Tafsir Surah Taghabun Ayat 6 – 9 (Apakah Hari Taghabun?)

Taghabun Ayat 6: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah sebut tentang kaum yang telah dimusnahkan dengan azab semasa di dunia lagi. Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa mereka kena azab itu.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُ كانَت تَأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ فَقالوا أَبَشَرٌ يَهدونَنا فَكَفَروا وَتَوَلَّوا ۚ وَاستَغنَى اللَّهُ ۚ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَميدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because their messengers used to come to them with clear evidences, but they said, “Shall human beings guide us?” and disbelieved and turned away. And Allāh dispensed [with them]; and Allāh is Free of need and Praiseworthy.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul mereka membawa keterangan-keterangan lalu mereka berkata: “Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?” lalu mereka ingkar dan berpaling; dan Allah tidak memerlukan (mereka). Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُ كانَت تَأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul mereka membawa keterangan-keterangan

Allah ﷻ beritahu mereka yang dimusnahkan itu adalah kerana mereka telah menolak Rasul-rasul mereka. Rasul-rasul itu telah datang membawa keterangan yang jelas nyata. Wahyu telah disampaikan kepada mereka, namun mereka tidak mahu terima.

Apabila digunakan kalimah البيّنٰت ia bermaksud yang para rasul itu datang dengan membawa kebenaran yang jelas nyata. Sepatutnya ia tidak ditolak lagi kerana telah jelas. Maka yang menolak itu adalah kerana degil sahaja, bukan kerana tidak faham.

Pertama para Rasul itu telah bawa mukjizat sebagai bukti yang mereka memang Nabi. Ini kerana Nabi sahaja diberikan mukjizat oleh Allah ﷻ. Oleh kerana mereka bawa dakwah yang besar dan mereka melawan penentang yang hebat, maka Allah ﷻ bekalkan mereka dengan mukjizat yang dapat mengalahkan apa sahaja.

Keduanya, maklumat yang disampaikan adalah dengan cara jelas nyata. Para Nabi itu telah diberikan dengan kebijaksanaan yang tinggi, maka tentulah cara dakwah mereka adalah yang terbaik. Tidaklah macam kempen ahli politik yang selepas mereka habis bercakap, kita pun tidak pasti sangat apa kata-kata mereka sebelum itu. Kerana kata-kata mereka selalunya berpusing-pusing.

Ketiga, hukum yang mereka sampaikan adalah jelas mana yang halal dan mana yang haram. Mana kena buat dan mana yang kena ditinggalkan telah diberitahu dengan jelas.

Akan tetapi walaupun telah jelas segala yang dibawa itu namun masih ada lagi yang menolak. Ada berbagai alasan yang mereka gunakan untuk menolak wahyu kebenaran itu. Salah satunya kerana yang sampaikan dakwah itu adalah manusia.

 

فَقالوا أَبَشَرٌ يَهدونَنا

lalu mereka berkata: “Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?”

Kalimah بَشَرٌ dari segi bahasa bermaksud ‘kulit’ dan manusia dinamakan begini kerana kulit kita nampak jelas, tidak seperti binatang lain seperti gorila, ayam dan monyet. Binatang pun ada kulit juga tetapi kulit mereka tidak kelihatan kerana ditutupi oleh bulu mereka yang banyak.

Mereka yang kufur tidak percaya bahawa Allah ﷻ menurunkan manusia untuk memberi wahyu kepada mereka. Pada mereka kalau manusia bawa perkara itu, tidak hebat mana dan tidak patut untuk mereka terima.

Inilah masalah yang dihadapi oleh banyak manusia kerana agama ini tidak datang terus daripada Tuhan tetapi melalui orang tengah iaitu para nabi dan rasul. Manusia ada yang mempunyai masalah untuk menerima arahan daripada manusia yang lain kerana ada manusia yang tidak suka autoriti ke atas mereka.

Manusia kebanyakannya mahu bebas dan tidak suka tertakluk kepada orang atasan. Oleh kerana itulah apabila kita semakin besar kita tidak suka untuk mengikut arahan ibu bapa kita lagi dan orang-orang tidak suka untuk mendengar arahan daripada polis, pegawai keselamatan dan lain-lain. Pelajar yang bermasalah pun akan tidak suka diarah oleh guru mereka sendiri. Ada pekerja tidak suka bos dan pengurus mereka yang memberi arahan.

Lebih malang lagi ada juga para isteri yang bermasalah untuk taat kepada suami kerana mereka rasa mereka ada kebebasan. Kalau ada perasaan ini, maka akan berterusan ada masalah dalam hidup.

Manusia memerlukan petunjuk bagaimana cara menjalani kehidupan dalam dunia. Kalau Allah ﷻ tidak beri petunjuk, maka manusia akan sesat dan hidup dalam kebingungan. Maka Allah ﷻ pilih beberapa manusia pilihan menjadi Rasul untuk sampaikan ajaran daripada Allah ﷻ. Namun kena taatlah kepada ajaran para Rasul itu, barulah hidup akan selamat.

Kenapa Allah ﷻ jadikan para Nabi dan Rasul dalam kalangan manusia? Ini adalah kerana untuk memberi pengajaran kepada manusia, kenalah manusia juga dijadikan sebagai contoh. Kalau malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan nasihat, tentu manusia akan beralasan: “Ah, dia malaikat bolehlah buat begitu, dia takde nafsu!”. Maka seharusnya manusia juga yang berikan nasihat. Kerana ada manusia boleh buat, maka semua manusia boleh buat.

Alasan manusia degil tidak mahukan manusia sebagai rasul juga adalah satu kebengongan sebenarnya. Kerana dalam hal lain, mereka boleh sahaja ikut manusia lain. Sebagai contoh, yang sembah batu pokok dan benda-benda lain itu pun ikut ajaran sesat berasal daripada manusia juga, kan?

Ramai manusia senang sahaja mengikut pemimpin mereka dan ahli politik ke mana-mana sahaja. Itu boleh pula mereka ikut? Akan tetapi menghairankan sekali apabila Rasul dan pendakwah yang datang bawa kebenaran, susah pula mereka hendak ikut. Maka yang ada masalah bukanlah penyampai kebenaran itu, tetapi mereka sendiri yang ada masalah.

Ada juga alasan kononnya kenapa Allah ﷻ tidak beri terus wahyu kepada mereka? Ini perasan diri itu hebat sangat. Siapa mereka yang sampai Allah ﷻ kena beri wahyu terus kepada mereka? Tidak layak Allah ﷻ bercakap terus dengan mereka kerana kedudukan Allah ﷻ yang teramat tinggi. oleh itu Allah ﷻ telah memilih para Rasul yang menjadi perantara antara Dia dan manusia.

 

فَكَفَروا وَتَوَلَّوا

lalu mereka ingkar dan berpaling;

Kaum yang telah dikenakan dengan azab di dunia lagi itu adalah kerana mereka telah ingkar untuk mengikut arahan Rasul mereka. Mereka menolak ajakan tauhid daripada para Rasul mereka dan kerana itulah mereka layak dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Oleh kerana tidak suka autoritilah yang menyebabkan ramai manusia tidak dapat menerima arahan daripada Rasul, tambahan pula arahan daripada Rasul ini meliputi keseluruhan kehidupan mereka. Mereka memang akan melawan kalau ada masalah dengan hati mereka.

Ini kerana peraturan urusan hidup tidaklah sama seperti arahan boss di pejabat yang hanya berkenaan kerja sahaja. Ada yang berkenaan sebahagian sahaja daripada kehidupan mereka, mereka boleh terima lagi.

Akan tetapi kalau sudah keseluruhan kehidupan mereka kena ikut arahan agama, mereka tidak suka. Lagipun kalau kena ikut arahan boss, akhir bulan dapat gaji, bukan? Kalau ikut arahan agama dapat pahala, tetapi mana pahalanya? Tidak nampak pun? Kerana tidak nampak pahalalah menyebabkan ramai susah untuk taat arahan agama. 

Kita sekarang melihat kepada Rasulullah ﷺ sebagai seorang manusia yang tinggi kedudukannya dan mudah untuk kita taat kepada baginda; tetapi bayangkan para sahabat ketika itu yang telah lama kenal Rasulullah ﷺ semenjak kecil lagi dan tiba-tiba mereka kena taat kepada baginda dalam segenap kehidupan. Tentu ini memerlukan anjakan paradigma yang hebat.

Lalu apabila mereka dapat taat sepenuhnya kepada baginda, ini menunjukkan hebatnya para sahabat itu dan ikhlasnya hati mereka. Bukan semua boleh terima kedudukan Rasulullah ﷺ seperti itu. Kerana itu ramai Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memandang baginda manusia biasa sahaja seperti mereka (malah ada yang memandang baginda lebih rendah daripada mereka) dan bukanlah perlu ditaati. Tambahan pula baginda itu tidaklah di kedudukan yang tinggi dan kaya, maka ramailah yang berat hati untuk menerima arahan daripada baginda.

Maka yang boleh taat itu adalah sahabat yang bersih hatinya, tetapi orang-orang munafik dan orang-orang yang kufur, mereka tidak dapat menerima Rasulullah ﷺ sebagai autoriti yang berada di atas mereka yang perlu ditaati. 

Banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an mengajar kita bukan sahaja perlu taat kepada Allah ﷻ tetapi kita kena perlu taat kepada manusia yang telah diangkat menjadi Rasul. Ketaatan kepada Allah ﷻ dibuktikan dengan ketaatan kepada Rasulullah ﷺ. 

Golongan munafik apabila mendengar arahan daripada Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka akan tanya sama ada ia adalah daripada Al-Qur’an ataupun kata-kata Rasulullah ﷺ sahaja; ini seolah-olah menunjukkan yang kata-kata Nabi ﷺ itu tidak bernilai dan kalau tidak ikut pun tidak mengapa.

Kalau zaman sekarang kita tahu ada lagi masalah ini di mana ada manusia yang bertanya sama ada sesuatu hukum itu ia di dalam Al-Qur’an atau tidak, seolah-olah hadith itu tidak penting mana. Bila kata arahan itu ada dalam hadith, mereka rasa ia benda ringan sahaja. Padahal tidak sama sekali kerana hadith pun adalah wahyu daripada Allah juga (cuma diolah dengan lafaz Rasulullah ﷺ).

Pada zaman Nabi sudah ada golongan sebegini dan pada zaman sekarang pun ada juga, iaitu golongan Anti-Hadith. Ramai yang kononnya bijak pandai telah memilih jalan anti-Hadith ini kerana banyak ruang untuk mereka ikut fahaman liberal dan ikut nafsu mereka. Mereka boleh kata mereka pun Muslim juga, tetapi kononnya ikut Al-Qur’an sepenuhnya.

Ada juga di zaman ini yang menolak kerana yang menyampaikan ajaran tauhid ini bukan daripada golongan mereka. Bukan daripada kumpulan mereka, bukan daripada ustaz mereka, bukan daripada pemuka-pemuka agama yang mereka sanjung. Mereka akan memandang rendah atau tolak dengan satu hujah sahaja: “Wahabi!”.

 

وَاستَغنَى اللَّهُ

dan Allah tidak memerlukan (mereka).

Maka mereka menolak untuk taat kepada Rasul dan berpaling, dan sekarang Allah memberitahu yang Allah tidak memerlukan mereka dan tidak memerlukan iman mereka. Allah ﷻ tidak memerlukan ketaatan daripada manusia. Oleh kerana mereka sendiri tidak hingin kepada kebenaran, maka Allah pun tidak hingin kepada mereka. Mereka bukan penting pun. Mereka sahaja yang sangka diri mereka penting.

Jangan sekali-kali ada sangkaan dalam hati kita yang Allah memerlukan iman dan ketaatan kita. Allah tidak perlukan langsung itu semua daripada kita, sebaliknya kitalah yang memerlukan Allah . Kita beriman atau tidak, tidaklah meninggikan kedudukan Allah atau merendahkan kedudukan-Nya.

 

وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَميدٌ

Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah tidak memerlukan iman dan ketaatan makhluk kerana Allah Maha Kaya. Maka Kaya itu bermaksud ‘tidak memerlukan’. Kerana itu orang kaya dikatakan ‘kaya’ kerana mereka tidak memerlukan bantuan daripada orang lain.

Allah juga tidak memerlukan puji-pujian daripada kita kerana Allah itu Maha Terpuji. Maksudnya sama ada makhluk puji Allah atau tidak, Allah tetap terpuji iaitu layak dipuji. Sebelum ada makhluk yang Allah jadikan memuji-Nya, Allah sudah sedia terpuji.


Taghabun Ayat 7: Ini pula adalah masalah kedua orang yang kufur. Selepas susah untuk taat kepada manusia, sekarang disebut sifat mereka yang lain, iaitu mereka rasa yang mereka tidak akan dipertanggungjawabkan dengan amalan dan perbuatan mereka.

Ayat ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi dan juga Ayat Syikayah. 

زَعَمَ الَّذينَ كَفَروا أَن لَّن يُبعَثوا ۚ قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتُبعَثُنَّ ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِما عَمِلتُم ۚ وَذٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieve have claimed that they will never be resurrected. Say, “Yes, by my Lord, you will surely be resurrected; then you will surely be informed of what you did. And that, for Allāh, is easy.”

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah: “Memang, demi Tuhanku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian akan diberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

زَعَمَ الَّذينَ كَفَروا أَن لَّن يُبعَثوا

Orang-orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan.

Orang-orang kafir yang menolak para Rasul itu tidak percaya kepada kebangkitan semula. Pada mereka, kehidupan dunia inilah sahaja yang ada dan apabila mati nanti, habislah terus. Mereka tidak percaya yang makhluk akan dibangkitkan dan disoal tentang segala perbuatan mereka semasa di dunia.

Mereka tidak suka untuk terima konsep kebangkitan semula kerana kalau mereka terima, bermaksud mereka tidak boleh buat apa sahaja yang mereka suka semasa di dunia. Mereka tidak suka dipersoalkan kelak dan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan lampau. Mereka hanya ingin membuat apa sahaja ikut nafsu mereka, termasuk zalim kepada manusia yang lain.

 

قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتُبعَثُنَّ

Katakanlah: “Bahkan, demi Tuhanku, benar-benar kamu akan dibangkitkan,

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ beritahu yang Hari Kebangkitan itu pasti. Ada peningkatan penegasan di dalam ayat ini untuk membawa ia adalah PASTI. Ada kelainan dalam ayat ini kerana Allah ﷻ selalunya bersumpah dengan menggunakan makhluk (masa, matahari dan lain-lain) dalam ayat-ayat lain, tetapi kali ini sumpah itu adalah Diri-Nya sendiri.

Maka ia menunjukkan penekanan tentang adanya hari kiamat dan hari kebangkitan semula dengan kuat sekali. Tidak boleh disangkal dan dipersoalkan.

 

ثُمَّ لَتُنَبَّؤُنَّ بِما عَمِلتُم

kemudian akan diberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. 

Hari Kebangkitan/Hari Akhirat itu bukan untuk suka-suka sahaja tetapi akan diberitahu kembali apakah yang manusia telah lakukan semasa di dunia. Bukanlah pemberitahuan itu untuk suka-suka sahaja tetapi Allah ﷻ beritahu semula kerana Allah ﷻ mahu memberi pembalasan. Amalan yang baik akan dibalas dengan syurga dan amalan yang buruk akan dibalas dengan neraka.

Maka ini adalah hujah kenapa Hari Kebangkitan itu akan ada. Tujuannya adalah untuk menegakkan keadilan. Manusia yang melakukan kezaliman di dunia, takkanlah mereka itu akan dibiarkan begitu sahaja? Begitu juga dengan manusia yang telah melakukan kebaikan, takkan mereka tidak dibalas dengan kebaikan juga? Kalau tidak dibalas, maka Allah ﷻ tidak adil namanya.

Kita lihat kadangkala orang yang zalim itu selamat sahaja di dunia ini kerana dia ada kekuatan dan ada kuasa. Kita boleh lihat bagaimana ada orang yang paling baik dalam masyarakat, tetapi hidupnya tidaklah berjaya atau senang. Maka di manakah pembalasan itu?

Ternyata sebenarnya Allah ﷻ akan beri pembalasan yang sempurna di Hari Akhirat kelak. Oleh  kerana itulah kita kena yakin dalam hati kita yang Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan itu pasti ada. Naluri kecil kita pun sudah yakin dalam diri kita yang pasti segala perbuatan kita di dunia ini ada balasannya. Apabila balasan tidak dapat di dunia, maka tentunya balasan itu akan diterima di akhirat kelak.

 

وَذٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسيرٌ

Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Mudah sahaja bagi Allah ﷻ menjadikan Hari Kiamat.
Mudah sahaja bagi Allah ﷻ bangkitkan kembali semua makhluk.
Mudah sahaja bagi Allahﷻ beritahu semula apakah yang telah dilakukan oleh makhluk semasa hidup di dunia. Akan diceritakan dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya.
Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk membuat keputusan yang tepat, sama ada memasukkan manusia ke dalam syurga atau ke dalam neraka.

Maka ini adalah hujah yang kedua tentang adanya Hari Kiamat itu. Ramai yang tidak dapat menerima kebangkitan semula itu dari sudut akal mereka. Ini kerana mereka lihat makhluk yang telah mati itu, tidak mungkin mempunyai kuasa yang dapat menghidupkannya kembali. Mereka tolak dengan akal mereka yang cetek.

Sepatutnya mereka kena fikirkan kembali: alam yang sebegini hebat Allah boleh jadikan dari tidak ada kepada ada, maka apalah susahnya kalau Allah jadikan kembali? Selalunya nak jadikan sesuatu dari mula yang susah, bukan?

Sebagai contoh, senario kita menghasilkan thesis untuk program di universiti. Proses pertama kali untuk menghasilkan thesis itu yang susah. Namun katakanlah dokumen kita dalam komputer hilang. Maka kita kena buat semula thesis itu. Tentu kali kedua untuk membuatnya lebih mudah dibandingkan dengan kali pertama kita buat, bukan? Ini kerana kita sudah buat kali pertama dan kali kedua itu senang sahaja.

Begitulah logik kebangkitan semula. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menjadikan semula alam akhirat kerana Allah ﷻ sudah pernah menjadikan alam dunia ini dulu pun. Sama sahaja bagi Allah ﷻ jadikan iaitu dengan semudah melafaz kun fayakun sahaja.


Taghabun Ayat 8: Apabila sudah tahu perkara-perkara di atas, maka apakah yang kita kena lakukan?

فَئآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَالنّورِ الَّذي أَنزَلنا ۚ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So believe in Allāh and His Messenger and the light [i.e., the Qur’ān] which We have sent down. And Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Qur’an) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

فَئآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya

Diingatkan sekali lagi bahawa surah ini adalah Surah Madaniyyah tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ menceritakan tentang iman yang selalunya disebut di dalam Surah-surah Makkiyyah.

Ini memberi isyarat adanya teguran daripada Allah ﷻ kerana iman umat Islam waktu itu sudah lemah (walaupun sudah ramai) dan mereka perlu diingatkan kembali dengan hal-hal akidah dan iman. Kerana itulah Allah ﷻ memberi peringatan kembali kepada perkara yang paling penting iaitu Tauhid.

‘Beriman dengan Allah ﷻ’ adalah percaya yang Allah ﷻ itu Tuhan kita yang sebenarnya dan Dialah satu-satunya ilah kita. Maka kita kena taat kepada-Nya dan kena kenal Dia. Untuk kenal Dia hendaklah kita belajar dengan Al-Qur’an. Kenalah belajar tafsir Al-Qur’an. Janganlah jahil sangat tentang Al-Qur’an ini. Kena usaha untuk belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis.

‘Beriman dengan Rasul’ adalah dengan belajar dan ikuti sunnah-sunnah Rasulullah ﷺ. Maka kena belajar tentang hadith (yang sahih) dan mengamalkannya dalam kehidupan kita. Tidak boleh dibaca sahaja hadith-hadith itu tetapi kena juga dengar syarahnya supaya kita dapat mengambil pengajaran daripadanya. Saya perasan ramai yang sudah mula membaca hadith sekarang. Akan tetapi jikalau tidak disambung dengan mengikuti kelas pengajian hadith, maka ada kemungkinan ramai yang akan salah faham dengan maksud hadith. 

Sepertimana Al-Qur’an tidak boleh ditafsir sendiri, begitu jugalah dengan hadith. Memang kena luangkan masa yang lama untuk mempelajarinya. Namun itulah usaha kita untuk menjadi Muslim yang sejati.

 

وَالنّورِ الَّذي أَنزَلنا

dan kepada cahaya (Al-Qur’an) yang telah Kami turunkan. 

‘Cahaya’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Wahyu Al-Qur’an. Allah beri perumpamaan cahaya di sini berkenaan Al-Qur’an kerana sifat cahaya itu. Cahaya itu sudahlah bercahaya, ia dapat menerangkan sekelilingnya pula. Maka kerana itu cahaya amat penting.

Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk melihat jalan dalam alam ini, maka kita juga memerlukan ‘cahaya’ untuk melihat jalan kebenaran. Maka hendaklah kita beriman dengan Al-Qur’an ini dengan sepenuhnya kerana ia menunjuk jalan kepada kebenaran.

Dengan cahaya Al-Qur’an inilah yang dapat mencerahkan permasalahan dalam dunia kita, dalam jiwa kita, dalam masyarakat kita dan lain-lain lagi. Kerana itulah kita kena jadikan Al-Qur’an ini sebagai pemandu arah kita di dunia, supaya membawa kita ke syurga.

Untuk beriman dengan Al-Qur’an, seperti yang kita telah selalu sebut, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau tidak belajar, maka tidak akan faham apakah yang Allah hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Bukannya mustahil untuk faham Al-Qur’an. Ia adalah sesuatu yang mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah tahu apa yang kita lakukan ‘secara mendalam’. Maka Allah tahu sama ada kita beriman atau tidak dengan-Nya dan Rasul-Nya. Allah tahu sama ada kita telah berusaha untuk memahami wahyu yang Dia turunkan kepada Rasul-Nya itu.


Taghabun Ayat 9: Setelah disebut beriman dengan Allah , dengan Rasul dan dengan wahyu, sekarang Allah sebut satu lagi iman yang kena disematkan dalam hati kita iaitu beriman dengan Hari Akhirat.

يَومَ يَجمَعُكُم لِيَومِ الجَمعِ ۖ ذٰلِكَ يَومُ التَّغابُنِ ۗ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ وَيَعمَل صٰلِحًا يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day He will assemble you for the Day of Assembly – that is the Day of Deprivation.¹ And whoever believes in Allāh and does righteousness – He will remove from him his misdeeds and admit him to gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. That is the great attainment.

  • “At-Taghābun” suggests having been outdone by others in the acquisition of something valued. That Day, the disbelievers will suffer the loss of Paradise to the believers.

(MELAYU)

(Ingatlah) hari (dimana) Allah mengumpulkan kamu pada hari pengumpulan, itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan beramal saleh, nescaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.

 

يَومَ يَجمَعُكُم لِيَومِ الجَمعِ

(Ingatlah) hari (di mana) Allah mengumpulkan kamu pada hari pengumpulan, 

Sekarang Allah menyebut tentang pengumpulan manusia dan semua makhluk di Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada waktu itu kerana yang akan dikumpul adalah bermula daripada makhluk yang pertama dicipta sehinggalah kepada makhluk yang terakhir sekali mati pada hari kiamat. Mana mungkin kita dapat bayangkan keadaan pada waktu itu dengan ramainya makhluk kerana kita pun tidak tahu berapa lamakah alam ini telah dijadikan dan bila ia akan dihancurkan!

Kenang kembali sebelum ini telah ada Surah Jumaah yang telah menyebut tentang hari Jumaat di mana kita kena berkumpul untuk mengerjakan solat Jumaat. Ia adalah latihan kepada kita untuk mengingat kepada perhimpunan di Mahsyar.

Maka kena biasakan dengan perhimpunan hari Jumaat itu kerana jika tidak, kita akan ada masalah apabila hari pengumpulan di mana kita semua akan dikumpulkan sama ada kita sedar ataupun tidak. Sama ada kita mahu atau tidak, bersedia atau tidak.

 

ذٰلِكَ يَومُ التَّغابُنِ

itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan.

Ini adalah satu lagi nama bagi hari akhirat. Allah hendak menjelaskan sifat hari itu agar kita boleh mengambil pengajaran dan bersedia untuknya. Telah ada banyak nama-nama Hari Akhirat yang Allah telah berikan dalam ayat-ayat yang lain, tetapi ulama’ mengatakan ini adalah nama yang paling susah untuk diterjemahkan/ditafsir.

Kalimah التَّغابُنِ ini telah dijadikan nama surah ini. Ia berasal daripada katadasar غ ب ن yang bermaksud ‘rugi’ atau ‘ditipu’. Ada banyak lagi maknanya seperti ‘lalai’, ‘lupa’ dan lain-lain lagi. Ia juga membawa maksud mengambil bahagian orang lain; ada yang untung dalam perniagaan dan ada yang rugi.

Hari itu adalah hari yang menjadi ‘kejayaan yang paling besar’ dan boleh juga menjadi ‘hari kecelakaan yang paling besar’ kerana kalimah التَّغابُنِ itu boleh menjadi maksud kepada dua-dua ekstrem. Ada yang beruntung sangat dan ada yang rugi sangat.

Ketika itu barulah kita sedar. Waktu di dunia ini kita tidak nampak kesan perbuatan kita lagi, tetapi ia akan dijelaskan di akhirat kelak. Namun begitu, kepada mereka yang rugi, tidak ada apa yang mereka dapat lakukan lagi. Peluang semasa di dunia telah diberikan dan mereka telah mensia-siakan peluang itu kerana mereka tidak mahu beriman. 

Ulama’ tafsir memberitahu bahawa ahli syurga akan mengambil bahagian ahli neraka dan ahli neraka akan mengambil bahagian ahli syurga. Apakah maksudnya? Nanti di akhirat, ahli syurga akan ditunjukkan tempatnya di neraka (kalau dia buat dosa); dan ahli neraka akan ditunjukkan tempatnya di syurga (kalau dia buat baik). Maknanya ahli syurga akan ambil bahagian ahli neraka (kerana ahli neraka tidak masuk syurga) dan ahli neraka akan ambil bahagian ahli syurga (kerana ahli syurga tidak masuk neraka).

 

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ يَدْخُلُ أَحَدٌ الجَنَّةَ إِلَّا أُرِيَ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ لَوْ أَسَاءَ، لِيَزْدَادَ شُكْرًا، وَلاَ يَدْخُلُ النَّارَ أَحَدٌ إِلَّا أُرِيَ مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ لَوْ أَحْسَنَ، لِيَكُونَ عَلَيْهِ حَسْرَةً». [صحيح] – [رواه البخاري]

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda: “Tidak akan masuk syurga kecuali aku akan diperlihatkan tempat duduknya di neraka jika dia berbuat zalim. Dia menambahkan syukur dan tidak ada yang akan masuk neraka melainkan diperlihatkan tempat duduknya di syurga, jika dia berbuat baik, sehingga menjadi penyesalan baginya.

(Riwayat Al-Bukhari)

 

 

Bayangkan kuota rumah bumiputera dalam projek perumahan. Selalunya pemaju kena sediakan kuota untuk bumiputera, bukan? Namun oleh kerana bumiputera tidak mampu beli, maka kuota bumiputera itu dibuka untuk dibeli oleh bukan bumiputera setelah sekian lama tidak diambil.

Selain daripada itu, ada hadith yang menyebut nanti di akhirat akan diadili antara orang yang menzalimi dan dizalimi. Ketika itu nanti yang dizalimi boleh menuntut daripada orang yang menzalimi dirinya. Pada waktu itu tuntuan gantirugi bukan boleh dibayar menggunakan duit, maka pahalalah yang menjadi bayarannya. Maka orang yang menzalimi terpaksa memberi pahalanya kepada orang yang dizalimi. Sekiranya pahalanya sudah habis, maka dia kena ambil dosa orang yang dizalimi itu pula. Maka dialah yang menjadi orang yang paling rugi.

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
أتَدْرُونَ مَنْ الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda: “Seorang muflis dalam kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.”

“Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”

(HR Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

 

Muflis, Orang yang Bangkrut di Akhirat – Al-Hidayah.id

 

Maka pada hari itu, ada yang rugi dan ada yang untung. Mereka yang beriman semasa di dunia seolah-olah telah melakukan perniagaan yang memberi keuntungan yang amat-amat besar dan orang yang tidak beriman telah memilih perniagaan yang amat merugikan. Semasa di dunia tidak nampak lagi, namun ia akan jelas pada Hari Taghabun itu.

Sebenarnya orang yang beriman dan beramal soleh pun akan ada berasa rugi juga pada hari ini. Kenapa pula? Kerana mereka rasa rugi sangat kerana mereka tidak buat lebih lagi amal kebaikan. Memang mereka sudah ada amal kebaikan, tetapi mereka akan fikir: “Alangkah baiknya kalau aku buat lebih banyak lagi kebaikan, supaya kedudukan aku akan lebih tinggi lagi!”

 

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ وَيَعمَل صٰلِحًا يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ

Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, nescaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya

Beriman itu kenalah dengan iman yang sempurna. Maknanya, tidak boleh ada fahaman atau amalan syirik.

Iman bukan sahaja pada hati, tetapi kena ditunjukkan dengan amal yang baik, iaitu amal yang soleh. ‘Amal Soleh’ adalah amal yang mengikut sunnah, bukan amal banyak tetapi bid’ah. Ramai yang tidak faham dengan perkara ini dan kerana itu ada banyak sekali amalan bid’ah yang diamalkan di negara ini. Ini kerana tidak belajar agama dengan betul.

Balasan pertama yang Allah ﷻ sebut adalah akan diampunkan semua dosa mereka. Ini amat penting kerana yang paling kita perlukan adalah pengampunan dosa. Ini kerana kita sebagai manusia tentulah ada banyak dosa yang kita telah lakukan. Apabila ada dosa, maka dosa itu perlu dibersihkan di neraka! Nauzubillah!!

Maka apabila Allah ﷻ ampunkan dosa kita, maknanya kita telah terselamat dari neraka dan ini sudah menjadi nikmat terlalu besar buat kita.

 

وَيُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkannya ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Bukan sahaja Allah ﷻ selamatkan mereka dari neraka, tetapi kemudian Allah ﷻ masukkan mereka ke dalam syurga pula. Ini kerana memang hanya ada syurga dan neraka sahaja. Kalau tidak masuk neraka, memang akan masuk syurga.

Nikmat dalam syurga itu teramat banyak. Allah ﷻ tidak jelaskan kesemua nikmat di dalamnya kerana akal kita tidak akan mampu faham. Namun Allah ﷻ beri isyaratnya iaitu dalam syurga itu ada sungai mengalir di bawahnya.

Ini adalah isyarat hebatnya syurga itu. Ia menarik perhatian manusia kerana memang manusia suka tinggal di kawasan perumahan yang ada air. Maka Allah ﷻ beri motivasi kepada kita dalam ayat ini.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan tinggal kekal selama-lamanya di dalam syurga itu. Nikmat itu akan berkekalan malah akan bertambah-tambah kualitinya.

Ini penting kerana kalau tinggal di tempat yang selesa seperti hotel paling mahal di dunia pun, tetapi semua tahu mereka tidak kekal di situ. Maka nikmat tinggal di situ akan berkurangan kerana tahu nanti tidak lama lagi kena keluar juga akhirnya. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ telah berikan berita gembira bahawa apabila masuk sahaja ke dalam syurga, penghuni syurga akan kekal sampai bila-bila.

Ada iltifad (perubahan) dalam ayat ini. Ayat ini bermula dengan menyebut dalam dhomir mufrad (يدخله memasukkan dia) tetapi apabila masuk ke dalam syurga sudah menjadi sighah jamak pula (خٰلدين). Ini adalah kerana kita akan dinilai berdasarkan kepada amalan kita secara individu tetapi apabila masuk ke dalam syurga nanti, maka kita akan dimasukkan dengan orang-orang yang juga menjadi ahli syurga.

Apabila ada kawan yang lain, ia akan menjadikan ahli syurga amat bahagia kerana kita adalah makhluk yang suka kepada sosial. Kalau banyak nikmat tetapi duduk menikmatinya seorang diri memang tidak membahagiakan kerana akan sunyi dan murung sahaja kita nanti. 

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang besar.

Inilah keuntungan atau kejayaan yang amat besar: selamat dari neraka dan masuk pula ke dalam syurga. Kalimah الفوز bermaksud kejayaan selamat daripada bahaya dan bahaya yang dimaksudkan adalah bahaya yang paling berat iaitu neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 3 Februari 2022

Ringkasan Surah Taghabun


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Taghabun Ayat 1 – 5 (Kesempurnaan kejadian manusia)

Pengenalan: 

Surah ini mengajar kita yang apabila kita telah merasa kemanisan iman, bagaimanakah perasaan kita. Kalau sebelum ini kita telah belajar Surah Munafiqoon tentang orang munafik yang tidak ada iman, maka sekarang disebut apabila seseorang itu ada iman maka apakah nikmat yang dia dapat rasa.

Bahagian pertama surah ini adalah daripada ayat 1 sampai ayat 13. Allah ﷻ menyebut tentang dalil-dalil tauhid. Walaupun surah ini adalah Surah Madaniyyah, tetapi Allah ﷻ kembali memperingatkan umat Islam tentang Tauhid sepertimana yang selalu ada dalam Surah Makiyyah.

Bahagian kedua daripada ayat 14 hingga akhir yang banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah (menangani hubungan dengan makhluk). 

Surah Taghabun ini juga adalah surah kelapan dalam rentetan surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini Surah Munafiqun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


Taghabun Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada dua perenggan makro. Ayat 1 – 13 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu aqidah Musyrikin Arab yang tidak percaya kepada kerasulan dan hari akhirat.

Dalam 1 – 4 ini, Allah ﷻ memulakan dengan menyebut tentang kekuasaan-Nya yang tidak ada bandingan

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمدُ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Taghābun: Deprivation, another name for the Day of Judgement. See next footnote.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh.¹ To Him belongs dominion, and to Him belongs [all] praise, and He is over all things competent.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi;

Sekali lagi Allah ﷻ memperingatkan tentang tasbih di dalam ayat ini. Allah ﷻ mengingatkan kita bahawa segala yang ada di langit dan di bumi sedang bertasbih kepada Allah ﷻ, lalu bagaimana dengan tasbih kamu, wahai manusia?

Apabila disebut tentang tasbih, ia memperingatkan tentang tauhid kepada Allah ﷻ kerana tasbih adalah kalimah tauhid iaitu menidakkan dan membersihkan Allah ﷻ daripada hal-hal  yang tidak patut dinisbahkan kepada-Nya. Maka kena faham maksud tasbih seperti yang telah selalu disebut dalam penulisan di sini.

 

لَهُ المُلكُ

hanya Allahlah yang mempunyai semua kerajaan

Apabila kalimah له ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud eksklusif. Maknanya, kerajaan yang sebenar adalah milik Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ sahaja yang berkuasa penuh dalam alam ini. Kerajaan dunia ini bukanlah kerajaan sebenar dan sesiapa yang berkuasa itu adalah di atas keizinan Allah ﷻ sahaja.

Apabila Allah ﷻ yang beri kuasa kerajaan kepada manusia, maka Allah ﷻ juga yang boleh mengambilnya semula. Manusia berebut dan berperang kerana hendak mendapat kerajaan dunia. Namun Allah ﷻ ingatkan yang itu adalah dunia sahaja. Kerajaan yang sebenarnya adalah milik Allah ﷻ.

Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini dan kemudian biarkan sahaja ia berjalan sendiri. Allah ﷻ yang memiliki kerajaan alam ini bermaksud Allah ﷻ yang mentadbirnya. Allah ﷻ tadbir sendiri dan tidaklah Allah ﷻ serahkan kerajaan ini kepada sesiapa pun.

Allah ﷻ tidak melantik sesiapa untuk mentadbir alam ini bersama-Nya. Maka kalau ada fahaman yang mengatakan ada Nabi jaga kawasan itu dan ini, ada wali yang dilantik Allah ﷻ untuk mentadbir mana-mana tempat, itu adalah fahaman syirik.

Ini penting kerana ada fahaman sebegini dalam masyarakat Islam pun. Mereka diajar oleh guru sesat seperti guru tarekat yang mengatakan wali ini dan itu mentadbir kutub utara atau selatan, kawasan ini dan itu, ada yang menjaga masa, ada yang menjaga hutan dan macam-macam lagi perkara karut yang mereka ajar anak murid mereka. Datang dari mana pun kita tidak tahu melainkan ia adalah ilmu khayalan yang diajar oleh syaitan.

 

وَلَهُ الحَمدُ

dan bagi-Nya sahaja semua pujian

Segala pujian adalah milik-Nya. Allah ﷻlah yang sebenarnya layak dipuji. Segala kelebihan yang makhluk ada adalah kerana pemberian Allah ﷻ, maka semua pujian kembali kepada-Nya.

‘Pujian yang khas’ iaitu puji-pujian yang diberikan kepada ilah adalah milik-Nya sahaja kerana tidak ada ilah selain dari-Nya. Perkara telah disentuh secara panjang lebar dalam Surah Fatihah.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ mengingatkan yang Dia yang Maha Berkuasa menentukan apa-apa sahaja. Banyak sekali peringatan ini diberikan dalam Al-Qur’an. Maka kita kenalah sedar perkara ini. Apa-apa sahaja yang berlaku adalah dalam ketentuan-Nya. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ mahu terjadi akan terjadi dan perkara yang tidak mendapat izin Allah ﷻ tidak akan terjadi.

Maka kenalah kita belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Jangan persoalkan apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita.


Taghabun Ayat 2:

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ ۚ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who created you, and among you is the disbeliever, and among you is the believer. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Dialah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم

Dialah yang menciptakan kamu

Allah ﷻ hendak memberitahu yang sama ada orang itu beriman ataupun tidak, Allah ﷻ juga yang menjadikan mereka. Allah ﷻ ingatkan manusia siapakah yang menjadikan mereka.

Allah ﷻ telah ciptakan manusia atas sebaik-baik kejadian, iaitu atas fitrah yang kenal mana baik dan mana buruk; tetapi ada juga manusia yang memilih jalan keburukan dan kekufuran.

 

فَمِنكُم كافِرٌ وَمِنكُم مُّؤمِنٌ

maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin.

Walaupun Allah ﷻ yang menjadikan semua makhluk, tetapi ada manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini adalah hakikat yang tidak dapat ditolak.

Dalam ayat ini, kita dapat tahu yang kumpulan besar manusia ada dua sahaja: kafir dan mukmin. Bukannya berdasarkan keturunan, warna kulit, bangsa dan apa-apa sahaja. Kalau kita berlainan bangsa tetapi beriman, kita dianggap bersaudara.

Inilah yang sepatutnya kita terima. Malangnya kita sudah dipecah-pecahkan mengikut negara dan bangsa. Oleh kerana itu kita lemah dan senang diperbudakkan oleh musuh Islam.

Kufur itu ada banyak jenis. Dalam bahagian pertama, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini. Namun begitu ada yang tidak percaya kebenaran ini. Mereka tidak menerima Allah ﷻ sebagai Tuhan. Atau, ada yang tidak menerima langsung kewujudan Tuhan seperti fahaman sesat golongan Atheist. Mereka cuba mengatakan yang alam yang sebegini hebat, terjadi sendiri tanpa ada yang menjadikannya. Fahaman begini amat karut sekali.

Huruf ف di dalam ayat ini, menunjukkan sesuatu yang berlaku selepas sesuatu. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ ingatkan yang Dia telah mencipta kita dan asal penciptaan itu, semuanya beriman. Cuma selepas itu baru manusia terbahagi kepada kafir dan mukmin.

Memang manusia yang kufur dan ada yang beriman. Ini menunjukkan yang memang Allah ﷻ berikan kebebasan kepada manusia untuk memilih sama ada mahu beriman atau tidak. Allah ﷻ tidak memaksa iman ke atas manusia. Ramai yang susah untuk menerima perkara ini. Mereka kata kalau Allah ﷻ berkuasa, kenapa tidak jadikan semuanya beriman sahaja?

Banyak ayat Al-Qur’an yang menjawab perkara ini. Allah ﷻ beritahu yang Dia mampu sahaja untuk menjadikan semua makhluk taat. Lihatlah Allah ﷻ sudah jadikan para malaikat dan semuanya taat kepada Allah ﷻ. Namun untuk manusia, Allah ﷻ berikan kebebasan untuk memilih. Kalau benar pilihannya, maka balasannya adalah syurga yang kekal abadi.

Manusia yang menggunakan inteleknya akan sedar bahawa Tuhan itu wujud dan kajian yang lebih mendalam akan menyakinkannya bahawa Tuhan itu nama-Nya Allah. Dia akan mencari-cari apakah yang Allah ﷻ kehendaki daripadanya dan dia akan taat kepada kehendak Allah ﷻ itu. Maka mereka inilah yang selamat kerana telah membuat keputusan yang tepat.

Kemudian ada kufur jenis lain. Iaitu mereka menerima wujudnya Tuhan tetapi mereka menolak untuk menerima Allah ﷻ; kemudian ada yang terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, tetapi fahamannya tidak seperti yang sepatutnya disebut di dalam wahyu. Maka ada berjenis-jenis tahap kekufuran.

Disebut mereka yang kufur dulu kerana memang orang kafir yang lebih ramai daripada orang yang beriman. Memang itu adalah salah satu daripada balaghah Al-Qur’an. Allah ﷻ dahulukan sebut yang banyak dahulu. Maka tidaklah menghairankan jikalau kebanyakan manusia dalam dunia ini tidak beriman dengan iman yang sebenar. Janganlah berasa canggung kalau amalan dan fahaman kita berlainan daripada kebanyakan manusia yang lain.

Memang sudah begitu dan tidak perlu dihairankan. Ada yang hairan apabila kita sebut banyak amalan salah manusia. Maka ada yang tidak setuju dan berkata: “Kalau begitu, ramailah ahli neraka?!!” Sememangnya telah disebut daripada hadith sahih, terdapat 999/1,000 manusia masuk neraka, maka memang tidak menghairankan.

Balaghah: Ini termasuk di dalam perbincangan Taqdim wa Ta’khir. Kenapa Allah sebut dahulu kafir sebelum beriman? Bagi kita, mungkin timbul persoalan: Bukankah iman itu perkara yang mulia? Kenapa orang kafir pula yang disebut dahulu? Para ulama tafsir dan pakar Balaghah (retorik bahasa al-Quran) telah menggariskan beberapa rahsia yang sangat hebat di sebalik susunan ini:

Dari sudut realiti sejarah manusia dari zaman Nabi Adam A.S sehinggalah ke hari kiamat, jumlah manusia yang memilih untuk ingkar, kufur, atau lalai (kafir) adalah jauh lebih ramai (majoriti) berbanding jumlah orang yang benar-benar beriman dan bersyukur (minoriti). Al-Quran banyak merakamkan hakikat ini, antaranya dalam Yusuf:103

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِ
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman walaupun kamu sangat menginginkannya.”

Dalam kaedah penyusunan bahasa (Balaghah), didahulukan kelompok yang paling ramai dan dominan secara kuantiti di alam nyata (iaitu kufur) sebelum menyebut kelompok yang sedikit (iaitu iman).

Dari sudut perkembangan tauhid dan ujian hidup, setiap manusia lahir ke dunia ini dalam keadaan suci bersih atas paksi fitrah tauhid. Namun, sebaik sahaja manusia itu baligh dan diberikan akal untuk berfikir, fasa pertama yang dihadapi oleh jiwanya adalah “kegelapan” kebebasan nafsu dan godaan syaitan (simbolik kepada kekufuran/kelalaian). Proses beriman pula memerlukan usaha, mujahadah, hujah, dan kesedaran untuk menyerap cahaya petunjuk ke dalam diri. Dalam konteks ayat ini, kafir disebut dahulu kerana ia mewakili “keadaan awal” keduniaan manusia yang sering kali tewas dengan tuntutan material, sebelum sebahagian daripada mereka berjaya mendaki ke fasa iman yang memerlukan usaha penyucian jiwa.

Akhir sekali, ini adalah rahsia sastera Al-Qur’an yang sangat indah. Sesuatu yang mulia adakalanya sengaja diletakkan di bahagian akhir sebagai penutup (kemuncak) untuk memberikan kesan penghormatan yang tinggi (Makam at-Tasyriq). Bayangkan sebuah majlis anugerah: pemenang tempat pertama atau tetamu kehormat yang paling utama selalunya akan dipanggil dan diumumkan di bahagian paling akhir majlis sebagai kemuncak acara. Oleh itu, Allah menyebut kata Kafir dahulu, lalu menutup gandingan tersebut dengan kata Mu’min (Beriman). Peletakan kalimah beriman di hujung struktur ayat bertindak sebagai “pencuci mulut” atau penutup yang manis, sekali gus menyambungkan sifat iman itu terus dengan nama Allah di hujung ayat: “…dan di antara kamu ada yang beriman, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” Orang beriman mendapat keistimewaan diletakkan bersebelahan dengan perhatian khusus daripada Allah.


 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Semua yang dilakukan oleh makhluk sedang diperhatikan oleh Allah ﷻ. Tidak ada yang tersembunyi daripada pemerhatian Allah ﷻ. Setiap perbuatan kita direkod oleh Allah ﷻ.

Maka Allah ﷻ akan balas manusia berdasarkan daripada perbuatan mereka yang Allah ﷻ lihat. Kalau amalan baik akan dibalas dengan pahala dan kalau amalan itu buruk, ia akan dibalas dengan dosa. Banyak pahala akan masuk syurga dan banyak dosa akan dimasukkan ke dalam neraka.


Taghabun Ayat 3:

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens and earth in truth and formed you and perfected your forms; and to Him is the [final] destination.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan haq. Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Dia telah menciptakan langit dan bumi dengan haq.

Allah ﷻ bukan sahaja mencipta manusia dan jin, tetapi alam ini juga dicipta oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita dengan kekuasaan-Nya.

Tujuan Allah ﷻ mencipta alam ini adalah untuk menzahirkan al-haq, iaitu kebenaran. Untuk menzahirkan dalil dan hujah kepada kita yang alam ini ada Penciptanya. Tidak mungkin ia terjadi sendiri dengan begitu indah sekali. Maka kita sudah pasti ada Tuhan yang menjadikannya. Tugas kita di dunia ini adalah untuk mencari siapakah Tuhan itu. Orang mukmin telah menerima yang Pencipta yang Maha Agong itu adalah Allah ﷻ.

Maknanya, alam ini tidaklah dijadikan sia-sia sahaja tetapi bersebab. Kejadian kita pun bersebab juga. Tidaklah Allah ﷻ sengaja main-main dengan menjadikan alam ini. Begitu juga kita tidak dijadikan untuk hidup kemudian mati begitu sahaja. Kalau kita yang lagi hebat dalam alam ini, takkanlah Allah ﷻ jadikan main-main sedangkan alam pun tidak dijadikan untuk main-main.

Maka kita kena kena tahu tujuan hidup kita di atas muka bumi ini. Jangan kita hidup begitu sahaja tanpa memenuhi kehendak kita dijadikan. Hendaklah kita mencari tujuan hidup kita (sebagai hamba Allah ﷻ) dan menjalani kehidupan kita seperti yang sepatutnya.

Ia juga menjadi dalil yang Allah ﷻ boleh hancurkan alam ini dan menjadikan alam akhirat yang baru. Ini kerana kalau Allah ﷻ boleh jadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada, apakah yang menghalang Allah ﷻ daripada menghancurkannya dan menjadikan alam yang baru? Tidak ada yang menghalang. Maka jangan ditolak kejadian Kiamat dan kebangkitan semula kerana memang Allah ﷻ boleh lakukan.

 

وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم

Dia membentuk rupamu dan dibaguskan-Nya rupamu itu

Allah ﷻ sahaja yang mampu membentuk rupa kita. Kerana itulah salah satu daripada nama Allah ﷻ adalah al-Musawwiru. Hebatnya Allah ﷻ, kita ini berbilion bilangan, tetapi rupa tidak ada yang sama.

Tadi Allah ﷻ sebut Dia menjadikan alam dan sekarang disebut penciptaan kita (manusia) pula. Allah ﷻ bukan sahaja menjadikan kita tetapi Allah ﷻ telah mencipta kita dalam sebaik-baik bentuk. Memang Allah ﷻ telah menjadikan kita dalam rupa paras yang indah. Kalau tidak percaya, cubalah bandingkan rupa kita dengan rupa beruk.

Memang kadangkala kita tidak cantik kalau dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi yang kita kena bandingkan adalah dengan makhluk lain. Kalau dibandingkan dengan makhluk lain, memang kitalah yang terhebat.

Bukan sahaja Allah ﷻ telah berikan kita akal dan intelek, tetapi Allah ﷻ lengkapi kita dengan fizikal yang sempurna. Bayangkan kalau kita ada akal manusia, tetapi Allah ﷻ jadikan kita dalam bentuk ikan? Bagaimana kita hendak berfungsi sebagai khalifah Allah ﷻ kalau begitu? Kerana kita akan hidup dalam air sahaja dan kita tidak ada tangan dan kaki untuk berfungsi di atas darat. Maka hargailah pemberian fizikal sempurna yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita ini.

Oleh itu, rupa kita berapa tinggi, warna kulit dan sebagainya telah ditentukan sebaiknya oleh Allah ﷻ. Maka kita kena redha dengan apa yang kita ada. Kalau kita tidak redha, maka itu bermaksud kita tidak redha dengan kurniaan Allah ﷻ. Maknanya kita tidak suka dengan apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita.

Ada juga yang mengatakan bukan fizikal sahaja yang dibentuk tetapi roh kita telah dibentuk oleh Allah ﷻ. Oleh kerana itu ada orang yang pandai bercakap, ada yang pandai matematik dan ada yang pandai begitu dan begini. Kepandaian itu bukan bergantung kepada fizikal kita tetapi roh dalaman kita. 

 

وَإِلَيهِ المَصيرُ

dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).

Allah ﷻ telah mencipta, menjadikan kita dalam sebaik-baik bentuk. Namun Allah ﷻ ingatkan kembali yang Allah ﷻ hanya hidupkan kita sementara sahaja di dunia ini. Kita bukan untuk tinggal selama-lamanya di dunia. Kita akan mati dan dunia ini akan hancur dan akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa sahaja yang kita lakukan selama kita di dunia ini.

Maka manusia yang sedar perkara ini akan berhati-hati dalam apa sahaja yang dilakukannya kerana dia tahu yang dia akan disoal di akhirat kelak. Maka dia akan takut untuk buat dosa dan amalkan fahaman yang salah.

Dia sedar yang dia akan dipertanggungjawabkan dengan penciptaan dirinya yang hebat, di mana dia telah diberikan dengan akal dan fitrah kejadian yang baik dan dia akan disoal apakah yang dia telah gunakan keduanya semasa dia hidup di dunia. Apa lagi alasan kalau Allah ﷻ telah berikan yang terbaik buat kita?


Taghabun Ayat 4: Ayat sebelum ini tentang qudrat Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ sebut tentang ilmu-Nya pula. 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He knows what is within the heavens and earth and knows what you conceal and what you declare. And Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi

Segala yang ada, segala yang terjadi dalam alam ini, dalam pengetahuan Allah ﷻ. Tidak ada yang tersembunyi daripada-Nya. Mana mungkin Dia tidak tahu tentang semua itu sedangkan segala yang terjadi itu adalah dengan izin-Nya. Tidak akan berlaku apa pun melainkan dalam urusan-Nya.

 

وَيَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ

dan Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan.

Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan secara zahir dan secara rahsia. Ada perkara yang manusia buat terang-terangan tetapi ada banyak lagi perkara yang manusia lakukan secara sembunyi. Manusia lain tidak nampak tetapi Allah ﷻ ingatkan yang Allah ﷻ tahu apa sahaja yang manusia itu lakukan.

Bukan sahaja Allah ﷻ tahu apa yang terjadi, tetapi apa yang belum terjadi pun Allah ﷻ sudah tahu. Ini adalah kerana ilmu Allah ﷻ luas. Ilmu kita setakat tahu apa yang telah terjadi sahaja, sedangkan ilmu Allah ﷻ tahu apa yang akan terjadi juga. Allah ﷻ tahu apa yang kita katakan, dan Allah ﷻ tahu apa yang kita ‘belum’ katakan; iaitu segala perkara dalam hati kita. Segala fikiran kita, segala perasaan kita adalah dalam ilmu Allah ﷻ jua.

Segala apa yang manusia lakukan di dalam alam ini adalah pemberian daripada Allah ﷻ juga kerana idea-idea dan ilham yang kita dapat itu adalah daripada Allah ﷻ dan ia tidak terjadi secara sendiri. 

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah ﷻ tahu apakah niat kita semasa melakukan perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, adakah solat yang kita lakukan itu adalah ikhlas ataupun kerana hanya untuk menunjuk kepada orang sahaja (tunjuk dia orang beriman, contohnya). Sebagaimana orang munafik, mereka solat kerana hendak menunjuk kepada orang sahaja. Kalau orang tidak lihat, mereka tidak solat pun.

Maka niat adalah perkara yang amat penting. Dalam mahkamah dunia pun hakim akan cuba untuk melihat niat pelaku kesalahan. Sebagai contoh, apabila ada pembunuhan, mahkamah akan cuba untuk menentukan sama ada orang yang membunuh itu ada niat untuk membunuh ataupun tidak. Mereka akan cuba lihat adakah motif perlakuan itu, adakah perkelahian antara yang dibunuh dan dibunuh.

Semua itu dilakukan untuk menentukan niat pelaku pembunuhan itu. Akan tetapi hakim cuma boleh mengagak sahaja berdasarkan bukti-bukti yang ada. Namun tentulah tidak tepat kerana hakim tidak boleh membaca hati manusia. Maka siapakah yang tahu hati manusia dan mengetahui niat seseorang itu? Tentulah Allah ﷻ yang Maha Mengetahui. Maka Allah ﷻlah yang layak untuk menentukan hukum kepada manusia kerana Allah ﷻ tahu apakah niat perlakuan itu.

Oleh itu, ketahuilah yang Allah ﷻ tahu apa yang disimpan dalam hati kita. Bukan sahaja Allah ﷻ tahu apa yang kita rahsiakan dalam hati kita, tetapi dalam ‘lipatan hati’ kita pun Allah ﷻ tahu. Lipatan hati adalah lintasan hati yang tidak dibentuk menjadi niat pun lagi, cuma masih lintasan sahaja. Kita pun tidak sempat fikir dalam otak lagi, namun Allah ﷻ sudah tahu.

Termasuk Allah ﷻ tahu perkara yang di bawah sedar kita (sub-concious). Otak kita pun tidak dapat mengawal perkara bawah sedar itu tetapi Allah ﷻ yang kawal. Sebagai contoh, otak kita juga yang mengawal pergerakan nafas, perjalanan darah, perut dan sebagainya dalam tubuh kita. Kita tidak boleh kawal kerana ia di bawah minda sedar kita, tetapi Allah ﷻ boleh kawal.


Taghabun Ayat 5: Ayat takhwif duniawi (penakutan dengan azab dunia). Sekarang Allah ﷻ sebut tentang umat-umat terdahulu yang telah menolak kebenaran wahyu.

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there not come to you the news of those who disbelieved before? So they tasted the bad consequence of their affair, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

Apakah belum datang kepadamu (hai orang-orang kafir) berita orang-orang kafir terdahulu. Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk dari perbuatan mereka dan mereka memperoleh azab yang pedih.

 

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ

Apakah belum datang kepadamu berita orang-orang kafir terdahulu.

Allah ﷻ mengingatkan tentang kisah orang-orang yang ingkar di zaman dahulu. Kisah-kisah itu masyhur dan Allah ﷻ cuma ingatkan sahaja. Kisah-kisah kaum terdahulu seperti Kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi itu sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran bagi kita semua.

 

فَذاقوا وَبالَ أَمرِهِم

Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk daripada perbuatan mereka

Kaum yang sebelum ini dikenakan dengan azab dunia dan berterusan menerima azab itu kerana kedegilan mereka menerima ajaran tauhid dan ajaran agama daripada Nabi mereka. Maka ambillah pengajaran daripada mereka. Janganlah tolak tauhid dan suruhan agama. Allah ﷻ boleh musnahkan manusia pada bila-bila masa sahaja.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka memperoleh azab yang pedih.

Mereka mendapat azab di akhirat juga yang tidak akan berkurangan. Kalau kita sakit di dunia, lama kelamaan kita akan rasa biasa dengan sakit itu dan sakit itu akan rasa berkurangan. Sebaliknya ia tidak akan berlaku di akhirat. Penghuni neraka tidak akan rasa azab itu berkurangan. Maknanya azab itu akan berada pada tahap kesakitan yang tinggi sentiasa.

Walaupun Allah ﷻ telah mengenakan hukuman kepada mereka di dunia, tetapi hukuman di dunia itu tidak lengkap kerana mereka tidak dikenakan dengan hukuman yang penuh, maka hukuman yang penuh adalah di akhirat kelak.

Cuma Allah ﷻ jadikan hukuman azab di dunia sebagai pengajaran kepada manusia yang lain. Apabila manusia ditakutkan dengan hukuman di akhirat, ada yang buat tidak kisah kerana mereka tidak nampak kesan hukuman di akhirat lagi. Akan tetapi apabila mereka lihat yang di dunia pun Allah ﷻ sudah pernah kenakan azab kepada pelaku dosa, maka ini akan menakutkan mereka dan menghalang mereka daripada melakukan dosa yang sama.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Mei 2026

Ringkasan Surah Taghabun


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 8 – 11 (Menyesal tidak bersedekah)

Munafiqoon Ayat 8: Ini adalah sambungan daripada kata-kata kempen (hasutan) Abdullah bin Ubay kepada pengikutnya dalam kalangan munafiqin.

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They say, “If we return to al-Madīnah, the more honored [for power] will surely expel therefrom the more humble.” And to Allāh belongs [all] honor, and to His Messenger, and to the believers, but the hypocrites do not know.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

 

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ

Mereka berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah,

Sebelum ini Abdullah bin Ubay telah kempen kepada para pengikutnya, jangan lagi beri pertolongan kepada golongan Muhajirin. Sekarang dia sambung lagi, apabila mereka sampai di Madinah nanti, ada perkara yang mereka perlu lakukan. Apakah rancangannya itu?

 

لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ

benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya”.

Dia kata: ‘golongan yang mulia’ akan menghalau ‘golongan yang lemah’. Yang dimaksudkan adalah: orang-orang Madinah akan menghalau golongan Muhajirin. Dia kata mereka yang lebih mulia daripada golongan ‘pendatang’ itu (Muhajirin) kerana dia rasa mereka yang selama ini memberi bantuan kepada golongan muhajirin itu. 

Dia sedang kempen kepada pengikutnya secara khusus dan golongan Ansar secara umum, supaya jangan dibantu lagi golongan Muhajirin dan nanti mereka akan buat perancangan untuk menghalau golongan pendatang itu keluar dari Madinah. Ini kerana mereka menganggap golongan Muhajirin itu lemah, rendah dan hina berbanding dengan mereka.

Akan tetapi bukankah Rasulullah ﷺ juga termasuk Muhajirin? Maka, sebenarnya mereka merendahkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ! Disebabkan perkara inilah yang menyebabkan Zaid bin al-Arqam رضي الله عنه telah melaporkan kata-katanya itu kepada Rasulullah ﷺ; kerana Abdullah telah menghina baginda!

Golongan munafik yang berasal dari Madinah ini memang membenci golongan Muhajirin. Ini kerana di dalam Surah Mujaadilah sebelum ini, golongan Muhajirin itu yang lebih banyak dipuji oleh Allah ‎ﷻ.

Selain itu harta fai pula diberikan kepada golongan Muhajirin, maka tentulah mereka marah sungguh kepada golongan Muhajirin. Mereka berasa golongan Muhajirin itu menyusahkan mereka sahaja dan mereka tidak mendapat untung pun jika menolong golongan Muhajirin itu selama ini.

Maka, ini adalah sifat nifak ke 12: Mereka merasakan diri mereka lebih baik dan memandang rendah terhadap orang lain.

 

وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ

Padahal kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, 

Golongan munafik mengatakan golongan mereka yang lebih mulia daripada golongan Muhajirin itu. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang kemuliaan sebenarnya milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah punca kemuliaan.

Rasulullah ﷺ pula mulia kerana kedudukannya sebagai Utusan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ menganugerahkan kemuliaan kepada golongan mukmin kerana iman mereka.

Maka, orang munafik tidak ada bahagian dalam kemuliaan itu kerana mereka tidak beriman. Mereka sebenarnya yang ada masalah, bukannya golongan Muhajirin itu.

 

وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

Namun begitu orang munafik tidak tahu perkara ini kerana mereka jauh daripada wahyu dan jauh daripada agama. Cara mereka melihat ‘kemuliaan’ itu hanya dari sudut keduniaan sahaja. Oleh kerana itu mereka telah tersalah sangka.

Dalam ayat 7 sebelum ini, digunakan kalimah لَا يَفْقَهُونَ (tidak memahami) akan tetapi dalam ayat ini digunakan kalimah  لَا يَعْلَمُونَ (tidak mengetahui); maka, apakah bezanya? Dalam ayat 7 itu, ia tentang khazanah Allah ‎ﷻ, iaitu pemberi rezeki. Jika tidak faham tentang hal ini, maka ia menjadi satu salah faham yang besar. Akan tetapi, untuk bab kedudukan, sesiapa sahaja boleh mendapatnya atau tidak kedudukan itu. Cuma mereka tidak tahu sahaja, iaitu tidak tahu yang mereka tidak ada kedudukan. Mereka sangka mereka mulia, sedangkan tidak.

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


AJAKAN BERIMAN DAN MENDERMA

Munafiqoon  Ayat 9: Ayat 7 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita yang penyakit nifak boleh dirawat dengan zikrullah dan infak. Ini adalah bertepatan dengan tema utama surah ini iaitu tentang infak. Allah ‎ﷻ juga memberi peringatan tentang bahaya harta dan anak-anak.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, let not your wealth and your children divert you from the remembrance of Allāh. And whoever does that – then those are the losers.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Walaupun disebutkan ayat ini kepada orang-orang beriman, maka ia juga termasuk golongan munafik juga. Ini adalah kerana mereka juga mengaku yang mereka beriman, bukan?

Maka apabila kalimat ‘wahai orang-orang beriman’ digunakan dalam Al-Qur’an, kenalah dilihat konteks penggunaannya. Dalam ayat ini, ia digunakan secara umum. Diberikan kepada golongan munafik dan juga orang yang benar-benar beriman.

Jikakalau kamu mengaku beriman, maka hendaklah mendengar nasihat daripada Allah ‎ﷻ ini. Jelas di sini ia juga termasuk ayat yang ditujukan kepada kita. Oleh itu, kenalah dengar baik-baik dan sematkan dalam hati kita pelajaran ini.

 

لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ

janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah.

Di dalam Surah Jumaah kita telah diberitahu bahawa Solat Jumaat itu tujuannya adalah untuk mengingati Allah ‎ﷻ dan telah disebut dua perkara yang menghalang manusia iaitu تِجٰرَةً (perniagaan) dan لَهوًا (hiburan). Sekarang dalam surah ini disebut pula tentang harta dan anak-anak.

Jangan jadikan dua perkara itu sebagai penghalang untuk mengingati Allah ‎ﷻ. Maksudnya kita telah lakukan kesalahan yang disebut dalam ayat ini jikalau kita lebih memikirkan tentang harta dan juga anak-anak daripada kita mengingati Allah ‎ﷻ. Sememangnya dua perkara ini memang akan menjadi fokus kita seharian, menyibukkan kita setiap hari dan kerana itulah ia adalah perang dalaman diri kita. 

Sebelum ini kita telah lihat sifat-sifat golongan munafik. Sebenarnya masalah besar mereka adalah tentang harta dan juga anak-anak. Atau dalam ertikata lain: dunia. Mereka melebihkan dunia daripada akhirat. Maka kita sebagai mukmin sejati hendaklah berhati-hati tentang dunia ini supaya jangan kita mengabaikan agama pula. Namun disebut dua perkara utama daripada keduniaan ini iaitu harta dan anak pinak.

‘Zikrullah’ di dalam ayat ini juga bermaksud ‘agama’ yang merangkumi keseluruhan agama itu. Jangan jadikan harta dan anak-anak memesongkan kita daripada agama. Jangan terlalu sibukkan diri dengan harta dan anak-anak sampai lupa agama. Terdapat mufassirin yang mengkhususkan zikrullah itu merujuk kepada solat lima waktu; ada yang kata zakat dan haji; ada juga yang kata ia merujuk kepada Al-Qur’an; Hasan al Basri رحمه الله memberikan pendapat bahawa ia merujuk kepada segala jenis ibadah dan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

Ada kemungkinan kita tidak pernah meninggalkan solat lima waktu namun sebenarnya dalam solat itu, kita sedang mengingati tentang harta dan juga ahli keluarga kita lebih daripada kita ingat kepada Allah ‎ﷻ. Memang perbuatan kita dalam keadaan menunaikan solat akan tetapi kita tidak fokus kepada Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Tidakkah begitu? Ini kena tanya diri sendiri. 

Kita tidak nafikan yang perkara ini memang susah untuk dijaga kerana apabila kita semakin dewasa dan sudah mempunyai keluarga sendiri, kerjaya sendiri, dan dalam masa yang sama anak kita sedang membesar (tentulah memerlukan perhatian kita juga), dan kita pula dalam kedudukan yang bertanggungjawab untuk membesarkan mereka. Selain itu, kita mungkin juga sudah mempunyai syarikat sendiri dan semestinya bertanggungjawab untuk pekerja bawahan kita pula, maka banyak sangat perkara yang kita perlu fikirkan.

Ini juga termasuk perkara hal keduniaan yang lain seperti seperti memikirkan gaji bulanan kepada pekerja, bayaran sekolah untuk anak-anak, makan pakai mereka, mahu pergi bercuti di mana tahun itu, bagaimana hendak beli kereta, bila hendak beli kereta besar lagi, dan memang macam-macam perkara yang bermain dalam fikiran kita, bukan? 

Perkara-perkara seperti jual beli, anak-anak, perniagaan dan hiburan itu senang untuk diingati kerana ia sentiasa berada di hadapan mata kita. Akan tetapi Allah‎ ﷻ tidak ada di hadapan kita maka kita kena lebih berusaha untuk mengingati Allah ‎ﷻ dan inilah ujian yang kita kena hadapi. 

Sememangnya harta adalah perkara paling senang untuk melekakan serta menyibukkan diri kita. Sebab itulah bagi orang kaya, dugaan untuk mereka amat tinggi kerana mereka mudah terpesong disebabkan harta yang banyak dan ‘langkah’ mereka pun banyak. Banyak nikmat keduniaan yang mereka mampu lakukan sehingga boleh membuatkan mereka lupakan tanggungjawab agama. Bila harta dan duit banyak, mulalah sibuk hendak beli itu dan ini, pergi ke sana dan sini. Malah yang lebih malang lagi, jika ada duit banyak, maka maksiat pun semakin senang untuk dilakukan. Bagi yang miskin, semua perkara itu agak terbatas untuk mereka.

Selain daripada itu, sememangnya keluarga kita adalah satu perkara yang boleh menyebabkan kita terlupa dengan kerja-kerja kita di dalam agama kerana mereka rapat sangat dengan kita dan sudah tentu kita ingin meluangkan masa dengan mereka, bukan? Maka, janganlah biarkan mereka melekakan kita.

Bukanlah kita kata kita kena tinggalkan harta dan anak-anak pula… jangan salah faham. Malangnya terdapat kumpulan agama yang menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk memastikan ahli-ahli di dalam jama’ah mereka meninggalkan keluarga-keluarga mereka supaya mereka hanya meluangkan masa di dalam jama’ah sahaja. Mereka kata jikalau meluangkan masa dengan jama’ah, maka Allah‎ ﷻ yang akan menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu risau tentang penjagaan anak-anak itu. Pendapat sebegini tidak boleh diterima.

Memang kita tidak boleh menjadikan anak-anak sebagai pemesong kita daripada Allah ‎ﷻ, tetapi kita kena ingat yang kita juga ada keluarga dan kita ada tanggungjawab kepada mereka. Tidak boleh sesekali melupakan tanggungjawab penting seperti memberikan ilmu agama kepada mereka, sediakan makan pakai mereka, luangkan masa berkualiti dengan mereka dan sebagainya. Ini juga penting kerana jikalau kita tidak ada, siapakah yang akan berikan ilmu itu dan keperluan hidup kepada mereka? 

Tidakkah kita tahu bahawa masalah terbesar di dalam masyarakat kita adalah keluarga yang tidak terjaga? Berapa ramai ibu bapa yang tahu ‘buat anak’ sahaja, tetapi tidak pandai menjaga anaknya dan dibiarkan berpeleseran? Mereka dibiarkan tanpa didikan terutamanya didikan agama. Jangan lupa yang mereka itu juga adalah tanggungjawab kita yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Oleh sebab itu, jangan abaikan tanggungjawab kita seperti yang dilakukan oleh segelintir mereka ini. Kita marah kepada ibubapa sebegitu dan kita kasihan melihat anak-anak mereka terbiar tanpa penjagaan dan didikan. Maka, bagaimana pula jikalau seseorang yang kononnya di dalam jama’ah agama tetapi meninggalkan keluarganya begitu sahaja tanpa dijaga? Bukankah sama sahaja golongan itu dengan golongan yang membiarkan keluarga mereka tanpa didikan? 

Bagaimana kita boleh hendak berdakwah kepada orang lain tetapi keluarga kita sendiri terbiar dalam kejahilan? Orang pun tidak teringin untuk mengikuti cara hidup kita jika keluarga kita pun tunggang langgang. Dakwah yang kita cuba sampaikan pun tidak akan masuk ke dalam hati mereka jika kita sendiri tidak terurus.

Maka, kita mesti pandai mencari jalan tengah di antara kerja-kerja dakwah dan agama dan juga meluangkan masa dengan keluarga kita. Agama Islam adalah agama wasatiyah yang seimbang antara dunia dan akhirat. Ini memerlukan usaha daripada kita kerana tidak ada satu formula yang tepat untuk melakukannya. Kitalah yang kena fikirkan sendiri kerana keluarga kita dan keluarga orang lain tidak sama. Kena bawa berbincang dengan keluarga sendiri. Kena perhatikan lama-lama dan fikirkan dalam-dalam dan ini bukanlah perkara mudah. Oleh sebab itu, dapatkanlah ilmu, luangkan masa untuk belajar teknik terbaik untuk menguruskan keluarga agar dapat diseimbangkan dengan secara menyeluruh.

Kadangkala ramai ibu bapa yang mementingkan kebendaan dan juga keperluan anak-anaknya dari segi fizikal sahaja. Sampai mereka sanggup untuk meluangkan masa untuk bekerja dengan lama untuk memberikan keperluan fizikal keluarganya itu. Mereka hanya melambakkan kemudahan dan kesenangan fizikal kepada keluarga mereka. Maka mereka bekerja dan bekerja siang dan malam.

Namun malangnya mereka tidak pula meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak mereka sehinggakan anak-anak mereka rasa terbiar kerana tidak cukup perhatian. Kemudian anak-anak mereka mula menjadi liar kerana tiada didikan agama secukupnya sehingga terjejas akhlak dan nilai-nilai murni yang sepatutnya diterapkan ke dalam diri mereka sejak kecil. Mereka memerlukan perhatian dan masa kita, bukanlah hanya duit dan hartabenda semata-mata. Jika kita biarkan mereka tanpa didikan dan kasih sayang secukupnya, lama kelamaan mereka akan memberontak dan boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik nanti.

Maka, semua ibu bapa kena faham yang mereka perlu meluangkan masa dengan anak-anak supaya anak-anak tahu bagaimana hendak menjadi manusia yang baik dan tidak berperangai seperti syaitan atau binatang. 

Kita telah banyak belajar sifat-sifat munafik dalam ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat ini pula Allah ‎ﷻ sebut tentang zikrullah. Ada kaitan antara keduanya, iaitu ubat bagi penyakit nifaq adalah dengan zikrullah. Kena sentiasa ingat Allah ‎ﷻ, maka sifat nifaq akan berkurangan dan semoga hilang apabila semakin kita ingat Allah ‎ﷻ sentiasa.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Jika harta dan anak pinak menyebabkan kita lupa kepada Allah ‎ﷻ dan lupa kepada agama, maka itulah kerugian yang amat besar kerana harta dan anak pinak tidak dapat dibawa ke akhirat, namun amalan agama boleh dibawa ke akhirat.

Begitu juga, jika kita lupakan tanggungjawab kita kepada keluarga, maka kita juga yang rugi. Apabila ibu bapa tiada di rumah kerana terlalu sibuk bekerja, maka anak-anak itu tiada peluang untuk beramah mesra dan bertanya tentang perkara agama kepada bapanya. Tentu anak-anak tidak tahu tentang hal agama kerana mereka amat memerlukan bimbingan daripada ibubapanya.

Malangnya, kebanyakan ibubapa pun tidak mahir tentang agama dan tidak dapat menjawab persoalan anak-anaknya. Maka, anak-anak itu berkemungkinan akan berkomunikasi serta meminta tunjuk ajar daripada orang lain dan mungkin orang-orang itu mengajarkan perkara yang salah kepada anak-anak mereka. Maka, akhirnya anak itu menjadi seorang yang sesat. Salah siapa? 

Jangan lupa bahawa anak-anak itu merupakan ‘saham’ kita di akhirat. Jika kita didik mereka menjadi anak yang soleh, maka kita akan mendapat doa daripada mereka (doa anak yang soleh). Malah amalan mereka yang soleh pun akan mengalirkan pahala buat kita walaupun kita sudah mati. Bukankah ini sesuatu yang bagus? Maka, kenapa abaikan pengetahuan agama untuk mereka?


Munafiqoon Ayat 10: Apa yang boleh menyelamatkan diri daripada sifat nifaq? Sekarang disebut ubat kedua untuk penyakit nifaq. Salah satunya adalah dengan menginfak harta pada jalan Allah ‎ﷻ. Maka ini adalah ayat targhib (ajakan) kepada infak. Ini senang untuk diingati: “Ubat kepada nifaq adalah infak”.

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And spend [in the way of Allāh] from what We have provided you before death approaches one of you and he says, “My Lord, if only You would delay me for a brief term so I would give charity and be among the righteous.”

(MELAYU)

Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”

 

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم

Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini ubat untuk penyakit nifaq adalah infak. Lihatlah ia berasal daripada kata dasar yang sama iaitu ن ف ق, maka senang untuk ingat. Orang yang ada sifat nifaq – kena infak. 

Katadasar ن ف ق itu bermaksud ‘mengeluarkan’, juga bermaksud ‘keluar dari lubang’. Maka infak bermaksud mengeluarkan duit/harta/belanja dan nifaq pula bermaksud perbuatan keluar dari satu lubang sedangkan ada lubang yang lain. Ini adalah kerana mereka kata mereka beriman, tetapi mereka tidak beriman sebenarnya. Kita sangka mereka masuk dan keluar dari satu lubang, tetapi rupanya mereka keluar dari lubang yang lain. 

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak kata beri infak daripada ‘rezeki engkau’ tetapi daripada ‘rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan’. Maknanya, kamu ada rezeki itu bukannya kerana usaha kamu sahaja tetapi kerana ia adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Jika Allah ‎ﷻ tidak beri kepada kamu, kamu pun tidak ada rezeki itu.

Apakah ‘rezeki’ yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini? Bukankah kita telah belajar tentang harta dan juga anak-anak? Maka dari sini kita kena lihat konteks ayat di mana kita bukan hanya kena infakkan harta sahaja, tetapi anak-anak kita juga kita kena ‘infak’ kepada Jalan Allah ‎ﷻ. Ini bermaksud mereka juga perlu mempelajari agama Allah ‎ﷻ dan perlu berkorban di atas Jalan Allah ‎ﷻ bagi menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Maka, jangan halang anak-anak kita jikalau mereka hendak belajar agama dan jangan paksa mereka untuk menjadi doktor dan peguam, sahaja. Kita kena sematkan semangat dakwah ke dalam diri mereka. Kita hendaklah menggalakkan mereka untuk berminat kepada agama dan belajar agama supaya nanti mereka boleh korbankan diri mereka untuk agama. Bila kita benarkan mereka korbankan diri mereka, maka itulah infak kita kepada agama dan kepada Allah ‎ﷻ.

Bukanlah tidak boleh menjadi doktor dan peguam tetapi perlu diingatkan kepada mereka, walau mereka kerja apa sekalipun, mereka tetap kena sedar bahawa mereka itu kena berkhidmat juga kepada agama. Jika mereka menjadi doktor, maka berjuang sebagai doktor; jika mereka peguam, maka berjuang atas kedudukan sebagai peguam.

Namun ramai yang bertanya: bagaimanakah cara agar anak mereka minat belajar agama? Ini kerana mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk anak mereka belajar dan mengamalkan agama, tetapi anak-anak mereka tidak berminat.

Jawapannya: ibubapa hendaklah menunjukkan minat terlebih dahulu. Ibu bapa yang kena belajar agama dahulu dan mewujudkan suasana pembelajaran agama dalam rumah. Sebagai contoh, jika mereka mahu anak-anak hafal Al-Qur’an, ibubapa itu yang kena hafal terlebih dahulu.

Maka apabila Allah ﷻ suruh kita keluarkan harta pada Jalan Allah, maka ini memberi isyarat bahawa kita kenalah ada harta dan ada pendapatan kerana jika kita miskin, maka kita tidak ada apa-apa untuk diberikan kepada agama. Maka jangan bergantung pendapatan dengan agama, jangan jual agama. Jangan juga suruh isteri yang bekerja kerana hendak pergi ‘dakwah’ kononnya. Orang lelaki kenalah tahu tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Maka kita kena ada kerja. Cuma kita kenalah tahu bahawa bukanlah kita mencari harta sahaja dan simpan untuk diri kita, tetapi harta itu ada bahagiannya untuk agama. Kenalah pandai mencari titik keseimbangan antara dunia dan akhirat. Inilah yang kita tekankan berkali-kali.

Selain itu, lagi satu kita kena ingat, infak itu bukan hanya keluarkan duit dan harta sahaja, tetapi kena keluarkan ilmu, masa, idea, dan apa-apa saja yang kita boleh beri untuk agama. Sebagai contoh, bukan semua orang boleh mengajar agama, taetpi ada orang yang boleh tolong binakan madrasah, masakkan untuk anak-anak yang belajar dan macam-macam lagi. Cuma kena cari sahaja apakah perkara yang kita boleh sumbangkan. 

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ

sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu;

Semua ini perlu dilakukan sebelum terlambat, iaitu sebelum Malaikat Maut datang menjemput kita. Jika tidak, apabila mati barulah mereka menyesal dan sedar bahawa kesalahan yang mereka telah lakukan maka mereka meminta kepada Allah ﷻ supaya ditangguhkan masa sedikit lagi untuk mereka.

Ayat ini menceritakan tentang keadaan orang yang di ambang kematian. Ingatlah yang mati boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka kita jangan tangguh-tangguh sehinggalah maut datang dan waktu itu sudah terlambat. Sekiranya suka tangguh, itu tandanya sudah terkena Talbis Iblis (belitan Iblis) iaitu kena penyakit taswif (tangguh-tangguh). Ia berasal daripada kalimah سَوفَ yang bermaksud ‘akan’. Iaitu nanti akan buat itu dan ini, tetapi akhirnya tidak buat-buat pun.

 

فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ

lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat,

Maka mereka mengadu kepada Allah ﷻ untuk beri mereka sedikit masa lagi. Bukan mereka minta banyak pun tetapi sedikit sahaja masa tangguh itu supaya mereka hendak buat amal kebaikan.

Namun apakah amal kebaikan yang mereka pilih untuk perbanyakkan?

 

فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ

yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?”

Lihat bagaimana mereka berharap supaya mereka dapat pulang semula ke dunia kerana mereka dengan sedekah. Dulu semasa di dunia mereka tidak banyak sedekah, dan mereka rasa rugi kerana mereka tidak nampak yang pahala sedekah itu amat banyak. 

Disebut di sini secara khusus tentang sedekah kerana:

1. Perkara yang melalaikan manusia adalah harta mereka. Maka diberikan penekanan tentang sedekah yang melibatkan harta.

2. Sewaktu kematian datang, seseorang itu tidak boleh buat amal kebaikan lagi kerana badan sudah lemah. Akan tetapi mungkin dia ada harta, dan dia nampak sedekah adalah amal yang dia boleh lakukan.

Akan tetapi kita kena tahu bahawa sedekah yang diberikan apabila hendak mati tidaklah bernilai sangat, kalau dibandingkan dengan sedekah semasa kita masih mahu dan memerlukan harta itu. Lihatlah hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga roh sampai di kerongkongmu, maka kamu baru berkata, “Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan.”
(HR Bukhari no. 2748) Status: Hadith Sahih

Pahala Sedekah yang Paling Besar

 

3. Satu lagi pendapat mengatakan kata-kata ini disebut oleh orang yang hampir mati dan dia sedar ada kewajipan yang tidak dilangsaikan lagi seperti membayar zakat dan mengerjakan Haji (kerana dia mampu tetapi tidak melakukannya). Oleh kerana itu dia berharap yang dia diberikan masa untuk melangsaikannya.

Kita tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal ibadat lagi dan juga untuk bersedekah maka hendaklah kita bersedekah semasa kita masih hidup. Ini kerana memang tidak ada harapan lagi untuk pulang ke dunia seperti firman Allah ﷻ:

{حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ}

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. (Al-Mu’minun: 99-100)

 

 

Ayat-ayat seperti ini memberi isyarat kepada kita betapa banyaknya pahala sedekah. Maka jangan kita lepas peluang semasa hidup ini. 


Munafiqoon Ayat 11: Adakah doa mereka itu dimakbulkan? Tentu tidak.

وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفسًا إِذا جاءَ أَجَلُها ۚ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But never will Allāh delay a soul when its time has come. And Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

 

وَلَن يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفسًا إِذا جاءَ أَجَلُها

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya.

Apabila keputusan kematian telah Allah ﷻ tetapkan, Allah ﷻ tidak akan beri tangguh lagi. Maka mereka yang telah menjadikan dunia penghalang kepada persediaan mereka menghadapi akhirat akan rasa kerugian yang amat besar.

Abu Isa At-Turmirzi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Aun, telah menceritakan kepada kami Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak ibnu Muzahim, daripada Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa barang siapa yang mempunyai harta yang cukup untuk menghantarkannya sampai ke tempat suci guna menunaikan ibadah haji, atau mempunyai harta yang telah wajib dizakati, lalu dia tidak mengerjakannya, nescaya dia akan meminta untuk dikembalikan hidup ke dunia lagi di saat menjelang kematiannya. Maka ada seorang lelaki yang memotong, “Hai Ibnu Abbas, bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya orang yang meminta untuk dikembalikan ke dunia itu hanyalah orang-orang kafir. ” Maka Ibnu Abbas menjawab, “Aku akan membacakan kepadamu hal yang menerangkannya dari Kitabullah,” iaitu firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata, ” Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh.” (Al-Munafiqun: 9-10) sampai dengan firman-Nya: Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun: 11) Lelaki itu bertanya, “Berapakah jumlah harta yang wajib dizakati?” Ibnu Abbas menjawab, “Apabila telah mencapai jumlah dua ratus (dirham) dan selebihnya.” Lelaki itu bertanya, “Lalu apakah yang mewajibkan seseorang harus menunaikan ibadah haji?” Ibnu Abbas menjawab, “Bila telah mempunyai bekal dan kenderaan.”

Kemudian Imam Turmuzi mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, daripada As-Sauri, darpadai Yahya ibnu Abu Hayyah alias Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak, daripada Ibnu Abbas, daripada Nabi ﷺ dengan sanad yang semisal. Kemudian Imam Turmuzi mengatakan bahwa hadith ini telah diriwayatkan pula oleh Sufyan ibnu Uyaynah dan lain-lainnya daripada Abu Janab Al-Kalabi, daripada Ad-Dahhak, daripada Ibnu Abbas dan dikategorikan termasuk perkataan Ibnu Abbas; dan riwayat inilah yang paling sahih. Abu Janab Al-Kalabi dinilai dhaif.

 

 

وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu segala-galanya yang telah dilakukan oleh makhluk-Nya. Maka Allah ﷻ akan beri balasan yang setimpal di atas segala perbuatan dan amalan makhluk semasa di dunia.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Munafiqoon ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah at-Taghabun.

Kemaskini: 15 Januari 2022

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 5 – 7 (Munafik vs. Muhajirin)

GOLONGAN MUNAFIK ENGGAN BERTAUBAT

Munafiqoon Ayat 5: Golongan munafik menolak untuk bertaubat.

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا يَستَغفِر لَكُم رَسولُ اللَّهِ لَوَّوا رُءوسَهُم وَرَأَيتَهُم يَصُدّونَ وَهُم مُّستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Come, the Messenger of Allāh will ask forgiveness for you,” they turn their heads aside and you see them evading while they are arrogant.

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, mereka membuang muka mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.

 

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا يَستَغفِر لَكُم رَسولُ اللَّهِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, 

Memang dosa daripada perbuatan golongan munafik itu amat berat, sebagai contoh mereka telah meninggalkan Perang Uhud. Apabila perang hampir bermula, sebanyak 300 orang golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay telah meninggalkan medan peperangan. Walaupun mereka amat diperlukan waktu itu, mereka senang sahaja tinggalkan orang Muslim yang lain.

Ternyata amat teruk sekali perbuatan mereka itu tetapi mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali kepada agama Islam. Seperti yang disebut dalam ayat ini. Mereka masih lagi diajak untuk bertaubat dan bersama-sama dengan golongan mukmin, seperti yang disebut dalam ayat ini.

Mereka telah diberikan dengan tawaran, kalau mereka bergabung dengan puak Muslim yang lain, Nabi Muhammad ﷺ akan meminta ampun bagi pihak mereka. Yang dulu itu boleh dilupakan, asalkan mereka mahu masuk ke dalam golongan orang mukmin. Ini adalah cadangan yang diberikan kepada mereka oleh para sahabat yang mukmin.

Dalam kes Abdulllah bin Ubay, setelah peristiwa dia menimbulkan kekecohan hendak menghalau golongan Muhajireen dari Madinah, dia telah disarankan untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Rasulullah ﷺ. Nanti Rasulullah ﷺ akan berdoa kepada Allah ﷻ untuk minta keampunan bagi pihaknya. Namun, adakah dia bersetuju?

 

لَوَّوا رُءوسَهُم

mereka membuang muka mereka

Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu yang mereka itu tetap tidak mahu berubah. Kalimah لَوَّوا berasal daripada katadasar ل و ي yang bermaksud berpusing, memutarbalikkan, bengkok, berbalah. Maksudnya mereka menolak ajakan itu dengan memusingkan muka mereka. Mereka juihkan muka dan mulut mereka. Mereka memandang rendah sahaja tawaran itu. Mereka berlagak. 

Abdullah bin Ubay menolak untuk meminta kemaafan daripada Rasulullah ﷺ. Memang perangainya begitu seperti disebut dalam peristiwa yang lain, seperti yang dinaqalkan di bawah.

 

Muhammad ibnu Ishaq telah mengatakan di dalam kitab As-Sirah-nya, bahawa ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah sekembalinya daripada Perang Uhud. Sedangkan Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, menurut keterangan yang kuperolehi daripada Ibnu Syihab Az-Zuhri, merupakan seorang yang mempunyai kedudukan dalam kalangan kaumnya. Setiap orang mengakui kedudukannya yang terhormat; dia dihormati dalam kalangan kaumnya.

Apabila Nabi ﷺ duduk dalam khutbahnya di hari Jumaat, maka Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul berdiri, lalu mengatakan, “Hai manusia, ini adalah utusan Allah berada di antara kalian, Allah telah memuliakan kalian dengan melaluinya dan menjadikan kalian berjaya kerananya. Untuk itu maka tolonglah dia, dukunglah dia, dan tunduk patuhlah kalian kepadanya.” Setelah itu dia duduk kembali.

Ketika dia melakukan apa yang dilakukannya dalam Perang Uhud, yakni dia kembali ke Madinah dengan sepertiga pasukan, lalu pasukan kaum muslim kembali, maka berdirilah dia dan melakukan kebiasaan yang sebelumnya. Maka kaum muslim memegangi bajunya dari semua sisinya, dan mereka mengatakan, “Duduklah hai musuh Allah, kamu tidak patut melakukan hal ini setelah apa yang engkau lakukan dalam Perang Uhud.” Lalu dia keluar dengan melangkahi leher banyak orang seraya berkata, “Demi Allah, seakan-akan aku mengatakan ucapan yang tidak patut, padahal aku berdiri untuk memperkuat urusannya.”

Di dekat pintu masjid dia bersua dengan sejumlah orang Ansar. Mereka mengatakan, “Celakalah kamu, mengapa kamu ini?” Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul menjawab, “Aku berdiri untuk mendukung urusannya, lalu sejumlah orang sahabatnya menarikku dan bersikap kasar terhadapku, seakan-akan aku mengatakan hal yang tidak patut, padahal sebenarnya aku bermaksud untuk mendukungnya.”
Mereka berkata, “Celakalah kamu ini, sekarang kembalilah kamu kepada Rasulullah ﷺ, baginda akan memohonkan ampunan bagimu.” Ibnu Salul menjawab, “Demi Allah, aku tidak ingin dia memohonkan ampunan bagiku.”
(Tafsir Ibnu Katsir)

 

وَرَأَيتَهُم يَصُدّونَ

dan kamu lihat mereka menahan 

Allah ﷻ beritahu yang mereka akan menahan diri mereka daripada kembali kepada Islam. Mereka sendiri yang tidak mahu menerima iman. Mereka sendiri yang buat pilihan yang salah.

Bukan sahaja mereka menahan diri mereka, tetapi mereka juga menahan orang-orang lain juga. Ini menunjukkan kesan kekufuran mereka itu bukan pada diri mereka sahaja tetapi ia memberi kesan kepada orang lain juga. Ada orang yang lemah iman mudah terpengaruh dengan mereka kerana mereka pandai bercakap dan mereka berperawakan menari, maka mereka senang menarik hati orang lain untuk ikut bersama mereka.

 

وَهُم مُّستَكبِرونَ

sedang mereka menyombongkan diri.

Mereka itu sombong, berasa tinggi diri daripada menerima kebenaran. Ini bukan sombong kerana kaya, segak atau sebab lain, tetapi kerana rasa mereka lebih tinggi daripada kebenaran yang disampaikan. Kerana itu mereka rasa mereka lebih baik daripada kebenaran. Kerana itu mereka tidak terima kebenaran yang disampaikan.

Allah ﷻ menggunakan kalimah dalam bentuk isim di dalam ayat ini untuk menunjukkan bahawa mereka itu sentiasa sombong dan ia telah menjadi sifat mereka. Bukan waktu itu sahaja mereka jadi sombong, tetapi sepanjang masa.

Ini adalah sifat nifak ke 9 dalam perenggan makro ini: Mereka berpaling dan sombong daripada nasihat. لَوَّوْا رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ

Diberitakan bahawa Abdullah bin Ubay telah mati tidak beberapa lama setelah pulang ke Madinah.


Munafiqoon Ayat 6: Akan tetapi, kalau pun Rasulullah ﷺ mintakan ampun bagi pihak mereka, adakah akan diterima?

سَواءٌ عَلَيهِم أَستَغفَرتَ لَهُم أَم لَم تَستَغفِر لَهُم لَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is all the same for them whether you ask forgiveness for them or do not ask forgiveness for them; never will Allāh forgive them. Indeed, Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MELAYU)

Sama sahaja bagi mereka, engkau mintakan ampunan atau tidak engkau mintakan ampunan bagi mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

سَواءٌ عَلَيهِم أَستَغفَرتَ لَهُم أَم لَم تَستَغفِر لَهُم لَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم

Sama saja bagi mereka, kamu mintakan ampunan atau tidak kamu mintakan ampunan bagi mereka, Allah tidak akan ampunkan mereka

Ayat ini menjadi hujah bahawa orang munafik ini amat berat sekali dosa mereka. Ini kerana sekiranya Rasulullah ﷺ meminta ampun bagi pihak mereka pun, Allah ﷻ tidak akan ampunkan. Sedangkan doa Nabi ﷺ itu selalunya makbul, bukan? Rasulullah ﷺ tentu akan minta pengampunan bagi mereka kerana pada zahirnya mereka itu umat Islam tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu baginda bahawa Allah ﷻ tidak akan ampunkan mereka. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada iman. Orang yang tidak beriman, tidak diterima taubat dan amal ibadat mereka.

Ini dijelaskan lagi di dalam ayat yang lain kerana 3 tahun selepas ayat ini, Allah ﷻ telah turunkan ayat lain yang lebih keras lagi tentang mereka dalam Tawbah: 80

 

استَغفِر لَهُم أَو لا تَستَغفِر لَهُم إِن تَستَغفِر لَهُم سَبعينَ مَرَّةً فَلَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

 

​Kemudian ditambah lagi dalam ayat ke 84 pula:

وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِنهُم ماتَ أَبَدًا وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ ۖ إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَماتوا وَهُم فاسِقونَ

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

 

Maknanya, solatkan jenazah puak munafik itu pun Allah ﷻ tidak benarkan Rasulullah ﷺ melakukannya. Maka amat berat sekali kemarahan Allah ﷻ terhadap mereka!

 

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Berat sekali ketetapan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka itu telah teruk sampaikan Allah ﷻ telah buat keputusan untuk tidak memberikan petunjuk lagi kepada mereka. Kalau mereka sendiri yang menolak ajakan kepada iman, maka tidaklah Allah ﷻ terhegeh-hegeh memerlukan mereka, bukan?

Ini adalah sifat nifak ke 10 dalam perenggan makro ini: Mereka berperangai fasik, suka berbuat perkara dosa dan keji. إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Kenapa Allah ﷻ marah sangat kepada mereka? Akan disebut dalam ayat seterusnya.


GOLONGAN MUNAFIK BENCI KEPADA GOLONGAN BERIMAN

Munafiqoon Ayat 7: Allah ﷻ memberitahu bahawa golongan munafik itu benci kepada golongan beriman. Ayat ini adalah jenis ayat syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). 

هُمُ الَّذينَ يَقولونَ لا تُنفِقوا عَلىٰ مَن عِندَ رَسولِ اللَّهِ حَتّىٰ يَنفَضّوا ۗ وَلِلَّهِ خَزائِنُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are the ones who say, “Do not spend on those who are with the Messenger of Allah until they disband.” And to Allah belongs the depositories of the heavens and the earth, but the hypocrites do not understand.

(MELAYU)

Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah)”. Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

 

هُمُ الَّذينَ يَقولونَ لا تُنفِقوا عَلىٰ مَن عِندَ رَسولِ اللَّهِ

Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah

Allah ﷻ ulang kata-kata Abdullah bin Ubay kepada puak Ansar dan seperti yang telah disampaikan oleh Zaid bin al-Arqam رضي الله عنه kepada Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ membenarkan apa yang disampaikan olehnya.

Seperti yang kita telah sebutkan di dalam pengenalan surah ini, Abdullah bin Ubay tidak suka dengan golongan Muhajirin yang datang ke Madinah itu. Pada dia, golongan muhajirin itu adalah pendatang yang menyusahkan mereka sahaja. Tambahan pula muhajirin itu banyak dibantu oleh orang-orang Ansar pula. Maka dia melihat itu telah merugikan mereka dari segi harta benda.

Abdullah bin Ubay menggunakan isu ini dengan mengatakan golongan muhajirin itu telah mengganggu ekonomi mereka dan menyusahkan mereka kerana kena dibantu. Sampaikan ada kalangan Ansar yang membahagikan hartanya menjadi dua dan satu diberikan kepada golongan muhajirin.

Sekarang dia sedang berkempen mengajak orang-orang Ansar untuk tidak beri bantuan lagi kepada orang-orang Muhajirin itu sehinggalah mereka meninggalkan Madinah. 

حَتّىٰ يَنفَضّوا

sehingga mereka bubar 

Sebelum ini kita telah belajar bagaimana orang-orang Ansar itu melebihkan orang-orang Muhajirin yang memerlukan pertolongan tetapi Abdullah bin Ubay mahu pertolongan itu dihentikan supaya menyebabkan orang-orang Muhajirin itu kena pergi keluar dari Madinah. Padanya, kalau mereka tidak menerima bantuan lagi, tentu mereka keluar, bukan?

Dia berhujah, golongan muhajirin itu duduk di Madinah kerana mendapat bantuan sahaja. Kalau mereka hentikan bantuan itu, tentulah muhajirin itu akan tinggalkan Madinah dan penduduk asal Madinah tidaklah perlu lagi menanggung mereka.

 

Yunus ibnu Bukair telah meriwayatkan daripada Ibnu Ishaq, bahawa telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Yahya ibnu Hibban dan Abdullah ibnu Abu Bakar dan Asim ibnu Umar ibnu Qatadah dalam kisah Banil Mustaliq, bahawa ketika Rasulullah ﷺ berada di tempat Banil Mustaliq, Jahjah ibnu Sa’id Al-Gifari seorang pekerja Umar ibnul Khattab berkelahi dengan Sinan ibnu Yazid, kerana berebutkan air.

Ibnu Ishaq mengatakan: telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Yahya ibnu Hibban, bahawa keduanya merebutkan air dari suatu mata air, lalu keduanya berkelahi. Akhirnya Sinan berkata, “Hai orang-orang Ansar,” sedangkan Al-Jahjah berkata, “Hai orang-orang Muhajir.” Saat itu Zaid ibnu Arqam dan segolongan kaum Ansar berada bersama Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul.

Ketika Abdullah ibnu Ubay mendengar hal tersebut, maka dia memberikan komentarnya, “Sesungguhnya mereka telah berani mengadakan pemberontakan di negeri kita. Demi Allah, perumpamaan kita dan serpihan orang-orang Quraisy ini (yakni Muhajirin) sama dengan peribahasa yang mengatakan ‘gemukkanlah anjingmu, maka ia akan memakanmu’. Demi Allah, sungguh jika kita kembali ke Madinah, orang-orang yang kuat benar-benar akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya.” Kemudian dia menghadap kepada orang-orang yang ada di dekatnya dalam kalangan kaumnya, lalu berkata kepada mereka, “Inilah akibat daripada perbuatan kalian, kalian telah mengizinkan mereka menempati negeri kalian, dan kalian telah merelakan harta kalian berbahagi dengan mereka. Ingatlah, demi Allah, sekiranya kalian menghindari mereka, nescaya mereka akan berpindah daripada kalian menuju ke negeri lain.”

Kemudian perkataan Abdullah ibnu Ubay itu terdengar oleh Zaid ibnu Arqam رضي الله عنه., maka beliau melaporkannya kepada Rasulullah ﷺ yang pada saat itu Zaid ibnu Arqam masih berusia remaja. Ketika beliau sampai kepada Rasulullah ﷺ, di sisi baginda terdapat Umar ibnul Khattab رضي الله عنه., lalu beliaummenceritakan kepada baginda apa yang telah dikatakan oleh Abdullah ibnu Ubay tadi. Maka Umar رضي الله عنه berkata, “Wahai Rasulullah, perintahkanlah kepada Abbad ibnu Bisyar agar memenggal kepala Ibnu Salul.” Rasulullah ﷺ menjawab: Hai Umar, bagaimanakah jawapanmu apabila orang-orang mengatakan bahawa Muhammad telah membunuh temannya sendiri. Tidak, tetapi serukanlah, hai Umar, kepada orang-orang untuk segera berangkat (pulang).

Ketika hal itu sampai kepada Abdullah ibnu Ubay, maka dia mendatangi Rasulullah ﷺ dan meminta maaf kepadanya serta bersumpah bahawa dia tidak mengatakannya, yakni tidak mengatakan seperti apa yang dilaporkan oleh Zaid ibnu Arqam. Sedangkan Abdullah ibnu Ubay adalah seorang lelaki yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kalangan kaumnya, maka mereka mengatakan, “Wahai Rasulullah, barangkali anak remaja ini (yakni Zaid ibnu Arqam) hanya berilusi dan masih belum dapat menangkap pembicaraan yang dikatakan oleh seorang yang telah dewasa.” Tetapi Rasulullah ﷺ pergi di tengah hari, iaitu di saat yang pada kebiasaannya baginda tidak pernah memerintahkan untuk berangkat. Lalu Usaid ibnu Hudair رضي الله عنه datang menjumpai baginda dan mengucapkan salam penghormatan kenabian kepadanya. Kemudian Usaid berkata, “Demi Allah, engkau memerintahkan berangkat di saat yang tidak disukai dan yang belum pernah engkau lakukan sebelumnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tidakkah engkau mendengar apa yang telah dikatakan oleh temanmu Ibnu Ubay. Dia mengira bahawa apabila aku sampai di Madinah, maka orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya.
Usaid ibnu Hudair رضي الله عنه berkata, “Wahai Rasulullah, engkaulah orang yang kuat dan dia adalah orang yang hina (kalah).” Kemudian Usaid berkata pula, “Wahai Rasulullah, kasihanilah dia. Demi Allah, sesungguhnya ketika Allah mendatangkan engkau, sesungguhnya kami benar-benar telah menguntai manikam untuk memahkotainya (menjadi pemimpin kami). Dan sesungguhnya dia memandang bahawa engkau telah merebut kerajaan itu daripada tangannya.” Kemudian Rasulullah ﷺ membawa pasukan kaum Muslim berjalan hingga petang hari dan dilanjutkan pada malam harinya hingga pada pagi hari dan matahari meninggi hingga panasnya mulai terasa. Setelah itu baginda memerintahkan kepada pasukan kaum Muslim untuk turun istirehat, untuk mengalihkan perhatian mereka daripada topik pembicaraan yang sedang menghangat dalam kalangan mereka. Maka begitu orang-orang menyentuh tanah, mereka langsung tidur kerana kepenatan, dan di tempat itulah diturunkan surah Al-Munafiqoon.
(Tafsir fi Zhilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Alquran))

 

Memang terjadinya pertelingkahan antara golongan Muhajirin dan Ansar dan ini merupakan perkara biasa sahaja. Namun syaitan telah membisikkan permusuhan antara mereka dan mulalah keluar kata-kata yang tidak enak antara sesama mereka. Sampaikan Abdullah bin Ubay mengatakan orang orang Mekah itu adalah ‘anjing-anjing Madinah’ iaitu anjing-anjing kurap yang memerlukan pertolongan dan makanan daripada orang-orang Madinah. 

Ini mengajar kita yang walaupun orang telah beriman seperti orang-orang Ansar itu, tetapi masih ada lagi sifat-sifat ‘kekitaan’ yang membandingkan diri antara satu puak dengan puak-puak yang lain. Ini tidak salah kerana memang Allah ﷻ telah menjadikan kita berbangsa-bangsa dan bersuku-suku. Tidak salah untuk menjaga suku kita dan berbangga dengan suku kita.

Akan tetapi yang bahayanya jikalau semangat ‘kekitaan’ ini bertukar menjadi permusuhan kalau ditinggikan sangat atau taksub sangat. Ini boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja jikalau kita tidak berhati-hati dan jika kita bodoh tidak berfikir di mana kita senang terikut emosi dan termakan dengan hasutan syaitan. 

Kita kenalah sedar yang asal kelahiran kita di dalam satu-satu bangsa seperti Melayu tidak akan berubah sampai bila-bila; tetapi janganlah itu dijadikan sebagai penyebab untuk memusuhi orang lain ataupun bangsa lain seperti bangsa Cina ataupun India kerana jikalau kita buat begitu, maka ini adalah perbuatan yang amatlah bodoh sekali. 

Tidak salah untuk kita berbangga dengan golongan kita seperti orang Ansar yang berbangga dengan kedudukan mereka sebagai pembantu kepada para sahabat dan mereka menggelarkan diri mereka sebagai Ansar (golongan pembantu) tetapi tidaklah itu boleh dijadikan sebagai sesuatu untuk mengutuk ataupun merendahkan orang lain yang bukan Ansar. 

Perbuatan begini kenalah berhati-hati kerana syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk menyebabkan perkelahian antara satu golongan dan golongan yang lain dan selalunya akan ada orang yang otaknya letak di lutut dan mula berfikir perkara yang bukan-bukan kerana mereka itu memang orang yang bodoh. Kita yang pandai ini janganlah termakan dengan kata-kata mereka dan biarlah mereka meroyan sendiri. 

Oleh itu, ini adalah sifat nifak ke 11: Mereka giat menghasut dan menyebar propaganda negatif. هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا

 

وَلِلَّهِ خَزائِنُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, 

Ini adalah jawapan kepada syikayah yang disebut di awal ayat ini. Abdullah bin Ubay kempen supaya hentikan bantuan kepada Muhajirin. Apa yang telah Allah ﷻ jawab?  

Allah ﷻ ingatkan kepada mereka yang mereka itu bukanlah memberi pertolongan harta daripada hak mereka tetapi apa-apa sahaja yang mereka ada itu adalah khazanah daripada Allah ﷻ juga. Allah ﷻ yang berikan kepada mereka pada mulanya, maka janganlah berlagak sangat seperti harta itu kepunyaan mereka sendiri. Kena ingat Siapa yang berikan kepada mereka.

 

وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَفقَهونَ

akan tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

Hujah yang Allah ﷻ berikan itu amat jelas sekali tetapi oleh kerana orang-orang munafik itu ada masalah dengan hati mereka sampaikan intelek mereka pun terganggu, maka mereka tidak dapat memahami perkara ini. Maka hati mereka terus menjadi busuk dan benci kepada golongan mukmin. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Ringkasan Surah

Tarikh: 16 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Munafiqoon Ayat 2 – 4 (Munafik paranoia)

Munafiqoon Ayat 2: Orang munafik itu sebenarnya tidak beriman

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have taken their oaths as a cover, so they averted [people] from the way of Allah. Indeed, it was evil that they were doing.

(MELAYU)

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

 

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai,

Mereka menjadikan kalimah Syahadah yang mereka lafazkan itu sebagai ‘perisai’ untuk menyelindungi iman mereka yang tidak ada. Ini adalah sebagai perumpamaan kerana perisai dalam peperangan itu adalah untuk berselindung di belakangnya supaya selamat.

Kenapa mereka selindungkan kekafiran mereka? Kerana jika mereka zahirkan, maka mereka akan ada masalah dalam kalangan sahabat yang mukmin. Sebab itulah mereka beriya-iya mengatakan mereka beriman sedangkan sebenarnya mereka tidak.

Sumpah mereka itu mungkin kata-kata mereka setelah mereka ditangkap atau dikesan melakukan kesalahan munafik. Itulah maksudnya dijadikan ‘perisai’, iaitu untuk menyelamatkan diri mereka.

Maka ini adalah sifat kedua orang munafik yang disebut dalam perenggan ini iaitu menjadikan syahadah dan sumpah mereka seperti topeng. Ia hanya untuk menutup sikap dusta mereka. اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً

Sumpah munafik hanyalah sebagai topeng

Atau pun ayat ini boleh merujuk kepada sumpah Abdullah bin Ubay yang mengatakan beliau adalah Muslim dan beriman. Sumpah ini dikeluarkannya ketika rahsianya terbongkar apabila Zaid bin Arqam رضي الله عنه telah mendengar kata-katanya ketika pulang daripada Perang Bani Mustaliq. Rasulullah ﷺ telah bertanya kepadanya, adakah dia cakap seperti yang dikatakan oleh Zaid رضي الله عنه, maka Abdullah bin Ubay bersumpah yang dia tidak cakap begitu dan mengatakan bahawa benar Rasulullah ﷺ adalah seorang Rasul.

Golongan Munafik buat begitu supaya dapat menyelamatkan diri mereka daripada tangan orang-orang Islam yang lain. Mereka mahu dilihat sebagai orang Islam kerana jikalau mereka diterima sebagai orang Islam, maka tidak bolehlah darah mereka ditumpahkan oleh orang Islam yang lain. Mereka tidak mahu dilihat sebagai musuh Islam dan mereka tahu hidup mereka akan susah nanti.

Tujuan mereka bersumpah itu adalah hanya untuk menyelamatkan nyawa mereka sahaja sebenarnya. Mereka mahu menyelamatkan diri mereka daripada dibunuh oleh orang Islam. Oleh kerana itu mereka kena mengaku mereka beriman walaupun sebenarnya batin mereka tidak beriman pun.

Hasilnya mereka berjaya menipu orang mukmin kerana tidak dapat dikesan penipuan mereka itu. Memang perkara kemunafikan itu adalah dalam hati dan kita tidak dapat nampak sama ada orang itu munafik atau tidak, kerana kita tidak tahu isi hati manusia.

Allah‎ ﷻ sahaja yang pasti tahu siapakah golongan munafik itu dan Allah ‎ﷻ sekarang beritahu sifat-sifat orang munafik dalam surah ini. Ini supaya kita dapat kenali mereka daripada tanda-tanda mereka. Kita kena tahu siapakah mereka ini supaya kita dan keluarga kita tidak menjadi seperti mereka dan juga supaya kita dapat mengelak daripada mereka dan tidak termakan dengan hasutan mereka.

Siapakah yang termasuk dalam golongan munafik itu? Maka untuk tahu kita kena lihat bagaimana proses menjadi munafik itu. Proses untuk menjadi orang munafik ini berperingkat yang dimulai dengan iman yang lemah.

Iman yang lemah ini terjadi kerana amalan ibadat yang kurang dan juga tidak berada bersama-sama bercampur gaul dengan orang-orang beriman. Iaitu mereka jauh daripada majlis ilmu dan tidak meningkatkan pemahaman agama mereka. Kerana itu iman mereka lemah kerana mereka sendiri tidak faham agama.

Ini boleh rujuk kepada perbincangan ini di dalam Surah Juma’ah di mana telah disebut cara-cara untuk meningkatkan iman. Salah satunya dengan menghadiri perjumpaan hari Jumaat dan mendengar khutbah. Kena selalu hadiri majlis ilmu. Kena hidupkan suasana ilmu dalam kehidupan kita.

Ulama’ ada membincangkan tentang sifat-sifat munafik dan ini boleh dibaca di tempat yang lain sampai ada yang menyenaraikan sehingga 28 sifat orang Munafik. Kita kena lihat sifat-sifat itu dan periksa dengan diri kita sama ada kita ada sifat-sifat itu. Takut kita sahaja perasan kita orang mukmin tetapi sebenarnya tidak.

Dari segi pembahagiannya, kita boleh bahagikan semua sifat-sifat itu dengan cara ‘sedar’ dan ‘tidak sedar’.

Ada orang yang memang sedar dia munafik kerana dia memang tidak percaya dengan agama Islam tetapi cuba masuk ke dalam kumpulan orang-orang Islam untuk mendapatkan rahsia orang-orang Islam. Atau mereka terpaksa mengaku mereka beragama Islam kerana hendak menyelamatkan diri mereka. Ini adalah munafik jenis zaman Rasulullah ﷺ di mana mereka itu memang orang-orang kafir sebenarnya.

Kalau zaman sekarang, ini adalah seperti mata-mata (spy) yang sengaja menyamar sebagai orang Islam untuk mendapatkan maklumat orang Islam. Kerana itu kita kena berhati-hati apabila kita bercakap kerana kita tidak tahu kita bercakap dengan siapa. Entah-entah mereka itu sengaja mahu “provoke” kita kerana hendak dapatkan maklumat daripada kita. Atau pun hendak menaikkan amarah kita dan bila kita mengamuk, maka mereka akan tuduh kita sebagai puak ekstremis.

Demikian itu adalah munafik jenis sedar iaitu mereka yang  memang sedar mereka tidak beragama Islam. Kita mungkin tidak melakukan perkara itu tetapi yang bahaya pada kita adalah kemunafikan yang ‘tidak disedari’. Iaitu kita ini adalah munafik tetapi kita tidak sedar yang kita sebenarnya munafik.

Sifat-sifat ini ada disebut di dalam Al-Qur’an dan juga hadith. Antaranya, seperti orang-orang yang solat tetapi mereka datang solat dengan malas dan juga jenis orang yang mengeluarkan duit infaq tetapi mereka keluarkan duit itu dengan terpaksa dan mereka tidak suka langsung. Mereka memang tahu yang mereka itu beragama Islam dan mereka amalkan sedikit sebanyak agama Islam. Namun sebenarnya iman mereka adalah lemah sekali dan mereka mungkin sudah termasuk dalam golongan ‘munafik tanpa sedar’.

Kita sebut tadi ada dua jenis munafik iaitu jenis ‘munafik yang sedar’ dan ‘munafik yang tidak sedar’. Akan tetapi di dalam Al-Qur’an tidak dibahagikan kepada dua bahagian kerana Allah ‎ﷻ hanya sebut ‘golongan munafik’ sahaja. Pada Allah ‎ﷻ, ada satu jenis sahaja.

Perkara ini amat menakutkan kerana ia diletakkan di bawah satu tajuk yang sama sahaja. Maknanya balasan kepada kedua-dua golongan ini sama sahaja. Apabila disebut azab yang akan dikenakan kepada golongan munafik jenis pertama (sedar), maka azab yang sama juga akan dikenakan kepada munafik jenis kedua (yang tidak sedar).

Di dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebenarnya menyebut hukuman yang lebih berat lagi kepada orang munafik kalau dibandingkan dengan orang musyrik. Ini kerana mereka itu seperti ‘api dalam sekam’, atau ‘gunting dalam lipatan’. Mereka menampakkan diri mereka sebagai beriman, tetapi tidak sebenarnya. Perbuatan ini telah mengelabui mata orang mukmin sejati dan membuatkan mereka itu bahaya kepada golongan mukmin.

Sebagai contoh, kita pun tahu yang doa Nabi ﷺ itu amat hebat dan Allah ‎ﷻ selalunya memakbulkan doa Nabi ﷺ. Akan tetapi nanti kita akan belajar dalam surah ini walaupun  Nabi ﷺ meminta ampun bagi pihak mereka sebanyak tujuh puluh kali pun Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan mereka.

Maka amat bahaya kalau diri kita ini termasuk dalam golongan munafik. Munafik yang jenis bawah sedar itu tidak sangka pun yang mereka itu munafik kerana mereka sangka mereka Muslim apabila mereka telah mengucap dua kalimah syahadah. Memang mereka telah mengucap, namun dalam masa yang sama, mereka ada sifat nifak.

Apabila hati mereka ada sifat-sifat nifak, maka perbuatan mereka pun menjadi buruk seperti kita telah belajar bagaimana mereka inilah orang-orang yang menghina Rasulullah ﷺ dan mengatakan isteri baginda iaitu Aisyah رضي الله عنها telah berzina dan banyak lagi kata-kata buruk mereka.

Kita kena berhati-hati dengan sifat nifaq ini takut-takut kita ada sifat itu. Jangan kita sangka kita tidak ada sifat itu, atau kita terselamat daripada sifat itu. Hasan al-Basri رحمه الله pernah meriwayatkan,

 

مَا خَافَهُ إِلاَّ مُؤْمِنٌ ، وَلاَ أَمَنَهُ إلِاَّ مُنَافِقٌ

Orang yang khuatir terjatuh pada kemunafikan, itulah orang mukmin. Yang selalu merasa aman daripada kemunafikan, itulah senyata-nyata munafik

(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam 2/491; Fathul Bari lil Ibni Rajab 1/178)

 

 

Maka jelas di sini ada perkara penting yang kita kena tahu tentang sifat-sifat ini di mana orang yang beriman kena sentiasa ada perasaan takut jikalau mereka ada sifat-sifat ini. Mereka yang berasa tidak ada sifat nifak ini, itulah mereka yang munafik. Oleh itu, kita kena belajar sifat-sifat munafik ini dan bandingkan dengan diri kita.

Kita kena bandingkan sifat itu dengan diri kita dan bukannya bandingkan sifat itu dengan orang lain dan kemudian bermudah-mudah pula mengatakan seseorang individu itu munafik. Jangan kita tunding jari pada orang lain pula dan kata dialah munafik. Ini amat bahaya sekali dan selalu digunakan oleh manusia yang jahil. Sikit-sikit mereka akan tuduh orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai munafik.

Memang mereka itu jahil bila berkata begitu kerana kita kena sedar bahawa sifat munafik ini adalah antara perkara ghaib kerana ia adalah tentang isi hati manusia dan Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu siapakah mereka. Maka kita tidak boleh pandai-pandai menuduh seseorang itu munafik sedangkan Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu siapa yang munafik itu.

Yang paling kuat kita boleh kata: “Orang itu ada sifat-sifat munafik.” Ini tidaklah menuduh dia munafik lagi kerana baru kata dia ada sifat-sifat munafik dan dia masih ada kesempatan untuk mengubah sifatnya itu lagi.

Nabi Muhammad ﷺ pun sebenarnya tidak tahu siapakah golongan munafik dalam kalangan baginda. Yang baginda diberitahu hanyalah sebanyak sembilan orang sahaja kerana mereka itu telah melakukan percubaan untuk membunuh baginda pada malam hari secara rahsia sewaktu Ekspedisi Perang Tabuk. Allah ‎ﷻ telah mewahyukan kepada baginda siapakah golongan munafik yang akan kekal sebagai munafik sampai mati. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ memberitahu rahsia ini kepada Huzaifah Ibnu Yaman رضي الله عنه tetapi baginda telah mewasiatkan beliau untuk tidak memberitahu sesiapa pun nama-nama mereka.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه tahu bahawa Huzaifah رضي الله عنه ada senarai nama-nama orang munafik itu, maka beliau telah pergi ke Huzaifah رضي الله عنه dan bertanya adakah nama beliau tersenarai di dalam senarai itu. Sedangkan pada waktu itu beliausudah pun dijanjikan sebagai ahli syurga. Lihatlah jikalau Umar رضي الله عنه sendiri pun risau sama ada beliau ada sifat-sifat munafik, maka siapakah kita yang rasa aman daripada sifat itu?

Ini juga menunjukkan yang Saidina Umar رضي الله عنه tidak membezakan antara ‘munafik sedar’ dan ‘munafik bawah sedar’ kerana pada beliau ia adalah sama sahaja kerana beliau tahu beliau bukan sengaja mahu menipu keimanannya, bukan?

 

فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ

lalu mereka menghalangi dari jalan Allah.

Kalimah صَدّ boleh digunakan dalam bentuk لَازِم (kesan kepada diri sendiri) atau مُتَعَدِّي (kesan kepada orang lain).

Bila dalam bentuk لَازِم, ia bermakna sifat buruk mereka itu telah menghalang mereka dari jalan Allah ‎ﷻ, iaitu telah menghalang mereka daripada beriman dengan yang sebenarnya.

Bila ia dalam bentuk مُتَعَدِّي, ia bermaksud golongan munafik itu bukan sahaja tidak beriman sempurna tetapi mereka juga cuba merosakkan iman orang lain. Mereka mahu menghalang orang lain daripada beriman. Mereka akan menghasut orang lain dengan fahaman dan kekeliruan mereka kerana mereka suka jika ramai yang tidak beriman supaya senang untuk mereka meneruskan kerja jahat mereka.

 

إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Mereka itu sebenarnya merosakkan agama Islam dari dalam. Segala usaha yang dilakukan oleh golongan munafik untuk menjatuhkan Islam dari dalam adalah amat buruk.

Mereka akan dibalas di akhirat kelak atas usaha mereka itu. Kita telah sebut sebelum ini yang balasan kepada mereka itu amatlah buruk.


Munafiqoon Ayat 3:

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they believed, and then they disbelieved; so their hearts were sealed over, and they do not understand.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir

Iman mereka ada naik dan turun dan kemudian mati terus iman mereka. Ini kerana mereka tidak menjaga iman mereka dan apabila ia turun, mereka tidak menaikkannya semula.

Iman turun dan naik memang perkara biasa, tetapi tidaklah boleh lama sangat turunnya. Kita kalau iman sudah turun, kena naikkan semula dengan ilmu dan amal ibadat. Jangan biarkan ia terus menurun kerana ia akan menjadikan orang itu munafik terus.

Ataupun ‘iman’ mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud mereka menunjukkan mereka beriman secara zahir sahaja, kerana kita susah untuk katakan mereka itu beriman disebabkan orang-orang munafik itu tidak pernah beriman. Asalnya mereka menzahirkan iman mereka, tetapi kemudian mereka menunjukkan kekufuran mereka secara zahir pula.

Maka bahaya kalau iman lemah sedangkan para sahabat amat mementingkan supaya iman mereka tinggi dan apabila mereka tahu iman itu boleh turun dan naik, mereka amat risau. Ini seperti apa yang kisah seorang sahabat yang bernama Hanzalah رضي الله عنه. Abu Bakr رضي الله عنه dan juga Hanzalah رضي الله عنه takut jikalau mereka termasuk dalam golongan munafik. Ini kerana mereka juga rasa iman mereka kadangkala naik dan ada masanya turun juga. Maka mereka takut mereka termasuk golongan munafik dan mereka mengadu kepada Rasulullah ﷺ.

Lihat bagaimana Nabi Muhammad ﷺ menjawab persoalan mereka itu.

 

عَنْ حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِىِّ قَالَ – وَكَانَ مِنْ كُتَّابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ – لَقِيَنِى أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا. فَانْطَلَقْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَمَا ذَاكَ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ نَكُونُ عِنْدَكَ تُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ نَسِينَا كَثِيرًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِى وَفِى الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِى طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Daripada Hanzhalah Al Usayyidiy رضي الله عنه -beliau adalah di antara jurutulis Rasulullah ﷺ-, beliau berkata, “Abu Bakar رضي الله عنه pernah menemuiku, lalu beliau berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzhalah?” Aku menjawab, “Hanzhalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sampai-sampai kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakar رضي الله عنه pun menjawab, “Kami pun begitu.”

Kemudian aku dan Abu Bakar رضي الله عنه pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami tersibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.”

Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian mahu berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidurmu dan di jalan. Namun Hanzhalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sampai tiga kali.

(HR. Muslim No. 2750)

 

Ayat ini bukanlah berkenaan iman turun dan naik yang biasa saja berlaku kepada manusia, tetapi ayat ini Allah‎ ﷻ tentang orang yang meninggalkan imannya terus seperti ada orang yang tidak salat kerana mereka ada masalah dalam kehidupan mereka. Mereka seolah-olah terus tinggalkan agama, walaupun nama mereka dalam IC masih Muslim lagi.

Ia juga bermaksud orang yang masuk Islam mengucapkan Syahadah tetapi selepas dia mengetahui tentang Islam, dia tidak sanggup untuk mengikuti segala ajaran di dalamnya. Maka dia tidak mengamalkan ajaran Islam seperti yang sepatutnya tetapi mereka tetap menggunakan nama Islam.

Ramai sahaja manusia yang bernama Muslim dan lahir dalam keluarga Muslim tetapi mereka tidak kisah pun tetang agama dan mereka menjalani kehidupan mereka sesuka hati mereka tanpa berlandaskan ajaran agama Islam. Malangnya mereka ini jenis orang senang-senang beri pendapat mereka tentang agama, seolah-olah mereka itu benar tetapi ia bukanlah berdasarkan kepada dalil.

 

فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم

lalu hati mereka dikunci mati;

Oleh kerana mereka tidak menjaga iman mereka yang telah turun dan tidak menaikkan semula, maka Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka daripada menerima iman. Ini amat bahaya sekali. Maknanya mereka telah menjadi kufur.

Kita telah belajar sebelum ini yang pembersihan perlu dilakukan pada peringkat intelek dan juga pada peringkat hati. Orang-orang munafik ini mereka sebenarnya ada masalah dengan hati mereka dan kerana itulah hati mereka telah tertutup.

Bila hati mereka telah tertutup daripada iman, maka intelek mereka pun akan ada masalah. Maka mereka akan memperkatakan tentang agama dengan kehendak nafsu mereka sahaja. Kerana itulah kita banyak baca dan dengar banyak pendapat yang karut marut di media sosial dan di internet.

 

فَهُم لا يَفقَهونَ

maka mereka tidak dapat mengerti.

Apabila hati mereka telah tertutup maka mereka tidak akan dapat memahami agama ini walaupun kita cuba dengan pelbagai cara pun untuk menceritakan kepada mereka dan memberikan mereka berbagai-bagai dalil. Segala usaha boleh dilakukan tetapi mereka tidak akan faham dan ini bermakna intelek mereka juga sudah tertutup.

Ini kerana Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Ini adalah sifat ke 3 daripada 12 sifat nifak:

3. Tidak cerdik dalam hal-hal agama. Jika mengaji pun bukan niat untuk mendalami agama hanya untuk mengisi masa dan tunjuk muka dalam masyarakat. فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ


JANGAN TERTIPU DENGAN PENAMPILAN

Munafiqoon Ayat 4: Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa yang nampak indah itu bukan semuanya baik.

۞ وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم ۖ وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم ۖ كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم ۚ هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you see them, their forms please you, and if they speak, you listen to their speech. [They are] as if they were pieces of wood propped up¹ – they think that every shout is against them. They are the enemy, so beware of them. May Allāh destroy them; how are they deluded?

  • i.e., bodies with empty minds and empty hearts.

(MELAYU)

Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?

 

وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم

Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. 

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang jisim (fizikal) mereka, iaitu penampilan luaran mereka. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada roh lagi kerana mereka itu hanya dihitung pada badan sahaja. Badan ada, tetapi roh keislaman tidak ada, maka mereka itu tidak bernilai lagi.

Walaupun kita nampak mereka itu ramai (kerana waktu itu orang Muslim sudah ramai yang masuk Islam), tetapi mereka itu hanya pada bilangan sahaja dan tidak ada roh Islam dalam diri mereka. Mungkin kalau kita lihat fizikal mereka, kita kagum kerana mereka nampak ramai.

Satu lagi maksud, memang perawakan mereka itu menarik perhatian. Abdullah ibn Abbas رضی اللہ عنھما ada mengatakan yang Abdullah bin Ubay itu memang seorang yang tegap tubuhnya, segak dan pandai bercakap. Begitulah juga rakan-rakan munafiknya. Maka sekiranya orang melihat cara mereka bercakap dan bergerak, memang mereka tidak sangka yang mereka itu orang yang jahat.

Maka ini adalah sifat nifaq ke 4 yang disebut dalam ayat ini:

Sifat ke 4. Penampilan mereka nampak hebat. Mungkin mereka ini juga berserban dan berjubah. وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ

 

وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم

Dan jika mereka berkata, kamu mendengar perkataan mereka. 

Apabila mereka bercakap, maka kita kena dengar kerana Nabi Muhammad ﷺ beritahu untuk mendengar kata-kata mereka. Ini kerana kita pun tidak tahu sama ada mereka itu munafik ataupun tidak. Maka kita beri perhatian kepada kata-kata mereka.

Atau, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang apabila orang-orang munafik itu bercakap, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat mendengar kata-kata mereka kerana mereka itu pandai dan petah bercakap.

Begitulah zaman sekarang, ada sahaja yang pandai bercakap tetapi apa yang mereka katakan itu tidak benar belaka. Namun begitu, oleh kerana kepetahan mereka, maka, ramai yang terpengaruh dengan kata-kata mereka itu. Ini pun amat bahaya, maka kena berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada hadith Nabi ‎ﷺ yang mengatakan kata-kata itu pun sihir kerana ramai yang terpesona dengan kata-kata manusia. Rasulullah ‎ﷺ pernah bersabda:

 

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما
أنه قدم رجلان من المشرق فخطبا فعجب الناس لبيانهما فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن من البيان لسحرا أو إن بعض البيان لسحر

Daripada Abdullah bin Umar رضي الله عنهما bahawa dua orang daripada penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang takjub dengan penjelasannya, lantas Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandungi sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandungi sihir.”

(Sahih Bukhari No. 5325)

 

 

Oleh itu, ini adalah sifat nifaq ke 5 dalam surah ini: Bicara mereka menarik perhatian. Mereka memang pandai goreng, menyebut hadith tanpa megira palsu atau sahih. وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ

 

كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ

Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. 

Mereka itu kelihatan seperti pokok kayu yang kuat, tetapi sebenarnya ia nampak tegak hanya kerana bersandarkan kepada sesuatu sahaja; ini memberi isyarat bahawa mereka itu bersandar kepada kekuatan umat Islam sahaja. Mereka sendiri tidak ada kekuatan dalaman mereka.

Allah ‎ﷻ memberikan isyarat bahawa mereka itu kelihatan sahaja sebagai pokok kayu tetapi bahagian dalamnya kosong kerana roh mereka kosong.

Apabila digunakan perumpamaan kayu untuk mereka, ini memberi isyarat yang  mereka itu tidak ada gunanya kerana kayu itu hanya berguna kalau ia dibentuk menjadi dinding, pintu atau tiang. Kalau setakat sebatang kayu sahaja, ia tidak berguna.

Ini adalah sifat keenam nifak dalam ayat ini: 6. Tiada manfaat kepada masyarakat. Tiada faedah yang mereka bawa, dan jika mereka tiada lagi baik. كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ

 

يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم

Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka.

Mereka juga bersifat paranoia, di mana apabila ada teguran tentang sifat-sifat orang munafik dan juga orang yang lemah iman, maka mereka akan terasa yang kata-kata itu ditujukan kepada mereka kerana mereka pun sudah tahu yang iman mereka lemah.

Memanglah kita selalu dengar tentang khutbah ataupun ceramah tentang sifat-sifat yang buruk dan kita kena dengar dan bandingkan dengan diri kita dan jangan rasa ia ditujukan kepada orang lain sahaja. Namun dalam masa yang sama, jangan kita rasa yang orang yang sedang bercakap itu menyebut tentang diri kita secara individu, kerana orang yang bercakap itu hanya bercakap secara umum sahaja dan bukannya hendak menyerang kita.

Akan tetapi orang munafik akan rasa orang itu bercakap tentang dia. Maka orang munafik itu memang sudah rasa bersalah dan kalau ada orang cakap secara umum pun mereka rasa yang orang itu bercakap tentang mereka dan inilah sifat paranoia. Mereka akan marah dengan orang itu. Mereka mungkin pergi kepada orang itu dan kata: “Kenapa cakap tentang aku?”

Atau ayat ini bermaksud panggilan atau seruan untuk jihad di mana apabila umat Islam dipanggil untuk berjihad, mereka rasa berat dan mereka rasa itu sebagai mudharat untuk mereka.

Ayat ini juga boleh bermakna yang mereka takut dengan musibah dan ujian. Yakni manakala terjadi suatu peristiwa atau suatu kejadian atau hal yang menakutkan, maka mereka berkeyakinan bahawa hal itu akan menimpa diri mereka, hal ini disebabkan hati mereka yang pengecut lagi penakut. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah‎ ﷻ:

{أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنْظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَى عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُمْ بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ أُولَئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا}

Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati; dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedangkan mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Al-Ahzab: 19)

 

Maka, ini adalah sifat ketujuh nifaq dalam ayat perenggan ini: 7. Buruk sangka, paranoid. يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِم

 

هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم

Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; 

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa mereka itu adalah musuh kita dan kita kenalah berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu adalah musuh dalaman. Mereka akan menyebabkan orang lain pun lemah iman kerana terikut-ikut dengan cara hidup dan pandangan mereka yang salah.

Inilah sifat nifaq kelapan (8): Merekalah musuh umat Islam yang sebenar. هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ

 

قٰتَلَهُمُ اللَّهُ

semoga Allah membinasakan mereka. 

Semoga Allah ‎ﷻ memusnahkan mereka kerana keburukan yang mereka bawa.

Atau kalimah ini juga boleh bermaksud Allah ‎ﷻ memang telah memusnahkan mereka di mana perasaan tidak tenang dan paranoia itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka (sebagai azab bagi mereka). Allah ‎ﷻ bagi hati mereka tidak tenang, Allah ‎ﷻ bagi hati mereka sentiasa sakit sahaja. Ada sahaja yang tidak kena pada diri mereka.

 

أَنّىٰ يُؤفَكونَ

Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?

Amat menghairankan sekali bagaimana mereka itu boleh terpesong daripada ajaran agama Tauhid ini. Sedangkan mereka duduk di Madinah dan berada bersama-sama dengan Nabi Muhammad ﷺ sendiri, dalam kalangan para sahabat yang hebat-hebat.

Begitu juga dengan umat Islam zaman sekarang, bagaimana lagi mereka boleh menjadi munafik sedangkan mereka duduk dalam kalangan orang Islam. Adakah mereka tidak mengambil perhatian kepada pembelajaran agama, sampai mereka jadi begitu? Sampai iman mereka lemah sangat?

Siapakah atau apakah yang menyebabkan mereka menjadi munafik? Tidak diberitahu dalam ayat ini, jadi mungkin syaitan yang menjadi kawan mereka, kawan-kawan mereka yang mereka ikut, pemimpin mereka yang menjadi idola mereka, cinta kepada dunia, terlalu cinta kepada keluarga, atau apa-apa sahaja. Maka ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh menyesatkan dan menjadikan kita sebagai munafik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Disember 2021

Ringkasan Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an