Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 6 – 9 (Bolehkah berkawan dengan orang kafir?)

Mumtahanah Ayat 6:

لَقَد كانَ لَكُم فيهِم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has certainly been for you in them an excellent pattern for anyone whose hope is in Allāh and the Last Day. And whoever turns away – then indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu; (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dialah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.

 

 

لَقَد كانَ لَكُم فيهِم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ

Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu;

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa tidak boleh mendoakan orang-orang yang syirik supaya selamat tetapi kita disuruh pula ikut Nabi Ibrahim عليه السلام. Maknanya mengikut keseluruhan sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام melainkan doa kepada bapanya itu; yang lain-lain boleh ikut.

Maka ikutlah cara mereka beragama dan pegang agama, cara mereka sanggup meninggalkan ahli keluarga mereka yang kafir dan tidak mendengar nasihat, cara mereka berdoa dengan khusyuk dan pengharapan mereka kepada Allah ﷻ.

 

 

لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ

bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. 

Bagi orang yang ada meletakkan harapan untuk mendapatkan kebaikan di Hari Akhirat kelak, maka mereka akan belajar apakah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan umat baginda dan apa yang mereka amalkan. Ini kerana mereka sedar yang mereka akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka lakukan. Mereka juga berharap supaya Allah ﷻ memandang mereka dengan pandangan rahmat.

 

 

وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dialah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.

Kalau kamu wahai manusia berpaling daripada taat kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ itu Maha Kaya dan tidak memerlukan iman kamu. Salah satu daripada ketaatan yang perlu ditunjukkan adalah memutuskan perhubungan dengan orang-orang kafir dan musyrik yang menentang Islam seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda.

Allah ﷻ juga tidak memerlukan pujian kita pun kerana Dia bersifat al-Hameed. Memang Dia sudah sedia kala terpuji (walaupun tidak ada yang puji). Allah ﷻ tidak memerlukan makhluk untuk memuji diri-Nya kerana sama ada makhluk puji atau tidak, Allah ﷻ tetap ada sifat-sifat terpuji itu.

Habis Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Mumtahanah Ayat 7: Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira) yang mengandungi janji Allah ﷻ. Ada sahabat yang berhajat supaya orang Mekah menjadi orang mukmin. Sekarang Allah ﷻ beritahu yang hasrat itu akan dimakbulkan.

۞ عَسَى اللهُ أَن يَجعَلَ بَينَكُم وَبَينَ الَّذينَ عادَيتُم مِّنهُم مَّوَدَّةً ۚ وَاللهُ قَديرٌ ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps Allāh will put, between you and those to whom you have been enemies among them, affection. And Allāh is competent,¹ and Allāh is Forgiving and Merciful.

  • To accomplish this or whatever He should will.

(MELAYU)

Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

 

عَسَى اللهُ أَن يَجعَلَ بَينَكُم وَبَينَ الَّذينَ عادَيتُم مِّنهُم مَّوَدَّةً

Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka.

Sebelum ini telah disebut yang niat Hatib untuk beritahu keluarganya adalah untuk menyelamatkan mereka daripada kufur. Kerana beliau rasa sekiranya beliau ada ruang untuk memberi peluang kepada mereka untuk menyelamatkan diri, dan kemudian beliau terus berdakwah kepada mereka, mereka tentu akan masuk Islam. Niat itu sudah baik tetapi caranya yang salah (niat tidaklah menghalalkan cara).

Hatib nampak yang apabila peperangan berlaku di Mekah, tentu nanti akan ada pertumpahan darah yang banyak. Memang nampak macam peperangan itu hendak membunuh musuh, tetapi Allah ﷻ ada perancangan sendiri. Kemasukan Rasulullah ﷺ dan umat Islam Madinah ke Mekah adalah untuk masukkan orang Mekah itu ke dalam Islam.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام yang memutuskan hubungan dengan kaumnya yang syirik. Tentu ini adalah amat susah sekali untuk dilakukan oleh para sahabat waktu itu. Maka Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ boleh melembutkan hati orang kafir itu untuk menerima Islam. Dan ini memang terjadi di dalam Pembukaan Mekah. Mereka ramai-ramai masuk Islam dan ini sudah ada dalam perancangan Allah ﷻ.

Ketika ayat ini diturunkan, para sahabat tidak nampak bagaimana ini boleh terjadi. Namun tidak lama selepas itu, memang ia benar-benar terjadi. Memang tidak lama selepas ayat ini diturunkan, Mekah telah jatuh ke tangan umat Islam. Surah ini memang tentang perbuatan Hatib yang membocorkan rahsia rancangan Nabi Muhammad ﷺ untuk menyerang Mekah pun. Maknanya, sudah dekat sangat rombongan ke Mekah akan pergi.

Hakikatnya, walaupun umat Islam datang untuk menyerang Mekah, tetapi entah berapa kerat sahaja penduduk Mekah yang dibunuh. Ini adalah kerana Allah ﷻ beri taufik kepada mereka ramai-ramai masuk Islam. Maka para sahabat nampak dengan mata mereka sendiri bagaimana janji Allah ﷻ itu menjadi kenyataan di hadapan mereka. Allah ﷻ sebut kejadian ini dalam Nasr: 2

يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا

manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,

 

 

Maka ayat ini memberi berita gembira yang permusuhan antara Muslim dan kafir tidak lama lagi akan berakhir. Ini merupaka berita baik kepada para sahabat kerana ramai yang ahli keluarga mereka masih lagi kafir dan tidak mahu lagi masuk Islam. Allah ﷻ beri berita gembira dalam ayat ini yang mungkin mereka akan ramai-ramai masuk Islam.

Maka begitulah kita dengan ahli keluarga kita kalau ada antara mereka belum Muslim lagi. Mereka mungkin tidak dapat terima jalan agama kita lagi, tetapi kita tidak tahu bila Allah ﷻ akan melembutkan hati mereka. Maka hendaklah kita tetap berbaik dengan mereka. Jangan kita hina dan putuskan hubungan dengan mereka kalau mereka tidak keras menentang kita. Kena tunjukkan akhlak yang baik kepada mereka.

Contoh terbesar yang kita boleh lihat adalah Abu Sufyan. Beliau asalnya adalah penentang keras kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Islam, malah telah menjadi pemimpin menyerang umat Islam. Akan tetapi beliau masuk Islam semasa Pembukaan Mekah (ada pendapat yang mengatakan sebelum itu lagi) dan menjadi seorang Muslim yang baik dan berkhidmat untuk agama Islam.

 

 

وَاللهُ قَديرٌ

Dan Allah adalah Maha Kuasa. 

Allah ﷻ boleh saja membuka hati manusia yang bukan Muslim untuk masuk Islam setelah sekian lama. Ini kerana Allah ﷻ memang berkuasa termasuk berkuasa terhadap hati-hati manusia. Ini telah terjadi selepas Pembukaan Mekah di mana ramai penduduk Mekah yang dulunya tidak masuk Islam tetapi apabila diajak untuk masuk Islam semasa Pembukaan Mekah, maka mereka ramai-ramai masuk Islam dengan rela hati.

Allah ﷻ juga berkuasa untuk mengubah hati manusia yang bermusuhan menjadi lembut sesama sendiri seperti yang disebutkan dalam firman-Nya mengenai anugerah yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang Ansar:

{وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا} الْآيَةَ

dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. (Ali Imran: 103), hingga akhir ayat.

 

 

 

Dan firman Allah ﷻ:

{هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ}

Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Anfal: 62-63)

 

 

وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ boleh mengampunkan dosa mereka yang dulunya tidak masuk Islam dan malah ada yang dulunya menentang Islam. Selagi mereka boleh mengubah sikap mereka terhadap Islam, maka Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan dosa mereka.

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa mereka kerana Allah ﷻ bersifat raheem, maha penyayang terhadap hamba-Nya. Kalau orang yang kita sayang minta maaf kepada kita, senang sahaja kita hendak maafkan, bukan? Allah ﷻ berlebih-lebihan lah sayang kepada kita, makhluk-Nya. Maka kerana itu Allah ﷻ senang mengampunkan dosa hamba-Nya.


 

Mumtahanah Ayat 8: Ini adalah undang-undang perhubungan antara kita orang Muslim dengan orang-orang bukan Muslim. Sekiranya orang bukan Islam itu telah ada perjanjian dengan kita untuk hidup dengan aman, maka kita boleh berbuat baik dengan mereka. Ini adalah jenis Kafir Dzimmi dan Kafir Mu’ahad.

Kafir Dzimmi adalah orang kafir yang meminta perlindungan dari negara-negara Islam untuk melindungi mereka dengan syarat mereka perlu membayar wang perlindungan. Al-dzim bermaksud ‘perlindungan’.

Manakala Kafir Mu’ahad pula adalah orang kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam, seperti mana orang kafir yang ada di dalam negara kita. Mereka ada perjanjian dengan kita. Mereka juga merupakan rakyat dalam negara ini.

Selama mana mereka mematuhi perundangan dan perjanjian dalam negara ini, maka mereka adalah termasuk dalam golongan yang dinamakan kafir mu’ahad. Maka umat Islam dilarang menyakiti mereka, dilarang juga mengambil harta dan hak mereka, dan hukumnya adalah haram kerana mereka adalah orang kafir yang telah mengikat perjanjian dengan kita. Tidak boleh kita sakiti mereka atau melanggar perjanjian yang dibuat dengan mereka.

Akan tetapi dengan orang Kafir Harbi, kita tidak boleh berbuat baik sedikit pun dengan mereka kerana mereka telah menghina Islam, menentang Islam dan kerana itu Allah ﷻ suruh kita bunuh mereka (tetapi dalam suasana Jihad).

Kafir Harbi adalah musuh umat Islam, yang ada peperangan antara kita dan mereka. Tentunya peperangan itu dengan mengikut ketentuan Syarak. Mengapa kita memerangi mereka adalah kerana mereka melanggar perjanjian yang termeterai antara mereka dengan kaum Muslimin, seperti Yahudi di Madinah. Namun begitu buat masa sekarang tidak ada lagi peperangan antara kita dengan sesiapa.

Dahulu pernah ada dikatakan parti politik DAP itu adalah Kafir Harbi. Ini tidaklah benar kerana kita tidak ada pun peperangan dengan DAP. Tidak pernah penetapan peperangan dengan mereka. Yang jadi masalah apabila ada ahli agama pula yang menggelarkan DAP itu kafir harbi sampaikan kecoh keliru habis orang awam.

Ada satu lagi jenis kafir iaitu jenis Kafir Musta’man: iaitu orang kafir pelarian, contohnya yang datang dari Bosnia, Pakistan, India, China dan sebagainya. Ini adalah sekiranya mereka adalah pelarian, masuk ke negara kita dan meminta perlindungan daripada kita dan kita pun memberikan perlindungan kepada mereka.

Ayat 8 – 9 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi polisi luar bagi Negara Islam. Ia mengajar kita yang kita boleh berhubungan baaik dengan sesiapa pun asalkan bukan dengan pihak yang memusuhi kaum atau negara Muslimin.

Yang kita tidak boleh berkawan adalah dengan kafir harbi. Oleh itu mereka yang berkawan dengan kafir yang memusuhi Islam adalah kaum yang zalim.

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh does not forbid you from those who do not fight you because of religion and do not expel you from your homes – from being righteous toward them and acting justly toward them. Indeed, Allāh loves those who act justly.

(MELAYU)

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

 

 

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ

Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama

Ayat ini mengajar kita agar tidak bermusuh dengan semua orang. Kita boleh sahaja berhubungan dan berbuat baik dengan non-Muslim yang tidak memerangi Islam. Kita hanya bermusuh dengan mereka yang menentang agama Islam sahaja.

 

 

وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم

kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. 

Orang non-Muslim yang tidak menghalau umat Islam dari Mekah atau dari mana-mana tempat tinggal orang Islam, maka mereka itu tidaklah dikira sebagai Kafir Harbi.

 

 

أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم

untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka

Kalau setakat mereka itu non-Muslim sahaja dan tidak menentang Islam, maka tidak salah untuk berbuat baik dengan mereka. Kalimah تَبَرّوهُم berasal daripada kata dasar ب ر ر yang bermaksud baik, jujur, benar, bercakap dengan baik, belas kasihan, memberi dan menerima hadiah. Ini semua kita boleh buat dengan non-Muslim, tiada masalah pun.

Ini menunjukkan yang akhlak kita kepada orang-orang bukan Islam itu bukan untuk membenci mereka dan juga memandang rendah kepada mereka dan berkelahi dengan mereka. Allah ﷻ mengajar kita untuk berlaku adil dengan mereka.

Sebagai contoh, salah seorang isteri Abu Bakr رضي الله عنه yang bernama Qutaylah bint ‘Abdul `Uzza. Beliau tidak mahu masuk Islam dan tidak berhijrah mengikut Abu Bakr رضي الله عنه  ke Madinah. Selepas Perjanjian Hudaibiyah, sudah boleh ada perhubungan antara Mekah dan Madinah, maka Qutaylah bint ‘Abdul `Uzza telah datang hendak melawat anaknya Asma’ di Madinah.

Nota: Ada riwayat yang mengatakan Qutaylah telah diceraikan oleh Abu Bakr رضي الله عنه. Dan Asma’ رضی اللہ عنھا bukanlah kakak seibu dengan Aisyah رضی اللہ عنھا kerana beliau daripada ibu yang lain.

Asma’ رضی اللہ عنھا asalnya tidak mahu berjumpa dengan ibunya kerana adanya ayat-ayat yang melarang berbaik dengan orang kafir. Beliau sampaikan tidak membuka pintu pun untuk membenarkan ibunya masuk ke rumahnya. Akan tetapi apabila beliau bertanya kepada Nabi ﷺ bolehkah beliau melayan ibunya itu, Rasulullah ﷺ memberitahu yang beliau boleh melayan ibunya itu sebagai seorang anak. Kerana walaupun bukan Muslim, namun ibunya tidaklah menentang Islam. Maka barulah beliau berjumpa dengan ibunya itu. Ini telah disebut dalam sebuah hadith:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ الْمُنْذِرِ، عَنْ أَسْمَاءَ -هِيَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا-قَالَتْ: قَدَمت أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ قُرَيْشٍ إِذْ عَاهَدُوا، فأتيتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، صِلِي أُمَّكَ”

Imam Ahmad  رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Urwah, daripada Fatimah bintil Munzir, daripada Asma binti Abu Bakar رضی اللہ عنھا yang menceritakan, “Ibuku datang, sedangkan dia masih dalam keadaan musyrik di masa terjadinya perjanjian perdamaian dengan orang-orang Quraisy. Maka aku datang kepada Nabi ﷺ dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku datang, ingin berhubungan dengan diriku, bolehkah aku berhubungan dengannya?’ Nabi ﷺ bersabda, “Ya, bersilaturahmilah kepada ibumu’.”

(HR. Bukhari No. 2658)

Teks hadith ini, Imam Bukhari meletakkan dalam bab berjudul “Memberi Hadiah kepada Orang Musyrik”. Teks ini juga ditempatkan di bab mengenai “Jizyah dan Pentingnya Berbuat Baik kepada Non-Muslim” (hadith No 3129). Dan bab tentang “Sedekah kepada Keluarga” (hadith No 6045).

 

 

Ada pendapat yang mengatakan kerana peristiwa inilah ayat 8 ini diturunkan.

Maksud ‘adil’ itu adalah dengan mematuhi syariat. Kena belajar cara-cara untuk kita berurusan dengan orang bukan Islam. Kerana tidak sama hubungan kita dengan orang Islam dan orang bukan Islam. Sebagai contoh, kita hanya boleh berkawan rapat dengan orang mukmin sahaja. Kalau berkawan biasa sahaja dengan non-Muslim, itu dibenarkan.

Kita juga tidak boleh jadikan mereka orang kepercayaan kita. Pernah terjadi, seorang gabenor mengambil orang kafir sebagai pembantunya. Apabila diketahui oleh Saidina Umar رضي الله عنه, beliau telah marah dan mengarahkan gabenor itu memecat pembantunya itu.

 

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Kita kena berlaku adil dengan semua orang termasuk orang kafir sekali pun. Maka inilah polisi dalam agama Islam iaitu berlaku adil dengan semua orang. Allah ﷻ memberitahu yang sesiapa yang boleh jaga polisi ini, maka Allah ﷻ suka kepada orang itu. Kalau manusia itu baik dan tidak mengganggu kita, maka kita kenalah melayan dan berinteraksi dengan mereka dengan secara adil. Iaitu dengan menggunakan kaedah agama. Maka kena lihat apakah yang disebut dalam syariat.

Maknanya, tidaklah kita serang mereka, atau kita tipu mereka, tindas mereka atau jenis-jenis penganiayaan sebegitu. Allah ﷻ tidak suka begitu malah Allah ﷻ suka bila kita berlaku adil. Namun dalam masa yang sama, tidaklah kita bersahabat rapat sangat dengan mereka, sampai segala rahsia kita diberitahu kepada mereka. Kena ingat yang mereka itu bukan orang Islam dan tidaklah boleh dipercayai seperti orang Islam.

Oleh itu tidak salah berbuat baik dengan non-Muslim. Ini adalah penting sebagai usaha dakwah. Kita kena tunjukkan akhlak dan budi yang baik dengan non-Muslim. Kerana dengan menunjukkan akhlak yang baik, akan melembutkan hati mereka kepada Islam. Memang begitulah yang terjadi kepada negara-negara kafir dahulu. Para sahabat datang dengan bawa pedang ke negara bukan Muslim, tetapi akhirnya mereka dengan rela masuk Islam dengan rela hatinya kerana melihat akhlak para sahabat dan keindahan Islam itu sendiri.

Maka tidak benar kalau ada yang mengatakan Islam disebarkan dengan pedang sahaja. Memang ada jihad dan umat Islam memasuki negara lain. Akan tetapi tidaklah ada paksaan bagi mereka masuk Islam. Kalaulah ia adalah paksaan, tentu apabila umat Islam sudah tidak memerintah mereka, mereka kembali kepada agama asal. Namun itu tidak terjadi kerana mereka tetap juga di dalam agama Islam. Jihad yang umat Islam lakukan dahulu adalah untuk membebaskan penduduk di tempat itu daripada cengkaman pemimpin yang zalim.

Oleh hal yang demikian tidak ada masalah bagi orang yang telah masuk Islam untuk masih lagi berhubungan dengan ahli keluarganya yang belum masuk Islam. Mereka itu tetap ahli keluarga dan tidak ada masalah untuk terus berlaku baik dengan mereka. Kecualilah kalau mereka menghalang kita daripada mengamalkan agama Islam seperti yang disebut dalam Luqman:15.


 

Mumtahanah Ayat 9: Yang kita dilarang berbuat itu dengan siapa? Ini adalah undang-undang perhubungan dengan orang-orang Kafir Harbi.

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم أَن تَوَلَّوهُم ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh only forbids you from those who fight you because of religion and expel you from your homes and aid in your expulsion – [forbids] that you make allies of them. And whoever makes allies of them, then it is those who are the wrongdoers.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

 

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu orang-orang yang memerangimu kerana agama

Yang tidak boleh berbuat baik dan berkawan dengan orang-orang non-Muslim adalah golongan Kafir Harbi. Ini adalah kerana mereka itu memerangi agama Islam. Mereka benci kepada agama Islam dan mereka tidak berdiam diri, malah mereka menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menyerang umat Islam. Mereka menyerang Muslim hanya kerana mereka beragama Islam.

Kita tidak dibenarkan berbuat baik dengan orang kafir yang menyerang kita kerana mereka itu adalah orang yang zalim. Oleh kerana mereka yang menyerang kita terlebih dahulu, maka kita layak untuk menyerang mereka.

Dari sini kita dapat tahu bahawa orang kafir sebenarnya yang menyerang umat Islam. Maka jangan termakan dengan propaganda orang kafir yang mengatakan umat Islam yang mencetuskan peperangan. Mereka kata kita sebarkan agama dengan pedang, padahal tidaklah begitu. Maka kepada orang kafir yang sedang memerangi kita atau pun mereka belum serang lagi, tetapi telah membuat rancangan untuk menyerang kita, tidaklah boleh kita berbaik dengan mereka.

Larangan di dalam ayat ini adalah supaya tidak berbaik dengan mereka. Akan tetapi bukanlah menolak kita berlaku adil kepada mereka. Kita sebagai Muslim tetap kena berlaku adil walau terhadap musuh pun.

 

 

وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم

dan mengusir kamu dari negerimu, 

Mereka itu benci sangat kepada orang yang mengamalkan Islam sampaikan mereka menghalau umat Islam atau mereka buat sampaikan umat Islam terpaksa meninggalkan kampung halaman. Mereka tidak suka kalau kita duduk dalam negara mereka. Ini terjadi ketika zaman Nabi Muhammad ﷺ di Mekah dan juga di zaman lain pun. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin sekian lama.

Begitulah juga zaman sekarang, masih terjadi. Ada tempat-tempat yang apabila nampak umat Islam, mereka akan ganggu. Disebabkan itulah sampai ada wanita Muslim yang tidak berani memakai tudung untuk menutup aurat kerana mereka takut mereka akan diganggu oleh orang-orang kafir yang jahat. Orang kita tidak kacau mereka pun tetapi kerana hati mereka ada hasad, mereka sanggup ganggu.

Lihatlah apa yang terjadi di Rohingya dan di tempat-tempat lain. Umat Islam di sana ditindas teruk sangat secara sistematik sampaikan umat Islam kena buat keputusan untuk meninggalkan negara tempat mereka lahir.

 

 

وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم

dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. 

Kalau mereka tidak usir pun, mereka akan bantu orang lain untuk mengusir umat Islam. Mereka ini tidak duduk di negara itu tetapi mereka bersepakat untuk mengeluarkan umat Islam dari negara itu. Mereka memberikan sokongan moral dan juga bantuan kewangan.

Ini samalah seperti negara Britain yang memasukkan bangsa Yahudi ke Palestin. Mereka itu tidaklah duduk di situ, tetapi mereka membantu memasukkan golongan Yahudi ke dalam Palestin. Akhirnya tempat umat Islam di Palestin telah diambil dan umat Islam pula yang terpaksa merempat di tempat lain menjadi pelarian.

Nota: Pada tahun 1917, British di bawah pimpinan General Allenby telah berjaya menawan Palestin daripada naungan Uthmaniyyah. Dia berjaya menawan Baitulmaqdis dan keseluruhan Palestin pada bulan Disember 1917.

Dalam masa yang sama di London, aristokrat British bersetuju dengan Deklarasi Belfour yang menyokong perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British.

Deklarasi Belfour adalah agenda Zionis Israel di Eropah yang mahukan sebuah negara untuk mereka. Ini berikutan sentimen anti-Semitisme atau anti Yahudi kian membesar di Eropah, Orang Yahudi percaya Palestin menawarkan tempat terbaik untuk mereka membina semula kehidupan dan memulihkan imej bangsa yang rosak.

British pula melihat rancangan ini sesuatu yang boleh mengurangkan jumlah orang Yahudi di negara tersebut dan Eropah. Serangan ke atas Palestin serentak dengan Deklarasi Belfour menunjukkan peranan besar British dalam mewujudkan negara Israel moden.

 

 

أَن تَوَلَّوهُم

menjadikan sebagai kawanmu

Orang-orang yang menjadi musuh Islam itulah yang Allah ﷻ larang untuk berkawan dengan mereka. Jangan ada perhubungan baik dengan mereka, sebaliknya mesti diserang mereka itu (dengan mengikuti undang-undang yang sepatutnya).

 

 

وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dan jikalau sesiapa berkawan dengan orang Kafir Harbi itu, maka mereka itu dikira orang-orang yang zalim. Ini adalah kerana kita tidak boleh berkawan dengan musuh kepada Islam. Takkan kita hendak berbaik dengan orang yang menentang agama Allah ﷻ pula, bukan?

Dan kalau sampai membantu mereka memerangi umat Islam, maka ini boleh mengeluarkan Muslim itu dalam kalangan orang beriman (boleh jatuh kufur).

Cuma zaman sekarang umat Islam sedang lemah dan tidak boleh berbuat apa-apa. Lagi pun sudah ada Perjanjian Antarabangsa antara negara, maka kita kena patuh dengan perjanjian antarabangsa. Jangan salah faham pula tentang tanggungjawab kita. Semuanya kena dilakukan dalam rangka undang-undang.

Jangan ambil tindakan sendiri pula. Jangan terpedaya dengan gerakan ganas seperti ISIS dan Daesh yang mengajak umat Islam melakukan keganasan di dunia. Semoga sampai satu masa umat Islam kembali berkuasa dan dapat menegakkan keadilan di dunia ini. Sehingga ke waktu itu, kita kena teruskan untuk berdakwah kepada manusia dengan cara lisan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 September 2021

Ringkasan nota tafsir


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 3 – 5 (Orang Islam menyebabkan orang kafir tidak masuk Islam)

Mumtahanah Ayat 3:

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم ۚ يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will your relatives or your children benefit you; the Day of Resurrection He will judge between you. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

 

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. 

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini: Kasih sayang kamu kepada mereka yang kafir itu tidak akan mendatangkan faedah kepada kamu. Mereka tidak dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah ﷻ. Mereka tidak akan mempertahankan kamu. Mereka tidak akan beri alasan untuk menyelamatkan kamu.

Macam kisah Hatib, di hari akhirat nanti ahli keluarganya tidak akan pertahankan dia pun. Mereka tidak akan kata: “Hatib buat begitu kerana nak tolong kami, ya Allah!”

Di hari akhirat kelak, semua orang akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti disebut dalam ayat yang lain, Abasa:34-37:

 

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

daripada ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

daripada isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

 

 

يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم

Dia akan memisahkan antara kamu. 

Kamu sangka kamu rapat dengan mereka, namun nanti di akhirat nanti kamu akan dipisahkan daripada mereka. Tidak akan dapat duduk bersama pun, jadi hendak tolong macam mana?

Semua akan diadili mengikut apa yang dia telah lakukan semasa di dunia, tidak ada kena mengena dengan ahli keluarganya. Tidak diadili manusia nanti secara berkumpulan.

Oleh kerana itu jangan kita membuat kesalahan dan dosa semata-mata untuk kebaikan orang lain. Jangan kerana mereka, kita pula mendapat dosa. Mereka nanti bukan boleh menolong kita pun. Ini penting kerana ada orang yang tidak menegur kesalahan ahli keluarganya; atau ada yang membuat dosa kerana mengikut ahli keluarganya.

Ini juga bermaksud yang Allah ﷻ akan memisahkan antara ahli syurga dan ahli neraka. Mereka tidak duduk bersama-sama kerana amalan dan iman tidak sama. Maka tidak perlu berkasih sayang dengan mereka.

 

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah yang Allah ﷻ sedang melihat apa sahaja yang kamu lakukan. Pengkhianatan kamu terhadap orang Islam mungkin tidak diketahui oleh orang lain, tetapi Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Allah ﷻ tahu apa yang telah dilakukan oleh Hatib, dan Allah ﷻ telah memberi wahyu kepada Rasulullah ﷺ tentang perkara itu, tetapi apabila surat itu telah didapati, Hatib tetap diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan keadaan dari sudut fahamannya.

Segala perbuatan manusia termasuk para sahabat diperhatikan. Walaupun Hatib seorang yang telah berjasa kepada agama (terlibat dalam Perang Badr dan pernah berbai’ah dengan Nabi semaktu Bai’atul Ridwan), tetapi apabila beliau melakukan kesalahan, beliau tetap juga bersalah dan kisah beliau menjadi pengajaran kepada kita semua. Tidaklah perbuatan salah para sahabat didiamkan begitu sahaja.

Apabila telah terbongkar perbuatan Hatib itu, Saidina Umar رضي الله عنه terus bertindak untuk membunuh Hatib yang beliau lihat sebagai pembelot kerana telah membocorkan rahsia kerajaan Islam. Namun beliau ditahan oleh Rasulullah ﷺ yang dipandu oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ lebih tahu apa yang ada dalam hati manusia.

Saidina Umar رضي الله عنه juga tidak salah kerana beliau hanya melihat pada luaran sahaja. Dan memang manusia boleh menilai dari luaran sahaja kerana manusia tidak boleh membaca hati manusia. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Allah ﷻ tahu bahawa niat Hatib bukanlah untuk menjatuhkan Islam. Kita pun boleh faham perkara ini kerana Hatib telah berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjuang di dalam Perang Badr. Kalau beliau tidak ikhlas dengan agama Islam, tentulah beliau tidak melakukan perkara-perkara ini. Alasan yang diberikan juga dapat dikenalpasti sebagai benar: beliau dan keluarganya memang pendatang ke Mekah dan tidak ada pelindung.

Walaupun begitu, perbuatan Hatib itu tetap salah dan telah menerima teguran daripada Allah ﷻ seperti yang disebut di dalam ayat-ayat surah ini. Akan tetapi tidaklah hukuman yang dikenakan kepada beliau itu seperti hukuman yang diberikan kepada golongan munafik.

Tidak ada dalam riwayat yang mengatakan beliau dikenakan dengan apa-apa bentuk hukuman fizikal oleh Rasulullah ﷺ. Namun apabila tiga ayat ini memperkatakan tentang perbuatannya, tentulah sebagai seorang mukmin itu pun sudah cukup sebagai hukuman berat bagi Hatib.

Kedudukan Hatib sebagai Ahli Badr tidaklah menjadi ‘tiket’ kepada beliau dan Ahli Badr yang lain untuk berbuat dosa. Walaupun begitu, oleh kerana pengorbanan besar yang mereka telah lakukan di Badr, maka Allah ﷻ melihat mereka dengan pandangan rahmat dan sanggup untuk mengampunkan dosa-dosa mereka jikalau Allah ﷻ mahu.

Melakukan pembocoran rahsia kerajaan Islam tidaklah terus menjadikan seseorang itu kufur atau terkeluar daripada Islam. Ia adalah tetap berdosa, tetapi tidaklah sampai mengeluarkan seseorang itu daripada Islam.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه hendak membunuh Hatib, Nabi Muhammad ﷺ tidaklah kata hukuman itu tidak boleh. Maknanya itu memang perbuatan yang salah. Cuma baginda ﷺ memberikan ruang kepada Hatib kerana kedudukan beliau sebagai Ahli Badr. Maka ulama’ fiqh berbeza pendapat apakah hukuman yang dikenakan kepada mata-mata (spy) kerajaan yang membocorkan rahsia kerajaan Islam.

Ada yang kata hukum bunuh dan ada yang kata penjara. Ada yang kata terpulang kepada Khalifah untuk menilai apakah keadaan yang terlibat dan berapa besar kerosakan yang dilakukan.

Dalam mendapat maklumat daripada wanita yang menyimpan surat Hatib, Saidina Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain telah mengugut untuk membogelkan wanita itu kalau dia tidak memberikan surat itu. Perkara itu tidaklah terjadi tetapi mereka telah mengancam wanita itu yang mereka akan melakukannya jikalau wanita itu tidak memberikan surat itu.

Ini menjadi hujah bahawa dalam mendapatkan maklumat daripada orang bersalah, boleh dibogelkan walaupun wanita. Tentu sekali mereka telah memberitahu kepada baginda ﷺ keadaan itu dan baginda tidak menegur mereka kerana telah mengugut begitu.


 

Mumtahanah Ayat 4: Allah ﷻ suruh orang mukmin menjadikan perbuatan dan kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh teladan. Jangan bersekongkol dengan ahli keluarga yang kafir. Lihatlah apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام sanggup lakukan: Baginda sanggup berpisah dengan ahli keluarganya yang kufur.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ ۖ رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا وَإِلَيكَ أَنَبنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has already been for you an excellent pattern1 in Abraham and those with him, when they said to their people, “Indeed, we are disassociated from you and from whatever you worship other than Allāh. We have denied you, and there has appeared between us and you animosity and hatred forever until you believe in Allāh alone” – except for the saying of Abraham to his father, “I will surely ask forgiveness for you, but I have not [power to do] for you anything against Allāh. Our Lord, upon You we have relied, and to You we have returned, and to You is the destination.

  • An example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”. (Ibrahim berkata): “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

 

 

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ

Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim

Kisah para Nabi عليهم السلام sepatutnya dijadikan sebagai teladan bagi kita. Mereka itu adalah contoh yang amat baik bagi orang yang beragama. Dalam Nisa:69 disebut yang para Nabi عليهم السلام adalah antara golongan yang mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Maka kita kenalah mengikut cara hidup mereka dan perjuangan mereka untuk kita mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Kita tidak boleh menjadi Nabi, tetapi kita tetap boleh ikut cara-cara mereka.

Salah seorang Nabi yang besar adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an ini dan kita hendaklah mengkaji kisah-kisah itu dengan saksama.

 

 

وَالَّذينَ مَعَهُ

dan orang-orang yang bersama dengan dia; 

Bukan sahaja kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan sebagai contoh, tetapi kisah mereka yang bersama baginda juga patut dijadikan sebagai contoh.

Dalam ayat ini kita dapat tahu satu perkara yang kita mungkin tidak tahu sebelum ini, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام juga ada para sahabat yang bersama dengan baginda. Akan tetapi tidak banyak maklumat yang kita tahu tentang mereka. Secara umumnya, yang mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak ramai.

 

 

إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, 

Para sahabat Nabi Ibrahim عليه السلام itu telah beriman dan mereka sanggup taat kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka berpegang dengan ajaran tauhid sampaikan mereka sanggup berlepas diri daripada puak mereka yang mengamalkan syirik. Inilah sekali lagi contoh wala’ wal bara’ yang kita perlu ikuti. Hendaklah berlepas diri daripada orang yang melakukan perlanggaran syariat.

Kalimah baraa’ adalah sama seperti apa yang ada dalam Surah Tawbah (juga salah satu nama Surah Tawbah) dan kita telah katakan di awal surah ini yang Surah Mumtahanah ini memang berkait rapat dengan Surah Tawbah.

Salah satu daripada pegangan agama adalah menolak taghut. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda telah menolak kesyirikan yang dilakukan oleh kaum baginda. Kita tidak boleh bersama dengan golongan musyrik itu dan menerima apa yang mereka lakukan.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda nampak yang kaum mereka tidak akan berubah, maka mereka berlepas diri daripada mereka itu dan bertindak untuk meninggalkan mereka. Maknanya, kena lihat keadaan juga – jangan terus tinggalkan, kerana kita kena berdakwah juga kepada mereka. Hanya apabila sudah lama berdakwah dan mereka tetap tidak mahu beriman, maka waktu itulah baru meninggalkan mereka.

 

 

كَفَرنا بِكُم

kami ingkari (kekafiran)mu 

Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda kufur (menolak) dengan perbuatan kaum mereka;  bermaksud orang mukmin itu tidak nampak yang kaum mereka itu ada harapan untuk beriman lagi.

 

 

وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا

dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya

Oleh kerana amalan syirik mereka sudah sebati dalam diri mereka, maka mereka tidak akan dapat bersatu atas dasar tauhid. Maka tentu nyata permusuhan dan kebencian antara mereka. Kerana akidah tidak sama dan pegangan pun tidak sama. Dan kerana itu, amalan pun tidak akan sama.

 

 

حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

sampai kamu beriman kepada Allah saja. 

Maka permusuhan dan kebencian itu akan tetap ada melainkan jika mereka yang musyrik itu meninggalkan amalan dan fahaman syirik mereka dan beriman kepada tauhid juga. Maka penolakan kepada perlakuan syirik itu bukan sekejap-sekejap sahaja tetapi selama-lamanya melainkan mereka berubah. Waktu itu barulah boleh duduk bersama dengan mereka di atas satu akidah.

Allah ﷻ telah menceritakan tentang contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda mengajak kepada ajaran tauhid dan berlepas diri daripada mereka yang berfahaman musyrik. Maka itu adalah contoh baik yang kita sebagai umat Islam kena ikut.

Kecuali satu perkara yang kita tidak boleh ikut daripada perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام. Apakah ia?

 

 

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ

Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya:  

Nabi Ibrahim عليه السلام sangat sayang kepada ayahnya dan tidak sanggup memikirkan ayahnya dibakar di dalam neraka maka baginda berjanji untuk meminta ampun bagi pihak ayahnya. Sebelum baginda meninggalkan bapa baginda untuk menuju ke Palestin, baginda telah berjanji kepada ayahnya.

 

 

لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ

“Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Baginda berjanji kepada bapanya yang baginda akan meminta ampun bagi pihak bapanya. Ini telah disebut dalam Maryam: 47

 

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

 

 

Juga telah disebut dalam Syu’ara’: 86

وَاغفِر لِأَبي إِنَّهُ كانَ مِنَ الضّالّينَ

dan ampunilah bapaku, kerana sesungguhnya dia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat,

 

 

Maka sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan terhadap kaum keluarga dan umat baginda (meninggalkan mereka), maka hendaklah kamu orang-orang Mukmin ikut contoh baginda itu. Yang tidak boleh ikut contoh baginda adalah apabila baginda berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa bapanya. Larangan ini telah disebut dalam Tawbah: 113

 

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

 

 

Maka kalau kita ada ibubapa yang telah mati dalam akidah kufur, maka tidak ada cara lagi bagi kita untuk menyelamatkan mereka lagi. Masa mereka untuk bertaubat telah berlalu. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa lain, kecuali dosa syirik. Maka mereka tidak ada harapan lagi.

Tidak boleh gunakan contoh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat Surah Mumtahanah ini kerana tidak ada larangan lagi pada waktu itu dan baginda tidak tahu. Maka orang yang masuk Islam hanya boleh mendoakan ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka masih hidup sahaja (supaya mereka diberi hidayah). Selepas itu tidak boleh lagi.

 

 

وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ

dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun daripada kamu (seksaan) Allah”.

Baginda عليه السلام tahu baginda tiada kuasa untuk meminta ampun dan memberi keampunan kepada bapa baginda. Baginda عليه السلام cuma ikhtiar sahaja dengan berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, dikatakan yang kalaulah ada perkara lain yang baginda عليه السلام boleh buat untuk ayahnya itu, baginda akan lakukan kerana baginda sayang kepada ayahnya.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام sedar kesalahan baginda meminta ampun bagi pihak bapanya itu, maka baginda telah meninggalkan doa baginda itu seperti disebut dalam Tawbah:114

 

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

 

 

Maka, ini adalah dalil bahawa yang kita hanya ikut amalan para Nabi عليهم السلام yang mereka telah lakukan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalau amalan itu para Nabi عليهم السلام sendiri tinggalkan, maka tidaklah boleh kita ikut. Tidak boleh menggunakan dalil perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa untuk ayahnya ini sebagai amalan kita pula kerana baginda عليه السلام pun sedar kesalahan baginda itu dan baginda sendiri tinggalkan.

 

 

رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا

“Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakal 

Ini adalah doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda apabila mereka meninggalkan kaum mereka menuju ke tempat lain. Ini menunjukkan baginda dan orang mukmin hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja dan menyerahkan urusan mereka kepada-Nya.

 

 

وَإِلَيكَ أَنَبنا

dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat 

Memang hanya kepada Allah ﷻ sahaja tempat harapan dan pergantungan kita. Kalau kita telah melakukan kesalahan, maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ.

 

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

Kita semua akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kita selama kita hidup di dunia. Maka kena sedar perkara ini dan ingat sentiasa. Kalau kita dapat ingat, maka tentulah kita takut untuk melakukan kesalahan dan dosa. Ini kerana kita takut untuk menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti.


 

Mumtahanah Ayat 5: Ini adalah munajat (doa secara bersendirian) Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ.

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا وَاغفِر لَنا رَبَّنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, make us not [objects of] torment for the disbelievers and forgive us, our Lord. Indeed, it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 

 

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir.

Ada beberapa tafsir bagi ayat ini:

1. Kalimah ‘fitnah’ bermaksud ‘ujian’ (bukan seperti fahaman kebanyakan orang Melayu tentang maksud ‘fitnah’, itu sebenarnya ‘tohmah’). Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya jangan jadikan umat Islam sebagai mangsa kepada orang-orang kafir kerana orang-orang kafir akan buat macam-macam perkara yang buruk kepada manusia. Janganlah orang Islam menjadi mangsa bagi ujian itu.

Sebagai contoh, kalau dimenangkan orang kafir ke atas orang mukmin, orang mukmin boleh menggunakan ini sebagai hujah untuk mengatakan yang mereka yang kafir itulah yang benar dan orang mukmin itu pula yang salah. Ini kerana ramai manusia sangka yang menang, yang kaya, yang senang itu yang benar (walaupun sebenarnya tidak).

Maka ini adalah doa meminta keselamatan daripada tangan orang-orang kafir. Doa ini amat penting dan Allah ﷻ ajar terutama kepada para sahabat Nabi ﷺ dan ahli keluarga mereka yang sedang diganggu atau dibunuh oleh orang-orang kafir. Kita pun boleh gunakan doa ini kerana ia adalah amat baik sekali.

2. Satu lagi maksud yang lebih dalam daripada doa ini adalah supaya kita tidak menjadi ‘ujian’ kepada orang-orang kafir daripada masuk Islam. Ini kerana jika mereka lihat akhlak kita dan perbuatan kita yang buruk, ia boleh menyebabkan mereka tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Ini kerana mereka tentu akan berasa sangsi: “Kalau agama Islam ini benar, tentu orang yang menganutinya juga adalah baik. Tapi aku lihat orang Muslim ini teruk belaka perangainya”.

Memang tidak dapat dinafikan ramai dalam kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar. Maka perbuatan mereka telah menyebabkan nama Islam dikotori. Orang tidak pandang tinggi kepada Islam kerana melihat kepada orang Islam itu sendiri. Padahal, kesucian agama Islam tidak bergantung kepada penganutnya. Agama Islam itu sudah benar, tetapi penganutnya sahaja yang tidak tahu mengamalkannya.

Ujian bagi orang yang belum masuk Islam adalah membezakan antara ‘agama Islam’ dan ‘orang Islam – Muslim’. Ia tidak semestinya sama. Kalau mereka nilai agama Islam dan Muslim itu sama, ada kemungkinan mereka akan pandang agama Islam itu sebagai buruk. Kerana itu ada orang yang pernah berkata: “Alhamdulillah aku kenal Islam sebelum aku kenal orang Muslim”.

Ini kerana kalau dia kenal dan lihat perangai orang Islam yang buruk, mungkin dia pun tidak teringin hendak masuk Islam. Namun dia sempat mempelajari agama Islam yang benar yang menyebabkan dia tertarik dan dia masuk Islam. Selepas itu baru dia tahu yang rupanya ramai orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar pun.

Maknanya kita berdoa supaya kita tidak menjadi penghalang kepada orang-orang kafir untuk kenal dan masuk Islam. Janganlah mereka lihat kita dan terus membuat keputusan yang agama Islam itu adalah agama yang buruk. Oleh itu, kita minta Allah ﷻ perbaiki diri kita supaya kita ini baik dan menjadi contoh yang baik bagi agama Islam.

Kita kena sedar realiti umat Islam sekarang  yang buruk perangainya. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan sebagai contoh ada negara Islam yang menindas rakyatnya; dan kita pun boleh nampak akhlak ramai orang Islam sekarang amat buruk sampaikan ia memberi kesan yang buruk kepada agama Islam sendiri. Ini kerana orang bukan Islam tentu melihat dan menilai: kalau agama Islam ini baik maka tentulah umatnya juga baik, bukan?

Ini tidak semestinya kerana ada sahaja orang Islam yang tidak amalkan ajaran dalam agamanya pun. Masalahnya orang-orang bukan Islam ramai yang melihat semua orang Islam sebagai ‘wakil’ kepada agama Islam dan segala perbuatan orang-orang yang bodoh dalam kalangan kita pun merujuk kepada kesalahan di dalam agama ini.

Ini tidak dapat dipersalahkan sangat kerana mereka bukannya mahu melihat ‘teori’ tentang agama Islam tetapi mereka mahu melihat bagaimana Islam dipraktikkan oleh orang-orang Muslim. Ini memang kebiasaan manusia. Sebagai contoh, kehebatan sesebuah universiti itu dilihat kepada graduannya, bukan?

Maka perbuatan beberapa orang yang bodoh boleh menyebabkan rosaknya dakwah yang kita hendak sampaikan kepada orang luar. Oleh sebab itu kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang yang bodoh itu.

3. Doa ini juga meminta supaya tidaklah orang kafir itu dapat mengalahkan orang Islam sampaikan nanti orang Islam pula akan meninggalkan agama Islam kerana tidak tahan dengan dugaan. Ini kerana ada yang kalau susah sangat duduk dalam agama Islam, ada yang boleh meninggalkan agama ini. Mungkin juga ada orang yang tidak tahan dengan ujian kehidupan.

 

 

وَاغفِر لَنا رَبَّنا

Dan ampunilah kami ya Tuhan kami.

Dan harapan kepada pengampunan juga dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana memang minta ampun ini hendaklah selalu diamalkan oleh kita setiap hari kerana kita selalu sahaja melakukan kesilapan dan dosa.

 

 

إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sekarang kita diajar tentang sifat-sifat Allah ﷻ. Di sini disebut yang Allah ﷻ bersifat al-Aziz: Maknanya Allah ﷻ boleh sahaja mengazab sesiapa sahaja yang telah melakukan kesalahan dan syirik. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada manusia bila-bila masa sahaja.

Akan tetapi Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem: ini merujuk kepada kebijaksanaan Allah ﷻ memberi tangguh kepada makhluk-Nya untuk mengubah cara hidup dan amalan mereka. Tidaklah hamba yang berdosa Allah ﷻ terus beri azab dan hukuman kepada mereka (kita panggil beri ‘cash’).

Ini memberi peluang kepada semua daripada kita untuk belajar dan membaiki kesalahan. Kalaulah Allah ﷻ tidak beri tangguh dan terus mengazab sesiapa yang berdosa dan melakukan syirik, tentu tidak ada sesiapa yang hidup di dunia ini kerana semua akan mati belaka. Kita dulu sebelum belajar pun entah berapa banyak dosa kita telah buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Semptember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 1 – 2 (Jangan berharap kepada orang kafir)

Pengenalan Surah Mumtahanah

Surah ini ada kena-mengena dengan Surah Tawbah di mana di dalam surah itu disebut arahan untuk menyerang Mekah. Apabila itu terjadi, maka ada para sahabat yang sangsi dengan arahan itu, kerana di Mekah itu ada juga orang-orang Islam yang telah beriman secara rahsia dan para sahabat takut kalau mereka itu akan terganggu. Takut nanti mereka akan terbunuh sekali dalam serangan daripada golongan Muslim.

Ada seorang sahabat (yang bernama Hatib bin Abi Balta’a رضي الله عنه) yang masih mempunyai keluarganya di Mekah dan dia takut jikalau terjadi peperangan nanti, maka orang-orang Mekah akan menyakiti keluarganya ataupun membunuh mereka. Ini kerana keluarganya adalah pendatang sahaja di Mekah dan tidak ada puak di sana yang akan melindungi mereka disebabkan mereka itu orang menumpang sahaja. Musyrikin Mekah telah bertindak ganas kepada ahli keluarga muhajireen yang masih ada di Mekah. Kalau ada bantuan daripada puak mereka sendiri, maka mungkin mereka selamat.

Akan tetapi Saidina Hatib dan keluarganya berasal dari Yaman. Mereka tidak ada pelindung. Maka beliau hendak memberi maklumat kepada puak Mekah itu agar mereka tetap memberi perlindungan kepada keluarganya di Mekah. Beliau berharap dengan maklumat itu, golongan Musyrikin Mekah akan berasa terhutang budi dengannya dan memberi perlindungan kepada keluarganya di sana. Beliau yakin yang Allah ﷻ pasti akan memberi kemenangan kepada Islam dan pembocoran maklumat daripadanya itu tidak akan memberi kesan kepada kalah atau menangnya mereka nanti.

Atau, keluarganya itu belum masuk Islam lagi, tetapi beliau yakin yang sekiranya beliau berdakwah lagi kepada mereka, mereka tentu akan masuk Islam. Ini adalah sangkaannya sahaja. Beliau benar-benar berharap sekiranya beliau sampaikan maklumat kepada mereka, maka mereka akan melarikan diri ke tempat lain dahulu untuk menyelamatkan diri mereka.

Oleh itu, beliau telah memberi surat secara rahsia kepada keluarganya yang berada di Mekah itu untuk memberitahu rancangan umat Islam untuk menyerang Mekah. Beliau hendak menyuruh mereka lari keluar dahulu.

Surat itu amat bahaya kerana ia membocorkan rahsia rancangan umat Islam. Rasulullah ﷺ telah mendapat wahyu daripada Allah ﷻ tentang surat itu dan baginda telah memberi arahan kepada Saidina Ali رضي الله عنه dan beberapa sahabat yang lain (Zubair dan Miqdad bin Aswad) untuk mengambil surat itu dan baginda telah memberitahu dengan siapakah surat itu dan di mana pembawa surat itu berada. Baginda ﷺ beritahu yang surat itu ada pada seorang wanita dan dipendekkan cerita mereka mendapat surat itu daripada wanita itu.

Kalimah الممتحنة‎ berasal daripada kata dasar م ح ن yang bermaksud ‘periksa’. Kerana itulah ‘peperiksaan’ dipanggil ‘imtihan’. Ini adalah kerana apabila Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain berjumpa dengan wanita itu, dia tidak mengaku ada surat padanya. Mereka cuba cari pada kenderaannya namun tidak ada. Maka Ali رضي الله عنه beritahu yang kalau dia tidak keluarkan juga surat itu juga, mereka akan bogelkan dia dan periksa dia juga kerana Rasulullah ﷺ tidak akan menipu kerana baginda ﷺ telah mendapat wahyu. Setelah dikatakan begitu, barulah wanita itu mengeluarkan surat tersebut.

Apabila surat itu dibawa kepada Rasulullah ﷺ dan sahabat itu (Hatib) dibawa ke hadapan baginda, Umar رضي الله عنه sudah hendak membunuhnya tetapi Rasulullah ﷺ mengatakan yang sahabat itu adalah Ahli Badr dan kesalahan beliau telah diampunkan oleh Allah ﷻ maka sahabat itu selamat daripada pedang Umar رضي الله عنه.

Nabi Muhammad ﷺ juga memberitahu yang alasan daripada sahabat itu adalah normal dan beliau bukanlah munafik tetapi apa yang beliau lakukan itu memang salah. Cuma kerana kedudukannya sebagai Ahli Badr, beliau telah diselamatkan.

Ini sebagaimana yang disebutkan kisahnya dalam hadith berikut yang telah disepakati kesahihannya.
حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، قَالَ حَدَّثَنِي الْحَسَنُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ، أَنَّهُ سَمِعَ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي رَافِعٍ، كَاتِبَ عَلِيٍّ يَقُولُ سَمِعْتُ عَلِيًّا ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَا وَالزُّبَيْرَ وَالْمِقْدَادَ فَقَالَ ‏”‏ انْطَلِقُوا حَتَّى تَأْتُوا رَوْضَةَ خَاخٍ فَإِنَّ بِهَا ظَعِينَةً مَعَهَا كِتَابٌ فَخُذُوهُ مِنْهَا ‏”‏‏.‏ فَذَهَبْنَا تَعَادَى بِنَا خَيْلُنَا حَتَّى أَتَيْنَا الرَّوْضَةَ فَإِذَا نَحْنُ بِالظَّعِينَةِ فَقُلْنَا أَخْرِجِي الْكِتَابَ فَقَالَتْ مَا مَعِي مِنْ كِتَابٍ‏.‏ فَقُلْنَا لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ أَوْ لَنُلْقِيَنَّ الثِّيَابَ‏.‏ فَأَخْرَجَتْهُ مِنْ عِقَاصِهَا فَأَتَيْنَا بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَإِذَا فِيهِ مِنْ حَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ إِلَى أُنَاسٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ مِمَّنْ بِمَكَّةَ يُخْبِرُهُمْ بِبَعْضِ أَمْرِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَا هَذَا يَا حَاطِبُ ‏”‏‏.‏ قَالَ لاَ تَعْجَلْ عَلَىَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ امْرَأً مِنْ قُرَيْشٍ وَلَمْ أَكُنْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَكَانَ مَنْ مَعَكَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ لَهُمْ قَرَابَاتٌ يَحْمُونَ بِهَا أَهْلِيهِمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِمَكَّةَ فَأَحْبَبْتُ إِذْ فَاتَنِي مِنَ النَّسَبِ فِيهِمْ أَنْ أَصْطَنِعَ إِلَيْهِمْ يَدًا يَحْمُونَ قَرَابَتِي وَمَا فَعَلْتُ ذَلِكَ كُفْرًا وَلاَ ارْتِدَادًا عَنْ دِينِي‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكُمْ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ عُمَرُ دَعْنِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ ـ عَزَّ وَجَلَّ ـ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ عَمْرٌو وَنَزَلَتْ فِيهِ ‏{‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ‏}‏ قَالَ لاَ أَدْرِي الآيَةَ فِي الْحَدِيثِ أَوْ قَوْلُ عَمْرٍو‏.‏ حَدَّثَنَا عَلِيٌّ قِيلَ لِسُفْيَانَ فِي هَذَا فَنَزَلَتْ ‏{‏لاَ تَتَّخِذُوا عَدُوِّي‏}‏ قَالَ سُفْيَانُ هَذَا فِي حَدِيثِ النَّاسِ حَفِظْتُهُ مِنْ عَمْرٍو وَمَا تَرَكْتُ مِنْهُ حَرْفًا وَمَا أُرَى أَحَدًا حَفِظَهُ غَيْرِي‏.‏

Diriwayatkan `Ali رضي الله عنه:

Rasulullah (ﷺ) mengirim saya bersama Az-Zubair dan Al-Miqdad dan berkata, “Pergilah sampai ke tempat yang disebut Raudat-Khakh di mana ada seorang wanita yang bermusafir dengan cara menaiki unta. Dia mempunyai surat. Ambil surat daripadanya. “Maka kami berangkat dan kuda-kuda kami berlari dengan laju hingga kami sampai di Raudat Khakh dan kami melihat wanita itu dan berkata (kepadanya), “Keluarkan surat itu!” Dia berkata, “Saya tidak mempunyai surat dengan saya. “Kami berkata, “Sama ada kamu mengeluarkan surat itu atau kami akan menanggalkan pakaianmu. “Jadi dia mengeluarkan surat itu daripada jalinan rambutnya. Kami membawa surat itu kepada Nabi (ﷺ) dan surat itu disampaikan oleh Hatib bin Abi Balta’a kepada beberapa orang kafir di Mekah, memberitahu mereka tentang beberapa urusan Nabi ﷺ. Nabi (ﷺ) berkata, “Apa ini, wahai Hatib? ” Hatib menjawab, “Jangan terburu-buru menghukumku, ya Rasulullah (ﷺ)! Aku adalah seorang lelaki Ansari dan bukan milik mereka (orang kafir Quraisy) sedangkan para berhijrah yang bersamamu mempunyai saudara mereka yang boleh melindungi keluarga mereka dan harta tanah di Mekah. Jadi, sebagai ganti rugi kerana tidak mempunyai pertalian darah dengan mereka.’ Aku berhasrat untuk menolong mereka agar mereka dapat melindungi saudara-saudaraku (di Mekah) dan aku tidak melakukan ini kerana tidak percaya atau cenderung untuk meninggalkan agamaku. “Nabi ﷺ kemudian berkata (kepada para sahabatnya), “Dia (Hatib) telah mengatakan yang benar. “Umar رضي الله عنه berkata, “Ya Rasulullah! Izinkan aku memotong kepalanya? ” Rasul ﷺ berkata, “Dia adalah salah satu daripada mereka yang menyaksikan (berperang) dalam Perang Badar dan apa yang kamu tahu, mungkin Allah memandang orang-orang Badar (pejuang Badar) dan berkata, ‘Lakukanlah apa yang kamu mahukan seperti yang aku miliki maafkan kamu.’ “( `Amr, seorang sub-perawi, berkata,: Ayat ini diturunkan tentang dia (Hatib): ‘Hai orang-orang yang beriman! Janganlah mengambil musuh-musuhku dan musuh-musuhmu sebagai teman atau pelindung.’ (60. 1) Diriwayatkan `Ali: Sufyan ditanya apakah (Ayat): ‘Jangan ambil musuh-Ku dan musuh-musuhmu . . .’ diturunkan berkaitan dengan Hatib. Sufyan menjawab, “Ini terjadi hanya dalam riwayat orang-orang. Aku menghafal Hadith daripada `Amr, bukan walaupun tidak ada satu huruf pun dan aku tidak mengetahui siapa pun yang mengingatinya dengan hati selain aku. “

(Hadith Riwayat Bukhari 4890)

 

Begitulah kisah ini disebut di awal surah ini.

Surah ini memberitahu kepada orang-orang yang beriman untuk memutuskan hubungan dengan orang-orang kafir kerana mereka tidak patut ada hubungan yang rapat dengan orang-orang kafir. Ini telah disentuh dalam ayat terakhir surah sebelum ini, Surah Mujaadilah.

Maka ayat ini adalah teguran kepada orang-orang mukmin. Ini bukan seperti surah-surah yang lain sebelum ini iaitu teguran kepada orang-orang Munafik.

Surah ini seperti juga  Surah  Hashr sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Surah ini adalah surah keempat daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


 

Mumtahanah Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama mengajar kita yang kaum mukmin akan setia kepada negaranya. Allah ﷻ mengajar jangan khianati jamaah Muslimin/Negara Islam dengan membocorkan rahsia ketenteraan atau keselamatan negara.

Latar belakang ayat: Nabi Muhammad ﷺ telah mengadakan perbincangan dengan para sahabat untuk menyerang Mekah pada tahun 8 hijrah. Akan tetapi ada sahabat yang sangsi dengan keputusan itu dan ada yang hendak menyelamatkan kawan/keluarga mereka. Ini kerana mereka rapat dengan golongan yang tidak masuk Islam lagi. Maka Allah ﷻ menegur mereka dalam surah ini.

Dalam perenggan ini juga Allah ﷻ suruh kita menjadikan Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh, kerana baginda ﷺ sanggup berlepas diri dan memutus hubungan dengan kerabat yang kafir yang memusuhi agama Allah ﷻ.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم ۙ أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي ۚ تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم ۚ وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Mumtaḥinah: That (Sūrah) Which Examines. Also called “al-Mumtaḥanah,” meaning “The Woman Examined.”

O you who have believed, do not take My enemies and your enemies as allies,¹ extending to them affection while they have disbelieved in what came to you of the truth, having driven out the Prophet and yourselves [only] because you believe in Allāh, your Lord. If you have come out for jihād [i.e., fighting or striving] in My cause and seeking means to My approval, [take them not as friends]. You confide to them affection [i.e., instruction], but I am most knowing of what you have concealed and what you have declared. And whoever does it among you has certainly strayed from the soundness of the way.

* i.e., close associates and friends.

(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia

Teguran ini diberikan kepada para sahabat yang mukmin. Allah ﷻ menegur sahabat yang cuba untuk dapatkan perlindungan daripada Musyrikin Mekah dengan memberitahu bahawa puak Muslim akan menyerang mereka.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain, iaitu:

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. (Al-Maidah: 51)

 

 

Seperti yang telah disebut, ada sahabat yang telah memberitahu tentang rancangan umat Islam kepada Musyrikin Mekah. Beliau melakukannya kerana hendak mengharapkan belas kasihan daripada mereka. Namun Allah ﷻ hendak beritahu yang ini perbuatan adalah sia-sia sahaja dan tidak akan terjadi kerana mereka itu tidak boleh diharap.

Maka Allah ﷻ melarang mereka dan juga kita, daripada menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia. Orang-orang kafir itu tidak boleh dipercayai. Kena faham, ‘kafir’ itu adalah mereka yang menentang agama Islam dan orang Islam. Kena bezakan antara ‘non-Muslim’ dan ‘anti-Muslim’ (inilah yang dipanggil kafir). Kalau setakat non-Muslim sahaja, kita masih boleh berkawan dengan mereka dan berbuat baik dengan mereka.

 

تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang;

Kadangkala orang Islam rasa sayang dengan kenalan atau keluarga mereka yang masih dalam golongan kafir. Maka mereka melakukan perkara untuk kebaikan mereka.

Oleh kerana itulah Asbabun Nuzul (sebab turun) ayat ini adalah tentang sahabat yang memberikan maklumat rahsia kepada mereka kerana sahabat itu sayang kepada orang yang diberi maklumat itu.

Ini menyentuh satu konsep yang dinamakan wala’ wal bara’. Tunjuk sayang dan tunjuk benci. Tunjuk sayang kepada orang yang baik dan tunjuk benci kepada orang yang tidak baik. Begitu juga kita tunjuk suka kepada amalan sunnah dan tunjuk benci kepada amalan bid’ah.

 

 

وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ

padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, 

Namun Allah ﷻ mengingatkan yang sekiranya mereka itu kafir (yang menentang Islam), mereka tetap musuh walaupun ada talian kekeluargaan. Ini kerana mereka telah menolak dan menentang kebenaran yang sampai kepada mereka. Kalimah الحق yang disebut dalam ayat ini boleh merujuk kepada Al-Qur’an atau merujuk kepada agama Islam.

Juga kafir yang menentang keduanya. Maka jangan jadikan mereka sebagai teman rapat. Ini adalah kerana mereka telah ingkar wahyu. Mana boleh orang yang ingkar wahyu dipercayai?

 

 

يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم

mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu 

Allah ﷻ mengingatkan para sahabat bagaimana Musyrikin Mekah itu telah menghalau Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم dari Mekah. Ini adalah kemuncak permusuhan mereka. Dan jika mereka menghalau manusia yang paling baik (Rasulullah ﷺ) dan mereka percaya itu perbuatan yang benar, maka bagaimana lagi para sahabat boleh berharap mereka akan berbaik dengan mereka?

 

 

أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم

kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. 

Allah ﷻ beritahu kenapa Musyrikin Mekah itu menentang dan hendak menyakiti umat Islam bukan kerana kesalahan pun. Ia adalah kerana para sahabat itu hendak beriman dengan iman tauhid sahaja. Bukannya sebab lain dan bukan kerana ada kesalahan yang dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم.

Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللهِ. الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ}

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha perkasa lagi Maha Terpuji. (Al-Buruj: 8)

 

 

Allah ﷻ mengingatkan yang golongan musyrikin itu bukan teman kepada orang Mukmin. Maka ini adalah teguran untuk kebaikan. Jangan lagi berharap kepada mereka yang secara terang-terangan telah menentang agama Islam.

 

 

إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي

Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku 

Sekiranya umat Islam berhijrah dahulu dan kemudian keluar untuk berjuang menegakkan agama Allah ﷻ, maka kena tunjuk cara orang berjuang. Perjuangan itu kerana hendak mencari redha Allah ﷻ, bukan sebab yang lain. Jangan berkawan baik dan berharap dengan orang kafir yang menentang Islam.

Maka kalau begitu, jangan belot kepada umat Islam. Jika kamu benar-benar mencari redha Allah ﷻ, maka kenalah terima hakikat ini. Kenalah terima nasihat ini. Jangan cari redha manusia, tetapi carilah redha Allah ﷻ.

 

 

تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

Kamu memberitahukan secara rahsia kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. 

Allah ﷻ menegur perbuatan sahabat dan orang lain yang memberi maklumat rahsia kepada musuh Islam. Mereka yang melakukan perbuatan itu kerana mereka kasih kepada orang kafir itu. Mereka bukannya hendak menjatuhkan agama, tetapi kerana sayang kepada orang sahaja. Tidak salah berkasih dengan orang lain, namun kena lebih setia kepada Negara Islam.

 

 

وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم

dan Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. 

Walaupun mereka melakukan pembocoran rahsia itu dengan segala macam cara untuk merahsiakannya, tetapi Allah ﷻ mengingatkan mereka yang Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan. Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Lihatlah dalam kes Hatib ini, Allah ﷻ tunjukkan secara nyata bahawa Dia tahu apa yang telah dilakukan olehnya. Walaupun beliau telah melakukan langkah berahsia sungguh-sungguh.

Allah ﷻ juga tahu perasaan kasih sayang mereka terhadap golongan kufar. Mereka mungkin sembunyikan, tetapi Allah ﷻ tahu.

 

 

وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sesiapa yang ada hubungan baik dengan Kafir Harbi sampai membocorkan rahsia kerajaan Islam, maka dia telah sesat dari jalan yang lurus. Ia adalah dosa yang amat-amat besar.

Ada yang mengatakan Hatib dimaafkan kerana apa yang beliau lakukan adalah diplomasi yang dilakukan untuk menyelamatkan keluarganya. Ini seperti firman Allah ﷻ lainnya yang menyebutkan:

 

{لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ}
Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. (Ali Imran: 28)

 

Mumtahanah Ayat 2: Allah ﷻ memberitahu kenapa sia-sia sahaja berharap kepada kasih orang kafir kerana ia adalah seperti bertepuk sebelah tangan sahaja. Mereka tidak akan membantu umat Islam dan agama Islam.

Orang Islam sahaja yang berasa kasih kepada orang kafir itu, tetapi orang kafir itu tidak kasih pun kepada mereka (kerana mereka benci kepada Islam). Dan orang kafir itu tidak akan melayan orang Islam seperti yang diharapkan. Maka, ini umpama orang Islam sahaja terhegeh-hegeh kepada orang kafir. Ini tidak patut. Maka Allah ﷻ sekarang beritahu apa yang ada di dalam hati golongan kafir itu.

‎إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
If they gain dominance over you, they would be [i.e., behave] to you as enemies and extend against you their hands and their tongues with evil, and they wish you would disbelieve.

(MELAYU)
Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu); dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir.

 

 

إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً

Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu

Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam hati orang kafir itu. Ini kerana manusia tidak tahu apa yang ada dalam hati orang lain, maka Allah ﷻ yang beritahu. Allah ﷻ beritahu yang jikalau golongan musyrikin itu dapat menangkap orang Islam itu, mereka pasti akan menyakiti orang Islam. Mereka akan tangkap sebagai musuh, bukan sebagai kawan.

Mungkin ada golongan musuh yang berbaik dengan kita sebelum mereka menang. Namun sekarang Allah ﷻ beritahu, kalau mereka menang, mereka akan tunjukkan belang mereka yang sebenar.

 

 

وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم

dan melepaskan tangan mereka kepadamu

Golongan kafir itu akan memanjangkan tangan mereka kepada orang Islam, maksudnya akan bertindak dan berusaha untuk menyakiti orang Islam. Sama ada dengan cara mencederakan, seksa atau bunuh.

 

 

وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ

dan lidah dengan menyakiti(mu);

Dan mereka akan menggunakan lidah mereka untuk menyakiti umat Islam. Mereka akan kata macam-macam, lempar berbagai tuduhan, penipuan dan diayah yang palsu-palsu untuk memburukkan nama Islam.

 

 

وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

dan mereka ingin supaya kamu kafir.

Mereka buat itu semua kerana mereka tidak redha dengan keislaman umat Islam. Mereka ingin sangat umat Islam menjadi kafir seperti mereka. Mereka tidak suka kalau umat Islam mengamalkan agama. Mereka amat suka kalau kita meninggalkan agama Islam.

Oleh itu sekiranya kita berbaik dengan mereka untuk mendapatkan redha mereka, mereka tidak akan redha. Ini kerana keinginan mereka sebenarnya adalah supaya umat Islam jadi murtad. Takkan kita sampai hendak murtad untuk dapatkan keredhaan mereka?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 26 Ogos 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Hashr Ayat 21 – 24 (Asmaa’ul Husna)

Hashr Ayat 21: Sekarang Allah ﷻ ajar cara untuk mendapat taqwa, iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan apa yang diajar dalam Al-Qur’an. Oleh kerana Al-Qur’an itu amat penting, maka sekarang Allah ﷻ memberitahu tentang kehebatan Al-Qur’an.

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If We had sent down this Qur’ān upon a mountain, you would have seen it humbled and splitting from fear of Allāh. And these examples We present to the people that perhaps they will give thought.

(MELAYU)

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

 

 

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung,

Al-Qur’an ini amat hebat dan Allah ﷻ buat perbandingan, kalaulah ia diturunkan kepada gunung. Dalam Surah A’raf ada disebut bagaimana Nabi Musa عليه السلام minta untuk lihat wajah Allah ﷻ. Dalam ayat itu diberitahu bagaimana Allah ﷻ telah tajalli (menampakkan diri) pada gunung dan gunung itu hancur dan Nabi Musa عليه السلام pun pengsan.

 

لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا

pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah 

Maka, begitulah juga kalau Al-Qur’an ini diturunkan kepada gunung, ia akan pecah juga. Padahal gunung ganang itu kita lihat sekarang tegak dan kukuh, bukan? Tetapi ia pun boleh pecah kalau diturunkan Al-Qur’an kepadanya.

Kalimah ‘khusyuk’ itu bermaksud tidak bergerak, kaku tunduk kerana takut. Kerana itulah dalam solat, apabila kita khusyuk, kita akan tegak sahaja tidak bergerak tubuh kita. Kerana kita sedang mengadap Allah ﷻ dalam keadaan takut kepada Allah ﷻ.

Maka, ia bermaksud hati manusia yang keras pun boleh tunduk kepada Allah ﷻ dengan meneliti ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi ajaran yang senang diterima oleh akal yang waras. Kerana itu banyak orang yang berubah sikap mereka menjadi mukmin yang baik setelah mereka mengenali Al-Qur’an. Ini kerana Al-Qur’an ini adalah mukjizat yang dapat mengubah hati dan minda manusia.

Kalimah مُّتَصَدِّعًا pula daripada kalimah ص د ع yang bermaksud ‘pecah’. Kerana takut sangat kepada tanggungjawab Al-Qur’an itu, gunung itu akan pecah. Juga bermaksud hati-hati para penentang kebenaran boleh pecah dan jatuh tunduk mengikuti ajaran Al-Qur’an apabila mereka memahami ayat-ayat Al-Qur’an.

Ini kerana hujah-hujah yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah mantap dan selesa dengan minda manusia yang waras. Ia juga tidak ada kontradiksi antara ayat-ayatnya yang menjadi hujah bahawa ia pasti datang daripada Allah ﷻ, Tuhan semesta alam. Kerana manusia tidak akan mampu menulisnya.

Namun bukankah gunung itu bukan makhluk bernyawa? Bagaimana ia boleh tunduk dan takut pula? Ini adalah perumpamaan sahaja, iaitu kalau Allah ﷻ beri mereka dengan hati, minda dan perasaan seperti manusia. Kalau mereka ada semua itu, pasti mereka takut dan tunduk. Tetapi mengapa manusia yang memang sudah ada hati, minda dan perasaan tidak tunduk takut kepada Allah ﷻ?

 

 

مِّن خَشيَةِ اللهِ

disebabkan ketakutannya kepada Allah. 

Kenapa gunung itu pecah? Kerana gunung itu takut kepada Allah ﷻ. Lebih-lebih lagi kerana takut tentang hukuman yang Allah ﷻ boleh kenakan kepada mereka. Kerana di dalam Al-Qur’an ada ayat-ayat tentang hukuman dan kerana hebatnya Al-Qur’an yang diturunkan kepadanya. Ini adalah kerana dalam Al-Qur’an itu memberitahu tentang Allah ﷻ dan gunung takut kepada Allah ﷻ.

Gunung takut kalau diberikan dengan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an itu dan kerana itu ia akan pecah. Ia tidak akan sanggup seperti yang disebut dalam Ahzab: 72

 

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

 

Akan tetapi mungkin timbul persoalan: kenapa Al-Qur’an yang kita selalu dengar dan malah dibaca seharian ini tidak memberi kesan dan rasa apa-apa kepada kita? Kenapa hati kita tidak pecah dan tidak menangis?

Kita tidak menangis dan tidak terkesan kerana kita pun tidak sedar kehebatan Al-Qur’an ini. Kita lalai tentang perkara ini. Tambahan pula kebanyakan daripada kita tidak faham pun apa yang kita baca, maka selamba sahaja kita baca ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Oleh kerana itu, Al-Qur’an mahu mengingatkan manusia dalam ayat ini tentang diri kita sendiri yang jauh daripada Al-Qur’an dan tidak menghargainya. Al-Qur’an ada bersama kita, tetapi kita tidak sedar apa yang kita ada ini. Oleh kerana jauh daripada Al-Qur’an, maka kita tidak sedar tentang kebesarannya dan kehebatannya.

 

 

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Dan itulah perumpamaan-perumpamaan yang Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Inilah salah satu misalan yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk beri kita faham tentang kehebatan Al-Qur’an ini. Bayangkan, sekeras-keras dan sebesar-besar gunung itu pun boleh tunduk dan terkesan dengan Al-Qur’an. Tetapi, bagaimana dengan kita manusia? Ramai yang buat tidak kisah sahaja, baca ayat-ayat Al-Qur’an itu biasa-biasa sahaja.

Allah ﷻ berikan cara perbandingan atau misalan ini supaya kita dapat faham. Inilah salah satu daripada cara pembelajaran yang digunakan oleh Allah ﷻ untuk mengajar kita. Memang cara perbandingan seperti ini memberi kesan kepada mereka yang memahaminya.

Begitu malang sekali kita ini apabila kita tidak memandang Al-Qur’an ini sebagai yang sepatutnya. Lihatlah apa yang sepatutnya sikap kita terhadap Al-Qur’an.

 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Allah berfirman, “Seandainya Aku turunkan Al-Qur’an ini kepada gunung untuk dipikulnya, nescaya akan terpecah belahlah dan tunduk kerana beratnya Al-Qur’an dan kerana takut kepada Allah.” Maka Allah memerintahkan kepada manusia apabila diturunkan kepada mereka Al-Qur’an, hendaklah mereka menerimanya dengan takut yang sangat (kepada Allah) dan tunduk. Kemudian Allah Swt. berfirman: Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berpikir. (Al-Hasyr: 21)

 

Dan peringatan ini bukan kepada orang mukmin sahaja tetapi kepada keseluruhan manusia. Oleh kerana orang bukan Islam tidak kenal dengan Al-Qur’an, maka kitalah yang kena sampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada mereka.

Mungkin ada yang hairan, bagaimana pula gunung yang kaku itu boleh kenal Al-Qur’an pula? Jangan kita sangka yang makhluk tidak bernyawa ini tidak ada apa-apa. Kita sahaja tidak nampak hal itu kerana kita hidup di alam dunia yang biasa sahaja.

Di dalam sebuah hadis mutawatir telah disebutkan bahawa ketika dibuatkan untuk Rasulullah ﷺ sebuah mimbar, dan sebelumnya bila Nabi ﷺ berkhutbah baginda selalu berdiri di sebelah salah satu daripada batang pohon kurma yang menjadi tiang-tiang masjid.

Setelah mimbar diletakkan pada yang pertama kali, lalu Nabi ﷺ datang untuk berkhutbah, maka baginda melewati batang kurma itu menuju ke mimbarnya, dan ketika itu batang kurma tersebut menangis dan merintih sebagaimana anak-anak merintih kerana rindu kepada zikir dan wahyu yang biasa ia dengar di sisinya, maka Nabi ﷺ mendiamkannya.

 

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُومُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَى شَجَرَةٍ أَوْ نَخْلَةٍ، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ ـ أَوْ رَجُلٌ ـ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَجْعَلُ لَكَ مِنْبَرًا قَالَ ‏”‏ إِنْ شِئْتُمْ ‏”‏‏.‏ فَجَعَلُوا لَهُ مِنْبَرًا، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ دُفِعَ إِلَى الْمِنْبَرِ، فَصَاحَتِ النَّخْلَةُ صِيَاحَ الصَّبِيِّ، ثُمَّ نَزَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَضَمَّهُ إِلَيْهِ تَئِنُّ أَنِينَ الصَّبِيِّ، الَّذِي يُسَكَّنُ، قَالَ ‏”‏ كَانَتْ تَبْكِي عَلَى مَا كَانَتْ تَسْمَعُ مِنَ الذِّكْرِ عِنْدَهَا ‏”‏‏.‏
Daripada Jabir رضي الله عنه, Nabi ﷺ biasanya berdiri berkhutbah pada hari Jumaat di sebatang pokok kurma. Seorang wanita atau lelaki Ansar berkata: Ya Rasulullah, bolehkah kami buatkan untuk mu mimbar. Baginda menjawab: Boleh, jika kalian mahu. Lalu mereka membuatkan untuk baginda mimbar. Apabila tibanya hari Jumaat, baginda pun naik ke mimbar tersebut. Lalu pokok kurma itu mengeluarkan bunyi seperti bunyi bayi. Kemudian baginda pun turun dari mimbar lalu pergi memeluk pokok kurma seperti sedang menenangkan yang sedang menangis. Baginda bersabda: Ia menangis kerana (tidak dapat mendengar lagi) apa yang biasa ia dengar daripada peringatan berhampirannya.
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab ‘Alamat an-Nubuwwah, hadis no: 3584)

 

Menurut sebahagian riwayat hadith ini, disebutkan bahawa Al-Hasan Al-Basri sesudah mengetengahkan hadith ini mengatakan, “Kalian seharusnya lebih merindukan Rasulullah ﷺ daripada batang kurma itu.”

Demikianlah bunyi ayat yang mulia ini, bahawa apabila gunung-gunung yang merupakan benda mati, seandainya ia mendengar Kalamullah dan memahaminya, nescaya tunduklah ia dan berpecah belahlah ia kerana takut kepada Allah ﷻ. Maka bagaimanakah dengan kalian (manusia), padahal kalian telah mendengarnya dan memahaminya? Dalam ayat lain telah disebutkan melalui firman-Nya:

 

{وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى} الْآيَةَ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah kitab itu adalah Al-Qur’an). (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat.


 

Hashr Ayat 22: Ini adalah Dakwa Surah ini. Seperti yang kita mungkin sudah perasan, dalam surah-surah musabbihaat ini Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia tentang Diri-Nya. Maka di hujung surah ini ada banyak asma’-Nya yang disebut-sebut supaya kita kenal Dia dengan lebih mendalam lagi.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Al-Qur’an dan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an. Sekarang Allah ﷻ beritahu kepada kita siapakah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu kepada kita. Ia bukan daripada manusia, tetapi daripada Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an itu, maka kenalah kita ambil peduli.

Kita kena sedar yang isi penting Al-Qur’an adalah tentang Allah ﷻ. Kita kena gunakan Al-Qur’an ini untuk kenal Allah ﷻ. Oleh kerana ayat ini menceritakan tentang Diri-Nya, maka ia boleh dijadikan bacaan amalan harian. Ini adalah rentetan ayat-ayat yang banyak menyebut nama Allah ﷻ selain daripada Ayat Kursi.

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۖ هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, Knower of the unseen and the witnessed. He is the Entirely Merciful, the Especially Merciful.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah ﷻ menyebut tentang Tauhid. Inilah Kesimpulan Wahyu – Hanya Allah ﷻ sahaja ilah yang satu, tidak ada ilah yang lain. Hanya sembah Allah ﷻ sahaja, doa kepada Dia sahaja. Maka jangan jadikan selain Allah ﷻ sebagai ilah kerana itu semua tidak layak menjadi ilah.

Allah ﷻlah sahaja tempat pengharapan. Maka kena faham maksud ilah ini, barulah dapat memahami syahadah yang kita bacakan setiap hari. Ringkasnya, ilah adalah tempat sandaran hati kita, tempat kita berharap. Dan kerana kita berharap kepadanya, kita berdoa kepadanya. Ini hanya boleh dilakukan kepada Allah ﷻ sahaja. Maka kalau kita meminta kepada selain Allah ﷻ, maka kita telah melakukan syirik. Walaupun kita tidak menjadikannya tuhan pun.

Maka jikalau kita berharap kepada Nabi, wali, malaikat atau jin, maka itu pun sudah syirik. Itu telah menjadikan mereka sebagai ilah selain Allah ﷻ. Malangnya ramai yang tidak faham tentang hal ini dan telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, 

Selepas menyebut tentang kalimah tauhid, Allah ﷻ menyebut sifat-sifat-Nya. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu dan ada ilmu ghaib. Manusia tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu sahaja. Dan ini adalah satu salah faham dalam masyarakat yang kata ada manusia yang tahu ilmu ghaib.

Ini adalah fahaman syirik kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu ghaib. Yang manusia ada ilmu ghaib itu adalah kerana Allah ﷻ beri sedikit pengetahuan kepada para Nabi. Namun setakat yang diberitahu itu sahaja. Tidaklah manusia atau mana-mana makhluk tahu semua ilmu ghaib.

Allah ﷻ tentu sekali nampak yang zahir juga. Kita pun ada juga nampak yang zahir, tetapi itu pun tidaklah semuanya.

Maka Allah ﷻ tahu segala-galanya dan Allah ﷻ tidak perlu sesiapa pun untuk memberitahu kepada-Nya. Kalau kita ada maklumat apa-apa, kita memerlukan orang untuk memberitahu kepada kita, bukan? Namun tidak dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu dari mula lagi, malah sebelum ia terjadi lagi Allah ﷻ sudah tahu.

 

 

هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dua sifat Allah ﷻ yang selalu sebut-sebut adalah sifat Rahman dan Raheem ini. Kita sudah bincangkan dalam tafsir Surah Fatihah dengan panjang lebar. Begitu banyak sekali nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk kerana Allah ﷻ kasih dan penyayang kepada makhluk-Nya.

Sebelum ini telah diberitahu yang Allah ﷻ segala-galanya; termasuklah diri kita. Walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang diri kita luar dan dalam, tetapi Allah ﷻ masih tetap sayang kepada kita kerana kita hamba-Nya.


 

Hashr Ayat 23:

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ المَلِكُ القُدّوسُ السَّلٰمُ المُؤمِنُ المُهَيمِنُ العَزيزُ الجَبّارُ المُتَكَبِّرُ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, the Sovereign, the Pure, the Perfection,¹ the Bestower of Faith,² the Overseer, the Exalted in Might, the Compeller, the Superior. Exalted is Allāh above whatever they associate with Him.

  • Literally, “Free” from any imperfection or “the Security.”
  • Or “of Safety.”

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah ﷻ ulang lagi kalimah tauhid seperti dalam ayat yang sebelum ini sebagai penekanan. Ini kerana ia adalah amat penting. Kerana salah faham tentang ilah inilah yang menyebabkan banyak kesyirikan yang terjadi dalam masyarakat.

 

 

هُوَ المَلِكُ

Dialah Raja

Allah ﷻ sebenar-benar Raja yang memiliki segala-galanya. Dialah sahaja al-Malikul Muluk. Walaupun manusia ada yang jadi raja di dunia, tetapi tidaklah sama kedudukan itu dengan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang sebenar-benar Raja.

Raja di dunia itu adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang benarkan orang itu jadi raja. Namun tidaklah dia berkuasa penuh sedangkan Allah ﷻ berkuasa penuh. Allah ﷻ bebas untuk mengurus dan mentadbir alam ini tanpa ada sekatan apa-apa pun.

 

 

القُدّوسُ

Yang Maha Suci,

Ini adalah kalimah dalam bentuk mubalaghah. Allah ﷻ yang Maha Suci daripada kekurangan atau keburukan. Tidak mungkin kita boleh memikirkan perkara yang buruk tentang Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ tidak jahat, tidak menjelekkan. Allah ﷻ Maha Suci dan Allah ﷻ sahaja yang boleh menyucikan kita.

Ada pendapat lain mengatakan yang Allah ﷻ nama ini menjadi isyarat bahawa tidak akan menzalimi hamba-Nya.

 

 

السَّلٰمُ

Yang Maha Sejahtera,

Allah ﷻ tidak mungkin mengalami kepayahan atau kesusahan kerana Allah ﷻ sentiasa sejahtera. Iaitu Maha sejahtera daripada segala bentuk cela dan kekurangan, kerana kesempurnaan Dzat, sifat, dan perbuatan-Nya.

 

 

المُؤمِنُ

Yang Mengurniakan Keamanan,

Maksud ‘mukmin’ adalah yang memberikan keamanan. Iaitu keamanan daripada ketakutan. Allah ﷻ yang memberi keselamatan kepada manusia, yang memberi perlindungan kepada makhluk-Nya.

Ia juga bermaksud selamat daripada kezaliman-Nya kerana Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Makhluk-Nya selamat daripada takut Allah ﷻ berlaku zalim kepada mereka, tidak memberikan hak-hak mereka, tidak membalas kebaikan yang dilakukan semasa di dunia, tidak menepati janji-Nya.

Ada juga yang mentafsirkan maksudnya ‘memberi iman’. Maksudnya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri iman kepada manusia. Hidayah iman itu milik Allah ﷻ dan bukan kita boleh beri kepada orang lain, termasuklah yang di bawah kita seperti anak-anak kita sendiri. Kita boleh sampaikan sahaja dakwah iman tetapi untuk memberi orang itu beriman, itu adalah dalam kuasa takluk Allah ﷻ.

Pendapat lain mengatakan ia bermaksud Allah ﷻ membenarkan para Rasul-Nya dengan memberikan mereka mukjizat. Mukjizat diberikan kepada Para Nabi sebagai tanda bahawa mereka itu adalah utusan Allah ﷻ. Ini kerana mereka membawa berita yang besar dan menentang golongan yang ramai. Maka mereka dibekalkan dengan mukjizat sebagai bukti bahawa mereka itu benar-benar seorang Rasul.

 

 

المُهَيمِنُ

Yang Maha Memelihara,

Kalimah المُهَيمِنُ berasal daripada katadasar ه م ن yang bermaksud meletakkan sesuatu di dalam dompet, ketua sesuatu pertubuhan, yang mengetuai dan menguruskan perbendaharaan, tentera atau manusia. Oleh itu, kalimah Muhaimin ada tiga maksud dari segi bahasa:

1. Penjaga dan pengawal
2. Pemerhati yang memerhatikan segala yang dilakukan oleh orang lain
3. Seorang yang mengambil kedudukan untuk memenuhi keperluan orang lain.

Ketiga-tiga sifat ini boleh digunakan dalam konteks ayat ini. Oleh itu Allah ﷻlah yang menjaga dan memelihara semua makhluk-Nya; Dia memerhatikan segala kelakuan dan perbuatan kita semua; Dia juga yang bertanggungjawab memberikan segala keperluan kita. Tanpa-Nya kita tidak mungkin dapat hidup dan terus hidup.

Dan kalau kita sambungkan daripada sifat sebelum ini, ia mengajar kita yang Allah ﷻ sahaja yang ada kuasa untuk menjaga manusia supaya tidak sesat selepas diberikan dengan iman. Sudahlah Dia yang beri iman, hendak mengekalkan iman itu juga dalam kuasa-Nya.

 

 

العَزيزُ

Yang Maha Perkasa,

Allah ﷻ maha berkuasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang berani angkat muka dengan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh beri apa sahaja azab kepada manusia kalau mereka menentang kebenaran dan tidak mahu beriman.

 

 

الجَبّارُ

Yang Maha Kuasa,

Kalimah ‘jabbar’ bermaksud yang membetulkan sesuatu dengan menggunakan kekuatan. Ini adalah seperti membetulkan tulang yang terkehel supaya masuk semula di tempatnya. Maka ini mengajar kita yang kadang-kadang Allah ﷻ menggunakan kekerasan untuk membetulkan kita.

Qatadah رحمه الله mengatakan bahawa makna al-jabbar ialah Tuhan Yang menundukkan makhluk-Nya menurut apa yang dikehendaki-Nya. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, al-jabbar ertinya Tuhan Yang memperbaiki urusan-urusan makhluk-Nya. Yang mengatur mereka sesuai dengan apa yang menjadi kemaslahatan bagi mereka.

Kerana itu ada orang yang setelah ditimpa musibah dan masalah yang besar, barulah dia menjadi orang yang baik. Semoga kita bukanlah jenis orang menunggu dikenakan dengan azab barulah hendak menjadi baik. Kerana perit kalau diingatkan dengan musibah. Maka hendaklah kita ingat dan taat kepada Allah ﷻ dalam keadaan senang.

 

 

المُتَكَبِّرُ

Yang Memiliki segala Keagungan, 

Allah ﷻ sahaja yang ada kebesaran. Maka kita tidak boleh takabbur. Allah ﷻ sahaja yang layak membesarkan Diri-Nya. Kita ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Segala apa yang kita ada adalah daripada Allah ﷻ. Maka kenapa hendak sombong dan berasa besar diri?

Allah ﷻ tidak suka kepada makhluk yang kibr, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith sahih (hadith Qudsi) yang mengatakan:

 

“العَظَمة إِزَارِي، وَالْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي، فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا عَذَّبته”.

Kebesaran adalah (bagaikan) kain-Ku dan Keagungan adalah (bagaikan) selendang-Ku; maka barang siapa yang menyaingi-Ku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Kuazab dia.

 

Oleh itu, sifat kibr adalah satu sifat buruk kalau ia ada pada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa yang hendak disombongkan; tetapi bagi Allah ﷻ, sifat ini adalah layak bagi Dia, jadi tidak salah kalau Allah ﷻ bersifat mutakabbir.

 

 

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Ramai manusia yang mengatakan perkara yang salah tentang Allah ﷻ. Antaranya, ada manusia yang kata Allah ﷻ ada anak, Allah ﷻ ada sekutu dalam pentadbiran alam ini, Allah ﷻ memerlukan wasilah dalam doa, dan macam-macam lagi fahaman salah dan syirik.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia suci daripada segala salah faham itu.


 

Hashr Ayat 24:

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, the Creator, the Inventor, the Fashioner; to Him belong the best names.¹ Whatever is in the heavens and earth is exalting Him. And He is the Exalted in Might, the Wise.

  • Refer to the final paragraphs of the “Introduction” for a brief discussion of these attributes.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

 

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ

Dialah Allah Yang Menciptakan,

Allah ﷻ sahaja yang menciptakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Tidak ada sesiapa selain Allah ﷻ yang boleh melakukannya. Musyrikin Mekah pun kenal Allah ﷻ dan tahu bahawa pencipta itu hanya Allah ﷻ sahaja.

 

ا

لبارِئُ

Yang Mengadakan,

Allah ﷻ yang mengadakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Selepas Allah ﷻ rancang untuk menjadikan sesuatu, Allah ﷻ akan menjadikannya. al-Bari’ adalah daripada katadasar ب ر ئ yang bermaksud ‘putus’ atau ‘bebas’. Maksudnya Allah ﷻ menjadikan makhluk bebas daripada kekurangan.

Maknanya Allah ﷻ merealisasikan apa yang telah direncanakan dan ditetapkan ke alam wujud dan alam nyata. Tiada seorang pun yang merencanakan sesuatu dapat melaksanakan dan merealisasikannya selain hanya Allah ﷻ.

 

 

المُصَوِّرُ

Yang Membentuk Rupa, 

Segala rupabentuk adalah dalam kehendak Allah ﷻ. Segala bentuk dalam alam ini tidaklah terjadi sendiri tetapi ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ untuk jadi sebegitu rupa.

Allah ﷻ yang menjadikan kita dalam rupa kita sekarang ini. Maka tidak boleh hendak marahkan Allah ﷻ dan kritik kerja Allah ﷻ. Kalau kita tidak cantik, maka jangan marah ketidakcantikan kita itu. Kerana kalau kita marah, bermaksud kita kutuk Allah ﷻ yang menjadikan rupa kita begitu.

Tiga kalimah awal yang menceritakan sifat Allah ﷻ ini adalah tentang kejadian dalam tiga bentuk atau proses:

Pertama, Allah ﷻ sebagai al-Khaaliq. Ini adalah sifat perancang. Ini adalah seperti arkitek yang sebelum menjadikan sesuatu bangunan, ia akan merancang bagaimana bentuk bangunan itu.

Kedua, pada peringkat kejadian ini kalau diumpamakan seperti pembinaan bangunan, ia seperti menjadikan tapak, menaikkan dinding dan membentuk bangunan itu sehingga ia terbina.

Ketiga, pada peringkat memberi bentuk yang sempurna kepada kejadian itu seperti mengemaskan bentuk bangunan sampai menjadi sempurna.

Namun tidaklah kita samakan penciptaan manusia dan Allah ﷻ. Dalam manusia mencipta dan menjadikan sesuatu, tentulah ada contoh sebelumnya. Akan tetapi Allah menjadikan alam ini tidak ada contohnya. Allah ﷻ cipta sendiri.

 

 

لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Yang Mempunyai Nama yang Terbaik

Nama-nama Allah ﷻ itu adalah dalam bentuk terbaik. Allah ﷻ sahaja ada yang nama yang memberi kesan apabila diseru. Nama-nama lain tidak memberi kesan apabila diseru. Ini adalah kerana nama-nama Allah ﷻ itu memang benar dan bertepatan dengan Dia.

Sebagai contoh, kalau seorang lelaki bernama Rahman, tidaklah bermakna itu seorang yang pemurah. Tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ itu ar-Rahman, memang Allah ﷻ bersifat Maha Pemurah. Maka kita gunakan nama-nama Allah ﷻ ini untuk kita menyeru-Nya dalam doa kita.

Nama-nama itu semua al-husna, iaitu terbaik. Tidak ada nama yang memburukkan Allah ﷻ. Nama-nama itu melambangkan kesempurnaan Allah ﷻ.

Asmaul Husna adalah salah satu perkara yang rapat dengan masyarakat kita. Selalu ia dinyanyikan oleh anak-anak kecil malah orang tua turut menghafalnya. Sebenarnya tidak ditemukan hadith yang sahih yang menyebutkan dan mengumpulkan sembilan puluh sembilan Al-Asmâ-ul-Husna. Adapun hadith yang diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmidzi, Mustadrak Al-Hakim dan yang lainnya, para ulama’ mendhaifkannya.

At-Tirmidzi setelah menyebutkan hadîth yang terdapat di dalamnya Al-Asmâ-ul-Husna tersebut, beliau mengatakan, “Hadîth ini gharîb…hadîth ini diriwayatkan dengan jalan lain daripada Abu Hurairah dan kami tidak mengetahui pada sebahagian besar riwayat-riwayat tersebut yang menyebutkan nama-nama ini kecuali di hadîth ini…”

Banyak orang yang menyangka bahawa Allah ﷻ hanya memiliki sembilan puluh sembilan nama, dengan dalil yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

( إِنَّ ِلِِلهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّة )

Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama/seratus dikurangi satu. Barangsiapa yang dapat menghitung atau menghafalnya maka dia akan masuk syurga.”

(HR Al-Bukhâri no. 2736 dan Muslim no. 6/2677)

Ihshâ’ (menghitung/menghapal) Al-Asmâ-il-Husnâ di dalam hadîth tersebut memiliki empat tingkatan, iaitu:

  1. Menghitung dan menghafal nama-nama tersebut.

  2. Memahami makna yang terkandung di dalamnya

  3. Berdoa dengan menggunakan nama-nama tersebut, seperti: Ya Razzâq (Yang Maha Memberi Rezeki)! Berilah aku rezeki, Ya Ghafûr (Yang Maha Pengampun)! Ampunilah dosa-dosaku.

  4. Menyembah Allah dengan seluruh kandungan nama-nama tersebut. Jika kita tahu bahawa Allah Ar-Rahîm (Maha Pemberi Rahmat), maka kita selalu mengharapkan rahmat atau kasih sayang-Nya. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Ghafûr (Maha Pemberi Ampun), maka kita selalu memohon ampun kepadanya. Jika kita tahu bahawa Allah As-Samî’ (Maha Mendengar), maka kita selalu menjaga perkataan kita, jangan sampai membuat Dia marah. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Bashîr (Yang Maha Melihat), maka kita selalu menjaga perbuatan kita agar tidak mengerjakan sesuatu yang tidak diredhainya.

Benarkah Allah hanya ada 99 nama sahaja? Padahal, Allah ﷻ memiliki banyak nama yang tidak kita ketahui dan disembunyikan di sisi-Nya. Sebagaimana Rasulullah ﷺ pernah berdoa,

 

( …أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ …)

… Aku memohon dengan seluruh nama yang Engkau miliki, yang Engkau menamakan diri-Mu dengannya, yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada makhluk-Mu, yang Engkau turunkan di dalam Kitab-Mu atau yang Engkau sembunyikan di ilmu ghaib di sisi-Mu…

(HR Ahmad no. 3712, Al-Hâkim no. 1877 dan yang lainnya. Syaikh Al-Albâni berkata di Ash-Shahîhah no. 199) “Hadîth ini sahîh.”

 

 

Hadith di atas sangat jelas menyatakan bahawa nama Allah ﷻ tidak hanya sembilan puluh sembilan, kerana ada nama-nama yang disembunyikan di sisi-Nya. Maka apabila Allah ﷻ kata Dia ada 99 nama, tidaklah bermaksud tepat 99 nama. Ini sebagaimana ada orang yang kata dia ada ‘seratus ringgit untuk disedekahkan’. Tidaklah itu bermaksud dia hanya ada seratus ringgit itu sahaja, tetapi seratus ringgit itulah yang dia niatkan untuk disedekahkan.

Maka, Allah ﷻ ada lebih lagi daripada 99 nama dan bilangan itu tidak terkira. Cuma Allah ﷻ hadkan, kalau beramal dengan 99 nama itu, maka itu akan memasukkan orang yang mengamalkannya ke dalam syurga.

Bilangan nama Allah ﷻ ini tidak disepakati. Al-Qurthubi berkata, “Telah kami sebutkan bahawa nama-nama Allah ada yang telah disepakati oleh para ulama dan ada yang masih diperselisihkan. Yang kami dapatkan di buku-buku para imam kami, (nama-nama tersebut) mencapai lebih daripada dua ratus nama.”

 

 

يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. 

Surah ini dimulai dengna tasbih dan diakhiri dengan tasbih sama seperti permulaannya. 10 surah yang kita sedang baca sekarang dinamakan Surah-surah Musabbihaat kerana ada tasbih di dalam surah-surah itu.

Allah ﷻ  menekankan tentang tasbih dan memberitahu bahawa semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Maka Allah hendak perli di dalam surah-surah ini: mana tasbih kamu? Kenapa kamu tidak bertasbih?

 

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ bersifat al-Aziz bermaksud Allah ﷻ boleh mengenakan azab kepada mana-mana makhluk dengan apa-apa cara pun dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya.

Namun dalam masa yang sama Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem. Maksudnya tidaklah Allah ﷻ terus beri azab kepada manusia setiap kali manusia buat salah. Allah ﷻ beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sifat mereka. Dan ini adalah kerana Allah ﷻ bersifat al-Hakeem. Semua perbuatan Allah ﷻ itu adalah di atas kebijaksanaan-Nya.

Sekian ayat-ayat tentang sifat Allah ﷻ. Ketiga-tiga ayat ini adalah antara wirid-wirid yang boleh diamalkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Mumtahanah.

Tarikh: 19 Ogos 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hashr Ayat 17 – 20 (Nasihat kepada golongan munafik)

Hashr Ayat 17:

فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ خٰلِدَينِ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the outcome for both of them is that they will be in the Fire, abiding eternally therein. And that is the recompense of the wrongdoers.

(MELAYU)

Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.

 

 

فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ

Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka,

Dua golongan yang dimaksudkan adalah golongan Munafik dan Yahudi. Atau ia merujuk kepada Syaitan dan manusia. Syaitan itu kerana mereka menghasut, dan manusia itu kerana taat kepada pujukan syaitan. Oleh kerana penolakan mereka kepada agama yang benar, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

 

خٰلِدَينِ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Kerana mereka menentang agama Allah ﷻ, maka mereka akan kekal dalam neraka itu. Tidak ada peluang untuk keluar sampai bila-bila.

 

 

وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ

Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.

Itulah balasan yang layak bagi mereka. Allah ﷻ tidak zalim kerana mengekalkan mereka dalam neraka kerana kesalahan yang mereka lakukan itu amat besar.

Sekian Ruku’ 2 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Hashr Ayat 18: Sekarang Allah ﷻ bekalkan kita dengan petunjuk. Ayat 18 – 24 ini adalah nasihat yang diberikan kepada orang munafik itu. Ia adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir. Allah ﷻ suruh perbetulkan aqidah tentang Hari Akhirat dan Sifat-sifat Allah ﷻ.

Teguran diberikan kepada manusia termasuk kita supaya sedar. Ada dalam kalangan munafik itu yang lemah iman sahaja dan ada harapan untuk berubah. Maka mereka kena tadabbur ayat ini.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh. And let every soul look to what it has put forth for tomorrow – and fear Allāh. Indeed, Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah

‘Orang-orang beriman’ yang dimaksudkan di sini adalah golongan munafik. Bukanlah ia bermaksud sudah beriman benar lagi. Ini boleh dilihat dalam ayat-ayat yang menggunakan kalimah الذين ءامنوا di dalam Al-Qur’an. Kalau benar-benar sudah beriman, kalimah yang digunakan adalah المؤمنون.

Maka maksudnya yang diseru dalam ayat ini adalah mereka yang belum benar-benar beriman lagi, termasuklah golongan munafik itu. Mereka itu masih ada harapan lagi untuk beriman kerana mereka sanggup untuk duduk bersama Nabi ﷺ dan para sahabat lagi. Mereka tidaklah menentang dengan jelas, maknanya mereka tidaklah menentang dengan kuat lagi maka mereka masih ada harapan untuk kembali ke jalan yang benar. Maka mereka hendaklah mengambil pengajaran ini supaya mereka dapat memperbaiki keadaan iman mereka supaya menjadi benar-benar beriman.

Maksud ‘taqwa’ itu adalah taat kepada Allah ﷻ dan mengikut syariat yang Allah ﷻ telah berikan. Dalam segala perbuatan kita, kena sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kerana kalau sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita takut untuk melakukan kesalahan kerana Allah ﷻ akan balas perbuatan yang jahat.

Maka dengan taqwa itu kena buat apa yang Allah ﷻ suruh dan tinggalkan apa yang Allah ﷻ larang. Maka kena belajar dan tahu apakah hukum melakukan sesuatu perkara itu.

 

 

وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ

dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok

‘Hari esok’ yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat. ‘Hari ini’ adalah kehidupan di dunia dan nanti yang menyusul adalah esok, iaitu ‘akhirat’. Sebagaimana kita digalakkan untuk menabung untuk hari esok, maka kita pun kenalah bersedia untuk ‘menabung’ untuk hari akhirat. Kena hantar pahala dan amal kita siap-siap ke akhirat. Apabila kita hantar amalan kita, ia akan menunggu kita di akhirat kelak.

Kalimah نظر bermaksud berjaga-jaga dan memerhati dalam kadar yang lama (memikirkan dengan mendalam). Allah ﷻ suruh kita lihat kepada apa dilaburkan untuk akhirat. Kerana segala perbuatan kita selama di dunia ini adalah sebagai saham untuk akhirat. Kalau amal baik, dapat saham yang baik; kalau amal yang buruk, maka akan dapat amal yang buruk.

Maka ini adalah arahan Allah ﷻ untuk kita berfikir tentang akhirat. Sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan taqwa tidak akan ada tanpa fikir akhirat. Kerana orang yang tidak hiraukan akhirat tidak akan mahu taat kepada Allah ﷻ. Maka jangan fikirkan tentang dunia sahaja, tetapi hendaklah lebih banyak berfikir tentang akhirat kerana itu yang lebih kekal, bukan?

Maka ini adalah ayat tentang muhasabah diri kita. Kena lihat apa amalan kita, fahaman kita, ilmu kita; adakah menuju ke syurga atau menuju ke neraka? Kita memanglah tidak tahu tempat kita di syurga atau di neraka, tetapi bila kita lihat amalan kita pun, kita sudah boleh agak-agak, bukan?

 

 

وَاتَّقُوا اللهَ

dan bertaqwalah kepada Allah,

Diulang sekali lagi arahan untuk taqwa sebagai penekanan. Ini adalah kerana taqwa ini adalah amat penting sekali. Yang selamat dan masuk syurga adalah mereka yang bertaqwa. Taqwa ini mestilah dilakukan walaupun dalam kalangan orang ramai atau pun di kala sepi, semasa bersendirian sahaja. Kerana kadang-kadang kita baik sahaja apabila di hadapan orang, namun berperangai buruk apabila berseorangan.

 

 

إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kita kena sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan dan tahu apa sahaja yang kita lakukan. Kalau kita dapat hayati maksud ayat ini, maka kita akan dapat mencapai tahap taqwa.

Apabila Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan, maksudnya Allah ﷻ akan balas. Yang baik dibalas baik, dan yang buruk dibalas buruk. Tidak akan terlepas dan tidak akan ada yang tidak dibalas.


 

Hashr Ayat 19: Sekarang diberikan ayat yang menyentuh tentang psikologi manusia. Ini adalah ayat Zajrun (ayat teguran) dan contoh lalai leka yang manusia selalu lakukan. Sepatutnya manusia segerakan amal kebaikan, namun ada yang lengahkan. Maka Allah ﷻ beri teguran dalam ayat ini.

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be not like those who forgot Allāh, so He made them forget themselves. Those are the defiantly disobedient.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

 

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah,

Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan lupa Dia. Maksud lupa itu adalah rosak akidah dan rosak amal. Kalau lupa Allah ﷻ, mereka itu yang tidak kisah tentang Allah ﷻ dan mudah sahaja melanggar arahan dan larangan-Nya. Mereka lupa hak-hak Allah ﷻ ke atas mereka. Oleh itu mereka tidak kisah untuk memperbetulkan akidah dan amal.

Kita memang kena ingat kepada Allah ﷻ sentiasa, kena sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Kalau kita lupa Allah ﷻ di saat kita senang, maka Allah ﷻ akan lupakan kita di saat susah. Tidakkah begitu yang terjadi kepada kebanyakan manusia? Mereka hanya ingat Allah ﷻ semasa susah sahaja. Namun kalau kita hanya ingat di kala susah, Allah ﷻ boleh sahaja tidak layan kepada kita di saat kita memerlukan-Nya. Macam kita hendak minta tolong kepada seseorang, takkan minta tolong hanya apabila susah sahaja? Namun kalau waktu kita senang pun kita tetap berhubungan dengan dia, maka senanglah dia hendak tolong kita nanti di kala susah.

 

 

فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم

lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. 

Apabila mereka lupa kepada Allah ﷻ dan kewajipan dalam agama, maka Allah ﷻ jadikan mereka lupa diri mereka. Bukanlah hilang ingatan sampai lupa nama, lupa alamat rumah. Maksud lupa itu adalah ‘lupa’ untuk selamatkan diri sendiri. Lupa untuk membuat persediaan kepada hari akhirat. Iaitu mereka yang hanya ingat tentang dunia sahaja sepanjang masa.

Mereka juga lupa kepada kedudukan mereka sebagai ‘hamba Allah’. Bila lupa yang diri mereka itu hamba yang kena taat kepada Allah ﷻ, maka mereka akan ada masalah nanti. Mereka tidak takut untuk membuat dosa kerana mereka tidak rasa mereka kena taat kepada Allah ﷻ.

Mereka juga lupa tentang roh. Kita kena sedar yang diri kita ini ada fizikal dan ada roh. Diri kita sebenarnya adalah roh yang berada dalam fizikal kita. Itulah ‘diri’ kita yang sebenarnya dan bukannya tubuh kita yang akan rosak bila kita sudah mati. Roh kita ini ada, tetapi kita hendak tunjukkan pun tidak boleh. Inilah yang dinamakan ‘nafs’ atau ‘roh’.

Maka satu lagi maksud ‘mereka lupa’ adalah mereka lupa kepada elemen roh mereka. Mereka yang lupa Allah ﷻ akan ingat yang fizikal sahaja. Maka mereka akan puaskan fizikal mereka sahaja seperti hanya akan makan, tidur, jaga badan nak selesa sentiasa, bersuka-ria. Hendaklah kita ingat yang itu semua tidaklah salah tetapi itu semua untuk badan fizikal sahaja. Ia hanya adalah satu elemen daripada diri kita sahaja.

Kalau kita hanya mementingkan kehendak fizikal sahaja, maka Allah ﷻ telah menjadikan kita macam binatang sahaja kerana binatang itu hanya ikut kehendak fizikal sahaja. Maknanya kalau tidak mementingkan roh, maka orang itu hanya tunggu untuk mati sahaja. Mereka hanya akan guna sahaja apa dalam dunia ini. Allah ﷻ telah beri peringatan dalam ayat yang lain:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Al-Munafiqun:9)

 

Jangan jadi seperti binatang yang tahu hendak makan sahaja sedangkan apa yang mereka makan itu akhirnya akan menjadi najis sahaja. Akan tetapi kalau menjaga kehendak roh dan apabila dimasukkan makanan roh itu, ia akan mengeluarkan perkara baik. Dan kita telah sebutkan dalam perbincangan di tempat lain, makanan roh kita adalah wahyu. Orang yang ingat kepada roh akan sentiasa berikan makanan roh, iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Maka mereka akan selalu baca Al-Qur’an, selalu tadabbur Al-Qur’an dan akan selalu cuba amalkan apa yang ada di dalamnya.

Maka jangan lupa kepada kepentingan roh kita. Dan begitu pentingnya roh itu, sampaikan malaikat disuruh sujud kepada Adam عليه السلام apabila sudah ada roh dalam tubuh baginda.

 

 

أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Mereka yang lupa kepada Allah ﷻ dan kemudian lupa kepada rohnya, mereka itu adalah orang yang fasik. Orang yang fasik adalah orang yang sudah rosak. Orang yang fasik adalah orang yang sentiasa melakukan dosa. Ini adalah kerana mereka tidak menghargai roh yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.


 

Hashr Ayat 20: Allah ﷻ meningatkan tentang hari esok iaitu akhirat, yang ada syurga dan neraka. Kena pilih hendak masuk ke mana dari sekarang. Kerana pilihan itu akan menentukan jalan kehidupan mereka.

لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ ۚ أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not equal are the companions of the Fire and the companions of Paradise. The companions of Paradise – they are the attainers [of success].

(MELAYU)

Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah; penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.

 

 

لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ

Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah;

Tidak sama langsung antara dua golongan ini. Balasan yang mereka dapat di sana tidak sama. Amat berbeza sangat kerana penghuni neraka mendapat azab sedangkan penghuni syurga mendapat nikmat. Ini adalah kesan daripada cara mereka menjalani kehidupan mereka di dunia.

Mereka yang malang adalah mereka yang lupa roh mereka, sebenarnya mereka sudah ada dalam neraka walaupun mereka itu di dunia. Hidup mereka memang tidak keruan kerana mereka tidak tenang semasa di dunia ini. Kehidupan mereka bergelumang dengan dosa. Mereka itu hanya menunggu mati sahaja untuk menerima azab daripada Allah ﷻ yang bermula dari dalam kubur. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang sebenarnya nanti.

Sedangkan mereka yang ingat kepada roh dan membuat persediaan kepada akhirat, mereka akan tenang sentiasa. Dalam dunia lagi mereka telah hidup dalam syurga dunia. Amalan mereka juga adalah amalan yang soleh dan mereka berpegang dengan akidah yang benar.

 

 

أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ

penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.

Orang yang berjaya menyelamatkan diri mereka dari neraka adalah orang yang beruntung sungguh. Mereka itulah orang yang sebenar-benarnya yang berjaya. Mereka berjaya kerana selamat daripada azab api neraka.

Oleh itu kalau amalan dan fahaman tidak sama, maka balasan di akhirat pun tentu tidak sama. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ}

Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. (Al-Jatsiyah: 21)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

TafsirWeb