Tafsir Surah Tawbah Ayat 104 – 107 (Golongan Mukmin menjadi saksi amalan Muslim yang lain)

Tawbah Ayat 104: Ayat ini adalah targhib (ajakan) untuk melakukan taubat.

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that it is Allah who accepts repentance from His servants and receives charities and that it is Allah who is the Accepting of repentance, the Merciful?

(MALAY)

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya

Kita kena tahu yang Allah ﷻ sanggup untuk menerima taubat kita asalkan kita meminta ampun kepada Allah ﷻ dengan ikhlas. Kita yang kena bertaubat sendiri dan bukan suruh orang lain yang doakan. Jangan jadi seperti puak Kristian yang mengadu kepada paderi mereka untuk ampunkan dosa mereka. Kalau umat Islam pun jadi begitu tentu telah sesat sungguh. Kita yang ada Al-Qur’an ini janganlah jadi bodoh macam mereka. Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu yang taubat itu untuk orang yang bersalah dan Allah ﷻ sahaja yang boleh ampunkan dosa hamba.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang doa daripada Rasulullah ﷺ dan kemudian sekarang disebut tentang doa untuk meminta ampun. Allah ﷻ beritahu yang Dia menerima taubat hamba-Nya. Maknanya, hamba itu yang mesti berdoa sendiri. Jangan berharap kepada doa dan syafaat daripada Rasulullah ﷺ, tetapi kenalah doa sendiri untuk meminta ampun.

Jangan tunggu di akhirat semata-mata nanti untuk mendapat syafaat Nabi ﷻ, tetapi mohonlah ampun kepada Allah ﷻ semasa di dunia lagi supaya di dunia lagi sudah bersih kita daripada dosa. Kenapa mahu mengharapkan syafaat kerana syafaat Nabi ﷻ itu diberikan kepada mereka yang telah masuk ke dalam neraka. Adakah kita mahu masuk ke dalam neraka dahulu?

Allah ﷻ beri soalan retorik: tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menerima taubat daripada sekalian hamba? Perkara inilah yang perlu ditekankan iaitu: tiada yang lain dapat menerima taubat selain Allah ﷻ. Tidak kira sama ada Nabi Isa عليه السلام, paderi, tok guru, sesiapa sahaja pun, tidak boleh mengampunkan dosa orang. Yang buat salah itulah yang mesti bertaubat sendiri.

Kita pun tahu yang kita semua adalah pendosa, tidak sunyi daripada membuat dosa, maka kenalah selalu minta ampun, istighfar.

Soalan yang selalu ditanya adalah: bagaimana kita dapat tahu yang taubat kita diterima oleh Allah ﷻ? Jawapannya kita tidak tahu kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Oleh kerana itulah kita kena selalu bertaubat kerana kita tidak pasti sama ada dosa kita telah diampunkan atau tidak. Maka kita tiada jalan lain hanya perlu berkali-kali meminta ampun.

Cuma bolehlah kita katakan tanda orang yang telah diterima taubat itu adalah dia akan berubah sikapnya daripada buruk kepada lebih baik. Kalau dulu tidak solat, sekarang sudah solat. Kalau dulu selalu buat dosa, sekarang tidak lagi.

 

وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ

dan menerima sedekah 

Allah ﷻ akan menerima sedekah dan memberi balasan dengan pahala yang amat banyak. Kalau kita infak harta kita kepada jalan Allah ﷻ, Allah ﷻ akan terima dan Allah ﷻ akan balas dengan balasan pahala yang banyak.

وقال الثوري والأعمش كلاهما ، عن عبد الله بن السائب ، عن عبد الله بن أبي قتادة قال : قال عبد الله بن مسعود ، رضي الله عنه : إن الصدقة تقع في يد الله عز وجل قبل أن تقع في يد السائل . ثم قرأ هذه الآية : ( ألم يعلموا أن الله هو يقبل التوبة عن عباده ويأخذ الصدقات )
As-Sauri dan Al-A’masy telah meriwayatkan daripada Abdullah ibnus Saib, daripada Abdullah ibnu Abu Qatadah yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah berkata, “Sesungguhnya sedekah itu diterima di tangan Allah ﷻ sebelum sedekah itu diterima oleh tangan peminta.” Kemudian Ibnu Mas’ud رضي الله عنه membacakan firman-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan menerima zakat. (At-Tawbah: 104)
Dinukilkan oleh Ibn Kathir di dalam kitabnya.

 

وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Allah ﷻ suka menerima taubat daripada mereka yang bertaubat. Kita kena sedar tentang perkara ini dan semoga kita selalu bertaubat kepada Allah ﷻ. Berharaplah yang Allah ﷻ akan terima taubat kita kerana mereka yang diterima taubat tidak diazab lagi di akhirat.

Selepas Allah ﷻ sebut Dia التَّوّابُ, Allah ﷻ terus sebut yang Dia juga الرَّحيمُ. Ini bermakna yang selepas Allah ﷻ mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya itu, Dia akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya. Dia akan kasih kembali kepada hamba yang telah bertaubat itu. Ini adalah seumpama orang yang buat salah kepada kita kemudian minta maaf, kita bagi hadiah pula kepadanya. Tentulah ini tidak berlaku, bukan? Namun begitulah Allah ﷻ amat pemurah kepada hamba-Nya.

Ini kerana Allah ﷻ hendak memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Hendaklah segera bertaubat supaya segera dapat semula belas kasihan daripada Allah ﷻ.


 

PELUANG KEDUA

Tawbah Ayat 105: Sekarang Allah ﷻ suruh kita jaga amalan kita.

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Do [as you will], for Allāh will see your deeds, and [so will] His Messenger and the believers. And you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you of what you used to do.”

(MALAY)

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَقُلِ اعمَلوا

Dan katakanlah: “Beramallah kamu,

Kamu semua buatlah amalan atas dunia ini. ‘Amal’ itu maksudnya amal-amal yang baik. Maka buatlah amalan kebaikan mulai sekarang. Terutama mereka yang tidak pergi ke Tabuk itu. Buatlah amal dengan bersungguh-sungguh.

Maka kita pun kenalah beramal dengan amal kebaikan. Ini kerana kita dinilai melalui amal kita, bukannya daripada niat sahaja, bukannya daripada ilmu kita sahaja. Berapa ramai yang ada ilmu, tetapi tidak beramal? Ilmu mereka sedikit pun tidak bermanfaat buat mereka kalau begitu. Pepatah Arab ada mengatakan:

الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَر
“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم

maka Allah akan melihat amalmu itu,

Allah ﷻ akan melihat amalan kamu untuk dihukum nanti sama ada diterima atau tidak, bagus atau tidak. Maknanya Allah ﷻ menjadi saksi bagi amalan kita. Maka ini adalah motivasi bagi kita untuk beramal. Kalau ada orang yang kita sayang dan hormat mengatakan yang dia akan memerhatikan perbuatan kita, adakah kita buat amal itu dengan baik atau cincai-cincai sahaja? Tentu kita buat sehabis baik, bukan? Maka sekarang Allah ﷻ ingatkan kita yang Dia sedang memerhatikan amal kita.

Kalau kita beramal dengan iktikad yang kuat bahawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita boleh mencapai maqam ihsan. Ini berdasarkan hadith yang masyhur (Hadith Jibril) tentang hal ini. Potongan hadith itu adalah seperti berikut:

قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Dia (Jibril) bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.
Nabi ﷺ menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”
(Sahih Muslim (8))

 

وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ

Rasul-Nya serta orang-orang mukmin

Rasul ﷺ juga akan melihat amalan kamu. Baginda akan lihat untuk menilai sama ada itu amalan mukmin atau tidak. Ini adalah ketika baginda hidup. Sekarang baginda sudah tiada lagi di dunia, bukanlah kerja baginda memerhatikan pula amalan kita.

Para mukmin lain pun akan lihat. Mereka akan lihat untuk tahu adakah ada alamat mukmin pada kamu atau tidak. Maka ini mengajar kita yang manusia lain juga menilai perbuatan kita dan menjadi saksi ke atas kita nanti. Ini berdasarkan sebuah hadith,

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ صُهَيْبٍ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرَى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا فَقَالَ وَجَبَتْ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَا وَجَبَتْ قَالَ هَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ
[‘Abdul ‘Aziz bin Shuhaib] berkata; aku mendengar [Anas bin Malik رضي الله عنه] berkata,: “Mereka (para sahabat) pernah melewati satu jenazah lalu mereka menyanjungnya dengan kebaikan. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Pasti baginya”. Kemudian mereka melewati jenazah yang lain lalu mereka menyebutnya dengan keburukan, maka baginda pun bersabda: “Pasti baginya”. Maka kemudian ‘Umar bin Al Khathab رضي الله عنه bertanya: “Apa yang dimaksud pasti baginya?”. Baginda menjawab: “Jenazah pertama kalian sanjung dengan kebaikan, maka pasti baginya masuk syurga sedang jenazah kedua kalian menyebutnya dengan keburukan, bererti dia masuk neraka kerana kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi”.
(Sahih Bukhari (1278))

Daripada hadith ini mengajar kita ada nilainya juga persaksian orang ramai di sekeliling kita tetapi tentulah orang-orang yang baik juga.

 

وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata,

Akhirnya kamu akan dihadapkan kepada Allah ﷻ yang tahu perkara ghaib dan yang nyata. Kemudian akan diceritakan semula segala amalan kita, kecil dan besar untuk diberi markah dan dibalas sama ada dengan syurga atau neraka.

Di sini disebut الغَيبِ dan الشَّهٰدَةِ. Allah ﷻ sebut الغَيبِ dahulu kerana itulah yang membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Ini kerana kalau الشَّهٰدَةِ itu, kita manusia pun boleh nampak kerana ia adalah sesuatu yang nyata. Namun dalam boleh tahu itu pun, masih lagi terbatas. Contohnya kalau tiga orang sedang bercakap serentak di hadapan kita pun kita tidak dapat menangkap apa yang mereka akan cakap.

Antara perkara ghaib yang Allah ﷻ nampak adalah niat kita semasa melakukan amalan-amalan itu. Kalau amalan baik, malah amalan yang sunnah, akan tetapi jikalau tidak ikhlas, ia pun tidak dikira juga.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Segala amalan-amalan ini akan dipersembahkan kepada kita semula dan akan dinilai. Allah ﷻ menggunakan kalimah فَيُنَبِّئُكُم yang berasal daripada kalimah نبأ yang bermaksud berita besar. Ini adalah kerana apabila amalan kita itu adalah hal penting dan besar yang akan menentukan kedudukan kita di syurga atau di neraka kelak. Maka ini mengajar kita supaya cakna sungguh dengan amalan perbuatan kita supaya ia diterima oleh Allah ﷻ.


 

TIGA ORANG YANG TERTINGGAL DI BELAKANG

Tawbah Ayat 106: Ini adalah kumpulan Mukmin yang dipulau selama 50 hari kerana tidak menyertai Perang Tabuk.

وَءآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others deferred until the command of Allāh – whether He will punish them or whether He will forgive them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَءآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; 

Ada pula golongan mukmin yang ketiga yang dilambatkan sedikit pengampunan kepada mereka. Kumpulan ini berbeza daripada kumpulan Abu Lubabah رضي الله عنه yang cepat diterima taubat mereka. Abu Lubabah رضي الله عنه dan lain-lain terus mengikat dirinya di tiang masjid itu, akhirnya mereka telah diampunkan dan tidak lama kemudian Rasulullah ﷺ terus membuka tali mereka. Ini adalah kerana mereka secara spontan telah memberitahu dan mengaku kesalahan mereka. Namun sekarang kita belajar tentang satu lagi kumpulan yang tidak melakukan apa seperti kumpulan Abu Lubabah رضي الله عنه itu (awal-awal lagi iktiraf kesalahan mereka).

Ada tiga lagi sahabat yang tidak pergi jihad – salah seorangnya adalah Kaab bin Malik رضي الله عنه. Pengampunan kepada beliau ditangguhkan sehingga keputusan Allah ﷻ diterima. Selama 50 hari pengampunannya ditangguh. Sepanjang waktu itu, beliau dipulau oleh umat Islam yang lain. Kalau beri salam pun mereka tidak boleh dijawab. Sampaikan mereka rasa bagaikan seperti duduk negeri lain.

Waktu itu memang mereka sedih sangat. Sehinggakan kalau mereka tegur Nabi ﷺ dan beri salam, Nabi ﷺ tidak layan, tidak jawab pun salam mereka. Mereka cuma boleh jeling sahaja kepada Nabi ﷺ dan nampak Nabi ﷺ juga mengerling kepada mereka. Mereka dipulaukan kerana tidak seperjuangan dengan umat Mukmin yang lain.

Pemulauan itu kerana Allah ﷻ hendak mengajar orang lain, jihad dan infak ini bukan perkara biasa, kalau tidak pergi apabila diwajibkan, akan ada kesannya nanti. Mereka terus dipulau sampaikan ada orang Kristian ajak mereka masuk agama Kristian dan ikut mereka (kerana mereka kata umat Islam sudah tinggalkan mereka). Memang Allah ﷻ menangguhkan taubat mereka tetapi Allah ﷻ menerima juga akhirnya taubat mereka kerana mereka jujur. Tentunya mereka tidak meninggalkan agama Islam.

Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad-Dahhak, رضي الله عنهم dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan bahawa mereka adalah tiga orang yang tidak ikut berperang. Dengan kata lain, mereka ditangguhkan daripada diterima taubat. Mereka adalah Mararah ibnur Rabi’, Ka’b ibnu Malik, dan Hilal ibnu Umayyah رضي الله عنهم. Mereka duduk —tidak ikut berperang dalam Perang Tabuk— bersama orang-orang lainnya yang duduk kerana malas dan cenderung kepada kehidupan yang tenang, santai, dan bermalas-malasan di bawah naungan pohon-pohon kurma yang berbuah.

 

إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم

sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka.

Sama ada Allah ﷻ akan seksa mereka kerana tidak sertai jihad atau tidak. Mereka dikenakan dengan balasan itu kerana tidak sertai Perang Tabuk sahaja, sedangkan perang-perang sebelum ini, mereka telah sertai. Maknanya bukanlah mereka itu jenis tidak pergi berjihad langsung. Ternyata mereka ini bukanlah munafik.

Kemungkinan juga Allah ﷻ terima taubat mereka kerana mereka ikhlas. Memang mereka telah bersalah tetapi mungkin Allah ﷻ terima taubat mereka kerana mereka telah mengaku sungguh-sungguh. Akan tetapi, rahmat Allah ﷻ mengalahkan murka-Nya. Kisah mereka ini akan disambung di dalam ayat lain nanti di surah ini.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ilmu Allah ﷻ luas dan Allah ﷻ maha bijaksana, tahu mengurus hamba-Nya. Allah ﷻ tahu hati-hati hamba-Nya. Keputusan yang Allah ﷻ lakukan amat bijak. Oleh itu akhirnya Allah ﷻ terima taubat mereka kerana Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka.


 

MASJID YANG MEMBAWA KEROSAKAN

Tawbah Ayat 107: Sekarang kita masuk kisah Masjid Dhirar bermula ayat ini sampai ke ayat 110.

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ وَإِرصادًا لِّمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ ۚ وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] those [hypocrites] who took for themselves a mosque for causing harm and disbelief and division among the believers and as a station for whoever had warred against Allāh and His Messenger before. And they will surely swear, “We intended only the best.” And Allāh testifies that indeed they are liars.

(MALAY)

Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).

 

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا

Dan ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan dan kekafiran

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini, bahawa dalam golongan munafik itu ada yang tinggal dan duduk tidak sertai jihad dan dalam masa yang sama, membuat perancangan untuk menghancurkan Islam. Sudahlah mereka tidak sertai jihad sokong Islam, mereka duduk di Madinah buat rancangan jahat untuk jatuhkan Islam pula dari dalam. Amat teruk sekali perangai mereka ini.

Mereka itu dulu adalah ketua-ketua puak di Madinah, dan bila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka telah dipinggirkan dan mereka terasa hati dan sakit hati. Padahal orang bukan sokong Nabi ﷺ kerana baginda itu baru, tetapi kerana baginda memang Nabi ﷺ dan selayaknya baginda diangkat menjadi pemimpin. Yang mereka inginkan adalah pangkat dan kemasyhuran sahaja.

Mereka bukannya beriman, hanya mengaku Islam kerana semua golongan masyarakat sekeliling mereka telah masuk Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengekalkan hubungan rapat dengan puak Nasara.

Masjid yang dinamakan oleh Al-Quran sebagai Masjid Dhirar ini telah menjadi simbol pergerakan golongan Munafik di Madinah. Maksud ‘dhirar’ adalah ‘menyebabkan bahaya’. Ia berasal daripada katadasar ض ر ر yang bermaksud memberi bahaya, menyakiti, mengenakan, menyusahkan, mengganggu, kesengsaraan, kebuluran, kemiskinan, kerugian, memaksa.

Kalimah ضِرَارٌ dan ضَرَرٌ dua-dua membawa maksud ‘menyebabkan bahaya’. Cuma kalau ia bermaksud yang bawa bahaya itu dapat faedah; tetapi jikalau ضِرَارٌ digunakan ia bermaksud yang membawa bahaya itu tidak mendapat faedah pun daripada usahanya. Maka begitulah nasib masjid ini nanti.

Golongan Munafik itu bertujuan memecah-belahkan umat Islam, melemahkan kekuatan Islam dan menentang Allah ﷻ dan Rasul-Nya dari masjid tersebut. Pendiri masjid ini ialah Abu Amir ar-Rahib, seorang pembesar Khazraj yang beragama Nasrani. Dia tidak pernah memeluk Islam, bahkan terlibat bersama Musyrikin Mekah dalam Perang Badar (2H), Perang Uhud (3H) dan Perang Khandak (5H) untuk memerangi Islam. Namun begitu, sebaliknya anaknya yang bernama Hanzalah رضي الله عنه adalah seorang sahabat yang hebat.

Abu Amir ini adalah seorang yang alim dalam Bible. Dia amat sakit hati terhadap Islam. Apabila Nabi Muhammad ﷺ sampai ke Madinah, dia telah berpindah ke Mekah. Ada kalangan para sahabat yang dulu sebelum masuk Islam telah memeluk agama Nasara dan dia telah kempen kepada mereka untuk kembali kepada Nasara.

Apabila Islam semakin berkembang, dia telah pergi Syria. Namun dia masih menjalinkan hubungan dengan sesetengah puak munafik yang berada di Madinah. Dialah yang membuat perancangan dengan puak munafik untuk membina masjid itu. Dialah juga yang menjadikan puak munafik itu sebagai mata-mata gelap yang melaporkan apa yang terjadi di Madinah dan dalam Islam. Oleh itu, mereka membina masjid hanya untuk membahayakan Islam dan menguatkan kekufuran. Masjid itu tidak jauh pun dari Masjid Quba’.

Abu Amir ar-Rahib mengajarkan orang Madinah tentang Nasrani dan mempengaruhi mereka untuk menentang Islam. Oleh kerana gerakannya gagal, dia akhirnya menerobos masuk dalam kalangan orang Islam untuk mengkhianati Islam dari dalam.

Puak Nasara itulah yang mengajar golongan Munafik bagaimana untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka ajar supaya golongan munafikin itu mendirikan tempat berkumpul dulu, tempat untuk puak Nasara boleh menghantar mata-mata gelap bagi mengintip pergerakan puak Muslim. Bila sudah ada pos itu, mereka boleh buatlah buat mesyuarat di situ, senang membuat perancangan bagi menjatuhkan Islam. Jikalau buat di tempat lain yang bukan masjid, nanti timbul persoalan pula kerana di zaman itu tempat berkumpul adalah di masjid.

Oleh itu puak munafik telah mendirikan masjid dan mengajak Nabi ﷺ rasmikan. Waktu itu Nabi ﷺ sedang sibuk sebab sedang membuat persediaan untuk Perang Tabuk dan baginda kata, nanti balik barulah dirasmikan. Namun begitu, semasa dalam perjalanan pulang itulah Allah ﷻ mengwahyukan kepada baginda agar jangan pergi ke masjid itu untuk merasmikannya. Baginda juga diberitahu supaya jangan solat di masjid itu kerana masjid itu telah dibina untuk merosakkan Islam.

Oleh kerana itu, hendaklah diruntuhkan masjid itu dan kerana itu Nabi ﷺ mengarahkan sahabat untuk merobohkan masjid itu. Munafik yang terlibat dalam pembinaan masjid itu, terus lari meninggalkan Madinah kerana rahsia mereka telah terbongkar. Masjid itu dinamakan sebagai ‘Masjid Dhirar’ kerana ada orang hendak gunakan masjid untuk musnahkan Islam.

 

وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ

dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin

Tujuan mereka membina Masjid Dhirar itu adalah untuk memecahbelahkan umat Islam. Ini kerana apabila ada dua masjid, maka umat akan berpecah, ada pergi solat di sini dan di sana. Ini tidak patut terjadi kerana sepatutnya solat berjemaah di sebuah masjid sahaja. Yang mereka hendak saingi adalah Masjid Quba’ yang berdekatan dengannya.

Sebagaimana yang telah didedahkan oleh Al-Qur’an bahawa Masjid Dhirar yang didirikan oleh golongan munafik adalah penzahiran sikap mereka yang selama ini memerangi Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Masjid ini dijadikan markas/pos untuk memecah-belahkan umat Islam, mengembangkan kekafiran, mendatangkan kemudharatan kepada Islam dan menjadi tempat berkumpul musuh-musuh Allah ﷻ. Mereka membentuk pergerakan anti-Islam atas nama masjid dan cuba memperalatkan Nabi ﷺ supaya bersolat di masjid mereka sebagai pengiktirafan, sekali gus mengelirukan orang Mukmin terhadap pergerakan jahat mereka.

 

وَإِرصادًا لِّمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ

serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. 

Masjid itu dibina untuk dijadikan tempat pengintipan, sebagai pos, sebagai markas bagi orang kafir Nasara yang memerangi Allah ﷻ dan Rasul sebelum ini pun lagi. Ini kerana Abu Amir ini memang memusuhi Rasulullah ﷺ dan Islam sejak dari awal. Abu Amir lah yang telah pergi ke Mekah dan mengajak Musyrikin Mekah untuk menyerang Madinah sehingga terjadinya Perang Uhud. Dialah juga yang telah mengadakan pakatan sulit dengan Kaisar Rom, Heraclius untuk memerangi Islam.

Masjid Dhirar itu dijadikan sebagai tempat mengintip dan sebagai tempat serang hendap. Maka sebenarnya ia bukanlah masjid pun, tetapi markas sahaja yang dikelabui sebagai ‘masjid’. Tujuan mereka dirikan adalah supaya nanti apabila musuh datang dari luar, sudah ada tempat mereka hendak mendarat dan tempat mereka buat serangan hendap nanti.

 

وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ

Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”.

Mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ, tidak ada tujuan lain mereka bina masjid itu tetapi untuk kebaikan Islam. Memang kalau bahagian sumpah memang mereka pandai, sikit-sikit sumpah dengan nama Allah ﷻ. Mereka bersumpah itu supaya orang percaya dengan helah mereka itu.

 

وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta

Nabi ﷺ dan para mukmin lain tidak tahu apakah dalam hati mereka. Tambahan pula mereka telah bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Akan tetapi Allah ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu menipu sahaja. Sekarang Allah ﷻ telah pecahkan tembelang mereka. Cukup Allah ﷻ menjadi saksi bahawa mereka itu bohong belaka. Kalau Allah ﷻ sudah beritahu, hendak cakap apa lagi?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 102 – 103 (Kelebihan mengakui dosa)

MEREKA YANG DIMAAFKAN

Tawbah Ayat 102: Allah ﷻ menjelaskan keadaan orang-orang munafik yang tidak ikut berperang kerana tidak suka berjihad, dan mendustakan serta meragukannya, kemudian Allah ﷻ terangkan tentang keadaan orang-orang yang berdosa, iaitu mereka yang tidak ikut berjihad kerana malas dan cenderung kepada keadaan yang santai, padahal mereka beriman dan membenarkan perkara yang hak.

Berkenaan jihad, umat Islam di zaman Rasulullah ﷺ itu terbahagi kepada beberapa golongan. Kita boleh simpulkan sebegini:

1. Ada yang terus berjihad tanpa soal. Ini adalah golongan terbaik.

2. Ada yang teragak-agak pada mulanya, tetapi kemudian menyertai jihad itu. Ini ada disebutkan di dalam ayat 117 nanti.

3. Ada yang memang tidak mampu untuk menyertainya dan mereka ini telah disebut di dalam ayat 91 sebelum ini.

4. Mereka yang tidak pergi kerana tidak ada alasan tetapi kerana malas. Ini disebut di dalam ayat ini (102) dan di dalam ayat 106 dan 118 nanti.

5. Golongan munafik yang tidak menyertai jihad kerana degil dan tidak taat. Mereka ini telah disebut di dalam banyak ayat sebelum ini.

وَءآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صٰلِحًا وَءآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others who have acknowledged their sins. They had mixed [i.e., polluted] a righteous deed with another that was bad.¹ Perhaps Allāh will turn to them in forgiveness. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This refers to their having previously taken part in jihād but having abstained on the occasion of Tabūk.

(MALAY)

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

وَءآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka,

Golongan mukmin juga ada dua golongan: ada orang mukmin yang pernah buat silap. Ini adalah perkara biasa kerana semua manusia ada membuat kesalahan. Ini adalah kerana kita bukan maksum. Namun, golongan mukmin yang membuat kesilapan yang terbaik adalah sahabat Nabi ﷺ kerana apabila mereka melakukan kesalahan, mereka terus minta maaf.

Mereka mengaku yang mereka ada membuat salah dan terus meminta ampun. Ada sahabat yang bernama Abu Lubabah رضي الله عنه yang tidak pergi berjihad di Tabuk, tetapi apabila para sahabat pulang dari Tabuk, beliau memasuki masjid dan terus menambatkan dirinya ke tiang. Beliau berkata jikalau Allah ﷻ tidak mengampuninya, beliau akan tetap di situ biarlah sehingga mati kering pun. Beliau telah berdoa kepada Allah ﷻ dengan mengaku yang beliau telah berbuat salah. Akhirnya Allah ﷻ telah maafkan.

Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Apabila kita berbuat dosa, mengaku dosa itu dan minta ampun. Ini kita akan selalu lakukan kerana kita memang makhluk yang sentiasa melakukan dosa.

Rasulullah ﷺ telah bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

خَلَطوا عَمَلًا صٰلِحًا وَءآخَرَ سَيِّئًا

mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk.

Mereka ini walaupun mereka telah membuat kesalahan kerana tidak pergi berjihad ke Tabuk, tetapi mereka itu bukanlah munafik. Mereka cuma malas, lalai dan leka sahaja. Mereka telah mencampurkan amalan baik dan ada yang tidak baik. Mereka solat dan juga melakukan ibadah-ibadah yang lain. Yang dimaksudkan amalan tidak baik dalam ayat ini adalah tidak pergi Perang Tabuk. Mereka ini tidak memberi alasan tetapi terus sahaja mengaku salah.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: dan (ada pula) orang-orang lain. (At-Tawbah: 102) Menurutnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lubabah رضي الله عنه dan sejumlah orang dalam kalangan teman-temannya yang tidak ikut berperang dengan Rasulullah ﷺ dalam Perang Tabuk.

Menurut sebahagian ulama’, mereka terdiri daripada Abu Lubabah رضي الله عنه dan lima orang temannya. Sedangkan pendapat yang lainnya lagi mengatakan tujuh orang bersama Abu Lubabah رضي الله عنه, dan menurut yang lainnya lagi adalah sembilan orang bersama Abu Lubabah رضي الله عنه. Maka kita boleh katakan lebih kurang sepuluh orang yang sebegini.

Ketika Rasulullah ﷺ kembali daripada perangnya, mereka mengikat diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah ﷺ sendiri. Ketika Allah ﷻ menurunkan ayat ini, iaitu firman-Nya: Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka. (At-Tawbah:102) Maka Rasulullah ﷺ melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.

Maksudnya, mereka mengakui dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Tuhan, tetapi mereka mempunyai amal perbuatan lain yang soleh. Mereka telah mencampurbaurkan amal yang baik dan yang buruk. Mereka adalah orang-orang yang masih berada di bawah pemaafan dan pengampunan Allah ﷻ. Peperangan lain mereka telah pergi, cuma Perang Tabuk ini sahaja mereka culas. Contohnya Abu Lubabah رضي الله عنه memang telah menyertai Perang Badr seperti disebut dalam Musnad Ahmad,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ كُنَّا يَوْمَ بَدْرٍ كُلُّ ثَلَاثَةٍ عَلَى بَعِيرٍ كَانَ أَبُو لُبَابَةَ وَعَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ زَمِيلَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَكَانَتْ عُقْبَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَقَالَا نَحْنُ نَمْشِي عَنْكَ فَقَالَ مَا أَنْتُمَا بِأَقْوَى مِنِّي وَلَا أَنَا بِأَغْنَى عَنْ الْأَجْرِ مِنْكُمَا
Daripada [Abdullah bin Mas’ud] beliau berkata; Ketika perang Badar setiap tiga orang daripada kami menaiki satu ekor unta. Ketika itu Abu Lubabah dan Ali bin Abi Thalib رضي الله عنهما dibonceng Rasulullah ﷺ, beliau berkata; Bergantian bersama Rasulullah ﷺ. Dia berkata; Mereka berdua berkata; Biarkan kami berjalan menggantikan engkau. Lalu baginda bersabda: “Kalian tidaklah lebih kuat daripada aku dan aku tidak memerlukan balasan daripada kalian.”
(Musnad Ahmad (3706))

Ayat ini sekalipun diturunkan berkenaan dengan orang-orang tertentu, tetapi pengertiannya umum mencakup seluruh orang yang berbuat dosa lagi bergelumang dalam kesalahannya, serta mencampurbaurkan amal baik dan amal buruknya, hingga diri mereka tercemari oleh dosa-dosa.

Begitulah kita, bukan? Solat pun ya, pergi karaoke pun ya juga. Kerana kita masih lagi dalam proses untuk memperbaiki diri. Yang penting kita iktiraf kesalahan dosa kita dan kemudian membaiki diri kita. Cara yang terbaik untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ adalah dengan melakukan amal kebaikan untuk menampung dosa yang kita telah lakukan. Ini seperti yang Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hud: 114

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk

Ini dikuatkan lagi dengan hadith di bawah:

Daripada Abu Zar al-Ghiffari dan Mu’az bin Jabal رضي الله عنهما berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا
“Sertakanlah setiap dosa (dosa kecil) yang kamu lakukan dengan kebaikan (amal soleh) yang mana kebaikan itu akan menghapuskan dosa tersebut.”
(Riwayat al-Tirmizi (1987))
Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan sahih

Di dalam hadith yang lain,

Daripada Abu Bakar al-Siddiq رضي الله عنه berkata, dia mendengar Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا، فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ} [آل عمران: 135] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ
“Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba Allah) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wudhunya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan Allah ﷻ akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi ﷺ membaca ayat 135 daripada surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah.” sehingga ke akhir ayat tersebut.”
(Riwayat Abu Daud (1521))
Status: Sahih

Namun janganlah pula salah caranya. Janganlah buat rancangan sebegini: “Aku buat dosa ni dulu, nanti aku solat taubatlah lepas tu!” Ini salah sama sekali kerana niat pun sudah buruk.

Ayat yang menjadi berita baik bagi kita adalah Ali Imran: 135 seperti yang disebut oleh Rasulullah di dalam hadith di atas:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Daripada ayat Ali Imran ini kita dapat tahu cara untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah ﷻ. Pertama, kena ذَكَرُوا اللَّهَ (ingat kepada Allah ﷻ) iaitu ingat kembali bahawa kita telah melakukan kesalahan. Kita hendaklah minta ampun kepada Allah ﷻ dengan segera.

Kemudian hendaklah terus berhenti daripada melakukan dosa itu dan hendaklah ada azam untuk tidak melakukannya lagi. Itulah maksud لَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا (tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu).

Namun bagaimana kalau kita ulang semula dosa yang sama? Ini ada terjadi juga, bukan? Di sinilah kita boleh saksikan rahmat Allah ﷻ. Allah ﷻ kata لَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا (tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu) dan bukanlah ‘tidak ulang’. Kalau Allah ﷻ gunakan kalimah ‘ulang’, maka teruklah kita. Yang penting semasa kita bertaubat itu memang kita benar-benar menyesal dan berazam tidak mahu melakukannya. Akan tetapi kita manusia yang lemah, kadangkala kita gagal dan melakukan lagi dosa yang sama. Ini pun Allah ﷻ masih boleh ampun seperti disebut di dalam hadith berikut:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ
Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diriku.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.
(Riwayat Bukhari (7507))

Maka jangan sesekali ada putus asa dengan rahmat daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh sahaja ampunkan dosa hamba-hamba-Nya asalkan mereka ikhlas bertaubat. Allah ﷻ berfirman di dalam Zumar: 53

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم

Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. 

Allah ﷻ berfirman, mudah-mudahan Allah ﷻ akan terima taubat mereka. Maknanya, ada harapan untuk mereka diampunkan. Memang mereka akhirnya telah diampunkan kerana keikhlasan mereka.

Ini kerana makna kalimah عَسَى itu asalnya adalah ‘mudah-mudahan’. Kalau untuk manusia, ia mudah-mudahan, akan tetapi apabila ia disandarkan kepada Allah ﷻ, maka ia bermaksud ‘pasti’. Kerana itulah Rasulullah ﷺ telah mengarahkan supaya mereka dibebaskan daripada hukuman yang mereka sendiri kenakan ke atas diri mereka

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Allah ﷻ sanggup menerima permintaan ampun mereka kerana Dia memang bersifat Maha Pengampun dan amat sayangkan hamba-Nya. Allah ﷻ sayang terutama kepada mereka yang mengaku kesalahan yang telah dilakukan.

