Tafsir Surah Hud Ayat 35 – 37 (Bahtera Nabi Nuh عليه السلام)

GOLONGAN MUSYRIKIN MENOLAK AL-QUR’AN

Hud Ayat 35:

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَعَلَيَّ إِجرامي وَأَناْ بَريءٌ مِّمّا تُجرِمونَ

Sahih International

Or do they say [about Prophet Muhammad], “He invented it”? Say, “If I have invented it, then upon me is [the consequence of] my crime; but I am innocent of what [crimes] you commit.”

Malay

(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: “Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka menuduh dia mengada-adakan dusta:

Mereka pula kata Nabi Nuh عليه السلام mengadakan dusta terhadap Allah ‎ﷻ. Mereka kata apa yang Nabi Nuh عليه السلام itu bawa hanyalah dusta belaka, mengaku Nabi pula. Sebenarnya mereka bukanlah tidak tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ tetapi mereka menggunakan patung wali-wali itu sebagai perantaraan kepada Allah ﷻ. Mereka menggunakan tawasul (perantaraan) untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ dan ini adalah rekaan dalam agama.

Ramai manusia yang ada salah faham dengan wali. Wali-wali itu memang orang-orang yang baik semasa mereka hidup. Namun selepas mereka mati, ada yang menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai orang soleh dan dijadikan sebagai perantaraan doa kepada Allah ﷻ. Mula-mula mereka membina patung hanya sebagai tanda peringatan. Akan tetapi lama kelamaan mereka sembah pula patung-patung itu kerana syaitan telah mengambil peluang untuk sesatkan mereka.

Bagaimana dengan masyarakat kita? Ada terdapat dalam kalangan masyarakat Islam kita yang memuja tok wali. Ada yang beri salam kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani lah, Tok Kenali lah dan macam-macam lagi amalan-amalan yang sesat sebegitu. Ada sekolah tahfiz yang ajar anak murid mereka untuk berdoa kepada Tok Kenali supaya mereka senang hafal Al-Qur’an.

Mereka yang ingkar dalam kalangan umat Nabi Nuh عليه السلام mendakwa baginda menipu dan reka sahaja wahyu yang disampaikan. Mereka kata sebenarnya tidak ada larangan untuk bertawasul kepada tok-tok wali itu, cuma Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang reka kata Tuhan tidak suka. Mereka juga kata, sebenarnya Allah ﷻ suka mereka buat begitu.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ‘dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu Musyrikin Mekah mengatakan yang kisah Nabi Nuh عليه السلام yang baginda sampaikan ini adalah rekaan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini memberitahu kepada mereka bahawa kisah yang Nabi ﷺ bawakan ini adalah kebenaran dan bukan rekaan baginda.

 

قُلْ إِنِ افْتَرَيْتُهُ

Katakanlah: “Kalau betul aku telah mereka-reka wahyu itu

Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) diperintahkan menjawab kepada mereka yang kata kalau baginda reka apa yang baginda sampaikan. Ini adalah kemungkinan sahaja, iaitu hujah ‘kalau’. Bukannya benar para Nabi itu reka wahyu pula.

 

فَعَلَيَّ إِجْرَامِي

maka akulah yang akan menanggung dosa itu,

Sekiranya benar Nabi عليه السلام reka sendiri wahyu itu, maka baginda sanggup menanggung dosa kesalahan itu. Perkataan إِجْرَامِي bermaksud sesuatu yang telah dimandatkan kepada kita untuk melakukannya tetapi kita tidak melakukannya. Maka ini adalah satu kesalahan atau dosa. Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) disuruh untuk mengatakan bahawa kalau baginda menipu, tentulah baginda akan menerima azab akibat kesalahan dosa baginda itu.

Baginda sanggup tanggung, namun bagaimanakah dengan mereka yang telah melakukan dosa-dosa mereka itu? Adakah kamu sanggup menanggung dosa kamu?

 

وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تُجْرِمُونَ

dan aku berlepas diri dari perbuatan dosa kamu itu”.

Nabi Nuh عليه السلام berlepas diri daripada perbuatan tawasul mereka itu kepada lima wali itu. Nabi Nuh عليه السلام tidak mahu ada kena mengena dengan mereka. Mana-mana amalan salah mereka, baginda tidak terlibat kerana baginda sudah menasihati mereka. Baginda tidak akan mengiktiraf amalan sesat dan kufur itu.

Kerana itulah kita juga tidak boleh menerima amalan syirik khurafat masyarakat kita. Tidak perlu kita menjaga hati mereka dengan mengatakan perbuatan itu boleh dilakukan. Jangan duduk-duduk dengan mereka semasa mereka melakukan amalan sesat mereka itu. Kita wajib untuk isytihar berlepas diri daripada amalan mereka. Jangan bersekongkol dengan mereka. Jangan iktiraf perbuatan salah mereka. Kena sampaikan kepada mereka bahawa perbuatan mereka itu adalah salah.

Habis Ruku’ 3 daripada 11 ruku’ surah ini


 

KISAH BAHTERA

Hud Ayat 36: Setelah 950 tahun berdakwah tanpa henti, Nabi Nuh عليه السلام telah mengaku kepada Allah ‎ﷻ. Doa baginda ini disebut dalam Mukminoon:26 

قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ
Nuh berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku”.

Sekarang Allah ﷻ beritahu hasilnya kepada Nabi Nuh عليه السلام. Selepas diberitahu tentang keadaan mereka ini, barulah Nabi Nuh عليه السلام mengangkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka.

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد ءآمَنَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَفعَلونَ

Sahih International

And it was revealed to Noah that, “No one will believe from your people except those who have already believed, so do not be distressed by what they have been doing.

Malay

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

 

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ

Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh:

Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi Nuh عليه السلام satu perkara yang baginda tidak akan dapat tahu jika Allah ﷻ tidak beritahu kerana baginda tidak boleh membaca hati manusia, lalu tentu baginda tidak tahu perkara ghaib. Salah satu perkara ghaib adalah sama ada seseorang itu beriman atau tidak. Baginda juga tidak tahu masa hadapan; entah akan ada orang yang akan beriman atau tidak; maka perkara ini hanya Allah ﷻ sendiri yang beritahu kerana Allah ﷻ tahu apa dalam hati manusia dan Allah ﷻ tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan.

 

أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ

“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi daripada kaummu

Baginda telah mengajar dan berdakwah selama 950 tahun kepada umat baginda. Semua tidak beriman kecuali hanya segelintir sahaja. Walaupun baginda telah berdakwah dengan berbagai-bagai cara dalam tempoh yang lama sekali. Ini ada disebut dalam Nuh: 5-9

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (daripada kebenaran).

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا
“Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Allah ﷻ beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman selepas itu. Walau apapun yang Nabi Nuh عليه السلام dakwah dan beri hujah selepas itu, tidak akan ada sesiapa lagi yang akan beriman. Maka, tidak perlulah Nabi Nuh عليه السلام buang masa kalau begitu; tidak perlu berdakwah lagi.

 

إِلَّا مَن قَدْ ءآمَنَ

melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.

Hanya mereka yang telah beriman sahaja dengan baginda yang akan terus beriman. Yang selain itu, tidak akan beriman sampai bila-bila pun. Memang tidak ramai pun pengikut baginda yang mahu beriman. Tidak dapat dipastikan berapa ramai kerana terdapat banyak riwayat. Ada kata 14, ada kata 40 dan ada kata 80 dan bilangan-bilangan yang lain. Namun paling ramai pun dikatakan 80 orang sahaja. 950 tahun berdakwah, seramai itu sahaja pengikut baginda.

Bayangkan kesedihan yang Nabi Nuh عليه السلام rasakan apabila diberitakan dengan berita ini. Setelah sekian lama berdakwah, hanya sedikit sahaja yang beriman. Allah ﷻ beritahu kepadanya bahawa yang lain tidak akan beriman lagi sampai bila-bila. Pastilah berita ini amat mencengkam perasaan baginda.

 

فَلَا تَبْتَئِسْ

Oleh itu, janganlah engkau berdukacita

Allah ﷻ tahu yang Nabi Nuh akan bersedih, maka Allah ﷻ telah memujuk baginda. Perkataan تَبْتَئِسْ lebih kurang sama maksudnya dengan لا تَحزَن (jangan berdukacita). Perkataan تَبْتَئِسْ diambil daripada perkataan بِئسٌ yang bermaksud ‘tidak selesa’. Perkataan تَبْتَئِسْ bermaksud kedukaan yang amat sangat yang menyebabkan rasa tidak selesa. Iaitu, apabila dikatakan kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda, ia telah memberikan rasa tidak selesa kepada baginda, sampaikan baginda tidak boleh tidur malam. Oleh itu, Allah ﷻ hendak memujuk baginda supaya jangan jadi begitu. Ia telah ditakdirkan menjadi begitu, bukan salah baginda. Ini kerana, kalau baginda sedih sangat, ia akan memudaratkan diri baginda. Nanti sampai tidak boleh hendak fokus untuk perkara lain, hendak mengajar pun sudah tidak mampu.

Ayat ini untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ yang sudah lebih 10 tahun berdakwah di Mekah dan mendapat tentangan yang amat kuat. Pengikut baginda pun tidak ramai dan tentunya baginda juga bersedih. Maka Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺyang Nabi Nuh عليه السلام yang lebih lama berdakwah pun tidak ramai pengikut juga. Maknanya ada lagi orang lain yang lebih teruk nasibnya daripada baginda. Begitulah kalau kita dengar ada orang yang lebih berat ujiannya yang diberikan kepada mereka, maka kesusahan yang kita alami ini terasa kuranglah sedikit.

Pengajarannya adalah tidak perlu kita bersusah payah bersedih tentang orang yang telah memilih untuk tidak beriman. Ini jikalau kita sudah ajak dan dakwah kepada mereka. Allah ﷻ berfirman di dalam Luqman:23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا
Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

 

بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Ayat ini menunjukkan akhlak seorang pendakwah. Kena ada kelembutan dalam hati pendakwah. Kena ada rasa belas kasihan untuk mereka yang didakwah. Tanpa kriteria ini maka dakwah tidak akan berjaya.

Sebagaimana anak kita yang degil, kita sanggup ajar mereka lagi kerana kita sayang dan ada belas kasihan dengan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام telah berusaha dakwah dengan susah payah dan dalam jangka masa yang amat lama. Itu menunjukkan betapa baginda begitu mengambil berat tentang hal kaumnya. Walaupun berbagai-bagai tuduhan dilemparkan kepada baginda umpamanya disebut dalam Qamar:9

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ فَكَذَّبوا عَبدَنا وَقالوا مَجنونٌ وَّازدُجِرَ
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).

Memang begitulah dugaan yang dihadapi oleh baginda. Sememangnya para Nabi diberikan dengan ujian yang paling berat. Kemudian ujian peringkat rendah sedikit diberikan kepada orang yang kuat imannya. Maknanya, semakin beriman semakin kuat dugaannya. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ مِنْ النَّاسِ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ خُفِّفَ عَنْهُ وَمَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَمْشِيَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ لَيْسَ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Daripada [Mush’ab bin Sa’d] daripada [Bapanya] berkata; saya bertanya; “Wahai Rasulullah, siapa manusia yang paling berat cubaannya?” Baginda menjawab; “Para Nabi, lalu orang-orang soleh, kemudian orang yang paling mulia dan yang paling mulia daripada manusia. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya, jika agamanya kuat maka akan ditambah ujiannya, dan jika agamanya lemah maka akan diringankan ujiannya. Tidaklah ujian itu berhenti pada seorang hamba sampai dia berjalan di muka bumi tanpa mempunyai dosa.”
(Jami’ Tirmidzi (1400))
Status: Hasan

Baginda begitu sabar sekali menghadapi dugaan itu dan terus menjalankan dakwah kepada kaumnya. Hanya apabila Allah ﷻ beritahu yang mereka tidak akan beriman barulah baginda berdoa kepada Allah ﷻ. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu ada tertulis dalam Al-Qur’an:

{رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الأرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا}
Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. (Nuh: 26)


 

Hud Ayat 37: Hanya selepas baginda diberitahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman, barulah Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ supaya melakukan sesuatu terhadap kaumnya. Selepas Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda, Allah ﷻ telah membalas doa baginda.

وَاصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۚ إِنَّهُم مُّغرَقونَ

Sahih International

And construct the ship under Our observation and Our inspiration and do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are [to be] drowned.”

Malay

Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

 

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ

Dan buatlah bahtera

Cukuplah dengan berdakwah itu, tidak perlu berdakwah lagi kepada umat baginda sebab baginda sudah diberitahu yang mereka tidak akan beriman. Sekarang ada kerja lain yang perlu dilakukan – membina sebuah bahtera. Allah ﷻ telah mengarahkan baginda untuk membina sebuah kapal yang besar – bukan perahu atau bot yang kecil. Waktu itu tidak pernah ada manusia yang pernah membina kapal. Mereka tidak tahu yang manusia boleh mengembara melalui kapal di lautan. Selepas adanya contoh bahtera Nabi Nuh عليه السلام ini, barulah manusia tahu dan banyak bahtera, kapal dan pelbagai jenis alat pengangkutan laut direka oleh manusia. Ternyata asalnya pembinaan kapal bermula dengan Nabi Nuh عليه السلام. Manakala Nabi Daud عليه السلام adalah peneraju kepada penggunaan besi.

Dalam riwayat Israiliyat, ada disebut pembahagian bahtera itu. Bahtera itu dibahagikan kepada tiga bahagian:

    • Bahagian bawah untuk binatang
    • Bahagian tengah untuk manusia
    • Bahagian atas burung supaya mereka senang untuk terbang dan mendarat
    • Bahtera itu ada penutup di sebelah atas sebab hujan masih ada lagi.

Ini adalah kisah Israiliyat. Maka kita kena terima sahaja tanpa mengatakan ia benar atau salah. Ia mungkin benar dan mungkin salah dan ia tidak menambah iman pun. Ia bukan perkara yang penting pun.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Nabi Nuh عليه السلام yang mesti membina bahtera itu. Bukanlah malaikat yang membinanya. Bukan juga baginda mengarahkan orang lain membinanya dan baginda melihat sahaja. Maknanya mereka yang berdakwah, kena berusaha. Bukan lihat sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja buatkan kapal itu untuk baginda tetapi ini adalah ujian bagi Nabi Nuh عليه السلام juga. Kalau redha dengan ujian, maka Allah ﷻ akan redha kepada hamba itu seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Daripada [Anas bin Malik] daripada Rasulullah ﷺ, bahawa baginda bersabda: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan, dan sesungguhnya apabila Allah ﷻ mencintai suatu kaum maka Dia akan menguji mereka. Oleh kerana itu, barangsiapa redha (menerima cubaan tersebut) maka baginya keredhaan, dan barangsiapa murka maka baginya kemurkaan.”
(Sunan Ibn Majah (4021))
Status: Hasan

Ada pendapat yang mengatakan Allah ﷻ perintahkan Nabi Nuh عليه السلام membina kapal dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun. Kemudian membina kapal menggunakan kayu tersebut selama 40 tahun. Ada pendapat kata selama 100 tahun dan ada pendapat 400 tahun. Adapun bentuk dan keluasan kapal, terdapat banyak riwayat, antaranya:

    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.
    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 60 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 400 hasta, lebarnya 30 hasta dan tingginya tidak disebut.

Pendapat yang paling kuat dan ramai adalah yang pertama. Sekali lagi, ini bukanlah perkara penting yang kita perlu sibukkan.

 

بِأَعْيُنِنَا

dengan pengawasan Kami,

Bagaimanakah agaknya seorang lelaki yang tidak pernah pergi ke laut, yang tinggal dalam kalangan masyarakat yang kehidupan mereka bukan berdekatan dengan laut, tahu bagaimana hendak membina satu bahtera? Tentulah tidak boleh jikalau tanpa bantuan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang telah memberi bantuan dan penerangan tentang bagaimana hendak melakukannya. Kita kena ingat yang bahtera itu akan digunakan untuk melayari lautan yang luas. Bukan baginda sahaja yang akan naik, tetapi ramai lagi yang beriman yang akan naik dengan baginda. Bukan itu sahaja, binatang-binatang pun akan naik juga. Maka, bahtera ini bukan bahtera yang kecil, tetapi yang besar.

Apabila dikatakan yang bahtera itu dibuat di bawah pengawasan Allah ﷻ, itu bermakna Allah ﷻ melihat apa yang baginda lakukan. Allah ﷻ akan pastikan yang baginda buat dengan betul. Kita kadangkala memerlukan bantuan dan pengawasan sebegini untuk pastikan apa yang kita buat adalah perkara yang betul supaya tidak sia-sia apa yang kita buat. Terutamanya, kalau itu adalah pertama kali kita lakukan. Walaupun kita sudah ada manualnya. Sebagai contoh, katakanlah kita sudah ada resipi bagaimana memasak satu-satu jenis masakan. Walaupun kita sudah ada resipi, tetapi ia adalah lebih baik jika kita ada orang yang sudah biasa memasak masakan itu untuk memantau kita dan memastikan bahawa apa yang kita lakukan ada betul.

‘Dengan pengawasan’ juga bermaksud dengan ‘perlindungan Allah ﷻ’ juga. Tentunya ada yang hendak khianat kepada kerja Nabi Nuh عليه السلام itu, tetapi Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia akan memberi pengawasan kepada baginda sepanjang proses pembinaan kapal itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air. Di sini Allah ﷻ sebut mata-Nya banyak. Ini adalah jenis ayat mutasyahibat yang kita tidak perlu untuk bahaskan kerana kita tidak akan tahu bagaimana hakikatnya mata-mata Allah ﷻ itu.

 

وَوَحْيِنَا

dan dengan panduan wahyu Kami;

Allah ﷻ akan menghantar malaikat untuk mengajar Nabi Nuh عليه السلام bagaimana untuk buat bahtera itu. Kiranya, Allah ﷻ hantar arkitek dan jurutera kepada baginda. Kerana kalau tidak diajar sebegitu, tidak akan menjadi bahtera itu kerana Nabi Nuh عليه السلام tidak ada ilmu bagaimana hendak membuat bahtera. Jadi di sini kita tahu yang Allah ﷻ ajar bagaimana baginda patut membina kapal itu melalui Jibril عليه السلام, Adapun bentuknya seperti yang diriwayatkan bahawa Jibril عليه السلام mengajarnya membina kapal dan Allah ﷻ memerintahkannya untuk menjadikan kepala kapal seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung. Ekornya seperti ekor ayam jantan. Ia mempunyai tiga tingkat. Dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu. Dikatakan bilangan anak Adam atau manusia yang menyertai kapal tersebut:

    • 80 orang, separuh lelaki dan separuh perempuan.
    • Ada pendapat 72 orang dan isteri Nabi Nuh عليه السلام dan anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang, separuh daripadanya lelaki dan yang lain perempuan.
    • Ada pendapat 10 orang.
    • Ada pendapat lain daripada itu.

(https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2762-al-kafi-897-besar-bahtera-nabi-nuh-as)

 

وَلَا تُخٰطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا

dan janganlah engkau merayu kepadaKu terhadap mereka yang zalim itu,

Perkataan تُخَاطِبْنِي daripada katadasar خ ط ب yang bermaksud sejenis percakapan di mana seorang bercakap kepada orang lain (seperti khatib yang memberi khutbah). Ia adalah percakapan satu hala sahaja dan bukan dialog. Seperti khutbah Jumaat, bukannya perbincangan antara khatib dan jemaah. Khatib bercakap dan yang lain mendengar sahaja.

Semasa baginda membina bahtera itu, timbullah perasaan berat hati dalam Nabi Nuh عليه السلام, tentang nasib kaumnya yang akan mati nanti dalam banjir itu. Tentulah baginda rasa sedih kerana bila baginda lihat mereka, baginda sudah tahu bahawa mereka itu semuanya akan mati. Maka, Nabi Nuh عليه السلام terdetik dalam hatinya hendak memohon kepada Allah ﷻ supaya ditambah orang beriman kepada Allah ﷻ. Namun sebelum sempat baginda minta, Allah ﷻ telah beri kata dua: tidak boleh berdoa bagi pihak mereka. Allah ﷻ pesan supaya jangan minta tolong untuk mereka walaupun ahli keluarga baginda sekali pun. Di sini Allah sudah siap-siap bagi peringatan. Oleh itu Nabi Nuh عليه السلام tidak ada apa-apa lagi yang baginda boleh buat melainkan terima sahaja arahan dan keputusan dari Allah. Sudahlah baginda kena sabar dengan apa yang dilakukan oleh kaumnya terhadap baginda, tetapi baginda juga kena sabar dengan ketetapan Allah ﷻ.

Satu lagi tafsir ayat ini, tidak perlulah mengadu kepada Allah ﷻ tentang kaum baginda yang akan mengejek baginda nanti kerana membina kapal bahtera jauh dari laut. Atau mereka akan hina kerana baginda bina sesuatu yang mereka tidak pernah lihat. Memang akan ada yang akan mengejek, tetapi Allah ﷻ suruh buat sahaja, jangan layan mereka kerana kalau layan pun tidak berguna.

 

إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan”.

Penggunaan perkataan مُّغْرَقُونَ dalam isim maf’ul yang mengisyaratkan bahawa mereka itu tetap dan pasti akan ditenggelamkan. Iman mereka dan taubat mereka tidak akan diterima. Takdir mereka telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Nanti mereka akan mengejek akan apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu akan tetapi pengakhiran mereka adalah ditenggelamkan dalam laut. Maka tidak perlu layan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Hud Ayat 32 – 34 (Perdebatan yang dibolehkan)

PENOLAKAN DARI UMAT NABI NUH عليه السلام

Hud Ayat 32:

قالوا يٰنوحُ قَد جٰدَلتَنا فَأَكثَرتَ جِدٰلَنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

Sahih International

They said, “O Noah, you have disputed us and been frequent in dispute of us. So bring us what you threaten us, if you should be of the truthful.”

Malay

Mereka berkata: “Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyak sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 

قَالُوا يٰنُوحُ

Mereka berkata: “Wahai Nuh!

Yang berkata itu adalah pembesar-pembesar, mereka yang ada kuasa. Kalau dalam zaman sekarang, merekalah pemimpin, merekalah exco negeri, kalau dalam daerah, merekalah penghulu, kalau dalam kampung, merekalah JKKK. Mereka inilah yang kuat dan berani menentang kerana mereka rasa kedudukan mereka sedang tercabar.

Ayat ini menyebut kata-kata daripada mereka. Ini menunjukkan yang mereka berbalas debat antara mereka. Kedua-dua belah pihak berbalas hujah. Ini sama juga dengan apa yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ dengan Quraish Mekah dan begitu juga ahli Sunnah dan golongan bid’ah. Sentiasa sahaja ada perbalahan dan perbahasan.

Ini adalah kata-kata akhir mereka terhadap Nabi Nuh عليه السلام; iaitu selepas mereka tidak ada lagi hujah kepada Nabi Nuh عليه السلام kerana setiap kali mereka berhujah, Nabi Nuh عليه السلام akan memberi hujah yang mematikan hujah mereka. Lihatlah apakah kata-kata mereka:

 

قَدْ جٰدَلْتَنَا

Sesungguhnya engkau telah lama berdebat dengan kami

‘Jidal’ bermaksud berdebat. Di mana setiap pihak akan memberikan hujah masing-masing. Ia juga bermaksud perdebatan itu telah lama berlangsung. Bayangkan, dalam kes Nabi Nuh عليه السلام ini, baginda telah berdakwah selama 950 tahun kepada mereka. Mereka kata bahawa Nabi Nuh عليه السلام telah lama berdakwah kepada mereka, sampai mereka sudah tidak larat hendak dengar lagi. Mereka sudah cemuh hendak dengar lagi kerana sudah terlalu bosan.

Maka timbul satu persoalan: Adakah jidal atau debat ini dibenarkan? Ya ia dibenarkan dan ada disebut dalam Nahl:125 sebagai salah satu daripada cara dakwah juga.

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجادِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

Disebut juga di dalam ayat lain:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
Dan janganlah kalian berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka. (Al-‘Ankabut: 46)

Ulama’ dahulukala memang ada sejarahnya mereka berdebat sama ada dengan orang kafir atau pun sesama Muslim. Akan tetapi ia mestilah dilakukan dalam adab yang baik. Tujuan berdebat adalah untuk mencari kebenaran, bukannya kerana hendak menegakkan benang yang basah. Ada debat yang perlu dilakukan dan ada yang perlu ditinggalkan. Kerana itulah Nabi ﷺ ada nasihat,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Daripada [Abu Umamah] beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau, dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”

(Sunan Abi Dawud (4167)) Disahihkan oleh Albani.

Hadith ini adalah galakan untuk meninggalkan debat. Bagaimana sekarang kita lihat ada banyak perdebatan/jidal yang dilakukan? Sebagai contoh ada debat antara golongan Sunnah dan golongan ASWAJA di khalayak ramai dan dipanggil Debat Perdana. Tidakkah mereka ini melanggar nasihat baginda Rasulullah ﷺ? Untuk menjawabnya, ada baik kita sentuh bab debat secara ringkas. Ini penting kerana ada orang kuat berdebat di media sosial. Maka ada syarat berdebat:

1. Niat

Mestilah kena niat kerana Allah ﷻ. Contohnya untuk mengajak dan mengajar orang ke arah kebaikan. Kadangkala apabila kita berdakwah, ia boleh menjadi debat jika ada yang menolak atau mempersoalkan. Kadangkala ia terpaksa dilakukan di khalayak ramai supaya lebih ramai boleh mendapat manfaat.

Kalau ada niat yang buruk, maka tinggalkanlah. Ada yang hanya mahu membantah sahaja, tanpa membawakan hujah yang sah malah membawa hujah yang bathil seperti yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ghafir: 5 tentang kaum Nabi Nuh عليه السلام juga,

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجٰدَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!

Kalau niat hanya untuk menegakkan fahaman sendiri sahaja, maka tidak boleh berdebat. Mereka begini dicela oleh Allah ﷻ di dalam ayat ini. Begitu juga jikalau niat hanya untuk menunjukkan pandai berdebat kerana sombong, tunjuk pandai dan sebagainya (bukan untuk mencari kebenaran). Ada juga orang yang hobi dia memang berdebat, sengaja cari tempat debat. Ini pun tidak boleh. Rasulullah ﷺ telah bersabda tentang hal ini, di dalam hadith riwayat Abi Umamah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ
“Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”.

(Riwayat al-Tirmidzi (3176)) Status: Hasan (Darussalam)

Juga tidak perlu berdebat jikalau niatnya hanyalah untuk mencari kemenangan. Lihat contoh Imam Syafi’i رحمه الله yang amat kita hormati. Beliau adalah seorang ulama besar yang banyak melakukan dialog dan pandai dalam berdebat dalam permasalahan agama. Sampai pernah Harun bin Sa’id berkata: “Seandainya Syafi’i رحمه الله berdebat untuk mempertahankan pendapat bahawa tiang yang pada aslinya terbuat daripada besi adalah terbuat daripada kayu, nescaya dia akan menang kerana kepandaiannya dalam berdebat”. (Manaqib Aimmah Arbaah hlm. 109 oleh Ibnu Abdil Hadi).

Walaupun begitu, Imam Syafi’i رحمه الله pernah berkata :

مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا قَطُّ عَلَى الْغَلَبَةِ
“Aku tidak pernah berdebat untuk mencari kemenangan”.
(Tawali Ta’sis hlm.113 oleh Ibnu Hajar).

2. Topik yang sesuai untuk diperdebatkan.

Ini jikalau perdebatan itu diperlukan seperti hukum-hukum baru dalam hal agama seperti apakah hukum ‘dropship’, hukum beli emas secara online dan perkara-perkara lain zaman moden ini yang tidak jelas hukumnya daripada nas Al-Qur’an dan hadith. Maka kenalah orang berilmu memperdebatkan perkara ini supaya dapat dipastikan manakah hukum yang lebih hampir dengan kehendak Allah ﷻ.

Akan tetapi kalau debat itu tentang keberadaan Allah ‎ﷻ (di langit atau tidak bertempat), tentang kerasulan Nabi, tentang benarkah ada syurga dan neraka, maka ini adalah contoh perkara yang tidak perlu diperdebatkan kerana buang masa.

Juga debat dengan keluarga tentang hal-hal dunia. Juga tidak perlu dipanjangkan sampai bermasam muka. Tambahan pula kalau dengan isteri kita pun hendak didebat juga. Memang cari penyakit lah jawabnya. Dengan isteri ini, kalau kita salah pun salah, kalau kita benar pun salah juga! Maka inilah termasuk di dalam nasihat Nabi ﷺ untuk meninggalkan perdebatan walaupun benar kerana ia tidak membawa ke mana melainkan keburukan yang lebih teruk lagi.

Malah yang lebih teruk lagi kalau berdebat tentang mana satu pemimpin politik yang bagus, atau parti mana yang paling baik. Ini memang tidak membawa ke mana dan akan menyebabkan permusuhan sahaja. Kalau menang debat pun, bukannya dapat menjadi pemimpin pun.

3. Kena ada ilmu untuk berdebat

Sebelum berdebat, pastikan anda ada ilmu. Kalau tidak ada ilmu, cukuplah bertanya sahaja, tidak perlu tunjuk hero, tidak perlu tunjuk pandai kerana akhirnya ia akan memalukan sahaja. Maka kena perhatikan diri kita dahulu.

Malah bukan itu sahaja, kena perhatikan juga orang yang hendak didebat itu. Kalau kita sahaja berilmu tetapi orang yang dilawan debat itu pun tidak berilmu, pun tidak membawa ke mana juga. Lebih baik tahan diri daripada berdebat.

Kalau kita hendak berdebat untuk menghilangkan kesyirikan dan amalan bid’ah tetapi kita tidak ada ilmu, apa yang kita hendak cakap? Pepatah Arab adalah mengatakan فَاقِدُ الشَّئِ لَا يُعْطِيْهِ (Orang yang tiada apa-apa tidak mampu memberi). Ini kerana kita apabila bercakap adalah untuk memberi orang yang mendengarnya faham. Ini tentunya memerlukan ilmu yang tinggi.


Maka jangan berdebat jikalau diri sendiri jahil. Jangan berdebat dengan orang yang jahil. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata :

يُخَاطِبُنِي السَّفِيْهُ بِكُلِّ قُبْحٍ
Orang jahil berbicara kepadaku dengan segenap kejelekan

فَأَكْرَهُ أَنْ أَكُوْنَ لَهُ مُجِيْبًا
Aku pun enggan untuk menjawabnya

يَزِيْدُ سَفَاهَةً فَأَزِيْدُ حُلْمًا
Dia semakin bertambah kejahilan dan aku semakin bertambah kesabaran

كَعُوْدٍ زَادَهُ الْإِحْرَاقُ طِيْبًا
Seperti gaharu dibakar, akan semakin menebar kewangian.
(Diwân Imam Asy-Syâfi’iy رحمه الله).

– Imam Syafi’iy رحمه الله berkata: “Orang pandir mencercaku dengan kata-kata jelek. Maka aku tidak ingin untuk menjawabnya. Dia bertambah pandir dan aku bertambah lembut, seperti kayu wangi yang dibakar malah menambah wangi”. (Diwan Asy-Syafi’iy, hal. 156).

– Imam Syafi’iy رحمه الله juga berkata: ”Berkatalah sekehendakmu untuk menghina kehormatanku, diamku dari orang hina adalah suatu jawapan. Bukanlah ertinya aku tidak mempunyai jawapan, tetapi tidak layak bagi singa meladeni anjing”.

Kerana itulah walaupun Imam Syafi’iy رحمه الله terkenal sebagai ahli debat, tetapi Imam Syafi’iy رحمه الله tidak mahu berdebat dengan orang-orang bodoh. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata :

ﺍﺫَﺍ ﻧﻄَﻖَ ﺍﻟﺴَّﻔِﻴْﻪُ ﻭَﺗُﺠِﻴْﺒُﻬُﻔَﺦٌﺮْﻳَ ﻣِﻦْ ﺍِﺟَﺎﺑَﺘِﻪِ ﺍﻟﺴُّﻜُﻮْﺕُ
Apabila orang bodoh mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak menanggapi

ﻓﺎِﻥْ ﻛَﻠِﻤَﺘَﻪُ ﻓَﺮَّﺟْﺖَ ﻋَﻨْﻬُﻮَﺍِﻥْ ﺧَﻠَّﻴْﺘُﻪُ ﻛَﻤَﺪًﺍ ﻳﻤُﻮْﺕُ
Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka dia akan selalu menyakiti hati

ﻗﺎﻟُﻮْﺍ ﺳﻜَﺖَّ ﻭَﻗَﺪْ ﺧُﻮْﺻِﻤَﺖْ ﻗُﻠْﺖُ ﻟَﻬُﻤْﺎِﻥَّ ﺍﻟْﺠَﻮَﺍﺏَ ﻟِﺒَﺎﺏِ ﺍﻟﺸَّﺮِ ﻣِﻔْﺘَﺎﺡُ
Apabila ada orang bertanya kepadaku, jika ditentang oleh musuh, apakah engkau diam??

Jawabku kepadanya : Sesungguhnya untuk menangkal pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya

ﻭﺍﻟﺼﻤْﺖُ ﻋَﻦْ ﺟَﺎﻫِﻞٍ ﺃَﻭْ ﺃَﺣْﻤَﻖٍ ﺷَﺮَﻓٌﻮَﻓِﻴْﻪِ ﺃَﻳْﻀًﺎ ﻟﺼﻮْﻥِ ﺍﻟْﻌِﺮْﺽِ ﺍِﺻْﻠَﺎﺡُ
Sikap diam terhadap orang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan.

Imam Syafi’iy رحمه الله berkata :

ﻭﺍﻟﻜﻠﺐُ ﻳُﺨْﺴَﻰ ﻟﻌﻤْﺮِﻯْ ﻭَﻫُﻮَ ﻧَﺒَّﺎﺡُ
Apakah kamu tidak melihat bahawa seekor singa itu ditakuti lantaran ia pendiam? Sedangkan seekor anjing dibuat permainan kerana ia suka menggonggong?
(Diwan As-Syafi’iy, karya Yusuf Asy-Syekh Muhammad Al-Baqa’i).

Imam Syafi’iy رحمه الله juga berkata :

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Maka kena pilih juga orang yang kita hendak berdebat dengannya. Lagi satu, jikalau kita nampak orang yang didebat itu jenis keras hati, keras kepala, hati macam batu, maka buang masa berdebat dengannya maka perlulah ditinggalkan sahaja.

Malangnya kalau kita perhatikan sekarang, kalau dalam media sosial itu ramai orang yang berdebat, yang jahil pun hendak berdebat. Maka kita akan lihat keburukan yang amat banyak.

 

فَأَكْثَرْتَ جِدٰلَنَا

terlalu engkau banyak bantahanmu kepada kami;

Sudah banyak sangat benda yang Nabi Nuh عليه السلام tegur tentang perbuatan kaumnya itu. Macam kita sekarang juga, banyak bantahan kita terhadap amalan-amalan syirik dan bid’ah masyarakat kita. Kita memang akan tegur sebab kita tidak boleh buat-buat tidak nampak. Kalau salah, memang kita kena kata bahawa amalan itu salah. Tidak boleh kita buat tidak tahu. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Nabi Nuh عليه السلام terhadap kaumnya itu. Seorang guru dalam masyarakat kenalah buat kerja ini – tegur mana yang salah. Ini kerana kalau tidak ditegur, masyarakat akan sangka bahawa perbuatan itu tidak ada masalah.

Oleh itu, memang salah besar kalau tidak menegur. Janganlah hanya ceritakan kepada masyarakat tentang apa yang perlu dibuat, namun senyap tentang perkara yang salah. Seorang guru haruslah menceritakan kedua-duanya sekali. Akan tetapi, apabila dibantah dan diberitahu kesalahan dalam masyarakat, mereka akan marah. Dalam kes umat Nabi Nuh عليه السلام, mereka memuja lima orang tok wali. Ini ada disebut dalam Surah Nuh. Maka, bila Nabi Nuh عليه السلام tegur tentang amalan syirik mereka, tentulah mereka marah.

 

فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا

oleh itu, datangkanlah dengan apa yang engkau janjikan kepada kami,

Nabi Nuh عليه السلام telah memberitahu kepada mereka, kalau mereka terus melakukan syirik, Allah ﷻ berjanji akan memberikan azab kepada mereka. Itu telah jelas diberitahu oleh Nabi Nuh عليه السلام kerana seorang Rasul itu akan menyampaikan dakwah dan ancaman dengan jelas sekali – mereka tidak samar-samar dalam dakwaan mereka.

Dalam ayat ini, menunjukkan orang yang ingkar itu berlagak sungguh. Mereka sudah bosan dengan teguran daripada Nabi Nuh عليه السلام itu. Maka mereka minta dipercepatkan azab kepada mereka kerana mereka tidak percaya pun dengan azab itu. Apabila mereka tidak percaya, mereka tidak takut dengan azab Allah ‎ﷻ. Mereka minta didatangkan azab itu adalah dalam bentuk ejekan sahaja. Akhirnya kita pun tahu akan azab yang mematikan mereka yang telah dikenakan kepada mereka seperti yang disebut dalam Nuh:25

مِمّا خَطيئٰتِهِم أُغرِقوا فَأُدخِلوا نارًا
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka;

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقِينَ

jika betul engkau daripada orang-orang yang benar”.

Sekarang, mereka menyerang Nabi Nuh عليه السلام pula. Mereka kata sekarang mereka tidak ikut pun apa yang Nuh عليه السلام suruh mereka buat. Maka kalau benar mereka salah, bawalah azab yang dijanjikan itu. Mereka hendak kata yang Nabi Nuh عليه السلام bukan seorang yang benar. Mereka tidak tahu apakah kebenaran itu, kerana kalau mereka tahu apakah azab yang menanti mereka, mereka tidak akan berani untuk berkata begitu.


 

Hud Ayat 33: Dalam ayat sebelum ini, puak kafir minta Nabi Nuh عليه السلام segerakan azab yang dijanjikan kepada mereka. Maka apakah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام?

قالَ إِنَّما يَأتيكُم بِهِ اللَّهُ إِن شاءَ وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ

Sahih International

He said, ” Allah will only bring it to you if He wills, and you will not cause [Him] failure.

Malay

Nabi Nuh menjawab: “Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Dia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah!

 

قَالَ

Nabi Nuh menjawab:

Ini adalah jawapan baginda kepada umatnya yang kufur seperti dalam ayat sebelum ini, yang meminta supaya disegerakan azab yang dijanjikan. Mereka minta disegerakan azab itu kerana hendak mengejek dakwah Nabi Nuh عليه السلام. Mereka tidak percaya kepada azab yang dijanjikan itu. Sebab itulah mereka berani minta disegerakan azab itu. Kalau mereka percaya, tentulah mereka tidak berani minta begitu. Ini adalah satu permintaan yang amat buruk sekali.

 

إِنَّمَا يَأْتِيكُم بِهِ اللَّهُ

“Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang akan mendatangkan azab-Nya itu

Nabi Nuh عليه السلام jawab, keputusan untuk turunkan azab itu bukan daripada baginda, tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang boleh tentukan. Tidak ada sesiapa yang dapat menentukan bilakah azab itu akan diberikan kepada manusia. Sebelum ini pun Nabi Nuh عليه السلام sudah beritahu yang baginda bukannya malaikat yang boleh membuat apa-apa kepada mereka.

Kita tahu *hanya* Allah ﷻ sahaja yang menentukan azab itu daripada perkataan إِنَّمَا dalam ayat ini. Tidak ada sesiapa yang boleh paksa Allah ﷻ. Tiada kuasa yang dapat mengarahkan Allah ﷻ apa yang Dia hendak buat. Mungkin Allah ﷻ segerakan dan mungkin Allah ﷻ lewatkan kerana beri mereka peluang. Maka, apabila mereka minta disegerakan azab itu, Nabi Nuh عليه السلام tidak dapat memberikan azab itu.

 

إِن شَاءَ

jika Dia kehendaki,

Terpulang kepada Allah ﷻ sama ada Allah ﷻ mahu berikan bala atau tidak. Allah ﷻ sahaja yang tentukan bila azab itu akan diberikan. Ada sahaja mereka yang membuat kemungkaran tetapi Allah ﷻ biarkan sahaja mereka di dunia kerana Allah ﷻ hendak mengazab mereka di akhirat kelak.

Ini menunjukkan keikhlasan Nabi Nuh عليه السلام dan para Rasul lain dalam berdakwah. Bukan mereka yang menentukan balasan azab kepada mereka yang menentang. Kalau mereka yang boleh tentukan azab, mungkin mereka sudah lama kenakan azab kepada musuh-musuh mereka yang menentang.

 

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri!

Kalau Allah ﷻ turunkan bala kepada mereka, mereka tidak akan dapat melepaskan diri. Kalimah مُعْجِزِ bermaksud ‘melemahkan’. Maksudnya, kalau ada sesiapa yang hendak menyakiti kita, ada masanya kita boleh lemahkan usaha mereka itu. Maka kita dapat melepaskan diri dalam keadaan itu.

Itu dengan manusia, tetapi dengan Allah ﷻ, tidak ada sesiapa pun yang dapat melemahkan Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang dapat melepaskan diri daripada Allah ﷻ. Mereka yang kufur itu minta disegerakan azab kepada mereka. Akan tetapi mereka tidak sedar, apabila azab itu datang, mereka tidak dapat melepaskan diri langsung. Maka Nabi Nuh عليه السلام ingatkan mereka yang permintaan dan cabaran mereka itu adalah sangat bahaya.


 

Hud Ayat 34:

وَلا يَنفَعُكُم نُصحي إِن أَرَدتُ أَن أَنصَحَ لَكُم إِن كانَ اللَّهُ يُريدُ أَن يُغوِيَكُم ۚ هُوَ رَبُّكُم وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And my advice will not benefit you – although I wished to advise you – If Allah should intend to put you in error. He is your Lord, and to Him you will be returned.”

Malay

Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya kamu akan kembali”.

 

وَلَا يَنفَعُكُمْ نُصْحِي

Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu,

Perkataan نُصْحِي adalah satu perkataan yang lebih kuat lagi daripada ‘naseha’ – dalam bahasa kita dipanggil ‘nasihat’. Kita akan memberikan nasihat kepada seseorang yang kita mahukan kebaikan untuk mereka. نُصْحِي itu lebih kuat lagi.

 

إِنْ أَرَدتُّ أَنْ أَنصَحَ لَكُمْ

jika aku hendak menasihati kamu,

Entah berapa ramai orang-orang kita, yang kita mahu untuk mereka mendapat hidayah. Begitulah juga dengan Nabi Nuh عليه السلام. Sebagaimana juga Nabi Muhammad ﷺ mahu semua umatnya beriman, lebih-lebih lagi bapa saudaranya Abu Talib. Akan tetapi itu adalah kehendak kita sahaja. Kalau kehendak kita tidak sama dengan kehendak Allah ﷻ, ia tidak akan terjadi.

Iman tidak boleh dipaksa kepada sesiapa pun. Untuk sesiapa menerima iman, orang itu sendiri kena ada keinginan dalam dirinya untuk beriman. Iaitu ada keinginan dalam dirinya kepada kebenaran. Tidak kisahlah kalau dia itu lahir dalam agama Islam atau kafir. Kalau ada dalam hatinya mahukan kebenaran, dia akan menerima Islam. Itulah sebabnya kita selalu dengar bagaimana seorang sami Hindu, Paderi Kristian pun boleh beriman apabila mereka membuka hati mereka kepada Islam.

 

إِن كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَن يُغْوِيَكُمْ

kalau Allah hendak menyesatkan kamu;

Kalimah يُغْوِيَكُمْ daripada perkataan ‘أغوى’ – lebih kurang sama dengan ‘أضلّ’ – ‘menyesatkan’. Cuma ia lebih kuat lagi. Kalau ‘أضلّ’, masih ada harapan untuk orang itu pulang ke pangkal jalan. Namun kalau ‘أغوى’ digunakan, ia bermaksud seseorang itu dibawa ke jalan yang amat jauh daripada kebenaran sampaikan mereka semakin menjauh dan menjauh dan tidak ada harapan untuk pulang lagi. Apabila Allah ﷻ telah takdirkan seseorang itu akan sesat, tidak berguna nasihat yang kita berikan kepada mereka. Mereka tidak akan terima sampai bila-bila walau bagaimana cara mereka dinasihati.

Namun kita kena dakwah juga kerana kita tidak tahu siapakah yang Allah ﷻ telah takdirkan akan sesat. Maka, kita kena dakwah sahaja seolah-olah kita tidak tahu (kerana memang kita tidak tahu pun). Macam orang kafir Hindu sekarang contohnya, kita tidak tahu sama ada Allah ﷻ telah takdirkan dia sesat sampai bila-bila atau tidak. Sekarang memang dia kafir, tetapi kita tidak tahu penghujungnya. Kita tidak tahu masa hadapan. Begitu juga dengan orang yang kita lihat buat maksiat sahaja sepanjang hidupnya. Kita hendaklah menasihati dan berdakwah kepadanya kerana kita tidak tahu sama ada dia akan terus sesat atau tidak.

Kita bukanlah boleh senang-senang sahaja mengatakan seseorang itu kufur atau tidak, kerana masih ada harapan lagi untuknya beriman. Akan tetapi kalau memang dia tengah buat perbuatan salah dan syirik, memang kita boleh kata mereka tengah kufur sebab memang jelas mereka sedang kufur sekarang. Memang kita tidak tahu masa hadapan, mungkin dia akan beriman, tetapi masa sekarang sudah jelas nampak dengan perbuatan mereka. Takkan apabila kita lihat seseorang sedang sembah berhala, kita katakan: “Jangan kata dia kafir, kita tidak tahu lagi dia akan masuk Islam atau tidak nanti….”. Memang kita tidak tahu hujung hayatnya bagaimana tetapi pada waktu itu, memang dia telah jelas membuat sesuatu yang kufur maka tidak salah kalau kita kata dia kufur. Kita nilai dia berdasarkan waktu itu.

Bukanlah ayat ini boleh digunakan sebagai dalil untuk menyalahkan Allah ﷻ pula. Janganlah kita gunakan ayat ini untuk kita mengatakan yang Allah ﷻ memang mahu seseorang itu menjadi kufur. Ingatlah bahawa Allah ﷻ tidak memaksa kekufuran kepada sesiapa. Mereka yang kufur itu adalah kerana pilihan mereka sendiri yang hendak menjadi kufur. Kalau mereka mahu menjadi kufur sangat, Allah ﷻ akan beri lagi peluang kepada mereka untuk buat salah lagi. Supaya nanti mereka akan dibalas dengan azab yang lebih lagi di akhirat kelak.

Kufur yang tidak ada peluang untuk menerima hidayah lagi adalah kufur peringkat keempat. Ini dinamakan Khatmul Qalbi – iaitu apabila hati mereka terus ditutup oleh Allah ﷻ untuk menerima hidayah. Apabila sudah sampai ke tahap itu, walau sebanyak mana nasihat pun, walau bagaimana cara dakwah, beri hujah apa sahaja, mereka tidak akan terima kerana Allah ﷻ telah tutup hati mereka. Namun ini setelah mereka melalui tiga peringkat kufur sebelum itu. Kalau mereka terus menolak dan menentang apa yang disampaikan oleh penyebar tauhid, barulah Allah ﷻ akan tutup hati mereka. Bukanlah Allah ﷻ terus tetapkan seseorang itu menjadi kafir dari awal lagi.

 

هُوَ رَبُّكُمْ

Dia lah Tuhan kamu

‘Rabb’ bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga semua makhluk. Allah ﷻ yang menentukan segalanya buat kita. Kalau Dia hendak menghidupkan, Dia akan hidupkan. Kalau Dia hendak mematikan, Dia akan mematikan. Kalau Allah ﷻ berkehendak kepada sesuatu, ia akan terjadi dan tidak ada sesiapa pun yang boleh halang.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNya kamu akan kembali”.

Sama ada kamu taat atau derhaka kepada Allah ‎ﷻ, kamu akan kembali berjumpa dengan Allah ﷻ. Sama ada kita jumpa Allah ﷻ dalam keadaan Allah ﷻ redha dengan kita atau dalam keadaan Allah ﷻ murka dengan kita. Maka bagaimana kalau kita mengadap Allah ﷻ dalam keadaan Allah ﷻ murka dengan kita? Apa yang kita akan jawab waktu itu? Sanggupkah kita terima azab daripada Allah ﷻ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 30 – 31 (Orang miskin tidak hina)

Hud Ayat 30: Nabi Nuh عليه السلام memberikan hujah logik kepada mereka, kenapakah baginda tidak boleh menghalau orang-orang yang beriman itu hanya kerana diminta oleh orang kaya yang sombong.

وَيٰقَومِ مَن يَنصُرُني مِنَ اللَّهِ إِن طَرَدتُهُم ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

And O my people, who would protect me from Allah if I drove them away? Then will you not be reminded?

Malay

Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?

 

وَيٰقَوْمِ

Dan wahai kaumku!

Ini adalah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang kaya yang menyuruh baginda mengusir dan mengasingkan mereka yang miskin dalam masyarakat sebagai syarat untuk mereka beriman. Nabi Nuh عليه السلام menolak permintaan mereka itu.

 

مَن يَنصُرُنِي مِنَ اللَّهِ

Siapakah yang akan menolongku daripada Allah

Perkataan نصر bermaksud ‘menolong seseorang yang melawan musuh’. Ini bermaksud, Nabi Nuh عليه السلام hendak mengatakan, kalaulah baginda menghalau orang-orang beriman yang miskin itu, baginda sebenarnya menjadikan Allah ﷻ sebagai musuhnya. Jika baginda sudah menjadi musuh kepada Allah ﷻ, adakah orang-orang kafir itu boleh menolong baginda? ‘Adakah kamu boleh tolong?’, tanya Nuh عليه السلام kepada mereka. Tentulah tidak ada sesiapa yang boleh menolong Nabi Nuh عليه السلام atau sesiapa sahaja daripada azab Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام takut dengan Allah ﷻ dan azab daripada Allah ﷻ. Kalau seorang Nabi pun takut dengan Allah ﷻ, kita pun sepatutnya lebih lagi. Kita sepatutnya tahu kepada siapa yang kita perlu takut. Malangnya, ramai yang tidak takut dengan Allah ﷻ kerana mereka sangka mereka telah melakukan banyak amalan, mereka akan selamat. Kalau mereka ada buat apa-apa kesalahan, mereka rasa Allah ﷻ tidak akan hukum mereka kerana mereka rasa yang mereka telah banyak pahala.

 

إِن طَرَدتُّهُمْ

jika aku menghalau mereka?

Kalau Nabi Nuh عليه السلام mengikut kata mereka dan mengusir orang-orang yang miskin itu daripada belajar agama, siapakah yang akan selamatkan baginda daripada azab Allah ﷻ? Mengajar agama itu adalah wajib, tidak boleh ditinggalkan. Tidak boleh halang sesiapa belajar agama dan tidak boleh memilih kepada siapa hendak diberi pengajaran agama itu – wajib beri sama rata kepada semua golongan.

Termasuk juga dalam hal ini, mereka yang menahan pendakwah dan guru Sunnah daripada mengajar agama. Ada dalam kalangan orang masjid dan orang surau akan menahan ustaz-ustaz Sunnah daripada mengajar agama di masjid dan surau kerana mereka tidak dapat terima ajaran Sunnah yang berlainan daripada tekak mereka. Memang ajaran Sunnah ini berlainan daripada pemahaman mereka yang salah.

Mereka akan halang kerana selalunya ustaz-ustaz Sunnah akan mendedahkan kepada masyarakat tentang kesalahan amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat. Sebagai contoh, ustaz sunnah akan beritahu, tiada amalan Majlis Tahlil dalam agama Islam. Namun, oleh kerana amalan itu sudah sebati dengan mereka, mereka tidak dapat terima apabila ada yang kata amalan itu salah. Tambahan pula ia adalah sumber pendapatan mereka.

Maka, mereka akan tahan ustaz Sunnah daripada mengajar. Mereka akan beri macam-macam alasan asalkan ustaz itu tidak dapat mengajar lagi. Antaranya, mereka akan kata, ustaz itu memecah belahkan umat dan masyarakat. Mereka selalunya akan tuduh asatizah Sunnah sebagai ‘wahabi’ supaya masyarakat menjadi takut. Maka, apa yang mereka buat adalah mereka menyekat orang lain daripada mendapat ajaran agama. Mereka nanti akan disoal dan diazab oleh Allah ﷻ atas perbuatan mereka itu.

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapa kamu tidak mahu ambil peringatan?

Kenapa perkara sebegini pun kamu susah hendak faham? Kenapa tidak mahu ambil peringatan? Apakah peringatan itu? Bahawa agama ini adalah untuk semua orang. Bukan hanya untuk orang yang kaya sahaja. Bukan untuk orang tertentu sahaja. Semua orang mempunyai hak yang sama untuk belajar dan untuk mengamalkan agama Islam yang benar.

Agama Islam bukan khas untuk satu-satu kaum dan darjat. Tidak ada sistem Kasta dalam agama Islam. Orang yang paling miskin pun boleh beramal dengannya kerana agama Islam itu sesuai untuk semua. Kalau agama lain, ada yang hanya untuk satu-satu kaum sahaja. Sebagai contoh, agama Yahudi untuk keturunan Yahudi sahaja. Agama Hindu jangan cakaplah, sistem Kasta mereka sahaja sudah pening kita memikirkannya.

Lihatlah agama Islam ini yang mudah dan praktikal untuk semua orang. Segala ibadatnya boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Semua boleh sembahyang, semua boleh puasa. Masjid kita pun ramai orang boleh masuk. Sekarang bandingkan dengan Kristian, buat gereja berjuta-juta kos. Namun yang boleh masuk sikit sahaja. Sebab bahagian dalamnya kecil sahaja, letak kerusi pula.

Bukanlah kita kata bahawa semua orang kaya berperangai tidak mengendahkan agama. Ada juga yang baik, yang menggunakan wang mereka yang Allah ﷻ berikan untuk agama dan untuk kebaikan. Cuma ternyata golongan kaya dan tinggi agama itu tidak ramai. Yang ramainya, apabila kaya, mereka sudah tidak mengendahkan agama lagi.


 

Hud Ayat 31:

وَلا أَقولُ لَكُم عِندي خَزائِنُ اللَّهِ وَلا أَعلَمُ الغَيبَ وَلا أَقولُ إِنّي مَلَكٌ وَلا أَقولُ لِلَّذينَ تَزدَري أَعيُنُكُم لَن يُؤتِيَهُمُ اللَّهُ خَيرًا ۖ اللَّهُ أَعلَمُ بِما في أَنفُسِهِم ۖ إِنّي إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And I do not tell you that I have the depositories [containing the provision] of Allah or that I know the unseen, nor do I tell you that I am an angel, nor do I say of those upon whom your eyes look down that Allah will never grant them any good. Allah is most knowing of what is within their souls. Indeed, I would then be among the wrongdoers.”

Malay

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

 

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu:

Ini adalah hujah tambahan daripada Nabi Nuh عليه السلام kepada kaum baginda yang kaya raya dan sombong itu. Baginda ingatkan mereka yang baginda tidak pernah mendakwa perkara yang tidak benar.

 

عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ

di sisiku ada perbendaharaan Allah,

Baginda tidak kata baginda menjaga khazanah (perbendaharaan) harta Allah ‎ﷻ. ‘Perbendaharaan’ atau ‘Khazanah’ itu bermaksud ‘kekayaan daripada Allah ﷻ’, iaitu kekayaan harta dunia. Nabi Nuh عليه السلام disuruh mengatakan bahawa baginda tidak ada kekayaan yang banyak yang diberikan oleh Allah ﷻ. Walaupun baginda seorang Nabi, tetapi baginda tidak kaya raya. Bukannya tugas seorang Nabi untuk menjadi kaya dan memberi harta yang banyak kepada manusia.

Kebanyakan Nabi-nabi memang hidup dalam kemiskinan kecuali beberapa orang Nabi sahaja yang diberikan kekayaan, seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Yusuf عليهم السلام kerana mereka itu raja dan pemimpin.

Dengan kata-kata begini Nabi Nuh عليه السلام melanjutkan lagi bahawa meskipun pemuka-pemuka kafir itu membanggakan ketinggian, kekuasaan dan kekayaan, baginda tidaklah mempunyai harta untuk menandingi mereka. Nabi Nuh عليه السلام tidak bermodal, tidak memegang perbendaharaan Allah ﷻ. Kekayaannya hanyalah kekayaan batin, ilmu dan kekayaan jiwa yang dianugerahkan Allah ﷻ. Sebagaimana baginda tidak mengharapkan harta kekayaan daripada mereka, mereka pun kalau masuk menjadi pengikut daripada ajaran yang baginda bawa ini, janganlah mengharap apa-apa daripada Nabi Nuh عليه السلام.

Begitulah masyarakat yang dungu, mereka sangka apabila seseorang itu alim, tentulah dia ada kelebihan yang berbagai-bagai. Mereka sangka yang orang-orang itu boleh meminta bermacam-macam dengan Allah ﷻ, antaranya minta harta benda daripada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Nabi Nuh عليه السلام disuruh memberitahu bahawa baginda adalah manusia biasa sahaja. Walaupun baginda rapat dengan Allah ﷻ, tetapi tidaklah baginda diberikan kekayaan yang melimpah ruah.

Mungkin perkara ini menjadi kehairanan kepada orang yang ingkar, kerana mereka hanya nampak kepentingan kekayaan harta sahaja. Mungkin mereka fikir, kalau sudah rapat dengan Allah ﷻ, mintalah menjadi kaya dan kesenangan hidup di dunia ini. Apa gunanya menjadi Nabi tetapi tidak kaya, kata mereka. Maka Nabi Nuh عليه السلام menidakkan fahaman salah mereka itu. Walaupun mereka Nabi, tetapi tidaklah mereka ada kuasa ke atas khazanah Allah ﷻ.

Maknanya, sesiapa yang ikut ajaran Nabi, mereka itu tidaklah semestinya akan diberi dengan kekayaan kerana bukan itu yang dikejar. Sebelum ini telah disebut bagaimana guru yang mengajar tidak boleh meminta upah. Begitu juga, mereka yang datang belajar, tidaklah mereka diberi upah. Dua-dua tidak ada. Duit dan harta tidak perlu bertukar tangan, hanya ilmu sahaja yang perlu disampaikan.

Maknanya, kekayaan bukanlah satu motivasi untuk belajar dan mengajar agama ini. Tidaklah kita datang belajar agama kerana mengharapkan diberi upah atau mendapat kekayaan dunia. Yang boleh dapat adalah kekayaan dari segi ilmu. Tidaklah Islam ini sepertimana agama Kristian. Kita pun biasa dengar bagaimana mereka menggunakan wang untuk mengajak orang masuk Kristian. Berapa ramai orang Melayu yang masuk agama Kristian di Malaysia ini kerana mereka dibayar dengan wang ringgit. Kita tidak didedahkan dengan statistik sebenar kerana ia dirahsiakan oleh pihak kerajaan kita bagi mengelakkan kekecohan. Kebanyakan mereka dibayar dengan jumlah lumayan sehingga mampu membina rumah dengan wang itu.

Mubaligh yang ditugaskan untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat itu diberi upah untuk berdakwah kepada orang Islam. Mereka menjadikan wang sebagai motivasi dalam agama. Ada ramai dalam kalangan Melayu yang memang memerlukan wang kerana mereka terdesak, maka ada yang sampai masuk Kristian. Begitulah, apabila kita tidak buat kerja berdakwah mengajak orang kafir masuk Islam, sebaliknya mereka pula yang mengajak orang kita masuk Kristian dan agama lain. Tambahan pula masjid susah pula menolong orang susah, namun pihak Gereja Kristian mudah pula membuka ruang membantu orang Melayu kita yang dalam kesusahan. Maka ini bagai menunjukkan seolah-olah agama Kristian itu adalah lebih baik daripada Islam pula. Jangan sangka orang Melayu tidak akan menukar agama sekiranya pemuka agama sendiri itu yang bersikap sombong.

Sejarah membuktikan agama asal orang kita dulu adalah agama Hindu. Walaupun sudah lama masuk agama Islam tetapi masih lagi ada elemen-elemen Hindu dalam amalan dan adat kita. Masih lagi ada yang membuat amalan syirik seperti perasap keris, amal ilmu kebal, pakai tangkal yang sememangnya syirik dan sebagainya. Itulah tinggalan daripada agama Hindu yang masih ada lagi.

Begitu juga dengan adat bersanding dalam majlis perkahwinan, pulut kuning dalam berbagai kenduri. Amalan ini juga adalah kesan peninggalan daripada amalan agama Hindu. Maknanya, kita ini ramai lagi yang sebelah kaki dalam Islam tetapi sebelah lagi masih dalam agama Hindu. Tidak boleh sahaja sesetengah orang tinggalkan agama Islam sebab mereka kata benda itu hanya adat sahaja. Maka, orang-orang yang sebegini hendaklah diajak untuk masuk sepenuhnya dalam agama Islam.

Begitulah apabila agama Islam tidak diajar dengan benar, maka semakin ramai orang tidak faham agama. Pemahaman agama yang tidak kukuh menyebabkan mereka mudah terpesona dengan fahaman sesat agama lain apabila didedahkan kepada mereka.

 

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ

dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib

Nabi Nuh عليه السلام pun tidak pernah mengaku yang baginda memiliki ilmu ghaib. Ini untuk menidakkan fahaman manusia yang sangka kalau seorang Nabi itu mestilah tahu ilmu ghaib. Ghaib adalah perkara yang sudah berlaku, yang akan berlaku dan perkara yang memang manusia tidak boleh nampak. Antaranya, kita tidak boleh nampak jin. Nabi pun dalam keadaan biasa, tidak boleh nampak jin. Lalu bagaimana dengan mereka yang kata mereka boleh ‘scan’ jin? Bagaimana mereka boleh menjadi lebih hebat pula daripada para Nabi? Maka sudah ada masalah di situ kerana mereka boleh buat apa yang jin buat. Adakah kerana mereka itu sudah berkawan dengan jin?

Para Nabi tidak ada ilmu ghaib. Masyarakat kita ada satu pemahaman yang salah – apabila seseorang itu alim dan ada ilmu agama, mereka tahu tentang perkara ghaib. Mereka sangka orang-orang alim itu boleh nampak kejadian yang lepas, boleh baca hati manusia, boleh menilik nasib orang lain, dan macam-macam lagi. Itu adalah satu pemahaman yang salah sama sekali. Bagaimana boleh ada bomoh yang kata mereka boleh nampak perkara yang telah berlaku dan yang akan berlaku? Mereka boleh meniup jampi dalam air dan boleh tahu siapa yang mencuri duit, siapa yang rompak, siapa yang datang dan sebagainya.

Ada pula bomoh atau ‘ustaz’ yang boleh baca masa depan orang lain. Ada orang kita yang bila hendak kahwin, akan jumpa ‘ustaz’ untuk periksa sama ada lelaki perempuan itu serasi atau tidak. Cuma bagi nama dan tarikh lahir, mereka boleh tahu serasi atau tidak. Inilah satu kepincangan dalam amalan masyarakat kita. Mereka mengamalkan ilmu syirik yang membolehkan mereka melihat perkara-perkara seperti itu. Malangnya, para bomoh dan pawang di negara kita sudah pandai menggunakan gelaran ‘ustaz’, sampaikan masyarakat yang jahil senang tertipu. Mereka bertopeng di bawah jenama ‘Perubatan Islam’ hanya dengan memakai kopiah kemudian membaca beberapa patah ayat Al-Qur’an sahaja.

Perbuatan itu semua adalah mengarut sahaja kerana para Nabi pun tidak ada ilmu ghaib. Ramai yang keliru kerana ada para Nabi yang diberikan pengetahuan ilmu ghaib seperti malaikat, syurga, neraka dan sebagainya. Maka kena faham betul-betul. Memang Nabi kadang-kadang tahu tentang perkara ghaib. Namun itu selepas diberitahu oleh malaikat setelah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk diberitahu. Atau, Allah ﷻ sampaikan terus ilmu itu ke dalam hati para Nabi. Bukanlah mereka ada ilmu untuk mengetahui segala perkara ghaib yang mereka mahukan. Pengetahuan itu pula terbatas setakat yang diberitahu oleh Allah ﷻ sahaja, bukanlah bermaksud mereka memiliki sepenuhnya ilmu ghaib dan mampu menggunakan kelebihan ilmu ghaib itu sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri sendiri.

Maka ini perkara yang penting di dalam akidah. Hakikatnya tidak ada manusia yang tahu ilmu ghaib! Kalau Nabi pun tidak tahu, sepatutnya manusia biasa seperti kita lebih lagilah tidak tahu. Malah ia menjadi syirik apabila kita mendakwa dan percaya ada manusia yang memiliki pengetahuan ilmu ghaib. Malangnya memang ramai yang jahil tentang hal ini sampai takut untuk bersalam dengan ustaz sebab takut ustaz tahu apa yang ada di dalam hatinya.

 

وَلَا أَقُولُ إِنِّي مَلَكٌ

dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat;

Nabi bukan juga malaikat kerana baginda adalah golongan manusia. Nabi juga hidup seperti manusia biasa yang perlu makan, perlu minum, perlu rehat dan sebagainya. Maka nabi juga tentulah mempunyai serba sedikit salah dan silap sebagaimana manusia biasa.

Maka, jangan anggap yang para Nabi itu bukan manusia biasa. Mereka itu manusia biasa, cuma mereka diberikan kelebihan menerims wahyu dan dapat tahu perkara ghaib setakat yang Allah ﷻ berikan sahaja. Tidaklah baginda sunyi daripada kealpaan dan kelemahan. Sebab itu tidaklah Nabi Nuh عليه السلام mampu menciptakan suatu hal atau perkara yang ganjil, jikalau Allah ﷻ tidak mengizinkan.

Kenapa Allah ﷻ turunkan manusia untuk menyampaikan dakwah-Nya? Supaya manusia boleh menjadikan para Nabi dan Rasul itu sebagai contoh dalam kehidupan. Kalau Allah ﷻ turunkan malaikat, tentu mereka boleh tolak ajakan dakwah itu kerana mereka akan kata, mereka tidak boleh ikut cara hidup malaikat. “Malaikat bolehlah buat begitu, tapi kami tak boleh”, mereka akan beralasan. Ini sudah banyak dibincangkan di dalam ayat-ayat yang lain.

 

وَلَا أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِي أَعْيُنُكُمْ

dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu,

Iaitu mereka yang orang kaya dan berkuasa itu memandang rendah dan hina. Kalimah تَزْدَرِي daripada ز ر ي yang bermaksud ‘pandang rendah’. Di mata orang kafir sahaja yang nampak mereka rendah dan hina.

Balaghah: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

Apa yang tidak dikatakan kepada mereka?

 

لَن يُؤْتِيَهُمُ اللَّهُ خَيْرًا

bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka.

Sebelum ini, telah disebut bagaimana orang-orang yang berkuasa dalam masyarakat itu telah memberi tohmahan kepada orang-orang yang beriman itu: mereka kata orang-orang yang beriman itu hanya menunjukkan beriman pada luaran sahaja, tetapi sebenarnya dalam hati mereka, mereka tidak beriman.

Mereka mendakwa orang-orang miskin dan hina itu tidak akan mendapat kebaikan apa-apa daripada Allah ﷻ. Nabi Nuh عليه السلام memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda tidak boleh hendak mengatakan yang mereka itu tidak akan mendapat kebaikan. Ini kerana baginda tidak boleh membaca hati manusia. Baginda tidak boleh menghukum sama ada manusia itu layak mendapat kebaikan atau tidak.

Perkataan Nabi Nuh عليه السلام yang seperti ini sudah dapatlah kita kiaskan dengan keadaan yang lain, terutama di zaman hidup Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Pengikut baginda yang pertama-tama menyatakan diri menjadi Muslim, yang disebut ‘Assobiqunal Awwaluna”, perintis-perintis yang pertama itu, pada umumnya adalah orang-orang yang dianggap hina oleh masyarakatnya. Ada yang hamba, ada anak kecil dan ada perempuan. Kalau ada orang dewasa yang masuk pun, mereka itu tidak kaya dan sudah lama disisihkan daripada masyarakat bangsanya.

Sedangkan pemuka-pemuka yang lain adalah orang-orang mampu dan terkemuka seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Abu Sufyan dan lain-lain. Merekalah yang menentang Rasul ﷺ tetapi bagaimana jadinya selepas itu? Bukankah orang-orang bekas jahiliyah itu, iaitu orang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah, Zubair رضي الله عنهم dan lain-lain itu yang menjadi pahlawan Islam yang terhebat? Orang- orang besar yang disegani dan ditakuti? Nama mereka dikenang sampai sekarang? Mereka itu walaupun miskin tetapi dipuji oleh Allah ﷻ antaranya di dalam Hashr: 8-9

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

 

اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِي أَنفُسِهِمْ

Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.

Yang tahu apakah dalam hati mereka adalah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ lebih tahu tentang akidah mereka, iman mereka dan amal mereka. Kita hanya boleh lihat luaran sahaja.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh tahu sama ada seseorang itu beriman atau tidak. Namun kalau perbuatan luarannya adalah perbuatan syirik, maka kita tahu yang mereka itu tidak beriman. Kita juga tidak tahu siapa yang ikhlas atau tidak, munafik atau tidak. Jangan kita cuba mengandaikan apa yang ada di dalam hati orang lain.

 

إِنِّي إِذًا لَّمِنَ الظَٰلِمِينَ

Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

Kalau kita melakukan salah satu atau semua daripada perkara-perkara di atas, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang zalim. Apakah perkara-perkara itu?:

    • Kita kata kita ada khazanah daripada Allah ﷻ
    • Kita mendakwa kita tahu perkara ghaib
    • Kita mengaku sebagai malaikat
    • Mengatakan seseorang itu beriman atau tidak, mendapat kebaikan atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Hud Ayat 28 – 29 (Dakwah dan mengajar jangan minta upah)

DAKWAH NABI NUH عليه السلام

Hud Ayat 28: Ini adalah jawapan balas daripada Nabi Hud عليه السلام.

قالَ يٰقَومِ أَرَأَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَءآتٰني رَحمَةً مِّن عِندِهِ فَعُمِّيَت عَلَيكُم أَنُلزِمُكُموها وَأَنتُم لَها كٰرِهونَ

Sahih International

He said, “O my people have you considered: if I should be upon clear evidence from my Lord while He has given me mercy from Himself but it has been made unapparent to you, should we force it upon you while you are averse to it?

Malay

Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Dia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?

 

قَالَ يٰقَوْمِ

Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang menentang dan tidak mahu menerima dakwah baginda. Baginda panggil mereka dengan panggilan yang mesra. Sebelum ini mereka tuduh Nabi Nuh عليه السلام dan para pengikut baginda menipu, tetapi baginda tetap menggunakan bahasa yang lembut dan molek sekali.

Maka ini mengajar kita dalam ajar manusia ke arah Islam dan Sunnah, berlembutlah. Jangan gunakan bahasa kasar, menghina, perli dan kesat kerana manusia bukan sahaja melihat apa kata-kata kita, tetapi cara kita berkata. Kalau kita gunakan bahasa buruk, apa kita cakap pun mereka sudah tidak nampak sebab mereka nampak akhlak kita yang buruk dahulu. Alangkan kepada Firaun manusia paling teruk itu pun Allah ﷻ suruh Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام bercakap lembut seperti disebut dalam Taha:44-45

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut”.

 

أَرَأَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Apa pandangan kamu, jika aku atas bukti yang nyata dari Tuhanku,

Nabi Nuh عليه السلام suruh kaumnya berfikir: kalau benar aku ini memang benar di atas wahyu Allah ﷻ dan kamu tolak aku, bagaimana nanti keadaan kamu di akhirat? Apa kamu hendak jawab nanti? Maka jangan cepat sangat menolak tanpa berfikir panjang-panjang.

Apakah bukti nyata yang dimaksudkan? Ia adalah daripada fitrah keimanan yang Allah ﷻ telah berikan kepada semua insan. Fitrah ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Juga bermaksud wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada baginda.

Dari sini kita dapat tahu bahawa bukti itu mesti daripada Tuhan (بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي). Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama. Tidak boleh kita buat fahaman sendiri.

Yang kedua sifatnya pula adalah بَيِّنَةٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas kalau tidak belajar dan kalau hati keras tidak mahu menerima kebenaran. Ternyata bukti daripada Al-Qur’an memang jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang melarang orang awam untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sampai kata kalau belajar tafsir, boleh keliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.

Alangkah ruginya kita tidak dibenarkan untuk mempelajari ilmu Al-Qur’an yang merupakan sumber utama ilmu dan panduan kehidupan dunia akhirat! Walau bagaimanapun, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, ada kemungkinan terbabas menjadi sesat. Ini berlaku jika belajar dengan golongan yang mempunyai fahaman-fahaman yang mengarut iatu mereka yang yang tafsir Al-Qur’an mengikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.

Maka nasihat kami adalah kena belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir dan kena belajar lebih daripada satu guru supaya dapat banding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar betul atau tidak. Maka kena bandingkan dengan guru yang lain juga kerana itu seeloknya belajar secara talaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.

 

وَءآتٰنِي رَحْمَةً مِّنْ عِندِهِ

serta Dia telah mengurniakan rahmat kepadaku dari sisi-Nya,

Rahmat yang dimaksudkan adalah wahyu hidayah yang telah diberikan. Kita memang memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ dan hidayah daripada Allah ﷻ. Selain daripada itu, Nabi Nuh عليه السلام juga memperkatakan tentang pangkat kenabian yang telah diberikan kepada baginda. Setiap manusia telah diberikan fitrah iman dan kenal Allah ﷻ, tetapi selain daripada fitrah, Allah ﷻ telah memberikan wahyu juga kepada baginda.

Ini hendak menjawab penolakan mereka sebelum ini, ما نَرىٰكَ إِلّا بَشَرًا مِّثلَنا (Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami). Tidak ada masalah baginda yang dijadikan Nabi kerana memang senang untuk ikut manusia daripada ikut malaikat. Bagaimanakah malaikat boleh menjadi contoh kepada manusia sedangkan malaikat dijadikan makhluk yang jauh bezanya dengan manusia? Mereka tidak makan, tidak minum, tiada nafsu, tidak kencing dan tidak berak dan mengalami masalah kemanusiaan yang lain?

Yang pentingnya manusia itu dapat wahyu hidayah daripada Allah ﷻ, bukannya dipandang dia daripada jenis makhluk apa. Wahyu itu adalah bukti yang nyata daripada Allah ﷻ. Nabi Nuh عليه السلام telah sampaikan, cuma mereka sahaja yang tidak mahu terima. Mereka yang degil untuk terima penerangan wahyu yang jelas nyata kerana apa-apa sahaja dari sisi Allah ﷻ, tentunya terang nyata.

 

فَعُمِّيَتْ عَلَيْكُمْ

lalu bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu

Kalimah فَعُمِّيَتْ daripada katadasar ع م ي yang bermaksud untuk menyimpang daripada tugas; tersasar dari landasan yang betul; menjadi buta; jahil; kabur dan meragukan; menghilangkan penglihatan; buta dari segi mental; kegelapan. Maka kalimah فَعُمِّيَتْ bermaksud mata mereka dibutakan daripada nampak kebenaran.

Bukti dan dalil telah nyata ada di depan mata, tetapi mereka sahaja yang tidak nampak kerana mata hati mereka telah buta. Mereka hanya melihat luaran sahaja. Allah ﷻ telah menutup pintu hati mereka sampai mereka sudah tidak nampak kebenaran lagi. Namun bukanlah Allah ﷻ bersalah. Allah ﷻ tutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah kerana mereka sendiri yang menolak sejak dari mula lagi. Ini seperti Allah ﷻ sebut dalam Saff: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Kita telah belajar sebelum ini yang mereka itu menolak dakwah Nabi Nuh عليه السلام kerana mereka hanya melihat sifat luaran orang-orang yang mengikut Nabi Nuh عليه السلام. Golongan yang menentang itu tidak melihat dengan lebih dalam lagi. Mereka tidak mahu memikirkan mesej yang dibawa oleh Nabi Nuh عليه السلام itu.

Kaum Nabi Nuh عليه السلام menyembah lima orang wali seperti yang disebut dalam surah Nuh. Mereka pun mengamalkan tawasul juga seperti kebanyakan orang-orang syirik. Itulah asal bermulanya manusia menjadi sesat. Akibat perbuatan sesat dan degil mereka itu, mereka akhirnya ditenggelamkan oleh banjir.

أَنُلْزِمُكُمُوهَا

apakah patut kami akan memaksa kamu menerima bukti itu?

Kalimah أَنُلْزِمُكُمُوهَا daripada katadasar ل ز م yang bermaksud untuk melekat dekat; berpaut; bersekutu; mematuhi; tergolong; menghadiri; mengikat; kekal; mematuhi; hukuman; tidak dapat dielakkan; yang mengikuti dan memintas; memaksa seseorang untuk melakukan sesuatu. Maka kalimah نُلْزِمُ bermaksud ‘kami memaksa’. Dalam agama, hal ini tidak boleh.

Memang kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima dakwah kita. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Iman itu tidaklah boleh dipaksa-paksa kepada orang lain. Kalau anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa untuk beriman, apatah lagi orang lain, bukan?

Nabi Nuh عليه السلام menggunakan kata ganti ‘kami’ kerana baginda sedang mewakili pengikut-pengikut baginda kerana orang-orang kufur itu mengutuk mereka semua. Ada juga pendapat yang mengatakan ‘Kami’ di sini bermaksud Allah ﷻ.

Maka ini mengajar kita yang agama ini tidak boleh dipaksa. Iman mestilah sukarela dengan kehendak sendiri. Kalau iman yang dipaksa tidak ada gunanya. Allah ﷻ tidak memerlukan iman yang bukan daripada hati yang ikhlas. Ini sama seperti disebut dalam Baqarah: 256

لا إِكراهَ فِي الدّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)

Akan tetapi lagi satu, kenapa tidak perlu hendak paksa orang, atau terkinja-kinja mengajak orang masuk Islam dan beriman? Ini disebut dalam sambungan seterusnya Baqarah:256 ini,

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)

Kebenaran Islam ini sudah amat jelas, maka tidak perlu kita hendak ‘jual’ sangat. Kalau kita sudah ceritakan dengan jelas, sepatutnya orang yang berakal akan mudah terima. Kalau dia tidak nampak, maka itu salah dia dan kerugian atas dia sendiri. Kita yang ajak ini tidak rugi sedikit pun.

 

وَأَنتُمْ لَهَا كٰرِهُونَ

sedang kamu tidak suka kepadanya?

Huruf و di dalam kalimah وَأَنتُمْ adalah dalam bentuk waw al-hal; iaitu mereka dalam keadaan begitu. Kamu sendiri benci kepada ajakan tauhid. Adakah kami terdesak sangat kepada kamu? Kalau kamu tidak mahu terima, tidak mengapa. Kami akan sampaikan kepada orang lain pula. Tidaklah kami mengharap sangat kepada kamu sampai kami hendakkan sangat kamu beriman dengan apa yang kami bawa ini.


 

Hud Ayat 29: Seorang pendakwah dan pengajar agama, atau ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan di surau, sepatutnya kena cakap begini semasa dia mula-mula mengajar kepada anak muridnya. Awal-awal dia sudah kena isytihar begini.

وَيٰقَومِ لا أَسئلُكُم عَلَيهِ مالًا ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللَّهِ ۚ وَما أَناْ بِطارِدِ الَّذينَ ءآمَنوا ۚ إِنَّهُم مُلٰقو رَبِّهِم وَلٰكِنّي أَرىٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

Sahih International

And O my people, I ask not of you for it any wealth. My reward is not but from Allah . And I am not one to drive away those who have believed. Indeed, they will meet their Lord, but I see that you are a people behaving ignorantly.

Malay

Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.

وَيٰقَوْمِ

Dan (ketahuilah) wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata Nuh عليه السلام kepada kaumnya, sebagai jawapan daripada kata-kata mereka dalam ayat sebelum ini. Masih lagi dengan nada yang lembut. Memang bila berdakwah kena sentiasa lembut sahaja. Kalau tidak mampu berlembut, mungkin kena beri orang lain sahaja yang berdepan dengan mad’u. Mungkin kita hanya sesuai bantu di belakang tabir sahaja.

 

لَا أَسْئلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا

Aku tidak meminta kepada kamu atas mengajar agama ini, sebarang harta,

Nabi Nuh عليه السلام mengatakan bahawa baginda tidak mengharapkan bayaran daripada umatnya. Tidaklah baginda minta upah dalam mengajar agama dan dakwah kepada mereka. Umatnya yang tidak mahu menerima dakwahnya merasakan diri mereka lebih hebat daripada orang lain kerana mereka mempunyai harta yang banyak. Mereka telah berhujah sebelum ini وَما نَرىٰكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذينَ هُم أَراذِلُنا بادِيَ الرَّأيِ (dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat;)

Maka, Nabi Nuh عليه السلام tegaskan, bukanlah dia mengajak mereka kepada agama Islam kerana mahukan harta atau bayaran daripada mereka. Bukanlah kekayaan yang dicari baginda kerana baginda bukanlah seperti mereka yang memandang kepada kebendaan. Sama sahaja bagi baginda yang kaya dan yang miskin. Maka, jangan disangsikan keikhlasan Nabi Nuh عليه السلام dalam menyampai ajakan dakwah itu. Jangan takutlah yang baginda akan sakau harta mereka itu kalau mereka beriman nanti sebab bukan itu yang Nabi mahukan daripada mereka.

Kita tidak mengharapkan banyaknya wang dalam kerja-kerja agama ini. Malangnya, orang-orang masjid selalu mengharapkan bantuan kewangan daripada golongan elit dalam masyarakat untuk menderma kepada masjid atau surau. Padahal, mereka yang elit itu pun bukannya pergi ke masjid dan surau itu pun.

Ini juga mengajar kita untuk tidak meminta upah dalam mengajar. Ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain yang mengatakan sedemikian. Namun, apa yang terjadi sekarang adalah terbalik. Guru akan meminta upah untuk mengajar. Letak harga tetap pula tu.

Padahal, sepatutnya tidak boleh begitu. Anak murid bertanggungjawab untuk memberi sedekah kalau dia mampu. Orang yang ada ilmu bersedekah dengan ilmunya. Maka, sama-sama bersedekah dan sama-sama mendapat pahala. Bukanlah tidak boleh terima pemberian daripada anak murid, tetapi janganlah diletak harga yuran itu.

Namun, adakah patut apabila seorang guru itu selepas dia sedekah ilmu, dia minta bayaran pula? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada duit, adakah mereka tidak layak mendapat ajaran agama? Adakah mereka dibiarkan sahaja dalam kejahilan? Tentulah tidak, bukan? Kasihanilah kepada orang miskin yang tidak ada harta untuk belajar agama jika terpaksa membayar yuran pula untuk belajar agama.

Kalau kita perhatikan masyarakat miskin kita, kebanyakan daripada mereka kurang ilmu agama. Ini kerana tidak ramai yang santuni mereka untuk mengajar agama. Lain dengan para sahabat zaman Nabi. Mereka pun miskin juga, namun bab agama mereka hebat. Orang miskin kita sudahlah tidak ada duit, ilmu agama pun tidak ada. Ini kerana hendak belajar agama kena pergi ke kelas pengajian, sudahlah jauh dan kadangkala kena bayar yuran pula. Mereka hendak makan pun susah, apatah lagi hendak bayar yuran untuk belajar agama!

Jangan jadikan bab yuran sebagai penyebab manusia tidak belajar agama. Ini disentuh di dalam Qalam:46. Kalau kita letakkan yuran, seolah-olah kita mengusir orang miskin daripada belajar pula. Nanti kita akan belajar yang Rasulullah ﷺ dilarang daripada menghalau orang miskin.

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ
Apakah kamu meminta upah kepada mereka, lalu mereka diberati dengan hutang?

Maka sepatutnya asatizah kena juga pergi meluangkan masa mengajar orang miskin. Memang kena pergi ke tempat mereka kerana mereka memang tidak boleh bergerak ke mana-mana. Namun sekarang kita lihat ia tidaklah berlaku sangat. Yang ada mengajar di rumah pun rumah orang kaya raya. Orang pun ramai ke sana sebab selepas kuliah boleh makan sedap-sedap. Suasana belajar pun selesa, mungkin sebelah kolam mandi.

 

إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

sesungguhnya upahku tidak lain melainkan atas Allah;

Mengajar agama adalah seperti jihad fisabilillah dan balasan kepada jihad fisabilillah adalah syurga. Ini bermakna, upah kepada mereka yang mengajar agama itu sebenarnya sudah ada. Upah itu tidak ada bandingan lagi kerana ia adalah syurga yang kekal di dalamnya. Tambahan pula kerja dakwah ini adalah pekerjaan yang paling utama di sisi Allah ‎ﷻ seperti disebut dalam Fussilat: 33

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah

Jangan takut dengan rezeki kerana Allah ﷻ yang memberi rezeki kepada kita manusia. Begitulah akidah dan yakinnya Nabi Nuh عليه السلام terhadap Allah ﷻ kerana Allah ﷻ pun sudah berfirman dalam Jumuah:11

وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ
dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

Maksudnya tahulah Allah ﷻ memberi rezeki kepada kita kerana Dia yang sebaik-baik pemberi rezeki. Maka, kalau seseorang itu meminta lagi upah untuk mengajar, balasan yang sepatutnya dia dapat di akhirat itu mungkin akan terbatal. Dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sepatutnya, dia boleh masuk syurga, tetapi sebab dia minta upah, ia akan menjadi sebaliknya pula.

Maka jangan risau bab rezeki. Kalau kita jalankan kehendak Allah ﷻ, maka Allah ﷻ tidak akan lupa untuk memberi rezeki kepada kita. Malangnya kita lebih takut tidak bekerja daripada tidak solat. Sebagai contoh kalau tempat kerja kita tidak benarkan solat, ramai yang takut untuk berhenti kerja di situ kerana takut tidak makan. Ini bermakna mereka tidak yakin dengan Allah ﷻ.

Tidak dinafikan, sekarang ramai ustaz-ustaz di Malaysia yang meminta upah dan tetapkan yuran untuk kelas. Itu adalah kerana mereka tidak faham maksud ayat ini. Mereka tidak tahu pun bahawa minta upah itu salah. Akan tetapi, ini tidaklah menghalang seorang guru itu untuk menerima upah, sedekah atau hadiah daripada anak murid mereka. Cuma, mereka tidak boleh meminta atau menetapkan upah yang perlu dibayar. Kalau ada orang yang hendak beri, maka dia boleh terima. Kalau tidak ada yang memberi, dia tetap juga perlu mengajar.

Ini juga memberi isyarat kepada kita untuk tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada orang lain kalau kita dakwah kepada mereka. Kalau kita memberi nasihat, memberi dakwah kepada sesiapa sahaja, jangan harap apa-apa daripada mereka. Jangan berharap pun mereka ucapkan terima kasih kepada kita, jangan harap pun mereka memuji-muji kita.

Akan tetapi di dalam masa yang sama, kita faham kekangan guru agama yang tidak ada kerja lain. Kalau tidak diletakkan yuran nanti pelajar buat tidak tahu sahaja belajar percuma. Sedangkan guru agama itu juga ada kos untuk dibayar seperti pengangkutan, minyak, alat mengajar, Internet dan sebagainya. Kita faham hal ini tetapi yang terbaik adalah tidak meminta upah dan tidak meletakkan yuran. Maka kalau ada pilihan antara yang letakkan harga yuran dan mengajar percuma, pilih yang percuma. Inilah yang terbaik seperti disebut dalam Yaasin: 20-21

وَجاءَ مِن أَقصَا المَدينَةِ رَجُلٌ يَسعىٰ قالَ يٰقَومِ اتَّبِعُوا المُرسَلينَ
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –

اتَّبِعوا مَن لّا يَسئَلُكُم أَجرًا وَهُم مُّهتَدونَ
“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk”.

 

وَمَا أَنَاْ بِطَارِدِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman,

Kalimah طَارِدِ daripada katadasar ط ر د yang bermaksud menghalau, menghantar seseorang pergi, menyuruh seseorang keluar, mengusir, menyerang, memburu, mengejar. Maka kalimah طَارِدِ bermaksud menghalau seseorang kerana merasakan mereka itu rendah, tidak layak. Apabila digunakan perkataan مَا dan بِ dalam satu ayat (وَمَا أَنَاْ بِطَارِدِ), itu menunjukkan satu penolakan yang paling kuat sekali. Bermaksud, Nabi Nuh عليه السلام tidak akan sekali-kali menghalau mereka.

Pengikut-pengikutnya yang telah menyatakan Iman itu tidak sama sekali akan diusir kerana hubungan Nabi Nuh عليه السلام dengan mereka bukanlah hubungan harta. Meski pun orang-orang yang beriman itu miskin tidak memberikan harta apa-apa kepada Nuh عليه السلام, mereka itu lebih utama bagi baginda daripada orang-orang menilai manusia dengan harta itu.

Dalam surah lain, ada disebut bahawa ada dalam kalangan kaum Nuh عليه السلام yang meminta kalau hendak mereka ikut Nabi Nuh عليه السلام, Nabi Nuh عليه السلام mesti menghalau orang-orang miskin yang sedang beriman dengan Nabi Nuh عليه السلام. Mereka yang minta begitu adalah orang-orang yang kaya dan mereka tidak mahu bercampur dengan orang-orang miskin itu.

Zaman Nabi Nuh عليه السلام, yang beriman dengan baginda adalah orang-orang yang miskin-miskin. Sekarang ini pun lebih kurang juga. Yang beriman dengan tauhid itu selalunya mereka yang miskin, tidak ada kuasa. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja.

Contohnya, masih lagi diamalkan sistem kasta dalam sesetengah masyarakat. Kalau tidak secara jelas pun, masih ada lagi benteng pemisah antara orang kaya dan miskin. Orang kaya tidak mahu bercampur dengan khalayak orang miskin kerana mereka rasa mereka ada kelebihan daripada mereka.

Musyrikin Mekah pun ada cakap begini juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah yang kaya raya memberi syarat kepada baginda. Kalau mahu mereka mendengar apa yang baginda hendak sampaikan, maka baginda mesti menghalau golongan-golongan yang lemah dalam kalangan pengikut baginda. Maka, Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ bagaimana hendak jawab. Allah ﷻ telah berfirman dalam An’am:52

وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

 

إِنَّهُم مُّلٰقُو رَبِّهِمْ

kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka;

Mereka itu nanti akan bertemu Allah ﷻ dan kalau mereka dihalau, tentu mereka akan mengadu kepada Allah ﷻ yang mereka telah dihalau. Waktu itu apakah alasan yang boleh diberikan? Topik ini akan disambung di dalam ayat selepas ini.

Mereka yang telah beriman itu pasti akan bertemu dengan Tuhan, dan pada hari itu mereka akan menerima hak masing-masing dari sisi Allah ﷻ. Walaupun mereka itu dipandang miskin di sisi masyarakat, tetapi mereka akan menerima balasan yang baik daripada Allah ﷻ kerana mereka telah beriman. Oleh itu, jangan berlaku zalim kepada mereka dengan menghalau mereka dari sisi Nabi ﷺ.

Mereka yang beriman itu ingin sangat hendak bertemu dengan Tuhan mereka. Mereka rindu untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Begitu jugalah dengan kita – sepatutnya kita menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Tuhan yang telah menjadikan kita. Mereka yang beriman pasti akan bertemu dengan Allah ﷻ.

Ini bermakna, mereka itu berkedudukan yang tinggi di sisi Allah ﷻ walaupun kedudukan mereka rendah semasa di dunia kerana mereka miskin dan lemah. Maka jangan melihat pada luaran manusia sahaja. Kena lihat pada tingkah laku dan tanda keimanan yang ada pada mereka. Mereka itu sebenarnya mulia di sisi Allah ﷻ. Oleh itu, bagaimana hendak menghalau mereka yang mulia itu?

 

وَلَٰكِنِّي أَرىٰكُمْ قَوْمًا تَجْهَلُونَ

tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui – jahil.

Bukanlah mereka itu bodoh, tidak pandai. Sebab mereka itu adalah orang yang kaya raya, maka tentu dalam ilmu dunia, mereka pandai tetapi dalam hal agama, mereka jahil.

Atau, mereka sengaja buat-buat jahil. Macam sekarang, kalau kita lihat penganut Hindu, ada doktor, profesor, pemimpin yang bodoh sangat sampai mandi dalam sungai yang kotor dan minum air Sungai Kelang yang kotor itu kerana disuruh oleh agama mereka yang sesat.

Begitu juga masyarakat kita, ramai yang jahil dalam hal agama. Padahal, dalam hal dunia, mereka bijak sekali. Mereka belajar tinggi sampai ke universiti pun ramai. Kerja yang baik-baik. Bertahun-tahun mereka berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik, namun dalam pelajaran agama, mereka tidak ambil peduli.

Oleh itu, bila kita sebut sesuatu dalam hal agama, mereka hairan kerana mereka tidak pernah tahu. Kalau mereka terima, tidak mengapa. Mereka mempunyai masalah sikap ego pula. Lebih menyedihkan pula, walaupun mereka tidak tahu, mereka salahkan kita. Kalau tidak tahu, buatlah tidak tahu, terima sahajalah, tetapi malangnya, mereka mahu juga melawan kita. Mereka akan kata, mereka tidak pernah dengar tentang perkara itu. Memanglah mereka tidak pernah dengar, sebab mereka tidak belajar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

 

Tafsir Surah Hud Ayat 26 – 27 (Kaum Nabi Nuh عليه السلام menolak baginda)

Hud Ayat 26: Ini adalah Dakwa Surah ini: Jangan sembah selain Allah ﷻ.

أَن لّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۖ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ أَليمٍ

Sahih International

That you not worship except Allah. Indeed, I fear for you the punishment of a painful day.”

Malay

“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

 

أَن لَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah;

Mana-mana Nabi akan berkata begini. Iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mestilah berkata begini juga. Kita dikehendaki mengajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula mesti dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur adukkan ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Akan tetapi dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi ﷺ, itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ

sesungguhnya aku bimbang atas kamu,

Nabi Nuh عليه السلام memberi peringatan kepada kaumnya kerana baginda risaukan mereka. Begitu juga dengan kita, kita beri peringatan ini kepada keluarga dan masyarakat kita kerana kita sayangkan mereka. Kita bimbangkan nasib mereka nanti di akhirat. Bukan kita hendak kedudukan tinggi dengan memberi dakwah kepada mereka.

Bukannya kita mahukan orang pandang kita tinggi, pandai, bijak, alim dan sebagainya. Bukan kita mahukan orang panggil kita ‘ustaz’. Bukan kita inginkan orang bayar kepada kita upah dalam mengajar. Bukan dan bukan.

Kita berikan dakwah dan peringatan adalah kerana belas kasihan kepada masyarakat kita yang telah dimomokkan dengan ajaran salah sekian lama. Mereka langsung tidak nampak kesalahan yang dilakukan selama hari ini. Kalau tidak ada orang yang mengingatkan dan betulkan mereka, siapa lagi kalau bukan kita?

Masyarakat kita adalah masyarakat yang beradab, yang hormat kepada orang yang beragama. Apabila ada guru agama dan ustaz cakap sekian, sekian, mereka tidak berani dan rasa tidak layak mempersoalkan golongan itu. Mereka terus terima apa yang golongan agama sampaikan itu sebagai benar sahaja. Seolah-olah kalau kita mempersoalkan mereka itu sebagai sesuatu yang amat tidak beradab sekali, berdosa besar sangat.

Padahal, itulah yang sepatutnya kita lakukan. Kita kena berani tanya: “Ustaz, amalan ini adakah dalil dari Allah?”. Kalau dia seorang ustaz yang benar, dia akan beritahu. Kalau dia marah kita, enggan beritahu apakah dalilnya, maka sepatutnya kita tinggalkan mereka. Tidaklah kita hina mereka kalau kita tidak belajar dengan mereka. Kita pun tidak kutuk mereka pun.

Cuma kita tidak mahu lagi ambil ilmu daripada mereka kerana kalau begitulah jenis orang agama yang kita kenal, tidak sepatutnya kita terus belajar dengan mereka. Bukan itu yang sepatutnya mereka lakukan. Banyak lagi ustaz-ustaz sunnah yang lebih baik daripada mereka.

Ustaz-ustaz yang mengajar amalan karut dan bid’ah itu berasa selesa melakukan amalan-amalan salah itu kerana mereka ramai penyokong. Oleh kerana ramai orang awam yang jahil, maka ramai yang tidak berani untuk bertanya mereka. Kebanyakannya pun tidak berani untuk mempersoal apa yang mereka ajar kerana kita orang Melayu memang jarang bertanya kepada guru agama. Kita malah dianggap sebagai tidak beradab jika berani mempersoalkan guru dan ustaz-ustaz yang dianggap tinggi ilmu agama itu.

Namun jikalau kita beramai-ramai tinggalkan mereka, tentu mereka sudah tidak berani hendak membuat seperti itu lagi. Tentu mereka pun akan sedar diri dan cuba memperbetulkan apa yang salah dalam pengajaran mereka. Tentu mereka pun sanggup untuk belajar lagi dan bersedia dengan dalil untuk mengajar benda yang benar sahaja. Marilah sahabat-sahabat kembali ke pangkal jalan. Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah yang tulen. Jangan takut tinggalkan guru agama yang tidak mampu berikan dalil yang sahih.

 

عَذَابَ يَوْمٍ أَلِيمٍ

kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

Apa yang kita takutkan ke atas mereka – kita takut mereka akan ditimpa azab yang amat pedih. Kenapakah maksud azab itu ‘amat pedih’? Iaitu azab itu teruk sangat sampaikan apabila kita dikenakan dengan azab itu, kita tidak ingat perkara lain lagi.

Namun di dalam ayat ini yang dikatakan pedih adalah hari itu sendiri يَوْمٍ أَلِيمٍ bukannya عَذَابَ أَلِيمٍ. Maka أَلِيمٍ itu adalah sifat kepada يَوْمٍ sebenarnya (kerana itu i’rob nya sama – dua-dua kasrah dan tanwin sedangkan kalimah عَذَابَ tidak pun begitu). Kalau hendak beritahu azab itu yang pedih, kalimat yang sepatutnya adalah عَذَاباً أَلِيماً. Sebenarnya kita takut kepada azab atau kepada hari? Tentulah bukan hari kerana hari itu masa azab itu sahaja. Namun Allah ﷻ hendak beritahu yang begitu dahsyat azab itu, sampai hari itu sendiri pun sudah terasa pedih, apatah lagi azabnya!

Ayat ini akan hanya memberi kesan kepada kita kalau kita sudah belajar tentang keadaan di Hari Akhirat nanti. Iaitu apabila kita sudah tahu bagaimana peritnya kehidupan dalam neraka. Kita tentu tidak dapat membayangkan dengan tepat keadaan dalam neraka, kerana ia tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran kita yang lemah, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat gambaran serba sedikit.

Apabila kita tidak tahu bagaimana keadaan neraka itu, kita tidak berasa takut dengan neraka. Kita baca ayat sebegini sambil lalu sahaja. Kita tidak rasa apa-apa dengan ayat-ayat ancaman sebegini.


 

Hud Ayat 27: Apakah reaksi umat baginda selepas baginda menyampaikan dakwah Tauhid?

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما نَرىٰكَ إِلّا بَشَرًا مِّثلَنا وَما نَرىٰكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذينَ هُم أَراذِلُنا بادِيَ الرَّأيِ وَما نَرىٰ لَكُم عَلَينا مِن فَضلٍ بَل نَظُنُّكُم كٰذِبينَ

Sahih International

So the eminent among those who disbelieved from his people said, ” We do not see you but as a man like ourselves, and we do not see you followed except by those who are the lowest of us [and] at first suggestion. And we do not see in you over us any merit; rather, we think you are liars.”

Malay

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

 

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Maka berkatalah pembesar-pembesar yang kafir;

Umat baginda terus menolak dakwah daripada Nabi Nuh عليه السلام dan kita dapat tahu daripada penggunaan harf ف di dalam kalimah فَقَالَ ini. Maknanya, mula dakwah sahaja terus ditolak dan siapa yang mula menolak itu?

Dalam ayat ini disebut ‘pembesar-pembesar’. Mereka inilah yang ada masalah selalunya. Mereka adalah orang-orang yang berkuasa pada zaman mereka. Mereka inilah golongan yang ada kuasa, ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Mereka tidak suka agama yang benar ditegakkan kerana mereka akan kerugian dalam bentuk keduniaan. Bagaimana dengan orang kebanyakan? Orang kebanyakan akan ikut sahaja kata-kata pembesar mereka.

Mereka inilah juga yang selalunya menjadi penentang jalan Sunnah yang kuat di Malaysia ini. Kalau di masjid, mereka itu adalah imam-imam, pengerusi masjid, ahli jawatankuasa surau. Kalau di kampung, mereka itulah ahli JKKK dan sebagainya. Iaitu mereka yang ada pangkat. Orang awam kemudian ikut sahaja kata-kata orang yang ada kuasa ini. Yang disebut ini sebagai contoh sahaja, bukanlah mereka itu semestinya menentang agama. Cuma hendak menjelaskan siapakah ketua masyarakat itu.

Perkataan الْمَلَأُ diambil daripada katadasar yang bermaksud ‘memenuhkan’. Merekalah yang memenuhkan posisi-posisi ketinggian dalam masyarakat. Ia juga mengisyaratkan mereka yang memenuhkan kantung-kantung mereka dengan kemewahan. Ia juga bermaksud mereka ‘memenuhkan’ jiwa orang yang lain yang memandang mereka dengan ketakutan, takjub dan sebagainya. Kalau dalam istana, mereka yang memenuhkan ruang istana di hadapan raja itu.

Sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah كَفَرُوا – yang selalunya diertikan sebagai kufur, kafir. Akan tetapi jangan kita sempitkan maksud perkataan itu kerana maksudnya yang lebih luas adalah – ingkar. Mereka yang ingkar dengan ajakan dakwah, dengan agama. Kalau orang itu mengaku Muslim, namun dalam masa yang sama, dia ingkar dengan sunnah, dengan ajaran daripada Allah ‎ﷻ, bukankah dia juga dikira sebagai كَفَرُ?

Begitulah juga masalah yang dialami oleh Nabi Nuh عليه السلام dalam dakwahnya. Yang menentangnya adalah pembesar-pembesar, pemimpin masyarakat waktu itu. Mereka tidak suka dengan dakwah baginda. Begitulah juga yang dialami oleh Rasulullah ﷺ dan sebab itulah Allah ﷻ sebut kisah Nabi Nuh عليه السلام kepada baginda sebagai tasliah (pujukan). Baginda pula ditolak oleh pembesar Quraisy, bukan? Sebagaimana juga kalau kita lihat zaman sekarang, orang yang berkuasa tidak suka kalau ajaran sunnah diamalkan dengan benar. Maka ini semua sebagai pujukan, iaitu bukan kita yang pertama ditolak oleh golongan berkuasa, tetapi semenjak dahulu lagi.

 

مِن قَوْمِهِ

dari kaumnya:

Yang kaya dan berpengaruh daripada kaum Nabi Nuh عليه السلام tidak mahu mengikut dakwah baginda. Hanya yang miskin dan hina sahaja yang mahu mengikut baginda. Mereka itu semua daripada kaum baginda sendiri. Sepatutnya kaumnya lah yang kenal hati budi baginda, tetapi tetap juga mereka menolak.

Maka begitulah yang terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum baginda menjadi Nabi, baginda dipandang tinggi. Sebaliknya setelah baginda menyampaikan dakwah, mereka kutuk dan hina baginda. Nabi Muhammad ﷺ pada mulanya kehairanan kenapa baginda ditolak. Maka Allah ﷻ beritahu memang begitulah yang terjadi kepada para Nabi semenjak dahulu pun. Maka legalah sedikit hati Nabi ﷺ kerana bukanlah baginda sahaja yang ditolak. Kita apabila ditolak oleh kaum dan ahli keluarga sendiri, tentulah sedih sangat, bukan? Namun kalau kita tahu memang inilah yang terjadi sejak dahulu pun, maka kuranglah sedikit rasa kesedihan itu.

 

ما نَرىٰكَ إِلّا بَشَرًا مِّثلَنا

“Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami juga;

Perkataan بَشَرًا asalnya bermaksud ‘kulit’. Mereka kata: “kulit kamu dan kulit kami, sama sahaja. Jadi kenapa kami kena ikut engkau?” Pada mereka, tidak layak Nabi Nuh عليه السلام menegur mereka. Mereka berhujah di sini, kalau Allah ﷻ mahu beri petunjuk, sepatutnya yang diturunkan adalah malaikat kepada mereka, bukannya manusia biasa. Kalau malaikat yang turun, barulah mereka kononnya akan ikut. Ini disebutdalam Mukminoon: 24

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

Hakikatnya manusia sahajalah yang layak dan sesuai untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Sesama jenis sahajalah yang sesuai dan bukanlah daripada jenis jin ataupun malaikat. Sebab itu para Nabi ﷺ disuruh mengaku yang mereka itu memang manusia biasa pun, cuma bezanya adalah mereka mendapat wahyu. Ini seperti disebut dalam Kahf: 110

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu;

Kalaulah malaikat yang ditugaskan untuk sampaikan dakwah, mereka akan lebih keliru kerana kerana malaikat mereka tidak nampak. Untuk bagi nampak, Allah ﷻ menjadikan mereka dalam bentuk manusia. Apabila sudah dalam bentuk manusia, tentu mereka tidak mahu terima juga sebab mereka kata itu adalah manusia. Ini disebut dalam An’am: 9

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad).

Maka ini adalah hujah yang digunakan oleh para penolak. Disebut di dalam Isra’: 94-95 juga tentang hal ini,

وَما مَنَعَ النّاسَ أَن يُؤمِنوا إِذ جاءَهُمُ الهُدىٰ إِلّا أَن قالوا أَبَعَثَ اللهُ بَشَرًا رَسولًا
Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka: “Adakah Allah mengutus seorang manusia menjadi rasul?”

قُل لَو كانَ فِي الأَرضِ مَلائِكَةٌ يَمشونَ مُطمَئِنّينَ لَنَزَّلنا عَلَيهِم مِنَ السَّماءِ مَلَكًا رَسولًا
Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi rasul”.

Allah ﷻ jawab di sini, oleh kerana yang hendak didakwah dan diajar itu adalah manusia, maka sebab itulah Allah ﷻ hantarkan manusia juga sebagai Rasul.

Atau mereka mahu kata, sama sahaja kedudukan Nabi Nuh عليه السلام dengan mereka iaitu manusia biasa sahaja. Lainlah kalau baginda ada darah raja atau bangsawan, barulah ada kedudukan lebih sedikit. Seperti kita tahu di negara kita, dan mungkin di mana-mana sahaja, manusia akan memandang kedudukan orang yang menyampaikan suatu perkara itu. Kalau yang menyampaikan itu adalah rakyat marhaen sahaja, masyarakat tidak ambil peduli. Kesalahan mereka adalah memandang siapa yang memberi nasihat, bukannya yang apakah isi kandungan nasihat itu.

Jikalau yang bercakap itu rakyat marhaen sahaja, maka pembesar-pembesar, ketua masyarakat tidak akan ambil peduli. Mereka akan rasa bahawa orang itu sedang melakukan satu kesalahan. Mereka rasa orang itu hendak mengambil kedudukan mereka pula.

Maka ini hujah penolakan mereka yang pertama: pendakwah itu sama sahaja dengan mereka, tidak lebih daripada mereka. Mereka menilai kedudukan pendakwah sahaja.

 

وَمَا نَرىٰكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا

dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang yang miskin hina dari kalangan kami,

Perkataan أَرَاذِلُ daripada katadasar ر ذ ل yang bermaksud paling teruk, paling rendah. Maka kalimah أَرَاذِلُ bermaksud sesuatu yang hodoh, tidak cantik dan buruk. Iaitu orang yang rendah dalam semua perkara, berbanding dengan semua orang sama ada dari segi status, fizikal, pekerjaan dan sebagainya. Orang lain biasa sahaja, tetapi mereka itu dalam kedudukan yang hina. Maka ini adalah sistem kasta.

Itulah jenis manusia, yang orang-orang kebanyakan akan menjauhkan diri daripada mereka. Kadang-kadang bila nampak orang-orang yang berstatus rendah, yang miskin, buruk penampilannya maka mereka tidak mahu campur dengan mereka. Ini kerana merekalah orang yang paling rendah dalam tingkatan masyarakat.

Para pembesar itu hendak mengatakan yang mengikut Nabi Nuh عليه السلام hanyalah mereka yang hina dina sahaja, yang berkasta rendah sahaja. Mana layak untuk duduk bersama dengan mereka yang kaya raya berstatus tinggi ini. Maka ini adalah hujah penolakan mereka yang kedua, memandang hina orang lain dan menggunakan sistem kasta.

Itu juga sebab utama mereka tidak mahu beriman. Sedangkan zaman berzaman memang yang mula beriman adalah golongan miskin dan lemah. Kenapa? Kerana golongan itu “have nothing to lose”:tidak takut untuk kehilangan atau kerugian apa-apa sebab mereka memang tidak memiliki apa-apa pun! Sedangkan golongan kaya dan ada kedudukan takut kedudukan mereka akan jatuh. Sebelum ini mereka yang di atas, tetapi bila beriman dengan Nabi, kedudukan mereka menjadi rendah pula.

Maka para pembesar itu tidak mahu duduk bersama dengan para pengikut Nabi Nuh عليه السلام. Mereka tidak mahu dikaitkan dengan golongan kasta rendah. Begitu jugalah kata-kata para pembesar Quraisy kepada Rasulullah ﷺ. Mereka melihat golongan yang di sisi Nabi Muhammad ﷺ adalah golongan miskin dan lemah, maka mereka tidak mahu duduk sekali. Mereka hendak Nabi ﷺ buat majlis khas untuk mereka sahaja, tidak perlu bercampur dengan golongan miskin hina dina di pandangan mereka. Allah ‎ﷻ tegur Rasulullah ﷺ supaya jangan buat di dalam Kahf: 28

وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدَوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Mana mungkin Rasulullah ﷺ kena tinggalkan para sahabat baginda yang miskin dan berkedudukan lemah dan hina itu sedangkan mereka itulah yang tinggi di sisi Allah ﷻ dan Allah ﷻ puji mereka dalam Hashr: 8

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Iman para sahabat itu tidak boleh dipersoalkan kerana pengorbanan mereka pun amat hebat. Mengapakah mereka lakukan semuanya? Kerana iman mereka kepada Allah ﷻ dan kerana mereka hendak mendapat rahmat daripada Allah ﷻ. Sampaikan mereka tidak pandang lagi keduniaan.

Maka para pembesar kaum Nabi Nuh عليه السلام itu telah menghina para pengikut Nabi Nuh عليه السلام. Sudahlah Nabi Nuh عليه السلام direndahkan sebelum ini, sekarang para pengikut pun dihina juga. Kalau zaman sekarang, para pendakwah atau ustaz Sunnah dinilai juga boleh orang yang menentang. Antaranya mereka kata ustaz itu tidak ada kedudukan, pengikut pun tidak ramai, kalau ada yang ikut pun orang-orang biasa sahaja. Maka mereka tidak pandang pun apa yang hendak disampaikan oleh ustaz Sunnah itu.

 

بَادِيَ الرَّأْيِ

berfikiran singkat;

Perkataan بَادِيَ daripada katadasar ب د و yang bermaksud ‘yang kelihatan’ iaitu yang zahir dan yang senang dilihat, keputusan yang tidak matang, tinggal di padang pasir, badwi, pendatang dari luar. Ada beberapa maksud yang ditafsirkan perkataan بَادِيَ الرَّأْيِ ini.

1. Maksud Pertama: mereka itu golongan yang sekali pandang sahaja, kita sudah tahu yang mereka itu hina kerana kedudukan mereka itu jelas kelihatan sekali pandang sahaja.

2. Maksud Kedua: mereka kata golongan-golongan yang ikut Nabi Nuh عليه السلام itu jenis manusia yang berfikiran singkat, buat keputusan tanpa fikir panjang, buat keputusan yang tidak matang. Iaitu mereka senang sahaja terima dakwah Nabi Nuh عليه السلام tanpa usul periksa yang mendalam. Sekali nampak sahaja, terus terima. Maknanya hendak kata para pengikut Nabi Nuh عليه السلام itu bodohlah. Dengan mereka sebegitu, kononnya senanglah Nabi Nuh عليه السلام hendak tipu, kata pembesar-pembesar itu.

Namun tidak dengan mereka yang kononnya lebih pandai, tidak akan senang mereka untuk terima kata-kata Nabi Nuh عليه السلام itu. Itulah lebih kurang kata mereka. Maka, mereka hendak memberitahu kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa tidak perlulah baginda berbangga diikuti oleh mereka yang lemah dan hina itu, kerana mereka itu ikut baginda kerana fikiran mereka yang lemah dan miskin itu singkat sahaja, memang senang percaya kepada orang lain.

Inilah sifat manusia yang senang menuduh orang lain bodoh. Ini juga sifat munafik seperti disebut dalam Baqarah:13

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?”

Para pembesar itu kata senang sangat pengikut Nabi Nuh عليه السلام itu buat keputusan untuk ikut baginda. Namun adakah salah untuk terus mempercayai sesuatu yang benar? Hakikatnya, kalau mahu percaya dengan cepat pun bukanlah sesuatu yang salah kerana apabila dakwah yang dibawa itu adalah kebenaran dengan dalil-dalil yang sahih, ia tidak memerlukan pemikiran yang panjang lagi.

Apa yang perlu dibuat adalah hanya taat dan ikut sahaja. Itulah yang akan diikuti oleh orang yang mempunyai kebersihan jiwa. Mereka akan mudah untuk terima kebenaran. Apa lagi yang hendak difikirkan? Tambahan pula para Rasul datang dengan membawa perintah yang jelas nyata.

Begitu juga dengan pendakwah Sunnah. Mereka datang dengan membawa dalil daripada Al-Qur’an dan hadith yang sahih. Kalau telah dihujahkan dengan dua sumber itu, apa lagi yang boleh kita lakukan selain daripada menerimanya? Namun yang menyedihkan walaupun ada ustaz-ustaz yang mengajar sebegini, masih ada lagi yang menentang mereka dengan membawa hujah-hujah batil.

3. Maksud Ketiga: Pembesar-pembesar itu menuduh, mereka yang hina itu hanya mengikut Nabi Nuh عليه السلام pada ‘luaran’ sahaja. Memang nampak dari segi luaran ikut baginda, tetapi hati mereka sebenarnya tidak percaya. Ini bermaksud, mereka memandai sahaja mengatakan yang mereka tahu hati manusia. Mana mereka tahu bagaimana dalam hati mereka yang beriman itu?

4. Maksud Keempat: Pendapat mengatakan ini adalah kata-kata Allah ‎ﷻ. Selain itu, بَادِيَ bermaksud sesuatu yang nampak pada zahir. Contohnya, air muka, cara pakaian mereka dan sebagainya. Orang-orang yang berkedudukan itu buat keputusan bahawa orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang hina dalam masa yang singkat sahaja. Mereka pandang dari segi luaran sahaja.

Seperti juga kita, kadang-kadang kita lihat orang lain dan kita dalam masa sesaat sahaja kita sudah buat keputusan bahawa mereka itu tidak layak duduk dengan kita. Sebagai contoh, sekali pandang seseorang itu, dalam sesaat sahaja kita sudah rasa dia tidak layak masuk restoran yang mahal-mahal. Perbuatan seperti itu dipanggil dalam ayat ini sebagai بَادِيَ الرَّأْيِ.

Maka ternyata ini adalah hujah penolakan para pembesar yang ketiga, iaitu menuduh golongan yang telah beriman itu bodoh, cepat sangat buat keputusan.

 

وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ

dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami,

Mereka kata orang-orang beriman itu tidak ada apa-apa kelebihan mengatasi mereka. Baik sebelum beriman, mahupun selepas beriman. Sama sahaja seperti dulu. Tidaklah mereka berubah dari segi fizikal, kedudukan mahupun harta setelah mereka beriman. Mereka kata, kalau tidak ada kelebihan selepas beriman, kenapa mahu ikut seperti mereka pula?

Mereka tidak nampak kelebihan yang ada pada orang-orang beriman itu kerana mata hati mereka telah buta. Mereka hanya menilai luaran sahaja. Padahal, mereka yang beriman itu lebih tinggi kedudukan mereka di sisi Allah ‎ﷻ kalau dibandingkan dengan mereka yang hanya ada kekuatan dan kelebihan dunia sahaja. Mereka sangka mereka hebat sangat kerana mereka kaya dan berkuasa. Maka Allah ﷻ tempelak salah faham mereka itu dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Begitulah juga di zaman sekarang ini mereka hanya memandang ustaz yang sampaikan ajaran itu ada kedudukan atau tidak. Ada kelulusan sijil peringkat apakah? Kereta apa dia gunakan? Keturunannya dari mana? Belajar di mana? Mereka persoalkan kerana sifat mereka sama sahaja dengan umat Nabi Nuh عليه السلام yang menolak itu.

Maka begitulah penolakan keempat kepada Nabi Nuh عليه السلام iaitu baginda dan para pengikutnya tidak ada kedudukan.

 

بَلْ نَظُنُّكُمْ كٰذِبِينَ

bahkan kami yakin kamu orang-orang pendusta”.

Akhirnya, mereka kata Nabi Nuh عليه السلام dan mereka yang mengikut baginda hanya berdusta sahaja. Ini adalah penolakan yang kelima. Sudah habis segala hujah, akhirnya tuduh orang yang berdakwah itu menipu.

Secara ringkasnya, ayat ini memberitahu bahawa selalunya yang mengikut para Nabi dan Rasul adalah mereka yang selalunya tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Sebenarnya, tidaklah ada apa-apa kekurangan dalam Islam jikalau yang mengikuti dakwah itu adalah golongan miskin dan lemah. Bahkan merekalah yang lebih mulia di sisi Allah ‎ﷻ. Allah ﷻ tidak memandang dari segi kedudukan dalam masyarakat dan Allah ﷻ tidak memandang kekayaan harta benda.

Begitu jugalah yang terjadi di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Yang beriman dengan Nabi kebanyakannya adalah golongan lemah. Memang ada yang berkedudukan seperti Abu Bakr رضي الله عنه, Umar رضي الله عنه dan sebagainya, tetapi tidak ramai yang seperti itu. Yang lebih ramai adalah mereka yang lemah dan tidak ada kedudukan. Ini seperti jawapan Abu Sufyan bin Harb kepada Heraclius,

قَالَ فَأَشْرَافُ النَّاسِ يَتَّبِعُونَهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ فَقُلْتُ بَلْ ضُعَفَاؤُهُمْ قَالَ أَيَزِيدُونَ أَمْ يَنْقُصُونَ قُلْتُ بَلْ يَزِيدُونَ
Apakah yang mengikuti dia orang-orang yang terpandang atau orang-orang yang rendah?” Jawabku: “Bahkan yang mengikutinya adalah orang-orang yang rendah”. Dia bertanya lagi: “Apakah bertambah pengikutnya atau berkurang?” Aku jawab: “Bertambah”.
(Sahih Bukhari (6))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA