Tafsir Surah ash-Shura Ayat 1 – 5 (Langit hampir pecah kerana syirik)

Pengenalan Surah Shura:

Surah ini ada menceritakan tentang guru-guru yang ajar ajaran syirik dan bidaah kepada anak-anak murid mereka. Ini ada disebut dalam ayat ke-21. Iaitu mereka ‘buat’ syariat sendiri. Mereka bermesyuarat sesama sendiri, dan kata amalan ini dan amalan itu adalah baik dan diterima. Mereka kata itu adalah ijma’ ulama.

Patutnya, kalau mesyuarat untuk menyelesaikan hal kehidupan, memanglah boleh, tapi bukan dalam hal ibadat. Kerana cara-cara ibadat telah ditetapkan oleh Allah dan telah diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Dan apabila mereka mengatakan itu adalah ijma’ ulama’, itu adalah perkara yang tidak tepat. Seolah-olah mereka tidak faham apakah maksud ijma’ itu sendiri. Kerana bukan senang ijma’ itu dapat dijalankan, sampaikan ulama sunnah mengatakan yang ijma’ hanya berlaku pada zaman sahabat sahaja, kerana waktu itulah sahaja yang ulama satu dunia dapat bertemu dan bersetuju atas sesuatu perkara.

Majlis baca yasin solat hajat bidaah
Nabi dan para sahabat sebelum keluar berperang tidak mereka buat solat hajat bersama-sama. Baca Yasiin pun tidak padahal urusan berat. Antara menang atau kalah, antara hidup atau mati

Bidaah ini apabila mula dibuka, mula dibenarkan, akan ditambah-tambah padanya. Contohnya, Solat Hajat itu kalau dikerjakan sendirian pun memang sudah bidaah sebab tidak ada sunnahnya dalam agama. Tapi apabila dibenarkan dan diajar kepada masyarakat, ia akan jadi melarat. Sepatutnya solat sunat biasa sahaja dan kemudian berdoa. Dan kalau solat sunat, kenalah buat sendirian sahaja, tidak boleh dilakukan solat sunat berjemaah melainkan ada dalil.

Mereka akan tambah lagi bidaah yang sudah ada. Mulanya, mereka tambah ‘lafaz niat’, maka timbullah soalan kurang cerdik: “macam mana niatnya, ustaz?”; kemudian cara-cara Solat Hajat itu kena direka, kerana memang tidak ada pun diajar oleh ulama salaf.

Maka, akan ada macam-macam jenis cara. Maka kerana ramai yang reka, maka tentulah ada sahaja perbezaan dari segi rakaat, dari segi doa, surah apa yang dibaca dalam solat itu, berapa kali kena baca dan sebagainya; kemudian ditambah dengan solat itu dibuat berjemaah, supaya lebih kuat lagi untuk ‘desak’ Allah.

Kalau seorang sahaja, tak cukup kuat pada anggapan mereka; kemudian ditambah lagi, jemaah itu pula kena 40 orang baru cukup; imam pula kena cari yang ‘terkenal’, yang serban besar, kuat zikir, dahi hitam dan sebagainya.

Dan apabila sudah ramai datang, sudah kena beri makan, maka kena buat kenduri; mulanya beri duit tambang sahaja kepada imam Solat Hajat itu, lama-lama sudah jadi ‘upah’. Lagi hebat dan terkenal ustaz itu, lagi mahal kena bayar.

Ini semua kerana asal dari tidak melarang Solat Hajat itu dari dilakukan. Mereka yang takut untuk mengatakan Solat Hajat itu bidaah, akan kata tidak ada masalah kalau buat Solat Hajat, tapi lihatlah bagaimana Solat Hajat ini telah menjadi satu punca pendapatan kepada sesetengah orang dan dilakukan dengan berbagai-bagai cara yang amat bidaah. Mulanya bidaah sedikit sahaja, tapi lama kelamaan telah jadi macam-macam. Sampaikan sekarang kalau kita tegur, kita pula yang dipersalahkan.

Itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang ditambah dan menyusahkan umat. Ianya adalah salah di sini ugama kerana ianya menambah-nambah perkara dalam agama. Mereka tidak nampak beratnya dosa buat bidaah itu.

Mereka tidak perasan bahawa mereka-reka ibadah itu sebenarnya mengganti kerja Tuhan. Sepatutnya, aturan agama ini diberikan oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi ﷺ, tapi mereka sendiri yang memandai menambah-nambah apa yang tidak ada. Masalahnya cuma satu: tidak belajar agama.

Perkataan ‘Shura’ bermaksud mesyuarat/konsultansi. Surah ini adalah surah Makkiah – diturunkan di Mekah. Ianya adalah salah satu dari 7 surah hawameem – surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’. Surah-surah hamim ini memperkatakan tentang doa kepada Allah. Iaitu dalam berdoa, kita kena tauhid kepada Allah sahaja. Jangan seru kepada selain Allah. Ini adalah tafsir kepada ayat iyyaka nas’tain dalam surah Fatihah.

Banyak sungguh kekeliruan dalam masyarakat Islam kita tentang doa dan cara-cara berdoa. Jadi, diharap dengan membaca surah-surah ini, akan lebih memberi kefahaman tentang ibadah doa.

 

Tauhid Dalam Berdoa

Maksud utama tentang Tauhid dalam Berdoa telah dibentangkan dalam Surah Ghafir. Tetapi, mungkin ada yang keliru tentang Tauhid dalam Doa itu, maka Allah telah turunkan enam lagi surah selepas Surah Ghafir itu untuk menjelaskan tentang kesamaran tentang syirik yang mungkin timbul di hati dan fikiran manusia.

Dalam Surah Fussilat, telah dibincangkan kesamaran pertama: manusia yang melakukan syirik dalam berdoa masih lagi mendapat apa yang mereka hajati dengan cara syirik mereka. Allah jawab dalam Surah Fussilat itu, walaupun mereka dapat apa yang mereka minta dengan cara syirik, itu bukanlah tanda bahawa cara itu benar.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Surah Shura ini hendak membincangkan kesamaran yang kedua. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa itu kata ada dalil yang membenarkannya. Mereka bawa hujah dari merata tempat, dari kata ulama itu dan ini, kitab itu dan ini.

Dalil-dalil dan hujah itu telah menyebabkan ramai yang keliru dan mereka berpegang dengan dalil dan hujah itu walaupun sebenarnya ia bukanlah dalil sebenarnya. Mereka yang tidak belajar, memang akan keliru dengan hujah-hujah yang ada kerana mereka tidak dapat nak bezakan mana dalil dan mana tidak.

Surah ini menjelaskan bahawa tidak ada dalil sama sekali dalam nas yang diberikan kepada makhluk untuk buat syirik. Semua ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut bahawa Allah sahaja yang berkuasa. Tidaklah Allah beritahu ada yang lain ada kuasa sampai boleh minta kepada mereka. Dalam Al-Qur’an, Allah tetap memperkenalkan bahawa Dia sahaja yang Maha Kuasa, tidak ada entiti lain yang ada kuasa sepertiNya.

Tetapi, amat ramai manusia yang keliru tentang syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul. Sedangkan dosa syirik ini amat bahaya kerana Allah telah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, Allah boleh ampunkan lagi, tapi tidak ada harapan kepada mereka yang melakukan syirik.

Kenapa berat sangat dosa syirik ini sampaikan Allah akan kekalkan pelakunya dalam neraka? Kita beri perumpamaan suami isteri. Kalau isteri kita tidak pandai masak, kita boleh maafkan lagi, boleh pergi makan di kedai. Kalau tidak cantik pun tidak mengapa, kalau tidak pandai mengemas pun masih ada maaf lagi.

Tapi kalau isteri itu sampai menduakan suami, sampai ada lelaki lain yang naik atas katil dengan isteri kita, suami yang normal takkan boleh terima dan takkan maafkan perbuatan isteri itu. Itu kalau menduakan suami, bagaimana pula kalau menduakan Allah? Tentu Allah lebih layak untuk marah kepada mereka yang menduakanNya. Semoga kita faham kenapa kita menekankan tentang tauhid dan syirik dalam penulisan blog ini.

Penerangan tentang syirik amat jelas dalam Al-Qur’an kepada mereka yang belajar. Segala bukti dan dalil telah diberikan untuk melarangnya. Tapi ada pula yang bawa dalil boleh buat syirik. Mungkin ada yang keliru dengan dalil-dalil yang dibawa itu. Mereka akan terfikir, bagaimana pula dengan dalil-dalil ini? Jadi Surah Shura ini Allah turunkan untuk menjawab dan menghilangkan kesamaran itu.

Ada yang tidak menyakini kitab wahyu kerana mereka tidak belajar. Dan apabila mereka diberikan dengan hujah dari sumber yang lain dari wahyu, mereka boleh keliru tentang tauhid. Pada mereka, sudah ada bukti yang membenarkan mereka melakukan perbuatan syirik yang mereka lakukan. Oleh itu, pada mereka, perkara yang mereka lakukan itu tidaklah syirik pada pandangan mereka.

Itu tidak benar sama sekali. Oleh itu, kalau ada ‘dalil’ yang sampai kepada kita yang sudah belajar ini yang membenarkan syirik dalam doa, kita kena jawab bahawa apa-apa sahaja riwayat yang bersalahan dengan akidah tauhid, itu semua adalah palsu. Kerana tidak ada lagi hadis sahih yang berlawanan dengan akidah yang diajar dalam Al-Qur’an.

Kalau periksa mana-mana hadis yang macam itu, kita pasti akan dapat kepastian bahawa ianya adalah palsu. Hadis-hadis sebegitu adalah hadis-hadis yang palsu yang ditulis oleh manusia hasil dari bisikan syaitan. Sebab itu penting belajar hadis juga. Kalau hadis pun tidak ada, tentulah pandangan lain pun tidak terpakai juga. Tidak kiralah datang dari kitab mana atau pandangan ulama mana pun.

Maka, kalau tidak belajar wahyu Al-Qur’an, maka ada yang keliru apabila dihulurkan dengan hujah-hujah lain. Kerana mereka tidak belajar dengan sempurna.

Cara untuk menjawab kesamaran itu ada dalam ayat ke-14. Inilah ‘Maksud’ surah ini – iaitu ayat terpenting dalam surah ini yang kita kena beri perhatian yang lebih – kena tawajuh. Kena belajar tafsir baru faham ayat ini kerana kalau baca sendiri tidak boleh faham kerana ianya memerlukan penjelasan.

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتابَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan melainkan setelah sampai ilmu tauhid kepada mereka; berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak terhadap Kitab itu.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidaklah golongan Ahli Kitab dahulu berbeza pendapat melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu tentang tauhid. Maknanya, bukan mereka tidak tahu kerana telah disampaikan kepada mereka. Selepas mereka disampaikan dengan ilmu tauhid itu, ada antara mereka yang menerima tauhid dan ada yang kembali kepada syirik.

Perselisihan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah perselisihan yang kecil tetapi perselisihan dari segi akidah. Jadi, mereka berselisih itu bukanlah kerana mereka jahil, tapi kerana mereka degil sahaja. Kerana telah sampai kepada mereka ilmu tauhid tapi mereka degil untuk terima.

Allah beritahu kenapa mereka berselisih. Mereka berselisih itu kerana hasad dengki sesama mereka. Kerana ingin kedudukan dunia. Ini adalah kerana mereka tamak harta dunia dan tamak kedudukan di dunia. Kerana mereka cari makan dengan cara syirik. Mereka dapat habuan dari apa yang mereka lakukan dari amalan syirik.

Mereka ada hasad dengki itu sampai benda yang jelas jadi samar kepada mereka kerana hati mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan. Apabila ada orang bawa dalil dari wahyu, mereka tak boleh terima.

Oleh itu, kita dapat faham bahawa yang melawan tauhid adalah kerana nak cari makan sahaja. Begitulah juga dalam masyarakat kita. Yang menentang kita menyampaikan ajaran sunnah dan tauhid ini adalah kerana kita kacau carian makan mereka. Memang mereka akan lawan sebab sudah susah mereka nak cari makan. Sudah susah mereka hendak menipu masyarakat dengan amalan-amalan doa mereka yang mengamalkan tawasul itu.

Walaupun mereka telah mengamalkan syirik dalam doa mereka, Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah telah taqdirkan yang azab akan dikenakan kepada mereka pada waktu yang telah ditetapkan – hanya Allah sahaja yang tahu. Allah sanggup tangguh azab yang patut dikenakan kepada mereka. Maka itu sebab mereka selamat kerana Allah tidak terus beri azab. Tapi pasti mereka akan kena azab.

Mereka yang mewarisi kitab wahyu selepas mereka, seperti Taurat, Injil, terus menerus ragu-ragu dalam akidah tauhid. Walaupun mereka ada kitab, tapi mereka tidak ada keyakinan atas akidah tauhid. Ini kerana ada pemuka agama mereka telah ubah ajaran agama. Sampai para pengikut tidak tahu agama yang sebenar macam mana. Ini adalah kerana ajaran wahyu tidak dipakai, tapi pakai ajaran manusia.

Mereka jadi keliru kerana mereka jumpa dalil-dalil palsu yang direka oleh manusia. Mereka pun terima dalil-dalil palsu itu sebab mereka pun tidak belajar kitab wahyu yang sebenar. Mereka tidak belajar dengan benar apa yang ada dalam kitab mereka sendiri. Kitab Taurat dan Kitab Injil mereka pun sudah tidak benar lagi, kerana telah dimasuki oleh elemen-elemen luaran, jadi memang mereka akan terus keliru.

Jangan sangka itu terjadi kepada ahli-ahli Kitab terdahulu sahaja. Begitulah yang akan terjadi kepada kita kalau kita pun tak belajar tafsir Al-Qur’an dengan cara yang benar. Apabila jahil tentang wahyu, maka apabila datang hujah yang lain dari wahyu, ada kemungkinan akan termakan dengan hujah-hujah itu kerana syaitan akan bagi nampak indah hujah-hujah itu.

Sebab itu kena belajar tafsir Al-Qur’an itu sampai habis. Dan kalau ada yang beri hadis-hadis, kena periksa status hadis itu. Pasti ada yang boleh tolong kita periksa sama ada hadis itu benar atau tidak. Jadi kena berkawan dengan orang yang berilmu agama.

 

Anjuran Mengadakan Shura (mesyuarat)

Surah ini juga menceritakan jalan dalam menyelesaikan perbalahan. Setiap manusia ada perbezaan pandangan antara mereka dan kadang-kadang akan ada perbalahan sesama manusia.

Ini termasuk juga mereka yang berdakwah ke jalan Allah pun ada ketidaksamaan antara mereka. Tidaklah salah kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal fikiran kita yang sihat. Jadi berbeza pendapat tidaklah salah sebenarnya. Tetapi, ianya menjadi tidak baik jikalau manusia berkelahi kerana perbezaan pendapat itu.

Iaitu apabila seseorang hanya menganggap pendapatnya sahaja yang benar, sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Kalau sampai jadi begitu, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk yang akan merosakkan masyarakat dan mereka yang terlibat.

Jadi, surah ini memberitahu kepada kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu. Iaitu dengan melakukan ‘shura’ di mana semua pihak kena duduk berbincang dan mendengar pendapat masing-masing. Diceritakan di dalam surah ini bagaimana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan Makro. Ayat 1 – 12 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah pengenalan kepada wahyu Al-Qur’an dan sifat-sifat Allah.

حم

Haa, Miim.

 

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Sedangkan kewajipan Nabi untuk menjelaskan perkara yang tidak jelas kepada kita. Kalau sesuatu hal agama itu penting, maka sudah jatuh wajib kepada baginda untuk jelaskan.

Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, apabila Nabi pun tidak menjelaskannya kepada kita, maka itu bermaksud, Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka juga tidak tahu. Kalau mereka jujur dengan ilmu, mereka akan cakap mereka tidak tahu.

Dan ini adalah dugaan kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu atau pandang rendah kepada mereka pula. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita. Kerana ia akan menahan ilmu dari masuk ke dalam otak.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya. Mereka sudah tertarik untuk mendengar apakah yang akan disampaikan selepas itu.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Ada getaran tersendiri pada bacaan huruf-huruf muqattaah ini. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah telah jadikan untuk kita.


 

Ayat 2: Huruf Muqattaah yang kedua.

عسق

Ain, Siin, Qaaf.

 

Unik sekali dalam surah ini, dua ayat yang pertama adalah ayat muqattaah. Selalunya ada satu sahaja di dalam surah-surah yang lain. Ini menambahkan kelainan pada surah ini. Tapi kita tidak tahu dengan pasti kenapa Allah lakukan demikian. Seperti kita telah sebut di atas, kita tidak mendapat maklumat dari Nabi apakah maksudnya.


 

Ayat 3: Ini adalah Dakwa yang pertama: Sepertimana Nabi-Nabi terdahulu diwahyukan dengan Dakwa Tauhid, begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ.

كَذٰلِكَ يوحي إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

Thus has He revealed to you, [O Muhammad], and to those before you – Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Sebagaimana yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu, oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

كَذَٰلِكَ يُوحِي إِلَيْكَ

Begitulah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)

Selepas diberikan ayat muqattaah dalam ayat sebelumnya, Allah terus berkata, ‘begitulah’. Sebagaimana akal kita tidak dapat mencapai maksud ayat-ayat muqattaah itu, akal kita pun tidak dapat mencapai bagaimana wahyu diturunkan kepada hambaNya.

Atau, ‘Begitulah’ – sebagaimana telah diwahyukan kepada kamu wahai Muhammad, begitulah juga wahyu-wahyu lain telah diberikan kepada Rasul-rasul sebelum kamu. Iaitu wahyu-wahyu yang sama juga, dan yang paling penting dalam wahyu itu adalah ajaran tidak boleh syirik dalam doa.

‘Wahyu’ bermaksud mesej yang diberikan dengan cepat dan secara rahsia. Ia disampaikan terus kepada orang yang dimaksudkan. Ia dilakukan dengan cara supaya orang-orang di sekitar tidak tahu. Ini adalah maksud literal perkataan ‘wahyu’.

Dalam segi syariat, maksud ‘wahyu’ adalah maklumat dari Allah yang diberikan kepada Nabi dan Rasul dalam berbagai cara. Antaranya, melalui Jibril. Ianya adalah satu proses yang amat berat. Ini boleh dipelajari dari hadis.

Wahyu diberikan kepada manusia kerana Allah hendak memberi hidayah kepada manusia. Semasa Nabi Adam diturunkan, Allah telah beritahu yang hidayah akan diberikan kepada manusia dan Allah memenuhi janjiNya dengan diturunkan kitab-kitab wahyu seperti Taurat, Injil, Zabur dan kepada kita, telah diturunkan Al-Qur’an ini sebagai panduan untuk kita.

Terdapat banyak sekali ayat-ayat dan ajaran yang ada dalam Al-Qur’an. Tetapi yang paling penting sekali adalah tentang akidah tauhid. Tambahan pula surah Syura ini adalah Surah Makkiah yang banyak menekankan tentang akidah dan pemantapan tauhid.

Inilah topik perbincangan yang berulang-ulang dan diberikan penjelasan dengan berbagai-bagai cara kepada kita. Kerana tujuan wahyu itu adalah untuk kenal Allah. Dan kenal Allah mestilah kenal dalam akidah tauhid. Kalau kita kenal Allah, tapi tidak kenal tauhid, itu maksudnya belum kenal lagi dengan Allah sebenarnya. Kerana mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an, akan kenal Allah dalam akidah tauhid. Mereka tidak akan menduakan Allah dalam apa segi pun.

 

وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ

dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu,

Ini bermakna wahyu ini bukanlah perkara yang baru, melainkan ianya telah diberikan juga kepada Rasul-Rasul dan umat-umat yang terdahulu.

Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, wahyu yang terpenting adalah tentang akidah tauhid. Maka, Allah hendak menekankan bahawa akidah tauhid yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Rasul-rasul عليهم السلام sebelum baginda itu sama sahaja; kalau dari segi syariat mungkin berbeza, tapi kalau akidah, sama sahaja dari dulu sampai bila-bila.

Ayat ini juga hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa apa yang baginda terima itu adalah benar. Bukan baginda sahaja yang menerima wahyu itu kerana sebelum baginda pun sudah ada Rasul عليهم السلام lain yang menerima wahyu yang sebegitu juga. Janganlah baginda risau dan sangsi dengan apa yang baginda terima itu.

 

اللهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah. Pertamanya, kita kena sentiasa ingat bahawa yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah. Jadi, jangan kita buat main-main dengan wahyuNya itu. Kenalah kita pelajari dan taati dengan sungguh. Kalau orang hantar surat kepada kita pun, kita akan baca, bukan? Takkan Allah hantar ‘surat’ Dia kepada kita tapi kita tidak teringin nak baca pula?

Dan Allah menyebut dua sifatNya di dalam ayat ini. Allah memberitahu sifatNya adalah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allah berkuasa untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi-Nabi. Tidak ada masalah bagi Allah untuk memberikan wahyu itu kerana dia Maha Berkuasa. Dia boleh buat supaya wahyu itu sampai kepada para Nabi.

Selain SifatNya yang maha berkuasa, Allah juga bersifat Maha Bijaksana. Selalunya orang yang berkuasa, dia tidak menggunakan kebijaksanaan, sebaliknya dia akan menyalahgunakan kekuasaannya. Lihatlah bagaimana ramainya pemerintah yang berkuasa yang telah berlaku zalim.

Tapi Allah ada dua-dua sifat itu. Walaupun Allah berkuasa penuh, tapi Allah menggunakan kuasaNya itu dengan penuh bijaksana. Segala apa yang diberikan dariNya adalah dari kebijaksanaanNya. Maka kita tidak layak menolak dan mempertikaikan apa yang Allah wahyukan dan arahkan kepada kita. Kita kena ikut sahaja. Antara yang kita kena ikut adalah tentang Tauhid dalam doa. Jangan berdolak dalik lagi.


 

Ayat 4: Allah menceritakan lagi kepada kita tentang sifatNya dan siapakah Dia. Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada pemahaman tentang wahyu.

لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Sahih International

To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth, and He is the Most High, the Most Great.

Malay

Dia lah yang mempunyai dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

لَهُ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

KepunyaanNya yang ada di langit

Apa sahaja yang ada di langit adalah kepunyaanNya. Kita pun tidak tahu apakah yang ada di langit itu. Tapi, apa sahaja yang ada, ianya adalah milik Allah.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi;

Allah adalah pemilik segala-galanya sama ada di langit atau di dunia dan di mana-mana sahaja. Kalau kita fikir, kita pun ada juga memiliki sesuatu di dunia ini, tapi ketahuilah bahawa pemilik sebenar itu adalah Allah. Kita nampak sahaja macam memiliki harta itu, tapi hakikatnya, kita tidak menguasainya.

Termasuk yang dimiliki oleh Allah adalah para Nabi, wali dan malaikat. Oleh kerana mereka itu dimiliki oleh Allah, maka kenapa kita berdoa kepada mereka ataupun menggunakan mereka sebagai perantaraan (tawasul) di dalam doa kita? Mereka tidak boleh beri apa-apa kerana mereka tidak memiliki apa-apa. Kerana Allah kata dalam ayat ini yang Dia yang memiliki segala yang di langit dan di bumi.

Apabila Allah kata Dia mempunyai langit dan bumi, ia juga bermaksud yang Dia sahaja yang menguruskan langit dan bumi itu. Jangan kita ada pegangan macam Musyrikin Mekah pula. Mereka percaya Allah yang menjadikan alam ini, tapi Dia ada memberikan kuasa pengurusan kepada makhluk seperti wali, Nabi dan malaikat. Ini kita ada bincangkan dalam Usul Tauhid.

 

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Hebat (kekuasaanNya).

Allahlah yang berada pada kedudukan yang paling tinggi meliputi segala makhluknya. Dia lah yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dariNya atau pun sama kedudukan denganNya. Tidak ada yang lebih hebat daripada Allah.

Kalau Allah itu Maha Tinggi dan Maha Hebat, maka kita sebagai makhlukNya yang kerdil dan lemah ini hendaklah hanya memuja kepadaNya, berdoa kepadaNya dan buat ibadat kepadaNya sahaja. Janganlah kita puja, doa dan buat ibadat kepada makhluk yang lain bersama dengan Allah. Banyak masyarakat Islam kita, puja, doa dan buat ibadat kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka pun puja, doa dan buat ibadat kepada entiti lain juga.


 

Ayat 5: Dalam ayat sebelum ini, Allah telah memberitahu Sifat-sifatNya. Apabila makhluk itu tahu betapa AgungNya Allah, hamba itu akan sujud hanya kepada Allah dan tidak akan doa kepada selain dari Allah. Dalam ayat ini, Allah memberitahu betapa AgungNya Dia.

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِن فَوقِهِنَّ ۚ وَالمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيَستَغفِرونَ لِمَن فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ اللهَ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ 

Sahih International

The heavens almost break from above them, and the angels exalt [ Allah ] with praise of their Lord and ask forgiveness for those on earth. Unquestionably, it is Allah who is the Forgiving, the Merciful.

Malay

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya; dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

تَكَادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya

1. Langit itu hampir pecah kerana keagungan Allah. Langit hampir pecah kerana takut dan takjub kepada Allah. Kita tidak dapat hendak membayangkan betapa besarnya langit itu sendiri dan langit yang amat besar itu pun takut dan takjub dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kenapa? Kerana langit sedar dengan kebesaran Allah Taala. Kita sahaja yang tak sedar. Sebab itu kita buat biasa sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa makhlukNya yang mengenal kebesaran dan keagungan Allah, akan tunduk dan takut kepadaNya. Mereka tidak akan berdiri sombong di hadapan Allah. Mereka tidak akan ingkar dengan petunjuk dan perintah Allah.

Kalimah فَوْقِهِنَّ bermaksud ‘di atasnya’. Maknanya kalau langit itu pecah, ia akan bermula daripada bahagian atas. Iaitu langit ketujuh pecah dan kemudian langit keenam, kelima dan seterusnya. Ini adalah kerana, langit yang ataslah yang lebih hampir dengan Allah.

2. Satu lagi, maksud hampir terpecahnya langit itu adalah kerana marahnya langit kerana kesyirikan manusia yang mengatakan Allah mempunyai anak. Ini ada disebut dalam Maryam:90-91

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

Apa yang mereka katakan itu adalah amat buruk sekali, sampaikan hampir-hampir terpecahnya langit itu kerana kemarahan Allah dan kemarahan langit itu. Allah itu Maha Tinggi dan Maha Mulia, lalu bagaimana ada yang mengatakan Allah memerlukan anak? Hanya makhluk sahaja yang memerlukan anak kerana kita lemah dan memerlukan pertolongan. Kita juga inginkan penyambung zuriat kita kerana kita tahu yang kita akan mati.

Tapi, Allah akan terus kekal sampai bila-bila. Lalu bagaimana manusia boleh mengatakan sesuatu yang amat dusta tentang Allah? Kalau kita berdusta tentang manusia pun manusia itu sudah marah, apatah lagi kalau yang didustakan adalah Allah, Tuhan kita? Tentulah tidak sama.

Jadi, langit itu amat marah kerana ada makhluk yang melakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana hal syirik itu bukanlah perkara yang kecil. Marahnya langit sampai ia hampir pecah.

3. Ada juga pendapat yang mengatakan langit itu hampir pecah kerana banyaknya para malaikat yang beribadat kepada Allah dan mereka berada di langit itu. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bagaimana besarnya mereka dan mereka memenuhi langit itu. Apa yang mereka lakukan? Allah sambung lagi:

 

وَالْمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya

Malaikat-malaikat itu hanya beribadat kepada Allah sahaja tanpa lelah dan tanpa bosan. Mereka tidak pernah ingkar kepada Allah walau sedikit pun. Kerana apa? Kerana mereka kenal Allah dan kenal Sifat-Sifat Allah.

Seperti juga langit yang kenal Allah, malaikat juga amat kenal Allah dan kerana itu mereka amat taat kepada Allah. Itulah maksudnya apabila makhluk mengenal Allah, mereka tak akan sombong dan tunduk kepadaNya sahaja.

Jadi, pertama sekali, diberitahu dalam ayat ini yang para malaikat beribadat kepada Allah di langit itu.

 

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ

serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.

Selain dari beribadat, para malaikat itu juga memohon keampunan  untuk makhluk, seperti juga disebut dalam Ghafir:7

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

Dalam ayat dari Surah Ghafir ini, kita boleh tahu bahawa malaikat-malaikat itu hanya meminta keampunan bagi mereka yang beriman sahaja. Tapi, kenapa kalau mereka sudah beriman, masih lagi malaikat itu meminta ampun untuk mereka?

Kerana walaupun mereka itu sudah beriman, tetapi kerana mereka itu manusia biasa, maka tentunya ada kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana beruntungnya orang-orang yang beriman sampaikan malaikat pun memohon keampunan untuk mereka.

Ada lagi kelebihan yang kita boleh faham dari ayat ini. Kerana istighfar bukan sahaja untuk pengampunan dosa tapi dia juga adalah sebagai asbab (penyebab) diturunkan rahmat yang banyak kepada mereka yang beristighfar itu. Seperti yang disebut di dalam Nuh:10-12

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

“Sehingga aku (Nabi Nuh a.s.) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Dalam ayat ini Nabi Nuh memberitahu kepada umatnya jikalau mereka beristighfar kepada Allah, Allah akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka dan akan memberikan kekayaan serta anak pinak. Jadi, apabila para malaikat itu melakukan istighfar untuk orang-orang yang beriman, ia bukan sahaja untuk menghapuskan dosa mereka tetapi supaya rahmat Allah akan diturunkan kepada mereka juga.

Jadi, ini adalah salah satu cara untuk kita mendapat keampunan dari Allah. Dalil telah diberikan dalam ayat ini. Malangnya, ada yang reka amalan baru seperti mereka yang reka ‘Solat Taubat’. Datang dari mana pun, kita tidak tahu. Tidak ada hadis langsung tentang perkara ini. Yang ada cumalah anjuran melakukan solat sebelum bertaubat – tidaklah itu menjadikan Solat Taubat.

Apabila sudah direka satu perkara bidaah, ianya akan bertambah-tambah. Sebagai contoh, apabila sudah ada Solat Taubat, ada yang tambah pula dengan ‘Mandi Sunat Taubat’. Kemudian direka cara mandi pula – kena mandi pukul 3 pagi. Macam-macam kebodohan yang kita boleh lihat manusia yang jahil lakukan.

solat taubat-bidaah

Itulah contoh ibadat rekaan yang berkenaan dengan taubat. Padahal, lihatlah dalam ayat Ghafir:7,  Allah memberitahu kita bahawa para malaikat akan meminta ampun kepada mereka yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah sahaja.

Maknanya untuk mendapat kelebihan doa mereka, kita kena ikut Al-Qur’an dan sunnah kerana jalan Allah itu bermaksud ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Itulah cara yang kita patut ikut. Bukannya jalan yang lain. Kalau ikut jalan tarekat, Habib dan guru-guru karut, tidak akan dapat kelebihan ini.

Satu lagi pendapat mengatakan yang para malaikat itu pun memohon keampunan bagi golongan yang engkar juga. Kerana kalau Allah marah kepada mereka, maka Allah tentu telah kenakan azab kepada mereka yang engkar dan bumi akan hancur sekali dengan orang beriman. Maka kerana para malaikat telah memujuk Allah, maka tidaklah bumi ini hancur lagi.

Tapi permohonan ampun para malaikat itu setakat di dunia sahaja. Selepas Kiamat bermula, para malaikat tidak meminta ampun bagi pihak mereka kerana hanya Allah sahaja yang buat keputusan nanti.

 

أَلَا  إِنَّ اللهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di hujung ayat ini, Allah memberitahu lagi kepada kita sifatNya. Itulah kepentingan belajar tauhid menggunakan Al-Qur’an. Kita belajar tentang Allah dari kalamNya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang tidak pasti dari manakah dalilnya.

Dua sifat yang disebut dalam ayat ini adalah sifat-sifat JamaliahNya – sifat-sifat yang cantik yang manusia suka. Ada manusia yang melihat Allah itu bagai Tuhan yang garang padahal Allah memberitahu tentang sifatNya yang Maha Pengampun dan belas kasihanNya di hujung ayat ini.

Walaupun banyak manusia yang berbuat dosa, malah sampai melakukan syirik, sampaikan langit itu hampir pecah kerana kata-kata mereka, tetapi langit itu tidak pun pecah dan tetap utuh kerana sifat Allah Yang Ghafir dan Rahim itu.

Dan Allah masih tetap mengampunkan dosa syirik kepada mereka yang bertaubat kepadaNya sebelum mati. Cuma kalau mati tidak sempat bertaubat dari dosa syirik itulah yang Allah kata Dia tidak akan ampunkan. Kalau selagi belum mati, masih ada harapan lagi untuk Allah ampunkan dosa. Tapi kalau tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik, bagaimana manusia nak minta ampun dari dosa-dosa syirik itu?

Allahu a’lam. Bersambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Yunus Ayat 91 – 93 (Mumia Firaun)

Yunus Ayat 91: Adakah diterima kata-kata iman Firaun itu? Allah ﷻ jawab kata-kata Firaun itu.

ءآلئٰنَ وَقَد عَصَيتَ قَبلُ وَكُنتَ مِنَ المُفسِدينَ

Sahih International

Now? And you had disobeyed [Him] before and were of the corrupters?

Malay

(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

 

ءآلْئٰنَ

“Adakah sekarang?!!!

“Baharu sekarang engkau hendak beriman?!!” Itulah tempelak Allah ﷻ kepada Firaun. Allah ﷻ tidak terima iman Firaun waktu itu. Padahal waktu itu Firaun belum mati lagi. Maknanya, kalau sudah hujung nyawa (nyawa-nyawa ikan) baru hendak beriman, ia tidak diterima. Ini disabitkan oleh sebuah hadith,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Daripada [Ibnu Umar رضي الله عنهما] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.”
(Jami’ Tirmizi (3460))
Status: Hasan

Maka dapat mengucap la ilaaha illallah semasa nazak tidak semestinya menjadi dalil orang yang mati itu selamat lagi. Entah dia pun waktu itu baru teringat hendak bertaubat, jika setakat mengucap sahaja tetapi sepanjang hidupnya amalannya bukan amalan orang Mukmin, maka dia tidak selamat. Kita tidak boleh jadikan fenomena mengucap semasa nazak itu sebagai tanda kerana ketika Rasulullah ﷺ hampir wafat pun tidaklah baginda mengucap, bukan?

Lalu bagaimana dengan amalan orang kita yang mengajar akidah kepada orang yang telah mati? Iaitu yang dimaksudkan adalah amalan talqin. Jika masih hidup lagi sudah tidak diterima perubahan akidah ketika di hujung nyawa, apatah lagi kalau sudah mati? Itulah salah satu daripada hujah kebohongan amalan talqin itu.

 

وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ

padahal sesungguhnya engkau dahulu derhaka,

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَبْلُ sahaja. Kalau maksud yang hendak dibawa adalah ‘dari dahulu’, perkataan yang selalunya digunakan adalah مِن قَبْل.

Apabila hanya kalimah قَبْلُ sahaja yang digunakan, ia bermaksud ‘baru sekejap tadi’. Maknanya, “baru sekejap tadi, kamu masih lagi derhaka, wahai Firaun.” Bukan lama pun jangka masa itu. “Baru sekarang kamu nak beriman? Tidak diterima iman kamu itu.” Baru sekarang ini hendak beriman, memang tidak ada harapan.

Pada waktu yang sepatutnya kamu beriman, kamu tidak beriman iaitu sebelum kamu nampak azab. Maka kita tegaskan di sini yang Firaun tidak dikira sebagai orang beriman. Ini penting kerana ada juga tafsiran yang mengatakan Firaun akhirnya beriman, mati sebagai orang Islam. Mereka berdalilkan dengan ayat sebelum ini (yang nampak macam Firaun mengucap syahadah itu). Ini tidak benar kerana ayat yang kita sedang baca sekarang ini memberitahu kita yang iman Firaun tidak diterima. Hendaklah dilihat semua ayat Al-Qur’an, jangan main tebuk satu ayat kemudian buat keputusan sendiri.

Dari sini kita mendapat satu kesimpulan: Sesiapa yang hanya beriman apabila nampak azab, tidak akan diterima. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ghafir: 85

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمٰنُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكٰفِرونَ
Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

Ini kerana ujian kita semasa hidup adalah beriman dengan perkara yang ghaib. Jika sudah nampak azab baru mahu percaya, maka di manakah imannya? Mana ujiannya kalau begitu? Apakah pula nilai iman waktu itu? Ia tidak bernilai langsung. Maka tidak diterima iman yang hanya datang ketika nampak azab. Pengecualian dalam sejarah dunia hanya diberikan kepada umat Nabi Yunus عليه السلام, yang kisah mereka akan disebutkan nanti.

 

وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

dan engkau dulu orang yang melakukan kerosakan?

Banyak sungguh kerosakan yang telah dilakukan oleh Firaun. Dia telah menyesatkan kaumnya dan membuat kerosakan yang banyak di mukabumi. Dia telah memperhambakan Bani Israil. Dia menentang Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام apabila mereka berdakwah kepadanya. Dia juga telah menyeksa mereka yang mahu beriman kepada Islam.

Dia juga telah diberikan dengan segala macam nikmat yang hebat-hebat. Dia juga telah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, juga mukjizat telah ditunjukkan kepadanya. Akan tetapi kesemua itu tidak mengubah dirinya. Dia tetap degil dengan kekufurannya. Maka memang tidak ada harapan dan tidak patut diberi harapan kepadanya.


 

Yunus Ayat 92: Apa yang terjadi kepada tubuh Firaun itu?

فَاليَومَ نُنَجّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكونَ لِمَن خَلفَكَ ءآيَةً ۚ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ عَن ءآيٰتِنا لَغٰفِلونَ

Sahih International

So today We will save you in body that you may be, to those who succeed you, a sign. And indeed, many among the people, of Our signs, are heedless

Malay

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

 

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ

“Maka pada hari ini, Kami menyelamatkan engkau, dengan badanmu,

Allah ﷻ telah selamatkan badan Firaun daripada hancur binasa. Bukannya selamatkan dia daripada azab. Maksudnya dia tetap mati, tetapi tubuhnya yang diselamatkan. Tubuhnya tidak tenggelam dalam laut. Atau, laut telah memuntahkan jasadnya ke tepian. Allah ﷻ jadikan perkara ini kerana golongan Bani Israil takut sangat dengan Firaun. Walaupun telah ditenggelamkan, mereka takut entah-entah Firaun masih hidup lagi. Maka Allah ﷻ muntahkan balik tubuh Firaun dan tunjukkan memang dia telah mati. Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah:50

وَاِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَاَنْجَيْنٰكُمْ وَاَغْرَقْنَآ اٰلَ فِرْعَوْنَ وَاَنْتُمْ تَنْظُرُوْنَ
Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untukmu, sehingga kamu dapat Kami selamatkan dan Kami tenggelamkan (Fir‘aun dan) pengikut-pengikut Fir‘aun, sedang kamu menyaksikan.

Jasad Firaun masih ada lagi di muzium di Mesir. Dikatakan bahawa dia adalah Ramses II. Dialah yang dikatakan Firaun yang menentang Nabi Musa عليه السلام namun ini pun tidaklah dapat dipastikan. Kita kena faham yang ‘Firaun’ itu bukan nama tetapi gelaran kedudukan seperti ‘Sultan’, ‘Raja’, ‘Presiden’. Kedudukan itu bertukar-tukar dan diduduki oleh orang yang berbeza. Cuma kajian mengatakan Firaun yang dihadapi Nabi Musa عليه السلام itu adalah Ramses II.

Dia telah memerintah Mesir selama 67 tahun. Itu adalah satu jangka masa yang amat lama. Dia adalah seorang yang amat bijak dan kata-katanya amat hebat sekali. Sebab itulah Allah ﷻ merakamkan kisahnya dan kata-katanya dalam Al-Qur’an supaya kita boleh belajar apakah hujah orang-orang yang ingkar itu.

Mumia Ramses II

Jasad Firaun ada di muzium sekarang, bukan Ramses II sahaja tetapi semua Firaun pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Maknanya tidak ada ketinggalan mana-mana Firaun pun kalau dikaji dalam sejarah. Namun di dalam Bible disebut yang tubuh Firaun zaman Musa عليه السلام itu tenggelam di Laut Merah. Akan tetapi, bukankah semua jasad Firaun yang diawet itu ada?

Maknanya, tubuh Firaun diselamatkan daripada rosak. Dalam riwayat kita, tubuh dia sudah tenggelam tetapi dikeluarkan oleh Allah ﷻ. Sedangkan Bible pula kata dia tenggelam ke dasar laut. Jika mengikut isi kandungan Bible yang mengatakan dia tenggelam itu, akan timbul satu persoalan: Siapa pula yang menaikkan tubuh Firaun itu? Kerana mereka tidak ada teknologi pada waktu itu untuk menyelam dan membawa naik jasad ke darat. Firaun memang patut tenggelam kerana dia memakai baju perisai dan baju perisai berat dan tentunya akan menyebabkan pemakainya akan tenggelam. (Dikatakan pasukan tenteranya tidak memakai baju perisai tetapi dia sendiri memang ada memakai perisai). Maka jika dia tenggelam sebagaimana didakwa, maka siapakah pula yang mengeluarkannya?

Jelas sekali beza antara Al-Qur’an dan Bible adalah Al-Qur’an seperti di dalam ayat ini menyebut yang tubuh Firaun ditimbulkan dan ini adalah mukjizat Al-Qur’an yang menyebut sejarah dengan tepat kerana ia adalah Kalamullah, bukannya kalam manusia seperti Bible itu.

Oleh kerana terjumpanya jasad Firaun inilah juga yang menyebabkan Dr. Maurice Bucaille telah masuk Islam. Apabila tinggalan mayat Firaun telah dijumpai (di Lembah Raja, Mesir), beliau telah dipanggil untuk memeriksa mayat tersebut kerana beliau pada waktu itu adalah pakar bedah yang terkemuka di Perancis. Beliau hairan kenapa kisah Firaun dan apa yang terjadi selepas Bani Israil menyeberang laut tidak disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan juga Injil. Ianya hanya disebut di dalam Al-Qur’an. Maka beliau telah berhenti menjadi doktor dan belajar bahasa Arab selama 10 tahun untuk membuat kajian tentang hal ini. Akhirnya beliau telah masuk Islam walaupun pada asalnya beliau hendak menjatuhkan agama Islam dengan sains. Akhirnya beliau menjumpai Islam kerana sains.

Kenapakah tubuh Firaun diselamatkan?

 

لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ ءآيَةً

untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang selepasmu.

Supaya manusia generasi kemudian zaman berzaman boleh mengambil iktibar daripada kedegilan Firaun. Supaya jangan menjadi bodoh seperti Firaun. Mengajar manusia bahawa inilah akibatnya mereka yang zalim, yang derhaka, yang sombong. Dia amat kaya dan berkuasa di dunia ini, namun dimusnahkan akhirnya di penghujung hayat.

Lihatlah juga bagaimana utuhnya bangunan piramid itu, sampai sekarang masih ada lagi, akan tetapi kerajaannya itu tidak kekal. Firaun hendak menyelamatkan kerajaannya namun tidak berjaya. Cuma, kajian moden mendapati bukanlah Firaun yang membina piramid itu, tetapi telah wujud sebelum dia ada lagi.

Begitu juga berkenaan mumia Firaun itu, di mana ada juga pendapat yang tidak menerima itu sebagai Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Terdapat beberapa hujah yang diberikan:

 1. Tujuan tubuh Firaun diselamatkan adalah sebagai tanda kepada umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu, untuk mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa Firaun yang mereka amat takuti itu telah benar-benar mati. Bukanlah tubuhnya menjadi pengajaran untuk zaman berzaman. Ini kerana mumia itu baru sahaja dijumpai tahun 1881, maka takkan sebelum itu tidak ada pengajaran?

2. Jasad Firaun yang kekal sampai sekarang adalah kerana diawet, bukan? Persoalannya di sini siapakah yang mengawetnya? Kerana yang bersama dengan tubuh Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام itu adalah Bani Israil yang baru sahaja menyeberang laut sehelai sepinggang. Bagaimana pula mereka boleh mempunyai bahan untuk mengawet tubuh Firaun?

3. Tubuh Firaun ketika itu berada pada Bani Israil zaman itu. Firaun itu musuh mereka. Maka sekiranya mereka mampu mengawet pun, apakah tujuannya untuk diawet kemudian disimpan pula? Bukankah perbuatan itu hanya membuang masa dan tenaga sahaja? Apakah perlunya diawet dan disimpan musuh ketat yang begitu zalim dan kejam yang sepatutnya dilemparkan sahaja ke lubuk buaya, bukan?

4. Kalau tidak dibuang ke lubuk buaya pun, tentunya mereka akan tanam kerana Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil adalah Muslim. Bilakah pula Muslim mensyariatkan tubuh mayat perlu diawet?

5. Kebiasaannya proses mengawet mayat manusia hanyalah dilakukan oleh rakyat sesebuah kerajaan dengan tujuan mengenang pemimpin mereka sahaja. Ini sebagaimana dilakukan oleh rakyat Turkiye yang mengawet jasad Kamal Ataturk atau juga seperti rakyat China mengawet pemimpin mereka Chairman Mao. Maka di manakah logiknya Bani Israil begitu membanggakan tubuh badan Firaun sehingga mahu mengawetnya pula sebagai kenangan?

6. Tubuh tidak diperlukan sebagai pengajaran. Allah ﷻ sebut kisah mereka di dalam Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Sebagai contoh lihat Baqarah: 65-66

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Kisah Bani Israil yang telah ditukar menjadi kera ini juga menjadi pengajaran buat kita, bukan? Namun di mana tubuh mereka yang telah jadi kera itu? Kenapakah tidak diawetkan sekali?

7. Firaun sekarang sedang diazab di Alam Barzakh seperti disebut dalam Ghafir: 46

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!””

Maka ini adalah beberapa isu dan hujah yang ditimbulkan bagi menolak pendapat yang mengatakan mumia yang berada di Mesir sekarang adalah Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Allahu a’lam. Allah ﷻ sahaja yang tahu perkara sebenar.

 

وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ ءآيٰتِنَا لَغٰفِلُونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada tanda-tanda Kami!”.

Allah ﷻ telah menyelamatkan tubuh Firaun supaya manusia yang melihatnya boleh mengambil iktibar. Namun malangnya, ramai yang tidak mengambil pengajaran daripada kisah itu. Mereka semua tahu kisah Firaun, boleh nampak sekurang-kurangnya gambar jasad Firaun itu, malah mungkin ada yang telah ke Mesir dan melawat jasad itu, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran.

Mereka hanya melihat sahaja, mereka hanya membaca sahaja kisah Firaun itu. Kajian tentang Mesir purba amat banyak sekali, sampaikan muncul sebuah bidang ilmu khas dipanggil ‘Egyptology’. Akan tetapi mereka hanya mengkaji tentang kehidupan Mesir purba sahaja dan bagaimana ia telah musnah sehingga mendatangkan rasa kagum dalam kalangan mereka. Namun sedikitpun mereka tidak mengambil pengajaran tentang kenapakah kerajaan begitu hebat dalam sejarah dimusnahkan.

Begitu juga dengan umat Islam yang mengetahui tentang kisah Firaun. Kebanyakan mereka masih lagi lalai. Bagaimana kita tahu mereka kebanyakannya lalai? Kerana kebanyakan manusia itu lalai untuk belajar agama dan tafsir Al-Qur’an. Mereka sibuk dengan dunia, mereka tidak memikirkan tentang akhirat. Maknanya, ada persamaan dengan Firaun, bukan?

Yang [Kera]jaan Mesir sekarang pun boleh tahan juga mempamerkan kebodohan mereka sampaikan pada April 2021, mereka telah mengadakan sebuah majlis perarakan besar-besaran sempena upacara memindahkan kedudukan Firaun. Jika dilihat daripada perarakan itu memang jelas sekali seolah-olah kita ini mengagungkan Firaun pula. Firaun, yang begitu terkenal sebagai salah seorang manusia paling zalim dalam sejarah dunia. Amat pelik sekali bila difikirkan dengan fenomena ini, adakah ini kerajaan orang Islam atau kerajaan kafir?

Perbarisan Emas Firaun, perarakan memindahkan 22 mumia dari Muzium Mesir di Tahrir ke Muzium Tamadun Nasional Mesir di Fustat, Kaherah

 

Habis Ruku’ 9 daripada 11 surah ini.


 

JASA ALLAH ﷻ KEPADA BANI ISRAIL

Yunus Ayat 93: Ayat Zajrun (teguran) kepada Bani Israil. Dalam ayat sebelum ini adalah tentang kesudahan Firaun dan tamat sudah kisah dia. Sekarang disebut tentang kesudahan Bani Israil pula. Adakah mereka mengambil pengajaran setelah mereka selamat daripadaFiraun?

وَلَقَد بَوَّأنا بَني إِسرٰءيلَ مُبَوَّأَ صِدقٍ وَرَزَقنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ فَمَا اختَلَفوا حَتّىٰ جاءَهُمُ العِلمُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And We had certainty settled the Children of Israel in an agreeable settlement and provided them with good things. And they did not differ until [after] knowledge had come to them. Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.

 

وَلَقَدْ بَوَّأْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil

Ini adalah selepas Bani Israil diselamatkan melepasi Laut Merah. Mereka telah meninggalkan rumah-rumah mereka dan segalanya di Mesir kerana mengikut Nabi Musa عليه السلام. Maka Allah ﷻ telah memberi mereka tempat tinggal yang lebih baik.

 

مُبَوَّأَ صِدْقٍ

di negeri yang baik

Iaitu mereka telah ditempatkan di Jurusalem atau sekarang dikenali sebagai Palestin. Di situlah terletaknya BaitulMaqdis.

Kalimah صِدْقٍ yang selalu kita faham adalah bermaksud ‘benar’ tetapi bukan itu sahaja maksud صِدْقٍ itu. Ia bermaksud tempat yang baik. Ia juga boleh bermaksud ‘mulia’. Di dalam surah Isra’: 1, Allah ﷻ memberitahu kita yang tempat itu diberkati.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Lihatlah bagaimana kalau sesuatu tempat itu ada berkat, Allah ﷻ akan berikan dalilnya. Maknanya, kena ada dalil baru boleh dikatakan ia ada berkat. Bukanlah seperti yang dilakukan oleh sesetengah puak sekarang. Mereka memandai sahaja mengatakan sesuatu tempat itu berkat.

Sebagai contoh, puak Habib mengatakan yang kubur Habib yang telah mati ada berkat. Maka mereka telah berkumpul dan buat ibadat di situ. Mereka juga kata yang capal Nabi ﷺ ada berkat. Bukan itu sahaja, logo capal pun mereka kata ada berkat dan macam-macam lagi rekaan daripada mereka.

 

وَرَزَقْنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan Kami mengurniakan mereka dengan rezeki-rezeki yang baik.

Lihatlah betapa banyaknya nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil. Mereka dahulunya ditindas dan diperhambakan oleh Firaun. Kemudian Allah ﷻ berikan dua Nabi kepada mereka (Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام). Kemudian Allah ﷻ beri mereka nikmat ibadat dengan memerintahkan mereka mendirikan solat. Selepas itu Allah ﷻ selamatkan mereka dan memberikan mereka tempat tinggal yang penuh berkat. Allah ﷻ selamatkan mereka kerana mereka ada iman.

Apabila mereka berbuat salah dan disesatkan di padang pasir pun, Allah ﷻ masih memberi rezeki yang baik kepada mereka seperti disebut dalam Baqarah: 57

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبَـٰتِ ما رَزَقنَـٰكُم
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (daripada panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

Lihatlah mereka pernah mendapat makanan turun dari langit yang khas untuk mereka sahaja. Allah ﷻ masih lagi dengan rahmat-Nya memudahkan kehidupan Bani Israil itu walaupun mereka banyak membuat salah. Tidak hanya dengan nikmat makanan, malah nikmat air juga dengan mudah mereka perolehi melalui mukjizat Nabi Musa عليه السلام iaitu air yang keluar daripada batu seperti disebut dalam Baqarah:60.

وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِّزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah daripada batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu daripada rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”..

Sepatutnya sebagai hamba Allah ﷻ yang beriman, setelah mereka diberikan dengan segala nikmat itu, mereka hendaklah mensyukuri nikmat itu lalu beriman sungguh-sungguh. Namun apa yang mereka lakukan? Mereka berselisih sesama mereka.

 

فَمَا اخْتَلَفُوا حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

Mereka tidaklah berselisihan (tentang tauhid) melainkan setelah datang kepada mereka ilmu

Sebelum ini Allah ﷻ ungkit jasa dan kurnia-Nya menempatkan Bani Israil itu di tempat yang baik dan kemudian diberi rezeki. Sekarang Allah ﷻ sebut kesalahan mereka. Kesalahan mereka menjadi lebih besar kerana mereka telah terima segala nikmat daripada Allah ﷻ, namun masih lagi berselisih.

Mereka berselisih selepas mereka mendapat Ilmu, iaitu ilmu daripada Kitab Taurat. Mereka berselisih tentang hal agama walaupun kebenaran telah sampai kepada mereka. Perkara paling besar adalah pengetahuan tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu daripada kitab Taurat tentang sifat baginda, bila baginda akan datang dan sebagainya. Sampaikan di dalam Al-Qur’an Allah ﷻ beritahu yang mereka kenal baginda seperti kenal anak sendiri. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Baqarah:89

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

Namun begitu, apabila baginda benar-benar datang, mereka tolak. Mereka berselisih pendapat. Ada juga yang terima, tetapi majoriti daripada mereka tolak kerana mereka tidak dapat menerima Nabi Akhir Zaman itu dalam kalangan Bani Ismail (orang Arab). Mereka sangkakan dan tunggu dalam kalangan bangsa mereka, sebaliknya yang datang itu daripada golongan lain pula. Sudahlah selama hari itu mereka mengutuk Bangsa Arab itu sebagai tidak bertamadun, tidak ada agama, dan lain-lain lagi. Maka susahlah mereka hendak menerima Nabi Muhammad ﷺ pula. Bagi mereka ia adalah seolah-olah mereka terpaksa menjilat ludah mereka sendiri. Jatuhlah ego mereka jika mereka menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi Akhir Zaman. Sebab itulah mereka buat keputusan untuk tolak. Begitulah teruknya mereka walaupun ada ilmu sebagaimana Allah ﷻ sebudalam Bayyinah:4

وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ اِلَّا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَتْهُمُ الْبَيِّنَةُ ۗ
Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Mereka ini walaupun digelar ‘Ahli Kitab’ dan dikatakan ilmu telah datang kepada mereka, tetapi mereka tidak beriman pun dengan ilmu yang ada pada mereka. Mereka hanya pilih-pilih sahaja mana yang mereka terima dan mana yang mereka hendak tolak. Allah ﷻ tegur mereka tentang hal ini dalam Baqarah:85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ
patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?

Sekarang pun ramai kalangan orang kita yang berselisih dalam hal agama. Lebih-lebih lagi zaman sekarang iaitu apabila bangkit mereka yang memegang sunnah. Itulah golongan yang ingin kembali kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Bukan seperti dulu, tidak kedengaran perselisihan yang seperti ini. Ini kerana pada waktu dahulu, semua mengamalkan agama yang hampir sama sahaja. Kalau berselisih pun, sikit-sikit sahaja.

Namun kita dapat rasakan yang perselisihan sekarang amat besar. Ramai yang berselisih dengan kita kerana kita bawakan ajaran tauhid, dan menentang syirik dan bid’ah lah yang menyebabkan ramai yang tolak, ramai yang berselisih dengan kita. Ini telah disebut dalam Shura:14

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتَابَ مِن بَعْدِهِمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

Kalau kita hanya ajar solat, wudhu’, puasa dan cara-cara ibadat lain, tidak ada yang melarang. Namun itu adalah berkenaan ibadat semata-mata. Bagaimana pula dengan ilmu aqidah, ilmu tauhid dan syirik? Ini kerana kalau tidak diajar tentang apakah syirik itu, manusia tidak akan tahu yang mereka mengamalkan syirik. Apabila mereka mengamalkan syirik, segala amal ibadat yang mereka lakukan itu akan punah, tidak mendapat pahala pun. Alangkah ruginya.

Apakah lagi maksud ‘perselisihan berlaku setelah datang ilmu’? Perselisihan itu berlaku apabila ada yang mendapat ilmu tetapi ditolak oleh mereka yang tidak ada ilmu. Kalau sama-sama tidak ada ilmu, tidaklah ada perselisihan, kerana sama-sama jahil dan bodoh. Namun apabila ada yang mendapat ilmu sunnah, mereka sudah tidak boleh menerima amalan yang bid’ah lagi, maka di situlah bermulanya perselisihan.

Ini kerana mereka akan mula menegur golongan yang mengamalkan bid’ah itu kerana menegur kesalahan adalah wajib. Maka puak bid’ah amat marah jika amalan mereka yang sudah lama diamalkan itu ditegur. Manakan tidak, amalan itu dipusakai zaman berzaman daripada tok nenek mereka lagi dan telah lama mereka amalkan. Mereka kata kita memecah belahkan masyarakat, padahal kita hendak menyatukan masyarakat.

Kenapakah dikatakan kita hendak menyatukan masyarakat? Lihatlah bagaimana manusia sekarang berpecah dalam hal agama. Semua mengadu kita tidak bersatu. Maka, apakah cara untuk menyatukan semua pihak? Semua pihak dapat disatukan jikalau semuanya memegang hukum agama daripada sumber yang sama – AL-QUR’AN & HADITH SAHIH.

Masyarakat Islam sekarang tidak dapat bersatu kerana semua mengambil dalil agama dengan cara caca merba. Ada yang mengikut kata ulama ini, ada yang mengikut pendapat ulama itu. Itulah sebabnya perselisihan banyak berlaku. Bayangkan kalau semua pegang sumber yang sama, bukankah akan ada penyatuan?

Namun, apa yang terjadi sekarang? Kebiasaannya, apabila kita menegur amalan yang salah, puak bid’ah akan jawab: “Itu khilaf ulamak, Syeikh”. Ketahuilah bahawa khilaf yang diterima adalah jikalau ada nas yang sahih, dan daripada nas yang sahih itu, ada perbezaan pendapat daripadanya. Ini berlaku kerana pemahaman manusia adalah berbeza-beza. Sebagai contoh, dalam Baqarah:228

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci.

Dalam situasi talak begini, ulama’ feqah berbeza pendapat tentang perkataan قُرُوءٍ itu. Ada yang kata قُرُوءٍ itu bermaksud selepas tiga kali suci, sementara ada yang kata selepas tiga kali haid. Maka, ini adalah khilaf yang diterima kerana ia adalah perbezaan daripada pemahaman ulama’ daripada dalil yang sah. Maknanya, kedua-dua pendapat berdasarkan dalil ada sahih dan kedua-dua boleh diterimapakai.

Akan tetapi apabila tidak ada dalil langsung, seperti dalil untuk mengadakan Majlis Tahlil, maka ini bukanlah khilaf yang patut dilayan. Itu adalah khilaf yang tidak diterima kerana pihak yang kata boleh buat Majlis Tahlil itu tidak dapat mendatangkan nas yang sahih, melainkan pendapat manusia sahaja yang mengatakan ia adalah ‘baik’ berdasarkan akal logik mereka sahaja. Inilah juga masalah dengan amalan-amalan bid’ah yang lain.

Khilaf yang dibenarkan itu juga boleh menyebabkan perselisihan. Ia berasal daripada perbezaan pemahaman. Kita kena hormati perbezaan pemahaman itu tetapi apabila ia dibawa sampai kepada perdebatan yang keras, akan menyebabkan perselisihan. Sepatutnya kita menghormati pendapat ulama’ yang lain, kerana ada pemahaman yang berbeza. Namun apabila satu pihak menyalahkan pihak yang lain kerana pendapat yang berbeza itu, itulah yang menyebabkan perselisihan.

Daripada perselisihan inilah yang menyebabkan berpecahnya Yahudi kepada 71 golongan, Kristian kepada 72 golongan dan Islam kepada 73 golongan. Satu golongan sahaja yang masuk syurga iaitu mereka yang berpegang dengan sunnah. Maka ini khilaf yang bahaya kerana ia khilaf berkenaan tauhid. Tidak boleh khilaf berkenaan tauhid, kalau bab feqah masih boleh lagi.

Para sahabat pun ada perbezaan pendapat antara mereka, namun tidaklah sampai kepada perselisihan dan pertengkaran pula. Jikalau para sahabat pun khilaf sesama mereka, maka tidak salah kalau kita khilaf. Yang tidak boleh khilaf adalah dengan Al-Qur’an dan Rasulullah seperti firman Allah ﷻ dalam Ali Imran:31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan buat keputusan di antara mereka pada hari kiamat

Ini pula adalah Takhwif Ukhrawi. Di Hari Akhirat nanti, Allah ﷻ akan membuat keputusan manakah pendapat yang benar. Ada pihak kata tawasul kepada orang mati tidak boleh, ada yang kata ia adalah elok.

Maka, di Akhirat nanti, Allah ﷻ akan beritahu mana satu yang benar. Namun, siapa yang benar waktu itu sudah terlambat. Kalau yang pegang pendapat salah itu, bagaimana mereka hendak memperbetulkan amalan mereka? Oleh itu, hendaklah kita pastikan manakah pendapat yang benar semasa di dunia lagi. Kenalah buat kajian dan dapatkan keputusan yang paling tepat.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka dulu perselisihkan itu.

Banyak yang guna alasan kata ‘khilaf ulama’. Atau mereka kata perkara itu furu’ (ranting) sahaja dan kena ‘berlapang dada’ dan terima kesemua pendapat. Padahal, banyak perselisihan itu dalam perkara penting iaitu termasuk perkara akidah, perkara tauhid yang tentunya bukan perkara ranting lagi.

Maka, janganlah kita senang-senang hendak berlapang dada dan meraikan pendapat semua orang, kerana kesannya adalah sama ada duduk di syurga, atau kekal di neraka.

Daripada ayat ini juga kita belajar yang perselisihan tetap akan ada sampailah hari kiamat. Maka jangan kita ribut sangat kerana ini perkara biasa sahaja. Tidak perlu dilayan sangat kerana ia membuang masa sahaja. Kita tidak akan dapat menghilangkan perbezaan yang pasti ada. Kita buat amal kita dan tunggu di akhirat kelak di mana segala perbezaan itu akan diselesaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ akan tentukan mana yang betul dan mana yang tidak. Cuma malanglah kalau di situ baru tahu rupanya selama ini berada di pihak yang salah kerana sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Januari 2024

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 88 – 90 (Firaun akhirnya beriman)

Yunus Ayat 88: Setelah sekian lama berdakwah dan Bani Israil ditindas, maka sekarang Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ.

وَقالَ موسىٰ رَبَّنا إِنَّكَ ءآتَيتَ فِرعَونَ وَمَلَأَهُ زينَةً وَأَموٰلًا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا رَبَّنا لِيُضِلّوا عَن سَبيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطمِس عَلىٰ أَموٰلِهِم وَاشدُد عَلىٰ قُلوبِهِم فَلا يُؤمِنوا حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ

Sahih International

And Moses said, “Our Lord, indeed You have given Pharaoh and his establishment splendor and wealth in the worldly life, our Lord, that they may lead [men] astray from Your way. Our Lord, obliterate their wealth and harden their hearts so that they will not believe until they see the painful punishment.”

Malay

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meterikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

 

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan Nabi Musa berkata:

Setelah bertahun-tahun Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, inilah kata-kata dan doa baginda kepada Allah ﷻ. Doa ini sebenarnya adalah doa laknat kerana Nabi Musa عليه السلام nampak mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk beriman dan bahaya kalau mereka terus hidup senang lenang dan kesannya akan mempengaruhi manusia lain.

 

رَبَّنَا إِنَّكَ ءآتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya barang-barang perhiasan yang indah

Kalimah زِينَةً asalnya bermaksud sesuatu yang cantik dipandang mata. Sama ada dari segi akhlak, rupa paras dan barang-barang. Kalimah زِينَةً dalam ayat ini bermaksud Allah ﷻ telah memberikan Firaun, pembesar-pembesarnya dan bangsa Qibti dengan keindahan badan dan barang-barang perhiasan.

Mereka telah dilimpahi dengan segala kemewahan. Sebagai contoh, mereka mempunyai kereta kuda yang diperbuat daripada emas dan sebagainya. Rumah mereka berlantaikan marmar hitam. Sekarang sudah tidak tinggal kesan lagi kerana telah diambil oleh pemerintah lain.

 

وَأَمْوٰلًا

dan harta benda yang banyak

Kekayaan menyebabkan manusia jauh daripada kebenaran kerana sibuk dengan kesenangan mereka. Mereka tidak nampak keperluan agama lagi kerana hidup senang. Begitulah orang yang kaya, mereka akan menghabiskan masa mengira-ngira harta mereka. Mereka suka mengumpul harta dan tidak pernah rasa cukup. Padahal, berapa banyak sangat yang mereka boleh makan? Maknanya mereka bukan hendak makan sangat tetapi digunakan duit itu untuk berbangga-bangga dengan apa yang mereka ada.

 

فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia ini.

Begitulah kehidupan dunia telah menyebabkan manusia leka dan lalai. Mereka melebihkan kejayaan di dunia daripada kejayaan di akhirat. Inilah bahayanya jikalau manusia diberikan kekayaan dan mereka kalah dengan ujian kekayaan itu. Allah ﷻ berfirman dalam Alaq:6-7

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Mereka sahaja أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ nampak yang mereka serba cukup. Namun sebenarnya tidak. Mereka lupa bahawa apa sahaja yang mereka ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Namun begitu walau sekaya manapun manusia, tetap juga memerlukan orang lain. Begitulah manusia selalunya tergelincir apabila mendapat kemewahan dan kesenangan hidup. Satu lagi kisah Allah ﷻ sampaikan kepada kita adalah tentang lelaki pemilik kebun dalam Kahf:32

۞ وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنٰبٍ وَحَفَفنٰهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

Diringkaskan ceritakan, dalam ayat 34, dia sudah berlagak

وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصٰحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَناْ أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

Dalam ayat 35, dia sudah jadi zalim (syirik kerana angkuh)

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظالِمٌ لِّنَفسِهِ قالَ ما أَظُنُّ أَن تَبيدَ هٰذِهِ أَبَدًا
Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya..

Dalam ayat 36, dia sudah tidak yakin adanya kiamat pula,

وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُ إِلىٰ رَبّي لَأَجِدَنَّ خَيرًا مِنها مُنقَلَبًا
Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

 

رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ

Wahai Tuhan kami! akibatnya menyesatkan mereka dari jalan-Mu

Dengan harta dan perhiasannya banyak itulah yang menyebabkan Firaun dan pembesar-pembesarnya telah menjadi sesat. Termasuk bangsa Qibti sekali. Mereka langsung tidak bersyukur kepada Allah ﷻ namun sebaliknya mereka telah menjadi sesat. Dalam ayat ini, seumpama Nabi Musa عليه السلام bertanya kepada Allah ﷻ, kenapa Allah ﷻ memberikan segalanya itu kepada mereka sampai menyebabkan mereka menjadi sesat? Memang mereka kaya raya dan berkuasa seperti kata Firaun dalam Zukhruf:51

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

Manusia yang jahil senang tertipu dengan kesenangan hidup. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, takkan mereka mendapat segala kesenangan ini? Oleh itu kita semua kena ingat yang mendapat kekayaan dan kesenangan hidup bukanlah tanda yang Allah ﷻ sayang dan kita berada di atas jalan yang benar. Jangan tertipu dengan perkara ini. Lihatlah bagaimana Firaun yang paling teruk ini pun banyak sangat kesenangan yang diberikan kepadanya. Ini semua adalah ujian. Manakala hidup yang susah pula tidak bermakna yang anda dibenci oleh Allah ﷻ. Susah dan senang, kedua-duanya adalah ujian sebenar.

Walau bagaimanapun tidaklah menjadi satu kesalahan pula untuk berjaya dalam dunia dan memiliki kemewahan. Yang salah adalah jika dengan kekayaan dan kemewahan itu sampai menyebabkan kita menjadi sesat. Amat malang sekali kerana kebanyakan ramai yang menjadi begitu apabila mereka diuliti dengan kekayaan dan kemewahan.

Kita sekarang pun begitu juga. Ramai yang mementingkan kekayaan dunia. Kekayaan adalah ujian sebenar kerana dengan kekayaan, ramai manusia yang lalai dengan agama. Kemiskinan yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah ujian. Ada yang kaya terlalu sibuk untuk hidup senang sampai lupa agama. Atau ada pula yang tidak mampu belajar kerana kemiskinan hidup. Oleh itu, kekayaan dan kemiskinan adalah ujian. Jangan kita sangka kemiskinan sahaja ujian.

Bukanlah kita kata kaya itu salah pula ya. Kalau kita kaya, kita mempunyai peluang untuk mendapat pahala yang besar melalui infak harta yang Allah ﷻ telah berikan itu. Akan tetapi kenalah ikut kesesuaian harta kita. Kalau kita ada banyak wang, kenalah kita beri dengan banyak juga. Seorang yang ada duit sebanyak dua juta ringgit dan menderma dua puluh ribu ringgit tidak banyak sebenarnya kerana jumlah itu hanyalah 1% daripada hartanya sahaja. Walaupun rasa seperti banyak namun sebenarnya, dia hanya menderma sebahagian kecil sahaja daripada hartanya. Bandingkan dengan seorang yang ada dua ribu ringgit dan menderma sebanyak 200 ringgit. Dia sebenarnya telah menderma lebih banyak kerana dia telah menderma 10% daripada hartanya.

Dalam ayat ini, kekayaan dan kemewahan yang telah diberikan kepada Firaun dan kerajaannya telah menyebabkan dia menjadi sesat. Tidaklah ini bermakna yang kekayaan kerajaan itu tidak baik secara keseluruhan. Banyak yang kita boleh belajar dari negara maju. Lihatlah bagaimana kebebasan diberikan kepada masyarakat yang maju. Rakyat mereka dapat hidup senang (itu pun kalau kerajaan tidak sakau duit rakyat).

Lihatlah juga bagaimana mereka menjaga kebajikan masyarakat yang lemah dan tidak berpendapatan. Juga bagaimana mereka memudahkan kehidupan rakyatnya. Bagaimana mereka menjaga kebersihan. Bagaimana mereka memberikan layanan sama rata kepada pekerja dan pelanggan. Pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, persekitaran yang sihat, kerja sedikit tetapi gaji tinggi; itu semua kita patut pelajari dan ambil sebagai contoh. Sedangkan membuat kebaikan sebegini ada terkandung dalam ajaran Islam sebenarnya. Kita sepatutnya ambil yang baik, bukan yang buruk.

Tak Ada Negara Muslim Masuk, Negara Paling Bahagia di Dunia 2023

Lihatlah hanya negara barat yang maju dan kaya dicanang sebagai negara kebajikan yang paling menjaga kebajikan rakyatnya. Mereka diletakkan sebagai negara yang paling bahagia untuk diduduki dalam dunia. Mengapakah tiada negara Muslim termasuk dalam senarai?

Masalahnya masyarakat kita salah ambil contoh dari Barat. Dalam kepala mereka, apabila mengecapi arus kemodenan, kita perlu bersikap terbuka. Buka minda untuk kebebasan berbuat dosa, pakaian mendedah aurat, pergaulan bebas dan maksiat berleluasa, konsert hiburan yang membuang masa, sambutan perayaan yang tidak berfaedah dan terkini paling teruk adalah kebebasan bersuara untuk menegakkan hak manusia sehingga hak untuk menukar jantina, bercinta dan berkahwin sesama jenis sudah dihalalkan dan menjadi perkara norma di negara mereka!

Bukan itu yang patutnya kita tiru. Semua itu hanyalah perkara keji yang langsung tidak berfaedah semata-mata demi keseronokan di dunia yang akhirnya akan mengundang kemurkaan Allah ﷻ sahaja.

 

رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوٰلِهِمْ

Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka

Sekarang, baru Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ kerana baginda sudah nampak yang Firaun dan pengikutnya tidak akan berubah. Kalau mereka mereka masih kaya raya lagi, maka akan semakin sesatlah umat manusia yang lain.

Kalimah طمس bermaksud memusnahkan sesuatu itu sampai tiada kesan lagi. Oleh kerana harta itu yang menyebabkan mereka sesat, maka Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ supaya harta itu dihancurkan.

Namun begitu Allah ﷻ tidak memakbulkan doa Nabi Musa عليه السلام berkenaan harta ini kerana kita tahu bila Firaun dan pengikut-pengikutnya mengejar Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil, mereka telah meninggalkan harta yang banyak di Mesir. Allah ﷻ tidak menghancurkan harta mereka dan harta itu telah diambil oleh kaum yang lain (atau satu pendapat mengatakan diberikan kepada Bani Israil sendiri). Sebaliknya Allah ﷻ mematikan Firaun dan kaumnya itu.

Akan tetapi ada juga kitab tafsir yang sebut segala harta Firaun dan rakyatnya menjadi batu belaka. Allahu a’lam.

Soalan: bolehkah kita doakan kehancuran kepada harta benda penentang Tauhid seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام ini? Boleh, kalau kita pun sudah berdakwah kepada mereka seperti Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام berdakwah kepada Bani Israil itu. Namun jikalau setakat setahun dua, tidak perlulah doa sebegitu.

 

وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

dan keraskan hati mereka

Ini adalah doa laknat yang kedua daripada Nabi Musa عليه السلام. Yang pertama tentang harta mereka. Keraskan hati mereka seperti batu atau kuncilah hati mereka supaya mereka tidak masuk Islam. Kenapa pula sampai begitu? Kenapa sampai Nabi Musa عليه السلام tidak mahu mereka masuk Islam pula padahal baginda sudah lama berdakwah kepada mereka?

Ini kerana selepas apa yang mereka lakukan, Nabi Musa عليه السلام rasa mereka tidak layak mendapat iman. Itulah Allah ﷻ menceritakan balik apakah kata-kata Nabi Musa عليه السلام. Dalam masa yang sama, Allah ﷻ seumpama memberitahu Musyrikin Mekah yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pun berdoa begini kepada mereka kerana sekiranya Nabi ﷺ berdoa begitu juga, sudah lama mereka mendapat nasib yang sama. Allah ﷻ ancam mereka, jangan sampai Nabi Muhammad ﷺ berdoa seperti ini juga.

 

فَلَا يُؤْمِنُوا

maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman

Nabi Musa عليه السلام berdoa supaya Firaun dan pengikutnya tidak beriman. Bilakah baginda doakan ini? Iaitu setelah bertahun-tahun baginda berdakwah kepada mereka tetapi mereka menolak sahaja dan terus melakukan kezaliman kepada Bani Israil.

Malah lebih teruk lagi mereka telah menghalang agama Allah ﷻ daripada berkembang. Mereka tidak membenarkan Musa عليه السلام menyampaikan dakwah. Malah Firaun semakin menindas baginda dan Bani Israil. Kerana itulah Nabi Musa عليه السلام berdoa. Memang nampak keras tetapi ada sebabnya. Kerana kalau mereka dibiarkan, mereka akan terus melakukan kerosakan.

Maka, doa ini sebenarnya adalah strategi. Untuk meneruskan agama Islam bagi berkembang, Firaun dan kekayaannya perlu dimusnahkan. Sebagai contoh, jika ada bahagian badan kita terkena kanser, kadang-kadang bahagian badan itu terpaksa dipotong sebelum ia merebak ke bahagian tubuh yang lain.

 

حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Doa Nabi Musa عليه السلام ini telah dimakbulkan oleh Allah ﷻ. Firaun dan pengikutnya tidak beriman sampai mereka mati. Hanya apabila hendak mati sahaja, barulah Firaun mengaku beriman kepada Tuhan Bani Israil (Allah ﷻ) namun itu semua sudah terlambat.

Kalau kita bandingkan, doa Nabi Nuh عليه السلام adalah lebih keras lagi seperti disebut dalam Nuh:26-27

وَقالَ نوحٌ رَّبِّ لا تَذَر عَلَى الأَرضِ مِنَ الكٰفِرينَ دَيّارًا
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

إِنَّكَ إِن تَذَرهُم يُضِلّوا عِبادَكَ وَلا يَلِدوا إِلّا فاجِرًا كَفّارًا
“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

Ini adalah kerana Allah ﷻ telah memberitahu Nabi Nuh عليه السلام yang umatnya itu tidak akan beriman sampai bila-bila.. Ini telah disebut dalam Hud: 36

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد آمَنَ
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi daripada kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.


 

Yunus Ayat 89: Tanda makbul daripada Allah ﷻ.

قالَ قَد أُجيبَت دَّعوَتُكُما فَاستَقيما وَلا تَتَّبِعانِّ سَبيلَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Sahih International

[ Allah ] said, “Your supplication has been answered.” So remain on a right course and follow not the way of those who do not know.”

Malay

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.

 

قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua;

Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام bahawa doa mereka berdua telah dikabulkan. Sebelum ini seolah-olah disebut Nabi Musa عليه السلام sahaja berdoa, tetapi sebenarnya mereka berdua berdoa kerana mereka mempunyai tujuan yang sama. Ada tafsiran lain menyebut memang Nabi Musa عليه السلام yang berdoa dan Nabi Harun عليه السلام mengaminkan dan ta’min (mengaminkan) juga adalah sebahagian daripada doa. Maka mereka dikira berkongsi dalam berdoa.

Dikatakan bahawa doa itu dimakbulkan selepas 40 tahun (antaranya dikatakan oleh Al-Baghawi). Bukanlah terus dikabulkan waktu itu juga. Allahu a’lam. Maknanya sepanjang 40 tahun itu Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام tetap kena berdakwah. Ini mengajar kita yang doa tidak semestinya dimakbulkan terus oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu bila sesuatu itu patut diberikan. Walaupun begitu di dalam menunggu perkara diminta itu diberi, Allah ﷻ telah berikan perkara lain yang kita lebih perlukan, seperti keselamatan contohnya.

 

فَاسْتَقِيمَا

oleh itu hendaklah kamu berdua istiqamah,

Maknanya, mereka hendaklah terus menjalankan kerja dakwah. Mesti istiqamah di atas jalan yang benar. Maknanya, selepas berdoa, kita masih terus menjalankan tugas dakwah kita. Doa akan dimakbulkan, tetapi tidak semestinya terus diberikan. Dalam berdoa, kita tidak tahu sama ada ia dimakbulkan atau tidak. Kita pun tidak tahu bila ia akan diberikan. Maka sementara menunggu waktu dimakbulkan doa itu, kita terus sahaja melakukan kewajipan kita.

Tetap (istiqamah) itu juga bermaksud istiqamah dalam tauhid. Jangan keluar masuk. Kejap pegang tauhid, kejap tidak, jangan begitu. Terus tetap pegang tauhid ini. Bagi orang yang berada di atas jalan Sunnah ini, kena terus tetap di atas Sunnah.

Ayat ini juga boleh bermaksud, mereka berdua kena tetap dalam keinginan mereka itu. Jangan selepas mereka berdoa itu, dan Allah ﷻ sudah kata akan makbulkan doa mereka, jangan selepas itu mereka mahu tukar fikiran pula. Mereka telah berdoa untuk kemusnahan Firaun dan pengikutnya, maka jangan mereka mahu ubah fikiran pula selepas itu.

 

وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui”.

Jangan ikut langsung mereka yang jahil. Apabila digunakan perkataan تَتَّبِعَانِّ dalam nahu begitu, bermaksud ada penekanan. Don’t you dare follow. Nasihat ini juga untuk kita supaya jangan sekali-kali kamu ikut mereka yang tidak tahu tentang agama, tidak tahu tafsir Al-Qur’an.

Allah ﷻ kata jangan ikut mereka yang tidak tahu. Maka janganlah belajar dengan mereka yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi. Malangnya, yang banyak mengajar sekarang ini adalah mereka yang tidak belajar pun dua sumber utama agama itu. Kalau kita tanya mereka, “Sudahkah habis belajar tafsir Al-Qur’an?”, mereka akan jawab: “Adalah sikit-sikit dulu”.

Bila ditanya sudah habis belajar kitab hadith, atau salah satu dari kutubussittah?”,mereka akan jawab, “Saya ada belajar sikit”. Maknanya, mereka sendiri pun tidak lepas asas agama Islam, tetapi mereka inilah yang mengajar masyarakat sekarang. Mereka sendiri sudah jahil agama, mengajar pula orang yang memang jahil juga. Maka, kejahilan itu bertimpa-timpa. Malangnya golongan ini pula yang mendapat tempat dalam masyarakat. Antaranya ada yang kata boleh selak tirai untuk tanya Nabi sesuatu hadith itu sahih ataupun tidak! Sudahlah mengarut begitu ramai pula yang sanjung dan menyokong! Apa hendak jadi pun tidak tahulah dengan masyarakat kita.

Sedangkan dalam masa yang sama, mereka yang sudah habis belajar tafsir dan hadith, ramai juga bilangan mereka. Akan tetapi mereka tidak dibenarkan mengajar kepada masyarakat. Minta tauliah pun tidak diberikan. Maknanya bukan tidak ada yang boleh mengajar, ada, tetapi tidak dibenarkan. Sebab mereka akan mengajar ajaran yang betul yang bertentangan dengan apa yang masyarakat sudah biasa amalkan.

Maka, mereka yang bertanggungjawab menguruskan hal pembelajaran agama, terus membiarkan mereka yang tidak berilmu itu yang mengajar. Sebab itulah susah sangat ajaran sunnah ini hendak diterima oleh masyarakat kerana masyarakat sudah biasa dengan ajaran bid’ah. Sesungguhnya ajaran sunnah dan bid’ah tidak akan dapat duduk bersama. Ia berlawanan antara satu sama lain. Tidak mungkin kita boleh mengamalkan sunnah dan bid’ah dalam satu masa. Menghidupkan satu amalan bid’ah akan mematikan satu amalan sunnah.


 

KEHANCURAN FIRAUN

Yunus Ayat 90: Bagaimanakah cara doa mereka itu dimakbulkan?

وَجاوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ وَجُنودُهُ بَغيًا وَعَدوًا ۖ حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ وَأَناْ مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And We took the Children of Israel across the sea, and Pharaoh and his soldiers pursued them in tyranny and enmity until, when drowning overtook him, he said, “I believe that there is no deity except that in whom the Children of Israel believe, and I am of the Muslims.”

Malay

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (Islam)”.

 

وَجٰوَزْنَا بِبَنِي إِسْرٰءيلَ الْبَحْرَ

Dan Kami lintaskan Bani Israil ke seberang Laut,

Allah ﷻ kata, Dia yang telah menyelamatkan Bani Israil menyeberangi laut itu. Walaupun zahirnya, yang bawa mereka itu adalah Nabi Musa عليه السلام, namun hakikatnya, Allah ﷻlah yang membawa mereka. Bilakah ia berlaku? Ia berlaku pada Hari Asyura iaitu 10 Muharram seperti yang disebut di dalam hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما] berkata: “Ketika Nabi ﷺ telah sampai dan tinggal di Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi melaksanakan puasa hari ‘Asyura’ lalu baginda bertanya: “Kenapa kalian mengerjakan ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari kemenangan, hari ketika Allah ﷻ menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh mereka lalu Nabi Musa عليه السلام menjadikannya sebagai hari berpuasa”. Maka baginda bersabda: “Aku lebih berhak daripada kalian terhadap Musa”. Lalu baginda memerintahkan untuk berpuasa.
(Sahih Bukhari (1865))

Mereka melarikan diri pada malam hari. Ada pendapat mengatakan seramai 60,000 mereka semua sekali. Sebelum ini telah disebut mereka disuruh untuk mencari penempatan yang lain daripada bangsa Qibti. Apabila mereka duduk di penempatan yang lain dari tempat tinggal bangsa Qibti, maka mereka boleh bergerak senyap-senyap di waktu malam. Namun mereka kena menjalani latihan dalam solat untuk menerima arahan dan fokus kepada kerja mereka. Itulah kelebihan solat, di mana ada latihan di dalam solat yang dilakukan mereka itu.

Di dalam ayat ini hanya disebut ringkas sahaja tentang mereka menyeberang itu. Nampak macam mudah pula Bani Israil itu lari dan menyeberang laut. Kena rujuk surah-surah yang lain, antaranya Shu’araa:51-58

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَن أَسرِ بِعِبادي إِنَّكُم مُّتَّبَعونَ
Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: “Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hamba-Ku (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekalian akan disusuli”.

فَأَرسَلَ فِرعَونُ فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ
Maka Fir’aun mengirimkan orang untuk mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota.

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَشِرذِمَةٌ قَليلونَ
(Fir’aun berkata): “Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil,

وَإِنَّهُم لَنا لَغائِظونَ
dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita,

وَإِنّا لَجَميعٌ حٰذِرونَ
dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga”.

فَأَخرَجنٰهُم مِّن جَنّٰتٍ وَعُيونٍ
Maka Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air,

وَكُنوزٍ وَمَقامٍ كَريمٍ
dan (daripada) perbendaharaan dan kedudukan yang mulia,

فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ

lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya,

Hanya apabila tiba siang hari, baru orang Qibti perasan bahawa Bani Israil yang menjadi hamba mereka telah tiada. Maksudnya mereka tidak datang kerja pada hari itu. Maka, mereka telah menyampaikan kepada Firaun tentang perkara itu. Ini disambung dalam Shu’araa:60-66

فَأَتبَعوهُم مُّشرِقينَ
Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.

فَلَمّا تَرٰءَى الجَمعانِ قالَ أَصحٰبُ موسىٰ إِنّا لَمُدرَكونَ
Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”.

قالَ كَلّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبّي سَيَهدينِ
Musa menjawab: “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku bersertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku”.

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

وَأَزلَفنا ثَمَّ الآخَرينَ
Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain.

وَأَنجَينا موسىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجمَعينَ
Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersertanya semuanya.

ثُمَّ أَغرَقنَا الآخَرينَ
Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.

Firaun telah mengeluarkan arahan yang mereka mesti mengejar Bani Israil yang melarikan diri itu dengan segera. Mereka amat marah sekali dan ramai-ramai telah keluar. Firaun mengajak semua bangsa Qibti ikut sekali untuk melihat bagaimana mereka akan menangkap semua Bani Israil itu. Begitulah perancangan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak matikan mereka semua sekali di dalam laut. Mereka dapat kejar dan nampak Bani Israil sedang hendak menyeberangi laut.

Allah ﷻ telah mewahyukan Nabi Musa عليه السلام untuk memukul laut dengan tongkat baginda. Apabila dipukul, laut itu telah terbelah dan mereka boleh melaluinya. Firaun dan tenteranya juga mengikut Bani Israil itu menyeberangi laut itu. Kisah ini semuanya kita sudah tahu dan sudah disebut dalam surah-surah yang lain.

 

بَغْيًا وَعَدْوًا

dengan tujuan melakukan kezaliman dan permusuhan,

Mereka kejar itu kerana marah dan mereka hendak mengambil semula hamba-hamba mereka. Bukanlah mereka kejar dengan niat yang baik, pujuk untuk ajak balik duduk dengan mereka. Mereka mahu menyeksa Bani Israil itu kalau mereka dapat tangkap.

Dipendekkan cerita, apabila Bani Israil sudah melepasi laut itu, Allah ﷻ telah mewahyukan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk memukul laut itu sekali lagi. Maka, laut yang terbelah itu telah bercantum kembali. Bayangkan ketinggian laut itu dan betapa beratnya air yang jatuh menimpa Firaun dan pengikutnya.

 

حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ

sehingga apabila Firaun hampir tenggelam

Kalimah أَدْرَكَهُ berasal daripada katadasar د ر ك yang bermaksud ‘sampai’. Sampai dari atas seperti turun tangga dan turun tangga itu sedikit demi sedikit, bukannya laju. Maknanya, Firaun sudah mulai tenggelam sejak mula Nabi Musa عليه السلام datang berdakwah kepadanya, dan tahap akhir adalah apabila dia tenggelam lemas di lautan itu.

Kalimah الْغَرَقُ berasal daripada katadasar غ ر ق yang bermaksud ‘lemas’. Ini setelah dia dihempap dengan air laut yang amat berat. Firaun sudah tahu yang dia akan tenggelam. Tidak ada harapan lagi untuk dia. Keadaannya pada waktu itu adalah nyawa-nyawa ikan sahaja. Doa pada tahap ini tidak makbul. Doa diterima selagi nyawa belum sampai ke halqum. Iman yang hadir ketika itu juga tidak diterima kerana memang pada waktu itu semua orang pasti akan beriman.

Apakah katanya waktu itu?

 

قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ

berkatalah dia: “Aku percaya, bahawa sesungguhnya tiada ilah yang disembah, melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,

Dia bercakap dalam hati sahaja kerana mulutnya telah disumbat dengan tanah selut oleh Jibril عليه السلام. Jibril عليه السلام buat begitu supaya Firaun tidak boleh ucap Syahadah. Dalam hadith riwayat Tirmizi, ada disebut:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَمَّا أَغْرَقَ اللَّهُ فِرْعَوْنَ قَالَ { آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ } فَقَالَ جِبْرِيلُ يَا مُحَمَّدُ فَلَوْ رَأَيْتَنِي وَأَنَا آخُذُ مِنْ حَالِ الْبَحْرِ فَأَدُسُّهُ فِي فِيهِ مَخَافَةَ أَنْ تُدْرِكَهُ الرَّحْمَةُ
Daripada [Ibnu Abbas رضي الله عنهما] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Ketika Allah ‎ﷻ menenggelamkan Fir’aun, dia mengatakan: Aku beriman bahawa tiada tuhan selain yang diimani Bani Israil. Jibril عليه السلام berkata: Wahai Muhammad, seandainya engkau melihatku ketika sedang mengurusi keadaan laut, lalu aku sumbat mulutnya kerana khuatir dia mendapat rahmat.
(Jami’ Tirmizi (3032))
Status: Hasan

Atau, memang Firaun sempat mengucap, dan Jibril عليه السلام terus memasukkan lumpur tanah ke dalam mulutnya supaya dia tidak dapat mengucap lagi. Takut kalau mengucap kali kedua Allah ﷻ akan beri rahmat dan menerima pula syahadahnya itu.

Kenapa pula Jibril عليه السلام buat begitu? Kerana dia benci dan marah kepada orang yang jahat. Maka benci dan marah kepada orang jahat juga adalah tuntutan iman. Sekiranya Jibril عليه السلام tidak buat begitu pun, Allah ﷻ tidak akan terima iman Firaun itu.

Lihatlah dalam kata-kata Firaun ini pun, dia masih lagi sombong. Dia tidak kata “Tidak ada tuhan melainkan Allah” tetapi dia kata “Tuhan Bani Israil”. Tidak sampai mulut dia hendak menyebut nama Allah ﷻ. Begitu sombongnya dia, sampai di hujung maut pun masih enggan menyebut nama Allah ﷻ.

 

وَأَنَاْ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri”.

Pada ketika inilah dia mengaku Muslim dan kononnya hendak taat menyerahkan diri kepada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, kita boleh lihat, bagaimana dia benar-benar telah beriman. Takkan waktu itu dia tidak beriman, bukan? Namun adakah imannya itu diterima?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 87 (Kewajipan Solat Berjemaah)

KEHEBATAN SOLAT DAN DOA

Yunus Ayat 87: Doa mereka sebelum ini diterima oleh Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ beri ajaran kepada mereka melalui wahyu. Bani Israil tinggal bersama bangsa Qibti kerana mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti. Mereka duduk di luar rumah, di serambi, kandang kuda dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah ﷻ telah mewahyukan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام untuk menyediakan penempatan yang lain untuk Bani Israil.

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ وَأَخيهِ أَن تَبَوَّءآ لِقَومِكُما بِمِصرَ بُيوتًا وَاجعَلوا بُيوتَكُم قِبلَةً وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Sahih International

And We inspired to Moses and his brother, “Settle your people in Egypt in houses and make your houses [facing the] qiblah and establish prayer and give good tidings to the believers.”

Malay

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.

 

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):

Selalunya disebut nama Nabi Musa عليه السلام sahaja, tetapi kali ini disebut nama Nabi Harun عليه السلام juga. Ini kerana Nabi Harun عليه السلام membantu Nabi Musa عليه السلام dan juga ditugaskan untuk menyampaikan ajaran wahyu kepada umat Bani Israil.

Di permulaan ayat ini, arahan diberikan kepada dua Nabi ini, kerana mereka yang kena sampaikan. Akan tetapi ketika turunnya arahan solat nanti, ia diberikan secara umum kerana semua Bani Israil kena solat.

 

أَن تَبَوَّءآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا

“Hendaklah kamu berdua menyediakan penempatan di Mesir sebagai rumah penginapan,

Kalimah تَبَوَّآ berasal daripada katadasar ب و ء yang bermaksud ‘tinggal di sesuatu tempat’. Sekarang mereka berdua diperintahkan untuk membina penempatan Bani Israil sendiri dan tidak lagi duduk di rumah-rumah tuan mereka. Mereka kena cari tempat yang sesuai di Mesir iaitu tempat yang selamat. Sebelum ini mereka hanya tinggal di tepi-tepi rumah tuan mereka kerana mereka adalah hamba.

Yang kita boleh ambil pelajaran daripada ayat ini adalah saranan untuk tinggal di dalam rumah. Apabila ada kacau-bilau di luar, maka kita kena cari keselamatan di dalam rumah kita. Jangan sibuk-sibuk hendak keluar rumah waktu itu. Tidak perlu menambah kekacauan yang ada. Sebab itu semasa Covid bermaharajalela, kita disuruh duduk di rumah sahaja.

Mereka juga disuruh untuk tinggal di negeri Mesir buat masa itu. Tidak selamat untuk mereka pergi ke mana-mana lagi pada waktu itu. Nabi Musa عليه السلام telah pernah meminta kepada Firaun untuk melepaskan Bani Israil tetapi tidak dipersetujui oleh Firaun. Mereka tidak berada di dalam kedudukan yang membolehkan mereka untuk melarikan diri lagi kerana mereka ramai dan tidak boleh lari begitu sahaja. Duduk di rumah sendiri juga adalah strategi supaya senang untuk mereka melarikan diri nanti. Maka ini adalah fasa pertama.

Kerana itulah mereka diarahkan untuk tunggu di Mesir sehingga mendapat arahan Allah ﷻ seterusnya. Bukanlah setiap penyelesaian kepada masalah adalah dengan hijrah kerana kadang-kadang seseorang itu tidak boleh terus berhijrah. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum meninggalkan tempat tinggal untuk mencari tempat yang lebih sesuai. Rasulullah ﷺ pun tidak terus berhijrah tetapi disuruh para sahabat dulu berhijrah.

Bani Israil kena tunggu di situ dan dalam masa yang sama, melakukan apa yang mereka patut lakukan iaitu mendirikan solat. Ini mengajar kita bahawa dalam keadaan kita tidak kuat, kita kena lakukan perkara yang kita boleh buat sahaja, terutamanya dengan membanyakkan ibadah. Jangan tinggalkan agama. Mintalah pertolongan dengan mendirikan solat.

 

وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً

dan jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai qiblat,

Firaun tidak membenarkan mereka untuk membina rumah ibadat. Oleh itu mereka hanya diarahkan pada waktu itu untuk melakukan ibadat di rumah sahaja. Walaupun mereka tidak ada rumah ibadat untuk solat berjemaah, tetapi solat perlu diteruskan dengan dilakukan di rumah-rumah mereka. Ini adalah kerana solat tidak boleh ditinggalkan. Bila sudah ada rumah sendiri, barulah boleh melakukan solat, bukan?

Apakah yang dimaksudkan قِبْلَةً (kiblat) dalam ayat ini? Kalau kita sekarang, kiblat solat kita adalah Mekah. Sebelum kiblat ditukar kepada Mekah, umat Islam berkiblatkan BaitulMaqdis, yang juga kiblat Bani Israil. Akan tetapi semasa arahan diturunkan dalam ayat ini, BaitulMaqdis belum ada lagi. Maka apakah قِبْلَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini?

Ada pendapat yang mengatakan قِبْلَةً di sini adalah masjid. Jadikan rumah-rumah mereka tempat solat.

Ada juga yang berpendapat yang mengatakan maksud ayat ini adalah mereka perlu memilih beberapa rumah di antara mereka untuk dijadikan sebagai kiblat. Atau, rumah-rumah mereka hendaklah mengadap kiblat yang telah ditetapkan pada waktu itu. Mengikut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, kiblat mereka juga adalah Mekah kerana kiblat umat-umat terdahulu pun adalah Mekah juga. Kiblat yang dikatakan BaitulMaqdis itu hanya ketika mereka meninggalkan Mesir dan menuju ke BaitulMaqdis sahaja.

Yahudi sampai sekarang kena solat di mihrab mereka atau di ‘synagogue’. Memang itulah syariat mereka. Tidak boleh sembahyang di tempat lain. Di dalam ayat ini adalah pengecualian kerana takut kepada Firaun sahaja. Mereka bukan macam kita yang boleh solat di mana-mana sahaja. Kelebihan itu hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Walaupun kita ada masjid, tetapi kita boleh lagi solat di mana-mana.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,
الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Seluruh bumi adalah masjid (boleh digunakan untuk solat) kecuali kuburan dan tempat pemandian.”
(HR. Tirmidzi No. 317, Ibnu Majah No. 745, Ad Darimi No. 1390, dan Ahmad 3: 83)
Syeikh Al Albani رحمه الله mengatakan bahwa hadith ini sahih

Syarah: ini adalah kemudahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Di mana-mana sahaja kita boleh solat (ada sedikit pengecualian). Kalau dibandingkan dengan umat terdahulu, mereka kena cari rumah ibadat mereka untuk beribadat.

Sinagog orang yahudi
Pemandangan dari dalam sinagog

Solat mereka pun sebenarnya seperti kita juga. Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak ada rukuk. Cuma sekarang mereka sudah tidak buat kerana sudah ditinggalkan (mereka memang sudah tukar agama mereka). Kristian pun begitu juga. Akan tetapi masih ada lagi Yahudi dan Kristian Orthodox yang mengerjakan solat (dengan cara mereka). Kita tahu yang solat itu sama kerana syariat yang sama kerana daripada Tuhan yang sama juga.

Sekarang mereka tidak melakukan solat sebagaimana yang sepatutnya kerana mereka sudah sesat. Macam kita jugalah, lama kelamaan kalau tidak dijaga agama kita ini, solat akan hilang daripada amalan kita. Entah berapa ramai yang sudah tidak kisah tentang solat dalam kalangan kita? Macam tidak kisah sahaja kalau mereka tidak solat. Yang pelik, mereka masih tidak malu kerana masih mengaku Muslim lagi. Masih selamba mengaku Muslim tetapi tidak solat.

Kenapakah digunakan perkataan قِبْلَةً dalam ayat ini? قِبْلَةً adalah tempat yang kita hadapkan wajah kita. Tahukah anda zaman sekarang apakah قِبْلَةً di rumah kita? Ia adalah TV kita! Setiap hari kita akan hadapkan wajah kita padanya, bukan? Namun adakah tempat di rumah kita yang kita jadikan sebagai tempat ibadat?

Selalunya bila masuk rumah, kita akan menuju ke ruang tamu di mana TV berada. Ayat ini mengingatkan kita untuk mengadakan tempat beribadat di dalam rumah kita. Tempat khas untuk kita solat, belajar dan mengajar anak isteri kita dan sebagainya. Itulah tempat yang sepatutnya kita hadapkan.

Apakah perkara penting yang sepatutnya kita lakukan di kiblat rumah kita?

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Dirikanlah solat sebagai cara berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Tentunya Bani Israil mahukan tempat ibadat untuk solat dan beribadat secara berjemaah. Akan tetapi Firaun tidak membenarkan didirikan rumah ibadat bagi umat Islam pada waktu itu. Firaun tidak benarkan kerana kalau Bani Israil ada tempat berkumpul, mereka akan bersatu dan akan mencambahkan titik-titik penentangan kepada kerajaan Mesir. Maka, dia tutup kemungkinan itu daripada berlaku.

Ayat ini mengajar kita untuk mencari jalan untuk beribadat. Sekiranya kita dihalang daripada beribadat dengan cara yang sepatutnya, kita harus mencari jalan untuk mengerjakannya juga dengan cara yang lain. Jika kita dihalang daripada mengerjakan solat berjemaah, kita boleh kerjakan solat di rumah. Jangan sampai tinggalkan solat pula.

Kita juga diajar dalam ayat ini untuk pandai mengubah strategi mengikut keadaan. Namun janganlah sampai mengubah syariat pula. Janganlah sampai mengatakan tidak perlu solat berjemaah. Lelaki Muslim wajib untuk solat berjemaah di masjid. Lelaki bukannya solat di rumah walaupun berjemaah dengan keluarga. Begitulah hukum yang paling tepat walaupun ada berpendapat ia hanya fardhu kifayah sahaja. Akan tetapi kalau diperhatikan dalil-dalil yang ada, pendapat yang lebih kuat adalah lelaki itu wajib berjemaah di masjid.

Kecuali jika ada halangan seperti sakit dan sebagainya. Atau kerana ketakutan seperti yang berlaku kepada Bani Israil seperti di dalam ayat ini. Maka ayat ini menjadi dalil juga bahawa solat lelaki adalah berjemaah di masjid kerana Bani Israil itu disuruh solat di rumah kerana takut Firaun mengambil tindakan bunuh mereka. Namun apakah alasan untuk orang lelaki kita di Malaysia?

Sebenarnya banyak lagi dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith berkenaan kewajipan ini. Antaranya seperti disebut dalam Nisa’:102

وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka

Tafsir: Ini adalah tentang Solat Khauf, iaitu solat ketika perang. Kalau dalam perang pun disuruh untuk solat berjemaah, apatah lagi kalau di dalam waktu aman damai?

Allah ‎ﷻ berfirman dalam Baqarah:43

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Tafsir: Ulama’ tafsir berpendapat yang kalimah وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ (dan dirikanlah s0lat) adalah arahan untuk mengerjakan solat. Namun kemudian ditambah dengan kalimah وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ (dan rukuklah bersama orang yang rukuk) yang membawa maksud mendirikan solat berjemaah.

Hujah daripada hadith juga ada:

أَتَى النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى، فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّه ليسَ لي قَائِدٌ يَقُودُنِي إلى المَسْجِدِ، فَسَأَلَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ له، فيُصَلِّيَ في بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ له، فَلَمَّا وَلَّى، دَعَاهُ، فَقالَ: هلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بالصَّلَاةِ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فأجِبْ.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Seorang lelaki yang buta datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengatakan: Ya Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku tidak memiliki seorang yang memimpinku ke masjid. Maka Rasulullah ﷺ memberikan rukhsah (keringanan), namun ketika orang buta itu berlalu pergi kemudian dipanggilnya lagi dan ditanya: “Apakah kamu mendengar panggilan solat (azan)? Orang itu menjawab: Ya. Maka baginda ﷺ bersabda: “Penuhilah panggilan itu.”
(Sahih Muslim No. 653)

Syarah: Kalau orang buta pun masih wajib pergi ke masjid untuk berjemaah, maka apa pula alasan kita? Kesimpulan: seandainya salat jemaah boleh dilakukan di mana saja, tentu Rasulullah ﷺ memberi izin kepada lelaki buta itu untuk salat di rumahnya secara berjemaah bersama keluarganya. Rasulullah ﷺ, jika dihadapkan dengan dua hal, pasti memilih yang paling ringan selagi itu bukan dosa.

Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما, daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda:
مَنْ سَمِعَ الِنّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ ، فَلَا صَلَاةَ لَهُ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ
Barangsiapa mendengar azan kemudian tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya (solatnya tidak sempurna-pent), kecuali kerana ada uzur.
(HR. Ibnu Majah, no. 793; Al-Hakim, I/245 dan al-Baihaqi, III/ 174)
Disahihkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh adz-Dzahabi, lihat Irwa-ul Ghalil (II/337)

Syarah: Di antara uzur yang membolehkan kita untuk meninggalkan solat berjemaah adalah sakit, mengembara (safar), hujan lebat, cuaca sangat dingin, dan uzur lainnya yang dijelaskan oleh syari’at. Kalimah فَلَا صَلَاةَ لَهُ (tidak ada soat baginya) menjadi perbincangan ulama’ juga. Ini kerana kalau kita baca secara literal, maka orang yang boleh solat berjemaah di masjid, tetapi tidak pergi, seolah-olah dia tidak solat. Namun, ulama’ tidaklah mengatakan sebegitu, melainkan pahala soalat tidak sempurna sahaja. Ada kekurangan dari segi pahala.

Malah Nabi ﷺ pernah hendak membakar rumah orang yang tidak berjemaah.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَقَدْ هَـمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ لِيُحْطَبَ ، ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَـهَا، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ، ثُمَّ أُخَـالِفَ إِلَـىٰ رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوْتَـهُمْ. وَالَّذِيْ نَـفْسِـيْ بِيَدِهِ ، لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَـجِدُ عَرْقًا سَمِيْنًا أَوْ مِرْمَـاتَيْـنِ حَسَنَـتَيـْنِ ، لَشَهِدَ الْعِشَاءَ.
Demi (Allah ‎ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sesungguhnya aku berniat menyuruh mengumpulkan kayu bakar, lalu aku menyuruh azan untuk solat. Kemudian kusuruh seorang lelaki mengimami orang-orang. Setelah itu, kudatangi orang-orang yang tidak menghadiri solat jemaah dan kubakar rumah-rumah mereka. Demi (Allah ‎ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai solat seorang di antara mereka tahu bahawa ia akan memperoleh daging gemuk atau (dua kaki haiwan berkuku belah) yang baik, nescaya ia akan mendatangi solat Isyak.”
Muttafaq ‘alaih:
(HR. Al-Bukhari, No. 644; Muslim, No. 651; Abu Dawud, No. 548; An-Nasa-i, II/107; dan Ibnu Majah, No. 791)

Syarah: Lihatlah betapa marahnya Nabi Muhammad ﷺ kepada mereka yang tidak datang berjemaah ke masjid. Baginda sudah berfikir hendak suruh salah seorang sahabat untuk menggantikan baginda menjadi imam dan baginda pergi ke rumah-rumah orang yang tidak solat berjemaah. Namun tidaklah itu terjadi kerana bukanlah semua orang di dalam rumah-rumah itu wajib berjemaah. Ada kanak-kanak dan juga para wanita. Maka tidaklah patut kalau baginda bakar rumah-rumah tersebut.

Kalau tidak solat berjemaah pula adalah tanda sebagai tanda munafik.

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah berkata:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَىٰ هٰؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَىٰ بِهِنَّ ، فَإِنَّ اللهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى ، وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَىٰ ، وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِـيْ بُيُوْتِكُمْ كَمَا يُصَلِّـيْ هٰذَا الْمُتَخَلِّفُ فِـيْ بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّـةَ نَبِيِّكُمْ ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ … وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُوْمُ النِّفَاقِ.
Barangsiapa ingin bertemu dengan Allah ‎ﷻ di hari kiamat kelak dalam keadaan Muslim, hendaklah dia menjaga solat lima waktu di mana pun dia diseru kepadanya. Sungguh, Allah ‎ﷻ telah mensyari’atkan kepada Nabi ﷺ kalian, sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Solat lima waktu termasuk sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Seandainya kalian solat di rumah kalian sebagaimana orang yang tertinggal ini solat di rumahnya (tidak solat berjemaah di masjid) nescaya kalian akan meninggalkan sunnah Nabi ﷺ kalian. Seandainya kalian meninggalkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ kalian, nescaya kalian akan sesat… Dan aku melihat (pada zaman) kami (para Sahabat), tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah kecuali seorang munafik, yang telah diketahui kemunafikannya.
(Sahih: Muslim No. 654; Sunan Abu Daud No. 550; Sunan an-Nasai No. 849)

Syarah: Lihatlah betapa kerasnya teguran pada zaman itu. Pada zaman Sahabat, orang yang meninggalkan solat berjemaah dimarahi dan ditegur dengan keras oleh para Sahabat. Para Sahabat dan Tabi’in marah kepada lelaki yang sihat, yang jelas tidak ada uzur syar’i untuk meninggalkan solat berjemaah. Ini kerana pada zaman para Sahabat, hanya orang munafik yang meninggalkan solat berjemaah. Ketika masuk waktu Subuh dan Isyak, mereka tidak hadir solat berjemaah di masjid kerana keadaan pada waktu kedua-duanya gelap, berbeza dengan solat yang dilakukan di siang hari, mereka ikut berjemaah kerana riya’. Mereka sebenarnya hendak tunjuk kepada orang lain yang mereka solat. Maka apabila waktu gelap (tidak nampak siapa datang), maka mereka tidak datang ke masjid.

Daripada Abu ad-Darda` رضي الله عنه berkata: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”
(Sunan Abu Daud no.547; Sunan an-Nasai no.847; Musnad Ahmad no.21710; dll]. Sanadnya hasan menurut an-Nawawi, al-Arnaut, al-Albani, dll)
Dinilai sahih oleh al-Hakim, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Syarah: Sekiranya suatu kampung atau mukim itu sudah ada 3 atau lebih lelaki, maka sudah jatuh wajib ke atas mereka untuk mendirikan solat berjemaah. Kalau tidak dikerjakan, maka mudah bagi syaitan untuk memecah belahkan mereka.

Kesimpulan: Dalil-dalil yang ada ini sudah cukup untuk menjadi hujah bagi mengatakan yang solat berjemaah (di masjid/surau) bagi orang lelaki adalah wajib. Ia adalah hujah yang kuat. Memang sukar untuk ditolak.

Mungkin ramai yang panik kerana sudah biasa mendengar yang ia adalah sunat (nanti kita bincangkan khilaf tentang hal ini). Bukan anda sahaja yang terkejut, saya pun apabila pertama kali mendengarnya pun terkejut dan berat hati untuk menerimanya.

Saya pun seperti mengadu kepada ustaz saya kerana ia amat berat bagi saya. Maka ustaz saya balas: “Kalau awak tidak mampu, itu lain cerita. Tetapi jangan kerana awak tidak mampu, awak hendak ubah hukum pula. Kalau awak tidak mampu, maka mohon ampun kepada Allah ‎ﷻ siap-siap dan terus berdoa supaya Allah ‎ﷻ beri kekuatan”.

Sekiranya kita tinggal di dalam komuniti yang tidak boleh mendirikan masjid untuk solat berjemaah, adakah kita tinggalkan terus solat berjemaah? Jangan begitu. Ambil sunnah Bani Israil zaman Nabi Musa عليه السلام ini – mereka disuruh untuk mengambil beberapa rumah dijadikan tempat solat.

Maka, kita pilihlah salah sebuah rumah dalam komuniti kita itu untuk dijadikan sebagai tempat solat berjemaah. Islam itu indah dan amat praktikal. Janganlah pula kita menentang kerajaan yang ada untuk mendirikan juga masjid. Kita mungkin tinggal di negara bukan Islam yang tidak memungkinkan pembinaan masjid sesuka hati. Ini kerana gazette tanah tempat kita mungkin hanya membenarkan pembinaan rumah kediaman sahaja.

Janganlah kita hendak mereka mengubah undang-undang mereka untuk kita pula kerana ini boleh menyebabkan konflik. Buat dengan cara baik iaitu dengan meminta kebenaran melalui proses undang-undang.

Memang ulama’ khilaf tentang hukum salat berjemaah di masjid. Pendapat empat mazhab tentang hukum salat berjemaah:

1. Mazhab Syafi’iy: hukum sembahyang berjemaah adalah Fardhu Kifayah, wajib ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadith di atas tadi:

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”

Hujah mereka: apabila sudah ada tiga atau lebih lelaki mendirikan salat berjemaah, maka kewajipan itu telah dipenuhi.

2. Dalam Mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah ialah Fardhu Ain.

3. Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad (sunat yang dituntut; sunat yang kuat)

Kesimpulan: perkara ini masih kekal dalam khilaf ulama’. Yang mengatakan solat jemaah di masjid itu tidak wajib pun mempunyai hujah-hujah mereka. Antaranya:

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما. Beliau meriwayatkan: Rasulullah ﷺ bersabda;
وجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
“Dan bumi dijadikan sebagai tempat sujud (masjid) yang suci untukku.”
(Sahih Bukhari (335))

Syarah: Mereka berkata: Ini menunjukkan bahawa di tempat mana pun seorang hamba solat, baik itu di masjid mahupun di tempat lain, maka solatnya diterima. Cuma, daripada dalil-dalil yang wujud, lebih banyak dalil yang mengatakan ia wajib. Oleh kerana itu, kita berpegang yang solat berjemaah bagi lelaki di masjid itu adalah wajib. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih Syaikhul Islam dan muridnya, Ibnul Qayyim, Syaikh as-Sa’dawi, Ibn Baz, dan Ibn Utsaimin رحمهم الله.

Sekian tentang solat. Di dalam ayat ini hanya disebut solat sahaja kerana kewajipan zakat belum ada lagi. Hanya apabila Taurat telah diturunkan, barulah diwajibkan zakat kepada Bani Israil.

 

وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman

Sampaikanlah berita gembira bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya.

Berita gembira juga bermaksud mereka akan selamat di akhirat. Akan tetapi berita gembira itu hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja. Permulaan ayat disebut arahan secara keseluruhan kepada Bani Israil, namun bila disebut berita gembira tidaklah disebut kepada Bani Israil, tetapi disebut kepada orang yang beriman sahaja. Maknanya bukan semua mereka dapat berita gembira itu tetapi hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yunus Ayat 84 – 86 (Tawakal dan iman akan menyelamatkan kita)

Yunus Ayat 84: Nabi Musa عليه السلام memberi tarbiyyah dan semangat kepada kaumnya yang masih takut dengan ancaman Firaun dan pembesar-pembesarnya.

وَقالَ موسىٰ يٰقَومِ إِن كُنتُم ءآمَنتُم بِاللَّهِ فَعَلَيهِ تَوَكَّلوا إِن كُنتُم مُّسلِمينَ

Sahih International

And Moses said, “O my people, if you have believed in Allah, then rely upon Him, if you should be Muslims.”

Malay

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

 

وَقالَ موسىٰ يٰقَومِ

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku!

Nabi Musa عليه السلام sekarang berucap memberi kata-kata nasihat kepada Bani Israil. Baginda kena beri semangat kepada kaumnya kerana cabaran yang sedang mereka hadapi. Selepas Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan setelah Firaun dikalahkan dalam pertarungan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa عليه السلام, Firaun amat marah sekali kerana dia telah dimalukan di khalayak ramai. Tambahan pula, ahli-ahli sihir harapannya itu pun terus sujud beriman kepada Allah ﷻ .

Kerana marah sangat, bukan sahaja dia tidak mahu membebaskan Bani Israil daripada cengkaman perhambaan, tetapi sebaliknya dia meningkatkan dan menggandakan lagi kesusahan kepada mereka. Maka Bani Israil pun marah kepada Nabi Musa عليه السلام kerana pada anggapan mereka, Nabi Musa عليه السلام lah yang menyusahkan mereka. Ini ada disebutdalam ayat A’raf:129

قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Dia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”

Mereka marah kepada Nabi Musa عليه السلام kerana sebelum Nabi Musa عليه السلام lahir lagi, Firaun telah mengarahkan untuk dibunuh semua anak lelaki bani Israil. Mereka kata itu disebabkan oleh Nabi Musa عليه السلام dan sekarang selepas baginda berdakwah kepada Firaun, sekali lagi Firaun mengarahkan untuk anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan bani Israil dijadikan hamba lagi.

Mereka kata Nabi Musa عليه السلام tidak habis-habis menyusahkan mereka. Maka Nabi Musa عليه السلام membalas kata-kata mereka:

 

إِن كُنتُمْ ءآمَنتُم بِاللَّهِ

Kalau sungguh kamu sudah beriman kepada Allah,

Iaitu kalau mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah ﷻ, mengharap hanya kepada Allah ﷻ juga kalau mereka beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Mereka tentulah tidak boleh menyalahkan baginda kerana ini adalah ujian daripada Allah ﷻ. Memang kehidupan di dunia adalah tempat ujian untuk setiap manusia. Sepatutnya yang manusia kena hadapi adalah sebagaimana yang dihadapi oleh para sahabat Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam Ahzab:22

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

 

فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا

maka hendaklah kamu berserah diri kepada-Nya,

Nabi Musa عليه السلام mengingatkan kaumnya supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau benar-benar mereka beriman. Tidak ada cara lain. Mereka hendaklah berharap semata-mata kepada Allah ﷻ sahaja. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kerana telah ditaqdimkan harf jar على sebelum kalimah تَوَكَّلُوا seperti yang telah banyak kali disebut sebelum ini.

Hendaklah mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22 di atas. Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam sebuah hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنهما] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رضي الله عنهما pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan orang-orang pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Kemudian Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رضي الله عنه] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431) )
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

 

إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ

jika betul kamu orang-orang Islam“.

Jika betul-betul kamu kata kamu orang Islam, maka bertawakal sahaja kepada Allah ﷻ. Buktikan yang kamu benar-benar beriman dan tidak hanya manis di mulut sahaja.

Ada tiga elemen agama yang disebut di dalam ayat ini.

      • Iman
      • Tawakal
      • Islam.

Iman itu terjadi apabila seseorang itu mengaku yang dia percaya kepada Allah ﷻ, kepada Rasul, kepada wahyu Allah ﷻ, dan lain-lain lagi. Iman itu di dalam hati tetapi tidaklah cukup kalau kita percaya di dalam hati sahaja tetapi tidak diikuti dan ditunjuk dengan perbuatan.

Oleh itu mesti ada elemen Islam di mana kita menjalankan perintah Allah ﷻ seperti kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan sebagainya. Ini adalah bukti iman kita.

Di antara Iman dan Islam ada tawakal. Selepas kita beriman, kita perlu bertawakal kepada Allah ﷻ. Kadang-kadang, selepas kita beriman dan hendak menjalankan perintah Allah ﷻ, kadang-kadang, kita tidak mampu bertahan ataupun susah untuk melakukannya.

Sebagai contoh, apabila masuk Islam, seorang Muslim itu wajib melakukan solat tetapi ada yang susah untuk menjalankan ibadah solat kerana mereka takut keluarga mereka yang kafir akan marah mereka; seorang wanita Muslim wajib untuk menutup auratnya tetapi kadangkala ada yang susah untuk memakai tudung. Mereka takut dengan keluarga mereka, dengan kata-kata kawan mereka, atau pun mungkin ada diskriminasi yang dilakukan oleh negara mereka. Misalnya, pernah Negara Perancis mengharamkan rakyatnya memakai tudung menutup aurat.

Sama juga kalau kita hendak mengamalkan sunnah di dalam negara yang majoriti umat Islamnya mengamalkan bid’ah. Memang payah dan ada kemungkinan kita akan susah kalau kita tetap amalkan juga amalan sunnah.

Dalam hal ini, terutama sekali apabila ada dugaan untuk melakukan sesuatu perintah agama maka seorang Muslim itu hendaklah bertawakal kepada Allah ﷻ. Kita akan hanya mendapat kekuatan untuk menjalankan perintah Allah ﷻ jikalau kita berserah diri kepada Allah ﷻ sepenuh-penuhnya. Kita kena melakukan perintah Allah ﷻ tidak kira bagaimana keadaan sekalipun.

Apa yang perlu dilakukan tetap perlu dilakukan kerana memang sudah tujuan hidup kita untuk taat kepada perintah Allah ﷻ (menjadi Muslim). Kita akan gagal kalau kita mengharapkan semua orang akan menyokong perbuatan kita dalam setiap keadaan. Akan ada sahaja yang tidak setuju dengan pegangan agama kita.

Kekuatan itu akan datang jikalau bertawakal kepada Allah ﷻ kerana kita sudah tidak boleh berharap kepada rakan-rakan kita, keluarga kita atau negara kita. Kita kena berharap kepada Allah ﷻ dan yakin bahawa Allah ﷻ akan memelihara kita. Seperti yang disebut di dalam ayat Talaq:3

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Ayat daripada Surah Yunus ini mengajar kita bahawa kita perlu bertawakal kepada Allah ﷻ dalam melakukan ibadah. Nabi Musa عليه السلام mengingatkan kaumnya untuk bertawakal kepada Allah ﷻ dalam beriman dan menjalankan ibadat kepada Allah ﷻ. Begitu juga dengan kita zaman sekarang. Memang ada rasa takut dan gelisah dalam melakukan ibadah yang sunnah, tetapi kita buat sahaja dan tawakal kepada Allah ﷻ.


 

Yunus Ayat 85: Jawapan balas kaumnya selepas diberi motivasi

فَقالوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلقَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

So they said, “Upon Allah do we rely. Our Lord, make us not [objects of] trial for the wrongdoing people

Malay

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.

 

فَقالوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah kami bertawakal.

Ini adalah kata-kata mereka yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Bukan semua benar-benar beriman tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang kuat imannya. Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa عليه السلام telah menyuruh Bani Israil untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Maka dalam ayat ini diceritakan bagaimana mereka terus menerima dan mereka terus bertawakal kepada Allah ﷻ.

Mereka mengaku yang mereka hanya tawakal kepada Allah ﷻ sahaja kerana telah ditaqdimkan harf jar على itu. Maknanya mereka terus taat kepada kata-kata Nabi Musa عليه السلام. Selepas mereka disuruh bertawakal, mereka terus berkata yang mereka bertawakal kepada Allah ﷻ.

Beginilah yang sepatutnya kita lakukan. Hendaklah kita taat dan terus melakukan arahan. Tanda mereka bertawakal kepada Allah ﷻ adalah mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ. Maka ini mengajar kita tawakal itu mesti disertai dengan doa. Kekuatan kita sahaja tidak cukup.

 

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami fitnah kesengsaraan

Ini adalah doa mereka kepada Allah ﷻ supaya menyelamatkan mereka daripada fitnah. Sebelum mereka menyebut permintaan mereka, mereka telah menyebut yang mereka telah bertawakal. Ini bermakna mereka bertawasul dengan iman dan tawakal mereka. Tidaklah ada disebut mereka tawasul dengan Nabi, wali, atau malaikat seperti yang selalu dilakukan oleh orang Muslim di Malaysia yang tidak tahu ilmu wahyu.

Mereka minta diselamatkan daripada ‘fitnah’. ‘Fitnah’ dalam Al-Qur’an bermaksud ‘ujian’ dan bukanlah ‘tohmahan’ yang kita faham dalam bahasa Melayu kita. Maka kena perbetulkan fahaman kita tentang maksud ‘fitnah’ di dalam Al-Qur’an.

Mereka berdoa supaya janganlah mereka menjadi sasaran fitnah. Janganlah mereka terus menerus dikenakan azab musibah daripada tangan Firaun. Maknanya mereka minta diselamatkan.

Maksud lain: Janganlah bala diturunkan kepada mereka sepertimana bala yang diberikan kepada orang-orang yang zalim. Supaya jangan nampak sama sahaja orang Islam dan orang kafir. Sampai orang-orang zalim boleh jadi keliru pula nanti. Nanti mereka boleh kata, “sama sahaja Muslim dan kafir, dua-dua Allah beri bala”.

Jangan nampak seperti orang Islam ini tidak ada Tuhan pula. Kalau keliru begitu, boleh sampai nanti orang bukan Islam tak mahu masuk Islam pula. Sebab mereka tak nampak pun kelebihan kalau masuk Islam. Kerana masuk Islam pun kena bala juga.

Maksud lain: mereka meminta supaya jangan jadikan mereka dalam kehinaan. Iaitu kehinaan jikalau doa mereka tidak dimakbulkan kerana nanti orang-orang yang zalim nampak mereka sama sahaja antara orang beriman dan orang yang zalim di mana doa mereka tidak makbul, doa orang Islam pun tidak makbul juga.

 

لِّلْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bagi kaum yang zalim.

Ayat ini juga bermaksud, mereka berdoa supaya mereka tidak dijadikan punca orang-orang zalim terus menjadi kufur dan tidak mahu masuk Islam. Iaitu mereka berdoa supaya Allah ﷻ memenangkan mereka ke atas puak yang zalim itu.

Sekiranya puak yang zalim dapat mengalahkan orang-orang Islam, maka tentunya mereka tidak ada alasan untuk masuk Islam kerana mereka yang menang tentunya akan rasa yang merekalah yang betul. Tidaklah mereka hendak masuk Islam kalau begitu, kerana mereka akan rasa merekalah yang benar. Mereka akan terus melakukan kezaliman yang mereka sedang lakukan.

Maka ayat ini juga mengajar kita supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah kepada kita. Sebagai contoh, kalau kita sudah terbuka hati untuk belajar agama, janganlah kita terus meninggalkan hal-hal dunia sampai boleh dipandang serong oleh orang yang bukan Islam. Mereka akan nampak kita seperti orang yang tidak berjaya dalam hidup dan mereka tidak mahu menjadi seperti kita.

Janganlah juga perangai kita buruk sampaikan orang bukan Islam melihat Islam itu tidak menarik. Kita harus sedar yang kita ini sebenarnya adalah ‘duta’ kepada agama Islam. Mereka lihat orang Islam ini mewakili agama ini. Apabila mereka lihat perangai kita buruk, yang jadi busuk nama adalah agama Islam sendiri. Mereka akan kata: “kalau agama ini baik, tentulah penganutnya pun baik juga, bukan?” Hakikat sebenarnya ‘Muslim’ tidak sama dengan ‘Islam’.

Agama Islam ini amat molek, malangnya penganutnya yang teruk. Buat malu sahaja. Kerana itulah kita sedih apabila ada Muslim yang ekstremis, yang belajar entah di mana, sampai boleh bom sana dan sini, menyebabkan nama Islam terpalit lumpur. Saya teringat kata seorang yang masuk Islam: “Saya bersyukur saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”

Maksudnya, kalau dia kenal orang Muslim dahulu, mungkin dia tidak jadi masuk Islam kerana melihatkan perangai orang Muslim yang teruk. Akan tetapi oleh kerana dia belajar Islam dahulu, dan dia nampak betapa indahnya Islam itu, dia dengan rela telah memeluk Islam.

Satu lagi maksud ayat ini adalah doa mereka supaya orang Islam tidak dijadikan mangsa kepada orang zalim. Ini kerana kalimah فِتْنَةً bermaksud ‘ujian’. Allah ﷻ sentiasa memberi ujian kepada hamba-Nya. Allah ﷻ benarkan manusia untuk buat apa sahaja yang mereka hendak buat selagi mereka di dunia. Sama ada mereka memilih jalan yang baik atau tidak.

Allah ﷻ beri peluang memilih sendiri itu pun sebagai ujian. Allah ﷻ hendak lihat apa yang mereka akan buat. Orang-orang zalim selalunya gagal ujian itu dengan melakukan kezaliman kepada orang lain. Bani Israil berdoa dalam ayat ini supaya mereka tidak dijadikan ‘mangsa’ dalam kezaliman mereka itu. Janganlah mereka gagal dalam ujian itu sampai mereka melakukan kezaliman.

Ini adalah doa yang baik untuk diamalkan. Sesungguhnya doa yang baik sudah banyak ada dalam Al-Qur’an. Ia menggunakan kata-kata yang pendek dan indah tetapi banyak makna di dalamnya.


 

Yunus Ayat 86: Sambungan doa

وَنَجِّنا بِرَحمَتِكَ مِنَ القَومِ الكٰفِرينَ

Sahih International

And save us by Your mercy from the disbelieving people.”

Malay

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.

وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu

Doa ini juga amat baik untuk diamalkan. Doanya ringkas sahaja. Ringkas sahaja permintaan mereka kepada Allah ﷻ. Memang kita tidak perlu ajar Allah ﷻ untuk beri apa kepada kita. Lihatlah ﷻ bagaimana Al-Qur’an mengajar kita berdoa dengan pendek sahaja tetapi penuh makna. Tidak perlu kita sebut satu-satu perkara yang kita ingini.

Sebagai contoh, doa mereka yang mahukan isteri. Mereka berdoa kepada Allah ﷻ dengan menyenaraikan segala kriteria isteri pujaannya itu: Mahukan isteri itu cantik, rambut ikal mayang, gigi bersusun, pandai memasak dan sebagainya. Itu sudah mengajar Allah ﷻ. Seolah-olah kita anggap Allah ﷻ tidak tahu kehendak kita. Sepatutnya pandailah Allah ﷻ untuk buat apa yang kita perlukan. Allah ﷻ lebih tahu apa yang kita perlukan. Allah ﷻ lebih tahu apa yang baik untuk kita. Tidak perlu mengajar Allah ﷻ.

Kita minta apa yang penting yang kita ingini. Seperti doa Bani Israil ini, mereka minta diselamatkan. Mereka tidak mengajar pula bagaimana mereka hendak diselamatkan – bagi Firaun menjadi sakit kah, tentera Firaun kabur mata kah atau sebagainya. Mereka tidak cakap begitu.

Mereka cuma minta ‘diselamatkan’ sahaja. Pandailah Allah ﷻ selamatkan mereka dengan cara apa; begitu juga jika mahukan isteri, cukuplah berdoa supaya Allah ﷻ berikan isteri yang solehah. Sebarang keinginan lain yang dalam hati kita, Allah ﷻ amat tahu.

Janganlah kita berdoa sebagaimana mereka yang berdoa sampai lenguh tangan dek kerana terlalu lamanya menadah tangan. Mereka ajar Tuhan satu persatu bagaimana untuk berikan kepada mereka apa yang mereka mahu. Sampai setengah jam doa. Semua perkara mereka hendak. Tamak betul.

Lihatlah dalam hadith bagaimana doa-doa Nabi, semuanya pendek-pendek sahaja. Ikutlah doa-doa yang diberikan dalam Al-Qur’an dan hadith terlebih dahulu sebelum doa-doa yang lain. Yang penting, jangan ajar Allah ﷻ dalam berdoa.

 

مِنَ الْقَوْمِ الْكٰفِرِينَ

daripada angkara kaum yang kafir”.

Bagaimana lagi kita hendak menyelamatkan diri daripada musuh seperti tentera Firaun itu melainkan dengan rahmat Allah ﷻ sahaja? Hanya kepada Allah ﷻ sahaja harapan kita.

Dalam mereka minta diselamatkan daripada ancaman tentera Firaun itu, doa mereka pendek sahaja. Mereka tidak minta supaya mereka diberikan senjata yang banyak, mereka tidak minta disakitkan Firaun dan tenteranya, tidak. Bermakna, tidak perlu kita ajar Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu bagaimana hendak menyelamatkan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an