Selepas Allah ﷻ sebut Dia غَفورٌ, Allah ﷻ terus sebut yang Dia juga رَّحيمٌ. Ini bermakna yang selepas Allah ﷻ mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya itu, Dia akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya. Dia akan kasih kembali kepada hamba yang telah bertaubat itu. Ini seumpama orang yang buat salah kepada kita kemudian minta maaf, kita bagi hadiah pula kepadanya. Tentulah ini tidak berlaku, bukan? Namun begitulah Allah ﷻ amat pemurah kepada hamba-Nya.

Ini kerana Allah ﷻ hendak memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Hendaklah segera bertaubat agar segera mendapat kembali belas kasihan daripada Allah ‎ﷻ.


 

Tawbah Ayat 103: Sebelum ini telah ada disebut tentang hukum zakat. Sekarang disebut hikmah zakat pula.

خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُم ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take, [O Muḥammad], from their wealth a charity by which you purify them and cause them increase, and invoke [Allāh’s blessings] upon them. Indeed, your invocations are reassurance for them. And Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka,

Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan mengambil harta zakat daripada mereka yang layak untuk mengeluarkan zakat. Bukanlah semua harta, hanya sebahagian sahaja kerana kalimat yang digunakan adalah خُذ مِن أَموٰلِهِم bukannya خُذ أَموٰلِهِم. Dalam hal ini, jangan susahkan sesiapa. Maksudnya, orang yang keluarkan zakat tidak perlu pergi untuk menghulurkan zakat dan orang yang sepatutnya menerima zakat, tidak perlu pergi untuk meminta zakat.

Oleh itu, mestilah dilantik orang yang tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Dengan cara begini, orang itu tahu dengan siapa yang dia patut ambil zakat dan siapa yang dia patut agihkan bahagian zakat itu. Inilah cara zaman Nabi dan sahabat.

Tugas ini perlu diteruskan oleh khalifah atau pemerintah Islam. Pemerintah hendaklah melantik amil untuk selidik kemudian mengambil zakat daripada orang kaya lalu diagihkan kepada kepada orang miskin. Oleh itu, orang kaya tidak perlu bersusah payah untuk keluar menguruskan harta zakat mereka manakala orang miskin juga tidak perlu keluar untuk mendapatkan hak bahagian zakat mereka. Semuanya diuruskan oleh amil yang dilantik.

Agak malang sekali, di zaman sekarang sahaja tidak ada amalan ini disebabkan ilmu dalaman masing-masing yang lemah. Orang kita termasuk yang menguruskan zakat cetek ilmu tentang perkara ini.

Allah ‎ﷻ memerintahkan Rasul-Nya untuk mengambil zakat daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka melalui zakat itu. Pengertian ayat ini umum, sekalipun sebahagian ulama mengembalikan dhomir yang terdapat pada lafaz amwalihim kepada orang-orang yang mengakui dosa-dosa mereka dan yang mencampurbaurkan amal soleh dengan amal buruknya.

Maka literal ayat ini Nabi ﷺ yang mengambil bahagian zakat itu daripada orang kaya. Kerana itulah ada sebahagian orang yang enggan membayar zakat dalam kalangan orang-orang Arab Badwi (selepas kewafatan baginda) kerana mereka kata, pembayaran zakat bukanlah kepada imam, dan hanya khusus bagi Rasulullah ﷺ. Mereka berhujah dengan firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka. (At-Taubah: 103),

Mereka kata kalimah خُذْ itu hanya dikhususkan kepada Rasulullah ﷺ sahaja, maka apabila Rasulullah ﷺ sudah tiada, mereka kata tidak perlu bayar zakat lagi kepada khalifah. Pemahaman dan takwil yang salah ini dijawab dengan tegas oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه dan sahabat lainnya dengan memerangi mereka, hingga mereka mahu membayar zakat kepada khalifah.

Hujah mereka itu bahaya kerana kalau mereka berdalilkan kepada ayat ini, maka bagaimana pula dengan solat? Adakah nanti mereka kata solat itu hanya pada waktu Rasulullah ﷺ masih hidup sahaja kerana ada ayat yang dikhitab kepada baginda sahaja? Lihat Isra’: 78

أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ وَقُرآنَ الفَجرِ
Dirikanlah solat daripada sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh.

 

تُطَهِّرُهُم

dengan zakat itu kamu membersihkan

Ini adalah hikmah yang pertama untuk mengeluarkan zakat. Zakat itu untuk membersihkan mereka dalam kehidupan harta iaitu membersihkan harta daripada perkara-perkara gharar (syak atau keraguan ia didapati dengan cara halal atau tidak). Ini kerana jika tidak diambil zakat itu, harta itu tercemar dan akan menyebabkan susah pula nanti di akhirat.

Sebagai contoh, katakanlah kita berniaga makanan dan minuman. Kadang-kadang kita terbuat silap, buat air minuman tetapi terlupa pula untuk meletakkan gula. Maka pelanggan itu tidak jadi minum tetapi dia bayar juga harga minuman itu. Maka perkara itu sudah termasuk dalam harta yang gharar; ataupun kita kerja makan gaji yang dibayar mengikut tempoh masa bekerja, tetapi ada masa kita tidak bekerja ketika waktu bekerja itu; mungkin bersembang atau sibuk dengan perkara lain yang bukan perkara kerja, namun kita tetap dibayar gaji penuh. Maka harta sebegini perlulah dibersihkan.

 

وَتُزَكّيهِم بِها

dan menyucikan mereka

Ini adalah hikmah zakat yang kedua. Dengan pemberian zakat itu, dapat menyucikan hati mereka daripada sifat-sifat yang tidak baik seperti tiada kasihan belas kepada orang; zalim (kerana simpan harta yang hak orang miskin) dan sebagainya;

Maka kena beritahu kepada manusia kepentingan zakat itu kerana ia dapat membersihkan harta kita serta membersihkan hati kita juga. Inilah hikmah sebagai motivasi kepada mereka yang layak mengeluarkan zakat. Allah ﷻ juga berfirman di dalam Layl: 17-19 tentang hal ini dengan memberi berita gembira kepada mereka,

وَسَيُجَنَّبُهَا الأَتقَى
Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling taqwa dari neraka itu,

الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ
yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya,

وَمَا لِأَحَدٍ عِندَهُ ۥ مِن نِّعمَةٍ تُجزَىٰٓ
padahal tidak ada seseorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya,

Dari sini kita dapat tahu yang Zakat bukanlah cukai yang diberikan kepada kerajaan tetapi ia adalah ibadah. Kerana itu Allah ‎ﷻ berikan ganjaran penyucian harta dan pembersihan jiwa. Tujuannya bukanlah untuk urusan pentadbiran kerajaan akan sebaliknya untuk kebaikan pemberi Zakat itu sendiri.

Seperti kita tahu Zakat ini memberi juga kebaikan kepada orang yang menerimanya. Namun tidak disebut di dalam ayat ini. Maka yang hendak ditekankan adalah kelebihan kepada pemberi Zakat. Kebaikan kepada penerima Zakat itu boleh dikatakan sebagai bonus (tambahan). Oleh itu, kalaulah tidak ada penerima Zakat (mungkin kerana semua kaya raya) akan tetapi ibadah Zakat tetap ada.

 

وَصَلِّ عَلَيهِم

dan doalah untuk mereka. 

Ini adalah hikmah yang ketiga. Orang yang mengeluarkan zakat akan mendapat doa daripada Rasulullah ﷺ iaitu doa pengampunan rahmat buat mereka. Oleh itu apabila ambil zakat daripada pengeluar zakat, doakanlah untuk mereka.

Imam Muslim رحمه الله di dalam kitab Sahih-nya telah meriwayatkan melalui Abdullah ibnu Abu Aufa رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ apabila menerima zakat daripada suatu kaum, maka baginda berdoa untuk mereka. Lalu datanglah ayahku (perawi) dengan membawa zakatnya, maka Rasulullah ﷺ berdoa:

“اللَّهُمَّ صَل عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى”
Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada keluarga Abu Aufa.
(Sahih Muslim (1078))

Di dalam hadith ini, Rasulullah ﷺ menggunakan kalimah صَل yang bermaksud doa meminta pengampunan dan rahmat. Memang asal kalimah itu bermaksud doa. Namun kemudian kalimah ini telah menjadi istilah syarak yang menjadi solat. Maka ulama’ mengatakan tidak boleh bagi kita untuk mengucapkan kalimah صَل ini lagi. Hanya Rasulullah ﷺ sahaja yang boleh mengucapkannya.

 

إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُم

Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.

Doa itu penting kerana doa baginda itu mententeramkan hati mereka. Ini adalah kerana mereka tahu yang doa Nabi ﷺ memang makbul. Kalimah سَكنٌ daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Untuk zaman sekarang, Nabi ﷺ tidak doakan untuk pemberi zakat lagi. Namun begitu masih lagi pemberi zakat menerima doa mereka yang menerima zakat itu. Orang yang menerima zakat pun kena buat begitu juga: doakan kelebihan kepada orang yang beri zakat. Janganlah hanya terima sahaja dan makan sahaja harta itu. Ingatlah kepada orang yang memberikan. Maka ini mengajar kita untuk mendoakan buat orang yang telah memberi kepada kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,
لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah ﷻ bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia.”
(Sunan Abu Daud, No. 4811 dan Tirmidzi, No. 1954)
Syeikh Al-Albani رحمه الله mengatakan bahawa hadith ini sahih

Antara doa yang kita boleh ucapkan ketika menerima pemberian orang adalah seperti berikut,

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِيْ أَهْلِكَ وَمَالِك
“Semoga Allah ﷻ memberkahimu dalam keluarga dan hartamu.”
(Sahih Bukhari No. 1856)

Atau apa-apa doa di dalam Bahasa Melayu pun boleh. Asalkan ia datang daripada hati yang ikhlas. Cuma janganlah ‘paksa’ orang mendoakan kita seperti buat Majlis Doa Selamat dan sebagainya. Tidak perlu mintakan orang doakan kita, biarkan sahaja mereka hendak doa atau tidak. Antara cara orang kita ‘paksa’ orang lain mendoakan mereka adalah dengan membuat majlis kenduri untuk pergi Umrah atau Haji supaya orang lain mendoakan mereka selamat pergi dan selamat balik. Ini sebenarnya tidak patut dilakukan.

Daripada ayat ini ada ulama’ yang mengatakan para pemimpin wajib untuk mendoakan bagi pemberi Zakat itu sebagai cara yang benar mengikut Sunnah Rasulullah ini. Akan tetapi ada juga yang mengatakan ia sunat sahaja.

Kesimpulannya, daripada hikmah-hikmah yang Allah ﷻ sebutkan tentang zakat ini, maka ia mengajar kita bahawa pengeluaran zakat itu sebenarnya adalah kebaikan untuk diri kita sendiri sebenarnya. Memang secara zahirnya golongan Asnaf itu yang jelas mendapat manfaat namun jangan fikir mereka sahaja mendapat manfaat, sebaliknya kita yang memberi ini yang lebih banyak mendapat manfaat. Maka kita sebenarnya kena berterima kasih kepada mereka kerana memberi peluang kepada kita untuk mendapat segala kelebihan-kelebihan seperti yang telah disebut.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan; Allah ‎ﷻ maha mendengar doa hamba-Nya; dan Allah ﷻ maha mengetahui apa yang diperlukan oleh hamba-Nya.

Ada pendapat yang mengatakan asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Abu Lubabah رضي الله عنه juga. Ini adalah kerana beliau ingin memberikan keseluruhan hartanya selepas diampunkan oleh Allah ﷻ di dalam ayat sebelumnya. Akan tetapi Rasulullah ﷺ tidak mahu menerimanya melainkan sepertiga sahaja. Ini seperti disebut di dalam Musnad Ahmad,

أَخْبَرَنِي ابْنُ شِهَابٍ أَنَّ الْحُسَيْنَ بْنَ السَّائِبِ بْنِ أَبِي لُبَابَةَ أَخْبَرَ أَنَّ أَبَا لُبَابَةَ بْنَ عَبْدِ الْمُنْذِرِ لَمَّا تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ مِنْ تَوْبَتِي أَنْ أَهْجُرَ دَارَ قَوْمِي وَأُسَاكِنَكَ وَإِنِّي أَنْخَلِعُ مِنْ مَالِي صَدَقَةً لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجْزِئُ عَنْكَ الثُّلُثُ
[Ibnu Syihab] [Al Husain bin As Sa’ib bin Abu Lubabah] mengabarkan [Abu Lubabah bin Abdul Mundzir] ketika Allah ﷻ menerima taubatnya. Baliau berkata; “Wahai Rasulullah, sebagai kesan taubatku, aku akan menghindari rumah kaumku dan aku akan tinggal bersama engkau, aku akan melepaskan hartaku sebagai sedekah kepada Allah dan rasul-Nya.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Cukuplah bagimu sepertiganya.”
(Musnad Ahmad (15190))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 100 – 101 (Balasan kepada munafik)

GOLONGAN TERAWAL

Tawbah Ayat 100: Sebelum ini disebut tentang Arab Badwi yang bagus dan baik. Sekarang ini disebut pula golongan baik secara umum pula.

وَالسّٰبِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسٰنٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ وَأَعَدَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the first forerunners [in the faith] among the Muhajireen¹ and the Ansar² and those who followed them with good conduct – Allah is pleased with them and they are pleased with Him, and He has prepared for them gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. That is the great attainment.

  • Those who emigrated from Makkah and settled in Madīnah for the cause of Islam.
  • The inhabitants of Madinah who had accepted Islam and assisted the Prophet (s) and other emigrants upon their arrival there.

(MALAY)

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

 

وَالسّٰبِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar

Sekarang Allah ﷻ memperkatakan tentang orang Mukmin pula. Mereka ada tiga golongan.

Ada yang paling hebat yang tidak dipertikaikan lagi, iaitu golongan yang mula-mula menjadi anak murid Nabi (السّابِقونَ). Golongan pertama adalah dari Mekah dan golongan kedua adalah dari Madinah. Merekalah yang mula-mula masuk Islam dalam kalangan Muhajirin dan mula-mula masuk Islam daripada Ansar. Waktu itu orang lain tidak masuk Islam lagi, merekalah yang mula-mula masuk. Mereka itu betul-betul hendak mendekatkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Mereka itu yang mula belajar Al-Qur’an, tauhid, beriman dengan Nabi, sebelum orang lain lagi.

Allah ﷻ tidak sebut ‘orang Mekah’ dan ‘orang Madinah’ sebaliknya menggunakan gelaran Muhajirin dan Ansar. Ini adalah kerana kelebihan mereka itu bukan terletak pada tempat asal mereka. Memang bukan tempat yang penting, tetapi hebatnya mereka adalah kerana sifat mereka. Kerana sifat mereka itulah yang meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah ‎ﷻ.

Satu pihak (iaitu Muhajirin) mereka sanggup berhijrah ke Madinah demi menjaga agama mereka dan satu pihak pula (Ansar) sanggup menerima dan membantu golongan yang berhijrah itu. Mereka tegakkan tauhid supaya orang lain pun kenal Allah ﷻ juga. Mereka adalah orang yang terawal dalam kalangan masyarakat mereka. Mereka mengambil langkah untuk beriman dan tidak takut dengan kesan daripada tindakan mereka itu.

Maka kalau ikut susunan ini, 3 golongan ini mengikut keutamaan mereka adalah:

1. Muhajirin
2. Ansar
3. Yang selain mereka dan mengikuti mereka

Tafsiran yang kedua mengatakan dalam kalangan Muhajirin dan Ansar ini ada yang tergolong sebagai السّٰبِقونَ (yang mendahului). Maka mereka inilah golongan yang pertama. Golongan kedua pula adalah yang selain mereka daripada Muhajirin dan Ansar juga. Maka kalau ikut susunan ini, begini pula:

1. Muhajirin dan Ansar yang السّٰبِقونَ
2. Muhajirin dan Ansar yang selebihnya
3. Yang selain mereka dan mengikuti mereka

Lalu siapakah pula yang digolongkan sebagai السّٰبِقونَ itu? Para pentafsir memberikan berbagai-bagai pilihan. Antaranya:

1. Yang solat kepada dua qiblat. Maka mereka ini yang Muslim sebelum pertukaran qiblat dari MasjidilAqsa ke Ka’bah. Ini adalah pendapat Sa’id al-Musayyab dan Qatadah
2. Mereka yang menyertai Perang Badar. Ini adalah pendapat Ata’ ibn Abi Rabah
3. Mereka yang mengangkat Sumpah Bai’atur Ridwan (di Hudaybiyah). Ini adalah pendapat Sha’bi.

Tafsiran lain membahagikan kepada dua golongan sahaja:

1. Yang terawal dalam kalangan Muhajirin dan Ansar. Ini adalah kerana mereka itu golongan sahabat. Iman dan amal mereka melebihi golongan Muslim yang lain selama-lamanya yang tidak akan dapat ditandingi.
2. Yang selain mereka dan mengikuti mereka. Ini adalah golongan Muslim yang akan ada sehinggalah ke hari Kiamat.

Ada yang menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan semua para sahabat itu adalah ahli syurga, walaupun mereka ada melakukan dosa. Ini kerana selepas ini akan disebut رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم. Ini dikuatkan lagi dengan ayat daripada Hadid: 10

لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ ۚ أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ
Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik.

Oleh itu, kena faham yang kedudukan sahabat ini bukan biasa-biasa. Beringatlah agar kita jangan celupar mulut dengan menghina mereka.

Apa pun yang terhebat adalah السّٰبِقونَ itu. Merekalah yang mula-mula menjadi contoh. Kita juga kadang-kadang boleh berada dalam pihak ini juga kerana kadang-kadang dalam kampung kita, dalam keluarga kita, kitalah yang mula-mula sekali mengambil jalan Sunnah. Orang lain pandang serong sahaja tetapi kita yang buka hati kita untuk menerima jalan sunnah ini.

Ada yang kata kita sesat, ada yang kata kita Wahabi. Sebaliknya kita tidak kisah sangat, walaupun sakit hati juga. Namun kita tetap dengan pendirian kita berpegang kepada Tauhid dan Sunnah, tidak kira apa orang kata. Memang golongan yang awal akan menerima tekanan dan ujian yang berat seperti golongan Muhajirin yang berasal di Mekah itu.

 

وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسٰنٍ

dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik,

Golongan yang ketiga adalah golongan yang mengikuti dua golongan yang telah disebut tadi. Manakala kita ini pula sudah tidak ada peluang lagi untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah dan tidak berpeluang menjadi mereka yang membantu golongan Muhajirin itu. Itu adalah kelebihan mereka yang tidak akan ada lagi.

Akan tetapi, kita masih lagi boleh termasuk dalam golongan yang ketiga ini. Kita boleh menjadi golongan yang ikut mereka kerana masa telah berlalu. Para sahabat yang awal sudah menjadi tokoh yang kita patut ikuti. Mereka telah menyempurnakan janji Allah ‎ﷻ. Untuk zaman kita ini ada yang ikut dan ada yang tidak.

Syarat untuk menjadi golongan ini adalah dengan mengikut kehendak iman dan mengikut cara sahabat dengan tepat dan ikhlas (بِإِحسانٍ). Iaitu kita belajar bagaimana mereka mengamalkan agama dan kita ikuti, janganlah ditambah-tambah pula.

Malangnya, masyarakat kita banyak yang suka menambah-tambah. Macam tidak cukup pula amalan para sahabat itu, sampai rajin sangat buat yang baru. Itulah amalan-amalan bid’ah yang masih bertambah dan berevolusi dari masa ke semasa, sebab masyarakat kita ‘terlebih pandai’ dalam membuat rekaan hal agama. Mereka yang mengamalkan bid’ah ini tidak termasuk dalam golongan ketiga ini. Maka kalau hendak beramal, kena selidik dahulu, golongan sahabat ada buat atau tidak? Kalau tidak buat, maka tinggalkan. Senang sahaja tetapi orang jahil susah untuk terima hujah ini.

 

رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ

Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah

Allah ﷻ beritahu yang Dia redha kepada ketiga-tiga golongan ini. Dari sinilah kita selalu dengar apabila disebut sahaja nama sahabat, maka akan ditambah dengan kalimah رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم. Kita pun boleh juga mendapat redha Allah ﷻ dan menjadi golongan ketiga yang disebut ini. Namun kalau mahu menjadi golongan ketiga, kenalah ikut cara golongan yang dua itu, barulah Allah ﷻ redha. Kena ikut mereka dengan tepat dan ikhlas sebagai syarat.

Kita ikut cara mereka kerana mereka sendiri mengikut Nabi ﷺ. Ini adalah kerana mereka yang tahu bagaimana mahu mengikut Nabi ﷺ, kerana mereka duduk dengan Nabi ﷺ dan belajar terus dengan baginda. Oleh itu, kalau sahabat Nabi ﷺ tidak membuat sesuatu amalan ibadat, kita jangan buat.

Mengikuti cara sahabat yang terawal adalah cara paling mudah untuk tahu bagaimana hendak amal agama. Ingatlah sabda Nabi ﷺ yang kata golongan umat Islam akan terpecah kepada 73 kumpulan. Kita kena berhati-hati supaya kita termasuk dalam golongan ‘firqah najiah’ (golongan yang selamat). Bila sahabat mendengar sabda Nabi ﷺ itu, sahabat tanya siapakah ‘firqah najiah’ itu.

Lihatlah sahabat waktu itu tidak bertanya siapa yang tidak selamat, siapa golongan yang 72 lagi itu. Mereka tanya yang siapa yang selamat sahaja, sebab tidak perlu tahu pun golongan sesat pun, hanya membuang masa sahaja. Golongan sesat itu jangan buat sahaja dan tidak perlu dicari siapa mereka. Lihatlah bagaimana sahabat itu bijak, tidak gemar bertanya benda yang tidak patut. Sebaliknya orang kita, hendak tahu sangat siapakah golongan 72 itu, tidak berkesudahan kajian demi kajian pula dibuat semenjak dahulu sampai sekarang.

Nabi ﷺ menjawab: mereka yang selamat itu adalah yang mengikut baginda dan ikut sahabat baginda. Itulah yang digelar: ahli sunnah wal jamaah. Kalimah ‘jamaah’ itu maksudnya ‘sahabat Nabi’. Akan tetapi, ramai yang silap faham tentang gelaran ini. Mereka sangka mereka Ahli Sunnah wal Jamaah namun mereka tidak amal pun amalan para sahabat, malah mereka banyak tambah.

Mereka pun buatlah nama golongan baru – ASWAJA. Ramai pula kata mereka aswaja tetapi amalan mereka punah. Yang kata mereka aswaja itu adalah dengan lidah mereka sahaja. Sesiapa pun boleh mengaku sedangkan mereka itu ahli bid’ah. Amalan mereka bukan amalan sunnah dan bukan mengikut amalan para sahabat.

Kita ikut Nabi ﷺ atas dasar syariat dan sahabat itu kita ikut atas dasar mencari cara yang benar untuk ikut syariat. Kita cuba ikuti yang setepat mungkin. Oleh kerana itu sekiranya ada perkara yang di antara para sahabat selisihkan, kita tidak ikut kerana itu tanda yang itu adalah amalan yang tidak dipersetujui. Kita cuba tidak ikut kecuali ia menepati dalil.

Akan tetapi dalam mazhab, mereka ikut sesetengah pendapat sahaja. Ini kerana sahabat pun ada khilaf antara mereka. Namun ini masih lagi dipanggil ikhtilaf mahmud (perselisihan terpuji) dan masih boleh diikuti lagi. Bandingkan dengan ‘ikhtilaf mazmum’ (selisih yang keji) adalah khilaf yang datang bukan daripada sahabat Nabi ﷺ.

Contoh ikhtilaf mahmud: isu sentuh perempuan, sama ada batal wuduk atau tidak. Yang kata batal wuduk adalah pendapat Abdullah Mas’ud رضي الله عنه. Sedangkan Mazhab Hanafi berpendapat tidak batal kerana mereka memegang pendapat Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما. Kalau perbezaan sebegini dikira tidak ada masalah kerana perselisihan pendapat antara sahabat. Maka boleh pilih salah satu daripada pendapat itu.

Akan tetapi sekiranya tiada langsung pendapat daripada sahabat, maka ia dipanggil sebagai ikhtilaf mazmum. Banyak amalan bid’ah sekarang tidak ada punca daripada para sahabat. Ini adalah masalah yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Puncanya adalah kerana tidak mempelajari agama dengan benar.

Bila tidak belajar, mereka akan membuat kesalahan besar, sampaikan ada yang mendakwa Imam Syafie رحمه الله sebut begini dan begitu, namun sebenarnya beliau tidak sebut pun. Dakwaan sebegini merupakan satu kezaliman. Ramai sangat yang jahil sampaikan benda yang bukan daripada agama tetapi mereka kata ia adalah daripada agama. Mereka telah berbohong atas agama dan perbohongan begini amat membahayakan sekali.

Nabi ﷺ pernah berkata yang akan di ada akhir zaman nanti, orang Islam yang mencela sahabat. Namun adakah yang mencela sahabat? Memang ada, iaitu golongan Syiah. Mereka itu memang sudah jelas sesat, tetapi bukan mereka yang dimaksudkan. Malah ada orang Islam yang bukan Syiah yang bermudah sahaja menolak apa yang sahabat lakukan dan fahami. Apabila mereka tidak ikut amalan para sahabat, itu seolah-olah mereka mahu berkata amalan sahabat tidak benar dan secara tidak langsung, mereka telah mencela sahabat.

Ini terjadi apabila mereka mengamalkan amalan yang lain daripada amalan sahabat dan bila kita tegur, kita kata mereka mencela sahabat, mereka kata mereka tidak cela sahabat pun. Sebaliknya apabila mereka mencela golongan yang mahu mengikut sahabat, iaitu golongan yang mahu mengikut sunnah, mereka sebenarnya telah mencela sahabat! Kita yang hendak mengikut sunnah ini dilemparkan dengan pelbagai gelaran, puak sesat lah, puak Wahabi lah dan bermacam-macam lagi.

Oleh itu, jangan lagi buat perkara yang Nabi ﷺ dan sahabat tidak ajar – ini dinamakan Sunnah Tarku – iaitu tinggalkan apa yang tidak dilakukan oleh golongan sahabat. Jangan jadi golongan ahli bid’ah: mereka tidak tinggalkan, tetapi mereka buat benda yang tidak ada dalam Sunnah.

Oleh itu ayat ini tentang saranan kepada kita untuk mengikut sahabat. Kita akan mendapat redha Allah ﷻ kalau kita boleh ikut.

Namun bagaimana dengan banyaknya pendapat sekarang ini? Ada yang kata ini haram tetapi ada juga yang kata ini halal. Imam Syaukani رحمه الله kata taklid (ikut sahaja) tidak boleh dalam agama. Maknanya, kena tahu dalil dalam apa perkara agama pun. Taklid adalah haram pada pendapat beliau. Kerana itu kita tidak boleh membuat hukum sendiri, kerana kalau hendak membuat hukum sendiri, kena tahu usul feqah.

Sudah pasti kita tidak tahu usul feqah kerana ia adalah ilmu paling rumit dalam dunia. Maka jangan memandai mengatakan sesuatu perkara itu mendapat pahala kalau buat, kalau tidak ada imam yang kata memang ia ada dalam agama. Jangan kita ikut hawa nafsu. Lalu kita seolah-olah taklid juga kepada pendapat orang lain, bukan?

Maknanya, kita kena tahu apakah dalil yang mereka ambil sebagai hujah mereka. Jangan taklid buta sahaja, tetapi kena tahu apakah dalil yang mereka gunakan untuk sampai kepada satu-satu keputusan. Itulah jalan dan cara yang selamat. Untuk menjadi sehingga ke peringkat ini, kenalah belajar sampai boleh menjadi ustaz. Namun begitu bukanlah belajar untuk menjadi ustaz, tetapi belajar sampai boleh menjadi ustaz. Maksudnya, belajar sampai boleh faham agama.

Jangan terus terima pendapat orang lain sahaja tanpa periksa apakah hujah yang digunakan. Maknanya, kena luangkan masa untuk belajar. Kita kena ingat bahawa orang jahil tidak akan masuk syurga. Janganlah rasa selesa sahaja sebagai ‘orang awam’. Sebab itu kena belajar sampai kita jelas tentang agama. Kalau kita tidak belajar, tentu syaitan akan ambil peluang untuk menipu kita dalam hal agama.

Sedarlah, sekiranya hadith Nabi itu tidak ada campur tangan sahabat yang mengamalkan atau tidak mengamalkan, kita tidak akan tahu. Allah ﷻ kekalkan cara amalan mereka dalam kitab-kitab yang kita boleh jadikan sebagai ikutan kita dan sebagai neraca kehidupan kita. Sama ada boleh buat atau tidak sahaja setelah kita tahu. Kemudian setelah kita belajar, banyaklah yang sudah tahu, tetapi masih ada lagi yang tidak boleh hendak buat lagi, kerana mungkin tidak mampu, atau keadaan tidak mengizinkan.

Maka kita kena berdoa kepada Allah ﷻ untuk beri taufik kepada kita supaya diberikan kekuatan kepada kita untuk membuat amal yang baik. Minta ampun siap-siap kalau tidak mampu buat lagi. Inilah sahaja harapan kita. Kalau sudah buat begini, barulah boleh ada harapan, tidaklah berharap masuk syurga dengan harapan kosong sahaja.

Jangan kita termasuk jenis orang yang hendak masuk syurga, tetapi tidak berbuat apa-apa pun lagi. Syurga Allah ﷻ itu mahal dan kerana itu mesti ada usaha. Kalau sudah berusaha, barulah bagus, daripada setakat kata ‘tidak tahu’ dan tidak buat apa-apa pun. Jangan baru hendak minta ampun semasa di akhirat nanti, kerana Allah ﷻ sudah siap-siap beritahu yang tidak akan dimaafkan dan tidak akan dikembalikan ke dunia untuk buat sekali lagi.

Satu lagi syarat adalah mereka redha dengan Allah ﷻ. Pertamanya mereka redha Allah ﷻ sebagai Tuhan mereka. Kemudian mereka redha apa yang Allah ﷻ mahu buat dengan mereka. Mereka tidak mengeluh kerana mereka tahu Allah ﷻ itu Tuhan dan kita ini hamba-Nya sahaja. Kalau hamba, kena redha sahaja dengan apa yang tuan hendak buat kepada hambanya. Kita telah pernah sebutkan sebelum ini kata-kata Imam Syafie رحمه الله yang mengatakan untuk mendapat redha Allah ﷻ, pertamanya kita sendiri kena redha dengan ketentuan daripada Allah ﷻ.

 

وَأَعَدَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya.

Natijahnya, bagi mereka yang ada fahaman begitu, Allah ﷻ akan sediakan syurga untuk mereka. Syurga sudah siap menunggu mereka. Dalam syurga itu ada sungai-sungai memberi isyarat betapa hebatnya syurga itu. Sesiapa yang masuk syurga, akan kekal di dalamnya selama-lamanya, kerana itulah nikmat yang sebenar. Kalau masuk sekejap sahaja, tidaklah dikira sebagai nikmat sebenar.

Kita telah banyak kali sebutkan kenapa Allah ‎ﷻ gunakan sungai sebagai pembakar semangat umat Islam. Kita juga telah sebut berbagai jenis sungai yang Allah ﷻ berikan di syurga. Kita juga telah banyak kali sebutkan apakah maksud ‘di bawah’ itu.

Balaghah: Kenapa di dalam ayat ini Allah ﷻ tidak letakkan harf مِن berbanding dengan ayat-ayat lain yang serupa dengannya?

Ayat ini satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang tiada مِن (daripada) di dalam frasa جنات تجري تحتها الأنهار. Dengan ketiadaan harf من boleh dikatakan sungai-sungai yang mengalir di bawah jannah tersebut TIDAK BERASAL dari jannah tersebut. Ini bermaksud peringkat jannah tersebut adalah satu lapisan bawah daripada ayat-yang yang menyebut,

جنات تجري من تحتها الأنهار

Bandingkan dengan ayat-ayat yang lain seperti dalam Yunus: 9

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ يَهۡدِيهِمۡ رَبُّهُم بِإِيمَٰنِهِمۡۖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُ فِي جَنَّٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Ayat daripada Surah Tawbah ini menyebut golongan sabiqun (golongan yang awal dalam Islam) seperti Muhajirin dan Ansar dan ia tidak termasuk golongan para anbiya’ dan rasul.

Manakala ayat-ayat yang lain seperti Surah Yunus di atas, golongan ahli jannah tersebut termasuk juga para Nabi dan Rasul. Kedudukan mereka lebih tinggi, maka adalah sesuai ayat tersebut ada huruf مِن kerana maqam jannah para nabi dan rasul adalah lebih tinggi. Dari sini kita boleh lihat yang Al-Qur’an sangat tepat penggunaan kalimahnya walaupun hanya berbeza satu kalimah sahaja, ini membuktikan ia bukan Kalam manusia tetapi Kalamullah yang agung.

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah kemenangan yang besar.

Barulah dikira sebagai kemenangan kalau dapat memasuki syurga kerana mereka yang dapat masuk syurga adalah mereka yang terlepas daripada neraka. Terlepas dari neraka adalah nikmat dan kejayaan yang teramat-amat besar.


 

MUNAFIK YANG BERDEKATAN

Tawbah Ayat 101: Sekarang kembali memperkatakan tentang golongan Munafik

وَمِمَّن حَولَكُم مِّنَ الأَعرابِ مُنٰفِقونَ ۖ وَمِن أَهلِ المَدينَةِ ۖ مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ لا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم ۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَينِ ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among those around you of the bedouins are hypocrites, and [also] from the people of Madīnah. They have become accustomed to hypocrisy. You, [O Muḥammad], do not know them, [but] We know them. We will punish them twice [in this world]; then they will be returned to a great punishment.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

 

وَمِمَّن حَولَكُم مِّنَ الأَعرابِ مُنٰفِقونَ

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; 

Sebelum ini telah disebut tiga golongan yang baik: Muhajirin, Ansar dan mereka yang mengikuti mereka. Dalam ayat ini pula, Allah ﷻ memberitahu yang ada pula yang berlawanan dengan golongan sebelum ini. Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat membaca hati manusia, maka Allah ﷻ beritahu baginda tentang perkara ini. Ini golongan yang mulut mereka sahaja yang kata mereka beriman, tetapi dalam mereka, mereka tidak beriman sebenarnya. Inilah golongan munafik.

Mereka itu ada dalam kalangan orang Arab Badwi itu kerana kalimah yang digunakan adalah الأَعرابِ. Mereka mengaku dengan lidah yang mereka beriman, namun mereka sebenarnya munafik. Ini adalah mereka yang duduk luar kota Madinah di padang pasir dan mereka duduk di dalam khemah sahaja. Mereka mengaku masuk Islam kerana mereka takut mereka diserang oleh puak Muslim. Maknanya mereka terpaksa masuk Islam.

Apabila digunakan kalimah حول (sekeliling) itu ia bermakna yang ramai sekali musuh Nabi ﷺ. Ramai sangka apabila baginda sudah menetap di Madinah, hidup baginda sudah senang. Akan tetapi bukan begitu, kerana sebaliknya musuh baginda bertambah ramai. Kalau dahulu dengan golongan Musyrikin Mekah sahaja. Apabila berada di Madinah, ada puak Yahudi, puak Munafik dan baginda masih kena berhadapan dengan serangan daripada Musyrikin Mekah lagi.

 

وَمِن أَهلِ المَدينَةِ

dan (juga) di antara penduduk Madinah.

Bukan sahaja ada munafik dalam kalangan Arab Badwi, tetapi ada juga golongan munafik yang tinggal dalam Kota Madinah. Mereka pun ada yang keras dengan kemunafikan. Mereka itu duduk sekitar dan berdekatan dengan Nabi ﷺ, solat berjemaah bersama baginda, tetapi mereka pun boleh keras dalam kemunafikan juga. Ini lebih teruk lagi kerana kalau duduk luar itu lain, duduk dengan Nabi ﷺ lain pula.

 

مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ

Mereka tegar di atas kemunafikan. 

Kalimah مَرَدوا itu berasal daripada katadasar م ر د yang bermaksud membasahkan sesuatu untuk melembutkannya, menjadi biasa dengan sesuatu, lembam (malas), kurang ajar, berterusan di dalam sifat, lancang, bangga keterlaluan, degil dan melawan.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang mereka itu bersungguh-sungguh dalam sifat nifak mereka. Degil sungguh, keras kepala. Walaupun mereka duduk bersama Nabi ﷺ, duduk dalam majlis Nabi, dengar ajaran daripada Nabi ﷺ, malah solat berjemaah bersama baginda, tetapi mereka tetap tidak lembut hati mereka, tetap keras dalam sifat nifak.

 

لا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم

Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. 

Nabi Muhammad ﷺ tidak kenal mereka, tetapi Allah ﷻ kenal mereka. Sebab itu Allah ﷻ kena beritahu baginda. Bayangkan zaman Nabi pun ada yang kafir duduk dalam majlis Nabi. Tentulah pada zaman kita, terdapat lebih ramai lagi. Kita kena baca dan bandingkan dengan zaman sekarang, kerana Al-Qur’an bukan menceritakan untuk keadaan di waktu dahulu sahaja tetapi hendaklah kita aplikasikan dalam zaman sekarang. Maka, kalau ada munafik zaman Nabi, tentu ada munafik pada zaman ini.

Ini juga menunjukkan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat baca hati manusia, kerana itu baginda tidak tahu siapakah yang munafik. Maka amat malang kalau ada orang yang menuduh orang lain sebagai munafik. Sifat munafik ini adalah perkara dalam hati, maka kita sebagai manusia tidak tahu. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak tahu, takkanlah kita orang biasa ini pula boleh tahu. Maka berhentilah daripada senang sahaja menuduh orang lain munafik.

 

سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَينِ

Nanti mereka akan Kami seksa dua kali

Allah ‎ﷻ akan azab mereka berkali-kali, sekurang-kurangnya dua kali. Ini adalah azab di dunia kerana azab Akhirat disebut selepas ini. Kenapa mereka diazab sehingga dua kali? Kes pertama kerana mereka kafir dan kes kedua kerana mereka berbohong mengaku orang Islam. Atau, kerana mereka itu bersifat nifak dan kemudian berterusan tegar pula di dalam sifat itu.

Ini adalah tentang azab di dunia lagi. Maksudnya azab dalam bentuk psikologi dan emosi. Kerana itu mereka tidak tenang duduk dalam dunia. Kelam kabut dan takut sahaja kalau-kalau rahsia mereka terbongkar. Mereka takut kalau orang tahu apa yang ada dalam hati mereka maka kerana itu mereka cemas sahaja sepanjang masa. Ini bukanlah cara hidup yang selesa.

Lagi satu hukuman ke atas mereka adalah mereka kena ikut amalan golongan Mukmin seperti solat dan puasa walaupun di dalam hati mereka tidak suka. Melakukan sesuatu kerana terpaksa pun adalah sebuah seksaan juga, bukan?

Berikut beberapa pendapat mengenai seksaan dua kali yang dimaksudkan itu:

Menurut Ibnu Juraij رَحِمَهُ اللَّهُ, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab dunia dan azab kubur, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang lebih besar, iaitu neraka. Menurut Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ juga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab di dunia dan azab kubur. Jadi ayat ini adalah antara dalil adanya azab kubur.

Muhammad ibnu Ishaq رحمه الله mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Tawbah: 101) Menurut berita yang sampai kepadanya, makna yang dimaksudkan ialah mereka melihat kemajuan Islam yang sangat pesat yang di luar dugaan mereka, sehingga mengakibatkan mereka geram dan terbakar oleh dendamnya. Kemudian azab yang akan mereka alami di dalam kubur bila mereka telah memasukinya, lalu azab yang besar di dalam neraka yang menjadi tempat tinggal mereka kelak di hari kemudian, mereka kekal di dalamnya.

Sa’id رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Tawbah: 101) Iaitu azab di dunia dan azab di alam kubur. kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar. (At-Tawbah: 101); Telah diriwayatkan kepada kami bahawa Nabi ﷺ telah membisikkan kepada Huzaifah perihal dua belas orang lelaki dalam kalangan orang-orang munafik. Lalu Nabi ﷺ mengatakan bahawa enam orang di antara mereka telah cukup diseksa oleh Dabilah, iaitu pelita daripada api neraka Jahanam yang menyambar belikat salah seorang daripada mereka hingga tembus sampai ke dadanya, sedangkan yang enam lainnya telah mendapat sebahagian seksa dalam kematiannya.

 

ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

Kemudian mereka akan dikembalikan ke akhirat dan akan dihumban ke dalam neraka. Dalam neraka, seksaan tidak akan berhenti dan berkurangan. Seksaan di akhirat lebih hebat lagi dan memang layak dikenakan kepada mereka. Tidak ada azab yang lebih besar daripada azab di Akhirat iaitu Neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 95 – 99 (Munafik Arab Badwi)

Tawbah Ayat 95:

سَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم إِذَا انقَلَبتُم إِلَيهِم لِتُعرِضوا عَنهُم ۖ فَأَعرِضوا عَنهُم ۖ إِنَّهُم رِجسٌ ۖ وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will swear by Allāh to you when you return to them that you would leave them alone. So leave them alone; indeed they are evil; and their refuge is Hell as recompense for what they had been earning.

(MALAY)

Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.

 

سَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَكُم إِذَا انقَلَبتُم إِلَيهِم

Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka,

Allah ﷻ beritahu lagi, puak munafik itu apabila mereka datang kepada puak mukmin yang pergi berjihad, puak munafik itu akan datang kata-kata sumpahan. Mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Allah ﷻ mengingatkan, walaupun mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ, tetapi tetaplah jangan percaya kepada mereka, kerana sumpah mereka itu kosong sahaja.

 

لِتُعرِضوا عَنهُم

supaya kamu berpaling daripada mereka.

Tujuan mereka datang dan sanggup bersumpah dengan nama Allah ﷻ itu adalah supaya puak mukmin itu tidak mempedulikan mereka, tidak kata sesuatu tentang mereka, tidak mengutuk atau menghina mereka. Supaya tidak tertanya-tanya lagi kenapa mereka tidak menyertai jihad.

 

فَأَعرِضوا عَنهُم

Maka berpalinglah daripada mereka; 

Kemudian Allah ﷻ beritahu: usah pedulikan mereka itu. Berpalinglah daripada mereka dengan menzahirkan kemarahan. Jangan diambil kisah lagi tentang mereka. Biarkan sahaja mereka itu. Tidak perlu dilayan mereka itu kerana kalau maki mereka pun tiada guna. Jauhkan diri sahaja daripada mereka itu.

 

إِنَّهُم رِجسٌ

kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis

Berat dan hina sekali kata-kata Allah ﷻ ini: jangan layan mereka sebab mereka itu adalah ‘najis’. Ini tidak sama kalau tubuh kita terkena najis. Maknanya tubuh mereka itu sendiri adalah najis! Ini adalah kerana ada kekotoran dalam hati mereka. Akidah dan amalan mereka itu najis.

Bukanlah mereka itu najis fizikal, sampai kena basuh tangan kalau bersalam dengan mereka tetapi fahaman mereka yang kotor. Jangan pula terpalit dengan fahaman mereka itu. Maka, tinggalkan mereka sepertimana kita tinggalkan najis.

 

وَمَأويٰهُم جَهَنَّمُ جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ

dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ beritahu yang tempat terakhir mereka nanti adalah Neraka Jahannam. Itulah balasan setimpal buat mereka kerana sifat kufur dan nifak mereka. Allah ﷻ perli dengan menggunakan kalimah مَأويٰ yang asalnya bermaksud tempat berlindung. Mereka ini tidak mendapat tempat berlindung langsung kerana tempat perlindungan mereka sendiri adalah neraka! Ini seolah-olah yang datang melindungi kita adalah api, bukannya bomba!


 

Tawbah Ayat 96:

يَحلِفونَ لَكُم لِتَرضَوا عَنهُم ۖ فَإِن تَرضَوا عَنهُم فَإِنَّ اللَّهَ لا يَرضىٰ عَنِ القَومِ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They swear to you so that you might be satisfied with them. But if you should be satisfied with them – indeed, Allāh is not satisfied with a defiantly disobedient people.

(MALAY)

Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.

 

يَحلِفونَ لَكُم لِتَرضَوا عَنهُم

Mereka bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka.

Puak munafik itu bersungguh-sungguh mencari orang mukmin dan bersumpah dengan nama Allah ﷻ di depan puak Mukmin supaya puak Mukmin itu redha kepada mereka. Supaya orang mukmin tidak sangka buruk dengan mereka, supaya senang kepada mereka, buat tidak kisah tentang mereka tidak pergi ke Tabuk untuk jihad. Padahal sebelum itu, puak munafik itu kata macam-macam, termasuk mengutuk mereka yang infak dan keluar ke Tabuk.

Inilah antara masalah besar golongan Munafik itu. Mereka lebih mengejar redha manusia daripada redha Allah ﷻ. Kalau redha manusia yang kita kejar, maka kita pun ada masalah dengan Allah ﷻ. Sedangkan kita hanya akan selamat kalau Allah ﷻ redha dengan kita. Bagaimanakah caranya untuk mendapat redha Allah ﷻ? Untuk mendapatkannya, kita sendiri kena redha dulu dengan ketentuan-Nya. Ini kena bermula dengan kita redha dengan Allah ﷻ. Barulah boleh mendapat kemanisan iman seperti yang disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ الْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَاقَ طَعْمَ الْإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا
Daripada Abbas bin Abdul Muthalib bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Telah merasakan nikmatnya iman bagi orang yang redha dengan Allah ﷻ sebagai Rabb dan Islam sebagai agama serta Muhammad sebagai Rasul.”
(Sahih Muslim (49))

 

فَإِن تَرضَوا عَنهُم فَإِنَّ اللَّهَ لا يَرضىٰ عَنِ القَومِ الفٰسِقينَ

Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ sudah beri amaran awal-awal lagi. Ingat, sekiranya kamu wahai orang mukmin, bersenang hati dan redha terhadap mereka, Allah ﷻ tidak redha, Allah ﷻ tidak setuju. Atau, kalau kamu redha pun, ia tidak bermakna apa-apa kerana Allah ﷻ sendiri tidak redha. Tidak kiralah apa yang kamu fikirkan, walaupun mereka itu saudara mara kamu, kawan rapat kamu. Kamu tidak boleh redha dengan kesalahan mereka itu. Redha manusia tidak berguna tanpa redha Allah ﷻ.

Ini bukan perkara kecil yang boleh dilepaskan begitu sahaja. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak sekali-kali redha kepada kaum yang fasik itu.


 

ARAB BADWI YANG TIDAK SETIA

Tawbah Ayat 97: Semasa permulaan Islam di Mekah, tidak ada sangat sifat munafik kerana semasa di Mekah, orang yang memeluk Islam itu adalah yang benar-benar masuk kerana betul-betul mahukan agama Islam. Mereka bukan masuk Islam kerana mahukan kesenangan dunia sebab mereka sedar Nabi ﷺ tidak dapat memberikan habuan dunia kepada mereka. Malah, sebaliknya mereka terpaksa menempah penderitaan kerana mengikut Nabi ﷺ.

Mereka yang masuk Islam pada waktu itu mesti bersedia untuk diseksa dan diganggu oleh mereka yang kufur dan lebih ramai daripada mereka dan ada antara mereka yang kejam. Walaupun mereka tidak mempunyai asas agama, baru mula belajar dengan Rasulullah ﷺ, tetapi kerana mereka ikhlas hendak mendampingkan diri dengan Allah ﷻ, maka mereka telah selamat.

Akan tetapi keadaan tidak sama apabila Islam bertapak di Madinah. Di Madinah, mereka yang masuk Islam ada dua golongan: Golongan pertama adalah mereka yang ikhlas masuk Islam seperti mereka yang masuk Islam semasa di Mekah itu. Mereka yang jenis ini masuk Islam kerana mahukan kebenaran dan demi keselamatan dunia dan akhirat. Oleh itu mereka boleh menjalankan perintah agama Allah ﷻ dan Rasul-Nya, tanpa soal tanpa mengira susah ataupun senang. Mereka sanggup pergi berjihad dan mengeluarkan infak dan mereka boleh melakukan apa sahaja yang Nabi ﷺ ajar mereka buat.

Walau bagaimanapun terdapat satu golongan lagi yang masuk agama di Madinah kerana tertekan oleh keadaan. Pada mereka, kalau mereka tidak masuk Islam, nanti mereka mesti berperang dengan orang Islam pula. Waktu itu, orang Islam sudah mempunyai kedudukan, bukan seperti keadaan semasa permulaan Islam di Mekah. Maka golongan yang terpaksa ini mengaku masuk Islam walaupun sebenarnya hati mereka tidak mahu.

Lalu ketika itu timbullah golongan munafikin ini iaitu mereka yang masuk agama Islam kerana tertekan dengan keadaan, terpaksa masuk Islam, dan bukan dengan kehendak hati mereka. Mereka berbuat begitu kerana mahukan keuntungan untuk mereka sahaja. Mereka akan lihat, kalau ada untung, mereka akan buat; kalau tidak ada untung dan menyusahkan mereka, mereka tidak mahu buat, seperti infak dan keluar jihad. Akan tetapi, Allah ﷻ mahu manusia masuk Islam kerana kehendak sendiri, Allah ﷻ tidak mahu ada yang masuk Islam kerana terpaksa.

Golongan munafik pula terbahagi kepada dua jenis pada waktu itu: ada yang duduk di kawasan bandar dan ada yang duduk di kawasan desa. Yang duduk dalam bandar pula, ada jenis kaum Yahudi dan ada jenis bangsa Arab. Sementara di desa pula juga ada dua golongan: ada yang mudah jinak dengan Islam dan masuk Islam akhirnya walaupun asalnya mereka munafik, dan ada yang kepala keras tidak mahu langsung jinak kepada Islam.

Jenis seperti mereka inilah yang tidak mahu menyertai majlis wahyu dibaca. Kalau ada, mereka akan menjauhi majlis itu. Kesannya, hati mereka menjadi sangat keras kerana mereka tidak mendekatkan diri dengan wahyu Allah ﷻ. Sedangkan ada antara mereka yang lembut hati, mencari peluang untuk mendengar wahyu dibacakan hingga hati mereka menjadi lembut dan mereka akhirnya masuk Islam setelah mereka faham.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini adalah tentang Arab Badwi yang dua jenis itu. Yang membezakan antara dua mereka itu adalah sama ada hati mereka terbuka untuk mendengar wahyu atau tidak.

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The bedouins are stronger in disbelief and hypocrisy and more likely not to know the limits of what [laws] Allāh has revealed to His Messenger. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya,

Golongan Arab Badwi yang munafik itu adalah golongan yang paling senang untuk menolak ajaran Islam walaupun mereka mengaku sudah masuk Islam. Mereka itu digelar Arab Badwi kerana mereka tinggal di luar bandar, di padang pasir dalam khemah dan sebab itulah mereka jauh daripada majlis ilmu. Oleh kerana kekurangan ilmu, maka mereka tidak memahami kebenaran agama Islam.

Mereka ini adalah golongan yang tidak mengenal lagi erti tamadun dan adab-adab bermasyarakat. Kalau kita sekarang, panggil mereka ini jenis ‘orang bukit’ atau orang darat atau orang asli. Merekalah yang kuat kufurnya dan golongan yang paling teruk sifat munafiknya.

 

وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ

dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. 

Oleh kerana mereka tidak terbuka lagi kepada ilmu agama, maka mereka tidak dapat mengetahui sempadan atau batasan (hudud) undang-agama Allah ﷻ. Mereka tidak mampu untuk memahami lagi kerana mereka duduk jauh daripada suasana agama dan mereka pun tidak berusaha mencari suasana ilmu. Mereka tetap dalam kejahilan disebabkan sikap mereka itu sendiri.

Maka masalah mereka adalah kekurangan ilmu agama. Ini kerana asas di dalam Islam adalah ilmu. Bukanlah hina bergelar Arab Badwi tetapi hina kerana kurangnya ilmu mereka tentang agama. Sekiranya kita pun kurang ilmu, maka tidak jauh bezanya dengan orang Arab Badwi yang dikatakan di dalam ayat ini. Ramai sahaja dalam kalangan masyarakat kita yang setaraf Badwi, rasanya.

Tambahan pula kalau duduk di pedalaman seperti kampung-kampung yang jauh dari pekan. Masjid pun jauh, kelas pengajian pun tidak ada. Ustaz pun susah untuk pergi ke sana untuk mengajar. Maka mereka ini lebih terdedah kepada fahaman-fahaman yang pelik. Sebab itu ada amalan khurafat di kawasan sebegitu dan ajaran sesat senang berkembang. Mereka tidak ada ilmu agama untuk menapis ajaran sesat yang sampai kepada mereka.

Oleh sebab itu ilmu utama yang manusia kena tahu dan belajar adalah ilmu Tauhid. Dalam banyak-banyak ilmu, Ilmu Tauhidlah yang perlu diajar dahulu kepada manusia. Kalau sudah kenal Allah ﷻ dan kenal Tauhid, maka barulah diajar ilmu-ilmu yang lain. Kerana itu Allah ﷻ sebut dalam Muhammad:19

فَاعلَم أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ
Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah

Kerana itu agama Islam menekankan kepentingan belajar agama. Banyak dalil-dalil tentang perkara ini seperti disebut dalam Mujadilah: 11 yang menekankan tentang darjat orang berilmu.

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

Kalimah أَجدَرُ berasal daripada katadasar ج د ر yang bermaksud dinding, sesuai atau layak, meninggikan sesuatu, membina binaan tinggi, membaiki sesuatu apabila ia telah rosak. Katadasar ini selalunya digunakan untuk bermaksud dinding tetapi di sini ia bermaksud berkemungkinan yang tinggi.

Sifat keras dan kasar kebanyakannya terjadi dalam kalangan penduduk pedalaman, maka Allah ﷻ tidak pernah mengutus seorang rasul pun dalam kalangan mereka, dan sesungguhnya kerasulan itu hanya terjadi dalam kalangan penduduk kota, seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى
Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk kota.(Yusuf: 109)

Maknanya Allah ﷻ letakkan para Rasul dan penyebar Tauhid di pekan dan kota kerana dari sinilah ajaran akan tersebar ke merata tempat seperti di kampung-kampung. Selalunya orang di kampung-kampung dan kawasan pedalaman akan ikut apa yang dilakukan oleh orang pekan.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ maha mengetahui keadaan mereka dan Allah ﷻ maha bijaksana dalam menguruskan hal mereka.

Allah ﷻ Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak untuk Dia ajarkan iman dan ilmu kepadanya, lagi Maha bijaksana dalam pembahagian ilmu, kebodohan, iman, kekufuran, dan kemunafikan di antara hamba-hamba-Nya; tidak ada yang bertanya kepada-Nya tentang apa yang dilakukan-Nya berkat ilmu dan kebijaksanaan-Nya.


 

Tawbah Ayat 98:

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ ۚ عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among the bedouins are some who consider what they spend as a loss¹ and await for you turns of misfortune. Upon them will be a misfortune of evil. And Allāh is Hearing and Knowing.

  • i.e., a fine or penalty.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah), sebagai suatu kerugian, dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu, sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يَتَّخِذُ ما يُنفِقُ مَغرَمًا

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang memandang apa yang dinafkahkannya sebagai suatu kerugian,

Ada daripada golongan Arab Badwi itu yang beranggapan yang arahan untuk menginfakkan harta adalah arahan yang membebankan mereka. Mereka tidak suka mengeluarkan infak, sama ada daripada jenis zakat atau sedekah. Bagi mereka, harta itu susah untuk dapat mana boleh senang-senang sahaja kena beri kepada orang lain pula. Mereka bayar juga tetapi hati mereka tidak rela sebenarnya. Mereka rasa terpaksa kerana mereka tidak nampak dan faham kepentingan infak itu.

Kalimah مَغرَمًا berasal daripada katadasar غ ر م yang bermaksud hutang yang mesti dibayar, bayar cukai atau denda, seksaan yang berterusan, hutang yang dipaksakan. Di dalam ayat 60 sebelum kita telah lihat salah satu daripada Asnaf adalah golongan الغٰرِمينَ (orang berhutang) juga diambil daripada katadasar yang sama.

Pada mereka infak itu adalah kerugian yang besar, yang menyusahkan mereka – sudahlah harta itu susah untuk didapati, sudah dapat kena beri pula seperti bayar hutang, denda atau cukai. Maka mereka benci kepada orang Madinah, kerana zaman itu amil zakat akan datang untuk mengutip harta mereka untuk diambil sebagai zakat dan amil itu datang dari Madinah.

Sebenarnya, itulah yang seharusnya dilakukan oleh pegawai zakat yang keluar mengutip zakat daripada orang kaya dan beri kepada orang miskin. Maknanya, mereka bergerak melakukan kerja dan sebab itu mereka layak untuk menerima sebahagian daripada kutipan zakat itu. Mereka layak menjadi amil kerana mereka buat kerja. Mereka yang akan mengira jumlah harta orang kaya dan berapa jumlah harta zakat yang perlu diberikan.

Kemudian mereka kutip dan melakukan pemberian zakat itu kepada mereka yang memerlukan (asnaf). Apabila mereka menjalankan kerja ini, maka orang kaya tidak penat untuk menghantar zakat dan orang miskin pun tidak penat untuk keluar dan mengutip zakat. Mereka tetap di tempat mereka, dan amil zakat yang datang dan beri bantuan zakat kepada mereka.

Malangnya, zaman kita lain pula jadinya. Sekarang kita pun tidak tahu mana orang kaya dan mana orang miskin. Amil zakat tunggu sahaja di pusat pungutan zakat. Asnaf pula yang kena datang ke pusat pungutan dan meminta bantuan zakat. Makin menyedihkan ada terjadi di mana asnaf itu sampai terpaksa merayu dan dikenakan mengisi borang dan disoal bermacam-macam soalan. Memang sudah lama masalah sebegini berlarutan dan kita biasa sahaja mendengar keluhan mereka betapa susahnya untuk mereka mendapat zakat dari pusat pungutan zakat.

Mungkin ada yang rasa, baik tidak payah pergi minta, sebab hendak pergi pun bukan senang, tidak mampu untuk pergi. Tambahan lagi mereka orang susah dan tidak berpelajaran, bukannya pandai mengisi borang. Kalau bertanya, silap-silap dimarah pula! Bukan begini sepatutnya yang berlaku. Padahal Allah ﷻ dan Nabi sudah ajar caranya. Kerana itu, kita berbangga apabila ada usaha di Negeri Perlis di mana kerajaan Negeri Perlis sendiri pergi menjelajah ke ceruk-ceruk kampung dan mencari orang yang hendak diberikan zakat. Ini adalah sebuah pekerjaan yang mulia.

Malangnya, Negeri Perlis ini adalah negeri yang paling dipandang serong oleh ramai orang kerana mereka mengamalkan Islam cara sunnah. Ramai yang kata, Negeri Perlis adalah tempat pembiakan Wahabi. Mereka yang kata begini adalah mereka yang amal jahil sekali. Maaf, kerana luahan rasa tentang zakat dan Negeri Perlis ini.

 

وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوائِرَ

dan mereka menanti-nanti marabahaya menimpamu,

Kembali kepada suasana pada zaman Nabi dan tentang Arab Badwi itu. Apabila amil zakat datang kepada Arab Badwi itu, mereka benci kepada orang dari Madinah itu kerana mereka rasa orang Madinah itu datang untuk senang-senang sahaja mengambil harta mereka yang mereka telah susah payah cari. Ini adalah kerana mereka tidak faham agama dan tidak tahu ada keberkatan pada pemberian zakat itu. Kita telah sebut sebelum ini yang mereka itu kurang ilmu.

Sebenarnya tidak patut mereka benci kerana amil pun memang ambil benda yang patut-patut sahaja. Mereka tidaklah mengambil harta yang terbaik, tidak yang terburuk, tetapi pertengahan sahaja daripada yang dimiliki oleh mereka. Akan tetapi umat dalam kalangan Arab Badwi itu tidak tahu semua itu, mereka nampak yang buruk sahaja. Ada antara mereka yang rasa harta zakat yang mereka kena keluarkan itu adalah sebagai satu (penalti) مَغرَمًا ke atas mereka.

Oleh kerana benci sangat, mereka menunggu-nunggu bala bencana terkena kepada orang Madinah. Kalimah يَتَرَبَّصُ daripada katadasar ر ب ص yang bermaksud tunggu sesuatu itu terjadi. Yang menarik daripada katadasar ر ب ص ialah kalau diterbalikkan ia menjadi ص ب ر yang bermaksud sabar. Maka menunggu itu memang memerlukan kesabaran.

Kalimah الدَّوائِرَ adalah jamak bagi kalimah دائِرَةُ. Ia adalah daripada katadasar د و ر yang bermaksud bulat, berpusing, beredar, rumah, tempat tinggal, gedung, pusing, pergerakan. Maksudnya mereka menunggu kedudukan kerajaan Islam berpusing, beredar. Maknanya kena menunggu musibah kepada golongan Mukmin.

Maka mereka menunggu-nunggu dalam mereka berharap supaya kerajaan Islam bertukar, tidak ada lagi Islam, tidak ada lagi pungutan zakat. Kerana inilah, apabila Nabi Muhammad ﷺ wafat sahaja, ada yang tidak mahu mengeluarkan zakat lagi. Sampaikan Abu Bakr رضي الله عنه yang menjadi khalifah Islam selepas Nabi ﷺ wafat telah memerangi mereka.

 

عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ

sedangkan merekalah yang akan ditimpa marabahaya.

Mereka mahu bencana menimpa kerajaan Islam, tetapi Allah ‎ﷻ kata sebenarnya bencana buruk akan jatuh ke atas mereka. Ini adalah kerana kebodohan dan kejahilan mereka. Oleh kerana mereka jahil tentang keberkatan zakat, maka mereka tidak keluarkan zakat dan tidak mendapat keberkatan, sebaliknya keburukan yang mereka dapat kerana menentang hukum Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ memberitahu apa yang dalam hati mereka dalam Al-Qur’an ini kerana Allah ﷻ Maha Tahu apa yang dalam hati mereka. Walaupun mereka itu duduk jauh dari Madinah dan mereka bercakap sesama mereka sahaja tentang ketidakpuasan hati mereka itu, tetapi Allah ﷻ Maha Mendengar dan Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an ini supaya semua orang tahu.

Allah ﷻ Maha Mendengar doa hamba-hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat kemenangan dan siapa yang berhak mendapat kekalahan (kehinaan).


 

ARAB BADWI YANG BERIMAN DAN SETIA

Tawbah Ayat 99: Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu ada juga golongan Arab Badwi yang baik. Maka kepada mereka diberikan tabshir (berita gembira)

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُبٰتٍ عِندَ اللَّهِ وَصَلَوٰتِ الرَّسولِ ۚ أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَّهُم ۚ سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But among the bedouins are some who believe in Allāh and the Last Day and consider what they spend as means of nearness to Allāh and of [obtaining] invocations of the Messenger. Unquestionably, it is a means of nearness for them. Allāh will admit them to His mercy. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat (syurga)-Nya; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَمِنَ الأَعرابِ مَن يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,

Bukanlah semua Arab Badwi seperti yang disebut dalam dua ayat sebelum ini. Masih ada yang mengadakan suasana ilmu dalam kalangan mereka supaya mereka sentiasa dapat mendengar wahyu dan maklumat wahyu sampai ke dalam diri mereka. Oleh kerana itu, mereka betul-betul dapat mengetahui agama Islam dengan cara yang sebenarnya.

Maka, jangan kita kata secara umum yang semua puak Arab Badwi itu sesat semuanya. Ada antara mereka yang ada keimanan yang sebenar. Ini adalah kerana mereka beriman kepada Allah ﷻ dan Hari Akhirat.

Oleh itu, kita kenalah mendekatkan diri dengan majlis ilmu. Kalau boleh, buat majlis ilmu di kawasan kita, di rumah kita. Kalau tidak ada, maka carilah majlis ilmu di tempat lain. Kalau tidak ada juga, kita masih boleh mendapat ilmu dengan mendengar ceramah-ceramah dan kuliah secara online sekarang. Akan tetapi pastikanlah yang ceramah agama itu adalah daripada asatizah yang Sunnah.

Ternyata ada di antara Arab Badwi itu yang beriman dengan sebenarnya. Mereka beriman dengan Allah ﷻ dalam akidah Tauhid. Maknanya mereka tidak melakukan syirik kerana kalau ada syirik sedikit pun, ia bukanlah iman yang sebenar.

Mereka beriman dengan adanya Hari Akhirat dan Pembalasan. Perkara ini telah lama ditinggalkan oleh Arab Jahiliyyah tetapi dengan datangnya Nabi Muhammad ﷺ, maka ilmu ini telah diajar semua dan diterima oleh mereka.

Kenapa hanya disebut dua iman ini sahaja? Kerana kedua-duanya adalah asas kepada iman-iman yang lain. Asas untuk beriman adalah iman dengan Allah ﷻ. Asas bagi amal adalah dengan percaya kepada Akhirat kerana kalau tidak percaya kepada Akhirat, manusia tidak beramal dengan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Hanya mereka yang tahu ada Akhirat akan membuat persediaan untuknya dengan beramal dengan amalan yang baik; dan mereka takut masuk neraka maka mereka akan sanggup untuk meninggalkan perbuatan yang salah dan ditegah oleh syarak.

 

وَيَتَّخِذُ ما يُنفِقُ قُرُبٰتٍ عِندَ اللَّهِ

dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah

Oleh kerana mereka belajar agama dan mendengar wahyu dibacakan, mereka faham yang apa sahaja yang mereka infakkan pada jalan Allah ﷻ adalah satu perkara yang boleh menghampirkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Maka kita hendaklah mencari jalan bagaimana hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Maka salah satunya dengan mengeluarkan infak di jalan Allah ﷻ.

Maka ini mengajar kita yang kita sebenarnya kena berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Bukannya cari jalan untuk dekat dengan pemimpin dan orang kaya. Agak malang bukan bila ramai yang buat begitu?

 

وَصَلَوٰتِ الرَّسولِ

dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul.

Mereka sedar yang infak yang mereka keluarkan itu akan menyebabkan mereka mendapat doa daripada Rasulullah ﷺ yang mendoakan pengampunan buat mereka. Tentunya doa Rasulullah ﷺ makbul. Tentang doa Nabi ﷺ ini akan disebut nanti di dalam ayat 103:

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka.

Kalau zaman sekarang, Rasul tidak ada maka tidaklah mendapat doa Rasulullah ﷺ secara langsung. Namun kita masih akan mendapat doa juga. Ini adalah kerana, apabila seseorang itu beri zakat, penerima zakat akan mendoakan kebaikan orang yang beri zakat itu.

Oleh itu, ada puak Arab Badwi yang beri zakat untuk merapatkan diri dengan Allah ﷻ dan untuk mendapat doa Nabi ﷺ. Mereka inilah orang yang baik dan faham agama. Mereka dapat faham kerana mereka belajar wahyu. Itulah, untuk dapat pemahaman begini kenalah belajar. Dengan belajar ilmu wahyu sahaja barulah kita dapat memahami cara yang benar untuk merapatkan diri dengan Allah ﷻ.

 

أَلا إِنَّها قُربَةٌ لَّهُم

Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri

Allah ﷻ beritahu yang sesungguhnya memang zakat dan infak itu jalan yang boleh menghampirkan mereka kepada Allah ﷻ. Mereka akan dapat apa yang mereka hajatkan.

 

سَيُدخِلُهُمُ اللَّهُ في رَحمَتِهِ

Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya; 

Inilah makna قُربَةٌ: mereka akan dimasukkan ke dalam rahmat khas Allah ﷻ – yang akan melindungi mereka daripada azab. Rahmat khas itu juga bermaksud mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Seperti yang kita selalu sebut, kita hanya masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))

Namun bagaimanakah hendak mendapat rahmat Allah ﷻ ini? Hendaklah kita melakukan kebaikan dengan baik. Ia hanya diberikan kepada golongan Muhsin seperti yang disebut oleh Allah ﷻ dalam A’raf:56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ Maha Pengampun – kalau ada dosa-dosa mereka dalam mana-mana kesilapan dan kesalahan dosa yang mereka lakukan, Allah ﷻ masih boleh mengampuninya lagi kerana Allah ﷻ amat sayangkan hamba-Nya.

Habis Ruku’ 12 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Takweer Ayat 15 – 29 (Keinginan Allah dan keinginan manusia)

Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada perenggan yang kedua atau bahagian kedua surah ini. Sekarang masuk tentang akidah. Ayat 15 – 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ hendak menegaskan dalam perenggan ini bahawa Al-Qur’an itu bukan kata-kata syaitan.

Untuk lebih memahami perbincangan seterusnya, kita kena faham tentang fikiran Musyrikin Mekah – mereka percaya kepada perkara khurafat seperti kesialan. Sebagai contoh, percaya yang anak perempuan itu sial. Ini adalah salah satu dari fahaman karut mereka. Dan ada lagi kepercayaan karut tentang bintang dan sebagainya.

Orang kita pun ada juga fahaman khurafat yang karut (kaca pecah, kucing hitam lalu, terserandung di tangga, lalu bawah tangga, lalu bawa sidai dan macam-macam lagi). Ini tidak menghairankan kerana sebab ada perangai dan akidah yang sama antara orang kita dan Musyrikin Mekah.

فَلا أُقسِمُ بِالخُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I swear by the retreating stars –

(MALAY)

Sungguh, Aku bersumpah dengan bintang-bintang,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan bintang yang tenggelam dan timbul. Ada banyak kalimah tentang bintang dalam Al-Quran dan semuanya ada jenis-jenis bintang tertentu. Digunakan contoh bintang kerana masyarakat Arab waktu itu memang suka melihat bintang, oleh itu mereka ada banyak nama bagi bintang, bergantung kepada sifat bintang-bintang itu. Kalau orang Melayu, pakai nama bintang sahaja. Oleh itu, الخُنَّسِ adalah jenis bintang yang berjalan ke belakang dan kemudian lenyap hilang.

Kenapa sebut bintang pula? Inilah yang masuk kepada pemahaman tentang kepercayaan karut orang Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ sebut bintang kerana hendak menegur dan menempelak orang Musyrik yang percayakan kepada penilik nasib: dalam Al-Quran digunakan nama kaahin. Mereka ini memang menjadi pakar rujuk zaman itu.

Mereka mendakwa bahawa mereka boleh mendapat maklumat dengan melihat bintang. Kalau bintang begini malap, bintang begitu cerah, ada membawa makna sekian-sekian. Benda ini sampai jadi satu industri dalam masyarakat mereka. Mereka rasa ada petunjuk dalam bintang itu. Kalau cerah bintang maksud apa dan kalau gelap maksud apa. Dan ramai yang mengaku mereka boleh baca tanda-tanda pada bintang itu.

Ini adalah perkara yang berlaku dulu dan sekarang pun orang masih percaya lagi. Boleh terjadi di kalangan ramai orang, sampai ada eksekutif pun percaya juga. Kita sangkakan mereka itu sudah berpelajaran tinggi, tetapi masih percaya benda-benda macam ini.

Dan malangnya, masih ramai dari kalangan kita ada yang percaya kepada horoskop dalam akhbar. Ini amat memalukan sekali. Mereka juga ada yang percaya kalau orang ini lahir bulan ini, haribulan ini, perangai begini dan begitu. Itu semua tipu sahaja dan karut sekali. Tetapi ramai yang percaya pula. Masih ada lagi yang buat bisnes dengan hal bintang ini.

Seperti yang kita telah beritahu, bintang adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Arab. Ramai yang percaya benda-benda karut, kerana pergerakan bintang itu. Maka Allah ﷻ beritahu Dia yang mengawal bintang-bintang itu sebenarnya, tidak ada kena mengena dengan nasib seseorang.

Allah ﷻ yang kawal mana bintang yang keluar dan mana bintang yang hilang. Kerana itu ada kalimat فَلا (maka janganlah) kerana itu adalah arahan untuk mereka menolak fahaman sesat dan khurafat mereka tentang bintang itu. Jangan lagi percaya perkara itu.


 

Ayat 16: Ini sambungan terus dari ayat sebelum ini.

الجَوارِ الكُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those that run [their courses] and disappear [i.e., set] –

(MALAY)

yang beredar dan terbenam,

 

Kalimah الجَوارِ menyebutkan sifat bintang yang telah disebut sebelum ini. الكُنَّسِ adalah tempat bersembunyi seperti tempat bersembunyinya rusa. Kalau kita kejar rusa, rusa itu lari dan hilang tiba-tiba. Jadi ini menunjukkan sifat bintang yang bergerak pada orbitnya dan ada yang hilang. Macam meteor.

Allah ﷻ gunakan sifat bintang ini sebab Musyrikin Mekah ada yang gunakan bintang sebagai kepercayaan khurafat mereka. Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang itu. Maka Allah ﷻ bersumpah dengannya kerana hendak menunjukkan bahawa Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu, tidak ada yang lain.

Kalau mereka kata mereka pakai bintang itu, bagaimana kalau bintang itu hilang? Kalau kahin-kahin kata jin boleh mendapat maklumat dari bintang-bintang itu, apa yang mereka dapat kalau bintang itu tiada? Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebenarnya, dalam ayat yang lain, Allah ﷻ beritahu tahi bintang digunakan oleh Allah ﷻ untuk memanah jin-jin yang cuba untuk mendapatkan maklumat dari langit. Ini ada disebut antaranya dalam Mulk:5.

Lalu bagaimana mereka boleh kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebaliknya, bintang itu digunakan untuk rejam mereka? Sudah terbalik dari dakwaan mereka.

Sebahagian imam mengatakan bahawa sesungguhnya bintang-bintang itu dinamakan khunnas mengingat saat terbitnya, kemudian saat beredar di falaknya dinamakan jawarin, sedangkan di saat tenggelamnya dinamakan kunnas. Ini diambil dari kata-kata orang Arab أوى الظبي إلى كناسة (masuk rusa ke dalam sarang). Dikatakan demikian apabila bintang itu masuk ke dalam sarangnya.


 

Ayat 17: Allah ﷻ bersumpah lagi:

وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the night as it closes in¹

  • An alternative meaning is “as it departs.”

(MALAY)

demi malam apabila telah hampir meninggalkan gelapnya,

 

Apabila malam hampir habis, semakin tidak nampak, sudah kabur kerana cahaya semakin hendak keluar. Semasa itu, bintang tidak lagi kelihatan (kerana bintang kelihatan bila langit benar-benar sudah gelap), maka apakah yang akan dipakai oleh kahin-kahin itu? Sebab mereka kata mereka tengok bintang, tetapi bintang tengah tidak ada, apa yang mereka gunakan sudah tidak nampak lagi.

Allah ﷻ hendak beritahu Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu. Sama ada hendak bagi ada dan tiada, itu semua dalam Qudrat Allah ﷻ. Bukannya manusia yang kawal bintang-bintang itu. Allah ﷻ kawal berapa banyak bintang yang kita boleh tengok. Bukannya kerana sebab-sebab tertentu sampai boleh digunakan sebagai alat meramal nasib pula.

Itu adalah fahaman yang salah. Qada’ dan qadar kita tidak ada kena mengena dengan bintang-bintang itu. Kalau kalau ada yang kata qada’ dan qadar ditentukan oleh bintang-bintang itu, maka itu sudah masuk dalam ruang syirik.


 

Ayat 18: Allah ﷻ bersumpah lagi. Kalau kita lihat, Allah ﷻ bersumpah dengan kejadian yang berlaku hari-hari dan manusia boleh lihat. Supaya senang kita hendak kaitkan dengan pemahaman kita. Kerana kalau pakai benda yang kita tidak kenal, susah juga.

وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the dawn when it breathes [i.e., stirs]

(MALAY)

dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing,

 

Apabila siang dapat ‘bernafas’ selepas ‘dicengkam’ malam (baru hendak dapat bernafas). Ini adalah seumpama peribahasa – maknanya apabila fajar menyingsing. Dan waktu itu pun bintang tidak kelihatan juga, apakah yang para kahin hendak lihat lagi sebagai pedoman? Mereka kata mereka boleh baca bintang, tetapi apabila waktu pagi, bintang sudah tidak kelihatan lagi, macam mana?

Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia ﷻ yang kawal apa yang manusia boleh nampak. Dan apa yang dikatakan oleh kahin dan sesiapa yang kata boleh baca bintang itu, tidak boleh dipercayai.

Dari ayat 15 tadi, semua itu adalah sumpah. Apabila ada sumpah, tentu ada jawabnya, maka apakah jawapan sumpah Allah ﷻ itu? Jawapan sumpah itu adalah: kamu akan bertemu dan menempuhi peringkat demi peringkat hari kiamat dan akhirat itu, sama ada baik atau buruk. Pasti kamu akan bertemu di akhirat nanti, satu demi satu.

Kita akan jumpa kematian, kemudian langit pecah, laut bergelora dan sebagainya; kemudian akan dihidupkan kembali dan akan dinampakkan dengan berbagai-bagai perkara seperti yang telah disebut sebelum ini.


 

Ayat 19: Telah disebut kononnya bintang boleh digunakan sebagai pemberi maklumat tentang apa yang berlaku dan apa yang telah berlaku. Allah ﷻ hendak beritahu yang semua itu bukanlah sumber maklumat yang betul. Itu semua karut sahaja, penipuan sahaja dari mereka yang hendak mengambil kesempatan dari mereka yang jahil.

Dan sekarang Allah ﷻ hendak beritahu manakah sumber maklumat yang benar.

إِنَّهُ لَقَولُ رَسولٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That] indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a word [conveyed by] a noble messenger [i.e., Gabriel]

(MALAY)

sesungguhnya Al-Qur’an itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril),

 

Sekarang Allah ﷻ hendak mula memberitahu tentang wahyu dari Allah ﷻ. Amat berbeza sekali wahyu dan apa yang disampaikan oleh kahin; bezanya adalah seperti bezanya antara kegelapan malam (وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ) dan cahaya pagi (وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ).

Perkataan رَسولٍ yang merujuk kepada Malaikat Jibril. Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawa Malaikat Jibril عليه السلام juga adalah رَسولٍ, kerana رَسولٍ maksudnya seseorang yang menyampaikan sesuatu, yang membawa risalah.

Lihat bagaimana Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘قَولُ’ dalam ayat ini dan bukan ‘kalam’. Sebab kalau ‘kalam’ yang digunakan, itu bermakna apa yang disampaikan itu adalah perkataan Jibril عليه السلام sendiri. Tetapi tentu tidak tepat kerana beliau hanya menyampaikan kalam Allah ﷻ sahaja. Kalimat ‘kalam’ akan digunakan kalau merujuk kepada Allah ﷻ – sebagai contoh: kalamullah (Kalam Allah).

Oleh itu, perkataan قَولُ boleh digunakan untuk menerangkan yang seseorang menyampaikan secara ulangan apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks ayat ini, Jibril عليه السلام bukanlah menyampaikan kalamnya sendiri tetapi kalam Allah ﷻ, dan beliau hanya mengulangnya semula sebutir demi sebutir tanpa pengubahan, penambahan atau pengurangan.

Allah ﷻ memberitahu sifat Rasul itu yang كَريمٍ (mulia). Ayat ini mengukuhkan kedudukan penyampai wahyu itu (Jibrail). Dia seorang yang mulia dan boleh dipercayai dan tidak boleh hendak dibandingkan dengan para kahin yang hanya menipu sahaja.

Kalau mereka tidak berniat menipu pun, mereka sampaikan dari kata-kata jin yang memang penipu. Penyampai yang mulia hanya memberitahu kebenaran sahaja. Integrasi Risalah Al-Qur’an itu sendiri telah dijelaskan dalam Surah Abasa sebelum ini dalam dari ayat 13 – 16

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ (di dalam kitab-kitab yang dimuliakan)

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ (yang ditinggikan lagi disucikan)

بِأَيدي سَفَرَةٍ (di tangan para penulis (malaikat))

كِرامٍ بَرَرَةٍ (yang mulia lagi berbakti)

Dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang penyampai risalah wahyu dan cara penyampaian pun boleh dipercayai.


 

Ayat 20: Lagi tentang sifat Jibril عليه السلام itu.

ذي قُوَّةٍ عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] possessed of power and with the Owner of the Throne, secure [in position],

(MALAY)

yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,

 

Jibril عليه السلام mempunyai kekuatan. Ini penting untuk menunjukkan yang Jin takkan dapat hendak curi informasi dari dia. Jin tidak mampu untuk mengalahkan malaikat. Memang jin cuba hendak curi-curi dengar maklumat dari langit tetapi mereka akan kena lempar dengan tahi bintang. Maknanya, jin itu tidak kuat untuk melawan malaikat yang jaga langit. Ini disebut dalam Jin:9

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقاعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَصَدًا

dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

Malaikat biasa pun mereka tidak dapat lawan, apatah lagi kalau Jibril عليه السلام. Kerana ditekankan dalam ayat ini yang Jibrail عليه السلام itu kuat.

Jibril عليه السلام pula dekat dengan Arash Allah ﷻ. Ini hendak menunjukkan betapa rapatnya dia dengan Allah ﷻ. Ini juga hendak menunjukkan yang Jibril  عليه السلام mendapatkan wahyu dari Allah ﷻ yang duduk di Arash. Kalimah مَكينٍ bermaksud tempat yang tetap, memberi isyarat yang Arash itu di kedudukan yang tinggi.


 

Ayat 21: Lagi ayat menerangkan sifat Jibril عليه السلام.

مُطاعٍ ثَمَّ أَمينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Obeyed there [in the heavens] and trustworthy.

(MALAY)

yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai.

 

Malaikat Jibril عليه السلام ditaati di langit. Jibail عليه السلام mempunyai pengikut-pengikut yang mentaatinya dan mereka berada berdekatan dengan Arash Allah ﷻ. Kalimah طاعٍ bermaksud diikuti dengan sayang. Ini merujuk kepada para malaikat lain yang mengikut arahan dan taat kepada Jibril عليه السلام itu dengan senang hati, bukan kena paksa.

Maknanya, Jibril عليه السلام ada pengikut dan ini kita dapat tahu lagi kerana semasa Jibril عليه السلام turun menyampaikan wahyu, ada pengikut yang ramai dari kalangan malaikat yang ikut turun sekali menyampaikan wahyu kepada Rasulullah ﷺ. Kalau dalam dunia, apabila ada benda teramat penting yang disampaikan, yang sampaikan adalah pembawa yang kedudukan tinggi dan pengikut yang ada ikut sekali.

Akan tetapi ini bukanlah hendak menunjukkan yang Jibril عليه السلام memerlukan pengawal pula kerana Jibril عليه السلام itu sendiri sudah kuat. Tetapi ramai yang ikut kerana kedudukan wahyu yang tinggi dan memberi penghormatan kepada wahyu yang hendak disampaikan itu.

Kalimah ثَمَّ bermaksud ‘di sana’. Ayat sebelum ini menyebut Arash, jadi maksud ‘di sana’ adalah ‘di Arash’. Maksudnya, Jibril عليه السلام ditaati dari Arash lagi. Lafaz ثَمَّ juga digunakan untuk menguatkan penerangan selepasnya, iaitu أَمينٍ.

Kalimah أَمينٍ bermaksud Jibril عليه السلام sangat boleh dipercayai. Apabila ditambah kalimah ثَمَّ ini hendak menekankan sifat Jibril عليه السلام yang ‘sangat’ boleh dipercayai. Sifat ini penting, kerana kalau kuat dan banyak pengikut pun, tetapi kalau tidak boleh dipercayai, ada niat jahat, tidak guna juga.

Jadi beberapa ayat ini adalah untuk menekankan kekuatan penghantaran wahyu itu. Jadi ayat-ayat ini adalah tentang Risalah. Sudahlah wahyu itu mulia, cara penghantarannya pun menggunakan pembawa risalah yang mulia juga, yang kuat, yang ditaati dan dipercayai.


 

Ayat 22: Ayat 22 – 25 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah menegaskan yang Rasulullah itu bukan orang gila.

Sekarang Allah ﷻ bertukar kepada bercakap terus kepada para kuffar. Di akhirat nanti Allah ﷻ takkan cakap dengan mereka, tetapi sekarang dalam Al-Qur’an Allah ﷻ masih mahu bercakap dengan mereka. Ini adalah kerana mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan ubah sikap mereka, kalau mereka mahu memberi perhatian dan buka hati mereka kepada wahyu Allah ﷻ ini.

وَما صاحِبُكُم بِمَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your companion [i.e., Prophet Muḥammad ()] is not [at all] mad.¹

  • Literally, “possessed by jinn.”

(MALAY)

Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah sekali-kali orang yang gila.

 

Allah ﷻ berkata kepada kaum Musyrikin Mekah bahawa Nabi Muhammad ﷺ yang tinggal bersama mereka bukanlah orang yang gila. Ataupun orang yang telah disampuk jin. Baginda ﷺ mendapat wahyu dari Jibril dan sifat Jibril yang hebat telah disebut sebelum ini.

Lihat bagaimana kalimat صاحِبُكُم (sahabat kamu) digunakan. صاحِبُ adalah orang yang menemani bersama kamu (digunakan juga dalam kalimah Sahabat Nabi ﷺ). Allah ﷻ hendak menekankan dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ itu tinggal dengan mereka, sudah lama. Bukan tinggal sekejap-sekejap dan mereka bukan baru kenal baginda. Oleh kerana baginda sudah lama tinggal dengan mereka, mereka patut sudah kenal sangat dengan baginda.

Baginda sentiasa bersama mereka tidak pergi ke tempat yang jauh. Jadi mereka tidaklah boleh kata baginda ada belajar ilmu baru di tempat lain, sebab baginda tidak pernah tinggalkan mereka dalam jangka masa yang lama. Dalam sejarah, dua kali sahaja baginda pergi ke luar Mekah untuk berdagang – sekali semasa baginda muda dan sekali lagi semasa baginda sudah dewasa. Itu pun bukanlah baginda pergi bersendirian, dengan rombongan juga.

Oleh itu, mereka sendiri tahu siapa baginda, mereka pun tahu yang baginda tidak gila, dan baginda juga bukan kahin (tukang tilik). Dahulu pun mereka sampai panggil baginda sebagai al-amin (yang dipercayai). Sebelum baginda jadi Nabi ﷺ pun Musyrikin Mekah sudah kenal baginda dan percaya kepada baginda.

Kita pun tentu sudah tahu serba sedikit tentang jin. Mereka itu dinamakan ‘jin’ dari katadasar جنن yang bermaksud ‘ditutup pandangan’ kerana kita tidak nampak mereka, telah ditutup pandangan dari mereka. Oleh itu, kalimah مَجنونٍ (dari katadasar yang sama dengan kalimah ‘jin’) boleh bermaksud orang yang akal mereka telah ditutup dan orang yang macam itu adalah orang gila.

Ataupun kalau dikaitkan dengan jin, ia merujuk kepada orang yang telah dirasuk oleh jin – dua-dua boleh diterima kerana itulah fahaman Arab Mekah waktu itu. Pada mereka, kalau kena sampuk dengan jin, boleh jadi gila.

Allah ﷻ hendak tekankan dalam ayat ini yang Nabi ﷺ tidak gila, dan tidak dirasuk jin. Oleh itu, Allah ﷻ juga menidakkan yang baginda mendapat maklumat dari jin. Ini adalah kerana ada juga puak kuffar yang kata baginda dapat maklumat dari jin. Allah ﷻ  menidakkan pendapat itu dan menekankan yang baginda dapat wahyu dari Jibril عليه السلام yang menyampaikan pula wahyu itu dari Allah ﷻ.


 

Ayat 23:

وَلَقَد رَآهُ بِالأُفُقِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he has already seen him [i.e., Gabriel] in the clear horizon.¹

  • i.e., the eastern horizon, where the sun rises. See footnote to 53:6.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Muhammad itu telah melihat Jibril di ufuk yang terang.

 

Betul-betul Rasulullah ﷺ telah pernah melihat Jibril عليه السلام di ufuk yang jelas. Ufuk adalah tempat langit dan bumi bertemu – tempat matahari naik dan turun. Dalam riwayat ada disebut yang Nabi ﷺ nampak Jibril عليه السلام dari tempat matahari naik sampai ke atas kerana besarnya Jibril عليه السلام waktu itu (Jibril boleh membesar dan mengecilkan badannya). Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ يَعْنِي وَلَقَدْ رَأَى مُحَمَّدُ جِبْرِيلَ الَّذِي يَأْتِيهِ بِالرِّسَالَةِ عَنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى الصُّورَةِ الَّتِي خَلَقَهُ اللَّهُ عَلَيْهَا لَهُ سِتُّمِائَةُ جَنَاحٍ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ أَيِ الْبَيِّنُ وَهِيَ الرُّؤْيَةُ الْأَوْلَى الَّتِي كَانَتْ بِالْبَطْحَاءِ وَهِيَ الْمَذْكُورَةُ فِي قَوْلِهِ: عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوى ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوى وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلى ثُمَّ دَنا فَتَدَلَّى فَكانَ قابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنى فَأَوْحى إِلى عَبْدِهِ مَا أَوْحى

yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, Yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedangkan dia berada di ufuk yang tinggi. Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. (An-Najm: 5-10)

Allah ﷻ hendak menegaskan yang memang baginda nampak Jibrail عليه السلام itu dengan jelas, bukannya samar-samar atau khayalan baginda sahaja. Allah ﷻ hendak bandingkan dengan para kaahin yang mengaku mereka dapat melihat apa yang orang biasa tidak nampak. Tapi betulkah mereka ada nampak? Allah ﷻ mempersoalkan maklumat dari kaahin-kaahin itu. Para kaahin itu mereka kata dapat maklumat dari luar juga, tetapi dari sesuatu yang tidak nampak.


 

Ayat 24:

وَما هُوَ عَلَى الغَيبِ بِضَنينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Muḥammad ()] is not a withholder of [knowledge of] the unseen.¹

  • Prophet Muḥammad () did not withhold that knowledge of the unseen which Allāh had revealed to him in the Qur’ān.

(MALAY)

Dan dia (Muhammad) bukanlah orang yang bakhil untuk menerangkan yang ghaib.

 

Bukanlah Nabi ﷺ menyimpan maklumat perkara ghaib yang didapatinya. Nabi ﷺ beri sahaja kepada umat dengan tidak ada yang dikurangkan. Nabi ﷺ tidak minta bayaran pun untuk sampaikan perkara yang memang baginda kena sampaikan. Kerana Nabi ﷺ memang kena sampaikan dengan percuma. Baginda tidak kedekut untuk sampaikan ilmu.

Kalimah ضَني adalah mereka yang hanya memberikan maklumat apabila mendapat upah. Macam kaahin itu, mereka kata boleh bagi maklumat, tetapi kena bayar dulu. Macam tukang tilik nasib zaman sekarang, mereka hendak duit sahaja. Ini kerana mereka buat duit dengan perkara itu.


 

Ayat 25:

وَما هُوَ بِقَولِ شَيطانٍ رَجيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it [i.e., the Qur’ān] is not the word of a devil, expelled [from the heavens].

(MALAY)

Dan Al Qur’an itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk,

 

Maklumat-maklumat dari wahyu itu bukanlah dari syaitan yang direjam. Kalimah شَيطانٍ diambil dari kalimah شَطنٍ – yang bermaksud jauh dari kebenaran. Kita pun sudah tahu yang syaitan memang jauh dari kebenaran – mereka mengajak kepada kesesatan yang jauh sangat dari kebenaran.

Atau kalimah شَيطانٍ boleh juga dari شَط – yang diselubungi dengan perasaan marah macam diselubungi oleh api. Kerana iblis marah sangat apabila Nabi Adam عليه السلام dilantik menjadi khalifah dunia. Dan kemarahan iblis itu sampai sekarang. Iblis dan para pengikutnya marah sampaikan mereka hendak menyesatkan manusia supaya masuk neraka bersama dengan mereka. Maka kerana itu mereka direjam.

Jadi, wahyu yang Allah ﷻ sampaikan itu bukanlah dari jin syaitan. Ia adalah dari Allah ﷻ. Kalau kaahin-kaahin itu, mereka dapat maklumat mereka dari jin. Kerana jin mencuri maklumat dari langit dan mereka sampaikan maklumat itu kepada para kaahin. Tetapi mereka campur adukkan dengan berita tipu dan maklumat tipu.

Oleh kerana ada satu dua yang benar, maka kaahin dan manusia lain percaya terus kepada mereka. Jangan samakan wahyu Al-Qur’an itu dengan apa yang mereka dapati dari jin itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَما هُوَ بِقَوْلِ شَيْطانٍ رَجِيمٍ أَيْ وَمَا هَذَا الْقُرْآنُ بِقَوْلِ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ أَيْ لَا يَقْدِرُ عَلَى حَمْلِهِ وَلَا يُرِيدُهُ وَلَا يَنْبَغِي له كما قال تعالى: وَما تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّياطِينُ وَما يَنْبَغِي لَهُمْ وَما يَسْتَطِيعُونَ إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Dan Al-Qur’an itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Qur’an itu, dan mereka pun tidak akan kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan dari mendengar Al-Qur’an itu. (Asy-Syu’ara: 210-212)


 

Ayat 26: Ayat 26 – 29 (Akhir surah) adalah Perenggan Makro Kelima. Ia bertanya: ke mana lagi hendak lari? Tidak ada tempat lain lagi maka hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.

فَأَينَ تَذهَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So where are you going?¹

  • In your denial of the Qur’ān and in your accusations against the Prophet (). The meaning is essentially “Surely, you have strayed far from Allāh’s path.”

(MALAY)

maka ke manakah kamu akan pergi?

 

Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Allah ﷻ hendak tanya mereka, selepas segala maklumat ini telah diberikan, apa yang mereka hendak buat? Dalam surah-surah sebelum ini, telah disebut soalan-soalan dari puak kufur Mekah itu. Kali ini Allah ﷻ pula tanya kepada mereka. Allah ﷻ tanya soalan penting. Allah ﷻ tanya ‘ke mana kamu hendak pergi?’

Ke arah kebenarankah atau kepalsuan? Kamu hendak pilih yang mana? Sebab sekarang ada maklumat dari wahyu, tetapi kamu hendak terima atau tidak? Kalau kamu tidak mahu terima, ke mana lagi kamu hendak pergi untuk cari kebenaran? Atau, kalau kamu tinggalkan Al-Qur’an ini, ke mana lagi kamu boleh dapat pedoman?

Adakah kamu hendak masuk syurga atau kamu hendak masuk ke neraka? Tidakkah kamu tahu yang kamu sedang menuju akhirat sekarang? Oleh kerana kita semua memang akan ke arah akhirat pun, jadi ini adalah soalan retorik sahaja.

Jadi, ini adalah soalan yang amat penting sekali. Macam kita sekarang ada Al-Qur’an di hadapan kita. Kita hendak belajar sampai faham atau tidak? Kita hendak pakai Al-Qur’an atau tidak? Kita hendak masuk ke dalam syurga atau tidak?


 

Ayat 27: Maklumat yang benar, tidak lain dan tidak bukan, kena cari dalam Al-Qur’an.

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not except a reminder to the worlds

(MALAY)

Al-Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam,

 

Ini adalah peringatan kepada sekalian alam. Ianya diberikan kepada semua orang, tetapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil peringatan sahaja. Oleh itu, kalau Musyrikin Mekah tidak mahu terima wahyu ini, tidak mengapa, kerana ada orang yang boleh ambil peringatan darinya.

Oleh itu, jangan mereka berlagak sangat. Kerana Al-Qur’an ini bukan untuk Quraisy, bukan untuk bangsa Arab sahaja. Mereka diberi penghormatan kerana ia diturunkan dalam bahasa mereka, tapi kalau mereka tolak, mereka yang rugi.

Kalimah ذِكرٌ bermaksud peringatan. Selalunya peringatan diberikan kalau orang sudah tahu, bukan? Tetapi bukankah maklumat dalam Al-Qur’an itu adalah maklumat baru, sampaikan Musyrikin Mekah tidak pernah tahu dan rasa pelik dengannya, dan kerana itulah mereka menentangnya?

Kita kena faham yang peringatan dalam Al-Qur’an ini bukanlah baharu, kerana ilmu akidah yang benar telah ada dalam diri kita kerana kita telah dimasukkan dengan fitrah yang kenal Allah ﷻ, kenal tauhid.

Kalimah عالَمينَ bermaksud ‘semua alam-alam’, tetapi lebih tepat lagi, dalam konteks ayat ini, ia  bermaksud jin atau manusia. Kerana jin dan manusialah yang ada tanggungjawab syarak untuk beragama dan ikut hukum dari Allah ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.


 

Ayat 28: Peringatan Al-Qur’an itu adalah untuk semua, tetapi siapa sahaja yang boleh terima?

لِمَن شاءَ مِنكُم أَن يَستَقيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For whoever wills among you to take a right course.

(MALAY)

(iaitu) bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus.

 

Peringatan kepada mereka yang mahukan jalan yang lurus. يَستَقيمَ dari katadasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri tegak’. Itulah jalan yang lurus, jalan yang tegak, jalan yang benar. Oleh itu, kalau kamu mahu, kamu boleh mendapat manfaat darinya.

Kalimah شاءَ (mahu) dari شيأ (benda). Satu lagi kalimah untuk ‘mahu’ adalah أرادا. Tetapi apa bezanya? شاءَ digunakan kalau ada keinginan yang jitu, bukan main-main dan ‘rasa’ sahaja. Apabila kemahuan itu tidak kukuh, lafaz yang digunakan adalah أرادا. أرادا mungkin di kepala sahaja lagi tetapi tidak di hati. Ini macam ada orang yang kata hendak jadi baik, tetapi tidak buat pun lagi, cakap sahaja dan dia baru terfikir sahaja.

Jadi apabila hendak ditekankan keinginan yang kuat, digunakan lafaz شاءَ seperti dalam ayat ini. Oleh itu, mereka yang ada kemahuan yang kuat, merekalah yang akan mendapat kebaikan dari wahyu yang Allah ﷻ berikan itu. Kalau terfikir sahaja, tetapi tidak ada keinginan yang kuat, tidaklah akan terjadi apa-apa.

Oleh itu, janganlah setakat kata: “kalaulah aku tahu tafsir Al-Qur’an…kalaulah aku tahu hal agama…” namun tidak menjalankan usaha untuk belajar, untuk mengulangkaji, maka jangan harapkan akan dapat faham begitu sahaja. Kerana untuk memahami Al-Qur’an, memerlukan usaha. Kena pergi belajar, kena beri ruang masa untuk berfikir dan tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an. Ia bukanlah senang dan enteng, tapi tidaklah susah sangat sampai tidak boleh dipelajari. Nak ambil peperiksaan SPM lagi susah dari belajar tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 29: Memang kita kena ada keinginan, tetapi keinginan kita itu bergantung kepada Allah ﷻ juga.

وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not will except that Allāh wills – Lord of the worlds.

(MALAY)

Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam.

 

Kamu tidak akan berkehendak melainkan Allah ﷻ juga berkehendak. Maknanya, kalau Allah ﷻ mahu, baru kita ada kehendak itu dan mendapat taufik untuk terus berusaha untuk mendapat kebaikan.

Ini adalah tentang kehendak Tuhan ﷻ dan usaha manusia. Dalam dua ayat terakhir ini, disebut dahulu keinginan manusia dahulu, kemudian baru disebut keinginan Allah ﷻ. Ada maklumat yang penting di situ: Allah ﷻ suruh kita buat keinginan dan usaha dahulu, kemudian Allah ﷻ akan jadikan mudah untuk kita mendapatnya.

Allah ﷻ hendak tengok keinginan dan usaha kita dahulu. Tetapi kita memang memerlukan pertolongan dari Allah ﷻ. Kita memang tidak ada kekuatan apa-apa. Kalau tidak faham perkara ini, manusia rasa mereka boleh apa sahaja. Mereka lupa kepada kehendak Allah ﷻ dan tidak berdoa kepada Allah ﷻ. Sedangkan kita kena selalu ada pengharapan kepada Allah ﷻ.

Jangan putus pengharapan kepada Allah ﷻ. Untuk beriman pun kita kena minta kepada Allah ﷻ, walaupun kalau kita fikirkan, tentulah iman itu dari diri kita sendiri, bukan? Tetapi tidak; hendak beriman pun kena minta kepada Allah ﷻ. Kena ada sifat inaabah (condong kepada kebenaran). Kena ada keinginan dalam hati hendak tahu mana jalan kebenaran.

Kita sudah sampai ke penghujung surah ini. Di awal surah ini, telah disentuh tentang Qudrat Allah ﷻ menghancurkan alam. Itu semua dalam kehendak Allah ﷻ yang tidak dapat dihalang lagi. Dan sekarang di hujung surah ini, telah disebut tentang kehendak kita pula.

Sebelum itu Allah ﷻ sudah tanya, ke arah yang kita hendak tuju? Ini menunjukkan Allah ﷻ mahu kita buat usaha dan kemudian Allah ﷻ akan bantu. Oleh itu kita kena jalankan strategi. Jangan setakat mahu sahaja, tetapi tidak buat apa-apa. Kerana hendak dapatkan hidayah pun kena ada usaha, tidak boleh tunggu sahaja. Kena cari guru, kena rajin membaca, mengkaji, menulis nota, mengajar.

Oleh itu, kalau kita dapat hidayah, terima hidayah, itu semua adalah kerana dari taufik Allah ﷻ. Taufik itu adalah Allah ﷻ gerakkan kita untuk terus jadi baik, terus mahu belajar. Sebab itu kadang-kadang kita lihat, ada orang yang ada Al-Qur’an depan dia, tetapi dia tidak teringin pun hendak tahu apakah yang diperkatakan oleh Al-Qur’an itu. Maknanya, hidayah sudah ada di depan mata, tapi taufik tidak ada untuk menerimanya.

Semoga kita terus mendapat hidayah dan taufik dari Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ terus pandu kita untuk mendapat ilmu dan kefahaman dalam agama.

Allahu a’lam. Tamat Surah Takweer ini. Sambung ke surah yang seterusya, Surah Infithar.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir