Tafsir Surah Fatihah Ayat 2 [Bahagian 2] (Maksud Rabb)

رَبِّ

(Dialah) pencipta, pemilik, pengurus, pentadbir segala-galanya;

Makna Rabb bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Kalau kita hanya faham setakat bermaksud ‘Tuhan’ sahaja, maka kita tidak mendapat pemahaman yang mendalam tentang maksud ‘rabb’ itu.

Antara beberapa makna yang boleh diambil daripada makna ‘rabb’ itu:

    1. Maalik – Pemilik
    2. Sayyed – yang mengurus
    3. Murabbi – yang menjaga
    4. Mul’im – yang memberi pemberian
    5. Qayyim – yang menyebabkan semua itu berdiri. Kalau tanpa Allah ‎ﷻ yang menyebabkan semua perkara berdiri, maka alam ini tiada.

Semua yang di atas adalah maksud yang sekunder, makna yang utama adalah ‘Tuan’. Allah ‎ﷻ adalah ‘tuan’ kepada alam ini. Tuan yang sebenar-sebenarnya tuan. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak hanya meletakkan nama-Nya – Allah – sahaja, tetapi Dia telah menambah dengan menerangkan apakah hubungan antara kita dan Dia. Dia adalah Rabb dan kita adalah hamba-Nya.

Tahukah anda apakah ringkasan keseluruhan Al-Qur’an ini? Keseluruhan Al-Qur’an 30 juzuk ini kalau diringkaskan pengajaran pentingnya adalah ringkas sahaja: Allah ‎ﷻ adalah Rabb dan kita adalah hamba-Nya. Yang selain daripada itu adalah hal sekunder. Apa yang disampaikan dalam ayat-ayat lain membawa maksud yang Allah ‎ﷻ itu adalah Rabb dan kita ini adalah hamba-Nya.

Apakah maksud ‘tuan’? Seseorang yang memiliki sesuatu, boleh berbuat apa sahaja dengan barang itu. Sebagai contoh, kalau kita mempunyai sebuah telefon, kita boleh berbuat apa sahaja yang kita suka dengan telefon itu. Sebab telefon itu adalah harta kita dan kita adalah tuannya. Kalau telefon itu sudah tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, tentulah kita akan buang telefon itu, bukan?

Maka, sebagai pemilik kita, bukankah Allah ‎ﷻ boleh berbuat sekehendak-Nya dengan kita? Apakah yang akan terjadi dengan kita nanti jika kita tidak berbuat seperti apa yang Dia suruh kita buat? Bagaimana kalau kita tidak patuh kepada arahan-Nya? Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan azab kepada kita dan memasukkan kita ke dalam neraka. Itu adalah hak-Nya sebagai tuan kita. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ.

Bagaimanapun, sifat Allah ‎ﷻ sebagai tuan tidak sama dengan tuan-tuan yang lain. Kalau seorang hamba dengan tuannya, tidak semestinya hamba itu sayang kepada tuannya. Namun kita lain pula – kita sayang dan cinta kepada Allah ‎ﷻ, Tuan kita. Begitulah yang sepatutnya.

Hamba kepada tuan yang lain, tidak memuji tuannya itu, tetapi kita sentiasa memuji Allah ‎ﷻ sebagai tuan kita kerana Allah ‎ﷻ tidak sama dengan tuan-tuan yang lain. Allah ‎ﷻ sentiasa memberi dan tetap memberi dan memberi.

Seorang tuan memiliki seorang hamba dengan sepenuhnya. Bukan seperti pekerja kita. Kalau pekerja kita, kita hanya boleh suruh dia buat kerja dalam waktu pejabat sahaja. Buat kerja pun hanya dalam perkara yang dia sepatutnya buat sahaja. Kalau dia akauntan, kita tidak boleh menyuruhnya menyapu sampah, bukan? Namun kalau seseorang itu hamba, dia sentiasa berkhidmat dengan tuannya setiap masa dan dalam setiap pekerjaan yang disuruh.

Seorang hamba, tanpa kehadiran tuannya, mungkin dia akan mengelat dan membuat perkara lain – perkara yang tuannya tidak suruh. Maknanya, dia sudah menyimpang daripada menjadi hamba tuannya itu. Begitu jugalah kita, kalau kita lupa kepada Allah ‎ﷻ, tidak rasa Allah ‎ﷻ melihat kita, kita akan membuat perkara-perkara yang menyimpang daripada agama. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ. Ingatlah bahawa Allah  ‎ﷻ sentiasa memerhati kita.

Allah ‎ﷻ berkuasa sepenuhnya ke atas kita. Kalau kita memiliki sesuatu harta, tidak semestinya kita boleh berbuat sesuka hati kita dengan harta itu. Sebagai contoh, rumah kita. Kita tidak boleh mengubahsuai rumah kita dengan sewenang-wenangnya, tanpa mendapatkan permit daripada Dewan Bandaraya terlebih dahulu. Namun tidak begitu dengan Allah ‎ﷻ.

Kalau kita mempunyai harta, tidak semestinya kita menjaganya. Sebagai contoh, kalau kita mempunyai rumah, kita tidaklah menjaganya sentiasa. Kita biarkan sahaja selalunya. Tidaklah kita duduk di rumah itu membersihkannya sentiasa. Rumah itu pun tidak memerlukan kita berbuat begitu. Allah ‎ﷻ bukan sahaja memiliki kita, tetapi Dia juga menjaga kita sepenuhnya.

Setelah Allah ‎ﷻ menciptakan segalanya, Dia juga akan  menguruskannya. Untuk kita memahami maksud ini, katakanlah kita menangkap seekor burung dan meletakkannya di dalam sangkar. Tentulah kita yang harus memelihara dan memberi burung itu makan sebab ia sudah tidak boleh mencari makannya sendiri. Itu baru sahaja menjadi ‘milik’ sahaja, bukan pun kita yang menciptanya, maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberinya makan untuk ia terus hidup. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menciptakan manusia, sudah tentu Dia juga yang akan menjaga dan memberi kita makan.

Bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ telah menjadikan dunia ini untuk kemudahan kita. Dia menciptakan gunung-ganang, sungai, dan sebagainya untuk kita. Tidak terkira banyaknya nikmat yang telah Dia berikan kepada kita. Tidak pernah Dia tanya kita adakah cukup apa yang telah diberikan kepada kita kerana Dia tahu apa yang kita perlukan dalam kehidupan kita dan Dia telah memberikan segalanya. Allah ‎ﷻ tidak perlu bertanya, kerana Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita perlukan.

Ciptaan Allah ‎ﷻ itu tidak meniru daripada sesuatu ciptaan lain. Tidaklah sama dengan ciptaan manusia. Jika kita ingin mencipta sesuatu, kita memerlukan contoh. Penciptaan Allah ‎ﷻ tidak memerlukan contoh apa pun. Allah ‎ﷻ membuat sesuatu daripada tidak ada kepada ada. Kita tidak begitu. Katakanlah, jika kita ingin merekacipta sebuah kereta yang baru, kita memerlukan besi, getah, aluminium dan sebagainya yang telah siap ada di dalam alam ini. Kita pun reka kereta berpandukan prototaip kereta yang mula-mula dibuat oleh Karl Benz (pencipta kereta pertama di dunia) dahulu.

Kita sentiasa meminta kepada Allah ‎ﷻ dengan cara berdoa atau tidak. Kita memerlukan Allah ‎ﷻ dalam segenap hal. Begitulah seorang hamba dengan tuannya yang memerlukan sesuatu keperluan dengan tuannya. Namun kalau kita selalu meminta, tentulah tuan itu pun tidak suka. Namun berbeza dengan Allah ‎ﷻ – malah Allah ‎ﷻ lebih suka kalau kita sentiasa meminta kepada-Nya kerana itu menunjukkan kita berharap kepada-Nya. Allah ‎ﷻ amat suka kita bergantung kepada-Nya.

Jika Allah ‎ﷻ memberikan sesuatu kepada kita, tidaklah Dia memerlukan balasan daripada kita. Sebagai contoh, jika seseorang memberi bantuan atau memberikan hadiah kepada kita, sedikit sebanyak tentu dia mempunyai pengharapan terhadap kita. Sekurang-kurangnya, mungkin dia mengharapkan supaya kita berbaik dengannya, melayannya dengan baik dan sebagainya. Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh memberikan apa sahaja tanpa mengharapkan apa-apa pun daripada kita.

Dalam Allah ‎ﷻ memberi, Dia akan memberi apa yang kita perlukan. Kadang-kadang kita minta sesuatu yang tidak sesuai dengan kita, maka Allah ‎ﷻ akan berikan perkara lain yang lebih baik untuk kita kerana Allah ‎ﷻ amat mengenali diri kita, lebih daripada kita mengenali diri kita sendiri. Sebelum kita minta pun Allah ‎ﷻ sudah mengetahui apa yang kita perlukan.

Dia tidak berkongsi dengan sesiapa dalam menguruskan alam ini. Dia bersendirian sahaja menguruskan segalanya. Tidak langsung memerlukan sesiapa jua pun (termasuk para malaikat). Tidak mungkin Dia mempunyai sekutu dalam urusan kerajaan-Nya. Hakikat ini terdapat di dalam ayat Isra’: 111

وَقُلِ الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَهُ شَريكٌ فِي المُلكِ وَلَم يَكُن لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرهُ تَكبيرًا
Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!”

Dari dahulu sehingga sekarang dan di masa hadapan, Allah ‎ﷻ tidak akan mengambil anak angkat. Maksud ‘anak angkat’ adalah sesuatu entiti yang rapat dengan Allah ‎ﷻ maka ramai yang sangka kalau kita meminta dengan ‘anak angkat’ itu, dia akan menyampaikan permintaan kita itu kepada Allah ‎ﷻ. Itu adalah satu pemahaman yang salah.

Yang sebenarnya, tidak ada perantaraan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ atau apa yang dinamakan ‘tawassul’ dalam berdoa kepada-Nya. Inilah salah faham yang telah dilakukan oleh orang Kristian. Mereka meminta tolong kepada Nabi Isa عليه السلام, kerana mereka beranggapan Nabi Isa عليه السلام adalah ‘anak Tuhan’.

Walaupun ada dalam kalangan kita tidak berdoa kepada Nabi Isa عليه السلام seperti orang Kristian, tetapi ada juga menggunakan perantaraan yang lain. Sebagai contoh, ramai antara orang Islam yang apabila berdoa akan berkata: “Dengan berkat Nabi Muhammad”, dan berbagai-bagai lagi contoh tawassul yang mereka gunakan. Maka, kalau kita berbuat begitu, kita sama sahaja seperti orang beragama Kristian.

Allah ‎ﷻ tidaklah memerlukan sesiapa untuk mencipta dan menguruskan alam ini. Tidaklah tatkala Dia hendak menciptakan Nabi Adam عليه السلام, Dia bertanyakan pendapat Jibril عليه السلام terlebih dahulu, “Elok tak Aku nak cipta Nabi Adam?”. Allah ‎ﷻ tidak perlu meminta izin untuk berbuat sesuatu terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Apa yang Dia hendak buat, Dia akan buat sahaja.

Di samping itu juga, tidaklah Allah ‎ﷻ meminta pertolongan kepada sesiapa untuk berbuat sesuatu. Contohnya, Dia berkongsi bahagian dengan entiti lain dalam menciptakan sesuatu. Tidak sama sekali. Semuanya telah dicipta dan dibuat oleh Allah ‎ﷻ.

Tidaklah juga Allah ‎ﷻ itu ada walau sedikit pun kelemahan sehinggakan Dia memerlukan pertolongan daripada sesiapa. Tidaklah sama seperti kita yang memerlukan pertolongan daripada orang lain dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kebiasaannya kita tidak akan mampu melakukan bersendirian. Ini kerana kita adalah makhluk yang lemah, kita memerlukan bantuan. Allah ‎ﷻ tidak begitu.

Maka, Allah ‎ﷻlah Maha Pencipta. Analoginya begini, kita selalu mendengar negara ini adalah pencipta kereta Proton Saga tetapi komponen-komponen kereta itu ada yang kita ambil dari Korea, Jepun, China dan sebagainya.

Namun Allah ‎ﷻ tidak begitu cara penciptaan-Nya. Bahan mentah untuk buat sesuatu itu pun Allah ‎ﷻ juga yang ciptakan. Semua sekali Dia yang cipta. Selepas Dia mencipta makhluk, bahan makanan untuk ciptaan-Nya pun Dia yang berikan. Setelah Dia memberikan bahan untuk melangsungkan kehidupan itu, tidaklah Dia tanya kembali adakah cukup atau tidak. Sebab Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh makhluk-Nya.

Dia langsung tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita. Walaupun ibadat kita, Allah ‎ﷻ tidak perlukannya. Namun Dia hendak kita beribadat kepada-Nya. Dalam kehidupan kita ini, banyak masa yang kita gunakan adalah untuk hidup. Mungkin kita hanya mengambil masa selama sejam sahaja dalam kehidupan seharian kita untuk beribadat khusus kepada Allah ‎ﷻ.

Selebihnya kita gunakan masa yang diberikan untuk menjalani kehidupan biasa. Maka, tidaklah banyak masa kita beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Namun Allah ‎ﷻ yang Maha Kaya dan Maha Pengampun, di akhir hayat kita, Dia akan hanya mengambil kira sama ada kita beriman ataupun tidak. Ada empat jenis manusia di dunia ini:

Golongan pertama adalah orang yang lahir dalam Islam dan kekal sampai mati dalam Islam. Dia akan masuk ke dalam syurga.

Golongan kedua, lahir dalam Islam, hidup cara Islam, tetapi mati dalam kafir. Dia ahli neraka.

Golongan ketiga, lahir dalam kafir, cara hidup kafir, mati pun dalam kafir juga. Dia akan kekal dalam neraka.

Golongan keempat adalah yang lahir dalam kafir, hidup cara kafir, tetapi di hujung hayatnya, dia mati dalam Islam. Dia kekal hidup dalam syurga.

Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ mengira ‎penghujung hayat manusia itu. Adakah dia mati dalam Islam, atau dia mati dalam kafir?

Allah ‎ﷻ boleh memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Alhamdulillah kita sudah dilahirkan dalam Islam. Namun, pernahkah kita tanya kepada saudara muallaf kita, kenapakah mereka memeluk Islam? Ada yang berkata yang mereka memeluk Islam kerana mereka tertarik dengan Islam.

Ada pelbagai sebab yang membuatkan mereka tertarik terhadap Islam. Ada yang tertarik kerana mendengar laungan azan. Ada yang tertarik melihat orang Islam solat berjama’ah. Ada yang memeluk Islam hanya kerana pergaulan baik mereka dengan orang Islam.

Ada yang mendengar benda yang tidak elok tentang Islam dan kerana mereka hendak tahu tentang Islam, mereka membuat kajian mengenai Islam. Akhirnya mereka tahu apa itu Islam dan akhirnya mereka memeluk Islam juga. Itulah yang terjadi selepas kejadian 9/11 di Amerika Syarikat.

Ramai yang mengutuk dan menghina Islam pada waktu itu, maka ramai yang hendak kenal Islam dengan lebih dekat. Setelah mereka melakukan kajian, mereka mendapati Islam ini agama yang benar. Segala tuduhan dan tohmahan yang diberikan selama ini tidak benar. Namun mereka mendapat kebenaran itu setelah mereka melakukan kajian.

Cara hidayah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada insan ada pelbagai jenis. Ada yang datang belajar kelas agama, tetapi hidayah tidak meresapi ke dalam hati mereka. Pergi kelas bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain, tetapi dia tidak faham apa yang disampaikan. Ketahuilah yang Allah ‎ﷻlah yang memberi kita kefahaman.

Mereka yang menerima hidayah itu adalah orang yang hatinya ada kecondongan kepada kebenaran. Dalam hati mereka inginkan kebenaran. Walaupun mereka itu orang kafir.

———— kembali kepada tafsir ayat daripada Surah Al-Fatihah—————–

الْعَالَمِينَ

Bagi sekalian alam

Bukanlah bermaksud alam ini. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah manusia dan jin. Ini kerana kalau dimaksudkan seluruh alam ini, seperti planet, bulan, matahari dan sebagainya, perkataan lain yang digunakan. Dari satu segi, memang perkataan aalamin ini termasuk dengan sekalian alam.

Akan tetapi makhluk seperti itu tidak diambil kira sama ada mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan neraka. Oleh itu yang hanya dikira adalah manusia bermula daripada Nabi Adam عليه السلام sehingga manusia yang terakhir manakala jin pula adalah bermula daripada Iblis sehinggalah keturunannya yang terakhir. Manusia dan jinlah yang akan dihisab amalan mereka dan mereka akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah kerana hanya manusia dan jin sahaja yang ada taklif (tanggungjawab) untuk mengikut syariat Allah ﷻ.

Ini dikuatkan lagi dengan ayat Qalam: 52

وَما هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعٰلَمينَ
Dan Al Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh umat

Lihat kalimah علمين digunakan, tetapi ia tentu sekali merujuk kepada jin dan manusia kerana jin dan manusia sahaja yang membawa Al-Qur’an.

Dan Surah Al-Fatihah ini adalah mengenai hubungan antara makhluk-Nya yang mukallaf (yang telah diberikan dengan tanggungjawab menjaga hukum) dan Allah ﷻ. Ia tidak terkeluar daripada hubungan itu. Ia bukanlah tentang alam semesta – planet, bulan, matahari dan lain-lain. Ia adalah tentang hamba-Nya. Daripada satu generasi hingga ke satu generasi yang lain. Semuanya adalah hamba-Nya.

Semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Tidak kira dia daripada bangsa mana, keturunan mana, tua ataupun muda. Semuanya sama. Kalau kita melihat diri kita semuanya adalah sama sahaja di hadapan Allah ﷻ, maka tidak ada lagi kasta, tidak ada sikap perkauman, tidak ada lagi pemikiran nationalisme. Semuanya tentang Allah ﷻ dan tanggungjawab kita yang sama adalah hanya untuk menjadi hamba-Nya.

Dari segi bahasa, ‘alam’ bermaksud ‘tanda’. Alam ini adalah sebagai ‘tanda’ akan kewujudan Allah ﷻ. Kerana tidak mungkin alam ini terjadi dengan sendirinya, bukan? Sebagai contoh, apabila kita melihat sesuatu benda, contohnya, kerusi yang cantik, tentu kita sudah mengetahui bahawa mesti ada pembuatnya. Tidak mungkin kerusi itu terjadi dengan sendirinya?

Maka, begitulah dengan alam ini. Kalau alam yang sebegini indah, dengan segala kehebatannya, mana mungkin tidak ada yang menjadikannya? Oleh itu, kalau kita memikirkan dengan mendalam, maka kita akan pasti mencapai satu keputusan bahawa adanya Tuhan yang menjadikan alam ini.

Allah ﷻ menyebut bahawa Dia adalah Tuhan kepada ‘alam ini’. Bermakna, Allah ﷻ adalah Tuhan kepada semuanya sekali. Tidak ada separuh-separuh. Allah ﷻlah Tuhan kepada orang Islam, orang Yahudi, Buddha, atheist dan semua sekali. Walaupun mereka tidak menerima Allah ﷻ sebagai Tuhan, tetapi Allah ﷻ tetap Tuhan mereka. Tidaklah benar ada agama yang mengatakan tuhan mereka untuk mereka sahaja. Kalau satu entiti itu adalah tuhan, tentu dia adalah tuhan kepada semuanya sekali.

Dalam perkataan rabbil aalamiin, Allah ﷻ membezakan antara ‘rabb’ dan ‘alam’. Ini bermakna, ada perbezaan antara Tuhan dan alam ini. Ini menolak pendapat yang mengatakan alam ini adalah Tuhan. Begitu juga menolak pendapat yang mengatakan bahawa makhluk boleh bergabung dengan Tuhan.

Antara yang berkata begitu adalah fahaman sufi yang mengandaikan pernyatuan makhluk dengan Tuhan – mereka menamakan pemahaman sesat ini dengan panggilan: wahdatul wujud. Itulah fahaman sesat yang diajar di dalam pengajaran tasawuf. Semoga kita terselamat daripada fahaman sebegini.

Sila klik untuk terjemahan Bahasa Inggeris.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya:

Kemaskini: 10 Oktober 2018


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 2 [Bahagian 1] (Segala puji bagi Allah ﷻ)

Fatihah Ayat 2:

ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , Lord of the worlds –

Malay

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

DlMc6TwUYAItlut.jpg_large

Allah ‎ﷻ yang menyuruh kita baca ayat ini sebegini. Namun sebenarnya, seperti ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan ‘Alhamdulillah’ merupakan pujian yang disampaikan Allah ‎ﷻ untuk diri-Nya. Di dalamnya terkandung perintah kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memuji-Nya. Seolah-olah Dia mengatakan “Ucapkanlah, alhamdulillah.”

Maka, ayat ini adalah ayat di mana Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya dan menyuruh hamba-Nya untuk memuji-Nya sebegitu juga.

Selalunya kitab terjemahan akan menterjemahkan ayat ini sebagai ‘Segala puji bagi Allah’ tetapi yang kami belajar ia diterjemahkan begini:

 

الْحَمْدُ ِللهِ

Pujian itu, sama ada satu atau semua sekali adalah hanya milik Allah.

Sesama kita manusia pun kita ada puji memuji, kepada sultan, orang alim, ibu bapa dan sebagainya. Namun pujian yang sebenarnya hanya untuk Allah ‎ﷻ. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji.

Pujian kepada yang selain Allah ‎ﷻ tidaklah sama dengan pujian kita kepada Allah ‎ﷻ. Daripada huruf ا dan ل dimaksudkan untuk melengkapi bahawa segala jenis dan bentuk pujian itu, hanya untuk Allah ‎ﷻ semata.

Pujian ada banyak jenis:

1. Pujian Allah ‎ﷻ kepada Diri-Nya
2. Pujian Allah ‎ﷻ kepada makhluk. Contohnya pujian Allah ‎ﷻ kepada Nabi.
3. Pujian makhluk kepada Allah ‎ﷻ. Ini sesuatu yang biasa.
4. Pujian makhluk kepada makhluk. Sebagai contoh, kita selalunya memuji orang lain kerana mereka cantik, pandai atau sebagainya.

Semua jenis pujian itu sebenarnya berbalik semula kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan semua itu terjadi.

Contohnya jikalau kita memuji seseorang itu pandai, tidaklah dia pandai secara sendiri. Kepandaiannya itu mungkin kerana guru yang pandai mengajar semasa dia  belajar di sekolah dahulu. Atau ibu bapanya yang memantaunya menyebabkan dia rajin belajar dan yang menyebabkan guru itu mengajar dan ibubapa yang memantaunya pun adalah kerana Allah ‎ﷻ juga.

Bermakna, pujian yang diterima itu bukanlah kerana dia sendiri, tetapi boleh disebabkan oleh elemen lain. Namun apabila kita memuji Allah ‎ﷻ, tidaklah Allah ‎ﷻ itu layak dipuji atas sebab-sebab yang lain, melainkan kerana Dia sahaja.

Apabila kita memuji seseorang itu pandai sebagai contoh di atas, Allah ‎ﷻlah sebenarnya yang menjadikan dia pandai. Maka, sebenarnya kita memuji Allah ‎ﷻ pada hakikatnya. Akhirnya, pujian itu berakhir dengan Allah ‎ﷻ juga.

Marilah kita lihat keindahan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an ini berkenaan perkataan ini. Perkataan الْحَمْدُ bukan hanya bermaksud ‘pujian’ sahaja. Ia sebenarnya mengandungi dua maksud di dalamnya: ‘pujian’ dan juga ‘terima kasih’. Dua-dua makna itu terangkum dengan indahnya dalam perkataan الْحَمْدُ itu.

Kalau pujian, dalam bahasa Arab ia adalah ‘madh‘. Manakala terima kasih dalam bahasa Arab adalah ‘syukr‘. Apabila dua perkataan itu digabungkan, ia menjadi الْحَمْدُ.

Dengan menggunakan satu perkataan sahaja, sudah merangkum dua makna. Begitulah indahnya bahasa Arab. Sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan sebab itulah kita sepatutnya belajar bahasa Arab supaya kita dapat memahami dengan lebih mendalam lagi Al-Qur’an ini.

Kedua-dua maksud itu perlu diletakkan bersama kerana dengan Allah ‎ﷻ, kita memuji-Nya dan juga kita berterima kasih kepada-Nya. Kedua-dua elemen itu mesti ada sekali. Namun, kalau dengan makhluk lain, kadang-kadang kita hanya berterima kasih, tetapi kita tidak memujinya. Atau kita memujinya, tetapi kita tidak berterima kasih kepadanya.

Sebagai contoh, jika kita melihat sebuah kereta yang cantik, kita mungkin memuji kereta itu, tetapi tidaklah kita berterima kasih kepadanya – kerana kereta itu bukan kereta kita pun.

Ataupun ada masanya, kita berterima kasih, tetapi kita tidak memuji. Sebagai contoh, bapa Nabi Ibrahim عليه السلام adalah pengukir berhala. Dia telah melakukan satu perbuatan yang amat sesat malah syirik. Nabi Ibrahim عليه السلام berterima kasih kepadanya kerana dia adalah bapa yang membesarkannya, tetapi baginda tidak memujinya kerana perbuatan bapanya itu adalah syirik.

Namun begitu, kepada Allah ‎ﷻ, kedua-dua makna itu mesti ada. Tidak pernah kita hanya berterima kasih tanpa syukur atau syukur tanpa pujian kepada-Nya.

Kenapakah Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan madh dan syukr itu tetapi menggunakan الْحَمْدُ? Iaitu, tidak digunakan ayat: ‘segala pujian dan terima kasih kepada Allah‘. Kenapa tidak dipecahkan satu persatu? Mungkin ada yang kata kalau begitu, lebih jelas kepada orang yang tidak faham bahawa dalam alhamdu itu ada dua makna.

Tidaklah digunakan sebegitu kerana takut ada kemungkinan kadang-kadang kita memuji Allah ‎ﷻ tetapi tidak berterima kasih kepada-Nya. Atau kadang-kadang kita berterima kasih kepada-Nya sahaja, tetapi tidak memuji-Nya. Itu tidak mungkin terjadi kerana dua-dua elemen itu sentiasa berhak untuk Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada waktu di mana hanya ada salah satu sahaja.

Penggunaan madh untuk berdiri sendiri itu tidak sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ kerana madh juga digunakan untuk perkara yang tidak benar. Atau tidak ikhlas. Sebagai contoh, kita lihat dalam sejarah, banyak pujian telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin yang jahat. Namun kita tahu, bahawa pujian itu tidak semestinya benar.

Kadang-kadang pemimpin itu memaksa orang menulis yang baik-baik sahaja mengenai dirinya. Atau kadang-kadang orang yang menulis itu melebih-lebihkan pujian kepada pemimpin yang berkuasa pada waktu itu supaya dia mendapat imbuhan atau selamat daripada kejahatan pemimpin itu. Oleh itu, madh juga boleh digunakan untuk perkara yang tidak benar.

Oleh itu, ia tidak sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memang layak dan berhak dipuji. Ia adalah satu kebenaran yang hakiki. Maka, perkataan yang amat sesuai digunakan untuk Allah ‎ﷻ adalah الْحَمْدُ.

Manakala, sekiranya kita menggunakan syukur sahaja dalam Al-Fatihah juga tidak sesuai. Kita selalunya akan berterima kasih jikalau seseorang telah melakukan satu kebaikan kepada diri kita. Contohnya, seseorang memberi kita minum. Ia adalah satu tindakbalas daripada perbuatan orang itu – dia memberi dan kita berterima kasih kepadanya.

Akan tetapi perkataan الْحَمْدُ tidak semestinya hanya jika seseorang telah memberikan kita sesuatu. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala-galanya kepada kita. Sebelum kita minta pun Allah ‎ﷻ sudah memberikan segala keperluan kepada kita. Sebelum kita pandai untuk meminta apa-apa pun lagi – seperti sewaktu kita bayi, kita tidak pandai meminta lagi, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan segala keperluan kepada kita.

Oleh itu, kita harus ingat, bahawa perkataan الْحَمْدُ yang digunakan bermaksud – segala puji dan syukur. Allah ‎ﷻ tidak meletakkan ayat ‘pujilah Allah’ kerana jikalau kita memberikan arahan kepada seseorang, orang itu ada dua pilihan – sama ada dia mengikuti arahan itu atau tidak.

Bermakna, orang itu boleh tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ. Tentulah tidak sesuai kalau kita mempunyai pilihan untuk tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ.

Namun itu tidak menjadi masalah jikalau perkataan yang digunakan adalah الْحَمْدُ – ia bukan dalam bentuk arahan kerana arahan boleh ditolak lagi. Ia adalah satu hakikat kebenaran.

Perkataan الْحَمْدُ adalah satu kata nama – noun. Bukan kata kerja – verb. Jikalau ia adalah kata kerja, ia memerlukan ‘pembuat’. Contohnya, satu perkataan itu tidak lengkap jika begini: “makan nasi”. Kita perlu nyatakan siapakah yang memakan nasi itu. Maka, ayat yang lengkap adalah “Ahmad makan nasi”.

Ini bermakna, kata kerja memerlukan pembuat/pelaku kepada perbuatan itu. Namun, perkataan الْحَمْدُ bukanlah kata kerja, tetapi dalam bentuk kata nama. Ia tidak memerlukan pembuat. Bermakna, pemujian kepada Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pembuat.

Jikalau tidak ada makhluk yang hendak memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ pun tidak mengapa, kerana Allah ‎ﷻ tetap terpuji dan tempat untuk berterima kasih. Kalaulah dalam alam ini tiada langsung makhluk yang Allah ‎ﷻ ciptakan, Allah ‎ﷻ masih lagi  mempunyai sifat terpuji itu.

Allah ‎ﷻ berhak dan layak menerima pujian dan syukur. Kita berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ atas segala-galanya. Semua yang dilakukan-Nya adalah Maha hebat. Apabila kita menjadi insan yang sentiasa memuji dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, ia akan mengubah hidup kita. Kita mestilah sentiasa berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ dalam keadaan senang ataupun susah.

Selalunya kita tidak ada masalah untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ ketika senang. Namun selalunya jika kita mempunyai masalah untuk berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ jika di dalam kesusahan. Itu adalah masalah kita.

Sebenarnya dalam keadaan susah pun kita harus mengucapkan الْحَمْدُ juga kerana itulah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita memuji dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan. Alhamdulillah ala kulli hal – segala puji dan syukur kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaanItulah permulaan untuk mengenal agama.

tulisan-alhamdulillah-ala-kulli-hal

Ulama’ mengatakan permulaan untuk mengenali agama adalah dengan mengenal bahawa Allah ‎ﷻ itu layak dipuji dan layak disyukuri. Yang mempunyai masalah untuk mengucapkan الْحَمْدُ adalah mereka yang tidak mempunyai pegangan agama sahaja.

Sebagai contoh, orang atheist yang tidak ada agama, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa ada satu entiti yang layak dipuji dan disyukuri. Mereka rasa bahawa tidak ada Tuhan yang menjadikan mereka, tidak ada Tuhan yang menguruskan hal mereka. Mereka sangka semuanya terjadi dengan sendiri. Ini adalah satu pandangan akal yang amat bodoh sekali.

 

اللهِ

Allah

Allah ‎ﷻ mempunyai banyak nama, tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan nama-Nya اللَّهِ dalam ayat ini. Ayat ini adalah dalam Surah Al-Fatihah, pembuka kepada Al-Qur’an. Surah Al-Fatihah juga memberi pengenalan kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu kalau ada yang hendak mengenal siapakah Tuhan, kita boleh bacakan Surah Al-Fatihah ini kepadanya sebagai permulaan untuk mereka mengenali Allah ‎ﷻ. Ini kerana beginilah Allah ‎ﷻ telah meletakkan cara untuk memperkenalkan Diri-Nya. Maka, hendaklah kita mengikut cara-Nya.

Allah ‎ﷻ mempunyai banyak nama – ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik, al-Mukmin dan berbagai-bagai lagi. Itu semua adalah ‘sifat-sifat Allah’ (juga ia adalah Asmaul Husna tetapi ia berasal daripada nama sifat). Bayangkan, kalau orang bertanya siapakah kita apabila pertama kali bertemu, apakah kita akan cakap? Tentulah kita akan memperkenalkan diri kita dengan nama kita. Kita akan jawab: “Nama saya Husna”, contohnya. Kita tidaklah terus berkata: saya peguam. Ini kerana peguam itu adalah pekerjaan kita. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tidak memperkenalkan Diri-Nya dengan sifat-sifat-Nya, tetapi dengan Nama-Nya.

Dalam kita memuji Allah ‎ﷻ, kita tidak menggunakan sifat-Nya sahaja kerana kalau kita memuji-Nya dengan menyebutkan Nama-Nya ar-Razzak, kita hanya menyentuh sifat-Nya yang memberi rezeki. Lalu bagaimana dengan sifat-Nya yang lain? Oleh itu, apabila kita memuji Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita telah merangkumi semua sifat-sifat-Nya yang mulia itu. Ia adalah satu pernyataan yang sempurna.

Ucapan alhamdulillah ini sangat bernilai. Ia lebih bernilai daripada apa-apa sahaja. Termasuk perkara yang kita dapat sampaikan kita mengucapkan alhamdulillah. Katakan kita dapat satu nikmat daripada Allah ‎ﷻ, sebagai contoh, ada orang memberikan duit kepada kita. Kita pun memuji dan mengucap syukur kepada Allah ‎ﷻ dengan berkata: alhamdulillah. Ucapan itu lebih bernilai daripada wang yang kita dapat itu. Ini kerana wang itu akan habis, tetapi ucapan alhamdulillah itu akan ditulis di dalam Kitab Amalan kita dan akan kekal sampai bila-bila.

Mengucapkan alhamdulillah juga adalah satu nikmat pemberian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Yang tidak diberikan kepada semua makhluk-Nya. Tidak semua makhluk mengucapkan alhamdulillah. Orang kafir langsung tidak mengucapkan alhamdulillah.

Begitu juga orang Islam, kalau mereka bukan jenis yang belajar, bukan jenis yang halus hatinya, tidak biasa mengucapkan alhamdulillah di atas setiap nikmat yang mereka terima. Mungkin kadang-kadang sahaja dia mengucapkannya. Kita pun, kadang-kadang terlupa hendak mengucapkan alhamdulillah. Mungkin kerana kita terlupa, kita tidak sedar atau sebagainya. Bayangkan, Allah ‎ﷻ telah memberikan begitu banyak nikmat tidak terkira banyaknya kepada semua makhluk, tetapi tidak semua makhluk  mampu dan mengingati untuk mengucapkan perkataan yang mulia ini.

Ada juga kalimah pujian lain kepada Allah ‎ﷻ tetapi ada beza dengan kata-kata pujian yang lain:

1. Selain daripada  الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita juga biasa menggunakan kata-kata pujian ini di dalam susunan ayat yang lain. Sebagai contoh, ada juga digunakan perkataan sebegini: ان الحمد لله. innalhamdu lillah. Makna perkataan ini adalah: Sesungguhnya, tidak syak lagi, segala puji dan syukur itu untuk Allah.

Apakah beza dengan menggunakan الْحَمْدُ لِلَّهِ? Bukankah nampak seperti perkataan ان الحمد لله itu lebih kuat lagi maknanya? Kerana ada perkataan ‘inna’ itu yang bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ia selalu digunakan dalam Al-Qur’an sebagai satu penekanan dalam bahasa. Bukankah jika lebih kuat ia bermaksud lebih baik? Memang benar, tetapi Bahasa Al-Qur’an tidak begitu.

Bahasa Al-Qur’an menggunakan bahasa yang tepat pada waktunya dan menyampaikan apa yang hendak disampaikan bersesuaian di tempatnya. Ada masanya kita menggunakan perkataan dan bahasa yang lain untuk menyampaikan maksud kita.

Kadang-kadang kita bercakap untuk menyampaikan maklumat. Kadang-kadang pula kita bercakap untuk menyampaikan emosi kita. Sebagai contoh, apabila kita mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ itu layak disembah kepada seseorang yang lain, kita memberi penekanan kepada orang itu kerana kita menyampaikan maklumat kepadanya. Namun kalau kita hampir dilanggar kereta, dan kita selamat, kita akan sebut الْحَمْدُ ِللهِ sahaja. Itu adalah penyampaian kata-kata dalam bentuk emosi. Menyatakan betapa kita bersyukur kerana kita selamat.

Tidak sama kalau kita hendak menyampaikan maklumat. Kita menggunakan penekanan dalam bentuk ‘inna’ apabila orang yang kita bercakap itu mungkin tidak tahu atau tidak yakin. Sebab itu kita tambah penekanan dalam ayat itu.

Namun dalam Surah Al-Fatihah ini, penggunaan kata الْحَمْدُ ِللهِ adalah kepada manusia yang sedar tentang Allah ‎ﷻ. Mereka tidak akan menentang pernyataan itu. Itu adalah jikalau mereka tidak menentang fitrah kejadian asal mereka: fitrah kejadian manusia memang sudah mengenal Allah ‎ﷻ ketika di alam roh lagi.

Oleh itu, dalam Surah Al-Fatihah ini, tidak sesuai jikalau digunakan perkataan ‘inna’ itu kerana seperti kita bercakap dengan orang yang tidak menerima Allah ﷻ yang layak dipuji dan disyukuri.

2. Ada satu lagi penggunaan kata ini yang disusun dalam bentuk yang lain, yang kita biasa dengar. ولله الحمد. wa lillahil hamd. Maksudnya: dan kepada Allah segala puji dan kesyukuran.

Kali ini Al-Qu’ran menggunakan ayat-ayat yang sama tetapi penggunaan susunan yang terbalik. Ini adalah normal dalam penggunaan nahu bahasa Arab. Apabila digunakan susunan yang seperti ini, ia bermaksud: ‘hanya’ kepada Allah ‎ﷻ segala pujian. Bermakna, ada penambahan makna ‘hanya’ dalam ayat itu.

Dalam surah yang lain di dalam Al-Qur’an pun ada digunakan kata sebegini — iaitu di dalam Jathiya: 36. Namun maksud ayat itu adalah untuk berdebat dengan mereka yang mengamalkan syirik.

Orang yang mengamalkan syirik ini, ada yang sememangnya menyembah Allah ‎ﷻ namun dalam masa yang sama, mereka menyembah juga benda yang lain. Seperti segelintir berlaku di dalam masyarakat kita juga — sembah Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sembah Nabi, wali dan malaikat.

Maka, amatlah sesuai kalau digunakan penekanan kata ‘hanya‘ itu kerana hendak menyampaikan bahawa ‘hanya‘ Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji dan disyukuri. Yang lain-lain hendaklah ditolak.

Namun bukan maksud itu yang hendak disampaikan dalam Surah Fatihah. Surah Fatihah adalah tempat Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dan tidak memperkatakan tentang sembahan-sembahan yang lain. Allah ‎ﷻ tidak mahu pun untuk sebut tentang sembahan-sembahan lain dalam Surah Al-Fatihah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 1 (Kehebatan Basmallah)

Pengenalan Surah al-Fatihah

Surah Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ia diturunkan sebanyak dua kali. Ia adalah surah yang teragung di dalam Al-Qur’an.

Keseluruhan isi kandungan Al-Qur’an secara ringkas berada di dalam Surah Al-Fatihah ini. Kerana itulah ia dinamakan Ummul Qur’an. Maksud/Dakwa Surah Al-Fatihah ini terdapat di dalam ayat: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ. Melalui sebuah Hadith Qudsi, ringkasnya ayat-ayat di dalam keseluruhan Al-Fatihah ini adalah:

Ayat 1 – 3: Pujian-pujian kepada Allah ﷻ.

Ayat 4: Antara kita dengan Allah ﷻ

Ayat 5 – 7: Untuk kita sahaja.

Surah ini dinamakan Al-Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dengan al-Fatihah itu juga dibukakan bacaan di dalam solat.

Ia juga disebut Ummul Kitab, As-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Qur-anul Azhim.

Ia juga dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi ﷺ ada meriwayatkan firman Allah ‎ﷻ dalam Hadith Qudsi: “Aku membahagikan solat antara diri-Ku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah ‎ﷻ berfirman; Aku telah dipuji oleh hamba-Ku.”

Surah ini juga dipanggil As-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat.

Ia juga disebut dengan nama Asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadith: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”

Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadith yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi ﷺ bersabda: “Dari mana engkau mengetahui bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”

Abu Hurairah رضي الله عنه pernah meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Qur’an, maka solatnya itu tidak sempurna, tidak sempurna, tidak sempurna.”

Berikut merupakan Hadith Qudsi yang telah disebut sebelum ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى صَلَاةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ ثَلَاثًا غَيْرُ تَمَامٍ فَقِيلَ لِأَبِي هُرَيْرَةَ إِنَّا نَكُونُ وَرَاءَ الْإِمَامِ فَقَالَ اقْرَأْ بِهَا فِي نَفْسِكَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ { الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ } قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ { إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ } قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Qur’an di dalamnya, maka solatnya masih mempunyai hutang, tidak sempurna” Tiga kali. Ditanyakan kepada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,” Kami berada di belakang imam?” Maka dia menjawab, “Bacalah Ummul Qur’an dalam dirimu, kerana aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Allah berfirman, ‘Aku membahagi solat antara Aku dengan hamba-Ku, dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta. Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.’ Maka Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Pemilik hari kiamat.’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memujiku.’ Selanjutnya Dia berkata, ‘Hamba-Ku menyerahkan urusannya kepada-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Hanya kepada-Mulah aku menyembah dan hanya kepadaMulah aku memohon pertolongan.’ Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta’. Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Berilah kami petunjuk jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang sesat.’ Allah berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta’.
(Sahih Muslim (5362))


Fatihah Ayat 1:

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
In the name of Allah Most Gracious Most Merciful.

(MALAY)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Kata basmallah ini adalah satu lafaz yang amat hebat. Ia tidak diberikan kepada agama-agama lain. Tidak diberikan kepada orang Yahudi dan tidak diberikan kepada agama Kristian.

بِسْمِ اللهِ

Dengan Nama Allah;

Apabila kita kata ‘dengan’, sepatutnya ada ayat sebelum itu. Ada ulama’ yang berkata ayat sebelum itu adalah “Aku mula membaca Al-Qur’an ini adalah….” disambung: ‘dengan nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim’.

Namun yang mengajar kita menyebut kalimat بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ini adalah Tuhan sendiri. Maka adakah Tuhan menyuruh kita baca atau Tuhan yang baca? Jawapannya adalah: Tuhan menyuruh kita baca.

Oleh itu, ayat yang penuh adalah: “Katakanlah, aku membaca surah ini dengan menyebut nama bagi Allah.”

Huruf بِ ‘ba’ dalam بِسْمِ itu adalah sesuatu yang menjadi perbincangan ulama’. Apakah yang dimaksudkan olehnya? Huruf ‘ba’ itu mempunyai banyak kegunaan dalam bahasa Arab. Ulama’ mengatakan terdapat 20 makna yang boleh diambil apabila ada penggunaan ‘ba’ itu.

Perbincangan ulama’ mengatakan bahawa ‘ba’ dalam basmallah ini membawa dua maksud: ba’ musaahabah dan ba’ istiaanah.

Ba’ musaahabah bermaksud mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Bermaksud kita hendak mendekatkan diri ‘dengan’ Allah ‎ﷻ supaya perbuatan yang kita buat itu mendapat keberkatan daripada Allah ﷻ apabila kita membaca basmallah. Ini kerana segala usaha tidak akan membuahkan hasil jika Allah ‎ﷻ tidak mengizinkannya.

Hanya apabila Allah ‎ﷻ mengizinkannya barulah perkara tersebut berlaku. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mengizinkan kita makan, maka kita tidak dapat hendak menyuapkan makanan ke dalam mulut pun.

Kita mengharapkan keberkatan daripada bacaan basmallah sampai kepada usaha kita itu. Dengan berkat Allah ‎ﷻ, perkara yang sedikit boleh menjadi banyak. Sebagai contoh, kalau Allah ‎ﷻ memberi berkat kepada makanan itu, walaupun ia sedikit sahaja, tetapi kita akan kenyang dengan makanan yang sedikit itu dan ia akan memberi tenaga yang banyak kepada kita.

Ba’ istiaanah pula bermaksud kita mengharapkan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ. Semoga dengan izin dan pertolongan Allah ‎ﷻ, usaha kita itu akan berjaya. Kita sebagai manusia yang hina, memang amat mengharapkan pertolongan dari Allah ‎ﷻ. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu tanpa ada pertolongan daripada Allah ‎ﷻ.

Daripada dua makna itu, dapat kita zahirkan di dalam diri kita bahawa Allah ‎ﷻlah sumber barakah dan pertolongan, semenjak mula lagi sebelum kita dapat memulakan usaha tersebut pun.

Nama dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah ‎ﷻ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala bentuk sifat.

Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah merujuk kepada sifat Pemurah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu hanyalah menyentuh tentang sifat Allah ‎ﷻ memberi rezeki sahaja. Akan tetapi apabila kita gunakan nama Allah ‎ﷻ – ia merangkumi semua sifat-sifat Allah ‎ﷻ itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diri-Nya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui daripada kata apakah nama itu berasal. Maka di antara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar.

Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal daripada kata dasar – ar-Rahmah.

الرَّحْمَٰنِ

yang Maha Pemurah

Kalimah ar-Rahman diibaratkan seperti kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Seorang ayah sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi ke sekolah.

Ayah itu sanggup melakukan pelbagai cara untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anaknya itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah sanggup melihat anaknya yang nakal dimasukkan ke dalam penjara hanya kerana menginginkan yang terbaik untuk anak itu dengan harapan semoga dalam penjara dapat mengubah sikap anaknya itu.

Sifat Rahman Allah ‎ﷻ itu sanggup melihat hamba-Nya bersusah payah di dalam ibadat. Contohnya, kita diwajibkan solat lima waktu setiap hari. Kita di Malaysia tidak perlu menghadapi masalah yang besar untuk mengerjakan solat pada bila-bila masa pun.

Namun cuba bayangkan di negara-negara yang beriklim sejuk. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mengambil wudhu’ dan sebagainya. Bayangkan mereka yang perlu berpuasa di kutub utara di dalam kesejukan dan masa yang sangat panjang kerana tempoh masa waktu siang mereka yang panjang. Ia seolah-olah nampak seperti mereka terseksa di dalam melakukan ibadat.

Allah ‎ﷻ sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah di dalam menyampaikan agama-Nya. Sehinggakan ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia sahaja.

Namun kepada mereka di akhirat kelak, lain pula keadaan mereka nanti. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang telah mereka alami semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia.

Sifat Rahman Allah ‎ﷻ ini diberikan kepada seluruh makhluk-Nya, walaupun yang mukmin ataupun tidak. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat-Nya kepada penduduk dunia. Tidak kira sama ada mereka kafir atau tidak.

الرَّحِيمِ

yang Maha Mengasihani

Kalimah ar-Raheem diibaratkan seperti kasih sayang seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya susah. Walaupun anaknya itu adalah seorang penagih dadah. Si ibu tidak akan sanggup melihat anaknya dimasukkan ke dalam penjara. Dia sanggup berbuat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab.

Kalau di dunia, sifat Rahman Allah ‎ﷻ sanggup melihat hamba-Nya kepayahan dalam menjaga agama, tetapi apabila di akhirat nanti, Allah ‎ﷻ yang bersifat Raheem tidak sanggup melihat hamba-Nya yang Dia sayang itu mendapat penyeksaan.

Apabila Dia sudah mengampuni dosa-dosa hamba-Nya, Dia tidak akan bertanya lagi akan kesalahan dan dosa yang pernah mereka telah lakukan. Semuanya akan diampunkan dan dimasukkan hamba itu ke dalam syurga.

Amat berbeza sekali dengan kita sebagai manusia, walaupun kita sudah memaafkan seseorang, namun masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita itu. Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah lakukan terhadap kita. Namun Allah ‎ﷻ tidak begitu. Tidak sama kasih kita dengan kasihnya Allah ‎ﷻ.

Sifat Raheem ini dikatakan oleh ulama’ dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, kita tidak dapat merasa nikmat Raheem Allah ‎ﷻ ini.

Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh melihat bagaimana Allah ‎ﷻ memulakan penggunaan nama-Nya daripada bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifat-Nya.

Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah ‎ﷻ yang diberikan kepada seluruh makhluknya (mukmin ataupun tidak). Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Raheem – sifat pemurah Allah ‎ﷻ yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Allah ‎ﷻ ini.

Para ulama telah sepakat bahawa kalimah basmalah seperti yang terdapat dalam salah satu ayat dalam Surah An-Naml (Ayat 30: اِنَّهٗ مِنْ سُلَيْمٰنَ وَاِنَّهٗ بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ) adalah termasuk sebagai sebahagian daripada surah itu. Namun, mereka berbeza pendapat sama ada basmalah yang tertulis di awal setiap surah itu dianggap sebagai sebahagian daripada ayat-ayat setiap surah atau sekadar kalimah yang berdiri sendiri, bertindak sebagai pemisah di antara satu surah dengan surah yang lain.

Di antara ulama’ yang mengatakan bahawa basmalah adalah ayat daripada setiap surat adalah Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat bahawa basmalah itu bukan termasuk Surah Al-Fatihah dan tidak juga surah-surah lainnya.

Bagi mereka yang mengatakan bahawa basmalah bukan sebahagian daripada Surah Al-Fatihah, maka mereka tidak membacanya secara jahr (kuat) di dalam solat. Memang ada juga hadith yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ tidak membaca basmallah di awal surah.

Namun tidaklah terjadi perbezaan pendapat kerana semua ulama’ telah sepakat bahawa solat orang yang membaca basmallah dengan kuat atau dengan perlahan adalah sah. Maka boleh pilih sama ada hendak membaca basmallah dengan jahr atau sirr, atau tidak dibaca langsung. Boleh buat kajian dan pilih mana pendapat yang dirasakan paling kuat.

Bacaan basmallah dianjurkan untuk dibaca dalam setiap perbuatan kita. Salah satu kehebatan basmallah adalah: ia adalah satu perkataan yang tidak lengkap. Bagaimana pula satu perkara yang tidak lengkap adalah satu kebaikan? Apakah yang dimaksudkan ia tidak lengkap?

Ayat yang lengkap sepatutnya ada subjek dan predikat. Sebagai contoh, apabila ayat berbunyi “saya mahu pergi…”, ia adalah tidak lengkap kerana timbul persoalan, pergi ke mana? Maka susunan basmallah tidak lengkap. Apabila kita sebut “dengan nama Allah”, ia seperti tergantung.

Itu adalah supaya ia boleh digunakan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, “dengan nama Allah, aku hendak makan”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan solat ini”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan membaca Qur’an ini” dan sebagainya. Itulah kehebatan basmallah.

Juga, apabila kita menyebut basmallah sebelum memulakan sesuatu, ia adalah seperti pernyataan daripada kita bahawa kita berbuat sesuatu itu *hanya* dengan nama Allah ‎ﷻ. Tidak ada nama tuhan yang lain. Tidak dengan nama entiti yang lain.

Oleh kerana itu, terdapat elemen ikhlas di situ, di mana kita hanya menggunakan nama Allah ‎ﷻ sahaja. Ini melatih diri kita untuk keluar daripada syirik.  Ini kerana kalau kita merasakan perbuatan kita itu ditolong atau dibantu oleh entiti lain, itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang lain. Jangan kita katakan, sebagai contoh, “demi rakyat, kita melakukan ini dan itu”, atau kita kata, “dengan berkat tok syeikh ini dan itu, kita berjaya sampai ke sini dan sebagainya”. Itu adalah kata-kata yang salah.

Begitu juga, kalau kita faham makna basmalah ini, kita akan sedar bahawa setiap kali kita sebut basmallah ketika ingin memulakan sesuatu, kita sebenarnya berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Maka, ia adalah satu perkara ibadat kerana doa adalah ibadat.

Ia adalah juga satu bentuk zikir kerana kita sentiasa ingat Allah ‎ﷻ dalam kita memulakan sesuatu. Walaupun pada zahirnya, perbuatan yang kita lakukan itu bukanlah satu bentuk ibadat yang khusus. Kalau solat, sememangnya ia adalah ibadah yang khusus. Namun bagaimana dengan makan, naik kenderaan, keluar rumah dan sebagainya?

Dengan menyebut basmallah, kita telah memasukkan elemen zikir ke dalam amalan kita. Dengan sentiasa menyebut basmallah, kita telah melakukan zikir kepada Allah ‎ﷻ kerana kita ingat kepada Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Oleh itu, semasa kita menyebutkan basmallah, hendaklah kita lahirkan dalam hati kita dan sepenuh pemahaman bahawa kita sedang menyebut nama Allah ‎ﷻ di situ.

Apabila kita sedar tentang perkara ini, secara automatik kita akan menilai sama ada perbuatan yang kita hampiri itu adakah halal ataupun tidak. Sebagai contoh, tidak ada orang yang memulakan menghisap rokok dengan basmalah. Tidak ada orang yang menyebut basmallah sebelum berzina.

Mereka sendiri mengetahui bahawa perbuatan-perbuatan tidak bermoral itu bukanlah perbuatan yang mulia atau baik, maka mereka tidak menyebut basmalah sebelum memulakannya.

Maka, sepatutnya, apabila kita sudah selalu menyebut bismillah dalam setiap perbuatan kita, kita akan rasa canggung apabila tidak dapat menyebut basmallah dalam perbuatan kita yang lain. Maka, sekurang-kurangnya itu dapat menghindari diri kita daripada melakukan perbuatan maksiat.

Dengan sentiasa menyebut basmallah, akan timbul perasaan yang semakin sayang kepada Allah ‎ﷻ kerana kita sedar bahawa hanya dengan pertolongan Allah ‎ﷻ lah segala usaha kita akan membuahkan hasil.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Yaasin Ayat 64 – 66 (Anggota tubuh bercakap)

Yaasin Ayat 64:

اصلَوهَا اليَومَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

 Sahih International

[Enter to] burn therein today for what you used to deny.”

Malay

“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

 

اصْلَوْهَا الْيَوْمَ

Masuklah kamu ke dalam neraka pada hari ini

Perkataan اصْلَوْ adalah kata khas yang digunakan untuk membawa maksud ‘masuk dalam api’. Jadi ia bukan bermaksud masuk sahaja seperti masuk dalam bilik, tetapi sebenarnya masuk ke dalam api. Sama ada ahli neraka itu masuk sendiri atau mereka dimasukkan ke dalam neraka oleh malaikat. Bayangkan, ada manusia yang akan masuk sendiri ke dalam neraka walaupun mereka tahu itu adalah api yang menyala. Ini adalah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Apabila Allah ‎ﷻ arahkan, mereka kena patuh. Di dunia mereka tidak patuh tetapi di akhirat nanti mereka akan taat sungguh, kerana tidak ada pilihan lain. Hanya di dunia sahaja Allah ‎ﷻ beri kebenaran untuk memilih jalan mana yang mereka hendak pilih. Tiada lagi pilihan di akhirat kelak.

Sekali lagi perkataan الْيَوْمَ digunakan – untuk menyuruh kita membayangkan keadaan pada hari itu adalah dekat sahaja. Kalau kita dapat bayangkan, ia akan memberi kesan mendalam kepada kita.

 

بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu dulu kufur;

Bukanlah Allah ‎ﷻ sengaja hendak memasukkan mereka ke dalam neraka tetapi kerana kesalahan mereka sendiri iaitu kufur kepada ajakan tauhid semasa hidup di dunia. Mereka tidak belajar pun tentang tauhid sedangkan ilmu tauhidlah yang patut diajar kepada umat Islam sekarang. Iaitu tauhid yang berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah Nabi (bukannya belajar Sifat 20). Namun malangnya, kalau ada yang mengajak kepada kebenaran, bermacam-macam tohmahan akan dikeluarkan, antaranya mereka akan kata kita Puak Wahabi, pemecah belah masyarakat dan sebagainya. Macam-macam mereka akan kutuk dan tohmah kita.

Ayat ini hendak mengatakan bahawa mereka masuk neraka itu adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri. Mereka kufur dengan Allah ‎ﷻ. Mereka ingkar untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan ajaran Rasul. Waktu itu mereka tidak boleh salahkan orang lain. Mungkin semasa mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan membantah kenapa mereka dimasukkan ke dalamnya. Waktu itu akan dikatakan kepada mereka: ‘dengan sebab kamu dulu kufur’.


 

Yaasin Ayat 65:

اليَومَ نَختِمُ عَلىٰٓ أَفوٰهِهِم وَتُكَلِّمُنآ أَيديهِم وَتَشهَدُ أَرجُلُهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

 Sahih International

That Day, We will seal over their mouths, and their hands will speak to Us, and their feet will testify about what they used to earn.

Malay

Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

 

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَٰهِهِمْ

Pada hari ini (di Mahsyar), Kami akan kunci mulut mereka;

Mulut manusia bukan lagi di dalam kuasa tuannya lagi pada hari itu. Ada ketika Allah ‎ﷻ tutup mulut-mulut mereka. Ini adalah kerana ada orang-orang kafir dan munafik yang akan cuba mengatakan bahawa mereka tidak buat kesalahan-kesalahan yang dibentangkan kepada mereka. Mereka akan sentiasa mengambil peluang untuk menipu walaupun di hadapan Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ akan menutup mulut lisan mereka.

Ada ketika Allah ‎ﷻ tidak tutup mulut mereka tetapi halau mereka kerana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap. Ini kita boleh lihat dalam Mukminoon: 108. Jadi ia adalah dalam keadaan berbeza. Maknanya bukanlah sepanjang masa mereka tidak boleh bercakap.

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah ﷻ berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

Jadi bukanlah sepanjang masa mereka tidak boleh berkata-kata. Ada masa mereka ditanya dan mereka diberi peluang untuk memberi alasan dan hujah. Inilah cara Allah ‎ﷻ menunjukkan keadilan iaitu manusia diberi hak untuk bersuara. Lihat An’am: 22

وَيَومَ نَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ نَقولُ لِلَّذينَ أَشرَكوا أَينَ شُرَكاؤُكُمُ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ
Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah)?”

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ berkata terus dengan mereka. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak bercakap lagi dengan mereka, sebaliknya membahasakan diri mereka sebagai pihak ketiga. Ini kerana mereka telah masuk ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ sudah tidak mahu bercakap dengan mereka.

 

وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ

maka berkata kedua-dua tangan mereka; 

Sekarang Allah ‎ﷻ beri saksi yang paling hebat sekali iaitu tubuh badan pelaku sendiri. Ini kerana tubuh badan ini sentiasa ada bersama dengan pelaku. Kalau kawan baik pun, tidak sentiasa ada dengan kawan dia. Akan tetapi kalau tubuh badan, tubuh badan itu sendiri yang buat dosa (atas arahan tuannya). Allah ‎ﷻ akan tutup mulut pelaku dosa dan apabila mulut mereka ditutup, maka anggota badan pula yang akan bercakap menjadi saksi atas perbuatan tuannya. Tangan akan jadi pendakwaraya pula kepada tuannya. Bukan tangan mereka sahaja yang akan berkata, malah pendengaran, penglihatan dan kulit mereka juga akan berkata-kata.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut tangan yang bercakap? Kerana banyak dosa itu dilakukan oleh tangan kalau dibandingkan dengan kaki. Kerana itu tangan banyak disebut apabila kerosakan disebut seperti di dalam Rum: 41

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan (usaha) manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Oleh kerana itulah perbuatan Abu Lahab dinisbahkan kepada tangannya walaupun bukanlah tangannya sahaja yang berdosa. Lihat Masad: 1

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

 

وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ

dan menjadi saksi kaki-kaki mereka; 

Yang berkata adalah tangan, dan kaki akan menjadi saksi bagi apa yang dikatakan oleh tangan itu. Tangan cakap dan kaki kata: ya, betul, betul. Di dalam ayat ini hanya disebut tangan yang berkata dan kaki jadi saksi. Namun di dalam ayat lain ada disebut anggota tubuh yang lain pula. Ini disebut dalam Fussilat: 20

حَتَّىٰٓ إِذَا مَا جَآءُوهَا شَہِدَ عَلَيۡہِمۡ سَمۡعُهُمۡ وَأَبۡصَـٰرُهُمۡ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٢٠)
Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (20)

Di dalam Nur: 24 ada disebut anggota yang lain pula,

يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيديهِم وَأَرجُلُهُم بِما كانوا يَعمَلونَ
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Ayat ini tambah lidah pula, tetapi bukankah mulut ditutup? Ya, mulut ditutup itu maksudnya ia bukan lagi di dalam kuasa tuannya. Sekarang lidah itu akan bercakap yang benar. Kerana lidah itu pun pernah diarah untuk menipu dan sebagainya. Kalau kita senaraikan, ada 6 anggota sekali terlibat sebagai saksi dalam perbicaraan tuannya.

1. Kaki
2. Pendengaran
3. Penglihatan
4. Kulit
5. Lidah
6. Tangan

Malah di dalam Isra’: 36, ditambah lagi dengan hati. Walaupun ia bukan anggota tetapi ia juga turun disoal dan kalau disoal, kenalah jawab.

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Begitulah nanti kejadian di akhirat yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita supaya kita beringat. Sampaikan anggota badan yang kita sekarang boleh kuasai pun akan diberi kebebasan untuk bersuara dengan bebas. Tuannya nanti akan marah kepada tubuh badannya kenapa bercakap kepada Allah ‎ﷻ dan bocorkan rahsia dia. Ini seperti disebut di dalam Fussilat: 21

وَقَالُواْ لِجُلُودِهِمۡ لِمَ شَهِدتُّمۡ عَلَيۡنَا‌ۖ قَالُوٓاْ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَنطَقَ كُلَّ شَىۡءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ (٢١)
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). (21)

Apakah kesan yang sepatutnya kepada kita apabila telah membaca dan faham ayat ini? Seorang mutadabbir mengatakan: “Saya pernah dalam perjalanan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral, dan tiba-tiba saya teringat yang aku akan berdiri di hadapan Allah dan saya teringat ayat ini: { ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ } “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” Jadi saya mengubah jalan saya dan kembali ke rumah, dan saya bersyukur kepada Allah ta’ala atas rahmat-Nya yang melindungi saya daripada salah satu dosa besar kerana tadabbur pada ayat ini.”

Menarik satu pendapat yang diberikan oleh Prof Dr. HAMKA tentang ayat ini. Beliau membandingkan di dunia ini juga kadang-kadang manusia ‘bercakap’ bukan dengan mulutnya tetapi dengan tindakan dan perlakuannya. Tingkah laku seseorang, cara dia berjalan, kadangkala memberi indikasi siapakah orang itu. Kalau seseorang itu naik kereta yang hebat dan nombor plat pun dua digit, itu menandakan dia seorang yang kaya raya. Cara perawakan seseorang dan mimik muka seseorang juga boleh memberi isyarat yang seseorang itu seorang terpelajar atau tidak, seorang yang peramah atau tidak. Begitu juga cara berpakaian dan cara pembawaan diri seseorang itu.

Malah, orang mukmin juga diberikan pandangan yang dinamakan firasat فِرَاسَة. Firasat merujuk kepada intuisi, gerak hati, atau pandangan tajam yang memungkinkan seseorang memahami perkara tersembunyi atau hakikat sesuatu melalui tanda-tanda luaran atau gerak hati. Ia adalah semacam ketajaman batin. Ini bukan ramalan masa depan, tetapi kemampuan untuk membaca situasi, karakter, dan niat seseorang dengan lebih mendalam. Pendapat ini dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ.”
“Berhati-hatilah (waspadalah) terhadap firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah.”
(Jami’ At-Tirmidzi (No. 3127) – Imam Tirmidzi mengatakan hadith ini gharib (asing) dan ada perbahasan mengenainya. Disebutkan juga oleh Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (No. 7695).

Catatan mengenai status hadith: Status hadith ini adalah dhaif (lemah) dari sudut sanadnya pada pandangan majoriti ulama hadith, termasuk Imam Tirmidzi sendiri yang menilainya sebagai gharib dan mengatakan ada perbahasan mengenainya. Namun, maknanya dianggap sahih dan disokong oleh ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith lain yang berbicara tentang taufik, hidayah, dan hikmah yang diberikan kepada orang-orang soleh.

Syarah:

    • Ungkapan “berhati-hatilah” di sini bermaksud berilah perhatian, jangan remehkan, atau jangan abaikan firasat orang mukmin.
    • Ia juga boleh diertikan sebagai waspadalah jika firasat mereka terhadap anda adalah negatif, kerana itu mungkin tanda bahawa ada sesuatu yang tidak betul pada diri anda yang Allah ‎ﷻ tunjukkan melalui hati mukmin tersebut.
    • Ini adalah dorongan untuk menghargai intuisi orang-orang yang soleh dan bertaqwa, kerana pandangan mereka seringkali tepat dan berlandaskan petunjuk ilahi.

Ayat yang menjadi sandaran adalah Hijr: 75

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّلمُتَوَسِّمينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat Hijr: 75 ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

I. Ibn al-Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Mujahid berkata, ‘ (Mereka adalah) Para ahli firasat.”

II. Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”

III. Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”

IV. Muqatil رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang Mukmin, sebahagian daripada kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian daripada buah-buah keimanan, dan sebahagian daripada pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

terhadap apa yang dulu mereka lakukan;

Mereka akan terpaksa mengaku semua. Tidak boleh dielak lagi kerana memang anggota badan mereka itu terlibat dalam perbuatan tuannya itu. Semasa di dunia, mereka telah melakukan banyak perkara yang salah dari segi akidah dan amalan, maka mereka akan mendapat balasan yang amat buruk atas perbuatan mereka itu.  Kita pun sudah tahu apa yang Musyrikin Mekah telah buat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah mentertawakan Nabi Muhammad ﷺ apabila ahli keluarga baginda mati (anak lelaki baginda). Mereka menolak dakwah baginda mentah-mentah. Mereka juga tidak membenarkan Nabi ﷺ berdakwah kepada masyarakat. Dan bermacam-macam lagi perkara buruk yang mereka telah buat.

Kenapa Allah ‎ﷻ tutup mulut pelaku dosa itu? Golongan  musyrikin dan munafik memang akan mencari jalan untuk menidakkan kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam An’am: 23

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ
Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain daripada mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan seperti yang disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ دَنَا الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ كَنَفَهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَلَمْ أَفْعَلْ بِكَ كَذَا وَكَذَا؟ أَلَمْ أَفْعَلْ بِكَ كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: بَلَى يَا رَبِّ. فَيَقُولُ اللَّهُ: أَلَمْ أَسْتُرْ عَلَيْكَ كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: بَلَى يَا رَبِّ. فَيَقُولُ اللَّهُ: فَمَا تَقُولُ فِي كَذَا وَكَذَا؟ فَيَقُولُ الْعَبْدُ: يَا رَبِّ، لَمْ أَفْعَلْهُ. فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: فَأَيْنَ شُهُودُكَ؟ فَيَقُولُ: مَا أَشْهَدُ بِشَيْءٍ. فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: الْآنَ تَشْهَدُ عَلَيْكَ أَعْضَاؤُكَ. فَتَنْطِقُ الْأَعْضَاءُ بِكُلِّ شَيْءٍ فَعَلَهُ. فَيُقَالُ: أَبْعَدَكَ اللَّهُ وَأَسْحَقَكَ! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَذَلِكَ الْبَهْلَةُ لِقَوْمٍ سَبَقَ عَلَيْهِمْ قَضَاءُ اللَّهِ.”
“Apabila tiba Hari Kiamat, seorang hamba akan mendekati Tuhannya sehingga Allah meletakkan perlindungan-Nya kepadanya (yakni, mengadilinya secara langsung). Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Tidakkah Aku telah melakukan ini dan itu kepadamu? Tidakkah Aku telah melakukan ini dan itu kepadamu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya, Tuhanku.’ Lalu Allah berfirman: ‘Tidakkah Aku telah menutupi (dosamu) ini dan itu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya, Tuhanku.’ Lalu Allah berfirman: ‘Maka apa yang engkau katakan mengenai ini dan itu?’ Maka hamba itu menjawab: ‘Ya Tuhanku, aku tidak melakukannya.’ Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Di manakah saksi-saksimu?’ Maka dia berkata: ‘Aku tidak mempunyai saksi apa-apa.’ Lalu Allah Ta’ala berfirman: ‘Sekarang, anggota-anggota tubuhmu akan bersaksi atas dirimu.’ Maka anggota-anggota tubuh itu akan berbicara tentang segala sesuatu yang telah dilakukannya. Lalu dikatakan (kepada hamba itu): ‘Allah menjauhkanmu dan menghancurkanmu!’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Dan itulah kebingungan bagi suatu kaum yang telah ditetapkan ke atas mereka ketentuan Allah (untuk masuk neraka).'”
Sahih Muslim: Kitab Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, Bab: Hadith Jabir At-Tawil wa Hadith Abi Said (No. 2969)

Di dalam hadith yang lain ada disebut lagi tafsiran bagi ayat 65 ini. Hadith ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}. وَقَالَ: “إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَنْكَرَ ذَنْبَهُ أَوْ شَيْئًا مِنْ ذَنْبِهِ يَقُولُ: أَيْ رَبِّ، أَلَمْ تُجِرْنِي مِنَ الظُّلْمِ؟ فَيَقُولُ: بَلَى. فَيَقُولُ: فَإِنِّي لَا أُجِيزُ عَلَى نَفْسِي إِلَّا شَاهِدًا مِنِّي. فَيَقُولُ: كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ شَهِيدًا، وَبِالْكِرَامِ الْكَاتِبِينَ شُهُودًا. ثُمَّ يُخْتَمُ عَلَى فِيهِ، وَيُقَالُ لِفَخِذِهِ: انْطِقِي. فَتَنْطِقُ بِمَا عَمِلَ. ثُمَّ لِسَاقِهِ، ثُمَّ لِذِرَاعِهِ، ثُمَّ لِرِجْلِهِ.”
Bahawasanya Nabi ﷺ membaca ayat ini: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Yaasin: 65). Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba apabila dia mengingkari dosanya atau sebahagian daripada dosanya, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, bukankah Engkau telah menyelamatkan aku daripada kezaliman?’ Allah berfirman: ‘Ya, benar.’ Dia (hamba itu) berkata: ‘Maka sesungguhnya aku tidak akan menerima saksi atas diriku kecuali daripada diriku sendiri.’ Maka Allah berfirman: ‘Cukuplah dirimu pada hari ini sebagai saksi atas dirimu, dan (cukuplah) malaikat-malaikat yang mulia (Kiraman Katibin) sebagai saksi.’ Kemudian mulutnya akan dikunci, dan dikatakan kepada pahanya: ‘Bicaralah!’ Maka pahanya pun berbicara tentang apa yang telah dia lakukan. Kemudian kepada betisnya, kemudian kepada lengannya, kemudian kepada kakinya.”
(Sahih Muslim No. 2968)

Di dalam ayat ini digunakan kalimah يَكْسِبُونَ yang diterjemahkan secara ‘yang mereka lakukan’. Namun ada lagi kalimah lain untuk menyebut tentang perbuatan. Dalam bahasa Arab, terutamanya dalam konteks Al-Qur’an dan ilmu agama, perkataan كسب (kasb), فعل (fi’l), dan عمل (‘amal) semuanya merujuk kepada perbuatan atau tindakan, tetapi setiap satu memiliki nuansa makna dan konotasi yang sedikit berbeza. Memahami perbezaan ini adalah penting untuk tafsiran Al-Qur’an yang lebih tepat.

1. فِعْل adalah perkataan yang paling umum dan luas maknanya untuk merujuk kepada sebarang tindakan, kejadian, atau perbuatan. Ia boleh berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Boleh digunakan untuk manusia, haiwan, atau benda mati. Ia tidak semestinya melibatkan niat atau tujuan tertentu. Maknanya ia tidak semestinya dilakukan dengan pengetahuan atau kesedaran penuh. Contoh: Batu berguling, hujan turun, seseorang tersandung. Dalam Al-Qur’an, ia digunakan secara umum untuk merujuk kepada tindakan Allah ‎ﷻ atau manusia.

2. عَمَل adalah perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat, tujuan, kesedaran, dan pilihan. Ia lebih spesifik daripada فِعْل. Ia merujuk kepada perbuatan yang melibatkan usaha dan kesengajaan dari pelaku. Ia hanya datang daripada makhluk berakal (manusia atau jin) dan dilakukan dengan kesedaran, niat, dan tujuan. Biasanya melibatkan pengulangan atau kesinambungan (tidak hanya sekali berlaku) dan boleh dinilai sebagai baik (soleh) atau buruk (sayyi’). Dalam Al-Qur’an, ia sering digunakan dalam frasa “amal soleh” (perbuatan baik) atau “amal sayyi'” (perbuatan buruk), kerana ia merujuk kepada perbuatan yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

3. كَسْب seperti yang digunakan di dalam ayat ini merujuk kepada perbuatan atau usaha yang dilakukan oleh seseorang yang mendatangkan hasil, ganjaran, atau balasan kepadanya, sama ada baik atau buruk. Ia menekankan aspek tanggungjawab dan perolehan dari perbuatan itu. Ia adalah jenis perbuatan yang mana pelakunya akan memperoleh manfaat atau mudarat daripadanya. Maka apabila ia digunakan, ia hendak menekankan aspek kebertanggungjawaban individu terhadap perbuatannya. كَسْب sering dikaitkan dengan niat dan pilihan yang akan membawa kepada hasil. Dan ia juga boleh merujuk kepada perolehan atau pendapatan, iaitu hasil daripada usaha. Dalam Al-Qur’an, كَسْب sering digunakan untuk menunjukkan bahawa setiap jiwa akan dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya.


 

KUASA ALLAH ‎ﷻ KE ATAS PARA PENENTANG

Yaasin Ayat 66: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Golongan penentang mengancam para Rasul seperti yang kita telah baca di awal surah ini. Jadi ayat ini seolah-olah Allah ‎ﷻ menjawab: apa kamu sangka kamu sahaja boleh mengancam?

وَلَو نَشآءُ لَطَمَسنا عَلىٰٓ أَعيُنِهِم فَاستَبَقُوا الصِّرٰطَ فَأَنّىٰ يُبصِرونَ

Sahih International

And if We willed, We could have obliterated their eyes, and they would race to [find] the path, and how could they see?

Malay

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

 

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ

Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami butakan mata-mata mereka;

Allah ‎ﷻ boleh sahaja butakan mata mereka semasa mereka di muka bumi lagi sebagai balasan atas kesalahan besar yang mereka telah lakukan. Kesalahan yang dimaksudkan adalah mereka menolak kebenaran.

Perkataan طَمَسْ itu bermaksud ‘memadam sesuatu’. Seperti kalau kita tulis dengan pensel, dan kita cuba padam dengan pemadam getah. Walaupun kita telah padam, tetapi akan ada kesannya lagi. Ini lebih teruk lagi daripada membutakan (أعمى) kerana kalau buta, masih ada mata dan biji mata lagi, tetapi kalau طَمَسْ yang digunakan, ia bermaksud bentuk mata pun tidak ada lagi, licin sahaja di bahagian mata itu!

Namun begitu, bukanlah Allah ‎ﷻ maksudkan mata fizikal di sini tetapi mata hati. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hajj: 46

فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ
Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Begitulah Allah ‎ﷻ boleh buat kepada mata mereka yang telah menolak dan mengejek-ngejek Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak akan ada peluang lagi untuk mendapat hidayah.

Nota: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَاسْتَبَقُوا الصِّرٰطَ

Mereka akan berlumba-lumba mencari jalan;

Mereka cuba untuk cari jalan, tetapi mereka tidak akan jumpa kebenaran itu kerana mereka telah dibutakan mata mereka. Itulah yang akan terjadi kalau Allah ‎ﷻ butakan mata hati mereka. Maka Allah ‎ﷻ tidak lakukan, Allah ‎ﷻ masih lagi beri peluang untuk mereka mendapatkan hidayah.

Ayat ini juga boleh menjadi takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat). Oleh itu maksud الصِّرٰطَ kenalah ditafsirkan sebagai jalan di Titian Sirath di akhirat kelak.

 

فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ

macam mana lagi mereka dapat melihat;

Mereka sudah tidak dapat melihat dalil bukti daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak nampak dalil bukti walaupun apabila mereka diberitahu. Kadang-kadang orang lain yang ada bersama mereka dapat faham, tetapi mereka sendiri tidak faham. Itu adalah kerana mata-hati mereka telah dibutakan. Ini dinamakan ‘khatmul qalbi’ (penutupan hati) kerana mereka telah sampai ke peringkat kufur peringkat ke-empat. Mereka dikenakan begini kerana mereka degil dan menentang kebenaran.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 21 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 179 – 182 (Tentang Wasiat)

Baqarah Ayat 179: Sekarang Allah ‎ﷻ bertitah kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas kerana tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan dalam negara. Keamanan negara dapat ditegakkan apabila hukum Allah ﷻ dijalankan.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu manfaat menjaga hukum Qisas itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang ada kebaikan di dalam hukum Qisas. Malangnya, kerana kita tidak ikut saranan Allah ‎ﷻ inilah yang menyebabkan institusi negara menjadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan terhadap mereka.

وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Sahih International

And there is for you in legal retribution [saving of] life, O you [people] of understanding, that you may become righteous.

 

Malay

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

 

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ

Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;

Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh menikmati kehidupan yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Begitulah indahnya hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Namun begitu guru sekarang kebanyakannya hanya bercerita tentang hukum puasa, solat, wudhu’ dan sebagainya. Hanya berulang-ulang diajar bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Maka ramai yang jahil akan bab ini. Maknanya masyarakat kita banyak tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid sangka mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.

Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan Pemaafan yang utama. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut untuk mengambil nyawa orang lain. Maka secara langsung dunia akan menjadi lebih aman. Kerajaan tidaklah boleh terus pergi kepada Diyat dan minta ahli keluarga maafkan. Mereka mesti diberi pilihan untuk membunuh si pembunuh. Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, namun dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.

Penentang kepada hukum ini mengatakan yang hukum ini tidak masuk akal. Mereka kata ia hanya membanyakkan orang yang terbunuh sahaja. Mulanya ada seorang dibunuh dan kemudian dibunuh lagi pembunuh itu. Jadi 1 + 1 = 2 orang yang terbunuh. Mereka tidak faham yang sebenarnya dalam kes ini 1 + 1 = 0. Ini adalah kerana hukuman Islam bukannya hendak menghukum sebenarnya akan tetapi menghalang (deterrent). Apabila manusia tahu yang kalau mereka membunuh dengan sengaja akan menyebabkan mereka pun dibunuh, maka ia akan menghalang mereka daripada membunuh. Maka kadar pembunuhan di dunia ini akan berkurang kalau tidak terhapus pun. Namun begitu oleh kerana sekarang hukuman bunuh dihapuskan, maka manusia tidak takut untuk membunuh kerana paling kuat pun mereka masuk penjara sahaja dan dapat makan percuma dan tidak perlu bayar sewa rumah lagi. Kita pembayar cukai pula yang kena tanggung penjenayah-penjenayah ini.

 

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berfikiran waras

Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini. Kamu telah dinaikkan menjadi pemimpin maka hendaklah menggunakan langkah bijak amalkan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.

Kalimah ٱلأَلبَـٰبِ daripada kata dasar: ل ب ب yang bermaksud mempunyai fikiran yang tajam, mempunyai hati yang baik, lembut dan penyayang, pandai, bijak, mempunyai intelek yang tinggi, akal. Jadi untuk faham falsafah dan kelebihan undang-undang Islam ini memerlukan akal yang bijak dan tajam. Ada yang dangkal akalnya sampai mengatakan hukum syariat Islam ini ‘barbarian’, tidak sesuai zaman sekarang. Mereka hendak supaya hukum bunuh dihapuskan terus kerana bagi mereka, itu tidak adil. Kesian kepada nyawa orang, mereka kata. Yang mereka tidak fikirkan adalah tentang keadilan kepada keluarga si mati. Apa mereka itu tidak selayaknya dapat keadilan? Kenapa hendak dijaga nyawa si pembunuh? Supaya dipenjara sekian waktu dan biarkan dia membunuh lagi? Ada orang yang langsung tidak boleh diubah lagi mentaliti mereka sebagai pembunuh, maka jalan terbaik adalah untuk matikan sahaja mereka supaya mereka tidak dapat membunuh orang lain lagi.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.

Allah ‎ﷻ telah beri banyak pengajaran dan hukum kepada kita supaya kita ambil tahu. Tujuannya supaya kita dapat menjaga hukum dan dengan itu kita  dapat menyelamatkan diri kita, masyarakat dan negara daripada porak peranda.


 

HUKUM WASIAT

Baqarah Ayat 180: Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sedikit kesulitan dengan ayat ini kerana ada ulama’ berpendapat yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan. Ia adalah tentang Hukum Wasiat.

Apabila terjadi kematian, antara perkara yang penting yang perlu diberi perhatian adalah tentang pembahagian harta pusaka dan tentang wasiat. Ini penting untuk menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta.

Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Al-Qur’an. Dalam ‘ayatul birr’, ia adalah tentang individu (apa yang individu kena buat). Kemudian dalam Qisas, ia adalah tentang menjaga keamanan negara. Al-Qur’an menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, daripada individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang situasi yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.

كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا ٱلوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ وَٱلأَقرَبِينَ بِٱلمَعرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلمُتَّقِينَ

Sahih International

Prescribed for you when death approaches [any] one of you if he leaves wealth [is that he should make] a bequest for the parents and near relatives according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

 

Malay

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

 

كُتِبَ عَلَيْكُمْ

Ditetapkan ke atas kamu

Ia adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini. Oleh kerana kalimah كُتِبَ yang digunakan, maka sesetengah ulama’ mengatakan yang wasiat adalah wajib. Akan tetapi sesetengah yang lain mengatakan ia hanya sunat sahaja.

Cuma ia menjadi wajib apabila seseorang itu berhutang, memberi hutang atau pun menjaga barang orang lain sebagai amanah.

Apabila hendak berwasiat, maka hendaklah ada saksi yang menyaksikan perkara itu seperti disebut di dalam Maidah:106

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ ۚ تَحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۙ وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.

 

إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

ketika telah sampai (tanda-tanda) kematian salah seorang daripada kamu,

Iaitu apabila sudah sampai tanda-tanda hendak mati. Mungkin dia jatuh sakit dan dia sangka sakitnya ini akan membawa kepada kematian. Atau kalau seseorang itu sudah tua, sudah dekat dengan kubur. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah. Maka wasiat mesti dilakukan sebelum mati. Kena buat persediaan sebelum mati. Malah ada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏
“Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”
(Riwayat Bukhari No. 2438 dan Muslim No. 1627)

Kita tidak tahu bilakah kita akan mati seperti disebut di dalam Luqman: 34

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ
Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.

Oleh itu kita kena bersedia untuk mati dan berwasiat seawal mungkin.

 

إِنْ تَرَكَ خَيْرًا

jika dia ada meninggalkan harta yang banyak,

Di sini kalimah خَيْرًا diterjemahkan sebagai harta yang banyak, bukan sedikit. Kerana itu tidak digunakan kalimah المال (harta) di sini. Ini seperti juga penggunaan di dalam Aadiyaat: 8

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ
dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada harta yang banyak.

Selalunya, jikalau seseorang itu mempunyai banyak harta yang telah dikumpulkan dan jika harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan mengikut apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga. Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali. Maka kena berhati-hati dalam hal harta juga.

 

الْوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ

hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya

Jika dia akan meninggalkan harta, dia hendaklah pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.

Ini terjemahan pertama ayat ini: seseorang yang hampir mati hendaklah mewasiatkan supaya hartanya dibahagikan mengikut faraid. Ini kerana penerima pusaka (ahli keluarga) tidak boleh menerima wasiat. Maka dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu mengikut hukum Faraid. Jangan pula ikut cara lain seperti pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.

Tafsir yang kedua pula mengatakan memang ayat ini merujuk kepada wasiat harta kepada ibu dan bapanya. Akan tetapi ada hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sesungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210, dan Ahmad No. 286)

Kerana itulah ada pendapat yang mengatakan ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat Nisa’:11

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang daripada keduanya: satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Di dalam Nisa’:11 ini telah disebut dengan jelas bahagian faraid bagi ibubapa. Kerana itu ada pendapat yang mengatakan ayat Baqarah:180 ini telah dimansukhkan. Akan tetapi pendapat yang lain dan lebih mengatakan ia tidak dimansukhkan. Ayat Baqarah: 180 ini masih lagi boleh digunakan untuk mewasiatkan harta kepada ibubapa yang bukan Muslim. Ini kerana non-Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada orang Islam. Ini seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ
Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 6764 dan Muslim No. 1614)

Oleh kerana ibubapa non-Muslim tidak boleh mewarisi harta anaknya melalui faraid, maka seorang anak yang tentu menyayangi ibubapanya boleh berwasiat untuk mereka. Cuma wasiat hanya setakat 1/3 harta sahaja. Ini supaya tidak menzalimi pewaris. Sebab kalau beri banyak sangat, maka ia akan mengurangkan harta pusaka. Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa dia bertanyakan Rasulullah ﷺ bolehkah dia berwasiat seluruh dan separuh hartanya tetapi dilarang. Sabda Rasulullah ﷺ:

فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ
Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya, jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan manusia.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 2742 dan Muslim No. 1628)

 

 

وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang baik dan sesuai;

Ini pula adalah bagi ahli keluarga yang terdekat seperti pakcik dan makcik. Jadi, ada dua tafsir bagi ayat ini. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat (kena pesan bagi ingat) supaya ahli keluarga mengikut Hukum Faraid. Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir, masih boleh mewasiatkan harta kepada mereka. Namun kena ingat yang ia hanya boleh diwasiatkan kepada asbabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tetapi tidak boleh terima disebabkan berlainan agama. Mengikut pendapat ini tidak boleh berwasiat kepada orang lain pula.

Ada juga pendapat yang kata boleh wasiat kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, kepada anak tiri, anak angkat, malah kepada orang lain pun. Mungkin dia hendak beri kepada mana-mana persatuan contohnya.

Perkataan بِالْمَعْرُوفِ di sini bermaksud ikut syariat. Maka boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, namun setakat 1/3 daripada keseluruhan hartanya. Tidak boleh lebih daripada itu. Ini difahami daripada hadith yang kita telah kongsikan di atas.

Penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah kerana hukum pembahagian harta pusaka sudah ada dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak mengikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Sebagai contoh, ada negeri yang mengamalkan pembahagian harta mengikut Adat Perpatih. Maka, ketahuilah bahawa cara adat perpatih itu adalah ingkar kepada arahan Allah ‎ﷻ kerana mereka memberikan harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah menolak beberapa ayat Al-Qur’an. Akan tetapi dek kerana tidak mementingkan ayat Al-Qur’an, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.

Kalau harta itu diberi semasa hidup, tidak termasuk dalam harta pusaka (ini dipanggil hibah). Kalau hendak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Oleh itu, kalau hendak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu sudah hendak mati baru teringat hendak beri.

Namun begitu, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda bertanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?” Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya. Kerana kata-kata terakhir yang kita sebut akan dipegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan hendak ingat tentang harta benda sahaja.

 

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Ini adalah satu ketetapan ke atas orang-orang yang bertaqwa;

Ini adalah tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah ‎ﷻ. Mereka akan jaga tentang pembahagian harta supaya mengikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari daripada perjalanan mencapai taqwa.

Setelah membincangkan isu ini, ada baiknya kita bawakan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang berwasiat kepada ahli waris.

Pendapat pertama: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad.  (Lihat Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, Nihayah al-Muhtaj, 6/48), al-Mughni ma’a Syarh al-Kabir, 6/419).

Mereka berhujahkan dengan zahir hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Pendapat Kedua: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli waris lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat. Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e, 4/561, al-Fiqh al-Manhaji, 2/258, Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, al-Mughni, 6/419)

Hujah para fuqaha’ yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat hendaklah ahli waris bersetuju dengan wasiat yang telah ditinggalkan mereka juga berhujahkan dengan hadith yang diriwayatkan  daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:

  • Pada permulaan Islam, wasiat kepada ahli waris adalah satu kewajipan terhadap ahli keluarga. Ini berlaku sebelum turunnya ayat-ayat pewarisan. Setelah ayat-ayat pewarisan diturunkan, wasiat kepada ahli waris dibatalkan, kecuali setelah mendapat persetujuan daripada ahli waris. Hadith ini diperincikan lagi dengan hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ
“Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris”
(Riwayat ad-Daruqutni No. 4295)

Imam as-Suyuti, Imam al-Baihaqi dan Imam ibn Mulaqqin رَحِمَهُ اللَّهُ menghukum hadith ini sebagai lemah, manakala Imam adz-Zahabi رَحِمَهُ اللَّهُ pula mengatakan sanad hadith ini baik dan Atho’ seorang yang soduq.


 

Baqarah Ayat 181: Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh dijalankan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas tanggungjawab orang yang mendengarnya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Sahih International

Then whoever alters the bequest after he has heard it – the sin is only upon those who have altered it. Indeed, Allah is Hearing and Knowing.

 

Malay

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu. Ini selalunya terjadi bagi wasiat guna mulut sahaja dan wasiat itu tidak dinotarikan. Sebab itu wasiat yang baik dibuat dengan cara undang-undang zaman moden ini yang menggunakan peguam. Barulah tidak ada isu diubah-ubah.

 

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang curang itu. Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Orang yang telah berwasiat itu tidak berdosa kerana dia telah melaksanakan tanggungjawabnya.

 

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah ‎ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Manusia lain mungkin tidak tahu kita menipu, tetapi Allah ﷻ dengar sahaja setiap apa yang telah berlaku.

 

عَلِيمٌ

Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.


 

Baqarah Ayat 182: 

فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sahih International

But if one fears from the bequeather [some] error or sin and corrects that which is between them, there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

 

Malay

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ

Barangsiapa yang takut terhadap pemberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu. Ada yang mendengar menjadi saksi, tetapi dia nampak wasiat itu tidak benar, tidak adil.

 

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, mungkin kerana dia tidak tahu hukum. Mungkin dia beri lebih daripada 1/3. Jadi dia tidak sengaja.

 

أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang hendak buat dosa;

Kalau جَنَفًا bermaksud pemberi wasiat itu buat kesalahan kerana tidak sengaja. Akan tetapi kalau إِثْمًا ia bermaksud pemberi wasiat itu sengaja membuat dosa. Contohnya, ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid. Atau dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti. Atau, dia wasiatkan lebih daripada 1/3 bahagian daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.

 

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu hendaklah mencari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar. Mungkin dia menegur pemberi wasiat itu atau dia memperbetulkan kerana dia ada kuasa. Jadi ini bermaksud tidaklah semua wasiat mesti diikuti. Kena periksa dengan hukum Allah ﷻ juga.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah ke atasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Malah perbuatannya ini terpuji sebenarnya. Memang itu yang dia patut lakukan. Jangan panjangkan kesalahan yang telah dilakukan oleh pelaku wasiat itu. Allah ﷻ sebut kerana mungkin ada yang takut hendak campur tangan dengan urusan wasiat orang lain yang dia menjadi saksinya atau dia yang menguruskan harta itu, maka Allah ﷻ legakan hatinya dengan memberitahu boleh mengubah wasiat itu.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha menerima ampun daripada hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Habis Ruku’ 22 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah