Tafsir Surah Tawbah Ayat 64 – 67 (Takut dengan Al-Qur’an)

KATA-KATA KUFUR DIBONGKAR

Tawbah Ayat 64: Ayat syikayah – teguran tentang puak munafikin berkenaan sifat mereka yang mempersendakan agama.

يَحذَرُ المُنٰفِقونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيهِم سورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِما في قُلوبِهِم ۚ قُلِ استَهزِئوا إِنَّ اللَّهَ مُخرِجٌ مّا تَحذَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The hypocrites are apprehensive lest a sūrah be revealed about them, informing them of¹ what is in their hearts. Say, “Mock [as you wish]; indeed, Allah will expose that which you fear.”

  • i.e., exposing the truth about.

(MALAY)

Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surah yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: “Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan rasul-Nya)”. Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.

 

يَحذَرُ المُنٰفِقونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيهِم سورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِما في قُلوبِهِم

Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

Golongan munafik itu sangat bimbang sekiranya turun satu surah atau ayat yang menceritakan apa yang ada dalam hati mereka. Oleh kerana kalimah يَحذَرُ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ maka ia bermaksud mereka sentiasa takut. Tidak tenang dan tidak keruan sahaja mereka. Maka itu adalah sifat orang Munafik. Sebaliknya sifat orang Mukmin adalah tenang-tenang sahaja. Seperti disebut dalam banyak ayat seperti Baqarah: 38

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
nescaya tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita

Golongan Munafik itu amat takut kalau ada ayat yang beritahu semua orang tentang sifat munafik mereka. Maka, kalau ada surah baru turun, mereka risau takut-takut itu adalah surah yang membuka pekung yang ada dalam hati mereka. Kalau yang zahir, semua orang sudah nampak (mereka solat dengan Nabi ﷺ, mereka pun mengaku Muslim).

Mereka selama ini menyembunyikan perasaan dan sifat mereka daripada manusia lain. Mereka sembunyikan kekufuran mereka selama ini maka mereka sentiasa dalam ketakutan sahaja. Itulah penyakit mereka dan Allah ﷻ tambah lagi penyakit mereka seperti disebut dalam Baqarah: 10

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;

Ternyata penyakit mereka adalah penyakit hati, bukan penyakit fizikal ataupun mental. Harus diingatkan di sini penyakit hati dan penyakit mental adalah dua penyakit berbeza ya. Namun begitu kedua-duanya adalah berkait rapat. Jika tidak dikawal dan dibendung antara keduanya akan mendatangkan bahaya. Sesungguhnya penyakit hati (hasad dengki, riya’, bersangka buruk, tamak, sombong, pemarah, ghibah, bakhil, tamak dan sebagainya) ini adalah lebih berbahaya kerana boleh membawa ke neraka. Kalau penyakit fizikal atau mental yang paling menyakitkan sekalipun akhirnya akan hilang sakitnya dengan kematian. Akan tetapi untuk penyakit hati iaitu penyakit akidah, sakitnya tidak akan berakhir dengan kematian. Berbeza sekali dengan penyakit fizikal atau mental di mana ganjaran pahala akan diperolehi malah akan terhapus dosanya sekiranya seseorang itu bersabar menghadapinya. Maka hakikat sebenarnya penyakit fizikal atau mental itu membawa kebaikan.

Ini seperti kisah seorang wanita hitam di zaman Nabi ﷺ,

حَدَّثَنِي عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ أَلَا أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ هَذِهِ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاءُ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنِّي أُصْرَعُ وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي قَالَ إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ فَقَالَتْ أَصْبِرُ فَقَالَتْ إِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لَا أَتَكَشَّفَ فَدَعَا لَهَا
[‘Atha` bin Abu Rabah رضي الله عنه] dia berkata; [Ibnu Abbas رضي الله عنهما] pernah berkata kepadaku; “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita daripada penduduk syurga?” jawabku; “Tentu.” Dia berkata; “Wanita berkulit hitam ini, dia pernah menemui Nabi ﷺ sambil berkata; “Sesungguhnya aku menderita epilepsi dan auratku sering tersingkap (ketika sedang sawan), maka berdoalah kepada Allah ﷻ untukku.” Baginda bersabda: “Jika kamu berkenan, bersabarlah maka bagimu syurga, dan jika kamu berkenan, maka aku akan berdoa kepada Allah ﷻ agar Allah ﷻ menyembuhkanmu.” Dia berkata; “Baiklah aku akan bersabar.” Wanita itu berkata lagi; “Namun berdoalah kepada Allah ﷻ agar (auratku) tidak tersingkap.” Maka baginda mendoakan untuknya.”
(Sahih Bukhari No. 5220)

Ternyata penyakit tubuh badan tidak besar masalahnya, tetapi yang masalah besar adalah penyakit hati seperti yang dialami oleh golongan Munafik itu. Mujahid رحمه الله mengatakan bahawa orang-orang munafik itu mengucapkan suatu ucapan di antara sesama mereka, kemudian mereka mengatakan, “Mudah-mudahan Allah tidak membuka rahsia kita ini yang akibatnya membahayakan diri kita.

Sebenarnya surah apa yang mereka takuti itu? Mereka takut ada satu surah yang menceritakan tentang mereka dan memang turun pun surah itu. Iaitu Surah Tawbah inilah. Kerana itu salah satu nama Surah Tawbah ini adalah Al-Muba’tsarah (terbongkar). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang pembongkaran rahsia-rahsia orang-orang munafik.

Semua sekali ada 13 nama bagi surah ini sebagaimana yang telah dikutip oleh Syeikh Wahbah Az-Zuhaili رحمه الله. Kebanyakan daripadanya berkenaan golongan Munafik.

1. Bara’ah (berlepas diri). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ yang berlepas diri daripada orang-orang munafik.
2. At-Taubah (pertaubatan). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang taubat orang-orang yang beriman.
3. Al-Muqasyqasyah (terbebas). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ terbebas daripada kemunafikan.
4. Al-Muba’tsarah (terbongkar). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang terbongkarnya rahsia-rahsia orang-orang munafik.
5. Al-Musyarradah (tercerai berai). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang tercerai berainya orang-orang munafik.
6. Al-Makhziyyah (menghinakan). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang hinanya orang-orang munafik.
7. Al-Fadhihah (penyingkap). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang menyingkap rahsia-rahsia orang-orang munafik.
8. Al-Mutsirah (provokator). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang memprovokasi rahsia-rahsia orang-orang munafik.
9. Al-Hafirah (penggali). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang menggali rahsia-rahsia orang-orang munafik.
10. Al-Munakkilah (penghukum yang berat). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang orang-orang munafik yang diberi hukuman yang berat.
11. Al-Mudamdamah (penurunan azab). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang orang-orang munafik yang diberi azab oleh Allah ﷻ.
12. Suratul azab (surah tentang azab/seksaan).
13. Al-Buhuts (pembahasan). Hal ini disebabkan kerana di dalamnya berisi tentang pembahasan-pembahasan tentang rahsia-rahsia orang-orang munafik.

Sekarang ini bukan golongan Munafik zaman Nabi ﷺ sahaja yang tidak suka Al-Qur’an membongkar isi hati mereka, malah zaman sekarang pun ramai. Mereka tidak suka pengajaran tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini membongkar apa yang ada di dalam hati kita. Memang pedih sekali sekala kita kena perli oleh Allah ‎ﷻ, ditegur, dibantai. Namun kalau kita pun tidak selesa dan tidak suka dan meninggalkan ajaran tafsir Al-Qur’an disebabkan perkara itu, maka ketahuilah yang kita memang sungguh-sungguh seorang Munafik!

Janganlah takut sangat dengan Al-Qur’an. Kalau ia menegur kita, terimalah dengan hati yang terbuka. Allah ﷻ sedang tegur kita untuk kebaikan kita. Perbaikilah kehidupan kita supaya selaras semampu mungkin dengan Al-Qur’an. Kalau mampu terus tukar, maka tukar terus tanpa tangguh; kalau masih tidak mampu, maka buat sedikit demi sedikit sambil berdoa supaya Allah ﷻ mudahkan dan beri kekuatan kepada kita. Yang penting ada usaha untuk ke arah kebaikan. Jangan dibantah dan menolak teguran daripada Al-Qur’an. Itu sahaja.

 

قُلِ استَهزِئوا

Katakanlah kepada mereka: “Teruskanlah ejekan-ejekanmu

Allah ‎ﷻ suruh cakap kepada mereka: “Kamu nak senda agama, ejek Rasulullah, buatlah. Teruslah buat apa yang kamu sedang lakukan itu.” Ini bukan suruhan tetapi ini adalah ancaman kepada mereka. Kalau buat juga, memanglah bodoh sangat.

Ada kisah bagaimana ada seorang sahabat yang mendengar bagaimana Abdullah bin Ubai mengejek Rasulullah ﷺ. Maka beliau telah memberitahu hal itu kepada Rasulullah ﷺ. Perkara sebegini selalu sahaja terjadi dalam kalangan orang munafik kerana mereka memang tidak suka kepada Rasulullah ﷺ dan umat Islam yang lain.

Apakah sikap kita jika orang kafir atau orang munafik mengejek Rasulullah ﷺ? Kita hendaklah bersikap seperti baginda juga iaitu tenang-tenang sahaja. Jangan melatah kerana memang orang yang mengutuk itu hendak lihat kita melatah. Mereka dengan sengaja mahu menimbulkan kekacauan dan provokasi. Banyak yang kita lihat terjadi sekarang apabila ada orang kafir buat karikatur Nabi Muhammad ﷺ, bakar Al-Qur’an dan sebagainya. Ramainya melatah sampai memalukan Islam pula. Sepatutnya kita serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah ﷻ. Jikalau kita ada kuasa, maka kita bolehlah buat sesuatu seperti saman mereka dan sebagainya.

Dalam sebuah rencana bertajuk “Padah persenda Nabi, Menteri Mesir dipecat” yang dilaporkan dalam surat khabar Sinar Harian bertarikh 15 Mac 2016, memetik laporan Press TV perihal pemecatan Ahmed al-Zind, 70 tahun, jawatan Menteri Kehakiman Mesir. Perlucutan jawatan berkenaan berpunca gara-gara tindakan Ahmed al-Zin yang mengeluarkan kenyataan berbaur persendaan kepada Rasulullah ﷺ. Beliau dilaporkan menyebut bahawa dia akan memenjarakan mana-mana individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Rasulullah ﷺ. Ucapan ini telah disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen Mesir dan telah mengundang kemarahan dan bantahan umat Islam Mesir.

 

إِنَّ اللَّهَ مُخرِجٌ مّا تَحذَرونَ

Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.

Sesungguhnya Allah ﷻ pasti akan keluarkan juga apa yang mereka bimbangkan itu. Allah ﷻ akan turunkan juga surah tentang mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Allah ﷻ akan bongkarkan kerana itu banyak surah-surah yang memperkatakan tentang golongan munafik itu. Malah ada satu surah yang dinamakan Surah Munafiqoon.

Allah ‎ﷻ juga membongkar rancangan jahat mereka. Contohnya rancangan mereka untuk membunuh Rasulullah ﷺ semasa dalam perjalanan pulang dari Tabuk. Rasulullah ﷺ juga telah diberitahu dengan nama 70 orang Munafik siap dengan diberitahu keturunan mereka dan alamat tempat mereka tinggal. Akan tetapi nama mereka tidak disebutkan dan kekal menjadi rahsia. Kenapa dirahsiakan?

Kerana mungkin mereka akan beriman akhirnya dan nama mereka dirahsiakan untuk menjaga maruah mereka. Jika mereka beriman kemudiannya, manusia tidak perlu tahu dosa mereka sebelum itu. Keduanya, supaya para sahabat terus menjaga agama mereka. Jangan mereka rasa selamat. Ini seperti yang terjadi kepada Hanzalah dan juga Abu Bakr رضي الله عنه seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ حَنْظَلَةَ الْكَاتِبِ التَّمِيمِيِّ الْأُسَيِّدِيِّ قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرْنَا الْجَنَّةَ وَالنَّارَ حَتَّى كَأَنَّا رَأْيَ الْعَيْنِ فَقُمْتُ إِلَى أَهْلِي وَوَلَدِي فَضَحِكْتُ وَلَعِبْتُ قَالَ فَذَكَرْتُ الَّذِي كُنَّا فِيهِ فَخَرَجْتُ فَلَقِيتُ أَبَا بَكْرٍ فَقُلْتُ نَافَقْتُ نَافَقْتُ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ إِنَّا لَنَفْعَلُهُ فَذَهَبَ حَنْظَلَةُ فَذَكَرَهُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا حَنْظَلَةُ لَوْ كُنْتُمْ كَمَا تَكُونُونَ عِنْدِي لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ أَوْ عَلَى طُرُقِكُمْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً
Daripada Hanzalah Al Katib At Tamimi Al Usaiyidi رضي الله عنه dia berkata; “Kami pernah berada di sisi Rasulullah ﷺ, baginda pun menceritakan kepada kami tentang syurga dan neraka sehingga seakan-akan kami melihatnya dengan mata kepala sendiri. Namun setelah kami menemui isteri dan anak-anakku, maka aku pun kembali tertawa dan bercanda.” Hanzalah رضي الله عنه berkata; Lalu kuingat suasana ketika kami bersama Nabi ﷺ, lantas aku segera keluar dan bertemu dengan Abu Bakar رضي الله عنه, aku berkata; “Aku telah berbuat kemunafikan, aku telah berbuat kemunafikan.” Abu Bakar رضي الله عنه berkata; “Sungguh kita memang pernah melakukannya.” Kemudian Hanzalah رضي الله عنه pergi dan menceritakan hal itu kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda: “Wahai Hanzalah, seandainya kamu dapat terus berada pada keadaanmu seperti saat kamu berada di sisiku, nescaya para Malaikat akan selalu menyalamimu di setiap jalanmu -atau di setiap jalan-jalanmu- wahai Hanzalah, sedikit demi sedikitlah (dalam beramal).”
(Sunan Ibn Majah No. 4239)
Status: Sahih (Darussalam)

Begitulah para sahabat amat menjaga iman mereka. Mereka tetap takut dijangkiti penyakit munafik walaupun mereka itu para sahabat Rasulullah ﷺ. Mereka tidak perasan dengan kedudukan tinggi mereka itu. Malah Sayyidina Umar رضي الله عنه pun amat takut kalau-kalau namanya termasuk senarai (sedangkan beliau telah dijanjikan syurga). Kalau kita pun rasa selamat, maka itu amat malang. Ibnu Abi Mulaikah berkata,

أَدْرَكْتُ ثَلاَثِينَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كُلُّهُمْ يَخَافُ النِّفَاقَ عَلَى نَفْسِهِ
“Aku bertemu dengan tiga puluh sahabat Rasulullah, semuanya takut kemunafikan akan menimpa dirinya.”
(Sahih Bukhari 1/18)


 

Tawbah Ayat 65: Ayat syikayah untuk menegur puak munafik lagi.

وَلَئِن سَأَلتَهُم لَيَقولُنَّ إِنَّما كُنّا نَخوضُ وَنَلعَبُ ۚ قُل أَبِاللَّهِ وَءآيٰتِهِ وَرَسولِهِ كُنتُم تَستَهزِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you ask them, they will surely say, “We were only conversing and playing.” Say, “Is it Allāh and His verses and His Messenger that you were mocking?”

(MALAY)

Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan jawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?”

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم

Dan jika kamu tanyakan kepada mereka

Jika orang Mukmin tanya mereka, kenapa mereka mempersendakan agama sendiri, mempersendakan Nabi ﷺ, sedangkan kamu mengaku kamu Muslim?

 

لَيَقولُنَّ إِنَّما كُنّا نَخوضُ وَنَلعَبُ

tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja”. 

Allah ﷻ beritahu yang tentu mereka akan jawab: “Kami hanya ingin bergurau cakap-cakap kosong dan main-main sahaja.” Mereka kata yang mereka tidak bersungguh pun dalam percakapan mereka. Ini tidak patut sama sekali sedangkan orang Islam tidak dibenarkan mempersendakan agama dan Rasulullah ﷺ. Mempersendakan agama adalah kufur.

وقال قتادة : ( ولئن سألتهم ليقولن إنما كنا نخوض ونلعب ) قال : فبينما النبي – صلى الله عليه وسلم – في غزوة تبوك ، وركب من المنافقين يسيرون بين يديه ، فقالوا : يظن هذا أن يفتح قصور الروم وحصونها . هيهات هيهات . فأطلع الله نبيه – صلى الله عليه وسلم – على ما قالوا ، فقال : علي بهؤلاء النفر . فدعاهم ، فقال : قلتم كذا وكذا . فحلفوا ما كنا إلا نخوض ونلعب .
Qatadah رضي الله عنه mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.” (At-Taubah: 65) Ketika Nabi ﷺ berangkat menuju ke medan Tabuk, sedangkan orang-orang munafik ikut berangkat bersamanya dengan mengambil posisi di depannya, lalu mereka berkata, “Orang ini (yakni Nabi ﷺ) menduga bahawa dia dapat menaklukkan kerajaan Romawi berikut semua bentengnya. Alangkah jauhnya daripada kenyataan.” Maka Allah ﷻ memperlihatkan kepada Nabi-Nya apa yang mereka perbincangkan itu. Rasulullah ﷺ bersabda, ”Hadapkanlah orang-orang itu kepadaku!” Maka mereka dipanggil, lalu Rasulullah ﷺ bersabda, “Kalian telah mengatakan anu dan anu.” Tetapi mereka bersumpah seraya berkata, “Kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.”
(Ibn Kathir di dalam tafsirnya)

 

قُل أَبِاللَّهِ وَءآيٰتِهِ وَرَسولِهِ كُنتُم تَستَهزِئونَ

Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?”

Allah ﷻ suruh tanya balik kepada mereka: “Adakah tentang ayat Allah ﷻ dan rasul yang kamu nak persendakan? Ini tidak patut kerana itu bukan perkara main-main.” Maka ini mengajar kita supaya berjaga-jaga dalam kata-kata kita. Jangan kerana mulut, kita termasuk dalam golongan Munafik pula. Betullah bak kata-kata peribahasa melayu kita: ‘Sebab pulut badan binasa, sebab mulut badan binasa’.


 

Tawbah Ayat 66: Adakah diterima alasan mereka itu?

لا تَعتَذِروا قَد كَفَرتُم بَعدَ إيمٰنِكُم ۚ إِن نَّعفُ عَن طائِفَةٍ مِّنكُم نُعَذِّب طائِفَةً بِأَنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Make no excuse; you have disbelieved [i.e., rejected faith] after your belief. If We pardon one faction of you – We will punish another faction because they were criminals.

(MALAY)

Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.

 

لا تَعتَذِروا

Tidak payahlah kamu beri alasan,

Allah ﷻ kata kepada mereka: “Kamu tidak perlulah beri alasan dan dalihan lagi. Tidak payahlah kamu minta maaf kerana kamu kata kamu hanya bermain-main dan berolok-olok itu. Kerana semua itu tipuan sahaja.” Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia Maha Tahu apa yang di dalam hati mereka. Mereka menipu manusia boleh lagi, tetapi bagaimana nanti di hadapan-Nya?

 

قَد كَفَرتُم بَعدَ إيمٰنِكُم

kerana kamu kafir sesudah beriman.

Allah ﷻ buka rahsia dalam hati mereka. Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang sebenarnya mereka telah zahirkan kufur setelah sebelum ini mereka zahirkan iman.

Kena faham lebih sikit ayat ini. Memang mereka sebenarnya dari dulu tidak beriman, cuma pada zahir sahaja mereka tunjuk beriman. Namun sekarang mereka telah ‘zahirkan’ kekufuran mereka yang mereka tidak tunjuk dulu.

‘Kafir sesudah beriman’ itu maksudnya ‘zahirkan kufur setelah dulu zahirkan beriman’. Maka tidaklah ayat ini bermakna mereka dulu pernah beriman dan baru sekarang mereka menjadi kufur pula (mereka sebenarnya tidak pernah beriman).

Oleh itu dalam ayat ini, Allah ﷻ kata tidak perlu buat alasan, sekarang sudah nampak jelas yang mereka itu kufur kerana mereka mempersendakan Nabi ﷺ dan juga secara tidak langsung mempersendakan Allah ﷻ juga. Itu adalah perbuatan kufur.

 

إِن نَّعفُ عَن طائِفَةٍ مِّنكُم

Jika Kami memaafkan segolongan dari kamu

Ada kemungkinan Allah ﷻ boleh memaafkan kesalahan yang mereka telah lakukan selama ini. Ini adalah kerana Allah ﷻ Maha Pemaaf. Kalau setelah diberi nasihat, dengan segala ayat yang telah diturunkan kepada mereka, rahsia mereka telah dibuka dan mereka bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan ikhlas dalam taubat mereka, Allah ﷻ masih boleh maafkan.

Allah ﷻ memang beri masa kepada manusia untuk bertaubat. Bagi golongan Munafik ini mereka telah diberi nasihat berkali-kali untuk beriman dengan sebenar. Maka kena ikuti majlis ilmu, dekati Rasulullah ﷺ, dekati orang Mukmin, tadabbur Al-Qur’an. Itulah yang diulang-ulang di dalam Al-Qur’an untuk memperbaiki diri mereka. Selagi maut belum menjemput, mereka ada harapan lagi. Kalaulah Allah ﷻ terus beri azab setiap kali manusia melakukan dosa, tentu tidak akan tinggal sesiapa pun di atas mukabumi ini seperti disebut dalam Fatir:45

وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;

 

نُعَذِّب طائِفَةً بِأَنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.

Akan tetapi, kalau masih tidak mahu berubah, masih lagi berbuat dosa, Allah ﷻ tidak akan maafkan mereka. Sekiranya Allah ﷻ maafkan satu puak dalam kalangan mereka dan tidak maafkan satu puak dalam kalangan lain, itu kerana mereka itu adalah golongan yang betul-betul bersalah. Bukanlah Allah ﷻ membenci mana-mana pihak tetapi mereka dikenakan begitu kerana mereka yang bersalah.

Ada azab di dunia dan ada azab di akhirat. Ada yang Allah ﷻ kenakan musibah semasa di dunia lagi untuk beri peringatan kepada mereka. Ini kerana manusia kadang-kadang akan sedar hanya apabila mereka sudah jatuh terduduk. Allah ﷻ sebut di dalam Shura:30

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu. (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Habis Ruku’ 8 daripada16 ruku’ dalam surah ini.


 

HUKUMAN AZAB KEPADA GOLONGAN MUNAFIK

Tawbah Ayat 67: Allah ﷻ beritahu kepada kita, maksud dan tujuan hidup manusia masing-masing tidak sama. Begitulah, orang mukmin lelaki dan wanita dan munafikin lelaki dan wanita, maksud hidup mereka berlainan. Sekarang Allah ﷻ beritahu maksud hidup orang munafik. Mereka berperangai begitu kerana tujuan hidup mereka memang sudah begitu.

المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ بَعضُهُم مِّن بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمُنكَرِ وَيَنهَونَ عَنِ المَعروفِ وَيَقبِضونَ أَيدِيَهُم ۚ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُم ۗ إِنَّ المُنٰفِقينَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The hypocrite men and hypocrite women are of one another. They enjoin what is wrong and forbid what is right and close their hands.¹ They have forgotten Allāh, so He has forgotten them [accordingly]. Indeed, the hypocrites – it is they who are the defiantly disobedient.

  • i.e., refuse to spend in the way of Allāh.

(MALAY)

Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang ma’ruf dan mereka menggenggam tangan mereka. Mereka lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik.

 

المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ بَعضُهُم مِّن بَعضٍ

Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama,

Allah ‎ﷻ beritahu sesetengah munafikin dengan sesetengah yang lain, serupa sahaja perangai mereka. Kalau orang berperangai yang sama, mereka akan menjadi rapat. Sama seperti kitalah, dalam masyarakat yang ramai, tentu kita akan cari orang yang berperangai sama seperti kita sebab kita selesa dengan fahaman yang sama. Oleh itu, walaupun asalnya tidak kenal sesama sendiri, namun lama kelamaan akan tertarik sesama sendiri dan akan duduk bersama.

 

يَأمُرونَ بِالمُنكَرِ وَيَنهَونَ عَنِ المَعروفِ

mereka menyuruh membuat yang munkar dan melarang berbuat yang ma’ruf

Bila mereka duduk bersama, mereka akan suruh buat perkara mungkar kepada orang lain. Mereka juga akan mencegah orang lain daripada membuat perkara ma’ruf (perkara baik). Mereka akan beri nasihat kepada sesama mereka dan kepada orang lain, tetapi ke arah keburukan kerana hati mereka seperti itu.

Mereka tidak suka kalau orang buat kebaikan kerana kalau orang lain buat baik, nanti nampaklah mereka yang buruk. Mereka kena pastikan orang lain pun buat benda yang buruk. Maka mereka akan pujuk dan bisikkan kepada orang lain untuk membuat keburukan.

Dalam masa yang sama, ini mengingatkan kita yang sifat orang mukmin adalah mengajak kepada ma’ruf dan melarang daripada munkar. Itulah kerja yang kita lakukan. Orang Mukmin akan tegur orang yang membuat salah dan mereka akan mengajak manusia untuk membuat kebaikan. Maknanya, mereka bukanlah jenis senyap sahaja, tegur tidak, ajak pun tidak. Ini kerana ada sahaja yang tahu kebenaran tetapi tidak menegur manusia kerana takut mereka akan dimarah.

Perkara ma’ruf adalah perkara yang diketahui baik. Orang kafir pun tahu yang ia adalah buruk kerana mereka juga ada fitrah. Sebagai contoh semua manusia tahu mencuri atau berlaku curang itu buruk sama ada Muslim atau kafir. Kemudian ia dikuatkan lagi dengan dalil syariat yang ia memang buruk. Satu lagi contoh adalah aurat. Semua manusia sepatutnya sedar yang menunjukkan aurat itu adalah buruk. Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ pun tahu tentang aurat walaupun tidak diajar kerana telah ada fitrah di dalam diri manusia. Lihat A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ
Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.

Lihatlah apabila aurat mereka berdua dizahirkan, mereka berdua kelam kabut menutupnya tanpa perlu Allah ﷻ memberitahu mereka. Ini kerana penutupan aurat memang telah ada dalam fitrah manusia. Yang manusia sekarang membukanya adalah kerana mereka telah hilangkan fitrah di dalam diri mereka.

Orang Munafik akan mengajak manusia untuk melanggar fitrah ini. Mereka mengajak manusia ke arah keburukan. Kalau zaman sekarang, merekalah yang mengajak manusia lain memakai baju yang seksi-seksi. Kalau ada yang tutup aurat, mereka akan kata itu semua kolot. Padahal mereka itu Muslim (tetapi munafik). Inilah bahayanya dengan Munafik kerana mereka itu nampak macam Muslim tapi tidak sebenarnya. Kalau orang kafir yang ajak, senang orang kita hendak menolaknya. Akan tetapi apabila orang Muslim yang ajak, ada juga yang termakan dengan ajakan mereka.

 

وَيَقبِضونَ أَيدِيَهُم

dan mereka menggenggam tangan mereka.

Maksud ‘genggam tangan’ itu adalah tahan diri daripada memberi infak. Mereka kedekut dan mahu simpan harta mereka sahaja. Mereka buat benda yang salah (tidak infak), kerana mereka hendak mematikan amalan Sunnah dalam memberi kepada yang memerlukan.

Mereka sendiri tidak suka kepada jihad (kerana takut susah dan takut mati); dan mereka tidak percaya kepada balasan yang banyak yang Allah ﷻ janjikan kepada mereka yang infak, maka mereka tidak nampak kepentingan infak itu. Maka, kedekut adalah perangai munafik. Maka kita kena periksa diri kita sendiri semula.

 

نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُم

Mereka lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. 

Mereka berperangai begitu adalah kerana mereka lupa kepada Allah ﷻ. Maksud lupa itu adalah mereka tidak menghiraukan pun kepada Allah ﷻ dan arahan daripada-Nya. Mereka telah meninggalkan ketaatan kepada Allah ﷻ. Oleh kerana mereka begitu, maka Allah ﷻ sengaja lupakan untuk beri taufik kepada mereka.

Jangan salah faham pula dengan sifat ini. ‘Sifat lupa’ adalah satu sifat kelemahan dan Allah ﷻ tidak ada sifat yang lemah. Oleh itu kita kena faham yang Allah ﷻ bukan lupa, tetapi ‘sengaja’ lupakan, buat tidak kisah tentang mereka. Maknanya mereka tidak akan mendapat rahmat dan kurnia daripada Allah ﷻ.

Dalam Hashr:19  Allah ﷻ sebut hukuman yang diberikan kepada mereka adalah mereka lupa kepada diri mereka sendiri.

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Apabila mereka lupa diri mereka, maksudnya mereka lupa untuk membuat persediaan untuk Akhirat. Maka di Akhirat kelak mereka akan menerima azab yang teruk.

Maka amat penting untuk kita ingat kepada Allah ﷻ sepanjang hidup kita. Kalau kita ingat Allah ﷻ, maka kehidupan kita akan menjadi baik kerana kita akan takut untuk melakukan dosa. Banyak ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita untuk ingat (zikr) kepada-Nya seperti Jumuah: 9-10

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memerintahkan agar kita bersegera (فَاسعَوا) kerana ia adalah sesuatu yang penting. Akan tetapi ini adalah mengenai ibadah Solat Jumaat yang memang sepatutnya ingat Allah ﷻ . Namun di dalam ayat seterusnya ada sesuatu yang menarik. Mari kita lihat,

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Yang menarik di dalam ayat ini ada ditambah kalimah كَثيرًا (dengan banyak) selepas disebut ingat kepada Allah ﷻ. Sedangkan di dalam ayat 9 tidak disebut. Penambahan ini kerana selepas solat dan kembali ke dunia biasa, selalunya manusia akan lupa kepada Allah ﷻ. Maka kena ada usaha dan penekanan untuk ingat kepada Allah ﷻ dalam hal-hal kehidupan kita yang biasa.

 

إِنَّ المُنٰفِقينَ هُمُ الفٰسِقونَ

Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik.

Allah ‎ﷻ dengan jelas mengatakan yang mereka itu adalah fasik – maksudnya mereka ‘keluar daripada ketaatan sebenar’. Mereka keluar dari jalan yang benar dan masuk ke dalam jalan kesesatan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Januari 2024

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 61 – 63 (Puak munafik berolok-olok)

MENGKRITIK RASULULLAH ﷺ

Tawbah Ayat 61: Di dalam ayat 58 sebelum ini telah disebut golongan munafik menghina Nabi ﷺ kononnya tidak berlaku adil dalam pembahagian harta. Sekarang disebut satu lagi penghinaan mereka terhadap baginda.

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُل أُذُنُ خَيرٍ لَّكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم ۚ وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them are those who abuse the Prophet and say, “He is an ear.”¹ Say, “[It is] an ear of goodness for you that believes in Allah and believes the believers and [is] a mercy to those who believe among you.” And those who abuse the Messenger of Allah – for them is a painful punishment.

  • i.e., one who believes everything he hears.

(MALAY)

Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

 

وَمِنهُمُ الَّذينَ يُؤذونَ النَّبِيَّ

Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi

Yang dimaksudkan adalah puak munafik itu. Ada dalam kalangan mereka yang menyakiti Nabi ﷺ dengan perkataan mereka. Mereka tidak menghormati Nabi ﷺ dan mereka tidak beradab dengan Nabi ﷺ. Ada kata-kata mereka yang menyakitkan hati Nabi ﷺ.

Begitulah teruknya perangai orang munafik itu. Mereka sanggup mengatakan perkara yang tidak baik tentang Rasul mereka sendiri. Walau bagaimanapun bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja kena perkara ini malah Nabi Musa عليه السلام pun kena juga seperti disebut di dalam Saf: 5

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?”

Pengajaran kepada kita adalah kalau para Rasul pun disakiti, maka apa sangatlah kalau kita pun disakiti juga? Lumrah manusia memang suka mengutuk orang lain dan itu adalah perbuatan biasa bagi orang jahil. Maka tidak perlu dipedulikan sangat kata-kata orang jahil. Samakan sahaja seperti kata budak-budak hingusan yang tidak tahu apa-apa.

Juga mengajar kita yang semakin tinggi dan mulia orang itu, semakin dia akan disakiti. Begitulah yang berlaku kalau kita menjalankan kerja dakwah. Memang menjadi sunnatullah akan ada sahaja penentang kalau kita berdakwah. Yang menjadi pelik kalau kita dakwah punya dakwah, semua orang suka, semua orang sayang. Ini menandakan ada masalah dengan dakwah kita kerana dakwah kita itu tidak mengetuk hati mereka.

 

وَيَقولونَ هُوَ أُذُنٌ

dan mereka mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”.

Daripada lafaz ini, mereka kata Nabi ﷺ ‘banyak telinga’. Iaitu sangat terbuka, dengar semua, percaya semua. Maksudnya mereka kata Nabi Muhammad ﷺ dengar sahaja apa yang mereka katakan dan tidak ada apa-apa balasan daripada Nabi ﷺ. Ia membawa maksud Nabi ﷺ mudah dengar. Maksud mereka, Nabi ﷺ percaya sahaja apa sahaja yang mereka cakap kepada baginda. Atau dalam erti kata lain, mereka kata Nabi ﷺ ‘lurus bendul’. Ini tentunya menyakitkan hati baginda apabila ia sampai kepada baginda tentang hal ini.

Pada mereka, apabila mereka datang jumpa Nabi ﷺ dan beri alasan apa sahaja, Nabi ﷺ akan terima. Mereka kata tentu Nabi ﷺ akan benarkan sahaja. Mereka pandang rendah sahaja kepada Nabi ﷺ yang ikut sahaja apa yang mereka kata.

Imam Abu Ja’far al-Tabari رحمه الله berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah ﷺ yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad ﷺ) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”, dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah ‎ﷻ di dalam neraka Jahanam.”

 

قُل أُذُنُ خَيرٍ لَّكُم

Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu,

Yang munafik itu kutuk adalah Nabi ﷺ namun baginda senyap sahaja. Akan tetapi Allah ‎ﷻ yang jawab dalam ayat Al-Qur’an ini. Ini sama seperti kes Abu Lahab kutuk baginda, tetapi Allah ﷻ yang jawab dalam Surah Masad. Selain itu pernah para sahabat duduk lama melepak di rumah Nabi ﷺ selepas kenduri sampai Nabi ﷺ tidak selesa, pun Nabi ﷺ tidak bercakap apa-apa tetapi Allah ﷻ sebut di dalam Surah Hujurat menegur mereka. Begitulah sayangnya Allah ﷻ terhadap Nabi ﷺ.

Allah ﷻ beritahu yang Nabi ﷺ memang mudah dengar dan tidak menjawab balik segala apa yang mereka kata. Baginda tidak peduli apa sahaja orang kata. Selalunya baginda diam sahaja, tidak menzahirkan tindak tanduk tidak suka kepada apa yang mereka katakan. Itu lebih-lebih lagi kepada orang jenis munafik kerana baginda mengharapkan mereka akan beriman. Baginda tidak mahu mereka ada alasan untuk tidak suka kepada baginda.

Allah ﷻ suruh beritahu, dengan sebab Nabi ﷺ dengar sahaja, itu lebih baik bagi mereka. Baguslah kalau Nabi ﷺ tidak cakap apa-apa dan membongkar apa yang ada dalam hati mereka. Memang Nabi Muhammad ﷺ pun menilai dari segi zahir sahaja kerana baginda pun tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Maka baguslah Nabi ﷺ tidak tegur mereka kerana kalau Nabi ﷺ tegur dan bongkar, tentu mereka akan malu pula nanti.

 

يُؤمِنُ بِاللَّهِ

dia beriman kepada Allah

Sifat Rasulullah ﷺ begitu kerana baginda beriman kepada Allah ﷻ.

 

وَيُؤمِنُ لِلمُؤمِنينَ

dan dia mempercayai orang-orang mukmin,

Baginda yakin kepada orang mukmin. Tidaklah maksud potongan ayat ini yang Nabi ﷺ ‘beriman’ pula dengan orang mukmin kerana huruf ل digunakan (لِلمُؤمِنينَ) dalam ayat ini sedangkan kalau ‘beriman kepada’ Allah ﷻ, huruf ب digunakan (بِاللَّهِ).

Maksud Nabi ﷺ yakin itu adalah Nabi ﷺ percaya dengan apa yang diberitahu oleh orang Muslim. Baginda senang untuk percaya kepada mereka, tidaklah baginda ada rasa tidak percaya kepada mereka. Maka, bila mereka datang dan beritahu kepada baginda, baginda terus terima sahaja. Baginda pun tidak boleh membaca hati manusia, maka Nabi ﷺ tidak tahu apakah mereka buat alasan sahaja atau benar-benar ikhlas.

 

وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم

dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa Rasulullah ﷺ itu adalah sebagai rahmat untuk orang beriman dalam kalangan mereka. Terlalu besar rahmat besar untuk mereka kerana Nabi ﷺ ada dalam kalangan mereka. Mereka dapat menyaksikan sendiri akhlak Nabi ﷺ dan dapat belajar terus daripada baginda. Itu adalah kelebihan mereka yang tidak dapat dirasa oleh orang selepas mereka.

Baginda mempunyai rahmat yang diberikan oleh Allah ﷻ. Dengan rahmat itulah baginda lembut sahaja tindakannya kepada para sahabat baginda. Ini seperti disebut dalam Ali Imran: 159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

 

وَالَّذينَ يُؤذونَ رَسولَ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

Ini adalah perangai buruk manusia yang sentiasa menyakiti Nabi ﷺ. Dikatakan ‘sentiasa’ kerana kalimah يُؤذونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang membawa maksud berterusan dan selalu. Maknanya bukan sekali dua mereka lakukan perkara itu namun sudah menjadi kebiasaan.

Ia juga bermaksud sampai sekarang pun masih ada lagi yang melakukannya. Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka yang mencela Nabi ﷺ, menyakiti hati Nabi ﷺ dalam apa cara pun, ada balasan azab kepada mereka. Begitu jugalah sampai sekarang, kalau ada yang menghina Nabi ﷺ, mereka itu juga akan menerima azab yang pedih.

Syeikh al-Maraghi رحمه الله berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah ﷺ selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Ada satu peristiwa sebagai contoh daripada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau menceritakan:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ
“Seorang lelaki buta mempunyai (isteri) Ummu Walad yang menghina Nabi ﷺ dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas رضي الله عنهما meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi ﷺ, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi ﷺ, lalu baginda mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah ﷻ atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah ﷺ. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi ﷺ bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita itu adalah sia-sia (halal).”
(Riwayat Abu Daud No. 4361)
Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah ﷺ. Hadith ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.

Terdapat sebuah atsar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz:

“Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.”
Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) maka engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah ﷺ.”
Lihat al-Muhalla (14/434)

 

Hukum Menghina Rasulullah ﷺ

Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi ﷺ wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:

• Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
• Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
• Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, lumpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
• Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad ﷺ secara nyata maka wajib dibunuh.
• Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi ﷺ seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
• Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata:Barangsiapa yang mencerca Nabi ﷺ atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9).
• Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi ﷺ tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.
• Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
• Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi ﷺ.

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah ﷺ termasuk Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah ﷺ kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah ﷻ.


 

PENGHINAAN

Tawbah Ayat 62: Apakah lagi perangai golongan Munafik itu?

يَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم لِيُرضوكُم وَاللَّهُ وَرَسولُهُ أَحَقُّ أَن يُرضوهُ إِن كانوا مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They swear by Allah to you [Muslims] to satisfy you. But Allāh and His Messenger are more worthy for them to satisfy, if they should be believers.

(MALAY)

Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.

 

يَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم لِيُرضوكُم

Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, 

Golongan munafik itu telah bersumpah lagi. Kali ini kepada orang mukmin pula untuk mengatakan mereka itu benar Mukmin kononnya dan niat mereka baik. Tujuannya supaya sumpah itu dapat menyenangkan hati orang Mukmin, supaya orang Mukmin tidak fikir sangat tentang mereka. Malah sumpah mereka itu menggunakan nama Allah ‎ﷻ pula.

Ini kerana mereka telah ditegur oleh Nabi Muhammad ﷺ, lebih-lebih lagi diboikot, sudah tidak dilayan, maka mereka mencari orang Mukmin yang lain untuk menyatakan yang mereka sebenarnya berniat baik. Mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk menguatkan alasan mereka.

هؤلاء لخيارنا وأشرافنا ، وإن كان ما يقول محمد حقا ، لهم شر من الحمير . قال : فسمعها رجل من المسلمين فقال : والله إن ما يقول محمد لحق ، ولأنت أشر من الحمار . قال : فسعى بها الرجل إلى النبي – صلى الله عليه وسلم – فأخبره ، فأرسل إلى الرجل فدعاه فقال : ما حملك على الذي قلت ؟ فجعل يلتعن ، ويحلف بالله ما قال ذلك . وجعل الرجل المسلم يقول : اللهم صدق الصادق وكذب الكاذب . فأنزل الله – عز وجل – : (يحلفون بالله لكم ليرضوكم والله ورسوله أحق أن يرضوه إن كانوا مؤمنين)
Qatadah telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: Mereka bersumpah kepada kalian dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaan kalian. (At-Taubah: 62), hingga akhir ayat. Qatadah mengatakan: telah menceritakan kepada kami bahawa pernah ada seorang lelaki munafik berkata, “Demi Allah, sesungguhnya mereka (orang-orang munafik sebangsanya) adalah orang-orang pilihan kami dan orang-orang terhormat kami. Sekalipun apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar bagi mereka, tetapi lebih buruk daripada keldai.” Kemudian seorang lelaki dalam kalangan kaum Muslim mendengarnya, maka dia langsung menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar, dan sesungguhnya kamu lebih buruk daripada keldai.” Maka orang-orang melaporkan hal tersebut kepada Nabi ﷺ dan menceritakan peristiwa itu, lalu Nabi ﷺ memanggil lelaki tersebut dan bertanya, “Apakah yang mendorongmu mengatakan apa yang telah kamu ucapkan itu?” Lelaki yang berkata demikian itu memaki lawannya dan bersumpah dengan menyebut nama Allah, bahawa dia tidak mengucapkannya. Sedangkan lelaki Muslim itu berkata, “Ya Allah, benarkanlah yang benar dan salahkanlah yang dusta.” Maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini.
(Diriwayatkan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya)

Surah ini banyak mengandungi ayat tentang sumpah (sampai 7 kali). Ini adalah kerana golongan munafik itu memang selalu bersumpah. Mereka melakukannya semata-mata kerana mahukan orang Mukmin percaya kata-kata mereka. Mereka terpaksa kuatkan kata-kata mereka dengan sumpah kerana mereka sendiri sudah rasa kata-kata mereka itu sukar untuk dipercayai. Mereka juga tahu manusia lain sudah tidak percaya dengan mereka kerana mereka suka sangat menipu.

Sudah menjadi kebiasaan orang munafik suka bersumpah. Maka jangan kita selalu bersumpah pula. Kita tidak perlu bersumpah kerana kita tidak perlu pun orang percaya kata-kata kita. Kita hanya sampaikan yang benar dan terpulang kepada manusia hendak percaya atau tidak. Kita juga tidak pernah menipu maka orang sepatutnya percaya kepada apa yang kita sampaikan. Kalau mereka tidak percaya, maka kita tidaklah perlulah ambil pusing sangat kerana kita sudah sampaikan yang benar dan selebihnya terpulang kepada mereka.

Ternyata sifat orang munafik juga adalah hanya mahu mengejar redha manusia sahaja kerana mereka hendakkan untung. Mereka memerlukan manusia, kerana itu mereka kena pastikan orang lain redha dengan mereka. Maka mereka akan bermanis mulut dengan orang lain supaya suka kepada mereka.

Ini berbeza dengan orang Mukmin yang hanya mengejar redha Allah ‎ﷻ. Kita tetap katakan yang benar walaupun ia pahit dan sukar diterima oleh manusia. Terutama sekali dalam dakwah dan menyatakan kebenaran terutama dalam hal agama. Kita cakap sahaja mana yang benar dan tidak peduli apa pandangan manusia kerana yang kita kejar adalah redha Allah ‎ﷻ . Kalau manusia tidak suka dengan apa yang kita sampaikan, ‘so be it’ (biarkan saja). Pedulikan sahaja dengan segala kutukan dan cacian manusia lain.

Kerana itulah juga asatizah Sunnah tidak disukai oleh ramai orang kerana kita bukan bercakap tentang perkara yang mereka suka dengar sahaja. Kadang-kadang ada perkara yang mereka pedih telinga terutama apabila ada teguran daripada kita. Teguran itu pun daripada wahyu pun, bukannya daripada kita. Kita sampaikan bukan untuk sakiti hati mereka tetapi kerana ia telah ada di dalam wahyu Al-Qur’an ataupun Hadith.

Termasuklah penulisan ini juga. Ada yang agak sensitif dan terasa juga dengan apa yang disampaikan di sini. Ini biasa sahaja sebenarnya. Masalahnya bukan dengan apa yang disampaikan tetapi dengan anda yang membacanya. Anda yang kena betulkan diri anda sendiri dan hendaklah membuka minda dan hati kepada teguran. Sekiranya hati senang sentap, hati tisu orang kata, maka susahlah. Tidak payah belajar agamalah kalau begitu, baik pergi belajar menari sahaja.

Janganlah bandingkan dakwah di sini dengan dakwah asatizah selebriti. Mereka dapat gelaran selebriti sebab mereka bercakap perkara-perkara yang menyenangkan hati orang ramai. Tenang dan boleh bergelak ketawa sahaja dengan penyampaian mereka. Itu cara mereka. Akan tetapi kalau belajar wahyu terutama tafsir Al-Qur’an, memang akan ada sindiran, teguran, ancaman dan kutukan daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak betulkan kita, bukannya untuk beri kita dibuai dengan sangkaan semuanya baik-baik sahaja.

Oleh itu, jikalau kita takut hendak berdakwah, berat hati, berat mulut untuk sampaikan kebenaran kerana takut sakitkan hati manusia, takut ada yang terasa, maka memang ada masalah dengan kita. Maknanya kita ada sifat-sifat dan ciri golongan munafik kerana mereka hanya mencari redha manusia sahaja, bukannya redha Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ وَرَسولُهُ أَحَقُّ أَن يُرضوهُ إِن كانوا مُؤمِنينَ

padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.

Golongan munafik mencari redha para mukmin, sedangkan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺlah yang lebih patut mereka dapatkan keredhaan. Maknanya mereka sudah silap fokus. Begitulah kita kadangkala mencari redha manusia, padahal sebenarnya kita patut mencari redha Allah ﷻ.

Disebabkan itulah ada yang takut untuk memboikot majlis bid’ah seperti Majlis Tahlil dan sebagainya kerana takut masyarakat pandang serong terhadap mereka. Padahal sepatutnya mereka lebih takut dengan Allah ﷻ. Janganlah begitu, sebaliknya kenalah ada prinsip. Iaitu mencari redha Allah ﷻ dan Rasul.

Mulanya disebut Allah ﷻ dan Rasul, namun kemudian kalimah yang digunakan adalah يُرضوهُ sedangkan sepatutnya kalimah يُرضوهُما digunakan untuk merujuk kepada Allah ﷻ dan juga Rasul, bukan? Namun tidak begitu kerana ia memberi isyarat yang redha Allah ﷻ dan redha Rasul adalah sama sahaja. Rasul akan redha jikalau Allah ﷻ redha. Tidak pernah Rasul tidak selari dengan Allah ﷻ.

Konsep ini pun ada yang salah faham. Sebagai contoh, lihat Dhuha: 5

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Ada yang berhujah, nanti di akhirat Allah ﷻ tidak akan masukkan umat Nabi Muhammad ﷺ ke dalam neraka kerana tentu Nabi Muhammad ﷺ tidak redha (sedangkan Allah ﷻ sudah berjanji untuk beri baginda redha). Mereka kata walaupun orang itu berdosa tetapi untuk meredhakan baginda, Allah ﷻ akan masukkan juga dia ke dalam syurga juga.

Ini adalah fahaman yang sesat. Adakah mereka hendak kata redha Allah ﷻ dan Rasul tidak sama? Adakah mereka tidak tahu yang baginda akan redha apa yang Allah ﷻ redha? Kalau Allah ﷻ redha orang berdosa dimasukkan ke dalam neraka, adakah mereka hendak kata Rasulullah ﷺ tidak redha dengan keputusan Allah ﷻ itu? Inilah bahayanya kalau ayat-ayat Al-Qur’an ditafsirkan ikut nafsu sendiri.

Maka kita hendaklah mengejar redha Allah ﷻ namun bagaimana hendak menjadi redha Allah ﷻ? Oleh kerana redha Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ adalah sama, maka kita hendaklah taat kepada ajaran baginda seperti disebut dalam Nisa’: 80

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah;

Sebagaimana taat kepada Rasul bermaksud taat kepada Allah ﷻ, maka begitulah juga redha Rasul sama dengan redha Allah ﷻ. Maka kenalah ikut ajaran baginda. Janganlah direka-reka amalan dan fahaman yang baru (bid’ah) pula kemudian kata ini Nabi ﷺ suka, ini Allah ﷻ akan beri pahala. Nabi ﷺ dan Allah ﷻ tidak pernah ajar, tetapi kamu kata mereka suka?


 

Tawbah Ayat 63: Ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ beri ancaman kepada mereka.

أَلَم يَعلَموا أَنَّهُ مَن يُحادِدِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَأَنَّ لَهُ نارَ جَهَنَّمَ خٰلِدًا فيها ۚ ذٰلِكَ الخِزيُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that whoever opposes Allah and His Messenger – that for him is the fire of Hell, wherein he will abide eternally? That is the great disgrace.

(MALAY)

Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jahannamlah baginya, kekal mereka di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar.

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّهُ مَن يُحادِدِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَأَنَّ لَهُ نارَ

Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka baginya, 

Kalimah يُحادِدِ berasal daripada katadasar ح د د yang bermaksud had, menahan, tolak balik, menghalang, berpaling dan sebagainya. Di dalam Al-Qur’an selalunya digunakan untuk hudud/had akan tetapi di sini ia bermaksud menolak balik atau menentang.

Allah ﷻ sebut menentang Allah ﷻ DAN Rasul kerana menentang Rasulullah bermaksud menentang Allah ﷻ juga. Menolak Rasul bermaksud menolak Allah ﷻ juga. Maka kalau ada golongan yang menolak Hadith seperti golongan Anti-Hadith itu, sebenarnya mereka menolak Allah ﷻ lah juga.

Sesiapa yang menentang Allah ﷻ dan Rasul seperti yang dilakukan oleh puak munafik itu, akan dimasukkan ke dalam neraka. ‘Menentang’ itu maksudnya tidak taat kepada arahan Nabi ﷺ dan Allah ﷻ. Antara yang mereka telah lakukan adalah tidak pergi keluar berjihad ke Tabuk. Itu pun sudah dikira sebagai menentang dan tentunya banyak lagi dosa-dosa yang mereka lakukan.

 

خٰلِدًا فيها

kekal mereka di dalamnya.

Oleh kerana menentang Allah ﷻ dan Rasul adalah dosa besar, mereka akan kekal di dalam neraka itu, tidak ada peluang untuk keluar.

 

ذٰلِكَ الخِزيُ العَظيمُ

Itu adalah kehinaan yang besar.

Mereka sangka mereka dipulau (oleh orang Mukmin) dan tidak dilayan oleh baginda itu sudah menjadi satu kesusahan yang besar, namun bagaimanakah pula nanti kalau kena masuk neraka? Itu adalah lebih teruk lagi daripada apa yang mereka dikenakan semasa di dunia. Yang mereka hadapi adalah kehinaan. Bukan kehinaan yang biasa tetapi kehinaan yang agung, yang besar.

Mereka sangka hina itu adalah apabila dipandang rendah oleh manusia. Akan tetapi di sini Allah ﷻ memperbetulkan fahaman kita semua bahawa hina yang paling besar nanti apabila dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada hina yang lebih hina daripada itu. Maka kerana itulah kita dianjurkan untuk berdoa supaya tidak dihinakan di Akhirat seperti diajar di dalam Ali Imran:194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat;

Dlam ayat 192 sebelum itu pun telah disebut kehinaan jikalau dimasukkan ke dalam neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya

Semoga kita semua diselamatkan dari neraka, aameen.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 3: Asnaf – Musafir dan Seputar Isu Zakat)

وَابنِ السَّبيلِ

dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan,

Asnaf yang kelapan dan terakhir adalah ‘anak perjalanan’ atau musafir. Yang dimaksudkan adalah musafir yang putus bekalan semasa dalam perjalanan mereka. Bukan semua harus diberi kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka.

Maknanya, tidaklah semua orang yang dalam perjalanan diberikan dengan bantuan kewangan. Antara perkara yang kerajaan boleh lakukan adalah dengan mendirikan rumah tumpangan untuk musafir yang boleh dijadikan sebagai tempat persinggahan.

Mereka diberi zakat agar dapat melanjutkan perjalanan ke negerinya. Namun ibnu sabil tidaklah diberi zakat kecuali bila memenuhi syarat:

(1) Muslim dan bukan termasuk ahlul bait (keluarga Nabi ﷺ),
(2) Tidak memiliki harta pada ketika itu sebagai biaya untuk kembali ke negerinya walaupun di negerinya dia adalah orang yang berkecukupan,
(3) Safar yang dilakukan bukanlah safar maksiat.

Ibnu Kathir رحمه الله juga berpendapat zakat ini boleh diberikan kepada orang yang hendak memulakan perjalannya tetapi tiada bekal. Namun begitu Imam Malik dan Imam Ahmad رحمهما الله berpendapat, zakat ini hanya untuk mereka yang terputus bekalan dalam perjalanan (bukannya hendak memulakan perjalanan).

Orang yang memulakan perjalanan dan tidak ada bekal, hendaklah meminjam wang dan nanti akan diganti kemudian. Meminjam lebih baik daripada diambil duit zakat. Kalau tidak ada orang yang hendak beri pinjam, maka sepatutnya janganlah memulakan perjalanan kecuali terpaksa.

Begitu juga kalau seseorang itu kaya dan putus perjalanan dalam musafirnya, dia boleh sahaja meminjam daripada mengambil duit zakat. Ini lebih baik. Cuma kalau kita lihat zaman sekarang, terputus wang di tengah perjalanan tidaklah bermaksud terus terputus kerana ada lagi cara lain seperti mengeluarkan duit di ATM atau banyak sahaja kaedah sekarang yang membolehkan urusan jualbeli tanpa memerlukan wang tunai.

Oleh itu, penerima zakat di bawah kategori ibnu sabil adalah agak khusus juga, iaitu mereka yang terputus bekalan dan serta tidak mempunyai harta. Kerana itu di dalam hadith ini tidak disebut Ibnu Sabil:

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلَّا لِخَمْسَةٍ لِغَازٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتُصُدِّقَ عَلَى الْمِسْكِينِ فَأَهْدَاهَا الْمِسْكِينُ لِلْغَنِيِّ
Daripada [‘Atha` bin Yasar رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak halal zakat bagi orang kaya kecuali bagi lima orang, iaitu orang yang berperang di jalan Allah, atau petugas zakat, atau orang yang berhutang, atau seseorang yang membelinya dengan hartanya, atau orang yang memiliki tetangga miskin kemudian orang miskin tersebut diberi zakat, lalu dia memberikannya kepada orang yang kaya.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1393)

Syarah: dalam hadith ini tidaklah disebut: ‘orang kaya dalam musafir’. Maknanya, tidaklah asalkan musafir sahaja boleh dapat duit zakat.

 

فَريضَةً مِّنَ اللَّهِ

suatu ketetapan yang diwajibkan daripada Allah,

Senarai asnaf-asnaf ini adalah satu ketetapan daripada Allah ‎ﷻ dan tidak boleh diubahsuai. Oleh itu, zakat itu mestilah diberikan kepada 8 golongan ini sahaja dan kerana itu pegawai zakat yang ditugaskan hendaklah mencari 7 jenis (tidak termasuk amil) ini juga. Allah ﷻ sudah beri panduan yang jelas maka hendaklah kita ikuti panduan ini.

Ada perbincangan ulama tentang 8 golongan ini: sama ada kena diberikan kepada semua atau boleh sahaja kalau diberikan kepada beberapa golongan sahaja. Ada yang kata kena cari dan dibahagikan kepada semua golongan dan ada juga yang mengatakan kalau dapat beberapa golongan sahaja pun boleh, kerana tidak semestinya semua golongan yang 8 itu ada pada setiap masa.

Akan tetapi apakah kesan atau ancaman jikalau tidak menjalankan kewajipan zakat ini? Lihat ancaman Allah ﷻ tentang mereka yang tidak menghiraukan orang miskin, seperti di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Juga disebut dalam Haqqah:30-34

خُذوهُ فَغُلّوهُ
(Allah berfirman): “Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya.

ثُمَّ الجَحيمَ صَلّوهُ
Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

ثُمَّ في سِلسِلَةٍ ذَرعُها سَبعونَ ذِراعًا فَاسلُكوهُ
Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.

إِنَّهُ كانَ لا يُؤمِنُ بِاللَّهِ العَظيمِ
Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin.

Kemudian disebut dalam Fajr:17-20

كَلّا ۖ بَل لّا تُكرِمونَ اليَتيمَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

وَلا تَحٰضّونَ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,

وَتَأكُلونَ التُّراثَ أَكلًا لَمًّا
dan kamu memakan harta pusaka dengan cara rakus

وَتُحِبّونَ المالَ حُبًّا جَمًّا
dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha mengetahui keperluan manusia dan Allah ﷻ telah menjadikan hukum untuk keperluan hidup kita. Kita kena terima bahawa apa yang Allah ﷻ telah tetapkan itu adalah sudah cantik dan molek untuk kebaikan kita. Maka hendaklah kita jaga perkara ini. Terutama sekali kepada mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat ini.

 

Beberapa perkara berkenaan Zakat

1. Isu Tamlik (Pemilikan). Keempat-empat mazhab dan majoriti ulama’ berpendapat harta zakat itu hendaklah diberi kepada penerimanya supaya mereka memilikinya. Maknanya kena sampai kepada individu-individu daripada 8 Asnaf itu.

Kerana itulah majoriti para ulama’ berpendapat harta zakat tidak boleh digunakan untuk pembinaan masjid, madrasah, hospital, rumah anak yatim dan sebagainya. Walaupun semua perkara itu adalah baik dan bermanfaat kepada masyarakat, akan tetapi tidak ada tamlik di dalamnya. Akan tetapi kalau diberikan pakaian kepada anak-anak yatim, atau ubatan diberikan kepada para pesakit yang layak, maka ini dibenarkan kerana ada tamlik.

Begitu jugalah tidak boleh diberikan zakat kepada si mati (contohnya untuk bayar keranda) kerana orang mati tidak boleh memiliki. Namun begitu jikalau diberikan kepada warisnya, mereka boleh gunakan zakat itu untuk membeli keranda itu. Asalkan mesti ada tamlik orang yang hidup.

Ini kerana ayat Al-Qur’an menyebut kalimah ءآتَوُا yang membawa maksud ‘memberikan’. Ini seperti disebut dalam Baqarah: 277

وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتَوُا الزَّكٰوةَ
dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

2. Menurut pandangan yang zahir dan sahih dalam mazhab Syafie, harta zakat yang dikutip di sesebuah negeri wajib dikembalikan kepada asnaf di negeri itu, dan bukannya dipindahkan ke negeri lain.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi Muhammad ﷺ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas رضي الله عنهما, ketika Baginda mengutus Muaz bin Jabal رضي الله عنه ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepada beliau:

«ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ«
“Serulah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah ﷻ dan aku adalah utusan Allah ﷻ. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam ke atas mereka. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
(Riwayat al-Bukhari (1395))

Rasulullah ﷺ bersabda di sini تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ bermaksud ia hendaklah diberikan kepada orang-orang miskin dalam ‘kalangan mereka’. Iaitu negeri tempat zakat itu dikutip.
Imam al-Syirbini menyatakan larangan memindahkan zakat ke negeri lain disebabkan negeri itu masih ada golongan yang berhak menerima zakat. Harta zakat yang dikutip adalah untuk golongan asnaf di negeri tersebut, maka sekiranya ia dipindahkan, nescaya ia akan membuatkan mereka bersedih kerana mereka menaruh harapan dan bergantung kepadanya.

Meskipun begitu, sekiranya terdapat sebab seperti ketiadaan asnaf yang memerlukan harta zakat di negeri tersebut atau hanya ada sebahagian atau ada lebihan zakat, atau adanya hajat dan keperluan lain seperti membantu negeri jiran dan sebagainya, maka harus hukumnya untuk menyalurkan dana zakat tersebut ke negeri lain.

3. Adakah barang dikenakan zakat? Syeikh Muhammad al-Zuhaili رحمه الله berkata:“Sesungguhnya zakat harta itu diwajibkan ke atas pemilik harta. Akan tetapi, zakat itu tidak berkaitan dengan semua jenis harta yang seseorang itu miliki. Hanya zakat itu terhad kepada harta yang boleh dikembangkan secara hakikat, realiti dan perbuatan, atau dengan kekuatan sehingga ia boleh dikembangkan sekalipun pemiliknya tidak mampu mengembangkannya sendiri. Adapun harta yang jumud yang tidak bergerak, iaitu harta yang pemilik itu mengkhususkan untuk keperluannya sahaja seperti rumah, kereta, perabot, dan perkakas-perkasan kerja, dan selainnya, maka tidak ada zakat ke atasnya. Ini kerana jika diwajibkan zakat ke atasnya sedangkan ia tidak mampu dikembangkan, nescaya hukum zakat akan menghabiskan harta itu dalam tempoh 40 tahun atau lebih cepat daripada itu, sehingga terjadilah bahaya terhadap pemiliknya itu sebagai permulaan, kemudian terhadap masyarakat dan umat sebagai pihak seterusnya.“
Terdapat lima jenis harta yang menepati kriteria harta boleh kembang yang dikenakan zakat:

I. Haiwan ternakan yakni unta, lembu dan kambing.
II. Al-Mu`asysyarat yakni makanan ruji seperti gandum dan beras, dan buah-buahan yakni kurma dan anggur.
III. Duit seperti emas, perak dan duit kertas
IV. Harta perdagangan
V. Harta galian daripada emas dan perak, termasuk harta karun.

Adapun barang-barang seumpama buku-buku, pinggan mangkuk, dan pakaian, ia tidak dinaskan oleh Syarak sebagai harta zakat. Tambahan lagi sifatnya tidak boleh dikembangkan, kecuali jika dijual beli maka masuklah dalam zakat perniagaan, sedangkan jika ia tidak diniagakan, maka ia tidak dapat dikembangkan lantaran nilainya sebagai keperluan manusia bersifat sangat relatif.

4. Bolehkah beri terus zakat kepada penerima? Jikalau ada ahli keluarga terdekat yang memang layak menerima zakat, maka ia boleh diberikan kepada mereka. Ada dua pahala pemberi itu akan dapat iaitu pahala mengeluarkan zakat dan pahala membantu keluarga. Cuma apabila diberi, tidaklah perlu diberitahu yang ia adalah pemberian zakat kepada mereka untuk menjaga hati mereka.

Akan tetapi zakat tidaklah boleh diberikan kepada tanggungan sendiri seperti daripada suami kepada isteri atau bapa kepada anak. Ini kerana ia seperti keluar poket kanan dan masuk poket kiri.

Selain daripada keluarga terdekat, maka zakat hendaklah diberikan kepada pihak yang telah dilantik kerajaan seperti Pusat Pungutan Zakat. Ini adalah kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengutip zakat dan memberikan kepada yang layak.

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Rujuk Fiqh al-Zakat al-Qaradawi, 2/208)

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

5. Adakah perlu periksa latarbelakang penerima zakat? Tidak perlu. Kemudian seandainya setelah itu ternyata dia bukanlah orang yang berhak menerimanya maka tidak perlu mengulangi zakat.

Dalil daripada pernyataan ini adalah kisah seorang lelaki yang mensedekahkan harta, pada awalnya dia bersedekah kepada pencuri, kemudian dia bersedekah lagi pada malam yang kedua, jatuhlah sedekahnya ke tangan seorang perempuan penzina (pelacur), selanjutnya dia bersedekah lagi pada malam yang ketiga kepada orang kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه]; Rasulullah ﷺ berkata,: “Ada seorang laki-laki berkata,: Aku pasti akan bersedekah. Lalu dia keluar dengan membawa sedekahnya dan ternyata jatuh ke tangan seorang pencuri. Keesokan paginya orang-orang ramai membicarakan bahwa dia telah memberikan sedekahnya kepada seorang pencuri. Mendengar hal itu orang itu berkata,: “Ya Allah segala puji bagi-Mu, aku pasti akan bersedekah lagi”. Kemudian dia keluar dengan membawa sedekahnya lalu ternyata jatuh ke tangan seorang penzina. Keesokan paginya orang-orang ramai membicarakan bahawa dia tadi malam memberikan sedekahnya kepada seorang penzina. Maka orang itu berkata, lagi: Ya Allah segala puji bagi-Mu, (ternyata sedekahku jatuh) kepada seorang penzina, aku pasti akan bersedekah lagi. Kemudian dia keluar lagi dengan membawa sedekahnya lalu ternyata jatuh ke tangan seorang yang kaya. Keesokan paginya orang-orang kembali ramai membicarakan bahawa dia memberikan sedekahnya kepada seorang yang kaya. Maka orang itu berkata,: Ya Allah segala puji bagi-Mu, (ternyata sedekahku jatuh) kepada seorang pencuri, penzina, dan orang kaya. Setelah itu orang tadi bermimpi dan dikatakan padanya: “Adapun sedekah kamu kepada pencuri, mudah-mudahan dapat mencegah si pencuri daripada perbuatannya, sedangkan sedekah kamu kepada penzina, mudah-mudahan dapat mencegahnya berbuat zina kembali dan sedekah kamu kepada orang yang kaya mudah-mudahan dapat memberikan pelajaran baginya agar menginfaqkan harta yang diberikan Allah ‎ﷻ kepadanya”.
(Sahih Bukhari (1332))

Maka pihak yang mengagihkan zakat tidak perlu periksa sangat latarbelakang penerima zakat itu. Cuma di dalam kes orang yang berhutang dan juga orang yang bermusafir, kena dilakukan sedikit pemeriksaan untuk memastikan mereka memang sedang dilanda masalah dan layak untuk menerima zakat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 2: 3 Golongan Asnaf Zakat – Hamba, Gharim dan Fi sabilillah)

Sambungan 4 lagi golongan yang berhak menerima zakat. Kali ini semuanya dimulakan dengan harf في (dalam) pula. Al-Zamakhshari رَحِمَهُ اللَّهُ memberikan pendapat perbezaan antara golongan yang dimulakan dengan harf ل dan sekarang golongan yang dimulai dengan في. Beliau berpendapat golongan yang dimulakan dengan في ini lebih memerlukan harta zakat kerana kalimat في digunakan, seolah-olah harta itu mesti dimasukkan ke dalam golongan itu.

Ini kerana golongan yang diperhambakan lebih memerlukan bantuan daripada golongan fakir dan miskin (mereka walaupun miskin tetapi masih merdeka). Begitu juga dengan orang yang berhutang. Yang berhutang lebih memerlukan kerana mereka ada orang yang sedang menuntut-nuntut pembayaran daripada mereka itu.

 

وَفِي الرِّقابِ

dan di dalam (memerdekakan) hamba, 

Asnaf yang kelima adalah orang yang dalam keadaan untuk dimerdekakan. Kalimah الرِّقابِ adalah jamak bagi رقبة dan ia diambil daripada katadasar ر ق ب yang bermaksud mengawal, memerhati, hormat, menunggu, ikat di tengkuk, beri amaran, takut, tengkuk, hamba, tawanan. Kita boleh bayangkan hamba yang diikat pada tengkuknya. Maka digunakan wang zakat untuk diberikan kepada hamba untuk membebaskan diri mereka daripada perhambaan.

Istilah: kalau nampak kalimah ‘budak’ dalam kitab-kitab fiqh, ia bukanlah bermaksud budak tidak cukup umur, tetapi hamba sahaya (atau ada yang guna terma hamba abdi).

Pembebasan hamba yang termasuk di dalam golongan ini adalah:

(1) Pembebasan hamba mukatab, iaitu yang berjanji dengan tuannya untuk memerdekakan diri dengan dengan syarat melunaskan pembayaran tertentu (bersetuju satu nilai wang). Hamba jenis ini dibenarkan oleh tuannya untuk berniaga contohnya, untuk membayar wang tebusannya. Kalimah ‘mukatab’ bermaksud sudah ada perjanjian antara mereka.

Jumhur ulama’ mazhab (Syafie, Hanafi dan Hanbali) berpendapat jenis hamba inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini atas. Adapun jenis-jenis hamba selepas ini tidak sepakat mereka akan kebolehan menggunakan wang zakat untuk membebaskan mereka.

(2) Pembebasan hamba Muslim. Terdapat ramai para sahabat membayar wang kepada tuannya dan membebaskan jenis hamba Muslim ini. Kisah yang biasa kita dengar bagaimana Abu Bakr رضي الله عنه membebaskan Bilal رضي الله عنه. Allah ﷻ memberitahu ia adalah suatu amalan baik yang amat besar nilainya seperti disebut dalam Balad:12-13

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلعَقَبَةُ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

فَكُّ رَقَبَةٍ
Memerdekakan hamba abdi;

(3) Pembebasan tawanan muslim yang ada di tangan orang kafir.

(4) Kalau diluaskan kriteria ini, boleh dimasukkan mereka yang dijadikan sebagai hamba seks, mereka yang ditangkap kemudian dipaksa menjadi pelacur, yang ditangkap menjadi banduan tidak sah dan sebagainya. Iaitu mereka yang memerlukan wang untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu orang lain.

Contoh penyaluran zakat untuk pembebasan hamba mukatab: Ada seorang hamba yang berjanji pada tuannya ingin merdeka dengan bayaran 10 dinar. Enam bulan pertama, dia berjanji membayar 5 dinar dan enam bulan berikutnya ia membayar 5 dinar lagi. Maka ketika itu dia diberi zakat masing-masing 5 dinar untuk tahap pertama dan kedua.

Untuk pembebasan budak mukatab, boleh sahaja zakat diserahkan pada si hamba lalu dia melunasi hutangnya pada tuannya atau boleh juga zakat tersebut diserahkan terus pada tuannya. Ini kerana dalam ayat digunakan kata “فى” (di dalam), yang bererti untuk pembebasan budak dan tidak semestinya langsung diserahkan pada budaknya, beza halnya dengan fakir dan miskin (diberikan terus kepada penerima).

Untuk zaman sekarang sudah tidak ada lagi istilah hamba di dunia ini (secara umumnya. Kalau ada pun mungkin terpencil). Maka ada yang meluaskan makna ‘hamba’ ini. Hamba adalah mereka yang tidak ada kebebasan diri, tidak boleh berbuat sekehendak mereka. Maka ini termasuk juga dengan orang yang ditangkap dan dipenjarakan tanpa keadilan. Ini adalah seperti kes tahanan yang ditangkap dan dipenjarakan di Guantanamo Bay itu. Dengarnya memang ada urusan pembayaran dikeluarkan untuk mengeluarkan mereka yang ditangkap itu. Maka ini juga boleh dikira sebagai zakat ar-riqab. Sehingga kini masih ada tahanan berada di situ, walaupun sudah sebahagian tahanan telah dipindahkan dan dibebaskan.

Tahanan penjara tanpa keadilan contoh hamba yang layak mendapat zakat masakini

 

وَالغٰرِمينَ

dan orang-orang yang berhutang,

Asnaf yang keenam adalah mereka yang tertanggung dan terbeban dengan hutang. Ada orang yang kerana hutang, terpaksa menghabiskan segala hartanya dan tidak dapat menanggung dirinya dan keluarganya. Mungkin sahaja dia kehilangan segala hartanya itu kerana sebab maksiat, tetapi dia telah bertaubat.

Oleh itu Gharim adalah orang yang terbelit hutang dan golongan ini juga ada bahagiannya daripada zakat. Dia terbelit sampai tidak mampu membayarnya. Namun bukanlah semua jenis hutang. Kalau hutang kereta kenalah usaha bayar sendiri.

Golongan yang dibincangkan ulama’ ada seperti berikut:

Pertama: Orang yang terlilit hutang demi kemaslahatan dirinya. Namun ada beberapa syarat yang harus dipenuhi:

    1. Yang berhutang adalah seorang Muslim.
    2. Bukan termasuk ahlul bait (keluarga Nabi ﷺ).
    3. Bukan orang yang sengaja berhutang untuk mendapatkan zakat.
    4. Orang yang berhutang bukan dalam rangka maksiat seperti untuk minum minuman keras, berjudi atau berzina, kecuali jika dia bertaubat (kalau bertaubat masih boleh dapat zakat).
    5. Hutang tersebut mesti segera dilunasi (sudah ‘due’), bukan hutang yang masih tertunda untuk dilunasi beberapa tahun lagi kecuali jika hutang tersebut mesti dilunasi di tahun itu, maka dia diberikan zakat.
    6. Bukan orang yang masih memiliki harta simpanan untuk melunasi hutangnya.

Kedua: Orang yang terlilit hutang kerana untuk memperbaiki hubungan orang lain (dalam istilah Arab dipanggil ‘hamalah’. Ertinya, dia berhutang bukan untuk kepentingan dirinya. Dalil asal dalam bab ini ialah hadith Qabishah ibnu Mukhariq Al-Hilali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan bahawa beliau menanggung suatu tanggungan hutang, lalu beliau datang menghadap Rasulullah ﷺ untuk meminta bantuan Rasulullah ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ قَبِيصَةَ بْنِ مُخَارِقٍ الْهِلَالِيِّ قَالَ تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا قَالَ ثُمَّ قَالَ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَحِلُّ إِلَّا لِأَحَدِ ثَلَاثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلَاثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلَانًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ فَمَا سِوَاهُنَّ مِنْ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا
Daripada Qabishah bin Mukhariq Al Hilali رضي الله عنه dia berkata; Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah ﷺ, meminta bantuan baginda untuk membayarnya. Baginda menjawab: “Tunggulah sampai orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh menyerahkannya kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya: “Hai Qabishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan. (Satu) orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang saling bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya lunas. Bila hutangnya telah lunas, maka tidak boleh lagi dia meminta-meminta. (Dua) orang yang terkena bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sampai dia memperoleh sumber kehidupan yang layak baginya. (Tiga) orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta, sampai dia memperoleh sumber penghidupan yang layak. Selain tiga golongan itu, haram baginya untuk meminta-minta, dan haram pula baginya memakan hasil meminta-minta itu.”
(Sahih Muslim No. 1730)

Ketiga: Orang yang berhutang kerana sebab dhomin (penanggung jaminan hutang orang lain). Namun di sini disyaratkan orang yang menjamin hutang dan yang dijamin hutang sama-sama orang yang sulit dalam melunasi hutang kerana sepatutnya orang yang berhutanglah yang kena bayar dahulu. Sekiranya penjamin mempunyai harta, dia mestilah menggunakan hartanya dahulu.

Mengenai contoh penyaluran zakat pada orang yang berhutang disampaikan oleh Syeikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin رحمه الله,

“Jika seseorang memiliki hutang 10.000 riyal. Gaji bulanannya sebesar 2000 riyal. Adapun keperluannya dalam sebulan juga 2000 riyal. Maka apakah orang seperti ini diberikan zakat? Ya. Kerana pada saat ini dia termasuk orang yang memerlukan kerana terlilit hutang. Dia diberikan zakat bukan maksud memenuhi keperluan bulanannya kerana daripada gajinya sudah mencukupi. Dia diberikan zakat untuk melunasi hutangnya kerana dari sisi ini dia dianggap fakir.”

 

وَفي سَبيلِ اللَّهِ

dan di dalam jalan Allah

Asnaf yang ketujuh adalah mereka berusaha untuk mengembangkan Islam. Fi sabilillah bermaksud di jalan Allah. Antaranya adalah untuk jihad. Juga untuk menjalankan usaha dakwah. Juga untuk memajukan umat Islam.

Ada pelajar-pelajar kita yang diberikan dengan bantuan zakat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dikira sebagai jihad fisabilillah juga. Namun begitu kebiasaannya yang diberi adalah hanya untuk pelajar-pelajar dalam bidang agama. Sedangkan kita juga memerlukan pakar-pakar dalam bidang yang lain juga. Sebagai contoh dalam bidang kedoktoran, bidang jurutera dan sebagainya kerana untuk memajukan umat Islam, memerlukan kemajuan dalam semua bidang itu. Tidak dapat dinafikan kita hidup pada zaman teknologi tinggi yang memerlukan segala perkara tersebut.

Oleh itu, mari kita lihat perbincangan dan pengkelasan oleh ahli ilmu tentang hal ini. Siapakah yang termasuk di dalam golongan ini?

Pertama: Berperang di jalan Allah.
Menurut majoriti ulama, penerima jenis ini tidak disyaratkan miskin. Orang kaya pun boleh diberi zakat dalam hal ini kerana orang yang berperang di jalan Allah tidak berjuang untuk kemaslahatan dirinya sahaja, namun juga untuk kemaslahatan seluruh kaum muslimin. Sehingga tidak perlu disyaratkan fakir atau miskin.

Kedua: Untuk kemaslahatan perang.
Seperti untuk pembangunan benteng pertahanan, penyediaan kenderaan perang, penyediaan persenjataan, pemberian upah pada mata-mata baik muslim atau kafir yang bertugas untuk merisik musuh.

Asalnya asnaf fi sabilillah ini adalah untuk yang terlibat dengan jihad perang. Akan tetapi bahagian inilah yang selalunya hendak diluaskan maknanya. Antaranya ada yang kata boleh digunakan untuk membiayai pelajar Muslim dalam apa-apa bidang pun kerana ia juga termasuk dalam perkara fi sabililah. Maka kita cuba bincangkan sedikit di sini:

Para fuqaha sepakat bahawa orang-orang yang sedang berperang di jalan Allah ﷻ termasuk dalam kategori fi sabilillah, sedangkan selain orang-orang yang sedang berperang masih diperselisihkan oleh para ulama, apakah mereka masuk dalam fi sabilillah ataukah tidak? Kemudian perbezaan pendapat ini semakin melebar di zaman-zaman ini dan terbahagi menjadi lima pendapat:

 

Pendapat 1: Maksud daripada fi sabilillah adalah perang saja.

Ini adalah pendapat Abu Yusuf رحمه الله dalam kalangan Hanafiyah, juga pendapat mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan salah satu riwayat daripada Hanabilah yang dirajihkan oleh Ibnu Qudamah رحمه الله.

Dalil pendapat ini adalah:

Hujah 1: Yang dimaksud dengan fi sabilillah secara mutlak adalah perang dan kebanyakan penggunaan kalimat ini dalam Al-Qur`an adalah dalam maksud berperang.

Hujah balas: Dalil ini tidak boleh terus diterima, kerana apabila tidak ada nukilan daripada syari’at tentang pengertiannya, maka kita harus mengambil maknanya secara bahasa dan kalimat fi sabilillah dalam konteks ini menunjukkan makna umum.

Hujah 2: Hadith Abu Said al-Khudriy رضي الله عنه yang marfu’:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلاَّ لِخَمْسَةٍ : لِغَازٍ فِي سَبِيْلِ اللهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اِشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتَصَدَّقَ عَلىَ المِسْكِيْنِ فَأَهْدَاهَا المِسْكِيْنُ لِلْغَنِي
Zakat itu tidak halal untuk orang kaya kecuali lima orang (kaya): orang yang berperang di jalan Allâh atau amil zakat atau gharim atau orang yang membelinya dengan hartanya atau orang yang memiliki tetangga miskin, dia memberikan zakat kepada tetangga tersebut lalu tetangga yang miskin tersebut menghadiahkannya kepada orang kaya.
(Sunan Abi Dawud No. 1635)

Syarah: Sisi pengambilan dalil daripada hadith ini iaitu Rasulullah ﷺ menyebutkan لِغَازٍ ‘kepada ghazi’ (orang yang sedang berperang) di antara lima orang yang disebutkan dalam hadith di atas, sedangkan di antara lapan golongan orang penerima zakat yang disebutkan dalam ayat di atas tidak ada yang boleh diberikan kepada orang yang berperang kecuali bahagian fi sabilillah.

Hujah balas: Namun sisi pendalilan ini juga terbantah, kerana dalil di dalam hadith di atas paling kuat pun menunjukkan bahawa seorang yang sedang berjihad diberi bahagian zakat daripada bahagian fi sabilillah sekalipun dia orang yang kaya, sementara jalan-jalan Allah banyak, tidak hanya terbatas pada erti perang di jalan Allah ﷻ.

 

Pendapat 2: Maksud daripada fi sabilillah adalah berperang, haji dan umrah.

Ini adalah pendapat Muhammad bin al-Hasan daripada Hanafiyah dan sebuah mazhab dalam kalangan Hanabilah. Dalil daripada pendapat kedua ini adalah:

Hujah 1: Hadith berikut:

Ummu Ma’qil رضي الله عنها mengatakan bahawa Abu Ma’qil رضي الله عنه berangkat haji bersama Rasulullah ﷺ. Ketika beliau pulang, Ummu Ma’qil رضي الله عنها berkata, “Saya tahu bahawa saya wajib haji.” Lalu keduanya berangkat menuju Rasulullah ﷺ. Saat sampai di depan baginda ﷺ, Ummu Ma’qil رضي الله عنها berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya wajib haji sementara Abu Ma’qil رضي الله عنه sendiri memiliki unta muda.” Abu Ma’qil رضي الله عنه menjawab, “Kamu benar, tetapi aku telah menjadikannya untuk di jalan Allah.”
Lalu Rasulullah ﷺ bersabda:
أَعْطِهَا فَلتَحُجَّ عَلَيْهِ فَإِنّهُ فِي سَبِيلِ اللهِ
Berikanlah kepadanya agar dia boleh pergi haji, kerana itu termasuk fi sabilillah.
(Riwayat Abu Dawud No. 1988)

Hujah balas: Namun dalil ini pun dibantah dengan beberapa hal berikut:

Pertama, ada pendapat yang mengatakan hadith ini dhaif (walaupun ada juga yang mengatakan ia sahih)

Kedua, zakat hanya diberikan kepada seorang sahaja di antara dua orang:
a) Orang yang memerlukannya seperti orang fakir, miskin, hamba sahaya dan orang yang berhutang untuk membayar hutangnya.
b) Orang yang diperlukan khidmat mereka oleh kaum Muslimin seperti amil zakat, orang yang berperang, mu`allaf (orang yang baru masuk Islam), gharim (orang yang menanggung hutang) demi mendamaikan dua pihak yang bertikai.

Sedangkan haji untuk orang miskin tidak mendatangkan manfaat bagi kaum Muslimin secara umum. Kaum Muslimin tidak memerlukan ibadah haji orang miskin tersebut dan orang fakir sendiri juga tidak memerlukan ibadah haji itu, kerana orang fakir tidak ada kewajipan ibadah haji.

Hujah 2: Atsar-atsar mauquf (yang berhenti pada sahabat, bukan sabda Nabi ﷺ) yang menunjukkan bahawa haji termasuk fi sabilillah, seperti atsar yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang diriwayatkan Abu Ubaid رضي الله عنه dengan sanadnya dari jalan Abu Mu’âwiyah daripada al-A’masy daripada Hasan bin al-Asyras daripada Mujahid رحمه الله daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما bahawa dia membolehkan seseorang memberikan zakatnya untuk menunaikan haji dan memerdekakan budak.

Demikian juga atsar daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما ketika ditanya tentang seorang wanita yang mewasiatkan tiga puluh dirham di jalan Allah, maka Ibnu Umar رضي الله عنهما ditanya, “Bolehkan ia digunakan untuk haji?” Baginda menjawab, “Ia termasuk fi sabilillah.”

Hujah balas: Dalil ini pun dibantah dengan menyatakan bahawa atsar Ibnu Abbas رضي الله عنهما tidak sahih, sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Hajar رحمه الله dalam Fathul Bari.

 

Pendapat 3: Maksud daripada fi sabilillah adalah segala perkara kebaikan dan ketaatan.

Ini adalah pendapat yang dinisbatkan oleh al-Qaffal kepada sebagian fuqaha` tanpa menyebut nama mereka, sebagaimana yang dinukil oleh ar-Razi dalam tafsirnya. Al-Kasani memilih pendapat ini, sekalipun dia membatasinya pada orang-orang yang memerlukan. Pendapat ini diterima oleh banyak Ulama’ di zaman ini.

Hujah: Dalil daripada pendapat ini adalah kalimah ‘fi sabilillah’ bersifat umum, tidak boleh dibatasi pada sebahagian maknanya kecuali dengan berdasarkan dalil yang sahih, padahal tidak ada dalil sahih yang membatasi maknanya.

Hujah balas: Dalil ini tidak boleh diterima, kerana keumuman tersebut dibatasi dengan konteks penggunaannya. Jika pendapat ini diterima, maka konsekuensinya adalah semua orang yang melakukan kebaikan dan ketaatan seperti solat, puasa, sedekah dan lain sebagainya berhak menerima zakat, kerana mereka telah melakukan kebaikan dan termasuk dalam kategori fi sabilillah jugalah kiranya, bukan? Inilah konsekuensi hukumnya, padahal tidak seorang pun ulama yang terkenal keulamaannya berpendapat seperti itu.

 

Pendapat 4: Maksud daripada fi sabilillah adalah kemaslahatan umum.

Ini adalah pendapat sebahagian ulama zaman ini. Di antara yang berpendapat demikian adalah as-Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dan Syaikh Mahmud Syaltut.

Hujah 1: Tidak dikenali dalam Al-Qur`an kalimat sabilillah kecuali bermakna kebaikan umum yang menyeluruh.

Hujah balas: Hujah ini juga tidak boleh diterima, kerana kalimah fi sabilillah disebutkan dengan beberapa makna, sekalipun banyak digunakan untuk kalimat yang bermakna jihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Hujah 2: Nabi ﷺ membayar diyat seorang sahabat yang tidak diketahui pembunuhnya diambil daripada unta zakat.

Ini terdapat dalam hadith berikut:

Sahal bin Abu Hatsmah al-Anshari رضي الله عنه bahawa dia berkata:
فَكَرِهَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبْطِلَ دَمَهُ، فَوَدَاهُ مِائَةً مِنْ إِبِلِ الصَّدَقَةِ
Lalu Rasulullah ﷺ tidak ingin darahnya sia-sia, maka baginda membayar diyatnya seratus unta daripada unta zakat.
(Muttafaq alaihi)

Apakah kaitan hadith ini dengan perbincangan kita?: Bila membayar diyat korban pembunuhan daripada zakat dibolehkan demi meredakan pertikaian dan demi menjaga ketertiban umum, maka lebih utama lagi untuk dibolehkan menggunakan zakat demi menjaga keamanan masyarakat dan kehidupan mereka di negeri Islam serta menjaga kemaslahatan umum mereka.

Hujah balas: Dalil di atas dibantah dengan bantahan berikut:

a) Hadith ini disebutkan dalam sahih al-Bukhari dengan lafaz yang berbeza. Dalam lafaz itu disebutkan yang Nabi ﷺ membayar diyat daripada duit baginda sendiri (bukan daripada harta zakat).
Majoriti ulama telah mengkompromikan antara dua riwayat tersebut dengan mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ membeli unta-unta zakat daripada para penerima zakat setelah mereka memilikinya, kemudian menyerahkannya kepada keluarga korban.

b) Kalau pun diterima bahawa Nabi ﷺ membayar diyat itu daripada harta zakat, tetap saja bukan termasuk kemaslahatan umum kerana itu adalah kes terpencil sahaja.

c) Maksud daripada pembayaran diyat bukan hanya meredakan pertikaian semata, sebaliknya ia hanyalah sebahagian daripada illat (sebab hukum). Mendamaikan di antara dua pihak yang bertikai dan membuat jiwa keluarga korban mahu menerima juga termasuk tujuan-tujuan syari’at di balik pembayaran diyat.

Kemudian alasan menjaga keamanan masyarakat tidak terwujud pada seluruh kemaslahatan umum.

 

Pendapat 5: Maksud daripada kalimat fi sabîlillâh adalah jihad dalam erti umum, baik jihad dengan tangan, harta mahupun lisan. Dengan demikian, ini mencakupi perang di jalan Allâh ﷻ dan dakwah kepada Allâh ‎ﷻ.

Ini adalah keputusan al-Mujamma’ al-Fiqhi al-Islami dan an-Nadwah li Qadhaya az-Zakah al-Mu’ashirah yang pertama. Dalil pendapat ini adalah:

Hujah 1: Yang diinginkan dari penyebutan kalimat fi sabilillah dalam ayat tentang zakat adalah maknanya yang khusus iaitu jihad atau yang semakna dengannya. Inilah yang terfahami daripada gaya bahasa penyampaiannya yang diawali dengan pembatasan (kalimah: hanyalah sekian dan sekian).

Jika pengertian kalimat fi sabilillah dibawa kepada pengertian umum, maka tentulah yang terlibat sangat banyak dan ini bertentangan dengan gayabahasa pembatasan yang hanya membatasi pembahagian zakat pada lapan golongan saja.

Hujah 2: Jihad dalam Islam tidak terbatas pada perang dengan senjata semata. Dalam sebuah riwayat sahih:

Daripada Nabi ﷺ bahawa baginda ditanya, “Jihad apakah yang paling utama?”
Maka baginda ﷺ menjawab:
كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Kalimat haq di depan pemimpin zalim.
(Sunan Abu Dawud No. 4344 dan at-Tirmidzi No. 4011)
Riwayat ini disahihkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsirnya 4/99 dan al-Albani dalam as-Silsilah ash-Shahihah no. 491

Baginda ﷺ juga bersabda:
جَاهِدُوا المُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ
Berjihadlah melawan orang-orang musyrik dengan harta, jiwa dan lisan kalian.
(Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasaa’I)
Disahihkan al-Albani dalam al-Misykah no. 3821

Oleh itu, dakwah juga termasuk dalam fi sabilillah juga.

Hujah 3: Kalaupun dakwah kepada Allah ‎ﷻ tidak termasuk dalam jihad di jalan Allah ﷻ berdasarkan dalil itu, namun dakwah tetap boleh masuk ke dalam kategori jihad melalui cara qiyas, kerana keduanya memiliki tujuan yang sama iaitu mendukung agama Allah ﷻ dan menjunjung tinggi kalimat-Nya.

Kesimpulan:
Pendapat yang kelima inilah pendapat yang rajih. Iaitu pendapat yang mengatakan bahawa maksud dari fi sabilillah adalah maknanya yang khusus iaitu jihad dalam pengertian luas, mencakupi semua aktiviti dalam rangka menolong agama Allah ﷻ. Pendapat ini yang rajih kerana dalil-dalilnya yang kuat dan beberapa hal berikut ini:

1. Kalimah fi sabilillah banyak digunakan dengan makna jihad. Ini lebih kuat kalau dibandingkan dengan makna selainnya.

Kalimah fi sabilillah disebutkan 50 kali dalam Al-Qur’an; 38 kali disebutkan beriringan dengan jihad dan perang; Di 8 tempat disebutkan bersama infak, 7 daripada 8 ini disebutkan bersama infak dan perang sementara yang ke 8 disebutkan pada ayat zakat; Dan 4 yang tersisa sehingga genap 50 itu disebutkan bersama kalimat hijrah yang bererti pergi ke negeri Islam demi menjunjung tinggi kehormatan agama.

Dari sini diketahui bahawa kalimat fi sabilillah disebutkan di kebanyakan tempat dengan makna jihad.

2. Penafsiran golongan fi sabilillah dengan makna jihad merupakan pendapat majoriti ulama salaf dan jumhur fuqaha` zaman dulu dan zaman sekarang.

3. Seluruh ayat yang disebut kalimat fi sabilillah yang terkait jihad dengan jiwa juga disebutkan di tempat yang sama tentang jihad dengan menggunakan harta. Ini menunjukkan adanya perluasan makna jihad fi sabilillah kepada makna yang lebih umum, ertinya jihad fi sabilillah tidak hanya bermakna perang.

Sebagaimana penggunaan kalimat jihad pada beberapa nas dengan makna yang lebih luas, tidak hanya bermakna perang, seperti firman Allâh ﷻ:

وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Qur’an dengan jihad yang besar
[Al-Furqan: 52]

Dan sebahagian hadith yang menetapkan hal ini telah dijelaskan pada dalil-dalil pendapat kelima.

4. Tujuan daripada peperangan itu adalah menolong agama dan mengusir orang-orang kafir yang berlaku zalim. Tujuan ini juga boleh terwujud melalui jihad dengan harta dan lisan dengan cara menjelaskan kebenaran, mendakwahnya, membantah dan menolak kebatilan. Terutama di zaman ini, di mana media informasi telah menyebar luas hingga menjangkau seluruh pelusuk bumi dan memiliki pengaruh yang signifikan dalam membentuk pola pemikiran masyarakat dan merubah pemahaman mereka.

Bahkan perang informasi melalui media massa lebih besar kesannya daripada perang menggunakan senjata. Fakta ini semakin menegaskan pentingnya sikap yang tidak memisahkan antara satu bentuk jihad dengan bentuk jihad lainnya dalam masalah penyaluran zakat kaum Muslimin kepada mereka yang berjihad, selama tujuannya adalah menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan.

5. Pendapat ini mewujudkan kaitan antara gaya bahasa pembatasan dalam ayat zakat dengan adanya peluasan makna fi sabilillah yang terdapat dalam Al-Qur`an dan Sunnah. Iaitu dengan memahaminya tidak sebagai sebuah pengkhususan yang sempit namun juga tidak melebar ke makna yang terlalu umum.

Oleh itu, jelas sekali ini adalah konsep pengkhususan makna fi sabilillah disertai peluasan makna namun tidak keluar daripada makna fi sabilillah yang sering dipergunakan dan tidak hanya sebatas makna secara bahasa semata. Pendapat ini didukung oleh keputusan al-Mujamma’ al-Fiqhi al-Islami di Makkah.

Bagaimana mengamalkan pemahaman ini? Daripada keterangan di atas diketahui bahawa yang dimaksudkan dengan fi sabilillah adalah menolong agama melalui jihad dengan jiwa, harta dan lisan. Tentu ini mencakupi semua urusan dakwah dan sekaligus menjelaskan bahawa di antara gerakan yang patut untuk dibantu melalui jalur fi sabilillah adalah seperti:

Pertama, segala aktiviti untuk mewujudkan persiapan jihad yang diperintahkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”
[Anfal:60]

Contoh yang boleh dilakukan:

– Mendirikan dan membiayai kilang-kilang yang mengeluarkan senjata perang dan alat perang, berat mahupun ringan; dan membeli senjata bila diperlukan.

– Mendirikan akademi-akademi ketenteraan yang mendidik para pemuda kaum Muslimin untuk menggunakan senjata dan berperang demi membela negeri kaum Muslimin.

– Mencetak buku-buku dan majalah-majalah ketenteraan yang memberikan arahan dan informasi kepada kaum Muslimin terkait dengan perkara-perkara yang mereka perlukan dalam jihad.

– Mendirikan pusat-pusat kajian dan penelitian yang mengkaji langkah-langkah musuh.

Perkara-perkara di atas boleh dibiayai daripada zakat melalui bahagian fi sabilillah apabila ulama’ umat menetapkan bahawa itu telah memenuhi kriteria syar’i.

Kedua, perkara yang mewujudkan jihad dan menolong agama Allah melalui jalan dakwah. Ini memiliki beberapa bentuk, di antaranya:

– Mendirikan pusat-pusat dakwah dan bimbingan dan memenuhi keperluan dakwah seperti prasarana, gaji para pegawainya dan biaya operasi dan selainnya.

– Mencetak buku-buku dan buletin-buletin yang bertujuan menyebarkan ilmu syar’i dan dakwah serta mengedarkan audio dakwah Islam yang membawa misi dakwah.

– Mendukung halaqah-halaqah hafalan Al-Qur’an dan membiayai kos operasinya. Dengan ini dapat kita mengajarkan kitabullah lalu mengamalkannya. Ini termasuk pintu jihad yang paling besar, kerana ayat tentang jihad yang pertama kali turun adalah jihad dengan Al-Quran, sebagaimana Allah ﷻ berfirman:

وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar.
[Al-Furqan:52]

– Membuat dan biaya laman web yang menjelaskan kebenaran, membimbing manusia dan berdakwah kepada Allah ﷻ dengan hikmah dan nasihat yang baik. Terutama di zaman ini di mana teknologi telah menjadi ruang komunikasi paling efektif.

– Mendirikan jaringan TV Islam yang mengajak kepada Allah ﷻ dan mendukungnya demi mewujudkan visi dan misinya. Ini termasuk saranan jihad dengan menggunakan lisan yang paling agung, kerana ia memiliki pengaruh yang besar. Kerana cara ini memiliki daya tarik dan pengaruh yang tinggi. Perang di jalur ini lebih besar kesannya daripada perang senjata, kerana ia berkesan secara khusus terhadap akal manusia. Ini berbeza dengan perang senjata, ia hanya mengusai hal-hal kecil dan terkadang tidak menyentuh akal dan akidah.

– Mendirikan yayasan-yayasan dakwah yang memperhatikan dakwah Islam, baik dakwah kepada orang-orang kafir agar masuk Islam atau dakwah kepada kaum Muslimin dengan memahamkan mereka terhadap agamanya dan memperteguh keyakinan mereka, terutama yang baru masuk Islam.

Di atas adalah antara cadangan yang boleh dipertimbangkan. Ini memerlukan perbincangan yang lebih lanjut di antara pihak yang menguruskan harta zakat.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 23 Disember 2024

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 60 (Bahagian 1: 4 Golongan Asnaf Zakat – Fakir, Miskin, Amil dan Muallaf)

PENERIMA-PENERIMA ZAKAT

Tawbah Ayat 60: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Munafik itu marah kalau mereka tidak mendapat pembahagian zakat. Mereka tidak diberikan dengan zakat kerana biasanya orang-orang munafik itu sudah kaya raya dan sebab itulah mereka tidak layak mendapat zakat.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini yang zakat mesti diberikan kepada golongan Asnaf. Allah ﷻ hendak memberitahu mereka supaya jangan dengki kalau tidak dapat kerana yang patut dapat zakat itu sudah ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan Munafik yang marah apabila mereka tidak diberi zakat. Maknanya mereka itu marah dengan Allah ﷻ kerana pembahagian harta zakat sebenarnya ditentukan oleh Allah ﷻ, bukannya Rasulullah ﷺ.

۞ إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ وَالعٰمِلينَ عَلَيها وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم وَفِي الرِّقابِ وَالغٰرِمينَ وَفي سَبيلِ اللَّهِ وَابنِ السَّبيلِ ۖ فَريضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Zakāh expenditures are only for the poor and for the needy it¹ and for those employed for and for bringing hearts together [for Islām] and for freeing captives [or slaves] and for those in debt and for the cause of Allāh and for the [stranded] traveler – an obligation [imposed] by Allāh. And Allāh is Knowing and Wise.

  • By the state to collect, guard and distribute the zakāh.

(MALAY)

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, 

Ulama tafsir bersetuju yang lafaz الصَّدَقاتُ dalam ayat ini bermaksud zakat, bukan sedekah yang sunat. Di dalam surah ini juga di dalam ayat 103 juga memberi indikasi yang ia adalah zakat kerana ia kena diambil, bukan secara sukarela.

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً
Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka

Dari segi bahasa, الصَّدَقاتُ berasal daripada katadasar ص د ق yang bermaksud ‘benar’. Mereka yang memberi sedekah dan zakat itu membenarkan ajaran Islam. Mereka juga membenarkan janji Allah ﷻ yang mengatakan bahawa mereka yang infak/sedekah/zakat akan mendapat balasan baik daripada Allah ﷻ. Maka ada banyak perkara yang boleh dimasukkan sebagai sedekah seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ وَبَصَرُكَ لِلرَّجُلِ الرَّدِيءِ الْبَصَرِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِفْرَاغُكَ مِنْ دَلْوِكَ فِي دَلْوِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
Daripada [Abu Dzarr رضي الله عنه] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Senyummu kepada saudaramu merupakan sedekah, engkau berbuat ma’ruf dan melarang daripada kemungkaran juga sedekah, engkau menunjukkan jalan kepada orang yang tersesat juga sedekah, engkau menuntun orang yang berpenglihatan kabur juga sedekah, menyingkirkan batu, duri dan tulang dari jalan merupakan sedekah, dan engkau menuangkan air daripada baldimu ke baldi saudaramu juga sedekah.”
Jami’ Tirmidzi (1879)
Status: Hasan

Orang yang mengeluarkan zakat itu membenarkan janji Allah ﷻ. Mereka percaya yang zakat itu adalah wajib dan memberi sedekah itu adalah sesuatu yang baik dan akan mendapat balasan yang baik. Bezanya, sedekah adalah infak yang sunat dan zakat adalah infak yang wajib.

Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak beriman dan mereka amat sayangkan harta mereka. Umat Islam pun tidak terkecuali. Kalau dibandingkan dengan ibadah lain seperti solat, puasa, mereka tidak ada masalah. Namun bila melibatkan keluar duit dan harta, kebanyakannya menjadi takut miskin. Sedangkan Allah ﷻ telah berjanji akan beri balasan yang berlebih-lebih kali ganda. Tidak akan miskin orang yang bersedekah seperti sabda Rasulullah ﷺ:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah ﷻ akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah ﷻ akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.”
(HR Muslim 4689)

Akan tetapi manusia ramai menidakkan hal ini. Seperti firman Allah ﷻ di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Jikalau kita dapat menerima suruhan Allah ﷻ untuk mengeluarkan zakat, maka kena ikut cara pembahagiannya juga. Pembahagian zakat dibahagikan kepada 8 golongan seperti yang disenaraikan dalam ayat ini. Allah ﷻ tambah إِنَّمَا menunjukkan yang ‘hanya’ 8 golongan ini sahaja yang layak menerima zakat. Maka kena belajar dan faham, kerana ramai juga yang tidak tahu hal ini.

Yang pertama adalah golongan ‘fakir’ dan yang kedua adalah golongan ‘miskin’. Kedua-dua golongan adalah mereka yang kurang harta mereka akan tetapi golongan fakir lebih memerlukan sumbangan wang berbandingan dengan golongan miskin.

Untuk memudahkan kiraan, kita boleh beri satu contoh: katakanlah keperluan sederhana untuk hidup di Kuala Lumpur adalah RM100 sehari. Golongan miskin berpendapatan RM70 sehari dan golongan fakir berpendapatan RM50 sahaja. Kedua-dua golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan hidup kehidupan sederhana di sesuatu kawasan itu.

Sesungguhnya kaum fakir miskin disebutkan terlebih dahulu dalam ayat ini daripada golongan yang lain, kerana mereka lebih memerlukannya berbanding dengan golongan lain, menurut pendapat yang terkenal; ini juga termasuk hajat dan keperluan mereka yang sangat mendesak.

Cuma kena pandai bezakan antara fakir dan miskin. Kena tahu yang orang miskin itu bukanlah tidak ada apa-apa langsung, cuma pendapatan dan harta mereka tidak cukup sahaja. Lihat pada ayat Kahfi:79

أَمَّا السَّفينَةُ فَكانَت لِمَسٰكينَ يَعمَلونَ فِي البَحرِ
Adapun perahu itu dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut

Tafsir: dalam ayat ini, Allah ﷻ mengatakan pemilik perahu itu ‘orang miskin’ sedangkan mereka ada perahu yang digunakan untuk mencari rezeki. Maknanya mereka ada juga harta, bukannya tidak ada langsung. Akan tetapi harta mereka itu tidak cukup nisab (setelah ditolak keperluan hidup) untuk keluarkan zakat. Kalau fakir, mungkin langsung tidak ada apa-apa. Cuma pendapatan mereka tidaklah cukup untuk menampung keperluan. Memang mereka hidup sahaja, tetapi tidaklah cukup dan kita pun boleh lihat keadaan mereka.

Ada satu lagi pendapat tentang perbezaan antara orang fakir dan miskin ini:

i. Orang miskin itu meminta-minta kepada orang lain.
ii. Akan tetapi orang fakir itu tidak meminta-minta. Walaupun dia susah namun dia buat relaks biasa sahaja.

Oleh itu kena pilih mereka yang layak dikira sebagai fakir/miskin berdasarkan sebuah hadith tentang orang-orang fakir dan miskin

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلَا لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ
Daripada Abdullah bin ‘Amr رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Tidak halal zakat bagi orang kaya dan orang yang kuat dan sihat badan.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1392)

Syarah: maka sedekah/zakat hanya diberikan kepada fakir miskin sahaja. Bukannya diberikan kepada orang yang kaya (yang cukup pendapatan mereka). Akan tetapi nanti kita akan lihat ada juga asnaf yang tidak miskin.

Terdapat sebuah lagi hadith:

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَدِيِّ بْنِ الْخِيَارِ قَالَ أَخْبَرَنِي رَجُلَانِ أَنَّهُمَا أَتَيَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ وَهُوَ يُقَسِّمُ الصَّدَقَةَ فَسَأَلَاهُ مِنْهَا فَرَفَعَ فِينَا الْبَصَرَ وَخَفَضَهُ فَرَآنَا جَلْدَيْنِ فَقَالَ إِنَّ شِئْتُمَا أَعْطَيْتُكُمَا وَلَا حَظَّ فِيهَا لِغَنِيٍّ وَلَا لِقَوِيٍّ مُكْتَسِبٍ
Daripada Ubaidillah bin Adi bin Al Khiyar رضي الله عنه berkata; telah telah mengabarkan kepadaku [dua orang yang telah menemui Rasulullah ﷺ pada waktu haji wada’] sementara baginda sedang membahagikan zakat, mereka berdua meminta kepada baginda sebahagian daripada zakat tersebut, lalu baginda mengangkat pandangannya kepada kami lalu menundukkannya dan baginda melihat kami adalah orang yang kuat, lalu baginda berkata: “Kalau kalian berdua menginginkannya maka kami akan memberikan kepada kalian berdua, dan tidak ada bahagian dalam zakat tersebut bagi orang yang kaya dan orang yang mampu untuk bekerja.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1391)

Syarah: maka orang yang mampu bekerja dan mencari pendapatan, janganlah mengambil daripada harta zakat kerana ia adalah hak orang fakir miskin dan asnaf yang lain. Zalim kalau kita mengambil hak orang lain.

Imam Nawawi رحمه الله mengatakan:

Jika seseorang memiliki tanah yang boleh disewakan, namun pendapatannya tidak mampu menampung keperluannya, maka dia termasuk orang fakir dan berhak mendapat zakat untuk memenuhi keperluannya. Orang seperti ini tidak dituntut untuk menjual tanahnya (untuk mengeluarkan zakat).

Di dalam kitab al-Mughni disebutkan:

Al-Maimun pernah bertanya kepada Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal tentang orang yang memiliki unta dan kambing yang telah wajib dikeluarkan zakatnya tetapi orang tersebut adalah fakir. Atau seseorang yang memiliki 40 ekor kambing dan mempunyai ladang, namun harta tersebut belum dapat mencukupi keperluan asasnya. Apakah dia berhak mendapatkan bahagian zakat? Imam Ahmad رحمه الله menjawab: “kerana dia tidak memiliki harta yang cukup dan tidak mampu melakukan usaha tambahan untuk memenuhi keperluan asasnya. Orang seperti ini boleh mengambil bahagian daripada zakat. Sebab, orang yang tidak memiliki apa-apa tidak diwajibkan zakat atasnya.”

 

وَالعٰمِلينَ عَلَيها

pengurus-pengurus zakat,

Asnaf yang ketiga adalah pengurus zakat. Ini adalah para pegawai zakat atau selalunya disebut ‘amil zakat’. Tugas mengutip zakat adalah tugas kerajaan, tetapi kerajaan boleh melantik para Amil untuk melakukannya. Ini adalah mereka yang bekerja sepenuh masa untuk mengutip dan membahagikan zakat. Oleh kerana mereka bekerja untuk mengurus zakat itu, maka patutlah mereka diberikan sebahagian daripada hasil pungutan zakat itu. Maknanya imbuhan yang diberikan kepada mereka ini bukanlah ‘sedekah’, tetapi ‘upah’.

Sebenarnya, Amil ini adalah wakil kepada penerima zakat yang lain. Amil mengutip zakat bagi pihak mereka dan memberikan kepada mereka. Namun begitu tidaklah penerima zakat yang melantik para Amil itu, tetapi mereka itu dilantik oleh kerajaan Islam.

Pada zaman sekarang mereka adalah orang yang ditugaskan oleh kerajaan untuk mengutip dan mengumpulkan zakat. Ada yang kerja sepenuh masa dan ada yang sebagai sambilan sahaja. Kita juga memanggil mereka dengan gelaran ‘amil zakat’. Mereka ini juga berhak mengambil bahagian daripada zakat kecuali jikalau mereka keturunan Rasulullah ﷺ kerana keturunan baginda dilarang menerima sedekah (termasuklah zakat).

Cuma mungkin sebagai satu perbincangan ringkas di sini, kita kena faham bahawa pada zaman Nabi ﷺ dan sahabat, seorang amil itu akan menjalankan dua tugas yang utama: mereka perlu mengutip dan juga perlu membahagikan zakat itu. Mereka kutip daripada mereka yang kena keluarkan zakat dan merekalah juga yang mencari mereka yang sepatutnya mendapat pembahagian zakat itu. Pangkat mereka pun dinamakan عامل (orang yang bekerja) maka sepatutnya mereka buat kerjalah.

Maka mereka bukanlah duduk sahaja di pejabat zakat tunggu pemberi zakat datang membayar dan penerima zakat datang meminta. Pengurusan zakat dulu dan sekarang nampaknya berlainan. Kalau zakat pada waktu dahulu, pemberi zakat tidak susah dan penerima zakat juga tidak susah untuk datang meminta dengan disuruh untuk mengisi segala macam borang dan sebagainya. Sedih kalau hanya disebut tentang berapa banyak zakat yang dikutip, tetapi tidak disebut sangat tentang zakat yang diberikan kepada Asnaf.

Akan tetapi pusat pungutan zakat pun ada dugaan mereka juga. Bukan senang untuk membantu orang yang susah. Kadangkala yang susah itu kerana malas, sudah berkali-kali dibantu namun tetap seperti itu juga. Maka kita jangan cepat sangat mengkritik pusat pungutan zakat kerana kita tidak duduk di tempat mereka dan memahami masalah yang mereka hadapi.

Amil ini tidak semestinya miskin seperti Asnaf pertama dan kedua. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلَّا لِخَمْسَةٍ لِغَازٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ لِعَامِلٍ عَلَيْهَا أَوْ لِغَارِمٍ أَوْ لِرَجُلٍ اشْتَرَاهَا بِمَالِهِ أَوْ لِرَجُلٍ كَانَ لَهُ جَارٌ مِسْكِينٌ فَتُصُدِّقَ عَلَى الْمِسْكِينِ فَأَهْدَاهَا الْمِسْكِينُ لِلْغَنِيِّ
Daripada ‘Atha` bin Yasar رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “tidak halal zakat bagi orang kaya kecuali bagi lima orang, iaitu orang yang berperang di jalan Allah ﷻ, atau petugas zakat, atau orang yang berhutang, atau seseorang yang membelinya dengan hartanya, atau orang yang memiliki tetangga miskin kemudian orang miskin tersebut diberi zakat, lalu dia memberikannya kepada orang yang kaya.”
(Riwayat Abu Dawud No. 1393)

Oleh itu, tidak kisah jika amil itu orang yang kaya dan tidak memerlukan bahagian daripada zakat itu. Malah ada baiknya Amil itu dilantik daripada orang yang kaya supaya dia tidak lapar dengan harta zakat itu. Namun apabila diberi imbuhan (diambil daripada kutipan zakat juga) dia kena terima. Kalau selepas itu dia hendak beri kepada orang lain sebagai sedekah, terpulang. Akan tetapi kena ambil dulu. Lihat hadith di bawah:

عَنْ ابْنِ السَّاعِدِيِّ الْمَالِكِيِّ أَنَّهُ قَالَ اسْتَعْمَلَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْهَا وَأَدَّيْتُهَا إِلَيْهِ أَمَرَ لِي بِعُمَالَةٍ فَقُلْتُ إِنَّمَا عَمِلْتُ لِلَّهِ وَأَجْرِي عَلَى اللَّهِ فَقَالَ خُذْ مَا أُعْطِيتَ فَإِنِّي عَمِلْتُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَمَّلَنِي فَقُلْتُ مِثْلَ قَوْلِكَ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أُعْطِيتَ شَيْئًا مِنْ غَيْرِ أَنْ تَسْأَلَ فَكُلْ وَتَصَدَّقْ
Daripada Ibnu As Sa’idi Al Maliki رضي الله عنه bahawa dia berkata; Umar bin Al Khathab رضي الله عنه pernah menugaskanku sebagai amil zakat. Setelah tugas itu selesai kulaksanakan, dan hasil zakat yang kukumpulkan telah kuserahkan kepadanya, maka Umar رضي الله عنه menyuruhku mengambil bahagian amil untukku. Lalu jawabku, “Aku bekerja kerana Allah, kerana itu upahku pun kuserahkan kepada Allah.” Umar رضي الله عنه berkata, “Ambillah apa yang diberikan kepadamu itu, sesungguhnya aku pernah pula bertugas pada masa Rasulullah ﷺ sebagai amil zakat. Aku menolak pemberian itu seraya menjawab seperti jawapanmu juga. Maka Rasulullah ﷺ pun bersabda: ‘Apabila kamu diberi orang suatu pemberian tanpa kamu minta, makanlah atau sedekahkanlah.’”
(Sahih Muslim No. 17833)

Kadar bayaran bagi amil ini ditentukan oleh pihak yang berkuasa, tentulah mengikut kadar yang sesuai setelah ditimbang segala perkara. Upah itu diambil daripada harta zakat itu sendiri, bukannya daripada harta lain. Syeikh Muhammad bin Sholeh Al ‘Utsaimin رحمه الله menjelaskan, “Ia diberikan sebagaimana upah hasil kerja kerasnya.” Maknanya bergantung kepada usahanya dan tidaklah boleh terlalu banyak. Ulama’ mengatakan tidak boleh lebih daripada separuh daripada kutipan zakat. Maknanya kalau kutipan kurang, maka imbuhan kepadanya pun kurang.

Petugas zakat bukan sahaja mereka yang mengutip zakat itu tetapi termasuk yang terlibat dalam pengurusannya. Seperti penghitung zakat, juru tulis, pengumpul zakat, penjaga harta zakat, penggembala haiwan zakat dan lain-lain.

 

وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم

para mu’allaf yang dipujuk hatinya,

Asnaf yang keempat adalah golongan muallaf. Kalimah المُؤَلَّفَةِ berasal daripada katadasar ا ل ف yang bermaksud tahu, dikumpul bersama, gabung, mendamaikan, dijinakkan, penyatuan, padat, pakatan, ribu.

Maka maksud المُؤَلَّفَةِ adalah mereka yang hati sudah jinak untuk masuk Islam. Maknanya mereka belum masuk Islam lagi namun sudah berminat. Mereka sudah ada keinginan untuk masuk Islam dan pemberian zakat itu sebagai pemberian ihsan daripada kerajaan Islam kepada mereka. Pemberian ini bertujuan untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan lagi mereka kepada agama Islam dan ia diberikan kepada yang memerlukan.

Adakah golongan Muallaf itu disyaratkan memerlukan wang zakat itu? Bagaimana kalau dia seorang yang kaya? Ulama’ khilaf tentang perkara ini.

Pendapat Imam Syafie dan Imam Ahmad رحمهما الله:
Semua muallaf layak menerima zakat walaupun mereka kaya (kaya itu maksudnya mereka ada harta yang cukup nisab untuk mengeluarkan zakat).

Pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah رحمهما الله:
Mensyaratkan muallaf mereka miskin. Pada mereka, semua penerima zakat daripada 8 golongan ini (kecuali para Amil) mestilah daripada golongan yang memerlukan wang zakat itu.

Isu ini menarik kerana tidak berapa lama sebelum ini, Negeri Perlis telah memberikan zakat kepada golongan non-Muslim. Ramai yang kecoh kerana tidak faham tentang istilah ‘muallaf’. Mereka sangka muallaf itu orang yang sudah masuk Islam (yang asalnya daripada agama lain). Kerana itulah orang seperti Sheikh Hussein Yee رَحِمَهُ اللَّهُ masih dipanggil muallaf walaupun sudah 30 tahun memeluk Islam. Maka haruslah diperincikan sedikit apakah muallaf ini kerana orang seperti Sheikh Hussein رَحِمَهُ اللَّهُ itu bukan muallaf lagi, malah beliau lebih Muslim daripada kita. Para sahabat dulu pun semuanya bukan Muslim awalnya, tetapi bila mereka memeluk Islam, tidaklah mereka dipanggil muallaf, bukan?

Ada beberapa jenis golongan Muallaf ini:

1. Termasuk dalam golongan muallaf itu adalah mereka yang belum memeluk Islam. Para muallaf diberi zakat untuk melembutkan hati mereka pada Islam dan mereka tidak menentang Islam. Mungkin mereka sudah menunjukkan minat kepada Islam. Maka zakat diberikan kepada mereka sebagai motivasi agar mereka lebih tertarik dan dengan mudah memeluk Islam.

2. Termasuk juga golongan ini adalah muslim untuk memperkuatkan imannya. Syeikh Muhammad Shalih Al-Munajjid حفظه الله menyatakan bahawa kalau orang fakir sahaja diberikan zakat kerana keperluan dunia dan badannya, maka kalau muallafatu qulubuhum diberi demi menguatkan imannya tentu lebih utama lagi. Ini kerana kita tahu bahawa keperluan orang pada kuatnya iman itu lebih diutamakan daripada keperluan akan kuatnya jasad.

Syeikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رحمه الله menjelaskan, “Termasuk golongan muallafatu qulubuhum adalah orang yang diharapkan ketika diberikan zakat imannya akan semakin kuat. Orang yang diberi di sini adalah yang lemah imannya seperti sering meremehkan solat, lalai akan zakat, lalai akan kewajipan haji dan puasa, serta semacamnya.” (Syarh Al-Mumthi’, 6: 227)

Oleh itu, boleh beri zakat kepada muallaf yang sudah masuk Islam itu kerana mereka mungkin memerlukan wang tambahan untuk belajar agama, pergi ke kelas pengajian dan sebagainya.

3. Atau ada juga yang diberikan zakat supaya tidak mengganggu kaum muslimin. Ini kerana ada manusia tidak ada kisah tentang hal lain melainkan harta sahaja. Maka hati mereka dilembutkan dengan wang zakat. Sebagai contoh, pemimpin puak yang duduk berdekatan dengan negara Islam. Intinya, kalau zakat diberi pada orang yang mengganggu seperti itu akan memberikan manfaat untuk kaum muslimin.

Itu adalah tiga golongan yang termasuk di dalam kategori muallaf. Adapun bagi orang yang sudah lama masuk Islam dan sudah bagus Islamnya, maka tidak tepat kalau diberikan zakat untuknya berterusan kerana ia bukan lagi orang yang dikira sebagai muallafatu qulubuhum.

Dalil-dalil bagi pemberian zakat kepada golongan Muallaf ini (sama ada telah Muslim atau tidak) antaranya:

عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ غَزَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ الْفَتْحِ فَتْحِ مَكَّةَ ثُمَّ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْ مَعَهُ مِنْ الْمُسْلِمِينَ فَاقْتَتَلُوا بِحُنَيْنٍ فَنَصَرَ اللَّهُ دِينَهُ وَالْمُسْلِمِينَ وَأَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَئِذٍ صَفْوَانَ بْنَ أُمَيَّةَ مِائَةً مِنْ النَّعَمِ ثُمَّ مِائَةً ثُمَّ مِائَةً قَالَ ابْنُ شِهَابٍ حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ صَفْوَانَ قَالَ وَاللَّهِ لَقَدْ أَعْطَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَعْطَانِي وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ فَمَا بَرِحَ يُعْطِينِي حَتَّى إِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ
Daripada Ibnu Syihab رضي الله عنه dia berkata; “Setelah Rasulullah ﷺ berjaya menakluk kota Mekah, baginda pergi dengan pasukannya untuk berperang di Hunain. Dalam peperangan itu Allah ‎ﷻ memenangkan agama-Nya dan kaum muslimin. Dan Rasulullah ﷺ memberi Shafwan bin Umayyah رضي الله عنه seratus ekor binatang ternak, kemudian ditambah dua ratus ekor lagi.” Ibnu Syihab رضي الله عنه berkata; Telah menceritakan kepadaku Sa’id bin Musayyab رضي الله عنه bahawa Shafwan رضي الله عنه berkata; ‘Demi Allah, Rasulullah ﷺ telah memberiku hadiah yang banyak sekali. Sebenarnya dahulu baginda adalah orang yang paling aku benci, tetapi kerana baginda selalu memberi hadiah kepadaku, sehingga baginda kini adalah orang yang paling aku cintai.’
(Sahih Muslim No. 4277)

Syarah: memang pemberian dapat melembutkan hati manusia. Shafwan رضي الله عنه pada waktu itu bukanlah masuk Islam lagi. Namun kemurahan hati baginda telah menyebabkan Shafwan رضي الله عنه menjadi lembut hati dan dapat melihat kebenaran Islam itu. Ada antara manusia yang kena dilembutkan hati dahulu. Inilah yang terjadi dalam situasi yang lain seperti hadith di bawah:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا بَيْنَ جَبَلَيْنِ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ فَأَتَى قَوْمَهُ فَقَالَ أَيْ قَوْمِ أَسْلِمُوا فَوَاللَّهِ إِنَّ مُحَمَّدًا لَيُعْطِي عَطَاءً مَا يَخَافُ الْفَقْرَ فَقَالَ أَنَسٌ إِنْ كَانَ الرَّجُلُ لَيُسْلِمُ مَا يُرِيدُ إِلَّا الدُّنْيَا فَمَا يُسْلِمُ حَتَّى يَكُونَ الْإِسْلَامُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
Daripada Anas رضي الله عنه katanya: “Ada seorang laki-laki meminta seekor kambing kepada Nabi ﷺ di antara dua bukit. Kemudian tanpa ragu-ragu, Rasulullah ﷺ pun memberikan kambingnya kepada orang itu. Lalu orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata; “Hai, kaumku! Masuklah kalian semua ke dalam agama Islam kalian! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberiku suatu pemberian tanpa takut miskin.” Maka Anas رضي الله عنه berkata; “Jika ada seseorang yang dahulu masuk Islam kerana niat menginginkan harta dunia, tidaklah dia masuk Islam sehingga Islam itu sendiri lebih dicintainya daripada dunia dan segala isinya.”
(Sahih Muslim (2312))

Syarah: lihat lelaki ini. Dia asalnya memang hendakkan harta, akan tetapi kemurahan hayi Rasulullah ﷺ telah melembutkan hatinya kepada Islam. Kadangkala, kita hanya perlu bukakan sahaja pintu dan orang akan masuk Islam setelah mengenalinya.

Berbalik kepada isu di negara kita, Negeri Perlis telah mula memberikan zakat kepada non-Muslim dan ia telah menjadi isu untuk beberapa ketika. Maka ada baiknya saya nukilkan jawapan daripada Pejabat Mufti negeri Perlis (Dr. MAZA) untuk menjelaskan hal ini.

1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i رحمه الله (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya: “Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi ﷺ sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i رحمه الله tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya sama ada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.

3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620): “Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).

4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi ﷺ memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
وَاللهِ لَقَدْ أَعْطَانِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَعْطَانِي، وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ، فَمَا بَرِحَ يُعْطِينِي حَتَّى إِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ
“Demi Allah! Rasulullah ﷺ memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi.”
(Riwayat Muslim).

5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi ﷺ memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Qur’an lain yang menunjukkan bahawa Nabi ﷺ memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59:
وَمِنْهُمْ مَنْ يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُوا مِنْهَا رَضُوا وَإِنْ لَمْ يُعْطَوْا مِنْهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ (58) وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ
(maksudnya) “dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.

Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar: “Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah ﷺ mengenai zakat”. Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah ﷺ kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah ﷺ memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.

6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!

7. Selain daripada peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707). Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya) “Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).

8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).

9. Namun bagi yang tidak memerangi Islam; sama ada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.

10. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

Sekian kita telah lihat 4 golongan Asnaf yang kesemuanya dimulai dengan harf ل iaitu bermula dengan لِلفُقَراءِ dan diikuti dengan tiga lagi golongan yang termasuk sekali menggunakan ل yang sama. Selepas ini kita lihat golongan yang dimulakan dengan harf في pula.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 20 Jun 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien