Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 3 – 5 (Orang Islam menyebabkan orang kafir tidak masuk Islam)

Mumtahanah Ayat 3:

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم ۚ يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will your relatives or your children benefit you; the Day of Resurrection He will judge between you. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

 

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. 

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini: Kasih sayang kamu kepada mereka yang kafir itu tidak akan mendatangkan faedah kepada kamu. Mereka tidak dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah ﷻ. Mereka tidak akan mempertahankan kamu. Mereka tidak akan beri alasan untuk menyelamatkan kamu.

Macam kisah Hatib, di hari akhirat nanti ahli keluarganya tidak akan pertahankan dia pun. Mereka tidak akan kata: “Hatib buat begitu kerana nak tolong kami, ya Allah!”

Di hari akhirat kelak, semua orang akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti disebut dalam ayat yang lain, Abasa:34-37:

 

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

daripada ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

daripada isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

 

 

يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم

Dia akan memisahkan antara kamu. 

Kamu sangka kamu rapat dengan mereka, namun nanti di akhirat nanti kamu akan dipisahkan daripada mereka. Tidak akan dapat duduk bersama pun, jadi hendak tolong macam mana?

Semua akan diadili mengikut apa yang dia telah lakukan semasa di dunia, tidak ada kena mengena dengan ahli keluarganya. Tidak diadili manusia nanti secara berkumpulan.

Oleh kerana itu jangan kita membuat kesalahan dan dosa semata-mata untuk kebaikan orang lain. Jangan kerana mereka, kita pula mendapat dosa. Mereka nanti bukan boleh menolong kita pun. Ini penting kerana ada orang yang tidak menegur kesalahan ahli keluarganya; atau ada yang membuat dosa kerana mengikut ahli keluarganya.

Ini juga bermaksud yang Allah ﷻ akan memisahkan antara ahli syurga dan ahli neraka. Mereka tidak duduk bersama-sama kerana amalan dan iman tidak sama. Maka tidak perlu berkasih sayang dengan mereka.

 

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah yang Allah ﷻ sedang melihat apa sahaja yang kamu lakukan. Pengkhianatan kamu terhadap orang Islam mungkin tidak diketahui oleh orang lain, tetapi Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Allah ﷻ tahu apa yang telah dilakukan oleh Hatib, dan Allah ﷻ telah memberi wahyu kepada Rasulullah ﷺ tentang perkara itu, tetapi apabila surat itu telah didapati, Hatib tetap diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan keadaan dari sudut fahamannya.

Segala perbuatan manusia termasuk para sahabat diperhatikan. Walaupun Hatib seorang yang telah berjasa kepada agama (terlibat dalam Perang Badr dan pernah berbai’ah dengan Nabi semaktu Bai’atul Ridwan), tetapi apabila beliau melakukan kesalahan, beliau tetap juga bersalah dan kisah beliau menjadi pengajaran kepada kita semua. Tidaklah perbuatan salah para sahabat didiamkan begitu sahaja.

Apabila telah terbongkar perbuatan Hatib itu, Saidina Umar رضي الله عنه terus bertindak untuk membunuh Hatib yang beliau lihat sebagai pembelot kerana telah membocorkan rahsia kerajaan Islam. Namun beliau ditahan oleh Rasulullah ﷺ yang dipandu oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ lebih tahu apa yang ada dalam hati manusia.

Saidina Umar رضي الله عنه juga tidak salah kerana beliau hanya melihat pada luaran sahaja. Dan memang manusia boleh menilai dari luaran sahaja kerana manusia tidak boleh membaca hati manusia. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Allah ﷻ tahu bahawa niat Hatib bukanlah untuk menjatuhkan Islam. Kita pun boleh faham perkara ini kerana Hatib telah berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjuang di dalam Perang Badr. Kalau beliau tidak ikhlas dengan agama Islam, tentulah beliau tidak melakukan perkara-perkara ini. Alasan yang diberikan juga dapat dikenalpasti sebagai benar: beliau dan keluarganya memang pendatang ke Mekah dan tidak ada pelindung.

Walaupun begitu, perbuatan Hatib itu tetap salah dan telah menerima teguran daripada Allah ﷻ seperti yang disebut di dalam ayat-ayat surah ini. Akan tetapi tidaklah hukuman yang dikenakan kepada beliau itu seperti hukuman yang diberikan kepada golongan munafik.

Tidak ada dalam riwayat yang mengatakan beliau dikenakan dengan apa-apa bentuk hukuman fizikal oleh Rasulullah ﷺ. Namun apabila tiga ayat ini memperkatakan tentang perbuatannya, tentulah sebagai seorang mukmin itu pun sudah cukup sebagai hukuman berat bagi Hatib.

Kedudukan Hatib sebagai Ahli Badr tidaklah menjadi ‘tiket’ kepada beliau dan Ahli Badr yang lain untuk berbuat dosa. Walaupun begitu, oleh kerana pengorbanan besar yang mereka telah lakukan di Badr, maka Allah ﷻ melihat mereka dengan pandangan rahmat dan sanggup untuk mengampunkan dosa-dosa mereka jikalau Allah ﷻ mahu.

Melakukan pembocoran rahsia kerajaan Islam tidaklah terus menjadikan seseorang itu kufur atau terkeluar daripada Islam. Ia adalah tetap berdosa, tetapi tidaklah sampai mengeluarkan seseorang itu daripada Islam.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه hendak membunuh Hatib, Nabi Muhammad ﷺ tidaklah kata hukuman itu tidak boleh. Maknanya itu memang perbuatan yang salah. Cuma baginda ﷺ memberikan ruang kepada Hatib kerana kedudukan beliau sebagai Ahli Badr. Maka ulama’ fiqh berbeza pendapat apakah hukuman yang dikenakan kepada mata-mata (spy) kerajaan yang membocorkan rahsia kerajaan Islam.

Ada yang kata hukum bunuh dan ada yang kata penjara. Ada yang kata terpulang kepada Khalifah untuk menilai apakah keadaan yang terlibat dan berapa besar kerosakan yang dilakukan.

Dalam mendapat maklumat daripada wanita yang menyimpan surat Hatib, Saidina Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain telah mengugut untuk membogelkan wanita itu kalau dia tidak memberikan surat itu. Perkara itu tidaklah terjadi tetapi mereka telah mengancam wanita itu yang mereka akan melakukannya jikalau wanita itu tidak memberikan surat itu.

Ini menjadi hujah bahawa dalam mendapatkan maklumat daripada orang bersalah, boleh dibogelkan walaupun wanita. Tentu sekali mereka telah memberitahu kepada baginda ﷺ keadaan itu dan baginda tidak menegur mereka kerana telah mengugut begitu.


 

Mumtahanah Ayat 4: Allah ﷻ suruh orang mukmin menjadikan perbuatan dan kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh teladan. Jangan bersekongkol dengan ahli keluarga yang kafir. Lihatlah apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام sanggup lakukan: Baginda sanggup berpisah dengan ahli keluarganya yang kufur.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ ۖ رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا وَإِلَيكَ أَنَبنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has already been for you an excellent pattern1 in Abraham and those with him, when they said to their people, “Indeed, we are disassociated from you and from whatever you worship other than Allāh. We have denied you, and there has appeared between us and you animosity and hatred forever until you believe in Allāh alone” – except for the saying of Abraham to his father, “I will surely ask forgiveness for you, but I have not [power to do] for you anything against Allāh. Our Lord, upon You we have relied, and to You we have returned, and to You is the destination.

  • An example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”. (Ibrahim berkata): “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

 

 

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ

Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim

Kisah para Nabi عليهم السلام sepatutnya dijadikan sebagai teladan bagi kita. Mereka itu adalah contoh yang amat baik bagi orang yang beragama. Dalam Nisa:69 disebut yang para Nabi عليهم السلام adalah antara golongan yang mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Maka kita kenalah mengikut cara hidup mereka dan perjuangan mereka untuk kita mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Kita tidak boleh menjadi Nabi, tetapi kita tetap boleh ikut cara-cara mereka.

Salah seorang Nabi yang besar adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an ini dan kita hendaklah mengkaji kisah-kisah itu dengan saksama.

 

 

وَالَّذينَ مَعَهُ

dan orang-orang yang bersama dengan dia; 

Bukan sahaja kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan sebagai contoh, tetapi kisah mereka yang bersama baginda juga patut dijadikan sebagai contoh.

Dalam ayat ini kita dapat tahu satu perkara yang kita mungkin tidak tahu sebelum ini, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام juga ada para sahabat yang bersama dengan baginda. Akan tetapi tidak banyak maklumat yang kita tahu tentang mereka. Secara umumnya, yang mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak ramai.

 

 

إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, 

Para sahabat Nabi Ibrahim عليه السلام itu telah beriman dan mereka sanggup taat kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka berpegang dengan ajaran tauhid sampaikan mereka sanggup berlepas diri daripada puak mereka yang mengamalkan syirik. Inilah sekali lagi contoh wala’ wal bara’ yang kita perlu ikuti. Hendaklah berlepas diri daripada orang yang melakukan perlanggaran syariat.

Kalimah baraa’ adalah sama seperti apa yang ada dalam Surah Tawbah (juga salah satu nama Surah Tawbah) dan kita telah katakan di awal surah ini yang Surah Mumtahanah ini memang berkait rapat dengan Surah Tawbah.

Salah satu daripada pegangan agama adalah menolak taghut. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda telah menolak kesyirikan yang dilakukan oleh kaum baginda. Kita tidak boleh bersama dengan golongan musyrik itu dan menerima apa yang mereka lakukan.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda nampak yang kaum mereka tidak akan berubah, maka mereka berlepas diri daripada mereka itu dan bertindak untuk meninggalkan mereka. Maknanya, kena lihat keadaan juga – jangan terus tinggalkan, kerana kita kena berdakwah juga kepada mereka. Hanya apabila sudah lama berdakwah dan mereka tetap tidak mahu beriman, maka waktu itulah baru meninggalkan mereka.

 

 

كَفَرنا بِكُم

kami ingkari (kekafiran)mu 

Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda kufur (menolak) dengan perbuatan kaum mereka;  bermaksud orang mukmin itu tidak nampak yang kaum mereka itu ada harapan untuk beriman lagi.

 

 

وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا

dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya

Oleh kerana amalan syirik mereka sudah sebati dalam diri mereka, maka mereka tidak akan dapat bersatu atas dasar tauhid. Maka tentu nyata permusuhan dan kebencian antara mereka. Kerana akidah tidak sama dan pegangan pun tidak sama. Dan kerana itu, amalan pun tidak akan sama.

 

 

حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

sampai kamu beriman kepada Allah saja. 

Maka permusuhan dan kebencian itu akan tetap ada melainkan jika mereka yang musyrik itu meninggalkan amalan dan fahaman syirik mereka dan beriman kepada tauhid juga. Maka penolakan kepada perlakuan syirik itu bukan sekejap-sekejap sahaja tetapi selama-lamanya melainkan mereka berubah. Waktu itu barulah boleh duduk bersama dengan mereka di atas satu akidah.

Allah ﷻ telah menceritakan tentang contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda mengajak kepada ajaran tauhid dan berlepas diri daripada mereka yang berfahaman musyrik. Maka itu adalah contoh baik yang kita sebagai umat Islam kena ikut.

Kecuali satu perkara yang kita tidak boleh ikut daripada perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام. Apakah ia?

 

 

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ

Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya:  

Nabi Ibrahim عليه السلام sangat sayang kepada ayahnya dan tidak sanggup memikirkan ayahnya dibakar di dalam neraka maka baginda berjanji untuk meminta ampun bagi pihak ayahnya. Sebelum baginda meninggalkan bapa baginda untuk menuju ke Palestin, baginda telah berjanji kepada ayahnya.

 

 

لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ

“Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Baginda berjanji kepada bapanya yang baginda akan meminta ampun bagi pihak bapanya. Ini telah disebut dalam Maryam: 47

 

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

 

 

Juga telah disebut dalam Syu’ara’: 86

وَاغفِر لِأَبي إِنَّهُ كانَ مِنَ الضّالّينَ

dan ampunilah bapaku, kerana sesungguhnya dia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat,

 

 

Maka sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan terhadap kaum keluarga dan umat baginda (meninggalkan mereka), maka hendaklah kamu orang-orang Mukmin ikut contoh baginda itu. Yang tidak boleh ikut contoh baginda adalah apabila baginda berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa bapanya. Larangan ini telah disebut dalam Tawbah: 113

 

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

 

 

Maka kalau kita ada ibubapa yang telah mati dalam akidah kufur, maka tidak ada cara lagi bagi kita untuk menyelamatkan mereka lagi. Masa mereka untuk bertaubat telah berlalu. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa lain, kecuali dosa syirik. Maka mereka tidak ada harapan lagi.

Tidak boleh gunakan contoh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat Surah Mumtahanah ini kerana tidak ada larangan lagi pada waktu itu dan baginda tidak tahu. Maka orang yang masuk Islam hanya boleh mendoakan ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka masih hidup sahaja (supaya mereka diberi hidayah). Selepas itu tidak boleh lagi.

 

 

وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ

dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun daripada kamu (seksaan) Allah”.

Baginda عليه السلام tahu baginda tiada kuasa untuk meminta ampun dan memberi keampunan kepada bapa baginda. Baginda عليه السلام cuma ikhtiar sahaja dengan berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, dikatakan yang kalaulah ada perkara lain yang baginda عليه السلام boleh buat untuk ayahnya itu, baginda akan lakukan kerana baginda sayang kepada ayahnya.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام sedar kesalahan baginda meminta ampun bagi pihak bapanya itu, maka baginda telah meninggalkan doa baginda itu seperti disebut dalam Tawbah:114

 

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

 

 

Maka, ini adalah dalil bahawa yang kita hanya ikut amalan para Nabi عليهم السلام yang mereka telah lakukan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalau amalan itu para Nabi عليهم السلام sendiri tinggalkan, maka tidaklah boleh kita ikut. Tidak boleh menggunakan dalil perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa untuk ayahnya ini sebagai amalan kita pula kerana baginda عليه السلام pun sedar kesalahan baginda itu dan baginda sendiri tinggalkan.

 

 

رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا

“Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakal 

Ini adalah doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda apabila mereka meninggalkan kaum mereka menuju ke tempat lain. Ini menunjukkan baginda dan orang mukmin hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja dan menyerahkan urusan mereka kepada-Nya.

 

 

وَإِلَيكَ أَنَبنا

dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat 

Memang hanya kepada Allah ﷻ sahaja tempat harapan dan pergantungan kita. Kalau kita telah melakukan kesalahan, maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ.

 

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

Kita semua akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kita selama kita hidup di dunia. Maka kena sedar perkara ini dan ingat sentiasa. Kalau kita dapat ingat, maka tentulah kita takut untuk melakukan kesalahan dan dosa. Ini kerana kita takut untuk menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti.


 

Mumtahanah Ayat 5: Ini adalah munajat (doa secara bersendirian) Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ.

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا وَاغفِر لَنا رَبَّنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, make us not [objects of] torment for the disbelievers and forgive us, our Lord. Indeed, it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 

 

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir.

Ada beberapa tafsir bagi ayat ini:

1. Kalimah ‘fitnah’ bermaksud ‘ujian’ (bukan seperti fahaman kebanyakan orang Melayu tentang maksud ‘fitnah’, itu sebenarnya ‘tohmah’). Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya jangan jadikan umat Islam sebagai mangsa kepada orang-orang kafir kerana orang-orang kafir akan buat macam-macam perkara yang buruk kepada manusia. Janganlah orang Islam menjadi mangsa bagi ujian itu.

Sebagai contoh, kalau dimenangkan orang kafir ke atas orang mukmin, orang mukmin boleh menggunakan ini sebagai hujah untuk mengatakan yang mereka yang kafir itulah yang benar dan orang mukmin itu pula yang salah. Ini kerana ramai manusia sangka yang menang, yang kaya, yang senang itu yang benar (walaupun sebenarnya tidak).

Maka ini adalah doa meminta keselamatan daripada tangan orang-orang kafir. Doa ini amat penting dan Allah ﷻ ajar terutama kepada para sahabat Nabi ﷺ dan ahli keluarga mereka yang sedang diganggu atau dibunuh oleh orang-orang kafir. Kita pun boleh gunakan doa ini kerana ia adalah amat baik sekali.

2. Satu lagi maksud yang lebih dalam daripada doa ini adalah supaya kita tidak menjadi ‘ujian’ kepada orang-orang kafir daripada masuk Islam. Ini kerana jika mereka lihat akhlak kita dan perbuatan kita yang buruk, ia boleh menyebabkan mereka tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Ini kerana mereka tentu akan berasa sangsi: “Kalau agama Islam ini benar, tentu orang yang menganutinya juga adalah baik. Tapi aku lihat orang Muslim ini teruk belaka perangainya”.

Memang tidak dapat dinafikan ramai dalam kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar. Maka perbuatan mereka telah menyebabkan nama Islam dikotori. Orang tidak pandang tinggi kepada Islam kerana melihat kepada orang Islam itu sendiri. Padahal, kesucian agama Islam tidak bergantung kepada penganutnya. Agama Islam itu sudah benar, tetapi penganutnya sahaja yang tidak tahu mengamalkannya.

Ujian bagi orang yang belum masuk Islam adalah membezakan antara ‘agama Islam’ dan ‘orang Islam – Muslim’. Ia tidak semestinya sama. Kalau mereka nilai agama Islam dan Muslim itu sama, ada kemungkinan mereka akan pandang agama Islam itu sebagai buruk. Kerana itu ada orang yang pernah berkata: “Alhamdulillah aku kenal Islam sebelum aku kenal orang Muslim”.

Ini kerana kalau dia kenal dan lihat perangai orang Islam yang buruk, mungkin dia pun tidak teringin hendak masuk Islam. Namun dia sempat mempelajari agama Islam yang benar yang menyebabkan dia tertarik dan dia masuk Islam. Selepas itu baru dia tahu yang rupanya ramai orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar pun.

Maknanya kita berdoa supaya kita tidak menjadi penghalang kepada orang-orang kafir untuk kenal dan masuk Islam. Janganlah mereka lihat kita dan terus membuat keputusan yang agama Islam itu adalah agama yang buruk. Oleh itu, kita minta Allah ﷻ perbaiki diri kita supaya kita ini baik dan menjadi contoh yang baik bagi agama Islam.

Kita kena sedar realiti umat Islam sekarang  yang buruk perangainya. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan sebagai contoh ada negara Islam yang menindas rakyatnya; dan kita pun boleh nampak akhlak ramai orang Islam sekarang amat buruk sampaikan ia memberi kesan yang buruk kepada agama Islam sendiri. Ini kerana orang bukan Islam tentu melihat dan menilai: kalau agama Islam ini baik maka tentulah umatnya juga baik, bukan?

Ini tidak semestinya kerana ada sahaja orang Islam yang tidak amalkan ajaran dalam agamanya pun. Masalahnya orang-orang bukan Islam ramai yang melihat semua orang Islam sebagai ‘wakil’ kepada agama Islam dan segala perbuatan orang-orang yang bodoh dalam kalangan kita pun merujuk kepada kesalahan di dalam agama ini.

Ini tidak dapat dipersalahkan sangat kerana mereka bukannya mahu melihat ‘teori’ tentang agama Islam tetapi mereka mahu melihat bagaimana Islam dipraktikkan oleh orang-orang Muslim. Ini memang kebiasaan manusia. Sebagai contoh, kehebatan sesebuah universiti itu dilihat kepada graduannya, bukan?

Maka perbuatan beberapa orang yang bodoh boleh menyebabkan rosaknya dakwah yang kita hendak sampaikan kepada orang luar. Oleh sebab itu kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang yang bodoh itu.

3. Doa ini juga meminta supaya tidaklah orang kafir itu dapat mengalahkan orang Islam sampaikan nanti orang Islam pula akan meninggalkan agama Islam kerana tidak tahan dengan dugaan. Ini kerana ada yang kalau susah sangat duduk dalam agama Islam, ada yang boleh meninggalkan agama ini. Mungkin juga ada orang yang tidak tahan dengan ujian kehidupan.

 

 

وَاغفِر لَنا رَبَّنا

Dan ampunilah kami ya Tuhan kami.

Dan harapan kepada pengampunan juga dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana memang minta ampun ini hendaklah selalu diamalkan oleh kita setiap hari kerana kita selalu sahaja melakukan kesilapan dan dosa.

 

 

إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sekarang kita diajar tentang sifat-sifat Allah ﷻ. Di sini disebut yang Allah ﷻ bersifat al-Aziz: Maknanya Allah ﷻ boleh sahaja mengazab sesiapa sahaja yang telah melakukan kesalahan dan syirik. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada manusia bila-bila masa sahaja.

Akan tetapi Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem: ini merujuk kepada kebijaksanaan Allah ﷻ memberi tangguh kepada makhluk-Nya untuk mengubah cara hidup dan amalan mereka. Tidaklah hamba yang berdosa Allah ﷻ terus beri azab dan hukuman kepada mereka (kita panggil beri ‘cash’).

Ini memberi peluang kepada semua daripada kita untuk belajar dan membaiki kesalahan. Kalaulah Allah ﷻ tidak beri tangguh dan terus mengazab sesiapa yang berdosa dan melakukan syirik, tentu tidak ada sesiapa yang hidup di dunia ini kerana semua akan mati belaka. Kita dulu sebelum belajar pun entah berapa banyak dosa kita telah buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Semptember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 1 – 2 (Jangan berharap kepada orang kafir)

Pengenalan Surah Mumtahanah

Surah ini ada kena-mengena dengan Surah Tawbah di mana di dalam surah itu disebut arahan untuk menyerang Mekah. Apabila itu terjadi, maka ada para sahabat yang sangsi dengan arahan itu, kerana di Mekah itu ada juga orang-orang Islam yang telah beriman secara rahsia dan para sahabat takut kalau mereka itu akan terganggu. Takut nanti mereka akan terbunuh sekali dalam serangan daripada golongan Muslim.

Ada seorang sahabat (yang bernama Hatib bin Abi Balta’a رضي الله عنه) yang masih mempunyai keluarganya di Mekah dan dia takut jikalau terjadi peperangan nanti, maka orang-orang Mekah akan menyakiti keluarganya ataupun membunuh mereka. Ini kerana keluarganya adalah pendatang sahaja di Mekah dan tidak ada puak di sana yang akan melindungi mereka disebabkan mereka itu orang menumpang sahaja. Musyrikin Mekah telah bertindak ganas kepada ahli keluarga muhajireen yang masih ada di Mekah. Kalau ada bantuan daripada puak mereka sendiri, maka mungkin mereka selamat.

Akan tetapi Saidina Hatib dan keluarganya berasal dari Yaman. Mereka tidak ada pelindung. Maka beliau hendak memberi maklumat kepada puak Mekah itu agar mereka tetap memberi perlindungan kepada keluarganya di Mekah. Beliau berharap dengan maklumat itu, golongan Musyrikin Mekah akan berasa terhutang budi dengannya dan memberi perlindungan kepada keluarganya di sana. Beliau yakin yang Allah ﷻ pasti akan memberi kemenangan kepada Islam dan pembocoran maklumat daripadanya itu tidak akan memberi kesan kepada kalah atau menangnya mereka nanti.

Atau, keluarganya itu belum masuk Islam lagi, tetapi beliau yakin yang sekiranya beliau berdakwah lagi kepada mereka, mereka tentu akan masuk Islam. Ini adalah sangkaannya sahaja. Beliau benar-benar berharap sekiranya beliau sampaikan maklumat kepada mereka, maka mereka akan melarikan diri ke tempat lain dahulu untuk menyelamatkan diri mereka.

Oleh itu, beliau telah memberi surat secara rahsia kepada keluarganya yang berada di Mekah itu untuk memberitahu rancangan umat Islam untuk menyerang Mekah. Beliau hendak menyuruh mereka lari keluar dahulu.

Surat itu amat bahaya kerana ia membocorkan rahsia rancangan umat Islam. Rasulullah ﷺ telah mendapat wahyu daripada Allah ﷻ tentang surat itu dan baginda telah memberi arahan kepada Saidina Ali رضي الله عنه dan beberapa sahabat yang lain (Zubair dan Miqdad bin Aswad) untuk mengambil surat itu dan baginda telah memberitahu dengan siapakah surat itu dan di mana pembawa surat itu berada. Baginda ﷺ beritahu yang surat itu ada pada seorang wanita dan dipendekkan cerita mereka mendapat surat itu daripada wanita itu.

Kalimah الممتحنة‎ berasal daripada kata dasar م ح ن yang bermaksud ‘periksa’. Kerana itulah ‘peperiksaan’ dipanggil ‘imtihan’. Ini adalah kerana apabila Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain berjumpa dengan wanita itu, dia tidak mengaku ada surat padanya. Mereka cuba cari pada kenderaannya namun tidak ada. Maka Ali رضي الله عنه beritahu yang kalau dia tidak keluarkan juga surat itu juga, mereka akan bogelkan dia dan periksa dia juga kerana Rasulullah ﷺ tidak akan menipu kerana baginda ﷺ telah mendapat wahyu. Setelah dikatakan begitu, barulah wanita itu mengeluarkan surat tersebut.

Apabila surat itu dibawa kepada Rasulullah ﷺ dan sahabat itu (Hatib) dibawa ke hadapan baginda, Umar رضي الله عنه sudah hendak membunuhnya tetapi Rasulullah ﷺ mengatakan yang sahabat itu adalah Ahli Badr dan kesalahan beliau telah diampunkan oleh Allah ﷻ maka sahabat itu selamat daripada pedang Umar رضي الله عنه.

Nabi Muhammad ﷺ juga memberitahu yang alasan daripada sahabat itu adalah normal dan beliau bukanlah munafik tetapi apa yang beliau lakukan itu memang salah. Cuma kerana kedudukannya sebagai Ahli Badr, beliau telah diselamatkan.

Ini sebagaimana yang disebutkan kisahnya dalam hadith berikut yang telah disepakati kesahihannya.
حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، قَالَ حَدَّثَنِي الْحَسَنُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ، أَنَّهُ سَمِعَ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي رَافِعٍ، كَاتِبَ عَلِيٍّ يَقُولُ سَمِعْتُ عَلِيًّا ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَا وَالزُّبَيْرَ وَالْمِقْدَادَ فَقَالَ ‏”‏ انْطَلِقُوا حَتَّى تَأْتُوا رَوْضَةَ خَاخٍ فَإِنَّ بِهَا ظَعِينَةً مَعَهَا كِتَابٌ فَخُذُوهُ مِنْهَا ‏”‏‏.‏ فَذَهَبْنَا تَعَادَى بِنَا خَيْلُنَا حَتَّى أَتَيْنَا الرَّوْضَةَ فَإِذَا نَحْنُ بِالظَّعِينَةِ فَقُلْنَا أَخْرِجِي الْكِتَابَ فَقَالَتْ مَا مَعِي مِنْ كِتَابٍ‏.‏ فَقُلْنَا لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ أَوْ لَنُلْقِيَنَّ الثِّيَابَ‏.‏ فَأَخْرَجَتْهُ مِنْ عِقَاصِهَا فَأَتَيْنَا بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَإِذَا فِيهِ مِنْ حَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ إِلَى أُنَاسٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ مِمَّنْ بِمَكَّةَ يُخْبِرُهُمْ بِبَعْضِ أَمْرِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَا هَذَا يَا حَاطِبُ ‏”‏‏.‏ قَالَ لاَ تَعْجَلْ عَلَىَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ امْرَأً مِنْ قُرَيْشٍ وَلَمْ أَكُنْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَكَانَ مَنْ مَعَكَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ لَهُمْ قَرَابَاتٌ يَحْمُونَ بِهَا أَهْلِيهِمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِمَكَّةَ فَأَحْبَبْتُ إِذْ فَاتَنِي مِنَ النَّسَبِ فِيهِمْ أَنْ أَصْطَنِعَ إِلَيْهِمْ يَدًا يَحْمُونَ قَرَابَتِي وَمَا فَعَلْتُ ذَلِكَ كُفْرًا وَلاَ ارْتِدَادًا عَنْ دِينِي‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكُمْ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ عُمَرُ دَعْنِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ ـ عَزَّ وَجَلَّ ـ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ عَمْرٌو وَنَزَلَتْ فِيهِ ‏{‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ‏}‏ قَالَ لاَ أَدْرِي الآيَةَ فِي الْحَدِيثِ أَوْ قَوْلُ عَمْرٍو‏.‏ حَدَّثَنَا عَلِيٌّ قِيلَ لِسُفْيَانَ فِي هَذَا فَنَزَلَتْ ‏{‏لاَ تَتَّخِذُوا عَدُوِّي‏}‏ قَالَ سُفْيَانُ هَذَا فِي حَدِيثِ النَّاسِ حَفِظْتُهُ مِنْ عَمْرٍو وَمَا تَرَكْتُ مِنْهُ حَرْفًا وَمَا أُرَى أَحَدًا حَفِظَهُ غَيْرِي‏.‏

Diriwayatkan `Ali رضي الله عنه:

Rasulullah (ﷺ) mengirim saya bersama Az-Zubair dan Al-Miqdad dan berkata, “Pergilah sampai ke tempat yang disebut Raudat-Khakh di mana ada seorang wanita yang bermusafir dengan cara menaiki unta. Dia mempunyai surat. Ambil surat daripadanya. “Maka kami berangkat dan kuda-kuda kami berlari dengan laju hingga kami sampai di Raudat Khakh dan kami melihat wanita itu dan berkata (kepadanya), “Keluarkan surat itu!” Dia berkata, “Saya tidak mempunyai surat dengan saya. “Kami berkata, “Sama ada kamu mengeluarkan surat itu atau kami akan menanggalkan pakaianmu. “Jadi dia mengeluarkan surat itu daripada jalinan rambutnya. Kami membawa surat itu kepada Nabi (ﷺ) dan surat itu disampaikan oleh Hatib bin Abi Balta’a kepada beberapa orang kafir di Mekah, memberitahu mereka tentang beberapa urusan Nabi ﷺ. Nabi (ﷺ) berkata, “Apa ini, wahai Hatib? ” Hatib menjawab, “Jangan terburu-buru menghukumku, ya Rasulullah (ﷺ)! Aku adalah seorang lelaki Ansari dan bukan milik mereka (orang kafir Quraisy) sedangkan para berhijrah yang bersamamu mempunyai saudara mereka yang boleh melindungi keluarga mereka dan harta tanah di Mekah. Jadi, sebagai ganti rugi kerana tidak mempunyai pertalian darah dengan mereka.’ Aku berhasrat untuk menolong mereka agar mereka dapat melindungi saudara-saudaraku (di Mekah) dan aku tidak melakukan ini kerana tidak percaya atau cenderung untuk meninggalkan agamaku. “Nabi ﷺ kemudian berkata (kepada para sahabatnya), “Dia (Hatib) telah mengatakan yang benar. “Umar رضي الله عنه berkata, “Ya Rasulullah! Izinkan aku memotong kepalanya? ” Rasul ﷺ berkata, “Dia adalah salah satu daripada mereka yang menyaksikan (berperang) dalam Perang Badar dan apa yang kamu tahu, mungkin Allah memandang orang-orang Badar (pejuang Badar) dan berkata, ‘Lakukanlah apa yang kamu mahukan seperti yang aku miliki maafkan kamu.’ “( `Amr, seorang sub-perawi, berkata,: Ayat ini diturunkan tentang dia (Hatib): ‘Hai orang-orang yang beriman! Janganlah mengambil musuh-musuhku dan musuh-musuhmu sebagai teman atau pelindung.’ (60. 1) Diriwayatkan `Ali: Sufyan ditanya apakah (Ayat): ‘Jangan ambil musuh-Ku dan musuh-musuhmu . . .’ diturunkan berkaitan dengan Hatib. Sufyan menjawab, “Ini terjadi hanya dalam riwayat orang-orang. Aku menghafal Hadith daripada `Amr, bukan walaupun tidak ada satu huruf pun dan aku tidak mengetahui siapa pun yang mengingatinya dengan hati selain aku. “

(Hadith Riwayat Bukhari 4890)

 

Begitulah kisah ini disebut di awal surah ini.

Surah ini memberitahu kepada orang-orang yang beriman untuk memutuskan hubungan dengan orang-orang kafir kerana mereka tidak patut ada hubungan yang rapat dengan orang-orang kafir. Ini telah disentuh dalam ayat terakhir surah sebelum ini, Surah Mujaadilah.

Maka ayat ini adalah teguran kepada orang-orang mukmin. Ini bukan seperti surah-surah yang lain sebelum ini iaitu teguran kepada orang-orang Munafik.

Surah ini seperti juga  Surah  Hashr sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Surah ini adalah surah keempat daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


 

Mumtahanah Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama mengajar kita yang kaum mukmin akan setia kepada negaranya. Allah ﷻ mengajar jangan khianati jamaah Muslimin/Negara Islam dengan membocorkan rahsia ketenteraan atau keselamatan negara.

Latar belakang ayat: Nabi Muhammad ﷺ telah mengadakan perbincangan dengan para sahabat untuk menyerang Mekah pada tahun 8 hijrah. Akan tetapi ada sahabat yang sangsi dengan keputusan itu dan ada yang hendak menyelamatkan kawan/keluarga mereka. Ini kerana mereka rapat dengan golongan yang tidak masuk Islam lagi. Maka Allah ﷻ menegur mereka dalam surah ini.

Dalam perenggan ini juga Allah ﷻ suruh kita menjadikan Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh, kerana baginda ﷺ sanggup berlepas diri dan memutus hubungan dengan kerabat yang kafir yang memusuhi agama Allah ﷻ.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم ۙ أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي ۚ تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم ۚ وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Mumtaḥinah: That (Sūrah) Which Examines. Also called “al-Mumtaḥanah,” meaning “The Woman Examined.”

O you who have believed, do not take My enemies and your enemies as allies,¹ extending to them affection while they have disbelieved in what came to you of the truth, having driven out the Prophet and yourselves [only] because you believe in Allāh, your Lord. If you have come out for jihād [i.e., fighting or striving] in My cause and seeking means to My approval, [take them not as friends]. You confide to them affection [i.e., instruction], but I am most knowing of what you have concealed and what you have declared. And whoever does it among you has certainly strayed from the soundness of the way.

* i.e., close associates and friends.

(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia

Teguran ini diberikan kepada para sahabat yang mukmin. Allah ﷻ menegur sahabat yang cuba untuk dapatkan perlindungan daripada Musyrikin Mekah dengan memberitahu bahawa puak Muslim akan menyerang mereka.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain, iaitu:

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. (Al-Maidah: 51)

 

 

Seperti yang telah disebut, ada sahabat yang telah memberitahu tentang rancangan umat Islam kepada Musyrikin Mekah. Beliau melakukannya kerana hendak mengharapkan belas kasihan daripada mereka. Namun Allah ﷻ hendak beritahu yang ini perbuatan adalah sia-sia sahaja dan tidak akan terjadi kerana mereka itu tidak boleh diharap.

Maka Allah ﷻ melarang mereka dan juga kita, daripada menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia. Orang-orang kafir itu tidak boleh dipercayai. Kena faham, ‘kafir’ itu adalah mereka yang menentang agama Islam dan orang Islam. Kena bezakan antara ‘non-Muslim’ dan ‘anti-Muslim’ (inilah yang dipanggil kafir). Kalau setakat non-Muslim sahaja, kita masih boleh berkawan dengan mereka dan berbuat baik dengan mereka.

 

تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang;

Kadangkala orang Islam rasa sayang dengan kenalan atau keluarga mereka yang masih dalam golongan kafir. Maka mereka melakukan perkara untuk kebaikan mereka.

Oleh kerana itulah Asbabun Nuzul (sebab turun) ayat ini adalah tentang sahabat yang memberikan maklumat rahsia kepada mereka kerana sahabat itu sayang kepada orang yang diberi maklumat itu.

Ini menyentuh satu konsep yang dinamakan wala’ wal bara’. Tunjuk sayang dan tunjuk benci. Tunjuk sayang kepada orang yang baik dan tunjuk benci kepada orang yang tidak baik. Begitu juga kita tunjuk suka kepada amalan sunnah dan tunjuk benci kepada amalan bid’ah.

 

 

وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ

padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, 

Namun Allah ﷻ mengingatkan yang sekiranya mereka itu kafir (yang menentang Islam), mereka tetap musuh walaupun ada talian kekeluargaan. Ini kerana mereka telah menolak dan menentang kebenaran yang sampai kepada mereka. Kalimah الحق yang disebut dalam ayat ini boleh merujuk kepada Al-Qur’an atau merujuk kepada agama Islam.

Juga kafir yang menentang keduanya. Maka jangan jadikan mereka sebagai teman rapat. Ini adalah kerana mereka telah ingkar wahyu. Mana boleh orang yang ingkar wahyu dipercayai?

 

 

يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم

mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu 

Allah ﷻ mengingatkan para sahabat bagaimana Musyrikin Mekah itu telah menghalau Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم dari Mekah. Ini adalah kemuncak permusuhan mereka. Dan jika mereka menghalau manusia yang paling baik (Rasulullah ﷺ) dan mereka percaya itu perbuatan yang benar, maka bagaimana lagi para sahabat boleh berharap mereka akan berbaik dengan mereka?

 

 

أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم

kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. 

Allah ﷻ beritahu kenapa Musyrikin Mekah itu menentang dan hendak menyakiti umat Islam bukan kerana kesalahan pun. Ia adalah kerana para sahabat itu hendak beriman dengan iman tauhid sahaja. Bukannya sebab lain dan bukan kerana ada kesalahan yang dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم.

Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللهِ. الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ}

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha perkasa lagi Maha Terpuji. (Al-Buruj: 8)

 

 

Allah ﷻ mengingatkan yang golongan musyrikin itu bukan teman kepada orang Mukmin. Maka ini adalah teguran untuk kebaikan. Jangan lagi berharap kepada mereka yang secara terang-terangan telah menentang agama Islam.

 

 

إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي

Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku 

Sekiranya umat Islam berhijrah dahulu dan kemudian keluar untuk berjuang menegakkan agama Allah ﷻ, maka kena tunjuk cara orang berjuang. Perjuangan itu kerana hendak mencari redha Allah ﷻ, bukan sebab yang lain. Jangan berkawan baik dan berharap dengan orang kafir yang menentang Islam.

Maka kalau begitu, jangan belot kepada umat Islam. Jika kamu benar-benar mencari redha Allah ﷻ, maka kenalah terima hakikat ini. Kenalah terima nasihat ini. Jangan cari redha manusia, tetapi carilah redha Allah ﷻ.

 

 

تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

Kamu memberitahukan secara rahsia kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. 

Allah ﷻ menegur perbuatan sahabat dan orang lain yang memberi maklumat rahsia kepada musuh Islam. Mereka yang melakukan perbuatan itu kerana mereka kasih kepada orang kafir itu. Mereka bukannya hendak menjatuhkan agama, tetapi kerana sayang kepada orang sahaja. Tidak salah berkasih dengan orang lain, namun kena lebih setia kepada Negara Islam.

 

 

وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم

dan Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. 

Walaupun mereka melakukan pembocoran rahsia itu dengan segala macam cara untuk merahsiakannya, tetapi Allah ﷻ mengingatkan mereka yang Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan. Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Lihatlah dalam kes Hatib ini, Allah ﷻ tunjukkan secara nyata bahawa Dia tahu apa yang telah dilakukan olehnya. Walaupun beliau telah melakukan langkah berahsia sungguh-sungguh.

Allah ﷻ juga tahu perasaan kasih sayang mereka terhadap golongan kufar. Mereka mungkin sembunyikan, tetapi Allah ﷻ tahu.

 

 

وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sesiapa yang ada hubungan baik dengan Kafir Harbi sampai membocorkan rahsia kerajaan Islam, maka dia telah sesat dari jalan yang lurus. Ia adalah dosa yang amat-amat besar.

Ada yang mengatakan Hatib dimaafkan kerana apa yang beliau lakukan adalah diplomasi yang dilakukan untuk menyelamatkan keluarganya. Ini seperti firman Allah ﷻ lainnya yang menyebutkan:

 

{لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ}
Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. (Ali Imran: 28)

 

Mumtahanah Ayat 2: Allah ﷻ memberitahu kenapa sia-sia sahaja berharap kepada kasih orang kafir kerana ia adalah seperti bertepuk sebelah tangan sahaja. Mereka tidak akan membantu umat Islam dan agama Islam.

Orang Islam sahaja yang berasa kasih kepada orang kafir itu, tetapi orang kafir itu tidak kasih pun kepada mereka (kerana mereka benci kepada Islam). Dan orang kafir itu tidak akan melayan orang Islam seperti yang diharapkan. Maka, ini umpama orang Islam sahaja terhegeh-hegeh kepada orang kafir. Ini tidak patut. Maka Allah ﷻ sekarang beritahu apa yang ada di dalam hati golongan kafir itu.

‎إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
If they gain dominance over you, they would be [i.e., behave] to you as enemies and extend against you their hands and their tongues with evil, and they wish you would disbelieve.

(MELAYU)
Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu); dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir.

 

 

إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً

Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu

Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam hati orang kafir itu. Ini kerana manusia tidak tahu apa yang ada dalam hati orang lain, maka Allah ﷻ yang beritahu. Allah ﷻ beritahu yang jikalau golongan musyrikin itu dapat menangkap orang Islam itu, mereka pasti akan menyakiti orang Islam. Mereka akan tangkap sebagai musuh, bukan sebagai kawan.

Mungkin ada golongan musuh yang berbaik dengan kita sebelum mereka menang. Namun sekarang Allah ﷻ beritahu, kalau mereka menang, mereka akan tunjukkan belang mereka yang sebenar.

 

 

وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم

dan melepaskan tangan mereka kepadamu

Golongan kafir itu akan memanjangkan tangan mereka kepada orang Islam, maksudnya akan bertindak dan berusaha untuk menyakiti orang Islam. Sama ada dengan cara mencederakan, seksa atau bunuh.

 

 

وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ

dan lidah dengan menyakiti(mu);

Dan mereka akan menggunakan lidah mereka untuk menyakiti umat Islam. Mereka akan kata macam-macam, lempar berbagai tuduhan, penipuan dan diayah yang palsu-palsu untuk memburukkan nama Islam.

 

 

وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

dan mereka ingin supaya kamu kafir.

Mereka buat itu semua kerana mereka tidak redha dengan keislaman umat Islam. Mereka ingin sangat umat Islam menjadi kafir seperti mereka. Mereka tidak suka kalau umat Islam mengamalkan agama. Mereka amat suka kalau kita meninggalkan agama Islam.

Oleh itu sekiranya kita berbaik dengan mereka untuk mendapatkan redha mereka, mereka tidak akan redha. Ini kerana keinginan mereka sebenarnya adalah supaya umat Islam jadi murtad. Takkan kita sampai hendak murtad untuk dapatkan keredhaan mereka?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 26 Ogos 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Hashr Ayat 21 – 24 (Asmaa’ul Husna)

Hashr Ayat 21: Sekarang Allah ﷻ ajar cara untuk mendapat taqwa, iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan apa yang diajar dalam Al-Qur’an. Oleh kerana Al-Qur’an itu amat penting, maka sekarang Allah ﷻ memberitahu tentang kehebatan Al-Qur’an.

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If We had sent down this Qur’ān upon a mountain, you would have seen it humbled and splitting from fear of Allāh. And these examples We present to the people that perhaps they will give thought.

(MELAYU)

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

 

 

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung,

Al-Qur’an ini amat hebat dan Allah ﷻ buat perbandingan, kalaulah ia diturunkan kepada gunung. Dalam Surah A’raf ada disebut bagaimana Nabi Musa عليه السلام minta untuk lihat wajah Allah ﷻ. Dalam ayat itu diberitahu bagaimana Allah ﷻ telah tajalli (menampakkan diri) pada gunung dan gunung itu hancur dan Nabi Musa عليه السلام pun pengsan.

 

لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا

pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah 

Maka, begitulah juga kalau Al-Qur’an ini diturunkan kepada gunung, ia akan pecah juga. Padahal gunung ganang itu kita lihat sekarang tegak dan kukuh, bukan? Tetapi ia pun boleh pecah kalau diturunkan Al-Qur’an kepadanya.

Kalimah ‘khusyuk’ itu bermaksud tidak bergerak, kaku tunduk kerana takut. Kerana itulah dalam solat, apabila kita khusyuk, kita akan tegak sahaja tidak bergerak tubuh kita. Kerana kita sedang mengadap Allah ﷻ dalam keadaan takut kepada Allah ﷻ.

Maka, ia bermaksud hati manusia yang keras pun boleh tunduk kepada Allah ﷻ dengan meneliti ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi ajaran yang senang diterima oleh akal yang waras. Kerana itu banyak orang yang berubah sikap mereka menjadi mukmin yang baik setelah mereka mengenali Al-Qur’an. Ini kerana Al-Qur’an ini adalah mukjizat yang dapat mengubah hati dan minda manusia.

Kalimah مُّتَصَدِّعًا pula daripada kalimah ص د ع yang bermaksud ‘pecah’. Kerana takut sangat kepada tanggungjawab Al-Qur’an itu, gunung itu akan pecah. Juga bermaksud hati-hati para penentang kebenaran boleh pecah dan jatuh tunduk mengikuti ajaran Al-Qur’an apabila mereka memahami ayat-ayat Al-Qur’an.

Ini kerana hujah-hujah yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah mantap dan selesa dengan minda manusia yang waras. Ia juga tidak ada kontradiksi antara ayat-ayatnya yang menjadi hujah bahawa ia pasti datang daripada Allah ﷻ, Tuhan semesta alam. Kerana manusia tidak akan mampu menulisnya.

Namun bukankah gunung itu bukan makhluk bernyawa? Bagaimana ia boleh tunduk dan takut pula? Ini adalah perumpamaan sahaja, iaitu kalau Allah ﷻ beri mereka dengan hati, minda dan perasaan seperti manusia. Kalau mereka ada semua itu, pasti mereka takut dan tunduk. Tetapi mengapa manusia yang memang sudah ada hati, minda dan perasaan tidak tunduk takut kepada Allah ﷻ?

 

 

مِّن خَشيَةِ اللهِ

disebabkan ketakutannya kepada Allah. 

Kenapa gunung itu pecah? Kerana gunung itu takut kepada Allah ﷻ. Lebih-lebih lagi kerana takut tentang hukuman yang Allah ﷻ boleh kenakan kepada mereka. Kerana di dalam Al-Qur’an ada ayat-ayat tentang hukuman dan kerana hebatnya Al-Qur’an yang diturunkan kepadanya. Ini adalah kerana dalam Al-Qur’an itu memberitahu tentang Allah ﷻ dan gunung takut kepada Allah ﷻ.

Gunung takut kalau diberikan dengan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an itu dan kerana itu ia akan pecah. Ia tidak akan sanggup seperti yang disebut dalam Ahzab: 72

 

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

 

Akan tetapi mungkin timbul persoalan: kenapa Al-Qur’an yang kita selalu dengar dan malah dibaca seharian ini tidak memberi kesan dan rasa apa-apa kepada kita? Kenapa hati kita tidak pecah dan tidak menangis?

Kita tidak menangis dan tidak terkesan kerana kita pun tidak sedar kehebatan Al-Qur’an ini. Kita lalai tentang perkara ini. Tambahan pula kebanyakan daripada kita tidak faham pun apa yang kita baca, maka selamba sahaja kita baca ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Oleh kerana itu, Al-Qur’an mahu mengingatkan manusia dalam ayat ini tentang diri kita sendiri yang jauh daripada Al-Qur’an dan tidak menghargainya. Al-Qur’an ada bersama kita, tetapi kita tidak sedar apa yang kita ada ini. Oleh kerana jauh daripada Al-Qur’an, maka kita tidak sedar tentang kebesarannya dan kehebatannya.

 

 

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Dan itulah perumpamaan-perumpamaan yang Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Inilah salah satu misalan yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk beri kita faham tentang kehebatan Al-Qur’an ini. Bayangkan, sekeras-keras dan sebesar-besar gunung itu pun boleh tunduk dan terkesan dengan Al-Qur’an. Tetapi, bagaimana dengan kita manusia? Ramai yang buat tidak kisah sahaja, baca ayat-ayat Al-Qur’an itu biasa-biasa sahaja.

Allah ﷻ berikan cara perbandingan atau misalan ini supaya kita dapat faham. Inilah salah satu daripada cara pembelajaran yang digunakan oleh Allah ﷻ untuk mengajar kita. Memang cara perbandingan seperti ini memberi kesan kepada mereka yang memahaminya.

Begitu malang sekali kita ini apabila kita tidak memandang Al-Qur’an ini sebagai yang sepatutnya. Lihatlah apa yang sepatutnya sikap kita terhadap Al-Qur’an.

 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Allah berfirman, “Seandainya Aku turunkan Al-Qur’an ini kepada gunung untuk dipikulnya, nescaya akan terpecah belahlah dan tunduk kerana beratnya Al-Qur’an dan kerana takut kepada Allah.” Maka Allah memerintahkan kepada manusia apabila diturunkan kepada mereka Al-Qur’an, hendaklah mereka menerimanya dengan takut yang sangat (kepada Allah) dan tunduk. Kemudian Allah Swt. berfirman: Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berpikir. (Al-Hasyr: 21)

 

Dan peringatan ini bukan kepada orang mukmin sahaja tetapi kepada keseluruhan manusia. Oleh kerana orang bukan Islam tidak kenal dengan Al-Qur’an, maka kitalah yang kena sampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada mereka.

Mungkin ada yang hairan, bagaimana pula gunung yang kaku itu boleh kenal Al-Qur’an pula? Jangan kita sangka yang makhluk tidak bernyawa ini tidak ada apa-apa. Kita sahaja tidak nampak hal itu kerana kita hidup di alam dunia yang biasa sahaja.

Di dalam sebuah hadis mutawatir telah disebutkan bahawa ketika dibuatkan untuk Rasulullah ﷺ sebuah mimbar, dan sebelumnya bila Nabi ﷺ berkhutbah baginda selalu berdiri di sebelah salah satu daripada batang pohon kurma yang menjadi tiang-tiang masjid.

Setelah mimbar diletakkan pada yang pertama kali, lalu Nabi ﷺ datang untuk berkhutbah, maka baginda melewati batang kurma itu menuju ke mimbarnya, dan ketika itu batang kurma tersebut menangis dan merintih sebagaimana anak-anak merintih kerana rindu kepada zikir dan wahyu yang biasa ia dengar di sisinya, maka Nabi ﷺ mendiamkannya.

 

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُومُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَى شَجَرَةٍ أَوْ نَخْلَةٍ، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ ـ أَوْ رَجُلٌ ـ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَجْعَلُ لَكَ مِنْبَرًا قَالَ ‏”‏ إِنْ شِئْتُمْ ‏”‏‏.‏ فَجَعَلُوا لَهُ مِنْبَرًا، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ دُفِعَ إِلَى الْمِنْبَرِ، فَصَاحَتِ النَّخْلَةُ صِيَاحَ الصَّبِيِّ، ثُمَّ نَزَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَضَمَّهُ إِلَيْهِ تَئِنُّ أَنِينَ الصَّبِيِّ، الَّذِي يُسَكَّنُ، قَالَ ‏”‏ كَانَتْ تَبْكِي عَلَى مَا كَانَتْ تَسْمَعُ مِنَ الذِّكْرِ عِنْدَهَا ‏”‏‏.‏
Daripada Jabir رضي الله عنه, Nabi ﷺ biasanya berdiri berkhutbah pada hari Jumaat di sebatang pokok kurma. Seorang wanita atau lelaki Ansar berkata: Ya Rasulullah, bolehkah kami buatkan untuk mu mimbar. Baginda menjawab: Boleh, jika kalian mahu. Lalu mereka membuatkan untuk baginda mimbar. Apabila tibanya hari Jumaat, baginda pun naik ke mimbar tersebut. Lalu pokok kurma itu mengeluarkan bunyi seperti bunyi bayi. Kemudian baginda pun turun dari mimbar lalu pergi memeluk pokok kurma seperti sedang menenangkan yang sedang menangis. Baginda bersabda: Ia menangis kerana (tidak dapat mendengar lagi) apa yang biasa ia dengar daripada peringatan berhampirannya.
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab ‘Alamat an-Nubuwwah, hadis no: 3584)

 

Menurut sebahagian riwayat hadith ini, disebutkan bahawa Al-Hasan Al-Basri sesudah mengetengahkan hadith ini mengatakan, “Kalian seharusnya lebih merindukan Rasulullah ﷺ daripada batang kurma itu.”

Demikianlah bunyi ayat yang mulia ini, bahawa apabila gunung-gunung yang merupakan benda mati, seandainya ia mendengar Kalamullah dan memahaminya, nescaya tunduklah ia dan berpecah belahlah ia kerana takut kepada Allah ﷻ. Maka bagaimanakah dengan kalian (manusia), padahal kalian telah mendengarnya dan memahaminya? Dalam ayat lain telah disebutkan melalui firman-Nya:

 

{وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى} الْآيَةَ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah kitab itu adalah Al-Qur’an). (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat.


 

Hashr Ayat 22: Ini adalah Dakwa Surah ini. Seperti yang kita mungkin sudah perasan, dalam surah-surah musabbihaat ini Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia tentang Diri-Nya. Maka di hujung surah ini ada banyak asma’-Nya yang disebut-sebut supaya kita kenal Dia dengan lebih mendalam lagi.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Al-Qur’an dan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an. Sekarang Allah ﷻ beritahu kepada kita siapakah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu kepada kita. Ia bukan daripada manusia, tetapi daripada Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an itu, maka kenalah kita ambil peduli.

Kita kena sedar yang isi penting Al-Qur’an adalah tentang Allah ﷻ. Kita kena gunakan Al-Qur’an ini untuk kenal Allah ﷻ. Oleh kerana ayat ini menceritakan tentang Diri-Nya, maka ia boleh dijadikan bacaan amalan harian. Ini adalah rentetan ayat-ayat yang banyak menyebut nama Allah ﷻ selain daripada Ayat Kursi.

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۖ هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, Knower of the unseen and the witnessed. He is the Entirely Merciful, the Especially Merciful.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah ﷻ menyebut tentang Tauhid. Inilah Kesimpulan Wahyu – Hanya Allah ﷻ sahaja ilah yang satu, tidak ada ilah yang lain. Hanya sembah Allah ﷻ sahaja, doa kepada Dia sahaja. Maka jangan jadikan selain Allah ﷻ sebagai ilah kerana itu semua tidak layak menjadi ilah.

Allah ﷻlah sahaja tempat pengharapan. Maka kena faham maksud ilah ini, barulah dapat memahami syahadah yang kita bacakan setiap hari. Ringkasnya, ilah adalah tempat sandaran hati kita, tempat kita berharap. Dan kerana kita berharap kepadanya, kita berdoa kepadanya. Ini hanya boleh dilakukan kepada Allah ﷻ sahaja. Maka kalau kita meminta kepada selain Allah ﷻ, maka kita telah melakukan syirik. Walaupun kita tidak menjadikannya tuhan pun.

Maka jikalau kita berharap kepada Nabi, wali, malaikat atau jin, maka itu pun sudah syirik. Itu telah menjadikan mereka sebagai ilah selain Allah ﷻ. Malangnya ramai yang tidak faham tentang hal ini dan telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, 

Selepas menyebut tentang kalimah tauhid, Allah ﷻ menyebut sifat-sifat-Nya. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu dan ada ilmu ghaib. Manusia tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu sahaja. Dan ini adalah satu salah faham dalam masyarakat yang kata ada manusia yang tahu ilmu ghaib.

Ini adalah fahaman syirik kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu ghaib. Yang manusia ada ilmu ghaib itu adalah kerana Allah ﷻ beri sedikit pengetahuan kepada para Nabi. Namun setakat yang diberitahu itu sahaja. Tidaklah manusia atau mana-mana makhluk tahu semua ilmu ghaib.

Allah ﷻ tentu sekali nampak yang zahir juga. Kita pun ada juga nampak yang zahir, tetapi itu pun tidaklah semuanya.

Maka Allah ﷻ tahu segala-galanya dan Allah ﷻ tidak perlu sesiapa pun untuk memberitahu kepada-Nya. Kalau kita ada maklumat apa-apa, kita memerlukan orang untuk memberitahu kepada kita, bukan? Namun tidak dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu dari mula lagi, malah sebelum ia terjadi lagi Allah ﷻ sudah tahu.

 

 

هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dua sifat Allah ﷻ yang selalu sebut-sebut adalah sifat Rahman dan Raheem ini. Kita sudah bincangkan dalam tafsir Surah Fatihah dengan panjang lebar. Begitu banyak sekali nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk kerana Allah ﷻ kasih dan penyayang kepada makhluk-Nya.

Sebelum ini telah diberitahu yang Allah ﷻ segala-galanya; termasuklah diri kita. Walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang diri kita luar dan dalam, tetapi Allah ﷻ masih tetap sayang kepada kita kerana kita hamba-Nya.


 

Hashr Ayat 23:

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ المَلِكُ القُدّوسُ السَّلٰمُ المُؤمِنُ المُهَيمِنُ العَزيزُ الجَبّارُ المُتَكَبِّرُ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, the Sovereign, the Pure, the Perfection,¹ the Bestower of Faith,² the Overseer, the Exalted in Might, the Compeller, the Superior. Exalted is Allāh above whatever they associate with Him.

  • Literally, “Free” from any imperfection or “the Security.”
  • Or “of Safety.”

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah ﷻ ulang lagi kalimah tauhid seperti dalam ayat yang sebelum ini sebagai penekanan. Ini kerana ia adalah amat penting. Kerana salah faham tentang ilah inilah yang menyebabkan banyak kesyirikan yang terjadi dalam masyarakat.

 

 

هُوَ المَلِكُ

Dialah Raja

Allah ﷻ sebenar-benar Raja yang memiliki segala-galanya. Dialah sahaja al-Malikul Muluk. Walaupun manusia ada yang jadi raja di dunia, tetapi tidaklah sama kedudukan itu dengan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang sebenar-benar Raja.

Raja di dunia itu adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang benarkan orang itu jadi raja. Namun tidaklah dia berkuasa penuh sedangkan Allah ﷻ berkuasa penuh. Allah ﷻ bebas untuk mengurus dan mentadbir alam ini tanpa ada sekatan apa-apa pun.

 

 

القُدّوسُ

Yang Maha Suci,

Ini adalah kalimah dalam bentuk mubalaghah. Allah ﷻ yang Maha Suci daripada kekurangan atau keburukan. Tidak mungkin kita boleh memikirkan perkara yang buruk tentang Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ tidak jahat, tidak menjelekkan. Allah ﷻ Maha Suci dan Allah ﷻ sahaja yang boleh menyucikan kita.

Ada pendapat lain mengatakan yang Allah ﷻ nama ini menjadi isyarat bahawa tidak akan menzalimi hamba-Nya.

 

 

السَّلٰمُ

Yang Maha Sejahtera,

Allah ﷻ tidak mungkin mengalami kepayahan atau kesusahan kerana Allah ﷻ sentiasa sejahtera. Iaitu Maha sejahtera daripada segala bentuk cela dan kekurangan, kerana kesempurnaan Dzat, sifat, dan perbuatan-Nya.

 

 

المُؤمِنُ

Yang Mengurniakan Keamanan,

Maksud ‘mukmin’ adalah yang memberikan keamanan. Iaitu keamanan daripada ketakutan. Allah ﷻ yang memberi keselamatan kepada manusia, yang memberi perlindungan kepada makhluk-Nya.

Ia juga bermaksud selamat daripada kezaliman-Nya kerana Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Makhluk-Nya selamat daripada takut Allah ﷻ berlaku zalim kepada mereka, tidak memberikan hak-hak mereka, tidak membalas kebaikan yang dilakukan semasa di dunia, tidak menepati janji-Nya.

Ada juga yang mentafsirkan maksudnya ‘memberi iman’. Maksudnya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri iman kepada manusia. Hidayah iman itu milik Allah ﷻ dan bukan kita boleh beri kepada orang lain, termasuklah yang di bawah kita seperti anak-anak kita sendiri. Kita boleh sampaikan sahaja dakwah iman tetapi untuk memberi orang itu beriman, itu adalah dalam kuasa takluk Allah ﷻ.

Pendapat lain mengatakan ia bermaksud Allah ﷻ membenarkan para Rasul-Nya dengan memberikan mereka mukjizat. Mukjizat diberikan kepada Para Nabi sebagai tanda bahawa mereka itu adalah utusan Allah ﷻ. Ini kerana mereka membawa berita yang besar dan menentang golongan yang ramai. Maka mereka dibekalkan dengan mukjizat sebagai bukti bahawa mereka itu benar-benar seorang Rasul.

 

 

المُهَيمِنُ

Yang Maha Memelihara,

Kalimah المُهَيمِنُ berasal daripada katadasar ه م ن yang bermaksud meletakkan sesuatu di dalam dompet, ketua sesuatu pertubuhan, yang mengetuai dan menguruskan perbendaharaan, tentera atau manusia. Oleh itu, kalimah Muhaimin ada tiga maksud dari segi bahasa:

1. Penjaga dan pengawal
2. Pemerhati yang memerhatikan segala yang dilakukan oleh orang lain
3. Seorang yang mengambil kedudukan untuk memenuhi keperluan orang lain.

Ketiga-tiga sifat ini boleh digunakan dalam konteks ayat ini. Oleh itu Allah ﷻlah yang menjaga dan memelihara semua makhluk-Nya; Dia memerhatikan segala kelakuan dan perbuatan kita semua; Dia juga yang bertanggungjawab memberikan segala keperluan kita. Tanpa-Nya kita tidak mungkin dapat hidup dan terus hidup.

Dan kalau kita sambungkan daripada sifat sebelum ini, ia mengajar kita yang Allah ﷻ sahaja yang ada kuasa untuk menjaga manusia supaya tidak sesat selepas diberikan dengan iman. Sudahlah Dia yang beri iman, hendak mengekalkan iman itu juga dalam kuasa-Nya.

 

 

العَزيزُ

Yang Maha Perkasa,

Allah ﷻ maha berkuasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang berani angkat muka dengan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh beri apa sahaja azab kepada manusia kalau mereka menentang kebenaran dan tidak mahu beriman.

 

 

الجَبّارُ

Yang Maha Kuasa,

Kalimah ‘jabbar’ bermaksud yang membetulkan sesuatu dengan menggunakan kekuatan. Ini adalah seperti membetulkan tulang yang terkehel supaya masuk semula di tempatnya. Maka ini mengajar kita yang kadang-kadang Allah ﷻ menggunakan kekerasan untuk membetulkan kita.

Qatadah رحمه الله mengatakan bahawa makna al-jabbar ialah Tuhan Yang menundukkan makhluk-Nya menurut apa yang dikehendaki-Nya. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, al-jabbar ertinya Tuhan Yang memperbaiki urusan-urusan makhluk-Nya. Yang mengatur mereka sesuai dengan apa yang menjadi kemaslahatan bagi mereka.

Kerana itu ada orang yang setelah ditimpa musibah dan masalah yang besar, barulah dia menjadi orang yang baik. Semoga kita bukanlah jenis orang menunggu dikenakan dengan azab barulah hendak menjadi baik. Kerana perit kalau diingatkan dengan musibah. Maka hendaklah kita ingat dan taat kepada Allah ﷻ dalam keadaan senang.

 

 

المُتَكَبِّرُ

Yang Memiliki segala Keagungan, 

Allah ﷻ sahaja yang ada kebesaran. Maka kita tidak boleh takabbur. Allah ﷻ sahaja yang layak membesarkan Diri-Nya. Kita ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Segala apa yang kita ada adalah daripada Allah ﷻ. Maka kenapa hendak sombong dan berasa besar diri?

Allah ﷻ tidak suka kepada makhluk yang kibr, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith sahih (hadith Qudsi) yang mengatakan:

 

“العَظَمة إِزَارِي، وَالْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي، فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا عَذَّبته”.

Kebesaran adalah (bagaikan) kain-Ku dan Keagungan adalah (bagaikan) selendang-Ku; maka barang siapa yang menyaingi-Ku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Kuazab dia.

 

Oleh itu, sifat kibr adalah satu sifat buruk kalau ia ada pada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa yang hendak disombongkan; tetapi bagi Allah ﷻ, sifat ini adalah layak bagi Dia, jadi tidak salah kalau Allah ﷻ bersifat mutakabbir.

 

 

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Ramai manusia yang mengatakan perkara yang salah tentang Allah ﷻ. Antaranya, ada manusia yang kata Allah ﷻ ada anak, Allah ﷻ ada sekutu dalam pentadbiran alam ini, Allah ﷻ memerlukan wasilah dalam doa, dan macam-macam lagi fahaman salah dan syirik.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia suci daripada segala salah faham itu.


 

Hashr Ayat 24:

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, the Creator, the Inventor, the Fashioner; to Him belong the best names.¹ Whatever is in the heavens and earth is exalting Him. And He is the Exalted in Might, the Wise.

  • Refer to the final paragraphs of the “Introduction” for a brief discussion of these attributes.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

 

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ

Dialah Allah Yang Menciptakan,

Allah ﷻ sahaja yang menciptakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Tidak ada sesiapa selain Allah ﷻ yang boleh melakukannya. Musyrikin Mekah pun kenal Allah ﷻ dan tahu bahawa pencipta itu hanya Allah ﷻ sahaja.

 

ا

لبارِئُ

Yang Mengadakan,

Allah ﷻ yang mengadakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Selepas Allah ﷻ rancang untuk menjadikan sesuatu, Allah ﷻ akan menjadikannya. al-Bari’ adalah daripada katadasar ب ر ئ yang bermaksud ‘putus’ atau ‘bebas’. Maksudnya Allah ﷻ menjadikan makhluk bebas daripada kekurangan.

Maknanya Allah ﷻ merealisasikan apa yang telah direncanakan dan ditetapkan ke alam wujud dan alam nyata. Tiada seorang pun yang merencanakan sesuatu dapat melaksanakan dan merealisasikannya selain hanya Allah ﷻ.

 

 

المُصَوِّرُ

Yang Membentuk Rupa, 

Segala rupabentuk adalah dalam kehendak Allah ﷻ. Segala bentuk dalam alam ini tidaklah terjadi sendiri tetapi ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ untuk jadi sebegitu rupa.

Allah ﷻ yang menjadikan kita dalam rupa kita sekarang ini. Maka tidak boleh hendak marahkan Allah ﷻ dan kritik kerja Allah ﷻ. Kalau kita tidak cantik, maka jangan marah ketidakcantikan kita itu. Kerana kalau kita marah, bermaksud kita kutuk Allah ﷻ yang menjadikan rupa kita begitu.

Tiga kalimah awal yang menceritakan sifat Allah ﷻ ini adalah tentang kejadian dalam tiga bentuk atau proses:

Pertama, Allah ﷻ sebagai al-Khaaliq. Ini adalah sifat perancang. Ini adalah seperti arkitek yang sebelum menjadikan sesuatu bangunan, ia akan merancang bagaimana bentuk bangunan itu.

Kedua, pada peringkat kejadian ini kalau diumpamakan seperti pembinaan bangunan, ia seperti menjadikan tapak, menaikkan dinding dan membentuk bangunan itu sehingga ia terbina.

Ketiga, pada peringkat memberi bentuk yang sempurna kepada kejadian itu seperti mengemaskan bentuk bangunan sampai menjadi sempurna.

Namun tidaklah kita samakan penciptaan manusia dan Allah ﷻ. Dalam manusia mencipta dan menjadikan sesuatu, tentulah ada contoh sebelumnya. Akan tetapi Allah menjadikan alam ini tidak ada contohnya. Allah ﷻ cipta sendiri.

 

 

لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Yang Mempunyai Nama yang Terbaik

Nama-nama Allah ﷻ itu adalah dalam bentuk terbaik. Allah ﷻ sahaja ada yang nama yang memberi kesan apabila diseru. Nama-nama lain tidak memberi kesan apabila diseru. Ini adalah kerana nama-nama Allah ﷻ itu memang benar dan bertepatan dengan Dia.

Sebagai contoh, kalau seorang lelaki bernama Rahman, tidaklah bermakna itu seorang yang pemurah. Tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ itu ar-Rahman, memang Allah ﷻ bersifat Maha Pemurah. Maka kita gunakan nama-nama Allah ﷻ ini untuk kita menyeru-Nya dalam doa kita.

Nama-nama itu semua al-husna, iaitu terbaik. Tidak ada nama yang memburukkan Allah ﷻ. Nama-nama itu melambangkan kesempurnaan Allah ﷻ.

Asmaul Husna adalah salah satu perkara yang rapat dengan masyarakat kita. Selalu ia dinyanyikan oleh anak-anak kecil malah orang tua turut menghafalnya. Sebenarnya tidak ditemukan hadith yang sahih yang menyebutkan dan mengumpulkan sembilan puluh sembilan Al-Asmâ-ul-Husna. Adapun hadith yang diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmidzi, Mustadrak Al-Hakim dan yang lainnya, para ulama’ mendhaifkannya.

At-Tirmidzi setelah menyebutkan hadîth yang terdapat di dalamnya Al-Asmâ-ul-Husna tersebut, beliau mengatakan, “Hadîth ini gharîb…hadîth ini diriwayatkan dengan jalan lain daripada Abu Hurairah dan kami tidak mengetahui pada sebahagian besar riwayat-riwayat tersebut yang menyebutkan nama-nama ini kecuali di hadîth ini…”

Banyak orang yang menyangka bahawa Allah ﷻ hanya memiliki sembilan puluh sembilan nama, dengan dalil yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

( إِنَّ ِلِِلهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّة )

Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama/seratus dikurangi satu. Barangsiapa yang dapat menghitung atau menghafalnya maka dia akan masuk syurga.”

(HR Al-Bukhâri no. 2736 dan Muslim no. 6/2677)

Ihshâ’ (menghitung/menghapal) Al-Asmâ-il-Husnâ di dalam hadîth tersebut memiliki empat tingkatan, iaitu:

  1. Menghitung dan menghafal nama-nama tersebut.

  2. Memahami makna yang terkandung di dalamnya

  3. Berdoa dengan menggunakan nama-nama tersebut, seperti: Ya Razzâq (Yang Maha Memberi Rezeki)! Berilah aku rezeki, Ya Ghafûr (Yang Maha Pengampun)! Ampunilah dosa-dosaku.

  4. Menyembah Allah dengan seluruh kandungan nama-nama tersebut. Jika kita tahu bahawa Allah Ar-Rahîm (Maha Pemberi Rahmat), maka kita selalu mengharapkan rahmat atau kasih sayang-Nya. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Ghafûr (Maha Pemberi Ampun), maka kita selalu memohon ampun kepadanya. Jika kita tahu bahawa Allah As-Samî’ (Maha Mendengar), maka kita selalu menjaga perkataan kita, jangan sampai membuat Dia marah. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Bashîr (Yang Maha Melihat), maka kita selalu menjaga perbuatan kita agar tidak mengerjakan sesuatu yang tidak diredhainya.

Benarkah Allah hanya ada 99 nama sahaja? Padahal, Allah ﷻ memiliki banyak nama yang tidak kita ketahui dan disembunyikan di sisi-Nya. Sebagaimana Rasulullah ﷺ pernah berdoa,

 

( …أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ …)

… Aku memohon dengan seluruh nama yang Engkau miliki, yang Engkau menamakan diri-Mu dengannya, yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada makhluk-Mu, yang Engkau turunkan di dalam Kitab-Mu atau yang Engkau sembunyikan di ilmu ghaib di sisi-Mu…

(HR Ahmad no. 3712, Al-Hâkim no. 1877 dan yang lainnya. Syaikh Al-Albâni berkata di Ash-Shahîhah no. 199) “Hadîth ini sahîh.”

 

 

Hadith di atas sangat jelas menyatakan bahawa nama Allah ﷻ tidak hanya sembilan puluh sembilan, kerana ada nama-nama yang disembunyikan di sisi-Nya. Maka apabila Allah ﷻ kata Dia ada 99 nama, tidaklah bermaksud tepat 99 nama. Ini sebagaimana ada orang yang kata dia ada ‘seratus ringgit untuk disedekahkan’. Tidaklah itu bermaksud dia hanya ada seratus ringgit itu sahaja, tetapi seratus ringgit itulah yang dia niatkan untuk disedekahkan.

Maka, Allah ﷻ ada lebih lagi daripada 99 nama dan bilangan itu tidak terkira. Cuma Allah ﷻ hadkan, kalau beramal dengan 99 nama itu, maka itu akan memasukkan orang yang mengamalkannya ke dalam syurga.

Bilangan nama Allah ﷻ ini tidak disepakati. Al-Qurthubi berkata, “Telah kami sebutkan bahawa nama-nama Allah ada yang telah disepakati oleh para ulama dan ada yang masih diperselisihkan. Yang kami dapatkan di buku-buku para imam kami, (nama-nama tersebut) mencapai lebih daripada dua ratus nama.”

 

 

يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. 

Surah ini dimulai dengna tasbih dan diakhiri dengan tasbih sama seperti permulaannya. 10 surah yang kita sedang baca sekarang dinamakan Surah-surah Musabbihaat kerana ada tasbih di dalam surah-surah itu.

Allah ﷻ  menekankan tentang tasbih dan memberitahu bahawa semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Maka Allah hendak perli di dalam surah-surah ini: mana tasbih kamu? Kenapa kamu tidak bertasbih?

 

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ bersifat al-Aziz bermaksud Allah ﷻ boleh mengenakan azab kepada mana-mana makhluk dengan apa-apa cara pun dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya.

Namun dalam masa yang sama Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem. Maksudnya tidaklah Allah ﷻ terus beri azab kepada manusia setiap kali manusia buat salah. Allah ﷻ beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sifat mereka. Dan ini adalah kerana Allah ﷻ bersifat al-Hakeem. Semua perbuatan Allah ﷻ itu adalah di atas kebijaksanaan-Nya.

Sekian ayat-ayat tentang sifat Allah ﷻ. Ketiga-tiga ayat ini adalah antara wirid-wirid yang boleh diamalkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Mumtahanah.

Tarikh: 19 Ogos 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hashr Ayat 17 – 20 (Nasihat kepada golongan munafik)

Hashr Ayat 17:

فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ خٰلِدَينِ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the outcome for both of them is that they will be in the Fire, abiding eternally therein. And that is the recompense of the wrongdoers.

(MELAYU)

Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.

 

 

فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ

Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka,

Dua golongan yang dimaksudkan adalah golongan Munafik dan Yahudi. Atau ia merujuk kepada Syaitan dan manusia. Syaitan itu kerana mereka menghasut, dan manusia itu kerana taat kepada pujukan syaitan. Oleh kerana penolakan mereka kepada agama yang benar, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

 

خٰلِدَينِ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Kerana mereka menentang agama Allah ﷻ, maka mereka akan kekal dalam neraka itu. Tidak ada peluang untuk keluar sampai bila-bila.

 

 

وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ

Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.

Itulah balasan yang layak bagi mereka. Allah ﷻ tidak zalim kerana mengekalkan mereka dalam neraka kerana kesalahan yang mereka lakukan itu amat besar.

Sekian Ruku’ 2 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Hashr Ayat 18: Sekarang Allah ﷻ bekalkan kita dengan petunjuk. Ayat 18 – 24 ini adalah nasihat yang diberikan kepada orang munafik itu. Ia adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir. Allah ﷻ suruh perbetulkan aqidah tentang Hari Akhirat dan Sifat-sifat Allah ﷻ.

Teguran diberikan kepada manusia termasuk kita supaya sedar. Ada dalam kalangan munafik itu yang lemah iman sahaja dan ada harapan untuk berubah. Maka mereka kena tadabbur ayat ini.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh. And let every soul look to what it has put forth for tomorrow – and fear Allāh. Indeed, Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah

‘Orang-orang beriman’ yang dimaksudkan di sini adalah golongan munafik. Bukanlah ia bermaksud sudah beriman benar lagi. Ini boleh dilihat dalam ayat-ayat yang menggunakan kalimah الذين ءامنوا di dalam Al-Qur’an. Kalau benar-benar sudah beriman, kalimah yang digunakan adalah المؤمنون.

Maka maksudnya yang diseru dalam ayat ini adalah mereka yang belum benar-benar beriman lagi, termasuklah golongan munafik itu. Mereka itu masih ada harapan lagi untuk beriman kerana mereka sanggup untuk duduk bersama Nabi ﷺ dan para sahabat lagi. Mereka tidaklah menentang dengan jelas, maknanya mereka tidaklah menentang dengan kuat lagi maka mereka masih ada harapan untuk kembali ke jalan yang benar. Maka mereka hendaklah mengambil pengajaran ini supaya mereka dapat memperbaiki keadaan iman mereka supaya menjadi benar-benar beriman.

Maksud ‘taqwa’ itu adalah taat kepada Allah ﷻ dan mengikut syariat yang Allah ﷻ telah berikan. Dalam segala perbuatan kita, kena sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kerana kalau sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita takut untuk melakukan kesalahan kerana Allah ﷻ akan balas perbuatan yang jahat.

Maka dengan taqwa itu kena buat apa yang Allah ﷻ suruh dan tinggalkan apa yang Allah ﷻ larang. Maka kena belajar dan tahu apakah hukum melakukan sesuatu perkara itu.

 

 

وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ

dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok

‘Hari esok’ yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat. ‘Hari ini’ adalah kehidupan di dunia dan nanti yang menyusul adalah esok, iaitu ‘akhirat’. Sebagaimana kita digalakkan untuk menabung untuk hari esok, maka kita pun kenalah bersedia untuk ‘menabung’ untuk hari akhirat. Kena hantar pahala dan amal kita siap-siap ke akhirat. Apabila kita hantar amalan kita, ia akan menunggu kita di akhirat kelak.

Kalimah نظر bermaksud berjaga-jaga dan memerhati dalam kadar yang lama (memikirkan dengan mendalam). Allah ﷻ suruh kita lihat kepada apa dilaburkan untuk akhirat. Kerana segala perbuatan kita selama di dunia ini adalah sebagai saham untuk akhirat. Kalau amal baik, dapat saham yang baik; kalau amal yang buruk, maka akan dapat amal yang buruk.

Maka ini adalah arahan Allah ﷻ untuk kita berfikir tentang akhirat. Sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan taqwa tidak akan ada tanpa fikir akhirat. Kerana orang yang tidak hiraukan akhirat tidak akan mahu taat kepada Allah ﷻ. Maka jangan fikirkan tentang dunia sahaja, tetapi hendaklah lebih banyak berfikir tentang akhirat kerana itu yang lebih kekal, bukan?

Maka ini adalah ayat tentang muhasabah diri kita. Kena lihat apa amalan kita, fahaman kita, ilmu kita; adakah menuju ke syurga atau menuju ke neraka? Kita memanglah tidak tahu tempat kita di syurga atau di neraka, tetapi bila kita lihat amalan kita pun, kita sudah boleh agak-agak, bukan?

 

 

وَاتَّقُوا اللهَ

dan bertaqwalah kepada Allah,

Diulang sekali lagi arahan untuk taqwa sebagai penekanan. Ini adalah kerana taqwa ini adalah amat penting sekali. Yang selamat dan masuk syurga adalah mereka yang bertaqwa. Taqwa ini mestilah dilakukan walaupun dalam kalangan orang ramai atau pun di kala sepi, semasa bersendirian sahaja. Kerana kadang-kadang kita baik sahaja apabila di hadapan orang, namun berperangai buruk apabila berseorangan.

 

 

إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kita kena sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan dan tahu apa sahaja yang kita lakukan. Kalau kita dapat hayati maksud ayat ini, maka kita akan dapat mencapai tahap taqwa.

Apabila Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan, maksudnya Allah ﷻ akan balas. Yang baik dibalas baik, dan yang buruk dibalas buruk. Tidak akan terlepas dan tidak akan ada yang tidak dibalas.


 

Hashr Ayat 19: Sekarang diberikan ayat yang menyentuh tentang psikologi manusia. Ini adalah ayat Zajrun (ayat teguran) dan contoh lalai leka yang manusia selalu lakukan. Sepatutnya manusia segerakan amal kebaikan, namun ada yang lengahkan. Maka Allah ﷻ beri teguran dalam ayat ini.

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be not like those who forgot Allāh, so He made them forget themselves. Those are the defiantly disobedient.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

 

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah,

Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan lupa Dia. Maksud lupa itu adalah rosak akidah dan rosak amal. Kalau lupa Allah ﷻ, mereka itu yang tidak kisah tentang Allah ﷻ dan mudah sahaja melanggar arahan dan larangan-Nya. Mereka lupa hak-hak Allah ﷻ ke atas mereka. Oleh itu mereka tidak kisah untuk memperbetulkan akidah dan amal.

Kita memang kena ingat kepada Allah ﷻ sentiasa, kena sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kalau kita lupa Allah ﷻ di saat kita senang, maka Allah ﷻ akan lupakan kita di saat susah. Tidakkah begitu yang terjadi kepada kebanyakan manusia? Mereka hanya ingat Allah ﷻ semasa susah sahaja. Namun kalau kita hanya ingat di kala susah, Allah ﷻ boleh sahaja tidak layan kepada kita di saat kita memerlukan-Nya. Macam kita hendak minta tolong kepada seseorang, takkan minta tolong hanya apabila susah sahaja? Namun kalau waktu kita senang pun kita tetap berhubungan dengan dia, maka senanglah dia hendak tolong kita nanti di kala susah.

 

 

فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم

lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. 

Apabila mereka lupa kepada Allah ﷻ dan kewajipan dalam agama, maka Allah ﷻ jadikan mereka lupa diri mereka. Bukanlah hilang ingatan sampai lupa nama, lupa alamat rumah. Maksud lupa itu adalah ‘lupa’ untuk selamatkan diri sendiri. Lupa untuk membuat persediaan kepada hari akhirat. Iaitu mereka yang hanya ingat tentang dunia sahaja sepanjang masa.

Mereka juga lupa kepada kedudukan mereka sebagai ‘hamba Allah’. Bila lupa yang diri mereka itu hamba yang kena taat kepada Allah ﷻ, maka mereka akan ada masalah nanti. Mereka tidak takut untuk membuat dosa kerana mereka tidak rasa mereka kena taat kepada Allah ﷻ.

Mereka juga lupa tentang roh. Kita kena sedar yang diri kita ini ada fizikal dan ada roh. Diri kita sebenarnya adalah roh yang berada dalam fizikal kita. Itulah ‘diri’ kita yang sebenarnya dan bukannya tubuh kita yang akan rosak bila kita sudah mati. Roh kita ini ada, tetapi kita hendak tunjukkan pun tidak boleh. Inilah yang dinamakan ‘nafs’ atau ‘roh’.

Maka satu lagi maksud ‘mereka lupa’ adalah mereka lupa kepada elemen roh mereka. Mereka yang lupa Allah ﷻ akan ingat yang fizikal sahaja. Maka mereka akan puaskan fizikal mereka sahaja seperti hanya akan makan, tidur, jaga badan nak selesa sentiasa, bersuka-ria. Hendaklah kita ingat yang itu semua tidaklah salah tetapi itu semua untuk badan fizikal sahaja. Ia hanya adalah satu elemen daripada diri kita sahaja.

Kalau kita hanya mementingkan kehendak fizikal sahaja, maka Allah ﷻ telah menjadikan kita macam binatang sahaja kerana binatang itu hanya ikut kehendak fizikal sahaja. Maknanya kalau tidak mementingkan roh, maka orang itu hanya tunggu untuk mati sahaja. Mereka hanya akan guna sahaja apa dalam dunia ini. Allah ﷻ telah beri peringatan dalam ayat yang lain:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Al-Munafiqun:9)

 

Jangan jadi seperti binatang yang tahu hendak makan sahaja sedangkan apa yang mereka makan itu akhirnya akan menjadi najis sahaja. Akan tetapi kalau menjaga kehendak roh dan apabila dimasukkan makanan roh itu, ia akan mengeluarkan perkara baik. Dan kita telah sebutkan dalam perbincangan di tempat lain, makanan roh kita adalah wahyu. Orang yang ingat kepada roh akan sentiasa berikan makanan roh, iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Maka mereka akan selalu baca Al-Qur’an, selalu tadabbur Al-Qur’an dan akan selalu cuba amalkan apa yang ada di dalamnya.

Maka jangan lupa kepada kepentingan roh kita. Dan begitu pentingnya roh itu, sampaikan malaikat disuruh sujud kepada Adam عليه السلام apabila sudah ada roh dalam tubuh baginda.

 

 

أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Mereka yang lupa kepada Allah ﷻ dan kemudian lupa kepada rohnya, mereka itu adalah orang yang fasik. Orang yang fasik adalah orang yang sudah rosak. Orang yang fasik adalah orang yang sentiasa melakukan dosa. Ini adalah kerana mereka tidak menghargai roh yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.


 

Hashr Ayat 20: Allah ﷻ meningatkan tentang hari esok iaitu akhirat, yang ada syurga dan neraka. Kena pilih hendak masuk ke mana dari sekarang. Kerana pilihan itu akan menentukan jalan kehidupan mereka.

لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ ۚ أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not equal are the companions of the Fire and the companions of Paradise. The companions of Paradise – they are the attainers [of success].

(MELAYU)

Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah; penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.

 

 

لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ

Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah;

Tidak sama langsung antara dua golongan ini. Balasan yang mereka dapat di sana tidak sama. Amat berbeza sangat kerana penghuni neraka mendapat azab sedangkan penghuni syurga mendapat nikmat. Ini adalah kesan daripada cara mereka menjalani kehidupan mereka di dunia.

Mereka yang malang adalah mereka yang lupa roh mereka, sebenarnya mereka sudah ada dalam neraka walaupun mereka itu di dunia. Hidup mereka memang tidak keruan kerana mereka tidak tenang semasa di dunia ini. Kehidupan mereka bergelumang dengan dosa. Mereka itu hanya menunggu mati sahaja untuk menerima azab daripada Allah ﷻ yang bermula dari dalam kubur. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang sebenarnya nanti.

Sedangkan mereka yang ingat kepada roh dan membuat persediaan kepada akhirat, mereka akan tenang sentiasa. Dalam dunia lagi mereka telah hidup dalam syurga dunia. Amalan mereka juga adalah amalan yang soleh dan mereka berpegang dengan akidah yang benar.

 

 

أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ

penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.

Orang yang berjaya menyelamatkan diri mereka dari neraka adalah orang yang beruntung sungguh. Mereka itulah orang yang sebenar-benarnya yang berjaya. Mereka berjaya kerana selamat daripada azab api neraka.

Oleh itu kalau amalan dan fahaman tidak sama, maka balasan di akhirat pun tentu tidak sama. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ}

Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. (Al-Jatsiyah: 21)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

TafsirWeb

Tafsir Surah Hashr Ayat 13 – 16 (Musuh Islam tidak bersatu)

Hashr Ayat 13: Ini adalah sambungan sifat orang munafik yang disebut sebelum ini.

لَأَنتُم أَشَدُّ رَهبَةً في صُدورِهِم مِّنَ اللهِ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You [believers] are more fearful within their breasts than Allāh. That is because they are a people who do not understand.

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

 

 

لَأَنتُم أَشَدُّ رَهبَةً في صُدورِهِم مِّنَ اللهِ

Sesungguhnya kamu, dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah.

Golongan munafik itu (dan juga orang Yahudi) tidak takut dengan Allah ﷻ tetapi mereka takut orang mukmin tahu apa yang ada dalam hati mereka. Sepatutnya mereka takut kepada Allah ﷻ tetapi mereka tidak takut kerana mereka tidak beriman sebenarnya. Maka mereka tidak kisah pun tentang Allah ﷻ.

Namun yang mereka takut adalah orang mukmin kerana mereka takut kalau orang mukmin tahu hati mereka, maka mereka akan dihalau dari Madinah atau takut dipulau.

Mereka juga takut kepada golongan mukmin itu kerana mereka nampak orang mukmin itu sangat takut kepada Allah ﷻ dan tidak takut kepada manusia. Memang nampak jelas kewibawaan mereka, dan kerana itulah golongan munafik dan Yahudi itu takut kepada golongan mukmin. Maka apabila orang mukmin berperang, mereka berperang sungguh-sungguh kerana mereka bukan cari kepentingan keduniaan, tetapi akhirat. Mereka tidak takut berperang kerana kalau mereka mati pun mereka tidak kisah kerana mereka mahu mati syahid.

Satu lagi maksud ayat ini: para sahabat yang mukmin itu lebih takut kepada Allah ﷻ. Bukannya macam golongan Yahudi dan munafik itu yang tidak takut kepada Allah ﷻ.

 

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Adakah patut manusia yang lebih ditakuti? Ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak boleh takut lebih kepada makhluk daripada takut kepada Allah ﷻ. Mereka sepatutnya tahu yang Allah ﷻlah yang berkuasa ke atas mereka. Namun oleh kerana orang munafik itu tidak beriman dan tidak berfikir, maka mereka tidak mengamalkan agama seperti yang sepatutnya. Mereka hanya nampak kepentingan duniawi sahaja.

Puak munafik takut kepada manusia kerana mereka tidak sedar yang manusia tidak ada kuasa apa-apa tanpa Allah ﷻ berikan kuasa itu. Memang mereka tidak mengerti hakikat ini.

Ayat ini mengajar kita supaya mesti ada rasa lebih takut kepada Allah ﷻ. Jangan takut kepada manusia atau kata-kata manusia. Sebagai contoh, mungkin ada yang takut hendak dakwah ajaran Sunnah kepada manusia kerana takut dikatakan sebagai Wahabi pula. Ini tidak patut.


 

Hashr Ayat 14: Allah ﷻ menceritakan lagi kelemahan golongan munafik itu.

لا يُقٰتِلونَكُم جَميعًا إِلّا في قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَو مِن وَراءِ جُدُرٍ ۚ بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will not fight you all except within fortified cities or from behind walls. Their violence [i.e., enmity] among themselves is severe. You think they are together, but their hearts are diverse. That is because they are a people who do not reason.

(MELAYU)

Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

 

 

لا يُقٰتِلونَكُم جَميعًا

Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu,

Orang Mukmin telah menerima desas desus yang golongan munafik akan membantu Bani Nadhir semasa puak Islam mengepung mereka. Mereka kata mereka ada 2 ribu orang dan ditambah pula dengan bantuan daripada Yahudi daripada Bani Quraizah dan Bani Ghatafan.

Tentu golongan mukmin ada terkesan juga maka Allah ﷻ beritahu yang golongan munafik dan Yahudi itu tidak akan bersatu untuk melawan orang Islam secara berdepan. Tidak perlu risau kepada mereka kerana mereka itu tidak akan datang menolong Bani Nadhir pun.

Ini kerana mereka sendiri takut untuk berperang dan mereka tidak bersatu padu sesama mereka. Semua ada agenda masing-masing. Mereka bukannya ada objektif yang sama, tetapi semuanya hanya sama-sama tidak suka kepada Nabi Muhammad ﷺ dan orang Mukmin sahaja. Mereka semua mahu menaikkan kedudukan masing-masing dan kerana itu mereka tidak akan bersatu. Sesama mereka pun ada perpecahan dan tidak percaya satu sama lain.

 

 

إِلّا في قُرًى مُّحَصَّنَةٍ

kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng 

Kalau mereka hendak lawan pun, mereka akan lawan di tempat yang mereka rasa mereka selamat. Iaitu tempat mereka dan mereka ada banyak tempat perlindungan.

 

 

أَو مِن وَراءِ جُدُرٍ

atau di balik tembok.

Atau mereka akan berperang dari sebalik tembok. Ini adalah kerana senang mereka hendak lari dan sembunyi.

Kenapa sebut tentang cara mereka yang penakut ini? Kerana pada zaman itu peperangan dilakukan di padang terbuka. Namun mereka takkan berani untuk berlawan dari tempat terbuka dan lapang. Maknanya mereka itu sendiri takkan berperang tetapi mereka akan hasut sahaja orang lain untuk berperang bagi pihak mereka.

 

بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ

Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. 

Mereka sebenarnya tidak bersatu. Permusuhan antara mereka sangat teruk kerana Allah ﷺ kucar kacirkan hati mereka sampai ada dendam dengki sesama sendiri.

Namun sekarang nampak macam mereka bersatu menentang Islam. Sebenarnya permusuhan antara mereka itu akan nampak secara zahir apabila umat Islam sudah berpegang dengan wahyu.

 

 

تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ

Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. 

Mereka nampak sahaja seperti bersatu tetapi hati mereka berpecah. Ada sahaja perkara yang membezakan mereka dan mereka akan besarkan perbezaan itu. Kalimah شَتّىٰ berasal daripada katadasar ش ت ت yang bermaksud dipisahkan, berpecah belah, dibahagikan.

 

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ

Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Itu semua terjadi kerana mereka tidak mengerti hal agama. Mereka tidak fikir bahawa Islam adalah terbaik bagi mereka. Ini adalah kerana mereka tidak belajar agama dengan betul. Mereka berpegang kepada fahaman yang sesat.


 

Hashr Ayat 15:

كَمَثَلِ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَريبًا ۖ ذاقوا وَبالَ أَمرِهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Theirs is] like the example of those shortly before them: they tasted the bad consequence of their affair, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

(Mereka adalah) seperti orang-orang Yahudi yang belum lama sebelum mereka telah merasai akibat buruk dari perbuatan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.

 

 

كَمَثَلِ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَريبًا

(Mereka adalah) seperti orang-orang yang belum lama sebelum mereka

Allah ﷻ beritahu yang perbandingan mereka itu seperti Yahudi yang terdahulu sama sahaja macam Bani Qainuqa’ yang telah dihalau sebelum itu. Juga sama seperti kekalahan yang dialami oleh puak Quraish dalam Perang Badr. Mereka lebih kuat daripada Muslim dari segi kekuatan tetapi mereka tetap kalah juga.

Bani Qainuqa’ telah dihalau 2 tahun sebelum itu.
Quraish pula telah dikalahkan dalam Perang Badr 6 bulan sebelum itu.

 

 

ذاقوا وَبالَ أَمرِهِم

mereka telah merasai akibat buruk daripada perbuatan mereka,

Kalimah وبال bermaksud akibat buruk daripada kesalahan besar yang mereka lakukan kerana menentang Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Kalau yang dimaksudkan adalah Quraish Mekah, mereka itu semua telah merasai akibat buruk daripada perbuatan mereka seperti Perang Badr. Mereka telah dikalahkan dan ramai ketua mereka telah dibunuh.

Dan kalau yang dimaksudkan adalah Bani Qainuqa’, mereka telah dihalau pada tahun 2H. Kejadian itu masih baru lagi dan sekarang Bani Nadhir yang dihalau pada tahun 4H.

 

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih.

Mereka mendapat kehinaan di dunia tetapi di akhirat mereka akan mendapat azab yang lebih buruk. Mereka akan dikenakan dengan azab neraka yang tentu berkali-kali ganda lagi teruk daripada azab di dunia.


 

Hashr Ayat 16:

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The hypocrites are] like the example of Satan when he says to man, “Disbelieve.” But when he disbelieves, he says, “Indeed, I am disassociated from you. Indeed, I fear Allāh, Lord of the worlds.”

(MELAYU)

(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

 

 

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر

seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”,

Ini adalah bandingan golongan munafiqin yang hendak bersekongkol dengan Yahudi. Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka berjanji hendak membantu golongan Yahudi kalau mereka dihalau atau diperangi.

Allah ﷻ hendak beritahu yang janji mereka itu sama sahaja seperti janji syaitan kepada Musyrikin Mekah ketika Perang Badr 6 bulan sebelum itu. Ini seperti yang disebut dalam Anfal: 48 

 

وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطانُ أَعمالَهُم وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ وَإِنّي جارٌ لَكُم ۖ فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِنكُم إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ إِنّي أَخافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”. Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: “Sesungguhnya saya berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Dan Allah sangat keras seksa-Nya.

 

 

فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ

maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu,

Semasa syaitan berjanji kepada manusia, syaitan janjikan macam-macam pertolongan. Namun bila manusia sudah menjadi kufur, mereka akan tinggalkan sahaja manusia itu begitu sahaja. Kerana kerja mereka sudah selesai.

Munafik itu macam syaitan juga yang kata mereka berkawan dengan puak Yahudi itu. Mereka berjanji mahu keluar bersama-sama, membantu dalam peperangan dan lain-lain lagi janji mereka. Akan tetapi selepas mereka bercakap, mereka akan melarikan diri kemudiannya. Begitulah yang mereka janjikan kepada puak Yahudi Bani Nadhir. Mereka berjanji akan tolong tetapi kemudian mereka akan melarikan diri. Sama sahaja dengan janji syaitan.

 

 

إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ

kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

Kenapa syaitan meninggalkan golongan yang kafir? Kerana syaitan takut apabila mereka di medan perang. Ini adalah kerana Allah ﷻ akan suruh para malaikat untuk pukul syaitan. Mereka nampak para malaikat sedangkan manusia tidak nampak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi