Tafsir Surah Tawbah: Pengenalan kepada surah

Pengenalan:

Ini adalah surah terakhir yang Allah turunkan. Ia diturunkan di penghujung hayat Nabi ﷺ di Madinah. Namun begitu ada ayat yang diturunkan lebih awal, maksudnya ia mengambil masa yang lama untuk melengkapkan surah ini. Surah yang mulia ini merupakan pengakhiran daripada wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ seperti yang dikatakan oleh Imam Bukhari رحمه الله:

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، سَمِعْتُ الْبَرَاءَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ بَرَاءَةَ، وَآخِرُ آيَةٍ نَزَلَتْ ‏{‏يَسْتَفْتُونَكَ ‏}‏

Daripada Abu Ishaq yang beliau pernah mendengar Al-Barra رضى الله عنه mengatakan bahawa surah Al-Bara’ah (yakni surat At-Tawbah) dan ayat terakhir yang diturunkan adalah firman Allah yang mengatakan: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, “Allah memberi fatwa kepada kalian tentang kalalah.” [An-Nisa: 176]

(Sahih Bukhari (4605))

Ini adalah salah satu surah yang memang susah untuk ditafsirkan. Untuk menafsirnya kita perlu lihat kepada keseluruhan konteks ayat, waktu ia diturunkan dan situasi semasa dan selepas itu. Mesti dilihat akan semua perkara itu, barulah boleh difahami dengan jelas apakah yang hendak disampaikan. Jika dilihat kepada ayatnya sahaja, tetapi tidak merujuk kepada perkara-perkara lain yang terlibat, maka boleh tersilap faham pula.

Amat malang sekali apabila ramai yang membaca ayat-ayat daripada surah ini tanpa merujuk kepada segala perkara itu dan seterusnya mengakibatkan mereka telah mencapai kepada fahaman yang salah dan merbahaya. Ini kerana memang surah ini adalah surah yang keras memperkatakan tentang perang. Lebih menyedihkan lagi apabila orang yang bukan Islam menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk mengatakan Islam adalah agama yang ganas pula.

Bukan hanya itu, malah orang Islam yang ganas juga menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk menghalalkan tindakan mereka merosakkan manusia lain. Ini juga adalah perbuatan yang amat salah sekali. Yang menyedihkan pula, mereka yang mengetahui dan memahami perkara yang sebenar, tidak pula menjelaskan tentang kedudukan yang benar, maka semakin ramailah yang terus salah faham dengan surah ini.

Surah ini dinamakan Surah Tawbah kerana banyak diulang kalimah tawbah di dalamnya (sebanyak 17 kali). Sedangkan di Surah Baqarah yang lagi panjang itu, hanya disebut 13 kali sahaja tentang taubat.

Dalam ayat terakhir Surah Anfal, ia mengandungi konsep wala’ manakala di dalam ayat pertama Surah Tawbah ini pula, ia terus disebut tentang konsep bara’. Ini kerana ia merujuk konsep wala’ wal bara’ di dalam Islam.

Tiada lafaz Bismillah

Satu perbezaan nyata surah ini dengan surah yang lain adalah ia tidak mempunyai lafaz bismillah di awalnya kerana surah ini adalah tentang perang. Maka tidaklah sesuai diletakkan basmalah disebabkan dalam basmalah itu ada disebut sifat Rahmah Allah . Ini kerana perang melibatkan keganasan dan pembunuhan, sedangkan basmalah itu adalah tentang keselamatan.

حَدَّثَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ قَالَ
قُلْتُ لِعُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ مَا حَمَلَكُمْ أَنْ عَمَدْتُمْ إِلَى الْأَنْفَالِ وَهِيَ مِنْ الْمَثَانِي وَإِلَى بَرَاءَةٌ وَهِيَ مِنْ الْمِئِينَ فَقَرَنْتُمْ بَيْنَهُمَا وَلَمْ تَكْتُبُوا بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَوَضَعْتُمُوهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ فَقَالَ عُثْمَانُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا يَأْتِي عَلَيْهِ الزَّمَانُ وَهُوَ تَنْزِلُ عَلَيْهِ السُّوَرُ ذَوَاتُ الْعَدَدِ فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الشَّيْءُ دَعَا بَعْضَ مَنْ كَانَ يَكْتُبُ فَيَقُولُ ضَعُوا هَؤُلَاءِ الْآيَاتِ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَإِذَا نَزَلَتْ عَلَيْهِ الْآيَةَ فَيَقُولُ ضَعُوا هَذِهِ الْآيَةَ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَكَانَتْ الْأَنْفَالُ مِنْ أَوَائِلِ مَا أُنْزِلَتْ بِالْمَدِينَةِ وَكَانَتْ بَرَاءَةٌ مِنْ آخِرِ الْقُرْآنِ وَكَانَتْ قِصَّتُهَا شَبِيهَةً بِقِصَّتِهَا فَظَنَنْتُ أَنَّهَا مِنْهَا فَقُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَنَا أَنَّهَا مِنْهَا فَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ قَرَنْتُ بَيْنَهُمَا وَلَمْ أَكْتُبْ بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَوَضَعْتُهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, Aku pernah bertanya kepada Uthman bin Affan رضي الله عنه: Apa yang menyebabkan engkau cenderung (menggolongkan) Al-Anfal ke dalam al Matsani (surat yang berjumlah lebih daripada seratus), memasukkan Al Baraa`ah ke dalam al Mi`in (yang kurang daripada seratus), engkau meletakkan keduanya berdekatan tanpa ditulis basmalah sebagai pemisah, serta memasukkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal (tujuh surat terpanjang) apa sebetulnya yang melatar belakanginya?

Uthman رضي الله عنه menjawab: Rasulullah ﷺ terkadang dalam satu waktu diturunkan kepadanya surah yang memiliki banyak ayat, kerana itu jika turun sesuatu padanya baginda memanggil sebahagian juru tulisnya lalu bersabda, “Tulis semua ayat ini pada surah yang terdapat di dalamnya begini dan begitu, ” sedang jika turun padanya satu ayat baginda katakan, “Tulis ayat ini di surah yang disebut di dalamnya begini dan begitu, ” sedangkan Al-Anfal adalah salah satu surah yang pertama kali diturunkan di Madinah sedangkan Al Baraa`ah adalah sebahagian surah Al-Qur’an yang terakhir tetapi isinya mirip dengan isinya (surah Al-Anfal) sehingga aku menganggapnya sebagai sebahagian daripadanya.

Setelah itu Rasulullah ﷺ wafat tetapi baginda tidak menjelaskan kepada kami bahawa ia sebahagian daripadanya, kerana itulah aku meletakkan kedua-duanya secara berdekatan dan tidak menulis basmalah sebagai pemisah serta menggolongkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal.

(Sunan Tirmidzi (3011) Abu Isa (Imam Tirmidzi) mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih. Akan tetapi hadith ini didhaifkan oleh Syeikh Albani رحمه الله)

Terminologi:

mi’in (surah yang lebih daripada seratus ayat)

mathani (surah yang khabar dan kisahnya diulang-ulang dan kurang daripada seratus ayat)

mufassalat (surah yang pendek-pendek bermula daripada Surah Qaf hingga akhir Al-Qur’an)

sab’ul tiwal (7 surah awal yang panjang-panjang)

Al-Qur’an disusun dengan surah-surah yang panjang terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan surah yang lebih pendek. Soalan Saidina Ibn Abbas رضي الله عنهما di dalam hadith di atas yang bertanyakan Saidina Uthman رضي الله عنه kenapakah beliau menyusunkan Surah Tawbah selepas Anfal sedangkan ia lebih panjang daripada Surah Anfal? Dan kenapakah diletakkan di dalam golongan Sab’ul Tiwal sedangkan ia surah panjang ke lapan?

Untuk pengetahuan semua, apabila satu-satu ayat itu diturunkan dan disampaikan oleh Jibril عليه السلام, Jibril عليه السلام akan memberitahu Nabi ﷺ di mana ayat itu harus diletakkan (dalam surah mana dan selepas ayat sekian-sekian). Maka selepas itu Rasulullah ﷺ akan memaklumkan kepada penulis-penulis wahyu dalam kalangan sahabat tentang perkara itu.

Ketika memulakan sesuatu surah, baginda akan memaklumkan untuk meletakkan Basmalah di awalnya. Akan tetapi di dalam surah ini, Rasulullah ﷺ tidak beritahu untuk meletakkan Basmalah. Maka ada kemungkinan ia adalah surah yang berdiri sendiri, atau ia boleh juga sebagai sambungan kepada Surah Anfal.

Menjawab soalan Ibn Abbas رضي الله عنهما, Uthman رضي الله عنه memberitahu kekeliruan yang ada dalam kalangan penyusun Al-Qur’an. Maka sebagai langkah berhati-hati, Surah Tawbah dan Anfal diletakkan berdekatan dan hanya dipisahkan dengan sedikit ruang (bukan dipisahkan dengan Basmalah) kerana entah ada kemungkinan ia adalah satu surah sama. Surah Anfal didahulukan kerana ia diturunkan sebelum surah Tawbah.

Oleh kerana itu, jikalau kita sedang membaca Al-Qur’an dan selesai dibacakan Surah Anfal dan hendak sambung Surah Tawbah, tidaklah dibaca Basmalah. Namun begitu, jikalau hendak memulakan bacaan dan kebetulan hendak membaca Surah Tawbah, maka bolehlah dibaca Basmalah. Ini kerana kita membaca Basmalah untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang baik.

Cuma memang ada pendapat yang mengatakan untuk memulakan membaca Surah Tawbah, maka cukup dengan membaca Ta’awudz sahaja (tanpa Basmalah). Ini adalah kerana mereka berpegang langsung tidak boleh baca Basmalah di awal Surah Tawbah. Ini adalah khilaf dalam pendapat-pendapat yang ada.

Terdapat satu lagi pendapat dinaqalkan daripada Saidina Ali رضي الله عنه. Beliau mengatakan Basmalah tidak ditulis di awal Surah Tawbah kerana Basmalah adalah janji keselamatan. Akan tetapi surah ini menarik perjanjian untuk memberikan keselamatan kepada orang kafir. Maka kerana itu tidak sesuai diletakkan di awal surah ini. Allahu a’lam.

Asbabun Nuzul surah ini:

Surah ini turunnya selepas Nabi ﷺ membuka Kota Mekah (pada bulan Ramadhan tahun 8 H). Ia turun setelah Musyrikin Mekah sudah mula masuk Islam. Perang Hunain juga berlaku pada tahun 8 H. Perang Tabuk pula berlaku pada tahun 9 H pada bulan Rejab. Pada DzulHijjah 9 H itulah ditarik perjanjian dengan orang kafir seperti yang disebut pada awal Surah Tawbah ini.

Ketika itu, Nabi ﷺ telah menghantar Saidina Abu Bakr dan Ali رضي الله عنهما sebagai wakil baginda untuk beritahu kepada golongan musyrikin dalam kalangan Arab yang berada di Mekah, bahawa pada tahun berikutnya tidak boleh lagi mengerjakan Haji dengan cara telanjang atau dengan cara yang salah/syirik.

Abu Bakr رضي الله عنه telah pergi sebagai ketua wakil kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Ali رضي الله عنه datang sebagai orang yang rapat dengan Nabi ﷺ. Ali رضي الله عنه disuruh untuk menyertai Abu Bakr رضي الله عنه kerana dalam cara Arab, maklumat yang penting mestilah disampaikan oleh orang yang rapat dengan seseorang (ahli keluarga), bimbang sekiranya diberikan kepada orang lain, maka mereka boleh dikata menipu.

Oleh kerana kebiasaan Arab itu, baginda menghantar juga sepupu baginda sendiri sebagai penguat kepada mesej yang hendak disampaikan. Ini kerana mereka itu kafir, maka mereka tidak faham bahawa wakil baginda yang sebenarnya adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Namun begitu orang Islam faham, yang layak menggantikan Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Kerana itulah ketua rombongan Haji itu sebagai pengganti Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 10 H, Nabi ﷺ sendiri mengerjakan Haji. Seterusnya dalam tahun 11 H, baginda telah wafat.

Selain itu, diberitahu juga kepada mereka bahawa mana-mana perjanjian damai dengan pihak Islam yang tidak mempunyai tarikh luput, perjanjian itu akan diputuskan dengan mereka. Selepas ini yang akan berlaku adalah perang dengan mereka.

Oleh itu pihak kafir dikehendaki membuat keputusan: Jika ingin masuk Islam, masuklah segera; jika hendak lari, silalah lari jauh-jauh. Jika tidak, buatlah persediaan untuk berperang. Waktu yang diberikan kepada mereka untuk membuat keputusan adalah 4 bulan.

Cuma, memang ada golongan orang kafir yang membuat perjanjian dengan pihak Islam dan perjanjian itu mempunyai tarikh pembatalan. Maka mereka boleh menunggu sehingga tempoh perjanjian itu selesai. Ini dibenarkan asalkan mereka jenis tidak belot perjanjian.

Kita kenalah jelaskan kepada manusia yang selepas Kerajaan Islam dibangkitkan di Madinah, tugas penting yang perlu dilakukan adalah membersihkan Mekah dan Kaabah daripada kesyirikan. Umat Islam tidak pernah meninggalkan Mekah begitu sahaja. Hati para sahabat masih lagi pada Mekah; manakan tidak, itulah Kiblat umat Islam. Setiap hari mereka mengadap ke arah Mekah, lalu bagaimana mereka boleh melupakan Kaabah yang ketika itu dipenuhi dengan berhala? Maka, Mekah perlu dibersihkan daripada kesyirikan. Oleh itu, ayat-ayat surah ini adalah tentang pembersihan Mekah.

Misi seterusnya adalah meluaskan dakwah ke tempat-tempat lain. Dengan termaktubnya Perjanjian Hudaybiyah, adanya gencatan senjata antara Muslim dan Musyrikin Mekah, memberikan peluang kepada Kerajaan Islam untuk berdakwah ke tempat-tempat lain. Itu juga ada disebut dalam surah ini.

Perjanjian Hudaybiah

Bagaimanakah Perjanjian Hudaybiah ini berlaku? Pada tahun 6 H, Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Mereka telah ditahan oleh Musyrikin Mekah. Ringkasnya daripada peristiwa itu, Perjanjian Hudaybiah telah dijalankan antara kedua pihak Muslim dan Musyrikin. Penerangan tentang peristiwa ini banyak disebut di dalam Surah Fath.

Perjanjian itu sepatutnya selama 10 tahun. Di Mekah, bukan hanya ada puak Quraisy sahaja tetapi ada puak-puak lain juga. Mereka telah diberikan peluang sama ada untuk bersama dengan Quraisy atau bersama dengan Rasulullah ﷺ. Maka Bani Khuza’ah memilih untuk bersama dengan Rasulullah ﷺ dan Bani Bakar membuat keputusan untuk bersama dengan Quraisy. Oleh itu, Perjanjian Hudaybiah ini melibatkan  mereka juga. Tidak ada peperangan sepanjang tempoh itu. Jikalau mana-mana pihak melancarkan peperangan, maka itu dikira sebagai melanggar perjanjian yang telah dimeterai.

Pada tahun berikutnya (Tahun 7 H), Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah menjalankan Umrah menggantikan umrah tahun lepasnya (dinamakan Umrah al-Qada’). Baginda berada di sana selama tiga hari dan tidak ada kejadian tidak diingini yang berlaku.

Lima atau enam bulan selepas itu, Bani Bakar telah menyerang Bani Khuza’ah. Quraisy juga telah membantu mereka memberikan bantuan kepada mereka dalam bentuk senjata dan tentera. Mereka sangka Rasulullah ﷺ duduk jauh di Madinah dan kejadian itu pula berlaku pada waktu malam, maka tentu kejadian ini tidak diketahui oleh baginda. Akan tetapi Bani Khuza’ah telah memaklumkan kepada baginda.

Quraisy dan Muslim telah beberapa kali berperang. Telah ada Perang Badr, Uhud dan Ahzab sebelum itu. Maka mereka telah mempunyai pengalaman berperang dengan Muslim dan mereka sedar yang umat Islam bukan boleh dipandang enteng lagi. Mereka sedar ada bantuan yang diberikan kepada umat Islam oleh Allah .

Maka selepas kejadian serangan Bani Bakar itu, mereka mendapati yang Rasulullah ﷺ senyap sahaja. Sebenarnya Rasulullah ﷺ sudah membuat perancangan untuk menyerang Mekah. Namun dek kerana baginda senyap, maka pihak Musyrikin Mekah dalam kerisauan kerana takut nanti ada serangan. Maka Abu Sufyan diminta untuk pergi ke Madinah dan bertemu dengan Rasulullah ﷺ. Jikalau Abu Sufyan nampak ada kemungkinan baginda akan menyerang, maka Abu Sufyan hendaklah meminta maaf kepada baginda dan meneruskan perjanjian itu.

Apabila Abu Sufyan sampai di Madinah, beliau memang nampak ada persediaan untuk menyerang Mekah. Beliau menemui para sahabat satu persatu untuk memujuk mereka namun tidak dilayan. Akhirnya pada 10 Ramadhan 8 Hijrah, pasukan Muslim telah bergerak ke Mekah dan akhirnya telah menakluk Mekah.

Apabila Rasulullah ﷺ mendapat kuasa, baginda tidaklah membunuh semua musuh baginda. Baginda menunjukkan rahmah yang amat tinggi. Sekiranya dibandingkan dengan manusia lain, entah dibunuh semua mereka yang pernah menentang Islam dahulu. Sebaliknya mereka tidak dihukum dan mereka tidak dipaksa pun untuk masuk Islam. Keselamatan mereka terjamin.

Oleh sebab itu, Perjanjian Hudaybiah itu adalah kemenangan sebenarnya. Memang tidak nampak pada mulanya tetapi ia telah membuka ruang kepada umat Islam untuk mengadakan perjanjian dengan pihak-pihak dan kabilah Arab yang lain. Musyrikin Mekah mahu mengadakan perjanjian dengan umat Islam pun sudah boleh dikira sebagai kemenangan kerana mereka telah mengiktiraf Islam sebagai satu entiti yang ada kuasa. Kalau sebelum itu, mereka hanya mahu menghancurkan sahaja umat Islam itu dan langsung tidak diiktiraf.

Jenis-jenis perjanjian

Untuk memahami latar belakang surah ini, kita kena tahu bahawa dalam kalangan orang Arab di sekitar Mekah pada waktu itu. Terdapat 4 jenis golongan:

1. Kita telah sebut tentang Perjanjian Hudaybiah dengan Musyrikin Mekah. Jangka hayat Perjanjian Hudaybiah itu tidak sampai ke penghujungnya (10 tahun asalnya) kerana ada pihak yang bersekongkol dengan Quraisy telah menyerang pihak yang telah ada perjanjian dengan Muslim seperti yang telah disebut di atas. Ia hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Itu telah memberi ruang kepada pihak Islam untuk membatalkan perjanjian itu.

2. Ada perjanjian damai lain yang dimeterai yang mempunyai tempoh terhad. Mereka tidak melanggarnya. Antaranya adalah perjanjian dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj. Semasa Surah Tawbah diturunkan tentang perjanjian itu, masih berbaki 9 bulan lagi dalam perjanjian damai itu.

3. Ada juga perjanjian yang tidak ada tempoh.

4. Ada juga puak yang tidak ada perjanjian dengan mereka.

Rasulullah ﷺ sudah pernah membuat perjanjian dengan orang kafir lain seperti Yahudi di Madinah dan orang kafir telah merosakkan perjanjian itu dengan melanggarnya secara terbuka atau rahsia apabila bersekongkol dengan pihak musuh. Kali ini setelah Mekah dimiliki oleh Muslim, ia telah dijadikan sebagai pusat Islam dan orang kafir tidak boleh lagi berada di Mekah. Tentang perjanjian yang dimeterai dan pemutusannya telah disebut dalam [Anfal: 58]

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ

Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.

Akan tetapi langkah ini tidaklah boleh dilakukan secara mengejut. Itu bukanlah keadilan yang dibawa oleh Islam. Kerana itulah permulaan Surah Tawbah ini menyentuh secara khusus tentang bagaimana berurusan dengan 4 golongan di atas.

1. Bagi Musyrikin Mekah, mereka diberi 4 bulan untuk membuat keputusan (lari, perang atau masuk Islam). Ini adalah kerana pada waktu itu adalah Bulan Haram yang mana tidak boleh ada peperangan. Ini disebut dalam ayat 5.

2. Bagi yang masih ada lagi tempoh perjanjian, ia diteruskan hingga tamat tempoh itu. Ini disebut dalam ayat 4.

3. Golongan Musyrik yang ada perjanjian tanpa tarikh tamat juga diberi tempoh 4 bulan untuk membuat keputusan. Ini disebut dalam ayat 1 dan 2.

4. Golongan yang tidak ada perjanjian dengan mereka juga diberikan tempoh 4 bulan sama seperti golongan 3.

Sikap Islam terhadap peperangan

Seperti yang kita tahu, Allah telah mengutus ramai Rasul untuk setiap zaman. Ada satu perkara yang kerap diulang-ulang dalam Al-Qur’an – Allah memusnahkan umat yang tidak mengikut ajakan tauhid Rasul mereka. Itu adalah sunnatullah. Sekiranya kita belajar sejarah Nabi Muhammad ﷺ berdakwah di Mekah, apa yang baginda dan para sahabat lalui itu sama sahaja dengan apa yang telah dialami oleh para Rasul sebelum itu – dan Allah ﷻ telah membalas penolakan dan layanan mereka kepada Rasul mereka dengan azab di dunia lagi.

Kita dapati ayat-ayat yang diturunkan di Mekah, Allah banyak menceritakan tentang azab-azab yang dikenakan kepada umat terdahulu kerana menolak Rasul mereka (ayat-ayat jenis Takhwif Duniawi). Ayat-ayat itu sebenarnya adalah ancaman kepada mereka; maknanya, ancaman memang sudah diberikan berkali-kali kepada mereka. Memang banyak pun ayat-ayat ancaman itu. Namun mereka masih juga tidak taat dan mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Jika mengikut sunnatullah, mereka itu memang sudah layak untuk dikenakan dengan azab, tetapi tidak dikenakan seperti yang dikenakan kepada umat terdahulu – umat terdahulu dikenakan dengan azab seksaan yang dahsyat sekali – pekikan kuat, petir, angin sejuk, puting beliung, dilontar dengan batu dari neraka dan sebagainya – kesemuanya adalah azab yang berat.

Namun di manakah azab untuk Kafir Mekah? Allah bukan tidak mengazab mereka, tetapi azab mereka lain daripada yang lain. Mereka tidak dikenakan dengan azab bencana alam tetapi mereka diazab dengan tangan para sahabat sendiri. Allah menjadikan peperangan antara para sahabat dan Musyrikin Mekah itu dan Allah beri tangan para sahabat untuk menghukum mereka.

Cara azab sedemikian adalah lebih memuaskan hati, bukan? Mereka yang tertindas, kemudian mereka sendiri yang balas dengan tangan mereka. Allah tidak mengenakan azab di tempat mereka tinggal, tetapi Allah mengeluarkan mereka dan mengenakan azab di luar dari Kota Mekah (seperti peperangan di Badr). Seperti juga Allah tidak mengenakan azab kepada Firaun di Mesir tetapi membawa mereka keluar kerana Allah hendak berikan Mesir kepada Bani Israel. Ini adalah sebagaimana sampah yang tidak dibakar dalam rumah tetapi dibakar di luar rumah, bukan?

Selain itu, Allah juga hendak berikan Mekah kepada umat Islam. Maka tidak ada peperangan di Mekah pun. Allah tahu yang tidak akan ada pertempuran yang akan berlaku di Mekah, akan tetapi Allah tetap memerintahkan para sahabat untuk bersedia. Ini kita boleh lihat dalam ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam Surah Baqarah.

Arahan perang yang pertama diberikan dalam sejarah Islam adalah kepada Nabi Musa عليه السلام. Pada waktu itu mereka disuruh untuk masuk ke dalam Kota BaitulMaqdis dan untuk mereka memasukinya, mereka perlu mengalahkan Puak Amaliqah yang tinggal di dalamnya.

Namun begitu, datang persoalan kenapakah Rasul-rasul yang lain tidak disuruh berperang? Untuk menjawabnya, kita kena faham tentang undang-undang dan akhlak. Semua Nabi diberikan dengan ilmu akhlak dan mereka mesti sampaikan kepada umat mereka. Ia adalah perkara individu dan semua manusia kenalah mengamalkannya sendiri. Tidak ada kesan hukuman di dunia jika tidak diikuti. Sebagai contoh, kalau ada orang yang berperangai buruk, kerajaan tidak boleh menghukumnya kerana dia tidak melanggar undang-undang;

Akan tetapi Nabi Musa عليه السلام diberikan dengan ilmu undang-undang (syariat) selain daripada ilmu tentang akhlak. Undang-undang yang juga dikenali sebagai syariat tidak dapat tertegak tanpa kuasa. Mesti memiliki kerajaan baru yang boleh menegakkan undang-undang itu dan untuk mendapat kerajaan, hendaklah mendapatkan kuasa. Kemudian untuk mendapatkan kuasa pula, ada kemungkinan perlu untuk berperang. Inilah persamaan antara Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Kedua mereka yang mulia itu mesti menegakkan undang-undang dan hendaklah ada kerajaan.

Kita pun sedar yang peperangan ada keganasan di dalamnya. Secara dasarnya, ada tiga jenis perang:

      1. mempertahankan diri
      2. balas serangan
      3. serangan awal

Di dalam Islam, begitu juga di dalam mana-mana undang-undang dunia pun, mempertahankan diri dibenarkan dan semua mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Ia adalah hak sejagat manusia.

Sedangkan serangan balas dan serangan awal adalah hak kerajaan dan Islam tidak membenarkan individu untuk menjalankannya. Sebab itulah tidak ada perang tanpa khalifah dan arahan daripada kerajaan. Kita tidak boleh senang-senang sahaja menyerang orang lain, atau membuat serangan kepada orang lain – walaupun untuk balas perbuatan yang dilakukan terhadap kita. Kita mestilah melaporkan kepada kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab.

Walaupun surah ini berkenaan perang, tetapi kita boleh lihat nanti bagaimana ia dilakukan sebagai balasan terhadap penindasan yang telah dilakukan oleh pihak Kafir Mekah terhadap para sahabat. Ia adalah untuk membalas serangan yang telah dikenakan kepada pihak Islam sebelum itu.

Serangan itu pula perlu diarahkan oleh kerajaan. Kerajaan Islam pada waktu itu adalah di Madinah. Oleh itu, kita kena faham apakah yang telah dilakukan. Kalau tidak faham, begitulah ayat-ayat ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalalkan perbuatan mereka untuk menyerang orang lain, walaupun pihak itu adalah pihak kafir.

Pada zaman sekarang kita boleh lihat bagaimana IS (Islamic State) dan ISIS telah menyalahgunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk menjalankan kerosakan di muka bumi. Mereka telah memburukkan nama Islam di mata manusia. Padahal ini bukanlah apa ajaran Islam. Malangnya, ramai yang jahil dan percaya dengan apa yang mereka sampaikan.

Dalam konteks surah ini, kita pun tahu bagaimana penindasan dan kekejaman telah banyak dilakukan oleh Quraisy Mekah. Merekalah yang mula-mula melakukan serangan dengan menindas umat Islam di Mekah. Walaupun begitu, ketika Nabi Muhammad ﷺ berada di Mekah, umat Islam tidak dibenarkan untuk menyerang balas. Mereka disuruh untuk menahan tangan mereka daripada menyerang.

Hanya apabila pihak Islam sudah berhijrah ke Madinah, sudah memiliki kerajaan, barulah Allah berikan arahan untuk menyerang pihak Quraisy. Kita akan belajar tentang perkara ini dengan lebih lanjut lagi nanti.

Kesimpulan Surah

Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1. Ayat 1 – 37: Bahagian Pertama — Ia dipecahkan kepada tiga bahagian pula:

a. Iklan pemutusan perjanjian; sekiranya ada mana-mana pihak kafir yang pernah berjanji dengan Nabi Muhammad ﷺ, perjanjian itu akan ditamatkan. Tidak perlu lagi kepada perjanjian damai itu kerana Islam telah kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan pihak luar.

Selepas perjanjian ditamatkan, yang ada adalah peperangan kalau mereka tidak mahu masuk Islam. Sebab itulah surah ini tidak ada basmalah di awalnya kerana Islam akan meneruskan peperangan.

b. Disebutkan satu persatu perkara-perkara yang dikatakan sebagai penghalang perang. Semuanya ada 4 perkara. Allah hendak menjelaskan bahawa perkara-perkara itu sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai penghalang kepada perang.

Hanya orang kafir sahaja yang menganggapnya sebagai penghalang, tetapi tidak sebenarnya. Secara ringkasnya, ‘penghalang-penghalang’ (hujah orang kafir) itu:

i. Mereka berkata perang itu telah melanggar perjanjian yang telah ada. Allah jawab: umat Islam diarahkan untuk memerangi orang kafir kerana orang kafir yang memulai pelanggaran perjanjian.

ii. Mereka berhujah yang orang Arab pun ada juga membuat amalan baik seperti menjaga Kaabah, menolong jama’ah Haji dan Umrah dan sebagainya. Maka kenapa harus memerangi mereka?

Allah menjawab: kerana orang kafir itu tidak ada iman. Orang yang beramal dengan amalan yang baik namun tanpa iman, maka amal mereka itu tidak sah. Orang sebegitu tidak perlu dihormati. Telah jelas yang golongan Musyrikin telah melakukan syirik kepada Allah , maka umat Islam tidak boleh membiarkan mereka dan mesti memerangi mereka.

Kita bukan lihat pada amalan sahaja, tetapi kena lihat pada akidah mereka. Oleh itu, amalan Musyrikin yang baik tidak boleh menghalang umat Islam daripada menyerang mereka.

iii. Mereka berhujah yang peperangan itu adalah perlakuan zalim kepada kaum kerabat kerana memang ramai saudara mara para sahabat yang masih syirik lagi dan duduk di Mekah. Zalim kepada kaum kerabat memang salah pun.

Allah menjawab: memutuskan hubungan dengan orang kafir itu wajib sekiranya mereka itu kafir harbi. Pertalian kerabat tidak ada lagi apabila terdapat perbezaan akidah di antara kita dan mereka. Mereka telah melawan akidah yang benar, sebab itu mereka menjadi ‘Kafir Harbi’. Maka umat Islam mesti berperang dan menghancurkan mereka, kerana jika tidak perangi mereka, umat Islam pula yang akan diseksa oleh Allah .

iv. Ada hujah yang mengatakan kalau memutuskan hubungan dengan orang kafir, ekonomi umat Islam akan tergendala kerana umat Islam bergantung kepada mereka sedikit sebanyak.

Allah menjawab: Allah akan memberikan bantuan kepada umat Islam, jangan takut rezeki berhenti. Mesti ingat yang Allah yang memberi rezeki. Allah yang menjaga hamba-Nya walaupun telah putus hubungan dengan kafir harbi.

c. Dijelaskan tentang 6 golongan kafir yang umat Islam mesti perangi. Yang disebut adalah jenis-jenis kesalahan mereka. Oleh itu, ada 6 jenis perangai orang kafir yang menyebabkan mereka patut diperangi. Di dalam Surah Anfal hanya disebut cara berperang dan pembahagian harta rampasan, tetapi tidak disebut siapa yang perlu diperangi. 6 jenis sifat mereka itu adalah:

i. Mereka yang menolak kerasulan dan menolak akhirat. Mereka itu kafir walau pun mereka berakidah tauhid pada Allah . Masih tetap kena perangi mereka.

ii. Mereka yang menghalalkan perkara yang haram; atau mengharamkan yang halal. Mereka itu termasuk kafir kerana mereka telah mengambil haq Allah , kerana menghalalkan dan mengharamkan adalah haq Allah sahaja. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Hukum terletak di tangan Allah .

iii. Mereka yang mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu ‘Anak Allah’. Begitu juga, mereka yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام juga ‘Anak Allah’. Itulah golongan Yahudi dan Nasara.

iv. Mana-mana ulama’ dan pendeta Yahudi dan Nasara yang dijadikan tuhan kepada pengikut mereka. Memang ada dalam kalangan pengikut agama itu yang menjadikan ulama’/pendeta/rahib/rabbi mereka sebagai tuhan.

Ini adalah kerana hukum halal dan haram mereka ambil dan taat berasal daripada ulama’ sesat itu, sedangkan halal dan haram sepatutnya datang daripada Allah . Oleh kerana sifat mereka itu, umat Islam mesti perangi mereka.

v. Ulama’ yang mengambil duit pengikut mereka dengan menghalalkan syirik. Mereka mengajar fahaman yang syirik kepada pengikut mereka dan mereka mengambil duit upah untuk mengajar ajaran syirik.

vi. Mereka yang mengubah ciptaan Allah . Di dalam surah ini disebut tentang golongan musyrik yang mengubah kedudukan bulan-bulan Haram yang diharamkan berperang di dalamnya. Semasa hendak berperang, puak Musyrikin itu telah mengubah kedudukan bulan-bulan itu untuk menghalalkan peperangan mereka. Mereka telah ubah sampai sudah tidak tahu manakah bulan yang benar.

2. Ayat 38 – 122: Bahagian Kedua — Allah beritahu kelebihan perang. Allah juga sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.

a. Golongan Mukmin:

i. Allah sebut tentang kelebihan Puak Muhajirin dan Ansar. Mereka amat taat setia kepada Allah dan majoriti daripada para sahabat terdiri daripada mereka.

ii. Allah sebutkan 5 sahabat yang tidak pergi Perang Tabuk kerana kesilapan mereka. Akan tetapi oleh kerana hati mereka benar dan mereka jujur, Allah telah menerima taubat mereka.

iii. Ada pula golongan sahabat yang juga tidak berjihad ke Tabuk kerana menangguh-nangguh persediaan untuk peperangan itu, sehingga terlambat dan tidak dapat menyertai mereka yang pergi ke Tabuk. Oleh kerana kelalaian mereka itu, mereka telah dipulaukan selama 50 hari. Mereka ini juga diterima taubat mereka kerana mereka jujur. Kerana itulah surah ini dinamakan Surah at-Tawbah. Ada disebut kalimah taubah sebanyak 17 kali di dalam surah ini.

b. Golongan munafik: ada 4 pecahan pula: 2 jenis yang pergi juga berjihad dengan golongan mukmin dan ada 2 jenis yang langsung tidak pergi berjihad.

i. Ada Munafik yang pergi berjihad tetapi semasa jihad itu mereka mengkucar-kacirkan kesatuan umat Islam dengan berbagai dialog yang menyakiti dan menimbulkan perkara buruk.

ii. Ada Munafik yang pergi berjihad, tetapi semasa pulang jihad, mereka telah membuat keputusan untuk membunuh Nabi ﷺ.

iii. Ada puak Munafik yang apabila mendengar sahaja Nabi ﷺ pulang daripada jihad, mereka menemui Nabi ﷺ dan memberikan alasan-alasan bohong kenapa mereka tidak pergi jihad.

iv. Ada Munafik yang mereka bukan sahaja tidak pergi berjihad, tetapi mereka juga membuat rancangan jahat untuk melawan Islam dari dalam. Mereka telah membuat masjid tetapi dengan tujuan memanggil Nasara untuk membuat rancangan persediaan untuk menyerang Madinah.

3. Ayat 123 – 127: Bahagian Ketiga — Allah mengulangi semula tentang hukum qital (perang).

4. Ayat 128 – 129: Bahagian Keempat — Allah mengulangi semula tentang kepentingan mengikut Rasul dan maksud melakukan jihad adalah untuk menegakkan tauhid. Jika tidak kerana tauhid, tidaklah ada jihad.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 70 – 72 (Persaudaraan sesama Muslim)

Anfal Ayat 70:

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّمَن في أَيديكُم مِّنَ الأَسرىٰ إِن يَعلَمِ اللَّهُ في قُلوبِكُم خَيرًا يُؤتِكُم خَيرًا مِّمّا أُخِذَ مِنكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, say to whoever is in your hands of the captives, “If Allāh knows [any] good in your hearts, He will give you [something] better than what was taken from you, and He will forgive you; and Allāh is Forgiving and Merciful.”

(MALAY)

Hai Nabi, katakanlah kepada tawanan-tawanan yang ada di tanganmu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan kepadamu yang lebih baik dari apa yang telah diambil daripadamu dan Dia akan mengampuni kamu”. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّمَن في أَيديكُم مِّنَ الأَسرىٰ

Hai Nabi, kepada tawanan-tawanan yang ada di tanganmu:

Nabi Muhammad ﷺ disuruh menyampaikan dakwah kepada orang kafir yang telah ditawan itu. Allah suruh Nabi ﷺ yang sampaikan kepada mereka sedangkan ada sahaja ayat-ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah berkata terus kepada orang kafir. Allah tidak mahu bercakap dengan mereka di sini kerana mereka golongan kafir Harbi dan mereka baru sahaja kalah dalam perang menentang umat Islam, maka tidak layak Allah bercakap dengan mereka secara terus.

Antara tawanan yang ada dalam ramai-ramai itu adalah bapa saudara Rasulullah ﷺ iaitu Saidina Abbas رضي الله عنه. Beliau pada waktu itu adalah seorang musyrik, belum lagi masuk Islam.

Kita kena ingat yang kebanyakan daripada mereka itu dalam kalangan Musyrikin Mekah yang telah menentang dakwah Rasulullah ﷺ. Malah mereka telah menyeksa orang Muslim sampaikan orang Muslim terpaksa meninggalkan Mekah dan berhijrah pertamanya ke Habashah dan kemudiannya ke Madinah.

