Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 16 – 21 (Parti Syaitan)

Mujaadilah Ayat 16:

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ فَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They took their [false] oaths as a cover, so they averted [people] from the way of Allāh, and for them is a humiliating punishment.

(MELAYU)

Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah; kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.

 

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً

Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai,

Yang dimaksudkan dengan ‘Sumpah’ mereka itu adalah Dua Kalimah Syahadah mereka. Apabila mereka menyebut Syahadah, maka mereka selamat daripada pedang orang-orang Islam, maka mereka menjadikan Syahadah itu sebagai perisai yang menyelamatkan mereka. Kerana kalau tidak, mereka akan ditangkap sebagai Kafir Harbi (orang kafir yang diperangi).

Atau, ia bermaksud sumpah mereka yang kata mereka sebenarnya beriman, mereka hanya mahukan kebaikan, mereka tidak pernah membocorkan rahsia umat Islam. Perkara ini telah pernah disebut sebelum ini. Iaitu usaha-usaha mereka menjatuhkan Islam dari dalam.

Maka mereka membuat kerja-kerja untuk melemahkan Islam dari dalam, tetapi apabila mereka ditangkap ataupun ditegur, mereka menggunakan Syahadah mereka sebagai ‘perisai’ supaya mereka tidak dibunuh. Mereka mengaku mereka Muslim dan tidak boleh dibunuh.

 

فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah;

Oleh kerana mereka ada perisai syahadah itu, maka mereka selamat dan mereka boleh bergerak di bawah radar untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka menggunakan tipu daya dan helah untuk menghalang manusia daripada menyertai agama Islam. Mereka akan buat tohmahan, mereka beri hujah-hujah palsu, mereka akan buat penipuan dan sebagainya. Mereka juga menimbulkan salah sangka dan rasa sangsi terhadap agama Islam dan Rasulullah ﷺ.

Mereka akan pergi kepada orang mukmin dan mereka akan bersembang sampai menimbulkan salah faham dalam kalangan orang beriman itu. Orang beriman sangka yang datang kepada mereka itu adalah beriman juga, maka mereka dengarlah apa yang dikatakan oleh golongan munafik itu. Namun rupa-rupanya yang mereka timbulkan perbincangan untuk memberi rasa sangsi terhadap Islam dan Rasulullah.

Antara yang mereka persoalkan adalah ajakan jihad. Mereka akan persoalkan kenapa perlu pergi jihad… bahaya pergi jihad… baik duduk di rumah sahaja…. dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka tidak suka jihad (dan takut jihad) dan kerana itu mereka kena ajak umat Islam yang lain supaya tidak pergi berjihad.

 

فَلَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.

Allah ﷻ telah menetapkan azab neraka buat mereka. Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Walaupun mereka mengucap syahadah tetapi pengucapan itu bukanlah ikhlas, maka ia tidak dikira. Di dunia, memang mereka selamat tetapi tidak akan selamat di akhirat kelak.


 

Mujaadilah Ayat 17: Golongan munafik banyak duit dan mereka sangka mereka boleh bayar (rasuah) untuk selamatkan diri mereka. Ini kerana semasa di dunia mereka selalu sangat terlepas dengan rasuah maka mereka sangka di akhirat pun boleh rasuah juga. Alangkah salahnya sangkaan mereka.

لَّن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللهِ شَيئًا ۚ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will their wealth or their children avail them against Allāh at all. Those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally

(MELAYU)

Harta benda dan anak-anak mereka tiada berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

 

لَّن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللهِ شَيئًا

Harta benda dan anak-anak mereka tiada berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka daripada azab Allah.

Harta-harta dan anak-anak mereka tidak akan dapat menyelamatkan mereka daripada Allah ﷻ apabila Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk memberi azab kepada mereka. Harta dan dan anak-anak mereka itu bernilai semasa di dunia sahaja, tetapi tidak di akhirat.

Harta itu semua pun sudah tidak ada lagi pada mereka, kerana semuanya telah ditinggalkan di dunia. Oleh kerana mereka tidak infak semasa mereka hidup, maka tidak ada harta yang menunggu mereka di akhirat.

Semasa di dunia, mereka berbangga dengan anak yang ramai. Anak itu juga boleh diterjemahkan sebagai kumpulan pengikut mereka. Mereka sangka mereka kuat semasa di dunia, namun nanti di akhirat, tidak akan ada kumpulan mana-mana pun yang boleh menyelamatkan mereka.

Anak-anak boleh membantu kita di akhirat kelak kalau kita beri pendidikan agama kepada mereka dan mereka menjadi insan yang soleh. Anak-anak sebenarnya adalah ‘saham’ terbaik buat kita. Maka kenalah beri pendidikan kepada anak-anak dan didik mereka dengan nasihat yang baik.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Mereka itulah penghuni neraka,

Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Sekarang mereka tidak dimasukkan lagi kerana mereka masih hidup sahaja. Apabila mereka mati sahaja nanti, maka akan bermula azab akhirat bagi mereka. Di kubur lagi mereka akan diseksa dan pasti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka bukan masuk sementara sahaja dalam neraka seperti orang Islam yang lain. Ada orang Islam yang masuk neraka dulu kerana mereka ada dosa, tetapi akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga juga. Akan tetapi orang munafik ini ada ‘geran neraka’ maka mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila.


 

Mujaadilah Ayat 18: Di dunia ini orang munafik suka bersumpah dan Allah ﷻ beritahu yang mereka akan bersumpah di akhirat juga. Kerana sudah selalu sangat bersumpah di dunia sampai mereka jadi ketagih bersumpah.

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا فَيَحلِفونَ لَهُ كَما يَحلِفونَ لَكُم ۖ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم عَلىٰ شَيءٍ ۚ أَلا إِنَّهُم هُمُ الكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day Allāh will resurrect them all, and they will swear to Him as they swear to you and think that they are [standing] on something.¹ Unquestionably, it is they who are the liars.

  • They assume that their lies will be believed and that they will escape detection as they did in worldly life.

(MELAYU)

(Ingatlah) hari (ketika) mereka semua dibangkitkan Allah lalu mereka bersumpah kepada-Nya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu; dan mereka menyangka bahawa mereka akan memperoleh suatu (manfaat). Ketahuilah, bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang pendusta.

 

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا

(Ingatlah) hari (ketika) mereka semua dibangkitkan Allah

Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka di hari Akhirat nanti. Waktu semua manusia dibangkitkan di Mahsyar dan diadili oleh Allah ﷻ.

 

فَيَحلِفونَ لَهُ كَما يَحلِفونَ لَكُم

lalu mereka bersumpah kepada-Nya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu;

Dulu semasa di dunia mereka mengaku yang mereka orang Islam dan mahukan kebaikan untuk agama. Mereka siap bersumpah dan sumpah itu menjadi perisai bagi mereka semasa di dunia dulu. Apabila sudah mengucap dan mengaku Muslim sahaja, umat Islam yang lain tidak dapat sentuh mereka.

Oleh kerana mereka selamat semasa di dunia dengan sumpah mereka itu, mereka cuba untuk mengatakan perkara yang sama di hadapan Allah ﷻ untuk menyelamatkan diri mereka lagi. Mereka mengaku yang kononnya mereka tidak munafik.

 

وَيَحسَبونَ أَنَّهُم عَلىٰ شَيءٍ

dan mereka menyangka bahawa mereka di atas sesuatu

Dengan bersumpah begitu, mereka sangka yang mereka ada dasar yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka bersumpah kepada Allah ﷻ bahawasanya diri mereka benar-benar berada pada jalan petunjuk dan istiqamah, sebagaimana sumpah mereka kepada manusia ketika di dunia. Akan tetapi itu adalah anggapan mereka yang amat salah.

Mereka sangka mereka berada atas agama. Mereka sangka mereka betul. Sebab itulah mereka tidak meninggalkan fahaman mereka yang salah. Kerana sesungguhnya barang siapa yang hidup dengan berpegangan pada sesuatu, maka matinya pun dia berpegang pada sesuatu itu; begitu pula saat dia dibangkitkan.

Mereka menyangka bahawa hal tersebut dapat memberi manfaat bagi mereka di sisi Allah ﷻ, sebagaimana dapat memberi manfaat bagi mereka di mata manusia. Mereka hanya berpegang kepada hal-hal yang lahiriah.

 

أَلا إِنَّهُم هُمُ الكٰذِبونَ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang pendusta.

Maka umat Islam ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang-orang yang munafik dan salah satu sifat munafik adalah berdusta, bukan? Maka kita sendiri kena berhati-hati dengan mereka yang ada sifat munafik ini. Telah banyak disebutkan sifat-sifat mereka dalam Al-Qur’an dan dalam hadith. Walaupun kita tidak dapat baca hati manusia, tetapi kita boleh kenal mereka melalui tanda-tanda mereka.

Kalau ada orang yang nampak mempunyai sifat-sifat munafik, maka kenalah berhati-hati, namun janganlah sampai menuduh dan melabel mereka itu ‘munafik’ pula. Kerana kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, maka kita tidak boleh menuduh begitu. Cuma berhati-hati sahaja dengan mereka.


 

Mujaadilah Ayat 19: Sekarang Allah ﷻ beritahu kita kenapa mereka jadi begitu.

استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ ۚ أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Satan has overcome them and made them forget the remembrance of Allāh. Those are the party of Satan. Unquestionably, the party of Satan – they will be the losers.

(MELAYU)

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.

 

استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ

Syaitan telah menguasai mereka

Kalimah istahwaza digunakan apabila seseorang itu mahir dalam mengendalikan binatang kenderaannya sampaikan dia boleh mengawalnya untuk bergerak sebagaimana yang dikehendaki. Maknanya sudah dapat mengawal kenderaan itu, sama ada unta atau kuda. Ia berasal daripada kata dasar ح و ذ yang bermaksud memandu dengan laju, menjaga dengan baik, menguasai sesuatu, mengguna pakai.

Maksud dalam ayat ini adalah syaitan sudah dapat mengawal orang itu sampaikan dia tidak perlu membisikkan was-was lagi tetapi terus beri arahan sahaja kepada orang itu untuk melakukan apa-apa dan orang itu akan ikut. Ini kerana manusia itu telah selalu mengikut arahan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah dapat mengawal mereka. Asalnya, syaitan hanya boleh bisikkan sahaja.

 

فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ

lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; 

Syaitan menjadikan orang itu lupa kepada Allah ﷻ. Bermacam-macam benda mereka akan lupa tentang agama:

Lupa hukum Allah ﷻ.
Lupa untuk amal syariat Allah ﷻ.
Lupa kepada wahyu.
Lupa mereka yang mereka akan jumpa Allah ﷻ dan kena bertanggungjawab di atas amalan mereka.

Ini tanda-tanda mereka sudah dikawal dengan syaitan. Mereka lupa diri mereka, mereka sudah tidak ingat akhirat, ingatkan dunia sahaja.

 

أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ

mereka itulah golongan syaitan.

Allah ﷻ mengisytiharkan yang mereka itu sudah termasuk di dalam ‘parti syaitan’. Maknanya sudah duduk dalam kumpulan syaitan, sudah geng dengan syaitan. Maknanya mereka teruk sangat kerana menjadi pendukung syaitan.

 

أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.

Kalau sudah menjadi golongan syaitan, sudah senang diarahkan oleh syaitan, maka tentu mereka akan rugi. Syaitan tidak pernah dan tidak akan suruh kepada benda yang baik. Maka mereka ini tidak akan selamat. Mereka ini adalah golongan yang amat-amat rugi di dunia dan di akhirat.


 

PARTI ALLAH

Mujaadilah Ayat 20:

إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ أُولٰئِكَ فِي الأَذَلّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the ones who oppose Allāh and His Messenger – those will be among the most humbled.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina.

 

Kalimah ini ada digunakan di awal surah ini juga. Iaitu apabila menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ dengan kuat. Apabila menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, maka amalan mereka pun tentu bercanggah dengan Al-Qur’an dan sunnah.

Maka kenalah kita menjadi ahli Al-Qur’an. Jangan masuk dalam parti Syaitan pula. Kerana akan menjadi golongan الأَذَلّينَ yang diambil daripada kata dasar ذ ل ل yang bermaksud rendah, tergantung rendah, bahagian paling bawah, dilemahkan, lembut, hina, mudah, tunduk patuh, sukar, kekasaran, menyusahkan, patah.


 

Mujaadilah Ayat 21: Tadi disebut golongan munafik yang menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Adakah mereka akan berjaya? Tentu tidak dan ini adalah ketetapan Allah ﷻ sejak azali lagi.

كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has written [i.e., decreed], “I will surely overcome, I and My messengers.” Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

(MELAYU)

Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

كَتَبَ اللهُ لَأَغلِبَنَّ أَنا وَرُسُلي

Allah telah menetapkan: “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”.

Allah ﷻ mengatakan yang Dia dan Rasul-Nya pasti akan menang. Tidak akan menang sesiapa yang menentang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Dan ini menjadi dalil bahawa Allah ﷻ akan memberi kejayaan kepada para Rasul عليهم السلام.

Namun bukankah ada Nabi عليه السلام yang dibunuh dan dikalahkan? Kita kena tahu yang tidak sama kedudukan seorang yang hanya berstatus Nabi dan seorang yang statusnya Rasul. Status Rasul itu lebih tinggi lagi. Kalau seorang Nabi sahaja, mungkin baginda itu diberi dugaan dikalahkan oleh manusia yang jahat. Akan tetapi para Rasul عليه السلام pasti akan menang kerana misi Rasul itu pasti akan dibantu sehingga berjaya dan barulah mereka mati.

Ini memberi isyarat yang golongan syaitan pasti akan dikalahkan. Maka janganlah duduk dalam golongan syaitan. Jauhkan syaitan daripada diri kita dan golongan pendukung mereka. Jangan termakan dengan bisikan syaitan. Kalau mula-mula dengar bisikan syaitan, lama kelamaan terus akan ikut arahan syaitan.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah ﷻ:

{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأشْهَادُ يَوْمَ لَا يَنْفَعُ الظَّالِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ وَلَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ}

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat), (iaitu) hari yang tidak berguna bagi orang-orang zalim permintaan maafnya dan bagi merekalah laknat dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk. (Al-Mu’min: 51-52)

 

إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Makhluk ada kekuatan dalam peringkat mereka. Akan tetapi semuanya akan dikalahkan oleh Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ itu bersifat ‘Aziz’ dan ‘Qowwi’. Maknanya tidak ada yang mampu mengalahkan Allah ﷻ dan tidak ada yang lebih kuat daripada Allah ﷻ.

Oleh kerana Allah ﷻ berkuasa penuh, maka para Rasul عليهم السلام akan dimenangkan oleh Allah ﷻ. Maka ini adalah berita gembira kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat yang berada bersama baginda memperjuangkan Islam. Supaya mereka tenang dan pasti dengan kemenangan yang mereka akan perolehi. Mungkin lambat, tetapi mereka pasti akan mendapatnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 2 Disember 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 12 – 15 (Sedekah untuk berjumpa Rasulullah ﷺ)

KENA BAYAR TIKET SEBELUM JUMPA NABI

Mujaadilah Ayat 12: Puak munafik yang ada rancangan-rancangan jahat itu suka untuk terus duduk berhimpit rapat dengan Rasulullah ﷺ. Bukan kerana sayangkan baginda tetapi kerana mereka sekadar mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang seolah-olah mereka ada perbincangan rahsia dengan baginda ﷺ. Ini kerana baginda adalah pemimpin kerajaan pada waktu itu.

Mereka sebenarnya dahulu ada kedudukan di dalam masyarakat dan jikalau mereka dilihat seolah-olah ada perbincangan tertutup dengan Nabi ﷺ, maka ini akan terus menguatkan kedudukan mereka di mata masyarakat. Ini macam orang kita bersalam dengan ahli politik dan letak gambar di pejabat, konon mereka baik dengan menteri lah kiranya. Padahal ambil gambar sahaja, bukan ada apa-apa pun.

Maka golongan munafik ini selalu datang berjumpa Nabi  ﷺ dan meminta untuk berbincang dengan Nabi ﷺ secara peribadi. Seolah-olah mereka itu orang penting dan kena ada perbincangan peribadi dengan baginda ﷺ. Padahal mereka bukan hendak menolong Islam pun tetapi hanya hendak menaikkan nama dan kedudukan mereka sahaja.

Maka tentunya Nabi Muhammad ﷺ duduk juga berbincang dengan mereka kerana telah diminta, tetapi sekarang Allah ﷻ ajar satu cara untuk membezakan siapakah yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نٰجَيتُمُ الرَّسولَ فَقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقَةً ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ لَّكُم وَأَطهَرُ ۚ فَإِن لَّم تَجِدوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you [wish to] privately consult the Messenger, present before your consultation a charity. That is better for you and purer. But if you find not [the means] – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus dengan Rasul hendaklah kamu mengeluarkan sedekah (kepada orang miskin) sebelum pembicaraan itu. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih; jika kamu tidak memperoleh (yang akan disedekahkan) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Ayat ini ditujukan kepada orang Islam waktu itu. Allah ﷻ hendak membezakan manakah mukmin sejati dan mereka yang berlakon sahaja. Kerana orang Islam waktu itu termasuklah juga dengan golongan munafik kerana mereka juga mengaku mereka muslim, bukan? Ada mekanisme yang Allah ﷻ letakkan sebagai pembahagi (mana yang ikhlas dan mana yang tidak).

Maka, ia merujuk kepada semua orang Islam waktu itu kerana mereka ramai yang mahu mengadakan perjumpaan peribadi dengan baginda ﷺ yang menyebabkan kesusahan pada diri baginda. Susah pula baginda hendak melayan berbagai jenis golongan yang bukannya ikhlas pun.

Akan tetapi baginda ﷺ tidak sampai hati hendak menolak permintaan mereka itu. Kadangkala perkara yang hendak dibincangkan itu tidaklah penting mana. Ia hanyalah  membuang masa baginda ﷺ sahaja. Sedangkan baginda bukan ada banyak masa lagi kerana kerja dakwah perlu dijalankan berterusan. Mana ada masa untuk melayan puak-puak lagha itu. Maka Allah ﷻ berikan jalan keluar kepada baginda ﷺ.

 

إِذا نٰجَيتُمُ الرَّسولَ

apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus dengan Rasul 

Golongan munafik selalu duduk berdekatan dengan Nabi ﷺ sehingga menyebabkan para sahabat yang lain tidak dapat datang dekat dengan Nabi ﷺ. Ini menyebabkan susah untuk baginda ﷺ berbincang dengan orang mukmin, untuk merancang perluasan agama Islam dan kerja dakwah ke serata dunia.

Puak munafik itu memang akan mengganggu kerana mereka tidak mahu Islam berkembang dan kerana itu mereka menyibukkan diri mereka berdekatan Nabi ﷺ. Mereka duduk saja-saja tanpa ada kepentingan kepada Islam.

Sedangkan sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang penting dan besar yang ada kegunaan pada agama Islam itu beradab dan kerana itu jikalau sudah ada orang yang berdekatan dengan Nabi ﷺ maka mereka tidak datang menyelit.

Maka Allah ﷻ beri satu syarat kalau betul-betul mahu duduk dengan baginda dan mengadakan perbincangan peribadi dengan baginda:

 

فَقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقَةً

hendaklah kamu mengeluarkan sedekah sebelum pembicaraan itu. 

Allah ﷻ beritahu kepada orang Islam yang jikalau mereka hendak berjumpa dan bercakap dengan bicara peribadi bersama Rasulullah ﷺ, maka mereka hendaklah mengeluarkan sedekah dahulu. Sedekah itu bukanlah kepada Nabi ﷺ pula, bukannya hendak bayar tiket jumpa Nabi ﷺ, tetapi sedekahkan kepada fakir miskin.

Ayat ini akhirnya dimansukhkan, tetapi Saidina Ali رضي الله عنه memberitahu yang dia antara orang yang sempat beramal dengan ayat ini dengan memberi sedekah sebelum berjumpa dengan Nabi ﷺ sebelum ayat ini dimansukhkan.

Untuk kita amalkan ayat ini, ada tafsiran yang lain: untuk mendapatkan ilmu agama, maka kena ‘bodek’ Allah ﷻ dengan memberi sedekah. Maka sebelum pergi kelas kita boleh beri sedekah. Berapa banyak? Satu pendapat mengatakan satu dinar dibahagi 72 bahagian.

 

ذٰلِكَ خَيرٌ لَّكُم وَأَطهَرُ

Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih; 

Dengan memberikan sedekah itu Allah ﷻ akan balas dengan beri kefahaman yang lebih. Dan ini lebih baik sebagai pengagungan kepada Nabi ﷺ. Jangan rasa senang-senang hendak berbicara bersendirian dengan Nabi ﷺ begitu sahaja. Baginda orang besar dan banyak kerja yang lebih penting daripada melayan kehendak seorang individu. Maka ini adalah adab dengan Rasulullah ﷺ.

Dan dengan sedekah itu akan membersihkan diri daripada dosa kerana sedekah itu dapat meredakan kemarahan Allah ﷻ. Dengan memberi sedekah Allah ﷻ akan berikan penyucian jiwa. Juga kerana dengan bersedekah akan menyucikan jiwa daripada penyakit bakhil dan kikir.

Juga kerana memuliakan Nabi ﷺ adalah perkara yang dapat membersihkan hati, kerana menghormati Nabi ﷺ yang telah dilantik oleh Allah ﷻ. Kalau duduk secara privasi dengan Nabi ﷺ tidak membincangkan perkara yang tidak penting, itu di luar rangka memuliakan Nabi.

Setelah diberikan penetapan ini maka orang-orang munafik itu tidak lagi mengganggu Nabi ﷺ kerana mereka itu walaupun ada banyak duit tetapi mereka kedekut. Mereka tidak lagi bertempek dengan Nabi ﷺ dan mengganggu baginda ﷺ.

 

فَإِن لَّم تَجِدوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

jika kamu tidak memperoleh (yang akan disedekahkan) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sedekah itu adalah anjuran sahaja. Kalau memang orang yang tidak ada harta, maka tidaklah perlu sedekah. Tambahan pula, orang mukmin selalunya tidak ada harta. Islam tidak memberatkan kepada mereka yang tidak mampu.

Di dalam ayat seterusnya kita dapat tahu yang anjuran ini pun sudah dimansukhkan.


 

Mujaadilah Ayat 13: Kesan anjuran memberikan sedekah itu telah menyebabkan orang munafik berubah. Mereka tidak lagi sibuk mengganggu majlis Nabi ﷺ.

ءأَشفَقتُم أَن تُقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقٰتٍ ۚ فَإِذ لَم تَفعَلوا وَتابَ اللهُ عَلَيكُم فَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَأَطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ ۚ وَاللهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you feared to present before your consultation charities? Then when you do not and Allāh has forgiven you, then [at least] establish prayer and give zakāh and obey Allāh and His Messenger. And Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) kerana kamu memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan dengan Rasul? Maka jika kamu tiada memperbuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu maka dirikanlah salat, tunaikanlah zakat, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

ءأَشفَقتُم أَن تُقَدِّموا بَينَ يَدَي نَجوٰكُم صَدَقٰتٍ

Apakah kamu takut kena memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan peribadi (dengan Rasul)?

Ini adalah perli Allah ﷻ kepada golongan munafik: Adakah kamu sudah takut?

Kalimah ءأَشفَقتُم berasal daripada kata dasar ش ف ق yang bermaksud kasihan, cemas, takut. Allah ﷻ menegur: Adakah kamu takut miskin? Adakah kamu takut harta kamu berkurang? Sepatutnya kamu tidak rasa takut habis harta kerana segala apa yang kamu sedekahkan akan dipulangkan kepadamu, sama ada di dunia atau di akhirat.

Atau ayat ini ditujukan juga kepada orang mukmin: adakah kamu takut yang hukum ini berterusan sampaikan kamu akan susah untuk berjumpa dengan Nabi ﷺ untuk mengadakan perbincangan khusus untuk kamu?

Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما pula mengatakan, sebelum itu para sahabat banyak bertanya kepada Rasulullah ﷺ sampaikan baginda kepenatan menjawab persoalan-persoalan mereka. Sampaikan Allah ﷻ telah mengeluarkan ayat sebelum ini untuk meringankan baginda (maknanya ada tapis sedikit supaya tidaklah semua asyik bertanya sahaja). Dan selepas itu telah berhenti soalan-soalan kepada baginda. Maka kerana itu seolah-olah Allah ﷻ bertanya: ‘Kenapa tak tanya, sebab takut miskin kah?’

 

فَإِذ لَم تَفعَلوا وَتابَ اللهُ عَلَيكُم

Maka jika kamu tiada memperbuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu

Undang-undang bersedekah ini adalah hanya pada permulaan sahaja kerana untuk menghalang golongan munafik daripada datang mendekati Nabi ﷺ dan mengganggu perbincangan Nabi ﷺ dengan orang yang lebih layak. Kemudian Allah ﷻ telah memberi keampunan kepada para sahabat yang tidak dapat melakukannya.

Apabila Allah ﷻ sebut: وَتابَ اللهُ عَلَيكُم ia bermaksud Allah ﷻ memansukhkan hukum ini. Tidak perlu dilakukan lagi kerana tujuan untuk menghalang orang munafik telah berjaya. Telah nampak bagaimana yang dulu suka menghimpit sudah tidak sibuk-sibuk lagi.

Walaupun hukum keluarkan sedekah itu telah dimansukhkan, akan tetapi arahan untuk menghormati dan memuliakan baginda tetap perlu dijaga. Jangan layan baginda seperti orang-orang yang lain. Apabila bertanya jangan susahkan baginda. Jangan tanya benda-benda yang tidak penting dan jangan buang masa baginda. Kenalah bersopan santun dengan baginda.

Ulama’ tafsir khilaf berapa lama sebelum perintah memberikan sedekah itu dimansukhkan. Pendapat itu berbeza antara satu saat, satu hari sehinggalah ke sepuluh hari. Tidak ada pendapat yang mengatakan lebih daripada sepuluh hari.

Menurut suatu pendapat, sebelum ayat di atas di-mansukh tiada seorang pun yang mengamalkannya selain Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه. Beliau menyedekahkan satu dinar, lalu mengadakan pembicaraan khusus dengan Nabi ﷺ. Ali رضي الله عنه  dan menanyakan kepada Nabi ﷺ tentang sepuluh perkara, setelah itu diturunkanlah ayat rukhsah.

Apabila Allah ﷻ berfirman yang Dia telah ‘memberi ampun’, ini bermakna yang sedekah itu sepatutnya dilakukan. Akan tetapi kerana ia payah, maka Allah ﷻ telah ringankan dan telah beri ampun kepada para sahabat. Maknanya bukanlah benda itu tidak perlu, tetapi Allah ﷻ sahaja yang beri keringanan.

 

فَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ

maka dirikanlah salat, tunaikanlah zakat, 

Allah ﷻ sudah mansukhkan suruhan beri sedekah sebelum jumpa Rasulullah ﷺ, tetapi hukum-hukum dan arahan lain masih ada lagi. Maka sebagai ganti kepada mengeluarkan harta, maka beramallah dengan amalan yang baik-baik ini.

Maka selepas itu, amalkanlah agama dengan benar, jalankanlah ibadat. Yang disebut adalah solat dan zakat kerana ini adalah dua ibadah yang amat penting, sebagai wakil kepada ibadah-ibadah yang lain.

Solat: wakil ibadat perhubungan dengan Allah ﷻ
Zakat: wakil ibadat perhubungan manusia dengan manusia

Oleh itu jalankanlah dan penuhilah kewajipan dua perkara ini dengan memerhatikan segala apa yang perlu dijaga dari segi perlaksanaannya, syarat-syaratnya dan lain-lain. Maknanya kena belajar tentang solat supaya boleh mengerjakan solat dengan sempurna; kena belajar tentang zakat supaya dapat menunaikan zakat dengan sempurna. Malangnya ramai yang masih tidak ada ilmu lagi tentang perkara ini sampaikan culas dalam dua ibadah utama ini.

 

وَأَطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ

dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya; 

Hendaklah taat benar-benar kepada arahan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Inilah tanda mukmin sejati. Ikutlah segala arahan agama yang diberikan. Kalau tentang solat dan zakat itu spesifik tentang ibadah, ini pula lebih berbentuk umum. Apa-apa sahaja hal lain yang Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ telah arahkan dan suruh jaga, maka kenalah patuh. Ada banyak lagi hal agama lain selain daripada solat dan zakat.

 

وَاللهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kena jaga dengan perbuatan setiap hari kerana Allah ﷻ tahu segalanya yang kita lakukan. Apabila Allah ﷻ tahu maka itu bermaksud yang Allah ﷻ akan beri balasan yang setimpal dengan segala apa yang dilakukan oleh manusia.

Apabila digunakan kalimah خَبيرٌ, ia bermaksud pengetahuan yang mendalam. Bermakna Allah ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati manusia. Maka ini memberi isyarat kepada kita untuk menjaga niat dan keikhlasan hati kita dalam beribadat.

Sekian Ruku’ 2 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.


 

PARTI SYAITAN

Mujaadilah Ayat 14: Ayat 14 – 22 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang pendukung agama Allah ﷻ akan menang dan pendukung syaitan akan kalah. Kita juga akan belajar dalam beberapa ayat ini tentang siapakah yang termasuk dalam ‘Parti Syaitan’. Semoga kita tidak termasuk di dalamnya.

Ayat 14 ini adalah ayat teguran dan ayat takhwif. Ia adalah teguran kepada pemimpin yang berbaik dengan golongan munafik yang berbaik dengan golongan musuh seperti orang kafir.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ تَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم مّا هُم مِّنكُم وَلا مِنهُم وَيَحلِفونَ عَلَى الكَذِبِ وَهُم يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who make allies of a people with whom Allāh has become angry? They are neither of you nor of them, and they swear to untruth while they know [they are lying].

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman? Orang-orang itu bukan dari golongan kamu dan bukan (pula) dari golongan mereka. Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan, sedang mereka mengetahui.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ تَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman?

Kalimah تَوَلَّوا dalam ayat ini bermaksud ‘kasih dalam hati’. Sikap wala’ adalah memberikan cinta dan taat setia kepada seseorang atau sesuatu kumpulan. Ia bermaksud berpaling dan menjadi golongan itu sebagai ‘wali’ iaitu sebagai penolong. Maknanya berkawan rapat dengan sesuatu golongan itu. Atau bermaksud menjadikan golongan itu sebagai pemimpin kerana wali juga boleh bermaksud ketua dan pemimpin.

Ini adalah teguran kepada orang Islam yang kasih kepada kaum yang ‘dimurkai’ oleh Allah ﷻ. Yang ditegur adalah golongan yang tidak mahu meneruskan atau terlibat di dalam usaha agama untuk mengembangkan agama Islam ini. Mereka itu adalah golongan munafik.

Manakala mereka yang telah dimurkai oleh Allah ﷻ itu adalah golongan Yahudi (ada juga mufassir yang memasukkan golongan Nasrani sekali). Golongan munafik pada zaman Nabi itu masih lagi berbaik dengan golongan Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka telah lama berkawan dengan Yahudi sebelum kedatangan Islam dan mereka lebih percaya dengan Yahudi itu daripada mempercayai Rasulullah ﷺ. Mereka masih lagi berharap dapat berkawan dengan puak Yahudi itu kerana ada kelebihan keduniaan bagi mereka. Mereka juga hendak mendapatkan perlindungan daripada golongan Yahudi.

Maka banyak maklumat mereka berikan kepada golongan Yahudi sedangkan golongan Yahudi itu sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Islam (dari luar atau dari dalam). Memang golongan Yahudi tidak boleh dipercayai dari dulu sampai sekarang. Kerana itu kenalah berhati-hati dengan mereka dan jangan lagi berbaik-baik dengan mereka.

Sepatutnya, kalau iman sudah ada dalam hati, seseorang itu tidak akan suka berkawan rapat dengan golongan munafik, orang kafir atau ahli dunia. Mereka juga tidak suka bercampur dengan golongan sesat dan orang yang tidak kisah tentang agama. Mereka akan berhati-hati dengan siapa mereka berkawan.

Kalau masih lagi mahu duduk bersama dengan golongan-golongan tidak elok itu, maka itu menunjukkan ada masalah dengan hati orang itu. Sebab itulah Allah ﷻ tegur dalam ayat ini. Kita kena jaga siapakah ‘Circle of Influence’ (Lingkaran Pengaruh) kita. Memang merbahaya kalau tersalah pilih kawan.

 

مّا هُم مِّنكُم

Orang-orang itu bukan daripada golongan kamu

Mereka itu adalah golongan munafik dan mereka itu bukanlah daripada golongan mukmin. Mereka tidak bersama-sama dengan golongan mukmin dalam usaha menegakkan agama Islam.

Juga kalau dimaksudkan dengan golongan Yahudi, mereka itu bukan daripada golongan Muslim. Kebanyakan daripada mereka tidak suka kepada orang Islam dan agama Islam. Memang mereka benci dengan Islam dan mencari peluang untuk menjatuhkan Islam.

 

وَلا مِنهُم

dan bukan (pula) daripada golongan mereka. 

Oleh kerana mereka itu munafik, maka golongan kafir pun tidak percaya kepada mereka dan orang Islam pun tidak percaya kepada mereka. Tidak ada sesiapa pun yang mahu percaya dan berkawan rapat dengan mereka kerana mereka itu tidak boleh dipercayai.

Maka mereka tidak ada kawan. Kerana orang tidak mahu percaya kepada ‘talam dua muka’. Mereka juga akan duduk dalam kebingungan dengan keadaan itu. Mereka akan sentiasa sahaja ada ragu-ragu kerana prinsip mereka bercelaru. Mereka menjadi ragu-ragu antara beriman dan tidak.

 

JAUHI SIFAT BERMUKA-MUKA DI DALAM MASYARAKAT KERANA IANYA AKAN MEYEBABKAN PERPECAHAN | Al-Haq Centre Malaysia

 

Ayat ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:

{مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَلِكَ لَا إِلَى هَؤُلاءِ وَلا إِلَى هَؤُلاءِ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلا}

Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman dan kafir); tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barang siapa yang disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya. (An-Nisa: 143)

 

وَيَحلِفونَ عَلَى الكَذِبِ وَهُم يَعلَمونَ

Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan, sedang mereka mengetahui.

Apabila ditanya kepada golongan munafik itu kenapa mereka masih lagi berkawan dengan golongan Yahudi, mereka pun bersumpah yang mereka memang Muslim dan mereka mengatakan mereka berbaik dengan Yahudi itu sebenarnya kerana mahukan kebaikan. Mereka kata hendak berkawan sahaja dan macam-macam alasan lagi.

Akan tetapi itu sumpah kosong sahaja. Sedangkan sebenarnya mereka sendiri pun tahu yang mereka tidak jujur dalam sumpah mereka itu. Mereka bersumpah yang mereka beriman kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ, tetapi mereka menipu sahaja.

Mereka telah membocorkan rahsia umat Islam kepada puak Yahudi (seperti rancangan peperangan dan strategi dakwah), tetapi mereka bersumpah yang mereka tidak melakukan perkara itu. Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan yang duduk bermesyuarat secara rahsia dengan Rasulullah ﷺ. Ada antara mereka yang telah membocorkan rahsia itu.

Mereka bersumpah itu adalah untuk menyelamatkan diri mereka sahaja. Mereka tidak mahu dipandang serong oleh orang Muslim yang lain, maka mereka mengaku kononnya mereka beriman dan menjaga rahsia umat Islam. Mereka hendak mengambil hati umat Islam yang mukmin sahaja. Itu pun kerana mereka duduk dalam kalangan orang mukmin. Kerana itu mereka kena mengaku sebagai orang mukmin.


 

Mujaadilah Ayat 15: Apakah balasan bagi golongan munafik itu?

أَعَدَّ اللهُ لَهُم عَذابًا شَديدًا ۖ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has prepared for them a severe punishment. Indeed, it was evil that they were doing.

(MELAYU)

Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras, sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

 

أَعَدَّ اللهُ لَهُم عَذابًا شَديدًا

Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras,

Kerana penipuan mereka itu, Allah ﷻ telah menjanjikan azab yang keras untuk mereka. Iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka nanti. Itulah tempat mereka kalau mereka tidak mengubah sikap mereka.

Allah ﷻ berfirman,

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka. (Nisa: 145)

 

إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Buruk sekali apa yang mereka lakukan itu. Kalau orang kafir, semua sudah tahu agenda mereka dan pendirian mereka; tetapi orang munafik ini adalah ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’.

Orang mukmin sangka mereka itu orang mukmin juga, tetapi sebenarnya mereka musuh dalaman. Musuh dalaman ini amat-amat bahaya kerana mereka musuh yang tidak dikenali. Dan kerana itu mereka boleh merosakkan agama Islam dan orang Muslim dari dalam.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Mei 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 9 – 11 (Adab dalam majlis)

PERCAKAPAN RAHSIA YANG DIBENARKAN DAN DIGALAKKAN

Mujaadilah Ayat 9: Dalam ayat sebelum ini telah disebut larangan dan bahaya kalau ada najwa (perhimpunan rahsia). Namun begitu kadangkala ada keperluan untuk melakukannya. Maka Allah ﷻ beri nasihat kalau perlu untuk melakukannya.

Ada perkara baik yang mesti diiklankan seperti perkahwinan dan kelas pengajian. Akan tetapi kalau ada perkara yang buruk dan memalukan itu perlulah dirahsiakan dan diselesaikan dengan cara rahsia. Ini demi untuk menjaga nama baik orang.

Katakanlah seseorang itu telah mengambil duit tabung masjid kerana terpaksa dan dia memang mengaku dan minta tangguh untuk bayar balik. Maka tidak perlu kita canangkan dan kita cuba selesaikan dalam kalangan AJK masjid sahaja.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you converse privately, do not converse about sin and aggression and disobedience to the Messenger but converse about righteousness and piety. And fear Allāh, to whom you will be gathered.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa, permusuhan dan berbuat durhaka kepada Rasul. Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Ditujukan kepada umat Islam secara keseluruhan, sama ada yang mukmin, yang lemah iman dan munafik sekali. Kalau mengaku beriman, kena dengarlah nasihat ini.

 

إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ

apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa,

Orang-orang Islam diingatkan yang jikalau mereka mahu mengadakan perjumpaan rahsia, janganlah perjumpaan itu kerana tujuan merosakkan agama. Jangan buat rancangan yang tidak baik.

 

وَالعُدوٰنِ

dan permusuhan

Dan jangan buat perjumpaan rahsia kerana untuk merosakkan hubungan sesama umat Islam yang lain. Jangan buat perancangan untuk menjatuhkan sesiapa.

 

 

وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ

dan berbuat derhaka kepada Rasul. 

Dan jangan buat perjumpaan rahsia untuk melawan dan menentang Rasulullah ﷺ. Juga jangan buat perjumpaan untuk menentang agama.

Ini bukan sahaja perjumpaan rahsia tetapi mana-mana perjumpaan yang tidak berapa rahsia pun kerana selalunya apabila kita berbincang sesama kita dan kita tidak menjaga hati kita, maka ia akan membawa kepada perbincangan yang tidak produktif.

Ini mengajar kita untuk menjaga mulut kita dan jangan selalu duduk-duduk bersama dan komen tentang orang lain. Tidaklah semua perkara yang kita fikirkan di dalam hati kita perlu diberitahu kepada orang lain kerana kadang-kadang ia tidak membawa kepada kebaikan pun.

Sebagai contoh, mungkin ada yang sama-sama mendengar ceramah agama dan kemudian ada yang bercerita tentang ceramah itu dan mempersoalkan kata-kata penceramah itu. Ini boleh membawa kepada perkara yang tidak baik kerana mungkin ada yang sangsi pula kepada penceramah itu, dan sebagainya. Tahanlah mulut itu daripada hendak komen tentang orang lain.

Kadang-kadang perkara itu kecil sahaja, tetapi apabila ia disebut dan dibincangkan maka ia boleh menjadi perkara yang besar pula. Akan ada sahaja orang lain yang ingin menambah perkara yang dia juga tidak puas hati. Lama-lama daripada perkara kecil menjadi perkara yang besar dan di luar kawalan pula.

Maka daripada ayat ini kita dapat tahu ada najwa yang buruk dan ada juga najwa yang baik. Maka apakah najwa yang baik itu? Iaitu jika kita berjumpa dengan kenalan kita dan kita memberi nasihat kepada dia dari hati yang ikhlas untuk kebaikan bersama. Kalau najwa jenis begini, maka tentulah ia baik.

Kita kadangkala ingin menasihati orang lain, kena nasihat dengan rahsia untuk tidak memalukan dia. Barulah dia hendak mendengar nasihat kita. Kalau kita nasihat depan orang lain, dia akan berasa malu dan terasa hati dan dia mungkin akan membenci kita dan marahkan kita pula kerana telah memalukan dirinya. Nasihat kita entah ke mana pula kerana perasaan benci kepada kita itu yang lebih menguasai dirinya, bukan?

Maka boleh kalau ingin menasihati secara rahsia kerana ini adalah nasihat dari hati yang manis. Apabila kita memberi nasihat kepada orang, maka ada baiknya jika kita minta nasihat daripada orang itu juga. Kerana diri kita pun memerlukan nasihat daripada orang lain. Kita kata begini pada dia: “Saya ada hadiah nak bagi kat awak…. boleh? Tapi dengan syarat, awak kena bagi balik hadiah kepada saya….”

Kemudian sama-sama nasihat menasihati. Dia pun akan lebih terbuka kerana dia pun ada peluang untuk menegur kita – sama-sama nasihat menasihati. Kadangkala perkara ini perlu dilakukan dengan rahsia untuk tidak memalukan sesiapa. Ini adalah jenis najwa untuk meningkatkan taqwa.

 

وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ

Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan taqwa.

Dan ada juga najwa yang baik yang untuk kebaikan di mana mungkin telah diadakan mesyuarat dan telah ada persetujuan untuk membina masjid di kampung itu.

Maka boleh kalau ada perjumpaan rahsia antara orang-orang yang kaya untuk memulakan beri duit untuk membina masjid itu. Maknanya rancangan untuk melakukan sesuatu di dalam mesyuarat telah diputuskan dan perjumpaan rahsia ini bukanlah untuk mengubah keputusan itu tetapi untuk menjayakannya. Najwa sebegini amat bagus sekali.

Juga mungkin ada perjumpaan rahsia untuk menyelamatkan nama baik seseorang yang telah dijatuhkan. Mungkin juga perjumpaan rahsia itu untuk membincangkan dan mendamaikan pertelingkahan antara dua kawan baik.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.

Yang penting, kita kena ada taqwa dalam hati kita. Kalau kita ada taqwa, maka kita akan tahu mana satu najwa yang bagus dan mana yang tidak. Gerak hati kita sendiri pun sudah boleh digunakan untuk menilai.

Ingatlah yang kita akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ sudah tahu apa yang kita lakukan dan apa niat kita semasa melakukannya. Kita tahu yang kita akan dipersoalkan kelak tentang perkara ini. Maka kenalah takut untuk melakukan perkara-perkara yang salah.


 

Mujaadilah Ayat 10:

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Private conversation is only from Satan that he may grieve those who have believed,¹ but he will not harm them at all except by permission of Allāh. And upon Allāh let the believers rely.

  • The reference may be to the sinful type of conversation, as mentioned in the previous verses, or to the practice of two persons speaking in confidence in the presence of a third, which might lead him to assume that he is the subject of their conversation. Such behavior was prohibited by the Prophet (ṣ) in narrations of al-Bukhārī and Muslim.

(MELAYU)

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.

 

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan,

Bisikan-bisikan yang kita jelaskan sebagai ‘najwa’ yang dilakukan oleh puak-puak munafik (dan juga daripada golongan Yahudi) itu sebenarnya adalah daripada syaitan. Syaitan yang bisikkan kepada mereka untuk melakukannya dan mereka telah termakan dengan bisikan syaitan itu.

 

لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا

supaya orang-orang yang beriman itu berdukacita, 

Najwa yang digerakkan oleh syaitan itu akan menyebabkan orang-orang beriman menjadi sedih. Kerana mereka yang melakukan najwa itu bercakap sesama mereka tetapi sambil memandang orang mukmin yang menyebabkan orang mukmin boleh sangka yang dialah subjek perbincangan rahsia mereka itu.

Kadang-kadang kita ternampak perbincangan rahsia di tempat tersembunyi seperti di tempat parkir atau di sudut belakang bangunan dan sebagainya yang kita tahu perbincangan mereka itu tidak baik dan kita sedih dengan apa yang kita lihat itu. Kita sudah boleh agak apa yang mereka katakan itu. Walaupun kita mungkin tersilap andaian (mungkin dia sembang tentang kebaikan), tetapi cara perbuatan mereka itu telah menyebabkan kita terasa.

Oleh kerana itu kalau bertiga, tidak boleh kalau dua orang di antara mereka bercakap dalam bahasa yang tidak difahami oleh orang ketiga. Lebih buruk lagi kalau semasa dua orang itu bercakap, mereka menunjuk-nunjuk kepada orang ketiga itu:

 

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلاَثَةً، فَلاَ يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الآخَرِ حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ، مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنَهُ» متفق عليه، وهذا لفظ مسلم

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Apabila kalian bertiga, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menghiraukan yang lain, sehingga kalian bergaul dengan orang-orang, kerana hal tersebut akan membuatnya sedih.” (Muttafaqqun ‘alaih) dan ini adalah lafaz Imam Muslim.

(Sahih Bukhari no. 6.290 dan Sahih Muslim no. 2.184)

 

 

Kalau ada keperluan untuk bercakap secara rahsia berdua sahaja, atau untuk bercakap dalam bahasa lain daripada yang boleh difahami oleh orang ketiga itu, maka kenalah meminta maaf daripadanya.

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَرضي الله عنهما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الثَّالِثِ، إِلَّا بِإِذْنِهِ فَإِنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهُ» رواه أحمد

“Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila kalian bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dengan membiarkan yang seorang lagi, kecuali dengan seizinnya, kerana hal tersebut boleh membuatnya sedih.”

(HR Ahmad, no. 6.338)

 

وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ

sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah 

Tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa rancangan jahat manusia tidak berjaya jikalau Allah ﷻ tidak membenarkannya. Begitu ramai manusia yang berniat untuk melakukan kerosakan, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan.

Maka kerana itu puak munafik zaman Nabi ﷺ itu telah mencuba berbagai-bagai cara, malah sehingga ada cubaan untuk membunuh Rasulullah ﷺ, namun mereka tidak berjaya. Maka kalau ada perancangan daripada golongan munafik zaman ini pun, maka tidak perlu hairan kerana memang mereka itu dipimpin oleh syaitan. Dan serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

 

وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.

Maka hendaklah orang-orang yang mengaku beriman bertawakal kepada Allah ﷻ dan serahkan apa saja yang berlaku selepas itu kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh menghalang perbincangan rahsia orang jahat; kita tidak dapat menghalang usaha mereka. Maka kita berserah sahaja kepada Allah ﷻ.

Sekiranya orang mukmin dapat menerima hal ini, maka tidaklah mereka risau sangat kalau nampak orang tidak baik bercakap-cakap sesama mereka. Kerana dia tahu yang mereka itu tidak dapat buat apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Kalau tidak tawakal, dia akan asyik fikirkan tentang mereka dalam kerisauan sampai tidak boleh hendak buat kerja lain pula nanti. Jadi, jangan fikirkan dan biarkan sahaja mereka.


 

ADAB DI DALAM PERHIMPUNAN

Mujaadilah Ayat 11: Allah ﷻ ajar bagaimana cara untuk menghalang perkara buruk daripada terjadi.

Salah satu cara orang yang ada niat jahat gunakan adalah dengan mengganggu mesyuarat dengan datang lambat ataupun bercakap kuat dalam mesyuarat itu atau bercakap benda yang tidak berfaedah. Mereka membuat bunyi bising dan mereka berbisik-bisik sesama mereka dan ini mengganggu perjalanan mesyuarat.

Bagaimana hendak menangani perkara itu kalau terjadi dalam mesyuarat kita? Maka Allah ﷻ memberi jalan penyelesaian untuk masalah ini.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا يَفسَحِ اللهُ لَكُم ۖ وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you are told, “Space yourselves” in assemblies, then make space; Allāh will make space for you.¹ And when you are told, “Arise,”² then arise; Allāh will raise those who have believed among you and those who were given knowledge, by degrees. And Allāh is Acquainted with what you do.

  • In His mercy, in Paradise, or in everything good.
  • To prayer, to battle, or to good deeds.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman

Allah ﷻ beri arahan kepada orang mukmin dalam ayat ini. Ini adalah pengajaran tentang adab di dalam majlis terutama dalam majlis ilmu. Para sahabat رضي الله عنهم memang suka berada dalam majlis ilmu dengan Rasulullah ﷺ dan begitu juga diteruskan oleh golongan selepas mereka.

Maka kita pun kenalah ikut. Kena perbanyakkan majlis ilmu dalam kalangan kita. Kena teruskan pengajian ilmu dan biasakan dengan majlis ilmu. Kalau anak-anak kita degil pun, kena biasakan mereka datang ke majlis ilmu. Semoga mereka mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengubah sikap mereka daripada buruk kepada sikap yang baik.

 

إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا

apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah

Golongan munafik selalu mengambil peluang untuk duduk berdekatan dengan Rasulullah ﷺ, sampai menyebabkan orang lain tidak dapat duduk dekat dengan baginda ﷺ. Ini adalah kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk yang mereka kononnya rapat dengan Nabi ﷺ. Baginda tidaklah menegur mereka tetapi sekarang Allah ﷻ yang menegur perbuatan mereka itu.

Nabi ﷺ tidak menegur kerana Nabi ﷺ malu untuk berkata apa-apa. Inilah sifat baginda ﷺ yang pemalu, sebagaimana juga baginda malu untuk menghalau orang yang duduk-duduk dalam rumah baginda selepas selesai kenduri di rumah baginda (telah disebut dalam surah yang lain). Dalam kes itu pun Allah ﷻ yang menegur perbuatan para sahabat رضي الله عنهم yang terus melepak walaupun sudah lewat.

Selalunya apabila Rasulullah ﷺ bercakap dan memberi ceramah agama, maka para sahabat akan berkumpul dekat-dekat baginda. Tetapi kali ini di dalam mesyuarat mereka disuruh untuk duduk berpecah-pecah. Jangan duduk sekelompok. Kenapa pula begitu?

Golongan mukmin disuruh untuk duduk berpecah kerana jikalau ada orang yang busuk hatinya datang, mereka tidak boleh duduk bersama kawan-kawan mereka yang jahat juga. Bila tempat kosong itu jarang, maka mereka kena duduk di antara orang-orang yang beriman. Maka mereka tidak boleh membuat rancangan berbisik-bisik sesama mereka dan membuat bunyi-bunyi yang tidak patut. Ini kerana mereka tidak duduk dengan geng mereka lagi. Mereka sudah menjadi terpencil.

Biasalah, bila kawan duduk sekali, mereka boleh buat rancangan. Macam dalam kelas budak sekolah – kalau duduk dengan geng, mulalah mereka buat kacau. Tetapi kalau mereka duduk berseorangan, mereka pun senyap juga.

Ayat ini juga ada ditafsirkan secara umum. Ia bukan untuk majlis yang ada Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi mana-mana majlis perjumpaan pun. Kalau tempat itu sesak, maka hendaklah lapangkan tempat duduk untuk bagi orang baru sampai pun boleh duduk. Berilah ruang kepada orang yang baru datang. Mereka pun boleh juga mengambil manfaat dari majlis itu, terutama kalau majlis itu adalah majlis ilmu.

Tidaklah boleh orang baru tiba suruh orang yang sudah ada di situ untuk bangun supaya dia boleh mengambil tempatnya; tetapi yang diajar adalah untuk beri ruang. Kerana mungkin sudah nampak sesak, tetapi masih boleh lagi untuk susun lagi kedudukannya itu. Ini berdasarkan dalil sebuah hadith:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَال رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( لاَ يُقِيْمَنَّ أَحَدُكُمْ رَجُلاً مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ ، وَلكِنْ تَوَسَّعُوْا وَتَفَسَّحُوْا )) وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا قَامَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ مَجْلِسِهِ لَمْ يَجْلِسْ فِيهِ . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا, ia berkata bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah seorang di antara kalian menyuruh berdiri lainnya dari tempat duduknya kemudian ia sendiri duduk di situ. Tetapi berikanlah keluasan tempat serta kelapangan (pada orang lain yang baru datang).” Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا apabila ada seorang yang berdiri dari tempat duduknya kerana menghormatinya, ia tidak suka duduk di tempat orang tadi itu. (Muttafaq ‘alaih) (HR. Bukhari, no. 6270 dan Muslim, no. 2177)

 

Kadang-kadang yang sampai lambat itu adalah para sahabat yang besar yang tugas mereka memang menyampaikan maklumat kepada orang lain. Maka mereka itulah yang patut duduk di hadapan.

Begitu juga kalau zaman sekarang, kalau kita tahu bahawa ada orang yang penting baru datang, maka berilah ruang kepada mereka untuk masuk. Ini bukanlah sebab ada kasta rendah dan kasta tinggi pula, tetapi mesti dilihat kepada keperluan.

 

يَفسَحِ اللهُ لَكُم

nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. 

Semoga dengan melakukan arahan Allah ﷻ ini, maka umat Islam akan berjaya dan salah satu maksudnya adalah dibukakan tanah-tanah untuk umat Islam. Ini kerana perancangan dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan puak munafik. Maka rancangan untuk meluaskan dakwah Islam dapat dijalankan dengan lebih baik. Mesyuarat dapat mencapai kata putus yang membawa kepada kejayaan umat Islam.

Kalau dalam majlis sekarang seperti majlis ilmu contohnya, Allah ﷻ menghargai pengorbanan orang yang memberi ruang kepada orang lain. Allah ﷻ akan balas dengan memberinya kelebihan di tempat lain. Ini adalah kerana mereka telah taat kepada arahan ketua.

 

وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا

Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, 

Kalimah نشز dalam ayat ini bermaksud bangkit daripada mesyuarat/perjumpaan dengan segera. Selepas sudah habis mesyuarat (syura) sahaja, teruslah pulang ke rumah masing-masing.

Ini kerana bahaya jikalau duduk-duduk selepas mesyuarat kerana waktu itulah ahli mesyuarat itu akan bersembang dan berbincang-bincang pula sesama kumpulan kecil mereka. Biasanya kalau sudah mula bersembang, maka akan timbullah perkara lain pula.

Maka Allah ﷻ mengajar bahawa selepas bermesyuarat untuk membuat rancangan untuk menjalankan kerja dakwah, maka bagus selepas syura itu semua terus bangkit dan keluar daripada bilik mesyuarat itu dan tidak bercakap-cakap lagi. Jangan duduk-duduk atau sambung mesyuarat kecil sambil minum teh tarik pula.

Golongan mukmin disuruh untuk pulang sahaja ke rumah kerana jikalau mereka berkumpul dengan beberapa orang selepas itu, tentu percakapan antara mereka adalah apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat tadi. Itulah yang akan menjadi ‘najwa’ kemudiannya.

Ayat ini juga ada ditafsirkan begini: di zaman Nabi ﷺ, ada yang duduk bersama Nabi ﷺ  sehingga selesai majlis baginda. Ini menyebabkan orang baru tidak dapat duduk mendengar ajaran baginda. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini memberi jalan keluar: kalau Nabi ﷺ suruh seseorang itu bangun untuk tinggalkan majlis, maka bangunlah dan berilah peluang kepada orang lain pula. Janganlah terasa kerana ini memang arahan daripada Allah ﷻ.

Tersebutlah pula bahawa kebiasaan Rasulullah ﷺ ialah memuliakan orang-orang yang ikut dalam Perang Badr, baik dalam kalangan Muhajirin mahupun dalam kalangan Ansar. Kemudian satu waktu datanglah sejumlah orang dalam kalangan ahli Perang Badr, sedangkan orang-orang selain mereka telah mengambil tempat duduk mereka berdekatan Rasulullah ﷺ.

Maka mereka yang baru datang berdiri menghadap kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada engkau, hai Nabi Allah, dan juga keberkahan-Nya.” Lalu Nabi ﷺ menjawab salam mereka. Setelah itu mereka mengucapkan salam pula kepada kaum yang telah hadir, dan kaum yang hadir pun menjawab salam mereka.

Maka mereka hanya dapat berdiri saja menunggu diberikan keluasan bagi mereka untuk duduk di majlis itu. Nabi ﷺ mengetahui penyebab yang membuat mereka tetap berdiri, iaitu kerana tidak diberikan keluasan bagi mereka di majlis itu.

Melihat hal itu Nabi ﷺ merasa tidak enak, maka baginda bersabda kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar yang bukan daripada kalangan Ahli Badar, “Hai Fulan, berdirilah kamu. Juga kamu, hai Fulan.” Dan Nabi ﷺ mempersilakan duduk beberapa orang yang tadinya hanya berdiri di hadapannya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar Ahli Badar.

Perlakuan itu membuat tidak senang orang-orang yang disuruh bangkit dari tempat duduknya, dan Nabi ﷺ mengetahui keadaan ini daripada riak muka mereka yang disuruh beranjak dari tempat duduk mereka. Maka orang-orang munafik memberikan tanggapan mereka, “Bukankah kalian menganggap teman kalian ini berlaku adil di antara sesama manusia? Demi Allah ﷻ, kami memandangnya tidak adil terhadap mereka. Sesungguhnya suatu kaum telah mengambil tempat duduk mereka dekat nabi mereka kerana mereka suka berada di dekat nabinya. Tetapi nabi ﷺ mereka menyuruh mereka beranjak dari tempat duduknya, dan mempersilakan duduk di tempat mereka orang-orang yang datang lambat.” Maka telah sampai kepada kami suatu berita bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“رَحِمَ اللهُ رَجُلًا فَسَح لِأَخِيهِ”

Semoga Allah mengasihani seseorang yang memberikan keluasan tempat duduk bagi saudaranya.

Maka sejak itu mereka bergegas meluaskan tempat duduk buat saudara mereka, dan turunnya ayat ini di hari Jumaat. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Abu Hatim رحمه الله.

Maka kita kena pandai aplikasikan keadaan ini dalam zaman kita. Kadangkala dalam sesuatu majlis ilmu, memang tidak ada ruang untuk orang lain menyelit masuk. Maka dalam keadaan begini, kenalah ada orang yang sanggup untuk berdiri dan memberikan tempatnya kepada orang yang baru sampai. Ini adalah kerana orang yang baru sampai itu mungkin orang yang penting.

Memang ini nampak seakan zalim pula, akan tetapi ini adalah keperluan semasa. Sebagai contoh, mungkin yang baru datang itu adalah ahli panel atau tetamu kehormat, maka kenalah beri tempat duduk kepada mereka. Atau orang yang baru hendak belajar (kita mungkin sudah lama belajar dan sudah tahu apa yang hendak disampaikan). Dan mungkin ini bermaksud kena tinggalkan terus tempat duduk di hadapan.

 

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم

nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu

Kepada mereka yang beriman dan sanggup untuk taat kepada arahan Allah ﷻ ini, Allah ﷻ akan tinggikan kedudukan mereka di dunia dan akhirat. Ini adalah kerana mereka taat kepada arahan ketua.

Allah ﷻ memberi ganjaran meninggikan darjat mereka kalau dapat buat begitu kerana bukan senang untuk terus tinggalkan mesyuarat ataupun majlis seperti majlis ilmu. Ini kerana mungkin ada rakan-rakan kita yang kita hanya berjumpa di tempat mesyuarat saja. Rasa macam rugi pula kalau tidak melepak dengan dia.

Juga ayat ini hendak memberitahu yang kedudukan darjat yang tinggi bukanlah kerana dapat duduk rapat dengan Nabi Muhammad ﷺ dan berterusan bersama baginda ﷺ dari mula sampai habis. Kedudukan darjat yang tinggi adalah bertaut dengan iman. Kalau iman tinggi, maka darjat di sisi Allah ﷻ pun tinggi.

 

وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ

dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. 

Allah ﷻ hendak memberitahu juga yang darjat tinggi itu diberikan kepada orang yang berilmu, bukannya kepada mereka yang nampak duduk rapat dengan Rasulullah ﷺ. Telah banyak dalil lain bagi hujah mengatakan memang golongan berilmu diberikan dengan darjat yang tinggi.

Ada golongan yang mahu dipandang tinggi, mereka cepat-cepat mendapatkan kedudukan rapat dengan baginda ﷺ di majlis baginda – supaya orang lain nampak yang dia rapat dengan Nabi lah kononnya. Maka ini adalah fahaman dan cara yang salah untuk mendapatkan darjat yang tinggi. Ini selalunya dilakukan oleh golongan munafik.

Apabila orang-orang munafik itu duduk berdekatan dengan menghimpit kepada Nabi ﷺ, maka ada sahabat-sahabat yang besar yang penting untuk baginda berbincang dengan mereka tidak dapat berbincang kerana ada para sahabat yang penting dalam menjalankan tugas dakwah. Akan tetapi kalau yang menghimpit baginda ﷺ itu adalah golongan munafik yang bukan hendak buat kerja pun, maka mereka itu buang masa sahaja.

Maka kerana itu Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk suruh mereka bangun dan beri ruang kepada orang lain. Kalau duduk dekat dan lama dengan Nabi ﷺ tetapi menyusahkan baginda, ini lagi tidak patut. Maka ayat ini mengajar adab-adab di dalam majlis.

Dalam zaman sekarang pun, kita kena hormati orang yang berilmu kerana darjat mereka memang lebih daripada orang biasa. Mungkin kita kena beri tempat duduk kepada mereka kerana Allah ﷻ telah memuliakan mereka, maka kita pun kena muliakan mereka juga.

Kesimpulannya ayat ini adalah tentang majlis ilmu. Dari sini kita dapat juga mengambil pengajaran yang majlis ilmu lah yang meninggikan darjat manusia. Di dunia ini lagi darjat itu sudah dinaikkan di mana manusia akan memberi penghormatan kepada mereka. Ini terbukti daripada banyak sekali dalil daripada Rasulullah ﷺ sendiri. Sebagai contoh, apabila hendak mengebumikan jenazah para sahabat yang syahid, Nabi ﷺ tanya siapakah yang paling banyak menghafal Al-Qur’an. Yang banyak hafal Al-Qur’anlah yang dimasukkan ke dalam kubur dahulu.

Majlis ilmu yang terutama sekali adalah majlis ilmu wahyu kerana manusia kena faham wahyu, terutama sekali wahyu Al-Qur’an. Kalaulah masyarakat kita sedar tentang perkara ini, maka cepatlah naik darjat orang Islam kembali. Masalahnya sekarang umat Islam amat jauh daripada wahyu dan kerana itu kedudukan kita amat rendah sekarang.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka niat di dalam hati. Maka kena berhati-hati dengan perlakuan kita dan niat kita. Mungkin kita rasa manusia tidak tahu, tetapi ingatlah yang Allah ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 November 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 7 – 8 (Perjumpaan Rahsia)

ILMU ALLAH YANG MENDALAM

Mujaadilah Ayat 7: Sekarang kita akan membincangkan tentang ‘najwa’. Sebelum ini telah dibincangkan tentang hal rumahtangga, iaitu perkara privasi yang berlaku di antara suami isteri. Najwa ini juga bab privasi juga, tetapi dalam bentuk yang lain.

Ayat-ayat selepas ini banyak berkenaan golongan munafik dan apa yang mereka lakukan.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا ۖ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered that Allāh knows what is in the heavens and what is on the earth? There is in no private conversation three but that He is the fourth of them,1 nor are there five but that He is the sixth of them – and no less than that and no more except that He is with them [in knowledge] wherever they are. Then He will inform them of what they did, on the Day of Resurrection. Indeed Allāh is, of all things, Knowing.

  • Through His knowledge of them and their secrets.

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?

‘Najwa’ adalah lawan kepada syura (mesyuarat, perbincangan dalam kumpulan). Di dalam syura, semua pihak yang terlibat akan berbincang dan memberi pendapat masing-masing ataupun memberi komen mereka supaya akhirnya akan mencapai keputusan yang baik hasil daripada mesyuarat itu.

Nabi ﷺ pun biasa mengadakan syura untuk mendengar pendapat para sahabat dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah Syura. Sedangkan di dalam najwa, perbincangan yang diadakan adalah dalam bentuk rahsia. Allah ﷻ hendak beritahu yang tidak ada rahsia pada Allah ﷻ. Maka kenalah berhati-hati dalam bercakap. Jangan sangka Allah ﷻ tidak tahu.

 

ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم

Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya.

Najwa terjadi apabila beberapa orang daripada kumpulan yang di dalam mesyuarat mengadakan mesyuarat yang lain pula sesama mereka (mesyuarat di dalam mesyuarat). Masa di dalam mesyuarat mereka tidak sebut ketidakpuasan hati mereka tetapi apabila mereka buat perjumpaan yang lain, macam-macam akan keluar. Waktu itu mereka akan senang sahaja untuk bercakap sesama mereka kerana mereka sekarang berada dalam kumpulan yang sekepala dengan mereka.

Najwa ini perjumpaan rahsia beberapa orang, paling sedikit seorang dengan seorang yang lain. Kerana itu kalau ada permintaan untuk mengajukan pertanyaan bersendirian dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka ini dipanggil ‘munajat’. Begitu juga kalau ‘doa munajat’ itu antara kita dan Allah ﷻ sahaja.

Mereka ini juga boleh mengubah sesuatu perkara itu kerana mereka mampu untuk sabotaj rancangan yang telah dilakukan. Katakanlah keputusan untuk melakukan sesuatu telah dicapai dalam mesyuarat utama, tetapi mereka yang sekepala ini buat keputusan lain pula – sebagai contoh mereka tidak akan menjalankan rancangan yang telah dipersetujui. Mereka akan memberikan pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri mereka.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Nabi ﷺ. Iaitu perbincangan dalaman dalam kalangan orang-orang munafik. Golongan munafik itu boleh menggunakan najwa ini untuk merosakkan rancangan umat Islam. Mereka selalu mengadakan perjumpaan rahsia untuk membuat rancangan menjatuhkan Islam. Kerana itulah mereka ini bahaya kalau ada dalam umat Islam.

Sebagai contoh, mungkin ada sahabat yang baru masuk Islam dan tidak tahu apa-apa dan mereka diracuni fikiran mereka oleh golongan munafik. Golongan munafik akan pergi senyap-senyap kepada golongan baru itu dan cakap begitu dan begini. Golongan munafik itu akan menghasut.

 

وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم

Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dia-lah keenamnya.

Perbincangan najwa ini selalunya kecil sahaja kerana kalau ramai, mungkin rahsia akan pecah ke telinga orang lain. Akan tetapi Allah ﷻ hendak beritahu kalau mereka itu buat perbincangan rahsia sebanyak lima orang, Allah ﷻ tahu apa sahaja yang mereka perkatakan.

Bukanlah Allah ﷻ ada dalam mesyuarat rahsia itu tetapi Allah ﷻ tahu dari segi ilmu Dia.

Kenapa disebut 3 orang melakukan najwa, kemudian disebut 5 orang pula? Ulama’ tafsir mengatakan ini untuk meneruskan keindahan bahasa yang digunakan. Supaya kalau kita baca, ada nombor 3, 4, 5 dan 6 yang berturutan.

 

وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ

Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang daripada itu

Kalau mereka kurang sedikit daripada lima orang pun, Allah ﷻ tetap tahu. Allah ﷻ tidak perlu ada orang yang bocorkan rahsia percakapan mereka kerana Allah ﷻ memang sudah tahu.

Jumlah yang kurang daripada tiga adalah dua. Ini adakah kerana 2 orang adalah bilangan paling sedikit untuk percakapan rahsia.

 

وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا

atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada. 

Sikit atau banyak, Allah ﷻ tetap tahu apa yang mereka perkatakan dan apa yang mereka rancangkan. Maka di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang najwa ini adalah perkara yang bahaya dan disebut sekali lagi di dalam Nisa: 114.

 

ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ

Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan.

Allah ﷻ telah memberitahu bahawa Dia tahu perkara yang di langit dan juga di bumi maka apa-apa saja pertemuan yang manusia lakukan sesama mereka itu semuanya diketahui oleh Allah ﷻ.

Kelak di akhirat Allah ﷻ akan beritahu semula apa yang mereka perkatakan dulu. Ini dinamakan muhasabah kamilah (hisab yang sempurna). Semua manusia dan jin akan dipertanggungjawabkan dengan perkataan dan rancangan mereka. Semua sekali akan dikeluarkan kembali dan dinilai, tidak ada yang akan ketinggalan.

 

إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Mereka sangka mereka buat perjumpaan rahsia itu, pada waktu yang rahsia, di tempat yang rahsia, tidak ada orang yang tahu. Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu tidak kisah pada bila-bila masa dan di mana sahaja, Allah ﷻ tahu apa yang mereka bincangkan. Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah ﷻ walau sedikit pun.

Selain daripada itu para malaikat yang telah ditugaskan oleh-Nya mencatat semua yang mereka rahsiakan, walaupun Allah ﷻ mengetahuinya dan mendengarnya. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللهَ عَلامُ الْغُيُوبِ}

Tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib? (At-Tawbah: 78)

 


 

BAHAYANYA PERCAKAPAN-PERCAKAPAN RAHSIA

Mujaadilah Ayat 8: Ini adalah teguran kedua kepada puak munafik. Dalam ayat 7 teguran diberikan kepada mereka yang tidak tahu yang najwa itu salah. Sekarang diberitahu kepada mereka yang sudah tahu bahawa najwa itu salah. Maka teguran dalam ayat 8 ini adalah lebih keras.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ ۚ حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها ۖ فَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who were forbidden from private conversation [i.e., ridicule and conspiracy] and then return to that which they were forbidden and converse among themselves about sin and aggression and disobedience to the Messenger? And when they come to you, they greet you with that [word] by which Allāh does not greet you¹ and say among themselves, “Why does Allāh not punish us for what we say?” Sufficient for them is Hell, which they will [enter to] burn, and wretched is the destination.

  • This is in reference to the Jews who would greet the Muslims with the words “Death be upon you,” rather than “Peace.”

(MELAYU)

Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ

Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia,

“Tidakkah kau perhatikan..” atau.. “tidakkah kau tahu?” Apabila sahabat sudah tahu larangan najwa, maka mereka boleh kenal siapakah yang munafik kerana golongan munafik ini yang melakukan najwa.

Yang dimaksudkan adalah ayat tentang larangan najwa yang telah disebut di dalam Surah An-Nisa tetapi mereka masih lagi melakukannya. Surah An-Nisa itu adalah Surah Madaniyah yang awal. Maka umat Islam sebenarnya telah diingatkan supaya tidak mengadakan perbincangan rahsia kerana ia amat bahaya bagi kesatuan umat Islam.

Ataupun memang Nabi ﷺ ada beri penerangan dan larangan kepada umat Islam dari melakukan najwa, tetapi mereka tetap juga melakukannya.

Atau larangan itu telah diberikan kepada puak Yahudi kerana telah nampak mereka berbisik-bisik dalam kalangan mereka apabila nampak golongan mukmin sampai golongan terasa takut dengan mereka.

 

ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ

kemudian mereka kembali (mengerjakan) perbuatan yang mereka dilarang untuk melakukannya

Orang munafik itu hendak menyakiti para sahabat yang mukmin. Mereka sengaja mengadakan perjumpaan rahsia sesama mereka. Atau yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi.

Ini pun kita kena jaga sebenarnya supaya kita tidak melakukannya. Sebenarnya jikalau dalam perjumpaan bertiga dan ada dua orang hendak bercakap perkara yang rahsia, maka dia kena minta kebenaran daripada orang yang ketiga itu kerana jika tidak, ia akan menjadi dosa. Kerana kalau dia tidak beritahu, maka orang ketiga itu akan ada rasa sangsi dan sangka mereka bercakap tentang dia atau sedang merancang untuk melakukan keburukan.

Orang munafik itu sengaja duduk di dalam kumpulan mereka sambil bercakap perlahan-lahan dan menunjuk-nunjuk kepada orang-orang mukmin yang lain. Mereka sengaja mahu menyakiti hati orang mukmin.

 

وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ

dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul.

Golongan munafik mengadakan najwa kerana hendak melakukan الإِثمِ. Dan الإِثمِ ini perbuatan yang berkenaan masalah spritual (dalaman). Ia adalah tentang perhubungan antara mereka dan Allah ﷻ. Orang munafik itu ada masalah iman dengan Allah ﷻ kerana iman mereka lemah atau tidak ada langsung. Ada perjumpaan rahsia yang merosakkan iman kerana ia merosakkan agama dan kerana itu akan melemahkan iman mereka.

Kalimah العُدوٰنِ pula adalah berkenaan masalah sosial, iaitu perhubungan sesama manusia. Dengan melakukan najwa itu, mereka telah mengadakan permusuhan dengan para sahabat yang lain. Mereka mungkin telah melakukan adu domba yang merosakkan hubungan sesama sahabat.

Atau ia merujuk kepada golongan Yahudi yang berbisik-bisik sesama mereka apabila lalu di hadapan mereka orang-orang mukmin. Sampaikan menyebabkan golongan mukmin itu takut ketika berada di perkampungan orang Yahudi.

Kalimah العُدوٰنِ berasal daripada ع د و iaitu sesuatu yang menyebabkan permusuhan sesama manusia. Ini adalah kerana ada perjumpaan-perjumpaan rahsia yang dilakukan kerana hendak melawan orang lain dan ini akan menyebabkan permusuhan dan kacau-bilau di dalam sesuatu persatuan itu.

Maka lihatlah bagaimana Allah ﷻ mengajar kita bermasyarakat dan mengadakan mesyuarat di mana jangan ada kumpulan-kumpulan kecil yang menjadi serpihan daripada kumpulan yang besar. Dan ingatlah supaya jangan bincangkan perkara yang sudah dibincangkan di dalam mesyuarat besar.

Allah ﷻ menegur para sahabat yang mengadakan mesyuarat berasingan dan kerana itu mereka telah melakukan maksiat (tidak taat, langgar arahan) berkenaan Rasulullah ﷺ kerana Rasul sedang memegang jawatan sebagai pemerintah kepada umat Islam ketika itu. Mereka tidak suka kepada kepimpinan yang ada maka mereka mengajukan perjumpaan rahsia. Mereka tidak sedar yang mereka tidak puas hati itu adalah Rasul ﷺ mereka sendiri.

Untuk zaman sekarang pula, mereka ini adalah yang melakukan perjumpaan rahsia untuk menderhakai pemimpin.

 

وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ

Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. 

Mereka tidak suka kepada Rasulullah ﷺ tetapi bila mereka datang kepada baginda, mereka datang dengan muka yang manis. Mereka memberi salam kepada Nabi ﷺ dengan salam yang kosong dan tidak ikhlas ataupun mereka memberi salam dengan nada menghina Nabi ﷺ.

Yang dimaksudkan adalah kalimah “As-sam alaika ya abul-Qasim. ” (semoga kematian ke atas kamu Wahai Abu Qasim) yang diucapkan oleh golongan munafik kepada baginda ﷺ. Bukan ini cara salam yang diajar oleh Allah ﷻ dan Rasul. Cara ini diajar oleh Yahudi dan diikuti oleh puak Munafik juga.

 

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ مُسْلِمٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُنَاسٌ مِنْ الْيَهُودِ فَقَالُوا السَّامُ عَلَيْكَ يَا أَبَا الْقَاسِمِ قَالَ وَعَلَيْكُمْ قَالَتْ عَائِشَةُ قُلْتُ بَلْ عَلَيْكُمْ السَّامُ وَالذَّامُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَائِشَةُ لَا تَكُونِي فَاحِشَةً فَقَالَتْ مَا سَمِعْتَ مَا قَالُوا فَقَالَ أَوَلَيْسَ قَدْ رَدَدْتُ عَلَيْهِمْ الَّذِي قَالُوا قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ حَدَّثَنَاه إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا يَعْلَى بْنُ عُبَيْدٍ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ فَفَطِنَتْ بِهِمْ عَائِشَةُ فَسَبَّتْهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَزَادَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { وَإِذَا جَاءُوكَ حَيَّوْكَ بِمَا لَمْ يُحَيِّكَ بِهِ اللَّهُ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ

Telah menceritakan kepada kami [Abu Kuraib]; Telah menceritakan kepada kami [Abu Mu’awiyah] daripada [Al A’masy] daripada [Muslim] daripada [Masruq] daripada [‘Aisyah رضی اللہ عنھا] beliau berkata; “Serombongan orang-orang Yahudi menemui Rasulullah ﷺ, lalu mereka mengucapkan: Assaamu ‘alaika (kematian bagimu) wahai Abu Al Qasim.” Nabi ﷺ menjawab; ‘Wa Alaikum.’ ‘Aisyah رضی اللہ عنھا menjawab; ‘Bal ‘alaikumus saam wal la’nah (bahkan kematian bagi kalian dan kehinaan).’ Maka Rasulullah ﷺ berkata; ‘Ya, ‘Aisyah! Kamu jangan mengucapkan perkataan yang jelek.’ ‘Aisyah رضی اللہ عنھا menjawab; ‘Tidakkah Anda mendengar ucapan mereka? ‘ Jawab baginda: ‘Bukankah aku telah menjawabnya atas apa yang mereka ucapkan, aku katakan kepada mereka; Wa Alaikum.’ Telah menceritakannya kepada kami [Ishaq bin Ibrahim]; Telah mengabarkan kepada kami [Ya’la bin ‘Ubaid]; Telah menceritakan kepada kami [Al A’masy] melalui sanad ini. Tapi dia berkata dengan sedikit tambahan; ‘Maka dengan cerdasnya Aisyah رضی اللہ عنھا langsung mengerti apa yang mereka ucapkan dan langsung membalas celaan mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ berkata; ‘Cukup Aisyah! Sesungguhnya Allah tidak menyukai keburukan dibalas dengan keburukan.’ Juga dia menambahkan; maka Allah menurunkan ayat; ‘Dan Apabila mereka mendatangimu dan mengucapkan ucapan selamat dengan sesuatu yang tidak Allah perintahkan….dan seterusnya hingga akhir ayat. (QS. Al Mujaadalah: 8).

(HR. Muslim no. 4028)

 

Menurut riwayat yang lain, Aisyah berkata kepada mereka, “Semoga kalianlah yang tertimpa kebinasaan, celaan, dan laknat,” dan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:

“إِنَّهُ يُسْتَجَابُ لَنَا فِيهِمْ، وَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ فِينَا”

Sesungguhnya diperkenankanlah bagi kita terhadap mereka, dan tidak diperkenankanlah bagi mereka terhadap kita.

(HR. Bukhari no. 6401, Tafsir Ibnu Katsir 4/346, sanadnya disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Sahih 6/492)

 

 

Itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali kerana Allah ﷻ sendiri memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka jikalau manusia tidak memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka itu sudah perbuatan yang buruk.

Apabila Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an, ini bermaksud ada sahaja orang yang jenis begini. Di hadapan orang mereka bermanis muka, tetapi di belakang, mereka buat bermacam-macam rancangan. Sampai kiamat akan ada orang yang sebegini.

 

وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ

Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” 

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan) di mana Allah ﷻ mengulang kata-kata mereka yang tidak beriman itu. Allah ﷻ menyebut apa yang mereka fikirkan di dalam hati mereka ketika mereka mempunyai iman yang lemah.

Mereka tertanya-tanya kenapa mereka masih selamat lagi sedangkan mereka telah ingkar kepada arahan Nabi ﷺ. Mereka fikir jikalau mereka buat perkara yang buruk pun, tidak ada apa-apa terjadi kepada mereka; maka mereka sudah tidak hormat kepada baginda ﷺ dan sudah tidak percaya kepada Allah ﷻ seolah-olah Allah ﷻ atau Nabi Muhammad ﷺ tidak cukup kuat untuk menghukum mereka. Mereka kata: “Tak jadi apa-apa pun….!”

Mereka juga jadikan ini sebagai hujah mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu bukan Nabi. Mereka menghina baginda ﷺ siang dan malam tetapi tidak ada kesan pun kepada mereka. Kata mereka, patutnya kalau baginda ﷺ itu benar seorang Nabi, tentu mereka sudah dikenakan dengan azab.

Padahal, mereka tidak terus dikenakan dengan azab itu adalah kerana Allah ﷻ menangguhkan azab kepada mereka. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk bertaubat dan membaiki diri mereka. Kalau mereka terus dikenakan dengan azab, tentu lagi teruk mereka.

 

حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها

Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. 

Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ tidak memerlukan mereka di dunia kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Neraka adalah tempat yang amat sesuai bagi mereka. Mereka pasti akan masuk ke dalamnya kerana perbuatan mereka itu. Cukuplah mereka nanti dengan dikenakan azab neraka sahaja.

 

فَبِئسَ المَصيرُ

Dan seburuk-buruk tempat kembali.

Nanti bila mereka masuk, mereka akan tahu yang neraka itu adalah tempat yang paling buruk dan mereka tidak akan sanggup untuk menerima azab dalam neraka itu. Itulah tempat yang layak bagi mereka sebagai balasan kepada kesalahan mereka semasa di dunia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 April 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 4 – 6 (Tolak hukum Allah ﷻ)

Mujaadilah Ayat 4: Sambungan tentang kifarah kepada orang yang melakukan zihar. Sebelum ini telah disebut kena memerdekakan hamba. Bagaimana kalau tiada hamba?

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا ۖ فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا ۚ ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللهِ ۗ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he who does not find [a slave] – then a fast for two months consecutively before they touch one another; and he who is unable – then the feeding of sixty poor persons. That is for you to believe [completely] in Allāh and His Messenger; and those are the limits [set by] Allāh. And for the disbelievers is a painful punishment.

(MELAYU)

Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.

 

 

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ

Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut 

Ini pula adalah jalan keluar bagi mereka yang tidak ada hamba. Mungkin juga mereka tidak ada kemampuan untuk membebaskan hamba kerana mereka tidak ada hamba. Atau jikalau pada zaman sekarang memang tidak ada hamba maka jalan keluar telah diberikan oleh Allah ﷻ.

Kifarah itu adalah lelaki itu hendaklah berpuasa selama dua bulan ‘berturut-turut’. Maksudnya dia tidak boleh putus selama dua bulan itu dan jikalau putus satu hari pun maka dia dikehendaki mengulang semula dari mula. Maka ini bukanlah puasa yang biasa.

 

 

مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا

sebelum keduanya bercampur. 

Selain itu, dia juga tidak boleh bersetubuh dengan isterinya itu sehinggalah cukup dua bulan puasa berturut-turut. Jangan kata sudah mula puasa maka malam hari hendak bersetubuh dengan isteri pula. Kena habiskan dua bulan penuh terlebih dahulu.

Bagaimana pula kalau zihar itu ada jangkamasa? Contohnya semasa dia sebut zihar itu, dia kata untuk sebulan sahaja? Ulama’ ada yang mengatakan apabila ada had masa, maka kalau suami tidak mendatangi isteri dalam masa itu, maka tidak ada kifarah. Kemudian selepas habis jangkamasa itu, zihar itu akan automatik tamat. Ini kerana pada zaman Nabi, seorang lelaki bernama Salamah bin Sakhr Bayadi telah menzihar isterinya selama bulan Ramadhan sahaja dan Nabi ﷺ tidak menegur pun perbuatan Salamah itu.

Cuma Imam Malik رحمه الله berpendapat zihar itu tiada had sebenarnya apabila disebut oleh sang suami dan suami itu tetap kena melakukan kifarah.

Kalau seorang lelaki ada ramai isteri dan semua isteri itu diziharnya, maka dia mestilah melakukan kifarah bagi setiap satu isterinya. Maka ini amat berat sekali. Ini adalah penghalang bagi suami untuk melakukan zihar lagi. Janganlah diamalkan zihar ini dengan sengaja.

Bagaimana pula kalau berpuasa dua bulan berturut-turut pun tidak mampu?

 

 

فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا

Maka siapa yang tidak kuasa (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. 

Jikalau lelaki itu tidak mampu untuk berpuasa berturut-turut kerana mungkin dia sakit ataupun dia orang yang sudah tua, maka Allah ﷻ memberikan jalan keluar lagi. Iaitu dengan memberi makan seramai 60 orang miskin. Ini tidak ada had. Maknanya, boleh buat sekali harung atau sedikit demi sedikit. Kalau dia beri makan 60 orang sehari, maka hari itu juga dia sudah melunaskan kifarahnya. Dia kemudiannya sudah boleh mendatangi isterinya.

Dia juga harus memberi makan daripada jenis makanan yang dia sendiri biasa makan. Makanan itu pula mestilah diberikan kepada orang miskin maka jangan bawa makanan kepada kawan yang kaya. Selain itu orang miskin itu mestilah bukan di bawah tanggungan pelaku zihar itu.

Harus diingatkan kifarah berpuasa 60 hari dan memberi makan 60 orang mestilah dilakukan secara berasingan dan dipilih di antara salah satu sahaja. Bukanlah boleh digabungkan kedua-dua kifarah tersebut.

Kalau ketiga-tiga perkara ini seorang lelaki itu tidak mampu melakukannya, maka dia kena tunggu sehingga dia mampu. Barulah dia boleh mendekati isterinya kembali. Namun begitu agama tidak melarang kalau orang lain membantu orang ini dalam kifarah jenis ketiga itu. Sebagaimana Nabi ﷺ dan sahabat membantu suami Khaulah.

 

 

ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang taat kepada hukum Allah ﷻ, maka kena lakukan kifarah ini setelah membuat salah dalam hal zihar itu agar dia selamat di akhirat kelak. Kifarah ini sebenarnya akan menambah iman seseorang itu. Maka tidak patut kalau seseorang yang mengaku beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul, tetapi ingkar untuk mengikut undang-undang ini.

 

 

وَتِلكَ حُدودُ اللهِ

Dan itulah hukum-hukum Allah, 

Ini adalah ‘hudud’ Allah ﷻ. Ini adalah salah satu daripada Hukum Hudud. Peringatan sudah diberikan supaya tidak membuat hukum sendiri sebelum ini. Hudud adalah jamak bagi ‘had’ maka kena taat kepada had-had yang Allah ﷻ telah tetapkan. Jangan langgar hukum had Allah ﷻ ini.

Orang kita selalu faham ‘hudud’ ini tentang potong tangan sahaja. Akan tetapi sebenarnya ada banyak lagi perkara yang termasuk dalam perkara hudud. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an tentang hudud Allah ﷻ. Maka kena belajar semua sekali dan jangan hadkan pemahaman kepada hukum jenayah sahaja.

 

 

وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ

dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.

Ayat ini bukan tentang orang kafir kerana surah ini adalah Surah Madaniyyah dan ia diberikan kepada orang-orang yang beriman, maka kenapa disebut tentang orang kafir pula?

Kerana ayat ini bukan tentang orang bukan Islam, tetapi tentang orang Islam yang ‘kufur’ kepada hukum Allah ﷻ. Iaitu mereka yang ingkar kepada ketaatan untuk mengikut hukum yang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ telah tetapkan. Jangan sangka orang Muslim tidak melakukan kufur terhadap Allah ﷻ.

Berkemungkinan ramai yang akan buat tidak tahu dengan hukum ini kerana mungkin apa yang mereka lakukan itu berlaku di dalam rumah sahaja dan orang lain tidak tahu. Maka mungkin dia tidak mahu bebaskan hamba atau berpuasa ataupun beri orang makan kerana semua itu perkara yang berat juga. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang memang manusia lain tidak tahu apa yang telah berlaku, tetapi Allah ﷻ tahu dan mengancam akan memberi balasan azab yang pedih kepada mereka.

Dari sini kita boleh tahu bahawa ‘kafir’ itu bukan sahaja dari segi orang-orang bukan Islam sahaja, tetapi ia juga boleh kena kepada orang-orang Islam yang ingkar kepada hukum Allah ﷻ. Begitulah penggunaan kalimah kafara dalam Al-Qur’an. Akan tetapi orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an tidak tahu perkara ini. Mereka sangka mereka sudah bernama Muslim sahaja maka mereka tidak kufur. Ini fahaman yang salah.

Habis sudah tentang hukum Zihar. Maka besar sekali hal Zihar ini sampaikan Allah ﷻ berikan 4 ayat Al-Qur’an berkenaannya. Allah ﷻ berikan ayat-ayat ini untuk mengajar manusia supaya jangan terlepas cakap. Sebelum bercakap, kena fikir terlebih dahulu. Janganlah berlaku kejam kepada para isteri sendiri.


 

NASIB MEREKA YANG DEGIL

Mujaadilah Ayat 5: Ayat zajrun. Ramai yang masih terikat lagi dengan adat resam dan apabila hukum ini diberikan kepada mereka, ada yang mempersenda-sendakannya. Ada yang kata karut sungguh hukum agama Islam dan ada yang berpendapat adat resam itu seolah-olah lebih kuat daripada syariat. Ini banyak dilakukan oleh orang munafik dan yang lemah iman.

Maka ayat 5 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu bahawa perbuatan golongan Munafik membahayakan keselamatan Kaum Muslimin. Memang ayat-ayat Madaniyyah banyak menyentuh tentang golongan munafik kerana golongan munafik itu ada dalam kalangan orang Islam di Madinah.

إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ ۚ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who oppose Allāh and His Messenger are abased as those before them were abased. And We have certainly sent down verses of clear evidence. And for the disbelievers is a humiliating punishment

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.

 

إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ

Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya,

Kalimah يُحادّونَ berasal daripada kata dasar ح د د yang daripadanya juga menjadi ‘hudud’ dalam ayat sebelum ini. Ia bermaksud menentang dengan tentangan yang kuat yang melebihi had. Daripada kalimah ini juga menjadi hadid (besi) dan bukankah besi itu keras? Maka ia bermaksud menentang dengan keras. Ini menarik kerana surah sebelum ini adalah Surah Hadid.

Salah satu cara orang itu menentang Allah ﷻ dan Rasul-Nya adalah dengan menghina undang-undang Islam. Mereka tidak mahu ikut dan mereka memperlekehkan hukum yang Allah ﷻ berikan. Bukan undang-undang tentang zihar ini sahaja, tetapi termasuk dalam perkara yang lain. Ini termasuk pemimpin yang menolak hukum yang Allah ﷻ telah berikan dan menggunakan hukum dan undang-undang lain.

Apa yang akan terjadi kepada mereka?

 

 

كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. 

Kalimah كُبِتَ daripada kata dasar ك ب ت yang bermaksud menghina, menjatuhkan, menahan, membuka aib, merendahkan martabat. Mereka yang menentang hukum dan undang-undang Allah ﷻ akan dimalukan dan kemudian akan dimusnahkan. Di dunia lagi mereka boleh dikenakan hukuman pancung kerana menghina undang-undang Islam.

Bukan mereka sahaja yang pernah menentang hukum Allah ﷻ, tetapi umat terdahulu pun pernah juga melakukan begitu, maka mereka telah dihinakan di dunia. Maka Allah ﷻ boleh kenakan nasib yang sama kepada mereka seperti dihinakan golongan ingkar yang lain.

Maka ayat ini memberi isyarat yang kalau undang-undang Islam tidak digunapakai, di dunia lagi sudah ada masalah. Negara tidak mendapat berkat, rakyat akan menjadi kacau bilau, maksiat bermaharajalela, moral lemah dan banyak lagi perkara buruk akan terjadi. Bukankah ini satu kehinaan?

 

وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. 

Allah ﷻ sudah memberikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai bukti nyata. Ia menjadi tanda dan pegangan bagi mereka yang taat. Yang taat dengan ayat Allah ﷻ akan selamat. Yang menentangnya hanyalah mereka yang kafir, derhaka dan sombong sahaja.

 

 

وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.

Kepada mereka yang ingkar pula (termasuk orang Islam pun) akan mendapat balasan yang amat teruk iaitu neraka. Ini adalah balasan di akhirat pula. Bilakah balasan itu akan diberi?


 

Mujaadilah Ayat 6:

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ ۚ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day when Allāh will resurrect them all and inform them of what they did. Allāh had enumerated it, while they forgot it; and Allāh is, over all things, Witness.

(MELAYU)

Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

 

 

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا

Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya,

Balasan akan mula diberikan apabila makhluk dibangkitkan pada hari Kiamat nanti. Tidak ada yang akan selamat dan terus mati sahaja. Mereka tetap akan dibangkitkan dan akan dipertanggungjawabkan dan tidak ada yang terkecuali. Semua akan dikumpulkan di Mahsyar kelak.

Di dunia mungkin mereka selamat, tidak dikenakan dengan hukuman, tetapi mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.

 

فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. 

Akan diberitahu semua sekali apa yang mereka kerjakan kerana wazan itu adalah dalam bentuk wazan mubalaghah (extreme). Tidak akan ada apa-apa yang tersembunyi. Tidak akan ada apa-apa perbuatan yang tidak dikira. Yang kecil besar semua akan ditayangkan dan akan ditanya.

 

 

أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ

Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya.

Memang kebanyakan manusia lupa apa yang mereka telah lakukan dan apa yang mereka telah cakap, tetapi ketahuilah dan ingatlah yang Allah ﷻ pasti ingat dan rekod apa sahaja yang kita telah lakukan.

Kerana itu kalimah yang digunakan adalah أَحصٰ yang bermaksud kira menggunakan batu kerana apabila mengira guna batu, tidak ada kesalahan. Bukan kira melalui congak sahaja. Maknanya nanti audit yang dikenakan adalah tepat.

Maka kalau kita kaitkan dengan ayat sebelum ini, orang yang tidak mengamalkan hukum Allah ﷻ di dunia ini mungkin rasa yang itu adalah perkara ringan sahaja. Namun ia adalah berat di mata Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak maafkan. Allah ﷻ mengira semua sekali dan akan mengingatkan semula dan Allah ﷻ akan beri penghakiman nanti di akhirat.

 

 

وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh keluarkan dan bentangkan semula semua yang manusia telah lakukan kerana setiap apa yang kita lakukan dilihat (disaksikan) oleh Allah ﷻ. Hendak sembunyi macam mana lagi?

Maka kalau kita dapat ingat dan semat perkara ini ke dalam hati kita, maka tentu kita akan risau untuk buat kesalahan apa-apa sahaja. Bayangkan kalau polis atau ayah kita sedang melihat semua yang kita sedang lakukan. Tentu kita takut untuk buat salah, bukan?

Sekian Ruku’ 1 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 May 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi