalam syurga dan ini adalah nikmat yang amat besar kerana kita tidak mahu langsung melihat, dengar dan cium pun bau neraka itu.

 

وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; 

Apabila telah diampunkan segala dosa, maka para mujaheed itu tidak dimasukkan ke dalam neraka malah akan terus ke syurga.

Allah ﷻ sebut kelebihan syurga itu untuk menarik minat manusia. Di syurga itu nanti akan ada sungai yang mengalir di bawahnya. Ini adalah tempat tinggal yang amat hebat sekali. Begitulah manusia memang suka kalau dapat tinggal di kawasan perumahan yang ada air seperti tasik, laut, sungai dan sebagainya. Kalau tidak dapat kawasan itu pun, ada yang membina kolam di rumahnya kerana air kolam itu akan menambah kehebatan rumah itu.

 

وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ

dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. 

Allah ﷻ beri penerangan tambahan yang taman syurga yang disebut itu namanya adalah Syurga Adn. Ia bermaksud ‘kekal’. Ini kerana orang yang masuk ke dalam syurga akan kekal di dalamnya sampai bila-bila dan tidak akan dikeluarkan.

Inilah yang dinamakan ‘Eden’ oleh agama Kristian. Mereka ambil daripada sumber Islam kerana mereka sendiri tidak ada maklumat ini. Puncanya adalah kerana kitab wahyu mereka telah diubah-ubah dan tidak ada yang tepat. 

Apabila kalimah جَنّٰتِ digunakan dan ia dalam bentuk jamak (plural), ini memberi isyarat yang seorang ahli mujaheed itu bukan sahaja mendapat satu taman dan satu rumah tetapi ada banyak taman dan rumah. Allah ﷻ boleh bagi berapa banyak pun yang Dia mahu. 

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang besar.

Apabila dosa telah dihapuskan dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa masuk ke dalam neraka dahulu, maka ini adalah keberuntungan yang amat besar. Kalimah الفَوزُ berasal daripada katadasar ف و ز yang bermaksud selamat daripada sesuatu yang buruk.

Ini adalah kejayaan yang amat bermakna sekali kerana semua manusia akan ditunjukkan dengan neraka dan ahli syurga sedar yang mereka telah selamat daripada neraka. Oleh itu, kejayaan selamat daripada keburukan adalah lebih hebat lagi. Tidak sama kalau kita berjaya mendapat tempat pertama dalam peperiksaan, dibandingkan dengan selamat daripada dilanggar bas. Selamat daripada dilanggar bas bermaksud selamat daripada bahaya yang amat besar.


Saff Ayat 13: Selepas disebut tentang balasan baik di akhirat, sekarang disebut pula natijah di dunia kepada para pejuang jihad. 

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [you will obtain] another [favor] that you love – victory from Allāh and an imminent conquest; and give good tidings to the believers.

(MELAYU)

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

 

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai

Nikmat yang kedua ini adalah sekunder sahaja berbanding dengan syurga yang paling baik yang disebut dalam ayat sebelum ini tadi. Itu pun sudah hebat namun Allah ﷻ tahu yang kita juga suka dengan kejayaan di dunia ini maka Allah ﷻ janjikan juga balasan di dunia. Ini kerana balasan di dunia ini boleh terus dilihat dan akan memberi semangat kepada umat Islam.

Allah ﷻ kata umat Islam suka kepada kurniaan ini kerana mereka boleh nampak dengan mata kepala mereka dan dapat menikmatinya. Kalau dikatakan mereka dapat syurga, ia tidak nampak lagi. Sebelum mendapat kemenangan yang lebih besar, tentu kita juga memerlukan kemenangan yang kecil-kecilan untuk beri semangat kepada kita, bukan?

 

نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ

(iaitu) pertolongan daripada Allah 

Allah ﷻ akan berikan balasan berbentuk duniawiah iaitu bantuan terus daripada Allah ﷻ yang menyebabkan kemenangan. Pertolongan ini adalah daripada Allah ﷻ untuk mengalahkan musuh.

Ayat ini boleh dibaca secara umum merujuk kepada mana-mana peperangan dengan musuh Islam dan Islam telah menang. Akan tetapi kalau lebih spesifik, kemenangan yang telah diberikan kepada para sahabat dan golongan awal Islam adalah dapat mengatasi Kerajaan Parsi dan Rom. Kedua-duanya adalah kerajaan besar waktu itu (seperti Russia dan Amerika sekarang) namun kerajaan Islam berjaya mengalahkan mereka.

Maka ayat ini adalah janji Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah membuktikannya. Bayangkan Allah ﷻ telah menundukkan dua empayar yang sangat besar ketika itu. Kejayaan ini tidak berapa lama sahaja daripada permulaan Islam. Kita kena ingat yang Islam ini lahirnya di Mekah yang tidak dipandang pun asalnya oleh Parsi dan Rom. Namun tidak berapa lama selepas Islam bergerak di Madinah, dua empayar besar waktu itu dapat dikalahkan. 

Kejayaan ini telah dijanjikan seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ زَوَى لِي الْأَرْضَ فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا وَأُعْطِيتُ الْكَنْزَيْنِ الْأَحْمَرَ وَالْأَبْيَضَ وَإِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي لِأُمَّتِي أَنْ لَا يُهْلِكَهَا بِسَنَةٍ عَامَّةٍ وَأَنْ لَا يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ فَيَسْتَبِيحَ بَيْضَتَهُمْ وَإِنَّ رَبِّي قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي إِذَا قَضَيْتُ قَضَاءً فَإِنَّهُ لَا يُرَدُّ وَإِنِّي أَعْطَيْتُكَ لِأُمَّتِكَ أَنْ لَا أُهْلِكَهُمْ بِسَنَةٍ عَامَّةٍ وَأَنْ لَا أُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ يَسْتَبِيحُ بَيْضَتَهُمْ وَلَوْ اجْتَمَعَ عَلَيْهِمْ مَنْ بِأَقْطَارِهَا أَوْ قَالَ مَنْ بَيْنَ أَقْطَارِهَا حَتَّى يَكُونَ بَعْضُهُمْ يُهْلِكُ بَعْضًا وَيَسْبِي بَعْضُهُمْ بَعْضًا و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَإِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَابْنُ بَشَّارٍ قَالَ إِسْحَقُ أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرُونَ حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَبِي قِلَابَةَ عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى زَوَى لِي الْأَرْضَ حَتَّى رَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَأَعْطَانِي الْكَنْزَيْنِ الْأَحْمَرَ وَالْأَبْيَضَ ثُمَّ ذَكَرَ نَحْوَ حَدِيثِ أَيُّوبَ عَنْ أَبِي قِلَابَةَ

Daripada Tsauban berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah menghimpun bumi untukku lalu aku melihat timur dan baratnya dan sesungguhnya kekuasaan ummatku akan mencapai yang dihimpunkan untukku, aku diberi dua harta simpanan; merah dan putih, dan sesungguhnya aku meminta Rabbku untuk umatku agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, agar Dia tidak memberi kuasa musuh untuk menguasai mereka selain diri mereka sendiri lalu menyerang perkumpulan mereka, dan sesungguhnya Rabbku berfirman: ‘Hai Muhammad, sesungguhnya Aku bila menentukan takdir tidak boleh dirubah, sesungguhnya Aku memberikan untuk umatmu agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, Aku tidak memberi kuasa musuh untuk menyerang mereka selain diri mereka sendiri lalu mereka menyerang perkumpulan mereka meski mereka dikepung dari segala penjurunya hingga sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian lainnya dan saling menawan satu sama lain.”

(Sahih Muslim No. 5144)

 

Syarah:

1. maksudnya Islam yang Nabi ﷺ asaskan di Madinah akan menjadi kerajaan besar, dari Morocco sampai ke Nusantara (timur dan barat).
2. ‘merah dan putih’ yang disebut dalam hadith ini, maksudnya dua empayar besar akan ditakluk oleh Islam Rome di Istanbul dan Farsi di Tehran, juga kerajaan India.

(Imam Nawawi, Syarah Sahih Muslim)

 

وَفَتحٌ قَريبٌ

dan kemenangan yang dekat

Seperti telah disebut, sebelum kejayaan besar-besaran, manusia memerlukan kejayaan yang kecil-kecil dahulu untuk memberi semangat kepada usaha yang sedang dijalankan. Maka ‘kemenangan yang dekat’ yang dimaksudkan adalah Pembukaan Mekah di mana ramai manusia masuk ke dalam Islam berbondong-bondong.

Ia adalah motivasi yang amat besar kerana ramai umat Islam waktu itu asalnya dari Mekah dan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka beberapa tahun dahulu kerana mereka telah ditindas dengan teruk sekali. Sepanjang masa itu mereka amat rindu untuk dapat pulang ke kampung halaman mereka. Sekarang ia telah dimasukkan ke dalam wilayah Islam.

Kepada penduduk yang tidak berasal dari Mekah pun, mereka tentu mendapat motivasi yang besar juga kerana Mekah ini adalah tempat yang terkenal dan dipandang tinggi kerana Kaabah ada di situ. Mereka semasa zaman jahiliyah pun biasa datang ke Mekah untuk tawaf Kaabah. Sekiranya mereka dapat menguasai Mekah, maka ini memberi semangat yang tidak dapat dibayangkan oleh kita yang tidak melaluinya. Kita cuma dapat bayangkan sahaja.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Yang telah disebut di atas adalah berita gembira daripada Allah ﷻ sebagai motivasi untuk manusia. Namun janji ini bukan untuk semua tetapi untuk yang betul-betul beriman. Ini kerana apabila mereka beriman, mereka sanggup untuk melakukan sesuatu yang nampak macam menyusahkan diri sendiri, tetapi mereka nampak kebaikan yang ada padanya. 

Oleh itu asal untuk mendapat kejayaan yang telah disebut di atas adalah bermula dengan iman. Kita telah sentuh sebelum ini yang iman yang dimaksudkan adalah tauhid. Segala usaha jihad yang dilakukan adalah untuk menegakkan agama tauhid.

Sekiranya tauhid pun tidak faham lagi dan sudah mahu berjihad, maka amat malang sekali kerana ditakuti mati dalam syirik. Oleh kerana sekarang kita tidak ada jihad perang, maka teruskan menjalankan jihad lisan di mana kita sampaikan dakwah kepada manusia.


Saff Ayat 14: Ayat 14 ini adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir surah ini. Ia mengandungi seruan berjihad. Ini adalah ayat tawaran untuk berkhidmat menegakkan agama Allah ﷻ. Kalau sudah bersedia, maka orang mukmin itu akan dapat jawatan. Mahu atau tidak? 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ۖ فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ وَكَفَرَت طّائِفَةٌ ۖ فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be supporters of Allāh, as when Jesus, the son of Mary, said to the disciples, “Who are my supporters for Allāh?” The disciples said, “We are supporters of Allāh.” And a faction of the Children of Israel believed and a faction disbelieved. So We supported those who believed against their enemy, and they became dominant.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah

Allah ﷻ tidak memerlukan bantuan dan pertolongan kita maka ayat ini bermaksud membantu ‘agama Allah’ dan menegakkan agama Allah ﷻ dengan menjalankan dakwah.

 

كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ

sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia:

Disebut dalam ayat ini tentang para sahabat Nabi Isa عليه السلام. Mereka itu dinamakan Hawariyyun dan mereka itu adalah sahabat setia Nabi Isa عليه السلام. Merekalah yang membantu baginda dalam dakwahnya. Ini terjadi apabila Nabi Isa عليه السلام berasa baginda diancam oleh penentang baginda yang membuat rancangan jahat seperti disebut dalam Ali Imran: 52

فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah.

 

Ini mengingatkan kita kepada para sahabat Rasulullah ﷺ. Kalau sahabat Nabi Isa عليه السلام tidak banyak, namun sahabat Rasulullah ﷺ sangat banyak. Di dalam Al-Qur’an disebut kumpulan Hawariyyun itu hanya ada 12 orang sahaja.

 

مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ

“Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?”

Kepada umat Nabi Isa عليه السلام, ditawarkan kedudukan ini kepada golongan yang rapat sahaja. Akan tetapi kepada kita umat Nabi Muhammad ﷺ, tawaran ini ditawarkan kepada semua umat baginda. 

Sekarang sudah dua kali Nabi Isa عليه السلام disebut sedangkan selalunya dikatakan yang perjuangan Nabi Muhammad ﷺ lebih rapat dengan perjuangan Nabi Musa عليه السلام kerana mereka juga diarahkan berperang. Namun ayat ini mengajar kita bahawa peperangan itu bukan sahaja di medan perang tetapi juga menentang ideologi yang salah seperti yang dilakukan oleh Nabi Isa عليه السلام. Oleh itu, walaupun baginda tidak ada perang pedang, baginda ada jihad lisan (dakwah).

Nabi Isa عليه السلام diarahkan oleh Allah ﷻ untuk berdakwah dan sekarang baginda menawarkan siapakah yang mahu membantu baginda? Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah ﷺ di musim-musim haji di Mekah:

 

“مَنْ رَجُلٌ يُؤويني حَتَّى أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي، فَإِنَّ قُرَيْشًا قَدْ مَنَعُونِي أَنْ أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي”

Siapakah orangnya yang mahu memberiku tempat hingga aku dapat menyampaikan risalah Tuhanku, kerana sesungguhnya orang-orang Quraisy telah mencegahku untuk dapat menyampaikan risalah Tuhanku.

 

 

Hingga pada akhirnya Allah ﷻ menetapkan baginya orang-orang Aus dan orang-orang Khazraj dalam kalangan penduduk Madinah (Yathrib pada waktu itu). Maka mereka membaiatnya, menolongnya, dan mengikat janji setia dengannya, bahawa mereka bersedia membelanya daripada gangguan orang-orang berkulit hitam dan orang-orang berkulit merah jika baginda berhijrah kepada mereka.

Ketika baginda ﷺ berhijrah kepada mereka dengan para sahabatnya, mereka memenuhi apa yang telah mereka janjikan kepada Allah ﷻ melalui Rasul-Nya. Kerana itulah maka Allah ﷻ dan Rasul-Nya menamai mereka dengan sebutan kaum Ansar, dan akhirnya nama tersebut menjadi gelaran bagi mereka, semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya bagi mereka dan membuat mereka puas.

 

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”,

Pengikut setia Nabi Isa عليه السلام menerima ajakan itu. Nabi Isa عليه السلام dan umat baginda tidak ada dalam sejarah disebut mereka berperang, tetapi dalam ayat ini disebut yang mereka sudah bersedia untuk berperang jika mereka diarahkan. Selagi belum berperang, maka mereka menjalankan jihad lisan sahaja. 

Telah disebut sahabat Nabi Isa عليه السلام menyahut seruan baginda. Maka ini memberi isyarat kepada kita: Takkan kita tak sahut? 

Oleh sebab itu janganlah kita lihat jihad itu sebagai jihad perang dan bunuh orang kafir sahaja. Jihad itu dari segi bahasa adalah berusaha untuk menegakkan agama Islam, mak ia boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Kita kena pilih dan lakukan cara yang sesuai untuk kita.

 

فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ

lalu segolongan daripada Bani Israil beriman 

Ada dalam kalangan Bani Israil itu yang beriman. Bukanlah semua mereka itu teruk. Golongan ini kalau mereka beriman, memang mereka menjadi orang yang hebat. Ini kerana Allah ﷻ kurniakan akal yang hebat kepada mereka.

 

وَكَفَرَت طّائِفَةٌ

dan segolongan lain kafir; 

Namun kita pun tahu yang sebahagian besar dari Bani Israil itu tidak beriman dan malah mereka menentang sendiri Nabi-nabi mereka. Yang tidak beriman dengan Nabi Isa عليه السلام adalah golongan Yahudi. Malah mereka telah menindas dan membunuh golongan Kristian.

Ada pula segolongan daripada para umat baginda yang berpendapat ekstrem hingga mereka meninggikannya lebih daripada apa yang diberikan oleh Allah ﷻ kepadanya, iaitu kenabian; dan mereka menjadi berpecah belah terdiri dari berbagai macam aliran dan golongan.

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa Isa عليه السلام adalah ‘anak Allah’, ada yang mengatakan bahawa dia adalah ‘salah satu daripada yang tiga’, iaitu tuhan ayah, tuhan anak, dan Ruhul Qudus. Ada pula yang mengatakan bahawa Isa عليه السلام itu sendiri adalah tuhan.

 

فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم

maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, 

Allah ﷻ akan bantu golongan mukmin untuk mengalahkan musuh yang kufur. Asalkan syarat-syaratnya dipenuhi.

Ada dalam kalangan Bani Israil itu yang beriman dan ada yang tidak. Maka Allah ﷻ bantu memberikan kejayaan kepada Bani Israil (yang beriman) melawan mereka yang tidak beriman. Oleh kerana ada yang tidak beriman dalam kalangan mereka, maka Allah ﷻ sebut tentang peperangan dalam kalangan mereka sendiri.

Walaupun kita lihat dari segi sejarahnya Nabi Isa عليه السلام dan pengikutnya tidak berjaya, tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa di zaman hadapan mereka yang mengikut Nabi Isa عليه السلام juga berjaya seperti Pemuda Kahfi dan lain-lain lagi.

Maka kejayaan itu bukan semestinya berlaku pada satu zaman itu sahaja tetapi ia mungkin berlaku di masa hadapan. Kita kena yakin yang kejayaan akan menjadi milik kita akhirnya. Mungkin kita sendiri tidak dapat melihat kejayaan itu tetapi anak cucu kita nanti akan berjaya. Kita kena corakkan mereka dan beri ilmu dan semangat kepada mereka dari sekarang.

Ayat ini telah dibacakan pertama kalinya kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ supaya mereka tahu bahawa bukan mereka yang mula-mula berusaha untuk menegakkan agama tetapi umat-umat yang terdahulu seperti pengikut Nabi Musa عليه السلام dan juga Nabi Isa عليه السلام juga telah melakukan jihad mereka. Dalam kalangan umat mereka itu memang ada yang tidak beriman. Yang tidak beriman itu akan diperangi. Maka kita kena berhati-hati supaya kita menjadi orang yang beriman.

Satu lagi tafsir tentang ayat ini: setelah Nabi Isa عليه السلام diangkat ke langit, umatnya telah berpecah kepada dua kumpulan besar: satu kumpulan mengatakan yang Isa عليه السلام itu adalah Tuhan (atau anak Tuhan) dan satu lagi adalah golongan mukmin yang berpegang yang baginda hanyalah seorang Rasul. Dua kumpulan ini telah berperang dan kemenangan telah diberikan kepada golongan mukmin. Allahu a’lam.

 

فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Mereka akan menjadi golongan yang benar dan menang dalam peperangan. Jikalau jihad yang dimaksudkan adalah ‘jihad mulut’ maka kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan dari segi hujah.

Maka ini adalah janji daripada Allah ﷻ – sebagaimana kemenangan diberikan kepada umat Nabi Isa عليه السلام, maka begitulah juga akan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ.

Surah ini memberitahu misi Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam iaitu menegakkan agama Allah ﷻ di atas muka bumi dan surah selepas ini iaitu Surah Jumaah akan mengajar kita bagaimanakah cara untuk kita dapat mencapainya.

 

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Saff. Sambung surah seterusnya, Surah Jumuah.

Tarikh: 25 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Saff Ayat 5 – 9 (Nabi Isa عليه السلام memberitahu kedatangan Nabi Muhammad ﷺ)

Saff Ayat 5: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) supaya umat akhir zaman jangan terpengaruh seperti umat-umat dahulu. Iaitu hati mereka tidak lagi berminat untuk sebar agama. Maka Allah ﷻ sambung surah ini dengan bawa kisah yang paling popular dalam Al-Qur’an iaitu kisah Nabi Musa عليه السلام.

Ayat 5 – 6 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar supaya jangan khianati Rasul seperti kaum Yahudi dengan Nabi-nabi mereka.

وَإِذ قالَ مو  سىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم ۖ فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Moses said to his people, “O my people, why do you harm me while you certainly know that I am the messenger of Allāh to you?” And when they deviated, Allāh caused their hearts to deviate. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya:

Nabi Musa عليه السلام telah diuji dengan dapat kaum yang amat degil. Mungkin tidak salah kalau dikatakan Bani Israil itu adalah umat yang paling degil dalam dunia ini. Apabila mereka telah melakukan banyak sekali masalah kepada baginda, maka baginda menegur mereka.

 

يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني

“Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku,

Menyakiti baginda itu boleh jadi macam-macam bentuk seperti kata-kata kesat kepada baginda, tidak taat kepada baginda, tidak berusaha untuk menegakkan agama Allah ﷻ bersama baginda, dan lain-lain lagi.

Seperti yang telah disebut, mereka ini amat degil maka banyaklah kedegilan yang mereka tunjukkan. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an dan entah berapa banyak lagi yang tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Ada pendapat yang mengatakan, yang dimaksudkan ‘menyakiti’ hati Nabi Musa عليه السلام adalah tidak mengikut arahan baginda untuk berjihad seperti yang disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila Nabi Musa عليه السلام arahkan mereka untuk masuk ke dalam Kota Jurusalem dan mengambil kota itu daripada Puak Amaliqah, mereka berani ingkar malah menyuruh Nabi Musa عليه السلام pula untuk pergi masuk berperang bersama dengan Tuhan sedangkan mereka akan duduk menunggu. Itu adalah perkataan yang menyakitkan hati baginda. Pendapat ini bertepatan dengan tema surah ini iaitu jihad.

 

 

وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” 

Nabi Musa عليه السلام menegur mereka kerana masih lagi menyakiti hati baginda walaupun mereka tahu bahawa baginda itu adalah Rasul kepada mereka. Mereka tidaklah menolak baginda sebagai Rasul, tetapi dalam terima baginda sebagai Rasul itu, masih juga tidak taat.

Begitulah degilnya Bani Israil itu sampaikan kepada Rasul mereka pun mereka sanggup layan sampai begitu sekali. Ada banyak sekali ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkenaan kedegilan mereka itu. Seperti kita tahu, Al-Qur’an banyak mengandungi kisah Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil.

Ayat ini juga adalah sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ yang ditolak oleh umat baginda. Baginda pernah bersabda tentang Nabi Musa عليه السلام:

“رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى مُوسَى: لَقَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ”

Semoga Allah merahmati Musa, sesungguhnya dia telah disakiti lebih dari ini dan dia tetap bersabar.

(Hadith Bukhari No 2917)

 

 

Ini adalah adalah peringatan daripada Allah ﷻ kepada umat Islam. Jangan mereka ikut perangai Bani Israil kepada Nabi Musa عليه السلام itu. Allah ﷻ beri peringatan dalam ayat lain:

 

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah. (Al-Ahzab: 69)

 

 

Jangan umat Islam melakukan perkara yang sama kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana kalau mereka buat begitu juga, maka mereka pun akan mengalami nasib yang sama seperti Bani Israil itu. Apakah nasib mereka?

 

 

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم

Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka;

Ini adalah balasan kepada mereka di atas kedegilan mereka. Maka ini mengajar kita yang jikalau kita tidak ikut arahan Rasulullah ﷺ, tidak ikut arahan agama, maka Allah ﷻ akan pesongkan hati kita.

Yakni ketika mereka menyimpang dari jalan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya, maka Allah ﷻ memalingkan hati mereka daripada hidayah dan menempatkan di hati mereka keraguan, kebimbangan, dan kehinaan. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ}

Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Qur’an) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya yang sangat. (Al-An’am: 110)

 

 

Seperti telah disebut, satu pendapat mengatakan yang mereka tolak itu adalah untuk berjihad. Dan apabila mereka berpaling daripada mengikuti arahan Nabi Musa عليه السلام untuk berjihad, maka Allah ﷻ palingkan hati mereka daripada menerima hidayah. Ini ada disebut dalam Surah Maidah.

 

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Kepada mereka yang tidak mengikut arahan dan berterusan berbuat dosa, maka Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka. Ini dinamakan khatmul qalbi (penutupan hati).

Daripada ayat ini dan banyak lagi ayat lain, kita dapat tahu yang bukanlah Allah ﷻ yang menyesatkan manusia yang ingkar itu. Allah ﷻ tidak memaksa manusia menjadi ingkar. Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada manusia, tetapi mereka yang ingkar dahulu dan selepas itu barulah Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka dan menjadikan mereka sesat.

Allah ﷻ telah beri pilihan kepada manusia untuk memilih jalan yang mereka hendak lalui. Allah ﷻ tidak memaksa manusia beriman; manusia kena pilih jalan itu sendiri. Kepada mereka yang memilih jalan kebenaran, maka Allah ﷻ akan beri kebenaran itu kepada mereka; akan tetapi kepada mereka yang memilih jalan kesesatan, maka mereka pun boleh pilih jalan itu. Terpulang kepada manusia.


 

Saff Ayat 6: Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberitahu yang Nabi Isa عليه السلام juga mengajak umat baginda untuk berjihad. Oleh itu ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad. Seperti yang telah disebut di pengenalan surah ini, Surah Saff ini adalah tentang jihad.

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ يٰبَني إِسرٰءيلَ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ ۖ فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when Jesus, the son of Mary, said, “O Children of Israel, indeed I am the messenger of Allāh to you confirming what came before me of the Torah and bringing good tidings of a messenger to come after me, whose name is Aḥmad.”¹ But when he came to them with clear evidences, they said, “This is obvious magic.”²

  • Another name of Prophet Muḥammad (ṣ).
  • i.e., fraud or deception.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”. Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

 

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: 

Sebelum ini disebut Rasul utama Bani Israil itu iaitu Nabi Musa عليه السلام dan sekarang disebut Rasul terakhir bagi mereka iaitu Nabi Isa عليه السلام. Dan sekarang akan disebut apakah syarah baginda kepada kaum baginda.

Allah ﷻ menceritakan sekarang kesalahan besar yang Bani Israil lakukan terhadap Rasul mereka sendiri. Sebelum ini telah disebut sikap mereka terhadap Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi mereka yang utama dan sekarang disebut Nabi mereka yang terakhir pula, iaitu Nabi Isa عليه السلام kerana kesalahan besar mereka yang menolak Rasul dan Nabi mereka inilah yang menyebabkan mereka menjadi bangsa yang dimurkai sehingga ke hari Kiamat.

Selalunya apabila Allah ﷻ sebut nama Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ akan sebut nama ibunya sekali. Tidak disebut sebegini bagi nama Nabi-nabi yang lain. Maka ini merupakan penghormatan kepada Maryam sebenarnya. Dan Allah ﷻ hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak kepada Siti Maryam dan bukannya anak Allah ﷻ. Maka ini adalah penekanan yang penting. Ini kerana terdapat salah faham dalam kalangan golongan Kristian yang mengatakan baginda anak Tuhan.

 

يٰبَني إِسرٰءيلَ

“Hai Bani Israil,

Kalau Nabi-nabi yang lain, mereka akan sebut “wahai kaumku”, tetapi apabila dinaqalkan kata-kata Nabi Isa عليه السلام kepada kaum baginda, yang digunakan adalah “wahai Bani Israil”. Ini adalah kerana kalau hendak masuk ke dalam sesuatu kaum itu, kenalah ayah seseorang itu adalah daripada kaum itu.

Tetapi memandangkan Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai ayah, maka baginda tidak dikira sebagai ahli kaum itu secara rasmi. Namun baginda tetap datang daripada kaum itu dan baginda memang diutus kepada kaum itu.

Mungkin juga ada golongan Bani Israil yang berhujah: di dalam Bani Israil yang menjadi pegangan mereka adalah ibu mereka. Maksudnya hendak menjadi golongan Bani Israil, kenalah ibu daripada Bani Israil. Akan tetapi ini tidak masuk akal kerana keseluruhan kaum itu pun dipanggil ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil) iaitu merujuk kepada Nabi Yaakob عليه السلام. ‘Israil’ adalah nama lain bagi Nabi Yaakob عليه السلام.

 

إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, 

Nabi Isa عليه السلام menekankan yang baginda adalah Rasul kepada mereka. Mereka kena iktiraf baginda sebagai seorang Rasul. Baginda adalah Rasul hanya kepada Bani Israil sahaja. Malangnya golongan Yahudi menolak baginda dan tidak mengiktiraf baginda sebagai Nabi mereka.

 

مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ

membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat,

Sebenarnya apabila digunakan kalimat بَينَ يَدَيَّ ia bermaksud ‘di antara dua tanganku’. Yang di antara dua tangan kita adalah di hadapan kita, bukan? Maknanya Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang Kitab Taurat itu ada di depan baginda iaitu ia telah ada dan digunakan sebagai rujukan bagi Bani Israil pada zaman itu.

Ini bermakna Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang baginda bukanlah datang membawa ajaran baru, tetapi ajaran sama sahaja dengan para Nabi lain yang sebelum baginda. Kerana itu baginda juga membenarkan Taurat.

Walaupun Kitab Taurat itu dipegang oleh rabbi Yahudi, tetapi Allah ﷻ telah ajar baginda terus dan bukannya baginda mendapat maklumat itu daripada rabbi Yahudi. Sememangnya tidak patut baginda ambil daripada mereka pun Kitab Taurat itu kerana mereka sudah mengubah isi kandungan kitab itu sampaikan ia tidak tulen lagi.

Nabi Isa عليه السلام pula telah mendapat Kitab Injil. Dari sini kita tahu bahawa Injil itu membenarkan ajaran yang ada di dalam Kitab Taurat. Maknanya Kitab Injil itu adalah penyempurna kepada Taurat.

Maka, kita dapat tahu yang Nabi Isa عليه السلام membenarkan apa yang ada di dalam Taurat. Maknanya, baginda hendak memberitahu yang baginda bukannya membawa ajaran agama yang baru, tetapi menegakkan ajaran Nabi Musa عليه السلام juga. Beginilah juga hujah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Satu lagi perkara yang Nabi Isa عليه السلام benarkan adalah kandungan Taurat yang mengatakan kedatangannya (Nabi Isa عليه السلام) sendiri. Maka kedatangan baginda itu membenarkan apa yang telah disebut dalam Taurat.

Perkara penting lain yang Nabi Isa عليه السلام benarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Kedatangan baginda telah disebut dalam Taurat, dan sekarang Nabi Isa عليه السلام pun membenarkannya. Kedatangan Nabi Akhir Zaman memang ada dalam Bible pun antaranya seperti:

 

 

“And this is the record of John (the Prophet John: Yahya) when the Jews sent priests and Levites from Jerusalem to ask him, Who art thou? And ho confessed, and denied not; but confessed, I am not the Christ. And they asked him What then? Art thou Elias? And be saith, I am not. Art thou that prophet? And he answered, No. Then said they unto him, Who art thou? that we may give an answer to them that sent us. What sayest thou of thyself? He said, I am the voice of one crying in the wilderness! Make straight the way of the Lord as said the prophet Esaias. And they which were sent were of the Pharisees. And they asked him, and said unto him, Why baptizest thou then, if thou be not that Christ, nor Elias, neither that prophet?” (John, 1: 19-25)

 

 

وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ

dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”.

Nabi Isa عليه السلام sendiri beritahu yang Nabi Muhammad ﷺ akan datang selepas baginda. Maka ini bermakna para pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda muncul nanti.

Akan tetapi kita boleh lihat yang Al-Qur’an menyebut nama baginda sebagai ‘Ahmad’ dalam ayat ini. Kenapa bukan ‘Muhammad’? Kerana digunakan nama inilah yang menyebabkan perbincangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ada yang mempersoalkan kenapa nama Ahmad yang digunakan dan tidak Muhammad?

Ini sebenarnya tidak ada masalah kerana kalimah ‘Ahmad’ adalah dalam bentuk sighah tafdhil (isyarat kepada keutamaan). Maksudnya ‘yang paling banyak memuji Allah’, ‘yang paling terpuji dalam kalangan manusia’. Dan inilah sifat Nabi Muhammad ﷺ .

Ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ lebih baik daripada Nabi Isa عليه السلام. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu terpuji tetapi baginda terbaik dari segi dipuji. Allah ﷻ puji Nabi Muhammad ﷺ lebih daripada yang lain.

Ia juga bermaksud yang Nabi Isa عليه السلام tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu lebih mulia daripada baginda. Kerana itu baginda mengatakan nama Nabi selepas baginda itu adalah Ahmad.

Nama ‘Ahmad’ juga tidaklah sepatutnya menjadi isu kerana ia juga adalah salah satu daripada nama Nabi Muhammad ﷺ pun. Ini kita dapat tahu daripada hadith yang ada yang diketengahkan oleh Imam Bukhari, iaitu:

لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ

“Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah ﷻ menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).”

(Riwayat al-Bukhari (3532))

 

Satu lagi pendapat mengatakan kalau nama Muhammad itu adalah umum di Tanah Arab, maka digunakan nama Ahmad di dalam Injil sebagai pengkhususan.

Maka jelaslah di sini, Nabi Muhammad ﷺ telah disebut oleh Nabi Isa عليه السلام dan ia ada di dalam pengetahuan golongan Nasrani. Malah, apabila rombongan Hijrah yang pertama berjumpa dengan Najasyi yang bertanya tentang agama Islam dan mereka menceritakan tentang agama Islam dan tentang Nabi Muhammad ﷺ, Najasyi mengiyakan kerasulan baginda. Potongan hadith yang panjang itu adalah seperti ini:

 

 

Maka Raja Najasyi memungut sebuah kayu dari tanah, kemudian berkata, “Hai orang-orang Habsyah dan para pendeta serta para rahib, demi Allah, apa yang dikatakan oleh mereka tidaklah melampaui apa yang dikatakan oleh kita mengenainya. Selamat datang untukmu dan orang-orang yang datang bersamamu dari sisinya. Aku bersaksi bahawa dia (Nabi ﷺ) adalah utusan Allah, dan bahawa dialah orang yang kami jumpai beritanya dalam kitab Injil, dan dialah orangnya yang diberitakan oleh Isa putra Maryam. Sekarang tinggallah kalian di mana pun kalian sukai di negeri ini. Demi Allah, seandainya aku bukan dalam keadaan seperti sekarang sebagai raja, nescaya aku akan datang kepadanya dan aku rela menjadi pelayannya yang membawa terompahnya dan mengambilkan air wudhu’nya.”

(Shahihus-Siratin-Nabawiyyah, hlm. 166)

فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

Nabi Isa عليه السلام memberitahu apakah penolakan yang akan dilakukan oleh kaum Nabi Muhammad ﷺ. Baginda menceritakan tuduhan yang akan dikenakan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Kaum Nabi Muhammad ﷺ yang tidak mahu menerima dakwah tauhid dari baginda menggunakan berbagai cara dan tuduhan yang dikenakan kepada baginda. Antaranya mereka kata baginda adalah seorang ahli sihir dan apa yang baginda bawa itu adalah sihir semata-mata.

Sekarang, apabila manusia yang sudah degil seperti itu, maka mereka memang layak diperangi. Mereka sememangnya mesti diperangi.


Saff Ayat 7: Ayat 7 – 9 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu berita kemenangan Islam.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents about Allāh untruth while he is being invited to Islām. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MELAYU)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

 

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah

Pembohongan atas nama Allah ﷻ adalah dengan mereka-reka perkara baru di dalam agama. Sebagai contoh, mengatakan Nabi Isa عليه السلام Anak Allah dan lain-lain lagi fahaman dan amalan syirik dan bid’ah yang direka dalam agama.

Bukan golongan Kristian yang mengubah agama mereka sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Kalau orang Islam yang suka reka dan tambah amalan dalam agama Islam pun, termasuk dalam ayat ini juga. Berapa ramai yang selamba sahaja tambah amalan dalam agama, tambah fahaman baru dalam agama tanpa dalil? Begitu ramai sekali dan mereka tidak segan silu melakukannya.

Mereka itulah yang paling zalim kerana tidak ada yang lebih zalim daripada mereka. Zalim memang banyak jenis, tetapi tidak ada zalim yang lebih teruk daripada mereka ini. Mereka kata Allah ﷻ ada anak, ada wakil untuk menyampaikan doa kepada-Nya (tawasul). Maka itu adalah zalim yang amat teruk.

Kalau menipu sesama manusia pun sudah teruk. Kalau menipu atas nama orang pun, orang itu akan marah. Kalau kita kata si A cakap begini dan begitu, tetapi si A tidak cakap pun, tentu A marah kalau dia dapat tahu, bukan?

Lalu bagaimana kalau menipu atas nama Allah ﷻ? Tentu lagi teruk, bukan? Inilah yang terjadi apabila Allah ﷻ tidak pernah ajar satu fahaman dan amalan agama, Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah sampaikan pun, tetapi ada orang yang kata: “Allah suka dengan amalan ini; Allah terima amalan ini; amalan ini baik di mata Allah…” dan berbagai lagi hujah-hujah bathil yang dibawakan oleh golongan bidaah. Apakah ini tidak termasuk ‘menipu atas nama Allah”?

 

وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ

sedang dia diajak kepada Islam? 

Mereka itu amat teruk sampai sanggup reka fahaman dan amalan baru dalam agama sedangkan mereka ketika itu sedang diajak kepada agama Islam yang berteraskan Tauhid. Mereka amat teruk kerana bukanlah mereka diabaikan begitu sahaja. Tidaklah mereka dibiarkan tanpa dakwah. Ada sahaja yang telah dakwah kepada mereka.

Akan tetapi mereka tetap juga berdegil. Kalau mereka diabaikan tidak diajak kepada Islam yang sebenar dan tidak didakwah, maka lainlah cerita. Walaupun mereka telah diajar kepada ajaran Tauhid tetapi mereka masih tetap juga mahu melakukan syirik. Mereka tetap juga mahu melakukan amalan-amalan bid’ah.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Mereka tidak akan diberi petunjuk lagi kerana mereka degil sangat. Apabila mereka degil, maka Allah ﷻ membuat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada mereka (khatmul qalbi) kerana mereka telah diberi bukti dan dalil tetapi mereka tetap menentang juga. Mereka telah diberi peluang dan sekarang peluang mereka telah ditarik.


Saff Ayat 8: Sekarang Allah ﷻ memberitahu yang pernyataan dusta mereka itu adalah kerana hendak mematikan agama. Ini adalah rancangan yang amat teruk. Maka kerana mereka ada niat begitulah yang mereka mesti diperangi.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh will perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MELAYU)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

 

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, 

Mereka itu hendak menjatuhkan agama Islam dengan kata-kata mereka dan propaganda yang mereka ada-adakan. Macam-macam yang mereka kata untuk memburukkan Islam. Mereka menggunakan media massa yang mereka kuasai untuk memburukkan Islam.

Bukan itu sahaja, kerana ada yang menipu dalam hal agama. Iaitu mereka menipu dalam agama dengan mengatakan ajaran mereka itu adalah daripada Tuhan tetapi tidak sebenarnya. Ini seperti golongan Kristian yang sebenarnya tidak pun menggunakan Kitab Injil yang sebenar lagi. Akan tetapi mereka telah menghasilkan kitab yang baru dan mereka kata itulah Kitab Injil/Bible/Gospel. Ini adalah perbuatan yang amat buruk sekali dan begitu juga jika dilakukan kepada kitab Taurat dan juga Al-Qur’an.

Itulah perbuatan yang amat buruk di mana mereka reka sendiri agama kemudian mengatakan ia daripada Allah ﷻ, daripada rasul. Mereka reka dan ajar daripada mulut mereka kemudian mereka kata Allah ﷻ suka sedangkan mereka menggunakan sumber bukan daripada wahyu.

Kenapa digunakan kalimat ‘cahaya Allah’ pula dalam ayat ini? Ini adalah kerana apa-apa sahaja ibadat yang dilakukan oleh umat Islam itu adalah seumpama cahaya. Sebagai contoh apabila seorang Mukmin sedang solat, sedang baca Al-Qur’an dan sebagainya. Begitu juga wanita yang sedang berjalan dan menutup auratnya adalah cahaya.

Orang-orang kafir tidak suka melihat cahaya-cahaya ini berada di mana-mana. Mereka rasa tidak suka dan gelisah jikalau ada orang Islam di sekeliling mereka dan tambahan pula jikalau orang-orang lslam itu melakukan amalan-amalan agama. Padahal tidak kacau pun mereka, tetapi mereka yang rasa tidak selesa. Ini adalah kerana ada masalah dengan hati mereka.

 

وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini yang Dia tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya itu walaupun orang kafir tidak suka. Maknanya usaha jahat orang-orang kafir itu untuk memadam cahaya itu tidak akan berhasil. Agama Islam takkan padam. Dan ikhtiar mereka akan dihancurkan. Mereka yang akhirnya akan rugi.

Ayat ini diturunkan dalam tahun 3 Hijrah di mana umat Islam waktu itu lemah dan tidak ramai pengikutnya. Ketika itu mereka baru sahaja menerima kekalahan di Perang Uhud. Maka tidak nampak sangat yang Islam akan berkembang tetapi Allah ﷻ telah memberi janji-Nya kepada umat Islam yang agama Islam akan berkembang pesat.

Daripada ayat ini kita boleh bayangkan yang cahaya Allah ﷻ itu berkembang sedikit demi sedikit pada setiap orang. Oleh itu di mana sahaja usaha kita walau sedikit pun akan memberi bekas sebenarnya. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya. Maka kita cuma perlu lakukan apa yang kita mampu walaupun sedikit dan Allah ﷻ akan sempurnakan cahaya itu nanti.


Saff Ayat 9: Ini pula adalah cara Allah ﷻ hidupkan wahyu di mana Allah ﷻ akan memilih Rasul untuk menyampaikannya dan akan memberi kemenangan kepadanya.

Ayat ini selalu sahaja ditulis di dalam penulisan tentang perkembangan dakwah semenjak dulu lagi. Ia mengajar kita bahawa Islam ini perlu dikembangkan dan dipraktikkan di dalam segenap kehidupan kita.

Shah Waliyullah berkata jikalau kita faham ayat ini maka kita akan senang faham Al-Qur’an. Begitu pentingnya ayat ini untuk kita sematkan dan cuba amalkan.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although those who associate others with Allāh dislike it.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar 

Allah ﷻ akan bangkitkan Rasul dan diberikan wahyu kepada Rasul itu untuk disampaikan kepada manusia. Rasul itu akan diberi cara penghayatan wahyu. Maka, kita dapat tahu yang tujuan Rasul adalah untuk menyampaikan wahyu dan cara mengamalkannya.

Deenul Haq pula adalah cara hidup berasaskan Al-Qur’an setelah Al-Qur’an itu dihayati. Maka kita kena faham ‘cara hidup’ bukan setakat ibadah sahaja. Ia meliputi segenap kehidupan kita.

Begitulah ajaran Islam ini tidak terhad kepada ibadah sahaja. Ia adalah agama yang ‘syumul’ (lengkap) dan memang praktikal untuk diamalkan. Ini tidak ada dalam agama-agama lain yang terhad sahaja. Agama mereka memang tidak dapat diamalkan dalam kehidupan bila-bila masa pun (sama ada zaman dulu atau zaman sekarang).

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama seluruhnya

Allah ﷻ telah menurunkan agama ini untuk mengalahkan agama-agama yang lain. Maknanya agama Islam ini adalah agama yang utama dan sepatutnya menjadi pegangan kesemua umat manusia.

Agama lain tidak halal, tidak boleh diamalkan. Maka kita tidak boleh kata agama lain pun sama sahaja. Ini penting kerana ada orang yang jahil berkata: agama dalam dunia ini sama sahaja, semuanya mengajak ke arah kebaikan.

Maka agama Islam akan menang kerana Allah ﷻ akan memenangkannya. Namun begitu kalau salah faham dengan ayat ini, maka ada Muslim yang menjadi ganas. Mereka marah dengan apa yang terjadi dalam dunia Islam dan mereka ambil pendekatan yang keras kononnya untuk memenangkan agama ini. Namun itu adalah cara yang salah. Kita hendaklah menggunakan cara dakwah yang berhemah.

Oleh sebab itu pergerakan untuk mengembangkan agama Islam ini boleh jadi dalam beberapa wajah, beberapa cara. Dan ini sedang dilakukan oleh banyak kumpulan seperti memberi ilmu pengetahuan pengenalan kepada Islam, menjalankan kerja-kerja keamanan yang dilakukan di seluruh dunia, dan macam-macam lagi.

Akan tetapi kita kena ingat perkara yang penting. Salah satu perkara penting yang perlu kita lakukan adalah dengan belajar memahami Al-Qur’an dan menyebarkan ilmu Al-Qur’an ini kepada manusia seluruhnya. Kerana itu memang kita kena kembangkan pengetahuan tafsir Al-Qur’an ini kepada manusia kerana sebelum manusia terbuka kepada perbincangan-perbincangan lain seperti falsafah, sejarah dan juga hadith dan juga ilmu fiqh dan sebagainya, manusia kena tahu tafsir Al-Qur’an.

Ia adalah ilmu yang paling utama kerana Al-Qur’an ini akan mengajar kita cara berfikir dan ia akan menjadi kayu pengukur untuk menilai manakah pemahaman yang benar ataupun tidak.

 

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

meskipun orang musyrik membenci.

Agama ini tetap akan menang walaupun orang kafir tidak suka. Allah ﷻ tidak mengambil kira kehendak mereka kerana Allah ﷻ tetap akan menghidupkan agama tauhid ini. Maka jangan kita risau tentang penerimaan masyarakat sekarang. Lama kelamaan ia akan berlaku di mana lebih ramai manusia akan menerima ajaran tauhid.

 

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku yang ada dalam surah ini.

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Saff Ayat 1 – 4 (Cakap tak serupa bikin)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan tentang hubungan dengan orang-orang Munafik. Memang kebanyakan surah-surah Musabbihaat ini ada mengandungi teguran tentang golongan munafik. Maka kita kena peka tentang perkara ini kerana ditakuti dalam kalangan kita ada orang munafik. Dan lebih menakutkan lagi, kalau-kalau kita sendiri ada sifat-sifat munafik!

Di dalam surah ini kita belajar bahawa di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ tidak memanggil orang-orang munafik: “Wahai orang-orang Munafik” tetapi Allah ﷻ masih panggil mereka dengan gelaran “wahai orang-orang yang beriman”. Bukanlah bermaksud mereka itu orang beriman, tetapi kerana mereka itu mengaku mereka beriman.

Surah Saff ini juga ditujukan kepada golongan Mujahidin (para pejuang dalam perang) kerana dengan mereka inilah, agama dapat disebarkan ke serata dunia.

Selepas surah ini adalah Surah Jumuah di mana ia ditujukan kepada para ulama’ dan juga pelajar kerana dengan adanya mereka maka ilmu agama ini dapat disebarkan kepada masyarakat awam. Maka semua orang Islam ada tugasnya masing-masing. Yang penting kena ingat, tujuan hidup kita adalah untuk mengembangkan agama Allah ﷻ kepada manusia. Kita lakukan apa yang kita mampu dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini.

Selepas Surah Jumuah pula adalah Surah Munafiqun di mana ia ditujukan kepada para penderma atau orang yang beri sedekah iaitu golongan hartawan yang tidak sombong. Dengan mereka juga jihad dapat tertegak dan orang yang memerlukan bantuan akan mendapat bantuan.

Gabungan tiga golongan ini akan memastikan agama Islam ini sampai bila-bila akan terjaga. Maka semoga kita termasuk dalam salah satu daripada tiga golongan itu.

Surah ini seperti juga Surah Mumtahanah sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Surah ini adalah surah kelima daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara penting iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


Saff Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang Allah ﷻ itu bersifat Azizul Hakim.

سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṣ-Ṣaff: The Row.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh, and He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi;

Surah ini bermula sekali lagi dengan tasbih di mana Allah ﷻ memberitahu bahawa segala makhluk di alam ini telah bertasbih kepada Allah ﷻ.

Kalimah sabaha dari segi bahasa bermaksud menimbulkan sesuatu, seperti seseorang yang berenang yang menimbulkan kepalanya di atas air. Maka perbuatan tasbih adalah menyebabkan sesuatu perkara itu timbul dan tidak tenggelam. Itu adalah dari segi bahasa.

Maksud tasbih pada kita adalah apabila kita meninggikan Allah ﷻ dan tidak merendahkan kedudukan Allah ﷻ daripada yang tidak sepatutnya. Apabila ada orang yang melakukan dosa, kita bertasbih; apabila orang melakukan syirik, kita bertasbih; apabila kita nampak benda yang buruk dan kita tidak suka, maka kita juga bertasbih.

Tasbih juga digunakan di dalam Al-Qur’an apabila ada manusia yang mengatakan sesuatu yang tidak patut bagi Allah ﷻ. Oleh itu apabila ada orang yang mengatakan sesuatu yang tidak patut tentang Allah ﷻ, maka kita menolak kata-kata mereka itu dengan melakukan tasbih. Apabila mereka merendahkan Allah ﷻ maka kita meninggikan Allah ﷻ dengan mengatakan Allah ﷻ itu sempurna dengan bertasbih.

Sekiranya kita juga merendahkan kedudukan Allah ﷻ dan dalam masa yang sama kita bertasbih, ini adalah tidak patut sama sekali. Maksudnya kita tidak faham apa yang kita lafaz dengan mulut kita. Mulut kita bertasbih tetapi perbuatan kita berlawanan dengan apa yang kita sebutkan.

Oleh itu surah ini dimulakan dengan kalimat pembesaran kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang seluruh alam ini bertasbih kepada-Nya. Allah ﷻ tidak memerlukan ketaatan daripada manusia pun kerana Allah ﷻ telah ada makhluk-makhluk lain yang taat kepada-Nya. Maka segala arahan yang diberikan kepada kita ada untuk kebaikan kita sahaja sebenarnya. Allah ﷻ tidak memerlukan pun amalan kita itu.

Akan tetapi apabila kita melakukannya, Allah ﷻ balas dengan banyak sekali. Maka kena sedar perkara ini. Kena sedar yang arahan Allah ﷻ adalah untuk kebaikan kita. Maka kenalah taat. Jangan degil sangat.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kenapa kita bertasbih kepada Allah ﷻ? Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini: Kita bertasbih kerana Allah ﷻ itu bersifat Maha Gagah Perkasa dan juga Maha Bijaksana.

Perkasa-Nya Allah ﷻ itu, Dia boleh mengazab sesiapa sahaja yang berdosa dan melakukan syirik. Kalau Allah ﷻ hendak mengazab itu, tidak ada sesiapa yang boleh halang sama sekali. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan Allah ﷻ.

Akan tetapi dalam masa yang sama, Allah ﷻ bersifat bijaksana di mana Allah ﷻ menangguhkan azab, tidak terus diberikan azab itu kepada manusia. Maka ada harapan bagi kita untuk bertaubat dan membetulkan amalan kita. Kalau tidak, tentulah kita telah lama mati kerana telah banyak kesalahan yang kita telah lakukan.


Saff Ayat 2: Ini adalah teguran Allah ﷻ kepada orang mukmin yang minta berjihad tetapi apabila syariat jihad diberikan mereka tidak mahu berjihad. Diingatkan kembali  yang tema surah ini adalah berkenaan jihad. Maka ayat ini menyentuh tentang jihad sebenarnya. Walaupun ada juga tafsiran yang lain.

Ayat 2 – 4 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita yang kesanggupan berjihad itu adalah bukti cinta kepada Allah ﷻ.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, why do you say what you do not do?

(MELAYU)

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman,

Sekarang Allah ﷻ menegur manusia yang mulut mereka mengaku Muslim dan beriman, tetapi perbuatan mereka tidak mengikut apa yang mereka katakan sebagaimana makhluk Allah ﷻ yang lain. Telah disebutkan sebelum ini yang ‘orang-orang beriman’ di dalam Al-Qur’an boleh juga merujuk kepada orang munafik.

Makhluk Allah ﷻ yang lain bertasbih dan dalam masa yang sama mereka taat kepada Allah ﷻ, tidak seperti kebanyakan manusia. Ada manusia mengucapkan tasbih namun dalam masa yang sama mereka membuat perkara syirik. Ini adalah kerana mereka tidak faham apa yang sebutkan.

 

لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Maksud ayat ini secara umum adalah teguran Allah ﷻ kepada manusia yang tidak sama perbuatan dengan percakapannya. Selalu kita kata: ‘Cakap tak serupa bikin’.

Cakap tak serupa bikin

 

Ini adalah sifat yang buruk. Kalau kita tidak mahu melakukan sesuatu atau tidak mampu, janganlah kita cakap kita boleh dan mahu melakukannya. Janganlah jadi seperti orang munafik kerana ini adalah sifat mereka seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat”.

(HR Bukhari No. 32)

Tanda Orang Munafik Ada 3

 

Oleh itu, orang mukmin dipegang pada kata-kata dan janjinya. Kalau dia berjanji kenalah dia tepati. Sampaikan dengan kanak-kanak pun kita kena tepati janji.

 

Dalam hadith riwayat Abu Daud, Abdullah bin Amir pernah dipanggil oleh ibunya untuk diberikan sesuatu lalu Nabi ﷺ bertanya kepada ibu Abdullah bin Amir apakah yang akan dia berikan kepada anak kecil itu.. Wanita itu menjawab kurma. Kemudian Baginda memberi peringatan, jika dia tidak memberikan kepada anaknya, maka dia dikira berdusta.
Dalam hadith riwayat Ahmad, baginda mengatakan:
من قال لصبي تعال هاك ثم لم يعطه فهي كذبة
“Sesiapa yang mengatakan kepada budak kecil ‘Ke sini, ambil ini’ kemudian dia tidak memberikannya maka dia dikira berdusta.
Sebahagian orang menipu kanak-kanak kerana mereka biasanya tidak menuntut kembali janji itu sedangkan hakikatnya perbuatan ini meletakkan pelakunya dalam perbuatan menipu. 
(Al-Dhiya’ al-Lami’ min al-Khutab al-Jawami’ 7/514)

 

Selain daripada makna umum seperti yang disebut di atas, dalam ayat ini Allah ﷻ menegur lagi orang-orang beriman berkenaan jihad. Ini dapat difahami kalau kita melihat konteks surah ini nanti. Allah ﷻ tanya kepada mereka kenapa dahulu mereka minta untuk berjihad dan sekarang apabila syariat jihad telah diberikan, mereka masih tidak melakukannya lagi. Maka sekarang hendaklah mereka berjihad.

Ayat ini ada kaitan dengan ayat yang lain dalam Nisa: 77 di mana para sahabat semasa duduk di Mekah dahulu mereka minta untuk membalas dendam kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi waktu itu mereka ditahan daripada membalas kekejaman itu. Namun apabila di Madinah dan mereka disuruh berjihad, hati mereka tidak mahu pula.

 

 

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللهِِِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun”.

 

 

Mereka kata: “Kenapalah Syariat jihad dipercepatkan?” Sedangkan dulu mereka juga yang minta jihad dibenarkan. Maka mereka itu sebenarnya adalah golongan munafik. Iaitu iman mereka lemah. Mereka cakap sahaja hendak berperang dan berjihad, tetapi bila disuruh berjihad mereka idtak mahu pula. Mereka ‘cakap tak serupa bikin’.

Dan ada lagi teguran kepada umat Islam yang meminta-minta untuk berjihad, tetapi bila jihad di depan mata, mereka takut pula. Ini disebut dalam Muhammad: 20

 

 

وَيَقولُ الَّذينَ آمَنوا لَولا نُزِّلَت سورَةٌ ۖ فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ ۖ فَأَولىٰ لَهُم

Dan orang-orang yang beriman berkata: “Mengapa tiada diturunkan suatu surat?” Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan karena takut mati, dan kecelakaanlah bagi mereka.

 


Saff Ayat 3:

كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقولوا ما لا تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Great is hatred in the sight of Allāh that you say what you do not do.

(MELAYU)

Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Maksud مقت adalah sesuatu yang sangat buruk yang dilakukan oleh manusia dan sebelum ini telah pernah disebut dalam Surah Mujadilah bahawa perbuatan zihar itu adalah مقت. Maka perbuatan meminta jihad tetapi tidak mahu berjihad apabila diarahkan, maka itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali. Allah ﷻ amat murka kepada mereka yang ada sifat begitu. Mereka cakap dengan mulut, tetapi tidak diikuti dengan perbuatan.

Secara umumnya pula, manusia memang selalu tidak melakukan apa yang dikatakan oleh mulutnya. Yang ini banyak dilakukan oleh manusia di mana kita selalu solat dan minta hidayah daripada Allah ﷻ, tetapi apabila Allah ﷻ beri hidayah dalam bentuk Al-Qur’an dan Sunnah kepada kita, maka kenapa tinggalkan?

Oleh itu kita kena lakukan apa yang kita katakan. Kalau kita nasihat orang, maka hendaklah kita pun buat juga apa yang kita cakap. Jangan kita pandai nasihat orang tetapi diri sendiri tidak lakukan apa yang kita sendiri cakap.

Namun ada juga yang salah faham tentang ayat ini kerana ada orang yang salah tafsir ayat ini dengan mengatakan: Jangan kita beri dakwah ataupun ajar orang perkara yang kita sendiri tidak buat; seperti kita belum pergi Haji lagi tetapi ajak orang untuk pergi Haji. Maka mereka kata tidak boleh berdakwah pula. Ini adalah tafsiran yang salah.

Sepatutnya apabila kita sudah cakap kepada orang, maka kita kenalah lakukan juga. Kita dakwah kepada orang tetapi sebenarnya kita dakwah kepada diri kita sendiri. Apabila kita sudah cakap kepada orang lain, tentu kita malu kalau tidak buat, bukan? Maka bila kita dakwah, itu adalah anjakan untuk kita juga berbuat seperti yang kita sebut. Ayat ini adalah ayat targhib (mengajak) bukan ayat tarhib (menghalang). Jangan salah faham dengan ayat ini.

Yang menjadi salah adalah kalau kita cakap kepada orang, tetapi kita tidak ada keinginan pun untuk melakukannya. Ini baru salah! Maka kalau kita dakwah orang lain, hendaklah kita juga ada keinginan untuk melakukannya.

Selain daripada itu, kita kena ingat yang keinginan kita hendaklah kita lapik dengan keizinan daripada Allah ﷻ. Kalau kita hendak melakukan sesuatu, jangan berharap semata-mata kepada kekuatan diri sahaja, tetapi hendaklah sebut in sha Allah (kalau Allah ﷻ berkehendak). Kerana kalau kita kata hendak buat, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan dan tidak beri kekuatan kepada kita, maka ia tidak akan terjadi.

Oleh itu, tidak salah kalau kita dakwah kepada orang lain tetapi kita buat perkara yang salah. Kerana dakwah itu satu kebaikan, meninggalkan dosa juga satu kebaikan. Jangan kerana kita tidak boleh satu kebaikan (meninggalkan dosa) menyebabkan kita meninggalkan satu kebaikan lain (dakwah atau menegur orang lain). Kadangkala dengan menegur orang lain, memberi kekuatan kepada diri kita untuk meninggalkannya juga.


Saff Ayat 4: Ini adalah tentang perbarisan (saf) dalam jihad. Daripada ayat ini jelas bahawa perkara yang dibincangkan adalah tentang jihad.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh loves those who fight in His cause in a row as though they are a [single] structure joined firmly.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur

Sekarang Allah ﷻ sebut tentang jihad perang pula kerana peperangan ini melibatkan kesanggupan untuk tinggalkan nyawa kita. Apabila berjihad, ada kemungkinan besar yang nyawa kita akan melayang.

Ini mengajar kita yang untuk taat kepada Allah ﷻ, kita kena sanggup untuk berkorban. Dan Allah ﷻ sebut pengorbanan yang terbesar sekali iaitu pengorbanan nyawa. Kerana inilah kemuncak pengorbanan daripada manusia.

Allah ﷻ juga beritahu dengan jelas yang Dia suka mereka yang sebegini. Kalau manusia suka pun kita sudah gembira, apatah lagi kalau Allah ﷻ yang suka. Tentulah berlebih-lebih lagi kita kena kejar.

 

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ثَلَاثٌ يَضْحَكُ اللَّهُ إِلَيْهِمُ: الرَّجُلُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلصَّلَاةِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلْقِتَالِ”.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Ada tiga macam orang yang Allah redha kepada mereka, iaitu seorang yang mengerjakan solat malam hari, dan kaum yang apabila solat mereka membentuk barisan dengan teratur, serta kaum yang apabila dalam medan perang mereka membentuk barisan dengan teratur.

(Riwayat Imam Ahmad)

 

Allah ﷻ suka kepada mereka yang berjihad kerana bukan senang untuk keluar perang. Ramai yang takut dan akan mencari alasan tidak ikut serta atau melarikan diri kerana yang dipertaruhkan adalah nyawa! Maka orang yang keluar jihad perang itu sudah melepasi ujian nafsu dirinya untuk tidak berperang. Nafsunya akan menghalangnya untuk keluar tetapi bila dia sudah keluar, maka dia sudah melepasi ujian itu.

Dan kemudian Allah ﷻ menyebut tentang ‘saf’ ataupun barisan kerana Allah ﷻ suka tentera yang bersusun di dalam barisan.

Sa’id ibnu Jubair mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur. (Ash-Shaff: 4) Bahawa Rasulullah Saw. tidak sekali-kali berperang melawan musuh melainkan terlebih dahulu mengatur barisan pasukannya membentuk saf, dan ini merupakan strategi yang diajarkan oleh Allah Swt. kepada orang-orang mukmin. Dan firman Allah Swt.: seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (Ash-Shaff: 4) Iaitu sebahagian daripadanya menempel dengan sebahagian lainnya dalam saf peperangan.

 

‘Barisan’ ini kita selalu dapat bayangkan saf di dalam solat. Ini mengajar kita bahawa saf di dalam solat itu adalah ‘latihan’ kepada kita untuk barisan dalam perang kerana dalam solat ada imam di hadapan dan para makmum taat dan ikut apa yang dilakukan oleh imam. Imam rukuk dan makmum rukuk, imam sujud maka baru makmum sujud.

Dan begitu juga dalam barisan perang. Para tentera mempunyai panglima (jeneral) di depan dan barisan tentera bawahan kena taat kepada apa yang dilakukan oleh jeneral dan beginilah yang sepatutnya berlaku di dalam pasukan tentera.

Tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak boleh bergerak ke hadapan sebelum diarahkan oleh panglima. Tidak boleh lemparkan panah atau peluru sebelum diarahkan oleh panglima. Maka ia adalah latihan untuk belajar ikut arahan.

Allah ﷻ jadikan ibadat solat itu sebagai latihan kepada kita untuk menjadi umat yang tersusun dalam barisan perang. Ini amatlah penting kerana apabila orang-orang Islam hidup tidak teratur, maka kita pun akan lemah.

Kerana itu kita dilatih disiplin dalam solat di mana tidak boleh mendahului imam dalam solat; kita diajar supaya meluruskan barisan dan merapatkan barisan; kita tidak boleh menegur imam begitu sahaja tetapi ada syarat-syarat yang perlu diikuti; kita senyap dan taat sahaja dalam solat. Bukan tidak boleh tegur, tetapi ada caranya.

Ini semua adalah latihan disiplin sebenarnya. Ini memberi kesan kepada diri kita sendiri dan membawa kepada kehidupan seharian kita. Juga mengajar kita untuk menghormati masa dan mengisi masa dengan perbuatan yang baik. Tentu ada lagi kelebihan dan latihan di dalam solat yang tidak terkira banyaknya.

Kadangkala ia boleh dilihat pada benda yang kecil-kecil seperti parkir kereta sahaja di mana umat kita kadang-kadang tidak parkir kereta kita dengan baik dan tidak beratur di tempat yang sepatutnya kita parkir. Selalunya terjadi semasa Solat Jumaat sampai menyebabkan orang marah dengan kita kerana menghalang jalan.

Kalau dalam perkara kecil seperti parkir kereta, beratur di kedai dan luruskan barisan dalam solat pun tidak boleh jaga, bagaimana hendak berjihad perang?

Allah ﷻ menyebut tentang barisan di dalam ketenteraan kerana jikalau barisan itu pecah maka ia akan menyebabkan bahaya kepada seluruh tentera itu. Ini amat penting kerana pasukan tentera adalah pasukan yang paling berdisiplin di dalam dunia. Kerana itulah ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tentera (Military College) supaya anak itu dapat belajar disiplin.

Disiplin amat penting dalam tentera kerana kalau tidak ada, ia boleh menyebabkan kekalahan seperti mana yang telah berlaku semasa Perang Uhud. Nabi ﷺ telah mengarahkan pasukan pemanah supaya tetap di tempat memanah tetap mereka tidak disiplin dan meninggalkan tempat itu. Ini telah disebut dengan panjang lebar dalam Surah Ali Imran dari ayat 121 hingga 171.

Akan tetapi di dalam ayat ini Allah ﷻ bukan bercakap kepada pasukan tentera sahaja tetapi kepada keseluruhan umat Islam. Allah ﷻ mengajar kita sebagai seorang Muslim kena ada disiplin seperti tentera. Bagaimana kita hendak menegakkan agama Allah ﷻ ini di atas muka bumi jikalau kita tidak ada disiplin?

Maka walaupun perang tidak ada, kita tetap kena menjaga disiplin dalam kehidupan kita. Semoga ayat ini memberi semangat kepada kita untuk taat kepada pemerintah dan menjaga disiplin dalam kehidupan kita. Bukanlah hanya dalam bentuk ibadat sahaja.

Sebagai contoh, jaga disiplin di tempat kerja kita. Di tempat kerja kita, kita diajar untuk menghormati masa. Ada masa masuk dan ada masa yang boleh keluar. Begitulah juga dalam ibadat kita kerana di dalam ibadat Islam itu ada yang terikat dengan masa seperti waktu solat dan juga puasa; itu semua sebenarnya mengajar kita untuk menghormati masa. Maka menjaga masa ini boleh diikuti oleh mereka yang mempunyai disiplin ini adalah sebahagian daripada iman.

Kita sebagai umat Islam kenalah menjaga disiplin kita dan menjadi contoh kepada umat yang lain. Jangan kita pula yang menjadi orang yang tiada disiplin sampaikan kita dipandang rendah oleh orang lain. Amat memalukan kalau orang dari Barat atau dari Jepun yang terkenal dengan penjagaan waktu itu lebih hebat daripada kita. Sedangkan kita kata Islam ini agama yang hebat; maka takkan kita tidak menjadi hebat kalau kita mengaku sebagai seorang Muslim?

 

كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ

seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Kalimah مَّرصوصٌ berasal daripada kata dasar ر ص ص yang bermaksud ‘simen’ atau tersusun bersama. Kita dapat bayangkan dinding simen yang kukuh seperti gigi yang tersusun cantik. Kalau kita lihat kepada dinding simen itu kita boleh lihat semua batu-bata pada simen itu ada tempatnya dan tidak boleh dipindah-pindah atau letak semberono sahaja. Kalau tidak disusun dengan kemas, maka dinding itu akan menjadi lemah.

Sebaliknya jikalau batu-batu itu disusun sahaja tetapi tidak ada simen sebagai pelekat batu bata itu di antaranya maka adakah dinding itu kuat? Tentu tidak sama sekali. Angin tiup pun boleh jatuh.

Kita pun tahu yang susunan bata tanpa simen, tidak kuat. Maka simen yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘wahyu Allah ﷻ’ atau dalam ayat lain ditafsirkan sebagai ‘tali Allah ﷻ’. Kita semua kena berpegang dengan tali Allah ﷻ, barulah penyatuan kita ini adalah penyatuan yang benar kerana kalau kita bersatu pun, tetapi tidak dipandu oleh wahyu, maka penyatuan itu akan menuju ke arah kehancuran.

Sepertimana batu-bata bangunan itu ada tempatnya masing-masing, maka setiap orang Islam ada tugas yang perlu dilakukan dalam menegakkan agama Islam dan menjalankan dakwah. Tujuan kita adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ dan kerana itu kena ada persatuan atau pergerakan. Bukanlah dalam persatuan itu kerana hanya keinginan untuk naik pangkat sahaja.

Ini mengajar kita yang pergerakan dakwah juga tidak boleh bersendirian. Kita memang tidak akan mampu untuk membuat kerja agama ini berseorangan. Kita memerlukan pertolongan, nasihat dan suntikan semangat daripada orang lain juga.

Usaha yang dilakukan bersama-sama dengan orang lain itu dapat mendekatkan diri kita kepada sesama Muslim. Ini sebagaimana jika ada orang yang dapat musibah seperti tenggelam dalam kapal dan mereka berjaya untuk melepasi musibah itu, maka mereka akan menjadi kawan selama-lamanya. Ini kerana mereka telah melalui perkara yang besar bersama.

Begitu jugalah kita dapat lihat bagaimana ahli di dalam satu-satu pasukan tentera itu memang begitu rapat di antara satu sama lain kerana mereka telah susah dan payah bersama di medan latihan dan medan peperangan. Mereka akan sanggup berkorban apa sahaja untuk rakannya itu.

Ringkasnya, Allah ﷻ suka mujahid yang mempunyai sifat-sifat berikut:

1. Mereka berperang kerana Allah ﷻ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain.

2. Tentera itu berdisiplin. Tidak kelam kabut dan berpecah belah.

3. Kuat dan teguh seperti simen. Barulah tidak dapat ditembusi oleh musuh.

 

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an