Tafsir Surah an-Nas Ayat 4 – 6 (Cara berlindung dari Syaitan)

Ayat 4: Sekarang masuk kepada perbincangan musta’az minhu (yang kita minta dilindungi darinya) pula. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah tentang permintaan perlindungan supaya terpelihara daripada kejahatan was-was.

مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ

Sahih International

From the evil of the retreating whisperer –

Malay

Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –

Kalimah شَرِّ bermaksud sesuatu keburukan yang boleh menyusahkan kita. Ianya adalah sesuatu yang amat buruk untuk kita. Ianya berasal daripada kata dasar ش ر ر yang bermaksud ‘percikan api’.

Siapa yang bisik? Allah ‎ﷻ tidak menggunakan perkataan ‘syaitan’ dalam ayat ini. Perkataan وَسْوَاسِ bukan sahaja bermaksud ‘bisik’. Ianya adalah daripada kata dasar و س و س  yang bermaksud ‘bisik’. Tetapi, ada juga perkataan lain untuk ‘bisik’ iaitu همس seperti yang digunakan dalam [Taha:108]. Apakah bezanya antara dua jenis bisikan itu?

Yang pertama, همس digunakan untuk membisikkan sesuatu yang baik ataupun buruk. Tetapi, وَسْوَاسِ hanya digunakan apabila yang dibisikkan itu adalah perkara yang buruk sahaja.

Yang kedua, apabila digunakan dua kali perkataan ‘was’ jadi ‘was-was’, bermaksud ianya sesuatu yang berterusan dan berulang-ulang.

Dari segi bahasa, الْوَسْوَاسِ bukan bermaksud ‘pembisik’ biasa sahaja, tetapi ianya dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) – kuat sangat membisikkan dan tidak berhenti. Kerana kalau pembisik sahaja, perkataan muwaswis boleh digunakan.

Oleh itu, perkataan الْوَسْوَاسِ bermaksud ‘pembisik’ dan bukan ‘bisikan’ kerana kalau ‘bisikan’, perkataan waswasa yang digunakan. Tetapi, kerana ada ال makrifah di dalam kalimah الْوَسْوَاسِ ini, maka ia tentu merujuk kepada sesuatu yang spesifik. Apakah ia?

Ulama’ sepakat mengatakan yang perkataan الْوَسْوَاسِ merujuk kepada syaitan. Pertama, kerana ada ال makrifah pada perkataan itu – yang dalam bahasa Arab, menunjukkan kepada sesuatu yang spesifik – bukan pembisik yang tidak tetap atau pembisik yang biasa sahaja.

Kedua, sifat yang sentiasa membisikkan keburukan dan tidak berhenti itu adalah hanya ada pada syaitan sahaja. Kerana syaitan memang tidak ada kerja lain. Kerja mereka menghasut manusia sahaja.

Kenapa kita minta berlindung daripada ‘pembisik’ itu dan bukan daripada ‘bisikan’ itu? Kerana ‘pembisik’ itu boleh melakukan lebih lagi daripada hanya ‘bisikan’ sahaja. Kita minta perlindungan daripada apa sahaja yang datang daripada syaitan itu. Tidak kira apa sahaja yang dia beri, kita hendaklah tolak.

Apakah yang dibisikkan ke dalam hati manusia? Ianya boleh jadi fikiran, idea, perasaan risau, takut, imaginasi dan sebagainya. Semua itu tidak ada realiti. Jadi, syaitan akan membisikkan ketakutan kepada perkara yang tidak ada. Sebab itu benda tidak akan jadi, namun kita sudah takut. Atau takut kepada sesuatu yang tidak buat apa-apa kepada kita. Kita sahaja bersangka ia ada kemudharatan, namun sebenarnya tidak.

Syaitan jugalah yang membisikkan perkara-perkara buruk yang menyebabkan dosa. Syaitan mahu kita melakukan dosa yang tidak disukai oleh Allah‎ ﷻ. Mereka mahu kita semuanya berdosa dan akhirnya masuk neraka bersama mereka.

Sifat syaitan itu juga diberitahu oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini, iaitu syaitan itu bersifat الْخَنَّاسِ yang bermaksud ‘pergi dan hilang’. Ia daripada kata dasar خ ن س yang bermaksud berundur, surut, bersara, tahan, tinggal di belakang, mengecil, menarik diri, menyorok. Dalam [Takwir:15] juga digunakan perkataan daripada kata dasar dan perkataan yang sama:

فَلَا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ

Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

Kalimah الْخَنَّاسِ dalam ayat surah Takwir ini merujuk kepada bintang yang timbul kemudian hilang daripada pandangan. Bukanlah bintang itu tidak ada, cuma menghilangkan diri sahaja, esok ia datang balik. Ini sama juga dengan syaitan. Syaitan hanya pergi sekejap sahaja dan akan datang kembali untuk menghasut kita.

Bila kita mengingati Allah ‎ﷻ, ia akan lari dan hilang. Tetapi syaitan tidak lari jauh. Ia pasti akan datang kembali. Ia akan sentiasa berusaha untuk mengganggu dan menghasut kita. Sebagai contoh, apabila waktu kita hendak solat, ia akan datang. Kerana itu, sekejap sahaja kita dapat berasa khusyuk, tetapi tidak lama selepas itu fikiran kita entah melayang ke mana. Ini adalah kerana bisikan daripada syaitan itu. Ia akan membisikkan perkara-perkara yang melalaikan kita di dalam solat. Ia tidak akan tinggalkan kita semasa kita sedang solat.

Semakin kuat iman kita, semakin kuat ia akan mengganggu. Semakin berilmu seseorang itu, yang dihantar adalah syaitan yang lebih kuat dan lebih bijak. Kalau orang yang tidak beriman, orang itu sudah memang kawan syaitan. Tetapi kalau beriman, mereka itulah yang akan dikacau dengan lebih teruk lagi. Sebab itu apabila kita belajar agama, kita kena berhati-hati dan minta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada gangguan syaitan.

Antaranya, bimbang walaupun kita sudah belajar agama, sudah pandai, sudah mengajar, tetapi masih boleh lagi dihasut oleh syaitan. Tidak kira sama ada seseorang itu yang belajar agama, hatta yang mengajar sekali pun. Syaitan akan mencari peluang untuk menghasut kita. Janganlah kalau kita rasa kita sudah pandai, kita sangka yang syaitan tidak boleh hasut kita lagi.

Ingatlah yang semua diberi dugaan dihasut oleh syaitan. Nabi Adam عليه السلام juga pernah terkena hasutan sampaikan baginda telah diturunkan ke bumi. Maka, tidak ada yang terselamat. Oleh itu, kita hendaklah meminta perlindungan kepada Allah‎ ﷻ.

Dalam Sunan Nasa’i, ada diriwayatkan hadith daripada Nabi ﷺ tentang bagaimana syaitan mengganggu manusia.

أَخْبَرَنَا قُتَيْبَةُ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ فَإِذَا قُضِيَ النِّدَاءُ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلاَةِ أَدْبَرَ حَتَّى إِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الْمَرْءُ إِنْ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Qutaibah dari Malik dari Abu Az-Zinad dari Al-A’raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Apabila adzan dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran sambil terkentut hingga ia tidak mendengar suara adzan. Jika adzan telah selesai, maka syaitan datang lagi. Ketika iqamah dikumandangkan, maka syaitan lari bertempiaran lagi. Dan saat iqamah selesai, maka syaitan kembali lagi. Sehingga syaitan ini masuk ke benak seseorang dan berkata; “Ingat ini, ingat itu, terhadap hal-hal yang tadinya dia lupakan. Sampai seseorang tidak tahu berapa jumlah raka’at yang telah dia kerjakan.”

Syaitan juga akan menyebabkan manusia menjadi marah. Apabila manusia marah, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan berkata sesuatu perkara yang dia juga akan menyesal nanti.

وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال‏:‏ كنت جالساً مع النبي صلى الله عليه وسلم، ورجلان يستبان، وأحدهما قد احمر وجهه، وانتفخت أوداجه‏.‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ إني لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد، لو قال‏:‏ أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ذهب منه ما يجد‏”‏‏.‏ فقال له‏:‏ إن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏”‏ تعوذ بالله من الشيطان الرجيم‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏.‏

Aku sedang duduk dengan Rasulullah ( ﷺ ) ketika dua orang lelaki mula bergaduh dan mengutuk antara satu sama lain dan wajah salah seorang daripada mereka menjadi merah dan urat lehernya telah bengkak (dari kemarahan ). Rasulullah ( ﷺ ) berkata , “Aku tahu satu perkataan yang jika dia mengucapkan dengannya, kemarahan itu akan hilang dan perkataan itu adalah: A’udhu billahi minash-Shaitan nir-rajim (aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam).” Maka mereka (sahabat ) itu berkata kepada lelaki itu: “Nabi ( ﷺ ) memberitahu kamu untuk mengucapkan: ‘ Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, yang direjam”. [Al-Bukhari dan Muslim].

Maka, syaitan akan sentiasa sahaja ada di sekitar kita dan mengambil peluang untuk menghasut kita. Memang tidak boleh dihalau seperti mana kita menghalau nyamuk. Maka, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita meminta perlindungan daripada syaitan.


Ayat 5:

الَّذي يُوَسوِسُ في صُدورِ النّاسِ

Sahih International

Who whispers [evil] into the breasts of mankind –

Malay

Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia, –

Allah ‎ﷻ menerangkan pula apakah yang dilakukan oleh syaitan. Kalau sudah syaitan, tentulah tugasnya menghasut, bukan? Contohnya, kalau guru tentulah tugas dia akan mengajar, bukan? Tidak perlu hendak sebut lagi sebenarnya, tetapi Allah ‎ﷻ sebut sifat syaitan dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang syaitan akan tetap menghasut manusia sampai bila-bila.

Syaitan bisikkan was-was dalam صُدُورِ (dada) manusia. Iaitu satu tempat yang kita tidak nampak walaupun ianya ada pada diri kita. Jadi kita tidak tahu apa yang terjadi di dalam dada kita. Ini lebih bahaya sebab kita tidak nampak dan tidak tahu apa yang berlaku di dalamnya. Kalau X-Ray sekalipun, kita tidak nampak syaitan melakukan kerja di dalamnya. Tetapi, Allah ‎ﷻ nampak dan tahu apa yang berlaku. Maka, kerana itu kita hendaklah meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ menyebut yang syaitan hanya dapat memasuki ‘dada’ sahaja. Bukan dalam ‘hati’ lagi. Perumpamaan yang kita boleh ambil adalah: hati itu seperti istana dan di keliling istana itu adalah taman dan kawasan lapang. Syaitan hanya boleh berlegar dalam kawasan luar sahaja, tetapi tidak boleh masuk ke dalam istana. Kunci istana atau hati itu ada pada diri kita.

Kalau kita beri kunci itu kepada syaitan, baru syaitan boleh masuk ke dalam hati dan menghasut kita. Syaitan akan cantikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Yang bidaah juga dinampakkan cantik pada pandangan mata kita. Kalau buat perkara yang berdosa dan hina, seakan tidak mengapa sahaja. Sebaliknya, kalau kita ada iman, kita akan benci kepada benda-benda salah dan berdosa.

Syaitan menempatkan dirinya di luar hati manusia. Apabila manusia lalai daripada mengingati Allah ‎ﷻ, syaitan akan melemparkan was-was ke dalam hati manusia. Apabila kita mengingati Allah‎ ﷻ, syaitan akan berhenti (sebentar). Apabila kita lupa mengingati Allah‎ ﷻ, syaitan akan datang kembali.

Syaitan tidak akan lelah, sentiasa sahaja menunggu peluang untuk bertindak. Syaitan memang akan berjuang keras untuk memasukkan manusia ke dalam neraka. Kita mungkin lupa mereka, tetapi mereka tidak akan lupa kepada kita. Kerana menghasut itulah kerja mereka.

Kita semua telah diberikan dengan qarin (pendamping daripada kalangan jin) yang sentiasa bersama kita. Qarin itu akan sentiasa menyuruh kita melakukan keburukan. Ini seperti yang telah diberitahu oleh Nabi ﷺ sendiri:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ »

Sesungguhnya syaitan berjalan dalam manusia seperti perjalanan darah.”

Syarah: Nabi ﷺmengatakan jin dalam tubuh beredar ‘seperti’ darah beredar. Bukanlah ia bermaksud jin itu duduk dalam darah pula. Jadi, tidak boleh pergi lakukan Haemodialysis untuk cuci darah buang jin pula. Kalau bekam darah sekalipun, jin itu tidak hilang dalam tubuh kita.

Apabila hasutan itu dibisikkan dalam hati dan hati mengikut, akan menyebabkan kerosakan dan masalah kepada diri kita. Kerana badan akan ikut hati. Hatilah yang mengawal segala pergerakan tubuh. Yang berjalan ke pusat pelacuran memang kaki, tetapi yang menyuruhnya adalah hati; yang minum arak memang tangan dan mulut, tetapi yang menyuruh adalah hati juga.

Kita minta Allah ‎ﷻ melindungi kita daripada syaitan supaya tidak datang langsung. Jangan beri peluang dia bisik juga. Jangan beri peluang dia bisik dari awal lagi. Kerana takut kalau sudah bisik, kita dengar dan ikut pula.


Ayat 6: Ayat 6 ini adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Permohonan perlindungan juga dipohon untuk keselamatan daripada kejahatan manusia dan jin.

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ

Sahih International

From among the jinn and mankind.”

Malay

“(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia”.

Kita minta perlindungan daripada hasutan jin dan manusia. Ini bermakna, syaitan itu ada dua jenis. Yang tidak nampak dan nampak. Ada syaitan dalam bentuk manusia. Manusia? Bagaimana pula ada syaitan yang dalam bentuk manusia pula? Ini satu perkara yang ramai daripada kalangan masyarakat kita yang jahil dengan wahyu susah hendak terima. Kerana, mereka menyangka syaitan itu daripada kalangan jin sahaja.

Ada pelbagai cara syaitan mengganggu kita. Pertama, syaitan akan menghantar manusia untuk mengganggu kita. Atau, jika dia tidak dapat mengganggu kita, dia akan ganggu pula anak dan isteri kita. Sebagai contoh, katakanlah kita hendak melakukan solat sunat. Dia akan hantar anak isteri kita untuk mengganggu kita dan minta macam-macam.

Ini adalah apabila syaitan  menggunakan orang lain untuk mengganggu kita, terutama sekali dengan orang yang dekat dengan kita dan kita memang sayang. Syaitan memang bijak mencari jalan untuk menghasut kita dan melalaikan kita.

Keduanya, ada jin yang menggunakan manusia dalam menghasut manusia. Dia akan hasut orang lain supaya menghasut pula kita. Dia jadikan orang lain sebagai boneka. Sebagai contoh, kalau hendak menghasut lelaki, jin akan menghasut perempuan untuk menggoda lelaki.

Ayat ini juga adalah dalil bahawa syaitan juga ada daripada kalangan manusia. Manusia juga ada bisikan kepada kita untuk lakukan keburukan. Ramai manusia yang mengajak kepada keburukan. Kalau begitu, mereka itu adalah syaitan. Mungkin ramai yang menyangka syaitan itu daripada kalangan jin sahaja. Tetapi, itu adalah syaitan daripada jenis jin dan ada juga syaitan daripada kalangan manusia.

Ini adalah kerana ‘syaitan’ itu adalah ‘sifat’. Iaitu sifat menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Kalau jin yang menjauhkan manusia, maka ia adalah syaitan; dan kalau manusia yang lakukan kerja menjauhkan manusia daripada Allah‎ ﷻ, maka dia juga ‘syaitan’.

Makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja: manusia, jin dan malaikat. Syaitan bukanlah satu jenis makhluk lain. Syaitan ini adalah sifat sahaja, jadi manusia boleh jadi syaitan dan jin juga boleh jadi syaitan. Kalau kita katakan syaitan itu makhluk jenis lain, maka kita sudah kata ada empat makhluk yang ada akal pula.

Termasuk dalam golongan manusia yang menghasut dan menyebabkan was-was, adalah mereka yang merendahkan martabat Nabi ﷺ kita. Mereka banyak melakukan kajian dan kononnya mereka mengatakan Nabi ﷺ menipu, Nabi ﷺ tidak benar dan sebagainya. Antaranya, mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ sama sahaja seperti manusia biasa dan tidak ada kelebihan pada diri baginda.

Sampaikan ada golongan jahil yang kononnya hanya mahu menerima Al-Qur’an sahaja, hadith mereka tidak mahu terima. Inilah antara was-was yang dibawa oleh manusia yang sesat. Ada juga di kalangan orang kita yang termakan dengan hujah-hujah mereka kerana kekurangan ilmu.

Allah ‎ﷻ sebut syaitan daripada kalangan jin dahulu sebelum manusia kerana syaitan jin adalah yang lebih pandai dalam menghasut manusia dan memberikan was-was ke dalam diri manusia.

Penutup:

Surah ini bukan sahaja berkait rapat dengan surah al-Falaq seperti yang kita sebutkan di awal tafsir ini, tetapi surah ini juga berkait rapat dengan surah al-Fatihah. Apabila Nabi Muhammad ﷺ habis sahaja membaca surah an-Nas dalam tilawah baginda, baginda akan terus membaca surah al-Fatihah pula.

Kerana bukanlah bacaan Surah an-Nas ini sebagai penutup pembacaan Al-Qur’an. Sunnahnya adalah terus sambung dengan membaca surah al-Fatihah. Memang ada kaitan Surah an-Nas ini dengan surah al-Fatihah juga:

1. Dalam surah al-Fatihah ini kita memohon hidayah dan dalam surah an-Nas kita memohon perlindungan.

2. Ketiga-tiga nama Allah ‎ﷻ ada persamaan dalam kedua-dua surah ini.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ = الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
مَلِكِ النَّاسِ = مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِلَٰهِ النَّاسِ = إِيَّاكَ نَعْبُدُ

3. Dalam surah al-Fatihah digunakan ‘kami’ kerana pertolongan yang diperlukan (hidayah) bersifat umum dan dalam surah an-Nas, permintaan perlindungan lebih bersifat individu. Sebab itu di dalam surah an-Nas, permintaan itu kepada ‘aku’ sahaja.

4. Dalam surah al-Fatihah, kita minta dijauhkan daripada dua kumpulan (golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat) dan surah an-Nas pula, dua kumpulan juga (jin dan manusia).

5. Surah al-fatihah dibahagikan kepada dua bahagian dan begitu juga surah an-Nas ini. Bahagian pertama al-Fatihah adalah daripada permulaan surah sampai kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Bahagian kedua pula adalah bahagian doa yang dimulai dengan وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Bahagian pertama surah an-Nas pula adalah daripada permulaan surah sampai إِلَٰهِ النَّاسِ. Dan ayat seterusnya sampai ke penghujung surah adalah bahagian kedua.

6. Nabi Adam عليه السلام diturunkan ke dunia adalah kerana helah iblis yang menghasut Nabi Adam عليه السلام. Kisah itu disebut di tujuh tempat di dalam Al-Qur’an. Syaitan telah berjanji akan menyesatkan manusia. Ini disebut dalam surah [A’raf:16]

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Lihatlah janji iblis hendak menghalang manusia dari jalan yang lurus. Juga bukankah dalam surah al-Fatihah, kita meminta Allah ‎ﷻ memberi kita petunjuk kepada jalan yang lurus?

Dan dalam ayat seterusnya iblis berkata:

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Iblis kata kebanyakan daripada manusia tidak bersyukur. Juga apakah ayat pertama di dalam surah al-Fatihah? Bukankah kita mengucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ dengan menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ? Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk bersyukur di dalam surah itu. Ayat pertama lagi Allah ‎ﷻ sudah ajar kita bersyukur dengan menyebut ‘alhamdulillah’.

Dalam banyak-banyak hasutan was-was syaitan itu, apakah hasutan yang paling kita mesti berhati-hati sekali? Lihatlah apa Allah ‎ﷻ beritahu yang dilakukan oleh syaitan kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawa, dalam surah [A’raf:20].

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

Syaitan telah menyebabkan aurat Nabi Adam عليه السلام dan Hawa terbuka. Begitulah syaitan sampai sekarang juga akan menyebabkan perkara yang sama kepada manusia. Syaitan akan menyebabkan perhubungan lelaki dan perempuan seperti tidak ada apa-apa kalau berjumpa tanpa hubungan yang sah. Ia akan menyebabkan lelaki dan perempuan tertarik sesama sendiri. Kalau dengan isteri tidak berapa hendak bercakap, tetapi dengan orang lain, banyak bercakap pula.

Kalau dalam media massa, kita dan anak-anak kita senang sahaja melihat aurat lelaki dan perempuan. Dalam masyarakat pula seperti sudah biasa kalau lelaki dan perempuan bercampur gaul sesama sendiri. Kita juga sudah biasa sahaja melihat orang tidak tutup aurat dan tidak kuasa juga hendak menegur.

Jadi, di negara kita juga sudah seperti negara kufar. Seperti tiada beza. Itulah kejayaan syaitan dalam merosakkan agama kita. Mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana hendak menyesatkan manusia.

7. Permulaan Al-Qur’an iaitu al-Fatihah adalah doa dan surah an-Nas sebagai penghujung Al-Qur’an juga adalah tentang doa juga. Maka, jangan kita lupa kekuatan dan kepentingan doa.

Allahu a’lam. Sambung terus kembali membaca [Surah Fatihah]. Apabila Nabi Muhammad ﷺ selesai membaca surah ini, Nabi ﷺ tidak terus berhenti, namun baginda terus sambung semula kepada surah al-Fatihah. Jangan berhenti terus di surah an-Nas ini.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair:

Tafsir Surah an-Nas Ayat 1 – 3 (Bahaya sombong)

Pengenalan:

Dalam perbincangan tentang tafsir surah al-Falaq sebelum ini, kita dituntut untuk memohon perlindungan kepada Allah ‎ﷻ agar dijauhkan daripada hasad dengki sesama manusia/makhluk lain terhadap diri kita.

Daripada perbincangan tersebut, kita telah pun sedia maklum, siapakah yang memiliki sifat dengki dan hasad yang tinggi terhadap manusia? Yang demikian itulah syaitan yang sememangnya dari dahulu lagi menaruh sifat dengki kepada manusia kerana Allah ‎ﷻ menurunkan Adam عليه السلام dan anak cucunya ke muka bumi sebagai Khalifah.

Bukan sahaja syaitan yang menaruh kedengkian terhadap manusia, tetapi kedengkian manusia kepada manusia yang lain juga adalah akibat daripada hasutan syaitan. Merekalah yang membisikkan kata-kata yang menyebabkan rasa iri hati timbul dalam diri manusia, misalnya dengan berkata: “enkau tengok orang itu, kenapa dia naik pangkat tetapi engkau tidak naik pangkat? Apa bagusnya dia?” Dan hasutan-hasutan yang seumpama dengannya.

Maka, apabila kita memohon perlindungan kepada Allah‎ ﷻ, hendaklah yang pertama sekali kita dahulukan adalah permohonan perlindungan daripada syaitan. Berkesinambungan daripada situ, penulisan kali ini iaitu Tafsir surah an-Nas, adalah tentang permohonan perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada syaitan.

Sebelum ini, kita telah belajar tafsir surah al-Falaq. Ada beberapa kaitan antara surah al-Falaq dan surah an-Nas ini:

1. Surah al-Falaq membicarakan tentang gangguan dari luar manakala surah an-Nas ini pula membicarakan tentang gangguan yang sudah masuk ke dalam diri kita.

2. Surah al-Falaq menyentuh perkara-perkara yang berada di luar kawalan kita iaitu tentang makhluk lain, keburukan waktu malam, sihir dan juga orang yang hasad terhadap kita. Manakala surah an-Nas ini adalah tentang sesuatu yang dalam kawalan kita.

Walaupun hasutan itu datang daripada syaitan, tetapi kita boleh mengawalnya dan memilih sama ada untuk mengikuti hasutan itu; atau melawannya dan tidak melakukan apa-apa. Kita telah pun diberi peringatan supaya jangan mengikuti keburukan yang dihasut oleh syaitan itu. Jadi tanggungjawab untuk menepis dan tidak mengikuti hasutan syaitan itu terletak pada bahu kita.

Seandainya kita melakukan perkara yang salah, wajarkah kita memberi alasan ‘saya buat dosa itu sebab syaitan yang hasut saya’? Tentu alasan ini tidak dapat diterima. Kerana kita telah diberitahu supaya jangan ikut hasutan syaitan. Maka, kalau kita ikut juga, maka salahnya pada diri kita.

3. Keburukan yang dinyatakan dalam surah al-Falaq adalah keburukan luaran manakala keburukan yang disebut dalam surah an-Nas adalah keburukan dalaman iaitu serangan terhadap agama kita. Maka, peringatan yang disebut dalam surah an-Nas ini lebih berat.

4. Ada perbezaan pada susunan dalam surah al-Falaq dan surah an-Nas. Sebelum itu, kita kena faham beberapa terma yang berkaitan:

Musta’az bihi – tempat kita minta perlindungan – dalam kedua-dua surah itu, kita meminta perlindungan kepada Allah‎ ﷻ.

Musta’az minhu – daripada apakah kita minta Allah ‎ﷻ lindungi kita? Dalam erti kata lain, kita hendak Allah ‎ﷻ lindungi kita daripada apa?

Dalam surah al-Falaq, ada satu sahaja musta’az bihi dan banyak musta’az minhu – daripada keburukan makhluk, malam, sihir dan hasad. Sedangkan dalam surah an-Nas ini, ada banyak disebut musta’az bihi dan satu sahaja musta’az minhu – syaitan dan bisikannya. Hal ini yang akan dibincangkan dengan panjang lebar nanti dalam tafsir surah an-Nas .

5. Dalam surah al-Falaq, kita belajar memohon perlindungan daripada perasaan hasad dengki dan sihir. Syaitanlah yang banyak terlibat dalam mewujudkan perasaan dengki dalam diri manusia dan merekalah yang mengajar sihir kepada manusia.

Kepentingan Surah An-Nas:

Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk meminta pertolongan kepada-Nya. Tetapi, Siapakah Allah‎ ﷻ ? Allah ‎ﷻ menyebut Sifat-Nya dalam surah ini. Kita akan sentuh nanti.

Siapakah yang sebenarnya memerlukan perlindungan? Yang perlu meminta perlindungan adalah golongan yang lemah iaitu kita manusia yang tidak ada kekuatan tanpa bantuan Allah‎ ﷻ. Tidak ada sesiapa yang sempurna. Maka, kita perlu meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ sentiasa. Bahkan, Nabi Muhammad ﷺ pun meminta pertolongan dan perlindungan kepada Allah‎ ﷻ.

Perlu kita sedari bahawa tidak ada sesiapa pun yang mampu menolong kita melainkan Allah ‎ﷻ izinkan. Jika ada pun usaha daripada makhluk lain yang cuba menolong, maka pertolongan yang dihulurkan itu adalah umpama sarang lebah sahaja – lemah. Jadi hindarilah diri kita daripada terlalu bergantung kepada makhluk.

Memang kadang-kadang kita akan meminta pertolongan kepada manusia, tetapi pengharapan pertama kita sepatutnya diletakkan kepada Allah ‎ﷻ terlebih dahulu. Janganlah kita meminta pertolongan kepada manusia terlebih dahulu, selepas itu barulah hendak minta pertolongan daripada Allah‎ ﷻ. Hendaklah berdoa dahulu meminta pertolongan daripada Allah ‎ﷻ, kemudian baru meminta tolong kepada manusia.

Seperti yang kita sudah sedia maklum, terdapat saranan daripada Nabi ﷺ supaya kita membaca dua surah ini pada waktu malam dan siang terutama setiap kali selepas solat fardhu (jangan tinggalkan amalan ini) kerana kita sentiasa diganggu dan sentiasa memerlukan pertolongan dan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ.

Selain dari selepas solat, dianjurkan juga membaca dua surah muawwizatain ini sebelum tidur dan selepas kita bangun daripada tidur pada waktu pagi.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia tentang permintaan perlindungan kepada Dzat yang Maha Kuasa, Raja dan dalam masa yang sama adalah ilah juga.

قُل أَعوذُ بِرَبِّ النّاسِ

Sahih International

Say, “I seek refuge in the Lord of mankind,

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

Ayat ini dimulai dengan perkataan قُلْ (katakanlah). Allah ‎ﷻ menyuruh kita membaca ayat seterusnya lalu kita terus kan membaca. Nampak seperti mudah, tetapi ini menandakan kita taat kepada Allah‎ ﷻ. Ini memberi isyarat yang asbab (sebab) doa kita diterima adalah dengan melakukan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

Begitulah manusia yang selalu risau jika doanya tidak dimakbulkan. Padahal, mereka tidak melakukan perkara yang membantu doa mereka untuk dimakbulkan. Salah satunya adalah taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Jika kita memandang mudah atau tidak menghiraukan perintah Allah ‎ﷻ, tetapi kita mahukan doa kita dimakbulkan oleh-Nya, adakah itu sesuatu tindakan yang betul?

Analoginya adalah seperti kita di tempat kerja: Kita sebagai pekerja tidak melakukan kerja seperti yang disuruh majikan, tetapi kita mahukan gaji penuh dan sentiasa meminta kenaikan gaji. Adakah wajar sifat sedemikian rupa? Tentulah permintaan kita tidak akan dilayan.

Perkataan قُلْ juga adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ supaya kita *menzahirkan* permintaan kita kepada Allah ‎ﷻ. Janganlah bersifat ego sehinggakan tidak mahu meminta kepada Allah ‎ﷻ secara zahir. Dengan mengatakan perkataan ini dan membaca keseluruhan ayat, menunjukkan yang kita ini merendah diri serta mengharap kepada Allah‎ ﷻ. Kita meletakkan diri kita dalam perlindungan Allah‎ ﷻ. Kita sebut dengan terang, tanpa menyembunyikan lagi keperluan diri kita.

Kenapa dalam ayat ini disebut ‘Tuhan manusia’? Padahal Allah ‎ﷻ Rabb kepada semua makhluk dan bukan hanya kepada manusia sahaja. Kenapa dikhususkan manusia dalam ayat ini?

Ulama’ mengatakan terdapat beberapa sebab kenapa disebut رَبِّ النَّاسِ dalam ayat ini:

1. Sebagai penghormatan kepada manusia. Allah ‎ﷻ letakkan nama-Nya di sebelah nama ‘manusia’.

2. Kadang-kadang kita takut dengan manusia kerana manusia memang boleh menyusahkan dan menyakiti kita. Maka, kita disuruh meminta kepada Allah‎ ﷻ, Tuhan kepada manusia. Allah‎ ﷻ yang boleh mengawal manusia kerana Dialah yang mencipta manusia dan Allah ‎ﷻ berkuasa sepenuhnya terhadap manusia.

3. Kerana sememangnya manusia yang memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ untuk melindungi diri daripada hasutan syaitan. Makhluk yang lain tidak memerlukan perlindungan daripada syaitan – langit tidak perlu, bintang tidak perlu dan begitu juga makhluk-makhluk lain. Tetapi, manusia amat-amat memerlukan perlindungan dan pertolongan kepada Allah ‎ﷻ daripada gangguan syaitan.

Maksud ‘Rabb’

Apakah maksud ‘Rabb’? Dalam bahasa Arab, ianya mempunyai banyak makna. Ianya bermaksud ‘tuan’ tetapi tuan yang memiliki secara keseluruhan – absolute owner. Kerana ada perkataan lain yang boleh digunakan untuk ‘tuan’ – iaitu ‘maalik’. Tetapi apabila digunakan perkataan ‘Rabb’, ia bermaksud tuan secara keseluruhan.

Bukan itu sahaja maksud ‘Rabb’. Ada banyak maksud lagi. Dalam perkataan ‘Rabb’ itu, ada lagi beberapa makna yang tersirat:

1. Sayyid – yang berkuasa penuh. Kadang-kadang kita memiliki sesuatu tetapi kita tidak berkuasa penuh. Sebagai contoh, kita ada kereta, tetapi kita tidak berkuasa penuh terhadap kereta itu, kita tidak boleh melakukan sesuka hati kita dengan kereta itu – kita harus mendapatkan lesen untuk memandunya, harus memandu di jalan raya dan ikut peraturan jalan raya, tidak boleh memandu melebihi kelajuan yang dibenarkan, kalau hendak ubahsuai kereta lebih-lebih juga tidak boleh.

Jikalau kereta meragam di pagi hari semasa hendak pergi kerja, kita juga tidak boleh arahkan kereta tetap jalan. Jadi, memiliki, tidak semestinya berkuasa penuh ke atas sesuatu. Akan tetapi, apabila seseorang itu ‘Sayyid’, dia berkuasa penuh ke atas sesuatu barang itu. Apa sahaja dia hendak lakukan kepada hartanya itu, dia boleh lakukan.

Nota tambahan: Ini adalah satu lagi hujah melarang menggunakan gelaran Sayyidina untuk Rasulullah ﷺ. Ini adalah kerana ‘Sayyid’ adalah salah satu daripada sifat ketuhanan. Maka hendaklah elakkan daripada meletakkan sifat ketuhanan kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana agama sebelum Islam banyak yang sesat kerana perkara seperti ini. Sebagai contoh, Nasrani telah memberi sifat ketuhanan kepada Nabi Isa عليه السلام hingga agama itu terus sesat.

Ada pun larangan ini untuk Nabi Muhammad ﷺ sahaja, bukannya untuk para sahabat. Kerana tidak ada kebarangkalian kita meninggikan kedudukan para sahabat ke tahap ketuhanan. Maka tidak salah kalau kita berikan gelaran Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar dan sebagainya.

2. Murabbi – yang membangunkan/menumbuhkan sesuatu sampai membesar, yang menjaga – ada kena mengena dengan perkataan ‘tarbiyah’. Seperti ibubapa kita yang memberi tarbiyah kepada diri kita. Juga guru yang mendidik kita dalam ilmu agama.

Oleh itu, dalam perkataan ‘Rabb’, ada termasuk maksud ‘murabbi’ dalam maknanya. Apakah maksudnya? – Kadang-kadang, kita ada memiliki sesuatu, tetapi kita tidak menjaganya – sebagai contoh, kita ada laman belakang rumah kita, dan ia memang hak kita, tetapi kita tidak menjaganya, biar sampai banyak lalang, bukan? Kita ada kereta, tetapi kadang-kadang ada pemilik kereta yang tidak menjaga keretanya; kita ada komputer tetapi kita tidak membersihkan isi dalamnya.

Allah ‎ﷻ bukan sahaja memiliki sepenuhnya manusia itu, tetapi Dia juga mentarbiyah manusia. Dialah  yang membesarkan kita daripada bayi sampaikan dewasa dan sampai ke tua; Dia juga yang memberikan ilmu kepada kita dan mendidik kita menjadi insan.

3. Mursyid – memberi petunjuk. Allah ‎ﷻ memberi petunjuk ke arah jalan yang benar kepada manusia. Allah ‎ﷻ tidak membiarkan manusia begitu sahaja.

4. Mun’im – memberi pemberian. Seorang tuan kepada hambanya, tidaklah perlu memberi apa-apa pemberian kepada hambanya, kerana dia memiliki sepenuhnya hambanya itu – tetapi Allah ‎ﷻ memberi dengan banyak tidak terkira banyaknya kepada hamba-Nya.

5. al-Qayyim – Allah ‎ﷻ jua yang memastikan kelangsungan hidup makhluk itu. Hanya kerana Allah ‎ﷻ jua yang menyebabkan kita masih wujud. Kalau bukan kerana Allah‎ ﷻ, kita tidak ada.

Perkataan ‘Rabb’ ini adalah amat penting sekali, kerana sifat inilah yang Allah ‎ﷻ pertama-tama kenalkan Diri-Nya kepada Nabi Muhammad ﷺ – dalam ayat [al-‘Alaq:1] dan juga kepada Nabi Musa عليه السلام – dalam ayat [Taha:12] . Dalam kedua-dua contoh ini, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kedua-dua Rasul itu sebagai ‘Rabb’ sebelum Dia menyebut namaNya Allah ‎ﷻ. Maka, dalam Surah an-Nas ini pun, Allah‎ ﷻ menggunakan perkataan ‘Rabb’ untuk memperkenalkan Diri-Nya.

Kita perlu mengenali siapa Allah ‎ﷻ dan menyedari kedudukan diri kita di sisi Allah‎ ﷻ. Setelah sekian lama kita belajar baca Al-Qur’an dan Tafsir Al-Qur’an, apakah kesimpulan yang kita boleh ambil daripada keseluruhan Al-Qur’an ini? Kesimpulan padat yang boleh diambil adalah: Allah ‎ﷻ adalah Rabb kita dan kita adalah hamba-Nya.

Keseluruhan Al-Qur’an 30 juzuk boleh diringkaskan sebegitu. Semua ayat membawa kepada pemahaman ini. Oleh kerana itu kita wajib menerima Allah ‎ﷻ sebagai Rabb dan kita hanya dapat menyedari hakikat yang diri kita adalah hamba dengan menurut perintah Allah ‎ﷻ dalam segala hal.

Orang yang kufur adalah kerana mereka tidak dapat menerima Allah ‎ﷻ sebagai Rabb mereka. Jika mereka menerima Allah ‎ﷻ sebagai Rabb, secara automatik mereka terpaksa menerima yang mereka adalah ‘hamba’. Jelas, itulah hakikat yang mereka susah hendak terima dan mereka ingkari.

Ini kerana mereka sedar apa yang perlu dilakukan oleh ‘hamba’ ialah taat dan menerima apa sahaja kehendak dan arahan Allah‎ ﷻ. Berbicara untuk menjadi taat memang mudah. Namun hakikatnya, hal ini memerlukan masa sepanjang hidup kita untuk belajar dan menerimanya.

Apabila kita sudah mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan kita dengan sebenar-benarnya, maka kita akan diselamatkan daripada hasutan syaitan. Allah ‎ﷻ telah menjanjikan perkara ini sebagaimana yang difirmanNya dalam surah [Al-Hijr:42]

إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ

“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Maksud عِبَادِي (hambaKu) dalam ayat ini adalah mereka yang benar-benar menghambakan diri kepada Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam ayat ini bahawa syaitan tidak dapat menyesatkan mereka yang mengaku sebagai hamba kepadaNya. Mereka itulah yang selamat daripada hasutan syaitan.

Maka Surah an-Nas ini adalah tentang meminta perlindungan daripada syaitan. Dalam ayat pertama Allah ‎ﷻ telah pun memberi isyarat bagaimana hendak menyelamatkan diri kita daripada syaitan. Iaitu, menjadi hamba sebenar-benar hamba kepada Allah‎ ﷻ.


Ayat 2:

مَلِكِ النّاسِ

Sahih International

The Sovereign of mankind.

Malay

“Yang Menguasai sekalian manusia,

Allah ‎ﷻ mengatakan yang Dia adalah ‘Raja Manusia’. Perkataan ini digunakan dalam ayat ini sebab seorang raja memiliki kuasa yang  membolehkan dia melakukan segalanya. Dan Allah ‎ﷻ adalah Malikul Muluk (Raja segala raja).

Dalam perkataan Rabb, sudah ada maksud ‘maalik’ tetapi tidak ada maksud ‘Malik’. Kerana seorang yang memiliki sesuatu, tidak semestinya ‘raja’ kepada sesuatu benda itu. Sebagai contoh, kalau kita katakan kita memiliki sebidang tanah, tidaklah kita dikatakan sebagai ‘raja tanah’ itu pula, bukan?

Tetapi Allah ‎ﷻ, bukan sahaja memiliki sekalian manusia, tetapi Dia juga adalah Raja yang sebenar-benar raja kepada manusia.


Ayat 3:

إِلٰهِ النّاسِ

Sahih International

The God of mankind,

Malay

“Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

Seperti yang kita terangkan sebelum ini, dalam surah al-Falaq, ayat penerangan tentang Allah‎ ﷻ pendek sahaja – hanya ada satu ayat sahaja, sedangkan perkara yang kita minta perlindungan daripadaNya yang banyak. Tetapi, dalam surah an-Nas ini, penerangan tentang Allah ‎ﷻ yang banyak, tetapi yang kita minta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ satu sahaja – syaitan.

Ulama’ membincangkan juga kenapa begitu? Kata mereka, dalam surah an-Nas, kita lebih mengharapkan perlindungan Allah ‎ﷻ kerana perlindungan daripada syaitan itu lebih berat. Kalau kita terpedaya dengan bisikan syaitan, kita boleh sampai menggadai iman kita. Kesannya amat buruk.

Perkataan ‘Ilah’ selalunya diterjemah: ‘yang layak disembah’. Ini pun sudah cukup bagus daripada hanya menterjemahkan sebagai ‘Tuhan’ sahaja. Tetapi, kita akan berikan penerangan yang lebih lagi tentang maksud perkataan ‘Ilah’.

Ilah bermaksud kita obses dengan sesuatu dan ia mengandungi maksud taat di dalamnya – bukan hanya sekadar obses sahaja. Dalam maksud ‘taat’ itu ada juga maksud melakukan ibadat.

Ketaatan yang dimaksudkan merangkumi perkara yang lebih besar dan tidak semestinya hanya beribadah sahaja. Oleh itu, terjemahan: laa ilaaha illallah sebagai ‘tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah’, masih belum cukup sempurna. Kerana apabila Firaun mendakwa dirinya sebagai ‘Ilah’ kepada pembesarnya dalam surah [al-Qasas:38] , bukanlah Firaun hendak pembesarnya melakukan ibadat kepadanya, tetapi taat kepadanya, bukan? Justeru, ‘Ilah’ bukan hanya bermaksud ‘tempat melakukan ibadat’ sahaja.

وَقالَ فِرعَونُ يا أَيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيري
Dan Firaun pula berkata: “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang ilah yang lain daripadaku‘ seperti yang disebut dalam surah [Al-Jatsiyah:23], tidaklah kita melakukan ibadat kepada nafsu kita, tetapi kita ‘taat’ kepada nafsu kita itu.

أَفَرَأَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَواهُ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: ilah (yang dipatuhinya),

Katakan ada orang yang menawarkan wang untuk melakukan sesuatu yang berdosa. Kalau kita taat kepada nafsu kita, kita akan terima tawaran orang itu. Jadi, ‘Ilah’ bermaksud sesuatu yang diibadati dan juga yang ditaati. Kalau kita kata mesti buat ibadat sahaja kepada Allah ‎ﷻ, maka kita hanya menjadi hamba-Nya semasa melakukan ibadat sahaja.

Tidak sewajarnya begitu pula, bukan? Katakanlah kita solat pada waktu Zuhur dan ‘Asar. Itu bermaksud kita telah lakukan ibadat kepada Allah‎ ﷻ, bukan? Tetapi, antara waktu solat Zuhur dan ‘Asar, waktu tidak ada ibadat khusus yang dilakukan, adakah kita tidak perlu taat kepada Allah‎ ﷻ? Tentu kita mesti tetap taat, bukan?

Adakah kita boleh buat sesuka hati kita? Sudah tentu tidak. Walaupun kita tidak melakukan ibadat yang khusus, tetapi kita masih tertakluk dengan hukum hakam Allah‎ ﷻ. Ini adalah konsep ibadah yang lebih luas. Inilah yang dikatakan sebagai active obedience to Allah.

Keindahan pilihan perkataan dalam Surah ini

Kita ada sentuh bagaimana dalam ketiga-ayat ini, digunakan perkataan النَّاسِ:

رَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ

Dalam surah ini, salah satu yang unik adalah Allah ‎ﷻ memperkenalkan tiga Sifat-Nya dan di dalam ketiga-tiga Sifat itu, ada perkataan ‘النَّاسِ’ di dalamnya – Rabbun Nas, Malikin Nas dan Ilaahin Nas. Kita akan cuba mengupas apakah kelebihan menggunakan perkataan yang sebegini, in shaa Allah.

Perkataan النَّاسِ datang dari ‘nis’yan’ – lupa. Kerana itulah, manusia dinamakan ‘insan’ kerana kita bersifat pelupa. Apakah yang manusia lupa? Manusia lupa janjinya kepada Allah ‎ﷻ, yang Allah‎ ﷻ ingatkan kembali dalam [Surah al-A’raf:172]

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Kita memang sudah mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan kita semasa kita di alam roh, sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi. Tetapi apabila kita lahir ke dunia, kita lupa tentang syahadah kita di alam roh itu, bukan?

Allah ‎ﷻ pula memang telah berikan kebolehan kepada syaitan untuk menjadikan kita lupa. Semasa kita dihasut oleh syaitan, Allah ‎ﷻ jadikan kita lupa siapakah Tuhan. Allah ‎ﷻ sebut hal ini dalam [Mujadila:19]

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُولَٰئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.

Maka, satu pengajaran dalam surah ini adalah jangan kita lupa. Jangan lupa yang kita ini adalah hamba Allah ‎ﷻ. Termasuk jangan lupa apa yang kita sedang baca. Bukankah selalu, kita sedang baca Al-Qur’an, kita terlupa apa yang kita baca?

Dan kadang-kadang dalam solat pun kita lupa apa yang kita sedang baca dan entah berapa rakaat kita sudah solat. Maka sebelum baca Al-Qur’an, mintalah perlindungan Allah ‎ﷻ daripada syaitan yang boleh menyebabkan kita lalai dan lupa. Allah ‎ﷻ sudah ajar perkara ini dalam surah [An-Nahl:98]

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ
Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Qur’an, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

Syaitan memang akan menyebabkan kita lupa. Seperti yang Allah ‎ﷻ beritahu kita dalam surah [al-Kahf:63]

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggeluncur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

Maka, untuk selamat daripada lupa, kita haruslah sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ. Hindari hati kita daripada lalai mengingati Allah‎ ﷻ.

Ulama’ juga membincangkan kenapa Allah ‎ﷻ meletakkan perkataan النَّاسِ dalam ketiga-tiga ayat awal surah ini. Ulama’ mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ memuliakan manusia dalam ayat-ayat ini kerana Dia meletakkan nama kita di sebelah Nama-Nya. Allah ‎ﷻ memberi penghormatan kepada kaum manusia. Menunjukkan betapa Allah  ‎ﷻ sayang kepada manusia dan tingginya kedudukan manusia.

Daripada segi balaghah, ada peningkatan menaik dari rendah ke arah yang lebih tinggi lagi. Mari kita lihat:

1. Kalau kita ada keperluan, tentulah kita perlukan kepada mereka yang menguasai kita atau bertanggungjawab ke atas kita – sebagai contoh, ibubapa kita (kerana mereka adalah murabbi kita); kalau hamba, dia akan pergi kepada tuannya (kerana tuannya adalah sayyidnya). Ini merujuk kepada رَبِّ النَّاسِ

2. Kalau masalah lagi besar, kita pergi kepada kerajaan, atau kepada Raja negara. Ini merujuk kepada مَلِكِ النَّاسِ

3. Kalau masalah lagi besar, ibubapa pun tidak dapat selesaikan, kerajaan juga tidak dapat selesaikan, ke mana lagi kita hendak mengadu? Tidak ada tempat lain lagi melainkan kepada Ilah, kepada Tuhan kita. Ini pula merujuk kepada إِلَٰهِ النَّاسِ .

Begitulah urutan peningkatan permohonan kita yang bermula daripada murabbi, kepada kerajaan dan akhirnya kepada Ilah kita. Kita juga kalau dalam dunia ini ada masalah, mula-mula kita akan minta pertolongan kepada orang di sekeliling kita dahulu, kemudian kalau tidak dapat selesai, kita mengadu kepada pihak berkuasa, dan akhir sekali, barulah kepada Tuhan.

Sebaliknya surah ini mengajar kita bahawa dari awal lagi, kita sepatutnya terus memohon kepada Allah‎ ﷻ, kerana Allah ‎ﷻ adalah murabbi kita, Sayyid kita, Maalik kita dan Ilah kita. Memang boleh meminta tolong kepada selain Allah ‎ﷻ (dalam perkara yang mereka boleh tolong), tetapi hendaklah kita dahulukan dengan permohonan doa kepada Allah ‎ﷻ terlebih dahulu.

Turutan peningkatan ini juga daripada yang banyak kepada yang sedikit.

1. Murabbi – boleh jadi ramai yang boleh memberi tarbiyah kepada kita.
2. Malik – tidak banyak kerajaan dan raja di dalam dunia ini, terhad sahaja. Jadi, ianya kurang daripada murabbi kita.
3. ilah – hanya ada satu Ilah sahaja – Allah.

Peningkatan ini juga dari sedikit kepada banyak:

1. Murabbi – seorang murabbi boleh menjaga beberapa orang sahaja.
2. Malik – raja atau kerajaan boleh menjaga lebih ramai lagi, melibatkan keseluruhan rakyat dalam negara.
3. Ilah – Tuhan menjaga semuanya sekali.

Keburukan Firaun

Selepas syaitan, makhluk yang paling zalim adalah Firaun. Kenapa dikatakan sedemikian rupa? Kerana dia pernah mendakwa bahawa dia memiliki ketiga-tiga nama Allah  ﷻ ini.

1. Rabb: dalam surah [An-Naaziat:24] , Firaun mengaku sebagai Rabb.

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ

Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.

2. Malik: dalam [Zukhruf:51] Firaun mengaku sebagai Raja Mesir.

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

3. Ilah: Firaun mengaku sebagai Ilah dengan berkata dalam Surah [ Al-Qasas:38]

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّي صَرْحًا لَّعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Dan Firaun pula berkata: “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta”.

Jadi, Firaun mengaku memiliki semua tiga nama dan sifat Allah ‎ﷻ itu. Ada sebab kenapa Allah‎ ﷻ berikan ketiga-tiga sifat-Nya yang disebutkan tadi dalam surah an-Nas ini. Kerana dengan ketiga-tiga perkara inilah syaitan mengambil peluang untuk membisikkan was-was ke dalam diri manusia.

Apakah masalah besar syaitan? Sifat Iblis yang ketara adalah sombong. Kerana sombonglah dia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam عليه السلام walaupun setelah diperintah oleh Allah ‎ﷻ. Kalau itulah sifatnya, apakah pula yang dia akan bisikkan kepada manusia? Tentulah perasaan sombong juga. Jadi, siapakah manusia yang paling sombong dalam dunia ini? Tentulah Firaun seperti yang kita telah berikan dalilnya di atas. Lihatlah apa kata-katanya di dalam Al-Qur’an seperti yang kita telah nukilkan itu.

Jadi, kita hendaklah mengambil pengajaran dengan semua ayat itu agar jangan jadi seperti Firaun atau memiliki sifat-sifat Firaun. Mungkin seseorang itu tidak mengaku sebagai Tuhan kepada semua, tetapi dia mungkin mengaku Tuhan kepada dirinya sendiri (mempertuhankan diri sendiri atau mempertuhankan nafsunya sendiri).

Ini terjadi apabila kita merasakan seolah-olah kita boleh melakukan apa sahaja yang kita kehendaki, sampaikan tidak boleh ditegur oleh orang lain. Kita telah mengambil hawa nafsu kita sebagai Ilah, sebagaimana firman Allah ‎ﷻ dalam [Al-Jatsiyah:23]

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Maksudnya, kita sendiri juga boleh jadi ‘Firaun Mini’ kalau kita tidak berhati-hati. Tiga ayat pertama ini memberi peringatan kepada kita untuk meletakkan kedudukan Allah ‎ﷻ pada kedudukan yang sepatutnya. Iaitu, Allah ‎ﷻ sebagai Tuan dan Tuhan kita serta kita hendaklah sedar yang kita sebagai hamba-Nya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Ustaz Abu Ihsan:

Norman Ali Khan:

Taymiyyah Zubair:

Tafsir Surah Baqarah Ayat 217 (Berperang di Bulan Haram)

HUKUM BERPERANG DI BULAN HARAM

Baqarah Ayat 217: Ayat sebelum ini telah disebut tentang kewajipan jihad. Akan tetapi adakah jihad itu perlu dilakukan sepanjang masa? Maka di dalam ayat ini disebut pengecualian yang perlu diperhatikan.

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL
They ask you about the sacred month – about fighting therein. Say, “Fighting therein is great [sin], but averting [people] from the way of Allah and disbelief in Him and [preventing access to] al-Masjid al-Haram and the expulsion of its people therefrom are greater [evil] in the sight of Allah . And fitnah is greater than killing.” And they will continue to fight you until they turn you back from your religion if they are able. And whoever of you reverts from his religion [to disbelief] and dies while he is a disbeliever – for those, their deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and those are the companions of the Fire, they will abide therein eternally.

MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam Bulan Haram

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang bolehkah berperang dalam bulan Haram? Bulan Haram adalah Rejab, DzulQaedah, DzulHijjah dan Muharram. Ini seperti disebut di dalam Tawbah: 36

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ ۚ فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم
Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu.

Ulama’ khilaf sama ada pengharaman berperang di bulan-bulan Haram ini masih terpakai atau tidak. Ada yang kata ia terpakai sehingga ke hari Kiamat dan ada yang mengatakan ia telah dimansuhkan. Namun begitu ketika ayat ini diturunkan, telah menjadi adat orang Arab tidak berperang di dalam bulan-bulan Haram.

Mereka yang bertanya di dalam ayat ini bukanlah umat Islam tetapi orang kafir Quraisy. Cara mereka bertanya itu bukanlah seperti para sahabat yang hendak tahu akan tetapi kafir Quraisy itu sedang mempersoalkan dan hendak menghina Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Latar belakang ayat ini: ada sahabat yang dihantar oleh Nabi ﷺ untuk menjaga sempadan orang Islam. Tiba-tiba mereka terjumpa dengan orang kafir. Oleh kerana keadaan yang mencurigakan, maka terjadilah pergelutan dan orang kafir itu dibunuh. Begitulah sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dan Ath-Thabrani رحمهم الله dalam al-Kabir, dan al-Baihaqi رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab sunannya, daripada Jundud bin Abdullah bahawasanya Rasulullah ﷺ telah mengutus beberapa orang dan juga diutus Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, maka mereka telah bertemu dengan Ibnu al-Hadrami dan mereka membunuhnya. Maka berkata orang-orang musyrik kepada orang-orang beriman: “Kalian telah membunuh pada bulan Haram, maka Allah menurunkan ayat ini.” Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak sedar yang waktu itu sudah masuk bulan Haram Rejab. Mereka sangka Jamadil Akhir bulan itu 30 hari.

Sahabat tersebut memang menghormati Bulan Haram akan tetapi mereka telah membuat keputusan di waktu itu untuk tetap berperang juga. Maka kejadian ini telah menyebabkan orang kafir bising menyalahkan orang Islam. Mereka kata lihatlah orang Islam itu, konon kata jaga syariat, tetapi membunuh di dalam bulan Haram.

Sahabat itu adalah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, adik beradik kepada Zainab binti Jahsy رضي الله عنها iaitu salah seorang isteri Rasulullah ﷺ. Jadi Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah sepupu kepada Rasulullah ﷺ kerana Zainab binti Jahsy رضي الله عنها merupakan sepupu baginda.

Cerita yang lebih panjangnya adalah begini:

Lantaran perintah berperang sudah turun daripada Allah ‎ﷻ, maka pada suatu waktu di akhir Jamadil-Akhir setelah 17 bulan Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah, baginda telah memanggil Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bersama dengan lapan orang Muhajirin, lalu baginda memerintahkan mereka berangkat ke arah Badar, seraya menyerahkan sepucuk surat dan baginda berkata: “Segera engkau berangkat bersama teman-temanmu yang lapan ini. Setelah dua hari perjalanan barulah boleh engkau buka dan baca suratku ini. Jalankan apa yang aku perintahkan di dalamnya. Tetapi teman-temanmu yang lapan sekali-kali jangan engkau paksa menurutkan engkau.”

Setelah itu berangkatlah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan lapan temannya itu, dan setelah dua hari perjalanan surat itu dibuka dan dibacanya, di antara isinya ialah memerintahkan beliau meneruskan perjalanan menuju ke Nakhlah, dan dari sana perhatikan gerak-geri orang Quraisy. Tentang berperang tidak ada perintah dan tidak ada larangan dalam surat itu. Sehabis surat dibaca oleh Abdullah bin Jahasy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ maka beliau berkata: “Sam’an wa tha’atan!” (didengar dan dipatuhi), lalu beliau berkata kepada teman-temannya itu: “Siapa di antara kalian yang ingin syahid turutkan aku, kerana aku hendak meneruskan perintah Rasulullah . Akan tetapi barangsiapa yang enggan, boleh pulang, kerana Rasulullahtelah berpesan kepadaku dalam suratnya supaya jangan ada yang dipaksa.” Rupanya tidak ada seorang pun yang mahu pulang, melainkan semua menurut. Mereka meneruskan perjalanan ke Nakhlah. Namun begitu, di tengah jalan terdapat dua orang di antara mereka, iaitu Sa’ad bin Abu Waqash dan Utbah bin Ghazwan رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا terpaksa terpisah kerana mengejar unta mereka yang terlepas dan tersesat. Lalu Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bersama-sama dengan keenam temannya lagi meneruskan perjalanan ke Nakhlah. Ketika mereka tiba di sana kebetulan mereka bertemu dengan beberapa orang Quraisy yang mereka kenal. Ketika kedua belah pihak sudah tahu sama tahu ada lawan, bermuafakatlah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan keenam temannya. Kalau kita berperang dengan mereka sekarang, bulan Rejab telah masuk, kita tidak boleh berperang di bulan yang dimuliakan. Tetapi kalau kita biarkan mereka, tentu malam ini juga mereka lekas-lekas kembali ke Makkah, dan di sana mereka akan beritahu kepada yang lain tentang kita, bahaya lebih besar akan kita hadapi. Lalu apakah jalan yang terbaik? Maka mereka telah membuat keputusan yang mereka harus diperangi sekarang juga, sebelum mereka melepaskan diri ke Mekah.

Maka Wakid bin Abdullah as-Sahmi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun memanahkan panahnya ke arah Amr bin al-Hadhrami, terkena lalu mati, manakala Usman bin Abdullah dan al-Hakam bin Kisan tertawan, tetapi Naufal saudara Usman bin Abdullah dapat meloloskan diri. Orang-orang tawanan bersama unta-unta mereka, mereka giring ke Madinah dan dibawa ke hadapan Rasulullah ﷺ. Maka setelah orang-orang tawanan dan harta rampasan itu dihadapkan kepada baginda, tidaklah kelihatan baginda gembira. Baginda berkata: “Aku tidak memerintahkan kamu berperang di bulan yang dimuliakan.” Maka kedua orang tawanan itu ditahan saja, tidak diperlakukan sebagai orang tawanan dan barang-barang rampasan itu diletakkan saja. Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan teman-temannya kelihatan bermuka muram, kerana mereka sedar yang mereka telah salah dan menyesal. Semua kaum Muslimin menyalahkan mereka, dan berita ini pun segera tersiar dalam kalangan kaum Quraisy, menjalar ke suku-suku Arab yang lain: Muhammad ﷺ mengizinkan berperang di bulan mulia, dia telah membunuh dengan cara yang terlarang, dia telah menawan dan dia telah merampas. Menurut adat turun-temurun segala peperangan dihentikan pada bulan yang mereka muliakan, iaitu bulan Rejab, ZulQaedah, ZulHijjah dan Muharram.

Begitu kecoh sekali berita itu sampaikan orang Quraisy mengirimkan utusan ke Madinah, menanyakan kepada baginda, apakah baginda membolehkan peperangan di bulan yang dimuliakan? Apakah tiada lagi harganya perjanjian yang telah diikat sejak zaman purbakala oleh nenek moyang kita bahawa pada bulan yang empat itu tidak boleh ada peperangan? Di saat yang demikianlah turunnya ayat ini:. “Mereka bertanya kepada engkau daripada hal bulan yang mulia, tentang berperang padanya. Katakanlah: Berperang padanya adalah soal besar!

 

قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ

katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,

Perhatikan yang jawapan ini bukan daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri tetapi baginda tunggu jawapan daripada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak memandai-mandai dalam memberi jawapan. Hanya jikalau baginda tidak mendapat arahan daripada wahyu barulah baginda melakukan ijtihad. Jikalau ijtihad baginda itu salah, maka Allah ‎ﷻ akan turunkan ayat untuk memperbetulkannya.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak menafikan bahawa berperang dalam Bulan Haram itu memang berdosa besar. Lihatlah keadilan Islam, kalau salah tetap dikatakan salah. Walaupun yang melakukannya adalah umat Islam, walaupun saudara mara kita sendiri. Jadi ini mengajar kita jangan kita beralasan hanya untuk mempertahankan golongan kita. Begitulah keindahan Islam yang adil.

Mereka tanya tentang bulan Rejab itu akan tetapi Allah ‎ﷻ jawab semua bulan haram berperang di dalamnya (iaitu memulai perang, kalau diserang boleh mempertahankan diri). Ini kerana kalimah قِتالٌ di dalam bentuk nakirah (umum) dan bukan القِتالٌ. Jadi ada dua kalimah قِتال di dalam ayat ini. Kalimah قِتال yang pertama merujuk kepada peperangan yang melibatkan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kalimah قِتال yang kedua merujuk kepada peperangan secara umum.

Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ suruh jawab yang kejadian ini tidak sengaja. Bukan sahabat itu sengaja hendak berperang dalam Bulan Haram itu. Atau, ia bermaksud ya benar peperangan yang dilakukan oleh Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu berdosa kerana ia bukan arahan Nabi ﷺ dan mereka lakukan di bulan Haram. Namun lihatlah bagaimana sikap Musyrikin Mekah itu, apabila orang Islam buat salah terus mereka nampak dan bising, padahal mereka sendiri lagi banyak buat kesalahan. Jadi di sini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa perbuatan Musyrikin Mekah itu lebih besar dan lebih buruk.

Ada lima kesalahan mereka dan setiap satunya patut sudah boleh mereka diperangi kerana ia bukanlah kesalahan biasa. Mereka sahaja buat tidak nampak. Biasa begitulah masyarakat dunia dengan orang Islam. Kalau umat Islam buat salah sedikit sahaja, kecoh satu dunia dan kaitkan kesalahan itu dengan agama Islam – mereka kata Islam agama pengganas. Sebaliknya jika ia dilakukan oleh agama lain, mereka senyap sahaja dan tidak kaitkan dengan agama orang itu. Umpamanya, kalau orang baik yang buat salah, akan nampak pelik tetapi kalau orang jahat buat jahat, orang tidak kisah pun. Maknanya orang luar melihat orang Islam ini sebagai orang yang baik sebenarnya.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengajar kepada Nabi ﷺ cara untuk menjawab soalan mereka itu. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa memang berperang di Bulan Haram itu memang besar dosanya. Memang berperang dan membunuh dalam Bulan Haram itu berdosa besar sekiranya dilakukan dengan sengaja sedangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat ketika itu adalah tidak sengaja. Maka ia dimaafkan.

 

وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ

tetapi perbuatan menghalangi manusia dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya,

Mereka mengutuk dan menyalahkan umat Islam tetapi buat tidak nampak sahaja perbuatan mereka menghalang orang-orang lain daripada masuk Islam. Mereka memburukkan Islam kerana tidak mahu orang lain masuk Islam. Sudahlah mereka sendiri kufur kepada Allah ‎ﷻ, mereka menghalang orang lain pula. Mereka telah menghalang orang lain daripada memeluk agama Islam adalah perkara yang lebih besar dan faktor ini sebenarnya sudah cukup untuk berperang dengan mereka.

Jika benar kesalahan Abdullah bin Jahsy ‎رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu memang salah, namun kesalahan mereka lebih besar lagi kerana jika dibandingkan perbuatan membunuh itu hanya mengakibatkan orang itu mati sahaja. Akan tetapi dengan menghalang manusia daripada kebenaran, menyebabkan orang itu masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya selama-lamanya. Jadi kita kena pandai menilai antara kesalahan itu.

Bukan zaman itu sahaja terjadi, namun ia berterusan zaman berzaman. Orang kafir tetap menjalankan dakyah-dakyah palsu bagi menghalang manusia daripada kenal agama sebenar. Bagaimana pula dengan tindakan pihak yang menghalang ajaran Sunnah dalam masyarakat Islam? Ini pun ada masalah. Ajaran Sunnah yang berasaskan wahyu Al-Qur’an dan Hadith dituduh sebagai sesat oleh pihak-pihak yang tidak suka dengan ajaran Sunnah. Ini pun termasuk juga menghalang manusia daripada beriman.

 

وَالمَسجِدِ الحَرامِ

dan (juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam)) ke Masjid Al-Haraam

Yang kedua, mereka menghalang orang Islam daripada menggunakan Masjidilharam untuk beribadat. Kalimah ini hanya menyebut MasjidilHaram sahaja, jadi salah satu pendapat adalah diambil daripada sambungan kalimah صَدٌّ (menghalang). Mereka halang orang beriman daripada beribadat di situ sedangkan mereka sendiri sebenarnya tidak layak beribadah di situ dan menjaga Ka’bah kerana mereka adalah orang-orang yang mengamalkan syirik. Mereka telah mempersendakan lambang Islam iaitu masjid yang paling mulia dalam dunia ini.

Sepatutnya ia diberikan kepada Nabi ﷺ untuk digunakan kerana Nabi ﷺ lebih layak. Namun begitu mereka telah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada beribadat di Kaabah. Sekiranya manusia lain yang datang dari jauh untuk tawaf dan menyembah berhala, mereka benarkan pula. Terkenang kita kisah yang menyayat hati terjadi kepada Rasulullah ﷺ, dan kisah itu membawa ke medan Badar.

عَنْ عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي عِنْدَ الْبَيْتِ وَأَبُو جَهْلٍ وَأَصْحَابٌ لَهُ جُلُوسٌ إِذْ قَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْض أَيُّكُمْ يَجِيءُ بِسَلَى جَزُورِ بَنِي فُلَانٍ فَيَضَعُهُ عَلَى ظَهْرِ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ فَانْبَعَثَ أَشْقَى الْقَوْمِ فَجَاءَ بِهِ فَنَظَرَ حَتَّى سَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ عَلَى ظَهْرِهِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ وَأَنَا أَنْظُرُ لَا أُغْنِي شَيْئًا لَوْ كَانَ لِي مَنَعَةٌ قَالَ فَجَعَلُوا يَضْحَكُونَ وَيُحِيلُ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ لَا يَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى جَاءَتْهُ فَاطِمَةُ فَطَرَحَتْ عَنْ ظَهْرِهِ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ إِذْ دَعَا عَلَيْهِمْ قَالَ وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّ الدَّعْوَةَ فِي ذَلِكَ الْبَلَدِ مُسْتَجَابَةٌ ثُمَّ سَمَّى اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ وَعَلَيْكَ بِعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ وَعَدَّ السَّابِعَ فَلَمْ يَحْفَظْ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ رَأَيْتُ الَّذِينَ عَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْعَى فِي الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ
Daripada  ‘Amru bin Maimun bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan kepadanya, bahawa sesungguhnya pernah Nabi ﷺ solat dekat Baitullah ketika Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk di situ. Tiba-tiba sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain, ‘Siapa daripada kalian yang akan mendatangkan tembuni unta bani fulan, dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sujud?‘ Maka bangkitlah orang yang paling malang di antara mereka. Setelah diambilnya tembuni itu, dia menunggu Nabi ﷺ sujud. maka ketika Nabi ﷺ sujud, dia meletakkan tembuni itu di atas belakang baginda iaitu di antara dua belikatnya. Aku melihat semua itu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Kalaulah aku mempunyai kekuatan masa itu, kata Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. “Mereka pun tertawa-tawa sambil tunjuk menunjuk sesama yang lain. Rasulullah ﷺ terus dalam keadaan sujud, baginda tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah رضي الله عنها kepadanya. Setelah Fatimah رضي الله عنها membersihkan tembuni itu dari belakang baginda, barulah Rasulullah ﷺ mengangkat kepalanya seraya berdoa: “Ya Allah, berilah balasan kepada orang-orang Quraisy ini.” Sebanyak tiga kali. Doa Nabi ﷺ itu terasa berat oleh mereka. ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meneruskan, “Sebab mereka berpendapat doa di negeri Makkah itu mustajab. Kemudian Nabi ﷺ menyebut satu persatu nama-nama mereka yang terlibat itu: “Ya Allah, balaslah Abu Jahal, balaslah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Al Walid bin ‘Utbah, Umayyah bin Khalaf dan ‘Uqbah bin Abu Mu’aith.” Dan Nabi ﷺ ada menyebut nama yang ke tujuh tetapi kami lupa.” ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Demi Tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku telah melihat orang-orang yang disebut Nabi ﷺ tersebut, mati bergelimpangan di dalam perigi buta di Badr.”
(Sahih Bukhari No. 233)

Tafsir kedua mengambil daripada kalimah وَكُفرٌ بِهِ iaitu mereka kufur dengan MasjidilHaram iaitu tidak menggunakan ia seperti yang sepatutnya; sepatutnya di situ disembah hanya Allah ‎ﷻ sahaja sebaliknya mereka buat sembah berhala. Mereka halang orang yang sepatutnya beribadah di situ. Mereka juga reka cara ibadah baru seperti tawaf bertelanjang.

 

وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ

serta mengusir penduduknya dari situ,

Ketiga, mereka telah menghalau para sahabat yang Mukmin dari tanah-tanah mereka yang mereka berhak ke atas tanah-tanah itu. Musyrikin Makkah telah menghalau mereka sampai mereka terpaksa lari ke Habasyah dan ke Madinah meninggalkan kampung halaman yang mereka cintai. Kemudian harta dan tanah mereka telah dirampas oleh puak Musyrik itu. Padahal mereka tidak layak mengambilnya.

Musyrikin Makkah itu mengeluarkan ‘ahli’ Makkah dari Makkah. Akan tetapi bukankah golongan musyrik juga penduduk Makkah? Namun begitu perkataan yang digunakan seolah-olah mereka itu bukan ahli Makkah pula. Ini adalah kerana mereka itu tidak layak duduk di Makkah seperti disebut di dalam Anbiya’: 105

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.

 

أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ

adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.

Ketiga-tiga perkara yang dilakukan oleh Musyrikin Makkah itu adalah kesalahan yang lebih besar daripada berperang di Bulan Haram. Kesalahan mereka itu sudah sepatutnya diperangi tetapi setakat itu, umat Islam masih membiarkan sahaja kerana belum datang perintah untuk berperang.

 

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ

Dan (ingatlah), fitnah syirik itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan

Yang keempat, mereka telah melakukan kerosakan di atas muka bumi. Jadi ini bukanlah ‘fitnah’ yang selalu digunakan dalam Bahasa Melayu. Ramai yang keliru dengan penggunaan kalimah ini. Dalam Al-Qur’an, kalimah fitnah terulang tidak kurang daripada tiga puluh kali, tidak satu pun yang mengandungi makna membawa berita bohong, atau menjelekkan orang lain. Kerana itu tidaklah tepat kalau ada yang mengertikan kalimat وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ di dalam Baqarah: 191 dan kalimat وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ di dalam ayat 217 ini dengan makna memfitnah (membawa berita bohong, menjelekkan orang lain) seperti yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu.

Fitnah yang dimaksudkan dalam ayat yang ditafsirkan ini adalah penyeksaan yang dilakukan oleh kaum musyrikin di Makkah. Itulah yang ditunjuk sebagai lebih kejam dan lebih besar dosanya daripada pembunuhan yang dilakukan oleh pasukan pimpinan ‘Abdullah Ibn Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kelompoknya, apatah lagi jika peristiwa ini terjadi pada malam pertama bulan Rejab. Penyeksaan kaum musyrikin lebih kejam dan besar dosanya daripada pembunuhan pasukan itu, kerana ketika itu mereka belum mengetahui bahawa bulan Rejab telah tiba (mengikut satu pendapat).

Kata fitnah dalam ayat ini dapat juga difahami dalam erti seksaan yang akan dialami kaum musyrikin di hari Kemudian, lebih besar dan lebih keras sakitnya daripada pembunuhan yang dilakukan oleh anggota pasukan ‘Abdullah Ibn Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mahupun kaum musyrikin terhadap kaum muslimin.

Kalimah fitnah itu juga boleh bermaksud syirik. Fitnah syirik yang mereka lakukan itu sebenarnya lebih besar daripada berperang dan membunuh. Ini kerana jikalau kita membunuh manusia, orang itu akan mati sahaja dan memang lumrah manusia akan mati pun, sama ada kerana tua atau kerana sakit dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya melakukan syirik, itu akan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Potongan ayat ini selalunya disebut-sebut oleh orang kita untuk mengutuk perbuatan fitnah yang dikenakan kepada mereka. Mereka sangka الفِتنَةُ di dalam ayat ini sama dengan fitnah dalam bahasa Melayu. Ini bermakna mereka tidak belajar tafsir dan kerana itu kalau hendak menilai ilmu agama seseorang, ini adalah antara ayat yang boleh menilai mereka. Kalau mereka gunakan ayat ini tentang fitnah yang digunakan dalam bahasa Melayu, jadi tahulah kita yang orang ini bukan orang berilmu. Lebih menyedihkan jikalau orang yang dipanggil ‘ustaz’ pun boleh buat kesalahan ini.

 

وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);

Yang kelima dan akhir sekali, walaupun umat Islam telah bertapak di Madinah pun puak Musyrikin itu masih lagi mahu memerangi puak Islam dan mereka telah bertekad tidak akan berhenti sehingga orang Islam murtad. Mereka mahu umat Islam itu kembali kepada agama syirik mereka. Padahal, umat Islam tidak mengganggu mereka pun. Ini kerana dengan naiknya agama Islam akan mengurangkan kedudukan mereka di mata masyarakat Arab sebagai penjaga Ka’bah.

Lima kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja itu mereka tidak nampak sedangkan satu kesalahan yang dilakukan oleh puak Islam dalam keadaan tidak sengaja itu mereka perbesar-besarkan pula.

Kalimah يَزالونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat ia masih berlaku. Ia adalah peringatan kepada umat Islam sepanjang zaman bahawa orang kafir akan sentiasa sahaja memerangi umat Islam. Kita pun sudah belajar di dalam Baqarah: 120

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).

Begitulah propaganda yang selalu diada-adakan oleh puak kafir untuk menjatuhkan nama Islam. Contohnya mereka mengatakan kepada dunia yang kita adalah agama terrorist (pengganas). Padahal agama Islam tidak mengajar umatnya menjadi pengganas. Seorang Islam tidak akan berani hendak membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan, kerana kita takutkan api neraka. Kadang-kadang yang membunuh itu adalah orang kafir dan mereka menuduh orang Islam yang bunuh kerana hendak menjatuhkan nama baik Islam. Mereka sanggup lakukan begitu kerana mereka tidak takut kepada akhirat.

Namun dek kerana propaganda mereka itu kuat maka ramai daripada orang Islam yang malu dengan Islam dan malu hendak menyampaikan agama Islam ini kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri tidak faham Islam. Sedangkan tugas kita adalah menyampaikan dakwah tauhid kepada umat manusia seluruhnya. Kita tidak perlu malu dengan agama Islam ini kerana ia adalah agama yang suci, benar dan mulia. Orang-orang yang malu dengan agama sendiri adalah mereka yang jahil.

Orang kafir mengutuk orang Islam dan agama Islam, sedangkan orang-orang kafir itu yang  sepatutnya belajar dengan orang-orang Islam cara-cara memimpin dan cara-cara menjalani kehidupan. Dalam sejarah dunia, kerajaan yang dipimpin oleh pemerintahan Islam dan negara aman damai dan orang-orang kafir pun dapat menumpang keamanan itu. Ini boleh dikaji dalam sejarah dunia.

Jadi janganlah mereka yang hendak mengajar kita, sebaliknya merekalah yang kena belajar dengan kita. Namun malangnya ramai daripada orang-orang Islam yang tidak memahami agama sendiri dan akhirnya terpaksa belajar dengan orang-orang kafir tentang cara-cara kepemimpinan. Akhirnya orang-orang Islam yang mengikut telunjuk orang-orang kafir. Sudah jadi terbalik pula.

Jadi di sini kita diperingatkan bahawa orang kafir akan sentiasa mencuba untuk memurtadkan umat Islam. Mereka memerangi umat Islam bukannya hendak membunuh sangat akan tetapi tujuan asalnya adalah untuk umat Islam meninggalkan agama Islam. Adakah mereka berjaya? Kalimah إِنِ di dalam إِنِ استَطٰعوا boleh juga diterjemahkan ‘mereka tidak mampu’. Kerana itulah Islam masih ada dan masih kuat lagi sampai sekarang. Mereka tidak berjaya memurtadkan seluruh umat Islam akan tetapi jika dilihat secara individu ada juga berjaya dimurtadkan oleh mereka. Ada umat Islam yang terpedaya dengan diayah-diayah mereka dan ada yang masuk Kristian dan malah ada juga yang masuk agama Hindu. Kalau tidak masuk agama mereka pun mereka tidak kisah, asalkan meninggalkan agama Islam. Jadi ini mengingatkan kita untuk mendidik anak-anak kita dengan didikan agama yang lengkap supaya tidak senang tertipu dengan diayah orang kafir.

 

وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ

dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir,

Seandainya ada umat Islam yang termakan dengan dakyah atau tidak tahan dengan tekanan daripada Musyrikin Makkah itu dan sampai menyebabkan mereka murtad, maka Allah ‎ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Jikalau mereka buat syirik kembali dan sempat bertaubat, masih ada harapan untuk mereka. Namun jika mereka mati tanpa sempat bertaubat, maka nasib mereka adalah amat malang sekali.

Di dalam ayat ini ada disebut syarat iaitu orang itu mati di dalam keadaan murtad kufur itu. Ia menjadi perbincangan ulama’ sekiranya dia sempat bertaubat sebelum dia mati, adakah amalannya yang dahulu diterima? Bagi pendapat mazhab Syafie, amalannya tidak terhapus. Malah kalau dia telah melakukan ibadah Haji, dia tidak perlu mengulanginya. Akan tetapi bagi pendapat mazhab Hanafi dan Maliki, dia perlu mengulangi Hajinya kerana Hajinya itu telah terbatal.

 

فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat,

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini merupakan peringatan kepada orang-orang Islam jikalau mereka murtad, segala amalan-amalan kebaikan yang mereka pernah lakukan akan hancur berkecai, tidak bernilai langsung.

Jikalau mereka murtad (dengan jelas dan war-warkan dia telah murtad), hukumnya di dunia lagi mereka boleh dibunuh dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam yang lain. Isteri mereka pun tertalak secara automatik. Manakala jika ada saudara mereka yang kematian, mereka tidak layak mendapat bahagian daripada harta faraid. Rasulullah ﷺ bersabda dan dinukilkan di dalam Sahih Bukhari,

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
“Barang siapa yang mengganti agamanya (murtad), maka bunuhlah dia.”
(Sahih Bukhari No. 6922)

Di dalam hadith yang lain,

عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَحِلُّ دَمُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ المُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Tidak halal darah seorang muslim kecuali kerana salah satu daripada tiga sebab: (1) orang yang telah menikah yang berzina, (2) jiwa dengan jiwa (membunuh), (3) orang yang meninggalkan agamanya (murtad), lagi memisahkan diri daripada jamaah kaum muslimin.”
(Sahih Bukhari No. 6878 dan Muslim No. 1676)

Ulama fiqh klasik daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali umumnya berpendapat bahawa murtad harus dihukum mati, tetapi dengan beberapa syarat:

    • Diberi waktu untuk bertaubat (biasanya 3 hari).
    • Tidak sekadar meninggalkan Islam, tetapi juga menyebarkan kekacauan (misalnya, mengajak orang lain untuk keluar daripada Islam, menghina Islam, atau bergabung dengan musuh Islam).
    • Dilaksanakan oleh pemerintah atau mahkamah syariah, bukan oleh individu secara sembarangan.

Mereka harus dibunuh kerana mereka telah menghina Islam. Mereka telah kenal dan masuk Islam, kemudian mereka keluar dan akan memberi gambaran yang buruk terhadap Islam. Kalau mereka murtad tetapi mereka simpan sendiri sahaja dan tidak menyebarkan tentang hal itu, tidaklah mereka dibunuh oleh kerajaan Islam. Begitulah keadaan mereka di dunia sementara di akhirat kelak, Allah ‎ﷻ lebih tahu tentang kedudukan mereka. Segala ibadah mereka akan terhapus dan tidak dikira dan mereka akan kekal dalam neraka, nauzubillah!

 

وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

dan mereka itulah ahli neraka,

Asalnya mereka Muslim dan ada harapan untuk masuk syurga. Namun jikalau mereka murtad, mereka akan menjadi ahli neraka dan mereka akan kekal dalamnya, kerana mereka memegang ‘geran’ neraka. Itulah maksud ‘ashab’.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

kekal mereka di dalamnya

Mereka akan kekal di dalamnya dengan tidak ada harapan untuk masuk syurga langsung. Kekal mereka di neraka selama-lamanya. Walaupun mereka pernah menjadi Muslim, tetapi kerana mereka mati dalam keadaan kufur, mereka sama sahaja macam orang-orang kufur yang lain.

Inilah ayat yang diturunkan untuk menjelaskan duduknya perkara. Abdullah bin Jahasy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak bersalah. Beliau telah bertemu dua jalan bersimpang yang keduanya berbahaya; beliau mengakui berperang di bulan yang mulia dan telah melakukan suatu pelanggaran besar. Namun membiarkan musuh itu pulang sahaja, akan membawa bahaya yang lebih besar, iaitu terus-menerusnya kufar Mekah itu beraksi menentang Islam. Maka oleh sebab rintangan dan fitnah itu daripada merekalah mulanya, ini wajib dilawan terus, ditangkis terus, dihadapi terus, sampai mereka tunduk. Pada waktu itu bukan saja perang di bulan mulia yang tidak ada lagi, malahan keamanan beragamalah yang akan tercapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 216 (Perintah Jihad)

JIHAD MEMPERTAHANKAN DIRI

Baqarah Ayat 216: Sekarang kita masuk semula ke topik jihad selepas disebut ayat tentang infak. Ini kerana infak yang utama adalah kepada jihad fi sabilillah. Jihad adalah salah satu perkara yang penting di dalam agama Islam dan ia adalah perkara yang perlu dilakukan bagi mereka teringin dan bercita-cita masuk ke dalam syurga.

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.

MALAY
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ

Telah diwajibkan ke atas kalian peperangan

Umat Islam diwajibkan berperang untuk menegakkan agama Allah di dunia ini. Ayat ini diturunkan di Madinah sedangkan semasa Rasulullah ﷺ dan umat Islam di Mekah dahulu, mereka dilarang daripada berperang; walaupun ketika itu mereka teruk sekali ditindas. Ini disebut di dalam Nisa’: 77

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”.

Umat Islam dilarang untuk berperang walaupun untuk mempertahankan diri kerana pada waktu itu Islam baru tumbuh dan masih sangat lemah. Sikap yang tergopoh-gopoh dan hanya memperturutkan semangat bernyala-nyala sahaja, nescaya akan membawa malapetaka yang tidak diingini. Jikalau mereka membalas dengan kekerasan, mereka boleh sahaja dituduh sebagai pemberontak oleh golongan Quraisy dan akan terus dibunuh secara beramai-ramai dan mereka tentu tidak dapat mempertahankan diri.

Akan tetapi setelah kaum Muhajirin mendapat sokongan yang amat besar daripada kaum Ansar di Madinah, maka masyarakat Islam di Madinah mula tumbuh dengan kuatnya. Sekarang arahan perang jihad sudah dibenarkan. Namun begitu, tentunya dengan syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Ayat ini sebagai dalil bahawa jihad perang ini adalah wajib. Kadangkala kita tidak suka sesuatu perkara itu kerana kita menggunakan akal dan emosi kita. Sebagai contoh, pada akal kita, mungkin kita rasa tidak elok kalau berperang. Begitulah pencapaian akal kita terhad sahaja dan tidak dapat memahami dengan penuh tentang hakikat sesuatu perkara itu. Ini adalah ujian keimanan untuk kita: adakah kita sanggup taat kepada suruhan dan percaya kepada hikmah yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita? Adakah kita faham atau tidak?

Namun begitu, kenapakah jihad diwajibkan sedangkan mereka sudah selamat di Madinah? Kenapa mencari musuh pula sedangkan mereka sudah selamat? Ini kerana pihak yang memusuhi tidaklah akan duduk diam membiarkan masyarakat Islam di Madinah itu terus bertumbuh. Kian besar pengaruh Islam di Madinah, lalu kian besar pulalah kemurkaan musuh-musuh itu. Bahkan bertambah besar pula jumlahnya. Bukan sahaja musuh daripada golongan Quraisy yang telah mengusir mereka, malahan sudah bertambah musuh daripada suku-suku Arab di sekeliling tanah Arab yang selalu mengikuti jejak kaum Quraisy. Ditambah pula dengan musuh daripada golongan Yahudi di Madinah yang sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghasut orang Quraisy dan Arab yang lain tadi supaya menentang Islam. Manakala di sebelah utara pula terdapat bangsa Romawi yang telah lama berdaulat dan aktif menjajah penduduk-penduduk Arab dan menguasai negeri-negeri itu. Sementara di sebelah timur ada kerajaan Persia yang besar, yang tidak merasa senang jikalau bangkit kekuatan baru di Arabia. Maka perang tidak dapat dielakkan bagi umat Islam. Mahu ataupun tidak, mereka perlu melakukannya. Kekuatan yang telah tumbuh ini mesti dipertahankan. Kadang-kadang bertahan itu ialah dengan menyerang, atau mendahului serangan sebelum diserang.

Setelah umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam telah dibenarkan untuk berjihad mempertahankan diri dan ini disebut di dalam Hajj: 39

أُذِنَ لِلَّذينَ يُقٰتَلونَ بِأَنَّهُم ظُلِموا ۚ وَإِنَّ اللهَ عَلىٰ نَصرِهِم لَقَديرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,

Sekarang di dalam ayat Baqarah: 216 ini Allah ‎ﷻ telah mewajibkan jihad kepada umat Islam. Malah ada banyak ayat yang menyebut kepentingan jihad yang kebanyakannya ada disebut di dalam Surah Anfal dan Tawbah. Selain daripada itu, terdapat beberapa hadith yang menyebut tentang jihad fi sabilillah:

أَبِي هُرَيْرَةَ رَ ضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم (  مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ, وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِهِ, مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ )  رَوَاهُ مُسْلِمٌ
“Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.” (Muttafaq Alaihi.)

Dalam hadith keutamaan jihad yang lain:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada lagi hijrah setelah kemenangan (Mekah) akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka sekiranya kalian diperintahkan berangkat berjihad, berangkatlah”.
(Hadith Bukhari No. 2575)

Bilakah jihad itu wajib/fardhu ain? Ada beberapa keadaan yang ia menjadi wajib:

1. Ketika seseorang itu berada di dalam peperangan. Sudah tidak boleh lari daripada perang dan ia termasuk dosa besar jika dilakukan,

2. Apabila diwajibkan oleh pemimpin Islam/Khalifah

3. Apabila negara Islam diserang orang kafir

4. Apabila seseorang itu diwajibkan berperang kerana kepakaran dan kemahirannya di dalam bidang yang diperlukan.

Selain daripada 4 keadaan ini, perang jihad adalah fardhu kifayah. Maknanya walaupun ayat ini memberitahu kita bahawa jihad telah difardhukan, akan tetapi setakat ayat ini, ia adalah fardhu kifayah. Kalau ada yang telah melakukannya, maka semua umat Islam selamat dan dikira telah menunaikannya. Jikalau tidak ada, maka seluruh umat Islam telah berdosa. Kelebihan jihad itu paling banyak akan didapati oleh orang yang melakukannya seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Nisa’: 95

لا يَستَوِي القٰعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالمُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ فَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القٰعِدينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَهُ الحُسنىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ عَلَى القٰعِدينَ أَجرًا عَظيمًا
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dalam kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (daripada dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;

Bukan semua umat Islam perlu untuk berjihad fi sabilillah kerana kanak-kanak, wanita dan golongan yang sakit dikecualikan; ada juga yang harus tinggal untuk menyampaikan ilmu seperti disebut di dalam Tawbah: 122

وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Namun begitu sekiranya seorang khalifah mewajibkan semua rakyatnya yang mampu berjihad untuk keluar berjihad, maka ia menjadi fardhu ain kepada semua orang. Ini seperti terjadi semasa Perang Tabuk di zaman Nabi ﷺ dan ia disentuh di dalam ayat Tawbah: 38 kerana ada umat Islam yang memberi alasan ketika itu.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Begitu pun, jihad perang itu hendaklah dijalankan mengikuti syari’at. Bukannya kita terus sahaja menyerang orang kafir tidak tentu arah, tanpa hala tuju yang jelas. Mestilah ada protokol yang perlu dipatuhi. Antaranya, jihad perang itu mestilah diarahkan oleh Khalifah. Akan tetapi sekarang kita tidak ada sistem khalifah maka usaha jihad terbantut sebenarnya.

Di samping itu juga, bukanlah semua rakyat kena pergi ke medan perang. Ada yang hanya diperlukan untuk memberikan sokongan; ada yang menerima bantuan kewangan; ada yang tugasnya mengajar; ada yang menjaga keluarga. Semua itu ada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh sebab itu, jihad perang ini adalah fardhu kifayah, bukanlah fardhu ain. Kenalah ada pihak yang menjalankan jihad perang itu dan jika tidak ada, maka kewajipan itu masih jatuh kepada semua orang Islam. Kalau tidak dijalankan, maka seluruh umat Islam berdosa.

Walaupun begitu terdapat juga keadaan di mana setiap Muslim perlu mengangkat senjata untuk berperang apabila negara diserang musuh. Maka, pada waktu itu, semua diwajibkan untuk berperang.

 

وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم

sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kalian benci

Peperangan ini sememangnya adalah perkara yang manusia biasa tidak suka. Allah ‎ﷻ tahu tentang hal ini dan Allah ‎ﷻ sebut di sini sebagai pengakuan akan emosi manusia terhadap peperangan. Manusia membencinya kerana ia adalah naluri biasa manusia. Sebab tidak ada sesiapa pun yang suka mati dan suka membunuh orang lain. Perang bukanlah sekadar berjalan-jalan santai di taman sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat berat untuk dilakukan dalam keadaan yang tidak selesa.

Ada golongan munafik yang mempersoalkan kenapa perlu jihad sedangkan Islam itu agama yang aman. Begitulah orang-orang zaman sekarang pun menggunakan alasan yang sama juga. Ini adalah kata-kata dan hujah yang tidak tepat. Seperti yang kita telah bahaskan sebelum ini, memang ada keperluan untuk melakukan jihad itu. Hujah yang melarangnya adalah daripada mereka yang tidak faham tentangnya sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan kerana itu mereka salah faham. Mereka tidak taat 100% kepada arahan Allah ‎ﷻ. Mereka masih hendak menggunakan akal mereka yang terhad juga lagi.

 

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

dan boleh jadi kalian benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kalian, 

Allah ‎ﷻ beritahu yang mungkin ada perkara yang kita benci tetapi sebenarnya ia adalah baik untuk kita. Kalimah عَسىٰ diterjemahkan ‘boleh jadi’ yang mengandungi makna ketidakpastian, bukan? Akan tetapi bukanlah Allah ‎ﷻ tidak pasti, sebaliknya manusia yang tidak pasti. Ketika Allah ﷻ telah arahkan sesuatu yang hati mereka tidak suka, maka manusia hendaklah bersikap optimis dan melihat kebarangkalian عَسىٰ yang perkara itu ada kebaikannya yang mereka tidak nampak.

Antaranya jihad. Jihad ini penting dan diwajibkan kepada kita kerana jihad fi sabilillah ini akan mendekatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada orang yang membuat maksiat semasa sedang berjihad di jalan Allah ‎ﷻ. Waktu itu iman kita sedang diuji dengan hebat sekali dan waktu itu tidak terfikir hendak buat maksiat. Kalau kita dapat menjalankan jihad, maka kita telah dapat melepasi banyak sekali ujian sebelum sampai ke peringkat jihad.

Agama Islam bukanlah agama yang suka berperang kerana perang itu sendiri tetapi perang jihad itu perlu untuk menegakkan agama Allah. Bila jihad tidak ada, maka kebanyakan manusia akan duduk dalam keadaan lalai dan leka. Begitulah walaupun kita benci kepada peperangan dan pembunuhan tetapi jihad fi sabilillah adalah baik untuk kita kerana ia akan membuatkan hati kita begitu rapat sekali dengan Allah ‎ﷻ. Selalunya suasana yang merangsang perasaan kita boleh mengubah apa yang ada dalam diri kita. Ini kerana apabila sedang berperang, kita sebenarnya berada dalam keadaan di mana kita tahu bahawa bila-bila masa sahaja kita boleh mati maka tentunya kita akan sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak berani untuk lalai dan membuat dosa disebabkan terdapat kemungkinan yang amat besar yang kita akan mati.

Memang perang itu berat tetapi ini sama seperti seorang ibu yang memaksa anaknya untuk memakan ubat kerana ubat itu baik untuk anak itu dan ibu itu memaksa anak itu untuk memakan ubat kerana dia sayangkan anaknya. Sememangnya anaknya tidak suka dan meronta-ronta namun ibu itu akan melakukan apa yang perlu untuk anaknya. Ini kerana ibu itu tahu apa yang baik untuk anaknya, akan tetapi anaknya yang tidak faham kerana umurnya yang masih muda dan akalnya yang pendek lagi. Begitulah Allah ‎ﷻ mewajibkan jihad bagi kita.

Dengan jihad ini juga dapat menegakkan agama Islam. Namun kita kena faham yang bukanlah Islam disebarkan dengan perang. Ini adalah sangkaan banyak pihak – sama ada yang kafir atau Muslim sekali – dan ternyata ini tidak benar. Umat Islam tidak pernah memaksa manusia memeluk Islam dengan perang. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 256

لا إِكراهَ فِي الدّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama

Ini kerana tidak ada nilainya iman kalau ia dipaksa. Jikalau dipaksa mereka masuk Islam dan mereka masuk tanpa rela, maka mereka itu akan menjadi munafik. Orang munafik tidak menambah kekuatan umat Islam sebaliknya melemahkan kedudukan Islam. Jadi kenapakah Islam ditegakkan dengan jihad?

Ini kerana kita membuka ruang untuk manusia beriman. Kita serang tempat yang tidak membenarkan Islam didakwahkan. Sekiranya pemimpin mana-mana negara membenarkan kita berdakwah, maka mereka dibiarkan sahaja. Sebaliknya jikalau dakwah Islam dihalang, maka kita akan jatuhkan pemimpin itu. Walaupun setelah negara itu dijajah, tidaklah kita memaksa umat yang baru dijajah itu masuk Islam. Mereka boleh sahaja kekal di dalam agama mereka, asalkan duduk di bawah takluk negara Islam dan membayar jizyah. Banyak negara yang dijajah dan penduduk negara itu tidak masuk Islam pun. Sepanjang sejarah, tentera Islam telah menakluk beberapa wilayah, tetapi bukanlah semua penduduknya serta-merta masuk Islam. Banyak faktor yang mempengaruhi perkara ini, seperti kebebasan beragama yang diberikan oleh Islam, kepercayaan asal penduduk, serta hubungan politik dan sosial. Berikut adalah beberapa contoh wilayah yang pernah berada di bawah pemerintahan Islam tetapi penduduknya tidak semuanya masuk Islam:

1. Sepanyol (Al-Andalus)

    • Ditakluk oleh: Bani Umayyah (711M)
    • Status agama penduduk: Sebahagian besar penduduknya tetap Kristian, terutama di utara, walaupun ada yang masuk Islam. Kristian tetap menjadi agama dominan, terutama selepas kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol (Reconquista, 1492).
    • Penduduk Kristian dan Yahudi diberikan status “Dhimmi” (orang bukan Islam yang dilindungi).

 

2. India

    • Ditakluk oleh: Kesultanan Delhi, Empayar Mughal

    • Status agama penduduk: Majoriti kekal Hindu walaupun India diperintah oleh kerajaan Islam selama berabad-abad.
    • Sebab tidak semua masuk Islam:

      • Hindu mempunyai sistem keagamaan yang sangat kuat dan berakar dalam budaya mereka.
      • Maharaja Mughal seperti Akbar mengamalkan toleransi beragama, membenarkan Hindu mengekalkan agama mereka.

 

3. Balkan (Bosnia, Serbia, Bulgaria, Greece, Albania, dll.)

    • Ditakluk oleh: Empayar Uthmaniyyah (abad ke-14 hingga 20)

    • Status agama penduduk: Kebanyakan kekal Kristian Ortodoks, kecuali Albania dan Bosnia yang memiliki populasi Muslim yang lebih besar.
    • Sebab tidak semua masuk Islam:

      • Uthmaniyyah membenarkan sistem Millet, di mana Kristian boleh mengamalkan agama dan adat mereka sendiri.
      • Gereja Ortodoks memainkan peranan besar dalam mengekalkan identiti Kristian.

 

4. Itali (Sicily)

    • Ditakluk oleh: Aghlabid dan Fatimiyyah (abad ke-9 hingga 11)
    • Status agama penduduk: Kekal Kristian selepas penaklukan oleh Norman.
    • Sebab tidak semua masuk Islam:
      • Islam hanya bertahan selama lebih kurang dua abad sebelum Sicily ditawan kembali oleh Kristian.

 

5. China

    • Ditakluk oleh: Dinasti Mongol yang memeluk Islam (Yuan) dan hubungan dengan kerajaan Islam

    • Status agama penduduk: Kekal Buddha, Taoisme, dan Konfusianisme.
    • Sebab tidak semua masuk Islam:

      • Islam hanya berkembang dalam komuniti kecil seperti etnik Hui dan Uighur.
      • Kebudayaan China yang sangat kuat dan berpengaruh menyebabkan Islam tidak menjadi agama dominan.

 

وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم

dan boleh jadi kalian suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kalian. 

Namun di sebaliknya, mungkin ada perkara yang kita suka sangat, tetapi ia adalah tidak baik untuk kita. Jangan kita sedang suka dengan sesuatu, kita langsung lupa diri dan Allah ‎ﷻ. Kena ingat ada kemungkinan perkara yang kita suka itu tidak baik bagi kita. Begitulah, ada larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ terhadap kita, maka hendaklah kita menahan diri kita daripada melakukannya, walaupun hati kita suka dan akal kita pun tidak nampak salahnya.

Begitulah, akal tidak akan dapat memahami mana yang baik dan tidak untuk diri kita. Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu dan kerana itu Dia telah menetapkan hukum untuk kita patuhi. Maka patuhilah sahaja dan yakinlah yang ia baik bagi kita. Serahkan diri kita kepada ketetapan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ.

Kedua-dua potongan ayat ini walaupun di dalam ayat perang dan sikap manusia terhadap perang, akan tetapi ia juga boleh berbentuk umum, bukan hanya mengenai perang sahaja. Ayat ini boleh diaplikasi di dalam segenap kehidupan kita. Ada perkara dalam kehidupan kita yang kita mahu sangat tetapi ia tidak baik kepada kita. Manakala ada perkara yang kita hendak elakkan sangat tetapi terkena juga kepada kita. Namun begitu kemudiannya kita dapati yang ia baik untuk kita. Sebagai contoh, ada yang kena buang kerja, dia amat sedih dan tidak suka. Namun disebabkan dia dibuang kerjalah, dia akhirnya telah mendapat kerja yang lebih baik daripada kerja yang sebelumnya yang dia tidak akan dapat kerja baru itu seandainya dia tidak dibuang kerja asalnya itu. Atau, kerana dibuang kerja, maka dia terpaksa memulakan perniagaan yang ternyata menguntungkan bagi dirinya.

Ia juga mengajar kita bahawa motivasi itu bukanlah kena ada. Motivasi itu daripada emosi kita, tetapi akal kita yang sepatutnya memandu kita. Sebagai contoh, ada orang tidak beriadah kerana tidak ada motivasi. Mereka tidak ada semangat langsung (seperti kebanyakan orang) dan kerana itu mereka tidak bersukan. Namun akal mereka tahu yang ia adalah baik dan bagi orang yang ada masalah kesihatan, itulah salah satu perkara yang boleh mengembalikan kesihatannya. Maka dia kena buat sahaja, tidak perlu tunggu pun motivasi datang kerana ia mungkin tidak datang-datang.

Begitulah juga dengan ibadah. Kadangkala kita semangat hendak solat, hendak sedekah tetapi selalunya semangat itu tidak ada. Waktu itulah iman kita diuji – adakah kita melakukan ibadah itu kerana kita suka atau kerana kita tahu yang ia adalah perintah Allah ﷻ? Walaupun kita tidak ada semangat ketika itu, mungkin sedang penat atau sibuk sangat, maka iman kita waktu itu sedang diuji. Malah ada yang mengatakan ketika inilah solat kita paling ikhlas kerana waktu inilah kita tetap melakukan solat walaupun kita tidak ada motivasi untuk melakukannya.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ sajalah yang tahu hakikat dan keadaan sebenar sesuatu perkara itu dan manusia sebagai makhluk yang hina, tidak tahu. Maka kita kenalah ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita kena sedar kedudukan kita. Siapa kita yang hendak mempersoalkan hukum dan arahan Allah ‎ﷻ?

Ingatlah, kalau kita layan akal kita sangat, syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Begitulah bahayanya akal yang tidak dipandu oleh wahyu. Memang kita boleh guna akal, tetapi hendaklah dipandu oleh wahyu.

Kalau kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk serahkan urusan hidup kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita akan selalu doa istikharah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi panduan dalam membuat keputusan hidup.

Kita juga akan senang untuk bersabar kerana kita yakin bahawa apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan untuk kita adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya. Mungkin kita masih tidak nampak lagi apakah kebaikan daripada musibah yang ditimpakan kepada kita, namun di sini kena ada kepercayaan kepada ketentuan Allah ﷻ. Maka kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan hikmah itu kepada kita supaya kita lebih senang untuk menerima takdir-Nya itu.

Contoh perkara yang kita tidak tahu ada kebaikan di sebalik rupa yang buruk adalah kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr di dalam Surah Kahf. Ada tiga kisah kecil di dalam surah itu tentang perjalanan mereka berdua. Perbuatan Khadr nampak buruk sekali pada pandangan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi tanpa baginda sedari, ada kebaikan di sebaliknya.

Lihat juga kisah Saidatina A’isyah رضي الله عنها yang dituduh telah berzina oleh golongan munafik. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nur: 11

إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم ۚ لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

Ringkasnya insiden itu amat berat bagi A’isyah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ, keluarga mereka dan orang mukmin. Akan tetapi Allah ‎ﷻ kata kejadian itu baik bagi mereka. Hasil daripada kejadian itu terdapat pengajaran yang amat besar. Ia juga memberi kesan yang besar kepada orang mukmin dan pengajaran sepanjang masa bagi umat Islam kerana kita sentiasa membaca kisah ini.

Perhatikan juga kisah ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terpaksa melontar anaknya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang masih bayi ke dalam sungai! Bagaimana perasaan beliau pada ketika itu? Allah ‎ﷻ memujuk hati ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seperti disebut di dalam Qasas: 7

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) daripada para rasul.

Permulaan hayat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat menyayat hati ibunya namun kita pun tahu bagaimana pengakhirannya. Semasa ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melontarnya ke dalam air, beliau tidak tahu apakah kebaikan daripada perlakuannya itu namun akhirnya beliau dikurniakan anak yang menjadi seorang Rasul yang amat hebat.

Dalam kehidupan kita, biasa kita dengar seseorang itu benci sungguh kepada seseorang. Segala benda dia tidak suka tentang orang itu tetapi tiba-tiba kita dengar dia sudah berkahwin dengan lelaki itu. Sebab itu kita nasihat jangan benci sangat kepada seseorang, entah dia itu baik sebenarnya bagi kita. Bagaimana dengan pemimpin kita? Ada yang kita benci sangat, tetapi kita tidak tahu entah dia sebenarnya bawa kebaikan kepada negara kita, secara sengaja ataupun tidak. Maka pengajarannya: janganlah membenci sangat kepada seseorang.

Begitulah juga jangan mencintai dan suka secara berlebihan. Orang dan benda yang kita suka itu entah bagus atau tidak kepada kita, kita pun tidak tahu. Boleh sahaja suka, tetapi jangan berlebihan sangat dan jangan terlebih puji sangat. Kita tenang-tenang sahaja kerana kita tidak tahu di masa hadapan dan hakikat di sebalik satu-satu perkara itu.

Sekian Ruku’ 26 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 214 – 215 (Anjuran jihad)

IMAN DIKUATKAN DENGAN DUGAAN

Baqarah Ayat 214: Ayat 214 – 218 adalah tentang infak dan jihad. Disebut kali ketiga tentang hal ini kerana ia amat penting.

Ayat ini adalah dorongan/targhib jihad yang ketujuh. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa syurga itu tidak diberikan secara percuma. Syurga itu mahal dan mestilah berkorban untuk mendapatkannya. Mereka yang mahukan syurga akan diuji semasa di dunia. Oleh itu jihad hendaklah dijalankan kerana ia adalah salah satu daripada jalan untuk masuk syurga dan ia merupakan ujian yang amat besar.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Or do you think that you will enter Paradise while such [trial] has not yet come to you as came to those who passed on before you? They were touched by poverty and hardship and were shaken until [even their] messenger and those who believed with him said, “When is the help of Allah ?” Unquestionably, the help of Allah is near.

MALAY
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, 

Adakah kamu sangka kamu dapat masuk syurga dengan mudah? Syurga itu mahal dan ada bayaran untuk memasukinya. Jadi hilangkan daripada fikiran kita yang kita ini sudah Muslim dan akan senang-senang masuk syurga. Takkan begitu! Kita kalau layak dimasukkan ke dalam syurga, pasti akan diuji. Antara ujian yang besar itu adalah ujian untuk berjihad dan bersabar dalam setiap ujian. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 142

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Semakin beriman kita, maka semakin banyak ujiannya, seperti disebut di dalam hadith,

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
(Sunan An-Nasaei No. 7440)

Rasulullah ﷺ juga bersabda di dalam hadith yang lain:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
(Musnad Ahmad No. 1481)

Jangan sangka mudah sahaja masuk syurga: asal baca Yasinan malam Jumaat, masuk syurga; asal ikut tok guru itu dan ini syurga sudah pasti; asal amalkan doa ini dan zikir itu, pasti masuk syurga; dan berbagai-bagai lagi angan-angan kosong manusia.

 

وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم

padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? 

Ini adalah ayat yang menakutkan sekali. Allah ‎ﷻ kata untuk masuk syurga, kita mesti akan diuji seperti umat-umat Islam yang terdahulu juga. Kalimah لَمّا bermaksud sesuatu yang belum lagi datang akan tetapi ia akan datang. Inilah pentingnya kita belajar sejarah umat-umat terdahulu supaya fikiran kita sudah dapat terima bahawa ujian itu pasti datang dan kita akan berfikir: Kalau umat terdahulu telah diuji, takkan kita tidak diuji?

Kita akan membaca kisah golongan ahli sihir yang beriman dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ashabul ukhdud dan lain-lain lagi yang diuji oleh Allah ﷻ dengan serangan daripada penentang kebenaran. Semua itu memberi kesan dan semangat kepada kita untuk meneruskan usaha dakwah dan tidak hiraukan segala macam ujian yang mendatang.

Menurut riwayat daripada Ibnul Mundzir dan Ibnu Jarir dan Abdurrazak, bahawa Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ menerangkan bahawasanya ayat ini turun ialah ketika kaum sekutu dan yang terdiri daripada kaum musyrikin Quraisy dan Yahudi Bani Quraizhah dan kabilah-kabilah Arab mengepung Madinah, yang terkenal juga dengan nama “Perang Khandaq”. Nyaris Madinah jatuh ke tangan musuh, nyaris kota itu diserbu dan Islam dipadamkan sebelum menyala. Memang umat Islam yang sedang berjuang pada waktu itu sedang diuji dengan amat teruk sekali. Akhirnya Allah ﷻ telah bantu mereka dan kisah ini disebut dengan panjang lebar di dalam Surah Ahzab. Perhatikan ayat 10-11 surah itu,

إِذ جاءوكُم مِّن فَوقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم وَإِذ زاغَتِ الأَبصٰرُ وَبَلَغَتِ القُلوبُ الحَناجِرَ وَتَظُنّونَ بِاللهِ الظُّنونا
(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.

هُنالِكَ ابتُلِيَ المُؤمِنونَ وَزُلزِلوا زِلزالًا شَديدًا
Disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang sangat.

Memang asbabun nuzul surah ini adalah tentang Perang Ahzab. Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Ayat ini turun pada hari Perang Ahzab, pada hari itu Nabi ﷺ dan para sahabatnya tertimpa bala dan pengepungan.

Umat terdahulu telah diuji dengan tiga perkara:

 

مَّسَّتهُمُ البَأساءُ

Mereka telah ditimpa kepapaan

Kesusahan harta benda demi menegakkan agama. Ini adalah ujian dari segi harta. Mereka dahulu miskin-miskin belaka namun mereka tetap juga memperjuangkan agama dengan apa sahaja yang mereka ada. Kalau zaman sekarang pun dugaan untuk menegakkan sunnah amat mencabar, sampaikan ada yang diboikot dan dibuang kerja kerana orang tidak suka.

 

وَالضَّرّاءُ

dan serangan penyakit,

Iaitu jenis ujian pada tubuh fizikal seperti sakit dan penyakit. Sama ada kepada diri mereka atau keluarga mereka seperti kematian yang menimpa kaum kerabat. Memang perjuangan memerlukan batang tubuh kita untuk hadir dalam perjuangan itu. Tidak boleh hantar wakil. Kadangkala penyakit atau gangguan fizikal akan diberikan. Kesedihan yang dialami oleh kematian ahli keluarga juga adalah ujian yang perlu dihadapi oleh para pejuang agama.

Kalau zaman sekarang, para pendakwah sunnah ada yang sampai dipukul oleh golongan bid’ah yang hendak menegakkan kebatilan mereka. Mereka tidak ada hujah, jadi kekerasan yang mereka gunakan untuk menentang golongan sunnah.

 

وَزُلزِلوا

serta digoncangkan

Sekarang pula ujian dari segi emosi dan perasaan. Mereka digoncangkan dengan ancaman daripada musuh mereka. Ini termasuk dengan ujian-ujian lain seperti sekatan, tohmahan, serangan, cacian dan macam-macam lagi. Ini semua adalah ujian selain ujian harta dan tubuh. Mereka yang sebelum kita telah digegarkan dengan teruk sekali. Maka kalau kita diuji daripada orang lain zaman sekarang, itu biasa sahaja. Jangan dirisaukan sangat tentang perkara itu. Setakat dituduh sebagai Wahabi, apalah sangat.

 

حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ

sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sampai bertanya bilakah datangnya pertolongan Allah ‎ﷻ itu kerana Allah ‎ﷻ memang telah berjanji akan memberikan bantuan tetapi tidak ditentukan waktu bila ia akan diberi. Oleh kerana sudah lama tidak sampai-sampai, maka ada Nabi-nabi dan para sahabat mereka yang sudah bertanya. Mereka cuma bertanya kenapa lama sangat. Ini bermakna ujian itu sudah sangat terasa. Bukanlah para Nabi dan para sahabat mereka sangsi kepada pertolongan Allah ‎ﷻ, cuma tertanya-tanya bilakah akan sampai pertolongan itu. Ini kerana mereka sudah tidak tahan lagi kerana teruk sangat ujian yang mereka kena. Manakala kalau ada yang sangsi pun bukanlah para Rasul yang sangsi, akan tetapi mereka yang di sekeliling para Rasul itu.

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا { حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا } خَفِيفَةً ذَهَبَ بِهَا هُنَاكَ وَتَلَا { حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ } فَلَقِيتُ عُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ فَذَكَرْتُ لَهُ ذَلِكَ فَقَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ مَعَاذَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا وَعَدَ اللَّهُ رَسُولَهُ مِنْ شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا عَلِمَ أَنَّهُ كَائِنٌ قَبْلَ أَنْ يَمُوتَ وَلَكِنْ لَمْ يَزَلْ الْبَلَاءُ بِالرُّسُلِ حَتَّى خَافُوا أَنْ يَكُونَ مَنْ مَعَهُمْ يُكَذِّبُونَهُمْ فَكَانَتْ تَقْرَؤُهَا { وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِّبُوا } مُثَقَّلَةً
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata mengenai firman Allah: ” Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah menyakini bahawa mereka telah didustakan…” (Yusuf: 110). Perlahan-lahan Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pergi sambil memikirkan ayat itu seraya membaca ayat; Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al-Baqarah: 214). Lalu aku bertemu dengan Urwah, maka aku sebutkan tentang ayat tersebut kepadanya; dia pun menjawab; Aisyah berkata; demi Allah, tidaklah Allah berjanji kepada Rasul-Nya sedikit pun kecuali hal itu akan diketahui olehnya sebelum dia meninggal. Namun ujian demi ujian bagi para Rasul akan senantiasa ada hingga mereka merasa khuatir orang-orang yang bersama mereka akan ada yang mendustakannya. Aisyah رضي الله عنها seraya membaca; Mereka (para rasul) itu menyangka mereka akan didustakan.
(Sahih Bukhari No. 4162)

Perhatikan kalimat وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ. Ia mengajar kita bahawa orang yang beriman akan sentiasa bersama para Rasul mereka dan berjuang bersama-sama. Walaupun Rasulullah ﷺ tidak lagi bersama kita, namun apabila kita meneruskan usaha dakwah baginda dan menegakkan agama ini, maka kita juga dikira bersama baginda.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita yang sedang membaca dan mempelajari Al-Qur’an ini, bahawa untuk dapat pertolongan Allah ‎ﷻ, hendaklah duduk terlebih dahulu dalam kepayahan yang panjang. Dakwah kepada agama Islam ini bukan mudah dan kita kena bersedia. Kita kena ada persediaan mental untuk menghadapinya.

Kalau kita sudah tahu yang ia bukan senang, maka kalau kita diuji dengan segala halangan dan dugaan ini, kuranglah sedikit rasa kesusahan itu. Ini kerana kita sudah bersedia. Kita memang sudah agak yang dakwah ini bukan kerja senang. Sebaliknya kalau kita sangka ia kerja senang, dan kemudian dikenakan ujian, tentu ia lebih sukar kepada kita. Ini kerana mental kita tidak bersedia.

Memang pendakwah agama akan menerima ujian daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita melakukan tugas dakwah kita, kita akan diuji kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia telah siap sediakan musuh untuk orang Mukmin dalam kalangan jin dan manusia.

Kalau kita tidak menjalankan tugas kita dalam dakwah, Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan kita ditundukkan oleh agama lain supaya kita sedar kembali. Jadi, dalam dua keadaan itu, memang pasti kita akan diuji. Maka terima sahajalah ujian yang Allah ﷻ berikan kepada kita dalam apa jua bentuk. Juga diingatkan supaya jangan berputus asa. Ingatlah bahawa balasan untuk kesabaran kita itu adalah syurga.

 

أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat 

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa pertolongan-Nya akan pasti tiba dan tidak lama lagi. Mereka cuma perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Kesabaran mereka menunggu pertolongan itu akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tentunya lebih tinggi nilainya daripada susah payah dan penat jerih manusia yang berdakwah untuk menegakkan agama-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Muhammad: 7

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Ayat ini juga memberi isyarat yang Allah ‎ﷻ dekat dengan kita. Memang Dia telah memberitahu perkara yang sama kepada kita dalam ayat 186.

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

Maka jangan berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah ﷻ. Betapa pun lemahnya kita, Allah ﷻ amat kuat dan boleh beri pertolongan dari arah yang tidak disangka-sangka.

Yang paling penting adalah sabar. Ada hadith tentang sahabat yang mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan lihatlah bagaimana jawapan baginda.

عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ
Daripada Khabbab bin Al Arat رضي الله عنه berkata; “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Ka’bah; “Tidakkah baginda memohon pertolongan buat kami? Tidakkah baginda berdoa memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk kami?” Baginda bersabda: “Ada seorang lelaki daripada umat sebelum kalian, lantas digalikan lubang untuknya dan dia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi Allah ‎ﷻ, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengendarai kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadramaut tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah ‎ﷻ atau (tidak ada) kekhuatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa”.
(Sahih Bukhari No. 3343)


 

INFAK BERMULA DI RUMAH

Baqarah Ayat 215: Sekarang kita masuk ke tajuk baharu iaitu tentang infak. Selepas ini akan diselang-selikan dengan tajuk Jihad dan Infak supaya umat Islam bersedia dengan kedua-dua perkara itu. Memang Islam tidak sepatutnya lari jauh daripada infak dan jihad. Jihad tidak dapat dijalankan jika tidak ada orang yang infak. Di dalam ayat ini disebut infak secara umum dahulu.

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
They ask you, [O Muhammad], what they should spend. Say, “Whatever you spend of good is [to be] for parents and relatives and orphans and the needy and the traveler. And whatever you do of good – indeed, Allah is Knowing of it.”

MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

 

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan

Dalam ayat ini umat Islam zaman Nabi ﷺ telah bertanya kepada baginda apakah yang mereka perlu infakkan. Beginilah sifat para sahabat yang prihatin kepada agama. Selepas diberitahu kelebihan infak, mereka ingin tahu apakah yang perlu mereka infakkan. Ini kerana akidah sudah tertancap kemas di dalam diri mereka, maka sekarang ia tercermin pada soalan mereka untuk mengetahui apakah tuntutan Allah ﷻ dalam hidup mereka. Kerana itulah selepas ini kita akan melihat soalan-soalan para sahabat.

Ini mengajar kita yang di dalam urusan agama, hendaklah ia berdasarkan ilmu. Kalau tidak tahu, hendaklah ditanya kepada yang tahu, jangan memandai-mandai. Jangan reka perkara baru di dalam agama mengikut nafsu kehendak sendiri. Kita perhatikan sekarang ramai yang membuat rekaan fahaman sendiri tentang agama tanpa berdasarkan dalil tetapi logik akal sahaja. Perkara ini amat bahaya sedangkan semua urusan agama telah ada dalilnya.

Allah ﷻ memuji soalan mereka dengan menggunakan kalimah يَسأَلونَكَ yang di dalam fi’il mudhari‘. Tentunya soalan itu telah ditanya dan sepatutnya di dalam fi’il madhi. Akan tetapi dengan menggunakan fi’il mudhari‘ maka ia seakan-akan sedang terjadi dialog itu lagi dan segar dalam fikiran kita seolah-olah ia sedang berlaku dan kita sedang menyaksikan dialog mereka dengan Rasulullah ﷺ.

Ini adalah salah satu daripada 13 soalan daripada para sahabat yang disebut di dalam Al-Qur’an. Maknanya tidak banyak soalan mereka. Ini kerana mereka ini ada adab. Mereka tidak main-main bertanya tapi bertanya benda yang perlu sahaja. Zaman sekarang kita perhatikan, umat sikit-sikit bertanya dan soalan itu kadangkala mengarut sahaja.

Ada satu lagi soalan yang sama disebut di dalam ayat 219 (وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ) akan tetapi jawapan di dalam ayat itu berlainan daripada jawapan di dalam ayat ini. Ini kerana ayat 215 berlainan daripada asbabun nuzul ayat 219. Ayat 215 ini diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir daripada Abu Hayyan, bahawasanya Amru bin al-Jamuh رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya kepada Nabi ﷺ, Apa yang kami nafkahkan daripada harta-harta kami? Kepada siapa kami patut berikan? Ini kerana Amru bin al-Jamuh رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mempunyai harta yang banyak. Sedangkan di dalam ayat 219, kisahnya adalah apabila Rasulullah ﷺ menyuruh para sahabat untuk infak fi sabilillah, mereka meminta penjelasan tambahan daripada baginda. Jadi ayat 215 tentang ‘apa’ dan ‘kepada siapa’ sedangkan ayat 219 tentang ‘apa’ sahaja. Di dalam ayat 215, penjelasan tentang kepada siapa yang harta itu perlu diinfakkan telah diberikan penjelasan yang lebih panjang.

Kedua-dua ayat 215 dan 219 ini adalah tentang sedekah yang sunat dan bukannya infak zakat kerana infak zakat adalah kadar khusus yang telah ditetapkan. Sedangkan ayat 215 dan 219 tidak menetapkan had. Lagi pun zakat tidak diberikan kepada ibu bapa seperti disebut di dalam ayat 215 ini, jadi ini menguatkan pendapat yang mengatakan ia bukan berkenaan zakat.

 

قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ

Katakanlah: apa jua harta benda yang baik yang kamu infakkan

Allah ‎ﷻ jawab mereka boleh infakkan apa sahaja asalkan ia mempunyai nilai. خَيرٍ bermaksud apa sahaja yang bernilai. Di dalam ayat 180 (كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا) sebelum ini, ia ditafsirkan sebagai harta. Akan tetapi oleh kerana ia di dalam bentuk nakirah (umum) ia boleh jadi apa-apa sahaja. Seeloknya benda yang kita pun suka, kita pun mahu lagi. Ia juga bukan dalam bentuk benda sahaja, tetapi ia juga boleh jadi bantuan, ilmu dan juga nasihat.

Malah kalimah خَيرٍ juga memberi isyarat yang ia hendaklah digunakan untuk tujuan yang baik. Maknanya jangan ia dibazirkan pada perkara yang tidak bermanfaat.

Manakala barang yang diberikan itu mesti yang baik-baik. Janganlah beri benda yang orang lain tidak selera hendak pakai. Sebagai contoh, selalunya bila kita kemaskan almari baju kita, kita jumpa baju-baju lama yang kita pun tidak ingin hendak pakai lagi. Maka selalunya kita beri baju yang buruk-buruk itu kepada orang lain. Ini tidak patut. Kalau hendak beri pun, kenalah yang masih elok lagi.

 

فَلِلوٰلِدَينِ

maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa, 

Yang lebih penting daripada ‘apa’ yang perlu diinfakkan adalah kepada ‘siapa’kah infak itu perlu diberikan. Itu yang mereka lebih patut  tanya. Kita manusia memang selalu mengeluarkan duit kita tetapi persoalannya adalah ke manakah sepatutnya kita keluarkan duit kita itu. Memang soalan para sahabat adalah ‘apa’ yang perlu mereka infakkan. Namun jawapan di dalam ayat ini ada dua, iaitu ‘apa’ dan ‘kepada siapa’. Kita boleh faham jawapan ‘kepada siapa’ itu jikalau kita melihat kepada asbabun nuzul seperti yang telah disebut di atas.

Ini adalah contoh uslub al-hakim (gaya bahasa yang bijaksana) ayat Al-Qur’an. Iaitu jawapan yang lebih daripada yang diminta. Ini kerana jikalau tidak ditanya pun lagi, soalan itu akan datang juga nanti. Maka dijawab siap-siap di sini. Di dalam hadith juga ada contoh sebegini seperti hadith tentang laut. Pernah satu ketika soalan ini ditanya kepada Nabi ﷺ:

إنا نركب البحر ، ونحمل معنا القليل من الماء ، فإن توضأنا به عطشنا ، أفنتوضأ من ماء البحر
Kadang-kala kami berlayar di lautan, ketika itu kami membawa sedikit sahaja air (air tawar), jika kami berwudhu’ dengan air yang kami bawa sudah tentu kami akan kehausan, apakah boleh kami berwudhu’ dengan air laut?” Lalu Nabi ﷺ menjawab: “Laut itu, boleh bersuci dengan airnya dan halal bangkainya.”
(HR. Abu Daud No. 83; Tirmidzi No. 69; An-Nasai 1:50; Ibnu Majah No. 386)

Perhatikan soalan sahabat tentang wudhu’ sahaja, tetapi jawapan Nabi ﷺ ada dua perkara yang disebut: tentang wudhu’ dan makanan dari laut. Maka ayat yang kita sedang pelajari ini memberi penjelasan tambahan, bukan hanya apa yang diinfakkan (itu dijawab dengan lafaz مِّن خَيرٍ) dan sekarang kita pun tahu kepada siapa siapa infak itu perlu diberikan.

Oleh itu, pertama yang kita perlu infakkan harta kita yang berharga itu ialah kepada ibubapa kita yang susah. Kenalah kita tolong ibubapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Kerana merekalah kita ini wujud. Jangan kita banyak tolong orang lain, tetapi ibubapa kita sendiri tidak pula kita kisahkan susah senang mereka. Kadangkala ada ibubapa yang susah di kampung tetapi anak tidak tolong sedikit pun. Ada yang senang di ibukota tetapi ibu di kampung, merempat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang perlu ditolong adalah ibubapa yang susah. Namun ada juga yang berpendapat tidak perlu dikhususkan kepada ibubapa yang susah sahaja kerana walaupun mereka senang, apabila kita beri sumbangan kepada mereka, mereka amat suka.

Kita juga jangan lupa bahawa infak bukan sahaja dalam bentuk harta benda sahaja tetapi dalam bentuk pertolongan dan lain-lain. Maka tolonglah menyenangkan hidup ibubapa kita dalam apa-apa cara. Kalau mereka sakit, kitalah yang bawa mereka ke klinik dan hospital. Kadangkala ya kita sendiri pun tidak cukup serba serbi dari segi kewangan, tetapi kita masih tetap boleh berkhidmat kepada mereka, bukan?

Melalui ayat ini mengajar kita bahawa sedekah dan beri bantuan kepada ahli keluarga adalah termasuk perkara ibadah. Maka jangan kedekut dengan ahli keluarga. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim.”
(Musnad Ahmad No. 17197) Isnad Hasan

Di sini juga kita boleh tahu bahawa ada susunan keutamaan di dalam infak. Apabila disebut ibubapa dahulu, maka kepada mereka lah yang perlu kita sedekahkan dan beri bantuan yang utama sekali. Di dalam hadith ada disebut,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ تَصَدَّقُوا ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عِنْدِي آخَرُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَنْتَ أَبْصَرُ ‏”‏ ‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata; Nabi ﷺ memerintahkan untuk bersedekah. Kemudian seorang lelaki berkata; wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar. Kemudian baginda bersabda: “Sedekahkan kepada dirimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada anakmu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada isterimu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Sedekahkan kepada pembantumu!” Dia berkata; aku memiliki yang lain. Baginda bersabda: “Engkau lebih tahu.”
(Sunan Nasa’i No. 2535) Hasan menurut Darussalam

Akan tetapi kenapakah hadith ini berlainan pula dengan susunannya dengan ayat yang kita sedang baca ini? Kena tahu bahawa hadith ini tentang sedekah yang wajib, iaitu untuk ahli keluarga yang menjadi kewajipan kita untuk menyarai mereka. Sedangkan ayat 215 ini pula adalah tentang sedekah sunat.

 

وَالأَقرَبينَ

dan kaum kerabat,

Selepas bantu ibubapa, kita kena lihat pula kepada kaum kerabat yang susah. Kenalah kita tolong mereka yang berdekatan dengan kita terlebih dahulu kerana tentu mereka akan terasa hati kalau kita tolong orang lain tetapi tidak menolong mereka sedangkan mereka saudara mara kita. Termasuk di dalam kaum kerabat adalah anak kandung dan adik beradik. Mereka yang susah itu juga memerlukan bantuan daripada kita.

Ini selalunya ada masalah. Masyarakat kita ada sahaja masalah dengan saudara mara mereka. Ada adik beradik yang terasa dengan adik beradik sendiri dan sudah bermasam muka. Anak-anak mereka pun menyambung ‘permusuhan’ ibubapa mereka dan berterusanlah perkelahian ini. Ini amat-amat memalukan. Bayangkan, seteruk-teruk Arab Jahiliyah itu, mereka amat menjaga hubungan sesama kabilah mereka, tetapi kita pula berkelahi sesama ahli keluarga kita?

 

وَٱليَتَـٰمَىٰ

dan anak-anak yatim

Kemudian anak yatim yang susah. Mereka ini adalah golongan yang selalu diabaikan kerana mereka sudah tidak ada ibu bapa. Maka kita kena cari mereka untuk tolong mereka.

Jangan kita sangka kita hanya boleh tolong mereka dengan wang sahaja kerana kita bukan semua ada wang. Sebenranya kita boleh sahaja bantu mereka dengan cara yang lain. Kalau kita pandai memasak, kita boleh masak untuk mereka. Kalau kita pandai akademik, kita boleh beri tuisyen kepada mereka. Atau apa-apa sahaja. Kenalah kreatif sedikit bagaimana hendak tolong mereka. Jangan hadkan kepada bantuan berbentuk kewangan sahaja.

 

وَٱلمَسَـٰكِينِ

dan orang-orang miskin, 

Keutamaan infak seterusnya diberikan kepada mereka yang susah kerana mereka yang memerlukan pertolongan itu. Kalau ibu bapa kita kaya-raya, atau saudara mara kita memang sudah kaya ataupun anak yatim lebih banyak duit daripada kita, maka tidaklah perlu kita berikan kepada mereka. Maka apabila hendak infakkan kita perlu melihat kepada keadaan. Walaupun begitu, ada juga yang kata bahawa untuk ibubapa, tidak perlu tunggu mereka susah. Kena sentiasa tolong mereka.

 

وَابنِ السَّبيلِ

dan anak perjalanan

Maksudnya orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan. ini kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka dan tidak memerlukan pertolongan.

Berinfak kepada musafir ini lebih-lebih lagi perlu diberikan kepada mereka yang bermusafir kerana hendak menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Mereka memerlukan pertolongan kerana mereka berada di tempat yang baru dan susah untuk mereka mendapatkan pertolongan kerana mereka tidak kenal orang lain. Kalau kita tolong mereka, pahala mereka membawa orang ke jalan yang benar akan sampai juga kepada kita.

 

وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita infakkan, tidak perlu beritahu orang lain. Tidak perlulah hendak masukkan ke dalam Facebook atau Instagram segala infak yang kita lakukan. Di sini Allah ‎ﷻ mengingatkan yang penting adalah ikhlas dalam hati semasa infak. Allah ‎ﷻ tahu isi hati kita dan sama ada kita ikhlas atau tidak semasa memberinya. Kalau tidak ikhlas maka tidaklah dapat pahala.

Untuk jaga ikhlas, jangan beritahu kepada orang lain segala kebaikan atau infak yang kita lakukan. Ini kerana takut-takut kalau orang lain tahu, maka akan timbul rasa bangga dan riak di dalam diri kita. Maka jangan beri alasan macam-macam untuk kita war-warkan dalam media. Sebagai contoh, ada yang beri alasan dengan mereka buat begitu, mereka ajak dan menggalakkan orang lain juga. Masalah dengan hal ini adalah, takut hati kita tidak cukup kuat untuk menolak riak yang syaitan akan timbulkan dalam diri kita. Kalau belajar Talbis Iblis (belitan iblis), ini memang salah satu cara syaitan hendak menipu kita.

Apabila kita tahu yang Allah ‎ﷻ tahu segala infak dan perbuatan baik kita, sepatutnya ia menjadi motivasi kepada kita untuk berbuat baik banyak-banyak. Ini kerana kalau Allah ‎ﷻ tahu, Dia akan balas dengan berkali ganda. Tidak akan ada mana-mana perbuatan baik kita yang akan tertinggal untuk dibalas Allah ‎ﷻ. Jangan kita pandang kecil besarnya kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
Daripada Adi bin Hatim رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Takutlah kepada Neraka walaupun hanya dengan sebelah kurma. Jika tidak kalian dapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”
(Sahih Bukhari No. 1598)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi