Tafsir Surah Baqarah Ayat 196 – 197 (Bab Haji)

Ayat 196: Sekarang kita masuk pada ayat-ayat berkenaan Haji. Ulama’ berpendapat bahawa hukum Haji ini mula diwajibkan pada tahun ke 3 Hijrah, iaitu tahun Perang Uhud. Ia diwajibkan dalam ayat dalam Surah Ali Imran.

وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِن أُحصِرتُم فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۖ وَلا تَحلِقوا رُءوسَكُم حَتّىٰ يَبلُغَ الهَديُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو بِهِ أَذًى مِّن رَّأسِهِ فَفِديَةٌ مِّن صِيامٍ أَو صَدَقَةٍ أَو نُسُكٍ ۚ فَإِذا أَمِنتُم فَمَن تَمَتَّعَ بِالعُمرَةِ إِلَى الحَجِّ فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۚ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلَـٰثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ ۗ ذٰلِكَ لِمَن لَّم يَكُن أَهلُهُ حاضِرِي المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Sahih International

And complete the Hajj and ‘umrah for Allah . But if you are prevented, then [offer] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And do not shave your heads until the sacrificial animal has reached its place of slaughter. And whoever among you is ill or has an ailment of the head [making shaving necessary must offer] a ransom of fasting [three days] or charity or sacrifice. And when you are secure, then whoever performs ‘umrah [during the Hajj months] followed by Hajj [offers] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And whoever cannot find [or afford such an animal] – then a fast of three days during Hajj and of seven when you have returned [home]. Those are ten complete [days]. This is for those whose family is not in the area of al-Masjid al-Haram. And fear Allah and know that Allah is severe in penalty.

 

Malay

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

 

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Dan hendaklah kamu sempurnakan haji dan umrah kerana Allah;

Apabila kita sudah keluar untuk mengerjakan Haji atau Umrah, kita kena sempurnakan. Macam kalau kita sudah salat yang empat raka’at, tidaklah boleh kita buat dua raka’at dan rasa malas hendak sambung, terus kita tinggalkan – ini adalah salah.

Begitulah juga dalam kita menuntut ilmu, kita kena habiskan. Jangan kita biasakan buat perkara separuh jalan – dalam hal ibadat dan dalam hal kehidupan kita, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama.

Ia juga memberitahu kita bahawa mengerjakan Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan untuk sampai ke sana dari segi kewangan atau fizikal.

Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa Haji dan Umrah itu dijalankan ‘kerana Allah ‎ﷻ’. Bukannya kerana hendak mendapat status ‘Haji’ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Ada yang pergi ke sana macam pergi bercuti sahaja. Amat rugi kalau kita menghabiskan wang beribu ringgit untuk pergi mengerjakan Umrah dan Haji, tetapi sia-sia amalan itu kerana kita buat bukan kerana Allah ‎ﷻ.

Ada pula yang tidak mengambil peluang untuk melakukan ibadat, kerana malas, kerana rasa susah, sampai ada yang tidak salat berjama’ah di Masjidil Haram, tetapi sslat di bilik sahaja. Ini amat rugi sekali. Sudah dapat peluang pergi ke sana, trtapi tidak diambil peluang untuk beribadat dan mengaut pahala sebanyak mungkin.

Ramai dalam kalangan kita yang pergi Haji dan Umrah, mereka akan update status dalam Facebook mereka dan ambil gambar di hadapan Kaabah dan masukkan dalam post mereka. Apa kena dengan mereka ini? Adakah mereka hendak memberitahu semua orang bahawa mereka sedang buat ibadat dan hendak berbangga-bangga?

Ditakuti kalau kita hendak menunjuk-nunjuk, akan menyebabkan pahala buat Haji dan Umrah itu akan hilang pula kerana riak. Seeloknya kita jangan lakukan. Memang masalah umat kita sekarang, semua hendak di post dan update dalam Facebook. Kenapa susah sangatkah hendak jadi orang yang simpan sahaja apa-apa yang kita buat? Kenapa hendak kena beritahu kepada semua orang?

Ayat ini adalah tentang Ibadah Haji dan ia adalah ayat Umur Muslihah. Ia adalah satu ibadah yang boleh mengeratkan hubungan dengan hamba-hamba seislam yang lain. Ini kerana Haji itu dilakukan setahun sekali dan ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berada di bawah satu khalifah seluruh dunia. Kerana umat Islam seluruh dunia sepatutnya di bawah seorang Khalifah sahaja, bukannya macam zaman sekarang, setiap negara ada Presiden.

Maka kerana itu manasik Haji adalah penting kerana ia adalah perkumpulan umat Islam sedunia. Supaya semua umat Islam dari segenap ceruk dunia akan datang ke satu tempat dan dapat duduk bersama. Dapat duduk bersama dengan Khalifah, dapat salat dengan beliau dan dapat mendengar apakah pesanan beliau kepada umat sedunia.

Jadi haji ini bukan sahaja satu ibadat yang boleh memberikan pahala kepada kita tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim seluruh dunia. Jadi ada hubungan hamba dengan Allah ‎ﷻ dan hubungan hamba dengan hamba yang lain.

 

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ

Dan sekiranya kamu ditahan;

Ini adalah sekiranya orang yang hendak menunaikan Haji itu tidak boleh masuk ke Mekah. Pada waktu dahulu, pernah umat Islam dihalang oleh puak Quraish. Kalau zaman sekarang, boleh jadi macam-macam – mungkin ada gangguan ketika dalam perjalanan, atau kita ditahan oleh puak musuh dan sebagainya.

Jadi, apabila ada gangguan atau halangan untuk sampai ke Mekah, kena patah balik walaupun sudah berniat Ihram. Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar dalam hal-hal sebegini kerana asalnya, apabila sudah berniat Haji dan ihram, kena selesaikan.

Ibn Kathir رحمه الله mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun ke 6 Hijrah, pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, iaitu sewaktu Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada menunaikan Umrah.

 

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

maka wajiblah kamu sembelih korban yang mudah didapati;

Walaupun sudah kena patah balik ke kampung asal, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Untuk bebas daripada pantang larang ihram, kena tahallul (cukur rambut) dan sembelih binatang korban apa yang mampu bagi kamu. Sembelih binatang korban itu adalah sebagai dam (denda). Itu kena dilakukan kalau sudah berniat Haji dan sudah memakai Ihram.

Dalam ayat ini, tidak disebut dengan jelas apakah binatang yang boleh disembelih. Allah ‎ﷻ hanya kata ‘yang mudah didapati’ sahaja. Iaitu dari binatang ternak – unta, lembu, kambing atau biri-biri.

 

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Dan janganlah kamu cukur kepala kamu sehinggalah sampai binatang sembelihan itu ke tempat sembelih;

Cukur kepala atau Tahallul itu menandakan kita sudah selesai daripada pantang larang ihram. Tidak boleh cukur atau gunting rambut kalau dalam ihram. Namun oleh kerana tidak boleh meneruskan kerja Haji atau Umrah kerana terhalang, maka dibolehkan. Tetapi cukur kepala itu hanya boleh dilakukan apabila binatang sudah sampai ke tempat sembelih.

 

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka sesiapa di antara kamu sakit

Mungkin ada yang terpaksa mencukur rambutnya awal kerana uzur.

 

أَوْ بِهِ أَذًى مِّنْ رَّأْسِهِ

atau terdapat sakit di kepalanya

Contohnya, kepalanya ada kutu atau apa-apa sahaja yang menyebabkan dia kena cukur rambut (tahallul) awal dari yang sepatutnya. Sebagaimana terdapat dalam hadith berikut:

حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ خَلَفٍ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ يُوسُفَ عَنْ أَبِي بِشْرٍ وَرْقَاءَ عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ وَقَمْلُهُ يَسْقُطُ عَلَى وَجْهِهِ فَقَالَ أَيُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قَالَ نَعَمْ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَحْلِقَ وَهُوَ بِالْحُدَيْبِيَةِ لَمْ يُبَيِّنْ لَهُمْ أَنَّهُمْ يَحِلُّونَ بِهَا وَهُمْ عَلَى طَمَعٍ أَنْ يَدْخُلُوا مَكَّةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ الْفِدْيَةَ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُطْعِمَ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةِ مَسَاكِينَ أَوْ يُهْدِيَ شَاةً أَوْ يَصُومَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ

Telah menceritakan kepada kami Al Hasan bin Khalaf beliau berkata; telah menceritakan kepada kami Ishaq bin Yusuf dari Abu Bisyir Warqa’ dari Ibnu Abu Najih dari Mujahid beliau berkata; telah menceritakan kepadaku Abdurrahman bin Abu Laila dari Ka’ab bin ‘Ujrah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ melihat kutu berjatuhan di wajahnya. Baginda bertanya: “Barangkali kutu di kepala sangat mengganggumu?” Beliau menjawab: “Benar”. Baginda lalu memerintahkan Ka’ab رضي الله عنه agar mencukur rambutnya. Saat itu beliau berada di Hudaibiyyah dan belum menjelaskan kepada mereka bahawa mereka harus bertahallul di sana, padahal mereka berhasrat dapat memasuki Mekah. Akhirnya Allah ‎ﷻ menurunkan ayat tentang fidyah. Selanjutnya Rasulullah ﷺ memerintahkan agar Ka’ab memberi makan sebanyak satu *faraq (tiga sa’) untuk enam orang miskin atau berkorban dengan seekor kambing atau puasa tiga hari.” (Sahih Bukhari Hadith no. 3842)

*faraq = 10 kg

Jadi, ada dua sebab yang dibenarkan cukur rambut awal dari yang sepatutnya – sakit atau gangguan pada kepala.

 

فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ

hendaklah dia membayar fidyah dengan berpuasa,

Maka boleh cukur rambut terus dan ganti dengan bayar fidyah. Iaitu sama ada puasa tiga hari,

 

أَوْ صَدَقَةٍ

atau bersedekah;

Iaitu memberi makan enam orang fakir miskin. Ini diketahui dari hadith.

 

أَوْ نُسُكٍ

atau menyembelih binatang

Ataupun sembelih binatang korban – sekurang-kurangnya seekor biri-biri yang sudah cukup umur.

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا سَيْفٌ قَالَ حَدَّثَنِي مُجَاهِدٌ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ أَبِي لَيْلَى أَنَّ كَعْبَ بْنَ عُجْرَةَ حَدَّثَهُ قَالَ وَقَفَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحُدَيْبِيَةِ وَرَأْسِي يَتَهَافَتُ قَمْلًا فَقَالَ يُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَاحْلِقْ رَأْسَكَ أَوْ قَالَ احْلِقْ قَالَ فِيَّ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ } إِلَى آخِرِهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ تَصَدَّقْ بِفَرَقٍ بَيْنَ سِتَّةٍ أَوْ انْسُكْ بِمَا تَيَسَّرَ

Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim telah menceritakan kepada kami Sayf berkata, telah menceritakan kepada saya Mujahid berkata, aku mendengar ‘Abdurrahman bin Abu Laila bahawa Ka’ab bin ‘Ujrah رضي الله عنه berkata: “Rasulullah ﷺ menghampiriku di Hudaibiyah ketika kepalaku dipenuhi kutu, baginda berkata: “Barangkali kamu terkena serangga (kutu di kepala)?” Aku jawab: “Benar, wahai Rasulullah”. Maka baginda berkata: “Cukurlah rambutmu”. Atau baginda berkata: “Ayat ini turun untukku” (QS Al Baqarah ayat 196 yang ertinya): (“….Maka barangsiapa dari kalian yang sakit atau tertimpa sesuatu pada kepalanya…) hingga akhir ayat. Maka Nabi ﷺ berkata: “Laksanakanlah puasa tiga hari atau bersedekah sebanyak satu faraq (tiga sa’) terhadap enam orang atau berkorban dengan yang mudah buatmu”. (Sahih Bukhari Hadith no. 1687)

فَإِذَا أَمِنْتُمْ

Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman;

Iaitu sudah boleh meneruskan buat Haji atau apabila kita pergi mengerjakan Haji itu, tidak ada masalah apa-apa yang menghalang kita daripada mengerjakannya. Kalau tidak ada halangan, maka teruskanlah mengerjakan Haji itu.

 

فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ

maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan hingga masa Haji,

Makna تَمَتَّعَ adalah ‘menikmati sesuatu’. Sebelum Islam, orang Arab tidak melakukan Umrah dalam bulan Haji. Bulan Haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala bulan Rejab adalah bulan untuk buat Umrah.

Orang Arab pada waktu itu tidak membenarkan buat Umrah dalam bulan Haji. Sebab pada mereka, sudah ada waktu untuk buat Umrah iaitu bulan Rejab. Tetapi Islam datang dengan membenarkan kemudahan untuk melakukan Umrah dalam bulan Haji juga. Maknanya, ia adalah kemudahan yang Allah ‎ﷻ berikan.

Ada tiga jenis Haji:

1. Tamattu’ – buat umrah dahulu, tahallul dan tinggal di Mekah dan kemudian buat Haji. Sementara tunggu waktu Haji, boleh pakai baju biasa

2. Qiran – buat Umrah bersama dengan Haji.

3. Ifrad – buat Haji dulu, kemudian buat Umrah.

Jikalau Haji Ifrad tidak perlu bayar dam tetapi jikalau mengerjakan Haji Tamattu dan Haji Qiran perlu bayar dam.

Haji Tamattu’ bermaksud bersenang lenang ataupun berseronok semasa mengerjakan Haji iaitu dimulai dengan mengerjakan umrah dahulu dan kemudian Tahallul supaya boleh keluar dari pantang larang Ihram dan tunggu masa Haji masuk. Bolehlah dia pakai baju biasa dan sebagainya. Itulah yang mudahnya.

Bila sampai waktu Haji maka niat Haji pula dan kembali pakai Ihram untuk mengerjakan Haji pula. Jadi waktu antara Umrah dan Haji itu, seseorang itu boleh berseronok bersenang-senang sahaja. Maksud ‘berseronok’ itu adalah bebas daripada pantang larang Ihram.

 

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

hendaklah menyembelih Dam yang mudah didapati.

Kena bayar dam kerana kebenaran melakukan Haji Tamattu’ ini sudah memudahkan orang yang mahu melakukan ibadat umrah. Tidak perlu pergi dua kali – sekali pergi umrah dan sekali pergi haji – boleh buat dua-dua sekali pada sekali pergi ke Mekah. Oleh kerana kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu, Allah ‎ﷻ menyaratkan untuk sembelih binatang ternak. Ia adalah sebagai tanda syukur kepada Allah ‎ﷻ.

Sembelihan itu bolehlah mengikut kadar kemampuan seseorang dan bergantung jika barang yang hendak disembelih itu ada. Iaitu kena ada kemudahan duit dan kemudian binatang. Ini kerana kadangkala ada manusia yang mempunyai duit tetapi binatang tidak ada atau binatang ada tetapi duit pula yang tiada.

 

فَمَنْ لَّمْ يَجِدْ

Jika kamu tidak dapati binatang ternak;

Jikalau tiada duit untuk membeli sembelihan atau jikalau sembelihan pun tiada. Sudah dicari tetapi tidak berjumpa.

 

فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ

hendaklah berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji;

Iaitu berpuasa tiga hari itu di Mekah.

 

وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ

dan tujuh hari lagi apabila balik;

Iaitu apabila balik ke Malaysia. Iaitu balik ke rumah. Ini hanya kepada yang tidak tinggal di Mekah. Tidak ditetapkan bila kena buat. Ikut keselesaan kepada individu itu bila dia boleh buat puasa itu.

 

تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ

Itulah dia sepuluh hari yang genap;

Kena lengkapkan puasa sebanyak sepuluh hari ini. Jangan kurang daripada sepuluh hari itu.

 

ذَٰلِكَ لِمَنْ لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Yang demikian itu bagi mereka yang bukan ahli penduduk Mekah;

Kemudahan untuk melakukan Haji Tamattu’ itu hanya diberikan kepada orang luar dari Tanah Haram sahaja. Penghuni Tanah Haram tidak ada pilihan untuk buat Haji Tamattu’ atau Qiran, mereka kena buat Haji Ifrad. Ini adalah kerana mereka tinggal dekat dengan Kaabah dan boleh buat Umrah bila-bila masa. Tujuannya supaya mereka tidak menyesakkan Tanah Haram masa bulan Haji.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan takutlah kamu kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ sudah ajar segala serbi manasik Haji, maka kenalah kita ikut. Kenalah belajar. Benda lain boleh belajar sampai masuk Universiti, takkan benda tentang agama tidak boleh hendak belajar dan dalami?

Dan yang mampu ikut hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Kerana ada yang sudah tahu, tetapi kerana tidak bertaqwa, mereka tidak ikut.

 

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu sangat keras;

Azab Allah ‎ﷻ sangat keras kepada mereka yang melanggar hukum-Nya. Jadi, kena jaga hukum Haji yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan hukumnya bagaimana.

Kalau buat salah dalam Haji pun Allah ‎ﷻ sudah marah, bayangkan kalau orang meletakkan berhala di Kaabah. Tentu Allah‎ ﷻ lagi murka.


 

Ayat 197: Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang larangan-larangan dalam mengerjakan Haji.

الحَجُّ أَشهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Sahih International

Hajj is [during] well-known months, so whoever has made Hajj obligatory upon himself therein [by entering the state of ihram], there is [to be for him] no sexual relations and no disobedience and no disputing during Hajj. And whatever good you do – Allah knows it. And take provisions, but indeed, the best provision is fear of Allah. And fear Me, O you of understanding.

Malay

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

 

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ‌

Haji itu adalah beberapa bulan yang sudah ditentukan;

Bulan Haji adalah Syawal, Dzulkaedah dan sepuluh hari pertama Bulan Dzulhijjah. Sepertimana solat mempunyai waktu-waktunya, begitu juga Haji. Tidak boleh dilakukan di luar waktunya.

Sekarang ini, ada pula ajaran sesat yang beri cadangan supaya bulan-bulan Haji itu dibuat pada bulan lain kononnya supaya tidak tertumpu pada satu waktu sahaja dan tidaklah sibuk sangat sampai menyebabkan kemalangan. Itu adalah cadangan yang mengarut. Kalau Haji dibuat di luar dari waktu yang telah ditetapkan, ia tidak akan diterima.

Apabila dikatakan ada tiga bulan Haji itu, maksudnya, ihram Haji hanya boleh dimulakan dalam tiga bulan ini sahaja.

Bulan-bulan Haji itu telah ditentukan sudah lama, sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan lagi. Ini membenarkan bulan-bulan Haji yang telah diterima selama turun-temurun kerana ia adalah dari agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ tidak mengubah bulan-bulan Haji itu.

 

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ

Maka sesiapa yang sudah niat ihram menunaikan haji,

Sesiapa yang sudah niat buat ihram kena jaga tiga perkara:

 

فَلَا رَفَثَ

maka janganlah dia mencampuri isterinya;

Tidak boleh bersama dengan isteri untuk mengadakan hubungan kelamin. Malah tidak boleh bercakap perkara yang boleh menaikkan nafsu pun. Tidak juga boleh buat perkara yang boleh membaca kepada hubungan kelamin seperti bercumbu, berpelukan atau bercakap-cakap tentangnya.

Ini kena jaga kerana pada musim Haji ramai perempuan yang datang dengan tidak tutup muka, datang pula dari pelbagai negara yang kita tidak biasa lihat dan semua datang dengan niat untuk buat ibadat jadi tidak sesuai buat atau cakap perkara yang berkenaan jimak.

Ini adalah perkara pertama yang kena jaga. Kena jaga pandangan dan hati kita. Jangan hendak tengok-tengok orang lebih sangat. Nanti tengok lama sangat perempuan bangsa lain, sudah terkesan pula nanti. Jangan begitu.

 

وَلَا فُسُوقَ

dan jangan buat amalan-amalan yang berdosa

Jangan langgar hukum atau menzalimi sesiapa; jangan buat perkara yang berdosa. Antaranya, jangan caci maki orang lain. Kamu datang untuk buat ibadat, maka kena jaga akhlak dan tatatertib. Datang dari jauh dan sudah habis banyak belanja, maka jangan merugikan diri sendiri dengan berbuat dosa.

 

وَلَا جِدَالَ

dan tidak boleh bertengkar

Allah ‎ﷻ mengingatkan kerana semasa buat Haji, orang ramai sangat dan ada kemungkinan ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita. Jangan buat perkara yang boleh memecah belah umat sedangkan ibadah Haji untuk menyatukan umat. Kena tenang-tenangkan diri.

 

فِي الْحَجِّ

dalam musim haji;

Memang tidak boleh buat semua perkara itu. Kalau di luar Haji pun, ia dilarang dan tidak elok. Tetapi ia lebih tidak elok kalau dilakukan pada waktu mengerjakan Haji kerana waktu itu adalah waktu untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dilakukan juga, dosanya berkali-kali ganda.

Oleh itu, kena jaga tiga perkara itu. Haji Mabrur yang selalu disebut-sebut orang adalah untuk mereka yang boleh jaga semua perkara yang telah disebut di atas. Tanda Haji yang tidak mabrur adalah tidak berubah kehidupan dia ke arah kebaikan selepas dia balik dari Haji.

Untuk dapat Haji yang mabrur kena jaga hubungan baik dengan Allah ‎ﷻ dan manusia lain. Bukan senang hendak jaga sebab bila sudah berkumpul ramai pada satu tempat dan jumpa orang dari negara lain yang perangai tidak sama dengan kita, susah hendak menjaga mulut dan perasaan kita.

Kita sudah biasa dengan orang Malaysia, orang Melayu, tetapi kita tidak biasa dengan bangsa lain. Tentunya perangai mereka tidak sama. Tetapi memang kena jaga sebab rugi bila habis duit berpuluh ribu namun tidak dapat Haji Mabrur.

 

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu buat daripada perkara yang baik

Jadi untuk memudahkan kita berurusan di sana, maka dianjurkan buat kebaikan. Elok kita tolong orang lain daripada kita marah kepada orang lain. Sebab keadaan orang ramai dan keadaan tentunya tidak selesa. Maka kita tolong menolong untuk memudahkan orang lain.

Sebagai contoh, kalau giliran kita untuk masuk tandas tetapi kita nampak ada orang lain yang lebih memerlukan, maka kita beri peluang kepada orang lain dahulu. Apabila kita sudah set minda kita untuk menolong orang, kita akan mendapat satu perasaan yang lain macam. Kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain dan bukan lagi mencari kesalahan orang lain.

Ini kerana kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, tetapi persoalannya, di manakah fokus kita? Kalau kita fokus kepada kebaikan, kita akan dapat kebaikan dan kalau kita fokus pada keburukan, kita akan nampak keburukan.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa kita kena mengambil peluang keemasan semasa mengerjakan Haji itu untuk melakukan sebanyak-banyak mungkin ibadah yang lain seperti salat, zikir, baca Al-Qur’an dan kebaikan-kebaikan yang lain.

Antaranya tolong menolong orang lain yang ramai ada di sana kerana bukan selalu dapat peluang untuk mengerjakan Haji itu. Mungkin kita hanya dapat melakukannya sekali seumur hidup sahaja.

 

يَعْلَمْهُ اللَّهُ

nescaya Allah mengetahui

Allah ‎ﷻ mengetahui segala kebaikan yang kita lakukan dan Allah ‎ﷻ akan balas. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, Allah ‎ﷻ akan memudahkan urusan kita semasa buat Haji itu. Allah ‎ﷻ juga mengetahui kalau ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita tetapi kita tidak jadi marah. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga.

Tidak perlu untuk diberitahu apa-apa kebaikan yang kita lakukan kerana Allah‎ ﷻ tahu. Tidak payah kita hendak beritahu orang lain.

 

وَتَزَوَّدُوا

Dan berbekallah;

Apabila kita hendak pergi mengerjakan Haji, maka kita kena siapkan bekal untuk buat Haji sebab kita akan bermusafir jauh maka kena siap sedia segala kelengkapan semasa dalam perjalanan dan semasa di sana.

Kita kena bersiap dengan bekalan supaya jangan kita susahkan orang lain. Tidak boleh tumpang makan makanan orang, tumpang tempat tinggal orang dan sebagainya. زَوَّدُ bermaksud bawa bekalan yang lebih. Bukan cukup-cukup sahaja.

Janganlah zuhud sangat sampai kata: “Allah ‎ﷻ akan cukupkan kelengkapan”, konon-konon tawakal sangat dan ada sahaja makanan untuk kita. Jangan begitu, itu adalah fahaman yang salah. Kita kena berusaha untuk melengkapkan kelengkapan kita, kemudian baru kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Itulah konsep tawakal yang sebenarnya – bersedia sedaya mungkin, kemudian baru serahkan kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa.

Taqwa dalam ayat ini adalah menjaga diri daripada meminta-minta kepada orang lain. Bukannya orang miskin tidak boleh pergi Haji cuma kena jaga jangan sampai menyusahkan orang lain. Kena fikirkan persediaan untuk mengerjakan Haji itu.

 

وَاتَّقُونِ

Dan bertaqwalah kamu kepada Aku;

Taqwa itu bermaksud melakukan amal dengan menjaga hukum seperti yang diajar oleh Allah ‎ﷻ.

 

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berakal waras.

Bermakna mereka yang berfikiran yang suci kerana sekarang sedang mengerjakan haji. Sepatutnya tidak boleh fikir tentang dunia sangat.

Ulul-Albab adalah mereka yang berfikiran waras dan mempunyai ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita sebagai orang yang waras hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan kita di dalam hal agama. Janganlah berterusan duduk dalam kejahilan.

Ibadat Haji adalah latihan kepada Hari Kebangkitan. Ia mengingatkan kita bahawa kita semua akan dibangkitkan beramai-ramai satu hari nanti. Kerana itu kita pakai ihram yang sudah seperti kain kafan. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Arafah. Maka, kita kena sucikan fikiran kita.

Ingatkan kepada peristiwa yang akan berlaku itu. Tidak sama kalau kita memikirkan sahaja dan berada dalam suasana yang boleh mengingatkan kita. Semasa buat Haji, kita akan berada bersama dengan lautan manusia. Itu baru sekumpulan manusia sahaja. Bayangkan di Mahsyar nanti, semua makhluk akan berkumpul satu tempat, dari makhluk yang mula-mula dicipta sampailah kepada makhluk yang akhir sekali mati. Memang tidak dapat dibayangkan pun, namun cubalah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 6 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

7 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 196 – 197 (Bab Haji)”

  1. Assalamualaikum perkongsian ilmu yang sangat berguna pohon share
    Harap dapat beri no account untuk memberi sumbangan TQ

    Like

    1. Akaun Mudir Madrasah – Ustaz Solah:

      CIMB 7611414435 Solahudin al Ayyubi bin Rosman

      No Tel: 017 927 2521

      Like

    1. memang tidak ada lagi kerana tafsir surah baqarah ini belum habis. Sudah lompat ke surah-surah yang lain. In sha Allah akan ditambah di masa hadapan.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s