Kalau ikutkan hati golongan Muslim, tentulah pembunuhan lebih layak bagi mereka yang telah melakukan onar itu. Akan tetapi sekarang mereka diberikan peluang untuk hidup walaupun telah dikalahkan. Mereka diberi peluang untuk menebus diri mereka. Mereka diberikan peluang untuk mengubah hidup mereka di dunia dan juga di akhirat. Mereka ada peluang untuk masuk Islam.

 

إِن يَعلَمِ اللَّهُ في قُلوبِكُم خَيرًا يُؤتِكُم خَيرًا مِّمّا أُخِذَ مِنكُم

“Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan kepadamu yang lebih baik daripada apa yang telah diambil daripadamu

Allah beritahu Nabi ﷺ yang orang tawanan itu boleh lagi masuk Islam. Belum terlambat lagi buat mereka. Allah suruh beritahu begini kerana ada antara mereka yang ada sekelumit iman dalam hati mereka. Iaitu ada inabah (cenderung) kepada kebenaran. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak boleh baca hati manusia. Kita hanya dapat melihat luaran sahaja, tetapi Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia. Maka, janganlah kita hukum seseorang itu tidak akan beriman langsung – kerana kita tidak tahu sama ada Allah akan bukakan hati mereka untuk menerima Islam.

Di dalam ayat ini, kalimat yang digunakan adalah إِن يَعلَمِ اللَّهُ (sekiranya Allah tahu). Namun jangan salah faham pula. Bukannya Allah tidak tahu, kerana Allah Maha Tahu apa yang di dalam isi hati manusia. Maksud ayat ini, kalau mereka ada inabah kepada iman, yang pastinya Allah tahu ada atau tidak, Allah akan beri balasan kepada mereka. Yang tidak tahu adalah Rasulullah ﷺ, bukannya Allah .

Allah suruh Nabi ﷺ beritahu kepada orang tawanan yang dalam jagaan umat Islam, jika Allah mengetahui dalam hati mereka ada sifat inabah (cenderung kepada Islam), nescaya akan diberi kepada mereka kebaikan yang lebih baik daripada bayaran yang mereka harus berikan sebagai tebusan untuk diri mereka.

Yang penting adalah apa yang di dalam hati dan kerana itu Allah tekankan di sini kalimah في قُلوبِكُم (di dalam hati-hati kamu). Ini mengajar kita yang bukannya imej luaran yang penting, tetapi di dalam hati. Jika memakai jubah, ada janggut dan bercakap Arab, itu belum tentu hatinya baik lagi. Ini seperti yang disebut di dalam Sebuah hadith yang sahih:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah ﷻ melihat kepada hati dan amal kalian.”

(Hadith Riwayat Muslim (4651))

Daripada hadith ini kita dapat tahu apa yang penting di sisi Allah . Akan tetapi malangnya kebanyakan daripada kita dari muda sampai ke tua menjaga rupa dan harta sahaja. Amat malang sekali kalau itu sahaja yang kita pentingkan.

Maka mereka diberitahu supaya janganlah hiraukan wang tebusan itu, kerana Allah akan beri yang lebih baik lagi daripada itu. Nanti pulanglah ke Mekah dan buatlah hijrah ke Madinah. Teruskan niat hati yang sudah ada condong kepada Islam itu.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang bapa Saudara Nabi, Saidina Abbas رضي الله عنه. Semasa datang ke Badr, beliau membawa 700 syiling emas bersama untuk dibelanjakan bagi tentera Musyrikin itu. Namun belum sempat dihabiskan belanja, beliau telah ditangkap. Apabila sampai masa untuk membayar tebusan, Saidina Abbas رضي الله عنه kata tebusan itu ambillah daripada wangnya itu. Akan tetapi Rasulullah ﷺ kata semua wang yang didapati di medan perang menjadi harta ghanimah. Maka kena dibawakan wang yang lain.

Saidina Abbas رضي الله عنه mengadu, kalau begitu beliau terpaksa mengemis daripada penduduk Mekah untuk membayar tebusan itu. Rasulullah ﷺ kembali menjawab menyebut tentang harta yang dititipkan kepada isterinya iaitu Umm Fadl. Terkejut Saidina Abbas رضي الله عنه apabila Rasulullah ﷺ menyebut tentang harta itu kerana beliau telah titipkan kepada isterinya di dalam kegelapan malam dan tidak ada orang lain yang tahu tentang hal itu.

Rasulullah ﷺ memberitahu yang Allah telah mewahyukan kepada baginda. Maka Saidina Abbas رضي الله عنه telah yakin yang anak saudaranya itu benar-benar seorang Rasul. Sebelum itu pun beliau memang sudah terkesan dengan baginda, akan tetapi masih ada lagi sedikit keraguan. Sekarang apabila Rasulullah ﷺ memberitahu rahsia yang tidak mungkin diketahui orang biasa, maka beliau telah yakin sepenuhnya.

Maka pada waktu itu beliau telah masuk Islam. Akan tetapi beliau tidak menzahirkannya kerana ramai orang yang berhutang dengannya di Mekah. Sekiranya beliau menzahirkannya, tentu hutangnya tidak dapat dikutip lagi. Maka Rasulullah ﷺ pun tidak menyebut tentang hal itu. Disebabkan itu, orang Mekah tidak sangka yang beliau telah masuk Islam.

Rasulullah ﷺ telah memberitahu beliau tentang ayat yang kita sedang baca ini dan beliau mengesahkannya. Beliau kata wang yang diambil daripada dirinya adalah sekian-sekian akan tetapi balasan yang diberi kepadanya oleh Allah adalah berlipat kali ganda. Perniagaannya sangat maju selepas itu dan keluarga beliau diberi kelebihan menjaga air zam-zam.

Ada juga pendapat yang mengatakan Saidina Abbas رضي الله عنه setelah masuk Islam telah meminta semula wang tebusannya kerana bagi dirinya yang telah masuk Islam, maka tidaklah perlu membayar tebusan lagi. Kerana itulah diturunkan ayat ini untuk memberitahu, jangan kisah sangat tentang apa yang dikeluarkan kerana apa yang beliau akan dapat itu lebih banyak lagi daripada apa yang beliau keluarkan.

Oleh hal yang demikian, ayat ini mengajar mereka dan manusia yang lain tentang kedudukan harta berbanding iman. Janganlah sayang sangat harta dunia ini, ia tidak bernilai kalau dibandingkan dengan iman. Begitulah Al-Qur’an ini tujuannya memberi pengajaran kepada manusia seperti disebut dalam [Yunus: 57-58]

يا أَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَوعِظَةٌ مِن رَبِّكُم وَشِفاءٌ لِما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan”.

 

وَيَغفِر لَكُم

dan Dia akan mengampuni kamu”.

Sekiranya mereka melakukan perkara yang disuruh dan taat kepada agama, ubah sikap mereka, Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka. Ini adalah satu berita yang amat besar.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah boleh mengampunkan dosa mereka kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kalau Allah maafkan mereka, maka kita pun kenalah maafkan mereka. Janganlah kita cepat sangat memandang serong kepada orang lain.

Daripada ayat ini kita dapat tahu yang ada tawanan perang umat Islam yang akhirnya memilih Islam walaupun mereka telah ditawan. Ini adalah kerana apabila mereka ditawan, mereka melihat sendiri dengan mata kepala mereka keadaan umat Islam, keindahan agamanya dan layanan yang baik daripada mereka yang diajar akhlaknya daripada Rasulullah ﷺ. Contoh kisah yang sebegitu adalah tentang Tsumamah bin Utsal, Raja Yamamah yang telah masuk Islam.

Dakwah yang paling utama adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik. Ini kerana manusia menilai kita dengan melihat kepada akhlak kita. Dengan akhlak yang baik akan melunakkan hati manusia terhadap agama Islam. Malangnya kalau diperhatikan akhlak umat Islam sekarang, amatlah buruk. Tidak hairan kalau orang lain tidak hingin untuk mengenali agama Islam jika hanya melihat kepada akhlak golongan Muslim.


 

Anfal Ayat 71:

وَإِن يُريدوا خِيانَتَكَ فَقَد خانُوا اللَّهَ مِن قَبلُ فَأَمكَنَ مِنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they intend to betray you – then they have already betrayed Allāh before, and He empowered [you] over them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Akan tetapi jika mereka (tawanan-tawanan itu) bermaksud hendak berkhianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telah berkhianat kepada Allah sebelum ini, lalu Allah menjadikan(mu) berkuasa terhadap mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِن يُريدوا خِيانَتَكَ

Akan tetapi jika mereka bermaksud hendak berkhianat kepadamu, 

Ini adalah jika puak kafir itu ingin mengkhianati umat Islam – dengan membuat perjanjian dan kemudian melanggar perjanjian itu dan belot secara senyap atau secara terang.

Atau dalam kes tawanan perang, ada yang mengaku masuk Islam kerana hendak bebas, namun dalam hati mereka tidak mahu kepada Islam. Maka entah mereka nanti apabila pulang ke Mekah akan kembali menyerang umat Islam pula. Maknanya mungkin mereka itu khianat kepada Islam pula.

 

فَقَد خانُوا اللَّهَ مِن قَبلُ

maka sesungguhnya mereka telah berkhianat kepada Allah sebelum ini,

Allah kata mereka dari dulu lagi sudah membuat perkara khianat itu. Maka tidak menghairankan jika mereka hendak khianat kepada Rasulullah ﷺ. Mereka semenjak dahulu lagi telah mengkhianati Allah pun, iaitu mereka itu hamba Allah tetapi tidak mengikut hukum Allah . Itu pun sebenarnya sudah berkhianat.

Allah hendak beritahu, bukan janji dengan umat Islam sahaja mereka pernah khianat, dengan Allah pun mereka sanggup khianat, apatah lagi dengan manusia. Maka jangan hairanlah kalau mereka buat begitu.

 

فَأَمكَنَ مِنهُم

lalu Allah menjadikan(mu) berkuasa terhadap mereka.

Oleh kerana perangai mereka sebelum itu lagi, Allah telah membalas dengan memberi kuasa dan kekuatan kepada umat Islam untuk mengalahkan mereka dan menangkap mereka. Oleh itu, jikalau mereka khianat perjanjian, tentu Allah beri izin untuk menangkap mereka.

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka dan segala perbuatan mereka menentang Islam. Hukum dan takdir yang Allah kenakan kepada mereka adalah atas dasar kebijaksanaan Allah yang tidak ada penghujungnya.


 

Anfal Ayat 72: Sekarang masuk bab hijrah pula. Dalam berperang dengan musuh Islam, ada kemungkinan umat Islam tidak dapat mengalahkan musuh.  Musuh pula tidak mahu mengadakan perdamaian. Maka di dalam keadaan ini, pilihan yang ada bagi umat Islam yang tinggal di kawasan musuh adalah berhijrah ke tempat yang mereka boleh mengamalkan Islam.

Atau dalam keadaan lain, apabila jihad dijalankan, tentu ada orang mukmin yang akan berhijrah kerana musuh semakin menjauh dan menjadikan kawasan umat Islam semakin luas. Umat Islam sudah ada banyak tempat untuk tinggal kerana umat Islam semakin banyak menawan kawasan-kawasan sekitar. Maka sekarang mereka ada tempat untuk berhijrah iaitu ke kawasan umat Islam.

Maka ini termasuk dalam tuntutan jihad juga. Daripada kesan jihad dijalankan, banyak kebaikan yang umat Islam boleh dapat. Sekarang Allah memberitahu kelebihan berjihad dalam ayat ini sebagai motivasi. Ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad dan targhib kepada hijrah.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يُهاجِروا ما لَكُم مِّن وَلٰيَتِهِم مِّن شَيءٍ حَتّىٰ يُهاجِروا ۚ وَإِنِ استَنصَروكُم فِي الدّينِ فَعَلَيكُمُ النَّصرُ إِلّا عَلىٰ قَومٍ بَينَكُم وَبَينَهُم مّيثٰقٌ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed and emigrated and fought with their wealth and lives in the cause of Allāh and those who gave shelter and aided – they are allies of one another. But those who believed and did not emigrate – for you there is no support of them until they emigrate. And if they seek help of you for the religion, then you must help, except against a people between yourselves and whom is a treaty. And Allāh is Seeing of what you do.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah

Ini adalah tentang mereka yang beriman dan sanggup berhijrah dan sanggup berjihad dengan harta dan diri mereka. Ini adalah mereka yang benar-benar beriman dengan sepenuhnya. Bukannya orang yang munafik seperti disebut dalam [Baqarah: 8]

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Juga bukan orang yang baru sahaja masuk Islam dan tidak masuk lagi iman di dalam hati mereka seperti disebut dalam [Hujurat: 14]

قالَتِ الأَعرابُ ءآمَنّا ۖ قُل لَّم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمٰنُ في قُلوبِكُم

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;

Oleh itu, orang yang beriman adalah golongan yang dimaksudkan di dalam ayat yang kita sedang pelajari ini. Mereka ini adalah kumpulan yang pertama yang Allah sedang sebut. Mereka inilah kumpulan yang terbaik. Mereka digelar Muhajirun. Mereka telah beriman, kemudian telah sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjihad sebelum Perang Badr lagi.

Hijrah itu ada dua jenis: hissi dan maknawi.

Hissi – secara fizikal. Perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Maknawi – secara makna sahaja. Iaitu bertukar daripada sifat lama yang tidak mengamalkan Islam dan sekarang sudah mengamalkan Islam. Sebagai contoh, sekarang ramai artis yang kata mereka telah ‘hijrah’. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah ﷻ larang. (Riwayat Bukhari)

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (Riwayat Ahmad)

Hijrah Maknawi itu wajib sedangkan Hijrah Hissi itu bergantung kepada keadaan. Umat Islam diwajibkan berhijrah ke Madinah sebelum Pembukaan Mekah. Ini adalah untuk situasi ketika waktu itu. Untuk zaman sekarang, ia menjadi wajib jikalau duduk di negara kafir yang menghalang kita daripada mengamalkan agama dengan sempurna.

Golongan para sahabat itu telah berhijrah secara hissi dan juga maknawi sekali. Bukan sahaja mereka telah berhijrah tetapi mereka juga telah menjalankan jihad. Puak Muhajirun itu sebelum Badr lagi telah menjalankan jihad. Merekalah yang menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang mengintip pergerakan pihak musuh. Itu sudah dikira sebagai jihad. Oleh kerana itu mereka dipuji oleh Allah dalam ayat ini. Puak Ansar hanya terlibat dalam jihad ketika Perang Badr.

Di dalam ayat ini Allah menyebut mereka itu telah berjihad بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم (dengan harta-harta mereka dan diri-diri mereka). Allah mula sebut harta sebelum diri/jiwa. Jika ikut logik, diri lebih utama daripada harta, bukan? Akan tetapi Allah dahulukan menyebut harta kerana itulah yang senang untuk diserahkan sebelum diri. Ia juga yang mula-mula dimestikan ada. Untuk zaman itu, hendak berjihad mestilah mengeluarkan harta untuk dibelanjakan bagi perjalanan dan kenderaan. Tanpa harta tidak mungkin jihad mampu terlaksana.

 

وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا

dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan

Ini pula adalah golongan kedua – yang dinamakan Ansar (pembantu). Mereka telah beriman dan sanggup menyediakan tempat bagi orang-orang berhijrah yang datang ke Madinah.

Untuk zaman sekarang, mereka ini adalah orang Islam yang tinggal di tempat yang jauh dan sanggup menyediakan tempat kepada orang Islam yang datang kepada mereka. Mereka sanggup buat begitu supaya senang orang Islam lain untuk datang dan menetap.

Golongan Ansar dipuji kerana bukan sahaja memberikan tempat tinggal tetapi mereka juga tolong menolong dalam keperluan tentera Islam.

 

أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ

mereka itu satu sama lain lindung-melindungi.

Allah memuji mereka dengan mengatakan yang mereka adalah teman rapat (wali) sesama sendiri dari segi agama. Mereka amat rapat, mempunyai tali ukhuwah antara mereka dan mereka membantu satu sama lain. Ini adalah kerana Rasulullah ﷺ telah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Malah, pada waktu itu mereka boleh mewarisi harta daripada sesama sendiri walaupun mereka tidak ada pertalian darah. Sekiranya ada Muhajirin yang meninggal, saudaranya daripada Ansar boleh mempusakai harta Muhajirin itu. Begitu juga sebaliknya. Ini kerana ahli tafsir salaf seperti Ibn Abbas, Hasan, Qatadah dan Mujahid menafsirkan wali di dalam ayat ini sebagai warithah (penerima pusaka).

Di sini Allah memuji kedua-dua golongan ini kerana mereka melakukan apa yang mereka telah lakukan itu semata-mata kerana Allah , bukan kerana mahukan balasan keduniaan. Ini adalah golongan terhebat yang menjadi contoh bagi kita. Di dalam ayat lain Allah memuji mereka ini seperti di dalam [Hashr: 9]

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Kalimah بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ bukan sahaja bermaksud lindung melindungi tetapi saling bantu membantu. Ini kerana untuk menjalankan kerja agama seperti dakwah ini susah jika dibuat bersendirian. Ini seperti disebut dalam [Tawbah: 71]

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِناتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah daripada yang mungkar,

Begitulah, untuk melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, lebih efektif jikalau ada bantuan daripada sesama orang mukmin. Kerja ini bukan dilakukan oleh golongan lelaki sahaja, tetapi wanita pun kena turut membantu seperti disebut di dalam ayat Tawbah di atas.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يُهاجِروا

Dan orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, 

Ini adalah golongan ketiga. Ada orang yang telah beriman masuk Islam di Mekah, tetapi tidak berhijrah ke Madinah. Atau, kalau sekarang mereka ini jenis orang yang sudah masuk Islam tetapi tidak mahu berpindah ke negara yang mengamalkan Islam. Mereka itu tetap tinggal di tempat mereka lahir.

Ada tiga jenis golongan ini:

1. Tidak mahu berhijrah kerana tidak mahu meninggalkan tempat tinggal, keluarga dan harta benda.

2. Tidak mampu berhijrah. Sama ada kerana mereka tidak ada modal untuk bermusafir, atau ditahan oleh keluarga atau tuan mereka.

3. Disuruh pulang kerana Perjanjian Hudaibiyah yang mengatakan kalau ada yang berhijrah ke Madinah dari Mekah, kena dikembalikan. Ini seperti yang terjadi kepada Saidina Abu Jandal dan Abu Basyir.

 

ما لَكُم مِّن وَلٰيَتِهِم مِّن شَيءٍ

tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka,

Oleh kerana mereka tidak berhijrah, maka tidak ada tugas untuk kerajaan Islam menjaga mereka walau sedikit pun. Ini kerana mereka sepatutnya berhijrah tetapi mereka tidak mahu berhijrah. Mungkin kerana kekayaan mereka di tempat tinggal mereka dan mereka tidak sanggup meninggalkannya. Kesannya, mereka susah mengamalkan agama Islam.

Seperti yang telah disebut, seorang Muhajir (orang yang telah berhijrah) boleh mempusakai harta saudaranya daripada golongan Ansar dan seorang Ansar boleh mempusakai harta daripada saudaranya yang Muhajir. Akan tetapi di dalam ayat ini memberitahu yang sekiranya ada saudaranya Muslim tetapi tidak berhijrah, maka tidak boleh mewarisi harta masing-masing. Ini sudah menjadi seperti tidak boleh mewarisi sesama Muslim dan Kafir walaupun mereka ada pertalian darah. Namun ini pun sebelum Pembukaan Mekah. Setelah Pembukaan Mekah, tiada lagi hijrah, maka hukum perwarisan sesama Muslim kembali kepada sediakala.

Ini adalah kerana ketika itu hijrah ke Madinah adalah wajib. Sesiapa yang tidak berhijrah, keislaman mereka dikhuatiri, maka mereka tidak boleh mempusakai harta saudaranya yang Muslim. Akan tetapi ini adalah setakat perwarisan harta sahaja, nanti disebut kalau mereka minta pertolongan, kerajaan Muslim wajib bantu. Maka tidaklah mereka dikira kafir terus.

Mereka ini bukanlah tidak mampu, tetapi kerana mereka tidak mahu. Kalau mereka memang tidak mampu, memang mereka dimaafkan seperti yang disebut dalam ayat-ayat yang lain. Golongan yang tidak mahu berhijrah tetapi mampu ini akan menerima balasan azab seperti disebut di dalam [Nisa :97]

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Ini mengajar kita yang mereka itu berdosa kerana tidak berhijrah sedangkan hijrah itu wajib bagi mereka. Oleh kerana kesan tidak berhijrah, maka agama mereka tidak sempurna.

Bagaimanakah pula dengan kita? Adakah kita tidak terkena? Tidakkah ada yang mengabaikan agama mereka kerana kerja mereka? Sebagai contoh ada yang bekerja dengan syarikat yang tidak membenarkan pekerjanya pergi Salat Jumaat atau untuk mengerjakan salat fardhu pun. Mereka itu ada yang tidak berhenti kerja dan mencari kerja lain hanya kerana gaji di tempat itu lebat. Mereka juga sebenarnya berdosa.

 

حَتّىٰ يُهاجِروا

sehinggalah mereka berhijrah. 

Sekiranya mereka sanggup berhijrah, barulah kerajaan Islam ada tanggungjawab untuk menjaga mereka dan memberi perlindungan kepada mereka. Maknanya, kalau mereka tidak hijrah, maka tidak ada pertalian antara mereka.

Perlu diingatkan yang ini adalah untuk mereka yang mampu untuk berhijrah, tetapi tidak mahu. Mungkin mereka tidak mahu kehilangan harta mereka, keluarga mereka di Mekah atau tempat tinggal asal mereka. Mereka tetap duduk di negara yang kufur sampai susah mereka hendak mengamalkan Islam. Mereka dikutuk kerana mereka lebih sayangkan keduniaan mereka daripada agama.

Akan tetapi ada juga yang mahu berhijrah namun tidak mampu. Ayat ini bukan tentang mereka.

 

إِنِ استَنصَروكُم فِي الدّينِ فَعَلَيكُمُ النَّصرُ

(Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan

Akan tetapi, kalau mereka meminta tolong kepada kerajaan Islam, wajib bagi kerajaan Islam untuk membantu mereka dengan menghalau orang kafir dari negara itu atau mengeluarkan orang Islam yang ditindas itu dari negara itu. Memang ini adalah tanggungjawab kerajaan Islam yang sekarang tidak mampu untuk melakukannya di atas sebab kelemahan kita.

 

إِلّا عَلىٰ قَومٍ بَينَكُم وَبَينَهُم مّيثٰقٌ

kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka.

Kena bantu orang Islam yang ditindas di negara kafir dengan menyelamatkan mereka, kecuali dengan negara kafir yang negara Islam ada perjanjian damai mereka. Untuk negara kafir yang ada perjanjian damai dengan kita, kita tidak boleh serang mereka. Ini adalah kerana Islam amat mementingkan perjanjian.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah beritahu yang Dia melihat apa yang kita lakukan. Sama ada kebaikan atau khianat yang dilakukan. Maka kenalah taat dengan undang-undang ini. Beginilah hebatnya agama Islam. Undang-undang kenegaraan antara negara pun disentuh dalam Al-Qur’an. Selalunya dalam waktu peperangan, undang-undang sudah tidak diambil kira kerana waktu itu memang keadaan tegang.

Namun Allah mengingatkan yang Dia Maha Melihat apa sahaja yang kita lakukan. Jika kita membuat kesilapan dan tidak mengikut hukum yang Allah tetapkan, maka kita akan ada masalah nanti. Tentera agama lain, mungkin takut dengan ketua mereka sahaja, tetapi tentera Islam kena takut dengan Allah .

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal Ayat 67 – 69 (Isu Tawanan Perang Badr)

Anfal Ayat 67: Ini adalah peringatan daripada Allah ﷻ, iaitu undang-undang perang ke-5.

ما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكونَ لَهُ أَسرىٰ حَتّىٰ يُثخِنَ فِي الأَرضِ ۚ تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا وَاللَّهُ يُريدُ الآخِرَةَ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for a prophet to have captives [of war] until he inflicts a massacre [upon Allāh’s enemies] in the land. You [i.e., some Muslims] desire the commodities of this world,¹ but Allāh desires [for you] the Hereafter. And Allāh is Exalted in Might and Wise.

  • i.e., material benefit, such as the ransom paid for prisoners.

(MALAY)

Tidak patut, bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

ما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكونَ لَهُ أَسرىٰ

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan

Allah ﷻ menegaskan, tidak patut bagi mana-mana Nabi untuk memperolehi tawanan perang dengan cara mudah. Ini adalah arahan yang amat payah sekali kepada para sahabat di Badr kerana sebahagian musuh dan lawan mereka dalam perang itu adalah ahli keluarga mereka. Mungkin ada rasa berat untuk membunuh ahli keluarga sendiri. Maka mereka lebih selesa kalau mereka tangkap musuh sebagai tawanan sahaja.

Walau bagaimanapun, para sahabat lebih sayangkan agama. Mereka sanggup membunuh saudara mara mereka jika mereka itu orang kafir dan menentang Islam. Sebab itulah daripada riwayat kita dapat tahu yang para sahabat akan mengikat tawanan perang tetapi yang mengikat ahli saudaranya lebih ketat lagi daripada orang lain. Ini kerana mereka tidak mahu ada rasa kasih sayang kekeluargaan dalam diri mereka disebabkan mereka lebih memandang tinggi agama Islam.

Asbabun Nuzul ayat ini: dalam perang Badr, selepas peperangan itu tamat, 70 orang daripada pihak kafir telah mati dan 70 orang lagi telah ditawan. Berkenaan dengan tawanan perang itu, Nabi Muhammad ﷺ telah bertanya pandangan sahabat apa yang hendak dilakukan dengan para tawanan itu. Walaupun baginda seorang Rasul, namun dalam pemerintahan baginda mengamalkan konsep syura dan kerana itu baginda meminta pendapat para sahabat.

Saidina Umar رضي الله عنه (bersama Saidina Sa’d bin Muaz dan beberapa orang lagi) memberikan cadangan untuk bunuh sahaja, supaya orang kafir faham yang mereka berbalah itu kerana akidah. Walaupun mereka itu saudara mara mereka, tidak ada pertalian dari dunia sampai akhirat. Kata Saidina Umar رضي الله عنه, itulah masa untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada agama, bukan kepada saudara mara. Sekiranya dibiarkan mereka hidup, nanti mereka akan kembali semula menyerang Madinah dan umat Islam. Hal mereka mungkin masuk Islam di masa hadapan itu kita tidak tahu lagi; bagaimana jika mereka terus menyerang umat Islam?

Namun begitu, Saidina Abu Bakr رضي الله عنه pula berpendapat lain. Beliau berkata, janganlah bunuh mereka, kerana entah mereka nanti akan masuk Islam. Kalau dibunuh terus, nanti mereka tidak ada peluang untuk masuk Islam. Selain daripada itu, umat Islam pada waktu itu miskin dan kalau dapat harta tebusan, dapat membantu mereka dalam kehidupan dan dapat membantu buat persediaan untuk menghadapi perang untuk masa hadapan juga. Beliau memberikan cadangan supaya diletakkan syarat untuk mereka dilepaskan: sama ada dengan bayaran atau mengajar umat Islam membaca dan menulis.

Selain daripada dua cadangan ini, masih ada lagi cadangan lain tetapi majoriti sama pendapat dengan Abu Bakr رضي الله عنه. Nabi ﷺ telah menerima cadangan Abu Bakr رضي الله عنه kerana pada pendapat baginda, itu adalah cara yang terbaik. Baginda mempunyai sifat rahmah yang tinggi dan mahukan rahmah pada setiap masa. Lagipun ketika itu tiada wahyu tentang perkara itu, maka tidak salah baginda membuat keputusan begitu. Ini adalah kerana perang Badr adalah peperangan pertama umat Islam pada waktu itu. Sepertimana tidak ada lagi ketetapan tentang harta ghanimah, maka begitu juga dengan urusan tawanan perang.

Akan tetapi, Allah ﷻ sebenarnya mahu mereka yang ditawan itu dipancung juga seperti cadangan Umar رضي الله عنه. Akan tetapi telah berlalu takdir dengan mesyuarat itu, maka cadangan Abu Bakr رضي الله عنه yang diambil terima. Ia merupakan hasil keputusan daripada mesyuarat itu, di mana pandangan Abu Bakr رضي الله عنه telah diluluskan. Tidaklah Nabi Muhammad ﷺ salah, kerana tidak ada dalil lagi; kalau sudah ada dalil, tidak boleh buat keputusan begitu. Perkara ini disebut di dalam hadith ini:

حدثنا علي بن عاصم عن حميد عن أنس وذكر رجلا عن الحسن قال
استشار رسول الله صلى الله عليه وسلم الناس في الأسارى يوم بدر فقال إن الله عز وجل قد أمكنكم منهم قال فقام عمر بن الخطاب فقال يا رسول الله اضرب أعناقهم قال فأعرض عنه النبي صلى الله عليه وسلم قال ثم عاد رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال يا أيها الناس إن الله قد أمكنكم منهم وإنما هم إخوانكم بالأمس قال فقام عمر فقال يا رسول الله اضرب أعناقهم فأعرض عنه النبي صلى الله عليه وسلم قال ثم عاد النبي صلى الله عليه وسلم فقال للناس مثل ذلك فقام أبو بكر فقال يا رسول الله إن ترى أن تعفو عنهم وتقبل منهم الفداء قال فذهب عن وجه رسول الله صلى الله عليه وسلم ما كان فيه من الغم قال فعفا عنهم وقبل منهم الفداء قال وأنزل الله عز وجل
{ لولا كتاب من الله سبق لمسكم فيما أخذتم }
إلى آخر الآية

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Hasyim, daripada Humaid. dari Anas رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ meminta pandangan kepada sahabat-sahabatnya tentang para tawanan Perang Badar yang berhasil ditangkap oleh kaum Muslim. Untuk itu baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah ﷻ telah memenangkan kalian atas mereka.” Maka Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, pancunglah leher mereka.”

Nabi ﷺ berpaling daripadanya, kemudian kembali bersabda, “Hai manusia, sesung­guhnya Allah ﷻ telah menguasakan sebahagian daripada mereka kepada kalian, dan sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kalian sendiri di masa kelmarin.” Maka Umar رضي الله عنه berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, pancung­lah leher mereka.”

Nabi ﷺ berpaling daripadanya. Kemudian Nabi ﷺ kembali bersabda kepada orang-orang seperti sabdanya yang pertama. Maka berdirilah Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kami berpendapat sebaiknya engkau memberi maaf mereka dan menerima tebusan daripada mereka.” Maka lenyaplah rasa gusar yang tadinya mencekam wajah Rasulullah ﷺ, dan baginda memberi maaf mereka serta menerima tebusan mereka.

Saat itu juga turunlah Firman Allah ﷻ yang mengatakan: Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah ﷻ, nescaya kalian ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kalian ambil. (Al-Anfal: 68) hingga akhir ayat. Mushad Ahmad (13066) Hasan li ghairihi menurut Syu’aib al-Arnauth

Dari segi keduniaan, tidaklah salah Nabi Muhammad ﷺ memilih pendapat Abu Bakr رضي الله عنه  itu. Kalau kita fikirkan dari sudut logik akal, memang Nabi Muhammad ﷺ telah mengambil keputusan yang terbaik pun. Baginda adalah seorang yang sememangnya seorang yang bijaksana dan hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu lebih daripada baginda.

Akan tetapi mungkin timbul persoalan, kenapa Allah ﷻ tidak beritahu siap-siap apakah keputusan yang benar supaya tidaklah baginda membuat keputusan yang silap dan kemudian ditegur pula setelah membuat keputusan itu? Ada kebaikan dalam perkara ini: mengajar kita yang Nabi Muhammad ﷺ pun boleh tersilap dalam membuat keputusan dan Allah ﷻ boleh menegur baginda.

Namun begitu, hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat begitu, tidaklah para sahabat atau mana-mana manusia pun. Itu adalah adab dengan Nabi ﷺ. Sekiranya ada keputusan daripada Rasulullah ﷺ yang tersilap, Allah ﷻ pasti terus menurunkan wahyu membetulkan perkara itu, supaya yang menjadi Sunnah adalah perkara yang betul sahaja.

Keduanya, kita dapat mengambil pengajaran daripada ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu ilmu ghaib dan keputusan tepat melainkan mendapat wahyu daripada Allah ﷻ. Apa yang baginda lakukan adalah termasuk dalam ijtihad yang dibenarkan kepada baginda. Namun begitu baginda pun rasa amat bersalah dengan keputusan baginda itu dan setelah kejadian itu, baginda telah banyak melakukan istighfar memohon ampun daripada  Allah ﷻ.

 

حَتّىٰ يُثخِنَ فِي الأَرضِ

sehinggalah dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.

Nabi Muhammad ﷺ tidak dibenarkan sebenarnya untuk menyimpan tawanan perang, sehinggalah Nabi ﷺ benar-benar telah menumpaskan orang kafir dalam peperangan di muka bumi. Ini adalah kerana pihak kafir itu tidak mudah untuk menyerah kalah. Mesti berperang sungguh-sungguh dengan mereka sehingga dapat melumpuhkan kekuatan mereka. Ini kerana mereka itu menghalang agama Islam disebarkan kepada manusia. Bila orang kafir itu memang sudah lumpuh, barulah dapat mengambil tawanan perang.

Oleh itu, tidak patut bagi Nabi ﷺ untuk ada tebusan perang, sehinggalah puak Islam telah bersungguh-sungguh melumpuhkan musuh di muka bumi. Di antara cara melumpuhkan musuh adalah dengan membunuh tentera kafir.

Memang bunyinya seakan ganas, tetapi kita jangan lupa yang ayat dan surah ini adalah tentang perang dan begitulah keadaannya dalam peperangan. Oleh itu, pendapat Saidina Umar رضي الله عنه  lah yang benar dalam hal ini, bertepatan dengan kehendak Allah ﷻ. Beliau ada apa yang dinamakan ‘basirah’ – pandangan mata hati.

Ada kitab yang menyenaraikan sehingga 26 ‘muwafaqat’ Umar رضي الله عنه iaitu apabila pendapat beliau selaras dengan kehendak wahyu. Peristiwa ini hanyalah satu contoh sahaja di mana pendapat Umar رضي الله عنه sama dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ. Ini telah disebut sendiri oleh beliau di dalam sebuah hadith:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ عُمَرُ وَافَقْتُ رَبِّي فِي ثَلَاثٍ فِي مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ وَفِي الْحِجَابِ وَفِي أُسَارَى بَدْرٍ

Daripada Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما beliau berkata, “Umar bin Khattab رضي الله عنه pernah berkata, ‘Sesungguhnya pendapatku pernah disetujui oleh Allah ﷻ dalam tiga hal, iaitu: tentang maqam Ibrahim, tentang peristiwa hijab, dan tentang tawanan perang Badar.” (Hadith Riwayat Muslim (4412))

Jangan salah faham pula; tidaklah Allah mengikut pendapat beliau akan tetapi pendapat beliau yang bertepatan dengan kehendak Allah . Beliau adalah seorang yang mulia dan bijaksana, malangnya pihak Syiah telah mengatakan beliau kafir. Malangnya masyarakat Melayu kita yang jahil tentang agama, senang sahaja ditipu oleh Syiah dan terpengaruh dengan pendapat tersebut.

 

تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا وَاللَّهُ يُريدُ الآخِرَةَ

Kamu mahukan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu).

Kalimah تُريدونَ di dalam ayat ini adalah dalam bentuk istifham (soalan). Maka yang penuhnya adalah هَل تُريدونَ (adakah kamu mahu?). Adakah engkau mahu habuan dunia?

Allah menegur para sahabat yang hendak mengambil tawanan perang kerana menginginkan imbuhan dunia dengan mendapat bayaran fidyah, melalui cara mendapat wang tebusan. Kalimah عرض bermaksud sesuatu yang datang dan kemudian menghilang. Maksudnya perkara yang mereka kejar itu bukannya kekal pun. Begitulah nilai dunia ini seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir رضي الله عنه :

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوْقِ دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ. فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ، ثُمَّ قَالَ: ))أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ؟ (( فَقَالُوْا: مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ؟ قال:(( أَتُحِبُّوْنَ أَنَّهُ لَكُمْ؟ )) قَالُوْا: وَاللهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيْهِ، لِأَنَّهُ أَسَكُّ. فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ؟ فَقَالَ: (( فَوَاللهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ )).

Sesungguhnya Nabi ﷺ berjalan melewati pasar sementara banyak orang berada dekat baginda ﷺ . Baginda berjalan melewati bangkai anak kambing jantan yang kedua telinganya kecil. Sambil memegang telinganya baginda  ﷺ bersabda, “Siapakah di antara kalian yang berkenan membeli ini dengan harga satu dirham?” Orang-orang berkata, “Kami sama sekali tidak tertarik kepadanya. Apa yang boleh kami perbuat dengannya?” Baginda ﷺ bersabda, “Apakah kalian mahu jika ini menjadi milik kalian?” Orang-orang berkata, “Demi Allah, kalau anak kambing jantan ini hidup, pasti ia cacat kerana kedua telinganya kecil, apalagi ia telah mati?” Baginda ﷺ bersabda:

فَوَاللهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ

Demi Allah, sungguh, dunia itu lebih hina bagi Allah daripada bangkai anak kambing ini bagi kalian.

(Hadith Riwayat Muslim (2957))

Namun malangnya dunia yang tidak ada nilai inilah yang dikejar oleh manusia yang ramai. Para sahabat pun tidak terlepas daripada hal ini kerana mereka juga manusia yang ada nafsu. Sedangkan Allah sebaliknya mahu memberikan balasan yang baik di akhirat kepada manusia.

Bagaimanakah pula membunuh tawanan perang itu dapat memberi balasan yang baik di akhirat kepada mereka? Islam akan menjadi semakin berkembang kerana para penentangnya yang terkuat telah mati; dan semakin ramai masuk Islam dan mereka akan mendapat pahala yang amat banyak kerana dapat mengislamkan ramai orang.

Lafaz تُريدونَ (mereka menginginkan) yang digunakan dalam ayat ini dalam bentuk jamak dan merujuk kepada mereka yang berpihak dengan keputusan Abu Bakr رضي الله عنه. Allah menegur mereka kerana memberi nasihat yang tidak patut kepada Rasulullah ﷺ. Ini kerana cadangan itu bukannya daripada baginda tetapi cadangan daripada para sahabat. Setelah kejadian itu, Abu Bakr رضي الله عنه juga berasa amat malu dengan diri beliau sendiri.

Akan tetapi tidaklah beliau salah kerana beliau juga mahukan kebaikan untuk Islam. Ada dua keinginan manusia tentang agama: umpama mahukan ‘perhiasan’ daripada besi atau apa yang boleh ‘digunakan’ dengan besi itu. Kedua-duanya memerlukan usaha untuk membuatnya. Syurga adalah seperti perhiasan itu dan dunia adalah penggunaan besi. Apabila Allah berfirman: تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا, itu bermaksud para sahabat itu mahukan kemenangan Islam di dunia, kejayaan jangka panjang untuk Islam, bukannya hendakkan harta untuk diri sendiri. Maka tidaklah mereka itu bersalah.

Cuma kerana mereka tidak dapat melihat masa hadapan, maka mereka tidak tahu apakah keputusan yang paling tepat. Maka, mereka menggunakan strategi menggunakan akal yang Allah berikan. Mereka telah memikirkan keputusan yang terbaik di atas keupayaan mereka yang terhad. Cuma strategi Allah adalah lebih baik. Allah ingin pahala akhirat untuk umat Islam. Oleh itu, jangan salahkan Abu Bakr رضي الله عنه dan mereka yang sependapat dengan beliau.

Namun kenapakah Allah tegur? Kerana mereka ini adalah kumpulan yang sedang dilatih oleh Allah dan Rasulullah untuk menjadi umat yang terbaik. Maka mereka ini mestilah mengikut standard yang amat tinggi, lebih tinggi lagi daripada manusia yang biasa. Tidak boleh ada kesilapan sedikit pun kerana mereka ini akan menjadi contoh kepada umat di masa hadapan.

Bukankah baginda Rasulullah ﷺ juga ditegur di dalam ayat ini kerana baginda telah menerima pendapat Abu Bakr رضي الله عنه dan lain-lain? Tindakan Rasulullah ﷺ tidak sama kerana baginda bertindak atas dasar rahmah semata-mata. Sedangkan para sahabat ada sedikit keinginan di dalam hati mereka kepada harta dunia.

Sedangkan baginda Rasulullah ﷺ tidaklah menginginkan kehidupan di dunia ini melainkan kehidupan yang sederhana sahaja. Ini seperti yang disebut di dalam hadith riwayat Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما:

دَخلَ عمرُ بنُ الخطَّابِ رضيَ اللَّهُ عنهُ علَى النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ وَهوَ علَى حَصيرٍ قد أثَّرَ في جنبِهِ فقالَ: يا رَسولَ اللَّهِ، لوِ اتَّخذتَ فِراشًا أَوثرَ مِن هذا فقالَ: ما لي ولِلدُّنيا وما لِلدُّنيا وما لي، والَّذي نَفسي بيدِهِ ما مَثَلي ومَثَلُ الدُّنيا إلَّا كَراكبٍ سارَ في يَومٍ صائفٍ فاستَظلَّ تحتَ شَجرةٍ ساعةً من نَهارٍ ثمَّ راحَ وترَكَها

“Umar bin Khattab رضي الله عنه datang kepada Nabi ﷺ ketika baginda sedang tidur di atas tikar sehingga berbekas pada kulit baginda di bahagian sisi. Maka Umar رضي الله عنه pun berkata: “Wahai Nabi Allah! Andaikan engkau menggunakan permaidani tentu lebih baik daripada tikar ini”. Maka baginda pun bersabda: “Apa urusanku terhadap dunia? Permisalan antara aku dengan dunia bagaikan seorang yang berkenderaan menempuh perjalanan di siang hari yang panas terik, lalu dia mencari teduh di bawah pohon beberapa saat di siang hari, kemudian dia istirehat di sana lalu meninggalkannya”

(At Tirmidzi 2/60, Al Hakim 4/310, Ibnu Majah 2/526. disahihkan Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah 1/800).

Maka dari sini kita dapat tahu yang mahukan dunia itu adalah para sahabat, bukannya Rasulullah ﷺ.

Walaupun mereka sudah ditegur di dalam ayat ini semasa Perang Badr, tetapi perkara yang sama berlaku lagi semasa Perang Uhud seperti disebut di dalam [Ali Imran: 152]

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَعَصَيتُم مِّن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,

Sekali lagi Allah menegur para sahabat. Begitulah manusia kadang-kadang memerlukan nasihat lebih daripada sekali.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Perkasa dan boleh sahaja memberikan kemenangan kepada umat Islam tanpa melalui peperangan. Akan tetapi Allah menjalankan semua yang terjadi itu kerana terkandung hikmah daripada Allah yang Maha Bijaksana. Kita mungkin sukar untuk nampak perkara itu.

Begitu juga maksud Allah Maha Perkasa di mana segala hukum-Nya mesti diikuti. Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum-Nya. Kita mungkin nampak kebaikan dalam satu perkara tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk masa hadapan. Mungkin sahaja ada perkara yang terjadi dan kita tidak suka namun sebenarnya ia baik bagi kita. Allah sahaja yang ada ilmu tentang segala perkara. Kerana itu kita amat bergantung kepada wahyu Allah untuk memberi panduan di dalam membuat keputusan di dalam hidup kita.


 

Anfal Ayat 68: 

لَّولَا كِتَـٰبٌ مِّنَ ٱللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُم فِيمَآ أَخَذتُم عَذَابٌ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If not for a decree from Allāh that preceded,¹ you would have been touched for what you took by a great punishment.

  • Three interpretations of the “decree” are given: that by which the companions of Badr were forgiven, that by which indeliberate errors in judgement by believers are not punished, and that which made lawful the spoils of war.

(MALAY)

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.

 

لَّولَا كِتَـٰبٌ مِّنَ ٱللَّهِ سَبَقَ

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah,

Kalimah كِتابٌ di dalam ayat ini adalah kitab suratan takdir yang telah ditetapkan dahulu. Apakah yang dimaksudkan dengan ketetapan yang telah lalu? Iaitu Allah telah menetapkan tidak akan menghukum orang yang tersilap dalam berijtihad. Ini adalah salah satu pendapat.

Juga telah terdapat ayat lain tentang perkara ini iaitu ayat [Muhammad: 4]

فَإِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا فَضَربَ الرِّقابِ حَتّىٰ إِذا أَثخَنتُموهُم فَشُدُّوا الوَثاقَ فَإِمّا مَنًّا بَعدُ وَإِمّا فِداءً حَتّىٰ تَضَعَ الحَربُ أَوزارَها

Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir.

Lihatlah bagaimana dalam Surah Muhammad ini Allah telah memberikan pilihan kepada umat Islam sama ada untuk membebaskan tawanan perang atau boleh mengambil tebusan daripada mereka. Ini kalau kita ambil pendapat yang mengatakan ayat ini turunnya sebelum ayat daripada surah Anfal itu diturunkan.

Oleh kerana sudah ada pilihan yang pernah diberikan, maka Nabi Muhammad ﷺ telah menggunakan dalil ini untuk membuat keputusan baginda. Oleh hal yang demikian, memang baginda tidak salah. Cuma belum boleh lagi mengambil tawanan semasa Perang Badr. Akan tetapi, ada juga pendapat yang mengatakan ayat daripada Surah Muhammad ini diturunkan kemudian.

Oleh itu, kita boleh lihat baginda Rasulullah ﷺ telah memilih keputusan yang lebih lembut. Antaranya kerana baginda tahu yang dalam tentera Musyrikin Mekah itu, ada golongan mereka yang tidak pun mahu memerangi umat Islam, tetapi mereka datang ke Badr kerana terpaksa. Antaranya menantu baginda sendiri, bapa saudara baginda sendiri (Saidina Abbas bin Abdul Mutalib, sampaikan ada pendapat yang mengatakan beliau sebenarnya telah Muslim) dan mungkin ramai lagi dalam kalangan saudara mara para sahabat.

Maka, keadaan ketika itu amat kompleks sekali, banyak yang perlu difikirkan. Oleh kerana ada pilihan yang lebih lembut, maka baginda telah mengambil keputusan itu. Baginda telah melakukan ijtihad baginda dalam hal ini kerana tidak ada lagi wahyu yang jelas tentangnya.

 

لَمَسَّكُم فيما أَخَذتُم عَذابٌ عَظيمٌ

nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.

Kalaulah tidak ada ketetapan Allah tidak menghukum manusia yang melakukan ijtihad, dan kalaulah tidak ada pilihan dalam ayat lain yang turun sebelum itu, nescaya umat Islam akan ditimpa dengan azab yang besar kerana mereka telah mengambil harta tebusan itu. Akan tetapi Allah telah takdirkan, keputusan yang dibuat dengan mesyuarat telah diambil, dan memang tidak ada nas untuk membuat keputusan pada waktu itu, maka tidaklah Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam dihukum.

Inilah kata-kata keras daripada Allah . Bayangkan, pada masa umat Islam telah mencapai kejayaan yang pertama dalam medan perang, apa yang mereka dapat adalah teguran keras daripada Allah . Sepatutnya pada waktu itulah masa untuk bergembira, namun tidak rupanya kerana Allah hendak mengajar hamba-Nya.


 

Anfal Ayat 69: Selepas menerima teguran daripada Allah , lalu bagaimana dengan harta ghanimah dan tebusan perang itu, bolehkah diambil?

فَكُلوا مِمّا غَنِمتُم حَلٰلًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So consume what you have taken of war booty [as being] lawful and good, and fear Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

فَكُلوا مِمّا غَنِمتُم حَلٰلًا طَيِّبًا

Maka makanlah daripada sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, 

Ini adalah hukum daripada Allah : harta rampasan itu boleh diambil untuk digunakan dan dimakan. Begitu juga harta tebusan tawanan itu juga boleh digunakan. Kalimah غنم di dalam غَنِمتُم itu boleh merujuk kepada harta rampasan perang dan juga harta tebusan tawanan. Keduanya adalah halal dimakan kerana ia halal malah baik.

Ia adalah sesuatu yang baik yang memang boleh diambil dan digunakan. Malah ia adalah amat bersih kerana untuk mendapatkannya bukan senang, sehingga terpaksa bergadai menyabung nyawa. Kita juga telah sebut sebelum ini yang harta rampasan perang itu juga adalah harta yang paling suci kerana ia diberi terus oleh Allah .

Maka ayat ini menjawab tentang isu mengambil tebusan daripada tawanan. Walaupun mereka telah ditegur dalam ayat sebelum ini, tetapi Allah telah memaafkan, maka sudah boleh diambil dan digunakan. Yang sudah lepas, biarkanlah. Hukum yang baharu adalah seperti di dalam ayat [Muhammad: 4] seperti yang telah dikongsi di atas. Ini bagi pendapat yang mengatakan [Muhammad: 4] itu diturunkan selepas ayat [Anfal: 68]. Begitulah menurut pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما.

عن ابن عباس
أن النبي صلى الله عليه وسلم جعل فداء أهل الجاهلية يوم بدر أربع مائة

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa Nabi ﷺ telah menjadikan tebusan penduduk jahiliyah pada saat perang Badar empat ratus (dinar).

(Hadith Riwayat Abu Dawud (2316) disahihkan oleh Albani)

Menurut jumhur ulama’ hukum ini masih tetap berlaku terhadap para tawanan, dan imam (pemimpin) boleh memilih apa yang hendak dilakukan dengan para tawanan itu. Jika dia menghendaki untuk menjatuhkan hukuman mati seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ terhadap para tawanan perang Bani Quraizah, maka dia boleh melakukannya.

Jika dia memilih tebusan, maka dia boleh menerimanya seperti yang dilakukan terhadap tawanan Perang Badar. Dia boleh juga melakukan barter (sistem tukaran) untuk membebaskan kaum Muslim yang tertawan oleh musuh, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ terhadap seorang wanita dan anak perempuannya, yang kedua-duanya hasil tangkapan Salamah ibnul Akwa’. Nabi ﷺ mengembalikan keduanya ke tangan musuh dan sebagai pertukarannya Nabi ﷺ mengambil sejumlah kaum Muslim yang tertawan di tangan kaum musyrik.

Jika pemimpin itu ingin menjadikan tawanannya itu sebagai budak belian (hamba sahaya), dia juga boleh melakukan­nya. Demikianlah menurut mazhab Imam Syafi’iy dan sejumlah ulama. Sehubungan dengan masalah ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para imam ahli fiqih, yang keterangannya disebutkan di dalam kitab-kitab fiqih pada bab yang membahasnya.

Juga ayat ini bermaksud yang umat Nabi Muhammad ﷺ boleh mengambil harta rampasan perang. Ini tidak sama dengan peperangan umat-umat Islam sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Pendapat ini diperkuatkan dengan adanya sebuah hadith yang diketengahkan di dalam kitab Sahihain oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim رحمهما الله melalui Jabir ibnu Abdullah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا، لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً”

Aku dianugerahi lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. Aku diberi pertolongan melalui rasa gentar yang mencekam hati musuh sejauh perjalanan satu bulan, bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud (salat) lagi menyucikan: dan dihalalkan bagiku ghanimah. sedangkan sebelumnya tidak dihalalkan bagi seorang (nabi) pun. Aku dianugerahi syafaat: dan dahulu seorang nabi diutus hanya kepada kaumnya, sedangkan aku diutus untuk seluruh umat manusia.

(Hadith Bukhari No. 335)

Untuk umat Nabi terdahulu, mereka tidak dibenarkan mengambil harta ghanimah. Apa-apa sahaja harta rampasan akan dilonggokkan di satu tempat. Jika Allah redha dengan perang mereka itu, akan ada api yang akan menyambar harta itu. Kalau Allah tidak redha, maka dibiarkan sahaja.

Di sini juga ada hukum yang jikalau harta atau makanan itu halal dan baik, boleh sahaja diambil dan dimakan. Kita tidak kisah siapa yang masak makanan itu. Kalau orang kafir yang masak pun, kita boleh makan. Ini menolak pandangan karut sesetengah orang (ustaz juga) yang mengatakan kena lihat siapa yang masak. Kalau orang Islam tetapi yang melakukan maksiat, seperti tidak menutup aurat semasa berjualan di Pasar Ramadhan, mereka kata tidak boleh makan makanan itu. Amatlah karut pandangan ini dan tidak tahu diambil dari mana.

Halal bermaksud makanan itu halal seperti ayam dan bukannya babi. Juga cara mendapatkannya juga halal, contohnya tidaklah dapat daripada hasil curi. Baik pula bermaksud ia baik kepada kita. Ada sesetengah makanan halal tetapi tidak baik bagi orang yang ada penyakit seperti kacang tidak elok bagi orang yang ada gout dan sebagainya. Maka ini mengajar kita untuk menjaga pemakanan kita. Dunia sekarang banyak penyakit disebabkan oleh salah memilih makanan.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertaqwalah kepada Allah;

Namun kenalah berjaga-jaga pada waktu lain supaya jangan keputusan dibuat bercanggah dengan nas. Taqwa maksudnya menjaga hukum; janganlah pula dalil sudah ada tetapi membuat keputusan yang berlawanan dengan nas. Jika makan, makanlah makanan yang halal-halal sahaja.

Yang penting kita kena hidup bersandarkan wahyu. Jangan jadi sebagaimana puak yang sesat dan puak bid’ah yang tidak mengendahkan dalil, tetapi membuat keputusan mengikut sedap hati dan akal mereka sahaja. Ingatlah yang agama ini tertegak di atas dalil.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah menekankan sifat Pemaaf-Nya. Kesalahan mereka sebelum ini tentang keputusan bertindak kepada tawanan itu telah dimaafkan. Ini adalah kerana Allah Maha Pengampun asalkan mahu bertaubat dan mengambil pengajaran.

Kita amat memerlukan dua sifat daripada Allah ini. Kita ini umat yang banyak dosanya. Maka sifat Ghafur Allah akan mengampunkan dosa kita. Dengan sifat Raheem Allah itu akan memasukkan kita ke dalam syurga.

 

Habis Ruku’ 9 daripada 10 ruku’ surah ini

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 63 – 66 (Ratio perang dengan musuh)

Anfal Ayat 63: Sebelum ini disebut golongan المُؤمِنينَ membantu Rasulullah ﷺ. Namun apakah kekuatan mereka sehingga dapat membantu baginda? Inilah cara bagaimana Allah ﷻ menolong golongan mukmin, iaitu dengan bersatu. Inilah juga asbab kenapa mereka telah mendapat kemenangan.

وَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِهِم ۚ لَو أَنفَقتَ ما فِي الأَرضِ جَميعًا مّا أَلَّفتَ بَينَ قُلوبِهِم وَلٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَينَهُم ۚ إِنَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And brought together their hearts. If you had spent all that is in the earth, you could not have brought their hearts together; but Allāh brought them together. Indeed, He is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.

 

وَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِهِم

dan Yang mempersatukan hati mereka

Allah ﷻ menyatukan hati para mukmin yang berjuang bersama Nabi ﷺ. Inilah bantuan daripada Allah ﷻ. Ia berkenaan talian antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah salah satu perkara penting yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ apabila tiba di Madinah.

Sebelum itu puak Aus dan Khazraj juga telah disatukan hati mereka. Padahal sebelum itu dua puak ini berperang sesama sendiri selama beratus tahun lamanya. Akan tetapi dengan kedatangan Islam, mereka terus bersaudara dan tidak berperang lagi. Mereka dikenali dengan satu nama: Ansar (penolong). Dengan berkat Rasulullah ﷺ dan juga dengan izin Allah ﷻ, mereka bersatu hati. Mereka telah bersatu hati menerima puak Muhajirin dari Mekah itu.

Allah ﷻ beritahu di sini yang Dia menyatukan ‘hati-hati’ mereka. Allah ﷻ tidak hanya kata menyatukan mereka sahaja, tetapi dijelaskan yang hati itu yang disatukan. Ini mengajar kepada kita yang bersatu itu di hati, bukannya untuk tujuan lain seperti politik, wang dan kedudukan sahaja. Sekiranya bergabung untuk tujuan politik sahaja, atau untuk kewangan sahaja, maka itu bukanlah benar-benar bersatu walaupun parti itu namanya Parti Bersatu. Bersatu itu mesti di hati yang murni dan ikhlas.

Baginda telah menjadikan puak Ansar dan puak Muhajirin itu bersaudara. Nabi ﷺ memberikan keluarga angkat kepada setiap orang. Puak Muhajirin diberikan keluarga angkat dalam kalangan puak Ansar. Maka puak Ansar telah berkongsi apa sahaja yang mereka ada kepada saudara mereka dalam kalangan Muhajirin itu. Puak Ansar menerima baik kedatangan saudara mereka itu.

Mereka boleh bergabung dan hidup bersama itu adalah kerana pertolongan daripada Allah ﷻ, kerana Allah ﷻ yang tautkan hati mereka. Bayangkan, kalau di mana-mana tempat pun, kaum pendatang selalunya disisihkan dan dipandang serong oleh puak asal. Namun orang Ansar boleh menerima puak Muhajirin yang datang dari Mekah itu dengan amat baik.

Seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:

{وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ}

dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian, ketika kalian dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kalian, lalu menjadikan kalian kerana nikmat Allah itu, orang-orang yang bersaudara, dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian mendapat petunjuk.

[ Ali Imran: 103 ]

Maka dengan bantuan Allah ﷻ ini, mereka telah menjadi kuat. Ini adalah kerana ada 3 tonggak kekuatan umat Islam:

1. Akidah. Ini perlu dikuatkan dahulu. Tanpa akidah yang mantap, sia-sia sahaja hidup di dunia ini.

2. Ukhuwah. Apabila umat Islam bersaudara dan bersatu hati, maka mereka menjadi kuat dan tidak boleh roboh.

3. Silah (سِلاحُ: senjata).  Kekuatan senjata ini hanya berguna jikalau dua yang pertama tadi ada. Ini kerana jika senjata kuat tetapi tiada akidah dan persaudaraan, maka mereka mudah dirobohkan dan dikalahkan.

Ketiga-tiga perkara ini mesti ada, barulah umat Islam akan kuat. Ia mestilah mengikut susunan. Tanpa akidah, semua itu tidak bermakna. Selepas kuat akidah, kena ada ukhuwah dan selepas itu barulah diperlukan silah. Maka, ketaatan kepada Allah ﷻ itu yang utama seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam [ Ali Imran: 103 ]

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai

Lihatlah di sini Allah ﷻ sebutkan kepada berpegang dengan ‘tali Allah’. Yang dimaksudkan dengan tali Allah ﷻ adalah Al-Qur’an dan syariat. Apabila pegangan manusia itu sama, maka senang untuk bersatu. Kerana itu kita tekankan kepada pemahaman kepada Al-Qur’an sebelum apa-apa pun.

Perbezaan pendapat sekali sekala itu biasa sahaja sebagai manusia. Namun kenalah pandai menanganinya. Jangan sampai berkelahi, menghina, merendahkan, menuduh itu dan ini. Kita boleh sahaja berbeza pendapat tetapi boleh duduk makan semeja lagi.

Pada zaman sekarang ini ramai orang bercakap tentang bersatu. Namun mereka faham untuk bersatu itu, semua orang kena ikut cakap dia. Ini tidak akan terjadi. Sebab kita tidak akan dapat semua orang bersetuju dengan kita. Jika ada pendapat yang sama pun, itu bukanlah semua kerana kita semua ada pegangan dan pendapat sendiri. Namun apa yang penting kita mesti bersatu dalam pemahaman Al-Qur’an. Allah ﷻ beritahu di dalam [ Maryam: 96 ]

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

 

لَو أَنفَقتَ ما فِي الأَرضِ جَميعًا مّا أَلَّفتَ بَينَ قُلوبِهِم

Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, 

Hanya dengan Qudrat dan kehendak Allah ﷻ sahaja yang boleh menyatukan hati-hati mereka. Jika Nabi ﷺ sendiri hendak satukan memang tidak boleh. Allah ﷻ beritahu, kalaulah baginda infaqkan harta sepenuh bumi untuk satukan hati Aus dan Khazraj, antara Muhajirin dan Ansar, baginda tentu tidak mampu lakukan.

Baginda tentu tidak mampu kerana mentaliti berpuak telah ada sejak zaman berzaman lagi dan tidak boleh dihilangkan daripada fikiran manusia. Lihatlah hari ini, walaupun kita sesama Islam, namun kita tetap berpuak-puak. Ini puak aswaja, ini puak sunnah; ini orang Islam Indonesia, ini orang Islam Malaysia, orang Islam dari Timur Tengah dan sebagainya.

Begitulah realitinya. Kita masih lagi lihat perbezaan antara kita dan ini amat menyedihkan kerana kita tidak dapat bersatu. Memang amat payah untuk bersatu. Oleh kerana tidak bersatu, kita lemah di mata dunia dan diperkotak katikkan oleh puak bukan Islam.

Ayat ini mengajar kita yang kalau gunakan wang dan harta untuk menyatukan manusia, tidak akan berjaya. Mungkin mereka tunjuk bersatu sekejap sahaja tetapi lama kelamaan akan hilang penyatuan itu.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَينَهُم

akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. 

Manusia tidak dapat menyatukan hati manusia, tetapi Allah ﷻ jua yang mampu untuk menyatukannya kalau mereka mentauhidkan Allah ﷻ. Oleh itu, kalau hendak bersatu, mestilah berpegangan tauhid. Sekiranya semua berpegang dengan fahaman tauhid yang sama, panduan Al-Qur’an yang sama, Allah ﷻ boleh menghilangkan perbezaan antara manusia.

Dengan Al-Qur’anlah sahaja umat manusia boleh bersatu. Jika semua berpegang dengan Al-Qur’an, barulah boleh duduk sama. Allah ﷻ telah pernah melakukannya dahulu di Madinah – mereka berpegang kepada wahyu yang sama, dan kerana itu mereka boleh bersatu.

Orang selalu kata yang umat Islam sudah tidak bersatu. Akan tetapi tidak ramai yang bertanya, apakah yang boleh menyatukan kita kembali? Jawapannya: dengan Al-Qur’an. Apabila kita ada sumber rujukan yang sama, maka akan bersatulah kita, sebagaimana puak Ansar dan puak Muhajirin dapat bersatu kerana Al-Qur’an.

Oleh kerana itu, kita kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya faham apakah yang dikehendaki oleh Allah ﷻ supaya semua kita ada fahaman yang sama, sekurang-kurangnya tentang tauhid. Ini kerana perpecahan yang besar sekarang adalah tentang tauhid. Kalau kita dapat satukan, itu sudah cukup kuat.

Untuk belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami Al-Qur’an, kita hendaklah mulakan belajar untuk menguasai bahasa Arab. Itulah cara terbaik. Kita belajar bahasa Arab kerana cinta kita kepada agama. Jika kita sayangkan bahasa Arab, ia boleh meningkat kasih kita sesama umat.

Sekiranya Bahasa Arab diterapkan dalam diri umat Islam, maka akan mudah untuk bersatu. Ini adalah kerana kita sudah ada satu bahasa perantaraan antara kita. Satu bahasa untuk semua Muslim! Kalau itu berjaya, maka senang untuk berinteraksi, senang untuk berbincang dan bersembang. Ia akan menjadi satu tali yang mengikat kita semua. Pergi mana-mana negara yang ada orang Islam pun, semua bercakap satu bahasa.

 

إِنَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Termasuk mempersatukan hati-hati manusia.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam merancang segala sesuatu. Apa-apa yang berlaku adalah atas kebijaksanaan Allah ﷻ.


 

Anfal Ayat 64: Ini adalah undang-undang peperangan yang ke 5. Ayat ini adalah khitab untuk Nabi Muhammad ﷺ.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَسبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, sufficient for you is Allāh and for whoever follows you of the believers.

(MALAY)

Hai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَسبُكَ اللَّهُ

Hai Nabi, cukuplah Allah bagimu

Nabi Muhammad ﷺ diingatkan dalam ayat ini, dalam menentang orang kafir itu, cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu baginda. Nabi ﷺ tidak perlu selain Allah ﷻ.

Ini mengajar kita yang Allah ﷻ cukup bagi kita. Kalau tidak, segala apa yang selain-Nya tidak akan dapat mencukupkan kita. Sama ada harta yang banyak, keluarga yang ramai atau pengikut yang banyak. Ramai orang yang ada semua itu, tetapi hatinya tetap ada rasa tidak puas, bukan? Ini kerana Allah ﷻ tidak ada dalam hatinya. Pergantungannya bukan kepada Allah ﷻ tetapi kepada benda.

Lihatlah doa ghulam (budak) di dalam kisah Surah Buruj di mana dia berdoa apabila diseksa oleh raja yang zalim:

اللهم أكفنيهم بما شئت

Ya Allah cukupkanlah aku dalam urusanku dengan mereka sekehendakmu

 

وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤمِنينَ

dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu.

Ini pula adalah khitab kepada orang mukmin. Cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu kepada orang-orang yang mengikut Nabi Muhammad ﷺ dalam kalangan para mukmin. Oleh itu, kita kena bergantung kepada Allah ﷻ, kena rasa cukup dengan bantuan Allah ﷻ. Kalau orang lain tidak tolong pun, Allah ﷻ tetap akan tolong.

Maka ada perbezaan terjemahan di sini. Satu terjemahan yang agak tidak tepat (walaupun ia adalah pendapat Hasan Basri) adalah begini: Wahai Nabi, cukuplah bagi engkau Allah dan orang-orang mukmin. Sebaliknya yang lebih tepat adalah Wahai Nabi, cukuplah Allah bagimu, dan bagi orang-orang mukmin, cukuplah juga Allah bagi mereka. Boleh ya nampak perbezaan itu?

Akan tetapi jikalau kita ambil pendapat Imam Hasan رحمه الله itu pun boleh juga. Iaitu bantuan Allah ﷻ adalah bantuan yang sebenarnya dan orang-orang Mukmin itu pula ada bantuan secara fizikal.

Allah ﷻ mengobarkan semangat Nabi ﷺ dan orang-orang mukmin untuk berperang melawan musuh dan menghadapi mereka dalam medan-medan perang. Allah ﷻ memberitahu kepada mereka bahawa Dialah yang akan memberikan kecukupan kepada mereka.

Allah ﷻlah yang akan menolong mereka dan mendukung mereka dalam menghadapi musuh, sekalipun jumlah musuh mereka lebih banyak bilangannya dan bala bantuannya berlipat ganda, sedangkan jumlah pasukan kaum mukmin sedikit.

Habis Ruku’ 8 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 65: Ayat ini juga untuk Nabi ﷺ atau untuk pemimpin yang memimpin umat Islam dalam peperangan.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, urge the believers to battle. If there are among you twenty [who are] steadfast, they will overcome two hundred. And if there are among you one hundred [who are] steadfast, they will overcome a thousand of those who have disbelieved because they are a people who do not understand.

(MALAY)

Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ

Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. 

Seorang pemimpin negara hendaklah sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada mukmin untuk sentiasa berjuang, jangan duduk diam. Negara Islam mesti berjuang di atas jalan Allah ﷻ, jalankan dakwah tauhid kepada manusia. Kalimah حَرِّضِ adalah dari katadasar ح ر ض yang bermaksud merangsang, mendesak, menghasut seseorang, membangkitkan seseorang untuk bersemangat atau untuk melawan, berusaha secara berterusan atau tekun untuk bekerja, merosakkan atau mencacatkan atau memusnahkan diri sendiri atau jiwa sendiri. Jadi kalimah حَرَضَ bermaksud memujuk dalam satu hal yang sekiranya tidak dilakukan akan menyebabkan kematian dan kehancuran. Jadi ia adalah satu yang amat penting.  Ini adalah tugas khalifah negara Islam. Mestilah memberikan galakan dan motivasi dalam ceramah, dalam promosi dan sebagainya, ikut keadaan semasa.

Kerana itulah Rasulullah ﷺ selalu mengobarkan semangat pasukan kaum mukmin untuk berperang di kala mereka telah berbaris dan menghadapi musuh-musuhnya. Seperti yang pernah disabdakannya kepada para sahabatnya dalam Perang Badar, iaitu ketika pasukan kaum musyrik datang dengan semua kekuatannya, iaitu:

“قُومُوا إلى جنة عرضها السموات والأرض”

Bangkitlah kalian menuju syurga yang luasnya sama dengan langit dan bumi.

Maka Umair ibnul Hammam رضي الله عنه bertanya, “Luas syurga itu sama dengan langit dan bumi?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Ya.” Umair رضي الله عنه berseru, “Wah. Wah!” Rasulullah ﷺ bertanya, “Mengapa kamu katakan wah, wah?” Umair رضي الله عنه menjawab, “Saya berharap semoga saya termasuk peng­huninya.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Engkau termasuk salah seorang penghuninya.” Maka Umair رضي الله عنه maju dan mematahkan sarung pedangnya, lalu mengeluarkan beberapa biji kurma dan memakan sebahagiannya, kemudian sisanya yang masih dipegangnya beliau buang, lalu berkata, “Seandainya saya masih hidup hingga dapat memakan semuanya, sesungguhnya hal itu merupakan hidup yang panjang.” Kemudian beliau maju dan bertempur hingga gugur sebagai syuhada.

(Sahih Muslim (1901))

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang cara baginda membangkitkan semangat umat Islam adalah dengan menjanjikan mereka dengan balasan syurga.

Kenapakah baginda mesti membangkitkan semangat mereka? Ini adalah kerana manusia memang tidak suka berperang kerana ada kemungkinan nyawa mereka akan melayang. Ini seperti disebut di dalam [ Baqarah: 216 ]

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Manusia hendaklah diberikan janji balasan syurga yang lebih besar daripada kematian. Kematian di medan jihad tidaklah sia-sia kerana balasannya amatlah besar. Akan tetapi yang mahu berpegang dengan janji ini tentulah orang yang benar-benar beriman dan percaya kepada janji Allah ﷻ.

Ayat ini diturunkan di waktu Jihad Qital belum diwajibkan lagi kepada umat Islam lagi. Ia adalah fardhu kifayah pada waktu itu – sebab itulah harus mengajak dan menggalakkan umat Islam untuk berperang. Ini termasuklah dalam Perang Badr dan Uhud.

Hanya apabila Perang Tabuk barulah diwajibkan semua umat Islam yang mampu, untuk berperang. Ini disebut dalam Surah Tawbah. Di awal Islam, hadir untuk berperang adalah atas dasar sukarela. Ini adalah kerana pada waktu itu negara Islam masih baru dan tidak boleh untuk mewajibkan kehadiran dalam peperangan lagi.

Oleh kerana ia adalah sukarela, kenalah beri galakan kepada umat Islam untuk menyertainya. Hanya apabila Mekah telah dibuka dan dibersihkan daripada berhala syirik dan amalan syirik, barulah lengkap objektif Negara Islam dan pada waktu itu barulah diwajibkan berperang kepada umat Islam. Pada ketika itu, sekiranya tidak boleh menyertai peperangan yang diwajibkan, maka mereka yang tidak dapat pergi mesti mendapatkan keizinan daripada Nabi ﷺ untuk tidak menyertai peperangan.

 

إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ

Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.

Ini adalah berita gembira. Allah ﷻ memberitahu, sekiranya umat Islam hanya ada 20 orang sahaja tentera, tetapi jika mereka boleh bersabar di medan perang, maka mereka boleh mengalahkan 200 orang kafir. Oleh itu, nisbahnya adalah 1:10. Setiap orang dapat mengalahkan sepuluh orang kafir.

Allah ﷻ telah sebut di dalam [ Baqarah: 249 ] yang golongan yang sedikit boleh mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah ﷻ.

كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ

Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah

Di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang kekuatan umat Islam bukanlah bergantung kepada bilangan tetapi di atas iman. Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang walaupun orang kafir itu ramai, tetapi mereka lemah sahaja.

 

وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا

Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir,

Manakala jika ada 100 orang tentera Islam yang mempunyai sifat sabar, mereka boleh mengalahkan 1,000 orang kafir. Masih lagi dalam nisbah 1:10 dan ini adalah nisbah yang ditetapkan waktu dahulu. Ini adalah janji daripada Allah ﷻ.

Dari segi hukum, jika menggunakan nisbah 1:10, orang Islam tidak boleh lari dari medan pertempuran jika tidak lebih daripada 10 orang musuh yang mereka kena lawan. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah berjanji akan memberi kemenangan kepada mereka untuk nisbah itu.

Nisbah ini kemudiannya diringankan dalam ayat seterusnya selepas ini. Iaitu kemudiannya, perintah ini di-mansukh, tetapi berita gembiranya masih tetap ber­langsung.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
نَزَلَتْ
{ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ }
فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ حِينَ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ أَنْ لَا يَفِرَّ وَاحِدٌ مِنْ عَشَرَةٍ ثُمَّ إِنَّهُ جَاءَ تَخْفِيفٌ فَقَالَ
{ الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ }
قَرَأَ أَبُو تَوْبَةَ إِلَى قَوْلِهِ
{ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ }
قَالَ فَلَمَّا خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ مِنْ الْعِدَّةِ نَقَصَ مِنْ الصَّبْرِ بِقَدْرِ مَا خَفَّفَ عَنْهُمْ

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata, telah turun ayat, “Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.”

Maka hal tersebut terasa berat atas orang-orang Muslim di saat Allah ﷻ mewajibkan kepada mereka agar tidak seorang pun lari daripada sepuluh orang musuh.

Kemudian datang keringanan, Allah ﷻ berfirman, “Sekarang Allah telah meringankan kepadamu…..”

Abu Taubah membacanya hingga firman-Nya: “…. dapat mengalahkan dua ratus orang kafir.”

Abu Taubah berkata, tatkala Allah ﷻ memberikan keringanan kepada mereka dalam hal jumlah maka berkuranglah kesabaran sesuai kadar keringanan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka.

(Hadith Riwayat Abu Daud (2275) disahihkan oleh Albani)

 

بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

Walaupun tentera mukmin itu kurang dari segi bilangan, namun mereka boleh mengalahkan orang kafir yang lebih ramai daripada mereka kerana orang kafir itu kaum yang tidak kenal Allah ﷻ dan tidak memahami agama. Maka mereka tidak tahu dan percaya dengan janji-janji Allah ﷻ. Sedangkan umat Islam mempercayai benar dengan janji-janji Allah ﷻ dan kerana itu mereka tidak takut jihad kerana mereka memang mengejar mati syahid.

Oleh kerana orang kafir itu tidak memahami agama, maka mereka tidak ikut undang-undang yang Allah ﷻ telah tetapkan dan Allah ﷻ tidak akan berpihak kepada mereka. Bila Allah ﷻ tidak berpihak kepada mereka, mereka tidak akan mendapat kemenangan.

Mereka juga tidak memahami kenapa mereka berperang. Mereka tidak ada satu tujuan yang besar (menuju ke syurga). Mereka cuma ikut sahaja arahan daripada pihak atasan. Mungkin mereka ditawarkan dengan balasan keduniaan seperti harta. Ini bukanlah motivasi yang kuat. Apabila seseorang yang keluar berperang tanpa sebab yang besar, mereka akan lemah. Begitulah yang terjadi zaman sekarang.

Sebagai contoh, banyak kisah bagaimana tentera Amerika yang bertugas di Iraq dan negara-negara Arab lain, menulis surat kepada keluarga mereka dan mengaku yang mereka pun tidak tahu kenapakah mereka berperang. Semangat mereka tidak ada. Mereka berperang kerana arahan sahaja dan mereka tidak tahu kenapa mereka perlu pergi ke sana.

Sedangkan mereka yang mempunyai tujuan peperangan dan kenapa mereka keluar berperang, mereka itu akan sepuluh kali ganda lebih kuat. Semangat mereka kental. Sebagai Muslim apabila mereka keluar sahaja untuk berjihad, mereka sudah menang kerana sekiranya mereka mati, mereka akan mati syahid dan mereka akan terus masuk ke syurga. Jika menang dan hidup, mereka akan dapat pahala yang hebat dan mungkin harga ghanimah.

Dari segi bahasa, kalimah فقه itu lebih hebat daripada عليم. Orang yang alim itu mungkin tahu ilmu secara mendalam akan tetapi dia tidak mempraktikkan ilmunya itu. Orang yang faqih itu bukan sahaja alim, tetapi dia mengamalkan ilmu yang diketahuinya. Namun untuk menjadi faqih, haruslah menjadi alim terlebih dahulu. Maka beruntunglah orang yang diberikan فقه seperti sabda Rasulullah ﷺ:

‏من يرد الله به خيرًا يفقه في الدين‏

Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, Dia akan memberikan kefahaman agama kepadanya.

(Riwayat Muslim no. 1037)

Di sini kita boleh lihat kepentingan berfikir. Allah ﷻ mahu kita menggunakan akal kita untuk menilai semua perkara terutama sekali tentang agama. Malangnya ramai yang tidak menggunakan fakulti yang Allah ﷻ telah berikan ini dan ikut sahaja manusia lain tanpa periksa.


 

Anfal Ayat 66: Ini adalah ayat rukhsah (keringanan). Ia membatalkan hukum di dalam ayat 65 tadi. Ini adalah dalil yang adanya ayat nasikh dan mansukh.

الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Now, Allāh has lightened [the hardship] for you, and He knows that among you is weakness. So if there are from you one hundred [who are] steadfast, they will overcome two hundred. And if there are among you a thousand, they will overcome two thousand by permission of Allāh. And Allāh is with the steadfast.

(MALAY)

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

 

الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu

Dalam ayat sebelum ini, nisbah yang digunakan oleh Allah ﷻ adalah 1:10. Jika seorang Muslim menghadapi sepuluh orang dalam kalangan tentera kafir, dia tidak boleh melarikan diri. Dalam ayat ini, Allah ﷻ meringankan untuk umat Islam.

 

وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا

dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan.

Kenapakah Allah ﷻ meringankan nisbah itu? Allah ﷻ meringankan kerana Allah ﷻ tahu ada kelemahan pada diri umat Islam. Ini kerana umat Islam sudah semakin ramai apabila ramai yang sudah mula masuk Islam. Mereka sudah masuk Islam akan tetapi iman mereka belum diuji lagi seperti iman umat Islam yang awal.

Memang mereka sudah ramai dari segi kuantiti, namun belum tentu ia sama dari segi kualiti. Kemenangan bukanlah kerana kekuatan tentera tetapi Allah ﷻ  bantu apabila mereka ada kekuatan dari segi keimanan.

Begitulah Islam ini adalah agama rahmah dan tidak memberatkan manusia melebihi kemampuan mereka.

 

فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ

Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir;

Ini adalah undang-undang yang baru: kalau ada 100 orang sabar dalam kalangan tentera Muslim, mereka boleh mengalahkan 200 orang kafir. Maknanya satu Muslim melawan dua orang kafir.

Dari segi hukum, jika bilangan tentera itu untuk setiap orang mesti melawan dua orang kafir, maka tidak boleh lari dari medan peperangan, kena teruskan berperang, tidak boleh berundur diri. Oleh itu, sekiranya lebih daripada itu, dibenarkan untuk berundur. Ini kerana Allah ﷻ tidak menjanjikan kemenangan untuk nisbah melebihi 1:2 itu. Oleh itu, pemimpin perang mestilah memikirkan strategi peperangan. Jika bilangan sekali ganda sahaja, maka masih boleh menang lagi.

 

وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ

dan jika di antaramu ada seribu orang, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang,

Masih mengekalkan nisbah 1:2. Sekiranya ada seribu orang yang sabar, masih boleh mengalahkan 2,000 kafir dengan izin Allah ﷻ.

 

بِإِذنِ اللَّهِ

dengan izin Allah.

Namun harus diingatkan, kemenangan itu mestilah dengan izin Allah ﷻ juga. Bukan dengan kekuatan tentera Muslim. Allah ﷻ yang menentukan siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Sekiranya tentera Islam itu menjaga segala syarat peperangan yang telah ditetapkan, Allah ﷻ pasti akan memberikan kemenangan.

Maknanya, syarat mestilah diikuti. Tidaklah pasti kemenangan jika tidak menepati syarat.

 

وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

Salah satu syarat yang Allah ﷻ sebutkan dalam ayat ini, hendak sentiasa bersabar dalam menjaga hukum. Maksudnya, bertaqwa dengan menjaga segala hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Allah ﷻ pasti akan memberi bantuan kerana Allah ﷻ telah berjanji dalam ayat ini. Dengan kesabaranlah yang Allah ﷻ akan memberikan kemenangan kepada kita, iaitu dengan berkat sabar.

Allah ﷻ tidak kata Dia معكم (bersama kamu) tetapi bersama orang yang sabar. Ini kerana معكم bermaksud hanya dengan para sahabat pada waktu itu sahaja. Maka Allah ﷻ luaskan iaitu asalkan bersabar, Allah ﷻ akan bersama sesiapa golongan mukminin di mana-mana zaman.

Allah ﷻ juga hendak meletakkan syarat sabar untuk mendapat bantuan-Nya. Sekiranya para sahabat pun tidak bersabar, Allah ﷻ juga tidak akan bantu mereka.

Allah ﷻ tidak pernah kata Dia bersama orang salat, orang yang berpuasa, bukan? Ini adalah kerana semua itu adalah rukun dan wajib dilakukan oleh semua orang. Namun begitu, bersabar ini adalah sesuatu yang memerlukan usaha daripada manusia. Allah ﷻ tidak pula meletakkan sabar sebagai rukun kerana susahlah untuk kita hendak menjaganya, bukan? Kerana kadang-kadang kita hilang sabar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Anfal Ayat 60 – 62 (Persediaan untuk Perang)

Anfal Ayat 60: Ini adalah undang-undang ke 3 dalam bahagian kedua surah ini. Ia adalah berkenaan persiapan untuk berperang. Kenalah mempersiapkan peralatan dan mestilah ada latihan tentera. Ini kerana kita pun tahu yang pihak musuh pun sedang bersiap sedia untuk menyerang kita, maka kita pun kena juga bersedia.

وَأَعِدّوا لَهُم مَّا استَطَعتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّباطِ الخَيلِ تُرهِبونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُم وَءآخَرينَ مِن دونِهِم لا تَعلَمونَهُمُ اللَّهُ يَعلَمُهُم ۚ وَما تُنفِقوا مِن شَيءٍ في سَبيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And prepare against them whatever you are able of power and of steeds of war¹ by which you may terrify the enemy of Allāh and your enemy and others besides them whom you do not know [but] whom Allāh knows. And whatever you spend in the cause of Allāh will be fully repaid to you, and you will not be wronged.

  • Or equipment which serves the same purpose.

(MALAY)

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).

 

وَأَعِدّوا لَهُم مَّا استَطَعتُم مِّن قُوَّةٍ

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu

Allah ﷻ mengajar umat Islam, hendaklah umat Islam membuat persiapan untuk menghadapi musuh semampu kita. Jangan duduk bersenang lenang sahaja, tetapi dalam kelemahan. Kekuatan tentera mesti ada.

Allah ﷻ tidaklah memberatkan kita dengan mestinya ada senjata yang sama dengan musuh. Sebab itu dimasukkan kalimat مَا استَطَعتُم (yang semampu kamu). Selebihnya mestilah berserah kepada Allah ﷻ. Ini kerana kemenangan itu bukannya kerana banyak dan canggihnya senjata tetapi kemenangan itu ditentukan oleh Allah ﷻ. Kadangkala senjata musuh lebih hebat, namun kita ada Allah ﷻ.

Senjata jenis bagaimanakah? Kalimah yang digunakan adalah قُوَّةٍ iaitu dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh menjadi kekuatan apa sahaja. Kekuatan itu mestilah mengikut keadaan semasa. Daripada hadith, Nabi ﷺ memberitahu ‘kekuatan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah panah. Panah disebut dalam hadith kerana pada waktu itu, ia merupakan senjata yang paling cepat sampai kepada musuh.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هَارُونُ بْنُ مَعْرُوفٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْب، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ أَبِي عَلِيٍّ ثُمَامة بْنِ شُفَيّ، أَنَّهُ سَمِعَ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يَقُولُ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ: {وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ} أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ”

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Harun ibnu Ma’ruf telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, daripada Abu Ali Sumamah ibnu Syafi (saudara lelaki Uqbah ibnu Amir). Beliau pernah mendengar Uqbah ibnu Amir mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda di atas mimbarnya: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggupi.” Ingatlah, sesungguhnya kekuatan itu terletak pada pasukan pemanah. Ingatlah, sesungguhnya kekuatan itu terletak pada pasukan pemanah.

(HR. Muslim no. 1917, Abu Daud no. 2514, Tirmidzi no 3803, Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 6/2/40, Ibnu Majah no. 2813, Ahmad no. 16791, Ibnu Hibban dalam Sahihnya no. 4709)

Imam Muslim رحمه الله dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Uqbah bin Amir bahawa beliau berkata:

“Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda dan pada masa itu baginda berada di atas mimbar: ( وَأَعِدّوا لَهُم مَا استَطَعتُم مِن قُوَّةٍ ) Ketahuilah bahawa ( القوة ) itu ialah melontar panah! Ketahuilah bahawa ( القوة ) itu ialah melontar panah!”

(HR. Muslim no. 1917)

Namun begitu janganlah dibaca hadith Nabi ﷺ  ini secara literal. Senjata itu hendaklah mengikut zaman. Untuk zaman sekarang, hendaklah disesuaikan dengan apa sahaja alat senjata yang dapat memberi kekuatan dalam peperangan. Jangan pula menggunakan panah kerana mati katak sahaja jika berperang begitu di zaman ini. Takkan musuh menembak dengan menggunakan senapang,  kita hanya membalas serangan dengan panah sahaja?

Ini pernah terjadi di Turki pada satu waktu. Ada ‘ulama’ (yang tidak berapa ulama’ lah) yang kata tidak boleh menggunakan bom dan senapang kerana Nabi ﷺ hanya menggunakan panah dan pedang sahaja. Maka, tentera mereka telah berperang menggunakan senjata kuno. Tentulah kalah teruk. Ini adalah contoh pemahaman hadith yang tersasar terus.

Amat menarik sekali apabila ada kajian yang mengatakan semasa Kerajaan Melayu Melaka dikalahkan oleh Portugis dahulu, kerajaan Melaka bukanlah melawan hanya dengan keris dan lembing sahaja. Mereka mempunyai banyak laras senapang yang telah digunakan oleh pejuang mereka. Malah teknologi senjata Kerajaan Melaka pada ketika itu amat tinggi. Namun begitu, fakta ini telah dikaburkan daripada sejarah.

Kita hendaklah mengikut peredaran masa dan bertindak bersesuaian dengannya. Peperangan pun berubah dari zaman dahulu. Jika dibaca buku tulisan Alvin Toffler: War and Anti-War, beliau membahagikan fasa perang kepada tiga gelombang (“wave”). Gelombang pertama adalah perang menggunakan pedang, panah, kuda dan sebagainya. Gelombang kedua melibatkan kadar kemusnahan lebih berat dan besar apabila menggunakan senapang, bom, kereta kebal dan sebagainya.

Manakala yang menariknya adalah Gelombang ketiga iaitu “Smart War” (Peperangan Pintar) di mana teknologi canggih yang digunakan seperti grid elektrik musuh diserang supaya pertahanan mereka menjadi lumpuh. Tambahan pula sekarang banyak yang menggunakan IoT (Internet of Things) di mana serangan boleh dilakukan menggunakan cara teknologi internet juga.

Oleh hal yang demikian jangan hadkan kekuatan itu pada senjata tertentu sahaja kerana yang penting adalah mesti disesuaikan dengan peredaran semasa. Akan tetapi yang penting adalah asas kekuatan itu, iaitu iman. Sekiranya tiada iman, pasukan akan menjadi lemah dan tiada kekuatan. Bayangkan pada zaman dahulu ada para sahabat yang kurus kering namun disebabkan iman yang kuat, mereka dapat berjuang dengan bersemangat dan dapat mengalahkan musuh.

Bukan sahaja mesti disediakan panah, tetapi kenalah ada kemahiran memanah juga. Ini penting sampaikan ada hadith yang menceritakan bagaimana para sahabat berlatih bermain pedang di dalam masjid. Oleh itu belajar cara menggunakan senjata itu juga penting dan latihan yang bersesuaian mestilah diberikan. Kerana itu banyak negara menyediakan Sekolah Tentera untuk melatih rakyat mereka untuk bersedia.

Malah ada negara yang mewajibkan “military service” (perkhidmatan tentera) kepada rakyat untuk jangka pendek seperti Singapura dan Israel. Kita pun pernah ada juga, namun sekarang entah ke mana. Cuma tidaklah belajar memanah kerana panah tidak digunakan lagi, bukan? Kenalah sesuaikan latihan itu dengan zaman. Berlatih menembak lebih sesuai daripada berlatih memanah untuk zaman sekarang.

Selain daripada itu, yang paling penting adalah bersatu. Para sahabat dahulu kuat kerana mereka bersatu, tidaklah berpecah belah seperti kita sekarang. Lihat firman Allah ﷻ dalam [ Ali Imran: 103 ]

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

 

وَمِن رِّباطِ الخَيلِ

dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang

Lafaz رِباطِ الخَيلِ bermaksud kuda yang ditambat di kandang dengan satu ikatan sahaja. Ia adalah ikatan yang ringkas supaya mudah dan cepat untuk dicabut dan terus bergerak untuk menghadapi musuh.

Ini memberi isyarat bahawa kita hendaklah sentiasa bersedia supaya bila keadaan memerlukan kita berperang, kita boleh terus bertindak. Tidaklah terhegeh-hegeh untuk mencari senjata, kenderaan, serta lambat pula untuk membuka ikatan kuda. Maka ayat ini mengajar kita yang kita mestilah sentiasa bersedia.

وَقَالَ الْإِمَامُ مَالِكٌ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمَّانِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْخَيْلُ لِثَلَاثَةٍ: لِرَجُلٍ أجْر، وَلِرَجُلٍ سِتْرٌ، وَعَلَى رَجُلٍ وِزْرٌ؛ فَأَمَّا الَّذِي لَهُ أَجْرٌ فَرَجُلٌ رَبَطَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَأَطَالَ لَهَا فِي مَرْجٍ -أَوْ: رَوْضَةٍ -فَمَا أَصَابَتْ فِي طِيَلِهَا ذَلِكَ مِنَ الْمَرْجِ -أَوْ: الرَّوْضَةِ -كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ، وَلَوْ أَنَّهَا قَطَعَتْ طِيَلَهَا فَاسْتَنَّتْ شَرَفًا أَوْ شَرَفَيْنِ كَانَتْ آثَارُهَا وَأَرْوَاثُهَا حَسَنَاتٍ لَهُ، وَلَوْ أَنَّهَا مَرَّتْ بِنَهَرٍ فَشَرِبَتْ مِنْهُ، وَلَمْ يُرِدْ أَنْ يَسْقِيَ بِهِ، كَانَ ذَلِكَ حَسَنَاتٍ لَهُ؛ فَهِيَ لِذَلِكَ الرَّجُلِ أَجْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا تغنِّيًا وَتَعَفُّفًا، وَلَمْ يَنْسَ حَقَّ اللَّهِ فِي رِقَابِهَا وَلَا ظُهُورِهَا، فَهِيَ لَهُ سِتْرٌ، وَرَجُلٌ رَبَطَهَا فَخْرًا وَرِيَاءً وَنِوَاءً فَهِيَ عَلَى ذَلِكَ وِزْرٌ”. وَسُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحُمُرِ فَقَالَ: “مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيَّ فِيهَا شَيْئًا إِلَّا هَذِهِ الْآيَةَ الْجَامِعَةَ الْفَاذَّةَ: {فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Zaid ibnu Aslam. daripada Abu Saleh As-Samman, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah ­bersabda: Kuda itu mempunyai tiga fungsi; bagi seseorang berfungsi men­datangkan pahala, bagi yang lainnya berfungsi menjadi penutup bagi dirinya, dan bagi yang lainnya lagi berakibat mendatang­kan dosa baginya.

Adapun kuda yang dapat mendatangkan pahala bagi pemiliknya ialah bila pemiliknya menambatkannya untuk persiapan berjuang di jalan Allah ﷻ. Jika kuda itu berada lama di kandangnya atau di tempat penggembalaannya, maka segala sesuatu yang dimakannya dalam kandang dan tempat peng­gembalaannya itu selama ia berada di sana merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan seandainya kuda itu terlepas dari kandangnya, lalu berlari-lari berputar-putar sekali putar atau dua kali putar, maka semua jejak kakinya dan kotoran yang dikeluarkannya merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemilik­nya. Dan seandainya kuda itu melewati sebuah sungai, lalu minum airnya, sedangkan pemiliknya tidak mahu memberinya minum, maka hal itu merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemiliknya. Semuanya itu mendatangkan pahala bagi pemiliknya.

Dan seorang lelaki yang menambatkannya untuk keperluan mencari kecukupan (nafkah) dan memelihara harga diri (agar tidak meminta-minta), tanpa melupakan hak Allah ﷻ yang ada pada leher dan punggungnya, maka hal itu merupakan penutup bagi (keperluannya). 

Dan seorang lelaki yang menambatkannya untuk kebanggaan, pamer, dan kesombongan, maka kuda itu mendatangkan dosa bagi pemiliknya. 

Rasulullah ﷺ pernah ditanya mengenai keldai, maka baginda ﷺ bersabda: Tidak ada sesuatu pun yang diturunkan kepadaku mengenainya kecuali ayat yang bermakna menyeluruh lagi menyendiri ini, iaitu firman-Nya, “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah: 7-8)

(HR. Bukhari no. 2371, Muslim 987)

Kuda disebut dalam ayat ini kerana ia amat sesuai pada zaman itu. Kuda adalah alat kenderaan yang paling sesuai semasa perang kerana ia laju dan dapat bergerak dalam semua keadaan. Malah zaman sekarang pun kuda masih lagi digunakan.

Yang perlu menyediakan kelengkapan perang ini sekarang adalah kerajaan. Kerana itulah perbelanjaan Kementerian Pertahanan adalah tinggi kerana ia memerlukan belanja yang besar. Maka kerajaan Islam pun mestilah memperuntukkan belanjawan yang besar. Oleh itu, jangan hairan kalau perbelanjaan ini tinggi. Namun begitu, ini perlulah dilakukan dengan berhemah. Jangan bazirkan wang rakyat dan wang negara. Jangan belanja sampai 6 bilion ringgit tetapi kapal selam tidak nampak rupa.

Ayat ini sebenarnya berat kerana di dalam ayat ini ada suruhan daripada Allah . Apabila ada suruhan, ia mesti ditaati kerana ia adalah kewajipan. Akan tetapi adakah kita perasan yang ini adalah satu kewajipan ke atas kita? Kalau tidak perasan, maka ini sudah berat. Ada pendapat yang mengatakan entah berapa banyak daripada kita atau kerajaan yang mendapat dosa percuma kerana tidak menjalankan kewajipan ini. Begitulah kalau Al-Qur’an sudah lama ditinggalkan (iaitu pemahaman kepada Al-Qur’an).

Ayat ini diturunkan selepas Perang Badr. Pada waktu itu umat Islam telah menang walaupun tanpa senjata yang lengkap dan bilangan tentera yang ramai. Allah ﷻ  boleh sahaja memberikan kemenangan kepada umat Islam tanpa senjata. Akan tetapi Allah hendak umat Islam bersedia apabila perlu.

Namun begitu, ini adalah tentang jihad perang. Bagaimana pula dengan satu lagi jenis jihad iaitu jihad lisan atau jihad dalam dakwah? Kalau jihad perang pun memerlukan persediaan, maka jihad lisan juga begitu. Ini bermaksud kita kenalah bersedia dengan material dalam bentuk penulisan, video, ceramah dan sebagainya. Kerana kita juga sedang berjihad, bukan?

Kerana itu saya teringat soalan yang diberikan kepada Dr. Zakir Naik. Jika kita menonton video-video beliau, kita nampak gah betul bentuk pentas sesi ceramah yang dianjurkannya itu. Sampaikan kualiti pentas itu sama standard dengan majlis anugerah filem Bollywood. Orang bertanya kepadanya kenapa hendak menghabiskan duit sampai begitu? Bukankah sudah mencukupi sekadar adanya pentas dan mikrofon sahaja?

Jawapan beliau yang hebat: “Jikalau mereka membelanjakan wang yang banyak untuk mengajak ke arah maksiat, kenapa kita tidak boleh belanjakan yang banyak juga untuk mengajak kepada Allah?”

 

تُرهِبونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُم

dengannya kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu

Allah memberitahu bahawa tujuan membuat persiapan itu adalah untuk menakutkan musuh Allah dan musuh umat Islam. Bukannya tujuan kita hendak membunuh atau mengebom orang kafir seperti yang dilakukan oleh golongan jahil. Yang sebenarnya adalah untuk menakutkan musuh kita, supaya mereka tidak ganggu kita dan ambil mudah dengan kita.

Allah kata musuh-Nya dan musuh kita. Ini mengajar kita yang musuh kita adalah sama sahaja dengan musuh Allah . Kita benci yang Allah ﷻ  benci dan kita sayang yang Allah sayang. Kena ada persamaan. Kita kena sayang dan benci atas agama. Begitu juga kita berkawan dan bermusuh itu kerana agama.

Maka kena tunjukkan yang umat Islam ini sentiasa bersedia untuk berperang kalau diganggu kerana pihak musuh tentunya akan menghantar mata-mata gelap untuk mendapatkan maklumat tentang kita. Kita mahu mereka melaporkan kepada pihak atasan mereka yang bahaya kalau menyerang umat Islam kerana umat Islam sentiasa sahaja bersedia.

Yang penting mereka kena takut dengan kita. Akan tetapi zaman sekarang tidaklah musuh Islam takut dengan kita. Ini kerana kita beli senjata pun daripada mereka, bukan? Tentulah mereka memberikan senjata yang berkelas rendah sahaja. Kalau kapal selam pun belum tentu boleh berselam lagi dan mereka tidak takut dengan kita kerana mereka tahu kita tidak ada semangat.

Musuh Islam itu ramai. Ada musuh yang jelas pada pandangan mata kita. Kalau pada zaman Nabi, ia adalah Musyrikin Mekah dan Yahudi yang mahu memutuskan perjanjian dengan umat Islam dan belot untuk menyerang umat Islam bila-bila masa sahaja.

 

وَءآخَرينَ مِن دونِهِم لا تَعلَمونَهُمُ اللَّهُ يَعلَمُهُم

dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. 

Selain daripada musuh-musuh yang jelas, ada lagi musuh-musuh lain. Ada musuh yang tidak bertembung lagi dengan umat Islam. Mereka menunggu masa sahaja untuk menyerang umat Islam. Sebagai contoh, ada kerajaan Rom dan Parsi waktu itu. Semasa ayat ini diturunkan, para sahabat tidak sangka pun yang mereka nanti akan berperang dengan kuasa besar dunia pada waktu itu.

Atau ia mungkin bermaksud puak munafik. Ini kerana mereka itu musuh dalam lipatan. Nampak sahaja mereka itu seperti orang Islam yang lain, tetapi di dalam hati mereka menyimpan kebencian kepada Islam dan umat Islam. Golongan Mukminin tidak tahu siapa yang sebenarnya munafik, tetapi Allah tahu.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu daripada Bani Quzairah iaitu salah satu golongan Yahudi. Mereka itu nanti akan bersekongkol dengan puak Mekah untuk cuba menjatuhkan umat Islam.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu adalah jin dan syaitan. Mereka itu memang musuh tetapi kita tidak nampak mereka.

Tentu ada lagi golongan musuh kita yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu siapakah musuh-musuh itu kerana mereka belum menjelaskan diri mereka lagi. Akan tetapi Allah tahu siapakah mereka. Allah tahu kebencian dan persediaan mereka untuk menyerang umat Islam. Maka kita kena bersedia supaya mereka pun tidak berani untuk menyerang umat Islam. Atau, kalau mereka menyerang, kita sudah bersedia. Begitulah yang terjadi pada zaman Khulafa ur Rashidin dulu. Orang-orang kafir amat takut dengan mereka kerana kekuatan yang mereka ada pada waktu itu.

Allah kata kita tidak tahu siapa musuh kita, tetapi Dia mengetahui. Oleh itu, kita kena serahkan kepada Allah sahaja. Jangan kita kata puak itu atau puak ini musuh kita. Selagi tidak ada bukti yang jelas mereka khianat atau hendak menyerang kita, kita tidak boleh memusuhi mereka lagi. Oleh itu jangan senang-senang untuk memanggil orang lain sebagai Kafir Harbi pula. Beberapa tahun lepas kecoh juga negara kita kerana ada yang memanggil golongan parti politik seperti DAP itu Kafir Harbi. Ini tidak benar sama sekali. Salah takrif kalau begitu.

Begitu juga dengan orang munafik. Ia adalah rahsia Allah , maka kita tidak boleh kata orang itu munafik atau tidak. Kita tidak tahu perkara ghaib iaitu dalam hati manusia. Amat menghairankan sekiranya ada orang yang menuduh orang lain sebagai munafik. Ya dia mungkin ada sifat-sifat munafik, namun janganlah kita terus panggil dia munafik pula kerana tuduhan ini amat berat.

 

وَما تُنفِقوا مِن شَيءٍ في سَبيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيكُم

Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu

Ini adalah targhib (ajakan) kepada infaq. Untuk menyediakan kelengkapan perang itu, memang infaq amat diperlukan sangat. Bukan sahaja persediaan senjata, tetapi gaji kepada askar pun memerlukan wang juga. Allah beritahu yang mereka yang infaq akan diberi balasan dengan sepenuhnya malah berlebih lagi.

Ketika zaman dahulu, kerajaan Islam tidak ada tentera yang bergaji lagi. Maka semua peralatan senjata dan persediaan perang itu datang daripada orang Muslim. Mereka digalakkan untuk infaq dan Allah menjanjikan balasan yang tinggi kepada mereka. Ia mungkin di dunia lagi di mana mereka mendapat harga ghanimah/anfal atau kalau tidak, tentu ia akan dibalas di akhirat kelak.

Infaq fisabilillah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah infaq untuk menegakkan dakwah islamiah, iaitu untuk menjadikan ajaran tauhid dikenali. Ini bukan infaq untuk membantu seperti bantu anak yatim dan sebagainya. Itu pun infaq juga, tetapi secara khusus, sementara infaq fisabilillah dalam ayat ini adalah untuk dakwah, termasuk juga untuk perang. Ini kerana kadang-kadang dakwah itu memerlukan peperangan. Kita sebutkan kerana ada yang menggunakan lafaz infaq fisabilillah untuk infaq yang biasa. Itu tidak berapa tepat.

Bagaimana pula untuk zaman sekarang yang sudah ada tentera? Juga tidak ada perang jihad lagi. Maka infaq yang digalakkan adalah infaq dalam membantu urusan dakwah secara lisan kepada manusia. Ini tidak syak lagi memerlukan bantuan daripada semua kalangan masyarakat Islam kita. Banyak persatuan dakwah yang memerlukan dana untuk mereka bergerak, maka peluang untuk infaq ini sentiasa sahaja ada.

 

وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)

Maksudnya segala kebaikan akan dibalas. Tidaklah Allah tertinggal untuk memberikan pahala di atas segala kebaikan kita. Ini kerana Allah tahu semua yang kita lakukan. Kalau bos di pejabat kita mungkin tidak balas segala kerja kita kerana dia tidak tahu apa yang kita buat semuanya sekali, tetapi Allah ﷻ  maha tahu belaka apa yang kita lakukan.


 

Anfal Ayat 61: Ini adalah undang-undang ke 4. Apa yang perlu dilakukan jikalau kita rasa ada kebaikan untuk berdamai.

۞ وَإِن جَنَحوا لِلسَّلمِ فَاجنَح لَها وَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they incline to peace, then incline to it [also] and rely upon Allāh. Indeed, it is He who is the Hearing, the Knowing.

(MALAY)

Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِن جَنَحوا لِلسَّلمِ

Dan jika mereka condong kepada perdamaian,

Kalimah السلم (perdamaian) adalah lawan kepada الحرب (perang). Kalimah ‘islam’ pun diambil daripada katadasar yang sama: س ل م iaitu bermaksud damai, aman, penyerahan. Islam mementingkan perdamaian. Oleh itu jika golongan kafir condong untuk berdamai dengan umat Islam, kita boleh berdamai dengan mereka.

Lafaz جَنَحوا berasal daripada katadasar ج ن ح yang bermaksud ‘sayap’. Maksud yang digunakan dalam ayat ini adalah mereka merendahkan sayap mereka terhadap umat Islam. Itu sebagai tanda yang mereka merendahkan diri dengan kita dan mahukan perdamaian. Sekiranya burung itu menaikkan sayapnya, itu adalah apabila ia hendak menyerang.

Mungkin ada yang berkata: “Takkan nak percaya kepada musuh pula?” Kita kena faham bahawa inilah akhlak Islam, iaitu mahu kepada perdamaian. Kita bukannya hendak bermusuh dan hendak berbunuhan.

Keduanya, kita tidak tahu apa yang di dalam hati manusia. Kita ikut yang zahir sahaja. Kalau zahirnya musuh mahu berdamai, maka kita boleh berdamai dengan mereka, tidak ada masalah kerana kita memang sukakan perdamaian. Sekiranya kita hendak tikam musuh dalam peperangan pun dan tiba-tiba dia mengucap, kita tidak boleh bunuh dia.

Itu pun jika ada kebaikan kepada Islam. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan kebaikan untuk mereka, tetapi kenalah dilihat kepada kebaikan kepada agama. Ini kerana agama Islam adalah agama yang benar dan tinggi daripada agama lain. Maka kita kena meninggikan agama Islam ini. Bukannya mengikut kepentingan agama lain.

Jika kita berdamai dengan musuh, kita boleh membuat kerja lain seperti dakwah. Tidaklah sibuk dengan berperang dan buat persediaan perang tanpa henti. Kerana itulah, ketika kaum musyrik pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah mengajukan usul perdamaian dan gencatan senjata antara mereka dan Rasulullah ﷺ selama sembilan tahun, Rasulullah ﷺ menerima usul mereka, sekalipun ada usul persyaratan lain yang diajukan mereka.

Pada waktu itu ada sahabat seperti Saidina Umar رضي الله عنه yang tidak setuju kerana nampak syarat-syarat itu tidak benar. Namun begitu ada kebaikan dalam perjanjian itu kerana kerja dakwah dapat berjalan dengan lebih pesat dan pada waktu itulah manusia paling ramai masuk Islam.

Dalam ayat ini disebut kalau musuh yang ajak berdamai. Ini menunjukkan kekuatan ada di pihak Muslim. Maka, bolehkah kita pula yang ajak berdamai? Bagaimana kalau kita dalam kedudukan yang lemah pula? Ulama’ mengatakan ia boleh dilakukan.

 

فَاجنَح لَها وَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ

maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah.

Jika pihak kafir mahu berdamai dan ada kebaikan untuk Islam, maka berdamailah dengan mereka. Namun kena faham yang ia tidaklah wajib, bergantung kepada keadaan. Maka pemimpin mesti membuat penilaian berdasarkan kepada keadaan. Sekiranya ia baik bagi agama Islam, maka seboleh-bolehnya hendaklah menerima ajakan perdamaian daripada mereka.

Selepas itu, apa sahaja yang akan berlaku selepas berdamai, serah sahaja kepada Allah ﷻ. Maknanya kenalah bertawakal kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana realitinya, kita tidak tahu apa yang mereka rancangkan. Mungkin pihak kafir itu ada tipu muslihat, hanya tunjuk berdamai sahaja tetapi membuat perancangan lain pula untuk menyerang kita. Kita pula sangka mereka sudah hendak berdamai, maka kita sudah kendurkan persediaan kita, tiba-tiba mereka serang kita pula. Tentulah kita di dalam keadaan tidak bersedia pada waktu itu.

Ini amat menakutkan jika terjadi. Kita tidak tahu apa rancangan mereka; kita juga tidak mampu untuk memasang mata kita di setiap tempat. Namun begitu, Allah ﷻ beritahu di sini yang kita tawakallah sahaja kepada Allah ﷻ. Maknanya, serah sahaja kepada Allah ﷻ hal mereka.

Akan tetapi jangan lupa syarat tawakal adalah pertama kenalah berusaha terlebih dahulu; dan kedua, kenalah taat kepada Allah ﷻ. Apabila ada dua perkara ini, barulah lengkap tawakal itu dan barulah Allah ﷻ akan bantu.

 

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Kita tidak dengar perancangan jahat musuh (jika ada) dan kita tidak tahu apa yang di dalam hati mereka. Namun Allah ﷻ Maha Mengetahui. Sebab itu kita serahkan kepada Allah ﷻ kerana kita yakin yang Allah ﷻ mendengar apa yang mereka rancangkan. Allah ﷻ tahu apakah rancangan mereka – sama ada baik atau buruk. Kalau kita serah urusan kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan memberikan jalan terbaik bagi kita dan akan selamatkan kita.

Apabila telah diletakkan kalimah إِنَّهُ (sesungguhnya Dia) dan kemudian ditambah pula lagi dengan kalimah هُوَ (Dia) maka ini ada isyarat kepada eksklusif, iaitu *hanya* Allah ﷻ sahaja yang ada sifat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Makhluk tidak ada kuasa ini.


 

Anfal Ayat 62: Ayat sebelum ini disebut jika orang kafir itu mahu berdamai maka terimalah damai itu dan tawakallah sahaja kepada Allah ﷻ. Ini kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar ingin berdamai atau tidak. Kita tentunya tidak tahu apa yang di dalam hati mereka. Kita tidak tahu sama ada mereka jujur ataupun tidak.

وَإِن يُريدوا أَن يَخدَعوكَ فَإِنَّ حَسبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذي أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ وَبِالمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they intend to deceive you – then sufficient for you is Allāh. It is He who supported you with His help and with the believers

(MALAY)

Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin,

 

وَإِن يُريدوا أَن يَخدَعوكَ فَإِنَّ حَسبَكَ اللَّهُ

Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah

Sekiranya mereka ingin menipu kamu; sebagai contoh, mereka kata mereka hendak berdamai namun kemudiannya mereka mengambil kesempatan untuk menjatuhkan kita, kemungkinan itu kita serah sahaja kepada Allah ﷻ.

Sesungguhnya cukuplah Allah ﷻ bagi kita sebagai penolong kita. Kena ingat yang Allah ﷻ tahu bagaimana untuk membalas kepada mereka jika mereka mengkhianati kita. Mereka tidak akan selamat kalau mereka ambil langkah begitu. Serahkan diri kita kepada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ tahu bagaimana hendak melindungi kita.

 

هُوَ الَّذي أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ وَبِالمُؤمِنينَ

Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin,

Allah ﷻ sentiasa menyokong Nabi Muhammad ﷺ dengan bantuan-Nya. Bukan sahaja kepada baginda tetapi Allah ﷻ juga memberi bantuan kepada orang mukmin yang lain.

Allah ﷻ sudah sebut أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ (Dia memperkuatmu dengan pertolongan-Nya) yang tentulah sudah cukup. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ sebut lagi bantuan بِالمُؤمِنينَ (dengan para mukmin)? Kita kenalah sedar yang bantuan Allah ﷻ boleh datang terus daripada-Nya yang tidak disangka-sangka, dan ada bantuan yang melalui perantaraan. Dalam kes ini, Allah ﷻ hendak memberitahu yang para mukmin yang membantu baginda itu pun sebenarnya adalah bantuan daripada Allah ﷻ juga. Allah ﷻ yang menggerakkan mereka membantu baginda.

Siapakah المُؤمِنينَ yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Ada beberapa pendapat:

1. Golongan Ansar. Mereka ini memberi tempat kepada muhajirin yang memerlukan tempat perlindungan selepas ditindas oleh Musyrikin Mekah.

2. Golongan Ansar dan Muhajirin. Gabungan kedua-dua golongan ini yang membantu Rasulullah ﷺ menegakkan agama Allah ﷻ .

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien