Tafsir Surah Talaq Ayat 4 – 6 (Hukum nikahi wanita zina yang hamil)

Talaq Ayat 4: Allah ‎ﷻ memberikan hukum iddah kepada wanita yang tertentu:

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ ۚ وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who no longer expect menstruation among your women – if you doubt, then their period is three months, and [also for] those who have not menstruated. And for those who are pregnant, their term is until they give birth.¹ And whoever fears Allāh – He will make for him of his matter ease.

  • The ruling concerning pregnancy applies also in the case of the husband’s death.

(MELAYU)

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

 

 

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopaus) di antara perempuan-perempuanmu

Kalimah يَئِسنَ berasal daripada katadasar ي أ س yang bermaksud putus asa, terdesak, putus asa. Dalam ayat ini ia bermaksud wanita yang tidak ada harapan untuk datang haid lagi. Atau, putus asa daripada mendapat anak lagi kerana wanita yang putus haid, memang tidak boleh dapat anak lagi, bukan?

Jika ada wanita yang diceraikan tetapi dia tidak ada haid lagi (kerana sudah menopaus) ataupun haidnya tidak teratur, maka tentu susah untuk dikira kitaran haid yang biasa (tiga kali suci). Maka Allah ‎ﷻ sekarang memberikan jalan keluar untuk mengira masa iddah mereka.

Ada sebuah hadith untuk rujukan jalan keluar permasalahan ini:

عَنْ أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ الَّتِى فِى سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِى عِدَدٍ مِنْ عِدَدِ النِّسَاءِ قَالُوا: قَدْ بَقِىَ عِدَدٌ مِنْ عِدَدِ النِّسَاءِ لَمْ يُذْكَرْنَ الصِّغَارُ وَالْكِبَارُ اللاَّئِى انْقَطَعَ عَنْهُنَّ الْحَيْضُ وَذَوَاتُ الأَحْمَالِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الآيَةَ الَّتِى فِى النِّسَاءِ (وَاللاَّئِى يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِنْ نِسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلاَثَةُ أَشْهُرٍ وَالَّلائِى لَمْ يَحِضْنَ وَأُولاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلَهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ).)

Ubay bin Ka‘b رضي الله عنه berkata “Ketika ayat dalam Surah al-Baqarah yang berbicara tentang idah bagi wanita turun, para sahabat berkata, ‘Masih ada idah bagi wanita yang belum disebut dalam Al-Qur’an, iaitu wanita muda, wanita tua, wanita yang sudah tidak lagi haid, dan wanita hamil. Allah ﷻ lalu menurunkan ayat tentang persoalan idah wanita (yang belum dijelaskan sebelumnya): Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka iddah mereka adalah tiga bulan, dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. (At-Talaq: 4)
Sahih sebagaiman diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqiy. Al-Hakim mengatakan sanad riwayat ini sahih, dan az-Zahabiy setuju dengannya.
(Lihat: al-Hakim, al-Mustadrak, dalam Kitab at-Tafsir, Bab Tafsir Surah at-Talaq, juz 2, hlm. 534–535, hadith nombor 3821; al-Baihaqiy, as-Sunan al-Kubra, dalam Kitab al-‘Idad, Bab ‘Iddah allati Ya’isna min al-Mahaid, juz 7, hlm. 690, hadith nombor 15416.

إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ

jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan;

Iddah sepatutnya dikira berdasarkan kepada kitaran haid. Akan tetapi bagi mereka yang tidak ada haid lagi (atau tidak pernah ada haid) maka mereka dalam keraguan tentang pengiraan iddah mereka. Dijawab di dalam ayat ini yang pengiraan iddah untuk mereka adalah selama 3 bulan iaitu 90 hari. Perkiraan tersebut kenalah dikira mengikut bulan Qamariah (bulan Islam orang panggil). Maka tidak perlu dikira daripada kitaran haid lagi, tetapi terus kira mengikut hari. Ini lebih mudah bagi mereka yang haid tidak teratur. 

Yang menjadi masalah kalau selepas dicerai, baru terjadi haidnya tidak teratur. Sebagai contoh, dua bulan pertama dia datang haid tetapi selepas itu haidnya tidak datang pula. Maka menurut ijtihad Saidina Umar رضي الله عنه, wanita itu haruslah menunggu selama 9 bulan untuk memastikan yang dia mengandung atau tidak. Selepas 9 bulan itu, kena tunggu lagi tiga bulan dan selepas itu barulah dia boleh menikah dengan orang lain.

 

 

وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ

dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. 

Perkiraan 90 hari ini juga untuk mereka yang tidak ada haid semenjak awal lagi kerana ada wanita yang dilahirkan tidak ada haid. Ini jarang berlaku tetapi ada juga yang sebegitu.

Atau, mereka menikah sebelum haid mereka datang lagi. Ini menjadi dalil bahawa wanita itu boleh dikahwini walaupun mereka belum lagi datang haid. Bukan sahaja mereka boleh dikahwini, tetapi jimak dengan mereka juga dibenarkan.

 

 

وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.

Manakala jikalau seorang perempuan itu diceraikan semasa mengandung, maka masa iddah mereka adalah apabila mereka melahirkan anak. Oleh itu, kelahiran anak itu adalah penentu habisnya masa iddah di mana tidak dikira sama ada masa itu sehari ataupun 8 bulan. Maka bagi mereka, tempoh iddah boleh menjadi panjang atau boleh menjadi pendek. Perhatikan hadith di bawah ini:

و حَدَّثَنِي أَبُو الطَّاهِرِ وَحَرْمَلَةُ بْنُ يَحْيَى وَتَقَارَبَا فِي اللَّفْظِ قَالَ حَرْمَلَةُ حَدَّثَنَا و قَالَ أَبُو الطَّاهِرِ أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ حَدَّثَنِي يُونُسُ بْنُ يَزِيدَ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ أَبَاهُ كَتَبَ إِلَى عُمَرَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْأَرْقَمِ الزُّهْرِيِّ يَأْمُرُهُ أَنْ يَدْخُلَ عَلَى سُبَيْعَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ الْأَسْلَمِيَّةِ فَيَسْأَلَهَا عَنْ حَدِيثِهَا وَعَمَّا قَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ اسْتَفْتَتْهُ فَكَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ إِلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ يُخْبِرُهُ أَنَّ سُبَيْعَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّهَا كَانَتْ تَحْتَ سَعْدِ بْنِ خَوْلَةَ وَهُوَ فِي بَنِي عَامِرِ بْنِ لُؤَيٍّ وَكَانَ مِمَّنْ شَهِدَ بَدْرًا فَتُوُفِّيَ عَنْهَا فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ وَهِيَ حَامِلٌ فَلَمْ تَنْشَبْ أَنْ وَضَعَتْ حَمْلَهَا بَعْدَ وَفَاتِهِ فَلَمَّا تَعَلَّتْ مِنْ نِفَاسِهَا تَجَمَّلَتْ لِلْخُطَّابِ فَدَخَلَ عَلَيْهَا أَبُو السَّنَابِلِ بْنُ بَعْكَكٍ رَجُلٌ مِنْ بَنِي عَبْدِ الدَّارِ فَقَالَ لَهَا مَا لِي أَرَاكِ مُتَجَمِّلَةً لَعَلَّكِ تَرْجِينَ النِّكَاحَ إِنَّكِ وَاللَّهِ مَا أَنْتِ بِنَاكِحٍ حَتَّى تَمُرَّ عَلَيْكِ أَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ وَعَشْرٌ قَالَتْ سُبَيْعَةُ فَلَمَّا قَالَ لِي ذَلِكَ جَمَعْتُ عَلَيَّ ثِيَابِي حِينَ أَمْسَيْتُ فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلْتُهُ عَنْ ذَلِكَ فَأَفْتَانِي بِأَنِّي قَدْ حَلَلْتُ حِينَ وَضَعْتُ حَمْلِي وَأَمَرَنِي بِالتَّزَوُّجِ إِنْ بَدَا لِي قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَلَا أَرَى بَأْسًا أَنْ تَتَزَوَّجَ حِينَ وَضَعَتْ وَإِنْ كَانَتْ فِي دَمِهَا غَيْرَ أَنْ لَا يَقْرَبُهَا زَوْجُهَا حَتَّى تَطْهُرَ

Telah menceritakan kepada kami Abu Ath Thahir dan Harmalah bin Yahya sedangkan lafaz hadithnya hampir sama, Harmalah mengatakan; Telah menceritakan kepada kami, sedangkan Abu Thahir mengatakan; Telah mengabarkan kepada kami Ibnu Wahb telah menceritakan kepadaku Yunus bin Yazid dari Ibnu Syihab telah menceritakan kepadaku Ubaidullah bin Abdillah bin ‘Utbah bin Mas’ud bahwa ayahnya pernah menulis kepada Umar bin Abdullah bin Arqam Az Zuhri dan memerintahkannya untuk menemui Subai’ah binti Al Harits Al Aslamiyah untuk menanyakan tentang riwayat hadithnya dan mengenai permasalahan apa Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadanya ketika dia meminta fatwa. Umar bin Abdillah menulis surat kepada Abdullah bin ‘Utbah dan mengabarkan kepadanya bahwa Suba’iah pernah mengabarkan kepadanya; Bahawa dia adalah isteri Sa’ad bin Khaulah daripada suku ‘Amir bin Lu’ai. Sedangkan Sa’ad adalah salah seorang sahabat yang ikut berperang dalam peperangan Badar, beliau meninggal dunia ketika Haji Wada’ di saat istrinya hamil tua. Beberapa hari setelah beliau wafat, isterinya pun melahirkan. Setelah isterinya suci daripada nifas, dia pun berhias diri kerana mengharap supaya dia dilamar orang. Tidak lama kemudian datanglah Abu Sanabil bin Ba’kak -seorang laki-laki daripada Bani Abdid Dar- dia berkata kepadanya; Saya melihatmu berhias diri, barang kali kamu berharap untuk menikah lagi. Demi Allah, kamu belum boleh menikah lagi sebelum tempoh empat bulan sepuluh hari. Kata Subai’ah; Setelah dia berkata demikian kepadaku, lalu saya terus mengemaskan pakaianku dan pergi menemui Rasulullah ﷺ, kutanyakan masalah tersebut kepada baginda. Kemudian baginda berfatwa kepadaku bahawa sebenarnya saya sudah halal untuk menikah setelah melahirkan anakku, bahkan baginda menyuruhku menikah lagi jika saya berkenan. Ibnu Syihab mengatakan; Maka saya berpendapat bolehnya seorang wanita menikah setelah melahirkan, meskipun ia masih mengeluarkan darah, asal suaminya tidak menyetubuhinya hingga ia suci.

(Sahih Muslim 2728)

 

Ayat ini juga menjadi perbahasan juga berkenaan wanita yang mengandungkan anak luar nikah. Dia tidak ada suami, maka bolehlah dia dikahwini pada waktu dia sedang mengandung?

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama’. Dalam mazhab al-Syafi’iy pernikahan itu sah:

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda ﷺ bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafi’iy yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.”

Rujuk Kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (29/338)

Dalil dalam mazhab as-Syafi’iy ialah berdasarkan firman Allah ‎ﷻ:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya). Nisa:24

Dalam ayat di atas, wanita hamil di luar nikah termasuk kategori wanita yang halal dinikahi kerana tidak termasuk wanita-wanita yang haram dinikahi. Selain itu, tidak ditemukan dalil yang melarang menikahi wanita hamil di luar nikah.

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal.

(Riwayat Ibn Majah (2015))

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana hamil anak luar nikah.

Terdapat riwayat seorang lelaki yang memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab رضي الله عنه bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar رضي الله عنه menyebat kedua-duanya. Umar رضي الله عنه bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar رضي الله عنه tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung.

(Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242))

Namun begitu, ulama’ seperti Ibn Taimiyyah رحمه الله berpendapat yang nikah dengan wanita yang hamil kerana zina tidak sah. Ini adalah kerana ada hadith yang mengatakan:

لاَ تُوطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعَ وَلاَ غَيْرُ ذَاتِ حَمْلٍ حَتَّى تَحِيضَ حَيْضَةً

Wanita hamil tidaklah disetubuhi hingga dia melahirkan dan wanita yang tidak hamil istibro’nya (membuktikan kosongnya rahim) sampai satu kali haid.

(Riwayat Abu Daud no. 2157). Syeikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih.

Syarah: hadith ini mewajibkan seorang lelaki memastikan yang wanita yang akan dinikahinya itu kosong rahimnya. Maka kalau sudah diketahui dia sedang hamil, maka pernikahan itu terlarang.

Nota: Hadith ini membicarakan tentang hamba yang sebelumnya disetubuhi tuannya yang pertama, maka tuan yang kedua tidak boleh menyetubuhinya sampai melakukan istibro’ iaitu menunggu sampai satu kali haid atau sampai dia melahirkan anaknya jika dia hamil. Maka, jangan difahami bahawa hadith ini membicarakan larangan untuk menyetubuhi isteri yang sedang hamil.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

Sekali lagi disebut tentang taqwa di dalam ayat ini di mana Allah ‎ﷻ memberitahu yang apa-apa hal pun kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan memudahkan penyelesaian masalah dan urusan mereka. Maka kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ.


 

Talaq Ayat 5:

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the command of Allāh, which He has sent down to you; and whoever fears Allāh – He will remove for him his misdeeds and make great for him his reward.

(MELAYU)

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.

 

 

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu,

Sebagai Muslim, kita mestilah ikut hukum Allah ‎ﷻ yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kita kena sedar yang kita ini hamba dan kena taat kepada arahan Tuan. Kita kena sedar yang segala penetapan hukum daripada Allah ‎ﷻ ini ada hikmahnya. Kalau kita dapat faham konsep hamba ini, maka akan mudah bagi kita untuk menerima dengan rela segala hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Orang yang berat hati dengan hukum daripada Allah ‎ﷻ adalah kerana mereka tidak faham bagusnya hukum-hukum itu untuk mereka.

Maka sebagai suami yang telah menceraikan isterinya, dan isteri yang telah diceraikan oleh suaminya, hendaklah taat kepada hukum-hukum yang telah disebut sebelum ini dan dalam ayat-ayat lain.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ

dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ berfirman tentang taqwa. Sekiranya bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan menghapuskan dosa orang itu. Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan semua dosa tidak kira banyaknya. Khususnya ayat ini tentang perhubungan antara suami isteri. Oleh kerana mereka rapat dan hidup berdekatan, maka tentulah ada salah silap sesama mereka. Maka Allah ‎ﷻ boleh ampunkan kesalahan mereka itu.

Masalah suami itu kadang-kadang boleh berbaik dengan semua orang tetapi kalau dengan isteri, tidak pula begitu. Kerana itu kita ada dengar orang yang baik di luar tetapi garang dengan isterinya sendiri. Kadangkala terdapat golongan isteri pun begitu juga. Mereka lebihkan orang lain daripada suami mereka sendiri.

 

وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

dan akan menghebatkan pahala baginya.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa orang yang bertaqwa itu, malahan Allah ‎ﷻ akan bagi pahala yang berganda-ganda. Ayat sebelum ini disebut kebaikan taqwa untuk kebaikan di dunia dan sekarang dah mula sebut kebaikan di akhirat pula. Maknanya taqwa dapat kebaikan dunia dan akhirat.

Telah disebut beberapa kelebihan taqwa setakat ini. Kesimpulannya boleh kita ringkaskan:

1. Akan diberi jalan keluar daripada masalah dan kesusahan
2. Akan diberi rezeki dan keperluan daripada sumber yang tidak disangka-sangka
3. Allah ﷻ akan mudahkan urusan
4. Dosa akan dihapuskan
5. Pahala yang hebat akan diberikan


 

Talaq Ayat 6:

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ ۖ وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ ۖ وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lodge them¹ [in a section] of where you dwell out of your means and do not harm them in order to oppress them.² And if they should be pregnant, then spend on them until they give birth. And if they breastfeed for you, then give them their payment and confer among yourselves in the acceptable way; but if you are in discord, then there may breastfeed for him [i.e., the father] another woman.³

  • During their waiting period (referring to wives whose divorce has been pronounced).
  • So that they would be forced to leave or to ransom themselves.
  • See 2:233.

(MELAYU)

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu

Ayat ini adalah pengulangan tentang jangan keluarkan isteri yang telah dilafazkan talaq itu dari rumah. Mereka masih lagi berstatus isteri yang sah. Maka kena benarkan mereka tinggal di tempat biasa mereka tinggal, iaitu tempat tinggal yang sama dengan suaminya. Maknanya duduk tinggal bersama.

Kalimah وُجدِكُم berasak daripada katadasar و ج د yang bermaksud menjumpai sesuatu yang hilang; sesuatu yang didapati. Maksudnya ikut kemampuan suami yang dia boleh dapat.

Maknanya ikut kemampuan, jangan paksa diri beri lebih daripada kemampuan diri; dan jangan pula beri kurang. Mungkin ada yang mampu beri lebih baik, tetapi sengaja diberikan tempat tinggal yang buruk. Ayat ini menunjukkan yang Allah ﷻ menekankan hak wanita itu.

Begitulah Islam yang sangat menjaga kepentingan dan hak wanita. Allah ﷻ sebut kerana selalunya kalau suami sudah ceraikan, tentu selalunya sebab sudah benci. Bila sudah benci, tentu susah untuk beri yang terbaik sebab rasa sayang sudah tidak ada. Allah ﷻ ajar, walaupun sudah tidak sayang, tetap kena beri yang sepatutnya.

Beberapa hukum yang telah dibincangkan oleh ulama’ tentang perkara ini:

1. Bagi isteri yang ditalaq dan talaq itu jenis boleh dirujuk, maka isteri itu layak mendapat nafkah dan tempat tinggal dalam masa iddah.

2. Bagi isteri yang ditalaq semasa mengandung, maka suami mesti memberikan tempat tinggal dan nafkah sehinggalah bayi itu dilahirkan. Ini tidak kira sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak.

3. Ada khilaf jikalau isteri yang ditalaq tanpa rujuk itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah. Ini jika tidak mengandung. Ada tiga pendapat dalam hal ini:

a. Pendapat yang pertama mengatakan isteri itu berhak kepada tempat tinggal dan juga nafkah. Ini adalah pendapat Saidina Umar, ‘Abdullah bin Mas’ud, ‘Ali bin Husain (Imam Zain al-‘Abidin), Qadi Shuraih and Ibrahim Nakha’i. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanafi.

b. Golongan ulama’ kedua berpendapat bahawa para isteri itu berhak kepada tempat tinggal tetapi tidak berhak kepada nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Sa’id bin al-Musayyab, Suleman bin Yasar, ‘Ata`, Sha`bi, Auza’i, Laith and Abu ‘Ubaid, dan juga Imam Shafi’ i y dan Imam Malik.

c. Golongan ulama’ ketiga berpendapat yang para isteri yang tidak boleh dirujuk itu tidak layak kepada tempat tinggal dan nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Hasan Basri, Hammad Ibn Laila, ‘Amr bin Dinar, Ta’us, Ishaq bin Rahawaih and Abu Thaw.

Hujah kumpulan ini menggunakan dalil hadith riwayat Fatimah bint Qais. رضي الله عنها. Tetapi hadith ini ditolak oleh golongan pertama. Saidina Umar رضي الله عنه menolak pendapat Fatimah bint Qais رضي الله عنها itu. Pendapat Umar رضي الله عنه itu dikeluarkan semasa para sahabat masih ada lagi dan tiada yang menentang beliau.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan keluarga bekas suami Fatimah رضي الله عنها tidak membenarkan tempat tinggal kepada beliau kerana masalah yang ada pada Fatimah رضي الله عنها itu sendiri. Ini adalah kerana mulutnya yang jahat. Allahu a’lam. Walau bagaimanapun terdapat hadith Bukhari meriwayatkan tentang kisah ini:

 

حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَبَّاسٍ حَدَّثَنَا ابْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ لِعَائِشَةَ أَلَمْ تَرَيْ إِلَى فُلَانَةَ بِنْتِ الْحَكَمِ طَلَّقَهَا زَوْجُهَا الْبَتَّةَ فَخَرَجَتْ فَقَالَتْ بِئْسَ مَا صَنَعَتْ قَالَ أَلَمْ تَسْمَعِي فِي قَوْلِ فَاطِمَةَ قَالَتْ أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ لَهَا خَيْرٌ فِي ذِكْرِ هَذَا الْحَدِيثِ وَزَادَ ابْنُ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَابَتْ عَائِشَةُ أَشَدَّ الْعَيْبِ وَقَالَتْ إِنَّ فَاطِمَةَ كَانَتْ فِي مَكَانٍ وَحْشٍ فَخِيفَ عَلَى نَاحِيَتِهَا فَلِذَلِكَ أَرْخَصَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Telah menceritakan kepada kami Amru bin Abbas Telah menceritakan kepada kami Ibnu Mahdi Telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Abdurrahman bin Al Qasim dari bapaknya bahwa Urwah bin Az Zubair berkata kepada Aisyah, “Tidakkah kamu melihat Fulanah binti Hakam yang telah diceraikan oleh suaminya.” Maka Aisyah رضی اللہ عنھا pun keluar seraya berkata, “Alangkah buruk apa yang telah diperbuatnya.” Urwah bin Zubair berkata, “Tidakkah Anda mendengar ungkapan Fathimah?” Ia berkata, “Sesungguhnya dalam ungkapan itu tidak ada kebaikan baginya.” Ibnu Abu Zinad menambahkan daripada Hisyam, daripada bapanya; Aisyah رضی اللہ عنھا mencela dengan celaan yang sangat dan berkata, “Sesungguhnya Fathimah saat itu berada di tempat yang tandus, lalu keberadaannya pun dikhuatirkan. Oleh kerana itu, Nabi ﷺ memberikan rukhshah padanya.”

(HR Bukhari: 4911)

Maka jelas di sini, isteri yang telah ditalaq tetapi masih belum lagi habis iddahnya hendaklah diberi tinggal bersama dengan suami. Akan tetapi bagaimana dengan auratnya? Kalau talaq itu talaq raj’i (yang boleh dirujuk) maka isteri itu tidak perlu menjaga auratnya. Akan tetapi kalau talaq bain (tidak boleh dirujuk) sama bain sughra (masih boleh menikah semula) atau bain kubra (tidak boleh menikah langsung sampai bila-bila) maka hendaklah menjaga batas auratnya. Maka tempat tinggal itu mestilah tempat tinggal yang boleh isteri itu menjaga auratnya. ​

 

 

وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ

dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka

Jangan sakiti mereka semasa dalam menghabiskan iddah itu. Jangan seksa mereka dan gunakan kata-kata yang menyakitkan hati mereka. Kena kawal kata-kata dan jangan bermulut lepas sahaja. Jangan biarkan hati mereka sempit dan semput kerana kata-kata suami.

Antaranya perbuatan jahat yang suami biasa lakukan adalah layan isterinya dengan teruk sampaikan isterinya sendiri hendak keluar dari rumah kerana tidak tahan. Dia sengaja berbuat begitu supaya dia boleh kata: “Eh bukan aku halau dia…dia yang nak keluar sendiri la…” Contohnya suami beri rumah, tetapi buat pula peraturan: jangan buka kipas. Atau bawa saudara mara yang lain dengan tujuan agar isteri berasa tidak selesa sampai dia berkeinginan keluar sendiri dari rumah itu. Atau diberi rumah tempat tinggal tetapi tidak diberi makan secukupnya. Janganlah buat begitu kerana Allah ‎ﷻ tahu apa yang terjadi walaupun orang lain tidak tahu.

As-Sauri telah meriwayatkan daripada Mansur, daripada Abud Duha sehubungan dengan makna firman-Nya: dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka. (At-Talaq: 6) Misalnya si suami menceraikan isterinya; dan apabila iddahnya tinggal dua hari, lalu dia merujukinya. Ini juga adalah perbuatan buruk yang menyeksa isterinya itu.

Oleh kerana itu, hendaklah dijaga tingkahlaku dan perkataan kita. Ini memang memerlukan hati yang baik dan emosi yang terkawal. Kalau tidak pandai hendak jaga hati dan hendak ikut emosi sahaja, maka kata-kata kesat yang akan keluar dari mulut suami atau isteri itu.

Kena sedar yang kata-kata ini boleh menyebabkan sakit hati sampai ke mati. Kesakitan tubuh badan selalunya akan hilang sesudah sekian lama. Namun sakit hati disebabkan oleh kata-kata yang dilafazkan akan disimpan dalam hati.

 

وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, 

Ini adalah dalil bahawa suami yang telah melafazkan talaq kepada isterinya tetap kena menanggung isterinya itu semasa hamil. Ini kerana wanita itu masih lagi isterinya dan anak dalam kandungan itu adalah anaknya. Oleh sebab itu adalah tanggungjawab suami itu untuk menanggung isteri dan anaknya itu. Seperti yang kita tahu, iddah bagi wanita mengandung itu adalah setelah dia melahirkan. Maka, tempoh iddahnya boleh menjangkau sehingga 9 bulan.

Maka ini juga menunjukkan yang Allah ﷻ sayang kepada anak yang di dalam kandungan ibunya itu. Kerana makanan yang diberi kepada ibu itu tentunya akan pergi juga kepada anak itu, bukan?

Ulama’ menggunakan dalil ini untuk mengatakan bahawa isteri yang telah ditalaq itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah sehinggalah dia bersalin. Hukum ini tertakluk sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak. Ini adalah ijmak dalam kalangan ulama’.

 

فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ

kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya,

Bukan sahaja kena tanggung semasa dalam hamil. Apabila bekas isteri itu sudah melahirkan anak pun masih ada lagi tanggungjawab lelaki itu. Lihatlah bahasa yang digunakan لكم (untuk kamu); ini kerana isteri itu melahirkan untuk suaminya itu. Oleh kerana itu bekas suami masih kena beri upah kepada ibu kepada anaknya itu (bekas isteri dia) walaupun sudah bercerai.

Bekas suami tetap kena bayar upah penyusuan itu kerana anak yang disusui itu adalah anak lelaki itu. Sememangnya seorang bapa mesti menanggung anaknya sendiri. Bukannya atas tanggungan ibu. Oleh kerana ibu itu yang menyusukan, maka kena dibayar upah. Sekiranya ibu itu tidak menyusukan, maka perlu dicari ibu susu yang lain dan dibayarkan upah juga.

Ini kerana menyusu itu bukanlah kerja senang ya. Ia akan menyebabkan seorang ibu itu menjadi lemah disebabkan anak itu akan mengambil zat-zat daripada badan ibu itu. Disebabkan perkara itulah untuk wanita menyusu anak, mereka dibolehkan untuk tidak berpuasa dan dikenakan fidyah sahaja.

Ini juga mengajar kita yang susu itu adalah milik bekas isteri itu. Susu ibu ini kalau kita hendak beli di kedai pun tidak ada. Sebab itu dia berhak mendapat upah apabila menyusukan anaknya sendiri. Ini kerana walaupun itu anaknya, tetapi tanggungan nafkah untuk anak itu terletak di atas bapanya. Menurut hukum, anak itu adalah anak suaminya. Maka para suami semua janganlah lari daripada tanggungjawab.

Oleh kerana itu, walaupun itu adalah anaknya sendiri, tetapi ibu itu tidak wajib menyusukan anaknya. Maka kalau dia diminta oleh bekas suaminya untuk menyusui anaknya dan dia pun setuju, maka dia perlu dibayar.

 

وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ

dan musyawarahkanlah di antara kamu dengan baik;

I’timar adalah berbincang baik-baik. Berbincang seperti orang yang ada tamadun dan ada akal (akal yang sihat, bukan tidak cukup). Berbincanglah tentang urusan susuan, urusan anak siapa yang hendak jaga dan sebagainya. Perbincangan memang akan jadi susah kalau ada orang yang tidak pakai otak tetapi pakai emosi sahaja. Maka kena ada kawalan emosi antara lelaki dan bekas isterinya itu. Jangan hendak ada maki hamun pula.

Berbincanglah dengan baik supaya tidak ada pihak yang menanggung kerugian. Cari “win-win solution”. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Al-Baqarah melalui firman-Nya:

{لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ}

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya. (Al-Baqarah: 233)

Antara perkara yang perlu dibincangkan adalah berapa kadar bayaran upah penyusuan itu kerana agama tidak menetapkan bayaran secara tetap maka perlulah dibincangkan bayaran yang sesuai dan diterima oleh kedua-dua pihak. Agama hanya menyebut ma’ruf sahaja. Iaitu yang diterima pakai di dalam masyarakat. Maka kena lihat apakah upah yang sesuai.

Akan tetapi bayaran ini hanya untuk wanita diceraikan. Jangan pula nanti ada isteri meminta bayaran penyusuan susu anak walaupun masih berkahwin. Ini kerana memang sudah menjadi tanggungjawab bagi ibu menyusukan anaknya (Rujuk Baqarah: 233) dan tidak ada upah bagi tanggungjawab itu.

 

وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

Sekiranya tidak berjaya mencapai kata putus daripada perbincangan itu (antara suami dan bekas isteri), maka bolehlah diberikan kepada orang lain untuk menyusukan anak itu. Ini dinamakan ‘ibu susuan’ dan biasa diamalkan pada zaman dahulu di Tanah Arab. Bapa si bayi yang perlu fikirkan dan menyelesaikan masalah ini kerana itu adalah hak si bapa.

Ibunya adalah insan yang paling tepat untuk menyusukan anak itu. Akan tetapi kalau tidak dapat mencapai persetujuan maka bolehlah diberikan kepada orang lain untuk menyusukan anak itu. Mungkin kerana ibunya tidak mahu atau minta bayaran yang terlalu banyak. Ini menunjukkan yang ibu ada hak untuk tidak mahu menyusukan anaknya sendiri. Mahkamah pun tidak boleh paksa dia untuk susukan anaknya.

Walau bagaimanapun, di sini ada sedikit unsur celaan terhadap wanita yang tidak mahu menyusukan anak sendiri. Kalau kamu tidak mahu susukan anak sendiri, ada wanita lain yang boleh susukan. Atau, kita boleh katakan sebagai teguran daripada Allah ﷻ: Kenapa pula kamu tidak mahu susukan anak kamu sendiri? Maka si ibu itu berdosa jikalau dia tidak mempunyai alasan yang munasabah. Kalau dia sakit contohnya, maka ini dimaafkan. Akan tetapi kalau sengaja tidak mahu, maka dia berdosa. Namun begitu dia tetap tidak boleh dipaksa untuk menyusukan, walaupun oleh mahkamah sendiri.

Apabila bayi itu diberikan kepada ibu susuan lain, maka bayaran upah dikenakan juga kepada ibu susuan itu. Bayaran upah itu hendaklah dikeluarkan oleh bapa bayi itu. Akan tetapi jikalau tidak dijumpai wanita yang boleh menyusukan anak itu, maka ulama’ mengatakan kewajipan itu jatuh kepada ibunya kembali.

Daripada bahasa yang digunakan dalam ayat ini, mengandungi teguran kepada suami dan bekas isteri itu. Kenapalah benda kecil untuk menyusukan anak pun tidak boleh mencapai kata putus? Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, kalau kamu tidak mahu susukan anak itu, ada orang lain yang boleh susukan. Bukan kamu seorang sahaja yang boleh susukan. Sepatutnya kamu sebagai ibu dan bapa patut uruskan perkara kecil begini dan menjadi manusia yang baik, tetapi kalau kamu tidak mengambil peluang ini, maka kenalah diberikan kepada orang lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Jun 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Talaq Ayat 2 – 3 (Hukum Rujuk)

Talaq Ayat 2: Apakah yang terjadi apabila tempoh iddah sudah habis?

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ ۚ ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or part with them according to acceptable terms. And bring to witness two just men from among you and establish the testimony for [the acceptance of] Allāh. That is instructed to whoever should believe in Allāh and the Last Day. And whoever fears Allāh – He will make for him a way out¹

  • i.e., relief from distress.

(MELAYU)

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

 

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik

Apabila waktu iddah itu telah hampir tamat, jikalau suami itu membuat keputusan untuk memegangnya kembali (rujuk), maka peganglah (imsak) isterinya itu dengan cara ma’ruf. Maksud pegang itu adalah kekalkan perkahwinan, tidak terus dilepaskan. Ini bermakna dengan cara yang semua orang tahu adalah cara yang baik. Tidak perlu hendak diperhalusi apakah ‘ma’ruf’ ini kerana ia adalah perkara yang tidak perlu diajar secara terperinci pun di dalam agama.

Ini adalah kerana semua orang tahu sama ada sesuatu itu baik ataupun tidak, termasuklah orang yang kafir pun tahu juga kerana ia hanya memerlukan kepada akal yang sihat sahaja. Maka ini mengajar kita yang kita kena ikut adat dalam masyarakat dan bukannya ikut kepala otak kita sahaja.

Perkara ini adalah penting kerana kadang-kadang suami ataupun isteri akan membuat sesuatu perkara mengikut kehendak nafsunya sendiri, sampaikan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang sihat. Namun begitu ada juga yang masih mahu menegakkan keputusan mereka itu seolah-olah keputusan mereka itulah yang benar.

Oleh itu jikalau sudah membuat keputusan untuk rujuk, maka ambillah semula isteri itu dengan baik. Jangan lagi buat perkara yang boleh menyebabkan perlafazan cerai itu. Sekali sudah terlepas cakap maka kenalah berhati-hati selepas itu. Kenalah ingat yang ada dua peluang sahaja lagi untuk talaq boleh rujuk. Kalau sudah talaq sampai kali ketiga, memang harapan untuk rujuk kembali hampir tidak ada.

Rujuk itu pula mestilah sebab yang ma’ruf (yang baik). Bukannya kerana hendak menyeksa isteri itu. Mungkin ada yang bertujuan sengaja tidak mahu isterinya lepas ke tangan orang lain,  maka dia rujuk supaya dia dapat terus menyeksa isterinya itu. Akan tetapi dia bukan hendak berbaik pun dengan isterinya. Dia tetap layan tidak baik dengan isterinya. Ini bukan cara yang ma’ruf malah cara yang jahat dan zalim kepada orang lain.

Rujuk ini kenalah dilakukan sebelum habis tempoh iddah. Maka jangan tunggu lama-lama. Jangan lepaskan peluang yang ada. Sebab itulah Islam mengajar isteri yang telah ditalaq itu terus tinggal di rumah itu dan jangan keluar.

Selepas mengambil semula isteri itu, maka berilah layanan kepadanya dengan baik (ma’ruf). Janganlah ambil semula dengan tujuan untuk menyeksa jiwa mereka. Pasangan suami isteri kenalah berbaik-baik dalam perhubungan. Yang tidak baik itu adalah kerana salah seorang (atau kedua-duanya sekali) ada masalah komunikasi. Sekiranya kedua-duanya boleh berkomunikasi dan memahami di antara satu sama lain dengan baik, maka boleh sahaja duduk berbincang sesama sendiri. Untuk mencapai ini kenalah belajar teknik-teknik komunikasi.

Para ulama’ yang tidak mewajibkan saksi dalam rujuk, berselisih pendapat dalam cara rujuk yang diakui syariat. Ada yang menyatakan bahawa cukup dengan berhubungan suami-isteri (jimak), ada yang menyatakan bahawa harus dengan niat rujuk, dan ada yang menyatakan bahawa harus dengan ucapan.
Pendapat yang rajih adalah, rujuk dikatakan sah dengan adanya perbuatan atau perkataan yang menunjukkan rujuknya kedua pasangan tersebut, baik dengan hubungan suami-isteri atau perkataan. Hal tersebut menyelisihi pendapat sebahagian kaum muslimin bahawa rujuk memerlukan prosedur yang berbelit-belit, sehingga orang yang berkeinginan rujuk malah tidak jadi melakukan rujuk hanya kerana prosedur tersebut.

 

أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskanlah mereka dengan baik

Jikalau suami itu telah membuat keputusan untuk terus berpisah dengan isterinya maka berpisahlah dengan cara baik. Jangan ada permusuhan antara mereka dan di dalam Al-Baqarah: 241 sampai ada disebut untuk kita beri hadiah kepada mereka. Kalau ada mahr yang berhutang lagi, maka bayarlah mahr itu. 

Malangnya di dalam masyarakat kita tidak menjaga perkara ini di mana apabila suami isteri berpisah mereka bermusuhan sehinggakan anak-anak turut menjadi mangsa. Mereka benci sangat kepada pasangan lama sampaikan mereka tidak boleh melihat pasangan lamanya itu.

Akibatnya anak itu pun perasan kebencian antara ibu dan bapa mereka sampaikan mereka pun terpaksa memilih untuk setia kepada siapa. Ini kerana kadang-kadang ibu atau bapa itu akan memburukkan pasangan lama mereka kepada anak-anak supaya anak-anak pun benci sekali. Ini amat teruk sekali. Anak itu akan mendapat tekanan jiwa akhirnya dan tidak membesar dengan baik. 

Ingatlah yang bekas pasangan itu adalah ibu ataupun ayah kepada anak-anak kita dan mereka juga hamba Allah ‎ﷻ yang ada masalah dan ada kebaikan mereka. Maka janganlah buat musuh dengan orang yang dahulunya baik dan juga rapat dengan kita. Masalah yang terjadi itu letaklah di tepi sahaja dan jangan libatkan orang luar terutama anak-anak. Jangan simpan kebencian di dalam hati kerana ia akan memakan hati kita dan menyebabkan kita sakit jiwa sahaja. Kena belajar untuk memaafkan orang.

Satu lagi masalah adalah banyak pihak yang terlibat dalam keluarga itu yang cuba untuk memberi masalah kepada perhubungan itu. Ini seperti ibubapa, adik beradik, kawan-kawan, pakcik dan makcik, satu kampung, satu bandar dan sebagainya. Mereka itu tidak layak hendak beri nasihat pun kerana tidaklah pandai mana, tetapi biasalah orang bodoh pun teringin juga hendak beri nasihat.

Ini kerana ramai yang perasan mereka pandai. Kesannya nasihat yang mereka beri itu selalunya nasihat yang seperti tikus membaiki labu sahaja. Langsung tidak membawa kepada kebaikan malah membawa kepada keburukan. Maka selalunya kita kena tahan diri kita daripada memberi nasihat kalau kita tidak tahu.

 

وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم

dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki yang adil di antara kamu

Kalau boleh, adakan saksi dalam kalangan orang-orang yang adil untuk menjadi saksi bahawa memang suami telah melafazkan talak dan juga tempoh iddah telah habis. Kalimah ذَوَي bermaksud ‘dua orang lelaki’. Ini adalah supaya kalau perkara itu perlu dibawa ke mahkamah maka ada orang adil yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar.

Ini bukanlah perkara wajib, tetapi sunat sahaja. Talaq dan rujuk tetap sah sama ada ada saksi ataupun tidak. Maka ini adalah arahan irsyadi (panduan) sahaja sebagai anjuran baik untuk dilakukan. Walaupun ada pendapat yang mengatakan ia adalah wajib (mazhab Syafi’iy). Ini memang elok diadakan untuk kebaikan bersama kerana kalau ada perbicaraan di mahkamah, ada orang yang boleh menjadi saksi supaya wanita itu boleh mendapat haknya. Sebagai contoh, harta faraid suaminya. Ditakuti kalau tidak ada saksi, nanti boleh jadi ada yang menidakkan haknya sebagai isteri.

 

أَنَّ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ سُئِلَ عَنِ الرَّجُلِ يُطَلِّقُ امْرَأَتَهُ, ثُمَّ يَقَعُ بِهَا وَلَمْ يُشْهِدْ عَلَى طَلَاقِهَا وَلاَ عَلَى رَجْعَتِهَا. فَقَالَ: طَلَّقْتَ لِغَيْرِ سُنَّةٍ وَرَاجَعْتَ لِغَيْرِ سُنَّةٍ، أَشْهِدْ عَلَى طَلَاقِهَا وَعَلَى رَجْعَتِهَا وَلَا تَعُدْ

Imran bin Hushain ditanya tentang seorang lelaki yang mentalak isterinya, kemudian menggaulinya (merujuknya) dalam keadaan tidak mempersaksikan talak dan rujuknya. Imran pun berkata, “Kamu telah mentalak dan merujuk tanpa mengikuti As-Sunnah. Persaksikanlah talak dan rujukmu (sekarang), dan janganlah kamu ulangi hal ini!” 

(HR. Abu Daud no 2186 dan Ibnu Majah no. 2025, sahih menurut Syeikh al-Albani)

وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ

dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. 

Apabila orang yang menjadi saksi dipanggil, maka hendaklah mereka datang untuk menegakkan keadilan. Sebagai contoh, kalau dipanggil oleh mahkamah untuk menjadi saksi bagi kes itu. Jangan simpan persaksian kerana kalau disimpan, kes tidak dapat diselesaikan. Ditegakkan persaksian itu kerana hendak menegakkan hukum Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang suruh. Mereka hendak menjadi saksi yang adil, bukannya memberi persaksian palsu.

 

 

ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Begitulah nasihat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita untuk menjaga perhubungan sesama manusia. Kalau kamu orang yang mengatakan kamu beriman, maka hendaklah kamu ikut undang-undang dan cara-cara yang Allah‎ ﷻ telah ajar ini. Ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya, bukan Allah ‎ﷻ. 

Kalimah يوعَظُ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud anjuran-anjuran dalam ayat ini hendaklah diikuti oleh orang yang beriman. Walau bagaimanapun kalau ia tidak dijalankan, maka perceraian dan rujuk tetap sah. Oleh itu, sekiranya,

– suami tidak menceraikan isteri dengan cara sunnah,
– isteri dikeluarkan dari rumah,
– isteri keluar dari rumah,
– suami rujuk isteri hanya untuk menzalimi isteri itu,
– tiada saksi semasa perceraian dan rujuk,

Perceraian dan rujuk tetap sah cuma ia bukanlah cara seorang muslim sejati. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang ini adalah perkara yang perlu diikuti oleh seorang mukmin. Mungkin seorang suami selamat di dunia jikalau dia tidak melakukan arahan-arahan Allah ﷻ berkenaan hak isterinya, tetapi dalam Allah ﷻ memberi hukum, Allah ﷻ mengingatkan yang kalau mahu menjadi mukmin, maka kenalah ikut arahan-Nya.

 

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Sebelum ini disebut orang yang beriman dan asas bagi iman itu adalah taqwa kepada Allah ﷻ. Selalunya orang-orang yang baru bercerai akan rasa hidup mereka tunggang-langgang dan masalah itu terlalau besar kepada mereka tetapi Allah ‎ﷻ memberi nasihat di dalam ayat ini yang jikalau mereka bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Dia akan berikan jalan keluar daripada masalah mereka itu.

Maksud taqwa secara ringkas adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan untuk kebaikan kita. Dalam semua perkara mestilah dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai. Dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan itu, ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Dalam semua perkara mesti dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai.

 

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أحمد بن منصور الرمادي ، حدثنا يعلى بن عبيد ، حدثنا زكريا ، عن عامر ، عن شتير بن شكل قال : سمعت عبد الله بن مسعود يقول : إن أجمع آية في القرآن : ( إن الله يأمر بالعدل والإحسان ) [ النحل : 90 ] وإن أكثر آية في القرآن فرجا : ( ومن يتق الله يجعل له مخرجا )

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Ubaid, telah menceritakan kepada kami Zakaria, dari Amir, dari Syittir ibnu Syakal yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه mengatakan bahawa sesungguhnya ayat yang paling global dalam Al-Qur’an adalah firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan. (An-Nahl: 90) Dan ayat yang paling besar mengandungi jalan keluar dalam Al-Qur’an adalah firman Allah ‎ﷻ: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nesaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (At-Talaq: 2)

Dhaif menurut al-Zurqani dalam al-Abathil wal Manakir 2/360

Nota: hujung ayat ini adalah sebahagian daripada ‘Ayat Seribu Dinar’ yang amat popular yang telah sekian lama banyak diamalkan oleh mereka yang jahil dalam masyarakat kita. Amalan itu tidak ada dalil, dan mereka yang mengamalkannya pun tidak tahu apa yang mereka baca kerana mereka tidak belajar tafsir ayat ini pun, tetapi ikut orang lain sahaja.

Kerana tidak faham dengan agama, maka mereka mengulang-ulang ayat ini dibaca, malah lebih teruk lagi ditampal dan digantung di rumah, kedai dan pejabat. Mereka sangka itu akan memberikan jalan keluar daripada masalah dan dapat memberi rezeki kepada mereka.

Padahal ayat ini dimulakan dengan kalimat ‘barangsiapa bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ’. Oleh itu kalau mereka hendak mendapat manfaat daripada ayat ini, maka yang perlu dilakukan adalah bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dan bukannya baca sahaja dan tampal ayat ini di mana-mana. Itu bukanlah cara untuk mendapat jalan keluar daripada masalah.

 

وقال السدي : ( ومن يتق الله ) يطلق للسنة ، ويراجع للسنة ، وزعم أن رجلا من أصحاب رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقال له : ” عوف بن مالك الأشجعي ” كان له ابن ، وأن المشركين أسروه ، فكان فيهم ، وكان أبوه يأتي رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فيشكو إليه مكان ابنه وحاله التي هو بها وحاجته ، فكان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يأمره بالصبر ، ويقول له : ” إن الله سيجعل لك فرجا ” ، فلم يلبث بعد ذلك إلا يسيرا أن انفلت ابنه من أيدي العدو فمر بغنم من أغنام العدو ، فاستاقها فجاء بها إلى أبيه ، وجاء معه بغنى قد أصابه من الغنم ، فنزلت فيه هذه الآية : ( ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب )

Al-Sadi berkata: (Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah) diceraikan mengikut Sunnah, dan dia merujuk kepada Sunnah, dan dia mendakwa bahawa seorang lelaki dalam kalangan sahabat Rasulullah ﷺ telah berkata: “Awf bin Malik Al-Ashja’i” mempunyai seorang anak lelaki yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah ﷺ mengadukan nasib yang dialami oleh anaknya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Rasulullah ﷺ selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya: Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar. Tidak lama kemudian ternyata anaknya itu dapat meloloskan diri daripada tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil rampasannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, iaitu firman-Nya: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (At-Talaq: 2-3) 

HR. Ibnu Jarir at-Thabari dalam Tafsirnya 28/138, mursal

Kisah ini dinukilkan para mufassir dalam tafsir mereka seperti Ibnu Katsir 8/170, Tsa’labi 9/336, al-Baghawi 5/109, Ibnu Jarir  23/447. Secara kesimpulan hadith ini dhaif menurut Syeikh al-Albani dalam Dhaif targhib no. 972

 

Konteks asal ayat ini adalah tentang perceraian. Akan tetapi ia juga terpakai untuk situasi umum dalam kehidupan kita iaitu untuk selesaikan masalah, hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ dengan menjaga hukum-Nya. Sekiranya masalah tidak selesai juga, maka masalahnya adalah dengan kita yang belum bertaqwa sepenuhnya lag kerana Allah ﷻ sudah berjanji di dalam ayat ini yang Dia akan selesaikan masalah orang yang bertaqwa. Pastinya Allah ﷻ tidak memungkiri janji.

Janji Allah ﷻ ini terpakai di dunia dan di akhirat sekali. Di dunia pun kita mudah untuk keluar daripada masalah yang melanda kita dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti kita akan selamat daripada kemurkaan Allah ﷻ.


 

Talaq Ayat 3:

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ ۚ قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And will provide for him from where he does not expect. And whoever relies upon Allāh – then He is sufficient for him. Indeed, Allāh will accomplish His purpose. Allāh has already set for everything a [decreed] extent.

(MELAYU)

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

 

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut yang sesiapa sahaja yang bertaqwa, akan diberikan jalan keluar daripada masalah. Sekarang diberitahu yang sesiapa yang bertawakal, Allah ‎ﷻ berjanji akan memberikan rezeki kepadanya.

Sebelum ini disebut tentang perceraian antara suami isteri. Sekiranya sudah diceraikan isteri itu, namun suami itu masih lagi perlu memberi nafkah kepada isterinya. Perkara ini agak menyusahkan bagi mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa dalam keadaan begitu, kena taqwa sahaja. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ  akan cukupkan bagi suami itu untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Ayat ini juga boleh digunakan dalam bentuk umum dan kerana itu kita boleh faham bahawa kalau kita bertawakal, maka Allah ‎ﷻ akan beri kerja yang memberi pendapatan kepada kita, dan jika kita buka perniagaan dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan berikan rezeki kepada kita dan bawa orang datang untuk beli barang-barang kita. Itu adalah contoh bagaimana Allah‎ ﷻ boleh beri rezeki kepada kita. 

Malah yang hebatnya, rezeki itu boleh datang dari mana-mana arah sahaja yang kita tidak sangka-sangka dan kita tidak dapat bayangkan dan fikirkan. Allah ‎ﷻ boleh datangkan rezeki itu kerana Dia yang menguasai rezeki. Lihatlah hadith ini:

 

عن عمر بن الخطاب قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لو أنكم كنتم توكلون على الله حق توكله لرزقتم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا

Daripada Umar bin Al Khathab berkata, Rasulullah
ﷺ bersabda, “Andai saja kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya kalian diberi rezeki seperti rezekinya burung, pergi dengan perut kosong di pagi hari dan pulang di petang hari dengan perut terisi penuh.”

(Sunan Tirmidzi (2266)) Dinilai Sahih oleh Albani

 

No photo description available.

 

Selain itu harus diingatkan yang rezeki itu pula tidak semestinya berupa dalam bentuk wang ringgit dan harta. Ia boleh jadi apa-apa sahaja yang berguna kepada kita iaitu nikmat anak, kesihatan, dapat belajar, nikmat agama Islam, duduk di atas jalan Sunnah, faham Al-Qur’an dan macam-macam lagi. Kita sahaja kadang-kadang tidak perasan nikmat rezeki itu.

 

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ

Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.

Ini pula adalah anjuran bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Jikalau kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka kita akan berasa cukup, puas hati dan tenang sahaja dalam kehidupan kita.

Allah ‎ﷻ akan cukupkan kepada kita di mana hati kita akan menjadi tenang-tenang sahaja dan tiada rasa resah gelisah. Ini kerana orang yang bertawakal itu tahu bahawa dia telah serahkan urusan kepada Allah‎ ﷻ dan dia yakin dengan Allah ‎ﷻ. Dia yakin Allah ‎ﷻ boleh buat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki. Kalau kita serahkan kepada orang, belum tentu orang itu boleh buat.

Jangan salah faham pula dengan konsep tawakal ini. Ada orang orang terus serahkan kepada Allah ‎ﷻ tanpa usaha apa-apa. Ini adalah salah. Tawakal ini datang setelah usaha. Kena usaha dahulu dan kemudian baru serah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau serah sahaja kepada Allah ﷻ tanpa usaha, itu dinamakan ‘tawakul’, bukan ‘tawakal’.

Selepas serah kepada Allah ‎ﷻ, terima sahaja apa keputusan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dan Allah ‎ﷻ boleh jalankan usaha kita itu membawa kepada kejayaan. Akan tetapi seandainya Allah ‎ﷻ tidak berikan kejayaan kepadanya, maknanya memang Allah ‎ﷻ tidak mahu ia terjadi sebegitu. Maka kena redha sahaja. Terima sahaja apa keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat.

Oleh kerana itu untuk orang yang benar-benar tawakal, dia akan tenang sahaja. Jika kita bandingkan dengan orang yang tidak ada tawakal, ada bezanya. Jika tidak bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka tidak habis-habis orang itu akan mengadu, menangisi nasib, memikirkan manakah salahnya dalam usaha dia dahulu, marah kepada orang yang tidak tolong dia, dan sebagainya lagi. 

 

إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya.

Allah ‎ﷻ pasti akan menjadikan perkara yang Dia kehendaki untuk berlaku. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya kalau Dia sudah buat keputusan. Sekiranya Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu itu terjadi, ia pasti akan terjadi. Ini adalah taqdir, Allah ﷻ akan jadikan pada waktu yang telah ditetapkan. Ia akan tetap sampai (baligh).

Maka orang yang bertawakal kepada Allah ‎ﷻ akan redha sahaja dengan apa keputusan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa sahaja terjadi, itu adalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ dan kita kena sedar yang kita ini ‘hamba’ sahaja. Apabila kita hamba, mana mungkin kita persoalkan keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat? Maka serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja segala urusan kita.

 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا بَشِيرُ بْنُ سَلْمَانَ، عَنْ سَيَّارٍ أَبِي الْحَكَمِ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ نَزَلَ بِهِ حَاجَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِالنَّاسِ كَانَ قَمِنًا أَنْ لَا تُسَهَّل حَاجَتُهُ، وَمَنْ أَنْزَلَهَا بِاللَّهِ أَتَاهُ اللَّهُ بِرِزْقٍ عَاجِلٍ، أَوْ بِمَوْتٍ آجِلٍ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Basyir ibnu Sulaiman, dari Sayyar Abul Hakam, dari Tariq ibnu Syihab, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Barang siapa yang mempunyai suatu keperluan, lalu dia menyerahkannya kepada manusia, maka dapat dipastikan bahawa keperluannya itu tidak dimudahkan baginya. Dan barang siapa yang menyerahkan keperluannya kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan mendatangkan kepadanya rezeki yang segera atau memberinya kematian yang ditangguhkan (usia yang diperpanjang).
Kemudian Imam Ahmad meriwayatkannya daripada Abdur Razzaq, daripada Sufyan, daripada Basyir, daripada Sayyar alias Abu Hamzah. Selanjutnya Imam Ahmad mengatakan bahwa sanad inilah yang benar, kerana Sayyar Abul Hakam belum pernah meriwayatkan hadith daripada Tariq.

 

قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Setiap sesuatu itu telah ada qadar yang Allah ‎ﷻ tentukan. Allah ‎ﷻ telah tentukan bila sesuatu perkara itu terjadi dan bagaimana ia akan terjadi. Qadr ini telah tertulis lama di Lauh Mahfuz. Maka tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya. 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ:حَدَّثَنَا يُونُسُ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، حَدَّثَنَا قَيْسِ بْنِ الْحَجَّاجِ، عَنْ حَنَش الصَّنْعَانِيِّ، عَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّهُ رَكِبَ خَلْفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا غُلَامُ، إِنِّي مُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ، لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتِ الصُّحُفُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus, telah menceritakan kepada kami Lais, telah menceritakan kepada kami Qais ibnu Hajjaj, daripada Hanasy As-San’ani, daripada Abdullah ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan kepadanya bahawa di suatu hari beliau pernah dibonceng di belakang Rasulullah ﷺ, lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:  wahai pemudasesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Peliharalah (batasan-batasan) Allah ‎ﷻ, nescaya Dia akan memeliharamu. Ingatlah selalu Allah ‎ﷻ, nescaya engkau akan menjumpai-Nya di hadapanmu. Dan apabila kamu memohon, mohonlah kepada Allah ‎ﷻ; dan apabila kamu meminta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah ‎ﷻ. Dan ketahuilah bahawa umat ini seandainya bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak dapat memberimu manfaat kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ untukmu. Dan seandainya mereka bersatu untuk menimpakan mudarat terhadap dirimu, nescaya mereka tidak dapat menimpakan mudarat terhadapmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ akan menimpa dirimu. Qalam telah diangkat (takdir telah ditetapkan) dan semua lembaran telah kering (telah penuh dengan catatan).

Imam Tirmidzi meriwayatkan hadith ini melalui Lais” ibnu Sa’d dan Ibnu Lahi’ah dengan sanad yang sama, dan Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 19 Mei 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Tafsir Surah Talaq Ayat 1 (Jangan berpisah selepas talaq)

Pengenalan: 

Surah Talaq ini dan surah selepas ini iaitu Surah Tahreem menyentuh tentang perhubungan suami isteri. Maka ia mengandungi ayat-ayat umur munazimah iaitu Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana berurusan dengan sesama manusia. Suami isteri adalah pasangan yang paling banyak sekali berhubungan maka kenalah ada panduan bagaimana cara yang baik untuk menjaga keharmonian suami isteri. Perjanjian pernikahan antara suami isteri bukanlah semudah perjanjian perniagaan. Ada banyak lagi perkara yang perlu diperhatikan. Kerana itulah perjanjian secara umum disebut sepintas lalu sahaja di dalam Al-Qur’an, akan tetapi perjanjian pernikahan disebut secara lebih mendalam.

Di dalam Surah Taghabun sebelum ini telah diajar bagaimana seorang suami dan isteri hendaklah melayani pasangannya dengan baik untuk menjaga keharmonian. Namun kita kena terima hakikat bahawa kadangkala perceraian tidak dapat dielakkan akan terjadi. Kenalah terima walaupun pahit kerana ini adalah realiti kehidupan. 

Kalimat ‘talaq’ dari segi bahasa bermaksud ‘melepaskan’ iaitu perceraian. Iaitu apabila sesuatu itu tidak dapat dipegang lagi kerana ada ketegangan (tension). Ini seperti melepaskan busur panah setelah ditarik talinya yang menjadi tegang.

Di dalam Al-Qur’an pun ada disebut tentang perceraian. Ini mengajar kita bahawa semua perkara telah diajar di dalam agama ini, tidak perlu kita susah-susah pecah kepala fikirkan. Begitulah hebatnya agama ini dan malang sekali jika seorang muslim sendiri tidak mempelajarinya. Oleh kerana institusi perkahwinan amat penting, maka penekanan telah diberikan di dalam Al-Qur’an tentangnya. Surah Nisa’ membincangkan tentang perkahwinan dan Surah Talaq ini pula membincangkan tentang perceraian. Sampaikan Surah Talaq ini juga dikenali sebagai Surah Nisa’ Sughra (Surah Nisa’ Kecil).

Surah ini termasuk Surah Madaniyah dan ia diturunkan selepas Surah al-Baqarah di mana di dalam Surah al-Baqarah telah disebut hukum perceraian dan ada beberapa perkara yang tidak disentuh maka ditambah di dalam Surah at-Talaq ini. 

Surah ini dan surah selepas ini juga adalah termasuk dalam surah-surah musabbihaat (yang dimulakan dengan tasbih) tetapi kalau surah-surah yang lain ada dimulai dengan tasbih tetapi kedua-dua surah ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Surah at-Talaq ini juga adalah surah kelapan daripada rentetan 10 buah surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat.  Sebelum ini Surah at-Taghabun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Di dalam Surah Talaq ini juga kita akan belajar yang marah bagaimana sekalipun, infak (nafkah) kepada isteri tetap kena diberi dan dijaga.


Talaq Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi hukum syariat berkenaan perceraian.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحصُوا العِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم ۖ لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ وَلا يَخرُجنَ إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṭ-Ṭalāq: Divorce.

O Prophet, when you [Muslims] divorce women, divorce them for [the commencement of] their waiting period and keep count of the waiting period,¹ and fear Allāh, your Lord. Do not turn them out of their [husbands’] houses, nor should they [themselves] leave [during that period] unless they are committing a clear immorality. And those are the limits [set by] Allāh. And whoever transgresses the limits of Allāh has certainly wronged himself. You know not; perhaps Allāh will bring about after that a [different] matter.²

  • See rulings in 2:228233. A wife should not be divorced except after the completion of her menstrual period but before sexual intercourse has occurred, or else during a confirmed pregnancy. The pronouncement of divorce begins her waiting period (‘iddah).
  • Such as regret or renewed desire for the wife.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi, 

Ayat ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi selepas itu terus berubah kepada pemberitahuan kepada manusia. Maknanya ia bukanlah arahan dan ajaran kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Imam Qurtubi رحمه الله mengatakan kalau ia khusus kepada Nabi ﷺ sahaja, maka kata seruan yang digunakan adalah ya ayyuhal Rasul.

Kalimah أَيُّهَا adalah usluubut takreem , iaitu panggilan dalam bentuk penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Juga أَيُّهَا digunakan sebagai penekanan kerana hendak menarik perhatian pembaca. 

Kenapa tidak seru kepada orang mukmin sahaja? Kenapa permulaan ayat ini diseru kepada Nabi ﷺ pula? Ini sebagai penekanan kepada Nabi ﷺ untuk sampaikan dengan lebih kuat lagi kerana walaupun tidak ada panggilan ini pun Nabi Muhammad ﷺ kena sampaikan juga, bukan? Akan tetapi apabila diseru Nabi ﷺ dahulu maka baginda kena ambil perkara ini dengan lebih serius dan kena betul-betul sampaikan kepada manusia dan juga mesti beri pengajaran yang lebih kepada manusia.

Oleh kerana itu ulama’ mengatakan ada penambahan sebenarnya di dalam ayat ini, iaitu: Wahai Nabi, SAMPAIKAN KEPADA UMAT.

 

إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ

apabila kamu menceraikan isteri-isterimu

Kalimah إذا dalam ayat maksudnya ‘jika’. Bukan mengambil maksudnya yang biasa iaitu ‘apabila’. Maknanya bukanlah ia pasti akan terjadi. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tetapi tidaklah semestinya terjadi kepada kita. Semasa berkahwin, tidak sangka akan bercerai kerana hendak kekal sampai ke mati; namun perkara ini bukanlah di dalam tangan kita. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Perceraian ini memang kebanyakan pasangan tidak sangka dan tidak mahu ia akan berlaku kepada mereka kerana itu mereka amat bersedih apabila ia terjadi. Walaupun ia sesuatu yang amat menyedihkan, tetapi harus juga disentuh jika berlaku. 

Ilmu tentang perceraian ini bukan hanya diberitahu kepada mereka yang sudah mahu bercerai tetapi hendaklah disampaikan kepada semua orang dari awal lagi supaya mereka sudah tahu dan janganlah bila hendak bercerai baru hendak bertanya tentang hukum cerai.

Dibenarkan perceraian di dalam Islam juga adalah satu rahmat kerana bukan semua perkahwinan itu harmonis dan patut diteruskan. Bayangkan ada agama lain yang tidak membenarkan perceraian, maka pasangan itu terpaksa terus duduk berterusan di dalam situasi yang menyakitkan mereka. Perkahwinan yang seharusnya menjadi syurga dunia untuk pasangan berkahwin boleh bertukar menjadi neraka jika tiada persefahaman malah ada yang lebih teruk apabila terjadi keganasan rumahtangga di mana anak-anak isteri boleh menjadi mangsa.

Kita juga hendak memberitahu yang tidak ada masalah sangat dengan perceraian. Para sahabat dulu pun ramai yang bercerai. Allah ﷻ tidak melarang perceraian. Terdapat hadith popular yang selalu digembar-gemburkan yang mengatakan Arasy bergegar kalau bercerai itu adalah palsu.

‘Dikatakan’ bahawa Nabi ﷺ bersabda:

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arasy.”

Beberapa orang ulama’ yang faqih dalam ilmu hadith contohnya Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Saghani, Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuthi رحمهم الله telah memberi komen tentang hadith tersebut dan mengatakan bahawa hadith ini adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadithnya dhaif.

Selain daripada hadith di atas, ada sebuah lagi hadith yang agak terkenal juga berlegar dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan talaq.

Daripada Ibn Umar رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

 “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

(Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018))

Hadith ini telah diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan kesahihannya. Sebahagian ulama’ hadith mengatakan bahawa hadith ini sahih dan sanadnya bersambung dan sebahagian lagi mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung (disebabkan gugurnya nama sahabat yang menjadi perawi dalam hadis ini).

Kalau hadith ini, tidaklah ada masalah sangat di mana ia bermaksud cerai masih halal, tetapi tidaklah disukai. Maknanya, mengajar kita ia bukanlah perkara yang senang-senang dilakukan. Hanya kalau ia terpaksa, barulah diambil sebagai jalan dan langkah terakhir.

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 128 – 130 (Kalau suami nusyuz) – Celik Tafsir

 

فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) 

Ceraikan mereka bersesuaian dengan iddah mereka. Daripada ayat ini ulama’ mengambil isyarat bahawa jika hendak menceraikan isteri maka pastikan waktu cerai itu boleh terus dikira iddah bagi wanita itu. Ini bermaksud ceraikan mereka semasa mereka di dalam suci dan bukannya semasa mereka di dalam haid. 

أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ, وَهْىَ حَائِضٌ, عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ, فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ, ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ, وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ

Abdullah bin Umar رضی اللہ عنھما yang menceraikan isterinya ketika haid pada zaman Rasulullah ﷺ. Umar bin al-Khattab رضي الله عنه bertanyakan hal itu kepada Rasulullah ﷺ. Lalu, Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya. Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haid dan sudi lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya. Inilah ‘iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.

Riwayat al-Bukhari (4953) dan Muslim (1471)

Maka Islam menganjurkan talaq dilafazkan semasa isteri dalam keadaan suci. Iaitu bukan di dalam haid dan belum lagi digauli oleh suaminya. Ini kerana apabila mereka dalam haid, masa iddah belum boleh kira bermula lagi dan mereka kena tunggu lebih lama. Sepatutnya mereka kena tunggu tiga kali suci, tetapi kalau diceraikan semasa mereka dalam haid, mereka kena tunggu empat kali suci pula. 

Lagi satu, kalau diceraikan dalam masa haid, entah-entah perangai isteri itu kurang rasional kerana waktu itu mungkin dia sedang mengalami PMS (pre-menstrual syndrome) yang selalunya menyebabkan mereka tidak berapa betul sedikit. Mungkin perkara yang menyebabkan perceraian itu kerana marahkan isteri yang sedang tidak keruan. Maka tunggulah dahulu waktu mereka sudah lepas waktu itu di mana mereka sedang dalam keadaan normal kerana kalau sedang normal, senang sedikit hendak berbincang, bukan?

Lagi satu, sebaik-baik waktu untuk menceraikan isteri adalah selepas mereka baru suci daripada haid kerana waktu mereka sedang suci dan tidak ada jimak lagi antara mereka. Oleh kerana selepas haid, maka kita tahulah yang tidak ada isi kandungan dalam perut mereka. Apabila waktu suci itu tidak ada jimak lagi, maka kebarangkalian untuk ada benih dalam perut isteri itu adalah tipis sekali. Oleh itu waktu cerai yang terbaik adalah semasa isteri telah suci dan kita tidak jimak lagi dengan mereka.

Namun begitu, adakah sah kalau talaq dilafazkan semasa isteri di dalam haid? Jumhur ulama’ mengatakan ia tetap sah. Akan tetapi ada pendapat seperti pandangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah رحمه الله yang mengatakan ia tidak sah.

Pertama sekali ayat ini mengingatkan kepada para lelaki supaya jangan terlalu mudah hendak menceraikan isteri dan melafazkan talaq. Jangan kerana marah sahaja hendak ceraikan isteri. Ia adalah satu tindakan akhir setelah segala usaha dilakukan untuk meneruskan perkahwinan itu. Bukanlah terdetik sahaja, terus lafazkan talaq. Ada banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seseorang yang terkesan dengan perasaan marah itu bukanlah orang yang pandai kerana orang yang bijak pandai boleh mengawal amarah dan nafsunya dan tidak terikut-ikut dengan emosi.

Kesimpulannya, ayat ini memberitahu para lelaki:

1. Jangan lafaz talaq semasa isteri dalam haid. Maka suami kenalah tahu aturan haid isteri mereka.

2. Cerai mereka dengan talaq satu sahaja, jangan terus beri talaq tiga pula. Biarlah talaq satu sahaja dahulu dan tunggulah masa itu habis kerana mungkin ada peluang lagi untuk kembali rujuk. Sekiranya sudah ditalaq tiga terus, maka harapan untuk kembali memang tipis kerana tidak ada iddah lagi.

Jika tidak rujuk dalam masa iddah pun, maka suami isteri itu masih boleh lagi menikah kalau mereka mahu. Kalau terus beri talaq tiga, maka isteri itu tidak boleh dikahwini lagi sehinggalah dia menikah dengan orang lain terlebih dahulu dan kemudian bercerai. Itu adalah kemungkinan yang amat rendah.

Kalau wanita itu mengandung pun masih boleh dilafazkan cerai lagi. Ini kerana sudah diketahui ada anak dalam perut isteri itu (maka tidak ada isu siapakah bapa anak itu). Namun kalau dilafazkan cerai selepas ada percampuran benih, maka tidak tahu sama ada dia akan mengandung atau tidak. Maka ini tidak bagus kerana ada elemen ketidaktahuan.

Semua cara perlafazan talaq selain dari waktu suci itu, walaupun tidak mengikut sunnah, tetapi ia tetap juga sah. Isteri itu tetap juga tercerai. Cuma suami itu telah berdosa kerana tidak mengikut cara yang sunnah.

 

وَأَحصُوا العِدَّةَ

dan hitunglah waktu iddah itu

Dalam ayat Baqarah: 228 telah diberitahu bahawa masa iddah itu adalah tiga quru’ dan Imam Syafi’iy رحمه الله berpegang yang ia bermaksud ‘tiga kali suci’. Oleh itu, seandainya seorang isteri itu ditalaq semasa suci maka masa iddah itu adalah apabila dia datang haid kali ketiga.

Kiraannya begini: suci (lafaz cerai) – haid pertama – suci kedua – haid kedua – suci ketiga – haid ketiga (habis iddah). Masuk haid sahaja, iddah sudah tamat. Waktu ini suami tidak boleh rujuk isterinya lagi.

Kalau isteri itu dicerai semasa dalam haid, maka masanya menjadi panjang: haid pertama (lafaz cerai) [kiraan tidak bermula lagi] – suci pertama – haid kedua – suci kedua – haid ketiga – suci ketiga – haid keempat (tamat iddah). Jelas di sini, masa menunggu sudah bertambah.

Kalimah العِدَّةَ diambil daripada katadasar ع د د yang bermaksud mengira, nombor, agak-agak, jangkamasa, bilangan. Bilangan iddah ini perlu dikira dan diperhatikan dengan tepat kerana Islam amat menjaga nasab keturunan. Amat penting diketahui siapakah bapa kepada anak itu (dibinkan kepada siapa). Iddah hendaklah dijaga kerana kita hendak memastikan bahawa isteri itu ada anak ataupun tidak di dalam perutnya. Ini kerana perkara ini memberi kesan yang besar tentang siapa yang akan menjaga anak itu.

Takut kalau wanita itu bernikah dengan orang lain dan sebenarnya sudah mengandung, takut nanti disangkakan bayi itu adalah anak suami baru pula sedangkan bukan. Akibatnya suami baru kena tanggung anak orang lain pula nanti. Atau dibinkan kepada orang lain (selain ayahnya yang sebenar).

Tambahan lagi, mungkin juga jikalau suami itu tahu isteri dia mengandung dia mungkin tidak sampai hati untuk menceraikan dia ataupun hati dia mungkin berubah daripada benci kepada sayang kembali. Ini kerana kebiasannya kalau kita tahu isteri kita mengandung, kita semakin sayang kepadanya dan timbul perasaan belas terhadapnya.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini ditujukan kepada lelaki (para suami) akan tetapi ia juga perlu dikira oleh wanita. Dua-dua kena kira kerana entah mungkin isteri itu terlalai.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم

serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu. 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Diri-Nya tetapi digunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini kerana Rabb bermaksud ‘tuan’ yang menguruskan hal kita. Segala serba serbi dalam kehidupan kita ditentukan oleh Allah ‎ﷻ, maka kena ingat perkara ini.

Satu perkara menarik yang kita boleh lihat apabila Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang perceraian, di dalam ayat-ayat itu pasti ada menyebut tentang Taqwa dan juga memberitahu yang Allah ‎ﷻ melihat. Berulangkali kita boleh lihat begitu. Kenapa begitu?

Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak tekankan kena ada taqwa dalam keadaan seperti ini. Jika tiada taqwa maka senang sahaja pasangan hendak bercerai kerana waktu itu sudah tidak ingat Allah ‎ﷻ sangat. Ini kerana waktu itu hanya ingat kepada marah dan benci kepada pasangan masing-masing sahaja. Waktu itu pasangan hanya fikir diri sendiri sahaja. Kerana itulah taqwa banyak disebut sebagai peringatan. Ingatlah kepada Allah ‎ﷻ dan kenanglah hukum agama. Jangan ikut perasaan sangat. Kena fikir: Allah suka ‎ﷻ atau tidak hal ini?.

Di dalam Allah ‎ﷻ memberi nasihat tentang perhubungan suami isteri dan juga perceraian, jika tidak ada taqwa maka ia tidak bermakna kerana mereka tidak mahu mendengar nasihat yang diberikan. Maka ramai yang ikut kehendak sendiri sahaja kerana waktu itu tengah marah sangat.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada kita yang kita hendaklah berjaga-jaga dan ambil berat tentang arahan yang diberikan di dalam ayat ini. Kalau ada taqwa dalam diri, hukum hakam yang Allah ‎ﷻ berikan akan bermakna dan takut untuk dilanggari. Akan tetapi kalau tidak ada taqwa, semua ikut sedap hati sahaja.

Di dalam ayat yang lain Allah ‎ﷻ telah memberi penekanan bahawa kontrak perkahwinan ini adalah perkara yang besar dan perkara yang besar ini tidak boleh diputuskan begitu sahaja dan kenalah mengikut proses-proses yang tertentu. Hendak menikah ada prosesnya, maka untuk bercerai pun kenalah ikut proses juga, bukan?

 

لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ

Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka

Allah ‎ﷻ berkata dalam ayat ini jangan keluarkan mereka dari ‘rumah mereka’ dan bukannya dari ‘rumah kamu’. Ini adalah kerana selagi iddahnya ada lagi berbaki, maka rumah itu masih lagi rumah mereka. Mereka memang layak lagi duduk tinggal di situ. Maknanya, suami jangan halau isteri mereka keluar dari rumah walaupun lafaz talaq sudah dilafazkan.

Isteri itu walaupun telah diceraikan, tetapi selagi masih dalam iddah hendaklah suami itu menanggungnya isterinya lagi kerana dia tetap isterinya lagi dan nafkah masih lagi wajib ke atas suami itu. Oleh itu jika dia keluarkan isterinya dari rumah, maka suami itu telah berdosa.

Perkara ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu bahawa selepas dilafazkan talaq itu mereka masih lagi suami isteri dan ada masa untuk mereka berbaik semula. Waktu ini, senang sahaja suami hendak rujuk isterinya semula dengan mudah (aku hendak rujuk kamu baliklah….). Bila masih lagi bersuami isteri, maka sepatutnya mereka masih lagi tinggal bersama-sama. Maka janganlah dikeluarkan mereka dari rumah dan tinggallah bersama-sama. Namun tidaklah duduk dalam bilik tidur yang sama dan di katil yang sama lagi.

Selagi masih ada iddah, maka suami masih boleh rujuk isterinya. Oleh itu eloklah kalau mereka duduk bersama supaya perkara ini dimudahkan. Selalunya apabila mereka terus berpisah dan tinggal berasingan selepas talaq dilafazkan, maka harapan untuk bersama kembali adalah tipis kerana mereka sudah ada fikiran yang macam-macam tentang bekas isteri ataupun suami itu. Kalau depan mata, mungkin masih ada sayang lagi. Namun apabila jauh di mata, maka selalunya jauh di hati.

Maka tinggallah bersama dahulu kerana ada banyak terjadi lafaz cerai disebut kerana sedang marah dan selepas itu lelaki ataupun wanita itu mula sejuk hati dan mahu rujuk kembali. Mungkin sudah rasa menyesal dan sudah terbayang-bayang kalau tidak tinggal bersama lagi. Kerana itulah ada ruang masa untuk dibenarkan rujuk kepada mereka yang telah melafazkan talaq itu. Jikalau tidak ada peluang itu ataupun mereka sudah keluar dan berpisah tempat tinggal, maka tidak ada harapan yang kuat. 

Selalunya orang kita akan hantar isterinya balik ke rumah ibubapa. Kemudiannya suami hendak turut pun sudah susah kerana sudah duduk dengan orang lain. Sudah segan hendak turut isterinya di rumah keluarga dia. Kadangkala apabila sudah di rumah ibubapa dan jumpa pakcik makcik dan orang-orang kampung, sudah ada orang yang meracuni fikiran wanita itu. Biasalah kerana kebanyakan orang hendak pisahkan sahaja pasangan yang masih ada harapan untuk kembali bersama.

Padahal, mereka bukan tahu pun isu sebenar, tetapi hendak juga bagi nasihat (nasihat yang tidak diminta). Maka ini nasihat untuk orang luar: jangan menyibuk dengan hal pasangan yang kita tidak tahu hujung pangkal. Boleh beri nasihat, tetapi kena orang yang pandai sedikit dan tahu apakah yang terjadi terlebih dahulu. Bukan semua orang boleh dipakai nasihatnya.

Isteri yang telah diceraikan masih boleh tinggal di rumah suaminya selagi ada ruang untuk rujuk. Kalau cerai itu jenis tidak boleh dirujuk, maka isteri memang tidak ada hak lagi di rumah itu. Ini berdasarkan hadith Fatimah binti Qais رضي الله عنها.

Imam Ahmad رحمه الله telah meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Mujalid, telah menceritakan kepada kami Amir yang mengatakan bahawa aku tiba di Madinah, lalu aku mengunjungi Fatimah binti Qais رضي الله عنها. Maka beliau mencerita­kan kepadaku bahawa suaminya telah menceraikannya di masa Rasulullah ﷺ dan baginda mengirimkan suaminya bersama suatu pasukan khusus.

Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu saudara lelaki suaminya berkata kepadaku, “Keluarlah kamu dari rumah (saudaraku) ini.” Maka aku menjawab, “Sesungguhnya aku berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal hingga masa iddahku habis.” Saudara suamiku berkata, “Tidak.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu aku menghadap Rasulullah ﷺ dan kukatakan kepadanya, “Sesungguhnya si Fulan telah menceraikanku, dan saudara lelakinya mengusirku dari rumah suamiku, dia tidak memberiku tempat tinggal dan nafkah.”

Maka Rasulullah ﷺ menanyakan saudara suaminya, “Mengapa kamu dan anak perempuan keluarga Qais ini?” Dia menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saudaraku telah menceraikannya tiga kali seluruhnya.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan, bahawa lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:

“انْظُرِي يَا بِنْتَ آلِ قَيْسٍ، إِنَّمَا النَّفَقَةُ وَالسُّكْنَى لِلْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِهَا مَا كَانَ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ فَلَا نَفَقَةَ وَلَا سُكْنَى. اخْرُجِي فَانْزِلِي عَلَى فُلَانَةٍ”. ثُمَّ قَالَ: “إِنَّهُ يُتحَدّث إِلَيْهَا، انْزِلِي عَلَى ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ أَعْمَى لَا يَرَاكِ”

Perhatikanlah, hai anak perempuan keluarga Qais, sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal bagi isteri dibebankan pada suaminya selama si suami masih punya hak untuk merujuknya. Dan apabila si suami tidak punya hak lagi untuk merujuknya, maka tiada nafkah dan tiada tempat tinggal lagi. Sekarang keluarlah engkau dan tinggallah di rumah si Fulanah. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda lagi kepadanya: Tinggallah kamu di rumah Ibnu Ummi Maktum, kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat tua dan tidak dapat melihatmu. hingga akhir hadith.

(Hadith Sunan An-Nasa’iy  Jilid 3 No 3410)

 

وَلا يَخرُجنَ

dan janganlah mereka keluar 

Bukan sahaja para suami tidak dibenarkan mengeluarkan mereka, tetapi para isteri itu sendiri pun tidak patut keluar. Jangan mereka pula yang angkat kaki kerana mereka sepatutnya mesti tinggal di situ bersama dengan suaminya kerana dia masih lagi bergelar isteri orang.

Maka kena duduk di rumah itu lagi, tambahan pula kalau suaminya tidak beri kebenaran untuk keluar. Suami masih ada hak untuk menahan isterinya itu kerana isterinya itu masih lagi di bawah jagaannya. Isteri itu kena taat kepada arahan suami. Malah dia kena minta izin daripada suaminya kalau hendak keluar ke mana-mana. Kalau isterinya keluar juga, maka isteri itu telah berdosa. Dia tidak layak mendapat nafkah semasa di dalam iddah itu lagi.

Cuma biasanya kita dengar kalau isteri sudah marah kepada suami, atau dia telah diceraikan, selalunya para isteri itu akan minta dihantar ke rumah ibubapanya. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu ayat ini. Biasalah kalau tidak belajar, tidak akan tahu tentang perkara ini. Kerana itu ramai sahaja yang langgar.  

Akan tetapi, kalaulah rasa tidak selamat duduk dengan suaminya itu, maka bolehlah isteri itu keluar. Situasi ini hendaklah dinilai sendiri.

 

إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang.

Kecuali kalau para isteri itu telah melakukan perbuatan terkutuk dan jelas. Perbuatan ini mestilah sesuatu yang jelas dan kerana itu ada kalimah مُبَيِّنَةٍ di sini.

Ada ulama’ yang memberi maksud mereka telah melakukan zina tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan jika mereka telah melakukan perbuatan yang buruk seperti memukul anak dan sebagainya. Juga termasuk mereka yang bersikap membangkang atau bersikap menghina keluarga suami dan menyakiti mereka dengan lisannya dan juga dengan perbuatannya.

Kenapakah ini penting?

Kerana tadi telah disebut yang pasangan suami isteri itu patut tinggal bersama lagi selagi tempoh iddah masih berjalan. Mereka patut tinggal bersama di dalam satu rumah supaya ada kemungkinan untuk mereka bersama kembali. Akan tetapi jikalau kemungkinan itu memang tidak ada, maka tidak perlu untuk mereka tinggal bersama lagi.

Sebagai contoh, kalau suami itu menceraikan isterinya kerana isterinya itu telah berzina, maka tentulah dia tidak mahu hendak rujuk kembali. Maka mereka patut tinggal berasingan bermula daripada terlafaznya talaq.

Ada juga berpendapat, potongan ayat ini adalah sambungan daripada ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya kalau menghalau isteri keluar dari rumah atau isteri keluar dari rumah tanpa izin suami, itu adalah perbuatan yang termasuk perbuatan keji (fahishah yang jelas).

 

وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ

dan itulah hukum-hukum Allah 

Itulah yang kita telah sampaikan hukum Allah ﷻ yang patut kita tahu dan ikuti. Ramai yang tidak ikut kerana ramai yang tidak tahu, maka tugas kitalah sekarang untuk sampaikan.

Allah ‎ﷻ kata itu ‘Hudud Allah’. Kalimah ‘hudud’ seringkali hanya dikaitkan dengan potong tangan, rotan di khalayak ramai dan rejam sahaja. Itulah sahaja fahaman masyarakat kita. Namun sekarang kita sudah tahu yang ‘hudud’ ini ada banyak sebenarnya dan ada di beberapa tempat dalam Al-Qur’an.

Maksud ‘hudud’ adalah ‘had’ atau penetapan had daripada Allah ‎ﷻ. Ia tidak boleh dilampaui kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan sendiri. Maka kita mestilah tahu had-had ini supaya kita tidak melampau. Perkara ini kalau tidak dipelajari, maka akan ada masalah kerana tidak tahu apakah kehendak Allah ‎ﷻ. Terdapat jenis hukum hudud yang ada hukuman di dunia seperti potong tangan kalau mencuri; akan tetapi ada juga jenis hudud yang tidak ada hukuman di dunia. Namun beitu hukuman tetap ada di akhirat kelak.

 

وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ

dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.

Jangan main-main dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana akan mengakibatkan bahaya kepada diri sendiri. Sebagai contoh, mungkin ada suami yang hendak menyakiti isterinya itu maka dia suruh isterinya terus tinggal dengan dia supaya dia boleh menyeksa emosi isterinya itu.

Maka ini pun termasuk dalam mempermainkan agama Allah ‎ﷻ. Suami itu mungkin rasa dia menyusahkan isterinya itu tetapi dia tidak sedar yang dia sebenarnya menyusahkan ‘dirinya sendiri’ kerana dia akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ di atas perbuatannya itu.

Allah ﷻ sedang mengubah cara fikir kita sekarang. Jangan kita nampak kita menzalimi orang sahaja, tetapi kena ingat yang kita sebenarnya menzalimi diri kita sendiri. Selalunya kalau kita tidak nampak bahaya kepada diri kita, maka kita buat tidak kisah sangat. Maka sekarang Allah ﷻ suruh fikirkan balik: ‘Kau sebenarnya menyusahkan diri kau sahaja.’

 

لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا

Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

Maka jelas yang isteri itu kena terus tinggal di rumah suaminya itu dan jangan keluar kerana terdapat kemungkinan selepas suaminya itu telah melafazkan talaq, akan timbul perasaan lain di mana timbul kembali rasa sayang terhadap isterinya itu. Seringkali pula terjadi, apabila pasangan bercerai itu berbaik semula, kasih sayang antara mereka itu lebih baik daripada yang sebelum itu.

Kita kena ada harapan ini kerana Allah ‎ﷻ boleh mengubah hati manusia daripada benci kepada sayang. Kalau-kalau dia menyesal melafazkan talaq itu, mungkin dia hendak rujuk terus kepada isterinya itu. Maka kalau isterinya di tempat lain, sudah susah pula, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Jun 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Tafsir Surah Taghabun Ayat 14 – 18 (Berhati-hati dengan keluarga sendiri)

Taghabun Ayat 14: Ayat 14 – 18 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Ia mengandungi arahan kepada kaum muslimin supaya sedia berperang dengan kaum kerabat yang kafir.

Kita juga akan masuk ke dalam perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah. Ia adalah tentang ayat di mana Allah ﷻ mengajar kita bagaimana berurusan dengan makhluk. Allah ﷻ ajar kita bagaimana cara hidup di dunia ini. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ مِن أَزوٰجِكُم وَأَولٰدِكُم عَدُوًّا لَّكُم فَاحذَروهُم ۚ وَإِن تَعفوا وَتَصفَحوا وَتَغفِروا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, indeed, among your spouses and your children are enemies to you, so beware of them. But if you pardon and overlook and forgive – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang mukmin,

Allah ﷻ tujukan ayat ini kepada manusia yang mengaku beriman. Sama ada dalam kalangan mukmin sejati, golongan yang lemah iman, malah kepada golongan munafik pun. Ada pengajaran yang penting di dalam ayat ini.

 

إِنَّ مِن أَزوٰجِكُم وَأَولٰدِكُم عَدُوًّا لَّكُم

sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu

Salah satu golongan yang rapat dengan kita dan selalu berurusan dengan kita sepanjang waktu adalah ahli keluarga kita. Kita kena berhati-hati apabila berurusan dengan mereka kerana mereka boleh membahayakan kita dari segi agama.

Di dalam ayat lain melalui firman Allah ﷻ yang mengatakan:

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Al-Munafiqun: 9)

 

 

Namun begitu, bukanlah semua ahli keluarga begitu. Ini penting kena faham kerana ada kalimah مِن dalam ayat ini yang membawa maksud ‘sebahagian’. Janganlah pula ada orang salah faham dan anggap terus yang ahli keluarga mereka itu musuh mereka pula.

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita yang pasangan dan anak-anak kita boleh menjadi musuh kepada kita jikalau mereka tidak bertawakal seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Kerana kalau mereka begitu, maka boleh menyebabkan kita sendiri kurang bertawakal kepada Allah ﷻ.  

Mereka juga menjadi musuh kepada kita jikalau mereka selalu menarik kita dari jalan agama di mana mereka menyibukkan kita dengan kehendak-kehendak mereka sampaikan terpaksa kita memenuhi kehendak mereka. Ini seperti kehendak mereka yang keterlaluan kepada pakaian, makanan, berjalan melancong dan sebagainya.

Selalunya seorang ketua keluarga akan cuba untuk memenuhi kehendak ahli keluarganya. Maka dia kena bekerja keras untuk menyediakan itu semua bukan? Kemudian apabila bekerja keras sangat, maka yang menjadi mangsa adalah agama kerana dia tidak belajar, tidak dakwah dan kurang beramal ibadat. 

Maka keluarga yang menjadi bahaya adalah apabila pasangan kita, sama ada lelaki ataupun perempuan dan anak-anak kita yang bersikap materialistik dan mahu kekayaan dan kesenangan sahaja. Mereka tidak memandang agama dan akhirat itu penting dan nampak hanya keduniaan sahaja.

 

فَاحذَروهُم

maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka

Maka Allah ﷻ memberi nasihat supaya kita berhati-hati dengan mereka. Jangan diikutkan sangat kehendak nafsu mereka dan kenalah beri pelajaran agama kepada mereka. Kena didik mereka menjadi insan yang mulia supaya mereka tidak tarik kita ke arah kesesatan.

 

وَإِن تَعفوا وَتَصفَحوا وَتَغفِروا

dan jika kamu memaafkan dan lupakan serta mengampuni (mereka) 

Allah ﷻ bukannya suruh kita ceraikan mereka ataupun pukul mereka tetapi Allah ﷻ suruh maafkan mereka. Pertamanya jika mereka melakukan kesalahan maka hendaklah kita maafkan mereka (تَعفوا) dan jangan kita ungkit-ungkit lagi kesalahan yang mereka telah pernah lakukan. Lupakan sahaja.

Jangan ikut jenis kaunseling moden yang kata: apa-apa sahaja yang kita tidak puas hati kena luahkan. Ini tidak boleh diikut sangat kerana ini akan membahayakan. Jangan diulang-ulang lagi apa yang telah pernah berlaku. Maaf dan lupakanlah.

Maka lagi satu yang penting adalah jangan ungkit lagi (تَصفَحوا). Jangan hukum mereka atas kesalahan mereka. Jangan ungkit dan jangan cela. Apabila kita sudah maafkan, maka buang terus daripada memori kita. Jangan nanti bila berkelahi waktu lain, ungkit lagi kisah lama, padahal kata sudah dimaafkan.

Walaupun kesalahan yang mereka buat itu memang salah besar sikit maka tutuplah (تَغفِروا). Kambus dalam hati sahaja dan jangan simpan dendam. Isteri pun kena buat begini kalau ada kesalahan daripada suaminya. Ingatlah yang tiada siapa yang sempurna. Perhatikan sebuah hadith tentang ayat ini:

 

وقال ابن أبي حاتم حدثنا أبي ، حدثنا محمد بن خلف العسقلاني ، حدثنا الفريابي ، حدثنا إسرائيل ، حدثنا سماك بن حرب ، عن عكرمة ، عن ابن عباس – وسأله رجل عن هذه الآية : ( يا أيها الذين آمنوا إن من أزواجكم وأولادكم عدوا لكم فاحذروهم ) – قال : فهؤلاء رجال أسلموا من مكة فأرادوا أن يأتوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فأبى أزواجهم وأولادهم أن يدعوهم ، فلما أتوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – رأوا الناس قد فقهوا في الدين ، فهموا أن يعاقبوهم ، فأنزل الله هذه الآية : ( وإن تعفوا وتصفحوا وتغفروا فإن الله غفور رحيم )وكذا رواه الترمذي ، عن محمد بن يحيى ، عن الفريابي – وهو محمد بن يوسف – به ، وقال : حسن صحيح . ورواه ابن جرير ، والطبراني من حديث إسرائيل به وروي من طريق العوفي ، عن ابن عباس ، نحوه ، وهكذا قال عكرمة مولاه سواء

Daripada Ibnu Abbas yang telah ditanya oleh seorang lelaki tentang makna firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. (At-Taghabun: 14) Bahawa ada sejumlah lelaki yang telah masuk Islam di Mekah; ketika mereka hendak bergabung dengan Rasulullah Saw. di negeri hijrah, maka isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu ditinggalkan. Pada akhirnya setelah mereka datang kepada Rasulullah Saw. (sesudah penaklukan Mekah), mereka melihat orang-orang telah mendalami agama mereka. Kemudian mereka melampiaskan kemarahannya kepada isteri-isteri dan anak-anak mereka yang menghalang-halangi mereka untuk hijrah. Dan ketika mereka hendak menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka, Allah menurunkan firman-Nya: dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (At-Taghabun: 14)

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi, daripada Muhammad ibnu Yahya Al-Faryabi alias Muhammad ibnu Yusuf dengan sanad yang sama. Hasan mengatakan bahwa hadith ini sahih. Ibnu Jarir danTabrani meriwayatkan hadith ini melalui Israil dengan sanad yang sama. Telah diriwayatkan pula melalui jalur Al-Aufi, daripada Ibnu Abbas hal yang semisal, dan hal yang sama dikatakan pula oleh Ikrimah (bekas budak Ibnu Abbas).

 

 

Maka kita harusalah menolong pasangan kita untuk mendapat markah yang baik dengan Allah ﷻ dengan memudahkan mereka untuk taat dan berbuat baik dengan kita. Sekiranya mereka ada membuat salah maka bersedialah untuk memaafkan mereka kerana jika kita tidak maafkan, maka mereka akan ada masalah dengan Allah ﷻ. Ini barulah cinta sebenar.

Janganlah pula disebabkan sikap kita menyebabkan isteri dan anak-anak terseret ke dalam neraka. Contohnya, jika ada anak yang buat salah, janganlah didoakan agar mereka dikenakan azab ke atas mereka. Itu bukanlah jenis ibu dan ayah yang baik. Sepatutnya kita doakan supaya mereka dibaiki hati dan amal mereka, bukannya terus mendoakan keburukan untuk mereka.

Maka Allah ﷻ ajar inilah contoh keluarga yang baik. Kalau tiada diajar cara-cara begini, maka keluarga akan menjadi musuh sesama sendiri. 

 

فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ingatlah yang Allah ﷻ juga Maha Pengampun kerana Dia sayang kepada kita. Maka kita kenalah ikut sifat Allah ﷻ ini kerana kita pun berharap juga Allah ﷻ ampunkan dosa kita, bukan? Maka kalau mahu Allah ﷻ tutup dosa kita, maka kita kena buat dulu. 


Taghabun Ayat 15: 

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your wealth and your children are but a trial, and Allāh has with Him a great reward.

(MELAYU)

Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ

Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian

Allah ﷻ beritahu hakikat anak dan isteri kita. Mereka itu adalah ujian bagi kita sebenarnya. Oleh itu kena tahu yang ‘fitnah’ itu bermaksud ‘ujian’ bukannya seperti fitnah yang difahami oleh orang Melayu kita.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ
الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (Ali Imran: 14)

 

 

Namun begitu janganlah kita ambil firman ini sebagai negatif pula. Kita kena sedar yang ujian itu bukan untuk perkara yang buruk sahaja. Dengan melepasi ujian, kita akan mendapat hasilnya. Cuma ujian itu perlu dilalui. Sebagaimana ‘ujian’ yang yang susah seperti membakar emas.

Apabila emas dilombong, ia mengandungi pasir dan bahan lain, maka ia perlu dibakar untuk mencairkan emas itu dan mengeluarkan emas yang tulen. Hasilnya adalah keindahan emas dan ketulenan emas itu yang diperolehi dan hasilnya nilainya amatlah tinggi. Maka kita kena tahu apakah ujian kita yang kita kena hadapi semasa di dunia ini. Jangan sangka musuh itu orang luar sahaja yang hendak menjatuhkan kita. Ini seperti yang disebut dalam sebuah riwayat hadith:

(ضعيف) عن أبي مالك الأشجعي رضي الله عنه مرفوعا: ليس عدوك الذي إن قتلته كان لك نورا وإن قتلك دخلت الجنة ولكن أعدى عدوك ولدك الذي خرج من صلبك، ثم أعدى عدو لك مالك الذي ملكت يمين. [طب، وفي مسند الشاميين، الضعيفة (4396)].

(Lemah) Daripada Abu Malik al-Asyja’iy رضي الله عنه, beliau meriwayatkan secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi ﷺ): Bukanlah musuhmu itu yang apabila kamu membunuhnya kamu mendapat cahaya, dan apabila dia membunuh kamu, kamu memasuki syurga. Tetapi musuh kamu yang paling utama ialah anak yang keluar daripada tulang sulbimu. Kemudian musuhmu yang paling utama ialah harta yang kamu miliki. 

(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan dalam Musnad al-Shamiyyin. Lihat Silsilah al-Dhai’fah no. 4375). Status hadith: Lemah

 

​Allah ﷻ uji kita dengan anak pinak dan harta untuk lihat sama ada kita terlalu sibuk dengan mereka atau tidak. Ini kerana ada orang yang gagal dengan ujian ini, sampaikan harta dan anak pinak mereka menyebabkan mereka lalai dari agama.

 

 

وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Pahala besar bagi mereka yang dapat melepasi ujian ini. Allah ﷻ beri banyak kebaikan kepada hamba-Nya. Ujian Allah ﷻ berikan itu adalah untuk menentukan siapa yang layak mendapat kebaikan pahala itu. 


Taghabun Ayat 16: Ini adalah ayat yang penting tentang usaha kita dalam agama. Kadangkala kita rasa kita tidak buat amal ibadat seperti orang lain yang lagi hebat, bukan?

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا استَطَعتُم وَاسمَعوا وَأَطيعوا وَأَنفِقوا خَيرًا لِّأَنفُسِكُم ۗ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So fear Allāh as much as you are able and listen and obey and spend [in the way of Allāh]; it is better for your selves. And whoever is protected from the stinginess of his soul – it is those who will be the successful.

(MELAYU)

Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا استَطَعتُم

Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu

Kita hanya disuruh buat ibadat dan jadi hamba Allah ﷻ setakat yang kita mampu sahaja. Kita tidak disuruh membuat lebih lagi daripada kemampuan kita. Cuma kita kenalah tahu kemampuan kita. Kita kena sentiasa berusaha untuk menambah amal dan ilmu kita.

Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“إذا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَائْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، وَمَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ”

Apabila kuperintahkan kepada kalian suatu perkara, maka kerjakanlah hal itu olehmu menurut kesanggupanmu; dan apa saja yang aku larang kalian mengerjakannya, tinggalkanlah.

(HR. Bukhari, no. 7288 dan Muslim, no. 1337)

 

 

Ini haruslah dilihat kepada potensi kita. Kalau kita mampu buat sampai 70%, maka kita kena buat amal setinggi 70% juga. Jangan kita buat senang goyang kaki setakat 40% sahaja. Jangan kita terlalu menyeksa diri kita dengan buat perkara yang kita tidak mampu.

 

Daripada Sa’id ibnu Jubair sehubungan dengan makna firman Allah ﷻ: bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (Ali Imran: 102) Bahawa ketika ayat ini diturunkan, kaum Muslim beramal dengan sekuat-kuatnya. Mereka terus-menerus mengerjakan qiyam (solat sunat) hingga tumit kaki mereka bengkak dan kening mereka bernanah. Maka Allah menurunkan ayat ini untuk meringankan mereka (kaum Muslim), iaitu firman-Nya: Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu, (At-Taghabun: 16) Maka ayat ini menilai kembali pengertian yang terdapat pada ayat yang di atas tadi.

(Hadith Riwayat Ibnu Abi Hatim. Lihat Ibnu Katsir 6/112 dan Qurthubi : 10/6869)

 

 

Bertaqwalah semampu kita. Jangan berlebihan sampai menyebabkan diri kita yang susah kerana melakukan lebih daripada kemampuan kita yang terhad. Asalkan kita menjaga taqwa kita.

Maksud taqwa itu adalah ingat dan sedar Allah ﷻ sentiasa melihat kita. Apabila kita sedar Allah ﷻ melihat kita, maka kita akan lakukan sebaik mungkin. Kita tidak akan berani untuk membuat dosa kerana kita sedar Allah ﷻ sedang melihat kita. Maka untuk elak daripada membuat dosa, kena sedar mana yang boleh dibuat dan mana yang patut ditinggalkan.

Oleh sebab itu, seseorang yang bertaqwa akan sentiasa menilai setiap perbuatannya sama ada diredhai oleh Allah ﷻ ataupun tidak. Ini memerlukan pembelajaran dan ilmu yang perlu dicari.

 

وَاسمَعوا وَأَطيعوا

dan dengarlah serta taatlah

Dengar dan taat kepada ajaran agama. Selepas dengar, kena taat.

Ramai orang kata dia ‘taat’  namun persoalannya, dia sudah ‘dengar’kah apa yang dia patut taat? Sekiranya tidak belajar agama dengan mahir, mana mungkin seseorang itu boleh mengaku yang dia sudah taat? Maka kenalah belajar agama dan kenalah selalu baca Al-Qur’an. Belajarlah hukum seperti yang Allah ﷻ kehendaki. 

 

وَأَنفِقوا خَيرًا لِّأَنفُسِكُم

dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu.

Sekarang masuk kepada perbincangan infak. Kenalah infak atas jalan agama atau untuk kebaikan. Kita telah sebutkan yang surah-surah musabbihaat ini tentang jihad dan infak. Kedua-dua perkara ini adalah beriringan kerana untuk menjalankan jihad, memerlukan infak, bukan? Tidak kiralah jihad sinan (perang) atau jihad lisan (dakwah dengan mulut).

Dalam infak itu kita keluarkan harta tetapi kenapa Allah ﷻ kata untuk diri kita? Bagaimanakah jadi begitu? Bukankah bila kita infak, kita beri kepada orang lain akan mengurangkan harta kita?

Tidak sebenarnya kerana bila kita infak, sebenarnya kita sedang menyimpan harta kita di akhirat dan menjadi kebaikan yang amat banyak bagi diri kita kelak.

 

وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan barangsiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Penghalang manusia daripada melakukan infak adalah kikir atau sifat kedekut. Maka mereka itu malang kerana mereka takut untuk infak harta mereka disebabkan bimbang akan jatuh miskin. Maka mereka tidak mendapat kebaikan yang banyak daripada Allah ﷻ.

Sesiapa yang diselamatkan daripada sifat pentingkan diri sendiri, mereka itulah orang-orang yang beruntung sungguh. Namun untuk mendapat sifat baik ini, kenalah belajar. Oleh kerana bila kita sudah faham, maka senang untuk kita infak dan berpisah dengan harta kita.

Sebagai permulaannya hendaklah berlatih dengan infak sikit-sikit dahulu. Biasakan diri dengan memberi yang kecil-kecil dahulu. Lama kelamaan Allah ﷻ akan beri kemudahan kepada kita untuk infak dengan lebih banyak. Ia hendaklah dimulai dengan kecil dahulu.

Begitu jugalah dengan ibadah yang lain. Kita kena biasakan diri kita dengan ibadah yang ringan-ringan dahulu. Kalau kita terus buat yang berat, nanti kita akan terasa ia terlalu berat untuk meneruskannya sebab kita manusia mempunyai kemampuan yang terbatas. Sedangkan sepatutnya kita biasakan diri kita dengan amalan yang ringan-ringan terlebih dahulu. Apabila kita istiqamah, maka Allah ﷻ akan beri kekuatan dan taufiq untuk kita buat yang lebih lagi.


Taghabun Ayat 17: Allah ﷻ menyebut tentang kelebihan infak. 

إِن تُقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا يُضٰعِفهُ لَكُم وَيَغفِر لَكُم ۚ وَاللَّهُ شَكورٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you loan Allāh a goodly loan, He will multiply it for you and forgive you. And Allāh is Most Appreciative and Forbearing,

(MELAYU)

Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.

 

إِن تُقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا

Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik,

Ini adalah ayat tentang infak lagi. Allah ﷻ selalu mengulang-ulang tentang infak ini kerana ia adalah ubat bagi penyakit nifaq. Untuk hilangkan sifat nifaq, kita kena banyak infak harta kita. 

Qardul hasan adalah infak yang ikhlas yang diberikan daripada hati yang baik.

Sebelum ini telah disebut ahli keluarga kita boleh menjadi musuh kita kerana ia boleh menyebabkan kita jauh daripada agama. Maka suami isteri kena faham agama kerana apabila suami isteri bersatu hati atas dasar agama, barulah senang untuk infak. Kalau tidak, jika nanti suami hendak infak, isteri akan menghalang kerana takut bahagian untuk dia pula berkurangan.

Akan tetapi Allah ﷻ menggunakan istilah ‘pinjaman’ di dalam ayat ini kerana hendak mengingatkan kita yang Dia pasti akan balas. Sebagaimana kalau kita meminjam harta orang kita kena pulangkan, maka Allah ﷻ berjanji akan pulangkan kepada kita.

 

يُضٰعِفهُ لَكُم

nescaya Allah melipat gandakan balasannya kepadamu

Allah ﷻ menghargai infak yang manusia keluarkan. Allah ﷻ akan balas dan Allah ﷻ bukan balas sama banyak dengan harta yang kita infakkan tetapi Allah ﷻ akan balas berganda-ganda. Tidak pernah ada orang jatuh miskin kerana infak.

 

وَيَغفِر لَكُم

dan mengampuni kamu. 

Malah lebih hebat lagi, Allah ﷻ akan mengampunkan dosa kita. Kita ini adalah manusia yang banyak dosa, maka eloklah kalau kita dapat bersihkan dosa kita dengan infak sebanyak yang mungkin.

 

وَاللَّهُ شَكورٌ حَليمٌ

Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.

Allah ﷻ syakur itu bermaksud Allah ﷻ menghargai apa yang kita infak itu. Oleh kerana itu Allah ﷻ balas berganda-ganda. Memang tidak ada rugi langsung kalau kita infak.

Maksud ‘halim’ adalah Allah ﷻ tahu apa yang kita lalui. Allah ﷻ tahu susahnya kita hendak dapatkan harta dan kemudian susah pula untuk keluarkan harga itu. Oleh kerana itu Allah ﷻ beri balasan yang berganda-ganda. 


Taghabun Ayat 18: Allah ﷻ terus menyebut Sifat-Nya supaya kita terus kenal Dia.

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Knower of the unseen and the witnessed, the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata

Allah ﷻ tahu yang nyata dan ghaib bagi hamba. Perkara yang nyata bagi makhluk itu Allah ﷻ tahu, dan yang ghaib bagi makhluk pun Allah tahu kerana tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah ﷻ. 

Jelaslah yang tahu hal ghaib hanyalah Allah ﷻ sahaja. Akan tetapi manusia yang jahil agama dan ada sifat syirik dalam diri mereka, mereka kata ada juga makhluk yang tahu perkara ghaib. Mereka kata Nabi tahu perkara ghaib, atau wali itu tahu perkara ghaib, atau guru mereka hebat sampai tahu perkara ghaib. Ini adalah fahaman yang syirik dan mestilah dijauhkan.

 

العَزيزُ الحَكيمُ

Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Gagah Perkasa dan Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja. Allah ﷻ boleh terus beri azab kepada hamba-Nya yang telah melakukan kesilapan dosa. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah ﷻ kalau Allah ﷻ sudah buat keputusan itu.

Namun begitu kita tahu yang Allah ﷻ tidaklah terus beri azab. Ini adalah kerana Allah ﷻ Maha Bijaksana dan beri tangguh kepada manusia. kerana kalau Allah ﷻ tidak beri tangguh, maka tentulah tidak ada manusia yang hidupdi  atas muka bumi lagi ini kerana ada sahaja dosa dan kesilapan kita.

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Taghabun ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Talaq.

Tarikh: 24 Februari 2022

Ringkasan Surah Taghabun


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Taghabun Ayat 10 – 13 (Hakikat musibah)

Taghabun Ayat 10: Ayat Takhwif Ukhrawi. 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ خٰلِدينَ فيها ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who disbelieved and denied Our verses – those are the companions of the Fire, abiding eternally therein; and wretched is the destination.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami,

Kufur itu bermaksud menutup pintu hatinya daripada menerima kebenaran. Bila ditutup pintu hati itu, maka dia akan menjadi kufur.

Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ adalah tidak menghiraukan wahyu Al-Qur’an iaitu buat tidak kisah sahaja dengan Al-Qur’an ini. Tidak ada keinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an supaya dapat memahami kehendak Allah ﷻ. Mereka tidaklah kata ayat Allah ﷻ itu ‘dusta’, tetapi bila tidak menghiraukannya, itu sudah termasuk ‘mendustakan’ ayat-ayat Allah ﷻ.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ خٰلِدينَ فيها

mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. 

Apabila tidak hiraukan ajaran Al-Qur’an dengan tidak mempelajari tafsir, maka mereka akan menjadi ahli neraka. Kenapa sampai begini sedangkan ada pendapat yang mengatakan belajar tafsir Al-Qur’an ini adalah sunat sahaja?

Ini adalah kerana syaitan akan mengambil peluang atas kejahilan orang itu untuk terus menyesatkan orang itu. Syaitan akan sesatkan supaya orang itu melakukan dosa syirik. Perkara berkenaan syirik pula banyak disentuh di dalam Al-Qur’an. Maka untuk tahu tentang mana yang tauhid dan mana yang syirik hendaklah dipelajari dan difahami daripada Al-Qur’an.

Apabila jahil wahyu Al-Qur’anlah yang menyebabkan ramai yang melakukan syirik tanpa sedar. Dosa syirik akan mengekalkan pelakunya dalam neraka selama-lamanya.

 

وَبِئسَ المَصيرُ

Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Tidak ada tempat kembali yang lebih buruk dari neraka itu. Tidak akan rasa selesa langsung di dalamnya. Azab tidak pernah berhenti dan tidak akan rasa lali dengan azab itu. Maknanya, ia akan sentiasa sahaja menyakitkan.

Ramai dalam kalangan orang Islam tidak kenal neraka kerana tidak belajar sifat-sifatnya kerana itu mereka tidak takut dengan neraka. Kalau kita tanya mereka adakah wujud neraka itu, mereka akan jawab ya. Namun cara hidup mereka seolah-olah menunjukkan mereka tidak hiraukan pun. Mereka seolah-olah tidak takut kalau mereka masuk neraka.

Ini adalah kerana tidak belajar sifat-sifat neraka seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an dan juga hadith. Ini kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi.

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


Taghabun Ayat 11: Selepas disebut tentang berita-berita buruk kalau ingkar dengan wahyu, maka sekarang kita kena masuk kepada kisah kemanisan iman yang kita sebutkan di dalam pengenalan surah ini. Maka ayat ini sekarang disampaikan kepada orang mukmin. Semasa mereka hidup di dunia, mungkin mereka hidup dalam kesusahan dan kepayahan. Namun jangan bersedih kerana ada berita baik bagi mereka.

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No disaster strikes except by permission of Allāh. And whoever believes in Allāh – He will guide his heart. And Allāh is Knowing of all things.

(MELAYU)

Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ

Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah;

Apa-apa sahaja musibah yang dikenakan kepada manusia adalah dengan izin Allah ﷻ. Memang kita nampak ada makhluk yang mengenakan perkara itu kepada kita, akan tetapi ketahuilah yang ia tidak akan terjadi tanpa izin Allah ﷻ. Tidak akan bergerak satu zarrah pun melainkan dengan izin Allah ﷻ.

Perkara yang sama telah juga disebut sebelum ini dalam Hadid: 22-23. Kalimah  أَصابَ  bermaksud sesuatu yang dikenakan tepat kepada tempatnya. Seperti anak panah yang tepat kena sasaran.

Bullseye Stock Illustrations, Royalty-Free Vector Graphics & Clip Art - iStock | Target, Bullseye target, Bullseye icon

Ini bermaksud apa sahaja yang kena kepada kita memang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan memang kita tidak boleh elak kerana Allah ﷻ tidak pernah tersasar daripada sasaran-Nya. Oleh itu kita tidak boleh kata “Jikalaulah aku tidak pergi ke sana, tentu aku tidak jadi begini dan begini ….” kerana ini sudah menidakkan takdir Allah ﷻ. Memang apa yang terjadi kepada kita adalah kehendak Allah ﷻ dan tidak dapat dielak lagi. 

‘Musibah’ itu dalam bahasa Arab boleh menjadi apa-apa saja yang dikenakan kepada kita dan tidak semestinya terhad kepada perkara yang buruk sahaja seperti yang selalu kita gunakan di dalam bahasa kita.

Maka perkara ini penting kerana ada manusia yang tidak dapat menerima takdir Allah ﷻ apabila apa-apa saja yang berlaku, dan kerana itu mereka mempersoalkan: “Kenapa benda ini terjadi kepada aku?….” dan “kenapa Allah buat begini kepada aku?…” dan lain-lain lagi kata-kata yang bersifat kufur kerana menolak takdir.

Oleh kerana tidak dapat terima perkara inilah maka ramai yang tidak percaya dengan Tuhan dan menjadi atheis. Mereka berhujah tidak mungkin ada Tuhan kerana kalau benar ada Tuhan, tentulah Tuhan tidak akan menjadikan perkara-perkara yang buruk. Mereka lihat musibah dalam dunia ini teruk sangat. Sebagai contoh, mereka lihat ada anak kecil yang dapat barah dan mereka kata: “Tuhan jenis apa yang buat begini?”

Benar, amat susah untuk kita terima sahaja musibah dan takdir yang telah ditetapkan kepada kita kerana kadang-kadang ia adalah terlalu pahit untuk ditelan. Namun itulah tanda iman yang kuat dan teguh tanpa goyah. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memuji sesiapa yang boleh beriman walaupun mereka dikenakan dengan musibah.

Mereka tetap beriman dan tidak marah kepada Allah ﷻ. Mereka itu telah mendapat kelebihan kerana dapat sabar dalam apa jua keadaan. Keimanan mereka telah diuji. Mereka telah mendapat kemanisan iman sampaikan musibah pun senang sahaja mereka terima.

Perkara ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang ada ilmu tentang Allah ﷻ. Mereka tahu bahawa apa-apa sahaja yang terjadi bukanlah kemalangan namun ia hanya terjadi dengan izin Allah ﷻ. Mereka sedar yang mereka itu hanyalah hamba Allah ﷻ dan sebagai seorang hamba, mereka tidak layak mempersoalkan keputusan Allah ﷻ untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka sedar yang terjadi itu memang terjadi kerana kehendak Allah ﷻ.

 

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ

dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.

Sesiapa yang dapat beriman dan percaya bahawa apa-apa musibah yang Allah ﷻ berikan itu adalah ujian daripada Allah ﷻ, maka mereka itu akan mendapat kelebihan. Mereka sedar yang musibah itu boleh menjadi punca untuk Allah ﷻ beri pahala kepada seseorang kerana sabar. Oleh kerana mereka sedar tentang perkara ini, maka Allah ﷻ akan pimpin hati mereka untuk dapat bersabar.

Dia juga sedar yang kalau dia sabar di dunia ini dengan musibah yang Allah ﷻ berikan kepadanya, maka dia akan mendapat ganjaran tertinggi iaitu syurga. Dia sedar bahawa di syurga nanti segala musibah yang di dunia tidak ada ertinya kerana semua akan dilupakan dek kerana banyaknya nikmat di syurga nanti.

Orang yang mendapat petunjuk itu akan menyerahkan urusannya kepada Allah ﷻ.  Yakni mengembalikan segala sesuatu kepada Allah ﷻ dan mengatakan:

{إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}

Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan hanya kepada-Nyalah kami dikembalikan. (Al-Baqarah: 156)

 

 

Di dalam sebuah hadith yang telah disepakati kesahihannya telah disebutkan sebagai berikut:

 

عَجَبًا لِلْمُؤْمِنِ، لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ قَضَاءً إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ، إِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاء صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاء شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ”

Sungguh mengagumkan orang mukmin itu, tiadalah Allah memutus­kan suatu keputusan baginya kecuali adalah kebaikan belaka baginya. Jika dia tertimpa kedukaan, maka dia bersabar, dan bersabar itu adalah baik baginya. Dan jika dia mendapat kesukaan, maka bersyukurlah dia dan bersyukur itu lebih baik baginya. Dan hal itu tidak didapati pada seorang pun kecuali pada diri orang mukmin.

(HR Muslim No 2999)

 

 

Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin - Yayasan Cinta Sedekah

 

Kita tidak boleh berdoa kepada Allah ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang penyabar (kerana kita minta bala sebenarnya kalau kita minta Allah ﷻ jadikan kita sebagai seorang penyabar). Maka untuk jadi penyabar, kita haruslah melengkapkan diri kita dengan ilmu kefahaman tentang takdir. Lagi satu kena sedar yang kita ini hamba dan Allah ﷻ itu Rabb. Bila dapat pemahaman ini, barulah dapat sabar.

Kalau tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ramai manusia putus asa kerana mereka tidak meletakkan pengharapan mereka kepada Allah. Apabila mereka terkena musibah, mereka sangka ada manusia yang ada kuasa, atau perkara itu terjadi dengan sendiri tanpa urusan Allah ﷻ.

Malah yang lebih teruk lagi, kalau mereka percaya ada entiti lain selain Allah ﷻ yang menjadikan musibah pada dirinya. Mungkin ada yang kata wali yang sudah mati marah kepada mereka; atau hantu yang ganggu mereka; atau jin bagi mereka sakit; dan sebagainya lagi fahaman-fahaman khurafat dan syirik yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat kita yang lemah iman dan tiada ilmu agama.

Sedangkan kalau orang yang benar-benar beriman dengan Allah ﷻ, mereka akan tenang sahaja kalau ada apa-apa musibah terjadi kepada mereka. Mereka tahu Allah ﷻ yang izinkan perkara itu terjadi dan tidak ada selain-Nya yang menjadikan perkara itu.

Allah ﷻ berjanji di dalam ayat ini kepada sesiapa yang dapat mengekalkan imannya walaupun setelah dikenakan dengan musibah, maka Allah ﷻ akan menetapkan hatinya di atas iman. Mereka akan mendapat kemanisan iman itu yang amat-amat indah. Untuk faham ayat ini, maka kita boleh baca Surah Yusuf dan lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام itu diuji berkali-kali dengan ujian yang besar namun baginda tetap juga beriman.

Kisah itu penting kerana kalau kita boleh persoalkan keputusan Allah ﷻ, maka kita boleh mempertikaikan apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap Nabi Yusuf عليه السلام itu. Ini kerana baginda tidak ada buat apa-apa kesalahan, tetapi baginda tetap juga diuji dengan ujian yang berat-berat. 

 

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ﷻ tahu duduk perkara sesuatu kejadian itu. Kita sering bersangka buruk kalau apa-apa musibah terjadi kepada kita. Ini kerana ilmu kita terhad. Kita hanya nampak satu bahagian sahaja. Namun Allah ﷻ yang menjadikan sesuatu perkara itu tahu sama ada perkara itu baik untuk kita atau tidak.

Kita kena redha dengan keputusan Allah ﷻ itu dan yakin bahawa ada kebaikan dalam apa sahaja perkara yang Allah ﷻ telah jadikan. Kita sahaja yang tidak nampak dan tidak memahaminya. Allah ﷻ tahu apa yang terjadi kepada kita, bukannya Dia tidak tahu. Maka janganlah kita berkeluh kesah, kerana Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan kita. Percayalah yang ada kebaikan dalam sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Allah ﷻ tahu siapakah yang benar-benar beriman. Oleh kerana Allah ﷻ tahu, maka Allah ﷻ tahu siapakah yang layak diberikan petunjuk kepada orang itu. Kita telah sebut sebelum ini, kalau beriman maka Allah ﷻ akan beri petunjuk kepada orang itu.


Taghabun Ayat 12: Sekarang Allah ﷻ ajar kita bagaimana cara kita menjaga iman kita semasa kita mendapat musibah. Caranya adalah dengan melakukan taat kepada Allah ﷻ dan Rasul.

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ ۚ فَإِن تَوَلَّيتُم فَإِنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And obey Allāh and obey the Messenger; but if you turn away – then upon Our Messenger is only [the duty of] clear notification.

(MELAYU)

Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ

Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul,

Hendaklah taat kepada Allah ﷻ dengan melakukan ibadat kepada-Nya. Apabila kita ditimpa musibah maka sebenarnya kita kena lebih kuat lagi beribadat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sedang mengingatkan kita kepada-Nya. Kemungkinan besar masalah yang kita hadapi berpunca daripada kita lupa kepada Allah ﷻ dan tidak menjalankan tanggungjawab kita. Maka apabila dikenakan dengan musibah adalah masa untuk kita kembali bertaubat kepada Allah ﷻ dan meningkatkan ibadah kepada-Nya.

Bagaimana hendak taat kepada Allah ﷻ dan Rasul? Iaitu dengan mempelajari wahyu dalam bentuk Al-Qur’an (taat kepada Allah ﷻ) dan hadith yang sahih (taat kepada Rasul). Kedua-dua ini adalah wahyu daripada Allah ﷻ jua dan ia akan memimpin kita supaya kita dapat taat dengan benar. Ini kerana ramai yang menyangka mereka taat, tetapi kalau ia bukan mengikut acuan daripada wahyu, itu bukanlah taat namanya.

Para sahabat yang telah menjalankan tugas mereka menegakkan agama Allah ﷻ juga telah menerima dugaan dan ini bermakna walaupun kita buat kerja-kerja agama dan kita telah benar pun, tetapi ujian masih tetap ada. Ujian itu amat banyak sekali seperti kehilangan orang yang dikasihi, kesakitan di dalam perang, kesusahan dalam usaha dan sebagainya.

Maka janganlah kita salahkan Allah ﷻ ataupun sangka Allah ﷻ tidak suka kepada kita jika kita telah melakukan perkara-perkara ketaatan namun tetap juga ada kesusahan dan kepayahan. Contohilah para Nabi dan sahabat yang tetap sabar dalam menerima dugaan yang Allah ﷻ telah berikan.

Kesusahan yang dialami oleh penegak agama itu semuanya dalam perancangan Allah ﷻ sebagaimana yang terjadi ke atas Nabi Musa عليه السلام yang Allah ﷻ ilhamkan kepada ibunya untuk membuangnya ke dalam sungai. Namun akhirnya Allah ﷻ selamatkan Nabi Musa عليه السلام. Akan tetapi tentulah ibu Nabi Musa عليه السلام tidak mengetahui apa yang akan terjadi, bukan?

Maka begitulah kita tidak nampak hujung kepada rancangan Allah ﷻ itu dan kerana itu kita kenalah bertawakal dan redha dengan apa yang Allahﷻ lakukan kerana itu semua sebahagian daripada rancangan Allah ﷻ.

 

فَإِن تَوَلَّيتُم فَإِنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ

jika kamu berpaling sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

Sekiranya berpaling daripada dakwah tauhid dan ajaran agama itu, tidaklah Rasul itu bersalah. Ini kerana tugas seorang Nabi adalah menyampaikan sahaja, bukannya harus memastikan orang mengikut ajakan baginda.

Maka begitu jugalah para pendakwah agama ini. Kita tidak perlu memastikan semua orang ikut ajakan dakwah kita. Yang kita perlu lakukan adalah menyampaikan ajaran agama ini dan terpulang kepada mereka sama ada terima ataupun tidak. Ia adalah di luar kawalan dan kemampuan kita.

Sekiranya kita beriman dalam mendapat musibah, kita akan mendapat petunjuk. Namun kalau kita berpaling daripada beriman, kita sendiri yang tanggung. Para Rasul tidak bersalah pun dan tidak ada kena mengena dengan kesalahan kita itu dan tidak bertanggungjawab.

Sebagaimana tugas para Rasul menyampaikan dengan ‘jelas’, maka kita pun kena sampaikan ajaran agama ini dengan jelas. Tidak perlu kita cakap pusing-pusing, tetapi beritahulah dengan jelas nyata. Beritahulah mana yang boleh buat dan mana yang tidak boleh buat kerana kalau kita pusing-pusing bahasa dan cara penyampaian kita, nanti ada orang tidak faham pula.


Taghabun Ayat 13: Ini adalah Dakwa Surah ini. Dakwa surah ini adalah tentang Tauhid. Allah ﷻ kembali mengingatkan perkara yang amat penting sekali, iaitu tauhid.  

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh – there is no deity except Him. And upon Allāh let the believers rely.

(MELAYU)

(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja.

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia.

Tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Inilah ajaran utama para Rasul dan para pendakwah agama. Kena beritahu ini sebagai perkara utama kepada masyarakat.

Ramai yang keliru tentang perkara ini kerana ramai yang tidak faham apakah maksud ‘ilah‘ itu sendiri. Disebabkan tidak faham maksud ilah ini, ramai dalam kalangan masyarakat kita berzikir lama dan panjang dengan kalimah tauhid ini, namun dalam masa yang sama, mereka langgar apa yang mereka lafazkan berkali-kali itu.

Oleh kerana tidak faham tentang mana satu tauhid dan mana yang syirik, maka ramai dalam kalangan masyarakat kita telah melakukan syirik. Ramai yang bertawasul dalam berdoa; ramai yang pergi jumpa bomoh; ramai yang melafazkan perkara yang jatuh ke dalam syirik tanpa sedar; ramai yang melakukan perkara tahyul dan khurafat.

 

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakal kepada Allah saja.

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang jika kamu orang yang percaya kepada kalimat lailahaillallah, maka bagaimana kamu tidak boleh bertawakal kepada Allah ﷻ? 

Maksud tawakal ini adalah berusaha dan kemudian serahkan kepada Allah ﷻ apakah kesannya. Bukannya hanya semata-mata terus serah kepada Allah ﷻ tetapi kenalah usaha dahulu kerana kita masih lagi boleh berusaha. Akan tetapi selepas usaha, serahkan kepada Allah ﷻ sama ada menjadi atau tidak usaha kita itu. Kemudan kita kena redha dan terima apa sahaja keputusan Allah ﷻ.

Sahabat tidak nampak apakah yang akan terjadi di masa hadapan dan mereka waktu itu sentiasa di dalam dugaan tetapi mereka teruskan juga perjuangan mereka kerana mereka bertawakal kepada Allah ﷻ. Mereka tidak tahu yang akhirnya Islam akan berjaya dan mereka akan mengalahkan musuh mereka. Kalau mereka sudah tahu dari awal, tentu senang hati mereka. Akan tetapi mereka tidak tahu, yang menguatkan diri mereka adalah tawakal mereka kepada Allah ﷻ dan percaya kepada janji daripada Rasulullah ﷺ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 10 Februari 2022

Ringkasan Surah Taghabun


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an