Tafsir Surah Ma’arij Ayat 28 – 35 (Sifat-sifat Mukmin)

Ma’arij Ayat 28:

إِنَّ عَذابَ رَبِّهِم غَيرُ مَأمونٍ

Sahih International

Indeed, the punishment of their Lord is not that from which one is safe –

Malay

Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorang pun) merasa aman terhadapnya;

Tak boleh rasa selamat dengan azab Allah. Tidak ada yang patut rasa selamat dengan azab yang dijanjikan oleh Allah – kerana kita tidak tahu sama ada kita terselamat atau tidak dari azab itu. Sedangkan Nabi pun takut takkan kita tak takut. Sebagai contoh, apabila angin kencang bertiup pun Nabi sudah takut entah-entah Kiamat sudah sampai. Kita kena takut kerana kalau azab datang, memang tidak boleh buat apa.

Orang yang buat banyak ibadat pun sepatutnya masih tak rasa selamat. Sebab kita tidak pasti entah Allah terima atau tidak amalan kita itu. Maka sehinggalah kita sampai ke gerbang kematian, tidak boleh rasa selamat. Perasaan takut itu adalah amat baik untuk kita. Kerana apabila ada perasaan takut, kita akan berusaha dan berusaha lagi untuk memperbaiki amalan kita dan memperbanyakkan amalan kita.


 

Ma’arij Ayat 29: Sambungan sifat-sifat mereka yang selamat.

وَالَّذينَ هُم لِفُروجِهِم حٰفِظونَ

Sahih International

And those who guard their private parts

Malay

Dan mereka yang menjaga kemaluannya, –

Sebelum ini telah disebut sifat-sifat orang mukmin itu:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

Maka, ini adalah sifat yang seterusnya – menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram. Ini adalah sama seperti disebut dalam Mukminoon:5. Ayat ini mengajar kita untuk menyekat diri dari melakukan yang haram. Tapi sebelum itu dimulai dengan menjaga ‘pintu’ zina. Iaitu jangan sampai tunggu ia sudah nak terjadi. Kerana kalau sudah nak terjadi baru nak jaga, maka memang bahaya.

Maka kena jaga pandangan dari mula lagi. Jaga mata kerana dari mata turun ke hati. Selalunya kita akan tengok dulu wanita/lelaki dan kemudian kita mula bersembang dengan dia. Lama kelamaan boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini.

Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan orang yang solat. Kerana sebelum ini ayat tentang orang yang solat. Kerana ada juga yang solat tapi tak jaga kemaluan mereka. Jadi, ayat ini mengingatkan kita tentang perkara ini. Kita kena berhati-hati dengan kemaluan kita, kerana ada perkara yang kita senang nak jaga, tapi kemaluan ini satu perkara yang amat susah hendak dijaga.


 

Ma’arij Ayat 30:

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

Sahih International

Except from their wives or those their right hands possess, for indeed, they are not to be blamed –

Malay

Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela;

إِلَّا عَلَىٰ أَزْوٰجِهِمْ

Kecuali kepada isterinya

Yang dihalalkan untuk kita melampiaskan hawa nafsu kita adalah dengan isteri-isteri kita sahaja. Allah telah mengajar kita melalui NabiNya bagaimana untuk menghalalkan perhubungan lelaki dan perempuan dengan pernikahan.

Allah telah memberi kita nafsu untuk perhubungan lelaki dan perempuan. Ianya memang fitrah manusia. Bukanlah kita disuruh untuk menghilangkan nafsu itu. Memang ianya tidak dapat dihalang. Tapi hendaklah ianya dilakukan dengan cara yang halal iaitu salah satunya, dengan pernikahan.

Jangan kita jadi seperti agama lain yang menidakkan nafsu ini, seperti agama Kristian dan agama Hindu dan Buddha. Pada mereka, ahli-ahli agama mereka tidak berkahwin. Mereka hanya boleh berkhidmat kepada agama mereka sahaja dan tidak boleh berkeluarga. Ini memang pelik – orang yang baik pula yang tidak dibenarkan kahwin. Ini memang penipuan dari syaitan.

 

أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُهُمْ

atau kepada hambanya,

Selain daripada pernikahan, orang lelaki halal untuk berhubungan jimak dengan hamba perempuan mereka. Perkataan مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ  dari segi bahasa bermaksud ‘yang dipegang oleh tangan kanannya’ – yang bermaksud ‘hamba’ yang dimiliki.

Seperti kita tahu, perhambaan berleluasa zaman dahulu. Hanya zaman sekarang tidak ada ada lagi dilakukan dengan meluas. Islam mengakui konsep perhambaan ini dan ada ada hukum-hukum tertentu tentangnya. Antaranya, seorang tuan boleh mengadakan hubungan seks dengan hambanya.

Hukum hamba ini masih ada lagi. Hendaklah kita tahu yang perhambaan tidak pernah dimansuhkan. Walaupun zaman sekarang tidak ada lagi perhambaan, tapi ianya mungkin boleh berlaku pada masa hadapan, tidak mustahil. Jadi hukum perhambaan ini adalah ‘tergantung’. Apabila perlu di masa hadapan, ia boleh digunakan.

 

فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

maka sesungguhnya mereka tidak tercela;

Hanya dua cara itu sahaja yang dibenarkan dalam Islam dan tidak tercela. Kalau selain dari itu, tidak boleh.


 

Ma’arij Ayat 31: Ini kalau sudah langgar arahan dari Allah.

فَمَنِ ابتَغىٰ وَراءَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ العادونَ

Sahih International

But whoever seeks beyond that, then they are the transgressors –

Malay

Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

Dua jalan itu sahaja yang dibenarkan, selain dari itu dikira sebagai melampaui batas. Tapi pada zaman sekarang hanya ada isteri sahaja, maka ada satu jalan sahaja sekarang. Maka kalau onani (melancap) tidak boleh kerana ianya adalah selain dari dua cara yang dibenarkan tadi.


 

Ma’arij Ayat 32: Apakah sambungan sifat yang mulia lagi?

وَالَّذينَ هُم لِأَمٰنٰتِهِم وَعَهدِهِم رٰعونَ

Sahih International

And those who are to their trusts and promises attentive

Malay

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

Sebelum ini telah disebut sifat-sifat yang perlu ada kepada mereka yang selamat:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

Sekarang, disebut pula perkara yang baru – menjaga amanah dan janji yang telah kita setujui. Banyak perkara yang termasuk dalam hal ini. Sebagai contoh, kalau ada orang yang amanahkan barangnya untuk kita jaga, maka hendaklah kita menjalankan amanah itu. Kita kena jaga ianya dengan baik dan apabila tuannya minta balik, kita kena beri.

Kita juga kena menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Sebagai contoh, kita mungkin telah dilantik sebagai ketua satu-satu jabatan, jadi kita kenalah menjalankan amanah sebagai ketua itu.

Selain daripada amanah, selalunya kita akan berjanji. Dalam ayat ini, Allah mengingatkan kita untuk menjaga janji yang telah dibuat. Macam-macam janji yang telah dibuat sesama manusia, sama ada dengan lisan atau bertulis, antaranya perkara-perkara yang termaktub dalam kontrak.

Antara kontrak yang ramai kita tandatangani adalah seperti kontak kerja. Kenalah kita memenuhi kontrak itu. Kalau kita disuruh menjalankan kerja dari pagi sampai ke pukul 5, kenalah kita buat kerja sampai waktu itu, jangan kita balik awal pula.

Selain daripada janji kepada orang lain, jangan lupa janji kita kepada Allah. Yang ini kena periksa dalam ajaran agama kerana ianya amat banyak. Kena ingat balik yang kita sebenarnya telah berjanji untuk taat kepada Allah. Maka kena penuhi janji itu.

Kalimah رَاعُونَ dari katadasar yang bermaksud ‘penggembala’. Menarik sekali penggunaan perkataan ini dalam ayat ini. Seorang penggembala kena sentiasa menjaga binatang gembalaannya. Setiap hari dia kena bekerja sampai tidak boleh cuti pun. Kerana kalau dia cuti, siapa yang akan beri binatang ternaknya makan?

Dia juga kena jaga bintang ternaknya sepanjang masa dia menjaga kerana ditakuti kalau dia leka, binatang gembalaannya itu boleh dimakan oleh binatang lain seperti serigala. Setiap ekor dia akan jaga, tidak boleh dia pilih-pilih mana yang dia nak jaga – dia kena jaga semua sekali, satu pun dia tidak boleh tinggalkan.

Maknanya, dia kena jaga betul -betul. Begitulah juga kita kena jaga amanah dan janjinya kita dengan tekun, setiap hari dan setiap satu. Kena benar-benar ambil berat dan menjaganya sedaya upaya kita. Tidak boleh lalai dari janji dan amanah kita itu.

Maka, ingatlah yang kita kena buat kerja yang telah dijanjikan kepada kita. Kalau rasa tak boleh buat, jangan janji dari awal-awal lagi. Ini pun ada masalah juga. Kadang-kadang kita tidak tahu macam mana nak kata ‘tidak’. Kita tidak tahu menolak walaupun kita tahu yang kita patut tolak. Ini adalah kerana kebanyakan dari kita dibesarkan dengan tidak diajar untuk menolak permintaan orang lain – walaupun kita tahu yang kita tidak mampu lakukan. Akibatnya, ada amanah dan janji yang kita mungkiri kerana kita tidak berani nak tolak permintaan orang lain.

Jadi, menjaga amanah dan janji adalah sifat yang mulia dan kita perlu ada. Lawannya adalah sifat orang munafik. Dalam Sahih Muslim, ada satu hadis yang menyebut tiga sifat orang Munafik:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى قَالَا حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُهَيْلٍ نَافِعُ بْنُ مَالِكِ بْنِ أَبِي عَامِرٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkari dan apabila dipercayai dia berkhianat

Maka, berat sekali kalau kita mempunyai tiga sifat buruk ini. Tapi itu adalah ‘tanda’ sahaja, tidaklah kita pasti sama ada orang itu munafik atau tidak. Janganlah kita senang sahaja melabel seseorang itu munafik, kerana munafik itu adalah perkara hati dan kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia.


 

Ma’arij Ayat 33:

وَالَّذينَ هُم بِشَهٰدٰتِهِم قائِمونَ

Sahih International

And those who are in their testimonies upright

Malay

Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);

 

Sebelum ini telah disebut tentang beberapa perkara yang kita kena ada:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

Dan sekarang surah ini menyebut tentang Penyaksian pula. Kalimah Penyaksian yang utama adalah Dua Kalimat Syahadah. Iaitu lafaz yang mengaku bahawa tidak ada ilah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Maka berpeganglah dengan syahadah ini, tanpa kurang dan tanpa tambah.

Dengan lafaz itu, dengan automatiknya, kita telah menjadi seorang Muslim. Apabila seseorang itu telah mengaku yang dia seorang Muslim, dia kena hidup sebagai orang Islam. Dia kena melakukan perkara yang disuruh dalam agama.

Pertama, hendaklah dia HANYA menyembah Allah taala sahaja. Buat ibadat kepada Allah sahaja, berdoa hanya kepada Allah sahaja.

Keduanya, setelah dia bersaksi yang Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, maka hendaklah dia mengikut ajaran Nabi Muhammad. Bukanlah dia mengikut kata-kata ulama’ dan ustaz sahaja, tapi hendaklah dia mengenal pasti sama ada Nabi telah mengajar kepada kita perkara itu.

Malangnya, ramai yang mengaku Nabi itu Rasul tapi tidak mengikut ajaran baginda. Mereka lebih memegang kata-kata ustaz mereka dan kitab karangan manusia sahaja. Jadi, persaksian mereka itu tidak tertegak lagi. Ianya hanya tertegak setelah benar-benar belajar apakah ajaran Nabi Muhammad.

Selain dari persaksian dalam Syahadah, ada juga persaksian dengan orang lain. Contohnya persaksian dalam mahkamah. Penyaksian ini hendaklah ditegakkan seperti yang telah dalam Nisa:135

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Juga dalam Baqarah:283

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ ببِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Maknanya, kalau kita tahu kebenaran sesuatu perkara, jangan kita simpan atau sorokkan dan buat senyap sahaja. Kerana kalau kita diamkan diri, keadilan tidak tertegak dan ada individu yang teraniaya.

Contohnya, emak kita mungkin menyebut satu perkara yang tidak betul. Dan kerana katanya itu telah menyebabkan perbalahan antara adik beradik. Dalam masa yang sama, kita tahu yang apa yang dikatakan oleh emak kita itu tidak benar. Maka, dalam hal ini kita kena beritahu apa yang benar. Kita kena jadi saksi yang benar, walaupun terhadap emak kita. Janganlah taat kepada ibu sampai melakukan kesalahan pula.

Begitu juga, kalau ada kawan-kawan kita yang teraniaya, kita kena pertahankan kawan kita itu. Jangan sembunyikan persaksian yang benar. Dan jangan kita terlibat dalam persaksian palsu. Jangan sekali-kali kita jadi saksi palsu. Jangan kita katakan perkara yang tidak terjadi. Telah disebut dalam Furqan:72

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak memberi persaksian bohong.


 

Ma’arij Ayat 34:

وَالَّذينَ هُم عَلىٰ صَلاتِهِم يُحافِظونَ

Sahih International

And those who [carefully] maintain their prayer:

Malay

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;

Sebelum ini, surah ini telah menyebut tentang solat. Selain dari itu disebut perkara-perkara lain:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

7. Menegakkan Penyaksian.

Sekarang disebut lagi tentang solat dan sifat menjaga solat. Apakah yang dimaksudkan dengan menjaga solat itu?:

1. Menjaga waktu solat. Kita kena lakukan solat dalam waktunya. Sebaik-baiknya dilakukan di awal waktu. Ini diperbincangkan dalam Sahih Bukhari – Waktu Solat. Kadang-kadang ini amat susah dijaga kalau kita tidak prihatin kepada solat dan kepentingan solat.

Waktu yang paling susah dijaga adalah waktu subuh. Ramai yang mengadu mereka tidak dapat bangun solat subuh kerana mereka tidur lambat. Oleh itu, kalau kita hendak senang bangun Waktu Subuh, jangan tidur lambat. Kita tahu itulah jalan penyelesaiannya, tapi berapa ramai yang ambil tindakan yang seterusnya?

2. Menjaga Rukun dan Kewajipan dalam solat. Termasuk juga perkara-perkara yang sunat. Untuk tahu apakah rukun, wajib dan perkara-perkara sunat dalam solat, kenalah belajar bagaimana cara Nabi mendirikan solat baginda.

3. Selepas kita mendirikan solat, kita kena jaga akhlak kita. Seperti yang kita tahu, sepatutnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Janganlah kita musnahkan kebaikan yang sudah kita dapat dalam solat itu dengan melakukan perkara-perkara yang buruk.

4. Menjaga jemaah solat bagi yang wajib menjaganya (lelaki). Nabi Muhammad di hujung hayat baginda sampai tidak mampu berjalan sendiri pun solat berjemaah juga.

Surah ini dimulakan dengan memperkatakan tentang solat dan sekarang di hujung-hujung surah, disebut juga tentang solat lagi. Ini menunjukkan pentingnya solat dan kemuliaan solat. Dan bukan sahaja solat tapi ianya menyentuh kepentingan melakukan ibadat-ibadat lain juga.

Sebagai seorang pendakwah, kita kena jaga ibadat. Jangan kita sibuk berdakwah sampai mereka terlupa untuk melakukan ibadat sendiri. Jangan kita pandang rendah amalan solat ini sampaikan kita buat sambil lewat sahaja. Sedangkan dalam solat itulah kita bermunajat kepada Allah dan meminta pertolongan kepada Allah.


 

Ma’arij Ayat 35:

أُولٰئِكَ في جَنّٰتٍ مُّكرَمونَ

Sahih International

They will be in gardens, honored.

Malay

Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.

Sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini akan dikurniakan dengan Syurga dengan segala kelazatan dan perkara yang menggembirakan. Apakah perkara-perkara itu?:

1. Mengerjakan dan menjaga solat

2. Infak harta kepada yang memerlukan

3. Percaya kepada Hari Pembalasan

4. Takut kepada azab Allah.

5. Menjaga kemaluan mereka dari perkara yang haram.

6. Menjaga amanah dan janji.

7. Menegakkan Persaksian.

8. Menjaga Solat

Mereka akan dimuliakan oleh Allah. Allah akan melayan mereka sebagai tetamu kehormat. Mereka dimuliakan kerana mereka telah melakukan perbuatan yang mulia semasa di dunia. Iaitu mereka melakukan solat dan memberi sedekah kepada orang lain dan perkara-perkara lain.

Apabila mereka melakukan semua perkara itu, mereka telah dipandang mulia oleh manusia juga semasa di dunia lagi. Dan bukan sahaja manusia, tetapi Allah juga.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2019

Ringkasan Surah Ma’arij


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Maarij Ayat 11 – 27 (Sanggup jual anak dan isteri)

Maarij Ayat 11:

يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ

Sahih International

They will be shown each other. The criminal will wish that he could be ransomed from the punishment of that Day by his children

Malay

Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

يُبَصَّرُونَهُمْ

Masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain;

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kenalan tidak bertanya kenalan mereka yang lain. Bukan mereka tak nampak kenalan dan saudara mereka di akhirat itu. Dalam ayat ini kita dapat tahu yang memang mereka akan dinampakkan dengan kenalan mereka. Tapi mereka akan buat tidak tahu sahaja. Mereka tidak bertanya khabar lagi, tidak dapat nak menolong langsung.

 

يَوَدُّ الْمُجْرِمُ لَوْ يَفْتَدِي مِنْ عَذَابِ يَوْمِئِذٍ بِبَنِيهِ

orang yang berdosa suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab hari itu dengan anak-anaknya sendiri,

Orang yang berdosa sampai sanggup nak jual anak mereka sendiri kerana nak selamatkan diri mereka. Kalimah يَفْتَدِي adalah perbuatan menebus seperti kita gunakan kalimah fidyah. Ini adalah kerana mereka telah nampak yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka telah melihat sendiri neraka itu dan mereka tidak sanggup nak masuk ke dalamnya.

Mereka sanggup buat apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka akan kata, masukkanlah anak mereka ke dalam neraka, asalkan mereka tidak masuk neraka. Ini macam penjenayah dalam dunia ini, sanggup beri maklumat tentang kawan mereka yang sama-sama mencuri, asalkan mereka boleh selamat. Mereka buat perjanjian dengan polis, kalau mereka beri maklumat, hukuman mereka akan diringankan.

Mereka sanggup buat begitu di akhirat kelak. Perkara ini takkan dilakukan begitu di dunia. Kerana takkan ibubapa hendak mencelakakan anak sendiri pula, bukan? Ibu bapa yang normal sampaikan sanggup menyabung nyawa mereka untuk menyelamatkan anak mereka semasa di dunia. Kalau anak ditangkap, seorang ibu sanggup masuk penjara asalkan nak selamatkan anaknya.

Tapi lain jadinya apabila di akhirat kelak. Di akhirat nanti, emak pun sanggup nak jual anak. Begitulah teruknya keadaan di sana kelak. Ini kerana masing-masing setiap orang tak sanggup nak masuk dalam neraka. Sebab mereka sudah nampak neraka itu dan mereka terlalu ngeri dengan keadaan di neraka. Mereka akan cuba melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.

Dalam ayat ini, Hanya orang berdosa الْمُجْرِمُ sahaja yang disebut yang sanggup buat begitu. Sedangkan ahli syurga, mereka masih ingat dan hiraukan lagi keluarga dan kenalan mereka. Ada riwayat yang menyebut bagaimana mereka akan bertanya di manakah keluarga dan kenalan mereka. Mereka akan bertanyakan di manakah kenalan mereka kerana tak nampak pun mereka di syurga.


 

Maarij Ayat 12:

وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ

Sahih International

And his wife and his brother

Malay

Dan isteri serta saudaranya,

 

Bukan sahaja mereka yang kufur itu sanggup jual anak mereka sendiri untuk menebus diri mereka, tapi isteri dan saudara mereka yang lain pun mereka sanggup untuk jual. Padahal, semasa di dunia, pasangan hidupnya dan saudara maranya itu amat disayangi. Mereka sanggup buat segalanya untuk pasangannya itu.

Begitu juga, mereka akan pertahan saudara mara mereka apabila ada masalah atau diganggu oleh orang lain. Tapi, lain jadinya bila di akhirat nanti. Mereka sudah tidak kisah hubungan baik dengan isteri dan saudara mara yang lain. Yang mereka fikirkan waktu itu adalah untuk menyelamatkan diri sahaja.


 

Maarij Ayat 13:

وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ

Sahih International

And his nearest kindred who shelter him

Malay

Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

 

Kalimah فَصِيلَتِ adalah merujuk kepada ahli keluarga yang rapat. Iaitu suku sakat dia semasa di dunia dulu.

Perkataan فَصِيلَتِ dari katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘pecah’ – bermaksud pemecahan manusia. Manusia berpecah-pecah ikut puak, ikut suku dan sebagainya. Puak adalah kumpulan yang besar dan suku pula adalah pecahan yang lebih kecil di dalam puak yang besar. Oleh itu, kalimah فَصِيلَتِ bermaksud sukunya yang paling rapat dengannya.

Dulu kaum kerabat suku dialah yang selamatkan dia semasa di dunia jikalau dia ada masalah. Merekalah yang menanggung hidupnya dulu. Mungkin dulu dia susah semasa di dunia dan merekalah yang menyelamatkannya. Sepatutnya kenalah dia berbuat baik pula kepada mereka, bukan? Tapi di akhirat nanti dia sanggup nak menebus dirinya dengan beri mereka itu masuk neraka.


 

Maarij Ayat 14:

وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Sahih International

And whoever is on earth entirely [so] then it could save him.

Malay

Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

 

Kalau boleh seluruh penduduk dunia dia nak jual. Kalaulah dengan melakukan sedemikian akan boleh menyelamatkan dirinya dari dimasukkan ke dalam neraka, dia pasti akan buat.

Balaghah: Takdim wa ta’khir. Ada yang didahulukan dan ada yang dikemudiankan. Kenapa? Lihatlah bagaimana susunan dalam ayat ini dari ayat ke 11. Susunannya menjauh. Dimulakan dengan orang yang rapat dengan kita dahulu, iaitu anak. Kemudian paling jauh sekali – seluruh makhluk. Ini adalah kerana kalau kita nak tebus orang, kita mulakan dengan orang yang paling rapat dengan kita dahulu.

Sedangkan dalam Abasa:34, dimulakan dengan orang yang jauh, dan semakin mendekat dengan kita. Kerana dalam surah itu, ianya tentang perbuatan menjauh, jadi kita senang untuk menjauhkan diri dari orang yang tidak rapat dengan kita.

Sebagai contoh, kalau kita kena pindah, kita tidak kisah untuk pindah jauh dari orang yang tidak rapat dengan kita. Tapi kita tidak sampai hati untuk berpindah jauh dari orang yang rapat dari kita, bukan?


 

Maarij Ayat 15: Baik, telah disebut bagaimana orang kafir akan cuba untuk menyelamatkan diri mereka dengan menjual orang lain supaya dapat menebus diri mereka dari dikenakan dengan azab neraka. Mereka pasti akan buat, tapi adakah boleh diterima semua itu?

Ayat 15 – 18 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan keadaan api neraka. Ia adalah akibat buruk bagi orang yang bakhil.

كَلّا ۖ إِنَّها لَظىٰ

Sahih International

No! Indeed, it is the Flame [of Hell],

Malay

Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya,

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Perkataan كَلَّا ini menidakkan kehendak orang-orang berdosa itu yang mahu diganti dengan orang lain untuk menyelamatkan dirinya. Tidak akan diterima apa pun dari mereka. Walau apa pun yang akan digunakan untuk tebus dirinya. Walaupun dengan emas sebanyak bumi. Walaupun dia menebus dengan seluruh manusia!

 

إِنَّهَا لَظَىٰ

Sesungguhnya ia adalah api yang menjulang-julang,

Allah menyebut mereka akan dikenakan dengan api yang maraknya melampau. Api yang masuk menjulang-julang tinggi kerana amat panas. Ianya adalah api yang telah matang – telah lama membakar

Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah nama salah satu neraka.


 

Maarij Ayat 16: ِApakah sifat api itu?

نَزّاعَةً لِلشَّوىٰ

Sahih International

A remover of exteriors.

Malay

(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,

 

Api itu sangat panas sampai boleh menanggalkan kulit. Daging dan saraf pun akan hancur. Semua tubuh badan akan hancur tapi jantung akan kekal menderita. Alangkah menakutkan sekali!

Kalimah شَّوَىٰ adalah anggota badan yang kalau tiada, tidak membunuh seseorang. Sebagai contoh, kalau kaki dipotong, tidaklah mematikan orang. Api itu akan membakar semua anggota badan manusia itu, tetapi tidak membunuhnya.

Api itu akan membakar hangus kulit dan kulit itu akan diganti balik untuk dibakar semula. Ini telah disebut dalam Nisa:56

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kenapa Al-Qur’an menyebut kulit secara spesifik? Kerana kajian menunjukkan bahawa kulitlah yang merasa kesakitan dan kepedihan. Ini adalah kerana deria rasa itu ada pada kulit.

Orang dahulu tidak tahu, tapi setelah kajian sains membongkarnya, nampaklah bagaimana kehebatan sains yang terdapat pada Al-Qur’an. Al-Qur’an tidak bercanggah dengan penemuan sains. Maka ini adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an yang membuktikan memang Al-Qur’an ini dari Allah.


 

Maarij Ayat 17:

تَدعو مَن أَدبَرَ وَتَوَلّىٰ

Sahih International

It invites he who turned his back [on truth] and went away [from obedience]

Malay

Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),

 

Allah sudah tahu siapa ahli neraka. Ini adalah satu fahaman akidah ahli sunnah. Tidaklah Allah letakkan manusia di dunia untuk melihat sama ada mereka akan buat baik atau tidak. Allah sudah tahu apa yang jadi kepada mereka. Ini adalah kerana ilmu Allah yang amat luas.

Perumpamaannya seperti seorang guru yang sudah tahu siapa yang akan lulus dan siapa yang akan gagal dalam peperiksaan. Ini kerana guru sudah dapat lihat perangai dan pencapaian anak muridnya. Ia berdasarkan ilmu dan pengalaman guru itu. Kalau guru pun boleh tahu apatah lagi Allah? Tetapi sebagaimana guru itu tidak mahu anak muridnya gagal, begitulah Allah tidak mahu makhlukNya masuk neraka. Cuma Allah sudah tahu siapa yang akan masuk neraka.

Tapi bagaimana kita boleh agak siapakah ahli neraka? Dari perangai manusia kita sudah boleh agak. Kita memang tidak pasti tapi kita boleh agak. Kerana ahli neraka mudah buat amalan ahli neraka. Jadi, kalau kita mudah sahaja buat dosa, kita kena beringat-ingat. Ditakuti kita ini adalah ahli neraka.

“Tidak ada makhluk yang bernafas kecuali Allah telah menentukan tempatnya di syurga atau neraka, telah dituliskan celaka atau bahagia.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kita berpegang dengan ketentuan tersebut dan meninggalkan amal?” Baginda menjawab, “Bekerjalah kalian dan setiap orang akan diberikan kemudahan sesuai dengan apa yang diciptakan baginya. Adapun orang-orang yang berbahagia akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan kebaikan dan orang-orang celaka akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan yang akan membawanya kepada kecelakaan.” – HR Bukhari.

Mungkin ramai yang susah hendak terima ketetapan takdir itu. Kita kena ingat yang kita sebagai manusia mempunyai takdir-takdir yang telah ditetapkan untuk dirinya.

1. Takdir kita telah ditentukan sebelum kita dijadikan lagi. Ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz

وَعِندَهُ ۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَ‌ۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ‌ۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ۬ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٍ۬ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٥٩

“Dan di sisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” Al-An’am:59

2. Taqdir kita ditentukan sekali lagi apabila persenyawaan sperma dan ovum. Ini terjadi pada hari ke 40.

Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud melaporkan; “Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan baginda adalah orang yang benar dan dibenarkan, ‘Sesungguhnya penyempurnaan penciptaan kamu berlaku di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat, lalu ditiupkan roh padanya. Kemudian diperintahkan supaya menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selain –Nya, sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” – HR Bukhari dan Muslim.

3. Pada Malam Qadr telah ditentukan taqdir kita tahun itu.

تَنَزَّلُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم مِن كُلِّ أَمرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Kita kena terima perkara yang telah ditentukan kepada kita. Yang penting, kita jangan mendahului Qadr. Jangan kita berlagak yang kita sudah tahu apa yang akan terjadi. Ramai yang sebelum cuba untuk buat sesuatu, sudah kata mereka tak boleh buat.

Contoh, selalunya kalau orang yang kalau sudah tua, mereka akan kata yang mereka sudah tak boleh nak hafal Al-Qur’an lagi. Atau ramai yang kata mereka takkan faham agama sebab mereka orang tak pandai. Semua itu mereka belum cuba lagi, tapi mereka sudah tahu keputusan. Inilah maksudnya mereka ‘mendahului takdir’. Allah tak suka kalau kita buat begitu. Itulah sebabnya ada hadis Nabi yang mengatakan akan terbatas doa kalau kita kata kita sudah doa, tapi Allah tak bagi pun.

Dalam ayat ini, disebut yang Neraka akan memanggil penghuninya. Tapi bagaimanakah caranya – bagaimana mereka yang dipanggil itu boleh faham? Manusia akan faham kerana mereka akan dipanggil dengan bahasa yang boleh difahami oleh mereka yang dipanggil. Neraka akan memanggil ‘nama’ orang itu – disebut seorang satu persatu.

Ada juga yang berpendapat ayat ini bermaksud yang Neraka akan kutip mereka yang akan menjadi penduduknya. Iaitu neraka sendiri akan sambar ahli neraka. Bagaimana caranya, kita tidak tahu.

Mereka itu dimasukkan ke dalam neraka kerana dulunya semasa di dunia, mereka berpaling dari agama. Dulu mereka boleh lari dari agama, tapi nanti mereka tidak boleh lari dari neraka, kerana neraka akan panggil mereka, atau neraka akan tarik mereka sendiri!


 

Maarij Ayat 18:

وَجَمَعَ فَأَوعىٰ

Sahih International

And collected [wealth] and hoarded.

Malay

Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).

 

Ini adalah sifat ahli neraka – Mereka dulu semasa di dunia akan kumpul harta banyak-banyak dan simpan harta itu. Mereka sibuk kumpul harta dan suka mengira-ngira harta itu.

Maksud ‘simpan’ dalam ayat ini adalah kumpul dan tidak mengeluarkannya untuk beri nafkah dan zakat. Mereka juga simpan dengan tidak beri sedekah. Sampaikan mereka selalunya akan sorok supaya orang lain tak nampak yang mereka ada harta. Kerana mereka rasa, kalau orang lain nampak, mereka akan meminta harta mereka itu.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan simpan sangat harta sampai tak beri kepada yang berhak. Ingatlah yang harta kita banyak kerana ada bahagian orang lain. Tentang sedekah dan infak ini banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain dan kita tidak mahu mengulanginya di sini.


 

Maarij Ayat 19: Ayat menyebut tentang sifat manusia. Ayat 19 – 35 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan azab pedih untuk kapitalis bakhil.

إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا

Sahih International

Indeed, mankind was created anxious:

Malay

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); –

 

Allah memberitahu tabiat manusia dalam ayat ini. Sifat manusia memang telah dijadikan dan tidak boleh dinafikan yang ianya ada pada diri kita. Ini adalah sifat semulajadi. Salah satunya adalah sifat resah gelisah tidak keruan. Ini adalah akhlak yang tidak baik kerana ia adalah sifat orang yang tidak sabar.

Ini ada kena mengena dengan sifat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang sifat ahli neraka yang kedekut. Mereka kedekut sebab mereka takut jatuh kerugian. Mereka takut ada satu masa nanti yang mereka akan jatuh susah dan mereka rasa resah gelisah kalau mereka jatuh miskin dan susah. Maka mereka nak kumpul harta mereka banyak-banyak, supaya kalau mereka jatuh nanti, mereka ada tabung.

Kebanyakan manusia, dalam perkara kecil pun rasa resah gelisah. Ramai yang selalu membesar-besarkan perkara yang kecil. Inilah sifat manusia yang tidak baik. Memang Allah telah menjadikan manusia bersifat begini sebagai ujian. Begitulah yang terjadi kalau tidak ditarbiyah dengan wahyu ilahi.

Akan tetapi, walaupun kita tahu yang memang Allah telah meletakkan sifat ini dalam diri manusia, tapi hendaklah kita ingat yang ini tidaklah bermakna kita kena terima sahaja sifat itu. Sebaliknya kita kena tahu yang kita kena baiki diri kita.

Sebagai contoh, mungkin telah Allah lahirkan kita dengan sifat buruk – pemarah. Tidaklah bermakna kita terima sahaja sifat itu dan kata: “nak buat macam mana, Allah sudah bagi aku jadi begini”. Ini adalah pendekatan yang salah. Kita kena baiki diri kita ke arah kebaikan. Kerana Allah juga telah berikan kita dengan kekuatan untuk melawan sifat buruk itu. Kita kena terima yang sifat buruk itu adalah ujian kepada manusia.

Mereka yang bersifat هَلُوعًا tidak tetap dengan satu keadaan. Mereka akan tergesa-gesa buat keputusan. Sebagai contoh, mereka tidak sabar dalam buat keputusan dalam membeli barang. Nampak sahaja benda yang mereka suka, mereka terus ambil dan bayar sahaja.

Mereka tidak fikirkan sama ada mereka perlukan barang itu atau tidak. Mereka inilah yang senang terpedaya dengan iklan-iklan di televisyen dan media massa. Mereka itu membazir sahaja dengan duit mereka. Hasilnya, mereka tidak ada wang lagi untuk berikan kepada orang lain. Kerana itu mereka akan jadi kedekut.


 

Maarij Ayat 20: Allah jelaskan lagi sifat هَلُوعًا

إِذا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزوعًا

Sahih International

When evil touches him, impatient,

Malay

Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;

 

Apa sahaja kesusahan yang ditimpakan padanya, dia akan bimbang. Risau sahaja dengan nasibnya. Sampaikan macam nak tercabut jantung kerana melampau keresahan.

Ini pun dari sifat tidak sabar dengan qadr yang Allah telah tentukan. Dan bukan sahaja tidak sabar, mereka tunjukkan juga sifat tak sabar itu – orang yang melihat mereka tahu yang mereka sedang bimbang dan tidak keruan.

Orang yang sebegini akan senang untuk putus asa. Perbuatan mereka itu macam tidak ada hari esok pula. Mereka sudah tidak nampak kebaikan yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal kebaikan sentiasa datang. Allah beri kesusahan selalunya sekejap sahaja. Tapi mereka keluh kesah terlebih-lebih sangat.

Manusia sepatutnya kena baik sangka dengan Allah. Mereka kena lihat sifat rahmah pada Allah. Mereka juga kena ingat entah berapa banyak kebaikan yang Allah telah berikan kepada mereka dan kebaikan yang Allah tentu akan beri kepada mereka.

Tapi begitulah sifat manusia: mereka akan persoal kenapa keburukan kena padanya. Mereka akan menangisi nasib malang mereka dan berkata: “Kenapalah Allah buat aku jadi begini…. apa salah aku?”. Dan berbagai lagi kata-kata mereka yang tidak elok. Tidak elok kerana mereka seperti sangka buruk dengan Allah.


 

Maarij Ayat 21: Sebelum ini disebut apa yang terjadi kepada mereka kalau nasib buruk diberikan kepada mereka. Sekarang, apa pula tindakan mereka kalau mereka dapat kebaikan?

وَإِذا مَسَّهُ الخَيرُ مَنوعًا

Sahih International

And when good touches him, withholding [of it],

Malay

Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia menahan;

 

Kalimah مَنُوعًا bermaksud ‘tahan’. Masa dia susah, dia berharap kepada orang lain. Mereka akan minta tolong ke sana dan ke sini. Semua orang dia akan telefon dan jumpa untuk minta tolong. Dan mereka akan marah kalau orang tak tolong mereka. Tapi, bila dia sendiri ada kesenangan, dia kedekut dan tak mahu tolong orang lain. Sampaikan hak orang lain pun dia tidak berikan (zakat contohnya) kerana dia tahan pada dirinya.

Seperti telah disebut sebelum ini, dia sampai tak tunjuk apa yang dia ada sebab dia takut orang miskin nampak dan minta darinya. Dia akan suruh isterinya sorok barang kemas, makanan yang sedap-sedap dan sebagainya. Mereka berlagak susah supaya orang lain tak minta tolong kepada mereka.

Maka, itulah dua sifat yang kalau kita perhatikan, terdapat pada kanak-kanak. Kanak-kanak memang sifat semulajadi mereka adalah tidak sabar dan kedekut. Kita pun telah sebut sebelum ini yang memang Allah jadikan manusia macam itu.

Tapi, kalau kanak-kanak munasabahlah kalau mereka begitu, tapi takkan sudah dewasa pun masih macam itu lagi? Seperti kita telah sebutkan, dua sifat itu Allah jadikan sebagai ujian untuk manusia. Kita kena berusaha untuk menghilangkan sifat yang buruk itu.


 

Maarij Ayat 22: Bagaimanakah cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan dua sifat buruk itu? Allah ajar kita dalam ayat seterusnya ini.

إِلَّا المُصَلّينَ

Sahih International

Except the observers of prayer –

Malay

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang –

 

Dengan mengerjakan solat, dapat menyelamatkan kita dari dua sifat buruk yang telah disebut sebelum ini. Perkataan الْمُصَلِّينَ dari segi bahasa bermaksud ‘sentiasa solat’. Iaitu mereka yang menjaga solat mereka – bukan sekali sekala sahaja solat, bukan solat ikut suka dan ikut bila ada masa.

Bagaimanakah solat boleh menyelamatkan kita dari dua sifat buruk itu? Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang sifat tidak sabar. Oleh itu, perbuatan Solat mengajar kita untuk sabar. Oleh itu, Solat sebenarnya adalah ubat kepada sifat buruk itu.

Mereka yang sentiasa mengerjakan solat, menjaga solat mereka, Allah akan pelihara dan beri taufik kepada mereka. Allah akan masukkan sifat-sifat yang baik dalam diri kita. Oleh itu, janganlah kita sombong kalau kita orang baik. Kerana sifat yang baik itu pun diberi oleh Allah juga, bukan dari diri kita sendiri.

Sebaliknya, kenalah kita bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan kita begitu. Allah beri ajaran dan nasihat kepada kita dengan macam-macam cara. Sebagai contoh, mungkin Allah berikan kita dengan kawan-kawan yang menguji kesabaran kita yang menjadikan kita seorang yang penyabar.

Orang yang menjaga solat akan sentiasa ingat kepada Allah. Dengan melakukan solat, dia telah berlatih untuk menyedari bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Apabila kita sedar yang Allah sedang memerhatikan kita, tentulah kita takut untuk melakukan dosa.

Orang yang solat, tapi masih mempunyai perangai buruk adalah kerana dia tak faham apakah makna solat itu. Mereka solat sebab lain – sebagai contoh, ada yang solat sebab nak dapat rezeki – mereka takut kalau mereka tak solat, Allah tidak beri rezeki kepada mereka. Itu adalah motivasi yang salah. Mereka ingin supaya Allah sayang mereka dan pada mereka, apabila Allah sayang, tentulah Allah beri rezeki.

Ini pun salah konsep juga, kerana rezeki yang banyak bukanlah tanda Allah sayang – tidak semestinya begitu. Lihatlah bagaimana banyak orang-orang yang alim, malah para Nabi sendiri, banyak yang miskin. Oleh itu, ingatlah jangan solat untuk dapat rezeki.

Oleh itu, kenapa kita solat? Kita kena tahu apakah sebab kita solat. Ada tiga sebab:
1. Supaya kita menjadi dekat dengan Allah. Apabila kita dekat dengan Allah, Allah akan sayang kepada kita dan kita inginkan kasih sayang Allah ini.

2. Supaya membersihkan diri kita dari dosa. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang mengatakan solat itu macam mandi sungai yang dapat membersihkan kita dari kekotoran.

DIRIWAYATKAN daripada Hazrat Abu Hurairah r.a katanya, “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah lagi kekotoran (pada badannya)?

Para sahabat menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikit pun kekotoran,”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka demikianlah juga solat lima waktu, melalui solat Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa,” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

3. Supaya melatih diri kita menyedari yang Allah sedang memerhatikan kita sentiasa. Dalam solat, kita kena khusyuk kerana kita sedang berhadapan dengan Allah. Apabila kita sedar Allah melihat kita sentiasa, kita akan takut untuk buat dosa. Itulah maksud ayat Ankaboot:45

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;

Jadi, kerana tidak faham konsep solat, maka ada kemungkinan ada orang yang solat tapi masih mempunyai perangai teruk dan sentiasa melakukan dosa.

Dalam solat, kita juga sepatutnya mengambil peluang untuk tadabbur ayat-ayat Al-Quran. ‘Tadabbur’ bermaksud kita tahu dengan mendalam sesuatu perkara itu. Katakan kita lihat satu bangunan. Mungkin kita sudah biasa lihat bangunan itu dari bahagian depan. Tetapi ‘tadabbur’ bermaksud semua bahagian bangunan itu kita tahu – depan dan belakang sekali.

Oleh itu, ‘tadabbur Al-Quran’ bermaksud kita bukan membaca sahaja ayat-ayat Al-Quran, tetapi kita cuba memahami maksud ayat yang dibaca. Perkataan ‘Tadabbur’ itu dari katadasar د ب ر yang bermaksud ‘belakang’. Apabila kita tadabbur Al-Quran, kita mencari pengajaran di belakang atau di sebalik ayat itu. Kita mencari apakah pengajaran ayat itu kepada kita.

Jadi, kembali kepada solat. Dalam solat, kita tadabbur ayat-ayat Al-Quran. Bukankah dalam solat kita akan membaca Al-Quran dan inilah peluang untuk kita tadabbur ayat-ayat Al-Quran yang kita baca itu. Proses tadabbur memerlukan konsentrasi dan dalam waktu solatlah kita paling boleh menumpukan perhatian kerana waktu itu kita tidak melakukan apa-apa kerja lain melainkan solat sahaja.

Kita tidak sepatutnya memikirkan kerja, keluarga dan lain-lain. Allah sudah buatkan kepada kita satu masa setiap hari yang kita tak buat kerja lain langsung waktu itu dan tidak fikirkan perkara lain. Itulah solat lima waktu sekurang-kurangnya.

Jadi sebelum mula solat, ingat balik apa sebab kita nak solat itu. Jangan terbawa perkara dunia dalam solat. Oleh itu, jangan salah anggap yang kita kena solat atas sebab-sebab yang lain. Kalau hendak berdoa pun, tidak perlu solat dulu. Itulah sebabnya, ‘Solat Hajat’ tidak ada. Memang ada hadis dhaif dalam Sunan Tirmizi tentang ‘hajat’.

Tetapi, kita kena faham yang hadis itu mengajar tentang ‘doa’, bukannya tentang solat. Tidak ada gandingan doa dengan perkara lain – tidaklah kena solat dulu baru boleh doa. Ini sama dengan istikharah. Hadis tentang istikharah itu mengajar bagaimana berdoa. Nabi mengajar apa yang perlu diucapkan dalam doa itu. Sama juga dengan istisqa’.

Tidak semestinya perlu solat untuk minta hujan kerana ada masa Nabi tak solat untuk minta hujan – Nabi terus doa sahaja. Allah tidak pernah letakkan syarat untuk doa kepadaNya. Walaupun begitu, memanglah molek kalau kita solat dahulu sebelum kita berdoa. Kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan ibadat dan kebajikan.

Yang penting dalam berdoa, Allah nak kita berharap dengan Dia sahaja. Doa lebih makbul apabila waktu kita tidak berharap kepada lain dari Allah. Waktu itu, hati kita bulat hanya minta kepada Allah. Yang penting, kita kena doa sahaja. Tidak ada syarat khusus untuk berdoa kepada Allah, sehinggakan orang bukan Islam pun boleh berdoa kepadaNya.


 

Maarij Ayat 23:

الَّذينَ هُم عَلىٰ صَلاتِهِم دائِمونَ

Sahih International

Those who are constant in their prayer

Malay

Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;

 

Maksudnya, mereka yang menjaga waktu solat. Apabila masuk waktu, mereka akan mengerjakan solat dalam waktunya. Setiap hari dan setiap waktu, dan bukannya solat bila suka sahaja, bila orang sekeliling solat sahaja. Mereka tidak tinggalkan solat walau sibuk macam mana pun. Mereka tetap mengerjakan solat dalam keadaan senang atau susah. Ramai yang senang solat semasa senang tapi susah solat ketika susah. Kerana itu ramai yang kalau sakit atau kena duduk di wad, seperti dapat ‘lesen’ tidak solat.

Juga bermaksud mereka yang menjaga kewajipan-kewajipan dalam solat. Ini perlu belajar tatacara solat Nabi. Janganlah hanya menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah rendah sahaja. Ramai yang tidak menambah ilmu mereka tentang solat. Sampai ke tua, pakai yang belajar masa sekolah rendah sahaja.

Oleh itu, banyak kekurangan yang mereka lakukan dalam solat mereka. Bukan sahaja kurang, tapi ada juga yang mereka tambah-tambah, contohnya, sapu muka selepas solat. Itu adalah perbuatan bidaah yang kita tengok merata-rata masyarakat kita lakukan.

Juga bermaksud menjaga diam dan khusyuk dalam solat. Menjaga khusyuk adalah satu keperluan. Seperti yang Allah firmankan dalam Mukminoon :1-2

قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خاشِعونَ

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

Khusyuk itu adalah seperti air yang tenang. Untuk mendapatkan khusyuk, wajib menjaga tumakninah. Jangan kelam kabut dalam solat tapi cubalah untuk solat dengan tenang. Tumakninah sebenarnya adalah rukun, bukannya sunat. Sebab Nabi pernah tegur seorang sahabat yang solat tidak betul kerana dia tidak menjaga tumakninahnya.

Tubuh mereka yang khusyuk dalam solat juga tenang tidak bergerak yang tidak patut. Orang yang solat sebegini akan menjadikan orang itu sabar. Barulah solatnya bermakna. Bukan pakai buat sahaja seperti melepaskan batuk di tangga.

Ayat ini juga bermaksud kalau mereka beramal ibadat, mereka akan berterusan melakukannya. Inilah yang dinamakan istiqamah. Itulah amal yang Allah paling suka. Walaupun sikit amalnya, tapi dia melakukannya berterusan. Itulah sunnah Nabi.


 

Maarij Ayat 24:

وَالَّذينَ في أَموالِهِم حَقٌّ مَعلومٌ

Sahih International

And those within whose wealth is a known right

Malay

Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum –

 

Dalam harta kita sebenarnya ada hak orang lain. Iaitu mereka yang memerlukan. Oleh itu, kita perlu memberi rezeki yang Allah berikan kepada kita kepada orang lain sama ada dalam bentuk zakat atau sedekah. Kita kena selalu memberi kepada mereka yang memerlukan.

Ayat ini turun pada zaman tidak ada hukum kewajipan zakat lagi. Tapi lihatlah bagaimana Abu Bakr selalu memberi kepada mereka yang memerlukan.

Juga bermaksud memberi kepada yang diperakui dalam tanggungan kita. Contohnya, kepada anak beranak dan mereka yang di bawah tanggungan kita.

Oleh itu, kalau ada yang minta sedekah, cubalah kita beri setakat yang kita mampu. Sekarang memang banyak yang minta sedekah di negara kita, lebih-lebih lagi di kedai-kedai makan. Memanglah ada sindiket, tapi kita tidak ditanya tentang itu – kita tidak disuruh tanya sama ada mereka terlibat dalam sindiket atau tidak – bagaimana kalau mereka memerlukan? Maka kalau kita beri kepada mereka dan memang mereka itu dalam sindiket, pahala sedekah itu tetap ada bagi kita.


 

Maarij Ayat 25: Siapakah yang perlu kita beri bantuan infak?

لِلسّائِلِ وَالمَحرومِ

Sahih International

For the petitioner and the deprived –

Malay

Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);

 

Nabi dan sahabat akan memberi kepada yang perlu dan meminta. Mereka tak tanya banyak dalam masa memberi sedekah dan infak itu. Tidaklah macam Pusat Zakat sekarang, tanya macam-macam kepada mereka yang datang untuk meminta wang zakat.

Kita kena sedar, kebanyakan orang amat segan untuk meminta. Mereka tentunya amat malu untuk datang kepada kita meminta pertolongan. Jadi, apabila mereka datang meminta, kita tahulah bahawa mereka telah fikir banyak kali sama ada hendak meminta atau tidak. Entah berapa lama mereka susun ayat sebelum datang berjumpa kita.

Selain dari mereka yang meminta, ada juga yang tertahan rezeki mereka. Tapi mereka tidak datang meminta. Atau mereka yang tertahan mendapat rezeki kerana perniagaan rugi, atau tanaman mereka rosak. Mereka tidak meminta minta. Bukan dia tidak ada harta tapi tertahan. Macam disebut alam ayat Waqiah:67

بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ

“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) “

Dalam ayat ini, disebut mereka yang ‘meminta’. Bagaimana pandangan Islam tentang meminta-minta seperti Peminta Sedekah? Meminta-minta sebenarnya tidak baik dalam pandangan Islam. Ada riwayat hadis Nabi yang menyebut bagaimana orang yang meminta untuk menambah harta mereka itu adalah seperti mengambil batu arang.

Dibenarkan meminta hanya kepada mereka yang:

1. Berhutang dan dia tidak mampu bayar. Sebagai contoh, dia jadi penjamin dan dia kena bayar.
2. Harta mereka musnah disebabkan oleh bencana.
3. Memang mereka itu orang yang miskin dan disaksikan oleh tiga orang yang mengatakan mereka itu benar-benar miskin.

Itulah tiga golongan yang telah disebut boleh meminta. Kalau selain dari itu, tidak dibenarkan (tidak digalakkan) dalam Islam. Maka ayat ini tentang meminta yang dibenarkan.

Golongan مَحْرُومُونَ ini tidak meminta minta. Mereka tidak meminta kepada manusia tapi sebenarnya mereka telah merayu kepada Allah. Maka kita yang kena tahu keperluan mereka dan memberi bantuan tanpa diminta oleh mereka. Jadi itu maksudnya kita kena ambil tahu dengan apa yang terjadi dengan orang di sekeliling kita. Tidak kira sama ada mereka Muslim atau tidak. Kerana ayat ini tidak kata kepada orang Islam sahaja kita kena tolong.

Yang disekat itu juga adalah mereka yang tidak layak mendapat bantuan dari Baitulmal. Kerana mereka sebenarnya ada kerjaya. Tapi tak cukup untuk menampung keperluan mereka. Ada orang yang Allah telah takdirkan dia takkan kaya. Tapi sifatnya, dia tidak minta dengan orang.

Atau termasuk mereka yang hilang hartanya. Mereka yang sebegini, kita kena perhatikan. Kita kena tolong mereka juga.


 

Maarij Ayat 26:

وَالَّذينَ يُصَدِّقونَ بِيَومِ الدّينِ

Sahih International

And those who believe in the Day of Recompense

Malay

Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);

 

Mereka percaya kepada janji Allah dan Nabi tentang syurga, neraka, Mahsyar, Akhirat dan sebagainya. Mereka percaya dengan benar-benar yakin. Oleh kerana itu, mereka tidak gelisah kerana mereka serahkan hal keadaan mereka kepada Allah semata-mata.

Dan apabila seseorang itu benar-benar percaya dengan Hari Pembalasan, tentulah dia akan memberi kesan kepada kehidupan orang itu. Dia benar-benar mengharap kepada pembalasan di akhirat nanti. Sampaikan kalau kakinya tercucuk duri pun tidak akan mengadu atau menjerit marah, kerana dia tahu bahawa kesakitannya itu akan dibalas dengan pahala di akhirat nanti. Ini seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Dari [Abu Hurairah] dari Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

Sahih Bukhari (5210)

Dia juga akan banyak memberi sedekah kerana dia yakin bahawa pemberian sedekah itu nanti akan dibalas di akhirat.

Oleh itu, kepercayaan kepada Hari Pembalasan akan menjadikan seseorang itu sabar dan pemurah. Oleh itu kepercayaan yang yakin kepada Hari pembalasan akan menghilangkan dua sifat buruk manusia telah disebut sebelum ini – tidak sabar dan kedekut. Kerana mereka sanggup luangkan dua aset penting manusia – masa dan harta. Iaitu apabila kita solat dan sedekah.

Kepercayaan kepada Hari Pembalasan ini adalah benar. Oleh itu, amat pelik bila ada yang tak mahu balasan pahala dan syurga. Kononnya tak mahu ganjaran itu sebab mereka melakukan amal ibadat dengan ikhlas. Itu adalah ajaran yang salah dan selalunya disampaikan oleh golongan sufi yang jahil wahyu.

Tidak salah untuk mahukan syurga. Kita pun tahu yang kita manusia ada nafsu. Semua manusia mahukan kesenangan dan Allah majukan kehendak manusia itu kepada balasan syurga.


 

Maarij Ayat 27:

وَالَّذينَ هُم مِن عَذابِ رَبِّهِم مُشفِقونَ

Sahih International

And those who are fearful of the punishment of their Lord –

Malay

Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, –

 

Azab yang dimaksudkan itu boleh jadi azab akhirat atau azab di dunia.

Sebelum ini telah disebut sifat mereka yang menjaga solat dan memberi infak. Tapi lihatlah bagaimana walaupun mereka telah melakukan amal-amal kebaikan yang banyak seperti solat dan memberi sedekah, tapi mereka masih juga takut. Kenapakah mereka takut?

Kerana mereka tahu bahawa amal-amal kebaikan yang mereka lakukan masih tidak cukup untuk membalas nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka. Mereka tahu bahawa segala amal kebaikan mereka itu tidak dapat memastikan yang mereka akan dapat masuk ke dalam syurga. Kerana manusia tidak masuk ke dalam syurga disebabkan oleh amal ibadat.

Jadi, walaupun mereka berbuat kebajikan, mereka masih lagi takut seperti yang disebut dalam Mukminoon: 60

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم راجِعونَ

Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;

Mereka juga takut kerana mereka tidak pasti sama ada amal ibadat dan amal kebaikan yang mereka lakukan itu diterima Allah atau tidak. Mereka takut hendak bertemu dengan Tuhan mereka kerana mereka tidak pasti. Bagaimana kalau amalan mereka itu tidak seperti yang Allah kehendaki? Bagaimana kalau mereka tidak ikhlas dalam amalan mereka itu? Kerana kalau amalan tidak ikhlas, ianya tidak diterima.

Begitulah sifat orang mukmin: walaupun banyak amal, mereka rasa sikit sahaja amal itu. Rasa tak cukup sahaja dengan apa yang mereka telah lakukan. Berlawanan dengan mereka yang tidak mukmin – amal mereka sikit sahaja sebenarnya, tapi mereka rasa banyak sudah mereka buat. Buat sikit, tapi bangga yang lebih.

Ini penting kerana salah satu dari talbis Iblis adalah ghurur. Iaitu sangka yang amalan mereka banyak dan rasa selamat dengan amalan mereka. Maka kena jaga hati dan minda kita dari talbis Iblis ini.

Mereka bukan hanya takut untuk diri mereka sahaja tapi takut untuk orang lain juga. Kita patut risaukan nasib orang lain di akhirat juga. Allah ajar kita bersedekah kepada orang lain kerana kita hiraukan mereka, bukan? Tapi itu tentang kesenangan di dunia. Tidakkah kita kisahkan tentang kesenangan mereka di akhirat juga? Takkan dunia sahaja kita hendak mereka selamat?

Oleh itu, hendaklah kita memberi peringatan kepada orang di sekeliling kita tentang agama dan menjaga agama. Jangan kita ingat nak lepaskan diri kita sahaja. Maka, kita kena jalankan kerja dakwah dan memberi peringatan kepada manusia. Kalau kita sayang orang-orang di sekeliling kita, sepatutnya kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan, bukan?

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Januari 2024


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Maarij Ayat 1 – 10 (Laluan di Langit)

Pengenalan

Tauhid dalam berkat surah mulk
Dakwa Surah Maarij ialah menafikan syirik dalam mencari berkat.

Surah ini menceritakan tentang kepentingan ibadah dan kepentingan mengerjakannya. Dalam kita berdakwah dan menjalani kehidupan dunia, jangan tinggalkan ibadah kepada Allah. Ada orang yang tekankan kepentingan akhlak sahaja tanpa mementingkan ibadah. Ada yang kata, ‘tidak mengapa, asalkan hati baik’. Itu tidak cukup. Kena ada keseimbangan antara akhlak dan ibadah kita.

Ia juga menekankan kepentingan melakukan dakwah. Ada yang sangka apabila sudah cukup ilmu baru nak menjalankan dakwah. Tapi itu tidak akan terjadi – tidak ada orang yang akan ada rasa ‘cukup ilmu’. Kita kena mencari ilmu sentiasa, kerana ilmu tidak akan habis dipelajari. Kita kena berusaha untuk tingkatkan diri kita.

Tapi jangan tunggu kita sudah tahu semua baru nak dakwah. Nabi tak tunggu semua ayat Al-Qur’an turun baru baginda ajak umat kepada Islam, bukan? Apa sahaja yang kita sudah tahu, kita kena terus beritahu kepada orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna. Oleh itu, jangan salah faham yang kita kena tunggu sudah sempurna habis belajar baru boleh ajak orang lain kepada agama.

Surah ini juga mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan Al-Qur’an. Kena tautkan diri kita dengan Al-Qur’an sentiasa. Sentiasalah membaca dan mengkajinya (tadabbur) dan dalam masa yang sama, terus melakukan ibadah.

Kita yang sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an ini pun, tentulah tidak boleh mengaku yang kita telah sempurna atau kita telah melakukan semua ajaran dan anjuran dalam Al-Qur’an ini. Kita amalkan sebanyak mungkin yang kita mampu dan terus berusaha untuk mengamalkan mana yang kita tidak amalkan lagi. Kerana kita ini semuanya manusia dan memang akan ada perkara yang kita lalai dan lupa untuk lakukan.

Tapi, kalau kita sentiasa membaca dan tadabbur Al-Qur’an, Al-Qur’an ini akan sentiasa mengingatkan kita dengan perkara-perkara yang kita perlu lakukan. Kalau kita selalu baca, barulah perasan ada perkara yang kita tertinggal atau terlupa lakukan. Kalau sekali sekala sahaja baca, macam mana nak tahu?

Maka surah ini mengandungi banyak ayat-ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan kita melakukan syirik dan dosa. Maka kena selalu baca ayat-ayat sebegini untuk menjauhkan kita dari melakukan dosa.

Dan syirik yang disentuh dalam surah ini adalah Syirik dalam Berkat. Ini adalah kerana ada salah faham manusia yang besar tentang Berkat. Dan yang salah faham ini termasuklah umat Islam yang jauh dari ajaran wahyu. Allah hendak tekankan bahawa berkat itu milik Allah sahaja dan hanya boleh diminta dariNya sahaja.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu bahawa Kiamat semakin mendekat. Ayat 1 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi.

سَأَلَ سائِلٌ بِعَذابٍ واقِعٍ

Sahih International

A supplicant asked for a punishment bound to happen

Malay

Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku,

 

Kalimah سَأَلَ dari segi bahasa boleh bermaksud ‘tanya’ atau ‘minta’. Bila ditambah dengan huruf jarr ba’ seperti dalam ayat ini – بِعَذَابٍ – ia membawa maksud ‘meminta’. Begitulah bahasa Arab, apabila terdapat huruf jarr, ia akan menjadikan sesuatu perkataan itu membawa peranan lain.

Orang yang meminta itu adalah orang kafir. Kerana mereka bodoh, maka mereka minta azab dipercepatkan. Itu adalah sifat mereka dan ayat ini mengingatkan kita supaya jangan bersifat macam mereka. Jangan kita meminta dipercepatkan azab yang Allah telah janjikan.

Ada juga yang mentafsirkan سَائِلٌ (yang meminta) dalam ayat ini sebagai Nabi Muhammad. Iaitu baginda telah memohon dipercepatkan azab kepada orang kafir. Itu terjadi setelah lama baginda ditolak. Dan doa baginda itu dimakbulkan apabila Mekah dikenakan dengan kemarau yang lama. Sampaikan Abu Sufyan telah datang menemui Nabi supaya berdoa kepada Allah untuk menamatkan kemarau itu. Ini adalah satu pendapat.

Seperti yang kita telah sebut, kebanyakan tafsir menyatakan orang yang meminta disegerakan azab dalam ayat ini adalah orang kafir Mekah. Dalam ayat ini, orang yang meminta itu telah meminta dipercepatkan Hari Kiamat atau azab yang telah dijanjikan oleh Nabi Muhammad kepada mereka kalau mereka menolak agama Islam.

Permintaan mereka telah Allah nukilkan dalam ayat Anfal:32. Orang itu berani minta dipercepatkan Hari Kiamat itu sebab dia sendiri tidak percaya dengan adanya Hari Kiamat dan azab itu. Maka kononnya, dia minta nak lihat sendiri kejadian Hari Kiamat itu dengan matanya sendiri baru dia nak percaya.

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِن كَانَ هَٰذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِّنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Qur’an) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Maksudnya, mereka seperti berkata: “Kalau betul Hari Kiamat itu ada, kau bawalah Hari Kiamat itu sekarang, aku nak tengok betul ke tidak.” Begitulah kurang ajarnya mereka.

Kenapakah mereka berkata begitu? Sebab mereka sudah tiada hujah nak lawan dengan hujah yang Nabi bawakan. Mereka nak serang Nabi, akhlak Nabi memang sudah mulia dari dahulu. Nak serang Al-Qur’an, mereka sendiri boleh baca bagaimana hebatnya Al-Qur’an ini. Maka, ini adalah hujah terakhir mereka.

Mereka sangka, tentunya Nabi Muhammad tidak boleh membawakan azab itu, maka pada mereka, kalahlah hujah Nabi nanti. Inilah perangai buruk orang kafir. Oleh itu, janganlah kita minta perkara sebegini. Katakanlah kalau ada orang tegur kita – contohnya, dia kata, kalau kita tidak buat yang benar, nanti Allah akan turunkan azab pula nanti. Jangan pula kita minta supaya ditunjukkan azab itu. Bahaya kalau kita minta macam ini. Bagaimana kalau Allah terus beri azab itu?

Allah tidak semestinya beri apa yang diminta oleh manusia. Ini adalah kerana tidak semestinya kalau kita nampak kebenaran, kita akan terus beriman. Lihatlah bagaimana Iblis yang melihat sendiri kehebatan Allah dan kerajaan Allah yang agung, nampak malaikat dan nampak sekian banyak alam, tapi dia akhirnya jatuh kufur. Sebab itulah Iblis dikira sebagai kufur yang amat teruk kerana dia nampak sendiri kebenaran, tapi masih lagi kufur.

Tidak elok kalau kita hendak melihat sendiri kebenaran atau mukjizat dengan mata kita sendiri. Macam juga permintaan Nasrani yang minta diturunkan makanan dari langit. Allah boleh turunkan, tapi kalau selepas itu tidak beriman juga, amat bahaya untuk mereka.

Kerana tidak sama orang yang kufur tanpa melihat kebenaran dengan orang yang kufur apabila telah melihat kebenaran. Balasan azab yang dikenakan tidak sama. Kalau sudah nampak kebenaran, tapi masih tolak lagi, itu lebih teruk dan akan dikenakan dengan azab yang lebih berat.

Allah akan berikan dan tunjukkan kebenaran, tapi bukanlah atas permintaan manusia. Allah bukan boleh dipaksa-paksa. Oleh itu, kalau diminta kepada Nabi untuk ditunjukkan kebenaran, tapi Nabi tidak boleh tunjukkan, tidaklah merendahkan martabat Nabi atau Allah.

Makhluk tidak layak nak paksa Allah. Tak sesuai langsung kalau makhluk buat begitu. Takkan kita layak untuk minta Allah buktikan kekuasaanNya. Kalau dalam dunia, ini seumpama macam seorang pelajar suruh gurunya buktikan yang guru itu seorang guru. Tentulah tidak sesuai sama sekali.

Kalimah وَاقِعٍ bermaksud sesuatu yang pasti akan berlaku. Musyrikin Mekah telah meminta sesuatu yang akan berlaku pun kalau mereka tak minta. Tapi tidaklah azab itu akan diberikan di dunia, tetapi ianya akan diberikan di akhirat nanti.

Asbabun Nuzul ayat ini:

(An-Nadr ibn al-Harith was a famed poet of the Quraysh. In the early days of Islam, the leaders of the Quraysh tribe asked him to ridicule Muhammad whenever he was preaching in the public square. When the Prophet began to speak of God and His ancient prophets, an-Nadr would follow him and speak about the heroes and kings of Persia, saying, “By God, Muhammad can’’t tell a better story than I, and his talk is only of old fables that he’s copied, as have I.” An-Nadr’s harassment became so intense that the Prophet engaged some of his followers to recite poetry back at him. An-Nadr was unfazed and continued to ridicule the Prophet, even to the point of inciting people to do him and his followers physical harm. Many Muslims were tortured, and a few were killed partly due to an-Nadr’s prodding. He is the one mentioned here in this passage, having asked for the punishment of God in a mocking way. (Asbab ul-Nuzul) His actual statement is recorded in verse 8:32. When the pagans and Muslims fought at Badr in the year 624, two years after this revelation, an-Nadr was among those captured from the Meccans. Although the Muslims eventually freed their Meccan prisoners on payment of ransom or by letting literate pagans earn their way free by teaching people to read, an-Nadr was one of two men executed for their cruel incitement of the Meccans to harm the believers who were living among them. (Some reports say he was killed in the battle itself.) (Ibn Abi Hatim))


 

Ayat 2: Ini balasan kepada mereka yang ada fahaman syirik dalam berkat.

لِلكٰفِرينَ لَيسَ لَهُ دافِعٌ

Sahih International

To the disbelievers; of it there is no preventer.

Malay

Azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapa pun dapat menolak kedatangannya –

 

Tiada siapa boleh sekat azab itu apabila telah datang azab itu atau Hari Kiamat itu. Walau pun ada orang yang alim dalam kalangan manusia waktu itu, ia tetap akan berlaku. Kita katakan begini kerana sekarang ada yang kata, sebab wali itu dan ini, azab tak kena kepada negara kita atau sesuatu tempat itu.

Ketahuilah yang tidaklah Allah kena tahan azab kalau ada orang alim atau orang warak yang ada di kalangan manusia waktu itu. Kalau Allah hendak melambatkan, itu terpulang kepada Allah. Dan kalau Allah nak kenakan juga, maka tetap Allah akan kenakan.

Azab yang dijanjikan ini adalah kepada mereka yang mengamalkan syirik, terutama sekali syirik dalam berkat. Ada yang minta berkat daripada selain Allah. Ini syirik kerana meletakkan kedudukan makhluk seolah-olah seperti Allah pula.

Azab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah untuk orang kafir, tapi kalau ada orang yang beriman di kalangan mereka, pun boleh kena azab itu juga. Tapi orang yang beriman itu akan terkena azab yang di dunia sahaja. Di akhirat mereka akan terselamat. Sedangkan orang kafir akan berterusan menerima azab di akhirat kelak. Sudahlah kena azab di dunia, di akhirat pun mereka akan dikenakan dengan azab juga.


 

Ayat 3:

مِنَ اللَّهِ ذِي المَعارِجِ

Sahih International

[It is] from Allah , owner of the ways of ascent.

Malay

Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik –

 

Azab yang dimaksudkan itu adalah dari Allah. Maka ianya bukan azab yang main-main. Ianya bukan boleh dihalang atau dikurangkan.

Allah menyebut salah satu SifatNya dalam ayat ini. Iaitu Dia menguasai الْمَعَارِجِ. Apakah pula الْمَعَارِجِ itu? Kalimah الْمَعَارِجِ bermaksud ‘tempat naik’. Perkataan الْمَعَارِجِ adalah jamak kepada perkataan mi’raj yang rasanya semua kita tahu apakah maksudnya. Ia merujuk kepada ‘masa’ dan ‘tempat’ naik. Ia juga boleh merujuk kepada ‘cara’ dan ‘alat’ untuk naik ke atas.

Ada ‘laluan’ untuk naik menembus langit yang tujuh. Seperti yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad semasa baginda mi’raj ke langit. Begitu juga, laluan inilah yang digunakan oleh para malaikat untuk turun dan naik ke langit dari dunia. Siapakah yang memiliki dan menguasai ‘laluan’ ini? Itulah Allah.

Kita manusia tidak tahu tentang kewujudan laluan ini kalau Allah tidak beritahu. Dan kita setelah diberitahu pun, tidak dapat nak bayangkan bagaimana laluan itu.

Selain daripada digunakan oleh malaikat, amal manusia dan roh juga akan melaluinya. Iaitu roh manusia yang telah mati. Sampaikan ada riwayat menyebut bagaimana Malaikat akan sebut busuk atau wangi roh seseorang yang melepasi mereka.

Ada juga yang mentafsirkan perkataan الْمَعَارِجِ bermaksud ‘ketinggian’. Allahlah yang memiliki ketinggian yang tiada bandingan. Allahlah yang berada di kedudukan yang paling tinggi. Oleh itu, apabila Allah mengenakan azab, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang. Kerana Allah memberi arahan itu dari kedudukan yang paling atas.


 

Ayat 4:

تَعرُجُ المَلٰئِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ كانَ مِقدارُهُ خَمسينَ أَلفَ سَنَةٍ

Sahih International

The angels and the Spirit will ascend to Him during a Day the extent of which is fifty thousand years.

Malay

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

 

تَعْرُجُ الْمَلٰئِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ

Yang dinaiki oleh malaikat-malaikat dan Roh kepadaNya

‘Roh’ yang dimaksudkan itu adalah Jibrail. Kenapa pula Jibrail, bukankah malaikat telah disebut dan bukankah Jibrail itu salah seorang dari Malaikat? Ini adalah kerana kedudukan istimewa Jibrail. Iaitu Al-Qur’an telah mengkhususkan yang am. ‘Para Malaikat’ adalah am dan Allah khususkan nama Jibrail. Khusus sebab dia adalah makhluk yang hebat dan kerana kedudukan Jibrail amat tinggi.

Atau dalam ayat ini juga boleh bermaksud roh manusia yang telah mati. Roh manusia memang akan naik ke langit. Roh manusia yang baik akan kekal di langit dan kalau roh yang jahat akan dimasukkan balik ke dunia untuk menerima azab dalam kubur.

Kenapa para malaikat naik menemui Allah? Mereka naik untuk menerima arahan dan tugasan dari Allah. Selepas menerima arahan, mereka akan menjalankan tugas yang telah diberikan itu.

Inilah arahan-arahan dari Allah kepada malaikat yang cuba dicuri dengar oleh jin. Kerana selepas menerima arahan itu, para malaikat akan bertanya sama sendiri apakah perintah yang telah diberi kepada mereka masing-masing. Iaitu malaikat yang di bawah akan bertanya kepada para malaikat yang di atas. Mereka bertanya untuk memastikan arahan itu, kerana mereka begitu takut setelah menerima arahan dari Allah. Waktu para malaikat bercakap sesama mereka itulah jin memasang telinga mendengar perbualan para malaikat.

 

فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

dalam satu masa yang adalah tempohnya kadar selama lima puluh ribu tahun.

‘Lima puluh ribu tahun’ adalah untuk memberitahu kepada kita betapa jauh jarak laluan itu. Itulah jarak antara dunia dan langit ke tujuh. Begitu tinggi sekali. Dan Allah lebih tinggi kerana Allah di kedudukanNya yang lebih tinggi lagi dari langit.

Ayat ini menggunakan bilangan masa sahaja kerana kalau kita bincangkan jarak antara planet pun sudah tak pakai jarak kilometer tapi pakai berapa lama cahaya untuk sampai ke satu-satu planet.

Ayat ini juga boleh bermaksud hendak memberitahu kita bahawa satu hari di akhirat itu adalah selama lima puluh ribu tahun kalau menggunakan kiraan dunia. Kerana ‘hari’ di akhirat tidak sama dengan ‘hari’ di dunia. Hari di dunia menggunakan kiraan putaran matahari, dan matahari sudah tidak ada di akhirat nanti.

Jadi, berapa lamakah sebenarnya satu ‘hari’ di akhirat? Kalau dibandingkan kadarnya dengan hari-hari di dunia, satu hari akhirat bersamaan dengan lima puluh ribu tahun kiraan dunia.

Terdapat banyak pendapat tentang perkataan ’50 ribu tahun’ ini. Ini adalah antara beberapa pendapat tersebut:

1. Ianya adalah jarak antara Arash dan makhluk Allah yang paling rendah.

2. Tempoh kehidupan di dunia semenjak Allah cipta alam ini sampailah ke hari kiamat. Maknanya, usia alam ini adalah 50 ribu tahun.

3. Hari pemisah antara dunia dan akhirat. Walau bagaimana pun, ini adalah pendapat yang lemah.

4. Tempoh menunggu hisab nanti adalah selama 50 ribu tahun. Itulah lamanya kita kena menunggu di Mahsyar nanti sebelum mahkamah Allah dimulakan. Masa menghisab tidak lama, tapi masa menunggu permulaan hisab itu yang lama.

5. Tempoh menerima seksaan di Mahsyar. Iaitu kepada mereka yang dikenakan dengan seksaan. Sebagai contoh, ada riwayat dari hadis yang menyatakan, jikalau kita tidak memberikan zakat binatang ternak, binatang ternak itu akan memijak-mijak kita di akhirat kelak dan lamanya kejadian berlaku adalah selama 50 ribu tahun. Ayat sebelum ini pun tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka yang kufur, jadi dalam ayat ini diberitahukan berapa lamakah masa itu.

Tapi yang akan rasa susah dan lama itu adalah orang kafir dan engkar sahaja. Sedangkan orang yang beriman akan dimudahkan bagi mereka. Ada satu hadis tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا دَرَّاج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخدري قال: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ: {يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ} مَا أَطْوَلَ هَذَا الْيَوْمَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّهُ لِيُخَفَّفُ عَلَى الْمُؤْمِنِ حتى يكون أَخَفَّ عَلَيْهِ مِنْ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ يُصَلِّيهَا فِي الدُّنْيَا”

Imam Ahmad meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Husain ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi’ah, telah menceritakan kepada kami Darraj, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id Al-Khudri yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah ditanya mengenai makna firman-Nya: dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (Al-Ma’arij: 4) “Wahai Rasulullah, betapa lamanya hari tersebut.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sungguh akan diringankan bagi orang mukmin (lamanya hari tersebut) sehingga terasa lebih cepat baginya dari suatu salat fardu yang dikerjakannya di bumi.


 

Ayat 5: Ayat tasliah (pujukan).

فَاصبِر صَبرًا جَميلًا

Sahih International

So be patient with gracious patience.

Malay

Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.

 

Dalam ayat ini, Nabi Muhammad disuruh bersabar. Tujuan ayat ini untuk pujuk Nabi kerana Nabi sedang menerima tentangan dari kaumnya yang tidak mahu menerima Islam. Ini adalah peringkat awal semasa baginda mula berdakwah secara terang-terangan (4-6 Tahun Kenabian). Mereka telah tolak dan cabar baginda macam-macam, termasuk bertanya perkara yang baginda sendiri tidak boleh nak jawab. Ini merujuk kepada ayat pertama di mana mereka meminta dipercepatkan azab kepada mereka.

Dalam ayat pertama, telah disebut bagaimana orang-orang kafir tidak percaya kepada dakwah Nabi dan mereka mengejek dengan berkata: kalau Nabi benar, percepatkan azab yang baginda janjikan itu. Mereka sebenarnya sudah tiada hujah lain lagi, maka mereka guna cara ini.

Allah nak tekankan kepada baginda bahawa baginda berada dalam kebenaran. Dan hendaklah baginda bersabar dengan kata-kata jahil mereka yang menentang itu. Bukan sahaja Nabi Muhammad disuruh bersabar, tapi orang mukmin yang menyampaikan dakwah juga diajak untuk sabar. Ini adalah tasliah (pujukan) kepada semua orang mukmin dulu dan sekarang yang menjalankan kerja dakwah.

Disebut juga bagaimana orang kafir minta dipercepatkan azab dalam ayat Shura:18

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلَا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Ayat Shura:18 ini memberitahu kita bahawa orang mukmin sepatutnya takut dengan kedatangan kiamat itu. Tetapi, orang-orang kafir, kerana tidak percaya dengannya, meminta-minta supaya ianya dipercepatkan. Kalau mereka percaya, mereka tidak akan minta begitu.

Jadi ayat ke-5 Surah Ma’arij ini memujuk Nabi dan memberitahu yang hari akhirat akan datang tidak lama lagi, maka bersabarlah. Dan sabar yang dikehendaki dari adalah sabar yang جَمِيلًا – cantik. Apakah maksud ‘sabar yang cantik’?

Kecantikan adalah sesuatu perkara luaran yang apabila kita tengok sahaja, kita sudah tahu yang ianya memang cantik. Ini bermakna kesabaran yang dikehendaki adalah dari luaran lagi, sudah tidak nampak ketidaksabaran. Maknanya, jangan tunjukkan perasaan tidak sabar. Biar kalau orang lain nampak, mereka lihat kita biasa sahaja. Kita tidak merungut, tidak menangis dan sebagainya. Maka kalau kita sedang sedih, dan kita menangis, tidaklah boleh dikatakan itu sebagai صَبْرًا جَمِيلًا.

Ini mengajar kita bahawa seorang pendakwah memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Kerana banyak dugaan yang akan dihadapi dari orang-orang yang tidak mahu terima. Mereka ada yang buat tidak tahu dengan kata-kata kita, mengejek kita, mengutuk kita, cari salah kita, mencebik mulut kepada kita, memburukkan kita kepada orang lain, dan macam-macam lagi.

Semua itu memerlukan kesabaran yang tinggi untuk dihadapi. Kalau kita tidak boleh sabar, kita tidak sepatutnya berdakwah. Kerana kerja dakwah ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang boleh bersabar. Maka kena latih diri kita untuk sabar sahaja terima dugaan dari orang yang menentang. Mereka tolak, kita tetap senyum dan dakwah di hari lain pula.

Nabi Muhammad telah menerima tasliah dari Allah ini. Maka kerana itulah baginda terus melakukan dakwah kepada umat baginda. Kalaulah baginda makan hati dengan perbuatan umat baginda dan berhenti dari dakwah, apa jadi dengan kita?

Maka kita pun kena ikut contoh Nabi Muhammad dan para Nabi yang lain. Kalau dapat tentangan, jangan melawan, jangan tunjuk kita terkesan. Sebaliknya kita mengadu sahaja kepada Allah sebagaimana Nabi Nuh a.s. mengadu kepada Allah yang kita akan baca dalam Surah Nuh nanti. Dan buat banyak-banyak latihan senyum. Kalau orang kata apa-apa sahaja, lontarkan senyuman walaupun dalam hati sakit.

Dengan dapat bersabar, Allah akan bina sifat baik yang lain dalam diri kita. Allah akan tanamkan kekuatan istiqamah dalam diri kita. Ini dapat berlaku apabila kita mengadu kepada Allah sahaja.


 

Ayat 6: Bagaimanakah sifat orang kafir terhadap Hari Kiamat?

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا

Sahih International

Indeed, they see it [as] distant,

Malay

Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

 

Manusia tidak tahu langsung bilakah akan terjadinya kiamat. Dan begitu juga, manusia tidak tahu bilakah azab akan dikenakan kepada mereka. Kerana kalau azab datang, ianya akan datang dengan tiba-tiba.

Maka jangan terpedaya dengan sesiapa yang kata mereka tahu bilakah ianya akan terjadi. Macam kes Kalendar Maya dulu, sampai ada pula yang rasa mana tahu, kot-kot betul kiamat hari itu jatuh pada tahun 2012. Kemudian, ada juga ‘ustaz-ustaz’ yang entah dari mana, boleh pula buat agak-agak bilakan terjadinya kiamat itu. Itu adalah perbuatan orang kafir sahaja yang meneka-neka kiamat, bukannya orang Islam.

Kalau kita tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat itu, apa yang kita kena buat? Kita kena taubat setiap hari. Maka kena bersedia bila-bila sahaja terjadinya Kiamat itu. Jangan kita tangguh untuk bertaubat, tangguh nak buat kebaikan (dalam talbis iblis dipanggil taswif), tangguh nak buat amal ibadat.

Maka kita kena sedar yang Kiamat boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Itulah pegangan orang Mukmin. Tapi orang kafir rasa macam Kiamat tidak akan terjadi dengan segera. Mereka rasa jauh sangat Kiamat itu. Seolah-olah Kiamat itu macam tidak ada kena mengena dengan mereka. Sampaikan mereka tak nampak yang ianya akan terjadi, maka mereka tidak fikirkan hari kiamat itu. Sama ada mereka tidak percaya langsung atau mereka tidak yakin.

Mereka kononnya belajar sains dan melihat dunia ini dalam bentuk kajian yang telah dijalankan. Mereka kata alam ini akan hidup lama lagi. Tapi bukankah semakin kita belajar sains, semakin kita tahu yang dunia ini memang akan hancur akhirnya. Dunia tidak akan kekal sampai bila-bila. Ianya pasti akan hancur.

Sebagai contoh, kajian sains akan menunjukkan bagaimana matahari yang menyala terang itu tidak akan kekal sebegitu. Lama kelamaan ianya akan habis tenaga dan akan malap juga.


 

Ayat 7:

وَنَرىٰهُ قَريبًا

Sahih International

But We see it [as] near.

Malay

Sedang Kami memandangnya dekat,

 

Allah sendiri kata yang Kiamat itu adalah dekat. Memang ada tempoh tapi Allah sahaja yang tahu. Yang pasti ia akan berlalu dan kita cuma kena bersiap sahaja. Kepada orang kafir, diingatkan yang tidak lama lagi mereka akan kena azab. Azab itu tunggu mereka mati sahaja. Kerana apabila mati sahaja, maka ‘Kiamat Kecil’ telah bermula dan mereka akan mula dikenakan dengan azab kubur.

Kalau kita dalam kesedihan tetapi kita tahu yang perkara yang kita lalui itu tidak lama, maka tentu lebih mudah untuk kita bersabar bukan? Sebagai contoh, kalau kita sakit, memang kita akan lemah dan sukar. Tapi kalau kita tahu yang sakit kita itu jenis sehari dua sahaja, tentu kita tidak kisah sangat, bukan?

Sebab itulah Nabi Muhammad dan kita disuruh bersabar. Kerana bukanlah selama-lamanya kita kena sabar. Akan sampai satu masa di mana penderitaan kita semua akan berakhir. Dan masa itu tidak lama. Akan sampai masa nanti di mana keadilan akan ditegakkan dan kita akan dapat yang dijanjikan kepada kita dan mereka akan dapat apa yang dijanjikan kepada mereka.


 

Ayat 8: Ini adalah jawapan kepada soalan: bilakah Hari Kiamat itu? Tidak dijawab ‘bila’, tapi sebaliknya diberitahu bagaimanakah keadaan pada Hari Kiamat itu. Keadaan di sana lebih penting dari bilakah ia akan terjadi. Kerana ia tetap akan terjadi, cepat atau lewat.

Ayat 8 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberi gambaran kejadian Hari Kiamat. Pada hari itu, Allah memberitahu yang manusia akan membawa diri masing-masing.

يَومَ تَكونُ السَّماءُ كَالمُهلِ

Sahih International

On the Day the sky will be like murky oil,

Malay

(Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,

 

Ayat ini menceritakan kepada kita keadaan pada hari kiamat itu. Tentulah kita tidak dapat membayangkan dengan tepat bagaimana hari itu tapi sekurang-kurangnya kita dapat sedikit idea macam mana rupanya. Cuba bayangkan supaya kita hadirkan ketakutan dalam diri kita. Bila kita takut, maka kita takut nak buat dosa.

Langit akan menjadi seperti mendapan minyak atau tembaga yang cair. Ini juga memberi isyarat kepada bahawa langit akan cair. Langit akan gugur dari kedudukannya sekarang. Tembaga selalunya keras, tetapi kalau ianya dipanaskan dengan kepanasan yang tinggi, ianya boleh jadi cair sampaikan boleh dituang-tuang.

Begitulah juga langit nanti, selalunya kita lihat ianya tegak kukuh sahaja, tapi pada hari Kiamat nanti, ianya akan hancur. Oleh itu, Allah memberitahu kita keadaan hari Kiamat di mana langit tidak akan sama lagi. Begitu juga, dalam Rahman:37 Allah ada memberikan contoh lagi:

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ فَكَانَتْ وَرْدَةً كَالدِّهَانِ

Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

Tujuan Allah memberikan gambaran Hari Kiamat itu adalah untuk menakutkan kita. Supaya kita beringat-ingat dan takut dengan Hari itu. Supaya kita takut untuk buat syirik (terutama syirik tentang berkat) dan buat dosa. Inilah kesan yang dikehendaki dari membaca ayat-ayat sebegini. Bukanlah baca kosong sahaja dan tidak ada rasa apa-apa.


 

Ayat 9:

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

Sahih International

And the mountains will be like wool,

Malay

Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)

 

Gunung ganang yang kukuh sekarang ini akan jadi seperti bulu biri-biri yang halus. Ianya akan berterbangan macam bulu itu dihembus. Bolehkah anda bayangkan gunung ganang yang kukuh sekarang ini akan berterbangan?

Bayangkan macam bulu biri-biri. Gunung ganang akan jadi lembut walaupun sekarang ianya keras kukuh. Jadi orang Arab faham bagaimana keadaan gunung ganang sekarang. Mereka selalu tengok gunung dan terpesona dengan gunung. Maka Allah berikan satu gambaran baru bagi mereka. Nanti bila tengok gunung lagi, bayangkan ia hancur dan berterbangan.

Kalimah الْعِهْنِ bermaksud benang bulu yang berwarna. Macam-macam warna ada. Begitulah nanti yang akan terjadi apabila Kiamat nanti. Macam-macam warna akan bercampur, berselerakan dan bertempiaran.


 

Ayat 10:

وَلا يَسأَلُ حَميمٌ حَميمًا

Sahih International

And no friend will ask [anything of] a friend,

Malay

Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

 

Kalimah حَمِيمٌ adalah kawan atau kenalan kita yang kita amat rapat. Kadangkala mereka ini lebih rapat dari ahli keluarga kita sendiri. Asal perkataan ini adalah ‘panas menggelegak’, menggambarkan kehebatan persahabatan itu. Ia bermaksud sahabat yang memang rapat sungguh. Sampaikan kalau kawan kita itu kena kacau, kita akan bertindak balas dan takkan duduk diam. Kita selalu bertanya khabar dan tolong menolong sesama kenalan kita itu.

Di akhirat nanti, tidak ditanya lagi tentang orang yang dulu mereka sayangi semasa di dunia. Masa di dunia dulu, mereka sayang sangat kawan mereka, tapi di akhirat nanti, mereka tak kisah langsung. Waktu itu semua lari dari kenalan masing-masing. Semua akan berada dalam keadaan kelam kabut.

Mereka tidak kisah dengan orang lain walaupun mereka kenal masing-masing. Mereka nampak kenalan mereka itu tapi mereka sudah tidak hirau orang lain sebab mereka sibuk dengan hal diri sendiri. Bila nampak sahaja orang yang mereka kenal, sebaliknya mereka akan lari. Ini seperti yang Allah sebut dalam Abasa 34-37.

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ

Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ

Dan ibunya serta bapanya,

وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Dan isterinya serta anak-anaknya; –

لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikan mereka sibuk dengan hal dirinya sahaja.

Waktu itu tiada masa nak hiraukan orang lain. Tidak ada yang akan tolong orang lain. Lain sangat dengan kalau kita di dunia. Kalau ada bala di dunia, gempa bumi atau apa-apa perkara mudharat, kita akan cari saudara mara, anak beranak kita, bukan? Tapi perkara itu tidak terjadi pada akhirat nanti, kerana kejadian pada hari akhirat itu akan lebih menyesakkan diri.

Oleh itu, kita tidak boleh harapkan kepada orang lain untuk tolong kita nanti. Kita kena bergantung dengan amalan dan iman kita sendiri. Maka kalau tidak mahu kepayahan di sana, kita kena buat kerja di dunia lagi. Buat kerja masing-masing, kena kumpul ibadat sebanyak mungkin.

Allah jelaskan lagi dalam Luqman: 33

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَّا يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئًا

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun.

Begitu juga dalam Mukminoon: 101

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

Waktu itu, sudah tiada saudara mara lagi yang akan datang bertanya dan menolong. Waktu itu, sampai ada yang akan menyalahkan sesama sendiri. Pada hari itu, anak akan kata ayah dia tak ajar dia agama semasa di dunia dan ayah pula akan kata anak itu yang degil tak mahu belajar.

Bukan itu sahaja, ayah sanggup nak ‘jual’ anaknya di akhirat kelak (sebagai tebusan) asalkan boleh menyelamatkan dirinya. Ayah akan kata: “ambillah anak aku ini, asalkan aku diselamatkan”. Ini akan disebutkan dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Tafsir Surah Hud Ayat 38 – 40 (Banjir bermula)

Hud Ayat 38:

وَيَصنَعُ الفُلكَ وَكُلَّما مَرَّ عَلَيهِ مَلَأٌ مِّن قَومِهِ سَخِروا مِنهُ ۚ قالَ إِن تَسخَروا مِنّا فَإِنّا نَسخَرُ مِنكُم كَما تَسخَرونَ

Sahih International

And he constructed the ship, and whenever an assembly of the eminent of his people passed by him, they ridiculed him. He said, “If you ridicule us, then we will ridicule you just as you ridicule.

Malay

Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.

 

وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ

Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana Nabi Nuh عليه السلام telah diperintahkan untuk membina sebuah bahtera. Perkataan يَصْنَعُ dalam ayat ini berbentuk fi’il mudhari’ (sedang membina), seolah-olah Allah ﷻ hendak suruh kita membayangkan bagaimanakah keadaan baginda dan orang-orang beriman bersama baginda sedang membina bahtera itu. Bayangkan seolah-olah kita ada di sana memerhatikan kejadian itu.

Bagaimana cara baginda membina bahtera itu tidak dirincikan, mungkin baginda buat sendiri, mungkin upah orang untuk menolong baginda, mungkin ramai-ramai buat dengan mereka yang beriman, kita tidak tahu. Apabila tidak diceritakan, maka tidak perlu bertanya. Tidak perlu juga tahu apakah bahan yang digunakan secara pasti, kayu cengal kah, kayu koka kah. Semua itu tidak perlu diketahui.

Sememangnya tidak perlu sangat untuk mengetahui secara terperinci keadaan ketika itu. Memang ada sahaja yang bercerita bermacam-macam kisah dan versi, tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya. Malah memang lebih banyak kisah mengarut yang tidak mendatangkan faedah pun. Maka, kita janganlah tergolong dalam kalangan mereka yang suka hanyut dengan kisah daripada penglipur lara sebegitu.

Kisah-kisah itu kebanyakannya adalah kisah dongeng belaka. Iaitu kisah-kisah yang tidak memberi manfaat apa-apa melainkan untuk hiburan sahaja. Akibatnya hanya mendatangkan bahaya pula apabila ada yang terpengaruh dan mula membuat khurafat dengan sanggup berbelanja besar demi mencari kayu koka untuk dibuat tasbih atau gelang kerana percaya ia adalah bahan utama untuk membina bahtera Nabi Nuh عليه السلام. Kebiasaannya hanya yang jahil sahaja yang mudah terpedaya dengan dakwaan begitu. Bebaskan lah diri kita daripada kejahilan agar tidak terpengaruh dengan perbuatan sebegini.

Contoh Gelang Koka dijual secara komersial

وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌ مِّن قَوْمِهِ

dan tiap-tiap kali mereka yang berkedudukan daripada kaumnya melalui,

Kebiasaannya mereka yang ada pangkat, kaya raya, ada pengaruh dalam masyarakat akan melalui kawasan Nabi Nuh عليه السلام membina kapal itu. Merekalah yang sebelum ini disebut sebagai penentang kuat kepada dakwah Nabi Nuh عليه السلام. Mereka tidak suka dengan apa yang dibawa oleh baginda, maka mereka hendak mengganggu baginda.

Nabi Nuh عليه السلام membina kapal itu di kawasan bukit yang jauh dari air. Jika mengikut logik akal, jika hendak bina kapal sepatutnya berdekatan dengan air. Mereka sudah memandang perbuatan baginda itu sebagai sesuatu yang pelik. Mereka yakin mereka sudah mendapat peluang untuk memalukan baginda dan orang-orang yang beriman itu.

 

سَخِرُوا مِنْهُ

mereka mengejek-ejeknya.

Mereka yang berpengaruh itu kata Nabi Nuh عليه السلام sudah gila. Mereka mempersendakan serta memalukan baginda dengan pelbagai gelaran dan kata-kata yang tidak baik. Perkataan سَخِرُ bermaksud mengejek-ngejek kelemahan atau kesalahan yang pernah dilakukan oleh seseorang. Setiap manusia memang ada kekurangan kerana kita manusia. Akan tetapi kelemahan yang ada pada seseorang tidak semestinya kekurangan.

Sebagai contoh, katakanlah seseorang itu dikatakan tidak cantik. Namun dia mungkin cantik pada mata dan pandangan orang lain. Begitu juga, tidak sepatutnya kita nampak kekurangan pada seseorang, kita mentertawakan mereka. Siapalah kita untuk mentertawakan orang lain? Adakah kita sempurna?

Mereka mengejek dengan mengatakan sekarang Nabi Nuh عليه السلام sudah jadi tukang kayu pula. Dulu dia kata dia seorang Rasul, sekarang jadi tukang kayu pula. Apa sudah tukar profesi kah? Sudah pencen daripada menjadi Nabi kah? Dan apabila mereka tanya baginda apa yang baginda lakukan, baginda jawab yang baginda sedang membuat kapal yang akan belayar di lautan. Jawapan baginda ini seolah-olah memberi ‘bola tanggung’ sahaja untuk mereka.

Mendengarkan jawapan sebegitu lalu mereka terus mentertawakan baginda kerana mereka tidak pernah melihat kapal. Mereka tidak pernah tahu yang kapal boleh terapung di laut. Mereka kata tidak mungkin kapal yang besar itu boleh timbul di laut? Kisah ini adalah sepertimana juga yang berlaku kepada pencipta-pencipta zaman dahulu yang sering ditertawakan oleh mereka yang tidak tahu.

Tambahan pula baginda membina kapal itu jauh dari laut. Mereka kata, jika mahu digunakan di laut, sepatutnya tempat binaan itu berdekatan dengan laut lah. Maka semakin menjadi-jadi ejekan dan cacian yang mereka kenakan terhadap baginda. Nabi Nuh عليه السلام buat senyap sahaja sehingga diberitahu cara untuk jawab.

Pengajaran yang kita boleh ambil di sini untuk kita adalah, memang golongan yang jauh daripada agama yang benar kadangkala menggunakan ejekan untuk mengutuk kita. Ini termasuk golongan yang sedang mengamalkan bid’ah di negara kita. Ini kerana ejekan sahaja lah yang mereka ada (hujah tidak ada). Maka janganlah kehairanan jika kita diejek.

Ia juga mengajar yang orang yang menentang kita akan menggunakan segala bentuk cara untuk menjatuhkan kita termasuk mengejek, malah lebih teruk lagi ada yang lebih ekstrem seperti menggunakan kekerasan dan seksaan.

عَنْ خَبَّابٍ قَالَ أَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ فَقُلْنَا أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا فَجَلَسَ مُحْمَرًّا وَجْهُهُ فَقَالَ قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ ثُمَّ يُؤْتَى بِالْمِنْشَارِ فَيُجْعَلُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ فِرْقَتَيْنِ مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ عَظْمِهِ مِنْ لَحْمٍ وَعَصَبٍ مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ اللَّهُ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مَا بَيْنَ صَنْعَاءَ وَحَضْرَمُوتَ مَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ تَعَالَى وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَعْجَلُونَ
Daripada [Khabbab], dia berkata; kami datang kepada Rasulullah ﷺ sementara baginda berbantalkan burdah di bawah naungan Ka’bah, kami mengeluhkan kepada baginda, kami katakan; tidakkah anda mahu memintakan kemenangan untuk kami? Tidakkah engkau mahu berdoa kepada Allah untuk kami? Kemudian baginda duduk dalam keadaan memerah wajahnya, lalu berkata: “Sungguh orang-orang sebelum kalian di antara mereka ada yang dikuburkan di tanah kemudian didatangkan gergaji kemudian diletakkan di atas kepalanya dan dibelah menjadi dua bahagian, hal tersebut tidaklah membuatnya berpaling daripada agamanya, dan ada yang disisir daging dan sarafnya menggunakan sisir besi mendekati tulangnya, tidaklah hal tersebut menjadikannya berpaling daripada agamanya. Demi Allah, sungguh Allah akan menyempurnakan perkara ini hingga orang yang berkenderaan berjalan antara Shan’a` dan Hadhramut dalam keadaan tidak takut kecuali kepada Allah ta’ala serta serigala yang akan memangsa dombanya, akan tetapi kalian tergesa-gesa.”
(Sahih Bukhari (2278))

 

قَالَ إِن تَسْخَرُوا مِنَّا

Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu mengejek kami,

Perkataan مِنَّا dalam ayat ini memberitahu kita bahawa orang-orang kafir bukan sahaja mengejek baginda, tetapi orang-orang beriman yang bersama baginda. Inilah yang lebih lagi memberi kesedihan kepada baginda kerana bukan baginda sahaja dikeji, tetapi orang lain pun terkena juga.

Asalnya, mereka mengutuk Nabi Nuh عليه السلام sahaja, tetapi baginda menjawab bagi pihak ramai. Lihatlah bagaimana asal ayat ini dalam mufrad (singular), kemudian bertukar kepada jamak (plural) kerana pengikut baginda mungkin ada yang menolong baginda membina bahtera itu.

Atau asalnya, mereka mentertawakan Nabi Nuh عليه السلام sahaja tetapi apabila Nabi kita ditertawakan, diejek, itu bermaksud kita semua sekali ditertawakan. Apabila Nabi kita dimalukan, ia terkena kepada kita juga. Maka, itulah sebabnya, apabila Nabi kita diejek, ia seperti mengejek kita dan kita mesti mempertahankan Nabi kita.

 

فَإِنّا نَسخَرُ مِنكُم كَما تَسخَرونَ

maka sesungguhnya kami juga akan mengejek kamu, sebagaimana kamu mengejek kami.

Bukanlah ini bermaksud yang kalau orang tertawakan kita, kita boleh balas dengan mentertawakan mereka kembali. Bukan begitu maksud ayat ini. Maksud ayat ini, kalau mereka mentertawakan kita, maka lihatlah nanti siapakah yang akan selamat dan berada di atas nanti; Kamikah atau kamu. Ini kerana para Nabi tidak sesuai mengejek manusia lain dan orang Mukmin juga tidak melakukan sebegitu kerana telah dilarang di dalam Hujurat: 11

اَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّنْ قَوْمٍ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain

Adalah lebih sesuai kita katakan begini apabila orang kafir itu telah dikenakan dengan azab, maka dikatakan kepada mereka: “Inilah kesan daripada ejekan kamu dahulu”. Ini kerana apabila Nabi Nuh عليه السلام sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi banjir yang besar dan mereka tidak buat apa-apa. Nanti mereka sendiri yang akan menyesal di kemudian hari nanti.

Atau ia boleh bermaksud, Nabi Nuh عليه السلام berkata begini: ‘Kalau kamu tertawakan kami, kami mohon pertolongan Allah untuk membalas ejekan kamu itu. Aku serahkan kepada Allah untuk membalas kepada kamu untuk membalas ejekan kamu’.

Atau ia bermaksud, mereka akan ditertawakan di akhirat nanti. Semasa di dunia, mereka kata macam-macam, dan nampak mereka itu kuat, tetapi lihatlah nanti di akhirat, apa yang akan berlaku. Keadaan akan menjadi terbalik. Mereka yang akan kalah dan mereka yang akan malu. Dalam Mutaffifin:29-36Allah ‎ﷻ ada menceritakan bahawa orang kufur selalu mengutuk dan mengejek orang Muslim. Akan tetapi mereka pula di akhirat nanti akan ditertawakan kembali.

إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا يَضْحَكُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman.

وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ
Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan mengedip-ngedipkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).

وَإِذَا انقَلَبُوا إِلَىٰ أَهْلِهِمُ انقَلَبُوا فَكِهِينَ
Dan apabila mereka kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan riang gembira;

وَإِذَا رَأَوْهُمْ قَالُوا إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَضَالُّونَ
Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!”

وَمَا أُرْسِلُوا عَلَيْهِمْ حَافِظِينَ
padahal (orang-orang yang berdosa itu), mereka tidak diutus sebagai penjaga (orang-orang mukmin)

فَالْيَوْمَ الَّذِينَ آمَنُوا مِنَ الْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ
Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu.

عَلَى الْأَرَائِكِ يَنظُرُونَ
Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).

هَلْ ثُوِّبَ الْكُفَّارُ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
(Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): “Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?”

Ini mengajar kita yang kalau kita suka mentertawakan orang lain, memalukan sesiapa, kita nanti akan dibalas di kemudian hari. Oleh itu janganlah kita buat begitu.

 


 

Hud Ayat 39: Sambungan kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada mereka.

فَسَوفَ تَعلَمونَ مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَيَحِلُّ عَلَيهِ عَذابٌ مُّقيمٌ

Sahih International

And you are going to know who will get a punishment that will disgrace him [on earth] and upon whom will descend an enduring punishment [in the Hereafter].”

Malay

Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak”.

 

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Maka kamu akan mengetahui

Tidak lama lagi orang-orang kafir itu akan mengetahui nasib mereka. Tunggulah sahaja apa yang akan terjadi. Tidak lamapun lagi. Maknanya sekarang semasa di dunia mereka tidak tahu. Tidak tahu itu kerana jahil dan itulah masalah terbesar manusia. Apabila jahil maka manusia tidak melakukan seperti yang sepatutnya. Kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ
أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم
Daripada Muawiyah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.
(HR Bukhari dan Muslim)


Ini berbeza dengan orang Mukmin yang berilmu. Oleh kerana mereka mempunyai ilmu dan kenal Allah ﷻ, maka mereka lah yang paling takut dengan Allah ‎ﷻ dan menjaga amalan mereka. Allah ﷻ berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para Ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Fatir: 28)

 

مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ

siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya

Azab yang dimaksudkan adalah azab yang di dunia. Ini adalah kerana mereka akan ditenggelamkan oleh Banjir Besar. Akan tetapi azab mereka tidak berakhir di dunia sahaja.

Memang mendapat azab daripada Allah ﷻ adalah sesuatu yang menghinakan. Maka kerana itulah Allah ﷻ ajar kita berdoa minta diselamatkan daripada azab yang menghinakan di dalam Ali Imran:192. Doa ini dibaca setiap hari oleh Rasulullah ﷺ ketika bangun untuk Solat Tahajjud.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya

Apabila Allah ﷻ sebut azab yang ‘menghinakan’, maka tentu juga ada azab yang tidak menghinakan, bukan? Kerana manusia yang beriman dan menegakkan iman mereka di hadapan orang zalim juga ada diazab. Namun azab mereka itu tidak menghinakan, malah menjadi kemuliaan kepada mereka kerana mereka tetap teguh di atas iman.

 

وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak”.

Kalimah يَحِلُّ daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; translokasi; membuat dibenarkan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Kalimah مُّقِيمٌ bermaksud azab yang berkekalan, tidak akan berhenti. Sudahlah mereka diazab mati lemas semasa di dunia, di akhirat kelak mereka akan diazab lagi tanpa henti. Kalau lemas itu akhirnya mati sahaja, tetapi di akhirat kelak tidak ada kematian yang akan menamatkan azab ke atas mereka.

Selepas sahaja mereka mati dalam banjir itu, mereka terus dimasukkan ke dalam Neraka. Sepatutnya, kebiasaannya, manusia akan dimasukkan ke neraka selepas dibicarakan di Mahsyar, tetapi mereka itu dimasukkan ke dalam neraka terus. Maknanya, mereka terus diazab!


 

KISAH BANJIR

Hud Ayat 40: Kembali kepada kisah Nabi Nuh عليه السلام dengan bahteranya.

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَمرُنا وَفارَ التَّنّورُ قُلنَا احمِل فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ وَمَن ءآمَنَ ۚ وَما ءآمَنَ مَعَهُ إِلّا قَليلٌ

Sahih International

[So it was], until when Our command came and the oven overflowed, We said, “Load upon the ship of each [creature] two mates and your family, except those about whom the word has preceded, and [include] whoever has believed.” But none had believed with him, except a few.

Malay

(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَمْرُنَا

sehingga apabila datang keputusan daripada Kami

Nabi Nuh عليه السلام terus menerus membina bahtera itu, dan baginda terus dihina, sampailah datang ketetapan Allah ﷻ. Itulah keputusan terjadinya banjir itu. Juga bermaksud keputusan azab yang dijanjikan kepada mereka yang ingkar. Juga, bermaksud keputusan menyelamatkan orang beriman dan menghancurkan orang yang tidak beriman. Semua itu termasuk dalam ketetapan Allah ﷻ. Apa sahaja yang Allah ﷻ inginkan, pasti terjadi.

Dalam surah lain, ada disebutkan bagaimana Nabi Nuh عليه السلام bertanya kepada Allah ﷻ apakah tanda banjir itu akan datang. Maka Allah ﷻ jawab apabila akan keluar air daripada tempayan.

 

وَفَارَ التَّنُّورُ

dan air memancut-mancut daripada tempayan,

Ini dikatakan seperti tempayan membuat roti nan sekarang. Dahulu, tempayan itu diletakkan dalam tanah. Tentulah tempayan itu dibuat dalam tempat tanah yang kering, sebab tempat itu akan dinyalakan api.

Namun Allah ﷻ kata, tanda banjir sudah datang, air akan keluar dari tempat membuat roti itu. Air itu akan keluar dengan cepat. Air akan berterusan keluar. Itulah tempat paling kering dan jika tempat itu sudah keluar air, maknanya air sudah datang. Itu adalah satu tanda yang pelik dan tidak mungkin berlaku dalam keadaan biasa. Maka, kalau terjadi begitu, tanda banjir sudah bermula.

Apakah yang dimaksudkan dengan التَّنُّورُ itu? Ada terdapat sehingga lapan pendapat tentangnya. Ia adalah perkataan yang berasal dari Parsi. Ia bermaksud tempat roti dimasak dan dibuat daripada tanah liat. Ada yang kata bahawa tempayan itu adalah tempayan yang digunakan oleh Nabi Adam عليه السلام dan terus digunakan oleh Nabi Nuh عليه السلام.

Ia digunakan sebagai tanda kepada Nabi Nuh عليه السلام bilakah akan terjadinya banjir itu. Ini adalah sebagai ‘early warning mechanism’ (amaran awal) kepada baginda.

Ada juga yang mengatakan bahawa التَّنُّورُ yang dimaksudkan adalah bahagian atas tanah di bumi. Atau mungkin tempat air berkumpul. Apabila bahagian atas tanah dipenuhi air, maka ia adalah tanda bahawa banjir itu sudah datang.

Ada juga yang mengatakan ianya adalah satu nama tempat. Ada yang kata ianya di India atau di tempat lain. Apabila air keluar dari tempat itu, Nabi Nuh عليه السلام sudah dikehendaki menaiki kapal.

Ada yang kata ia bermaksud apabila cahaya pagi keluar. Iaitu apabila pagi sudah datang, maka itulah masanya untuk naik ke dalam kapal. Allahu a’lam.

Selepas itu maka naik dan turunlah air mencurah-curah dari bawah dan dari atas. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam ayat yang lain di Qamar: 11-14

فَفَتَحنا أَبوٰبَ السَّماءِ بِماءٍ مُّنهَمِرٍ
Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.

وَفَجَّرنَا الأَرضَ عُيونًا فَالتَقَى الماءُ عَلىٰ أَمرٍ قَد قُدِرَ
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.

وَحَمَلنٰهُ عَلىٰ ذاتِ أَلوٰحٍ وَدُسُرٍ
Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) daripada keping-keping papan dan paku;

تَجري بِأَعيُنِنا جَزاءً لِّمَن كانَ كُفِرَ
Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!

 

قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ

Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina),

Bahtera itu dikatakan ada tiga tingkat. Apabila sudah keluar air daripada tannur itu, maka itulah masanya untuk baginda mula bergerak masuk ke dalam bahtera itu. Baginda mesti usahakan juga untuk membawa mereka yang patut masuk dalam bahtera itu pula.

Allah ﷻ sudah menetapkan siapa yang akan masuk ke dalam bahtera itu. Bahagian bawah adalah untuk diletakkan binatang. Yang dimaksudkan adalah seekor jantan dan seekor betina. Hendaklah dimasukkan jantan dan betina kerana binatang itu akan dijadikan sebagai sebagai baka untuk kegunaan manusia selepas banjir sudah reda nanti. Semua binatang lain akan mati dan kerana itu baginda kena masukkan semua jenis binatang berpasangan sebagai baka bagi keturunan di masa hadapan.

Akan tetapi daripada ayat ini kita dapat tahu bahawa bukanlah semua jenis binatang dimasukkan. Binatang yang jenis ada jantan betina sahaja yang dimasukkan dan ini tidak termasuk binatang yang boleh hidup di laut. Hanya binatang darat sahaja. Maka ini menjawab kekeliruan manusia tentang bagaimana hendak masukkan semua jenis binatang.

Bagaimanakah agaknya Nabi Nuh عليه السلام mengumpulkan binatang-binatang itu? Dikatakan apabila air itu telah merebak, semua binatang telah berkumpul di satu tempat. Mereka berkumpul di tempat yang tinggi. Di situlah, Nabi Nuh عليه السلام mengumpul binatang-binatang itu. Kalau tidak dijadikan begitu, tentulah susah untuk Nabi Nuh عليه السلام mencari dan menangkap binatang-binatang itu, bukan?

 

وَأَهْلَكَ

dan bawalah ahlimu

Selain daripada binatang, Nabi Nuh عليه السلام diarahkan untuk membawa ahli keluarga baginda juga. Ini kerana antara yang beriman adalah daripada ahli keluarga baginda juga. Ada tiga anaknya yang selamat iaitu Sam, Ham dan Yafith bersama dengan isteri mereka masing-masing.

Ini nanti Nabi Nuh عليه السلام akan bertanya tentang seorang anaknya nanti. Ada seorang anaknya yang tidak selamat dan lemas di dalam banjir itu. Ini adalah kerana anaknya itu tidak beriman. Maka ada pengecualian.

 

إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ

kecuali orang yang telah ditetapkan keputusan Allah ke atasnya (disebabkan kekufurannya),

Bukankah telah disebut sebelum ini bahawa hanya mereka yang telah beriman sahaja akan beriman? Yang selain itu, tidak akan beriman. Ramai yang tidak beriman termasuklah daripada ahli keluarganya sendiri.

Antara yang tidak beriman adalah isterinya sendiri dan seorang anaknya. Anak lelakinya itu bernama Yam, dan dia telah memisahkan dirinya daripada baginda; juga salah seorang isteri Nabi Nuh عليه السلام yang kafir kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Akan tetapi bukanlah itu sahaja isteri baginda. Maka baginda ada isteri yang beriman dan ada isteri yang tidak beriman.

Keluarga darah daging kita ada dua jenis: ada yang beriman dan ada yang tidak beriman. Walaupun dalam ayat ini, Allah ﷻ kata ‘ahli’ yang secara literalnya bermaksud ‘keluarga’, tetapi yang dimaksudkan adalah keluarga yang beriman. Itulah keluarga yang sebenarnya.

Antara darah daging Nabi Nuh عليه السلام yang tidak beriman itu tidak termasuk dalam istilah ‘keluarga’ yang sebenar. Oleh itu mereka itu hendaklah ditinggalkan. Nabi Nuh عليه السلام hanya boleh membawa ahli keluarga baginda yang beriman sahaja. Mereka itu telah tetap kufur – Allah ﷻ telah membuat keputusan yang mereka itu kufur. Tentang isteri Nabi Nuh عليه السلام ini ada disebut di dalam Tahreem: 10

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ ۖ كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ فَخانَتاهُما فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

 

وَمَنْ ءآمَنَ

juga bawalah orang-orang beriman”.

Baginda juga perlu membawa orang-orang yang beriman dalam kalangan umat baginda kerana mereka itu tidak bersalah dan mereka akan diselamatkan daripada banjir yang akan melanda. Begitulah, orang Mukmin akan diselamatkan daripada bala bencana. Maka ini mengajar kita bahawa kerana iman lah seseorang itu akan selamat, bukannya kerana hartanya, kedudukannya dan lain-lain. Maka untuk kita selamat, hendaklah kita menjaga iman kita.

 

وَمَا ءآمَنَ مَعَهُ إِلَّا قَلِيلٌ

Dan tidak ada orang-orang yang beriman dengannya, melainkan sedikit sahaja.

Tidaklah ramai yang beriman. Mengikut riwayat, ada yang kata 40 orang sahaja yang ikut, atau 43 orang. Daripada riwayat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, ada seramai 80 orang. Bilangan itu tidak dapat disahkan, namun yang pasti tidak ramai yang ikut beriman dengan baginda. Bayangkan, setelah 950 tahun Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada mereka, seramai itu sahaja yang beriman.

Maka ini mengajar kita bahawa manusia yang beriman sebenar tidaklah ramai. Memang golongan mukmin zaman-zaman berzaman adalah golongan minoriti. Maka janganlah kita pelik dengan sedikitnya bilangan manusia yang mahu menjadi orang yang beriman sempurna.

Juga mengajar kita kalau kita berdakwah, ramai yang menentang berbanding yang menerima. Oleh itu, jangan lemah semangat. Memang begitulah yang berlaku zaman berzaman. Rasulullah ﷺ telah menyampaikan kepada kita tentang hal ini melalui hadith daripada Abi Sa’id al-Khudri رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى يَا آَدَمُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ فَيَقُولُ أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ قَالَ وَمَا بَعْثُ النَّارِ قَالَ مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَمِئَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللهِ شَدِيدٌ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ قَالَ أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلٌ وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفٌ…
Allah تَعَالَى berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah تَعَالَى pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah تَعَالَى berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.”
Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda ﷺ menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya daripada setiap orang daripada kamu, maka daripada Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang…”
(Riwayat al-Bukhari (3348))

Begitulah hanya 1/1000 sahaja yang akan masuk ke dalam syurga. Itu adalah bilangan yang amat sedikit. Maka jangan pandang kepada bilangan. Kalau kita pandang bilangan, maka kita akan tertipu. Ramainya orang yang mengikut tidaklah menandakan guru itu benar. Kita pun tahu ada ustaz yang mengajar ajaran yang karut namun berpuluh ribu orang mengikuti kelasnya.

Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita supaya jangan ikut bilangan. Jangan buat keputusan benar atau tidaknya sesuatu ajaran itu hanya kerana bilangan ramai atau sedikit. Ini disebut di dalam An’am:116

وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى الْاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۗ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 35 – 37 (Bahtera Nabi Nuh عليه السلام)

GOLONGAN MUSYRIKIN MENOLAK AL-QUR’AN

Hud Ayat 35:

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَعَلَيَّ إِجرامي وَأَناْ بَريءٌ مِّمّا تُجرِمونَ

Sahih International

Or do they say [about Prophet Muhammad], “He invented it”? Say, “If I have invented it, then upon me is [the consequence of] my crime; but I am innocent of what [crimes] you commit.”

Malay

(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: “Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka menuduh dia mengada-adakan dusta:

Mereka pula kata Nabi Nuh عليه السلام mengadakan dusta terhadap Allah ‎ﷻ. Mereka kata apa yang Nabi Nuh عليه السلام itu bawa hanyalah dusta belaka, mengaku Nabi pula. Sebenarnya mereka bukanlah tidak tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ tetapi mereka menggunakan patung wali-wali itu sebagai perantaraan kepada Allah ﷻ. Mereka menggunakan tawasul (perantaraan) untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ dan ini adalah rekaan dalam agama.

Ramai manusia yang ada salah faham dengan wali. Wali-wali itu memang orang-orang yang baik semasa mereka hidup. Namun selepas mereka mati, ada yang menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai orang soleh dan dijadikan sebagai perantaraan doa kepada Allah ﷻ. Mula-mula mereka membina patung hanya sebagai tanda peringatan. Akan tetapi lama kelamaan mereka sembah pula patung-patung itu kerana syaitan telah mengambil peluang untuk sesatkan mereka.

Bagaimana dengan masyarakat kita? Ada terdapat dalam kalangan masyarakat Islam kita yang memuja tok wali. Ada yang beri salam kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani lah, Tok Kenali lah dan macam-macam lagi amalan-amalan yang sesat sebegitu. Ada sekolah tahfiz yang ajar anak murid mereka untuk berdoa kepada Tok Kenali supaya mereka senang hafal Al-Qur’an.

Mereka yang ingkar dalam kalangan umat Nabi Nuh عليه السلام mendakwa baginda menipu dan reka sahaja wahyu yang disampaikan. Mereka kata sebenarnya tidak ada larangan untuk bertawasul kepada tok-tok wali itu, cuma Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang reka kata Tuhan tidak suka. Mereka juga kata, sebenarnya Allah ﷻ suka mereka buat begitu.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ‘dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu Musyrikin Mekah mengatakan yang kisah Nabi Nuh عليه السلام yang baginda sampaikan ini adalah rekaan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini memberitahu kepada mereka bahawa kisah yang Nabi ﷺ bawakan ini adalah kebenaran dan bukan rekaan baginda.

 

قُلْ إِنِ افْتَرَيْتُهُ

Katakanlah: “Kalau betul aku telah mereka-reka wahyu itu

Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) diperintahkan menjawab kepada mereka yang kata kalau baginda reka apa yang baginda sampaikan. Ini adalah kemungkinan sahaja, iaitu hujah ‘kalau’. Bukannya benar para Nabi itu reka wahyu pula.

 

فَعَلَيَّ إِجْرَامِي

maka akulah yang akan menanggung dosa itu,

Sekiranya benar Nabi عليه السلام reka sendiri wahyu itu, maka baginda sanggup menanggung dosa kesalahan itu. Perkataan إِجْرَامِي bermaksud sesuatu yang telah dimandatkan kepada kita untuk melakukannya tetapi kita tidak melakukannya. Maka ini adalah satu kesalahan atau dosa. Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) disuruh untuk mengatakan bahawa kalau baginda menipu, tentulah baginda akan menerima azab akibat kesalahan dosa baginda itu.

Baginda sanggup tanggung, namun bagaimanakah dengan mereka yang telah melakukan dosa-dosa mereka itu? Adakah kamu sanggup menanggung dosa kamu?

 

وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تُجْرِمُونَ

dan aku berlepas diri dari perbuatan dosa kamu itu”.

Nabi Nuh عليه السلام berlepas diri daripada perbuatan tawasul mereka itu kepada lima wali itu. Nabi Nuh عليه السلام tidak mahu ada kena mengena dengan mereka. Mana-mana amalan salah mereka, baginda tidak terlibat kerana baginda sudah menasihati mereka. Baginda tidak akan mengiktiraf amalan sesat dan kufur itu.

Kerana itulah kita juga tidak boleh menerima amalan syirik khurafat masyarakat kita. Tidak perlu kita menjaga hati mereka dengan mengatakan perbuatan itu boleh dilakukan. Jangan duduk-duduk dengan mereka semasa mereka melakukan amalan sesat mereka itu. Kita wajib untuk isytihar berlepas diri daripada amalan mereka. Jangan bersekongkol dengan mereka. Jangan iktiraf perbuatan salah mereka. Kena sampaikan kepada mereka bahawa perbuatan mereka itu adalah salah.

Habis Ruku’ 3 daripada 11 ruku’ surah ini


 

KISAH BAHTERA

Hud Ayat 36: Setelah 950 tahun berdakwah tanpa henti, Nabi Nuh عليه السلام telah mengaku kepada Allah ‎ﷻ. Doa baginda ini disebut dalam Mukminoon:26 

قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ
Nuh berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku”.

Sekarang Allah ﷻ beritahu hasilnya kepada Nabi Nuh عليه السلام. Selepas diberitahu tentang keadaan mereka ini, barulah Nabi Nuh عليه السلام mengangkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka.

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد ءآمَنَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَفعَلونَ

Sahih International

And it was revealed to Noah that, “No one will believe from your people except those who have already believed, so do not be distressed by what they have been doing.

Malay

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

 

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ

Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh:

Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi Nuh عليه السلام satu perkara yang baginda tidak akan dapat tahu jika Allah ﷻ tidak beritahu kerana baginda tidak boleh membaca hati manusia, lalu tentu baginda tidak tahu perkara ghaib. Salah satu perkara ghaib adalah sama ada seseorang itu beriman atau tidak. Baginda juga tidak tahu masa hadapan; entah akan ada orang yang akan beriman atau tidak; maka perkara ini hanya Allah ﷻ sendiri yang beritahu kerana Allah ﷻ tahu apa dalam hati manusia dan Allah ﷻ tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan.

 

أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ

“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi daripada kaummu

Baginda telah mengajar dan berdakwah selama 950 tahun kepada umat baginda. Semua tidak beriman kecuali hanya segelintir sahaja. Walaupun baginda telah berdakwah dengan berbagai-bagai cara dalam tempoh yang lama sekali. Ini ada disebut dalam Nuh: 5-9

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (daripada kebenaran).

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا
“Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Allah ﷻ beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman selepas itu. Walau apapun yang Nabi Nuh عليه السلام dakwah dan beri hujah selepas itu, tidak akan ada sesiapa lagi yang akan beriman. Maka, tidak perlulah Nabi Nuh عليه السلام buang masa kalau begitu; tidak perlu berdakwah lagi.

 

إِلَّا مَن قَدْ ءآمَنَ

melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.

Hanya mereka yang telah beriman sahaja dengan baginda yang akan terus beriman. Yang selain itu, tidak akan beriman sampai bila-bila pun. Memang tidak ramai pun pengikut baginda yang mahu beriman. Tidak dapat dipastikan berapa ramai kerana terdapat banyak riwayat. Ada kata 14, ada kata 40 dan ada kata 80 dan bilangan-bilangan yang lain. Namun paling ramai pun dikatakan 80 orang sahaja. 950 tahun berdakwah, seramai itu sahaja pengikut baginda.

Bayangkan kesedihan yang Nabi Nuh عليه السلام rasakan apabila diberitakan dengan berita ini. Setelah sekian lama berdakwah, hanya sedikit sahaja yang beriman. Allah ﷻ beritahu kepadanya bahawa yang lain tidak akan beriman lagi sampai bila-bila. Pastilah berita ini amat mencengkam perasaan baginda.

 

فَلَا تَبْتَئِسْ

Oleh itu, janganlah engkau berdukacita

Allah ﷻ tahu yang Nabi Nuh akan bersedih, maka Allah ﷻ telah memujuk baginda. Perkataan تَبْتَئِسْ lebih kurang sama maksudnya dengan لا تَحزَن (jangan berdukacita). Perkataan تَبْتَئِسْ diambil daripada perkataan بِئسٌ yang bermaksud ‘tidak selesa’. Perkataan تَبْتَئِسْ bermaksud kedukaan yang amat sangat yang menyebabkan rasa tidak selesa. Iaitu, apabila dikatakan kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda, ia telah memberikan rasa tidak selesa kepada baginda, sampaikan baginda tidak boleh tidur malam. Oleh itu, Allah ﷻ hendak memujuk baginda supaya jangan jadi begitu. Ia telah ditakdirkan menjadi begitu, bukan salah baginda. Ini kerana, kalau baginda sedih sangat, ia akan memudaratkan diri baginda. Nanti sampai tidak boleh hendak fokus untuk perkara lain, hendak mengajar pun sudah tidak mampu.

Ayat ini untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ yang sudah lebih 10 tahun berdakwah di Mekah dan mendapat tentangan yang amat kuat. Pengikut baginda pun tidak ramai dan tentunya baginda juga bersedih. Maka Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺyang Nabi Nuh عليه السلام yang lebih lama berdakwah pun tidak ramai pengikut juga. Maknanya ada lagi orang lain yang lebih teruk nasibnya daripada baginda. Begitulah kalau kita dengar ada orang yang lebih berat ujiannya yang diberikan kepada mereka, maka kesusahan yang kita alami ini terasa kuranglah sedikit.

Pengajarannya adalah tidak perlu kita bersusah payah bersedih tentang orang yang telah memilih untuk tidak beriman. Ini jikalau kita sudah ajak dan dakwah kepada mereka. Allah ﷻ berfirman di dalam Luqman:23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا
Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

 

بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Ayat ini menunjukkan akhlak seorang pendakwah. Kena ada kelembutan dalam hati pendakwah. Kena ada rasa belas kasihan untuk mereka yang didakwah. Tanpa kriteria ini maka dakwah tidak akan berjaya.

Sebagaimana anak kita yang degil, kita sanggup ajar mereka lagi kerana kita sayang dan ada belas kasihan dengan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام telah berusaha dakwah dengan susah payah dan dalam jangka masa yang amat lama. Itu menunjukkan betapa baginda begitu mengambil berat tentang hal kaumnya. Walaupun berbagai-bagai tuduhan dilemparkan kepada baginda umpamanya disebut dalam Qamar:9

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ فَكَذَّبوا عَبدَنا وَقالوا مَجنونٌ وَّازدُجِرَ
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).

Memang begitulah dugaan yang dihadapi oleh baginda. Sememangnya para Nabi diberikan dengan ujian yang paling berat. Kemudian ujian peringkat rendah sedikit diberikan kepada orang yang kuat imannya. Maknanya, semakin beriman semakin kuat dugaannya. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ مِنْ النَّاسِ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ خُفِّفَ عَنْهُ وَمَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَمْشِيَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ لَيْسَ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Daripada [Mush’ab bin Sa’d] daripada [Bapanya] berkata; saya bertanya; “Wahai Rasulullah, siapa manusia yang paling berat cubaannya?” Baginda menjawab; “Para Nabi, lalu orang-orang soleh, kemudian orang yang paling mulia dan yang paling mulia daripada manusia. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya, jika agamanya kuat maka akan ditambah ujiannya, dan jika agamanya lemah maka akan diringankan ujiannya. Tidaklah ujian itu berhenti pada seorang hamba sampai dia berjalan di muka bumi tanpa mempunyai dosa.”
(Jami’ Tirmidzi (1400))
Status: Hasan

Baginda begitu sabar sekali menghadapi dugaan itu dan terus menjalankan dakwah kepada kaumnya. Hanya apabila Allah ﷻ beritahu yang mereka tidak akan beriman barulah baginda berdoa kepada Allah ﷻ. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu ada tertulis dalam Al-Qur’an:

{رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الأرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا}
Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. (Nuh: 26)


 

Hud Ayat 37: Hanya selepas baginda diberitahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman, barulah Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ supaya melakukan sesuatu terhadap kaumnya. Selepas Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda, Allah ﷻ telah membalas doa baginda.

وَاصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۚ إِنَّهُم مُّغرَقونَ

Sahih International

And construct the ship under Our observation and Our inspiration and do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are [to be] drowned.”

Malay

Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

 

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ

Dan buatlah bahtera

Cukuplah dengan berdakwah itu, tidak perlu berdakwah lagi kepada umat baginda sebab baginda sudah diberitahu yang mereka tidak akan beriman. Sekarang ada kerja lain yang perlu dilakukan – membina sebuah bahtera. Allah ﷻ telah mengarahkan baginda untuk membina sebuah kapal yang besar – bukan perahu atau bot yang kecil. Waktu itu tidak pernah ada manusia yang pernah membina kapal. Mereka tidak tahu yang manusia boleh mengembara melalui kapal di lautan. Selepas adanya contoh bahtera Nabi Nuh عليه السلام ini, barulah manusia tahu dan banyak bahtera, kapal dan pelbagai jenis alat pengangkutan laut direka oleh manusia. Ternyata asalnya pembinaan kapal bermula dengan Nabi Nuh عليه السلام. Manakala Nabi Daud عليه السلام adalah peneraju kepada penggunaan besi.

Dalam riwayat Israiliyat, ada disebut pembahagian bahtera itu. Bahtera itu dibahagikan kepada tiga bahagian:

    • Bahagian bawah untuk binatang
    • Bahagian tengah untuk manusia
    • Bahagian atas burung supaya mereka senang untuk terbang dan mendarat
    • Bahtera itu ada penutup di sebelah atas sebab hujan masih ada lagi.

Ini adalah kisah Israiliyat. Maka kita kena terima sahaja tanpa mengatakan ia benar atau salah. Ia mungkin benar dan mungkin salah dan ia tidak menambah iman pun. Ia bukan perkara yang penting pun.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Nabi Nuh عليه السلام yang mesti membina bahtera itu. Bukanlah malaikat yang membinanya. Bukan juga baginda mengarahkan orang lain membinanya dan baginda melihat sahaja. Maknanya mereka yang berdakwah, kena berusaha. Bukan lihat sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja buatkan kapal itu untuk baginda tetapi ini adalah ujian bagi Nabi Nuh عليه السلام juga. Kalau redha dengan ujian, maka Allah ﷻ akan redha kepada hamba itu seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Daripada [Anas bin Malik] daripada Rasulullah ﷺ, bahawa baginda bersabda: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan, dan sesungguhnya apabila Allah ﷻ mencintai suatu kaum maka Dia akan menguji mereka. Oleh kerana itu, barangsiapa redha (menerima cubaan tersebut) maka baginya keredhaan, dan barangsiapa murka maka baginya kemurkaan.”
(Sunan Ibn Majah (4021))
Status: Hasan

Ada pendapat yang mengatakan Allah ﷻ perintahkan Nabi Nuh عليه السلام membina kapal dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun. Kemudian membina kapal menggunakan kayu tersebut selama 40 tahun. Ada pendapat kata selama 100 tahun dan ada pendapat 400 tahun. Adapun bentuk dan keluasan kapal, terdapat banyak riwayat, antaranya:

    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.
    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 60 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 400 hasta, lebarnya 30 hasta dan tingginya tidak disebut.

Pendapat yang paling kuat dan ramai adalah yang pertama. Sekali lagi, ini bukanlah perkara penting yang kita perlu sibukkan.

 

بِأَعْيُنِنَا

dengan pengawasan Kami,

Bagaimanakah agaknya seorang lelaki yang tidak pernah pergi ke laut, yang tinggal dalam kalangan masyarakat yang kehidupan mereka bukan berdekatan dengan laut, tahu bagaimana hendak membina satu bahtera? Tentulah tidak boleh jikalau tanpa bantuan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang telah memberi bantuan dan penerangan tentang bagaimana hendak melakukannya. Kita kena ingat yang bahtera itu akan digunakan untuk melayari lautan yang luas. Bukan baginda sahaja yang akan naik, tetapi ramai lagi yang beriman yang akan naik dengan baginda. Bukan itu sahaja, binatang-binatang pun akan naik juga. Maka, bahtera ini bukan bahtera yang kecil, tetapi yang besar.

Apabila dikatakan yang bahtera itu dibuat di bawah pengawasan Allah ﷻ, itu bermakna Allah ﷻ melihat apa yang baginda lakukan. Allah ﷻ akan pastikan yang baginda buat dengan betul. Kita kadangkala memerlukan bantuan dan pengawasan sebegini untuk pastikan apa yang kita buat adalah perkara yang betul supaya tidak sia-sia apa yang kita buat. Terutamanya, kalau itu adalah pertama kali kita lakukan. Walaupun kita sudah ada manualnya. Sebagai contoh, katakanlah kita sudah ada resipi bagaimana memasak satu-satu jenis masakan. Walaupun kita sudah ada resipi, tetapi ia adalah lebih baik jika kita ada orang yang sudah biasa memasak masakan itu untuk memantau kita dan memastikan bahawa apa yang kita lakukan ada betul.

‘Dengan pengawasan’ juga bermaksud dengan ‘perlindungan Allah ﷻ’ juga. Tentunya ada yang hendak khianat kepada kerja Nabi Nuh عليه السلام itu, tetapi Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia akan memberi pengawasan kepada baginda sepanjang proses pembinaan kapal itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air. Di sini Allah ﷻ sebut mata-Nya banyak. Ini adalah jenis ayat mutasyahibat yang kita tidak perlu untuk bahaskan kerana kita tidak akan tahu bagaimana hakikatnya mata-mata Allah ﷻ itu.

 

وَوَحْيِنَا

dan dengan panduan wahyu Kami;

Allah ﷻ akan menghantar malaikat untuk mengajar Nabi Nuh عليه السلام bagaimana untuk buat bahtera itu. Kiranya, Allah ﷻ hantar arkitek dan jurutera kepada baginda. Kerana kalau tidak diajar sebegitu, tidak akan menjadi bahtera itu kerana Nabi Nuh عليه السلام tidak ada ilmu bagaimana hendak membuat bahtera. Jadi di sini kita tahu yang Allah ﷻ ajar bagaimana baginda patut membina kapal itu melalui Jibril عليه السلام, Adapun bentuknya seperti yang diriwayatkan bahawa Jibril عليه السلام mengajarnya membina kapal dan Allah ﷻ memerintahkannya untuk menjadikan kepala kapal seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung. Ekornya seperti ekor ayam jantan. Ia mempunyai tiga tingkat. Dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu. Dikatakan bilangan anak Adam atau manusia yang menyertai kapal tersebut:

    • 80 orang, separuh lelaki dan separuh perempuan.
    • Ada pendapat 72 orang dan isteri Nabi Nuh عليه السلام dan anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang, separuh daripadanya lelaki dan yang lain perempuan.
    • Ada pendapat 10 orang.
    • Ada pendapat lain daripada itu.

(https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2762-al-kafi-897-besar-bahtera-nabi-nuh-as)

 

وَلَا تُخٰطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا

dan janganlah engkau merayu kepadaKu terhadap mereka yang zalim itu,

Perkataan تُخَاطِبْنِي daripada katadasar خ ط ب yang bermaksud sejenis percakapan di mana seorang bercakap kepada orang lain (seperti khatib yang memberi khutbah). Ia adalah percakapan satu hala sahaja dan bukan dialog. Seperti khutbah Jumaat, bukannya perbincangan antara khatib dan jemaah. Khatib bercakap dan yang lain mendengar sahaja.

Semasa baginda membina bahtera itu, timbullah perasaan berat hati dalam Nabi Nuh عليه السلام, tentang nasib kaumnya yang akan mati nanti dalam banjir itu. Tentulah baginda rasa sedih kerana bila baginda lihat mereka, baginda sudah tahu bahawa mereka itu semuanya akan mati. Maka, Nabi Nuh عليه السلام terdetik dalam hatinya hendak memohon kepada Allah ﷻ supaya ditambah orang beriman kepada Allah ﷻ. Namun sebelum sempat baginda minta, Allah ﷻ telah beri kata dua: tidak boleh berdoa bagi pihak mereka. Allah ﷻ pesan supaya jangan minta tolong untuk mereka walaupun ahli keluarga baginda sekali pun. Di sini Allah sudah siap-siap bagi peringatan. Oleh itu Nabi Nuh عليه السلام tidak ada apa-apa lagi yang baginda boleh buat melainkan terima sahaja arahan dan keputusan dari Allah. Sudahlah baginda kena sabar dengan apa yang dilakukan oleh kaumnya terhadap baginda, tetapi baginda juga kena sabar dengan ketetapan Allah ﷻ.

Satu lagi tafsir ayat ini, tidak perlulah mengadu kepada Allah ﷻ tentang kaum baginda yang akan mengejek baginda nanti kerana membina kapal bahtera jauh dari laut. Atau mereka akan hina kerana baginda bina sesuatu yang mereka tidak pernah lihat. Memang akan ada yang akan mengejek, tetapi Allah ﷻ suruh buat sahaja, jangan layan mereka kerana kalau layan pun tidak berguna.

 

إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan”.

Penggunaan perkataan مُّغْرَقُونَ dalam isim maf’ul yang mengisyaratkan bahawa mereka itu tetap dan pasti akan ditenggelamkan. Iman mereka dan taubat mereka tidak akan diterima. Takdir mereka telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Nanti mereka akan mengejek akan apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu akan tetapi pengakhiran mereka adalah ditenggelamkan dalam laut. Maka tidak perlu layan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an