Tafsir Surah Hashr Ayat 10 – 12 (Jangan irihati sesama muslim)

Hashr Ayat 10: Ini pula ayat untuk kita semua selepas disebut tentang Muhajirin dan Ansar. Kita juga boleh mengikuti jejak langkah mereka walaupun kita tidak hidup zaman mereka.

Para sahabat daripada golongan Muhajireen dan Ansar itu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah ﷻ. Boleh rujuk Tawbah:100

وَالَّذينَ جاءوا مِن بَعدِهِم يَقولونَ رَبَّنَا اغفِر لَنا وَلِإِخوانِنَا الَّذينَ سَبَقونا بِالإيمانِ وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا إِنَّكَ رَءوفٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there is a share for] those who came after them, saying, “Our Lord, forgive us and our brothers who preceded us in faith and put not in our hearts [any] resentment toward those who have believed. Our Lord, indeed You are Kind and Merciful.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.

 

 

وَالَّذينَ جاءوا مِن بَعدِهِم

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka

Iaitu golongan yang mengikut jejak langkah golongan Muhajireen dan Ansar itu dalam menegakkan agama. Ini termasuklah kita juga jikalau kita pun bersifat seperti mereka. Sekiranya kita pun ada usaha dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini dengan berdakwah dan mengamalkannya, maka kita pun termasuk juga, aameen.

Jika ayat ini dibaca daripada ayat-ayat pembahagian harta Fai sebelum ini, maka golongan yang datang selepas Muhajireen dan Ansar juga boleh mendapat harta Fai itu. Maka ada tiga golongan yang boleh mendapat harta fai:

1. Muhajireen
2. Ansar
3. Golongan Muslimin lain yang mengikut jejak langkah mereka

Akan tetapi bagaimanakah cara pembahagiannya? Kita telah belajar yang harta Ghanimah adalah harta yang didapati setelah ada peperangan dan harta Fai itu didapati tanpa peperangan. Lalu bagaimana dengan tanah dan bangunan negara yang ditawan dalam peperangan?

Ada sahabat yang mengatakan kalau tanah tempat musuh telah didapati daripada peperangan, maka ia hendaklah dibahagikan mengikut harta Ghanimah (dibahagikan kepada 5 bahagian dan 4/5 daripada bahagian itu diberikan kepada para tentera).

Akan tetapi ini tidak dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه setelah kerajaan Islam menakluk Iraq, Syria and Mesir pada zaman pemerintahannya. Beliau telah meletakkan tanah dan hartanah negara-negara itu dalam tangan Baitulmal untuk digunakan untuk kepentingan negara Islam dan rakyatnya secara umum.

Amalan ini ada sunnahnya dalam perbuatan Rasulullah ﷺ. Kita tahu bagaimana dalam peperangan Khaibar, umat Islam telah menang. Namun baginda tidak membahagikan harta dan tanah Khaibar mengikut 5 bahagian tetapi dibahagikan kepada 2 bahagian: satu bahagian diberikan kepada negara Islam dan separuh lagi diberikan kepada para tentera.

Apabila umat Islam menakluk Mekah, baginda tidak juga membahagikan tanah Mekah itu kepada 5 bahagian. Sebaliknya baginda telah memulangkan kembali tanah Mekah itu kepada penduduknya.

Maka ini menjadi hujjah bagi khalifah untuk menggunakan kebijaksanaannya untuk membahagikan tanah yang didapati daripada peperangan mengikut keperluan semasa. Terpulang kepada khalifah Islamiyyah untuk membahagikannya dan rakyat dan tentera kena ikut.

Kerana itulah Saidina Umar رضي الله عنه tidak membahagikan tanah Iraq, Syria and Mesir kepada para pejuang tetapi diletakkan di bawah jagaan BaitulMal. Ini kerana kalau diberikan kepada para tentera, itu akan mencipta satu golongan yang terlalu kaya. Kemudian keturunan mereka akan dapat kekayaan itu dan ia akan berterusan dan akan menyebabkan negara Islam akan rosak kerana ada kasta yang tinggi dan rendah.

Memang ada yang tidak berpuas hati dengan pendapat Umar رضي الله عنه itu dan akhirnya beliau telah mengadakan syura dalam kalangan para sahabat yang masih ada. Perbincangan itu berlangsung selama dua tiga hari, hinggalah Saidina Umar رضي الله عنه membacakan ayat-ayat dalam Surah Hashr ini sebagai dalil. Iaitu jikalau ia dibahagikan kepada para tentera, maka ia akan menyebabkan kekayaan tersimpan di tangan beberapa golongan sahaja. Maka selepas itu semuanya bersetuju dan taat kepada pendapat Umar رضي الله عنه.

Baik, kembali kepada golongan umat Islam sepanjang zaman selepas golongan Muhajireen dan Ansar. Apakah sifat mereka yang memasukkan mereka dalam pujian Allah ﷻ?

 

 

يَقولونَ رَبَّنَا اغفِر لَنا

mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami 

Alamat mereka yang mengikut golongan terdahulu itu akan berdoa begini. Mereka meminta ampun kepada Allah ﷻ kerana mereka takut bertemu Allah ﷻ dengan bawa dosa mereka.

Maka doa ini amat molek kalau kita hafal dan doa kerana ayat ini adalah ayat doa. Dan doa terbaik adalah kalau diambil daripada Al-Qur’an sendiri.

 

 

وَلِإِخوانِنَا الَّذينَ سَبَقونا بِالإيمانِ

dan beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, 

Mereka juga meminta ampun bagi pihak golongan terdahulu. Dan yang dimaksudkan adalah golongan Muhajireen dan Ansar. Ini menunjukkan mereka sayang kepada golongan yang beriman. Mereka mendoakan golongan yang beriman sahaja kerana ada golongan sebelum kita yang tidak beriman.

Ini mengajar kita untuk meminta ampun bagi pihak orang yang kita kasihi. Maknanya kalau kita minta ampun untuk mereka, itu sebagai tanda kita kasih kepada mereka.

Ayat ini sebagai dalil kita boleh meminta ampun bagi pihak orang yang telah mati, asalkan mereka tidak musyrik. Oleh itu bila mahu menolong orang yang telah mati, maka minta ampun untuk mereka, bukannya sedekah pahala kerana sedekah pahala seperti majlis tahlil itu tidak ada dalilnya.

 

 

وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا

dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman

Ghil bermaksud iri hati. Iaitu perasaan tidak senang kepada orang lain. Contohnya terdetik dalam hatinya: “Kenapa dia dapat dan aku tak dapat?” Perasaan ini berada di bawah hasad, kerana kalau hasad itu lebih teruk kerana dia mahu supaya apa yang orang lain itu ada ditarik darinya. Akan tetapi sekiranya ghil ini tidak dihapuskan dari hati, lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi hasad.

Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya tiada perasaan ini terutama kepada orang beriman. Kerana ghil ini membawa kepada bahaya. Sakit hati menyebabkan kita tidak berlaku adil, menyebabkan kita benci kepada orang lain sedangkan mereka baik, dan banyak lagi bahayanya.

Ayat ini mengajar kita untuk sayangkan orang-orang Islam sebelum kita. Kita diajar untuk meminta ampun bagi pihak mereka. Maka bukanlah kita mencari-cari salah mereka, sebaliknya kita disuruh menyayangi mereka. Kenalah memandang manusia lain dengan pandangan rahmah, kasih sayang sesama manusia.

Maka bukan sahaja kita menyayangi orang yang telah meninggal dunia, tetapi dalam kalangan kita juga. Kerana itu ada hadith dalam Riwayat Nasa’i di mana Rasulullah ﷺ memberitahu akan datang seorang lelaki ahli syurga. Dan yang datang itu adalah seorang lelaki daripada Ansar. Tiga hari perkara ini berlaku. Sampaikan Abdullah bin Amr al As رضي الله عنه teringin hendak melihat apakah amalan lelaki itu. Abdullah رضي الله عنه minta untuk tinggal sementara di rumah lelaki itu.

Namun Abdullah رضي الله عنه melihat amalan lelaki itu tidaklah banyak. Maka dia bertanya dan lelaki itu kata dia tidak ada rasa dengki atau sakit hati terhadap sesama Muslim. Setiap malam sebelum tidur dia akan memaafkan orang yang ada salah dengannya.

Ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:

Sahabat Anas ibn Malik رضي الله عنه menceritakan:

كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَقَالَ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ. فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ، فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ قَالَ النَّبِيُّ ﷺ مِثْلَ ذَلِكَ، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى. فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ، قَالَ النَّبِيُّ ﷺ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى

Ketika kami duduk bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda: “Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga.” Tiba-tiba datang seorang Ansar yang air bekas wudhu’nya menitis daripada janggutnya. Beliau mengikatkan sandalnya pada lengan kirinya. Keesokan harinya Nabi ﷺ bersabda seperti itu lagi. Tiba-tiba datang lelaki yang sama dengan sebelumnya. Hari ketiga Nabi ﷺ bersabda seperti itu lagi dan datang lelaki itu lagi dalam keadaan seperti ketika hari pertama.

قَالَ أَنَسٌ: وَكَانَ عَبْدُ اللهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ، فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ شَيْئًا، غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ.

Anas berkata: ‘Abdullah (ibn ‘Amr) menceritakan bahwasanya beliau bermalam di rumah lelaki itu pada tiga malam tersebut. Beliau tidak melihat orang itu solat malam walau sebentarpun. Tetapi setiap kali beliau terbangun malam dan beralih posisi di atas tilamnya beliau berzikir kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ dan bertakbir sampai bangun untuk solat subuh.

قَالَ عَبْدُ اللهِ: غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا، فَلَمَّا مَضَتِ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْقِرَ عَمَلَهُ، قُلْتُ: … سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ: يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ، فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ، فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ.

‘Abdullah (ibn ‘Amr) berkata: “Tetapi aku tidak pernah mendengarnya berkata melainkan yang baik.” Setelah  tiga hari dan aku hampir saja menganggap remeh amalnya aku berkata: …”Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda tentang kamu tiga kali: ‘Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga’. Lalu ternyata anda yang datang pada ketiga harinya. Aku bertamu di rumah anda bermaksud melihat amal anda agar boleh aku teladani. Tetapi aku tidak melihat anda banyak beramal. Lalu apa yang istimewanya sehingga Rasulullah ﷺ memuji anda?” Beliau menjawab: “Tidak ada selain yang anda lihat.”

قَالَ: فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي، فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ، غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللهُ إِيَّاهُ. فَقَالَ عَبْدُ اللهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ

 Setelah aku (Ibn ‘Amr) keluar, beliau memanggilku: “Tidak ada selain yang anda lihat. Kecuali mungkin aku tidak merasakan dalam diriku kotor hati kepada seorang muslim pun dan aku tidak pernah hasad kepada seorang pun yang Allah berikan kebaikan kepadanya.” ‘Abdullah berkata: “Inilah keistimewaan yang anda miliki dan kami tidak mampu.” 

(Musnad Ahmad bab musnad Anas ibn Malik no. 12236. Syu’abul-Iman al-Baihaqi bab al-iqtishad fin-nafaqah no. 6181. Al-‘Iraqi menilai hadith ini sahih dalam al-Mughni ‘an Hamlil-Asfar no. 3168. Demikian juga Al-Albani menilai hadith ini sahih dalam Muqaddimah as-Silsilah ad-Dla’ifah).

 

 

Maka bagaimana dengan puak Syiah yang menghina bukan sahaja orang Islam tetapi para sahabat baginda yang mulia. Mereka kata hanya beberapa sahabat sahaja yang terus beriman selepas kewafatan Nabi ﷺ; selebihnya murtad belaka. Yang hairannya, masih ada lagi orang yang termakan dengan diayah dan penipuan mereka. Ini adalah kerana kejahilan, sampaikan senang tertipu dengan Syiah yang memang pandai menipu.

Oleh itu, kena jaga hati kita. Memang perasaan ghil ini akan dihilangkan di syurga nanti seperti disebut dalam A’raf: 43. Akan tetapi kalau kita dapat hilangkan semasa di dunia lagi, maka ini lebih baik.

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِن غِلٍّ

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka

 

 

رَبَّنا إِنَّكَ رَءوفٌ رَحيمٌ

Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.

Allah ﷻ Maha Penyantun kepada hamba-Nya dan bersifat Raheem. Maka kita memuji Allah ﷻ dengan menyebut dua sifat ini supaya memakbulkan doa kita. Begitulah cara tawasul dengan nama-nama Allah .

Sekian Ruku’ 1 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Hashr Ayat 11: Ayat 11 – 17 adalah Perenggan Makro Ketiga di mana Allah ﷻ suruh putuskan hubungan dengan Kaum Yahudi.

Ayat ini tentang orang munafiq. Salah satu sifat buruk mereka adalah berbaik dengan golongan Yahudi. Mereka mahukan kelebihan daripada puak Yahudi yang kaya dan berpengaruh itu sampaikan mereka berjanji mahu membantu puak Yahudi jikalau ada pertembungan dengan puak Muslim.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نافَقوا يَقولونَ لِإِخوٰنِهِمُ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ لَئِن أُخرِجتُم لَنَخرُجَنَّ مَعَكُم وَلا نُطيعُ فيكُم أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قوتِلتُم لَنَنصُرَنَّكُم وَاللهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who practice hypocrisy, saying to their brothers [i.e., associates] who have disbelieved among the People of the Scripture, “If you are expelled, we will surely leave with you, and we will not obey, in regard to you, anyone – ever; and if you are fought, we will surely aid you.” But Allāh testifies that they are liars.

(MELAYU)

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab: “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu”. Dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.

 

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نافَقوا

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang munafik

Orang munafik pada zaman Nabi ﷺ adalah mereka yang hanya tunjuk beriman di luar sahaja tetapi sebenarnya mereka tidak percaya kepada Islam. Tubuh mereka bersama dengan orang mukmin namun hati mereka condong kepada golongan Yahudi, iaitu musuh Islam waktu itu di Madinah.

 

 

يَقولونَ لِإِخوٰنِهِمُ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ

mereka berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab:

Puak Munafik itu bersekongkol dengan golongan Yahudi sampaikan mereka ada perjumpaan rahsia dengan puak Yahudi. Daripada konteks ayat ini, ulama’ tafsir mengatakan mesej mereka kepada Yahudi Bani Nadhir itu mereka sampaikan setelah Rasulullah ﷺ mengeluarkan arahan kepada Bani Nadhir untuk meninggalkan Madinah dalam masa 10 hari.

Ketua puak munafik iaitu Abdullah bin Ubay telah memberikan mesej rahsia seperti yang disebut dalam ayat ini kepada Bani Nadhir. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini sebagai komen terhadap mesej mereka itu.

Allah ﷻ kata ‘saudara-saudara’ mereka kerana mereka itu sefahaman di dalam hendak menjatuhkan Islam.

 

 

لَئِن أُخرِجتُم لَنَخرُجَنَّ مَعَكُم

“Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu; 

Mereka itu sanggup berjanji kepada golongan Yahudi, yang kalau puak Yahudi itu dihalau keluar dari Madinah, maka mereka pun akan keluar juga untuk menjadi teman mereka. Ini kerana mereka kata mereka bersama-sama saling tolong-menolong. Kononnya kalau susah, biar sama-sama susah. Ini adalah dakwaan kosong sahaja sebenarnya.

 

 

وَلا نُطيعُ فيكُم أَحَدًا أَبَدًا

dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu,

Puak Munafik itu juga berjanji yang mereka tidak akan mengikut arahan untuk menyerang puak Yahudi itu. Mereka kata kalau Rasulullah ﷺ suruh serang puak Yahudi, mereka tidak akan taat untuk serang.

Atau ia bermaksud, mereka tidak akan taat kepada sesiapa yang menghalang mereka untuk keluar sekali bersama golongan Yahudi itu (sekiranya mereka dihalau).

 

 

وَإِن قوتِلتُم لَنَنصُرَنَّكُم

dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu”. 

Malah, puak munafik itu berjanji yang kalau golongan Yahudi itu dierang oleh puak Muslim, mereka akan datang untuk mempertahankan puak Yahudi itu. Begitulah hebat janji puak Munafik itu kepada puak Yahudi. Puak Munafik cakap begitu kerana hendak berbaik sahaja dengan golongan Yahudi.

 

 

وَاللهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.

Namun Allah ﷻ yang tahu apakah dalam hati mereka sekarang memberitahu yang golongan Munafik itu tidak akan berperang untuk mempertahankan golongan Yahudi itu. Ini adalah kerana mereka tidak suka untuk berperang. Maka ini adalah kebenaran kerana Allah ﷻ sendiri yang bersaksi.


 

Hashr Ayat 12:

لَئِن أُخرِجوا لا يَخرُجونَ مَعَهُم وَلَئِن قوتِلوا لا يَنصُرونَهُم وَلَئِن نَّصَروهُم لَيُوَلُّنَّ الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يُنصَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If they are expelled, they will not leave with them, and if they are fought, they will not aid them. And [even] if they should aid them, they will surely turn their backs; then [thereafter] they will not be aided.

(MELAYU)

Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama mereka, dan sesungguhnya jika mereka diperangi, nescaya mereka tidak akan menolongnya; sesungguhnya jika mereka menolongnya, nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan.

 

 

لَئِن أُخرِجوا لا يَخرُجونَ مَعَهُم

Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama mereka,

Golongan Munafik itu menipu sahaja dalam kata-kata mereka. Kalaulah golongan Yahudi itu dihalau, mereka takkan ikut keluar sekali pun. Mereka tidak akan tinggalkan tanahair mereka.

 

 

وَلَئِن قوتِلوا لا يَنصُرونَهُم

dan sesungguhnya jika mereka diperangi, nescaya mereka tidak akan menolongnya; 

Dan kalaulah puak Yahudi itu diperangi, golongan munafik itu tidak akan membantu pun.

 

 

وَلَئِن نَّصَروهُم لَيُوَلُّنَّ الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يُنصَرونَ

sesungguhnya jika mereka menolongnya, nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan.

Dan kalaulah nampak macam mereka hendak membantu, mereka bukan hendak bantu sangat pun. Mereka mungkin akan mengumpul anggota untuk bantu golongan Yahudi itu, tetapi ia seumpama datang ambil nama sahaja. Kemudian mereka akan lari.

Mereka semua tidak akan mendapat pertolongan daripada sesiapa pun kerana Allah ﷻ sudah buat keputusan untuk mengalahkan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 15 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hashr Ayat 7 – 9 (Kelebihan puak Ansar)

Hashr Ayat 7:

مّا أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِن أَهلِ القُرىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسولِ وَلِذِي القُربىٰ وَاليَتٰمىٰ وَالمَسٰكينِ وَابنِ السَّبيلِ كَي لا يَكونَ دولَةً بَينَ الأَغنِياءِ مِنكُم ۚ وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what Allāh restored to His Messenger from the people of the towns – it is for Allāh and for the Messenger and for [his] near relatives¹ and orphans and the [stranded] traveler² – so that it will not be a perpetual distribution among the rich from among you. And whatever the Messenger has given you – take; and what he has forbidden you – refrain from. And fear Allāh; indeed, Allāh is severe in penalty.

  • Those of Banū Hāshim and Banū Muṭṭalib, whom he (ṣ) had prohibited from accepting zakāh.
  • This ruling concerning properties abandoned by an enemy without a war effort differs from that in Sūrah al-Anfāl, verse 41, which refers to spoils of war in which four fifths is distributed among those who fought in Allāh’s cause.

(MELAYU)

Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

 

مّا أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِن أَهلِ القُرىٰ

Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota

Yang dimaksudkan adalah harta rampasan daripada penduduk Kota Bani Nadhir itu. Ayat ini menjadi dalil bagi pembahagian harta Fai selepas ini.

 

فَلِلَّهِ وَلِلرَّسولِ

maka adalah untuk Allah dan untuk Rasul,

Apakah yang dimaksudkan dengan diberikan kepada Rasul? Ia adalah untuk diberikan dan dibahagikan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka yang memerlukan. Keputusan itu adalah keputusan muktamad daripada Nabi ﷺ. Kenapa  jadi begitu?

Kerana Nabi ﷺ atau pemerintah akan melihat kepada keperluan umat. Oleh itu maksud ‘kepada Allah’ adalah seperti pembinaan masjid, persediaan untuk jihad dan sebagainya. Iaitu keperluan umum masyarakat Islam.

Memang Nabi ﷺ ada mengambil sebahagian untuk keperluan hidup baginda dan keluarga baginda cukup untuk kegunaan selama setahun, dan selebihnya diberikan kepada keperluan umum.

 

وَلِذِي القُربىٰ

dan untuk kaum kerabat,

Dan untuk ahli keluarga Nabi ﷺ, ada satu bahagian. Jangan salah sangka pula, kerana kita kena faham bahawa ahli keluarga Rasulullah ﷺ tidak boleh mendapat harta zakat dan harta sedekah, maka mereka hanya boleh mendapat harta  Fai dan juga Ghanimah. Maka ini adalah salah satu pendapatan rezeki bagi mereka. Akan tetapi tentulah yang diberikan kepada yang miskin dan fakir sahaja (yang memerlukan). Tujuannya adalah untuk menjaga kemuliaan mereka.

Malah keturunan Nabi ﷺ tidak boleh menerima sedekah. Yang dimaksudkan adalah keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Dengan ini, baginda dapat membantu ahli keluarga baginda.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah tiada, maka bahagian ini diberikan kepada BaitulMal. BaitulMallah yang bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada ahli keluarga baginda. Tentang perkara ini, banyaklah pendapat para ulama’. Kita cuba ringkaskan:

1. Kena diberikan dua bahagian pertama ini (kepada Allah dan Rasul) kepada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
2. Pada zaman Abu Bakr dan Umar رضی اللہ عنھما, dua bahagian ini tidak diberikan kepada mereka.
3. Saidina Ali رضي الله عنه berpendapat bahagian itu layak diberikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib, tetapi kerana Abu Bakr dan Umar رضی اللہ عنھما tidak melakukannya, maka beliau tidak membahagikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
4. Ada yang berpendapat bahagian pertama diberikan kepada Khalifah dan bahagian kedua diberikan kepada ahli keluarga Khalifah.
5. Bahagian pertama dan kedua ini digunakan untuk keperluan jihad.
6. Pada zaman pemerintahan Umar Abd Aziz  رحمه الله, beliau mula memberikan bahagian kepada keluarga Bani Hashim.
7. Imam Syafie  رحمه الله berpendapat keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib yang miskin atau kaya, layak mendapat bahagian ini.
8. Imam Abu Hanifah  رحمه الله berpendapat hanya keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib yang miskin sahaja layak mendapatnya.
9. Imam Malik  رحمه الله berpendapat Khalifah boleh buat keputusan tetapi yang sebaiknya diberikan juga kepada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.

 

وَاليَتٰمىٰ وَالمَسٰكي

dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin

Rasulullah ﷺ juga akan membahagikan harta itu kepada anak yatim dan orang miskin. Maka pemerintahan khalifah Islam juga kena melakukan perkara yang sama.

 

وَابنِ السَّبيلِ

dan orang-orang yang dalam perjalanan,

Bagi yang terputus bekalan dalam perjalanan. Kadangkala musafir itu kaya tetapi waktu dalam musafir itu yang dia keputusan bekalan. Maka baitulmal kena bantu.

Kesimpulannya, kalau kita ringkaskan, harta fai ini adalah untuk:

1. Nabi ﷺ dan keluarga baginda.
2. Ahli keluarga baginda yang daripada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
3. Anak yatim
4. Orang Miskin
5. Musafir

Mengikut pendapat Imam Syafie رحمه الله, harta fai dibahagikan kepada 5 bahagian dulu dan barulah dibahagikan sama rata. Maknanya setiap 5 bahagian itu mendapat bahagian masing-masing. Bahagian pertama diberikan kepada umat Islam secara umum, bahagian kedua diberikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Dan kemudian tiga bahagian yang seterusnya.

Akan tetapi bagi Imam Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad رحمهم الله, kesemua harta fai itu diberikan untuk kepentingan umat Islam secara umum.

Maka, kita boleh lihat yang banyak pendapat dalam perkara ini dan ini adalah bidang pada ahli fiqh dan pemimpinlah yang harus membuat keputusan dan membahagikannya. Ini adalah tugas yang berat dan mereka kena belajar perkara ini. Kena lihat pendapat-pendapat yang ada.

 

كَي لا يَكونَ دولَةً بَينَ الأَغنِياءِ مِنكُم

supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. 

Harta dibahagikan kepada orang yang ramai supaya tidaklah yang kaya terus semakin kaya dan yang miskin berterusan miskin. Kalimah دولَةً berasal daripada katadasar د و ل yang bermaksud sentiasa berpusing, berubah. Dalam ayat ini bermaksud harta yang berpusing, berpindah tangan sentiasa.

Ini adalah polisi ekonomi di dalam Islam. Pembahagian ini bertujuan supaya harta tidak berpusing-pusing di antara orang yang kaya sahaja, supaya orang-orang yang susah dan miskin pun boleh mendapat harta itu.

Tidaklah orang kaya semakin kaya dan orang miskin semakin miskin. Dan ini memang akan berlaku kerana boleh dilihat dari sejarah di mana apabila orang kaya semakin kaya maka kesannya adalah orang miskin akan menjadi semakin miskin. Akibatnya jurang kehidupan antara kaya dan miskin amat berbeza.

Syah Waliyullah رحمه الله walaupun hidup berkurun yang lalu, tetapi beliau sudah memberitahu apa yang akan terjadi zaman sekarang. Beliau berkata nanti akan ada golongan yang sangat-sangat kaya dan ada golongan yang sangat-sangat miskin. Dan ia akan menjadi masalah kepada masyarakat.

Ini kerana yang kaya akan disibukkan dengan kekayaannya dan sudah tidak ada masa untuk agama. Begitulah yang terjadi kepada kebanyakan orang kaya. Sibuk hendak pergi ke sana sini, beli itu dan ini. Mana sempat untuk beramal ibadat lagi sebab sibuk hendak habiskan duit yang tidak habis-habis.

Sementara orang yang sangat miskin pun akan ada masalah kerana mereka sudah sibuk memikirkan hidup mereka yang tidak menentu. Mereka memikirkan bagaimana mereka hendak makan hari itu, hendak tinggal di mana, belanja anak sekolah macam mana dan sebagai.

Oleh kerana sibuk hendak mencari kehidupan, mereka  pun tidak teringat untuk datang belajar agama dan buat amalan lebih, kerana banyak benda yang mereka rasa lebih penting dan perlu difikirkan. Antaranya hendak cari sesuap nasi dan bayar sewa rumah. Itu belum campur hutang yang semakin berkepuk.

Dan lebih teruk lagi, dua golongan ini tidak baik sesama sendiri. Yang kaya akan memandang rendah kepada orang miskin dan rasa mereka itu tidak ada harga. Dan orang miskin pula pandang dengan rasa benci kepada orang kaya kerana nampak semua harta dan kesenangan dibolot oleh orang kaya dan mereka yang miskin tidak ada apa. Mereka dengki kepada orang kaya dan ada ketidakpuasan dalam hati mereka. Dan ini boleh menyebabkan ‘class society’ yang tidak bagus. Mungkin istilah ‘kasta’ ramai lebih faham.

Ayat ini digunakan oleh Saidina Umar رضي الله عنه semasa pemerintahannya apabila umat Islam telah menjajah negara-negara luar seperti kerajaan Parsi. Waktu itu jikalau negara itu tanahnya dibahagikan kepada mereka yang berperang, maka ia akan mewujudkan satu kelas bangsawan di mana mereka itu menjadi terlalu kaya.

Maka kalau dibiarkan ia akan menjadikan suasana yang bahaya dalam kerajaan Islam kerana akan ada orang yang terlalu kaya kalau dibandingkan dengan orang-orang lain.

Maka Umar رضي الله عنه telah menggunakan kebijaksanaannya untuk mengatakan yang para tentera boleh mendapat harta rampasan perang yang ada ditinggalkan dalam medan peperangan sahaja, tetapi tanah-tanah kepunyaan mereka walaupun telah dijajah oleh tentera tetapi ia menjadi harta kerajaan. Ia tidak menjadi harta persendirian anggota mujahideen.

Dan inilah pertama kali di dalam sejarah dunia kerajaan memiliki tanah-tanah yang telah dijajah. Maka hasil daripada tanah-tanah itu diberikan kepada kerajaan Islam dan kerajaan membahagikan hasil-hasil itu kepada seluruh rakyat dalam Negara Islam. Maka ramailah yang mendapat manfaat. Inilah polisi yang bersesuaian dengan ayat ini.

Ini tidak terjadi sebelum itu kerana jikalau dulu, apabila satu-satu tanah itu dijajah oleh mana-mana negara maka ada badan-badan persendirian yang membeli tanah-tanah itu dan menggunakan hasil daripada tanah itu untuk terus mengkayakan mereka. Macam Melaka dahulu apabila dijajah ia menjadi milik syarikat, bukan? Iaitu Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company). Bukanlah kerajaan British yang menguruskan, tetapi syarikat persendirian.

Islam memang telah ada sistem di mana kekayaan itu tidak hanya tertumpu kepada satu-satu keluarga sahaja kerana selepas orang kaya mati, maka harta pusaka itu dibahagikan kepada anak-anaknya dan mungkin kepada adik beradik dia dan mereka itu akan berkahwin dengan orang lain dan sebagainya. Maka harta itu dibahagi kepada ramai orang dan tidak semuanya pergi kepada seorang anak sahaja.

Di dalam Islam juga ada institusi zakat di mana harta itu perlu dikongsi dengan orang-orang yang miskin. Maka tidaklah harta itu menjadi milik orang kaya sahaja keseluruhannya akan tetapi orang miskin pun akan mendapat bahagian daripada harta orang kaya itu. Maka memang dari dulu lagi harta umat Islam dibahagikan kepada umum.

Al-Qur’an dan juga hadith banyak menganjurkan untuk memberi sedekah kepada yang memerlukan. Allah ﷻ dan Rasul-Nya menjanjikan berbagai-bagai balasan termasuk yang disebut dalam Surah-surah Musabbihaat ini.

Sifat-sifat bakhil juga dikutuk dalam Islam. Ini untuk mengajak manusia untuk ringan tangan memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan. Maka memang ajaran agama Islam telah ada sistem supaya harta orang kaya tidak hanya di tangan orang kaya sahaja.

Kerana itulah juga riba diharamkan kerana riba itu mengkayakan orang yang memang sudah kaya dan memiskinkan lagi orang yang sudah miskin. Ini kerana yang miskin memerlukan wang dan bila mereka terpaksa meminjam daripada orang kaya dan terpaksa membayar dengan lebih pula, maka itu menyebabkan orang miskin itu semakin susah dan orang kaya itu menjadi semakin kaya dengan cara yang  mudah.

 

وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ

Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. 

Maka umat Islam kenalah terima apa yang diberikan oleh Rasulullah kepada mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang harta Fai; apabila Allah ﷻ dan Rasul telah tetapkan, maka kena terima dan kena taat. Jangan mempersoalkan keputusan Nabi ﷺ.

Oleh kerana potongan ayat ini dalam bentuk umum, ia bukanlah terhad kepada harta Fai sahaja, tetapi dalam perkara syariat sekali. Kita kena terima syariat yang diajar oleh baginda. Sama ada faham atau tidak, itu perkara kedua. Kena ikut dulu barulah datang kefahaman. Jangan melawan syariat yang disampaikan oleh baginda.

Bagaimana kita tahu ayat ini dalam bentuk umum? Kerana ayat ini menyebut: apa sahaja yang ‘diberikan’ oleh Rasulullah ﷺ. Kalau ia hanya untuk harta Fai, maka tidaklah digunakan ayat ini kerana ramai yang ‘tidak dapat’ harta itu, bukan?

Maka inilah hujah golongan sunnah untuk mengajak manusia beramal dengan amalan sunnah. Kena lihat apa yang Nabi ﷺ ajar dan amalkan. Bukannya ambil dari tempat dan sumber lain. Jangan kata: ada dalam kitab ini dan itu… ada ustaz sebut… ada ulama kata boleh… takkan tak boleh kalau ianya baik… dan macam-macam lagi alasan.

 

وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا

Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. 

Dan jikalau ada yang baginda tidak berikan, maka mereka tidak boleh ambil. Jangan mereka mengutuk atau mengata yang tidak patut kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana pembahagian itu adalah keputusan penuh atas baginda.

Termasuk juga dengan ajaran Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ larang, jangan sekali-kali dilakukan. Dan ini termasuklah amalan bid’ah kerana Nabi ﷺ sudah pernah larang.

Ikutlah apa yang Nabi ﷺ suruh dan tinggalkanlah apa yang Nabi ﷺ larang, kerana sesungguhnya yang diperintahkan oleh Rasul ﷺ itu hanyalah kebaikan belaka, dan sesungguhnya yang dilarang olehnya hanyalah keburukan belaka. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan pula melalui Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَائْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، وَمَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ”.

Apabila aku perintahkan kalian dengan sesuatu, maka kerjakanlah ia menurut kemampuan kalian; dan apa yang aku larang kalian mengerjakannya, maka tinggalkanlah ia.

(HR Bukhari dan Muslim)

 

وَاتَّقُوا اللهَ

Dan bertaqwalah kepada Allah.

Yang penting kena bertaqwa kepada Allah ﷻ iaitu takut kepada Allah ﷻ dan kerana takut kepada Allah ﷻ, maka manusia akan menjaga amalan mereka sepanjang hari. Ini kerana mereka sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan mereka.

Antara sifat taqwa itu adalah taat kepada arahan dan larangan Rasulullah ﷺ kerana baginda menyampaikan apa yang Allah ﷻ kehendaki. Sanggup menerima arahan dan tidak melakukan larangan Nabi memerlukan taqwa. Kalau tidak ada taqwa, semuanya dilanggar.

 

إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

Allah ﷻ mengingatkan yang kalau tidak ikut syariat seperti yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ, maka bersedialah untuk menerima azab di akhirat. Dan azab itu amat keras dan tidak akan mampu ditanggung oleh sesiapa pun.


 

Hashr Ayat 8: Ini adalah takhsis (pengkhususan) pembahagian harta fai.

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For the poor emigrants who were expelled from their homes and their properties, seeking bounty from Allāh and [His] approval and supporting Allāh and His Messenger, [there is also a share]. Those are the truthful.

(MELAYU)

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

 

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka

Daripada harta Fai itu, ada bahagian khusus yang perlu diberikan kepada golongan Muhajireen. Ini adalah kerana mereka memerlukan bantuan kewangan kerana mereka datang dari Mekah dan mereka tidak ada pendapatan yang tetap. Mereka meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka.

Ini adalah arahan Allah ﷻ tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu kenapa mereka mendapat bahagian yang besar. Ini kerana mereka telah meninggalkan tanah dan juga kekayaan mereka. Mereka terpaksa meninggalkan segala harta mereka kerana mereka dipaksa keluar dengan cara zalim. Kalau mereka tinggal lagi di Mekah, mereka akan dikenakan dengan seksaan.

Atau, kalau mereka tinggal lagi di Mekah, mereka tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya kerana mereka akan ditahan. Maka mereka telah terpaksa meninggalkan tanah air mereka sendiri hanya kerana hendak mengamalkan agama.

Oleh itu, pengorbanan mereka amat besar. Segala harta dan tanah mereka telah diambil oleh golongan Musyrikin.

 

يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا

mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya 

Kenapa mereka sanggup meninggalkan tanah air yang mereka sayangi dan segala harta mereka? Allah ﷻ beritahu keikhlasan hati mereka. Mereka melakukan semua itu hanya kerana mencari redha Allah ﷻ kerana kalau mereka tidak ikhlas, mereka tidak akan mampu untuk melakukannya.

 

وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ

dan kerana mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. 

Ini adalah jumlah Muqaddar. Mereka berhijrah itu kerana hendak membantu agama Allah ﷻ. Mereka hendak menghidupkan agama Allah ﷻ. Kalau mereka terus kekal di Mekah, mereka tidak akan boleh menghidupkan agama Allah ﷻ kerana amat banyak kekangan di Mekah.

Oleh kerana itulah juga, kalau di tempat tinggal kita tidak memungkinkan kita mengamalkan agama dengan sepenuhnya, maka hendaklah kita berusaha untuk berhijrah ke negara Islam.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ

Mereka itulah orang-orang yang benar.

Allah ﷻ beritahu yang golongan Muhajireen itu adalah golongan yang benar dan jujur. Oleh kerana kelebihan dan keikhlasan mereka itu, maka mereka telah diberikan dengan bahagian yang besar daripada harta Fai Bani Nadhir itu. Mereka tidak minta tetapi Allah ﷻ yang berikan kepada mereka.

Ayat ini bukan sahaja untuk muhajireen dari Mekah sahaja. Kalau ada pada zaman sekarang sampai ke hari Kiamat nanti ada golongan yang terpaksa meninggalkan tanah air dan harta mereka kerana hendak menjaga agama, maka negara Islam kena bantu mereka dengan memberi bantuan kewangan dan harta.


 

Hashr Ayat 9: Kemudian untuk mengubat hati golongan Ansar, Allah ﷻ memuji mereka.

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also for] those who were settled in the Home [i.e., al-Madīnah] and [adopted] the faith before them.¹ They love those who emigrated to them and find not any want in their breasts of what they [i.e., the emigrants] were given but give [them] preference over themselves, even though they are in privation. And whoever is protected from the stinginess of his soul – it is those who will be the successful.

  • Before the settlement of the emigrants (Muhājireen) among the Anṣār, for whom a share is delegated as well.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

 

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah 

Allah ﷻ sekarang memuji orang-orang Ansar. Mereka itu adalah penduduk asal Kota Madinah. Mereka yang mula duduk di situ tetapi mereka telah membenarkan pihak muhajireen menempati kampung halaman mereka.

Mereka juga ada yang  menerima bahagian daripada harta Fai itu tetapi tidak ramai. Ini adalah kerana bahagian besar diberikan kepada puak Muhajireen kerana mereka lebih memerlukan. Disebut tiga nama sahaja: Abu Dujanah, Sahl bin Hunaif dan Harith bin as-Simmah.

 

وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم

dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin),

Allah ﷻ kata mereka itu telah beriman sebelum Nabi ﷺ dan para sahabat datang ke Madinah pun. Ini kerana ada wakil-wakil mereka yang telah datang ke Mekah dan berjumpa Rasullullah ﷺ dan mereka telah beriman dan telah membawa iman ke Madinah. Golongan Madinah waktu itu beramai-ramai telah masuk Islam.

Mereka menyediakan tempat hijrah kepada pihak muhajireen. Mereka berhati baik kerana mereka bersedia membantu.

 

يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم

mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). 

Allah ﷻ juga beritahu yang hati golongan Ansar itu cinta kepada golongan muhajireen.

Selalunya pada mana-mana zaman, selalunya penduduk asal tidak suka kepada pendatang kerana mereka rasa pendatang itu mengambil tanah dan juga kerja-kerja mereka. Tetapi Allah ﷻ memuji golongan Ansar itu kerana hati mereka sayang kepada golongan Muhajireen yang datang ke tempat mereka.

 

وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا

Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); 

Orang-orang Ansar itu walaupun mereka bukannya orang senang tetapi mereka sanggup berkongsi apa sahaja harta sedikit yang mereka ada dengan golongan Muhajireen itu kerana golongan Muhajireen itu memang langsung tidak ada apa-apa.

Haajatan dalam ayat ini dengan maksud hasadan. Maksudnya mereka tidak iri hati dengan apa yang diberikan kepada golongan muhajireen itu daripada harta Fai itu. Hati mereka begitu mulia kerana mereka tidak sakit hati apabila Allah ﷻ dan Rasul membuat keputusan untuk memberi bahagian besar daripada harta Fai itu kepada golongan Muhajireen itu. Mereka redha dengan keputusan Allah ﷻ dan Rasul.

Akan tetapi ada juga golongan yang tidak suka, iaitu golongan munafik kerana mereka itu mahukan kekayaan sahaja dan apabila mereka tidak mendapat harta maka mereka tentunya benci kepada golongan Muhajirin.

Mereka memang tidak suka berperang dan apabila mendapat harta tanpa berperang maka mereka rasa mereka pun patut dapat juga. Maka mereka tentu sudah berharap mendapat harta daripada Bani Nadhir itu. Tiba-tiba bila tidak dapat, maka memang marah sangatlah mereka.

Allah ﷻ tidak memuji mereka kerana mereka itu golongan munafik dan golongan yang hasad. Yang Allah ﷻ puji dalam ayat ini adalah golongan Ansar yang baik hati.

 

وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ

dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.

Mereka يُؤثِرونَ (mengutamakan) golongan muhajireen atas diri mereka. Allah ﷻ kata orang Ansar itu lebihkan golongan Muhajirin itu di atas diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri tidak ada makanan dan harta.

Maknanya mereka pun memerlukan harta itu, bukannya mereka ada terlebih pun. Kalau bagi semasa banyak atau bagi benda yang tidak diperlukan lagi, itu biasa sahaja. Akan tetapi mereka ada ithar (keinginan) dan keperluan juga. Namun mereka tidak kisah. Mereka sanggup memberikan harta yang mereka sendiri sayangi dan ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat yang lain:

{وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ}

dan memberikan harta yang dicintainya. (Al-Baqarah: 177)

 

Maka ini adalah pujian yang melambung tinggi untuk golongan Ansar. Ini semua adalah hasil daripada tarbiyah Nabi ﷺ. Kedudukan mereka terpelihara dalam Islam dan terkenal sampai bila-bila. Umar رضي الله عنه mengatakan,

“Aku berwasiat kepada khalifah sesudahku agar memperhatikan kaum Muhajireen yang pertama, hendaknya hak mereka tetap diberikan kepada mereka dan kehormatan mereka tetap dipelihara. Aku juga berwasiat agar orang-orang Ansar diperlakukan dengan baik, iaitu mereka yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajireen). Hendaklah orang-orang yang baik daripada mereka diterima, dan orang-orang yang berbuat buruk daripada mereka dimaafkan.”

 

Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam tafsir ayat ini.

Begitulah hebatnya sifat mereka, sehingga kisah mereka dinukilkan dalam beberapa buah hadith. Antaranya kisah tiga orang sahabat nabi ﷺ yang terluka ketika Perang Yarmuk. Semoga Allah ﷻ meredhai mereka dan membuat mereka puas dengan balasan pahala-Nya.

 

Daripada Abdullah bin Mush’ab Az Zubaidi dan Hubaib bin Abi Tsabit, keduanya menceritakan, “Telah syahid pada perang Yarmuk al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr. Mereka ketika itu akan diberi minum, sedangkan mereka dalam keadaan kritis, namun semuanya saling menolak. Ketika salah satu daripada mereka akan diberi minum dia berkata, “Berikan dahulu kepada si fulan”, demikian seterusnya sehingga semuanya meninggal dan mereka belum sempat meminum air itu. Dalam versi lain perawi menceritakan, “Ikrimah meminta air minum, kemudian ia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harits sedang melihatnya, maka iapun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harits)”. Namun belum sampai air itu kepada al Harits, ternyata ketiganya telah meninggal tanpa sempat merasakan air tersebut (sedikitpun). 

(HR Ibnu Sa’ad dalam ath Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr)

 

Berikut pula kisah sahabat Nabi ﷺ yang kedatangan tamu menunjukkan kemuliaan hati golongan Ansar:

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ عَبْدِ الْحَمِيدِ عَنْ فُضَيْلِ بْنِ غَزْوَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ الْأَشْجَعِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي مَجْهُودٌ فَأَرْسَلَ إِلَى بَعْضِ نِسَائِهِ فَقَالَتْ وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا عِنْدِي إِلَّا مَاءٌ ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَى أُخْرَى فَقَالَتْ مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى قُلْنَ كُلُّهُنَّ مِثْلَ ذَلِكَ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا عِنْدِي إِلَّا مَاءٌ فَقَالَ مَنْ يُضِيفُ هَذَا اللَّيْلَةَ رَحِمَهُ اللَّهُ فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى رَحْلِهِ فَقَالَ لِامْرَأَتِهِ هَلْ عِنْدَكِ شَيْءٌ قَالَتْ لَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي قَالَ فَعَلِّلِيهِمْ بِشَيْءٍ فَإِذَا دَخَلَ ضَيْفُنَا فَأَطْفِئْ السِّرَاجَ وَأَرِيهِ أَنَّا نَأْكُلُ فَإِذَا أَهْوَى لِيَأْكُلَ فَقُومِي إِلَى السِّرَاجِ حَتَّى تُطْفِئِيهِ قَالَ فَقَعَدُوا وَأَكَلَ الضَّيْفُ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ قَدْ عَجِبَ اللَّهُ مِنْ صَنِيعِكُمَا بِضَيْفِكُمَا اللَّيْلَةَ

Telah menceritakan kepadaku [Zuhair bin Harb], Telah menceritakan kepada kami [Jarir bin Abdul Hamid] daripada [Fudhail bin Ghazawan] daripada [Abu Hazim Al Asyja’i] daripada [Abu Hurairah] dia berkata; “Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu dia berkata: ‘Aku berada dalam kesulitan (susah hidup dan lapar).’ Maka baginda membawa orang itu ke rumah sebahagian isteri-isteri baginda, menanyakan kalau-kalau mereka memiliki makanan. Para isteri baginda menjawab; ‘Demi Allah yang mengutus Anda dengan kebenaran, Aku tidak sedia apa-apa selain air.’ Begitulah jawapan mereka masing-masing hingga seluruh isteri baginda mengatakan dengan jawapan yang sama. Lalu baginda bersabda kepada para sahabat: ‘Siapa bersedia menjamu tamu malam ini nescaya dia diberi rahmat oleh Allah Ta’ala.’ Maka berdirilah seorang laki-laki Ansar seraya berkata; ‘Aku, ya Rasulullah! ‘ kemudian dibawalah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya; ‘Adakah engkau sedia makanan? ‘ Jawab isterinya; ‘Tidak ada, kecuali makanan anak-anak.’ Katanya; ‘Alihkan perhatian mereka dengan apa saja. Dan bila tamu kita telah datang, matikanlah lampu dan tunjukkan kepadanya bahawa kita seolah-olah ikut makan bersamanya. Caranya bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan. Maka duduklah mereka, dan sang tamu pun makan. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi ﷺ. Lalu kata baginda: ‘Sungguh Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tamu kalian tadi malam’.

(Hadith Riwayat Muslim No. 3829)

 

وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Kalimah شُحَّ bermaksud kedekut. Mereka yang diselamatkan daripada sifat kedekut adalah orang yang berjaya. Sifat pemurah adalah sifat yang amat mulia.

Untuk mendapat sifat ini, kenalah dihilangkan sifat tamak. Iaitu kena ada zuhud dalam hati. Iaitu tidak memandang dan mengejar-ngejar dunia. Oleh kerana itulah golongan Ansar sanggup melebihkan golongan muhajireen kerana mereka lebih nampak balasan pahala daripada Allah ﷻ. Mereka nampak balasan di akhirat yang lebih utama dan kerana itu mereka tidak tamak dunia.

Mereka sanggup berkongsi apa sahaja dengan puak muhajireen itu, harta, tanah, malah para isteri mereka pun (bagi yang ada lebih daripada satu).

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa setiap manusia itu ada sedikit sebanyak rasa tamak atau kedekut dan hendak melebihkan diri sendiri. Ini memang biasa ada dan telah ada pun dalam diri kita. Kerana itu kita lihat kanak-kanak susah hendak berkongsi permainan mereka kerana ada perasaan tamak semenjak kecil lagi.

Dan kadangkala ia memang perlu untuk kelangsungan hidup kita. Kalau semua harta kita berikan kepada orang lain, bagaimana kita hendak makan dan anak isteri kita hendak makan pula? Maka yang tidak boleh adalah tamak berlebihan sahaja.

Maka jikalau manusia itu diselamatkan daripada perasaan kedekut yang berlebihan seperti golongan Ansar itu, maka mereka itulah orang-orang yang benar-benar mendapat kejayaan besar kerana dapat melawan sifat yang buruk. Ini kerana sifat kedekut ini bahaya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah bersikap kedekut, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka.”

(HR Ahmad No: 9202) Status: Hadith Sahih

 

 

Maka ini adalah kelebihan lagi kepada puak Ansar. Kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah bentuk pasif: وَمَن يوقَ (sesiapa yang dipelihara). Maksudnya untuk mendapat sifat ini, memerlukan bantuan Allah ﷻ juga. Bukannya boleh buat sendiri. Makanya, kita kena berharap kepada Allah ﷻ. Ini adalah doa yang baik untuk diminta kepada Allah ﷻ.

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan daripada Tariq ibnu Abdur Rahman, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Abul Hayyaj Al-Asadi yang mengatakan bahawa ketika dia sedang tawaf di Baitullah, dia melihat seorang lelaki mengucapkan doa, “Ya Allah, peliharalah diriku daripada kekikiran diriku.” Hanya itu doa yang dibacanya, tidak lebih. Lalu aku bertanya kepadanya, “Mengapa demikian?” Dia menjawab, “Jika aku dipelihara daripada kekikiran diriku, bererti aku tidak akan mencuri, tidak berzina, dan tidak berbuat macam-macam dosa.” Dan ternyata lelaki itu adalah sahabat Abdur Rahman ibnu Auf رضي الله عنه. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir.

 

Maka kita kenalah berdoa dan melatih sifat ini di dalam diri kita. Antaranya dengan menunaikan tanggungjawab zakat, juga dengan menunaikan hak orang lain. Kemudian biasakanlah diri untuk bersedekah kecil-kecilan dan jangan tinggalkan amalan qurban setiap tahun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hashr Ayat 4 – 6 (Hukum Harta Fai)

Ayat 4:

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللهَ وَرَسولَهُ ۖ وَمَن يُشاقِّ اللهَ فَإِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they opposed Allāh and His Messenger. And whoever opposes Allāh – then indeed, Allāh is severe in penalty.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللهَ وَرَسولَهُ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya.

Syiqaq maksudnya tidak bersetuju dan menentang apa sahaja yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi. Maksudnya tidak bersetuju dalam semua hal. Allah ﷻ menceritakan sikap Yahudi ini yang tidak suka kepada Rasulullah ﷺ sampai mereka sanggup belot dalam perjanjian.

Bani Nadhir itu dari dulu lagi sudah menggunakan kata-kata yang buruk terhadap orang Islam. Mereka memang sengaja hendak sengaja menyakitkan hati orang-orang Islam yang beriman dengan Rasulullah ﷺ dan Allah ﷻ semata-mata.

Sebagai contoh, walaupun orang Islam telah menang dalam Perang Badr dan Uhud, mereka sakitkan hati orang Islam itu dengan kata orang Mekah itu tidak ada apa-apa dan kerana itu puak Muslim berjaya mengalahkan mereka. Dan kalau orang Islam bertemu dengan Bani Nadhir pula, tentu orang Islam akan kalah. Mereka kata orang Islam hanya selamat kerana ada perjanjian antara mereka sahaja. Kalau tidak, orang Islam telah lama kena serang. Begitulah sudah tunjuk betapa kurang ajarnya mereka dan niat mereka yang memang tidak suka dengan umat Islam.

 

وَمَن يُشاقِّ اللهَ فَإِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

Barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.

Allah ﷻ mengingatkan yang kalau sesiapa sahaja yang menentang-Nya dan Rasul-Nya, maka tentu mereka tidak akan menang. Natijah mereka hanya kekalahan dan azab sengsara sahaja.


 

Ayat 5: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran yang ada dalam hati manusia (Puak Munafik, Bani Quraizah dan Bani Nadhir) tentang kisah serangan ke Bani Nadhir. Ia adalah tentang pokok tamar yang ditebang setelah diarahkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Para sahabat telah ikut arahan Nabi ﷺ dan mereka telah mendapat kejayaan kerana Nabi ﷺ cakap mesti daripada wahyu.

ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها فَبِإِذنِ اللهِ وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whatever you have cut down of [their] palm trees or left standing on their trunks – it was by permission of Allāh and so He would disgrace the defiantly disobedient.

(MELAYU)

Apa saja yang kamu tebang dari pohon kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.

 

ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ

Apa saja yang kamu tebang daripada pohon kurma

Apabila arahan untuk mengepung kota mereka telah diberikan, puak Bani Nadhir itu telah berkumpul dan berlindung di dalam kubu mereka. Kubu mereka memang kuat dan sepatutnya mereka dapat bertahan lama di dalamnya.

Di kawasan luar kota itu ada pokok-pokok kurma kepunyaan mereka. Sebagai strategi perang, Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan untuk ditebang pokok-pokok kurma itu untuk memberi ruang agar nampak pagar kubu mereka.

Semasa pokok-pokok itu sedang ditebang, puak Bani Nadhir telah mengutuk perbuatan itu dari dalam kubu dengan berkata: “Nabi jenis apa yang menebang pokok kurma? Sedangkan dia sendiri telah melarang untuk melakukan kerosakan di muka bumi dan sekarang dia arahkan pokok kurma yang elok ditebang dan dibakar?”

Maka para sahabat pun ada yang termakan dengan kata-kata itu kerana mereka lihat memang pokok-pokok kurma itu adalah pokok-pokok yang baik belaka. Pokok-pokok yang daripada jenis kurma yang terbaik dan apabila menang nanti, ia akan menjadi harta ghanimah mereka juga. Maka ada sahabat yang tidak mengikut menebang pokok-pokok tersebut. Puak munafik menggunakan hujah ini untuk merendahkan kedudukan Rasulullah ﷺ.

Oleh kerana ada yang mempersoalkan arahan Rasulullah ﷺ itu, maka Allah ﷻ jawab kenapa dibenarkan menebang pokok kurma itu.

Kalimah لينَةٍ merujuk kepada pokok kurma yang ada buah-buah yang manis kerana ia adalah  jenis baka baik. Pokok kurma pun memang ada jenis-jenisnya seperti kita ada jenis durian yang ada bermacam-macam jenis gred, bukan? Maka jelas di sini kurma ini adalah kurma yang bagus dan dikatakan namanya adalah Kurma Buwairah.

 

أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها

atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas perdunya, 

Bukan semua pokok itu ditebang. Yang perlu sahaja ditebang. Bukannya Nabi ﷺ mahu menebang semua dan arahan potong itu pun bersebab. Pokok yang menghalang mereka daripada kubu itu sahaja yang dipotong. Yang tidak menghalang laluan tentera Islam ke kubu Bani Nadhir itu tidak ditebang.

Selepas pokok-pokok kurma itu ditebang, ia kemudiannya dibakar dan itu telah menyebabkan puak Yahudi Bani Nadhir di dalam kubu menjadi takut. Maka perbuatan memotong dan membakar pokok-pokok itu juga mempunyai kesan yang menakutkan bagi Bani Nadhir.

 

فَبِإِذنِ اللهِ

maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; 

Semua itu adalah atas izin Allah ﷻ. Ini menunjukkan yang arahan Nabi ﷺ sama dengan arahan Allah ﷻ. Allah ﷻ mengiyakan keputusan Nabi Muhammad ﷺ.

Maknanya keputusan Nabi ﷺ diterima oleh Allah ﷻ. Ada Ketika Nabi Muhammad ﷺ menunggu wahyu daripada Allah ﷻ sebelum melakukan sesuatu dan ada ketikanya Nabi ﷺ akan beri arahan tanpa menunggu wahyu. Dan jikalau keputusan baginda itu salah, maka Allah ﷻ akan tegur.

Ayat ini adalah salah satu contoh bagaimana Nabi ﷺ buat keputusan tanpa menunggu wahyu dan keputusan itu telah diterima dan dipersetujui oleh Allah ﷻ.

Sama ada tunggu wahyu atau pun tidak, ini juga adalah ‘wahyu’ juga. Nabi ﷺ mendapat tahu mana yang baginda boleh membuat keputusan sendiri dan mana yang baginda kena tunggu wahyu. Kerana itu kadang kita dengar Nabi ﷺ senyap tidak menjawab soalan daripada sahabat dan kadangkala baginda terus membuat keputusan.

 

وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ

dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.

Apa yang terjadi itu adalah untuk menghinakan orang-orang yang fasik kerana sebelum itu mereka menghina Rasulullah  dan orang Islam, maka inilah balasan yang dikenakan kepada mereka.

Mereka rasa terhina kerana ladang kurma yang mereka banggakan itu sekian lama, tidak dapat mereka pertahankan. Maka mereka rasa kalau selepas itu mereka selamat pun, mereka akan malu kerana mereka tidak dapat selamatkan ladang kurma mereka.

Penghinaan yang kedua adalah apabila mereka meninggalkan kota dan ladang kurma mereka. Mereka dulu menjaga ladang mereka itu tetapi sekarang mereka sedar ia telah jatuh ke tangan orang Islam. Mereka tidak dapat hendak rosakkan (memang semasa mereka keluar dari kota, mereka rosakkan tempat tinggal mereka supaya umat Islam tidak boleh menggunakannya). Akan tetapi ladang kurma itu mereka tidak dapat hendak membuat apa-apa, jadi mereka hanya melihat dengan hampa sahaja. Mereka rasa terhina kerana harta mereka menjadi milik umat Islam yang mereka benci.


 

Ayat 6: Sekarang ayat tentang Harta Fai. Dari ayat ini sampai ayat 10, Allah ﷻ ajar bagaimana harta yang didapati daripada Bani Nadhir itu diuruskan. Maka ayat 6 – 10 ini adalah Perenggan Makro Kedua berkenaan Hukum Harta Fai Peninggalan Bani Nadhir.

Hukum ini diberikan kerana ini adalah kali pertama umat Islam mengalahkan musuh yang ada tanah dan nanti di masa hadapan akan ada banyak lagi. Maka Allah ﷻ berikan hukum dari awal lagi.

وَما أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِنهُم فَما أَوجَفتُم عَلَيهِ مِن خَيلٍ وَلا رِكابٍ وَلٰكِنَّ اللهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what Allāh restored [of property] to His Messenger from them – you did not spur for it [in an expedition] any horses or camels,¹ but Allāh gives His messengers power over whom He wills, and Allāh is over all things competent.

  • Meaning that they went through no hardship (i.e., war) to obtain it.

(MELAYU)

Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak pula) seekor unta pun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap apa saja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَما أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِنهُم

Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) mereka,

Harta ini adalah jenis harta yang ditinggalkan tanpa peperangan berlaku. Pasukan musuh tinggalkan sahaja harta itu tanpa peperangan.

Kalimah fai dari segi bahasa, maksudnya ‘pulang balik kepada pemilik asal’. Dan pemilik asal harta adalah orang mukmin kerana orang kafir adalah pemilik haram. Ini adalah kerana mereka tidak mentaati Allah ﷻ. Oleh kerana itu apabila umat Islam mengambil fai, itu memang mengambil balik hak umat Islam.

Semua harta adalah kepunyaan Allah ﷻ dan ia patut digunakan untuk kebaikan. Dan ia hanya boleh digunakan untuk kebaikan jikalau ia di tangan umat Islam. Maka apabila umat Islam mengambil tanah musuh Islam, maka ia telah di’kembali’kan kepada umat Islam sebenarnya. Allah ﷻ mengambil daripada orang yang tidak layak menguasainya kepada orang yang layak.

Harta rampasan perang ada beberapa jenis. Harta ‘ghanimah’ adalah harta rampasan yang diperolehi selepas ada peperangan. Manakala harta fai berlainan sedikit kerana ia adalah harta yang diperolehi tanpa peperangan. Untuk harta ghanimah, telah tetap pembahagiannya iaitu 1/5 untuk Allah ﷻ dan Nabi, dan 4/5 untuk tentera. Akan tetapi pembahagian harta Fai tidak sama.

Ringkasan kalimat yang berkaitan dengan harta rampasan adalah seperti berikut:

1. Ghanimah: harta rampasan yang didapati setelah ada peperangan dengan musuh. Ini hanyalah harta yang boleh dipindahmilik (bukan tanah dan bangunan). Tanah dan bangunan menjadi harta umat Islam secara kolektif dan tidak dibahagikan sesama tentera. Maknanya, harta ghanimah adalah harta yang didapati di medan perang.

Pembahagian harta ghanimah telah disebut dalam Anfal: 41. Ringkasnya, ia dibahagikan kepada 5 bahagian (4 bahagian untuk tentera, dan 1 bahagian untuk Allah ﷻ dan Rasul)

2. Fai: harta rampasan yang didapati tanpa perang. Musuh menyerah kalah dan meninggalkan harta. Ini seperti yang terjadi dalam kes Bani Nadhir ini.

Allah ﷻ memberikan harta fai kepada Rasul-Nya untuk membelanjakannya menurut apa yang disukainya. Akan tetapi, Rasulullah ﷺ mengembalikan harta itu kepada kaum Muslim dan membelanjakannya ke jalan-jalan kebaikan dan kebajikan.

3. Nafl (نفل) jamaknya Anfal (أنفال): harta rampasan selepas perang berlaku, tetapi pembahagian harta itu terpulang kepada ketua.

4. Salab: Harta yang diambil oleh mujahideen Muslim daripada lawan tandingnya yang kafir di dalam peperangan. Harta ini adalah seperti pakaian dan alat perang, tunggangan, senjata atau tombak. Memang seorang mujahid itu mendapat harta itu tetapi dia tidak boleh terus mengambilnya. Ia hendaklah dikumpulkan dengan harta yang lain, tetapi seorang mujahid boleh memberikan bukti yang dia yang telah membunuh musuhnya. Ia adalah bonus tambahan kepada seorang mujahid.

Bukti itu sebagai contoh, ada orang lain yang nampak dia bunuh musuh itu. Kalau dia tidak dapat datangkan bukti, maka harta itu akan dibahagikan seperti harta yang lain. Perlu diingatkan bahawa seorang mujahid tidak sepatutnya menjadikan harta ghanimah atau yang selain itu sebagai sebab dia menyertai peperangan. Jihad adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ, bukannya untuk mengkayakan diri sendiri.

Kalau dapat harta, maka dapatlah. Kalau tidak dapat, maka itu adalah ketentuan Allah ﷻ. Pahala kerana menyertai peperangan itu sudah pasti. Dan inilah yang lebih penting kepada seorang Muslim.

5. Jizyah: Ini adalah pemberian wang daripada orang kafir dzimmi. Mereka tidak masuk Islam tetapi bersetuju berada di bawah takluk kerajaan Islam. Maka dia kena bayar jizyah. Kadarnya setiap seorang lelaki dewasa adalah sebanyak 1 dinar setahun.

Sekian tentang harta rampasan menurut Islam.

Sebelum ada cara pembahagian dalam Islam, cara pembahagian mengambil harta rampasan dalam sejarah Arab adalah sesiapa yang dekat dengan harta itu semasa ditinggalkan, maka harta itu menjadi kepunyaannya. Dan tentunya ini tidak adil kerana ada orang yang kena jaga di perbatasan, maka mereka tidaklah boleh dapat harta-harta itu, bukan? Maka ini tidak adil.

Sebagai contoh dalam Perang Uhud, kita tahu bagaimana ada sahabat yang Nabi ﷺ arahkan duduk sebagai pengawal, ada sebagai pemanah dan sebagainya. Maka kalau pengambilan harta dikira siapa yang paling dekat, tentulah mereka tidak ada harapan untuk mendapat harta kerana mereka duduknya jauh dari tempat peperangan berlangsung. Hanya mereka yang di medan perang dan berdepan dengan musuhlah yang pasti dapat kalau begitu. Maka rugilah mereka.

Apabila ada yang mengambil harta begitu sahaja, tentu ada pihak yang tidak berpuas hati seterusnya akan ada pertelingkahan berlaku. Maka Allah ﷻ telah menegur dengan keras sekali dalam Surah Anfal. Harta fai sekalipun mestilah dikumpulkan dan kemudian dibahagikan oleh Nabi ﷺ. Ia disebut dalam Surah Anfal tetapi sebelum itu Allah ﷻ tegur umat Islam dengan sebanyak 40 ayat tentang perkara ini. Umat Islam waktu itu telah ditegur dengan teruk sekali. Allah ﷻ kata semua harta itu adalah kepunyaan Allah ﷻ asalnya, dan kemudian barulah Allah ﷻ menceritakan tentang pembahagian harta rampasan perang.

Harta rampasan perang dengan Bani Nadhir itu adalah harta fai kerana tidak berlaku peperangan. Para sahabat kepung sahaja dan Allah ﷻ yang kalahkan mereka dengan menanamkan ketakutan yang amat sangat di dalam diri mereka sampai mereka sendiri membuka pintu kota mereka dan benarkan orang Islam masuk.

Kemudian mereka terpaksa meninggalkan kota itu dan hanya membawa barang yang boleh dibawa di atas unta sahaja. Maka segala harta yang mereka tinggalkan adalah harta fai.

 

فَما أَوجَفتُم عَلَيهِ مِن خَيلٍ وَلا رِكابٍ

maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak pula) seekor unta pun,

Kalimah أَوجَفتُم berasal daripada katadasar و ج ف  yang bermaksud mendesak, mencucuk binatang untuk memaksanya bergerak laju, berlari. Ini merujuk kepada perbuatan menaiki binatang tunggangan dan memaksanya bergerak laju, terutama dalam perang.

Maka puak Muslim tidak berperang pun dan tidak membawa kuda dan unta. Tidak mendesak kuda dan unta adalah bahasa kiasan bermaksud tidak ada peperangan. Ini kerana zaman itu kalau perang akan menggunakan unta dan kuda.

 

وَلٰكِنَّ اللهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ

tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap apa saja yang dikehendaki-Nya.

Umat Islam waktu itu tidak berperang pun kerana Allah ﷻ yang berikan kemenangan itu kepada mereka kerana Allah ﷻ hendak memberi kekuasaan kepada rasu-lNya. Kalimah يُسَلِّطُ daripada katadasar س ل ط yang bermaksud memenangi, kukuh, berkuasa, kekuatan, kuasa memerintah. Kalimah ‘sultan’ diambil daripada katadasar ini.

 

وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Tidak ada peluang untuk menentang Allah ﷻ. Apa yang Allah ﷻ mahu, pasti akan terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 25 Ogos 2019

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hashr Ayat 1 – 3 (Pembelotan Bani Nadhir)

Pengenalan:

Surah ini ada menceritakan tentang pembelotan yang dilakukan oleh salah satu puak Yahudi Madinah iaitu Bani Nadhir. Mereka sudah ada perjanjian dengan umat Islam tetapi mereka belot perjanjian itu.

Mereka benci kepada Islam sampaikan mereka buat perancangan untuk membunuh Nabi ﷺ. Mereka bermesyuarat untuk membunuh Nabi ﷺ semasa Nabi ﷺ datang berjumpa mereka bagi membincangkan tentang pembayaran diyat bagi satu kematian. Mereka membuat perancangan untuk menghempap baginda dengan batu lesung. Namun Allah ﷻ telah menggagalkan rancangan mereka dengan memberi wahyu kepada baginda. Allah ﷻ telah memberitahu kepada baginda berkenaan rancangan mereka.

Sebelum itu mereka telah belot dalam Perang Badr dan Uhud. Ada beberapa puak Yahudi lain yang juga telah membelot. Antaranya lagi adalah Bani Qainuqa’ dan juga Bani Quraizah yang berlaku pada Perang Ahzab. Mereka  akhirnya nanti dihalau keluar juga.

Mereka memang telah lama tidak suka kepada Rasulullah ﷺ dan Islam. Ada seorang penyair Bani Nadhir yang selalu membuat syair menghina Nabi ﷺ. Dan dia juga telah mengajak musuh dari Mekah untuk menyerang Madinah. Dia berjanji yang kalau Mekah menyerang dari luar maka Bani Nadhir akan menyerang dari dalam. Maknanya dia telah mengadakan perjanjian rahsia dan ini berlawanan dengan perjanjian antara mereka dan Nabi Muhammad ﷺ.

Maka Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan agar dia dibunuh. Ada yang tuduh dia dibunuh sebab dia membuat syair menghina Nabi ﷺ. Namun yang sebenarnya arahan bunuh itu kerana dia yang menganjurkan serangan ke atas Madinah.

Ini adalah sebagaimana panglima perang akan dibunuh kerana pembelotan yang dilakukan. Memang kena cari dan hukum orang yang bertanggungjawab. Bukanlah Nabi ﷺ menghukum bunuh kerana marah dia menghina baginda tetapi kerana dia orang yang penting dan kepala dalam menganjurkan serangan terhadap negara Islam Madinah.

Setelah itu, tempat tinggal mereka telah dikepung dan akhirnya mereka mengaku kalah dan mereka telah dihalau dari Madinah. Ini akan diceritakan dalam surah ini nanti.

Surah ini seperti juga hujung Surah Mujadilah sebelum ini iaitu berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah ketiga daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


 

Hashr Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menceritakan pengkhianatan Bani Nadhir. Mereka telah dibuang negeri dari Madinah kerana kesalahan mereka itu.

سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥashr: The Gathering.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh,¹ and He is the Exalted in Might, the Wise.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi;

Surah ini dimulakan dengan tasbih. Ingatlah yang rentetan surah-surah ini dinamakan musabbihaat. Ada 10 surah semuanya dan kebanyakan daripadanya dimulakan dengan tasbih.

Dalam ayat ini kalimah tasbih di dalam bentuk fi’il madhi dan ada surah yang menggunakan fi’il mudhari’. Ini hendak memberitahu yang sebelum ini makhluk telah bertasbih kepada Allah ﷻ dan ada yang sedang bertasbih dan semua akan terus bertasbih kepada Allah ﷻ. Dalam Isra’:44 disebut:

{تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ}
Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.

Maknanya semua makhluk ada tasbih mereka kepada Allah ﷻ dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu. Malah benda yang mati seperti batu pun ada cara tasbihnya kepada Allah ﷻ.

Kalimah tasbih sebenarnya membersihkan syirik. Iaitu menidakkan perkara-perkara yang tidak sepatunyat tentang Allah ﷻ. Tidak patut ada syirik kepada Allah ﷻ dan kalimah tasbih adalah pernyataan kepada tauhid. Oleh itu, dalam surah ini Allah ﷻ mengingatkan asal agama adalah tauhid. Inilah perkara penting yang kita kena tahu dan kena kemas pemahaman kita. Malangnya, perkara inilah yang jarang diambil kira oleh masyarakat kita.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah bersifat العَزيزُ yang bermaksud maha berkuasa untuk mengazab sesiapa sahaja yang mengamalkan syirik dan meninggalkan tauhid. Nanti kita akan baca bagaimana puak Yahudi Bani Nadhir telah dihalau dari kediaman mereka. Ini adalah hak Allah ﷻ untuk menetapkan apa sahaja hukuman kepada makhluk.

Namun di dalam masa yang sama, Allah ﷻ juga bersifat الحَكيمُ (Maha Bijaksana). Dengan kebijaksanaan Allah ﷻ, Allah ﷻ masih memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah Allah ﷻ terus mengazab manusia yang melakukan syirik. Kalau Allah ﷻ terus azab sahaja sesiapa yang melakukan syirik, maka tentulah tidak ada lagi manusia yang tinggal di atas muka bumi ini. Kerana kita pun tentu ada pernah melakukan perkara syirik sebelum kita tahu tentang kesilapan fahaman kita itu. Kalaulah Allah ﷻ terus matikan kita dahulu, tentulah kita tidak ada peluang untuk bertaubat, bukan?

Dalam kes Bani Nadhir yang kita akan baca nanti, Allah ﷻ telah memberikan hukuman yang lembut untuk mereka. Hanya dibuang negeri sahaja dan ini bermakna mereka masih ada peluang untuk bertaubat kalau mereka ambil pengajaran. Ini semua atas kebijaksanaan Allah ﷻ.

Ini juga mengingatkan kita yang segala perbuatan Allah ﷻ adalah bijaksana belaka. Allah ﷻ tidak melakukan sesuatu sia-sia dan main-main. Maka ini mengajar kita redha dengan segala ketentuan Allah ﷻ. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ. Termasuk di dalam keputusan Allah ﷻ ini adalah arahan untuk mengeluarkan Bani Nadhir dari tanah mereka yang telah sekian lama mereka duduki itu.

Balaghah: Allah menggunakan teknik Taqdim wa Ta’khir. Di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an, Allah menyebut sifatNya العَزيزُ sebelum disebut الحَكيمُ. Lebih banyak disebut susunan sebegini. Di dalam ayat ini (dan banyak ayat lain), Allah mendahulukan Al-‘Aziz sebelum Al-Hakim atas beberapa rahsia sastera (balaghah), teologi, dan konteks surah yang sangat mendalam:

Di dunia ini, apabila seorang manusia (seperti raja, presiden, atau tentera) memiliki kuasa yang tersangat besar dan perkasa (‘Aziz), mereka cenderung untuk menjadi zalim, melampaui batas, dan bertindak mengikut hawa nafsu. Kuasa sering kali merosakkan manusia.

Sebaliknya, ada orang yang sangat bijaksana (Hakim), mempunyai idea yang hebat dan adil, tetapi dia lemah dan tidak mempunyai kuasa atau pengaruh untuk melaksanakan kebijaksanaannya itu.

Allah mendahulukan Al-‘Aziz kemudian diiringi dengan Al-Hakim untuk membina satu konsep ketuhanan yang sempurna: Allah Maha Perkasa {العَزِيزُ}, memiliki kuasa mutlak untuk menghancurkan sesiapa sahaja atau melakukan apa sahaja yang Dikehendaki-Nya. Namun, keperkasaan Allah itu tidak pernah diiringi dengan kezaliman. Mengapa? Kerana Dia juga Maha Bijaksana {الحَكِيمُ}. Setiap tindakan, hukuman, dan ketetapan-Nya sentiasa diletakkan pada tempat yang betul dan penuh dengan hikmah. Mendahulukan Al-‘Aziz adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya yang mendominasi, manakala meletakkan Al-Hakim di belakangnya adalah sebagai “pengawal” yang menunjukkan bahawa kuasa tersebut digunapakai dengan penuh keadilan.


 

Hashr Ayat 2: Sekarang diberikan contoh takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia).

هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ ۚ ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا ۖ وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا ۖ وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ ۚ يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who expelled the ones who disbelieved among the People of the Scripture¹ from their homes at the first gathering.² You did not think they would leave, and they thought that their fortresses would protect them from Allāh; but [the decree of] Allāh came upon them from where they had not expected, and He cast terror into their hearts [so] they destroyed their houses by their [own] hands and the hands of the believers. So take warning, O people of vision.

  • Referring to the Jews of Banun-Nadheer, who broke their pact with the Messenger of Allāh (ṣ).
  • This was the first time they had ever been gathered and expelled.

(MELAYU)

Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.

 

هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ

Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama.

Allah ﷻ mengatakan yang Dialah yang menyebabkan puak Yahudi Bani Nadhir itu yang telah menyerah kalah pada pengepungan puak mukmin kali pertama. Ini adalah kerana mereka telah belot kepada perjanjian yang telah dilakukan dengan umat Islam untuk sama-sama mempertahankan Madinah bersama-sama. Malah mereka telah membuat rancangan untuk membunuh Rasulullah ﷺ. Ini bukanlah kali pertama kerana mereka memang puak yang rajin membunuh para Nabi.

Oleh kerana telah ada perjanjian dan mereka belot, maka tiada lagi perjanjian dengan mereka seperti yang disebut dalam Anfal:58

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ

Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.

Kejadian ini berlaku pada tahun 4 Hijriah setelah Peperangan Badr dan Uhud. Walaupun nampak para sahabat yang mengepung mereka dan menghalau mereka, tetapi Allah ﷻlah yang menjadikan perkara itu realiti. Kerana kalau dikira usaha para sahabat sahaja, tentu tidak akan terjadi apa yang mereka kehendaki.

Ayat ini juga bermaksud, keputusan untuk mengusir mereka itu bukanlah keputusan daripada Nabi dan sahabat, tetapi daripada Allah ﷻ sendiri kerana mereka telah belot.

Apakah maksud لِأَوَّلِ الحَشرِ (bagi pengusiran yang awal)? Ia berasal daripada katadasar ح ش ر yang bermaksud berkumpul bersama, dibangkitkan daripada mati, juga bermaksud menghalau keluar. Ulama’ tafsir berbeza pendapat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Ada yang mengatakan:

1. Pengusiran puak Yahudi yang pertama. Kerana nanti puak Yahudi akan dihalau juga untuk kali kedua oleh Saidina Umar رضي الله عنه dari Tanah Arab. Kali pertama mereka telah lari ke Syam dan kemudian pada zaman Umar رضي الله عنه, mereka dihalau pula dari Syam.

2. Pendapat kedua mengatakan kalimah ‘hashr’ itu bermaksud pengumpulan manusia di Mahsyar nanti.

3. Pengusiran yang pertama adalah bani Qainuqa’ dan sekarang kita sedang membaca tentang puak yang kedua iaitu Bani Nadhir pula.

 

ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا

Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar 

Puak mukmin sendiri tidak menyangka yang puak Yahudi Bani Nadhir itu akan menyerah kalah dalam masa yang singkat kerana mereka nampaknya kuat di dalam kubu mereka. Para sahabat tidak sangka mereka akan meninggalkan tempat mereka yang hebat yang mereka telah lama bina itu. Masa yang telah diberikan kepada mereka adalah selama 10 hari tetapi mereka telah mengaku kalah pada hari ke enam.

 

وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ

dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada Allah; 

Puak Bani Nadhir itu pun tidak sangka mereka akan meninggalkan tempat tinggal mereka. Mereka sangka yang kubu mereka kuat dan dapat menyelamatkan mereka daripada pengepungan Allah ﷻ iaitu daripada pengepungan orang Islam. Kalimah مّانِعَتُهُم daripada katadasar م ن ع yang bermaksud menahan, menghalang, menolak, mempertahankan, memperkuatkan, susah untuk dimasuki.

Kalimah حُصونُهُم pula berasal daripada katadasar ح ص ن yang bermaksud dipelihara, dijaga, tidak boleh dimasuki, suci, diperkuatkan, dipertahankan. Mereka sangka kubu-kubu mereka dapat membenteng tempat mereka daripada dicerobohi. Sebagaimana zaman sekarang, ini apabila negara Israel yang haram itu yakin sangat dengan pertahanan mereka seperti Iron Dome. Akan tetapi apabila diserang oleh pihak Palestin bertubi-tubi, mereka terkesan juga dan terus minta gencatan senjata.

Mereka pun telah bersedia untuk bertahan dalam kubu mereka untuk masa yang lama. Makanan mereka sepatutnya tahan sebulan. Maka memang mereka tidak sesekali menyangka mereka akan meninggalkan kubu mereka. Apabila Nabi Muhammad ﷺ memberi kata putus kepada mereka untuk meninggalkan Madinah selepas 10 hari, mereka menolak begitu sahaja.

Golongan munafik juga terlibat dalam hal ini. Seorang munafik bernama Abdullah bin Ubay bin Salul (ketua puak munafik) telah mengirim orang kepada mereka memberitahukan, “Janganlah kalian keluar dari tempat tinggalmu kerana bersamaku ada 2,000 orang yang akan masuk ke bentengmu bersamamu, mereka siap mati untuk membelamu, Bani Quraizhah akan menolongmu, demikian pula sekutu kamu dari Ghatfan.” Maka kerana sokongan begitu, mereka pun semakin berani dan penuh yakin memberitahu Rasulullah ﷺ yang mereka tidak akan keluar.

Mereka sangka umat Islam yang akan keletihan dan tidak mampu untuk mengepung dalam jangkamasa yang lama. Kerana untuk mengepung sesuatu tempat pun memerlukan bekal yang banyak juga. Namun akhirnya mereka telah mengaku kalah hanya setelah 6 hari sahaja.

Menjadi perbincangan kenapa digunakan kalimat مِّنَ اللهِ (daripada Allah ﷻ) dalam ayat ini. Adakah puak Yahudi itu tahu yang mereka sedang menentang Allah ﷻ tetapi mereka teruskan juga? Takkan mereka sanggup untuk melawan Allah ﷻ?

Untuk memahami mentaliti mereka, kita kena lihat sejarah mereka. Mereka ini adalah satu bangsa yang pelik. Mereka sudah banyak membunuh para Nabi walaupun mereka tahu itu adalah Nabi utusan Allah ﷻ. Dalam Al-Qur’an disebut bagaimana mereka berbangga kerana mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام, Rasulullah (lihat Nisa:157). Dalam Tradisi mereka juga, mereka baca bagaimana Nabi Ya’kob عليه السلام telah bergusti dengan Allah ﷻ dari malam sampai ke pagi dan Allah ﷻ tidak dapat mengalahkan baginda (dan kerana itu Nabi Ya’kob عليه السلام diberi gelaran ‘Israil’). (because you strove with God and with men, and prevailed.” (Lihat Gen. 32: 25-29). 

Maka, tidak menghairankan apabila mereka tahu mereka sedang melawan Allah ﷻ, tetapi mereka teruskan juga dan rasa mereka akan menang. Mereka tahu Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul Allah, tetapi mereka tetap melawan juga. Kita tahu mereka tahu siapa baginda sebenarnya kerana tanda-tanda Rasul Akhir Zaman sudah ada pada Nabi Muhammad ﷺ dan para Rahib mereka memang tahu perkara ini.

Kita pun telah pernah sebutkan di tempat yang lain, bahawa mereka ini bukanlah ‘kafir jahil’ tetapi jenis ‘kafir degil’. Mereka tahu kebenaran, akan tetapi hati sahaja degil untuk mengikutinya.

 

فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا

maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka.

Puak Bani Nadhir itu sangka mereka akan selamat dalam kubu mereka yang kukuh, tetapi Allah ﷻ telah menyerang mereka dari tempat yang mereka tidak sangka-sangka. Mereka sangka umat Islam akan menyerang dengan senjata dari luar kubu mereka dan mereka yakin mereka akan dapat bertahan. Akan tetapi Allah ﷻ serang mereka dari dalam. Dengan cara itulah mereka keluar dari kubu mereka.

Allah ﷻ boleh bantu orang mukmin dengan berbagai cara. Apakah serangan ‘dalam’ itu? Apakah serangan yang dimaksudkan itu?

 

وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ

Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; 

Serangan itu bermaksud ketakutan yang dilontarkan ke dalam hati mereka dan hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat perkara ini. Mereka menjadi takut sampaikan mereka sendiri buka pintu kota mereka. Antaranya, mereka mula takut apabila Nabi ﷺ mengarahkan para sahabat membakar kebun kurma yang berdekatan tempat mereka itu. Mereka nampak dan terus menjadi takut.

Atau, memang mereka takut dengan Rasulullah ﷺ kerana ada hadith yang menyebut Allah ﷻ mencampakkan ketakutan musuh terhadap baginda. Ini antara kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada baginda dan tidak diberikan kepada para Rasul yang lain.

Hadith Keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أحَدٌ مِنَ الأنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وجُعِلَتْ لي الأرْضُ مَسْجِدًا وطَهُورًا، وأَيُّما رَجُلٍ مِن أُمَّتي أدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ، وأُحِلَّتْ لي الغَنَائِمُ، وكانَ النبيُّ يُبْعَثُ إلى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وبُعِثْتُ إلى النَّاسِ كَافَّةً، وأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ. رواه البخاري

Daripada Jabir ibn  Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku telah diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku: (1) aku ditolong dengan rasa takut yang menghinggapi musuh-musuhku dari jarak sebulan perjalanan, (2) bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud dan alat bersuci, maka di mana saja seseorang dari umatku mendapati waktu shalat telah tiba, hendaklah dia mengerjakannya, (3) dihalalkan bagiku harta rampasan perang yang belum pernah dihalalkan bagi seorang Nabi pun sebelumku, (4) diberikan kepadaku hak untuk memberikan syafaat, dan (5) dahulu para Nabi diutus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia.”

(HR Bukhari No 335) 

 

Maka Allah ﷻ keluarkan mereka tanpa cara perang pun. Allah ﷻ membantu umat Islam waktu itu kerana kalau berperang, para sahabat pun akan susah dan sakit. Ini kerana puak Yahudi itu pun ada senjata juga kalau hendak berperang. Maka kerana takut sangat mereka telah membuka pintu kota mereka untuk menyerah kalah dan kemudian mereka telah dihalau dari Madinah. Tiada pertumpahan darah berlaku dalam kejadian ini.

 

يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ

mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. 

Walaupun mereka kena tinggalkan kota mereka, tetapi orang jahat tetap jahat. Apabila mereka diarahkan untuk keluar dari kota mereka dan meninggalkan Madinah, mereka telah membuat keputusan untuk memusnahkan sendiri perhiasan yang ada di dalam kota mereka yang dulu mereka bina sekian lama.

Kalimah يُخرِبونَ daripada katadasar خ ر ب yang bermaksud dalam keadaan hancur, keadaan membazir, tidak didiami, mencuri, melubangi sesuatu, memalukan.

Ini kerana mereka sakit hati dan tidak mahu umat Islam mengambil barang mereka. Maka kerana mereka hanya dibenarkan bawa muatan yang mereka boleh bawa dengan kenderaan mereka, mereka telah mencabut pintu dan dinding rumah, malah merosakkan pasak rumah mereka. Ini supaya umat Islam tidak dapat menikmati peninggalan mereka itu. Pada mereka, kalau mereka tidak dapat menggunakannya lagi, umat Islam pun tidak boleh juga.

Atau, mereka sayang sangat rumah-rumah mereka itu sampai mereka cuba hendak membawanya kerana mereka dibenarkan membawa barang mereka yang boleh diletakkan di atas unta (kecuali senjata). Maka mereka cuba membawa semua apa yang mereka boleh bawa. Dengan pintu rumah pun mereka cuba bawa.

Orang-orang mukmin pada waktu itu juga telah membantu mereka untuk memusnahkan tempat itu kerana umat Islam telah menyerang dari luar dan merosakkan luaran kubu mereka. Iaitu antaranya dengan melemparkan batu ke arah penempatan mereka itu.

 

فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ

Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.

1. Maka orang lain, termasuk puak puak Yahudi yang lain, ambillah iktibar daripada apa yang telah terjadi kepada Bani Nadhir ini kerana kalau mereka juga membuat perkara yang sama, maka mereka akan mendapat balasan yang sama. Akan tetapi nanti puak Yahudi yang lain tidak mengambil pengajaran pun. Maka mereka pun akan dihalau.

2. Puak Yahudi ini adalah orang Islam dulu sebenarnya. Mereka telah beriman, telah mendapat kitab dan telah mendapat kedudukan sebagai Ahli Kitab. Akan tetapi apabila mereka meninggalkan agama dan wahyu, maka rahmat Allah ﷻ telah ditarik daripada mereka.

Maka umat Islam kena belajar daripada apa yang terjadi dan mengambil iktibar. Walaupun kita ini adalah umat Rasul terakhir, tetapi kalau kita tidak mengikut ajaran baginda, kita pun boleh jadi seperti mereka juga. Kedudukan sebagai ‘Muslim’ tidaklah menjadi jaminan yang kita ini tetap selamat.

3. Umat manusia yang mendengar kisah ini juga perlu mengambil pengajaran. Jangan menentang Tuhan yang Satu. Yakni renungkanlah akibat yang dialami oleh orang-orang yang menentang perintah Allah ﷻ dan menentang Rasul-Nya, serta mendustakan Kitab-Nya, sebagaimana Allah ﷻ menimpakan pembalasan-Nya kepada mereka, yang membuat mereka terhina di dunia ini disertai dengan azab yang pedih yang telah disediakan oleh Allah ﷻ di hari kemudian (hari akhirat).

Tidak ada sesiapa yang akan menang kalau menentang Allah ﷻ. Mereka kena dengar kisah ini dan belajar bagaimana kekuatan kubu dan harta tidak memastikan kemenangan. Dengarlah kisah ini dengan ‘wawasan’, iaitu dengan akal fikiran yang waras, dengan mata hati. Bukan hanya sekadar baca sebagai kisah biasa sahaja.

Kalimah i’tibar di dalam ayat ini menjadi dalil dan hujah bagi para ulama’ untuk mengamalkan qiyas di dalam membuat hukum. Iaitu mengambil pengajaran daripada satu kes dan diaplikasi dalam kes dan suasana yang lain.


 

Hashr Ayat 3: Sebenarnya Allah ﷻ telah berlaku lembut kepada mereka.

وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if not that Allāh had decreed for them evacuation, He would have punished them in [this] world, and for them in the Hereafter is the punishment of the Fire.

(MELAYU)

Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.

 

وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ

Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, 

Kalimah الجَلاءَ berasal daripada katadasar ج ل و yang juga bermaksud pengusiran. Ya, memang Allah ﷻ telah tetapkan yang mereka diusir dari tempat tinggal mereka yang mereka telah lama bina. Akan tetapi kalau mereka tidak diusir, mereka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih teruk lagi.

 

لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا

benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. 

Allah ﷻ beritahu yang jikalau Allah ﷻ tidak takdirkan hukuman untuk mereka itu dihalau dari Madinah, maka yang akan dikenakan kepada mereka adalah azab yang lebih teruk daripada itu. Iaitu arahan bunuh sahaja. Para wanita dan kanak-kanak mereka akan menjadi hamba kepada umat Islam.

Ini telah terjadi kepada Bani Quraizah selepas Perang Ahzab. Lelaki dewasa mereka telah dibunuh dan para wanita, orang tua dan kanak-kanak telah ditawan dan dijadikan hamba umat Islam. Ini kerana mereka telah belot terhadap perjanjian dengan umat Islam apabila mereka telah bersekongkol dengan puak Musyrikin Mekah dalam Perang Ahzab.

Maka hukuman kepada mereka itu adalah hukuman yang ringan sebenarnya kalau dibandingkan dengan dibunuh. Bila dihalau, mereka masih lagi boleh berpindah dan membina hidup yang baru. Allah ﷻ beri hukuman yang lembut kerana ini adalah kerana ini adalah kali pertama puak Yahudi Madinah melakukan khianat kepada Islam. Maka mereka diberi peluang dan untuk memberi peringatan kepada yang lain.

 

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ

Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.

Akan tetapi mereka tetap akan diazab di akhirat kelak di atas dosa berat yang mereka telah lakukan. Ini kalau mereka tetap tidak insaf dan ambil pengajaran dari apa yang telah berlaku.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Mei 2026

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 22 (Melawan keluarga musyrik)

Mujaadilah Ayat 22: Ini adalah sifat golongan mukmin yang sebenar. Tanda orang mukmin adalah mereka benci kepada penentang wahyu. Maka mereka akan berhati-hati dengan orang yang mereka rapat.

لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم ۚ أُولٰئِكَ كَتَبَ في قُلوبِهِمُ الإيمٰنَ وَأَيَّدَهُم بِروحٍ مِّنهُ ۖ وَيُدخِلُهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ رَضِيَ اللهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ أُولٰئِكَ حِزبُ اللهِ ۚ أَلا إِنَّ حِزبَ اللهِ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You will not find a people who believe in Allāh and the Last Day having affection for those who oppose Allāh and His Messenger, even if they were their fathers or their sons or their brothers or their kindred. Those – He has decreed within their hearts faith and supported them with spirit¹ from Him. And We will admit them to gardens beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. Allāh is pleased with them, and they are pleased with Him – those are the party of Allāh. Unquestionably, the party of Allāh – they are the successful.

  • i.e., “that which gives life,” explained as the guidance of the Qur’ān or victory over their opponents.

(MELAYU)

Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.

 

لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, 

Orang yang beriman sempurna ada tanda dan ciri-cirinya. Ada perkara yang mereka tidak akan lakukan. Mereka amat menjaga agama mereka daripada rosak. Pertamanya mereka beriman benar-benar dengan Allah ﷻ. Mereka juga yakin dengan adanya hari Kiamat dan mereka bersedia untuk menghadapinya.

 

يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ

saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya,

Orang beriman tidak akan rapat dengan orang yang menentang agama. Kalimah يُوادّونَ daripada kata dasar و د د yang bermaksud cinta, berharap, rasa senang. Mereka tidak akan suka dan sayang lagi kepada golongan penentang agama. Ini adalah ujian keimanan yang ramai antara kita tidak diuji dengannya.

Golongan yang dimaksudkan adalah golongan yang menentang keras agama Islam dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan agama Islam. Kalimah حادَّ daripada kata dasar ح د د yang bermaksud meletak had, menahan. Maksudnya mereka yang menentang dan melampau daripada had.

Kita selalunya tidak kenal orang yang menentang Islam tetapi para sahabat kadangkala ada golongan ini dalam ahli keluarga mereka. Mereka terpaksa tinggal dengan mereka, berurusan dengan mereka. Maka dugaan mereka lebih besar sebenarnya.

 

وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم

sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.

Kadangkala zaman sekarang ada orang-orang Islam yang keluarga mereka bukan Muslim tetapi mereka itu setakat tidak suka sahaja ataupun tidak kisah pun dengan agama Islam dan tidaklah mereka itu berusaha untuk menentang agama Islam. Maka tidak salah kalau masih berkeluarga dengan mereka. Sudah ramai orang bukan Islam yang tidak kisah pun tentang agama Islam. Mereka terima seadanya. Mereka terima adalah salah satu daripada agama yang dianuti manusia dalam dunia sahaja.

Maka boleh sahaja berkeluarga dengan non-Muslim, melainkan kalau ahli keluarga mereka memang menentang agama Islam seperti yang dialami oleh para sahabat dulu. Zaman Nabi ﷺ dulu, ada para sahabat yang ahli keluarga mereka dalam kalangan Musyrikin Mekah dan ada juga daripada mereka yang keluarga mereka dalam kalangan Yahudi yang berada di Madinah pada waktu itu. Waktu itu Musyrikin Mekah dan Yahudi memang ramai yang menentang agama Islam. Ataupun termasuk ahli keluarga yang dalam kalangan munafik.

Oleh kerana ahli keluarga mereka itu menentang Islam, maka Allah ﷻ memberitahu bahawa tali persaudaraan dengan mereka itu sudah terputus. Allah ﷻ kata mereka sudah tidak boleh berkasih sayang lagi dengan keluarga mereka yang menentang agama Islam itu. Maka ini adalah ujian yang amat berat kepada mereka kerana mereka betul-betul diuji.

Di dalam surah yang lain ada diberitahu bagaimana seorang Muslim itu hendaklah berbuat baik kepada ibu bapanya walaupun mereka itu Muslim tetapi dalam ayat ini lagi jelas disebut, kerana jikalau ibu bapa ataupun anak itu menentang Islam maka mereka tidak dibenarkan untuk berbuat baik kepada mereka lagi.

Maka ayat ini perlu diperhatikan dengan sama-sama supaya tidak disalah fahami sampai memutuskan perhubungan dengan ibu bapa hanya semata-mata mereka itu bukan beragama Islam. Kalau mereka menentang barulah jangan ada hubungan dengan mereka lagi.

 

أُولٰئِكَ كَتَبَ في قُلوبِهِمُ الإيمٰنَ

Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka

Oleh kerana mereka sanggup memutuskan hubungan dengan ahli keluarga mereka yang menentang Islam, maka Allah ﷻ akan menetapkan iman dalam hati orang itu. Ini adalah kerana mereka telah melepasi ujian keimanan yang amat berat. Mereka telah ditetapkan oleh Allah ﷻ termasuk orang yang berbahagia, dan Allah ﷻ menjadikan hati mereka kuat dengan kebahagiaan itu dan imannya telah menghiasi kalbu sanubarinya.

Inilah yang terjadi kepada para sahabat apabila mereka telah masuk Islam. Kita boleh lihat bagaimana peperangan Badr dan Uhud itu adalah antara saudara mara cuma berlainan agama sahaja.

Mereka sampai terpaksa berperang sesama sendiri dan bunuh membunuh. Sebagai contoh, Abu Ubaidah telah membunuh bapanya sendiri, ‘Abdullah bin al-jarrah. Mus’ab bin `Umair telah membunuh abangnya, ‘Ubaid bin `Umair; Umar telah membunuh pakciknya, ‘As bin Hisham bin Mughirah; ‘Abu Bakr sudah bersedia untuk membunuh anaknya sendiri, ‘Abdur Rahman.

Manakala terdapat sahabat yang lain telah membunuh teman rapat dan ahli daripada puak mereka sendiri. Inilah tanda iman mereka yang tidak berbelah bahagi. Kerana agama telah tetap dalam hati mereka tidak berbelah bahagi lagi.

 

وَأَيَّدَهُم بِروحٍ مِّنهُ

dan menguatkan mereka dengan roh yang datang daripada-Nya.

Allah ﷻ teguhkan mereka dengan bantuan luar biasa daripada Allah ﷻ. Apakah maksud ‘Roh’ itu? Ada yang kata ian Jibril dan ada yang kata ketenangan hati yang Allah ﷻ tanamkan dalam diri mereka. Yang pasti ia adalah bantuan terus daripada Allah ﷻ. Iaitu mereka rasa cinta mereka terhadap Islam lebih tinggi daripada cinta terhadap ahli keluarga sendiri.

 

وَيُدخِلُهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها

Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. 

Mereka akan diberi balasan syurga. Allah ﷻ menceritakan kehebatan syurga yang ada sungai. Ini kerana manusia suka rumah yang ada air. Kalau bilik hotel dengan pemandangan laut sahaja pun sudah mahal, apatah lagi kalau bilik itu atas air. Ini kerana memang ia adalah sesuatu yang amat disukai manusia.

 

رَضِيَ اللهُ عَنهُم

Allah redha terhadap mereka, 

Dan ini adalah nikmat yang lebih hebat daripada rumah yang ada air sungai di bawahnya. Allah ﷻ kata Dia ﷻ berpuas hati dengan mereka. Ini adalah satu pernyataan yang amat besar. Bayangkan kalau ayah kita sendiri kata dia redha dengan kita dan berbangga dengan kita pun kita tentu sudah suka. Apatah lagi kalau Allah ﷻ yang kata begitu!

 

وَرَضوا عَنهُ

dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya.

Dan mereka akan berpuas hati sangat dengan balasan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Kerana hebat sangat balasan yang diberikan kepada mereka. Balasan sangat istimewa lebih daripada amal kebaikan mereka. Maka mereka redha dengan Allah ﷻ kerana telah membalas pengorbanan dan iman mereka dengan balasan yang amat-amat hebat. Apa sahaja yang Allah ﷻ berikan kepada mereka, mereka akan redha dan puas hati.

 

أُولٰئِكَ حِزبُ اللهِ

Mereka itulah golongan Allah. 

Allah ﷻ kata mereka ini adalah ‘parti Allah’ kerana mereka sanggup untuk mengubah perasaan hati mereka yang sayang kepada ahli keluarga. Ini kerana itu adalah perkara yang amat susah untuk dilakukan. Mereka akan menjadi golongan Allah ﷻ. Ini dibandingkan dengan golongan kufar yang Allah ﷻ gelar mereka sebagai hizbus syaitan sebelum ini.

 

أَلا إِنَّ حِزبَ اللهِ هُمُ المُفلِحونَ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.

Inilah orang yang sebenarnya beruntung. Golongan hizbus syaitan pula yang paling rugi. Siapakah mereka itu akan disebut dalam Surah Hashr dan Mumtahanah nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Hashr.

Tarikh: 2 Disember 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi